Tafsir Surah Quraish Ayat 2 – 4 (Tidak lapar dan tidak takut)

Quraish Ayat 2: Inilah kebiasaan nikmat yang golongan Quraish itu sentiasa dapat. Rombongan perniagaan mereka tidak diganggu semasa perjalanan perniagaan mereka itu. Ini adalah kerana kemuliaan Ka’bah.

Ayat 3 – 4 adalah Perenggan Makro Kedua. Sepatutnya mereka bersyukur dengan nikmat Allah itu dengan mentauhidkan dan menyembah Allah sahaja. Bukannya menjadikan Kaabah sebagai pusat menyembah berhala.

إيلافِهِم رِحلَةَ الشِّتاءِ وَالصَّيفِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Their accustomed security [in] the caravan of winter and summer¹–

  • i.e., the trading caravans that traveled south in winter and north in summer.

(MALAY)

(iaitu) kebiasaan mereka berpergian pada musim dingin dan musim panas.

 

Ada pengulangan kalimah إيلافِ dalam ayat ini – kenapa? Kerana hendak menekankan (taukid) kalimah itu. Begitulah penggunaan ulangan dalam bahasa Arab klasik. Allah hendak menekankan perkara yang Allah telah lakukan untuk melembutkan hati mereka. Apa yang Allah telah lakukan? Antara yang kita tahu:

    • Allah memusnahkan Tentera Abrahah
    • Allah berikan mereka Ka’bah dan mereka diberi kelebihan sebagai penjaganya
    • Mereka keturunan Nabi Ibrahim a.s.
    • Allah bangkitkan Rasul terakhir Nabi Muhammad SAW dari kalangan mereka.

Kalimah إيلافِ dalam ayat pertama adalah dalam bentuk umum, dan إيلافِ yang kedua dalam ayat ini adalah spesifik. Kalau إيلافِ yang dalam bentuk umum itu tidak melembutkan hati mereka lagi, maka Allah akan sebut إيلافِ yang seterusnya yang sepatutnya pasti melembutkan hati mereka.

Jadi sekarang dalam ayat ini Allah sebut tentang kafilah mereka yang pergi berniaga ke luar kawasan mereka. Itulah رِحلَةَ dan ianya dalam bentuk mansub (tandanya berbaris atas) kerana ianya menjelaskan apakah yang diberikan kepada mereka.

Kenapa Allah gunakan kalimah رِحلَةَ untuk perjalanan mereka? Ada beberapa kalimah lagi yang boleh digunakan seperti:

Safar سفر – untuk perjalanan yang jauh.
Saaha ساحة (i.e. siyahah) – untuk perjalanan jalan-jalan seperti melancong.
Nafara نفر – perjalanan untuk berperang.

Memang ada banyak kalimah lain, tapi Allah menggunakan kalimah yang tepat dalam Al-Qur’an. Kalimah رِحلَةَ bermaksud perjalanan yang membawa barang seperti beg. Oleh kerana mereka pergi untuk berniaga, maka mereka membawa banyak muatan untuk perdagangan mereka. Sebab itu رِحلَةَ amat sesuai digunakan dalam ayat ini kerana hendak memperkatakan perjalanan perdagangan mereka.

Tentunya mereka akan bergerak dengan unta mereka sebagai binatang tunggangan. Dan mereka akan letak barang dagangan mereka di atas unta mereka itu. Unta bukan ada bonet untuk sorok barang itu, maka orang lain boleh nampak dari jauh yang mereka sedang bawa barang. Selalunya waktu itu memang akan kena kacau dan kena rompak oleh perompak jalanan.

Akan tetapi, tidak ada yang berani merompak mereka. Kalau orang lain dari selain Mekah yang bawa begitu, tentu mereka tidak selamat. Tapi Allah hendak mengingatkan mereka, walaupun mereka bawa barang yang boleh dinampak oleh orang, kamu masih selamat lagi. Perampok jalanan boleh kenal yang itu adalah rihlah dari Mekah, maka mereka tidak kacau.

Dan dalam perjalanan mereka itu, mereka boleh berhenti di mana-mana tempat sahaja yang mereka hendak. Mereka boleh berhenti ambil cuti dari berniaga. Orang lain kena terus berniaga kerana mereka akan susah kalau mereka tidak berniaga. Tapi Quraish sudah memang kaya dan tidak memerlukan pun perniagaan itu. Kalau mereka tidak berniaga pun, mereka sudah senang lenang duduk di Mekah, kerana makan dan pakai mereka sudah cukup. Mereka tidak perlu keluar dari Mekah dan mereka boleh berniaga di Mekah sahaja kerana memang penduduk sekitar tanah Arab yang akan datang kepada mereka.

Kebiasaan mereka adalah berdagang ke Syria dan Yaman. Mereka akan tukar pada satu waktu pergi ke Syria dan satu lagi ke Yaman. Mereka amat suka ke dua-dua tempat itu sampaikan mereka buat puisi tentangnya. Dalam musim sejuk, mereka akan pergi ke Yaman kerana Yaman panas pada waktu itu dan pada musim panas, mereka akan ke Syria kerana Syria lebih sejuk waktu itu. Mereka siap boleh pilih-pilih mana tempat mereka hendak pergi – ini adalah satu nikmat yang amat besar sekali.

Kalimah رِحلَةَ dalam bentuk mufrad (satu) walaupun sebenarnya perjalanan Quraish itu ke dua tempat (satu pada musim sejuk dan satu lagi pada musim panas). Tapi disebut dalam bentuk mufrad sahaja kerana seolah-olah ianya satu perjalanan yang panjang. Mereka akan pergi ke Yaman, kemudian berhenti dan luangkan masa sekejap di Mekah dan kemudian sambung perjalanan ke Syria. Ianya seperti satu perjalanan yang panjang.

Allah sebut الشِّتاءِ (musim sejuk) sebelum sebut الصَّيفِ (musim panas) dan ini adalah penting. Ini adalah kerana musim sejuk dikaitkan dengan kekurangan makanan kerana waktu itu tumbuhan tidak berbuah dan masa menuai adalah pada musim panas. Allah sebut tentang musim sejuk yang dikaitkan dengan kekurangan makanan kerana mereka masih tetap dapat makanan pada musim sejuk dan ini adalah hebat dan ianya adalah kerana rahmat dari Allah.

Musim panas pula adalah waktu yang bahaya kerana pada waktu itu perompak jalanan akan menahan dan merompak kafilah yang sedang berdagang. Ini adalah kerana mereka akan tetap di tempat mereka pada musim sejuk dan hanya keluar pada musim panas.

Oleh itu, musim sejuk adalah masalah makanan/ekonomi dan musim panas adalah masalah keselamatan. Allah sebut tentang ekonomi/makanan sebelum masalah keselamatan kerana surah ini berkenaan dengan kelegaan ekonomi yang mereka dapat.


 

Quraish Ayat 3: Maka kerana kelebihan yang Allah berikan itu, maka hendaklah mereka mentauhidkan Allah.

فَليَعبُدوا رَبَّ هٰذَا البَيتِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Let them worship the Lord of this House,¹

  • i.e., the Ka‘bah.

(MALAY)

Maka hendaklah mereka menghambakan diri kepada Tuhan Pemilik rumah ini (Ka’bah).

 

Nikmat yang Allah berikan tidak boleh dihitung sebenarnya. Kalau mereka tidak nampak kelebihan-kelebihan lain yang banyak Allah telah berikan, maka sekurang-kurangnya, mereka sembahlah Allah sahaja (jangan sembah selainNya) kerana nikmat yang amat jelas ini – nikmat mereka hidup dengan senang.

Nikmat itu amat jelas sekali yang tidak diberikan pada orang lain yang hidup sewaktu dengan mereka. Dan kalau kita nak tambah lagi seperti yang telah disebut dalam Surah Fil, mereka juga hidup dengan aman dan selamat di Mekah itu, dan ini telah dibuktikan dengan pemusnahan Tentera Abrahah yang cuba hendak mengganggu ketenteraman mereka.

Juga ayat ini boleh bermaksud: supaya hati mereka menjadi lembut, maka hendaklah mereka menghambakan diri kepada Tuan kepada rumah ini (Ka’bah).

Kenapa Allah sebut: هٰذَا البَيتِ (Rumah ini)? Ini adalah kerana rumah ibadat itu dibina oleh Nabi Ibrahim a.s. dan kerana Ka’bah itulah yang menyebabkan kedudukan mereka tinggi di mata masyarakat Arab yang lain. Kerana itulah mereka tidak diserang dalam perjalanan perdagangan mereka. Ini kerana semua orang hormat mereka dan tidak berani serang mereka.

Dan kerana Ka’bah jugalah ekonomi mereka kuat. Ramai yang datang ke Mekah kerana melawat Ka’bah dan mereka dapat sumber kehidupan dari kedatangan orang ke sana. Dan inilah juga rumah yang Allah selamatkan dari serangan Tentera Abrahah; dan rumah inilah yang Allah telah berjanji untuk menjadikannya selamat dan diberi dengan makanan. Jadi Baitullah/Ka’bah ini amat penting dan kerana itu Allah sebut dalam ayat ini.

Maksud رَبَّ هٰذَا البَيتِ adalah Allah kerana Allah adalah Tuan kepada Ka’bah itu. Allah tidak perlu sebut namaNya kerana memang Musyrikin Mekah kenal pun Allah. Mereka tahu Allah itu adalah Tuhan pencipta alam ini. Dan mereka tahu Allah adalah tuan punya Ka’bah itu.

Allah boleh sahaja sebut: “maka bersyukurlah kepada Tuan rumah ini.” Tapi Allah tidak kata begitu, kenapa? Kenapa tidak disuruh mereka bersyukur kepadaNya? Sebaliknya Allah suruh mereka menghambakan diri kepadaNya. Ini memberi makna yang amat mendalam sekali – kalau hendak mensyukuri nikmat Allah yang banyak Allah telah berikan, caranya adalah dengan menghambakan diri kepadaNya – tidak ada cara lain lagi. Maka tidaklah boleh sebut ‘alhamdulillah’ sahaja, tapi kena tunjukkan dalam perbuatan kita.

Dan kita tafsirkan kalimah فَليَعبُدوا dengan bermaksud: maka hendaklah kamu semua ‘menghambakan’ diri – bukannya: maka hendaklah kamu ‘sembah’. Ini adalah kerana maksud ‘hamba’ itu lebih besar dari maksud ‘sembah’ sahaja. Kerana ada orang yang sembah Allah tapi tidak menghambakan diri kepada Allah.

Sebagai contoh, mereka mungkin puja Allah sahaja, buat ibadat seperti solat dan puasa, tapi mereka tidak ‘menghambakan’ diri sepenuhnya, kerana mereka tidak ikut arahan Allah yang lain. Kerana kalau betul-betul jadi hamba, maka segala arahan kena diikuti, bukannya setakat waktu melakukan ibadah sahaja. Maka lebih sesuai kalau kita kata, kena ‘hambakan’ diri kepada Allah dan ini termasuk juga menyembah dan melakukan ibadat kepada Allah sahaja.


 

Quraish Ayat 4: Allah sudahi surah ini dengan sambung sebut jasaNya lagi.

الَّذي أَطعَمَهُم مِن جوعٍ وَآمَنَهُم مِن خَوفٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who has fed them, [saving them] from hunger and made them safe, [saving them] from fear.

(MALAY)

Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan.

 

Ayat ini merujuk kepada puak Quraish yang telah diberikan dengan nikmat makanan dan keamanan dari Allah seperti yang telah disebut oleh Nabi Ibrahim a.s. dalam doa baginda.

