Tafsir Surah Maryam Ayat 52 – 58 (Menangis semasa baca Qur’an)

Ayat 52:

وَنادَيناهُ مِن جانِبِ الطّورِ الأَيمَنِ وَقَرَّبناهُ نَجِيًّا

Sahih International

And We called him from the side of the mount at [his] right and brought him near, confiding [to him].

Malay

Dan Kami telah menyerunya dari arah sebelah kanan Gunung Tursina, dan Kami dampingkan dia dengan diberi penghormatan berkata dengan Kami.

وَنَادَيْنَاهُ

Dan Kami telah menyerunya

Kejadian yang dimaksudkan ini adalah ketika Nabi Musa telah sesat mencari api di Bukit Thur. Ada disebut di awal Surah Taha tentang kisah ini. Allah telah memanggilnya dan telah berdialog dengan Nabi Musa buat pertama kali.

Perkataan نداء digunakan dalam ayat ini kerana kita telah belajar sebelum ni bahawa maknanya: bercakap dengan seseorang yang kita tak nampak. Nabi Musa memang berkata-kata secara terus dengan Allah, tapi baginda tidak nampak Allah. Nabi Musa memang ada minta untuk melihat Allah tapi tidak boleh. Ini telah disebut dalam ayat A’raf:143 قَالَ رَبِّ أَرِنِي أَنظُرْ إِلَيْكَ قَالَ لَن تَرَانِي.

مِن جَانِبِ الطُّورِ الْأَيْمَنِ

dari arah sebelah kanan Gunung Tursina,

Ini mungkin mengambil maksud isyarat sahaja. Bukan mengambil maksud yang literal sebelah ‘kanan’. Ia mungkin bermaksud ‘baik’. Kita pun selalu menggunakan ‘kanan’ untuk perkara yang baik, seperti ‘puak kanan’ dan sebagainya. Maka ayat ini hendak mengatakan bahawa tempat itu diberkati.

Apabila sesuatu itu diberkati, kenalah ada dalil dalam agama. Sama ada Allah beritahu atau Nabi beritahu kepada kita. Kita sebagai manusia, tidak tahu apakah yang diberkati kerana ianya adalah perkara ghaib. Jangan kita pandai-pandai kata sesuatu itu berkat atau tidak.

Sebagai contoh masyarakat kita, kalau ada yang baru balik dari Mekah, kita akan kata kepada mereka: “Nak salam sekejap, nak ambil berkat”. Itu adalah rekaan semata-mata. Tidak ada dalil mereka yang balik dari Mekah bawa balik berkat itu dengan mereka dan boleh beri kepada kita pula. Kalau kita nak dapat berkat, kita sendiri kena pergi ke Mekah kerana Mekah memang tempat yang diberkati.

وَقَرَّبْنَاهُ نَجِيًّا

dan Kami dampingkan dia dengan dekat.

Nabi Musa telah diberi penghormatan berkata-kata dengan Allah. Ini adalah satu kelebihan kepada Nabi Musa yang tidak diberikan kepada Nabi-Nabi yang lain.

Kalimah نَجِيًّا ini seperti yang kita faham sebagai ‘munajat’. Iaitu berkata-kata dengan rahsia bersama seseorang yang amat dekat sekali. Bercakap dengan rapat sekali. Jadi kalimah munajat dalam ayat ini bermaksud mendekatkan diri dengan Allah dan mengadu kepadaNya.


Ayat 53:

وَوَهَبنا لَهُ مِن رَحمَتِنا أَخاهُ هارونَ نَبِيًّا

Sahih International

And We gave him out of Our mercy his brother Aaron as a prophet.

Malay

Dan Kami kurniakan kepadanya dari rahmat Kami, saudaranya: Harun, yang juga berpangkat Nabi.

وَوَهَبْنَا لَهُ

Dan Kami kurniakan kepadanya

Perkataan هَبْ digunakan apabila ianya melibatkan satu pemberian besar. Selalunya digunakan dalam Qur’an apabila menceritakan tentang pemberian anak.

Anak adalah satu pemberian yang amat besar. Mereka yang sudah ada anak akan dapat memahami apakah yang dimaksudkan. Dan apa yang diberikan kepada Nabi Musa dalam ayat ini adalah juga satu pemberian yang besar. Apakah pemberian itu? Akan disebutkan selepas ini.

مِن رَّحْمَتِنَا

dari rahmat Kami,

Ianya adalah satu yang pemberian besar dan kerana itu disebut sebagai rahmat dari Allah. Allah hendak mengingatkan kita bahawa pemberian itu adalah dari Allah. Bukan hanya pemberian kepada Nabi Musa sahaja yang dari rahmat Allah, tapi apa-apa pemberian pun kepada kita. Semua yang kita dapat adalah rahmat dari Allah.

Apabila ada perkataan مِن, ianya bermakna ‘sebahagian’. Walaupun besar pemberian Allah itu kepada Nabi Musa, tapi tidak sampai setitik pun dari keseluruhan rahmat Allah yang amat amat luas.

Apakah pemberian itu sampai digunakan kata هب dan dikatakan ianya rahmat dari Allah?

أَخَاهُ هَارُونَ نَبِيًّا

saudaranya: Harun, yang juga berpangkat Nabi.

Nabi Musa telah berdoa kepada Allah untuk menjadikan saudaranya Harun sebagai Nabi dan Allah telah perkenankan doa Nabi Musa itu.

Ada beberapa perkara yang Nabi Musa minta kepada Allah. Antaranya adalah diminta supaya abangnya Harun dijadikan juga Nabi supaya dapat menyokongnya dalam dakwah terutama sekali dengan Firaun. Kisah ini disebut dalam surah seterusnya, Surah Taha dengan panjang lebar. Kisah Nabi Musa meminta supaya dilantik Nabi Harun menjadi Nabi ada disebut ayat ke Taha:29.

Bermakna Allah telah memperkenankan doa Nabi Musa. Nabi Muhammad pernah bersabda yang bermaksud doa umatnya seperti doa Nabi Bani Israil. Bermaksud doa-doa kita akan dimakbulkan oleh Allah. Cuma pemberian Allah itu berbagai cara – ada yang diberikan seperti apa yang diminta, ada yang ditukar kepada perkara yang lebih baik dan ada yang diberikan di akhirat kelak. Ini menunjukkan kehebatan doa. Maka jangan kita sia-siakan kebesaran yang Allah telah berikan kepada kita itu.

Dalam ayat ini dikatakan bahawa Nabi Harun adalah seorang Nabi. Ini menolak pendapat yang mengatakan Nabi Harun bukan seorang Nabi.


Ayat 54: Sebelum ini tentang Nabi-nabi dari Bani Israil, sekarang Nabi dari jalur yang lain.

وَاذكُر فِي الكِتابِ إِسماعيلَ ۚ إِنَّهُ كانَ صادِقَ الوَعدِ وَكانَ رَسولًا نَبِيًّا

Sahih International

And mention in the Book, Ishmael. Indeed, he was true to his promise, and he was a messenger and a prophet.

Malay

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Qur’an) ini perihal Nabi Ismail; sesungguhnya ia adalah benar menepati janji dan adalah ia seorang Rasul, lagi berpangkat Nabi.

وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ إِسْمَاعِيلَ

Dan bacakanlah di dalam Kitab (Al-Qur’an) ini perihal Nabi Ismail;

Allah menyuruh Nabi dan kita juga untuk memerhatikan kisah Nabi Ismail yang ada dalam Qur’an ini. Bukan diambil dari karangan-karangan mengarut selain dari Qur’an dan hadis.

Begitu juga kita hendaklah menyampaikan juga kisah Nabi Ismail ini kepada orang lain juga. Kita telah pernah sebut bahawa اذْكُرْ ada dua maksud: ingat dan sampaikan.

Sebelum ini tidak disebut Nabi Ismail apabila Qur’an memperkatakan tentang anak dan cucu Nabi Ibrahim dalam ayat 49. Bukanlah kerana Nabi Ismail kurang status atau rendah dari Nabi Ishak. Ada di tempat lain dalam Qur’an hanya disebut Nabi Ismail tanpa Nabi Ishak.

Kita kena faham yang Qur’an memperkatakan sesuatu perkara mengikut kepada keperluan. Dalam ayat 49, perlu disebut Nabi Ishak dan di tempat lain perlu disebut nama Nabi Ismail. Ini kerana Qur’an adalah kata-kata Allah yang tepat. Kalau ianya tidak diperlukan, Allah tidak akan sebut dalam Qur’an.

إِنَّهُ كَانَ صَادِقَ الْوَعْدِ

sesungguhnya dia adalah yang benar dan sentiasa menepati janji

Maksud ayat ini adalah Nabi Ismail sentiasa menepati janjinya. Tidak pernah dia bernazar untuk melakukan sesuatu ibadat melainkan dia akan menunaikannya. Pernah sekali, dia berjanji untuk berjumpa dengan seorang lelaki di satu tempat. Nabi Ismail telah pergi ke tempat itu seperti yang dijanjikan tapi lelaki itu terlupa untuk datang. Nabi Ismail tetap menunggu sampai lelaki itu datang esok harinya.

Dan memang itu adalah normal untuk para Nabi menepati janji mereka. Tiada bezanya Nabi Ismail dengan Nabi-Nabi lain dalam hal itu. Tapi apabila ada ال dalam perkataan الْوَعْدِ (janji), itu bermaksud ianya adalah satu janji yang spesifik. Apakah janji yang dimaksudkan?

Janji yang dimaksudkan adalah kisah bagaimana Nabi Ibrahim telah mendapat mimpi menyembelih anaknya Nabi Ismail. Kisah ini disebut dalam Saffat:102, 103. Apabila diberitahu kepada Nabi Ismail, baginda sanggup terima. Dan apabila sampai masa untuk menyembelih baginda, baginda datang menepati janjinya. Bukanlah baginda hanya cakap sahaja tapi kemudian melarikan diri. Itulah janji yang dimaksudkan dalam ayat ini.

Ini memberi pengajaran kepada kita untuk menepati janji juga. Nabi pernah bersabda:

“Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga. Jika bicara dia dusta, jika berjanji dia menyalahi dan jika diberi amanah dia khianat.”

Dalam Sunan Abi Dawud, ada diriwayatkan kisah Nabi Muhammad. Seorang sahabat bernama Abil Hamsa berkata:

“Aku berbai’at kepada Rasulullah sebelum beliau diutus menjadi Nabi. Di kemudian hari, aku berjanji bertemu dengannya di suatu tempat. Akan tetapi pada hari itu aku lupa, begitu juga hari keduanya. Maka pada hari ketiga, aku menemui beliau dan aku melihat beliau tetap berada di tempat tersebut. Beliau bersabda kepadaku: “Hai anak muda, engkau menyebabkan aku rindu. Aku menunggumu di sini sejak tiga hari.”

وَكَانَ رَسُولًا نَّبِيًّا

dan adalah dia seorang Rasul, lagi berpangkat Nabi.

‘Rasul’ digunakan dalam ayat ini kerana dialah asas kepada bangsa Arab. Bagindalah yang telah meletakkan dasar dan hukum perjalanan bangsa Arab. Kalau kita mengambil definisi ‘Rasul’ sebagai seorang Nabi yang membawa syariat baru kepada kaumnya. Jadi itulah yang dibawa oleh Nabi Ismail kepada bangsa Arab. Dari keturunannya lahir Nabi Muhammad.

Baginda juga seorang Nabi. Ada mufassir mengatakan ini menunjukkan kemuliaan Ismail dibandingkan saudaranya Ishaq. Kerana Allah mensifati Ishaq hanya dengan kenabian sedangkan Ismail disifatiNya dengan kenabian dan kerasulan.


Ayat 55: Ini adalah sambungan kisah Nabi Ismail a.s. Apakah yang hendak disampaikan oleh ayat ini? Semasa kita membaca ayat ini, kita perlu ingat bahawa dia adalah seorang pemimpin besar. Dia telah meletakkan asas pembentukan negara Arab.

Tentunya sebagai seorang pemimpin, baginda sibuk dengan tugas-tugas kenegaraan. Sebagai Rasul pula, tentunya baginda sibuk dengan tugas-tugas dakwah. Tapi begitu pun, baginda tidak melupakan tanggungjawab mengajar dan memberi peringatan agama kepada anak isterinya.

Dia mengajar masyarakat yang dipimpinnya dari teladan yang ditunjukkan sendiri bagaimana baginda berurusan dengan keluarganya. Maka elok sangat kalau kita mempelajari kisahnya di sini dan melihat apakah pengajaran yang kita boleh ambil. .

وَكانَ يَأمُرُ أَهلَهُ بِالصَّلاةِ وَالزَّكاةِ وَكانَ عِندَ رَبِّهِ مَرضِيًّا

Sahih International

And he used to enjoin on his people prayer and zakah and was to his Lord pleasing.

Malay

Dan adalah ia menyuruh keluarganya mengerjakan sembahyang dan memberi zakat, dan ia pula adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya!

وَكَانَ يَأْمُرُ أَهْلَهُ

Dan adalah dia menyuruh keluarganya

Apabila وَكَانَ diletakkan sebelum kata kerja bermaksud ‘sentiasa’. Begitulah kadang-kadang apabila kita mengajak ke arah kebaikan, tidak boleh hanya bercakap sekali sahaja. Macam kita nak ingatkan anak kita solat, hari ni kena cakap, esok kena cakap, lusa kena cakap dan tulat dan seterusnya, kena juga ingatkan mereka tentang solat dan tentang ibadat-ibadat lain.

بِالصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ

untuk mengerjakan sembahyang dan memberi zakat,

Sebelum ini, telah disebut bahawa arahan ini juga telah diberikan kepada Nabi Isa a.s. Sama sahaja arahan yang diberikan kepada Nabi-nabi untuk mengerjakan solat. Maka Nabi Ismail pun telah mengajar perkara yang sama kepada ahli keluarga baginda. Baginda sentiasa mengingatkan mereka untuk mengerjakan solat.

Dalam surah Taha pun, ada disebut bagaimana Nabi Muhammad pun disuruh mengingatkan keluarganya untuk mengerjakan solat juga. Ini disebut dalam ayat 132.

Zakat ada dua makna. Maksud asal dari segi bahasa adalah ‘pembersihan’. Makna pertama adalah pembersihan ‘dalaman’ dimana kita membersihkan hati kita dari sifat-sifat buruk.

Dan makna zakat yang kedua adalah makna pembersihan luaran. Iaitu kita mengeluarkan zakat dalam bentuk harta dimana kita membersihkan harta itu. Apabila kita mengeluarkan zakat, kita sebenarnya membersihkan pendapatan kita jikalau ada dari pendapatan kita yang tidak bersih.

Kadangkala ada pendapatan-pendapatan yang syubhah yang kita tidak sedari. Sebagai contoh, kita berniaga kedai makan. Mungkin ada termasuk duit pelanggan yang tersilap kira. Jadi itu adalah pendapatan yang kotor sebab kita tidak patut dapat duit itu. Jadi, dengan memberikan zakat, keseluruhan harta kita halal bagi kita. Itu adalah satu contoh.

Ayat ini mengingatkan kita bahawa pemimpin pun tidak lepas dari tanggungjawab kepada keluarga. Kita perlu melihat amalan agama mereka juga dengan selalu memberikan nasihat dan peringatan kepada mereka. Selalu kita risau hal dunia mereka, tapi bagaimana dengan agama? Inilah sebenarnya yang dimaksudkan dengan tarbiyah.

Banyak pengajaran terdapat dalam ibadat solat dan zakat. Sebab itulah ayat ini menyebut dua ibadat ini. Solat adalah ibadat yang melibatkan badan dan zakat adalah ibadat hati dan juga ibadat harta.

Nabi Ismail pun disuruh mengajar sendiri ahli keluarga baginda. Berapa banyak kita lihat dalam masyarakat, bagaimana seorang imam, guru agama, tok siak, tertinggal anak mereka sendiri. Mereka sibuk memberi nasihat kepada orang lain, tapi anak mereka sendiri mereka tertinggal. Ini mungkin disebabkan mereka telah lalai dalam menjaga kesihatan agama ahli keluarga sendiri.

Memang selalu kita lihat ada yang baik, tapi anak mereka pula macam hantu. Anak Nabi-nabi pun ada begitu juga, sebagai contoh anak Nabi Nuh. Tapi jangan kita hanya gunakan alasan anak Nabi Nuh pun tak terima dia (alaahhh, Nabi Nabi pun jahat, apa kau nak kesah anak aku pula?) Kalau kita sudah memang menasihati mereka, barulah boleh kita nak kata kita sudah usaha tapi mereka masih juga tak mahu terima. Tapi kena tanya diri kita: sudahkah aku nasihat anak isteri aku?

Marilah kita ambil contoh bagaimana Nabi Muhammad bersama keluarganya. Walaupun baginda dalam kesibukan berdakwah dan menjadi pemimpin masyarakat, tapi Nabi berjumpa dengan ahli keluarga baginda setiap hari. Baginda akan mengkhususkan waktu dari selepas Asar sampai Maghrib untuk bertemu semua ahli keluarga baginda.

Marilah kita mengajar anak-anak kita dengan contoh tauladan yang baik. Yang mereka boleh nampak kita buat sendiri. Kita sendiri mengajar mereka solat, baca Qur’an, hadis Nabi dan lain-lain lagi. Begitu banyak kelebihan dalam solat dan zakat yang boleh diterapkan. Sebagai contoh, solat mengajar mereka menghormati masa. Zakat pula mengajar mereka tanggungjawab sosial sesama umat.

وَكَانَ عِندَ رَبِّهِ مَرْضِيًّا

dan dia pula adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya.

Penerangan bahawa Nabi Ismail diredhai diletakkan dalam ayat yang sama yang menyebut bagaimana baginda mengajar keluarganya tentang agama. Ini menunjukkan kepentingan mengajar agama dan mengingatkan tentang agama kepada keluarga.

Apa yang kita hendak adalah redha Allah. Dan mengajar keluarga kita adalah salah satu jalannya untuk mendapat redha Allah. Begitu penting sekali kita mengajar agama kepada mereka. Jangan kita sibuk nak mengajar orang lain sahaja, tapi anak isteri sendiri dilupakan. Begitulah yang terjadi kepada  beberapa ahli-ahli agama yang kita boleh lihat dalam masyarakat kita. Maka kalau dengan ahli keluarga kita, biar kita yang ajar sendiri. Tak perlu outsource kepada sekolah agama dan orang alim lain.

Berkeluarga adalah satu ibadah sebenarnya. Banyak kelebihan dalam berkeluarga. Memberi makan kepada mereka adalah sedekah; meluangkan masa dengan mereka adalah sedekah; bersama dengan isteri untuk mendapat zuriat adalah sedekah dan macam-macam lagi peluang untuk buat pahala dengan keluarga kita.

Dan jangan kita lupa bahawa kita tinggalkan mereka untuk meneruskan pahala kepada kita apabila kita tiada nanti. Dalam hadis telah disebut bahawa selepas mati anak Adam, maka putuslah pahalanya, melainkan sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh yang mendoakan untuknya.

Tapi tentang mendoakan ibubapa ini pun ramai yang keliru. Mereka selalu buat Majlis Tahlil atau sekurang-kurangnya, masyarakat kita akan menyedekahkan bacaan Surah Fatihah kepada ibubapa mereka yang telah tiada. Mereka berhujah bahawa itulah yang dimaksudkan dengan ‘doa’ kepada ibubapa. Ini adalah kerana mereka kurang faham dan mereka hanya ikut sahaja apa yang telah biasa dibuat oleh orang-orang terdahulu.

Orang-orang terdahulu pun keliru juga. Apa yang mereka buat itu adalah ‘sedekah pahala’ dan sedekah pahala tidak ada dalam Islam. Tidak ada dalil langsung yang mengajar kita untuk sedekah pahala sebegitu rupa. Yang dimaksudkan dengan doa adalah doa yang biasa kita baca.

Sebagai contoh doa yang pendek: “Ya Allah, ampunkanlah dosa ibubapaku”. Kalau ada doa yang panjang, boleh diambil dari Qur’an dan hadis Nabi, itu lebih elok. Ini memerlukan perbincangan yang panjang kepada mereka yang masih tidak faham. Dan ini bukanlah tempat untuk perbincangan itu.


Ayat 56: 

وَاذكُر فِي الكِتابِ إِدريسَ ۚ إِنَّهُ كانَ صِدّيقًا نَبِيًّا

Sahih International

And mention in the Book, Idrees. Indeed, he was a man of truth and a prophet.

Malay

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Idris; sesungguhnya adalah dia amat benar (tutur katanya dan imannya), serta dia seorang Nabi.

وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ إِدْرِيسَ

Dan bacakanlah di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Idris;

Siapakah Nabi Idris? Tidak banyak info sahih yang kita ada. Tidak banyak disebut tentang Nabi Idris dalam Qur’an dan hadis yang sahih.

Ada ahli tafsir yang mengatakan bahawa baginda adalah Nabi pertama selepas Nabi Adam. Ada juga yang mengatakan bahawa mungkin dia cucu kepada Nabi Adam. Ada riwayat yang mengatakan dialah yang memulakan ilmu astrologi – ilmu mengkaji bintang. Ada juga yang mengatakan bahawa dialah yang mula-mula menjahit pakaian. Dan dialah juga dikatakan yang memulakan ilmu matematik asas. Allahu a’lam kerana riwayat-riwayat itu tidak dapat disahihkan.

Dalam surah Anbiya ayat 85, ada disebutkan bahawa baginda adalah seorang yang sabar.

وَإِسْمَاعِيلَ وَإِدْرِيسَ وَذَا الْكِفْلِ كُلٌّ مِّنَ الصَّابِرِينَ

Dan (demikianlah pula) Nabi-nabi Ismail dan Idris serta Zul-Kifli; semuanya adalah dari orang-orang yang sabar.

Dalam ayat itu baginda sekali lagi disebut bersama Nabi Ismail dalam satu surah. Dari situ kita juga dapat tahu bahawa Nabi Ismail juga seorang penyabar. Dan apabila disebutkan bersama Nabi Ismail sekali lagi seperti dalam Surah Maryam ini, kita boleh dapat isyarat yang terdapat kaitan antara Nabi Idris dan Nabi Ismail. Tapi setakat ini kita tidak dapat pastikan lagi.

إِنَّهُ كَانَ صِدِّيقًا نَّبِيًّا

sesungguhnya adalah dia amat benar, serta dia seorang Nabi.

Sifat yang sama telah dikatakan dalam Qur’an untuk Nabi Ibrahim. Sila rujuk ayat 41.

Siddiq bermaksud membenarkan sesuatu yang benar. Contohnya, apabila kita dengar seseorang berhujah dan kita tanya apakah dalil dan orang itu beri dalil yang sahih dari nas Qur’an atau dari hadis sahih. Selepas orang itu beri dalil, maka kita pun terima. Walaupun kita tak pernah dengar sebelum itu dan berlainan dengan apa yang kita amal selama ini. Ini kerana apabila diberikan hujah yang sahih, maka kita terima dengan rela.

Kita sanggup terima bahawa apa yang buat selama ini salah. Janganlah sebab kita sudah selalu buat, apabila ada yang kata ianya salah, kita tak mahu terima. Kita pula beri hujah kita yang tidak sahih, atau kita pun tidak pasti, untuk membenarkan amalan kita selama ini. Itu bukanlah sifat seorang sadiq. Ingatlah, agama Islam ini berasaskan dalil. Kalau tidak diberikan dalil, maka sesiapa sahaja boleh kata apa sahaja, maka rosaklah agama.

Orang agama kita pula janganlah marah kalau anak murid tanya dalil. Kerana memang itu yang sepatutnya. Janganlah beri alasan macam-macam untuk tidak beri dalil. Sebab ada yang kata: “kalau banyak tanya lemah iman”, “kalau beri dalil pun mereka tak faham”, “ini sudah lama ulama kita buat” dan macam-macam lagi alasan yang diberikan.

Selalunya alasan itu diberikan kerana memang tidak ada dalil. Ustaz yang sebut itu pun amalan itu pun tak tahu apakah dalilnya. Dia pakai sebut sahaja, kerana guru dia ajar dia macam itu, atau dia ada terbaca dalam mana-mana kitab tentang amalan itu (tanpa disertakan dalil). Janganlah kita senang sahaja terima perkara sebegini, cukuplah sudah kita beragama cara terima sahaja tanpa usul periksa.


Ayat 57:

وَرَفَعناهُ مَكانًا عَلِيًّا

Sahih International

And We raised him to a high station.

Malay

Dan Kami telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya.

Ada riwayat yang menyatakan, Nabi Idris telah diangkat ke langit. Tapi riwayat itu tidak kuat dan mungkin ianya diambil dari kisah Israiliyat. Dan ada juga kisah dalam hadis yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad berjumpa dengan Nabi Idris di langit semasa baginda Isra’ Mi’raj. Tapi tentang nama Nabi Idris itu tidaklah kuat hadisnya.

Jadi mungkin maksud ‘diangkat’ itu adalah dari segi kedudukan baginda. Allah telah menaikkan darjat baginda.

Kenapa disebutkan banyak nama-nama Nabi dan Rasul dalam Surah Maryam ini? Allah membawakan kisah Nabi-nabi ini untuk menunjukkan kepada kita bahawa ajaran Nabi Muhammad itu bukanlah ajaran baru. Ianya dibawa juga oleh Nabi-Nabi yang lain. Termasuklah Nabi-Nabi yang kita tidak banyak maklumat tentang mereka seperti Nabi Idris ini. Terlalu banyak yang kita tak kenal.

Nabi-Nabi yang disebut itu adalah sebagai isyarat kepada agama-agama yang tidak mahu menerima Islam. Sedangkan para Nabi yang mereka sanjungi juga adalah Muslim dan taat kepada Allah dan tidak melakukan syirik. Kisah Nabi Zakaria, Nabi Yahya, Nabi Isa dan juga Maryam adalah sebagai teguran kepada penganut Kristian. Kerana mereka juga adalah Nabi-nabi dan orang penting dalam agama Kristian.

Nabi Harun, Nabi Musa, Nabi Ishak dan Nabi Ya’kub pula adalah sebagai teguran kepada ahli kitab. Mereka dipandang mulia dalam agama Yahudi.

Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail pula adalah teguran kepada musyrikin Mekah, kerana mereka pun kenal Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

Dan sekarang, disebutkan tentang Nabi Idris yang kurang dikenali. Nabi yang tidak dikenali sangat pun ada disebut juga. Nak beritahu kepada kita bahawa banyak lagi yang kita tidak tahu. Ada riwayat yang mengatakan bahawa ada seramai 124 ribu para Nabi dan lebih dari 300 rasul telah diturunkan.


Ayat 58:

أُولٰئِكَ الَّذينَ أَنعَمَ اللَّهُ عَلَيهِم مِنَ النَّبِيّينَ مِن ذُرِّيَّةِ آدَمَ وَمِمَّن حَمَلنا مَعَ نوحٍ وَمِن ذُرِّيَّةِ إِبراهيمَ وَإِسرائيلَ وَمِمَّن هَدَينا وَاجتَبَينا ۚ إِذا تُتلىٰ عَلَيهِم آياتُ الرَّحمٰنِ خَرّوا سُجَّدًا وَبُكِيًّا ۩

Sahih International

Those were the ones upon whom Allah bestowed favor from among the prophets of the descendants of Adam and of those We carried [in the ship] with Noah, and of the descendants of Abraham and Israel, and of those whom We guided and chose. When the verses of the Most Merciful were recited to them, they fell in prostration and weeping.

Malay

Mereka itulah sebahagian dari Nabi-nabi yang telah dikurniakan Allah nikmat yang melimpah-limpah kepada mereka dari keturunan Nabi Adam, dan dari keturunan orang-orang yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh, dan dari keturunan Nabi Ibrahim, dan (dari keturunan) Israil- dan mereka itu adalah dari orang-orang yang Kami beri hidayah petunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis.

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِم

Mereka itulah yang telah dikurniakan Allah telah memberi nikmat yang melimpah-limpah kepada mereka

Banyak nikmat-nikmat yang Allah telah berikan kepada mereka, dari pangkat kenabian, ilmu, anak-anak, pengikut dan sebagainya. Tidak terkira nikmat yang telah diberikan kepada mereka.

مِّنَ النَّبِيِّينَ مِن ذُرِّيَّةِ آدَمَ

dari Nabi-nabi dari keturunan Nabi Adam,

Allah menceritakan nikmat-nikmat yang diberikan kepada para Nabi. Mungkin yang dimaksudkan مِن ذُرِّيَّةِ آدَمَ di sini adalah Nabi Idris.

وَمِمَّنْ حَمَلْنَا مَعَ نُوحٍ

dan dari keturunan orang-orang yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh,

Nabi Nuh diibaratkan Adam kedua kerana seluruh keturunan manusia telah habis kecuali yang berada dalam bahtera itu.

وَمِن ذُرِّيَّةِ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْرَائِيلَ

dan dari keturunan Nabi Ibrahim, dan (dari keturunan) Israil-

Israil yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Nabi Yaakub. Baginda telah diberi gelaran nama ‘Israil’. Kerana itulah keturunan baginda disebut ‘Bani Israil’ (anak-anak Israil atau anak-anak Yaakub).

وَمِمَّنْ هَدَيْنَا

dan siapa-siapa yang Kami beri hidayah petunjuk

Iaitu mereka yang selain dari para Nabi itu. Ada ramai lagi yang Allah beri petunjuk. Hidayah adalah apa yang dibawa oleh para Nabi. Yang mengikut mereka diberi hidayah. Maka, hendaklah kita mengikut para Nabi itu dan ajaran yang dibawa.

Syariat yang kita kena ikut sekarang adalah syariat Nabi Muhammad. Bukanlah ajaran yang dibawa para ulama dan guru agama yang tidak menyampaikan ajaran dari Qur’an dan Sunnah Nabi.

وَاجْتَبَيْنَا

dan yang Kami pilih.

Allah pilih sesiapa yang diberi hidayah. Kita yang menerima hidayah ini hendaklah bersyukur kerana terpilih. Bukan semua manusia mendapat hidayah ini kerana kita boleh lihat banyak manusia sebenarnya sesat. Ini memberi motivasi kepada kita yang mendapat hidayah Islam ini. Apabila kita rasa kita insan terpilih maka kita akan lebih bersemangat, bukan?

Maka kita hendaklah mengikut jejak langkah mereka yang telah disebut dalam ayat ini (golongan para Nabi dan juga orang yang telah diberi hidayah). Apakah yang mereka lakukan, kita kena ikut.

Selepas kita telah diberi motivasi, sekarang disebutkan apakah yang mereka lakukan apabila dibacakan ayat-ayat Allah.

إِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ آيَاتُ الرَّحْمَٰنِ

Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman,

Semua mereka itu mempunyai persamaan. Iaitu mereka menerima dan taat kepada wahyu Allah. Sekarang apakah yang kita perlu buat selepas dipilih untuk menerima hidayah? Ikutlah Sunnah Nabi-Nabi itu. Apakah yang mereka lakukan apabila dibacakan ayat-ayat Tuhan?

خَرُّوا سُجَّدًا

Terus mereka tersungkur sujud

Kalimah خَرُّوا bermaksud tersungkur dengan segera. Tersungkur dengan secara automatik dalam bentuk sujud. Mereka, para Nabi dan yang mendapat hidayah itu selalu sujud apabila dibacakan wahyu Allah kepada mereka. Ini adalah kerana perkataan سُجَّدًا adalah dalam bentuk Isim Mubalaghah. Mereka tersungkur sujud itu kerana mereka terkesan dengan ayat-ayat Allah.

Ini kerana mereka bukan sahaja mendengar. Tapi mereka memasukkan ajaran itu dalam hidup mereka. Dan ajaran itu telah memberi kesan kepada hati mereka. Kalau setakat dengar, tidak memahami dan tidak mengamalkan apa yang diajar, itu tidak memberi kesan. Berapa banyak antara kita yang dengar sahaja Qur’an yang dibacakan, tapi tidak faham sedikit pun, tidak memberi kesan sedikit pun dalam hati kita.

Ini adalah salah satu dari ayat-ayat Sajdah dalam Qur’an. Disunatkan untuk sujud apabila dibacakan atau membaca ayat-ayat ini. Ulama ada mengatakan bahawa disunatkan untuk berdoa dalam sujud itu tentang perkara yang berkenaan dengan ayat itu. Jadi, kalau dalam ayat ini kita doakan supaya kita dimasukkan ke dalam golongan yang banyak menangis dan juga golongan yang menjaga solat dan zakat.

وَبُكِيًّا

serta menangis.

Mereka selalu menangis. Perkataan yang digunakan juga adalah dalam bentuk Isim Mubalaghah – bermaksud ‘selalu’. Kenapa mereka selalu menangis?

Untuk tunjuk bahawa mereka bukan hanya sujud dalam bentuk fizikal sahaja tapi mereka telah meresapkan perasaan iman itu sampai dalam hati mereka. Mereka terkesan dengan ayat-ayat Allah sampaikan mereka tidak dapat menahan titisan air mata mereka mengalir. Mereka khusyuk apabila membaca kalam Allah. Kesannya, mereka akan menangis.

Nabi juga pernah suruh kita menangis apabila berdoa. Kalau tak boleh menangis dengan sendiri, maka hendaklah cuba-cuba buat-buat menangis. Kerana ini menunjukkan kerendahan kita di hadapan Allah. Lama-lama kita akan menangis dengan sendiri.

Tapi ada yang tak mahu menangis sebab malu. Kita sahaja yang rasa malu kalau menangis. Atau kita rasa kurang selesa. Ada yang kata lelaki tidak menangis. Tapi ingatlah bahawa kita menangis di hadapan Allah, bukan di hadapan orang lain. Jadi tidak perlu kita rasa malu. Tidak perlu kita rasa tinggi diri. Padahal ada waktu-waktu lain boleh pula kita menangis. Contohnya, tengok filem Hindustan, boleh pula menangis. Tengok cerita kartun pun menangis. Tapi kenapa dengan Allah, kita susah untuk menangis?

Para sahabat yang besar dan gagah pun menangis. Abu Bakr memang terkenal sebagai seorang yang kuat menangis. Pernah sekali, apabila Nabi hendak memilih Abu Bakr untuk mengganti baginda menjadi imam, kerana baginda sudah tidak mampu, Aisyah berkata kepada Nabi supaya jangan pilih Abu Bakr, (bapanya sendiri), kerana beliau kuat menangis.

Itu Abu Bakr, bagaimana pula dengan Umar, yang kita tahu seorang yang berani dan bengis, pun selalu menangis juga. Jadi, siapa kita yang rasa tinggi diri sampai susah untuk menangis kerana Allah?

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 2 Mei 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Shaikh Nasir Jangda

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s