Tafsir Surah Baqarah Ayat 261 – 262 (Larangan dalam infak)

BALASAN KEPADA INFAK

Baqarah Ayat 261: Kembali membicarakan mengenai infak. Ini adalah perkara yang paling baik yang kita boleh lakukan dengan harta kita. Nanti kita akan belajar perkara paling buruk dengan harta kita, iaitu riba. Di antara infak dan riba itu ada perkara yang diharuskan, iaitu perniagaan dan pinjaman sesama manusia. Jadi Allah ‎ﷻ cerita tentang yang bagus, yang dilarang dan yang harus dilakukan dengan wang dan harta kita.

Apakah kaitan ayat ini dengan ayat-ayat sebelum ini? Sebelum ini adalah ayat-ayat tentang mereka yang percaya kepada Allah ‎ﷻ dan Hari Akhirat dengan sebenar-benarnya. Sekarang Allah ‎ﷻ beri isyarat bahawa mereka yang percaya sungguh, akan melabur untuk akhirat. Itulah sekarang disebutkan tentang infak, pelaburan jangka panjang yang paling menguntungkan. Allah ‎ﷻ hendak hamba-Nya mengumpulkan sebanyak mungkin amal kebaikan untuk dihantar ke akhirat sebagai simpanan kita.  Ini kerana kita hidup di dunia sekali sahaja dan waktu inilah sahaja peluang untuk berbuat kebaikan. Tidak ada peluang kedua. Kalau tanpa Al-Qur’an yang beritahu kepada kita kelebihan ini, kita tidak akan dapat tahu.

Ayat yang kita akan belajar sebentar lagi ini mengenai kelebihan infak. Dalam ayat-ayat seterusnya nanti akan diberikan syarat diterima infak itu. Ada lapan syarat semua sekali.

Ekonomi adalah satu perkara yang amat besar di dalam kehidupan kita. Ramai orang susah di dalam dunia ini dan menyebabkan jurang yang besar antara orang kaya dan orang yang miskin. Islam mempunyai jalan keluar daripada masalah ini kalau diikut dengan sepenuhnya. Iaitu orang yang susah dibantu oleh orang yang ada kelebihan harta. Maka Allah ﷻ menggalakkan kita semua untuk membantu orang yang susah dengan infak.

مَثَلُ الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُم في سَبيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَت سَبعَ سَنابِلَ في كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضٰعِفُ لِمَن يَشاءُ ۗ وَاللَّهُ وٰسِعٌ عَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL
The example of those who spend their wealth in the way of Allah is like a seed [of grain] which grows seven spikes; in each spike is a hundred grains. And Allah multiplies [His reward] for whom He wills. And Allah is all-Encompassing and Knowing.

MALAY
Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya.

 

مَثَلُ الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُم في سَبيلِ اللَّهِ

Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan harta-hartanya pada jalan Allah, 

Salah satu riwayat yang paling masyhur menyebutkan bahawa ayat ini turun untuk mendorong orang ramai agar berinfak bagi membiayai persiapan perang, khususnya ketika Perang Tabuk. Pada masa itu, kaum Muslimin menghadapi kesulitan dan memerlukan dana yang besar untuk mempersiapkan pasukan menghadapi ancaman dari Rom. Nabi Muhammad ﷺ menyeru para sahabat untuk bersedekah, dan ramai yang menyahut seruan ini. Ada juga pendapat yang mengatakan ayat ini adalah pujian kepada Saidina Uthman رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ kerana beliau banyak mengeluarkan infak pada perang itu. Maka ayat ini turun untuk memberi motivasi yang kuat dan janji pahala yang besar kepada mereka yang membelanjakan harta mereka untuk tujuan mulia ini. Ia menunjukkan bahawa infak untuk perjuangan agama tidak akan merugikan, malah akan mendapat ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah ‎ﷻ.

Perkara yang paling baik dalam infak adalah keluarkan harta kita untuk mengembangkan dakwah tentang tauhid kepada manusia. Kalau kita keluarkan duit untuk kebaikan pun memang sudah dapat pahala. Lebih-lebih lagi yang melibatkan semua urusan yang melibatkan agama Islam. Hatta beri makan kepada binatang, pun akan dapat pahala tetapi yang paling baik adalah dalam infak atas ‘jalan Allah ‎ﷻ’, iaitu untuk menyampaikan dakwah kepada manusia. Termasuk dalam perkara itu adalah infak kepada jihad perang.

Istilah infak “في سَبيلِ اللَّهِ” adalah istilah yang sangat luas dalam Islam, merangkumi:

    • Jihad Fisabilillah: Ini adalah makna asal dan paling utama yang difahami oleh sahabat Nabi ﷺ, iaitu membelanjakan harta untuk perjuangan di medan perang bagi menegakkan agama Allah. Kita telah bincangkan kepentingan jihad untuk menyebarkan agama Islam kepada manusia; untuk melakukan jihad, memerlukan dana kewangan yang besar. Maka kerana itulah pentingnya ada infak untuk menyokong jihad.
    • Penyebaran Dakwah Islam: Membiayai usaha-usaha dakwah, pendidikan Islam, pembangunan pusat-pusat ilmu, dan apa sahaja yang membantu menyebarkan dan mengajarkan agama Allah. Ini amat penting kerana jihad sedang tidak berjalan sekarang maka penyebaran agama Islam dilakukan dengan cara penyampaian lisan termasuk menggunakan apa sahaja media yang boleh digunakan. Ini juga memerlukan dana yang besar supaya dakwah itu boleh sampai kepada golongan yang ramai.
    • Membantu Golongan Fakir Miskin dan Memenuhi Keperluan Masyarakat: Sedekah kepada orang miskin, anak yatim, orang yang dalam kesusahan, membantu pembangunan infrastruktur yang memberi manfaat kepada umat (seperti hospital, jambatan, perigi, dll).
    • Sokongan untuk Kebaikan Umum: Segala bentuk sumbangan yang bertujuan untuk kebaikan umat dan mendapat keredhaan Allah ‎ﷻ.

Oleh itu apa yang termasuk di dalam ‘Jalan Allah’ itu amat luas dan mengandungi berbagai macam segi, yang semuanya menghendaki pengorbanan harta benda. Kadang-kadang timbul peperangan menegakkan agama Allah; ini tentunya menghendaki pengorbanan harta benda. Kadang-kadang fakir-miskin mesti dibantu; ini pun menghendaki pengorbanan harta benda. Kadang Dakwah Islam hendak disampaikan kepada orang yang masih jahil. Kadang-kadang pendidikan agama pada kanak-kanak mesti disempurnakan. Kadang-kadang masjid yang baru mesti didirikan. Atau rumah yatim-piatu, hospital dan lain-lain, dan seribu macam lagi yang lain.

Apabila dikatakan infak itu في سَبيلِ اللَّهِ, maka hendaklah kita beri kepada yang layak, iaitu yang membawa kepada kebaikan agama. Bukannya kita asal beri sahaja. Jadi kalau beri kepada madrasah pengajian agama, pastikan ia madrasah yang mengajak ajaran Sunnah dan bukan ‘scammer’. Kita kena pandai menilai tempat mana kita serahkan harta kita sebagai infak. Kita kena beri kepada yang membawa kepada kebaikan. Madrasah itu memang banyak tetapi adakah semua itu mengajar ajaran Sunnah? Kalau kita beri kepada madrasah yang ajar berlawanan dengan Sunnah, bukankah kita menggalakkan ajaran itu bertebaran di tempat kita? Pusat Tahfiz juga banyak, tetapi adakah ia sesuai untuk mendapat infak? Entah berapa banyak pusat Tahfiz yang diwujudkan untuk pengasasnya kumpul harta sahaja? Nampak pusat Tahfiznya dhaif sahaja rupanya, tetapi pengasasnya pakai Vellfire. Ajar pula setakat hafal Al-Qur’an sahaja, apa yang dihafal pun tidak faham. Kadangkala budak-budak Tahfiz tidak menghafal pun tetapi sibuk kena minta sedekah di khalayak ramai. Atau dibawa ke sana sini menaiki van untuk menyanyi qasidah atau untuk ambil upah kalau ada Tahlilan dan kematian. Belajarlah daripada apa yang berlaku dengan gerakan Arqam yang kemudian bertukar nama jadi berubah wajah jadi Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH). Ajarannya sesat tetapi telah berjaya mengelabui mata masyarakat dengan nama yang baru. Ajaran pula pelik-pelik di tempat mereka.

Bagaimana dengan masjid? Ramai yang paling senang infak kepada masjid. Akan tetapi masjid sekarang kaya raya, bangunan hebat-hebat dan kemudahan sudah banyak. Namun apakah sumbangan masjid dan surau? Pengajian sunnah tidak dapat masuk kerana asatizah Sunnah tidak diberi tauliah. Hendak buat tempat ibadat pun sekarang AJK masjid asyik suka halau orang sahaja. Kalau ada kelas pun, suram sahaja. Pakcik-pakcik yang ada pun semata hendak tunggu masa untuk Solat Isya’ sahaja dan pengajian biasa-biasa sahaja (bukan ajar Al-Qur’an dan Hadith). Jadi kena fikir semula adakah masjid dan surau tempat yang terbaik yang akan membuahkan pahala yang paling banyak? Kalau kita hendak melabur kita cari syarikat yang menguntungkan, bukan? Maka kenapa kita tidak pilih tempat infak yang paling membuahkan hasil?

Cadangan saya infak kepada pusat pengajian yang berteraskan ilmu wahyu. Banyak yang menggunakan medan media sosial kerana dihalang daripada kelas pengajian bersemuka. Mereka ini memerlukan dana untuk mengembangkan capaian kepada lebih ramai masyarakat. Mereka tidak mendapat bantuan daripada kerajaan dan semata-mata bergantung kepada sumbangan daripada masyarakat sahaja. Kita kena sokong kerana mereka inilah menyampaikan ilmu wahyu kepada masyarakat dengan susah dan payah.

Bagaimana dengan peminta-peminta sedekah yang banyak berkeliaran? Kita pun tahu bahawa mereka itu ramainya adalah sindiket sahaja. Siang dihantar kereta dan petang diambil pula oleh ketua sindiket. Kalau kita beri, maka sindiket ini akan berterusan tanpa hentinya.

 

كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَت سَبعَ سَنابِلَ

ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai;

Allah ‎ﷻ memberi perumpamaan infak kita itu seperti pohon supaya kita dapat bayangkan. Bayangkan sekarang satu pohon yang membuahkan hasil seumpama satu biji yang menumbuhkan tujuh tangkai. Allah ‎ﷻ menggunakan perumpamaan tumbuhan kerana manusia boleh faham dengan melihat tanaman yang memang berkembang biak bermula daripada sebiji benih sahaja. Kalau tanah yang dicipta Allah ‎ﷻ boleh buat begitu, adakah kamu sangsi Allah ‎ﷻ boleh melakukannya terhadap infak kita?

Allah ‎ﷻ juga menggunakan contoh tanaman sebab apabila kita bercucuk tanam, kita tidak melihat hasilnya dengan segera, bukan? Begitu juga dengan infak itu. Kita hanya boleh lihat di akhirat kelak. Ada juga yang kita dapat di dunia, tetapi selalunya kita tidak perasan balasan yang Allah ‎ﷻ telah berikan.

Di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah سَبعَ yang kita kenal sebagai ‘tujuh’. Akan tetapi di dalam bahasa Arab, kalimah سَبعَ tidak semestinya bermaksud tujuh tetapi ia boleh bermaksud banyak.

 

في كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ

tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji.

Pada setiap satu tangkai daripada pohon itu pula mengeluarkan seratus biji. Maka 1 x 7 x 100 = 700. Bayangkan kalau satu menjadi 700! Maknanya kalau kita beri seringgit, Allah‎ ﷻ gandakan infak kita itu dengan pahala seumpama kita beri 700 ringgit! Perniagaan dengan Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh untung sebegini dan untung pula yang berkekalan. Tidak macam untung di dunia sebab di dunia tidak berkekalan.

 

وَاللَّهُ يُضٰعِفُ لِمَن يَشاءُ

dan Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya,

Allah ‎ﷻ boleh melipatgandakan lagi pahala infak kita itu, mengikut keikhlasan dan susah payah (musyaqqah) dalam infak kita itu. Ini kerana ada orang yang ikhlasnya tidak sama. Ada orang susah hendak beri infak tetapi dia keluarkan juga wang untuk jalan Allah ‎ﷻ. Tidak sama infak seorang kerani yang tidak berduit sangat dengan infak seorang jutawan.

Allah ‎ﷻ boleh gandakan infak kita itu sampai menjadi sejuta pahala atau tidak ada had. Itulah kelebihan yang Allah ‎ﷻ berikan kepada mereka yang infak mengikut kadar kemampuan masing-masing. Kalau dalam dunia, tidak akan dapat gandaan seperti ini. Kalau kita kerja makan gaji, buat kerja dalam susah pun akan sama sahaja, majikan tidak tambah gaji pun.

 

وَاللَّهُ وٰسِعٌ عَليمٌ

dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya.

Maha luas maksudnya Allah ‎ﷻ boleh bagi gandaan banyak mana pun kerana tidak ada had pada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ boleh beri apa sahaja yang Dia hendak. Kurniaan Allah ‎ﷻ amat luas.

Allah ‎ﷻ Maha Tahu keikhlasan hamba-Nya dalam infak itu. Orang yang menerima tidak tahu ikhlas atau tidak pemberi itu. Orang yang beri itu pun mungkin tidak tahu dia ikhlas atau tidak tetapi Allah ‎ﷻ maha tahu apa yang ada dalam hati orang.


 

SEDEKAH YANG IKHLAS

Baqarah Ayat 262: Dalam kita menjalankan suruhan infak ini, kena juga ikut syarat yang Allah ‎ﷻ tetapkan. Ada 8 syarat yang Allah ‎ﷻ tetapkan. Daripada 8 syarat itu, 4 kena ada, dan 4 kena tiada:

Pertama, tidak boleh ada syirik. Kalau kita infak banyak mana pun, tetapi ada syirik dalam diri kita, sia-sia sahaja kerana pahala tidak diberikan langsung. Ini kerana pahala hanya boleh diterima daripada seorang Muslim yang beriman dengan sebenar-benar iman.

Kedua, dalam kita infak itu, jangan riak. Ini kerana amal ibadat hanya diterima daripada keikhlasan hati.

Sekarang kita lihat dulu adab di dalam infak. Boleh juga kita katakan sebagai syarat sah infak.

الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُم في سَبيلِ اللَّهِ ثُمَّ لا يُتبِعونَ ما أَنفَقوا مَنًّا وَلا أَذًى ۙ لَّهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم وَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

SAHIH INTERNATIONAL
Those who spend their wealth in the way of Allah and then do not follow up what they have spent with reminders [of it] or [other] injury will have their reward with their Lord, and there will be no fear concerning them, nor will they grieve.

MALAY
Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (ugama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

 

الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُم في سَبيلِ اللَّهِ

Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, 

Sekarang Allah ‎ﷻ hendak memberitahu apakah syarat-syarat yang perlu dipenuhi supaya infak kita kepada jalan Allah ‎ﷻ itu berkekalan. Ini supaya infak kita itu tidak jadi sia-sia. Jangan kita duit habis tetapi tidak ada pahala pula!

Perhatikan Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah يُنفِقونَ yang di dalam bentuk fi’il mudhari‘. Ini mengajar kita yang infak ini kena berterusan dilakukan, bukan bermusim. Bukan ketika Ramadhan dan hari Jumaat sahaja tetapi berlaku sepanjang masa.

 

ثُمَّ لا يُتبِعونَ ما أَنفَقوا مَنًّا

kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan mengungkit

Syarat yang ketiga dalam infak ini adalah jangan ungkit pemberian kita itu. Kalau sudah beri, lupakan sahaja. Kalimah مَنًّا itu bermaksud menyebut-nyebut pemberian. Ia dari kalimah مِنَّة yang bermaksud ‘nikmat’. Ini seperti digunakan di dalam Baqarah: 57 وَأَنزَلنا عَلَيكُمُ المَنَّ وَالسَّلوىٰ (dan Kami turunkan kepada kamu “Mann” dan “Salwa”). Akan tetapi asal kalimah ini bermaksud ‘memotong’ atau ‘mengurangi’. Digunakan kalimah ini kerana dengan menyebut-nyebut sedekah yang telah diberi, akan memotong pahala si pemberi itu.

Jadi ini mengajar kita tidak perlu untuk canang keliling kampung atau post di medsos awak sudah bagi begitu dan begini punya banyak. Terlebih lagi jangan ungkit untuk hina dan rendahkan orang. Sebab boleh lagi kalau hendak sebut untuk beri galakan kepada orang lain tetapi jangan kita ungkit sebab hendak hina atau jatuhkan martabat orang lain. Walaupun kita katakan boleh sebut (tanpa menghina) tetapi kalau takut tidak boleh menjaga hati daripada riak (suka bila orang tengok) dan sum’ah (suka bila orang cakap-cakap), baik jangan disebut. Biarkan sahaja infak itu antara kita dan Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu. Ada sebuah hadith tentang hal ini,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ: إِمَامٌ عَادِلٌ، وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ، وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ اجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ، وَرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ فَقَالَ: إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ»
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, daripada Nabi ﷺ, Baginda bersabda: “Tujuh golongan (manusia) yang Allah akan beri naungan kepada mereka pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya:

1. Imam (pemimpin) yang adil.
2. Pemuda yang membesar dalam ibadah kepada Tuhannya.
3. Lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid.
4. Dua orang lelaki yang saling mencintai kerana Allah, mereka berkumpul kerana-Nya dan berpisah kerana-Nya.
5. Lelaki yang diajak (berzina) oleh wanita berkedudukan dan cantik, lalu dia berkata: ‘Sesungguhnya aku takut kepada Allah.’
6. Lelaki yang bersedekah dengan satu sedekah, lalu dia menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya.
7. Lelaki yang mengingati Allah dalam keadaan bersendirian, lalu mengalir air matanya.”

Hadith ini diriwayatkan secara meluas dalam kitab-kitab hadith yang sahih: Sahih Al-Bukhari (No. 660, 1423, 6806); Sahih Muslim (No. 1031)

Kita jangan ungkit supaya pahala infak itu berkekalan kerana inilah yang kita hendak, bukan? مَنًّا adalah perbuatan ungkit pemberian untuk hina dan rendahkan orang lain. Sebagai contoh, kita ada tolong seseorang yang dalam kesusahan, sampai dia boleh bangkit semula. Namun katakanlah sampai suatu masa, kita berbalah dengan dia. Bila sudah berbalah, macam-macam boleh keluar pada ketika itu. Sampai keluar lafaz daripada mulut kita: “Kamu ni, kalau aku tak tolong dulu entah jadi apa pun aku tak tau.” Bila kita sebut macam itu, terus musnah pahala infak itu. Maksudnya, batal pahala itu. Masa kita beri infak itu, kita dapat pahala tetapi apabila kita ungkit sahaja untuk menghina dia, terus batal pahala infak itu.

Lihat kalimah ثُمَّ digunakan di sini. Ia diterjemahkan ‘kemudian’. Namun kalimah ثُمَّ digunakan apabila telah berlalu masa yang agak lama (bukannya terus). Maka ia mengajar kita, jangan dilakukan perbuatan menyakiti ini selama-lamanya. Ini kerana kadangkala semasa kita beri sedekah itu, hati kita mungkin ikhlas. Namun entah berapa tahun selepas itu, mungkin jadi hal dengan orang yang kita telah bantu itu, barulah kita sebut-sebut pemberian kita dahulu. Ini pun tidak boleh. Maknanya infaknya itu pahalanya tergantung, sampailah dia mati. Kalau dia mati dan tidak mengungkit pemberiannya itu, maka barulah pahala itu kekal dengannya. Kerana itu kita nasihat, apabila sudah beri, lupakan terus pemberian itu.

 

وَلا أَذًى

dan tidak pula menyakiti 

Syarat keempat yang tidak boleh ada semasa dan selepas kita infak adalah: tidak boleh menyakiti hati orang yang diberi infak itu. Jangan kita sebut sesuatu perkataan untuk menyakiti hati dia. Atau, kita buat sesuatu yang boleh sakitkan hati dia. Contohnya, selepas kita beri, kita arah dia, atau paksa dia buat benda yang dia tidak suka. Mungkin dia buat juga sebab kita sudah beri duit kepada dia, tetapi dalam hati dia tidak suka dan tidak redha, dan dia lakukan apa yang kita suruh itu dalam hati yang sakit. Atau mungkin semasa beri itu kita cakap dengan kata: “Nah ambik ni! Jangan datang lagi! Menyusahkan aku jer!” atau dengan kata-kata lain yang menyebabkan dia terasa hati.

Atau cara menyakitkan hati itu adalah seperti kita beritahu kepada orang lain pemberian kita itu. Tentunya ini akan memalukan dirinya kerana bukan semua orang boleh terima kemiskinannya diketahui umum. Jadi bagaimana dengan NGO-NGO yang apabila beri bantuan, diambil gambar pemberian itu dan dimasukkan ke dalam media sosial? Bukankah semua orang boleh nampak orang itu sebagai orang susah? Adakah kita pasti dia tidak terasa hati? Mungkin pada dia baik tidak payah beri kalau kemudian diambil gambar dan disebarkan.

Atau kadangkala kita menjatuhkan air muka orang yang diberi infak itu dengan kata ‘ini duit zakat’ ketika memberi kepadanya. Kenapa perlu sebut? Tidak perlu sebut pun kerana niat itu di hati. Apabila kita sebut kalimah ‘duit zakat’, itu sudah memalukan orang itu kerana mungkin dia terasa kerana telah dikira sebagai salah satu daripada asnaf zakat.

Kalimah أَذًى bermaksud ‘gangguan’ seperti pernah digunakan di dalam Baqarah: 196 فَمَن كانَ مِنكُم مَّريضًا أَو بِهِ أَذًى مِّن رَّأسِهِ (Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu gangguan yang menyakiti di kepalanya). Sebenarnya menyebut-nyebut nikmat مَنًّا juga termasuk di dalam gangguan juga maka ada yang menjelaskan bahawa مَنًّا itu apabila menyebut-nyebutnya di hadapan yang diberi, sedangkan kalimah أَذًى adalah menyebut-nyebutnya kepada orang lain, sehingga yang diberi merasa malu dan hilang air mukanya.

Ada juga yang membezakan, مَنًّا itu menyakiti dengan kata-kata sedangkan pula dengan perbuatan.

Perhatikan Allah ‎ﷻ tidak menggunakan kalimah penyambung antara keduanya seperti: منّ وأذى tetapi Allah ‎ﷻ sebut: لا مَنًّا وَلا أَذًى. Maknanya setiap satu berdiri sendiri. Kalau buat salah satu pun tidak boleh dan boleh menghilangkan pahala sedekah itu. Maka kena berhati-hati dengan pemberian kita.

Maka kita kena ubah perasaan atau paradigma kita kepada orang yang meminta atau orang yang kita beri infak itu. Kita kena lihat mereka sebagai satu jalan untuk kita infak; bukannya kita lihat mereka sebagai orang yang menyusahkan dan mengurangkan harta kita. Dengan perasaan begini, kita akan berterima kasih kepada mereka; kerana mereka adalah yang menyebabkan kita senang infak. Kalau tidak, susah kita hendak cari orang. Pepatah Arab ada mengatakan:

لَا تَحْتَقِرْ مِسْكِيْنًا وَكُنْ لَهُ مُعِيْنًا
Jangan menghina orang miskin tetapi jadilah penolong baginya.

 

لَّهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم

bagi mereka pahala di sisi Tuhan mereka, 

Kalau mereka memenuhi semua syarat-syarat itu, barulah akan dapat pahala dan kekal pahala itu sampai ke akhirat. Pahala itu tentunya yang berlipat kali ganda seperti disebut di dalam ayat sebelum ini. Malah pahala ini daripada Allah ‎ﷻ! Pemberian itu kita tengok juga kepada siapa yang beri. Kawan kita beri dengan Sultan yang beri, tentu lain pemberiannya, bukan? Lalu kalau Allah ‎ﷻ yang beri, bagaimana?

 

وَلا خَوفٌ عَلَيهِم

dan tidak ada kebimbangan terhadap mereka,

Orang yang takut adalah orang yang takut harta mereka tidak cukup setelah diberi orang. Namun mereka yang ikhlas dan telah mengikuti syarat-syarat itu tidak akan takut untuk menghadapi akhirat kerana mereka ada bekal. Allah ‎ﷻ akan beri kesenangan kepada mereka di akhirat kelak. Di akhirat nanti pahala infak itu semua akan menunggu mereka.

Kalau di dunia pula, mereka tidak takut harta mereka berkurang. Kerana mereka percaya bahawa Allah ‎ﷻ akan gantikan dan cukupkan segala keperluannya. Begitulah pernah ada cakap dengan saya, orang Arab dalam memberi seolah-olah mereka tidak takut miskin kerana mereka senang sahaja memberi. Mungkin didikan daripada ayat-ayat Al-Qur’an agaknya.

Mereka yakin Allah ‎ﷻ akan ganti rezeki yang mereka telah infak itu. Kena ingat yang rezeki itu ada dua jenis: aktif dan pasif. Kalau dalam bentuk pasif itu kita senang nampak pada gajinya, hartanya, rumah dan keretanya. Akan tetapi ada satu jenis rezeki dalam bentuk pasif yang kita sukar nampak, iaitu terhindarnya dari hal-hal yang memerlukan biaya. Ada orang gajinya besar tapi ada banyak keperluan atau masalah hidupnya sampai gajinya yang besar itu habis untuk menyelesaikan masalahnya. Namun ada orang yang Allah ‎ﷻ tidak beri pendapatan yang besar tetapi Allah ‎ﷻ tidak kenakan dia dengan masalah yang memerlukan belanja sampaikan pendapatannya yang kecil itu nampak lebih banyak daripada orang yang gajinya lebih besar.

 

وَلا هُم يَحزَنونَ

dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Kalau kalimah خَوفٌ ia digunakan untuk masa hadapan, maka kalimah يَحزَنونَ untuk sesuatu yang telah berlaku. Orang yang infak dan tidak menyebut-nyebut pemberian itu tidak takut tentang masa hadapan dan tidak bersedih dengan apa yang telah berlalu. Orang yang bersedih itu adalah mereka yang fikir: habislah harta aku sudah berkurang. Namun mereka yang infak dengan ikhlas dan ikut syarat-syarat yang Allah ‎ﷻ telah beri tidak akan berdukacita untuk meninggalkan dunia kerana mereka tahu bahawa apa yang mereka tuju itu di akhirat itu lebih baik daripada dunia dan segala isinya.

Di dunia dia tidak bersedih dengan pemberiannya kerana dia tahu bahawa apa yang dia lakukan itu adalah terbaik dan Allah ‎ﷻ akan balas dengan yang lebih baik. Maka tidaklah dia terkenang-kenang kepada harta yang telah diberikan.

Kita telah sebut 4 syarat yang tidak boleh ada dalam infak. Empat syarat yang kena ada pula:

1. Barang pemberian itu mesti halal. Jangan hina hukum Allah ‎ﷻ dengan infak menggunakan benda yang haram. Benda haram tidak boleh digunakan untuk kebaikan. Contohnya, jangan kita beri duit hasil riba. Ini selari dengan hadith,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ اللهَ طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّباً
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ beliau berkata: Rasulullah ﷺ telah bersabda:
Sesungguhnya Allah Ta’ala baik, Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. 
(HR. Muslim No. 1015)

2. Kedua, barang itu mesti baik. Sebagai contoh, jangan beri nasi basi tetapi berilah nasi yang boleh dimakan. Maksudnya, beri benda yang boleh digunakan lagi dan barang yang sesuai digunakan oleh yang hendak menerimanya. Contohnya, jangan beri baju perempuan kepada lelaki.

Barang yang diberi itu tidak semestinya benda yang baru, tetapi pastikan ia boleh digunakan. Senang sahaja untuk kita kenal pasti sama ada ia boleh digunakan atau tidak: kalau barang itu diberikan kepada kita, kita pun senang hati untuk terima. Maka kena beri benda yang kita sendiri sayang seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ أَبِي طَلْحَةَ الْأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: كَانَ أَبُو طَلْحَةَ أَكْثَرَ الْأَنْصَارِ بِالْمَدِينَةِ مَالًا مِنْ نَخْلٍ، وَكَانَ أَحَبَّ أَمْوَالِهِ إِلَيْهِ بَيْرُحَاءَ، وَكَانَتْ مُسْتَقْبِلَةَ الْمَسْجِدِ، وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدْخُلُهَا وَيَشْرَبُ مِنْ مَاءٍ فِيهَا طَيِّبٍ، فَلَمَّا نَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ: {لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّى تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ} [آل عمران: 92] قَامَ أَبُو طَلْحَةَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ اللَّهَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى يَقُولُ: {لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّى تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ} وَإِنَّ أَحَبَّ أَمْوَالِي إِلَيَّ بَيْرُحَاءَ، وَإِنَّهَا صَدَقَةٌ لِلَّهِ أَرْجُو بِرَّهَا وَذُخْرَهَا عِنْدَ اللَّهِ، فَضَعْهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ حَيْثُ أَرَاكَ اللَّهُ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «بَخْ بَخْ، ذَلِكَ مَالٌ رَابِحٌ، ذَلِكَ مَالٌ رَابِحٌ، وَقَدْ سَمِعْتُ مَا قُلْتَ، وَإِنِّي أَرَى أَنْ تَجْعَلَهَا فِي الْأَقْرَبِينَ» فَقَسَمَهَا أَبُو طَلْحَةَ فِي أَقَارِبِهِ وَبَنِي عَمِّهِ
Daripada Abu Talhah Al-Ansari رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: “Abu Talhah adalah orang Ansar yang paling banyak harta di Madinah dari pohon kurma. Dan harta yang paling disayanginya adalah kebun kurma Bir Ha’ (Bairuha’), yang menghadap masjid. Rasulullah ﷺ sering memasukinya dan meminum air yang baik di dalamnya. Maka ketika turun ayat ini: “Kamu sekali-kali tidak akan memperoleh kebajikan (yang sempurna) sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai.” (Surah Ali Imran: 92), Abu Talhah bangkit menemui Rasulullah ﷺ lalu berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman: ‘Kamu sekali-kali tidak akan memperoleh kebajikan (yang sempurna) sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai.’ Dan sesungguhnya harta yang paling aku cintai adalah Bir Ha’. Dan sesungguhnya ia adalah sedekah untuk Allah, aku mengharapkan kebajikannya dan simpanannya di sisi Allah. Maka letakkanlah ia wahai Rasulullah di mana saja yang Allah tunjukkan kepadamu.” Rasulullah ﷺ bersabda: “Bagus! Bagus! Itu adalah harta yang menguntungkan, itu adalah harta yang menguntungkan. Aku telah mendengar apa yang kamu katakan, dan sesungguhnya aku berpendapat agar kamu menjadikannya untuk kaum kerabat.” Maka Abu Talhah membahagikannya kepada kaum kerabat dan anak-anak pakciknya.
(Sahih Bukhari No. 1461 dan Sahih Muslim No. 998)

3. Ketiga: kita infak itu kerana mencari redha ilahi. Jadi niat kena ikhlas mencari redha Allah ‎ﷻ dan kerana itu kita kena jaga niat kita seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى، فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيبُهَا أَوِ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ»
Daripada Umar bin Al-Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya setiap amalan itu adalah dengan niat, dan sesungguhnya setiap orang akan (mendapat balasan) mengikut apa yang dia niatkan. Maka sesiapa yang hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang hijrahnya kerana dunia yang ingin dicapainya atau kerana wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang dia hijrahkan.”
(Sahih Bukhari No. 1 dan Sahih Muslim No. 1907)

4. Keempat: kena ada perasaan gembira semasa memberi infak. Ada orang yang beri infak, tetapi dia terasa macam rugi sebab terpaksa beri. Atau dia mungkin terkilan pula selepas dia beri infak itu. Maknanya dia tidak yakin dengan janji Allah ‎ﷻ yang Allah ‎ﷻ akan balas infak itu dengan berganda-ganda di akhirat kelak dan di dunia, sebab itu dia tidak suka dan menyesal. Perasaan suka ini akan datang kalau kita percaya dengan balasan yang kita akan dapat dengan infak itu. Maka kita kena usaha supaya kita dapat jadi suka semasa memberi itu. Kena didik hati kita kerana ia mungkin tidak datang dengan sendiri. Salah satu caranya adalah kena selalu baca ayat-ayat kelebihan infak supaya hati kita terdidik untuk suka infak.

Hadith yang menggambarkan keutamaan infak yang dikeluarkan dengan senang hati:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «جَاءَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَامُ فَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ، مُرْ أُمَّتَكَ بِصَدَقَةٍ مِنْ حَرِّ أَمْوَالِهِمْ، فَإِنَّهُ لَا يُقْبَلُ مِنْهَا إِلَّا مَا أُعْطِيَتْ بِطِيبَةِ نَفْسٍ»
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, daripada Nabi ﷺ, Baginda bersabda: “Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ datang kepadaku lalu berkata: ‘Wahai Muhammad, perintahkanlah umatmu untuk bersedekah daripada harta mereka yang baik (halal dan berharga), kerana sesungguhnya tidak akan diterima daripadanya melainkan apa yang diberikan dengan jiwa yang baik (rela hati).'”
Riwayat Imam Al-Baghawi dalam Syarh As-Sunnah (No. 1572) dan Al-Bayhaqi dalam Syu’abul Iman. Hadith ini dihasankan oleh sebahagian ulama.

Penerangan: Frasa “بِطِيبَةِ نَفْسٍ” bermaksud “dengan jiwa yang baik” atau “dengan kerelaan hati”. Ini menunjukkan bahawa penerimaan sedekah di sisi Allah ‎ﷻ bergantung pada keadaan jiwa si pemberi—iaitu, mestilah dengan senang hati dan rela, bukan terpaksa atau berat hati.

 

Allahu a’lam. Sambung kepada ayat yang seterusnya

Kemaskini: 30 Jun 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 260 (Kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan burung)

NABI IBRAHIM عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ BERTANYA TENTANG CARA KEBANGKITAN SEMULA

Baqarah Ayat 260: Sebelum ini telah disebut ayat-ayat tentang Tauhid. Bagi mereka yang sudah ada akidah tauhid, Allah ‎ﷻ akan ajar mereka untuk menguatkan akidah dengan berbagai-bagai cara supaya mereka semakin beriman dan semakin kukuh iman.

وَإِذ قالَ إِبرٰهِـۧمُ رَبِّ أَرِني كَيفَ تُحيِي المَوتىٰ ۖ قالَ أَوَلَم تُؤمِن ۖ قالَ بَلىٰ وَلٰكِن لِّيَطمَئِنَّ قَلبي ۖ قالَ فَخُذ أَربَعَةً مِّنَ الطَّيرِ فَصُرهُنَّ إِلَيكَ ثُمَّ اجعَل عَلىٰ كُلِّ جَبَلٍ مِّنهُنَّ جُزءًا ثُمَّ ادعُهُنَّ يَأتينَكَ سَعيًا ۚ وَاعلَم أَنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ

SAHIH INTERNATIONAL
And [mention] when Abraham said, “My Lord, show me how You give life to the dead.” [ Allah ] said, “Have you not believed?” He said, “Yes, but [I ask] only that my heart may be satisfied.” [ Allah ] said, “Take four birds and commit them to yourself. Then [after slaughtering them] put on each hill a portion of them; then call them – they will come [flying] to you in haste. And know that Allah is Exalted in Might and Wise.”

MALAY
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?” Allah berfirman: “Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)?” Nabi Ibrahim menjawab: “Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya)”. Allah berfirman: “(Jika demikian), ambillah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera”. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 

وَإِذ قالَ إِبرٰهِـۧمُ رَبِّ أَرِني كَيفَ تُحيِي المَوتىٰ

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?”

Sekarang Allah ‎ﷻ sampaikan kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada kita. Kalimah إِذ itu mengikut kata ulama’ adalah ringkasan kepada kalimah أذكر (ingatlah). Ini kerana Allah ‎ﷻ hendak kita ambil peringatan dan pengajaran daripada kisah ini. Tambahan pula Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah salah seorang Nabi yang paling mulia, sampaikan nama baginda dimasukkan di dalam Selawat (Selawat Ibrahimiyyah).

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

“Ya Allah, berikanlah rahmat (selawat) kepada Nabi Muhammad dan kepada keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberikan rahmat kepada Nabi Ibrahim dan kepada keluarga Nabi Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.

Ya Allah, berikanlah keberkatan kepada Nabi Muhammad dan kepada keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberikan keberkatan kepada Nabi Ibrahim dan kepada keluarga Nabi Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.”

Cuma kali ini kita perhatikan di dalam ayat ini disebut dengan jelas nama Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ; sedangkan di dalam ayat kisah sebelum ini tidak disebut pun nama pelakon itu. Ulama’ mengatakan Allah ‎ﷻ memasukkan nama Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana baginda meminta dengan beradab dengan menyebut nama Allah رَبِّ أَرِني (“Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku”), sedangkan individu sebelum ini tidak buat begitu. Beliau hanya berkata: أَنّىٰ يُحيي هٰذِهِ اللَهُ بَعدَ مَوتِها (“Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya?”). Apabila Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyebut رَبِّ, itu adalah cara bertawasul yang benar kerana menggunakan nama Allah yang sesuai di dalam doa. Oleh kerana رَبِّ itu bermaksud Tuhan yang mencipta dan memelihara, maka ia amat sesuai sekali di dalam doa ini.

Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meminta ditunjukkan cara Allah ﷻ menghidupkan makhluk yang telah mati. Permintaan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini adalah kerana baginda hendak melihat bagaimana cara Allah ‎ﷻ menghidupkan makhluk yang telah mati. Baginda hanya hendak tahu cara sahaja, kerana Nabi Ibrahim  عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tentunya sudah yakin yang Allah ﷻ berkuasa penuh untuk menghidupkan makhluk yang telah mati.

 

قالَ أَوَلَم تُؤمِن

Allah berfirman: “Adakah engkau belum percaya?

Allah ‎ﷻ tanya itu sebagai pengukuhan kepada kita bahawa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yakin, cuma hendak tahu sahaja. Dengan pertanyaan Allah ‎ﷻ ini, dan jawapan yang diberikan oleh baginda, tahulah kita yang baginda hendak tahu sahaja dan supaya mengukuhkan iman baginda.

 

قالَ بَلىٰ وَلٰكِن لِّيَطمَئِنَّ قَلبي

Nabi Ibrahim menjawab: “Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi supaya tenteram hatiku

Kalimah بَلىٰ boleh diterjemahkan dengan dua cara:

1. Bahkan. Iaitu penegasan bahawa baginda sudah percaya. Cuma baginda hendak tengok dengan mata sahaja.
2. Dengan maksud لا iaitu ‘tidaklah aku tidak percaya’.

Kalimah يَطمَٮِٕنَّ adalah dalam bentuk fi’il mudhari’ dan ia bermaksud ‘memuaskan’. Ia daripada kata dasar: ط م ن yang bermaksud senyap, tenang, memuaskan, pujuk, menenangkan. Kalimah tumakninah di dalam solat itu daripada kata dasar inilah; kena ada ketenangan dalam solat, jangan kelam kabut, bergerak satu-satu pergerakan dan jangan terus terkam kepada rukun yang seterusnya.

Jadi dari sini kita dapat tahu bahawa tujuan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bertanya itu adalah supaya tenang dan teguh hati baginda dengan melihat cara dihidupkan makhluk yang telah mati. Baginda hendak melihat cara Allah ‎ﷻ menghidupkan, bukannya baginda tidak percaya Allah ‎ﷻ boleh menghidupkan yang telah mati. Baginda hendak menambah keyakinan baginda daripada tahap ilmul yaqin (percaya atas dasar ilmu) kepada ainul yaqin (percaya atas dasar melihat sendiri). Baginda hendak naik taraf keimanan baginda supaya lebih bertambah yakin.

Perhatikan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berdoa kepada Allah ‎ﷻ bukan minta harta, bukan minta panjang umur tetapi minta dikuatkan iman baginda. Kalau kita, bagaimana? Maka ini mengingatkan kita jangan lupa minta supaya iman kita dijaga dan ditingkatkan.

Oleh itu, dari sini kita dapat tahu yang ‘yakin’ dan ‘teguh hati’ adalah dua perkara berbeza. Kita boleh dapat keteguhan itu dengan bermacam-macam cara. Kadang-kadang kita dapat sesuatu maklumat dalam mimpi. Kadang-kadang dengan kejadian yang terjadi kepada orang lain. Atau kadang-kadang selepas kita mendengar ceramah atau buku yang menyentuh hati kita. Ada yang mendapatnya setelah belajar tafsir Al-Qur’an kerana dengan faham lebih mendalam, dapat meneguhkan iman seseorang juga.

Ini juga menyentuh satu kepercayaan asas (akidah) Ahlus Sunnah wal Jamaah bahawa iman itu boleh bertambah dan boleh berkurang. Ini adalah pandangan majoriti ulama salaf dan khalaf (generasi awal dan kemudian) dari Ahlus Sunnah wal Jamaah. Banyak ayat Al-Qur’an yang secara jelas menunjukkan bahawa iman itu boleh bertambah dan berkurang:

1. Fath: 4

لِّيَزْدَادُوا إِيمَانًا مَّعَ إِيمَانِهِمْ
“Agar iman mereka bertambah di samping iman mereka (yang sedia ada).”

2. Tawbah: 124

وَإِذَا مَا أُنزِلَتْ سُورَةٌ فَمِنْهُم مَّن يَقُولُ أَيُّكُمْ زَادَتْهُ هَٰذِهِ إِيمَانًا ۚ فَأَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا فَزَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَهُمْ يَسْتَبْشِرُونَ
“Dan apabila diturunkan suatu surah, maka di antara mereka (orang-orang munafik) ada yang berkata, ‘Siapakah di antara kamu yang bertambah imannya dengan (turunnya) surah ini?’ Adapun orang-orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman kepada mereka, dan mereka bergembira.”

3. Anfal: 2 

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka, dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakal.”

Ada banyak hadith yang mengajar kita tentang cara meningkatkan iman. Ini bermakna iman itu boleh bertambah dengan ilmu dan amal. Ia juga bermaksud jikalau kita tidak menjaga iman kita, ia akan berkurang. Kerana itulah kadang-kadang kita rasa tidak beriman, bukan? Kalau sudah lama tidak pergi ke kelas pengajian, sudah lama tidak membaca Al-Qur’an, sudah lama tidak bersama dengan kawan-kawan sepengajian, sudah banyak buat benda-bena lagha.

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « الإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ بَابًا فَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ الأَذَى عَنِ الطَّرِيقِ وَأَرْفَعُهَا قَوْلُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ »
Daripada Abu Hurairah  رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda, “Iman itu ada tujuh puluh sekian pintu. Yang paling rendah daripada iman adalah menyingkirkan gangguan dari jalanan. Yang paling tinggi adalah kalimat laa ilaha illallah.”
(Sahih Muslim No. 35 dan Tirmidzi No. 2614)

Syarah: Hadith ini menjadi dalil kerana dinyatakan dalam hadith ini bahawa iman itu ada yang rendah dan ada yang tinggi menunjukkan bahawa iman itu boleh bertambah dan boleh berkurang.

عَنْ حَنْظَلَةَ الأُسَيِّدِىِّ قَالَ – وَكَانَ مِنْ كُتَّابِ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ – لَقِيَنِى أَبُو بَكْرٍ فَقَالَ كَيْفَ أَنْتَ يَا حَنْظَلَةُ قَالَ قُلْتُ نَافَقَ حَنْظَلَةُ قَالَ سُبْحَانَ اللَّهِ مَا تَقُولُ قَالَ قُلْتُ نَكُونُ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يُذَكِّرُنَا بِالنَّارِ وَالْجَنَّةِ حَتَّى كَأَنَّا رَأْىَ عَيْنٍ فَإِذَا خَرَجْنَا مِنْ عِنْدِ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- عَافَسْنَا الأَزْوَاجَ وَالأَوْلاَدَ وَالضَّيْعَاتِ فَنَسِينَا كَثِيرًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ فَوَاللَّهِ إِنَّا لَنَلْقَى مِثْلَ هَذَا. فَانْطَلَقْتُ أَنَا وَأَبُو بَكْرٍ حَتَّى دَخَلْنَا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- قُلْتُ نَافَقَ حَنْظَلَةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « وَمَا ذَاكَ ». قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ نَكُونُ عِنْدَكَ تُذَكِّرُنَا بِالنَّارِ وَالْجَنَّةِ حَتَّى كَأَنَّا رَأْىَ عَيْنٍ فَإِذَا خَرَجْنَا مِنْ عِنْدِكَ عَافَسْنَا الأَزْوَاجَ وَالأَوْلاَدَ وَالضَّيْعَاتِ نَسِينَا كَثِيرًا. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « وَالَّذِى نَفْسِى بِيَدِهِ إِنْ لَوْ تَدُومُونَ عَلَى مَا تَكُونُونَ عِنْدِى وَفِى الذِّكْرِ لَصَافَحَتْكُمُ الْمَلاَئِكَةُ عَلَى فُرُشِكُمْ وَفِى طُرُقِكُمْ وَلَكِنْ يَا حَنْظَلَةُ سَاعَةً وَسَاعَةً ». ثَلاَثَ مَرَّاتٍ
Daripada Hanzhalah Al-Usayyidiy -beliau adalah di antara juru tulis Rasulullah ﷺ-, dia berkata, “Abu Bakr pernah menemuiku, lalu dia berkata padaku, “Bagaimana keadaanmu wahai Hanzhalah?” Aku menjawab, “Hanzhalah kini telah jadi munafik.” Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, “Subhanallah, apa yang engkau katakan?” Aku menjawab, “Kami jika berada di sisi Rasulullah ﷺ, kami teringat neraka dan syurga sampai-sampai kami seperti melihatnya di hadapan kami. Namun ketika kami keluar dari majlis Rasul ﷺ dan kami bergaul dengan isteri dan anak-anak kami, sibuk dengan berbagai urusan, kami pun jadi banyak lupa.” Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pun menjawab, “Kami pun begitu.” Kemudian aku dan Abu Bakr pergi menghadap Rasulullah ﷺ lalu aku berkata, “Wahai Rasulullah, jika kami berada di sisimu, kami akan selalu teringat pada neraka dan syurga sampai-sampai seolah-olah syurga dan neraka itu benar-benar nyata di depan kami. Namun jika kami meninggalkan majlismu, maka kami disibukkan dengan isteri, anak dan pekerjaan kami, sehingga kami pun banyak lupa.” Rasulullah ﷺ lalu bersabda, “Demi Rabb yang jiwaku berada di tangan-Nya. Seandainya kalian berterusan dalam beramal sebagaimana keadaan kalian ketika berada di sisiku dan kalian terus mengingat-ingatnya, maka nescaya para malaikat akan menjabat tangan kalian di tempat tidur dan di jalan kalian. Namun Hanzhalah, lakukanlah sesaat demi sesaat.” Baginda mengulanginya sampai tiga kali.
(HR. Muslim No. 2750)

Maka cukuplah dua hadith ini sahaja menjadi dalil bagi kita faham bahawa iman itu bertambah dan kalau ia boleh bertambah, ia juga boleh berkurang. Maka setelah kita tahu tentang hal ini, maka tugas kita adalah meningkat iman kita seboleh mungkin dengan berbagai-bagai cara yang kita mampu. Jangan kita biarkan sahaja iman kita ini dan berharap ia semakin bertambah dan bertambah. Kerana entah ia semakin berkurangan pula. Jangan kita lupa yang syaitan boleh menimbulkan keraguan di dalam hati kita dari masa ke semasa seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يَأْتِي الشَّيْطَانُ أَحَدَكُمْ فَيَقُولُ: مَنْ خَلَقَ كَذَا؟ مَنْ خَلَقَ كَذَا؟ حَتَّى يَقُولَ: مَنْ خَلَقَ رَبَّكَ؟ فَإِذَا بَلَغَهُ فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ وَلْيَنْتَهِ»
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Syaitan akan datang kepada salah seorang di antara kamu lalu bertanya: ‘Siapa yang menciptakan ini? Siapa yang menciptakan itu?’ Sehingga dia (syaitan) bertanya: ‘Siapa yang menciptakan Tuhanmu?’ Maka, apabila sampai kepadanya (bisikan) itu, hendaklah dia memohon perlindungan kepada Allah (berta’awwuz) dan menghentikannya (bisikan itu).”
(Sahih Bukhari No. 3276 dan Sahih Muslim No. 134)

Maka tersangat baik kalau kita boleh berikan keyakinan kepada hati kita supaya tidak senang digoyah syaitan. Kita boleh lihat usaha Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam ayat ini bagaimana baginda berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk meningkatkan iman baginda. Maka selain dari usaha kita, kita juga hendaklah berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk meningkatkan iman kita, contohnya,

اللَّهُمَّ زِدْنَا إِيمَانًا وَيَقِينًا وَتَسْلِيمًا
“Ya Allah, tambahkanlah kepada kami iman, keyakinan, dan ketundukan (kepada-Mu).”

Juga ada doa yang sering dibaca oleh Nabi Muhammad ﷺ, memohon agar hati dan iman sentiasa ditetapkan di atas agama-Nya.

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ: «يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ»
“Wahai Tuhan Yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.”
Riwayat Tirmidzi (No. 2140) dan Imam Ahmad. Hadith ini sahih.

Atau pun satu lagi doa,

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى وَالتُّقَى وَالْعَفَافَ وَالْغِنَى
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketakqwaan, kesucian diri, dan kekayaan (hati/jiwa).”
(Riwayat Muslim No. 2721)

Bermacam-macam cara Allah ‎ﷻ boleh berikan keteguhan hati kepada manusia. Akan tetapi kepada para Nabi, mereka ditunjukkan dengan perkara-perkara ajaib seperti yang kita akan baca sebentar lagi. Ini kerana kedudukan mereka lain daripada kita dan mereka memerlukan keteguhan hati yang lebih lagi kerana mereka berhadapan dengan tentangan yang amat besar daripada kaum mereka.

Di sini kita belajar Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri hendak mendapatkan ketenangan hati dan keyakinan. Maka ini mengajar kita pun hendaklah mendapatkan perkara yang sama juga. Kerana itu apabila para pelajar dan orang awam minta dalil, ia untuk menenangkan hati mereka. Maka sebagai guru dan ustaz, berilah kepada mereka. Malangnya ramai ustaz tidak beri dalil kerana mereka sendiri pun tidak ada dalil! Jangan kita menolak keinginan manusia yang perlukan dalil kerana Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Muhammad ﷺ sendiri pun berpendapat mereka memerlukan dalil untuk menguatkan iman mereka,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَحْنُ أَحَقُّ بِالشَّكِّ مِنْ إِبْرَاهِيمَ إِذْ قَالَ { رَبِّ أَرِنِي كَيْفَ تُحْيِي الْمَوْتَى قَالَ أَوَلَمْ تُؤْمِنْ قَالَ بَلَى وَلَكِنْ لِيَطْمَئِنَّ قَلْبِي }
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda:: “Kita lebih berhak untuk ragu daripada Ibrahim ‘عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ketika dia berkata; “Wahai Tuhanku perlihatkanlah kepada saya bagaimana Engkau menghidupkan orang-orang yang telah mati, “Allah berfirman: “Apakah kamu tidak beriman?” Ibrahim berkata; “Tentu aku telah beriman, hanya agar hatiku lebih mantap.”
(Sahih Bukhari No. 4173)

 

قالَ فَخُذ أَربَعَةً مِّنَ الطَّيرِ

Allah berfirman: “Ambillah empat ekor burung, 

Kenapa burung dan kenapa empat? Tidak perlu kita sibuk kerana kita tidak tahu apakah hikmahnya penentuan Allah ‎ﷻ ini. Ini boleh jadi apa-apa jenis burung sahaja. Dalam kitab-kitab tafsir klasik (seperti Tafsir Ibnu Katsir atau At-Thabari), disebutkan secara spesifik jenis burung yang digunakan Nabi Ibrahim atas perintah Allah, iaitu: burung merak, ayam jantan, burung gagak, dan burung merpati. Tapi jenis burung itu tidak penting. Tidak perlu dicari dan dipastikan apakah jenis-jenis burung itu.

Kemudian mengapa harus burung? Para ulama menjelaskan beberapa hikmah:

    • Kecepatan: Burung adalah makhluk yang boleh datang dengan cepat (سَعْيًا) apabila dipanggil.
    • Visualisasi Mukjizat: Perubahan dari jasad yang dicincang menjadi makhluk yang terbang kembali ke arah Nabi Ibrahim adalah bukti visual yang sangat kuat bagi mata dan hati (kerana Nabi Ibrahim minta ditunjukkan kepada baginda).

 

فَصُرهُنَّ إِلَيكَ

kemudian jinakkanlah kepadamu

Kalimah صُر adalah di dalam bentuk fi’il amr (arahan). Ia daripada kata dasar ص ر ر yang bermaksud mengumpulkan, mengikat, mencondongkan (hati atau perhatian), menjinakkan. Ada dua terjemah/tafsiran kepada kalimah ini menjadi khilaf di kalangan ulama’:

1. Menjinakkan / Mengumpulkan / Melatih (أملهنَّ / أجمعهنَّ / دربهنَّ). Pelihara burung-burung itu sampai mereka jinak. Maka Nabi Ibrahim  عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kena beri makan sampai jinak. Ini kerana apabila kita beri binatang seperti burung makan, burung-burung itu akan jinak dengan kita. Kemudian selepas itu kalau dipanggil mereka akan datang. Maka Allah ‎ﷻ suruh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ jinakkan burung-burung itu kepada baginda kerana nanti baginda kena panggil mereka.

2. Memotong / Membelah / Mencincang (قطّعهنَّ / شقّقهنَّ). Iaitu Allah ‎ﷻ suruh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ cincang burung-burung itu, gaulkan sekali menjadi satu gumpalan. Tafsiran ini didasarkan pada konteks ayat selepasnya yang menyebut tentang “meletakkan di atas tiap-tiap bukit satu bahagian daripada bahagian-bahagian burung itu.” Untuk meletakkan bahagian-bahagian, burung itu mestilah telah dipotong. Namun, tafsiran ini seringkali dianggap kurang tepat oleh sebahagian ulama kerana ia menimbulkan persoalan mengapa Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan yang boleh ditafsirkan sebagai “menjinakkan” jika maksudnya adalah ‘memotong’. Untuk memotong, ada perkataan lain yang lebih jelas dalam bahasa Arab. Tambahan pula, tujuan utama demonstrasi ini adalah untuk menunjukkan bagaimana Allah ‎ﷻ menghidupkan makhluk setelah mereka mati dan tercerai-berai, bukan sekadar memotong.

Majoriti ulama tafsir cenderung kepada tafsiran “menjinakkan / mengumpulkan / melatih.” Mereka berpendapat bahawa perintah “فَصُرهُنَّ إِلَيكَ” bermaksud “kumpulkan dan jinakkanlah ia (burung-burung itu) kepadamu”. Ini adalah langkah pertama untuk memastikan burung-burung itu akan kembali apabila dipanggil selepas proses pemotongan dan penyebaran. Pemotongan burung itu hanya boleh difahami daripada ayat selepasnya (“ثُمَّ اجعَل عَلىٰ كُلِّ جَبَلٍ مِّنهُنَّ جُزءًا” – kemudian letakkanlah di atas tiap-tiap bukit satu bahagian daripada bahagian-bahagian burung itu), bukan daripada kalimah “فَصُرهُنَّ” secara langsung.

Walaupun ada pendapat minoriti (yang banyak dikritik ulama salaf) yang menyatakan bahawa Nabi Ibrahim tidak menyembelih burung-burung tersebut, melainkan hanya “menjinakkan” atau “melatih” mereka (فَصُرْهُنَّ ditafsirkan sebagai “condongkan/jinakkan padamu”). Namun, pendapat ini dianggap lemah kerana tidak sejalan dengan konteks pertanyaan Nabi Ibrahim tentang bagaimana Allah “menghidupkan yang mati” (كَيْفَ تُحْيِ ٱلْمَوْتَىٰ).

 

ثُمَّ اجعَل عَلىٰ كُلِّ جَبَلٍ مِّنهُنَّ جُزءًا

Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. 

Setelah digaul sekali, pecahkan kepada empat bahagian dan letak setiap satu di empat-empat bukit itu. Tidaklah disebut empat bukit, tetapi kita boleh agak kerana ada empat jenis burung. Maknanya di dalam satu bahagian itu ada lebih daripada satu bahagian burung kerana sudah bercampur-campur tubuh badan mereka.

 

ثُمَّ ادعُهُنَّ يَأتينَكَ سَعيًا

Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera”.

Burung-burung itu akan dihidupkan semula oleh Allah ‎ﷻ dan akan datang kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan segera setelah dipanggil oleh baginda. Oleh kerana Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah menjinakkan burung-burung itu kepada baginda, maka apabila dipanggil, mereka akan datang. Bahagian yang telah dicincang potong itu semua akan bergabung kembali dengan sempurna dan menjadi burung kembali. Begitulah mudahnya bagi Allah ‎ﷻ untuk menghidupkan kembali makhluk yang telah mati. Ini juga menjadi isyarat bahawa nanti apabila Allah ‎ﷻ memanggil semua makhluk ciptaan-Nya, tidak kira mereka di mana, tubuh entah macam mana, bila dipanggil ia akan datang.

Cuma, ulama’ tafsir berbincang pula penggunaan kalimah سَعيًا di sini. Kalimah سَعْيًا berasal daripada akar kata سعى (sa’ā) yang bermaksud berusaha, berlari, berjalan pantas, atau bergerak dengan cepat. Ia adalah bentuk masdar (kata nama perbuatan) daripada kata kerja tersebut. Dalam konteks ini, ulama tafsir mempunyai dua pandangan utama:

1. Berjalan / Berlari dengan Cepat:

    • Ini adalah tafsiran yang paling umum dan banyak dipegang. Ia bermaksud burung-burung itu datang kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan berlari atau berjalan pantas di atas tanah, bukan terbang.
    • Hujah: Hikmah di sebalik ini adalah untuk menunjukkan mukjizat yang lebih jelas dan menakjubkan. Jika burung-burung itu datang dengan terbang, ia mungkin boleh disalah anggap sebagai burung-burung lain yang kebetulan terbang di situ. Tetapi jika ia datang dengan berjalan atau berlari di atas tanah, ia menunjukkan kebangkitan yang nyata daripada bahagian-bahagian yang telah disebarkan. Ia juga mengesahkan bahawa badan mereka telah bersatu kembali secara fizikal.

2. Bergerak Cepat / Tergesa-gesa (termasuk terbang):

    • Ada juga pandangan yang menyatakan bahawa سَعْيًا boleh membawa makna yang lebih umum, iaitu bergerak atau datang dengan cepat dan tergesa-gesa, tidak semestinya hanya berjalan atau berlari. Ia boleh juga merangkumi makna terbang dengan pantas.
    • Hujah: Kalimah سَعْيًا kadang-kadang digunakan dalam bahasa Arab untuk pergerakan yang cepat secara umum.

Walaupun ada dua pandangan, tafsiran bahawa burung-burung itu datang dengan berjalan atau berlari pantas di atas tanah adalah yang lebih kuat dan masyhur di kalangan ahli tafsir.

    • Imam Ibnu Katsir رَحِمَهُ اللَّهُ dalam tafsirnya menjelaskan bahawa burung-burung itu datang kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berjalan pantas tanpa terbang, sebagai suatu mukjizat yang lebih jelas.
    • Ini juga lebih menakjubkan bagi Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri, yang meminta bukti bagaimana Allah ‎ﷻ menghidupkan yang mati. Melihat tulang-tulang dan daging yang bersatu dan berjalan di tanah adalah demonstrasi yang lebih visual dan luar biasa berbanding sekadar terbang.

Jadi, kebanyakan ulama menafsirkan يَأتينَكَ سَعيًا sebagai burung-burung itu akan datang kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan berjalan pantas atau berlari, menunjukkan kekuasaan Allah ‎ﷻ dalam menghidupkan kembali makhluk dan menyatukan bahagian-bahagiannya.

 

وَاعلَم أَنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ

Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Allah ‎ﷻ Maha Berkuasa untuk melakukan apa sahaja. Maka sekarang Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ boleh nampak sendiri dengan mata baginda bagaimana Allah ‎ﷻ memang mampu untuk menghidupkan makhluk yang telah mati. Walaupun telah dihancurkan, namun mudah sahaja bagi Allah ‎ﷻ hendak menghidupkan kembali makhluk itu kembali seperti asal.

Sifat عَزيزٌ Allah ‎ﷻ ini mengajar kita yang Allah ‎ﷻ boleh sahaja beri semua makhluk nampak dengan mata kepala sendiri kejadian kebangkitan setelah kematian. Akan tetapi Allah ‎ﷻ juga bersifat حَكيمٌ maka Allah ‎ﷻ tidak tunjuk kepada semua orang. Kerana Allah ‎ﷻ hendak manusia beriman tanpa melihat sendiri kejadian itu. Kerana Allah ‎ﷻ hendak kita beriman dengan kepercayaan penuh tanpa melihat dengan mata sendiri. Akan tetapi bagaimana dengan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Kedudukan baginda sebagai seorang Nabi adalah lebih daripada kita dan layak menerima layanan yang berlainan daripada Allah ‎ﷻ.

Sekian Ruku’ 35 daripada 40 surah ini


 

Faedah-Faedah Ilmiah dan Al-Lataif (Sisi Halus/Unik):

1. Bahawasanya bertawasul (menggunakan wasilah/perantara) kepada Allah ‎ﷻ melalui sifat Rububiyyah-Nya merupakan sebahagian daripada adab berdoa yang diamalkan oleh para Rasul; ini berdasarkan ayat: رَبِّ (Wahai Tuhanku). Hal ini kerana pengabulan doa merupakan salah satu daripada tuntutan (konsekuensi) daripada sifat Rububiyyah Allah.

2. Bahawasanya tidak menjadi kesalahan (tiada halangan) bagi seseorang untuk meminta sesuatu yang dapat menambah keyakinannya; ini berdasarkan ayat  أَرِني كَيفَ تُحيِي المَوتىٰ (Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang-orang mati). Hal ini kerana apabila seseorang melihat dengan matanya sendiri, maka akan bertambahlah keyakinannya.

3. Penetapan sifat Kalam (berbicara) bagi Allah ‎ﷻ berdasarkan ayat قَالَ أَوَلَمْ تُؤْمِنْ (Allah berfirman: ‘Belum yakinkah engkau?), dan ayat …قَالَ فَخُذْ أَرْبَعَةً (Allah berfirman: ‘(Kalau begitu) ambillah empat ekor burung…). Allah ‎ﷻ berbicara dengan apa yang Dia kehendaki, bila pun yang Dia kehendaki, dan dengan cara bagaimana pun yang Dia kehendaki. 

4. Kebolehan (keharusan) memadai dalam memberikan jawapan dengan hanya menggunakan huruf yang menunjukkan maksud jawapan tersebut; berdasarkan ayat بَلَى (Bahkan/Ya). Berdasarkan kaedah ini, sekiranya seorang lelaki ditanya: “Bukankah engkau telah menceraikan isterimu?” Lalu dia menjawab: بَلَى maka jatuhlah talak tersebut. Begitu juga sekiranya seorang lelaki ditanya ketika akad nikah: “Adakah engkau menerima nikah ini?” Lalu dia menjawab: “نعم” (ya), maka sahlah akad nikah tersebut. Ini adalah kerana huruf jawapan sudah memadai dan menggantikan keperluan untuk menyebut semula keseluruhan ayat.

5. Kurniaan serta ihsan Allah ‎ﷻ kepada hamba-Nya dengan memberikan sesuatu yang dapat menambah keimanannya; berdasarkan firman Allah Ta’ala: فَخُذْ أَرْبَعَةً مِنَ الطَّيْرِ (Ambilah empat ekor burung...) sehingga firman-Nya: يَأْتِينَكَ سَعْيًا (nescaya burung-burung itu akan datang kepadamu dengan segera) 

Allahu a’lam. Sambung kepada ayat yang seterusnya

Kemaskini: 12 Mei 2026

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Dorar.net

Tafsir Surah Baqarah Ayat 259 (Kisah lelaki dimatikan dan dihidupkan kembali)

KISAH ORANG MATI YANG DIHIDUPKAN KEMBALI

Baqarah Ayat 259: Ini adalah Contoh kedua kuasa-Nya untuk mencipta dan mematikan. Ini pula adalah kisah seorang lelaki yang dikatakan namanya Uzair. Status Uzair (Ezra) pun tidak dapat dipastikan sama ada beliau seorang Nabi ataupun tidak. Malah, namanya pun tidak disebut di dalam ayat ini.

أَو كَالَّذي مَرَّ عَلىٰ قَريَةٍ وَهِيَ خاوِيَةٌ عَلىٰ عُروشِها قالَ أَنّىٰ يُحيي هٰذِهِ اللَهُ بَعدَ مَوتِها ۖ فَأَماتَهُ اللَهُ مِائَةَ عامٍ ثُمَّ بَعَثَهُ ۖ قالَ كَم لَبِثتَ ۖ قالَ لَبِثتُ يَومًا أَو بَعضَ يَومٍ ۖ قالَ بَل لَّبِثتَ مِائَةَ عامٍ فَانظُر إِلىٰ طَعامِكَ وَشَرابِكَ لَم يَتَسَنَّه ۖ وَانظُر إِلىٰ حِمارِكَ وَلِنَجعَلَكَ ءآيَةً لِّلنّاسِ ۖ وَانظُر إِلَى العِظامِ كَيفَ نُنشِزُها ثُمَّ نَكسوها لَحمًا ۚ فَلَمّا تَبَيَّنَ لَهُ قالَ أَعلَمُ أَنَّ اللَهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

SAHIH INTERNATIONAL
Or [consider such an example] as the one who passed by a township which had fallen into ruin. He said, “How will Allah bring this to life after its death?” So Allah caused him to die for a hundred years; then He revived him. He said, “How long have you remained?” The man said, “I have remained a day or part of a day.” He said, “Rather, you have remained one hundred years. Look at your food and your drink; it has not changed with time. And look at your donkey; and We will make you a sign for the people. And look at the bones [of this donkey] – how We raise them and then We cover them with flesh.” And when it became clear to him, he said, “I know that Allah is over all things competent.”

MALAY
Atau (tidakkah engkau pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: “Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)? ” Lalu dia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya: “Berapa lama engkau tinggal (di sini)?” Dia menjawab: “Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari”. Allah berfirman:” (Tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama seratus tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya, dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal tulang-tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah untuk) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan Kami) bagi umat manusia; dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging “. Maka apabila telah jelas kepadanya (apa yang berlaku itu), berkatalah dia: Sekarang aku mengetahuinya (dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

 

أَو كَالَّذي مَرَّ عَلىٰ قَريَةٍ

Atau tentang seorang yang melalui sebuah negeri

Ini satu lagi kisah yang disebut oleh Allah ‎ﷻ. Memang ada banyak kisah yang disebut di dalam Al-Qur’an kerana Allah ‎ﷻ tahu manusia suka dengar kisah. Ada ditulis di dalam kitab-kitab tafsir bahawa lelaki ini adalah Uzair. Akan tetapi ia tidak dapat dipastikan kerana Allah ‎ﷻ tidak menyebut namanya. Maka oleh kerana Allah ‎ﷻ tidak menyebut namanya, maka kita pun tidak berhajat untuk mengatakan dengan pasti namanya adalah Uzair. Kita tidak perlu pun untuk pastikan.

Dikatakan yang negeri yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah BaitulMaqdis, iaitu negara Palestin. Waktu itu setelah Babylon menyerang BaitulMaqdis. Puak itu telah membunuh 600 ribu orang dalam kalangan Bani Israil dan menjadikan hamba lagi 600 ribu. Ini adalah satu tempat yang banyak kali makmur dan banyak kali ranap zaman berzaman. Apabila naik agama Islam, maka ia kembali makmur dan kemudian ditakluk oleh bangsa kafir dan meranapkannya kembali. Begitulah nasib yang dialami oleh Bani Israil dan tempat tinggal mereka, kerana umatnya banyak yang degil. Sampai sekarang tidak pernah aman penempatan mereka. Itulah juga nasib negara Palestin. Padahal itu adalah tempat paling ramai Nabi dibangkitkan. Semua ini terjadi kerana umatnya yang degil dan ramai menentang.

Akan tetapi bukan sahaja nama lelaki ini tidak disebut, nama tempat ini juga tidak disebut oleh Allah ‎ﷻ. Hikmahnya adalah supaya kita mengambil pengajaran daripada kisah ini dan bukannya sibuk dengan nama pelakonnya dan nama tempatnya.

 

وَهِيَ خاوِيَةٌ عَلىٰ عُروشِها

yang telah runtuh di atas bumbungnya,

Kalimah خاوِيَةٌ daripada kata dasar خ و ي yang bermaksud jatuh, tidak berpenghuni, telah ditinggalkan, runtuh. Kalimah عُرُوشِ adalah dalam bentuk isim jamak dan ia bermaksud ‘bumbung-bumbung’. Ia daripada kata dasar: ع ر ش yang bermaksud para untuk tanaman menjalar, bumbung, singgahsana. Kalimah Arasy diambil daripada kata dasar ini lah.

Perkataan yang digunakan kalau diterjemahkan secara literal: ‘Dinding jatuh timpa bumbung’. Agak pelik, bukan? Ini kerana kalau bangunan yang sudah lama, tiada ada siapa yang menjaganya, tentunya bumbung yang jatuh dahulu. Selalunya bahagian rumah yang rosak dahulu adalah bumbung kerana bumbunglah bahagian yang paling lemah.

Oleh kerana itu, bumbung yang akan jatuh terlebih dahulu. Kemudian baru dinding runtuh dan apabila ia jatuh, ia akan jatuh atas bumbung yang telah jatuh itu. Ini adalah bahasa kiasan memberi isyarat lama sangat kawasan dan rumah-rumah itu ditinggalkan.

Maka ia bertujuan untuk menunjukkan betapa lama sangat kota itu ditinggalkan. Kalau sampai bangunan pun sudah runtuh, manusia yang tinggal di situ, tentulah lagi lama sudah tiada. Begitulah Allah ‎ﷻ hendak menunjukkan bagaimana keadaan BaitulMaqdis itu pada waktu itu. Allah ‎ﷻ sebut pendek sahaja tetapi kita boleh bayangkan.

 

قالَ أَنّىٰ يُحيي هٰذِهِ اللَهُ بَعدَ مَوتِها

Orang itu berkata: “Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)?”

Ini adalah kata-kata lelaki itu dalam hati. Beliau bercakap begitu bukan kerana beliau tidak yakin dengan kuasa Allah ‎ﷻ. Tidak mungkin Nabi tidak yakin pula. Ini kalau dikatakan beliau adalah Nabi Uzair.

Namun lelaki cakap begitu sebab hendak tahu cara sahaja. Sebab lelaki tengok teruk sangat keadaan kota itu, lelaki tidak dapat bayangkan bagaimana caranya Allah ‎ﷻ akan membinanya kembali. Jadi lelaki terfikir-fikir bagaimanakah caranya? Atau ada pendapat yang mengatakan dia berharap semoga desa itu cepat dibangunkan kembali.

 

فَأَماتَهُ اللَهُ مِائَةَ عامٍ ثُمَّ بَعَثَهُ

Lalu dia dimatikan oleh Allah selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula

Allah ‎ﷻ memang betul-betul mematikan lelaki ini, dan bukan tidurkan. Memang ada pendapat yang mengatakan lelaki ini hanya ditidurkan kerana di banyak tempat, tidur juga dianggap sebagai mati. Sebagai contoh, perhatikan ayat Zumar: 42

اللَّهُ يَتَوَفَّى الْأَنفُسَ حِينَ مَوْتِهَا وَالَّتِي لَمْ تَمُتْ فِي مَنَامِهَا ۖ فَيُمْسِكُ الَّتِي قَضَىٰ عَلَيْهَا الْمَوْتَ وَيُرْسِلُ الْأُخْرَىٰ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
“Allah memegang (mengambil) jiwa (seseorang) pada saat kematiannya, dan (memegang) jiwa orang yang belum mati ketika ia tidur; maka Dia menahan jiwa (orang) yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia melepaskan jiwa yang lain (hidup kembali) sampai waktu yang ditentukan. Sungguh, pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir.”

Namun kita lebih selesa mengatakan Allah ‎ﷻ memang telah mematikan dan kemudian Allah ‎ﷻ hidupkan kembali. Allah ‎ﷻ memang boleh buat begitu kerana Allah ‎ﷻ yang menghidupkan dan mematikan. Kemudian Allah ‎ﷻ boleh hidupkan semula. Tidak ada masalah bagi Allah ‎ﷻ. Lagi pun Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah yang mengatakan Dia mematikan lelaki itu.

Di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ menggunakan istilah عامٍ untuk maksud ‘tahun’ akan tetapi ada lagi kalimah lain yang digunakan untuk tahun iaitu سنةٍ seperti di dalam Hajj: 47

وَإِنَّ يَوْمًا عِندَ رَبِّكَ كَأَلْفِ سَنَةٍ مِّمَّا تَعُدُّونَ
“Dan sesungguhnya satu hari di sisi Tuhanmu adalah seperti seribu tahun (سنة) daripada apa yang kamu hitung.”

Dalam Al-Qur’an, kalimah عامٍ (ʻām) dan سنة (sanah) kedua-duanya merujuk kepada tahun atau tempoh setahun. Walaupun secara asasnya membawa maksud yang sama, para ulama bahasa dan tafsir telah mengesan adanya perbezaan halus dalam penggunaannya di dalam Al-Qur’an, yang menunjukkan hikmah tersendiri daripada pemilihan lafaz oleh Allah ‎ﷻ.

1. Kalimah سنة (sanah)

Kalimah سنة cenderung digunakan untuk merujuk kepada tahun yang dikaitkan dengan kesukaran, kesusahan, kekeringan, atau ujian. Ia membawa konotasi tempoh yang berat dan mencabar. Contoh Penggunaan dalam Al-Qur’an:

Hajj: 47

وَإِنَّ يَوْمًا عِندَ رَبِّكَ كَأَلْفِ سَنَةٍ مِّمَّا تَعُدُّونَ
“Dan sesungguhnya satu hari di sisi Tuhanmu adalah seperti seribu tahun (سنة) daripada apa yang kamu hitung.”

Penjelasan: Dalam konteks ini, ia merujuk kepada tempoh waktu yang sangat panjang dan mungkin berat bagi manusia, berbanding dengan kecepatan perhitungan Allah ‎ﷻ.

Yusuf: 47

قالَ تَزرَعونَ سَبعَ سِنينَ دَأَبًا فَما حَصَدتُم فَذَروهُ في سُنبُلِهِ إِلّا قَليلًا مِمّا تَأكُلونَ
Yusuf berkata: “Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa; maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan di bulirnya kecuali sedikit untuk kamu makan.

Penjelasan: 7 tahun ini adalah tahun-tahun yang susah kerana mereka terpaksa mengikat perut dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjaga tanaman. Maka digunakan kalimah سِنينَ (jamak kepada سنة).

2. Kalimah عامٍ (ʻām)

Kalimah عامٍ (ʻām) pula cenderung digunakan untuk merujuk kepada tahun yang dikaitkan dengan kebaikan, kemakmuran, kemudahan, atau kelapangan. Ia membawa konotasi tempoh yang baik dan menyenangkan. Contoh Penggunaan dalam Al-Qur’an:

Baqarah: 259 (Kisah yang kita sedang bincangkan)

فَأَمَاتَهُ اللَّهُ مِائَةَ عَامٍ ثُمَّ بَعَثَهُ ۖ قَالَ كَمْ لَبِثْتَ ۖ قَالَ لَبِثْتُ يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍ ۖ قَالَ بَل لَّبِثْتَ مِائَةَ عَامٍ
“Lalu Allah mematikannya selama seratus tahun (عامٍ), kemudian membangkitkannya semula.”

Penjelasan: Walaupun ia adalah tempoh kematian, yang boleh dianggap ‘susah’, konteks ayat ini lebih kepada menunjukkan kekuasaan Allah ‎ﷻ. Semasa di dalam tidurnya, dia tidak terasa pun apa-apa yang menyusahkan dirinya. Namun ada juga pandangan bahawa عَامٍ di sini bermaksud tahun secara umum, tanpa konotasi negatif yang kuat. Ini mungkin satu pengecualian atau menunjukkan fleksibiliti.

Yusuf: 49

ثُمَّ يَأْتِي مِن بَعْدِ ذَٰلِكَ عَامٌ فِيهِ يُغَاثُ النَّاسُ وَفِفِيهِ يَعْصِرُونَ
Kemudian setelah itu akan datang tahun yang padanya manusia diberi hujan (dengan cukup) dan di masa itu mereka memeras anggur”.

Penjelasan: Ini adalah kesinambungan selepas ayat-ayat sebelum ini yang bercakap tentang سبع سنين (tujuh tahun) kemarau dan kesusahan. Oleh kerana telah lepas tahun-tahun yang susah, maka sekarang sudah sampai kepada tahun-tahun yang senang, maka digunakan istilah عَامٌ.

 

قالَ كَم لَبِثتَ

lalu bertanya kepadanya: “Berapa lama engkau tinggal (di sini)?”

Selepas lelaki itu dihidupkan kembali, Allah ‎ﷻ tanya kepada beliau berapa lama beliau tinggal di situ. Tubuh beliau memang nampak biasa sahaja.

Ayat ini juga menjadi dalil yang Allah ‎ﷻ berkata-kata kepada makhluk. Dengan cara bagaimana, kita tidak perlu hendak bayangkan kerana kita takkan dapat menggarapnya. Jadi tidak perlu kita bersilat untuk menafikan Allah ‎ﷻ boleh berkata-kata. Kerana kalau kita kata Allah ‎ﷻ tidak berkata-kata, adakah kemungkinan kita tersilap faham sampai mengatakan Allah ‎ﷻ bisu?

 

قالَ لَبِثتُ يَومًا أَو بَعضَ يَومٍ

Dia menjawab: “Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari”.

Oleh kerana tubuhnya nampak biasa sahaja, lelaki itu kata beliau tentu tidak tinggal lama – sehari atau setengah hari sahaja (ikut kebiasaan). Begitulah kalau kita tidur nyenyak kadang-kadang kita bangun tidur, tidak tahu berapa lama kita tidur, bukan? Begitulah juga para Pemuda Kahf pun tidak tahu berapa lama mereka ditidurkan di dalam gua itu seperti firman Allah ‎ﷻ di dalam Kahf: 19

وَڪَذٰلِكَ بَعَثنَـٰهُم لِيَتَسَآءَلُواْ بَينَہُم قَالَ قَآٮِٕلٌ مِّنہُم ڪَم لَبِثتُم قَالُواْ لَبِثنَا يَومًا أَو بَعضَ يَومٍ
Dan demikianlah Kami bangkitkan mereka (daripada tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya: “Berapa lama kamu tidur?” (sebahagian daripada) mereka menjawab: “Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari”

 

قالَ بَل لَّبِثتَ مِائَةَ عامٍ

Allah berfirman:”bahkan engkau telah tinggal selama seratus tahun.

Mungkin lelaki itu terkejut apabila dikatakan yang beliau telah tinggal selama seratus tahun di situ. Maka dia mungkin minta bukti.

 

فَانظُر إِلىٰ طَعامِكَ وَشَرابِكَ لَم يَتَسَنَّه

perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya,

Allah ‎ﷻ tunjuk contoh qudrat-Nya dengan menyuruh lelaki itu lihat kepada makanan yang beliau bawa sebagai bekal. Kalimah يَتَسَنَّه‌ adalah dalam bentuk fi’il mudhari’ dan ia bermaksud ‘berubah mengikut masa’, ‘basi’. Ia daripada kata dasar: س ن ه yang bermaksud basi, berubah, rosak. Kata dasar yang sama juga digunakan untuk سنة (tahun) kerana di dalam masa setahun, selalunya benda akan banyak berubah.

Selalunya makanan senang rosak, tetapi Allah ‎ﷻ jadikannya masih baik lagi. Sekali lagi Allah ‎ﷻ tidak sebut makanan apa, roti canai atau daging kambing bakar. Ini tidak penting dan kalau sebut, sibuk pula orang jadikan makanan itu sebagai ‘makanan Sunnah’ pula. Perangai orang kita ini jangan dipandang rendah ya, macam-macam benda karut mereka boleh buat. Yang pengajaran penting tidak diambil nanti, tetapi sibuk dengan hal makanan sahaja nanti. Tengoklah kisah Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ setelah banjir habis. Sepatutnya disambut peristiwa itu dengan berpuasa akan tetapi puak-puak kita sibuk dengan buat bubur Asyura pula.

 

وَانظُر إِلىٰ حِمارِكَ

dan perhatikanlah pula kepada keldaimu

Makanan yang cepat basi, Allah ‎ﷻ boleh kekalkan. Namun binatang yang tentunya lambat reput, sudah tinggal tulang sahaja. Menunjukkan memang lama beliau tidur di situ.

 

وَلِنَجعَلَكَ ءآيَةً لِّلنّاسِ

dan Kami jadikan engkau sebagai tanda bagi umat manusia;

Allah ‎ﷻ menghidupkan itu semula sebagai tanda kepada manusia. Menjadi inspirasi kepada manusia yang lain. Menjadi tanda bahawa Allah ‎ﷻ itu maha berkuasa untuk melakukan apa sahaja. Allah ‎ﷻ boleh hidupkan, matikan, hidupkan balik tidak kira berapa lama. Jadi tidak susah bagi Allah ﷻ hendak membangunkan kembali kampung yang telah rosak itu.

Bagaimana kisah lelaki ini boleh menjadi tanda? Apabila lelaki ini kembali ke kampungnya, orang-orang yang dia kenal sudah lama tiada. Namun mereka yang hidup itu ada teringat tentang kisahnya yang disampaikan oleh tok nenek mereka. Maka mereka akhirnya percaya bahawa lelaki itu lah yang telah hilang seratus tahun dahulu entah ke mana. Maka sekarang mereka yakin bahawa Allah ﷻ mampu mematikan dan menghidupkan manusia.

Bagaimana mereka boleh yakin? Di sinilah yang menjadi hujah beliau adalah Uzair (khilaf beliau Nabi atau tidak). Orang yang sudah mendengar kisah beliau mengatakan kalau betul dia Uzair seperti didakwanya, maka salah satu kelebihan Uzair adalah beliau hafal Kitab Taurat. Maka apabila beliau telah membuktikannya, maka barulah mereka percaya beliau adalah Uzair yang hilang seratus tahun dahulu.

 

وَانظُر إِلَى العِظامِ كَيفَ نُنشِزُها ثُمَّ نَكسوها لَحمًا

dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging “.

Allah ‎ﷻ menjadikan keldai itu hidup dengan segera di depan matanya. Kalimah نُـنشِزُ adalah dalam bentuk fi’il mudhari’ dan ia bermaksud ‘kami menaikkan’. Ia daripada kata dasar: ن ش ز yang bermaksud dinaikkan, ditinggikan, menaik, degil, melawan, melayan isteri dengan buruk, memberi kehidupan semula. Maknanya tulang-tulang itu diangkat dan disusun semula oleh Allah ﷻ. Kalimah ‘nusyuz’ diambil daripada kata dasar ini. Ini kerana apabila isteri itu nusyuz, salah satu perbuatannya adalah naik suara tinggi kepada suaminya.

Kalimah نَكسُوا adalah dalam bentuk fi’il mudhari’ dan ia bermaksud ‘kami membalut’. Ia daripada kata dasar ك س و yang bermaksud baju, pakaian, orang miskin, pembalut. Kita biasa dengar Kiswah Ka’bah, bukan? Ia adalah balutan yang menjadi penutup Ka’bah.

Kita boleh bayangkan kejadian itu sebab kita yang hidup zaman moden ini selalu melihat ‘special effect’ dalam media. Jadi kita boleh bayangkan bagaimana tulang keldai itu bercantum kembali, dan kemudian dagingnya bercantum semula. Kalau benda sebegini pun Allah ﷻ boleh buat, apatah lagi kalau membangunkan kembali kampung dan malah membangkitkan semula manusia yang telah mati.

Begitulah Allah ﷻ menjadikan makhluk ini ada daging yang membalut tulang. Barulah tulang itu terpelihara. Kalau tidak, senanglah retak riuk tulang kita ini setiap hari. Dengan ada daging, nampaklah cantik sikit, bukan? Bayangkan kalau kita dan makhluk lain semua tulang belaka?

 

فَلَمّا تَبَيَّنَ لَهُ قالَ أَعلَمُ أَنَّ اللَهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Maka apabila telah jelas kepadanya, berkatalah dia: Sekarang aku mengetahuinya (dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

Telah jelas kepada lelaki itu yang Allah ‎ﷻ boleh berbuat apa sahaja. Allah ﷻ telah memberikan satu anugerah kepada beliau kerana ditunjukkan secara praktikal di hadapan matanya bagaimana Allah ﷻ mudah sahaja untuk menghidupkan makhluk yang telah mati. Maka tentulah beliau sudah yakin dengan sebenar-benar yakin yang mati dan hidup adalah dalam tangan Allah ‎ﷻ dan beliau sudah tahu bagaimana cara Allah ‎ﷻ melakukannya. Kalau begitu keadaannya, maka tentulah mudah sahaja bagi Allah ﷻ untuk menghidupkan bandar/kampung yang telah mati itu.

Selepas itu lelaki itu tidak akan tanya lagi. Beliau telah dinampakkan dengan ilmu musyahadah – beliau lihat sendiri dengan matanya. Sebelum ini ilmu makrifat sahaja. Sebelum ini beliau sudah ada Ilmul Yaqeen (keyakinan dari segi ilmu) dan sekarang beliau diberikan dengan Ainul Yaqeen (keyakinan setelah melihat dengan mata sendiri). Apabila nampak dengan mata kepala sendiri, maka tentulah yakin sangat. Maka ini menjadi bukti bahawa lelaki ini adalah seorang yang soleh, dan mungkin seorang Nabi seperti pendapat yang mengatakan beliau adalah Nabi Uzair عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Untuk kita, tidaklah diberikan kelebihan ini. Namun kita tetap yakin dengan kemampuan Allah ﷻ kerana kita sendiri melihat alam yang indah ini dan Allah ﷻ telah sebut di dalam Talaq: 12

اللَّهُ الَّذي خَلَقَ سَبعَ سَمٰوٰتٍ وَمِنَ الأَرضِ مِثلَهُنَّ يَتَنَزَّلُ الأَمرُ بَينَهُنَّ لِتَعلَموا أَنَّ اللَّهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ وَأَنَّ اللَّهَ قَد أَحاطَ بِكُلِّ شَيءٍ عِلمًا
Allah-lah yang menciptakan tujuh langit dan seperti itu pula bumi. Perintah Allah berlaku padanya, agar kamu mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu, dan sesungguhnya Allah ilmu-Nya benar-benar meliputi segala sesuatu.


 

Faedah-Faedah Tarbiyah (Pendidikan Jiwa):

1. Diharuskan (boleh) menguji seorang hamba tentang maklumat atau pengetahuannya; ini berdasarkan firman Allah كَم لَبِثتَ (Berapa lamakah engkau telah tinggal (di sini)?)

2. Diharuskan (boleh) bagi seseorang untuk mengkhabarkan sesuatu berdasarkan apa yang menjadi sangkaan kuatnya. Ini berdasarkan firman Allah قالَ بَل لَّبِثتَ مِائَةَ عامٍ (Dia berkata: Aku telah tinggal (di sini) sehari atau sebahagian hari), padahal hakikatnya dia telah tinggal selama seratus tahun.

3. Dituntut untuk berfikir (tafakkur) tentang apa yang telah diciptakan oleh Allah ﷻ serta apa yang telah Dia wujudkan di alam semesta ini; kerana hal itu dapat menambah keimanan, memandangkan perkara tersebut merupakan salah satu daripada tanda-tanda kebesaran Allah ﷻ, sebagaimana dalam firman-Nya فَانظُر (Maka lihatlah (perhatikanlah)…)

4. Seharusnya kita memerhatikan tanda-tanda kebesaran Allah ﷻ (ayat-ayat-Nya) secara menyeluruh (ijmal) dan juga secara terperinci (tafsil); ini berdasarkan firman Allah ﷻ:

وَانظُر إِلىٰ حِمارِكَ (Dan lihatlah kepada keldaimu): (Ini adalah perintah) secara mutlak (umum).

Kemudian Allah ﷻ berfirman: وَانظُر إِلَى العِظامِ كَيفَ نُنشِزُها ثُمَّ نَكسوها لَحمًا (dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging).

Maka hal ini menuntut kita supaya bertafakkur (merenung) terhadap alam semesta ini bermula daripada sudut umum terlebih dahulu, kemudian daripada sudut perinciannya; kerana sesungguhnya hal yang demikian itu juga akan menambah keimanan kita.

5. Bahawasanya manusia, dengan melakukan tadabbur (penghayatan), ta’ammul (renungan mendalam), dan nazhar (pemerhatian), akan menjadi jelas baginya tanda-tanda kebesaran Allah ﷻ . Suatu kejelasan yang tidak akan diperoleh jika dia lalai; ini berdasarkan firman Allah فَلَمّا تَبَيَّنَ لَهُ (Maka tatkala telah jelas baginya…)

6. Bahawasanya hasil daripada memerhatikan tanda-tanda kebesaran Allah ﷻ (ayat-ayat-Nya) mestilah membawa kepada ilmu (pengetahuan) dan keyakinan; ini berdasarkan firman Allah فَلَمّا تَبَيَّنَ لَهُ قالَ أَعلَمُ أَنَّ اللَهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ (Maka tatkala hal itu telah jelas baginya, dia pun berkata: Aku mengetahui bahawa Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu)


 

Faedah-Faedah Ilmiah dan Al-Lataif (Sisi Halus/Unik):

1. Terdapat isyarat bahawasanya tidak seharusnya bagi seseorang itu terlalu mementingkan (mencari-cari) identiti individu-individu di dalam sesuatu kisah; kerana sekiranya perkara tersebut merupakan hal yang penting, nescaya Allah ﷻ akan menjelaskannya: (seperti) menyebutkan si fulan (nama watak) dan menjelaskan nama kampungnya. Maka, ibrah (pengajaran) itu terletak pada makna-makna dan objektif-objektif kisah tersebut, bukannya pada susuk peribadi (watak).

2. Penggunaan istilah ‘Al-Qaryah’ (negeri/bandar) untuk merujuk kepada tempat kediaman (bangunan); ini berdasarkan firman Allah ﷻ: ‘Atau (tidakkah engkau perhatikan) orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya‘.

Walaupun begitu, terdapat kemungkinan bahawa yang dimaksudkan dengan ayat ini adalah tempat kediaman sekaligus dengan penduduknya; kerana keadaan negeri yang ‘runtuh segala bangunannya’ menunjukkan bahawa penduduknya juga telah tiada dan mereka telah binasa.

3. Bahawasanya manusia, apabila dia merasakan sesuatu itu mustahil atau jauh untuk berlaku (berdasarkan logik akal) — namun dalam masa yang sama dia tidak meragui kekuasaan Allah ﷻ atas perkara tersebut — maka dia tidak menjadi kafir dengan sebab itu. Hal ini berdasarkan kata-kata lelaki yang melalui sebuah negeri itu: قالَ أَنّىٰ يُحيي هٰذِهِ اللَهُ بَعدَ مَوتِها (Bagaimanakah (dengan cara apa) Allah akan menghidupkan semula (negeri) ini setelah matinya?).

4. Bahawasanya Allah ﷻ kadangkala memberikan kurniaan kepada hamba-Nya dengan memperlihatkan tanda-tanda kebesaran-Nya secara langsung, yang dengannya akan bertambah lagi keyakinan hamba tersebut; ini berdasarkan firman Allah ….فَانظُر إِلىٰ طَعامِكَ (Maka lihatlah kepada makananmu… (dan seterusnya))

5. Bahawasanya kekuasaan Allah ﷻ itu mengatasi apa yang menjadi kebiasaan bagi lumrah alam (hukum tabii); di mana makanan dan minuman ini kekal selama seratus tahun dalam keadaan langsung tidak berubah.

6. Bahawasanya Allah ﷻ (kadangkala) mewujudkan ke atas diri seseorang hamba itu sesuatu yang akan menjadi ibrah (pengajaran/tanda) bagi orang lain; ini berdasarkan firman Allah وَلِنَجعَلَكَ ءآيَةً لِّلنّاسِ (Dan agar Kami menjadikanmu sebagai tanda (kebesaran Kami) bagi manusia).

Perkara yang serupa dengannya adalah firman Allah ﷻ mengenai Maryam dan puteranya, ‘Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam Anbiya’:91

وَالَّتي أَحصَنَت فَرجَها فَنَفَخنا فيها مِن رّوحِنا وَجَعَلنٰها وَابنَها آيَةً لِّلعٰلَمينَ
(Dan (ingatlah kisah Maryam) yang telah memelihara kehormatannya, lalu Kami tiupkan ke dalam (tubuh)nya ruh daripada Kami, dan Kami jadikan dia bersama anaknya sebagai tanda (kekuasaan Kami) bagi seluruh alam). 

7. Bahawasanya Allah ﷻ menjadikan daging yang menyaluti tulang-belulang itu ibarat pakaian; malah ia sememangnya adalah pakaian pada hakikatnya; ini berdasarkan firman Allah ثُمَّ نَكسوها لَحمًا …kemudian Kami membungkusnya (memakaikannya) dengan daging‘, dan firman-Nya dalam Mu’minun:14

فَكَسَونَا العِظامَ لَحمًا
lalu Kami bungkus tulang-tulang itu dengan daging

Oleh sebab itu, engkau akan dapati bahawa daging berfungsi melindungi tulang daripada patah dan kecederaan; kerana kecederaan pada tulang adalah lebih parah (kesannya) berbanding kecederaan pada daging.

8. Sanggahan terhadap golongan yang mengingkari adanya Perbuatan yang berasaskan Pilihan (Al-Af’al al-Ikhtiyariyyah) bagi Allah ﷻ; ini berdasarkan firman Allah: فَأَماتَهُ اللَهُ ….. ثُمَّ بَعَثَهُ (Maka Allah mematikannya… kemudian Dia membangkitkannya). Perbuatan-perbuatan ini adalah berkait rapat dengan Masyiah (kehendak) dan Ikhtiyar (pilihan)-Nya: Jika Dia berkehendak, Dia melakukannya; dan jika Dia tidak berkehendak, Dia tidak melakukannya.

9. Bahawasanya Kalam (kata-kata) Allah terdiri daripada huruf-huruf dan suara yang dapat didengar; ini berdasarkan firman Allah كَم لَبِثتَ (Berapakah lamanya engkau tinggal?) dan firman-Nya: بَل لَّبِثتَ مِائَةَ عامٍ (Bahkan engkau telah tinggal selama seratus tahun). Sesungguhnya apa yang diucapkan dalam perkataan tersebut adalah huruf-huruf dengan suara yang didengar oleh lawan bicara (mukhatab), dan dia menjawabnya dengan berkata: لَبِثتُ يَومًا أَو بَعضَ يَومٍ (Aku telah tinggal sehari atau sebahagian hari).

Walau bagaimanapun, suara yang didengar daripada Kalam Allah tidaklah menyerupai suara makhluk. Huruf-huruf (yang digunakan) adalah huruf yang sama yang digunakan manusia untuk mengungkapkan sesuatu, namun suaranya tidak (sama); kerana suara itu adalah sifat bagi Rabb ‘Azza wa Jalla. Allah ﷻ berfirman di dalam Syura:11

لَيسَ كَمِثلِهِ شَيءٌ
(Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan-Nya). 

10. Pada firman Allah فَأَماتَهُ اللَهُ مِائَةَ عامٍ (Maka Allah mematikannya selama seratus tahun), terdapat pensabitan tentang adanya karamah para wali. Karamah ialah setiap perkara luar biasa (khariqul ‘adah) yang diwujudkan oleh Allah ﷻ melalui tangan salah seorang wali-Nya; sebagai bentuk penghormatan (takrim) kepadanya, serta sebagai penyaksian terhadap kebenaran syariat yang dipeganginya. Oleh itu, ada dikatakan: Setiap karamah bagi seorang wali, maka ia adalah mukjizat (tanda) bagi Nabi yang diikuti olehnya.

Allahu a’lam. Sambung kepada ayat yang seterusnya

 

Kemaskini: 11 Mei 2026

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Dorar.net

Tafsir Surah Baqarah Ayat 258 (Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Namrud)

NABI IBRAHIM عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ DAN NAMRUD YANG ANGKUH

Baqarah Ayat 258: Allah ‎ﷻ memberikan tiga contoh golongan yang beriman kepada tauhid iaitu dua kisah daripada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan satu kisah seorang lelaki (yang ada pendapat mengatakan beliau adalah Nabi Uzair عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan tetapi pendapat ini khilaf dalam kalangan ulama). Sebelum ini Allah ‎ﷻ telah memberikan teori tentang akidah, dan sekarang Allah ‎ﷻ berikan contoh pula supaya kita lebih faham dan boleh mencontohi mereka. Ada beberapa perkara yang Allah ﷻ hendak sampaikan kepada kita di dalam 3 kisah ini:

1. Kekuasaan Allah ﷻ menghidup dan mematikan

2. Tentang peralihan ilmu daripada tahap ilmu ke tahap yakin. Ia bermula dengan kisah perdebatan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Namrud. Ini merupakan pada tahap ilmu sahaja. Kemudian di dalam kisah Uzair عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ nanti, ia berdasarkan pengalaman dan menyaksikan sendiri apa yang Allah ﷻ lakukan. Begitu juga di dalam kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan burung-burung, ia merupakan tahap yakin kerana dapat melihat sendiri dengan mata.

3. Menyentuh tentang Kebangkitan Semula. Jikalau Allah ﷻ boleh menghidupkan yang mati, tentulah Allah ﷻ boleh sahaja membangkitkan semua makhluk nanti ketika Kiamat.

4. Keterbatasan ilmu manusia. Namrud tidak memiliki ilmu. Malah Uzair عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun tidak ada ilmu tentang berapa lama beliau dimatikan.

Di dalam ayat sebelum ini telah disebut Allah ﷻ menjadi pelindung kepada orang beriman. Maka sekarang diberi contoh perlindungan diberikan kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

أَلَم تَرَ إِلَى ٱلَّذِى حَآجَّ إِبرٰهِـۧمَ فِى رَبِّهِۦۤ أَن ءَاتَٮٰهُ ٱللَّهُ ٱلمُلكَ إِذ قَالَ إِبرٰهِـۧمُ رَبِّىَ ٱلَّذِى يُحىِۦ وَيُمِيتُ قَالَ أَنَا۟ أُحىِۦ وَأُمِيتُ‌ۖ قَالَ إِبرٰهِـۧمُ فَإِنَّ ٱللَّهَ يَأتِى بِٱلشَّمسِ مِنَ ٱلمَشرِقِ فَأتِ بِهَا مِنَ ٱلمَغرِبِ فَبُهِتَ ٱلَّذِى كَفَرَ‌ۗ وَٱللَّهُ لَا يَهدِى ٱلقَومَ ٱلظَّـٰلِمِينَ

SAHIH INTERNATIONAL
Have you not considered the one who argued with Abraham about his Lord [merely] because Allah had given him kingship? When Abraham said, “My Lord is the one who gives life and causes death,” he said, “I give life and cause death.” Abraham said, “Indeed, Allah brings up the sun from the east, so bring it up from the west.” So the disbeliever was overwhelmed [by astonishment], and Allah does not guide the wrongdoing people.

MALAY
Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: “Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan”. Dia menjawab: “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan”. Nabi Ibrahim berkata lagi: “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah ia dari barat.” Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.

 

أَلَم تَرَ إِلَى ٱلَّذِى حَآجَّ إِبرٰهِـۧمَ فِى رَبِّهِۦۤ

Tidakkah engkau memikirkan tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim mengenai Tuhannya,

Pertama disampaikan adalah kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Namrud (Nimrod). Namrud atau Namrudz atau Numruz itu adalah raja besar kerajaan Babylon dan tidak sama dengan Firaun yang hanya Raja kepada negara Mesir sahaja. Walaupun dia seorang raja besar, tetapi dia tidak berapa cerdik. Sampaikan nama dia pun tidak disebut di dalam Al-Qur’an. Allah ‎ﷻ hanya sebut dia dengan lafaz mubham (tidak jelas, tidak spesifik) sahaja (hanya disebut seorang yang berhujah) menunjukkan betapa dia tidak cerdik dan namanya tidak layak disebut pun. Sedangkan Firaun disebut berkali-kali dalam Al-Qur’an kerana dia hebat berhujah. Maka namanya ini kita dapat tahu melalui kitab-kitab tafsir sahaja tanpa dalil yang nyata tentang kebenaran namanya. Kalau Allah ‎ﷻ tidak sebutkan nama, maka ia tidak penting. Allah ‎ﷻ tidak mahu kita sibuk dengan nama orang dan tempat dan kemudian abaikan pula pengajaran di dalam satu-satu kisah itu.

Tajuk perdebatan mereka ini adalah tentang Allah ‎ﷻ, iaitu tentang Tauhid. Tentang kuasa dan qudrat Allah ﷻ. Manusia yang tidak mengenal Allah ﷻ dengan sebenar-benar kenal, mereka tidak akan beriman.

Latar belakang kisah ini adalah sebahagian daripada kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang telah menghancurkan berhala-berhala kaumnya dan telah berdebat dengan kaumnya. Ini boleh dibaca di dalam Surah Anbiya’ ayat 51 – 73. Akhirnya arahan telah dikeluarkan untuk membakar baginda,

قالوا حَرِّقوهُ وَانصُروا آلِهَتَكُم إِن كُنتُم فٰعِلينَ
Mereka berkata: “Bakarlah dia dan bantulah tuhan-tuhan kamu, jika kamu benar-benar hendak bertindak”.

Namun, sebelum baginda dibakar, baginda telah dihadapkan di hadapan Raja Namrud.

Mengenai Namrud ini, perlu dijelaskan bahawa tidak ada hadith sahih yang secara jelas menyebutkan namanya atau menceritakan kisahnya secara terperinci. Kisah Namrud ini lebih banyak disebutkan dalam riwayat-riwayat Israiliyyat (kisah-kisah daripada sumber Yahudi dan Nasrani yang masuk ke dalam tradisi tafsir Islam) dan kitab-kitab sejarah Islam yang menukil daripada sumber-sumber tersebut.

 

Hukum Debat

Di dalam ayat ini kita akan belajar Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berdebat dengan raja ini. Maka apakah pula hukum berdebat di dalam Islam? Tambahan pula ada hadith yang seolah-olah menganjurkan jangan berdebat,

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَنَا زَعِيمٌ بِبَيْتٍ فِي رَبَضِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْمِرَاءَ وَإِنْ كَانَ مُحِقًّا، وَبِبَيْتٍ فِي وَسَطِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْكَذِبَ وَإِنْ كَانَ مَازِحًا، وَبِبَيْتٍ فِي أَعْلَى الْجَنَّةِ لِمَنْ حَسَّنَ خُلُقَهُ
Daripada Abu Umamah Al-Bahili رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Aku menjamin sebuah rumah di pinggir syurga bagi sesiapa yang meninggalkan al-mira’ (perdebatan/bantahan) walaupun dia berada di pihak yang benar. Dan (aku menjamin) sebuah rumah di tengah syurga bagi sesiapa yang meninggalkan dusta walaupun dia hanya bergurau. Dan (aku menjamin) sebuah rumah di bahagian atas syurga bagi sesiapa yang memperelok akhlaknya.”

Sumber: Diriwayatkan oleh Abu Dawud (No. 4800), At-Tirmidzi (No. 1993), dan Ibnu Majah (No. 51). At-Tirmidzi berkata: “Hadith Hasan”. Syeikh Al-Albani رَحِمَهُ اللَّهُ menilainya Hasan Sahih.

Hukum berdebat dalam Islam tidaklah bersifat mutlak, tetapi ia bergantung kepada niat, tujuan, subjek perdebatan, adab yang digunakan, dan hasilnya. Secara umumnya, berdebat boleh menjadi wajib, sunat, harus, makruh, atau haram. Al-Qur’an dan Sunnah menggariskan beberapa panduan asas:

  • Berhujah dengan Cara Terbaik: Allah ‎ﷻ berfirman dalam Nahl: 125

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang paling baik (ahsan).”

  • Menghindari Perdebatan yang Buruk: Allah ‎ﷻ juga berfirman dalam Kahf: 56

وَلَا تُجَادِلْ أَهْلَ الْكِتَابِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِلَّا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ
“Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka.”

Kategori Hukum Berdebat

1. Wajib:

    • Tujuan: Untuk menegakkan kebenaran Allah ‎ﷻ, membela syariat Islam, atau menangkis syubhat (keraguan) yang disebarkan oleh musuh-musuh Islam, apabila tiada cara lain yang berkesan. Ini biasanya bagi mereka yang mempunyai ilmu yang cukup dan mampu berhujah. Gunakan dalil dari Al-Qur’an dan Sunnah dan hujah-hujah yang mantap untuk mematikan fahaman yang salah di dalam masyarakat.
    • Contoh: Perdebatan para Nabi dengan kaum mereka yang ingkar untuk membuktikan keesaan Allah ‎ﷻ dan kebenaran risalah. Termasuklah perbuatan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam ayat ini.

2. Sunat:

    • Tujuan: Untuk menjelaskan ajaran Islam, memperbetulkan kesalahfahaman, atau berdakwah kepada orang yang belum Islam, dengan harapan mereka akan mendapat hidayah. Ini hendaklah dilakukan dengan niat ikhlas dan cara yang baik.
    • Contoh: Berdebat dengan seseorang yang mempunyai kekeliruan dalam fiqh atau akidah untuk menjelaskan pandangan yang sahih.

3. Harus (Mubah):

    • Tujuan: Apabila perdebatan itu melibatkan perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan akidah atau hukum syariat yang jelas, atau untuk bertukar pendapat dalam isu-isu ijtihadi (yang ada ruang untuk perbezaan tafsiran), dan ia dilakukan dengan niat mencari kebenaran dan adab yang baik.
    • Contoh: Perbincangan ilmiah antara ulama mengenai isu fiqh yang rumit di mana ada pelbagai pandangan. Semoga dengan perdebatan seperti ini dapat merungkai kekeliruan dan mencapai kata sepakat manakah pandangan yang lebih rapat kepada kebenaran.

4. Makruh:

    • Tujuan: Apabila perdebatan itu tidak membawa kepada kebaikan, atau melibatkan perkara remeh-temeh, atau ada risiko akan timbulnya permusuhan, riak, atau kesombongan, tetapi tidak sampai ke tahap haram. Debat sebeginilah yang patut dielak.
    • Ciri-ciri: Berdebat hanya untuk menunjukkan kepintaran, atau berdebat tentang perkara yang sudah jelas tanpa ada keraguan.

5. Haram:

    • Tujuan: Apabila perdebatan itu bertujuan untuk merendahkan orang lain, menyebarkan keraguan terhadap Islam, membela kebatilan, menimbulkan perpecahan, atau dilakukan dengan cara yang kasar, sombong, memfitnah, dan mencederakan hati.
    • Ciri-ciri:
      • Berdebat dalam perkara yang sudah jelas hukumnya (contoh: menghalalkan yang haram).
      • Berdebat dengan niat untuk menang sahaja, bukan mencari kebenaran.
      • Menggunakan kata-kata kesat, mencaci, menghina.
      • Menimbulkan permusuhan dan kebencian antara Muslim.
      • Berdebat dengan orang yang jelas-jelas tidak mahu menerima kebenaran dan hanya ingin membantah. Ini buang masa sahaja dan jangan dilakukan. Kalau jumpa orang sebegitu, beri salam dan tinggalkan sahaja dia itu.

Jadi bukanlah semua debat tidak boleh. Kena perhatikan keperluannya dan adab-adab di dalam debat itu. Kita boleh perhatikan kebelakangan ini sudah ada banyak perdebatan antara golongan Salafi dan Aswaja yang dapat memberikan pencerahan kepada banyak perkara. Perdebatan yang sihat dapat membuka minda pendengar dan mereka yang hendak mencari kebenaran. Ketika perdebatan ada banyak hujah-hujah yang akan dikeluarkan dan ini menambah ilmu kepada para pendengar. Malah kepada pada pendebat pun yang mereka mungkin tidak terfikir.

Para ulama’ dahulu pun banyak berdebat untuk menjatuhkan pihak lawan yang sesat. Maka kita boleh buat kesimpulan asatizah yang kuat di media sosial dengan pengikutnya sahaja tetapi takut untuk berdebat, bermakna mereka sebenarnya tidak ada hujah pun. Antara debat yang dilakukan oleh ulama’ silam adalah seperti Perdebatan Imam Ahmad bin Hanbal dengan Kaum Mu’tazilah (Isu Penciptaan Al-Qur’an), Perdebatan Imam Al-Ghazali dengan Ahli Falsafah (Isu Falsafah dan Akidah), Perdebatan Imam Syafi’i dengan Imam Malik dan Sufyan Ats-Tsauri (Isu Fiqh), Perdebatan Ibnu Taimiyyah dengan Fuqaha’ dan Ahli Kalam Zamannya.

 

أَن ءَاتَٮٰهُ اللَهُ المُلكَ

kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan

Walaupun dia tidak berapa cerdik, Allah ‎ﷻ telah menakdirkan dia dapat memerintah belahan dunia yang besar. Ini mengajar kita bahawa menjadi raja tidak semestinya kena pandai; orang bodoh pun boleh menjadi raja. Namun, dek kerana dia ada kuasa, dia berasa dirinya besar kerana dia dapat memerintah kerajaan yang besar. Malah dia berani melawan seorang Nabi. Maka namanya kita tidak tahu (kerana tidak diberitahu oleh Allah ‎ﷻ), akan tetapi jelas yang dia telah diberikan kerajaan. Dan kerana itulah dia berlagak sombong. Tambahan pula, tentu orang di kiri-kanannya tidak berani untuk membantah kata-katanya.

Dalam psikologi, kondisi ini dinamakan “God Complex”. Mereka rasa mereka ada kuasa dan perangai mereka jadi lain macam. Padahal bukan banyak pun kuasa mereka. Sebagai contoh, doktor pun ada rasa sebegitu sebab mereka rasa mereka menyelamatkan nyawa manusia. Bukan mereka sahaja, bahkan “security guard” (pengawal keselamatan) yang diberi kuasa setakat menjaga pintu masuk bangunan atau kediaman pun ada masalah ini juga kadangkala.

Ini mengajar kita satu dugaan bagi manusia apabila diberikan dengan kerajaan. Ada yang kata ini merupakan salah satu daripada 3 ta: Wanita, Harta, Takhta. Manusia apabila ada kuasa, mereka menjadi mabuk dengan kuasa dan menyebabkan mereka menjadi sombong dan sesat. Ramai yang menyalahgunakan kuasa dan kemudian berlaku zalim terhadap orang lain terutama yang di bawah kuasa mereka. Kerana itu salah satu daripada 4 kisah utama di dalam Surah Kahf adalah tentang kuasa ini disebut di dalam kisah DzulQarnain. Di dalam kisah itu kita telah belajar bagaimana DzulQarnain walaupun menjadi raja dunia, namun beliau tetap beriman dan tetap menjadi orang yang baik. Maka beliau menjadi contoh kepada mana-mana pemimpin yang ada kuasa, tidak kira berapa banyak jajahan takluk yang ada. Kalau DzulQarnain itu pun tidak sombong dengan kerajaan beliau yang amat besar, janganlah jadi JKKK pun sudah sombong ya amat.

Di dalam kisah DzulQarnain itu mengajar kita ubat bagi penyakit sombong dengan kerajaan dan kuasa adalah dengan menjadi ikhlas dan sedar yang kuasa yang ada itu adalah daripada Allah ‎ﷻ. Lihatlah kata-kata DzulQarnain apabila beliau telah berjaya bina tembok mengurung Ya’juj Ma’juj disebut di dalam Kahf:98

قَالَ هَـٰذَا رَحمَةٌ مِّن رَّبِّى‌
berkatalah ZulQarnain: “Ini ialah suatu rahmat daripada Tuhanku

 

إِذ قَالَ إِبرٰهِـۧمُ رَبِّىَ ٱلَّذِى يُحىِۦ وَيُمِيتُ

Ketika Nabi Ibrahim berkata: “Tuhankulah Yang menghidupkan dan mematikan”.

Dia membantah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu semasa baginda berdakwah kepadanya. Dalam ayat Kursi, Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia lah yang Maha Hidup اللَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ الحَيُّ القَيّومُ (Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya). Sekarang di dalam ayat ini, Allah ﷻ beritahu yang Dialah yang menghidupkan dan mematikan.

Semasa mereka berdebat itu, Namrud tanya siapakah Tuhan yang Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sembah? Maknanya Namrud ini adalah seorang kafir yang tidak kenal Allah sebagai Tuhan. Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ jawab dengan menekankan tentang salah satu sifat terpenting Allah ‎ﷻ.

 

قَالَ أَنَا۟ أُحىِۦ وَأُمِيتُ‌

Raja itu berkata: “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan”.

Namrud pun kata dia pun boleh menghidupkan dan mematikan juga. Dalam riwayat ada disebut bagaimana dia memanggil dua orang lelaki yang telah dihukum bunuh, bawa ke hadapan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan dia. Maka dia kata dia ampunkan seorang lelaki dan teruskan hukuman bunuh kepada seorang lagi lelaki itu. Daripada itu, Namrud kata dia telah menghidupkan seorang lelaki dan mematikan seorang lagi.

Dia terlalu bodoh sampai tidak faham apakah maksud menghidupkan. Menghidupkan itu maksudnya menjadikan daripada tidak ada kepada ada. Adakah semua bayi yang lahir itu Namrud yang lahirkan ke dunia? Tentu tidak! Adakah dia yang memberi mereka makan untuk meneruskan kehidupan?

Adakah dia terlalu bodoh sehingga tidak faham maksud mematikan dengan membunuh? Yang dia beri arahan itu bukan mematikan, tetapi membunuh. Kalau dia boleh mematikan, maknanya dia boleh mengambil nyawa orang itu tanpa memancung atau menikam orang itu.

Namun kita pun boleh melihat penggunaan bahasa yang berlainan antara Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Namrud. Apabila Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bercakap tentang Allah ‎ﷻ, baginda menggunakan susunan: رَبِّيَ الَّذي يُحيي وَيُميتُ. Sedangkan apabila Namrud berhujah, dia hanya sebut أَناْ أُحيي وَأُميتُ. Dia tidak meletakkan الَّذي (yang). Maknanya dia tidaklah mengatakan dia sahaja yang menghidup dan mematikan. Dia cuma kata dia juga boleh menghidup dan mematikan. Akan tetapi bahasa yang digunakan oleh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lain; baginda mengatakan hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh menghidup dan mematikan.

Jadi Namrud telah memberi hujah yang bodoh. Kita pun boleh tahu bahawa lain apa yang dimaksudkan oleh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu, bukan? Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak menjawab hujah Namrud itu dan terus sambung dengan sifat Allah yang lain. Kalau hendak jawab pun terasa bodoh juga jika melayan orang bodoh, bukan? Maka Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ teruskan dengan hujah seterusnya.

 

قالَ إِبرٰهِـۧمُ فَإِنَّ اللَهَ يَأتي بِالشَّمسِ مِنَ المَشرِقِ

Nabi Ibrahim berkata lagi: “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur,

Kerana bodohnya Namrud, maka Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bawakan hujah yang satu lagi. Sekarang baginda sebut tentang perbuatan Allah ‎ﷻ yang takdirkan matahari naik dari arah timur. Ini mengingatkan kepada kita yang perjalanan matahari, bulan dan segala planet adalah dalam takdir dan kuasa Allah ‎ﷻ yang menentukan. Bukanlah semua itu berjalan sendiri.

 

فَأتِ بِها مِنَ المَغرِبِ

oleh itu engkau terbitkanlah ia dari barat.”

Kalau kamu Namrud, rasa yang kamu pun macam tuhan juga, maka tolong naikkan matahari dari barat pula esok. Sebelum ini dia berhujah dengan keupayaan menghidupkan dan mematikan. Nah, kali ini kita tengok dia boleh ubah perjalanan matahari ataupun tidak.

 

فَبُهِتَ الَّذي كَفَرَ

Maka hairan terdiamlah orang yang kafir itu

Maka, dengan hujah itu, Namrud bungkam tidak berkata apa-apa lagi. Sebab kalau dia hendak jawab, dia kenalah tukar perjalanan matahari itu dan dia pun tahu dia tidak boleh. Jadi krik, krik, krik sahajalah. Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak suruh pun raja itu mencipta matahari, tetapi setakat mengubah pergerakan matahari yang Allah ‎ﷻ jadikan sahaja; itu pun dia tidak mampu.

Apabila dikatakan raja itu dikatakan بُهِتَ, ia adalah satu keadaan di mana raja itu sudah tidak boleh cakap apa-apa lagi dan menerima kegagalan. Asy Sya’rawi mengatakan بُهِتَ ini adalah peringkat ketiga setelah berlalu dua peringkat:

1. Tercengang dan hairan
2.  Bingung bagaimana hendak menghadapinya
3. Kegagalan menghadapinya dan mahu tidak mahu terpaksa mengakui kegagalan. Inilah raja itu rasa.

Perhatikan di sini baru Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah كَفَرَ buat raja itu. Ini menandakan kalau ikut sifat raja ini yang sombong untuk menerima kebenaran Allah ‎ﷻ itu sahaja Tuhan, maka sudah menjadi kafir.

Mungkin timbul satu persoalan. Apa kata kalau Namrud berhujah balik? Dia mungkin boleh kata: “Baiklah, aku memang tak boleh nak terbitkan matahari dari barat. Sekarang engkau kata Tuhan kamu boleh terbitkan matahari dari barat. Suruhlah Tuhan kamu itu terbitkan dari barat!” Dalam kitab tafsir ada disebutkan, kalaulah Namrud berhujah macam itu, Allah ‎ﷻ akan terbitkan matahari dari barat esoknya sebagai hujah. Tetapi tidak berlaku perkara itu sebab Namrud mengalah dan tidak menyambung perdebatan itu. Namrud tidak ada hujah apa-apa lagi. Namun selepas itu Namrud telah memasukkan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ke dalam api.

Biasalah, kalau tidak ada hujah, ramai yang gunakan kuasa kekerasan. Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tentu sedar yang kalau baginda cakap begitu, boleh menyebabkan baginda dibunuh. Namun baginda yakin yang Allah ‎ﷻlah al-hayyul qayyum, Allah ‎ﷻlah sahaja yang boleh mematikan, maka baginda tidak takut untuk menyatakan kebenaran. Kita pun tahu daripada kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini semenjak muda lagi baginda sudah berani bercakap dengan orang yang ada kedudukan.

 

وَاللَهُ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ

Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.

Penghujung ayat ini bermakna Namrud tidak menerima apa yang disampaikan oleh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Dia tetap berdegil untuk menerima kebenaran. Oleh kerana hujah mantap telah diberikan, tetapi masih degil lagi, maka Allah ‎ﷻ telah membuat keputusan untuk menutup pintu hatinya kepada kebenaran. Ini dinamakan khatmul qalbi, di mana hati seseorang itu sudah tidak mampu lagi menerima hidayah. Datang macam mana pun orang dengan apa hujah sekali pun, mereka tidak akan percaya lagi.

Ini pun boleh jadi kepada orang kita juga walaupun dia seorang Muslim. Kadangkala mereka ada fahaman atau amalan yang salah, sama ada syirik atau bid’ah. Kita pun datang dengan hujah yang disertai dengan ayat-ayat Al-Qur’an dan Hadith yang sahih. Kalau mereka menentang juga dan degil untuk menerima, Allah ‎ﷻ boleh tutup hatinya daripada kebenaran. Jadi ini amat bahaya. Orang kita pun senang-senang sahaja tolak hujah daripada Al-Qur’an. Mereka tidak ada hujah lain sebab mereka pun tidak belajar tafsir, tetapi mereka degil untuk terima kerana hujah Al-Qur’an itu lain daripada hujah tok guru mereka. Maka mereka tolak begitu sahaja.

Mereka jadi orang yang zalim kerana kedegilan mereka. Tidak disebutkan zalim apa yang dimaksudkan jadi ia boleh bermaksud berbagai jenis kezaliman. Kezaliman kepada Allah ‎ﷻ, kepada diri sendiri, kepada orang lain. Allah ‎ﷻ tidak memberi hidayah kerana mereka memang tidak mahu menerima kebenaran. Ini kerana tidak ada keinginan dalam hati mereka untuk mengetahui apakah yang benar. Jadi ia mengajar kita yang dakwah ini hanya boleh diterima oleh membuka pintu hati mereka dan tidak zalim.


 

Faedah-Faedah Tarbiyah (Pendidikan Jiwa):

1. Pada firman Allah Ta’ala: أَلَم تَرَ إِلَى ٱلَّذِى حَآجَّ إِبرٰهِـۧمَ فِى رَبِّهِۦۤ أَن ءَاتَٮٰهُ ٱللَّهُ ٱلمُلكَ (Tidakkah engkau (wahai Muhammad) perhatikan tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim mengenai Tuhannya, kerana Allah telah memberikan kerajaan kepadanya…)

Ini merupakan dalil (tanda) bahawa sesungguhnya nikmat-nikmat itu kadangkala boleh menjadi punca kepada melampaui batas (taghut/kezaliman). Hal ini kerana lelaki tersebut (Raja Namrud) tidaklah dia melampaui batas dan mengingkari Pencipta, melainkan kerana Allah ﷻ telah memberikan kerajaan (kekuasaan) kepadanya.

Oleh sebab itu, kadangkala penyakit itu merupakan satu nikmat daripada Allah ﷻ ke atas seorang hamba; begitu juga kemiskinan dan musibah kadangkala menjadi nikmat ke atas seorang hamba. Ini kerana manusia itu apabila dia sentiasa berada dalam kenikmatan, dalam kemewahan, dan dalam kehidupan yang seronok (tanpa ujian), maka kemungkinan besar dia akan melampaui batas serta melupakan Allah ﷻ.

2. Allah ﷻ tidak menghalangi kurniaan-Nya (fadhl) daripada sesiapapun melainkan apabila orang yang dihalangi itu sendiri yang menjadi puncanya; ini berdasarkan firman Allah وَاللَهُ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ (Dan Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim).

Maka disebabkan kezaliman merekalah, Allah ﷻ tidak memberi petunjuk kepada mereka. Hal ini adalah sebagaimana firman Allah ﷻ di dalam Saff:5

فَلَمّا زاغوا أَزاغَ اللَّهُ قُلوبَهُم
Maka tatkala mereka berpaling (daripada kebenaran), Allah memalingkan hati mereka. 

3. Amaran terhadap perbuatan zalim berdasarkan firman Allah وَاللَهُ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ (Dan Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim).

Antara bentuk kezaliman adalah apabila telah jelas bagimu suatu kebenaran, namun engkau tetap berhujah (berdebat) hanya demi membela pendapatmu sendiri. Kerana sesungguhnya, keadilan itu adalah dengan tunduk kepada kebenaran dan tidak bersikap sombong (degil) ketika kebenaran itu sudah nyata. Atas sebab inilah, telah sesatlah sesiapa yang sesat dalam kalangan Ahli Kalam (golongan yang terlalu mengagungkan logik akal dalam akidah); kerana telah jelas kepada mereka kebenaran, namun mereka tetap berdebat (mempertahankannya), maka mereka kekal berada di atas kesesatan yang mereka pegangi itu.

4. Pada firman Allah وَاللَهُ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ (Dan Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim), terdapat dalil bahawa sesungguhnya semakin zalim seseorang itu, maka semakin jauhlah dia daripada hidayah.

Ini kerana Allah ﷻ telah mengaitkan penafian hidayah itu dengan sifat kezaliman. Mengaitkan sesuatu hukum dengan suatu sifat (dalam hal ini kezaliman) menunjukkan bahawa sifat tersebut adalah punca/sebab bagi hukum tersebut. Dan setiap kali punca itu semakin kuat, maka semakin kuatlah hukum yang dikaitkan dengannya.

5. Bahawasanya sesiapa yang berpegang dengan keadilan, maka dia sangat layak untuk mendapat hidayah; ini berdasarkan Mafhum al-Mukhalafah (maksud tersirat yang sebaliknya) daripada firman Allah وَاللَهُ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ (Dan Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim).


 

Faedah-Faedah Ilmiah dan Al-Lataif (Sisi Halus/Unik):

1. Bahawasanya melakukan perdebatan (al-muhajjah) untuk membatalkan kebatilan dan untuk menegakkan kebenaran merupakan sebahagian daripada tugas para Rasul. Ini berdasarkan firman Allah أَلَم تَرَ إِلَى ٱلَّذِى حَآجَّ إِبرٰهِـۧمَ فِى رَبِّهِۦۤ (Tidakkah engkau (wahai Muhammad) perhatikan tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim mengenai Tuhannya).

2. Pada firman Allah أَلَم تَرَ إِلَى ٱلَّذِى حَآجَّ إِبرٰهِـۧمَ فِى رَبِّهِۦۤ (Tidakkah engkau (wahai Muhammad) perhatikan tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim mengenai Tuhannya), terdapat isyarat bahawasanya seharusnya bagi setiap insan untuk mempelajari kaedah-kaedah berdebat (munazarah) dan berhujah (muhajjah); kerana ia merupakan anak tangga serta wasilah (perantara) untuk menegakkan kebenaran dan membatalkan kebatilan.

3. Bahawasanya kekuasaan (kerajaan) yang dimiliki oleh manusia bukanlah kekuasaan yang bersifat zat (hakiki) daripada dirinya sendiri; sebaliknya ia hanyalah sesuatu yang diberikan kepadanya. Hal ini berdasarkan firman Allah  أَن ءَاتَٮٰهُ اللَهُ المُلكَ (kerana Allah telah memberikan kerajaan kepadanya). Ayat ini adalah sebagaimana firman Allah ﷻ di dalam Ali Imran:26  قُلِ اللَّهُمَّ مٰلِكَ المُلكِ تُؤتِي المُلْكَ مَن تَشاءُ ‘Katakanlah: Wahai Tuhan yang mempunyai kekuasaan, Engkau memberikan kekuasaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki…’

4. Pensabitan Sifat Perbuatan (Fi’liyah) Allah ﷻ yang berasaskan Pilihan (Al-Af’al al-Ikhtiyariyyah) bagi Allah ﷻ berdasarkan firman Allah يُحىِۦ وَيُمِيتُ ((Ia) menghidupkan dan mematikan).

5. Bahawasanya seseorang yang suka berdebat itu kadangkala akan bersikap sombong (degil), lalu dia mendakwa sesuatu yang dia sendiri tahu dengan yakin bahawa dia tidak memilikinya; ini berdasarkan kata-kata lelaki yang melampaui batas itu (Namrud)  قَالَ أَنَا۟ أُحىِۦ وَأُمِيتُ‌ (Dia berkata: Aku (juga) boleh menghidupkan dan mematikan).

Sedia maklum bahawa dia hanya mengatakan perkara tersebut kerana terdesak dalam perdebatan. Seseorang itu, apabila berada dalam keadaan terdesak ketika berhujah, mungkin akan mendakwa perkara-perkara yang jika dia kembali kepada fitrah dirinya, dia sendiri tahu bahawa ia tidak benar. Namun, kesempitan (tekanan) dalam perdebatan itu memaksanya untuk berkata demikian.

6. Bahawasanya kebenaran itu tidak mungkin dapat didebatkan lagi (apabila ia telah terbukti nyata); ini berdasarkan firman Allah فَبُهِتَ الَّذي كَفَرَ (Maka terdiamlah (kelu seribu bahasa) orang yang kafir itu).

7. Sanggahan (رد) terhadap golongan Qadariyyah; ini berdasarkan firman Allah وَاللَهُ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ (Dan Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim). Hal ini kerana mereka (golongan Qadariyyah) berpendapat bahawa manusia itu bebas secara mutlak: dia mendapat hidayah atas usahanya sendiri, dan dia sesat juga atas usahanya sendiri. Sedangkan ayat ini sangat jelas menunjukkan bahawa hidayah itu di tangan Allah.

 

Allahu a’lam. Sambung kepada ayat yang seterusnya

Kemaskini: 11 Mei 2026

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Dorar.net

Tafsir Surah Baqarah Ayat 257 (Mahu Wali yang Mana?)

Baqarah Ayat 257:

اللَهُ وَلِيُّ الَّذينَ ءآمَنوا يُخرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمٰتِ إِلَى النّورِ ۖ وَالَّذينَ كَفَروٓا أَولِياؤُهُمُ الطّٰغوتُ يُخرِجونَهُم مِّنَ النّورِ إِلَى الظُّلُمٰتِ ۗ أُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ ۖ هُم فيها خٰلِدونَ

SAHIH INTERNATIONAL
Allah is the ally of those who believe. He brings them out from darknesses into the light. And those who disbelieve – their allies are Taghut. They take them out of the light into darknesses. Those are the companions of the Fire; they will abide eternally therein.

MALAY
Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

 

اللَهُ وَلِيُّ الَّذينَ ءآمَنوا

Allah Pelindung orang-orang yang beriman.

Apabila seseorang itu telah berpegang dengan akidah tauhid, sudah betul-betul beriman, tidak menyembah dan memuja taghut dan tidak melakukan syirik, maka Allah ‎ﷻ akan menjadi wali (pelindung) kepada orang yang beriman itu. Ini adalah sesuatu yang kita amat-amat harapkan. Ia mengajar kita bahawa untuk mendapat perlindungan Allah ﷻ adalah dengan beriman yang sebenarnya. Kalau Allah ﷻ yang menjadi pelindung kita, tentulah kita akan selamat.

Di sini kita berjumpa istilah ‘wali’. Ia ada banyak maksud. Ia berasal daripada kata dasar: و ل ي yang bermaksud rapat; dekat; ikut; berpaling; jalan belok; menjalankan; berada dalam kuasa; mengambil sebagai kawan; melindungi; mempertahankan; membuat kawan; penolong; sekutu; pengganti; penjaga; pewaris; pembela; warisan; penaung; tuan; pemilik; pelindung; dermawan; pelanggan; tempat tumpuan. Dari sini ia menjadi banyak maksud:

1. Wali-wali Allah (أولياء الله)

Ini adalah penggunaan yang paling agung dan utama. Wali Allah merujuk kepada kekasih-kekasih Allah, iaitu orang-orang yang beriman, bertaqwa, dan sentiasa dekat dengan Allah ﷻ melalui ketaatan dan ibadah mereka. Allah ﷻ berfirman dalam Yunus:62-63,

أَلَآ إِنَّ أَوۡلِيَآءَ ٱللَّهِ لَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ (٦٢) ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَڪَانُواْ يَتَّقُونَ (٦٣)
Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (62) (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. (63)

Melalui ayat ini kita dapat tahu ciri-ciri Wali Allah:

    • Iman yang Kuat: Memiliki akidah yang benar dan teguh.
    • Taqwa yang Berterusan: Sentiasa melaksanakan perintah Allah ﷻ dan menjauhi larangan-Nya.
    • Ibadah yang Konsisten: Rajin melakukan ibadah fardu dan memperbanyakkan ibadah sunat.
    • Akhlak Mulia: Memiliki sifat-sifat terpuji dan menjauhi akhlak tercela.

Akan tetapi istilah ini telah disalahgunakan sudah lama oleh golongan yang keliru. Wali Allah tidak semestinya seorang yang mempunyai “keramat” atau kebolehan luar biasa, tetapi fokus utamanya adalah pada ketaqwaan dan kedekatan mereka dengan Allah ﷻ. Namun kebanyakan golongan seperti ahli sufi, tarekat, habib dan umat Islam secara umumnya telah melantik dengan sesuka hati orang-orang yang mereka anggap ‘wali’. Siapa yang beri mandat wali itu pun kita tidak tahu lah. Sampaikan kuburan ‘wali’ ini dihias, dipuja, dikerumuni dan dibuat berbagai-bagai ibadah yang bid’ah. Malah ada yang perasan dan mengaku wali kepada anak murid mereka yang bodoh dan sedang ditipu. Malah golongan ini tidak habis-habis bercerita kehebatan wali itu dan ini. Wali itu boleh terbang, boleh tahu isi hati orang, buat itu dan ini, sampai ke tahap kartun pun ada. Jadi ini adalah salah faham golongan yang telah lama jauh daripada ilmu wahyu tetapi banyak mendapat ilmu khayalan daripada guru-guru mereka.

Kalau kita tidak faham bab wali ini, maka semakin ramailah yang akan tertipu dengan ajaran golongan yang sesat dan keliru. Sampaikan orang gila pun mereka lantik sebagai wali. Mereka reka pula istilah “Wali Majzub” (ولي مجذوب) yang kononnya merujuk kepada seorang wali Allah yang berada dalam keadaan spiritual yang sangat mendalam dan kuat, sehingga tingkah laku dan tutur katanya mungkin kelihatan tidak normal atau di luar kebiasaan orang awam. Habis, takkan hendak ikut orang sebegitu? Adakah kita kena menjadi gila beramai-ramai?

Apabila mati golongan yang dianggap sebagai wali ini, puak-puak sesat ini akan kerumun kubur mereka. Bila berdoa, mereka berdoa kepada wali yang telah mati di dalam kubur itu sebagai wasilah untuk sampaikan doa kepada Allah ﷻ. Yang untung adalah penjaga kubur itu sebab orang bodoh akan menabur duit di kubur itu sebagai upah kepada wali yang sampaikan doa kepada Allah ﷻ. Siapa yang kutip? Tentulah penjaga kubur itu. Jadi ia sudah menjadi satu industri yang menguntungkan sesetengah pihak. Mereka akan mengadakan pelbagi kisah untuk menaikkan nama kuburan dan wali itu. Kononnya orang itu dapat ini dan itu setelah berdoa di kuburan wali itu. Kadangkala bau kubur itu wangi padahal penjaga kubur yang meletakkan minyak wangi. Memang golongan jahil mudah ditipu. Ubatnya adalah belajar agama yang benar. Namun malangnya, asatizah yang mengajar ajaran yang benar daripada wahyu pula yang ditahan daripada mendapat tauliah dan apabila mengajar ditangkap pula. Agaknya yang jadi pegawai di Jabatan Agama pun tidak pandai rasanya.

Kalau pun memang benar ada kubur yang baunya wangi, ia adalah kelebihan bagi penghuni kubur itu. Bukanlah kubur wangi kita pergi ambil pula tanah kubur itu dan ambil berkat pula. Pelik-pelik orang kita dari dulu sampai sekarang. Sampaikan waris si mati sudah terpaksa memasang pagar pula dan membuat rondaan untuk mengelakkan daripada puak-puak jahil sesat ini buat sesuatu dengan kubur itu.

Jangan kita mengikut puak Habib yang sesat itu. Mereka sampai boleh buat perniagaan jual tanah kubur tok wali mereka pula. Jadi perbuatan mengambil tanah yang dikatakan wangi itu hendaklah dihentikan. Tidak ada kelebihan apa-apa bagi tanah kubur itu. Yang sepatutnya kalau orang yang mati itu ada kebaikan, maka diikuti apa yang dilakukannya.

 

2. Wali Nikah (ولي النكاح)

Ini adalah penggunaan dalam konteks fiqh (hukum Islam) berkaitan perkahwinan. Wali Nikah merujuk kepada penjaga atau pihak yang memiliki hak dan tanggungjawab untuk menikahkan seorang wanita. Tanpa wali yang sah, pernikahan seorang wanita (kecuali dalam keadaan tertentu yang dibenarkan syarak seperti wali hakim) adalah tidak sah.

 

3. Wali Amri (ولي الأمر)

Wali Amri atau Ulil Amri merujuk kepada pihak yang memiliki kekuasaan dan autoriti dalam urusan kenegaraan atau kepemimpinan. Ini termasuklah:

    • Pemerintah/Penguasa: Raja, Sultan, Presiden, atau Perdana Menteri yang sah. Di negara Malaysia tidaklah digunakan istilah wali bagi pemimpin, tetapi di Indonesia ada sahaja digunakan.
    • Ulama/Pakar: Para ulama atau cendekiawan yang memiliki ilmu dan autoriti dalam bidang keagamaan atau kepakaran tertentu yang dirujuk oleh masyarakat. Ketaatan kepada Ulil Amri adalah wajib dalam perkara yang tidak bertentangan dengan syariat Allah ﷻ.

 

4. Wali Ad-Dam (ولي الدم)

Ini mungkin jarang dengar sebab kita tidak mengamalkan Hukum Syariat Islam. Wali Ad-Dam bermaksud penjaga atau ahli waris mangsa pembunuhan. Dam itu bermaksud ‘darah’. Mereka adalah pihak yang memiliki hak untuk menuntut qisas (hukuman balasan) atau memaafkan pembunuh dan menerima diyat (denda) dalam kes pembunuhan. Hak ini biasanya diberikan kepada waris terdekat mangsa. Kita telah bincangkan tentang Qisas di dalam Baqarah: 178

فَمَن عُفِىَ لَهُ ۥ مِن أَخِيهِ شَىءٌ فَٱتِّبَاعُۢ بِٱلمَعرُوفِ وَأَدَآءٌ إِلَيهِ بِإِحسَـٰنٍ۬‌
Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya

 

5. Wali Mal (ولي المال)

Ini juga mungkin jarang dengar. Wali Mal merujuk kepada penjaga harta. Ini adalah individu yang diamanahkan untuk menguruskan harta milik orang lain yang tidak mampu menguruskan hartanya sendiri, seperti:

    • Anak yatim: Wali yang menguruskan harta anak yatim sehingga mereka mencapai usia baligh dan mampu menguruskan harta sendiri.
    • Orang kurang upaya akal: Wali yang menguruskan harta individu yang tidak sempurna akalnya.
    • Orang gila: Wali yang menguruskan harta orang yang hilang kewarasan.

 

6. Allah ﷻ Pelindung dan Penolong (المتولي أمور خلقه)

Inilah yang dimaksudkan di dalam ayat ini. Allah ﷻ adalah Pelindung mutlak bagi hamba-hamba-Nya yang beriman. Dia menjaga, memelihara, dan menolong mereka daripada segala keburukan dan kesulitan. Ini adalah perlindungan yang menyeluruh, merangkumi urusan dunia dan akhirat.

 

7. Mukmin menjadi wali bagi mukmin yang lain: “Awliya’u Ba’dhin” (أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ)

Mereka menjadi pelindung satu sama lain. Ini bermakna mereka saling melindungi daripada keburukan dan bahaya. Mereka saling membantu dan menyokong dalam kebaikan. Mereka juga mempunyai ikatan persahabatan dan kasih sayang yang tulus. Mereka berpihak kepada kebenaran dan keadilan apabila melibatkan sesama mukmin. Dalilnya seperti firman Allah ﷻ di dalam Tawbah: 71

وَالمُؤمِنونَ وَالمُؤمِنٰتُ بَعضُهُم أَولِياءُ بَعضٍ ۚ يَأمُرونَ بِالمَعروفِ وَيَنهَونَ عَنِ المُنكَرِ وَيُقيمونَ الصَّلَوٰةَ وَيُؤتونَ الزَّكَوٰةَ وَيُطيعونَ اللَّهَ وَرَسولَهُ ۚ أُولٰئِكَ سَيَرحَمُهُمُ اللَّهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ
Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Disebut lagi di dalam Anfal: 72 tentang mereka,

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَهاجَروا وَجٰهَدوا بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم في سَبيلِ اللَّهِ وَالَّذينَ ءآوَوا وَّنَصَروا أُولٰئِكَ بَعضُهُم أَولِياءُ بَعضٍ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta dan jiwanya pada jalan Allah dan orang-orang yang memberikan tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang muhajirin), mereka itu satu sama lain lindung-melindungi. 

 

8. Wali-wali syaitan أَوْلِيَاءَ الشَّيْطَانِ

Sebagaimana ada Wali Allah (kekasih dan pelindung Allah ﷻ), ada juga kebalikannya, iaitu Wali Syaitan (أولياء الشيطان). Istilah ini merujuk kepada orang-orang yang menjadi pengikut, sekutu, atau kekasih syaitan, yang berada di bawah pengaruh dan pimpinan syaitan. Dalilnya adalah ayat seperti Nisa’:76 

الَّذِينَ آمَنُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۖ وَالَّذِينَ كَفَرُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ الطَّاغُوتِ ۖ فَقَاتِلُوا أَوْلِيَاءَ الشَّيْطَانِ ۖ إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفًا
“Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir berperang di jalan Thaghut. Maka perangilah sekutu-sekutu (wali-wali) syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.”

 

يُخرِجُهُم مِنَ الظُّلُمٰتِ إِلَى النّورِ

Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kufur) kepada cahaya.

Kelebihan kalau mendapat Allah ‎ﷻ sebagai pelindung adalah, Dia akan mengeluarkan orang yang beriman itu daripada segala kegelapan jenis kegelapan kepada cahaya kebenaran terutama sekali tauhid. Maka mereka tidak lagi akan melakukan perkara-perkara syirik dan khurafat. Kalimah yang digunakan adalah يُخرِجُ di dalam bentuk fi’il mudhari’ yang bermakna ia berterusan.

Jenis kegelapan (الظُّلُمَاتِ) yang dimaksudkan dalam ayat ini bukanlah kegelapan fizikal, tetapi adalah kegelapan spiritual, intelektual, dan moral. Ia merangkumi pelbagai bentuk kesesatan dan keburukan yang berlawanan dengan cahaya keimanan dan kebenaran. Jika Allah ﷻ menjadi wali, maka Allah ﷻ akan pelihara daripada kegelapan-kegelapan ini. Berikut adalah beberapa jenis kegelapan yang dimaksudkan:

1. Kegelapan Kekufuran dan Kesyirikan

    • Ini adalah kegelapan utama yang disebut dalam ayat tersebut. Orang-orang yang kafir, hatinya gelap daripada kebenaran tauhid. Mereka menyembah selain Allah ﷻ, tidak percaya kepada-Nya, atau menyekutukan-Nya.
    • Cahaya (النُّورِ – an-nūr) yang berlawanan dengannya adalah cahaya iman kepada Allah ﷻ yang Maha Esa.

2. Kegelapan Kebodohan (Kejahilan)

    • Kegelapan ini adalah akibat daripada tiadanya ilmu dan petunjuk Ilahi. Orang yang berada dalam kejahilan tidak tahu mana yang benar dan mana yang salah, hidup tanpa arah, dan tidak mengenal Penciptanya. Ini masalah yang banyak terjadi dengan masyarakat kita. Sampaikan mudah sahaja ditipu dengan syaitan, dengan guru yang sesat, dengan penipu-penipu dalam agama.
    • Cahaya yang berlawanan dengannya adalah ilmu dan petunjuk daripada Al-Qur’an dan Sunnah. Maka hendaklah meluangkan masa untuk belajar agama dengan berpandukan kepada Al-Qur’an dan Sunnah.

3. Kegelapan Maksiat dan Dosa

    • Setiap dosa dan maksiat yang dilakukan akan meninggalkan noda hitam di hati, menjadikan hati itu gelap dan jauh daripada kebaikan. Semakin banyak dosa, semakin gelap hati seseorang. Dalilnya hadith yang mengatakan setiap kali kita buat dosa, Allah ﷻ akan berikan titik hitam pada hati pelaku dosa itu.
    • Cahaya yang berlawanan dengannya adalah ketaatan kepada Allah ﷻ, bertaubat, dan beramal soleh.

4. Kegelapan Keraguan dan Syak Wasangka

    • Apabila seseorang ragu-ragu tentang kebenaran Islam, tentang Allah ﷻ, atau tentang Hari Akhirat, hatinya akan berada dalam kegelapan yang tidak menentu, tanpa keyakinan yang kukuh.
    • Cahaya yang berlawanan dengannya adalah keyakinan (yaqin) yang teguh dan kejelasan hujah.

5. Kegelapan Kezaliman dan Ketidakadilan

    • Menzalimi diri sendiri dengan syirik dan maksiat, atau menzalimi orang lain dengan perbuatan tidak adil, akan membawa kepada kegelapan di dunia dan akhirat.
    • Cahaya yang berlawanan dengannya adalah keadilan, kebenaran, dan ihsan.

Digunakan perumpamaan cahaya di sini untuk mengajar kita bahawa sepertimana kita memerlukan cahaya untuk melihat jalan di dalam kegelapan, maka untuk melihat kebenaran juga memerlukan cahaya. Barulah tidak senang tertipu kerana ada banyak kesesatan dalam dunia ini. Walaupun agamanya Islam, tapi manusia berpecah kepada banyak firqah (kumpulan fahaman). Kalau tidak mendapat bimbingan dan petunjuk daripada Allah ﷻ tentulah kita boleh terkeliru dan terikut kumpulan yang sesat. Dalil perpecahan umat Islam adalah hadith yang masyhur,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لَيَأْتِيَنَّ عَلَى أُمَّتِي مَا أَتَى عَلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ حَذْوَ النَّعْلِ بِالنَّعْلِ، حَتَّى إِنْ كَانَ مِنْهُمْ مَنْ أَتَى أُمَّهُ عَلَانِيَةً لَكَانَ فِي أُمَّتِي مَنْ يَصْنَعُ ذَلِكَ، وَإِنَّ بَنِي إِسْرَائِيلَ تَفَرَّقَتْ عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ مِلَّةً، وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ مِلَّةً كُلُّهُمْ فِي النَّارِ إِلَّا مِلَّةً وَاحِدَةً» قَالُوا: وَمَنْ هِيَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: «مَا أَنَا عَلَيْهِ الْيَوْمَ وَأَصْحَابِي»
Daripada Abdullah bin Amr رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, dia berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Sungguh akan menimpa umatku apa yang telah menimpa Bani Israil, sama seperti anak panah dengan anak panah, hingga seandainya di antara mereka (Bani Israil) ada yang menzinai ibunya secara terang-terangan, nescaya akan ada di antara umatku yang melakukan hal itu. Dan sesungguhnya Bani Israil telah berpecah kepada tujuh puluh dua agama (milah), dan umatku akan berpecah kepada tujuh puluh tiga agama (milah), semuanya di neraka kecuali satu golongan.” Para sahabat bertanya: “Siapakah golongan itu, wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Apa yang aku dan para sahabatku berada di atasnya pada hari ini.”

    • Diriwayatkan oleh: Imam At-Tirmidzi (dalam Sunannya, Kitab Al-Iman, Hadith No. 2641, dengan lafaz yang agak serupa), Imam Abu Dawud (dalam Sunannya, Kitab As-Sunnah, Hadith No. 4597), Ibnu Majah (dalam Sunannya, Muqaddimah, Hadith No. 3991), dan Imam Ahmad (dalam Musnadnya).
    • Status: Hadis ini dinilai Hasan oleh At-Tirmidzi dan Sahih oleh Syeikh Al-Albani dalam Silsilah Al-Ahadith As-Sahihah (No. 203) serta dalam Sahih Sunan At-Tirmidzi dan Sahih Sunan Abi Dawud. Lafaz yang menyebutkan “كلهم في النار إلا ملة واحدة” (semuanya di neraka kecuali satu golongan) dan ciri golongan yang selamat ( “ما أنا عليه اليوم وأصحابي” ) adalah tambahan yang diriwayatkan dalam jalur-jalur lain yang menguatkan hadis asal, dan diterima oleh ulama Ahlus Sunnah.

Perkataan الظُّلُماتِ itu dalam bentuk jamak (plural) yang bermaksud bermacam-macam jenis kegelapan. Lihatlah bagaimana perkataan النّورِ pula dalam bentuk singular – maknanya, kegelapan kufur ada banyak jenis, tetapi cahaya tauhid hanya ada satu sahaja, tidak ada yang lain. Entah berapa kesesatan yang kita sedang lihat sekarang di dalam dunia Islam. Ramai orang bijak pandai pun boleh terkeliru dengan fahaman yang salah dan akhirnya terpesong. Hanya kepada Allah ‎ﷻlah sahaja kita berharap menyelamatkan kita. Kerana itu ada diajar doa meminta Allah ‎ﷻ tunjukkan kebenaran dan tunjukkan kesesatan supaya kita mengelak daripadanya.

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ
“Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu benar, dan berikanlah kami kekuatan untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu batil, dan berikanlah kami kekuatan untuk menjauhinya.”

Nota. Namun, perlu diketahui bahawa doa ini tidak ditemukan dalam kitab-kitab hadith utama dengan sanad yang sahih yang berasal langsung daripada Nabi Muhammad ﷺ. Meskipun begitu, ia sering disebut dan diajarkan oleh para ulama sebagai doa yang maknanya baik dan sesuai dengan ajaran Islam.

Perkataan يُخرِجُ itu adalah dalam bentuk present continuous tense, maksudnya Allah ‎ﷻ akan sentiasa melakukannya. Ini penting kerana walaupun kita telah beriman, namun sekali sekala kita akan ada masalah dengan iman kita kerana iman akan turun dan naik. Tambahan pula dalam zaman sekarang yang banyak gangguan dan pujukan dunia. Kalau ia turun pun, tidaklah ia sampaikan menjadikan orang itu kufur. Maka kalau kita beriman, Allah ‎ﷻ akan sentiasa menyelamatkan kita daripada masalah kita yang sekali sekala akan berlaku. Kita mungkin tersasar sekejap, tetapi Allah ‎ﷻ akan selamatkan kita balik. Allah‎ ﷻ akan tarik kita kembali ke jalan yang benar. Asalkan kita terus beriman dan mahu kepada kebenaran.

Dari segi bahasa, ‘wali’ adalah entiti yang ‘mahu’ melindungi seseorang. Dalam Al-Qur’an juga, ada disebut satu lagi perkataan daripada katadasar yang sama dengan wali, iaitu ‘mawla’. Apakah bezanya?

‘Wali’ bermaksud entiti yang ‘mahu’ melindungi dan menolong, sedangkan ‘mawla’ adalah entiti yang benar-benar boleh melindungi dan menolong. Bapa seorang perempuan juga selalu dikatakan sebagai wali. Ini adalah kerana bapa itu adalah pelindung perempuan itu dan dia memang mahu melindungi anaknya pun. Namun begitu, walaupun dia memang mahu melindungi, tetapi apabila datang sesuatu musibah, adakah setiap kali bapa itu dapat melindungi? Tentu tidak, kerana ada masanya bapanya pun tidak dapat membantu dan melindungi anaknya itu kerana ia adalah di luar kemampuannya, walaupun dia hendak sangat melindungi anaknya itu. Allah ‎ﷻ tidak mengalami masalah ini kerana Allah ‎ﷻ sentiasa sahaja mampu kerana itu Allah ‎ﷻ sahaja mawla.

Kenapa diberi penerangan ini? Kerana dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ memberitahu yang Dia adalah wali kepada orang beriman dan wali kepada orang kafir adalah taghut. Jadi, dua-dua pihak ada wali tetapi nanti dalam surah yang lain, Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa orang-orang beriman ada ‘mawla’, tetapi orang kafir tidak ada ‘mawla’. Jadi, orang beriman akan mendapat kelebihan. Contohnya perhatikan Tawbah:51

قُل لَّن يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَنَا هُوَ مَوْلَانَا ۚ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ
“Katakanlah (Muhammad): ‘Tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami (Mawlānā). Dan hanya kepada Allah sajalah hendaknya orang-orang mukmin bertawakal.'”

 

وَالَّذينَ كَفَروا أَولِياؤُهُمُ الطّٰغوتُ

Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah taghut 

Pelindung mereka mereka yang kafir adalah taghut. Sebenarnya taghut itu tidak dapat melindungi mereka tetapi mereka sahaja yang sangka pelindung mereka adalah taghut itu. Taghut adalah apa sahaja yang menjauhkan manusia daripada Allah ‎ﷻ. Ini kita telah bincangkan di dalam ayat sebelum ini. Yang paling utama adalah syaitan seperti disebut di dalam Ali Imran:175

إِنَّما ذٰلِكُمُ الشَّيطٰنُ يُخَوِّفُ أَولِياءَهُ
Sesungguhnya (pembawa berita) yang demikian itu ialah syaitan yang (bertujuan) menakut-nakutkan (kamu terhadap) pengikut-pengikutnya (kaum kafir musyrik).

Apabila mengambil syaitan sebagai wali (tentunya tanpa sedar) maka syaitan-syaitan itu mengelabui mata mereka sampai menyebabkan mereka sangka apa yang mereka lakukan itu benar. Kerana itulah ramai yang buat perkara yang salah seperti syirik dan bid’ah tapi mereka sangka mereka itu melakukan amalan kebaikan. Allah ‎ﷻ telah berfirman tentang hal ini di dalam A’raf:30

فَريقًا هَدىٰ وَفَريقًا حَقَّ عَلَيهِمُ الضَّلٰلَةُ ۗ إِنَّهُمُ اتَّخَذُوا الشَّيٰطينَ أَولِياءَ مِن دونِ اللَّهِ وَيَحسَبونَ أَنَّهُم مُّهتَدونَ
Sebahagian diberi-Nya petunjuk dan sebahagian lagi telah pasti kesesatan bagi mereka. Sesungguhnya mereka menjadikan syaitan-syaitan pelindung (mereka) selain Allah, dan mereka mengira bahawa mereka mendapat petunjuk.

Dari segi susunan bahasa pun berbeza antara wali orang mukmin dan wali kepada orang kafir. Apabila disebut Allah ‎ﷻ sebagai wali, Allah ‎ﷻ disebut dahulu اللَهُ وَلِيُّ الَّذينَ ءآمَنوا (Allah ‎ﷻ menjadi mubtada’). Namun apabila disebut wali kepada orang kafir, orang kafir itu yang disebut dahulu – taghut itu hanya menjadi khabar sahaja. Tidaklah ia disusun begini: والطّٰغوتُ أَولِياؤُ الَّذينَ كَفَروا. Dalam susunan bahasa Arab, ada perbezaan dalam susunan ini yang tidak dapat difahami kalau kita hanya membaca terjemahan sahaja. Ini memerlukan sedikit pengetahuan tentang bahasa Arab untuk dapat memahaminya. Ini sudah termasuk dalam Ilmu Balaghah (pemahaman lebih dalam melihat daripada bahasa yang digunakan). Ringkasnya ia bermaksud mereka itu tidak layak disusun sama seperti kedudukan Allah ‎ﷻ yang diletakkan di awal ayat. Jikalau ia diletakkan di awal juga, seolah-olah kedudukannya sama pula dengan Allah ‎ﷻ dan tidak tentu tidak patut.

 

يُخرِجونَهُم مِّنَ النّورِ إِلَى الظُّلُمٰتِ

mereka (taghut) mengeluarkan mereka (orang-orang kafir) dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur).

Taghut itu akan mengeluarkan pengikutnya daripada cahaya kepada kegelapan. Kalimah  yang digunakan adalah يُخرِجونَ di dalam bentuk fi’il mudhari’ yang memberi isyarat ia berterusan berlaku sepanjang zaman. Begitulah kadang-kadang manusia ada yang nampak kebenaran Islam, tetapi sekejap sahaja kerana syaitan akan menarik dan mengheret mereka ke dalam kegelapan semula. Bukan orang kafir sahaja ada masalah ini, tetapi orang yang mengaku Muslim pun ada yang mengalami masalah ini. Kalau dia seorang Islam pun, namun kalau dia menjadikan taghut sebagai wali, orang itu akan mengalami masalah ini. Sebab itu kita boleh lihat banyak sekali manusia yang telah dilahirkan dalam keluarga Islam tetapi kehidupan mereka tidak melambangkan agama yang suci ini.

Berdasarkan ayat-ayat Al-Qur’an, ciri-ciri Wali Syaitan adalah kebalikan daripada ciri-ciri Wali Allah:

    1. Kekufuran dan Kesyirikan: Mereka tidak beriman kepada Allah ‎ﷻ dengan keimanan yang benar, dan seringkali terjebak dalam syirik atau penyekutuan Allah ‎ﷻ.
    2. Fasiq dan Maksiat: Mereka cenderung melakukan dosa-dosa besar dan maksiat, serta tidak peduli dengan perintah dan larangan Allah ‎ﷻ.
    3. Mengikuti Hawa Nafsu: Mereka lebih mengutamakan hawa nafsu dan keinginan duniawi daripada petunjuk Allah ‎ﷻ.
    4. Mencegah Kebaikan dan Menganjurkan Kemungkaran: Berbeza dengan orang beriman yang mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, Wali Syaitan melakukan sebaliknya, atau setidaknya tidak peduli dengan hal tersebut.
    5. Bergantung kepada Selain Allah ‎ﷻ: Mereka mencari perlindungan, pertolongan, dan keberuntungan daripada selain Allah ‎ﷻ, termasuk syaitan atau apa yang disembah oleh syaitan.
    6. Memusuhi Kebenaran: Mereka memusuhi kebenaran yang datang daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul-Nya, serta memusuhi orang-orang yang beriman.

Perhatikan ayat ini: mengeluarkan daripada ‘cahaya’ ke arah kegelapan. Adakah ini bermakna mereka itu sudah ada cahaya dahulu? Ya, mungkin mereka itu sudah pernah Muslim akan tetapi kerana tertipu dengan dengan anasir-anasir yang tidak benar, maka mereka telah tertipu dan terkeluar daripada Islam dan murtad. Mereka sudah dapat cahaya, tetapi mereka pilih kegelapan.

Atau ia merujuk kepada setiap manusia itu sudah ada cahaya fitrah di dalam diri mereka. Sejak lahir lagi manusia ada cahaya keimanan akan tetapi manusialah yang memilih jalan kegelapan. Rasulullah ﷺ bersabda,

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ
Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanya lah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.

(Riwayat Bukhari No. 1385)

Ada yang lahir di dalam keluarga kafir tetapi mereka menutup pintu hati mereka daripada kebenaran. Jadi walaupun mereka dengar tentang Islam, tetapi mereka tidak mengkaji Islam itu sampaikan mereka tidak menemui kebenaran. Mereka terus dengar kepada taghut yang terus menyesatkan mereka dan kekal di dalam agama ibu bapa mereka.

Asbabun Nuzul ayat ini: Imam Ibnu Jarir Ath-Thabari dalam tafsirnya Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ayi al-Qur’an (Tafsir Ath-Thabari) menukil riwayat daripada Said bin Jubair (salah seorang tabi’in besar) yang menyatakan bahawa ayat ini turun mengenai dua orang Ansar daripada Bani Harithah. Salah seorang daripada mereka bernama Abu Al-Haytham bin At-Tayyihan. Seorang lagi bernama Abu Habibah bin Al-Az’ar. Kisah ini menyebutkan bahawa Abu Al-Haytham dan Abu Habibah pergi mencari rezeki dan mencari ilmu. Mereka berinteraksi dengan orang-orang Yahudi dan Nasrani. Kedua-duanya pada asalnya adalah penyembah berhala sebelum Islam. Namun, ketika Nabi Muhammad ﷺ datang dan membawa risalah Islam, mereka berdua memeluk Islam. Setelah itu, mereka menjadi sangat bersemangat dalam beribadah dan mengikuti petunjuk Al-Qur’an dan Sunnah.

Menurut riwayat ini:

    • Abu Al-Haytham dan Abu Habibah, yang dulunya berada dalam kegelapan syirik (penyembahan berhala) dan kejahilan, telah dikeluarkan oleh Allah ‎ﷻ kepada cahaya Islam melalui petunjuk Al-Qur’an dan Nabi Muhammad ﷺ.
    • Manakala orang-orang Yahudi dan Nasrani yang pada asalnya memiliki sedikit “cahaya” daripada kitab-kitab mereka (Taurat dan Injil) dan pengenalan terhadap ketuhanan, tetapi kemudian menolak kenabian Muhammad ﷺ dan terperangkap dalam kesesatan syirik dan penyelewengan (seperti yang dilakukan oleh sebahagian Yahudi dan Nasrani yang menyeleweng), telah dikeluarkan oleh thaghut (syaitan dan nafsu mereka) daripada cahaya yang mereka miliki menuju kegelapan yang lebih pekat.

 

أُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ

Mereka itulah ahli-ahli neraka,

Akhirnya mereka akan masuk ke dalam neraka. Mereka dapat ‘geran’ neraka. Digunakan istilah ini kerana الصحابي bermaksud لازم. Maksud لازم adalah sentiasa ada bersama dan tidak berpisah. Kerana itulah kawan baik kita disebut sahabat kerana sentiasa ada bersama kita.

 

هُم فيها خٰلِدونَ

mereka kekal di dalamnya.

Sekarang disebut dengan pasti yang mereka akan kekal dalam neraka. Mereka akan pegang geran neraka itu dan kekal di dalamnya. Mereka tidak akan keluar sampai bila-bila. Ini adalah satu nasib yang amat-amat malang sekali. Semoga kita diselamatkan daripada neraka. Maka janganlah kita melakukan sesuatu yang menyebabkan kita boleh kekal di dalamnya.

Sekian Ruku’ 34 daripada 40 surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung kepada ayat yang seterusnya

Kemaskini: 30 Jun 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah