Tafsir Surah Tawbah Ayat 123 – 126 (Qur’an menambah iman)

Ayat 123: Ini adalah pengulangan Maksud/Dakwa Surah.

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا قاتِلُوا الَّذينَ يَلونَكُم مِنَ الكُفّارِ وَليَجِدوا فيكُم غِلظَةً ۚ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ مَعَ المُتَّقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, fight those adjacent to you of the disbelievers and let them find in you harshness. And know that Allāh is with the righteous.

(MALAY)

Hai orang-orang yang beriman, perangilah orang-orang kafir yang di sekitar kamu itu, dan hendaklah mereka menemui kekerasan daripadamu, dan ketahuilah, bahawasanya Allah bersama orang-orang yang bertakwa.

 

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا

Hai orang-orang yang beriman, 

Ayat ini ditujukan kepada orang-orang yang beriman. Kalau mengaku beriman, maka kena beri perhatian kalau kita rasa kita orang-orang yang beriman.

 

قاتِلُوا الَّذينَ يَلونَكُم مِنَ الكُفّارِ

perangilah orang-orang kafir yang di sekitar kamu itu,

Orang-orang mukmin diberi arahan, hendaklah memerangi orang-orang kafir yang berdekatan. Maksudnya, jangan langkah, jangan langkau kawasan, kena perangi yang dekat dahulu. Mana yang dekat dengan kita, perangi dan jatuhkan mereka dahulu. Kerana itulah Rasulullah Saw. mulai memerangi kaum musyrik di Jazirah Arabia terlebih dahulu.

Setelah selesai dengan mereka, maka Allah memberikan kemenangan kepada Rasul-Nya atas kota Mekah, Madinah, Taif, Yaman. Yamamah, Hajar, Khaibar, dan Hadramaut serta lain-lainnya dari daerah-daerah yang terdapat di dalam Jazirah Arab. Dan orang-orang dari seluruh kabilah Arab Badwi mulai masuk ke dalam agama Allah (Islam). Kemudian Rasulullah Saw. mulai memerangi golongan Ahli Kitab.

Untuk itu baginda membuat persiapan untuk berperang melawan Kerajaan Rom yang merupakan daerah yang paling dekat dengan Jazirah Arab; dan mereka adalah orang-orang yang lebih utama untuk mendapat dakwah Islam, mengenangkan mereka adalah Ahli Kitab. Hal ini telah dilakukan oleh Nabi Saw. sampai di Tabuk. Kemudian baginda kembali pulang kerana melihat keadaan kaum Muslim yang dalam kesusahan, keadaan negara yang sedang kemarau dan kehidupan yang sempit. Hal ini terjadi pada tahun sembilan Hijriah.

Tapi kena faham yang ini adalah ayat di masa perang. Ini adalah semasa telah diberikan peringatan kepada penduduk syirik selepas pengumuman di waktu Haji Akbar itu. Dan selepas itu semasa waktu peperangan. Tapi sekarang tidak lagi zaman peperangan (buat masa ini). Sekarang kita ada perjanjian dengan penduduk-penduduk kafir di sekitar kita malah di seluruh dunia.

Kalau mahu berperang dengan mereka, maka ada waktu-waktu tertentu. Iaitu kalau mereka menyerang kita atau mereka halang kita dari berdakwah di negara mereka, atau mereka tindas penduduk Muslim di negara mereka. Maka kerana itu tidaklah boleh terus serang mereka. Kalau betul hendak serang orang kafir, kenalah kita batalkan perjanjian damai antara mereka dahulu.

Dan kenalah ada khalifah. Sekarang, khalifah Muslim (yang memerintah satu dunia) pun tidak ada. Maka kena bangkitkan pemerintahan berkhalifah dahulu dan untuk bangkitkan, kenalah masyarakat Muslim kita kenal agama dulu. Dan untuk ada masyarakat kenal agama, kenalah ada pengajian yang berterusan dan banyak.

Dan tentunya kena mulakan dengan pengajian tafsir Qur’an dahulu. Kerana inilah ilmu yang utama yang kena dipelajari sebelum belajar ilmu-ilmu. Ia adalah ‘Ilmu Asas’. Tapi sekarang, tafsir Qur’an pun tidak ada lagi masyhur di kalangan kita, memang tidak ada harapan lagi untuk berperang. Kerana kalau umat Islam lemah iman, maka tentulah tidak kuat untuk berperang. Dan bagaimana nak kuat iman kalau rujukan utama pun ramai tidak tahu?

Jadi, apa yang perlu dilakukan adalah jihad lisan dahulu. Iaitu menyampaikan dakwah kepada masyarakat sekitar kita. Kena sampaikan Islam dan berikan pemahaman Islam yang benar kepada orang kafir.

Malangnya, nampaknya kita kena jihad lisan dulu kepada umat Islam dulu kerana umat Islam pun tak tahu agama lagi, terutama tentang wahyu Qur’an.

 

وَليَجِدوا فيكُم غِلظَةً

dan hendaklah mereka menemui kekerasan daripadamu,

Waktu perang itu, biarkan puak kafir itu merasakan kekerasan yang ada dengan kita. Biar mereka tengok orang Islam keras, bukan lembut dan boleh diambil peluang. Waktu itu, berikan peluang kepada mereka supaya mereka buat keputusan sama ada masuk Islam atau lari jauh dari tempat mereka. Ini penting kerana kalau berlembut dalam waktu perang, tentu tak jadi. Biarkan mereka takut dengan kita.

Kerana sesungguhnya orang mukmin yang kamil ialah orang yang lemah lembut terhadap saudaranya yang mukmin dan keras terhadap musuhnya yang kafir  seperti yang telah disebutkan oleh Allah SWT dalam firman Nya:

{فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ}

Maka Kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir. (Al-Maidah: 54)

Tapi dalam keadaan aman sekarang, kenalah kita menunjukkan sikap yang baik dengan orang kafir. Kerana kita hendak berdakwah kepada mereka. Jangan buat perangai yang tidak senonoh sampai memburukkan nama Islam di mata dunia. Kalau golongan yang bom sana dan bom sini, itu bukannya nak dakwah tapi memalukan nama Islam sahaja.

 

وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ مَعَ المُتَّقينَ

dan ketahuilah, bahawasanya Allah bersama orang-orang yang bertakwa.

Dan kita kena yakin yang Allah bersama golongan bertaqwa. Maka jangan takut untuk berperang dengan golongan kuffar, kerana kita tentu dibantu oleh Allah dan akan diberi kemenangan oleh Allah.

Walaupun ayat ini tidak dapat diamalkan sekarang, tapi kena juga diajar kepada semua umat Islam dari sekarang. Supaya semua boleh faham tentang keperluan adanya jihad. Memang keadaan aman damai sekarang di negara, tidak ada peperangan fizikal, tapi kita tidak tahu keadaan di masa hadapan. Ada negara-negara yang berada dalam keadaan perang pun sekarang.

Maka, ayat-ayat ini terpakai untuk mereka. Negara-negara yang ada peperangan itu pun, mereka pun tidak sangka yang negara mereka akan ada peperangan sebegitu sekali, tapi takdir Allah tidak ada sesiapa yang boleh jangka. Maka kita jangan sangka kita terus selamat sahaja tidak diserang oleh sesiapa. Peperangan boleh datang kepada kita bila-bila masa sahaja.


 

Ayat 124: Ayat tabshir.

وَإِذا ما أُنزِلَت سورَةٌ فَمِنهُم مَن يَقولُ أَيُّكُم زادَتهُ هٰذِهِ إيمانًا ۚ فَأَمَّا الَّذينَ آمَنوا فَزادَتهُم إيمانًا وَهُم يَستَبشِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whenever a sūrah is revealed, there are among them [i.e., the hypocrites] those who say, “Which of you has this increased in faith?” As for those who believed, it has increased them in faith, while they are rejoicing.

(MALAY)

Dan apabila diturunkan suatu surah, maka di antara mereka (orang-orang munafik) ada yang berkata: “Siapakah di antara kamu yang bertambah imannya dengan (turunnya) surah ini?” Adapun orang-orang yang beriman, maka surat ini menambah imannya, dan mereka merasa gembira.

 

وَإِذا ما أُنزِلَت سورَةٌ فَمِنهُم مَن يَقولُ أَيُّكُم زادَتهُ هٰذِهِ إيمانًا

Dan apabila diturunkan suatu surah, maka di antara mereka (orang-orang munafik) ada yang berkata: “Siapakah di antara kamu yang bertambah imannya dengan (turunnya) surah ini?”

Ini adalah kata-kata kutukan daripada golongan munafik. Apabila diturunkan mana-mana surah yang baru, ada antara orang-orang munafik itu berkata: “siapa antara kamu yang dengan sebab ayat ini turun, bertambah imannya?” Mereka nak kata ayat-ayat Qur’an itu tidak menambah iman pun.

Kata-kata mereka itu sedang mempersendakan ayat-ayat Qur’an yang diturunkan. Mereka telah tertutup hati mereka sampai ayat-ayat itu tidak memberi kesan pun kepada mereka. Padahal, sebenarnya setiap surah, setiap ayat sepatutnya menambah keimanan kepada orang yang telah ada iman dalam hati mereka. Mereka yang beriman dan mahu mencari kebenaran, tidak akan jemu untuk mempelajarinya. Mereka akan baca berulang-ulang sampai ke mati.

Begitulah, kalau kita baca ayat-ayat Qur’an dan langsung tidak terkesan kepada hati kita, kita kena tanya diri sendiri: “Adakah aku ini munafik? Kenapa aku tak rasa apa ni?”

 

فَأَمَّا الَّذينَ آمَنوا فَزادَتهُم إيمانًا

Adapun orang-orang yang beriman, maka surat ini menambah imannya, 

Allah jawab: adapun orang yang sudah beriman sebelum ini, maka surah dan ayat yang baru mereka dengar akan menambah iman mereka. Mereka memang sudah beriman, dan ayat baru itu akan menambah iman mereka lebih dari kelmarin.

Memang orang beriman berlainan dengan orang munafik yang tidak rasa apa-apa. Kerana iman mereka pun memang tidak ada dari mula pun.

 

وَهُم يَستَبشِرونَ

dan mereka merasa gembira.

Dan mereka sangat gembira dengan pertambahan dalaman mereka. Mereka dapat rasa iman mereka bertambah dan mereka semakin suka. Ada ilmu baru yang mereka dapat tahu dan belajar. Ini pengalaman orang yang baru belajar tafsir, lagi lama lagi suka belajar tafsir kerana semakin banyak yang mereka faham. Dan ada permasalahan dalam diri mereka yang diperjelaskan.

Mereka gembira dengan Qur’an itu dan mereka selalu membaca dan mengkajinya. Tapi malangnya, ramai dari kalangan kita yang buat tidak kisah sahaja dengan Qur’an ini. Ini kerana iman mereka sendiri memang lemah dari mula.

Ayat yang mulia ini merupakan dalil yang paling besar yang menunjuk­kan bahawa iman itu dapat bertambah dan dapat berkurang, seperti yang dikatakan oleh kebanyakan ulama Salaf dan ulama Khalaf dari kalangan para imam ulama. Bahkan bukan hanya seorang dua yang meriwayatkan pendapat ini sebagai suatu kesepakatan. Masalah ini diterangkan pada permulaan Syarah Imam Bukhari rahimahallah.


 

Ayat 125: Allah bandingkan orang mukmin dengan orang munafik:

وَأَمَّا الَّذينَ في قُلوبِهِم مَرَضٌ فَزادَتهُم رِجسًا إِلىٰ رِجسِهِم وَماتوا وَهُم كافِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But as for those in whose hearts is disease, it has [only] increased them in evil [in addition] to their evil.¹ And they will have died while they are disbelievers.

  • Literally, “filth,” i.e., disbelief and hypocrisy.

(MALAY)

Dan adapun orang-orang yang di dalam hati mereka ada penyakit, maka dengan surat itu bertambah kekafiran mereka, disamping kekafirannya (yang telah ada) dan mereka mati dalam keadaan kafir.

 

وَأَمَّا الَّذينَ في قُلوبِهِم مَرَضٌ

Dan adapun orang-orang yang di dalam hati mereka ada penyakit,

Iaitu orang yang dalam hatinya ada penyakit nifaq. Mereka hanya menunjukkan pada luaran yang mereka itu Muslim tapi hati mereka tidak ada iman sebenarnya. Mereka itu jenis yang nak belajar pun tidak suka.

 

فَزادَتهُم رِجسًا إِلىٰ رِجسِهِم

maka dengan surat itu bertambah kekafiran mereka,

Mana-mana surah yang diturunkan akan menambah keburukan dan kekafiran untuk mereka. Dari mula lagi mereka sudah tolak ayat-ayat itu, dan semakin banyak turun ayat, semakan banyak lagi yang mereka tolak. Mereka sudah ada sangsi pada ayat-ayat Allah, dan semakin banyak ayat yang turun, semakin bertambah kesangsian mereka. Mereka sudah ada keburukan pada diri mereka dan keburukan itu bertambah-tambah lagi. Mereka semakin teruk dan semakin teruk lagi.

Kalau zaman sekarang, ada orang yang tidak faham ayat-ayat Qur’an kerana mereka tidak belajar. Oleh itu apabila mereka baca mana-mana ayat Qur’an, mereka tidak dapat terima kerana akal mereka tidak dapat menerimanya kerana ada ayat-ayat yang mereka tidak faham. Semakin banyak ayat yang dibaca, semakin menambah kekeliruan mereka kerana mereka tidak faham langsung.

Ini amatlah malang sekali. Maka kenalah belajar dengan benar (dengan guru yang betul juga), supaya apabila dapat faham sesuatu ayat, tidaklah kita rasa sangsi. Mungkin ada dari kalangan mereka yang tidak faham maksud ayat itu lagi, tapi mereka yakin dalam hati mereka yang tentu ianya adalah kebenaran.

Maka, carilah tempat belajar yang mengajar tafsir dengan benar. Alhamdulillah sekarang sudah semakin banyak kelas pengajian tafsir yang diadakan di merata-rata tempat.

 

وَماتوا وَهُم كافِرونَ

dan mereka mati dalam keadaan kafir.

Keburukan mereka itu bertambah, sampai akhirnya mereka mati dalam akidah kafir kepada Allah. Ini amat malang sekali kerana mereka sudah duduk dalam suasana Islam, tapi mereka tidak ambil peluang. Dan apabila mati dalam kufur, maka mereka akan kekal dalam neraka sampai bila-bila.


 

Ayat 126: Kedegilan orang munafik tidak pergi ke mana.

أَوَلا يَرَونَ أَنَّهُم يُفتَنونَ في كُلِّ عامٍ مَرَّةً أَو مَرَّتَينِ ثُمَّ لا يَتوبونَ وَلا هُم يَذَّكَّرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do they not see that they are tried every year once or twice but then they do not repent nor do they remember?

(MALAY)

Dan tidaklah mereka (orang-orang munafik) memperhatikan bahawa mereka diuji sekali atau dua kali setiap tahun, dan mereka tidak (juga) bertaubat dan tidak (pula) mengambil pelajaran?

 

أَوَلا يَرَونَ أَنَّهُم يُفتَنونَ في كُلِّ عامٍ مَرَّةً أَو مَرَّتَينِ

Dan tidaklah mereka (orang-orang munafik) memperhatikan bahawa mereka diuji sekali atau dua kali setiap tahun,

Tidakkah orang munafik itu tengok sendiri yang mereka sentiasa diuji oleh Allah pada setiap tahun, dengan musibah? Dalam setahun sekali atau dua kali mereka akan diuji dengan perkara yang berat. Ujian di dunia itu dikenakan kepada mereka sebelum masuk neraka. Nanti apabila mereka masuk neraka, lagi teruk azab yang akan dikenakan kepada mereka.

Memang orang beriman pun dikenakan dengan ujian juga, bukan? Tapi kalau orang beriman, ujian atau musibah yang dikenakan kepada mereka adalah sebagai penyuci dosa. Tapi musibah yang dikenakan kepada orang kafir dan orang munafik itu adalah sebagai azab untuk mereka semasa di dunia lagi.

Dan musibah itu sepatutnya merendahkan ego mereka supaya hati mereka terbuka untuk menilai kembali apakah fahaman mereka yang salah. Sepatutnya, selepas kena musibah itu, mereka kembali kepada iman yang telah ada dalam diri manusia sebagai sebahagian dari fitrah mereka.

 

لا يَتوبونَ وَلا هُم يَذَّكَّرونَ

dan mereka tidak (juga) bertaubat dan tidak (pula) mengambil pelajaran?

Akan tetapi, orang munafik itu selepas kena musibah, tetap tidak juga mahu bertaubat, tidak mahu mengambil pengajaran. Tidak juga mahu mendekati wahyu dari Qur’an. Maknanya, mereka tidak mengambil pengajaran dari musibah yang berlaku. Maka mereka jadi amat malang sekali.

Maka kalau kita kena musibah, kita fikir balik: “aku kena musibah ini sebagai peringatan kepada aku kerana aku munafik atau kerana Allah nak uji aku supaya aku dapat pahala tambahan?” Maknanya, kita kena sentiasa menilai iman kita dan baiki iman kita apabila perlu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 3 Mac 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s