Tafsir Surah an-Nahl Ayat 54 – 59 (Berdoa hanya bila kesusahan)

Nahl Ayat 54:

ثُمَّ إِذا كَشَفَ الضُّرَّ عَنكُم إِذا فَريقٌ مِّنكُم بِرَبِّهِم يُشرِكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then when He removes the adversity from you, at once a party of you associates others with their Lord

(MELAYU)

Kemudian apabila Dia telah menghilangkan kemudharatan itu dari pada kamu, tiba-tiba sebahagian dari pada kamu mempersekutukan Tuhannya dengan (yang lain),

 

ثُمَّ إِذا كَشَفَ الضُّرَّ عَنكُم

Kemudian apabila Dia telah menghilangkan kemudharatan itu dari pada kamu,

Memang Allah ﷻ sahaja tempat kita meminta tolong. Ramai yang apabila berada di dalam kesusahan, mereka akan melaung, menjerit-jerit, memekik minta tolong kepada Allah ﷻ. Waktu itu mereka ada meminta tolong terus kepada Allah ﷻ – merayu-rayu dan merintih-rintih minta Allah ﷻ angkat mudarat yang sedang mereka hadapi. Kalau orang Islam, mereka akan angkat tangan doa lama-lama kepada Allah ﷻ.

Setelah merintih meminta tolong, Allah ﷻ boleh sahaja angkat mudarat itu daripada mereka. Namun selepas itu apa yang mereka buat?

 

إِذا فَريقٌ مِّنكُم بِرَبِّهِم يُشرِكونَ

tiba-tiba sebahagian dari pada kamu mempersekutukan Tuhannya

Orang-orang yang ingkar dengan tauhid, apabila Allah ﷻ angkat kesusahan itu, tiba-tiba mereka buat syirik kepada Allah ﷻ. Bukan semua, tetapi dalam kalangan mereka yang ingkar dengan tauhid. Kerana itu Allah ﷻ gunakan kalimah فَريقٌ مِّنكُم. Kalimah يُشرِكونَ itu di dalam bentuk fi’il mudhari’ bermaksud sentiasa perkara ini terjadi dan bukan waktu itu sahaja.

Namun bagaimana mereka dikatakan mensyirikkan Allah ﷻ, pula? Iaitu mereka kata musibah dan mudarat yang diselamatkan daripada mereka itu bukannya Allah ﷻ yang angkat – tetapi mereka berkata kerana amalan mereka, kerana usaha mereka, kerana mereka minta tolong kepada guru itu dan ustaz ini, kerana mereka mandi bunga dan sebagainya.

Padahal dulu mereka minta tolong kepada Allah ﷻ dan Allah ﷻ yang angkat musibah mereka itu – tetapi mereka kata sebab lain pula (mereka tidak kata Allah ﷻ yang angkat musibah itu daripada mereka). Inilah yang dimaksudkan mereka telah buat syirik apabila mudarat diangkat daripada mereka. Ini adalah jenis manusia yang tidak mengenang budi. Hal ini juga ada disebut di dalam Zumar: 49

فَإِذا مَسَّ الإِنسٰنَ ضُرٌّ دَعانا ثُمَّ إِذا خَوَّلنٰهُ نِعمَةً مِّنّا قالَ إِنَّما أوتيتُهُ عَلىٰ عِلمٍ ۚ بَل هِيَ فِتنَةٌ وَلٰكِنَّ أَكثَرَهُم لا يَعلَمونَ
Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, dia segera berdoa kepada Kami; kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) daripada Kami, berkatalah dia (dengan sombongnya): “Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku”. (Tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian nikmat yang tersebut adalah ujian (adakah ia bersyukur atau sebaliknya), akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu).

Hinanya jiwa yang seperti ini, tidak ubahnya seperti anjing. Di waktu tersepit dia menyalak, setelah ditolong dan ada orang melepaskan, dia menggerutu dan mengeluarkan giginya, tidak kenal terima kasih. Begitulah perumpamaan setelah manusia lepas daripada bahaya lalu mempersekutukan Tuhan. Dengan siapa? Misalnya ialah orang yang telah diikat seluruh dirinya oleh bahaya, lalu dia pergi bernazar dan berdoa kepada sebuah kubur yang dianggapnya keramat. Dia tidaklah berdoa kepada kubur itu, tetapi kononnya orang dalam kubur itu dapat tolong sampaikan doanya itu kepada Allah ﷻ. Lalu dia pulang sehabis berdoa di kubur itu. Beberapa waktu kemudian, dia pun terlepas daripada hutang. Maka memuji syukurlah dia kepada kuburan keramat itu, sebab menurut kepercayaannya, kubur itulah yang menolong dia.

Sepatutnya mereka bersyukur kepada Allah ﷻ. Spabila bersyukur atas nikmat pemberian Allah ﷻ, atau nikmat diangkat bala daripadanya, maka Allah ﷻ akan tambah lagi nikmat itu. Akan tetapi jikalau tidak bersyukur, maka balasan ngeri pula yang akan diterima. Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam Ibrahim: 7

وَإِذ تَأَذَّنَ رَبُّكُم لَئِن شَكَرتُم لَأَزيدَنَّكُم ۖ وَلَئِن كَفَرتُم إِنَّ عَذابي لَشَديدٌ
Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”.

Namun yang lebih penting kita kena tahu adalah bagaimana cara bersyukur? Adakah hanya dengan menyebut Alhamdulillah sahaja? Itu tidak cukup kerana perbuatan syukur yang sebenar adalah dengan mentaati perintah Allah ﷻ dan meninggalkan larangan-Nya. Barulah dikira benar-benar syukur. Kalau kita menerima sesuatu daripada orang, adakah kita akan lawan cakapnya? Tentu tidak, bukan? Maka begitulah juga dengan Allah ﷻ. Dengan segala nikmat yang telah diberikan kepada kita, adakah layak kita melawan arahan-Nya? Allah ﷻ ajar kita cara bersyukur seperti disebut dalam Baqarah: 172

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا كُلُوْا مِنْ طَيِّبٰتِ مَا رَزَقْنٰكُمْ وَاشْكُرُوْا لِلّٰهِ اِنْ كُنْتُمْ اِيَّاهُ تَعْبُدُوْنَ
Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.

Oleh itu, di dalam ayat ini Allah ﷻ memberitahu yang jikalau kita mendapat rezeki makanan, maka hendaklah bersyukur. Ayat ini kena dibaca dengan Mukminoon: 51 untuk mendapat pemahaman tentang apakah itu syukur.

يا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلوا مِنَ الطَّيِّبٰتِ وَاعمَلوا صٰلِحًا
Hai rasul-rasul, makanlah daripada makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh.

Kalau dibaca kedua-dua ayat ini, kita boleh kaitkan bahawa syukur yang dimaksudkan di dalam Baqarah: 172 itu adalah dengan melakukan amal soleh seperti disebut pula di dalam Mukminoon: 51. Inilah kaitan antara syukur dan beramal soleh. Maka ia bukanlah dari segi iktikad dan melafazkan Alhamdulillah sahaja, tetapi hendaklah diikuti dengan melakukan amal soleh.


 

Nahl Ayat 55: Ayat Takhwif Ukhrawi. Ini bagi mereka yang buat syirik kepada Allah ﷻ setelah Allah ﷻ angkat musibah daripada mereka:

لِيَكفُروا بِما ءاتَينٰهُم ۚ فَتَمَتَّعوا ۖ فَسَوفَ تَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So they will deny what We have given them. Then enjoy yourselves, for you are going to know.

(MELAYU)

Akibatnya mereka mengingkari nikmat yang telah Kami berikan kepada mereka; maka bersenang-senanglah kamu. Kelak kamu akan mengetahui (akibatnya).

 

لِيَكفُروا بِما ءاتَينٰهُم

Akibatnya mereka mengingkari nikmat yang telah Kami berikan kepada mereka;

Disebabkan kufur nikmat itu menyebabkan mereka menjadi kufur. Asalnya mereka dikenakan dengan musibah dan mereka pun berdoa terus kepada Allah ﷻ. Namun apabila musibah itu diangkat oleh Allah ﷻ, mereka melakukan syirik pula kepada Allah ﷻ – mereka katakan bahawa musibah itu diangkat kerana perbuatan mereka, kerana doa tok guru, kerana mandi tolak bala dan sebagainya; mereka tidak berkata yang ia kerana Allah ﷻ.

Maka apabila itu berlaku, akibatnya mereka menjadi kufur. Iaitu lupa kepada nikmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka.

 

فَتَمَتَّعوا

maka bersenang-senanglah kamu. 

Allah ﷻ berkata biarlah mereka itu duduk dalam kufur. Kalau mahu sangat degil dan juga duduk dalam sifat yang lupa kepada Allah ﷻ, maka teruskanlah. Ini bukan berita gembira, suruh mereka bergembira pula, tidak! Ini sebenarnya adalah ancaman!

Ada iltifat dalam ayat ini (perubahan percakapan – tadi mereka dikatakan dalam pihak ketiga, sekarang Allah ﷻ terus bercakap dengan mereka): “Kamu bersuka-sukalah sekejap sementara ada masa”. Apabila ada iltifad seperti ini, ia amat menakutkan.

Bayangkan kalau seorang guru masuk kelas dan kata: “Ada pelajar yang tidak lulus peperiksaan yang kita buat minggu lepas”. ‘Pelajar’ yang dimaksudkan itu disebut dalam pihak ketiga. Walaupun menakutkan, tryapi tidak terasa sangat. Akan tetapi, kalau tiba-tiba guru itu terus bercakap dengan pelajar yang gagal itu: “Ha! kamu! Kenapa kamu tidak belajar sungguh-sungguh?!”. Tentu ini ada kesan yang menyesakkan jiwa kalau kitalah pelajar itu, bukan?

 

فَسَوفَ تَعلَمونَ

Kelak kamu akan mengetahui 

Allah ﷻ kata, biarlah kalau kamu hendak bergembira, terus lalai, silakan, silakanlah wahai manusia! Kamu bersenang-senanglah sementara kamu boleh lagi hidup di dunia ini. Nanti siaplah kamu, kamu akan tahu juga nanti, apakah balasan yang akan dikenakan terhadap kamu.


 

Nahl Ayat 56: Allah ﷻ terus memberitahu apakah sifat dan amalan mereka. Ini adalah contoh Syirik Amali yang mereka lakukan.

وَيَجعَلونَ لِما لا يَعلَمونَ نَصيبًا مِّمّا رَزَقنٰهُم ۗ تَاللهِ لَتُسئَلُنَّ عَمّا كُنتُم تَفتَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they assign to what they do not know¹ [i.e., false deities] a portion of that which We have provided them. By Allāh, you will surely be questioned about what you used to invent.

  • i.e., that of which they have no knowledge; rather, they have mere assumption based upon tradition or the claims of misguided men.

(MELAYU)

Dan mereka sediakan untuk yang mereka tiada mengetahui, satu bahagian dari rezeki yang telah Kami berikan kepada mereka. Demi Allah, sesungguhnya kamu akan ditanyai tentang apa yang telah kamu ada-adakan.

 

وَيَجعَلونَ لِما لا يَعلَمونَ نَصيبًا مِّمّا رَزَقنٰهُم

Dan mereka sediakan untuk yang mereka tiada mengetahui, satu bahagian dari rezeki yang telah Kami berikan kepada mereka.

Orang-orang yang ada fahaman syirik akan membuat amalan syirik pula. Iaitu mereka adakan bahagian untuk ilah-ilah rekaan mereka sebagai persembahan (seperti makanan atau sembelihan binatang). Ilah sembahan mereka itu dibuat oleh mereka, maka berhala-berhala itu tidak mengetahui apa-apa. Kita telah bertemu dengan firman Allah ﷻ di dalam ayat 20 dan 21

وَالَّذينَ يَدعونَ مِن دونِ اللهِ لا يَخلُقونَ شَيئًا وَهُم يُخلَقونَ
Dan roh-roh yang mereka seru selain Allah, tidak dapat membuat sesuatu apapun, sedang mereka itu (sendiri) dibuat.

أَموٰتٌ غَيرُ أَحياءٍ ۖ وَما يَشعُرونَ أَيّانَ يُبعَثونَ
Mereka itu benda mati tidak hidup, dan mereka tidak mengetahui bilakah mereka akan dibangkitkan.

Ma’bud bathil mereka itu tidak dapat memberi manfaat malah mudarat kepada penyembahnya. Ini seperti Allah ﷻ suruh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berhujah dengan kaumnya dan disebut dalam An’am: 71

قُل أَنَدعو مِن دونِ اللَّهِ ما لا يَنفَعُنا وَلا يَضُرُّنا
Katakanlah: “Patutkah kita menyeru serta menyembah yang lain daripada Allah, sesuatu yang tidak dapat memberi manfaat kepada kita dan tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kita;

Mereka sajikan persembahan kepada ilah-ilah lain sedangkan yang mereka sajikan itu adalah daripada rezeki yang Allah ﷻ beri. Tujuan mereka adalah untuk mendapatkan sesuatu daripada berhala-berhala mereka itu. Orang kita pun ada juga buat sembahan pulut kuning kepada penjaga bukit, kubur wali kononnya, sembelih ayam jantan seekor, jin bunian dan macam-macam lagi perkara sesat. Mereka namakan sebagai ‘ancak’.

Sebagai contoh, Musyrikin Mekah akan sembelih binatang ternak dan persembahkan kepada patung-patung berhala mereka. Ini kerana mereka mahu mengambil hati (membodek) roh-roh sembahan mereka itu, sedangkan roh-roh itu tidak mengetahui pun. Ini seperti firman Allah ﷻ yang menceritakan ucapan mereka:

هَذَا لِلَّهِ بِزَعْمِهِمْ وَهَذَا لِشُرَكَائِنَا فَمَا كَانَ لِشُرَكَائِهِمْ فَلا يَصِلُ إِلَى اللَّهِ وَمَا كَانَ لِلَّهِ فَهُوَ يَصِلُ إِلَى شُرَكَائِهِمْ
Ini untuk Allah, sesuai dengan persangkaan mereka, dan ini untuk berhala-berhala kami. Maka saji-sajian yang diperuntukkan bagi berhala-berhala mereka tidak sampai kepada Allah; dan saji-sajian yang diperuntukkan bagi Allah, maka sajian itu sampai kepada berhala-berhala mereka. Amat buruklah ketetapan mereka itu.
(Al-An’am: 136)

Seperti zaman sekarang, masih ada orang kita ada yang buat sembahan kepada busut; ada yang pergi jumpa bomoh dan bomoh kata harus sembelih kambing/ayam/lembu. Ramai juga yang lakukan seperti yang disuruh oleh para bomoh itu. Itu semua adalah persembahan kepada selain Allah ﷻ dan itu adalah syirik.

 

تَاللهِ

Demi Allah, 

Allah ﷻ bersumpah dengan nama-Nya. Ini menunjukkan besarnya perkara yang hendak disampaikan. Semua ayat Al-Qur’an adalah penting, tetapi apabila Allah ﷻ ada bersumpah dahulu, ini menunjukkan ia adalah perkara yang amat penting sampai Allah ﷻ bersumpah dengan Nama-Nya pula.

Apabila digunakan huruf ت dalam sumpah, ia lebih kuat daripada guna huruf و. Ini adalah kerana huruf ت hanya digunakan untuk nama Allah ﷻ sahaja, sedangkan bagi huruf sumpah yang lain, boleh sahaja digunakan dengan masa, umur dan sebagainya (makhluk Allah ﷻ). Maka kalimah sumpah تَاللهِ ini adalah yang paling kuat kerana Allah ﷻ bersumpah dengan Nama-Nya.

 

لَتُسئَلُنَّ عَمّا كُنتُم تَفتَرونَ

sesungguhnya kamu akan ditanyai tentang apa yang telah kamu ada-adakan.

Allah ﷻ ingin beritahu betul-betul, pasti mereka akan ditanya dengan teruk nanti apa yang mereka lakukan itu. Waktu itu, bagaimana lagi mereka mahu jawab? Rezeki yang Allah ﷻ berikan kepada mereka, kenapa mereka persembahkan kepada ma’bud bathil yang lain seperti berhala dan patung-patung itu? Bagaimana mereka hendak jawab nanti?

Akan tetapi kena ingat, bukan mereka sahaja yang akan ditanya, malahan kita semua akan ditanya atas nikmat yang kita dapat semasa di dunia ini. Allah ﷻ berfirman di dalam Takathur: 8

ثُمَّ لَتُسأَلُنَّ يَومَئِذٍ عَنِ النَّعيمِ
kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan

Manusia akan ditanya: Kamu dahulu berada dalam kesenangan yang berterusan. Apa yang kamu lakukan dengan kesenangan itu? Hidup kamu senang, macam-macam kamu dapat. Tetapi adakah kamu bersyukur dengannya? Adakah kamu gunakan untuk kebaikan?


 

Nahl Ayat 57: Ayat Zajrun (teguran). Sekarang Allah ﷻ menegur amalan Musyrikin Mekah. Mereka sesuka hati mengatakan bahawa para malaikat itu adalah anak perempuan Allah ﷻ. Oleh kerana mereka percaya para malaikat adalah anak perempuan Allah ﷻ, maka mereka kata tentulah malaikat itu boleh sampaikan hajat mereka kepada Allah ﷻ kerana anak perempuan tentu rapat dengan ayahnya, bukan?

Maka mereka bertawasul dengan para malaikat. Mereka seru malaikat dalam doa mereka. Untuk mengambil hati malaikat itu, mereka sembah pula malaikat itu.

وَيَجعَلونَ ِللهِ البَنٰتِ سُبحٰنَهُ ۙ وَلَهُم مّا يَشتَهونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they attribute to Allāh daughters¹ – exalted is He – and for them is what they desire [i.e., sons].

  • By claiming that the angels are His daughters.

(MELAYU)

Dan mereka menetapkan bagi Allah anak-anak perempuan. Maha Suci Allah, sedang untuk mereka sendiri (mereka tetapkan) apa yang mereka sukai (iaitu anak-anak laki-laki).

 

وَيَجعَلونَ ِللهِ البَنٰتِ

Dan mereka menetapkan bagi Allah anak-anak perempuan.

Mereka sesuka hati sahaja menjadikan anak perempuan bagi Allah ﷻ. Ini tidak ada dalam mana-mana kitab dan ajaran daripada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sebaliknya ia adalah daripada bisikan syaitan yang telah menipu mereka. Mana mungkin Allah ﷻ ada anak, sedangkan Dia tidak ada pasangan?

Malah lebih teruk dengan Musyrikin Mekah ini, mereka buat dua kesalahan dalam hal ini. Sudahlah mereka kata Allah ﷻ punya anak, diberinya pula anak perempuan untuk Allah ﷻ! Ini sudah kesalahan yang berganda!

Allah ﷻ perli mereka di dalam Zukhruf: 19

وَجَعَلُوا المَلٰئِكَةَ الَّذينَ هُم عِبٰدُ الرَّحمٰنِ إِنٰثًا ۚ أَشَهِدوا خَلقَهُم ۚ سَتُكتَبُ شَهٰدَتُهُم وَيُسئَلونَ
Dan mereka pula menyifatkan malaikat – yang juga menjadi hamba-hamba Allah Yang Maha Pemurah itu – jenis perempuan. Adakah mereka menyaksikan kejadian malaikat itu? Akan dituliskan kata-kata mereka (yang dusta itu), dan mereka akan ditanya kelak (serta akan menerima balasannya).

Allah ﷻ perli mereka: Yang kamu memandai-mandai kata para malaikat itu anak-anak perempuan Allah, kamu pernahkah lihat kejadian para malaikat itu? Kalau tidak, dari mana kamu dapat andaian karut itu?

 

سُبحٰنَهُ

Maha Suci Allah,

Maha suci Allah ﷻ daripada mempunyai anak. Allah ﷻ tidak memerlukan anak. Kita makhluk memang memerlukan anak untuk kelangsungan hidup kita. Kita perlukan anak untuk melengkapkan hidup kita. Allah ﷻ tidak perlukan anak langsung.

Lihat bagaimana kalimah tasbih adalah untuk menidakkan syirik yang manusia lakukan terhadap Allah ﷻ. Bila ada orang buat syirik, maka kita bertasbih. Maka, kalau orang kita buat syirik kepada Allah ﷻ, tetapi dalam masa yang sama dia bertasbih, bagaimanakah statusnya itu?

 

وَلَهُم مّا يَشتَهونَ

sedang untuk mereka sendiri (mereka tetapkan) apa yang mereka sukai 

Mereka beri anak perempuan kepada Allah ﷻ sedangkan untuk diri mereka sendiri, mereka mahukan anak lelaki pula. Mereka memang tidak mahu anak perempuan, kerana anak perempuan bagi mereka menyusahkan (tidak sama dengan anak lelaki). Bagi mereka anak perempuan itu lemah.

Akan tetapi yang lebih lagi tidak masuk akal, mereka beri anak perempuan untuk Allah ﷻ pula. Maka, Allah ﷻ menegur kebodohan dan kesalahan mereka dalam ayat ini. Memang tidak patut apa yang mereka lakukan itu. Ini seperti yang disebutkan di dalam firman-Nya:

أَلَكُمُ الذَّكَرُ وَلَهُ الأنْثَى تِلْكَ إِذًا قِسْمَةٌ ضِيزَى
Apakah (patut) untuk kalian (anak) laki-laki dan untuk Allah (anak) perempuan? Yang demikian itu tentulah suatu pembahagian yang tidak adil.
(An-Najm: 21-22)

Mereka tidak suka anak perempuan kerana pada mereka anak perempuan itu menyusahkan, kena dijaga, kemudian nanti bila besar diberikan kepada keluarga lain. Anak-anak perempuan juga lemah dan tidak boleh membantu mereka mencari rezeki dan berperang. Allah ﷻ sebut di dalam Zukhruf: 18

أَوَمَن يُنَشَّؤُا فِي الحِليَةِ وَهُوَ فِي الخِصامِ غَيرُ مُبينٍ
Patutkah (yang dikatakan anak Allah itu jenis perempuan) yang biasanya dididik dan dibesarkan dalam perhiasan, sedang dia semasa berbantah dan bertikam lidah tidak dapat memberikan alasan yang jelas?

Itulah pencanggahan puak Musyrikin ini. Mereka meninggikan kedudukan para malaikat lebih daripada yang sepatutnya (angkat pangkat malaikat kononnya anak Allah ﷻ) kemudian merendahkan pula menjadi anak perempuan, bukannya anak lelaki. Yang mereka sendiri tidak suka, tetapi dinisbahkan kepada Allah ﷻ yang Maha Berkuasa!


 

Nahl Ayat 58: Dalam ayat sebelum ini telah disebut bagaimana salah faham mereka tentang malaikat (mereka kata malaikat itu adalah anak perempuan Allah ﷻ). Selepas disebut tentang anak perempuan, sekarang lihatlah bagaimana mereka amat tidak suka kalau mereka dapat anak perempuan.

وَإِذا بُشِّرَ أَحَدُهُم بِالأُنثىٰ ظَلَّ وَجهُهُ مُسوَدًّا وَهُوَ كَظيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when one of them is informed of [the birth of] a female, his face becomes dark, and he suppresses grief.

(MELAYU)

Dan apabila seseorang daripada mereka diberi khabar dengan (kelahiran) anak perempuan, hitamlah (merah padamlah) mukanya, dan dia menahan marah.

 

وَإِذا بُشِّرَ أَحَدُهُم بِالأُنثىٰ

Dan apabila seseorang daripada mereka diberi khabar dengan (kelahiran) anak perempuan, 

Sepatutnya kalau dapat anak, tentulah kita suka, bukan? Allah ﷻ pun gunakan kalimah بُشِّرَ (diberi dengan berita gembira) kerana memang ia adalah berita gembira. Namun mereka ini tidak suka kalau dapat anak yang perempuan. Mak Allah ﷻ perli mereka sebenarnya di sini.

Jangan kita sangka yang ini terjadi pada zaman Jahiliyah sahaja, kerana ini masih lagi masalah semasa. Ramai dalam kalangan orang kita yang suka kalau dapat anak lelaki dan tidak suka kalau dapat anak perempuan. Ini adalah kerana mereka rasa mereka menjadi susah kalau dapat anak perempuan.

Mereka rasa susah menjaga anak perempuan. Ramai juga yang rasa anak lelaki yang menyambung keturunan keluarga dan bukan anak perempuan. Ini kerana bin dinisbahkan kepada ayah dan bukan kepada ibu. Oleh kerana itu ramai yang tidak suka dapat anak perempuan, maka Allah ﷻ perli mereka dalam ayat ini dengan menggunakan kalimah بُشِّرَ itu.

 

ظَلَّ وَجهُهُ مُسوَدًّا

hitamlah mukanya,

Allah ﷻ beritahu apabila mereka mendapat berita yang mereka dapat anak perempuan, muka mereka berubah menjadi hitam (atau merah padam). Iaitu wajah mereka menjadi keruh dan tidak berseri lagi. Sifat ini masih ada pada zaman moden ini dan kerana itulah perasaan mereka itu disebut dalam Al-Qur’an kerana ia masih berlaku lagi. Sepatutnya ini hanya terjadi semasa jahiliyah sahaja, maka memang teruk kalau mereka ada perkara ini.

 

وَهُوَ كَظيمٌ

dan dia menahan marah.

Muka mereka menjadi keruh kehitaman dan mereka cuba telan kesedihan mereka. Maksudnya mereka cuba menahan kesedihan mereka supaya orang lain tidak nampak yang mereka tidak suka. Mereka senyum pun kelat sahaja. Mereka memang tidak suka sungguh, tetapi mereka tidaklah boleh mahu menampakkan kemarahan mereka.


 

Nahl Ayat 59:

يَتَوٰرىٰ مِنَ القَومِ مِن سوءِ ما بُشِّرَ بِهِ ۚ أَيُمسِكُهُ عَلىٰ هونٍ أَم يَدُسُّهُ فِي التُّرابِ ۗ أَلا ساءَ ما يَحكُمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He hides himself from the people because of the ill of which he has been informed. Should he keep it in humiliation or bury it in the ground? Unquestionably, evil is what they decide.

(MELAYU)

Dia menyembunyikan dirinya dari orang banyak, disebabkan buruknya berita yang disampaikan kepadanya. Apakah dia akan memeliharanya dengan menanggung kehinaan ataukah akan menguburkannya ke dalam tanah (hidup-hidup)?. Ketahuilah, alangkah buruknya apa yang mereka tetapkan itu.

 

يَتَوٰرىٰ مِنَ القَومِ مِن سوءِ ما بُشِّرَ بِهِ

Dia menyembunyikan dirinya dari orang banyak, disebabkan buruknya berita yang disampaikan kepadanya.

Kalimah يَتَوارىٰ daripada katadasar و ر ي yang digunakan untuk belakang dan apabila seseorang itu menyorok. Dari segi penggunaan, ia digunakan kalau menyorok kerana kalah. Kalau kalah, bukankah malu?

Namun mereka kalah apa? Mereka rasa kalah kerana menddapat anak perempuan, sampai malu mahu tunjuk muka di khalayak ramai. Pada mereka, ia adalah berita buruk kalau dapat anak perempuan.

 

أَيُمسِكُهُ عَلىٰ هونٍ

Apakah dia akan memeliharanya dengan menanggung kehinaan

Waktu itu otak mereka tengah berpusing berfikir apa yang mereka akan buat. Ini sudah nasib malang, tetapi apa yang boleh dibuat sekarang? Adakah mereka akan simpan anak itu? Kalau simpan juga, kena simpan dalam malu kerana mereka rasa hina dapat anak perempuan itu.

Jika dia membiarkan anak perempuannya itu hidup, dia membiarkan anak itu hidup terhina; dia tidak memberikan hak waris kepada anak perempuan itu, tidak pula memperhatikannya dan dia lebih mengutamakan anak laki-laki daripada anak perempuan.

Lihatlah otak mereka sudah mereng. Mereka malu hanya kerana ada anak perempuan? Apalah salahnya ada anak perempuan? Dari zaman berzaman memang sudah ada anak perempuan. Ini adalah perkara normal sahaja. Mereka malu tentang perkara yang tidak patut dimalukan. Ini sama macam orang kita yang malu kalau anak tidak lulus peperiksaan, tidak bekerja yang hebat, tidak bernikah dan sebagainya. Akan tetapi mereka tidak malu pula kalau anak mereka tidak pandai baca Al-Qur’an, tidak solat, tidak tahu langsung hal agama. Patutnya itu yang mereka malukan, tetapi sebaliknya benda yang tidak patut sahaja yang mereka malu.

 

 

أَم يَدُسُّهُ فِي التُّرابِ

ataukah akan menguburkannya ke dalam tanah?

Pilihan kedua adalah tanam sahaja anak itu hidup-hidup! Kalimah يَدُسُّ daripada katadasar د س س yang bermaksud menyembunyikan; mengebumikan; menyorokkan; rosak. Lihatlah betapa teruknya perangai mereka ini, mereka sanggup bunuh anak mereka sendiri. Kalau tengok yang lahir itu adalah anak perempuan, mereka terus masukkan dalam lubang dan terus kambus tanah itu. Mereka ini nanti akan disoal di akhirat kelak seperti disebut di dalam Takweer: 8-9

وَإِذَا المَوءودَةُ سُئِلَت
dan apabila bayi-bayi perempuan yang dikuburkan hidup-hidup ditanya,

بِأَيِّ ذَنبٍ قُتِلَت
kerana dosa apakah dia dibunuh,

Ada riwayat mengatakan, bila isteri mereka hendak melahirkan anak, mereka terus buat lubang siap-siap. Mereka bawa isteri mereka jauh daripada orang dan suruh isterinya itu lahirkan dalam khemah. Kalau yang lahir itu anak lelaki, mereka bawa balik ke kampung dan kalau yang lahir itu adalah anak perempuan, mereka akan tanam anak itu dan mereka buat senyap sahaja.

Allah ﷻ beritahu apa yang mereka fikirkan, dalam otak mereka yang sudah tidak waras itu. Mereka tentu tidak ceritakan kepada orang lain, tetapi sekarang Allah ﷻ beritahu apakah yang ada dalam hati mereka.

 

أَلا ساءَ ما يَحكُمونَ

Ketahuilah, alangkah buruknya apa yang mereka tetapkan itu.

Memang buruk sekali keputusan yang mereka lakukan:

1. Kerana menganggap hina anak perempuan itu. Sedangkan anak itu adalah pemberian daripada Allah ﷻ, tidak kira lelaki atau perempuan.

2. Menisbahkan anak-anak perempuan dalam kalangan para malaikat kepada Allah ﷻ.

Dalam hal ini, ada kisah bagaimana Sayidina Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pun menanam anaknya hidup-hidup pernah berlegar-legar dalam masyarakat kita, walaupun ia tidak benar. Ia adalah kerana itu adalah rekaan daripada puak Syiah yang hendak memburukkan nama Sayidina Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Fikirkanlah, kalau beliau tanam anaknya, bagaimana pula beliau ada anak perempuan yang bernama Habsah رضي الله عنها malah telah berkahwin dengan Rasulullah ﷺ? Sebenarnya amalan menanam anak-anak perempuan hanya dilakukan puak-puak tertentu sahaja daripada bangsa Arab, bukannya puak Quraisy.

Sebenarnya bergembiralah jikalau mendapat anak perempuan kerana ia berlawanan dengan fahaman Jahiliyah. Allah ﷻ memberi isyarat kelebihan anak perempuan berbanding anak lelaki di dalam ayat Syura: 49

يَخلُقُ ما يَشاءُ ۚ يَهَبُ لِمَن يَشاءُ إِنٰثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشاءُ الذُّكورَ
Dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Di dalam ayat Syura: 49 ini Allah ﷻ menyebut anak perempuan sebelum menyebut anak lelaki. Maka ada isyarat kelebihan anak perempuan ke atas anak lelaki. Tambahan pula daripada hadith-hadith Rasulullah ﷺ juga mengandungi isyarat kelebihan mempunyai anak perempuan yang boleh menyebabkan kita masuk ke dalam syurga. Baginda bersabda:

مَنِ ابْتُلِيَ مِنْ هَذِهِ البَنَاتِ بِشَيْءٍ كُنَّ لَهُ سِتْرًا مِنَ النَّارِ
“Siapa yang diuji dengan kehadiran anak perempuan, maka anak itu akan menjadi benteng baginya di neraka.”
(Hadith Riwayat Ahmad No. 24055)

Dalam riwayat lain, Baginda ﷺ menyebut:

مَنْ كَانَ لَهُ ثَلَاثُ بَنَاتٍ فَصَبَرَ عَلَيْهِنَّ، وَأَطْعَمَهُنَّ، وَسَقَاهُنَّ، وَكَسَاهُنَّ مِنْ جِدَتِهِ كُنَّ لَهُ حِجَابًا مِنَ النَّارِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Sesiapa yang memiliki 3 anak perempuan kemudian dia bersabar dengannya, memberi makan, minum dan pakaian hasil daripada usahanya, maka semuanya akan menjadi benteng daripada panas neraka pada hari kiamat kelak.”
(Hadith Riwayat Abu Daud, 7/460)

مَنْ عَالَ جَارِيَتَيْنِ حَتَّى تَبْلُغَا، جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَنَا وَهُوَ» وَضَمَّ أَصَابِعَهُ
“Sesiapa yang menanggung nafkah dua anak perempuan sehingga baligh, maka pada hari kiamat, antara saya dan dia seperti ini (Baginda menggabungkan kedua jarinya; jari telunjuk dan jari tengah).”
(Hadith Riwayat Muslim No. 2631)

Dalam riwayat lain juga, Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ عَالَ ابْنَتَيْنِ أَوْ ثَلَاثَ بَنَاتٍ، أَوْ أُخْتَيْنِ أَوْ ثَلَاثَ أَخَوَاتٍ، حَتَّى يَبِنَّ أَوْ يَمُوتَ عَنْهُنَّ، كُنْتُ أَنَا وَهُوَ كَهَاتَيْنِ ” وَأَشَارَ بِأُصْبُعَيْهِ السَّبَّابَةِ وَالْوُسْطَى
“Sesiapa yang menafkahi dua atau tiga anak perempuan atau saudara perempuan sehingga mereka menikah atau sampai dia mati, maka aku dan dia seperti dua jari ini. Baginda berisyarat dengan dua jari, iaitu jari telunjuk dan jari tengah.”
(Hadith Riwayat Ahmad No. 12498)

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 10 Januari 2024

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin

Tafsir Surah an-Nahl Ayat 51 – 53 (Syirik Dzat dan Syirik Sifat)

Nahl Ayat 51: Ini adalah i’adah (pengulangan) bagi Ayat Dakwa. Iaitu tentang Tauhid.

۞ وَقالَ اللهُ لا تَتَّخِذوا إِلٰهَينِ اثنَينِ ۖ إِنَّما هُوَ إِلٰهٌ وٰحِدٌ ۖ فَإِيّٰيَ فَارهَبونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Allāh has said, “Do not take for yourselves two¹ deities. He [i.e., Allāh] is but one God, so fear only Me.”

  • Meaning more than one.

(MELAYU)

Allah berfirman: “Janganlah kamu mengambil dua ilah; sesungguhnya Dialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kepada-Ku saja kamu takut”.

 

وَقالَ اللهُ لا تَتَّخِذوا إِلٰهَينِ اثنَينِ

Allah berfirman: “Janganlah kamu mengambil dua ilah; 

Allah ﷻ ingatkan lagi supaya jangan ambil dua ilah. Jangan jadikan ilah selain Allah ﷻ. Allah ﷻ sebut ‘dua ilah’ kerana ada banyak agama yang ada dua ilah. Sebagai contoh, dalam agama Kristian, mereka ada Tuhan Bapa dan Tuhan Anak sahaja (Ruhul Qudus selalunya seolah-olah terpinggir).

Kenapa Allah ﷻ tambah juga kalimah اثنَينِ yang bermaksud dua, sedangkan kalimah إِلٰهَينِ sudah bermaksud ‘dua ilah’? Ini adalah sebagai penegasan, iaitu supaya jangan sesekali mengambil ilah yang selain Allah ﷻ.

Kenapa Allah ﷻ sebut dua pula? Bagaimana kalau tiga, bolehkah? Tentulah tidak boleh sama sekali. Kalau dua pun tidak boleh, maka tiga pun tentulah tidak boleh.

Kalau mengatakan Tuhan ini ramai, ia adalah satu kegilaan! Ini kerana kalau ada banyak Tuhan, maka tuhan-tuhan itu tentulah akan mengalahkan satu sama lain. Jika tuhan dapat dikalahkan, maka tentulah ia bukan tuhan pula. Ini adalah logik yang Allah ﷻ gunakan untuk memberi kefahaman kepada manusia seperti firman-Nya di dalam Mukminoon: 91

مَا اتَّخَذَ اللهُ مِن وَلَدٍ وَما كانَ مَعَهُ مِن إِلٰهٍ ۚ إِذًا لَّذَهَبَ كُلُّ إِلٰهٍ بِما خَلَقَ وَلَعَلا بَعضُهُم عَلىٰ بَعضٍ ۚ سُبحٰنَ اللهِ عَمّا يَصِفونَ
Allah sekali-kali tidak mempunyai anak, dan sekali-kali tidak ada ilah (yang lain) berserta-Nya, kalau ada tuhan berserta-Nya, masing-masing tuhan itu akan membawa makhluk yang diciptakannya, dan sebahagian daripada tuhan-tuhan itu akan mengalahkan sebahagian yang lain. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sifatkan itu,

Akan tetapi bukanlah menjadikan dua ilah ini bermaksud dua Tuhan sahaja. Kerana kadang-kadang kita sembah dan berdoa kepada entiti lain, tetapi kita tidak anggap dia itu Tuhan. Namun walaupun kita tidak menjadikan entiti itu sebagai Tuhan, kita telah menjadikan entiti itu sebagai ‘ilah’. Maka syirik juga adalah apabila kita memberikan sifat Allah ﷻ kepada makhluk. Kerana itu tafsir bagi إِلٰهَينِ adalah menjadikan tuhan selain Allah ﷻ dalam bentuk Dzat. Tafsir bagi اثنَينِ adalah apabila memberikan sifat Allah ﷻ kepada makhluk.

 

 

إِنَّما هُوَ إِلٰهٌ وٰحِدٌ

sesungguhnya Dialah Tuhan Yang Maha Esa, 

Hanya Allah ﷻ satu-satunya sahaja ilah kita. Sama ada dalam bentuk Dzat dan juga Sifat. Allah ﷻ lah tempat sandaran hati kita untuk menyelesaikan apa-apa masalah; Allah ﷻ sahaja yang kita kena taat; Allah ﷻ sahaja yang kita boleh sembah; dan Allah ﷻ sahaja tempat kita berdoa kerana Allah ﷻ sahaja yang boleh selesaikan masalah dan sempurnakan hajat kita.

Ini adalah Tauhid dan ilmu utama yang kita kena tahu. Jangan sesekali kita melakukan syirik kerana kesannya amat besar! Antaranya segala amal kebaikan yang kita lakukan akan gugur terhapus begitu sahaja seperti disebut di dalam Zumar: 65

وَلَقَد أوحِيَ إِلَيكَ وَإِلَى الَّذينَ مِن قَبلِكَ لَئِن أَشرَكتَ لَيَحبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكونَنَّ مِنَ الخٰسِرينَ
Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: “Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi daripada orang-orang yang rugi.

Tentulah Nabi Muhammad ﷺ dan para Nabi yang tidak akan melakukan syirik. Akan tetapi Allah ﷻ tekankan di sini, yang kalaulah mereka ada melakukannya, segala amal kebaikan mereka akan terhapus! Kalau amalan para Nabi pun boleh terhapus, maka apatah lagi amalan-amalan kita?

Adakah umat Islam terselamat daripada melakukan syirik atau mempunyai fahaman syirik? Belum tentu lagi. Ini kerana ramai yang sudah beriman dengan Allah ﷻ, akan tetapi iman itu dicemari dengan beriman kepada ilah-ilah yang lain. Ini adalah kerana mereka tidak faham apakah itu Tauhid dan apakah itu Syirik. Maka mereka telah mengamalkan syirik tanpa mereka sedari. Maka kerana itu penting untuk kita ada akidah Tauhid yang murni seperti firman Allah ﷻ di dalam An’am: 82

الَّذينَ ءآمَنوا وَلَم يَلبِسوا إيمٰنَهُم بِظُلمٍ
Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik),

Bagaimana contoh campur adukkan iman? Bukankah ada yang beriman dengan Allah ﷻ, namun di dalam masa yang sama mereka percaya kepada bomoh dan pawang? Bukankah selalunya ada dalam kalangan kita yang berdoa kepada Allah ﷻ, tetapi di dalam masa yang sama, ada juga berdoa kepada Nabi, wali dan malaikat? Itulah antara contoh mencampur adukkan iman. Rojak jadinya.

 

فَإِيّٰيَ فَارهَبونِ

maka hendaklah kepada-Ku saja kamu takut”.

Hendaklah kita takut kepada Allah ﷻ sahaja. Islam mengajarkan bahawa selain merasa kasih dan sayang kepada Allah ﷻ itu, kita pun wajib rasa takut kepada-Nya. Di samping Allah ﷻ mempunyai sifat kasih sayang kepada hamba-hamba-Nya yang patuh, Allah ﷻ juga ada sifat murka dan memberi seksaan kepada yang melanggar apa yang ditentukan-Nya. Alamat kasih-Nya adalah disediakan-Nya syurga dan alamat murka-Nya disediakan-Nya neraka. Syurga membuat kita kasih kepada Allah ﷻ. Neraka membuat kita takut kepada-Nya.

Dek kerana takut kepada Allah ﷻ lah, kita harus sembah dan puja Dia sahaja. Kalau kita takut kepada sesuatu atau seseorang, kita akan menjauhkan diri kita daripada mereka, bukan? Akan tetapi apabila kita takut kepada Allah ﷻ, terbalik pula – semakin kita takut kepada Allah ﷻ, semakin kita rapat dengan Dia.

Kalau kita sentuh sedikit tentang bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an, kita akan perasan bahawa terdapat banyak lafaz ‘takut’ yang digunakan dalam Al-Qur’an. Ia digunakan untuk memberitahu kepada kita dengan lebih jelas, apakah jenis takut itu. Memang takut itu ada bermacam-macam. Kalau dalam bahasa Melayu, kalau takut itu boleh dikatakan satu takut sahaja. Namun Bahasa Arab adalah bahasa yang kaya dan mempunyai banyak kategori.

khauf – Ini adalah perasaan takut yang dirasai oleh manusia kalau dia rasa akan ada kesakitan pada tubuhnya. Mungkin takut kena pukul, contohnya.

khash’yah – Ini adalah takut kepada sesuatu kerana kebesaran atau hebatnya sesuatu kejadian itu. Sebagai contoh, apabila kita sudah baca ayat-ayat Al-Qur’an tentang kehebatan dan kesusahan yang besar di akhirat kelak, maka inilah perasaan takut itu.

khusyuk – Lafaz ini kita selalu dengar – khusyuk dalam solat. Ini adalah jenis takut yang nampak pada muka dan tubuh manusia. Kerana takut sangat, sampai memberi kesan kepada tubuhnya sekali. Sebab itu, digunakan untuk menyebut sifat solat, kerana dalam solat itu, kita sedang mengadap Allah ﷻ dan kita sangat takut sampai tubuh kita pun menunjukkan ketakutan itu. Kita waktu itu tidak bergerak dan tunduk taat sahaja. Sebab itu pergerakan tubuh kita dalam solat terkawal. Jangan bergerak-gerak kibas sana sini pula di dalam solat.

taqwa’ – Ini juga kita selalu dengar. Salah satu daripada maksud taqwa adalah takut. Ia adalah takut kepada ‘kesan’ daripada perbuatan kita. Oleh itu, orang yang bertaqwa, mereka akan jaga perbuatan mereka kerana mereka takut segala perbuatan mereka itu akan dibalas di akhirat nanti. Mereka akan takut hendak buat amalan dan perbuatan yang salah dan berdosa. Maka mereka akan berjaga-jaga dan berhati-hati dalam perbuatan mereka. Beginilah yang kita patut lakukan.

hazar – ini seperti yang disebut dalam Baqarah – Ini adalah perbuatan lari daripada apa yang ditakuti – maksudnya, jenis takut sampai dia akan mengelak atau melarikan diri.

rauq – terkejut kerana takut. Ini seperti keadaan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ketika baginda pertama kali berjumpa dengan malaikat yang datang ke rumahnya. Baginda takut apabila mereka tidak makan hidangan yang baginda sediakan kepada mereka. Kerana kebiasaan kaum mereka, kalau seseorang itu datang untuk membunuh tuan rumah, dia tidak akan menjamah makanan yang disediakan oleh tuan rumah (adab pembunuh). Oleh kerana mereka tidak makan hidangan, maka Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun terkejut dan takut (takut mereka datang hendak bunuh baginda).

awjasa – Ini adalah jenis takut setelah mendengar sesuatu yang menakutkan; juga digunakan untuk rasa takut tetapi tidak ditunjukkan di luar, disimpan dalam hati sahaja. Orang yang rasa takut itu, akan simpan perasaan itu dalam hati, tidak tunjukkan pada mukanya. Ini ada disebut apabila Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melihat sihir-sihir yang ditunjukkan oleh ahli sihir.

wajal – Ini adalah jenis takut yang masuk ke dalam hati seseorang. Sebagai contoh, apabila seseorang itu membaca ayat Al-Qur’an.

rahab – Perasaan takut untuk mengecewakan orang lain. Sebagai contoh, ada orang yang kita hormati, maka kita takut untuk buat sesuatu yang boleh mengecewakan orang itu kerana kita hormatnyaa.

ra’ab – Jenis takut yang amat sangat, sampai menyebabkan seseorang itu tidak boleh berfikir dengan betul, sampai membuatkan dia buat sesuatu yang bodoh. Dia buat silap itu kerana dia dalam keadaan takut sangat.

ashfaqa – Takut ke atas orang lain, bukan diri kita. Sebagai contoh, kita sedang jaga anak kita dan kita takut dia jatuh masuk longkang semasa sedang berjalan-jalan.

wajf (seperti yang digunakan dalam ayat ini) – Perasaan takut yang bercampur dengan rasa tidak selesa. Juga bermaksud takut yang amat sangat sampai hati berdegup kencang macam larian kuda, sampai boleh dengar degupan jantung itu. Inilah perasaan takut yang dialami oleh mereka yang disebut dalam ayat ini – takut yang amat sangat. Allah ﷻ jadikan hati mereka takut sangat kerana semasa di dunia dahulu mereka tidak takut langsung buat dosa dan kesalahan.

Mungkin anda tidak perasan, sebenarnya ada iltifat (penukaran dhomir) di dalam ayat ini. Di permulaan ayat, Allah ﷻ bercakap tentang-Nya di dalam bentuk pihak ketiga (Dia) tetapi tiba-tiba di sini Allah ﷻ bercakap ‘Aku’ di dalam pihak pertama. Takutlah kepada Aku. Iltifat adalah seni bahasa yang digunakan di dalam Al-Qur’an untuk menjadikan pembaca Al-Qur’an fokus (eh tukar dhomir pula di sini). Maka kena baca dengan sedar dan ini hanya boleh diketahui dan perasan oleh mereka yang tahu serba sedikit bahasa Arab.

Dari segi kesan, apabila Allah ﷻ bercakap terus dengan membahasakan Diri-Nya sebagai Aku, ia lebih kuat. Kerana Allah ﷻ bercakap terus kepada pembaca Al-Qur’an. Allah ﷻ tekankan kerana sifat takut kepada Allah ﷻ ini penting. Mungkin kita nampak biasa sahaja, tetapi itulah yang menyebabkan kita boleh menjadi seorang insan yang baik, iaitu hanya takut kepada Allah ﷻ sahaja. Ramai yang lebih takut kepada manusia, hantu, binatang, takut hilang harta dan sebagainya sampaikan mereka tidak menegakkan kebenaran. Mereka tidak takut kepada Allah ﷻ, menyebabkan mereka berani buat dosa selamba sahaja. Maka kena hadirkan rasa takut kepada Allah ﷻ.

Jangan takut kepada para penentang Tauhid. Jangan takut kepada orang yang jahat. Sebaliknya kena takut kepada Allah ﷻ seperti firman-Nya di dalam Baqarah: 150

فَلا تَخشَوهُم وَاخشَوني
Maka janganlah kamu takut kepada (cacat cela) mereka, dan takutlah kamu kepada-Ku (semata-mata);


 

Nahl Ayat 52: Dalil aqli lagi kenapa kita harus takut kepada Allah ﷻ sahaja.

وَلَهُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَلَهُ الدّينُ واصِبًا ۚ أَفَغَيرَ اللهِ تَتَّقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to Him belongs whatever is in the heavens and the earth, and to Him is [due] worship constantly. Then is it other than Allāh that you fear?

(MELAYU)

Dan kepunyaan-Nya-lah segala apa yang ada di langit dan di bumi, dan untuk-Nya-lah ketaatan itu selama-lamanya. Maka mengapa kamu bertakwa kepada selain Allah?

 

وَلَهُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Dan kepunyaan-Nya-lah segala apa yang ada di langit dan di bumi,

Alam ini adalah milik Allah ﷻ kesemua sekali. Apabila kalimah لَهُ ditaqdimkan (diletakkan di awal ayat), maka ia membawa maksud eksklusif. Tidak ada yang memiliki alam ini melainkan Allah ﷻ sahaja.

Oleh itu, tidak ada tempat untuk kita bergantung atau tuju lagi melainkan dalam alam yang diciptakan oleh Allah ﷻ. Ke mana lagi kita mahu pergi? Kalau alam ini Allah ﷻ yang cipta dan Allah ﷻ yang miliki, kenapa kita mahu cari ilah yang lain pula?

 

وَلَهُ الدّينُ واصِبًا

dan untuk-Nya-lah ketaatan itu selama-lamanya. 

Kalimah الدّينُ di sini bermaksud ibadah, ikhlak atau ketaatan kepada Allah ﷻ. Kalimah واصِبًا daripada katadasar و ص ب yang bermaksud untuk kekal; memegang jawatan; bersikap tegas; berterusan; selamanya. Oleh itu kalimah bermaksud ‘sentiasa’, kekal selama-lamanya tidak berubah. Maksudnya, agama Allah ﷻ ini tidak akan berubah sampai bila-bila. Kalau kita lihat agama ini berubah kalau dibandingkan dengan dahulu, ia adalah kerana manusia yang ubah, bukan Allah ﷻ.

Maka begitulah yang selalu terjadi – manusia reka agama baru tanpa mereka sedari. Kerana itu kita kena jaga daripada ada bid’ah dalam agama ini kerana bid’ah yang menyebabkan perubahan dalam agama ini. Kalau amalan bid’ah dibiarkan, entah apalah yang akan jadi dengan agama Islam ini lama kelamaan. Mungkin kita sendiri tidak kenal yang ini adalah agama Islam.

Ayat ini juga bermaksud, untuk Allah ﷻ lah sahaja agama yang berterusan. Kerana itu sekali lagi ada taqdim pada kalimah لَهُ di sini. Oleh itu, ibadat dan ketaatan yang berterusan hanya kepada Allah ﷻ sahaja. Pengertian ini sama dengan yang disebutkan di dalam ayat lain melalui firman-Nya:

أَلا لِلَّهِ الدِّينُ الْخَالِصُ
Ingatlah, hanya kepunyaan Allah-lah agama yang bersih (daripada syirik)
(Zumar: 3)

Agama Islam ini sahaja yang tidak berubah-ubah. Tidak seperti agama-agama lain. Sekejap mereka sembah berhala ini dan esok sembah berhala lain pula. Sekejap sembah tuhan rekaan ini dan nanti mereka sembah tuhan rekaan lain. Berbeza dengan umat Islam dari mula sampai Kiamat hanya sembah Allah ﷻ sahaja. Yang kemudian Muslim sembah selain Allah ﷻ itu adalah mereka yang sesat sahaja. Manusia yang tidak tetap imannya akan bertukar pengagungan mereka. Sekejap agungkan duit, sekejap agungkan parti politik dan sebagainya. Mereka itu tidak tetap pendiriannya.

 

أَفَغَيرَ اللهِ تَتَّقونَ

Adakah kamu bertakwa kepada selain Allah?

Adakah kamu takut kepada selain Allah ﷻ? Ini perli kepada Ahli Kitab kerana ada Ahli Kitab yang tahu bahawa Al-Qur’an ini benar, tetapi mereka takut mahu beriman kerana takut apa yang akan dikatakan oleh masyarakat mereka kalau mereka masuk Islam. Terutama sekali kalau mereka pemuka agama (Rabai, pendita dan sebagainya). Allah ﷻ berkata, kau takut siapa sebenarnya? Bukankah kau patut takut kepada Allah ﷻ sahaja?


 

Nahl Ayat 53: Dalil lagi kenapa kita kena sembah Allah ﷻ. Kerana segala nikmat yang kita dapat adalah daripada Allah ﷻ. Maka Allah ﷻ ajar kita mensyukuri nikmat daripada-Nya.

وَما بِكُم مِّن نِّعمَةٍ فَمِنَ اللهِ ۖ ثُمَّ إِذا مَسَّكُمُ الضُّرُّ فَإِلَيهِ تَجئَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whatever you have of favor – it is from Allāh. Then when adversity touches you, to Him you cry for help.

(MELAYU)

Dan apa sahaja nikmat yang ada pada kamu, maka dari Allah-lah (datangnya), dan bila kamu ditimpa oleh kemudharatan, maka hanya kepada-Nya-lah kamu meminta pertolongan.

 

وَما بِكُم مِّن نِّعمَةٍ فَمِنَ اللهِ

Dan apa saja nikmat yang ada pada kamu, maka dari Allah-lah

Kenapa kita kena jadikan Allah ﷻ sahaja ilah kita? Kerana segala nikmat yang kita dapat adalah daripada Allah ﷻ. Tidak mungkin kita dapat segala nikmat ini daripada selain Allah ﷻ. Maka kalau Allah ﷻ yang beri nikmat kepada kita, kenapa mahu jadikan roh-roh wali, Nabi dan malaikat sebagai ilah?

Di dalam kalimah بِكُم ini, Allah ﷻ menggunakan huruf بِ sedangkan Allah ﷻ boleh sahaja menggunakan kalimah عِندَكُم atau لَكُم yang boleh juga bermaksud nikmat yang ada pada manusia. Akan tetapi apabila Allah ﷻ menggunakan kalimah بِكُم itu, ia bukan sahaja bermaksud nikmat itu ada pada kita, tetapi kita tenggelam dalam nikmat itu. Sebab itulah musibah yang paling bahaya menimpa umat manusia adalah terbiasa dengan nikmat. Iaitu selalu dan sentiasa dapat nikmat, sampaikan dia sudah lali dan terlupa yang nikmat itu daripada Allah ﷻ.

Kalimah نِّعمَةٍ itu di dalam bentuk nakirah (umum), maka ia boleh merujuk kepada apa-apa sahaja nikmat. Terlampau banyaklah nikmat yang kita dapat daripada Allah ﷻ seperti kesenangan, kesihatan, kedudukan, harta, anak pinak, pasangan hidup dan banyak lagi. Semua itu nikmat. Sampaikan telah disebut dalam Nahl: 18 sebelum ini akan banyaknya nikmat sampai tidak terhitung kita.

وَإِن تَعُدّوا نِعمَةَ اللهِ لا تُحصوها
Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya.

Nikmat yang banyak itu bukan sahaja nikmat dalam bentuk zahir, tetapi ditambah lagi dengan nikmat batin seperti disebut di dalam Luqman: 20

أَلَم تَرَوا أَنَّ اللهَ سَخَّرَ لَكُم مّا فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ وَأَسبَغَ عَلَيكُم نِعَمَهُ ظٰهِرَةً وَباطِنَةً
Tidakkah kamu perhatikan sesungguhnya Allah telah menundukkan untuk (kepentingan)mu apa yang di langit dan apa yang di bumi dan menyempurnakan untukmu nikmat-Nya lahir dan batin.

Apakah contoh nikmat zahir dan batin itu? Nikmat kekayaan senang kita nampak tetapi nikmat ketenangan adalah nikmat batin yang tidak nampak. Kadangkala kita lihat orang yang kaya raya tetapi hatinya tidak tenang kerana dia tidak diberikan dengan nikmat batin ini. Contoh nikmat zahir adalah Islam dan Al-Qur’an, sedangkan nikmat batin adalah pengampunan Allah ﷻ ke atas dosa-dosa kita. Kita tidak tahu sama ada dosa kita diampunkan atau tidak kerana ia ghaib. Ya, kita boleh nampak seseorang itu mengamalkan Islam dan mengamalkan ajaran Al-Qur’an, akan tetapi siapa yang boleh pastikan yang dosa-dosanya telah diampunkan?

Lagi contoh nikmat zahir adalah tubuh badan yang cantik, sedangkan nikmat batin adalah mengenal (makrifah) kepada Allah ﷻ. Ramai orang kita lihat fizikalnya lengkap tetapi malangnya dia tidak kenal Allah ﷻ langsung. Nikmat zahir lagi adalah seperti rezeki yang cukup dan nikmat batin adalah akhlak yang baik. Kita mungkin diberikan dengan nikmat zahir dapat mengikut ajaran Sunnah Nabi, tetapi ada satu lagi nikmat batin iaitu mencintai Rasulullah ﷺ. Kita selalu belajar bagaimana golongan munafik hidup di zaman Nabi ﷺ dan solat berjemaah di belakang Nabi ﷺ tetapi mereka tidak mencintai baginda.

Maka mesej yang tersirat di sini adalah, apabila semua nikmat yang kita ada ini daripada Allah ﷻ, maka hendaklah kita ikut arahan-Nya, taat segala perintah-Nya dan jangan melawan-Nya. Malangnya ramai yang tidak sedar tentang hal ini. Segala nikmat Allah ﷻ digunakannya namun arahan-Nya tidak diendahkan.

Malah di dalam hal nikmat rezeki ini juga manusia boleh terjerumus ke dalam kesyirikan. Ini seperti sangkaan setengah orang bahawa salah seorang daripada anaknya membawa tuah. Ada orang beranak banyak memandang bahawa salah seorang daripada anak-anak itu adalah ‘pembawa rezeki’. Ini adalah kerana sejak anak itu lahir, pintu pencariannya terbuka, rezekinya berlipat-ganda. Maka dihidupkannya kepercayaan bahawa yang menjadi sebab rezeki itu ialah anaknya yang satu itu. Lantaran itu perhatiannya kepada anak satu itu lebih daripada yang lain, sehingga dalam kalangan anak-anaknya sendiri timbul iri hati. Padahal inilah satu fahaman tahyul yang tidak berasas, yang hanya timbul daripada angan-angan dan sangkaan semata. Kepercayaan sebegini membahayakan bagi akidah; dengan tidak disedari orang dapat mempersekutukan Tuhan dengan salah seorang anaknya.

 

ثُمَّ إِذا مَسَّكُمُ الضُّرُّ فَإِلَيهِ تَجئَرونَ

dan bila kamu ditimpa oleh kemudharatan, maka hanya kepada-Nya-lah kamu meminta pertolongan.

Sekiranya kita dapat susah, tentulah kepada-Nya kita akan minta tolong, bukan? Kalimah تَجئَرونَ daripada katadasar ج أ ر yang asalnya digunakan untuk merujuk kepada binatang yang melaung minta tolong. Ia juga digunakan kalau kita meninggikan suara kita apabila kita merintih meminta tolong. Semasa mereka menerima nikmat, mereka lupa kepada Allah ﷻ; tiba-tiba apabila nikmat mereka ditarik, kecohlah mereka, minta tolong kepada Allah ﷻ sampai menjerit-jerit. Allah ﷻ menggambarkan emosi mereka yang tidak keruan dengan menggunakan kalimah تَجئَرونَ ini.

Mereka waktu itu akan meminta kepada Allah ﷻ terus. Walaupun orang yang melakukan syirik. Sebelum itu mereka selalu berdoa kepada berhala mereka, Nabi, wali atau malaikat. Namun bila sudah terdesak, mereka tahu yang ma’bud bathil (yang disembah) itu langsung tidak dapat membantu mereka. Jauh di sudut hati mereka, mereka tahu Allah ﷻ sahaja yang boleh menyelesaikan masalah dan mengangkat musibah mereka itu. Makna ayat ini sama dengan yang disebutkan di dalam ayat lain melalui firman-Nya:

وَإِذَا مَسَّكُمُ الضُّرُّ فِي الْبَحْرِ ضَلَّ مَنْ تَدْعُونَ إِلا إِيَّاهُ فَلَمَّا نَجَّاكُمْ إِلَى الْبَرِّ أَعْرَضْتُمْ وَكَانَ الإنْسَانُ كَفُورًا
Dan apabila kalian ditimpa bahaya di lautan, nescaya hilanglah siapa yang kalian seru kecuali Dia. Maka tatkala Dia menyelamatkan kalian ke daratan, kalian berpaling. Dan manusia adalah selalu tidak berterima kasih.
(Isra’: 67)

Maka Allah ﷻ menyebut tentang teruknya kepala otak mereka ini. Waktu mereka tiada dalam masalah, mereka berdoa kepada ma’bud selain Allah ﷻ; tetapi apabila ada masalah besar, barulah teringat kepada Allah ﷻ. Sepatutnya dalam senang kita kena ingat Allah ﷻ; dan kalau ditimpa bahaya, hendaklah berdoa kepada Allah ﷻ dengan tenang dan merendahkan diri kepada-Nya.

Maka kalau hanya ingat Allah ﷻ hanya apabila susah dan ada keperluan, ini adalah sifat orang kafir. Jangan kita jadi begitu. Hendaklah kita ingat kepada Allah ﷻ di masa senang dan susah. Kadangkala kita lihat orang yang tidak pernah solat, tetapi apabila anaknya hendak menghadapi peperiksaan, barulah hendak jaga solat kerana hendak berdoa kepada Allah ﷻ.

Di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ kata mereka تَجئَرونَ iaitu mereka menjerit melolong apabila mereka ditimpa musibah kerana mereka tidak dapat terima mereka dikenakan dengan musibah itu. Inilah sikap orang kafir yang tidak dapat menerima taqdir Ilahi. Sebaliknya lain sikap orang Mukmin. Mereka sabar apabila menerima ujian daripada Allah ﷻ. Malah mereka suka kerana kesusahan yang dikenakan kepada mereka itu menjadi penyebab dihapuskan dosa. Ini seperti yang disebut oleh Rasulullah ﷺ,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلَا وَصَبٍ وَلَا هَمٍّ وَلَا حُزْنٍ وَلَا أَذًى وَلَا غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] daripada Nabi ﷺ baginda bersabda: “Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan keletihan, kekhuatiran dan kesedihan, dan tidak juga gangguan dan kesusahan bahkan duri yang melukainya melainkan Allah akan menghapus kesalahan-kesalahannya.”
(Sahih Bukhari (5210))

Lagi besar ujian, lagi besar pahala kita akan dapat dan lagi banyak dosa akan dihapuskan. Yang penting, kita kena redha dengan ujian itu. Jangan melolong menangisi apa yang terjadi kepada kita kerana Rasulullah ﷺ ada bersabda,

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ عِظَمُ الْجَزَاءِ مَعَ عِظَمِ الْبَلَاءِ وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلَاهُمْ فَمَنْ رَضِيَ فَلَهُ الرِّضَا وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السُّخْطُ
Daripada [Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] daripada Rasulullah ﷺ, bahawa baginda bersabda: “Besarnya pahala sesuai dengan besarnya cubaan, dan sesungguhnya apabila Allah mencintai suatu kaum maka Dia akan menguji mereka. Oleh kerana itu, barangsiapa redha (menerima cubaan tersebut) maka baginya keredhaan, dan barangsiapa murka maka baginya kemurkaan.”
(Sunan Ibn Majah (4021))
Status: Hasan

Sebab itu orang Mukmin yang faham perkara ini, dia akan tenang-tenang sahaja kerana dia tahu bahawa apa-apa sahaja terjadi kepadanya, dan dia redha dan bersabar, maka pahala dan kebaikan baginya. Ini sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah ﷺ,

Daripada Shuhaib, dia berkata, Rasulullah ﷺ bersabda,
عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
“Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin. Seluruhnya urusannya itu baik. Ini tidaklah didapati kecuali pada seorang mukmin. Jika mendapatkan kesenangan, maka dia bersyukur. Itu baik baginya. Jika mendapatkan kesusahan, maka dia bersabar. Itu pun baik baginya.”
(Sahih Muslim, no. 2999)

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 10 Januari 2024

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Maariful Qur’an

Ustaz Solahudin

Tafsir Surah an-Nahl ayat 45 – 50 (Berasa aman dengan dosa)

Nahl Ayat 45: Ayat Takhwif duniawi. Di dalam ayat 27 sebelum ini Allah ﷻ sebut tentang apa yang berlaku di akhirat ثُمَّ يَومَ القِيٰمَةِ يُخزيهِم (Kemudian Allah menghinakan mereka di hari kiamat). Iaitu mereka akan diazab di akhirat. Akan tetapi Allah ﷻ juga boleh kenakan azab kepada umat manusia di dunia ini lagi.

Atau Allah ﷻ boleh sahaja tangguh azab itu sehingga ke akhirat. Keputusan milik Allah ﷻ. Kerana itu ada banyak sekali ayat Allah ﷻ menyebutkan tentang kesabaran-Nya dalam memberikan masa tangguh terhadap orang-orang yang derhaka, iaitu mereka yang mengerjakan hal-hal yang buruk dan menyeru orang lain untuk melakukannya, serta menjerat manusia dalam seruannya agar mereka ikut mengerjakannya.

Allah ﷻ tidak terus hancurkan mereka sedangkan Allah ﷻ mampu untuk membenamkan mereka ke dalam bumi atau mendatangkan azab kepada mereka dari arah yang tidak mampu diduga oleh mereka. Maka di sini Allah ﷻ ingatkan tentang kemampuan Allah ﷻ untuk mengenakan azab kalau Dia mahu.

أَفَأَمِنَ الَّذينَ مَكَرُوا السَّيِّئَاتِ أَن يَخسِفَ اللهُ بِهِمُ الأَرضَ أَو يَأتِيَهُمُ العَذابُ مِن حَيثُ لا يَشعُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then, do those who have planned evil deeds feel secure that Allāh will not cause the earth to swallow them or that the punishment will not come upon them from where they do not perceive?

(MELAYU)

maka apakah orang-orang yang membuat makar yang jahat itu, merasa aman (dari bencana) ditenggelamkan bumi oleh Allah bersama mereka, atau datangnya azab kepada mereka dari tempat yang tidak mereka sedari,

 

أَفَأَمِنَ الَّذينَ مَكَرُوا السَّيِّئَاتِ

maka apakah orang-orang yang membuat makar yang jahat itu, merasa aman

Ada manusia yang memikirkan rancangan jahat untuk menjatuhkan agama Islam. Mereka sesuka hati sahaja melakukan rancangan itu tanpa rasa bersalah. Maka Allah ﷻ kutuk mereka: mereka berasa amankah (selamat) dengan melakukan rancangan itu? Mereka rasa mereka tidak akan dikenakan apa-apa balasankah?

 

أَن يَخسِفَ اللهُ بِهِمُ الأَرضَ

dari ditenggelamkannya bumi oleh Allah bersama mereka,

Mereka tidak takutkah yang Allah ﷻ boleh tenggelamkan bumi ini dengan mereka sekali? Allah ﷻ boleh turunkan apa-apa azab sahaja kepada mereka jika Allah ﷻ mahu. Makna ayat ini sama dengan yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

أَأَمِنْتُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ أَنْ يَخْسِفَ بِكُمُ الأرْضَ فَإِذَا هِيَ تَمُورُ أَمْ أَمِنْتُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ أَنْ يُرْسِلَ عَلَيْكُمْ حَاصِبًا فَسَتَعْلَمُونَ كَيْفَ نَذِيرِ
Apakah kalian merasa aman terhadap Allah yang di langit bahawa Dia akan menjungkirbalikkan bumi bersama kamu, sehingga dengan tiba-tiba bumi itu bergoncang? Atau apakah kalian merasa aman terhadap Allah yang di langit bahawa Dia akan mengirimkan badai yang berbatu. Maka kelak kalian akan mengetahui bagaimana (akibat mendustakan) peringatan-Ku?
(Mulk: 16-17)

Bagaimana pula dengan kita orang Islam? Adakah kita benar-benar takut dengan Allah ﷻ dan azab-Nya? Belum tentu lagi, bukan? Berapa ramai antara kita yang selamba sahaja membuat dosa seperti mengumpat dan sebagainya? Kita berani buat semua itu kerana kita ini sebenarnya tidak cukup rasa takut dengan azab Allah ﷻ. Seolah-olah kita sangka yang kita ini pasti selamat sahaja daripada azab.

Jangan begitu. Kalau kita berasa aman dengan azab Allah ﷻ, maka ia adalah dosa besar kerana Allah ﷻ telah beri ancaman di dalam ayat sebegini, tetapi kita tidak ambil pusing. Kita endahkan apa yang Allah ﷻ ancam, kita buat tidak tahu sahaja, maka itu adalah berdosa. Sepatutnya kita kena takut sangat dengan azab Allah ﷻ. Kena ada rasa takut seperti disebut dalam Mukminoon: 60

وَالَّذينَ يُؤتونَ ما آتَوا وَّقُلوبُهُم وَجِلَةٌ أَنَّهُم إِلىٰ رَبِّهِم رٰجِعونَ
Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut, (kerana mereka tahu bahawa) sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhan mereka,

 

أَو يَأتِيَهُمُ العَذابُ مِن حَيثُ لا يَشعُرونَ

atau datangnya azab kepada mereka dari tempat yang tidak mereka sedari,

Atau Allah ﷻ boleh azab mereka dengan tiba-tiba sedang mereka sibuk dengan kehidupan dunia. Mungkin waktu itu mereka sedang bermain, sedang tidur atau sedang seronok membeli-belah dan sebagainya. Begitulah Allah ﷻ selalu memberi azab seksa kepada manusia ketika mereka sedang leka. Azab Allah ﷻ tidaklah diberitahu bila ia akan datang. Apabila azab itu datang dengan tiba-tiba, maka ia lebih teruk lagi kerana mereka tidak bersedia.


 

Nahl Ayat 46:

أَو يَأخُذَهُم في تَقَلُّبِهِم فَما هُم بِمُعجِزينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or that He would not seize them during their [usual] activity, and they could not cause failure [i.e., escape from Him]?

(MELAYU)

atau Allah mengazab mereka di waktu mereka dalam perjalanan, maka sekali-kali mereka tidak dapat menolak (azab itu),

 

أَو يَأخُذَهُم في تَقَلُّبِهِم

atau Allah mengazab mereka di waktu mereka dalam perjalanan,

Adakah mereka rasa tenteram, sedangkan Allah ﷻ boleh mengazab mereka semasa mereka dalam perjalanan ke sana sini? Sedang suka-suka dalam perjalanan, Allah ﷻ boleh timpakan kemalangan kepada mereka. Perihalnya sama dengan makna yang disebutkan di dalam firman-Nya:

أَفَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَى أَنْ يَأْتِيَهُمْ بَأْسُنَا بَيَاتًا وَهُمْ نَائِمُونَ أَوَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَى أَنْ يَأْتِيَهُمْ بَأْسُنَا ضُحًى وَهُمْ يَلْعَبُونَ
Maka apakah penduduk negeri-negeri itu merasa aman daripada kedatangan seksaan Kami kepada mereka di malam hari di waktu mereka sedang tidur? Atau apakah penduduk negeri-negeri itu merasa aman daripada kedatangan seksaan Kami kepada mereka di waktu matahari sepenggalah naik ketika mereka sedang bermain?
(A’raf: 97-98)

 

فَما هُم بِمُعجِزينَ

maka sekali-kali mereka tidak dapat menolak (azab itu),

Sekiranya Allah ﷻ sudah membuat keputusan untuk mengenakan hukuman kepada mereka, mereka ketika itu tidak mampu menyelamatkan diri lagi. Mereka tidak dapat mengalahkan ketetapan Allah ﷻ itu. Mereka sesekali tidak dapat melemahkan Allah ﷻ.


 

Nahl Ayat 47:

أَو يَأخُذَهُم عَلىٰ تَخَوُّفٍ فَإِنَّ رَبَّكُم لَرَءوفٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or that He would not seize them gradually [in a state of dread]?¹ But indeed, your Lord is Kind and Merciful.²

  • i.e., being aware of what is about to strike them after having seen those near them succumb.
  • Postponing deserved punishment and giving opportunities for repentance.

(MELAYU)

atau Allah mengazab mereka dengan beransur-ansur (sampai binasa). Maka sesungguhnya Tuhanmu adalah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

 

أَو يَأخُذَهُم عَلىٰ تَخَوُّفٍ

atau Allah mengazab mereka dengan beransur-ansur

Mungkin juga Allah ﷻ azab mereka secara beransur-ansur. Inilah pendapat yang dipegang oleh Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا dan lain-lain iaitu kalimah تَخَوُّفٍ di sini bermaksud تَنَقُّص yang bermaksud beransur-ansur. Pernah Saidina Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bertanya kepada jemaah semasa beliau berada di atas mimbar apakah maksud تَخَوُّفٍ ini. Maka ada seorang daripada Bani Hudayl yang mengatakan mereka menggunakan kalimah itu bermaksud تَنَقُّص. Mereka juga mengatakan ia digunakan sebegitu rupa di dalam puisi jahiliyyah. Oleh kerana itulah untuk memahami Al-Qur’an, memerlukan juga pengetahuan bahasa Arab Klasik. Kalau setakat tahu bahasa Arab moden sahaja belum tentu boleh memahami tafsir Al-Qur’an. Kerana itulah antara rujukan di dalam ilmu usul tafsir adalah mengetahui puisi Arab zaman Jahiliyah.

Baik, kembali kepada maksud ayat ini. Maksudnya, ada yang tidaklah ditimpakan sekali harung azab kepada mereka sampai mereka terus mati. Sebagai contoh, mereka ditimpakan musibah kemarau yang lambat reda; atau mereka ditimpakan dengan penyakit yang tidak sembuh-sembuh dalam masa yang lama; macam-macam Allah ﷻ boleh lakukan terhadap mereka.

Atau, kalimah تَخَوُّفٍ bermaksud hal keadaan mereka ketika dikenakan azab itu. Ini kerana kalimah ini daripada katadasar خ ف و yang bermaksud takut. Ini adalah kerana mereka yang dikenakan dengan azab secara beransur-ansur sentiasa di dalam ketakutan. Kerana mereka tidak tahu apa yang mereka akan dikenakan lagi. Kerana mereka sudah kena azab, nikmat mereka semakin ditarik, tetapi mereka tidak tahu apa lagi yang akan dikenakan kepada mereka.

Atau, ia bermaksud satu kumpulan dikenakan dengan azab sampai menakutkan kumpulan yang kedua. Manakala kumpulan kedua pula dikenakan azab sampai menakutkan kumpulan yang ketiga dan sebagainya.

 

 

فَإِنَّ رَبَّكُم لَرَءوفٌ رَّحيمٌ

Maka sesungguhnya Tuhanmu adalah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Allah ﷻ sebenarnya Maha Pemaaf dan Maha Pengasih. Allah ﷻ tidak lakukan perkara ini selalu kepada hamba-Nya. Allah ﷻ timpakan azab yang teruk-teruk kepada mereka yang zalim sahaja. Iaitu mereka yang hendak menyakiti para Rasul dan para pendakwah.

Bukanlah Allah ﷻ sengaja timpakan azab kepada hamba-Nya. Tidak mungkin Allah ﷻ sengaja kenakan azab kepada mereka kerana Allah ﷻ sangat kasih kepada hamba-Nya. Kerana itu juga Allah ﷻ tidak terus menurunkan azab kepada mereka yang ingkar. Inilah maksud rahmat Allah ﷻ itu kerana Dia beri tangguh untuk memberi kesempatan kepada manusia mengubah keadaan diri mereka. Allah ﷻ berfirman dalam ayat lain:

وَكَأَيِّنْ مِنْ قَرْيَةٍ أَمْلَيْتُ لَهَا وَهِيَ ظَالِمَةٌ ثُمَّ أَخَذْتُهَا وَإِلَيَّ الْمَصِيرُ
Dan berapa banyaknya kota yang Aku tangguhkan (azab-Ku) kepadanya, yang penduduknya berbuat zalim, kemudian Aku azab mereka, dan hanya kepada-Kulah kembalinya (segala sesuatu).
(Hajj: 48)

Seolah-olah tidak sesuai pula menyebut tentang sifat Rahmat Allah ﷻ selepas disebut tentang azab-azab-Nya itu. Maka di manakah rahmatnya? Rahmatnya adalah Allah ﷻ beritahu awal-awal akan balasan yang akan dikenakan kalau menolak wahyu. Bukanlah Allah ﷻ buat senyap kemudian di akhirat atau di dunia, Dia kenakan azab. Bahkan semua balasan itu telah disebut awal-awal lagi sebagai peringatan. Kerana itulah Allah ﷻ turunkan Al-Qur’an, para malaikat dan juga para pendakwah yang beri peringatan kepada manusia.

Namun malangnya manusia tidak sedar yang mereka telah melanggar wahyu Allah ﷻ, kerana azab tidak jelas kepada mereka. Sebaliknya hidup mereka senang sahaja, rezeki melimpah ruah. Oleh kerana itu mereka tidak sangka mereka telah melakukan kesalahan. Sebenarnya itu adalah istidraj yang Allah ﷻ kenakan kepada mereka sampaikan mereka terus lalai leka di dalam kemaksiatan (melanggar arahan Allah ﷻ). Ini seperti Allah ﷻ sebut di dalam banyak ayat Al-Qur’an, antaranya A’raf: 182

وَالَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِنا سَنَستَدرِجُهُم مِن حَيثُ لا يَعلَمونَ
Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, Kami akan menarik menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), menurut cara yang mereka tidak mengetahuinya.

Lihat juga An’am: 44

فَلَمّا نَسوا ما ذُكِّروا بِهِ فَتَحنا عَلَيهِم أَبوٰبَ كُلِّ شَيءٍ حَتّىٰ إِذا فَرِحوا بِما أوتوا أَخَذنٰهُم بَغتَةً فَإِذا هُم مُّبلِسونَ
Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (daripada mendapat sebarang pertolongan).

Istidraj adalah kesenangan yang melalaikan manusia sampai mereka lupa hendak ingat kepada Allah ‎ﷻ . Mereka sangka kesenangan itu baik bagi mereka, namun sebenarnya ia adalah buruk bagi mereka. Mereka sahaja tidak sedar yang mereka telah diperangkap.

Jangan kita terpesona dan memandang tinggi orang hidup dengan senang lenang di dunia ini. Jangan kita anggap semua mereka itu sedang mendapat nikmat. Entah mereka sekarang sedang dibuai dengan istidraj Allah ‎ﷻ. Mereka sedang menuju ke neraka sebenarnya. Mereka terbuai-buai kerana kesenangan yang sedang alami. Mereka sangka itu adalah kesenangan tetapi Allah ﷻ kata tidak sebenarnya di dalam Ali Imran: 178

وَلا يَحسَبَنَّ الَّذينَ كَفَروا أَنَّما نُملي لَهُم خَيرٌ لِّأَنفُسِهِم ۚ إِنَّما نُملي لَهُم لِيَزدادوا إِثمًا ۚ وَلَهُم عَذابٌ مُّهينٌ
Dan jangan sekali-kali orang-orang kafir menyangka bahawa Kami membiarkan (mereka hidup lama) itu baik bagi diri mereka; kerana sesungguhnya Kami biarkan mereka hanyalah supaya mereka bertambah dosa (di dunia), dan mereka pula beroleh azab seksa yang menghina (di akhirat kelak).


 

Nahl Ayat 48: Bermula ayat ini sehingga ke ayat 60 adalah Perenggan Makro ke 3 (Bahagian 4). Ia berkenaan Dalil-dalil Tauhid untuk melawan fahaman Syirik.

Ayat ini adalah ayat dalil aqli keempat surah ini. Allah ﷻ beri dalil kenapa kita kena sembah Dia sahaja. Allah ﷻ menyebutkan tentang keagungan, kebesaran, dan kemuliaan-Nya, bahawa segala sesuatu tunduk kepada-Nya dan semua makhluk merendahkan diri kepada-Nya, baik berupa benda, makhluk hidup, mahupun makhluk yang ada taklif (dibebani dengan ketaatan kepada hukum Allah ﷻ) dalam kalangan manusia, jin, dan para malaikat.

أَوَلَم يَرَوا إِلىٰ ما خَلَقَ اللهُ مِن شَيءٍ يَتَفَيَّأُ ظِلٰلُهُ عَنِ اليَمينِ وَالشَّمائِلِ سُجَّدًا ِللهِ وَهُم دٰخِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have they not considered what things Allāh has created? Their shadows incline to the right and to the left, prostrating to Allāh, while they [i.e., those creations] are humble.

(MELAYU)

Dan apakah mereka tidak memperhatikan segala sesuatu yang telah diciptakan Allah yang bayangannya berbolak-balik ke kanan dan ke kiri dalam keadaan sujud kepada Allah, sedang mereka merendahkan diri?

 

أَوَلَم يَرَوا إِلىٰ ما خَلَقَ اللهُ مِن شَيءٍ

Dan apakah mereka tidak memperhatikan segala sesuatu yang telah diciptakan Allah

Allah ﷻ suruh kita lihat pada makhluk. Tidakkah mereka melihat kepada apa sahaja makhluk semua sekali tidak kira apa (مِن شَيءٍ) yang Allah ﷻ ciptakan? Kerana dengan melihat alam ini maka kita dapat mengenal Allah ﷻ.

 

يَتَفَيَّأُ ظِلٰلُهُ عَنِ اليَمينِ وَالشَّمائِلِ

yang bayangannya bergerak ke kanan dan ke kiri-kiri

Pada setiap benda yang Allah ﷻ jadikan, ada bayang padanya. Bayang itu sentiasa bergerak dan sentiasa berubah mengikut keadaan matahari dan kedudukan objek itu. Kadang-kadang bayang itu ke kiri dan kadang-kadang ke kanan.

Kalimah يَتَفَيَّأُ daripada katadasar ف ي ا yang bermaksud memulangkan; pergi balik; letakkan di bawah kuasa; menukar tempatnya; berubah; berpusing (seperti bayang); teduh; rampasan perang; tawanan perang.

Kenapa apabila disebut kanan, ia di dalam bentuk mufrad (singular) اليَمينِ sedangkan apabila sebut kiri, ia di dalam bentuk jamak (plural) pula الشَّمائِلِ? Ini adalah kerana kanan itu nisbah kepada jalan kebaikan iaitu jalan wahyu dan ia hanya ada satu jalan sahaja. Akan tetapi kiri merujuk kepada jalan-jalan yang menyimpang daripada wahyu dan ia ada banyak.

 

سُجَّدًا ِللهِ وَهُم دٰخِرونَ

dalam keadaan sujud kepada Allah, sedang mereka merendahkan diri (rasa hina dina)

Kalau kita belajar sains, tentu kita tahu bahawa bayang itu ada kerana ada cahaya matahari dan kerana ada sesuatu yang menahan sinaran matahari itu. Pergerakan bayang itu adalah bertepatan dengan kedudukan matahari dan objek itu. Namun Allah ﷻ mahu beritahu yang bayang itu bergerak kerana taat kepada Allah ﷻ. Sebenarnya bayang itu sujud kepada Allah ﷻ – tetapi sujud dengan cara mereka.

Mereka taat kepada Allah ‎ﷻ kerana mereka merendahkan diri mereka. Kalimah داخِرونَ daripada kalimah د خ ر yang ada tiga elemen di dalamnya: rendah diri, malu dan rasa tidak berkuasa. Maknanya, bukan setakat rendah diri sahaja. Maknanya berlawanan dengan sombong kerana kita pun tahu bahawa sombong itu dilarang dan menjadi punca tidak dapat masuk syurga seperti sabda Rasulullah ﷺ,

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ daripada Nabi ﷺ, beliau bersabda,
لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً قَالَ إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ
“Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji sawi.” Ada seseorang yang bertanya, “Bagaimana dengan seorang yang suka memakai baju dan sandal yang bagus?” Beliau menjawab, “Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan orang lain.“
(Muslim No. 91)

Mujahid رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan pula bahawa sujudnya segala sesuatu (kepada Allah ﷻ) ialah bayangannya. Mujahid رَحِمَهُ اللَّهُ menyebutkan gunung-ganang, lalu beliau mengatakan bahawa sujudnya gunung-ganang ialah bayangannya. Maknanya, cara gunung sujud adalah dengan bayangnya.


 

Nahl Ayat 49:

وَِللهِ يَسجُدُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ مِن دآبَّةٍ وَالمَلٰٓئِكَةُ وَهُم لا يَستَكبِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to Allāh prostrates whatever is in the heavens and whatever is on the earth of creatures, and the angels [as well], and they are not arrogant.

(MELAYU)

Dan kepada Allah sajalah bersujud segala apa yang berada di langit dan semua makhluk yang melata di bumi dan (juga) para malaikat, sedang mereka (malaikat) tidak menyombongkan diri.

 

وَِللهِ يَسجُدُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

Dan kepada Allah sajalah bersujud segala apa yang berada di langit

Semua yang berada di langit dan bumi sujud kepada Allah ﷻ. Apabila kalimah يَسجُدُ di dalam bentuk fi’il mudhari’, maka ia menunjukkan sentiasa. Kita tahu dari segi bahasa, sujud itu hanya kepada Allah ﷻ sahaja, kerana taqdim pada kalimah وَِللهِ itu. Apabila ada taqdim (didahulukan), maka itu membawa maksud eksklusif. Iaitu hanya boleh sujud kepada Allah ﷻ sahaja dan tidak boleh sujud kepada makhluk. Maka kita hanya boleh sujud kepada Allah ﷻ sahaja.

Di dalam ayat ini disebut semua di langit dan bumi sujud kepada Allah ﷻ. Namun tidaklah semua di dunia ini ada akal, bukan? Bagaimana mereka boleh sujud pula? Ini adalah kekurangan kita yang tidak nampak bagaimana benda-benda yang nampak mati itu juga sebenarnya hidup (dengan cara mereka sendiri). Mereka juga mempunyai perasaan seperti langit yang marah dengan kesyirikan yang dilakukan oleh manusia dan jin. Ini seperti disebut dalam Maryam: 90-91

تَكادُ السَّمٰوٰتُ يَتَفَطَّرنَ مِنهُ وَتَنشَقُّ الأَرضُ وَتَخِرُّ الجِبالُ هَدًّا
Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap, –

أَن دَعَوا لِلرَّحمٰنِ وَلَدًا
Kerana mereka mendakwa: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak.

Sujud itu boleh diperluaskan maksudnya kepada taat dan tunduk kepada Allah ﷻ, bukannya hanya sujud di dalam solat itu. Yang dimaksudkan dengan sujud ialah sujudnya tubuh. Sujud tubuh ialah patuhnya menurut, tidak dapat berbuat lain daripada apa yang ditentukan oleh perbuatan Allah ﷻ. Ini adalah umum bagi seluruh tubuh. Misalnya tubuh manusia mulai dalam kandungan ibu sampai lahir ke dunia, sampai dewasa, sampai tua. Keadaan tubuhnya mesti tunduk atau sujud kepada peraturan Tuhan. Dia tidak boleh melawan peraturan Tuhan. Misalnya tanggalnya gigi, kaburnya mata dan mulai pekaknya telinga.

Kalau kita fikir-fikirkan makna yang luas daripada sujud, bahkan manusia yang derhaka sendiri pun, mahu atau tidak mahu, tidak dapat tidak mesti sujud kepada Tuhan, patuh menuruti ketentuan-Nya. Dapatkah kita menghalang umur yang sentiasa bertambah? Dapatkah kita mempertahankan sehingga kita mudah terus di dalam kehidupan kita? Dapatkah kita menolak mati? Dapatkah kita menolak apa yang ditakdirkan? Yang mencelakakan kita ialah tidak insaf akan hal ini. Sedangkan langit dan bumi yang luas ini pun tunduk patuh kepada Allah ﷻ seperti firman Allah ﷻ di dalam Fussilat: 11

فَقالَ لَها وَلِلأَرضِ ائتِيا طَوعًا أَو كَرهًا قالَتا أَتَينا طائِعينَ
lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi: “Turutlah kamu berdua akan perintah-Ku, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa!” Keduanya menjawab: “Kami berdua sedia menurut – patuh dengan sukarela”

 

مِن دآبَّةٍ وَالمَلٰٓئِكَةُ

dari semua makhluk yang melata di bumi dan (juga) para malaikat,

Allah ﷻ beritahu semua yang hidup itu sujud kepada-Nya sama ada segala binatang bernyawa yang melata di bumi atau malaikat di langit. Sama dengan apa yang disebutkan di dalam firman-Nya:

وَلِلَّهِ يَسْجُدُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَظِلالُهُمْ بِالْغُدُوِّ وَالآصَالِ
Hanya kepada Allah-lah sujud (patuh) segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan kemahuan sendiri ataupun terpaksa (dan sujud pula) bayang-bayangnya di waktu pagi dan petang hari.
(Ra’d: 15)

Kenapa Allah ﷻ sebut para malaikat di sini? Kerana kekeliruan Musyrikin Mekah tentang malaikat kerana mereka pegang para malaikat adalah anak-anak perempuan Allah ﷻ. Maka mereka bodek para malaikat dalam tawasul untuk menyampaikan doa kepada Allah ﷻ. Allah ﷻ hendak beritahu yang para malaikat yang mereka puja itu pun sebenarnya taat kepada Allah ﷻ sahaja, tidak boleh membantu mereka.

 

وَهُم لا يَستَكبِرونَ

sedang mereka tidak menyombongkan diri.

Tentunya mereka tidak sombong untuk sujud dan taat kepada Allah ‎ﷻ. Kerana mereka sedar siapa diri mereka kalau dibandingkan dengan Allah ﷻ. Makhluk yang tidak mahu tunduk sujud kepada Allah ﷻ hanyalah orang yang sombong sahaja. Mereka itu rasa mereka besar dan tinggi sedangkan hakikatnya mereka itu sangat kecil dan rendah sahaja.


 

Nahl Ayat 50: Ini adalah Ayat Sajdah.

يَخافونَ رَبَّهُم مِّن فَوقِهِم وَيَفعَلونَ ما يُؤمَرونَ ۩

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They fear their Lord above them, and they do what they are commanded.

(MELAYU)

Mereka takut kepada Tuhan mereka yang di atas mereka dan melaksanakan apa yang diperintahkan (kepada mereka).

 

يَخافونَ رَبَّهُم مِّن فَوقِهِم

Mereka takut kepada Tuhan mereka yang di atas mereka

Para malaikat itu takut kepada Allah ﷻ yang berada di atas mereka. Oleh kerana itu mereka hanya berani buat apa yang disuruh sahaja. Begitulah sifat para malaikat yang mulia. Mereka hanya taat kepada Allah ﷻ sahaja. Mereka melakukan apa sahaja yang diarahkan kepada mereka Allah ﷻ tanpa soal dan tanpa lengah.

Sebab itu kalau ada amalan silat yang panggil dan seru para malaikat untuk jaga mereka, itu adalah ajaran karut sahaja. Mana mungkin para malaikat kena dengar permintaan manusia pula sedangkan mereka itu hanya taat kepada Allah ﷻ sahaja. Malangnya, banyak persatuan silat di negara ini ada mengamalkan amalan-amalan syirik sebegitu. Begitulah malang apabila manusia tidak dipandu oleh wahyu.

Di dalam ayat ini dan banyak ayat lain, Allah ﷻ memberitahu yang Dia di atas, iaitu di langit. Maka inilah sumber pemberitahuan tentang keberadaan Allah ﷻ. Sedangkan pendapat lain seperti mengatakan Allah ﷻ di mana-mana, Allah ﷻ wujud tanpa tempat, tidak ada dalilnya melainkan ia hanya daripada akal manusia sahaja. Maka sepatutnya Muslim dan Mukmin yang berpegang dengan wahyu, terus terima sahaja apa yang Allah ﷻ dan Rasulullah beritahu kita.

Malangnya masyarakat Muslim kita sekarang ini sibuk dengan pendapat-pendapat yang lain. Mereka membuang masa memikirkan perkara yang tidak perlu difikirkan (di mana Allah ﷻ) dan mendatangkan fahaman-fahaman yang tidak ada di dalam wahyu. Kemudian berpanjangan berkelahi sesama sendiri tentang hal ini; sampaikan mengkafirkan golongan yang tidak sependapat dengan mereka. Sedangkan perkara ini tidak menjadi isu pun di zaman dahulu, Yahudi dan Nasrani tidak bising, Musyrikin Mekah pun tidak ketawakan Nabi ﷺ apabila baginda kata Allah ﷻ di atas. Kerana itulah penerimaan fitrah dalam diri manusia, iaitu tingginya Allah ﷻ itu.

Maka perdebatan yang tidak habis-habis dalam kalangan kita ini adalah perkara membuang masa sahaja! Syaitan bertepuk tangan kerana berjaya mengelirukan umat Islam dan memecah belahkan sesama kita. Maka harapnya anda semua tidaklah terlibat di dalam perbincangan yang tidak berkesudahan ini. Biarkan sahaja mereka membuang masa, kita tidak perlu masuk campur. Kalau mereka tanya pendapat kita Allah ﷻ di mana, kita jawab sahaja Allah ﷻ di langit. Kemudian kalau mereka tidak terima, biarkan sahaja. Mungkin kita berikan hujah kita berlandaskan ayat ini, cukup. Buang masa sahaja melayan mereka kerana kalau mereka tetap menolak setelah telah diberikan dalil.

 

وَيَفعَلونَ ما يُؤمَرونَ

dan melaksanakan apa yang diperintahkan (kepada mereka)

Para malaikat itu sentiasa melaksanakan apa yang mereka diarahkan oleh Allah ﷻ. Dalam ayat sebelum ini disebut tentang ‘sujud’, maka arahan utama yang dimaksudkan adalah untuk sujud. Maka apabila kita diarahkan untuk sujud, maka kita terus sujud. Maka, ayat ini adalah Ayat Sajdah dan kerana itu sunat untuk kita sujud apabila baca ayat ini.

Sujud Tilawah ini mudah sahaja. Terus sujud sahaja. Tidak perlu ada wudhu’, malah tidak perlu mesti tahu mana kiblat. Kalau bukan tutup aurat pun masih boleh sujud lagi. Kerana ia bukanlah ‘solat’ tetapi hanya ‘sujud’ sahaja.

Sekian Ruku’ 6 daripada 16 ruku’ surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 8 Januari 2024

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah an-Nahl Ayat 43 – 44 (Bertanya kepada orang yang tahu)

Nahl Ayat 43: Bermula ayat ini sehingga ke ayat 47 adalah Perenggan Makro ke 3 (Bahagian 3). Ia berkenaan ancaman kepada kaum yang menolak risalah.

Ada muqaddar (kalimah yang tidak ada dalam Al-Quran tetapi mesti ‘ditaqdirkan’ (ditambah) bagi melahirkan makna sesuatu ayat) dalam ayat ini. Ini adalah jawapan kepada keraguan manusia terhadap Nabi ﷺ. Mereka kata mereka tidak dapat terima yang Rasulullah ﷺ terima wahyu dan baginda ditugaskan untuk menyampaikan wahyu itu kepada mereka. Mereka persoalkan, kenapa jenis manusia yang ditugaskan? Kenapa bukan malaikat? Maka Allah ﷻ jawab soalan muqaddar itu.

وَمآ أَرسَلنا مِن قَبلِكَ إِلّا رِجالًا نوحي إِلَيهِم ۚ فَاسأَلوا أَهلَ الذِّكرِ إِن كُنتُم لا تَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We sent not before you except men to whom We revealed [Our message]. So ask the people of the message [i.e., former scriptures] if you do not know.

(MELAYU)

Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang-orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui,

 

وَما أَرسَلنا مِن قَبلِكَ إِلّا رِجالًا

Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang-orang lelaki 

Ini adalah jawab syubhah (kekeliruan) mereka itu. Allah ﷻ beritahu, sebelum Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Rasul, sudah ada Nabi-nabi yang lain juga mendapat wahyu dan menyampaikannya kepada umat mereka. Mereka juga manusia, bukannya malaikat. Musyrikin Mekah kenal juga Rasul-rasul itu sepertimana Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan banyak lagi Nabi-nabi lain.

Dalam ayat Yunus: 2, Allah ﷻ menurunkan firman-Nya:

أَكانَ لِلنّاسِ عَجَبًا أَن أَوحَينا إِلىٰ رَجُلٍ مِّنهُم
Tidaklah patut adanya pada manusia yang ingkar itu perasaan hairan disebabkan Kami telah wahyukan kepada seorang lelaki daripada jenis mereka

Sekarang Allah ﷻ beritahu bagaimana golongan kafir itu berhujah dengan hujah yang bodoh. Mereka kata para Rasul itu manusia biasa, sama macam mereka sahaja. Mereka jadikan itu pula sebagai alasan. Mereka hendak kata, takkanlah mereka hendak dengar kata daripada manusia biasa? Untuk menyampaikan perkara besar sebegitu, tentulah sepatutnya disampaikan oleh malaikat, supaya mereka boleh terima.

Hujah ini banyak sekali disebut dalam ayat Al-Qur’an yang lain dan telah dijelaskan apakah hujah balas kepada hujah mereka itu. Hujah yang sama juga digunakan oleh Musyrikin Mekah terhadap Nabi Muhammad ﷺ. Allah ﷻ beritahu kepada Nabi Muhammad ﷺ, bukan Musyrikin Mekah sahaja yang minta macam itu, tetapi umat-umat Rasul terdahulu sebelum baginda pun.

Ringkasnya, kepada manusia tentulah Allah ﷻ turunkan manusia juga sebagai penyampai dakwah, takkan hendak dihantar makhluk jenis lain pula? Maka hujah mereka itu tidak masuk akal dan hanya sebagai hujah kosong sahaja kerana degil tidak mahu menerima kebenaran.

Mereka berhujah, kalau Allah ﷻ mahu beri petunjuk, sepatutnya yang diturunkan adalah malaikat kepada mereka, bukannya manusia biasa. Kalau malaikat yang turun, barulah mereka kononnya akan ikut. Ini disebut dalam Mukminoon: 24

فَقالَ المَلَأُ الَّذينَ كَفَروا مِن قَومِهِ ما هٰذا إِلّا بَشَرٌ مِّثلُكُم يُريدُ أَن يَتَفَضَّلَ عَلَيكُم وَلَو شاءَ اللهُ لَأَنزَلَ مَلٰئِكَةً مّا سَمِعنا بِهٰذا في آبائِنَا الأَوَّلينَ
Maka pemuka-pemuka orang yang kafir di antara kaumnya menjawab: “Orang ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu, yang bermaksud hendak menjadi seorang yang lebih tinggi daripada kamu. Dan kalau Allah menghendaki, tentu Dia mengutus beberapa orang malaikat. Belum pernah kami mendengar (seruan yang seperti) ini pada masa nenek moyang kami yang dahulu.

Padahal memang kalau sampaikan dakwah kepada manusia, mestilah datang dalam kalangan manusia juga. Tidak salah pun kalau manusia yang menyampaikan. Sebab itu para Nabi disuruh mengaku yang mereka itu memang manusia biasa, cuma bezanya adalah mereka mendapat wahyu. Ini seperti disebut dalam Kahf: 110

قُل إِنَّما أَناْ بَشَرٌ مِّثلُكُم يوحىٰ إِلَيَّ أَنَّما إِلٰهُكُم إِلٰهٌ واحِدٌ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu;

Kalaulah malaikat yang ditugaskan untuk sampaikan dakwah, mereka pun akan tetap keliru juga kerana mereka tidak nampak malaikat. Hanya kadangkala bagai tujuan tertentu sahaja Allah ﷻ izinkan malaikat itu dapat dilihat bagi manusia. Itupun Allah ﷻ jadikan mereka dalam bentuk manusia. Apabila sudah berbentuk manusia, sudah tentu mereka tidak mahu juga terima sebab mereka kata itu manusia. Ini disebut dalam An’am: 9

وَلَو جَعَلنٰهُ مَلَكًا لَّجَعَلنٰهُ رَجُلًا وَلَلَبَسنا عَلَيهِم مّا يَلبِسونَ
Dan kalau (Rasul) itu Kami jadikan malaikat, tentulah Kami jadikan dia berupa seorang lelaki (supaya mereka dapat melihatnya), dan tentulah Kami (dengan yang demikian) menyebabkan mereka kesamaran sebagaimana mereka sengaja membuat-buat kesamaran (tentang kebenaran Nabi Muhammad).

Maka ini adalah hujah yang digunakan oleh para penolak wahyu. Disebut di dalam Isra’: 94-95 juga tentang hal ini,

وَما مَنَعَ النّاسَ أَن يُؤمِنوا إِذ جاءَهُمُ الهُدىٰ إِلّا أَن قالوا أَبَعَثَ اللهُ بَشَرًا رَسولًا
Dan tidak ada sesuatu yang menghalangi manusia untuk beriman tatkala datang petunjuk kepadanya, kecuali perkataan mereka: “Adakah Allah mengutus seorang manusia menjadi rasul?”

قُل لَو كانَ فِي الأَرضِ مَلائِكَةٌ يَمشونَ مُطمَئِنّينَ لَنَزَّلنا عَلَيهِم مِنَ السَّماءِ مَلَكًا رَسولًا
Katakanlah: “Kalau seandainya ada malaikat-malaikat yang berjalan-jalan sebagai penghuni di bumi, nescaya Kami turunkan dari langit kepada mereka seorang malaikat menjadi rasul”.

Allah ﷻ jawab di sini, oleh kerana yang hendak didakwah dan diajar itu adalah manusia, maka sebab itulah Allah ﷻ hantarkan manusia juga sebagai Rasul.

Ayat ini menyebut para Nabi itu adalah lelaki. Maka para Nabi dan juga Rasul itu adalah dalam kalangan lelaki dan bukannya wanita. Inilah pandangan jumhur ulama’ sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani رَحِمَهُ اللَّهُ dalam Fath al-Bari, 6/447. Hal ini juga dinukilkan oleh Imam al-Nawawi رَحِمَهُ اللَّهُ bahawasanya telah sepakat para ulama’ menurut Imam al-Haramain رَحِمَهُ اللَّهُ dalam al-Irsyad bahawa Maryam bukanlah Nabi.

Walaubagaimanapun, ada beberapa ulama’ yang berpegang bahawa adanya nabi dalam kalangan wanita. Antaranya adalah Imam al-Qurtubi رَحِمَهُ اللَّهُ, Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari رَحِمَهُ اللَّهُ dan Ibn Hazm رَحِمَهُ اللَّهُ. (Lihat Lawami’ al-Anwar al-Bahiyyah, 2/226). Antara wanita yang dianggap sebagai nabi adalah Maryam, Hawa, Asiah, ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Sarah dan Hajar.

Ibn Hazm رَحِمَهُ اللَّهُ menegaskan bahawa kisah Maryam dan ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah bukti yang jelas tentang kenabian wanita. (al-Fasl fi al-Milal wa al-Ahwa al-Nihal, 5/12). Kisah Maryam tersebut adalah peristiwa Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ datang kepadanya. Bagi beliau, antara ciri kenabian adalah didatangi malaikat. Manakala kisah ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula adalah tentang ilham yang Allah ﷻ berikan terus kepada beliau untuk menghanyutkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di Sungai Nil. Pandangan Ibn Hazm رَحِمَهُ اللَّهُ berkenaan kenabian Maryam ini juga dinukilkan oleh Imam al-‘Aini رَحِمَهُ اللَّهُ. Walaubagaimanapun, bagi beliau Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari رَحِمَهُ اللَّهُ bersama-sama dengan ulama’ lain dalam kalangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah dalam isu ini iaitu Nabi hanya dalam kalangan lelaki. (Lihat ‘Umdat al-Qari, 4/194).

Akan tetapi pada hakikatnya, tidak bermakna seseorang itu boleh dianggap sebagai Nabi jika didatangi malaikat kerana jika dilihat pada sabda Nabi ﷺ ini, malaikat juga datang kepada orang biasa:

أَنَّ رَجُلًا زَارَ أَخًا لَهُ فِي قَرْيَةٍ أُخْرَى، فَأَرْصَدَ اللهُ لَهُ، عَلَى مَدْرَجَتِهِ، مَلَكًا فَلَمَّا أَتَى عَلَيْهِ، قَالَ: أَيْنَ تُرِيدُ؟ قَالَ: أُرِيدُ أَخًا لِي فِي هَذِهِ الْقَرْيَةِ ، قَالَ: هَلْ لَكَ عَلَيْهِ مِنْ نِعْمَةٍ تَرُبُّهَا ؟ قَالَ: لَا، غَيْرَ أَنِّي أَحْبَبْتُهُ فِي اللهِ عَزَّ وَجَلَّ، قَالَ: فَإِنِّي رَسُولُ اللهِ إِلَيْكَ ، بِأَنَّ اللهَ قَدْ أَحَبَّكَ كَمَا أَحْبَبْتَهُ فِيهِ
“Pada suatu ketika ada seorang lelaki yang mengunjungi saudaranya di desa lain. Kemudian Allah pun mengutus malaikat untuk menemui orang tersebut. Ketika orang itu di tengah perjalanannya ke desa yang dituju, maka malaikat tersebut bertanya; ‘Hendak pergi ke mana kamu? ‘ Orang itu menjawab; ‘Saya akan menjenguk saudara saya yang berada di desa lain.’ Malaikat itu terus bertanya kepadanya; ‘Apakah kamu mempunyai satu perkara yang menguntungkan dengannya? ‘ Lelaki itu menjawab; ‘Tidak, saya hanya mencintainya kerana Allah عَزَّ وَجَلَّ.’ Akhirnya malaikat itu berkata; ‘Sesungguhnya aku ini adalah malaikat utusan yang diutus untuk memberitahukan kepadamu bahawasanya Allah akan senantiasa mencintaimu sebagaimana kamu mencintai saudaramu kerana Allah.’
(Riwayat Muslim No. 4656)

Selain itu, apa yang terjadi kepada ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti dalam ayat Qasas: 7

وَأَوْحَيْنَا إِلَى أُمِّ مُوسَى أَنْ أَرْضِعِيهِ
“Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa:” Susukanlah dia;…”

Bukanlah bermaksud wahyu yang diturunkan kepada Nabi tetapi ilham yang dinamakan ilham fitri. Al-Qur’an juga merekodkan lebah yang menerima “wahyu” yang diistilahkan sebagai ilham gharizi. Firman Allah ﷻ dalam Nahl: 68

وَأَوْحَىٰ رَبُّكَ إِلَى النَّحْلِ أَنِ اتَّخِذِي مِنَ الْجِبَالِ بُيُوتًا وَمِنَ الشَّجَرِ وَمِمَّا يَعْرِشُون
“Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: “Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia.”

Maka, adalah tidak tepat untuk kita katakan lebah turut menerima wahyu dalam ertikata, menjadi Nabi. Kesimpulannya, jumhur ulama’ menjelaskan bahawa Nabi hanya dalam kalangan lelaki sahaja.

 

نوحي إِلَيهِم

yang Kami beri wahyu kepada mereka; 

Para Rasul yang lain itu mendapat wahyu juga dengan cara yang sama seperti yang diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Maka kenapa kali ini dengan Nabi Muhammad ﷺ mereka ragu-ragu pula? Apakah mereka pelik seorang manusia diberi wahyu walaupun mereka itu memang manusia. Allah ﷻ berfirman di dalam Kahf: 110

قُل إِنَّما أَناْ بَشَرٌ مِّثلُكُم يوحىٰ إِلَيَّ أَنَّما إِلٰهُكُم إِلٰهٌ واحِدٌ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu;

Ya, mereka itu memang manusia biasa, cuma bezanya adalah mereka diberikan wahyu oleh Allah ﷻ untuk disampaikan kepada manusia. Akan tetapi golongan Musyrikin itu pelik kenapa mereka kena ikut apa yang disampaikan oleh seorang manusia. Ini seperti disebut di dalam Qamar: 24

فَقالوا أَبَشَرًا مِّنّا وٰحِدًا نَّتَّبِعُهُ إِنّا إِذًا لَّفي ضَلٰلٍ وَسُعُرٍ
Lalu mereka berkata: Patutkah kita menurut manusia daripada jenis kita, lagi yang berseorangan? Jika demikian, sesungguhnya kita berada dalam keadaan sesat dan gila!

 

فَاسأَلوا أَهلَ الذِّكرِ إِن كُنتُم لا تَعلَمونَ

maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui,

Jikalau masih tidak percaya juga, maka tanya orang yang ada ilmu kalau kamu tidak tahu. Yang dimaksudkan dengan ‘ahl zikr’ itu adalah Ahli Kitab. Ini melihat kepada konteks asal ayat ini adalah tentang pendeta dan ulama’ dalam kalangan Ahli Kitab. Sekiranya mereka itu orang-orang yang jujur, nescaya mereka akan beritahu hal yang sebenarnya itu.

Mereka digelar ahl zikr dalam ayat ini kerana kitab mereka pun dipanggil zikr (peringatan). Ini seperti disebut di dalam Anbiya’: 105

وَلَقَد كَتَبنا فِي الزَّبورِ مِن بَعدِ الذِّكرِ
Dan sungguh telah Kami tulis di dalam Zabur sesudah (Kami tulis dalam) al-Kitab

Oleh itu, sekiranya Arab Mekah tidak percaya kepada turunnya wahyu daripada Allah ﷻ kepada Nabi Muhammad ﷺ ini, maka mereka tanyalah rabbi dan ulama mereka. Tanya juga kepada mereka, adakah Nabi-nabi terdahulu itu dalam kalangan manusia atau malaikat? Sebelum Ahlul-Kitab itu dipengaruhi oleh nafsu ingin menang hujah, mereka akan mengakui bahawa Nabi-nabi dan Rasul-rasul yang terdahulu itu semuanya adalah manusia belaka, manusia pilihan yang diberi wahyu oleh Allah ﷻ.

Ia juga boleh bermaksud Ahli Al-Qur’an kerana Al-Qur’an juga disebut sebagai الذِّكرِ di dalam Al-Qur’an. Maka ia bermakna apabila mendapatkan ilmu agama, hendaklah bertanya kepada orang yang kenal dengan wahyu kerana Al-Qur’an adalah rujukan utama kepada umat Islam.

Umum erti ayat menyuruhkan orang yang tidak tahu bertanya kepada yang lebih tahu, kerana ilmu pengetahuan itu adalah umum sifatnya, berfaedah buat mencari kebenaran. Dengan ayat ini kita mendapat pengertian bahawasanya kita boleh menuntut ilmu kepada ahlinya, di mana saja dan siapa saja; sebab yang kita cari ialah kebenaran. Tidaklah semestinya berkenaan ilmu agama sahaja kerana ia boleh bersifat umum.

Yang mana pun di antara kedua tafsir itu tidaklah berlawanan. Dalam hal yang mengenai ilmu-ilmu Agama Islam, nescaya kita patut bertanya kepada ahl zikr dalam hal Islam, dan dalam ilmu-ilmu yang lain, iaitu dalam hal-hal yang lebih umum, kita tanya pula kepada ahl zikr nya sendiri; tandanya kita berfahaman luas dan berlapang dada.

Ayat ini juga mengajar kita untuk belajar dan adakalanya dengan bertanya. Jikalau kita tidak faham, hendaklah kita bertanya kepada orang yang berilmu. Jangan segan untuk bertanya kerana itu akan menyebabkan kita terus menjadi jahil. Lihatlah sabda Nabi ﷺ dalam hal ini,

فَإِنَّمَا شِفَاءُ الْعِيِّ السُّؤَالُ
Sesungguhnya ubat kepada kejahilan adalah bertanya (kerana kejahilan itu seumpama penyakit)
(Sunan Abu Dawud, Sunan Ibn Majah & Musnad Ahmad)

Antara perkara yang kita kena tanya adalah tentang dalil sesuatu hal agama dan amalan. Jangan hanya mengikut sahaja. Hanya orang bodoh sahaja buat perkara itu kerana agama ini memerlukan dalil. Sekiranya kita beramal hanya kerana disampaikan oleh seseorang yang dipandang sebagai guru tetapi tidak diberikan dalil, maka ini adalah satu kebodohan. Sedangkan Allah ﷻ telah ajar kita untuk beramal dengan ilmu seperti disebut dalam Isra’: 36

وَلا تَقفُ ما لَيسَ لَكَ بِهِ عِلمٌ ۚ إِنَّ السَّمعَ وَالبَصَرَ وَالفُؤادَ كُلُّ أُولٰئِكَ كانَ عَنهُ مَسئولًا
Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.

Dalam kita bertanya tentang hal agama (dan lain-lain) kenalah juga kita berhati-hati. Jangan bermudah terima sahaja tetapi kena pandai menilai. Begitulah kita sekarang ini kalau bertanya soalan agama, bukan? Tanya satu ustaz, satu jawapan; tanya kepada ustaz lain dapat jawapan lain pula. Dalam banyak keadaan, kita pun boleh menjadi pening kerana jawapan daripada para asatizah tidak sama. Sebenarnya Allah ﷻ telah ajar kita di dalam menilai, seperti disebut di dalam Zumar: 18

الَّذينَ يَستَمِعونَ القَولَ فَيَتَّبِعونَ أَحسَنَهُ ۚ أُولٰئِكَ الَّذينَ هَدٰهُمُ اللَهُ ۖ وَأُولٰئِكَ هُم أُولُو الأَلبٰبِ
Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.

Jika mahu tergolong dalam golonga yang berakal sempurna (Ulul Albaab) maka kita dengar hujah yang disampaikan namun dalam masa yang sama mestilah menilainya dengan sebaik mungkin supaya kita ikut yang أَحسَنَهُ (yang terbaik). Apakah pula أَحسَنَهُ itu? Jadilah orang yang bijak, maka rujuk lah firman Allah ﷻ dalam Zumar: 23 pula,

اللَهُ نَزَّلَ أَحسَنَ الحَديثِ كِتٰبًا مُّتَشٰبِهًا مَّثانِيَ
Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Qur’an yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang

Maknanya, أَحسَنَ yang dimaksudkan adalah wahyu Al-Qur’an. Maka kita kena bandingkan apa-apa sahaja yang disampaikan kepada kita dengan neraca Al-Qur’an. Cuma malangnya ramai yang tidak mahir malah jahil sekali dengan tafsir Al-Qur’an ini maka kerana itu mudah sekali mereka tertipu! Sampai bila mahu kekal jahil begini? Tepuklah dada tanyalah iman.

Maka kita kena utamakan dalil daripada wahyu terutama sekali Al-Qur’an kerana ia adalah rujukan dan panduan utama kita. Kemudian kita rujuk pula kepada wahyu kedua iaitu hadith-hadith Nabi ﷺ. Kedua-dua ini apabila digabungkan menjadi panduan dan rujukan kita, maka akan selamatlah kita. Kenapa Hadith juga dikira sebagai wahyu? Kerana ia bukan sahaja perkataan kosong daripada Nabi ﷺ, namun ia juga adalah wahyu daripada Allah ﷻ seperti firman-Nya di dalam Najm: 3-4

وَما يَنطِقُ عَنِ الهَوىٰ
Dan dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut hawa nafsunya sendiri.

إِن هُوَ إِلّا وَحيٌ يوحىٰ
Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Qur’an atau hadith) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.

Tambahan pula tugas Nabi ﷺ adalah untuk menjelaskan tentang wahyu Al-Qur’an itu. Ini seperti firman Allah ﷻ dalam Maidah: 67

يٰٓاَيُّهَا الرَّسُوْلُ بَلِّغْ مَآ اُنْزِلَ اِلَيْكَ مِنْ رَّبِّكَ ۗوَاِنْ لَّمْ تَفْعَلْ فَمَا بَلَّغْتَ رِسٰلَتَهٗ ۗ
Hai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu. Dan jika tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, bererti) kamu tidak menyampaikan risalah-Nya.

Sekiranya tanpa ajaran dan penjelasan daripada baginda bagaimana cara untuk beramal dengan Al-Qur’an, tentulah kita tidak akan tahu. Malangnya begitulah, tidak ramai dalam kalangan orang kita yang belajar tafsir Al-Qur’an dan hadith ini. Ada yang belajar tafsir tetapi tidak belajar hadith; ada yang belajar hadith, tetapi tidak belajar tafsir. Semoga umat Islam di negara kita diberikan ilmu pengetahuan ini. Alhamdulillah semakin banyak kelas pengajian tentang dua ilmu ini yang disampaikan kepada umat.

Lebih malang lagi, ada orang yang sangka mereka hanya perlu berpegang dengan Al-Qur’an sahaja tanpa memandang Hadith. Mereka ini antaranya adalah golongan Anti-Hadith yang semakin ramai. Ini adalah perbuatan sesat dan amat bahaya sekali. Bagaimana mungkin hanya dengan mengetahui bahasa Arab sahaja sudah boleh mengambil hukum daripada Al-Qur’an? Bagaimana pula dengan orang yang setakat guna terjemahan seperti golongan Anti-Hadith di negara kita ini? Lagilah teruk!

Inilah yang terjadi apabila manusia semakin jauh daripada ilmu wahyu dan tidak mengetahui syarat-syarat yang telah digariskan oleh ulama’ silam. Kita yang sudah mula belajar inilah yang kena sampaikan kepada masyarakat. Yang penting kita sampaikan agama ini dengan dakwah yang baik. Jangan kita lemah semangat kerana Allah ﷻ telah berfirman di dalam Ali Imran: 139

وَلا تَهِنوا وَلا تَحزَنوا وَأَنتُمُ الأَعلَونَ إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ
Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.

Kita sebagai orang awam, kena juga sedar yang kita ini tidak mampu untuk terus mengambil ilmu terus daripada Al-Qur’an dan Hadith. Kerana itu kita tetap kena bergantung kepada ulama’ yang menyampaikan ajaran agama kepada kita kerana mereka lebih faham tentang wahyu kerana hidup mereka bergelumang dengan ilmu. Lebih-lebih lagi ada perkara yang tidak jelas hukumnya kerana tidak jelas ia disentuh dalam Al-Qur’an dan Hadith. Tambahan pula zaman moden ini terdapat terlalu banyak perkara baru di dalam kehidupan dan tidak disentuh kerana khusus di dalam wahyu Al-Qur’an dan Hadith.

Keranalah itu kita kena pandang juga pandangan para mujtahid, iaitu mereka yang tinggi ilmunya. Ijtihad dari segi bahasa ialah mencurahkan tenaga dalam sesuatu perbuatan. Mujtahid ialah mereka yang mempunyai malakah ijtihad atau kemampuan untuk mengkaji, menyelidiki dan mendapatkan hukum-hukum syara’ yang amali daripada dalil-dalil yang terperinci. Mujtahid juga seorang faqih dalam kalangan ulama Usul. Tidak dikatakan seseorang sebagai mujtahid atau faqih jika sekadar menghafal masalah-masalah fiqh daripada kitab-kitab atau daripada mulut ulama tanpa mengkaji, menyelidiki dan menistinbat daripada dalil-dalilnya.

Syarat-syarat asas untuk menjadi mujtahid adalah,

1. Mesti menguasai bahasa Arab dengan baik dari segi tata bahasa dan kefahaman yang tepat makna-makna kalimat dan maksud daripada struktur ayat-ayatnya. Penguasaan bahasa Arab dengan semulajadi atau mempelajari ilmu tata bahasa Arab saperti nahu, sorof, balaghah, adab (sastera Arab) ma’ani dan bayan.

2. Mengetahui selok belok Al-Qur’an yang bererti mengetahui maksudnya serta segala ilmu yang bersangkut paut dengan Al-Qur’an termasuklah asbabun nuzul, nasikh mansukh, makki dan madani, am dan khas, mutlak dan muqayyad, muhkam dan mutasyabih. Kebanyakan ulama’ bersepakat bahawa mengetahui selok belok kitab Allah ﷻ ialah mengetahui segala ayat ahkam. Imam Shafi’iy رَحِمَهُ اللَّهُ, ar-Razi رَحِمَهُ اللَّهُ, Ibn Qudamah رَحِمَهُ اللَّهُ serta yang lain mengatakan ayat ahkam semuanya 500 ayat.

3. Mengetahui Sunnah nabawiyyah sama ada perkataan, perbuatan dan takrir. Ini bererti mengetahui maksud hadith serta menguasai ilmu mustahul Hadith dan Rijalul Hadith bagi mengetahui kekuatan dan kelemahan hadith tersebut unyuk diamalkan. Ulama’ semua bersepakat bahawa mengetahui hadith bermakna mengetahui segala hadith yang bersangkut paut dengan hukum-hakam. Ibn Qayyim رَحِمَهُ اللَّهُ berpendapat bahawa hadith ahkam ialah 500 hadith yang dipecahkan kepada 4000 hadith.

4. Mesti mengetahui ilmu Usul Fiqh yang merupakan satu kemestian diketahui oleh setiap mujtahid dan faqih. Kerana dengan ilmu ini mujtahid dapat mengetahui dalil-dalil syara’, terutama dalam rujukan, cara-cara istinbat (mengeluarkan hukum) atau mengambil hukum dari sumbernya.

5. Perlu mengetahui masalah-masalah yang hendak diijmak. Seorang mujtahid perlu mengetahui dengan jelas masalah-masalah yang telah disepakati oleh ulama’, kerana ia tidak harus sama sekali menyalahi ijma’ dalam masalah yang dikaji dan diijtihadkannya.

6. Perlu mengetahui maqasid as-syariah. Kerana ia merupakan pemahaman dan pengetahuan yang perlu bagi membolehkan mengistinbatkan hukum-hukum yang tidak ada nas syara’ dengan menggunakan konsep qiyas atau berdasarkan maslahah atau adat kebiasaannya yang menjadi kelaziman dalam muamalat mereka demi untuk mencapai kepentingan mereka.

7. Kesediaan fitrah untuk berijtihad. Syarat ini amat penting walaupun tidak dinaskan ulama’ usul secara nyata, iaitu hendaklah seseorang alim ada persediaan fitrah untuk berijtihad, maksudnya dia mempunyai pemikiran fiqh, serta pemahaman yang teliti, jiwa yang bersih, pemandangan yang jauh dan kecerdasan yang tajam.

8. Adil dan Taqwa, di antara syarat yang disepakati oleh ulama’ usul, hendaklah mujtahid itu seorang adil, baik akhlaknya, bertaqwa, bersungguh mencari kebenaran dan tidak sanggup menggadai agamanya


Nahl Ayat 44: Ayat ini adalah jawapan bagi mereka yang menolak hadith. Ini penting kerana memahami hadith adalah satu kemestian untuk memahami Al-Qur’an. Sekiranya tidak belajar hadith, kita pasti tidak dapat hendak amalkan ayat-ayat Al-Qur’an itu.

بِالبَيِّنٰتِ وَالزُّبُرِ ۗ وَأَنزَلنا إِلَيكَ الذِّكرَ لِتُبَيِّنَ لِلنّاسِ ما نُزِّلَ إِلَيهِم وَلَعَلَّهُم يَتَفَكَّرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[We sent them] with clear proofs and written ordinances. And We revealed to you the message [i.e., the Qur’ān] that you may make clear to the people what was sent down to them and that they might give thought.

(MELAYU)

keterangan-keterangan (mukjizat) dan kitab-kitab. Dan Kami turunkan kepadamu Al Qur’an, agar kamu menerangkan pada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkan,

 

بِالبَيِّنٰتِ وَالزُّبُرِ

keterangan-keterangan (mukjizat) dan kitab-kitab.

Allah ﷻ pilih para Nabi dan mereka dilantik sebagai utusan dengan membawa البَيِّناتِ iaitu dalil bukti yang jelas nyata. Antaranya mereka telah diberikan dengan mukjizat untuk membuktikan kenabian mereka kepada umat mereka. Mereka diberikan dengan mukjizat sebagai bukti kerana mereka menyampaikan perkara yang besar dan berhadapan dengan penentangan yang kuat. Maka kepada mereka Allah ﷻ bekalkan dengan mukjizat sebagai bukti yang mereka itu memang benar-benar seorang Nabi.

Ada antara mereka yang ada الزُّبُرِ iaitu kitab wahyu yang ada hukum di dalamnya. Kalimah الزُّبُرِ daripada ز ب ر yang bermaksud ‘tulisan’ maka kalimah الزُّبُرِ adalah jamak taksir kepada kitab wahyu yang bertulis. Asalnya ia bermakna kepingan besi seperti yang digunakan di dalam Kahf: 96 آتوني زُبَرَ الحَديدِ (Bawalah kepadaku kepingan-kepingan besi). Kepingan tulisan dikira sebagai الزُّبُرِ kerana pentingnya kitab-kitab itu. Maka الزُّبُرِ boleh digunakan untuk Taurat, Injil dan juga Al-Qur’an. Juga Mazmur atau Zabur kepada Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dan Shuhuf, iaitu catatan-catatan yang diterima Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, demikian juga catatan wahyu kepada Nabi-nabi Armiyah, Hazqial, Asy’iya, Malaikhi, Danial dan lain-lain, semuanya itu disebut “zubur”, ertinya kitab-kitab, besar dan kecil.

Kita kena beriman dengan perkara ini kerana sebelum Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Rasul dan diberikan dengan Al-Qur’an, telah ada kitab-kitab wahyu yang lain. Maka Allah ﷻ suruh tanya kepada mereka tentang kebenaran yang ada dalam Al-Qur’an, kalau tidak percaya.

Hal ini boleh menjadi hujah yang kita boleh adakan perbincangan yang sihat dengan golongan Ahli Kitab itu. Dari dulu ada antara orang Islam yang tahu Taurat dan Injil kerana mereka datang daripada agama Ahli Kitab dan bila mereka masuk Islam, mereka boleh beritahu apa yang ada dalam kitab mereka.

Untuk zaman sekarang pun ada ulama’ yang mengkaji Kitab-kitab itu, sebagai ilmu perbandingan agama. Maka kita kena ambil peluang ini dan boleh berbincang dengan Ahli Kitab kerana mereka juga ada ilmu yang kita boleh belajar daripada mereka. Jangan jadikan mereka sebagai musuh kita kerana ada maklumat yang tidak disebut dalam Al-Qur’an tetapi ada dalam kitab mereka.

Namun kita harus ingat yang kita ada Al-Qur’an. Dengan Al-Qur’an ini, kita boleh pastikan manakah maklumat yang benar dan salah dalam kitab-kitab golongan Ahli Kitab itu. Ini adalah kerana neraca kebenaran adalah Al-Qur’an. Kita juga tahu yang kitab-kitab mereka telah diubah daripada tulisan asalnya dan kalau kita terus terima sahaja, tentu ada masalah.

Tambahan pula, kitab-kitab mereka bukan dalam bahasa yang asal, maka ada masalah terjemahan yang boleh menyebabkan salah penggunaan perkataan. Bila sudah salah terjemah, tentu salah faham akan berlaku.

Maka, kita kena sampaikan kepada Ahli Kitab tentang kebenaran yang ada dalam kitab-kitab wahyu. Mereka memang ada kitab, tetapi telah ada kesalahan yang dimasukkan dalam kitab-kitab itu. Oleh kerana itu mereka telah tersesat dari jalan yang benar. Maka kena ada usaha daripada kita untuk sampaikan kebenaran kepada mereka. Kesalahfahaman mereka itu harus diperbetulkan. Oleh itu harus ada dakwah dan dialog dengan mereka untuk mencari kebenaran.

 

وَأَنزَلنا إِلَيكَ الذِّكرَ لِتُبَيِّنَ لِلنّاسِ ما نُزِّلَ إِلَيهِم

Dan Kami turunkan kepadamu Al Qur’an, agar kamu menerangkan pada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka

Maka tugas Nabi Muhammad ﷺ adalah menyampaikan ajaran Al-Qur’an kepada manusia. Bukan hanya kepada umat Islam sahaja, tetapi kepada manusia keseluruhannya. Baginda dan para sahabat telah melakukannya, maka sekarang menjadi tugas kitalah untuk meneruskan dakwah menyampaikan Al-Qur’an ini. Untuk melakukannya, hendaklah kita dahulu mempelajarinya dan memahaminya.

Kita telah terangkan di atas tadi bagaimana Hadith Rasulullah ﷺ juga adalah wahyu. Ini adalah kerana kata-kata Rasulullah ﷺ itu menjelaskan Al-Qur’an. Sebagai analogi Al-Qur’an itu adalah bagaikan manual peranti seperti handphone, maka Rasulullah ﷺ adalah seorang yang pakar menggunakan peranti itu. Maka bagindalah yang paling layak untuk menjelaskan bagaimana cara menggunakan peranti itu dengan benar.

Sepertimana diriwayatkan daripada Aisyah رضي الله عنها bahwasanya beliau mengatakan akhlak Nabi ﷺ adalah Al-Qur’an ketika menggambarkan Nabi ﷺ. Disebutkan dalam hadith yang panjang tentang kisah Sa’ad bin Hisyam bin Amir رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ ketika datang ke Madinah dan mengunjungi Aisyah رضي الله عنها untuk menanyakan beberapa masalah. Sa’ad bin Hisyam bin Amir رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata,

فَقُلتُ : يَا أُمَّ المُؤمِنِينَ ! أَنبئِينِي عَن خُلُقِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ ؟ قَالَت : أَلَستَ تَقرَأُ القُرآنَ ؟ قُلتُ : بَلَى .قَالَت : فَإِنَّ خُلُقَ نَبِيِّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ كَانَ القُرآنَ .قَالَ : فَهَمَمْتُ أَن أَقُومَ وَلَا أَسأَلَ أَحَدًا عَن شَيْءٍ حَتَّى أَمُوتَ …الخ رواه مسلم (746)
“Aku berkata, ‘Wahai Ummul Mukminin, beritahulah aku tentang akhlak Rasulullah ﷺ!” Aisyah رضي الله عنها bertanya, ‘Bukankah engkau membaca Al-Qur’an?” Aku menjawab, “Ya.” Dia berkata, “Sesungguhnya akhlak Nabi ﷺ adalah Al-Qur’an.” Kemudian aku hendak berdiri dan tidak bertanya kepada siapapun tentang apapun hingga aku mati…”
(Muslim No. 746)

وَلَعَلَّهُم يَتَفَكَّرونَ

dan supaya mereka memikirkan,

Dakwah dan dialog kepada mereka hendaklah dijalankan supaya mereka boleh fikirkan mana yang benar. Ini penting kerana dalam kitab mereka, ada banyak kisah yang tidak patut diceritakan tentang para Nabi. Ada yang kata Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melakukan syirik di hujung hayat baginda; ada kisah Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menghantar panglima perangnya pergi berperang kerana mahu mengambil isteri panglima perangnya itu.

Itu adalah antara kisah yang karut dalam kitab mereka dan macam-macam lagi kisah yang karut. Maka, kita harus beritahu mereka perkara-perkara itu supaya mereka dapat memikirkan apakah agama mereka benar atau tidak. Ini kerana agama memerlukan penggunaan akal yang sihat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 7 Januari 2024

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin

Tafsir Surah an-Nahl Ayat 42 (Kepentingan Sabar & Tawakal)

Nahl Ayat 42: Apakah sifat mereka yang berhijrah itu kena ada?

الَّذينَ صَبَروا وَعَلىٰ رَبِّهِم يَتَوَكَّلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[They are] those who endured patiently and upon their Lord relied.

(MELAYU)

(iaitu) orang-orang yang sabar dan hanya kepada Tuhan saja mereka bertawakkal.

 

الَّذينَ صَبَروا

orang-orang yang sabar

Mereka itu adalah orang yang sabar semasa hijrah. Ini adalah kerana dugaan ketika berhijrah itu bukannya mudah. Tambahan pula kerana sebelum ini mereka harus meredah padang pasir atau lautan untuk ke tempat hijrah. Nanti sampai ke tempat yang mereka tidak ada kenalan, tidak ada kerja dan tidak ada keluarga. Maka para peringkat awal, mereka memang kena bersabar.

Kalimah صبِر daripada katadasar ص بِ ر yang bermaksud untuk mengikat; tabah; tetap; bertahan dengan sabar; berpegang teguh pada akal dan perintah; tenang. Maka ada elemen ikat nafsu di sini. Tetap melakukan benda yang baik dan tidak goyang ketika mengalami tekanan dan dugaan. Ikut arahan seperti arahan Allah ﷻ untuk meninggalkan perkara yang dilarang. Sebelum ini telah disebut tentang istiqamah dan sabar juga mempunyai elemen istiqamah juga.

Kita mungkin rasa kita sudah tahu apa itu sabar, sebab itu kita selalu juga nasihat orang lain: sabar ya, sabar ya…. Namun tahukah anda maksud sebenar ‘sabar’ dari segi syarak? Dari segi bahasa, الصبر itu adalah الحَبسُ dan المَنعُ. Tahukah apa itu الحبس والمنع? Tidak tahu bukan? Hendak tahu? Sabar, memang hendak beritahu pun. الحَبسُ bermaksud ‘tahan’ dan المَنعُ bermaksud ‘halang’.

Pertamanya tahan diri daripada marah. Apa-apabila berlaku, jangan melenting, tahan perasaan anda. Jangan layan perasaan kerana jika anda marah, maka anda telah kalah dengan syaitan. Ini memerlukan kekuatan seperti yang diriwayatkan daripada Abū Hurayrah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الغَضَبِ
Orang kuat itu bukanlah orang yang kuat bergusti, akan tetapi orang kuat adalah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah.
(Riwayat Bukhārī (6114))

Keduanya, halang tubuh kita sama ada lidah atau anggota yang lain. Lidah jangan laju sahaja untuk menjerit atau memaki orang; jangan tampar muka dan koyakkan baju (perbuatan orang Arab dulu); tangan jangan laju untuk memukul orang, pecahkan barang atau baling pinggan mangkuk. Halang semua itu daripada berlaku.

Begitulah dalam banyak perkara, kita kena sabar. Sabar adalah sikap daripada jiwa yang besar dan terlatih. Iaitu terlatih dengan akhlak-akhlak yang diajar di dalam Al-Qur’an. Hendak sampaikan dakwah kepada umat pun, kena sabar; hendak menegur orang lain, kena sabar; hendak buat amal ibadat pun, kena sabar. Memang sepanjang hidup kita di atas dunia ini kena bersabar sepanjang masa. Kena latih diri untuk terima apa sahaja yang Allah ﷻ kenakan kepada kita.

Sebagaimana para Nabi juga mengalami kesusahan, maka kita pun kena bersabar. Kadang-kadang kita terpaksa menghadapi ejekan, tohmahan, amarah daripada orang lain dan sebagainya. Sebab itu Allah ﷻ sebut tentang sabar di dalam Muzzammil: 10 iaitu antara surah yang awal diturunkan kepada Rasulullah ﷺ semasa baginda memulakan dakwah,

وَاصبِر عَلىٰ ما يَقولونَ وَاهجُرهُم هَجرًا جَميلًا
Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu daripada mereka dengan cara yang baik.

Dalam kehidupan seharian kita, kita hendaklah mengamalkan sabar. Terutama sekali jikalau kita ditimpa masalah. Inilah pakaian kita yang kena sentiasa ada. Sabar itu ada tiga jenis:

1. Sabar dalam ketaatan. Iaitu untuk memenuhi arahan daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul.

2. Sabar dalam meninggalkan larangan daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul. Ini pun memerlukan kesabaran juga.

3. Sabar dalam menerima musibah dan ujian.

Daripada tiga jenis pula terdapat tiga peringkat:

1. Menahan diri daripada bercakap apa-apa dan menghalang diri daripada melakukan sesuatu. Ini adalah sabar peringkat pertama iaitu sudah dikira sebagai ‘sabar‘. Ini rasanya agak mudah untuk dilakukan.

2. Peringkat kedua adalah sabar dicampur redha dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah ﷻ. Ini agak sukar sedikit untuk dilakukan kerana ramai yang mempersoalkan ketentuan daripada Allah ﷻ. Orang yang dapat mencapai peringat ini sedar yang Allah ﷻ boleh buat apa sahaja kepada dirinya yang hanya seorang hamba. Dia sedar yang dunia ini adalah ujian dan hari ini Allah ﷻ hendak uji dengan satu musibah.

3. Peringkat ini sabar tertinggi dan paling sukar untuk dicapai. Iaitu sabar campur redha kemudian ditambah dengan syukur pula! Iaitu orang itu boleh bersyukur pula apabila Allah ﷻ kenakan musibah kepada dirinya kerana dia tahu tentu ada hikmah di dalam ujian itu. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Insan: 2-3

إِنّا خَلَقنَا الإِنسٰنَ مِن نُّطفَةٍ أَمشاجٍ نَّبتَليهِ فَجَعَلنٰهُ سَميعًا بَصيرًا
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.

إِنّا هَدَينٰهُ السَّبيلَ إِمّا شاكِرًا وَإِمّا كَفورًا
Sesungguhnya Kami telah menunjukinya jalan yang lurus; ada yang bersyukur dan ada pula yang kafir.

Lihatlah Allah ﷻ sebut bersyukur dengan ujian dan ada yang kufur dengan sebab ujian yang Allah ﷻ berikan. Maka kena letak dalam otak kita yang dunia ini ujian, dan selalunya ujian akan ada keputusan: sama ada lulus atau gagal! Tentu kita mahu lulus, bukan? Sebagai motivasi untuk kita bersabar dalam semua perkara, Allah ﷻ sebut balasan bagi orang yang bersabar di dalam Zumar: 10

إِنَّما يُوَفَّى الصّٰبِرونَ أَجرَهُم بِغَيرِ حِسابٍ
Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira

Apakah maksud ‘tanpa hisab’? Dibalas banyak sangat, sampai tidak boleh hendak kira. Hisab itu bermaksud ‘kira’. Balasan yang Allah ﷻ beri itu terlalu banyak sampai tidak terkira.

Tafsir kedua: ada juga hadith yang menunjukkan bahawa orang-orang yang sabar dengan dugaan berat yang mereka terima, tidak akan dihisab. Mereka terus sahaja masuk syurga. Padahal orang lain akan ditimbang-timbang dan dikira-kira amal ibadat mereka. Ini kerana menunggu untuk dihisab di Mahsyar itu pun sudah satu kesengsaraan juga kerana kena tunggu dalam masa yang amat lama. Maka kalau dapat masuk terus ke syurga tanpa hisab, itu adalah nikmat yang amat besar.

Kalau kita sabar dengan dugaan yang diberikan kepada kita, kita akan mendapat balasan daripada Allah ﷻ yang amat banyak. Ini kerana amalan ibadat seperti solat dan puasa akan dibalas dengan kadar amal kebaikan itu.

Antara sabar yang kita kena amalkan adalah dengan menahan marah. Ini kerana ia adalah sifat orang Mukmin seperti disebut dalam Ali Imran: 133-134

۞ وَسارِعوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُم وَجَنَّةٍ عَرضُهَا السَّمٰوٰتُ وَالأَرضُ أُعِدَّت لِلمُتَّقينَ
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;

الَّذينَ يُنفِقونَ فِي السَّرّاءِ وَالضَّرّاءِ وَالكٰظِمينَ الغَيظَ وَالعافينَ عَنِ النّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;

 

وَعَلىٰ رَبِّهِم يَتَوَكَّلونَ

dan hanya kepada Tuhan saja mereka bertawakal.

Mereka sanggup menghadapi segala dugaan itu dan mereka letakkan nasib mereka di tangan Allah ﷻ. Mereka tawakal terhadap apa yang terjadi bila sudah berhijrah. Maka di dalam ayat ini mengandungi dua lagi syarat untuk mendapat kelebihan di dalam berhijrah. Di dalam ayat sebelum ini telah disebut ia mestilah dilakukan kerana Allah ﷻ dan setelah dizalimi di tempat asal mereka. Dua syarat lagi adalah:

Ketiga, mereka kena bersabar. Mungkin pada peringkat awal mereka akan susah kerana berhijrah bukannya senang. Maka kena ada sifat sabar yang kuat.

Keempat, mereka tawakal kepada Allah ﷻ setelah mereka berusaha. Serahkan kepada Allah ﷻ akan nasib dan takdir kita.

Untuk mendapat kelebihan setelah berhijrah, maka kena ada keempat-empat syarat ini. Kalau setelah berhijrah, tetapi hidup masih lagi susah, maka kena selidiki semula empat syarat ini.

Apabila melakukan hijrah itu, kena letakkan nasib kita di dalam tangan Allah ﷻ kerana Dia sahaja yang Maha Hidup seperti disebut dalam Furqan: 58

وَتَوَكَّل عَلَى الحَيِّ الَّذي لا يَموتُ
Dan bertawakallah kepada Allah yang hidup (kekal) Yang tidak mati,

Kenapa berharap kepada selain Allah ﷻ yang akan mati? Kalau dia mati, tentulah dia tidak dapat memberikan apa-apa kepada kita. Akan tetapi Allah ﷻ yang tidak mati-mati inilah yang kita sepatutnya berharap. Maka ayat ini mengingatkan kita supaya bertawakal kepada Allah ﷻ kalau kita benar-benar beriman. Tidak ada cara lain. Kita hendaklah berharap kepada Allah ﷻ sahaja. Hendaklah mereka serahkan semua urusan kita kepada Allah ﷻ. Memang inilah sifat tawakal yang semua orang beriman kena ada kerana kita adalah makhluk yang lemah. Dan formula untuk tawakal telah disebut di dalam Ahzab: 22.

وَلَمّا رَءَا المُؤمِنونَ الأَحزابَ قالوا هٰذا ما وَعَدَنَا اللهُ وَرَسولُهُ وَصَدَقَ اللهُ وَرَسولُهُ ۚ وَما زادَهُم إِلّا إيمٰنًا وَتَسليمًا
Dan tatkala orang-orang mukmin melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata: “Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita”. Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. Dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali iman dan ketundukan.

Kita boleh belajar betapa hebatnya tawakal Rasulullah ﷺ kepada Allah ﷻ seperti disebut di dalam hadith,

أَنَّ جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَخْبَرَ أَنَّهُ غَزَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قِبَلَ نَجْدٍ فَلَمَّا قَفَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَفَلَ مَعَهُ فَأَدْرَكَتْهُمْ الْقَائِلَةُ فِي وَادٍ كَثِيرِ الْعِضَاهِ فَنَزَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتَفَرَّقَ النَّاسُ يَسْتَظِلُّونَ بِالشَّجَرِ فَنَزَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَحْتَ سَمُرَةٍ وَعَلَّقَ بِهَا سَيْفَهُ وَنِمْنَا نَوْمَةً فَإِذَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدْعُونَا وَإِذَا عِنْدَهُ أَعْرَابِيٌّ فَقَالَ إِنَّ هَذَا اخْتَرَطَ عَلَيَّ سَيْفِي وَأَنَا نَائِمٌ فَاسْتَيْقَظْتُ وَهُوَ فِي يَدِهِ صَلْتًا فَقَالَ مَنْ يَمْنَعُكَ مِنِّي فَقُلْتُ اللَّهُ ثَلَاثًا وَلَمْ يُعَاقِبْهُ وَجَلَسَ
Bahawa [Jabir bin ‘Abdullah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] mengabarkan bahawa dia berangkat berperang bersama Rasulullah ﷺ melewati Najd. Ketika Rasulullah ﷺ kembali dan Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا pun ikut kembali, mereka menjumpai sungai di bawah lembah yang banyak pepohonannya. Maka Rasulullah ﷺ turun dan para sahabat pun bertebaran mencari tempat berteduh di bawah pohon. Dan Rasulullah ﷺ singgah berteduh di bawah suatu pohon lalu menggantungkan pedang baginda pada pohon tersebut kemudian baginda tidur sejenak. Ketika Rasulullah ﷺ memanggil kami, di hadapan baginda ada seorang lelaki Badwi. Baginda berkata: “Orang ini telah mengambil pedangku ketika aku tidur lalu aku bangun sedang tangannya sudah memegang pedang yang terhunus lalu dia berkata: “Siapa yang dapat melindungimu daripadaku?” Aku jawab: “Allah” sebanyak tiga kali. Maka orang itu tidak dapat berbuat apa-apa kepada baginda lalu dia terduduk lemah.
(Sahih Bukhari (2694))

Maka kita diajar untuk membiasakan diri ingat kepada tawakal. Maka satu amalan yang boleh mengingatkan kita adalah zikir yang dibaca ketika keluar rumah,

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا خَرَجَ الرَّجُلُ مِنْ بَيْتِهِ فَقَالَ بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ قَالَ يُقَالُ حِينَئِذٍ هُدِيتَ وَكُفِيتَ وَوُقِيتَ فَتَتَنَحَّى لَهُ الشَّيَاطِينُ فَيَقُولُ لَهُ شَيْطَانٌ آخَرُ كَيْفَ لَكَ بِرَجُلٍ قَدْ هُدِيَ وَكُفِيَ وَوُقِيَ
Daripada [Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] bahawa Nabi ﷺ bersabda: “Jika seorang laki-laki keluar dari rumahnya lalu mengucapkan: ‘BISMILLAHI TAWAKKALTU ‘ALAALLAHI LAA HAULA WA LAA QUWWATA ILLA BILLAH (Dengan nama Allah aku bertawakal kepada Allah, tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan izin Allah). ‘ Beliau bersabda: “Maka pada saat itu akan dikatakan kepadanya, ‘Kamu telah mendapat petunjuk, telah diberi kecukupan dan mendapat penjagaan’, hingga syaitan-syaitan menjauh daripadanya. Lalu syaitan yang lainnya berkata, “Bagaimana (engkau akan menggoda) seorang laki-laki yang telah mendapat petunjuk, kecukupan dan penjagaan.”
(Sunan Abi Dawud (4431))
Status: Sahih

Maka amalkan doa ini dan faham maksudnya apabila anda membacanya. Kalau selalu dilakukan, maka anda akan mendapat pertolongan dan perlindungan daripada Allah ﷻ. Ia juga akan mengingatkan anda kepada tawakal kerana setiap kali hendak keluar, anda akan menyebutnya.

Bertawakallah sepertimana tawakalnya Hajar apabila ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di tanah tandus Mekah,

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ لَمَّا كَانَ بَيْنَ إِبْرَاهِيمَ وَبَيْنَ أَهْلِهِ مَا كَانَ خَرَجَ بِإِسْمَاعِيلَ وَأُمِّ إِسْمَاعِيلَ وَمَعَهُمْ شَنَّةٌ فِيهَا مَاءٌ فَجَعَلَتْ أُمُّ إِسْمَاعِيلَ تَشْرَبُ مِنْ الشَّنَّةِ فَيَدِرُّ لَبَنُهَا عَلَى صَبِيِّهَا حَتَّى قَدِمَ مَكَّةَ فَوَضَعَهَا تَحْتَ دَوْحَةٍ ثُمَّ رَجَعَ إِبْرَاهِيمُ إِلَى أَهْلِهِ فَاتَّبَعَتْهُ أُمُّ إِسْمَاعِيلَ حَتَّى لَمَّا بَلَغُوا كَدَاءً نَادَتْهُ مِنْ وَرَائِهِ يَا إِبْرَاهِيمُ إِلَى مَنْ تَتْرُكُنَا قَالَ إِلَى اللَّهِ قَالَتْ رَضِيتُ بِاللَّهِ قَالَ فَرَجَعَتْ فَجَعَلَتْ تَشْرَبُ مِنْ الشَّنَّةِ وَيَدِرُّ لَبَنُهَا عَلَى صَبِيِّهَا حَتَّى لَمَّا فَنِيَ الْمَاءُ قَالَتْ لَوْ ذَهَبْتُ فَنَظَرْتُ لَعَلِّي أُحِسُّ أَحَدًا قَالَ فَذَهَبَتْ فَصَعِدَتْ الصَّفَا فَنَظَرَتْ وَنَظَرَتْ هَلْ تُحِسُّ أَحَدًا فَلَمْ تُحِسَّ أَحَدًا فَلَمَّا بَلَغَتْ الْوَادِيَ سَعَتْ وَأَتَتْ الْمَرْوَةَ فَفَعَلَتْ ذَلِكَ أَشْوَاطًا ثُمَّ قَالَتْ لَوْ ذَهَبْتُ فَنَظَرْتُ مَا فَعَلَ تَعْنِي الصَّبِيَّ فَذَهَبَتْ فَنَظَرَتْ فَإِذَا هُوَ عَلَى حَالِهِ كَأَنَّهُ يَنْشَغُ لِلْمَوْتِ فَلَمْ تُقِرَّهَا نَفْسُهَا فَقَالَتْ لَوْ ذَهَبْتُ فَنَظَرْتُ لَعَلِّي أُحِسُّ أَحَدًا فَذَهَبَتْ فَصَعِدَتْ الصَّفَا فَنَظَرَتْ وَنَظَرَتْ فَلَمْ تُحِسَّ أَحَدًا حَتَّى أَتَمَّتْ سَبْعًا ثُمَّ قَالَتْ لَوْ ذَهَبْتُ فَنَظَرْتُ مَا فَعَلَ فَإِذَا هِيَ بِصَوْتٍ فَقَالَتْ أَغِثْ إِنْ كَانَ عِنْدَكَ خَيْرٌ فَإِذَا جِبْرِيلُ قَالَ فَقَالَ بِعَقِبِهِ هَكَذَا وَغَمَزَ عَقِبَهُ عَلَى الْأَرْضِ قَالَ فَانْبَثَقَ الْمَاءُ فَدَهَشَتْ أُمُّ إِسْمَاعِيلَ فَجَعَلَتْ تَحْفِزُ قَالَ فَقَالَ أَبُو الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ تَرَكَتْهُ كَانَ الْمَاءُ ظَاهِرًا قَالَ فَجَعَلَتْ تَشْرَبُ مِنْ الْمَاءِ وَيَدِرُّ لَبَنُهَا عَلَى صَبِيِّهَا قَالَ فَمَرَّ نَاسٌ مِنْ جُرْهُمَ بِبَطْنِ الْوَادِي فَإِذَا هُمْ بِطَيْرٍ كَأَنَّهُمْ أَنْكَرُوا ذَاكَ وَقَالُوا مَا يَكُونُ الطَّيْرُ إِلَّا عَلَى مَاءٍ فَبَعَثُوا رَسُولَهُمْ فَنَظَرَ فَإِذَا هُمْ بِالْمَاءِ فَأَتَاهُمْ فَأَخْبَرَهُمْ فَأَتَوْا إِلَيْهَا فَقَالُوا يَا أُمَّ إِسْمَاعِيلَ أَتَأْذَنِينَ لَنَا أَنْ نَكُونَ مَعَكِ أَوْ نَسْكُنَ مَعَكِ فَبَلَغَ ابْنُهَا فَنَكَحَ فِيهِمْ امْرَأَةً
Daripada [Ibnu ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] berkata; “Ketika Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ keluar berkelana bersama Isma’il dan ibu Isma’il, mereka membawa geriba (kantung empat air) yang berisi air, ibu Isma’il minum daripada persediaan air dalam geriba tersebut sehingga dia dapat menyusui bayinya. Ketika tiba di Makkah, Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menempatkan keduanya di bawah sebuah pondok. Tatkala Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hendak kembali kepada keluarganya, ibu Isma’il mengikutinya di belakang hingga ketika sampai di dataran yang agak tinggi, ibu Isma’il memanggilnya dari belakang; “Wahai Ibrahim, kepada siapa engkau meninggalkan kami?” Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjawab; “Kepada Allah”. Hajar berkata; “Kalau begitu, Aku telah redha kepada Allah”. Perawi berkata; “Lalu Hajar kembali (ke tempatnya semula dan minum geriba kunonya dan menyusui bayinya hingga ketika air persediaan habis dia berkata; “Sebaiknya aku pergi dan melihat-lihat barangkali ada orang”. Perawi berkata; “Maka dia pergi dan naik ke atas bukit Safaa lalu melihat-lihat adakah ada orang namun dia tidak merasakan ada seorang pun. Ketika sampai di lembah dia berlari-lari kecil dan mendatangi Marwa, dia melakukan yang demikian berkali-kali. Kemudian dia berkata; “Sebaiknya aku pergi dan melihatnya, yang dimaksudnya adalah bayinya. Maka dia pergi mendatangi bayinya yang ternyata keadaannya seperti ketika ditinggalkan seolah-olah menghisap nafas-nafas kematian sehingga hati Hajar tidak tenang. Dia berkata; “Sebaiknya aku pergi dan melihat-lihat barangkali ada orang”. Maka dia pergi untuk mendaki bukit Safaa lalu melihat-lihat namun tidak ada seorang pun yang ditemuinya hingga ketika dia telah melakukan upaya itu sebanyak tujuh kali (antara bukit Safaa dan Marwah) dia berkata; “Sebaiknya aku pergi dan melihat apa yang terjadi dengan bayiku”, ternyata dia mendengar suara, maka dia berkata; “Tolonglah (aku) jika memang kamu baik”. Ternyata (suara itu) adalah malaikat Jibril ‘عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Perawi berkata; Lalu Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berbuat dengan tumitnya begini. Dia mengais-ngais tanah dengan tumitnya”. Perawi berkata; “Maka memancarlah air dan ibu Ism’ail terperanjat dan segera menampungnya”. Perawi berkata; Berkata Abu Al Qasim ﷺ: “Seandainya Hajar membiarkannya pasti air akan mengalir”. Perawi berkata; “Maka Hajar minum air (zamzam) itu sehingga dapat menyusui bayinya”. Kemudian serombongan orang daripada suku Jurhum melewati di dasar lembah dan mereka melihat ada seekor burung, seakan mereka tidak percaya, Mereka berkata: “Tidak akan ada burung melainkan pasti kerana ada air”. Akhirnya mereka mengutus seorang utusan mereka untuk melihatnya yang ternyata mereka memang berada di kawasan yang ada air. Utusan itu kemudian kembali kepada mereka dan mengabarkan (apa yang dilihatnya). Kemudian mereka menemui Hajar dan berkata; “Wahai Ibu Isma’il, apakah kamu mengizinkan kami untuk tinggal bersama kamu atau kami hidup bertetangga bersama kamu?”. Kemudian anaknya (Isma’il) membesar menjadi seorang pemuda lalu menikah dengan seorang wanita”.
(Sahih Bukhari (3114))

Ya kita harus bertawakal dalam apa jua keadaan sekalipun, namun apakah maksud tawakal yang sebenar-benarnya? Kena faham apa maksud tawakal. Bukan setakat serah sahaja urusan kita kepada Allah ﷻ. Namun kena ada usaha, kemudian serah kepada Allah ﷻ, dan selepas itu apa-apa sahaja keputusan Allah ﷻ berikan kepada kita, kita kena redha. Janganlah pula kata tawakal, tetapi apabila Allah ﷻ buat keputusan yang kita tidak suka, kita marah pula.

Maknanya kita buat yang terbaik dan kemudian kita serah keputusan akhirnya kepada Allah ﷻ kerana kita hanya boleh berusaha sahaja dan hasilnya nanti terpulang kepada Allah ﷻ. Namun kena pastikan ada usaha, bukannya serah kosong sahaja. Ini disebut di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi ﷺ bersabda:

لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصاً وَتَرُوحُ بِطَاناً
“Seandainya kamu semua benar-benar bertawakal pada Allah, sungguh Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.”
(Riwayat Ahmad (1/30), al-Tirmizi (2344), Ibn Majah (4164), Ibn Hibban (730) dan al-Hakim (7894))

Makna daripada hadith ini, kena keluar dan berusaha, bukannya tunggu rezeki di rumah sahaja. Oleh itu umat Islam kena jalankan usaha dengan cara terbaik yang kita boleh lakukan, gunakan segala strategi yang kita ada, segala taktik dan teknik yang ada, kemudian setelah kita lakukan, kita serah kepada Allah ﷻ. Melalui sirah pun kita tahu bagaimana berbagai usaha dan strategi yang digunakan oleh Rasulullah ﷺ sebelum berperang dan semasa berperang. Rasulullah ﷺ juga pernah berkata kepada seorang lelaki pemilik unta:

اَعقِلْهَا وَتَوَكَّلْ
Ikatlah (untamu), baru kamu bertawakal.
(Riwayat al-Tirmizi (2157) dan Ibn Hibban (708))

Maka daripada hadith ini kita tahu yang kita bukannya bergantung kosong sahaja tetapi hendaklah kita mengambil langkah-langkah untuk memastikan apa yang kita hendak itu boleh tercapai. Cuma kita tahu yang apa-apa sahaja usaha kita itu tidak akan berjaya jikalau Allah ﷻ tidak izinkan dan kerana itu kita serah kepada Allah ﷻ.

Oleh itu kita kena ingat bahawa ada syarat-syarat tawakal sebenarnya:

1. Tinggalkan dosa dan bertaubat kepada Allah ﷻ.

2. Sentiasa mentaati perintah Allah ﷻ.

3. Yakin apa yang Allah ﷻ telah catit di Lauh Mahfuz pasti akan berlaku sama ada baik atau buruk. Yakin bahawa apa yang Allah ﷻ taqdirkan adalah terbaik walaupun bukan seperti yang kita rancang dan kehendaki. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Tawbah: 51

قُل لَّن يُصيبَنا إِلّا ما كَتَبَ اللَّهُ لَنا هُوَ مَولىٰنا ۚ وَعَلَى اللَّهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ
Katakanlah: “Sekali-kali tidak akan menimpa kita melainkan apa yang telah ditetapkan Allah untuk kita. Dialah Pelindung kita, dan hanya kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakal”.

4. Mesti berusaha tidak kira sekecil manapun. Bukannya menunggu sahaja. Lihatlah bagaimana Allah ﷻ perintahkan Maryam menggoncang pokok kurma untuk menjatuhkan kurma seperti disebut dalam Maryam: 25. Kalau difikirkan dengan akal logik, apalah sangat goncangan seorang wanita yang baru sahaja melahirkan anak dapat lakukan terhadap pokok kurma yang teguh keras itu? Memang tidak ada apa-apa pun, tetapi Allah ﷻ hendak kita ada usaha.

وَهُزّي إِلَيكِ بِجِذعِ النَّخلَةِ تُسٰقِط عَلَيكِ رُطَبًا جَنِيًّا
Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.

5. Hendaklah yakin bahawa dengan tawakal kepada Allah ﷻ itu dia akan mendapat ganjaran yang paling besar iaitu redha dan cinta Allah ﷻ. Dalilnya Allah ﷻ berfirman dalam Ali Imran: 159

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ المُتَوَكِّلينَ
sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.

6. Mesti merasakan diri sebagai makhluk yang lemah dan sangat berhajat kepada Allah ﷻ yang Maha Hebat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 5 Januari 2024

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin