Tafsir Surah Hajj Ayat 31 – 34 (Ibadat korban berbeza-beza)

Ayat 31: Ayat Tauhid dan penjelasan tentang Syirik.

حُنَفاءَ ِللهِ غَيرَ مُشرِكينَ بِهِ ۚ وَمَن يُشرِك بِاللهِ فَكَأَنَّما خَرَّ مِنَ السَّماءِ فَتَخطَفُهُ الطَّيرُ أَو تَهوي بِهِ الرّيحُ في مَكانٍ سَحيقٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Inclining [only] to Allāh, not associating [anything] with Him. And he who associates with Allāh – it is as though he had fallen from the sky and was snatched by the birds or the wind carried him down into a remote place.

(MELAYU)

dengan ikhlas kepada Allah, tidak mempersekutukan sesuatu dengan Dia. Barangsiapa mempersekutukan sesuatu dengan Allah, maka adalah dia seolah-olah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau diterbangkan angin ke tempat yang jauh.

 

حُنَفاءَ ِللهِ غَيرَ مُشرِكينَ بِهِ

dengan ikhlas kepada Allah, tidak mempersekutukan sesuatu dengan Dia.

Sewaktu mengerjakan Haji itu fikiran manusia hendaklah fokus kepada Allah. Jangan memikirkan perkara lain dan sibuk tentang perkara-perkara lain tetapi hendaklah fikiran mereka tertumpu kepada Allah sahaja. Jangan sibuk nak tengok orang, jangan sibuk nak ambil gambar selfie dan sebagainya.

Jangan sibuk nak sembang benda yang lagha. Sudah susah nak sampai ke Mekah untuk mengerjakan Haji itu, maka ambillah peluang itu untuk beribadat dan fokus kepada Allah.

Kita kena tahu apakah falsafah Haji itu iaitu perkumpulan manusia untuk mengingatkan mereka semua kepada perhimpunan di Mahsyar nanti. Sama juga nanti di Mahsyar iaitu ramai orang pada satu tempat dan ada persamaan dalam keadaan mereka.

Semasa mengerjakan Haji itu, kita pakai pakaian ihram yang sama dan di Mahsyar nanti semua akan sama-sama bertelanjang. Maka kerana itu hendaklah kita membayangkan keadaan itu semasa mengerjakan Haji. Ianya akan menyentuh jiwa kita dan mengubah dalaman kita. Dan kalau kita dapat menumpukan perhatian kita, maka tidaklah kita sibuk lagi untuk melakukan atau memikirkan perkara-perkara yang lain.

Dan satu lagi maksud ‘hanif’ adalah tauhid. Fokus iman kita kepada Allah sahaja. Ibadat dan doa hanya kepada Allah sahaja. Oleh itu jangan melakukan syirik kepada Allah. Ini kerana syirik itu adalah perkara yang amat buruk dan akan menyebabkan masuk neraka.

Ramai yang beriman dengan Allah tapi tidak tauhid. Mereka percaya Allah itu Tuhan, tapi mereka dalam masa yang sama, beriman juga dengan perkara yang syirik. Mereka ada yang buat ibadat kepada selain Allah. Maka itu bukan hanif.

 

وَمَن يُشرِك بِاللهِ فَكَأَنَّما خَرَّ مِنَ السَّماءِ

Barangsiapa mempersekutukan sesuatu dengan Allah, maka adalah ia seolah-olah jatuh dari langit

Tetapi bagaimana kalau seseorang itu melakukan syirik kepada Allah? Sekarang Allah beri perumpamaan apakah syirik itu supaya manusia boleh faham. Ini kerana manusia senang faham dengan perumpamaan.

Mereka itu Allah umpamakan seperti seseorang yang jatuh dari langit. Kalau kita ingat sebelum ini ada ayat tentang bagaimana seseorang yang putus harap dengan Allah seolah-olah mereka memotong tali dan mereka akan jatuh ke bawah. Jadi orang-orang yang melakukan syirik adalah mereka yang putus harap dengan Allah sebenarnya.

Mereka tak berharap dengan Allah dan kerana itu mereka rasa mereka kena sembah dan minta pertolongan kepada selain Allah. Kalau mereka benar yakin dengan Allah, maka tentunya mereka patut serahkan segala harapan mereka kepada Allah. Tidaklah mereka berdoa kepada Nabi, wali dan malaikat.

Maka oleh itu, putus harapan dengan Allah adalah salah satu daripada kesyirikan manusia.

 

فَتَخطَفُهُ الطَّيرُ

lalu disambar oleh burung, 

Allah beri perumpamaan untuk jelaskan betapa teruknya syirik itu. Mereka itu seolah-olah jatuh daripada langit dan sebelum sampai ke tanah, mereka telah dirobek-robek oleh burung.

Tapi bagaimanakah nak dapat bayangkan ayat ini kerana ia adalah sesuatu yang tidak mungkin terjadi, bukan? Dan kerana itu ada golongan orientalis yang kritik ayat ini kerana ia memberi perumpamaan kepada benda yang tidak mungkin terjadi. Kerana kalau seseorang itu ‘jatuh dari langit’ itu pun sudah satu perkara yang mustahil dan bagaimana pula boleh ada burung-burung yang boleh merobek-robek orang itu dalam masa yang sama? Sedangkan kalau memberi contoh kepada manusia sepatutnya hendaklah diberikan contoh yang senang difahami, bukan?

Mereka yang kata begitu kerana tidak faham lenggok bahasa yang digunakan di dalam bahasa Arab. Ini kerana ‘jatuh dari langit’ itu adalah pepatah yang bermaksud jatuh daripada tempat yang tinggi seperti gunung. Kerana apabila seseorang itu jatuh dari gunung, orang Arab kata mereka itu ‘jatuh dari langit’. Jadi kena faham lenggok bahasa yang digunakan. Kalau baca sendiri sahaja memang takkan nak faham.

Pepatah ini selalu digunakan dalam bahasa Arab Klasik untuk merujuk kepada askar yang berlawan dengan musuh yang berada di bawah. Sepatutnya pasukan yang berada di atas ada kelebihan kerana mereka sudah ada di tempat yang tinggi. Musuh yang di bawah yang susah nak naik ke atas dari segi strategi peperangan. Kerana senang sahaja kalau pasukan yang di atas mempertahankan kedudukan mereka.

Tapi bagaimana kalau pasukan musuh dari bawah boleh sampai naik ke atas dan mengalahkan pasukan yang di atas kawasan tinggi, bunuh mereka  dan membuang mayat mereka ke bawah (jatuh dari gunung)? Ini adalah sesuatu yang teruk sekali, amat memalukan, bukan? Kalau Arab Mekah teringat dan terbayang keadaan ini, mereka akan rasa teruk sangat. Mereka kata kalau ini terjadi, pasukan yang di atas itu telah ‘jatuh dari langit’.

Jadi Allah gunakan perumpamaan ini kerana hendak memberikan fahaman kepada Musyrikin Mekah yang tidak tahu betapa teruknya perbuatan syirik mereka itu. Mereka tidak faham konsep syirik itu maka mereka kena diberikan dengan perumpamaan yang mereka boleh faham. Supaya mereka faham, teruk sangat syirik ini.

Musyrikin Mekah itu tahu yang akhirnya mereka akan mati juga dan mereka amat mementingkan kenangan yang mereka akan tinggalkan kepada orang selepas mereka. Kerana itu mereka amat mementingkan kematian dalam keadaan yang terhormat. Kerana mereka tidak percaya yang mereka akan dihidupkan kembali jadi perkara paling penting kepada mereka selepas mati adalah dikenang kehebatan mereka.

Mereka mahu orang buat puisi dan syair tentang kehebatan mereka dan keberanian mereka semasa perang. Kalau mereka dikenang sebagai kalah perang walaupun mereka berada di atas, itu adalah sesuatu yang amat memalukan sampai mereka tak sanggup dikenang begitu.

Kerana itulah juga ramai orang-orang kafir yang tidak percaya kepada hari akhirat, sebelum mereka mati mereka akan menderma wang yang banyak kepada mana-mana institusi dengan harapan yang institusi itu akan menamakan bangunan dengan nama mereka, jalan dengan nama mereka, atau apa-apa sahaja, kerana mereka ingin dikenang sampai bila-bila. Mereka rasa seolah-olah mereka hidup kekal kalau begitu.

Jadi Musyrikin Mekah itu akan berperang dengan berani dan mereka mahu keturunan selepas mereka mengenang bagaimana mereka telah bunuh ramai musuh atau telah berjaya mengalahkan serangan musuh seorang diri dan sebagainya. Tetapi kalau mereka itu kalah dengan pasukan musuh yang asalnya duduk di bawah dan kemudian mereka dibunuh dan tubuh mereka dibuang ke bawah bukankah itu sesuatu yang amat-amat memalukan bagi mereka?

Ini adalah sesuatu yang amat buruk bagi mereka maka Allah memberi perumpamaan bagaimana buruknya syirik. Allah menerangkan dengan menggunakan situasi yang mereka boleh faham.

Dan bagaimana pula keadaan badan mereka setelah mereka kalah? Selalunya walaupun kalah, tetapi masih ada lagi saki baki pasukan mereka yang masih hidup yang dapat mencari jenazah mereka dan menanam mayat mereka dengan baik. Akan tetapi satu penghinaan yang lebih teruk lagi adalah apabila tidak ada sesiapa pun yang mencari mayat mereka dan menanam mayat mereka dengan baik, sebaliknya mayat mereka itu dimakan oleh burung-burung yang memakan bangkai.

Jadi sudahlah mereka itu kalah dan dibuang ke kawasan rendah tetapi yang lebih teruk lagi adalah mayat mereka itu tidak ada dicari orang dan terbiar begitu sahaja sampai dimakan oleh burung yang memakan bangkai. Pada mereka ini memang hina sungguh.

Jadi begitulah perumpamaan penghinaan yang digunakan. Sudah jatuh dari tempat tinggi, dimakan oleh burung bangkai. Jadi digunakan perumpamaan seorang yang jatuh dari langit dan sambil itu dimakan oleh burung. Harapnya sekarang ayat ini dapat difahami.

 

أَو تَهوي بِهِ الرّيحُ في مَكانٍ سَحيقٍ

atau diterbangkan angin ke tempat yang jauh.

Dan satu lagi perumpamaan yang digunakan bagi syirik adalah seolah-olah orang itu ditiup oleh angin yang kuat dan pergi ke dalam tanah yang jauh atau ditinggalkan.

Mungkin ada orang yang tidak nampak kepentingan ayat ini. Kerana dia kira, di mana orang itu akan jatuh tidak penting lagi, kerana kalau dia jatuh dari langit tentulah dia akan mati dan tempat jatuh itu tidak beri kesan apa-apa pun.

Ini juga satu penghinaan tambahan bagi orang Arab. Bayangkan keadaan ini: Sudahlah mereka kalah dan mayat mereka dibiarkan dimakan oleh burung tetapi ada lagi saki baki tubuh mereka yang burung pun tidak makan. Hina sangat sampai burung bangkai pun tak mahu nak makan tubuh mereka.

Maka ke manakah perginya saki baki tubuh mereka itu? Ianya akan hancur dan hanya ditiup oleh angin masuk ke dalam hutan dan ke tempat-tempat yang tidak dilalui oleh orang.

Ini adalah satu penghinaan tambahan untuk mereka. Allah nak jelaskan hinanya syirik itu kerana mereka tidak faham apakah syirik itu. Mereka rasa, apa salahnya kalau mereka sembah selain Allah, doa kepada selain Allah, terima ada ilah selain Allah? Maka Allah terangkan dalam analogi yang mereka boleh faham. Maka barulah mereka nampak maka hina sangat dan bahaya sangat kalau amalkan syirik itu.


 

Ayat 32:

ذٰلِكَ وَمَن يُعَظِّم شَعٰئِرَ اللهِ فَإِنَّها مِن تَقوَى القُلوبِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That [is so]. And whoever honors the symbols [i.e., rites] of Allāh – indeed, it is from the piety of hearts.

(MELAYU)

Demikianlah (perintah Allah). Dan barangsiapa mengagungkan syi’ar-syi’ar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketakwaan hati.

 

ذٰلِكَ

Demikianlah

Kalimah ذٰلِكَ ini boleh bermaksud: Jadi kamu sudah faham sekarang tentang keburukan syirik itu?

 

وَمَن يُعَظِّم شَعٰئِرَ اللهِ فَإِنَّها مِن تَقوَى القُلوبِ

Dan barangsiapa mengagungkan syi’ar-syi’ar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketakwaan hati.

Syiar dalam agama adalah perkara-perkara yang apabila kita lihat kepadanya, ianya akan mengingatkan kita kepada Allah dan dapat meningkatkan iman kita. Sebagai contoh apabila kita minum air Zam-Zam, kita akan teringat kepada pengorbanan Hajar yang mengikut arahan Allah untuk ditinggalkan di Mekah.

Begitu juga, apabila kita solat di dalam Masjid Nabi, maka kita akan terkenang bagaimana Rasulullah juga pernah solat di tempat itu. Jadi air Zam-Zam dan Masjid Nabawi itu adalah sebahagian dari syiar Allah.

Mereka yang membesarkan syiar-syiar Allah itu dengan pergi melawat kepadanya menunjukkan yang mereka ada takwa di dalam hati mereka. Antara syiar yang besar adalah Kaabah dan Tanah Haram.

Ada yang mengatakan bahawa maksudnya adalah memperelokkan haiwan yang akan dijadikan binatang korban itu. Haiwan-haiwan korban itu dinamakan Sya’aair disebabkan kesyiarannya yakni kesemarakannya, disebabkan haiwan-haiwan tersebut telah diberi tanda yang menunjukkan, bahawa mereka untuk dikurbankan, iaitu seperti dicap dengan besi panas pada punggungnya, sehingga menambah semaraknya suasana hari raya.

Kerana itulah binatang kurban kena dipilih dari binatang yang baik-baik kualitinya. Diriwayatkan dari Al-Barra, bahawa Rasulullah Saw. telah bersabda:

“أَرْبَعٌ لَا تَجُوزُ فِي الْأَضَاحِي: الْعَوْرَاءُ الْبَيِّنُ عَوَرها، وَالْمَرِيضَةُ الْبَيِّنُ مَرَضها، وَالْعَرْجَاءُ الْبَيِّنُ ظَلَعها، وَالْكَسِيرَةُ الَّتِي لَا تُنقِي”

Ada empat macam haiwan yang tidak boleh dipakai untuk kurban, iaitu: Haiwan yang buta, yang jelas butanya; haiwan yang sakit, yang jelas parah sakitnya; haiwan yang pincang, yang jelas pincangnya; dan haiwan yang patah tulang kakinya, tak dapat disembuhkan. Hadis riwayat Imam Ahmad dan ahlus sunan, dinilai sahih oleh Imam Turmuzi.

Aib-aib yang disebut di atas mengurangi daging haiwan yang bersangkutan, kerana binatang itu tentunya lemah dan tidak mampu mencukupi keperluan makannya, kerana kambing-kambing yang sihat telah mendahuluinya merebut makanan.

Oleh sebab itu, haiwan-haiwan tersebut tidak boleh dijadikan kurban kerana kurang mencukupi, menurut pendapat Imam Syafii dan imam-imam lainnya, sesuai dengan makna lahiriah hadis.


 

Ayat 33:

لَكُم فيها مَنٰفِعُ إِلىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى ثُمَّ مَحِلُّها إِلَى البَيتِ العَتيقِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For you therein [i.e., the animals marked for sacrifice] are benefits for a specified term;¹ then their place of sacrifice is at the ancient House.²

  • i.e., they may be milked or ridden (in the case of camels) before the time of slaughter.
  • i.e., within the boundaries of the Ḥaram, which includes Minā.

(MELAYU)

Bagi kamu pada binatang-binatang hadyu itu ada beberapa manfaat, sampai kepada waktu yang ditentukan, kemudian tempat wajib (serta akhir masa) menyembelihnya ialah setelah sampai ke Baitul Atiq (Baitullah).

 

لَكُم فيها مَنٰفِعُ إِلىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى

Bagi kamu pada binatang-binatang hadyu itu ada beberapa manfaat, sampai kepada waktu yang ditentukan,

Binatang-binatang sembelihan itu boleh diambil manfaat daripadanya seperti boleh ditunggangi untuk ke Mekah, juga ada yang diambil susunya sepanjang perjalanan itu, selagi belum disembelih lagi. Selagi hal itu tidak membuatnya bahaya atau cacat.

Ini menjadi dalil bahawa kita masih boleh menggunakan haiwan itu selagi belum sampai masa untuk menyembelihnya. Seperti apa yang telah ditetapkan di dalam kitab Sahihain melalui sahabat Anas r.a. yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. melihat seorang lelaki sedang menggiring haiwan budnah-nya. Maka beliau Saw. bersabda:

“ارْكَبْهَا”. قَالَ: إِنَّهَا بَدنَة. قَالَ: “ارْكَبْهَا، وَيْحَكَ”، فِي الثَّانيَةِ أَوِ الثَّالِثَةِ

“Naikilah!” Lelaki itu menjawab, “Sesungguhnya ternak ini adalah untuk kurban.” Nabi Saw. bersabda, “Celakalah kamu, naikilah, ” untuk kedua atau ketiga kalinya.

 

ثُمَّ مَحِلُّها إِلَى البَيتِ العَتيقِ

kemudian tempat wajib (serta akhir masa) menyembelihnya ialah setelah sampai ke Baitul Atiq (Baitullah).

Apabila telah selesai mengerjakan Haji, maka bintang itu disembelih. Tempat sembelih binatang-binatang itu adalah berdekatan dengan Baitullah iaitu di dalam Tanah Haram.

Selepas disembelih, daging binatang itu boleh dimakan dan diagih-agihkan kepada mereka yang susah dan memerlukan.


 

Ayat 34: Sambung perbincangan tentang ibadat penyembelihan.

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلنا مَنسَكًا لِّيَذكُرُوا اسمَ اللهِ عَلىٰ ما رَزَقَهُم مِّن بَهيمَةِ الأَنعٰمِ ۗ فَإِلٰهُكُم إِلٰهٌ واحِدٌ فَلَهُ أَسلِموا ۗ وَبَشِّرِ المُخبِتينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And for all religion We have appointed a rite [of sacrifice]¹ that they may mention the name of Allāh over what He has provided for them of [sacrificial] animals. For your god is one God, so to Him submit. And, [O Muḥammad], give good tidings to the humble [before their Lord]

  • i.e., the right of sacrifice has always been a part of Allāh’s revealed religion.

(MELAYU)

Dan bagi tiap-tiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (korban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepada mereka, maka Tuhanmu ialah Tuhan Yang Maha Esa, kerana itu berserah dirilah kamu kepada-Nya. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang tunduk patuh (kepada Allah),

 

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلنا مَنسَكًا

Dan bagi tiap-tiap umat telah Kami syariatkan ibadat penyembelihan

Setiap umat Nabi-nabi  terdahulu telah diberikan dengan cara ibadat (manasik) penyembelihan. Bukan umat Nabi Muhammad sahaja yang ada ibadat korban. Tapi cara ibadat mereka itu  berlainan dengan kita. Ini kerana mereka ada syariat dan cara mereka sendiri.

Yang sama adalah: setiap kali korbankan dan sembelih, kena sebut nama Allah sahaja. Ini biasa sahaja kerana syariat setiap Nabi tidak semestinya sama. Tapi akan ada sahaja yang jadikan ini sebagai isu. Kerana mereka ada perasaan untuk membanggakan apa yang ada pada mereka.

Kerana itu apabila diberitahu kepada Yahudi tentang cara-cara korban syariat Nabi Muhammad, maka mereka mengatakan itu berlainan dengan cara mereka dan memang benar pun, kerana cara mereka dan cara kita tidak sama. Mereka mengatakan cara penyembelihan umat Islam adalah seperti cara penyembelihan Musyrikin Mekah, iaitu golongan musyrik.

Memang benar pun sama dan ini tidak menjadi masalah kerana ia adalah tradisi Nabi Ibrahim yang menyembelih Nabi Ismail dan kejadian itu memang berlaku di Mekah dan hanya setelah sekian lama barulah ia menjadi sesuatu yang dimasukkan elemen syirik di dalamnya.

Kita umat Islam memang ikut sebahagian dari syariat Nabi Ibrahim pun. Maka memang tidak ada masalah kerana memang baginda pun Nabi kita. Dan ini bukan perkara yang perlu diperpanjangkan dan menjadi hujah untuk menolak Islam dan ibadat korban. Jadi kalau ahli kitab nak kutuk amalan ibadat korban umat Islam memang tidak patut.

 

لِّيَذكُرُوا اسمَ اللهِ عَلىٰ ما رَزَقَهُم مِّن بَهيمَةِ الأَنعٰمِ

supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepada mereka, 

Tujuan ibadah korban itu adalah supaya manusia bersyukur dengan segala nikmat dan rezeki yang Allah telah berikan. Bukan kaifiat itu yang lebih penting. Jangan bandingkan mana kaifiat yang lebih bagus. Asalkan kita ikut dan taat dengan cara yang Allah telah berikan.

 

فَإِلٰهُكُم إِلٰهٌ واحِدٌ

maka Tuhanmu ialah Tuhan Yang Maha Esa,

Hukum dan cara melakukan ibadat ditetapkan oleh Allah yang Maha Esa. Kepada Allah sahaja kita taat. Kerana Allah adalah Tuhan kita. Kalau Allah suruh buat begitu, kita buat; kalau Allah suruh buat begini, kita buat juga.

 

فَلَهُ أَسلِموا

kerana itu berserah dirilah kamu kepada-Nya. 

Kita hendaklah taat sepenuhnya kepada Allah. Tidak ada keinginan dalam diri kita nak bantah apa yang Allah suruh kita lakukan. Itulah maksud ‘Islam’ iaitu menyerahkan sepenuhnya diri kepada Allah. Apa sahaja yang Allah suruh, kita akan lakukan; mana yang Allah larang, kita tinggalkan.

Maka cara mengerjakan ibadat korban itu adalah arahan dari Allah dan diajar oleh Nabi Muhammad melalui wahyu yang Allah berikan kepada Nabi Muhammad SAW. Maka kita ikut sahaja. Bukan hak kita persoal kenapa Allah suruh begini untuk kita dan begitu untuk Nabi lain.

 

وَبَشِّرِ المُخبِتينَ

Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang tunduk patuh

Asal kalimah المُخبِتينَ dari خ ب ت yang  bermaksud tanah yang lembut. Allah memberi isyarat bahawa mereka yang mengerjakan Haji itu hati mereka telah menjadi lembut hatinya.

Ia juga bermaksud rendah kerana tanah itu rendah. Mereka yang sanggup mengerjakan ibadat Haji itu kerana mereka sanggup merendahkan diri mereka untuk taat kepada arahan Allah.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 10 Ogos 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Hajj Ayat 31 – 34 (Ibadat korban berbeza-beza)”

  1. Dan ini bukan perkara yang perlu diperpanjangkan dan menjadi hujah untuk menolak Islam dan ibarat korban
    salah ejaan untuk ibadat rasanya bukan ibarat.

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s