Tafsir Surah al-Feel Ayat 3 – 5 (Hujan Batu)

Ayat 3: Bukan sahaja usaha Tentera Abrahah itu sia-sia, malah mereka sendiri dihancurkan.

وَأَرسَلَ عَلَيهِم طَيرًا أَبابيلَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And He sent against them birds in flocks,

(MALAY)

dan Dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong,

Selepas Abdul Muthalib (datuk Rasulullah) berdoa kepada Allah untuk menyelamatkan Ka’bah, dia nampak burung yang berbondong-bondong datang dari arah Yaman (yang menariknya, tentera Abrahah itu dari Yaman dan Allah hantar burung dari sana juga). Abdul Muthalib kata dia tidak pernah lihat burung jenis itu. Setiap burung bawa tiga batu, setiap satu pada kakinya dan satu lagi pada paruhnya.

Batu-batu pada burung-burung itu dilepaskan kepada tentera Abrahah itu dan apabila ia mengenai kepada mangsanya, ia menembusi kepada orang itu dan keluar dari sebelah lain. Begitulah hebatnya balingan batu itu.

Burung-burung itu dikatakan bukan satu jenis sahaja tapi campuran berjenis-jenis spesis. Ada juga yang mengatakan burung-burung itu bukan datang dari satu arah sahaja tapi dari banyak arah dan bergabung di Mekah itu. Mereka datang dengan banyak sekali. Banyaknya mereka itu sampaikan mereka menutupi cahaya matahari dan bumi Mekah waktu itu jadi gelap. Kisah yang sampai kepada keturunan zaman berzaman adalah banyak kerana orang Arab tidak ada TV, jadi pengisi masa lapang mereka adalah kisah-kisah sebegini, maka tentulah ada banyak kisah tentang kejadian ini yang disampaikan dari zaman berzaman.

Allah sampaikan kisah ini kepada kita kerana Allah mahu kita bayangkan bagaimana (كَيفَ) Allah lakukan terhadap mereka. Allah suruh kita fikirkan dan bayangkan bagaimana boleh terjadi perkara begitu kalau bukan kerana qudrat Allah? Ianya bukanlah perkara biasa kalau burung yang kecil itu dapat memusnahkan tentera bergajah yang besar itu. Bukankah gajah-gajah itu besar dan kuat dan besar? Tapi untuk hancurkan mereka, Allah أَرسَلَ (hantar) burung-burung sahaja. Ini yang Allah suruh kita fikirkan. Iaitu Allah boleh buat apa sahaja yang dikehendakinya walaupun ianya berlawanan dengan logik akal kita.

Kenapa Allah gunakan kalimah عَلَيهِم (ke atas mereka) dan bukan إليهم (kepada mereka)?  Ini adalah salah satu dari ilmu balaghah yang sepatutnya kita ketahui. Kalau Allah gunakan kalimah على, Allah hendak menunjukkan kekuasaan Allah atas makhluk dan Allah boleh buat apa sahaja ke atas mereka. Kerana itulah kalau dalam ayat yang menyebut tentang musibah dan azab, Allah akan gunakan على dan bukan إلى. Memang على dan إلى tidak sama dan kalau dalam bahasa Melayu, tak akan nampak perkara itu. Tetapi penggunaan yang berbeza ini banyak digunakan dalam Qur’an dan ini adalah sebahagian dari balaghah. Oleh itu kena belajar baru tahu. Sebagaimana yang Allah gunakan dalam Mu’minoon:77

حَتّىٰ إِذا فَتَحنا عَلَيهِم بابًا ذا عَذابٍ شَديدٍ

Hingga apabila Kami bukakan atas mereka suatu pintu tempat azab yang amat sangat

Tambahan pula, Allah hendak memberi isyarat yang Allah berada di atas langit dan azab itu dariNya.

Akan tetapi, apabila perkara yang diberi itu adalah nikmat, Allah akan gunakan kalimah إلى sebagai contoh apabila Allah berikan Rasul kepada sesuatu kaum. Seperti yang Allah gunakan dalam Ghafir:24

إِلَى فِرْعَوْنَ وَهَامَانَ وَقَارُونَ فَقَالُوا سَاحِرٌ كَذَّابٌ

kepada Fir’aun, Haman dan Qarun; maka mereka berkata: “(Ia) adalah seorang ahli sihir yang pendusta”.

Kalimah طَيرًا adalah dalam bentuk isim jamak. Ianya merujuk kepada segala jenis burung. Kalau digunakan kalimah طيور, ia bermaksud jamak juga, tapi satu jenis burung sahaja. Apabila ada tanwin pada kalimah طَيرًا, ia menambah lagi maksud bahawa ada banyak jenis burung.

Apabila digunakan kalimah أَبابيلَ, ia bermaksud burung-burung itu di dalam gerombolan yang besar. Berbondong-bondong.

Oleh itu, kalimah طَيرًا أَبابيلَ bermaksud burung-burung yang sangat banyak, berbagai jenis.

Dari apa yang kita telah belajar ini, kita dapat rasakan bagaimana surah ini adalah hadiah kepada Rasulullah. Allah telah berikan hadiah kepada baginda sebelum baginda dilahirkan lagi (Nabi lahir pada tahun gajah ini juga, tapi sebelum kejadian). Allah telah mempertahankan Kota Mekah itu, dan Allah mempertahankan Ka’bah itu dari kemusnahan. Dan begitulah nanti Allah akan memenangkan baginda ke atas Mekah itu dimana baginda akan membersihkan Ka’bah dari berhala-berhala di sekelilingnya. Kita dapat tahu yang Allah lakukan perkara ini kerana Allah sebut dalam ayat pertama: كَيفَ فَعَلَ رَبُّكَ (bagaimana ‘Tuhanmu’ telah lakukan) dimana Allah kata Tuhan’mu’ merujuk kepada baginda.

Musyrikin Mekah itu mungkin sangka yang Allah selamatkan Ka’bah itu untuk mereka tapi tidaklah Allah buat begitu kerana mereka itu tidak layak untuk mendapat kehormatan itu kerana mereka mengamalkan syirik dan kezaliman. Allah sebenarnya menyelamatkan Mekah dan Ka’bah kerana Nabi Muhammad SAW.


Ayat 4:

تَرميهِم بِحِجارَةٍ مِن سِجّيلٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Striking them with stones of hard clay,

(MALAY)

yang melempari mereka dengan batu dari tanah yang terbakar,

Burung-burung itu melontarkan batu-batu kepada tentera Abraham bergajah itu. Ini adalah cara yang Allah pilih pada kali ini. Ada dalam waktu dan tempat lain, Allah gunakan cara yang lain, seperti dalam Ahzab:9, Allah hantar angin dan para malaikat untuk memusnahkan musuhNya.

جاءَتكُم جُنودٌ فَأَرسَلنا عَلَيهِم ريحًا وَجُنودًا لَم تَرَوها

ingatlah akan nikmat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu ketika datang kepadamu tentera-tentera, lalu Kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan tentera yang tidak dapat kamu melihatnya.

Kalimah تَرمي dalam تَرميهِم itu asalnya adalah dari kalimah ر م ي yang bermaksud ‘membaling’. Dalam ayat ini, kalimah تَرميهِم itu dalam bentuk present tense. Kalau Allah menggunakan kalimah present tense untuk kisah yang telah berlaku, ini menunjukkan perkara itu berlaku berulang-ulang. Maksudnya, bukan sekali sahaja batu itu dibaling kepada mereka, tapi berkali-kali. Kalau kalimah past tense رمت yang digunakan, itu memberitahu kita yang burung itu balik sekali sahaja, tapi tidak dalam perkara ini. Mereka dihujani dengan batu-batu itu berkali-kali seperti hujan.

Kalimah تَرمي juga memberi makna yang batu itu dibaling kepada mereka dari jarang yang jauh, ini bukan baling yang biasa. Burung-burung itu melepaskan batu itu dari kedudukan yang tinggi jadi daya tarikan graviti telah meningkatkan kelajuan batu-batu itu. Batu-batu itu sampai menembusi tengkorak mereka dan keluar dari sebelah lain.

Juga ia bermaksud batu itu dibaling pada individu yang tertentu – tepat kena orang yang telah ditakdirkan akan kena dengan balingan batu itu. Ini dah macam peluru berpandu yang tepat kena pada sasaran.

Mereka dibaling بِحِجارَةٍ (dengan batu). Tapi Allah tidak sebut ‘batu’ sahaja. Allah tambah: مِن سِجّيلٍ (dari Sijjeel).

Kalimah سِجّيلٍ asalnya dari bahasa Parsi yang dimasukkan ke dalam bahasa Arab. Ianya merujuk kepada batu yang terjadi dari tanah yang terbentuk kerana basah, kemudian tanah itu dibakar dengan sinaran cahaya matahari. Asalnya dari tanah sahaja, tapi benda yang asalnya lemah tapi Allah jadikan boleh menghancurkan benda yang kuat dan besar.

Ada juga yang mengatakan سِجّيلٍ itu adalah batu dari neraka.

Ibn Abbas mengatakan, apabila batu itu kena pada badan tentera Abrahah itu, tubuh mereka akan membengkak terbakar dan membusuk. Ia menjadi wabak yang teruk dan inilah kali pertama wabak sampai ke Mekah. Mereka menjadi mayat yang reput dan busuk.

Dari kisah ini kita dapat bayangkan apa yang terjadi kepada mereka. Inilah yang Allah hendak beritahu kepada kita, kerana Allah telah sebut كَيفَ (bagaimana) dalam ayat 1 dan kerana itu Allah berikan penerangan yang agak panjang untuk menjelaskannya.


Ayat 5:

فَجَعَلَهُم كَعَصفٍ مَأكولٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And He made them like eaten straw.¹

  • i.e., husks which have been chewed by cattle. This event took place in the year of the Prophet’s birth.

(MALAY)

lalu Dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan

Kalimah جَعَلَ dalam فَجَعَلَهُم itu bermaksud mengubah sesuatu dari satu bentuk ke satu bentuk. Sebagai contoh, mengubah pokok kayu menjadi meja. Pokok kayu itu memang dah ada, cuma dijadikan dalam bentuk yang lain. Ini tidak sama dengan خلق yang bermaksud menjadikan sesuatu dari tidak ada ada kepada ada dan hanya Allah sahaja yang boleh melakukannya.

Oleh itu, dalam ayat ini, Allah memberitahu yang Dia telah menjadikan tentang yang susah ada itu, sepatutnya kuat, tapi Allah jadikan sebagai lemah dan tidak bernilai langsung, tidak ada kekuatan langsung. Seperti daun-duan kering sahaja.

Allah gunakan huruf ك sebagai bandingan. Allah bandingkan mereka dengan suatu benda untuk menjelaskan kepada kita. Allah sebut dengan begini supaya kita dapat bayangkan kerana kita tidak ada di sana waktu itu. Allah bandingkan tentera itu dengan عَصفٍ yang bermaksud angin bertiup yang menghancurkan daun kering. Atau ia boleh bermaksud bilah-bilah dauh yang beterbangan di udara.

Kalimah مَأكولٍ pula bermaksud sesuatu yang dimakan. Apabila binatang ternak memakan daun-duan hijau, ada cebisan-cebisan daun itu yang jatuh. Cebisan yang jatuh itu dipanggil عَصفٍ مَأكولٍ dalam bahasa Arab.

Begitulah Allah berikan perumpamaan untuk mereka setelah mereka dikenakan dengan hujanan batu Sijjeel itu.

Ia juga bermaksud makanan yang hampir hendak dimakan oleh pemburunya. Sebagai contoh, seekor arnab yang hampir diterkam harimau. Arnab itu tidak boleh buat apa dah waktu itu kerana ia telah terperangkap dan ia tidak dapat melawan harimau itu. Allah bandingkan lemahnya mereka itu seperti arnab yang hampir hendak dimakan oleh harimau. Allah hina mereka dengan kata-kata ini.

Kerana mereka sangka mereka itu kuat dan kerana itu mereka jadi sombong. Tapi kemudian Allah telah musnahkan mereka seperti daun yang dimakan binatang sahaja. Mereka tidak bernilai dan tidak ada kekuatan langsung. Dengan angin sahaja boleh meniup mereka ke sana dan ke mari. Padahal, asalnya mereka itu kononnya kuat.

Juga boleh bermaksud Allah beri perumpamaan mereka itu seperti daun yang dimakan oleh ulat.

Begitulah Allah jelaskan kepada kita apa yang terjadi kepada Tentera Bergajah itu.

Sudah ini begitu indah sekali dan kebanyakan orang Islam sudah hafal pun surah ini. Tambahan pula ianya senang dihafal kerana hujung ayat-ayatnya berbunyi sama sahaja – الفيلِ, تَضليلٍ, أَبابيلَ, سِجّيلٍ. Kecuali pada ayat yang ke 5 yang berakhir dengan kalimah مَأكولٍ. Ini adalah kerana kisah apa yang terjadi kepada mereka sudah berakhir dan Allah ubah ritma kepada kalimah yang lain.

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah Quraish.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah al-Feel Ayat 2 (Rancangan Abrahah Gagal)

Ayat 2: Rancangan Abrahah dan tenteranya itu gagal, sia-sia sahaja.

أَلَم يَجعَل كَيدَهُم في تَضليلٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Did He not make their plan into waste?

(MALAY)

Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Ka’bah) itu sia-sia?

 

Ini adalah kali kedua kalimah أَلَم (tidakkah?) digunakan dalam surah ini. Seperti kita telah sebut sebelum ini, kalimah أَلَم ini adalah dalam bentuk soalan retorik. Maknanya Allah hendak mengingatkan jasa yang telah dilakukanNya.

Kalimah يَجعَل dalam present tense. Sedangkan kisah yang sedang dibincangkan ini telah berlaku lama dahulu. Jadi kenapa Allah gunakan present tense dalam ayat ini? Apabila present tense digunakan untuk perkara yang telah berlaku, ini memberi isyarat yang perkara itu akan terus berlaku. Bukan Tentera Abrahah sahaja yang Allah sia-siakan usaha mereka, tapi Allah boleh buat lagi pada orang-orang lain selepasnya dan di masa hadapan. Kepada mereka yang hendak merosakkan syiar Allah SWT, Allah boleh sia-siakan usaha mereka. Walau bagaimana pun usaha mereka, tidak memberi kesan sama sekali kalau Allah tidak benarkan ia terjadi. Mereka akan buang masa sahaja.

Kalimah يَجعَل dari جعل (menjadikan). Ianya tidak sama dengan kalimah فَعَلَ yang digunakan dalam ayat 1. Apabila digunakan kalimah جعل, ia bermaksud mengambil sesuatu yang telah ada dan mengubahnya menjadi sesuatu yang lain. Maknanya Allah biarkan mereka buat rancangan, buat persediaan, mungkin berlatih, kemudian ambil masa untuk bergerak dari Yaman ke Mekah, dan mula untuk ambil tindakan, tapi Allah ubah (جعل) rancangan mereka itu jadi benda lain – jadi sesuatu yang sia-sia sahaja tidak menjadi. Allah tidak hancurkan rancangan mereka itu dari mula, tapi Allah biarkan mereka buang masa dalam usaha mereka. Allah main-mainkan mereka dan akhirnya malukan mereka di hujungnya.

Begitulah perumpamaan perbuatan Allah terhadap orang yang jahat. Allah biarkan sahaja mereka nak buat apa, seolah-olah mereka nampaknya boleh buat apa sahaja. Allah bagi mereka rasa macam mereka terbuka untuk buat apa yang mereka hendak buat.  Bayangkan seeokor anjing yang diikat dengan rantai. Pada mulanya tuannya ikat dengan rantai 1 meter sahaja. Tapi kalau ia adalah anjing yang ganas, asyik nak menarik rantai itu sahaja, maka tuannya akan ikat dengan rantai yang panjang sikit. Anjing itu pun sangka ia dah merdeka dan ia berlari dengan laju ke arah tempat lain – masa ia lari dengan laju itulah rantai itu akan menegang dan menarik tengkok anjing itu dengan kuat! Tentulah dia akan sakit, bukan? Begitulah perumpamaan Allah kenakan kepada tentera Abrahah itu. Ini seperti yang Allah telah sebut dalam Baqarah:15

اللَّهُ يَستَهزِئُ بِهِم وَيَمُدُّهُم في طُغيانِهِم يَعمَهونَ

Allah akan (membalas) olok-olokan mereka dan membiarkan mereka terombang-ambing dalam kesesatan mereka.

Allah biarkan sahaja tentera Abrahah itu datang ke Mekah dan sudah ada di depan Ka’bah dah, barulah mereka itu dimusnahkan. Bukanlah Allah tidak boleh musnahkan mereka dari mula lagi tapi Allah nak beri mereka buat perkara yang salah itu, dan nanti Allah akan seksa mereka dengan azab yang berat di akhirat kelak lagi.

Kalimah كَيدَ dalam كَيدَهُم (rancangan mereka) itu lebih kurang maknanya dengan kalimah مكر – (rancangan untuk mencederakan seseorang). Tapi bezanya, كَيدَ digunakan untuk rancangan yang rahsia, seperti rancangan perang yang tidak diberitahu kepada ramai orang dan dilakukan secara sembunyi supaya rahsia tidak pecah. Sedangkan kalau مكر digunakan, ia melibatkan penipuan dalam rancangan itu.

Akan tetapi, bagaimana pula كَيدَ dikatakan rancangan yang rahsia sedangkan apa yang tentera Abrahah itu lakukan jelas pada semua orang? Abrahah datang siang hari dan semua orang boleh tengok kedatangan mereka itu.

1 – Dikatakan rahsia itu adalah niat dalam hati mereka – mereka sebenarnya benci sangat kepada penduduk Mekah sampaikan hendak memusnahkan Ka’bah yang mereka muliakan. Beginilah juga perasaan orang kafir terhadap orang Islam dulu dan sekarang (bukan nak kata yang Musyrikin Mekah itu orang Islam, tapi sebagai perbandingan). Kadang-kadang orang kafir itu nampak baik sahaja di hadapan orang Islam tapi di belakang, mereka buat perancangan untuk memusnahkan kita. Sebab itulah Allah nasihatkan kita untuk berhati-hati seperti firmanNya dalam Ali Imran:118

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا لا تَتَّخِذوا بِطانَةً مِن دونِكُم لا يَألونَكُم خَبالًا وَدّوا ما عَنِتُّم قَد بَدَتِ البَغضاءُ مِن أَفواهِهِم وَما تُخفي صُدورُهُم أَكبَرُ

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaanmu orang-orang yang, di luar kalanganmu (kerana) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudharatan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi.

2 – Abrahah menyembunyikan niatnya dalam menyerang Mekah itu. Dia menggunakan semangat keagamaan untuk membangkitkan semangat rakyat dan tenteranya untuk menyerang. Tapi sebenarnya, seperti kita telah jelaskan pengenalan surah ini, tujuan sebenar Abrahah adalah kerana ekonomi. Dia nak menaikkan kembali kekuatan ekonomi Yaman dan dia nampak caranya adalah dengan menjatuhkan kuasa ekonomi waktu itu, Mekah. Dia cuma gunakan agama sahaja. Memang dari dulu sampai sekarang manusia salahgunakan agama. Lihatlah apa yang telah dilakukan oleh kumpulan seperti ISIS yang menggunakan agama untuk membunuh orang lain.

Dan begitulah juga dengan tentangan Quraish terhadap dakwah tauhid Nabi Muhammad SAW. Mereka dengan kerasnya menolak dan mengutuk ajaran baginda yang dikatakan baru, sesat dan sebagainya. Tapi kenapa agaknya baginda tidak dapat diterima? Pemimpin Musyrikin Mekah bukan kisah dengan agama pun sebenarnya. Yang mereka kisah adalah harta dan pengaruh. Pada mereka, kalau ajaran tauhid ini dibenarkan, maka orang Arab sudah tidak datang lagi ke Ka’bah kerana semua berhala sudah tiada. Selama ini, ramai yang datang ke Mekah dan menguatkan ekonomi mereka adalah kerana mereka ada berhala masyarakat Arab dan mereka senang untuk berdagang ke tempat-tempat lain kerana kedudukan mereka sebagai penjaga Ka’bah itu. Maknanya, sebab asal Rasulullah ditolak oleh mereka adalah kerana ekonomi dan kedudukan yang dikejar-kejar oleh pemuka Quraish itu.

Oleh itu, sebab rahsia dalam hati Abrahah adalah untuk mendapatkan kuasa ekonomi dari Quraish Mekah dan beliau menggunakan agama Kristian sebagai pemangkin semangat rakyatnya. Dia kata orang Mekah itu adalah sesat dan mereka kena tawan mereka dan musnahkan tempat ibadat orang Mekah itu.

Kalimah تَضليلٍ dari ضلال yang bermaksud ‘musnah’, ‘sia-sia’. Ianya sesuatu yang rosak sampai tidak boleh dipakai lagi.

Kalimah تَضليلٍ ini adalah dalam wazan تَفْعِيْل yang memberi isyarat pengulangan di dalamnya. Maknanya, bukan sekali sahaja Allah menjadikan rancangan orang kafir itu sia-sia, tapi banyak kali. Rancangan Abrahah juga berulang-ulang kali gagal.
– Abrahah bina al-Qullays supaya ramai orang datang ziarah, tapi tidak menjadi.
– Qullays itu telah diberaki oleh orang Mekah kerana marah sangat.
– Mereka bergerak ke Mekah untuk memusnahkan Ka’bah tapi rancangan mereka digagalkan.

Allah gunakan kalimah في (di dalam) dalam ayat ini. Allah tidak kata jadikan rancangan mereka sia-sia, tapi Allah kata: ‘dalam’ kesiaan. Allah nak suruh kita bayangkan seolah-olah rancangan mereka itu macam sampah yang dibuang ke dalam tempat buang sampah. Allah gunakan kalimah في supaya kita dapat bayangkan dalam bentuk imageri.

Sekian. Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Surah al-Feel Ayat 1 (Balasan dari Allah)

Ayat 1: Allah menceritakan bagaimana bahayanya Hubb Dunya. Ia boleh menyebabkan azab di dunia lagi.

أَلَم تَرَ كَيفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِأَصحابِ الفيلِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Fīl: The Elephant.

Have you not considered, [O Muḥammad], how your Lord dealt with the companions of the elephant?¹

  • i.e., the army under the command of Abrahah al-Ashram which was accompanied by a huge elephant and came with the intention of destroying the Ka‘bah at Makkah.

(MALAY)

Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentera bergajah?

 

أَلَم تَرَ – “Tidakkah kamu melihat/memperhatikan?” Kalimah ini ditujukan kepada seorang, bukan ramai orang. Oleh itu, ulama tafsir berbahas siapakah yang dimaksudkan oleh Allah dalam ayat ini? Adakah ianya ditujukan kepada Rasulullah atau kepada orang lain? Ada dalil untuk kedua-duanya sekali.

1 – Kalau dikatakan untuk orang lain, boleh lihat pada ayat al-Isra’:23 dimana Allah berfirman:

وَقَضَى رَبُّكَ أَلاَّ تَعْبُدُواْ إِلاَّ إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya.

Di dalam ayat ini, khitabnya juga kepada seorang lelaki, akan tetapi kita pun tahu yang ibubapa Rasulullah sudah tiada semasa baginda menerima wahyu ini. Jadi, walaupun ianya menggunakan kalimah رَبُّكَ (Tuhanmu), tapi ianya tidak ditujukan kepada Rasulullah secara khusus.

Dan kita pun tahu bahawa kejadian serangan Tentera Bergajah ini datang sebelum Nabi Muhammad lahir lagi, jadi baginda tentu tidak dapat melihat kejadian itu sendiri. Jadi, mungkin ayat ini diberikan kepada mereka yang memang pernah melihat kejadian itu dengan mata mereka sendiri kerana mereka sudah lahir waktu itu dan masih hidup semasa ayat ini diturunkan.

2 – Boleh juga dikatakan yang ayat ini ditujukan kepada Rasulullah. Memang baginda tidak melihat kejadian ini dengan mata baginda tapi Allah hanya memberi isyarat sahaja. Maksudnya: tidakkah kamu mendengar? tidakkah kamu memikirkan tentang kejadian itu? Ini adalah kerana kisah ini tentu telah sampai kepada baginda. Kisah ini adalah kisah yang masyhur di kalangan bangsa Arab sampaikan mereka mengabadikannya sebagai ‘Tahun Gajah’. Mereka tidak ada kalender seperti kita maka mereka akan menggunakan kejadian yang terkenal sebagai peringatan kepada sesuatu tahun itu. Jadi untuk mengingati kejadian tentera bergajah itu, tahun itu dikenali sebagai ‘Tahun Gajah’. Jadi, tentu Rasulullah sudah tahu tentang kejadian itu dan Allah mengingatkan baginda tentang kisah kejadian itu.

Boleh jadi juga, Allah hendak mengingatkan kepada Rasulullah – tidakkah kamu takjub dengan kejadian itu, bagaimana Allah telah bertindak kepada Tentera Bergajah itu? Ini adalah kerana apabila digunakan kalimah كَيفَ (bagaimana), ia adalah kalimah ta’jub. Peristiwa yang terjadi itu memang menakjubkan kerana bilangan tentera Abrahah itu amat besar malah lebih ramai lagi dari bilangan keseluruhan penduduk Mekah waktu itu. Malah mereka ada gajah-gajah yang besar – tapi mereka telah dimusnahkan. Mereka bukan dibunuh oleh penduduk Mekah pun – oleh itu penduduk Mekah itu boleh dikatakan menang tanpa angkat senjata pun. Ini menunjukkan yang Allah lah yang mempertahankan keamanan di Kota Mekah itu. Allah tidak perlukan sesiapa pun untuk membantuNya untuk menghancurkan tentera Abrahah itu. Itu semua adalah atas Qadr Allah taala.

Apabila digunakan kalimah كَيفَ (bagaimana), ianya lebih kuat lagi kalau digunakan kalimah ما (apa). Kerana kalau ditanya: apa yang Allah telah lakukan, maka jawapan kepada soalan itu pendek sahaja. Tapi apabila كَيفَ (bagaimana) digunakan, ada lebih banyak maklumat lagi yang akan dimasukkan untuk menjawapnya.

Surah ini adalah ancaman kepada mana-mana pemimpin kejam, penindas dan diktator yang hidup dalam mana-mana zaman pun. Kalau mereka mahu menindas orang dan merampas negara mereka atau menghancurkan negara orang lain, mereka kena ingat yang mereka tidak berkuasa penuh. Mungkin ada tentera yang ramai dan kekuatan teknologi ketenteraan yang tinggi, tapi tidak pasti lagi yang mereka akan menang. Dari zaman berzaman sudah begitu. Oleh itu, surah ini terpakai sepanjang masa, bukan untuk kita belajar sejarah yang telah lalu sahaja. Ini dikuatkan lagi dengan kalimah تَرَ (melihat) yang digunakan dalam ayat ini. Ianya adalah dalam bentuk present tense, dan apabila present yang digunakan, ia memberi isyarat bahawa ianya berterusan. Bukan hanya berlaku pada zaman dahulu sahaja, tapi ia boleh berlaku pada zaman sekarang dan masa hadapan. Ini adalah sebahagian dari ilmu balaghah.

Penggunaan kalimah تَرَ juga amat sesuai digunakan dalam ayat ini, kerana ia boleh digunakan untuk melihat sesuatu yang ada depan mata dan juga boleh digunakan untuk sesuatu yang kita ‘faham’. Sebagai contoh, ada orang yang jelaskan sesuatu perkara dan dengar sahaja, kita kata “baik, saya dah nampak dah sekarang”, walaupun kita tidak nampak dengan mata kita tapi dengan akal kita. Dan Rasulullah dan kita sendiri pun tidak dapat melihat peristiwa itu tapi kita dapat bayangkan dan kita dapat faham apakah yang terjadi. Dan kita boleh ambil pengajaran dari kisah itu.

Dan walaupun kalimah رَبُّكَ itu asalnya ditujukan kepada Rasulullah, tapi apabila Nabi Muhammad membacakan ayat ini kepada orang lain, ianya juga akan tertuju kepada mereka juga kerana kalimah رَبُّكَ (Tuhanmu) itu akan diulang-ulang kepada setiap pendengar.

Memang Ka’bah dihormati zaman berzaman sebelum kedatangan Tentera Abrahah pun. Tapi dengan kejadian yang menakjubkan ini, ianya telah menambah rasa hormat manusia kepada Ka’bah. Kerana apa yang terjadi itu menjadi tanda bahawa Allah sendiri menjaga kehormatan dan kesucian Ka’bah.

Oleh kerana itu, persoalan yang ditimbulkan kepada pendengar adalah: engkau sudah lihat bagaimana Allah bertindak terhadap mereka yang hendak merosakkan rumahNya, lalu kenapa kamu tidak mahu beriman dengan Allah? Orang kafir kena sedar yang kalau mereka menentang kehendak Allah, mereka akan dimusnahkan juga, sebagaimana Allah mampu untuk memusnahkan tentera bergajah itu, Allah tentu boleh memusnahkan mereka. Oleh itu, Musyrikin Mekah diingatkan dalam surah ini, kalau mereka berbangga Allah telah menjaga Ka’bah maka mereka kenalah beriman dengan Nabi Muhammad kerana baginda adalah RasulNya. Kalau Allah memelihara RumahNya, tidakkah kamu boleh agak yang Allah akan menjaga RasulNya?

Kalimah أَلَم (tidakkah?) adalah dalam bentuk soalan. Apakah kelebihan kalimah ini dalam bentuk soalan? Ianya memberi penekanan kepada sesuatu perkara. Kadang-kadang kita tanya, bukanlah hendak tahu, tapi kerana hendak menekankan. Sebagai contoh, kita tanya seseorang: “Bukan aku dah beritahu dulu?”. Kita bukan nak tanya tapi nak ingatkan dia balik bahawa kita dulu dah pernah tolong dia. Ianya mengingatkan kepada mereka tentang jasa kita kepada mereka. Jadi, bila Allah tanya dalam ayat ini, ianya kerana Allah hendak menekankan kejadian itu kepada pendengar Qur’an ini. Allah hendak mengingatkan kepada golongan musyrikin, mereka kenalah ingat kepada segala jasa yang Allah telah berikan mereka; dan kalau mereka degil dan tidak mahu juga untuk taat, mereka mungkin akan dikenakan dengan azab yang telah dikenakan kepada tentera Abrahah.

Kita kena ingat juga yang soalan ini untuk Nabi Muhammad juga. Kepada baginda, Allah hendak mengingatkan baginda bagaimana Allah telah menyelamatkan Ka’bah itu. Dan Allah hendak memberitahu baginda yang Allah juga akan memelihara baginda. Sebagaimana Allah telah menjaga Ka’bah, Allah juga akan menjaga baginda.

أَصحابِ الفيلِ – sahabat/tentera gajah.

الفيلِ bermaksud ‘gajah’ dan ianya dalam bentuk mufrad (satu). Kenapa Allah gunakan mufrad sedangkan telah disebut yang gajah di dalam tentera itu adalah antara 9 ke 13 ekor? Kenapa Allah tidak gunakan kalimah أفيال (jamak untuk gajah)?

1 – Kerana tentera itu dikenali dengan seekor gajah yang paling terkenal iaitu yang bernama Mahmood. Jadi apabila dikatakan الفيلِ itu, ia merujuk kepada Mahmood.

2 – الفيلِ walaupun dalam bentuk mufrad, tapi ia juga boleh merujuk kepada isim jama’ (satu perkataan merujuk kepada semua).

Oleh itu, أَصحابِ الفيلِ bermaksud mereka yang berkaitan dengan gajah. Kalimah أَصحابِ dari صحب yang bermaksud sahabat. Mereka tidak dikatakan sebagai ارباب الفيل (tuan gajah) atau املاك الفيل (pemilik gajah) sebaliknya Allah gelar mereka أَصحابِ الفيلِ (sahabat gajah). Kenapa begitu agaknya?

Kalimah أَصحابِ digunakan untuk mengaitkan seseorang dengan satu golongan. Apabila Allah mengaitkan mereka dengan gajah, itu adalah isyarat Allah menghina mereka kerana mengaitkan mereka dengan binatang. Binatang tidak mempunyai akal dan kefahaman. Selalunya kita dikatakan bersahabat dengan orang yang lebih tinggi dari kita. Sebab itu para sahabat Nabi digelar ‘sahabah’ kerana mereka dibawah Nabi dan dikaitkan dengan Nabi. Itu adalah satu penghormatan. Tapi bagaimana pula kalau dikaitkan dengan binatang seperti gajah, tidakkah itu menghinakan? Tentu sekali! Mereka ini seperti firman Allah dalam A’raf:179

لَهُم قُلوبٌ لا يَفقَهونَ بِها وَلَهُم أَعيُنٌ لا يُبصِرونَ بِها وَلَهُم آذانٌ لا يَسمَعونَ بِها ۚ أُولٰئِكَ كَالأَنعامِ بَل هُم أَضَلُّ

mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi.

Dan mereka memang lebih teruk dari gajah-gajah itu pun. Bukankah kita pernah dengar bagaimana gajah itu tidak mahu bergerak ke arah Ka’bah? Apabila dihadapkan wajahnya ke arah Mekah, dia tidak mahu bergerak kerana gajah itu sendiri taat kepada Allah tidak sanggup untuk memusnahkan Rumah Allah.

 

Sambungan Sejarah:

Apabila Abrahah sampai berdekatan Makkah, dia telah berjumpa dengan Abdul Mu’tallib (datuk Rasulullah), dan Abdul Mu’tallib telah cuba untuk berbincang dengan Abrahah. Beliau telah menawarkan tanah Tahamah, dan akan diberikan 1/3 dari pulangan hasil dari Tahamah itu. Tetapi Abrahah sombong tidak mahu menerima tawaran itu kerana sombong. Dia tidak mahu berdamai dan dia mahu menunjukkan kekuatan tenteranya. Akhirnya Abdul Mu’tallib cuma minta dikembalikan untanya sahaja kerana Abrahah telah merampas untanya yang berada di Mekah. Abdul Muttalib hanya minta, agar semua untanya yang telah dirampasnya dikembalikan kepadanya. Mendengar permintaan itu, Abrahah menjadi hairan dan berkata: “Kami datang untuk meruntuhkan Ka’bah, kenapa engkau hanya membicarakan tentang dua ratus ekor unta saja, sedangkan agama dan Ka’bah yang engkau puja itu engkau lupakan?” Abdul Muttalib menjawab: “Saya ini hanya tuannya unta-unta itu, adapun Ka’bah itu ada tuannya sendiri yang akan memeliharanya.”
“Kalau begitu engkau tidak akan menghalang saya?” tanya Abrahah pula. “Itu adalah urusan tuan dengan tuan Ka’bah itu sendiri,” jawab Abdul Muttalib pula.

Apabila tentera yang dihantar kalah di seberang, negara asalnya akan marah dan selalunya mereka akan menghantar tentera lagi untuk menyerang mereka yang membunuh tentera mereka, bukan? Akan tetapi, Abrahah tidak mati di Mekah. Beliau masih hidup lagi dan berjaya untuk pulang ke Yaman walaupun telah tercedera teruk. Mereka telah dihujani dengan Batu Sijjeel dan kulit Abrahah telah mengelupas dan kulitnya terbakar teruk dan dagingnya membusuk. Begitulah cara dia mati akhirnya. Jadi apabila dia pulang ke Yaman, rakyatnya melihat keadaannya dan tidak berani untuk balas dendam. Mereka takut kalau mereka sendiri jadi begitu. Begitu hebat sekali Allah rancang supaya mereka tidak datang lagi dah ke Mekah. Kalau Abrahah mati di Mekah, mungkin orang Yaman dan orang Habashah akan hantar lagi tentera untuk menyerang Mekah untuk balas dendam.

Kejadian ini juga adalah salah satu dari isyarat kemuliaan Nabi Muhammad SAW. Kerana ianya berlaku pada tahun kelahiran baginda. Kita pun tahu ada riwayat tentang irhas yang berlaku kepada Nabi. Irhas adalah perkara pelik yang berlaku kepada seorang Nabi sebelum baginda dilantik menjadi Nabi lagi. Sebagai contoh, ada riwayat bagaimana ada awan yang menaungi Nabi semasa baginda bermusafir dalam perniagaan.

Kalimah فَعَلَ bermaksud ‘telah melakukan’. Dalam bahasa Arab, ia mungkin membawa maksud:

1 – perbuatan.

2 – pergerakan

3 – sesuatu yang terjadi

Ia bermaksud sesuatu yang memang benar-benar terjadi. Kalimah عمل juga mungkin boleh digunakan tapi tidak digunakan dalam ayat ini. Kerana عمل adalah perbuatan yang dilakukan yang memerlukan usaha. Tapi apa sahaja perbuatan Allah amat mudah bagiNya dan tidak memerlukan usaha langsung.

Dalam ayat ini, Allah menggunakan kalimah رَبُّكَ (Tuhanmu). Dia tidak menggunakan NamaNya ‘Allah’. Nama Allah merujuk kepada Allah dengan segala Sifat-sifatNya. Tapi kalimah Rabb adalah salah satu dari Sifat Allah. Asal Rabb adalah ‘tuan’ dan apabila ada tuan, tentu ada hambanya. Allah gunakan kalimah Rabb dalam ayat ini untuk menekankan bahawa kita semua adalah hambaNya.

Dalam surah seterusnya nanti, Allah berfirman: فَليَعبُدوا رَبَّ هٰذَا البَيتِ (Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan Pemilik rumah ini (Ka’bah). Dalam ayat ini, Allah sekali lagi menggunakan kalimah ‘Rabb’. Allah mengatakan yang Dia adalah Tuhan kepada Ka’bah dan dalam Surah al-Feel ini Allah menggunakan kalimah رَبُّكَ dimana ك adalah dhomir kepada Nabi Muhammad SAW. Allah hendak memberi isyarat, kalau Dia Tuhan kepada Ka’bah, Dia telah menyelamatkan Ka’bah dan Dia juga Tuhan kepada Nabi Muhammad, maka pasti Dia akan menyelamatkan baginda juga. Allah memberitahu yang Dia berpihak kepada baginda dan Dia akan memusnahkan mereka yang menghalang baginda sebagaimana Dia telah memusnahkan Tentera Bergajah itu.

Ini menjadi isyarat yang bukti yang Nabi Muhammad SAW dan Islam akan berjaya dan baginda akan membersihkan Ka’bah dari berhala yang di sekelilingnya waktu itu.

Dengan menggunakan kalimah رَبُّكَ juga memberi isyarat yang Allah amat murka dengan mereka yang memuja dan bertawasul kepada selain dariNya. Allah mengingatkan mereka bahawa Dia adalah Tuhan dan alangkah teruknya Musyrikin Mekah itu kerana sanggup menyembah dan bertawasul kepada selainNya, dan berdekatan dengan rumahNya! Jadi kalimah Rabb ini digunakan untuk menyangkal fahaman syirik Musyrikin Mekah itu.

Kita pun sudah tahu bahawa Musyrikin Mekah itu telah mengamalkan syirik yang jauh dari Islam. Mereka itu dari segi akidah lebih teruk dari Abrahah yang datang menyerang mereka. Tapi Allah musnahkan tentera Abrahah dan menyelamatkan negeri mereka. Kenapa Allah tidak musnahkan juga Musyrikin Mekah itu? Ini adalah kerana Abrahah hendak memusnahkan Ka’bah maka Allah musnahkan mereka semasa dia dan tenteranya semasa di dunia lagi. Tapi Musyrikin Mekah yang tidak taat kepada Allah itu, Allah akan musnahkan mereka di akhirat kelak. Kerana Ka’bah itu adalah hak manusia – Allah bina Ka’bah itu sebagai syiar agama Islam dan Tauhid adalah hak Allah. Apabila mereka hendak memusnahkan hak manusia, Allah musnahkan mereka di dunia dan Musyrikin Mekah yang memusnahkan hak Allah itu, Allah akan musnahkan mereka di akhirat nanti.

Tentera Bergajah Abrahah itu telah dihancurkan di satu tempat yang bernama Wadi Muhassir. Mereka hendak menyerang Ka’bah tapi tak sempat nak sampai ke Ka’bah. Ianya terletak di antara Mina dan Muzdalifah dan umat Islam yang mengerjakan Haji akan melalui kawasan ini dan disunatkan untuk mempercepatkan perjalanan supaya tidak berada lama di kawasan ini. Ini adalah kerana azab telah pernah turun di kawasan ini dan tidak digalakkan berada lama, kalau terpaksa lalu. Kalau boleh, jangan lalu pun.

Wadi Muhassir
Wadi Muhassir
wahi-muhassir
Peta kedudukan Wadi Muhassir

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Surah al-Feel: Latarbelakang Surah al-Feel

Sebelum kita masuk ke dalam tafsir Surah ini ayat demi ayat, ada baiknya kita mengetahui latarbelakang sejarah Tanah Arab. Kerana dengan mengetahuinya, kita akan faham kenapakah Abrahah datang untuk memusnahkan Ka’bah.

Sejarah Arab Mekah dan Yaman: 

Sejarah lama menyebut bagaimana Kerajaan Saba’ menguasai ekonomi antara Eropah dan Asia dan tempat-tempat lain. Ini adalah kerana mereka ada pelabuhan yang maju yang memberikan mereka kekuatan, kekayaan dan kuasa politik yang besar pada waktu mereka di kemuncak tamadun mereka. Akan tetapi, telah berlaku satu banjir besar yang melanda mereka pada 450-451 SM yang menyebabkan tamadun mereka musnah. Jadi penduduk Yaman perlu mencari tempat baru untuk tinggal dan membina tamadun yang baru pula. Mereka telah merantau dan tinggal di tempat-tempat lain. Antara tempat yang mereka pergi adalah ke Yathrib (nama lama Madinah). Ini bermakna Suku ‘Aws and Khazraj asalnya adalah orang Yaman berpindah ke sana. Dan selain dari itu, ada orang dari Yaman yang bermastautin berdekatan dengan Telaga Zamzam selepas ianya dijumpan oleh Hajar dan Nabi Ismail a.s. Nabi Ismail telah membesar bersama mereka dan berkahwin dengan keturunan mereka.

Keturunan Nabi Ismail a.s. telah membiak di Hijaz. Ada seorang lelaki yang bernama Uthayb bin Kalaam/ digelar al Mujammi’ [lahir sekitar 400 SM] yang telah menggabung seluruh penduduk Hijaz dan menjadikan Makkah sebagai satu negeri. Dan akhirnya penduduk Makkah telah membesar. Beliau sendiri ada tiga anak. Yang paling terkenal diantara anak-anaknya itu adalah Abd al Manaf, dan Abd al Manaf ada 4 anak lelaki: Hashim, Mu’tallib, Abdul Shams and Nawfal.

Hashim lahir pada tahun 464 SM. Dan seperti kita telah sebut, itu adalah zaman selepas banjir besar yang melanda Yaman. Hashim telah nampak peluang untuk mereka mengambil alih kekuatan ekonomi yang dipegang oleh Yaman dulu. Jadi beliau telah mengadakan perhubungan ekonomi dengan negeri-negeri berhampiran. Beliau telah pergi ke Sham (Syria) to an Arab King of Ghassan. Beliau juga telah menghantar adik beradiknya untuk mengadakan perhubungan ekonomi dengan negara-negara lain juga. Ini telah menjadikan Makkah sebagai pusat ekonomi pula. Ini dapat dilakukan kerana Makkah berada di tengah-tengah antara negara-negara yang bertamadun waktu itu. Dan Makkah memang sudah terkenal kerana ada Ka’bah (Makkah sudah menjadi pusat agama pun waktu itu). Dan sekarang ia mula menjadi pusat ekonomi pula. Dan perkara ini telah disentuh di dalam Surah Quraysh tentang bagaimana mereka mengadakan perjalanan perniagaan ke tempat lain.

Hashim ada seorang anak bernama Abdul Mu’tallib (457 SM) – dan kita pun tahu yang salah seorang anaknya bernama Abdullah – bapa kepada Nabi Muhammad SAW.

Dalam masa yang sama, Kerajaan yang paling besar waktu itu adalah Kerajaan Rom. 300 tahun selepas Nabi Isa diangkat, Rom menguasai Rom, Asia Barat, Turki, Mesir, Habashah dan sebahagian dari Yaman. Pada satu waktu, Yaman telah memeluk agama Yahudi dan mereka telah menindas golongan Kristian di Yaman. Ada yang mengatakan inilah kisah yang disebut dalam Surah Burooj. Melihat penindasan yang dilakukan itu, Habashah telah menghantar tentera ke Yaman dan menaklukinya. Seorang raja yang beragama Kristian telah dilantik tapi selepas itu telah berlaku perebutan kuasa.

Abraha telah merampas kuasa dari Raja itu tapi beliau bijak kerana terus mengadakan hubungan rapat dengan Habashah. Beliau bijak dengan mengatakan bahawa tujuan beliau merampas kuasa adalah untuk kebaikan penduduk Yaman. Setelah mengambilalih kuasa, Abrahah mahu menguatkan semula kedudukan Yaman di mata dunia dan mengembalikan kekuatan dan kekayaan yang mereka miliki sebelum kejadian banjir itu. Beliau mengingatkan bagaimana mereka dulu hebat, tapi kerana banjir, mereka telah jadi lemah dan kekuatan ekonomi telah diambilalih oleh Quraish Makkah.

Antara usaha yang cuba dilakukan oleh Abrahah adalah membina satu bangunan hebat yang dinamakan al Qullays – dengan tujuan sebagai Pusat Agama Kristian, gereja. Ianya dibina dengan cantik dan Abrahah berharap supaya ianya lebih hebat lagi dari Ka’bah.

Keadaan Qullays sekarang
Keadaan Qullays sekarang

Tapi tentulah dia tidak berjaya. Kerana manusia bukan mudah untuk meninggalkan pegangan agama mereka. Abrahah berharap orang akan tinggalkan Ka’bah datang melawat Qullays, tapi tidak ada orang datang kerana orang masih lagi memandang Ka’bah sebagai suci.

Oleh kerana tidak puas hati, Abrahah telah menghantar surat ke Habashah mencadangkan supaya Kaabah dihancurkan. Bangsa Arab telah mengetahui niat Abrahah itu dan mereka telah pergi ke Qullays, bukan untuk melawat tapi nak menghina Qullays itu. Sampaikan ada orang Makkah yang telah buang air di Qullays untuk menghinanya. Ini telah menyebabkan Abrahah sangat marah dan ini telah memberi peluang kepadanya untuk betul-betul menyerang Ka’bah. Sekarang dia dah ada alasan kukuh. Jadi kita kena faham sejarah ini kerana kalau kita tidak faham perkara ini, kita sangka yang dia serang sebab agama, tapi sebenarnya sebab ekonomi asalnya.

Dia telah bertolak ke Makkah dengan tenteranya yang seramai antara 12,000 – 60,000  (tidak ada riwayat sahih dengan tepat berapakah bilangan tenteranya). Beliau pergi dengan tentera dari Yaman dan dari Habashah. Dan mereka pergi untuk menyerang Tanah Arab yang tidak mempunyai kekuatan tentera. Di dalam tenteranya itu adalah antara 9 – 13 ekor gajaj. Gajah yang paling besar bernama Mahmood.

Dalam perjalanan mereka ke Mekah, mereka telah melalui Ta’if – Ta’if telah berunding dengan Abrahah untuk membantu tenteranya itu supaya mereka tidak diserang. Kenapa pula Taif sanggup membantu tentera Abrahah sedangkan mereka tahu yang Abrahah dalam perjalanan menyerang Ka’bah yang suci itu? Ini adalah kerana berhala mereka yang utama adalah Laat dan ianya berada di Taif. Ini berlainan dengan penduduk Tanah Arab yang lain yang meletak berhala mereka di Mekah (Ka’bah). Jadi Taif tidak takut kalau Ka’bah diserang kerana berhala mereka tidak akan dimusnahkan. Tidak ada suku lain yang membantu tentera Abrahah kerana mereka ada berhala mereka berdekatan Ka’bah.

Seorang lelaki yang bernama Abu Righal dari Taif itu telah diarahkan untuk membantu menjadi penunjuk arah kepada tentera Abrahah untuk sampai ke Mekah. Mereka perlukan penunjuk arah kerana jalan ke Mekah payah untuk dilalui oleh mereka yang tidak biasa. Akan tetapi, Abu Righal telah mati di tengah perjalanan. Kuburnya menjadi tempat yang dikutuk kerana mereka melihat beliau sebagai pembelot dan orang Arab meludah kuburnya itu.

Tentera Abrahah sampai ke Mekah dalam bulan Muharram Tahun Gajah itu. Kisah selanjutnya kita akan sebut dalam perbahasan Surah Feel nanti.

Sekian. Allahu a’lam. Sambung ke ayat 1 Surah al-Feel.


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Tafsir Surah al-Feel. Pengenalan kepada 10 surah terakhir

Pengenalan:

Kita sudah masuk ke dalam tafsir 10 surah-surah terakhir dalam Qur’an. Adalah baik kalau kita memberikan penerangan ringkas tentang surah-surah ini kerana ianya adalah bersangkutan antara satu sama lain. Seperti yang kita pernah sebut sebelum ini, Surah Humazah adalah surah terakhir yang memperkatakan tentang neraka dan 10 surah terakhir adalah tentang perkara lain pula. Ianya banyak berkaitan dengan Rasulullah dan surah-surah ini kena diketahui asbabun nuzulnya untuk memahami ayat-ayatnya. Ini adalah kerana surah-surah ini ada kaitan sejarah yang berkaitan rapat dengan Nabi Muhammad.

Dalam kita memberi nasihat kepada manusia, kadang-kadang kalau kita hanya nasihat sahaja dengan cara umum, tanpa menyebut nama mereka, mereka mungkin rasa yang kita bukan memperkatakan tentang mereka. Mereka akan rasa mereka tidak perlu mengubah diri mereka. Begitu jugalah dengan golongan Quraish yang menerima Qur’an ini pertama-tama kali. Banyak ayat-ayat telah diberikan kepada mereka, tapi mereka tidak terasa bahawa ayat-ayat itu ditujukan kepada mereka. Maka dalam surah-surah selepas ini, banyak ayat-ayat itu berkenaan dengan mereka sendiri, tepat berkenaan kisah mereka dan perangai mereka. Mereka tidak sedar bahawa ancaman-ancaman yang diberikan sebelum ini tentang neraka dan sebagainya adalah tentang mereka kerana perangai mereka begitu. Mereka menentang dakwah wahyu bertalu-talu. Kita pula sebagai umat yang terkemudian, kenalah lihat samada kita sama perangai dengan mereka atau tidak. Kerana kalau sama, maka kita pun akan mengalami nasib yang sama dengan mereka.

Surah al-Humazah adalah surah yang terakhir yang memperkatakan tentang neraka. Dan banyak lagi surah-surah lain yang Allah berikan sebagai ancaman di akhirat (Takhwif Ukhrawi). Kadang-kadang manusia nampak akhirat itu jauh sahaja, atau mereka tidak benar-benar percaya adanya hari akhirat itu – sebagaimana Musyrikin Mekah yang tidak mempercayai adanya Hari Kiamat dan Kebangkitan Semula. Maka dalam surah-surah selepas ini, ada Allah sebut tentang azab di dunia, dimulai dengan Surah al-Feel tentang azab yang dikenakan kepada Tentera Bergajah Abrahah.

Peristiwa bersejarah itu berlaku di Mekah yang asalnya dikenali sebagai Bakkah. Pengasas Kota Mekah ini adalah Nabi Ibrahim a.s. Baginda telah berdoa kepada Allah dan kerana doa baginda itulah, Allah telah menjadikan Kota Mekah itu. Doa baginda itu disebut dalam Surah Baqarah dan Surah Ibrahim. Kita kena tahu doa Nabi Ibrahim itu untuk faham apakah yang terjadi dalam 10 surah ini.

وَإِذ قالَ إِبراهيمُ رَبِّ اجعَل هٰذا بَلَدًا آمِنًا وَارزُق أَهلَهُ مِنَ الثَّمَراتِ مَن آمَنَ مِنهُم بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ ۖ قالَ وَمَن كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ قَليلًا ثُمَّ أَضطَرُّهُ إِلىٰ عَذابِ النّارِ ۖ وَبِئسَ المَصيرُ

Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berdoa: “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari buah-buahan kepada penduduknya yang beriman diantara mereka kepada Allah dan hari kemudian. Allah berfirman: “Dan kepada orang yang kafirpun Aku beri kesenangan sementara, kemudian Aku paksa ia menjalani seksa neraka dan itulah seburuk-buruk tempat kembali”. [Baqarah:126]

Lihatlah dalam doa Nabi Ibrahim a.s. itu. Baginda meminta:

  1.  اجعَل هٰذا بَلَدًا آمِنًا – ini adalah keamanan
  2. وَارزُق أَهلَهُ مِنَ الثَّمَراتِ – ini pula adalah kemakmuran

Kepentingan ‘Keamanan’ dan ‘Kemakmuran’.

Mengikut kajian sains politik, masyarakat memerlukan dua perkara untuk kekal  – kena aman dan makmur. Kedua-duanya kena ada. Sebagai contoh, kalau satu negara itu makmur – ada rumah, perniagaan, kekayaan dan sebagainya – tapi ia tidak aman, negara itu tidak akan kekal. Manusia akan meninggalkan negara itu dan cari tempat lain. Dan kalau tempat itu aman damai, tidak ada pembunuhan beramai-ramai, tapi tidak ada kemakmuran – perniagaan tidak dapat dijalankan, tidak ada sumber asli, tidak ada harta dan sebagainya, pun negara itu tidak akan kekal kerana manusia memerlukan semua itu untuk hidup. Dari sinilah kita boleh nampak kebijaksanaan Nabi Ibrahim a.s. kerana baginda tahu kepentingan dua perkara ini dan kerana itu baginda minta dua perkara ini kepada Allah Taala.

Tapi baginda juga punya rasa tanggungjawab yang tinggi. Baginda telah dilantik menjadi Imam atas manusia. Dan baginda tahu yang baginda akan ditanya tentang keturunan baginda nanti. Maka baginda mahu negeri yang aman itu dihuni dan dimanfaati oleh mereka yang beriman sahaja. Kerana itu doa baginda ada syarat yang baginda letakkan:

مَن آمَنَ مِنهُم بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ

kepada penduduknya yang beriman diantara mereka kepada Allah dan hari kemudian.

Akan tetapi, Allah jawap dalam ayat itu juga:

 قالَ وَمَن كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ قَليلًا ثُمَّ أَضطَرُّهُ إِلىٰ عَذابِ النّارِ

Allah berfirman: “Dan kepada orang yang kafirpun Aku beri kesenangan sementara, kemudian Aku paksa ia menjalani seksa neraka

Jadi, dari doa baginda itu, maka Allah makmurkan dan amankan negeri Mekah itu dan menempatkan banyak kebaikan di dalamnya. Dan memang terbukti, Allah beri juga keamanan dan kemakmuran kepada mereka yang melakukan syirik dan dosa juga, walaupun mereka itu keturunan Nabi Ibrahim, walaupun mereka itu duduk tinggal di Mekah. Sekian penerangan ringkas tentang Mekah dan penduduknya. Sekarang kita sambung dengan penerangan ringkas tentang 10 surah terakhir dalam Qur’an dan kaitan antara surah-surah itu.

 

Surah Feel [105].

Kita akan belajar bagaimana datangnya Tentera Bergajah ke Mekah. Orang Arab jarang / tidak pernah melihat gajah, apatah lagi dalam pasukan tentera, jadi ini adalah satu kejadian yang besar untuk mereka. Ianya satu peristiwa yang amat bersejarah sampaikan orang Arab menggelar tahun itu dengan nama: Tahun Gajah. Selama hari itu Mekah adalah negeri yang aman, tapi sekarang sudah sampai tentera yang besar sekali. Keamanan Mekah sedang diganggu gugat. Oleh itu, ada ketakutan dalam diri mereka dengan kedatangan tentera Abrahah itu. Sampaikan semua mereka naik lari ke bukit kecuali beberapa orang sahaja pemimpin yang pergi berunding dengan Abrahah. Kedatangan Abrahah itu adalah untuk memusnahkan Ka’bah di Mekah.

Walaupun keamanan Mekah digugat, tapi Allah tetap memakbulkan doa Nabi Ibrahim a.s. Allah telah meneruskan keamanan Mekah dengan memusnahkan tentera bergajah Abrahah itu. Ini adalah bahagian pertama dari doa Nabi Ibrahim – keamanan. tapi bagaimana dengan permintaan kedua – kemakmuran? Itu dalam surah seterusnya.

 

Surah Quraysh [106]

Seperti yang telah disebut, Nabi Ibrahim a.s. bukan sahaja berdoa supaya Mekah itu aman, tapi supaya ia juga makmur. Dalam Surah Quraish, Allah telah mengingatkan penduduk Mekah bagaimana Dia telah memberikan mereka dengan nikmat makanan dan mereka dapat berniaga ke tempat lain dan menjadikan negeri mereka makmur hasil dari perniagaan itu.

Perjalanan perniagaan itu penting kerana waktu itu, tidak ada puak lain yang boleh berdagang dengan selamat ke tempat lain kerana mereka akan disamun dan diserang oleh perompak. Tapi penghuni dari Mekah selamat sahaja kerana orang Arab lain tidak berani menyerang Orang Mekah. Ini adalah kerana mereka dilihat sebagai mulia kerana mereka menjaga Ka’bah yang dipandang tinggi oleh semua masyarakat Arab. Mereka rasa kalau mereka serang penduduk Mekah itu, mereka akan mendapat bala.

Dan semua masyarakat Arab tempat lain pun mereka ada berhala dan mereka akan letak berhala mereka di Ka’bah (waktu itu Ka’bah adalah pusat berhala). Mereka akan melawat berhala-berhala mereka di musim Haji. Oleh itu, mereka tidak berani nak ganggu penduduk Mekah kerana mereka takut berhala mereka akan diapa-apakan nanti oleh orang Mekah kalau mereka berbuat onar kepada penduduk Mekah. Oleh kerana itu, penduduk Mekah bebas untuk berniaga ke merata tempat dan kerana itu negeri mereka jadi makmur. Maka termakbullah doa kedua Nabi Ibrahim a.s.

Oleh itu, mereka disuruh untuk meneruskan legasi tauhid Nabi Ibrahim a.s. فَليَعبُدوا رَبَّ هٰذَا البَيتِ (Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan Pemilik rumah ini (Ka’bah) – janganlah sembah ilah-ilah yang lain. Ini memang patut sekali kerana Allah telah berikan nikmat keamanan dan kemakmuran kepada mereka – الَّذي أَطعَمَهُم مِن جوعٍ وَآمَنَهُم مِن خَوفٍ (Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan.) Itulah dua perkara yang Nabi Ibrahim doa, bukan?

Akan tetapi, adakah mereka layak untuk mendapat manfaat dari doa Nabi Ibrahim a.s. itu? Tentu tidak kerana mereka tidak mengamalkan tauhid seperti yang baginda amalkan. Mereka juga tidak percaya kepada Hari Kiamat dan Hari Akhirat. Mereka memang tidak layak. Perangai mereka teruk seperti yang Allah sebutkan dalam surah seterusnya:

 

Surah Ma’un [107]

Surah ini menunjukkan mereka memang tidak layak mendapat segala nikmat yang Allah berikan kepada mereka itu. Allah sebut tentang perangai mereka yang teruk dalam surah ini. Mereka itu nak tolong orang sikit pun tak mahu.

Padahal mereka itu duduk dekat dengan Ka’bah, tempat yang mulia. Ianya telah dibangunkan oleh datuk mereka Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s.

وَإِذ يَرفَعُ إِبراهيمُ القَواعِدَ مِنَ البَيتِ وَإِسماعيلُ

Dan (ingatlah), ketika Ibrahim meninggikan (membina) dasar-dasar Baitullah bersama Ismail [Baqarah:127]

Setelah membina Ka’bah itu, Nabi Ibrahim telah berdoa:

رَبَّنا وَابعَث فيهِم رَسولًا مِنهُم يَتلو عَلَيهِم آياتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ الكِتابَ وَالحِكمَةَ وَيُزَكّيهِم

Ya Tuhan kami, utuslah untuk mereka sesorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab (Al Quran) dan Al-Hikmah (As-Sunnah) serta mensucikan mereka. [Baqarah:129)

Allah memberi isyarat dalam ayat ini bahawa yang layak menguasai Mekah adalah Rasulullah yang taat kepada Allah, bukannya Quraish waktu itu kerana mereka memang tidak layak seperti yang telah disebut dalam Surah Maun. Dan kerana Rasulullah adalah yang layak, maka baginda telah diberikan dengan banyak kelebihan seperti yang Allah sebut dalam surah seterusnya, Surah al-Kauthar.

 

Surah al Kawthar [108]

Allah memberitahu bahawa telah diberikan banyak kelebihan dan nikmat kepada Nabi Muhammad SAW. Selepas itu Allah sebut dua perkara:

  1. فَصَلِّ – maka solatlah. Ini adalah tanda pertama syukur kepada Allah atas segala nikmat.
  2. وَانحَر – dan berkorbanlah.

Solat dan korban adalah dua sunnah dari Nabi Ibrahim a.s. Kenang kembali kisah bagaimana Nabi Ibrahim a.s. diperintah oleh Allah untuk menyembelih Nabi Ismail a.s.

Tapi Quraish tidak melakukan lagi apa yang Nabi Ibrahim bawa. Mereka bukan lagi dari kalangan keluarga Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dah, malah  mereka sudah jadi musuh pula. Apabila Nabi Muhammad mengembalikan dakwah tauhid yang dibawa oleh Nabi Ibrahim, sudah ada permusuhan dan pertentangan antara yang beriman dan yang kufur. Sekarang sudah jelas siapakah yang layak menjaga kesucian Kota Mekah dan Ka’bah. Mereka dari bapa yang sama, tapi tidak satu keluarga lagi dah. Mereka sudah berbeza pegangan, sedangkan zaman itu kabilah adalah persatuan yang paling kuat sekali. Tapi Islam melebihi segalanya. Kerana itu Nabi disuruh untuk jauhkan dari mereka. Nabi tidak disuruh memanggil mereka ‘kaumku’, tapi panggil mereka ‘wahai orang-orang kafir’. Ini kita akan lihat dalam surah seterusnya nanti.

Apa yang Nabi Muhammad lakukan itu pun adalah sunnah dari Nabi Ibrahim juga seperti yang Allah firmankan dalam ayat:

قَد كانَت لَكُم أُسوَةٌ حَسَنَةٌ في إِبراهيمَ وَالَّذينَ مَعَهُ إِذ قالوا لِقَومِهِم إِنّا بُرَآءُ مِنكُم وَمِمّا تَعبُدونَ مِن دونِ اللَّهِ كَفَرنا بِكُم وَبَدا بَينَنا وَبَينَكُمُ العَداوَةُ وَالبَغضاءُ أَبَدًا حَتّىٰ تُؤمِنوا بِاللَّهِ وَحدَهُ

Sesungguhnya telah ada suri tauladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia; ketika mereka berkata kepada kaum mereka: “Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu daripada apa yang kamu sembah selain Allah, kami ingkari (kekafiran)mu dan telah nyata antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sampai kamu beriman kepada Allah saja. [Mumtahinah:4]

 

Surah Kafiroon [109]

Dalam budaya Arab, kewargaaan dalam sesuatu qabilah adalah amat penting pada seorang Arab. Itulah identiti mereka, keluarga dan kenalan rapat mereka. Mereka bergantung kepada qabilah mereka untuk membantu dan menyelamatkan mereka apabila perlu. Tapi Allah menyuruh Nabi Muhammad meninggalkan kewargaan baginda dengan Qabilah Quraish apabila Allah menurunkan wahyu dalam surah Kafiroon ini.

Apabila Nabi Muhammad melafazkan kalimah يا أَيُّهَا الكافِرونَ dan bukannya ‘wahai kaumku’, itu adalah pernyataan pemutusan hubungan antara baginda dan mereka. Sekarang Nabi telah mengisytiharkan permusuhan dengan mereka kerana mereka adalah orang kafir dan baginda tidak akan bersama dengan mereka kalau mereka tetap kufur. Tapi bagaimanakah nasib baginda bila sudah isytihar perang dengan mereka? Allah beri berita gembira dalam surah seterusnya.

 

Surah Nasr [110]

Allah memberikan berita baik dalam surah ini yang baginda akan mencapai kejayaan. Ini adalah tentang kejayaan besar bagi Islam kerana surah ini menceritakan tentang kejayaan agama Islam atas agama kufur. Maknanya, Allah berjanji yang agama Islam akan tertegak di bumi ini. Maka ini adalah berita yang amat besar bagi umat Islam.

Kerana berita ini disampaikan di Mekah, tidak seperti keadaan waktu itu, sampaikan susah untuk diterima. Manakan tidak, Islam sedang lemah dan ditindas waktu itu. Memang tidak nampak bagaimana cara Islam akan menang. Maka sebelum diberikan dengan janji besar itu, Allah berikan tanda-tanda kecil dahulu. Ini sebagai isyarat. Sebagai contoh, kalau kita sudah nampak langit mendung dan air hujan sudah mula turun, kita dah boleh agak yang hujan lebat akan turun.

Apakah ‘tanda kecil’ itu?

 

Surah Lahab [111]

Apakah masalah besar Rasulullah sewaktu di Mekah? Antara musuh besar baginda adalah Abu Lahab yang sentiasa sahaja mengganggu dakwah baginda dan cuba menjatuhkan kedudukan baginda. Jadi Allah beritahu dalam surahi ni yang Dia akan memusnahkan musuh baginda ini, sebagai isyarat kemenangan besar nanti. Allah bukan sahaja akan musnahkan Abu Lahab, tapi dengan isterinya sekali.

Kadang-kadang apabila kita berperang atau bergaduh dengan orang lain, kadang-kadang apabila lama sangat, kita terlupa sebab apa mula berperang ada asalnya. Maka Allah ingatkan dalam surah seterusnya, apakah punca perbezaan dan perbalahan itu asalnya.

 

Surah al Ikhlas [112]

Konflik antara golongan beriman itu memang telah lama dan akan berterusan. Jadi Allah ingatkan balik kenapa pertembungan itu terjadi. Ianya adalah pertembungan antara iman dan kufur sebenarnya, bukan sebab lain. Kita berpegang kepada ajaran Nabi Ibrahim a.s. yang berpaksi kepada tauhid, bergantung kepada Allah sahaja, sembah Allah sahaja, doa kepada Allah sahaja. Jadi surah ini mengingatkan kita tentang tauhid dan kepentingannya.

 

Surah Falaq [113]

Ajaran tauhid bukan pertama kali diberikan kepada Nabi Muhamad SAW. Nabi-Nabi dulu pun mengajar tauhid kepada umat mereka. Tapi lama kelamaan, ada gangguan dari yang menjauhkan kita dari ajaran yang benar. Gangguan itu ada yang dari dalam dan ada yang dari luar. Zaman berzaman tetap ada gangguan itu.

Allah bukan sahaja memberi kita ajaran tauhid, tapi Allah juga memberi kepada kita, dua penjaga tauhid itu – satu untuk gangguan luaran dan satu lagi dari gangguan dalaman. Allah memberikan Surah al-Falaq untuk menjaga kejahatan dari luaran.

 

Surah al-Naas [114]

Dan kemudian Allah memberi kita Surah an-Naas untuk menjaga diri kita dari kejahatan dalaman.

Semua surah ini berkait rapat dengan Nabi Ibrahim a.s, yang legasinya diteruskan oleh Nabi Muhammad SAW untuk meneruskan ajaran itu dengan cara yang cantik.

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke perbahasan seterusnya.


Rujukan:

Nouman Ali Khan