Dari segi bahasa, apabila Allah menggunakan tanwin pada kalimah جوعٍ (lapar), ia bermaksud lapar yang sangat dan kalimah خَوفٍ (takut) bermaksud takut yang sangat. Dan cara Allah jauhkan mereka dari lapar itu adalah Allah benarkan perjalanan perdagangan mereka berdagang – dengan itu mereka dapat cari rezeki dengan banyak dan Allah selamatkan perjalanan kafilah perdagangan mereka dengan tidak diserang oleh orang lain. Allah sebut juga dalam Ankabut:67 tentang perkara ini:

أَوَلَم يَرَوا أَنّا جَعَلنا حَرَمًا آمِنًا وَيُتَخَطَّفُ النّاسُ مِن حَولِهِم ۚ أَفَبِالباطِلِ يُؤمِنونَ وَبِنِعمَةِ اللَّهِ يَكفُرونَ

Dan apakah mereka tidak memperhatikan, bahawa sesungguhnya Kami telah menjadikan (negeri mereka) tanah suci yang aman, sedang manusia sekitarnya rampok-merampok. Maka mengapa (sesudah nyata kebenaran) mereka masih percaya kepada yang bathil dan ingkar kepada nikmat Allah?

Bukan sahaja kafilah mereka selamat, tapi Mekah itu juga selamat. Bukan sahaja dari Tentera Abrahah tapi memang Mekah adalah tempat yang sentiasa aman – tempat lain banyak kejadian tidak baik, ramai yang kena rompak, kena culik dan harta mereka dicuri, tapi kejadian itu tidak berlaku di Mekah. Orang luar tidak kacau Mekah.

Waktu itu, memang itulah kebiasaan di tempat yang lain. Kalau bermusafir, ada kemungkinan besar akan dirompak (dan perompak akan beri mereka bekalan untuk pulang ke tempat asal mereka, supaya mereka boleh terus hidup dan bermusafir supaya mereka boleh dirompak lagi). Puak Quraish tidak mengalami masalah ini sama sekali.

Bayangkan Mekah itu di tengah-tengah padang pasir tanpa pengadang. Senang sahaja kalau orang nak serang. Tapi Allah tetap selamatkan mereka. Mereka sendiri tidak dapat mempertahankan diri mereka, kalau diserang. Sebagai contoh, tengoklah masa Abrahah serang mereka – ramai-ramai lari naik bukit. Ini kerana mereka memang tidak ada kekuatan ketenteraan untuk mempertahankan diri mereka.

Allah sentiasa menggunakan kalimah dan susunan yang tepat dalam Al-Qur’an. Lihatlah dalam Baqarah:155

وَلَنَبلُوَنَّكُم بِشَيءٍ مِنَ الخَوفِ وَالجوعِ وَنَقصٍ مِنَ الأَموالِ وَالأَنفُسِ وَالثَّمَراتِ

Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan.

Dalam ayat ini, Allah menyebut tentang ‘ketakutan’ sebelum disebut dugaan dalam bentuk ‘kelaparan’. Tapi dalam Surah Quraish ini, Allah sebut tentang kelaparan dulu sebelum ketakutan. Ini adalah kerana ayat Baqarah:155 itu tentang Perang Badr. Dan apabila perang, tentulah yang lebih ditakuti waktu itu adalah ketakutan hilang jiwa, bukannya takut ekonomi musnah.

Tapi dalam Surah Quraish, ianya bukan tentang perang tapi tentang ekonomi yang lebih ditekankan. Maka kerana itu Allah sebut tentang kelaparan dahulu sebelum tentang keselamatan. Begitu hebat sekali susunan ayat-ayat Al-Qur’an yang bertepatan dengan topik yang disentuh.

Dan lihatlah bagaimana Allah sebut الشِّتاءِ (musim sejuk) dahulu kerana ianya dikaitkan dengan kelaparan dan kemudian baru disebut dengan الصَّيف (musim panas) yang berkaitan dengan keselamatan. Hebat!

Tapi kenapa Allah sebut tentang ‘lapar’, bukan tentang ‘miskin’? Kenapa Allah selamatkan mereka dari lapar, bukan dari miskin? Kerana kalau kita berkata tentang ekonomi, tentulah kalimah yang berkenaan adalah kaya dan miskin, bukan? Ini juga adalah tepat kerana ianya bertepatan dengan doa Nabi Ibrahim a.s. Lihat kembali doa Nabi Ibrahim: وَارزُقهُم مِنَ الثَّمَراتِ (dan berilah rezeki kepada mereka dari buah-buahan). Maka rezeki yang dikaitkan itu adalah dengan makanan (buah-buahan).

Baik, kita telah banyak sebutkan tentang kelebihan yang telah diberikan kepada Quraish. Sepatutnya dengan segala nikmat yang jelas nyata itu, sepatutnya mereka menjadi hamba yang baik, lembut hati terhadap Allah, buat kebaikan di atas muka bumi ini. Tapi adakah mereka begitu? Jawapannya ada dalam surah seterusnya, Surah Ma’un.

 

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Ma’un.

Kemaskini: 27 September 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Usul 13: Mengetahui Katakunci Setiap Surah

(13) Keperluan Mengetahui Kata Kunci Setiap Surah.

Salah satu usul untuk memahami al-Qur’an ialah mengetahui kata kunci setiap Surah. Di dalam setiap Surah pasti ada beberapa kata kuncinya. Mengetahui kata-kata kunci itu sangat penting dan sangat membantu dalam memahami mesej utama sesuatu Surah. Analoginya adalah seperti kita membuka pintu rumah – senang kalau ada kuncinya. Dan ini adalah cara yang baik kerana ikut tertib masuk rumah.

Penuntut ilmu al-Qur’an mestilah merenunginya, lalu berusaha menentukan maksud dan tujuan Surah berpandukan kata-kata kunci itu. Ia mungkin hanya satu perkataan sahaja. Mungkin juga beberapa perkataan atau mungkin juga berupa rangkaian kata.

Anda dengan sendiri dapat memutuskan apabila melihat suatu ruang di dalam sesebuah rumah yang teratur rapi dengan sofa, meja kopi di hadapannya, meja sisi di sebelahnya, permaidani besar yang terhampar dan sebagainya, bahawa ia adalah ruang tamunya. Ruang makan akan dapat dipastikan oleh anda apabila melihat meja makan dengan makanan-makanan yang tersaji di atasnya. Demikian juga dengan bilik tidur, anda dengan mudah dapat memastikannya apabila melihat ada katil dengan tilam, bantal, selimut dan cadar yang tersedia di atasnya. Ditambah pula dengan meja, katil dan almari hias di sampingnya.

Begitulah juga dengan Surah-surah di dalam al-Qur’an. Ada beberapa lafaz atau perkataan yang amat relevan dengannya. Perkataan-perkataan itu sangat membantu penuntut ilmu al-Qur’an dalam mendapatkan mesej utama Surah.

Beberapa Contoh Kata Kunci Surah: 

(a) Perkataan زينة adalah kata kunci bagi Surah al-Kahfi. la disebut sebanyak tiga kali di dalamnya. Allah hendak menceritakan bagaimana indahnya Dia telah jadikan dunia ini. Dan semua yang ada dalam dunia ini adalah ujian. Ada empat ujian yang besar yang disebut dalam Surah Kahfi.

a. Tentang Iman – ini disebut dengan kisah Pemuda Kahfi. Mereka banyak kali diuji tapi mereka tetap beriman.
b. Tentang Harta – ini disentuh dalam kisah dua orang lelaki yang ada taman.
c. Tentang Ilmu – ini disentuh dalam kisah Nabi Musa a.s. dengan Nabi Khadr.
d. Tentang Kuasa – ini disentuh dalam kisah Iskandar Dzulkarnain.

Kerana Surah Kahfi adalah surah yang panjang, ada lagi katakunci-katakunci yang lain:

a. لِنَبلُوَهُم ujian untuk mereka
b. لِقائِ perjumpaan
c. kalimah wali, awliya dan wilayah.

(b) Rangkai kata ذو الجلال ولاكرام adalah kata kunci bagi Surah ar-Rahman. Ia disebut dua kali di dalamnya (ayat 27 dan 78). Ayat-ayat lain berputar-putar pada dua kalimah ini. Rangkai kata ini tidak terdapat di dalam mana-mana Surah yang lain.

Allah hendak memberitahu SifatNya dalam surah ini. Surah ini berkisar tentang dua sifat ini sahaja. Ada dua jenis sifat yang hendak ditekankan: Sifat Jalal dan Sifat Jamal.

Sifat Jalal adalah sifat kehebatan Allah. Kalaulah Allah nampakkan sifat ini kepada kita sekarang, tentu kita akan terus hancur seperti juga bukit pernah hancur apabila Allah tajalli pada bukit itu. Tapi Sifat ini akan nyata di akhirat kelak dan kita akan nampak dengan jelas.

Allah juga hendak memberitahu tentang SifatNya yang al-ikram yang bermaksud ‘Maha Pemurah’. Ini merangkumi Sifat-sifat yang Jamal seperti ar-Rahman, ar-Raheem dan sebagainya. Ianya adalah sifat yang kita suka, bagi kesenangan kepada kita.

Kedua-dua Sifat ini kita tidak dapat dustakan. Kalau kita dustakan, maka kita akan bertemu dengan Sifat JalalNya di akhirat kelak dan teruk kita nanti. Dan kalau kita terima Sifat-sifat ini dan beramal mengikut kehendakNya, maka kita akan bertemu dengan Sifat Ikram nanti di akhirat.

(c) Perkataan سبيل adalah kata kunci bagi Surah ad-Dahr, la disebut dua kali di dalamnya. Satu di awalnya dan satu lagi di akhirnya.

(d) Rangkai kata علا في الأرض yang tersebut di awal Surah al-Qashash dan علو في الأرض yang tersebut di akhirnya adalah kata kunci bagi Surah berkenaan.

(e) Perkataan كذّب، كذّبوا dan sebagainya yanغ lersebut di dalam Surah al-Qamar merupakan kata kuncinya.

Sekian, Allahu a’lam.


Rujukan: 

Katakunci

Tafsir Surah al-Kaafiroon Ayat 2 – 6 (meninggalkan Mekah)

Ayat 2:

لا أَعبُدُ ما تَعبُدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

I do not worship what you worship.

(MALAY)

Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.

 

Untuk memahami maksud تَعبُدونَ dalam ayat ini, kita hendaklah faham apakah maksud ‘ibadah’. Kadang-kadang ramai yang tidak faham. Mereka sangka yang ianya bermaksud amalan ibadat seperti solat dan puasa sahaja.

Tapi dari segi bahasa, تَعبُدونَ diambil dari kalimah عبد (hamba). Iaitu menghambakan diri kepada Allah SWT. Oleh kerana tidak faham, maka ramai manusia yang kuat melakukan ibadat, tapi tidak menghambakan diri kepada Allah. Mari kita lihat apakah yang dimaksudkan oleh ibadah seperti yang disebut oleh Imam Ibn Taymiyyah. Dia meletakkan ada 5 syarat untuk seseorang itu dikira sebagai ‘hamba Allah’:

1) Hendaklah ada taat kepada Allah. Ketaatan kita kepada Allah mesti lebih tinggi lagi dari taat kepada selain Allah. Kita boleh taat kepada pemimpin, ibu bapa, ketua kita tetapi ia tidak boleh melebihi taat kita kepada Allah. Kalau taat kepada selain Allah bermaksud kita meninggalkan taat kepada Allah, lawan hukum Allah, maka taat kepada mereka itu terlarang.

2) Hendaklah ada cinta kepada Allah. Kita mesti cinta (hubb) kepada Allah lebih lagi dari cinta kepada yang lain. Ini disebut dalam surah Al-Baqarah:165 وَالَّذينَ آمَنوا أَشَدُّ حُبًّا لِلَّهِ ۗ (Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah).

Memang kita ada cinta lain seperti cinta kepada pasangan kita, cinta kepada anak, cinta kepada negara dan sebagainya. Tapi semua cinta itu tidak boleh lebih lagi dari cinta kita kepada Allah.

3) Hendaklah ada tawakal kepada Allah. Maksudnya, percaya dan bergantung sepenuhnya kepada Tuhan. Kita mesti terima perkara ini kerana kita harus sedar yang kita adalah hamba sahaja dan kita telah menerimaNya sebagai Tuhan kita.

Oleh itu, apa sahaja arahan yang Dia berikan kepada kita, kita mesti percaya yang ianya adalah untuk kebaikan kita. Apa sahaja dugaan yang diberikanNya kepada kita, kita hendaklah terima dan serahkan segalanya kepada Allah.

Kita hendaklah yakin yang Allah hendak meringankan kita dengan berikan hukum dan undang-undang kepada kita untuk kita ikuti. Ini kita boleh lihat dalam surah An-Nisa:28 يُريدُ اللَّهُ أَن يُخَفِّفَ عَنكُم (Allah hendak memberikan keringanan kepadamu). Oleh itu, jangan kita sangka hukum yang Allah telah susun untuk kita itu adalah untuk menyusahkan kita. Jangan kita rasa terbeban dengan hukum-hukum itu.

4) Hendaklah ada keikhlasan. Apabila kita melakukan sesuatu, terutama dalam hal ibadah, kita mesti menjaga hati kita supaya kita lakukannya ikhlas kerana Allah. Kalau kita sedekah harta, jangan kita mahu orang lain tahu supaya kita disanjung.

Tentang ikhlas telah banyak disebut dalam surah-surah dan ayat-ayat yang lain termasuk dalam surah An’am:162 قُل إِنَّ صَلاتي وَنُسُكي وَمَحيايَ وَمَماتي لِلَّهِ رَبِّ العالَمينَ (Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam).

Kita juga hendaklah menjaga niat kita. Kadang-kadang kita mula untuk berkhidmat dalam memperkembangkan agama – dalam dakwah, dengan berceramah, dengan menulis, mengajar dan sebagainya. Mulanya kita memang ikhlas. Tapi lama kelamaan, kalau kita tidak jaga, nanti  bimbang akan terlari sedikit niat kita – kita mula berharap orang kenal kita, sanjung dan puji kita.

Tandanya, kalau orang tidak hargai usaha kita, kita mula terasa hati dan mula meninggalkan usaha kita. Dalam keadaan seperti itu, kita hendaklah bertanya semula diri kita – Apakah aku buat usaha agama ini kerana hendak mendapatkan pujian orang? Tidak, bukan? Kita lakukan usaha agama ini adalah kerana Allah, mengharapkan balasan daripada Allah, bukannya daripada manusia. Kadang-kadang kita tidak perasan perkara ini, maka mesti jaga sungguh-sungguh dan jaga sentiasa.

5) Sedar status kita sebagai hamba. Apabila kita dapat kerja, kita ada kontrak pekerjaan, bukan? Dalam kontrak itu menyenaraikan apakah tugas kita dan apa tugas syarikat. Ianya adalah satu kefahaman dan persetujuan dari kedua-dua belah pihak.

Begitu juga dalam perkahwinan, antara anak dan ibubapa, antara kerajaan dan rakyatnya – semua ada perjanjian sama ada bertulis ataupun tidak. Selalunya perjanjian itu adalah hasil dari kompromi, hasil perbincangan antara kedua pihak yang menyenaraikan hak-hak masing-masing.

Tapi dengan Allah, terma perjanjian itu adalah satu hala sahaja – kita tidak ada kuasa untuk kompromi dengan Allah. Ianya datang daripada Allah dan kita hendaklah terima sahaja, tidak boleh hendak berbincang lagi. Kita tidak layak untuk perbincangan apakah kewajipan kita dan sama ada kita mahu lakukan ataupun tidak. Kita mesti sedar yang kita adalah hamba dan tidak ada hak untuk hal itu.

Kafir Mekah memang mereka ada tawaf Ka’bah, solat, sujud dan sebagainya; tapi amalan ibadah mereka tidak ikut ketetapan daripada Allah – mereka reka sendiri sahaja. Itu tidak diterima. Kalau ianya ikut apa yang Allah suruh, barulah boleh diterima. Maka, untuk diterima, ianya mestilah datang daripada Rasul kerana Rasul yang menyampaikan kehendak Allah kepada umat. Jangan suka-suka buat ibadah dan cara sendiri.

Oleh itu, apabila melihat syarat-syarat di atas, kita dapat tahu yang ubudiyyah (penghambaan) bukan sahaja mengerjakan ibadah, ada banyak perkara yang kita mesti jaga. Semua perkara ini termaktub dalam maksud عبد.

Oleh itu, apabila Rasulullah disuruh beritahu mereka لا أَعبُدُ ما تَعبُدونَ, ia bukan sahaja bermaksud: “aku tidak akan sembah apa yang kamu sembah”, tapi ia juga bermaksud: “aku tidak akan memperhambakan diri kepada apa yang kamu hambakan diri itu”. Tapi susahlah untuk diterjemahkan begitu, maka itulah sebabnya perlu belajar tafsir dan tahu bahasa Arab juga. Kalau bergantung kepada terjemahan sahaja, memang tidak akan dapat kefahaman.

Oleh itu, kita tahu yang ‘ibadah’ adalah perbuatan-perbuatan tertentu, dalam waktu-waktu tertentu; tapi dalam masa yang sama, kita sentiasa menjadi hamba kepada Allah, dalam setiap ketika. Ini adalah amat penting sekali untuk difahami – kita bukan sahaja mesti melakukan ibadah kepada Allah, tapi di antara waktu-waktu ibadah itu, kita hendaklah menghambakan diri kepada Allah.

Maksudnya di sini, kita mesti ikut dan taat apa yang Allah suruh kita lakukan. Ramai orang yang menyembah Allah, tapi mereka tidak bersikap seperti seorang hamba Allah. Menjadi hamba adalah pekerjaan sepenuh masa – sama ada dalam ibadah atau tidak. Kerana tidak faham perkara inilah yang menyebabkan ada yang solat, tapi menjual arak di kedai mereka. Itu adalah kerana mereka rasa sudah cukup dengan melakukan ibadat sahaja.

Kalimah أَعبُدُ ini dinisbahkan kepada Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak pernah melakukan amalan syirik, walaupun sebelum baginda menjadi Nabi. Cuma, hanya apabila baginda diberikan dengan wahyu barulah baginda benar-benar menghambakan diri kepada Allah kerana sebelum itu baginda tidak ada maklumat.

Sebelum itu, baginda mencari-cari kebenaran dan Allah telah memberi kebenaran itu seperti yang difirmankan dalam surah Dhuha:7 وَوَجَدَكَ ضالًّا فَهَدىٰ (Dan Dia mendapatimu mencari-cari, lalu Dia memberikan petunjuk.)

Jadi Musyrikin Mekah itu ada dua masalah: satu, dalam ibadah mereka – kerana mereka tidak lakukan ibadah kepada Allah sahaja; dan kedua, mereka menghambakan diri kepada hawa nafsu mereka dan kerana itu mereka telah melakukan kezaliman.

Kalimah لا dalam ayat ini bukan sahaja bermaksud masa sekarang, tapi juga masa hadapan. Jadi jangan harap yang kita akan ikut perangai orang kafir itu. Bukan sekarang sahaja kita tidak ikut mereka, tapi selama-lamanya. Jadi hendaklah istiqamah.


 

Ayat 3:

وَلا أَنتُم عابِدونَ ما أَعبُدُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Nor are you worshippers of what I worship.

(MALAY)

Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah.

 

Dan sekarang Rasulullah disuruh untuk memberitahu di depan muka Musyrikin Mekah itu yang mereka tidak pernah dan tidak akan menyembah Tuhan yang orang Islam sembah.

Kalimah عابِدونَ adalah dalam bentuk isim fa’il, maka ia membawa maksud dulu, sekarang dan akan datang. Maksudnya, Allah beritahu yang mereka itu telah termaktub apa yang mereka akan lakukan – mereka tidak akan berubah.

Kenapa Allah boleh berfirman begini? Kerana begitulah hati mereka. Allah telah sebut dalam surah Zukhruf:79

أَم أَبرَموا أَمرًا فَإِنّا مُبرِمونَ

Atau adakah mereka itu telah mengambil keputusan? Maka Kami juga merancang.

Kalimah yang digunakan adalah إبرم. Ia bermaksud mengikat untuk bina rumah. Zaman dahulu mereka tidak ada simen, maka untuk bina rumah mereka menggunakan tali yang diikat bersama. Tali itu mestilah jenis yang kuat dan diikat serta dililit dengan kemas supaya ianya tidak terungkai.

Allah menggunakan kalimah إبرم itu untuk membayangkan hati mereka yang telah terikat kuat dalam kekufuran. Seperti tali rumah yang tidak akan terungkai kerana diikat kuat, begitu jugalah hati mereka yang telah terikat dengan kekufuran. Kalimah إبرم dalam ayat Zukhruf itu ada dua, tapi berlainan formatnya. Kalimah yang dikaitkan dengan mereka adalah أَبرَموا iaitu dalam format kata kerja (fi’il). Ini bermaksud ianya tidak kekal. Kerana di akhirat nanti, bila mereka sudah nampak kesalahan mereka, barulah mereka hendak buka kembali tali fahaman yang mereka telah ikat kuat itu.

Tapi, kalimah مُبرِمونَ yang Allah nisbahkan kepada DiriNya itu adalah dalam format kata nama (isim) bermaksud kekal. Maksudnya, Allah tidak akan lepaskan keputusanNya untuk memasukkan mereka ke dalam neraka.

Jadi, Allah memerintahkan Nabi beritahu mereka bahawa mereka tidak pernah sembah Allah dengan cara yang benar, dan mereka juga tidak pernah menghambakan diri kepada Allah dengan sepenuhnya.

Tiga ayat pertama dari Surah Kaafiroon ini tentang masa itu dan masa hadapan, bukan masa yang telah lalu sahaja. Oleh kerana Allah beritahu yang mereka tidak akan berubah, maka tidak mungkin ada kompromi dengan mereka. Kerana sampai bila-bila juga mereka tidak akan berubah dari fahaman dan amalan syirik mereka itu.


 

Ayat 4: Kalau dua ayat sebelum ini tentang waktu semasa dan masa hadapan, sekarang tentang masa yang lepas pula. Jadi dua ayat untuk masa hadapan dan dua ayat untuk masa lepas.

Ayat 4 – 5 adalah Perenggan Makro Kedua. Allah memberitahu yang kedua-dua pihak tetap dengan pendirian masing-masing.

وَلا أَنا عابِدٌ ما عَبَدتُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Nor have I been a worshipper of what you worship.

(MALAY)

Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah,

 

Allah memerintahkan Nabi beritahu yang baginda tidak pernah sembah Tuhan yang mereka sembah itu. Jangan mereka sangka yang Tuhan mereka dan Tuhan Nabi Muhammad SAW itu Tuhan yang sama. Jangan berkata yang baginda tinggalkan Tuhan dan ilah-ilah mereka.

Baginda tidak pernah menyembah berhala dan apa-apa selain Allah. Nabi Muhammad SAW dan mereka tidak pernah seangkatan. Kalau mereka dulu tidak pernah seangkatan, tidak akan sekarang mereka sangka yang mereka boleh berkompromi bersama-sama pula? Itu tidak mungkin terjadi.


 

Ayat 5:

وَلا أَنتُم عابِدونَ ما أَعبُدُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Nor you never worshipped what I worship.

(MALAY)

dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah.

 

Ayat ini sama sahaja dengan ayat ke 3, bukan? Tapi, pengulangan dalam ayat ke 5 ini adalah tentang masa lepas sedangkan ayat ke 3 adalah tentang waktu itu dan masa hadapan.

Pengulangan ini juga boleh ditafsir sebagai penegasan. Adakala, apabila kita hendak menekankan sesuatu perkara itu, kita akan ulang ayat itu, bukan? Contohnya kalau sangat benci kepada seseorang, maka kita akan berkata: “aku benci engkau, aku benci engkau!”

Oleh itu, pengulangan kali kedua ini adalah hendak menekankan kemarahan Allah kepada mereka. Kalau kali pertama (dalam ayat ke 3) itu mereka tidak faham, maka sekali lagi ini disebut dalam ayat ke 5.

Kenapa Allah menggunakan kalimah ما (apa) dalam ayat ini dan tidak من (siapa)? Allah tidak berfirman: وَلا أَنتُم عابِدونَ من أَعبُدُ. Kalimah ما selalunya digunakan untuk benda yang tidak bernyawa, bukan? Salah satu cara untuk memahaminya adalah, ia merujuk kepada ‘perbuatan’ menyembah itu. Maksudnya, Allah hendak tekankan yang mereka tidak melakukan perbuatan sembahan yang sama dengan Nabi lakukan. Cara amalan mereka itu adalah amalan yang salah dan bukan cara yang benar dalam agama.

Tafsiran kedua: apabila ما digunakan, ianya untuk merendahkan Tuhan yang mereka sembah. Alangkah rendahnya Tuhan yang mereka sembah kalau dibandingkan dengan Tuhan (Allah) yang Nabi Muhammad SAW sembah.

Ini adalah kerana ما dan من tidak sama. Kalau من ia melibatkan identiti (siapa yang dimaksudkan) dan kalau ما ia melibatkan kualiti atau sifat (dia peguam, peniaga…). Oleh itu, sifat Allah yang hebat dibandingkan apabila digunakan kalimah ما dalam ayat 3 dan 5 ini. Sifat Tuhan yang Nabi Muhammad SAW sembah itu adalah amat hebat dan sifat Tuhan yang mereka sembah itu adalah lemah sekali.

Seolah-olah Nabi Muhammad SAWA mengejek mereka: “kamu sangka Tuhan yang kamu sembah itu sama hebat dengan Tuhan yang aku sembah? Tidak sama sekali. Adakah kau sangka ibadah aku kepada Tuhan aku sama dengan ibadah kamu terhadap Tuhan kamu itu? Tidak sama sekali!”


 

Ayat 6:  Ayat 6 ini adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia menyuruh Nabi memberitahu mereka: “kamu bebas dengan agamamu dan aku juga bebas dengan agamaku”.

Ini adalah ayat terakhir surah ini. Tapi , ia mungkin ayat yang paling disalah tafsir oleh masyarakat kita. Mari kita lihat apakah sebenarnya tafsir ayat ini.

لَكُم دينُكُم وَلِيَ دينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For you is your religion, and for me is my religion.”

(MALAY)

Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku”.

 

Selalunya ayat ini diterjemahkan begini: “Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku”. Kita akan bincangkan kenapa terjemahan ini tidak berapa tepat dan perlu penjelasan lagi.

Kalimah لَكُم adalah taqdim (diawalkan). Kalau dalam bahasa Arab, penggunaan yang biasa adalah دينُكُم لَكُم. Apabila kalimah لَكُم ditaqdimkan (diawalkan), ia bermaksud takhassus – eksklusif – membawa maksud ‘hanya’. Oleh itu, yang dimaksudkan dalam ayat ini: cara hidup kamu itu (دينُكُم), HANYA untuk kamu sahaja. Ia tidak akan pernah jadi untuk aku (Nabi Muhammad SAW).

Jadi, sekali lagi kalimah لِيَ itu juga adalah dalam bentuk taqdim – membawa maksud takhassus juga – cara hidup (deen) aku ini adalah UNTUK aku sahaja – ianya tidak akan bertemu.

Dalam erti kata lain, Nabi Muhammad SAW sedang memberi isyarat bahawa baginda akan meninggalkan Mekah. Jadi, ayat ini adalah bibit-bibit awal kepada penghijrahan baginda ke Madinah. Ini kerana usaha dakwah kepada puak Musyrikin Mekah itu sudah habis dan sudah tiba masa untuk baginda meninggalkan mereka. Tujuan baginda di Mekah adalah untuk berdakwah kepada mereka dan kerana pintu dakwah telah ditutup, maka baginda tidak perlu lagi berada di situ.

Mari kita lihat kalimah دينِ sekali lagi. Perkara ini telah banyak disebut dalam penulisan tafsir ini dan kita cuma ulang sahaja. Ianya dari kata dasar د ي ن yang bermaksud ‘hutang’. Kalau kita berhutang RM100 dengan seseorang, maka kita mesti pulangkan RM100 semula kepadanya, bukan? Dalam syarak, ianya juga digunakan untuk membawa maksud يَومِ الدّينِ Hari Pembalasan kerana kita akan dapat apa yang sepatutnya kita dapat.

Oleh itu, dari maksud ini, salah satu maksud kalimat لَكُم دينُكُم adalah: “kamu akan dapat apa yang kamu patut dapat.” Apa yang akan dibalas di Hari Pembalasan nanti adalah khusus untuk kamu disebabkan oleh amalan kamu semasa di dunia dulu. Oleh kerana kamu kufur semasa di dunia, kamu akan mendapat balasan buruk di akhirat kelak. Dan maksud وَلِيَ دينِ adalah: “aku akan mendapat balasan yang khusus untuk aku dari amalan aku semasa di dunia.”

Jadi ini bukanlah bermaksud: “untuk kamu agama kamu dan untuk aku agama aku.” Itu seolah-olah membolehkan orang lain lakukan apa sahaja yang mereka suka, bukan? Seolah-olah kita berkata: aku tidak campur urusan kamu dan kamu jangan campur urusan aku.

Ini adalah kefahaman yang silap. Kerana ia tidak kena dengan konteks ayat. Kita mesti lihat semula siapakah Musyrikin Mekah itu – mereka telah mendengar dakwah Nabi sudah 10 tahun, tapi mereka masih juga hendak mengamalkan amalan kufur. Dan amalan mereka itu salah dan tidak patut kita membenarkan amalan mereka itu.

Jadi, ini juga bermaksud yang Nabi tidak akan membiarkan mereka berterusan begitu. Oleh kerana musyrikin itu tetap akan meletakkan berhala mereka di Ka’bah, dan tugas baginda adalah untuk membersihkan Ka’bah itu dari syirik seperti yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s., maka ini bermaksud akan ada konflik di antara Nabi Muhammad SAW dan Musyrikin Mekah itu nanti. Kerana untuk menegakkan agama Islam yang sebenar, agama amalan mereka tidak boleh ada lagi. Agama mereka mesti dimusnahkan.

Ini memberi isyarat akan peperangan antara mereka kerana kalau mereka tetap berdegil, maka tindakan keras akan diambil. Kerana tugas baginda disebut dalam surah Saff:9

هُوَ الَّذي أَرسَلَ رَسولَهُ بِالهُدىٰ وَدينِ الحَقِّ لِيُظهِرَهُ عَلَى الدّينِ كُلِّهِ وَلَو كَرِهَ المُشرِكونَ

Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya di atas segala agama-agama meskipun orang musyrik membenci.

Dalam ayat ini diberi isyarat peperangan antara mereka dan dalam ayat seterusnya nanti (surah an-Nasr) akan diberi isyarat kemenangan kepada pihak Islam.

Jadi, baginda akan tetap menjalankan tugas baginda walaupun baginda berseorangan. Lihatlah surah ini ditujukan kepada baginda. Allah menggunakan kalimah قل (katakanlah) yang dalam bentuk mufrad (satu) yang merujuk kepada baginda. Allah tidak berkata: قولوا (katakanlah kamu semua). Allah beri arahan kepada Nabi seorang sahaja.

Manusia menyangka yang Nabi memerlukan para sahabat untuk membantu baginda, namun tidak begitu sebenarnya. Allah telah beritahu kepada para sahabat, kalau mereka tidak membantu baginda, Allah tetap akan membantu baginda. Mereka diberi peluang sahaja untuk membantu, dan kalau tidak membantu sekalipun, mereka yang rugi. Lihatlah bagaimana pada Perang Hunayn, kerana tentera Islam diserang dengan tiba-tiba, mereka telah meninggalkan Rasulullah SAW. Tapi baginda tidak lari, tetap di tempat baginda. Ini kerana baginda yakin dengan bantuan Allah.

Balaghah: Kalimah دينِ (agamaku) sepatutnya dieja begini ديني (agamaku) kerana untuk menunjukkan kepunyaan (aku) mestilah ada huruf ي yang dinamakan ‘ya mutakallim’ (kepunyaan orang yang berkata). Ini bermaksud, ada hazaf (dihilangkan) pada kalimah دينِ itu.

Dalam ilmu balaghah apabila ada hazaf, ia membawa maksud berkekalan. Juga, kalau ada diletakkan huruf ي itu, maksudnya ia boleh berubah. Oleh itu, apabila digunakan دينِ dengan dihazafkan huruf ي itu, ia bermaksud agama Islam itu kekal, tidak berubah-ubah. Tidaklah agama Islam ini berubah-ubah – kejap begitu dan kejap begini seperti agama orang kafir itu.

Bayangkan Musyrikin Mekah itu berubah-ubah cara penyembahan mereka, ikut suka mereka. Ilah mereka juga boleh berubah, hinggakan kadang-kadang makanan juga menjadi berhala. Ada kisah bagaimana mereka bermusafir dan kerana hendak buat berhala, mereka jadikan kurma disusun-susun sebagai berhala. Tapi apabila lapar, mereka makan pula ‘berhala’ mereka dari kurma itu!

Tapi, agama Islam ada ketetapan. Allah yang disembah dari dulu hingga kini dan sampai bila-bila. Itulah Tuhan di masa senang dan di masa susah; itulah Tuhan di dalam rumah dan di luar rumah – di mana-mana sahaja.

Juga cara penyembahan kita tidak bertukar-tukar seperti agama lain. Sebab itulah kita larang orang dari lakukan bidaah, kerana itu adalah pengubahan dalam cara ibadah yang dilarang dalam agama. Agama Islam kita telah tetap dari dulu sampai bila-bila dan tidak perlu diubah-ubah.

Ada juga yang mengatakan yang hazaf ي dalam kalimah دينِ itu adalah sebagai taukid – penekanan.

 

Penutup:

Kita telah pernah sebut bagaimana 10 surah terakhir ini banyak menceritakan tentang Rasulullah SAW. Termasuk dalam perkara ini adalah bagaimana baginda meneruskan perjuangan Nabi Ibrahim a.s. Salah satu sunnah Nabi Ibrahim a.s. adalah meninggalkan kaum baginda seperti yang disebut dalam surah Mumtahinah:4.

قَد كانَت لَكُم أُسوَةٌ حَسَنَةٌ في إِبرٰهيمَ وَالَّذينَ مَعَهُ إِذ قالوا لِقَومِهِم إِنّا بُرَآءُ مِنكُم وَمِمّا تَعبُدونَ مِن دونِ اللهِ كَفَرنا بِكُم وَبَدا بَينَنا وَبَينَكُمُ العَدٰوَةُ وَالبَغضاءُ أَبَدًا حَتّىٰ تُؤمِنوا بِاللهِ وَحدَهُ

Sesungguhnya telah ada suri tauladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia; ketika mereka berkata kepada kaum mereka: “Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dari daripada apa yang kamu sembah selain Allah, kami ingkari (kekafiran)mu dan telah nyata antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sampai kamu beriman kepada Allah saja.

Begitulah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. dan sekarang dalam surah al-Kaafiroon ini pula disebut tentang Nabi Muhammad SAW juga meninggalkan kaum baginda kerana mereka telah tidak ada peluang untuk berubah. Maksudnya, apa yang baginda lakukan ini adalah sunnah Nabi Ibrahim a.s. juga, bukan baginda yang mula-mula lakukan.

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah an-Nasr.

Kemaskini: 30 September 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan.

Tafsir Surah al-Kaafiroon Ayat 1 (Deklarasi peperangan)

Pengenalan:

Surah ini sukar untuk ditafsirkan kerana walaupun ianya pendek sahaja, tapi ia mengandungi banyak pengajaran di dalamnya. Tidaklah nampak mudah sahaja. Tapi, kita cuba juga untuk mudahkan supaya kita dapat memahaminya sedikit sebanyak, in shaa Allah.

Surah ini adalah untuk memutuskan hubungan dengan orang kafir Mekah. Mereka memang ada agama, tapi agama yang salah. Tidak boleh hendak ikut apa yang mereka lakukan. Jadi, Allah ajar kita bagaimana berurusan dengan mereka – mereka mesti ikut kita dan kita tidak boleh ikut mereka. Kalau setelah dakwah mereka masih tidak mahu ikut, maka mestilah tinggalkan mereka dengan apa yang mereka lakukan itu. Tidak ada jalan tengah, tidak ada kompromi dengan mereka.

Sebelum itu, mari kita lihat kaitan surah ini dengan Surah al-Kauthar:

Dalam surah al-Kauthar, orang kafir telah menghina Nabi Muhammad SAW kerana baginda telah mengalami kematian anak lelakinya – mereka mengatakan keturunan baginda terputus. Allah jawab dalam surah itu bahawa mereka sebenarnya yang akan terputus, bukannya baginda.

Perbuatan mereka membenci Nabi itu adalah amat buruk sekali dan sekarang dalam surah al-Kaafiroon ini Allah memberitahu kita yang mereka membenci Nabi Muhammad SAW itu adalah kafir sebenarnya. Mereka berkata yang Nabi Muhammad SAW abtar, tapi Allah balas dengan berkata yang mereka itu kafir. Ada beberapa perkara tentang panggilan ini yang kita perlu bincangkan.

1) Penghinaan mereka terhadap Rasulullah itu tidak ada nilai kerana itu adalah kata-kata mereka sahaja. Mereka berkata bahawa ajaran baginda akan terputus kerana baginda tidak ada anak lelaki dan itu tidak terbukti – agama Islam terus berkembang.

Sedangkan panggilan ‘kafir’ kepada mereka itu datangnya daripada Allah dan itu adalah kebenaran. Kutuklah Nabi Muhammad SAW bagaimana juga, baginda tetap mulia.

2) Semasa mereka menghina baginda, ianya bukanlah atas akhlak buruk baginda kerana mereka memang tidak ada apa-apa hujah untuk mengutuk akhlak baginda kerana akhlak baginda adalah terbaik. Tapi, apabila Allah kutuk mereka dengan gelaran ‘kafir’ itu, ianya adalah berkait dengan sifat mereka yang buruk.

Itu memang kesalahan mereka yang mereka lakukan dan memang layak mereka diberikan dengan gelaran itu. Sedangkan yang mereka kutuk Nabi Muhammad SAW itu, itu bukanlah salah baginda.

3. Kaitan seterusnya dengan surah al-Kawthar, kita telah belajar bagaimana mereka yang memusuhi Nabi Muhammad SAW itu dikira sebagai شانِئَ dan ianya adalah jenis musuh yang paling teruk sekali. Allah telah memberitahu perangai mereka dan apa yang ada dalam hati mereka. Mereka itulah yang kufur sebenarnya.

Mereka telah didakwah bertahun-tahun dengan cara yang sebaik-baiknya, tapi mereka masih lagi tidak mahu beriman. Malah mereka menghina dan menyakitkan hati Nabi. Dalam Surah Al-Kawthar mereka digelar sebagai شانِئَ dan dalam surah al-Kaafiroon ini, mereka digelar sebagai ‘kafir’.

Tapi, mereka memang kuat dan berkuasa waktu itu kerana bilangan mereka yang ramai. Mereka hendak halang Nabi dan para sahabat dari berdakwah, nampaknya tidak berjaya. Maka, mereka menyangka yang dengan kedudukan mereka, mereka boleh buat kompromi dengan baginda.

Mereka tawarkan kepada baginda untuk berkongsi – tahun ini kita amalkan tauhid, tahun depan kita amalkan syirik pula, tukar-tukar. Dalam masa yang sama juga, mereka tawarkan kekayaan dan kedudukan kepada baginda asalkan baginda memberhentikan dakwah baginda. Itulah tawaran mereka yang terakhir sekali.

Mereka buat tawaran itu kerana mereka sudah agak yang baginda tidak akan meninggalkan dakwah baginda. Begitu juga dengan para sahabat yang lain. Jadi, mereka fikir dengan mendalam. Maka, itulah jalan penyelesaian yang mereka rasa boleh mereka ambil. Mereka cuba hendak mengambil hati Nabi. Dalam surah al-Qalam:9 Allah ada berfirman:

وَدّوا لَو تُدهِنُ فَيُدهِنونَ

Maka mereka menginginkan supaya kamu bersikap lunak lalu mereka bersikap lunak (pula kepadamu).

Ini juga adalah taktik syaitan. Kalau syaitan tidak dapat mengkufurkan kita sepenuhnya, mereka akan cuba ubah kita supaya ambil sedikit perkara yang salah supaya tidak sepenuhnya Islam. Sedang Allah telah berfirman dalam surah al-Baqarah:208

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنُوا ادخُلوا فِي السِّلمِ كافَّةً وَلا تَتَّبِعوا خُطُواتِ الشَّيطانِ

Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan.

Kita hendaklah mengambil dan mengamalkan Islam 100%. Jangan termakan dengan bisikan syaitan – maka, jangan ada kompromi. Kalau kita sudah kompromi sikit, maka nanti syaitan akan bisikkan lagi untuk ambil lagi perkara lain – akhirnya boleh jadi kafir terus.

Oleh itu, ambil sebahagian sahaja hukum Islam adalah mengikut jejak langkah syaitan sebenarnya. Salah satu cara syaitan adalah supaya kita menolak sebahagian sahaja dari ajaran Islam – tidak perlu sepenuhnya. Inilah bahayanya kompromi yang kita harus jaga dan berhati-hati. Hendak kompromi boleh, tapi lihat terlebih dahulu dalam hal apa. Kalau dalam hal tauhid, langsung tidak boleh.

Ini seumpama empangan yang ada retak. Retak itu kecil sahaja, tapi lama-lama ia akan membesar dan menyebabkan keseluruhan empangan itu pecah. Adakah kita mahu jadi seperti itu?

Nabi Muhammad SAW tidak melayan langsung kompromi mereka itu. Dalam surah al-Kawthar sebelum ini, telah disebut dengan nikmat-nikmat yang diberikan dan dijanjikan kepada baginda. Maka dengan janji itu, tidak ada apa lagi yang Musyrikin Mekah itu boleh tawarkan kepada baginda. Baginda ada yang lebih baik lagi dari apa yang mereka dapat tawarkan. Jadi , baginda tidak melayan tawaran mereka itu. Baginda tidak boleh disogok langsung.

Tambahan pula, baginda telah dijanjikan dengan kejayaan. Allah beritahu dalam surah al-Kawthar itu juga yang orang musyrikin itulah nanti yang akan terputus. Maksudnya, mereka akan mengalami kekalahan nanti. Jadi, baginda tidak dapat diancam dengan apa-apa pun. Baginda sudah tahu yang baginda akan menang.

Oleh itu, baginda tidak ada masalah untuk memanggil mereka dengan gelaran al-Kaafiroon walaupun panggilan itu mengundang marah mereka. Baginda tidak perlu takut dengan reaksi mereka. Mereka mungkin mahu menyerang baginda selepas itu, tapi mereka tidak akan menang.


 

Ayat 1: Ini yang Allah ajar bagaimana hendak bercakap dengan orang kafir Mekah itu. Surah ini boleh dibahagikan kepada 3 perenggan makro. Ayat 1 – 3 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia mengandungi deklarasi daripada Nabi Muhammad SAW yang baginda tidak akan sembah tuhan-tuhan golongan musyrik.

قُل يا أَيُّهَا الكافِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Kāfirūn: The Disbelievers. The Prophet () mentioned that this sūrah is disassociation from shirk(worship of anything other than Allāh) for him who recites it. (Narrated by Aḥmad, Abū Dāwūd and at-Tirmidhī – ḥasan.)

Say, “O disbelievers,

(MALAY)

Katakanlah: “Hai orang-orang kafir,

 

Allah suruh Nabi Muhammad SAW panggil mereka dengan gelaran الكافِرونَ. Walaupun Musyrikin Mekah itu sanggup untuk kompromi (satu tahun amal tauhid dan satu tahun lagi amal syirik), tapi Allah tetap menggelar kan mereka dengan gelaran الكافِرونَ.

Panggilan yang Allah gunakan itu penting untuk kita ketahui. Ia menunjukkan kepada kita mereka yang menolak Al-Qur’an itu adalah الكافِرونَ dan Allah tidak mahu bercakap terus dengan mereka. Ini adalah kerana Allah murka kepada mereka. Mereka tidak layak ditegur oleh Allah dan dalam ayat surah ini juga, Allah tidak bercakap terus dengan mereka, tapi Allah menyuruh Nabi Muhammad SAW yang bercakap dengan mereka.

Kita hendaklah mengingat kembali siapakah Musyrikin Mekah ini. Mereka kenal Allah dan mereka terima Allah itu sebagai Tuhan dan Pencipta. Kalau ditanya siapakah yang mencipta langit dan bumi dan semua yang ada dalam alam ini, mereka tetap akan kata: Allah. Tapi, mereka tetap digelar الكافِرونَ juga dalam ayat ini.

Selalunya, mereka digelar ‘musyrikin’, tapi kali ini mereka digelar الكافِرونَ. Kalau pemahaman kita yang biasa, الكافِرونَ itu adalah mereka yang menolak kewujudan Allah, bukan? Sedangkan musyrik itu adalah mereka yang terima Allah sebagai Tuhan, tapi dalam masa yang sama mereka menyembah juga kepada selain Allah. Selalunya kita panggil Quraish itu sebagai ‘musyrikin’, tapi kenapa kali ini mereka dipanggil الكافِرونَ pula?

Dalam sejarah disebut yang tawaran kompromi itu datang dari  Aswad b. Abdil Muttalib, Umayyah b. Khalf, Waleed b. Mughirah dan para pemimpin Quraish yang lain.

Kadangkala kita boleh lihat persamaan antara dakwah dan menjual barangan. Kalau dalam jualan, penjual mengharapkan pembeli akan membeli dan  kerana itu penjual mesti memujuk dan kadangkala hendaklah mengurangkan harga barang, beri barangan tambahan dan sebagainya, hanya untuk membuat jualan. Keputusan ada di tangan pembeli. Jadi, kalau mereka tahu penjual begitu mengharap untuk menjual, mereka akan buat bermacam-macam permintaan kerana mereka tahu keputusan berada di tangan mereka, bukan?

Kita juga tahu bagaimana Nabi Muhammad SAW bersungguh-sungguh berdakwah dan berharap supaya mereka masuk ke dalam agama Islam. Oleh kerana itu, mereka menyangka yang mereka berada di kedudukan di atas dan mereka boleh buat permintaan kerana mereka nampak Nabi Muhammad SAW beriya-iya sangat. Oleh kerana itu mereka telah menawarkan kompromi kepada baginda supaya mereka bertukar-tukar menyembah Allah dan menyembah juga sembahan lain di tahun seterusnya.

Mereka menyangka itu sudah menjadi satu tawaran yang bagus untuk baginda. Tapi Allah menyuruh Nabi menolak tawaran mereka itu dan bukan itu sahaja, Allah terus menyuruh panggil mereka dengan gelaran الكافِرونَ. Tidak perlu jawab apa yang mereka tawarkan itu, terus panggil sahaja mereka sebagai الكافِرونَ. Jadi, kenapa mereka digelar dengan gelaran yang keras itu?

Kalimah الكافِرونَ digunakan dalam bentuk isim iaitu isim fa’il (pembuat). Dari segi balaghah, ini lebih kuat lagi dari fi’il (kata kerja). Apabila digunakan dalam bentuk isim, ia memberi isyarat bahawa mereka itu sudah tenggelam dalam kekafiran mereka sama ada dulu, sekarang dan akan datang. Mereka itu tidak akan berubah sampai bila-bila. Allah juga tahu tentang perkara ini dan kerana itulah Allah menyuruh Nabi Muhammad SAW panggil mereka dengan gelaran الكافِرونَ itu kerana Allah sudah pasti – maksudnya bukan Nabi Muhammad SAW yang reka gelaran ini kerana Nabi tidak tahu hati mereka.

Oleh itu, penggunaan الكافِرونَ itu lain kalau Allah gunakan kalimat الذين كفروا (fi’il). Kerana kalau dalam bentuk fi’il sahaja, itu menunjukkan ada kemungkinan mereka akan berubah dari kekafiran itu. Tapi, apabila digunakan dalam bentuk isim, tidak ada lagi harapan itu. Nasib mereka telah diikat, hati mereka telah ditutup dari menerima hidayah (khatmul qalbi).

Jadi kita hendaklah berhati-hati – surah ini bukan tentang semua orang kafir – bukan semua Ah Chong dan Muniandy. Tapi, ianya tentang sekumpulan golongan yang telah diberi dengan segala dakwah dan peluang untuk beriman dan menerima agama Islam. Bayangkan Musyrikin Mekah itu telah menerima dakwah yang terbaik dari pendakwah yang terbaik dengan akhlak yang paling baik (Rasulullah SAW). Tidak ada lagi yang lebih baik daripada baginda.

Baginda telah memberikan sepenuh tenaga dan usaha untuk memperkenalkan Islam kepada mereka selama 13 tahun (3 tahun dakwah secara sembunyi dan 10 tahun dakwah secara terang), tapi mereka tetap menolak. Oleh itu, tiada gelaran yang lebih sesuai lagi untuk mereka, iaitu الكافِرونَ. Maka, janganlah kita memanggil jiran-jiran kita dengan gelaran الكافِرونَ kalau kita juga tidak pernah lagi berdakwah kepada mereka.

Ini penting untuk kita faham kerana kadang-kadang ada orang yang cuai dalam memahami Al-Qur’an dan cuai dalam cara berkomunikasi dengan orang lain. Ramai yang menggunakan kalimah ‘kafir’ ini kepada semua orang bukan Muslim (malah ada yang menggunakannya untuk orang Islam juga). Kita hendaklah tahu yang ianya tidak semudah itu. Jangan kita samakan semua orang bukan Muslim sebagai ‘kafir’ seperti dalam ayat ini.

Tapi, kenapa Musyrikin Mekah itu digelar الكافِرونَ dan bukan musyrikin? Kerana setelah sekian lama mereka tetap tidak mahu meninggalkan fahaman dan amalan syirik mereka itu, maka itu sendiri adalah perbuatan kufur.

Kebiasaannya apabila Allah menggunakan kalimah كفر, selalunya Allah akan sebut kufur dengan apa – kufur dengan Allah, dengan hari akhirat, kufur dengan nikmat dan sebagainya. Tapi dalam ayat ini, Allah tidak beritahu mereka kufur dengan apa – maksudnya mereka kufur dengan semua sekali.

Mereka menyangka yang mereka percaya dengan Allah dan menjadi penjaga Ka’bah, maka mereka sudah bagus, tapi tidak sama sekali. Mereka sebenarnya kufur dengan Rasulullah SAW dan menolak wahyu-Nya. Mereka juga telah menolak fitrah dalam diri mereka, iaitu fitrah keimanan seperti yang disebut dalam surah al-A’raf:172.

وَإِذ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَني آدَمَ مِن ظُهورِهِم ذُرِّيَّتَهُم وَأَشهَدَهُم عَلىٰ أَنفُسِهِم أَلَستُ بِرَبِّكُم ۖ قالوا بَلىٰ ۛ شَهِدنا ۛ أَن تَقولوا يَومَ القِيامَةِ إِنّا كُنّا عَن هٰذا غافِلينَ

Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka: “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi”. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)”,

Mereka yang kafir itu telah menolak apa yang telah ada dalam hati mereka dan luaran mereka, maka mereka itu memang layak digelar sebagai الكافِرونَ. Mereka menutup isi hati mereka. Ini adalah kerana kata dasar ك ف ر bermaksud ‘menutup’.

Salah satu dari maksud kufur adalah ‘kufur nikmat’. Iaitu mereka yang telah mendapat nikmat, tapi tidak menghargai nikmat itu. Musyrikin Mekah itu telah mendapat banyak nikmat dari kerana doa Nabi Ibrahim a.s. yang mendoakan supaya Mekah itu Allah jadikan negeri yang aman dan banyak makanan. Kita juga sudah membaca banyak kelebihan yang mereka dapat dalam surah al-Quraish.

Dan dalam surah al-Feel, telah disebut bagaimana mereka telah diselamatkan dari serangan Tentera Abrahah. Tapi, dengan segala nikmat yang Allah berikan itu, mereka tetap bukan menyembah Allah sahaja, sebaliknya mereka menyembah juga benda lain seperti berhala. Maka, mereka itu memang kufur nikmat.

Seperti yang kita ketahui, Nabi Muhammad SAW adalah seorang yang lembut dalam perwatakan baginda. Ini disebut dalam banyak ayat dalam Al-Qur’an selain dari hadis yang sahih. Sebagai contoh, dalam surah Ali Imran:159

فَبِما رَحمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُم

(Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka)

Memang baginda juga disuruh untuk berdakwah dengan lembut seperti yang disebut dalam surah an-Nahl:125

ادعُ إِلىٰ سَبيلِ رَبِّكَ بِالحِكمَةِ وَالمَوعِظَةِ الحَسَنَةِ ۖ وَجادِلهُم بِالَّتي هِيَ أَحسَنُ

(Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik).

Jadi, kalau daripada baginda sendiri, baginda tidak akan panggil mereka dengan gelaran yang kasar. Oleh itu, Allah yang suruh baginda panggil mereka dengan gelaran الكافِرونَ dengan arahan قُل (katakanlah). Maka, Nabi mesti berkata begitu juga. Baginda mesti berkata begitu kerana Allah menyuruh baginda berkata seperti itu. Selama hari itu, baginda tidak pernah menggunakan kata-kata yang kasar terhadap mereka walaupun mereka telah melakukan perkara yang amat teruk terhadap baginda dan para sahabat.

Ianya adalah kata pemutus/penamat daripada Allah dan Nabi. Maknanya, tidak ada dakwah lagi kepada mereka, kerana hati mereka memang telah tertutup. Mereka tidak akan beriman sampai bila-bila. Nabi juga tidak boleh tunjukkan kelembutan dan rahmah lagi kepada mereka. Kerana masa mereka telah habis.

Dari kalimah قُل itu sendiri ada banyak pengajaran. Ia menunjukkan bahawa bukan Nabi yang membuat keputusan mereka itu kafir, tapi Allah sendiri. Allah yang menyuruh baginda sampaikan kepada mereka. Maksudnya juga, Nabi tidak ada hak memutuskan untuk menerima kompromi mereka. Keputusan bukan di tangan Nabi. Nabi hanya menyampaikan dan itulah pangkat baginda Rasulullah SAW – sebagai pembawa risalah sahaja.

Bagaimanakah Rasulullah SAW menyampaikan surah ini kepada Musyrikin Mekah? Baginda datang berjumpa mereka ketika mereka sedang bermesyuarat dan baginda terus berjalan kepada mereka dan berkata: يا أَيُّهَا الكافِرونَ. Baginda tidak lagi panggil mereka dengan gelaran biasa: wahai orang Mekah, wahai Quraish dan sebagainya.

Oleh kerana mereka telah menolak baginda, maka baginda sedang menolak mereka. Apabila baginda memanggil mereka dengan gelaran itu, itu adalah tanda yang baginda sedang mengisytiharkan yang baginda sedang menanggalkan kerakyatan baginda dari Mekah. Ianya juga adalah satu perisytiharaan perang. Dan kita hendaklah ingat bahawa Allah yang menyuruh baginda berkata begitu.

Orang kafir Mekah itu tahu yang Nabi Muhammad SAW tidak menipu (walaupun mereka menuduh baginda penipu di khalayak ramai). Mereka juga tahu bagaimana baginda menggunakan bahasa yang paling baik dan paling lembut dengan sesiapa sahaja. Tapi, tentu mereka terkejut dengan penggunaan bahasa baginda sekarang. Ini menambahkan kepedihan di dalam ayat ini.

Maksudnya disini, mereka itu sangat teruk hinggakan seorang yang lembut dan berhati mulia juga memanggil mereka dengan gelaran yang teruk. Kalau orang yang biasa menggunakan bahasa yang kesat berkata, kita tidak kisah sangat, bukan? Tapi, kalau orang baik yang berkata, tentu menambahkan kesan.

Penggunaan kalimah يا أَيُّهَا juga perlu kita sentuh. Kalimah ini digunakan dalam suasana formal, bukan suasana biasa. Sebagai contoh, kita tidak gunakan untuk bercakap dengan budak-budak. Selalu kita lihat digunakan kepada Nabi Muhammad SAW (Yaa ayyuhaa- rasool atau yaa ayyuha an-nabi) sebagai penghormatan kepada baginda.

Keduanya, penggunaan يا أَيُّهَا memberi isyarat bahawa apa yang akan disebut selepas itu bukanlah cakap-cakap kosong tapi ianya adalah sesuatu yang penting, yang serius. Jadi ada elemen formal dan elemen serius – memberi isyarat yang ini bukanlah perbuatan yang mesra tapi ianya adalah perisytiharaan daripada baginda kepada Musyrikin Mekah itu.

Jadi, dari ayat pertama ini lagi sudah ada elemen yang memutuskan hubungan dengan Musyrikin Mekah itu. Orang selalu sangkakan yang ayat terakhir itu sahaja yang memutuskan hubungan – لَكُم دينُكُم وَلِيَ دينِ.

Oleh itu, dalam ayat pertama ini sahaja sudah menunjukkan kemurkaan Allah kepada Musyrikin Mekah. Setelah mereka menawarkan kompromi kepada Rasulullah SAW, jawapan dari pada baginda bukan setakat ‘tidak’ sahaja, tapi Allah menyuruh baginda panggil mereka يا أَيُّهَا الكافِرونَ. Ianya seperti menyumpah mereka kerana Allah sangat murka kepada mereka. Jadi, kalau tahu tafsir ayat ini, barulah kita tahu yang ianya bukanlah ayat biasa sahaja.

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 30 September 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Surah Kawthar Ayat 2 – 3 (Balasan kepada pembenci Nabi)

Latarbelakang:

Kita telah bincangkan sebelum ini bagaimana Rasulullah ﷺ mendapat layanan yang amat buruk daripada Musyrikin Mekah. Sampaikan apabila anak lelaki baginda meninggal dunia semasa kecil, mereka telah bergembira dan meraikan pula kejadian itu sedangkan itu adalah satu kejadian yang amat menyedihkan bagi baginda, bagi sesiapa sahaja pun.

Bayangkan kalau anak kita mati, ada orang suka pula, apakah perasaan kita waktu itu? Maka untuk memujuk hati baginda, Allah ‎ﷻ mulakan ayat pertama surah ini dengan berita gembira. Dan kita telah senaraikan banyak sekali nikmat yang diberikan kepada baginda.

Oleh itu, surah ini mengingatkan kepada kita sebagai seorang pendakwah agama tauhid ini, walau apa sahaja kesusahan yang kita alami, mungkin kita ditohmah dan dihina oleh masyarakat yang tidak menerima dakwah kita, atau keadaan terlalu menyesakkan kita dalam menjalankan kerja dakwah, hendaklah kita ingat kepada nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan kita.

Dan fokuslah fikiran kita pada janji-janji Allah ‎ﷻ untuk memberi kebaikan yang banyak kepada mereka yang mengembangkan agamaNya. Kerana apabila kita fokus kepada benda yang baik, maka benda yang buruk itu akan kuranglah kesannya.

Kata-kata Musyrikin Mekah apabila anak baginda meninggal dunia itu amatlah menyayat hati baginda. Baginda memang sudah biasa diberi gelaran yang tidak patut – baginda dituduh sebagai orang gila, ahli sihir, penipu dan sebagainya. Tetapi kali ini, apabila baginda kehilangan anak lelaki baginda, dan mereka gembira dengan berita itu, ini lebih teruk daripada itu.

Asbabun Nuzul ayat ini ada beberapa pendapat dan ini adalah salah satu daripadanya: Rasulullah ﷺ dua anak lelaki dari isterinya Khadijah – seorang bernama Qasim dan dia telah lama meninggal. Dan seorang lagi bernama Abdullah dan anak lelakinya yang ini juga meninggal dunia. Ada juga yang mengatakan anak lelaki yang dimaksudkan adalah anak baginda yang bukan daripada Khadijah, dan anak itu bernama Ibrahim. Allahu a’lam.

Orang pertama yang dengar tentang kematian Abdullah adalah Abu Lahab, kerana beliau duduk bersebelahan dengan rumah Rasulullah ﷺ dan beliau juga adalah bapa saudara baginda. Beliau amat menentang usaha dakwah Nabi ﷺ dan selalu mengatakan perkara yang buruk terhadap Nabi ﷺ. Apabila Abu Lahab tahu tentang kematian anak Nabi ﷺ itu, dia telah keluar dari rumahnya sambil menari dan meraikan kematian cucu saudaranya itu.

Ini amat teruk kerana kalau musuh tahu lawan dia dapat berita kematian macam itu, selalunya lawan pun tidak ambil peluang itu untuk menyerang. Tambahan pula bayi yang meninggal itu adalah cucu saudaranya sendiri! Tetapi Abu Lahab ini memang teruk sangat. Dia kata: “Batara Muhammadun” – “Muhammad telah terputus” – maksudnya keturunan Muhammad ﷺ telah terputus. Dia suka kerana baginda tidak ada anak lelaki kerana anak lelakilah yang meneruskan nama keluarga, bukan?

Dan ini adalah amatlah menyedihkan bagi baginda untuk mendengar kata-kata itu. Allah ‎ﷻ tahu perasaan baginda dan kerana itu, apabila Allah ‎ﷻ menurunkan Surah Kawthar ini, Allah ‎ﷻ tidak sebut pun tentang kisah itu kerana Allah ‎ﷻ tahu baginda sensitif dengan perkara itu. Allah ‎ﷻ cuma terus beri berita gembira untuk memujuk baginda.

Ini menunjukkan tingginya sayang Allah ‎ﷻ kepada baginda. Akhir sekali, Allah ‎ﷻ cuma berfirman: إِنَّ شانِئَكَ هُوَ الأَبتَرُ (Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus.) Mereka yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ terputus keturunan itulah yang sebenarnya terputus.

Oleh itu, untuk menangani perasaan sedih, pertama kita kena kenangkan balik kebaikan yang kita dapat dan yang kita akan dapat. Dan kemudian, melakukan solat kepada Allah‎ ﷻ. Oleh sebab itu, di pertengahan ayat ini ada sebut tentang solat. Sebelumnya tentang berita baik dan selepasnya tentang berita sedih (iaitu musuh mengatakan baginda abtar). Maka selepas dapat nikmat dan untuk mengucapkan syukur, hendaklah mengerjakan solat; dan kalau dapat berita buruk atau dalam kesedihan, jangan lupa untuk mendirikan solat – mengadulah kepada Allah‎ ﷻ.

Jadi, untuk syukur kepada Allah ‎ﷻ atas segala nikmat – solat; untuk hilangkan kesedihan atas musibah yang menimpa, juga solat… Subhanallah, solatlah yang utama.


Kawthar Ayat 2: Ayat 2 ini adalah Perenggan Makro Kedua. Ia mengandungi perintah untuk mengamalkan tauhid.

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانحَر

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So pray to your Lord and sacrifice [to Him alone].

(MALAY)

Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu; dan berkorbanlah.

Huruf ف dalam فَصَلِّ ini adalah jenis fa fasihah. Setelah apa yang disebut dalam ayat sebelum ini, setelah diberikan dengan segala nikmat, apa yang perlu dilakukan? Maka Allah ‎ﷻ memberitahu kepada baginda – فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانحَر Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu; dan berkorbanlah.

Baginda diingatkan untuk mendirikan solat dan solat itu لِرَبِّكَ (untuk Tuhanmu). Bandingkan dengan solat Quraish Mekah yang hanya hendak menunjuk-nunjuk sahaja solat mereka seperti disebut dalam Surah al-Ma’un. Maka ayat ini ada keterbalikan daripada apa yang mereka lakukan. Kena solat kerana Allah ‎ﷻ – kena ikhlas, bukan kerana hendak menunjuk kepada orang lain.

Selepas kita mendapat nikmat, tentulah sepatutnya kita bersyukur kepada Allah ‎ﷻ atas nikmat yang telah diberikan. Tetapi Allah ‎ﷻ tidak sebut ‘syukur’ selepas diberitahu tentang nikmat yang diberikan kepada Rasulullah ﷺ. Sebaliknya Allah ‎ﷻ sebut ‘solat’.

Ini menunjukkan bahawa cara terbaik untuk menunjukkan syukur kepada Allah ‎ﷻ adalah dengan mendirikan solat. Kerana itulah, Rasulullah ﷺ selalu mendirikan solat sunat dua rakaat apabila sesuatu yang baik berlaku kepada umat Islam.

Terdapat perbezaan pendapat tentang solat apakah yang dimaksudkan dalam ayat ini:

    1. Ada yang mengatakan solat yang dimaksudkan adalah solat fardhu.
    2. Ada yang mengatakan solat yang dimaksudkan adalah Solat Eid kerana selepas itu disebut tentang ibadat korban yang dilakukan pada Eidul Adha.
    3. Ada juga yang mengatakan ini adalah solat secara umum. Kerjakanlah solat sama ada yang fardhu atau sunat. Ini adalah pendapat yang jumhur.
    4. Ada juga yang mengatakan ini adalah solat di Muzdalifah pada ibadat haji.

Selepas disebut tentang solat, disebut pula وَانحَر (dan berkorbanlah). Pendapat jumhur mengatakan yang dimaksudkan adalah korban penyembelihan pada ‘Eid al Adha. Ada juga yang mengatakan ianya bermaksud binatang yang diberikan dalam sedekah/zakah.

Musyrikin Mekah juga ada melakukan korban binatang atas nama Allah ‎ﷻ, tetapi mereka ada juga menyembelih binatang untuk berhala-berhala mereka. Maka Allah ‎ﷻ perbetulkan perbuatan mereka itu dan mengingatkan yang sembelihan mestilah atas nama Allah ‎ﷻ sahaja.

Dalam Al-Qur’an, ada 4 jenis perkataan yang digunakan untuk merujuk kepada binatang yang dikorbankan.

    1. Budun بدن – merujuk kepada binatang yang besar dan telah disembelih – darah masih basah lagi. Ini digunakan dalam [Hajj:36 ]وَالبُدنَ جَعَلناها لَكُم مِن شَعائِرِ اللَّهِ (Dan telah Kami jadikan untuk kamu binatang-binatang itu sebahagian dari syi’ar Allah)
    2. Nusuq نسق – merujuk kepada binatang yang disembelih untuk mendekatkan diri kepada Allah‎ ﷻ. Ini seperti yang digunakan dalam [al-An’am:162] قُل إِنَّ صَلاتي وَنُسُكي وَمَحيايَ وَمَماتي لِلَّهِ رَبِّ العالَمينَ (Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.)
    3. Hadi هدي adalah daging binatang yang telah disembelih dan diagih-agihkan berdekatan dengan Baitullah. Ini disebut dalam [Maidah:95] يَحكُمُ بِهِ ذَوا عَدلٍ مِنكُم هَديًا (maka dendanya ialah mengganti dengan binatang ternak seimbang dengan buruan yang dibunuhnya,)
    4. Qalaa’id القَلائِدَ pula adalah binatang yang telah ditanda kerana binatang itu akan disembelih sebagai korban dalam ibadat Haji. Ini disebut dalam [Maidah:2] يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا لا تُحِلّوا شَعائِرَ اللَّهِ وَلَا الشَّهرَ الحَرامَ وَلَا الهَديَ وَلَا القَلائِدَ (Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu melanggar syi’ar-syi’ar Allah, dan jangan melanggar kehormatan bulan-bulan haram, jangan (mengganggu) binatang-binatang had-ya, dan binatang-binatang qalaa-id)

Jadi itu semua adalah jenis-jenis binatang itu. Dalam keadaan tertentu ia menjadi nama lain – macam kitalah, kalau masa tanam, dinamakan ‘padi’; apabila sudah tuai dinamakan ‘beras’; apabila sudah dimasak, dinamakan ‘nasi’. Benda yang sama, tetapi keadaan yang berlainan.

Tetapi, perbuatan menyembelih itu pula ada beberapa jenis:

    1. Dhabaha/Dhibh/Dhabeeha ذبح digunakan apabila menyembelih untuk tujuan agama – bukan untuk tujuan makan. Digunakan dalam agama Islam ataupun tidak (orang musyrik bila sembelih untuk berhala pun pakai kalimah yang sama juga). Sama ada menyembelih binatang atau manusia (apabila Firaun menyembelih anak lelaki Bani Israil يُذَبِّحونَ أَبناءَكُم [Baqarah:49] dan apabila Nabi Ibrahim عليه السلام diperintah untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail عليه السلام seperti disebut dalam [Saffat:102] ا بُنَيَّ إِنّي أَرىٰ فِي المَنامِ أَنّي أَذبَحُكَ)
    2. Dhakkah ذكه – (Seperti yang digunakan dalam Maidah:3 إِلّا ما ذَكَّيتُم) – digunakan apabila menyembelih binatang dengan segera. Contohnya terjumpa binatang yang hampir mati  dalam hutan dan kita cepat-cepat sembelih binatang itu, kalau mahu makan. Kalau sempat sembelih sebelum binatang itu mati, maka binatang itu halal untuk kita.
    3. Nahr نهر adalah kalimah yang digunakan dalam ayat ini. Maksud literalnya adalah ‘yang di atas dari dada’. Ia digunakan juga untuk mereka yang mereka yang membunuh diri dengan cara menggantung diri mereka atau memotong leher mereka kerana leher itu atas dari dada. Oleh itu, ia bermaksud memotong di bahagian leher seperti yang kita lakukan semasa menyembelih binatang.

Allah ‎ﷻ menyebut cara ini kerana cara inilah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi Muhammad ﷺ memang mengikuti ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام sedangkan Musyrikin Mekah itu mengaku sahaja ikut peninggalan ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام, tetapi tidak ikut pun sebenarnya.

Allah hendak menegur Musyrikin Mekah dan mengingatkan mereka yang mereka itu sebenarnya tidak ikut ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام tetapi Rasulullah ﷺ yang sebenarnya menyambung ajaran Nabi Ibrahim عليه السلامitu.


Kawthar Ayat 3: Ayat 3 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia mengandungi ramalan tentang kegagalan pihak musuh.

إِنَّ شانِئَكَ هُوَ الأَبتَرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, your enemy is the one cut off.¹

  • From all good in this world and the Hereafter.

(MALAY)

Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu, dialah yang terputus.

Kalimah إِنَّ diletakkan sebagai penekanan dalam ayat ini dan ianya diletakkan kerana hendak memberi penekanan kepada mereka yang tidak percaya atau ada ragu-ragu. Kerana khitab ayat ini pertama kali diberikan kepada Musyrikin Mekah yang tidak percaya kepada ajaran Nabi Muhammad ﷺ. Maka Allah ‎ﷻ hendak beritahu mereka: “janganlah kamu ragu tentang perkara ini.”

Dalam ayat ini, kita boleh lihat yang Allah ‎ﷻ bercakap dengan Rasulullah ﷺ. Allah ‎ﷻ tidak bercakap pun dengan orang kafir itu kerana Allah ‎ﷻ murka kepada mereka.

Waktu ayat ini diturunkan, kedudukan umat Islam adalah amat lemah. Orang kafir yang lebih ramai dan mereka menggunakan kekerasan untuk menyeksa dan menyusahkan umat Islam yang sedikit bilangannya. Tetapi Allah ‎ﷻ beri semangat dan berita gembira kepada Rasulullah ﷺ supaya jangan risau, mereka itu pasti akan terputus. Allah ﷻ hendak tenangkan hati Nabi ﷺ dan para sahabat. Walaupun orang kafir itu nampak kuat waktu itu, tetapi mereka akan dikalahkan juga akhirnya.

Kalimah الأَبتَرُ daripada kata dasar ب ت ر yang bermaksud ‘potong’. Ianya digunakan dalam bahasa Arab klasik untuk memotong ekor binatang. Juga digunakan untuk musuh yang kalah dalam perang kerana mereka dihinakan seperti binatang yang menjadi hina kerana ekor mereka dipotong.

Dan dalam konteks surah ini kita telah belajar latar belakang surah ini tentang anak lelaki Rasulullah ﷺ yang telah meninggal dunia. Kalimah بتر juga digunakan dalam keadaan begitu kerana kalau tidak ada anak lelaki, itu bermakna keturunannya tiada kerana anak lelakilah yang membawa nama keturunan.

Orang Arab malu kalau mereka tidak ada anak lelaki yang akan meneruskan keturunan mereka. Anak lelaki tidak sama dengan anak perempuan kerana anak perempuan akan berkahwin dan anak perempuan itu hanya bawa nama keluarga suaminya sahaja. Maka mereka akan jadi malu kalau anak lelaki tidak ada seumpama binatang yang dipotong ekornya.

Jadi apabila Nabi Muhammad ﷺ kematian anak lelakinya, mereka bergembira dengan berkata: بتر محد (Muhammad telah terputus) maksudnya ‘keturunan baginda terputus’.

Dari بتر menjadi الأَبتَرُ yang bermaksud lagi kuat terputus kerana ada ال pada kalimah itu. Dan yang dimaksudkan الأَبتَرُ itu adalah musuh-musuh Nabi Muhammad ﷺ. Mereka sangka Nabi Muhammad ﷺ yang terputus, tetapi sebenarnya, mereka lagi terputus.

Dan kalimah هُوَ (dia) di dalam ayat ini juga mempunyai kepentingannya. Dengan menyebut هُوَ, ia menidakkan orang lain – maksudnya, dia itulah yang terputus dan ‘bukannya’ Nabi Muhammad ﷺ seperti yang dia katakan.

Dalam ayat ini ada jumlah muqaddar – iaitu perkataan yang perlu dimasukkan untuk melengkapkan ayat itu. Oleh itu, kalau kita lengkapkan ayat ini, ia berbunyi: Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu, dialah yang terputus [bukannya engkau]. Kalimah ‘bukan engkau’ adalah muqaddar. Kerana kalau hanya: ‘orang-orang yang membenci engkau akan terputus’, ia boleh juga bermakna: mereka terputus tetapi engkau juga terputus. Dan Allah ‎ﷻ hendak menidakkan yang Nabi Muhammad ﷺ terputus, maka Allah ‎ﷻ tambah kalimah هُوَ dalam ayat ini.

Tetapi kenapa Allah ﷻ tidak terus sahaja letak kalimah لا أنت (bukannya kamu) dalam ayat ini? Ini kerana Allah ﷻ tidak mahu meletakkan nama Nabi ﷺ bersama dengan mereka yang terputus itu. Dan Allah ﷻ tidak mahu bangkitkan lagi kisah tentang kematian anak baginda, kerana Allah ﷻ hendak menjaga hati Nabi ﷺ. Kerana kalau Allah ﷻ bangkitkan, itu telah mengingatkan pula kejadian baginda kehilangan anaknya itu dan itu tentunya akan menyedihkan hati baginda.

Walaupun baginda tidak ada anak lelaki yang lahir daripada keturunan baginda, tetapi setiap anak orang Islam yang lahir adalah ‘anak’ baginda. Bukankah ayat Al-Qur’an ada mengatakan yang isteri-isteri baginda adalah ‘ibu-ibu’ kita? Apakah maksud yang tersirat?

Maksud tersiratnya adalah, bagindalah bapa kita kerana ummahatul muslimin itu ‘ibu’ kita, maka tentulah suaminya, iaitu Rasulullah ﷺ adalah ‘bapa’ kita. Kita ini semua adalah ‘keturunan’ baginda. Musyrikin Mekah berbangga dengan anak-anak lelaki mereka, tetapi apa yang Nabi Muhammad ﷺ dapat itu lebih baik lagi daripada apa yang mereka dapat.

Tidak ada yang dapat kelebihan seperti ini. Seorang Muslim itu mungkin dari China, dari Afrika, India atau Arab, tetapi mereka semuanya akan mencintai Nabi Muhammad ﷺ lebih lagi daripada mereka mencintai negara mereka sendiri dan bangsa mereka. Kita semua adalah satu ummat yang terkait kerana kita mempunyai Nabi yang sama – Nabi Muhammad SAW ﷺ. Dan kita semua berbangga untuk mengucap Laa illaaha Illa Allah, Muhammadun Rasool Allah. Keluarga pun tidak ada kasih sayang macam ini, kerana keluarga pun kadang-kadang berkelahi dan berpecah belah juga, bukan?

Mereka yang memusuhi Nabi ﷺ itulah yang terputus di dunia ini dan bukan sahaja di dunia tetapi di akhirat juga. Siapakah Abu Lahab itu yang menyakitkan hati Nabi ﷺ itu ? Tidakkah dia tidak disanjung dan kalau orang ingat dia pun, dia diingati bersama dengan laknat daripada manusia. Semua umat Islam membencinya – dari dahulu sampailah ke Hari Kiamat nanti.

Mereka yang menghina dan menyakiti hati Nabi ﷺ dahulu memang layak kena macam itu. Mereka sangka mereka hebat dan akan terkenal sampai bila-bila tetapi mereka tidak sedar yang mereka akan diingati dengan cara buruk.

Mereka sangka, apabila Nabi Muhammad ﷺ tiada anak, maka habislah agama yang baginda bawa, tetapi tidak, agama Islam ini terus berkembang.

Kalimah شانِئَ bermaksud ‘musuh’. Ia hampir sama dengan العَدُو yang juga bermaksud ‘musuh’. Tetapi kenapa Allah ‎ﷻ gunakan kalimah شانِئَ dalam ayat ini? Dalam bahasa Arab, ada tiga kalimah boleh digunakan untuk menunjukkan permusuhan:

1 – shana’aan شنأ
2 – bughdd بغض
3 – aduw عدو . Ini juga banyak digunakan dalam Al-Qur’an. Oleh itu, tentu ia tidak sama dengan شنأ’, bukan?

Apabila Allah ‎ﷻ memperkatakan tentang orang kafir yang memusuhi Nabi Muhammad ﷺ, Allah ‎ﷻ beritahu yang mereka itu ‘terputus’ – memberikan isyarat kepada kejayaan Nabi ﷺ ke atas mereka akhirnya. Dan ini telah terbukti nanti dengan Pembukaan Mekah dan ini disebut dalam Surah an-Nasr. Tetapi sebelum kejayaan itu, Allah ﷻ sudah beri isyarat tentang kejayaan Nabi ﷺ.

Kalimah عدو bermaksud musuh yang mahu mencederakan kita dan mereka sentiasa mencari jalan macam mana hendak kalahkan kita. Contohnya, kalau dalam peperangan, pihak lawan kita adalah عدو.

Dan kalau مبغض pula lebih kuat lagi daripada عدو. Mereka lebih tinggi lagi kebencian mereka terhadap kita.

Sedangkan kalimah شانِئَ pula adalah orang yang ada sifat بغض dan عدو cuma mereka menyimpan dan menyorok keseluruhan perasaan marah dan benci mereka terhadap kita. Oleh itu, mereka adalah musuh yang paling teruk sekali. Bayangkan, Abu Lahab itu sanggup meraikan kematian anak Nabi Muhammad ﷺ yang tidak dilakukan pun oleh mereka yang بغض dan عدو.

Mereka seperti itulah yang akan ‘terputus’. Apakah sebenarnya maksud ‘terputus’ itu? Ibn Taymiyyah mengatakan mereka itu terputus daripada segala kebaikan langsung. Dalam segala hal. Ini termasuklah dalam hal:

    • harta
    • keluarga
    • kehidupan di dunia dan di akhirat
    • kalau mereka ada apa-apa pun yang boleh dikatakan perkara baik, mereka tidak akan dapat menggunakannya untuk kebaikan.
    • hati mereka terputus daripada kebaikan. Maksudnya mereka tidak akan beriman sampai bila-bila. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ telah meletakkan mereka sebagai musuhNya. Oleh itu mereka tidak akan dapat mengenal Allah ‎ﷻ dan tidak akan mencintai Rasulullah ﷺ SAW sampai bila-bila.
    • kalau mereka ada kebaikan dalam diri mereka, ianya tidak akan digunakan untuk memenuhi kehendak Allah‎ ﷻ.
    • mereka tidak akan mendapat pertolongan, sokongan dan mereka akan terpisah daripada sesiapa yang rapat dengan mereka.
    • mereka tidak akan dapat merasa kenikmatan dalam apa-apa perkara pun.

Apa yang ada pada mereka akan hilang sedikit demi sedikit sedangkan apa yang ada pada Nabi ﷺ akan bertambah kebaikannya. Musyrikin Mekah itu sangka mereka ada banyak nikmat seperti yang disebut dalam [Quraish:2] dan Nabi Muhammad ﷺ tidak ada apa-apa pada pandangan mereka. Tetapi Allah ‎ﷻ hendak menegaskan yang mereka tidak ada apa-apa sebaliknya segala kebaikan akan diberikan kepada Rasulullah ﷺ . Allah ‎ﷻ telah menjadikan musuh baginda itu hilang segala kuasa mereka, mereka akan jadi lemah dan akan dimalukan di hadapan semua orang.

Penggunaan format dalam bahasa Arab adalah amat penting kerana membawa maksud yang tersirat. Kita boleh lihat bagaimana kalimah الأَبتَرُ adalah dalam bentuk isim kerana ia membawa maksud mereka akan tetap menjadi orang yang terputus. Sampai bila-bila. Maksudnya mereka akan terus berada dalam keadaan begitu dan mereka tidak akan keluar.

Dan satu lagi, ia bukan merujuk kepada mereka yang membenci dan memusuhi Nabi ﷺ semasa hayat baginda, tetapi kepada mana-mana musuh Nabi Muhammad ﷺ sepanjang zaman. Sesiapa yang memusuhi Rasulullah ﷺ pada mana-mana zaman. Tidak kira kalau zaman sekarang atau di masa hadapan, mereka akan terputus juga. Inilah yang kita dapat faham apabila kalimah الأَبتَرُ dalam bentuk isim.

Kalau kalimah يبتر digunakan iaitu dalam bentuk fi’il mudhari’ (present tense), ia membawa maksud mereka akan diputuskan. Tetapi apabila ianya dalam bentuk الأَبتَرُ, ia bermaksud mereka telah pun terputus. Apabila mereka membenci baginda sahaja, mereka telah terputus daripada kebaikan lagi dari waktu itu, cuma mereka tidak perasan sahaja dan tidak nampak lagi. Tetapi ketahuilah yang ianya telah bermula. Ini macam orang sudah kena barah stage 1 tetapi mereka tidak perasan sahaja.

Ibn Taymiyyah ada menceritakan bagaimana tentera Islam berperang dengan tentera Kristian dan mereka telah mengepung golongan Kristian di dalam kubu mereka, tetapi tidak dapat masuk. Kadang-kadang mereka telah mengepung sekian lama tetapi tidak ada terjadi kerana mereka tidak dapat masuk menyerang. Mereka mungkin sudah mula membuat keputusan untuk meninggalkan sahaja pertempuran itu kerana sudah lama sangat dan tidak ada harapan nampaknya.

Akan tetapi tiba-tiba golongan Kristian itu telah mula menghina Rasulullah ﷺ. Apabila orang Kristian itu sudah mula menghina Rasulullah ﷺ, tentera Islam tahu yang tidak lama lagi golongan Kristian itu akan jatuh kerana apabila mereka mula menghina Nabi Muhammad ﷺ, Allah ‎ﷻ akan berikan balasan terus kepada mereka. Jadi tentera Muslim melihat penghinaan golongan musuh itu sebagai berita gembira kerana itu menandakan kejayaan mereka tidak lama lagi.

Dalam Surah Kawthar ini, Allah ‎ﷻ hanya menyebut ‘musuh’ sahaja, tetapi tidak disebut siapakah musuh itu. Ini akan diterangkan dalam surah seterusnya, Surah al-Kaafiroon.

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke surah seterusnya, Surah al-Kaafiroon.

Kemaskini: 5 Februari 2023


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan