Tafsir Surah Anfal: Ayat 1 – 3 (Muqaddimah)

Anfal Ayat 1: Ayat ini adalah tentang pembahagian harta rampasan perang. Oleh kerana segala harta rampasan adalah hak Allah ‎ﷻ, maka kena dengar apakah yang Allah ‎ﷻ syaratkan tentang pembahagiannya.

يَسأَلونَكَ عَنِ الأَنفالِ ۖ قُلِ الأَنفالُ لِلَّهِ وَالرَّسولِ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَصلِحوا ذاتَ بَينِكُم ۖ وَأَطيعُوا اللَّهَ وَرَسولَهُ إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They ask you, [O Muḥammad], about the bounties [of war]. Say, “The [decision concerning] bounties is for Allāh and the Messenger.” So fear Allāh and amend that which is between you and obey Allāh and His Messenger, if you should be believers.

(MALAY)

Mereka menanyakan kepadamu tentang (pembahagian) harta rampasan perang. Katakanlah: “Harta rampasan perang kepunyaan Allah dan Rasul, oleh sebab itu bertakwalah kepada Allah dan perbaikilah perhubungan di antara sesamamu; dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya jika kamu adalah orang-orang yang beriman”.

 

يَسأَلونَكَ عَنِ الأَنفالِ

Mereka menanyakan kepadamu tentang (pembahagian) harta rampasan perang. 

Selepas kemenangan dalam Perang Badr, dan umat Islam telah berjaya mengumpulkan harta rampasan, mereka telah datang kepada Nabi Muhammad ﷺ bertanyakan cara harta itu akan dibahagikan kerana ini merupakan kali pertama umat Islam berperang dan mereka tidak dapat mencapai kata sepakat tentangnya.

Ada tiga jenis harta rampasan perang: Ghanimah, Anfal dan Fa’i.

Ghanimah: harta rampasan perang yang diberikan kepada para mujahid. Ada bahagian masing-masing. 1/5 diberikan kepada BaitulMal dan 4/5 diberikan kepada para mujahid. Ini nanti akan disebut dalam ayat yang lain.

Anfal: harta rampasan perang juga akan tetapi pembahagiannya ditentukan oleh Rasulullah ﷺ sendiri. Ini adalah pada permulaan umat Islam berperang.

Fai: harta rampasan perang yang didapati tanpa perang. Dibahagikan oleh Rasulullah ﷺ. Jenis harta ini disebut di dalam Surah Hashr.

Kalimah anfal berasal daripada nafl yang juga digunakan untuk salat nafilah. Ia adalah salat sunat yang bukan fardu tetapi dikerjakan sebagai tambahan atau bonus oleh hamba Allah ‎ﷻ. Oleh itu, apabila dikatakan harta Anfal, ia adalah pemberian daripada Allah ‎ﷻ kepada umat Islam sebagai bonus sahaja. Untuk umat Islam sebelum ini, mereka tidak mendapat harta rampasan perang. Selepas perang, semua harta itu akan dikumpulkan. Sekiranya ia disambar oleh api, maka ia adalah sebagai tanda yang perjuangan mereka itu ikhlas. Hanya umat Nabi Muhammad ﷺ sahaja diberikan dengan kelebihan boleh mengambil harta rampasan perang itu.

Ini dikuatkan dengan sebuah hadith:

جابر بن عبد الله قال
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم أعطيت خمسا لم يعطهن أحد من الأنبياء قبلي نصرت بالرعب مسيرة شهر وجعلت لي الأرض مسجدا وطهورا وأيما رجل من أمتي أدركته الصلاة فليصل وأحلت لي الغنائم وكان النبي يبعث إلى قومه خاصة وبعثت إلى الناس كافة وأعطيت الشفاعة

Jabir bin ‘Abdillah, dia berkata, “Rasulullah ﷺ bersabda, “Aku diberikan lima perkara yang tidak diberikan kepada seorang pun daripada Nabi-nabi sebelumku; Aku ditolong melawan musuhku dengan ketakutan mereka sepanjang sebulan perjalanan, bumi dijadikan untukku sebagai tempat sujud dan suci; Maka di mana saja seseorang daripada umatku mendapati waktu salat, hendaklah dia salat. Kemudian dihalalkan harta rampasan untukku. Dan para nabi sebelumku diutus khusus untuk kaumnya sedangkan aku diutus untuk seluruh manusia, dan aku diberikan (hak) untuk memberikan syafaat.”

(Sahih Bukhari (419))

 

 قُلِ الأَنفالُ لِلَّهِ وَالرَّسولِ

Katakanlah: “Harta rampasan perang kepunyaan Allah dan Rasul,

Ibnu Abbas رضي الله عنهما telah mengatakan, “Yang dimaksudkan dengan anfal ialah ghanimah (harta rampasan perang). Pada mulanya harta rampasan perang hanyalah untuk Rasulullah ﷺ, tiada seorang pun yang berhak mengambilnya barang sedikit pun.”

Umat Islam diberitahu yang harta rampasan itu hendaklah diserahkan kepada Allah ‎ﷻ dan Rasul ﷺ untuk dibahagikan. Ia adalah milik Allah ‎ﷻ dan bukan milik sesiapa termasuklah golongan mujahid yang berperang itu. Berapa banyak bahagian itu ditentukan oleh Allah ‎ﷻ dan Rasul-Nya sahaja. Maknanya, bukan tentera yang tentukan. Bahagian itu akan diajarkan dalam ayat lain. Dalam perang Badr ini, Rasulullah ﷺ telah membahagikan sama rata di antara mereka yang berperang.

Ayat ini juga membawa maksud yang harta rampasan itu adalah kepunyaan Allah  ‎ﷻ dan Rasul-Nya, habis cerita. Asalnya memang hak mereka, tetapi dek kerana banyak berbalah, maka Allah ‎ﷻ menarik hak mereka itu. Maka, umat Islam pada waktu itu diingatkan supaya jangan sibuk berkelahi lagi tentang bahagian siapa, siapa dapat banyak mana dan sebagainya. Ini adalah kerana para sahabat sudah ada yang berbeza pendapat. Maka Allah ‎ﷻ hendak tutup kes itu.

Kalau sudah harta itu Allah ‎ﷻ dan Rasul yang punya, janganlah mereka sibuk-sibuk lagi. Bahagian itu akan diberitahu dalam ayat yang lain. Sebenarnya lambat lagi akan diberitahu. Sekarang ayat-ayat awal ini adalah memberi teguran dan nasihat kepada mereka. Memang Allah ‎ﷻ hendak beritahu tentang pembahagian itu, tetapi sebelum itu umat Islam teruk ditegur tentang apakah yang lebih penting daripada harta itu. Pertamanya, mereka diingatkan supaya jangan pentingkan harta.

وَقَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ سَلَمَةَ، عَنِ ابْنِ إِسْحَاقَ، عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ، عَنْ سُلَيْمَانَ بْنِ مُوسَى، عَنْ مَكْحُولٍ، عَنْ أَبِي أُمَامَةَ قَالَ: سَأَلْتُ عُبَادَةَ عَنِ الْأَنْفَالِ، فَقَالَ: فِينَا -أصحاب بدر- نَزَلَتْ، حِينَ اخْتَلَفْنَا فِي النَّفَلِ، وَسَاءَتْ فِيهِ أَخْلَاقُنَا، فَانْتَزَعَهُ اللَّهُ مِنْ أَيْدِينَا، وَجَعَلَهُ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ ﷺ، فَقَسَمَهُ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ بَيْنَ الْمُسْلِمِينَ عَنْ بَوَاءٍ -يَقُولُ: عَنْ سَوَاءٍ

Imam Ahmad رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Salamah, daripada Ibnu Ishaq, daripada Abdur Rahman, daripada Sulaiman ibnu Musa, daripada Mak-hul, daripada Abu Umamah yang menceritakan bahawa dia pernah bertanya kepada Ubadah tentang makna Al-Anfal. Maka Ubadah menjawab bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan orang-orang yang mengikut dalam Perang Badr, iaitu ketika kami berselisih pendapat tentang harta rampasan sehingga pekerti kami menjadi buruk kerananya. Maka Allah ‎ﷻ mencabutnya daripada tangan kami dan menjadikannya di bawah kekuasaan tangan Rasulullah ﷺ. Kemudian Rasulullah ﷺ membahagikannya di antara sesama kami dengan pembahagian yang rata.

(HR. Ahmad no. 22753) Status: hasan lighairih menurut Syeikh al-Arnauth

Manakala sebuah lagi hadith:

وَقَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ أَيْضًا: حَدَّثَنَا مُعَاوِيَةُ بْنُ عَمْرٍو، أَخْبَرَنَا أَبُو إِسْحَاقَ، عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ الْحَارِثِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَيَّاشِ بْنِ أَبِي رَبِيعَةَ، عَنْ سُلَيْمَانَ بْنِ مُوسَى، عَنْ أَبِي سَلَّامٍ، عَنْ أَبِي أُمَامَةَ، عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ قَالَ: خَرَجْنَا مَعَ النَّبِيِّ ﷺ، فَشَهِدْتُ مَعَهُ بَدْرًا، فَالْتَقَى النَّاسُ، فَهَزَمَ اللَّهُ [تَعَالَى] الْعَدُوَّ، فَانْطَلَقَتْ طَائِفَةٌ فِي آثَارِهِمْ يَهْزِمُونَ وَيَقْتُلُونَ، وَأَكَبَّتْ طَائِفَةٌ عَلَى الْعَسْكَرِ يَحْوُونَهُ وَيَجْمَعُونَهُ. وَأَحْدَقَتْ طَائِفَةٌ بِرَسُولِ اللَّهِ ﷺ لَا يُصِيبُ الْعَدُوُّ مِنْهُ غِرَّةً، حَتَّى إِذَا كَانَ اللَّيْلُ، وَفَاءَ النَّاسُ بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ، قَالَ الَّذِينَ جَمَعُوا الْغَنَائِمَ: نَحْنُ حَوَيْنَاهَا، فَلَيْسَ لِأَحَدٍ فِيهَا نَصِيبٌ. وَقَالَ الَّذِينَ خَرَجُوا فِي طَلَبِ الْعَدُوِّ: لَسْتُمْ بِأَحَقَّ بِهِ مِنَّا، نَحْنُ مَنَعْنَا عَنْهَا الْعَدُوَّ وَهَزَمْنَاهُمْ. وَقَالَ الَّذِينَ أَحْدَقُوا بِرَسُولِ اللَّهِ ﷺ: لَسْتُمْ بِأَحَقَّ مِنَّا، نَحْنُ أَحْدَقْنَا بِرَسُولِ اللَّهِ ﷺ، وَخِفْنَا أَنْ يُصِيبَ الْعَدُوُّ مِنْهُ غِرَّةً، فَاشْتَغَلْنَا بِهِ، فَنَزَلَتْ: ﴿يَسْأَلُونَكَ عَنِ الأنْفَالِ قُلِ الأنْفَالُ لِلَّهِ وَالرَّسُولِ فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَصْلِحُوا ذَاتَ بَيْنِكُمْ﴾

Imam Ahmad رحمه الله mengatakan pula bahawa telah menceritakan kepada kami Abu Mu’awiyah ibnu Umar, telah menceritakan kepada kami Abi Ishaq, daripada Abdur Rahman ibnul Haris ibnu Abdullah ibnu Ayyasy ibnu Abu Rabi’ah, daripada Sulaiman ibnu Musa, daripada Abu Salamah, daripada Abu Umamah, daripada Ubadah ibnus Samit yang menceritakan, “Kami berangkat bersama Rasulullah ﷺ, dan saya ikut berperang bersamanya di medan Perang Badr. Kedua belah pasukan bertempur dan Allah ‎ﷻ mengalahkan musuh kami. Kemudian segolongan daripada kami mengejar pasukan musuh yang melarikan diri dan memerangi mereka, sedangkan segolongan lagi tetap berada di medan perang, mengumpulkan ghanimah. Segolongan yang lainnya ada tetap di markas pasukan kaum muslim menjaga keselamatan Rasulullah ﷺ agar jangan diserang oleh musuh saat sedang dalam keadaan lalai. Dan pada malam harinya sebahagian di antara pasukan kaum muslim berebutan ghanimah dengan sebahagian yang lainnya. Orang-orang yang mengumpulkan ghanimah mengatakan, ‘Kamilah yang mengumpul­kannya, maka tiada seorang pun yang beroleh bahagian selain kami.’ Sedangkan orang-orang yang pergi mengejar musuh mengatakan, “Kalian bukanlah orang-orang yang lebih berhak padanya daripada kami. Kamilah yang menjadi benteng Nabi ﷺ daripada pasukan musuh, dan kami berhasil mengalahkan mereka. Dan orang-orang yang tetap mengawal Rasulullah ﷺ berkata, ‘Kami merasa khuatir bila musuh menyerang Rasulullah. ﷺ dengan serangan dari belakang saat tidak terkawal, sehingga kami sibuk dengan pekerjaan kami.’ Maka saat itulah turun firman Allah ‎ﷻ: Mereka menanyakan kepadamu tentang (pembahagian) harta rampasan perang. Katakanlah, “Harta rampasan perang itu kepunyaan Allah dan Rasul, sebab itu bertaqwalah kepada Allah dan perbaikilah hubungan di antara sesama kalian.” (Al-Anfal: 1) Maka Rasulullah ﷺ membahagi-bahagikannya di antara semua kaum Muslim.

(HR. Ahmad no. 22762, 22814) Status: hasan lighairih menurut syeikh al-Arnauth

 

فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَصلِحوا ذاتَ بَينِكُم

bertaqwalah kepada Allah dan perbaikilah perhubungan di antara sesamamu;

Yang paling penting, umat Islam diingatkan yang mereka hendaklah bertaqwa. Mesti sedar tentang Allah ‎ﷻ, takut tentang Allah ‎ﷻ, jaga hukum-hukum Allah ‎ﷻ dalam segenap peringkat kehidupan.

Mereka hendaklah memperbaiki hubungan antara mereka. Mereka hendaklah ‘islah’ (melakukan pembaikan), jangan berdengki dan iri hati, benci sesama sendiri. Mereka haruslah memperbaiki hubungan dalam kalangan mereka. Jangan bertelagah tentang pembahagian harta rampasan lagi. Memang kalau bab harta ini manusia boleh berkelahi adik beradik, dengan emak bapak pun. Umat Islam waktu itu sudah mula hendak berpecah belah dan sekarang Allah ‎ﷻ selesaikan dengan mengambil semua harta itu, maka jangan berbalah lagi. Memang para sahabat selepas itu berasa malu dengan apa yang mereka telah lakukan. Semuanya terima dengan redha apa yang ditentukan oleh Allah ‎ﷻ dan Rasul-Nya.

Allah ‎ﷻ memberikan peringatan dalam hal ini kerana perpecahan adalah punca kelemahan umat Islam. Umat Islam dahulu kuat, tetapi oleh kerana perpecahanlah yang menyebabkan kita lemah selemah-lemahnya. Suka sangat hendak berbalah antara satu sama lain. Suka sangat hendak mencari punca perbezaan. Sebenarnya perbezaan pendapat itu biasa sahaja, teapi bila berpecah itulah yang menjad masalah.

Ini kerana ramai yang tidak memahami kaedah ikhtilaf (perbezaan pendapat). Kita boleh sahaja berbeza pendapat, tetapi janganlah sampai jadi permusuhan dan perpecahan dalam kalangan kita. Kita semua masih lagi sesama Muslim walaupun ada sedikit ketidaksamaan fahaman. Ini, pasal saf jarak atau tidak (semasa zaman Covid) pun boleh berbalah teruk, sampai kutuk mengutuk.

 

وَأَطيعُوا اللَّهَ وَرَسولَهُ إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya jika kamu adalah orang-orang yang beriman”.

Kenalah mereka taat kepada perintah Allah ‎ﷻ dan Rasul yakni terimalah apa yang dibahagikan Nabi ﷺ kepada mereka, kerana sesungguhnya pembahagian yang dilakukan oleh baginda semata-mata hanyalah berdasarkan apa yang diperintahkan oleh Allah ‎ﷻ kepadanya, iaitu berdasarkan keadilan dan kebijaksanaan.

Allah ‎ﷻ sambung إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ. Itu pun kalau mereka itu mengaku beriman. Sekiranya tidak beriman, tidak mengapalah, buatlah apa yang mereka hendak buat. Mereka kata mereka itu orang mukmin, maka Allah ‎ﷻ  hendak tanya semula: inikah sifat orang mukmin? Adakah orang mukmin akan bertelagah tentang harta pula?


 

Anfal Ayat 2: Allah ‎ﷻ beritahu bagaimana sepatutnya sifat orang Mukmin kerana sekarang  mereka tidak bersifat seperti itu.

إِنَّمَا المُؤمِنونَ الَّذينَ إِذا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَت قُلوبُهُم وَإِذا تُلِيَت عَلَيهِم ءآيٰتُهُ زادَتهُم إيمٰنًا وَعَلىٰ رَبِّهِم يَتَوَكَّلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The believers are only those who, when Allāh is mentioned, their hearts become fearful, and when His verses are recited to them, it increases them in faith; and upon their Lord they rely –

(MALAY)

Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gementarlah hati-hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka, dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.

 

إِنَّمَا المُؤمِنونَ الَّذينَ إِذا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَت قُلوبُهُم

Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gementarlah hati-hati mereka,

Allah ‎ﷻ mula menyebut tentang sifat-sifat orang mukmin. Tidak habis di sini sahaja sifat orang mukmin itu. Ada lagi yang akan disebut dalam ayat lain di hujung surah ini nanti di ayat 74. Dalam ayat ini dimulakan dengan lafaz إِنَّمَا (hanya).

Ini menunjukkan hanya mereka yang ada sifat-sifat ini sahaja yang boleh dikira mukmin. Sekiranya tiada, maka tidak boleh mengaku sebagai mukmin. Ayat-ayat begini hanya disebut empat kali dalam Al-Qur’an dan ada dua ayat dalam surah ini sahaja. Maka dalam kita membaca ayat-ayat kini, kita kena tanya diri kita sendiri: “Aku ada sifat-sifat ini atau tidak?”.

Lihatlah bagaimana cerita dalam surah ini daripada ayat pertama tentang harta rampasan, dan tiba-tiba bertukar berkenaan iman. Ini mengajar umat Islam tentang prioriti: lihat dan perbaiki mana yang penting dahulu. Jangan sibuk pasal harta rampasan perang lagi.

Allah ‎ﷻ mengajar kita, sekiranya kita beriman, bagaimanakah sifat orang mukmin itu? Yang pertama: Apabila disebut Allah ‎ﷻ di depan mereka, akan gementar hati mereka. Bukan sahaja dalam bentuk zikir yang biasa, tetapi apa sahaja yang disebut berkaitan dengan Allah ‎ﷻ. Hati mereka akan berasa gementar apabila diingatkan tentang Allah ‎ﷻ.

Kalimah ذُكِرَ adalah dalam bentuk mabni majhul (pasif) yang bermaksud diingatkan iaitu tidak disebut siapa yang ingatkan. Ini kerana orang mukmin tidak memilih-milih untuk mendengar siapa yang mengingatkan mereka. Asalkan ia tentang Allah ‎ﷻ, mereka akan berasa takut.

Kalimah وَجِلَت bermaksud gementar atau takut dan ini juga disebut dalam [ Hijr: 52 ]

إِذ دَخَلوا عَلَيهِ فَقالوا سَلامًا قالَ إِنّا مِنكُم وَجِلونَ

Ketika mereka masuk ke tempatnya, lalu mereka mengucapkan: “Salaam”. Berkata Ibrahim: “Sesungguhnya kami merasa takut kepadamu”.

Ini adalah kerana mereka kenal Allah ‎ﷻ daripada sifat-sifat-Nya yang telah disebut dalam Al-Qur’an. Kenalah kenal baru timbul rasa takut. Kalau tidak kenal, tentu tidak takut seperti budak kecil yang tidak kenal ular, maka bila ular datang kepadanya, dia tidak berasa takut pun.

Lafaz وَجِلَت diambil daripada katadasar و ج ل iaitu jenis takut yang menyebabkan bulu roma meremang naik. Ia adalah takut yang amat sangat kerana ketinggian Allah ‎ﷻ. Ini berbeza dengan takut jenis حوف. Tidak kisah dari mana datangnya ketakutan itu. Asalkan nama Allah ‎ﷻ disebut sahaja, sama ada daripada Al-Qur’an, daripada hadith, daripada kata orang, hati mereka sudah gementar, bulu roma sudah menegak. Ini dapat dicapai jikalau hati manusia itu sudah tunduk dan lembut terhadap Allah ‎ﷻ seperti disebut dalam [ Hajj: 34 ]

وَبَشِّرِ المُخبِتينَ

Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang tunduk patuh

Takut yang bagaimanakah kita dengan Allah ‎ﷻ? Kalau takut dengan binatang buas, kita sudah faham, iaitu kita akan lari kerana takut. Akan tetapi dengan Allah ‎ﷻ, lagi kita takut, lagi kita dekat dengan-Nya. Kalau takut dengan hantu atau binatang, hati kita tidak keruan, tetapi dengan Allah ‎ﷻ, hati akan tenang. Ini disebut dalam [ Ra’d: 28 ]

أَلا بِذِكرِ اللهِ تَطمَئِنُّ القُلوبُ

Ingatlah, dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.

Mereka tentunya beriman dengan ayat-ayat itu dan untuk beriman itu kena kenallah apa yang ayat itu sebut. Ini memerlukan pengajian tafsir. Kalau tidak faham, maka ia tidak akan memberi kesan yang sepatutnya.

 

وَإِذا تُلِيَت عَلَيهِم ءآيٰتُهُ زادَتهُم إيمٰنًا

dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka,

Nama Allah ‎ﷻ itu boleh datang dari mana-mana sahaja, tetapi salah satunya datang daripada Al-Qur’an. Apabila dibacakan ayat Al-Qur’an kepada mereka, atau mereka baca sendiri, iman mereka bertambah. Kalimah تُلِيَت adalah dalam bentuk majhul (pasif) iaitu tidak disebut pun siapa yang bacakan kepada mereka. Maka tidak kira siapa yang bacakan kepada mereka, iman mereka akan bertambah.

Apabila dikatakan ‘bertambah’ maknanya iman mereka sudah ada pada waktu itu, cuma bertambah lagi. Oleh itu, iman yang sudah ada, bertambah lagi. Iman itu bertambah kerana semakin banyak ayat Allah ‎ﷻ yang dipelajari dan difahami. Oleh kerana dibaca berkali-kali, mereka semakin faham maksudnya.

Iman mereka semakin meningkat dari masa ke semasa, bukan duduk di takuk lama sahaja. Namun bukanlah setakat baca sahaja ya. Kenalah belajar tafsir dan tadabbur maknanya. Sebab itulah kita mementingkan pembelajaran tafsir Al-Qur’an ini kerana kalau baca Al-Qur’an tetapi tidak faham, tidak akan mendapat peringkat iman yang sebegini. Berapa ramai dalam kalangan kita yang baca Al-Qur’an, tetapi tidak faham langsung apa yang mereka baca?

Sekarang bandingkan sifat ini dengan sifat orang munafik seperti firman-Nya:

{وَإِذَا مَا أُنزلَتْ سُورَةٌ فَمِنْهُمْ مَنْ يَقُولُ أَيُّكُمْ زَادَتْهُ هَذِهِ إِيمَانًا فَأَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا فَزَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَهُمْ يَسْتَبْشِرُونَ}

Dan apabila diturunkan suatu surat, maka di antara mereka (orang-orang munafik) ada yang berkata, “Siapakah di antara kalian yang bertambah imannya dengan (turunnya) surat ini?” Adapun orang-orang yang beriman, maka surat ini menambah imannya sedang mereka merasa gembira 

[ At-Taubah: 124 ]

Maknanya, orang munafik rasa biasa sahaja apabila mereka dengar ayat-ayat Allah ‎ﷻ. Malah diejek lagi kepada sahabat: “Eh iman kau naik ke bila baca ayat tu?” Maka, kalau kita pun seperti itu juga, baca Al-Qur’an seolah-olah baca novel sahaja, maknanya ada masalah dalam hati kita.

Imam Bukhari dan lain-lainnya رحمهم الله dalam kalangan para imam mengambil kesimpulan dalil daripada ayat ini dan ayat-ayat lainnya yang semakna, bahawa iman itu dapat bertambah (dan dapat berkurang), serta iman itu dalam hati mempunyai naik turunnya. Ia tidak statik tetapi berubah dari masa ke semasa. Ini penting kerana ada pandangan yang mengatakan iman itu bagaikan seketul sahaja. Sedangkan iman itu seperti air yang boleh bertambah dan berkurang.

Maka kena lakukan sesuatu untuk memastikan iman kita naik dan meninggalkan perkara buruk yang dapat menurunkan iman kita. Jangan kita sangka kalau sudah beriman, akan terus beriman sampai bila-bila. Kalau tidak dijaga, boleh berkurang iman kita itu.

Apakah tanda iman sudah naik? Tandanya adalah amal kita semakin banyak. Senang sahaja untuk beramal kalau iman sudah naik. Kalau tidak, berat sahaja badan hendak salat, infaq, puasa dan sebagainya.

 

وَعَلىٰ رَبِّهِم يَتَوَكَّلونَ

dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakal.

Sifat kedua orang mukmin, mereka tawakal kepada Allah ‎ﷻ. Maksudnya mereka serahkan urusan mereka dan bergantung kepada Allah ‎ﷻ. Untuk bergantung itu mesti percaya dan yakin kepada Allah ‎ﷻ. Jika tidak percaya, tidak akan menjadi pergantungan itu, bukan? Untuk percaya, mesti ada yakin; dan untuk ada yakin, kenalah ada ilmu. Ia bukanlah pergantungan kosong sahaja.

Hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja mereka tawakal kerana itulah diawalkan kalimah عَلىٰ رَبِّهِم sebelum kalimah يَتَوَكَّلونَ untuk membawa maksud eksklusif (hanya). Ini kerana kalau berharap kepada makhluk, memang tidak menjadi apa kerana makhluk tidak mempunyai kuasa. Hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja yang patut kita berserah dan berharap kerana Allah ‎ﷻ sahaja yang maha berkuasa.

Oleh hal yang demikian, ini termasuklah urusan pembahagian harta rampasan itu di mana mereka kenalah serahkan kepada Allah ‎ﷻ. Bila ada sifat begini, barulah mudah. Barulah senang ikut peraturan Allah ‎ﷻ sahaja. Dalam apa-apa perkara sahaja, kena tanya semula: Allah ‎ﷻ mahukan yang bagaimana? Bila sudah tahu apa yang Allah ‎ﷻ hendak kita lakukan, maka lakukan tanpa rasa terkilan.

Oleh itu, ini adalah ayat teguran kepada para sahabat. Kita pun tahu bagaimana iman para sahabat itu – sudah tentunya iman mereka lebih tinggi daripada kita. Mereka pun lebih faham agama daripada kita. Maka, kalau para sahabat pun ditegur seperti itu, bagaimana lah kita pula?

Ibnu Abbas رضي الله عنهما mengatakan bahawa orang-orang munafik itu tiada sesuatu pun daripada sebutan nama Allah ‎ﷻ yang dapat mempengaruhi hati mereka untuk mendorong mereka mengerjakan hal-hal yang difardhukan-Nya. Mereka sama sekali tidak beriman kepada sesuatu pun daripada ayat-ayat Allah ‎ﷻ, tidak bertawakal, tidak salat apabila sendirian, dan tidak menunaikan zakat harta bendanya. Maka Allah ‎ﷻ menyebutkan bahawa mereka bukan orang-orang yang beriman.


 

Anfal Ayat 3: Tambahan pengenalan kepada sifat orang mukmin. Bagaimana untuk mendapat yakin dan percaya kepada Allah ‎ﷻ? Inilah caranya.

Dalam ayat sebelum ini, ada tiga perkara disebut dan kesemuanya tentang ibadah hati. Sekarang baru disentuh tentang ibadah fizikal. Ini mengajar kita, kena kuatkan ibadah dalam hati terlebih dahulu, baru boleh buat ibadah fizikal.

الَّذينَ يُقيمونَ الصَّلوٰةَ وَمِمّا رَزَقنٰهُم يُنفِقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The ones who establish prayer, and from what We have provided them, they spend.

(MALAY)

(iaitu) orang-orang yang mendirikan solat dan yang menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.

 

الَّذينَ يُقيمونَ الصَّلوٰةَ

orang-orang yang mendirikan salat 

Dalam ayat sebelum ini telah disebut apakah perasaan dan hati dalaman orang mukmin itu. Sifat orang mukmin itu bukan dalam hati sahaja, tetapi kenalah ditunjukkan pada amalan. Amalan badani mereka iaitu mereka dapat mendirikan salat. Mereka melakukan ibadat seperti yang Allah ‎ﷻ kehendaki. Salat adalah contoh kepada amalan badan yang perlu dilakukan kerana ia adalah amalan yang paling baik.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang Al-Qur’an, dan dalam salat adalah cara terbaik untuk mengingat Al-Qur’an. Sebab itulah penting untuk kita hafal ayat-ayat Al-Qur’an dan kita baca dalam salat (muraja’ah). Ini kerana ketika salat, kita tidak buat apa-apa lagi, melainkan fikiran kita tertumpu pada Allah ‎ﷻ dan ibadat salat sahaja. Pada waktu itu kita fokus, maka kalau kita baca Al-Qur’an, kita memang menelitinya dan benar-benar membacanya.

Itulah yang dilakukan oleh para sahabat – mereka meneliti dan tadabbur Al-Qur’an dalam salat mereka. Maka kenalah mula menghafal Al-Qur’an. Hafallah setakat yang boleh. Al-Qur’an itu sebenarnya mudah untuk dihafal kerana ada keberkatan dan keindahan di dalamnya. Ramai yang boleh melakukannya, kenapa tidak anda?

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ tidak kata mengamalkan, buat Salat. Akan tetapi ‘mendirikan’ Salat. Maka ia bukan hanya salat 2, 3 atau 4 rakaat sahaja, tetapi perlu dijaga syarat dan kesempurnaannya. Sehubungan dengan ayat ini, Qatadah رحمه الله mengatakan bahawa mendirikan salat ialah memelihara waktu-waktu penunaiannya, wudhu’, rukuk dan sujudnya.

Muqatil ibnu Hayyan رحمه الله mengatakan, mendirikan salat ertinya memelihara waktu-waktu untuk menunaikannya; menyempurnakan caranya, melakukan rukuk dan sujudnya dengan sempurna, membaca Al-Qur’an di dalamnya, serta membaca tasyahhud dan salawat untuk Nabi ﷺ.

Kesimpulannya: kenalah jaga amalan salat kita dan perbaiki sehingga menjadi sempurna dan yang paling tinggi adalah apabila kita dapat khusyuk dalam salat. maka jangan hanya rasa cukup dengan ilmu salat yang kita belajar semasa kita sekolah rendah dahulu. Kenalah kita belajar sifat salat Nabi supaya kita dapat memperbaiki salat kita.

Apakah tanda salat itu sudah memberi kesan kepada kita? Ia akan menghalang kita daripada membuat dosa seperti disebut dalam [ Ankabut: 45 ]

إِنَّ الصَّلَوٰةَ تَنهىٰ عَنِ الفَحشاءِ وَالمُنكَرِ

Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. 

 

وَمِمّا رَزَقنٰهُم يُنفِقونَ

dan yang menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka.

Sekarang disebut tentang amalan harta pula. Harta adalah sesuatu yang amat berharga bagi kebanyakan manusia kerana mereka rasa mereka bersusah payah untuk mendapatkannya. Namun bagi orang mukmin itu, mereka akan infaqkan harta yang mereka ada kerana mereka tahu, harta yang mereka ada itu pun daripada Allah ‎ﷻ juga, bukanlah daripada usaha mereka sangat pun. Kerana itu Allah ‎ﷻ sebut: مِمّا رَزَقنٰهُم (sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka).

Orang mukmin sedar yang Allah ‎ﷻ hanya menjadikan mereka sebagai medium pemberi sahaja. Oleh itu, jangan kita sangka harta yang kita ada itu untuk kita sahaja. Allah ‎ﷻ berikan lebihan harta kepada kita, untuk kita sampaikan kepada orang lain juga. Dengan cara itu, kita dapat menambah pahala kita kerana berikan kepada orang lain.

Infaq di dalam ayat ini disebut secara umum sahaja maka ia merangkumi segala jenis infaq yang baik-baik seperti zakat, sedekah, derma, waqaf, beri kepada keluarga atau orang yang memerlukan, pada jalan Allah ‎ﷻ, untuk jihad dan lain-lain. Ini kerana ada ayat yang khusus menyebut tentang zakat dan ada yang khusus menyebut tentang infaq untuk jihad.

Fiqh Infaq juga banyak dan ada disebut di dalam ayat-ayat yang lain kerana bukan setakat keluarkan sahaja tetapi kenalah juga mengikut syarat-syarat untuk diterima infaq itu. Antaranya tidak boleh mengungkit, mesti diberikan harta yang baik dan banyak lagi.

Sekarang bandingkan dengan awal surah ini, di mana para sahabat sibuk bertanya tentang bagaimana untuk membahagikan harta rampasan. Sebaliknya sekarang, Allah ‎ﷻ hendak memberitahu, jangan sibukkan diri dengan apa yang mereka akan dapat, tetapi hendaklah sibukkan dengan memikirkan apakah yang kita boleh berikan kepada orang lain.

Allah ‎ﷻ sebut dua contoh ibadah kepada kita, iaitu Salat dan Infaq. Tentunya bukan dua ibadat ini sahaja, bukan? Allah ‎ﷻ tidak sebut semua ibadah tetapi cukup dengan diberikan dua contoh ibadah. Ibadah salat sebagai wakil kepada ibadah yang melibatkan hubungan dengan Allah ‎ﷻ; manakala ibadah infaq sebagai contoh ibadah yang melibatkan hubungan dengan manusia.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 31 Ogos 2022

Ringkasan Surah Anfal


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Anfal: Pengenalan dan Muqaddimah

Pengenalan: Latarbelakang Sejarah

Di dalam surah al-A’raf kita telah belajar tentang puak yang dimusnahkan dalam dunia ini kerana mereka puak yang degil. Inilah sunnatullah – Allah ‎ﷻ menghancurkan kaum yang kuat menentang Rasul mereka. Namun begitu, bagaimanakah pula dengan Musyrikin Mekah? Bukankah mereka juga telah menentang Nabi Muhammad ﷺ, malah membuat perancangan untuk membunuh baginda? Jika kaum terdahulu dihancurkan dan dikenakan dengan azab oleh Allah ‎ﷻ, bukankah mereka juga patut dikenakan dengan perkara yang sama?

Mereka juga dikenakan dengan azab tetapi cara mereka sedikit berbeza – mereka dikenakan dengan pukulan serangan daripada para sahabat رضي الله عنهم. Allah ‎ﷻ memberikan kelebihan kepada Nabi ﷺ dan sahabat رضي الله عنهم, azab yang dikenakan kepada musuh mereka adalah dengan tangan mereka sendiri.

Kebiasaannya Allah ‎ﷻ akan mengenakan puak yang menentang dakwah dengan musibah-musibah kecil sebelum dikenakan dengan azab yang lebih besar yang menghancurkan. Tujuan musibah kecil itu adalah untuk merendahkan ego mereka dan supaya mereka memikirkan tentang kebenaran dan sepatutnya mereka kembali kepada ajaran Tauhid yang benar.

Sebagai contoh, kaum Firaun dikenakan dengan 9 azab kecil dahulu sebelum mereka ditenggelamkan dalam laut. Maka, bagaimana pula dengan Musyrikin Mekah? Manakah azab kecil bagi Musyrikin Mekah?

Azab kecil tersebut adalah kekalahan demi kekalahan perang yang mereka alami sebelum kekalahan akhir sekali pada Pembukaan Mekah. Oleh itu, Surah Anfal diturunkan selepas Perang Badr dan di dalamnya ada menceritakan kemenangan Badr itu. Puak Musyrikin Mekah telah mengalami kekalahan yang teruk, sebagai isyarat yang mereka akan terus jatuh selepas itu. Ia adalah sebagai tanda daripada Allah ‎ﷻ, dan sepatutnya mereka kembali menilai pandangan mereka terhadap Islam.

Jika di dalam Surah A’raf disebut kisah para Rasul yang terdahulu dengan kaumnya, maka Surah Anfal ini tentang Nabi Muhammad ﷺ dan kaum baginda pula.

Kejadian Perang Badr itu berlaku pada tahun kedua Hijrah. Ia merupakan satu peristiwa yang amat bersejarah. Pertama sekali, penghijrahan Nabi Muhammad ﷺ dan sahabat رضي الله عنهم ke Madinah dan tidak lama selepas itu, peperangan Badr. Kedua-dua peristiwa ini bukan sahaja sejarah besar dalam Islam, tetapi ia juga adalah sejarah dunia. Oleh hal yang demikian, kita perlu tahu sejarah kita ini supaya tidak disalahertikan oleh masyarakat dunia yang lain.

Mereka mungkin tidak faham apakah yang terjadi. Mungkin kalau kita bertanya dengan mereka, dan rujuk dengan mereka, pembacaan mereka tentang peristiwa ini tidak seperti yang sepatutnya. Mereka mungkin mendakwa, peperangan ini dimulakan oleh umat Islam. Sedangkan ini bukanlah salahlaku daripada pihak Muslim. Sekiranya tidak dijelaskan, nanti manusia menyangka yang umat Islam ini adalah umat yang suka berperang dan suka menyerang orang lain yang tidak sehaluan dengan mereka.

Oleh sebab itu, kita mestilah faham Al-Qur’an, hadith dan sirah. Semuanya berkaitrapat dan perlu difahami dengan saksama. Kita mestilah mempertahankan tohmahan manusia terhadap Nabi Muhammad ﷺ. Kita hendaklah memberi kefahaman kepada manusia tentang Islam dan untuk melakukannya, kita sendiri kenalah faham tentang perkara itu. In sha Allah, kita akan belajar dalam surah ini sedikit.

Kita kena faham, mana-mana peperangan terjadi berpunca daripada 3 sebab utama:

      • Serang balas
      • Mempertahankan diri
      • Serangan awal terhadap puak lain

Dalam semua undang-undang dunia ini, sama ada undang Islam ataupun bukan Islam, perbuatan mempertahankan diri diterima sebagai hak individu dan hak kumpulan. Jika seseorang melakukan kesalahan atas sebab mempertahankan dirinya, maka dia tidak boleh dipersalahkan.

Bagaimana keadaan umat Islam di Mekah ketika awal Islam? Bukankah mereka telah diserang dan ditindas dengan begitu teruk sekali? Pada waktu itu, jika mereka bertindakbalas, tidaklah mereka bersalah kerana mereka hanya mempertahankan diri mereka sahaja. Namun begitu di awal Islam, umat Islam disuruh untuk tidak bertindak langsung kerana ketika itu adalah waktu untuk berdakwah dan belum lagi untuk berjihad.

Maka, walaupun Musyrikin Mekah telah melampau dalam layanan dan penindasan mereka terhadap umat Islam, tetapi umat Islam hanya protes tanpa kekasaran (“non-violent protest”). Walaupun mungkin ada yang melihat perkara ini sebagai satu kelemahan, tetapi sebenarnya ada kelebihannya kerana apabila satu pihak menindas dan satu pihak lagi tidak bertindak balas, orang luar yang melihat akan timbul rasa belas dalam diri mereka. Ia akan membuka hati mereka terhadap Islam.

Begitulah kita telah diajar dan kita haruslah mengamalkan perkara ini. Pada zaman ini, kita boleh lihat bagaimana penindasan dilakukan terhadap umat Islam dalam media massa dan negara-negara tertentu. Mereka yang benci kepada Islam, seringkali melakukan provokasi, menunggu masa sahaja untuk orang Islam bertindak balas dan sekali sahaja orang Islam bertindakbalas, mereka akan menggunakan isu itu untuk menuduh yang Islam adalah golongan yang ganas.

Maka, jangan kita jatuh dalam perangkap mereka. Sebagai contoh, mereka sengaja sahaja buat karikatur Nabi Muhammad ﷺ dan tunggu sahaja tindakan kita. Malangnya, ramai yang terjatuh dalam perangkap itu dan telah bertindak melampaui batas. Mereka yang melakukan perkara sedemikian telah memburukkan nama Islam.

Selepas Nabi ﷺ hijrah ke Madinah, pada peringkat awal adalah untuk menguruskan kenegaraan Islam. Terdapat 3 perkara penting yang telah ditetapkan oleh baginda:

    1. Didirikan masjid sebagai tempat pengurusan. Ia adalah umpama parlimen sesebuah negara sekarang. Ia menjadi tempat berkumpulnya masyarakat, tempat belajar dan banyak lagi kegunaan masjid itu.
    2. Baginda telah menjalinkan perhubungan persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar. Baginda berjaya menjalinkan pertalian yang mesra dan menjadikan dua puak itu sama rata. Jauh berbeza dengan dunia sekarang. Jika dilihat dalam dunia sekarang, golongan pendatang selalunya dipandang rendah dan mereka selalunya tinggal di kawasan yang tidak berapa elok. Namun Nabi Muhammad ﷺ telah berjaya mengubah pandangan puak Ansar terhadap Muhajirin sehingga terjalinnya hubungan yang baik dan tidak ada caci mencaci antara mereka. Kemesraan antara mereka amat hebat sekali.
    3. Perjanjian damai dengan puak Yahudi yang menjadi jiran mereka di Madinah. Mereka sama-sama berjanji untuk mempertahankan Madinah dari mana-mana puak musuh yang datang menyerang. Walaupun terdapat perbezaan antara agama, tetapi perjanjian tetap telah dijalinkan dan kata sepakat telah dicapai.

Setelah 6 bulan berlalu, dan setelah Islam mendapat tempat di dunia, Nabi Muhammad ﷺ telah menghantar pasukan yang kecil untuk meninjau laluan perdagangan yang digunakan oleh puak Mekah. Misi serangan telah dihantar untuk menyerang kafilah perdagangan untuk merampas aset perniagaan. Ini merupakan serangan ekonomi terhadap puak Mekah.

Perbuatan ini tidak salah, walau dalam undang-undang antarabangsa moden sekalipun. Ini adalah kerana puak Muhajirin telah dihalau dari tempat asal mereka dan mereka layak untuk menyerang balas. Ini bukanlah termasuk dalam aktiviti pengganas (terroris). Mereka sebenarnya menyerang puak yang telah menzalimi mereka dahulu.

Orang bukan Islam sepatutnya boleh faham keadaan ini. Sekiranya kita dihalau dari negara asal kita, dan kita serang balik mereka yang telah menghalau kita, semua orang akan faham dan tidak salahkan kita. Begitu jugalah yang telah dilakukan oleh puak Islam yang diketuai oleh Nabi Muhammad ﷺ.

Setelah penghijrahan, Nabi ﷺ nampak bagaimana Musyrikin Mekah terus berniaga, dan baginda sedar yang mereka sedang mengumpulkan harta untuk terus melawan Islam. Nabi ﷺ telah memberi cadangan untuk menyekat rombongan perniagaan mereka. Ini adalah kerana keuntungan daripada perniagaan mereka itu adalah untuk menguatkan kekufuran. Abu Sufyan dapat tahu yang umat Islam keluar untuk menahan kafilah perniagaannya.

Maka dia dengan segera telah menghantar maklumat ke Mekah dengan memberitahu pemimpin Mekah, yang jika mereka tidak menyekat Nabi Muhammad ﷺ, mereka dan harta mereka akan dirampas. Maka Abu Jahal telah mengumpul orang-orang Mekah. Abu Jahal sendiri telah memegang kelambu Kaabah dan berdoa supaya Allah ‎ﷻ memberikan kemenangan kepada yang haq. Allah ‎ﷻ menzahirkan doanya dengan memberikan kemenangan kepada Muslim (kerana memang Muslim golongan yang benar, bukan?).

Dalam masa yang sama, Abu Sufyan telah mengikut jalan laut dan dapat melepaskan diri daripada mata-mata yang dihantar oleh Nabi Muhammad ﷺ. Dia sebenarnya hendak memberitahu hal itu kepada Abu Jahal (yang dia telah selamat), akan tetapi Abu Jahal sudah keluar dengan bala tentera menuju ke arah pihak Muslim. Zaman itu telegram belum wujud lagi. Dan dia tidak akan berundur ke belakang apabila sudah keluar untuk berperang.

Nabi Muhammad ﷺ telah mendapat maklumat yang Abu Sufyan sedang menghala kembali semula ke Mekah dari Syam. Baginda bersama dengan 300 orang lebih para sahabat telah keluar untuk menyekat rombongan perniagaan itu. Selalunya mereka melalui jalan perdagangan yang melalui Badr kerana laluan itu adalah laluan yang pendek. Maka ke situlah kumpulan umat Islam tuju.

Nabi Muhammad ﷺ telah mengarahkan pasukan baginda untuk merampas harta Abu Sufyan. Namun rancangan itu tidak berjaya kerana mereka terlambat dan rombongan kafilah Abu Sufyan telah melepasi Badr apabila pasukan yang dihantar oleh baginda Nabi ﷺ sampai ke situ. Ini adalah kerana Abu Sufyan telah tahu rancangan puak Islam terhadapnya.

Dia juga telah sempat menghantar permintaan bantuan kepada orang Mekah dengan memberitahu yang dia sedang diserang oleh puak Muslim. Ini telah menaikkan kemarahan Musyrikin Mekah kerana ini adalah serangan terhadap ekonomi mereka.

Dalam masa yang sama, ada satu lagi pasukan Muslim yang dihantar ke satu tempat yang bernama Nakhla dengan tujuan untuk mengintip sahaja. Namun begitu mereka yang mengintip itu telah dikesan dan telah terjadi pertempuran antara puak Muslim dan puak Kafir Mekah dan ada daripada puak kafir itu yang terbunuh dan harta mereka telah dirampas.

Sebenarnya Rasulullah ﷺ suruh mereka mengintip sahaja dan bukanlah untuk menyerang lagi. Namun apa yang terjadi itu telah ditakdirkan oleh Allah ‎ﷻ. Mereka yang terselamat telah pulang ke Mekah dan melaporkan apa yang terjadi. Dalam masa yang sama juga, mesej daripada Abu Sufyan juga telah sampai kepada orang Mekah. Maka terjadilah satu mesyuarat dalam kalangan puak Mekah. Ada antara orang Mekah yang tidak begitu kisah dengan apa yang berlaku kepada orang Islam selama itu.

Kita kenalah sedar yang memang ada antara mereka yang benci sungguh kepada Nabi Muhammad ﷺ seperti Abu Jahal dan kuncu-kuncunya, namun begitu ada juga yang berada atas pagar (benci tidak, beriman pun tidak kepada baginda). Bagi mereka yang berada di atas pagar itu, tidak ada salahnya Nabi Muhammad ﷺ dan mereka yang mahu beriman dengan baginda, tambahan pula kalau mereka itu memang duduk di atas kebenaran, itu adalah kebanggaan untuk mereka kerana mereka datang dari Mekah juga.

Mereka tidak membenci Nabi Muhammad ﷺ dan umat Islam dan mereka hendak membiarkan sahaja mereka. Walau bagaimanapun dengan dua kejadian yang sedang berlaku itu, mereka pun sudah berfikir dua kali kerana mereka menganggap yang Muslim sudah menjadi ancaman kepada ekonomi mereka. Oleh sebab itu, puak yang membenci Islam sudah mendapat sokongan daripada pihak yang berada di atas pagar itu. Maka, satu pasukan tentera sudah berjaya dikumpulkan untuk menyerang umat Islam di Madinah.

Dalam mesej permintaan pertolongan daripada Abu Sufyan, dia telah meminta pasukan tentera dari Mekah untuk terus ke Badr kerana dia mendapat maklumat yang pasukan Islam akan menunggu di sana. Dalam masa yang sama, Abu Sufyan sendiri telah melalui jalan yang jauh menuju ke Mekah untuk menyelamatkan diri. Dia bukan di Badr lagi.

Umat Islam pula terus ke Badr kerana hendak menahan kafilah Abu Sufyan yang mereka sangka berada di situ lagi. Tanpa mereka sedari, mereka akan berhadapan dengan tentera dari Mekah yang jauh lebih ramai daripada mereka: pasukan Islam hanya dalam tiga ratus orang manakala pasukan dari Mekah pula ada dalam seribu orang – lebih kurang tiga kali ganda daripada bilangan pasukan Muslim. Pasukan Muslim tidak ada kelengkapan perang sedangkan pasukan dari Mekah datang dengan segala kelengkapan untuk berperang. Sememangnya tidak sama kekuatan kedua-dua pasukan ini.

Pasukan tentera dari Mekah sudah sampai dahulu ke Badr dan mereka telah mengambil tempat yang berdekatan dengan sumber air. Nabi Muhammad ﷺ telah diberi wahyu tentang apa yang telah berlaku (kedatangan tentera kafir Mekah dan kafilah Abu Sufyan yang telah lepas jauh daripada mereka). Baginda telah diberi pilihan oleh Allah ‎ﷻ sama ada untuk berperang dengan tentera dari Mekah atau terus mengejar kafilah Abu Sufyan.

Pasukan tentera Mekah itu ramai dan lengkap sedangkan kafilah Abu Sufyan itu sedikit sahaja dan banyak harta bersamanya. Nampaknya pilihan untuk mengejar Abu Sufyan itu adalah lebih mudah jika mengikut logik akal. Baginda diberikan pilihan untuk memilih dan Allah ‎ﷻ menjanjikan kemenangan tidak kira mana satu pilihan baginda. Akhirnya keputusan telah dibuat oleh baginda bersama dengan para sahabat yang lain untuk berperang dengan tentera dari Mekah.

Walaupun asal tujuan mereka keluar itu adalah untuk merampas harta perniagaan, tetapi apabila rombongan perniagaan yang hendak dirampas itu telah tiada, Allah ‎ﷻ tetap suruh mereka tunggu juga. Ingat kembali bahawa mereka itu keluar dengan ala kadar sahaja, tidak sempurna dari sudut persediaan peperangan.

Tentera Islam pula waktu itu duduk di kawasan berpasir kering sedangkan orang kafir duduk di tempat yang ada air. Waktu itu Allah ‎ﷻ beri bantuan dengan menurunkan hujan dan tempat orang kafir menjadi lecak dan tempat tentera Islam pula menjadi lembap dan molek (kerana dibasahi hujan).

Dipendekkan kisah, akhirnya peperangan itu telah berjaya di pihak tentera Muslim. Walaupun harta daripada rombongan perniagaan mereka tidak dapat, tetapi umat Islam telah dapat membunuh kepala-kepala Musyrikin Mekah yang menentang Islam selama hari ini. Mereka itulah pemimpin masyarakat yang banyak menentang Rasulullah ﷺ dan Islam selama itu. Seramai 70 musyrikin yang dibunuh sementara 70 orang lagi ditawan.

Dengan kejayaan Perang Badr ini, Allah ‎ﷻ hendak menzahirkan kepada manusia, bahawa apabila ada bantuan Allah ‎ﷻ, tentu ada kemenangan walau dalam keadaan apa sekalipun. Allah ‎ﷻ juga hendak memberitahu, sekiranya manusia menentang Allah ‎ﷻ, walaupun mereka kuat, mereka akan kalah juga akhirnya.

Kita sebagai orang yang beriman, ambillah tertib dan cara Ahli Badr ini dalam peperangan. Jangan fikirkan kekuatan yang ada pada orang kafir, tetapi kenalah dilihat apa yang ada pada orang Islam.

Harta Rampasan:

Nama surah ini adalah Surah Anfal. Secara kasarnya, ia bermaksud ‘harta rampasan perang’. Ia berasal daripada kata dasar ن ف ل yang juga digunakan untuk kalimat salat nafilah (salat sunat) yang membawa erti lebih daripada yang wajib. Ada satu lagi istilah untuk harta rampasan, iaitu ‘ghanimah’. Namun begitu yang digunakan sebagai nama surah ini adalah Anfal. Lafaz Anfal berasal daripada katadasar nafala yang bermaksud ‘lebihan’. Ini hendak menunjukkan bahawa harta rampasan itu adalah lebihan, bonus sahaja, bukanlah tujuan asal peperangan itu.

Ada juga pendapat yang mengatakan, lafaz anfal bermaksud satu jenis harta rampasan yang diambil daripada tubuh badan musuh – baju besi, perisai, topi besi, pedang dan sebagainya iaitu sesuatu yang boleh diambil daripada badan musuh itu sendiri setelah musuh itu dikalahkan. Ini biasa sahaja terjadi dalam peperangan pada zaman itu.

Bangsa Arab sudah biasa berperang sekian lama, maka ini bukanlah perkara baru bagi mereka semua. Pada waktu itu, selepas peperangan tamat, setiap individu akan mengambil apa sahaja yang ditinggalkan di dalam peperangan itu – perisai, pedang, emas, perak, baju besi dan sebagainya. Apa sahaja yang tinggal, orang yang pertama jumpa, boleh sahaja mengambilnya.

Pada ketika itu Islam masih baru lagi dan tidak ada lagi hukum tentang harta rampasan perang. Apabila pasukan Islam bersedia untuk berperang, Nabi Muhammad ﷺ sebagai ketua perang, telah membuat rancangan perang, termasuk meletakkan kedudukan tentera di tempat-tempat tertentu. Ada yang bertanggungjawab berada di hadapan dan ada yang di belakang.

Ini bermakna, mereka yang duduk di belakang tidak mendapat peluang untuk mengambil harta rampasan yang ditinggalkan pihak musuh kerana mereka duduk di belakang. Maka, telah timbul isu tentang pembahagian harta rampasan ini kerana ada yang mudah ambil dan ada yang jauh dan susah untuk mengambil harta itu. Oleh sebab itu, antara lain, surah ini diturunkan sebagai penetapan polisi tentang pembahagian harta rampasan perang yang akan digunapakai sehingga Kiamat.

Setelah berjaya dalam peperangan itu, inilah kali pertama mereka mendapat harta rampasan. Mereka boleh mendapat pedang, duit yang berlonggok, baju besi, topi besi dan sebagainya. Pada waktu itu, kelengkapan tentera memang mahal dan kelengkapan perang Musyrikin Mekah memang hebat dan mewah sekali seperti baju besi dan pedang yang bertatahkan emas.

Allah ‎ﷻ memberikan segala itu sebagai harta rampasan kepada umat Islam yang berjuang di Badr tetapi mereka tidak tahu bagaimana cara yang betul untuk membahagikan harta rampasan itu. Ada yang kata yang di hadapan yang ambil dulu. Sementara orang yang berperang di belakang kata lain pula.

Oleh itu, Allah ‎ﷻ menurunkan Surah Anfal supaya mereka jangan berebut kerana mereka mesti ingat, tujuan asal peperangan itu bukanlah untuk mengambil harta rampasan daripada peperangan dengan Musyrikin Mekah, tetapi untuk merampas harta rombongan perniagaan Abu Sufyan. Allah ‎ﷻ mengingatkan yang Dia yang berikan harta rampasan itu kepada mereka, Allah ‎ﷻ yang telah menyusun mereka datang berperang, dan Allah ‎ﷻ yang telah memberikan kemenangan kepada mereka. Oleh kerana semua itu dalam takdir Allah ‎ﷻ maka biar Allah ‎ﷻlah yang memberi pembahagian harta itu.


Muqaddimah Surah: 

Apakah kaitan surah ini dengan surah-surah sebelumnya? Maksud surah Anfal ini atau tajuk utamanya adalah mengenai perang. Sebelum ini telah banyak surah-surah tentang golongan-golongan manusia. Setelah tahu siapakah empat golongan sesat yang kita perlu jauhi (diberitahu dalam Surah Baqarah sehingga Surah Maidah), kita disuruh tabligh (sampaikan) agama kepada manusia dan terutama sekali sampaikan ajaran tauhid kepada manusia supaya kita dan mereka tidak tergolong di dalam empat golongan sesat itu. Ini telah disampaikan dalam Surah al-A’raf.

Dalam rangka dakwah dan menegakkan agama, kita tidak cukup sekadar tabligh dengan lidah sahaja, tetapi kadangkala dakwah perlu dijalankan dengan pedang. Inilah yang hendak disampaikan dalam Surah Anfal dan Surah Tawbah. Ini perlu dilakukan sekiranya manusia masih terus berdegil dengan akidah syirik mereka dan menghalang usaha dakwah dijalankan.

Selain daripada menyebarkan dakwah, umat Islam pun boleh mendapat hasil daripada berperang dengan orang kafir, iaitu dengan mengambil harta mereka. Oleh kerana harta yang orang kafir dapat itu adalah dengan cara haram, maka kita dibenarkan mengambil harta itu daripada mereka. Harta yang kita dapat itu adalah dengan cara yang paling halal sekali kerana bukan senang untuk mendapatkannya (berperang bukanlah mudah).

Surah Anfal ini turun ketika awal Hijrah dan surah Tawbah pula diturunkan di hujung-hujung hayat Nabi ﷺ, tetapi kita boleh lihat yang ia duduk berdekatan dalam susunan Al-Qur’an. Ini adalah kerana isi di dalamnya berdekatan (tentang perang), maka ia disusun berdekatan dalam susunan Al-Qur’an. Kita kena faham yang susun atur itu pula adalah tawqifi (ditetapkan) dengan wahyu daripada Allah ‎ﷻ. Bukanlah Nabi ﷺ atau sahabat yang susun sendiri. Maka, walaupun turunnya berjauhan, akan tetapi di dalam Al-Qur’an, ia duduk rapat.

Dalam surah Anfal ini, kita akan dapat pelajari bagaimana peperangan itu ada syarat yang perlu dipenuhi. Tidak boleh kita sesuka hati mengumumkan perang, kerana kena ada khalifah yang umumkan. Tidak pernah ada perang dalam sejarah Islam tanpa wujudnya khalifah. Khalifah itu adalah khalifah dunia – khalifah mukmin, bukannya khalifah sesuatu negara. Pemerintahan khalifah yang terakhir adalah Khalifah Uthmaniah.

Dari sini kita tahu yang amat penting untuk dunia Islam mempunyai khalifah, kerana kalau tidak ada khalifah, umat Islam akan berperang sesama sendiri. Bukan itu sahaja, peperangan dengan orang kafir pun tidak dapat dijalankan kerana tidak ada arahan daripada Khalifah Islamiah. Oleh itu, kita mestilah menegakkan kembali pemerintahan berkhalifah kerana apabila ada khalifah barulah kita ada sistem  yang teratur. Tidak tahulah bila ini akan dapat direalisasikan. Kita hanya buat sedaya kita dan berdoa berharap kepada Allah ‎ﷻ sahaja.

Oleh itu, tidak boleh berperang lagi sekarang, kenalah tunggu sehingga adanya khalifah barulah boleh kita menjalankan tugas jihad perang kita. Oleh kerana ada kekurangan ini sekarang, pada waktu ini kita kena sebarkan agama supaya lebih ramai manusia faham agama Islam dan sanggup berjuang di dalam menegakkannya. Maka, sekarang dakwah kepada kesedaran agama mesti ada dahulu, kerana kalau umat Islam ada khalifah pun, tetapi tidak faham agama, tak kena juga. Dakwah yang dimaksudkan adalah dengan lisan, bukan dengan pedang.

Oleh itu, kita hendaklah menggembleng tenaga untuk mengajar manusia tentang agama tauhid supaya manusia faham apakah tanggungjawab kita sebagai manusia di muka bumi Allah ‎ﷻ ini. Malangnya, sekarang umat Islam hanya tahu cari makan sahaja dan ini adalah amat menyedihkan sekali. Begitu ramai yang mendakwa mereka beragama Islam sahaja tetapi tidak tahu apa yang ada dalam agama. Kalau ada tahu agama pun, mereka tahu secara ala kadar sahaja.

Ringkasan:

Surah Anfal ini terbahagi kepada dua bahagian. Seperti yang kita sebut, Dakwanya adalah peperangan. Itulah jihad atas tauhid. Jihad untuk menegakkan tauhid. Bukan perang semberono sahaja.

Ayat 1 – 40 adalah bahagian pertama. Ia adalah tentang pembahagian harta rampasan perang. Ia menceritakan 7 sebab kenapa harta rampasan peperangan (anfal) itu perlu dibahagikan oleh Allah ‎ﷻ sendiri dan bukannya ditentukan oleh umat Islam.

Kita akan faham kenapa Allah ‎ﷻ yang menentukan sendiri pembahagian harta rampasan itu kepada hamba-Nya yang berperang. Di dalam bahagian ini juga, terdapat 5 undang-undang perang. Mereka yang menjalankan jihad perlu memahami undang-undang ini kerana ia adalah berkenaan perhubungan antara askar dan ketua.

Ayat 41 – hingga akhir surah adalah pengulangan semula perkara-perkara yang telah disentuh dalam bahagian pertama. Cuma ada perbezaan sedikit. Dalam bahagian kedua ini, ada 5 sebab yang diberikan kenapa harta rampasan itu Allah ‎ﷻ yang bahagikan sendiri kepada pejuang. Kali ini ada 7 undang-undang untuk tentera: 2 untuk rakyat biasa dan 5 lagi untuk pemimpin.

Sekarang mari kita masuk ke tafsir ayat yang pertama.

Kemaskini: 29 Ogos 2022


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah al-A’raf Ayat 187 (Jangan banyak bertanya)

BILAKAH HARI KIAMAT

A’raf Ayat 187: Sebelum ini disebut tentang golongan yang sesat. Sekarang kita dibawa untuk kisah permulaan azab di akhirat. Kita akan melihat perbincangan tentang Kiamat dahulu.

يَسئلونَكَ عَنِ السّاعَةِ أَيّانَ مُرسٰها ۖ قُل إِنَّما عِلمُها عِندَ رَبّي ۖ لا يُجَلّيها لِوَقتِها إِلّا هُوَ ۚ ثَقُلَت فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۚ لا تَأتيكُم إِلّا بَغتَةً ۗ يَسئلونَكَ كَأَنَّكَ حَفِيٌّ عَنها ۖ قُل إِنَّما عِلمُها عِندَ اللَّهِ وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They ask you, [O Muḥammad], about the Hour: when is its arrival?¹ Say, “Its knowledge is only with my Lord. None will reveal its time except Him. It lays heavily² upon the heavens and the earth. It will not come upon you except unexpectedly.” They ask you as if you are familiar with it. Say, “Its knowledge is only with Allāh, but most of the people do not know.”

  • Literally, “resting” or “establishment.”
  • i.e., it is a source of concern, worry or fear.

MALAY

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: “Bilakah masa datangnya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. Hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut”. Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau mengetahuinya. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu hanyalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.

 

يَسئَلونَكَ عَنِ السّاعَةِ أَيّانَ مُرسٰها

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: “Bilakah masa datangnya?”

Ayat ini berkenaan Dakwa Ketiga. Ulangkaji:
Dakwa Pertama – Kena berani menyampaikan wahyu;
Dakwa Kedua – Kena ikut syariat Allah ;
Dakwa Ketiga – Hanya Allah sahaja yang mempunyai sifat yang sempurna, maka kena seru dan buat ibadat kepada Allah sahaja.

Salah satu perkara yang selalu ditanya oleh Musyrikin Mekah kepada Nabi Muhammad ﷺ adalah ‘bilakah akan terjadi Hari Kiamat (السّاعَةِ).’ Orang Melayu menggunakan kalimah ساعَةِ ini sebagai saat, akan tetapi di dalam Al-Qur’an ia bermaksud waktu Kiamat berlaku. Mereka tanya kepada baginda kerana Nabi ﷺ banyak memberitahu dan mengingatkan mereka tentang akhirat dan tentunya permulaan akhirat adalah dengan terjadi hari kiamat. Oleh kerana itu, mereka tanya kepada Nabi ﷺ, bilakah akan terjadi perkara itu? Mereka tanya Nabi ﷺ dalam perkara yang bukan hak Nabi untuk beritahu. Ini kerana memang Nabi ﷺ tidak tahu pun bila akan terjadinya hari kiamat itu.

Soalan: Kenapa Musyrikin Mekah banyak bertanya kepada Rasulullah ﷺ tentang Hari Kiamat? Kenapa sekarang masyarakat kita tidak bertanya? Ini kerana Rasulullah ﷺ sentiasa mengingatkan tentang Kiamat dan Hari Akhirat maka kerana itu Musyrikin Mekah sudah naik bosan, maka mereka hendaklah tanya bila Kiamat yang kamu asyik cakap sahaja itu ya Muhammad? Sedangkan ustaz-ustaz kita sekarang jarang sebut tentang Kiamat, sebab itu orang awam tidak bertanya. Seolah-olah Kiamat tidak berlaku pula. Mereka suka cerita benda lawak-lawak sahaja dan tidak mahu jemaah takut dengan isu Akhirat.

Akan tetapi orang yang mesra dengan Al-Qur’an akan sentiasa dekat dengan Kiamat dan Akhirat kerana selalu diulang-ulang di dalam Al-Qur’an tentangnya. Ia adalah perkara yang penting kerana itu Allah banyak mengingatkan kita. Tidak ada satu pun halaman daripada Al-Qur’an yang tidak menyebut tentangnya.

Lafaz مُرساها berasal daripada katadasar ر س و yang bermaksud ‘tetap’. Lafaz مُرساها selalunya digunakan apabila dipasakkan kayu pasak kepada khemah. Maka, lafaz مُرساها dalam ayat ini sebagai isyarat kepada penetapan. Iaitu, bilakah Kiamat itu telah ditetapkan? Bilakah yang pasti ia akan terjadi?

Ayat ini menceritakan semula soalan yang ditanya oleh Musyrikin Mekah. Namun sebenarnya ada juga para sahabat yang bertanya seperti disebut di dalam sebuah hadith,

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ السَّاعَةِ فَقَالَ مَتَى السَّاعَةُ قَالَ وَمَاذَا أَعْدَدْتَ لَهَا قَالَ لَا شَيْءَ إِلَّا أَنِّي أُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ أَنْتَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ قَالَ أَنَسٌ فَمَا فَرِحْنَا بِشَيْءٍ فَرَحَنَا بِقَوْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْتَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ قَالَ أَنَسٌ فَأَنَا أُحِبُّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ مَعَهُمْ بِحُبِّي إِيَّاهُمْ وَإِنْ لَمْ أَعْمَلْ بِمِثْلِ أَعْمَالِهِمْ

Daripada [Anas رضي الله عنه] bahawa ada seseorang yang bertanya kepada Nabi ﷺ tentang hari kiamat. Katanya; “Bila terjadinya hari kiamat?”. Baginda bertanya kembali kepada orang itu; “Apa yang telah kamu siapkan untuk menghadapinya?”. Orang itu menjawab; “Tidak ada. Kecuali, aku mencintai Allah dan Rasul-Nya ﷺ”. Maka baginda berkata: “Kamu akan bersama orang yang kamu cintai”. Anas berkata; “Kami belum pernah bergembira atas sesuatu seperti gembiranya kami dengan sabda Nabi ﷺ, iaitu: “Kamu akan bersama orang yang kamu cintai”. Selanjutnya Anas berkata; “Maka aku mencintai Nabi ﷺ, Abu Bakr, ‘Umar dan aku berharap dapat berkumpul bersama mereka disebabkan kecintaanku kepada mereka sekalipun aku tidak memiliki amal seperti amal mereka”.

(Sahih Bukhari 3412)

 

Di dalam sebuah hadith yang lain, juga riwayat Anas, dalam hadith yang lebih kurang bunyinya,

عَنْ أَنَسٍ أَنَّ رَجُلًا مِنْ أَهْلِ الْبَادِيَةِ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَتَى السَّاعَةُ قَائِمَةٌ قَالَ وَيْلَكَ وَمَا أَعْدَدْتَ لَهَا قَالَ مَا أَعْدَدْتُ لَهَا إِلَّا أَنِّي أُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ قَالَ إِنَّكَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ فَقُلْنَا وَنَحْنُ كَذَلِكَ قَالَ نَعَمْ فَفَرِحْنَا يَوْمَئِذٍ فَرَحًا شَدِيدًا فَمَرَّ غُلَامٌ لِلْمُغِيرَةِ وَكَانَ مِنْ أَقْرَانِي فَقَالَ إِنْ أُخِّرَ هَذَا فَلَنْ يُدْرِكَهُ الْهَرَمُ حَتَّى تَقُومَ السَّاعَةُ

Daripada [Anas] bahawa seorang laki-laki daripada penduduk kampung datang kepada Nabi ﷺseraya berkata; “Wahai Rasulullah, bilakah hari Kiamat akan terjadi?” Baginda menjawab: “Celaka kamu, apa yang telah kau persiapkan?” Laki-laki itu berkata; “Aku belum mempersiapkan bekal kecuali aku hanya mencintai Allah dan Rasul-Nya.” Baginda bersabda: “Kalau begitu, kamu bersama dengan orang yang kamu cintai.” Maka kami pun berkata; “Apakah kami juga seperti itu?” Baginda menjawab: “Ya.” Maka pada hari itu kami sangat bahagia, tiba-tiba pelayan Mughirah lalu -sedangkan dia termasuk  teman dekatku- baginda lalu bersabda: “Jika (ajalnya) ini diakhirkan, pasti dia tidak akan mendapati penyakit tua sampai kiamat tiba.”

(Sahih Bukhari 7008)

 

Cuma di dalam hadith ini ditambah maklumat siapakah lelaki yang bertanya itu. Dikatakan dia daripada الْبَادِيَةِ iaitu orang Badwi. Mereka ini duduk di padang pasir, rumahnya khemah kulit sahaja dan mereka berpindah randah. Mereka jauh dari pekan dan tamadun. Maka ilmu mereka kurang, gasar orangnya. Mereka jenis bertanya tanpa befikir panjang. Berlainan dengan cara para sahabat yang sudah biasa bergaul dengan Rasulullah ﷺ yang tinggal di bandar. Para sahabat sudah tahu jangan banyak bertanya kerana itu akan menyusahkan mereka sahaja. Mereka juga sudah pernah ditegur dalam Maidah: 101

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَسئلوا عَن أَشياءَ إِن تُبدَ لَكُم تَسُؤكُم

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menanyakan (kepada Nabimu) hal-hal yang jika diterangkan kepadamu akan menyusahkan kamu

 

Mereka telah ditegur kerana sudah mula bertanya soalan merapu seperti ‘siapa ayah aku?’, ‘adakah ayah aku di syurga atau neraka?’ Itu soalan-soalan tidak penting dan membuang masa ditanya sahaja. Maka para sahabat selepas itu banyak mendiamkan diri. Namun mereka amat suka kalau ada orang Badwi bertanya soalan kerana mereka akan mendapat ilmu baru daripada soalan-soalan orang Badwi itu.

Apakah tidak boleh bertanya? Tentu boleh, malah Rasulullah ﷺ mengajar kita untuk keluar daripada kejahilan dengan bertanya:

 

فَإِنَّمَا شِفَاءُ الْعِيِّ السُّؤَالُ

Sesungguhnya ubat kepada kejahilan adalah bertanya (kerana kejahilan itu seumpama penyakit)

(Sunan Abu Dawud, Sunan Ibn Majah & Musnad Ahmad)

 

 

No photo description available.

 

Malah di dalam Al-Qur’an pun kita diajar untuk bertanya kepada orang yang tahu seperti disebut dalam Nahl:43 dan Anbiya’:7

 

فَاسأَلوا أَهلَ الذِّكرِ إِن كُنتُم لا تَعلَمونَ

maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui

Cuma kena ingat bahawa bertanya bukanlah cara belajar. Kita kena belajar dahulu dan kemudian tanya perkara yang kita tidak tahu daripada apa yang kita belajar itu. Bukannya tanya, tanya dan tanya tetapi belajarnya tidak. Maka keluarlah soalan yang tidak patut seperti, “Ustaz boleh ceritakan tentang syurga dan neraka?”. Alahai, soalan pendek tetapi bukankah topik itu amat besar? Takkan ustaz itu kena cerita dari mula sampai habis? Sepatutnya dia belajar dahulu, kemudian tanya mana yang tidak faham.

Atau ada juga soalan daripada apa yang mereka lihat di medsos. Semua yang lalu di medsos mereka tanya, siang dan malam, pagi dan petang.

Ustaz, betul ke macam ni?
Ustaz, dia buat macam ini boleh ke?
Ustaz, apa pendapat ustaz tentang video ini?
Ustaz, cuba check tulisan dia ini ustaz…
Ustaz, kalau saya buat macam ini boleh tak?
Ustaz, ustaz, ustaz….

Janganlah begitu, ustaz anda bukannya kaunter pertanyaan, dan bukanlah robot ChatGPT yang mengeluarkan segala jawapan di dalam dunia ini. Itu belum lagi terpaksa melayan orang yang suka bertanya serta mahukan jawapan segera pada waktu itu juga. Terdapat juga yang jenis bertanya, kemudian apabila diberi jawapan dia berasa tidak puas hati pula (tapi ustaz, ada ustaz lain kata boleh buat……). Ini semua adalah kerana mentaliti Badwi seperti di dalam hadith di atas, mentaliti tidak ada tamadun, orang gasar, malas belajar. Dia hanya hendak tahu benda yang dia hendak tahu sahaja.

Sedangkan kalau dia belajar, dia akan dapat benda yang dia PATUT tahu. Teringat satu kisah yang disampaikan oleh Maulana Asri tentang seorang pelajar yang asyik bertanya di dalam kelas. Setelah sekian lama, Maulana perasan yang dia sudah tidak bertanya lagi. Maka Maulana tanya dia kenapa sudah tidak tanya soalan? Dia cakap tidak perlu bertanya kerana dia perasan nanti di kelas-kelas di hadapan nanti akan ada jawapannya. Nah itulah kelebihan belajar, di mana anda akan dapat jawapannya sendiri.

 

قُل إِنَّما عِلمُها عِندَ رَبّي

Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, 

Ini berkenaan dengan Dakwa Ketiga – Allah sahaja yang ada sifat sempurna, dan salah satunya mengetahui bilakah terjadinya Hari Kiamat itu. Hanya Allah sahaja yang ada maklumat ini dan tidak ada makhluk mana-mana pun yang tahu, termasuk para malaikat yang paling tinggi pun. Maka Nabi ﷺ disuruh sahaja untuk beritahu yang maklumat itu hanya ada pada Allah , bukan di sisi baginda.

Cuma di sini disebut عِندَ رَبّي kerana Allah hendak menekankan sifat Rabb yang mencipta, mengurus dan memelihara. Maka Dia sahaja yang tahu bilakah Kiamat itu kerana Dia yang mengurus.

 

لا يُجَلّيها لِوَقتِها إِلّا هُوَ

tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya waktunya melainkan Dia. 

Ini adalah satu penekanan. Allah tidak menzahirkan, tidak menjelaskan kepada sesiapa pun tentang tarikh bila berlakunya Kiamat itu. Kalimah يُجَلّيها berasal daripada katadasar ج ل ل yang bermaksud dijadikan jelas, dimaklumkan, didedahkan. Tidak mungkin sesiapa pun yang tahu maklumat itu, termasuk para malaikat yang paling dekat dengan Allah pun.

Maka, tidaklah malu kalau kita beritahu yang kita tidak ada maklumat itu. Rasulullah ﷺ pun tidak perlu malu untuk beritahu yang baginda tidak tahu. Tidak jatuh martabat atau pangkat kenabian baginda kerana tidak tahu. Ini kerana memang tidak ada sesiapa pun yang tahu kecuali Allah . Masalahnya Musyrikin Mekah itu sangka Nabi Muhammad ﷺ tahu dan sorok maklumat itu.

Nabi Muhammad ﷺ memang tidak tahu masanya yang tepat akan tetapi baginda telah dimaklumkan akan tanda-tanda kedatangannya. Baginda telah sampaikan kepada kitav sebagaimana sabdanya:

إِنَّهَا لَنْ تَقُومَ حَتَّى تَرَوْنَ قَبْلَهَا عَشْرَ آيَاتٍ – فَذَكَرَ – الدُّخَانَ، وَالدَّجَّالَ، وَالدَّابَّةَ، وَطُلُوعَ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، وَنُزُولَ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَيَأَجُوجَ وَمَأْجُوجَ، وَثَلَاثَةَ خُسُوفٍ: خَسْفٌ بِالْمَشْرِقِ، وَخَسْفٌ بِالْمَغْرِبِ، وَخَسْفٌ بِجَزِيرَةِ الْعَرَبِ، وَآخِرُ ذَلِكَ نَارٌ تَخْرُجُ مِنَ الْيَمَنِ، تَطْرُدُ النَّاسَ إِلَى مَحْشَرِهِمْ

“Sesungguhnya ia (hari Kiamat) tidak akan berlaku melainkan setelah kamu melihat sebelum daripadanya sepuluh tanda”. “Baginda ﷺ menyebut (tanda-tanda tersebut): Asap, Dajjal, al-Dabah, terbitnya matahari dari barat, turunnya Nabi Isa anak kepada Maryam, Ya’juj dan Ma’juj dan tiga gerhana iaitu satu gerhana di Timur, satu gerhana di Barat dan satu lagi gerhana di rantau atau jazirah Arab. Seterusnya, yang terakhir adalah keluarnya api dari Yaman yang menghalau manusia ke Mahsyar mereka”.

(Riwayat Muslim (2901))

 

Tidak perlu manusia tahu bila Kiamat itu kerana bukan ada kebaikan pun padanya. Pertama dia akan menjadi takut kerana asyik teringat Kiamat (atau bila dia akan  mati), keduanya dia akan menangguh taubat dan beramal sehingga ke hujung waktu, ketiganya dia mungkin buat tidak kisah pun seperti disebut dalam Yaasin: 49

ما يَنظُرونَ إِلّا صَيحَةً واحِدَةً تَأخُذُهُم وَهُم يَخِصِّمونَ

Mereka tidak menunggu melainkan satu teriakan saja yang akan membinasakan mereka ketika mereka sedang bertengkar.

Iaitu mereka tetap juga membuang masa bertengkar sana sini. Seperti sekaranglah juga, sudah tahu kita semua akan mati, akan menghadapi Kiamat, tetapi masih sibuk bertengkar tentang kehidupan, malah tentang agama. Pihak sini kutuk pihak sana, pihak sana kutuk pihak sini, situasi yang amat merimaskan. Lihatlah sahaja dalam medsos itu memang memalukan kerana ramainya bercakap tanpa ilmu, tetapi mengikut perasaan sahaja.

 

ثَقُلَت فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Hari kiamat itu amatlah berat (bagi makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi;

Amatlah berat keadaan langit dan bumi untuk menghadapi Kiamat. Lafaz ثَقُلَت biasanya digunakan kepada wanita yang mengandung dan hendak melahirkan anaknya, tinggal tunggu masa sahaja.

Begitulah juga dengan Kiamat nanti. Kejadian Kiamat itu menunggu masa sahaja, dan segala keperluan untuk Kiamat itu Allah sudah sediakan di langit dan di bumi. Langit dan bumi sedang menanggung makhluk di dalamnya dan sebagaimana wanita mengandung sarat menanggung anaknya itu, beratlah juga langit dan bumi menanggung tanggungjawab mereka.

Ia juga bermaksud, apabila kiamat itu datang, ia adalah amat berat walaupun kepada langit dan bumi. Kalau mereka pun berasa berat dengan Kiamat itu, maka apatah lagi kepada kita? Memang menakutkan kalau kita baca ayat-ayat tentang kejadian Kiamat itu.

Satu lagi maksud, ia adalah satu rahsia yang amat berat yang perlu dihadapi, ditanggung oleh semua makhluk termasuklah langit dan bumi sebab tidak tahu bila ia akan berlaku. Terutama bagi orang beriman yang prihatin tentang Kiamat kerana mereka tidak tahu mereka selamat ataupun tidak. Apabila kita baca ayat-ayat tentang Akhirat, sendat rasanya dada kita. Ini seperti disebut dalam Shura: 17-18

وَما يُدريكَ لَعَلَّ السّاعَةَ قَريبٌ

Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui? Boleh jadi hari kiamat itu sudah hampir (masa datangnya).

يَستَعجِلُ بِهَا الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِها ۖ وَالَّذينَ ءآمَنوا مُشفِقونَ مِنها وَيَعلَمونَ أَنَّهَا الحَقُّ ۗ أَلا إِنَّ الَّذينَ يُمارونَ فِي السّاعَةِ لَفي ضَلٰلٍ بَعيدٍ

Orang-orang yang tidak beriman kepada hari kiamat itu meminta (secara mengejek-ejek) supaya disegerakan kedatangannya, dan (sebaliknya) orang-orang yang beriman merasa takut ngeri kepadanya serta mereka mengetahui dengan yakin bahawa ia adalah benar. Ketahuilah! Sesungguhnya orang-orang yang membantah mengenai hari kiamat itu, tetap berada dalam kesesatan yang jauh terpesong.

Ia berat kerana ia menakutkan, boleh terjadi bila-bila masa. Memang tujuannya kerana Allah hendak kita takut tentangnya. Inilah namanya ujian. Kalau kita sudah tahu, tidaklah ada hikmah ujian itu. Akan tetapi orang yang jahil tidak kisah pun, mereka tidak takut pun, kerana mereka memang sudah ditakdirkan jadi ahli neraka!

 

لا تَأتيكُم إِلّا بَغتَةً

ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut”

Inilah maklumat yang menakutkan kita: Kiamat tidak datang melainkan dengan tiba-tiba. Apabila ia hendak datang, ia tidak beritahu sebelum itu yang ia akan datang. Tiba-tiba sahaja sudah muncul sewaktu manusia tidak teringat pun tentang Kiamat itu.

Cuma ada disebut dalam hadith, diberitahu yang kiamat hanya berlaku kepada orang kafir sahaja. Waktu itu hanya ada orang kafir sahaja yang hidup kerana orang beriman telah dimatikan dahulu dengan sejenis angin lembut.

ثُمَّ يَبْعَثُ اللهُ رِيحًا كَرِيحِ الْمِسْكِ مَسُّهَا مَسُّ الْحَرِيرِ، فَلَا تَتْرُكُ نَفْسًا فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ حَبَّةٍ مِنَ الْإِيمَانِ إِلَّا قَبَضَتْهُ، ثُمَّ يَبْقَى شِرَارُ النَّاسِ عَلَيْهِمْ تَقُومُ السَّاعَةُ

Kemudian Allah mengirim angin, seperti semerbak minyak wangi, sangat lembut rasanya seperti menyentuh sutera. Tidak ada satu pun jiwa yang di dalam hatinya terselit iman sebesar biji, kecuali angin itu akan mematikannya. Kemudian tinggal tersisa manusia-manusia paling jelek. Di tengah merekalah, kiamat terjadi

(Sahih Muslim 1942)

Ini adalah kerana Kiamat itu amat berat sampaikan Allah tidak mahu ada orang beriman yang merasainya. Walaupun begitu, kita tahu yang Allah itu maha berkuasa. Salah satu faham kita tentang kuasa Allah ini, Allah berhak dan boleh sahaja untuk buat apa sahaja yang Dia kehendaki, termasuk menjadikan Kiamat itu bila-bila masa sahaja. Allah tidak tertakluk dengan apa-apa undang-undang pun.

Kita tidak tahu bilakah Kiamat itu, dan kita tidak tahu adakah kita sempat menyaksikannya atau tidak. Akan tetapi ada satu Kiamat yang kita pasti akan hadapi iaitu dipanggil Kiamat Kecil. Itulah kematian kita. Ini pasti akan berlaku. Ia juga berlaku secara tiba-tiba kerana kita tidak tahu bila ia akan berlaku. Ada orang sihat wal afiat tetapi tiba-tiba mati dalam kemalangan. Keluar pergi kerja pagi hari dan tidak balik-balik ke rumah.

Ini biasa sahaja sebenarnya. Yang menakutkan lagi adalah kalau kita tidak tahu menahu tentang Al-Qur’an dan tentang agama. Maka sia-sialah kehidupan di dunia dan bila sedar daripada kematian itu, ia amat menakutkan kerana nasib kita memang amat malang kalau tidak tahu dan mengamalkan ajaran Al-Qur’an.

 

يَسئَلونَكَ كَأَنَّكَ حَفِيٌّ عَنها

Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau bersungguh-sungguh hendak mengetahuinya. 

Musyrikin Mekah itu tanya dan tanya kepada Nabi Muhammad ﷺ berkali-kali tentang bila kejadian Kiamat itu, seolah-olah Nabi ﷺ ada maklumat itu. Atau bersungguh-sungguh hendak mengetahuinya. Ini kerana kalimah حَفِيٌّ berasal daripada katadasar ح ف ي yang bermaksud kenal, beriya-iya, berusaha bersungguh-sungguh, bertanya bersungguh-sungguh tentang sesuatu, bersungguh-sungguh mencari sesuatu. Maka kalimah حَفِيٌّ bermaksud seseorang yang tahu setelah mengkaji untuk mendapatkan maklumat. Maknanya mereka bertanya seolah-olah Nabi ﷺ pun bersungguh hendak tahu tentang bila Kiamat seperti mereka dan sentiasa bertanya Allah tentangnya. Seolah-olah baginda sudah tahu tentang waktunya.

Sedangkan baginda tidak pernah pun kata yang baginda bilakah ia akan terjadi. Sebenarnya, mereka tanya pun untuk persenda Nabi ﷺ sahaja, bukan untuk betul-betul tahu pun, kerana mereka tidak percaya kepada kejadian itu.

Al-Qur’an mempunyai segala maklumat yang diperlukan untuk kita. Sememangnya tidak ada diberitahu bilakah Kiamat akan terjadi, maka ia bukanlah tarikh yang kita perlu ketahui. Ini kerana kalau perlu, Allah sudah beritahu kita. Akan tetapi yang ada banyak disebut dalam Al-Qur’an adalah tentang persiapan untuk menghadapi hari kiamat. Maka, itulah perkara yang lebih penting untuk diketahui; bukan bila hari Kiamat itu, tetapi apa persediaan kamu?

 

قُل إِنَّما عِلمُها عِندَ اللَّهِ

Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu hanyalah di sisi Allah,

Allah ulang lagi suruh Nabi ﷺ beri jawapan yang sama: hanya Allah sahaja yang tahu bilakah terjadi Kiamat. Maka jangan sibuk lagi hendak tanya kepada sesiapa pun, termasuk kepada Nabi Muhammad ﷺ. Allah di dalam rahmat-Nya menjadikan maklumat ini rahsia yang hanya Dia sahaja ketahui.

Ini kerana sekiranya manusia tahu, mereka akan menjadi susah hati pula; atau mereka akan mengejek kalau waktunya terlalu lama, sampai manusia tidak mengambil pusing tentangnya. Jika kita tahu bila kita mati pun tidak senang duduk, bukan? Atau kita akan menangguhkan beramal baik tunggu sampai dekat hendak mati. Kalau begitu, rosakkan kehidupan manusia.

 

وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ

akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.

Allah sebut yang kebanyakan manusia tidak tahu. Tidak tahu apa?

1. Mereka tidak tahu yang ilmu itu hanya ada pada Allah sahaja. Mereka tidak berpuas hati dengan jawapan ini dan mereka sibuk mencari-cari dan bertanya bilakah ia akan berlaku.

Sampai ada ustaz-ustaz di negara kita pun ada yang cuba mengagak bilakah akan terjadinya Kiamat sedangkan jelas dalam Al-Qur’an yang hanya Allah sahaja yang tahu. Mereka pun mulakan buat kira-kira begitu dan begini untuk berceramah mengatakan Kiamat akan terjadi bila dan bila. Hasilnya maka terngangalah mulut para hadirin di masjid/surau. Namun maklumat itu bukannya daripada dalil yang sahih. Lalu bagaimana mereka boleh membuat anggaran bilakah kiamat akan terjadi? Mereka tidak belajar Al-Qur’an kah?

Pernah sekali Malaikat Jibril عليه السلام datang menyerupai seorang Arab Badwi untuk mengajarkan kepada manusia perkara agama mereka, lalu beliau duduk di hadapan Rasulullah ﷺ seperti duduknya orang yang mahu bertanya, kemudian memohon petunjuk. Maka Jibril عليه السلام bertanya kepada Nabi ﷺ tentang Islam, lalu tentang iman dan ihsan, kemudian beliau bertanya, “Bilakah hari kiamat itu?” Maka Rasulullah ﷺ menjawabnya melalui sabdanya:

“مَا الْمَسْئُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنَ السَّائِلِ”

Orang yang ditanya mengenainya tidaklah lebih mengetahui daripada yang bertanya.

Dengan kata lain, aku bukanlah orang yang lebih mengetahui tentangnya daripada engkau; dan tidak ada seorang pun yang lebih mengetahui tentangnya daripada orang lain. Kemudian Nabi ﷺ membacakan firman-Nya: Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang hari kiamat. (Luqman: 34), hingga akhir ayat.

2. Yang keduanya, ramai manusia tidak tahu untuk membuat persiapan untuk menghadapi Kiamat dan Akhirat itu. Mereka leka dengan kehidupan dunia mereka. Nanti mereka itulah yang paling terkejut beruk kerana perkara yang mereka abaikan (Kiamat) itu sudah bermula dan mereka tidak ada apa-apa! Kalaulah mereka tahu ia benar, tentu mereka tidak akan membuang masa dengan perkara remeh temeh hal keduniaan yang pasti mereka akan tinggalkan.

Maka pengajaran yang paling penting bagi kita, kita kena bersedia untuk menghadapinya kerana entah-entah ia dekat sangat dengan kita seperti disebut dalam Ahzab: 63

يَسأَلُكَ النّاسُ عَنِ السّاعَةِ ۖ قُل إِنَّما عِلمُها عِندَ اللهِ ۚ وَما يُدريكَ لَعَلَّ السّاعَةَ تَكونُ قَريبًا

Manusia bertanya kepadamu tentang hari berbangkit. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang hari berbangkit itu hanya di sisi Allah”. Dan tahukah kamu (hai Muhammad), boleh jadi hari berbangkit itu sudah dekat waktunya.

Mungkin kita tidak sempat menghadapi Kiamat Besar itu (semoga kita diselamatkan kerana betapa besarnya Hari itu). Namun bukankah kita pasti akan menghadapi Kiamat Kecil (iaitu mati) yang pasti akan berlaku kepada setiap orang? Ini pun mungkin dekat sekali dengan kita. Entah-entah esok lusa kita boleh mati.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 14 Jun 2023

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah al-A’raf Ayat 184 – 186 (Tuduhan gila terhadap Rasulullah ﷺ)

MENOLAK NABI

A’raf Ayat 184: Ayat Zajrun (Teguran daripada Allah )

أَوَلَم يَتَفَكَّروا ۗ ما بِصاحِبِهِم مِّن جِنَّةٍ ۚ إِن هُوَ إِلّا نَذيرٌ مُّبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then do they not give thought? There is in their companion [i.e., Muḥammad ()] no madness. He is not but a clear warner.

MALAY

Patutkah mereka (ingkar dan) tidak mahu memikirkan (dengan fikiran yang siuman bahawa) sahabat mereka (Muhammad) tidak sekali-kali menghidap penyakit gila (sebagaimana yang mereka tuduh itu), bahkan dia hanyalah seorang (Pesuruh Allah) yang memberi amaran yang jelas.

 

أَوَلَم يَتَفَكَّروا

Kenapakah mereka tidak memikirkan? 

Ini adalah tempelak Allah ke atas kekarutan tuduhan mereka terhadap Nabi Muhammad ﷺ sebelum ini. Mereka mengatakan yang Nabi Muhammad ﷺ itu adalah seorang yang gila. Ini adalah kerana mereka sudah tidak dapat menolak dakwah yang disampaikan oleh baginda. Apabila berlawan hujah tidak boleh, maka mereka menuduh baginda gila sahaja. Macam sekaranglah juga, penentang Sunnah tidak ada hujah, maka jalan paling mudah adalah dengan menuduh ‘Wahabi’ sahaja, habis cerita.

Musyrikin Mekah pun tahu hujah mereka tidak kuat kerana mereka bermesyuarat sesama mereka juga (tentang tuduhan apa yang hendak diberikan kepada baginda) dan mereka tidak ada hujah yang kuat pun. Akhirnya mereka menggunakan sahaja mana-mana hujah, janji boleh melawan baginda semula. Akan tetapi Allah kata hujah mereka itu karut. Sekarang Allah tempelak mereka: Mereka tidak menggunakan otakkah? Kalaulah mereka fikir sedikit, mereka pun sedar yang hujah mereka ini tidak masuk akal.

Di sini dan banyak ayat lain lagi menyebut tentang menggunakan akal yang sihat untuk berfikir. Islam adalah agama yang mesra akal, agama yang logik. Kalau akal kita sihat, kita akan nampak kebenaran yang ada dalam agama Islam. Kita bukannya menerima sahaja apa yang disampaikan di meja penceramah dan di Tik Tok. Kena gunakan akal kita untuk bertanya, “Eh, betul ke ni? Macam pelik jer?”

 

ما بِصاحِبِهِم مِّن جِنَّةٍ

sahabat mereka (Muhammad) tidak sekali-kali menghidap penyakit gila

Allah menegaskan dalam ayat ini, tidak ada sifat gila pada Nabi Muhammad ﷺ. Apabila digunakan lafaz ما dalam ayat ini, menunjukkan penolakan kepada kata-kata Musyrikin Mekah itu kerana memang antara tuduhan mereka kepada baginda adalah baginda itu seorang gila.

Allah menggunakan lafaz ‘sahabat’ kerana Nabi Muhammad ﷺ sentiasa ada bersama dengan mereka, tidak pernah pergi ke mana-mana negara lain, duduk dengan mereka sahaja. Baginda bersama dengan mereka semenjak kecil sampai ke tua. Maksudnya, mereka kenal baginda dan baginda tidaklah berubah perangai. Allah perli mereka, takkan mereka tidak tahu ‘sahabat’ mereka itu.

Maka, yang mereka kata baginda gila itu adalah sebagai tuduhan palsu sahaja kerana sebelum baginda menyampaikan ajaran tauhid, bagindalah orang yang paling dipercayai dalam kalangan mereka sampaikan baginda digelar al-Amin (yang dipercayai). Mereka kalau simpan barang berharga, mereka akan minta baginda simpankan kerana baginda sangat dipercayai. Akan tetapi oleh kerana baginda menyampaikan kebenaran yang tidak selari dengan fahaman dan kebiasaan mereka, terus mereka berubah pandangan terhadap baginda.

Begitu jugalah orang kita apabila diberi dakwah. Kadangkala yang diberi dakwah itu adalah dalam kalangan ahli keluarga, daripada kenalan yang sudah bertahun-tahun kenal. Selama hari itu kenal baik, makan bersama, tidur bersama, boleh sahaja bertegur sapa dan berbaik dalam segala hal. Namun apabila orang itu sudah belajar wahyu dan menyampaikan dakwah sunnah kepada ahli keluarga dan kenalan itu, mereka tiba-tiba berubah sikap pula.

Kawan sekarang sudah menjadi lawan, sudah tidak mahu berjumpa dan bertegur sapa. Hanya kerana kawan itu menyampaikan kebenaran yang mereka tidak mahu terima. Kalau setakat ajar salat sahaja tidak mengapa lagi, tetapi kalau sampaikan ajaran daripada Al-Qur’an dan Sunnah, dituduh sesat pula kerana bertentangan dengan amalan yang dilazimi mereka selama ini. Malah lebih teruk lagi apabila dipulau oleh keluarga dan kawan-kawan.

Lafaz جِنَّةٍ berasal daripada katadasar ج ن ن yang bermaksud ‘tertutup’. Lafaz jin, janin, jannah, majnun (gila) juga diambil daripada katadasar ini, kerana ia adalah elemen tertutup. Jin itu tertutup daripada pandangan kita. Janin tidak nampak sebab dalam perut. Jannah (taman syurga) kita tidak nampak sekarang dan kerana indahnya taman di situ dengan tanaman, sampai tidak nampak tanah di bawah. Malah dikatakan ada kaitan antara gila dan jin kerana pada orang Arab Mekah, orang yang gila itu adalah kerana disampuk jin. Allah menidakkan fahaman salah mereka terhadap Nabi Muhammad ﷺ. Tidaklah baginda gila dan tidaklah baginda disampuk jin.

Akan tetapi itulah tuduhan penentang Tauhid dalam kalangan Musyrikin Mekah.

Qatadah ibnu Di’amah telah mengatakan, telah diceritakan kepada kami bahawa Nabi Allah pada suatu ketika sedang berada di atas Bukit Safa. Lalu baginda menyeru kaum Quraisy, dalam seruannya itu baginda menyebutkan nama-nama pemimpin mereka seorang demi seorang. Baginda mengatakan, “Hai Fulan bin Fulan.” Baginda mem­peringatkan mereka akan seksa Allah dan hari kiamat. Maka ada salah seorang di antara mereka mengatakan, “Sesungguhnya teman kalian ini benar-benar gila, dia terus berkobar-kobar semalaman hingga pagi hari, atau hingga waktu subuh.” Maka Allah menurunkan firman-Nya:

{أَوَلَمْ يَتَفَكَّرُوا مَا بِصَاحِبِهِمْ مِنْ جِنَّةٍ إِنْ هُوَ إِلا نَذِيرٌ مُبِينٌ}

Apakah (mereka lalai) dan tidak memikirkan bahawa teman mereka (Muhammad) tidak berpenyakit gila. Dia (Muhammad itu) tidak lain hanyalah seorang pemberi peringatan lagi pemberi penjelasan. (Al-A’raf: 184)

(HR. Ibnu Jarir dalam Tafsirnya 13/15461, Ibnu Abi Hatim dalam Tafsirnya 5/8592, Mursal)

 

إِن هُوَ إِلّا نَذيرٌ مُّبينٌ

bahkan dia hanyalah seorang (Pesuruh Allah) yang memberi amaran yang jelas.

Nabi Muhammad ﷺ itu bukanlah seorang gila, bahkan baginda telah terpilih untuk memberi peringatan kepada manusia menggunakan wahyu daripada Allah .

Peringatan yang diberikan itu disampaikan dengan cara yang jelas nyata, bahasa yang digunakan mudah difahami. Tidaklah kata-kata baginda berpusing-pusing. Begitu jugalah kita dalam menyampaikan ajaran tauhid kepada manusia lain – hendaklah dengan jelas, jangan gunakan bahasa yang susah difahami.


 

A’raf Ayat 185: Ayat Zajrun (teguran). Allah menegur para penentang wahyu. Sebelum ini disebut yang Musyrikin Mekah menuduh Nabi Muhammad ﷺ sebagai gila. Itu adalah tuduhan yang tidak masuk akal kerana yang baginda ajak adalah menyembah Allah , Tuhan yang menjadikan segala-galanya. Lainlah kalau baginda ajak sembah baginda, barulah gila, bukan? Yang gilanya mereka, kerana sembah berhala yang mereka buat sendiri!

أَوَلَم يَنظُروا في مَلَكوتِ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَما خَلَقَ اللَّهُ مِن شَيءٍ وَأَن عَسىٰ أَن يَكونَ قَدِ اقتَرَبَ أَجَلُهُم ۖ فَبِأَيِّ حَديثٍ بَعدَهُ يُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do they not look into the realm of the heavens and the earth and everything that Allāh has created and [think] that perhaps their appointed time has come near? So in what statement [i.e., message] hereafter will they believe?

MALAY

Patutkah mereka (membutakan mata) tidak mahu memperhatikan alam langit dan bumi dan segala yang diciptakan oleh Allah, dan (memikirkan) bahawa harus telah dekat ajal kebinasaan mereka? Maka kepada perkataan yang mana lagi sesudah (datangnya Kalamullah Al-Qur’an) itu mereka mahu beriman?

 

أَوَلَم يَنظُروا في مَلَكوتِ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Tidakkah mereka mahu memerhatikan alam langit dan bumi 

Allah suruh kita perhatikan keindahan langit dan bumi yang boleh dilihat dengan mata kasar kita. Renunglah alam ini dan fikir-fikirkan. Kalimah yang digunakan adalah مَلَكوتِ iaitu kerajaan yang agung, bukan kerajaan dunia (ملك). Kerajaan Allah ini adalah luas meliputi langit dan bumi, yang kita nampak dan kita tidak nampak.

Namun Allah suruh kita lihat yang kita nampak sahaja. Itu pun sudah hebat tidak terhingga. Bayangkan Allah jadikan langit itu berdiri tanpa tiang. Kalau ada tiang, tentu kita asyik langgar sahaja. Tanah yang Allah jadikan di bumi ini, mudah untuk kita gunakan untuk bercucuk tanam dan berjalan. Kalau keras sangat susah untuk kita bercucuk tanam di atasnya; kalau lembut sangat, susah kita hendak berjalan pula.

 

وَما خَلَقَ اللَّهُ مِن شَيءٍ

dan segala yang diciptakan oleh Allah,

Allah suruh kita lihat apa sahaja yang Allah ciptakan dalam alam ini. Apa-apa sahaja perkara sama ada besar atau kecil. Kalau yang paling kecil kita boleh lihat adalah zarah debu itu. Itu pun Allah yang buat. Semua itu menjadi tanda kepada mereka yang mempunyai mata hati.

Kalau orang yang suka mengkaji, mereka akan dapati sangat hebatnya penciptaan alam ini. Benda yang nampak mudah dan kita selalu gunakan tetapi ada kehebatan. Contohnya kedudukan planet-planet seperti matahari dan bulan. Kalau bergerak sedikit sahaja dari  kedudukan sekarang, tentu berselerak alam ini. Hidung kita kalau lubangnya di atas pun sudah susah untuk kita bernafas di waktu hujan dan mandi.

 

وَأَن عَسىٰ أَن يَكونَ قَدِ اقتَرَبَ أَجَلُهُم

bahawa mungkin telah dekat ajal kebinasaan mereka?

Perkara pertama tadi Allah suruh lihat alam ini. Perkara kedua yang Allah suruh fikirkan sekarang adalah ajal mereka pula. Tidakkah mereka memikirkan boleh jadi tempoh masa mereka di dunia sudah hampir tamat? Alam ini nanti akan hancur juga akhirnya, sama juga seperti mereka juga. Ingatlah bahawa tempoh untuk memikirkan sudah hampir habis. Ingatlah yang peluang mungkin sudah hampir habis untuk bertaubat. Maka cepat-cepatlah bertaubat, cepat-cepatlah ubah sikap supaya ikut syariat dan wahyu. Kena guna otak yang ada di kepala, bukannya ikut nafsu.

Allah selalu menyebut tentang kematian di dalam Al-Qur’an. Kerana mengingat mati itu juga adalah satu ibadah sebenarnya (zikrulmawt). Kematian adalah sesuatu yang pasti dilalui oleh semua makhluk yang hidup tanpa terkecuali. Bahkan saban hari, kita akan dikejutkan dengan pelbagai berita kematian yang tidak kita sangkakan. Tanpa kita sedar, sebenarnya kematian semakin hari, semakin menghampiri kita. Kita juga diingatkan dengan mati setiap malam apabila kita tidur kerana itu adalah separuh mati sebenarnya (mati sebelum mati) kerana roh kita sudah diangkat separuh.

Kerana itulah orang yang paling cerdik adalah orang yang banyak mengingat mati. Ini disebut sendiri oleh baginda Rasulullah ﷺ,

عَنِ ابْنِ عُمَرَ أَنَّهُ قَالَ : كُنْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- فَجَاءَهُ رَجُلٌ مِنَ الأَنْصَارِ فَسَلَّمَ عَلَى النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- ثُمَّ قَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ أَىُّ الْمُؤْمِنِينَ أَفْضَلُ قَالَ : « أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا ». قَالَ فَأَىُّ الْمُؤْمِنِينَ أَكْيَسُ قَالَ : « أَكْثَرُهُمْ لِلْمَوْتِ ذِكْرًاوَأَحْسَنُهُمْ لِمَا بَعْدَهُ اسْتِعْدَادًا أُولَئِكَ الأَكْيَاسُ ».

Daripada Ibnu ‘Umar رضي الله عنه, dia berkata, “Aku pernah bersama Rasulullah ﷺ, lalu seorang Ansar mendatangi baginda, dia memberi salam dan bertanya, “Wahai Rasulullah, mukmin manakah yang paling baik?” Baginda bersabda, “Yang paling baik akhlaknya.” “Lalu mukmin manakah yang paling cerdas?”, dia kembali bertanya. Baginda bersabda, “Yang paling banyak mengingati kematian dan yang paling baik dalam mempersiapkan diri untuk alam berikutnya, itulah mereka yang paling cerdas.”

(Riwayat  Ibnu Majah- Hasan)

 

Kedatangan Dua Malaikat Sebaik Menjengah ke Alam Kubur » ilmusunnah.com

 

Dengan mengingat mati, antaranya,

1. Ia akan menjauhkan kita daripada melakukan kezaliman. Sebab takut kena jawab di akhirat kelak atas kezaliman.

2. Ia akan menggerakkan kita untuk membuat persediaan bertemu Allah kerana tahu yang segala amalan kita akan dipersembahkan kepada-Nya.

 

فَبِأَيِّ حَديثٍ بَعدَهُ يُؤمِنونَ

Maka kepada perkataan yang mana lagi sesudah (datangnya Kalamullah Al-Qur’an) itu mereka mahu beriman?

Maka kalau mereka tidak juga mahu beriman dengan wahyu, perkataan apa lagi yang mereka hendak guna? Sebagai manusia, cara fikir kita sepatutnya adalah dengan wahyu yang Allah sampaikan. Kita kena pegang dengan wahyu daripada Al-Qur’an dan Hadith (yang sahih) kerana tidak ada lagi kitab atau perkataan yang lain yang boleh digunakan dengan tanpa ragu lagi. Semua kitab-kitab tulisan manusia mesti dinilai kesahihannya supaya selaras dengan wahyu daripada Al-Qur’an atau Hadith.

Maka, tidak mahu lagikah kita meluangkan masa untuk belajar maksud wahyu Allah ini? Supaya kita menjadikannya sebagai peringatan dan amalan untuk kita. Belajarlah tafsir Al-Qur’an dan amalkan membaca Al-Qur’an setiap hari dengan pemahaman. Kalau kita faham apa yang kita baca, ia lebih memberi nikmat kepada kita. Lihat apa firman Allah dalam Zumar: 23. Ini kesan apabila faham apa yang dibaca. Cuma orang kita bukannya ‘baca’ Al-Qur’an, tetapi setakat ‘sebut’ sahaja.

اللَهُ نَزَّلَ أَحسَنَ الحَديثِ كِتٰبًا مُّتَشٰبِهًا مَّثانِيَ تَقشَعِرُّ مِنهُ جُلودُ الَّذينَ يَخشَونَ رَبَّهُم ثُمَّ تَلينُ جُلودُهُم وَقُلوبُهُم إِلىٰ ذِكرِ اللهِ

Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Qur’an yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah.

Lebih malang lagi, ramai dalam kalangan ahli agama, para pelajar, para asatizah dalam masyarakat kita rajin menekuni kitab-kitab tulisan manusia yang pelbagai, akan tetapi mereka masih belum lagi habis belajar tafsir Al-Qur’an dan juga mempelajari syarahan kitab-kitab Hadith. Amat menyedihkan sekali apabila ilmu wahyu dipinggirkan. Sampai bila harus begini? Kelas pengajian sudah banyak malah ada yang percuma sahaja, maka jangan lepaskan peluang.


 

A’raf Ayat 186: Dalam ayat-ayat sebelum ini telah disebut tentang golongan penentang yang tetap menentang walaupun telah diberikan dengan berbagai hujah dan dalil. Ini telah menyebabkan Rasulullah ﷺ menjadi resah kerana baginda amat prihatin dengan nasib umat baginda. Baginda mahu semua umatnya terselamat daripada api neraka namun nampaknya ramai pula yang menentang. Maka sekarang Allah pujuk baginda dengan beritahu yang baginda sebenarnya tidak boleh buat apa-apa kerana memang ada yang Allah tentukan mereka itu kekal sesat sampai bila-bila.

مَن يُضلِلِ اللَّهُ فَلا هادِيَ لَهُ ۚ وَيَذَرُهُم في طُغيٰنِهِم يَعمَهونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Whoever Allāh sends astray – there is no guide for him. And He leaves them in their transgression, wandering blindly.

MALAY

Sesiapa yang disesatkan oleh Allah (kerana keingkarannya), maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat memberi petunjuk kepadanya; dan Allah membiarkan mereka meraba-raba (dengan bingung) dalam kesesatan mereka.

 

مَن يُضلِلِ اللَّهُ فَلا هادِيَ لَهُ

Sesiapa yang disesatkan oleh Allah (kerana keingkarannya), maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat memberi petunjuk kepadanya; 

Sekiranya Allah telah putuskan untuk menyesatkan seseorang itu, maka tidak ada sesiapa yang boleh memberi hidayah kepadanya lagi. Rasulullah ﷺ pun tidak boleh selamatkan mereka. Ini adalah sesat jenis peringkat Khatmul Qalbi – penutupan hati. Ini disebut dalam banyak ayat, antaranya Jathiya:23

أَفَرَءيتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلٰهَهُ هَوىٰهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلىٰ عِلمٍ وَخَتَمَ عَلىٰ سَمعِهِ وَقَلبِهِ وَجَعَلَ عَلىٰ بَصَرِهِ غِشٰوَةً فَمَن يَهديهِ مِن بَعدِ اللهِ ۚ أَفَلا تَذَكَّرونَ

Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa dia tetap kufur ingkar), dan dimeterikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?

Penutupan hati ini berlaku apabila orang itu telah sampai kepada satu tahap, di mana Allah marah sangat kepada seseorang itu kerana telah lama menentang dan mendustakan ayat-ayat Allah . Akibatnya Allah menutup hatinya daripada menerima kebenaran sampai bila-bila. Allah sudah tidak hingin kepada imannya. Orang itu tunggu mati sahaja untuk diazab oleh Allah. Nauzubillah! Semoga kita dan orang-orang kenalan kita, tidak sampai kepada tahap ini. Kerana ini adalah tahap yang paling teruk sekali, sudah pasti dia menjadi ahli neraka selama-lamanya.

Maka kita kena berdoa untuk mendapat hidayah daripada Allah kerana hidayah itu daripada Allah . Allah sebut di dalam Layl: 12

 

إِنَّ عَلَينا لَلهُدىٰ

Sesungguhnya kewajipan Kamilah memberi petunjuk,

Kita memang kena berusaha bersungguh-sungguh namun akhirnya hidayah itu tetap milik Allah . Kita hendaklah juga berharap hidayah itu daripada Allah . Maksudnya kena ada dua elemen: usaha dan harap. Kena selalu minta dan kita pun setiap hari meminta kepada Allah di dalam Fatihah:6 iaitu di dalam salat kita,

اهدِنَا الصِّرٰطَ المُستَقيمَ

Tunjukilah kami jalan yang lurus;

 

وَيَذَرُهُم في طُغيٰنِهِم يَعمَهونَ

dan Allah membiarkan mereka meraba-raba (dengan bingung) dalam kesesatan mereka.

Mereka yang telah diberi keputusan itu akan dibiarkan sesat sampai bila-bila, Allah akan biarkan mereka dalam يَعمَهونَ (kebingungan) dan di dalam kesesatan. Mereka itu berada dalam keadaan buta hati. Kita cakap apa sahaja, dakwah apa sahaja, bagi hujah apa sahaja, panggil mana-mana ulama’ dakwah kepada mereka pun, mereka tidak akan beriman. Mereka tidak faham pun apa yang kita cakap (tidak sampai ke akal mereka).

Mungkin sahaja kita akan berjumpa dengan orang sebegini, maka tidak hairanlah bagi kita lagi. Tidaklah kita pelik kenapa mereka masih juga tidak beriman walaupun telah diberi dengan berbagai hujah dengan berbagai cara. Ini kerana kita sudah tahu memang akan ada sahaja orang yang akan menentang kebenaran. Kalau kita cakap bagaimana pun, mereka tidak akan mahu beriman.

Akan tetapi adakah kita langsung tidak dakwah kepadanya? Tetap kena dakwah juga. Sebab kita bukannya tahu siapa yang Allah telah tutup hatinya, bukan ada cop pada dahi dia pun. Kita tetap usaha dakwah kerana mungkin dia masih ada harapan lagi. Keduanya, walaupun dia tidak beriman, kita tetap dapat pahala dakwah walaupun dia tidak terima. Cuma kita tidaklah hairan kalau dia tidak mahu terima.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 11 Jun 2023

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Tafsir Surah al-A’raf Ayat 181 – 183 (Istidraj)

YANG TERPIMPIN DAN YANG SESAT

A’raf Ayat 181: Di dalam ayat 179 Allah ﷻ menceritakan tentang manusia yang degil yang tidak menggunakan akal dan pancaindera mereka untuk menerima kebenaran. Sekarang Allah ﷻ puji golongan yang baik pula. Kenapakah mereka dipuji oleh Allah ﷻ?

وَمِمَّن خَلَقنا أُمَّةٌ يَهدونَ بِالحَقِّ وَبِهِ يَعدِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And among those We created is a community¹ which guides by truth and thereby establishes justice.

  • The followers of Prophet Muḥammad ().

MALAY

Dan di antara orang-orang yang Kami ciptakan itu, ada satu umat yang memberi petunjuk dengan kebenaran, dan dengannya mereka menjalankan keadilan.

 

وَمِمَّن خَلَقنا أُمَّةٌ يَهدونَ بِالحَقِّ

Dan di antara orang-orang yang Kami ciptakan itu, ada satu umat yang memberi petunjuk dengan kebenaran,

Kalimah يَهدونَ بِالحَقِّ bermaksud umat ini telah mendapat hidayah ilmu yang haq (benar) daripada Allah ﷻ, kemudian mereka beramal dengannya, dan kemudian memberi hidayah pula kepada manusia lain. الحَقِّ itu merujuk kepada wahyu. Jelas di sini ada tiga elemen: ilmu – amal – dakwah. Maka kena ada usaha untuk mendapatkan ilmu. Apabila sudah dapat ilmu kenalah amalkan, jangan setakat ada ilmu sahaja. Dan apabila sudah amal sendiri, ajaklah orang lain pula untuk sama-sama beramal dengan kebenaran.

Alhamdulillah, ada umat yang memahami dan memimpin orang lain kepada kebenaran. Hidayah memang milik Allah ﷻ tetapi kita sebagai manusia boleh sampaikan kebenaran kepada mereka dan terpulang kepada mereka untuk terima atau tidak. Umat yang dipuji ini mereka memberi petunjuk dengan menggunakan wahyu Allah ﷻ. Merekalah orang-orang yang belajar wahyu Allah ﷻ dan sampaikan kepada orang lain. Oleh itu, kita yang belajar wahyu ini hendaklah mengajar manusia tentang wahyu, kerana kalau tidak ajar, belum tentu kita selamat lagi. Ini adalah kerana Allah ﷻ hanya beri jaminan iman kita kekal, kalau kita sampaikan kepada orang lain.

Jangan kita simpan ilmu yang kita belajar ini untuk diri kita sendiri sahaja, tetapi kena sampaikan kepada orang lain. Jangan kita buat alasan dengan mengatakan tidak boleh mengajar dan berdakwah kepada manusia untuk memahami wahyu Allah ﷻ. Kita yang mampu bercakap ini, kiranya kita sudah boleh sampaikan kepada manusia kerana modal kita adalah bercakap sahaja.

Allah ﷻ sudah beri kelebihan bercakap itu kepada kita. Kalau perkara lain kita boleh cakap, takkan tentang agama Allah ﷻ ini kita tidak boleh beritahu dan bercakap dengan orang lain? Kalau sembang tentang politik, tentang tempat makan, tentang tempat pelancongan boleh, takkan tentang Allah ﷻ dan wahyu-Nya kita tidak boleh sampaikan pula?

Ramai yang takut atau berat mulut hendak dakwah kepada orang lain disebabkan faktor yang berbagai (malu, takut dan sebagainya). Akan tetapi tahukah anda yang dakwah itu wajib? Antara dalil yang senang kita lihat adalah di dalam Asr: 3

وَتَواصَوا بِالحَقِّ

dan nasihat menasihati kepada kebenaran

Ancaman kalau tidak melakukannya adalah kerugian seperti disebut di dalam surah itu. Kepada mereka yang dapat melaksanakannya lah yang berjaya seperti disebut di dalam Ali Imran: 104

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

Setelah itu, barulah kita boleh berbangga menjadi orang Islam kerana menjalankan tugas dakwah itu seperti disebut di dalam Ali Imran: 110

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ

Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji),

Sekiranya memang tidak boleh juga dan masih rasa tidak mampu juga untuk sampaikan sendiri melalui mulut kita, maka kena ajak mereka datang mengaji sekali dengan kita di tempat kita belajar. Itulah yang paling kurang yang kita boleh lakukan. Maknanya, kita masih menunjuk kepada ajaran yang baik. Mereka yang boleh melakukan perkara inilah yang boleh menjadi umat yang selamat.

Jika ada ilmu dan tidak amalkan, maka perbuatan ini mendapat kemurkaan Allah ﷻ pula. Ini adalah sama seperti yang Allah ﷻ murka kepada golongan Yahudi kerana mereka tahu apa yang benar, tetapi mereka tidak ikuti. Mereka ada ilmu tetapi mereka degil. Allah ﷻ telah berfirman tentang mereka yang sebegini di dalam Fatihah: 7

غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ

Bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai

 

وَبِهِ يَعدِلونَ

dan dengannya mereka menjalankan keadilan.

Dengan kebenaran wahyu itulah juga mereka membuat keputusan dalam kehidupan mereka sendiri. Maknanya mereka berhukum dengan menggunakan wahyu daripada Allah ﷻ. Dalam segenap kehidupan mereka – sama ada secara peribadi atau dalam masyarakat, mereka akan rujuk kepada wahyu Allah ﷻ (sama ada Al-Qur’an atau hadith). Panduan agama telah lengkap di dalam segenap kehidupan kita. Sama ada kita tahu atau tidak sahaja.

Mereka yang dipuji itu telah baca dan belajar apakah hukum Allah ﷻ dalam setiap perkara, maka mereka amalkan. Kalau kita sebagai individu yang tidak ada kuasa pemerintahan, maka gunakan hukum untuk diri kita sahaja dahulu dan dalam keluarga yang di dalam kawalan kita. Jangan pula kita memandai mengamalkan ayat yang ditujukan kepada pemerintah pula. Sebagai contoh, kalau kita tangkap orang mencuri, janganlah kita potong pula tangan orang itu! Serahkan sahaja kepada pemerintah kerana itu adalah tanggungjawab mereka.

Semoga kita termasuk dalam golongan yang disebut ini. Seperti yang disebut di dalam kitab Sahihain riwayat daripada Mu’awiyah ibnu Abu Sufyan رضي الله عنه yang telah menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

“لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِينَ عَلَى الْحَقِّ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ، وَلَا مَنْ خَالَفَهُمْ، حَتَّى تَقُومَ السَّاعَةُ –

وَفِي رِوَايَةٍ -: حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ عَلَى ذَلِكَ “

Senantiasa masih ada segolongan dalam kalangan umatku yang membela kebenaran, tidak membahayakan mereka adanya orang-orang yang menghina mereka, tidak pula orang-orang yang menentang mereka hingga hari kiamat terjadi. 

Menurut riwayat lain disebutkan dengan lafaz berikut: hingga datang perintah Allah (hari kiamat), sedangkan mereka tetap dalam keadaan demikian (membela kebenaran).

Kehebatan mereka ini adalah kerana mereka tidak bergantung dengan manusia dan tidak takut dengan manusia, melainkan Allah ﷻ sahaja. Maka ini merupakan berita baik yang diberikan kepada umat Nabi Muhammad ﷺ. Umat-umat sebelum kita pun ada juga yang telah mengamalkannya seperti yang Allah ﷻ puji mereka di dalam A’raf: 159

وَمِن قَومِ موسىٰ أُمَّةٌ يَهدونَ بِالحَقِّ وَبِهِ يَعدِلونَ

Dan di antara kaum Nabi Musa, ada satu golongan yang memberi petunjuk (kepada orang ramai) dengan perkara-perkara yang hak, dan dengannya mereka menjalankan keadilan.

Kejayaan umat Islam yang dahulu adalah kerana mereka mengamalkan ayat ini. Mereka menggunakan wahyu untuk memerintah dan juga mengurus kehidupan mereka. Apabila umat Islam mula meninggalkan wahyu untuk mengurus kehidupan mereka, maka kejatuhan umat Islam sudah bermula. Sampai sekarang pun masih begitu kerana ilmu wahyu amat jauh daripada kita. Yang menjadi kriteria mereka dalam membuat keputusan adalah keduniaan (apa yang baik bagi dunia mereka) dan bukannya mengikut selari dengan kehendak Allah ﷻ dan syariat.

Akan tetapi mereka masih lagi hendak menjaga nama agama. Maka mereka pun masukkanlah sedikit elemen agama ke dalam kehidupan. Contohnya kalau parti politik, letak nama Islam; kalau hendak memulakan majlis walaupun majlis berunsurkan maksiat seperti melancarkan album lagu, dipanggil ustaz untuk dibacakan doa juga; kalau ada kematian, buat Majlil Tahlil; kalau hendak menikah, buat majlis Khatam Al-Qur’an dahulu. Ini semua adalah topeng sahaja belaka. Semata-mata menunjukkan yang mereka itu Muslim tetapi apa yang mereka lakukan itu bukanlah selari dengan syariat pun.

Habis Ruku’ 22 daripada 24 ruku’ dalam surah ini.


 

A’raf Ayat 182: Ayat Takhwif Duniawi (penakutan dengan azab semasa di dunia lagi). Sekarang Allah ﷻ kembali memperkatakan tentang استدراج ‘istidraj’. Dalam surah ini pun sudah pernah disebut tentang istidraj ini. Ayat 181 adalah di mana Allah ﷻ mencelah memberitahu jenis orang yang selamat. Sekarang kembali disebut orang yang tidak selamat. Memang sentiasa bertukar-tukar subjek supaya kita fokus apabila kita membaca ayat-ayat Al-Qur’an.

Ayat ini menjawab persoalan yang ada di kalangan Muslim. Mereka hairan: kalau berbuat baik itu dituntut dan diberikan dengan segala macam ganjaran, kenapa pula orang yang menentang kebenaran itu senang lenang pula hidup mereka? Hidup mereka kaya raya, boleh ke sana sini, buat majlis sana sini, bercampur gaul dengan orang kenamaan dan sebagainya? Kenapa? Allah ﷻ hendak beritahu jangan sangka yang mereka itu sedang mendapat kebaikan, tetapi ia adalah sebaliknya.

وَالَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِنا سَنَستَدرِجُهُم مِن حَيثُ لا يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But those who deny Our signs – We will progressively lead them [to destruction]¹ from where they do not know.

  • Allāh will test them with one favor after another in spite of their disobedience, which only increases them in arrogance and sin.

MALAY

Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, Kami akan menarik menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), menurut cara yang mereka tidak mengetahuinya.

 

وَالَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِنا

Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami,

Ini adalah mereka yang mendustakan dan tidak menerima wahyu Allah ﷻ dan juga mereka yang menghalang manusia daripada kebenaran. Antaranya, mereka yang sibuk dengan kehidupan mereka sampai melupakan akhirat. Mereka sibuk dengan perkara yang tidak sepatutnya mereka sibuk sangat.

Mereka sibuk sampai melalaikan mereka daripada membuat persediaan kepada akhirat. Mereka sibuk bersiap dan memantapkan kehidupan keduniaan mereka kerana mereka sangka kehidupan mereka yang boleh menyelesaikan masalah mereka, sedangkan Allah ﷻ lah yang boleh menyelesaikan masalah mereka.

Sebagai contoh, ada mereka yang kata, kalau tidak sibuk bekerja, bagaimana hendak hidup? Oleh kerana mereka berfahaman begitu, maka tumpuan mereka lebih kepada dunia sahaja sampai kurang mendekati Allah ﷻ. Sedangkan Allah ﷻ lahyang memberi kehidupan kepada mereka dan jika mereka ada masalah, hanya Allah ﷻ boleh menyelesaikan masalah mereka.

Mereka sendiri tidak belajar agama (ilmu wahyu) dan mereka pun nampak orang yang tidak belajar agama pun tidak ada masalah, malah senang sahaja hidup mereka malah lebih lagi daripada orang agama. Orang yang tidak belajar agama, tidak tahu menahu tentang agama, nampaknya mereka yang selalu lebih senang kehidupan keduniaan mereka daripada mereka yang belajar, bukan?

Maka mereka yang jahil tidak nampak keperluan kepada agama kerana yang mereka mahukan adalah kesenangan dunia sahaja. Malangnya, inilah yang banyak berlaku dalam masyarakat. mereka tidak mendekati pembelajaran tafsir Al-Qur’an dan kerana itu mereka tidak tahu yang akidah mereka telah salah. Sedangkan jika mahu perbetulkan akidah mestilah belajar dan faham tafsir Al-Qur’an.

Malah ada satu lagi ayat (tanda) Allah ﷻ yang mereka dustai iaitu ayat-ayat Allah ﷻ di alam ini. Alam ini dalam urusan pentadbiran Allah ﷻ akan tetapi mereka melupakan hal itu. Contohnya apabila ada Tsunami atau gempa bumi, mereka kata: “Ini adalah kejadian semulajadi, bumi sudah semakin tua”. Padahal ia adalah kehendak Allah ﷻ dan Allah ﷻ yang mentakdirkan ia berlaku. Mereka berpandangan begitu kerana mereka itu jahil tentang qada’ dan qadar.

Kalau tidak dibuka hati kepada agama terutama sekali ilmu wahyu, mereka akan membuat keputusan yang selari bagi mendapatkan kehidupan yang senang di dunia, maka bagi mereka sudah memadai. Oleh itu, maksud ‘mendustakan’ juga bermaksud tidak menerima ayat wahyu dengan berasa tidak kisah dan tidak perlu untuk belajar. Mereka dari mula lagi tidak menerima kepentingan belajar wahyu Allah ﷻ.

Oleh itu, dari mula lagi mereka tidak mahu belajar. Mereka tidak ada keinginan untuk tahu pun kerana mereka rasa kehidupan mereka sudah cukup. Kita boleh lihat entah berapa ramai manusia yang tidak tahu tentang tafsir Al-Qur’an. Oleh kerana itu, mereka jahil tentang agama sebagaimana golongan Nasara. Mereka bukannya menolak terus, tetapi buat tidak endah.

Ingatlah, kalau kita memegang amalan yang salah, maknanya kita sudah menolak amalan yang benar. Malangnya, ramai yang mendustakan amalan yang benar, tanpa mengetahuinya.

 

سَنَستَدرِجُهُم مِن حَيثُ لا يَعلَمونَ

Kami akan menarik menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), menurut cara yang mereka tidak mengetahuinya.

Mereka yang menolak wahyu, akan ditarik oleh Allah ﷻ ke neraka dengan cara yang mereka tidak tahu dan tidak sedar. Sedar-sedar mereka sudah mati dan sudah masuk ke alam akhirat. Inilah mereka yang dapat kenikmatan dunia untuk azab di akhirat – ini dinamakan ‘istidraj’. Ia dilakukan atas ilmu Allah ﷻ, Allah ﷻ sahaja yang tahu siapakah yang patut dikenakan dengan azab ini.

Maksud istidraj adalah mereka ditarik ke arah kesesatan dengan tanpa sedar. Tidaklah Allah ﷻ terus kenakan mereka dengan azab, sebaliknya Allah ﷻ beri mereka nikmat di dunia pula. Kehidupan mereka amat senang sampaikan mereka menjadi lalai leka dan tidak memikirkan tentang akhirat. Mereka dilimpahkan dengan segala nikmat sampai mereka lupa akhirat. Malangnya kalau Allah ﷻ mengenakan istidraj kepada seseorang, dia langsung tidak sedar bahawa dia sedang ditarik ke arah kesesatan.

Namun begitu ini bukanlah bermakna semua nikmat dan kesenangan dunia yang Allah ﷻ kurniakan ini dikirakan sebagai istidraj sekiranya seseorang itu mengamalkan akidah dan amalan yang benar. Maka jangan kita memandai-mandai pula berkata bahawa semua orang kaya itu sudah dikenakan istidraj pula. Ia dikira istidraj kalau orang itu diberi segala kesenangan ketika dia berada di dalam maksiat.

Perkataan istidraj disebut beberapa kali dalam Al-Qur’an. Malah ia telah disebut dalam Ayat 95 surah ini pun,

ثُمَّ بَدَّلنا مَكانَ السَّيِّئَةِ الحَسَنَةَ حَتّىٰ عَفَوا وَّقالوا قَد مَسَّ ءآباءَنَا الضَّرّاءُ وَالسَّرّاءُ فَأَخَذنٰهُم بَغتَةً وَهُم لا يَشعُرونَ

Setelah (mereka tidak juga insaf) Kami gantikan kesusahan itu dengan kesenangan hingga mereka kembang biak (serta senang-lenang) dan berkata (dengan angkuhnya): “Sesungguhnya nenek moyang kita juga pernah merasai kesusahan dan kesenangan (sebagaimana yang kita rasakan)”. Lalu Kami timpakan mereka (dengan azab seksa) secara mengejut, dan mereka tidak menyedarinya.

Istilah istidraj diambil daripada katadasar د ر ج yang bermaksud ‘menaiki tahap sedikit demi sedikit’. Mereka yang dikenakan dengan istidraj itu akan bertambah dosa mereka dari masa ke semasa. Mereka semakin ditarik ke arah kesesatan sedikit demi sedikit. Bukannya tiba-tiba ia terjadi. Ini sebagaimana ujikaji meletakkan katak dalam air dan air itu dipanaskan sedikit demi sedikit. Sampaikan katak itu tidak perasan.

Kerana kesesatan ditarik sedikit demi sedikit itulah yang menyebabkan mereka tidak perasan. Allah ﷻ menambahkan kesenangan hidup mereka di dunia walaupun mereka berbuat dosa. Oleh kerana itu mereka leka daripada agama dan terus membuat dosa. Allah ﷻ buat begini adalah supaya dosa mereka bertambah banyak dan Allah ﷻ akan azab mereka dengan lebih teruk lagi.

Kehidupan mereka senang dan mereka rasa cukup sahaja kehidupan mereka. Oleh itu mereka tidak rasa mereka ada buat salah. Kesenangan yang mereka dapat itu sebenarnya adalah ‘istidraj’. Dalam ayat yang lain Allah ﷻ berfirman:

{فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّى إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُمْ بَغْتَةً فَإِذَا هُمْ مُبْلِسُونَ * فَقُطِعَ دَابِرُ الْقَوْمِ الَّذِينَ ظَلَمُوا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ}

Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka. Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka; sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami seksa mereka dengan sekonyong-konyong, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa. Maka orang-orang yang zalim itu dimusnahkan sampai ke akar-akarnya Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. (Al-An’am: 44-45)

Allah ﷻ berfirman di dalam ayat di atas فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ (Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka) bermaksud mereka diberikan dengan berbagai-bagai nikmat dunia. Sama ada kaya, sihat, ramai pengikut, dapat pangkat tinggi, dilambung tinggi dan sebagainya. Oleh itu jangan berasa pelik sangat dan dengki dengan kehidupan yang senang dalam kalangan orang yang menentang kebenaran. Itu sebenarnya adalah azab bagi mereka. Mereka sahaja tidak sedar kerana mereka dibuai oleh keindahan dunia dan kesenangan hidup dunia sementara mereka yang mereka sedang alami.

Malah berasa mereka disayangi oleh Tuhan kerana telah mendapat banyak nikmat. Padahal, mereka sebenarnya sedang diazab. Allah ﷻ sebut tentang hal ini di dalam Fajr: 15

فَأَمَّا الإِنسٰنُ إِذا مَا ابتَلٰهُ رَبُّهُ فَأَكرَمَهُ وَنَعَّمَهُ فَيَقولُ رَبّي أَكرَمَنِ

Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia akan berkata: “Tuhanku telah memuliakanku”.

Mereka sangka Allah ﷻ memuliakan mereka, tetapi sebenarnya ia adalah azab! Bagaimana pula ia menjadi azab? Malah ia azab yang amat teruk sebenarnya. Kerana mereka dilekakan dengan dunia sampai mereka tidak teringat langsung untuk bertaubat dan berubah. Dan bukan itu sahaja, Allah ﷻ membiarkan mereka terus di dalam kesesatan dan terus melakukan dosa dengan semakin banyak dan banyak, bertimbun-timbun, supaya Allah ﷻ boleh mengazab mereka dengan teruk sekali di akhirat nanti. Maknanya Allah ﷻ biarkan mereka mengumpul dosa dengan sebanyak-banyaknya!

Akan tetapi jangan sangka orang kafir sahaja yang akan dikenakan dengan azab ini. Orang Muslim pun boleh terkena juga kalau mereka tidak menghiraukan kebenaran. Kerana itulah golongan salaf amat takut kalau mereka diberi dengan kesenangan dunia. Kerana mereka takut entah-entah itu adalah istidraj sahaja!

Namun bukanlah semua nikmat kesenangan itu kita label sebagai istidraj pula. Memang ada orang baik yang Allah ﷻ berikan nikmat kepada mereka. Bagaimana kita hendak bezakan nikmat yang kita ada ini adalah kurniaan daripada Allah ‎ﷻ ataupun istidraj? Rasulullah ﷺ pernah menerangkannya di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada ‘Uqbah bin ‘Amir رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda:

إِذَا رَأَيْتَ اللهَ تَعَالَى يُعْطِي الْعَبْدَ مِنَ الدُّنْيَا مَا يُحِبُّ وَهُوَ مُقِيمٌ عَلَى مَعَاصِيْهِ فَإِنَّمَا ذَلِكَ مِنهُ اسْتِدْرَاجٌ

“Apabila kamu melihat Allah ‎ﷻ memberi kepada hamba daripada (perkara) dunia yang diinginkannya, sedangkan dia terus melakukan maksiat kepada-Nya, maka (ketahuilah) bahawa perkara itu adalah istidraj daripada Allah ‎ﷻ.”

(Riwayat Ahmad (17311), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4220)
dan al-Tabarani dalam al-Ausat (8/110))

Kalau kita dapat nikmat semasa kita taat kepada perintah Allah ﷻ, maka teruslah menjaga syariat. Kalau kita ingkar, Allah ﷻ boleh sahaja mengubah nikmat itu menjadi azab seperti firman-Nya dalam Anfal: 53

ذٰلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ لَم يَكُ مُغَيِّرًا نِّعمَةً أَنعَمَها عَلىٰ قَومٍ حَتّىٰ يُغَيِّروا ما بِأَنفُسِهِم ۙ وَأَنَّ اللَّهَ سَميعٌ عَليمٌ

(Seksaan) yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dianugerahkan-Nya kepada suatu kaum, hinggalah kaum itu mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka sendiri, dan sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Sekiranya kita selalu bermaksiat tetapi tetap mendapat nikmat, maka berhati-hatilah. Ibnu ‘Athaillah al-Sakandari dalam kitab al-Hikam berkata bahawa hendaklah seseorang merasa takut jika dia selalu mendapat kurniaan dan kebaikan daripada Allah ﷻ, sedangkan dia masih tetap melakukan maksiat kepada-Nya. Kata beliau:

خَفْ مِنْ وُجُودِ إِحْسَانِهِ إِلَيْكَ، وَدَوَامِ إِسَاءَتِكَ مَعَهُ أَن يَكُونَ ذَلِكَ إِسْتِدْرَاجًا لَكَ، سَنَسْتَدْرِجُهُمْ مِنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ

Hendaklah kamu berasa takut jika kamu terus memperoleh kurniaan Allah ﷻ sedangkan kamu masih berterusan melakukan maksiat kepada-Nya. Ini kerana, ia boleh menjadi satu istidraj (pesona dan tipu daya) sepertimana firman-Nya: ““Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.” (Surah al-Qalam, ayat 44)


 

A’raf Ayat 183: Istidraj itu juga adalah penangguhan azab daripada Allah ﷻ sebenarnya. Allah ﷻ sengaja menangguhkan sahaja agar dia menjadi leka.

وَأُملي لَهُم ۚ إِنَّ كَيدي مَتينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And I will give them time. Indeed, My plan is firm.

MALAY

Dan Aku memberi tempoh kepada mereka; sesungguhnya rancangan balasanKu amatlah teguh.

 

وَأُملي لَهُم

Dan Aku memberi tempoh kepada mereka;

Allah ﷻ akan beri tempoh kepada mereka dengan diberikan segala kesenangan selama mereka hidup di atas dunia ini. Mereka diberi tempoh sampaikan mereka tertipu. Ia adalah seumpama seekor anjing yang dilonggarkan tali yang mengikat lehernya, sampai dia rasa dia sudah lepas, tetapi tidak sebenarnya. Ini sama seperti yang Allah ﷻ sebut tentang orang kafir di dalam Ali Imran: 178

وَلا يَحسَبَنَّ الَّذينَ كَفَروا أَنَّما نُملي لَهُم خَيرٌ لِّأَنفُسِهِم ۚ إِنَّما نُملي لَهُم لِيَزدادوا إِثمًا ۚ وَلَهُم عَذابٌ مُّهينٌ

Dan jangan sekali-kali orang-orang kafir menyangka bahawa Kami membiarkan (mereka hidup lama) itu baik bagi diri mereka; kerana sesungguhnya Kami biarkan mereka hanyalah supaya mereka bertambah dosa (di dunia), dan mereka pula beroleh azab seksa yang menghina (di akhirat kelak).

Maka jangan memandang tinggi kepada orang yang nampak hidupnya senang tetapi tidak menjaga agamanya, kerana mungkin mereka itu adalah orang yang ditarik oleh Allah ﷻ ke arah istidraj kerana menolak kebenaran wahyu sebagaimana yang Allah ﷻ firman di dalam Qalam: 44.

فَذَرني وَمَن يُكَذِّبُ بِهٰذَا الحَديثِ ۖ سَنَستَدرِجُهُم مِّن حَيثُ لا يَعلَمونَ

Maka serahkanlah (ya Muhammad) kepada-Ku (urusan) orang-orang yang mendustakan perkataan ini (Al-Qur’an). Nanti Kami akan menarik mereka dengan beransur-ansur (ke arah kebinasaan) dari arah yang tidak mereka ketahui,

Juga Allah ﷻ sebut di dalam Tariq: 17

فَمَهِّلِ الكافِرينَ أَمهِلهُم رُوَيدًا

Kerana itu beri tangguhlah orang-orang kafir itu iaitu beri tangguhlah mereka itu barang sebentar.

 

إِنَّ كَيدي مَتينٌ

sesungguhnya rancangan balasan-Ku amatlah teguh.

Sesungguhnya perangkap yang Allah ﷻ buat itu sangat kukuh. Kalau sudah termasuk dalam perangkap, tidak boleh keluar lagi. Oleh itu, berhati-hatilah supaya jangan kita terperangkap dengan istidraj sampai lupa untuk membuat persiapan akhirat. Jangan kita rasa hidup kita senang, kita sangka kita sudah selamat. Kena luangkan masa untuk persediaan akhirat.

Namun malangnya ramai yang tertipu dan kalah dengan perangkap Allah ﷻ ini seperti yang Allah ﷻ sebut dalam Mukminoon: 55-56

أَيَحسَبونَ أَنَّما نُمِدُّهُم بِهِ مِن مّالٍ وَبَنينَ

Apakah mereka mengira bahawa harta dan anak-anak yang Kami berikan kepada mereka itu (bererti bahawa),

نُسارِعُ لَهُم فِي الخَيرٰتِ ۚ بَل لّا يَشعُرونَ

Kami bersegera memberikan kebaikan-kebaikan kepada mereka? Tidak, sebenarnya mereka tidak sedar.

Sekiranya Allah ﷻ sayang dan hendak selamatkan seseorang, Allah ﷻ terus beri peringatan kepadanya dengan musibah. Contohnya kalau ada orang mula belajar-belajar hendak ambil rasuah sikit-sikit dahulu. Kali pertama sahaja dia sudah tertangkap. Maka tentu dia tidak berani buat lagi, bukan? Akan tetapi orang yang terlepas kali pertama, kedua dan seterusnya, mereka inilah yang akan terus terpesong dan terus mengambil rasuah kerana dia tidak ada rasa apa-apa kesan buruk di atas perbuatan salahnya itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 31 Mei 2023

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an