Tafsir Surah Yaasin Ayat 64 – 66 (Anggota tubuh bercakap)

Yaasin Ayat 64:

اصلَوهَا اليَومَ بِما كُنتُم تَكفُرونَ

 Sahih International

[Enter to] burn therein today for what you used to deny.”

Malay

“Rasalah kamu bakarannya pada hari ini, disebabkan perbuatan kufur yang kamu telah lakukan!”

 

اصْلَوْهَا الْيَوْمَ

Masuklah kamu ke dalam neraka pada hari ini

Perkataan اصْلَوْ adalah kata khas yang digunakan untuk membawa maksud ‘masuk dalam api’. Jadi ia bukan bermaksud masuk sahaja seperti masuk dalam bilik, tetapi sebenarnya masuk ke dalam api. Sama ada ahli neraka itu masuk sendiri atau mereka dimasukkan ke dalam neraka oleh malaikat. Bayangkan, ada manusia yang akan masuk sendiri ke dalam neraka walaupun mereka tahu itu adalah api yang menyala. Ini adalah kerana mereka tidak ada pilihan lain. Apabila Allah ‎ﷻ arahkan, mereka kena patuh. Di dunia mereka tidak patuh tetapi di akhirat nanti mereka akan taat sungguh, kerana tidak ada pilihan lain. Hanya di dunia sahaja Allah ‎ﷻ beri kebenaran untuk memilih jalan mana yang mereka hendak pilih. Tiada lagi pilihan di akhirat kelak.

Sekali lagi perkataan الْيَوْمَ digunakan – untuk menyuruh kita membayangkan keadaan pada hari itu adalah dekat sahaja. Kalau kita dapat bayangkan, ia akan memberi kesan mendalam kepada kita.

 

بِمَا كُنْتُمْ تَكْفُرُونَ

dengan sebab kamu dulu kufur;

Bukanlah Allah ‎ﷻ sengaja hendak memasukkan mereka ke dalam neraka tetapi kerana kesalahan mereka sendiri iaitu kufur kepada ajakan tauhid semasa hidup di dunia. Mereka tidak belajar pun tentang tauhid sedangkan ilmu tauhidlah yang patut diajar kepada umat Islam sekarang. Iaitu tauhid yang berdasarkan Al-Qur’an dan Sunnah Nabi (bukannya belajar Sifat 20). Namun malangnya, kalau ada yang mengajak kepada kebenaran, bermacam-macam tohmahan akan dikeluarkan, antaranya mereka akan kata kita Puak Wahabi, pemecah belah masyarakat dan sebagainya. Macam-macam mereka akan kutuk dan tohmah kita.

Ayat ini hendak mengatakan bahawa mereka masuk neraka itu adalah disebabkan oleh diri mereka sendiri. Mereka kufur dengan Allah ‎ﷻ. Mereka ingkar untuk taat kepada Allah ‎ﷻ dan ajaran Rasul. Waktu itu mereka tidak boleh salahkan orang lain. Mungkin semasa mereka dimasukkan ke dalam neraka, mereka akan membantah kenapa mereka dimasukkan ke dalamnya. Waktu itu akan dikatakan kepada mereka: ‘dengan sebab kamu dulu kufur’.


 

Yaasin Ayat 65:

اليَومَ نَختِمُ عَلىٰٓ أَفوٰهِهِم وَتُكَلِّمُنآ أَيديهِم وَتَشهَدُ أَرجُلُهُم بِما كانوا يَكسِبونَ

 Sahih International

That Day, We will seal over their mouths, and their hands will speak to Us, and their feet will testify about what they used to earn.

Malay

Pada waktu itu Kami meterikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.

 

الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَىٰ أَفْوَٰهِهِمْ

Pada hari ini (di Mahsyar), Kami akan kunci mulut mereka;

Mulut manusia bukan lagi di dalam kuasa tuannya lagi pada hari itu. Ada ketika Allah ‎ﷻ tutup mulut-mulut mereka. Ini adalah kerana ada orang-orang kafir dan munafik yang akan cuba mengatakan bahawa mereka tidak buat kesalahan-kesalahan yang dibentangkan kepada mereka. Mereka akan sentiasa mengambil peluang untuk menipu walaupun di hadapan Allah ‎ﷻ. Maka Allah ‎ﷻ akan menutup mulut lisan mereka.

Ada ketika Allah ‎ﷻ tidak tutup mulut mereka tetapi halau mereka kerana Allah ‎ﷻ tidak mahu bercakap. Ini kita boleh lihat dalam Mukminoon: 108. Jadi ia adalah dalam keadaan berbeza. Maknanya bukanlah sepanjang masa mereka tidak boleh bercakap.

قالَ اخسَئوا فيها وَلا تُكَلِّمونِ
Allah ﷻ berfirman: “Tinggallah dengan hina di dalamnya, dan janganlah kamu berbicara dengan Aku.

Jadi bukanlah sepanjang masa mereka tidak boleh berkata-kata. Ada masa mereka ditanya dan mereka diberi peluang untuk memberi alasan dan hujah. Inilah cara Allah ‎ﷻ menunjukkan keadilan iaitu manusia diberi hak untuk bersuara. Lihat An’am: 22

وَيَومَ نَحشُرُهُم جَميعًا ثُمَّ نَقولُ لِلَّذينَ أَشرَكوا أَينَ شُرَكاؤُكُمُ الَّذينَ كُنتُم تَزعُمونَ
Dan (ingatlah), hari (kiamat yang padanya) Kami himpunkan mereka semua, kemudian Kami berfirman kepada orang-orang musyrik: “Manakah orang-orang dan benda-benda yang dahulu kamu sifatkan (menjadi sekutu Allah)?”

Dalam ayat sebelum ini, Allah ‎ﷻ berkata terus dengan mereka. Akan tetapi dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ tidak bercakap lagi dengan mereka, sebaliknya membahasakan diri mereka sebagai pihak ketiga. Ini kerana mereka telah masuk ke dalam neraka. Allah ‎ﷻ sudah tidak mahu bercakap dengan mereka.

 

وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ

maka berkata kedua-dua tangan mereka; 

Sekarang Allah ‎ﷻ beri saksi yang paling hebat sekali iaitu tubuh badan pelaku sendiri. Ini kerana tubuh badan ini sentiasa ada bersama dengan pelaku. Kalau kawan baik pun, tidak sentiasa ada dengan kawan dia. Akan tetapi kalau tubuh badan, tubuh badan itu sendiri yang buat dosa (atas arahan tuannya). Allah ‎ﷻ akan tutup mulut pelaku dosa dan apabila mulut mereka ditutup, maka anggota badan pula yang akan bercakap menjadi saksi atas perbuatan tuannya. Tangan akan jadi pendakwaraya pula kepada tuannya. Bukan tangan mereka sahaja yang akan berkata, malah pendengaran, penglihatan dan kulit mereka juga akan berkata-kata.

Kenapa Allah ‎ﷻ sebut tangan yang bercakap? Kerana banyak dosa itu dilakukan oleh tangan kalau dibandingkan dengan kaki. Kerana itu tangan banyak disebut apabila kerosakan disebut seperti di dalam Rum: 41

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan (usaha) manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).”

Oleh kerana itulah perbuatan Abu Lahab dinisbahkan kepada tangannya walaupun bukanlah tangannya sahaja yang berdosa. Lihat Masad: 1

تَبَّت يَدا أَبي لَهَبٍ وَتَبَّ
Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa.

 

وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ

dan menjadi saksi kaki-kaki mereka; 

Yang berkata adalah tangan, dan kaki akan menjadi saksi bagi apa yang dikatakan oleh tangan itu. Tangan cakap dan kaki kata: ya, betul, betul. Di dalam ayat ini hanya disebut tangan yang berkata dan kaki jadi saksi. Namun di dalam ayat lain ada disebut anggota tubuh yang lain pula. Ini disebut dalam Fussilat: 20

حَتَّىٰٓ إِذَا مَا جَآءُوهَا شَہِدَ عَلَيۡہِمۡ سَمۡعُهُمۡ وَأَبۡصَـٰرُهُمۡ وَجُلُودُهُم بِمَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ (٢٠)
Sehingga apabila mereka sampai ke Neraka, (maka) pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan mereka menjadi saksi terhadap mereka, mengenai apa yang mereka telah kerjakan. (20)

Di dalam Nur: 24 ada disebut anggota yang lain pula,

يَومَ تَشهَدُ عَلَيهِم أَلسِنَتُهُم وَأَيديهِم وَأَرجُلُهُم بِما كانوا يَعمَلونَ
Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan.

Ayat ini tambah lidah pula, tetapi bukankah mulut ditutup? Ya, mulut ditutup itu maksudnya ia bukan lagi di dalam kuasa tuannya. Sekarang lidah itu akan bercakap yang benar. Kerana lidah itu pun pernah diarah untuk menipu dan sebagainya. Kalau kita senaraikan, ada 6 anggota sekali terlibat sebagai saksi dalam perbicaraan tuannya.

1. Kaki
2. Pendengaran
3. Penglihatan
4. Kulit
5. Lidah
6. Tangan

Malah di dalam Isra’: 36, ditambah lagi dengan hati. Walaupun ia bukan anggota tetapi ia juga turun disoal dan kalau disoal, kenalah jawab.

وَلَا تَقفُ مَا لَيسَ لَكَ بِهِۦ عِلمٌ‌ۚ إِنَّ ٱلسَّمعَ وَٱلبَصَرَ وَٱلفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ كَانَ عَنهُ مَسـُٔولاً
Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.

Begitulah nanti kejadian di akhirat yang Allah ‎ﷻ beritahu kepada kita supaya kita beringat. Sampaikan anggota badan yang kita sekarang boleh kuasai pun akan diberi kebebasan untuk bersuara dengan bebas. Tuannya nanti akan marah kepada tubuh badannya kenapa bercakap kepada Allah ‎ﷻ dan bocorkan rahsia dia. Ini seperti disebut di dalam Fussilat: 21

وَقَالُواْ لِجُلُودِهِمۡ لِمَ شَهِدتُّمۡ عَلَيۡنَا‌ۖ قَالُوٓاْ أَنطَقَنَا ٱللَّهُ ٱلَّذِىٓ أَنطَقَ كُلَّ شَىۡءٍ وَهُوَ خَلَقَكُمۡ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَإِلَيۡهِ تُرۡجَعُونَ (٢١)
Dan (setelah berlaku yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit-kulit badan mereka: Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami? Kulit-kulit badan mereka menjawab: Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata, telah menjadikan kami dapat berkata-kata dan Dialah yang menciptakan kamu pada mulanya dan kepadaNyalah kamu dikembalikan (untuk menerima balasan). (21)

Apakah kesan yang sepatutnya kepada kita apabila telah membaca dan faham ayat ini? Seorang mutadabbir mengatakan: “Saya pernah dalam perjalanan untuk melakukan perbuatan tidak bermoral, dan tiba-tiba saya teringat yang aku akan berdiri di hadapan Allah dan saya teringat ayat ini: { ٱلْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَىٰٓ أَفْوَٰهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَآ أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ } “Pada hari ini Kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan.” Jadi saya mengubah jalan saya dan kembali ke rumah, dan saya bersyukur kepada Allah ta’ala atas rahmat-Nya yang melindungi saya daripada salah satu dosa besar kerana tadabbur pada ayat ini.”

Menarik satu pendapat yang diberikan oleh Prof Dr. HAMKA tentang ayat ini. Beliau membandingkan di dunia ini juga kadang-kadang manusia ‘bercakap’ bukan dengan mulutnya tetapi dengan tindakan dan perlakuannya. Tingkah laku seseorang, cara dia berjalan, kadangkala memberi indikasi siapakah orang itu. Kalau seseorang itu naik kereta yang hebat dan nombor plat pun dua digit, itu menandakan dia seorang yang kaya raya. Cara perawakan seseorang dan mimik muka seseorang juga boleh memberi isyarat yang seseorang itu seorang terpelajar atau tidak, seorang yang peramah atau tidak. Begitu juga cara berpakaian dan cara pembawaan diri seseorang itu.

Malah, orang mukmin juga diberikan pandangan yang dinamakan firasat فِرَاسَة. Firasat merujuk kepada intuisi, gerak hati, atau pandangan tajam yang memungkinkan seseorang memahami perkara tersembunyi atau hakikat sesuatu melalui tanda-tanda luaran atau gerak hati. Ia adalah semacam ketajaman batin. Ini bukan ramalan masa depan, tetapi kemampuan untuk membaca situasi, karakter, dan niat seseorang dengan lebih mendalam. Pendapat ini dikuatkan oleh hadith yang diriwayatkan daripada Abu Said Al-Khudri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

“اتَّقُوا فِرَاسَةَ الْمُؤْمِنِ فَإِنَّهُ يَنْظُرُ بِنُورِ اللَّهِ.”
“Berhati-hatilah (waspadalah) terhadap firasat orang mukmin, kerana sesungguhnya dia melihat dengan cahaya Allah.”
(Jami’ At-Tirmidzi (No. 3127) – Imam Tirmidzi mengatakan hadith ini gharib (asing) dan ada perbahasan mengenainya. Disebutkan juga oleh Imam Al-Baihaqi dalam Syu’ab Al-Iman (No. 7695).

Catatan mengenai status hadith: Status hadith ini adalah dhaif (lemah) dari sudut sanadnya pada pandangan majoriti ulama hadith, termasuk Imam Tirmidzi sendiri yang menilainya sebagai gharib dan mengatakan ada perbahasan mengenainya. Namun, maknanya dianggap sahih dan disokong oleh ayat-ayat Al-Qur’an dan hadith-hadith lain yang berbicara tentang taufik, hidayah, dan hikmah yang diberikan kepada orang-orang soleh.

Syarah:

    • Ungkapan “berhati-hatilah” di sini bermaksud berilah perhatian, jangan remehkan, atau jangan abaikan firasat orang mukmin.
    • Ia juga boleh diertikan sebagai waspadalah jika firasat mereka terhadap anda adalah negatif, kerana itu mungkin tanda bahawa ada sesuatu yang tidak betul pada diri anda yang Allah ‎ﷻ tunjukkan melalui hati mukmin tersebut.
    • Ini adalah dorongan untuk menghargai intuisi orang-orang yang soleh dan bertaqwa, kerana pandangan mereka seringkali tepat dan berlandaskan petunjuk ilahi.

Ayat yang menjadi sandaran adalah Hijr: 75

إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّلمُتَوَسِّمينَ
Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang memperhatikan tanda-tanda.

Sebahagian ulama mengatakan bahawa ayat Hijr: 75 ini turun terhadap para ahli firasat. Mengenai kata “al-Mutawassimin” dalam ayat ini:

I. Ibn al-Qayyim رَحِمَهُ اللَّهُ berkata, “Mujahid berkata, ‘ (Mereka adalah) Para ahli firasat.”

II. Ibn ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata, “Mereka yang mampu mentaksir sesuatu di masa hadapan (ahl al-nazar).”

III. Qatadah رَحِمَهُ اللَّهُ berkata, “Orang-orang yang mengambil pelajaran.”

IV. Muqatil رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, “Orang-orang yang berfikir. Dalam mengulas hal ini, beliau menyatakan bahawa hal itu merupakan salah satu sifat seorang Mukmin, sebahagian daripada kemuliaan yang Allah anugerahkan padanya, sebahagian daripada buah-buah keimanan, dan sebahagian daripada pahala amal soleh yang dilakukan pelakunya.”

 

بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

terhadap apa yang dulu mereka lakukan;

Mereka akan terpaksa mengaku semua. Tidak boleh dielak lagi kerana memang anggota badan mereka itu terlibat dalam perbuatan tuannya itu. Semasa di dunia, mereka telah melakukan banyak perkara yang salah dari segi akidah dan amalan, maka mereka akan mendapat balasan yang amat buruk atas perbuatan mereka itu.  Kita pun sudah tahu apa yang Musyrikin Mekah telah buat kepada Nabi Muhammad ﷺ. Mereka telah mentertawakan Nabi Muhammad ﷺ apabila ahli keluarga baginda mati (anak lelaki baginda). Mereka menolak dakwah baginda mentah-mentah. Mereka juga tidak membenarkan Nabi ﷺ berdakwah kepada masyarakat. Dan bermacam-macam lagi perkara buruk yang mereka telah buat.

Kenapa Allah ‎ﷻ tutup mulut pelaku dosa itu? Golongan  musyrikin dan munafik memang akan mencari jalan untuk menidakkan kesalahan yang mereka telah lakukan. Ini seperti firman Allah ‎ﷻ di dalam An’am: 23

ثُمَّ لَم تَكُن فِتنَتُهُم إِلّا أَن قالوا وَاللهِ رَبِّنا ما كُنّا مُشرِكينَ
Kemudian tidaklah ada akidah kufur mereka selain daripada mereka menjawab dengan dusta: “Demi Allah Tuhan kami, kami tidak pernah menjadi orang-orang yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)”.

Dan seperti yang disebut dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Said Al-Khudri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata:

إِذَا كَانَ يَوْمُ الْقِيَامَةِ دَنَا الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ حَتَّى يَضَعَ كَنَفَهُ عَلَيْهِ، فَيَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى: أَلَمْ أَفْعَلْ بِكَ كَذَا وَكَذَا؟ أَلَمْ أَفْعَلْ بِكَ كَذَا وَكَذَا؟ فَيَقُولُ الْعَبْدُ: بَلَى يَا رَبِّ. فَيَقُولُ اللَّهُ: أَلَمْ أَسْتُرْ عَلَيْكَ كَذَا وَكَذَا؟ فَيَقُولُ الْعَبْدُ: بَلَى يَا رَبِّ. فَيَقُولُ اللَّهُ: فَمَا تَقُولُ فِي كَذَا وَكَذَا؟ فَيَقُولُ الْعَبْدُ: يَا رَبِّ، لَمْ أَفْعَلْهُ. فَيَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى: فَأَيْنَ شُهُودُكَ؟ فَيَقُولُ: مَا أَشْهَدُ بِشَيْءٍ. فَيَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى: الْآنَ تَشْهَدُ عَلَيْكَ أَعْضَاؤُكَ. فَتَنْطِقُ الْأَعْضَاءُ بِكُلِّ شَيْءٍ فَعَلَهُ. فَيُقَالُ: أَبْعَدَكَ اللَّهُ وَأَسْحَقَكَ! فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “وَذَلِكَ الْبَهْلَةُ لِقَوْمٍ سَبَقَ عَلَيْهِمْ قَضَاءُ اللَّهِ.”
“Apabila tiba Hari Kiamat, seorang hamba akan mendekati Tuhannya sehingga Allah meletakkan perlindungan-Nya kepadanya (yakni, mengadilinya secara langsung). Lalu Allah Ta’ala berfirman: ‘Tidakkah Aku telah melakukan ini dan itu kepadamu? Tidakkah Aku telah melakukan ini dan itu kepadamu?’ Maka hamba itu menjawab: ‘Ya, Tuhanku.’ Lalu Allah berfirman: ‘Tidakkah Aku telah menutupi (dosamu) ini dan itu?’ Maka hamba itu menjawab: ‘Ya, Tuhanku.’ Lalu Allah berfirman: ‘Maka apa yang engkau katakan mengenai ini dan itu?’ Maka hamba itu menjawab: ‘Ya Tuhanku, aku tidak melakukannya.’ Lalu Allah Ta’ala berfirman: ‘Di manakah saksi-saksimu?’ Maka dia berkata: ‘Aku tidak mempunyai saksi apa-apa.’ Lalu Allah Ta’ala berfirman: ‘Sekarang, anggota-anggota tubuhmu akan bersaksi atas dirimu.’ Maka anggota-anggota tubuh itu akan berbicara tentang segala sesuatu yang telah dilakukannya. Lalu dikatakan (kepada hamba itu): ‘Allah menjauhkanmu dan menghancurkanmu!’ Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Dan itulah kebingungan bagi suatu kaum yang telah ditetapkan ke atas mereka ketentuan Allah (untuk masuk neraka).'”
Sahih Muslim: Kitab Az-Zuhd wa Ar-Raqaiq, Bab: Hadith Jabir At-Tawil wa Hadith Abi Said (No. 2969)

Di dalam hadith yang lain ada disebut lagi tafsiran bagi ayat 65 ini. Hadith ini diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَرَأَ هَذِهِ الْآيَةَ: {الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَى أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ}. وَقَالَ: “إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا أَنْكَرَ ذَنْبَهُ أَوْ شَيْئًا مِنْ ذَنْبِهِ يَقُولُ: أَيْ رَبِّ، أَلَمْ تُجِرْنِي مِنَ الظُّلْمِ؟ فَيَقُولُ: بَلَى. فَيَقُولُ: فَإِنِّي لَا أُجِيزُ عَلَى نَفْسِي إِلَّا شَاهِدًا مِنِّي. فَيَقُولُ: كَفَى بِنَفْسِكَ الْيَوْمَ عَلَيْكَ شَهِيدًا، وَبِالْكِرَامِ الْكَاتِبِينَ شُهُودًا. ثُمَّ يُخْتَمُ عَلَى فِيهِ، وَيُقَالُ لِفَخِذِهِ: انْطِقِي. فَتَنْطِقُ بِمَا عَمِلَ. ثُمَّ لِسَاقِهِ، ثُمَّ لِذِرَاعِهِ، ثُمَّ لِرِجْلِهِ.”
Bahawasanya Nabi ﷺ membaca ayat ini: Pada hari ini Kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan.” (Yaasin: 65). Lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya seorang hamba apabila dia mengingkari dosanya atau sebahagian daripada dosanya, dia berkata: ‘Wahai Tuhanku, bukankah Engkau telah menyelamatkan aku daripada kezaliman?’ Allah berfirman: ‘Ya, benar.’ Dia (hamba itu) berkata: ‘Maka sesungguhnya aku tidak akan menerima saksi atas diriku kecuali daripada diriku sendiri.’ Maka Allah berfirman: ‘Cukuplah dirimu pada hari ini sebagai saksi atas dirimu, dan (cukuplah) malaikat-malaikat yang mulia (Kiraman Katibin) sebagai saksi.’ Kemudian mulutnya akan dikunci, dan dikatakan kepada pahanya: ‘Bicaralah!’ Maka pahanya pun berbicara tentang apa yang telah dia lakukan. Kemudian kepada betisnya, kemudian kepada lengannya, kemudian kepada kakinya.”
(Sahih Muslim No. 2968)

Di dalam ayat ini digunakan kalimah يَكْسِبُونَ yang diterjemahkan secara ‘yang mereka lakukan’. Namun ada lagi kalimah lain untuk menyebut tentang perbuatan. Dalam bahasa Arab, terutamanya dalam konteks Al-Qur’an dan ilmu agama, perkataan كسب (kasb), فعل (fi’l), dan عمل (‘amal) semuanya merujuk kepada perbuatan atau tindakan, tetapi setiap satu memiliki nuansa makna dan konotasi yang sedikit berbeza. Memahami perbezaan ini adalah penting untuk tafsiran Al-Qur’an yang lebih tepat.

1. فِعْل adalah perkataan yang paling umum dan luas maknanya untuk merujuk kepada sebarang tindakan, kejadian, atau perbuatan. Ia boleh berlaku secara sengaja atau tidak sengaja. Boleh digunakan untuk manusia, haiwan, atau benda mati. Ia tidak semestinya melibatkan niat atau tujuan tertentu. Maknanya ia tidak semestinya dilakukan dengan pengetahuan atau kesedaran penuh. Contoh: Batu berguling, hujan turun, seseorang tersandung. Dalam Al-Qur’an, ia digunakan secara umum untuk merujuk kepada tindakan Allah ‎ﷻ atau manusia.

2. عَمَل adalah perbuatan atau pekerjaan yang dilakukan dengan niat, tujuan, kesedaran, dan pilihan. Ia lebih spesifik daripada فِعْل. Ia merujuk kepada perbuatan yang melibatkan usaha dan kesengajaan dari pelaku. Ia hanya datang daripada makhluk berakal (manusia atau jin) dan dilakukan dengan kesedaran, niat, dan tujuan. Biasanya melibatkan pengulangan atau kesinambungan (tidak hanya sekali berlaku) dan boleh dinilai sebagai baik (soleh) atau buruk (sayyi’). Dalam Al-Qur’an, ia sering digunakan dalam frasa “amal soleh” (perbuatan baik) atau “amal sayyi'” (perbuatan buruk), kerana ia merujuk kepada perbuatan yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat.

3. كَسْب seperti yang digunakan di dalam ayat ini merujuk kepada perbuatan atau usaha yang dilakukan oleh seseorang yang mendatangkan hasil, ganjaran, atau balasan kepadanya, sama ada baik atau buruk. Ia menekankan aspek tanggungjawab dan perolehan dari perbuatan itu. Ia adalah jenis perbuatan yang mana pelakunya akan memperoleh manfaat atau mudarat daripadanya. Maka apabila ia digunakan, ia hendak menekankan aspek kebertanggungjawaban individu terhadap perbuatannya. كَسْب sering dikaitkan dengan niat dan pilihan yang akan membawa kepada hasil. Dan ia juga boleh merujuk kepada perolehan atau pendapatan, iaitu hasil daripada usaha. Dalam Al-Qur’an, كَسْب sering digunakan untuk menunjukkan bahawa setiap jiwa akan dipertanggungjawabkan atas apa yang telah dilakukannya.


 

KUASA ALLAH ‎ﷻ KE ATAS PARA PENENTANG

Yaasin Ayat 66: Takhwif duniawi (penakutan dengan azab di dunia lagi). Golongan penentang mengancam para Rasul seperti yang kita telah baca di awal surah ini. Jadi ayat ini seolah-olah Allah ‎ﷻ menjawab: apa kamu sangka kamu sahaja boleh mengancam?

وَلَو نَشآءُ لَطَمَسنا عَلىٰٓ أَعيُنِهِم فَاستَبَقُوا الصِّرٰطَ فَأَنّىٰ يُبصِرونَ

Sahih International

And if We willed, We could have obliterated their eyes, and they would race to [find] the path, and how could they see?

Malay

(Matahati orang-orang yang menderhaka itu rosak) dan kalau Kami kehendaki, Kami berkuasa menghapuskan bentuk dan biji mata kepala mereka menjadi rata, sehingga masing-masing menerpa mencari-cari jalan (yang biasa mereka lalui). (Kiranya dijadikan demikian) maka bagaimanakah mereka dapat melihatnya?

 

وَلَوْ نَشَاءُ لَطَمَسْنَا عَلَىٰ أَعْيُنِهِمْ

Dan kalau Kami kehendaki, nescaya Kami butakan mata-mata mereka;

Allah ‎ﷻ boleh sahaja butakan mata mereka semasa mereka di muka bumi lagi sebagai balasan atas kesalahan besar yang mereka telah lakukan. Kesalahan yang dimaksudkan adalah mereka menolak kebenaran.

Perkataan طَمَسْ itu bermaksud ‘memadam sesuatu’. Seperti kalau kita tulis dengan pensel, dan kita cuba padam dengan pemadam getah. Walaupun kita telah padam, tetapi akan ada kesannya lagi. Ini lebih teruk lagi daripada membutakan (أعمى) kerana kalau buta, masih ada mata dan biji mata lagi, tetapi kalau طَمَسْ yang digunakan, ia bermaksud bentuk mata pun tidak ada lagi, licin sahaja di bahagian mata itu!

Namun begitu, bukanlah Allah ‎ﷻ maksudkan mata fizikal di sini tetapi mata hati. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Hajj: 46

فَإِنَّها لا تَعمَى الأَبصٰرُ وَلٰكِن تَعمَى القُلوبُ الَّتي فِي الصُّدورِ
Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada.

Begitulah Allah ‎ﷻ boleh buat kepada mata mereka yang telah menolak dan mengejek-ngejek Nabi Muhammad ﷺ. Mereka tidak akan ada peluang lagi untuk mendapat hidayah.

Nota: Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata). Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air.

 

فَاسْتَبَقُوا الصِّرٰطَ

Mereka akan berlumba-lumba mencari jalan;

Mereka cuba untuk cari jalan, tetapi mereka tidak akan jumpa kebenaran itu kerana mereka telah dibutakan mata mereka. Itulah yang akan terjadi kalau Allah ‎ﷻ butakan mata hati mereka. Maka Allah ‎ﷻ tidak lakukan, Allah ‎ﷻ masih lagi beri peluang untuk mereka mendapatkan hidayah.

Ayat ini juga boleh menjadi takhwif ukhrawi (penakutan dengan azab di akhirat). Oleh itu maksud الصِّرٰطَ kenalah ditafsirkan sebagai jalan di Titian Sirath di akhirat kelak.

 

فَأَنَّىٰ يُبْصِرُونَ

macam mana lagi mereka dapat melihat;

Mereka sudah tidak dapat melihat dalil bukti daripada Allah ‎ﷻ. Mereka tidak nampak dalil bukti walaupun apabila mereka diberitahu. Kadang-kadang orang lain yang ada bersama mereka dapat faham, tetapi mereka sendiri tidak faham. Itu adalah kerana mata-hati mereka telah dibutakan. Ini dinamakan ‘khatmul qalbi’ (penutupan hati) kerana mereka telah sampai ke peringkat kufur peringkat ke-empat. Mereka dikenakan begini kerana mereka degil dan menentang kebenaran.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini 21 Jun 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 179 – 182 (Tentang Wasiat)

Baqarah Ayat 179: Sekarang Allah ‎ﷻ bertitah kepada pemerintah pula. Menjadi tanggungjawab mereka untuk menjalankan hukum Qisas kerana tanggungjawab mereka untuk memastikan keamanan dalam negara. Keamanan negara dapat ditegakkan apabila hukum Allah ﷻ dijalankan.

Di dalam ayat ini Allah ﷻ memberitahu manfaat menjaga hukum Qisas itu. Allah ‎ﷻ beritahu yang ada kebaikan di dalam hukum Qisas. Malangnya, kerana kita tidak ikut saranan Allah ‎ﷻ inilah yang menyebabkan institusi negara menjadi kacau bilau. Sampaikan manusia yang jahat tidak takut untuk membunuh orang lain kerana undang-undang yang ringan diberikan terhadap mereka.

وَلَكُم فِى ٱلقِصَاصِ حَيَوٰةٌ يَـٰٓأُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ لَعَلَّڪُم تَتَّقُونَ

Sahih International

And there is for you in legal retribution [saving of] life, O you [people] of understanding, that you may become righteous.

 

Malay

Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa.

 

وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَوٰةٌ

Dan untuk kamu dalam Qisas itu ada kehidupan;

Manusia akan hidup dengan aman jikalau hukum Qisas ditegakkan. Manusia boleh hidup tanpa tumpah darah. Mereka boleh menikmati kehidupan yang sebenar iaitu tanpa ketakutan. Tidak ada lagi pembunuhan dengan cara yang berleluasa. Begitulah indahnya hukuman yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan.

Namun begitu guru sekarang kebanyakannya hanya bercerita tentang hukum puasa, solat, wudhu’ dan sebagainya. Hanya berulang-ulang diajar bahagian itu sahaja. Tidak belajar benda-benda yang baru termasuk tentang hukum-hukum Hudud ini. Maka ramai yang jahil akan bab ini. Maknanya masyarakat kita banyak tidak belajar benda yang mereka patut belajar. Anak-anak murid sangka mereka sudah belajar banyak, tetapi sebenarnya tidak. Sampaikan ada yang tidak tahu pun ada hukum Hudud dalam Islam. Sampaikan mereka sanggup untuk tolak hukum Hudud ini.

Yang dimaksudkan dengan hukum Qisas itu adalah ‘bunuh balas’. Itu adalah hukum utama. Bukan Diyat dan bukan Pemaafan yang utama. Kalau semua masyarakat tahu bahawa jikalau mereka membunuh orang lain, mereka akan dibunuh balik, tentu mereka takut untuk mengambil nyawa orang lain. Maka secara langsung dunia akan menjadi lebih aman. Kerajaan tidaklah boleh terus pergi kepada Diyat dan minta ahli keluarga maafkan. Mereka mesti diberi pilihan untuk membunuh si pembunuh. Kalau masyarakat sentiasa sahaja mengambil langkah menerima Diyat atau memaafkan pembunuh, maka manusia yang jahat tidak takut untuk membunuh kerana mereka tahu mereka ada peluang untuk membayar nyawa itu dengan diyat atau mereka boleh dimaafkan. Oleh itu, Allah ‎ﷻ menasihatkan kita untuk mengamalkan hukum Qisas – balas bunuh. Memang kita dinasihatkan untuk selalu memaafkan secara individu, namun dalam hal Qisas, kita sepatutnya menjalankan hukum Qisas.

Penentang kepada hukum ini mengatakan yang hukum ini tidak masuk akal. Mereka kata ia hanya membanyakkan orang yang terbunuh sahaja. Mulanya ada seorang dibunuh dan kemudian dibunuh lagi pembunuh itu. Jadi 1 + 1 = 2 orang yang terbunuh. Mereka tidak faham yang sebenarnya dalam kes ini 1 + 1 = 0. Ini adalah kerana hukuman Islam bukannya hendak menghukum sebenarnya akan tetapi menghalang (deterrent). Apabila manusia tahu yang kalau mereka membunuh dengan sengaja akan menyebabkan mereka pun dibunuh, maka ia akan menghalang mereka daripada membunuh. Maka kadar pembunuhan di dunia ini akan berkurang kalau tidak terhapus pun. Namun begitu oleh kerana sekarang hukuman bunuh dihapuskan, maka manusia tidak takut untuk membunuh kerana paling kuat pun mereka masuk penjara sahaja dan dapat makan percuma dan tidak perlu bayar sewa rumah lagi. Kita pembayar cukai pula yang kena tanggung penjenayah-penjenayah ini.

 

يَـٰٓأُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ

wahai orang-orang yang berfikiran waras

Maka kamu sebagai kerajaan yang menguruskan kehidupan rakyat kena tetapkan hukum Qisas ini. Kamu telah dinaikkan menjadi pemimpin maka hendaklah menggunakan langkah bijak amalkan hukum yang Allah ﷻ telah tetapkan.

Kalimah ٱلأَلبَـٰبِ daripada kata dasar: ل ب ب yang bermaksud mempunyai fikiran yang tajam, mempunyai hati yang baik, lembut dan penyayang, pandai, bijak, mempunyai intelek yang tinggi, akal. Jadi untuk faham falsafah dan kelebihan undang-undang Islam ini memerlukan akal yang bijak dan tajam. Ada yang dangkal akalnya sampai mengatakan hukum syariat Islam ini ‘barbarian’, tidak sesuai zaman sekarang. Mereka hendak supaya hukum bunuh dihapuskan terus kerana bagi mereka, itu tidak adil. Kesian kepada nyawa orang, mereka kata. Yang mereka tidak fikirkan adalah tentang keadilan kepada keluarga si mati. Apa mereka itu tidak selayaknya dapat keadilan? Kenapa hendak dijaga nyawa si pembunuh? Supaya dipenjara sekian waktu dan biarkan dia membunuh lagi? Ada orang yang langsung tidak boleh diubah lagi mentaliti mereka sebagai pembunuh, maka jalan terbaik adalah untuk matikan sahaja mereka supaya mereka tidak dapat membunuh orang lain lagi.

 

لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Mudah-mudahan kamu dapat bertaqwa.

Allah ‎ﷻ telah beri banyak pengajaran dan hukum kepada kita supaya kita ambil tahu. Tujuannya supaya kita dapat menjaga hukum dan dengan itu kita  dapat menyelamatkan diri kita, masyarakat dan negara daripada porak peranda.


 

HUKUM WASIAT

Baqarah Ayat 180: Hukum umur munazimah yang kedua adalah tentang harta benda. Cuma ada sedikit kesulitan dengan ayat ini kerana ada ulama’ berpendapat yang ayat ini adalah antara ayat yang telah dimansukhkan. Ia adalah tentang Hukum Wasiat.

Apabila terjadi kematian, antara perkara yang penting yang perlu diberi perhatian adalah tentang pembahagian harta pusaka dan tentang wasiat. Ini penting untuk menjaga keamanan di dalam keluarga supaya tidak berbantah dalam hal harta.

Oleh itu, kita boleh lihat, bagaimana perubahan fokus dalam Al-Qur’an. Dalam ‘ayatul birr’, ia adalah tentang individu (apa yang individu kena buat). Kemudian dalam Qisas, ia adalah tentang menjaga keamanan negara. Al-Qur’an menyentuh segenap kehidupan masyarakat Islam, daripada individu ke sebesar-besarnya, iaitu negara. Sekarang tentang situasi yang pertengahan, iaitu dalam hal keluarga.

كُتِبَ عَلَيكُم إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ ٱلمَوتُ إِن تَرَكَ خَيرًا ٱلوَصِيَّةُ لِلوٰلِدَينِ وَٱلأَقرَبِينَ بِٱلمَعرُوفِ‌ۖ حَقًّا عَلَى ٱلمُتَّقِينَ

Sahih International

Prescribed for you when death approaches [any] one of you if he leaves wealth [is that he should make] a bequest for the parents and near relatives according to what is acceptable – a duty upon the righteous.

 

Malay

Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika dia ada meninggalkan harta, (hendaklah dia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan ugama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa.

 

كُتِبَ عَلَيْكُمْ

Ditetapkan ke atas kamu

Ia adalah satu hukum yang telah ditetapkan kepada kita. Kena ambil tahu tentang hukum ini. Oleh kerana kalimah كُتِبَ yang digunakan, maka sesetengah ulama’ mengatakan yang wasiat adalah wajib. Akan tetapi sesetengah yang lain mengatakan ia hanya sunat sahaja.

Cuma ia menjadi wajib apabila seseorang itu berhutang, memberi hutang atau pun menjaga barang orang lain sebagai amanah.

Apabila hendak berwasiat, maka hendaklah ada saksi yang menyaksikan perkara itu seperti disebut di dalam Maidah:106

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا شَهٰدَةُ بَينِكُم إِذا حَضَرَ أَحَدَكُمُ المَوتُ حينَ الوَصِيَّةِ اثنانِ ذَوا عَدلٍ مِّنكُم أَو ءآخَرانِ مِن غَيرِكُم إِن أَنتُم ضَرَبتُم فِي الأَرضِ فَأَصٰبَتكُم مُّصيبَةُ المَوتِ ۚ تَحبِسونَهُما مِن بَعدِ الصَّلوةِ فَيُقسِمانِ بِاللَّهِ إِنِ ارتَبتُم لا نَشتَري بِهِ ثَمَنًا وَلَو كانَ ذا قُربىٰ ۙ وَلا نَكتُمُ شَهٰدَةَ اللَّهِ إِنّا إِذًا لَّمِنَ الآثِمينَ
Hai orang-orang yang beriman, apabila salah seorang kamu menghadapi kematian, sedang dia akan berwasiat, maka hendaklah (wasiat itu) disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu, atau dua orang yang berlainan agama dengan kamu, jika kamu dalam perjalanan di muka bumi lalu kamu ditimpa bahaya kematian. Kamu tahan kedua saksi itu sesudah sembahyang (untuk bersumpah), lalu mereka keduanya bersumpah dengan nama Allah, jika kamu ragu-ragu: “(Demi Allah) kami tidak akan membeli dengan sumpah ini harga yang sedikit (untuk kepentingan seseorang), walaupun dia karib kerabat, dan tidak (pula) kami menyembunyikan persaksian Allah; sesungguhnya kami kalau demikian tentulah termasuk orang-orang yang berdosa”.

 

إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ

ketika telah sampai (tanda-tanda) kematian salah seorang daripada kamu,

Iaitu apabila sudah sampai tanda-tanda hendak mati. Mungkin dia jatuh sakit dan dia sangka sakitnya ini akan membawa kepada kematian. Atau kalau seseorang itu sudah tua, sudah dekat dengan kubur. Bukannya ‘sudah mati’. Kalau ada terjemah apabila sudah mati, itu adalah terjemahan yang salah. Maka wasiat mesti dilakukan sebelum mati. Kena buat persediaan sebelum mati. Malah ada hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

 مَا حَقُّ امْرِئٍ مُسْلِمٍ لَهُ شَىْءٌ، يُوصِي فِيهِ يَبِيتُ لَيْلَتَيْنِ، إِلاَّ وَوَصِيَّتُهُ مَكْتُوبَةٌ عِنْدَهُ ‏
“Tidak ada hak bagi seorang muslim yang akan berwasiat dengan sesuatu untuk tidur dua malam, kecuali wasiat tersebut sudah dituliskannya di sisinya.”
(Riwayat Bukhari No. 2438 dan Muslim No. 1627)

Kita tidak tahu bilakah kita akan mati seperti disebut di dalam Luqman: 34

وَما تَدري نَفسٌ مّاذا تَكسِبُ غَدًا ۖ وَما تَدري نَفسٌ بِأَيِّ أَرضٍ تَموتُ
Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati.

Oleh itu kita kena bersedia untuk mati dan berwasiat seawal mungkin.

 

إِنْ تَرَكَ خَيْرًا

jika dia ada meninggalkan harta yang banyak,

Di sini kalimah خَيْرًا diterjemahkan sebagai harta yang banyak, bukan sedikit. Kerana itu tidak digunakan kalimah المال (harta) di sini. Ini seperti juga penggunaan di dalam Aadiyaat: 8

وَإِنَّهُ لِحُبِّ الخَيرِ لَشَديدٌ
dan sesungguhnya dia sangat hebat cintanya kepada harta yang banyak.

Selalunya, jikalau seseorang itu mempunyai banyak harta yang telah dikumpulkan dan jika harta itu kalau tidak dibahagikan dengan sebaiknya dan mengikut apa yang telah diajar oleh Allah ‎ﷻ, maka boleh menimbulkan kacau bilau dalam keluarga. Kita pun sudah tahu bagaimana hal harta benda ini boleh memecah belahkan ahli keluarga yang terdekat. Kesannya amat besar sekali. Maka kena berhati-hati dalam hal harta juga.

 

الْوَصِيَّةُ لِلوٰلِدَينِ

hendaklah dia berwasiat kepada kedua ibubapanya

Jika dia akan meninggalkan harta, dia hendaklah pesan dan wasiat bagaimana harta itu hendak dibahagikan.

Ini terjemahan pertama ayat ini: seseorang yang hampir mati hendaklah mewasiatkan supaya hartanya dibahagikan mengikut faraid. Ini kerana penerima pusaka (ahli keluarga) tidak boleh menerima wasiat. Maka dia kena ingatkan orang yang menguruskan hartanya supaya membahagikan hartanya itu mengikut hukum Faraid. Jangan pula ikut cara lain seperti pembahagian harta mengikut Adat Perpatih, jangan beri sama rata kepada ahli keluarga dan sebagainya. Oleh kerana undang-undang pembahagian harta telah ditetapkan, maka kena ikut.

Tafsir yang kedua pula mengatakan memang ayat ini merujuk kepada wasiat harta kepada ibu dan bapanya. Akan tetapi ada hadith yang diriwayatkan daripada Abi Umamah al-Bahili bahawa beliau mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:

أنَّ اللهَ قد أعطَى كلَّ ذي حقِّ حقَّهُ, فلا وصيَّةَ لوارثٍ
“Sesungguhnya Allah telah menentukan setiap yang mempunyai hak (ahli waris) akan mendapat hak mereka. Maka, tidak ada wasiat kepada ahli waris”
(Riwayat Abu Daud No. 2870, Ibn Majah No. 2210, dan Ahmad No. 286)

Kerana itulah ada pendapat yang mengatakan ayat ini telah dimansukhkan dengan ayat Nisa’:11

وَلِأَبَوَيْهِ لِكُلِّ وٰحِدٍ مِّنْهُمَا السُّدُسُ مِمَّا تَرَكَ إِن كَانَ لَهُ وَلَدٌ فَإِن لَّمْ يَكُن لَّهُ وَلَدٌ وَوَرِثَهُ أَبَوَاهُ فَلِأُمِّهِ الثُّلُثُ فَإِن كَانَ لَهُ إِخْوَةٌ فَلِأُمِّهِ السُّدُسُ
Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang daripada keduanya: satu perenam daripada harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam.

Di dalam Nisa’:11 ini telah disebut dengan jelas bahagian faraid bagi ibubapa. Kerana itu ada pendapat yang mengatakan ayat Baqarah:180 ini telah dimansukhkan. Akan tetapi pendapat yang lain dan lebih mengatakan ia tidak dimansukhkan. Ayat Baqarah: 180 ini masih lagi boleh digunakan untuk mewasiatkan harta kepada ibubapa yang bukan Muslim. Ini kerana non-Muslim tidak boleh mewarisi harta daripada orang Islam. Ini seperti telah disebut di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawa Nabi ﷺ pernah bersabda:

لاَ يَرِثُ المُسْلِمُ الكَافِرَ وَلاَ الكَافِرُ المُسْلِمَ
Tidak mewarisi seorang Muslim daripada seorang kafir dan tidak mewarisi seorang kafir daripada seorang Muslim.
(Hadith Riwayat Bukhari No. 6764 dan Muslim No. 1614)

Oleh kerana ibubapa non-Muslim tidak boleh mewarisi harta anaknya melalui faraid, maka seorang anak yang tentu menyayangi ibubapanya boleh berwasiat untuk mereka. Cuma wasiat hanya setakat 1/3 harta sahaja. Ini supaya tidak menzalimi pewaris. Sebab kalau beri banyak sangat, maka ia akan mengurangkan harta pusaka. Dalilnya adalah hadith yang diriwayatkan daripada Saad bin Abi Waqas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa dia bertanyakan Rasulullah ﷺ bolehkah dia berwasiat seluruh dan separuh hartanya tetapi dilarang. Sabda Rasulullah ﷺ:

فَالثُّلُثُ، وَالثُّلُثُ كَثِيرٌ، إِنَّكَ أَنْ تَدَعَ وَرَثَتَكَ أَغْنِيَاءَ خَيْرٌ مِنْ أَنْ تَدَعَهُمْ عَالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ فِي أَيْدِيهِمْ
Maka (boleh berwasiat) satu pertiga (daripada harta), sedangkan satu pertiga itu pun sudah banyak. Sesungguhnya, jika engkau tinggalkan waris dalam keadaan kaya atau cukup, lebih baik daripada engkau tinggalkan mereka dalam keadaan tidak cukup, dengan menadah-nadah tangan meminta daripada tangan-tangan manusia.
(Hadith Riwayat Bukhari No. 2742 dan Muslim No. 1628)

 

 

وَالْأَقْرَبِينَ بِالْمَعْرُوفِ

dan kerabatnya yang terdekat dengan cara yang baik dan sesuai;

Ini pula adalah bagi ahli keluarga yang terdekat seperti pakcik dan makcik. Jadi, ada dua tafsir bagi ayat ini. Tafsiran pertama tadi mengatakan kena wasiat (kena pesan bagi ingat) supaya ahli keluarga mengikut Hukum Faraid. Tafsir kedua ini mengatakan, kalau keluarga dia ada yang kafir, masih boleh mewasiatkan harta kepada mereka. Namun kena ingat yang ia hanya boleh diwasiatkan kepada asbabul furu’ sahaja. Iaitu mereka yang sepatutnya boleh menerima harta pusaka itu kalau mereka itu Muslim. Patutnya dia dapat tetapi tidak boleh terima disebabkan berlainan agama. Mengikut pendapat ini tidak boleh berwasiat kepada orang lain pula.

Ada juga pendapat yang kata boleh wasiat kepada sesiapa sahaja. Sebagai contoh, kepada anak tiri, anak angkat, malah kepada orang lain pun. Mungkin dia hendak beri kepada mana-mana persatuan contohnya.

Perkataan بِالْمَعْرُوفِ di sini bermaksud ikut syariat. Maka boleh wasiat kepada ahli keluarganya yang kafir itu, namun setakat 1/3 daripada keseluruhan hartanya. Tidak boleh lebih daripada itu. Ini difahami daripada hadith yang kita telah kongsikan di atas.

Penerima pusaka tidak boleh menerima wasiat. Maka, kalau ada wasiat kepada anak beranak, wasiat itu tidak sah kerana hukum pembahagian harta pusaka sudah ada dalam ayat Al-Qur’an yang lain. Ini dinamakan Hukum Faraid. Malangnya, ada juga yang tidak mengikut pembahagian harta pusaka mengikut faraid. Sebagai contoh, ada negeri yang mengamalkan pembahagian harta mengikut Adat Perpatih. Maka, ketahuilah bahawa cara adat perpatih itu adalah ingkar kepada arahan Allah ‎ﷻ kerana mereka memberikan harta kepada waris perempuan sahaja. Adat Perpatih itu sebenarnya telah menolak beberapa ayat Al-Qur’an. Akan tetapi dek kerana tidak mementingkan ayat Al-Qur’an, maka ramai yang tolak dengan begitu sahaja.

Kalau harta itu diberi semasa hidup, tidak termasuk dalam harta pusaka (ini dipanggil hibah). Kalau hendak beri berapa banyak pun tidak mengapa. Oleh itu, kalau hendak beri kepada sesiapa yang kita kehendaki, berilah semasa kita hidup lagi. Jangan tunggu sudah hendak mati baru teringat hendak beri.

Namun begitu, eloklah kita ingat apakah yang sepatutnya kita ingatkan kepada anak-anak kita apabila kita sudah hampir mati. Ingatlah apa kata Nabi Ya’qub عليه السلام kepada anak-anaknya dalam ayat-ayat yang lepas. Baginda bertanya kepada anak-anaknya: “Apakah yang akan kamu sembah selepas aku tiada nanti?” Itu adalah soalan yang amat baik untuk ditanya. Kerana kata-kata terakhir yang kita sebut akan dipegang dan diingati oleh anak-anak lama selepas kita tidak ada. Maka kena ambil peluang itu untuk mengingatkan mereka tentang agama. Jangan hendak ingat tentang harta benda sahaja.

 

حَقًّا عَلَى الْمُتَّقِينَ

Ini adalah satu ketetapan ke atas orang-orang yang bertaqwa;

Ini adalah tanggungjawab bagi orang yang takut dengan Allah ‎ﷻ. Mereka akan jaga tentang pembahagian harta supaya mengikut undang-undang yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan. Oleh itu, ayat ini masih lagi tentang taqwa. Perbincangan Surah Baqarah tidak lari daripada perjalanan mencapai taqwa.

Setelah membincangkan isu ini, ada baiknya kita bawakan perbezaan pendapat dalam kalangan ulama’ tentang berwasiat kepada ahli waris.

Pendapat pertama: Wasiat yang ditinggalkan kepada ahli waris adalah batil secara mutlak walaupun mendapat kebenaran daripada seluruh ahli waris. Ini adalah pendapat dalam mazhab Imam Malik, pendapat kedua dalam mazhab Imam asy-Syafi’e dan satu riwayat dalam mazhab Imam Ahmad.  (Lihat Hasyiyah ad-Dusuki, 4/427, Nihayah al-Muhtaj, 6/48), al-Mughni ma’a Syarh al-Kabir, 6/419).

Mereka berhujahkan dengan zahir hadith yang diriwayatkan daripada Abi Umamah al-Bahili bahawa beliau mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:

أنَّ اللهَ قد أعطَى كلَّ ذي حقِّ حقَّهُ, فلا وصيَّةَ لوارثٍ
“Sessungguhnya Allah telah menentukan setiap yang mempunyai hak (ahli waris) akan mendapat hak mereka. Maka, tidak ada wasiat kepada ahli waris”
(Riwayat Abu Daud No. 2870, Ibn Majah No. 2210 dan Ahmad No. 286)

Pendapat Kedua: Wasiat yang ditinggalkan kepada ahli waris adalah sah jika mendapat persetujuan daripada ahli waris lain selepas kematian orang yang meninggalkan wasiat. Jika mendapat persetujuan hanya sebahagian daripada ahli waris, maka wasiat yang ditinggalkan hanya sah mengikut kadar ahli waris yang membenarkannya. Ini adalah pendapat muktamad dalam mazhab Imam asy-Syafi’e, mazhab Imam Ahmad dan satu pendapat dalam mazhab Imam Malik. (Lihat  al-Mu’tamad fi al-Fiqh asy-Syafi’e, 4/561, al-Fiqh al-Manhaji, 2/258, Hasyiyah ad-Dusuki, 4/427, al-Mughni, 6/419)

Hujah para fuqaha’ yang membenarkan wasiat kepada waris dengan syarat hendaklah ahli waris bersetuju dengan wasiat yang telah ditinggalkan mereka juga berhujahkan dengan hadith yang diriwayatkan  daripada Abi Umamah al-Bahili bahawa beliau mendengar Rasulullah ﷺ bersabda

أنَّ اللهَ قد أعطَى كلَّ ذي حقِّ حقَّهُ, فلا وصيَّةَ لوارثٍ
“Sessungguhnya Allah telah menentukan setiap yang mempunyai hak (ahli waris) akan mendapat hak mereka. Maka, tidak ada wasiat kepada ahli waris”
(Riwayat Abu Daud No. 2870, Ibn Majah No. 2210 dan Ahmad No. 286)

Apa yang dapat difahami melalui hadith ini adalah seperti berikut:

  • Pada permulaan Islam, wasiat kepada ahli waris adalah satu kewajipan terhadap ahli keluarga. Ini berlaku sebelum turunnya ayat-ayat pewarisan. Setelah ayat-ayat pewarisan diturunkan, wasiat kepada ahli waris dibatalkan, kecuali setelah mendapat persetujuan daripada ahli waris. Hadith ini diperincikan lagi dengan hadith yang lain yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawa Rasulullah ﷺ bersabda :

لاَ تَجُوزُ الْوَصِيَّةُ لِوَارِثٍ إِلاَّ أَنْ يَشَاءَ الْوَرَثَةُ
“Tidak harus meninggalkan wasiat kepada waris kecuali dengan keizinan waris”
(Riwayat ad-Daruqutni No. 4295)

Imam as-Suyuti, Imam al-Baihaqi dan Imam ibn Mulaqqin رَحِمَهُ اللَّهُ menghukum hadith ini sebagai lemah, manakala Imam adz-Zahabi رَحِمَهُ اللَّهُ pula mengatakan sanad hadith ini baik dan Atho’ seorang yang soduq.


 

Baqarah Ayat 181: Kalau tidak dijaga isu-isu harta, boleh menyebabkan perpecahan antara keluarga. Sebab itu Allah ‎ﷻ beri penekanan dalam hal ini.

Wasiat tentunya cuma boleh dijalankan kalau ada orang dengar wasiat yang disampaikan oleh si mati itu. Selepas diberitahu tentang wasiat, perlaksanaan wasiat itu adalah atas tanggungjawab orang yang mendengarnya. Akan tetapi Allah ‎ﷻ sudah beritahu cara dan hukum kepada mereka yang mendengar wasiat itu. Allah ‎ﷻ memberitahu yang berdosa kalau ubahsuai wasiat itu dan dosanya ke atas orang yang ubahsuai.

فَمَنۢ بَدَّلَهُ ۥ بَعدَمَا سَمِعَهُ ۥ فَإِنَّمَآ إِثمُهُ ۥ عَلَى ٱلَّذِينَ يُبَدِّلُونَهُ ۥۤ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Sahih International

Then whoever alters the bequest after he has heard it – the sin is only upon those who have altered it. Indeed, Allah is Hearing and Knowing.

 

Malay

Kemudian sesiapa yang mengubah mana-mana wasiat sesudah dia mendengarnya, maka sesungguhnya dosanya hanya ditanggung oleh orang-orang yang mengubahnya; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

 

فَمَنْ بَدَّلَهُ بَعْدَمَا سَمِعَهُ

Maka barangsiapa yang mengubah setelah dia mendengar wasiat itu;

Ayat ini tentang mereka yang mendengar wasiat itu, tetapi telah mengubah wasiat yang telah ditetapkan oleh yang memberi wasiat itu. Ini selalunya terjadi bagi wasiat guna mulut sahaja dan wasiat itu tidak dinotarikan. Sebab itu wasiat yang baik dibuat dengan cara undang-undang zaman moden ini yang menggunakan peguam. Barulah tidak ada isu diubah-ubah.

 

فَإِنَّمَا إِثْمُهُ عَلَى الَّذِينَ يُبَدِّلُونَهُ

maka dosa itu adalah hanya kepada orang yang mengubah wasiat itu;

Hakim membuat keputusan berdasarkan apakah yang diberitahu oleh saksi. Kalau pendengar wasiat yang menipu, hakim tidak berdosa, yang berdosa adalah orang yang curang itu. Mereka yang mengubah wasiat itu akan dibalas kesalahan mereka itu di akhirat kelak. Orang yang telah berwasiat itu tidak berdosa kerana dia telah melaksanakan tanggungjawabnya.

 

إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ

Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar;

Allah ‎ﷻ mendengar segala perancangan jahat manusia. Jangan sangka Allah ‎ﷻ tidak tahu apa yang dilakukan oleh manusia. Manusia lain mungkin tidak tahu kita menipu, tetapi Allah ﷻ dengar sahaja setiap apa yang telah berlaku.

 

عَلِيمٌ

Maha Mengetahui;

Allah ‎ﷻ mengetahui siapa yang menukar wasiat itu. Manusia dan hakim mungkin tidak tahu, tetapi Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui.


 

Baqarah Ayat 182: 

فَمَن خَافَ مِن مُّوصٍ جَنَفًا أَو إِثمًا فَأَصلَحَ بَينَہُم فَلَآ إِثمَ عَلَيهِ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Sahih International

But if one fears from the bequeather [some] error or sin and corrects that which is between them, there is no sin upon him. Indeed, Allah is Forgiving and Merciful.

 

Malay

Tetapi sesiapa yang mengetahui bahawa orang yang berwasiat itu tidak adil atau melakukan dosa (dalam wasiatnya), lalu dia mendamaikan antara mereka (waris-waris, dengan membetulkan wasiat itu menurut aturan ugama), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

فَمَنْ خَافَ مِنْ مُّوصٍ

Barangsiapa yang takut terhadap pemberi wasiat itu;

Ini berkenaan orang yang memberi wasiat, iaitu orang yang sudah hampir mati itu. Ada yang mendengar menjadi saksi, tetapi dia nampak wasiat itu tidak benar, tidak adil.

 

جَنَفًا

tidak adil;

Mungkin orang yang memberi wasiat itu tidak adil, mungkin kerana dia tidak tahu hukum. Mungkin dia beri lebih daripada 1/3. Jadi dia tidak sengaja.

 

أَوْ إِثْمًا

atau orang itu memang hendak buat dosa;

Kalau جَنَفًا bermaksud pemberi wasiat itu buat kesalahan kerana tidak sengaja. Akan tetapi kalau إِثْمًا ia bermaksud pemberi wasiat itu sengaja membuat dosa. Contohnya, ada ayah yang tidak mengaku anak dia sampai dia wasiat supaya anak dia tidak dapat apa-apa daripada hartanya. Ini tidak boleh kerana anak kandung memang sudah layak menerima harta pusaka dan tidak boleh dihalang daripada menerimanya. Anak itu akan dapat juga bahagian faraid. Atau dia mewasiatkan sebahagian daripada hartanya untuk jalan keburukan – contohnya dia mewasiatkan belanja arak kepada orang lain apabila dia sudah mati nanti. Atau, dia wasiatkan lebih daripada 1/3 bahagian daripada hartanya. Ini tidak boleh kerana telah melebihi had.

 

فَأَصْلَحَ بَيْنَهُمْ

maka dia yang memperbaiki kesilapan itu di antara mereka;

Jika ada yang tahu bahawa orang yang berwasiat itu tidak adil atau hendak berbuat dosa, maka orang itu hendaklah mencari penyelesaian demi kebaikan penerima pusaka yang sebenar. Mungkin dia menegur pemberi wasiat itu atau dia memperbetulkan kerana dia ada kuasa. Jadi ini bermaksud tidaklah semua wasiat mesti diikuti. Kena periksa dengan hukum Allah ﷻ juga.

 

فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ

maka tidak berdosalah ke atasnya;

Orang yang memperbaiki wasiat itu tidaklah bersalah. Malah perbuatannya ini terpuji sebenarnya. Memang itu yang dia patut lakukan. Jangan panjangkan kesalahan yang telah dilakukan oleh pelaku wasiat itu. Allah ﷻ sebut kerana mungkin ada yang takut hendak campur tangan dengan urusan wasiat orang lain yang dia menjadi saksinya atau dia yang menguruskan harta itu, maka Allah ﷻ legakan hatinya dengan memberitahu boleh mengubah wasiat itu.

 

إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan Maha Pengasih kepada makhluk.

Ingatlah bahawa Allah ‎ﷻ itu Maha menerima ampun daripada hamba-Nya. Mereka yang telah diterima ampun mereka tidak akan diazab di akhirat kelak.

Habis Ruku’ 22 daripada 40 surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 29 Disember 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 178 (Tentang Qisas)

HUKUM BALAS SAMA RATA (QISAS)

Baqarah Ayat 178: Kita sudah masuk bahagian kedua Surah Baqarah. Bahagian pertama sebelum ini tentang tauhid dan risalah. Bahagian kedua ini sehingga akhir adalah tentang umur munazimah dan umur muslihah dan juga ada tentang jihad dan infak. Maka, selepas ini, dalam Surah Baqarah ada empat perkara yang akan dibincangkan:

1. Umur muslihah
2. Umur munazimah
3. Jihad
4. Infak

Ayat yang kita akan baca ini adalah jenis yang dipanggil umur munazimah: iaitu cara-cara untuk mendapatkan kesempurnaan hidup di antara manusia. Ayat ini berkenaan dengan hukum Qisas dan Diyat. Bagi orang Yahudi, hanya ada Qisas sahaja dalam hukum agama mereka. Manakala bagi Nasara, hanya ada Diyat sahaja.

Dalam ayat 177 sebelum ini, ia adalah tentang taqwa – taqwa itu menjaga diri daripada melakukan kesalahan yang tidak disukai Allah ‎ﷻ. Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ mengajar bagaimana menjaga hubungan dengan masyarakat pula. Ia amat penting untuk dijaga supaya tidak terjadi pembunuhan yang berleluasa dalam masyarakat. Sebenarnya, kalau manusia telah menerima ayat 177 (Ayatul Birr) itu, tidaklah perlu dijalankan hukum seperti hukum Qisas ini. Namun Allah ‎ﷻ tahu bahawa manusia ini banyak jenis. Ada manusia yang banyak masalah maka berlaku juga pembunuhan di kalangan manusia. Maka kena ada hukum jika terjadi pembunuhan.

Kita juga telah perhatikan di dalam perbincangan ayat 173 tentang pemakanan, itu adalah untuk memelihara jasmani manusia. Sekarang kita belajar bagaimana Islam memelihara jiwa manusia pula.

Ayat 178 – 188 adalah berkenaan hukum Qisas, Wasiat, Rasuah dan lain-lain.

Umur munazimah dalam Surah Baqarah ini dimulakan dengan hal kehakiman. Sepatutnya umat Islam tidak berbunuhan sesama sendiri. Namun ada juga yang terjadi kerana ada yang degil dan sebagainya. Oleh itu, haruslah diadakan sistem untuk menghentikan perkara itu daripada berlarutan sampai boleh menyebabkan peperangan. Maka kena ada pengadilan yang dapat memuaskan hati manusia dan ia mesti adil supaya tidak berpanjangan lagi perkara itu. Jikalau tidak adil, masalah akan berpanjangan kerana akan ada yang tidak berpuas hati dan mahu membalas dendam. Apabila itu berlaku, ada yang membalas dendam lebih daripada yang sepatutnya. Daripada seorang sahaja yang mati, boleh sampai terjadi dua orang atau lebih akan mati apabila ada yang saling berbalas dendam. Daripada berkelahi satu kampung boleh menjadi satu negeri bermasalah. Kalau jadi begitu, negara kita sendiri hancur dari dalam, tidak perlu orang kafir serang kita pun. Hal duit manusia boleh maafkan lagi, tetapi bab nyawa manusia sanggup berbunuhan demi mempertahankan maruah dan membalas dendam. Maka sebab itulah harus diadakan undang-undang yang adil. Yang penting, di penghujungnya kita haruslah bersatu supaya kita dapat menjalankan kerja dakwah kepada orang bukan Islam.

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيكُمُ ٱلقِصَاصُ فِى ٱلقَتلَى‌ۖ ٱلحُرُّ بِٱلحُرِّ وَٱلعَبدُ بِٱلعَبدِ وَٱلأُنثَىٰ بِٱلأُنثَىٰ‌ۚ فَمَن عُفِىَ لَهُ ۥ مِن أَخِيهِ شَىءٌ فَٱتِّبَاعُۢ بِٱلمَعرُوفِ وَأَدَآءٌ إِلَيهِ بِإِحسَـٰنٍ۬‌ۗ ذَٰلِكَ تَخفِيفٌ مِّن رَّبِّكُم وَرَحمَةٌ۬‌ۗ فَمَنِ ٱعتَدَىٰ بَعدَ ذَٰلِكَ فَلَهُ ۥ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Sahih International

O you who have believed, prescribed for you is legal retribution for those murdered – the free for the free, the slave for the slave, and the female for the female. But whoever overlooks from his brother anything, then there should be a suitable follow-up and payment to him with good conduct. This is an alleviation from your Lord and a mercy. But whoever transgresses after that will have a painful punishment.

 

Malay

Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman “Qisas” (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan daripada Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

 

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ

Wahai orang-orang yang beriman;

Kita juga termasuk dalam ayat ini kerana kita adalah orang-orang yang beriman. Maka mereka yang mengaku beragama Islam, kena ikuti undang-undang ini. Ia juga memberitahu kita yang undang-undang ini hanya akan diterima pakai oleh mereka yang benar-benar beriman sahaja kerana kalau tidak beriman, mungkin mereka merasakan undang-undang rekaan manusia yang lebih baik daripada apa yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan. Orang-orang yang beriman juga akan dapat mengamalkan keadilan, kerana kalau tidak ada keimanan, maka kezalimanlah yang berleluasa. Maka, kena ada hakim yang menjalankan perbicaraan yang adil.

Apabila Allah ﷻ menyeru orang beriman di dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an, maka ada sesuatu yang penting yang hendak disampaikan. Oleh itu, kena diberi perhatian, kerana ada arahan yang perlu dilakukan dan ada larangan yang perlu ditinggalkan. Akan tetapi malang sekali jikalau orang beriman yang diseru itu, tidak tahu pun yang dia sedang diseru kerana tidak faham apa yang terdapat di dalam Al-Qur’an ini. Maka begitulah kebanyakan daripada masyarakat kita yang tidak tahu pun seruan daripada Allah ﷻ ini.

 

كُتِبَ عَلَيكُمُ ٱلقِصَاصُ فِى ٱلقَتلَى‌ۖ

difardhukan ke atas kamu hukum Qisas dalam kes orang yang telah dibunuh;

Ini adalah undang-undang keadilan. Allah ﷻ menggunakan kalimah كُتِبَ yang bermaksud telah dituliskan. Allah ﷻ tidak kata diwajibkan, difardhukan, tetapi dituliskan. Ini adalah kerana perkara penting selalunya ditulis, baru menjadi pesanan yang penting dan undang-undang yang terpakai. Ini sama seperti undang-undang di negara kita, kalau sudah menjadi akta, barulah ia menjadi undang-undang rasmi. Bandingkan di antara perjanjian mulut dan perjanjian bertulis pun tidak sama, bukan?

Kalimah ٱلقِصَاصُ daripada kata dasar ق ص ص yang bermaksud untuk menyampaikan; memberitahu; berkomunikasi; menceritakan; ikut jejak seseorang; mengisytiharkan; menyebut tentang sesuatu; perbuatan mengikut; membalas dendam yang adil; pembalasan. Maksud di sini adalah balas dengan ikut perbuatan seseorang. Hukum Qisas ini termasuk dalam salah satu hukum syariat jenayah di dalam Islam selain Hudud dan Ta’zir. Hukum Qisas ini adalah membalas balik kesalahan yang telah dilakukan sama seperti yang telah dikenakan ke atas mangsa. Cuma di dalam ayat ini berkenaan kes pembunuhan sahaja dan secara spesifik apabila pembunuhan itu sengaja dilakukan. Untuk kecederaan dan pembunuhan tidak sengaja dan seperti sengaja, ada hukum lain.

Seperti yang kita tahu, membunuh orang lain dengan sengaja adalah satu kekejaman. Allah ﷻ berfirman di dalam Maidah: 32

مِن أَجلِ ذٰلِكَ كَتَبنا عَلىٰ بَني إِسرٰءيلَ أَنَّهُ مَن قَتَلَ نَفسًا بِغَيرِ نَفسٍ أَو فَسادٍ فِي الأَرضِ فَكَأَنَّما قَتَلَ النّاسَ جَميعًا
Oleh kerana itu Kami tetapkan (suatu hukum) bagi Bani Israil, bahawa: barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya.

Qisas di dalam ayat ini adalah tentang bunuh balas yang sama rata. Kerana itu ada tambahan فِى ٱلقَتلَى‌ۖ di dalam ayat ini. Kena ada persamaan dari segi balas bunuh dan ini ada diterangkan selepas ini. Maklumat lanjut mestilah belajar fiqah di mana akan diterangkan dengan panjang lebar (fiqh jinayat). Ayat ini menerangkan tentang Qisas dengan cara ringkas sahaja, oleh itu bagaimana cara menjalankannya, Nabi ﷺ telah menjelaskan mana yang tidak jelas. Kita juga boleh lihat bagaimana amalan para sahabat untuk kita lebih memahaminya. Para ulama’ telah banyak memberikan penjelasan bagaimana perkara ini dijalankan di negara yang mengamalkan undang-undang Islam.

Dengan bangkitnya ajaran Agama Islam, Nabi Muhammad ﷺ telah menyatukan bangsa Arab yang telah beratus tahun tidak mengenal persatuan, kerana tidak ada suatu kuasa untuk mempersatukan mereka. Agama pusaka Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah tinggal hanya sebutan. Yang penting bagi mereka ialah kabilah sendiri. Di antara kabilah dengan kabilah berperang. Bermusuh dan berebut tanah pengembalaan ternak atau berebut unta ternak itu sendiri. Nescaya terjadi pembunuhan, maka timbullah perbalahan di antara suku dengan suku atau kabilah dengan kabilah. Undang-undang waktu itu seperti undang-undang koboi sahaja, siapa yang kuat yang membalas dendam sedangkan yang lemah terzalimi.

Maka dengan agama Islam, undang-undang Allah ‎ﷻ dapat ditegakkan di Tanah Arab kerana Islam sudah ada kerajaan. Inilah pentingnya memiliki kuasa kerana dengan adanya kuasa, barulah hukum syariat Islam dapat ditegakkan dengan sempurna.

 

الْحُرُّ بِالْحُرِّ

Orang merdeka dengan merdeka;

Ayat ini mengajar kita yang kita ini semua setaraf sahaja di sisi Allah ‎ﷻ, tidak kira merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan. Seandainya yang membunuh itu seorang yang merdeka, maka dibalas bunuh orang yang merdeka itu juga. Ia bukan bermakna, kalau dibunuh seorang yang merdeka daripada satu kaum, kena cari seorang yang merdeka daripada kaum yang membunuh itu juga. Bukanlah begitu, sebaliknya kena cari orang yang membunuh itu. Ini kerana kalau kita lihat daripada perkataan yang digunakan, ada tambahan ال sebelum setiap perkataan itu. Ini bermaksud orang yang spesifik. Ia adalah orang yang sama. Tidak boleh kalau seorang yang merdeka membunuh seseorang, disuruh diambil nyawa seorang hamba pula. Atau digantikan dengan orang lain pula. Inilah yang berlaku pada zaman Arab Jahiliyah koboi dulu. Mungkin yang membunuh itu ketua kaum dan dia boleh memaksa orang lain untuk menjadi galang ganti dia pula. Ini tidak boleh sama sekali dan dihalang di dalam syariat Islam.

Jadi konsep di dalam Qisas adalah sama-rata. Konsep ini disebut juga di dalam ayat lain seperti Baqarah:194

فَمَنِ اعتَدىٰ عَلَيكُم فَاعتَدوا عَلَيهِ بِمِثلِ مَا اعتَدىٰ عَلَيكُم
Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu

Lihat juga Nahl: 126

وَإِن عاقَبتُم فَعاقِبوا بِمِثلِ ما عوقِبتُم بِهِ ۖ وَلَئِن صَبَرتُم لَهُوَ خَيرٌ لِّلصّٰبِرينَ
Dan jika kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan seksaan yang ditimpakan kepadamu. Akan tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar.

Cuma sekiranya balas balik ini bukanlah dilakukan oleh keluarga si mati. Ia tetap harus melalui proses penghakiman dan siasatan perlu dijalankan. Proses pembunuhan itu tetap dilakukan oleh kerajaan Islam. Perbicaraan dan siasatan tetap perlu dijalankan oleh pihak berwajib.

 

وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ

Hamba dengan hamba;

Tidak boleh diganti dengan hamba yang lain melainkan dibalas kepada hamba yang telah membunuh. Juga tidaklah boleh ganti kepada orang merdeka. Contohnya satu kaum itu kuat sampaikan dia mendesak walaupun yang membunuh itu hamba daripada kaum lain, tetapi dia mahu pula orang merdeka daripada kaum itu kerana pada dia hamba tidak cukup memuaskan hatinya. Juga hanya diambil nyawa orang yang bertanggungjawab membunuh; janganlah kerana seorang ahli keluarga kita dibunuh, seluruh suku itu diserang dan dibunuh pula.

Menurut keterangan al-Baidhawi رَحِمَهُ اللَّهُ, ahli tafsir yang terkenal: “Di zaman Jahiliyah pernah terjadi pertumpahan darah di antara dua buah persukuan Arab. Yang satu kabilahnya kuat dan yang satu lagi lemah. Maka terbunuhlah salah seorang daripada anggota kabilah kuat itu oleh kabilah yang lemah tadi. Lantaran merasa diri kuat, kabilah yang kuat itu mengeluarkan sumpah; akan mereka balas bunuh, biarpun yang terbunuh dalam kalangan mereka seorang budak (hamba sahaya), mereka akan meminta orang yang merdeka. Walaupun yang terbunuh dalam kalangan mereka seorang perempuan, mereka akan minta ganti nyawa dengan seorang laki-laki.”

 

وَالْأُنْثَىٰ بِالْأُنْثَىٰ

Perempuan dengan perempuan;

Kalau yang membunuh itu seorang perempuan, perempuan itu yang perlu dibunuh kembali. Bukannya dicari perempuan lain. Begitulah yang kita kena jelaskan kerana dalam ayat ini, ada yang keliru. Ada yang sangka, kalau yang dibunuh itu orang merdeka, maka yang kena dibunuh orang merdeka pula. Bukan begitu. Takkan kalau yang membunuh itu seorang hamba, dan yang dibunuh pula orang merdeka, kena cari balas bunuh orang merdeka pula. Yang kena bunuh adalah hamba yang membunuh itulah.

Di dalam Maidah: 45 ada disebut tentang Qisas di dalam hal lain,

وَكَتَبنا عَلَيهِم فيها أَنَّ النَّفسَ بِالنَّفسِ وَالعَينَ بِالعَينِ وَالأَنفَ بِالأَنفِ وَالأُذُنَ بِالأُذُنِ وَالسِّنَّ بِالسِّنِّ وَالجُروحَ قِصاصٌ ۚ فَمَن تَصَدَّقَ بِهِ فَهُوَ كَفّارَةٌ لَّهُ ۚ وَمَن لَّم يَحكُم بِما أَنزَلَ اللهُ فَأُولٰئِكَ هُمُ الظّٰلِمونَ
Dan Kami telah tetapkan terhadap mereka di dalamnya bahawasanya jiwa (dibalas) dengan jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi, dan luka (pun) ada qisasnya. Barangsiapa yang melepaskan (hak qisas)nya, maka melepaskan hak itu (menjadi) penebus dosa baginya. Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim.

Hukum Qisas ini akan memberi kepuasan kepada ahli keluarga yang dibunuh dan orang yang telah dicederakan. Adalah penting untuk diberi pilihan kepada ahli keluarga dan mangsa untuk membalas balik kerana dengan cara itu, ia boleh memuaskan hati ahli keluarga dan mangsa. Ini adalah fitrah dalam diri manusia yang mahukan keadilan. Kalau tidak dibenarkan, maka akan tersimpan perasaan dendam dalam diri ahli keluarga itu. Maka kerana itu Allah ‎ﷻ beri kuasa kepada waris si mati itu di dalam ayat ini dan juga di dalam Isra’: 33

وَلَا تَقتُلُواْ ٱلنَّفسَ ٱلَّتِى حَرَّمَ ٱللَّهُ إِلَّا بِٱلحَقِّ‌ۗ وَمَن قُتِلَ مَظلُومًا فَقَد جَعَلنَا لِوَلِيِّهِۦ سُلطَـٰنًا فَلَا يُسرِف فِّى ٱلقَتلِ‌ۖ إِنَّهُ ۥ كَانَ مَنصُورًا
Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya), melainkan dengan suatu (alasan) yang benar. Dan barangsiapa dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepada ahli warisnya, tetapi janganlah ahli waris itu melampaui batas dalam membunuh. Sesungguhnya dia adalah orang yang mendapat pertolongan.

Malangnya, bukan begitu yang terjadi dalam undang-undang bukan Islam pada hari ini. Ada yang telah disahkan telah membunuh, tetapi mereka tidak dibunuh, mereka hanya dipenjarakan sahaja (atau dikenakan denda sahaja). Apabila ini berlaku, tidak akan rasa aman dalam diri keluarga mereka yang dibunuh. Itu bukanlah keadilan.

Kita yakin bahawa hukum yang diturunkan Al-Qur’an inilah jalan yang baik. Sekiranya di kebanyakan negara Islam yang berlaku sekarang ialah hukum sivil secara barat, bukanlah bererti bahawa itulah yang lebih bagus, ia berlaku hanyalah kerana telah beratus tahun lamanya hukum baratlah yang menguasai negeri-negeri Islam yang mereka dijajah. Akan tetapi di negeri-negeri Islam yang telah merdeka, di zaman sekarang sudah mulai timbul kembali peninjauan atas hukum dan pembinaan hukum yang sesuai dengan keperibadian bangsa itu sendiri, di antaranya di negeri Brunei yang telah mengamalkan hukum syariat Islam. Tidaklah mustahil bahawa perkembangan fikiran kita akan sampai juga kepada cara Islam ini.

 

فَمَنْ عُفِيَ لَهُ مِنْ أَخِيهِ شَيْءٌ

Barangsiapa yang mendapat kemaafan daripada keluarga waris si mati apa pun;

Setelah menyebut tentang boleh diambil nyawa pembunuh di dalam qisas, sekarang disebut tentang pemaafan pula. Dari sini kita boleh lihat yang Islam tidak memaksa memberi maaf. Diberitahu dahulu apakah hak keluarga si mati, kemudian baru disebut tentang pemaafan. Jadi bukanlah pemaafan sebagai pilihan utama. Seolah-olah Islam berkata kepada keluarga si mati: kamu ada hak untuk membunuhnya balik, akan tetapi nah di sini ada lagi dua pilihan lain yang anda boleh ambil. Apabila telah disabitkan kesalahan pembunuh itu, hakim akan bertanya kepada waris, apakah yang mereka hendak buat. Ada waris yang memberi maaf kepada pembunuh, maknanya diberi maaf daripada diambil nyawanya. Pembunuh itu memang sudah membunuh orang, tetapi keluarga yang dibunuh tidak memilih untuk membalas bunuh sebaliknya hendak meminta ganti rugi ataupun dimaafkan terus tanpa ganti rugi (diyat). Maka ada maaf seratus peratus dan ada maaf yang mesti bayar denda. Begitulah agama Islam ada tiga cara bagaimana satu pembunuhan itu dibalas.

Pertama, dengan bunuh balas.

Kedua, pemaafan dengan bayar diyat.

Ketiga, dengan memberi maaf tanpa bayar diyat.

Kalimah شَيْءٌ di dalam ayat ini bermaksud apa sahaja pemaafan. Jadi kalau daripada ramai-ramai waris itu hanya ada seorang sahaja yang hendak memberi maaf, maka pembunuh itu akan terlepas daripada hukuman bunuh. Maka penjenayah itu mesti memberi diyat atau dilepaskan dengan kemaafan penuh. Allah ‎ﷻ sebut tentang diyat dan pemaafan ini di dalam Nisa’: 92

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ أَن يَقْتُلَ مُؤْمِنًا إِلَّا خَطَأً وَمَن قَتَلَ مُؤْمِنًا خَطَأً فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةٍ وَدِيَةٌ مُّسَلَّمَةٌ إِلَىٰ أَهْلِهِ إِلَّا أَن يَصَّدَّقُوا فَإِن كَانَ مِن قَوْمٍ عَدُوٍّ لَّكُمْ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةٍ وَإِن كَانَ مِن قَوْمٍ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُم مِّيثٰقٌ فَدِيَةٌ مُّسَلَّمَةٌ إِلَىٰ أَهْلِهِ وَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةٍ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ تَوْبَةً مِّنَ اللَّهِ وَكَانَ اللَهُ عَلِيمًا حَكِيمًا
Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja. Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja, maka (wajiblah ia membayar kaffarah) dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar “diah” (denda ganti nyawa) yang diserahkan kepada ahlinya (keluarga si mati), kecuali jika mereka sedekahkan (memaafkannya). Tetapi jika ia (yang terbunuh dengan tidak sengaja) daripada kaum (kafir) yang memusuhi kamu, sedang ia sendiri beriman, maka (wajiblah si pembunuh membayar kaffarah sahaja dengan) memerdekakan seorang hamba yang beriman. Dan jika ia (orang yang terbunuh dengan tidak sengaja itu) daripada kaum (kafir) yang ada ikatan perjanjian setia di antara kamu dengan mereka, maka wajiblah membayar “diah” (denda ganti nyawa) kepada keluarganya serta memerdekakan seorang hamba yang beriman. Dalam pada itu, sesiapa yang tidak dapat (mencari hamba yang akan dimerdekakannya), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut; (hukum yang tersebut) datangnya daripada Allah untuk menerima taubat (membersihkan diri kamu). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Mana satukah yang hendak digunakan? Keputusan ada di tangan ahli keluarga. Kalau semua ahli keluarga memaafkan, maka pembunuh itu dilepaskan. Akan tetapi sekiranya separuh sahaja memaafkan atau hanya ada seorang sahaja memaafkan, maka pembunuh itu terlepas juga daripada hukuman bunuh, akan tetapi ahli keluarga yang tidak memaafkan boleh meminta sebahagian daripada diyat.

Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ menggunakan lafaz أَخِيهِ (saudaranya) kerana orang Islam adalah saudara seagama. Oleh kerana memikirkan yang kita semua satu agamalah yang menyebabkan waris si mati itu boleh beri maaf. Maka ini adalah anjuran di dalam Islam. Ada satu hadith berkenaan perkara ini,

حَدَّثَنَا حُمَيْدٌ عَنْ أَنَسٍ أَنَّ الرُّبَيِّعَ عَمَّتَهُ كَسَرَتْ ثَنِيَّةَ جَارِيَةٍ فَطَلَبُوا إِلَيْهَا الْعَفْوَ فَأَبَوْا فَعَرَضُوا الْأَرْشَ فَأَبَوْا فَأَتَوْا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبَوْا إِلَّا الْقِصَاصَ فَأَمَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْقِصَاصِ فَقَالَ أَنَسُ بْنُ النَّضْرِ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتُكْسَرُ ثَنِيَّةُ الرُّبَيِّعِ لَا وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ لَا تُكْسَرُ ثَنِيَّتُهَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا أَنَسُ كِتَابُ اللَّهِ الْقِصَاصُ فَرَضِيَ الْقَوْمُ فَعَفَوْا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ مِنْ عِبَادِ اللَّهِ مَنْ لَوْ أَقْسَمَ عَلَى اللَّهِ لَأَبَرَّهُ
Daripada Humaid daripada Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Rabayyi’ -bapa saudaranya- pernah mematahkan gigi seri seorang budak wanita, kemudian mereka meminta kepadanya untuk memaafkan, namun mereka (keluarganya) menolak. Kemudian ditawarkan kepada mereka denda, namun mereka tetap menolak, lalu mereka mendatangi Nabi ﷺ, maka baginda memerintahkan untuk diqisas. Anas bin An Nadhr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; ‘Wahai Rasulullah, apakah gigi seri Ar Rubayyi’ akan dipatahkan?’ Tidak, demi Dzat yang mengutusmu dengan kebenaran, gigi serinya jangan dipatahkan. Maka Rasulullah ﷺ bersabda: “Ya Anas, Kitabullah adalah Al Qisas. Maka orang-orang tersebut rela memberikan maaf. Kemudian Nabi ﷺ bersabda: “Sesungguhnya di antara hamba-hamba Allah terdapat orang yang apabila ia bersumpah atas nama Allah maka Allah akan mengabulkannya.”
(Sahih Bukhari No. 4140)

Allah ‎ﷻ juga telah mengingatkan di dalam Hujurat:10

إِنَّمَا المُؤمِنونَ إِخوَةٌ فَأَصلِحوا بَينَ أَخَوَيكُم ۚ وَاتَّقُوا اللهَ لَعَلَّكُم تُرحَمونَ
Orang-orang beriman itu sesungguhnya adik beradik. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara keduanya itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.

Kalimah أَخِيهِ juga menjawab satu soalan penting: adakah orang Islam yang membunuh orang Islam yang lain jatuh kafir? Dosa membunuh adalah dosa besar, akan tetapi apabila Allah ‎ﷻ menggunakan أَخِيهِ (saudaranya) maka ia memberi isyarat bahawa pembunuh itu masih saudara seislamnya.

Seperti yang telah disebut, di dalam Hukum Qisas juga ada hukuman balas balik yang tidak melibatkan kehilangan nyawa. Sebagai contoh dalam feqah telah ditetapkan, kalau kemalangan dan terputus jari satu – lima ekor unta perlu dibayar oleh penyebab kemalangan. Kalau tidak, jarinya pula yang akan dipotong. Kalau gigi sebatang pun lima ekor unta juga. Maknanya semua telah ada harga yang diletakkan oleh undang-undang Islam. Semua diceritakan dalam kitab hadith dengan terperinc dan telah dijelaskan oleh ulama’ feqah. Untuk seorang hamba abdi, diyat yang dikenakan adalah 50% daripada diyat orang merdeka.

Maknanya, syariat Islam ini mengajar kita untuk berjaga-jaga dalam perjalanan kehidupan kita supaya jangan sampai kita menyebabkan kecederaan kepada orang lain. Contohnya apabila memandu kereta, pandulah dengan berhemah kerana kita akan dikenakan balas balik atau denda kalau kita tsabit menyebabkan kemalangan itu. Maknanya, tidaklah lepas begitu sahaja. Bila kita tahu ada denda yang tinggi, tentulah kita akan berhati-hati dalam setiap tindak tanduk kita.

Sekiranya orang yang melakukan kesalahan itu tidak dapat membayar dengan itu, keluarga dia yang kena bayar. Jadi, ahli keluarga pun kena ambil tahu keadaan saudara mara mereka. Sebab mereka juga mesti bertanggungjawab di atas perbuatan ahli keluarga mereka. Namun sekarang kerana cara ini tidak diamalkan, orang kita tidak buat kisah apa yang dilakukan oleh ahli keluarga mereka. Sebab itulah kita tidak faham undang-undang Islam.

 

فَاتِّبَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ

maka hendaklah disusuli dengan cara makruf;

Ini adalah suruhan kepada yang memaafkan. Kemaafan itu hendaklah disusuli dengan cara yang makruf. Maka wali si mati itu kena susuli kemaafan itu dengan tuntutan yang makruf. Jangan ada keji mengeji, ungkit mengungkit seperti disebut di dalam Baqarah: 264

لا تُبطِلوا صَدَقٰتِكُم بِالمَنِّ وَالأَذىٰ
Jangan rosakkan sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti

Makruf juga bermakna menuntut jumlah yang sesuai dan ini tidak ditetapkan kerana ia berubah-ubah mengikut zaman. Jangan pula maafkan tetapi tuntut ganti rugi 200 juta. Mati hidup balik pun pembunuh itu tidak boleh bayar. Jadi makruf itu bermaksud tuntutan itu mestilah bersesuaian dengan keadaan semasa. Hendaklah dilihat juga sama ada dia mampu bayar atau tidak. Antara sebab dikenakan bayaran ganti rugi itu adalah supaya pembunuh itu menyesal dan tidak melakukannya lagi. Akan tetapi kalau dia memang tidak mampu bayar, memang tidak ke mana juga akhirnya.

 

وَأَدَاءٌ إِلَيْهِ بِإِحسَـٰنٍ۬‌ۗ

dan hendaklah dia menunaikan pembayaran kepada penerima dengan sebaik-baiknya;

Ini pula adalah arahan kepada yang dimaafkan. Pembunuh itu pula hendaklah menunaikan dengan cara ihsan iaitu kena bayar dengan cara baik. Dia pun sudah setuju hendak bayar jadi jangan tidak beri pula. Jangan dia beri dengan cara tidak sepatutnya, sebagai contoh dengan cara kurang ajar, bayar dengan menggunakan duit 5 sen dan sebagainya. Di dalam syarak telah ditetapkan bayaran yang dikenakan adalah 100 ekor unta. Jangan setelah ditetapkan bayaran, dia minta diskaun pula. Ini orang telah beri maaf, hargailah pemaafan itu. Kerana itulah di sini digunakan kalimah إِحسَـٰنٍ۬‌ sedangkan untuk waris sebelum ini digunakan kalimah الْمَعْرُوفِ sahaja. إِحسَـٰنٍ۬‌ lebih besar daripada الْمَعْرُوفِ yang memberi isyarat penjenayah itu mesti lebih lagi berbuat baik untuk menghargai kemaafan yang telah diberikan oleh waris.

Pembunuh itu yang kena bayar sendiri dan caranya mestilah tunai dan kerana itu kalimah yang digunakan adalah أَدَاءٌ. Bayaran mesti ditunaikan sekaligus tanpa ansuran. Mungkin waris si mati minta sebanyak seratus ekor unta dalam harga 500 ribu Ringgit, iaitu bagi yang sengaja bunuh.

Hukum Qisas telah ada pada Bani Israil sebelum Islam lagi, cuma mereka tidak ada hukum Diyat ini. Ia telah diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ kerana memang syariat Nabi Muhammad ﷺ lebih lembut berbanding syariat sebelumnya. Ini adalah rahmat Allah ‎ﷻ terhadap umat Nabi Muhammad ﷺ.

ابْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُ كَانَ فِي بَنِي إِسْرَائِيلَ الْقِصَاصُ وَلَمْ تَكُنْ فِيهِمْ الدِّيَةُ فَقَالَ اللَّهُ تَعَالَى لِهَذِهِ الْأُمَّةِ { كُتِبَ عَلَيْكُمْ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى الْحُرُّ بِالْحُرِّ وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ وَالْأُنْثَى بِالْأُنْثَى فَمَنْ عُفِيَ لَهُ مِنْ أَخِيهِ شَيْءٌ } فَالْعَفْوُ أَنْ يَقْبَلَ الدِّيَةَ فِي الْعَمْدِ { فَاتِّبَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ وَأَدَاءٌ إِلَيْهِ بِإِحْسَانٍ } يَتَّبِعُ بِالْمَعْرُوفِ وَيُؤَدِّي بِإِحْسَانٍ { ذَلِكَ تَخْفِيفٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَرَحْمَةٌ } مِمَّا كُتِبَ عَلَى مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ { فَمَنْ اعْتَدَى بَعْدَ ذَلِكَ فَلَهُ عَذَابٌ أَلِيمٌ } قَتَلَ بَعْدَ قَبُولِ الدِّيَةِ
Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata; “Dahulu pada Bani Israil terdapat hukum qisas namun tidak ada diyah pada mereka, lalu Allah Azza wa jalla menurunkan ayat: “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu qisas berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh; orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba, dan wanita dengan wanita. Maka barangsiapa yang mendapat suatu pemaafan daripada saudaranya, hendaklah (yang memaafkan) mengikuti dengan cara yang baik, dan hendaklah (yang diberi maaf) membayar (diyat) kepada yang memberi maaf dengan cara yang baik (pula). (Al-Baqarah:178). Pemberian maaf itu maksudnya adalah menerima diyat pada pembunuhan dengan sengaja, mengikuti dengan cara yang baik iaitu dia mengikuti ini dengan cara yang ma’ruf, dan membayar dengan cara yang baik serta melaksanakan ini dengan kebaikan. Yang demikian itu adalah suatu keringanan daripada Tuhan kamu dan suatu rahmat (Al-Baqarah: 178) daripada apa yang telah diwajibkan atas kaum sebelum kalian, sesungguhnya hal tersebut adalah qisas bukan diyah. Barang siapa yang melampaui batas setelah itu, maka baginya azab yang pedih.’ Iaitu membunuh setelah menerima diyah.
(Sahih Bukhari No. 4138)

 

ذَٰلِكَ تَخْفِيفٌ مِنْ رَّبِّكُمْ

Yang demikian itu adalah keringanan daripada Tuhan kalian;

Makna Allah ‎ﷻ ‘meringankan’ adalah diberi pilihan kedua dan ketiga untuk keluarga yang dibunuh. Kalau tidak ada keringanan ini, maka hukuman matilah sahaja yang ada jawabnya. Namun sekarang mereka boleh memilih untuk mengambil diyat atau mereka boleh memaafkan terus kerana cara yang pertama adalah dengan balas bunuh. Namun Allah ‎ﷻ beri kelonggaran dan keringanan.

 

وَرَحْمَةٌ

dan sifat belas;

Ini adalah pemberian kepada mangsa dan waris mangsa. Kerana hukum asalnya adalah kena bunuh balik tetapi Allah ‎ﷻ memberikan jalan keluar kerana sifat Rahmah-Nya. Allah ﷻ sayang kepada makhluk-Nya dan banyak Allah ﷻ permudahkan dalam soal hukum hakam. Dengan adanya rahmah ini, maka waris dan mangsa boleh mendapat diyat dan mereka juga boleh menunjukkan rahmah kepada pembunuh dan penjenayah dengan memberi kemaafan yang penuh.

Contoh pemaafan: Abdul-Munim Sombat Jitmoud memeluk Alexander Relford selepas memaafkan pembunuh anaknya di sebuah mahkamah AS pada November 2017.

Manakah yang lebih baik? Ambil nyawa atau maafkan? Tentulah memaafkan itu lebih baik seperti firman Allah ‎ﷻ di dalam Baqarah: 237

وَأَن تَعفوا أَقرَبُ لِلتَّقوىٰ
Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan itu lebih hampir kepada taqwa

Allah ‎ﷻ menyebut salah satu daripada sifat orang Mukmin adalah memberi maaf di dalam Ali Imran: 134

الَّذينَ يُنفِقونَ فِي السَّرّاءِ وَالضَّرّاءِ وَالكٰظِمينَ الغَيظَ وَالعافينَ عَنِ النّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;

Sekiranya memaafkan orang lain, Allah ‎ﷻ akan beri pengampunan kepada orang yang memaafkan, seperti disebut di dalam Nur: 22

وَليَعفوا وَليَصفَحوا ۗ أَلا تُحِبّونَ أَن يَغفِرَ اللهُ لَكُم
dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu?

 

فَمَنِ ٱعتَدَىٰ بَعدَ ذَٰلِكَ

Sesiapa yang melampaui batas selepas keputusan itu

Ini terjadi kalau selepas keluarga itu meminta diyat, dan apabila sudah dibayar diyat itu, kemudian dibunuh juga pembunuh itu. Seandainya inilah yang berlaku, pembunuh kedua ini tidak ada hukum diyat kepadanya. Maknanya, dia kena bunuh balas sahaja kerana dia telah melampaui batas.

Jangan melampaui batas selepas keputusan sudah dibuat dan semua pihak telah setuju. Maka kena dapatkan persetujuan daripada semua pihak. Kerana itu, keputusan untuk tidak balas bunuh mestilah didapatkan daripada semua ahli keluarga. Kalau seorang sahaja tidak setuju, maka ia tidak akan terjadi.

 

فَلَهُ عَذَابٌ أَلِيمٌ

bagi mereka azab yang pedih

Ini adalah ancaman daripada Allah ‎ﷻ. Kalau kamu tidak takut balasan di dunia, atau kamu boleh lepas semasa di dunia kerana kamu ada kuasa, ingat! Akhirat itu ada dan kamu tidak akan selamat. Selamat di dunia tidak semestinya selamat di akhirat. Sesiapa yang tidak ikut keputusan selepas itu akan mendapat azab yang pedih. Jangan setelah keputusan dibuat, pergi bunuh pula pembunuh asal itu.

 

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 25 Februari 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 177 Bahagian 4 (Kepentingan sabar)

وَءَاتَى ٱلزَّڪَوٰةَ

dan mengeluarkan zakat;

Memang selalunya setelah disebut solat, disebut tentang zakat pula. Ini adalah kerana solat mewakili tali dengan Allah (حبل من الله) sedangkan zakat mewakili tali dengan masyarakat (حبل من الناس). Sebelum ini telah disebut dengan panjang lebar anjuran membantu orang-orang yang susah dan memerlukan. Itu adalah dalam bentuk yang sunat, sekarang kita melihat infak di dalam bentuk yang wajib pula. Mukmin yang telah dididik dengan jiwa membantu orang lain senang sahaja bagi mereka untuk mengeluarkan zakat.

Ini adalah ayat Madinah. Maka, ia adalah berkenaan dengan zakat harta. Kita mesti mengeluarkan 1/40 (2.5%) daripada hasil pendapatan perniagaan kita. Tanah pun kita kena bayar zakat juga. Keuntungan daripada penjualan tanah mesti dikeluarkan zakat sebanyak 10%. Kalau kita usahakan tanah itu, tolak kos dahulu barulah dikeluarkan 10%. Umat Islam harus belajar lagi tentang zakat. Banyak lagi yang perlu diketahui. Malangnya ramai yang tidak tahu tentang zakat ini. Maka ramai yang tidak mengeluarkan zakat. Mestilah dikira dengan baik, sebab kalau kita tidak membayar zakat, seluruh harta kita menjadi haram belaka. Kalau tidak cermat, boleh dikenakan azab dalam neraka.

Juga perlu dikira dengan baik berapa banyak yang harus dibayar. Bukan boleh agak-agak dengan jumlah yang kita mahu bayar itu. Sebab ada orang yang sangka mereka telah beri sedekah kepada orang lain, maka mereka kata itu sudah termasuk dalam zakat mereka. Tidak boleh begitu. Kena kira dengan tepat, kalau mahu bayar lebih tidak mengapa. Akan tetapi bagaimana kalau sedekah yang kita beri itu tidak mencukupi? Kita sangka cukup, tetapi sebenarnya tidak? Ingatlah bahawa zakat yang tidak dikeluarkan adalah harta haram. Kalau kita tidak keluarkan zakat, seperti kita makan harta fakir miskin kerana duit itu adalah hak mereka.

Zakat adalah untuk menghalalkan harta. Zakat adalah duit yang punah daripada harta yang halal. Contoh, kita suruh pekerja kita buat air untuk pelanggan, tetapi dia buat air terlupa untuk memasukkan gula. Ada pelanggan yang tidak minum, tetapi dia bayar juga. Maknanya, kita dapat duit yang tidak sepatutnya kita dapat. Atau ada pekerja kita yang buat kiraan salah sampaikan mereka terlebih ambil daripada pelanggan. Yang terlebih ambil itu adalah haram sebenarnya, tetapi kita tidak perasan sebab sudah termasuk dengan duit-duit yang lain. Atau kita pergi kerja, tetapi dalam masa kerja kita itu, kita tidak sepenuhnya bekerja seperti yang sepatutnya. Kita kerja kurang masa atau kita curi tulang.

Zakat bertujuan untuk membersihkan pendapatan-pendapatan yang haram itu. Sebab itulah zakat tidak boleh digunakan untuk membina masjid. Zakat itu  digunakan untuk manusia sahaja. Untuk membina masjid mestilah menggunakan duit sedekah, bukan duit zakat. Ini ramai yang salah buat sebab ada yang bagi duit zakatnya untuk membina masjid. Sedangkan zakat sudah ada senarai penerimanya (8 Asnaf). Zakat juga bukan untuk dibuat sekolah atau rumah fakir miskin. Tidak boleh begitu. Mesti hanya diberikan kepada golongan asnaf sahaja.

Duit zakat itu hendaklah diberikan kepada fakir miskin. Kemudian, terpulang kepada mereka bagaimana mereka mahu gunakan duit zakat tersebut. Kalau mereka mahu membina rumah, biar sahaja. Cuma yang kita perlu beri adalah dalam bentuk duit. Sekiranya dia dikenali sebagai orang yang tidak baik, kita bolehlah menasihatinya supaya dia menggunakan duit itu untuk kebaikan. Dia pun mungkin akan mendengar nasihat kita ketika itu kerana kita sedang memberi duit kepadanya. Namun begitu janganlah pula kerana dia tidak sembahyang, kita tidak beri zakat kepadanya. Itu adalah dosa dia, bukan masalah kita. Jangan kita hanya memilih orang yang baik sahaja untuk kita beri duit zakat itu. Memang terdapat banyak kes di mana mereka yang miskin bermasalah seperti suka berjudi, boros dan sebagainya, namun bukanlah tugas kita untuk menyiasatnya pula.

Namun malangnya cara kita menguruskan zakat yang bermasalah sekarang. Ada yang sanggup berhutang dengan duit zakat, padahal perkara itu tidak dibenarkan. Kadang-kadang kita dengar ada duit zakat yang tidak dituntut. Mungkin orang yang menjaga duit zakat itu tidak faham bahawa harta zakat itu mesti dikeluarkan dalam masa satu tahun. Harta zakat itu bukan untuk dihimpun dan dikumpul. Duit zakat itu perlu diberi, dan kalau tidak ada yang datang tuntut, mereka yang terlibat mestilah mencari mereka yang layak menerima.

Duit cukai boleh sahaja jika mahu disimpan, akan tetapi zakat mestilah diberikan kepada manusia. Ada juga kita dengar kes di mana walaupun duit zakat itu memang diberi kepada orang susah, namun terdapat pelbagai syarat pula ditetapkan oleh pihak zakat. Padahal itu adalah hak dia untuk dia gunakan tidak kisahlah bagaimana caranya pun. Itulah yang sedihnya, duit zakat banyak tetapi tidak digunakan dengan yang sepatutnya. Kita sampai ada dengar kisah bagaimana orang-orang yang susah itu terpaksa pergi meminta pertolongan dengan gereja Kristian sebab mereka terdesak sangat. Gereja-gereja itu pula memang menolong mereka. Itulah sebabnya kita dengar banyak kes orang Melayu yang masuk Kristian kerana mereka nampak orang Kristian lebih mudah menolong orang lain daripada orang Islam sendiri.

Zakat itu juga tidak boleh diberikan dalam bentuk sedikit, pecah-pecah bagi sedikit seorang. Sampai tidak bernilai apa yang mereka dapat itu. Tidak boleh beri dalam bentuk lain selain daripada duit. Contohnya, ada yang beri dalam bentuk kain. Tidak boleh kita beri dalam bentuk kain, melainkan kalau kita penjual kain, baru boleh. Belanja makan pun tidak boleh. Hendaklah diberikan duit supaya orang yang kita beri itu boleh menggunakan duit tersebut, mengikut keperluan dirinya.

Sekarang timbul polemik bolehkah pembayaran zakat diberi kepada negeri yang lain. Perkara ini menjadi khilaf dalam kalangan agamawan dan juga ulama’. Jadi kita cuba bahaskan secara ringkas sahaja di sini:

Secara umum, zakat dianjurkan untuk diberikan kepada fakir miskin dan golongan asnaf di daerah atau wilayah tempat zakat itu dikumpulkan, iaitu tempat harta atau pendapatan itu dijana. Oleh itu, sekiranya seseorang itu tinggal di Selangor akan tetapi perniagaannya di Perlis, maka zakat sepatutnya dikeluarkan di Perlis, bukan di Selangor. Hal ini didasarkan pada hadith Rasulullah ﷺ ketika beliau mengutus Mu’adz bin Jabal رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ ke Yaman:

أَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً فِي أَمْوَالِهِمْ ، تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ
 “Beritahu mereka (penduduk Yaman) bahawa Allah mewajibkan sedekah daripada harta mereka yang diambil daripada orang-orang kaya mereka dan diberikan kepada orang-orang miskin mereka.”

(Riwayat Bukhari No. 1395)

Perhatikan kalimah فُقَرَائِهِمْ (orang-orang miskin mereka). Hadith ini menunjukkan bahawa keutamaan penerima zakat adalah penduduk setempat, kerana mereka lebih dekat dan lebih mudah dijangkau. Lebih jelas lagi di dalam hadith yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin  ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ فَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ
“(Zakat itu) diambil daripada orang kaya dalam sesebuah kota, dan dikembalikan agihannya kepada orang-orang fakir dalam kalangan mereka (kota itu juga).”
(Riwayat Bukhari No. 1496 dan Muslim No. 19)

Meskipun hukum asalnya zakat diberikan di tempat dikumpulkan, ada beberapa keadaan yang membolehkan zakat dikirim ke luar negeri. Antaranya:

    1. Ketika Keperluan di Negeri Lain Lebih Mendesak:
      Jika di negeri lain terdapat orang-orang yang lebih memerlukan, seperti daerah yang mengalami bencana, peperangan, atau kelaparan, maka zakat boleh diberikan ke sana. Misalnya, membantu saudara Muslim yang tertimpa musibah di negara konflik atau daerah yang sangat miskin. Diriwayatkan bahawa Mu‘az bin Jabal رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ  pernah menghantar bantuan zakat dari Yaman ke kota Madinah untuk membantu Madinah yang ditimpa kemarau ketika itu kerana keperluan asnaf telah mencukupi dalam kalangan penduduk Yaman. ‘Umar bin al-Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menerima zakat tersebut.

    2. Tidak Ada Orang yang Berhak Menerima di Wilayah Setempat:
      Jika di wilayah tempat zakat dikumpulkan sudah tidak ditemukan asnaf zakat (golongan penerima zakat), maka zakat boleh dikirim ke daerah lain.
    3. Arahan Khusus daripada Muzakki:
      Jika orang yang mengeluarkan zakat (muzakki) meminta agar zakatnya diberikan kepada penerima tertentu di negeri lain, maka boleh dilakukan.
    4. Memenuhi Persatuan Umat Islam:
      Dalam semangat ukhuwah Islamiyah, memberikan zakat ke luar negeri untuk membantu saudara Muslim yang memerlukan di tempat lain dibenarkan.

    5. Zakat Lebih Dimanfaatkan di Tempat Lain
      Contohnya kalau pemberi zakat itu merasakan zakat itu lebih dimanfaatkan kalau diberikan di tempat lain. Contohnya tempat lain lebih banyak program ilmu, program dakwah dan sebagainya.

 

وَالْمُوفُونَ بِعَهْدِهِمْ إِذَا عَـٰهَدُواْ‌ۖ

Dan orang-orang yang menyempurnakan janji-janji setelah mereka berjanji;

Sekarang Allah ﷻ menyebut tentang akhlak pula. Ingatlah bahawa ini adalah ayat perintah supaya kita patuhi. Allah ﷻ menyebut tentang orang yang sentiasa memenuhi janji mereka apabila mereka berjanji. Itulah maksud perkataan الْمُوفُونَ itu. Sebagai contoh, kalau kita sudah menandatangani kontrak untuk melakukan sesuatu, itu merupakan juga perjanjian kita dengan orang lain. Maka kita kena penuhi kontrak itu. Begitu juga ikatan perjanjian kita di tempat kerja, suami isteri (ijab qabul), dengan ahli keluarga dan ramai lagi. Seorang pemimpin yang naik ke tampuk pemerintahan berjanji untuk menjaga kebajikan rakyat dan rakyat pula berjanji untuk taat kepadanya (selama menegakkan kebenaran dan tidak zalim). Ini kerana ada hadith,

عَنْ عَلِيٍّ، عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا طَاعَةَ لِمَخْلُوقٍ فِي مَعْصِيَةِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ‏.‏
Daripada Ali, daripada Nabi ﷺ bersabda, “Tidak ada ketaatan terhadap seorang makhluk pun dalam menderhakai Allah عَزَّ وَجَلَّ.
(Sahih Bukhari No. 7527)

Kalimah عَهدٌ merujuk kepada apa sahaja transaksi, janji atau amanah yang telah diterima dan dipersetujui secara bertulis atau mulut, sama ada ditambah dengan sumpah atau tidak, mungkin untuk melakukan sesuatu atau meninggalkan sesuatu. Maka, apabila Allah ﷻ suruh kita memenuhi janji, melanggarinya menjadi suatu dosa yang besar. Jelas sekali, ia adalah arahan kepada kita semua untuk penuhi janji. Pertama sekali adalah janji dengan Allah ﷻ iaitu janji yang pernah kita buat sebelum kita dilahirkan. Semua manusia telah mengenal Allah ﷻ dan ini adalah fitrah manusia. Ini disebut dalam A’raf: 172

وَإِذ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَني ءآدَمَ مِن ظُهورِهِم ذُرِّيَّتَهُم وَأَشهَدَهُم عَلىٰ أَنفُسِهِم أَلَستُ بِرَبِّكُم ۖ قالوا بَلىٰ ۛ شَهِدنا
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) daripada (tulang) belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”.

Sebelum kita dilahirkan kita telah berjanji kepada Allah ﷻ berkenaan tauhid. Kita sudah kenal Allah ﷻ dan telah berjanji yang akan taat kepada-Nya. Setelah kita dilahirkan, kita pun banyak kali berjanji dengan Allah ﷻ. Bila masa kita berjanji? Bukankah kita bersumpah di dalam Syahadah kita (untuk ikut Allah ﷻ dan ikut ajaran Rasulullah ﷺ). Antaranya di dalam Doa Iftitah di dalam solat kita bukankah mengandungi janji,

إِنَّ صَلَاتِي، وَنُسُكِي، وَمَحْيَايَ، وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Sesungguhnya solatku, sembelihanku, hidupku dan matiku, hanya semata-mata untuk Allah Tuhan semesta alam

Maka, tanyalah diri kita sendiri: Adakah kita sudah menunaikan janji kita ini? Baiklah kalau tidak baca Doa Iftitah pun, tentu setiap hari kita akan baca Surah Fatihah, bukan? Di dalam Surah Fatihah itu mengandungi ayat Fatihah: 4

إِيّاكَ نَعبُدُ وَإِيّاكَ نَستَعينُ
Hanya kepada Engkau Kami menghambakan diri dan Hanya kepada Engkau kami berdoa

Soalannya, adakah benar kita hanya sembah Allah ﷻ sahaja dan berdoa kepada Allah ﷻ sahaja? Ini ada perbincangan yang panjang di dalam ayat berkenaan. Belum tentu kita telah memenuhi janji di dalam ayat ini yang kita baca setiap hari. Kemudian, adakah kita telah memenuhi janji kita untuk ikut ajaran dan amalan Rasulullah ﷺ seperti yang kita sebut di dalam syahadah kedua kita? Kalau benar, kenapa banyak sangat amalan-amalan bid’ah yang diamalkan oleh masyarakat kita? Setiap hari mereka berjanji hendak mengikuti ajaran Nabi ﷺ, tetapi mereka langgar dan menambah-tambah ajaran dan amalan Nabi ﷺ seolah-olah apa yang baginda lakukan tidak cukup pula. Macam koman sahaja amalan Nabi ﷺ maka kena ditambah baik, ditokok sesuka hati sana sini.

Secara umumnya lagi, ayat ini mengingatkan kita supaya menepati janji kita. Bukannya dalam hal-hal agama sahaja, tetapi di dalam semua perkara. Walaupun janji itu dengan manusia, sama ada Muslim ataupun tidak. Ini kerana janji itu amat penting untuk dijaga dan dipenuhi. Jangan berjanji dan selepas itu tidak ditepati. Terutama sekali janji itu dengan Allah ﷻ. Memang jatuh berdosa jika tidak menepatinya.

Inilah satu ungkapan yang merangkumkan ‘Islam’ di dalamnya kerana Islam itu adalah berkenaan ‘perjanjian’. Kita ada banyak perjanjian sebenarnya. Perjanjian dengan Allah ﷻ, perjanjian dengan Rasulullah ﷺ dan perjanjian dengan Al-Qur’an. Kita telah berjanji dan kita kena penuhi janji itu. Semua perjanjian yang halal mesti dipenuhi. Malah seluruh hidup kita ini dilingkungi oleh ikatan janji belaka. Dalam kehidupan kita, kita boleh lihat ada orang yang kukuh menjaga perjanjian dengan Allah ‎ﷻ seperti solat dan sebagainya, namun culas di dalam menjaga janji dengan manusia. Manakala ada pula yang sebaliknya senang menjaga janji dengan manusia tetapi tidak rajin menjaga janji dengan Allah ‎ﷻ. Kita kena sedar yang kalau tidak menjaga janji dengan manusia, sama seperti kita tidak menjaga janji dengan Allah ‎ﷻ!

Maka jagalah janji kita dengan orang, tidak kira kecil atau besar, penting atau tidak, dengan orang dewasa atau budak-budak. Memungkiri janji adalah salah satu daripada sifat Munafik,

أَرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا خَالِصًا ، وَمَنْ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْهُنَّ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنَ النِّفَاقِ حَتَّى يَدَعَهَا إِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ وَإِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ ، وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ
“Ada empat tanda, jika seseorang memiliki empat tanda ini, maka ia disebut munafik tulen. Jika ia memiliki salah satu tandanya, maka dalam dirinya ada tanda kemunafikan sampai dia meninggalkan perilaku tersebut, iaitu: jika diberi amanat, khianat; jika berbicara, dusta; jika membuat perjanjian, tidak dipenuhi; jika berselisih, dia akan berbuat zalim.”
(Sahih Muslim)

Perhatikan pertukaran bahasa yang digunakan di dalam potongan ayat ini. Sebelum ini telah disebut dengan banyak saranan-saranan kebajikan tetapi semuanya di dalam bentuk katakerja (fi’il). Akan tetapi kalimah الْمُوفُونَ ini di dalam bentuk katanama (isim) pula. Apabila ada perubahan, ia membawa isyarat ada sesuatu yang hendak ditekankan. Apabila isim digunakan, ia membawa isyarat berterusan. Maknanya ada penekanan untuk berterusan menyempurnakan janji-janji kerana kalau sekali sekala sahaja, orang kafir dan munafik pun boleh melakukannya. Allah ‎ﷻ beri penekanan ini kerana mungkin ramai manusia tidak nampak perkara ini sebagai sesuatu yang penting, jadi penekanan perlu diberikan.

 

وَٱلصَّـٰبِرِينَ فِي الْبَأْسَاءِ

dan orang-orang yang bersabar di dalam kepayahan;

Sekarang kita belajar kunci untuk menjaga iman dan kebajikan. Kuncinya adalah sabar! Ada masa kita ada masalah dengan kewangan dan kesempitan hidup. Ada masa kita bukan tidak ada duit, tetapi kita merasakan hidup kita sempit kerana hidup kita tertekan dengan berbagai-bagai masalah. Kita kena bersabar dalam waktu-waktu sebegitu. Ramai yang hendak melakukan kebaikan, tetapi dek kerana tidak ada kesabaran, mereka tersungkur di tengah jalan.

Tentang bagaimana mengamalkan sabar ini telah pernah disebut dan disyarahkan dengan panjang lebar di dalam surah ini di ayat 153,

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا استَعينوا بِالصَّبرِ وَٱلصَّلَوٰةِ‌ ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصّٰبِرينَ
Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar

Kemudian Allah ‎ﷻ beritahu di dalam ayat 156 pula yang sifat orang sabar itu mereka menyebut dan memahami kalimah istirja’

الَّذينَ إِذا أَصٰبَتهُم مُّصيبَةٌ قالوا إِنّا لِلَّهِ وَإِنّا إِلَيهِ رٰجِعونَ
(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

Kepayahan الْبَأْسَاءِ termasuk di dalamnya kemiskinan dan serba kekurangan. Kurang pakaian, kurang makanan. Kekurangan alat untuk berjuang, kekurangan belanja untuk mengatasi kesulitan. Kadang-kadang pelbagai gunung kesulitan yang ditempuh, namun kita mesti terus menegakkan iman. Walaupun susah, kita tetap harus mematuhi syariat. Jangan kerana kita susah, kita langgar syariat seperti menipu, kita bunuh diri dan kita buat maksiat. Ada orang yang menjadikan kesusahan hidupnya sebagai alasan untuk menjadi perompak, pelacur dan sebagainya. Itu adalah salah sama sekali. Ada sebuah hadith yang menarik walaupun ia dhaif.

كادَ الفَقرُ أنْ يَكُونَ كُفْرًا، وكَادَ الحَسَدُ أَنْ يَسْبقَ القَدَرُ.
Hampir-hampir kefakiran itu menjadi (sebab) kekufuran dan hampir-hampir hasad itu mendahului takdir
(Dhaif) Daripada al-Hasan atau Anas RA, secara marfu’ (disandarkan kepada Nabi SAW): Hampir-hampir kefakiran itu menjadi kekufuran dan hampir-hampir hasad itu mendahului takdir. [Riwayat Abu Nu‘aim dalam al-Hilyah, Ibn al-Sakan dalam Musannaf beliau, al-Baihaqi dalam Shu‘ab al-Iman dan Ibn ‘Adi dalam al-Kamil. Lihat al-Silsilah al-Da’ifah, no. 4080]

Kalau diperhatikan, ada pertukaran nahu (grammar) dalam perkataan الصَّابِرِينَ ini. Sebelum ini, penggunaan perkataan dalam bentuk ada penambahan ون, namun kali ini dalam bentuk ين pula. Ini adalah kerana ada penekanan yang hendak disampaikan di sini. Apabila ada perubahan dari segi nahu, maka ia menarik perhatian yang menjadi penekanan. Semua yang telah disebut sebelum ini memang penting tetapi yang paling penting adalah kita kena sabar. Akan tetapi sabar apa? Iaitu sabar untuk berterusan melakukan kebajikan itu. Kerana kalau tidak ada sabar/berterusan, perkara-perkara kebajikan yang telah disebut di atas tadi itu hanya dilakukan ikut musim sahaja. Kita buat sekejap sahaja. Sebab memang perlukan orang yang sabar untuk terus melakukan perkara kebaikan itu.

Kita perlukan kesabaran di dalam waktu yang susah dan perlukan kesabaran untuk terus melakukan kebajikan. Kita juga perlu sabar untuk terus beramal. Kerana syaitan akan sentiasa mengganggu kita dan membisikkan kepada kita untuk berhenti. Syaitan akan terus menghasut kita sampai kita menjadi bosan melakukannya.

Perhatikan juga pertukaran bahasa di sini. Kalimah yang digunakan adalah ٱلصَّـٰبِرِينَ di dalam bentuk nasb sedangkan sebelum ini kalimah الْمُوفُونَ di dalam bentuk marfu’. Sekiranya sesuatu itu nasb, ia bermaksud sebagai sesuatu yang ‘kena’, bukan sebagai pelaku sahaja. Ulama’ mengatakan ini adalah نصب على المدح di mana terdapat pujian bagi orang yang sabar. Di dalam banyak-banyak amal kebaikan yang telah disebut sebelum ini, ada pujian istimewa terhadap orang yang boleh bersabar.

 

وَالضَّرَّاءِ

dan musibah;

Ini adalah kepayahan yang lebih sedikit iaitu disebut الضَّرَّاءِ. Ia merujuk kepada musibah penyakit sama ada penyakit fizikal atau rohani. Kalau الْبَأْسَاءِ di atas tadi adalah ujian pada harta dan sekarang الضَّرَّاءِ pula adalah ujian pada tubuh badan dan kesihatan. Maksudnya kena bersabar walaupun dalam kesakitan dan menghadapi penyakit. Ini tidak terjadi kepada orang miskin sahaja. Orang kaya pun boleh jatuh sakit dan ada masalah-masalah lain kerana penyakit tidak kenal kedudukan orang itu di dalam masyarakat.

Apabila terjadi kepada kita, maka kena redha dan terima sahaja apa yang Allah ﷻ telah tentukan kepada kita. Mungkin kita bersedih dan ini tidak mengapa; tetapi jangan persoal keputusan Allah ﷻ untuk mengenakannya kepada kita. Yang penting kita jadikan penyakit dan kesakitan yang kita alami itu sebagai pelunas dosa-dosa kita yang banyak.

 

وَحِينَ الْبَأْسِ

dan ketika peperangan;

Ini tentang bersabar dalam peperangan. Dalam peperangan, kadang-kadang rumah dibom, makanan tiada, kehilangan nyawa dan macam-macam lagi. Kita tidak mengalami suasana perang dan dijajah seperti dialami oleh orang dahulu. Suasana perang amatlah menyesakkan kerana terlalu banyak kepayahan yang bertimpa-timpa. Ada orang yang berjuang maka mereka telah mengorbankan segala-galanya; ada pula yang tidak sabar dan menangguk keuntungan apabila menjadi talibarut musuh! Memang keimanan waktu itu diuji; malah untuk mengerjakan ibadah pun diuji!

Maka ini adalah saranan untuk pejuang agama dan mereka yang terlibat dengan keluarga yang berperang itu. Ini penting kerana pejuang agama dan pendakwah akan sentiasa ditentang. Tahap tertinggi pertentangan itu sehingga boleh menyebabkan kematian. Itu adalah kemuncak kepada penentangan kepada pendakwah dan Allah ﷻ sebut yang kemuncak sahaja dalam ayat ini. Ini kerana yang kena tentang cara lain itu biasa sahaja. Ramai yang dituduh, dihina, diejek dan sebagainya, itu semua adalah adalah asam garam kehidupan. Tidak perlu mengadu dituduh Wahabi kerana itu biasa sahaja, boleh tepis begitu sahaja.

Oleh itu, telah disebut tiga perkara yang biasa manusia hadapi dan pujian kepada mereka sabar dalam tiga perkara itu. Tidak sama antara sabar seseorang itu dengan yang lain. Tahap antara seseorang tidak sama. Mereka mungkin berada dalam barisan yang sama dalam barisan peperangan, tetapi belum tentu mereka mempunyai tahap sabar yang sama. Maka kita kena bina kesabaran diri kita dan Allah ﷻ akan uji sedikit demi sedikit.

 

أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ‌ۖ

Mereka itu adalah orang yang betul-betul benar

Yang telah melakukan setiap perkara yang disebut di atas adalah orang yang benar dalam agama mereka. Benar dalam dakwaan mereka yang mereka beriman dan beragama. Tidaklah mereka cakap sahaja, tetapi mereka lakukan juga apa yang disuruh kepada mereka. Mereka membenarkan apa yang mereka katakan, iaitu percakapan dan perbuatan mereka sama (tidaklah cakap tidak serupa bikin).

 

وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُتَّقُونَ

dan mereka itu adalah sebenarnya orang yang bertaqwa;

Mereka itulah juga orang yang menjaga hukum yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Mereka inilah sahaja yang boleh diangkat menjadi muttaqeen. Kalimah هُمُ di dalam potongan ayat ini sebagai penekanan eksklusif. Maknanya mereka yang mempunyai sifat-sifat ini sahaja yang boleh dianggap sebagai muttaqeen. Jadi untuk tahu sama ada kita beriman sempurna atau tidak, kena nilaikan diri kita dengan senarai di dalam ayat ini. Bimbang takut-takut kita sangka ini ini sudah bertaqwa, tetapi rupanya tidak. Di awal surah Baqarah ini telah ada disebutkan tentang orang-orang bertaqwa. Maka dalam ayat ini Allah ﷻ menjelaskan lagi siapakah orang yang bertaqwa itu. Inilah sifat-sifat yang perlu ada pada orang yang bertaqwa.

 

Sekarang mari kita bincangkan Komposisi Cincin bagi Makro Kelima Surah Baqarah ini. Sila rujuk Ayat 5 untuk pengenalan kepada Komposisi Cincin ini. Makro Kelima ini Mengembalikan Legasi Nabi Ibrahim (ayat 153 – 177). Ia adalah silang kepada Makro Ketiga sebelum ini. Di dalam Makro Ketiga kita diingatkan tentang ajaran yang dibawa oleh Nabi Ibrahim. Sekarang kita diberitahu yang menegakkannya bukanlah kerja yang mudah kerana kita akan diuji bertalu-talu.

Mari kita bincangkan secara mendalam Makro ini.

[C9]/[C9′] – Di dalam Bahagian ini Allah ‎ﷻ menyeru kepada orang beriman dengan berbagai-bagai jenis seruan. Semuanya perlu dipandang dengan penuh tanggungjawab dan dilaksanakan dengan seboleh mungkin. Kedua-dua bahagian ini mengandungi pengulangan arahan antaranya tentang solat dan sabar. Disebut tentang sabar kerana di dalam bahagian ini disebut yang kita umat Islam akan diuji.

[C10]/[[C10’] – Kedua-dua Bahagian ini laknat terhadap mereka yang menyembunyikan kebenaran. Mereka ini sangat teruk kerana dengan menyembunyikan kebenaran wahyu, maka ramai manusia yang jadi sesat.

[C11] – Di Bahagian tengah ini mengandungi dua sisi yang menjadi pilihan manusia. Bagi orang yang beriman, mereka akan memilih tauhid dan bagi orang yang sesat, mereka akan memilih syirik. Disebut dalil-dalil yang kuat bagi memegang ajaran Tauhid dan disebut balasan-balasan yang akan diterima oleh orang yang memilih syirik.

 

Bahagian [C11] adalah bahagian yang besar dan ia boleh dipecahkan menjadi satu lagi susunan yang lain.

Penerangan: Setelah Allah ‎ﷻ menyuruh manusia berpegang dengan Tauhid dan meninggalkan syirik, Allah ‎ﷻ telah memberi dalil dan tanda-tanda bukti kenapa hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang layak disembah [C11.1]. Akan tetapi manusia ada satu masalah besar yang menghalang mereka iaitu mereka berpegang dengan amalan dan ajaran tok nenek mereka yang kita boleh perhatikan di dalam [C11.2] dan diulang sekali lagi di dalam [C11.2′]. Maka Allah ‎ﷻ memberi ubat bagi masalah itu iaitu makan daripada makanan yang halal dan baik yang Allah ‎ﷻ telah berikan seperti disebut di dalam [C11.3] dan [C11.3′]

 

Malah di dalam ayat 164 pun kita boleh lihat ada Komposisi Cincin juga (cincin di dalam cincin).

Penerangan:

[C11.1.1]/[C11.1.1′] – Di dalam kedua-dua Bahagian ini Allah ‎ﷻ menyuruh manusia melihat kepada alam ini untuk menaikkan iman kita. Ini adalah jenis ayat yang boleh dilihat pada alam. Ini dipanggil “Ayat-ayat Kauniyyah”.

[C11.1.2]/[C11.1.2′] – Allah ‎ﷻ menyebut dua tanda yang terapung-apung. Kapal yang berlayar terapung di lautan dan awan pula terapung di langit.

[C11.1.3]/[C11.1.3′] – Ayat menyebut dua tenteranya yang digunakan sebagai rahmat kepada manusia untuk menumbuhkan tanam-tanaman. Air hujan yang Allah ‎ﷻ turunkan dan angin yang membawa awan yang mengandungi hujan.

[C11.4] – Di Bahagian tengah ini Allah ‎ﷻ menyebut hasil daripada urusan angin dan hujan itu iaitu ia adalah proses yang Allah ‎ﷻ jadikan untuk menumbuhkan tanam-tanaman yang menjadi makanan bagi manusia dan juga binatang di bumi.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 7 Julai 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Heavenly Order

Tafsir Surah Baqarah Ayat 177 Bahagian 3 (Jangan meminta-minta)

وَابْنَ السَّبِيلِ

dan (kepada) anak perjalanan 

Kita juga kena beri bantuan kepada mereka yang dalam musafir. Termasuk dalam hal ini adalah mereka yang bermusafir kerana menyebarkan agama. Ini kerana waktu itu mereka memang putus bekalan dan mereka memang mengharapkan bantuan daripada penduduk setempat. Sunnah dalam Islam adalah menjemput orang yang dalam perjalanan untuk tinggal dengan kita. Untuk itu, kita kenal orang kawasan kita supaya apabila ada yang kita tidak kenal, maka kita tahu yang dia adalah orang luar, orang musafir.

Hukum Membantu Orang dalam Perjalanan terbahagi kepada dua:

    1. Wajib
      Membantu orang yang dalam perjalanan menjadi wajib jika orang tersebut sangat memerlukan bantuan untuk bertahan hidup, seperti makanan, minuman, atau kenderaan, dan hanya kita yang mampu memberikan bantuan itu. Mengabaikannya dalam situasi ini dianggap sebagai dosa.

    2. Sunat
      Dalam keadaan umum di mana orang dalam perjalanan tidak berada dalam keadaan darurat, membantu mereka tetap dianjurkan dan menjadi amal sunnah yang sangat besar pahalanya.

Rasulullah ﷺ telah bersabda,

مَن نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِن كُرَبِ الدُّنْيَا، نَفَّسَ اللَّهُ عنْه كُرْبَةً مِن كُرَبِ يَومِ القِيَامَةِ، وَمَن يَسَّرَ علَى مُعْسِرٍ، يَسَّرَ اللَّهُ عليه في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، وَمَن سَتَرَ مُسْلِمًا، سَتَرَهُ اللَّهُ في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، وَاللَّهُ في عَوْنِ العَبْدِ ما كانَ العَبْدُ في عَوْنِ أَخِيهِ
“Siapa yang membebaskan seseorang daripada kesusahan dunia maka Allah akan melepaskannya daripada kesusahan hari kiamat. Siapa yang memudahkan orang yang dalam kesusahan maka Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Siapa yang menutup aib saudaranya yang Islam maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan membantu hamba selagimana hamba membantu saudaranya.”
(Riwayat Muslim No. 2699)

Maka sunnahnya adalah mengajak mereka tinggal dengan kita. Sepatutnya kita berebut-rebut dengan orang lain untuk mengajak mereka tinggal dengan kita. Namun apa yang biasa berlaku, kita buat yang sebaliknya. Kalau ada saudara mara sendiri pun kalau boleh kita mahu mereka tinggal di hotel sahaja. Ini tidak baik dan kita kena ubah perangai kita.

 

وَالسَّائِلِينَ

dan (kepada) orang yang meminta;

Kita sangka, kalau orang yang meminta mestilah Allah ‎ﷻ letak di depan, tetapi tidak. Allah ‎ﷻ letak di hujung-hujung ayat. Ini adalah kerana ada penerangan tentang mereka yang meminta ini. Secara umumnya, kalau ada yang meminta, kita kena tolong seboleh mungkin. Kita kena ingat yang tidak semestinya yang meminta itu tergolong dalam golongan yang fakir miskin. Mungkin mereka selalunya tiada masalah, akan tetapi pada ketika itu mereka terdesak sampaikan meminta. Maka kerana itu mungkin mereka ini golongan tidak memerlukan sangat bantuan, dan kerana itu Allah ‎ﷻ tidak sebut mereka di awal ayat. Sebagai contohnya, ada yang telefon kita minta bantuan secara tiba-tiba. Kita kena faham, sebelum dia telefon kita, dia sudah banyak kali fikir, susun ayat bagaimana mahu meminta tolong dengan kita. Sebab dia malu sangat untuk meminta dengan kita. Melainkan kalau dia itu jenis sentiasa meminta-minta. Namun ada kawan kita yang jarang sangat dia minta tolong, maka kalau tiba-tiba dia minta tolong, itu memang terdesak sangat. Maka tolonglah mereka.

Kalau kita tidak boleh bantu waktu itu, kita yang kena minta maaf pula kepada dia. Ini Allah ‎ﷻ sebut dalam Isra’: 28

وَإِمَّا تُعرِضَنَّ عَنہُمُ ٱبتِغَآءَ رَحمَةٍ مِّن رَّبِّكَ تَرجُوهَا فَقُل لَّهُم قَولاً مَّيسُورًا
Dan jika kamu berpaling daripada mereka untuk memperoleh rahmat daripada Tuhanmu yang kamu harapkan, maka katakanlah kepada mereka ucapan yang lembut.

Jangan kita hina dia kerana meminta kepada kita. Bukan senang untuk dia minta tolong. Itu sebabnya, dalam masyarakat kita, selalu kita lihat orang meminta sedekah di kedai makan, lalu lalang dan sebagainya. Kalau kita boleh tolong, kita beri. Akan tetapi kalau kita tidak boleh beri, atau tidak mahu beri, jangan kita herdik mereka dan halau mereka pula. Kita kena bermanis muka dengan mereka. Kena ingat, sekarang mereka susah, entah bila pula kita akan jadi susah. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Dhuha: 10

وَأَمَّا السّائِلَ فَلا تَنهَر
Dan terhadap orang yang minta-minta, janganlah kamu mengherdiknya.

Kita kena tahu yang orang miskin ada dua jenis, ada yang meminta dan ada yang tidak meminta. Kita kena prihatin kepada kedua-dua jenis orang miskin ini kerana Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam Dzariyat: 19

وَفي أَموٰلِهِم حَقٌّ لِّلسّائِلِ وَالمَحرومِ
Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).

Dalam adab sopan Islam, kalau belum terdesak benar, janganlah minta bantu kepada orang. Merujuk kepada situasi seseorang yang mampu bekerja namun tidak mahu bekerja mencari belanja hidup, syarak menjelaskan bahawa seseorang itu dituntut untuk bekerja dan mencari rezeki hasil usahanya sendiri berbanding mengharap dan meminta-minta bantuan daripada orang lain. Terdapat beberapa nas yang menunjukkan kepada hal ini. Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ  bahawa Rasulullah ﷺ bersabda :

لأَنْ يَحْتَطِبَ أَحَدُكُمْ حُزْمَةً عَلَى ظَهْرِهِ خَيْرٌ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ أَحَدًا، فَيُعْطِيَهُ أَوْ يَمْنَعَهُ
Sekiranya salah seorang kamu menebang pokok kayu dan memikul kayu kayan di atas belakang badannya maka itu lebih baik daripada dia meminta kepada seseorang sama ada orang tersebut memberinya atau tidak memberinya.
(Riwayat Al-Bukhari No. 2074)

Maka jadilah kita orang yang memberi, bukan yang menerima. Ada sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ وَهُوَ عَلَى المِنْبَرِ، وَذَكَرَ الصَّدَقَةَ، وَالتَّعَفُّفَ، وَالمَسْأَلَةَ: ” اليَدُ العُلْيَا خَيْرٌ مِنَ اليَدِ السُّفْلَى، فَاليَدُ العُلْيَا: هِيَ المُنْفِقَةُ، وَالسُّفْلَى: هِيَ السَّائِلَةُ “
“Bahawa Rasulullah ﷺ bersabda ketika berada di atas mimbar, dan menyebutkan mengenai sedekah, memelihara harga diri dan meminta-minta, Baginda bersabda: “Tangan yang berada di atas adalah lebih baik daripada tangan yang berada di bawah. Tangan yang berada di atas ialah tangan yang memberi, manakala tangan yang berada di bawah ialah tangan yang meminta-minta (menerima).”
(Riwayat al-Bukhari No. 1429)

Sebab itu kalau iman seseorang telah mendalam, kalau tidak terdesak benar, tidaklah dia akan meminta. Oleh sebab itu bagi seorang yang mampu, yang ingin berbuat kebajikan menurut ajaran Allah ‎ﷻ, kalau telah sampai terjadi seorang meminta kepada kita, sekali-kali janganlah pengharapannya dikecewakan. Makanya dia meminta kepada kita, sedang harga dirinya sebagai seorang mukmin merasa berat menadahkan tangan kepada sesama manusia meminta-minta, adalah kerana dia percaya bahawa permintaannya itu tidak akan di kecewakan. Maka janganlah sampai air mukanya jatuh kerana harapannya dihampakan. Perhatikan firman Allah ‎ﷻ di dalam Baqarah: 273

لِلْفُقَرَاءِ الَّذِينَ أُحْصِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ لَا يَسْتَطِيعُونَ ضَرْبًا فِي الْأَرْضِ يَحْسَبُهُمُ الْجَاهِلُ أَغْنِيَاءَ مِنَ التَّعَفُّفِ تَعْرِفُهُم بِسِيمَاهُمْ لَا يَسْأَلُونَ النَّاسَ إِلْحَافًا
“Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka: orang kaya – oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak.”

Kenapa mereka tidak meminta-minta? Kerana mereka itu ada ilmu dan kerana itu mereka menjaga maruah mereka. Mereka tahu yang meminta-minta ini tidak bagus dan mereka tawakal kepada Allah ‎ﷻ. Itulah bezanya para sahabat dahulu dengan kita. Zaman sahabat dahulu ada kumpulan yang dinamakan Ahlul Suffah yang tinggal di tepi Masjid Nabi sahaja. Mereka tidak bekerja dan tujuan mereka datang ke situ adalah untuk belajar dengan Rasulullah ﷺ. Ada yang datang dan kemudian balik ke kampung untuk berdakwah dan mengajar. Antara yang terkenal adalah Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Mereka ini miskin akan tetapi berilmu dan mereka dihormati dan disebut-sebut sampai sekarang. Bagaimana pula dengan orang miskin masyarakat kita? Mereka sudahlah miskin dunia, akhirat pun mereka miskin juga kerana tidak ada ilmu agama. Ini amat menyedihkan kerana mereka jauh dari majlis ilmu. Para guru agama pun tidak mendampingi mereka kerana ramainya ada di kota-kota kerana imbuhan lebih banyak di sana. Maka ketinggalan sangatlah masyarakat pedalaman kita yang duduk di ceruk-ceruk kampung dan desa itu.

Hukum meminta sedekah atau meminta-minta tanpa sebarang keperluan yang darurat adalah haram dan dilarang di dalam Islam. Larangan tersebut dinyatakan berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi ﷺ telah bersabda:

لاَ تَحِلُّ الصَّدَقَةُ لِغَنِيٍّ وَلاَ لِذِي مِرَّةٍ سَوِيٍّ
“Tidak halal menerima sedekah bagi orang kaya dan orang yang sihat tubuh badannya (untuk bekerja).”
Riwayat al-Nasaei (2597) Ibn Majah (1839) dan Abu Daud (1634)
Syeikh Syu’aib al-Arnaout رَحِمَهُ اللَّهُ menghukumkan sanad hadith ini sebagai qawiy (kuat).

Demikian juga larangan tersebut dalam satu hadith yang lain diriwayatkan oleh Sahl Ibn Hanzaliyyah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang menceritakan perbualan Nabi ﷺ bersama sahabatnya:

مَن سأَل وعندَه ما يُغنيه فإنَّما يستكثِرُ مِن جمرِ جهنَّمَ.  قال: يا رسولَ اللهِ وما يُغنيه ؟ قال: ما يُغدِّيه ويُعشِّيه
“Barangsiapa yang meminta-meminta, padahal dia mempunyai sesuatu cukup untuk dirinya, maka bererti hanya memperbanyak bara api neraka Jahannam.” Lalu para sahabat bertanya: “Bagaimanakah yang dikatakan cukup baginya?” Baginda menjawab: “Sesuatu yang mencukupi untuk makan siang dan malam.”
(Riwayat Abu Daud No. 1629)
Syeikh Syu’aib al-Arnaout رَحِمَهُ اللَّهُ menghukumkan sanad hadith ini adalah sahih dengan syarat yang digunakan oleh Imam al-Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ.

Demikian satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

مَنْ سَأَلَ اَلنَّاسَ أَمْوَالَهُمْ تَكَثُّرًا, فَإِنَّمَا يَسْأَلُ جَمْرًا, فَلْيَسْتَقِلَّ أَوْ لِيَسْتَكْثِرْ
“Barangsiapa yang meminta harta kepada manusia untuk memperkayakan dirinya, maka bererti hanya meminta bara api neraka. Oleh sebab itu, terserahlah kepadanya untuk meminta sedikit atau meminta banyak.”
(Riwayat Muslim No.1041)

Syarah: Maksud ‘meminta harta kepada manusia’ di sini ialah seseorang yang meminta bagi tujuan mengumpulkan harta dan kekayaan dirinya tanpa sebarang keperluan kepadanya. (Lihat Fath al-Mun‘in, 4/395)

Maka kalau kita orang yang kaya (kalau sudah cukup keperluan itu kaya lah, cuma tidak kaya raya sahaja) tetapi meminta-minta subsidi, meminta orang belanja itu dan ini, maka termasuklah di dalam hukum ini. Maka kena berhati-hati apabila kita meminta-minta kepada orang. Kalau memang ada keperluan, tidaklah mengapa.

Di dalam hal ini, kita kena juga berhati-hati di dalam memberi kepada pertubuhan-pertubuhan yang menggunakan agama sebagai modal mereka. Kita telah didedahkan dengan GISB (bekas gerakan Al-Arqam) yang menggunakan rumah anak yatim mereka untuk mendapatkan sumbangan daripada masyarakat. Padahal bukannya itu anak-anak yatim tetapi anak-anak pengikut mereka. Sumbangan yang diberi telah digunakan untuk meneruskan gerakan mereka yang sesat itu. Selain daripada mereka, kita juga selalu mendengar pusat-pusat Tahfiz yang juga menggunakan pelajar-pelajar mereka untuk meraih derma daripada masyarakat. Entah pelajar mereka diajar tentang Al-Qur’an atau tidak, akan tetapi dikatakan pengasas mereka kaya raya. Ini adalah jenis manusia yang tidak terdesak pun, akan tetapi meminta-minta pertolongan kerana hendak menambah kantung kewangan mereka. Jangan kita jadi ‘enabler’ kepada kumpulan yang sebegini. Niat kita mungkin ikhlas, tetapi dengan pemberian kita itu, menyebabkan mereka terus kekal di dalam masyarakat.

 

وَفِي الرِّقَابِ

dan di dalam (hal membebaskan) hamba abdi;

Kalimah الرِّقَابِ daripada kata dasar: ر ق ب yang bermaksud menjaga, memerhati, melihat, menghormati, menunggu, di leher, memberi amaran, takut, mengawal, leher, hamba, tawanan perang. Ia bermaksud seseorang yang di bawah kekuasaan orang lain seperti hamba. Ayat ini turun pada zaman sistem perhambaan masih lagi diamalkan. Islam tidak terus meruntuhkan sistem itu akan tetapi memberikan hukum yang baru untuk mengawal sistem ini. Maka sudah tidak mudah manusia menjadi hamba seperti dahulu (ditawan, ditangkap, kerana hutang dan sebagainya). Manakala para hamba tidak ditindas lagi dan mereka juga diberi hak.

Islam menggalakkan pembebasan hamba di mana dijanjikan pahala yang banyak bagi orang yang membebaskan hamba, ada hukum-hukum yang kalau dilanggar mesti membebaskan hamba. Sebenarnya Islam pun tidak suka perhambaan, namun ia tidak dimansuhkan begitu sahaja akan tetapi dikawal dan dihilangkan sedikit demi sedikit. Lihatlah di dalam ayat kita belajar ini dianjurkan untuk membebaskan hamba. Ada banyak hadith yang menganjurkan membebaskan hamba.

Di dalam hukum hakam Islam, diletakkan beberapa hukuman yang perlu membebaskan hamba. Dengan ini pembebasan hamba semakin pesat. Sebagai contoh lihat Nisa’: 92

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ أَنْ يَقْتُلَ مُؤْمِنًا إِلَّا خَطَأً وَمَنْ قَتَلَ مُؤْمِنًا خَطَأً فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُؤْمِنَةٍ
Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja. Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja, maka (wajiblah ia membayar kaffarah) dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman.

Terdapat banyak sekali galakan dan ganjaran untuk membebaskan hamba. Antaranya,

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال النبي صلى الله عليه وسلم : «أَيُّمَا رَجُلٍ أَعْتَقَ امْرَأً مسلمًا، استَنْقَذَ الله بكلِّ عُضْوٍ منه عُضْوا منه مِن النار».
Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, Nabi ﷺ bersabda, “Siapa saja orang yang memerdekakan seorang muslim maka Allah akan menyelamatkan setiap anggota tubuhnya daripada api neraka sebagai tebusan setiap anggota tubuh orang yang dimerdekakannya.”
(Muttafaq ‘alaih)

Malah syariat Islam ada kedudukan Hamba Mukatabah. Hamba Mukatabah adalah seorang budak (hamba) dalam tradisi Islam yang membuat perjanjian dengan tuannya untuk membebaskan dirinya dengan membayar sejumlah wang atau memenuhi syarat tertentu. Sebagai contoh, tuannya buat perjanjian dengan hamba itu, kalau dapat bagi 500 dinar, dia akan dibebaskan. Dalam istilah fikah, mukatabah adalah salah satu cara pembebasan budak yang dianjurkan oleh Islam untuk menghapuskan sistem perbudakan secara bertahap. Hamba itu boleh bekerja atau dibantu oleh orang lain untuk mencukupkan wang yang telah ditetapkan oleh tuannya.

Zaman sekarang, tidak ada lagi golongan hamba abdi dalam ertikata seperti zaman dahulu. Akan tetapi masih ada lagi sistem perhambaan di dalam bentuk yang lain. Ada tawanan perang yang dijadikan hamba untuk dikerah tenaga mereka. Terdapat juga pembantu rumah atau pekerja asing yang diperhambakan setelah tertipu dengan majikan mereka, sampai tidak boleh pulang ke negara mereka. Sampaikan ada ejen peras ugut mereka lagi. Ataupun orang yang ditawan dan dilarikan dari tempat tinggal mereka dan dijual di negara lain. Ini masih lagi terjadi zaman sekarang. Ini juga termasuk dalam maksud ayat ini. Iaitu mereka mahu membebaskan diri daripada tawanan. Nampak mereka macam bebas, tetapi tidak kerana pasport mereka orang lain pegang. Orang tidak nampak pertalian ayat ini dalam keadaan zaman sekarang kalau tidak belajar.

Ada juga orang yang di’tawan’ oleh hutang yang terlalu banyak sampai mereka tidak dapat bayar seperti pinjaman rumah, pinjaman pelajaran dan sebagainya. Itu bukanlah dalam bentuk perhambaan seperti apa yang kita faham dulu, tetapi ia masih lagi boleh diterima sebagai suatu bentuk perhambaan. Mereka memerlukan bantuan kita, maka kita kena tolong mereka seboleh mungkin. Kerana itulah salah satu asnaf zakat adalah orang berhutang.

Dari segi bahasa, perhatikan potongan ayat ini berlainan daripada anjuran infak sebelum ini. Sebelum ini kita baca, ذَوِى ٱلقُربَىٰ وَٱليَتَـٰمَىٰ وَٱلمَسَـٰكِينَ وَٱبنَ ٱلسَّبِيلِ وَٱلسَّآٮِٕلِينَ dan tiba-tiba وَفِى ٱلرِّقَابِ di mana Allah ‎ﷻ menambah harf فِى. Allah ‎ﷻ bezakan pemberian berkenaan hamba ini dengan yang lain kerana kepada yang lain, semua infak itu diberikan terus kepada penerima; akan tetapi bagi hamba, penerima itu bukanlah kepada hamba itu akan tetapi kepada tuan mereka atau orang yang menawan mereka.

 

وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ

dan mendirikan sembahyang;

Sekarang Allah ﷻ menyebut tentang ibadah-ibadah khusus setelah dibina asas jiwa yang murni. Maknanya solat itu mestilah dilakukan oleh orang yang benar-benar beriman dan jiwa mereka ada sifat rahmat terhadap manusia yang lain. Bukan setakat melakukan mekanikal solat berdiri, rukuk dan sujud sahaja. Itu hanya perbuatan yang sesiapa sahaja boleh lakukan. Orang yang jiwanya sudah kuat dengan Islam, bukan tubuh badan mereka sahaja mengadap kiblat akan tetapi seluruhnya jiwanya mengadap Allah ‎ﷻ. Ini seperti firman Allah ‎ﷻ di dalam An’am: 79

إِنّي وَجَّهتُ وَجهِيَ لِلَّذي فَطَرَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ حَنيفًا ۖ وَما أَنا مِنَ المُشرِكينَ
“Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)”.

Berkenaan solat, seorang lelaki kena solat di masjid. Perempuan pula seeloknya solat di rumah kerana perempuan tidak digalakkan untuk pergi ke masjid. Pahala wanita lebih banyak kalau solat di rumah.

‘Mendirikan sembahyang’ itu termasuklah mandi junub, mandi haid dan nifas seperti mana yang Nabi ﷺ ajar. Juga mengambil wudu’ sepertimana Nabi ﷺ ajar. Maka kena faham apakah maksud أَقَامَ. Mendirikan solat. Allah ﷻ tidak sebut ‘melakukan solat’ tetapi Allah ﷻ menyebut ‘mendirikan solat’. أَقَامَ itu seperti tiang rumah. Kalau kita bina rumah, tentu tiang rumah kita bina dulu sebelum kita buat dinding, atap dan sebagainya. Selepas rumah itu telah ada, kita akan letak perabot dalam rumah. Perabot dan apa sahaja dalam rumah hendaklah disusun dengan mengambil kira tiang rumah yang sudah ada. Tidak boleh kita sesuka hati menukar tiang rumah sebab kita hendak letak perabot di situ. Apabila Allah ﷻ gunakan perkataan أَقَامَ, ia bermaksud perkara-perkara lain dalam kehidupan kita kena ambil kira tentang solat. Waktu solat tidak boleh diubah lagi seperti juga tiang rumah tidak boleh diubah. Perkara-perkara lain yang kena beri ruang kepada solat – bukan solat yang kena beri ruang kepada perkara lain.

Khusyuk juga perlu dijaga. Mendirikan solat memang dapat banyak pahala; akan tetapi seorang yang solat tidak sama pahala seorang yang lain. Ini kerana kadar kekhusyukan seseorang itu tidaklah sama. Ada orang yang khusyuk sepanjang solat, maka dia akan dapat pahala penuh. Namun kalau dia cuma khusyuk separuh sahaja di dalam solatnya maka dia hanya dapat separuh pahala sahaja. Dalilnya

عَنْ عُمَرَ بْنِ الْحَكَمِ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَنَمَةَ الْمُزَنِيِّ عَنْ عَمَّارِ بْنِ يَاسِرٍ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ الرَّجُلَ لَيَنْصَرِفُ وَمَا كُتِبَ لَهُ إِلَّا عُشْرُ صَلَاتِهِ تُسْعُهَا ثُمْنُهَا سُبْعُهَا سُدْسُهَا خُمْسُهَا رُبْعُهَا ثُلُثُهَا نِصْفُهَا
Daripada ‘Ammar bin Yasir رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dia berkata; saya mendengar Rasulullah ﷺ; bersabda: “Sesungguhnya ada seseorang yang benar-benar mengerjakan solat, namun pahala solat yang tercatat baginya hanyalah sepersepuluh (daripada) solatnya, sepersembilan, seperdelapan, sepetujuh, seperenam, seperlima, seperempat, sepertiga, dan seperduanya saja.”
Sunan Abi Dawud (675) Hasan (Albani)

Kenapa Allah ﷻ baru menyebut tentang solat dalam ayat ini? Bukankah ia ibadah yang paling besar dan pertama sekali ditanya di akhirat kelak? Ini kerana orang yang melakukan solat itu bukan sahaja kena solat, tetapi kena buat segala kebaikan yang telah disebut di atas. Kalau setakat solat sahaja, tetapi tidak beramal, tidak ada gunanya solat itu. Maka Allah ﷻ sebut apa yang perlu dilakukan oleh orang yang bersolat, barulah sekarang disebut solat. Rasulullah ﷺ berpesan bahawa orang yang paling dicintai Allah ﷻ adalah mereka yang paling bermanfaat kepada orang lain:

عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : “أَحَبُّ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ , وَأَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى سُرُورٌ تُدْخِلُهُ عَلَى مُسْلِمٍ , أَوْ تَكَشِفُ عَنْهُ كُرْبَةً , أَوْ تَقْضِي عَنْهُ دَيْنًا , أَوْ تَطْرُدُ عَنْهُ جُوعًا , وَلأَنْ أَمْشِيَ مَعَ أَخِ فِي حَاجَةٍ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ أَنْ أَعْتَكِفَ فِي هَذَا الْمَسْجِدِ يَعْنِي مَسْجِدَ الْمَدِينَةِ شَهْرًا
Daripada Ibnu ‘Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, Nabi ﷺ bersabda, “Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling memberikan manfaat bagi manusia. Adapun amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat muslim yang lain bahagia, meringankan kesusahan orang lain, membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya. Seandainya aku berjalan bersama saudaraku untuk memenuhi suatu keperluan, maka hal itu lebih aku cintai daripada iktikaf sebulan di masjid ini iaitu masjid Nabawi di Madinah selama sebulan penuh.”
(Riwayat Tabrani dalam Al Mu’jam Al Kabir no. 13280, 12: 453). Status: hadis hasan.

Kalau dalam iktikaf, tentulah seseorang itu akan memperbanyakkan solat, bukan? Akan tetapi Rasulullah ﷺ memberikan timbangan yang lebih banyak kepada orang yang membantu orang lain. Kerana itu lihatlah tentang saranan daripada Allah ﷻ sebelum disebut tentang solat ini: memberi harta kepada sanak saudara, anak yatim, orang miskin dan sebagainya itu boleh dilakukan oleh orang yang tidak beragama pun. Contohnya, orang kafir pun boleh juga buat begitu. Memang ada orang kafir yang baik pun, suka menolong orang malah lebih baik daripada kebanyakan orang Islam pun. Akan tetapi Allah ﷻ tambah dalam ayat ini tentang mendirikan solat dan membayar zakat. Ini adalah ibadat-ibadat khusus. Ini adalah kerana Allah ﷻ hendak tekankan bahawa kena ada dua elemen: menjaga ibadat agama dan berbuat kebajikan. Tidak boleh kita jaga ibadat agama tetapi tidak berbuat kebajikan. Tidak boleh kita kata kita ada banyak tolong orang tetapi bab solat dan zakat, kita tidak jaga. Ingatlah, kedua-dua elemen kena ada.

Jangan kita jaga solat tetapi perkara lain kita tidak jaga. Orang yang jaga solat tetapi akhlaknya buruk seperti menyakiti jiran, tempatnya adalah di neraka seperti sabda Rasulullah ﷺ dalam satu hadith riwayat daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata:

قَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنَّ فُلَانَةَ يُذْكَرُ مِنْ كَثْرَةِ صَلَاتِهَا، وَصِيَامِهَا، وَصَدَقَتِهَا، غَيْرَ أَنَّهَا تُؤْذِي جِيرَانَهَا بِلِسَانِهَا، قَالَ: هِيَ فِي النَّارِ
Telah berkata seorang lelaki kepada Rasulullah ﷺ: “Wahai Rasulullah ﷺ, sesungguhnya wanita ini terkenal dengan banyaknya solat, berpuasa dan bersedekah tetapi dia sentiasa menyakiti jirannya dengan lidahnya.” Lalu Nabi ﷺ bersabda: “Dia akan masuk ke dalam neraka.”
(Riwayat Ahmad No. 9675) Sanadnya adalah hasan berdasarkan penilaian daripada Syeikh Syu’aib al-Arna’outh رَحِمَهُ اللَّهُ

 

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya.

Kemaskini: 26 Disember 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah