Tafsir Surah ar-Ra’d Ayat 22 (Penjelasan maksud Sabr)

Ra’d Ayat 22: Sambungan sifat-sifat mereka itu dan apa yang mereka lakukan.

وَالَّذينَ صَبَرُوا ابتِغاءَ وَجهِ رَبِّهِم وَأَقامُوا الصَّلَوٰةَ وَأَنفَقوا مِمّا رَزَقنٰهُم سِرًّا وَعَلانِيَةً وَيَدرَءونَ بِالحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ أُولٰئِكَ لَهُم عُقبَى الدّارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who are patient, seeking the countenance of their Lord, and establish prayer and spend from what We have provided for them secretly and publicly and prevent evil with good – those will have the good consequence of [this] home¹ –

  • i.e., the world and its trials, its good consequence being Paradise.

(MALAY)

Dan orang-orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; orang-orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik),

 

وَالَّذينَ صَبَرُوا ابتِغاءَ وَجهِ رَبِّهِم

Dan orang-orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhan mereka,

Kalimah صبِر daripada katadasar ص بِ ر yang bermaksud untuk mengikat; tabah; tetap; bertahan dengan sabar; berpegang teguh pada akal dan perintah; tenang. Maka ada elemen ikat nafsu di sini. Tetap melakukan perkara yang baik dan tidak goyang ketika mengalami tekanan dan dugaan. Ikut arahan seperti arahan Allah ﷻ untuk meninggalkan perkara yang dilarang. Sebelum ini telah disebut tentang istiqamah dan sabar juga mempunyai elemen istiqamah juga.

Kita mungkin rasa kita sudah tahu apa itu sabar, sebab itu kita selalu juga nasihat orang lain: sabar ya, sabar ya…. Namun tahukah apa itu ‘sabar’ yang sebenarnya dari segi syarak? Dari segi bahasa, الصبر itu adalah الحَبسُ dan المَنعُ. Tahukah apa itu الحبس والمنع? Tidak tahu bukan? Hendak tahu? Sabar, memang hendak beritahu pun. الحَبسُ bermaksud ‘tahan’ dan المَنعُ bermaksud ‘halang’.

Pertamanya tahan diri daripada marah. Apa-apabila berlaku, jangan melenting, tahan perasaan anda. Jangan layan perasaan kerana jika anda marah, maka anda telah kalah dengan syaitan. Ini memerlukan kekuatan seperti yang diriwayatkan daripada Abū Hurayrah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الغَضَبِ
Orang kuat itu bukanlah orang yang kuat bergusti, akan tetapi orang kuat adalah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah.
(Riwayat Bukhārī (6114))

Keduanya, halang tubuh kita sama ada lidah atau anggota yang lain. Lidah jangan laju sahaja untuk menjerit atau memaki orang; jangan tampar muka dan koyakkan baju (perbuatan orang Arab dulu); tangan jangan laju untuk memukul orang, pecahkan barang atau baling pinggan mangkuk. Halang semua itu daripada berlaku.

Begitulah dalam banyak perkara, kita kena sabar. Sabar adalah sikap daripada jiwa yang besar dan terlatih. Iaitu terlatih dengan akhlak-akhlak yang diajar di dalam Al-Qur’an. Hendak sampaikan dakwah kepada umat pun, kena sabar; hendak menegur orang lain, kena sabar; hendak buat amal ibadat pun, kena sabar. Memang sepanjang hidup kita di atas dunia ini kena bersabar sepanjang masa. Kena latih diri untuk terima apa sahaja yang Allah ﷻ kenakan kepada kita.

Sebagaimana para Nabi juga mengalami kesusahan, maka kita pun kena bersabar. Kadang-kadang kita terpaksa menghadapi ejekan, tohmahan, amarah daripada orang lain dan sebagainya. Sebab itu Allah ﷻ sebut tentang sabar di dalam Muzzammil: 10 iaitu antara surah yang awal diturunkan kepada Rasulullah ﷺ semasa baginda memulakan dakwah,

وَاصبِر عَلىٰ ما يَقولونَ وَاهجُرهُم هَجرًا جَميلًا
Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu daripada mereka dengan cara yang baik.

Dalam kehidupan seharian kita, kita hendaklah mengamalkan sabar. Terutama sekali jikalau kita ditimpa masalah. Inilah pakaian kita yang kena sentiasa ada. Sabar itu ada tiga jenis:

1. Sabar dalam ketaatan. Iaitu untuk memenuhi arahan daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul.

2. Sabar dalam meninggalkan larangan daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul. Ini pun memerlukan kesabaran juga.

3. Sabar dalam menerima musibah dan ujian.

Daripada tiga jenis pula terdapat tiga peringkat:

1. Menahan diri daripada bercakap apa-apa dan menghalang diri daripada melakukan sesuatu. Ini adalah sabar peringkat pertama iaitu sudah dikira sebagai ‘sabar‘. Ini rasanya agak mudah untuk dilakukan.

2. Peringkat kedua adalah sabar dicampur redha dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah ﷻ. Ini agak sukar sedikit untuk dilakukan kerana ramai yang mempersoalkan ketentuan daripada Allah ﷻ. Orang yang dapat mencapai peringat ini sedar yang Allah ﷻ boleh buat apa sahaja kepada dirinya yang hanya seorang hamba. Dia sedar yang dunia ini adalah ujian dan hari ini Allah ﷻ hendak uji dengan satu musibah.

3. Peringkat ini sabar tertinggi dan paling sukar untuk dicapai. Iaitu sabar campur redha kemudian ditambah dengan syukur pula! Iaitu orang itu boleh bersyukur pula apabila Allah ﷻ kenakan musibah kepada dirinya kerana dia tahu tentu ada hikmah di dalam ujian itu. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Insan: 2-3

إِنّا خَلَقنَا الإِنسٰنَ مِن نُّطفَةٍ أَمشاجٍ نَّبتَليهِ فَجَعَلنٰهُ سَميعًا بَصيرًا
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.

إِنّا هَدَينٰهُ السَّبيلَ إِمّا شاكِرًا وَإِمّا كَفورًا
Sesungguhnya Kami telah menunjukinya jalan yang lurus; ada yang bersyukur dan ada pula yang kafir.

Lihatlah Allah ﷻ sebut bersyukur dengan ujian dan ada yang kufur dengan sebab ujian yang Allah ﷻ berikan. Maka kena letak dalam otak kita yang dunia ini ujian, dan selalunya ujian akan ada keputusan: sama ada lulus atau gagal! Tentu kita mahu lulus, bukan? Sebagai motivasi untuk kita bersabar dalam semua perkara, Allah ﷻ sebut balasan bagi orang yang bersabar di dalam Zumar: 10

إِنَّما يُوَفَّى الصّٰبِرونَ أَجرَهُم بِغَيرِ حِسابٍ
Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira

Apakah maksud ‘tanpa hisab’? Dibalas banyak sangat, sampai tidak boleh hendak kira. Hisab itu bermaksud ‘kira’. Balasan yang Allah ﷻ beri itu terlalu banyak sampai tidak terkira.

Tafsir kedua: ada juga hadith yang menunjukkan bahawa orang-orang yang sabar dengan dugaan berat yang mereka terima, tidak akan dihisab. Mereka terus sahaja masuk syurga. Padahal orang lain akan ditimbang-timbang dan dikira-kira amal ibadat mereka. Ini kerana menunggu untuk dihisab di Mahsyar itu pun sudah satu kesengsaraan juga kerana kena tunggu dalam masa yang amat lama. Maka kalau dapat masuk terus ke syurga tanpa hisab, itu adalah nikmat yang amat besar.

Kalau kita sabar dengan dugaan yang diberikan kepada kita, kita akan mendapat balasan daripada Allah ﷻ yang amat banyak. Ini kerana amalan ibadat seperti solat dan puasa akan dibalas dengan kadar amal kebaikan itu.

Antara sabar yang kita kena amalkan adalah dengan menahan marah. Ini kerana ia adalah sifat orang Mukmin seperti disebut dalam Ali Imran: 133-134

۞ وَسارِعوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُم وَجَنَّةٍ عَرضُهَا السَّمٰوٰتُ وَالأَرضُ أُعِدَّت لِلمُتَّقينَ
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;

الَّذينَ يُنفِقونَ فِي السَّرّاءِ وَالضَّرّاءِ وَالكٰظِمينَ الغَيظَ وَالعافينَ عَنِ النّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;

Maka golongan Ulul Albaab itu adalah orang yang ‘sabar dalam taat’. Maksudnya mereka mengerjakan segala suruhan Allah ﷻ dan meninggalkan larangan-Nya dengan sabar. Kalimah صَبَرُ ini perlu dilihat daripada makna bahasa Arabnya kerana kalau menggunakan bahasa kita, mungkin kita tidak berapa faham. Dari segi syariat, صَبَرُ bermaksud terus melakukan perintah Allah ﷻ dan meninggalkan larangan Allah ﷻ walau apa pun terjadi. Mungkin ada yang mereka rasa susah untuk lakukan, tetapi mereka tetap sabar melakukannya kerana mereka mahu tetap taat kepada Allah ﷻ.

Ini memerlukan kesabaran kerana syaitan akan sentiasa menghasut kita untuk meninggalkan taat. Antaranya syaitan akan beri kita rasa bosan untuk melakukan ibadat. Akan tetapi orang yang beriman akan tetap sabar untuk melakukannya.

Soalan: bilakah perlu sabar? Ia hendaklah bermula sejak pertama kali ia berlaku. Kita selalunya melenting apabila sesuatu yang kita tidak suka terjadi, bukan? Namun dua tiga hari selepas itu barulah datang sabar. Ini tidak dikira sabar kerana itu adalah perkara normal bagi manusia (lama kelamaan apabila sudah terima hakikat, memang semua orang akan jadi sabar). Akan tetapi itu tidak dikira sebenarnya kerana Rasulullah ﷺ beritahu kita yang sabar itu dari mula-mula lagi,

عَنْ أَنَسٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الصَّبْرُ فِي الصَّدْمَةِ الْأُولَى
Daripada [Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Kesabaran itu ada pada saat pertama kali tertimpa (musibah) “.
(Sahih Bukhari (908))

Oleh itu sekiranya baru bersabar setelah lama masa berlalu, itu bukannya kerana Allah ﷻ lagi, tetapi kebiasaan manusia. Ia tidaklah mencabar sangat kalau sabar setelah lama ujian itu berlalu maka ia bukanlah sesuatu hebat sangat. Maka golongan Ulul Albaab akan terus sabar dari mula lagi kerana mereka hendak mencari redha Allah ﷻ. Mereka tahu yang Allah ﷻ suka kalau hamba-Nya sabar dengan melakukan taat dan sabar dalam menghadapi ujian daripada-Nya. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Qalam: 48 tentang contoh orang yang tidak sabar,

فَاصبِر لِحُكمِ رَبِّكَ وَلا تَكُن كَصاحِبِ الحوتِ إِذ نادىٰ وَهُوَ مَكظومٌ
Maka bersabarlah kamu (hai Muhammad) terhadap ketetapan Tuhanmu, dan janganlah kamu seperti orang yang berada dalam (perut) ikan ketika dia berdoa sedang dia dalam keadaan marah (kepada kaumnya).

Yang dimaksudkan adalah Nabi Yunus عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang tidak sabar dengan penolakan kaumnya. Maka ia menjadi contoh bagi kita untuk bersabar kerana Allah ﷻ. Kerana sabar itu kalau bukan kerana Allah ﷻ, ia tidaklah mendapat pahala. Semua orang boleh sabar sebenarnya. Namun sabar yang dituntut adalah kerana mencari redha Allah ﷻ seperti disebut di dalam ayat Ra’d ini (ابتِغاءَ وَجهِ رَبِّهِم). Mencari ‘wajah Allah ﷻ’ bermaksud mencari redha Allah ﷻ. Disebut wajah Allah ﷻ kerana redha itu ditunjukkan di wajah.

Ramai orang boleh bersabar tetapi bukan kerana Allah ﷻ. Sebagai contoh, seorang pencuri penyabar juga orangnya. Dia akan tunggu sehingga tuan rumah tidur, kemudian sabar untuk membuka pintu rumah orang itu. Kemudian sabar memilih benda-benda yang dia boleh ambil. Atau, bila masuk rumah tengok tidak ada apa yang boleh diambil, dia pun sabar juga dan berlalu pergi rumah orang lain pula. Ini bukanlah sabar terpuji, bukannya kerana mencari redha Allah ﷻ, bukan?

Allah ﷻ janjikan ganjaran yang amat besar bagi orang yang boleh bersabar. Allah ﷻ berfirman di dalam Insan: 12. Bayangkan kunci syurga adalah sabar!

وَجَزىٰهُم بِما صَبَروا جَنَّةً وَحَريرًا
Dan Dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran mereka (dengan) syurga dan (pakaian) sutera,

 

 

وَأَقامُوا الصَّلَوٰةَ

dan mendirikan solat,

Mereka dapat mendirikan solat, walau dalam keadaan mana pun. Antaranya, mungkin mereka kena solat di tempat yang sejuk. Antaranya mereka kena solat di tempat yang susah untuk solat seperti di lautan, contohnya. Namun walaupun susah, mereka tetap melakukannya.

Sebab itulah Allah ﷻ letakkan sabar dahulu sebelum solat. Maknanya ia lebih penting kena ada dahulu. Akan tetapi solat adalah rukun Islam, manakala sabar bukan rukun Islam pun, maka kenapakah diletakkan lebih awal? Kerana hendak mengerjakan solat dan buat apa-apa ibadah sekalipun kena ada sabar. Maka sabar adalah syarat yang utama.

Bukanlah mereka melakukan ibadah solat sahaja, tetapi solat adalah wakil kepada amal-amal ibadat yang lain. Kerana ia adalah amal ibadat yang terpenting, maka ia dijadikan sebagai wakil. Ini adalah wakil kepada ‘hubungan dengan Allah ﷻ’ (habluminallah).

Selalu Allah ﷻ menyebut tentang solat dan perincian tentang solat ini terdapat dalam hadith dan sunnah Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat. Kita kena belajar bab solat ini supaya kita dapat mengerjakan solat sepertimana yang diajar oleh baginda.

Kalau dilihat apabila Allah ﷻ menyebut arahan tentang solat, mesti ditambah dengan kalimah أَقِمِ dan sepertinya. Maksudnya adalah ‘mendirikan’ solat. Allah ﷻ tidak kata: lakukan solat. Ini adalah kerana solat itu merangkumi banyak perbuatan, bukan solat itu sahaja. Contohnya sebelum solat kena membersihkan diri (taharah) dan menjaga tempat solat, jaga aurat dan banyak lagi. Maka untuk kita ‘mendirikan’ solat itu, banyak perkara yang kita kena lakukan dan jaga, yang memerlukan ilmu tentang solat. Maka kena dipelajari ilmu fiqh solat supaya kita menyerupai cara yang diajar oleh Rasulullah ﷺ.

Solat ini amat penting untuk menghalang kita daripada melakukan dosa seperti disebut dalam Ankabut: 45

إِنَّ الصَّلَوٰةَ تَنهىٰ عَنِ الفَحشاءِ وَالمُنكَرِ
Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar.

Maka dari sini kita tahu bahawa solat yang baik dan khusyuk itu akan mendidik pelakunya untuk meninggalkan amalan-amalan yang salah terutama sekali syirik. Solat adalah pembeza antara iman dan kufur seperti disebut dalam sebuah hadith,

عَنْ أَبِي سُفْيَانَ قَالَ سَمِعْتُ جَابِرًا يَقُولُا سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاة
Daripada Abu Sufyan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dia berkata, saya mendengar Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata, “Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Sungguh, yang memisahkan antara seorang laki-laki dengan kesyirikan dan kekufuran adalah meninggalkan solat’.”
(Riwayat Muslim No. 116)

Sebab itulah benar pendapat yang mengatakan kalau tidak solat, tidak berguna puasa yang dilakukan di bulan Ramadan. Ramai orang kita yang walaupun tidak solat, namun tiba datang bulan puasa, mereka berpuasa. Akan tetapi mereka tidak sedar yang amalan ibadah puasa mereka itu sebenarnya tidak diterima kerana syarat diterima ibadah adalah seseorang itu mesti muslim. Jikalau tidak mengerjakan solat, maka keislaman seseorang tidak sah (salah satu pendapat). Akan tetapi perkara ini jangan diberitahu kepada orang-orang yang bodoh kerana jikalau mereka tahu hal ini, mereka bukannya hendak solat tetapi sebaliknya dengan puasa-puasa sekali mereka tinggalkan!

Solat adalah amalan pertama yang disoal di akhirat kelak. Mereka yang meninggalkan solat akan dimasukkan ke dalam neraka seperti disebut dalam Muddaththir: 42-43

ما سَلَكَكُم في سَقَرَ
“Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?”

قالوا لَم نَكُ مِنَ المُصَلّينَ
Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang;

Kalau orang kata kenapa kita kena solat? Maka jawapannya ada di dalam Al-Qur’an iaitu untuk mengingati Allah ﷻ seperti disebut dalam Taha: 114

وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي
dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.

Untuk mengerjakan solat ini juga memerlukan sabar, kerana bukan semua orang boleh buat. Kalau kita lihat zaman sekarang, ramai sangat orang Islam yang tidak solat. Mereka tidak sabar untuk melakukannya, untuk luangkan barang 5 minit, dan kemudian melakukannya lagi selepas itu. Maka dengan selambanya mereka tidak solat. Memang ia berat bagi orang yang tidak takut dengan Allah ﷻ seperti disebut dalam Baqarah: 45

وَاستَعينوا بِالصَّبرِ وَالصَّلَوٰةِ ۚ وَإِنَّها لَكَبيرَةٌ إِلّا عَلَى الخٰشِعينَ
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;

Disebut solat, sabar dan khusyuk di dalam ayat ini. Khusyuk itu maksudnya ‘takut’. Tentang خشية telah disebut sebelum ini sebagai salah satu sifat golongan Ulul Albaab.

 

وَأَنفَقوا مِمّا رَزَقنٰهُم سِرًّا وَعَلانِيَةً

dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan

Mereka infak daripada apa yang Allah ﷻ berikan kepada mereka. Allah ﷻ ingatkan yang rezeki yang kita dapat ini adalah daripada Allah ﷻ. Maka Allah ﷻ suruh kita beri rezeki ‘yang Dia beri’, bukan hasil usaha kita pun sangat. Semua orang tahu rezeki itu daripada Allah ﷻ, maka kenapa perlu disebut? Kerana ramai tidak ingat, maka Allah ﷻ ingatkan.

Sebelum ini disebut solat dan sekarang disebut tentang mengeluarkan harta. Selalunya memang begini (apabila sebut solat, disebut infak). Ini adalah kerana untuk mengeluarkan harta kita, tentu susah bagi kebanyakan orang. Mereka rasa mereka telah berusaha untuk mendapatkannya dan rasa sayang pula untuk mengeluarkannya. Namun Allah ﷻ mulakan sebut tentang solat dahulu kerana orang yang solat akan lebih mudah untuk infak kerana di dalam solat kita sembah Tuhan yang Pemurah, maka kita hendaklah jadi pemurah juga.

Infak adalah wakil kepada ‘hubungan antara makhluk’ (habluminannas). Kerana apabila kita infak kepada orang lain, bukan sahaja kita taat kepada Allah ﷻ, tetapi kita juga menjalinkan hubungan yang baik dengan orang lain. Apabila kita beri sedekah kepada mereka, tentunya mereka akan gembira dan baik dengan kita. Kalau Solat tadi berkenaan hubungan dengan Allah ﷻ, maka infak ini adalah berkenaan hubungan dengan manusia pula.

Kalimah مِمّا adalah gabungan مِن (daripada sebahagian) dan مَا (apa). Maka Allah ﷻ suruh kita infak sebahagian sahaja, bukannya keseluruhan harta kita. Kalau disuruh beri semua harta kita, tentulah kita tidak mampu kerana kita juga perlu hidup, bukan?

Ia juga adalah isyarat kepada zakat. Zakat itu ada kiraan bahagiannya, iaitu 2.5% daripada harta kita. Maka Allah ﷻ ingatkan di sini yang sedikit sahaja yang kita kena beri, bukannya keseluruhan. Isyaratnya adalah, kalau sedikit sahaja, takkan tidak boleh bagi? Kenapa hendak kedekut sangat?

Infak itu boleh diberikan secara rahsia atau secara terang. Yang sebaiknya dilakukan secara rahsia supaya dapat mengelakkan diri kita daripada unsur riak. Ini kerana jikalau terdapat sikap riak walauapun sedikit, maka akan hilanglah pahala itu. Sekiranya kita tidak dapat elak daripada rasa sebegitu, maka seeloknya kita beri tanpa orang lain ketahui. Tidak perlulah dikongsi di medsos seperti FB, tiktok dan lain-lain sebagaimana yang banyak berlaku hari ini.

Juga dengan memberi secara rahsia itu, dapat menjaga hati orang yang diberi bantuan itu. Kerana ramai orang yang walaupun mereka susah, mereka malu untuk meminta-minta kepada orang lain. Maka kalau kita tunjukkan pemberian kita itu, mereka akan menjadi malu sangat. Kerana itu tidak bagus apabila para penderma mengambil gambar penerima dan ditunjukkan di khalayak ramai sampai satu Malaya dapat tahu. Bukan semua orang rela diperagakan sebegitu rupa. Kita haruslah bersikap prihatin kerana ramai seolah-olah tidak tahu perkara ini. Kerana itulah pemberian-pemberian sekarang dijadikan sebagai “content” di medsos. Ini memang orang yang tidak ada hati perut agaknya.

Walaupun begitu ada kalanya baik untuk dilakukan secara terang kerana orang lain akan nampak dan boleh menjadi contoh dan mendatangkan semangat kepada mereka untuk melakukan perkara yang sama.

 

وَيَدرَءونَ بِالحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ

serta menolak kejahatan dengan kebaikan;

Kalimah يَدرَءونَ bermaksud tolak dengan kuat untuk menyelamatkan seseorang. Bayangkan ada orang yang hampir hendak dilanggar kereta, maka kita yang nampak keadaan itu, tentu kita akan tolak dia ke tepi dengan kuat kerana kita hendak menyelamatkannya.

Akan tetapi dalam ayat ini, ia berkenaan menolak untuk menyelamatkan diri sendiri. Setelah berbuat dosa, terus sahaja lakukan kebaikan. Maknanya, tolak keburukan dengan cara kebaikan.

Satu lagi maksud: mereka membalas perbuatan jahat orang lain dengan perbuatan yang baik. Untuk itu, apabila seseorang menyakiti mereka, lalu mereka membalasnya dengan kebaikan dan ia datang daripada sikap sabar mereka. Makna ayat ini sama dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ
Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah teman yang sangat setia.

وَمَا يُلَقَّاهَا إِلا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ
Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar.
(Fussilat: 34-35)

Ada juga ulama’ yang berpendapat melakukan kebaikan itu adalah dengan melakukan amal baik setelah melakukan dosa. Amal baik itu dilakukan setelah pelaku dosa itu rasa bersalah dengan dosa yang dilakukan maka dia menebus dosa itu dengan amalan baik seperti ibadah solat, contohnya. Amal atau ibadah baik itu dapat menghapuskan dosa (tetapi dosa kecil sahaja) seperti disebut dalam Hud: 114

إِنَّ الحَسَنٰتِ يُذهِبنَ السَّيِّئَاتِ
Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk.

 

أُولٰئِكَ لَهُم عُقبَى الدّارِ

orang-orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik),

Mereka yang ada tujuh sifat yang telah disebut di atas, akan mendapat kesudahan yang terbaik. Kesudahan yang baik itu tentunya di akhirat kelak di mana mereka akan diberikan dengan balasan tinggal di dalam syurga dan mereka akan mendapat segala nikmat yang mereka dambakan.

Ada juga pendapat yang mengatakan di dunia ini lagi mereka telah mendapat kesudahan yang baik. Walaupun mereka mengalami kesusahan, kepayahan yang banyak, namun mereka tenang-tenang sahaja. Ini kerana mereka redha dengan ketentuan Allah ﷻ. Inilah yang dimaksudkan dengan ‘syurga dunia’.

Makna “syurga dunia” ini telah diungkapkan oleh Ibnu Taimiyah رَحِمَهُ اللَّهُ yang bermaksud keyakinan iman kepada Allah ﷻ, sikap cinta kepada Allah ﷻ, redha terhadap ketentuan-Nya, serta berbagai perkara keimanan lainnya. Maka barangsiapa yang tidak memasuki “syurga dunia” ini yang merupakan faktor utama kebahagiaan dunia akhirat, maka dia tidak akan memasuki syurga Allah ﷻ di akhirat kelak, demikian pula sebaliknya, barangsiapa yang memasukinya, maka dia mesti memasuki syurga akhirat atas izin Allah ﷻ, kerana “ganjaran itu sesuai dengan jenis dan kadar amalan.”

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 17 September 2023

Ringkasan Surah Ra’d


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah ar-Ra’d Ayat 18 – 21 (Siapakah Ulul Albaab?)

Ra’d Ayat 18: Di dalam ayat-ayat selepas ini, Allah ﷻ akan banyak buat perbandingan antara yang benar dan tidak, antara orang yang selamat dan yang Allah ﷻ murka kepada mereka.

لِلَّذينَ استَجابوا لِرَبِّهِمُ الحُسنىٰ ۚ وَالَّذينَ لَم يَستَجيبوا لَهُ لَو أَنَّ لَهُم مّا فِي الأَرضِ جَميعًا وَمِثلَهُ مَعَهُ لَافتَدَوا بِهِ ۚ أُولٰئِكَ لَهُم سوءُ الحِسابِ وَمَأوىٰهُم جَهَنَّمُ ۖ وَبِئسَ المِهادُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For those who have responded to their Lord is the best [reward], but those who did not respond to Him – if they had all that is in the earth entirely and the like of it with it, they would [attempt to] ransom themselves thereby. Those will have the worst account, and their refuge is Hell, and wretched is the resting place.

(MALAY)

Bagi orang-orang yang memenuhi seruan Tuhannya, (disediakan) pembalasan yang baik. Dan orang-orang yang tidak memenuhi seruan Tuhan, sekiranya mereka mempunyai semua (kekayaan) yang ada di bumi dan (ditambah) sebanyak isi bumi itu lagi besertanya, nescaya mereka akan menebus dirinya dengan kekayaan itu. Orang-orang itu disediakan baginya hisab yang buruk dan tempat kediaman mereka ialah Jahanam dan itulah seburuk-buruk tempat kediaman.

 

لِلَّذينَ استَجابوا لِرَبِّهِمُ الحُسنىٰ

Bagi orang-orang yang memenuhi seruan Tuhannya, (disediakan) pembalasan yang baik. 

Ini adalah berkenaan mereka yang memenuhi kehendak Tuhan dengan sebaik mungkin. Mereka belajar apa yang mereka perlu lakukan dan tinggalkan, dan mereka ikut taat. Mereka taat dalam semua perkara dari segi akidah dan juga amalan.

Allah ﷻ beri janji kepada mereka yang sebegitu: kepada mereka akan mendapat kebaikan yang besar; iaitu syurga yang mereka akan kekal di dalamnya menikmati segala macam nikmat-nikmat yang tidak terhingga dan tidak terkira.

 

وَالَّذينَ لَم يَستَجيبوا لَهُ

Dan orang-orang yang tidak memenuhi seruan-Nya,

Sebaliknya pula tentang mereka yang tidak menyahut seruan Allah ﷻ dan Nabi, yang tidak mahu mengikut syariat dan peraturan yang Allah ﷻ telah tetapkan. Bagaimana pula mereka?

 

لَو أَنَّ لَهُم مّا فِي الأَرضِ جَميعًا وَمِثلَهُ مَعَهُ لَافتَدَوا بِهِ

sekiranya mereka mempunyai semua (kekayaan) yang ada di bumi dan (ditambah) sebanyak isi bumi itu lagi besertanya, nescaya mereka akan menebus dirinya dengan kekayaan itu.

Mereka nanti akan ditunjukkan dengan azab yang mereka akan terima. Waktu itu, mereka akan sanggup untuk berbuat apa-apa sahaja supaya mereka selamat daripada azab itu. Allah ﷻ beri perumpamaan: kalaulah mereka ada emas sepenuh bumi semua sekalipun, dan kemudian diberi lagi sekali ganda (maknanya mereka ada dua bumi dipenuhi emas!), tentu mereka pasti akan jadikan ia sebagai fidyah/tebusan untuk melepaskan diri mereka daripada azab.

Harta-harta dan kekayaan yang mereka kejar semasa mereka di dunia, yang mereka simpan dan banggakan setiap masa, mereka sanggup bagi semua sekali – kerana waktu itu mereka tidak pedulikan harta itu lagi. Sebab azab itu terlampau dahsyat, waktu itu mereka mahu selamat sahaja. Kalau tiada harta pun tidak mengapalah pada mereka.

Akan tetapi tentulah tidak ada sesiapa pun yang ada emas sepenuh bumi. Ini adalah kiasan sahaja untuk menunjukkan betapa mereka sanggup berbuat apa sahaja untuk menyelamatkan diri mereka itu.

 

أُولٰئِكَ لَهُم سوءُ الحِسابِ

Orang-orang itu disediakan baginya hisab yang buruk

Namun segala pengharapan mereka akan menjadi sia-sia sahaja. Mereka tidak akan ada peluang untuk menebus kesalahan yang mereka telah lakukan di dunia dulu. Mereka akan diadili dan yang menakutkan, mereka (atau kita, kalau kita pun seperti mereka) akan mendapat audit yang paling teruk.

Allah ﷻ tidak kata ‘azab paling teruk’, tetapi ‘audit paling teruk’. Maksudnya setiap satu perkara akan diperiksa sehalus-halusnya. Ini amat menakutkan kerana kita sendiri pun tahu kita ada masalah dengan amalan kita, bukan? Seandainya diperiksa betul-betul, memang akan sangkut punya, bukan?

Mereka tidak akan dapat lepas dan kerana itu, tempat terakhir mereka adalah neraka. Tentang سوءُ الحِسابِ ini akan diterangkan nanti selepas ini dengan panjang lebar lagi.

 

وَمَأوىٰهُم جَهَنَّمُ

dan tempat kediaman mereka ialah Jahanam

Kalimah مَأْوَ adalah tempat pulang yang terakhir iaitu tempat yang kekal abadi. Tempat yang kita akan kembali setelah kita merantau ke mana-mana, akhirnya pulang ke kampung juga kerana itulah tempat kekal kita, rumah kita. Maka مَأْوَ memberi isyarat sebagai tempat kekal abadi.

Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka tetapi bukan masuk sahaja (kerana kalau masuk, mungkin akan keluar). Maka Allah ﷻ gunakan kalimah مَأويٰ untuk memberitahu mereka itu kekal di dalam neraka, bukan setakat melawat sahaja. Allah ﷻ perli dengan menggunakan kalimah مَأويٰ yang asalnya bermaksud tempat berlindung. Mereka ini tidak dapat tempat berlindung langsung kerana tempat perlindungan mereka sendiri adalah neraka! Ini adalah seumpama yang datang melindungi kita adalah api, bukannya bomba untuk memadamkan api!

 

وَبِئسَ المِهادُ

dan itulah seburuk-buruk tempat kediaman.

Neraka itulah ‘pelukan’ yang paling teruk. Kalimah المِهادُ bermaksud ‘pelukan’ dari segi bahasa – seperti pelukan ibu yang menenangkan anaknya. Sebaliknya Allah ﷻ menggunakan kalimah ini untuk menyakitkan hati mereka – ini bukan pelukan yang baik, tetapi pelukan yang buruk sekali. Di negara itulah tempat tinggal mereka.

Maka neraka itu bukanlah المِهادُ yang sebenar. Ini adalah seumpama warden penjara baru banduan baru dan cakap secara sindirian kepada banduan itu: “Silalah jemput masuk ke Hotel lima bintang tuan ya…”. Itu perli sahaja, bukan?

Habis Ruku’ 2 daripada 6 ruku’ dalam surah ini.


 

Ra’d Ayat 19: Bermula ayat ini sehingga ke ayat 29 adalah Perenggan Makro ke 2. Ia memberitahu kita bahawa mereka yang beriman kepada Tauhid adalah Golongan Ulul Albab dan mereka yang menolak akidah yang benar adalah golongan yang bodoh.

Allah ﷻ adakan perbandingan dalam ayat ini. Sebenarnya, ada dua jenis manusia sahaja: yang beriman dan yang tidak beriman. Maka kenalah perhatikan apakah beza antara keduanya supaya kita termasuk golongan beriman kerana tidak ada golongan pertengahan.

۞ أَفَمَن يَعلَمُ أَنَّما أُنزِلَ إِلَيكَ مِن رَّبِّكَ الحَقُّ كَمَن هُوَ أَعمىٰ ۚ إِنَّما يَتَذَكَّرُ أُولُو الأَلبٰبِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then is he who knows that what has been revealed to you from your Lord is the truth like one who is blind? They will only be reminded who are people of understanding –

(MALAY)

Adakah orang yang mengetahui bahawasanya apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu benar sama dengan orang yang buta? Hanyalah orang-orang yang berakal saja yang dapat mengambil pelajaran,

 

أَفَمَن يَعلَمُ أَنَّما أُنزِلَ إِلَيكَ مِن رَّبِّكَ الحَقُّ

Adakah orang yang mengetahui bahawasanya apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu adalah benar

Ini adalah tentang orang yang beriman. Mereka merupakan orang yang tahu bahawa Allah ﷻ telah berikan wahyu yang benar kepada Nabi Muhammad ﷺ iaitu Al-Qur’an. Maka mereka beriman dan belajar apakah ajaran wahyu itu dan kemudian mereka beramal dengannya. Apabila sudah yakin, kenalah beramal, jangan buat tidak tahu sahaja. Maka ini adalah golongan satu pihak.

Apa yang disampaikan kepada Nabi Muhammad ﷺ itu adalah perkara yang haq yang tiada keraguan di dalamnya, tiada kebimbangan, tiada kebingungan, dan tiada pertentangan di dalamnya. Bahkan semuanya adalah benar, sebahagian daripadanya membenarkan sebahagian yang lain, tiada sesuatu pun daripadanya yang bertentangan dengan lainnya.

Semua berita yang disebutkan di dalam Al-Qur’an adalah benar, dan semua perintah serta larangannya adalah adil. Maka kenalah kita semua belajar dan amalkan. Jangan sombong dan malas untuk belajar tafsir Al-Qur’an ini. Kena luangkan masa dan ajak orang lain belajar.

Di dalam ayat ini Allah ﷻ gunakan kalimah Rabb untuk merujuk kepada Diri-Nya dan tidak menggunakan Nama Allah. Allah ﷻ sebut مِن رَّبِّكَ الحَقُّ dan bukan مِن اللهِ الحَقُّ. Ini kerana Allah ﷻ hendak menekankan sifat Rabb itu. Apa itu Rabb? Rabb bermaksud Tuhan yang mencipta, memelihara dan memiliki semua makhluk. Ada 3 elemen di situ yang kena ada dan kita kena faham Siapa Rabb:

1. Dia mencipta alam ini

2. Maka Dia memiliki alam ini

3. Dia mengurus dan memelihara alam ini. Semua keperluan makhluk diberi oleh-Nya. Allah ﷻ sahaja yang menguruskan alam ini sendiri tanpa bantuan daripada mana-mana Nabi, wali atau malaikat. Malaikat itu hanya menerima arahan Allah ﷻ sahaja, bukannya mereka yang menentukan apa yang akan berlaku.

Maka banyak sekali nikmat yang Allah ﷻ berikan kepada kita, maka kita kena berterima kasih kepada-Nya dengan taat kepada-Nya. Oleh kerana Dia mengurus kita, maka Dia tahu apa yang penting dan perlu untuk diri kita. Maka ajaran di dalam Al-Qur’an itu sangat tepat bagi kehidupan kita. Kalau kita tidak belajar, alangkah ruginya!

Maksud Rabb juga digunakan di dalam kalimah tarbiyah iaitu mendidik kita dari kecil sehingga besar sehinggalah kita mati. Maka Dia sayang kepada kita. Kalau Dia sayang kepada kita, takkan Dia berikan perkara yang buruk kepada kita, bukan? Maka percayalah yang Al-Qur’an itu terlalu baik untuk kita. Marilah pelajari apakah yang Allah ﷻ hendak sampaikan dalam Al-Qur’an ini.

 

كَمَن هُوَ أَعمىٰ

sama dengan orang yang buta?

Pihak yang kedua adalah pihak yang tidak yakin dan tidak menerima sepenuhnya wahyu yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ. Mereka ini adalah orang yang menolak Al-Qur’an.

Allah ﷻ tanya: Adakah orang yang yakin itu sama dengan orang yang buta? Allah ﷻ ibaratkan mereka yang tidak yakin itu seperti buta. Ini adalah kerana mereka buta untuk melihat keindahan alam ini dan menisbahkannya kepada Allah ﷻ. Mereka buta hati daripada melihat kebenaran wahyu yang Allah ﷻ sampaikan kepada kita ini.

Lihatlah di dalam ayat ini Allah ﷻ mengumpamakan mereka yang menolak Al-Qur’an sebagai buta. Bagaimana pula kalau tidak mengendahkannya? Mereka juga buta kerana sama sahaja kalau tidak percaya Al-Qur’an dengan yang tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an. Ini kerana kalau tidak mahu belajar untuk ambil manfaat daripada Al-Qur’an, mereka juga buta sebenarnya.

Kenapa mereka dikatakan sebagai buta? Kerana kalau buta, tidak nampak jalan. Bagaimana dia hendak berjalan kerana dia akan langgar sana sini, lubang dan longkang pun mereka tidak nampak. Mereka akan terjatuh, mereka akan masuk lubang. Begitu juga kalau tidak tahu pengajaran daripada Al-Qur’an. Mereka tidak tahu mana yang benar, mana yang bathil; mereka tidak tahu mana yang kena buat, mana yang kena tinggal; mereka tidak tahu mana haram, mana halal.

Kerana itulah sangat pentingnya belajar Al-Qur’an. Ia adalah kayu ukur dan pemandu kita di dalam kehidupan ini. Ia adalah ilmu yang dapat membenteng kita daripada melakukan dosa dan kesilapan. Kalau kita jahil wahyu, maka senanglah syaitan untuk menipu kita. Mereka akan bisikkan kita untuk buat perkara yang sesat dan kita tidak tahu apa yang dibisikkan itu adalah sesat kerana kita jahil!

Kita kena ikut ajaran Al-Qur’an seperti mana Rasulullah ﷺ juga hanya mengikut arahan Al-Qur’an. Kalau tidak ikut, memang dikira sebagai buta seperti juga firman Allah ﷻ di dalam An’am: 50

إِن أَتَّبِعُ إِلّا ما يوحىٰ إِلَيَّ ۚ قُل هَل يَستَوِي الأَعمىٰ وَالبَصيرُ ۚ أَفَلا تَتَفَكَّرونَ
aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku”. Bertanyalah (kepada mereka): “Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah kamu mahu berfikir?”

 

إِنَّما يَتَذَكَّرُ أُولُو الأَلبٰبِ

Hanyalah orang-orang yang berakal saja yang dapat mengambil pelajaran,

Allah ﷻ kata bahawa orang yang boleh terima kebenaran hanyalah Ulul Albaab iaitu mereka yang ada akal yang cerdik sahaja. Kalimah الأَلبٰبِ adalah daripada katadasar ل ب ب yang bermaksud pintar; baik hati; hati; bahagian tengah; teras; pulpa buah; fikiran; tulen; tahan karat; saripati; berbakat dengan pertimbangan yang wajar. Maka Ulul Albaab adalah orang yang ada isi, ada akal. Oleh itu, sebenarnya Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa orang yang tidak yakin dengan ajaran wahyu itu adalah mereka yang bodoh sekali.

Apabila kalimah إِنَّما digunakan, ia bermaksud yang boleh mengambil pelajaran itu hanyalah golongan Ulul Albaab itu sahaja. Kalimah إِنَّما menolak golongan yang lain. Lihat contoh ini,

Kalau ayat إن زيد مدرس (Sesungguhnya Zaid adalah seorang guru). Zaid boleh juga menjadi seorang pemain bola sepak, seorang tukang masak dan sebagainya lagi. Ia tidak menolak kemungkinan itu.

Sekiranya ayat yang digunakan adalah إنما زيد مدرس (Sesungguhnya Zaid adalah seorang guru). Namun di sini, ia menolak kemungkinan Zaid bekerja profesion lain. Beliau esklusif hanya menjadi guru sahaja kerana kalimah إِنَّما yang digunakan.

Allah ﷻ sebut ciri-ciri mereka di dalam Ali Imran: 190-194

إِنَّ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالْأَرْضِ وَٱخْتِلَٰفِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَأَيَـٰتٍ لِّأُولِي ٱلأَلبَـٰبِ
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, adalah tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَـٰمًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَٰطِلًا سُبْحَٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka.

رَبَّنَا إِنَّكَ مَن تُدْخِلِ النَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُ وَمَا لِلظَّٰلِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ
Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun;

رَّبَّنَا إِنَّنَا سَمِعْنَا مُنَادِيًا يُنَادِي لِلْإِيمَٰنِ أَنْ ءآمِنُوا بِرَبِّكُمْ فَـَٔامَنَّا رَبَّنَا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ الْأَبْرَارِ
Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: `Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu’, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti;

رَبَّنَا وَءآتِنَا مَا وَعَدتَّنَا عَلَىٰ رُسُلِكَ وَلَا تُخْزِنَا يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ إِنَّكَ لَا تُخْلِفُ الْمِيعَادَ
Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasul-Mu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji”.

Maka dalam Islam yang mendapat pujian adalah golongan yang bijak, berilmu dan juga pintar. Tidak ada tempat bagi orang yang bodoh dan jahil agama. Maka ini mengajar kita, orang yang jahil agama tidak selamat. Namun malang sekali, ramai dalam kalangan masyarakat kita rasa tenang sahaja walaupun mereka tidak mahir hal agama. Mereka rasa tidak ada salahnya kalau tidak belajar agama.

Mereka banyaknya serahkan sahaja kepada orang lain untuk belajar. Sebagai contoh, ada ibubapa yang hantar anak mereka ke kelas agama, kelas tahfiz dan kelas-kelas agama lain, sebaliknya mereka sendiri tidak belajar; atau, ada yang suami hantar isteri ke masjid/surau untuk belajar agama, tetapi mereka tidak ikut pun. Mereka hantar dan kemudian pulang balik ke rumah tengok TV.


 

Ra’d Ayat 20: Siapakah dan apakah sifat golongan Ulul Albaab itu? Allah ﷻ jelaskan dalam ayat ini tentang sifat-sifat mereka. Semua sekali ada 9 sifat-sifat mereka yang akan disebut selepas ini. Ayat ini adalah ayat tentang Akidah.

الَّذينَ يوفونَ بِعَهدِ اللهِ وَلا يَنقُضونَ الميثٰقَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who fulfill the covenant of Allāh and do not break the contract,

(MALAY)

(iaitu) orang-orang yang memenuhi janji Allah dan tidak merosak perjanjian,

 

الَّذينَ يوفونَ بِعَهدِ اللهِ

(iaitu) orang-orang yang memenuhi janji Allah

Mereka itu adalah orang yang memenuhkan perjanjian mereka dengan Allah ﷻ iaitu janji untuk menyempurnakan tauhid kepada Allah ﷻ. Ada banyak janji kita dengan Allah ﷻ dan yang penting sekali adalah untuk taat kepada suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.

Perkara ini banyak disebut dalam Al-Qur’an. Sebab itu kena belajar semua ayat Al-Qur’an supaya tahu apakah perjanjian kita dengan Allah ﷻ. Yang paling-paling penting sekali adalah: Mentauhidkan Allah ﷻ. Kita semua sudah mengucap dua kalimah syahadah, bukan? Maka itu pun adalah salah satu perjanjian dengan Allah ﷻ juga. Ini telah disebut dalam A’raf: 172

وَإِذ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَني ءآدَمَ مِن ظُهورِهِم ذُرِّيَّتَهُم وَأَشهَدَهُم عَلىٰ أَنفُسِهِم أَلَستُ بِرَبِّكُم ۖ قالوا بَلىٰ ۛ شَهِدنا ۛ أَن تَقولوا يَومَ القِيٰمَةِ إِنّا كُنّا عَن هٰذا غٰفِلينَ
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) daripada (tulang) belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”.

Kita memang tidak ingat perjanjian ini, tetapi ia telah dipaterikan di dalam fitrah kita. Fitrah itu adalah “common sense”. Kerana itulah orang yang mengikut fitrahnya, akan mudah untuk menerima Islam. Kerana ia selari dengan apa yang telah ada di dalam teras dirinya. Semua perkara tentang Allah ﷻ dan Tauhid itu tepat seperti apa yang ada di dalam dirinya.

Maka segala janji kita yang lain, janji mengikut perintah, janji menghentikan larangan, dan janji melaksanakan ibadat, pendeknya semua janji, semua akan berpusat kepada janji yang pertama itu, jauh sebalum kita diciptakan dengan hidup yang nyata ini. Maka orang yang fikirannya berisi, akalnya mempunyai teras yang hidup, selalu dia ingat akan janji itu, ingat dengan tidak disedari secara sedar, tidak diselaputi janjinya oleh hawa nafsunya. Sehingga bila didengarnya saja seruan Rasul, mengertilah dia akan kebenarannya dan taat patuhlah dia mengikutinya seakan-akan telah pernah didengamya, tetapi dia tidak ingat entah di mana. Tidaklah sekali-kali janji yang telah diikat dengan Tuhan itu dimungkirinya. Itulah pokok yang pertama daripada orang yang fikirannya berisi itu.

Kemudian itu dipenuhinya segala janjinya dengan sesama manusia; bukan sebagai orang munafik yang apabila berjanji mungkir, apabila bercakap bohong. Ingatlah bahawasanya segala urusan masyarakat kita ini adalah berkenaan janji belaka, sampai kepada jual-beli, sampai kepada akad-nikah. Malahan akad-nikah, yang menyebabkan kesetiaan suami-isteri adalah dimulai dengan ijab-kabul, janji si mempelai akan menerima dan menampung isterinya yang diserahkan tanggungjawabnya oleh mertuanya kepadanya. Sampai kepada janji yang diikat dengan kontrak oleh pejabat-pejabat ketika dia diserahkan tanggungjawab.

 

وَلا يَنقُضونَ الميثٰقَ

dan tidak merosak perjanjian,

Kalimah الميثاقَ digunakan apabila dua-dua pihak sedar tentang kepentingan perjanjian itu. Oleh itu, ia adalah perjanjian yang kuat dan besar dan perlu dipenuhi. Jika tidak dipenuhi, akan menyebabkan masalah besar. Maka ketahuilah yang ini bukan perjanjian yang biasa. Jangan jadi seperti golongan Yahudi yang telah mengingkari perjanjian mereka seperti disebut dalam Baqarah: 83

وَاِذْ اَخَذْنَا مِيْثَاقَ بَنِيْٓ اِسْرَاۤءِيْلَ لَا تَعْبُدُوْنَ اِلَّا اللّٰهَ وَبِالْوَالِدَيْنِ اِحْسَانًا وَّذِى الْقُرْبٰى وَالْيَتٰمٰى وَالْمَسٰكِيْنِ وَقُوْلُوْا لِلنَّاسِ حُسْنًا وَّاَقِيْمُوا الصَّلٰوةَ وَاٰتُوا الزَّكٰوةَۗ ثُمَّ تَوَلَّيْتُمْ اِلَّا قَلِيْلًا مِّنْكُمْ وَاَنْتُمْ مُّعْرِضُوْنَ
Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil janji daripada Bani Israil, “Janganlah kamu menyembah selain Allah, dan berbuat-baiklah kepada kedua orang tua, kerabat, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin. Dan bertuturkatalah yang baik kepada manusia, laksanakanlah solat dan tunaikanlah zakat.” Tetapi kemudian kamu berpaling (mengingkari), kecuali sebagian kecil daripada kamu, dan kamu (masih menjadi) pembangkang.

Kenapa Allah ﷻ sebut perjanjian dengan Bani Israil pula? Kerana sebagaimana perjanjian itu dengan mereka, begitulah ia sekarang adalah perjanjian dengan kita juga, kerana itulah Allah ﷻ masukkan dalam Al-Qur’an. Akan tetapi Bani Israil telah mengingkarinya. Allah ﷻ selalu memberi contoh kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh Yahudi dan Nasrani kerana memberi pengajaran kepada kita. Jikalau kita tidak jaga agama ini dan perjanjian ini, maka kita akan jadi seperti dua golongan itu.

Bukan sahaja perjanjian dengan Allah ﷻ yang perlu dijaga, tetapi segala perjanjian kita dengan makhluk lain. Orang yang beriman sebenar tidak sama dengan orang-orang munafik yang apabila seseorang daripada mereka mengadakan perjanjian, maka dilanggarnya; apabila bersengketa, mereka curang; apabila berbicara, dusta; dan apabila dipercaya, khianat.

Maka di dalam ayat ini disebut sifat Ulul Albaab yang pertama dan kedua,

1. Memenuhi janji dengan Allah ﷻ

2. Tidak merosak perjanjian


 

Ra’d Ayat 21: Kalau ayat 20 tadi tentang Akidah, ayat 21 ini pula tentang amalan. Maka selepas akidah benar, maka amalan pun kenalah benar juga.

وَالَّذينَ يَصِلونَ ما أَمَرَ اللهُ بِهِ أَن يوصَلَ وَيَخشَونَ رَبَّهُم وَيَخافونَ سوءَ الحِسابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who join that which Allāh has ordered to be joined¹ and fear their Lord and are afraid of the evil of [their] account,

  • i.e., they uphold the ties of relationship.

(MALAY)

dan orang-orang yang menghubungkan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan, dan mereka takut kepada Tuhannya dan takut kepada hisab yang buruk.

 

وَالَّذينَ يَصِلونَ ما أَمَرَ اللهُ بِهِ أَن يوصَلَ

dan orang-orang yang menghubungkan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan, 

Mereka juga menghubungkan apa yang Allah ﷻ suruh hubungkan. Ini adalah ayat yang penting dan ia disebut secara umum sahaja di sini. Ini adalah amat penting kerana banyak yang Allah ﷻ suruh kita hubungkan dan jangan pisahkan dan tidak dapat disenaraikan di dalam satu ayat.

Antaranya hubungan yang kita hubungkan adalah hubungan dengan Allah ﷻ, dengan keluarga, dengan Nabi dan sebagainya. Ini memang kena rujuk ayat-ayat yang lain kerana disebut secara ringkas sahaja di sini. Oleh itu kenalah belajar tafsir Al-Qur’an dan syarah Hadith supaya kita tahu apakah semua perkara itu.

Akan tetapi jika kita hendak ringkaskan di sini, ada dua jenis hubungan yang penting secara umumnya: Hubungan dengan Allah dan Hubungan dengan makhluk. Habluminallah dan habluminnnas. Hubluminallah adalah ‘ibadat’ dan habluminnas adalah ‘adat’ (amalan).

Adapun yang sangat diperintahkan Tuhan supaya dihubungkan ialah silatur-rahim dengan sesama manusia, budipekerti yang mulia, tolong-menolong, kasih-mengasihi, sehingga di samping pertalian dengan Allah ﷻ, bertali pula jiwanya dengan sesama manusia. Maka orang yang suka memutuskan silatur-rahim, mengganti kasih-sayang dengan kebencian, adalah termasuk orang yang fikirannya tidak berisi atau buta. Allah ﷻ berfirman di dalam Nisa’: 1

وَاتَّقُوا اللهَ الَّذي تَساءَلونَ بِهِ وَالأَرحامَ
Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat;

Perkataan silaturrahim (صلة الرحم) berasal daripada dua perkataan Arab iaitu “صلة” (tautan) dan “الرحم”. Al-Raghib al-Asfahani رَحِمَهُ اللَّهُ menyebut:

الرَّحِمُ: رَحِمُ المرأة (أي بيت منبت ولدها ووعاؤه) . ومنه استعير الرَّحِمُ للقرابة، لكونهم خارجين من رحم واحدة
“Al-Rahim yang dimaksudkan adalah rahim wanita iaitu tempat di mana janin berkembang dan terlindung (dalam perut wanita). Dan istilah al-rahim digunakan untuk menyebut kaum kerabat kerana mereka berasal dari satu rahim.”

Amat malang sekali apabila ada dalam kalangan kita yang sentiasa sahaja ada masalah dengan ahli keluarga. Sepatutnya dengan ahli keluarga dia rapat, tetapi kerana ada sedikit masalah, terus berkelahi dan tidak bertegur sapa bertahun-tahun. Padahal semuanya keluar daripada perut yang sama, membesar pun bersama-sama. Namun tidak reti hendak faham adik beradik sendiri. Kemudian senang sentap pula dengan kata-kata adik beradik, dalam masa yang sama tidak sedar mulut dia pun puaka juga!

Biasalah adik beradik akan berbeza pendapat, sekali sekala keluar kata-kata yang tidak manis sebab masing-masing bukannya ada belajar “communication skill” pun, setakat habis sekolah menengah sahaja pun. Maka tidak pandai hendak berbahasa bahasi. Akan tetapi jikalau sudah kelahi itu, pandai-pandailah berbaik semula. Jangan hanya mahu sentap sahaja, jangan ego sangat. Kamu itu bukannya ada apa pun, kalau ada masalah nanti bukan pandai hendak selesaikan sendiri, berharap kepada adik beradiklah juga, bukan?

Disebabkan selalu ada masalahlah yang menyebabkan Allah ﷻ berikan kelebihan yang besar bagi mereka yang ‘menyambung’ silaturrahim seperti disebut dalam hadith,

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
“Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim.”
(Riwayat Bukhari (5986) dan Muslim (2557))

Apabila dikatakan ‘sambung’, maksudnya sudah pernah terputus. Jikalau belum terputus lagi, itu bermakna perlu dieratkan sahaja. Akan tetapi yang menjadi payah adalah apabila sudah terputus. Maka Allah ﷻ beri balasan yang hebat kalau berusaha untuk menyambungnya kembali. Ancaman kalau memutuskan silaturrahim juga hebat seperti disebut dalam hadith,

عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي بَكْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ ذَنْبٍ أَجْدَرُ أَنْ يُعَجِّلَ اللَّهُ لِصَاحِبِهِ الْعُقُوبَةَ فِي الدُّنْيَا مَعَ مَا يَدَّخِرُ لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ الْبَغْيِ وَقَطِيعَةِ الرَّحِمِ
Daripada [Abu Bakrah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidak ada suatu dosa yang lebih layak dipercepat hukumannya di dunia oleh Allah kepada pelakunya di samping (azab) yang disimpan baginya di akhirat daripada perbuatan zalim dan memutus silaturrahim.
(Sunan Abi Dawud (2435))
Status: Sahih

Kalau ada masalah sesama saudara, maka Rasulullah ﷺ telah ajar paling lama pun tidak bertegur sapa adalah selama 3 hari sahaja seperti disebut dalam hadith masyhur,

Daripada Abu Ayyub al-Ansari رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Nabi ﷺ bersabda:

لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثِ لَيَالٍ
“Tidak halal bagi seorang muslim untuk tidak bertegur saudaranya melebihi tiga hari.”
(Riwayat Muslim (2560))

Akan tetapi sekiranya dibiarkan sampai setahun, bagaimana? Ini pun Rasulullah ﷺ ada sebut di dalam hadith riwayat daripada Abi Khirash al-Sulami bahawa Nabi ﷺ bersabda:

مَنْ هَجَرَ أَخَاهُ سَنَةً فَهُوَ كَسَفْكِ دَمِهِ
“Barangsiapa yang tidak bertegur saudaranya selama setahun sama seperti dia telah menumpahkan darahnya.”
(Riwayat Abu Daud (4915))
Syeikh Syu’aib al-Arna’outh telah menilai sanad hadith ini sebagai sahih

Mungkin ada yang kata: “Tapi ustaz, adik saya ini macam setanlah ustaz! Macam mana saya nak berbuat baik dengan dia?” Kena ingat, kita berbaik dengan adik beradik kita bukannya kerana mereka. Mereka mungkin sepupu syaitan, tetapi Allah ﷻ telah beri ujian kepada anda untuk dapat saudara yang sebegitu. Kawan kita boleh pilih, tetapi adik beradik Allah ﷻ yang pilihkan buat kita. Kita berbaik dengan mereka, bukannya kerana mereka baik dengan kita, tetapi kerana ia adalah arahan daripada Allah ﷻ. Maka kita buat kerana Allah ﷻ. Kita kena taat Allah ﷻ kerana kita takut kepada Allah ﷻ.

 

وَيَخشَونَ رَبَّهُم

dan mereka takut kepada Tuhan mereka

Mereka sentiasa takut kepada Allah ﷻ. Kalimah yang digunakan di dalam ayat ini adalah خَشيَهٌ dan bukannya خَوفٌ seperti yang selalu digunakan. Yang dimaksudkan di sini bukannya jenis takut kepada binatang buas. Kalimah خَشيَهٌ lebih sesuai digunakan apabila takut seorang anak kepada ayahnya atau takut seorang pelajar kepada gurunya; iaitu takut kerana hormat. Kita akan jadi takut bercakap dengan ayah dan guru kerana takut kalau-kalau perbuatan dan percakapan kita menyebabkan mereka terasa. Ia adalah jenis takut yang timbul kerana cinta dan hormat. Kerana itu kalau menyebut takut kepada Allah ﷻ, kalimah خَشيَهٌ yang digunakan.

Mereka rasa Allah ﷻ sentiasa sahaja memerhatikan mereka. Mereka takut serta gerun kerana mereka kenal Allah ﷻ. Apabila kenal Allah ﷻ, maka telah timbul rasa cinta kepada Allah ﷻ kerana mereka tahu yang Allah ﷻ ada sifat baik dan ada sifat kuasa. Mereka tahu yang kalau mereka tidak taat kepada Allah ﷻ, Allah ﷻ akan menggunakan kuasa-Nya untuk beri azab kepada kita dan kalau berbuat baik, Allah ﷻ akan menggunakan Sifat Rahmah-Nya untuk beri segala macam nikmat kepada kita.

Namun begitu mereka tetap takut kerana mereka takut sangat kalau tersilap langkah. Disebabkan sentiasa takut itulah yang menyebabkan mereka akan jaga segala tingkah laku mereka. Sebab itulah perasaan takut ini kena ada. Yang menghalang manusia daripada buat sesuka hati adalah perasaan takut. Kalau tidak ada takut, manusia berani berbuat apa-apa sahaja, termasuk dosa yang melampau.

Jelas sekali kena ada takut kepada Allah ﷻ, bukannya takut kepada hantu dan jin. Malangnya orang kita banyak sangat takut. Ini bukan kerana apa, tetapi sebab selalu sangat menonton cerita hantu. Kemudian baca kisah hantu, kemudian sembang dengan orang yang pernah nampak hantu. Ini semua adalah gangguan sahaja. Hantu itu adalah jin dan mereka hanya berani kacau orang yang tidak ada ilmu dan iman. Maka kena tingkatkan ilmu dan iman, barulah tiada rasa takut terhadap hantu jin. Apabila bertambah takut kepada Allah ﷻ, maka hantu jin pula yang akan takut kepada kita.

 

وَيَخافونَ سوءَ الحِسابِ

dan mereka takut kepada hisab yang buruk.

Mereka bukan sahaja takut kepada Allah ﷻ, tetapi mereka juga takut ‘audit’. Namun perhatikan kalimah takut di sini bukan خَشيَهٌ tapi خَوفٌ kerana ia adalah jenis takut yang berbeza dengan yang sebelum ini. Apa yang mereka takut? Takut hisab yang buruk. Ia adalah audit yang amat terperinci dan ini menakutkan kerana mereka takut segala amalan mereka akan dikira satu persatu. Kerana kalau dikira satu persatu, tentu akan ada masalah nanti.

Yang kita semua harapkan adalah kalau pengiraan hisab itu dibuat ringan sahaja, iaitu dilihat sambil lalu sahaja. Itulah ‘hisab yang ringan’. Ini sepertimana kita berada di imigresen di lapangan kapal terbang, pegawai di situ tengok barang-barang kita lebih kurang sahaja. Kalau pegawai itu cakap sahaja: “Encik sila ke tepi, cik?” pun kita sudah berasa takut, bukan? Maka kalaulah di akhirat nanti segala perkara yang kita lakukan diperiksa dengan terperinci, tentu kita susah hati. Kalau ditanya sahaja sudah celaka seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ نُوقِشَ الْحِسَابَ هَلَكَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَقُولُ { فَأَمَّا مَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ إِلَى قَوْلِهِ يَسِيرًا } قَالَ ذَلِكِ الْعَرْضُ
Daripada [Aisyah رضي الله عنها], dia berkata; saya mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Barang siapa yang diperdebatkan hisabnya, dia binasa.” Maka saya katakan; wahai Rasulullah, bukankah Allah berfirman: “Adapun orang-orang yang diberikan kepadanya kitabnya dari sebelah kanannya, –hingga ayat-maka akan dihisab dengan hisab yang mudah?.” (Al-Insyiqaq: 7-8), Baginda bersabda: Yang dimaksudkan ayat itu hanyalah saat catatan amal diperlihatkan.
(Jami’ Tirmidzi (3260))
Status: Sahih (Darussalam)

Sebagai contoh, kalau kita ditanya: kenapa lakukan amalan ini? Ada dalilkah? Kalau ditanya sahaja, itu maksudnya memang akan diazab di dalam neraka. Lalu, tidak takutkah wahai pengamal bid’ah, jika Allah ﷻ bertanya apakah dalil kita lakukan sesuatu amalan yang Nabi ﷺ tidak ajar itu?

Semoga kita jangan buat amal tanpa periksa kerana yang harapkan adalah seperti yang disebut dalam Insyiqaq: 7-8 itu,

فَأَمّا مَن أوتِيَ كِتابَهُ بِيَمينِهِ
Adapun orang yang diberikan kitabnya dari sebelah kanannya,

فَسَوفَ يُحاسَبُ حِسابًا يَسيرًا
maka dia akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah,

Maka di dalam ini disambung 3 lagi sifat Ulul Albaab:

3. Menyambungkan apa yang Allah ﷻ suruh sambung

4. Takutkan Allah ﷻ

5. Takut kiraan hisab di Akhirat

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 24 Oktober 2023

Ringkasan Surah Ra’d


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Tafsir Surah Yusuf Ayat 108 (2) (Cara Berdakwah)

أَدعُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ

aku mengajak kepada Allah 

Apabila Nabi Muhammad ﷺ diperintahkan untuk berkata, “قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي” (Katakanlah, “Inilah jalanku“), frasa itu membawa makna yang jauh lebih mendalam. Ungkapan “ini jalanku” menunjukkan bahawa baginda sudah pun berada di atas jalan tersebut, bukan sekadar menunjuk ke arahnya dari kejauhan. Bayangkan perbezaannya: berkata “itu jalanku” adalah seperti menunjuk ke satu matlamat masa depan. Tetapi dengan berkata “ini jalanku” adalah seperti seseorang yang sedang berjalan di atas sebuah laluan, dan sambil berjalan, baginda mengajak (أَدعُوٓاْ) orang lain untuk turut serta. Ia adalah satu tindakan yang sedang berlaku, satu demonstrasi yang hidup. Kalau kita dapat bayangkan, seseorang yang sudah berada dan berjalan di atas satu jalan, dan di masa yang sama dia mengajak yang lain untuk mengikutinya. Dan jalan itu menuju ke mana? Kepada Allah ‎ﷻ! 

Wawasan ini mengubah konsep dakwah secara total. Ajakan Rasulullah ﷺ bukanlah kepada suatu set idea atau falsafah, tetapi kepada satu perjalanan yang sudah terbukti dan sedang dilalui. Lebih penting lagi, ia adalah jemputan menuju destinasi, bukan kepada dirinya sendiri. Baginda tidak berkata, “Ikutlah aku,” tetapi “Aku mengajak kamu kepada Allah.” أَدعُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ‌. Ajakan ini bukan untuk memuja peribadinya, tetapi untuk bersama-sama menuju destinasi agung: Allah ﷻ. Iaitu jalan La ilaaha Illallah, Tauhid kepada Allah ﷻ sahaja. 

Kalimah “إِلَى ٱللَّهِ” dalam ini bermakna bahawa segala urusan, tujuan, dan seruan dalam dakwah adalah hanya kepada Allah semata, bukan kepada selain-Nya. Para mufassir menjelaskan bahawa “إِلَى ٱللَّهِ” menunjukkan keikhlasan dan penyerahan total dalam beribadah dan berdakwah, serta menegaskan bahawa semua perkara pada akhirnya kembali kepada Allah untuk diputuskan dan diberi balasan. Penjelasan daripada tafsir menyebutkan:”إلى الله وحده لا إلى أحد غيره. تصير الأمور: أي ترجع وتنتهي جميع الأمور للقضاء فيها والحكم والفصل.” Ertinya: “Kepada Allah saja, tidak kepada selain-Nya. Semua urusan kembali dan berakhir kepada-Nya untuk diputuskan dan ditetapkan hukum serta keputusannya.” Akan tetapi, bagaimana kita tahu ketetapan Allah dan kehendak Allah jikalau kita tidak belajar wahyu Al-Qur’an?

Dan yang lebih menarik lagi, tidak ada maf’ul bihi di dalam kalimah ini. Hanya disebut mengajak sahaja, namun tidak disebut siapa yang diajak? Tidak ada أدعوكم (aku mengajak kalian) atau أدعو الناس (aku mengajak manusia) atau yang lain-lain. Ia dibiarkan tergantung ‘aku mengajak’ dan dibiarkan luas begitu. Ia terbuka kepada mereka yang mendengar (sama ada mahu ikut atau tidak), kepada mereka yang belum mendengar lagi, tetapi akan mendengar nanti; yang dekat dengan baginda, yang jauh dengan baginda; sesiapa sahaja. Tidak terhad kepada orang tertentu, masa dan zaman tertentu, tempat tertentu; sesiapa dan semua diajak! Ketika baginda menyebut ayat-ayat ini, baginda hampir keseorangan dengan para sahabat yang tidak ramai mana pun. Akan tetapi dakwah dan ajakan baginda ini didengar dan sampai sekarang umat Islam adalah agama kedua terbesar di dunia dan berterusan bertambah ahlinya. Bayangkan keadaan baginda ketika itu, tetapi baginda adalah Nabi dalam sejarah yang paling ramai pengikut, bukan?

Dan satu lagi yang menarik adalah Nabi ﷺ menyebut ‘jalan’ sebelum ini yang baginda telah berada di atasnya – هَـٰذِهِۦ سَبِيلِىٓ. Maknanya, untuk selamat, kena ikut jalan itu. Kalau ikut jalan lain, itu bukan jalan baginda dan jalan yang lain itu tidak akan selamat. Oleh kerana yang betul-betul benar adalah Nabi Muhammad ﷺ, maka kita kena ikut jalan baginda. Ini menolak fahaman seperti sufi tarekat yang kata, jalan Allah itu banyak…. macam hendak pergi ke Kelantan, ikut jalan Grik boleh, ikut jalan Terengganu pun boleh….asalkan sampai ke Kelantan…” Itu mengarut! Kerana kalau hendak jalan yang selamat, kena berada di atas jalan serta mengikut jalan yang diikuti oleh Rasulullah ﷺ! Sekiranya memandai-mandai memilih jalan lain, entah ke mana perginya, dan sebab itulah orang sufi tarekat ini pening sudah pemikiran mereka!

Dan kalau kita perhalusi lagi, baginda suruh ikut jalan yang baginda lalui itu, bukannya ikut baginda. Baginda tidak boleh selamatkan manusia, tetapi jalan itu sebenarnya yang membawa kepada Allah ‎ﷻ dan kepada kesejahteraan. Ini berbeza dengan fahaman Kristian yang kata jalan ke arah keselamatan hanya melalui Jesus (Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ). Nabi Muhammad ﷺ tidak disuruh berkata begitu, tetapi disuruh mengajak kepada jalan. Bukannya dengan bertawasul kepada Nabi Muhammad ﷺ dengan memberi salam kepada baginda, sedekah Fatihah kepada baginda, kononnya supaya baginda kenal dan menghargai orang yang buat begitu dan nanti baginda akan selamatkan! Tidak! Kalau hendak ikut Nabi dan selamat seperti baginda, kena ikut jalan bagindalah. Dan untuk itu, kena belajar apakah jalan baginda itu dan ikut seperti apa yang baginda lakukan. Bukannya berharap kepada batang tubuh baginda!

Jangan lupa yang kata-kata ini adalah arahan wahyu daripada Allah ‎ﷻ kepada Nabi Muhammad ﷺ. Maknanya ia adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ terus kepada baginda, dan ini adalah tugas baginda. Memang baginda sayang kepada umat dan baginda hendak semua umat baginda selamat. Namun, permulaannya adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ.

Kita juga diajak untuk berdakwah kepada manusia. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Fussilat:33

وَمَن أَحسَنُ قَولًا مِّمَّن دَعا إِلَى اللهِ وَعَمِلَ صٰلِحًا
Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, 

Cuma bagi manusia selain Rasulullah ﷺ, kita ada diletakkan syarat: وَعَمِلَ صٰلِحًا. Maka, ada suruhan utama, iaitu kena berdakwah, tetapi di dalam masa yang sama ada suruhan kedua iaitu mengerjakan amal soleh. Cuma mengerjakan amal soleh itu jatuh nombor dua, jadi ia adalah suruhan supaya kita bersungguh-sungguh mengamalkan amalan soleh itu, namun ia tetap arahan kedua. Kerana kadangkala kita tidak mampu mengerjakan sepenuhnya amalan soleh itu, tetapi jangan pula kerana tidak mampu kita meninggalkan dakwah.

Namun begitu, kepada Nabi Muhammad ﷺ, tidak disuruh baginda mengerjakan amal soleh di sini; ia tidak sama dengan arahan kepada kita. Kepada Nabi ﷺ, disebut هَـٰذِهِۦ سَبِيلِىٓ (Inilah jalanku) yang memberi isyarat yang baginda sudah pun mengerjakan amal soleh itu; baginda sudah lulus! Sekarang ajak sahaja.

 

عَلىٰ بَصيرَةٍ

dengan hujah yang nyata,

Bagi kebanyakan kita, iman adalah sesuatu yang diwarisi, diterima sebagai sebahagian daripada tradisi keluarga, Islam keturunan. Bagi yang lain, ia adalah sebuah perjalanan peribadi yang sunyi kerana dia sahaja yang beriman dalam keluarganya. Namun, bagaimana jika iman sejati bukanlah suatu perasaan tenteram di dalam hati, tetapi satu pendirian yang teguh di atas bukti yang nyata? Sekarang kita dijemput untuk menilai semula asas keyakinan kita. Adakah kita hanya mengikut sahaja fahaman dan amalan leluhur kita (tok nenek)? Ayat ini melukiskan gambaran iman sebagai sebuah perjalanan yang aktif, bertenaga, dan yang paling penting, berpijak di atas wawasan yang jernih. Ia bukan sekadar kepercayaan, tetapi sebuah keyakinan yang disengajakan.

Begitulah agama Islam ini, ia adalah agama yang unik. Kalau agama lain, mereka pun ada ‘iman’ dan kepercayaan mereka juga, tetapi mereka kena percaya sahaja tanpa boleh dijelaskan dengan akal yang waras. Jikalau mereka bertanya tentang sesuatu permasalahan kepada paderi atau sesama mereka, mereka akan dimarah balik, akan disuruh percaya tanpa bertanya soalan! Ini seperti masyarakat kita yang hanya membuta tuli mengikut sahaja fahaman dan amalan tok nenek. Yang kadangkala ada juga ustaz yang apabila diminta dalil bagi fahaman atau amalan, akan dimarah balik dan dituduh wahabi! Ini terjadi sebab ustaz itu sendiri tidak ada dalil dan dia pun ikut-ikut sahaja orang dulu (masyarakat atau tok gurunya yang  mengajar). Agama Islam yang sebenar tidak begitu. Agama kita ini ada dalil dan berlandaskan akal yang sihat. Kita tidak disuruh percaya membabi buta.

Namun, apa beza dengan kita yang juga mengikuti ajaran terdahulu seperti Nabi Muhammad ﷺ, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Mereka juga orang terdahulu daripada kita, bukan? Apa beza dengan orang yang pakai ikut sahaja orang terdahulu? Bezanya adalah mereka itu tidak ada بَصيرَةٍ, iaitu mata hati. Sedangkan para Nabi terdahulu itu di atas baseerah (mata hati). Mata hati ini bukan mata penglihatan kita. Lihat Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, walaupun buta matanya, namun mata hatinya tidak buta. Kita memang kena ikut ajaran para Nabi dan kita lakukan dengan mata terbuka, bukannya ikut membabi buta!

Sekiranya kita kembali kepada analogi berkenaan Rasulullah ﷺ yang di atas jalan, bayangkan jalan yang berliku. Ia berliku kerana jalan itu tidak dibiarkan begitu sahaja oleh syaitan. Ini sepertimana yang Allah ‎ﷻ beritahu dalam A’raf:16-17

قَالَ فَبِمَآ أَغۡوَيۡتَنِى لَأَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرٰطَكَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ (١٦) ثُمَّ لَأَتِيَنَّهُم مِّنۢ بَيۡنِ أَيۡدِيہِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَيۡمَـٰنِہِمۡ وَعَن شَمَآٮِٕلِهِمۡ‌ۖ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ شَـٰكِرِينَ (١٧)
Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (daripada menjalani) jalan-Mu yang lurus; (16) Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur. (17) 

Jadi, jalan ini bukanlah jalan yang sentiasa tenang tanpa gangguan kerana syaitan sendiri sudah berjanji akan mengganggu kita jika kita berada di atas jalan ini. Bayangkan sebuah jalan berliku, yang kadangkala kita tidak nampak apa yang di hadapan kita, kadang ada banyak pokok yang melindungi kita dari jalan kita, kadang waktu malam dan kita tidak nampak; ketika itu kita memerlukan panduan, bukan? Oleh itu, kenalah ada panduan, seperti kompas atau GPS yang menetapkan kita di atas jalan kita itu. Dan kita telah lihat contoh panduan seperti yang diberikan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam ayat Yusuf:24

وَلَقَد هَمَّت بِهِۦ‌ۖ وَهَمَّ بِهَا لَولَآ أَن رَّءَا بُرهَـٰنَ رَبِّهِۦ‌ۚ ڪَذٰلِكَ لِنَصرِفَ عَنهُ ٱلسُّوٓءَ وَٱلفَحشَآءَ‌ۚ إِنَّهُ ۥ مِن عِبَادِنَا ٱلمُخلَصِينَ
Sesungguhnya wanita itu telah bersungguh dengan Yusuf, dan Yusuf pun bermaksud (melakukan pula) dengan wanita itu andaikata dia tidak melihat tanda (daripada) Tuhannya. Demikianlah, Kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba-hamba Kami yang terpilih.

Jadi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ada panduan baginda, kita pun ada panduan kita yang membimbing kita. Kita tidak boleh menggunakan alasan segala gangguan  yang mendatang itu kerana kita sudah ada panduan. Kita tidak boleh kata oh zaman sekarang susah, ramai sangat orang yang mengajak kita ke arah kebinasaan, atau apa-apa sahaja alasan. Kita tidak boleh menuding jari menyalahkan keluarga kita, kawan-kawan sekeliling kita, kerajaan, ahli politik dan sesiapa sahaja.

 

Maksud Baseerah

Jadi apakah بَصِيرَةٍ ini? Kalimah “بَصِيرَةٍ” (baseerah) dalam ayat ini memiliki beberapa tafsiran dari para ulama:

  1. Ilmu, Keyakinan, dan Hujjah yang Jelas
    Imam al-Qurtubi رَحِمَهُ اللَّهُ menafsirkan “على بصيرة” sebagai “على يقين وحق” (di atas keyakinan dan kebenaran). Ibn ‘Ashur رَحِمَهُ اللَّهُ menyebutnya sebagai “الحجة الواضحة” (hujjah yang jelas). Jadi, baseerah adalah ilmu dan keyakinan yang kukuh serta bukti yang nyata dalam berdakwah. Bagi kita apa? Ia adalah Al-Qur’an, jadi berdakwah mestilah menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an.

  2. Pengetahuan Mendalam dan Pemahaman Hati
    Dalam Lisan al-Arab, baseerah diertikan sebagai “عقيدة القلب” (keyakinan hati) dan “اسم لما اعتقد في القلب من الدين وتحقيق الأمر” (nama bagi apa yang diyakini dalam hati tentang agama dan penegasan perkara). Ini menunjukkan bahawa baseerah adalah pemahaman mendalam yang berakar di hati.

  3. Cahaya dan Kekuatan Hati untuk Melihat Kebenaran
    Sebahagian ulama menyebut baseerah sebagai “قوة في القلب تدرك بها المعقولات” (kekuatan di hati yang dengannya seseorang memahami hal-hal yang masuk akal). Ini seperti analogi mata yang melihat secara fisik, maka baseerah adalah “mata hati” yang melihat kebenaran.

  4. Tingkat Tertinggi daripada Ilmu
    Disebutkan juga bahawa baseerah adalah “أعلى درجات العلم التي تكون نسبة العلوم فيها إلى القلب كنسبة المرئي إلى البصر” (tingkatan tertinggi ilmu, di mana hubungan ilmu dengan hati seperti hubungan objek yang terlihat dengan mata).

  5. Pembeza antara Kebenaran dan Kebatilan
    Sheikh al-Tusi menafsirkan baseerah sebagai “المعرفة التي يميز بها بين الحق والباطل في الدين والدنيا” (pengetahuan yang membedakan antara kebenaran dan kebatilan dalam agama dan dunia).

Kesimpulannya, “بَصِيرَةٍ” dalam ayat ini bermaksud ilmu, keyakinan, dan hujjah yang jelas, serta kekuatan hati yang mampu membezakan kebenaran daripada kebatilan, sehingga seseorang berdakwah kepada Allah ‎ﷻ dengan pengetahuan dan pemahaman yang mendalam, bukan sekadar ikut-ikutan atau tanpa dasar.

Dan menarik apabila baginda disuruh menyebut بَصِيرَةٍ yang bermaksud ‘penglihatan’. Baginda tidak menyebut perkataan lain seperti ‘dalil’, ‘hujah’ dan lain-lain. Apabila digunakan kalimah penglihatan, seolah-olah baginda sudah melihat sendiri. Baseerah bukan sekadar dalil atau bukti, tetapi mencakup ilmu, keyakinan, pemahaman mendalam, dan hujjah yang jelas. Al-Qurtubi رَحِمَهُ اللَّهُ menafsirkan “على بصيرة” sebagai “على يقين وحق” (di atas keyakinan dan kebenaran).

Ibn ‘Ashur رَحِمَهُ اللَّهُ menyebutnya baseerah sebagai “الحجة الواضحة” (hujjah yang jelas). Sementara ‘dalil’ hanya bermakna bukti atau argumen, baseerah adalah ilmu yang meresap ke dalam hati dan menghasilkan keyakinan serta pemahaman yang mendalam. Menurut Ibn al-Kamal dan al-Raghib, baseerah adalah “قوة للقلب المنور بنور القدس ترى حقائق الأشياء وبواطنها بمثابة البصر للنفس” (kekuatan hati yang diterangi cahaya ilahi, yang melihat hakikat dan batin sesuatu seperti mata melihat yang lahir).

Ini menunjukkan bahawa baseerah adalah kemampuan hati untuk memahami kebenaran secara mendalam, bukan sekadar mengetahui dalil secara lahiriah. Said bin Wahf al-Qahthani رَحِمَهُ اللَّهُ menyebut baseerah sebagai “أعلى درجات العلم التي تكون نسبة العلوم فيها إلى القلب كنسبة المرئي إلى البصر” (tingkatan tertinggi ilmu, di mana hubungan ilmu dengan hati seperti hubungan objek yang terlihat dengan mata). Ini menegaskan bahawa baseerah adalah ilmu yang benar-benar diyakini dan dirasakan, bukan sekadar diketahui secara teori.

 

Menyematkan Keyakinan dalam Diri

Maka ini mengajar kita kena percaya kepada agama ini dengan بَصيرَةٍ (pandangan mata hati) dengan penuh yakin dan keyakinan tidak akan datang melainkan dengan ilmu. Jadi kena belajar, luangkan masa untuk menelaah agama ini. Kita kena percaya dalam hati dengan bersungguh-sungguh dan dalam masa yang sama, kita nampak apa yang disebut dalam Al-Qur’an itu benar-benar terjadi. Apa yang disebut di dalam Al-Qur’an berlaku di hadapan mata kita, menguatkan lagi iman kita terhadap Al-Qur’an. Sebagai contoh, kita akan baca dalam Al-Qur’an ini hujah-hujah penolakan daripada manusia dan kita sendiri perhatikan itulah yang umat manusia cakap sekarang!

Dan manusia yang paling yakin dengan Allah ﷻ adalah Rasulullah ﷺ sendiri. Nabi Muhammad ﷺ sudah berjumpa dengan Allah ‎ﷻ, dan baginda pernah lihat malaikat. Jadi, apa yang disebut oleh baginda adalah benda yang benar, bukan khayalan. Maka kita kena belajar dalil-dalil yang Nabi ﷺ sampaikan, bukannya kata-kata tok guru semata. Guru apabila mengajar, kena beri dalil sekali. Bukannya dengar dia gebang, “tok guru saya ajar”, “ulama’ sudah lama bincang”, tetapi tidak disebut pun nama ulama’, “ada dalam kitab”, tetapi entah kitab mana kita pun tidak tahu. Jangan lagi senang percaya kata-kata orang walaupun mereka itu digelar ‘ustaz’, malah ‘ulama’ sekalipun melainkan mereka berikan sekali dengan dalil daripada Al-Qur’an atau Sunnah.

 

Baseerah dalam Dakwah

Sekarang kita disuruh untuk mengatakan yang kita ajak kepada Allah ‎ﷻ berdasarkan penglihatan yang jelas, bukan dengan mata tertutup. Apabila mereka minta dalil, kita berikan. Mereka minta bukti; kita beri. Ini kerana agama Islam ini bukan agama buta hati, hanya mengikut sahaja. Ia adalah agama yang  berdasarkan bukti.

Kalimat عَلىٰ بَصيرَةٍ juga bermaksud agama kita ini diajar dengan jelas. Kita tidak berselindung kerana tidak ada apa yang hendak dimalukan dengan agama Islam ini. Yang mengajar sorok-sorok adalah golongan sesat kerana mereka tahu apa yang mereka ajar itu tidak ada dalil dan mengarut. Ini kita boleh lihat pada ajaran sufi tarekat yang terpaksa merahsiakan apa yang mereka ajar kepada anak murid. Apabila mereka ajak anak murid mereka, mereka suruh rahsiakan, kerana mereka kata, “orang lain tidak faham”. Yang sebenarnya, kerana ajaran mereka itu mengarut! Begitu juga dengan Syiah yang sampai terpaksa melakukan taqiyah (menipu) kerana takut mereka akan dilawan kerana memang mereka ajar itu adalah ajaran yang salah.

Ayat “…aku menyeru kepada Allah ‎ﷻ di atas ‘baseerah'” ini sangat penting. Perkataan “عَلَىٰ بَصِيرَةٍ” (di atas wawasan atau bukti yang jelas) adalah antitesis (lawan) kepada konsep kepercayaan buta. Baseerah adalah bukti yang jelas, meyakinkan, dan muktamad; ia adalah keyakinan yang begitu kukuh sehingga seolah-olah kita dapat melihat kebenaran itu dengan mata kepala sendiri.

Secara tatabahasa, penggunaan kalimah عَلَىٰ (di atas) sangat penting. Ayat ini tidak menggunakan بِبَصِيرَةٍ (“dengan wawasan”), tetapi عَلَىٰ بَصِيرَةٍ (“DI ATAS wawasan”). Ini membawa perbezaan yang besar. Ia bermaksud baseerah bukan sekadar alat yang kita gunakan untuk berdakwah; ia adalah tapak, asas, dan landasan tempat kita berdiri. Seluruh keyakinan kita berpijak di atasnya. Ini sangat berbeza dengan sikap para penyembah berhala yang berkata, “Kami hanya mengikut apa yang kami dapati datuk nenek kami lakukan.” Sebaliknya, Islam meraikan teladan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang berani menolak tradisi bapanya kerana baginda “membuka matanya” dan mencari kebenaran berasaskan bukti. Malah, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri, ketika diuji di sebalik pintu yang terkunci, diselamatkan kerana baginda telah melihat burhan (bukti) daripada Tuhannya — satu manifestasi baseerah dalam keadaan yang paling getir.

Wawasan ini sangat berkuasa kerana ia menunjukkan bahawa Islam mengalu-alukan persoalan, kajian, dan pencarian bukti sebagai jalan menuju keyakinan sejati. Ia bukan agama yang meminta pengikutnya menutup mata, tetapi yang meminta mereka untuk membukanya seluas-luasnya. Maka ini mengajar kita cara berdakwah kepada manusia mesti dengan baseerah. Apa maksudnya? Dakwah Bukan Sekadar “Syarahan”. Ia Adalah Seni Memahami Manusia.

Ramai yang menyangka dakwah itu sekadar menyampaikan ucapan yang telah dihafal. Namun, ayat ini memperkenalkan konsep Baseerah, iaitu celik mata hati atau pandangan yang mendalam. Ia bukanlah alat, tetapi intipati kebijaksanaan (hikmah) dan kemuncak seni retorik (balaghah). Ia adalah keupayaan untuk memahami realiti, keadaan, dan latar belakang seseorang, lalu menyampaikan kebenaran dengan cara yang paling berkesan. Baseerah adalah keupayaan untuk:

1. Menyesuaikan Mesej Mengikut Individu: Sebagai contoh, Rasulullah ﷺ pernah ditanya soalan yang sama oleh orang yang berbeza: “Apakah amalan terbaik?” Jawapan baginda berbeza-beza setiap kali, mengikut orang yang bertanya. Kepada seseorang itu, baginda mungkin menyarankan untuk berbakti kepada ibu bapa; kepada yang lain, mungkin jihad. Ini adalah baseerah dalam tindakan. Baginda melihat keadaan rohani dan keperluan unik setiap individu, lalu memberikan nasihat yang paling relevan untuk mereka.

2. Memahami Konteks Semasa: Kita kena gunakan bahasa yang mudah difahami oleh pendengar. Kalau dengan orang kampung, lain bahasa yang kita gunakan dengan pelajar universiti. Ini adalah satu bentuk baseerah moden, iaitu menggunakan kebijaksanaan untuk menjadikan mesej lebih mudah diakses tanpa menggadaikan prinsip. Dakwah yang berkesan bukanlah tentang “memuntahkan” apa yang kita tahu. Ia adalah tentang kebijaksanaan untuk melihat siapa di hadapan kita dan menyampaikan kebenaran dengan cara yang paling menyentuh hati mereka. Kalau kita tahu latarbelakang mereka, pengalaman mereka, pendidikan mereka dan apa yang mereka suka, maka kita boleh gunakan maklumat itu untuk memberi nasihat yang lebih tepat kepada mereka. 

 

Sauh Hidup

Dengan ada baseerah ini, hidup kita akan lebih tenang. Dalam Teori Hierarki Keperluan Maslow, Maslow menyebut tentang keperluan asas manusia. Selain keperluan fizikal yang paling utama, manusia memerlukan rasa aman. Antara rasa aman itu adalah seseorang yang memiliki tempat tinggal yang tetap. Kalau berpindah randah, seseorang itu rasa dia tidak ada tempat yang tetap.

Ini kita boleh lihat dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Secara fizikalnya, baginda sentiasa berada di tempat asing: dibuang ke dalam perigi, dijual sebagai hamba, tinggal di rumah Al-Aziz dan kemudian telah dipenjarakan. Baginda sentiasa jauh dari “rumah”. Namun, “rumah” dan sauhnya yang sebenar adalah baseerah—wawasannya yang jelas tentang Tuhannya. Hubungan inilah yang menjadi tempatnya berlindung. Baseerah inilah yang memberikan rasa selamat dan ketenangan (sakinah), tidak kira apa pun keadaan luaran yang melanda. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Ra’d:28 

أَلا بِذِكرِ اللهِ تَطمَئِنُّ القُلوبُ
Ingatlah, dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.

Kita kena ingat yang kita ada Allah ‎ﷻ. Jadikanlah Allah ‎ﷻ sebagai sauh kita, tempat kita berharap, tempat kita mengadu. 1. Ya Allah!…. Ia adalah sauh (anchor) spiritual yang mengikat seseorang kepada asal-usulnya. Lebih mendalam lagi, ia mengembalikan kita ke “rumah” asal kita. Sebelum kita dilahirkan ke dunia ini, roh kita berada bersama Allah ‎ﷻ. Maka, dengan mengingati Allah ‎ﷻ dan berpijak atas baseerah, hati kita sebenarnya sedang “pulang ke rumah” — sumber ketenangan yang paling hakiki. Kalau di dunia, kita akan tenang di rumah kita, tempat asal kita, bukan? Jadi dari segi spiritual, kita dahulu duduk di mana, sebelum kita lahir ke dunia? Bukankah dengan Allah ‎ﷻ? Kerana itu, kita akan tenang kalau kita ingat kepada Allah ‎ﷻ! Ini seperti disebut di dalam A’raf:172

وَإِذ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَني ءآدَمَ مِن ظُهورِهِم ذُرِّيَّتَهُم وَأَشهَدَهُم عَلىٰ أَنفُسِهِم أَلَستُ بِرَبِّكُم ۖ قالوا بَلىٰ ۛ شَهِدنا
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya): “Bukankah Aku Tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. 

Baseerah itu bukan untuk baginda sahaja tetapi kepada mereka yang mengikut baginda juga. Ini kerana agama kita ini bukannya ‘blind faith’ sahaja. Agama ini ada segala bukti. Namun malangnya ramai orang kita yang mengikut sahaja membuta tuli sepanjang masa. Mereka tidak memikirkan tentang dalil-dalil yang ada dan kerana itu iman mereka tidak mantap. Sedangkan Al-Qur’an inilah baseerah untuk kita. Setiap kali kita membacanya, ia menguatkan  iman kita.

 

Kuiz Kefahaman (Soalan Jawapan Pendek)
Sila jawab soalan-soalan berikut berdasarkan maklumat yang terdapat dalam teks sumber. Setiap jawapan hendaklah terdiri daripada 2 hingga 3 ayat.

1. Apakah perbezaan makna antara ungkapan “ini jalanku” dengan “itu jalanku” dalam konteks dakwah Rasulullah SAW?
2. Mengapakah teks menyatakan bahawa seruan dakwah Rasulullah SAW adalah “kepada Allah” dan bukannya kepada peribadi baginda?
3. Jelaskan kepentingan ketiadaan maf’ul bihi (objek yang diajak) dalam kalimah “aku mengajak” dalam ayat ini.
4. Bagaimanakah ayat ini menyanggah fahaman yang mengatakan terdapat banyak jalan untuk menuju kepada Allah?
5. Apakah perbezaan antara konsep keselamatan dalam Islam dengan fahaman Kristian mengikut huraian teks?
6. Mengapakah baseerah (mata hati) dianggap lebih utama daripada sekadar mengikut tradisi nenek moyang atau “Islam keturunan”?
7. Apakah yang dimaksudkan dengan dakwah bukan sekadar “syarahan” tetapi merupakan “seni memahami manusia”?
8. Bagaimanakah gangguan syaitan digambarkan dalam perjalanan di atas jalan yang lurus?
9. Jelaskan kaitan antara baseerah dengan ketenangan jiwa (sakinah) yang dialami oleh Nabi Yusuf AS semasa diuji.
10. Mengapakah seorang guru atau pendakwah dilarang mengajar secara bersembunyi atau tanpa dalil yang jelas?

 

Glosari Istilah Kunci

Amal Soleh: Perbuatan-perbuatan baik yang dilakukan mengikut syariat dan merupakan bukti praktikal kepada keimanan seseorang.

Baseerah (بَصِيرَةٍ): Secara literal bermaksud “penglihatan”, tetapi dalam konteks agama merujuk kepada mata hati, ilmu yang mendalam, keyakinan yang kukuh, dan hujah yang jelas yang membezakan antara hak dan batil.

Burhan (بُرهَان): Bukti atau tanda yang sangat jelas daripada Tuhan yang mampu memalingkan seseorang daripada kemungkaran, seperti yang diberikan kepada Nabi Yusuf AS.

Dalil: Bukti, hujah, atau argumen yang menjadi sandaran bagi sesuatu hukum atau kepercayaan dalam agama.

Ila Allah (إِلَى ٱللَّهِ): Bermaksud “kepada Allah”; menunjukkan bahawa destinasi dan matlamat akhir segala urusan, ibadah, dan dakwah adalah semata-mata untuk Allah SWT.

Maf’ul Bihi: Istilah tatabahasa Arab yang merujuk kepada objek atau sasaran yang dikenakan perbuatan; dalam ayat ini, ketiadaannya menunjukkan dakwah bersifat sejagat.

Sakinah: Ketenangan hati dan jiwa yang dianugerahkan Allah kepada orang-orang beriman, terutamanya semasa menghadapi ujian.

Sauh Spiritual (Anchor): Perumpamaan bagi hubungan yang kukuh dengan Allah yang mengikat seseorang kepada asal-usul rohnya, memberikan kestabilan dalam mengharungi cabaran hidup.

Taqiyah: Konsep dalam ajaran Syiah yang merujuk kepada tindakan menyembunyikan kepercayaan atau menipu untuk mengelakkan ancaman, yang dikritik dalam teks sebagai tanda ajaran yang tiada dalil.

Tauhid: Konsep mengesakan Allah (La ilaaha Illallah) sebagai teras utama dalam ajaran Islam dan matlamat dakwah para Nabi.

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian seterusnya

Kemaskini: 4 Februari 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 108 (1) (Inilah jalanku, aku berpegang dengannya)

DAKWAH DENGAN ILMU DAN KEBIJAKSANAAN

Yusuf Ayat 108: Ayat ini adalah salah satu ayat yang mungkin merupakan ayat terpenting di dalam surah ini. Ia pendek, tetapi mengandungi banyak pengajaran di dalamnya yang kita harap kita boleh telusuri. Kita takkan dapat memahami keseluruhan daripadanya kerana setiap ayat adalah seperti satu lautan yang dalam yang kita tidak akan dapat menggalinya. Kalau kita perhatikan ahli tafsir, atau para asatizah yang menyampaikan tafsir Al-Qur’an, kita boleh perhatikan mereka menyampaikan perkara yang berbeza-beza. Mereka tidak berselisih, tetapi setiap daripada mereka melihat satu-satu ayat itu dari perspektif yang berbeza. Kerana itu kalau kita dapat mengambil daripada banyak kupasan, pemahaman kita akan lebih mendalam.

Ayat ini adalah targhib (ajakan) kepada tauhid. Kalau mereka leka dengan kehidupan mereka dan masih tidak mahu beriman sepenuhnya walaupun kita telah sampaikan kepada mereka, ajak mereka, jelaskan kepada mereka, maka beritahu ini kepada mereka:

قُل هَـٰذِهِۦ سَبِيلِىٓ أَدعُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ‌ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا۟ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِى‌ۖ وَسُبحـٰنَ ٱللَّهِ وَمَآ أَنَا۟ مِنَ ٱلمُشرِكِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “This is my way; I invite to Allāh with insight, I and those who follow me. And exalted is Allāh; and I am not of those who associate others with Him.”

(MALAY)

Katakanlah: “Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik”.

قُل هَـٰذِهِۦ سَبِيلِىٓ

Katakanlah: “Inilah jalan (agama)ku,

Ini adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ. Banyak kali kita bertemu kalimah قُل (katakanlah) di dalam Al-Qur’an. Sebenarnya setiap ayat Qur’an ini baginda Nabi ﷺ mesti sampaikan, akan tetapi kenapa Allah ﷻ suruh lagi baginda beritahu? Ini adalah kerana ia adalah sesuatu yang penting dan kalimah قُل memberitahu kita yang ia adalah amat penting. Jadi Nabi Muhammad ﷺ disuruh oleh Allah ﷻ untuk beritahu sahaja mereka yang degil itu: “Inilah jalan aku”. Kena cakap dengan yakin. Mudah sahaja kata-kata ini. Beritahu kepada mereka bahawa kita ada pendirian; sama ada mereka ikut atau tidak mahu ikut, kita sudah ada pendirian kita yang mantap.

Kadangkala, frasa yang paling ringkas dan pendek menyimpan makna yang paling mendalam. Dalam lautan hikmah Al-Qur’an, terdapat mutiara-mutiara yang tersembunyi di dalam beberapa patah perkataan sahaja, menanti untuk direnungi. Di sini, satu frasa pendek yang diucapkan oleh lidah Nabi Muhammad ﷺ atas perintah Allah: قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي (Katakanlah, inilah jalanku.) Di atas kertas, ia kelihatan seperti satu kenyataan yang mudah. Namun, di sebalik tiga perkataan ini terkandung pengajaran yang sangat relevan tentang identiti, warisan, dan keyakinan diri yang amat diperlukan pada hari ini.

Ayat ini tidak dimulakan dengan “Inilah jalanku,” tetapi dengan satu perintah: “Katakanlah” (قُلْ). Perkataan ringkas ini mengubah segala-galanya. Dengan sifat rendah diri yang luar biasa, Nabi Muhammad ﷺ pastinya lebih cenderung untuk berkata, “Inilah jalan Allah.” Menyandarkan jalan itu kepada dirinya sendiri (jalanku) adalah satu kenyataan yang sangat berani dan menonjolkan diri, sesuatu yang asing bagi keperibadian baginda. Malah banyak sahaja ayat di dalam Al-Qur’an yang menyebut (Jalan Allah). Namun, kali ini baginda disuruh untuk sebut: هَـٰذِهِۦ سَبِيلِىٓ. Maka, perintah قُلْ ini bukan sekadar kata pembuka. Ia adalah satu dorongan ilahi yang ‘memaksa’ Nabi ﷺ untuk membuat pengisytiharan peribadi ini. Baginda tidak ada pilihan lain melainkan cakap seperti yang telah diarahkan itu. Ia memberikan dua perkara yang sangat penting:

1. Kewibawaan Ilahi: Ia menegaskan bahawa Nabi ﷺ hanyalah penyampai. Apa yang bakal diucapkan bukanlah lahir daripada ego, tetapi satu kebenaran daripada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ sendiri yang memberi baginda kuasa untuk berkata, “Ini adalah jalanku.”

2. Perlindungan Ilahi: Bayangkan seorang pengembara yang berjalan (سبيل) sendirian di padang pasir, pasti dia menjadi sasaran yang paling mudah. Apabila Nabi ﷺ berkata, “Inilah jalanku”, baginda berdiri sendirian menentang arus masyarakatnya. Kalau seseorang hendak bercakap besar, maka dia kenalah ada sokongan, bukan? Walau bagaimanapun, ketika Nabi ﷺ cakap begini, baginda boleh dikatakan seorang diri sahaja kerana para sahabat pun lemah ketika itu. Namun, dengan adanya قُلْ, imej seorang yang terdedah berubah menjadi seseorang yang paling dilindungi di dunia, kerana Allah ﷻ berada di belakangnya.

 

Perkataan “ini” (هَـٰذِهِۦ) dalam ayat ini boleh ditafsirkan sebagai rujukan kepada sesuatu yang telah berlalu. Memandangkan ayat ini berada di penghujung Surah Yusuf, “Ini” seolah-olah merujuk kepada keseluruhan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang baru sahaja diceritakan tidak lama sebelum ini. Apabila Nabi Muhammad ﷺ berkata, “Inilah jalanku,” baginda seolah-olah menyatakan, “Kisah perjuangan Yusuf itu adalah jalanku juga.” Sebagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diuji di dalam menegakkan agama Allah, Nabi Muhammad ﷺ juga begitu. Kedua-dua mereka di dalam perjalanan menuju Allah ‎ﷻ. Walaupun kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu berlaku ribuan tahun dahulu, ia sama sahaja dari segi perjalanan mereka.

Namun, hubungannya jauh lebih mendalam. Ia adalah warisan perjuangan dalam keterasingan. Rangkaian keturunan ini bermula daripada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kepada Nabi Ishaq عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kepada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dan akhirnya kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Perhatikan sesuatu yang unik: moyangnya, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, berdiri seorang diri menentang kaumnya. Cicitnya, Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, juga terasing seorang diri di Mesir. Kedua-dua mereka menghadapi ujian keterasingan yang dahsyat, satu pengalaman yang tidak dilalui oleh Nabi Ishaq عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan cara yang sama. Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diuji dengan api untuk baginda meninggalkan agama baginda dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diuji dengan ‘api’ nafsu ketika digoda oleh isteri Al-Aziz. Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seorang sahaja beriman ketika itu dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga seorang diri dikelilingi oleh orang kafir. Mereka tidak ada sokongan daripada orang sekeliling. Ini tidak sama dengan Nabi Ishaq عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana mereka dikelilingi oleh orang-orang beriman.  Jadi kaitan antara Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sangat rapat dan kerana itu apabila menyebut leluhur baginda di dalam Ayat 38, baginda tidak sebut nama bapanya Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, tetapi memulakan dengan menyebut nama Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ,

وَٱتَّبَعتُ مِلَّةَ ءَابَآءِىٓ إِبرٰهِيمَ وَإِسحَـٰقَ وَيَعقُوبَ‌ۚ
Dan aku pengikut agama bapa-bapaku iaitu Ibrahim, Ishak dan Ya’qub. 

Kini, Nabi Muhammad ﷺ yang juga memulakan dakwahnya seorang diri di Mekah, sekarang diperintahkan untuk menyambung rantaian warisan spiritual ini. Dan kaitan dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun kita boleh lihat sangat rapat. Baginda juga mula berdakwah seorang diri tanpa bantuan daripada sesiapa yang beriman. Baginda menentang penyembahan berhala seperti juga Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun ada juga disebut riwayat mencuri berhala, bukan?

Maka Nabi Muhammad ﷺ menjadikan kisah-kisah para Rasul sebelum baginda sebagai panduan untuk baginda. Malah terdapat banyak kisah para Nabi di dalam Al-Qur’an yang menceritakan perjalanan hidup mereka dan ujian yang telah mereka terima. Dan ia sama sahaja dengan apa yang Rasulullah ﷺ hadapi. Kalau para Rasul itu dituduh menipu, dituduh sesat, dituduh ahli syair, baginda juga begitu. Baginda juga diingatkan yang baginda meneruskan urusan dakwah mereka. Baginda perlu mengikut contoh mereka seperti disebut di dalam An’am:90

فَأُولَٰئِكَ الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ ۖ فَبِهُدَاهُمُ اقْتَدِه
“Mereka (para nabi) itulah orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka dengan petunjuk mereka itu, hendaklah engkau ikut…”

“Inilah jalanku” adalah satu pengakuan bahawa jalan baginda adalah kemuncak kepada legasi para Nabi terulung yang berdiri teguh walaupun bersendirian. Ia bukan jalan baru, tetapi jalan yang telah dilalui oleh jiwa-jiwa terhebat, kini disempurnakan dalam diri baginda. Rasulullah ﷺ bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «إِنَّ مَثَلِي وَمَثَلَ الأَنْبِيَاءِ مِنْ قَبْلِي، كَمَثَلِ رَجُلٍ بَنَى بَيْتًا فَأَحْسَنَهُ وَأَجْمَلَهُ، إِلَّا مَوْضِعَ لَبِنَةٍ مِنْ زَاوِيَةٍ، فَجَعَلَ النَّاسُ يَطُوفُونَ بِهِ، وَيَعْجَبُونَ لَهُ، وَيَقُولُونَ: هَلَّا وُضِعَتْ هَذِهِ اللَّبِنَةُ؟ قَالَ: فَأَنَا اللَّبِنَةُ وَأَنَا خَاتِمُ النَّبِيِّينَ»
“Perumpamaan aku dan Nabi-nabi sebelumku adalah seperti seorang lelaki yang membina sebuah bangunan, lalu dia mempercantik dan memperindahnya, kecuali satu tempat batu bata di salah satu sudutnya. Orang-orang pun mengelilingi bangunan tersebut dan merasa kagum, lalu mereka berkata: ‘Alangkah baiknya jika batu bata ini diletakkan?’ Baginda bersabda: ‘Akulah batu bata tersebut, dan akulah penutup para nabi.’

(Sahih Bukhari No. 3535 dan Muslim No. 2286)

Jadi apabila Nabi Muhammad ﷺ merujuk kepada ‘jalan’ itu, ia merujuk kepada semua jalan para Nabi yang dikumpulkan dan sekarang ia disempurnakan dengan baginda.

Kalau baginda dan para Nabi dahulunya majoriti berseorangan, maka bagaimana dengan kita sekarang? Populasi Muslim di dunia sekarang agak banyak (25% daripada populasi dunia, agama kedua teramai di dunia dan peratusan peningkatan yang paling banyak). Akan tetapi, masih ramai lagi yang tinggal di negara orang kafir dan mereka rasa keseorangan, tanpa rakan-rakan penyokong, buat berbincangan dan beribadah bersama-sama. Jadi, mereka yang berada dalam situasi ini dapatlah merasakan sedikit sebanyak apa yang dirasai oleh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi-nabi yang lain.

Para Nabi itu hidup di zaman ketika setiap suku menguasai keputusan setiap orang di dalam suku mereka. Segala keputusan dan pilihan semestinya terpakasa mengikut apa yang telah biasa dipegang oleh ahli suku itu. Jadi, bukan senang hendak menerima Islam, ya, kerana itu adalah satu keputusan yang sangat besar. Kalau sesiapa yang memilih Islam ketika itu, mereka itu dipandang serong dan boleh dipulau oleh suku mereka. Jangan sangka ia adalah pilihan mudah seperti memilih baju sahaja. Dan begitulah yang dihadapi oleh Rasulullah ﷺ dan para sahabat ketika itu. Jadi keputusan memilih jalan wahyu itu adalah berat, namun Allah ‎ﷻ mengajar Rasulullah ﷺ untuk berkata: هَـٰذِهِۦ سَبِيلِىٓ (Inilah jalanku), yang tetap aku akan pilih walaupun suku aku, keluarga aku, kawan aku tidak suka dengan pilihanku ini. Namun, tidak mengapa, kerana bukan aku seorang sahaja yang baru memilih jalan ini, tetapi zaman berzaman orang sebelum aku telah memilih dan melalui jalan ini. Dan aku akan ikut mereka.

Bukan masuk Islam sahaja menjadi serong; kalau sudah Muslim pun, boleh menjadi serong juga, bukan? Iaitu kalau memilih manhaj Islam yang lain daripada kebanyakan orang. Di waktu manusia biasa mengikut amalan dan fahaman tok nenek, kalau kita hendak memilih jalan yang selari dengan Sunnah, bukankah kita dituduh sebagai Wahabi, sesat, pemecah belah umat… dan sebagainya? Ramai bukan yang sedang melalui dilema ini. Ramai yang gagal dan takut dengan pandangan manusia dan takut untuk menyebarkan pandangan Sunnah ini. Kerana puak yang menentang Sunnah ini masih ramai lagi dan mereka amat jahat; mereka tidak berhujah dengan wahyu, hujah dan akal, tetapi dengan emosi. Hujah mereka tidak ada, tetapi maki hamun dan sumpah seranah sahaja. Akibatnya, ramai yang takut dengan ejekan mulut ini, macamlah ejekan itu boleh mencederakan mereka. Namun begitulah, rasa keterasingan itu tetap ada walaupun sudah berada di dalam agama Islam!

Tafsiran kedua bagi perkataan “ini” (هَـٰذِهِۦ) ialah ia merujuk kepada masa kini. Dari sudut ini, mesejnya menjadi sangat relevan dalam konteks sosial. Nabi Muhammad ﷺ hidup dalam kalangan kaum Quraisy. Baginda berkongsi segala-galanya dengan mereka: bahasa yang sama, makanan yang sama, pakaian yang sama. Jika ada gambar dari zaman itu, kita mungkin tidak dapat membezakan antara seorang mukmin dan seorang kafir dari segi penampilan. Kalau ada orang merakam gambar Abu Jahal, mungkin kita sangka dia adalah seorang Sheikh besar agaknya! Baginda berkongsi budaya dan makanan yang sama. Namun, pengisytiharan “Inilah jalanku” menjadi satu garisan pemisah yang jelas. Ia menegaskan bahawa walaupun seribu satu perkara kelihatan sama, ada satu perkara asas yang membezakan baginda: jalannya.

Ini mengajar kita bahawa identiti seorang Muslim tidak ditentukan oleh penanda budaya luaran; bukan pakaian, bahasa, atau resepi makanan. Bukan juga bahasa yang dituturkan. Sebaliknya, ia ditentukan oleh keyakinan moral dan rohani yang membentuk prinsip dan haluan hidupnya.

Kita sebagai manusia yang hidup di dalam masyarakat, ada masa kita terpaksa ikut cara pakaian, cara cakap, adat dan kebiasaan dalam sesuatu masyarakat itu. Kerana kita takut dipandang asing, bukan? Apabila menyedari bahawa jalan kita berbeza dengan orang lain, manusia sering terjerumus ke dalam salah satu daripada dua kesilapan ekstrem:

1. Mengasingkan Diri: Menolak sepenuhnya budaya sekeliling dan membina tembok, menganggap semua yang datang dari luar adalah haram.
2. Menggadaikan Prinsip: Terlalu ingin menyesuaikan diri sehingga sanggup berkompromi dengan prinsip-prinsip Islam yang asas.

Islam tidak mengajar kedua-duanya. Ia mengajar jalan tengah. Seorang Muslim boleh mengambil apa sahaja yang baik daripada mana-mana budaya sambil berpegang teguh pada nilai teras Islam tanpa rasa malu. Kita mesti mempunyai prinsip tanpa terikut-ikut dengan orang lain. Kenapa hendak kena ikut orang lain? Menjadi lebih Islamik bukan bermakna memakai jubah atau pakaian budaya tertentu. Prinsip berpakaian telah ditetapkan dalam Al-Qur’an, tetapi budaya itu sendiri tidak wajib diikuti. Islam tidak ada uniform ya, asalkan sopan dan menutup aurat, itu sudah OK. Tidak salah kalau memakai pakaian orang Barat, orang Cina, orang Arab. Jangan pula kata pakaian orang Barat itu pakaian kafir pula, itu sudah salah faham kalau begitu. Islam adalah agama yang paling boleh diadaptasi dengan mana-mana budaya kerana ia tidak ada uniform tertentu, bahasa tertentu dan budaya tertentu. Malah kalau budaya bangsa yang baru menerima Islam itu tidak berlawanan dengan Islam, ia masih boleh diamalkan, tidak ada masalah. Bukanlah orang yang masuk agama Islam kena cakap Arab, kena pakai pakaian Arab dan tukar nama Arab!

Kita tidak ada masalah hidup di dalam mana-mana masyarakat dan budaya (yang tidak bertentangan dengan Islam). Sebagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang hidup di dalam istana Mesir. Baginda menjadi sebahagian daripada masyarakat itu tetapi tidak pernah menggadaikan prinsipnya. Dan prinsip itu di dalam minda dan hati kita, bukannya pada pakaian dan penampilan kita. Maka kita pula janganlah perasan yang kalau pakai jubah dan serban, automatik kita sudah dikira ikut agama yang benar. Belum tentu lagi, kerana kena rujuk juga dengan wahyu. Masalahnya ramai yang tertipu dengan pakaian seseorang, bukan? Sebab itu ramai orang kita tertipu dengan pakaian dan perawakan golongan Habib, yang memakai serban besar dan jubah sentiasa, tetapi apa yang mereka bawa adalah sesat belaka. Ini kerana orang kita tidak pandai menilai. Dengan pakaian pun boleh tertipu!

Selain itu, kenalah ada prinsip yang teguh di atas ajaran Islam. Jangan nampak Islamik, tetapi sebenarnya tidak. Bayangkan di negara kita ini makanan halal senang dicari, masjid dan surau di mana-mana, azan berkumandang, senang sahaja memakai tudung dan menutup aurat tanpa pandangan serong. Maknanya Islam sangat senang diamalkan di sini, bukan? Akan tetapi rasuah masih banyak, penipuan di serata tempat, dan malangnya ia dilakukan oleh orang Islam. Malah golongan agamawan pun banyak yang menipu, yang meliwat dan merogol pun ada sekarang. Jadi di mana Islamnya? Adakah setakat pandai baca Al-Qur’an dengan tajwid mendayu-dayu, tetapi menipu-menipu juga! Ini yang kita tidak mahu. Negara yang ramai dengan orang Islam tidaklah semestinya Islamik. Lebih-lebih lagi kalau pemahaman Islam itu pakai tangkap muat sahaja.

Negara kita ini kita kata negara Islam, namun kadangkala hendak mengamalkan Islam yang sebenar pun susah. Kalau kita orang yang pergi solat berjemaah setiap waktu, itu yang dipandang pelik, bukan? Kalau kita tidak mahu membazir di majlis perkahwinan, itu yang ditegur oleh makcik bawang; kalau kita menasihati kesalahan orang lain dalam agama, kita disindir: “Eleh, macam ustaz pulak dia ni!”; kalau kita hendak kembali kepada ajaran Sunnah, kita dituduh Wahabi dan hendak memecah-belahkan masyarakat!

Apabila Nabi Muhammad ﷺ menyebut سَبِيلِىٓ (jalanku), bukanlah bermaksud jalan itu jalan yang baginda buat. Ia tetap jalan Allah (سَبِيلِ اللَّهِ), tetapi baginda berjalan di atas jalan itu. Macam kita kata “Jalan aku ini ke rumah engkau lagi cepat…” bukanlah bermaksud jalan itu bapak kita yang buat. Maksudnya, kita sedang melalui jalan itu. Jadi apabila Rasulullah ﷺ sebut سَبِيلِىٓ kita boleh yakin yang itu adalah jalan Allah, yang Allah ‎ﷻ tetapkan untuk kita lalui. Baginda tidak mungkin akan reka jalan yang baru. Dan kita mestilah mengikut jalan yang Nabi ﷺ berada di atasnya. Jangan pula ikut ada orang kata: “Kalau Nabi ke kanan dan tok guru ke kiri…aku akan ikut ke kiri…” Ini mengarut sangat!

Mengisytiharkan dengan yakin, “Inilah jalanku,” selalunya datang dengan harga yang mahal. Cabaran terbesar sering kali tidak datang daripada orang asing, tetapi daripada mereka yang paling rapat seperti keluarga dan rakan-rakan yang mempunyai harapan berbeza untuk kita. Sebagai contoh perhatikan kisah Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberi gambaran yang paling tajam. Baginda adalah seorang anak muda yang genius, seorang bintang harapan yang sedang digilap untuk menjadi pemimpin besar kaumnya. Mereka telah melaburkan segala harapan dan aspirasi ke dalam dirinya. Apabila baginda memilih jalan kenabian, menyampaikan wahyu, menegur kesalahan masyarakat, kaumnya meluahkan kekecewaan yang menusuk kalbu. Ini seperti disebut di dalam Hud:62

قالوا يٰصٰلِحُ قَد كُنتَ فينا مَرجُوًّا قَبلَ هٰذا ۖ أَتَنهٰنا أَن نَّعبُدَ ما يَعبُدُ ءآباؤُنا وَإِنَّنا لَفي شَكٍّ مِّمّا تَدعونا إِلَيهِ مُريبٍ
Kaum Tsamud berkata: “Hai Saleh, sesungguhnya kamu sebelum ini adalah seorang di antara kami yang kami harapkan. Apakah kamu melarang kami untuk menyembah apa yang disembah oleh bapak-bapak kami? Dan sesungguhnya kami betul-betul dalam keraguan terhadap agama yang kamu serukan kepada kami”.

Sebaliknya, apabila Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyampaikan wahyu kepada mereka dan menolak agama kebiasaan mereka, lalu baginda telah ditolak. Ketika itu dunia mungkin melihatnya sebagai satu kekecewaan, di sisi Allah ‎ﷻ, ia adalah satu kemuliaan. Berdiri teguh di atas jalan kebenaran adakalanya bermakna kita terpaksa menghancurkan harapan manusia untuk memenuhi harapan Tuhan.

Jadi frasa “Inilah jalanku” bukan sekadar tiga patah perkataan biasa. Ia adalah satu pengisytiharan yang padat dengan keyakinan, sarat dengan warisan para anbiya’, dan merupakan satu panduan untuk membina identiti yang seimbang. Ia mengajar kita untuk berdiri dengan perlindungan Allah ‎ﷻ, menyedari bahawa jalan kita adalah kesinambungan legasi yang mulia, dan berani untuk menjadi berbeza secara berprinsip tanpa perlu mengasingkan diri daripada dunia. Dalam dunia yang sentiasa cuba menentukan siapa kita, bagaimanakah kita boleh berdiri teguh dan dengan yakin berkata, “Inilah jalanku?”

 

Kuiz Kefahaman (Soalan Jawapan Pendek)
Sila jawab soalan-soalan berikut berdasarkan pemahaman anda terhadap teks sumber. Setiap jawapan hendaklah terdiri daripada 2 hingga 3 ayat.

1. Apakah kepentingan kalimah “Qul” (Katakanlah) yang memulakan ayat 108 ini?
2. Mengapakah penggunaan frasa “jalanku” (sabili) dianggap unik berbanding frasa “jalan Allah” yang lebih lazim digunakan?
3. Bagaimanakah perkataan “ini” (hadzihi) dikaitkan dengan keseluruhan Surah Yusuf?
4. Huraikan dua perkara penting yang diberikan oleh perintah “Qul” kepada Nabi Muhammad s.a.w.
5. Apakah persamaan ujian yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Yusuf a.s. menurut teks tersebut?
6. Jelaskan perumpamaan “batu bata” dalam hadis yang dipetik berkaitan dengan kedudukan Nabi Muhammad s.a.w.
7. Bagaimanakah identiti seorang Muslim ditentukan mengikut tafsiran ayat ini?
8. Apakah dua kesilapan ekstrem yang sering dilakukan oleh manusia apabila menyedari jalan hidup mereka berbeza dengan masyarakat sekeliling?
9. Mengapakah kisah Nabi Saleh a.s. dijadikan contoh tentang cabaran dalam berpegang kepada kebenaran?
10. Apakah maksud sebenar di sebalik pernyataan Nabi bahawa Islam itu “jalanku” (sabili)?

 

Glosari Istilah Utama

Istilah
Definisi Berdasarkan Teks
Targhib
Ajakan atau dorongan yang bertujuan untuk menarik minat seseorang ke arah tauhid dan keimanan.
Basirah
Hujjah yang nyata, ilmu yang mendalam, atau kebijaksanaan dalam menyampaikan dakwah kepada Allah.
Sabili
Bermaksud “jalanku”; merujuk kepada pegangan, agama, dan sistem hidup yang dilalui oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Tauhid
Konsep mengesakan Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu yang lain (lawan kepada syirik).
Mushrikin
Golongan orang yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain dalam ibadah atau keyakinan.
Manhaj
Sistem, kaedah, atau jalan yang diikuti dalam memahami dan mengamalkan ajaran Islam.
Legasi/Warisan
Rangkaian perjuangan berterusan daripada para nabi terdahulu (Ibrahim, Ishaq, Ya’qub, Yusuf) yang disempurnakan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Sunnah
Jalan atau amalan yang selari dengan ajaran dan cara hidup Nabi Muhammad s.a.w.
Keterasingan
Keadaan berdiri sendirian dalam mempertahankan kebenaran di tengah-tengah masyarakat yang menentang atau tidak memahami.
Wahyu
Petunjuk langsung daripada Allah (Al-Quran) yang menjadi sumber mutlak bagi jalan (sabil) para Nabi.

 

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian seterusnya

Kemaskini: 4 Februari 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 107 (Terlalu fokus sampai lalai)

Yusuf Ayat 107:

أَفَأَمِنُوٓاْ أَن تَأتِيَهُم غَـٰشِيَةٌ مِّن عَذَابِ ٱللَّهِ أَو تَأتِيَهُمُ ٱلسَّاعَةُ بَغتَةً وَهُم لَا يَشعُرُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then do they feel secure that there will not come to them an overwhelming [aspect] of the punishment of Allāh or that the Hour will not come upon them suddenly while they do not perceive?

(MALAY)

Apakah mereka merasa aman daripada kedatangan seksa Allah yang meliputi mereka, atau kedatangan kiamat kepada mereka secara mendadak, sedang mereka tidak menyedarinya?

 

أَفَأَمِنُوٓاْ أَن تَأتِيَهُم غَـٰشِيَةٌ مِّن عَذَابِ ٱللَّهِ

Apakah mereka merasa aman daripada kedatangan seksa Allah yang meliputi mereka,

Apakah orang yang syirik itu merasa aman sahaja, berbuat apa sahaja yang mereka hendak lakukan, sedangkan Allah ‎ﷻ boleh kenakan azab pada mereka? Semasa mereka di dunia lagi Allah ﷻ boleh kenakan azab kepada mereka.

Maksud “غَـٰشِيَةٌ” secara bahasa adalah sesuatu yang “menutup” atau “meliputi”. Ia merujuk kepada azab atau bencana yang menimpa ketika manusia masih hidup di dunia. Ia daripada kata dasar غ ش ي yang bermaksud menutupi, datang kepada sesuatu, begitu banyak, tudung. Azab ini datang secara menyeluruh sehingga mereka tidak dapat melarikan diri daripadanya (seperti banjir besar kaum Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ atau jeritan suara yang membinasakan kaum Thamud).

Namun, perhatikan kalimah غَـٰشِيَةٌ adalah di dalam bentuk muannath (feminin) kerana ada ةٌ di dalam kalimah ini. Dalam kaedah bahasa Arab, benda yang bersifat menyelubungi atau meliputi secara menyeluruh sering diletakkan dalam bentuk feminin. Azab ini diibaratkan seperti awan atau kegelapan malam yang “menutup” manusia dari segala arah sehingga mereka tidak dapat melarikan diri. Penggunaan Ta Marbutah (ة) di hujung kalimah tidak semestinya menunjukkan jantina “perempuan”, tetapi boleh berfungsi sebagai mubalaghah (untuk menunjukkan tahap yang sangat tinggi/dahsyat). Ini sama seperti kalimah ‘allamah (عَلَّامَةٌ) yang bermaksud orang yang “sangat berilmu”, jadi kalimah غَـٰشِيَةٌ membawa maksud azab yang sangat dahsyat dan menutup rapat ruang mangsanya. Maka ia menunjukkan ia adalah amaran keras supaya manusia tidak merasa aman daripada bencana duniawi yang boleh datang secara tiba-tiba sebagai balasan atas keingkaran mereka. Begitulah istimewanya Bahasa Arab ini; hanya dengan penambahan satu huruf sahaja ia memberi maksud yang lebih lagi kepada sesuatu kalimah itu.

Akan tetapi jangan kita sangka jenis غَـٰشِيَةٌ ini seperti awan gelap, turun azab dari langit, puting beliung dan sebagainya sahaja. Ia boleh sahaja dalam bentuk kematian seseorang yang kita bergantung kepadanya, kemalangan yang menyebabkan kita tidak boleh bergerak bebas lagi, mungkin kita jatuh bangkrap, ditahan oleh SPRM, penyakit yang tidak nampak jalan sembuhnya.

Apa kaitan golongan Bani Israil dengan ayat ini yang menjadi pengajaran kepada kita? Kita kaitkan kerana kisah di dalam Surah Yusuf ini adalah tentang Bani Israil, jadi kita kena kaitkan juga. Beberapa contoh kekalahan Yahudi pada zaman Rasulullah ﷺ dan para sahabat adalah sebagai berikut:

1. Pengusiran Bani Qainuqa‘ dari Madinah. Bani Qainuqa‘ adalah kelompok Yahudi pertama yang secara terang-terangan melanggar perjanjian dengan Rasulullah ﷺ setelah Perang Badar. Mereka melakukan provokasi terhadap seorang wanita Muslim, sehingga terjadi pembunuhan dan akhirnya Rasulullah ﷺ mengepung mereka selama lima belas hari. Akhirnya, mereka menyerah dan diusir dari Madinah menuju Syam, serta harta mereka diambil oleh kaum Muslimin.

2. Pengusiran Bani Nadhir. Bani Nadhir berencana membunuh Rasulullah ﷺ ketika baginda datang ke tempat mereka untuk meminta bantuan membayar diyat. Allah ‎ﷻ mengabarkan rencana jahat mereka kepada Nabi ﷺ, sehingga baginda mengepung mereka dan memerintahkan mereka keluar dari Madinah. Harta dan kebun kurma mereka juga diambil oleh kaum Muslimin.

3. Kekalahan dan hukuman Bani Quraizhah. Bani Quraizhah melanggar perjanjian dengan Rasulullah ﷺ ketika Perang Ahzab (Khandaq) dengan membantu musuh. Setelah perang berakhir, Rasulullah ﷺ mengepung mereka dan akhirnya mereka menyerah. Para lelaki Bani Quraizhah dihukum mati, sementara wanita dan anak-anak mereka dijadikan tawanan, serta harta mereka dibahagi di antara kaum Muslimin.

4. Penaklukan Khaibar. Khaibar adalah benteng Yahudi terbesar di utara Madinah. Rasulullah ﷺ dan para sahabat mengepung dan menaklukkan benteng-benteng Khaibar setelah perlawanan sengit. Kaum Yahudi Khaibar akhirnya menyerah dan diizinkan tetap tinggal dengan syarat memberikan separuh hasil pertanian mereka kepada kaum Muslimin.

Perhatikan bagaimana Allah ‎ﷻ membalas rancangan jahat mereka terhadap Rasulullah ﷺ dan umat Islam. Tidakkah ini sama seperti rancangan jahat abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terhadap baginda? Dan rancangan jahat terhadap Nabi Muhammad ﷺ pun akan dibalas juga terhadap Musyrikin Mekah nanti. Tema غَـٰشِيَةٌ ini banyak disebut di dalam surah ini dan surah-surah yang lain. Ada orang yang rasa mereka kuat sebagaimana abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang rasa mereka mengusai Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan boleh berbuat apa sahaja. Dan begitu juga dengan Musyrikin Mekah. Nanti mereka akan dikuasai dan diliputi oleh perasaan malu dan azab daripada Allah ‎ﷻ.

Begitulah peringatan kepada kita. Jangan kita ingat apabila kita ada kuasa, kita boleh sewenang-wenangnya menghentam orang, berbuat zalim dengan orang lain. Nanti Allah ‎ﷻ akan balas perbuatan kita itu. Kalau kita jenis orang yang lalai terhadap ancaman Allah ‎ﷻ, maka kita akan dengan bermudah-mudahan melakukan kezaliman kepada orang lain tanpa rasa bersalah.

Jadi, di sini kita belajar satu dosa sebenarnya, iaitu dosa rasa aman daripada Azab Allah ‎ﷻ! Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Mulk:16

ءَأَمِنتُم مَّن فِي السَّماءِ أَن يَخسِفَ بِكُمُ الأَرضَ فَإِذا هِيَ تَمورُ
Adakah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Dia yang berada di langit itu: yang boleh menyebabkan bumi menimbus kamu, lalu bergegarlah bumi itu dengan serta-merta?

Adakah kamu berasa sedap hati sahaja, tidak takut apa-apa? Adakah kamu rasa macam tidak ada berbuat salah sahaja atas muka bumi ini? Adakah kamu rasa selamat? Padahal Allah ‎ﷻ boleh buat apa sahaja yang Dia kehendaki, bila-bila masa. Ingatlah yang kita sekarang duduk aman dan selesa di muka bumi ini kerana jaminan daripada Allah ‎ﷻ sahaja. Kalau Allah ‎ﷻ hendak goyangkan bumi ini, mudah sahaja bagi-Nya. Sebelum ini, Allah ‎ﷻ sudah menceritakan bagaimana bumi ini telah dijadikan untuk kita mudah untuk diami, mudah untuk kita berurusan di atasnya. Kita boleh berjalan ke mana-mana kita kehendaki. Memang kita boleh hidup di dunia dengan senang lenang selagi kita mengikut arahan Allah ‎ﷻ.

Namun kepada mereka yang ingkar kepada Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ berikan ancaman ini. Jangan sangka bahawa bumi yang kamu sedang diami itu boleh kekal tenang begitu sahaja. Allah ‎ﷻ boleh sahaja berikan azab kepada kita. Apakah azab itu? Nanti akan diberitahu sebentar lagi.

Di sini kita dapat tahu ada satu dosa batin, iaitu merasa aman dalam berbuat dosa. Kalau buat perkara mungkar sendiri sudah berdosa, tetapi kalau berasa aman dengannya, itu adalah dosa tambahan. Berapa ramai yang aman-aman sahaja membuat dosa, tidak ingat Allah ‎ﷻ, tidak ingat akhirat? Mereka berbuat dosa seolah-olah mereka tidak akan mati sampai bila-bila, seolah-olah tidak ada akhirat. Kerana itu, Hasan al-Basri رَحِمَهُ اللَّهُ pernah berkata bahawa orang beriman itu apabila mereka melakukan kebaikan pun mereka tetap takut kerana entah Allah ﷻ menerima amalnya atau tidak; akan tetapi orang tidak beriman itu buat dosa pun aman tenang sahaja.

Merasa aman daripada azab Allah (الأمن من عذاب الله) adalah dosa besar dalam Islam. Hal ini terjadi kerana sikap merasa aman daripada azab Allah ‎ﷻ menunjukkan kelalaian, kesombongan, dan kurangnya rasa takut kepada Allah ‎ﷻ, serta bertentangan dengan sifat seorang mukmin yang seharusnya selalu berada antara rasa takut (khauf) dan harap (raja’).

Dalam “شرح العقيدة الطحاوية” [Syarah Aqidah Tahawiyah] dijelaskan bahawa merasa aman daripada azab Allah ‎ﷻ dan berputus asa daripada rahmat-Nya adalah dua hal yang sangat berbahaya dan keduanya dapat mengeluarkan seseorang dari Islam jika diyakini secara mutlak. Allah ‎ﷻ memperingatkan dalam A’raf:99

أَفَأَمِنوا مَكرَ اللَّهِ ۚ فَلا يَأمَنُ مَكرَ اللَّهِ إِلَّا القَومُ الخٰسِرونَ
Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman daripada rancangan (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi.

Sikap ini berbahaya kerana dapat membuat seseorang lalai daripada ketaatan, terus-menerus dalam maksiat, dan tidak takut akan hukuman Allah ‎ﷻ. Kesimpulannya, merasa aman daripada azab Allah ‎ﷻ adalah dosa besar dan termasuk sifat tercela yang harus dihindari oleh setiap Muslim. Seorang mukmin seharusnya selalu berada di antara rasa takut akan azab Allah ‎ﷻ dan harapan akan rahmat-Nya.

 

أَو تَأتِيَهُمُ السّاعَةُ بَغتَةً وَهُم لا يَشعُرونَ

atau kedatangan kiamat kepada mereka secara mendadak, sedang mereka tidak menyedarinya?

Atau tidakkah mereka tahu yang kiamat itu boleh sahaja datang dengan tiba-tiba waktu mereka tidak sedar? Kalau sebelum ini tentang azab ketika di dunia, sekarang azab di akhirat pula. Waktu itu sudah terlambat untuk memperbaiki keadaan diri dan membetulkan amal kita. Maka janganlah tunggu waktu itu kerana sudah terlambat. Mungkin semasa di dunia, mereka selamat daripada غَـٰشِيَةٌ, hidup mereka senang lenang sahaja kerana Allah ‎ﷻ memberikan berbagai-bagai nikmat dan kelebihan kepadanya. Mungkin seseorang itu mengamalkan rasuah, tetapi SPRM tidak datang kejar dia, maka dia rasa selamat dan berani buat lagi. Ada orang menipu, tetapi lidah dia tidak kena petir pun. Allah ‎ﷻ bagi hidup dia senang sahaja sampai dia jadi leka. Tapi, jangan dia sangka dia akan selamat daripada satu lagi غَـٰشِيَةٌ iaitu الغاشِيَةِ seperti yang disebut di dalam Surah Al-Ghasyiah.

Perhatikan perbezaan antara  غَـٰشِيَةٌ dan الغاشِيَةِ. Kalimah الغاشِيَةِ adalah penambahan ال yang bermakna ia adalah sesuatu yang khusus, yang dikenali. Itulah Hari Kiamat nanti yang semuanya akan hancur dan tidak akan ada yang terselamat langsung! Kadangkala kita dapat peringatan daripada Allah ‎ﷻ dalam bentuk غَـٰشِيَةٌ supaya kita dapat membetulkan diri kita supaya kita selamat pada الغاشِيَةِ nanti.

Perhatikan kalimah بَغتَةً ditambah dengan ta’ marbootah (ة) untuk menguatkan lagi kalimah itu. Ini adalah seperti perbincangan kita tentang kalimah غَـٰشِيَةٌ sebelum ini. Ia akan datang secara mengejut, tanpa tanda. Ia akan datang tiba-tiba, yang tidak pernah dirasai terkejutnya itu selama ini. Maknanya hebat sangat kedatangannya itu. Memang Allah ‎ﷻ bila mengenakan azab, ia akan datang dengan kejutan, tanpa pemberitahuan. Di dalam ayat-ayat lain, dikatakan ketika sedang berniaga, sedang waktu Dhuha, sedang di rumah dan sebagainya. Sebagai contoh lihat A’raf:98

أَوَأَمِنَ أَهلُ القُرىٰ أَن يَأتِيَهُم بَأسُنا ضُحًى وَهُم يَلعَبونَ
Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main?

Tujuannya adalah Allah ‎ﷻ hendak menambah azab yang dikenakan itu kerana sekiranya ia datang dengan amaran, ia tidaklah sehebat azab yang datang secara tiba-tiba, bukan?

Apa kaitan dengan golongan Bani Israil dengan ayat ini  yang menjadi pengajaran kepada kita? Kita kena kaitkan dengan mereka kerana Surah Yusuf ini tentang kisah mereka. Bukankah mereka itu perasan yang mereka itu anak-anak Tuhan dan mereka pasti akan selamat dan tidak masuk ke neraka? Dan kalaulah dimasukkan pun, hanya untuk beberapa hari sahaja?  Allah ‎ﷻ berfirman tentang sangkaan mereka ini di dalam Ma’idah:18,

وَقَالَتِ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَىٰ نَحْنُ أَبْنَاءُ اللَّهِ وَأَحِبَّاؤُهُ ۚ قُلْ فَلِمَ يُعَذِّبُكُم بِذُنُوبِكُم ۖ بَلْ أَنتُم بَشَرٌ مِّمَّنْ خَلَقَ
“Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani berkata: ‘Kami adalah anak-anak Allah dan kekasih-kekasih-Nya’.’ Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Jika demikian, mengapa Dia menyeksa kamu dengan dosa-dosa kamu?’ (Tidak), bahkan kamu adalah manusia (biasa) di antara manusia lain yang diciptakan-Nya…”

Dan Allah ‎ﷻ berfirman yakinnya mereka akan selamat di dalam Baqarah:80

وَقَالُوا لَن تَمَسَّنَا النَّارُ إِلَّا أَيَّامًا مَّعْدُودَةً ۚ قُلْ أَتَّخَذْتُمْ عِندَ اللَّهِ عَهْدًا فَلَن يُخْلِفَ اللَّهُ عَهْدَهُ ۖ أَمْ تَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ
“Dan mereka berkata: ‘Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka melainkan selama beberapa hari yang tertentu sahaja.’ Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Adakah kamu sudah mendapat janji daripada Allah sehingga Allah tidak akan menyalahi janji-Nya, atau kamu hanya mengatakan terhadap Allah sesuatu yang tidak kamu ketahui?’

Adakah kita juga rasa kita selamat? Dalam sebuah eksperimen psikologi yang terkenal (“The Invisible Gorilla” (Gorila yang Tidak Kelihatan) yang dijalankan oleh Christopher Chabris dan Daniel Simons pada tahun 1999), sekumpulan peserta diminta untuk menonton video pendek dan mengira bilangan hantaran bola keranjang di antara pemain yang memakai baju putih. Semasa mereka begitu fokus dengan tugasan itu, sesuatu yang aneh berlaku: seorang individu yang memakai kostum gorila berjalan perlahan-lahan melintasi skrin, berhenti di tengah, menepuk dadanya, dan kemudian berjalan keluar. Hasilnya mengejutkan—majoriti besar peserta langsung tidak perasan akan “gorila” tersebut. Apakah kaitan eksperimen aneh ini dengan kehidupan kita? Dan apakah ‘gorila’ yang mungkin kita terlepas pandang setiap hari?

Fenomena yang ditunjukkan dalam eksperimen itu dikenali sebagai inattentional blindness atau “buta kerana tidak prihatin”. Ia adalah kecenderungan psikologi manusia di mana apabila kita terlalu menumpukan perhatian pada satu perkara, kita boleh menjadi buta kepada perkara lain, walaupun ia sangat jelas dan berada tepat di hadapan mata kita.

Apakah kaitannya dengan agama? Sebagaimana di dalam ujian itu, insan beragama juga boleh begitu terlatih dalam ritual sehingga terlepas pandang mesej kemanusiaan yang menjadi intipati agama itu sendiri. Seseorang boleh menjadi terlalu fokus pada aspek teknikal — seperti mengkaji hukum-hakam, tatacara ibadah, atau analisis tatabahasa kitab suci — sehingga mereka buta terhadap isu etika dan keadilan yang berada tepat di hadapan mereka. Mereka mungkin tidak nampak ketidakadilan yang telah dilakukan terhadap orang lain yang berada di hadapan mata mereka sendiri. 

Satu lagi kajian yang lebih membimbangkan melibatkan radiologis — pakar yang tugasnya adalah untuk mengesan kelainan yang sangat kecil pada imbasan perubatan. Apabila imej kecil seekor gorila diletakkan di dalam imbasan x-ray paru-paru, 83% daripada pakar ini gagal melihatnya. Fikiran mereka begitu terlatih untuk mencari satu jenis maklumat (seperti lesi atau tumor) sehingga mereka secara mental terlepas pandang sesuatu yang sangat luar biasa tetapi tidak dijangka. Fenomena ini bukan sekadar keanehan psikologi; ia mendedahkan bagaimana kepakaran dan fokus yang mendalam boleh menjadi sejenis titik buta yang berbahaya.

Di dalam Ayat 105 kita telah lihat golongan yang melihat sahaja tanda pada alam tetapi mereka buat tidak tahu. 

وَڪَأَيِّن مِّن ءَايَةٍ فِى ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلأَرضِ يَمُرُّونَ عَلَيهَا وَهُم عَنهَا مُعرِضُونَ
Dan berapa banyak sekali tanda-tanda (kekuasaan Allah) di langit dan di bumi yang mereka melaluinya, sedang mereka berpaling dari padanya.

Kali ini di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ sebut mereka tidak perasan pun: وَهُم لَا يَشعُرُونَ (sedang mereka tidak menyedarinya). Maka begitu jugalah dengan eksperimen gorila ini, memberikan contoh bagaimana manusia apabila fokus kepada sesuatu subjek, mereka tidak nampak subjek lain lagi. Begitulah kalau manusia fokus kepada dunia, maka mereka lupa kepada akhirat dan tanda-tanda yang mengingatkan mereka kepadanya. Jadi, ini mengajari kita untuk membuka mata dan memperhatikan sekeliling akan tanda-tanda yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita sebagai peringatan. 

Dan perkara ini juga boleh terjadi kepada ‘orang agama’. Kita mungkin belajar dan mengajar tentang agama dan kita fokus kepada perincian hukum itu dan ini, perincian tentang nahu dan balaghah bahasa Al-Qur’an dan sebagainya, kadangkala kita terlupa dengan perkara yang berlaku di sekeliling kita. Mungkin ada saudara mara kita yang memerlukan bantuan, kepada orang yang dibuli, kepada isteri yang memerlukan belaian kasih kita dan apa-apa sahaja hal dalam kehidupan kita; hanya kerana kita fokus kepada ilmu. Mendalami ilmu itu memang penting, tetapi kalau ia tidak diamalkan dalam kehidupan kita, itu adalah sesuatu yang menyedihkan.

Dan bagaimana dengan kejadian demi kejadian yang berlaku di sekeliling kita? Sebagai contoh, ada orang di sekeliling kita yang jatuh sakit, meninggal, ditimpa kemalangan dan sebagainya. Bukankah itu tanda yang hidup ini rapuh dan Allah ‎ﷻ boleh berikan apa sahaja musibah kepada kita? Bukankah kematian  yang berlaku kepada orang lain itu boleh sahaja datang kepada kita bila-bila masa? Adakah kita rasa aman? أَفَأَمِنُوٓاْ أَن تَأتِيَهُم غَـٰشِيَةٌ مِّن عَذَابِ ٱللَّهِ (Apakah mereka merasa aman daripada kedatangan seksa Allah yang meliputi mereka?) Bukankah semua yang terjadi itu menjadi tanda kepada kita untuk memerhatikan kehidupan kita? Adakah ia selari dengan agama? Adakah ia selari dengan akhlak yang mulia?

Satu lagi ‘gorila’ yang sering kita terlepas pandang ialah akibat daripada perbuatan kita sendiri. Ini adalah sejenis ‘buta kerana tidak prihatin’ yang berbeza — bukan disebabkan oleh tumpuan yang mendalam pada tugasan lain, tetapi akibat tindakan sengaja dan berulang kali mengabaikan sesuatu sehingga ia seolah-olah lenyap daripada kewujudan psikologi kita. Fikirkan satu analogi seorang pelajar yang terus berkata, “Nanti saya buat” setiap kali tugasan diberikan. Pada mulanya, ia adalah penangguhan yang disedari tetapi selepas mengabaikan peringatan berkali-kali, tugasan itu seolah-olah “hilang daripada fikiran mereka”. Mereka tidak lagi memikirkannya, sehinggalah hari peperiksaan tiba dan mereka terkejut, sama sekali tidak bersedia.

Analogi ini selari dengan kehidupan rohani kita. Apabila kita berulang kali mengabaikan tanda-tanda atau peringatan daripada Tuhan, kita mula membina rasa selamat yang palsu. Kita mula percaya bahawa hari perhitungan tidak akan pernah tiba. Rasa selamat ini diperkuatkan lagi apabila tiada akibat serta-merta yang menimpa kita. Contoh: “Aku berbohong tetapi lidah saya tidak disambar petir… Nampaknya aku terlepas, tidak ada apa-apa pun.” Sikap ini membuatkan kita semakin selesa dalam kelalaian, tanpa menyedari bahaya yang sedang menghampiri.

Akhir sekali, kita perhatikan susunan وَهُم لا يَشعُرونَ. Kalimah هُم (mereka) itu kalau tidak ada, terjemahan itu pun sudah lengkap. Ia boleh jadi begini dan ia telah lengkap: أَو تَأتِيَهُمُ السّاعَةُ بَغتَةً وَلا يَشعُرونَ. Maksud ‘mereka’ sudah ada di dalam kalimah يَشعُرونَ (mereka menyedari). Jadi, kalimah هُم adalah tambahan dan ia mempunyai makna yang mungkin tidak jelas bagi sesetengah orang. Ia menegaskan kepada kita yang mereka sahaja yang tidak perasan, sedangkan ada sahaja orang yang perasan. Sepertimana analogi pelajar yang lalai belajar dan tidak perasan tentang peperiksaan yang ‘tiba-tiba’ datang baginya. Sedangkan pelajar lain tahu sahaja kerana guru sentiasa mengingatkan mereka. Sebaliknya, pelajar lalai itu sahaja yang sibuk bermain game, sibuk berpeleseran.

Jadi, ayat 107 ini memberikan amaran keras tentang rasa selamat yang palsu ini. Ia menyebutkan dua jenis akibat yang boleh menimpa mereka yang terus-menerus mengabaikan tanda-tanda Tuhan:

1. Hukuman yang menyelubungi (ghashiyah) di dunia ini: Ini adalah hukuman yang datang meliputi seseorang dalam kehidupan ini. Ia boleh datang dalam pelbagai bentuk — bencana ekonomi, tragedi keluarga, krisis politik, atau apa sahaja musibah yang boleh menjadi ghashiyah. Ia bukanlah hukuman terakhir, tetapi “rasa” atau pra-tonton kecil daripada akibat penuh perbuatan kita.

2. “Saat” (as-sa’ah) yang datang secara tiba-tiba (baghtatan): Ini merujuk kepada Hari Kiamat itu sendiri, yang akan datang tanpa sebarang amaran — secara mengejut dan tidak dijangka. Apabila ia tiba, tiada lagi ruang untuk persediaan.

Ironinya amat jelas: orang yang merasa paling selamat adalah orang yang sebenarnya berada dalam bahaya yang paling besar. Mengapa? Kerana mereka adalah yang paling tidak bersedia. Tumpuan mereka pada keseronokan duniawi, penangguhan, dan rasa selamat yang palsu telah membutakan mereka daripada realiti akhir yang pasti akan datang.

Apakah pengajaran kepada kita? Jangan kita salah sangka yang peringatan ini bagi orang kafir sahaja. Ia juga untuk kita orang Muslim kerana abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu juga Muslim, bukan? Malah mereka itu anak seorang Nabi! Lihat, anak Nabi pun boleh lalai, apatah lagi kita. Terutama sekali kalau kita tidak beringat-ingat dan lupa, malah menjauhkan diri daripada peringatan wahyu. Bermula daripada satu eksperimen psikologi yang mudah, kita dapat melihat satu kecenderungan mendalam dalam diri manusia: kita boleh terlepas pandang perkara yang paling penting dan paling jelas apabila tumpuan kita berada di tempat lain. Sama ada kita terlalu fokus pada ritual sehingga mengabaikan etika, atau terlalu sibuk dengan dunia sehingga melupakan akhirat, kita semua berisiko menjadi buta kepada “gorila” dalam hidup kita.

Kita semua mempunyai fokus, keutamaan, dan gangguan kita sendiri. Persoalannya ialah: Apakah ‘gorila’ yang jelas tetapi tersembunyi dalam hidup anda sekarang, yang menuntut perhatian anda?

 

Berikut adalah beberapa pengajaran ringkas:

Bahaya Dosa “Merasa Aman” daripada Azab: Merasa aman semasa melakukan maksiat (Al-Amnu min ‘adhab Allah) adalah satu dosa besar kerana ia menunjukkan kesombongan, kelalaian, dan kurangnya rasa takut kepada Allah ‎ﷻ. Seorang mukmin seharusnya sentiasa berada di antara rasa takut (khauf) dan harap (raja’).

Azab Dunia yang Menyelubungi (Ghashiyah): Allah ‎ﷻ boleh mengenakan azab yang meliputi manusia secara menyeluruh sehingga mereka tidak dapat melarikan diri. Azab ini tidak semestinya dalam bentuk bencana alam, tetapi boleh hadir dalam bentuk kematian orang tersayang, kemalangan, kebangkrapan, atau penyakit kronik.

Fenomena “Buta Kerana Terlalu Fokus” (Inattentional Blindness): Apabila manusia terlalu menumpukan perhatian kepada urusan dunia, mereka boleh menjadi “buta” terhadap tanda-tanda kekuasaan Allah ‎ﷻ yang jelas di hadapan mata.

Kecenderungan “Titik Buta” dalam Beragama: Orang yang mendalami agama juga berisiko menjadi buta terhadap isu etika, keadilan, dan tanggungjawab sosial (seperti mengabaikan kebajikan isteri atau keluarga) jika mereka hanya fokus kepada aspek teknikal, ritual, atau teori ilmu semata-mata.

Kedatangan Kiamat yang Mendadak: Hari Kiamat (As-Sa’ah) akan datang secara tiba-tiba (baghtatan) tanpa sebarang amaran atau tanda bagi mereka yang lalai. Pada waktu itu, sudah terlambat untuk memperbaiki amal atau bertaubat.

Rasa Selamat yang Palsu: Kelewatan azab atau ketiadaan balasan serta-merta (seperti tidak disambar petir selepas berbohong) bukan bermakna seseorang itu selamat, tetapi ia adalah perangkap kelalaian yang membuatkan manusia terus selesa dalam dosa sehingga hari perhitungan tiba.

Kekuasaan Bukan Jaminan Keselamatan: Memiliki kuasa atau kedudukan tinggi tidak bermakna seseorang boleh melakukan kezaliman sesuka hati. Sebagaimana rancangan jahat abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kaum Yahudi di Madinah akhirnya dibalas oleh Allah ‎ﷻ, kezaliman masa kini juga akan menerima akibatnya.

Dunia Hanya Jaminan Sementara: Keamanan dan keselesaan yang kita nikmati di muka bumi hanyalah atas jaminan dan ihsan daripada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ berkuasa untuk menggoncangkan ketenangan tersebut pada bila-bila masa jika Dia menghendaki.

 

Kuiz Kefahaman

Jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat berdasarkan maklumat daripada teks sumber.

1. Apakah maksud literal dan tafsiran bagi kalimah غَـٰشِيَةٌ (ghashiyah) dalam konteks ayat 107?

2. Bagaimanakah penambahan Ta Marbutah (ة) pada hujung kalimah غَـٰشِيَةٌ mengubah atau menguatkan maknanya?

3. Berikan dua contoh غَـٰشِيَةٌ yang boleh berlaku dalam kehidupan moden, seperti yang dihuraikan dalam teks.

4. Mengapakah “merasa aman dari azab Allah” (الأمن من عذاب الله) dianggap sebagai satu dosa besar dalam Islam?

5. Apakah perbezaan utama antara istilah غَـٰشِيَةٌ dan الغاشِيَةِ dari sudut bahasa dan makna?

6. Terangkan bagaimana Allah membalas rancangan jahat Bani Israil pada zaman Rasulullah ﷺ, yang menjadi contoh غَـٰشِيَةٌ dalam sejarah.

7. Apakah kaitan antara eksperimen psikologi “The Invisible Gorilla” dengan kelalaian manusia terhadap tanda-tanda kebesaran Allah?

8. Bagaimanakah fokus yang mendalam terhadap sesuatu perkara, seperti yang ditunjukkan oleh kajian radiologis, boleh menyebabkan “titik buta” dalam kehidupan beragama?

9. Apakah kepentingan penambahan kalimah هُم dalam frasa وَهُم لا يَشعُرونَ (sedang mereka tidak menyedarinya)?

10. Menurut teks, siapakah golongan yang sebenarnya berada dalam bahaya yang paling besar dan mengapa?

Glosari Istilah Penting

Istilah
Definisi Berdasarkan Teks
غَـٰشِيَةٌ (Ghashiyah)
Sesuatu yang “menutup” atau “meliputi”. Merujuk kepada azab atau bencana yang menimpa ketika manusia masih hidup di dunia, datang secara menyeluruh sehingga tidak dapat melarikan diri.
مُبَالَغَةٌ (Mubalaghah)
Satu kaedah dalam bahasa Arab di mana penambahan huruf (seperti Ta Marbutah) digunakan untuk menunjukkan sesuatu pada tahap yang sangat tinggi, dahsyat, atau keterlaluan.
Ta Marbutah (ة)
Huruf di hujung kalimah feminin dalam bahasa Arab. Dalam konteks ini, ia berfungsi sebagai mubalaghah untuk menguatkan makna kalimah seperti غَـٰشِيَةٌ dan بَغْتَةً.
الأمن من عذاب الله (Al-Amnu min ‘adzabillah)
Dosa besar iaitu “merasa aman dari azab Allah”. Ia merujuk kepada sikap lalai, sombong, dan kurang rasa takut kepada Allah sehingga selesa dalam melakukan maksiat.
خَوْف (Khauf)
Rasa takut terhadap azab Allah, satu sifat yang perlu ada pada seorang mukmin.
رَجَاء (Raja’)
Rasa harap terhadap rahmat Allah, satu sifat yang perlu ada pada seorang mukmin, diseimbangkan dengan khauf.
السَّاعَةُ (As-Sa’ah)
“Saat itu”, merujuk secara spesifik kepada Hari Kiamat.
بَغْتَةً (Baghtatan)
Secara mendadak, mengejut, tiba-tiba, tanpa sebarang tanda atau amaran.
الغاشِيَةِ (Al-Ghashiyah)
Istilah khusus dengan ال yang merujuk kepada Hari Kiamat yang akan meliputi dan menghancurkan segala-galanya tanpa terkecuali.
Inattentional blindness (Buta kerana tidak prihatin)
Fenomena psikologi di mana seseorang menjadi buta atau tidak perasan kepada sesuatu yang jelas kelihatan kerana terlalu fokus kepada tugasan atau perkara lain.
وَهُم لَا يَشعُرُونَ (Wa hum laa yash’uruun)
Frasa yang bermaksud “sedang mereka tidak menyedarinya”. Penambahan هُم (mereka) menegaskan bahawa hanya golongan yang lalai sahaja yang tidak sedar.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 29 Januari 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)