Tafsir Surah Balad Ayat 5 – 10 (Manusia ada pilihan)

Ayat 5: Ayat 5 – 10 adalah Perenggan Makro Kedua. Allah ﷻ memberitahu yang manusia ada pilihan untuk jadi orang yang pemurah atau orang yang bakhil.

Dalam ayat 5 ini, Allah ﷻ menegur orang yang degil: apakah mereka menyangka tidak ada yang berkuasa atas mereka dan mereka bebas buat apa sahaja?

أَيَحسَبُ أَن لَن يَقدِرَ عَلَيهِ أَحَدٌ

Sahih International

Does he think that never will anyone overcome him?

Malay

Adakah manusia menyangka bahawa tidak ada sesiapa pun yang dapat mengatasinya?

 

Ada banyak manusia yang sangka tiada siapa pun boleh mengatasinya termasuklah Tuhan sendiri pun. Ini apabila mereka berasa mereka ada kuasa dan kekayaan. Mereka rasa mereka boleh buat apa sahaja yang mereka hendak. Mereka lupa dan tidak ambil peduli tentang Tuhan dan orang lain. Mereka rasa mereka boleh buat apa sahaja yang mereka hendak. Mereka rasa mereka boleh tindas orang lain, ambil apa yang mereka hendak dan sebagainya.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ menceritakan sifat buruk manusia. Manusia memang selalu lupa diri kalau Allah ﷻ telah beri kedudukan kepadanya. Ataupun apabila Allah ﷻ telah beri kekayaan dan kesenangan kepadanya. Mereka mula rasa mereka ada kuasa dan mereka boleh melakukan apa sahaja. Mereka terlupa yang segala apa yang mereka lakukan adalah tertakluk dengan qadar Allah ﷻ.

Manusia ramai yang tidak faham dan tidak ambil peduli dengan qada’ dan qadar Allah ﷻ. Mungkin dahulu semasa mereka susah, mereka selalu berdoa kepada Allah ﷻ untuk mendapatkan sesuatu. Tetapi kalau mereka sudah senang, dan ada kuasa, mereka lupa kepada Allah ﷻ dalam hal qada’ dan qadar.

Mereka sangka apa yang mereka dapat itu adalah hasil dari usaha dan kepandaian mereka menguruskan sesuatu sahaja. Padahal, kalau Allah ﷻ tidak benarkan dan Allah ﷻ tidak tolong usahanya itu, usahanya itu langsung tidak memberi bekas sebenarnya.


 

Ayat 6: 

يَقولُ أَهلَكتُ مالًا لُبَدًا

Sahih International

He says, “I have spent wealth in abundance.”

Malay

Manusia berkata: “Aku telah habiskan harta benda yang banyak

 

Perkataan ‘lubad’ bermaksud banyak sangat, sampai bertimbun-timbun. Yang berkata begitu adalah mereka yang rasa mereka boleh buat sahaja seperti yang disebut dalam ayat sebelum ini.

1. Manusia yang dijadikan contoh di dalam ayat ini membanggakan diri dengan bercerita yang dia sudah banyak mengeluarkan harta untuk beli itu dan ini, menunjukkan dia kaya sangat. “Aku buat rumah ini kosnya dua juta”, “Aku beli beg ini di Itali, harga 20 ribu, tau!” dan sebagainya.

Dia suka bercerita kepada orang lain tentang wang yang dibelanjakannya. Tujuannya untuk memberitahu yang dia ada duit yang banyak. Dia hendak menunjuk-nunjuk. Yang dia tunjukkan adalah dia telah menghabiskan wang yang banyak untuk memuaskan nafsunya.

2. Dia juga hendak  memberitahu yang kejayaan yang dicapainya itu didapati dengan membelanjakan wang yang banyak. Iaitu mereka telah keluarkan modal yang banyak untuk mendapatkan keuntungan yang mereka sedang kecapi sekarang. Jadi, mereka hendak kata yang mereka layaklah untuk dapat segala kelebihan itu.

3. Dia juga sangka dengan duit yang banyak itu boleh menyelamatkan dia. Dia pun kata yang dia sudah derma banyak duit kepada orang, kepada masjid, kepada persatuan itu dan ini. Dia sangka, dia akan selamat di dunia dan akhirat dengan sumbangannya itu.

Tetapi, dia lupa atau dia tidak tahu yang kalau sumbangan tidak ikhlas, tidak diterima dan tidak ada pahala pun. Maka kalau hanya beri sumbangan sahaja tanpa dia buat amalan yang wajib, pun tidak selamat juga.

4. Dia sangka, untuk mendapatkan pujian dan sanjungan dari orang lain, dia kena habiskan duit yang banyak. Mereka mengharapkan pandangan tinggi orang terhadap mereka sahaja. Mereka rasa kalau mereka tidak kaya atau berkuasa, orang tidak hormat mereka. Jadi, untuk dihormati, mereka rasa yang mereka kena belanjakan harta mereka.

Mereka ini adalah orang-orang yang tertipu dengan dunia. Allah ﷻ sedang menceritakan karektor-karektor manusia dalam surah ini.

5. Musyrikin Mekah ada yang menghabiskan wang mereka untuk menentang Nabi Muhammad ﷺ. Mereka berbangga kerana keluarkan harta untuk lawan Nabi ﷺ. Dan mereka juga ada belanja harta untuk puja selain Allah ﷻ.

Begitulah puak syirik memang gunakan banyak duit dalam amalan syirik mereka. Kerana yang mengajar amalan itu selalunya buat begitu kerana untuk dapat duit dari orang yang jahil. Ada tok guru yang reka amalan dan kalau nak dapat amalan ‘rahsia’ itu, kena bayar dulu.

Maka golongan musyrik yang sudah kena tipu itu akan berhabis harta tetapi bukan untuk agama Allah ﷻ. Allah ﷻ hendak beritahu apa yang mereka lakukan itu adalah salah dan akan menjerumuskan mereka kepada neraka. Duit yang mereka banggakan telah dibelanjakan itu bukannya akan menyelamatkan mereka, tetapi sebaliknya akan memasukkan mereka ke dalam neraka.


 

Ayat 7: Adakah mereka sangka mereka dijadikan begitu sahaja, tidak ada tanggungjawab? Tidak, Allah ﷻ jadikan mereka kerana ada tujuan. Kalau tidak sempurnakan tujuan hidup dia, dia akan diseksa. Kalau penuhi tanggungjawab, Allah ﷻ akan beri nikmat. Maka sekarang Allah ﷻ ingatkan yang Dia sentiasa memerhati apa yang manusia lakukan.

أَيَحسَبُ أَن لَم يَرَهُ أَحَدٌ

Sahih International

Does he think that no one has seen him?

Malay

Adakah dia menyangka bahawa tidak ada sesiapapun yang melihatnya?

 

Kita sebagai manusia selalunya akan lupa yang kita dalam pengawasan Allah ﷻ. Allah ﷻ sebenarnya sentiasa melihat kita dan apa yang kita lakukan dengan harta kita dan masa kita. Ada yang digunakan untuk kebaikan dan ada yang digunakan untuk keburukan. Ada juga yang menggunakan harta dan masa mereka untuk menentang Islam dan Allah ﷻ  memberitahu dalam ayat ini yang Allah ﷻ sedang melihat segala perbuatan itu.

Dalam ayat sebelum ini, diceritakan bagaimana manusia membelanjakan harta mereka untuk keburukan dan perkara yang sia-sia. Adakah mereka sangka yang mereka tidak diawasi? Adakah mereka sangka mereka tidak dilihat semasa mereka membelanjakan harta mereka itu?

Allah ﷻ sentiasa sahaja melihat bagaimana cara mereka menghabiskan wang mereka. Jadi, ayat ini mengajar kita untuk berhati-hati dalam membelanjakan harta kita. Sama ada kita gunakan untuk keburukan atau perkara yang sia-sia. Semua yang kita belanjakan itu akan direkodkan.

Allah ﷻ juga melihat perbuatan baik yang manusia lakukan. Oleh  itu, carilah segala peluang untuk beramal kebaikan. Buatlah sesuatu yang baik yang dalam kemampuan kita. Jangan terhadkan kepada sesuatu perkara sahaja. Sebagai contoh, bukan semua boleh mengajar agama. Oleh itu, jangan sangka yang menjadi seorang pendakwah, kena jadi seorang yang pandai mengajar sahaja, ada lagi yang kita boleh buat untuk mengembangkan agama Islam ini selain dari mengajar. Sebagai contoh, boleh infakkan harta untuk mereka yang berdakwah. Yang penting, buatlah apa yang termampu.

Bukanlah semua amal itu dalam perkara ibadah sahaja. Segala bahagian kehidupan kita tertakluk kepada agama, dan bukan hanya dalam perkara-perkara solat, puasa sahaja. Sebagai contoh, pekerjaan yang kita lakukan setiap hari juga bergantung kepada niat. Untuk apakah kita buat sesuatu? Adakah kita hanya bekerja untuk mencari wang sahaja ataukah kita bekerja untuk menyara kehidupan keluarga kita?

Adakah kita sangka Allah ﷻ jadikan kita begitu sahaja, tanpa diawasi? Oleh itu, kita sepatutnya sentiasa rasa yang kita sedang dalam pengawasan Allah ﷻ setiap masa. Kalau kita faham dan yakin perkara ini, kita tidak berani untuk melakukan perkara dosa dan maksiat.

Dan perasaan ini boleh dipupuk dalam solat. Dalam solat, kita sepatutnya khusyuk dan menyedari yang Allah ﷻ sedang memerhatikan setiap gerak geri dan hati kita. Latih diri semasa dalam solat itu untuk sedar yang Allah sedang memerhatikan kita solat.

Kemudian, bila perasaan itu sudah kuat semasa solat, maka perasaan itu dibawa ke luar solat supaya kita sedar tentang pengawasan Allah ﷻ itu. Supaya kita sedar yang Allah ﷻ sedang melihat kita sebenarnya.


 

Ayat 8: Allah ﷻ terus sambung menegur mereka yang berpaling dari agama. Mata bukan jadi sendiri tetapi Allah ﷻ yang jadikan. 

أَلَم نَجعَل لَّهُ ۥ عَينَينِ

Sahih International

Have We not made for him two eyes?

Malay

Tidakkah Kami telah menjadikan baginya: dua mata

 

Ini adalah kesinambungan dari ayat sebelum ini yang menceritakan bagaimana Allah ﷻ sedang melihat kita. Kalau Allah ﷻ yang telah menjadikan bagi kita mata ini, tidakkah Dia juga boleh melihat apa yang kita lakukan? Tentulah penglihatan Allah ﷻ lebih lagi daripada penglihatan kita.

Dalam masa yang sama, ayat ini mengingatkan kita untuk mengingati nikmat mata dan penglihatan yang Allah ﷻ telah beri kepada kita. Mata itu bukan terjadi sendiri tetapi Allah ﷻ yang jadikan. Duit yang banyak pun tidak dapat membayar harga mata itu. Amal ibadat yang banyak pun tidak dapat membalas nikmat sebelah mata pun.

Mata yang Allah ﷻ berikan ini adalah ujian kepada kita. Allah ﷻ sedang melihat dan menilai sama ada kita gunakan mata itu untuk kebaikan. Maka gunakanlah nikmat mata dan penglihatan ini dengan sebaik-baiknya. Kerana nanti Allah ﷻ akan tanya, Dia telah berikan mata kepada kita, untuk apakah kita gunakan mata itu? Adakah kita gunakan untuk kebaikan atau keburukan? Adakah kita gunakan untuk melihat perkara maksiat, atau kita gunakan untuk melihat tanda-tanda kewujudan Allah ﷻ dalam dunia ini?

Ingatlah bahawa mata itu adalah pemberian dari Allah ﷻ untuk memudahkan kita mendapat ilmu, terutama sekali ilmu agama. Kita gunakan mata ini untuk belajar dan untuk membaca ilmu pengetahuan agama, baca Al-Qur’an dan baca hadis dan sebagainya.

Dengan mata itu kita boleh melihat alam ini yang Allah ﷻ telah jadikan sebagai tanda. Dengan mata ini juga kita boleh melihat dunia ini dan segala perjalanannya. Tujuannya adalah untuk kita ambil pengajaran dari apa yang kita lihat itu.

Mata adalah salah satu dari alat ilmu selain daripada telinga. Dengan alat-alat ilmu ini, kita boleh memilih sama ada untuk pilih dan duduk di atas jalan kebaikan atau jalan keburukan. Kita sendiri boleh pilih sama ada hendak ambil jalan Iman atau jalan Kufur. Kita juga kena pilih antara Iman atau Kemunafikan. Pilih Tauhid atau pilih Syirik? Pilih Sunnah atau Bidaah? Tepuk dada dan tanya iman.


 

 Ayat 9: Allah ﷻ yang jadikan mata itu dan juga bibir kita.

وَلِسانًا وَشَفَتَينِ

Sahih International

And a tongue and two lips?

Malay

Dan lidah serta dua bibir?

 

Allah ﷻ juga mengingatkan kita yang Dia telah memberi kita lidah dan bibir. Ianya tidak terjadi sendiri tetapi Allah ﷻ yang beri nikmat ini kepada kita.

Lidah dan bibir memberi isyarat kepada percakapan kita. Adakah lidah dan bibir itu digunakan untuk kebaikan atau keburukan? Maknanya, ingatlah bahawa lisan kita ini pun adalah ujian kepada kita. Kalau kita gunakan untuk kata perkataan yang salah, kita akan ditanya dan akan diazab kerananya.

Malangnya, ramai yang menyalahgunakan lidah dan bibir mereka. Dengan lidah itulah mereka membangga-banggakan diri mereka tentang apa yang mereka lakukan dengan harta benda mereka. Dengan lidah itu juga mereka mengajar perkara-perkara yang salah dalam kehidupan dan dalam agama; ada yang mengajar untuk mencuri; ada juga yang mengajar perkara-perkara bidaah dan syirik kepada anak murid. Semua itu perkara yang salah belaka.

Ada yang buat onar dengan lidah mereka. Mereka bercakap perkara-perkara yang mendatang dosa; mentohmah orang lain; mengadu domba; menipu; jadi saksi palsu; menyanyi dan bermain musik; dan macam-macam lagi.

Lihatlah bagaimana Allah ﷻ bukan sahaja beri lidah kepada kita, tetapi Allah ﷻ beri bibir kepada kita. Dengan bibir itulah sepatutnya digunakan untuk menjaga lidah. Dalam hadis dikatakan bibir itu untuk menjaga mulut kita. Mulut kita tidaklah sentiasa ternganga sahaja. Ia ada bibir untuk bagi senyap.

Pepatah Arab ada mengatakan: من كثر كلامه كثر خطؤه (Sesiapa yang banyak kata-kata, maka banyaklah salahnya).

Maka dengan bibir itu Kita kena kawal lidah kita dari bercakap perkara-perkara yang tidak baik. Jaga lidah dari bercakap perkara yang salah. Kalau tidak ada perkara baik yang kita boleh cakap, maka baik kita katup mulut kita dengan bibir kita. Banyak masalah akan selesai kalau kita buat senyap sahaja. Kerana kalau bercakap, akan selalu cakap perkara yang salah sahaja, bukan? Allah ﷻ berikan kita mulut dan Allah ﷻ berikan juga bibir untuk menutupnya.

Ingatlah bahawa dengan lidah ini dapat kita menyampaikan ilmu pengetahuan kepada orang ramai. Bayangkan kalau kita tidak ada suara, bagaimana kita hendak mengajar orang lain? Tidaklah mustahil, tapi tentu susah.

Bayangkan dengan lidah ini mudah untuk kita berkata-kata. Lihatlah bagaimana payahnya seorang yang menggunakan bahasa isyarat itu – tidakkah susah payah dia menggerakkan tangannya ke sana dan ke sini? Sedangkan dengan lidah dan bibir yang Allah ﷻ berikan ini, senang sahaja untuk kita berkata-kata. Dan lebih banyak maklumat boleh sampai.


 

Ayat 10: Allah ﷻ beri pilihan baik dan buruk untuk manusia pilih. Sama ada hendak duduk dalam kehidupan dunia yang leka atau peka dalam agama. Boleh pilih mana makanan dan mana racun. Boleh pilih mana jalan agama yang baik dan mana jalan yang buruk. Untuk agama, Allah ﷻ telah berikan wahyu dan panduan untuk kita boleh buat pilihan yang baik. Tidaklah Allah ﷻ biarkan kita begitu sahaja.

وَهَدَينَـٰهُ ٱلنَّجدَينِ

Malay

Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)?

 

Kalimah نجد adalah ‘jalan yang menuju kepada tempat yang tinggi’. Dua jalan itu adalah jalan yang baik dan satu lagi adalah jalan yang jahat. Kedua-duanya menuju ke tempat yang tinggi. Maknanya ada perjalanan yang jauh.

Dalam diri manusia sebenarnya telah ada keinginan kepada kebaikan. Kita tidak suka kejahatan sebenarnya. Sebagai contoh, apabila dibuat kajian tentang orang yang menipu pada kali pertama, mereka akan rasa tidak sedap hati. Berpeluh-peluh dan berdegup kuat jantung mereka pada kali pertama mereka menipu.

Ini adalah kerana mereka sedang melakukan perkara yang berlawanan dengan naluri asal manusia. Kalau diletakkan pengesan di jantung, orang yang menipu itu boleh dikesan yang dia menipu kerana degup jantungnya laju. Ini menunjukkan bahawa dalam diri kita sudah ada fitrah untuk kebaikan dari alam roh lagi. Jadi bila mereka buat perkara yang berlawanan, ada konflik yang amat kuat. Fitrah itu adalah bekalan dari Allah ﷻ kepada kita. Ini telah disebut oleh Nabi ﷺ:

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ رَافِعٍ حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ حَدَّثَنَا مَعْمَرٌ عَنْ هَمَّامِ بْنِ مُنَبِّهٍ قَالَ هَذَا مَا حَدَّثَنَا أَبُو هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَ أَحَادِيثَ مِنْهَا وَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ يُولَدُ يُولَدُ عَلَى هَذِهِ الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ وَيُنَصِّرَانِهِ كَمَا تَنْتِجُونَ الْإِبِلَ فَهَلْ تَجِدُونَ فِيهَا جَدْعَاءَ حَتَّى تَكُونُوا أَنْتُمْ تَجْدَعُونَهَا قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَرَأَيْتَ مَنْ يَمُوتُ صَغِيرًا قَالَ اللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا كَانُوا عَامِلِينَ

Tidaklah seorang bayi yang dilahirkan, melainkan dalam keadaan fitrah ini, maka bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, atau Nasrani, sebagaimana mereka mendapatkan unta yang lahir, akankah mereka mendapatkan padanya cacat, sehingga kalianlah yang membuatnya cacat? Para sahabat bertanya: Bagaimana pendapat anda dengan seorang anak kecil yang meninggal? Baginda menjawab: Allah lebih tahu dengan apa yang mereka kerjakan. [HR. Muslim No.4806].

Hadis ini memberitahu kita bahawa seorang anak dilahirkan dalam fitrah kebaikan. Tapi ibubapanyalah yang melencongkannya menjadi baik atau tidak. Ini mengajar kita bahawa manusia itu ikut didikan yang diterimanya. Kita boleh lihat bagaimana seorang anak itu akan mengikut apa yang ayah dia suka dan ajar.

Kita boleh lihat kalau seorang ayah itu suka pasal kereta, anak dia pun akan kenal kereta sahaja. Maka, kenalah kita menjadi ibu dan ayah yang baik. Ajarlah anak-anak kita supaya suka kepada kebaikan. Dan anak akan melihat apa yang kita lakukan. Kalau hendak anak ikut ajaran agama, kenalah kita pun ikut ajaran agama juga.

Kemudian, Allah ﷻ hantar pula Rasul kepada kita. Yang tidak sempat jumpa Rasul, Allah ﷻ bekalkan dengan Al-Qur’an yang dijaga sendiri olehNya. Tidak ada orang yang boleh memesongkan teks Al-Qur’an kerana telah ada jaminan oleh Allah ﷻ untuk menjaganya. Oleh itu, kita belajar sahaja Al-Qur’an, jangan runsing tentang orang nak ubah Al-Qur’an.

Maka apabila kita baca dan belajar tafsir Al-Qur’an, kita tidak rasa ragu. Tidak ada kitab yang macam Al-Qur’an. Kerana ada kitab yang kita boleh tak setuju, tetapi dengan Al-Qur’an tidak boleh kita menidakkannya. Maka kenalah belajar tafsir Al-Qur’an supaya kita faham apa yang kita baca dan apa yang Allah ﷻ hendak sampaikan kepada kita.

Kalau manusia memilih jalan kebaikan, Allah ﷻ akan membantu dia untuk sampai kepada kebaikan itu. Dan kalau dia memilih jalan keburukan, Allah ﷻ akan biarkan dia untuk berada di jalan itu. Allah ﷻ tidak kacau dia kalau dia memang hendak keburukan. Allah ﷻ akan biarkan dia dengan pilihannya, cuma di akhirat nanti, Allah ﷻ akan menghukum dia disebabkan salah pilihnya itu.

Dalam ayat sebelum ini, Allah ﷻ telah menyebut bagaimana Dia telah memberikan mata sebagai alat ‘input’ dan lidah sebagai alat ‘output’. Input – memasukkan ilmu dan Output – menyampaikan ilmu; Dengan dua alat ini, manusia sepatutnya tahu untuk memilih jalan kebaikan dan keburukan.

Kita seperti juga jin, telah diberi pilihan untuk memilih. Manusia dan jin tidak sama macam malaikat dan binatang. Kedua-dua jenis makhluk itu tidak ada pilihan. Maka, jangan salah guna kebolehan memilih itu. Kalau kita salah pilih, maka kita akan terjerumus ke dalam neraka.

Berkenaan kebolehan memilih ini, mungkin ada yang kadang-kadang keliru dengan kaedah-kaedah falsafah. Sebagai contoh, ada yang kata: “Tuhan dah jadikan aku macam ni, jadi bukanlah salah aku.” Ini adalah faham yang salah. Banyak fahaman yang salah dalam dunia ini. Antaranya, Muktazilah membincangkan sama ada manusia itu ‘musayyar’ atau ‘mukhayyar’.

Musayyar – segala yang berlaku dalam kehendak Allah ﷻ

Mukhayyar – makhluk ada hak memilih

Fahaman Ahli Sunnah adalah: manusia ada dua-dua elemen. Kita boleh memilih, tetapi ada perkara yang telah ditetapkan oleh Allah ﷻ. Semua yang berlaku adalah dalam rahsia Allah ﷻ.

Sebagai contoh, kita tidak boleh kawal apa yang terjadi kepada kita, tetapi kita boleh memilih apakah tindakbalas kita kepada apa yang berlaku. Sebagai contoh, kita tidak boleh kawal orang yang tohmah kepada kita, tetapi kita boleh kawal apakah tindakbalas kita kepada tohmahan itu – adakah kita balas balik atau kita biarkan sahaja. Jadi kita tidak pening seperti golongan Muktazilah yang hendak memilih salah satu sahaja.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya. 

Kemaskini: 3 Oktober 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Ustaz Abu Ihsan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Hud Ayat 65 – 68 (Akhir kisah Tsamud)

Hud Ayat 65:

فَعَقَروها فَقالَ تَمَتَّعوا في دارِكُم ثَلٰثَةَ أَيّامٍ ۖ ذٰلِكَ وَعدٌ غَيرُ مَكذوبٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But they hamstrung her, so he said, “Enjoy yourselves in your homes for three days. That is a promise not to be denied [i.e., unfailing].”

(MALAY)

Mereka membunuh unta itu, maka berkata Shaleh: “Bersukarialah kamu sekalian di rumahmu selama tiga hari, itu adalah janji yang tidak dapat didustakan”.

 

فَعَقَروها

Mereka membunuh unta itu,

Walaupun telah diingatkan supaya jangan diganggu unta itu, tetapi mereka yang kufur degil itu telah membunuh unta betina itu dengan cara sembelih. Digunakan perkataan عَقَر yang bermaksud sembelih dari bawah. Ini adalah cara sembelih yang kejam. Mereka itu memang bangsa yang amat kejam.

Di dalam ayat ini, digunakan kalimah فَعَقَروها di dalam sighah jamak seolah-olah ramai yang membunuh unta itu. Pada hal yang sembelih unta itu hanyalah seorang sahaja tetapi Allah ﷻ kata ramai yang membunuhnya. Ini adalah kerana walaupun yang menyembelihnya adalah seorang sahaja akan tetapi mereka yang lain semuanya bersetuju. Maka mereka pun dikira seolah-olah menyembelih unta itu juga.

Ataupun kerana mereka tidak menegur kesalahan yang dilakukan oleh orang yang jahat itu maka mereka dikira sebagai bersetuju. Inilah bala apabila manusia tidak melakukan amar makruf nahi mungkar dan manusia senang lenang melakukan kejahatan dan azab turun, dikenakan kepada semua orang seperti yang disebut di dalam Anfal: 25

وَاتَّقوا فِتنَةً لّا تُصيبَنَّ الَّذينَ ظَلَموا مِنكُم خاصَّةً
Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras seksaan-Nya.

Kejadian pembunuhan unta itu disebut dalam Syams:11-15

كَذَّبَت ثَمُودُ بِطَغوَٮٰهَآ
(Kaum) Tsamud telah mendustakan (rasulnya) kerana mereka melampaui batas,

إِذِ ٱنۢبَعَثَ أَشقَٮٰهَا
ketika bangkit orang yang paling celaka di antara mereka,

فَقَالَ لَهُم رَسُولُ ٱللَّهِ نَاقَةَ ٱللَّهِ وَسُقيَـٰهَا
lalu Rasul Allah (Saleh) berkata kepada mereka: (“Biarkanlah) unta betina Allah dan minumannya”.

فَكَذَّبُوهُ فَعَقَرُوهَا فَدَمدَمَ عَلَيهِم رَبُّهُم بِذَنۢبِهِم فَسَوَّٮٰهَا
Lalu mereka mendustakannya dan menyembelih unta itu, maka Tuhan mereka membinasakan mereka disebabkan dosa mereka, lalu Allah menyama-ratakan mereka (dengan tanah),

وَلَا يَخَافُ عُقبَـٰهَا
dan Allah tidak takut terhadap akibat tindakan-Nya itu.

Di dalam Naml: 48-50 ada disebut tentang 9 keluarga yang jahat. Mereka sebenarnya merancang untuk membunuh Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Akan tetapi malam mereka hendak bunuh baginda, baginda tidak ada, maka yang mereka bunuh adalah unta itu.

وَكانَ فِي المَدينَةِ تِسعَةُ رَهطٍ يُفسِدونَ فِي الأَرضِ وَلا يُصلِحونَ
Dan adalah di kota itu sembilan orang laki-laki yang membuat kerosakan di muka bumi, dan mereka tidak berbuat kebaikan.

قالوا تَقاسَموا بِاللهِ لَنُبَيِّتَنَّهُ وَأَهلَهُ ثُمَّ لَنَقولَنَّ لِوَلِيِّهِ ما شَهِدنا مَهلِكَ أَهلِهِ وَإِنّا لَصٰدِقونَ
Mereka berkata: “Bersumpahlah kamu dengan nama Allah, bahawa kita sungguh-sungguh akan menyerangnya dengan tiba-tiba berserta keluarganya di malam hari, kemudian kita katakan kepada warisnya (bahawa) kita tidak menyaksikan kematian keluarganya itu, dan sesungguhnya kita adalah orang-orang yang benar”.

وَمَكَروا مَكرًا وَمَكَرنا مَكرًا وَهُم لا يَشعُرونَ
Dan mereka membuat tipu daya, dan Kami pun menyusun tipu daya, sedang mereka tidak menyedari.

Satu lagi pendapat mengatakan yang selepas mereka membunuh unta itu mereka bercadang untuk terus membunuh Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula.

Kenapa mereka benci sangat kepada unta itu? Ada juga pendapat yang mengatakan mereka benci kepada unta itu kerana unta itu telah menyebabkan mereka tidak boleh mengambil air setiap hari kerana perjanjian untuk berselang seli mengambil air. Sedangkan walaupun mereka tidak boleh ambil air tetapi mereka boleh ambil susu daripada unta itu dengan banyak kerana unta itu boleh mengeluarkan susu yang sangat banyak. Maka sebenarnya mereka tidak rugi pun jikalau mereka tidak boleh ambil air. Akan tetapi ada pendapat yang mengatakan yang marah sangat itu adalah yang tidak boleh membuat arak kerana dia tidak boleh mengambil air pada hari itu.

 

فَقالَ تَمَتَّعوا في دارِكُم ثَلٰثَةَ أَيّامٍ

maka berkata Saleh: “Bersukarialah kamu sekalian di rumahmu selama tiga hari,

Sebelum ini telah diberitahu yang kalau mereka ganggu juga unta itu, mereka akan ditimpa azab. Sekarang diberitahu yang mereka hanya ada tiga hari sahaja sebelum dikenakan dengan azab itu. Buatlah apa yang kamu hendak buat selama tiga hari itu. Janji azab itu diberikan kepada semua kaum. Walaupun tangan yang membunuh unta itu seorang sahaja, tetapi seluruh kaumnya meredhai perbuatan itu, maka mereka semuanya bersalah.

Tiga hari ini bukanlah untuk beri peluang kepada mereka untuk bertaubat kerana keputusan azab telah ditentukan kepada mereka cuma azab itu akan datang selepas tiga hari.

Di dalam Tafsir Ibnu Katsir, ath-Thabari, al-Qurthubi dan lain-lain, ketika menafsirkan berita ini dalam Surah al-A’raf, iaitu mereka telah membunuh unta Allah ﷻ pada hari Rabu. Keesokkan harinya (Khamis) terjadilah suatu peristiwa yang dahsyat. Muka mereka semua menjadi kuning, dan badan mulai lemah. Pada hari kedua iaitu Jumaat, muka mereka menjadi merah laksana darah. Keesokkan harinya hari Sabtu, semua muka menjadi hitam. Akhirnya pada pagi Ahad pagi, setelah matahari mulai terbit, kedengaranlah satu suara yang sangat dahsyat, seperti pekikan. Rebah renaplah kesemua mereka, jatuh tersungkur ke tanah dan mati. Kononnya ada juga yang telah menyediakan kuburnya sejak hari kedua, kerana sudah mulai mengetahui bahawa apa yang dijanjikan Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu adalah benar.

 

ذٰلِكَ وَعدٌ غَيرُ مَكذوبٍ

itu adalah janji yang tidak dapat didustakan”.

Selepas tiga hari itu, kamu akan dikenakan azab. Ini bukanlah janji kosong tetapi janji daripada Allah ﷻ yang bukan dusta. Ia pasti berlaku.


 

AZAB YANG DIKENAKAN

Hud Ayat 66:

فَلَمّا جاءَ أَمرُنا نَجَّينا صٰلِحًا وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ بِرَحمَةٍ مِّنّا وَمِن خِزيِ يَومِئِذٍ ۗ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ القَوِيُّ العَزيزُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So when Our command came, We saved Ṣāliḥ and those who believed with him, by mercy from Us, and [saved them] from the disgrace of that day.¹ Indeed, it is your Lord who is the Powerful, the Exalted in Might.

  • The day of Thamūd’s destruction.

(MALAY)

Maka tatkala datang azab Kami, Kami selamatkan Saleh berserta orang-orang yang beriman bersama dia dengan rahmat dari Kami dan dari kehinaan di hari itu. Sesungguhnya Tuhanmu Dia-Lah yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa.

 

فَلَمّا جاءَ أَمرُنا

Maka tatkala datang azab Kami,

Azab yang telah dijanjikan itu telah datang selepas tiga hari. Yang telah ditakdirkan menerima azab itu telah dimatikan. Tidak ada sesiapa yang boleh mengelakkan diri daripada azab yang telah ditentukan oleh Allah ﷻ.

 

نَجَّينا صٰلِحًا وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ بِرَحمَةٍ ّمِنّا

Kami selamatkan Saleh berserta orang-orang yang beriman bersama dia dengan rahmat dari Kami

Sebelum diturunkan azab itu, Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan mereka yang beriman dengan baginda telah diselamatkan dahulu. Mereka dikeluarkan dari tempat itu. Di sini Allah ﷻ beritahu bahawa mereka itu diselamatkan dengan rahmat-Nya dan bukan kerana mereka beriman, dan bukan kerana amalan mereka. Ini adalah kerana sepatutnya mereka juga boleh dikenakan azab itu sebagaimana telah disebut di dalam Anfal: 25

وَاتَّقوا فِتنَةً لّا تُصيبَنَّ الَّذينَ ظَلَموا مِنكُم خاصَّةً
Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu

Mereka itu diselamatkan bukannya kerana mereka solat dan berpuasa, tetapi Allah ﷻ beritahu بِرَحمَةٍ مِّنّا (dengan rahmat daripada Kami). Hanya kerana rahmat Allah ﷻ sahaja mereka selamat. Iaitu kerana kasih sayang Allah ﷻ. Kerana itu kita kena berharap kepada rahmat Allah ﷻ. Untuk masuk ke dalam syurga pun bukannya bergantung kepada ibadah solat dan puasa kita, tetapi bergantung kepada rahmat Allah ﷻ juga. Ini seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ جَابِرٍ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يُدْخِلُ أَحَدًا مِنْكُمْ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ وَلَا يُجِيرُهُ مِنْ النَّارِ وَلَا أَنَا إِلَّا بِرَحْمَةٍ مِنْ اللَّهِ
Daripada [Jabir رضي الله عنهما] dia berkata: Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Tidak seorang pun daripada kalian yang dimasukkan syurga oleh amalnya dan tidak juga diselamatkan dari neraka kerananya, tidak juga aku kecuali kerana rahmat daripada Allah.”
(Riwayat Muslim (5042))

 

وَمِن خِزيِ يَومِئِذٍ

dan dari kehinaan di hari itu. 

Mereka telah diselamatkan daripada kehinaan. Mereka yang mati pada hari itu menjadi hina kerana kisah mereka diperkatakan zaman berzaman sampai Kiamat. Pada hari akhirat nanti, semua orang akan tahu yang merekalah Kaum Tsamud yang mati kerana azab, bukan mati biasa.

Kita kena sentiasa berdoa kepada Allah ﷻ untuk menyelamatkan diri kita daripada azab yang hina ini seperti yang disebut di dalam Ali Imran: 194

رَبَّنَا وَءآتِنَا مَا وَعَدتَّنَا عَلَىٰ رُسُلِكَ وَلَا تُخْزِنَا يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ إِنَّكَ لَا تُخْلِفُ الْمِيعَادَ
Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasul-Mu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji”.

Inilah antara ayat-ayat yang Rasulullah ﷺ baca apabila baginda bangun untuk mengerjakan Solat Tahajjud seperti disebut dalam hadith,

أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَبَّاسٍ أَخْبَرَهُ أَنَّهُ بَاتَ لَيْلَةً عِنْدَ مَيْمُونَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهِيَ خَالَتُهُ فَاضْطَجَعْتُ فِي عَرْضِ الْوِسَادَةِ وَاضْطَجَعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَهْلُهُ فِي طُولِهَا فَنَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى إِذَا انْتَصَفَ اللَّيْلُ أَوْ قَبْلَهُ بِقَلِيلٍ أَوْ بَعْدَهُ بِقَلِيلٍ اسْتَيْقَظَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَلَسَ يَمْسَحُ النَّوْمَ عَنْ وَجْهِهِ بِيَدِهِ ثُمَّ قَرَأَ الْعَشْرَ الْآيَاتِ الْخَوَاتِمَ مِنْ سُورَةِ آلِ عِمْرَانَ ثُمَّ قَامَ إِلَى شَنٍّ مُعَلَّقَةٍ فَتَوَضَّأَ مِنْهَا فَأَحْسَنَ وُضُوءَهُ ثُمَّ قَامَ يُصَلِّي
[‘Abdullah bin ‘Abbas رضي الله عنهما] mengabarkan, bahawa dia pada suatu malam pernah bermalam di rumah Maimunah, isteri Nabi ﷺ, dan ibu saudaranya daripada sebelah ibu. Katanya, “Aku berbaring di sisi bantal sementara Nabi ﷺ dan isterinya berbaring pada bahagian panjang (tengahnya). Rasulullah ﷺ lalu tidur hingga pada tengah malam, atau kurang sedikit, atau lewat sedikit, baginda bangun dan duduk sambil mengusap sisa-sisa kantuk yang ada di wajahnya dengan tangan. Baginda kemudian membaca sepuluh ayat terakhir Surah Ali ‘Imran. Kemudian berdiri menuju tempat wudhu’, baginda lalu berwudhu’ dengan memperbagus wudhu’nya, lalu solat.”

(Sahih Bukhari (177))

 

إِنَّ رَبَّكَ هُوَ القَوِيُّ العَزيزُ

Sesungguhnya Tuhanmu Dia-Lah yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa.

Allah ﷻ Maha Gagah untuk melakukan apa sahaja. Kalau Allah ﷻ telah menetapkan sesuatu, tidak ada sesiapa yang dapat mengalahkan kehendak Allah ﷻ kerana Dia adalah al-Aziz (Maha Berkuasa tidak dapat dikalahkan).


 

Hud Ayat 67: Inilah azab yang dikenakan kepada Kaum Tsamud yang menentang Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

وَأَخَذَ الَّذينَ ظَلَمُوا الصَّيحَةُ فَأَصبَحوا في دِيٰرِهِم جٰثِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the shriek¹ seized those who had wronged, and they became within their homes [corpses] fallen prone

  • A piercing cry or blast from the sky.

(MALAY)

Dan satu suara keras yang mengguntur menimpa orang-orang yang zalim itu, lalu mereka mati bergelimpangan di rumahnya,

 

وَأَخَذَ الَّذينَ ظَلَمُوا الصَّيحَةُ

Dan satu suara keras yang mengguntur menimpa orang-orang yang zalim itu,

Inilah hukuman yang dikenakan kepada mereka. Yang dikenakan azab di dalam ayat ini adalah kaum Tsamud akan tetapi Allah ﷻ tidak menyebut nama mereka tetapi hanya menyebut الَّذينَ ظَلَمُوا iaitu di dalam bentuk umum. Kenapa?

1. Ini adalah kerana Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa mereka dikenakan azab itu kerana mereka zalim, bukan kerana mereka itu kaum Tsamud. Memang patut mereka dikenakan dengan azab itu.

2. Allah ﷻ hendak memberitahu bukan Tsamud sahaja boleh dikenakan dengan azab itu tetapi sesiapa sahaja yang melakukan kezaliman. Kalau orang zalim pada zaman sekarang pun boleh dikenakan dengan azab yang sama.

3. Allah ﷻ juga hendak memberitahu bahawa Dia tidak zalim dengan memberi azab itu. Bukan Allah ﷻ sengaja suka-suka mengazab mereka. Akan tetapi balasan yang dikenakan kepada mereka itu adalah kerana kesalahan syirik yang mereka lakukan.

Azab itu dalam bentuk tempikan daripada Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan dalam masa yang sama, ada gegaran dari bawah. Oleh itu, mereka diazabkan dengan dua perkara sekaligus. Tempikan yang dikenakan kepada mereka itu sangat kuat sampai memutuskan urat jantung mereka.

Di sini disebut mereka dikenakan dengan الصَّيحَةُ tetapi di dalam ayat lain disebut azab lain pula. Lihat A’raf: 78

فَأَخَذَتهُمُ الرَّجفَةُ فَأَصبَحوا في دارِهِم جٰثِمينَ
Oleh itu, mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.

Ayat ini menyebut الرَّجفَةُ pula. Di dalam Syams:14 disebut azab lain pula.

فَكَذَّبُوهُ فَعَقَرُوهَا فَدَمدَمَ عَلَيهِم رَبُّهُم بِذَنۢبِهِم فَسَوَّٮٰهَا
Lalu mereka mendustakannya dan menyembelih unta itu, maka Tuhan mereka membinasakan mereka disebabkan dosa mereka, lalu Allah menyama-ratakan mereka (dengan tanah),

Lihat pula Fussilat:17 disebut mereka dikenakan dengan صٰعِقَةُ pula.

وَأَمّا ثَمودُ فَهَدَينٰهُم فَاستَحَبُّوا العَمىٰ عَلَى الهُدىٰ فَأَخَذَتهُم صٰعِقَةُ العَذابِ الهونِ بِما كانوا يَكسِبونَ
Adapun kaum Tsamud, maka Kami beri petunjuk kepadanya, lalu mereka mengutamakan kesesatan daripada hidayah petunjuk; mereka pun disambar oleh petir azab yang menghina dengan sebab apa yang mereka telah lakukan.

Akhir sekali di dalam Haqqah:5 disebut mereka dikenakan dengan الطّاغِيَةِ pula.

فَأَمّا ثَمودُ فَأُهلِكوا بِالطّاغِيَةِ
Adapun kaum Tsamud, maka mereka telah dibinasakan dengan kejadian yang luar biasa.

Ternyata ada berjenis-jenis azab yang dikenakan kepada mereka,

1) suara keras yang mengguntur (الصَّيحَةُ)
2) gempa bumi (الرَّجفَةُ)
3) menyamaratakan mereka dengan tanah فَدَمدَمَ عَلَيهِم
4) petir (صٰعِقَةُ)
5) kejadian luar biasa (الطّاغِيَةِ)

Maka mana satu yang dikenakan kepada mereka kerana lain ayat, lain pula azabnya? Nampak seolah-olah tidak konsisten pula, bukan? Sebenarnya ulama’ mengatakan tidak ada percanggahan di antara dua ayat ini kerana ia bermaksud mereka dikenakan dengan dua-dua azab. Ini seperti yang disebut oleh Qurtubi. Maknanya banyak sekali azab yang dikenakan kepada mereka, tidak sama dengan umat-umat yang lain.

 

فَأَصبَحوا في دِيٰرِهِم جٰثِمينَ

lalu mereka mati bergelimpangan di rumah-rumah mereka,

Pada waktu subuh esoknya, mereka semua mati bergelimpangan di rumah mereka. Ini adalah cara kematian yang amat dahsyat sekali. Allah ﷻ sebut mereka mati di tempat mereka tinggal iaitu satu tempat yang mereka bangga-banggakan. Telah disebut di dalam ayat lain yang mereka itu memahat rumah mereka dari bukit-bukit batu. Jadi memang hebat tempat tinggal mereka. Tempat itu juga sepatutnya menjadi tempat yang selamat bagi mereka akan tetapi mudah sahaja bagi Allah ﷻ untuk memusnahkan mereka dan Allah ﷻ pilih tempat yang mereka tinggal untuk menghina mereka.


 

Hud Ayat 68:

كَأَن لَّم يَغنَوا فيها ۗ أَلا إِنَّ ثَمودَ كَفَروا رَبَّهُم ۗ أَلا بُعدًا لِّثَمودَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

As if they had never prospered therein. Unquestionably, Thamūd denied their Lord; then, away with Thamūd.

(MALAY)

seolah-olah mereka belum pernah berdiam di tempat itu. Ingatlah, sesungguhnya kaum Tsamud mengingkari Tuhan mereka. Ingatlah, kebinasaanlah bagi kaum Tsamud.

 

كَأَن لَّم يَغنَوا فيها

seolah-olah mereka belum pernah berdiam di tempat itu.

Mereka dihancurkan sehingga tidak ada kesan yang mereka pernah tinggal di situ. Kalimah يَغنَوا dari katadasar غ ن ي yang bermaksud tinggal; berkembang; memanfaatkan; mendiami; menjadi kaya atau dalam keselesaan hidup; bebas daripada kekurangan; memperkayakan; menjadikan kaya; mengeluarkan; kaya raya; berdikari; mampu melakukan tanpa bantuan orang lain; seseorang yang cukup atau berdiri di tempat orang lain; memenuhi sesuatu keperluan. Maknanya mereka telah hidup dengan selesa dan mencari kekayaan di situ akan tetapi apabila Allah ﷻ musnahkan mereka, maka langsung tidak ada kesan mereka di situ. Seakan-akan mereka tidak pernah tinggal di situ. Sampai begitu sekali Allah ﷻ azab mereka.

 

أَلا إِنَّ ثَمودَ كَفَروا رَبَّهُم

Ingatlah, sesungguhnya kaum Tsamud mengingkari Tuhan mereka.

Tidak syak lagi, Kaum Tsamud itu telah mengingkari Allah ﷻ. Mereka tidak taat kepada Nabi dan mereka ingkar dengan wahyu Allah ﷻ.

 

أَلا بُعدًا لِّثَمودَ

Ingatlah, kebinasaanlah bagi kaum Tsamud.

Disebabkan kekufuran mereka itu, mereka jauh daripada rahmat Allah ‎ﷻ. Di dunia lagi mereka telah dikenakan dengan azab dan di akhirat nanti tetap mereka juga akan menerima azab yang lebih teruk.

Maka sekianlah kisah kaum Tsamud dan Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam surah ini.

Habis Ruku’ 6 daripada 10 ruku’ surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 12 Mei 2026

Ringkasan Surah Hud


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Surah Abasa Ayat 24 – 37 (Lihat pada makanan kita)

Abasa Ayat 24: Dari ayat ini sehingga ke ayat 32 adalah Perenggan Makro Kelima. Ia mengandungi dalil-dalil adanya akhirat. Dan ada dalil aqli tentang tauhid.

فَليَنظُرِ الإِنسانُ إِلىٰ طَعامِهِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then let mankind look at his food –

(MALAY)

maka hendaklah manusia itu memperhatikan makanannya.

 

Allah ﷻ beri dalil dengan suruh manusia lihat perkara yang biasa sahaja – makanan kita yang kita hadap setiap hari itu. Manusia hendaklah melihat dengan teliti apa yang dimakannya.

Lafaz نظرِ bukan sahaja bermaksud ‘melihat’ tapi renung dengan betul-betul, dan memikirkan tentangnya. Kerana kalau kita hendak fikirkan sesuatu dengan mendalam, kita kena tengok lama-lama dan fokus kepada sesuatu itu. Barulah dapat faham.


 

Abasa Ayat 25: Makanan yang kita makan itu, bukan terjadi begitu sahaja, tetapi ada proses bagaimana ianya dijadikan. Allah ﷻ menceritakan tentangnya:

أَنّا صَبَبنَا الماءَ صَبًّا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

How We poured down water in torrents,

(MALAY)

Sesungguhnya Kami benar-benar telah mencurahkan air (dari langit),

 

Sesungguhnya Allah ﷻ yang telah menurunkan air dengan banyak. صَبًّا bermaksud mencurah-curah turun. Air itu tidak datang sendiri. Allah ﷻ suruh kita fikirkan, dari mana datang air itu dan siapakah yang menurunkannya? Tentulah dari Allah ﷻ dan Allah ﷻ ingatkan kita dalam ayat ini.


 

Abasa Ayat 26:

ثُمَّ شَقَقنَا الأَرضَ شَقًّا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then We broke open the earth, splitting [it with sprouts],

(MALAY)

kemudian Kami belah bumi dengan sebaik-baiknya,

 

Dan Allah ﷻ telah memecahkan bumi (sesuai untuk bercucuk tanam). Allah ﷻ jadikan bumi merekah dan gembur. Air senang masuk untuk mengairi tanam-tanaman itu. Ini juga penting supaya tanaman boleh bergerak dan hidup.

Siapakah yang menggemburkan tanah itu? Allah ﷻ ingatkan kita yang Dialah yang melakukannya.


 

Abasa Ayat 27:

فَأَنبَتنا فيها حَبًّا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And caused to grow within it grain

(MALAY)

lalu Kami tumbuhkan biji-bijian di bumi itu,

 

Selepas Allah ﷻ jadikan tanah merekah dan gembur, Allah ﷻ tumbuhkan biji bijian. Dan kemudian Allah ﷻ jadikan ia hidup subur. Allah ﷻ sebutkan makanan yang penting atau makanan ruji dulu. Kerana inilah makanan yang dimakan banyak sekali oleh manusia, seperti gandum, beras dan sebagainya.


 

Abasa Ayat 28: Sekarang jenis makanan lain pula.

وَعِنَبًا وَقَضبًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And grapes and herbage

(MALAY)

anggur dan sayur-sayuran,

 

Dan Allah ﷻ juga menumbuhkan buah anggur dan sayur-sayuran dengan menurunkan air ke dalam tanah yang merekah itu. Ini adalah makanan tambahan kerana manusia memang suka ada makanan lain. Macam kita, takkan cukup dengan makan nasi sahaja, bukan?


 

Abasa Ayat 29:

وَزَيتونًا وَنَخلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And olive and palm trees

(MALAY)

dan zaitun dan kurma,

 

Sekarang disebut buah zaitun dan kurma. Buah zaitun cukup dikenal dan dapat dijadikan sebagai lauk, begitu pula minyaknya. Bahkan minyaknya dapat digunakan untuk meminyaki tubuh dan juga sebagai bahan bakar untuk lampu.

Sedangkan buat tamar juga banyak kegunaan dan boleh digunakan dengan bermacam-macam cara.

Allah ﷻ sebut jenis-jenis makanan ini kerana makanan inilah yang dikenali oleh masyarakat Arab waktu itu dan dekat dengan hati mereka. Bukanlah buahan dan makanan itu sahaja yang ada. Allah ﷻ sebut perkara yang biasa dikenali kepada penerima pertama wahyu ini supaya mereka dapat mengaitkan dengan diri mereka.


 

Abasa Ayat 30:

وَحَدائِقَ غُلبًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And gardens of dense shrubbery

(MALAY)

dan kebun-kebun (yang) lebat,

 

Dan Allah ﷻ jadikan taman-taman yang hijau subur, yang lebat. حَدائِقَ adalah taman yang dijaga yang di dalamnya adalah kehidupan menghijau yang lebat. Ini adalah sesuatu yang amat menarik perhatian orang Arab kerana secara umumnya, mereka tidak mempunyai banyak tempat sebegitu, kerana mereka hidup di padang pasir yang gersang.


 

Abasa Ayat 31:

وَفاكِهَةً وَأَبًّا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And fruit and grass –

(MALAY)

dan buah-buahan serta rumput-rumputan,

 

Ini termasuk segala jenis buahan yang sedap-sedap dan rumput rumputan untuk binatang. Sebelum ini Allah ﷻ sebut untuk manusia sahaja dan sekarang, أَبًّا adalah rumput untuk makanan binatang sahaja. Memang makanan binatang, tapi akhirnya binatang itu pun kita makan, bukan? Maka ia untuk kita juga sebenarnya.

Allah ﷻ sebutkan makanan manusia dengan banyak kerana hendak cerita semua makanan itu untuk manusia. Dan makanan untuk binatang juga, sedang binatang itu untuk kegunaan kita pula – kita makan binatang itu dan kita gunakan untuk kemudahan kita.

Asal lafaz فاكِهَةً adalah ‘gembira’. Digunakan untuk buah-buahan kerana kalau manusia makan buah-buahan, mereka akan jadi gembira.

Ibnu Abbas mengatakan bahawa fakihah adalah buah yang dimakan dalam keadaan segar, sedangkan al-abb ertinya tumbuhan yang hanya dimakan oleh binatang ternak dan tidak dimakan oleh manusia. Menurut riwayat lain yang bersumber darinya, disebutkan ianya adalah rumput untuk haiwan ternak.


 

Abasa Ayat 32: Kesimpulan untuk segala makanan yang telah disebut sebelum ini, selepas Allah ﷻ suruh kita tengok dan renung kepada segala makanan itu.

مَتاعًا لَكُم وَلِأَنعامِكُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[As] enjoyment [i.e., provision] for you and your grazing livestock.

(MALAY)

untuk kesenanganmu dan untuk binatang-binatang ternakmu.

 

Semua makanan itu sebagai faedah untuk manusia dan ternakan kita. Allah ﷻ sebut manusia dulu (لَكُم) sebab manusia lebih penting dari binatang. Malah, binatang-binatang itu pun dijadikan untuk kegunaan kita.

Allah ﷻ sebut tentang makanan dan jasaNya untuk mengajak manusia kembali kepada agama yang benar. Allah ﷻ menceritakan jasaNya kepada manusia supaya manusia ingat siapakah yang telah memberi segala itu kepada mereka. Kalau orang buat kebaikan untuk kita, tentulah kita akan sayang kepada dia, ikut cakap dia, bukan?

Bagaimana pula kalau semua yang kita ada dari Allah ﷻ? Tentulah segala apa yang Allah ﷻ suruh kita buat, kita kena taat, bukan? Dalam istilah psikologi, ini dipanggil positive reinforcement. Maknanya, tengoklah apa jasa yang Allah ﷻ telah berikan kita, kenanglah jasa Allah ﷻ. Ini sepatutnya membawa manusia kepada Islam. Kena taat kepada suruhan Allah ﷻ kerana telah banyak nikmat Dia yang kita makan dan pakai.

Balaghah (Taqdim wa Ta’khir): Di dalam ayat ini, disebut untuk manusia (لَكُم) sebelum disebut untuk binatang ternak (وَلِأَنعامِكُم). Akan tetapi di dalam Sajdah:27, susunannya terbalik.

أَوَلَم يَرَوا أَنّا نَسوقُ الماءَ إِلَى الأَرضِ الجُرُزِ فَنُخرِجُ بِهِ زَرعًا تَأكُلُ مِنهُ أَنعٰمُهُم وَأَنفُسُهُم ۖ أَفَلا يُبصِرونَ
Dan tidakkah mereka melihat bahawasanya Kami mengarahkan turunnya hujan ke bumi yang kering kontang, lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman-tanaman, yang daripadanya dimakan oleh binatang-binatang ternak mereka dan mereka sendiri? Maka mengapa mereka tidak mahu memerhati?

Kenapa ada pertukaran susunan? Di dalam Surah Sajdah itu, disebut tentang tanaman yang menjadi makanan binatang, maka kerana itulah didahulukan disebut binatang dahulu. Sedangkan di dalam Surah Abasa, ia berkenaan yang konteksnya tentang makanan manusia. Kalau kita perhatikan Abasa:24 sebelum ini pun, manusia disuruh melihat makanannya,

فَليَنظُرِ الإِنسانُ إِلىٰ طَعامِهِ
maka hendaklah manusia itu memperhatikan makanannya.

Kemudian Allah terus berfirman di dalam Abasa:27-30

فَأَنۢبَتنَا فِيہَا حَبًّا (٢٧) وَعِنَبًا وَقَضبًا (٢٨) وَزَيتُونًا وَنَخلاً (٢٩) وَحَدَآٮِٕقَ غُلبًا (٣٠)
Lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian, (27) Dan buah anggur serta sayur-sayuran, (28) Dan zaitun serta pohon-pohon kurma, (29) Dan taman-taman yang menghijau subur, (30)

Maka kalau kita perhatikan, makanan untuk manusia yang disebut dahulu, sebelum disebut rumput-rumput sebagai makanan untuk binatang, maka kerana itulah sesuai sangat apabila disebut manusia لَّكُم (untuk kalian) sebelum disebut untuk binatang (وَلِأَنعَـٰمِكُم). Jadi kita boleh lihat bagaimana susunan ayat-ayat di dalam Al-Qur’an adalah sangat tepat.


 

Abasa Ayat 33: Ayat 33 – 37 adalah Perenggan Makro Keenam dan ia mengandungi gambaran Hari Kiamat.

Ayat 37 ini adalah ayat takhwif ukhrawi. Sekarang sudah diberi ancaman kalau tidak mahu terima juga positive reinforcement yang telah disebutkan sebelum ini. Kalau dengan manusia, untuk kita beri nasihat, kita suruh dia ingat balik jasa kita kepadanya. Tetapi kalau dia masih berdegil, mulalah kita beri ancaman kepadanya, bukan?

فَإِذا جاءَتِ الصّاخَّةُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But when there comes the Deafening Blast¹

  • The piercing blast of the Horn which signals resurrection. Aṣ-Ṣākhkhah is also a name for the Day of Resurrection.

(MALAY)

Dan apabila datang suara yang memekakkan,

 

Ini adalah apabila datang jeritan yang amat kuat. الصّاخَّةُ adalah jeritan yang amat kuat. Kaum musyrik mendengar pesanan dan dakwah Nabi tetapi mereka tidak mahu mendengar. Mereka tidak endahkan apa yang baginda sampaikan. Mereka pekakkan sahaja telinga dan pendengaran mereka. Tetapi mereka takkan dapat melawan apabila pekikan yang kuat itu akan datang nanti.

Dan Allah ﷻ telah pernah kenakan azab pekikan kepada umat sebelum umat Nabi Muhammad . Kerana degil sangat nak dengar nasihat dari para Rasul mereka, maka Allah ﷻ beri azab. الصّاخَّةُ adalah jeritan yang sangat kuat sampaikan kalau dengar, boleh terus jadi pekak. Allah ﷻ hendak beritahu mereka: Sekarang kamu boleh tutup telinga kamu dari dengar nasihat, tetapi lihatlah nanti apa yang akan kena kepada kamu.

Azab الصّاخَّةُ itu akan datang pada Hari Kiamat nanti. Hari yang semua makhluk akan dimatikan. Hari yang menentukan permulaan Hari Kiamat. Kemudian Allah ﷻ sebutkan apa yang akan terjadi pada hari itu dalam ayat seterusnya.


 

Abasa Ayat 34:

يَومَ يَفِرُّ المَرءُ مِن أَخيهِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

On the Day a man will flee from his brother

(MALAY)

pada hari ketika manusia lari dari saudaranya,

 

Pada hari itu, manusia akan lari dari saudaranya kerana tidak mahu menolong saudaranya itu. Mereka juga takut mereka dipertanggungjawabkan oleh saudara mara mereka itu. Kerana dulu pun mereka pernah kejam terhadap mereka, atau tidak menjalankan tanggungjawab kepada mereka.

Kalimah المَرءُ yang digunakan dalam ayat ini dan bukan الرجل yang juga terjemahan kasarnya adalah lelaki juga. Ini adalah kerana المَرءُ selalunya bermaksud orang yang tidak mementingkan diri sendiri, seorang yang sanggup korbankan dirinya untuk tolong orang. Akan tetapi, Allah ﷻ hendak beritahu, orang yang macam ini pun akan lari dari saudaranya.

Lafaz يَفِرُّ bermaksud lari dari sesuatu yang menakutkan. Sampai begitu sekali mereka lari dari saudara mara mereka. Padahal, sepatutnya dengan saudara mara kitalah kita akan rapat bukan? Kalau di dunia merekalah yang kita selalu bersama, bukan?

Selalunya, kalau kita ada masalah dan hendak cari perlindungan, kita akan cari saudara kita, bukan? Akan tetapi kali ini, mereka lari dari saudaranya sendiri. Keadaan sudah jadi terbalik pula. Kenapa? Sebab ada hak hak saudaranya yang tidak dia penuhi. Oleh kerana saudara kita itu rapat dengan kita, tentu kita banyak berurusan dengan mereka.

Akan tetapi, kadang-kadang dengan saudara mara kitalah yang kita ada masalah, berkelahi, bertegang urat, tidak bertegur sapa lagi dan macam-macam masalah lagi; sedangkan, dengan orang lain baik-baik sahaja. Sampaikan kadang-kadang manusia tidak memenuhi hak-hak saudara mereka pun ada.

Oleh itu, di akhirat nanti, apabila dia nampak saudara mara dia, dia akan lari. Mereka lari sebelum mereka mengadu yang ada hak mereka yang tidak memenuhinya semasa di dunia. Dan waktu di akhirat nanti, semua akan kisah, tidak boleh hendak beri peluang langsung, walaupun dengan saudara mara. Jadi bila dia nampak saudara dia, dia teringat yang dia tidak penuhi hak saudaranya itu.

Jadi dia takut saudaranya itu akan tuntut hak dari dia, maka dia akan lari awal-awal lagi. Bila nampak sahaja, dia akan teringat segala kesalahan yang dia telah lakukan kepada saudaranya itu, maka dia akan lari. Begitulah yang akan terjadi kalau kita tidak jaga hubungan baik dengan saudara mara kita semasa di dunia.


 

Abasa Ayat 35: Selepas saudara mara kita, siapa lagi yang kita lebih rapat?

وَأُمِّهِ وَأَبيهِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And his mother and his father

(MALAY)

dari ibu dan bapanya,

 

Bukan sahaja dia akan lari dari saudara maranya sahaja, tetapi dengan emak dan ayahnya pun dia akan lari. Sedangkan siapa ibubapa kita? Merekalah yang telah melahirkan kita, menjaga dan membesarkan kita. Kita paling rapat dengan mereka. Sepatutnya dengan merekalah kita berbakti.

Tetapi sebaliknya, manusia akan lari dari ibubapa mereka kerana emak dan ayah akan menuntut segala pemberian mereka semasa di dunia dahulu. Manusia akan tahu yang ibubapa mereka akan minta pahala dari anaknya itu. Mereka akan ungkit segala jasa mereka. Jadi anak itu akan awal-awal lari daripada ibubapanya.

Mungkin ada yang akan bertanya: “takkan emak dan ayah akan buat perkara macam itu. Bukankah segala apa yang mereka lakukan semasa di dunia dahulu, mereka ikhlas?” Jangan sangka begitu, kerana di akhirat nanti keadaan akan jadi berlainan sangat.

Waktu itu “nafsi-nafsi” – ingat hanya untuk diri sendiri sahaja. Sudah tidak kisah tentang orang lain lagi, yang penting dan fokus mereka adalah untuk menyelamatkan diri sendiri – tidak kira sama ada mereka terpaksa menyusahkan atau menjatuhkan anak sendiri atau ibubapa sendiri.


 

Abasa Ayat 36: Siapa lagi yang lebih rapat daripada ibubapa? Tentulah keluarga sendiri, iaitu anak isteri sendiri.

وَصاحِبَتِهِ وَبَنيهِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And his wife and his children,

(MALAY)

dari isteri dan anak-anaknya.

 

Dan mereka sanggup lari jauh dari isteri dan anak-anaknya. Padahal, mereka itulah yang paling rapat dengan kita. Dahulu berkongsi hidup dengan mereka. Bayangkan hidup bertahun-tahun dengan isteri, mungkin tidak pernah berenggang walau sehari. Kemudian setelah sekejap sahaja berdua, dikurniakan anak dan anak itulah penghubung kasih sayang, buah hati pengarang jantung semasa di dunia dahulu. Kita sanggup lakukan apa sahaja untuk anak kita, bukan?

Tetapi, seseorang itu akan lari dari isterinya dan lagi teruk, dengan anak yang sepatutnya dia lindungi. Sedangkan, siapa yang paling seseorang itu sayang, kalau bukan anaknya? Kalau di dunia dahulu, bila dia pandang anak dia pun dia rasa segala penat masa balik kerja hilang. Jikalau tidak jumpa sehari suntuk anaknya itu pun dia sudah rindu.

Tetapi di akhirat nanti, dia nampak sahaja anaknya itu, dia akan lari kerana takut. Alangkah lain dengan apa yang kita sangka. Jadi ini adalah perkara serius. Bukan sahaja suami akan lari dari isteri, isteri pun akan lari dari suami. Bukan ayah akan lari dari anaknya, ibu pun akan lari dan anak pun akan lari dari mereka.

Kenapa mereka lari? Kerana mereka teringat yang mereka dahulu ada buat salah dengan ahli mereka itu, sama ada pada emak, pada anak, pada pasangan hidup masing-masing. Mereka takut kena tuntut di akhirat kelak. Kerana mereka yang dizalimi boleh menuntut hak-hak mereka. Jadi dia tidak sanggup hendak serahkan apa-apa untuk mereka.

Kerana waktu itu, hak-hak itu tidak boleh dipenuhi dengan wang ringgit lagi. Mereka kena bayar dengan pahala. Dan kalau pahala mereka habis diberi kepada orang lain, mereka kena ambil dosa orang itu pula untuk ditanggung. Itu sebab pentingnya untuk kita penuhkan hak orang-orang yang dekat dengan kita semasa di dunia. Supaya kita tidak mengalami keadaan begini.

Jadi Allah ﷻ hendak beritahu kita, pada hari itu, kita semua akan memikirkan tentang hal diri sendiri sahaja. Dalam surah sebelum ini, telah diberitahu kepada kita yang di akhirat nanti, semua orang akan ingat balik segala apa yang dia telah lakukan semasa di dunia – semua, setiap satu dan tidak ada tertinggal. Kalau di dunia, macam-macam kita lupa, tetapi ingatan kita akan jadi sempurna di akhirat kelak.

Dan oleh kerana dia sudah ingat semuanya, maka dia sudah tidak tentu arah sebab dia telah ingat segala kesalahan yang dia telah buat. Dan waktu itu dia tidak mahu fikirkan bagaimana dia hendak balas balik kesalahannya kepada orang lain. Dia juga tidak mahu tolong walau sesiapa pun kerana dia sendiri ada masalah dia sendiri. Tidak kira siapa pun, walaupun pada orang yang sangat dekat dengan dirinya.

Balaghah: Terdapat keindahan susunan dalam ayat-ayat ini. Kita boleh lihat bahawa susunan yang digunakan adalah susunan yang mendekat. Disebut mereka yang jauh dahulu dengan kita (saudara mara) dan akhirnya diakhiri dengan insan yang paling dekat dengan kita (anak).

Bandingkan dengan susunan dalam Maarij:11-14. Dalam Surah Maarij itu, susunan yang digunakan adalah susunan menaik: dimulai dengan anak kita sehingga kepada seluruh manusia. Kenapa ada perbezaan dalam susunan itu?

Inilah keindahan susunan dalam Al-Qur’an. Dalam Surah Maarij itu, ianya berkenaan dengan tindakan hendak menebus seseorang untuk menyelamatkan diri. Kalau kita hendak menebus, tentulah kita mulakan dengan apa yang rapat dengan kita, kerana seolah-olah kita memilikinya. Iaitu anak kita sendiri. Tetapi dalam Surah Abasa ini, ianya berkenaan menjauhkan diri dari seseorang.

Kalau kita terpaksa menjauhkan diri dari seseorang, tentulah kita akan memulakan dengan orang jauh dari kita dahulu. Sebagai contoh, kalau kita kena berpindah dan kita tidak sanggup untuk berpisah dengan ahli keluarga kita, bukan? Tetapi kalau terpaksa juga, kita susun supaya yang kita jauhi terlebih dahulu adalah saudara kita yang paling jauh.


 

Abasa Ayat 37: Kenapa kita tidak sempat dan tidak sanggup hendak memikirkan tentang hal orang lain?

لِكُلِّ امرِئٍ مِنهُم يَومَئِذٍ شَأنٌ يُغنيهِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For every man, that Day, will be a matter adequate for him.¹

  • i.e., to occupy him. He will be concerned only with himself, thus forgetting all others.

(MALAY)

Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya.

 

Pada hari itu semua orang akan sibuk dengan hal masing-masing. Memikirkan tentang perbuatan mereka di dunia, menyesali segala perbuatan mereka, takut apa yang akan  jadi kepada mereka, selamat atau tidak? Oleh kerana itu, setiap manusia tidak sempat hendak fikirkan pasal orang lain.

Lafaz امرِئٍ adalah dari lafaz المَرءُ dan seperti yang kita telah sebut sebelum ini, المَرءُ adalah orang yang mementingkan orang lain. Akan tetapi orang macam itu pun akan sibuk dengan diri dia sahaja. Kerana keadaan di akhirat yang begitu membimbangkan mereka.

Kalimah شَأنٌ bermaksud perkara yang penting, tugas yang penting. Oleh itu, mereka amat sibuk dengan perkara yang amat penting yang melibatkan diri mereka. Antaranya mereka sibuk memikirkan apa yang mereka telah buat dan bagaimana hendak menyelamatkan diri mereka.

Kalimah يُغنيهِ pula bermaksud mereka sibuk sangat sampai tidak ingat benda lain. Waktu itu, benda lain jadi tidak penting kerana dia sedang memikirkan satu perkara yang amat menekan kepada fikirannya. Macam kita tengah sibuk buat kerja yang amat penting, dan anak kita datang tunjuk gambar yang dia lukis. Kita waktu itu, tengok acuh tidak acuh sahaja kerana kita sedang siapkan kerja kita yang perlu dihantar segera.

Begitulah lebih kurang perasaan mereka di akhirat nanti. Tidak sempat hendak tengok orang lain, hendak cari kawan lama untuk borak-borak, hendak cari ahli keluarga untuk periksa sama ada mereka selamat atau tidak.

قَالَ ابْنُ أَبِي حَاتِمٍ: حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَمَّارِ بْنِ الْحَارِثِ، حَدَّثَنَا الْوَلِيدُ بْنُ صَالِحٍ، حَدَّثَنَا ثَابِتٌ أَبُو زَيْدٍ الْعَبَّادَانِيُّ، عَنْ هِلَالِ بْنِ خَبَّاب، عَنْ سَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” تُحْشَرُونَ حُفَاةً عُرَاةً مُشَاةً غُرلا ” قَالَ: فَقَالَتْ زوجته: يا رسول الله، أوَ يرى بَعْضُنَا عَوْرَةَ بَعْضٍ؟ قَالَ: ” (لِكُلِّ امْرِئٍ مِنْهُمْ يَوْمَئِذٍ شَأْنٌ يُغْنِيهِ) أَوْ قَالَ: “مَا أَشْغَلَهُ عَنِ النَّظَرِ”.

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Ammar ibnul Haris Al-Walid ibnu Saleh. telah menceritakan kepada kami Sabit alias Abu Zaid Al-Ubadani, dari Hilal ibnu Khabbab, dari Sa’id ibnu Jubair, dari Ibnu Abbas yang mengatakan bahawa Rasulullah  ﷺ pernah bersabda: Kelak kalian akan dihimpunkan (di hari kiamat) dalam keadaan tidak beralas kaki, telanjang, jalan kaki lagi dalam keadaan tidak bersunat (berkhitan). Maka salah seorang isteri baginda ada yang bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah kita dapat melihat (yang lain), atau sebahagian dari kita dapat melihat aurat sebahagian yang lainnya?” Maka baginda menjawab: Tiap-tiap orang dari mereka di hari itu disibukkan dengan urusannya sendiri —atau— sibuk dengan urusannya sendiri hingga tidak sempat memandang (orang lain).

Imam Nasai telah meriwayatkan hadis ini secara tunggal dengan sanad yang sama, dari Abu Daud, dari Arim, dari Sabit ibnu Yazid alias Ibnu Zaid Al-Ahwal Al-Basri salah seorang siqah, dari Hilal ibnu Khabab, dari Sa’id ibnu Jubair, dari Ibnu Abbas dengan lafaz yang sama.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 30 Mei 2026


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Jalalain

 

Tafsir Surah Hud Ayat 62 – 64 (Kisah Unta Betina Allah ﷻ)

PENOLAKAN KAUMNYA

Hud Ayat 62: Ayat syikayah (rungutan daripada Allah ﷻ tentang kata-kata para penentang).

قالوا يٰصٰلِحُ قَد كُنتَ فينا مَرجُوًّا قَبلَ هٰذا ۖ أَتَنهٰنا أَن نَّعبُدَ ما يَعبُدُ ءآباؤُنا وَإِنَّنا لَفي شَكٍّ مِّمّا تَدعونا إِلَيهِ مُريبٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “O Ṣāliḥ, you were among us a man of promise before this. Do you forbid us to worship what our fathers worshipped? And indeed we are, about that to which you invite us, in disquieting doubt.”

(MALAY)

Kaum Tsamud berkata: “Hai Shaleh, sesungguhnya kamu sebelum ini adalah seorang di antara kami yang kami harapkan, apakah kamu melarang kami untuk menyembah apa yang disembah oleh bapak-bapak kami? Dan sesungguhnya kami betul-betul dalam keraguan terhadap agama yang kamu serukan kepada kami”.

 

قالوا يٰصٰلِحُ قَد كُنتَ فينا مَرجُوًّا قَبلَ هٰذا

Kaum Tsamud berkata: “Hai Saleh, sesungguhnya kamu sebelum ini adalah seorang di antara kami yang kami harapkan

Kita boleh lihat di sini yang umat Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu telah memberi tindak balas kepada dakwah baginda. Ini menunjukkan memang baginda telah menyampaikan dakwah dan telah menegur kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan oleh umat baginda waktu itu. Ini bermakna memang baginda telah melakukan dakwah dengan menyampaikan kebenaran yang menyentuh amalan-amalan salah masyarakat itu. Mereka terasa dengan teguran itu dan kerana itulah mereka sedang menjawab seperti yang kita baca ini.

Ini tidak sama dengan ahli agama kita sekarang yang tidak menegur pun kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat sampaikan masyarakat senang lenang sahaja tidak terasa dan tidak tersentuh pun dengan teguran daripada ahli agama. Kalau ada kelas-kelas agama yang dilakukan di masjid-masjid dan surau sekarang pun hanya menyentuh tentang feqah wudhu’, solat dan puasa sahaja dan tidak menegur tentang kesalahan yang lebih besar dan penting iaitu syirik dan bid’ah yang dilakukan oleh masyarakat. Disebabkan itulah kesalahan syirik dan bid’ah masih berterusan malah berleluasa dalam kalangan masyarakat kita. Kadangkala kelihatan makin kreatif pun ada mereka mereka-reka ibadah baru pula.

Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dahulu merupakan harapan masyarakat Kaum Tsamud sebelum baginda diangkat menjadi Nabi. Ini kerana kalimah yang digunakan adalah مَرجُوًّا daripada katadasar ر ج و yang bermaksud berharap; jangkakan; tunggu; harapan. Maka kalimah مَرجُوًّا bermaksud mereka berharap kepada Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk menjadi pemimpin. Namun, harapan itu adalah sebelum baginda mengajak mereka kepada tauhid. Baginda menjadi harapan pemimpin mereka untuk terus menyubur adat resam tok nenek mereka yang lama. Mereka sangka baginda akan menjadi pemimpin bagi pihak mereka kerana baginda ada potensi besar sebagai seorang pemimpin.

Teringat satu kisah seorang ibu yang menghantar anaknya ke madrasah. Anak itu telah belajar agama termasuk tafsir Al-Qur’an dan apabila dia pulang dia telah menegur kesalahan yang dilakukan oleh ibunya. Ibunya boleh pula berkata: “Mak ingat kau belajar ni, bolehlah jadi imam solat emak, bukannya tegur emak!” Alangkah jahilnya si ibu itu. Begitulah yang berlaku apabila ramai yang menghantar anak belajar agama atas niat yang salah.

Begitulah juga para Nabi sekalian kerana mereka itu dididik oleh Allah ﷻ untuk menjadi insan yang mulia. Sampaikan setiap orang yang melihat para Nabi itu akan memandang tinggi kepada mereka dan percaya kepada mereka. Rupa elok, akhlak peribadi pun indah sekali. Begitulah juga yang kita tahu terjadi kepada Nabi Muhammad ﷺ. Sebelum baginda diangkat menjadi Rasul dan mengajak kaumnya meninggalkan syirik, kaumnya itu begitu menyenangi sikap dan peribadi baginda sehinggakan baginda digelar ‘Al-Amin’ (yang dipercayai) yang menunjukkan betapa mereka percayakan baginda.

Akan tetapi apabila Rasulullah ﷺ menyampaikan dakwah tauhid dan menegur kesalahan syirik umat baginda tiba-tiba baginda ditentang dan orang yang mereka yakin dan dipercayai itu terus sekelip mata. Hanya kerana tidak dapat menerima teguran baginda. Begitulah juga yang telah berlaku kepada Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka Allah ﷻ hendak memberi pujukan kepada Rasulullah ﷺ yang bukan baginda sahaja yang pertama kali ditolak oleh umat baginda setelah sekian lama disanjung tinggi.

Perkara yang sama boleh berlaku kepada kita apabila kita menjalankan dakwah tauhid dan menegur kesalahan bid’ah yang dilakukan masyarakat. Kalau dulu kita dipandang tinggi dan senang berkawan dengan orang lain, maka tiba-tiba kita akan dipandang serong dan dituduh sesat. Maka jangan pelik jika itu berlaku kepada kita kerana itulah Sunnatullah yang berlaku zaman berzaman.

Di sini masyarakat baginda menyebut nama baginda sahaja tanpa diberikan pangkat baginda sebagai Nabi Allah ﷻ. Maka ini menunjukkan yang mereka marah kepada baginda dan tidak menghormati baginda dan sudah tidak sayang kepada baginda. Kurang ajarnya mereka itu seperti kurang ajarnya seorang anak yang memanggil nama ayahnya sahaja.

 

أَتَنهٰنا أَن نَّعبُدَ ما يَعبُدُ ءآباؤُنا

apakah kamu melarang kami untuk menyembah apa yang disembah oleh bapak-bapak kami?

Mereka hairan sangat kenapa baginda melarang mereka daripada menyembah apa yang pernah disembah oleh tok nenek mereka. Itulah kebanggaan mereka selama hari ini – meneruskan tradisi tok nenek, golongan yang terdahulu.

Memang manusia suka untuk meneruskan apa yang telah dilakukan oleh golongan terdahulu. Lebih-lebih lagi dalam perkara agama. Kalau perkara lain, tidaklah dijaga sangat, tetapi kalau dalam bab agama, memang mereka senang meneruskan amalan yang telah lama ada, langsung tidak boleh dipersoalkan.

Ini sama sahaja seperti golongan kita lah juga, kalau bab agama, mesti meneruskan apa yang telah lama diamalkan oleh golongan-golongan sebelum ini. Kalau kita tegur, marah betul mereka yang menjaganya. Mereka menjadi terlebih sensitif. Mereka ikut sahaja amalan tok nenek, tanpa memikirkan sama ada amalan itu benar atau tidak. Maka amat susah untuk kita menghilangkan amalan syirik, bid’ah dan khurafat dalam masyarakat kerana memang ramai yang berfikiran cetek begini. Oleh itu kita kena terus sampaikan ilmu.

Menggunakan hujah amalan tok nenek adalah satu hujah yang selalu digunakan oleh para penentang tauhid dan Sunnah. Ini adalah kerana pada mereka, sesuatu amalan itu sudah lama diamalkan oleh tok nenek dan kita manusia memang ada pertalian yang rapat dengan tok nenek. Mereka seolah-olah tidak dapat menerima hakikat bahawa amalan tok nenek mereka selama ini adalah salah kerana terlalu percaya dan hormatkan tok nenek itu. Ini adalah sebagaimana kita hormatkan apa yang dilakukan oleh ayah kita jugalah. Berat hati kita untuk kata ayah kita salah, bukan? Bagaimana salah sekalipun, mereka tetap bapa kita. Mereka sangka apabila amalan itu telah lama diamalkan maka tentulah ia benar kerana jikalau ia salah maka tentu telah lama ditolak.

Lagi satu mereka percaya kepada amalan tok nenek ini adalah kerana yang menjadi penganjurnya juga adalah golongan-golongan agama juga seperti ustaz dan tok lebai. Bayangkan amalan syirik buang sial ke laut dahulu dilakukan oleh para-para ustaz juga yang membacakan doa dan menjadi tekong kepada amalan itu. Alhamdulillah masyarakat kita sudah semakin pandai sedikit dan sudah nampak yang amalan itu adalah amalan syirik. Akan tetapi masih ada lagi amalan-amalan lain yang ada saki baki di dalam masyarakat kita.

Ringkasnya amalan tok nenek dipegang kuat kerana,

    1. Sudah lama diamalkan jadi kenapa hendak tukar?
    2. Tok nenek yang kita hormat yang amalkan
    3. Kalau salah, kenapa ia diamalkan sekian lama?
    4. Ia juga diamalkan oleh ahli agama selama ini

Al-Qur’an menegur hujah bathil mereka ini seperti disebut dalam Baqarah:170

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ ٱتَّبِعُواْ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ قَالُواْ بَل نَتَّبِعُ مَآ أَلفَينَا عَلَيهِ ءَابَآءَنَآ‌ۗ
Dan apabila dikatakan kepada mereka” Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah” mereka menjawab: “(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya”.

Hujah mereka ini dijawab oleh Allah ﷻ di dalam sambungan ayat itu. Kalau amalan itu memang ada hujah dan dalil, maka bolehlah diteruskan, tetapi kalau ia dilakukan tanpa apa-apa sandaran agama, maka kenapa diteruskan? Takkan masih mahu mengikut amalan orang yang tidak berilmu hanya kerana semata-mata mereka itu tok nenek kita?

أَوَلَو كَانَ ءَابَآؤُهُم لَا يَعقِلُونَ شَيـًٔا وَلَا يَهتَدُونَ
Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (daripada Allah)?

Oleh itu orang yang berilmu dan telah membuka mindanya serta telah belajar agama kena berani meninggalkan amalan-amalan salah walaupun ia telah lama diamalkan. Kita tidak perlu untuk menjaga tradisi golongan yang sebelum kita jikalau ia menyelisihi wahyu.

Kalau amalan salah dan bid’ah yang dilakukan oleh masyarakat tidak ditegur, maka ia akan menjadi semakin teruk dan lama kelamaan akan dianggap sebagai agama dan benar. Sebab itulah amalan tok nenek itu dianggap sebagai baik kerana tidak pernah ditegur oleh ahli agama yang sepatutnya tahu. Entah takut tidak dibayar lagi, agaknya.

Begitu jugalah kita terpaksa menegur amalan bid’ah yang dilakukan oleh masyarakat sekarang kerana jikalau kita tidak tegur, entah apa yang akan terjadi kepada masyarakat kita. Kalaulah kita dapat hidup 50 tahun lagi dan lihat amalan masyarakat ketika itu, kita pun tidak tahu masyarakat kita itu beragama apa agaknya kerana amalan sudah jadi pelik-pelik.

Jangan kita jadi orang yang hanya menerima sahaja secara membabi buta apa-apa yang disampaikan kepada kita. Ini kerana Allah ﷻ telah anugerahkan kita pancaindera untuk menuntut ilmu dan minda untuk menilai mana yang benar dan mana yang tidak. Allah ﷻ memuji orang yang bijak (ulul albab) di dalam Zumar:18

الَّذينَ يَستَمِعونَ القَولَ فَيَتَّبِعونَ أَحسَنَهُ ۚ أُولٰئِكَ الَّذينَ هَدٰهُمُ اللَهُ ۖ وَأُولٰئِكَ هُم أُولُو الأَلبٰبِ
Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.

Maknanya kita boleh dengar hujah yang disampaikan oleh orang lain, tetapi mestilah menilai dengan hati-hati supaya kita ikut yang أَحسَنَهُ (yang terbaik). Apakah pula أَحسَنَهُ itu? Ia disebut dalam Zumar: 23 pula,

اللَهُ نَزَّلَ أَحسَنَ الحَديثِ كِتٰبًا مُّتَشٰبِهًا مَّثانِيَ
Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Qur’an yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang

Jelas di sini, أَحسَنَ yang dimaksudkan adalah wahyu Al-Qur’an. Maka sebarang ilmu agama yang disampaikan itu mestilah dibandingkan dengan neraca Al-Qur’an. Cuma malangnya ramai yang tidak mahir dengan tafsir Al-Qur’an maka kerana itu senang sekali mereka ditipu.

 

وَإِنَّنا لَفي شَكٍّ مِّمّا تَدعونا إِلَيهِ مُريبٍ

dan sesungguhnya kami betul-betul dalam keraguan terhadap agama yang kamu serukan kepada kami, lagi menyebabkan keraguan”.

Mereka kata mereka betul-betul ingkar daripada ajaran tauhid yang Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ajak itu. Mereka ragu-ragu dengan apa yang baginda sampaikan. Mereka ragu-ragu kerana bertentangan daripada pemahaman mereka.

Begitulah juga dalam masyarakat kita ini. Terlalu ramai berfahaman begini. Kalau ada ustaz Sunnah mengajar perkara yang lain sedikit daripada apa yang mereka telah biasa amalkan, mereka akan beri tuduhan melulu. Paling selalu disebut sekarang adalah tuduhan: Wahabi. Ramai pandai sebut sahaja tetapi tidak faham pun apa maksud Wahabi itu. Kalau kita tanya kepada mereka pun, mereka tidak akan boleh jawab kerana mereka ikut sahaja kata-kata orang. “Entahlah, lain benar apa depa ajar tu dari biasa kita buat. Ustaz aku cakap depa wahabi. Aku ikut je.”

Kalimah “مُريبٍ” dan “شَكٍّ” dalam ayat ini mempunyai makna yang berkait rapat tetapi berbeza dari segi nuansa dan kekuatan makna. Kalimah “شَكٍّ” bermaksud keraguan atau keadaan tidak yakin, iaitu seseorang berada dalam keadaan teragak-agak antara dua perkara tanpa ada keyakinan pada salah satu daripadanya. Dalam konteks bahasa Arab, “الشك: اعتدال النقيضين عند الإنسان وتساويهما” iaitu keraguan berlaku apabila dua perkara yang bertentangan sama kuat di sisi seseorang, sehingga dia tidak dapat memutuskan mana yang benar.

Sementara itu, “مُريبٍ” berasal dari kata dasar “ريب” yang bermaksud sesuatu yang menimbulkan syak wasangka, kebimbangan, atau keraguan yang lebih mendalam. “مُريبٍ” membawa maksud “menimbulkan keraguan” atau “mencetuskan syak wasangka”, iaitu bukan sekadar ragu, tetapi juga menyebabkan orang lain turut ragu dan bimbang. Dari sudut tafsir, “مُريبٍ” adalah lebih berat daripada sekadar “شَكٍّ”, kerana ia melibatkan unsur menimbulkan keraguan atau syak wasangka dalam hati orang lain .

Ringkasnya:

    • “شَكٍّ” = keraguan dalam hati, tidak pasti antara dua perkara.
    • “مُريبٍ” = sesuatu yang menimbulkan keraguan, syak wasangka, atau kebimbangan, sama ada pada diri sendiri atau orang lain.

Jadi, dalam ayat tersebut, “شَكٍّ” menggambarkan keadaan ragu, manakala “مُريبٍ” menambah makna bahawa keraguan itu bukan sekadar wujud, tetapi juga menimbulkan syak wasangka dan kebimbangan yang lebih mendalam


 

HUJAH BALAS NABI SALEH عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ

Hud Ayat 63:

قالَ يٰقَومِ أَرَءَيتُم إِن كُنتُ عَلىٰ بَيِّنَةٍ مِّن رَّبّي وَءآتٰني مِنهُ رَحمَةً فَمَن يَنصُرُني مِنَ اللَّهِ إِن عَصَيتُهُ ۖ فَما تَزيدونَني غَيرَ تَخسيرٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “O my people, have you considered: if I should be upon clear evidence from my Lord and He has given me mercy from Himself, who would protect me from Allāh if I disobeyed Him? So you would not increase me except in loss.

(MALAY)

Shaleh berkata: “Hai kaumku, bagaimana fikiranmu jika aku mempunyai bukti yang nyata dari Tuhanku dan diberi-Nya aku rahmat (kenabian) dari-Nya, maka siapakah yang akan menolong aku dari (azab) Allah jika aku mendurhakai-Nya. Sebab itu kamu tidak menambah apapun kepadaku selain daripada kerugian.

 

قالَ يٰقَومِ أَرَءَيتُم إِن كُنتُ عَلىٰ بَيِّنَةٍ مِّن رَّبّي

Shaleh berkata: “Hai kaumku, bagaimana fikiranmu jika aku mempunyai bukti yang nyata dari Tuhanku

Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ membalas kata-kata kaumnya: ‘Apa pandangan kamu, tolong beritahu aku sikit, kalau sekiranya aku ini benar atas dalil yang benar, bagaimana? Kamu yang menolak apa yang aku sampaikan ini, cuba fikir sikit, kalau aku benar dan kamu tolak, tidakkah bahaya bagi kamu semua?’

Apakah bukti nyata yang dimaksudkan? Ia adalah daripada fitrah keimanan yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada semua insan. Fitrah ini telah disebut dalam ayat-ayat sebelum ini. Juga bermaksud wahyu yang Allah ﷻ sampaikan kepada baginda.

Dari sini kita dapat tahu bahawa bukti itu mesti daripada Tuhan (بَيِّنَةٍ مِّن رَّبِّي). Sebab itu kita kena rujuk kepada wahyu dalam hal agama, tidak boleh kita buat fahaman sendiri.

Yang kedua sifatnya pula adalah بَيِّنَةٍ (jelas). Memang apa-apa sahaja daripada Tuhan adalah jelas. Yang tidak jelas kalau tidak belajar dan kalau hati keras tidak mahu menerima kebenaran. Jikalau ia jelas, maka salahlah fahaman sesetengah orang agama yang kata tidak boleh belajar tafsir Al-Qur’an bagi orang awam. Seolah-olah orang istimewa sahaja yang boleh belajar. Mereka sampai kata kalau belajar tafsir, boleh keliru dan malah boleh menjadi sesat! Ini adalah pandangan yang salah dan merbahaya.

Bayangkan Al-Qur’an adalah sumber utama kita tetapi kita tidak boleh belajar untuk memahaminya? Amatlah rugi kalau begitu. Di dalam masa yang sama, kita faham juga kerisauan mereka. Memang kalau tidak belajar dengan orang yang mahir, ia boleh menyebabkan salah faham dan ya, boleh sampai sesat. Kita pun pernah baca fahaman-fahaman yang mengarut daripada orang yang tafsir Al-Qur’an ikut nafsu sendiri, hanya berdasarkan terjemahan sahaja.

Maka nasihat kami adalah kena belajar tafsir, tetapi hendaklah berhati-hati. Dapatkan ilmu daripada guru yang mahir dan kena belajar lebih daripada satu guru supaya dapat banding-bandingkan. Kalau kita baru belajar, kita tidak tahu guru itu ajar betul atau tidak. Maka kena bandingkan dengan guru yang lain juga. Kerana itu seeloknya belajar secara talaqqi (berdepan) supaya boleh bertanya soalan.

 

وَءآتٰني مِنهُ رَحمَةً

dan diberi-Nya aku rahmat (kenabian) daripada-Nya,

Kalaulah benar-benar Allah ﷻ telah memberikan rahmat khas daripada-Nya, bagaimana? Rahmat yang dimaksudkan adalah rahmat kenabian, iaitu Allah ﷻ telah mengangkat baginda menjadi seorang Nabi lagi Rasul. Ini adalah kerana memang pangkat kenabian adalah sebuah rahmat kepada yang menerima pangkat itu dan umat mereka. Sebagaimana Rasulullah ﷺ juga adalah rahmat seperti disebut di dalam Anbiya’:107

وَما أَرسَلنٰكَ إِلّا رَحمَةً لِّلعٰلَمينَ
Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.

Baginda suruh mereka fikirlah sikit, kalau memang baginda itu Nabi dan bawa dalil yang benar, dan mereka pula tolak, bagaimana? Bukankah susah hidup mereka nanti sebab menolak Nabi dan wahyu?

 

فَمَن يَنصُرُني مِنَ اللَّهِ إِن عَصَيتُهُ

maka siapakah yang akan menolong aku daripada (azab) Allah jika aku mendurhakai-Nya.

Maka siapa lagi akan membantu baginda jika baginda tidak mengajak mereka kepada agama tauhid? Mereka marah sekali apabila Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menegur amalan mereka menyembah ilah-ilah mereka itu. Mereka mahu Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ jangan cakap begitu lagi, mereka mahu baginda berhenti. Mustahil untuk baginda berhenti kerana itulah adalah tugas baginda.

Salah satu Dakwa surah ini adalah untuk menyampaikan dakwah walaupun ia berat. Oleh kerana itu Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetap akan sampaikan juga walaupun mereka tidak suka. Maka, apa yang baginda lakukan itu adalah kewajipan yang baginda kena jalankan dan kalau baginda tidak jalankan, baginda telah menderhakai Allah ﷻ dan pada waktu itu, siapa yang akan selamatkan baginda kalau baginda mengingkari tugas yang telah diberikan? Baginda beritahu yang jikalau baginda tidak sampaikan, maka baginda yang dikenakan azab. Baginda tidak pun kata yang mereka yang dikenakan azab tetapi baginda kata baginda yang mula-mula sekali diazab. Adakah mereka boleh selamatkan baginda? Tentu tidak boleh sama sekali.

Ini sebenarnya ada teguran yang amat berat kepada orang-orang yang berilmu. Apabila orang yang sudah ada ilmu, maka wajib bagi mereka untuk menyampaikan dan bukannya simpan sendiri. Akan tetapi ramai yang walaupun sudah berilmu tetapi takut dengan kata-kata masyarakat mereka. Maka mereka simpan sendiri sahaja. Mereka perhati sahaja kesalahan yang dilakukan oleh orang sekeliling tanpa menegur sedikit pun. Apa nanti yang mereka akan jawab di hadapan Allah ﷻ? Lihatlah firman Allah ﷻ yang amat menakutkan di dalam Baqarah:159

إِنَّ الَّذينَ يَكتُمونَ ما أَنزَلنا مِنَ البَيِّنٰتِ وَالهُدىٰ مِن بَعدِ ما بَيَّنّٰهُ لِلنّاسِ فِي الكِتٰبِ ۙ أُولٰئِكَ يَلعَنُهُمُ اللَّهُ وَيَلعَنُهُمُ اللّٰعِنونَ
Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.

Akan tetapi kita memang tahu yang tugas menegur manusia ini bukanlah tugas yang mudah dan memerlukan kekuatan iman yang amat tinggi. Kalau iman senipis tisu memang tidak mampulah hendak menegur kesalahan orang. Oleh kerana itu kena ada sifat yang tidak kisah dengan kata-kata orang. Kita sampaikan sahaja kepada orang lain dan sama ada mereka terima ataupun tidak, sekurang kurangnya kita telah sampaikan. Adalah hujah kita di hadapan Allah ﷻ nanti.

Malangnya ada orang yang bukan saja tidak sampaikan sebaliknya mereka menegur pula orang yang menjalankan kerja amar makruf Nahi mungkar seperti disebut di dalam Ali Imran:164

وَإِذ قالَت أُمَّةٌ مِّنهُم لِمَ تَعِظونَ قَومًا ۙ اللَّهُ مُهلِكُهُم أَو مُعَذِّبُهُم عَذابًا شَديدًا ۖ قالوا مَعذِرَةً إِلىٰ رَبِّكُم وَلَعَلَّهُم يَتَّقونَ
Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: “Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan binasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?” Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: “(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri daripada bersalah kepada Tuhan kamu, dan mudah-mudahan mereka bertaqwa”.

Lihatlah di dalam ayat ini orang yang menegur itu tahu bahawa mungkin orang yang ditegur tidak mendengar, akan tetapi sekurang kurangnya mereka ada hujah di hadapan Allah (مَعذِرَةً إِلىٰ رَبِّكُم).

 

فَما تَزيدونَني غَيرَ تَخسيرٍ

Sebab itu kamu tidak menambah apapun kepadaku selain daripada kerugian.

Hujah-hujah mereka kepada baginda untuk menolak dakwah baginda itu tidak menambah kepada baginda melainkan kerugian sahaja. Kalau baginda tinggalkan dakwah kepada mereka, tentulah tidak ada keuntungan tetapi hanya kerugian sahaja kepada baginda. Kalaulah baginda ikut apa yang mereka hujahkan itu maka tentulah kerugian yang besar kepada baginda.

Oleh itu sesiapa yang menolak Nabi dan ajaran yang dibawa oleh mereka, maka mereka itu sebenarnya menolak rahmat tetapi mereka sahaja yang tidak menyedarinya. Rugi yang terlalu besar yang tidak ada satu kerugian pun di dunia ini yang lebih sengsara daripada itu.

Oleh kerana pangkat kenabian itu datang dengan tanggungjawab yang mesti ditunaikan, maka Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata yang jikalau baginda ikut apa yang mereka suruh baginda iaitu tinggalkan mengajar mereka ajaran tauhid, maka baginda yang akan rugi. Rugi, sebab baginda telah memungkiri janji dengan Tuhan. Rugi, sebab baginda telah mengkhianati diri baginda sendiri.


 

Hud Ayat 64:

وَيٰقَومِ هٰذِهِ ناقَةُ اللَّهِ لَكُم ءآيَةً فَذَروها تَأكُل في أَرضِ اللَّهِ وَلا تَمَسّوها بِسوءٍ فَيَأخُذَكُم عَذابٌ قَريبٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And O my people, this is the she-camel of Allāh – [she is] to you a sign. So let her feed upon Allāh’s earth and do not touch her with harm, or you will be taken by an impending punishment.”

(MALAY)

Hai kaumku, inilah unta betina dari Allah, sebagai mukjizat (yang menunjukkan kebenaran) untukmu, sebab itu biarkanlah ia makan di bumi Allah, dan janganlah kamu mengganggunya dengan gangguan apapun yang akan menyebabkan kamu ditimpa azab yang dekat”.

 

وَيٰقَومِ هٰذِهِ ناقَةُ اللَّهِ لَكُم ءآيَةً

Hai kaumku, inilah unta betina daripada Allah, sebagai mukjizat (yang menunjukkan kebenaran) untukmu,

Akhirnya tersebutlah di dalam beberapa tafsir bahawa kerana kebijaksanaannya Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menghadapi kaumnya itu, mereka pun bersikap lunak kepada baginda. Akan tetapi mereka mengemukakan syarat, bahawa mereka akan mempertimbangkan dakwah Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu, asal sahaja Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sanggup mengadakan satu keganjilan, iaitu diadakan satu ekor unta betina yang besar, luarbiasa besarnya. Ia tidak disebut di sini tetapi disebut di dalam ayat-ayat yang lain. Lihat Syuara’:154-155

ما أَنتَ إِلّا بَشَرٌ مِّثلُنا فَأتِ بِئايَةٍ إِن كُنتَ مِنَ الصّٰدِقينَ
Kamu tidak lain melainkan seorang manusia seperti kami; maka datangkanlah sesuatu mukjizat, jika kamu memang termasuk orang-orang yang benar”.

قالَ هٰذِهِ ناقَةٌ لَّها شِربٌ وَلَكُم شِربُ يَومٍ مَّعلومٍ
Saleh menjawab: “Ini seekor unta betina, ia mempunyai giliran untuk mendapatkan air, dan kamu mempunyai giliran pula untuk mendapatkan air di hari yang tertentu.

Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bermohon kepada Allah ‎ﷻ agar usul kaumnya itu dikabulkan. Maka Allah ﷻ kabulkan permintaan itu, tetapi dengan janji pula, bahawa hendaklah air minum unta dan air minum binatang-binatang ternak mereka di pagi hari diberi giliran tertentu. Kalau hari ini unta yang minum, esok untuk mereka dan binatang ternak mereka pula. Di hari giliran minum mereka itu, unta tidak akan dihalau ke tempat air itu. Setelah persetujuan yang demikian itu didatangkan Tuhan unta mukjizat itu di tengah-tengah mereka. Maka mereka melakukan sebagaimana yang dijanjikan kedua belah pihak.

Ini adalah satu tanda dalam bentuk mukjizat yang hebat. Ini bukanlah unta biasa tetapi ناقَةُ اللَّهِ (unta Allah ﷻ). Allah ﷻ yang beri kepada mereka sebagai tanda mukjizat. Apabila ia disandarkan kepada Allah ﷻ maka ia bermaksud sesuatu yang mulia seperti Allah ﷻ namakan Ka’bah sebagai Baitullah (Rumah Allah ﷻ). Memang kalau manusia tidak dapat melakukannya. Namun baginda dapat keluarkan kerana Allah ﷻ yang jalankan mukjizat itu. Tanda itu bukannya daripada baginda, tetapi daripada Allah ﷻ sendiri. Ini kerana baginda pun tidak dapat melakukannya kalau bukan Allah ﷻ yang jalankan.

Berdasarkan penjelasan para mufassir dan sumber-sumber klasik, unta Nabi Saleh dikeluarkan dari batu atau dari sebuah batu besar (ṣakhrah). Hal ini merupakan mukjizat yang diminta oleh kaum Tsamud sebagai bukti kenabian baginda. Mereka mencabar Nabi Saleh untuk mengeluarkan seekor unta betina yang sedang bunting dari sebuah batu besar yang mereka tunjuk, dan Allah mengabulkan permintaan tersebut. Beberapa penjelasan dari kitab tafsir dan sejarah menyebutkan secara eksplisit bahawa unta tersebut keluar dari batu:

    • Dalam “بحر العلوم” karya Abu al-Laits al-Samarqandi: فتحركت الصخرة وانصدعت عن ناقة عشراء ذات زغب (batu itu bergerak dan terbelah, lalu keluar darinya unta betina yang sedang bunting dan berbulu halus) .
    • Dalam “تفسير الميزان” oleh al-‘Allamah al-Thabathaba’i: فأخرجها الله كما طلبوا منه (Allah mengeluarkannya [unta] sebagaimana yang mereka minta) dari batu yang mereka agungkan dan sembah .
    • Dalam “تفسير الطبري جامع البيان”: فأتاهم بناقة أخرجها من صخرة أو هضبة (Nabi Saleh mendatangkan kepada mereka seekor unta yang dikeluarkan dari batu besar atau bukit kecil) .
    • Dalam “نهاية الأرب في فنون الأدب”: فاضطربت الصخرة وتمخضت … ثم خرج رأس ووثبت من جوفها على الصفة كأنها قطعة جبل (batu itu bergetar dan seperti melahirkan, lalu keluar kepala [unta] dan melompat dari dalamnya, seolah-olah ia adalah bagian dari gunung) .
    • Dalam “مجمع البيان في تفسير القرآن”: خرجت من صخرة ملساء تمخضت بها كما تتمخض المرأة ثم انفلقت عنها على الصفة التي طلبوها (keluar dari batu licin yang seperti melahirkan, lalu terbelah dan keluar unta sesuai permintaan mereka) .

Walaupun Al-Qur’an tidak menyebutkan secara eksplisit bahawa unta itu keluar dari batu, namun penjelasan para mufassir dan riwayat-riwayat tafsir klasik sangat kuat menyatakan demikian. Oleh kerana itu, keyakinan bahawa unta Nabi Saleh adalah mukjizat yang dikeluarkan dari batu adalah benar menurut majoriti ulama tafsir.

Mereka telah minta tanda/mukjizat dan Allah ﷻ telah berikan, maka mahu apa lagi? Akan tetapi nanti kita akan lihat mereka tetap juga menolak ajaran tauhid daripada baginda.

 

فَذَروها تَأكُل في أَرضِ اللَّهِ

biarkanlah dia makan di bumi Allah, 

Mereka yang minta mukjizat itu dan sekarang telah diberikan. Apabila diberikan, kenalah jaga syarat-syarat. Antara syaratnya adalah mereka jangan ganggu unta betina itu. Berilah unta itu bebas makan di bumi Allah ﷻ. Juga jangan lupa perjanjian yang telah dimeterai antara mereka tentang tempat minum air. Selain tempat air, di dalam perjanjian itu pun disebutkan bahawa unta Allah ﷻ itu akan dibiarkan makan seenaknya di padang rumput yang telah ditentukan, dengan tidak mengganggu orang lain atau ternak yang lain.

Mereka diingatkan di sini yang bumi ini adalah bumi Allah ﷻ, bukan bumi mereka. Jangan lupa dan jangan buat tidak tentu pasal. Jangan sombong sangat.

 

وَلا تَمَسّوها بِسوءٍ فَيَأخُذَكُم عَذابٌ قَريبٌ

dan janganlah kamu mengganggunya dengan gangguan apapun yang akan menyebabkan kamu ditimpa azab yang dekat”.

Mereka diingatkan supaya jangan diganggu unta betina itu kerana kalau mereka ganggu juga, mereka akan dikenakan azab. Di dalam beberapa tafsir telah disebutkan bahawasanya ada golongan yang sengaja mencari helah untuk mengganggu unta, merasa tidak puas dengan pembahagian air (sehari buat unta dan sehari buat ternak mereka), sebab itu ada kedengaran yang mereka hendak membunuh unta tersebut. Itulah sebabnya Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberi peringatan agar unta Allah ﷻ itu jangan diganggu.

Maksud azab yang dekat itu adalah azab itu akan datang kepada mereka secara tiba-tiba. Seterusnya nanti kita akan lihat mereka ganggu juga unta betina itu dengan membunuhnya.

Kalau kita perhatikan syarat-syarat yang diberitahu oleh Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini adalah mudah sahaja iaitu jangan diusik unta itu. Bukannya baginda suruh buat sesuatu yang pelik ataupun yang susah. Akan tetapi itulah yang susah untuk mereka jaga. Ini sama seperti masyarakat kita yang jahil dan tidak menerima Sunnah. Yang kita ajar kepada mereka adalah meninggalkan amalan-amalan yang salah akan tetapi itu pun susah untuk mereka lakukan. Sedangkan apabila meninggalkan amalan yang salah adalah lebih memudahkan mereka, bukan?

Sebaliknya masyarakat lebih senang menerima ajaran yang sesat (dan lebih payah). Kerana itulah ajaran sesat senang bercambah di negara kita ini kerana yang ajar ajaran sesat itu tidak menegur kesalahan masyarakat akan tetapi mereka menambah amalan yang makin menyesatkan. Yang jadi masalahnya adalah masyarakat kita ini susah untuk terima apabila kita menegur amalan mereka dan kerana itulah ramai yang tidak setuju dengan ajaran Sunnah walaupun ajaran inilah yang paling mudah dan paling dekat dengan wahyu. Pada mereka tambah amalan tidak mengapa asalkan jangan tegur amalan yang sudah ada.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 23 Januari 2026

Ringkasan Surah Hud


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah Hud Ayat 60 – 61 (Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Kaum Tsamud)

Hud Ayat 60: Penutup kisah Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ

وَأُتبِعوا في هٰذِهِ الدُّنيا لَعنَةً وَيَومَ القِيٰمَةِ ۗ أَلا إِنَّ عادًا كَفَروا رَبَّهُم ۗ أَلا بُعدًا لِّعادٍ قَومِ هودٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they were [therefore] followed in this world with a curse and [as well] on the Day of Resurrection. Unquestionably, ‘Aad denied their Lord; then away with ‘Aad, the people of Hūd.

(MALAY)

Dan mereka selalu diikuti dengan laknat di dunia ini dan (begitu pula) di hari kiamat. Ingatlah, sesungguhnya kaum ‘Ad itu kafir kepada Tuhan mereka. Ingatlah kebinasaanlah bagi kaum ‘Ad (iaitu) kaum Hud itu.

 

وَأُتبِعوا في هٰذِهِ الدُّنيا لَعنَةً

Dan mereka selalu diikuti dengan laknat di dunia ini 

Di dunia ini, mereka mendapat laknat daripada semua yang melaknat. Kisah mereka ini akan ada sampai ke Kiamat nanti dan sepanjang itu mereka mendapat laknat. Setiap kali kita baca kisah mereka dalam Al-Qur’an pun kita benci dan melaknat mereka.

Apakah maksud ‘laknat’? Laknat ertinya kutuk, doa atau kata-kata yang dapat mengakibatkan kesusahan atau bencana kepada seseorang. Laknat juga dapat diertikan sebagai perbuatan mencela, dan menghina. Dalam Al-Qur’an, Allah ‎ﷻ juga banyak menggunakan kata laknat pada setiap ayat yang menjelaskan mengenai azab atau hukuman. Oleh itu pengertian laknat hendaklah dilihat daripada dua sudut pandang bergantung kepada objek yang melakukannya.

Pertama, laknat yang dilihat dari sudut pandang Sang Pencipta akan memiliki erti sebagai tindakan yang menjauhkan daripada rahmat-Nya. Kemudian, laknat dari sudut pandang makhluk memiliki erti sebagai doa atau cacian terhadap orang-orang tertentu.

Di dalam ayat ini tidak disebut siapakah yang melaknat kerana ia disebut secara umum sahaja. Oleh itu ia boleh bermaksud Allah ﷻ yang melaknat mereka dan menjauhkan mereka daripada rahmat-Nya, atau ia juga boleh bermaksud laknat (kutukan dan doa) daripada makhluk seperti para malaikat, orang beriman, dan juga makhluk lain seperti binatang dan juga bumi.

 

وَيَومَ القِيٰمَةِ

dan (begitu pula) di hari kiamat.

Laknat itu akan berterusan sampai ke Hari Kiamat. Laknat maksudnya jauh daripada rahmat Allah ﷻ. Maknanya, kalau tidak dapat rahmat daripada Allah ﷻ, maka tentunya tempat mereka adalah dalam Neraka.

 

أَلا إِنَّ عادًا كَفَروا رَبَّهُم

Ingatlah, sesungguhnya kaum ‘Ad itu kafir kepada Tuhan mereka. 

Telah pasti yang Kaum Aad itu telah kufur kepada Allah ﷻ dan kerana itu janganlah ikut jejak langkah mereka. Sebab itulah disebut kisah-kisah umat yang terdahulu supaya kita boleh mengambil iktibar daripada kesalahan yang mereka lakukan.

Kita boleh simpulkan di sini adalah segala kesalahan mereka itu adalah berkisar tentang menolak ayat-ayat Allah ﷻ dan juga ajaran para Rasul. Maka jikalau kita pun tidak mempelajari ayat-ayat Allah ﷻ untuk memahaminya (supaya kita dapat mentaatinya) dan kemudian kita tidak ikut ajaran Rasulullah ﷺ dan mengamalkan kehidupan ini seperti yang diajarnya (ajaran Sunnah), maka kita pun boleh termasuk golongan yang mendapat nasib seperti kisah-kisah kaum yang dilaknat sebelum ini.

Di sini hanya disebut mereka kufur kepada Tuhan akan tetapi jikalau kita pun tidak ikut ajaran Rasul, maka itu pun termasuk kufur kepada Allah ﷻ. Ini kerana para Rasul itu membawa ajaran Allah ﷻ untuk disampaikan kepada kita untuk kita amalkan.

 

أَلا بُعدًا لِّعادٍ قَومِ هودٍ

Menjauhlah bagi kaum ‘Ad (yaitu) kaum Huud itu.

Mereka jauh daripada rahmat Allah ﷻ, maka mereka tidak akan ada peluang untuk masuk ke dalam Syurga. Sekian kisah Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Kaum Aad.


 

KISAH NABI SALEH عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ

Hud Ayat 61: Sekarang kita masuk kepada Kisah Ketiga dalam surah ini. Daripada ayat ini sehingga ke ayat 68 adalah Perenggan Makro ke 4 berkenaan kisah Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ia membawa Dakwa yang sama: sembah Allah ﷻ sahaja dan jangan sembah selain Allah ﷻ.

۞ وَإِلىٰ ثَمودَ أَخاهُم صٰلِحًا ۚ قالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ ۖ هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ الأَرضِ وَاستَعمَرَكُم فيها فَاستَغفِروهُ ثُمَّ توبوا إِلَيهِ ۚ إِنَّ رَبّي قَريبٌ مُّجيبٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to Thamūd [We sent] their brother Ṣāliḥ. He said, “O my people, worship Allāh; you have no deity other than Him. He has produced you from the earth and settled you in it, so ask forgiveness of Him and then repent to Him. Indeed, my Lord is near and responsive.”

(MALAY)

Dan kepada Tsamud (Kami utus) saudara mereka Shaleh. Shaleh berkata: “Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada bagimu Tuhan selain Dia. Dia telah menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan kamu pemakmurnya, kerana itu mohonlah ampunan-Nya, kemudian bertaubatlah kepada-Nya, Sesungguhnya Tuhanku amat dekat (rahmat-Nya) lagi memperkenankan (doa hamba-Nya)”.

 

وَإِلىٰ ثَمودَ أَخاهُم صٰلِحًا

Dan kepada Tsamud (Kami utus) saudara mereka Shaleh. 

Selepas hancurnya Kaum Aad, kaum yang bangkit selepas mereka adalah Kaum Tsamud. Mereka diberikan dengan Rasul dalam kalangan kerabat mereka sendiri, Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mereka hidup sesudah kaum ‘Ad, lalu Allah ﷻ mengutus seorang rasul kepada mereka yang juga dalam kalangan mereka.

Baginda adalah daripada umat itu juga, saudara mereka juga, keturunan mereka juga. Baginda memang tinggal di situ dan mereka kenal baginda. Ini mengajar kita yang pendakwah terbaik datangnya daripada penduduk setempat. Baru senang mad’u hendak terima dakwah itu. Ini sepertimana dalam pilihanraya juga, calon selalunya datang dari tempat itu juga baru senang mendapat sambutan dan undian. Kalau bangsa lain yang datang, tentu ada penghalang sedikit sebanyak. Allah ﷻ telah sebut tentang hal ini dalam Ali Imran:164

لَقَد مَنَّ اللَّهُ عَلَى المُؤمِنينَ إِذ بَعَثَ فيهِم رَسولًا مِّن أَنفُسِهِم
Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul daripada bangsa mereka sendiri,

Telah disebutkan juga bahawa Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu adalah Nabi bangsa Arab yang pertama, dan beliaulah yang mula-mula bercakap dalam bahasa Arab, dan Rasul Arab yang kedua ialah Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan yang penutup sekalian Rasul ialah Muhammad ﷺ orang Arab juga.

Mereka adalah orang-orang yang bertempat tinggal di kota-kota Hajar yang terletak di antara Tabuk dan Madinah. Tempat mereka itu dipanggil Mada’in Saleh dan sampai sekarang masih ada lagi. Kisah kaum ini disebut banyak di dalam Al-Qur’an kerana penerima Al-Qur’an yang pertama adalah Musyrikin Mekah. Mereka itu kenal dengan kedua-dua kaum ini kerana mereka telah melalui kawasan-kawasan mereka di dalam musafir perniagaan. Ini seperti disebut dalam Sajdah: 26

أَوَلَم يَهدِ لَهُم كَم أَهلَكنا مِن قَبلِهِم مِّنَ القُرونِ يَمشونَ في مَسٰكِنِهِم
Dan belumkah lagi ternyata kepada mereka (yang kafir itu): bahawa Kami telah binasakan berapa banyak daripada kaum-kaum yang kufur ingkar dahulu daripada mereka, padahal mereka sekarang berulang-alik melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu?

Di musim sejuk mereka pergi ke bahagian selatan iaitu Yaman dan mereka akan melalui kawasan kaum Aad dan di musim sejuk mereka akan pergi ke bahagian utara iaitu Syams dan mereka boleh melihat peninggalan kaum Tsamud dan juga kaum Luth. Inilah musafir mereka yang Allah ﷻ sebut dalam Quraisy:2

إيلافِهِم رِحلَةَ الشِّتاءِ وَالصَّيفِ
(iaitu) kebiasaan mereka berpergian pada musim dingin dan musim panas.

 

قالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ

Shaleh berkata: “Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada bagimu Tuhan selain Dia.

Lihatlah bagaimana mesej yang sama dibawa oleh Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, sama seperti mesej Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan juga Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Iaitu Dakwa Surah ini: sembahlah Allah ﷻ sahaja dan jangan sembah selain Allah ﷻ kerana tiada ilah selain Allah ﷻ. Sembahlah Allah ﷻ sahaja. Inilah Dakwa Pertama. Maka tauhid yang hendak ditekankan di dalam surah ini adalah Tauhid Ibadah atau kita panggil Tauhid Uluhiyyah. Inilah tujuan kita dijadikan seperti disebut dalam Dzariyat:56

وَما خَلَقتُ الجِنَّ وَالإِنسَ إِلّا لِيَعبُدونِ
Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.

Mana-mana Nabi akan berkata begini; iaitu hendaklah manusia menyembah Allah ﷻ sahaja. Jangan sembah yang lain daripada Allah ﷻ. Maka, setiap guru yang mengajar agama pun mesti sampaikan perkara terpenting ini juga. Kita kenalah ajar akidah kepada manusia kerana itu adalah perkara dan ilmu yang paling penting sekali. Itulah ilmu yang mula-mula mesti dipelajari.

Oleh itu, hendaklah kita hanya beribadat kepada Allah ﷻ sahaja. Jangan campur aduk ibadat kepada makhluk lain. Contohnya, dalam berdoa, jangan berdoa kepada selain Allah ﷻ dan jangan guna tawasul (perantaraan).

Jangan zikir kepada selain Allah ﷻ. Tidak perlu puja Nabi Muhammad ﷺ sebagaimana golongan Habib buat sekarang. Kita juga kena faham makna ibadat itu luas. Memang kita tidak sujud dan rukuk kepada berhala, tidak sujud dan rukuk kepada tuhan lain. Namun dengan perbuatan kita yang sedekah Fatihah, beri salam, baca selawat yang bukan diajar oleh Nabi ﷺ, maka itu semua adalah ‘ibadat’ yang diserahkan kepada selain daripada Allah ﷻ.

Perbuatan itu pun termasuk ‘sembah’ juga. Kalau kita tidak faham maksud ‘sembah’ dan sempitkan pemahaman itu, kita tidak akan faham dan kita akan keliru kenapa ada amal ibadat yang dilarang dilakukan.

Maka kita lihat di dalam ayat ini memberitahu kita yang Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengajak manusia kepada Allah ﷻ. Inilah yang sepatutnya kita lakukan dalam dakwah. Bukannya mengajak kepada persatuan, mazhab, fahaman, kumpulan, parti, individu tertentu seperti pemimpin, ulama’ dan sesiapa sahaja. Malangnya inilah yang kita lihat terjadi sekarang. Ramai bukannya ajak kepada Allah ﷻ tetapi ajak kepada perkara lain. Akibatnya setiap kumpulan akan berasa merekalah yang hebat dan benar. Maka masing-masing akan mendabik dada dan merendahkan kumpulan yang lain seperti disebut di dalam Mukminoon: 53

فَتَقَطَّعوا أَمرَهُم بَينَهُم زُبُرًا ۖ كُلُّ حِزبٍ بِما لَدَيهِم فَرِحونَ
Kemudian mereka (pengikut-pengikut rasul itu) menjadikan agama mereka terpecah belah menjadi beberapa pecahan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada sisi mereka (masing-masing).

Mesej dakwah kita mestilah jelas iaitu mengajak manusia kepada Allah ﷻ. Tidak payahlah sibuk melabel dan mengasingkan (pigeonholed) pendakwah itu daripada kumpulan mana. Jangan dilayan orang bodoh yang bertanya “Dia kumpulan mana?”, “Apa fahaman dia?” kerana yang penting adalah ajak dulu manusia kepada Allah ﷻ. Beginilah yang Allah ﷻ ajar seperti disebut dalam Nahl:125

ادعُ إِلىٰ سَبيلِ رَبِّكَ بِالحِكمَةِ وَالمَوعِظَةِ الحَسَنَةِ
Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah

 

هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ الأَرضِ وَاستَعمَرَكُم فيها

Dia telah menciptakan kamu daripada bumi (tanah) dan menjadikan kamu pemakmurnya,

Allah ﷻ mengingatkan nikmat yang telah diberikan kepada mereka: Allah ﷻ jadikan mereka daripada tanah yang tidak ada nilai tetapi kemudian Allah ﷻ beri mereka kuasa mentadbir di bumi. Kita tahu yang Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dijadikan terus daripada tanah. Akan tetapi kita sebagai anak cucunya juga dibina daripada elemen-elemen yang datang daripada tanah juga seperti zat dan vitamin. Ini kerana makanan kita datangnya daripada tanah, bukan? Maka boleh dikatakan juga kita manusia selain daripada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga dijadikan daripada tanah.

Kalimah استَعمَرَ daripada katadasar ع م ر yang bermaksud untuk mendiami; tinggal; membaiki; pembaikan; membina; bercucuk tanam; menjadikan boleh dihuni; melakukan lawatan suci; populasi; kehidupan; umur; panjang umur; berusia; mendatangi satu-satu tempat. Kalimah عمر bermaksud mendiami sesuatu kawasan di bumi, membangun rumah dan mendudukinya untuk meningkatkan kualiti hidup. Inilah nikmat yang telah diberikan kepada mereka.

Mereka hidup dalam tamadun yang lama, bertukar daripada satu keturunan ke keturunan yang lain. Tamadun mereka lama di bumi. Mereka mentadbir bumi dan sambil itu mereka mengambil manfaat daripada segala sumber yang ada pada bumi itu. Kisah mereka ini ada disebut dalam A’raf: 74

وَاذكُروا إِذ جَعَلَكُم خُلَفاءَ مِن بَعدِ عادٍ وَبَوَّأَكُم فِي الأَرضِ تَتَّخِذونَ مِن سُهولِها قُصورًا وَتَنحِتونَ الجِبالَ بُيوتًا
“Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu pengganti sesudah kaum Aad, dan di tempatkannya kamu di bumi, (dengan diberi kemudahan) untuk kamu mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata, dan kamu memahat gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah.

Maka dari sini kita tahu yang nikmat yang telah diberikan kepada mereka amatlah banyak dan mereka mendapat kesenangan hidup di bumi. Allah ﷻ menjadikan tempat mereka itu subur dan amat sesuai untuk didiami maka kerana itulah tempat itu menjadi makmur yang bermaksud ramai orang tinggal di situ dan berkembang biak di situ. Cuma mereka hendaklah menghargai pemberian daripada Allah ﷻ itu dengan mentaati Allah ﷻ dan juga beribadah hanya kepadanya. Ini mengingatkan kita yang juga mendapat nikmat kesenangan di dunia ini supaya jangan lupa untuk taat kepada Allah ﷻ dan tidak menyembah selain daripada Allah ﷻ.

Banyak sekali bukti bertemu sampai sekarang, baik di dalam isyarat Al-Qur’an, ataupun hasil penyelidikan purbakala (ilmu arkeologi), bahawa tanah-tanah yang sekarang telah tandus, padang pasir Sahara, bertemu bekas-bekas kemakmuran zaman lampau. Inilah yang telah diingatkan oleh Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada kaumnya, agar mereka mensyukuri nikmat kemakmuran yang telah diberikan Tuhan kepada mereka.

Kita boleh lihat walaupun ada persamaan dakwah yang disampaikan oleh Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, tetapi ada penambahan hujah yang diberikan antara Rasul-rasul itu. Maka kita dapat tahu yang Allah ﷻ berhujah kepada manusia mengikut tingkat kedewasaan berfikir manusia. Kalau kita lihat hujah yang diberikan kepada kaum Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, ia mudah sahaja – sembah Allah ﷻ sahaja. Allah ﷻ tidak berhujah panjang dengan mereka.

Akan tetapi, apabila tiba dalam kisah Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Kaum Aad, terdapat pertambahan hujah, memberi isyarat yang kaum Aad itu mempunyai daya fikir yang lebih tinggi daripada kaum Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di mana Allah ﷻ mengingatkan mereka betapa mereka telah diberi nikmat kekuatan tubuh badan. Ini dapat dilihat dalam A’raf: 69.

وَاذكُروا إِذ جَعَلَكُم خُلَفاءَ مِن بَعدِ قَومِ نوحٍ وَزادَكُم فِي الخَلقِ بَسطَةً
Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Nabi Nuh, dan Allah telah menambahkan kamu kelebihan (dan kekuatan) pada bentuk kejadian tubuh kamu.

Sekarang, kepada Kaum Tsamud, Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disuruh berhujah dengan mereka dengan lebih panjang lagi kerana mereka sudah semakin matang dalam hidup dan tamadun semakin maju. Maka mereka diingatkan yang mereka dijadikan daripada tanah dan mereka telah diberikan kelebihan memakmurkan bumi keturunan demi keturunan. Nanti kita akan lihat kisah Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula nanti di mana hujah yang lebih kompleks akan diberikan.

Semuanya membawa kepada hujah-hujah yang disampaikan dalam Al-Qur’an ini, wahyu terakhir Allah ﷻ yang tentunya penuh dengan hujah-hujah yang lebih canggih lagi kerana ia diberikan kepada kaum yang lebih moden dan maju fikirannya. Kerana itu Al-Qur’an ini amat sesuai zaman berzaman. Kalau sains semakin maju pun, Al-Qur’an tetap harmoni dengan fahaman sains moden.

 

فَاستَغفِروهُ ثُمَّ توبوا إِلَيهِ

kerana itu mohonlah ampunan-Nya, kemudian bertaubatlah kepada-Nya,

Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengajar kepada umatnya (sama seperti Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ), hendaklah mereka istighfar akan tetapi tidak disebut apakah dosa mereka. Akan tetapi daripada ayat-ayat yang lain kita dapat tahu yang dosa mereka adalah menyembah ilah selain Allah ﷻ. Ini adalah dosa yang paling besar. Segala amalan baik jika adalah musnah begitu sahaja jika ada mengamalkan syirik seperti disebutdi dalam Zumar: 65

وَلَقَد أوحِيَ إِلَيكَ وَإِلَى الَّذينَ مِن قَبلِكَ لَئِن أَشرَكتَ لَيَحبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكونَنَّ مِنَ الخٰسِرينَ
Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: “Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi.

Tambahan pula dosa syirik itu adalah kezaliman yang paling besar seperti disebut di dalam Luqman:13

إِنَّ الشِّركَ لَظُلمٌ عَظيمٌ
sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar

Maka mereka disuruh oleh Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk istighfar dan tinggalkan fahaman dan amalan syirik yang mereka telah lakukan selama ini. Mereka kena minta maaf daripada hati, disebut dengan lidah dan mereka pun mesti berhenti daripada fahaman syirik itu. Maka jangan sebut sahaja istighfar dengan mulut tetapi amalan salah masih dilakukan lagi.

Ini banyak dilakukan oleh masyarakat sekarang. Selalu sahaja istighfar, tetapi amalan syirik dan bid’ah masih lagi dilakukan. Ini adalah kerana tidak belajar sahaja. Mereka sendiri pun tidak sangka yang mereka sedang melakukan amalan-amalan syirik kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Ini adalah amat malang sekali kerana penjelasan tentang tauhid dan syirik banyak disebut di dalam Al-Qur’an dan jikalau kita tidak mahir tafsir Al-Qur’an maka kita tidak akan tahu ada kesalahan-kesalahan syirik yang telah kita lakukan.

‘Istighfar’ bermaksud kita meminta ampun kepada kesalahan ‘telah lalu‘ yang kita telah lakukan. Yang masa depan kita tidak tahu lagi, tetapi kita minta ampun daripada kesalahan lalu yang telah dilakukan. Kena menyesal atas perbuatan dosa kita sebelum ini.

Di dalam ayat sebelum ini Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah ajak kaumnya untuk beribadat hanya kepada Allah ﷻ. Sekarang disuruh untuk meminta ampun atas kesalahan dosa mereka yang lalu. Ini adalah kerana dosa adalah penghalang kepada ibadah. Kalau ada banyak dosa, kita akan susah untuk melakukan ibadah. Ini kerana ada titik-titik hitam dalam diri kita. Ini disebut dalam hadith yang masyhur,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الْمُؤْمِنَ إِذَا أَذْنَبَ كَانَتْ نُكْتَةٌ سَوْدَاءُ فِي قَلْبِهِ فَإِنْ تَابَ وَنَزَعَ وَاسْتَغْفَرَ صُقِلَ قَلْبُهُ فَإِنْ زَادَ زَادَتْ فَذَلِكَ الرَّانُ الَّذِي ذَكَرَهُ اللَّهُ فِي كِتَابِهِ { كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ }
Daripada [Abu Hurairah رضي الله عنه] bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya apabila seorang mukmin berbuat dosa, maka akan ada titik hitam di dalam hatinya, jika dia bertaubat, meninggalkannya serta meminta ampun maka hatinya akan kembali putih, namun jika dia menambah (dosanya) maka akan bertambah (titik hitam), maka itulah penutup (hati) yang disebutkan dalam firman Allah dalam kitab-Nya; “Sekali-kali tidak (demikian), Sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.” (Muthafifin:14).
(Sunan Ibn Majah (4234))
Status: Hasan

Sekiranya ada dosa syirik lagi, maka amalan ibadah apa pun tidak berguna kerana tidak diberikan pahala kepada pelakunya. Maka kena minta ampun atas dosa syirik supaya pahala-pahala dapat dikumpul.

Setelah mereka istighfar, kemudian hendaklah mereka bertaubat. Mereka mesti menyesal kerana ada akidah syirik yang lama dan hendaklah mereka kembali kepada Allah ﷻ. Kembali dapatkan fahaman yang benar dan amalan yang benar kerana ‘taubat’ itu maksudnya ‘kembali’. Kembali amalkan Tauhid.

Kalau kita dapat bayangkan sedang memandu, tiba-tiba kita perasan yang kita berada atas salah jalan, maka kita ‘u-turn’ untuk kembali ikut jalan yang betul. Begitu jugalah dengan fahaman akidah. Kalau selepas kita belajar baru tahu yang fahaman yang kita ada selama hari ini adalah salah, maka tinggalkan fahaman itu dan ikutlah fahaman yang benar.

Sebelum ini telah disebut tentang istighfar dan dan sekarang tentang taubat pula. Bertaubat itu pula bermaksud sedar tentang kesalahan yang ‘sedang’ kita lakukan dan berazam untuk tidak akan buat lagi dosa yang kita telah buat. Bukan itu sahaja, kita hendaklah mengubah cara hidup kita selepas bertaubat itu. Ini adalah kerana, daripada lafaz ‘taubat’ itu, ia membawa maksud ‘kembali’. Iaitu kembali ke pangkal jalan seperti telah disebut di atas. Maka dalam hal itu, kita kena ‘kembali’ ke jalan yang benar. Begitu jugalah dengan ‘taubat’. Rasulullah ﷺ bersabda:

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.
(Riwayat Ibn Majah (4392))
Status: Hasan

Selalu kita sangka ‘istighfar’ dan ‘taubat’ adalah perkara yang sama. Akan tetapi Allah ﷻ meletakkan kedua-duanya dalam ayat ini, yang bermaksud yang keduanya berbeza. Ini adalah salah satu daripada peraturan Al-Qur’an: jikalau Allah ﷻ letakkan dua perkataan itu sekali dalam satu ayat, bermaksud ia tidak sama. Tentu ada perbezaan antara keduanya.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ sebut ‘istighfar’ dulu sebelum ‘taubat’. Maka, ini memberi isyarat bahawa kita kena istighfar dulu. Berapa kali kita kena bertaubat? Lakukanlah sebanyak mungkin, akan tetapi sekurang-kurangnya seratus kali sehari. Ini kerana Ibnu Umar رضي الله عنه berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ تُوبُوا إِلَى اللهِ فَإِنِّي أَتُوبُ فِي الْيَوْمِ إِلَيْهِ مِائَةَ مَرَّةٍ
Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah. Sesungguhnya aku juga bertaubat kepada-Nya, di dalam satu hari sebanyak 100 kali.
(Sahih Muslim No. 2702)


Kenapa pula Rasulullah ﷺ bertaubat sedangkan baginda tidak ada dosa? Kerana hendak menjadi contoh bagi kita kerana bukanlah baginda itu contoh bagi kita?

‘Istighfar’ itu adalah kita sedar bahawa kita sudah bersalah, kita sudah banyak buat dosa. Kita menyesal dengan perbuatan salah yang kita telah buat selama ini. Kemudian, setelah kita istighfar, barulah kita bertaubat – kembali kepada Allah ﷻ. Maksud kembali ini adalah azam yang kuat untuk tidak melakukan lagi apa dosa yang kita telah buat. Maka istighfar adalah untuk dosa masa lalu dan taubat adalah azam untuk masa depan.

Jikalau kita istighfar sahaja tanpa ada niat untuk meninggalkan dosa itu, ia bukanlah istighfar yang benar dan tidak akan diterima. Tidak diterima kerana tidak cukup syaratnya. Itu istighfar main-main sahaja.

Satu lagi tafsiran yang diberikan tentang perbezaan antara istighfar dan taubat adalah istighfar itu adalah perbuatan mulut, dan taubat itu adalah perbuatan fizikal. Maksudnya selepas kita meminta ampun dengan Allah ﷻ (dengan mulut) maka hendaklah kita mengikutinya dengan badan kita. Iaitu hendaklah meninggalkan perbuatan salah yang telah dilakukan dahulu dan menggantikannya dengan mengamalkan amalan-amalan yang baik. Janganlah kita setakat menyesal dan tidak melakukan amalan salah lagi, tetapi tidak melakukan amal-amal yang baik pula. Kita hendaklah melakukan amal-amal yang baik sebagai ganti perbuatan salah yang kita lakukan dahulu semoga Allah ﷻ merahmati kita dengan perbuatan kita yang baik.

 

إِنَّ رَبّي قَريبٌ مُّجيبٌ

Sesungguhnya Tuhanku amat dekat (rahmat-Nya) lagi memperkenankan

Mintalah kepada Allah ﷻ kerana Allah ﷻ itu maha dekat untuk menyahut doa hamba. Apa sahaja doa kita kepada-Nya, sama ada untuk meminta ampun, atau apa sahaja keperluan, Allah ﷻ maha mendengar dan Allah ﷻ akan balas. Ini sama seperti yang Allah ﷻ telah sebut dalam ayat yang lain:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ
Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang mendoa apabila dia berdoa kepada-Ku. (Al-Baqarah: 186)

Maka di sini kita belajar satu perkara yang penting tentang berdoa iaitu kita sepatutnya berdoa terus kepada Allah ﷻ kerana Allah ﷻ telah beritahu yang Dia dekat. Maka kita tidak perlu menggunakan perantaraan (wasilah) kerana Allah ﷻ maha dekat dan menjawab permintaan kita. Apabila Allah ﷻ sudah kata Dia dekat dengan kita, maka kenapa kita hendak menjauhkan diri kita daripada-Nya dengan meletakkan orang ketiga pula sebagai perantara? Ini adalah satu perbuatan yang merugikan.

Maka jikalau kita ada apa-apa permintaan kepada Allah ﷻ maka terus sahaja minta kepada Allah ﷻ dan tidak perlu kita minta kepada ustaz ataupun sesiapa untuk mendoakan bagi pihak kita. Memang ada pendapat yang mengatakan menjadikan orang soleh itu sebagai wasilah kita adalah harus, akan tetapi ia bukanlah sesuatu yang sunnah, malah ia seperti tidak faham maksud ayat-ayat Allah ﷻ yang mengatakan Dia dekat.

Antara hujah yang digunakan oleh orang yang masih juga mahu menggunakan perantara di dalam berdoa adalah kerana mereka kata orang soleh itu tiada dosa, sedangkan mereka sendiri banyak dosa dan Allah ﷻ tidak terima doa-doa mereka kerana dosa mereka. Ya benar, dosa boleh menyebabkan doa ditolak. Akan tetapi bukanlah caranya dengan minta orang lain pula berdoa bagi pihak kita. Jikalau kita ada dosa dan hendak berdoa maka jalan penyelesaiannya Allah ﷻ telah ajar di dalam sambungan kepada ayat Baqarah: 186 di atas.

فَليَستَجيبوا لي وَليُؤمِنوا بي
Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku

Jelas di sini kita belajar untuk doa kita dimakbulkan oleh Allah ﷻ maka hendaklah kita mengubah hidup kita dengan meminta ampun kepada Allah ﷻ, dan mula melakukan taat kepada Allah ﷻ. Bukannya kita terus hidup di dalam dosa dan jalan penyelesaiannya minta orang lain pula doa untuk kita. Perbuatan begini tidak bijak!

Perumpamaannya seperti seorang anak yang takut kepada ayahnya kerana ada kesalahan yang dia ada lakukan. Maka jikalau ada permintaan maka dia minta kepada emaknya untuk sampaikan. Akan tetapi sampai bila? Kerana anak itu tetap juga anak kepada ayah itu maka jalan yang sepatutnya dilakukan adalah dengan minta maaf kepada ayahnya, dan berbaik semula dengan ayahnya, dan mula ikut arahan daripada ayahnya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 4 September 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin