Tafsir Surah ar-Ra’d Ayat 16 – 17 (Kemampuan menerima Ilmu)

Ra’d Ayat 16: Ayat dalil aqli tanbih ke 5. Ia dalam bentuk dalil aqli i’tirafi. Iaitu iktiraf fahaman Musyrikin yang benar. Kafir Mekah pun sudah tahu pun perkara itu. Antaranya, mereka memang kenal Allah ﷻ; dan mereka tahu yang Allah ﷻlah yang menjadikan alam ini.

قُل مَن رَّبُّ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ قُلِ اللهُ ۚ قُل أَفَاتَّخَذتُم مِّن دونِهِ أَولِياءَ لا يَملِكونَ لِأَنفُسِهِم نَفعًا وَلا ضَرًّا ۚ قُل هَل يَستَوِي الأَعمىٰ وَالبَصيرُ أَم هَل تَستَوِي الظُّلُمٰتُ وَالنّورُ ۗ أَم جَعَلوا لِلهِ شُرَكاءَ خَلَقوا كَخَلقِهِ فَتَشٰبَهَ الخَلقُ عَلَيهِم ۚ قُلِ اللهُ خٰلِقُ كُلِّ شَيءٍ وَهُوَ الوٰحِدُ القَهّارُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Who is Lord of the heavens and earth?” Say, “Allāh.” Say, “Have you then taken besides Him allies not possessing [even] for themselves any benefit or any harm?” Say, “Is the blind equivalent to the seeing? Or is darkness equivalent to light? Or have they attributed to Allāh partners who created like His creation so that the creation [of each] seemed similar to them?”¹ Say, “Allāh is the Creator of all things, and He is the One, the Prevailing.”

  • The obvious conclusion is that the claimed partners, having no ability to create, cannot be compared to Allāh in any way.

(MALAY)

Katakanlah: “Siapakah Tuhan langit dan bumi?” Jawabnya: “Allah”. Katakanlah: “Maka patutkah kamu mengambil pelindung-pelindungmu dari selain Allah, padahal mereka tidak menguasai kemanfaatan dan tidak (pula) kemudharatan bagi diri mereka sendiri?”. Katakanlah: “Adakah sama orang buta dan yang dapat melihat, atau samakah gelap gelita dan terang benderang; apakah mereka menjadikan beberapa sekutu bagi Allah yang dapat menciptakan seperti ciptaan-Nya sehingga kedua ciptaan itu serupa menurut pandangan mereka?” Katakanlah: “Allah adalah Pencipta segala sesuatu dan Dialah Tuhan Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa”.

 

قُل مَن رَّبُّ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ قُلِ اللهُ

Katakanlah: “Siapakah Tuhan langit dan bumi?” Katakanlah: “Allah”. 

Allah ﷻ ajar Nabi Muhammad ﷺ bagaimana cara untuk berdakwah kepada Quraish Mekah itu: Tanyakan kepada mereka siapakah pencipta dan pemelihara langit dan bumi? Jawabnya adalah Allah ﷻ. Mereka pun akan jawab bahawa Allah ﷻlah rabb langit dan bumi kerana mereka pun terima juga yang Allah ﷻlah yang menjadikan alam ini.

Di dalam ayat ini Allah ﷻ tidak tunggu jawapan daripada mereka, tetapi Allah ﷻ terus menjawabnya kerana sudah tahu jawapan mereka. Sedangkan di dalam ayat lain, ada disebut apa yang mereka pasti akan jawab seperti di dalam Luqman:25

وَلَئِن سَأَلتَهُم مَّن خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ لَيَقولُنَّ اللهُ
Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Tentu mereka akan menjawab: “Allah”.

Maka tidak perlu tunggu kerana memang sudah tahu jawapan mereka.

 

قُل أَفَاتَّخَذتُم مِّن دونِهِ أَولِياءَ

Katakanlah: “Maka patutkah kamu mengambil pelindung-pelindung dari selain Allah,

Setelah mereka mengaku yang Allah ﷻ yang menjadikan alam ini dan mereka tahu bahawa Allah ﷻ itu adalah Tuhan, tanya mereka kembali: kenapa kamu berani ambil selain Allah ﷻ sebagai wali, sebagai ilah? Kenapa kamu bodoh sangat? Jika sudah tahu Allah ﷻ itu sebenar-benar Tuhan (seperti mereka sendiri sudah tahu), kenapakah mereka mengambil ilah lain untuk penyelesai masalah dan penyempurna hajat?

 

لا يَملِكونَ لِأَنفُسِهِم نَفعًا وَلا ضَرًّا

padahal mereka tidak menguasai kemanfaatan dan tidak (pula) kemudharatan bagi diri mereka sendiri?”. 

Beri hujah ini kepada mereka: Bagaimana mereka boleh berharap dengan selain Allah ﷻ, sedangkan roh-roh yang mereka puja itu tidak ada kuasa ke atas diri mereka pun. Mereka tidak dapat memberi faedah kepada diri mereka atau dapat menghalang bahaya kalau dikenakan kepada mereka. Ilah-ilah yang sebegitu tidak patut dijadikan tempat untuk disembah dan diseru dalam doa. Kalau kita hendak puja pun, hendaklah yang dipuja itu yang memberi manfaat, bukan? Sebagaimana anda mahu bekerja, adakah anda akan bekerja dengan seseorang yang tidak dapat memberi anda gaji?

Roh-roh yang mereka jadikan sebagai sembahan dan seruan selain Allah ﷻ itu tidak dapat memberi syafaat pun kepada mereka nanti di akhirat. Ini seperti firman-Nya dalam Maryam:93-95:

إِنْ كُلُّ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ إِلا آتِي الرَّحْمَنِ عَبْدًا لَقَدْ أَحْصَاهُمْ وَعَدَّهُمْ عَدًّا وَكُلُّهُمْ آتِيهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَرْدًا
Tidak ada seorang pun di langit dan di bumi, kecuali akan datang kepada Tuhan Yang Maha Pemurah selaku seorang hamba. Sesungguhnya Allah telah menentukan jumlah mereka dan menghitung mereka dengan hitungan yang teliti. Dan tiap-tiap mereka akan datang kepada Allah pada hari kiamat dengan sendiri-sendiri.  

Balaghah (Taqdim wa Ta’khir): Perhatikan susunan ayat ini.Di dalam ayat ini disebut tentang manfaat dahulu sebelum mudharat kerana sebelum itu di dalam Ra’d:15 disebut ketaatan sukarela berbanding keterpaksaan,

وَلِلهِ يَسجُدُ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ طَوعًا وَكَرهًا
Hanya kepada Allah-lah sujud (patuh) segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan kemahuan sendiri ataupun terpaksa

 

قُل هَل يَستَوِي الأَعمىٰ وَالبَصيرُ

Katakanlah: “Adakah sama orang buta dan yang dapat melihat,

Berikan mereka contoh bandingan: Adakah sama mereka yang boleh melihat dan mereka yang buta? Tentu tidak sama. Buta yang disebut dalam ayat ini adalah isyarat kepada buta akidah; iaitu orang kafir yang jauh daripada kebenaran. Maka di sini sudah pasti yang mereka itu tidak sama dengan orang yang beriman.

Akan tetapi bukankah orang-orang kita lebih sayang dan lebih memandang kepada orang-orang kafir? Kalau dilihat di bilik-bilik orang-orang muda kita, gambar siapakah yang ditampal di dinding mereka? Mungkin gambar penyanyi-penyanyi, pelakon-pelakon dan artis-artis yang kafir. Mereka itulah yang dijadikan sebagai idola mereka, yang mereka damba untuk menjadi seperti orang-orang itu. Mereka tidak sedar bahawa orang-orang kafir itu bukannya boleh dijadikan sebagai contoh.

Begitu juga orang dewasa, mereka menjadikan orang-orang kafir sebagai pedoman hidup mereka yang mereka baca kisah-kisah hidup orang-orang kafir itu untuk dijadikan sebagai contoh. Ada pendapat golongan kuffar itu diambil sebagai benar. Sedangkan sebenarnya masih banyak lagi golongan Muslim yang boleh dijadikan sebagai contoh. Maka kita kena perhatikan siapa yang kita pandang dan ikut di dalam kehidupan kita.

Semua itu terjadi kerana cara berfikir kita sudah rosak. Kita tidak mementingkan iman sebagai satu kriteria yang kita rasa perlu ada di dalam orang yang kita jadikan sebagai contoh di dalam kehidupan kita. Ini kerana agama bagaikan tidak penting di dalam kehidupan kita. Maka sekarang dan selepas ini hendaklah kita betul-betul lebih memilih dan memandang orang-orang muslim sebagai contoh di dalam kehidupan kita.

 

أَم هَل تَستَوِي الظُّلُمٰتُ وَالنّورُ

atau samakah gelap gelita dan terang benderang; 

Berikan satu lagi perbandingan: Adakah sama kegelapan dan cahaya? Tentu tidak sama kerana gelap dan cerah tidak akan sama. Kegelapan itu adalah isyarat kepada kegelapan syirik dan cahaya itu adalah isyarat kepada tauhid. Allah ﷻ hendak menunjukkan bahawa tidak sama langsung dan amat jauh berbeza antara tauhid dan syirik – beza antara buta dan celik; beza antara gelap dan cerah.

Di dalam ayat ini kalimah الظُّلُمٰتُ (kegelapan-kegelapan) itu di dalam bentuk jamak (plural) sedangkan النّورُ (cahaya) itu di dalam bentuk mufrad (satu) sahaja. Ini adalah kerana kesesatan itu ada banyak jenis akan tetapi kebenaran itu hanya satu sahaja. Kebenaran itu adalah semua yang dibawa oleh Rasul yang disampaikan oleh Allah ﷻ.

Kenapa Allah ﷻ menggunakan perumpamaan gelap dan terang sedangkan manusia sudah tahu gelap dan terang itu amat berbeza? Ini kerana walaupun manusia itu tahu beza antara gelap dan terang, akan tetapi mereka kesamaran untuk membezakan antara kebenaran dan kebathilan. Maka kerana itu Allah ﷻ sentuh di dalam ayat ini untuk menggerakkan minda kita untuk pandai di dalam membezakan mana yang benar dan mana yang tidak.

Sebagai contoh, masyarakat kita tidak tahu membezakan antara amalan yang sunah dan amalan yang bid’ah. Mereka juga tidak tahu membezakan antara tauhid dan juga syirik. Ini adalah kerana mereka sudah lama jauh daripada ajaran wahyu Al-Qur’an dan juga ajaran wahyu daripada hadith. Kerana itulah jika kita lihat amalan dan fahaman masyarakat kita ini amat bercelaru sekali. Mereka amat jauh daripada kebenaran kerana yang mereka ikut bukanlah daripada wahyu akan tetapi daripada amalan tok nenek yang mereka terima turun temurun.

Oleh kerana itulah masyarakat kita ini jauh daripada kefahaman agama. Ini adalah kerana mereka tidak belajar kerana mereka sangka apa yang mereka amalkan itu sudah benar disebabkan ia telah diamalkan turun temurun. Mereka tidak ada keinginan untuk belajar dan mereka seolah olah tidak kisah duduk di dalam kejahilan. Apabila kita sampaikan ilmu yang benar kepada mereka berdasarkan kepada wahyu, kita pula yang dimarah kerana ia amat asing bagi mereka.

Kerana itulah amat sukar untuk menegur kesalahan di dalam masyarakat kita kerana orang Melayu kita ini tidak boleh ditegur. Mereka itu sebenarnya jahil, akan tetapi mereka tidak sedar yang mereka itu jahil. Apabila kita tegur mereka, mereka rasa kita memperbodohkan mereka. Sedangkan kita sebenarnya hanya hendak memperbetulkan mereka. Akan tetapi mereka tidak menghargainya.

 

أَم جَعَلوا لِلهِ شُرَكاءَ

apakah mereka menjadikan beberapa sekutu bagi Allah

Oleh kerana jauh sangat beza antara syirik dan tauhid, maka kenapakah mereka berani untuk mengadakan syirik buat Allah ﷻ?

 

خَلَقوا كَخَلقِهِ فَتَشٰبَهَ الخَلقُ عَلَيهِم

yang dapat menciptakan seperti ciptaan-Nya sehingga kedua ciptaan itu serupa menurut pandangan mereka?”

Adakah roh-roh sembahan mereka itu boleh mencipta seperti Allah ﷻ? Musyrikin Mekah sudah tahu yang pencipta alam ini adalah Allah ﷻ. Habis, kenapa mereka mahu sembah ilah-ilah yang lain lagi? Seandainya ilah-ilah itu mampu mencipta sama seperti Allah ﷻ, maka bolehlah juga kalau mahu sembah pun.

Namun adakah begitu? Adakah yang disembah selain Allah ﷻ itu boleh juga mencipta, sampaikan tidak tahu mana satu yang Allah ﷻ cipta dan mana satu yang diciptakan oleh syuraka’ (sekutu bagi Allah ﷻ) mereka itu? Tentu tidak ada ciptaan yang dibuat oleh roh-roh yang mereka sembah itu, bukan? Ini seperti disebut dalam Luqman:10-11

خَلَقَ السَّمٰوٰتِ بِغَيرِ عَمَدٍ تَرَونَها ۖ وَأَلقىٰ فِي الأَرضِ رَوٰسِيَ أَن تَميدَ بِكُم وَبَثَّ فيها مِن كُلِّ دابَّةٍ ۚ وَأَنزَلنا مِنَ السَّماءِ ماءً فَأَنبَتنا فيها مِن كُلِّ زَوجٍ كَريمٍ
Dia menciptakan langit tanpa tiang yang kamu melihatnya dan Dia meletakkan gunung-gunung (di permukaan) bumi supaya bumi itu tidak menggoyangkan kamu; dan memperkembang biakkan padanya segala macam jenis binatang. Dan Kami turunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan padanya segala macam tumbuh-tumbuhan yang baik.

هٰذا خَلقُ اللهِ فَأَروني ماذا خَلَقَ الَّذينَ مِن دونِهِ ۚ بَلِ الظّٰلِمونَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ
Inilah ciptaan Allah, maka perlihatkanlah olehmu kepada-Ku apa yang telah diciptakan oleh sembahan-sembahan(mu) selain Allah. Sebenarnya orang-orang yang zalim itu berada di dalam kesesatan yang nyata.

Maka kalau Allah ﷻ sahaja yang boleh mencipta, maka kenapa seru roh-roh itu? Kenapa jadikan mereka sebagai ilah?

 

قُلِ اللهُ خٰلِقُ كُلِّ شَيءٍ

Katakanlah: “Allah adalah Pencipta segala sesuatu

Sebelum ini adalah penafian terhadap ada penciptaan lain selain penciptaan Allah ﷻ. Sekarang adalah ithbat (penetapan) – Maka katakanlah: Hanya Allah ﷻ sahaja membuat segala sesuatu. Sebenarnya Musyrikin Mekah pun tahu bahawa Allah ﷻlah maha pencipta yang mencipta segalanya. Cuma mereka tidak mahu menyembah Allah ﷻ sahaja tetapi masih juga mahu menyembah selain-Nya.

 

وَهُوَ الوٰحِدُ القَهّارُ

dan Dialah Tuhan Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa”.

Tiada Tuhan selain Allah ﷻ, Tuhan yang Esa. Tidak ada yang sama dengan-Nya dari segala segi pun. Kehebatan-Nya tidak ada tandingan.

Dia Maha Perkasa untuk melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki. Tidakkah mereka takut? Allah ﷻ telah menjadikan segalanya kepada mereka, tetapi mereka sembah juga selain-Nya? Apakah mereka tidak takut dengan keperkasaan Allah ﷻ?


 

Ra’d Ayat 17: Ayat tanbih ke 6. Ini adalah perumpamaan daripada Allah ﷻ.

أَنزَلَ مِنَ السَّماءِ ماءً فَسالَت أَودِيَةٌ بِقَدَرِها فَاحتَمَلَ السَّيلُ زَبَدًا رّابِيًا ۚ وَمِمّا يوقِدونَ عَلَيهِ فِي النّارِ ابتِغاءَ حِليَةٍ أَو مَتٰعٍ زَبَدٌ مِّثلُهُ ۚ كَذٰلِكَ يَضرِبُ اللهُ الحَقَّ وَالبٰطِلَ ۚ فَأَمَّا الزَّبَدُ فَيَذهَبُ جُفاءً ۖ وَأَمّا ما يَنفَعُ النّاسَ فَيَمكُثُ فِي الأَرضِ ۚ كَذٰلِكَ يَضرِبُ اللهُ الأَمثالَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He sends down from the sky, rain, and valleys flow according to their capacity, and the torrent carries a rising foam. And from that [ore] which they heat in the fire, desiring adornments and utensils, is a foam like it. Thus Allāh presents [the example of] truth and falsehood. As for the foam, it vanishes, [being] cast off; but as for that which benefits the people, it remains on the earth. Thus does Allāh present examples.

(MALAY)

Allah telah menurunkan air (hujan) dari langit, maka mengalirlah air di lembah-lembah menurut ukurannya, maka arus itu membawa buih yang naik ke atas. Dan dari apa (logam) yang mereka lebur dalam api untuk membuat perhiasan atau alat-alat, ada (pula) buihnya seperti buih arus itu. Demikianlah Allah membuat perumpamaan (bagi) yang benar dan yang bathil. Adapun buih itu, akan hilang sebagai sesuatu yang tak ada harganya; adapun yang memberi manfaat kepada manusia, maka ia tetap di bumi. Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan.

 

أَنزَلَ مِنَ السَّماءِ ماءً

Dialah (Allah) yang telah menurunkan air dari langit,

Allah ﷻ mengingatkan yang Dia telah menghantar air dari langit; iaitu dalam bentuk air hujan. Amat banyak sekali ayat-ayat tentang air dalam Al-Qur’an. Tujuannya adalah untuk kita rasa terhutang budi kepada Allah ﷻ kerana Dia telah memberikan sumber rezeki kepada kita melalui air yang amat penting itu. Air itu sendiri adalah perumpamaan kepada rezeki daripada Allah ﷻ.

Akan tetapi selain daripada itu, ia bukan tentang air sahaja. Air itu juga adalah perumpamaan kepada wahyu. Ayat ini adalah ayat perumpamaan dan Allah ﷻ mulakan dengan sesuatu yang turun dari langit, iaitu air. Akan tetapi wahyu Al-Qur’an juga turun dari langit, bukan?

 

فَسالَت أَودِيَةٌ بِقَدَرِها

maka mengalirlah air di lembah-lembah menurut ukurannya,

Kalimah فَسالَت daripada katadasar س ي ل yang bermaksud mengalir; sungai, hujan lebat, banjir, aliran air. Air yang diturunkan itu akan lalu ke lembah-lembah (wadi-wadi) di bumi dan akan menakung mengikut kadarnya masing-masing. Ia akan memenuhi setakat ruang yang ada yang boleh diisi. Ada lembah yang cetek dan ada yang dalam. Jikalau air itu lebih dari kawasan yang diisi, maka air itu akan melimpah dan akan mengambil tempat lain pula, sebagaimana yang terjadi ketika banjir.

Air ini adalah isyarat kepada ilmu daripada wahyu Al-Qur’an, yang memenuhi bumi Mekah. Wadi itu pula adalah perumpamaan kepada hati manusia. Ada hati yang besar seperti wadi yang besar. Wadi yang besar dapat menampung air yang banyak, maka hati yang besar dapat menerima Al-Qur’an itu. Wadi yang kecil tidak mampu menampung air yang banyak. Begitu juga hati yang kecil. Begitulah dakwah yang Nabi ﷺ sampaikan Musyrikin Mekah tidak boleh terima kerana hati mereka kecil. Maka mereka akhirnya nanti membuat keputusan untuk menghalau Nabi ﷺ.

Hal ini juga mengisyaratkan dan menggambarkan tentang hati manusia dan perbezaan-perbezaannya. Di antara hati itu ada yang dapat memuatkan ilmu yang banyak, di antaranya ada pula yang tidak dapat memuat ilmu yang banyak, melainkan sedikit, kerana hatinya sempit. Maka kriterianya adalah hati yang bersih. Sekiranya hati bersih, maka akan dapat banyak menerima dan simpan ilmu.

Maka ini adalah ayat jenis perumpamaan. Allah ‎ﷻ selalu menggunakan cara ini untuk memberi pengajaran kepada manusia. Allah ﷻ sebut di dalam Zumar:27

وَلَقَد ضَرَبنا لِلنّاسِ في هٰذَا القُرءآنِ مِن كُلِّ مَثَلٍ لَّعَلَّهُم يَتَذَكَّرونَ
Dan demi sesungguhnya Kami telah huraikan daripada Qur’an ini kepada manusia semua sekali, dari berbagai contoh bandingan mudah-mudahan mereka mengambil peringatan.

Namun begitu perumpamaan-perumpamaan yang diberikan perlukan dipelajari kerana ia bukannya terus boleh difahami. Begitu juga dengan perumpamaan di dalam ayat ini yang agak canggih. Rasulullah ﷺ pernah membuat perbandingan hati manusia dengan tanah seperti disebut di dalam sebuah hadith. Mungkin melalui hadith ini kita lebih memahami perumpamaan yang ada di dalam ayat ini.

وعن أبي موسى رضي الله عنه قال‏:‏ قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏:‏ ‏ “‏مَثَلُ مَا بَعَثَنِيَ اللهُ بِهِ مِنَ الهُدَى وَالعِلْمِ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَصَابَ أَرْضًا، فَكَانَتْ مِنْهَا طَائِفَةٌ طَيِّبَةٌ قَبِلَتِ الماءَ فَأَنْبَتَتِ الكَلَأَ، وَالعُشْبَ الكَثِيرَ وكان مِنْهَا أَجَادِبُ أَمْسَكَتِ الماءَ، فَنَفَعَ اللهُ بِهَا النَّاسَ، فَشَرِبُوا مِنْهَا وَسَقَوْا وَزَرَعُوا، وَأَصَابَ طَائِفَةً مِنْهَا أُخْرَى إِنَّمَا هِيَ قِيعَانٌ لَا تُمْسِكُ مَاءً وَلَا تُنْبِتُ كَلَأً فَذٰلِكَ مَثَلُ مَنْ فَقُهَ في دِينِ اللهِ وَنَفَعَهُ ما بَعَثَنِيَ اللهُ بِهِ فَعَلِمَ وَعَلَّمَ، وَمَثَلُ مَنْ لَمْ يَرْفَعْ بِذٰلِكَ رَأْسًا وَلَمْ يَقْبَلْ هُدَى اللهِ الذي أُرْسِلْتُ بِهِ‏”‏ ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)‏
Daripada Abu Musa (Al-Asy’ari) رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dia berkata, Nabi ﷺ bersabda, “Perumpamaan apa yang aku diutus oleh Allah dengannya daripada hidayah dan ilmu adalah bagaikan air hujan yang turun membasahi bumi (tanah), maka ada bahagian tanah yang subur yang menyerap air maka ia menumbuhkan rumput dan tumbuhan yang banyak. Ada pula daripadanya tanah yang gersang yang menyimpan (menampung) air kemudian Allah menjadikannya manfaat bagi manusia. Maka mereka minum daripadanya, memberi minum haiwan ternak dan menanam. Dan ada pula tanah lain yang tandus gersang, ia tidak menyimpan air dan tidak pula mampu menumbuhkan tumbuhan. Itulah perumpamaan orang yang memahami agama Allah lalu dia mengambil manfaat dari apa yang aku diutus Allah dengannya, maka dia belajar dan mengajarkannya. Dan perumpamaan orang yang tidak mengangkat kepalanya (tidak menghiraukannya), dan tidak mahu menerima hidayah Allah yang aku diutus dengannya.”

(Sahih Bukhari (4232))

Syarah: Rasulullah ﷺ menggambarkan ilmu sebagai sumber kehidupan manusia sebagaimana air hujan menjadi sumber kehidupan tanaman. Tidak ada kehidupan bagi sesebuah umat kecuali dengan ilmu Syarak. Maka mana-mana umat manusia yang tidak mempunyai ilmu Syarak, maka ia adalah umat yang mati.

Rasulullah ﷺ menggambarkan tanah itu kepada tiga macam:

1. Tanah yang menerima atau menyerap hujan lalu ia menghasilkan tanaman.

2. Tanah yang tidak menyerap air tetapi ia menakung air. Walaupun tidak ada tanaman yang tumbuh tetapi ia menyimpan air di atas permukaannya, hasilnya ia menjadi sumber pengairan dan manusia menggunakan air itu untuk keperluan harian dan memberi minum haiwan ternakan mereka.

3. Tanah yang kontang yang hujan turun ke atasnya tetapi ia tidak menyimpan air dan tidak pula menumbuhkan apa-apa hasil tanaman.

Kemudian Rasulullah ﷺ menggambarkan manusia dengan tiga macam tanah ini, maka lihatlah diri kita ini tanah yang bagaimana.

1. Perumpamaan tanah yang pertama; adalah perumpamaan bagi ulama’ ataupun fuqaha’ (orang-orang yang faqih, iaitu mereka yang berilmu). Mereka berilmu hasil daripada ilmu yang mereka pelajari, dan mereka mengajarnya kepada orang lain. Hujan turun lalu dia minum, kemudian dia menampakkan hasilnya dengan mengeluarkan berbagai-bagai bentuk tanaman dan menjadi sumber makanan kepada makhluk yang lain.

2. Adapun perumpamaan tanah yang kedua; adalah perumpamaan bagi mereka yang bukan ulama ataupun fuqaha’. Sebaliknya ia gambaran bagi golongan perawi. Ini golongan yang penting juga di dalam umat Islam. Mereka mendapatkan ilmu kemudian meriwayatkannya kepada orang lain seadanya, tanpa memperincikan dan tanpa menjelaskan dengan lebih lanjut, kerana mereka tidak punya kefaqihan dalam hal itu. Mereka sekadar menyimpan riwayat-riwayat yang mereka dengar dan pelajari.

Ini seperti mana periwayatan Al-Qur’an dan periwayatan hadith. Bukan semua orang yang hafal Al-Qur’an atau hadith adalah Ulama’. Hal ini jelas boleh dilihat di sekeliling kita. Mereka sekadar boleh menyampaikan apa yang mereka hafal. Kalau kita bandingkan antara fuqaha dengan perawi, yang lebih ramai adalah para perawi. Ribuan perawi-perawi dalam setiap generasi; generasi sahabat, tabi’in, tabi’ al-tabi’in sehinggalah datang generasi para ulama hadith yang telah membukukan hadith-hadith daripada perawi-perawi hadith. Perawi-perawi bukan semuanya fuqaha’ tetapi setidak-tidaknya mereka telah mendapatkan riwayat yang mereka dengar, mereka simpan, mereka jaga, dan mereka sampaikan kepada generasi berikutnya.

3. Adapun perumpamaan tanah yang ketiga; adalah perumpamaan mereka yang paling rugi iaitu jenis manusia yang ilmu sampai kepadanya tetapi tidak memberi apa juga hasil yang baik. Ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri, tidak ada kesan ke atas dirinya, jauh sekali memberi kesan kepada orang lain. Bahkan mereka tidak menghargai ilmu yang sampai kepada mereka. Mereka memandang remeh, tidak menghiraukan ilmu yang mereka dengar dan pelajari.

Maka kita pun boleh terjatuh dalam salah satu daripada ketiga-tiga golongan ini. Adakah kita ambil manfaat dengan ilmu yang kita pelajari? Kemudian kita sampaikan kepada orang lain? Maka kita adalah golongan pertama.

Kemudian mungkin kita tidak faham apa yang kita belajar tetapi kemudian menyampaikannya kepada orang lain? Kita ajak orang belajar, atau kita taja orang belajar, atau kita mudahkan orang belajar. Maka kita adalah golongan kedua, ada jugalah manfaatnya kepada manusia lain walaupun tidak memanfaatkan untuk diri sendiri.

Namun paling teruk kalau menjadi golongan ketiga. Apa pun tidak tahu, apa pun tidak memberi manfaat kepada manusia. Tunggu mati sahaja.

 

فَاحتَمَلَ السَّيلُ زَبَدًا رّابِيًا

maka arus itu membawa buih yang naik ke atas.

Kembali lagi kepada perumpamaan air yang mengalir di dalam lembah-lembah itu. Arus air itu juga membawa bersamanya, buih yang naik timbul di atas permukaan air. Buih itu mengandungi kekotoran dan kerana itu timbul naik ke atas. Arus itu akan membawa buih yang naik ke atas air untuk dibersihkan.

Ini adalah perumpamaan antara orang mukmin dan orang kafir. Orang mukmin itu adalah air yang bersih itu tetapi orang kafir adalah seperti buih yang kotor itu. Oleh itu, ada perbezaan antara kedua mereka.

Atau yang dimaksudkan adalah ilmu. Ada ilmu yang baik dan ada ilmu yang tidak. Maka ilmu yang tidak baik akan dibuang hingga tinggal ilmu yang baik-baik sahaja. Akan tetapi kalau tidak belajar ilmu wahyu, memang tidak akan tahu mana yang benar dan mana yang tidak. Sebab itu ramai yang selamba ambil ajaran dan amalan yang sesat dan bid’ah kerana mereka tidak ada ilmu wahyu.

Juga bermaksud kotoran itu adalah nafsu syahwat yang perlu dihilangkan daripada hati seorang mukmin. Kerana itulah orang yang belajar tafsir Al-Qur’an akan dapat membuang kekotoran nafsu syahwat daripada dirinya kalau dia benar-benar mengamalkan apa yang diajar di dalam Al-Qur’an ini. Kerana itu penting belajar tafsir dan beramal dengan Al-Qur’an. Kita takut kita belajar sahaja tetapi tidak mengambil pun ibrah di dalamnya.

 

وَمِمّا يوقِدونَ عَلَيهِ فِي النّارِ

Dan dari apa (logam) yang mereka lebur dalam api 

Sekarang adalah perumpamaan yang kedua pula. Sekarang diberikan pula elemen yang lain: logam yang manusia bakar. Seperti emas, perak dan lain-lain. Manusia akan bakar logam supaya senang logam itu dibentuk.

 

ابتِغاءَ حِليَةٍ أَو مَتٰعٍ زَبَدٌ مِثلُهُ

untuk membuat perhiasan atau alat-alat, ada (pula) buihnya seperti buih arus itu.

Manusia membakar logam untuk dilembutkan supaya mudah dibuat perhiasan atau alat-alat keperluan yang lain. Logam itu boleh jadi sama ada emas, tembaga atau perak. Ini juga adalah salah satu nikmat yang Allah ﷻ berikan kepada manusia yang sukakan perhiasan.

Apabila dibakar, pada leburan logam itu juga ada buih (sepertimana air di lembah itu juga ada buih). Buih pada logam cair itu adalah tahi emas, tahi besi atau tahi timah. Ia tidak diperlukan oleh tukang logam dan ia akan dibuang.

 

كَذٰلِكَ يَضرِبُ اللهُ الحَقَّ وَالبٰطِلَ

Demikianlah Allah membuat perumpamaan (bagi) yang benar dan yang bathil. 

Yakni apabila perkara yang hak dan perkara yang bathil bertemu, maka perkara yang bathil tidak akan kuat dan pasti lenyap. Perihalnya sama dengan buih, tidak akan bertahan lama dengan air, tidak pula dengan emas, perak, dan logam lainnya yang dilebur dengan api, melainkan pasti akan menyurut dan lenyap.

Satu adalah perumpamaan menggunakan air manakala satu lagi menggunakan logam. Allah ﷻ beri perumpamaan antara kebenaran dan bathil. Dalam perumpamaan ini, air disamakan dengan besi kerana kedua-duanya ada buih yang mengandungi kekotoran. Namun kenapa satu menggunakan air dan satu lagi menggunakan logam? Ada beza antara keduanya. Satu buih kerana air dan satu lagi buih yang naik kerana panas. Antara kedua ini, manakah yang senang? Mari kita lihat:

Allah ﷻ hendak bandingkan antara orang kafir dan orang mukmin. Di Mekah, ada orang mukmin yang diibaratkan sebagai air dan Musyrikin Mekah yang diibaratkan sebagai buih pada air itu. Ini senang sahaja untuk dilihat dan dipisahkan.

Akan tetapi di Madinah pun ada juga orang kafir iaitu golongan munafik. Mereka mengaku yang mereka itu beriman namun sebenarnya dalam hati mereka tidak beriman. Allah ﷻ menggunakan perumpamaan buih pada besi pula untuk mereka. Ini kerana kalau dengan air, senang buih itu naik ke atas. Sebagaimana orang kafir di Mekah itu senang nampak dan dikenali, kerana mereka tidak mengaku Muslim pun.

Akan tetapi orang munafik itu lain pula. Mereka itu ada dalam masyarakat Islam, tinggal bersama dan malah solat bersama Rasulullah ﷺ dan para sahabat yang lain. Mereka pula mengaku yang mereka pun Muslim juga. Oleh kerana itu bukan senang untuk membezakan mana yang mukmin dan mana yang munafik.

Oleh kerana itu memang agak susah untuk mengeluarkan kekotoran itu sebagaimana susah untuk keluarkan kekotoran dari dalam logam. Maka ‘kepanasan’ yang dimaksudkan adalah dengan peperangan demi peperangan yang akan mengeluarkan siapa yang ada sifat munafik dalam diri mereka yang sebenar. Apabila dikerahkan umat Islam untuk berjihad di dalam peperangan, orang munafik tidak mahu terlibat dan mereka akan memberi berbagai alasan untuk tidak infak untuk peperangan dan menyerahkan diri mereka masuk ke dalam pasukan tentera.

Apabila semua panas dek kerana peperangan itu, maka sifat mereka yang sebenarnya akan keluar dan bolehlah orang mukmin tahu mana satulah antara mereka yang munafik supaya mudah untuk mengeluarkan mereka daripada golongan umat Islam. Mereka ini perlu dikenalpasti oleh pemerintah kerana mereka itu akan merosakkan masyarakat dari dalam sekiranya tidak dikeluarkan. Namun peperangan ini terkena kepada semua orang, maknanya semua Islam kena melaluinya.

Allah ‎ﷻ beritahu di atas, yang daripada logam itu (emas, besi atau tembaga), boleh dijadikan perhiasan atau barang kegunaan lain seperti periuk dan sebagainya. Antara dua jenis ini, tentu yang kita lebih suka adalah dalam bentuk perhiasan. Ini isyarat kepada dua kemungkinan yang akan didapati oleh orang Islam yang pergi berjihad.

Apabila Muslim pergi berperang, ada dua kemungkinan yang akan terjadi – yang utama adalah: mati syahid masuk syurga. Yang rendah sedikit daripada itu adalah mendapat kejayaan semasa hidup (menang perang dan dapat mengutip Harta Ghanimah). Antara dua perkara ini tidak sama.

Walaupun kedua-dua bagus tetapi ada yang lebih baik daripada satunya. Oleh itu, perumpamaan mati syahid adalah perhiasan dan perumpamaan barang lain adalah mendapat kemenangan. Begitulah Allah ﷻ beri penerangan kepada kita supaya kita dapat bayangkan dan dapat faham. Ini penting untuk diketahui kerana begitulah perjalanan dakwah.

 

فَأَمَّا الزَّبَدُ فَيَذهَبُ جُفاءً

Adapun buih itu, akan hilang sebagai sesuatu yang tak ada harganya; 

Kembali kepada perumpamaan buih kembali. Kedua-dua jenis buih yang daripada air dan daripada bakaran logam itu, akan dibuang. Kalimah جُفاءً adalah daripada katadasar ج ف ا yang bermaksud membuang sampah; buih; tidak berguna; keluarkan kekotoran daki; menyapu sampah. Begitulah sifat benda yang kotor, memang tidak diperlukan dan tidak disukai, oleh itu akan dibuang.

Oleh itu, jangan risau tentang orang kafir itu, mereka akan dibuang macam sampah oleh Allah ﷻ. Lihatlah Abu Jahal tidak dikenang melainkan dengan keburukan sahaja sedangkan ajaran Nabi Muhammad ﷺ kekal sampai sekarang. Baginda disanjung dan dikenang dengan mulia sampai sekarang.

Begitu juga ilmu yang tidak bermanfaat, akan dilupakan. Cuba fikirkan tentang buku teks di sekolah yang anda belajar dulu, di mana sekarang? Anda pun tidak ingat, bukan? Akan tetapi ilmu yang baik seperti Al-Qur’an akan tersimpan sampai bila-bila.

 

وَأَمّا ما يَنفَعُ النّاسَ فَيَمكُثُ فِي الأَرضِ

adapun yang memberi manfaat kepada manusia, maka ia tetap di bumi.

Sedangkan air yang bermanfaat dan logam yang baik, akan tetap menunggu sesuatu. Kalimah مكث bermaksud ‘tunggu sesuatu’. Ini adalah seperti orang Islam yang baik, mereka memang ada di dunia, tetapi mereka menunggu untuk sesuatu yang lebih baik. Mereka menunggu untuk mati dan dimasukkan ke dalam syurga.

Adapun barang yang bermanfaat bagi manusia, ia adalah emas dan perak; dan yang bermanfaat bagi bumi ialah air yang diserap oleh bumi sehingga menjadi subur kerananya. Hal ini dijadikan perumpamaan bagi ilmu dan amal saleh yang memberikan kebaikan kepada pelakunya, sedangkan ilmu dan amal buruk akan menyurutkan pelakunya, sebagaimana surutnya buih itu.

Demikian pula halnya petunjuk dan perkara yang hak, keduanya datang dari sisi Allah ﷻ. Barangsiapa yang mengerjakan perkara yang hak, maka dia akan memperoleh pahalanya, dan amalnya itu akan memberi manfaat sebagaimana sesuatu yang bermanfaat bagi manusia di bumi.

 

كَذٰلِكَ يَضرِبُ اللهُ الأَمثالَ

Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan.

Begitulah Allah ‎ﷻ berikan perumpamaan. Allah ﷻ kumpulkan zaman Mekah dan zaman Madinah dalam satu ayat ini. Hebat sekali dan alangkah indah kalau kita dapat faham. Namun begitu perumpamaan sebegini bukan senang difahami melainkan kena belajar tafsir. Kalau baca terjemahan sahaja tidak akan faham.

Memang sedih dan bahaya kalau tidak tahu misalan yang Allah ﷻ berikan dalam Al-Qur’an. Sebahagian ulama Salaf mengatakan, “Apabila aku membaca suatu masal (perumpamaan) dari Al-Qur’an, lalu aku tidak memahaminya, maka aku menangisi diriku sendiri, kerana Allah ﷻ telah berfirman: ‘dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.’ (Ankabut: 43).”

وَتِلكَ الأَمثٰلُ نَضرِبُها لِلنّاسِ ۖ وَما يَعقِلُها إِلَّا العٰلِمونَ
Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia; dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.

Malangnya orang kita rata-ratanya tidak kisah pun. Jangankan perumpamaan, ayat-ayat yang muhkam tanpa perumpamaan pun mereka tidak faham. Ramai yang baca sahaja tanpa faham sebutir habuk pun apa yang ada dalam Al-Qur’an itu. Lalu bagaimanakah hendak mengambil hidayah daripadanya?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 28 Mei 2026

Ringkasan Surah Ra’d


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Tafsir Surah Yusuf Ayat 105 – 106 (Iman bercampur Syirik)

Yusuf Ayat 105: Ayat syikayah (rungutan) daripada Allah ‎ﷻ. Pernahkah anda terfikir bagaimana iman seseorang boleh rosak secara senyap tanpa disedari? Atau mengapa ada orang yang kelihatan percaya kepada Tuhan, tetapi cara hidup mereka seolah-olah jauh daripada-Nya? Jawapan kepada persoalan rumit ini mungkin tersembunyi di dalam Surah Yusuf, khususnya dalam ulasan ayat 105 hingga 107. Ayat-ayat ini mendedahkan apa yang boleh kita panggil sebagai “anatomi iman yang rosak” — satu proses menurun yang menunjukkan bagaimana kepercayaan yang tulen boleh tercemar dari dalam.

وَڪَأَيِّن مِّن ءَايَةٍ فِى ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلأَرضِ يَمُرُّونَ عَلَيهَا وَهُم عَنهَا مُعرِضُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And how many a sign within the heavens and earth do they pass over while they, therefrom, are turning away.

(MALAY)

Dan berapa banyak sekali tanda-tanda (kekuasaan Allah) di langit dan di bumi yang mereka melaluinya, sedang mereka berpaling dari padanya.

وَڪَأَيِّن مِّن ءَايَةٍ فِى ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلأَرضِ

Dan berapa banyak sekali tanda-tanda (kekuasaan Allah) di langit dan di bumi

Allah ‎ﷻ mengutuk  mereka yang tidak mahu menerima kebenaran: entah berapa banyak tanda-tanda di langit dan bumi yang mereka nampak, tetapi mereka buat tidak tahu sahaja. Mata mereka boleh melihat akan tetapi mata hati mereka buta! Mereka terus melihat keindahan dunia yang indah ini dan ramai yang takjub. Akan tetapi tidakkah mereka memikirkan, kalau alam ini hebat, tentu yang menjadikannya lebih hebat lagi!

Di sini Allah ‎ﷻ sedang memujuk Nabi Muhammad ﷺ. Sebelum ini telah disebut yang ramai menentang apa yang disampaikan oleh baginda. Tentulah baginda sedih. Sekarang di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ beritahu baginda yang bukan waktu itu sahaja mereka menentang kebenaran dan tanda-tanda yang disampaikan kepada mereka, akan tetapi sudah lama mereka menolak tanda-tanda pada alam. Mereka itu bukan sahaja menolak Rasulullah ﷺ, tetapi Allah ﷻ pun mereka sudah pernah tolak!

Mereka bukan sahaja menolak ءَايَةٍ Al-Qur’an yang baginda sampaikan, mereka juga telah menolak ءَايَةٍ pada alam. Ini kerana kalimah ءَايَةٍ bermaksud ‘tanda-tanda’. Para mufassir menjelaskan bahawa ayat ini merujuk kepada banyaknya bukti, tanda kebesaran, dan kekuasaan Allah ﷻ yang terdapat di langit dan bumi, seperti matahari, bulan, bintang, awan, hujan, gunung, laut, tumbuhan, haiwan, dan pelbagai fenomena alam. Semua ini adalah dalil yang jelas tentang keesaan Allah ﷻ, kekuasaan-Nya, dan kesempurnaan sifat-sifat-Nya. Allah ﷻ berfirman di dalam Jathiyah:3-6

إِنَّ فِي السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ لَآيَاتٍ لِّلْمُؤْمِنِينَ. وَفِي خَلْقِكُمْ وَمَا يَبُثُّ مِن دَابَّةٍ آيَاتٌ لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ
“Sesungguhnya pada langit dan bumi benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman. Dan pada penciptaan dirimu dan pada binatang-binatang yang berserakan (di bumi) terdapat tanda-tanda bagi kaum yang menyakini.”

Ibn Kathir رَحِمَهُ اللَّهُ menyebut: “Allah mengkhabarkan tentang kelalaian kebanyakan manusia daripada berfikir tentang ayat-ayat Allah dan dalil-dalil tauhid yang terdapat pada ciptaan-Nya di langit dan bumi, seperti bintang-bintang, planet-planet, gunung, lautan, tumbuhan, haiwan, dan pelbagai jenis makhluk. Mereka melihat semua ini tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya”.

Alam ini sangatlah hebat yang dikaji takkan pernah habis oleh pakar-pakar dalam bidang masing-masing. Ada yang kaji serangga, ada yang kaji tanah, ada yang kaji langit dan macam-macam lagi. Semakin terserlah kehebatan alam ini yang disusun sangatlah indah  yang sepatutnya menjadikan pengkajinya dan sesiapa yang belajar tentangnya sepatutnya bertanya: “Siapa yang buat semua ini dengan sempurna?” Ia akan membawa kepada pencarian Tuhan yang Satu yang menjadikan alam ini.

Kemudian segala sesuatu di dalam alam itu ada undang-undangnya, ada pasang dan surutnya, ada laluan yang perlu diikuti oleh binatang, bintang dan segalanya. Itu baru makhluk yang tidak ada akal, mereka pun ada undang-undang dan laluan, takkan kita manusia yang lebih hebat ini tidak ada peraturan? Maka kita akan sedar yang hidup kita ini ada aturannya, dan aturan itu ditentukan oleh Allah ‎ﷻ.

 

يَمُرّونَ عَلَيها وَهُم عَنها مُعرِضونَ

yang mereka melaluinya, sedang mereka berpaling dari padanya.

Banyak sekali tanda-tanda yang ada, namun ramai yang lalu begitu sahaja, tidak beri perhatian pun. Apabila digunakan kalimah عَلَيها (di atasnya), maknanya mereka memang nampak sungguh kebenaran itu tetapi tidak mengendahkannya kerana kalau lalu tepi, mungkin boleh kata tidak nampak, tetapi kalau lalu dari ‘atas’, takkan tidak nampak?

Satu lagi, perhatikan kalimat عَنها di dalam ayat ini. Kalau susunan biasa, sepatutnya ia menjadi وهم معرضون عنها. Akan tetapi, apabila kalimah عَنها diawalkan (istilahnya adalah taqdim), maka ia memberi makna yang lebih lagi. Maknanya, mereka khusus berpaling daripada tanda-tanda yang Allah ‎ﷻ beri. Yang benda lain, mereka perasan, tetapi peringatan daripada Allah ‎ﷻ sahaja yang mereka buat tidak tahu. Mereka lalu sahaja tanpa memikirkan, kerana yang mereka fikirkan adalah bagaimana hendak memenuhkan perut mereka, bagaimana hendak menguasai manusia, bagaimana hendak ambil itu dan ini daripada orang lain. Mereka hanya memikirkan kelangsungan hidup mereka sahaja, bagaimana cara untuk memenuhi kehendak nafsu sahaja. Mereka leka dengan benda lain. Macam anak kita yang duduk dalam kereta, tetapi sibuk main dengan handphone dan mereka tidak tengok pun keindahan alam di luar.

Macam sekarang manusia boleh lihat entah berapa banyak kebenaran di hadapan mata mereka, sebagai contoh, mereka boleh baca dan dengar ayat-ayat Al-Qur’an yang membenarkan apa yang mereka sendiri sudah tahu, tetapi mereka tengok sahaja, tidak mahu faham dan tadabbur. Mereka tidak mahu mendekati Al-Qur’an. Begitulah ramai dalam kalangan manusia yang degil. Kebenaran di hadapan mata pun masih tidak mahu terima lagi. Jangan kata orang Yahudi, umat Islam yang tidak mengendahkan ajaran tafsir Al-Qur’an pun begitulah juga.

Allah ‎ﷻ memulakan huraian-Nya dengan menyatakan betapa banyak tanda-tanda kebesaran-Nya di langit dan di bumi yang dilalui oleh manusia setiap hari, tetapi mereka sengaja berpaling daripadanya. Persoalannya, mengapa? Adakah bukti-Nya tidak mencukupi?

Jawapannya ialah tidak! Punca sebenar kebutaan rohani ini bukanlah kekurangan bukti, tetapi kerana manusia terlalu sibuk dan asyik dengan diri sendiri. Mereka hidup dalam apa yang boleh dianggap sebagai “kewujudan haiwan” — satu kehidupan yang tumpuannya hanya pada makanan, tempat tinggal, dan pembiakan. Apa bezanya kita dengan binatang kalau kita fikir itu sahaja? Apabila fikiran dipenuhi dengan keinginan untuk mengumpul lebih banyak kekayaan, mendapatkan kuasa, atau memenuhi tuntutan nafsu, maka “diri” menjadi pusat alam semesta. Akibatnya, segala tanda kebesaran alam semesta yang lain akan terlepas pandang.

Ayat ini juga merupakan satu bentuk hiburan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Allah ‎ﷻ seolah-olah berkata bahawa penolakan manusia terhadap baginda bukanlah satu kegagalan atau “kritikan terhadap baginda”. Mereka itu telah lama hidup dalam keadaan lalai, terus mengabaikan tanda-tanda Tuhan jauh sebelum wahyu diturunkan lagi kepada Nabi Muhammad ﷺ. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu Nabi Muhammad ﷺ, penolakan puak Yahudi setelah diberitahu dengan kisah benar tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini, bukan perkara baru bagi mereka. Memang mereka semenjak dahulu lagi sudah buat perkara yang sama. Mereka bukan tidak pernah lihat tanda-tanda kebenaran itu, mereka lihat tetapi memang hati mereka jenis ‘degil’.

Kisah yang sedang dibincangkan adalah kisah mereka, kisah salah seorang Nabi agung mereka, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Malah ini adalah permulaan kepada sejarah mereka kerana mereka digelar Bani Israil (anak-anak Israil – Nabi Ya’qub) dan sekarang kita mempelajari tentang merekalah! Kisah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kisah anak-anaknya, bukan? Walaupun surah ini yang pertama didengari oleh puak Quraisy Mekah, akan tetapi puak Yahudi sudah disentuh, bukan? Ketika itu, Nabi Muhammad ﷺ masih lagi di Mekah, akan tetapi tidak lama lagi, baginda akan berhijrah ke Yathrib dan akan menemui mereka bersemuka! Tetapi buat masa ini mereka telah disinggung dengan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Mereka juga punca pemuka Quraisy bertanyakan tentang kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini dan sekarang telah diberikan kisah itu seperti yang mereka sarankan. Telinga mereka sepatutnya sudah naik tinggi untuk mendengar apa yang akan disampaikan oleh baginda? Apa yang ada di dalam kisah itu?

Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu berkait rapat dengan bangsa Bani Israil juga sebenarnya di zaman Rasulullah itu. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (dan Bunyamin) tidak disayangi oleh abang-abang itu kerana mereka berdua daripada ibu yang berlainan. Dan bukankah Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (datuk bagi bangsa Arab) tidak disukai oleh puak Yahudi kerana Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada ibu yang berbeza? Ibu Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah Hajar, seorang wanita berketurunan Qibti (Mesir), yang merupakan hamba kepada Sarah (hamba yang dihadiahkan kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ oleh Raja Mesir) dan kemudian diberikan kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai isteri. Ibu Nabi Ishaq عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula adalah Sarah, isteri utama Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sarah adalah anak perempuan kepada Betuel bin Nahor dan berasal daripada keluarga Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri. Sebagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak disukai kerana daripada ibu yang berlainan, maka keturunan Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga tidak dipandang oleh Bani Israil kerana baginda daripada isteri Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang lain. Mereka mengulangi kesilapan yang sama oleh tok nenek mereka! Banyak lagi kesalahan mereka yang nanti akan Allah ‎ﷻ wahyukan kepada Nabi Muhammad ﷺ di dalam Surah Baqarah apabila baginda berhijrah nanti.

Allah ﷻ kata banyak sahaja tanda-tanda pada alam ini. Dan bagi Bani Israil, mereka telah dapat banyak tanda-tanda istimewa yang Allah ﷻ berikan kepada mereka. Kita baca dalam Al-Qur’an tentang awan yang menaungi mereka, air dari batu, Manna dan Salwa dan bermacam-macam lagi. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Hajj:46 

أَفَلَم يَسيروا فِي الأَرضِ فَتَكونَ لَهُم قُلوبٌ يَعقِلونَ بِها أَو آذانٌ يَسمَعونَ بِها ۖ فَإِنَّها لا تَعمَى الأَبصٰرُ وَلٰكِن تَعمَى القُلوبُ الَّتي فِي الصُّدورِ
maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada.

Jadi, yang tidak mengendahkan tanda-tanda pada alam ini adalah kerana buta hati sahaja. Lihat apa Allah ﷻ kata tentang mereka yang sebegini di dalam Ali Imran:179?

وَلَقَد ذَرَأنا لِجَهَنَّمَ كَثيرًا مِّنَ الجِنِّ وَالإِنسِ ۖ لَهُم قُلوبٌ لّا يَفقَهونَ بِها وَلَهُم أَعيُنٌ لّا يُبصِرونَ بِها وَلَهُم آذانٌ لّا يَسمَعونَ بِها ۚ أُولٰئِكَ كَالأَنعٰمِ بَل هُم أَضَلُّ ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الغٰفِلونَ
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.

Bagaimana pula dengan kita? Sangat mudah untuk melihat relevansi konsep ini hari ini. Betapa kerap kita terganggu oleh skrin telefon bimbit sehingga kita terlepas pandang keajaiban awan di langit, kerumitan seekor serangga, atau keindahan matahari terbenam—semua tanda yang sepatutnya mengingatkan kita kepada Pencipta. Kelalaian inilah yang menjadi pintu pertama kepada kerosakan iman. Sepatutnya alam ini mendekatkan kita kepada Allah ﷻ seperti firman Allah ﷻ di dalam Ali Imran:190-191

إِنَّ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ. الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk, dan ketika berbaring, dan mereka memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): ‘Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka’.”

Ramai manusia hanya memikirkan perut mereka sahaja. Tapi kita boleh perhatikan ada segelintir yang fikiran mereka lebih tinggi dan memikirkan tentang orang lain di persekitaran mereka, tentang kebersihan alam, tentang binatang yang semakin pupus. Inilah jenis orang yang walaupun mereka bukan Muslim, tapi kita boleh lihat mereka mempertahankan kebajikan rakyat Palestin yang jauh daripada mereka. Ada yang menjadi pemimpin kerana hendak memperjuangkan ideologi itu dan ini kerana mereka yakin dengan ideologi mereka.

Namun begitu, Islam bukan hanya memikirkan tentang dunia sahaja. Islam mengajak kita berfikir lebih tinggi lagi. Ya, betul, Islam juga membincangkan tentang kebajikan, kebersihan dan lain-lain itu juga, namun Islam lebih, lebih lagi. Islam mengajak kita memikirkan bukan hanya visi di dunia sahaja, tetapi kena memikirkan visi di akhirat juga.


 

Yusuf Ayat 106: Masih lagi syikayah (rungutan) daripada Allah ﷻ. Ini adalah ayat yang amat penting untuk kita hayati. Bukan semua orang Islam boleh dikira beriman sempurna walaupun mereka telah Muslim. Ini sepatutnya ayat yang mengejutkan kita dan menyedarkan kita akan suatu perkara yang amat penting.

وَما يُؤمِنُ أَكثَرُهُم بِاللهِ إِلّا وَهُم مُّشرِكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And most of them believe not in Allāh except while they associate others with Him.

(MALAY)

Dan sebahagian besar daripada mereka tidak beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan mempersekutukan Allah (dengan sembahan-sembahan lain).

 

Ini mungkin pembongkaran yang paling mengejutkan dalam ayat-ayat Surah Yusuf ini. Setelah menyatakan bahawa kebanyakan manusia lalai sebelum ini di dalam Ayat 103, sekarang Allah ﷻ berfirman: “Dan kebanyakan mereka tidak beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan mempersekutukan-Nya (dengan sembahan-sembahan lain).” Maknanya, sudah beriman… tetapi syirik. Eh, bagaimana pula? 

Fikirkan betapa dahsyatnya kenyataan ini. Ia bermakna, walaupun dalam kalangan minoriti yang berjaya melepasi halangan kelalaian dan benar-benar beriman, majoriti daripada mereka masih mencampurkan iman mereka dengan syirik. Kita sedang bercakap tentang “majoriti daripada minoriti”. Sudahlah yang beriman dengan Allah ﷻ itu tidak ramai, daripada yang tidak ramai itu pula, kebanyakan daripada mereka membuat syirik pula!

Tapi sebelum kita meneruskan lagi, kena faham bahawa syirik bukan sekadar menyembah berhala yang diperbuat daripada batu itu. Jangan sempitkan pemahaman kita pula. Syirik itu boleh merangkumi kepercayaan bahawa Allah ﷻ mempunyai anak, pembantu, atau orang-orang suci yang boleh menjadi perantara antara kita dengan-Nya. Contoh klasik ialah kaum Quraisy di Mekah. Mereka percaya kepada Allah ﷻ sebagai Pencipta, tetapi pada masa yang sama, menyembah ‘tuhan-tuhan kecil lain’ sebagai perantara. Ramai yang mungkin tidak sedar bahawa Musyrikin Mekah itu kenal Allah ﷻ dan juga mereka menyembah Allah ﷻ. Ini seperti disebut di dalam Luqman:25, Allah ﷻ menyatakan bahawa jika ditanya siapa pencipta alam, mereka akan menjawab “Allah”:

وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ
“Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: ‘Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?'” Sudah tentu mereka akan menjawab: ‘Allah’…”

Tapi di dalam masa yang sama, mereka berkata para malaikat adalah anak-anak Allah ﷻ dan mereka berdoa kepada para malaikat untuk menyampaikan doa mereka kepada Allah ﷻ kerana kononnya Allah ﷻ pasti makbulkan kerana para malaikat itu anak-anak perempuan-Nya. Maka kalau kita pun bertawasul kepada Nabi, wali dan malaikat, maka tidak ada jauh bezanya kita dengan Musyrikin Mekah itu! Kerana ada yang sangka Allah ﷻ ada beri kuasa kepada sesetengah entiti seperti wali, Nabi dan malaikat. Ada yang berkata bahwa Allah ﷻ telah melantik wali yang mengurus alam ini dan mereka menentukan apa yang terjadi dalam alam ini. Ini adalah fahaman mengarut sahaja. 

Satu lagi contoh yang lebih halus datangnya dari konteks Surah Yusuf sendiri, iaitu masyarakat Mesir. Apabila raja dan rakyatnya melihat kebijaksanaan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, mereka mengakui bahawa Tuhannya adalah “hebat” dan “benar”. Mereka pun ada yang ‘masuk’ Islam dan menyembah Allah ﷻ juga. Namun, mereka tidak meninggalkan tuhan-tuhan pagan mereka. Mereka hanya menambah “Allah” ke dalam senarai tuhan mereka yang sedia ada—satu contoh sempurna bagaimana seseorang boleh “beriman” sambil melakukan syirik.

Kebanyakan manusia (termasuk yang mengaku Muslim) tidak percaya sepenuhnya kepada Allah ‎ﷻ. Dalam mereka kata mereka percaya kepada Allah ‎ﷻ, mereka juga melakukan syirik. Inilah masalah yang besar kepada orang Islam – kerana mereka tidak belajar apakah tauhid dan apakah syirik itu. Mereka tidak faham apakah yang dimaksudkan dengan ‘ilah‘. Mereka terima Allah ﷻ sebagai Tuhan dan mereka beriman dengan-Nya. Tapi dalam mereka percaya kepada Allah ﷻ, mereka percaya juga kepada bomoh, kepada hantu, kepada jin, kepada tok guru, kepada wali yang mereka sendiri lantik dan macam-macam lagi kepercayaan salah masyarakat Muslim yang jauh dari wahyu. Maka orang Islam kena belajar sampai mereka tahu apa itu syirik supaya mereka boleh tinggalkan. Jangan jadi seperti Musyrikin Mekah yang kenal Allah ‎ﷻ sebagai Tuhan, tetapi dalam masa yang sama mereka buat syirik kepada Allah ‎ﷻ.

Mereka sangka Nabi, wali dan malaikat itu akan membantu mereka nanti di akhirat kalau Allah ﷻ marah. Kerana mereka kata semasa mereka di dunia, mereka selalu puji, seru, sedekah Fatihah kepada Nabi, wali dan malaikat itu. Datang dari mana fahaman ini pun kita tidak tahu kerana ia tidak ada di dalam agama. Syaitan yang reka fahaman ini dan ramai manusia menerima sahaja fahaman sesat ini.

Sekarang kita kaitkan ayat ini dengan Bani Israil kerana memang kita baru sahaja belajar tentang sejarah mereka. Apa kaitan kesyirikan dengan Bani Israil? Mereka itu telah mengambil ahli agama mereka sebagai tuhan seperti disebut di dalam Tawbah:31

اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهُبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِّن دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا إِلَهًا وَاحِدًا ۖ لَّا إِلَهَ إِلَّا هُوَ ۚ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ
“Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah, dan juga (mereka menyembah) Al-Masih putera Maryam; padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan melainkan Dia. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sekutukan.”

Allah ﷻ mengutuk Yahudi dan Nasara kerana menjadikan ulama’ dan ahli ibadat mereka sebagai Tuhan. Begitulah juga yang terjadi kepada golongan Muslim yang sesat. Dari segi amalan dan perbuatan mereka, mereka telah menjadikan ulama’ dan ahli ibadat mereka sebagai tuhan, selain daripada Allah ﷻ. Kalau kita kata begini, mereka akan marah kerana mereka kata mereka tidak sembah pun ulama’ dan rahib-rahib itu seperti mereka sembah Allah ﷻ. Kita pun lihat tidaklah mereka buat seperti itu, maka bagaimana pula?

Terdapat sebuah hadith yang menjelaskan perkara ini, iaitu kisah seorang lelaki yang hampir memeluk Islam, namanya Addi bin Hatim, tetapi beliau belum jelas tentang agama Islam. Apabila beliau mendengar ayat ini, beliau berkata ketika beliau beragama Nasrani, mereka tidak menyeru dan memuja ulama’ dan rahib mereka.

Nabi ﷺ beritahu, tidakkah dia mengikut hukum yang difatwa oleh ahbar dan rahib itu? Addi mengaku kata memang ada. Maknanya, penganut itu mengikut sahaja fatwa yang ahli agama mereka beri sebagaimana mereka mengikut arahan Tuhan. Maka ulama’ mereka itu seolah-olah sudah sama kedudukan dengan Tuhan sehingga boleh menetapkan hukum pula. Golongan awam hanya mengikut sahaja walaupun ajaran mereka itu dan hukum yang mereka keluarkan tidak mengikut kehendak Allah ﷻ.

Masyarakat kita pun melakukan kesalahan yang sama juga sebenarnya. Kita banyak hanya berpegang sahaja kepada pendapat yang dikeluarkan oleh ulama’ atau ustaz. Kita tidak tanya pun dari mana dalil yang mereka bawa itu – adakah daripada wahyu atau hanya pendapat mereka. Ramai dalam kalangan kita tidak teliti tentang perkara ini.

 

Berhala Paling Bahaya Adalah Berhala yang Ada di Dalam Diri.

Daripada syirik luaran, kita beralih kepada bentuk yang lebih tersembunyi dan berbahaya: itulah “berhala psikologi” yang wujud di dalam diri kita. Kemarahan, nafsu, kesombongan, atau ketamakan seseorang boleh menjadi “tuhan” mereka. Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam Jathiyah:23,

أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَىٰ عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِ غِشَاوَةً فَمَن يَهْدِيهِ مِن بَعْدِ اللَّهِ ۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ
“Maka pernahkah engkau melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, dan dia pula disesatkan oleh Allah dalam keadaan ia mengetahui, dan Allah telah mengunci mati pendengarannya dan hatinya, serta mengadakan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi petunjuk kepadanya sesudah Allah? Mengapa kamu tidak mahu beringat?”

Ini bukan tentang membuat kesilapan secara tidak sengaja, kerana semua manusia melakukan kesilapan. Ini adalah tentang satu keadaan di mana seseorang secara sedar dan sengaja membenarkan perasaannya untuk “mengatasi apa yang Allah katakan”. Apabila seseorang itu tahu perintah Allah tetapi memilih untuk mengikut hawa nafsunya, dia pada hakikatnya telah mendirikan nafsunya itu sebagai autoriti yang setara dengan Tuhan. Dia mungkin tidak pernah sujud kepada patung, tetapi dia sujud kepada nafsunya setiap hari.

Apabila seseorang mula menuhankan hawa nafsunya, ia secara semula jadi akan membawa kepada pandangan yang bengkok tentang Allah . Pandangan yang menyimpang ini kemudiannya akan mewujudkan satu rasa selamat yang palsu.

Bagaimana ia berlaku? Apabila seseorang itu mula memilih dan hanya berpegang pada sifat-sifat Allah yang disukainya, contohnya sifat Maha Penyayang (Al-Wadud) atau Maha Pengampun (Al-Ghafur). Mereka memegang erat sifat-sifat ini sambil sengaja mengabaikan sifat-sifat Allah yang lain, seperti Maha Berkuasa (Al-Aziz), Maha Adil (Al-Adl), atau Maha Memerhati (Al-Basir). Maka jadilah orang yang tiada rasa bersalah apa pun yang mereka buat, malah mereka memberi justifikasi kepada dosa mereka itu. 

Dalam kehidupan seorang Muslim, terdapat dua unsur penting dalam hubungan dengan Allah ﷻ (khauf dan raja’) yang perlu diseimbangkan:

1️⃣ Khauf (الخوف) – Takut kepada Allah ‎ﷻ
2️⃣ Raja’ (الرجاء) – Harapan kepada rahmat Allah ‎ﷻ

Kedua-duanya sangat penting untuk memastikan kita berada di jalan yang benar, tidak terlalu takut sehingga berputus asa, dan tidak terlalu berharap sehingga lalai dalam beribadah. Khauf bermaksud takut kepada Allah ‎ﷻ kerana kebesaran-Nya, azab-Nya, dan balasan buruk bagi orang yang berdosa. Raja’ bermaksud mengharap kepada rahmat dan keampunan Allah ‎ﷻ serta yakin bahawa Allah ‎ﷻ Maha Pengampun dan Maha Pemurah. Islam mengajar umatnya untuk menyeimbangkan rasa takut (khauf) dan harapan (raja’) supaya tidak terlalu ekstrim ke satu arah:

✔️ Jika terlalu takut (khauf) tanpa harapan (raja’), seseorang mungkin berputus asa dan merasa tidak layak mendapat keampunan Allah ‎ﷻ.
✔️ Jika terlalu berharap (raja’) tanpa takut (khauf), seseorang mungkin menjadi lalai dan terus melakukan dosa dengan alasan Allah ‎ﷻ Maha Pengampun.

Imam Ibnul Qayyim رَحِمَهُ اللَّهُ berkata:
“Hati yang sempurna adalah yang mempunyai dua sayap: satu sayap adalah khauf dan satu lagi adalah raja’. Jika salah satu patah, maka seseorang tidak akan dapat terbang ke akhirat dengan selamat.“

Kepercayaan yang tidak seimbang akan melindungi mereka daripada rasa bersalah dan ketakutan terhadap akibat perbuatan mereka. Mereka fikir, “Tidak mengapa jika aku terus melakukan maksiat ini, Allah kan Maha Pengampun…? Dia pasti faham…” Harapan palsu ini membuatkan mereka berasa kebal, seolah-olah mereka telah mencipta satu versi Tuhan dalam fikiran mereka yang tidak akan menghukum mereka. Dan di sinilah Allah ﷻ memberikan amaran di dalam ayat seterusnya yang menakutkan: “Maka apakah mereka merasa aman dari kedatangan seksa Allah yang meliputi mereka…?”

Apa peristiwa yang telah kita pelajari dalam Surah Yusuf ini tentang hal ini? Perhatikan kembali apa yang telah dilakukan oleh abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Bukankah mereka itu anak-anak Nabi, maka tentunya mereka itu beriman kepada Allah ﷻ, bukan? Kita sudah banyak kali baca mereka menggunakan nama Allah. Akan tetapi mereka itu telah kalah dengan nafsu mereka sendiri. Mereka tentunya tahu apa yang mereka lakukan itu salah, tapi mereka tetap melakukannya juga.

 

Syirik Kecil

Selain syirik yang besar, ada juga syirik yang dikategorikan sebagai syirik kecil. Ini berdasarkan kepada hadith,

عَنْ مَحْمُودِ بْنِ لَبِيدٍ أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمُ الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ”. قَالُوا: وَمَا الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: “الرِّيَاءُ”
Daripada Mahmud bin Labid, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya perkara yang paling aku takuti menimpa kamu ialah syirik kecil.” Para sahabat bertanya: “Apakah syirik kecil itu, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Iaitu Riya’ (menunjuk-nunjuk).”

Musnad Ahmad: hadis 23630; Al-Mu’jam al-Kabir oleh Al-Thabarani: No. hadis 4301; Al-Sunan al-Kubra oleh Al-Baihaqi: Jilid 10, ms. 222.

Para ulama hadith telah menyemak rantaian perawi (sanad) hadith ini dan memberikan penilaian berikut:

  • Syeikh Syuaib al-Arna’uth: Dalam takhrij beliau terhadap Musnad Ahmad, beliau menyatakan sanad hadith ini adalah Jayyid (baik/kuat).
  • Syeikh al-Albani: Dalam kitab beliau Silsilah al-Ahadith al-Sahihah (No. 951), beliau menilai hadith ini sebagai Sahih.

Selain riya’ (yang berkaitan dengan hati), para ulama juga menyenaraikan beberapa perkara lain sebagai syirik kecil berdasarkan hadis-hadis lain seperti:

  1. Sum’ah: Melakukan ibadah supaya “didengari” dan dipuji oleh orang lain.
  2. Bersumpah selain nama Allah: Contohnya, bersumpah dengan nama nenek moyang atau nama makhluk lain secara sengaja.
  3. Ungkapan “Atas Kehendak Allah dan Kehendakmu”: Nabi ﷺ pernah menegur seorang lelaki yang berkata begitu dan menyuruhnya berkata: “Atas kehendak Allah semata-mata.”
  4. Memakai tangkal: Jika seseorang percaya tangkal itu sendiri yang memberi bekas (tanpa izin Allah, ia menjadi syirik besar; jika dianggap sebagai asbab sahaja, ia tetap syirik kecil).

 

 

Kuiz Uji Kefahaman (Jawapan Ringkas)

Jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat berdasarkan pemahaman anda daripada teks tafsir.

1. Apakah yang dimaksudkan dengan Ayat syikayah (rungutan) dari Allah seperti yang dinyatakan dalam pengenalan kepada ayat 105 dan 106?

2. Menurut tafsir ayat 105, mengapakah ramai manusia “berpaling” daripada tanda-tanda kebesaran Allah di langit dan di bumi walaupun mereka melihatnya?

3. Apakah yang dimaksudkan dengan “kewujudan haiwan” dan bagaimana ia menyebabkan seseorang terlepas pandang tanda-tanda kebesaran Allah?

4. Bagaimanakah ayat 105 menjadi satu bentuk penghiburan kepada Nabi Muhammad SAW?

5. Apakah kaitan antara sikap abang-abang Nabi Yusuf terhadap baginda dengan sikap Bani Israil terhadap Nabi Ismail?

6. Apakah maksud sebenar “buta” yang disebut dalam tafsir ini, merujuk kepada firman Allah dalam Surah Al-Hajj ayat 46?

7. Apakah pembongkaran yang paling mengejutkan dalam ayat 106 mengenai orang yang beriman?

8. Bagaimanakah kaum Musyrikin Mekah boleh dianggap “beriman kepada Allah” tetapi dalam masa yang sama melakukan syirik?

9. Apakah yang dimaksudkan dengan menjadikan ulama dan rahib sebagai “tuhan-tuhan selain Allah”, berdasarkan hadis Addi bin Hatim?

10. Apakah “berhala psikologi” dan bagaimanakah hawa nafsu boleh menjadi tuhan seseorang?

 

Glosari Istilah Penting

Istilah
Definisi Berdasarkan Teks
Ayat (ءَايَةٍ)
Bermaksud ‘tanda-tanda’. Merujuk kepada tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah, sama ada ayat-ayat Al-Qur’an atau tanda-tanda yang terdapat pada alam seperti matahari, bulan, gunung, dan haiwan.
Ayat Syikayah
Ayat yang mengandungi rungutan atau keluhan dari Allah mengenai sikap manusia yang ingkar atau lalai.
Ahbar dan Rahib
Istilah yang merujuk kepada pendeta-pendeta dan rahib-rahib (ahli ibadat) dalam kalangan Yahudi dan Nasrani.
Bani Israil
Bermaksud anak-anak Israil (gelaran bagi Nabi Ya’qub). Merujuk kepada bangsa Yahudi.
Berhala Psikologi
Satu bentuk syirik yang tersembunyi dan berbahaya yang wujud di dalam diri seseorang, seperti kemarahan, nafsu, kesombongan, atau ketamakan yang dijadikan “tuhan”.
Buta Hati
Keadaan di mana hati seseorang tidak dapat memahami, melihat, atau mendengar kebenaran dan tanda-tanda kebesaran Allah, walaupun pancaindera fizikalnya berfungsi.
Hawa Nafsu
Keinginan dalaman atau perasaan seseorang. Apabila seseorang secara sedar mengikut hawa nafsunya melebihi perintah Allah, dia telah menjadikannya sebagai tuhan.
Kewujudan Haiwan
Suatu gaya hidup yang tumpuannya hanya pada keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal, dan pembiakan, tanpa memikirkan tujuan penciptaan yang lebih tinggi.
Khauf (الخوف)
Rasa takut kepada Allah kerana kebesaran-Nya, azab-Nya, dan balasan buruk bagi orang yang berdosa. Ia perlu diseimbangkan dengan Raja’.
Mu’ridun (مُعرِضونَ)
Orang-orang yang berpaling atau tidak mengendahkan sesuatu, dalam konteks ayat ini, mereka yang berpaling daripada tanda-tanda kebesaran Allah.
Raja’ (الرجاء)
Harapan kepada rahmat dan keampunan Allah serta keyakinan bahawa Allah Maha Pengampun dan Maha Pemurah. Ia perlu diseimbangkan dengan Khauf.
Riya’ (الرِّيَاءُ)
Bermaksud menunjuk-nunjuk. Ia adalah perbuatan melakukan ibadah dengan niat untuk dilihat dan dipuji oleh manusia, dan dikategorikan sebagai Syirik Kecil.
Sum’ah
Melakukan ibadah supaya “didengari” dan dipuji oleh orang lain. Ia disenaraikan sebagai salah satu contoh Syirik Kecil.
Syirik (شِرْك)
Perbuatan mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain. Ia merangkumi penyembahan berhala, kepercayaan bahawa Allah mempunyai anak atau pembantu, serta menggunakan perantara seperti wali atau nabi dalam berdoa.
Syirik Kecil (الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ)
Bentuk syirik yang tidak mengeluarkan seseorang dari Islam tetapi merupakan dosa besar. Contohnya termasuk Riya’, Sum’ah, bersumpah dengan selain nama Allah, dan memakai tangkal dengan kepercayaan ia adalah asbab.
Tadabbur
Perbuatan merenung, memikirkan, dan menghayati makna ayat-ayat Al-Qur’an untuk mengambil pengajaran daripadanya.
Tawasul
Amalan menggunakan perantara (seperti Nabi, wali, atau malaikat) dalam berdoa kepada Allah. Teks ini membayangkan tawasul yang salah menyerupai amalan Musyrikin Mekah.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 15 Januari 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah ar-Ra’d Ayat 12 – 15 (Tentang guruh dan kilat)

Ra’d Ayat 12: Dalil aqli tanbih (peringatan yang perlu diberi perhatian) ke 3. Sekarang Allah ﷻ tarik balik perbincangan kepada kuasa Allah ﷻ.

هُوَ الَّذي يُريكُمُ البَرقَ خَوفًا وَطَمَعًا وَيُنشِئُ السَّحابَ الثِّقالَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is He who shows you lightening, [causing] fear and aspiration, and generates the heavy clouds.

(MALAY)

Dialah Tuhan yang memperlihatkan kilat kepadamu untuk menimbulkan ketakutan dan harapan, dan Dia mengadakan awan mendung.

 

هُوَ الَّذي يُريكُمُ البَرقَ

Dialah Tuhan yang memperlihatkan kilat kepadamu

Allah ﷻlah yang menunjukkan kilat kepada kita. Kilat itu di bawah kuasa Allah ﷻ, bukan terjadi dengan sendiri. Memang hebat kilat itu. Secara purata, kilat membawa arus elektrik sebanyak 40 kiloampere (kA) (meskipun sesetengah halilintar kilat boleh mencapai lebih 120 kA) dan memindahkan cas sebanyak 5 coulomb dan 500 MJ. Seandainya manusia hendak membuat kilat, memang tidak mampu kerana tidak cukup kuasa elektrik kita. Jelas sekali kilat juga adalah tanda kehebatan Allah ﷻ dan sekali sekala Dia tunjukkan kilat kepada kita. Kenapa?

Kejadian kilat tanda kehebatan Allah ﷻ 

خَوفًا وَطَمَعًا

untuk menimbulkan ketakutan dan harapan, 

Ada dua kesan manusia terhadap kilat itu: suka ada, takut pun ada. Memang dalam kilat itu ada unsur menakutkan kerana ada kemungkinan disambar oleh kilat. Banyak juga orang yang mati kerana disambar kilat. Rumah pun banyak terbakar dek kerana kilat. Dengar bunyi guruh pun sudah takut, bukan? Kerana itu ada doa-doa yang diajar apabila kedengaran petir.

Daripada Abdullah bin Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا سَمِعَ الرَّعْدَ وَالصَّوَاعِقَ قَالَ: اللَّهُمَّ لَا تَقْتُلْنَا بِصَعْقِكَ ، وَلَا تُهْلِكْنَا بِعَذَابِكَ، وَعَافِنَا قَبْلَ ذَلِكَ
“Apabila Rasulullah ﷺ mendengar guruh atau kilat, baginda akan berkata: “Ya Allah! Janganlah Engkau membunuh kami dengan kemarahan-Mu dan janganlah Engkau binasakan kami dengan azab-Mu serta ampunilah kami sebelum daripada itu.”
(Riwayat Tirmidzi (3450))
Imam Tirmidzi menilai hadith ini sebagai gharib dan tidak diketahui akan hadith ini melainkan melalui jalur ini sahaja

Abdullah bin Zubair meninggalkan percakapan apabila mendengar petir dan terus berkata:

سُبْحَانَ الَّذِي {يُسَبِّحُ الرَّعْدُ بِحَمْدِهِ وَالْمَلَائِكَةُ مِنْ خِيفَتِهِ} ثُمَّ يَقُولُ: إِنَّ هَذَا لَوَعِيدٌ شَدِيدٌ لِأَهْلِ الْأَرْضِ
“Maha suci Allah yang Dialah juga yang disucikan oleh guruh dan para malaikat dengan bertasbih memuji-Nya kerana takut kepada-Nya.” Kemudian beliau berkata lagi: “Sesungguhnya ini adalah peringatan yang keras untuk penduduk bumi.”
(Riwayat Imam Malik di dalam al-Muwatta’ (1801))
Hadith ini juga diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam al-Adab al-Mufrad (724)

Oleh itu doa-doa ini boleh dibaca kerana mengandungi maksud yang baik, mengingatkan kita kepada Allah ﷻ yang menjadikan kilat itu dan boleh mengenakan kita dengan kilat itu kalau Dia kehendaki. Jika dilihat hadith di atas (riwayat Imam Malik), ia mengambil daripada kalimah ayat Al-Qur’an yang kita akan pelajari selepas ini.

Maka tujuan Allah ﷻ adakan petir ini adalah untuk menakutkan kita. Kita kena fikir, kalau dengan kilat petir pun kita takut, bagaimana dengan Allah ﷻ? Tidakkah kita patut lebih takut lagi dengan-Nya?

Di dalamnya juga ada harapan kerana kalau sedang kemarau, apabila nampak kilat sahaja, tentu suka kerana itu guruh dan kilat adalah tanda akan turunnya hujan tidak lama lagi. Ini terutama sekali kepada para petani dan peladang; juga kepada orang ramai apabila musim kemarau atau apabila telah lama tidak hujan.

Apabila kita melihat خَوفًا وَطَمَعًا, ia mengingatkan kita kepada dua konsep yang penting iaitu خوف (khauf) dan رجع (raja’) – takut dan harap. Konsep ini disebut dalam Isra’: 57

أُولَئِكَ الَّذِينَ يَدْعُونَ يَبْتَغُونَ إِلَى رَبِّهِمُ الْوَسِيلَةَ أَيُّهُمْ أَقْرَبُ وَيَرْجُونَ رَحْمَتَهُ وَيَخَافُونَ عَذَابَهُ إِنَّ عَذَابَ رَبِّكَ كَانَ مَحْذُورًا
“Orang-orang yang mereka seru itu, mereka sendiri mencari jalan kepada Tuhan mereka, siapakah di antara mereka yang lebih dekat (kepada Allah) dan mengharapkan rahmat-Nya dan takut akan azab-Nya. Sesungguhnya azab Tuhanmu adalah suatu yang (harus) ditakuti.”

Sebagai seorang Muslim mesti mempunyai dua perasaan ini dan ia kenalah seimbang. Kalau takut yang terlebih, maka kita akan susah hidup di dunia ini kerana asyik takut sahaja, hendak makan pun tidak lalu nanti; kalau berlebihan dalam berharap pun bahaya juga, kerana akan senang dan selesa sahaja membuat dosa kerana berharap dengan rahmat Allah ﷻ untuk mengampunkan. Maka kena ada kesimbangan. Sebab itu selalu disebut sifat ini bersama-sama seperti Allah ﷻ berfirman di dalam Anbiya’: 90,

إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا وَكَانُوا لَنَا خَاشِعِينَ

“Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyuk kepada Kami.”

Apabila terlalu besar dan mendominasi rasa takut (khauf), maka akan terjerumus dalam akidah khawarij yang putus asa daripada rahmat Allah ﷻ padahal Allah ﷻ Maha Pengasih.

Apabila terlalu besar dan mendominasi rasa raja’ (berharap), maka akan terjerumus dalam akidah murji’ah yang menghilangkan rasa takut kepada Allah ﷻ, hanya menonjolkan ampunan dan rasa harap padahal Allah ﷻ juga “syadidul iqab” iaitu keras azabnya.

Kerana itulah dua hal ini dimisalkan seperti sayap burung, tidak boleh ada yang lebih berat atau rosak sebelah. Syaikh Abdul Aziz bin Baz رَحِمَهُ اللَّهُ berkata,

والعبد يسير إلى الله بين الرجاء والخوف كالجناحين للطائر، يخاف الله ويرجوه
“Seorang hamba harus beribadah kepada Allah di antara raja’ dan khauf sebagaimana dua sayap burung.”

Satu lagi ayat yang menyentuh perkara ini adalah Sajdah: 16

تَتَجافىٰ جُنوبُهُم عَنِ المَضاجِعِ يَدعونَ رَبَّهُم خَوفًا وَطَمَعًا وَمِمّا رَزَقنٰهُم يُنفِقونَ
Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaan-Nya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami beri kepada mereka.

Mereka ini melakukan solat malam, tetapi apa yang mereka takutkan? Takut Allah ﷻ tidak terima doa mereka. Takut Allah ﷻ tidak terima ibadat mereka. Takut atas segala dosa yang telah dilakukan. Takut kepada hukuman Allah ﷻ. Takut kepada kemarahan Allah ﷻ. Macam-macam takut yang ada dalam diri manusia. Takut yang sebeginilah yang perlu ada dalam diri manusia.

Namun dalam masa yang sama, mereka amat berharap kepada rahmat Allah ﷻ. Akan tetapi harapan mereka itu bukanlah kosong sahaja, sebaliknya mereka ikut pengharapan mereka itu dengan melakukan ibadat yang banyak kepada Allah ﷻ. Barulah patut untuk berharap kalau sudah berusaha, bukannya sekadar goyang kaki sahaja!

 

وَيُنشِئُ السَّحابَ الثِّقالَ

dan Dia mengadakan awan yang berat.

Dia mengadakan ‘awan yang berat’. Maksudnya awan yang mendung, sebagai tanda hujan kerana awan berat sahaja yang ada air di dalamnya. Memang sifat awan yang berat, apabila ia berlanggar sesama sendiri, ia akan mengeluarkan kilat.


 

Ra’d Ayat 13: Ayat tadi sebut kilat, sekarang guruh pula.

وَيُسَبِّحُ الرَّعدُ بِحَمدِهِ وَالمَلٰئِكَةُ مِن خيفَتِهِ وَيُرسِلُ الصَّوٰعِقَ فَيُصيبُ بِها مَن يَشاءُ وَهُم يُجٰدِلونَ فِي اللهِ وَهُوَ شَديدُ المِحالِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the thunder exalts [Allāh] with praise of Him – and the angels [as well] from fear of Him – and He sends thunderbolts and strikes therewith whom He wills while they dispute about Allāh; and He is severe in assault.

(MALAY)

Dan guruh itu bertasbih dengan memuji Allah, (demikian pula) para malaikat kerana takut kepada-Nya, dan Allah melepaskan halilintar, lalu menimpakannya kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan mereka berbantah-bantahan tentang Allah, dan Dialah Tuhan Yang Maha keras seksa-Nya.

 

وَيُسَبِّحُ الرَّعدُ بِحَمدِهِ وَالمَلٰئِكَةُ مِن خيفَتِهِ

Dan guruh itu bertasbih dengan memuji Allah, (demikian pula) para malaikat kerana takut kepada-Nya, 

Kalimah الرَّعدُ dalam ayat ini ada dua terjemahan:

1. Ia mungkin bermaksud ‘petir’. Kalau ayat ini bermaksud ‘petir’, maka kita dapat tahu melalui ayat ini yang langit itu bertasbih juga. Caranya adalah dengan bunyi guruh itu. Kita mungkin dengar sebagai guruh sahaja, namun sebenarnya ia adalah cara langit bertasbih rupanya. Oleh itu, bila kita dengar guruh, kita pun kena bertasbih juga. Allah ﷻ sebut di dalam Isra’: 44 yang kita memang tidak tahu,

تُسَبِّحُ لَهُ السَّماواتُ السَّبعُ وَالأَرضُ وَمَن فيهِنَّ ۚ وَإِن مِن شَيءٍ إِلّا يُسَبِّحُ بِحَمدِهِ وَلٰكِن لا تَفقَهونَ تَسبيحَهُم
Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tak ada suatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka.

Kenapa langit bertasbih? Kerana takut kepada Allah ﷻ. Maka kalau langit yang besar itu pun takut, apatah lagi kita, sepatutnya kena lebih takut.

2. Ada juga yang menafsirkan maksud الرَّعدُ sebagai suara para malaikat yang membawa hujan. Maksudnya para malaikat itu bertasbih dengan memuji Allah ﷻ dan kerana takut kepada Allah ﷻ. Bunyi guruh memang kuat dan menakutkan. Namun sekarang Allah ﷻ beritahu yang malaikat pun bertasbih juga kerana mereka takut dengan Allah ﷻ. Mereka takut kerana mereka kenal Allah ﷻ. Jikalau kita pun tidak takut dengan Allah ﷻ, maka kita tidak kenal Allah ﷻlah maknanya.

Kalau kalimah الرَّعدُ bukan bermaksud malaikat pun, di sini pun sudah ada kalimah المَلٰئِكَةُ yang menyebut mereka. Memang para malaikat takut kepada Allah ﷻ, mengajar kita yang kita pun sepatutnya kena takut dengan Allah ﷻ. Kena takut dengan ancaman-Nya, maka kena tinggalkan larangan-Nya dan kena taat apa sahaja yang Dia suruh kita lakukan. Jadikan para malaikat itu sebagai contoh kita.

 

وَيُرسِلُ الصَّوٰعِقَ فَيُصيبُ بِها مَن يَشاءُ

dan Allah melepaskan halilintar, lalu menimpakannya kepada sesiapa yang Dia kehendaki,

Kadang-kadang Allah ﷻ melepaskan halilintar. Dia menimpakan halilintar kepada sesiapa yang Dia kehendaki kerana dengan halilintar itu boleh bunuh manusia dan bunuh jin. Kita pun pernah dengar kisah bagaimana ada manusia yang mati kerana terkena halilintar. Di dalam surah-surah sebelum ini pun telah disebut kaum-kaum ingkar yang telah dimusnahkan dengan halilintar.

Adakah tidak patut kita takut dengan halilintar? Halilintar banyak terjadi di akhir zaman, seperti apa yang dikatakan oleh Rasulullah ﷺ.

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ؛ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “تَكْثُرُ الصَّوَاعِقُ عِنْدَ اقْتِرَابِ السَّاعَةِ ، حَتَّى يَأْتِيَ الرَّجُلُ الْقَوْمَ فَيَقُولُ: مَنْ صُعِقَ تِلْكُمُ الْغَدَاةَ ؟ فَيَقُولُونَ صعِق فُلَانٌ وَفُلَانٌ وَفُلَانٌ”.
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ pernah bersabda: Halilintar akan banyak bila hari kiamat telah dekat, sehingga seorang lelaki datang kepada suatu kaum, lalu dia mengatakan, “Siapakah yang telah disambar petir di antara kalian kelmarin?” Maka mereka menjawab, “Si Fulan, si Fulan, dan si Fulan.”
(Musnad Ahmad (11620) dengan sanad yang sahih)

Maknanya banyak sangat yang disambar halilintar sampaikan ia telah menjadi sesuatu perkara yang biasa sahaja. Alhamdulillah ia belum terjadi lagi sekarang. Pelik sangat kalau kita dengar orang kena panah petir sebab bukannya selalu ia terjadi.

 

وَهُم يُجٰدِلونَ فِي اللهِ

dan mereka berbantah-bantahan tentang Allah, 

Allah ﷻ telah memberikan ayat-ayat untuk menakutkan manusia tetapi mereka masih hendak mempersoalkan tentang Allah ﷻ? Adakah mereka tidak sedar apa yang mereka buat itu? Wahai orang Mekah, kamu tidak takutkah? Wahai manusia, kamu tidak takutkah? Kamu masih lagi mahu beramal dengan amalan syirik? Kamu masih lagi mempertikaikan keesaan Allah ﷻ?

Bagaimana dengan umat Islam sendiri, tidak mahukah belajar mana tauhid dan mana syirik? Masih lagi kamu berbantahan tentang perkara syirik? Masih lagi kamu hendak mengamalkan amalan-amalan syirik dan kamu berikan hujah-hujah batil bagi membenarkan amalan kamu itu? Kamu tidak takutkah?

 

وَهُوَ شَديدُ المِحالِ

dan Dialah Tuhan Yang Maha keras daya kuasa.

Kalimah المِحالِ daripada katadasar م ح ل yang bermaksud bekerja dengan mahir, mempunyai seni atau pengurusan. Dari sinilah juga kalimah hawqala (لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله) yang kita selalu sebut itu.

Kalimah المِحالِ mempunyai tiga elemen: strategi, pembalasan dan hukuman. Allah ﷻ amat berkuasa dan Dia boleh gunakan kekuatan-Nya untuk mengazab makhluk-Nya. Kalimah المِحالِ juga bermaksud بطش (hentaman) daripada Allah ﷻ. Allah ﷻ boleh gunakan kekasaran kepada sesiapa pun. Di sini Allah ﷻ hendak menyebut ironinya, manusia berdebat tentang Allah ﷻ, sedangkan Allah ﷻ berkuasa penuh untuk mengenakan azab kepada mereka.

Allah ﷻ boleh kenakan musibah kepada sesiapa sahaja sampai boleh memusnahkan mereka. Maka janganlah buat ikut suka hati sahaja. Janganlah buat syirik dan buat dosa berleluasa atas dunia ini. Jangan lagilah hendak berbantah tentang hal tauhid ini, terima sahajalah.


 

Ra’d Ayat 14:

لَهُ دَعوَةُ الحَقِّ ۖ وَالَّذينَ يَدعونَ مِن دونِهِ لا يَستَجيبونَ لَهُم بِشَيءٍ إِلّا كَبٰسِطِ كَفَّيهِ إِلَى الماءِ لِيَبلُغَ فاهُ وَما هُوَ بِبٰلِغِهِ ۚ وَما دُعاءُ الكٰفِرينَ إِلّا في ضَلٰلٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

To Him [alone] is the supplication of truth. And those they call upon besides Him do not respond to them with a thing, except as one who stretches his hands toward water [from afar, calling it] to reach his mouth, but it will not reach it [thus].¹ And the supplication of the disbelievers is not but in error [i.e., futility].

  • The analogy indicates that false deities will never respond to them at all.

(MALAY)

Hanya bagi Allah-lah (hak mengabulkan) doa yang benar. Dan roh-roh yang mereka seru selain Allah tidak dapat memperkenankan sesuatu pun bagi mereka, melainkan seperti orang yang membukakan kedua telapak tangannya ke dalam air supaya sampai air ke mulutnya, padahal air itu tidak dapat sampai ke mulutnya. Dan doa orang-orang kafir itu, hanyalah sia-sia belaka.

 

لَهُ دَعوَةُ الحَقِّ

Hanya bagi Allah-lah (hak mengabulkan) doa yang benar.

Apabila kalimah لَهُ ditaqdimkan (didahulukan) maka ia membawa maksud eksklusif. Maknanya ia hanya milik Allah ﷻ sahaja. Ada beberapa tafsir bagi kalimah دَعوَةُ الحَقِّ ini:

1. Dia sahaja yang memiliki tempat doa. Maksudnya, Allah ﷻ sahaja yang layak menerima doa hamba. Ini adalah kerana Allah ﷻ sahaja yang boleh selesaikan masalah makhluk dan memenuhi kehendak makhluk. Tidak ada entiti yang lain yang boleh makbulkan doa.

Maka, jangan doa kepada selain Allah ﷻ. Perkara ini banyak ditekankan dalam Surah-surah Hawawim yang bermula Surah Ghafir. Maka boleh rujuk perbincangan yang panjang tentang doa dalam surah-surah itu.

2. Maknanya yang kedua juga tentang doa: semua makhluk sebenarnya meminta kepada Allah ﷻ. Ini tidak kira apa agama mereka, walaupun mereka tujukan doa mereka kepada sesiapa pun. Walaupun mereka minta kepada tuhan dan ilah-ilah mereka yang berbagai-bagai, tetapi doa mereka tidak pergi ke mana, semua doa pergi kepada Allah ﷻ juga.

Ini adalah kerana Allah ﷻ sahaja yang dengar doa mereka. Sedangkan semua tuhan dan ilah yang mereka sangka dengar doa mereka, tidak boleh buat apa. Malah ilah yang lain itu tidak ada pun untuk mendengar pun doa makhluk. Ilah-ilah itu tidak mampu mendengar, tidak mampu hendak tolong pun. Mereka yang berdoa kepada selain Allah ﷻ itu hanya bertepuk sebelah tangan sahaja.

Oleh kerana mereka ada keperluan dalam hidup mereka, maka Allah ﷻlah sahaja yang memberikan keperluan hidup mereka itu. Maka walaupun mereka minta kepada Jesus, Buddha, Krishna, Saidina Ali, Hussein, Wali Songo dan sebagainya, Allah ﷻlah sebenarnya yang memakbulkan doa mereka itu.

3. Satu lagi tafsir: dakwah kepada-Nya sahaja yang benar. Oleh itu, dalam dakwah kita kepada manusia, kita kena ajak kepada mengenal Allah ﷻ dan taat kepada Allah ﷻ; bukannya mengajak sokong individu itu dan ini atau kepada parti-parti tertentu, agenda-agenda tertentu dan sebagainya. Dakwah kena ajak kepada Allah ﷻ.

Malang sekali ramai bukannya ajak kepada Allah ﷻ tetapi ajak kepada perkara yang lain. Bila ajak kepada perkara yang lain, maka setiap kumpulan akan rasa merekalah yang hebat dan benar. Maka masing-masing akan mendabik dada dan merendahkan kumpulan yang lain seperti disebut di dalam Mukminoon: 53

فَتَقَطَّعوا أَمرَهُم بَينَهُم زُبُرًا ۖ كُلُّ حِزبٍ بِما لَدَيهِم فَرِحونَ
Kemudian mereka (pengikut-pengikut rasul itu) menjadikan agama mereka terpecah belah menjadi beberapa pecahan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada sisi mereka (masing-masing).

Oleh itu mesej dakwah kita kenalah jelas iaitu mengajak manusia kepada Allah ﷻ. Tidak payahlah sibuk hendak melabel dan mengesampingkan (pigeonhole) pendakwah itu daripada kumpulan mana. Jangan dilayan orang bodoh yang bertanya “Dia kumpulan mana?”, “Apa fahaman dia?” kerana yang penting adalah ajak dulu manusia kepada Allah ﷻ. Beginilah yang Allah ﷻ ajar seperti disebut dalam Nahl: 125

ادعُ إِلىٰ سَبيلِ رَبِّكَ بِالحِكمَةِ وَالمَوعِظَةِ الحَسَنَةِ
Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah

4. Ada juga pendapat yang mengatakan دَعوَةُ الحَقِّ ini maksudnya kalimah Tauhid لا اله إلّا الله. Inilah kalimah yang kita kena ajak manusia kepadanya. Akan tetapi sebelum itu, kita sendiri kenalah faham maksud kalimah ini dan ia bermula dengan pemahaman tentang apakah yang dimaksudkan dengan ilah itu. Oleh kerana tidak faham maksud ilah lah yang menyebabkan ramai yang melakukan syirik tanpa mereka sedar.

 

وَالَّذينَ يَدعونَ مِن دونِهِ

Dan roh-roh yang mereka seru selainNya

Iaitu Nabi, wali atau malaikat yang dipuja oleh manusia kerana mereka sangka roh-roh itu dapat memakbulkan doa mereka. Inilah salah faham masyarakat. Mereka rasa ada selain Allah ﷻ yang mereka boleh seru dan minta pertolongan. Maka Allah ﷻ berhujah betapa bodohnya amalan mereka itu.

 

لا يَستَجيبونَ لَهُم بِشَيءٍ

yang tidak dapat memperkenankan sesuatu pun bagi mereka,

Mereka yang dipanggil dan diseru selain Allah ﷻ tidak akan melayan pun. Sedikit pun mereka tidak layan. Sama ada jin, malaikat Nabi atau wali. Ini kerana mereka tidak boleh menerima doa dan tidak boleh menyelesaikan masalah dan sempurnakan hajat sesiapa pun kerana mereka telah lama mati atau tidak ditugaskan untuk menjawab doa kita.

Oleh itu, memang buang masa sahaja seruan mereka yang syirik itu. Sudahlah apa yang mereka lakukan itu termasuk syirik, ia sia-sia sahaja. Maah bukan sia-sia sahaja kerana ia akan menyebabkan bala kepada mereka kerana mereka akan diseksa di akhirat nanti atas perbuatan mereka itu. Sia-sia sahaja perbuatan mereka seperti disebut dalam Fatir: 14

إِن تَدعوهُم لا يَسمَعوا دُعاءَكُم وَلَو سَمِعوا مَا استَجابوا لَكُم ۖ وَيَومَ القِيٰمَةِ يَكفُرونَ بِشِركِكُم ۚ وَلا يُنَبِّئُكَ مِثلُ خَبيرٍ
Jika kamu menyeru mereka, mereka tiada mendengar seruanmu; dan kalau mereka mendengar, mereka tidak dapat memperkenankan permintaanmu. Dan di hari kiamat mereka akan mengingkari kemusyirikanmu dan tidak ada yang dapat memberi keterangan kepadamu sebagai yang diberikan oleh Yang Maha Mengetahui.

 

إِلّا كَبٰسِطِ كَفَّيهِ إِلَى الماءِ لِيَبلُغَ فاهُ

melainkan seperti orang yang membukakan kedua telapak tangannya ke air supaya sampai air ke mulutnya, 

Allah ﷻ beri perumpamaan tentang perbuatan sia-sia mereka itu: mereka itu seperti berada di padang pasir, memerlukan air sangat dan mereka nampak fatamorgana. Bila mereka nampak, mereka sangkakan itu adalah air dan mereka mengharap dapat minum daripada air itu. Memang sia-sia.

Fenomena fatamorgana di padang pasir

Atau, mereka memang di hadapan air seperti tasik, sungai dan sebagainya. Mereka pun hulurkanlah tangan mereka dan berharap air itu akan sampai ke mulut mereka (meh air, meh naik masuk mulut aku). Sudah pasti ia tidak akan sampai. Allah ﷻ memberi perumpamaan bahawa perbuatan mereka itu adalah buang masa sahaja.

Inilah masalah dengan tawasul yang dilakukan oleh manusia termasuk orang Islam. Ramai yang marah apabila kita sebut tentang tawasul ini kerana mereka sudah lama melakukannya. Ramai yang beramal tanpa ilmu wahyu, melainkan yang diajar oleh tok guru dan tok nenek yang bukannya berlandaskan wahyu. Untuk faham kesia-siaan perkara ini, seseorang itu mesti belajar tafsir dengan benar.

 

وَما هُوَ بِبٰلِغِهِ

padahal air itu tidak dapat sampai ke mulutnya.

Ini bagaikan orang yang menghulurkan tangan sambil membuka jari-jarinya lalu menghulurkan tangan ke dalam air untuk bagi air sampai ke mulut. Tentulah tidak sampai. Mereka memang ada usaha tetapi usaha mereka itu tidak kena dan tidak akan berjaya. Begitulah Allah ﷻ beri manusia faham tentang kesalahan dalam doa. Sia-sia sahaja kalau minta kepada selain Allah ﷻ.

Kalau kita kaitkan dengan amalan syirik masyarakat kita, ini seperti golongan yang mengangkat tangan di kubur-kubur kononnya untuk mendapatkan bantuan orang mati itu untuk menyampaikan doa kepada Allah ﷻ. Ini adalah sia-sia juga kerana doa itu tidak sampai.

 

وَما دُعاءُ الكٰفِرينَ إِلّا في ضَلٰلٍ

Dan doa orang-orang engkar itu, hanyalah sia-sia belaka.

Oleh itu, doa orang kafir dan doa orang Islam tetapi melakukan syirik dalam doa itu adalah sia-sia belaka. Amatlah kasihan sekali. Entah berapa ramai yang kita melihat kafir berdoa tetapi mereka tidak tahu yang doa mereka itu sia-sia sahaja. Allah ﷻ telah berfirman dalam Yaasin: 74-75

وَاتَّخَذوا مِن دونِ اللهِ آلِهَةً لَّعَلَّهُم يُنصَرونَ
Dan mereka menyembah beberapa ilah yang lain daripada Allah, dengan harapan semoga mereka mendapat pertolongan (daripada makhluk-makhluk itu).

لا يَستَطيعونَ نَصرَهُم وَهُم لَهُم جُندٌ مُّحضَرونَ
Benda-benda yang mereka sembah itu tidak dapat sama sekali menolong mereka, sedang benda-benda itu sendiri menjadi tentera yang akan dibawa hadir (pada hari kiamat, untuk memberi azab seksa) kepada mereka.

Contohnya Kristian akan berdoa kepada Jesus kononnya untuk mendapatkan bantuan God the Father. Manakala golongan Hindu berdoa kepada dewa-dewa mereka untuk sampaikan doa kepada Tuhan. Atau golongan Buddha pula berdoa kepada Gautama Buddha. Ini semua adalah doa yang sia-sia belaka.

Begitu jugalah dengan orang Islam yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an, tidak belajar tentang tauhid dan tentang syirik, tidak belajar tentang doa, maka mereka semua melakukan perkara yang salah. Mereka pun pergilah ke kubur wali kononnya (siapa yang lantik sebagai wali entahlah) dan bercakaplah dengan orang yang sudah mati (dan sudah pasti tidak boleh mendengar) dan meminta macam-macam. Mereka telah ditipu oleh guru-guru yang juga tidak tahu tentang perkara ini.

Apabila kita tegur dengan mengatakan perbuatan mereka itu syirik dalam berdoa, kerana Allah ﷻ melarang tawasul yang sebegitu, mereka amat marah sangat. Begitulah kalau bercakap dengan orang yang jahil.


 

Ra’d Ayat 15: Dalil aqli tanbih (peringatan) ke 4.

وَلِلهِ يَسجُدُ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ طَوعًا وَكَرهًا وَظِلٰلُهُم بِالغُدُوِّ وَالآصالِ ۩

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to Allāh prostrates whoever is within the heavens and the earth, willingly or by compulsion, and their shadows [as well] in the mornings and the afternoons.

(MALAY)

Hanya kepada Allah-lah sujud (patuh) segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan kemahuan sendiri ataupun terpaksa (dan sujud pula) bayang-bayangnya di waktu pagi dan petang hari.

 

وَلِلهِ يَسجُدُ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Hanya kepada Allah-lah sujud (patuh) segala apa yang di langit dan di bumi,

Semua makhluk yang di langit dan di bumi sujud kepada Allah ﷻ sahaja. Maksudnya mereka taat kepada perintah Allah ﷻ. Sama ada makhluk itu tinggi atau rendah, mereka tetap sujud kepada Allah ﷻ. Maka kenapa kita tidak sujud dan taat kepada Allah ﷻ?

Semua sujud, ertinya semua mesti mengikut perintah dan peraturan, tidak dapat melepaskan diri daripada ketundukan itu, yang insaf tunduklah dia dengan taat, dan yang ingkar dia pun mesti tunduk juga, walaupun dia enggan. Matahari, bulan dan alam cakerawala, tunduk kepada peraturan yang telah ditentukan, mahu atau tidak mahu. Kayu-kayu di hutan bermula daripada biji yang kecil, sampai bertunas, berdaun-daun, berpucuk, berdahan, dan beranting dan kelak kemudiannya akan tumbang.

 

طَوعًا وَكَرهًا

baik dengan kemahuan sendiri ataupun terpaksa

Mereka sujud dan taat sama ada dalam keadaan rela atau tidak. Sukarela itu adalah apabila mereka mengikut syariat – kerana kita memang kena taat pun. Jikalau kita ikut, kita akan mendapat syurga. Manusia wajib sujud tunduk kepada peraturan Tuhan. Lahir ke dunia, meningkat besar, dewasa, tua dan mati. Walaupun dihadapi maut itu dengan taat, atau dihadapi dengan enggan, namun peraturan mati mesti ditempuh. Masing-masing alam di semua langit dan bumi bersujud menurut caraya masing- masing.

Secara paksa pula adalah secara takwini – iaitu mengikut kejadian alam. Sebagai contoh, walaupun kita tidak ikut syariat, tetapi jantung kita tetap taat kepada Allah ﷻ. Sehingga perjalanan matahari dan bulan, adalah menurut garis yang tertentu, tidak boleh melebihi dan mengurangi.

Sebagai seorang Muslim, kita kena taat kepada Allah ﷻ dalam apa keadaan sekali pun. Sebagai contoh, kita kena juga berpuasa walaupun dalam musim panas kerana itu adalah taat dalam takwini. Walaupun susah, namun kena ikut juga arahan Allah ﷻ. Memang susah, tetapi kalau hati kita hendak taat, semua itu menjadi mudah sahaja.

 

وَظِلٰلُهُم

dan bayang-bayangnya

Apabila matahari terbit dari timur, bayang-bayang insan itu condonglah ke barat, dan apabila matahari telah menuju barat, bayang-bayang insan pun condonglah ke timur. Ertinya, hari berjalan terus, kadang-kadang bayang-bayang lebih panjang daripada badan, kadang-kadang lebih pendek, dan edaran matahari yang menimbulkan bayang-bayang menjadi perhitungan bagi insan bahawa akan datang masanya, bayang-bayang itu tidak ada lagi, sebab yang empunya bayang-bayang telah disembunyikan di balik bumi. Begitulah terus-menerus. Sehingga manusia dapat berfikir, kalau segala sesuatu tunduk bersujud kepada Tuhan, sampaikan bayang-bayang kita sendiri, bilakah masanya lagi kita akan sujud dengan kesedaran?

Maka ini adalah penegasan bahawa semua makhluk taat kepada Allah ﷻ, termasuk bayang-bayang pun sujud kepada Allah ﷻ juga. Oleh itu, setiap kali kita nampak bayang-bayang, itu adalah peringatan kepada kita yang mereka sedang sujud kepada Allah ﷻ – mereka sedang taat kepada Allah ﷻ. Ini seperti disebut dalam Nahl: 48

أَوَلَم يَرَوا إِلىٰ ما خَلَقَ اللهُ مِن شَيءٍ يَتَفَيَّأُ ظِلالُهُ عَنِ اليَمينِ وَالشَّمائِلِ سُجَّدًا ِللهِ وَهُم داخِرونَ
Dan apakah mereka tidak memperhatikan segala sesuatu yang telah diciptakan Allah yang bayangannya berbolak-balik ke kanan dan ke kiri dalam keadaan sujud kepada Allah, sedang mereka merendahkan diri?

Jikalau bayang-bayang kita merendahkan diri dan taat kepada Allah ﷻ, maka kenapa kita tidak juga? Bukannya bayang-bayang itu terjadi sendiri tetapi ia terjadi kerana ia mengikut hukum yang Allah ﷻ telah adakan untuknya. Oleh itu, apabila ada bayang, itu adalah tanda qudrat Allah ﷻ.

 

بِالغُدُوِّ وَالآصالِ

di waktu pagi dan petang hari.

Semua makhluk taat kepada Allah ﷻ, pagi dan petang. Tidak kira masa. Setiap masa.

Ini adalah Ayat Sajdah dan kita disunatkan untuk sujud kepada Allah ﷻ apabila sampai kepada ayat ini. Kita boleh lakukan di mana sahaja – sama ada dalam solat atau tidak, sama ada dalam hadas atau tidak, tutup aurat atau tidak, mengadap kiblat atau tidak.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 12 September 2023

Ringkasan Surah Ra’d


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Tafsir Surah ar-Ra’d Ayat 10 – 11 (Malaikat Penjaga)

Ra’d Ayat 10: Ini adalah pengkhususan (takhsis) setelah sebut perkara yang umum. Tidak kira apapun, Allah ﷻ tahu semua sekali.

سَواءٌ مِّنكُم مَّن أَسَرَّ القَولَ وَمَن جَهَرَ بِهِ وَمَن هُوَ مُستَخفٍ بِاللَّيلِ وَسارِبٌ بِالنَّهارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is the same [to Him] concerning you whether one conceals [his] speech or one publicizes it and whether one is hidden by night or conspicuous [among others] by day.

(MALAY)

Sama saja (bagi Tuhan), siapa diantaramu yang merahsiakan ucapannya, dan siapa yang berterus-terang dengan ucapan itu, dan siapa yang bersembunyi di malam hari dan yang berjalan (menampakkan diri) di siang hari.

 

سَواءٌ مِّنكُم مَّن أَسَرَّ القَولَ وَمَن جَهَرَ بِهِ

Sama saja (bagi Tuhan), siapa di antaramu yang merahsiakan ucapannya, dan siapa yang berterus-terang dengan ucapan itu, 

Sama sahaja bagi Allah ﷻ kalau kita bercakap dengan rahsia, berbisik, dengan nyata atau tidak. Semuanya Allah ﷻ dengar dan tidak dapat disembunyikan daripada-Nya. Pendengaran Allah ﷻ bukan seperti kita – kalau kita orang berbisik depan kita pun kita sudah tidak dapat dengar. Ayat ini sama halnya dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

وَإِنْ تَجْهَرْ بِالْقَوْلِ فَإِنَّهُ يَعْلَمُ السِّرَّ وَأَخْفَى
Dan jika kamu mengeraskan ucapanmu, maka sesungguhnya Dia mengetahui rahsia dan yang lebih tersembunyi. (Taha:7)

 

وَمَن هُوَ مُستَخفٍ بِاللَّيلِ وَسارِبٌ بِالنَّهارِ

dan siapa yang bersembunyi di malam hari dan yang berjalan (menampakkan diri) di siang hari.

Allah ﷻ juga tahu siapa yang menyorok di malam hari. Kalimah مُستَخفٍ daripada katadasar خ ف ي yang bermaksud disembunyikan; menjadi tidak ditanggapi; menyembunyikan sesuatu; tanggalkan penutupnya; nyata; senyap. Kadangkala ada perkataan mempunyai makna yang bercanggah (satu maksud sembunyi dan satu maksud lagi nyata pula). Memang ada kalimah bahasa Arab yang sebegitu, maka hendaklah dilihat pada konteks ayat. Di sini kalimah مُستَخفٍ bermaksud bersembunyi atau menyorok.

Kemudian kalimah سارِبٌ daripada katadasar س ر ب yang bermaksud pergi dengan bebas; mengalir; berlari; fatamorgana; tiada apa-apa; ilusi optikal. Sama sahaja bagi Allah ﷻ sama ada kita menyorok atau berjalan di siang hari dengan terang nyata. Kalimat سارِبٌ بِالنَّهارِ bermaksud berjalan di siang hari yang memberi isyarat nampak dengan jelas, kerana kalau berjalan di siang, orang pun boleh nampak juga.

Akan tetapi ayat ini memberitahu kita yang sama sahaja bagi Allah ﷻ, kalau jelas kelihatan di siang hari atau menyorok di malam hari, Allah ﷻ nampak. Sekiranya menyorok siang hari (atau malam hari), mungkin manusia tidak nampak. Namun Allah ﷻ sentiasa nampak apa yang kita lakukan. Bagi manusia, kalau menyorok di malam hari, tentu susah untuk dicari berbanding menyorok di siang hari. Akan tetapi tiada beza bagi Allah ﷻ langsung.

Maksudnya untuk kita, tidak ada tempat untuk menyorok daripada Allah ﷻ. Apa sahaja yang kita cuba buat, tidak terlindung daripada pengetahuan Allah ﷻ. Kalau berlindung daripada dilihat manusia mungkin boleh, tetapi tidak dengan Allah ﷻ. Ayat ini adalah tsabit kepada kesempurnaan ilmu Allah ﷻ. Ilmu Allah ﷻ itu sempurna, tidak seperti kita yang terhad. Kalau kita, hilang di malam hari pun sudah susah untuk dicari, bukan?


 

Ra’d Ayat 11: Sekiranya Allah ﷻ tahu segala dosa yang kita lakukan, kenapa Allah ﷻ tidak mengazab lagi? Ini adalah ayat takhwif duniawi.

Ayat ini adalah ayat yang popular dan seringkali juga disebut-sebut oleh manusia. Namun adakah tafsir itu sama seperti yang difahami oleh kebanyakan orang? Mari kita lihat.

لَهُ مُعَقِّباتٌ مِن بَينِ يَدَيهِ وَمِن خَلفِهِ يَحفَظونَهُ مِن أَمرِ اللهِ ۗ إِنَّ اللهَ لا يُغَيِّرُ ما بِقَومٍ حَتّىٰ يُغَيِّروا ما بِأَنفُسِهِم ۗ وَإِذا أَرادَ اللهُ بِقَومٍ سوءًا فَلا مَرَدَّ لَهُ ۚ وَما لَهُم مِّن دونِهِ مِن والٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For him [i.e., each one] are successive [angels]¹ before and behind him who protect him by the decree of Allāh.² Indeed, Allāh will not change the condition of a people until they change what is in themselves. And when Allāh intends for a people ill,³ there is no repelling it. And there is not for them besides Him any patron.

  • Replacing each other by turn.
  • The phrase may also be rendered “…who guard him from [everything except] the decree of Allāh.”
  • i.e., punishment or destruction because of their sins.

(MALAY)

Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.

 

لَهُ مُعَقِّباتٌ مِن بَينِ يَدَيهِ وَمِن خَلفِهِ

Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di hadapan dan di belakangnya,

Kalimah مُعَقِّباتٌ daripada katadasar ع ق ب yang bermaksud mengganti; mengambil tempat; datang selepas; pukulan pada tumit; ikut rapat; untuk berusaha berulang kali; kembali; menjejaki semula langkah seseorang; mati; meninggalkan zuriat; memberi sebagai pertukaran; tempat sukar untuk mendaki; untuk mengambil maklumat yang teliti; jerit; ikuti langkah demi langkah; tumit; anak; cucu; zuriat; paksi; balasan; hasil; ganjaran; seseorang yang menangguhkan atau membalikkan; yang melihat akibat atau hasil urusan itu; yang berjaya antara satu sama lain; sesuatu yang datang serta-merta selepas perkara lain tanpa gangguan.

Maka di sini kalimah مُعَقِّباتٌ adalah sesuatu yang ikut dengan rapat. Sebagai contoh, mengikuti orang walaupun orang itu naik ke atas bukit yang tinggi. Ia juga bermaksud ikut selepas seseorang (mengganti dia). Ayat ini bermakna yang Allah ﷻ hantar malaikat مُعَقِّباتٌ iaitu sentiasa mengikut kita ke mana sahaja kita pergi – kita boleh katakan yang mereka itu adalah malaikat penjaga. Juga bermaksud mereka bertukar ganti – seorang habis tugas, dan akan ganti dengan malaikat yang lain. Ada disebutkan di dalam hadith sahih:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَتَعَاقَبُونَ فِيكُمْ مَلَائِكَةٌ بِاللَّيْلِ وَمَلَائِكَةٌ بِالنَّهَارِ وَيَجْتَمِعُونَ فِي صَلَاةِ الْفَجْرِ وَصَلَاةِ الْعَصْرِ ثُمَّ يَعْرُجُ الَّذِينَ بَاتُوا فِيكُمْ فَيَسْأَلُهُمْ وَهُوَ أَعْلَمُ بِهِمْ كَيْفَ تَرَكْتُمْ عِبَادِي فَيَقُولُونَ تَرَكْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ وَأَتَيْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ], bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Para Malaikat malam dan Malaikat siang silih berganti mendatangi kalian. Dan mereka berkumpul saat solat Fajar (Subuh) dan ‘Asar. Kemudian Malaikat yang menjaga kalian naik ke atas hingga Allah تَعَالَى bertanya kepada mereka, dan Allah lebih mengetahui keadaan mereka (para hamba-Nya), ‘Dalam keadaan bagaimana kalian tinggalkan hamba-hamba-Ku? ‘ Para Malaikat menjawab, ‘Kami tinggalkan mereka dalam keadaan sedang mendirikan solat. Begitu juga saat kami mendatangi mereka, mereka sedang mendirikan solat’.”
(Sahih Bukhari (7008))

Ibnu Katsir رَحِمَهُ اللَّهُ dalam kitab tafsirnya menjelaskan ayat ini bahawa ada empat malaikat yang diutus bagi setiap diri manusia. Dua malaikat di antaranya ialah pencatat amal baik yang berada di sebelah kanan manusia, dan malaikat pencatat amal buruk yang berada di sisi kiri. Adapun dua malaikat lain ialah malaikat penjaga yang berada di depan dan di belakang manusia. Ini disebut dalam Qaf: 17-18

إِذ يَتَلَقَّى المُتَلَقِّيانِ عَنِ اليَمينِ وَعَنِ الشِّمالِ قَعيدٌ
(iaitu) ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang lain duduk di sebelah kiri.

مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ اِلَّا لَدَيْهِ رَقِيْبٌ عَتِيْدٌ
Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir.

Maka dua malaikat pencatat ini duduk di kiri dan kanan seorang manusia, sedangkan malaikat penjaga ini duduk di depan dan belakang (مِن بَينِ يَدَيهِ وَمِن خَلفِهِ).

Malah, ada malaikat yang sudah ditugaskan bersama manusia semenjak janin lagi di dalam rahim seperti disebut dalam sebuah hadith,

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَكَّلَ بِالرَّحِمِ مَلَكًا يَقُولُ يَا رَبِّ نُطْفَةٌ يَا رَبِّ عَلَقَةٌ يَا رَبِّ مُضْغَةٌ فَإِذَا أَرَادَ أَنْ يَقْضِيَ خَلْقَهُ قَالَ أَذَكَرٌ أَمْ أُنْثَى شَقِيٌّ أَمْ سَعِيدٌ فَمَا الرِّزْقُ وَالْأَجَلُ فَيُكْتَبُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ
Daripada [Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah عَزَّ وَجَلَّ menugaskan satu Malaikat dalam rahim seseorang. Malaikat itu berkata, ‘Ya Rabb, (sekarang baru) sperma. Ya Rabb, segumpal darah!, Ya Rabb, segumpal daging! ‘ Maka apabila Allah berkehendak menetapkan ciptaan-Nya, Malaikat itu bertanya, ‘Apakah laki-laki atau wanita, celaka atau bahagia, bagaimana dengan rezeki dan ajalnya? ‘ Maka ditetapkanlah ketentuan takdirnya selagi berada dalam perut ibunya.”
(Sahih Bukhari (307))

Kita juga seringkala dengar tentang qarin yang mendampingi manusia. Selalunya kita dengar qarin itu daripada jin, tetapi sebenarnya ada juga qarin dalam kalangan jenis malaikat. Dalilnya disebut dalam sebuah hadith,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا وَمَعَهُ قَرِينُهُ مِنْ الْجِنِّ وَقَرِينُهُ مِنْ الْمَلَائِكَةِ قَالُوا وَإِيَّاكَ قَالَ نَعَمْ وَإِيَّايَ وَلَكِنَّ اللَّهَ أَعَانَنِي عَلَيْهِ فَأَسْلَمُ
Daripada [Abdullah] dia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidak ada seorang pun daripada kalian kecuali dia ditemani oleh qarin (pendamping) daripada bangsa jin dan qarin daripada bangsa malaikat.” Mereka bertanya: begitu juga denganmu? Baginda menjawab: “Ya, begitu juga denganku, tetapi Allah membantuku untuk mengalahkannya, sehingga ia masuk Islam.”
(Sahih Bukhari (2618))

Qarin daripada jenis jin itu akan mengajak manusia yang didampinginya itu ke arah keburukan (buat dosa) manakala qarin dalam kalangan malaikat akan membisikkan pula orang itu mengajak ke arah kebaikan. Contohnya gerakkan kita untuk bangun subuh, buat kebaikan dan sebagainya. Maka seperti ada perlawanan antara qarin jin dan qarin malaikat itu. Kalau kita dengar yang jin, maka qarin malaikat biarkan kita. Kalau kita ikut bisikannya, maka ia akan terus mengajak kita. Sebab itu ada yang semakin lama semakin banyak melakukan amal kebaikan, sementara ada pula yang sebaliknya. Ia bergantung di atas keputusan kita memilih bisikan qarin jenis yang mana; jinkah atau malaikatkah?

Sebagaimana ada pepatah Inggeris menarik berkenaan bisikan dalaman hati manusia yang dikiaskan dengan perebutan kuasa dan pertengkaran di antara dua ekor serigala yang lapar; seekor serigala yang penuh kegelapan dan putus asa sementara yang seekor lagi penuh dengan cahaya dan harapan. Yang mana satukah akan menang? Tentulah yang kita berikan makanan.

Begitu juga, kalau kita lupa Allah ﷻ, maka semakin banyaklah qarin dalam kalangan syaitan yang diberikan kepada kita. Qarin-qarin yang semakin banyak itulah yang nanti akan membisikkan mengajak manusia melakukan dosa. Semakin ramainya mereka, semakin kuatlah mereka, bukan? Ini seperti disebut dalam Zukhruf: 36-37

وَمَن يَعشُ عَن ذِكرِ الرَّحمٰنِ نُقَيِّض لَهُ شَيطٰنًا فَهُوَ لَهُ قَرينٌ
Dan sesiapa yang tidak mengendahkan pengajaran (Al-Qur’an yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.

وَإِنَّهُم لَيَصُدّونَهُم عَنِ السَّبيلِ وَيَحسَبونَ أَنَّهُم مُّهتَدونَ
Dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

Kalimah ذِكرِ الرَّحمٰنِ juga boleh ditafsirkan sebagai Al-Qur’an. Maknanya Allah ﷻ telah beri peringatan dan hidayah kepada manusia dalam bentuk Al-Qur’an, namun manusia sendiri yang buat tidak endah, buat tidak reti. Maka kerana itulah mereka sesat.

 

يَحفَظونَهُ مِن أَمرِ اللهِ

mereka menjaganya mengikut perintah Allah.

Kalimah مُعَقِّباتٌ ini dalam bentuk jamak qillah – banyak tetapi tidak banyak sangat (kurang daripada sepuluh). Mereka inilah yang ditugaskan untuk menjaga manusia. Tugas para malaikat itu adalah untuk memastikan orang itu tidak mati sebelum masa dia untuk mati. Sebagai contohnya, selalu kita dengar bagaimana ada orang yang bawa kereta dan brek rosak, dan dia kemalangan yang teruk tetapi tidak mati pun – kerana masa dia belum sampai untuk mati dan dia dijaga oleh malaikat.

Ia adalah tugasan yang diberikan oleh Allah (مِن أَمرِ اللهِ). Kalimah مِن membawa maksud ب (dengan) dan memang ada qira’at (bacaan) lain yang membacanya بأَمرِاللهِ.

Malaikat Mu’aqibat memastikan bahawa manusia hanya akan ditimpa musibah yang sudah ditakdirkan Allah ﷻ. Manusia tidak akan mendapat keburukan sedikit pun kecuali yang sudah tertulis dalam Lauhul Mahfuzh. Seandainya Allah ﷻ tidak mengutus Mu’aqibat, pastilah manusia tidak dapat bertahan hidup di bumi yang penuh dengan keburukan dan tidak akan selamat daripada bahaya yang sering dilancarkan iblis kerana dendamnya kepada bani Adam.

Malaikat ini juga menjaga manusia daripada dimasuki oleh jin. Kalau malaikat ini ada, maka jin tidak berani datang. Ini kerana jin takut kepada para malaikat, maka mereka tidak berani kacau, tidak berani hendak menampilkan diri. Akan tetapi sekiranya kita berbuat syirik, malaikat ini akan meninggalkan kita dan senanglah jin mengganggu kerana kita tidak ada pelindung lagi. Maka jikalau sering diganggu jin, bukannya pergi jumpa bomoh dan uskun (ustaz dukun – sebenarnya dukun tetapi berlakon sebagai ustaz). Sebaliknya kena betulkan akidah dan amalan agama.

Para malaikat itu akan jaga depan dan belakang kita. Selepas turun ayat inilah yang menyebabkan Nabi Muhammad ﷺ tidak takut dengan ancaman daripada musuh baginda. Sebelum itu, selalu ada beberapa sahabat yang menjaga baginda, takut-takut kalau ada musuh yang mengambil kesempatan mencederakan atau membunuh baginda. Akan tetapi selepas turunnya ayat ini, Nabi ﷺ suruh mereka pergi sahaja kerana Nabi ﷺ tahu yang baginda sudah ada penjaga.

Mujahid رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan bahawa tiada seorang hamba pun melainkan ada malaikat yang ditugaskan untuk menjaganya di saat dia tidur dan di saat dia terbangun, yakni menjaganya daripada kejahatan jin, manusia, dan haiwan buas. Tiada sesuatu pun makhluk itu yang datang kepada hamba yang bersangkutan dengan tujuan untuk memudaratkannya, melainkan malaikat penjaga itu berkata kepadanya, “Pergilah ke belakangmu!” Kecuali apabila ada sesuatu yang ditakdirkan oleh Allah ﷻ, maka barulah dapat mengenainya. Ini seperti firman Allah ﷻ dalam An’am: 61 juga,

وَهُوَ القاهِرُ فَوقَ عِبادِهِ ۖ وَيُرسِلُ عَلَيكُم حَفَظَةً حَتّىٰ إِذا جاءَ أَحَدَكُمُ المَوتُ تَوَفَّتهُ رُسُلُنا وَهُم لا يُفَرِّطونَ
Dan Dia lah yang berkuasa atas sekalian hamba-Nya; dan Dia mengutuskan kepada kamu pengawal-pengawal (malaikat yang menjaga dan menulis segala yang kamu lakukan), sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya).

Seperti kita telah sebut sebelum ini, يَحفَظونَهُ (mereka menjaga) itu bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi menjaga daripada manusia itu membuat dosa juga. Kerana itulah malaikat penjaga itu bukan sahaja mengajak manusia itu melakukan kebaikan, tetapi juga menghalang manusia itu daripada melakukan dosa. Sebab itu apabila kita hendak melakukan dosa, ada terngiang-ngiang di telinga kita bahawa benda itu adalah salah.

 

إِنَّ اللهَ لا يُغَيِّرُ ما بِقَومٍ حَتّىٰ يُغَيِّروا ما بِأَنفُسِهِم

Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.

Allah ﷻ beritahu yang Nabi Muhammad ﷺ itu sudah selamat, kamu jangan risau tentang baginda tetapi risaulah tentang diri kamu. Allah ﷻ hendak beritahu yang kamu pasti akan dikenakan dengan azab kalau kamu tidak mengubah diri kamu.

Inilah ayat yang terkenal tentang kekuatan dan akal budi yang dianugerahkan Allah ﷻ kepada manusia sehingga manusia itu dapat bertindak sendiri dan mengendalikan dirinya sendiri di bawah naungan Allah ﷻ. Dia berkuasa ke atas dirinya dalam batas-batas yang ditentukan oleh Allah ﷻ. Sebab itu manusia itu wajiblah berusaha sendiri untuk menentukan garis hidupnya, jangan hanya menyerah saja dengan tidak berikhtiar.

Manusia telah dilahirkan dalam fitrah dan kalau dia ikut fitrah ini, maka dia tetap akan selamat. Hanya apabila mereka melanggar fitrah itu, barulah Allah ﷻ tarik balik nikmat yang telah diberikan kepada mereka itu. Mereka akan dibiarkan tergapai-gapai di dunia ini tanpa tujuan dan hala. Mereka menuju ke arah kesesatan dan kehidupan abadi di dalam neraka! Apakah itu fitrah? Untuk senang kita faham, fitrah adalah “common sense”. Iaitu sesuatu yang kita sendiri boleh faham tanpa diajar pun sebenarnya. Rasulullah ﷺ telah bersabda,

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ
Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanya lah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.
(Riwayat Bukhari No. 1385)

Manusia juga telah diberi akal oleh Allah ﷻ dan oleh itu dia kena pandai mempertimbangkan dengan akalnya itu di antara yang buruk dengan yang baik. Manusia bukanlah semacam kapas yang diterbangkan angin ke mana-mana, atau laksana batu yang terlempar di tepi jalan. Dia mempunyai akal, dan dia pun mempunyai tenaga buat mencapai yang lebih baik, dalam batas-batas yang ditentukan oleh Allah ﷻ. Kalau tidak demikian, nescaya tidaklah akan sampai manusia itu mendapat kehormatan menjadi KHALIFAH ALLAH ﷻ di muka bumi ini.

Maksud ayat ini kalau diambil daripada permulaan ayat ini, manusia akan terus mendapat kebaikan sahaja dan dijaga oleh malaikat, kecuali kalau mereka mengubah amalan mereka dan agama mereka. Ini kerana kalau diubah, keputusan Allah ﷻ dalam kehidupan mereka akan berubah.

Contohnya, kalau tidak yakin kepada Allah ﷻ, Allah ﷻ akan mencabut kebahagiaan dan kepuasan hidup daripada diri mereka (sudah diambil kesenangan hati daripada mereka). Oleh itu, ayat ini sebagai hujah, kerana manusia membuat kesalahan lah yang menyebabkan Allah ﷻ uji mereka dengan musibah.

قال: وقال ابن أبي حاتم: حدثنا أبو سعيد الأشج، حدثنا حفص بن غياث، عن أشعث، عن جَهْم، عن إبراهيم قال: أوحى الله إلى نبي من أنبياء بني إسرائيل: أن قل لقومك: إنه ليس من أهل قرية ولا أهل بيت يكونون على طاعة الله فيتحولون منها إلى معصية الله، إلا تحول لهم مما يحبون إلى ما يكرهون، ثم قال: إن مصداق ذلك في كتاب الله: {إِنَّ اللَّهَ لا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ}
Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Sa’id Al-Asyaj, telah menceritakan kepada kami Hafs ibnu Gayyas, daripada Asy’as, daripada Jahm, daripada Ibrahim yang mengatakan bahawa Allah pernah memerintahkan kepada salah seorang nabi dalam kalangan kaum Bani Israil, “Hendaklah kamu katakan kepada kaummu bahawa tidak ada suatu penduduk kota pun —dan tidak ada penghuni suatu ahli bait pun — yang tadinya berada dalam ketaatan kepada Allah, lalu mereka berpaling daripada ketaatan dan mengerjakan maksiat kepada Allah, melainkan Allah memalingkan daripada mereka hal-hal yang mereka sukai, kemudian menggantikannya dengan hal-hal yang tidak mereka sukai.” Selanjutnya Jahm ibnu Ibrahim mengatakan bahawa bukti kebenaran ini dalam Kitabullah (Al-Qur’an) ialah firman Allah Swt. yang mengatakan: Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. (Ar-Ra’d: 11)
(AR. Ibnu Abi Hatim dalam Tafsirnya 7/12201)
Sanadnya dhaif menurut Ibnu Katsir dalam Tafsirnya 8/118)

Akan tetapi, kita kena faham bahawa ada masa Allah ﷻ uji manusia kerana hendak menguji manusia tentang ketaatan mereka, bukan kerana kesalahan yang mereka lakukan. Sebagaimana para Nabi juga mengalami kesusahan dan musibah dan tentunya mereka itu tidak berdosa.

Begitu juga ada orang yang baik, mungkin wali namun ada juga kesusahan dalam hidup mereka. Untuk kes sebegitu, itu adalah untuk mentarbiyah mereka dan peluang mereka untuk mendapat pahala dengan sabar di atas musibah mereka. Oleh itu, tidaklah boleh kita pukul rata sahaja.

Janganlah kita kata kepada seseorang kalau dia susah: “Ha, ini sebab kau banyak buat dosa lah ni!”. Janganlah sampai begitu. Pertamanya, jagalah hati orang; keduanya, kita tidak tahu apakah hakikat kesusahan yang dialami oleh orang itu. Buat senyap, sudahlah.

Ia juga bermaksud para malaikat itu akan tetap melindungi manusia yang dijaganya itu daripada gangguan jin syaitan, sehinggalah manusia itu membuat amalan-amalan yang salah. Barulah malaikat itu akan meninggalkannya. Sebab itu senang sahaja orang yang tidak menjaga agama diganggu oleh jin kerana mereka boleh lihat yang orang itu sudah tidak ada pelindung. Maka mereka senang dirasuk, ada penampakan, dengar itu dan ini dan macam-macam lagi.

Selalu ayat ini digunakan dalam ceramah motivasi, sebagai ajakan manusia mengubah diri mereka ke arah kebaikan. Mereka kata: “Kalau kita tidak berusaha untuk ubah diri kita kepada kejayaan, Allah tidak mengubah kita.” Maka kalau hendak berjaya, kena ubah diri; kalau hendak kaya, kena kerja keras dan rajin. Walaupun ini adalah fahaman yang popular dalam kalangan kita, dan kalau baca terjemahan ayat pun nampaknya begitu, tetapi saya tidak berjumpa lagi tafsir yang bermaksud begini. Allahu a’lam.

Sebaliknya yang dimaksudkan adalah hal agama sebenarnya. Ia mengajar yang kita sebagai seorang Muslim kita tidak boleh menyerah saja kepada takdir, tetapi kita percaya akan adanya takdir. Kita mesti tahu bahawa Allah ﷻ tidak akan mengubah nasib kita, kalau kita sendiri tidak berusaha mengubahnya. Akan tetapi kita pun percaya bahawa di dalam perjalanan hidup kita, kita akan bertemu dengan kecelakaan yang tidak kita sangka-sangka.

Sebab itu maka di dalam segala kegiatan hidup, kita tidak boleh melepaskan ingatan kita kepada Tuhan. Ini akan memberi kekuatan kepada kita, sehingga apa pun dugaan yang kita bertemu, namun jiwa kita telah bersedia menghadapinya kerana kita sedar yang tidak ada pelindung kita selain daripada Allah ﷻ. Di sinilah letaknya kekuatan itu, sehingga jiwa sekali-kali tidak merasa sepi.

Satu lagi tafsir bagi ayat ini, kalau seseorang itu sedang di dalam kesesatan, Allah ﷻ akan membiarkan dirinya di dalam keadaan itu sehinggalah dia sendiri berusaha untuk keluar daripada kesesatan itu. Dia kena ada keinginan untuk mengetahui kebenaran, kemudian dia berusaha untuk mendapatkan kebenaran itu; barulah Allah ﷻ akan bantu dia untuk mendapatkan kebenaran itu. Kerana itulah kita selalu dengar orang yang asalnya di dalam keluarga Muslim, tetapi kemudian dia beralih menjadi seorang atheist. Akan tetapi sampai satu ketika, dia hendak berubah dan mengkaji agama termasuk agama Islam. Maka dia dapati yang agama Islam inilah yang benar. Maka dia kembali kepada Islam.

 

وَإِذا أَرادَ اللهُ بِقَومٍ سوءًا فَلا مَرَدَّ لَهُ

Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya;

Seandainya Allah ﷻ sudah takdirkan akan mengenakan azab kepada sesiapa sahaja, tidak ada sesiapa yang boleh menghalang Allah ﷻ. Walaupun kita ada malaikat penjaga, akan tetapi jikalau Allah ﷻ telah tentukan yang musibah tetap kena kepada orang itu, maka ia tetap kena juga. Malaikat pun akan tarik diri pada waktu itu.

Ini mengajar kita yang kita ini lemah sangat, maka kena sedarlah kelemahan dan kekurangan kita. Jika Allah ﷻ mahu kenakan musibah dan satu dunia ini mahu menghalang musibah itu daripada berlaki, ia pasti tidak akan berjaya. Musibah itu tetap akan kena kepada orang itu juga.

 

وَما لَهُم مِّن دونِهِ مِن والٍ

dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.

Sesiapa pun tidak akan ada والٍ (seperti kita biasa menggunakan kalimah ‘wali’ itu) jikalau Allah ﷻ telah takdirkan musibah kepada kita. Ia daripada katadasar و ل ي yang bermaksud menjadi rapat; dekat; ikut; berpaling; berada dalam kedudukan berkuasa; mengambil sebagai kawan; melindungi; mempertahankan; membuat seseorang sebagai kawan; kawan; penolong; sekutu; pengganti; penjaga; pewaris; pembela; warisan; penaung; tuan; pemilik; pelindung; dermawan; pelanggan; pewaris; tumpuan.

والٍ adalah seseorang yang dapat menjadi pelindung atau penolong kepadanya. Di sini kita belajar bahawa pelindung atau والٍ yang sebenar adalah Allah ﷻ. Seandainya Allah ﷻ taqdirkan kena, pasti akan kena. Selain Allah ﷻ, tidak akan dapat melindungi kita daripada azab sengsara. Maka kita kena berharap kepada Allah ﷻ sahaja.

 

Allahu a’lam. Sambung dengan ayat-ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 12 September 2023

Ringkasan Surah Ra’d


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah Yusuf Ayat 103 – 104 (Kebanyakan manusia takkan beriman)

Yusuf Ayat 103: Ayat Zajrun (teguran). Adakah semua manusia akan ambil pengajaran daripada kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini? Tidak, kerana itu di dalam Ayat 103 – 110 secara ringkasnya Allah ‎ﷻ memberitahu dua perkara kepada Nabi Muhammad ﷺ:

1. Yang mendengar dakwah baginda kebanyakannya akan menolak kebenaran.

2. Apa yang baginda perlu lakukan.

Apabila kita mendengar tentang Surah Yusuf, fikiran kita sering kali tertumpu kepada kisah epik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ — sebuah naratif yang penuh dengan kesabaran luar biasa dalam menghadapi pengkhianatan, fitnah, dan pemenjaraan, yang akhirnya membawa kepada kemenangan dan pertemuan semula yang mengharukan. Ia adalah lambang harapan. Namun, pernahkah kita terfikir bahawa di sebalik kisah agung ini, terselit sebuah dialog yang sangat peribadi dan mendalam di penghujung surah? Dialog ini bukanlah antara Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan keluarganya, tetapi sebuah konsolasi intim antara Allah ﷻ dan utusan terakhir-Nya, Nabi Muhammad ﷺ, semasa baginda melalui saat-saat yang paling getir. Di sinilah terletaknya beberapa pengajaran paling kuat tentang cara menghadapi situasi yang kelihatan mustahil, menawarkan perspektif yang jarang kita renungkan. Mari kita selami mesej-mesej tersembunyi ini, yang diturunkan khas untuk menguatkan hati Rasulullah ﷺ — dan juga hati kita.

وَمَآ أَڪثَرُ ٱلنَّاسِ وَلَو حَرَصتَ بِمُؤمِنِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And most of the people, although you strive [for it], are not believers.

(MALAY)

Dan sebahagian besar manusia tidak akan beriman — walaupun kamu sangat menginginkannya.

 

Nabi Muhammad ﷺ tentu berfikir, kalau sudah ada kisah ini, tentu ramailah nanti orang Yahudi akan masuk Islam, kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini adalah Nabi besar mereka juga. Tentu mereka akan dapat lihat bagaimana kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu ada persamaan dengan kisah Nabi Muhammad ﷺ. Walaupun Nabi ﷺ ada berperasaan begitu, tetapi Nabi ﷺ diberitahu dalam ayat ini, jangan berharap sangat kerana walaupun baginda berharap sangat akan ramai yang masuk Islam, tetapi ramai antara mereka tidak akan beriman. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu Nabi ﷺ kalau mereka tidak beriman, kekurangan bukan pada Nabi Muhammad ﷺ tetapi pada mereka. Tidak ada salah dalam cara dakwah baginda.

Untuk memahaminya, perhatikan struktur menakjubkan dalam ayat 103 ini: وَمَآ أَكْثَرُ ٱلنَّاسِ وَلَوْ حَرَصْتَ بِمُؤْمِنِينَ “Dan kebanyakan [walaupun engkau sangat inginkannya] manusia tidak akan beriman, .” Kalimah حَرَصْتَ daripada kata dasar: ح ر ص yang bermaksud menginginkan sesuatu sangat, berharap sangat, mendambakan. Ia seperti digunakan terhadap puak Yahudi yang sayang sangat kehidupan dunia seperti disebut di dalam Baqarah:96

وَلَتَجِدَنَّهُم أَحرَصَ النّاسِ عَلىٰ حَيَوٰةٍ وَمِنَ الَّذينَ أَشرَكوا
Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati mereka itu setamak-tamak manusia kepada hidup (yang lanjut masanya), dan (lobanya mereka kepada hidup itu) melebihi loba orang-orang kafir musyrik.

Jadi, kalimah حرص adalah apabila segala usaha ditumpukan untuk mendapatkan prioriti utama dalam hidup seseorang. Bagi Yahudi, kehidupan dunia. Bagi Nabi Muhammad ﷺ pula, baginda mahu sangat manusia beriman. Kalimah yang sama digunakan untuk Nabi Muhammad ﷺ di dalam Tawbah:28

لَقَد جاءَكُم رَسولٌ مِّن أَنفُسِكُم عَزيزٌ عَلَيهِ ما عَنِتُّم حَريصٌ عَلَيكُم بِالمُؤمِنينَ رَءوفٌ رَّحيمٌ
Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul daripada kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin.

Di dalam hadith pula kita boleh lihat apakah perasaan baginda,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “إِنَّمَا مَثَلِي وَمَثَلُ أُمَّتِي كَمَثَلِ رَجُلٍ اسْتَوْقَدَ نَارًا، فَلَمَّا أَضَاءَتْ مَا حَوْلَهَا جَعَلَ الْفَرَاشُ وَهَذِهِ الدَّوَابُّ الَّتِي تَقَعُ فِي النَّارِ يَقَعْنَ فِيهَا، فَجَعَلَ يَنْزِعُهُنَّ وَيَغْلِبْنَهُ فَيَقْتَحِمْنَ فِيهَا، فَأَنَا آخُذُ بِحُجَزِكُمْ عَنِ النَّارِ، وَأَنْتُمْ تَقَحَّمُونَ فِيهَا”
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Rasulullah ﷺ bersabda: “Perumpamaanku dengan umatku adalah seperti seorang lelaki yang menyalakan api. Apabila api itu menerangi keadaan sekelilingnya, keloncong (serangga kecil) dan binatang-binatang yang biasa hinggap di api itu pun mula menjatuhkan diri ke dalamnya. Lelaki itu cuba menghalang mereka, tetapi mereka tetap meluru masuk ke dalam api tersebut. Begitulah aku, aku memegang tali pinggang kamu (menarik kamu) supaya jangan jatuh ke dalam neraka, sambil berkata: ‘Menjauhlah dari api! Menjauhlah dari api!’ Namun kamu mengalahkan aku (melepaskan diri) dan melompat ke dalamnya.”

(Sahih Bukhari No. 6483 dan Muslim No. 2284) 

Baik, kita lihat semula susunan وَمَآ أَكْثَرُ ٱلنَّاسِ وَلَوْ حَرَصْتَ بِمُؤْمِنِينَ. Dari sudut linguistik Arab, ayat ini mempunyai keunikan yang mendalam. Frasa وَلَوْ حَرَصْتَ (walaupun engkau sangat inginkannya) diletakkan di tengah-tengah ayat utama. Ini dipanggil jumlah mu’taridah (ayat sisipan atau ayat celahan). Yang penting hendak disampaikan di sini adalah وَمَآ أَكْثَرُ ٱلنَّاسِ بِمُؤْمِنِينَ. Cuma di tengah-tengahnya Allah ‎ﷻ tambah/selit وَلَوْ حَرَصْتَ. Mengapa struktur ini begitu penting dari segi emosi? Kerana Allah Maha Mengetahui hati Rasul-Nya. Apabila mendengar berita bahawa kebanyakan kaumnya tidak akan beriman, naluri pertama Rasulullah ﷺ adalah untuk menyalahkan diri sendiri. Baginda akan berfikir, “Mungkin aku tidak berusaha cukup keras. Mungkin ada sesuatu lagi yang boleh aku lakukan.”

Jadi kenapa Allah ‎ﷻ selitkan frasa وَلَوْ حَرَصْتَ? Allah ‎ﷻ menyusun ayat ini secara spesifik untuk mengesahkan usaha Nabi ﷺ sebelum menyampaikan berita itu, dengan itu menghalang sebarang kebarangkalian untuk menyalahkan diri sendiri dan berputus asa. Seolah-olah Allah ﷻ berkata, “Aku tahu engkau telah memberikan segalanya. Aku saksikan setiap titisan peluh dan air matamu. Usahamu sudah sempurna.” Hanya selepas memberikan pujian dan pengiktirafan ini, barulah Allah ﷻ menyampaikan hakikat yang pahit: بِمُؤْمِنِينَ (…mereka tidak akan beriman). Ini adalah tanda cinta dan belas kasihan Allah yang mendalam, satu pelukan ilahi untuk menenangkan hati Rasul-Nya.

Allah ﷻ beritahu yang kebanyakan mereka tidak akan beriman, padahal mereka juga yang mulanya bertanya tentang kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Kaum musyrikin Mekah dan orang-orang Yahudi pernah mengajukan pertanyaan kepada Nabi Muhammad ﷺ tentang kisah Nabi Yusu عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Hal ini terjadi kerana para ulama Yahudi ingin menguji kebenaran kenabian Nabi Muhammad ﷺ. Ini kerana Musyrikin Mekah sudah buntu tentang apa yang mereka lakukan untuk membuat Nabi Muhammad ﷺ senyap. Lalu, mereka pergi berjumpa dengan pendeta Yahudi untuk memberi mereka idea tentang soalan yang mereka rasa Nabi Muhammad ﷺ tidak mungkin dapat menjawabnya. Jadi, puak Yahudi itu meminta para pembesar musyrikin Mekah untuk menanyakan kepada Nabi Muhammad ﷺ tentang kisah Nabi Yusuf dan alasan keluarga Ya’qub pindah dari Syam ke Mesir. Tujuan mereka adalah untuk menguji apakah Nabi Muhammad ﷺ mengetahui kisah tersebut, kerana kisah Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hanya diketahui oleh ahli kitab dan tidak diketahui oleh bangsa Arab pada waktu itu. Ini juga mengajar kita bahawa kadang-kadang orang bertanya soalan memang hendak tahu, tetapi kadangkala ada yang hendak menguji kita sahaja dan tujuan mereka adalah untuk menjatuhkan kita melalui soalan perangkap sahaja; jadi kita kena berhati-hati dengan soalan.

Ketika pertanyaan itu diajukan, Allah ‎ﷻ menurunkan Surah Yusuf yang berisi kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ secara lengkap. Nabi Muhammad ﷺ menceritakan kisah tersebut dengan lengkap yang sesuai dengan apa yang ada dalam Taurat, sehingga membuat orang-orang Yahudi terkejut dan kehairanan. Mereka bertanya, “Dari mana engkau mengetahui ini, wahai Muhammad?” Nabi ﷺ menjawab, “Allah yang mengajarkan kepadaku.” Namun, meskipun kisah yang disampaikan Nabi Muhammad ﷺ sesuai dengan kitab mereka, kebanyakan daripada mereka tetap tidak beriman. Walaupun mungkin mereka ada berjanji kalau Nabi ﷺ boleh jawab, mereka akan beriman. Akan tetapi walaupun setelah disampaikan, mereka tetap berdegil, kerana mereka bukan hendak beriman pun sebaliknya hendak menguji sahaja. Sambil mencari-cari jalan bagaimana mereka boleh menjatuhkan baginda.

Perhatikan juga penggunaan ما di dalam ayat ini yang kalau diterjemahkan, ia bermaksud ‘tidak’. Akan tetapi, di dalam bahasa Arab, kalimah ‘tidak’ ada berbagai jenis. Ada ما, ada لا, ada لن. Kalau digunakan ما, ia bermaksud menidakkan kata-kata atau fahaman seseorang. Jadi ia menidakkan anggapan Nabi Muhammad ﷺ yang sangka (dan berharap) kalau baginda jawab soalan mereka, mereka akan beriman. Allah ‎ﷻ kata ما, tidak.

 

MAJORITI

Kalimah ٱلنَّاسِ di dalam ayat ini boleh ditafsirkan dengan banyak cara dan ulama’ khilaf tentangnya.

1. Ia merujuk kepada masyarakat yang di sekeliling Rasulullah ﷺ ketika itu. Kebanyakan mereka menolak dakwah dan kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah ﷺ. Ini adalah pendapat Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا. Walaupun digunakan kalimah ٱلنَّاسِ seolah-olah merujuk kepada manusia yang ramai, yang dimaksudkan adalah orang-orang tertentu sahaja. Contohnya begini, kalau kita sedang melepak di kedai tetapi dengar orang bising-bising. Kita pun kata, “Manusia sekarang takde adab!” Kita sebut ‘manusia’, tetapi yang kita maksudkan adalah orang-orang di situ sahaja, bukan?

2. Pendapat lain mengatakan ia merujuk kepada keseluruhan manusia.

3. Ada yang kata berkenaan orang Munafik

4. Ada yang berkata tentang Ahli Kitab.

Telah menjadi ketentuan Allah ‎ﷻ, hanya 1/1000 sahaja yang akan masuk syurga seperti disebut di dalam sebuah hadith, yang diriwayatkan daripada Abu Sa’id Al-Khudri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Rasulullah ﷺ bersabda:

يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى: يَا آدَمُ، فَيَقُولُ: لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ وَالْخَيْرُ فِي يَدَيْكَ، فَيَقُولُ: أَخْرِجْ بَعْثَ النَّارِ، قَالَ: وَمَا بَعْثُ النَّارِ؟ قَالَ: مِنْ كُلِّ أَلْفٍ تِسْعَ مِائَةٍ وَتِسْعَةً وَتِسْعِينَ، فَعِنْدَهُ يَشِيبُ الصَّغِيرُ، وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا، وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَى وَمَا هُمْ بِسُكَارَى وَلَكِنَّ عَذَابَ اللَّهِ شَدِيدٌ
Allah Ta’ala berfirman: “Wahai Adam!” Maka Adam menjawab: “Labbaik wa sa’daik (Aku penuhi panggilan-Mu dengan ketaatan), dan segala kebaikan ada di tangan-Mu.” Lalu Allah berfirman: “Keluarkanlah pasukan penghuni neraka!” Adam bertanya: “Apakah pasukan penghuni neraka itu?” Allah berfirman: “Dari setiap seribu orang, keluarkanlah sembilan ratus sembilan puluh sembilan orang!” (Rasulullah melanjutkan:) “Pada saat itulah anak kecil menjadi beruban, setiap perempuan yang hamil akan menggugurkan kandungannya, dan kamu akan melihat manusia dalam keadaan mabuk padahal sebenarnya mereka tidak mabuk, tetapi azab Allah itu sangatlah pedih.”

Imam Bukhari (No. 3348) dan Imam Muslim (No. 222)

Namun begitu, mari kita perhatikan dari segi bahasa pula akan kalimat وَمَآ أَكْثَرُ ٱلنَّاسِ بِمُؤْمِنِينَ. Ia bukanlah bermaksud manusia ‘tidak akan’ beriman. Kalau yang hendak diberitahu mereka takkan beriman, kalimat yang sepatutnya adalah, وَمَآ أَكْثَرُ ٱلنَّاسِ لن يؤمنوا. Memang sekarang mereka tidak mahu beriman, tetapi tidaklah sampai mereka langsung takkan beriman. Kerana nanti ketika Pembukaan Mekah di atas kemenangan umat Islam, kebanyakan daripada Musyrikin Mekah itu akan beriman, bukan? Ini seperti disebut di dalam Nasr:1-2

إِذَا جَآءَ نَصۡرُ ٱللَّهِ وَٱلۡفَتۡحُ (١) وَرَأَيۡتَ ٱلنَّاسَ يَدۡخُلُونَ فِى دِينِ ٱللَّهِ أَفۡوَاجًا (٢)
Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah); (1) Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai; (2)

Jadi di dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu, Allah ‎ﷻ memberi contoh kepada Nabi Muhammad ﷺ apa yang baginda lalui. Baginda telah berusaha sehabis mungkin untuk menyampaikan agama Islam kepada mereka, tapi mereka tetap degil untuk beriman. Dan di dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kita melihat bagaimana abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ enggan mendengar cakap. Tentu Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah mengajar mereka adab-adab yang baik, bukan? Tapi mereka walaupun mengaku Muslim, mereka tetap tidak mendengar cakap dan ajaran ayah mereka sendiri, seorang Nabi!

Ayat ini secara jelas menyatakan bahawa “kebanyakan manusia” tidak akan beriman. Ini membawa kita kepada satu pengajaran penting: majoriti bukanlah ukuran kebenaran. Majoriti sering kali sukar untuk diubah, sama seperti sebuah kapal induk yang besar memerlukan masa dan ruang yang luas untuk membelok, berbanding sebuah kanu kecil yang lincah. Lebih dari sekadar inersia, ia adalah tentang tekanan psikologi. Apabila sesuatu amalan atau kepercayaan menjadi norma, ia membentuk definisi “normal” dalam masyarakat. Sesiapa yang berani tampil berbeza—sama ada dalam cara berfikir atau beriman—akan segera dianggap “abnormal” dan “pelik”.” Mereka akan menjadi terasing, menjadi sasaran kritikan dan ejekan. Tekanan sosial untuk akur dengan majoriti amat kuat. Al-Qur’an mengesahkan realiti ini di tempat lain iaitu di dalam An’am:116

وَإِن تُطِع أَڪثَرَ مَن فِى ٱلأَرضِ يُضِلُّوكَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ‌
Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; 

Dalam hal kebenaran rohani dan moral, pemikiran majoriti cenderung bersifat materialistik. Oleh itu, jangan pernah mengukur kebenaran berdasarkan bilangan pengikut. Kebenaran tetaplah kebenaran, walaupun hanya dipegang oleh segelintir orang.

Akan tetapi ini bukanlah boleh dijadikan alasan untuk tidak terus berdakwah. Seorang Nabi dan seorang pendakwah tidak boleh kenal putus asa. Memang ramai yang tidak akan beriman, akan tetapi akan ada juga yang beriman; kita sahaja tak tahu yang mana akan beriman; maka kita kena terus berdakwah dan menyampaikan ajaran agama ini.

 

HUBUNGAN ALLAH ‎ﷻ DAN RASULULLAH

Salah satu aspek paling menyentuh di penghujung Surah Yusuf ialah bagaimana Allah ‎ﷻ berkomunikasi dengan para Nabi-Nya. Sepanjang penderitaan mereka yang bertahun-tahun, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berpegang teguh pada prinsip iman dan kesabaran. Mereka mengadu dan berdoa kepada Allah ‎ﷻ. Namun, Allah ‎ﷻ tidak berdialog secara langsung dengan mereka di tengah-tengah kesusahan itu (dengan satu pengecualian penting ketika Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dilemparkan ke dalam perigi). Mereka perlu menunggu dengan sabar untuk petunjuk atau kelegaan.

Sebaliknya, pada penghujung surah ini, kita menyaksikan sesuatu yang menunjukkan cinta yang luar biasa. Allah ‎ﷻ berpaling dan bercakap secara langsung kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ketika Rasulullah ﷺ berdepan dengan kesedihan yang mendalam, Allah ﷻ tidak membiarkannya menunggu. Allah ﷻ tidak menunggu sehingga Rasul-Nya perlu membawa keluhannya; sebaliknya, Allah ﷻ secara proaktif memulakan perbualan untuk memberinya kekuatan dan harapan. Ini adalah satu penghormatan unik yang menunjukkan hubungan yang sangat rapat dan istimewa. Ini adalah bukti cinta dan hubungan intim antara Allah ﷻ dan Rasul-Nya. Ketika baginda menghadapi penolakan yang amat dahsyat, Allah ﷻ sendiri yang ‘turun’ untuk memujuk dan membimbingnya secara langsung.

Bagaimana cara Allah memujuk Rasulullah ﷺ di dalam ayat ini? Allah kata mereka tidak beriman. Allah yang kata sendiri. Kita lihat satu analogi. Katakan saya telah rekomen anda bekerja di satu syarikat kerana saya tahu anda layak dan telah ada banyak pengalaman. Mereka akan beruntung kalau ambil anda bekerja. Tapi tengok-tengok setelah sesi temu duga, mereka tidak memilih anda. Apa yang akan saya katakan: “Apa, mereka tidak memilih engkau? Bodohnya mereka!” Kenapa saya kata begitu, kerana saya hormat anda, sayang anda dan yakin dengan kebolehan anda. Saya tidak salahkan anda kerana anda memang layak, mereka yang bodoh! Maka begitulah apabila Allah menyatakan mereka tidak beriman, bukannya hendak menyalahkan Rasulullah ﷺ, tetapi mengutuk mereka yang degil dan memilih tidak beriman itu.

Dan perhatikan susunan Surah Yusuf ini. Di bahagian awal, Allah memberitahu di dalam permulaan surah ini yang surah ini adalah kisah terbaik yang diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Kemudian dalam seratus lebih ayat tentang kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan karektor-karektor yang berkaitan dan sekarang kita perhatikan yang Allah bercakap kembali kepada Nabi Muhammad ﷺ. Seolah-olah kisah itu sebenarnya diberikan untuk baginda.

Di dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu apa yang diberikan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Baginda dapat kelebihan mentakwil mimpi, kata-kata dan situasi. Kemudian baginda diberikan kerajaan. Tapi ketika Nabi Muhammad ﷺ menerima kisah itu, apa yang Nabi Muhammad ﷺ fikir baginda dapat? Apa dia? Inilah Al-Qur’an yang telah diberikan kepada baginda yang melebihi segala-galanya, mana-mana hadiah dan pemberian. Tidak ada yang lebih hebat daripada pemberian Al-Qur’an ini. Memang ketika surah ini diturunkan, ia adalah ketika Nabi Muhammad ﷺ dalam kesedihan seperti kita telah jelaskan banyak kali sebelum ini. Akan tetapi dengan penerimaan ayat-ayat ini sahaja sudah menjadi sebagai ubat kepada Rasulullah ﷺ. Ia sudah menggembirakan Rasulullah ﷺ kerana baginda dapat rasa yang Allah ‎ﷻ tidak membiarkan baginda begitu sahaja. Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam Yunus:58 

قُلْ بِفَضْلِ اللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَٰلِكَ فَلْيَفْرَحُوا هُوَ خَيْرٌ مِمَّا يَجْمَعُونَ
“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Dengan kurniaan Allah (Fadhlullah) dan rahmat-Nya (Rahmatihi), maka dengan itu hendaklah mereka bergembira (falyafrahu). Kesenangan (iman dan Al-Quran) itu lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan (dari harta benda dunia).'”

Maknanya, hendaklah kita gembira apabila belajar dan membaca Al-Qur’an. Bukannya bergembira dengan berjoget, berqasidah, melompat-lompat pula. Bukan juga bergembira dengan kekayaan dunia seperti yang disebut kepada Qarun dalam Qasas:76

إِذ قالَ لَهُ قَومُهُ لا تَفرَح ۖ إِنَّ اللهَ لا يُحِبُّ الفَرِحينَ
ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah kamu terlalu bangga; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri”.

Kalimah فرح di dalam ayat ini bermakna bergembira terlebih sehingga menjadi sombong dan bangga diri. Ia adalah jenis kegembiraan yang paling tinggi. Sebagai contoh, ada orang yang terlalu gembira pasukan bolanya menang sampai mereka melompat-lompat, memecahkan barang, minum arak dan memercikkan arak kepada orang ramai dan sebagainya. Di dalam ayat Qasas:76 ini disebut لا تَفرَح kerana kegembiraan berlebihan sebegitu yang dilarang. Tapi di dalam Apabila perkataan فَبِذَٰلِكَ diletakkan di awal ayat, ia menunjukkan bahawa *hanya* dengan Al-Qur’an ini sahaja yang patut kita bergembira sungguh-sungguh, bukan dengan benda yang lain. Sesiapa yang bergembira dengan benda lain sesungguhnya dia telah tertipu oleh dunia. Akan tetapi, untuk Al-Qur’an, kita disuruh di dalam ayat Yunus:58 untuk فَلْيَفْرَحُوا. Ini adalah kerana kita patut bergembira dengan penerimaan Al-Qur’an. Dan begitulah yang dialami oleh Nabi Muhammad ﷺ.


 

Yusuf Ayat 104: Allah ‎ﷻ mengutuk lagi mereka yang degil tidak mahu beriman.

وَما تَسأَلُهُم عَلَيهِ مِن أَجرٍ ۚ إِن هُوَ إِلّا ذِكرٌ لِّلعٰلَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you do not ask of them for it any payment. It is not except a reminder to the worlds.

(MALAY)

Dan kamu sekali-kali tidak meminta upah kepada mereka (terhadap seruanmu ini), itu tidak lain hanyalah pengajaran bagi semesta alam.

 

وَما تَسأَلُهُم عَلَيهِ مِن أَجرٍ

Dan kamu sekali-kali tidak meminta upah kepada mereka

Mengapa mereka tidak mahu beriman? Adakah Nabi ﷺ minta apa-apa daripada mereka? Minta upah, minta kedudukan? Di sini Allah ‎ﷻ menegaskan yang Nabi Muhammad ﷺ tidak pernah meminta upah pun daripada umat baginda, dalam memberitahu kisah ini. Begitu juga Nabi Muhammad ﷺ tidak meminta upah dalam dakwah baginda kepada mereka, dalam mengajar agama kepada mereka. Walaupun mungkin ada yang berkata Nabi ﷺ berdakwah kerana hendakkan kuasa, hendakkan duit dan harta, tetapi Allah ‎ﷻ tekankan yang baginda bukannya minta duit daripada mereka. Baginda bukan hendakkan pengaruh juga. Baginda melakukannya kerana mencari redha Allah ‎ﷻ.

Malah Musyrikin Mekah sendiri pernah menawarkan berbagai-bagai tawaran supaya baginda berhenti berdakwah. Peristiwa ini melibatkan seorang tokoh musyrikin bernama Utbah bin Rabi’ah yang diutus sebagai wakil Quraisy untuk berunding dengan Baginda. Utbah berkata kepada pemuka Quraisy, “Biar aku pergi menemui Muhammad dan menawarkan beberapa perkara kepadanya, moga-moga dia menerima salah satunya.” Utbah datang menemui Nabi ﷺ dan berkata: “Wahai anak saudaraku, jika engkau melakukan ini (dakwah) kerana mahukan Harta, kami akan kumpulkan harta kami sehingga engkau menjadi yang paling kaya. Jika engkau mahukan Kemuliaan/Kedudukan, kami akan jadikan engkau ketua kami sehingga kami tidak akan memutuskan perkara tanpa persetujuanmu. Jika engkau mahukan Kerajaan, kami akan jadikann engkau Raja kami. Dan jika yang datang kepadamu ini adalah Penyakit (Sihir/Jin) yang engkau tidak mampu menolaknya, kami akan carikan tabib yang paling hebat dan membiayainya sehingga engkau sembuh.” Nabi ﷺ mendengar dengan tenang sehingga Utbah selesai bercakap. Baginda kemudian bertanya, “Sudah selesaikah engkau, wahai Abu al-Walid?” Utbah menjawab, “Ya.” Nabi ﷺ tidak membalas dengan kata-kata duniawi, sebaliknya Baginda membacakan wahyu Allah, iaitu Surah Fussilat (Ayat 1 sehingga 38).

Dalam riwayat lain (sering dikaitkan dengan rundingan melalui bapa saudara Baginda, Abu Thalib), Nabi ﷺ memberikan jawapan yang sangat masyhur sebagai simbol keteguhan iman: “Wahai bapa saudaraku, demi Allah, kalaupun mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku agar aku meninggalkan urusan (dakwah) ini, aku tidak akan meninggalkannya sehingga Allah memenangkannya atau aku binasa kerananya.” (Rujukan: Sirah Nabawiyah oleh Ibnu Hisyam)

Kaum Quraisy melemparkan pelbagai tuduhan kepada Nabi Muhammad ﷺ: baginda seorang penyair, ahli sihir, atau tukang cerita. Apa persamaan semua profesion ini? Semuanya dilakukan untuk mendapatkan bayaran. Dalam dunia di mana setiap orang mempunyai agenda, kita secara semula jadi akan curiga terhadap seseorang yang begitu gigih. Kita akan bertanya, “Apa sebenarnya yang kamu mahu?” Tuduhan mereka hancur berkecai apabila berdepan dengan satu hakikat yang tidak dapat disangkal: Nabi Muhammad ﷺ tidak pernah meminta walau satu sen pun untuk dakwahnya. Baginda menyampaikan mesej yang paling berharga di alam semesta dengan menyampaikan wahyu dari langit secara percuma. Ini adalah sesuatu yang tidak masuk akal dalam logik duniawi. Keikhlasan mutlak baginda, dan ketiadaan sebarang agenda duniawi seperti kuasa, kemasyhuran, atau kekayaan, adalah bukti paling jelas akan kebenarannya.

Mungkin ada yang berhujah, bukankah Nabi ﷺ juga menerima hadiah daripada orang? Bukankah sebahagian daripada harta rampasan perang diberikan kepada baginda? Bukankah baginda ada mengajar umat baginda untuk bersedekah? Tidakkah ini dikira meminta juga?

Jawapannya, Nabi ﷺ tidak pernah meminta. Allah ‎ﷻ yang suruh beri kepada baginda. Perhatikan seperti firman Allah ‎ﷻ di dalam Baqarah:245 مَّن ذَا الَّذِي يُقْرِضُ اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا فَيُضَاعِفَهُ لَهُ أَضْعَافًا كَثِيرَةً (Siapakah orangnya yang mahu memberi pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (dengan mengeluarkan hartanya di jalan Allah), supaya Allah ‎ﷻ melipatgandakan ganjaran itu kepadanya dengan gandaan yang banyak?) Allah ‎ﷻ bukan kata beri pinjaman kepada Nabi ﷺ, tetapi يُقْرِضُ اللَّهَ iaitu kepada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ tak cakap Nabi ﷺ meminta kerana manusia apabila meminta, memang malu, bukan? Maka Allah ‎ﷻ yang mintakan. Dan pemberian kepada Nabi ﷺ pun, baginda akan beri balik kepada masyarakat.

Maka ayat ini juga mengajar kita yang kita tidak boleh meminta upah dalam mengajar agama ini kerana mengajar agama ini wajib dan belajar agama ini wajib. Kalau yang mengajar agama itu meminta upah untuk mengajar, bagaimana yang miskin boleh memenuhi kewajipannya untuk belajar kalau dia tidak ada duit untuk membayar upah kepada pengajar itu?

Ini mengajar kita cara berdakwah. Kita mestilah ikhlas dalam berdakwah dan juga mengajar. Jangan mengharapkan upah. Jangan letakkan harga (yuran) untuk mengajar kalau boleh. Ini kerana mengajar itu wajib (kalau kita ada ilmu) dan belajar juga wajib. Jadi, kalau kita letakkan harga dan kena bayar kalau belajar, maka bagaimana pula dengan orang miskin yang tidak mampu untuk membuat bayaran? Nanti di akhirat kelak mereka beralasan di hadapan Allah ‎ﷻ: “Kami buat kesalahan ini semua kerana kami jahil agama, ya Allah. Tapi bagaimana kami boleh belajar ya Allah? Kami tidak mampu kerana semua guru agama meletakkan bayaran untuk belajar dengan mereka!”

Oleh itu, guru agama kena fikirkan orang-orang yang tidak ada kemampuan untuk belajar agama kalau semua guru agama letak yuran. Kerana itulah ada guru agama yang tidak mengenakan bayaran, malah ada yang tidak terima pun bayaran daripada pelajar. Ini kerana dia takut kalau ada bayaran, akan ada sekelumit kurangnya ikhlas dalam ajarannya. Jadi lebih senang kalau ditolak terus semua. Ada ustaz yang sampaikan kalau dibayar pun masuk duit dalam sampul, nanti bila dia berjalan ke hadapan dia masukkan sampul ke dalam tabung masjid. Kerana itulah juga penulis ini tidak menerima apa-apa sumbangan daripada orang ramai yang membaca tulisan di sini.

Ingat firman Allah ‎ﷻ di dalam Hud: 15 – 16.

مَنْ كَانَ يُرِيدُ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا نُوَفِّ إِلَيْهِمْ أَعْمَالَهُمْ فِيهَا وَهُمْ فِيهَا لَا يُبْخَسُونَ
Sesiapa yang usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya, maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikit pun padanya.

أُولٰئِكَ الَّذينَ لَيسَ لَهُم فِي الآخِرَةِ إِلَّا النّارُ ۖ وَحَبِطَ ما صَنَعوا فيها وَباطِلٌ ما كانوا يَعمَلونَ
Itulah orang-orang yang tidak memperoleh di akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan.

Walau bagaimanapun, tidaklah salah untuk memberi sedekah/hadiah kepada guru agama. Terutama kalau dia sendiri tidak ada pendapatan lain. Nabi ﷺ sendiri pun ramai yang memberikan hadiah kepada baginda. Memang para sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ suka untuk memberi hadiah kepada Nabi ﷺ. Mereka berbangga sekiranya Nabi ﷺ mengambil pemberian mereka dan menggunakannya. Nabi ﷺ akan mengambil dan menggunakan sedikit untuk menggembirakan hati mereka. Kemudiannya, baginda akan mengagihkan kepada para sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ yang lain. Jadi bagi pelajar-pelajar yang prihatin, mereka boleh beri hadiah. Mereka juga terhutang budi dengan guru yang telah menyampaikan ilmu. Mereka hendak membalas dengan memudahkan kehidupan ustaz itu. Jadi, kalau ustaz itu memerlukan, maka dia boleh ambil dan ini tidak ada masalah. Namun begitu ketika memberi itu sebutlah ‘hadiah’ dan bukannya ‘sedekah’. Kerana sedekah ini hanya untuk orang miskin sahaja dan kadang-kadang ustaz yang mengajar itu bukanlah miskin pun. Mungkin bukan kaya raya, tetapi kalau cukup makan dan pakai, itu sudah dikira kaya sebenarnya. Sebab kalau boleh keluarkan, sebenarnya status dalam Islam adalah ‘kaya’ lah.

 

إِن هُوَ إِلّا ذِكرٌ لِّلعٰلَمينَ

ia tidak lain hanyalah pengajaran bagi semesta alam.

Baginda ditugaskan untuk menyampaikan Al-Qur’an ini secara percuma kerana wahyu ini adalah peringatan kepada manusia. Baginda menjalankan tugas baginda dengan jujur, amanah dan ikhlas.

Para mufassirin (ahli tafsir) menjelaskan maksud Al-‘Alamin di sini sebagai:

    1. Al-Thaqalayn (ال‍ثقلين): Iaitu golongan manusia dan jin. Ini kerana Al-Qur’an diturunkan sebagai petunjuk dan peringatan (Dzikr) kepada makhluk yang diberikan taklif (tanggungjawab syariat).
    2. Segenap Manusia: Tanpa mengira bangsa, warna kulit, atau darjat (berbeza dengan ajaran nabi terdahulu yang sering bersifat lokal/khusus untuk kaum tertentu sahaja).

Secara bahasa, Al-‘Alamin adalah kata jamak bagi ‘Alam. Imam Qatadah dan ramai ulama menyatakan: “Alam adalah segala sesuatu selain daripada Allah ‎ﷻ.” Walau bagaimanapun, dalam konteks ayat yang menyebut tentang “Peringatan” (Dzikr) atau “Berita Gembira/Amaran”, ia dikhususkan kepada makhluk yang berakal:

    1. Manusia
    2. Jin
    3. (Sebahagian ulama juga memasukkan Malaikat dalam kategori yang mengambil peringatan daripada keagungan wahyu, walaupun mereka tidak terikat dengan hukum halal-haram seperti manusia).

Ayat 103 ini menyatakan bahawa majoriti tidak akan beriman, yang bermakna hanya minoriti yang akan menerima mesej itu. Namun, ayat 104 diakhiri dengan satu kenyataan yang menggegarkan dunia: mesej ini adalah ذِكْرٌ لِّلْعَٰلَمِينَ (peringatan untuk seluruh alam). Bagaimana mungkin? Bagaimana mesej yang pada mulanya hanya diterima oleh segelintir orang di sebuah lembah kecil di Mekah boleh menjadi peringatan untuk seluruh dunia dan semua generasi?

Di sinilah Allah ‎ﷻ menterbalikkan persamaan manusia. Dua perkara yang paling dihargai oleh dunia, kuantiti (majoriti) dan wang (pampasan), adalah perkara yang tidak dimiliki oleh golongan minoriti ini. Namun, di sisi Allah ‎ﷻ, nilai mereka tidak terhingga. Allah ‎ﷻ seolah-olah memberitahu Nabi-Nya: “Jangan risau tentang bilangan mereka. Golongan minoriti yang beriman denganmu itu sangat bernilai dan berkuasa di sisi-Ku sehinggakan mereka akan menjadi medium untuk menyebarkan mesej ini ke seluruh pelosok dunia.” Ini adalah penegasan agung tentang prinsip “kualiti mengatasi kuantiti.” Nilai sebenar tidak terletak pada jumlah pengikut, tetapi pada kedalaman iman dan keikhlasan segelintir orang. Merekalah permata yang akan mengubah dunia.

Kerana itu kita lihat dalam sejarah, kadangkala murid seorang guru itu tidak ramai. Malah mungkin seorang sahaja. Akan tetapi, dengan seorang itu, Allah ‎ﷻ memberi keberkatan kepadanya; dia menyampaikan mesej agama kepada ribuan manusia yang lain. Maka ini mengajar kita kalau anak murid kita tidak ramai, tidak mengapalah. Terus sahaja mengajar. Entah ada di antara mereka yang menjadi lebih baik daripada kita dan dapat mengajar orang lain dengan lebih ramai lagi. Daripada sepohon pokok mungkin boleh jadi sebuah hutan pada satu masa nanti.

Walaupun para sahabat itu tidak ramai, mereka itu adalah permata yang sangat bernilai. Maka kerana itu Allah ‎ﷻ suruh Nabi ﷺ jangan tinggalkan mereka seperti disebut di dalam Kahf:28

وَٱصبِر نَفسَكَ مَعَ ٱلَّذِينَ يَدعُونَ رَبَّہُم بِٱلغَدَوٰةِ وَٱلعَشِىِّ يُرِيدُونَ وَجهَهُ ۥ‌ۖ وَلَا تَعدُ عَينَاكَ عَنہُم تُرِيدُ زِينَةَ ٱلحَيَوٰةِ ٱلدُّنيَا‌ۖ
Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia

Perkataan أَجْرًا bermaksud upah setelah melakukan kerja yang disuruh. Contohnya, apabila seorang pekerja telah melakukan kerja, dia berhak mendapat upah daripada majikannya. Maknanya, perbuatan para pendakwah itu mengajar agama kepada manusia memang layak untuk menerima upah kerana mereka telah meluangkan masa, tenaga, dan kepandaian mereka untuk menyampaikan ajaran itu. Tugas yang mereka lakukan adalah mendidik masyarakat dengan ilmu agama, dan ini adalah pekerjaan yang terbaik di dunia. Akan tetapi, walaupun mereka berhak untuk menerima upah itu, namun mereka tidak meminta upah pun. Ini kerana sebagai pendakwah, upah yang mereka harapkan hanyalah daripada Allah ‎ﷻ sahaja. Rasulullah ﷺ pernah bersabda,

“فَوَاللهِ لأَنْ يَهْدِيَ اللَّهُ بِكَ رَجُلًا وَاحِدًا، خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ”
“Demi Allah, jika Allah memberi hidayah kepada satu orang melalui perantaraanmu, maka itu lebih baik bagimu daripada unta merah.”

(Sahih Bukhari No. 4210, Muslim No. 2406)

Kisah di sebalik kisah dalam Surah Yusuf ini mengajar kita satu pelajaran yang abadi: nilai sebenar kita di sisi Allah ‎ﷻ tidak diukur oleh populariti, penerimaan majoriti, atau kejayaan material. Ia diukur oleh kualiti iman kita, usaha ikhlas kita, dan ketabahan kita untuk berpegang pada kebenaran. Allah ‎ﷻ memvalidasi usaha, bukan hasil. Dia menghargai keikhlasan, bukan bilangan.

Dalam dunia yang telah “dihinoptis oleh kuasa angka,” di mana nilai diukur melalui pengikut dan tanda suka, pengajaran akhir dari Surah Yusuf ini menyeru kita kepada satu penilaian semula yang radikal. Maka, marilah kita bertanya pada diri sendiri: Bagaimanakah kita dapat mula mengukur kejayaan kita berdasarkan nilai-nilai yang dihargai oleh Allah ‎ﷻ: keikhlasan, ketabahan, dan kualiti iman kita?

 

Habis Ruku’ 11 daripada 12 ruku’ surah ini.

 

Berikut adalah beberapa pengajaran penting yang boleh diambil:

1. Fokus kepada Usaha, Bukan Kepada Hasil

Allah memvalidasi usaha hamba-Nya, bukannya hasil akhir Walaupun Nabi Muhammad ﷺ sangat mendambakan (haris) agar kaumnya beriman, Allah menegaskan bahawa kebanyakan manusia tetap tidak akan beriman.

Struktur ayat 103 yang menyelitkan frasa “walaupun engkau sangat menginginkannya” berfungsi sebagai pujukan ilahi bagi memastikan Nabi tidak menyalahkan diri sendiri atas kedegilan kaumnya.

2. Majoriti Bukanlah Ukuran Kebenaran

Kuantiti atau bilangan pengikut bukanlah penentu kebenaran. Majoriti manusia sering kali sukar berubah kerana terikat dengan norma masyarakat dan pemikiran materialistik.

Nilai sebenar terletak pada kualiti iman dan keikhlasan segelintir orang yang memegang kebenaran, bukannya pada jumlah angka atau populariti.

3. Keikhlasan dalam Berdakwah dan Mengajar Agama

Bukti kebenaran seorang pendakwah adalah apabila dia tidak meminta upah atau pampasan material bagi ilmu yang disampaikan.

Mengajar dan belajar agama adalah satu kewajipan; oleh itu, meletakkan harga atau yuran yang tinggi boleh menghalang golongan miskin daripada menunaikan kewajipan mereka untuk belajar.

Pendakwah yang benar hanya mengharapkan ganjaran daripada Allah, kerana memberi hidayah kepada seorang manusia itu lebih baik daripada memiliki harta dunia yang paling berharga.

4. Menghargai Al-Qur’an sebagai Kurniaan Terbesar

Al-Qur’an adalah hadiah dan ubat yang paling hebat bagi hati yang sedang bersedih. 

Satu-satunya perkara dunia yang kita diperintahkan untuk benar-benar bergembira dengannya ialah kurniaan iman dan Al-Qur’an, bukannya harta benda yang bersifat sementara.

5. Berwaspada terhadap “Soalan Perangkap”

Kisah ini mendedahkan bahawa tidak semua orang yang bertanya itu benar-benar ingin tahu; ada yang bertanya sekadar untuk menguji, mencari silap, atau menjatuhkan orang lain.

Kita perlu berhati-hati dalam menjawab soalan agar tidak terjatuh ke dalam perangkap yang sengaja disediakan oleh pihak yang mempunyai agenda buruk.

6. Hubungan Intim Antara Pencipta dan Utusan-Nya

Allah menunjukkan cinta yang luar biasa dengan terus bercakap secara langsung kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk memberi kekuatan ketika baginda menghadapi penolakan dahsyat.

Apabila Allah menyatakan bahawa “mereka tidak beriman,” ia bukanlah satu teguran kepada Nabi, sebaliknya merupakan satu pembelaan terhadap kedudukan Nabi sambil mengutuk kedegilan mereka yang menolak kebenaran.

 

Kuiz Pemahaman

Jawab setiap soalan berikut dalam 2-3 ayat berdasarkan maklumat daripada teks sumber.

1. Mengapakah Nabi Muhammad ﷺ pada mulanya berharap bahawa ramai orang Yahudi akan memeluk Islam selepas mendengar kisah Nabi Yusuf AS?

2. Apakah yang dimaksudkan dengan struktur linguistik jumlah mu’taridah dalam ayat 103, dan apakah kepentingan emosinya?

3. Apakah tujuan sebenar kaum musyrikin Mekah dan orang Yahudi ketika mereka bertanya kepada Nabi Muhammad ﷺ mengenai kisah Nabi Yusuf?

4. Menurut tafsir, apakah pengajaran utama yang boleh diambil mengenai konsep “majoriti” berbanding “kebenaran”?

5. Bagaimanakah cara Allah berkomunikasi dengan Nabi Muhammad ﷺ di penghujung Surah Yusuf berbeza dengan cara-Nya berkomunikasi dengan Nabi Ya’qub dan Nabi Yusuf AS semasa cubaan mereka?

6. Walaupun Nabi Muhammad ﷺ tidak meminta bayaran, kaum Musyrikin Mekah melemparkan pelbagai tuduhan terhadap baginda. Apakah persamaan antara profesion yang dituduh (penyair, ahli sihir, tukang cerita) dan bagaimana keikhlasan Nabi membantah tuduhan tersebut?

7. Apakah hujah utama yang dikemukakan dalam teks mengenai mengapa seorang guru agama tidak sepatutnya menetapkan yuran untuk mengajar ilmu agama?

8. Apakah hadiah teragung yang diterima oleh Nabi Muhammad ﷺ melalui pewahyuan Surah Yusuf, dan bagaimanakah ia berkaitan dengan seruan untuk bergembira dalam Surah Yunus ayat 58?

9. Teks tafsir menjelaskan bahawa ayat 104 menyatakan al-Quran adalah “peringatan untuk seluruh alam” (ذِكْرٌ لِّلْعَٰلَمِينَ). Bagaimanakah pernyataan ini dapat diselaraskan dengan fakta dalam ayat 103 bahawa majoriti manusia tidak akan beriman?

10. Berdasarkan hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim, bagaimanakah Allah Ta’ala menggambarkan nisbah penghuni syurga berbanding penghuni neraka?

 

Glosari Istilah Utama

Istilah
Definisi
Ayat Zajrun
Ayat yang mengandungi teguran.
حَرَصَ (Harasa)
Menginginkan sesuatu dengan sangat, berharap sangat, mendambakan; menumpukan segala usaha untuk mendapatkan prioriti utama dalam hidup.
Jumlah Mu’taridah
Ayat sisipan atau ayat celahan yang diletakkan di tengah-tengah ayat utama untuk memberikan penekanan atau makna tambahan.
ما (Ma)
Kata nafi dalam bahasa Arab yang digunakan secara khusus untuk menidakkan kata-kata, anggapan, atau fahaman seseorang.
ٱلنَّاسِ (An-Nas)
Dalam konteks ayat 103, ulama mentafsirkannya sebagai (1) masyarakat di sekeliling Rasulullah, (2) keseluruhan manusia, (3) orang Munafik, atau (4) Ahli Kitab.
Al-‘Alamin
Kata jamak bagi ‘Alam. Ia boleh merujuk kepada segala sesuatu selain Allah, atau secara khusus dalam konteks peringatan (Dzikr), ia merujuk kepada makhluk berakal seperti manusia dan jin (Al-Thaqalayn).
فَرَحَ (Faraha)
Kegembiraan yang berlebihan sehingga menjadi sombong dan bangga diri, iaitu jenis kegembiraan yang dilarang seperti yang disebut dalam Surah Qasas:76.
فَلْيَفْرَحُوا (Falyafrahū)
Perintah untuk bergembira dengan sungguh-sungguh. Dalam Surah Yunus:58, ia merujuk kepada kegembiraan yang sepatutnya dirasai apabila menerima kurniaan Al-Quran.
أَجْرًا (Ajran)
Upah yang diterima setelah melakukan sesuatu kerja yang disuruh. Dalam konteks dakwah, ia merujuk kepada bayaran material.
Al-Thaqalayn
Dua golongan yang diberi tanggungjawab syariat, iaitu manusia dan jin.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 9 Januari 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)