Tafsir Surah Anfal Ayat 25 – 29 (Furqan dalam hati)

Anfal Ayat 25: Sambungan nasihat kepada golongan mukmin

وَاتَّقوا فِتنَةً لّا تُصيبَنَّ الَّذينَ ظَلَموا مِنكُم خاصَّةً ۖ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ شَديدُ العِقابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And fear a trial¹ which will not strike those who have wronged among you exclusively, and know that Allāh is severe in penalty.

  • i.e., an affliction or punishment during life upon this earth. When corruption spreads among a people, its consequences will affect everyone.

(MALAY)

Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras seksaan-Nya.

 

وَاتَّقوا فِتنَةً لّا تُصيبَنَّ الَّذينَ ظَلَموا مِنكُم خاصَّةً

Dan peliharalah dirimu dari pada bencana yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu.

Ini adalah larangan untuk bertolak ansur pada perkara yang kita tidak boleh bertolak ansur. Dalam ertikata lain, terlampau lembut.

Kita kena berjaga-jaga daripada ‘fitnah’ – yang dimaksudkan adalah fitnah tidak taat, yang menyebabkan datangnya bala bencana daripada Allah ‎ﷻ. Keadaan yang baik boleh bertukar menjadi bala, dan bala itu boleh terkena pada semua umat. Tidak hanya menimpa kepada golongan yang zalim sahaja.

‘Fitnah’ dalam ayat ini bukanlah seperti fahaman orang Melayu (kata-kata tohmahan yang tidak benar tentang kita). Fitnah dalam bahasa Arab bermaksud ujian dan dalam ayat ini ia bermaksud ‘bala’ atau ‘musibah’ yang akan dikenakan.

Bala ini didapati dengan cara bertolak ansur dengan perkara yang mungkar iaitu bersifat lemah lembut dengan mereka yang menderhakai Allah ‎ﷻ. Padahal kita tidak membuat perkara seperti yng mereka buat, cuma kita tidak tegur apa yang mereka lakukan.

Kalau ini berlaku, keadaan boleh bertukar menjadi azab dan azab itu bersifat umum pula. Inilah akibat tidak menjalankan amar makruf nahi mungkar dalam masyarakat. Contohnya kita lihat masyarakat kita membuat syirik dan amalan bid’ah, tetapi kita hanya melihat sahaja dan tidak menegur mereka. Sedangkan kita ada kekuatan dan kemampuan untuk melakukannya. Maka nantikan bala bencana ke atas diri kita. Lihatlah peringatan daripada Rasulullah ﷺ ini.

حَدَّثَنَا حَجَّاج بْنُ مُحَمَّدٍ، أَخْبَرَنَا شَرِيكٌ، عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ، عَنِ الْمُنْذِرِ بْنِ جَرِيرٍ، عَنْ أَبِيهِ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “مَا مِنْ قَوْمٍ يَعْمَلُونَ بِالْمَعَاصِي، وَفِيهِمْ رَجُلٌ أَعَزُّ مِنْهُمْ وَأَمْنَعُ لَا يُغَيِّرُونَ، إِلَّا عَمَّهُمُ اللَّهُ بِعِقَابٍ -أَوْ: أَصَابَهُمُ الْعِقَابُ”.

Telah menceritakan kepada kami Hajjaj ibnu Muhammad, telah menceritakan kepada kami Syarik, daripada Abu Ishaq, daripada Al-Munzir ibnu Jarir, daripada ayahnya yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Tiada suatu kaum pun yang mengerjakan kemaksiatan, sedangkan di antara mereka terdapat seorang lelaki yang paling kuat dan paling berpengaruh di antara mereka, lalu dia tidak mencegahnya, melainkan Allah ‎ﷻ akan menimpakan seksaan kepada mereka secara menyeluruh, atau Allah ‎ﷻ menimpakan bencana seksaan kepada mereka.
((HR. Ibnu Majah no. 4009)
Status: hasan oleh Syeikh Al-Albani) 

Oleh hal yang demikian, menjalankan amar ma’ruf nahi mungkar adalah satu tanggungjawab kita. Kalau kita tidak tegur, maka masyarakat akan lebih jauh masuk ke lembah kesesatan. Yang kita kena tegur adalah perbuatan maksiat yang berlaku secara umum. Sekarang ini senang kita dapat tahu kerana media sosial yang semakin banyak menyampaikan maklumat itu kepada kita.

Kerana itulah kita yang tahu agama ini kenalah menegur kesalahan dalam masyarakat. Walaupun perkara itu berlaku di meja penceramah agama. Ini kerana kita tidak boleh biarkan sahaja agama ini dirosakkan. Perkara ini amat penting sampaikan banyak kali Allah ‎ﷻ sebut di dalam Al-Qur’an, antaranya Maidah: 63, Maidah: 79, Maidah: 105, A’raf: 164 – 165, A’raf: 199, Hud: 116 – 177, Hajj: 41, Luqman: 17 dan banyak lagi.

Tentulah ramai orang tidak suka apabila kita tegur mereka. Ini biasa sahaja kerana tugas kita hanya menegur. Sama ada mereka terima atau tidak, itu perkara kedua kerana kita bukan diwajibkan menjaga hati manusia akan tetapi wajib menjaga agama Allah ﷻ. Apabila kita sudah tegur, maka kita sudah terselamat walaupun ramai tidak mahu mengikut teguran kita atau ramai yang sangka lebih baik tidak ditegur. Malah kita pula ditegur semula kerana menegur orang lain. Inilah yang disebut dalam [ A’raf: 164 ].

وَإِذ قالَت أُمَّةٌ مِنهُم لِمَ تَعِظونَ قَومًا ۙ اللَّهُ مُهلِكُهُم أَو مُعَذِّبُهُم عَذابًا شَديدًا ۖ قالوا مَعذِرَةً إِلىٰ رَبِّكُم وَلَعَلَّهُم يَتَّقونَ

Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: “Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan binasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?” Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: “(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri daripada bersalah kepada Tuhan kamu, dan mudah-mudahan mereka bertaqwa”.

Satu lagi pendapat tentang maksud fitnah di dalam ayat ini adalah tidak menjalankan jihad. iaitu jihad jenis yang wajib apabila dikerahkan oleh pemerintah. Bala yang boleh dikenakan itu bala di dunia lagi kerana apabila kita lemah untuk menjalankan jihad, orang kafir akan mengambil peluang untuk memijak-mijak kita. Oleh itu jangan jadi lemah.

 

وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ شَديدُ العِقابِ

Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras seksaan-Nya.

Allah ‎ﷻ mengingatkan kita yang azab yang boleh dikenakan kepada manusia amatlah berat. Azab seksaan Allah ‎ﷻ amat berat maka kenalah kita berhati-hati. Maka kena jalankan kerja dakwah kita dan jangan takut menegur orang yang melakukan kesalahan.


 

Anfal Ayat 26: Ayat Tabshir (berita gembira). Untuk mengajak mereka untuk taat, maka Allah ‎ﷻ mengingatkan nikmat-nikmat yang telah diberikan kepada umat Islam ketika itu.

وَاذكُروا إِذ أَنتُم قَليلٌ مُّستَضعَفونَ فِي الأَرضِ تَخافونَ أَن يَتَخَطَّفَكُمُ النّاسُ فَئآوىٰكُم وَأَيَّدَكُم بِنَصرِهِ وَرَزَقَكُم مِّنَ الطَّيِّبٰتِ لَعَلَّكُم تَشكُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And remember when you were few and oppressed in the land, fearing that people might abduct you, but He sheltered you, supported you with His victory, and provided you with good things – that you might be grateful.

(MALAY)

Dan ingatlah (hai para muhajirin) ketika kamu masih berjumlah sedikit, lagi tertindas di muka bumi (Mekah), kamu takut orang-orang akan menculik kamu, maka Allah memberi kamu tempat menetap (Madinah) dan dijadikan-Nya kamu kuat dengan pertolongan-Nya dan diberi-Nya kamu rezeki dari yang baik-baik agar kamu bersyukur.

 

وَاذكُروا إِذ أَنتُم قَليلٌ مُّستَضعَفونَ فِي الأَرضِ

Dan ingatlah (hai para muhajirin) ketika kamu masih berjumlah sedikit, lagi tertindas di muka bumi (Mekah),

Allah ‎ﷻ mengingatkan para Muhajirin yang dulu mereka sedikit sahaja bilangan mereka. Pada waktu itu mereka amat lemah dan dipandang rendah pula di bumi Mekah dulu. Musuh dalam kalangan Musyrikin Mekah boleh berbuat apa sahaja kepada umat Islam sehingga mereka terpaksa lari ke tempat lain kerana tidak tahan dengan layanan dan seksaan mereka.

Bila tadabbur ayat-ayat sebegini, terkenanglah betapa kita golongan Sunnah di negara ini pun sedikit dan seperti tertindas oleh golongan yang ada kuasa. Maka kita tidak dapat masuk TV, masjid dan tidak mendapat tauliah untuk mengajar. Malah ada yang ditangkap oleh pihak penguasa. Maka ini mengajar kita untuk bersabar. Kerana para sahabat yang lebih mulia dari kita pun pernah mengalami keadaan yang lebih teruk dari kita.

 

تَخافونَ أَن يَتَخَطَّفَكُمُ النّاسُ

kamu takut orang-orang akan menculik kamu,

Pada waktu dulu, mereka amat takut kalau mereka diculik oleh manusia lain untuk dijadikan sebagai hamba. Mereka dalam keadaan yang amat susah. Sekiranya tinggal di Mekah, mereka boleh ditangkap dan boleh diseksa oleh Musyrikin Mekah, tetapi kalau keluar dari Mekah, mereka takut akan ditangkap pula.

Lafaz يَتَخَطَّفَكُمُ selalunya digunakan apabila burung menangkap binatang yang kecil. Begitulah mereka takut ditangkap oleh orang luar dan dijadikan sebagai hamba atau tebusan pula dan ini memang biasa sahaja terjadi di Tanah Arab dulu.

 

فَئآوىٰكُم وَأَيَّدَكُم بِنَصرِهِ وَرَزَقَكُم مِّنَ الطَّيِّبٰتِ

maka Allah memberi kamu tempat menetap (Madinah) dan dijadikan-Nya kamu kuat dengan pertolongan-Nya dan diberi-Nya kamu rezeki dari yang baik-baik

Dalam mereka keadaan susah itu, gundah gulana, Allah ‎ﷻ berikan tempat duduk tetap untuk mereka di Madinah. Allah ‎ﷻ beri perlindungan di sana. Di Madinah itu pula mendapat bantuan daripada golongan Ansar yang berkongsi keperluan hidup dengan mereka.

Kemudian Allah ‎ﷻ kuatkan mereka dengan bantuan khas-Nya. Allah ‎ﷻ berikan kecukupan kepada mereka dalam keperluan mereka. Dan Allah ﷻ telah beri kemenangan kepada mereka dalam Perang Badr dan perang-perang yang lain. Kemenangan itu adalah kerana bantuan dari Allah ﷻ.

Allah ‎ﷻ juga memberikan rezeki kepada mereka daripada harta yang baik – antaranya harta ghanimah (harta rampasan perang). Sewaktu mereka ditindas dan lemah di Mekah dahulu, mereka tidak menyangka langsung yang mereka akan jadi kuat sehingga dapat memenangi peperangan dan mendapat harta rampasan pula. Namun Allah  telah merubah nasib mereka.

Kesusahan mereka berakhir setelah Allah ‎ﷻ memberikan agama Islam kepada mereka. Maka berkat agama Islam itulah Allah ‎ﷻ menguatkan mereka hingga dipengaruhi di seluruh negeri, dan melalui Islamlah Allah ‎ﷻ meluaskan rezeki mereka serta menjadikan mereka berkedudukan ke atas manusia.

Berkat Islam juga Allah ‎ﷻ memberikan banyak hal kepada mereka, seperti yang kalian lihat sendiri. Kerana itu, bersyukurlah kepada Allah ‎ﷻ di atas nikmat-nikmat-Nya. Sesungguhnya Allah ‎ﷻ suka kepada perbuatan bersyukur dan orang-orang yang bersyukur selalu beroleh tambahan nikmat daripada Allah ‎ﷻ.

Rezeki selalunya Allah ‎ﷻ beri setelah ada usaha daripada manusia. Akan tetapi apakah usaha para muhajirin itu? Usaha mereka adalah usaha yang paling hebat iaitu menegakkan agama Allah ‎ﷻ. Memang usaha kita untuk mendapatkan rezeki di dunia ini dengan bekerja dan berniaga itu tidak dapat hendak dibandingkan dengan usaha mereka yang lebih hebat. Itulah usaha yang terbaik yang boleh dilakukan oleh manusia.

 

لَعَلَّكُم تَشكُرونَ

agar kamu bersyukur.

Allah ‎ﷻ mengingatkan mereka supaya mereka bersyukur di atas segala nikmat pemberian-Nya itu. Kalau mereka bersyukur, kenalah mereka taat kerana syukur itu bukan hanya lafaz kalimah alhamdulillah sahaja, tetapi kenalah taat kepada perintah Allah ‎ﷻ. Bagaimana mungkin kita telah terima segala nikmat dari seseorang tapi kita tidak dengar cakapnya? Maka begitulah dengan Allah ﷻ. Apabila segala nikmat telah diberikan, takkan kita sanggup hendak engkar dengan Dia?


 

Anfal Ayat 27: Ini adalah undang-undang perang lagi. Jangan khianat.

يأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَخونُوا اللَّهَ وَالرَّسولَ وَتَخونوا أَمٰنٰتِكُم وَأَنتُم تَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, do not betray Allāh and the Messenger or betray your trusts while you know [the consequence].

(MALAY)

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang diamanahkan kepadamu, sedang kamu mengetahui.

 

يأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang yang telah beriman, 

Wahai orang-orang yang sudah beriman, dengarlah pesanan ini:

 

لا تَخونُوا اللَّهَ وَالرَّسولَ

janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul 

Allah ‎ﷻ mengingatkan kita semua supaya jangan khianati amanah yang telah diberikan oleh Allah ‎ﷻ dan Rasul. Taat kepada Rasul adalah juga taat kepada Allah ‎ﷻ. Sedangkan kita pun sudah tahu pentingnya menjaga amanah agama.

Lafaz khianat yang dimaksudkan adalah dalam hal agama iaitu termasuk suruhan dan larangan daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul. Kenalah kita jaga dan taat kepada arahan agama sama ada datang daripada Allah ‎ﷻ ataupun daripada Rasulullah ﷺ. Ada banyak perkara yang kita kena jaga supaya jangan khianat, tetapi yang pertama sekali, jangan khianat dalam hal agama.

Di dalam kebanyakan kitab tafsir, banyak yang menyebut asbabun nuzul ayat ini adalah berkenaan seorang sahabat yang bernama Abu Lubabah رضي الله عنه. Maka ada baiknya kita sebutkan di sini walaupun kisah ini tidak disepakati kesahihannya.

Dalam penyerbuan Rasulullah ﷺ ke perbentengan Yahudi Bani Quraizhah, Abu Lubabah رضي الله عنه ikut bersama baginda dan pasukan Mukmin. Rasulullah ﷺ bersama para sahabatnya mengepung benteng Bani Quraizhah selama 25 hari, sehingga mereka hidup dalam kekurangan dan ketakutan. Mereka kemudian mengirim seorang utusan kepada Rasulullah ﷺ, meminta Abu Lubabah bin Mundzir رضي الله عنه dikirimkan kepada mereka untuk dimintakan pendapatnya. Rasulullah ﷺ memerintahkan Abu Lubabah رضي الله عنه pergi menemui mereka.

Sebelumnya, Rasulullah ﷺ meminta pendapat mereka agar yang akan memberikan keputusan adalah Sa’ad bin Mu’adz رضي الله عنه. Tapi mereka minta Abu Lubabah رضي الله عنه. Apabila anak-anak dan isteri-isteri mereka melihat Abu Lubabah رضي الله عنه datang, mereka menangis meraung-raung, memohon belas kasihannya. Sudah tentu, Abu Lubabah رضي الله عنه sebagai manusia tidak dapat menyembunyikan rasa hiba dan harunya apabila melihat mereka. Tambahan pula, ada keluarga dan harta Abu Lubabah رضي الله عنه yang berada di dalam kawasan mereka.

Mereka bertanya, “Wahai Abu Lubabah, bagaimana pendapatmu, apakah kami akan tunduk kepada keputusan Sa’ad bin Mu’adz?” Abu Lubabah رضي الله عنه lalu mengisyaratkan kepada mereka dengan tangannya yang diletakkan ke lehernya, bahawa mereka akan disembelih. Maka beliau memberi isyarat kepada mereka agar tidak mahu menerima.

Namun kemudiannya Abu Lubabah رضي الله عنه telah segera menyedari kesalahannya. Beliau sedar yang beliau telah membocorkan rahsia Rasulullah ﷺ dan telah khianat kepada amanah yang telah diberikan kepadanya. Kata beliau: “Demi Allah, kedua kakiku belum beranjak dari tempatku melainkan telah mengetahui bahawa aku telah mengkhianati Allah dan Rasul-Nya.”

Beliau kemudian pergi ke masjid dan mengikat tubuhnya pada salah satu tiang (sehingga sekarang ada tiang yang digelar tiang Abu Lubabah/Tiang Taubat di kawasan Raudhah). “Demi Allah, aku tidak akan makan dan minum hingga mati atau Allah mengampuni dosaku itu,” ujarnya lirih. Keluarganyalah yang menguruskannya. Mereka akan membukakan ikatan apabila beliau hendak pergi ke tandas dan salat.

Tujuh hari lamanya (ada yang mengatakan 3 hari) beliau tidak makan dan minum sehingga tidak sedarkan diri, kemudian Allah ‎ﷻ mengampuninya. Lalu ada yang menyampaikan berita itu kepadanya, “Wahai Abu Lubabah, Allah telah mengampuni dosamu.”

Beliau berkata, “Tidak. Aku tidak akan membuka ikatanku sebelum Rasulullah datang membukanya.” Tidak lama setelah itu, Rasulullah ﷺ pun datang membukanya. Abu Lubabah رضي الله عنه berkata kepada baginda, “Kiranya akan sempurna taubatku, kalau aku meninggalkan kampung halaman kaumku, tempatku melakukan dosa. Dan aku akan menyumbangkan seluruh hartaku.”

Rasulullah ﷺ menjawab, “Kau hanya dibenarkan menyumbang sepertiganya saja.” Begitulah. Abu Lubabah mendapat ampunan, baik daripada Rasulullah ﷺ mahupun daripada Allah ‎ﷻ.

 

وَتَخونوا أَمٰنٰتِكُم وَأَنتُم تَعلَمونَ

dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang diamanahkan kepadamu, sedang kamu mengetahui.

Ada banyak lagi amanah yang telah diberikan kepada kita. Kata Ibn Abbas رضي الله عنهما ia adalah kewajipan-kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Khianat kepada Rasul ﷺ pula adalah dengan meninggalkan Sunnah dan melakukan bid’ah. Ini telah disebut di atas.

Akan tetapi ada banyak lagi amanah-amanah yang lain. Amanah secara am pula adalah setiap amal yang telah diberitakan oleh Allah ‎ﷻ. Ada amanah dengan keluarga, dengan harta yang diminta kita jaga, dengan rakyat yang kita menjadi pemimpin dan macam-macam lagi. Jangan khianati amanah itu sedangkan kita pun tahu kepentingan menjaga amanah. Perkara ini bukannya perkara baru pun, cuma Allah ‎ﷻ mengingatkan sahaja. Di dalam hadith yang terkenal, kita pun tahu mengkhianati amanah adalah salah satu daripada sifat-sifat munafik:

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, bahawasanya Rasulullah ﷺ bersabda,

آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاث إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَ إِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَ إِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ

“Tanda orang munafik itu tiga: apabila dia berucap, dia berdusta, jika membuat janji, dia berdusta, dan jika dipercayai, mengkhianati.”

(HR Al-Bukhari, Kitab Iman, Bab Tanda-tanda Orang Munafik (33) dan Muslim, Kitab Iman, Bab Penjelasan Sifat-Sifat Orang Munafik (59))

Amanah yang dijaga oleh sahabat lagi besar. Mereka bukan sahaja mesti menjaga agama dalam amalan seharian, tetapi mereka ada tugas yang lebih besar lagi – membantu Rasulullah ﷺ dalam menegakkan agama Islam di dunia. Ini kerana Rasulullah ﷺ ada tugas besar dan siapa lagi yang boleh baginda harapkan untuk membantu baginda kalau tidak para sahabat yang ada dengan baginda waktu itu?

Oleh itu, para sahabat bukan buat perkara yang wajib sahaja, tetapi mereka telah membuat perkara yang jauh lebih besar daripada itu. Mereka ada tugas yang besar apabila Allah ‎ﷻ letak mereka duduk sekali dengan Rasulullah ﷺ. Kita mungkin tidak sedar dan perasan perkara itu kerana kita sekarang sudah beragama. Agama Islam sudah ramai dianuti.

Namun ingatlah yang para sahabat waktu itu kena sebarkan dan kenalkan Allah ‎ﷻ kepada manusia sejagat. Pada waktu itu manusia lain tidak kenal pun apa itu Islam yang sebenar dan bagaimana Allah ﷻ yang sebenarnya. Jadi tugas mereka sangat-sangat berat. Oleh kerana kita tidak faham tanggungjawab mereka itu, kita rasa senang sahaja, buat biasa sahaja dengan agama ini. Padahal kita pun sebenarnya kena sebarkan agama ini juga kepada manusia kerana ramai lagi yang tidak tahu tentang Allah ‎ﷻ, atau salah faham tentang Allah ‎ﷻ.

Kita sekarang hanya sibuk dengan perkara-perkara kecil sahaja, tentang halal haram sahaja, tentang ibadat sendiri sahaja, tetapi sebenarnya Islam mestilah disebarkan ke seluruh dunia. Kita tidak pandang sangat tugas dakwah yang pernah dilakukan oleh Rasulullah ﷺ dan para sahabat. Maka kita kena perkenalkan Allah ‎ﷻ dan tauhid kepada manusia sejagat.

Habis Ruku’ 3 daripada 10 ruku’ surah ini


 

Anfal Ayat 28: Allah ‎ﷻ memberikan peringatan tentang harta dan anak kerana dua perkara inilah yang menyebabkan kita sukar untuk jaga amanah.

وَاعلَموا أَنَّما أَموٰلُكُم وَأَولٰدُكُم فِتنَةٌ وَأَنَّ اللَّهَ عِندَهُ أَجرٌ عَظيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And know that your properties and your children are but a trial and that Allāh has with Him a great reward.

(MALAY)

Dan ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cubaan dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.

 

وَاعلَموا أَنَّما أَموٰلُكُم وَأَولٰدُكُم فِتنَةٌ

Dan ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai ujian

Allah ‎ﷻ mengingatkan kita bahawa harta benda dan anak pinak kita adalah ujian besar sebenarnya. Inilah salah satu maksud ‘fitnah’ iaitu ‘ujian’ daripada Allah ‎ﷻ. (Bukannya seperti fahaman masyarakat kita dengan fitnah). Ia adalah ujian yang amat besar sehinggakan ada yang mengkhianati amanah kerana menjaga sangat dua perkara itu. Oleh kerana dua perkara itu, manusia boleh cuai amanah sehingga boleh mengakibatkan rosaknya agama dan menjerumuskan manusia ke dalam neraka.

Harta dan anak adalah dua perkara yang kita banyak luangkan masa kita. Namun janganlah jadikan perkara itu sebagai penghalang untuk menegakkan agama. Lihatlah kisah Abu Lubabah رضي الله عنه di atas yang menyebabkan beliau gagal menjaga menjaga amanah.

Juga dengarlah kisah Abu Bakr رضي الله عنه dengan anaknya yang kafir (akhirnya dia masuk Islam). Mereka kadangkala bertembung dalam peperangan. Anaknya kemudian telah memberitahu ayahnya yang dia selalu nampak ayahnya di medan perang dan dia akan mengelak kerana dia tidak mahu membunuh ayahnya. Namun, Abu Bakr رضي الله عنه jawab yang dia sebenarnya mencari-cari anaknya itu untuk membunuhnya kerana beliau lebih sayangkan agama dan Rasulullah ﷺ daripada sayangkan anaknya.

Memang tidak salah untuk menjaga harta dan sayang anak pinak. Akan tetapi janganlah sampai mengabaikan agama dan amanah yang di pundak kita. Janganlah baca ayat ini sampai takut ada harta dan ada anak pula. Memang sudah menjadi lumrah yang manusia memang akan suka harta dan suka anak. Cuma kita kena berhati-hati. Allah ‎ﷻ memberikan peringatan antaranya di dalam [ Munafiqoon: 9 ]

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تُلهِكُم أَموٰلُكُم وَلا أَولٰدُكُم عَن ذِكرِ اللَّهِ ۚ وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ فَأُولٰئِكَ هُمُ الخٰسِرونَ

Hai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang merugi.

Antara anak dan harta, manusia lebih sayangkan anak lagi rasanya. Akan tetapi di dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ sebut harta dulu kerana hartalah yang banyak mengambil masa manusia. Kadangkala diberikan alasan anaklah dia mencari harta itu kerana katanya untuk beri segala-galanya kepada anak dan masa depan anak itu. Akhirnya kerana terlalu meluangkan masa untuk mencari harta (kononnya untuk anak itu) sampaikan masa dengan anak pun diabaikan. Pendidikan anak dan tumbesaran mereka boleh terabai entah ke mana. Ini adalah tafsir pertama.

Atau satu lagi tafsir, iaitu dua perkara itu adalah ujian besar untuk kita menjaganya. Kita kena jaga sebagaimana kita jaga syariat. Tujuan diberikan harta dan anak pinak itu adalah untuk melihat sama ada kita bersyukur atau tidak. Dan untuk kita gunakan ke arah kebaikan. Harta dan anak pinak itu juga adalah tanggungjawab kita dan kita akan ditanya tentang tanggungjawab kita nanti di akhirat. Kita akan ditanya bagaimana cara kita gunakan harta itu dan adakah kita didik anak pinak dengan cara yang betul.

Dan dua perkara ini memang benar adalah ujian besar. Kita sekarang hidup dalam dunia yang banyak pilihan kebendaan. Maka harta dan keindahan dunia adalah satu perkara yang amat berat. Materialistik adalah salah satu perkara yang kita perlu jaga supaya kita tidak terlalu mementingkannya lebih daripada agama. Janganlah ada perkara lain yang kita lebihkan daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul-Nya seperti yang disebutkan di dalam kitab Sahih, bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

“وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ نَفْسِهِ وَأَهْلِهِ وَمَالِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ”

Demi Tuhan Yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaan-­Nya, tidaklah seseorang di antara kalian beriman sebelum aku lebih disukainya daripada dirinya sendiri, keluarganya, harta bendanya, dan semua manusia.

(Sahih al-Bukhari (6632))

 

وَأَنَّ اللَّهَ عِندَهُ أَجرٌ عَظيمٌ

dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.

Ini adalah dorongan supaya memilih akhirat. Ada kekayaan duniawi tidak salah tetapi janganlah sampai tertinggal persediaan untuk menghadapi akhirat. Jangan tertipu dengan keindahan dunia kerana walaupun nampak dunia ini sebagai hebat, tetapi pahala di sisi Allah ‎ﷻ lebih hebat lagi daripada dunia ini. Kita sepatutnya lebih luangkan masa dan usaha kita untuk kejar pahala yang berharga di akhirat kelak.


 

Anfal Ayat 29: Sekarang kita masuk ke perenggan makro ke 4 daripada ayat ini sehingga ke ayat 40. Sekarang Allah ‎ﷻ memberitahu kita kenapa Musyrikin Mekah itu patut diperangi. Maka jangan ada berbelah bahagi lagi dalam berperang dengan Musyrikin itu.

يأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِن تَتَّقُوا اللَّهَ يَجعَل لَّكُم فُرقانًا وَيُكَفِّر عَنكُم سَيِّئَاتِكُم وَيَغفِر لَكُم ۗ وَاللَّهُ ذُو الفَضلِ العَظيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, if you fear Allāh, He will grant you a criterion¹ and will remove from you your misdeeds and forgive you. And Allāh is the possessor of great bounty.

  • By which to judge between truth and falsehood. Also interpreted as a “way out” of difficulties.

(MALAY)

Hai orang-orang beriman, jika kamu bertakwa kepada Allah, Kami akan memberikan kepadamu Furqaan. Dan kami akan jauhkan dirimu dari kesalahan-kesalahanmu, dan mengampuni (dosa-dosa)mu. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.

 

يأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang beriman,

Dengarlah pesanan ini wahai orang yang beriman.

 

إِن تَتَّقُوا اللَّهَ يَجعَل لَّكُم فُرقانًا

jika kamu bertaqwa kepada Allah, Kami akan memberikan kepadamu Furqaan

Allah ‎ﷻ mengingatkan umat Islam, mereka hendaklah mempunyai sifat taqwa dalam peperangan. Kena taat kepada arahan dan hukum daripada Allah ‎ﷻ. Orang yang bertaqwa akan sentiasa menjaga hukum dan memikirkan apakah yang Allah ‎ﷻ hendak mereka lakukan dalam setiap perkara. Ketika hendak membuat apa-apa sahaja dia akan fikir: Adakah ini halal atau haram?

Satu lagi maksud taqwa yang kita boleh ambil adalah pencegahan. Ini seperti pepatah الوقاية خير من العلاج (pencegahan itu lebih baik daripada rawatan). Dengan mengambil langkah pencegahan, in sha Allah kita akan selamat. Maka taqwa juga bermaksud berhati-hati. Al-Imam Ibnu Kathir رحمه الله ada membawakan dialog 2 orang sahabat Nabi di dalam kitab tafsirnya tatkala mentafsirkan makna taqwa daripada ayat ke-2 surah al-Baqarah.

Dikatakan bahawa Amirul Mukminin Sayyidina `Umar bin al-Khattab رضي الله عنه ` pernah bertanya kepada Sayyidina Ubai bin Ka`ab رضي الله عنه mengenai taqwa.

Lalu berkatalah Ubai رضي الله عنه : “Pernahkah engkau melalui suatu lorong yang banyak duri?”

`Umarرضي الله عنه  menjawab: “Ya, bahkan.”

Ubai رضي الله عنه bertanya kembali: “Lalu, apakah yang engkau lakukan?”

`Umar رضي الله عنه menjawab: “Aku akan bersungguh-sungguh dan hati-hati.”

Ubai رضي الله عنه  menjawab: “Itulah taqwa.”

Oleh sebab itu, hendaklah kita berusaha untuk menjaga taqwa dalam diri kita. Kemudian Allah ‎ﷻ sebut 3 kelebihan jikalau ada taqwa dalam diri kita. Pertama, kalau kita bertaqwa, Allah ‎ﷻ akan adakan ‘furqan‘ dalam diri kita. Apakah maksud furqan?

Ada berbagai tafsiran para ulama’ tentang maksudnya di sini. Dari segi bahasa, ia berasal daripada katadasar ف ر ق yang antara lain bermaksud membezakan. Kerana itulah Al-Qur’an dinamakan juga Al-Furqan kerana ia membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Ini sebagaimana disebut dalam [ Furqan: 1 ]

تَبارَكَ الَّذي نَزَّلَ الفُرقانَ عَلىٰ عَبدِهِ

Maha berkat Allah yang telah menurunkan Al Furqaan (Al Qur’an) kepada hamba-Nya

Oleh itu salah satu pendapat tentang maksud pemberian furqan di dalam ayat daripada Surah Anfal ini adalah jikalau kita menjaga taqwa, maka Allah ‎ﷻ akan memberikan pemahaman kepada Al-Qur’an. Ia akan menjadi rujukan untuk kita menentukan manakah yang benar dan tidak.

Pendapat kedua adalah ia adalah dalil yang jelas yang boleh digunakan untuk membuat keputusan. Itulah dalil jelas yang datang daripada hati yang terhasil daripada sifat taqwa yang telah ada. Kadang-kadang ada perkara yang tidak jelas hukumnya kepada kita. Namun oleh kerana kita ada taqwa dan takut sangat kepada Allah ‎ﷻ, maka Allah ‎ﷻ jadikan dalam hati kita sifat ingin menjauhi atau mendekati keselamatan. Wujudnya taqwa dalam diri manusialah yang menyebabkan mereka sanggup susah kerana hendak menjaga hukum.

Oleh itu ‘Furqan’ adalah sifat boleh membezakan antara benda yang boleh diambil atau tidak, boleh buat atau tidak. Kadangkala kita tidak tahu hukumnya dengan pasti, tetapi hati kita sudah dapat rasa mana yang bagus dan mana yang tidak. Ia seperti ilham daripada Allah ‎ﷻ.

Pendapat ketiga, ia bermaksud ilmu. Dalilnya adalah bahagian akhir daripada ayat [ Al- Baqarah: 282 ]

وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ وَيُعَلِّمُكُمُ اللَّهُ

Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah akan mengajar kamu

Maksudnya kalau kita ada taqwa, maka hati kita akan bersih dan senang ilmu masuk ke dalam hati kita. Maka senang hendak faham agama kerana Allah ‎ﷻ sendiri yang memasukkan ilmu itu. Sebab itu ada orang senang hendak faham pelajaran agama dan ada yang bertahun-tahun belajar tetapi tidak faham-faham.

Yang keempat, ia boleh bermaksud ‘kemenangan‘. Ini kerana maksud farq adalah yang membezakan antara dua perkara. Seperti di dalam perang Badr, Allah ‎ﷻ memenangkan pihak yang benar dan mengalahkan pihak yang salah untuk menjelaskan mana satu yang benar dan mana satu puak yang salah. Kerana itulah salah satu gelaran bagi perang Badr adalah Yaumul Furqan (Hari Perbezaan) kerana hari itu telah membezakan antara puak yang benar dan puak yang salah.

Yang kelima, ia boleh bermaksud makhraj (jalan keluar) daripada masalah. Ini seperti yang Allah ‎ﷻ sebut dalam [ Talaq: 2 ]

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجعَل لَّهُ مَخرَجًا

Barangsiapa bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar

Banyaklah masalah dan cabaran kita di dunia ini, bukan? Kadangkala pening kepala kita hendak menyelesaikannya dan mungkin sudah putus asa kerana kita sedar ia di luar kemampuan kita. Ya, ia di luar kemampuan kita tetapi mudah sahaja di sisi Allah ‎ﷻ. Maka Allah ‎ﷻ mengajar cara untuk selesaikan masalah di dalam ayat ini: taqwalah kepada-Nya dan Dia akan berikan jalan keluar. Maknanya kita serahkan masalah kita kepada Allah ‎ﷻ.

 

وَيُكَفِّر عَنكُم سَيِّئَاتِكُم وَيَغفِر لَكُم

Dan kami akan jauhkan dirimu daripada kesalahan-kesalahanmu, dan mengampuni (dosa-dosa)mu. 

Kelebihan kedua kalau bertaqwa adalah pengampunan daripada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ akan menjauhkan kita daripada keburukan dosa yang kita lakukan kalau kita bertaqwa. Ini adalah kerana dosa yang kita lakukan sebenarnya memberi kesan buruk kepada diri kita. Allah ‎ﷻ akan menghilangkan kesan buruk itu daripada kita. Allah ‎ﷻ akan berikan taufik kepada orang bertaqwa untuk melakukan banyak amalan soleh sehingga mengalahkan perbuatan dosanya.

Kelebihan ketiga adalah Allah ‎ﷻ akan mengampuni segala dosa orang yang bertaqwa. Ini kita memang amat perlukan kerana kita sebagai manusia memang banyak dosa. Kita amat mengharapkan pengampunan dosa kerana kalau ada dosa, maka kena dimasukkan ke dalam neraka dan kita tidak mahu masuk ke neraka langsung.

Ada juga pendapat yang membezakan antara keduanya di mana يُكَفِّر عَنكُم سَيِّئَاتِكُم dikatakan merujuk kepada dosa-dosa kecil dan يَغفِر لَكُم merujuk kepada dosa-dosa besar.

 

وَاللَّهُ ذُو الفَضلِ العَظيمِ

Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.

Allah ‎ﷻ ada banyak lagi kurniaan yang besar-besar yang disimpan untuk diberikan kepada kita nanti. Yang penting kita kena taat kepada-Nya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 13 Oktober 2022

Ringkasan Surah Anfal


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibnu Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah Anfal Ayat 19 – 24 (Kemenangan kepada pihak yang benar)

Anfal Ayat 19:

إِن تَستَفتِحوا فَقَد جاءَكُمُ الفَتحُ ۖ وَإِن تَنتَهوا فَهُوَ خَيرٌ لَّكُم ۖ وَإِن تَعودوا نَعُد وَلَن تُغنِيَ عَنكُم فِئَتُكُم شَيئًا وَلَو كَثُرَت وَأَنَّ اللَّهَ مَعَ المُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If you [disbelievers] seek the decision [i.e., victory] – the decision [i.e., defeat] has come to you. And if you desist [from hostilities], it is best for you; but if you return [to war], We will return, and never will you be availed by your [large] company at all, even if it should increase; and [that is] because Allāh is with the believers.

(MALAY)

Jika kamu (orang-orang musyrikin) mencari keputusan, maka telah datang keputusan kepadamu; dan jika kamu berhenti; maka itulah yang lebih baik bagimu; dan jika kamu kembali, nescaya Kami kembali (pula); dan angkatan perangmu sekali-kali tidak akan dapat menolak dari kamu sesuatu bahaya pun, biarpun banyaknya dan sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang beriman.

 

إِن تَستَفتِحوا

Jika kamu (orang-orang musyrikin) mencari keputusan,

Ayat ini adalah khitab kepada orang kafir Mekah: ketika kamu meminta kemenangan kepada Allah ‎ﷻ semasa kamu memegang kelambu Kaabah. Kisahnya, sebelum mereka pergi berperang menentang tentera Islam, Abu Jahal telah memegang kelambu Kaabah dan berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk memberi kemenangan kepada ‘pihak yang benar’.

As-Saddi mengatakan bahawa ketika pasukan kaum musyrik berangkat dari Mekah menuju medan Perang Badar, terlebih dahulu mereka memegang kain kelambu Kaabah dan meminta pertolongan kepada Allah ‎ﷻ seraya mengatakan, “Ya Allah, tolonglah salah satu di antara kedua pasukan yang paling tinggi, salah satu di antara dua golongan yang paling mulia, dan salah satu daripada dua kabilah yang terbaik.” Maka Allah ‎ﷻ menjawab dengan firman-Nya yang mengatakan: Jika kalian (orang-orang musyrik) mencari keputusan, maka telah datang keputusan kepada kalian. (Al-Anfal: 19) Allah ‎ﷻ bermaksud bahawa Dia telah memutuskan apa yang mereka minta, iaitu kemenangan bagi Muhammad ﷺ.

Ini kerana mereka sangka mereka yang berada di pihak yang benar. Ini samalah senario seperti ahli bid’ah yang menyangka mereka berada di pihak yang benar kerana itulah mereka menentang golongan sunnah.

Mungkin ada yang hairan kenapa Abu Jahal berdoa kepada Allah ‎ﷻ pula? Sememangnya puak Musyrikin Mekah itu kenal Allah ‎ﷻ. Mereka tahu yang Allah ‎ﷻ itu adalah Tuhan yang telah menjadikan mereka. Cuma dalam masa yang sama, mereka juga sembah dan berdoa kepada ilah-ilah yang lain – sebab itulah mereka digelar musyrikin.

Oleh sebab itu, sekiranya orang kita yang mengaku Muslim dan mengaku Allah ‎ﷻ itu Tuhan, tetapi dalam masa yang sama, ada doa dan buat ibadat kepada selain Allah ‎ﷻ, maka mereka juga musyrik. Oleh itu, kenalah belajar apakah fahaman Arab Mekah pada waktu itu dan kenapakah mereka digelar sebagai musyrik. Ini adalah penting kerana takut kalau kita tidak tahu, entah-entah kita pun ada fahaman seperti mereka juga. Sememangnya jika dikaji, memang ada banyak persamaan sebenarnya antara masyarakat kita dan masyarakat Arab Jahiliyah itu. Alangkah rugi kalau kita mengaku Muslim, namun akidah seperti akidah Musyrikin Mekah!

Abu Jahal telah memegang kelambu Kaabah dan berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk memberi kemenangan kepada puak yang benar. Dia sangka puak dia yang benar dan puak Muslim di Madinah itu yang sesat. Itulah sebabnya dia berdoa begitu. Begitulah, kadang-kadang orang yang sesat, mereka sangka mereka yang benar.

 

فَقَد جاءَكُمُ الفَتحُ

maka telah datang keputusan kepadamu;

Sekiranya puak Musyrikin Mekah hendakkan kemenangan kepada pihak yang benar, maka sesungguhnya telah sampai kemenangan kepada mereka yang berpihak kepada kebenaran. Allah ‎ﷻ telah memakbulkan doa mereka dan berikan kemenangan kepada puak Muslim kerana yang berada di atas jalan yang benar adalah orang Islam.

Mereka tidak meminta kemenangan kepada mereka, tetapi meminta pihak yang benar yang menang, kerana mereka rasa Nabi Muhammad ﷺ itu yang salah. Mereka kata Nabi Muhammad ﷺ telah membuat porak peranda, memisahkan anak dan ayah, menentang agama turun temurun mereka dan macam-macam lagi. Oleh kerana itu Musyrikin Mekah sangka yang Allah ‎ﷻ akan berada di pihak mereka.

Mereka memang sangka yang mereka akan menang besar. Mereka sangka yang mereka pergi berperang itu bagaikan memijak serangga sahaja kerana mereka lebih ramai dan mempunyai kelengkapan lebih hebat daripada puak Madinah itu. Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ sudah jawab mereka dalam ayat ini.

Kalah dan menang adalah adat peperangan. Pihak yang menang tidaklah selalunya benar dan pihak yang kalah, tidaklah semestinya dia salah. Allah ‎ﷻ tidak jadikan kemenangan dan kekalahan sebagai tanda benar atau salahnya sesuatu pihak itu. Namun kali ini dalam Perang Badr ini, Allah ‎ﷻ jadikan kemenangan sebagai tanda siapakah yang benar.

 

وَإِن تَنتَهوا فَهُوَ خَيرٌ لَّكُم

dan jika kamu berhenti; maka itulah yang lebih baik bagimu; 

Sekiranya mereka berhenti daripada meneruskan pertentangan mereka kepada puak Islam, maka itu adalah lebih baik untuk mereka. Hentikan perbuatan mereka itu kerana itu adalah kesalahan yang amat salah.

 

وَإِن تَعودوا نَعُد

dan jika kamu kembali, nescaya Kami kembali (pula);

Allah ‎ﷻ beri ancaman, sekiranya mereka kembali untuk mengulang kembali untuk melawan puak Islam, maka Allah ‎ﷻ akan bantu lagi puak Islam.

Juga boleh bermaksud, jika mereka kembali mengerjakan kekufuran dan kesesatan, nescaya Allah ‎ﷻ akan kembali menimpakan kejadian seperti ini kepada mereka.

 

وَلَن تُغنِيَ عَنكُم فِئَتُكُم شَيئًا وَلَو كَثُرَت

dan angkatan perangmu sekali-kali tidak akan dapat menolak daripada kamu sesuatu bahaya pun, biarpun banyaknya

Angkatan tentera yang ramai bukanlah menjadi penentu punca kemenangan. Lebih-lebih lagi tentera Musyrikin Mekah yang berfahaman syirik itu, langsung tidak akan mendapat pertolongan daripada Allah ‎ﷻ. Jika Allah ‎ﷻ hendakkan kekalahan dan kesakitan untuk mereka, mereka tidak dapat menghalangnya walaupun dengan tenaga ketenteraan mereka itu, tidak kisah berapa banyak sekalipun mereka itu.

Musyrikin Mekah telah berbangga dengan kekuatan ketenteraan mereka sampaikan mereka sangka yang mereka akan senang sahaja mengalahkan puak Islam, maka Allah ‎ﷻ menempelak mereka dalam ayat ini.

 

وَأَنَّ اللَّهَ مَعَ المُؤمِنينَ

dan sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang beriman.

Sebaliknya Allah ‎ﷻ akan memberi bantuan kepada puak yang beriman, asalkan mereka menjaga syarat-syarat peperangan. Syarat-syarat ini kita telah belajar dalam surah-surah sebelum ini. Kalau mereka menjaga syarat-syarat itu, Allah ‎ﷻ pasti akan beri kemenangan kepada puak Muslim. Selepas ini ada disebut antara syarat-syarat itu. Apabila Allah ‎ﷻ berserta orang-orang beriman, maka puak musuh tidak akan berjaya mengalahkan umat Islam walaupun puak musuh itu ramai.

Soalan: Kalau Allah ‎ﷻ berfirman yang Dia akan tolong golongan mukminin, kenapa umat Islam ada juga mengalami kekalahan? Jawapannya: kerana kita tidak mukminlah. Entah berapa berapa kesalahan yang kita lakukan di dalam agama ini, sampaikan Allah ‎ﷻ tidak anggap kita sebagai orang mukmin!

Habis Ruku’ 2 daripada 10 ruku’ surah ini


 

Anfal Ayat 20: Sekarang Allah ‎ﷻ hendak menasihati orang Mukmin pula.

يأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا أَطيعُوا اللَّهَ وَرَسولَهُ وَلا تَوَلَّوا عَنهُ وَأَنتُم تَسمَعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, obey Allāh and His Messenger and do not turn from him while you hear [his order].

(MALAY)

Hai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berpaling dari padanya, sedang kamu mendengar (perintah-perintah-Nya),

 

يأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا أَطيعُوا اللَّهَ وَرَسولَهُ

Hai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, 

Allah ‎ﷻ memberitahu syarat-syarat bantuan Allah ‎ﷻ akan diberikan kepada pasukan tentera Muslim. Pertamanya, kena taat dalam perang, iaitu kena taat kepada Allah ‎ﷻ, dan kemudian kepada Nabi. Ada isyarat di dalamnya untuk taat kepada pemimpin tentera. Kena dengar arahan dan berdisiplin dalam peperangan. Allah ‎ﷻ mengingatkan yang kemenangan mereka itu hanya kerana mereka taat kepada Allah ‎ﷻ dan Rasul sahaja. Maka jangan  mereka ingkar untuk taat.

Ini adalah perkara yang penting bukan sahaja untuk dalam peperangan tetapi dalam kehidupan kita seharian, dalam ibadat kita dan segalanya kerana kita akan ada pemimpin yang akan menguruskan kita. Seperti juga dalam salat kita ada imam, maka hendaklah taat dan dengar apakah arahan imam itu. Kalau dia sudah takbir, barulah kita bergerak. Jangan mendahului imam.

Umat Islam tentunya sudah ada ketaatan kepada Allah ‎ﷻ dan Rasul. Maka apa yang disuruh di sini adalah terus kekal menjaga ketaatan itu. Taqdirnya (akibatnya) adalah kalau mereka boleh melakukannya, maka Allah ‎ﷻ akan terus memberikan pertolongan kepada mereka seperti yang telah terjadi di Peperangan Badr.

Di dalam Perang Uhud, tentera Islam telah mendapat kekalahan pada pertengahan waktu peperangan kerana mereka tidak taat kepada arahan yang telah diberikan oleh Nabi ﷺ. Maka, pada waktu itu tentera Islam telah dikalahkan oleh tentera Musyrikin Mekah. Hanya apabila mereka kembali taat, barulah mereka mendapat kemenangan semula.

 

وَلا تَوَلَّوا عَنهُ وَأَنتُم تَسمَعونَ

dan janganlah kamu berpaling daripadanya, sedang kamu mendengar

Janganlah kamu berpaling daripada baginda Nabi ﷺ sedangkan waktu itu kamu sedang mendengar arahan dan wahyu yang dibacakan oleh baginda. Lafaz عَنهُ merujuk kepada Nabi ﷺ tetapi kenapa di sini disebut Nabi ﷺ seorang sahaja (عَنهُ), sedangkan dalam potongan ayat sebelum ini, kita disuruh taat kepada Allah ‎ﷻ dan Rasul. Sekarang hanya disuruh dengar kepada Rasulullah ﷺ?

Ini adalah kerana kita tidak dapat mendengar arahan terus daripada Allah ‎ﷻ. Yang kita dapat dengar adalah arahan Nabi ﷺ sahaja dan kalau kita dengar dan taat kepada arahan Nabi ﷺ, itu sebenarnya sudah bermaksud taat kepada Allah ‎ﷻ. Sila rujuk [ Nisa: 80 ]

مَّن يُطِعِ الرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ

Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya dia telah taat kepada Allah

Satu lagi pendapat tentang dhomir hu dalam عَنهُ itu adalah merujuk kepada arahan untuk taat itu iaitu dengar dan taat kepada arahan Allah ‎ﷻ dan Rasulullah ﷺ.

Maka perkara pertama untuk mendapat hidayah adalah dengan mendengar kebenaran. Kena bersedia untuk memberikan telinga untuk mendengar nasihat yang disampaikan oleh para pendakwah. Tentang mendengar ini ada 4 jenis tindakan manusia tentangnya:

1. Ada yang mendengar, tetapi tidak ada keinginan untuk faham. Maka dia tidak akan faham dan tidak akan taat. Ini adalah sifat orang kafir dan musyrik.

2. Ada yang mendengar dan faham, tetapi tidak percaya dan tidak mahu ikut. Ini adalah sifat orang munafik.

3. Ada yang mendengar, faham, malah dia percaya; tetapi tidak mahu ikut juga. Ini pun ada dalam kalangan umat Islam yang bersikap begini (sudah tahu tetapi tidak mahu ikut).

4. Ada yang dengar, faham, percaya dan kemudian ikut. Inilah yang kita hendak dan inilah sifat mukmin sejati. Yang selain daripadanya tidak akan selamat. Mereka tidak dikira ‘mendengar’ pun.

Taatlah kepada Allah ‎ﷻ dalam setiap perkara. Dalam medan peperangan mesti taat jadi jangan lari dari medan perang dan di luar perang, jangan tunjukkan kurang ajar kepada Nabi ﷺ, maka hadapkan wajah kepada Nabi ﷺ apabila sedang bercakap dengan baginda. Bercakap dengan lembut serta hormat kepada baginda.

Jangan berpaling daripada ketaatan sedangkan kamu sudah dengar dari segi akidah yang taat kepada Allah ‎ﷻ dan Rasul adalah rukun dalam beragama. Allah ‎ﷻ tambah kalimat وَأَنتُم تَسمَعونَ di dalam ayat ini sedangkan kalau telah disebut kalimat تَوَلَّوا pun sudah cukup. Ini kerana di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ mengutuk orang yang mendengar, tetapi tidak taat. Ini lebih teruk daripada orang yang tidak pernah dengar.

Contohnya ada orang yang tidak mendengar arahan agama, maka mereka tidak taat. Ini kerana mereka tidak belajar dan ini pun sudah banyak. Akan tetapi kalau sudah ada yang mendengar arahan daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul, kemudian tidak taat, ini lebih teruk lagi.


 

Anfal Ayat 21:

وَلا تَكونوا كَالَّذينَ قالوا سَمِعنا وَهُم لا يَسمَعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not be like those who say, “We have heard,” while they do not hear.

(MALAY)

dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (munafik) yang berkata “Kami mendengar, padahal mereka tidak mendengarkan.

 

Jangan jadi seperti golongan yang berkata dengan lidah mereka yang mereka dengar, tetapi iktikad mereka tidak dengar. Masuk telinga kanan dan keluar dari telinga kiri. Mereka bukan hendak taat pun, tetapi buat-buat dengar sahaja. Mereka bukan tidak faham, tetapi tidak mahu taat dan tidak mahu bertindak seperti yang disuruh. Mereka inilah orang-orang munafik.

Jangan kita jadi seperti anak-anak sekarang, mereka dengar arahan emak dan ayah mereka tetapi mereka tidak mahu ikut dan taat. Mereka buat macam dengar, tetapi tidak sebenarnya. Maka, jangan jadi kita jadi seperti itu.


 

Anfal Ayat 22:

۞ إِنَّ شَرَّ الدَّوابِّ عِندَ اللَّهِ الصُّمُّ البُكمُ الَّذينَ لا يَعقِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, the worst of living creatures in the sight of Allāh are the deaf and dumb who do not use reason [i.e., the disbelievers].

(MALAY)

Sesungguhnya binatang (makhluk) yang seburuk-buruknya pada sisi Allah ialah; orang-orang yang pekak dan tuli yang tidak mengerti apa-apapun.

 

Seburuk-buruk makhluk di sisi Allah ‎ﷻ ialah mereka yang pekak dan bisu daripada kebenaran. Walaupun telah disampaikan kebenaran kepada mereka tetapi mereka tidak memahami kebenaran. Kemudian mereka telah tahu kebenaran tetapi bisu tidak menyampaikan kebenaran kepada manusia. Allah ‎ﷻ kata mereka seperti orang tidak berakal.

Allah ‎ﷻ kata itulah seburuk – buruk makhluk kerana mereka tidak menggunakan intelek mereka. Sebagai contoh, dalam Islam, kita hendaklah berpegang dengan dalil, bukannya mengikut sahaja kata yang orang sampaikan kepada kita.

Mereka adalah seburuk-buruk makhluk, kerana sesungguhnya semua makhluk selain manusia dan jin taat kepada Allah ‎ﷻ dan menuruti apa yang mereka diciptakan untuknya. Manusia tidak taat sedangkan mereka diciptakan oleh Allah ‎ﷻ untuk beribadah kepada-Nya, namun mereka ingkar kepada-Nya. Kerana itulah mereka diserupakan dengan binatang, seperti yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَمَثَلُ الَّذِينَ كَفَرُوا كَمَثَلِ الَّذِي يَنْعِقُ بِمَا لَا يَسْمَعُ إِلا دُعَاءً وَنِدَاءً }

Dan perumpamaan (orang yang menyeru) orang-orang kafir adalah seperti penggembala yang memanggil binatang yang tidak mendengar selain panggilan dan seruan saja. 

[ Al-Baqarah: 171 ], hingga akhir ayat.

Mereka diserupakan dengan binatang kerana kalimah الدَّوابِّ adalah jamak bagi kalimah دابة (mungkin anda pernah dengar tentang dabbatul ardh) yang digunakan bagi makhluk yang berjalan di mukabumi dengan kaki termasuk binatang. Memang tidak patut kalau manusia jadi begini kerana manusia telah dicipta dengan paling sempurna kalau dibandingkan dengan makhluk yang lain.

Manusia dicipta dalam keadaan yang mulia, lebih tinggi daripada binatang tetapi rendah daripada para malaikat. Akan tetapi kalau manusia taat kepada Allah ‎ﷻ, kedudukan mereka lebih tinggi daripada malaikat kerana malaikat tidak ada nafsu. Jika kita berjaya taat walaupun ada nafsu, maka kita lebih hebat. Sekiranya kita tidak taat kepada Allah ‎ﷻ, maka kita lebih teruk daripada binatang kerana binatang tidak ada akal, sedangkan Allah ‎ﷻ telah memberikan akal kepada kita.


 

Anfal Ayat 23: Masih lagi tentang pendengaran

وَلَو عَلِمَ اللَّهُ فيهِم خَيرًا لَّأَسمَعَهُم ۖ وَلَو أَسمَعَهُم لَتَوَلَّوا وَهُم مُّعرِضونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Had Allāh known any good in them, He would have made them hear. And if He had made them hear, they would [still] have turned away, while they were refusing.

(MALAY)

Kalau sekiranya Allah mengetahui kebaikan ada pada mereka, tentulah Allah menjadikan mereka dapat mendengar. Dan jikalau Allah menjadikan mereka dapat mendengar, nescaya mereka pasti berpaling juga, sedang mereka memalingkan diri (dari apa yang mereka dengar itu).

 

وَلَو عَلِمَ اللَّهُ فيهِم خَيرًا لَّأَسمَعَهُم

Kalau sekiranya Allah mengetahui kebaikan ada pada mereka, tentulah Allah menjadikan mereka dapat mendengar.

Kenapa Allah ‎ﷻ jadikan mereka tidak mahu mendengar? Kerana kalau ada kebaikan pada mereka, nescaya Allah ‎ﷻ akan beri kekuatan kepada mereka untuk mendengar kebenaran. Maknanya Allah ‎ﷻ sudah tahu yang tidak ada kebaikan pada mereka dari awal lagi. Maknanya, ini adalah mereka yang telah ditutup daripada mendapat hidayah.

Manusia haruslah mempunyai sifat inabah. Inabah adalah sifat cenderung kepada kebenaran iaitu hati yang terbuka untuk menerima kebenaran. Sekiranya ada sifat inabah dalam diri manusia, Allah ‎ﷻ akan memberi taufik kepadanya untuk menjadi orang yang taat.

Contoh orang yang ada inabah adalah apabila disampaikan ajaran tafsir Al-Qur’an kepada mereka, mereka terus terima. Kerana itulah yang mereka cari selama ini. Hati mereka telah terbuka kepada kebenaran, cuma belum berjumpa lagi kebenaran itu. Mereka menjumpainya apabila mereka belajar tafsir Al-Qur’an.

 

وَلَو أَسمَعَهُم لَتَوَلَّوا وَهُم مُّعرِضونَ

Dan jikalau Allah menjadikan mereka dapat mendengar, nescaya mereka pasti berpaling juga, sedang mereka membangkang

Oleh kerana mereka tidak ada kebaikan dalam diri mereka, maka sekiranya Allah ‎ﷻ bagi mereka boleh mendengar pun apa yang disampaikan kepada mereka (dengan paksaan), sedangkan mereka tidak ada sifat inabah, mereka tetap berpaling juga. Ini adalah kerana mereka tidak mahu menerima kebenaran. Hati mereka awal-awal lagi telah menolak kebenaran. Maka sia-sia sahaja Allah ‎ﷻ paksa mereka dengar.

Ini seperti yang Allah ‎ﷻ sebut di dalam [ Al Baqarah: 6 ]

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا سَواءٌ عَلَيهِم ءأَنذَرتَهُم أَم لَم تُنذِرهُم لا يُؤمِنونَ

Sesungguhnya orang-orang kafir, sama sahaja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman.

Ini kerana hati mereka telah dikenakan qatmul qalbi (penutupan hati) oleh Allah ‎ﷻ kerana mereka telah menolak dari awalnya. Ini seperti yang disebut dalam [ An’am: 110 ]

وَنُقَلِّبُ أَفـِٔدَتَہُم وَأَبصَـٰرَهُم كَمَا لَم يُؤمِنُواْ بِهِۦۤ أَوَّلَ مَرَّةٍ

Dan kami palingkan hati mereka dan pemandangan mereka sebagaimana mereka telah tidak (mahu) beriman kepada (ayat-ayat Kami ketika datang kepada mereka) pada awal mulanya

Maksudnya mereka apabila diajak ke arah kebenaran pada pertama kali, mereka terus menolak tanpa beri peluang langsung. Terus tolak tanpa dengar dulu, sombong sungguh mereka. Perumpamaannya seperti orang tawarkan projek kepada seseorang tetapi dia tolak dengan sombong. Apakah jadi selepas itu? Tentu orang yang tawarkan itu sudah malas hendak tawarkan, bukan?


 

Anfal Ayat 24: Orang Mukmin hendaklah menyahut segala cabaran walau apa keadaan yang menimpa.

يأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا استَجيبوا لِلَّهِ وَلِلرَّسولِ إِذا دَعاكُم لِما يُحييكُم ۖ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ يَحولُ بَينَ المَرءِ وَقَلبِهِ وَأَنَّهُ إِلَيهِ تُحشَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, respond to Allāh and to the Messenger when he calls you to that which gives you life. And know that Allāh intervenes between a man and his heart and that to Him you will be gathered.

(MALAY)

Hai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepada suatu yang memberi kehidupan kepada kamu, ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah membatasi antara manusia dan hatinya dan sesungguhnya kepada-Nya-lah kamu akan dikumpulkan.

 

يأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا

Hai orang-orang yang beriman,

Ini adalah nasihat kepada orang mukmin. Dalam konteks ayat ini, tentang peperangan dan bagaimanakah sikap kita di dalam berperang.

 

استَجيبوا لِلَّهِ وَلِلرَّسولِ إِذا دَعاكُم لِما يُحييكُم

penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepada suatu yang memberi kehidupan kepada kamu,

Hendaklah orang yang mengaku beriman menyahut suruhan Allah ‎ﷻ dan Rasul apabila baginda menyeru dan memanggil kamu. Lafaz دَعاكُم (dia menyeru kamu), merujuk kepada Nabi Muhammad ﷺ kerana kita tidak dapat mendengar seruan Allah ‎ﷻ, yang kita dapat dengar adalah seruan Nabi Muhammad ﷺ sahaja. Kenalah sahut seruan itu, dan taat kepada seruan itu.

Yang Nabi ﷺ ajak itu pun kepada sesuatu hukum yang boleh ‘menghidupkan’ kamu. Ia adalah untuk kebaikan umat Islam. Janganlah kamu sangka yang seruan itu adalah untuk mematikan kamu. Ia adalah untuk kebaikan manusia, bukannya ada kebaikan pada Allah ‎ﷻ pun. Hendaklah kita yakin yang keberkatan hidup kita adalah dalam menyahut seruan Allah ‎ﷻdan Rasul. Apa yang Allah ‎ﷻ dan Rasul ajak kita itu adalah untuk membersihkan hati kita. Kalau kita tidak taat, kita tidak akan selamat dunia dan akhirat.

Apakah maksud sesuatu yang ‘menghidupkan’ itu? Ulama’ tafsir ada beberapa pendapat. Suddiyy رحمه الله berpendapat ia adalah ‘iman’ kerana orang yang tidak ada iman dianggap sebagai mati. Qatadah رحمه الله berpendapat ia merujuk kepada Al-Qur’an kerana dengan Al-Qur’an itulah punca mendapat kehidupan mulia di dunia dan di akhirat. Mujahid رحمه الله berpendapat ia bermaksud kebenaran (al-haq). Ibn Ishaq رحمه الله berpendapat ia adalah jihad kerana dengannya memberi kemuliaan kepada manusia. Semua pendapat ini ada kebenarannya dan boleh digabungkan.

Satu lagi tentang mati syahid di jalan Allah ‎ﷻ kerana orang yang mati itu bukankah tidak mati? Ini sepertimana yang Allah ‎ﷻ sebut antaranya di dalam ayat [ Al- Baqarah: 154 ]

وَلا تَقولوا لِمَن يُقتَلُ في سَبيلِ اللَّهِ أَموٰتٌ ۚ بَل أَحياءٌ وَلٰكِن لّا تَشعُرونَ

Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.

Berat sekali arahan untuk menjawab panggilan Rasulullah ﷺ sampaikan salat pun hendaklah diberhentikan kalau baginda panggil.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ عَلَى أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا أُبَيُّ وَهُوَ يُصَلِّي فَالْتَفَتَ أُبَيٌّ وَلَمْ يُجِبْهُ وَصَلَّى أُبَيٌّ فَخَفَّفَ ثُمَّ انْصَرَفَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ السَّلَامُ عَلَيْكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَلَيْكَ السَّلَامُ مَا مَنَعَكَ يَا أُبَيُّ أَنْ تُجِيبَنِي إِذْ دَعَوْتُكَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي كُنْتُ فِي الصَّلَاةِ قَالَ أَفَلَمْ تَجِدْ فِيمَا أَوْحَى اللَّهُ إِلَيَّ أَنْ { اسْتَجِيبُوا لِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيكُمْ } قَالَ بَلَى وَلَا أَعُودُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ menemui Ubay bin Ka’abرضي الله عنه. Kemudian memanggilnya, “Wahai Ubay.” Namun, saat itu Ubay رضي الله عنه sedang salat. Beliau hanya menoleh tanpa menjawab panggilan Nabi ﷺ. Ubay رضي الله عنه melanjutkan salatnya dan menyegerakannya.

Setelah itu Ubay رضي الله عنه menemui Rasulullah ﷺ. Beliau menyapa “Assalamu’alaika ya Rasulullah”. Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda, “Wahai Ubay, apa yang menghalangimu untuk menjawab panggilanku saat aku menanggilmu tadi?” “Wahai Rasulullah, tadi aku sedang salat,” jawab Ubayرضي الله عنه .

Baginda ﷺ berkata, “Tidakkah engkau mendapati sesuatu yang diwahyukan kepadaku ‘Penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepada suatu yang memberi kehidupan kepada kamu’?” Lalu Ubayرضي الله عنه  menjawab, “Iya (aku telah mengetahuinya). Aku tidak akan mengulanginya lagi, insyaallah,” janji Ubay رضي الله عنه.

(HR. Tirmidzi no. 2875, hasan sahih Imam Tirmidzi)

Kita sekarang tidaklah ada mendengar seruan daripada Rasulullah ﷺ lagi kerana baginda sudah wafat. Akan tetapi bukankah ada hadith-hadith seruan daripada baginda yang juga jatuh dan kena kepada kita? Hendaklah kita taat dengan segala seruan dan arahan baginda.

Lihatlah kepada para sahabat yang terus sahaja ikut arahan daripada Rasulullah ﷺ. Contohnya apabila diharamkan arak, para sahabat ketika itu terus buang arak yang di rumah mereka. Ada yang bertempayan arak mereka tetapi mereka buang terus sampai basah bumi Madinah pada ketika itu.

Begitu juga ketika diwajibkan menutup aurat, para wanita terus sahaja menutup kepala mereka. Tidak sempat pergi ke pasar beli tudung Naelofar, Aidijuma atau Ariani, mereka terus capai apa sahaja kain yang mereka jumpa. Tetapi orang kita? Apabila sudah tua, rambut sudah beruban dan banyak sudah luruh, barulah hendak pakai tudung.

Cuba bandingkan dengan sahabat apabila mendapat arahan. Apabila dikeluarkan arahan tukar kiblat, mereka tukar kiblat terus walaupun ada antara mereka yang dapat arahan itu semasa sedang salat! Orang kita apabila tahu sesuatu arahan, mereka akan tanya: “Ini wajib ke sunat, ustaz?”. Apabila diberitahu sunat (sahaja) maka mulalah tanya: “Sunat muakkad ke sunat biasa, ustaz?”. Maknanya kalau boleh mereka mahu tahu hukumnya adalah harus supaya tidak payah buat.

 

وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ يَحولُ بَينَ المَرءِ وَقَلبِهِ

ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah membatasi antara manusia dan hatinya

Kalimah يَحولُ berasal daripada katadasar  ح و ل yang bermaksud ditukar, penghalang di antara sesuatu, menjadi bengkok, berubah, berpindah, keluar daripada perjanjian, duduk di atas binatang tunggangan, melalui, meminta orang lain melakukan sesuatu, beku, merenung dengan tajam, memukul dengan cemeti, strategi, mengelak.

Di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ hendak memberitahu yang sesungguhnya Allah ‎ﷻ mengetahui hubungan antara seseorang dengan hatinya. Allah ‎ﷻ membatasi di antara seseorang itu dengan hatinya, bermaksud Allah ‎ﷻ mengawal hati manusia.

Allah ‎ﷻ tahu siapa yang layak diberi keimanan dan siapa yang tidak layak. Allah ‎ﷻ maha mengetahui segala perkara, termasuk dalam hati manusia pun. Berkat taat dan dengar kepada arahan Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ akan membataskan syirik daripada masuk ke dalam hatinya. Sedangkan bagi orang kafir yang menentang, Allah ‎ﷻ boleh sekat tauhid daripada masuk ke dalam hatinya.

Allah ‎ﷻ uruskan di antara seseorang dengan hatinya. Oleh itu, kalau seseorang itu sudah beriman pun tetapi kalau dia tidak menyahut seruan Nabi ﷺ, maka Allah ‎ﷻ boleh putuskan pertalian antara seseorang itu dengan hatinya. Allah ‎ﷻ boleh putuskan iman orang itu sampaikan orang itu tidak mendapat manfaat daripada imannya.

Begitulah ramai dalam kalangan orang Islam yang beriman, tetapi tidak menjalankan tanggungjawab mereka. Ini adalah keadaan yang bahaya. Kita takut hati kita akan berubah daripada beriman menjadi tidak beriman.

Ayat ini mengajar kita yang Allah ‎ﷻ dekat dengan kita seperti yang disebut dalam [Al-Qaf: 16 ]

وَنَحنُ أَقرَبُ إِلَيهِ مِن حَبلِ الوَريدِ

dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya,

Oleh itu, Allah ‎ﷻ boleh sahaja mengubah hati kita seperti yang disebut dalam satu hadith:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ، عَنِ الْأَعْمَشِ، عَنْ أَبِي سُفْيَانَ، عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولُ: ” يَا مُقَلِّب الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ”. قَالَ: فَقُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، آمَنَّا بِكَ وَبِمَا جِئْتَ بِهِ، فَهَلْ تَخَافُ عَلَيْنَا؟ قَالَ نَعَمْ، إِنَّ الْقُلُوبَ بَيْنَ إِصْبَعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللَّهِ تَعَالَى يُقَلِّبُهَا”.

Imam Ahmad رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Mu’awiyah, daripada Al-A’masy, daripada Abu Sufyan, daripada Anas ibnu Malik رضي الله عنه. yang menceritakan bahawa Nabi ﷺ acapkali mengucapkan doa berikut: Wahai (Tuhan) yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku pada agama-Mu. Anas ibnu Malik رضي الله عنه melanjutkan kisahnya, “Lalu kami bertanya, ‘Wahai Rasulullah, kami telah beriman kepadamu dan kepada apa yang engkau sampaikan, maka apakah engkau merasa khuatir terhadap iman kami?’ Rasulullah ﷺ menjawab: ‘Ya, sesungguhnya hati manusia itu berada di antara dua jari kekuasaan Allah ‎ﷻ. Dia membolak-balikkannya’.”

(Riwayat al-Tirmidzi (2140)) Status: hasan

Pengajaran daripada ayat ini adalah apabila kita ada peluang untuk melakukan amalan kebaikan (atau meninggalkan dosa) maka teruslah buat, jangan ditangguh-tangguh kerana entah nanti ada perkara yang menghalangnya di masa hadapan seperti sakit yang mendatang. Jangan lepaskan peluang. Atau, Allah ‎ﷻ ubah atau menarik balik keinginan untuk melakukan kebaikan itu daripada hati kita.

 

وَأَنَّهُ إِلَيهِ تُحشَرونَ

dan sesungguhnya kepada-Nya-lah kamu akan dikumpulkan.

Janganlah jadi begitu, hendaklah menyahut apa yang diarahkan dan disampaikan oleh Nabi ﷺ. Kena ingat yang tempat kembalian kita semua adalah kepada Allah ‎ﷻ dan kita kena jawab apa yang kita disuruh buat (sama ada kita lakukan atau tidak).

Apabila ditaqdimkan (diawalkan) kalimah إِلَيهِ di dalam ayat ini, ia bermaksud eksklusif. iaitu hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja mereka akan dikembalikan. Bukan kepada sesiapa yang lain. Ia tidak sama sekiranya kalimat itu disusun تُحشَرونَ إِلَيهِ.  Kalau disusun begini, boleh lagi dikatakan dikembalikan kepada selain Allah ‎ﷻ seperti keluarga, kawan baik, tok guru dan sebagainya. Namun tidak begitu apabila ditaqdimkan kalimah إِلَيهِ seperti dalam ayat ini.

Ini menolak fahaman akidah sesat yang sangka mereka akan dikembalikan kepada orang yang kononnya akan menyelamatkan mereka dan beri syafaat kepada mereka. Contohnya orang Kristian sangka mereka akan dijumpakan dengan Nabi Isa عليه السلام yang akan menjadi peguam bagi mereka dan akan selamatkan mereka. Begitu juga dengan fahaman sesat orang tarekat yang sangka mereka dikembalikan kepada sheikh mereka yang akan selamatkan mereka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 13 Oktober 2022

Ringkasan Surah Anfal


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah Anfal Ayat 13 – 18 (Strategi peperangan)

Anfal Ayat 13: Kenapa kita boleh berperang dan bunuh golongan kafir?

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم شاقُّوا اللَّهَ وَرَسولَهُ ۚ وَمَن يُشاقِقِ اللَّهَ وَرَسولَهُ فَإِنَّ اللَّهَ شَديدُ العِقابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is because they opposed Allāh and His Messenger. And whoever opposes Allāh and His Messenger – indeed, Allāh is severe in penalty.

(MALAY)

(Ketentuan) yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka menentang Allah dan Rasul-Nya; dan barangsiapa menentang Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya Allah amat keras seksaan-Nya.

 

 ذٰلِكَ بِأَنَّهُم شاقُّوا اللَّهَ وَرَسولَهُ

yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka menentang Allah dan Rasul-Nya; 

Oleh kerana golongan musyrikin itu menentang Allah ‎ﷻ dan Rasul, mereka tidak layak duduk di atas dunia. Maka kerana itu bunuhlah mereka iaitu setelah diberikan dengan segala dakwah dan peringatan kepada  mereka. Rasulullah ﷺ telah berdakwah kepada mereka lebih dari 10 tahun. Segala peluang telah diberikan, tetapi masih lagi mahu menentang Allah ‎ﷻ dan Rasul-Nya. Maksudnya, hujah perlu ditegakkan dahulu, bukan terus bunuh sahaja.

Lafaz شاقُّوا berasal daripada katadasar ش ق ق yang bermaksud berpecah, belahan, petir, menyusahkan, mengenakan kesusahan, kesusahan, masalah, tekanan, melawan. Maka kalimah شاقُّوا menentang, melawan Allah ‎ﷻ dan Rasul-Nya. Golongan kafir itu menentang agama Islam dengan keras dan kerana itu mereka layak diperangi. Maka maksud ‘kafir’ di dalam Al-Qur’an adalah mereka yang menentang agama Islam.

Oleh itu, bukanlah semua non-Muslim itu boleh diperangi. Hanya yang menentang Islam sahaja. Mereka itu dianggap sebagai Kafir Harbi. Jangan semua orang bukan Islam kita hendak serang pula nanti. Ramai sahaja non-Muslim yang tidak menentang Islam.

 

وَمَن يُشاقِقِ اللَّهَ وَرَسولَهُ فَإِنَّ اللَّهَ شَديدُ العِقابِ

dan barangsiapa menentang Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya Allah amat keras seksaan-Nya.

Maksudnya sesiapa sahaja yang menentang, bukan Arab Mekah sahaja. Allah ‎ﷻ akan bersikap keras dengan mereka, tidak ada kelembutan lagi. Sekiranya mereka menentang, mereka akan mendapat balasan. Sama ada mereka akan mendapatnya di dunia dan di akhirat, atau di akhirat sahaja. Yang pasti, mereka akan mendapat azab itu.


 

Anfal Ayat 14: Apakah balasan bagi mereka?

ذٰلِكُم فَذوقوهُ وَأَنَّ لِلكٰفِرينَ عَذابَ النّارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

“That [is yours], so taste it.” And indeed for the disbelievers is the punishment of the Fire.

(MALAY)

Itulah (hukum dunia yang ditimpakan atasmu), maka rasakanlah hukuman itu. Sesungguhnya bagi orang-orang yang kafir itu ada (lagi) azab neraka.

 

ذٰلِكُم فَذوقوهُ

maka rasakanlah azab itu. 

Oleh kerana penentangan kamu itu, maka rasailah di dunia ini kekalahan dan kematian yang menghinakan. Ayat ini diberikan sebagai ancaman dan peringatan kepada orang kafir. Allah ‎ﷻ akan bantu orang Islam untuk mengalahkan orang kafir. Mereka tidak akan menang kalau Allah ‎ﷻ beri bantuan.

 

وَأَنَّ لِلكٰفِرينَ عَذابَ النّارِ

Sesungguhnya bagi orang-orang yang kafir itu ada (lagi) azab neraka.

Ancaman di atas tadi adalah takhwif duniawi (azab di dunia) iaitu kekalahan dalam perang. Sekarang adalah ancaman takhwif ukhrawi (azab akhirat) yang lebih berat. Mereka di akhirat nanti akan dapat api neraka pula. Ia adalah lebih teruk lagi daripada azab yang dikenakan kepada mereka di dunia kerana azab di akhirat lebih keras lagi, dan kekal abadi. Kalau mati di dunia, sekali sahaja; sedangkan di akhirat kelak tidak mati-mati maka mereka akan diseksa tanpa henti sampai bila-bila.

Ini menjadikan apa sahaja yang mereka kena di dunia itu seolah-olah tidak ada apa-apa pun kerana azab di akhirat lebih keras lagi. Azab di dunia itu adalah sebagai ‘bayangan’ sahaja kepada azab yang akan dikenakan di akhirat kelak.


 

Anfal Ayat 15: Sekarang kita masuk ke perenggan Makro ke 3 daripada pecahan makro Surah Anfal. Sekarang akan diberikan arahan untuk taat kepada Allah ‎ﷻ dan Rasul dan perenggan ini berterusan sehingga ke ayat 28. Di sini Allah ‎ﷻ ajar cara-cara berjihad.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِذا لَقيتُمُ الَّذينَ كَفَروا زَحفًا فَلا تُوَلّوهُمُ الأَدبارَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, when you meet those who disbelieve advancing [in battle], do not turn to them your backs [in flight].

(MALAY)

Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu bertemu dengan orang-orang yang kafir yang sedang menyerangmu, maka janganlah kamu membelakangi mereka (mundur).

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِذا لَقيتُمُ الَّذينَ كَفَروا زَحفًا

Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu bertemu dengan orang-orang yang kafir yang sedang menyerangmu,

Ini adalah peringatan hukum peperangan. Lafaz زَحفًا bermaksud dalam keadaan mendatang dan rapat di medan perang. Ia bermaksud sesuatu yang dekat dengan kita.

Begitulah di medan perang. Musuh-musuh akan bergerak ke arah satu sama lain, mula-mula perlahan, kemudian sudah dekat sangat. Apabila sudah dekat, tidak ada tempat untuk pergi lari lagi. Pada waktu itu, terpaksa menghadapi musuh itu. Allah ‎ﷻ menggambarkan pertembungan antara dua pasukan perang dalam potongan ayat ini.

 

فَلا تُوَلّوهُمُ الأَدبارَ

maka janganlah kamu membelakangi mereka (mundur).

Allah ‎ﷻ beritahu kepada kita, waktu sudah dekat berhadapan itu, janganlah berpaling ke belakang. Ketika itu kenalah istiqamah dalam perang itu, kena teruskan berperang. Ini adalah larangan lari dari medan pertempuran. Lari dari medan pertempuran adalah salah satu daripada dosa besar.

Ini adalah kerana ia membawa kesan yang amat buruk kepada pasukan tentera. Sekiranya seorang sahaja yang lari, maka ada orang lain yang akan ikut dan ini tidak bagus sama sekali. Kekuatan tentera akan berkurangan.

Di dalam kitab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim disebutkan sebuah hadith melalui Abu Hurairah رضي الله عنه. yang telah menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ telah bersabda:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ”. قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: “الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ، والتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وقَذْفِ الْمُحْصَنَاتِ الْغَافِلَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ”

“Jauhilah tujuh dosa besar yang membinasakan.” Ada yang bertanya, “Wahai Rasulullah apakah tujuh dosa besar itu?” Rasulullah ﷺ bersabda.”Mempersekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah (membunuhnya) kecuali dengan alasan yang benar, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang saat diserang, dan menuduh berzina wanita-wanita mukmin yang terpelihara kehormatannya yang sedang dalam keadaan lalai.”

(HR Bukhari no. 3456; Muslim, no. 2669)

Maka di dalam ayat ini, hukum umum diberikan: tidak kira berapa ramai musuh, mesti hadapi mereka. Akan tetapi nanti di dalam ayat 65 surah ini, diberikan had iaitu nisbah 1:10. Kalau seorang tentera Muslim, kena hadapi maksima 10 orang musuh. Kalau lebih, maka boleh berundur.

إِن يَكُن مِنكُم عِشرونَ صابِرونَ يَغلِبوا مِائَتَينِ ۚ وَإِن يَكُن مِنكُم مِائَةٌ يَغلِبوا أَلفًا مِنَ الَّذينَ كَفَروا بِأَنَّهُم قَومٌ لا يَفقَهونَ

Jika ada dua puluh orang yang sabar di antaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang yang sabar diantaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan seribu daripada orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti.

Kemudian keringanan diberikan lagi dalam ayat 66 iaitu nisbah 1:2.

الآنَ خَفَّفَ اللَّهُ عَنكُم وَعَلِمَ أَنَّ فيكُم ضَعفًا ۚ فَإِن يَكُن مِنكُم مِائَةٌ صابِرَةٌ يَغلِبوا مِائَتَينِ ۚ وَإِن يَكُن مِنكُم أَلفٌ يَغلِبوا أَلفَينِ بِإِذنِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ مَعَ الصّابِرينَ

Sekarang Allah telah meringankan kepadamu dan Dia mengetahui bahawa padamu ada kelemahan. Maka jika ada di antaramu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang kafir; dan jika di antaramu ada seribu orang (yang sabar), nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ribu orang, dengan izin Allah. Dan Allah berserta orang-orang yang sabar.


 

Anfal Ayat 16: Hukuman kepada mereka yang lari dari medan pertempuran.

وَمَن يُوَلِّهِم يَومَئِذٍ دُبُرَهُ إِلّا مُتَحَرِّفًا لِّقِتالٍ أَو مُتَحَيِّزًا إِلىٰ فِئَةٍ فَقَد باءَ بِغَضَبٍ مِّنَ اللَّهِ وَمَأوىٰهُ جَهَنَّمُ ۖ وَبِئسَ المَصيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever turns his back to them on such a day, unless swerving [as a strategy] for war or joining [another] company, has certainly returned with anger [upon him] from Allāh, and his refuge is Hell – and wretched is the destination.

(MALAY)

Barangsiapa yang membelakangi mereka (mundur) di waktu itu, kecuali berbelok untuk (siasat) perang atau hendak menggabungkan diri dengan pasukan yang lain, maka sesungguhnya orang itu kembali dengan membawa kemurkaan dari Allah, dan tempatnya ialah neraka Jahannam. Dan amat buruklah tempat kembalinya.

 

وَمَن يُوَلِّهِم يَومَئِذٍ دُبُرَهُ

Barangsiapa yang membelakangi mereka (mundur) di waktu itu, 

Allah ‎ﷻ memberitahu apakah akibat dan hukum kepada pasukan tentera atau individu yang kalau berpaling juga. Mereka akan mendapat azab yang berat nanti.

Namun bukanlah semua unduran dalam perang itu salah. Ada dua keadaan di mana ia dibenarkan.

 

إِلّا مُتَحَرِّفًا لِّقِتالٍ

kecuali berbelok untuk (siasat) perang

Ada dua sebab yang dibolehkan untuk undur ke belakang. Itu pun undur sekejap sahaja. Pertama, kecuali kerana mengubah langkah untuk menyerang balik. Itulah undur untuk serang semula, bukan untuk lari terus. Itulah maksud مُتَحَرِّفًا (strategi).

Allah ‎ﷻ kena ajar mereka dan beritahu mereka, kerana umat Islam amat taat: kalau Allah‎ﷻ  kata tidak boleh undur, nanti mereka langsung tidak berani untuk undur langsung, walau apa pun keadaannya. Begitulah para sahabat, mereka amat teliti dan mereka tidak akan mengelak. Sampai Allah ‎ﷻ kena beritahu, boleh untuk undur seketika untuk menyusun strategi peperangan.

Mungkin kerana kalau diteruskan menyerang atau bertahan dalam keadaan tertentu, panglima perang mungkin nampak yang mereka akan terus kalah dan itu tidak bagus. Oleh itu, dibolehkan untuk undur seketika untuk menyusun strategi. Seorang panglima perang akan tahu bilakah masa yang sesuai untuk berundur waktu itu.

Contoh: lari daripada teman-temannya sebagai siasat perang, untuk memperlihatkan kepada musuh bahawa dia takut kepada musuh, hingga musuh mengejarnya. Kemudian secara mendadak dia berbalik menyerang dan membunuh musuhnya, maka cara seperti ini tidak dilarang. Demi­kianlah menurut apa yang telah disebut oleh Sa’id ibnu Jubair dan As-Saddi.

 

أَو مُتَحَيِّزًا إِلىٰ فِئَةٍ

atau hendak menggabungkan diri dengan pasukan yang lain,

Dibenarkan juga berundur dengan tujuan untuk bergabung dengan kumpulan lain. Lafaz مُتَحَيِّزًا bermaksud untuk ‘menyertai’. Maka, boleh berpisah dari medan peperangan itu dan kembali masuk balik ke medan perang dan bergabung dengan kumpulan yang lain. Ini juga adalah salah satu daripada strategi peperangan. Kadangkala pasukan tentera kena sertai kumpulan perang lain untuk menyerang tempat lain.

Sebagai contoh, lari dari suatu kelompok ke kelompok yang lain di dalam pasukan kaum Muslim untuk membantu mereka atau untuk meminta bantuan mereka; hal ini diperbolehkan. Hingga seandainya ia berada di dalam suatu sariyyah (pasukan khusus), lalu seseorang lari ke arah ketuanya atau kepada imam besarnya, maka hal ini termasuk ke dalam pengertian kemurahan yang disebutkan dalam ayat ini.

Oleh sebab itu, ada dua kemungkinan yang dibolehkan untuk berundur dalam perang dan kedua-duanya adalah atas strategi peperangan. Ini adalah dua taktik perang yang selalu digunakan. Begitulah indahnya Islam, strategi peperangan pun ada disebut dalam Al-Qur’an.

Hal yang sama telah dikatakan oleh Umar ibnul Khattab رضي الله عنه sehubungan dengan gugurnya Abu Ubaidah di atas sebuah jambatan di negeri Persia ketika berperang melawan musuh. Beliau gugur kerana banyaknya pasukan pihak Majusi yang menyerangnya. Lalu Umar رضي الله عنه berkata, “Sekiranya dia bergabung kepadaku (yakni mundur untuk mencari bantuan), nescaya aku akan menjadi pasukan pembantunya.”

(AR. Ibnu Jarir dalam Tafsirnya 13/15812)

 

فَقَد باءَ بِغَضَبٍ مِّنَ اللَّهِ

maka sesungguhnya orang itu kembali dengan membawa kemurkaan daripada Allah,

Sekarang kembali untuk menyatakan hukum dan ancaman kalau berundur dari medan peperangan, bukan kerana strategi peperangan seperti yang telah disebut di atas. Sekiranya lari bukan kerana sebab dua perkara itu, maka mereka yang melakukan telah mati dengan bawa kemurkaan daripada Allah ‎ﷻ.

Murka Allah ‎ﷻ bukan seperti murka manusia. Ia adalah lebih teruk lagi. Kalau dimurkai ayah, ibu, pemimpin, orang besar yang kita hormati pun kita sudah takut, apatah lagi kalau Allah ‎ﷻ yang murka kepada kita! Memang tidak ada harapan untuk selamat kalau Allah‎ ﷻ sudah murka.

 

وَمَأوىٰهُ جَهَنَّمُ ۖ وَبِئسَ المَصيرُ

dan tempatnya ialah neraka Jahannam. Dan amat buruklah tempat kembalinya.

Allah ‎ﷻ beritahu yang balasan mereka yang undur dari medan perang itu adalah mereka akan duduk dalam neraka jahanam. Itu adalah tempat yang paling buruk. Bayangkan, lari dari medan perang kerana takut mati, tetapi tidak selamat di akhirat. Memang tidak berbaloi kalau lari.

Ini adalah kerana kalau berundur di dalam peperangan, ia akan melemahkan tentera Muslim. Musuh akan lebih bersemangat menyerang dan senang untuk mereka mengalahkan. Orang lain pun akan dengar dan tahu yang umat Islam pengecut dan mereka tidak takut untuk serang kita. Maka dakwah Islam tidak dapat dijalankan dan kita akan diganggu gugat sampai bila-bila.

Sesungguhnya ayat ini diturunkan berkenaan dengan orang-orang Muslim yang terlibat dalam Perang Badr. Akan tetapi hal ini bukan bererti menafikan pengertian haram bagi selain mereka yang lari dari medan perangnya, sekalipun penyebab turunnya ayat ini berkenaan dengan mereka (ahli Badr).

Seperti apa yang ditunjukkan oleh makna hadith yang menyatakan bahawa lari dari medan perang merupakan salah satu dosa besar yang membinasakan. Demikianlah menurut pendapat jumhur ulama’.


 

Anfal Ayat 17: Ini adalah sebab keenam kenapa pembahagian harta rampasan ditentukan oleh Allah ‎ﷻ. Seperti yang telah disebut, ada tujuh sebab semuanya. Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan, jangan bangga sangat menang itu kerana ia adalah kerana pertolongan daripada Allah ‎ﷻ.

فَلَم تَقتُلوهُم وَلٰكِنَّ اللَّهَ قَتَلَهُم ۚ وَما رَمَيتَ إِذ رَمَيتَ وَلٰكِنَّ اللَّهَ رَمىٰ ۚ وَلِيُبلِيَ المُؤمِنينَ مِنهُ بَلاءً حَسَنًا ۚ إِنَّ اللَّهَ سَميعٌ عَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you did not kill them, but it was Allāh who killed them.¹ And you threw not, [O Muḥammad], when you threw, but it was Allāh who threw² that He might test the believers with a good test.³ Indeed, Allāh is Hearing and Knowing.

  • i.e., Your strength was insufficient to overcome them, but Allāh supported you and gave you victory.
  • When the Prophet () threw a handful of dust into the faces of the disbelievers, Allāh caused it to fill the eyes and nose of every soldier, preventing their advance.
  • So that they would appreciate Allāh’s favor to them.

(MALAY)

Maka (yang sebenarnya) bukan kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allahlah yang membunuh mereka, dan bukan kamu yang melempar ketika kamu melempar, tetapi Allah-lah yang melempar dan Allah hendak memberi ujian dengannya, ujian yang baik kepada orang-orang mukmin. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

 

فَلَم تَقتُلوهُم وَلٰكِنَّ اللَّهَ قَتَلَهُم

Maka (yang sebenarnya) bukan kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allahlah yang membunuh mereka,

Allah ‎ﷻ beritahu yang bukan pasukan mukmin yang membunuh puak kafir itu, tetapi Allah ‎ﷻ yang sebenarnya bunuh mereka. Sememangnya jilka dilihat dari sudut zahir, pasukan Islam yang membunuh dan dibantu oleh tentera dalam kalangan malaikat. Namun Allah ‎ﷻ kata Dia yang sebenarnya membunuh mereka semua kerana semua itu adalah daripada Qudrat Allah ‎ﷻ. Kemenangan bukanlah kerana ramainya pasukan tentera, seperti pengertian yang disebutkan di dalam ayat lainnya:

{كَمْ مِنْ فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ وَاللَّهُ مَعَ الصَّابِرِينَ}

Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah, dan Allah berserta orang-orang yang sabar.

[ Al-Baqarah: 249 ]

Kisahnya, apabila selesai peperangan, ada dalam kalangan tentera Muslim yang bergebang di atas kejayaan mereka. Maka Allah ‎ﷻ mengingatkan yang bukan mereka yang bunuh, tetapi sebenarnya Allah ‎ﷻ yang bunuh.

 

وَما رَمَيتَ إِذ رَمَيتَ وَلٰكِنَّ اللَّهَ رَمىٰ

dan bukan kamu yang melempar ketika kamu melempar, tetapi Allah-lah yang melempar.

Ini adalah kejadian sebelum peperangan berlangsung, iaitu semasa kedua-dua pasukan tentera sedang berhadapan di medan perang, tetapi belum lagi mula berperang. Baginda diarahkan oleh Jibril عليه السلام untuk mengambil pasir dengan tangan baginda dan tabur ke arah orang kafir. Jarak antara baginda dan mereka adalah sejauh panahan anak panah. Maka ia memang agak jauh. Kalau hendak tabur tanah, tidak akan sampai dengan jarak sebegitu.

Kebiasaan dalam peperangan bangsa Arab, dua puak yang berhadapan, mereka akan mendekati satu sama lain sambil mereka akan memanah ke arah lawan. Kalau panah tidak sampai lagi, maka itu tanda mereka jauh lagi, maka kedua-dua pasukan akan merapatkan sesama sendiri. Apabila panah sudah sampai ke pasukan lawan, itu tandanya yang mereka sudah rapat, barulah mereka berhenti sebentar, menunggu berhadap-hadapan.

Kemudian setiap pasukan akan menghantar wakil dua orang tentera dalam kalangan mereka untuk berlawan di tengah medan. Apabila wakil yang dihantar itu sudah selesai berlawan dan berbunuhan sesama sendiri, barulah yang lain masuk berperang.

Oleh itu, kedudukan mereka pada waktu itu tidaklah dekat kerana jarak satu panahan. Maka, jika mengambil kira adat dunia, dengan jarak jarak sebegitu jauh, kalau lempar pasir pasti tidak akan sampai. Pada waktu itu, Nabi ﷺ mengambil segenggam pasir, dan tabur kepada mereka. Sepatutnya tidak sampailah kalau ikut logik, namun begitu pasir yang Nabi ﷺ tabur itu, Allah ‎ﷻ bawa sampai kena kepada semua orang kafir dan kena mata mereka. Selepas terkena pasir itu, ada yang rebah, ada yang tidak nampak mata mereka, mereka tertunduk dan sebagainya kerana pasir sudah masuk ke dalam mata mereka. Mereka dalam keadaan kacau bilah waktu itu, dan tentera Muslim dan Malaikat terus menyerang mereka.

Allah ‎ﷻ beritahu tidaklah Nabi ﷺ melempar pasir itu sehingga masuk mata mereka tetapi Allah ‎ﷻlah yang menyebabkan pasir yang baginda lempar itu masuk ke dalam mata mereka kerana jika Nabi ﷺ sahaja yang lempar, tentu tidak akan sampai.

 

وَلِيُبلِيَ المُؤمِنينَ مِنهُ بَلاءً حَسَنًا

dan Allah hendak memberi ujian dengannya, ujian yang baik kepada orang-orang mukmin.

Lafaz يُبلِيَ bermaksud menguji seseorang untuk mengeluarkan yang terbaik daripada orang itu. Untuk menjadikan mereka lebih baik lagi apabila melepasi ujian itu. Lafaz بَلاءً حَسَنًا memberi isyarat yang ianya bukanlah ujian yang susah. Allah ‎ﷻ menjadikan ujian itu senang sahaja. Dengan ujian itu Allah ‎ﷻ hendak berikan nikmat kepada mereka seperti kemenangan dan harga rampasan perang.

Ada terdapat banyak hikmah di dalam peperangan jihad itu. Dengannya Allah ‎ﷻ dapat memberi orang mukmin itu kelebihan pahala yang sangat banyak. Pahala yang diberi itu tidak ada diberi pada masa lain. Sementara itu, para pejuang akan mendapat nikmat yang banyak, mereka dapat mengalahkan musuh dan masyarakat Arab lain pun sudah nampak kebenaran orang Muslim.

Mereka tidak akan dapat berkata yang puak Islam itu salah lagi kalau mereka menang dalam peperangan itu. Ia memberi kesan positif lain, antaranya bagi golongan yang selama ini menentang Islam, atau memandang rendah kepada Islam, mereka sudah tidak berani untuk melawan orang Islam sekarang. Mereka sudah mendapat anjakan paradigma. Mereka sudah memandang tinggi kepada umat Islam. Oleh itu, ada kelebihan dunia dan akhirat jika menjalankan peperangan.

Walaupun kalimah بَلاءً selalunya difahami sebagai bala, akan tetapi ia juga boleh diterjemahkan sebagai ‘nikmat’ sama seperti yang digunakan dalam [ Al-Baqarah: 49 ].

Ada satu lagi sisi lain bagi tafsir ini. Kenapakah kalimat بَلاءً حَسَنًا digunakan dalam ayat ini? Kalimah بَلاءً ia bermaksud ujian. Ujian selalunya susah dan kepayahan yang Allah ‎ﷻ kenakan kepada kita untuk lihat kita bersabar atau tidak. Apabila lepas ujian, Allah ‎ﷻ akan menaikkan darjat orang itu. Ini ujian yang biasa kita faham.

Akan tetapi ujian bukan selalunya dalam bentuk tekanan dan kesusahan. Ada ujian dalam bentuk kesenangan dan kebiasaannya ujian jenis ini lagi ramai yang gagal. Adakala Allah ‎ﷻ berikan kesenangan dan kejayaan untuk melihat apakah yang menerima nikmat itu ingat kepada Allah ‎ﷻ yang memberinya nikmat itu atau tidak? Maka begitulah ujian yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada para pejuang di Badr iaitu dengan kemenangan untuk menguji mereka.

 

إِنَّ اللَّهَ سَميعٌ عَليمٌ

Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Allah ‎ﷻ maha mendengar isi hati kita dan Allah ‎ﷻ maha mengetahui apa usaha yang kita lakukan untuk menegakkan agama-Nya.


 

Anfal Ayat 18: Ini adalah satu lagi nikmat apabila rancangan musuh gagal.

ذٰلِكُم وَأَنَّ اللَّهَ موهِنُ كَيدِ الكٰفِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That [is so], and [also] that Allāh will weaken the plot of the disbelievers.

(MALAY)

Itulah (kurnia Allah yang dilimpahkan kepadamu), dan sesungguhnya Allah melemahkan tipu daya orang-orang yang kafir.

 

ذٰلِكُم

Itulah

Ada jumlah muqaddar dalam lafaz ذٰلِكُم ini. Allah ‎ﷻ hendak beritahu, itulah sebahagian daripada hikmah perang. Ambillah pengajaran itu semua.

 

وَأَنَّ اللَّهَ موهِنُ كَيدِ الكٰفِرينَ

dan sesungguhnya Allah melemahkan tipu daya orang-orang yang kafir.

Ini adalah tambahan daripada segala kelebihan yang telah disebut. Allah ‎ﷻ hendak menghina dan melemahkan rancangan jahat orang kafir. Memang mereka hendak menjatuhkan Islam tetapi tidak berhasil.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 13 Sep 2022

Ringkasan Surah Anfal


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Anfal Ayat 9 – 12 (Allah ‎ﷻ beri rasa mengantuk)

Anfal Ayat 9: Ini adalah sebab yang ketiga kenapa Allah ‎ﷻ yang sepatutnya menentukan pembahagian harta rampasan perang itu. Senario di sini adalah apabila sudah berhadapan dengan musuh.

إِذ تَستَغيثونَ رَبَّكُم فَاستَجابَ لَكُم أَنّي مُمِدُّكُم بِأَلفٍ مِّنَ المَلىٰئِكَةِ مُردِفينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Remember] when you asked help of your Lord, and He answered you, “Indeed, I will reinforce you with a thousand from the angels, following one another.”

(MALAY)

(Ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu: “Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepada kamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut”.

 

إِذ تَستَغيثونَ رَبَّكُم

Ingatlah ketika kamu memohon pertolongan bersungguh-sungguh kepada Tuhanmu, 

Allah ‎ﷻ mengingatkan umat Islam, ketika mereka hampir berperang dengan tentera Musyrikin Mekah itu, mereka telah berdoa kepada Allah‎ ﷻ untuk memberikan kemenangan kepada pihak Islam. Sememangnya jika dilihat kepada hadith tentang kejadian ini, Rasulullah ﷺ sahaja yang berdoa. Akan tetapi para sahabat juga mengaminkan doa itu, maka kalimah yang digunakan adalah dalam bentuk jamak.

Maknanya, kemenangan mereka itu pun sebenarnya kerana mereka meminta pertolongan kepada Allah ‎ﷻ. Kalau dengan qudrat mereka sahaja, tentu mereka tidak mampu untuk berbuat apa-apa sahaja.

Lafaz تَستَغيثونَ datang daripada lafaz yang bermaksud meminta air hujan yang sesuai iaitu air hujan yang turun tepat pada masanya, dengan kadar hujan yang secukupnya kerana kalau hujan banyak sangat turun, boleh menyebabkan rosak pula tanaman dan musim tengkujuh pula, bukan? Daripada katadasar yang sama, kita dapat kalimah seperti istighasah.

Oleh itu, istighasah itu bermaksud meminta doa kepada Allah ‎ﷻ untuk memberi bantuan dengan kadar dan pada masa yang sesuai. Istighasah adalah pengharapan yang tinggi kepada kuasa yang lebih tinggi daripada kita. Perlulah diingatkan, di dalam Islam, pengharapan itu hanyalah kepada Allah ‎ﷻ sahaja.

Oleh itu, tidak boleh istighasah kepada Nabi, wali dan malaikat. Tidak boleh istighasah kepada ahli kubur seperti yang diajar oleh puak Habib yang telah datang ke Malaysia dan membawa ajaran syirik kepada masyarakat kita.

 

فَاستَجابَ لَكُم

lalu diperkenankan-Nya bagimu: 

Allah ‎ﷻ telah menyahut doa mereka itu. Harf ف yang digunakan menunjukkan terus sahaja Allah ‎ﷻ makbulkan permintaan mereka.

Lafaz استَجابَ bukan sahaja bermaksud menjawab tetapi menjawab dengan memberi apa yang diminta kerana kalau setakat jawab sahaja, ada kemungkinan, jawapan itu adalah ‘tidak’.

قَالَ الْبُخَارِيُّ: “بَابُ شُهُودِ الْمَلَائِكَةِ بَدْرًا “: حَدَّثَنَا إِسْحَاقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ، حَدَّثَنَا جَرِيرٌ، عَنْ يَحْيَى بْنِ سَعِيدٍ، عَنْ مُعَاذِ بْنِ رِفاعة بْنِ رَافِعٍ الزُّرَقي، عَنْ أَبِيهِ -وَكَانَ أَبُوهُ مِنْ أَهْلِ بَدْرٍ -قَالَ: جَاءَ جبريلإِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: مَا تَعُدُّونَ أَهْلَ بَدْرٍ فِيكُمْ؟ قَالَ: ” مِنْ أَفْضَلِ الْمُسْلِمِينَ” -أَوْ كَلِمَةً نَحْوَهَا -قَالَ: “وَكَذَلِكَ مَنْ شَهِدَ بَدْرًا مِنَ الْمَلَائِكَةِ.

Imam Bukhari رحمه الله dalam Bab “Kesaksian para Malaikat dalam Perang Badar” mengatakan bahawa telah menceritakan kepada kami Ishaq ibnu Ibrahim, telah menceritakan kepada kami Jarir, daripada Yahya ibnu Sa’id, daripada Mu’az ibnu Rifa’ah ibnu Rafi* Az-Zuraqi Ar-Rizqi, daripada ayahnya, sedangkan ayahnya adalah salah seorang yang ikut dalam Perang Badar. Ayahnya menceritakan bahawa Malaikat Jibril عليه السلام datang kepada Nabi ﷺ, lalu bertanya, “Apakah yang telah engkau persiapkan untuk menghadapi Perang Badar?” Nabi ﷺ menjawab, “Pasukan yang terdiri atas kaum Muslim yang paling pilihan,” atau kalimat yang serupa. Jibril عليه السلام berkata, “Demikian pula malaikat yang ikut dalam Perang Badar.”

(HR. Bukhari no. 3992)

 

أَنّي مُمِدُّكُم بِأَلفٍ مِّنَ المَلىٰئِكَةِ مُردِفينَ

“Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepada kamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut”.

Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia membantu dengan memberi seribu malaikat yang turun berturut-turut mengikut bilangan orang kafir. Sebenarnya tidak perlu dihantar ramai tentera malaikat pun. Ketika Jibril عليه السلام mengangkat penempatan kaum Luth dulu, beliau hanya menggunakan satu sayapnya sahaja. Namun Allah ‎ﷻ beritahu bilangan kerana manusia suka kepada bilangan yang banyak.

Lafaz مُردِفينَ bermaksud sesuatu yang berturut-turut seperti jatuhan domino kalau kita tolak satu sahaja domino itu. Ia memberi isyarat kepada pasukan tentera yang berlapis-lapis. Malaikat itu datang berturutan satu selepas yang lain.  Bahawa di belakang setiap malaikat ada malaikat lagi, ertinya sebahagian daripada mereka datang sesudah sebahagian yang lainnya.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا أَبُو نُوحٍ قُرَاد، حَدَّثَنَا عِكْرِمَةُ بْنُ عَمَّار، حَدَّثَنَا سِمَاكٌ الحَنَفي أَبُو زُميل، حَدَّثَنِي ابْنُ عَبَّاسٍ حَدَّثَنِي عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: لَمَّا كَانَ يَوْمُ بَدْرٍ نَظَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى أَصْحَابِهِ، وَهُمْ ثَلَاثُمِائَةٍ ونَيّف، وَنَظَرَ إِلَى الْمُشْرِكِينَ فَإِذَا هُمْ أَلْفٌ وَزِيَادَةٌ، فَاسْتَقْبَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقِبْلَةَ، ثُمَّ مَدَّ يَدَيْهِ، وَعَلَيْهِ رِدَاؤُهُ وَإِزَارُهُ، ثُمَّ قَالَ: ” اللَّهُمَّ أَيْنَ مَا وَعَدْتَنِي، اللَّهُمَّ أَنْجِزْ لِي مَا وَعَدْتَنِي، اللَّهُمَّ إِنْ تُهْلِكْ هَذِهِ الْعِصَابَةَ مِنْ أَهْلِ الْإِسْلَامِ فَلَا تُعْبَدْ فِي الْأَرْضِ أَبَدًا”، قَالَ: فَمَا زَالَ يَسْتَغِيثُ رَبَّهُ [عَزَّ وَجَلَّ] وَيَدْعُوهُ حَتَّى سَقَطَ رِدَاؤُهُ، فَأَتَاهُ أَبُو بَكْرٍ فَأَخَذَ رِدَاءَهُ فَرَدَّاهُ، ثُمَّ الْتَزَمَهُ مِنْ وَرَائِهِ، ثُمَّ قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، كَفَاكَ مُنَاشَدَتُكَ رَبَّكَ، فَإِنَّهُ سَيُنْجِزُ لَكَ مَا وَعَدَكَ، فَأَنْزَلَ اللَّهُ، عَزَّ وَجَلَّ: {إِذْ تَسْتَغِيثُونَ رَبَّكُمْ فَاسْتَجَابَ لَكُمْ أَنِّي مُمِدُّكُمْ بِأَلْفٍ مِنَ الْمَلائِكَةِ مُرْدِفِينَ} فَلَمَّا كَانَ يَوْمَئِذٍ وَالْتَقَوْا، فَهَزَمَ اللَّهُ الْمُشْرِكِينَ، فقُتِل مِنْهُمْ سَبْعُونَ رَجُلًا وَأُسِرَ مِنْهُمْ سَبْعُونَ رَجُلًا

Imam Ahmad رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Nuh Qirad, telah menceritakan kepada kami Ikrimah ibnu Ammar, telah menceritakan kepada kami Sammak Al-Hanafi Abu Zamit, telah menceritakan kepadaku Ibnu Abbas, telah menceritakan kepadaku Umar ibnul Khattab رضي الله عنه yang mengatakan bahawa ketika Perang Badar Nabi ﷺ memandang kepada semua sahabatnya yang saat itu berjumlah tiga ratus orang lebih. Nabi ﷺ juga memandang kepada pasukan kaum musyrik, ternyata jumlah mereka seribu orang lebih. Kemudian Nabi ﷺ menghadapkan dirinya ke arah kiblat —saat itu baginda memakai kain selendang dan kain sarungnya— lalu berdoa: Ya Allah tunaikanlah kepadaku apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah, jika golongan kaum Muslim ini binasa, maka Engkau tidak akan disembah di muka bumi ini selama-lamanya. Nabi ﷺ terus-menerus memohon pertolongan kepada Tuhannya dan berdoa kepada-Nya sehingga kain selendangnya terlepas daripada pundaknya. Lalu Abu Bakar رضي الله عنه datang menghampirinya dan memungut kain selendangnya, kemudian disandangkan di tempatnya, dan Abu Bakar رضي الله عنه tetap berdiri di belakangnya. Kemudian Abu Bakar رضي الله عنه berkata, “Wahai Nabi Allah, cukuplah permohonanmu kepada Tuhanmu, kerana sesungguhnya Dia pasti akan menunaikan apa yang telah dijanjikan­-Nya kepadamu.” Maka Allah ‎ﷻ menurunkan firman-Nya: (Ingatlah) ketika kalian memohon pertolongan kepada Tuhan kalian, lalu diperkenankan-Nya bagi kalian, “Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepada kalian dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut.” (Al-Anfal: 9) Maka setelah terjadi pertempuran di antara kedua pasukan, dan Allah ‎ﷻ mengalahkan pasukan kaum musyrik—sehingga tujuh puluh orang daripada mereka gugur, sedangkan tujuh puluh orang lainnya tertawan.

(HR. Muslim no. 1763, Ahmad no. 208

Di dalam ayat ini disebut seribu malaikat. Akan tetapi di dalam ayat 124 dan 125 Surah Ali Imran disebut tiga ribu dan lima ribu pula. Kenapakah ada tiga bilangan yang berlainan?

Janji asal semasa permulaan perang adalah seribu malaikat namun apabila tentera Muslim mendapat berita yang ada bantuan tambahan akan datang menyertai tentera Musyrikin Mekah yang diketuai oleh Kurz ibn Jabir al-Fihri, para sahabat telah goyang. Maka Allah ‎ﷻ berikan janji baru dengan ditambah dua ribu lagi tentera malaikat.

Janji ketiga dengan lima ribu malaikat itu adalah jikalau tentera musuh menyerang dengan tiba-tiba dari arah yang tidak diketahui, maka Allah ‎ﷻ menjanjikan dengan lima ribu malaikat pula.


 

Anfal Ayat 10:

وَما جَعَلَهُ اللَّهُ إِلّا بُشرىٰ وَلِتَطمَئِنَّ بِهِ قُلوبُكُم ۚ وَمَا النَّصرُ إِلّا مِن عِندِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Allāh made it not but good tidings and so that your hearts would be assured thereby. And victory is not but from Allāh. Indeed, Allāh is Exalted in Might and Wise.

(MALAY)

Dan Allah tidak menjadikannya (mengirim bala bantuan itu), melainkan sebagai khabar gembira dan agar hatimu menjadi tenteram kerananya. Dan kemenangan itu hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

وَما جَعَلَهُ اللَّهُ إِلّا بُشرىٰ

Dan Allah tidak menjadikannya (mengirim bala bantuan itu), melainkan sebagai khabar gembira

Allah ‎ﷻ menurunkan bala tentera malaikat itu sebagai berita gembira sahaja kepada umat Islam. Maknanya, mereka menang bukannya kerana turunnya para malaikat itu. Allah ‎ﷻ berikan para malaikat itu kerana hendak menggembirakan hati mereka serta memberi bersemangat sahaja. Ini kerana apabila mereka tahu ada malaikat yang menolong mereka, turun sekali bersama dengan mereka, tentu hati para pejuang itu gembira dan bersemangat untuk berperang.

 

وَلِتَطمَئِنَّ بِهِ قُلوبُكُم

dan agar hatimu menjadi tenteram kerananya.

Tujuan keduanya adalah supaya hati mereka tenteram kerana ada asbab iaitu asbab untuk kemenangan mereka. Ini adalah kerana manusia memerlukan asbab (penyebab) untuk kemenangan. Mereka berasa yang apabila ada malaikat yang membantu, tentulah harapan untuk mereka menang lebih tinggi. Sedangkan Allah ‎ﷻ tidak perlu pun untuk memberikan malaikat untuk memenangkan mereka.

Allah ‎ﷻ memberikan ketenangan kepada mereka kerana ketenangan penting dalam berperang. Kalau dalam keadaan tenang, manusia menjadi hebat. Kalau kelam kabut dan dalam keadaan rasa rendah diri, tidak yakin, maka ia tentu memberi kesan kepada gerak laku mereka.

Walaupun malaikat telah diturunkan, itu tidaklah menidakkan tanggungjawab manusia untuk berperang. Mereka tetap kena berperang juga. Tidaklah mereka duduk melihat sahaja malaikat bunuh musuh. Ini seperti orang yang meminta pertolongan orang lain menukar tayar keretanya. Takkan dia lihat sahaja, tentulah kena tolong, bukan?

 

وَمَا النَّصرُ إِلّا مِن عِندِ اللَّهِ

Dan tidaklah kemenangan itu melainkan dari sisi Allah. 

Kita kena faham, kemenangan sebenarnya daripada Allah ‎ﷻ, bukan kerana malaikat yang membantu. Sekiranya Allah ‎ﷻ mahu memenangkan umat Islam, tanpa turunkan malaikat pun boleh menang. Ini telah terjadi pun dalam sejarah Islam, seperti Perang Ahzab apabila Allah ‎ﷻ memenangkan umat Islam tanpa bantuan malaikat pun. Pada waktu itu Allah ‎ﷻ berikan angin sahaja untuk memusnahkan musuh.

Kita kena yakin, kemenangan itu semua ditentukan oleh Allah ‎ﷻ. Bukannya oleh manusia, bukannya atas kelengkapan peperangan, bilangan tentera, strategi yang bagus dan apa sahaja.

 

إِنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ

Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Allah ‎ﷻ maha perkasa, tidak ada sesiapa pun yang boleh mengalahkan-Nya kalau Allah ‎ﷻ telah membuat keputusan.

Allah ‎ﷻ maha bijaksana untuk menentukan siapakah yang akan diberi kemenangan. Rancangan Allah ‎ﷻ adalah rancangan yang terbaik. Walaupun kalah, tentu ada kelebihan dan pengajaran di dalamnya.

Habis Ruku’ 1 daripada 10 ruku’ surah ini


 

Anfal Ayat 11: Ini adalah sebab keempat kenapa Allah ‎ﷻ yang layak untuk menentukan pembahagian harta rampasan perang itu. Sebelum ini telah disebut yang pejuang Muslim di Badr meminta bantuan daripada Allah ‎ﷻ. Sekarang kita akan baca apakah jenis-jenis bantuan yang Allah ‎ﷻ berikan kepada mereka.

إِذ يُغَشّيكُمُ النُّعاسَ أَمَنَةً مِّنهُ وَيُنَزِّلُ عَلَيكُم مِّنَ السَّماءِ ماءً لِّيُطَهِّرَكُم بِهِ وَيُذهِبَ عَنكُم رِجزَ الشَّيطٰنِ وَلِيَربِطَ عَلىٰ قُلوبِكُم وَيُثَبِّتَ بِهِ الأَقدامَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Remember] when He overwhelmed you with drowsiness [giving] security from Him and sent down upon you from the sky, rain by which to purify you and remove from you the evil [suggestions] of Satan and to make steadfast your hearts and plant firmly thereby your feet.

(MALAY)

(Ingatlah), ketika Allah menjadikan kamu mengantuk sebagai suatu penenteraman daripada-Nya, dan Allah menurunkan kepadamu hujan dari langit untuk menyucikan kamu dengan hujan itu dan menghilangkan dari kamu gangguan-gangguan syaitan dan untuk menguatkan hatimu dan memperteguh dengannya kaki(mu).

 

إِذ يُغَشّيكُمُ النُّعاسَ أَمَنَةً مِّنهُ

(Ingatlah), ketika Allah menjadikan kamu mengantuk sebagai suatu penenteraman daripada-Nya,

Apabila ada kalimah إذ di awal ayat, ia sebenarnya ringkasan kepada kalimah أذكروي (ingatlah) iaitu Allah ‎ﷻ suruh sahabat kenang kejadian itu. Mereka yang berada di sana dahulu. Bagi kita, sekarang kita yang sedang membacanya sebagaimana yang Allah‎ ﷻ hendak sampaikan kepada kita.

Kenanglah bagaimana Allah ‎ﷻ telah memberikan mereka satu pemberian nikmat dalam bentuk rasa mengantuk. Bayangkan, dalam perang boleh timbul rasa mengantuk sedangkan mereka sedang menghadapi mati. Mereka sedar yang mereka boleh mati bila-bila masa sahaja, bukan? Sepatutnya, tentu ada perasaan gelisah yang amat sangat. Tambahan pula, pelbagai kemungkinan yang mereka sedang hadapi – kekalahan, kecederaan, kekalahan.

Walaupun tentunya perasaan mereka gundah gulana, dalam kerisauan, namun Allah ‎ﷻ lelapkan mata mereka. Semua tertidur sama ada mahu atau tidak, kecuali Rasulullah ﷺ. Allah ‎ﷻ mengaturkan ketenangan dalam hati manusia dengan cara itu. Selepas itu mereka rasa amat tenang, bagai bukan menghadapi peperangan pun. Ia seumpama ubat bius sampaikan boleh tertidur. Apabila tidur, maka mereka mendapat rehat dan badan menjadi lebih segar.

Ia menjadi satu nikmat daripada Allah ‎ﷻ kerana para sahabat ketika itu sedang takut. Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh berikan ketenangan ini sampaikan ia menjadi satu tanda para pejuang Islam dibantu oleh Allah ‎ﷻ di mana kalau mereka ada rasa mengantuk, maka itu adalah petanda baik. Tidaklah semua mengantuk itu baik pula. Kalau mengantuk semasa sedang salat atau di dalam kelas, ini tidaklah baik pula. Itu daripada syaitan.

Ini semua adalah daripada Qudrat Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia buat begitu, maka biarlah Dia yang bahagikan ghanimah. Allah ‎ﷻ menekankan lafaz مِنهُ (daripada-Nya) sebagai mengingatkan bahawa pemberian itu daripada Allah. Kalau kita hendak buat sendiri, buat-buat mengantuk, tidak akan boleh.

Lafaz يُغَشّيكُمُ bermaksud mereka diselubungi dengan secara penuh. Pada ketika itu mereka semuanya terus rasa mengantuk dan lafaz النُّعاسَ itu bermaksud bahagian pertama daripada rasa mengantuk iaitu peringkat sebelum tidur lagi. Atau, kita boleh katakan, tidur ringan. Pada waktu ini, selalunya manusia akan berasa tenang sangat sebab waktu itu kepala tidak memikirkan benda lain, hanya fikir hendak tidur sahaja. Kalimah النُّعاسَ ini lebih kurang sama dengan kalimah سِنَةٌ di dalam Ayat Kursi.

Para pejuang Islam itu diberi ketenangan hati dan mereka diselubungi dengan rasa mengantuk sebagai ketenangan semasa orang lain gelisah. Oleh kerana Allah‎ﷻ  sahaja yang boleh memberikan ketenangan, maka hendaklah berharap ketenangan daripada Allah ‎ﷻ.

Abu Talhah mengatakan bahawa dia termasuk salah seorang yang terkena rasa mengantuk itu dalam Perang Uhud, dan sesungguhnya pedangnya sampai terjatuh berkali-kali daripada tangannya. Bila pedangnya jatuh, maka dia memungutnya; dan bila jatuh lagi, dia memungutnya kembali. Dan sesungguhnya dia melihat pasukan kaum muslim menelentangkan tubuh mereka, sedangkan mereka berada di bawah lindungan perisai masing-masing.

Di dalam kitab Sahih disebutkan bahawa Rasulullah ﷺ ketika dalam Perang Badar berada di dalam khemah kecilnya dengan Abu Bakar As-Siddiq رضي الله عنه —sedang berdoa— terkena rasa mengantuk, kemudian baginda terbangun seraya tersenyum dan bersabda:

“أَبْشِرْ يَا أَبَا بَكْرٍ، هَذَا جِبْرِيلُ عَلَى ثَنَايَاهُ النَّقْعُ” ثُمَّ خَرَجَ مِنْ بَابِ الْعَرِيشِ، وَهُوَ يَتْلُو قَوْلَهُ تَعَالَى: {سَيُهْزَمُ الْجَمْعُ وَيُوَلُّونَ الدُّبُرَ}

Bergembiralah, hai Abu Bakar, ini Malaikat Jibril datang (dengan mengenderai kuda) yang pada kedua sisinya berterbangan debu-debu. Kemudian Nabi ﷺ keluar (berangkat) melalui pintu Al-Arisy seraya membacakan firman-Nya: Golongan (kaum musyrik) itu pasti akan dikalahkan, dan mereka akan mundur ke belakang. (Al-Qamar: 45)

(HR. Bukhari no. 3953)

 

وَيُنَزِّلُ عَلَيكُم مِّنَ السَّماءِ ماءً

dan Allah menurunkan kepadamu hujan dari langit 

Ini merupakan sebuah lagi pemberian daripada Allah ‎ﷻ, Dia juga telah menurunkan air dari langit dalam bentuk hujan. Puak kafir Mekah telah sampai dulu di Badr dan mereka telah mengambil tempat yang amat strategik – tempat yang tinggi dan berdekatan dengan sumber air. Manakala puak Muslim pula mendapatkan tempat di kawasan rendah dan berpasir. Ini disebut dalam ayat 42 surah ini juga. Maka puak mukmin dalam kepayahan. Untuk jalan pun susah seperti susahnya kita berjalan dan berlari di pantai, bukan?

Maka Allah ‎ﷻ menurunkan hujan untuk memudahkan umat Islam, tanah yang berpasir menjadi keras dan mendap memudahkan pergerakan mereka. Dalam masa yang sama, air pun mereka dapat kerana mereka sebelum itu duduk di kawasan yang jauh dari sumber air. Dalam masa yang sama juga, air hujan itu juga jatuh kepada puak musyrikin dan menyebabkan tanah yang mereka pijaki itu menjadi lecak dan susah untuk mereka bergerak.

 

لِّيُطَهِّرَكُم بِهِ

untuk menyucikan kamu dengan hujan itu

Air hujan itu juga menyucikan mereka. Badan mereka menjadi segar kerana sekarang mereka sudah mendapat sumber air. Pada waktu itu puak musuh yang duduk berdekatan dengan sumber air. Dengan air itu umat Islam dapat mengangkat hadas mereka dan melakukan ibadat.

Ini penting bagi mereka kerana mereka akan menghadapi musuh dalam peperangan dan mereka mahu melakukan ibadat dahulu supaya dengan itu dapatlah tenang hati mereka. Juga ada yang sampai tidur dan mimpi basah. Maka mereka rasa tidak sedap hati kalau tidak mandi.

Ini juga ada pengajaran kepada kita. Umat Islam hendaklah membersihkan diri luar dan dalam. Badan kena bersih, hati pun kena bersih juga daripada sifat-sifat terkeji.

 

وَيُذهِبَ عَنكُم رِجزَ الشَّيطٰنِ

dan menghilangkan daripada kamu gangguan-gangguan syaitan

Maksudnya, Allah ‎ﷻ menghilangkan bisikan syaitan yang mengatakan Allah ‎ﷻ tidak menolong mereka. Syaitan membisikkan pelbagai hasutan untuk menyebabkan mereka hilang rasa keyakinan diri dengan  apa yang mereka lakukan itu. Dengan pemberian air hujan itu, Allah ‎ﷻ memberikan isyarat yang Allah ‎ﷻ ada bersama mereka dan Allah ‎ﷻ redha dan memberikan pertolongan kepada mereka. Begitulah was-was daripada syaitan telah dihilangkan oleh Allah ‎ﷻ.

Ali ibnu Abu Talhah telah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas, bahawa Nabi ﷺ ketika berangkat menuju medan Badar dan sampai padanya, lalu turun beristirehat. Saat itu pasukan kaum musyrik berada di dalam posisi yang antara mereka dan mata air terdapat banyak gundukan pasir, sedangkan keadaan pasukan kaum muslim sangat lemah, lalu setan menyusupkan rasa kebencian di dalam hati mereka dan membisikkan godaannya di antara mereka seraya mengatakan, “Kalian mengakui bahwa diri kalian adalah kekasih-kekasih Allah, dan di antara kalian terdapat Rasul-Nya, tetapi kaum musyrik ternyata dapat mengalahkan kalian dalam menguasai mata air; sedangkan kalian, salat pun kalian kerjakan dalam keadaan berjinabah.”

Maka Allah ‎ﷻ menurunkan hujan kepada pasukan kaum muslim, iaitu hujan yang cukup lebat, sehingga kaum muslim beroleh minum dan dapat bersuci. Allah ‎ﷻ pun menghilangkan godaan syaitan daripada mereka, dan tanah yang berpasir itu setelah terkena hujan menjadi padat dan kuat, sehingga orang-orang dengan mudah dapat berjalan di atasnya, begitu pula haiwan-haiwan kenderaan mereka; lalu pasukan kaum muslim maju menuju ke arah pasukan kaum musyrik. Kemudian Allah ‎ﷻ menurunkan bala bantuan kepada Nabi-Nya dan kaum mukmin dengan seribu malaikat. Malaikat Jibril turun bersama lima ratus malaikat di suatu sisi, sedangkan di sisi lain turun Malaikat Mikail dengan membawa lima ratus malaikat lagi.

(AR. Ibnu Jarir 9/195, sahih)

 

وَلِيَربِطَ عَلىٰ قُلوبِكُم

dan untuk menguatkan hatimu

Semua itu dapat meneguhkan hati mereka untuk menghadapi musuh. Hati mereka jadi memusat untuk berperang dan menegakkan agama Allah ‎ﷻ. Tidaklah fikir bermacam-macam perkara yang tidak patut lagi kerana mereka telah yakin dengan sebenar-benar yakin yang Allah ‎ﷻ bersama mereka.

 

وَيُثَبِّتَ بِهِ الأَقدامَ

dan memperteguh dengannya kaki(mu).

Dengan segala pemberian itu, Allah ‎ﷻ meneguhkan kaki mereka supaya tidak lari dari medan perang. Dari segi fizikal, dengan air itu tanah tempat mereka pijak menjadi kejap dan sesuai untuk berjalan padanya. Dari segi emosi pula, hati mereka menjadi tenang dan bersemangat untuk menghadapi musuh.


 

Anfal Ayat 12: Ini adalah sebab yang kelima kenapa Allah ‎ﷻ yang layak untuk membahagikan pemberian harta rampasan perang itu.

إِذ يوحي رَبُّكَ إِلَى المَلىٰئِكَةِ أَنّي مَعَكُم فَثَبِّتُوا الَّذينَ ءآمَنوا ۚ سَأُلقي في قُلوبِ الَّذينَ كَفَرُوا الرُّعبَ فَاضرِبوا فَوقَ الأَعناقِ وَاضرِبوا مِنهُم كُلَّ بَنانٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Remember] when your Lord inspired to the angels, “I am with you, so strengthen those who have believed. I will cast terror into the hearts of those who disbelieved, so strike [them] upon the necks and strike from them every fingertip.”¹

  • By which they grasp and manipulate their weapons. Also interpreted as “all extremities,” i.e., their hands and feet.

(MALAY)

(Ingatlah), ketika Tuhanmu mewahyukan kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku bersama kamu, maka teguhkan (pendirian) orang-orang yang telah beriman”. Kelak akan Aku jatuhkan rasa ketakutan ke dalam hati orang-orang kafir, maka penggallah kepala mereka dan pancunglah tiap-tiap hujung jari mereka.

 

إِذ يوحي رَبُّكَ إِلَى المَلىٰئِكَةِ أَنّي مَعَكُم

(Ingatlah), ketika Tuhanmu mewahyukan kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku bersama kamu, 

Sekali lagi Allah ‎ﷻ suruh mengingati kembali. Ini tentang Allah ‎ﷻ memberikan arahan kepada para malaikat untuk memberitahu kepada umat Islam (melalui Nabi ﷺ): sesungguhnya Allah ‎ﷻ bersama mereka. Maka Nabi ﷺ beritahu para sahabat yang malaikat bersama mereka. Dengan itu hati mereka menjadi lebih tetap dan tenang kerana mereka tahu yang malaikat ada bersama mereka memberi bantuan.

Maksud Allah ‎ﷻ bersama itu bukanlah bermaksud duduk di tepi pula, tidak. Ia bermaksud Allah ‎ﷻ memberi bantuan. Ini seperti orang kata: “Kami bersama Najib!” Tidaklah pula ia bermaksud mereka duduk sekali dalam penjara dengan Najib, bukan?

Dari sini kita tahu yang Allah ‎ﷻ sentiasa bersama orang-orang beriman. Sama ada dalam keadaan biasa, lebih-lebih lagi dalam peperangan.

 

فَثَبِّتُوا الَّذينَ ءآمَنوا

maka teguhkan (pendirian) orang-orang yang telah beriman”.

Allah ‎ﷻ suruh malaikat berikan ilham yang baik-baik kepada puak Mukmin yang akan menghadapi musuh supaya mereka tidak berundur ke belakang. Allah ‎ﷻ suruh para malaikat teguhkan pendirian orang Mukmin supaya meneruskan usaha mereka untuk berperang itu. Atau beri keteguhan itu dengan berperang bersama dengan golongan Mukmin ketika itu.

 

سَأُلقي في قُلوبِ الَّذينَ كَفَرُوا الرُّعبَ

akan Aku jatuhkan rasa ketakutan ke dalam hati orang-orang kafir, 

Allah ‎ﷻ sendiri kata yang Dia akan campakkan kepada orang kufur itu, perasaan takut dan gerun terhadap umat Islam. Mereka akan takut untuk menghadapi umat Islam dalam peperangan itu. Mereka menjadi tidak yakin untuk berperang. Semasa mereka keluar dari Mekah mereka yakin sangat, tetapi apabila berdepan dengan umat Islam, mereka menjadi gementar.

Ini juga bantuan daripada Allah ‎ﷻ. Apabila musuh takut, maka senanglah untuk mengalahkan mereka.

 

فَاضرِبوا فَوقَ الأَعناقِ

maka penggallah kepala mereka

Allah ‎ﷻ beri kata semangat kepada mereka: pancunglah leher puak musyrikin itu. Jangan takut dengan mereka. Jangan bagi belas kasihan. Kenapakah sampai penggal terus? Ini supaya mereka itu dimatikan terus kerana mereka itu golongan penentang terkuat kepada Islam. Mereka itu tidak ada harapan lagi untuk beriman, maka layaknya bagi mereka adalah mati sahaja.

Ini mengajar kita bahawa halal untuk membunuh darah orang-orang yang menentang dakwah agama Islam dalam peperangan. Namun harus diingatkan yang mestilah mengikut syarat-syarat peperangan. Untuk memulakan perang, kenalah ada arahan daripada pemerintah (Khalifah). Jangan pula salah faham dan ambil tindakan sendiri pula.

 

وَاضرِبوا مِنهُم كُلَّ بَنانٍ

dan pancunglah tiap-tiap hujung jari mereka.

Allah ‎ﷻ suruh keratlah jari jemari pihak musuh itu. Allah ‎ﷻ sebut leher dan jari disebabkan dua tempat itu dijadikan sebagai sasaran kerana itulah dua kekuatan musuh. Apabila tidak ada jari, itu adalah tanda kelemahan supaya mereka jadi lumpuh dan tidak dapat melawan lagi. Ini kerana kalau jari sudah tiada, maka sudah tidak dapat memegang senjata lagi.

Juga boleh bermaksud setiap sendi tulang mereka, bukan hanya pada jari mereka sahaja.

Mungkin Allah ‎ﷻ berikan kata semangat ini kepada umat Islam atau arahan kepada malaikat. Namun yang pasti, ia adalah kata-kata semangat untuk disampaikan kepada umat Islam. Jangan takut dengan musuh dan terus mara dalam peperangan itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 9 September 2022

Ringkasan Surah Anfal


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Anfal Ayat 4 – 8 (Bagaimana mulanya perang Badr)

Anfal Ayat 4: Ayat Tabshir (berita gembira). Disebutkan balasan yang akan diberikan kepada mereka yang benar-benar beriman.

أُولٰئِكَ هُمُ المُؤمِنونَ حَقًّا ۚ لَّهُم دَرَجٰتٌ عِندَ رَبِّهِم وَمَغفِرَةٌ وَرِزقٌ كَريمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those are the believers, truly. For them are degrees [of high position] with their Lord and forgiveness and noble provision.

(MALAY)

Itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan memperoleh beberapa derajat ketinggian di sisi Tuhannya dan ampunan serta rezeki (nikmat) yang mulia.

 

أُولٰئِكَ هُمُ المُؤمِنونَ حَقًّا

Itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. 

Mereka yang ada lima sifat-sifat yang telah disebut sebelum ini, barulah termasuk sebagai golongan mukmin sebenar. Dalaman dan luaran mereka menunjukkan mereka itu benar-benar beriman. Jika setakat kata diri seorang mukmin, tetapi sifat-sifat itu tidak ada, jangan bermimpilah.

Allah ‎ﷻ menekankan kepentingan sifat-sifat itu dengan penggunaan lafaz حَقًّا (benar-benar) dalam ayat ini. Merekalah itu sebenar-benar orang beriman, Allah ‎ﷻ memberi cap itu kepada mereka – alangkah indahnya kalau kita pun termasuk dalam golongan ini juga.

Namun kita pun tidak akan dapat tahu yang kita ini beriman sepenuhnya atau tidak. Dalam kitab al-Bashâ’ir wa al-Dzakhâ’ir, Imam Abu Hayyan al-Tauhidi mencatat sebuah kisah tentang Imam Hasan al-Bashri رحمه الله yang ditanyakan keimanannya oleh seseorang. Berikut kisahnya:

سأل رجل الحسنَ البصري: أمؤمن أنت؟ فقال: إن كنت تريد قول الله عزّ وجلّ: آمَنَّا بِاللهِ وَمَا أُنزِلَ إِليْنَا (البقرة: ١٣٦)، فنعم، به نتناكح ونتوارث ونحقن الدماء. وإن كنتَ تريد قول الله تعالي: إِنَّمَا الْمُؤْمِنُوْنَ الَّذِيْنَ إِذَا ذُكِرَ اللهُ وَجِلَتْ قُلُوْبُهُمْ (الأنفال: ٢)، فنسأل اللهَ أن نكون منهم

Seseorang bertanya kepada (Imam) Hasan al-Bashri رحمه الله: “Apakah kau orang yang beriman?”

(Imam) Hasan al-Bashri رحمه الله menjawab: “Jika yang kau maksud (dengan beriman adalah) firman Allah ‘azza wa jalla (QS. Al-Baqarah: 136): “Kami beriman kepada Allah dan apa yang diturunkan kepada kami,” maka (jawabannya adalah) iya. (Kerana) dengan (apa yang diturunkan-Nya itulah) kita menikah, mewariskan dan melindungi (tumpahnya) darah. (Namun), jika yang kau maksud (dengan beriman adalah) firman Allah ta’ala (QS. Al-Anfal: 2): “Sesungguhnya orang-orang beriman adalah mereka yang bila disebut nama Allah gementarlah hati mereka,” maka kita (perlu) memohon kepada Allah agar kita (bisa) termasuk (dalam golongan) itu.” (Imam Abu Hayyan al-Tauhidi, al-Bashâ’ir wa al-Dzakhâ’ir, Beirut: Dar Shadir, 1988, juz 1, h. 62)

Oleh itu kita kenalah berdoa dan berharap dan berusaha bersungguh-sungguh. Jangan perasan yang kita sudah beriman sebenar.

 

لَّهُم دَرَجٰتٌ عِندَ رَبِّهِم

Mereka akan memperoleh beberapa darjat ketinggian di sisi Tuhannya

Di akhirat kelak, mereka akan mendapat banyak darjat di sisi Tuhan. Ahli syurga itu sebahagiannya mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada sebahagian yang lain, maka orang yang berada di atas kedudukan yang tinggi dapat melihat orang yang kedudukannya berada di bawahnya.

Akan tetapi, orang yang berada di tingkatan bawah tidak berpandangan pun ada yang lebih utama daripada dirinya. Kerana itulah di dalam kitab Sahihain disebutkan bahawa Rasulullah ﷺ telah bersabda:

إِنَّ أَهْلَ علِّيين لَيَرَاهُمْ مَنْ أَسْفَلُ مِنْهُمْ كَمَا تَرَوْنَ الْكَوْكَبَ الْغَابِرَ فِي أُفُقٍ مِنْ آفَاقِ السَّمَاءِ”، قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ، تِلْكَ مَنَازِلُ الْأَنْبِيَاءِ، لَا يَنَالُهَا غَيْرُهُمْ؟ فَقَالَ: “بَلَى، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ رِجَالٌ آمَنُوا بِاللَّهِ وَصَدَّقُوا الْمُرْسَلِينَ”

Sesungguhnya ahli ‘Illiyyin (syurga yang paling tinggi) benar-benar dapat dilihat oleh orang-orang yang ada di bawah mereka, sebagaimana kalian melihat bintang-bintang yang jauh berada di ufuk langit yang sangat luas. Mereka (para sahabat) bertanya, “Wahai Rasulullah, syurga ‘Illiyyin itu tentu kedudukan para nabi, dan tidak dapat diraih oleh selain mereka.” Rasulullah ﷺ menjawab: Tidak, demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaan-Nya, bahkan (termasuk pula) orang-orang yang beriman kepada Allah dan membenarkan para rasul.

Kenapa disebut beberapa darjat? Seperti juga orang kita di dunia ini, kadang-kadang ada yang dapat banyak pingat kepujian dari negara dan daripada sultan. Begitulah juga di akhirat nanti, ada orang mukmin yang mendapat darjat seorang penderma, seorang yang suka membaca Al-Qur’an, darjat suka berpuasa dan sebagainya.

 

وَمَغفِرَةٌ

dan ampunan

Mereka akan mendapat keampunan. Orang yang beriman, tidak semestinya dia tidak ada dosa. Setiap manusia akan berdosa. Cuma dosa mereka itu adalah dosa-dosa kecil sahaja dan Allah ‎ﷻ akan mengampunkan segala dosa mereka itu sampai tidak perlu dimasukkan ke dalam neraka. Inilah harapan kita.

 

وَرِزقٌ كَريمٌ

serta rezeki (nikmat) yang mulia.

Mereka akan mendapat rezeki dari sisi Tuhan mereka. Di dunia pun kita memang ada mendapat rezeki juga, tetapi di akhirat nanti, mereka yang memasuki syurga akan mendapat rezeki yang كَريمٌ (yang mulia). Ada yang menafsirkan rizqun kareem itu sebagai syurga.

Ini adalah tahap rezeki yang tertinggi. Tentunya tidak sama dengan rezeki yang diberikan semasa di dunia. Segala nikmat rezeki yang di dunia ini adalah seperti sampel sahaja untuk nikmat yang lebih hebat di akhirat kelak. Bezanya seperti handphone sebenar dengan handphone plastik sampel di kedai handphone itu sahaja.

Oleh itu, ada tiga perkara yang dijanjikan kepada mukmin sejati. Lihat kembali di mana tiga jenis perkara yang disyaratkan kepada mereka iaitu: tentang hati, tentang perbuatan fizikal dan tentang harta. Ketiga perkara ini dibalas dengan tiga balasan:

Bab hati dibalas dengan kedudukan tinggi di sisi Allah ‎ﷻ

Bab amalan fizikal dibalas dengan keampunan

Bab harta dibalas dengan balasan rezeki yang mulia


 

Anfal Ayat 5: Ini adalah sebab pertama kenapa Allah ‎ﷻ yang layak untuk menentukan pembahagian harta rampasan perang itu. Bermula daripada ayat ini kita akan belajar sejarah tentang Perang Badr seperti yang Allah ‎ﷻ hendak sampaikan kepada kita. Mungkin kita sudah tahu serba sedikit tentang Perang Badr ini, tetapi mari kita lihat apa yang Allah ‎ﷻ hendak kita tahu daripada firman-Nya sendiri.

كَما أَخرَجَكَ رَبُّكَ مِن بَيتِكَ بِالحَقِّ وَإِنَّ فَريقًا مِّنَ المُؤمِنينَ لَكٰرِهونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[It¹ is] just as when your Lord brought you out of your home [for the battle of Badr] in truth, while indeed, a party among the believers were unwilling,

  • Referring to a dispute which occurred among the Muslims over distribution of war booty.

(MALAY)

Sebagaimana Tuhanmu mengeluarkan kamu dari rumahmu dengan haq, padahal sesungguhnya sebahagian dari orang-orang yang beriman itu tidak menyukainya,

 

كَما أَخرَجَكَ رَبُّكَ مِن بَيتِكَ بِالحَقِّ

Sebagaimana Tuhanmu mengeluarkan kamu dari rumahmu dengan kebenaran,

Kalimah كما adalah kalimah yang digunakan untuk membandingkan sesuatu dengan sesuatu. Namun apakah yang Allah‎ ﷻ hendak bandingkan di sini? Ulama’ tafsir berbeza pendapat sampaikan ada berbelas pendapat. Kita sebutkan beberapa sahaja di sini:

1. Sebagaimana mereka tidak ada hak untuk menentukan keputusan untuk berperang atau tidak, maka mereka tidak ada hak untuk menentukan pembahagian harta rampasan itu. Allah ‎ﷻ yang menentukan kedua-duanya. Allah ‎ﷻ yang telah menyebabkan mereka berperang pada mulanya.

2. Di peringkat awal, ada yang tidak bersetuju dengan perang itu tetapi setelah diperintah oleh Allah ‎ﷻ untuk mereka berperang, mereka nampak pentingnya perang itu setelah kejayaan dicapai. Maka begitu jugalah dengan pembahagian harta rampasan itu. Pada peringkat awal, ramai yang tidak berpuas hati. Walau bagaimanapun kemudiannya apabila keputusan itu ditentukan oleh Allah ‎ﷻ, mereka semuanya akan taat dan berpuas hati.

3. Pendapat ini merujuk kepada ayat 4 sebelum ini yang menjanjikan balasan kepada Mukmin yang sebenar. Ia adalah sesuatu yang tidak nampak lagi, bukan? Akan tetapi percayalah kepada janji Allah ‎ﷻ. Sebagaimana Dia telah menjanjikan kejayaan di Badr dan telah menjadikan ia realiti, maka begitu jugalah dengan janji-Nya untuk memberi balasan kepada mereka.

Daripada ayat ini, seolah-olah Allah ‎ﷻ memberitahu kita yang bukanlah Nabi Muhammad ﷺ keluar dengan kehendaknya sendiri, tetapi ia atas arahan daripada Allah ‎ﷻ. Ini adalah sesuatu yang hebat kerana menunjukkan yang memang Nabi Muhammad ﷺ taat sepenuhnya kepada arahan daripada Allah ‎ﷻ.

Sebenarnya Tuhanlah yang telah memaksa umat Islam itu keluar dari rumah mereka untuk berperang di Badr, dengan tujuan untuk menzahirkan kebenaran. Itulah maksud بِالحَقِّ. Maka Allah ‎ﷻ yang memaksa mereka keluar sebenarnya. Ini adalah kerana, Nabi Muhammad ﷺ asalnya hendak keluar dengan tujuan untuk menyekat kafilah perniagaan Abu Sufyan sahaja, tetapi yang boleh jadi berperang itu kerana Allah ‎ﷻ yang tentukan. Oleh itu, berperang itu bukan kehendak asal Nabi ﷺ dan umat Islam. Oleh kerana Allah ‎ﷻ yang rancangkan, maka Allah ‎ﷻlah yang layak untuk bahagikan harta.

Mereka yang mendapat harta rampasan perang itu, amat sayang dan berkeinginan kepada harta itu. Ini adalah kerana susah untuk mereka mendapatkannya. Bukannya mereka dapat daripada berniaga dan sebagainya, tetapi mereka bertaruh nyawa. Maka kalau tidak kena cara pembahagian itu, tentu akan ada yang marah.

Sebab itu Allah ‎ﷻ kata Dia yang akan bahagikan sendiri. Kalau kamu yang buat keputusan untuk bahagikan sendiri, nanti mereka pula yang akan berperang sesama sendiri kerana akan ada yang tidak puas hati, bukan? Kalau ikut logik, tentulah kita boleh bahagikan sendiri, tetapi Allah ‎ﷻ tahu yang perkara ini adalah perkara sensitif, maka Allah ‎ﷻ tidak membiarkan pada keputusan manusia.

Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah Rabb di dalam ayat ini. Mengingatkan kita kepada sifat tarbiyah (salah satu maksud rabb) Allah ‎ﷻ yang hendak mengajar umat Islam dan membina jati diri mereka.

 

وَإِنَّ فَريقًا مِّنَ المُؤمِنينَ لَكٰرِهونَ

padahal sesungguhnya sebahagian daripada orang-orang yang beriman itu tidak menyukainya,

Semasa umat Islam diberitahu yang mereka disuruh berperang dengan tentera Musyrikin Mekah yang dipimpin oleh Abu Jahal, ada segolongan dalam kalangan umat Islam yang sangat-sangat tidak suka dengan keputusan itu. Mereka itu orang mukmin (lihat Allah ‎ﷻ masih iktiraf mereka mukminin), tetapi mereka rasa yang itu bukanlah keputusan yang baik.

Maka, keputusan untuk keluar itu bukanlah atas kehendak semua umat Islam asalnya. Memang ramai yang tidak suka berperang dan Allah ‎ﷻ telah sebutkan pun di dalam firman-Nya yang lain:

{كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ وَهُوَ كُرْهٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ}

Diwajibkan atas kalian berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kalian benci. Boleh jadi kalian membenci sesuatu padahal ia amat baik bagi kalian; dan boleh jadi kalian menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kalian; Allah mengetahui, sedangkan kalian tidak mengetahui. 

[ Al-Baqarah: 216 ]

Allah ‎ﷻ sudah berikan isyarat dalam Surah Baqarah itu yang mereka ada yang tidak suka berperang, tetapi sebenarnya peperangan itu baik bagi mereka. Sama jugalah dengan berperang dengan Musyrikin Mekah itu – mereka sangka ikut logik, ia adalah sesuatu yang tidak bagus, tetapi Allah ‎ﷻ lebih tahu.

Maka, ketika hendak keluar itu, mereka tidak sepakat tetapi Allah ‎ﷻ yang suruh juga mereka keluar. Akhirnya mereka telah keluar dan telah memenangi perang itu serta dapat mengumpul harta rampasan. Namun Allah ‎ﷻ mengingatkan semula, mereka keluar itu adalah atas keputusan Allah ‎ﷻ. Oleh itu, sepatutnya serahlah kepada Allah ‎ﷻ sahaja untuk menentukan pembahagian harta rampasan itu.

Namun begitu kenapa mereka berat hati hendak keluar berperang? Seolah-olah para sahabat itu ada masalah pula. Maka kita kena ketahui keadaan pada masa itu. Antara sebab-sebab yang kita boleh sebutkan setakat yang kita tahu:

1. Waktu itu adalah bulan Ramadhan. Tentunya mereka dalam kepenatan.
2. Rancangan perang tidak dilakukan dari awal. Ia adalah rancangan secara tiba-tiba menyebabkan para sahabat tidak bersedia.
3. Rasulullah ﷺ pun tidaklah mengatakan jihad di Badr ini wajib. Ia terpulang kepada sesiapa yang hendak dan sanggup menyertainya.
4. Rasulullah ﷺ mengatakan sesiapa yang ada kenderaan, boleh sertai jihad itu. Ramai daripada mereka yang tidak ada kenderaan. Ada yang kenderaan yang mereka boleh gunakan kena dapatkan dari kampung sebelah. Mereka meminta izin waktu untuk mendapatkannya. Akan tetapi tidak ada waktu untuk melakukan perkara itu. Maka ramai yang tidak dapat sertai kerana tidak ada kenderaan. Mereka hanya ada 70 unta dan terpaksa berkongsi unta. 3 orang berkongsi satu unta bergilir-gilir termasuklah Rasulullah ﷺ. Sahabat yang berkongsi dengan baginda segan dan suruh sahaja baginda duduk terus atas unta, tetapi baginda tidak mahu.
5. Rancangan asal adalah untuk menangkap kafilah perniagaan sahaja, bukannya batalion tentera.
6. Sikap normal manusia biasa yang takutkan kematian.

Oleh itu, sikap sesetengah para sahabat (bukan semua) yang keberatan untuk keluar berperang itu sebenarnya “valid” sahaja. Kalau kita dalam keadaan mereka pun tentu sudah lari entah ke mana. Akhirnya mereka tetap ikut juga berperang bersama Rasulullah ﷺ walaupun asalnya mereka keberatan.


 

Anfal Ayat 6:

يُجٰدِلونَكَ فِي الحَقِّ بَعدَما تَبَيَّنَ كَأَنَّما يُساقونَ إِلَى المَوتِ وَهُم يَنظُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Arguing with you concerning the truth after it had become clear, as if they were being driven toward death while they were looking on.

(MALAY)

mereka membantahmu tentang kebenaran sesudah nyata (bahawa mereka pasti menang), seolah-olah mereka dihalau kepada kematian, sedang mereka melihat (sebab-sebab kematian itu).

 

يُجٰدِلونَكَ فِي الحَقِّ بَعدَما تَبَيَّنَ

mereka membantahmu tentang kebenaran sesudah nyata

Mereka yang tidak suka keluar berperang untuk melawan dengan tentera Musyrikin Mekah itu telah membantah pada mulanya. Inilah ujian Rasulullah ﷺ di mana telah dibantah oleh umatnya sendiri. Bagi orang beriman apabila telah jelas tentang kebenaran, mereka tidak sepatutnya membantah. Maka Allah ‎ﷻ menegur umat Islam ketika itu.

Keputusan untuk berperang itu dilakukan setelah mereka keluar ke Badr dengan tujuan untuk menyekat rombongan perniagaan Abu Sufyan. Apabila keputusan untuk berperang itu dikeluarkan, mereka ingin pulang ke Madinah apabila diberitahu yang rombongan Abu Sufyan sudah tiada.

Mereka itu tidaklah membantah seperti faham biasa kita, tetapi mereka sebenarnya memberi cadangan. Ia terjadi dalam bentuk mesyuarat. Memang Nabi ﷺ akan bertanyakan pendapat para sahabat dalam membuat keputusan yang melibatkan mereka. Di situ ada antara umat Islam yang tidak mahu ada peperangan.

Kita kena faham, ada perbezaan antara puak Muhajirun dan Ansar. Puak Muhajirun telah melalui masa-masa yang keras di Mekah dan mereka telah diuji dengan berbagai-bagai dugaan yang besar setelah mereka beriman dengan Nabi ﷺ. Akan tetapi puak Ansar adalah mereka yang baru masuk Islam. Maka Nabi ﷺ kena dapatkan persetujuan daripada mereka. Walaupun ada yang sudah setuju, tetapi ada juga yang tidak suka berperang.

Namun begitu, Allah ‎ﷻ mengingatkan semula yang mereka berhujah itu setelah nyata ada keputusan daripada Allah ‎ﷻ yang akan ada peperangan dan mereka pasti akan menang. Maknanya telah jelas yang peperangan akan terjadi kerana keputusan itu bukanlah daripada Nabi ﷺ sendiri tetapi daripada Allah ‎ﷻ sendiri. Mereka pun tahu, tetapi ada juga yang berhujah lagi.

Sebenarnya kelakuan mereka ini normal sahaja bagi manusia tetapi oleh kerana mereka itu statusnya adalah sahabat kepada Rasulullah ﷺ, maka kriteria yang dikenakan kepada mereka lebih tinggi daripada manusia biasa. Maka nampak tidak molek pula apabila mereka membantah Rasulullah ﷺ dalam hal ini.

 

كَأَنَّما يُساقونَ إِلَى المَوتِ

seolah-olah mereka dihalau kepada kematian, 

Kenapa mereka tidak setuju? Kerana mereka rasa seolah-olah Allah ‎ﷻ suruh mereka mati. Mereka berasa bagaikan berserah diri untuk mati sahaja kerana hati mereka tidak bersedia. Ini sebenarnya perkara biasa sahaja kerana memang sifat manusia takut mati.

Walau bagaimanapun Allah ‎ﷻ yang mentaqdirkan mereka tetap juga keluar untuk berperang itu. Kalau ikut hati mereka, tidaklah jadi berperang dan tidaklah ada harta rampasan perang. Oleh kerana itu, mereka tidaklah patut hendak menentukan pembahagian itu kerana mereka sendiri pun tidak mahu berperang pada asalnya.

 

وَهُم يَنظُرونَ

sedang mereka melihat

Mereka berkata begitu kerana mereka sendiri sudah melihat tanda-tanda mati. Ini adalah kerana peperangan itu bagaikan melihat kematian yang berada di hadapan mata. Ini kerana mereka tahu yang tentera yang mereka akan hadapi itu adalah lebih besar dan lebih lengkap dari segi kelengkapan perang berbanding dengan mereka. Mereka sudah berasa tidak yakin akan memenangi peperangan itu dan akhirnya mereka rasakan pasti akan mati sahaja.

Begitulah juga yang telah dikatakan oleh sebahagian daripada tentera Jalut yang sedang menghadapi tentera Talut. Kisah itu telah disebut dalam Surah Baqarah ayat 249.

فَلَمّا جاوَزَهُ هُوَ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ قالوا لا طاقَةَ لَنَا اليَومَ بِجالوتَ وَجُنودِهِ

Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): “Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya”.

Surah itu telah dibacakan awal lagi kepada mereka kerana ia diturunkan sebelum dikeluarkan arahan perang. Allah‎ ﷻ telah sebut kisah itu kerana Allah ‎ﷻ hendak memberi isyarat kepada mereka yang mereka akan berperang. Allah ‎ﷻ juga mengingatkan tentang pertolongan-Nya di dalam ayat itu:

قالَ الَّذينَ يَظُنّونَ أَنَّهُم مُّلَـٰقُواْ اللَّهِ كَم مِّن فِئَةٍ قَليلَةٍ غَلَبَت فِئَةً كَثيرَةً بِإِذنِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ مَعَ الصّٰبِرينَ

Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: “Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar”.

Maka, tujuan Allah ‎ﷻ keluarkan ayat ini adalah untuk mengingatkan mereka yang mereka dulu bukan semuanya mahu berperang pun. Allah ‎ﷻ juga yang memaksa mereka berperang. Maka apabila sudah menang dan sudah mendapat harta rampasan perang, berilah keputusan pembahagian harta itu kepada Allah‎ﷻ .


 

Anfal Ayat 7:

وَإِذ يَعِدُكُمُ اللَّهُ إِحدَى الطّائِفَتَينِ أَنَّها لَكُم وَتَوَدّونَ أَنَّ غَيرَ ذاتِ الشَّوكَةِ تَكونُ لَكُم وَيُريدُ اللَّهُ أَن يُحِقَّ الحَقَّ بِكَلِمٰتِهِ وَيَقطَعَ دابِرَ الكٰفِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Remember, O believers], when Allāh promised you one of the two groups¹ – that it would be yours – and you wished that the unarmed one would be yours. But Allāh intended to establish the truth by His words and to eliminate the disbelievers

  • i.e., either the caravan of Quraysh or their army.

(MALAY)

Dan (ingatlah), ketika Allah menjanjikan kepadamu bahawa salah satu dari dua golongan (yang kamu hadapi) adalah untukmu, sedang kamu menginginkan bahawa yang tidak mempunyai kekuatan senjatalah yang untukmu, tetapi Allah menghendaki untuk membenarkan yang benar dengan ayat-ayat-Nya dan memusnahkan orang-orang kafir,

 

وَإِذ يَعِدُكُمُ اللَّهُ إِحدَى الطّائِفَتَينِ أَنَّها لَكُم

Dan (ingatlah), ketika Allah menjanjikan kepadamu bahawa salah satu daripada dua golongan (yang kamu hadapi) adalah untukmu,

Allah ‎ﷻ mengingatkan mereka yang berperang itu bukanlah atas strategi mereka dari awal untuk berperang, tetapi itu semua daripada perancangan Allah ‎ﷻ. Yang mereka rancangkan asalnya adalah untuk menyekat rombongan perniagaan sahaja.

Allah ‎ﷻ telah memberikan dua pilihan kepada mereka pada waktu itu. Mereka boleh menghadapi salah satu daripada dua kumpulan: rombongan perniagaan Abu Sufyan atau tentera Mekah. Ketika Allah ‎ﷻ beri pilihan itu, Allah ‎ﷻ beritahu kepada Nabi ﷺ yang pilihan mana pun yang mereka pilih, mereka akan menang.

Kenapa Allah ‎ﷻ tidak terus sahaja arahkan menyerang antara salah satu daripada dua kumpulan musuh itu? Ia adalah sebagai ujian kepada umat Islam waktu itu. Untuk mereka pandai melihat kepada tujuan yang lebih besar, untuk menjadi berani dan apa-apa sahaja yang Allah ‎ﷻ hendak latih mereka. Allah ‎ﷻ lebih tahu kenapa Dia berikan ujian ini kepada mereka.

 

وَتَوَدّونَ أَنَّ غَيرَ ذاتِ الشَّوكَةِ تَكونُ لَكُم

sedang kamu menginginkan bahawa yang tidak mempunyai kekuatan senjatalah yang untukmu,

Pada waktu itu ada antara mereka yang sangat ingin yang tidak ada kelengkapan peranglah yang menjadi milik mereka. Lafaz غَيرَ ذاتِ الشَّوكَةِ bermaksud ‘yang tidak ada senjata’. Dari segi literal, ia bermaksud ‘tidak ada duri’.

Mereka berharap mereka akan mengejar kafilah perniagaan Abu Sufyan kerana itu adalah lebih senang kerana bilangan kafilah Abu Sufyan itu ada sekitar 40 orang sahaja, tanpa senjata lengkap. Maka senang sahaja untuk dikalahkan berbanding dengan tentera dari Mekah yang berjumlah lebih daripada seribu orang dengan kelengkapan perang. Tambahan pula kafilah itu sedang membawa harta yang banyak. Dikatakan yang pada waktu itu ada 50 ribu dinar bersama mereka. Ini adalah jumlah yang amat banyak. Semua penduduk Mekah ada bahagian dalam harta ini. Memang manusia tetap ingin kepada harta walaupun mereka itu beriman.

 

وَيُريدُ اللَّهُ أَن يُحِقَّ الحَقَّ بِكَلِمٰتِهِ

tetapi Allah menghendaki untuk membenarkan yang benar dengan ayat-ayat-Nya

Namun begitu, sebenarnya Allah ‎ﷻ hendakkan yang lain daripada apa yang mereka mahu. Allah ‎ﷻ mahu kebenaran dizahirkan. Maksud dengan kalimah-Nya adalah dengan perintah-Nya.

Maksud kedua bagi ‘kalimah’ adalah taqdir kauniah (ketentuan Allah ‎ﷻ dalam hal yang berlaku dalam dunia). Sekiranya mereka pergi mengejar kafilah Abu Sufyan dan mereka berjaya pun, itu tidaklah menzahirkan apa-apa sangat kerana mereka ramai dan memang boleh mengalahkan rombongan perniagaan itu. Maka, peristiwa itu tidaklah menjadi sesuatu yang hebat sangat pun.

Namun Allah ‎ﷻ hendak tunjukkan sesuatu yang lebih hebat daripada itu. Allah ‎ﷻ hendak memenangkan mereka walaupun mereka berhadapan dengan tentera yang lebih ramai daripada mereka. Kalau mereka menang dengan tentera yang lebih besar, barulah akan terbukti kebenaran. Barulah orang lain akan membuka mata mereka.

Oleh itu, walaupun Allah ‎ﷻ beri pilihan kepada mereka, Allah ‎ﷻ sebenarnya hendak mereka berperang dengan tentera Mekah itu.

 

وَيَقطَعَ دابِرَ الكٰفِرينَ

dan memusnahkan orang-orang kafir,

Allah ‎ﷻ mahu mereka berperang dengan tentera Musyrikin Mekah itu kerana Allah ‎ﷻ mahu membinasakan keturunan orang yang menentang Islam. Sekiranya mereka mahukan harta, itu boleh dicari waktu lain, tetapi yang menentang mereka itu lebih penting untuk dihapuskan.

Ini kerana yang datang dalam kalangan tentera Mekah itu adalah ketua-ketua penjahat dan Allah ‎ﷻ mahu mematikan mereka. Maksud asal دبر adalah hujung (seperti dubur adalah hujung tubuh kita). Maksudnya Allah ‎ﷻ hendaklah menghapuskan semua ketua pemuka Musyrikin Mekah supaya tidak ada anak-anak kafir daripada keturunan mereka. Ini adalah kerana lafaz دابِرَ bermaksud belakang tubuh seseorang. Ia membawa maksud keturunan seseorang. Allah ‎ﷻ memusnahkan pemuka penjahat itu sekali dengan keturunan mereka supaya Musyrikin Mekah menjadi lemah. Semua ini adalah perancangan Allah ‎ﷻ.


 

Anfal Ayat 8:

لِيُحِقَّ الحَقَّ وَيُبطِلَ البٰطِلَ وَلَو كَرِهَ المُجرِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That He should establish the truth and abolish falsehood, even if the criminals disliked it.

(MALAY)

agar Allah menetapkan yang hak (Islam) dan membatalkan yang batil (syirik) walaupun orang-orang yang berdosa (musyrik) itu tidak menyukainya.

 

لِيُحِقَّ الحَقَّ

agar Allah menetapkan yang hak

Allah ‎ﷻ hendak menegakkan kebenaran dengan perang itu supaya kebenaran nampak jelas. Semua akan nampak walaupun tentera Islam itu sedikit, tetapi mereka dibantu oleh Allah ‎ﷻ sehingga dapat mengalahkan tentera yang lebih besar dan lebih lengkap daripada mereka. Allah ‎ﷻ mahu tunjukkan manakah pihak yang benar.

 

وَيُبطِلَ البٰطِلَ

dan membatalkan yang batil

Allah ‎ﷻ hendak membasmikan kebathilan iaitu kesyirikan. Allah ‎ﷻ hendak menunjukkan supaya semua manusia tahu yang mereka yang syirik itu adalah puak yang bathil, yang salah. Abu Jahal pun telah berdoa di Kaabah untuk Allah ‎ﷻ berikan kemenangan kepada ‘pihak yang benar’, maka Allah ‎ﷻ akan beri kemenangan kepada pihak yang benar, dan dengan itu Dia akan zahirkan siapakah yang bathil.

Kemudiannya golongan Musyrikin Mekah telah malu besar dan kedudukan mereka telah jatuh di mata penduduk sekitar. Mereka telah datang dengan lebih ramai tentera yang lebih berpengalaman, dengan kenderaan yang lebih banyak, kelengkapan perang yang hebat, akan tetapi tetap kalah. Selepas itu mereka menerima lagi kekalahan demi kekalahan.

Maka inilah dua tujuan perang itu. Bukannya kerana hendakkan harta rampasan perang.  Allah‎ ﷻ menegur mereka supaya jangan sibuk sangat dengan harta itu.

 

وَلَو كَرِهَ المُجرِمونَ

walaupun orang-orang yang berdosa (musyrik) itu tidak menyukainya.

Tentu sekali golongan kafir itu tidak suka dengan kekalahan itu. Akan tetapi keputusan Allah ‎ﷻ tidak boleh disangkal lagi. Allah ‎ﷻ telah memastikan akan zahirkan kebenaran dengan memberikan kemenangan kepada pihak yang benar.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 16 Sep 2022

Ringkasan Surah Anfal


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an