Tafsir Surah al-Feel: Latarbelakang Surah al-Feel

Sebelum kita masuk ke dalam tafsir Surah ini ayat demi ayat, ada baiknya kita mengetahui latarbelakang sejarah Tanah Arab. Kerana dengan mengetahuinya, kita akan faham kenapakah Abrahah datang untuk memusnahkan Ka’bah.

 

Sejarah Arab Mekah dan Yaman: 

Sejarah lama menyebut bagaimana Kerajaan Saba’ menguasai ekonomi antara Eropah dan Asia dan tempat-tempat lain. Ini adalah kerana mereka ada pelabuhan yang maju yang memberikan mereka kekuatan, kekayaan dan kuasa politik yang besar pada waktu mereka di kemuncak tamadun mereka.

Akan tetapi, telah berlaku satu banjir besar yang melanda mereka pada 450-451 SM yang menyebabkan tamadun mereka musnah. Jadi penduduk Yaman perlu mencari tempat baru untuk tinggal dan membina tamadun yang baru pula. Mereka telah merantau dan tinggal di tempat-tempat lain.

Antara tempat yang mereka pergi berhijrah adalah ke Yathrib (nama lama Madinah). Ini bermakna Suku ‘Aws and Khazraj asalnya adalah orang Yaman yang berpindah ke sana. Dan selain dari itu, ada orang dari Yaman yang bermastautin berdekatan dengan Telaga Zamzam selepas ianya dijumpai oleh Hajar dan Nabi Ismail a.s. Nabi Ismail telah membesar bersama mereka dan berkahwin dengan keturunan mereka.

Keturunan Nabi Ismail a.s. telah membiak di Hijaz. Ada seorang lelaki yang bernama Uthayb bin Kalaam/ digelar al Mujammi’ [lahir sekitar 400 SM] yang telah menggabung seluruh penduduk Hijaz dan menjadikan Makkah sebagai satu negeri. Dan akhirnya penduduk Makkah telah membesar. Beliau sendiri ada tiga anak. Yang paling terkenal diantara anak-anaknya itu adalah Abd al Manaf, dan Abd al Manaf ada 4 anak lelaki: Hashim, Mu’tallib, Abdul Shams and Nawfal.

Hashim lahir pada tahun 464 SM. Dan seperti kita telah sebut, itu adalah zaman selepas banjir besar yang melanda Yaman. Hashim telah nampak peluang untuk mereka mengambil alih kekuatan ekonomi yang dipegang oleh Yaman dulu. Jadi beliau telah mengadakan perhubungan ekonomi dengan negeri-negeri berhampiran.

Beliau telah pergi ke Sham (Syria) dan berjumpa dengan Raja Arab di Ghassan. Beliau juga telah menghantar adik beradiknya untuk mengadakan perhubungan ekonomi dengan negara-negara lain juga. Ini telah menjadikan Makkah sebagai pusat ekonomi pula. Ini dapat dilakukan kerana Makkah berada di tengah-tengah antara negara-negara yang bertamadun waktu itu.

Dan Makkah memang sudah terkenal kerana ada Ka’bah (Makkah sudah menjadi pusat agama pun waktu itu). Dan sekarang ia mula menjadi pusat ekonomi pula. Dan perkara ini disentuh di dalam Surah Quraysh tentang bagaimana mereka mengadakan perjalanan perniagaan ke tempat lain.

Hashim ada seorang anak bernama Abdul Mu’tallib (457 SM) – dan kita pun tahu yang salah seorang anaknya bernama Abdullah – bapa kepada Nabi Muhammad SAW.

Dalam masa yang sama, kerajaan yang paling besar waktu itu adalah Kerajaan Rom. 300 tahun selepas Nabi Isa diangkat, Rom menguasai Eropah, Asia Barat, Turki, Mesir, Habashah dan sebahagian dari Yaman. Pada satu waktu, Yaman telah memeluk agama Yahudi dan mereka telah menindas golongan Kristian di Yaman. Ada yang mengatakan inilah kisah yang disebut dalam Surah Burooj.

Melihat penindasan yang dilakukan itu, Habashah telah menghantar tentera ke Yaman dan menaklukinya. Seorang raja yang beragama Kristian telah dilantik tapi selepas itu telah berlaku perebutan kuasa.

Abrahah telah merampas kuasa dari Raja itu tapi beliau bijak kerana terus mengadakan hubungan rapat dengan Habashah. Beliau bijak dengan mengatakan bahawa tujuan beliau merampas kuasa adalah untuk kebaikan penduduk Yaman. Maka kedudukannya selamat.

Setelah mengambilalih kuasa, Abrahah mahu menguatkan semula kedudukan Yaman di mata dunia dan mengembalikan kekuatan dan kekayaan yang mereka pernah miliki sebelum kejadian banjir itu. Beliau mengingatkan bagaimana mereka dulu hebat, tapi kerana banjir, mereka telah jadi lemah dan kekuatan ekonomi telah diambilalih oleh Quraish Makkah.

Antara usaha yang cuba dilakukan oleh Abrahah adalah membina satu bangunan hebat yang dinamakan al Qullays – dengan tujuan sebagai Pusat Agama Kristian. Ia adalah satu gereja yang hebat. Ianya dibina dengan cantik dan Abrahah berharap supaya ianya lebih hebat lagi dari Ka’bah.

Keadaan Qullays sekarang
Keadaan Qullays sekarang

Tapi tentulah dia tidak berjaya. Kerana manusia bukan mudah untuk meninggalkan pegangan agama mereka. Abrahah berharap orang akan tinggalkan Ka’bah dan datang melawat Qullays, tapi tidak ada orang datang kerana orang masih lagi memandang Ka’bah sebagai suci.

Oleh kerana tidak puas hati, Abrahah telah menghantar surat ke Habashah mencadangkan supaya Kaabah dihancurkan. Bangsa Arab telah mengetahui niat Abrahah itu dan mereka telah pergi ke Qullays, bukan untuk melawat tapi nak menghina Qullays itu. Sampaikan ada orang Makkah yang telah buang air di Qullays untuk menghinanya.

Ini telah menyebabkan Abrahah sangat marah dan ini telah memberi peluang kepadanya untuk betul-betul menyerang Ka’bah. Sekarang dia sudah ada alasan kukuh. Jadi kita kena faham sejarah ini kerana kalau kita tidak faham perkara ini, kita sangka yang dia serang sebab agama, tapi sebenarnya sebab ekonomi asalnya.

Dia telah bertolak ke Makkah dengan tenteranya yang seramai antara 12,000 – 60,000  (tidak ada riwayat sahih dengan tepat berapakah bilangan tenteranya). Beliau pergi dengan tentera dari Yaman dan dari Habashah. Dan mereka pergi untuk menyerang Tanah Arab yang tidak mempunyai kekuatan tentera. Di dalam tenteranya itu adalah antara 9 – 13 ekor gajah. Gajah yang paling besar bernama Mahmood.

Dalam perjalanan mereka ke Mekah, mereka telah melalui Ta’if. Penduduk Ta’if telah berunding dengan Abrahah untuk membantu tenteranya itu supaya mereka tidak diserang. Kenapa pula Taif sanggup membantu tentera Abrahah sedangkan mereka tahu yang Abrahah dalam perjalanan menyerang Ka’bah yang suci itu?

Ini adalah kerana berhala mereka yang utama adalah Laat dan ianya berada di Taif. Ini berlainan dengan penduduk Tanah Arab yang lain yang meletak berhala mereka di Mekah (Ka’bah). Jadi Taif tidak takut kalau Ka’bah diserang kerana berhala mereka tidak akan dimusnahkan. Tidak ada suku lain yang membantu tentera Abrahah kerana mereka ada berhala mereka berdekatan Ka’bah.

Seorang lelaki yang bernama Abu Righal dari Taif itu telah diarahkan untuk membantu menjadi penunjuk arah kepada tentera Abrahah untuk sampai ke Mekah. Mereka perlukan penunjuk arah kerana jalan ke Mekah payah untuk dilalui oleh mereka yang tidak biasa. Akan tetapi, Abu Righal telah mati di tengah perjalanan. Kuburnya menjadi tempat yang dikutuk kerana mereka melihat beliau sebagai pembelot dan orang Arab meludah kuburnya itu.

Tentera Abrahah sampai ke Mekah dalam bulan Muharram Tahun Gajah itu. Kisah selanjutnya kita akan sebut dalam perbahasan Surah Al-Feel nanti.

Sekian. Allahu a’lam. Sambung ke ayat 1 Surah al-Feel.

Kemaskini: 26 September 2019


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Apabila barang hilang

Kita selalu dengar dan mungkin terjadi kepada kita sendiri, barang hilang, barang kena curi dan sebagainya. Bukan sahaja barang hilang, kadang kala kita kehilangan ahli keluarga, kesihatan kita pun hilang juga, bukan? Apakah yang perlu kita fikirkan dan apakah usaha kita dalam perkara ini?

Dalam Baqarah:156, Allah menyebut tentang sifat orang yang sabar

الَّذينَ إِذا أَصابَتهُم مُصيبَةٌ قالوا إِنّا لِلَّهِ وَإِنّا إِلَيهِ راجِعونَ

(yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun”.

Ini adalah ucapan yang Allah ajar untuk kita ucap apabila musibah itu kena kepada kita. Tapi apakah maksudnya?

  1. Kalimah مُصيبَةٌ bermaksud sesuatu yang tepat kena kepada kita. Ini adalah dari Allah. Allah telah takdirkan terjadi kepada kita. Kita tidak mungkin dapat elak. Memang Allah tujukan kepada kita. Tidak ada yang dapat menghalang. Apabila terjadi musibah, jangan tanya kenapa terjadi kepada kita, tapi redhalah kerana Allah yang jadikan ia terjadi, bukan orang lain. Kalau kita tidak redha, bermaksud kita tidak redha dengan qadha dan qadar Allah. Dan itu bermaksud salah satu rukun Iman kita telah ada masalah: beriman kepada qadha dan qadar Allah. Adakah kita pandai hafal sahaja rukun Iman itu, tapi kita tidak terima?
  2. Maksud إِنّا لِلَّهِ adalah ‘Sesungguhnya kita ini hak Allah’. Batang tubuh dan nyawa kita sendiri adalah kepunyaan Allah. Apatah lagi segala harta yang kita ada: duit, rumah, anak-anak, kesihatan dan sebagainya. SEMUANYA itu adalah hak Allah. Allah telah beri pinjam kepada kita untuk kita gunakan dan untuk kita nikmat. Dan apabila Allah beri, maka Allah boleh tarik balik. Kerana itu hak Dia, ikut Dia lah nak buat apa. Dulu dia beri kita pakai, sekarang dia tarik balik. Apabila kita faham perkara ini, maka legalah hati kita. Sebab kalau kita sedar yang hilang itu bukan kita punya pun, tidaklah kita kelam kabut sangat.
  3. Kalimat وَإِنّا إِلَيهِ راجِعونَ bermaksud ‘sesungguhnya kami ini kepada Dia akan dikembalikan’. Potongan ayat ini untuk mengingatkan kita bahawa kita ini semua akan mati dan akan dikembalikan ke akhirat untuk mengadap Allah. Waktu itu kita akan dipersoalkan dengan apa yang kita lakukan, kemudian akan dinilai segala amalan kita dan kita akan dibahagikan kepada penghuni syurga atau penghuni neraka. Maksudnya, itu adalah perkara yang amat-amat besar dan amat menakutkan sekali. Nasib kita untuk selama-lamanya akan ditentukan di hari akhirat kelak di Mahsyar. Ini mengingatkan kita dan menyedarkan kita, bahawa apa sahaja yang terjadi di dunia ini, dalam bentuk ujian atau musibah, adalah ‘kecil’ sahaja kalau dibandingkan dengan apa yang kita akan hadapi nanti. Maka kena bersedia untuk menghadapi hari akhirat itu, bukannya nak kecoh tentang apa yang terjadi sekarang di dunia.

Malangnya, ada orang yang menggunakan musibah ini untuk jadi punca untuk kesesatan. Kalau ada yang hilang barang, mula cari bomoh untuk cari barang; kalau ada yang sakit, mula cari bomoh untuk hilangkan sakit mereka.

Masalahnya, adakah betul cara yang digunakan oleh bomoh-bomoh itu? Adakah mereka menggunakan cara Islam? Ketahuilah bahawa mereka akan menggunakan jin untuk mencari barang-barang yang hilang itu. Kerana barang yang terlindung dari pandangan mata, kita sebagai manusia tidak akan nampak, tapi jin nampak. Mereka memang boleh carikan, tapi untuk berkawan dengan mereka, menggunakan khidmat mereka, kita kena syirik dulu, baru mereka akan tolong. Itulah upah bagi mereka kerana mereka tidak buat kerja percuma sahaja. Maka, adakah kita sanggup untuk menggadaikan nasib kita di akhirat kelak hanya untuk mendapatkan barang yang tidak bernilai apa-apa pun kalau dibandingkan dengan dimasukkan ke dalam neraka? Fikirkan.

Lalu bagaimana sikap kita terhadap kejadian ini dan apakah usaha kita?

  1. Kita kena terima apa yang terjadi dan redha dengan musibah yang Allah berikan seperti yang disebut di atas.
  2. Sedarlah dan bergembiralah kerana apa sahaja musibah yang terjadi kepada kita, kalau kita sabar, kita akan dapat pahala.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahwa Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

مَا يُصِيبُ المُسْلِمَ، مِنْ نَصَبٍ وَلاَ وَصَبٍ، وَلاَ هَمٍّ وَلاَ حُزْنٍ وَلاَ أَذًى وَلاَ غَمٍّ، حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا، إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ

“Tidak ada satu musibah yang menimpa setiap muslim, baik rasa capek, sakit, bingung, sedih, gangguan orang lain, resah yang mendalam, sampai duri yang menancap di badannya, kecuali Allah jadikan hal itu sebagai sebab pengampunan dosa-dosanya.” (HR. Bukhari 5641

3. Dalam riwayat, ada kisah bagaimana Ummu Salamah telah kehilangan suami yang dicintainya. Rasulullah telah mengajar doa berikut:

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ اللهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي، وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا

“Kita milik Allah semata dan sesungguhnya hanya kepada-Nya semata kita kembali. (QSAl-Baqarah [2]: 156). Ya Allah berilah aku pahala dalam musibah yang menimpaku, dan berilah aku ganti yang lebih baik daripada musibah yang telah menimpa.” (HR. Muslim)

Maka moleklah sangat kalau kita pun berdoa begini juga. Pertama kita sabar dan sebut yang kita mengharap pahala dari kehilangan itu; kemudian kita berdoa kepada Allah untuk memberi ganti yang lebih baik dari barang yang kita hilang itu.

4. Kita juga boleh amalkan doa yang tidak ada elemen syirik di dalamnya. Kita boleh sahaja berdoa dan merayu kepada Allah dengan bahasa kita. Atau kita boleh gunakan doa Ibnu Umar. Diriwayatkan perbuatan Ibn Umar:

”Dia berwudhuk, kemudian solat 2 rakaat, setelah salam lalu mengucapkan syahadat, kemudian berdoa,

يَا هَادِيَ الضَّال، وَرَادَّ الضَّالَة ارْدُدْ عَلَيَّ ضَالَتِي بِعِزَّتِكَ وَسُلْطَانِكَ فَإِنَّهاَ مِنْ عَطَائِكَ وَفَضْلِكَ

Ya Allah, Dzat yang melimpahkan hidayah bagi orang yang sesat, yang mengembalikan barang yang hilang. Kembalikanlah barangku yang hilang dengan kuasa dan kekuasaan-Mu. Sesungguhnya barang itu adalah bahagian dari anugerah dan pemberian-Mu’.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam al-Mushannaf no. 29720, al-Baihaqi dalam ad-Da’awat al-Kabir (2/54). Baihaqi mengatakan, هذا موقوف وهو حسن (Ini adalah atsar mauquf) [perkataan shahabat] dan atsar ini statusnya adalah hasan”

nota: solat yang dilakukan bukanlah ‘Solat Hajat‘ tapi solat sunat biasa sahaja. Ini adalah kerana untuk lebih memakbulkan doa, seeloknya kita buat amal kebaikan dahulu. Dan amal yang paling baik adalah solat.

Maka tinggalkanlah amalan-amalan yang tidak ada dalam riwayat Islam. Kebanyakan dari amalan-amalan itu adalah rekaan sahaja dan tidak ada asasnya.

5. Selepas kita berdoa, maka kita boleh lakukan usaha kita sebagai manusia. Iaitu kalau barang hilang, eloklah buat laporan kepada pihak polis supaya mereka juga mencari barang yang hilang itu kerana ini adalah salah satu dari tugas mereka.

Allahu a’lam. Semoga ini memberi pengajaran untuk kita semua.

Tafsir Surah al-Feel. Pengenalan kepada 10 surah terakhir

Pengenalan:

Kita sudah masuk ke dalam tafsir 10 surah-surah terakhir dalam Al-Qur’an. Adalah baik kalau kita memberikan penerangan ringkas tentang surah-surah ini kerana ianya adalah bersangkutan antara satu sama lain.

Seperti yang kita pernah sebut sebelum ini, Surah Al-Humazah adalah surah terakhir yang memperkatakan tentang neraka dan 10 surah terakhir adalah tentang perkara lain pula. Ianya banyak berkaitan dengan Rasulullah dan surah-surah ini kena diketahui asbabun nuzulnya untuk memahami ayat-ayatnya. Ini adalah kerana surah-surah ini ada kaitan sejarah yang berkaitan rapat dengan Nabi Muhammad.

Dalam kita memberi nasihat kepada manusia, kadang-kadang kalau kita hanya nasihat sahaja dengan cara umum, tanpa menyebut nama mereka, mereka mungkin rasa yang kita bukan memperkatakan tentang mereka. Mereka akan rasa mereka tidak perlu mengubah diri mereka. Begitu jugalah dengan golongan Quraish yang menerima Al-Qur’an ini pertama-tama kali.

Banyak ayat-ayat telah diberikan kepada mereka, tapi mereka tidak terasa bahawa ayat-ayat itu ditujukan kepada mereka. Maka dalam surah-surah selepas ini, banyak ayat-ayat itu berkenaan dengan mereka sendiri, tepat berkenaan kisah mereka dan perangai mereka. Mereka tidak sedar bahawa ancaman-ancaman yang diberikan sebelum ini tentang neraka dan sebagainya adalah tentang mereka kerana perangai mereka begitu.

Kerana itu mereka menentang dakwah wahyu bertalu-talu. Kita pula sebagai umat yang terkemudian, kenalah lihat sama ada kita sama perangai dengan mereka atau tidak. Kerana kalau sama, maka kita pun akan mengalami nasib yang sama dengan mereka.

Surah al-Humazah adalah surah yang terakhir yang memperkatakan tentang neraka. Dan banyak lagi surah-surah lain yang Allah berikan sebagai ancaman di akhirat (Takhwif Ukhrawi). Kadang-kadang manusia nampak akhirat itu jauh sahaja, atau mereka tidak benar-benar percaya adanya hari akhirat itu – sebagaimana Musyrikin Mekah yang tidak mempercayai adanya Hari Kiamat dan Kebangkitan Semula.

Maka dalam surah-surah selepas ini, ada Allah sebut tentang azab di dunia, dimulai dengan Surah al-Feel tentang azab yang dikenakan kepada Tentera Bergajah Abrahah.

Peristiwa bersejarah itu berlaku di Mekah yang asalnya dikenali sebagai Bakkah. Pengasas Kota Mekah ini adalah Nabi Ibrahim a.s. Baginda telah berdoa kepada Allah dan kerana doa baginda itulah, Allah telah menjadikan Kota Mekah itu. Doa baginda itu disebut dalam Surah Baqarah dan Surah Ibrahim. Kita kena tahu doa Nabi Ibrahim itu untuk faham apakah yang terjadi dalam 10 surah ini.

وَإِذ قالَ إِبراهيمُ رَبِّ اجعَل هٰذا بَلَدًا آمِنًا وَارزُق أَهلَهُ مِنَ الثَّمَراتِ مَن آمَنَ مِنهُم بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ ۖ قالَ وَمَن كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ قَليلًا ثُمَّ أَضطَرُّهُ إِلىٰ عَذابِ النّارِ ۖ وَبِئسَ المَصيرُ

Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berdoa: “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari buah-buahan kepada penduduknya yang beriman diantara mereka kepada Allah dan hari kemudian. Allah berfirman: “Dan kepada orang yang kafirpun Aku beri kesenangan sementara, kemudian Aku paksa dia menjalani seksa neraka dan itulah seburuk-buruk tempat kembali”. [Baqarah:126]

Lihatlah dalam doa Nabi Ibrahim a.s. itu. Baginda meminta:

      1.  اجعَل هٰذا بَلَدًا آمِنًا – ini adalah keamanan
      2. وَارزُق أَهلَهُ مِنَ الثَّمَراتِ – ini pula adalah kemakmuran

Kita boleh lihat ada kepentingan ‘Keamanan’ dan ‘Kemakmuran’, kerana itulah Nabi Ibrahim berdoa supaya Allah memberikan dua kelebihan ini kepada Mekah.

Mengikut kajian sains politik, masyarakat memerlukan dua perkara untuk kekal di sesuatu tempat itu – kena aman dan kena makmur. Kedua-duanya kena ada. Sebagai contoh, kalau satu negara itu makmur – ada rumah, perniagaan, kekayaan dan sebagainya – tapi ia tidak aman, negara itu tidak akan kekal. Manusia akan meninggalkan negara itu dan cari tempat lain.

Dan kalau tempat itu aman damai, tidak ada pembunuhan beramai-ramai, tapi tidak ada kemakmuran – perniagaan tidak dapat dijalankan, tidak ada sumber asli, tidak ada harta dan sebagainya, pun negara itu tidak akan kekal kerana manusia memerlukan semua itu untuk hidup.

Dari sinilah kita boleh nampak kebijaksanaan Nabi Ibrahim a.s. kerana baginda tahu kepentingan dua perkara ini dan kerana itu baginda minta dua perkara ini kepada Allah Taala.

Tapi baginda juga punya rasa tanggungjawab yang tinggi. Baginda telah dilantik menjadi Imam atas manusia. Dan baginda tahu yang baginda akan ditanya tentang keturunan baginda nanti. Maka baginda mahu negeri yang aman itu dihuni dan dimanfaatkan oleh mereka yang beriman sahaja. Kerana itu doa baginda ada syarat yang baginda letakkan:

مَن آمَنَ مِنهُم بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ

kepada penduduknya yang beriman diantara mereka kepada Allah dan hari kemudian.

Akan tetapi, Allah jawab dalam ayat itu juga:

 قالَ وَمَن كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ قَليلًا ثُمَّ أَضطَرُّهُ إِلىٰ عَذابِ النّارِ

Allah berfirman: “Dan kepada orang yang kafir pun Aku beri kesenangan sementara, kemudian Aku paksa dia menjalani seksa neraka

Jadi, dari doa baginda itu, maka Allah makmurkan dan amankan negeri Mekah itu dan menempatkan banyak kebaikan di dalamnya. Dan memang terbukti, Allah beri juga keamanan dan kemakmuran kepada mereka yang melakukan syirik dan dosa juga, walaupun mereka itu keturunan Nabi Ibrahim, walaupun mereka itu duduk tinggal di Mekah.

Sekian penerangan ringkas tentang Mekah dan penduduknya. Sekarang kita sambung dengan penerangan ringkas tentang 10 surah terakhir dalam Al-Qur’an dan kaitan antara surah-surah itu.

 

Surah Al-Feel [105].

Kita akan belajar bagaimana datangnya Tentera Bergajah ke Mekah. Orang Arab jarang / tidak pernah melihat gajah, apatah lagi dalam pasukan tentera. Jadi ini adalah satu kejadian yang besar untuk mereka. Ianya satu peristiwa yang amat bersejarah sampaikan orang Arab menggelar tahun itu dengan nama: Tahun Gajah.

Selama hari itu Mekah adalah negeri yang aman, tapi sekarang sudah sampai tentera yang besar sekali. Keamanan Mekah sedang diganggu gugat. Oleh itu, ada ketakutan dalam diri mereka dengan kedatangan tentera Abrahah itu. Sampaikan semua mereka naik lari ke bukit kecuali beberapa orang sahaja pemimpin yang pergi berunding dengan Abrahah. Kedatangan Abrahah itu adalah untuk memusnahkan Ka’bah di Mekah.

Walaupun keamanan Mekah digugat, tapi Allah tetap memakbulkan doa Nabi Ibrahim a.s. Allah telah meneruskan keamanan Mekah dengan memusnahkan tentera bergajah Abrahah itu. Ini adalah bahagian pertama dari doa Nabi Ibrahim – keamanan. Allah telah kekalkan keamanan di Mekah. Akan tetapi bagaimana dengan permintaan kedua – kemakmuran? Itu dalam surah seterusnya.

 

Surah Quraysh [106]

Seperti yang telah disebut, Nabi Ibrahim a.s. bukan sahaja berdoa supaya Mekah itu aman, tapi supaya ia juga makmur. Dalam Surah Quraish, Allah telah mengingatkan penduduk Mekah bagaimana Dia telah memberikan mereka dengan nikmat makanan dan mereka dapat berniaga ke tempat lain dan menjadikan negeri mereka makmur hasil dari perniagaan itu.

Perjalanan perniagaan itu penting kerana waktu itu, tidak ada puak lain yang boleh berdagang dengan selamat ke tempat lain kerana mereka akan disamun dan diserang oleh perompak. Tapi penghuni dari Mekah selamat sahaja kerana orang Arab lain tidak berani menyerang Orang Mekah.

Ini adalah kerana mereka dilihat sebagai mulia kerana mereka menjaga Ka’bah yang dipandang tinggi oleh semua masyarakat Arab. Mereka rasa kalau mereka serang penduduk Mekah itu, mereka akan mendapat bala.

Dan semua masyarakat Arab tempat lain pun mereka ada berhala dan mereka akan letak berhala utama mereka di Ka’bah (waktu itu Ka’bah adalah pusat berhala). Mereka akan melawat berhala-berhala mereka di musim Haji. Oleh itu, mereka tidak berani nak ganggu penduduk Mekah kerana mereka takut berhala mereka akan diapa-apakan nanti oleh orang Mekah kalau mereka berbuat onar kepada penduduk Mekah.

Oleh kerana itu, penduduk Mekah bebas untuk berniaga ke merata tempat dan kerana itu negeri mereka jadi makmur. Maka termakbullah doa kedua Nabi Ibrahim a.s.

Oleh itu, mereka disuruh untuk meneruskan legasi tauhid Nabi Ibrahim a.s. فَليَعبُدوا رَبَّ هٰذَا البَيتِ (Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan Pemilik rumah ini (Ka’bah) – janganlah sembah ilah-ilah yang lain. Ini memang patut sekali kerana Allah telah berikan nikmat keamanan dan kemakmuran kepada mereka – الَّذي أَطعَمَهُم مِن جوعٍ وَآمَنَهُم مِن خَوفٍ (Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan.) Itulah dua perkara yang Nabi Ibrahim doa, bukan?

Akan tetapi, adakah mereka layak untuk mendapat manfaat dari doa Nabi Ibrahim a.s. itu? Tentu tidak kerana mereka tidak mengamalkan tauhid seperti yang baginda amalkan. Mereka juga tidak percaya kepada Hari Kiamat dan Hari Akhirat. Mereka memang tidak layak. Perangai mereka teruk seperti yang Allah sebutkan dalam surah seterusnya:

 

Surah Al-Ma’un [107]

Surah ini menunjukkan penduduk Mekah itu memang tidak layak mendapat segala nikmat yang Allah berikan kepada mereka itu. Allah sebut tentang perangai mereka yang teruk dalam surah ini. Mereka itu nak tolong orang sikit pun tak mahu.

Padahal mereka itu duduk dekat dengan Ka’bah, tempat yang mulia. Ianya telah dibangunkan oleh datuk mereka Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s.

وَإِذ يَرفَعُ إِبراهيمُ القَواعِدَ مِنَ البَيتِ وَإِسماعيلُ

Dan (ingatlah), ketika Ibrahim meninggikan (membina) dasar-dasar Baitullah bersama Ismail [Baqarah:127]

Setelah membina Ka’bah itu, Nabi Ibrahim telah berdoa:

رَبَّنا وَابعَث فيهِم رَسولًا مِنهُم يَتلو عَلَيهِم آياتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ الكِتابَ وَالحِكمَةَ وَيُزَكّيهِم

Ya Tuhan kami, utuslah untuk mereka seorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab (Al Quran) dan Al-Hikmah (As-Sunnah) serta mensucikan mereka. [Baqarah:129)

Allah memberi isyarat dalam ayat ini bahawa yang layak menguasai Mekah adalah Rasulullah yang taat kepada Allah, bukannya Quraish waktu itu kerana mereka memang tidak layak seperti yang telah disebut dalam Surah Al-Maun.

Dan kerana Rasulullah adalah yang layak, maka baginda telah diberikan dengan banyak kelebihan seperti yang Allah sebut dalam surah seterusnya, Surah al-Kauthar.

 

Surah Al-Kawthar [108]

Allah memberitahu bahawa telah diberikan banyak kelebihan dan nikmat kepada Nabi Muhammad SAW. Selepas itu Allah sebut dua perkara:

    1. فَصَلِّ – maka solatlah. Ini adalah tanda pertama syukur kepada Allah atas segala nikmat.
    2. وَانحَر – dan berkorbanlah.

Solat dan korban adalah dua sunnah dari Nabi Ibrahim a.s. Kenang kembali kisah bagaimana Nabi Ibrahim a.s. diperintah oleh Allah untuk menyembelih Nabi Ismail a.s.

Tapi Quraish tidak melakukan lagi apa yang Nabi Ibrahim bawa. Mereka bukan lagi dari kalangan keluarga Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, malah  mereka sudah jadi musuh pula. Apabila Nabi Muhammad mengembalikan dakwah tauhid yang dibawa oleh Nabi Ibrahim, sudah ada permusuhan dan pertentangan antara yang beriman dan yang kufur.

Sekarang sudah jelas siapakah yang layak menjaga kesucian Kota Mekah dan Ka’bah. Mereka dari bapa yang sama, tapi tidak satu keluarga lagi. Mereka sudah berbeza pegangan, sedangkan zaman itu kabilah adalah persatuan yang paling kuat sekali.

Memang kabilah (puak) itu penting, tapi kedudukan Islam melebihi segalanya. Kerana itu Nabi disuruh untuk jauhkan dari mereka. Nabi tidak disuruh memanggil mereka ‘kaumku’, tapi panggil mereka ‘wahai orang-orang kafir’. Ini kita akan lihat dalam surah seterusnya nanti.

Apa yang Nabi Muhammad lakukan itu pun adalah sunnah dari Nabi Ibrahim juga seperti yang Allah firmankan dalam ayat:

قَد كانَت لَكُم أُسوَةٌ حَسَنَةٌ في إِبراهيمَ وَالَّذينَ مَعَهُ إِذ قالوا لِقَومِهِم إِنّا بُرَآءُ مِنكُم وَمِمّا تَعبُدونَ مِن دونِ اللَّهِ كَفَرنا بِكُم وَبَدا بَينَنا وَبَينَكُمُ العَداوَةُ وَالبَغضاءُ أَبَدًا حَتّىٰ تُؤمِنوا بِاللَّهِ وَحدَهُ

Sesungguhnya telah ada suri tauladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia; ketika mereka berkata kepada kaum mereka: “Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu daripada apa yang kamu sembah selain Allah, kami ingkari (kekafiran)mu dan telah nyata antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sampai kamu beriman kepada Allah sahaja. [Mumtahinah:4]

 

Surah Al-Kafiroon [109]

Dalam budaya Arab, kewarganegaraan dalam sesuatu qabilah adalah amat penting pada seorang Arab. Itulah identiti mereka, keluarga dan kenalan rapat mereka. Mereka bergantung kepada qabilah mereka untuk membantu dan menyelamatkan mereka apabila perlu.

Tapi dalam surah ini Allah menyuruh Nabi Muhammad meninggalkan kewarganegaraan baginda dengan Qabilah Quraish apabila Allah menurunkan wahyu dalam Surah Al-Kafiroon ini.

Apabila Nabi Muhammad melafazkan kalimah يا أَيُّهَا الكافِرونَ dan bukannya ‘wahai kaumku’, itu adalah pernyataan pemutusan hubungan antara baginda dan mereka. Sekarang Nabi telah mengisytiharkan permusuhan dengan mereka kerana mereka adalah orang kafir dan baginda tidak akan bersama dengan mereka kalau mereka tetap kufur.

Tapi bagaimanakah nasib baginda bila sudah isytihar perang dengan mereka? Allah beri berita gembira dalam surah seterusnya.

 

Surah An-Nasr [110]

Allah memberikan berita baik dalam surah ini yang baginda akan mencapai kejayaan. Ini adalah tentang kejayaan besar bagi Islam kerana surah ini menceritakan tentang kejayaan agama Islam atas agama kufur. Maknanya, Allah berjanji yang agama Islam akan tertegak di bumi ini. Maka ini adalah berita yang amat besar bagi umat Islam.

Kerana berita ini disampaikan di Mekah, tidak seperti keadaan waktu itu, sampaikan susah untuk diterima. Manakan tidak, Islam sedang lemah dan ditindas waktu itu. Memang tidak nampak bagaimana cara Islam akan menang.

Maka sebelum diberikan dengan janji besar itu, Allah berikan tanda-tanda kecil dahulu. Ini sebagai isyarat. Sebagai contoh, kalau kita sudah nampak langit mendung dan air hujan sudah mula turun, kita sudah boleh agak yang hujan lebat akan turun.

Apakah ‘tanda kecil’ itu?

 

Surah Al-Lahab [111]

Apakah masalah besar Rasulullah sewaktu di Mekah? Antara musuh besar baginda adalah Abu Lahab yang sentiasa sahaja mengganggu dakwah baginda dan cuba menjatuhkan kedudukan baginda. Jadi Allah beritahu dalam surah ini yang Dia akan memusnahkan musuh baginda ini, sebagai isyarat kemenangan besar nanti. Allah bukan sahaja akan musnahkan Abu Lahab, tapi dengan isterinya sekali.

Kadang-kadang apabila kita berperang atau bergaduh dengan orang lain, kadang-kadang apabila lama sangat, kita terlupa sebab apa mula berperang ada asalnya. Maka Allah ingatkan dalam surah seterusnya, apakah punca perbezaan dan perbalahan itu asalnya.

 

Surah Al-Ikhlas [112]

Konflik antara golongan beriman itu memang telah lama dan akan berterusan. Jadi Allah ingatkan balik kenapa permusuhan itu terjadi. Ianya adalah pertembungan antara iman dan kufur sebenarnya, bukan sebab lain.

Kita berpegang kepada ajaran Nabi Ibrahim a.s. yang berpaksi kepada tauhid, bergantung kepada Allah sahaja, sembah Allah sahaja, doa kepada Allah sahaja. Jadi surah ini mengingatkan kita tentang tauhid dan kepentingannya.

 

Surah Al-Falaq [113]

Ajaran tauhid bukan pertama kali diberikan kepada Nabi Muhammad SAW. Nabi-Nabi dulu pun mengajar tauhid kepada umat mereka. Tapi lama kelamaan, ada gangguan dari yang menjauhkan kita dari ajaran yang benar. Gangguan itu ada yang dari dalam dan ada yang dari luar. Zaman berzaman tetap ada gangguan itu.

Allah bukan sahaja memberi kita ajaran tauhid, tapi Allah juga memberi kepada kita, dua penjaga tauhid itu – satu untuk gangguan luaran dan satu lagi dari gangguan dalaman. Allah memberikan Surah al-Falaq untuk menjaga kejahatan dari luaran.

 

Surah an-Naas [114]

Dan kemudian Allah memberi kita Surah an-Naas untuk menjaga diri kita dari kejahatan dalaman.

Semua surah ini berkait rapat dengan Nabi Ibrahim a.s, yang legasinya diteruskan oleh Nabi Muhammad SAW untuk meneruskan ajaran itu dengan cara yang cantik.

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke perbahasan seterusnya.

Kemaskini: 26 September 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Tafsir Surah al-Humazah Ayat 4 – 9 (Kisah neraka terakhir)

Ayat 4: Dalam tiga ayat sebelum ini, telah disebut tentang kesalahan yang dilakukan oleh mereka yang tidak beriman itu. Sekarang bermula dari ayat ini akan disebut apakah balasan yang Allah akan berikan kepada mereka.

Mereka pasti akan dihumban ke dalam neraka. Ayat ini adalah huraian kepada kalimah وَيلٌ. Dalam ayat 1, Allah hanya menyebut celaka mereka tanpa disebutkan apakah balasan kepada mereka. Ayat ini adalah huraian kepada kalimah وَيلٌ iaitu disebut mereka pasti akan dihumban ke dalam neraka.

كَلّا ۖ لَيُنبَذَنَّ فِي الحُطَمَةِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No! He will surely be thrown into the Crusher.¹

  • i.e., Hellfire, which crushes and destroys all that enters it.

(MALAY)

sekali-kali tidak! Sesungguhnya dia benar-benar akan dilemparkan ke dalam Huthamah.

 

Kalimah كَلّا = Tidak sekali-kali. Fahaman mereka itu rosak dan cara hidup mereka itu rosak. Maka jangan diikut sifat mereka itu. Ingatlah yang harta dan kekayaan tidak memberikan hayat yang berkekalan. Kalimah كَلّا ini menidakkan apa yang mereka sangkakan itu. Allah hendak memberitahu yang fahaman mereka itu salah sama sekali dan akan menyebabkan mereka kerugian nanti.

Kalimah الحُطَمَةِ = Dari katadasar ح ط م yang bermaksud ‘patah’. Kalau حطام, digunakan untuk menjelaskan kalau tumbuhan sudah mati dan kering, ianya akan jadi rapuh dan kalau kita pijak atau ramas, ia akan patah dan hancur. Kalimah yang sama digunakan dalam Naml:18

حَتّىٰ إِذا أَتَوا عَلىٰ وادِ النَّملِ قالَت نَملَةٌ يا أَيُّهَا النَّملُ ادخُلوا مَساكِنَكُم لا يَحطِمَنَّكُم سُلَيمانُ وَجُنودُهُ وَهُم لا يَشعُرونَ

Hingga apabila mereka sampai di lembah semut berkatalah seekor semut: Hai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak diinjak (dihancurkan) oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari”;

Oleh itu, الحُطَمَةِ adalah sesuatu yang mematahkan dan menghancurkan tulang dan memakan daging manusia. Ia adalah api yang memakan daging, sehinggalah sampai ke jantung. Oleh itu, الحُطَمَةِ adalah api neraka yang menghancurkan.

Dalam Ayat 1 telah disebut bagaimana mereka yang melakukan هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ itu mematahkan dan menghancurkan perasaan mereka yang dikutuk dan dihina – maka sekarang Allah beritahu, kerana perbuatan mereka itu, diri mereka yang akan dipatah dan dihancurkan oleh api neraka!

Kalimah لَيُنبَذَنَّ dari kalimah ن ب ذ yang bermaksud membuang/membaling sesuatu yang dikira tiada nilai. Huruf ل dan ن syaddah itu adalah sebagai penekanan yang kuat – mereka ‘pasti’, ‘pasti’ akan dibuang.

Kalimah yang sama digunakan untuk menceritakan bagaimana Yahudi membuang perjanjian mereka dengan Allah kerana mereka menganggap ianya tidak bernilai. Ini disebut dalam Baqarah:100

أَوَكُلَّما عاهَدوا عَهدًا نَبَذَهُ فَريقٌ مِنهُم

dan setiap kali mereka mengikat janji, segolongan mereka melemparkannya?

Kalimah طرح juga boleh digunakan untuk menyebut ‘buang’ dalam bahasa Arab. Tapi طرح bermaksud membuang sesuatu dengan tersembunyi – seperti kita buang sampah sarap kita di belakang rumah supaya orang tidak nampak. Allah tidak gunakan طرح tapi Allah gunakan نبذ dalam ayat ini kerana Allah hendak menekankan yang Dia hendak memalukan mereka di khalayak ramai – tidak sembunyi-sembunyi.

Allah lakukan begitu kerana mereka semasa di dunia mengutuk dan menghina orang lain dengan cara terbuka, maka Allah pun akan lakukan perkara yang sama kepada mereka di akhirat kelak! Tapi azab Allah itu amat pedih dan teruk sekali, tidak berbaloi dengan apa yang mereka lakukan.

Mereka sangka mereka kaya maka mereka tidak rasa bersalah buat apa sahaja kepada orang lain yang di bawah mereka, lebih rendah dari mereka – Allah akan balas dengan baling dan buang mereka seperti benda yang tidak bernilai langsung!

Apabila digunakan kalimah فِي dalam ayat ini, ia memberi isyarat yang  الحُطَمَةِ itu sangat, sangat dalam.


 

Ayat 5: Sangat teruknya الحُطَمَةِ itu, tapi kamu tidak tahu.

وَما أَدراكَ مَا الحُطَمَةُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And what can make you know what is the Crusher?

(MALAY)

Dan tahukah kamu apa Huthamah itu?

 

Apakah agaknya cara untuk kamu tahu apakah الحُطَمَةُ itu? Mungkin dari segi bahasa kamu tahu yang maksudnya adalah ‘yang menghancurkan’, tapi hakikatnya, adakah kamu tahu?

Ia juga bermaksud ‘kamu tidak akan tahu’ kerana kalimah ما itu boleh bermaksud penafian (ma nafi). Maksudnya, kita tidak akan tahu kalau Allah sendiri tidak beritahu kita. Kerana hal syurga dan neraka itu adalah perkara ghaib dan kita tidak akan dapat tahu perkara ghaib melainkan Allah yang beritahu kita.

Apabila Allah tanya dalam bentuk وَما أَدراكَ (dalam bentuk past tense), itu bermakna yang Allah akan beritahu kepada kita. Dan ini akan disebut dalam ayat seterusnya.


 

Ayat 6: Ayat 6 – 9 adalah Perenggan Makro Kedua dan terakhir surah ini. Allah menceritakan tentang azab dahsyat Neraka Hawiyah. Ia tertutup rapat dengan diri dirantai pada palang-palang neraka.

نارُ اللَّهِ الموقَدَةُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is the fire of Allāh, [eternally] fueled,

(MALAY)

(iaitu) api (yang disediakan) Allah yang dinyalakan,

 

Dalam ayat ini Allah mengatakan bahawa الحُطَمَةُ yang dikenakan kepada mereka itu adalah نارُ اللَّهِ  (Api Allah). Kalau ianya ‘Api Allah’, tentu ianya tidak boleh dibandingkan dengan api-api lain. Tidak dapat kita bayangkan api itu kalau dibandingkan dengan api yang kita biasa lihat, api yang kita bayangkan, tidak mungkin!

Ini macam Allah gunakan untuk menyebut tentang unta mukjizat Nabi Hud – هٰذِهِ ناقَةُ اللَّهِ لَكُم آيَةً (Unta betina Allah ini menjadi tanda bagimu) – Apabila Allah gunakan kalimah ناقَةُ اللَّهِ, ini bermaksud unta itu tidak sama dengan unta-unta lain. Begitu juga, api makhluk dan Api Allah tentu tidak sama. Ia tidak sama kerana Allah yang buat api ini dan tentu Dia akan jadikan api ini lain dari yang lain – walaupun semua api Allah buat, bukan? Tapi Allah sebutkan namaNya pada api ini menunjukkan yang api ini tidak sama.

Kalimah الموقَدَةُ adalah dalam bentuk ism maf’ool (yang diberi tindakan oleh pembuat – yang kena buat) = الموقَدَةُ bermaksud sesuatu yang dinyalakan. Telah ada isyarat yang Allahlah yang menyalakannya.

Kalimah الموقَدَةُ memberi isyarat bahawa api itu telah dinyalakan dan akan terus bernyala menunggu mangsanya. Selalunya api tidak kekal lama, tapi Allah memberi isyarat yang api itu kekal kerana kalimah الموقَدَةُ yang digunakan.


 

Ayat 7: Api itu akan membakar hati yang hanya mahu kepada harta.

الَّتي تَطَّلِعُ عَلَى الأَفئِدَةِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Which mounts directed at the hearts.¹

  • Covering them and penetrating them.

(MALAY)

yang naik (membakar) sampai ke hati.

 

Kalimah تَطَّلِعُ dari katadasar ط ل ع yang bermaksud antara lain, ‘menaik’. Kalimah تَطَّلِعُ bermaksud memanjat dengan susah, juga digunakan apabila matahari terbit. Allah memberi gambaran tentang api yang telah disebut dalam ayat sebelum ini – api itu akan menaik dari bawah ke atas. Dan ia akan berulang-ulang berlaku (bukan sekali sahaja). Ini adalah kerana ada syaddah pada huruf ط itu.

Kalimah الأَفئِدَةِ dari katadasar ف أ د yang bermaksud hati yang sedang merasa (yang ada perasaan, ada emosi). Segala dosa dan kesalahan yang dilakukan di bahagian awal surah ini seperti هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ itu adalah kerana hati yang telah rosak. Oleh kerana itu, الحُطَمَةُ yang dalam bentuk api itu akan menghancurkan daging, tulang dan akan memakan tubuh badan si pendosa itu, dan akan menaik sampai ke hati (الأَفئِدَةِ) orang itu.

Kalimah الأَفئِدَةِ memang selalunya diterjemahkan sebagai ‘hati’ tapi asalnya, ia bermaksud seketul daging yang dikelilingi oleh api (memberi isyarat bahawa hati itu sedang beremosi, bukan duduk diam sahaja), dan kalimah ini amat sesuai digunakan dalam ayat ini kerana memang hati itu sedang didatangi oleh api!

Lihatlah tubuh kita sekarang – Allah beri perlindungan kepada anggota tubuh yang lemah seperti hati dengan penghadang dengan tulang rusuk (seperti otak kita yang lembut itu dikelilingi oleh tulang kepada yang keras). Walaupun begitu, api الحُطَمَةُ itu akan tetap dapat mencari jalan untuk mencapai ke hati orang yang berdosa itu.

Tapi ia tidak akan menghancurkan hati itu. Kerana Allah tidak mahu membunuh orang itu – Allah cuma beri seksa sahaja tapi tidak mematikan orang itu, kerana kalau hatinya hancur, tentu orang itu pun akan mati juga. Dan kita telah sebut sebelum ini, kejadian itu akan berulang-ulang – maka kesakitan itu akan berterusan. Ini seperti yang Allah sebut dalam A’la:13

لا يَموتُ فيها وَلا يَحيىٰ

dia tidak akan mati di dalamnya dan tidak (pula) hidup.

Begitulah Allah beri isyarat, bahagian yang menyebabkan kekufuran dan dosa itulah yang akan dikenakan dengan seksaan yang teruk dari Allah.


 

Ayat 8:

إِنَّها عَلَيهِم مُؤصَدَةٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, it [i.e., Hellfire] will be closed down upon them

(MALAY)

Sesungguhnya api itu ditutup rapat atas mereka,

 


Balaghah: kalimah عَلَيهِم itu adalah taqdim (diletakkan awal) memberi isyarat bahawa azab yang dikenakan dalam ayat ini adalah khusus kepada mereka. Kerana kalau susunan yang biasa dalam bahasa Arab, ianya sepatutnya begini: إِنَّها مُؤصَدَةٌ عَلَيهِم.

Ini bermakna Allah beri mereka azab yang khusus kerana mereka itu adalah golongan yang khusus juga. Maksudnya dosa yang mereka lakukan adalah spesifik seperti yang telah disebut dalam ayat 1 – 3.

Kalimah مُؤصَدَةٌ diambil dari katadasr و ص د yang bermaksud tempat tertutup. Oleh itu asal kalimah مُؤصَدَةٌ digunakan untuk tempat di mana binatang dikurung. Ianya adalah tempat yang tinggi supaya binatang itu tidak dapat lari keluar. Begitulah yang dikenakan kepada penghuni neraka nanti. Mereka tidak akan dapat keluar dari neraka itu. Ini seperti yang disebut juga dalam Hajj:22

كُلَّما أَرادوا أَن يَخرُجوا مِنها مِن غَمٍّ أُعيدوا فيها

Setiap kali mereka hendak keluar dari neraka lantaran kesengsaraan mereka, nescaya mereka dikembalikan ke dalamnya.

Kalimah مطبق juga boleh digunakan untuk tempat yang tidak boleh keluar darinya. Tapi Allah tidak gunakan kalimah itu kerana beza kalimah مُؤصَدَةٌ, ia ada pintu, sedangkan kalimah مطبق tidak ada pintu. Kenapa Allah beri pintu pula?

Memang ada pintu tapi pintu itu tinggi di atas mereka dan mereka tidak akan dapat capai ke pintu itu. Ini akan menambah kekecewaan mereka – ada pintu, nampak pintu itu tapi tidak boleh capai. Ianya adalah untuk memberi harapan palsu kepada mereka sahaja. Lain kalau tidak ada pintu langsung – tidak ada harapan langsung. Jadi harapan palsu ini adalah azab emosi kepada mereka. Sudahlah mereka kena azab tubuh, kepada emosi juga mereka dikenakan dengan azab.


 

Ayat 9: Mereka diikat pada tiang yang sangat panjang dalam neraka.

في عَمَدٍ مُمَدَّدَةٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

In extended columns.¹

  • Interpreted to be either columns of fire or columns of iron to which are chained the inmates of Hell.

(MALAY)

(sedang mereka itu) diikat pada tiang-tiang yang panjang.

 

Kalimah عَمَدٍ bermaksud ‘tiang-tiang’. Sama ada tiang kayu atau tiang besi. Macam bangunan yang ada tiang seri. Kalau ianya tiang besi, maka ini menambahkan lagi azab kerana besi akan jadi panas kerana terkesan dengan api neraka itu. Dan ahli neraka itu pula duduknya dekat dengan tiang itu.

Ada juga yang berpendapat, mereka itu diikat pada tiang-tiang itu.
Ada juga berpendapat, tiang yang dimaksudkan itu adalah palang yang menahan pintu-pintu neraka itu. Allahu a’lam.

Kalimah مُمَدَّدَةٍ bermaksud tiang-tiang itu dipanjangkan, sepanjang yang boleh dilihat.

 

Penutup:

Oleh itu, mereka yang mengutuk dan menghina orang lain, kerana mereka ada banyak harta dan mereka sangka mereka tidak akan dipersalahkan, dan mereka sangka mereka akan hidup selamanya, mereka itu akan diletakkan di dalam neraka yang ada tiang yang panjang.

Mereka tidak boleh keluar dari tempat itu dan kalau mereka tersentuh tiang-tiang itu, mereka sendiri akan jadi sakit kerana tiang itu panas sangat. Mereka sedang dibakar dengan api yang menghancurkan tubuh mereka sampai ke hati mereka. Mereka nampak pintu neraka itu tapi mereka tidak dapat capai untuk lari keluar. Dan mereka tidak akan mati sampai bila-bila.

Di awal surah ini telah disebut kecelakaan untuk mereka dan bahagian kedua surah ini memberitahu apakah kecelakaan yang akan dikenakan kepada mereka. Ianya amat menakutkan.

Sekian berakhir tafsir surah Qur’an yang menceritakan tentang keadaan di neraka. Selepas ini tidak ada lagi surah yang menceritakan tentang neraka. Ianya amat menakutkan untuk memberi peringatan dan ancaman kepada kita. Hendaklah kita mengambil perhatian kepada segala ayat-ayat tersebut. Semoga Allah selamatkan kita dari neraka ini dan menjadikan kita orang yang baik. Aameen.

Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Feel.

Kemaskini: 26 September 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah al-Humazah Ayat 2 – 3 (Menambah dan mengira harta)

Ayat 2: Kerja mereka mengumpul harta sahaja. Mereka fokus pada kumpul harta dengan banyak, padahal kalau nak pakai bukan banyak pun. Kalau buat rumah seratus biji pun bukan boleh duduk semua rumah yang dia beli itu. Kalau beli baju banyak pun, bukan boleh pakai semua pun.

الَّذي جَمَعَ مالًا وَعَدَّدَهُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who collects wealth and [continuously] counts it.¹

  • Rather than spending in the way of Allāh.

(MALAY)

yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitung,

 

Ini adalah sifat kedua orang yang layak mendapat وَيلٌ itu. Sebelum ini telah disebut mereka melakukan humazah dan lumazah.

Kaitan ayat ini dengan ayat 1: Orang yang kedekut sedang dikritik dalam ayat ini. Mereka akan mencari kesalahan dan kelemahan orang lain, dan mereka akan menceritakan kelemahan orang itu, supaya kelemahan dan kesalahan mereka sendiri tidak kelihatan. Allah marah dengan orang sebegini.

Lagi satu, apabila kalimah yang melibatkan همز disebut dalam Al-Qur’an, akan ada kaitan dengan harta. Lihat Qalam:11

هَمّازٍ مَشّاءٍ بِنَميمٍ

(yang banyak mencela, yang kian ke mari menghambur fitnah).

 

Kemudian lihat pula Qalam:14

أَن كانَ ذا مالٍ وَبَنينَ

(kerana dia mempunyai (banyak) harta dan anak).

Ini adalah sebahagian dari ketepatan penggunaan bahasa yang ada dalam Al-Qur’an di mana konsep yang sama digunakan. (Lalu bagaimana lagi ada orang yang kata Nabi Muhammad sendiri yang menulis Al-Qur’an ini? Tidak mungkin!)

Kalimah جَمَعَ memberi isyarat yang orang yang dimaksudkan dalam ayat ini menghabiskan seluruh usaha hidupnya untuk mencari dan mengumpul harta dan kekayaan. Kita dapat tahu dari kalimah جَمَعَ yang dalam bentuk past tense. Maknanya, ia menceritakan tentang kehidupannya yang telah lepas, sebab itu kita boleh katakan yang dia sebelum dia mati, memang dia jenis yang mengumpulkan harta sahaja.

Mereka ini jenis yang sanggup buat macam-macam untuk mengembangkan perniagaan mereka, kekayaan mereka – sebagai contoh, ada yang gunakan pekerja dan bayar gaji murah dan susahkan kehidupan mereka. Sebagai contoh, ada syarikat yang melayan pekerja mereka sebagai hamba, sampaikan mereka tidak dapat lari dari kilang mereka – kena kerja tanpa cuti.

Kalimah عَدَّدَهُ memberitahu kita yang mereka suka untuk mengira-ngira harta mereka, berapa banyak sudah bertambah dan berapa banyak lagi yang mereka hendak.

Juga bermaksud mereka ‘bersedia’ – maksudnya mereka menyediakan harta dan wang mereka sebagai insuran untuk masa depan mereka. Mereka kata kena pandang jauh dan kena bersedia terhadap apa yang jadi di masa hadapan. Ini tidaklah salah sangat, tapi kita orang mukmin kena pandang lagi jauh, bukan setakat usia tua sahaja tapi kena melangkau sampai ke akhirat.

Sebab itu kita kena bersedia dengan amal soleh, tapi mereka yang mengumpul harta untuk masa depan itu sebenarnya hanya pandang pendek sahaja, kerana mereka pandang setakat dunia sahaja. Mereka tidak tahukah yang harta mereka itu mereka hanya boleh pakai setakat mereka mati sahaja? Bagaimana pula selepas mereka mati? Adakah ia dapat membantu mereka? Tentu tidak.

Dalam ayat ini, Allah menggunakan kalimah مالًا (kekayaan). Ianya dalam bentuk mufrad sahaja kerana Allah hendak merendahkan kemewahan itu. Kalau jamak, kalimah اموال yang digunakan, tapi Allah tidak gunakan begitu kerana harta itu tidak banyak pun – tidak kira berapa banyak pun harta itu ada pada kita, ianya tidak boleh dibandingkan dengan harta seluruh alam ini.

Kita mungkin sangka apa yang kita ada itu sudah banyak, tapi kita pun tahu, ada banyak lagi orang yang lebih kaya dan banyak lagi yang bukan harta kita. Kalau bekerja tidak berhenti sampai mati pun, tidak akan dapat semua harta itu. Maka jangan banggalah kalau ada duit banyak, sebab bukan banyak pun.

Kalau ada yang bangga, mereka itu berbangga tak kena tempat. Dan harta yang banyak di dunia itu tidak ada nilai langsung kalau dibandingkan dengan akhirat. Seperti yang Allah telah firmankan dalam Tawbah:38

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا ما لَكُم إِذا قيلَ لَكُمُ انفِروا في سَبيلِ اللَّهِ اثّاقَلتُم إِلَى الأَرضِ ۚ أَرَضيتُم بِالحَياةِ الدُّنيا مِنَ الآخِرَةِ ۚ فَما مَتاعُ الحَياةِ الدُّنيا فِي الآخِرَةِ إِلّا قَليلٌ

Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya bila dikatakan kepadamu: “Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah” kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit.

Tidak berguna langsung harta yang banyak itu kalau ada masalah di akhirat kelak. Seperti yang firmankan dalam Ali Imran:91

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا وَماتوا وَهُم كُفّارٌ فَلَن يُقبَلَ مِن أَحَدِهِم مِلءُ الأَرضِ ذَهَبًا وَلَوِ افتَدىٰ بِهِ

Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan mati sedang mereka tetap dalam kekafirannya, maka tidaklah akan diterima dari seseorang diantara mereka emas sepenuh bumi, walaupun dia menebus diri dengan emas (yang sebanyak) itu.

Mereka sangka duit mereka banyak dan dapat menyelamatkan mereka, tapi tidak sama sekali. Mereka buang masa sahaja di dunia mengumpul harta yang mereka tidak boleh bawa mati pun dan tidak memberi manfaat kepada mereka langsung kalau mereka kufur dengan perintah Allah.

Mereka yang mahukan harta yang banyak itu, kadang-kadang sanggup buat apa sahaja cara untuk dapat harta dengan banyak dan banyak lagi. Mereka tidak kisah kalau mereka menyusahkan manusia lain. Ramai yang zalim kepada orang lain untuk menambah harta mereka.

Antara yang selalu digunakan oleh organisasi yang kaya dan banyak duit adalah mengenakan riba untuk orang lain pakai duit mereka. Ini adalah keburukan yang amat teruk sekali. Ia menyusahkan orang yang tidak ada wang dan menyebabkan rosaknya ekonomi. Bayangkan: kerana ribalah yang menyebabkan susah orang kita hendak hidup dengan senang.

Sebagai contoh, katakanlah ada satu rumah yang asalnya 20 ribu sahaja semasa ianya dibina. Tapi kerana pembeli tidak ada wang modal, maka mereka akan pinjam pada bank. Harga rumah yang 20 ribu itu entah jadi 40 ribu. Kemudian apabila pembeli pertama itu mahu pindah ke rumah yang lebih besar, dia akan jual rumahnya itu dengan untung, bukan? Tentu dia akan jual lebih lagi dari 40 ribu itu, bukan? Jadi mungkin dia akan jual dengan harga 50 ribu kerana tambah untung dia sikit.

Orang yang mahu membeli rumah itu pun kena pinjam bank juga, maka harga rumah itu sekarang dah jadi 100 ribu pula! Padahal asalnya 20 ribu sahaja tapi telah naik jadi berkali ganda kerana riba. Maka susahlah orang kita hendak tinggal di rumah sendiri. Ada yang sampai mati duduk di rumah sewa sahaja kerana tidak mampu untuk beli rumah yang mahal-mahal harganya.

Jadi nampak atau tidak bagaimana keburukan riba ini? Kerana itulah ia ditentang dalam Islam. Islam tidak membenarkan riba dijalankan kerana akan menyebabkan kesusahan kepada masyarakat. Ada pakar ekonomi yang masuk Islam kerana mereka nampak Islam sahaja yang menentang perkara buruk ini. Mereka nampak yang Islam ini memang agama yang menjaga kebajikan manusia dan ianya bukan sahaja mengajar dalam perkara ibadat sahaja, tapi dalam perkara kehidupan sekali – maknanya Islam ini adalah agama yang syumul, yang lengkap. Ianya untuk dunia dan akhirat sekali.

Kerana itu orang mukmin yang sudah tua pun, mereka akan tanam pokok supaya dapat memberi manfaat kepada generasi selepasnya walaupun dia tidak sempat lagi untuk menikmati pokok itu. Kerana orang mukmin akan faham tentang konsep ‘sedekah jariah’ – sedekah yang berterusan yang boleh dimanfaat di akhirat walaupun dia sudah tiada lagi. Inilah keindahan Islam.

Jadi, orang yang dikutuk dalam ayat ini, mereka tidak hiraukan orang lain. Mereka hanya mementingkan harta mereka sahaja. Mereka kumpul harta dan suka untuk mengira berapa banyak sudah bertambah. Mereka sanggup lakukan apa sahaja untuk mendapatkan kekayaan lagi dan lagi.

Mereka juga tidak gunakan wang mereka itu untuk kebaikan manusia lain. Kerana mereka akan simpan sahaja (kalau mereka kira-kira itu, ia bermakna yang mereka tidak beri orang lain, tapi simpan sendiri). Mereka rasa yang mereka akan hidup selama-lamanya. Mereka tidak ingat mati pun kerana mereka hidup dengan mewah sekali sampaikan mereka terlupa yang mereka akan akhirnya akan mati. Memang dari segi logik akal pun, mereka tahu mereka akan mati pun, tidak ada yang hidup selamanya, tapi cara mereka itu seolah-olah mereka tidak akan mati pula.

Jangan sangka ayat ini tentang orang kafir sahaja. Kita orang Islam ini pun begitulah juga – sudah terikut-ikut dengan cara kafir. Ini kerana kita jauh sekali dari agama dan dari Al-Qur’an. Nama sahaja Muslim, tapi cara hidup jauh dari cara Islam.

Kalimah عَدَّدَ = mereka menyediakan harta mereka itu sebagai insurans persediaan masa hadapan. Mereka tidak yakin dengan qada’ dan qadar Allah, maka mereka nak bersedia dengan harta yang banyak supaya hidup mereka terjamin. Ia juga bermaksud, mereka mengira dengan teliti (jangan ada tertinggal) dan selalu mengira, selalu tengok akaun bank mereka. Kita tahu ada elemen ‘selalu’ ini kerana ada syaddah dalam kalimah عَدَّدَ itu.

Oleh itu, ayat 1 adalah tentang sifat mereka dengan orang lain dan ayat 2 ini adalah mentaliti mereka, apa yang mereka fikirkan. Mereka tidak melakukan yang sepatutnya – tidak bertindak baik dengan orang lain dan memberi bantuan kepada orang lain yang memerlukan.


 

Ayat 3: Apakah mentaliti mereka lagi? Mereka kumpul harta mereka seolah mereka yakin harta itu akan mengekalkan kehidupan mereka. Mereka rasa, kalau tidak ada harta, macam mati dah pada mereka.

يَحسَبُ أَنَّ مالَهُ أَخلَدَهُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He thinks that his wealth will make him immortal.

(MALAY)

dia mengira bahwa hartanya itu dapat mengekalkannya,

 

Dalam ayat 2, Allah gunakan kalimah مالًا, tidak sebut harta siapa kerana hakikatnya semua yang ada dalam dunia ini adalah milik Allah. Tapi Allah gunakan kalimah مالَهُ (hartanya) dalam ayat ini untuk memberitahu apakah sangkaan mereka – mereka sangka yang harta itu mereka yang punya.

Itu hanya sangkaan mereka sahaja. Mereka sangka, harta dan wang yang mereka kumpul itu (dengan cara salah dan dengan cara yang buruk seperti riba dan cara zalim itu) adalah harta mereka. Mereka sangka kerana mereka yang lakukan segala usaha untuk mendapatkannya, maka tentulah itu harta mereka.

Satu soalan yang kita mahu tanyakan: Kenapa manusia berkejaran untuk mengumpulkan wang dan harta? Berkemungkinan besar, mereka akan jawab, “kerana kami nak pakai harta dan wang itu apabila perlu.” Itu jawapan mereka, tapi adakah benar? Adakah mereka benar-benar pakai wang dan harta mereka itu? Agaknya, mereka pakai semuakah? Mereka boleh makan semuakah harta mereka itu? Tentu tidak.

Kalimah أَخلَدَ = dari kalimah خ ل د yang bermaksud ‘berterusan’. Juga boleh bermaksud ‘kekal’. Kita pun selalu dengar bagaimana kisah Nabi Adam a.s. memakan buah yang selalu disebut ‘Buah Khuldi’ (nama buah itu tidak disebut, kecuali oleh Iblis, jadi tidak sesuai pakai nama Khuldi itu). Jadi, kalimah أَخلَدَ dalam ayat ini mungkin bermaksud ‘jangkamasa panjang’ atau ia boleh bermaksud ‘selama-lamanya’.

Manusia memang ada keinginan untuk mendapatkan rezeki yang berpanjangan. Ramai yang mahu dapat lebih lagi dari apa yang mereka telah ada. Itulah sebabnya ada orang yang buat kerja overtime, buat kerja tambahan, buat kerja hujung minggu, dan sebagainya. Itu semua kerana mereka mahu lebih kerana keperluan kadang-kadang lebih lagi dari apa yang mereka dapat dengan kerja biasa.

Dan ada juga yang mahu lebih kerana hendak simpan wang itu, menabung untuk hari-hari mendatang – takut-takut ada keperluan yang mendesak waktu itu – sakit, kebakaran, kena buang kerja dan sebagainya. Tujuannya adalah supaya kehidupan mereka berterusan dalam kesenangan. Ini kita faham.

Tapi yang tidak patut dilakukan adalah kalau pengejaran kepada harta dan wang itu menyebabkan perkara yang lebih penting terabai – iaitu persediaan kepada akhirat dan juga menjaga hubungan baik dengan masyarakat. Atau dalam ertikata lain, kalau dengan mengejar harta itu menyebabkan meninggalkan taat kepada Allah.

Kita telah sebutkan dalam tafsir Surah al-Asr bagaimana manusia semuanya dalam kerugian kecuali orang yang beriman. Maka mereka yang rugi adalah mereka yang melebihkan dunia dari akhirat. Mereka melebihkan dunia itu kerana mereka meletakkan kelebihan pada harta. Mereka sangka harta mereka itu akan menyebabkan mereka kekal hidup.

Sampaikan mereka kelam kabut tentang perkara inilah yang menyebabkan ada orang yang bunuh diri kalau saham mereka jatuh merudum. Ini adalah kerana mereka mengaitkan kehidupan dengan harta – oleh itu, apabila harta mereka tergugat, mereka sangka nyawa mereka pun tergugat sekali.

Memang ada manusia yang dalam hati mereka, mereka mahu hidup selama-lamanya. Ini seperti yang Nabi Hud a.s. tegur kepada kaumnya, Kaum Aad dalam Syu’ara:129

وَتَتَّخِذونَ مَصانِعَ لَعَلَّكُم تَخلُدونَ

dan kamu membuat binaan-binaan dengan maksud supaya kamu kekal (di dunia)?

Maksudnya mereka tahu mereka akan mati, tapi mereka hendak kekal diingati kalau ada bangunan, patung, atau jalan atas nama mereka. Mereka rasa bila ada monumen ada atas nama mereka, mereka akan kekal selamanya. Ini adalah kerana manusia ada keinginan untuk hidup selamanya.

Ini tidak salah kerana orang mukmin pun mahu hidup selamanya juga, iaitu di syurga. Tapi kalau manusia yang tidak beriman dan mengerjakan amal soleh, mereka tidak membiakkan keinginan itu dengan cara yang sihat, maka mereka akan melancarkannya pada tempat yang salah. Mereka akan bekerja keras untuk tambah harta dan kekayaan, supaya mereka boleh jadi terkenal dalam sejarah (supaya terus kekal), supaya dapat bina bangunan dan sebagainya (dan namakan bangunan itu dengan nama mereka supaya nama mereka kekal juga) dan cara-cara lain.

Sebab itulah kita dengar bagaimana ada jutawan yang sanggup dermakan harta mereka, asalkan nama mereka diabadikan dalam pelbagai bentuk (nama bangunan, nama jalan, plak di dinding dan sebagainya). Ini kerana mereka ingin nama mereka masih disebut selepas mereka mati pun.

Ayat ini juga boleh bermaksud: mereka sangka harta mereka itu akan kekal. Ada manusia yang sangka mereka tidak perlu risau tentang masa hadapan, sama ada di dunia ini atau di akhirat kelak. Mereka sangka, oleh kerana Tuhan telah mengkayakan mereka semasa mereka di dunia, maka tentulah Tuhan sudah sayang kepada mereka. Oleh itu, kalau sudah sayang semasa di dunia, tentulah Tuhan akan sayang juga di akhirat kelak. Mereka sangka yang mereka akan terus mendapat kesenangan di akhirat kelak juga. Ini juga adalah pandangan yang salah.

Orang Islam pun ada yang berpandangan begitu. Mereka rasa macam duit mereka boleh menyebabkan mereka dapat kedudukan baik di akhirat. Kerana itu ada orang Islam yang menggunakan harta mereka dengan beri sedekah untuk selamat di akhirat kelak. Padahal harta itu mereka dapat dengan cara yang salah.

Memang molek bagi sedekah. Tapi bagi mereka yang sebegini, mereka sangka mereka dapat membeli syurga dengan cara itu. Jadi tidak kisahlah kalau mereka dapat wang mereka itu dengan cara riba, dengan cara tipu orang, dengan cara rasuah atau jual arak, asalkan mereka ada derma kepada madrasah, sekolah anak yatim atau masjid, mereka rasa itu dapat ‘cuci’ dosa mereka dan menempatkan mereka dalam syurga.

Lagi satu maksud ayat ini adalah: mereka amat sayang sekali pada harta mereka itu, sampaikan kalau harta mereka berkurangan, mereka juga akan rasa berkurangan dan akhirnya mati. Jadi mereka tidak akan menginfakkan harta mereka itu kerana ianya seperti memberi nyawa mereka sendiri. Mereka tidak faham yang kalau harta yang mereka infakkan itulah nanti yang akan menjadi harta mereka yang sebenarnya di akhirat kelak yang akan meninggikan kedudukan mereka di syurga nanti.

Ada kesamarataan dalam surah ini. Dalam surah ini disebut 5 kesalahan yang dilakukan oleh manusia dari ayat 1 – 3:

      1. هُمَزَةٍ
      2. لُمَزَةٍ
      3. جَمَعَ مالًا
      4. عَدَّدَهُ
      5. يَحسَبُ أَنَّ مالَهُ أَخلَدَهُ

Dan nanti dalam ayat 4 – 9 akan diberi pula 5 penerangan tentang azab yang akan dikenakan kepada mereka. Maka ada 5 kesalahan dan ada 5 azab.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 26 September 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir