Tafsir Surah Yusuf Ayat 7 – 8 (Cinta yang bengkok)

KONSPIRASI ADIK BERADIK NABI YUSUF عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ

Yusuf Ayat 7: Ini adalah ayat Jumlah Mu’taridah. Ini adalah ringkasan permulaan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam surah ini. Allah memberitahu kita apa yang kita akan belajar dari surah ini. Surah Yusuf mengandungi 4 Dakwa penting:

1. Tauhid – Allah ‎ﷻ sahaja yang Maha Mengetahui perkara ghaib. Surah ini adalah kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan perkara tauhid yang kita kena pegang dalam kisah ini iaitu: Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu perkara ghaib. Melalui kisah yang panjang itu, kita dapat tahu yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun tidak mengetahui tentang perkara ghaib walaupun mereka itu para Nabi.

2. Tauhid – Allah ‎ﷻ sahaja yang ada kuasa mengurus. Hanya Allah ‎ﷻ yang mengurus dan mentadbir segala sesuatu dan Dia tidak memberi kepada selain-Nya kuasa mengurus itu melainkan dalam asbab yang dibenarkan. Maka dalam surah ini kita akan baca pelbagai ikhtiar dilakukan oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan lain-lain karektor dalam surah ini tetapi yang berlaku hanyalah dalam kehendak Allah ‎ﷻ sahaja. Dalam surah ini ada 15 keadaan yang berlaku pada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam keadaan yang berbeza-beza untuk menceritakan dua perkara ini – iaitu Allah ‎ﷻ yang Maha Mengetahui perkara ghaib dan Dialah sahaja yang Maha Berkuasa.

3. Risalah – Nabi Muhammad ﷺ adalah Nabi benar yang dipilih oleh Allah ‎ﷻ. Bukti baginda adalah Nabi, baginda dapat memberitahu kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini kerana baginda menerima wahyu daripada Allah ‎ﷻ.

4. Akhirat – Tentang orang yang menderita untuk menegakkan agama Allah ‎ﷻ. Untuk mereka itu akhirnya akan berjaya. Walaupun mereka susah dalam kehidupan mereka, tetapi kesudahannya mereka akan berjaya di akhirat kelak.

لَّقَد كَانَ فِى يُوسُفَ وَإِخوَتِهِۦۤ ءَايَـٰتٌ لِّلسَّآٮِٕلِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Certainly were there in Joseph and his brothers signs for those who ask, [such as]

(MALAY)

Sesungguhnya ada beberapa tanda-tanda (kekuasaan Allah) pada (kisah) Yusuf dan saudara-saudaranya bagi orang-orang yang bertanya.

 

لَّقَد كَانَ فِى يُوسُفَ وَإِخوَتِهِۦۤ ءَايَـٰتٌ

Sesungguhnya ada beberapa tanda-tanda (kekuasaan Allah) pada (kisah) Yusuf dan saudara-saudaranya

Dalam ayat ini, ada dua karektor sedang disebut: Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan adik beradiknya. Abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak suka kepada baginda. Mereka tidak suka Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ selalu pergi kepada ayah mereka dan rapat sangat. Dari sini, kita dapat agak yang mereka pun nampaknya tidak baik dengan ayah mereka sendiri. Ini adalah kerana mereka tidak suka cara ayah mereka melayan Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Beginilah masalah yang dihadapi oleh masyarakat: kadang-kadang mereka menyalahkan adik beradik yang tidak ada masalah dalam keluarga. Mereka merungut dan berkata adik itu yang disayangi, bukannya mereka. Mereka jadikan itu sebagai alasan untuk mereka menjadi jahat, nakal dan memberontak (dengan alasan kerana mak ayah aku tidak sayangkan aku). Fikiran mereka keliru sangat sampaikan mereka berasa masalah mereka bermula dengan anak yang seorang itu. Mereka jadikan adik beradik mereka sebagai ‘kambing hitam’ untuk kesilapan dalam kehidupan mereka sendiri.

Akan tetapi, tidak dinafikan yang kadang-kadang benar juga ada ibubapa yang pilih kasih. Kadang-kadang anak-anak yang tidak bagus pula yang dijadikan sebagai ‘anak emas’. Sedangkan anak itulah yang ada masalah, yang selalu buat perangai. Tapi ibu atau bapa jadikan anak itu yang emas entah kenapa. Mungkin kerana dia sahaja anak lelaki, atau kerana anak itu yang pandai mengambil hati mereka. Ada beberapa sebab yang dibincangkan:

Ibu bapa kadangkala melihat anak yang bermasalah sebagai pihak yang “lemah”, “malang”, atau tidak mampu berdikari. Rasa simpati ini mencetuskan dorongan untuk sentiasa melindungi dan memanjakan mereka, berbanding anak yang berdikari yang dianggap “sudah boleh menjaga diri sendiri.” Ini tidak sepatutnya berlaku. Masalahnya ibu bapa sering memanipulasi pemikiran sendiri untuk menafikan kenyataan (denial). Perangai degil, kasar, atau bermasalah sering diwajarkan dengan alasan seperti “dia cuma tegas”, “dia bijak tapi tak ada rezeki”, atau “hati dia sebenarnya baik”. Kesalahan mereka kerap dimaafkan dan diberi keistimewaan.

Amat malang apabila anak yang sering mencetuskan masalah, masalah kewangan, atau isu emosi menyerap 90% perhatian, tenaga, dan sumber kewangan ibu bapa. Kerana terlalu banyak fokus diberikan kepadanya, secara tidak sedar dia menjadi pusat tumpuan (focal point) dalam keluarga, manakala anak yang baik dilupakan kerana tidak memberi beban.

Adakalanya, anak yang bermasalah itu mempunyai sifat yang sangat mirip dengan salah seorang ibu bapa semasa muda. Ibu bapa melihat diri mereka pada anak tersebut dan cuba “menyelamatkan” atau memenangkan anak itu sebagai cara untuk menebus kesilapan lalu mereka sendiri.

Ia bukanlah dinamika yang sihat dan menyebabkan keluarga itu menjadi disfungsi. Maka ibubapa kena berhati-hati dan menyelami diri sendiri. Dalam sesetengah keluarga disfungsi, perlu ada anak yang dianggap “sempurna” (anak emas) dan anak yang disalahkan atas segala masalah keluarga (scapegoat). Ironinya, anak yang tidak bermasalah sering dijadikan scapegoat atau tempat melepaskan tekanan, manakala anak bermasalah kekal dilindungi untuk mengekalkan naratif keluarga.

Kesannya anak yang bermasalah semakin menjadi-jadi kerana tiada sempadan (boundaries) dan hukuman yang jelas. Dan anak-anak yang lain merasa terabai, tidak dihargai, dan berisiko mengalami tekanan emosi atau memotong hubungan apabila dewasa.

Memang tugas ibu bapa bukannya mudah kerana kita ini makhluk yang ada emosi. Apabila kita menjadi ibu dan bapa pun, bukannya ada kursus atau manual yang diberikan kepada kita. Dan bagi kebanyakan ibubapa pun, mereka tidak dapat dipersalahkan kerana perangai anak-anak pun lain-lain – ada pelbagai jenis dan ragam anak-anak kita ini. Adalah perkara normal sahaja anak yang baik itu lebih disayangi oleh ibu dan ayahnya berbanding dengan anak-anak yang lain. Maka si anak kenalah pandai mengambil hati ibu dan ayah – ikutkan kata mereka kalau mahu disayangi oleh mereka. Yang jadi masalahnya kalau menyalahkan orang lain sahaja di atas kekurangan kita. Seseorang yang baik akan melihat kepada dirinya sendiri dulu, sebelum hendak menyalahkan orang lain.

Maka ada tanda pada kisah mereka ini. Bukan sahaja daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi juga daripada adik beradiknya sekali. Dalam kisah mereka terdapat pengajaran yang kita kena ambil tahu. Apakah tanda itu? Itulah tanda bahawa Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa dalam setiap perkara. Malah berbagai-bagai lagi pengajaran yang kita boleh ambil daripada kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Banyak kita akan bongkarkan psikologi manusia, adab, sejarah, dan berbagai lagi pengajaran untuk kita amalkan dalam kehidupan kita.

 

لِّلسّائِلينَ

bagi orang-orang yang bertanya.

Yang khususnya dimaksudkan ‘bertanya’ dalam ayat ini adalah orang Yahudi. Mereka yang menimbulkan persoalan tentang sejarah Bani Israil dan Allah ‎ﷻ sedang menjawab persoalan mereka. Kepada mereka pun akan mendapat pengajaran – tentang bagaimana Bani Israil dapat berada di Mesir (sedangkan mereka asalnya dari tempat lain) dan kisah ini sepatutnya cukup bagi mereka untuk masuk Islam, kerana kisah ini hebat. Asalnya mereka bertanya itu dengan tujuan untuk memerangkap Nabi Muhammad ﷺ, akan tetapi kalau mereka juga hendak mencari kebenaran, mereka akan dapat merenung kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini.

Kisah dan kandungan surah ini menjawab persoalan yang dikemukakan untuk golongan Yahudi pada waktu itu yang membantah kerasulan Nabi Muhammad ﷺ. Musyrikin Mekah telah bertanya kepada puak Yahudi bagaimana hendak berhujah dan menolak Nabi Muhammad ﷺ. Maka puak Yahudi suruh tanyakan tentang kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana kisah itu mereka tahu ada dalam kitab mereka sahaja – orang Arab tentu tidak tahu. Atau, mereka sudah dengar tentang ada orang yang mendakwa dirinya Nabi maka mereka hantar wakil untuk bertanya hal itu kepada baginda. Apabila Nabi Muhammad ﷺ boleh menceritakan tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, maka ini menjadi hujah dan dalil bahawa baginda terbukti memang seorang Rasul – kerana kisah ini bukanlah daripada sejarah bangsa Arab, maka tentu Nabi Muhammad ﷺ mendapat daripada wahyu Allah ‎ﷻ. Maka tentulah Nabi Muhammad ﷺ itu menjadi dalil bahawa memang benar baginda seorang Rasul.

Secara umumnya pula, kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini kita semua yang bertanya mahukan ilmu pengetahuan dan wahyu untuk menjadi pembimbing kehidupan kita di dunia ini membawa ke akhirat. Daripada kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini nanti kita akan bertemu kisah perjalanan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kita sepatutnya bertanya kenapa begitu dan begini. Barulah kita akan mendapat ilmu dan pengajaran, kalau tidak, ia hanya jadi seperti baca kisah dalam novel sahaja.

Bertanya adalah langkah pertama untuk mendapatkan ilmu. Ini terbukti dalam banyak kisah dalam Al-Qur’an dan Sunnah seperti kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Khadr. Kisah perjalanannya dipenuhi dengan pertanyaan daripada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Tanpa pertanyaan, baginda tidak akan memahami hikmah di sebalik perbuatan-perbuatan Khadr. Dalam hadith juga kita pelajari bagaimana Para sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ sering bertanya kepada Nabi Muhammad ﷺ tentang hukum, akhlak, dan pelbagai perkara lain. Ini adalah cara mereka mendalami agama.

Begitulah dalam mendapatkan ilmu, kita kena banyak bertanya. Otak kita kena selalu tanya kenapa begini, kenapa begitu? Apa pengajaran yang terkandung di dalam ayat ini, kisah ini, pengalaman ini? Bertanya adalah salah satu kunci utama untuk memperoleh pengetahuan dan pemahaman yang lebih mendalam. Ini bukan sekadar tindakan pasif, melainkan sebuah proses aktif yang sangat penting dalam pembelajaran.

Bertanya tidak hanya untuk mendapatkan jawapan, tetapi juga untuk mempertajam cara berfikir. Ketika anda merumuskan pertanyaan yang baik, anda secara automatik akan menganalisis informasi, mengidentifikasi maklumat, dan merangkai logik. Proses ini melatih otak anda untuk tidak menerima informasi begitu saja, melainkan untuk menggali lebih dalam, membandingkan, dan membuat evaluasi. Ini adalah dasar daripada pemikiran kritis yang sangat berharga.

Walau bagaimanapun, penting untuk bertanya soalan yang betul. Sebagai contoh, kalau disuruh untuk melakukan ibadah, jangan tanya ‘Kenapa kita kena buat ha?’ sebaliknya tanyalah, ‘Bagaimana cara yang betul aku buat ibadah ini?’. Rasulullah ada bersabda,

فَإِنَّمَا شِفَاءُ الْعِيِّ السُّؤَالُ
Sesungguhnya ubat kepada kejahilan adalah bertanya

(Sunan Abu Daud (No. 336), Sunan Ibn Majah (No. 572) Status: Hasan atau Sahih

Kisah di sebalik Hadis: Seorang sahabat Rasulullah SAW telah mengalami luka parah di kepala (yang menyebabkan pendarahan/cedera berat). Kemudian beliau mengalami mimpi basah (junub). Beliau bertanya kepada rakan-rakannya sama ada ada kelonggaran (rukhsah) untuk beliau bertayammum sahaja. Rakan-rakannya menjawab: “Kami tidak mendapati ada kelonggaran untukmu sedangkan kamu mampu menggunakan air.” Sahabat itu pun mandi, lalu air masuk ke dalam lukanya dan beliau meninggal dunia. Maka hadis ini adalah teguran dari Rasulullah.

Mungkin ada yang berkata mereka sudah lama tahu kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Rasanya semua orang Islam tahu akan kisahnya. Adakah tetapi adakah cukup setakat apa yang kita telah tahu? Sekarang kita akan diberikan dengan berbagai maklumat dan sudut pandang yang berbeza tentang kisah baginda dan adik beradiknya ini. Kita akan sedar yang semakin kita mengkaji surah ini, semakin banyak maklumat kita akan dapat dan yang lebih penting, pengajaran. Tidak akan habis ilmu Al-Qur’an ini kalau kita gali dan gali lagi.

Sekian bahagian yang menceritakan mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.


 

Yusuf Ayat 8: Ini adalah sketsa ke 2. Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa apa yang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bimbangkan itu tetap tidak dapat dihalang. Walaupun baginda sudah memberikan nasihat kepada Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ supaya jangan menyebut apa yang baginda mimpikan itu kerana takut adik beradiknya tahu dan ambil tindakan, perkara itu tetap juga terjadi. Entah mereka akhirnya tahu tentang mimpi itu atau tidak, kita tidak tahu secara pasti. Akan tetapi menurut tafsir Al-Qurtubi, mereka membuat pakatan jahat itu setelah mengetahui khabar angin tentang mimpi itu. Ini kerana itu semua ada dalam taqdir Allah ‎ﷻ dan Allah ‎ﷻ yang mahukan ia terjadi begitu.

إِذ قالوا لَيوسُفُ وَأَخوهُ أَحَبُّ إِلىٰٓ أَبينا مِنّا وَنَحنُ عُصبَةٌ إِنَّ أَبانا لَفي ضَلٰلٍ مُّبينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

When they said, “Joseph and his brother¹ are more beloved to our father than we, while we are a clan. Indeed, our father is in clear error.

  • Benjamin, who was born of the same mother as Joseph.

(MALAY)

(Iaitu) ketika mereka berkata: “Sesungguhnya Yusuf dan saudara kandungnya (Bunyamin) lebih dicintai oleh ayah kita daripada kita sendiri, padahal kita (ini) adalah satu golongan (yang kuat). Sesungguhnya ayah kita adalah dalam kekeliruan yang nyata.

 

إِذ قالوا لَيوسُفُ

ketika mereka berkata: “Sesungguhnya Yusuf

Sekarang Allah ‎ﷻ mula menyebut tentang permulaan konspirasi abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Di sinilah kisah bermula dan kerana itu ia adalah sangat penting. Dalam ayat ini, ada taukid/penekanan (huruf ل pada لَيوسُفُ) pada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, menunjukkan penekanan daripada mereka – kerana mereka benci sungguh kepadanya.

Atau, penekanan daripada mereka yang bapa mereka telah melakukan kesalahan kerana terlalu sayangkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mereka memang ada iri hati terhadapnya. Memang kebiasaannya anak kesayangan ibu atau ayah tidak akan disenangi oleh adik beradik yang lain. Tambahan pula mereka itu tidak sama ibu.

 

وَأَخوهُ

dan saudara kandungnya

Yang dimaksudkan adalah adiknya yang bernama Bunyamin (Benjamin). Memang kebanyakan ayat Al-Qur’an tidak menyebut nama kerana nama itu tidak penting. Yang penting adalah pengajaran di dalam ayat-ayat itu. hanya apabila ia perlu, maka barulah Allah ‎ﷻ sebut.

Perhatikan perbezaan antara kalimah إِخوَة yang digunakan dalam ayat 5 yang merujuk kepada abang-abangnya dan kali ini digunakan kalimah أَخو yang merujuk kepada adik kandungnya. Mereka semua adik beradik terdiri daripada 12 adik beradik tetapi mereka datang daripada berlainan ibu. Anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, termasuk Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan 11 adik-beradiknya, lahir daripada empat orang ibu yang berbeza. Keempat-empat wanita ini adalah isteri dan hamba perempuan Nabi Yaakub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ:

    1. Laiya (Leah): Isteri pertama Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Beliau melahirkan enam orang putera, termasuk Yahuda, yang merupakan moyang bagi bangsa Yahudi, dan seorang anak perempuan bernama Dinah.
    2. Rahil (Rachel): Isteri kedua Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang sangat dicintainya. Beliau adalah ibu kandung kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan adiknya, Bunyamin (Benjamin).
    3. Zilfah (Zilpah): Hamba perempuan yang dihadiahkan kepada Laiya. Beliau melahirkan dua orang anak lelaki.
    4. Balha (Bilhah): Hamba perempuan yang dihadiahkan kepada Rahil. Beliau juga melahirkan dua orang anak lelaki.

Oleh itu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah seibu dengan adiknya Bunyamin. Bunyamin adalah adik bongsu. Ada pendapat yang mengatakan ibunya mati setelah melahirkan Bunyamin. Jadi daripada kalimah mereka ini, لَيوسُفُ وَأَخوهُ sudah menunjukkan yang mereka tidak menganggap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Bunyamin sebagai keluarga mereka, anggap macam orang luar sahaja.

 

أَحَبُّ إِلىٰ أَبينا مِنّا

lebih dicintai oleh ayah kita daripada kita sendiri,

Pada pandangan  mereka ayah mereka lebih sayangkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Bunyamin. Ini adalah satu kesilapan pentafsiran. Mereka memandai-mandai saja berkata Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lebih sayangkan adik yang lain sedangkan kita bukannya tahu dalam hati manusia. Kita hanya boleh membuat penilaian berdasarkan perbuatan orang sahaja. Apa yang di dalam hati manusia, kita tidak tahu.

Namun lihat bagaimana susunan ayat ini: ‘Yusuf dan adiknya lebih disayangi’, bukannya: ‘Ayah kita lebih sayang mereka lagi’. Ini menunjukkan ada penekanan pada Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan adiknya, bukannya Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maknanya mereka lebih marah kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Bunyamin kerana mereka berdua adalah anak yang baik dan menjadikan mereka nampak teruk (bila ada yang baik, nampaklah mereka jadi teruk). Mereka lebih marah kepada Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Bunyamin daripada mereka marah kepada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Adakah kemungkinan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lebih sayang kepada dua anaknya itu? Jika benar begitu adakah baginda bersalah kerana terlebih sayang kepada dua anaknya itu? Kita kena faham bahawa perasaan kasih Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu adalah secara naluri biasa dan bukan kerana syar’i. Memang perasaan baginda sayang kepada dua beradik itu bukan dibuat-buat. Oleh kerana begitu, maka Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak bersalah. Kesalahan hanya berlaku apabila tidak berlaku adil dari segi pemberian. Dalam Nisa’:129 juga Allah ‎ﷻ telah beritahu yang seorang suami tidak akan dapat melakukan keadilan dengan sayang sama rata kepada semua isterinya,

وَلَن تَسْتَطِيعُوٓا۟ أَن تَعْدِلُوا۟ بَيْنَ ٱلنِّسَآءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ ۖ فَلَا تَمِيلُوا۟ كُلَّ ٱلْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَٱلْمُعَلَّقَةِ ۚ وَإِن تُصْلِحُوا۟ وَتَتَّقُوا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا
“Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri (kamu), sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya), oleh itu janganlah kamu cenderung (kepada yang kamu sayangi) dengan sepenuh-penuh kecenderungan, sehingga kamu membiarkan yang lain (tergantung) tidak bertali, dan jika kamu melakukan kebaikan dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Kita telah pernah sebut satu pendapat yang mengatakan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukanlah berat sebelah malah baginda sayang kesemua anaknya sama rata. Namun bagi yang berpendapat benar Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lebih sayangkan dua anak kecil itu, mereka memberikan beberapa sebab:

    1. Kerana keduanya masih kecil berbanding abang-abang tirinya. Mengikut sesetengah riwayat, ibu mereka berdua telah meninggal sewaktu mereka kecil lagi.
    2. Tambahan pula, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah mengetahui kedudukan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang gemilang sama ada melalui ilham atau melalui wahyu.
    3. Di samping itu, kecantikan dan perawakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah menarik perhatian Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Namun ini hanyalah pendapat sahaja dan kita tidak tahu dengan pasti adakah benar Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lebih mencintai Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Bunyamin atau tidak. Mungkin ia hanya dalam khayalan abang-abang itu sahaja. Mereka yang tidak pandai menilai bapa mereka atau otak sudah rosak. Mungkin Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberikan layanan yang berbeza antara mereka dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ/Bunyamin. Namun adakah ini salah?

Tentu tidak kerana dua beradik itu masih kecil sedangkan mereka abang-abang itu sudah besar. Takkan sama layanan seorang bapa kepada anak yang besar dan kecil. Yang kecil masih dipeluk cium tetapi yang besar ditunjukkan sayangnya dengan cara lain. Mungkin si kecil tidak perlu bekerja sedangkan yang besar disuruh itu dan ini. Ini pun memang logik kerana apabila sudah besar, kenalah ada tanggungjawab. Tidaklah bermakna ayah itu tidak sayang lagi kepada anaknya yang sudah besar. Sayang tetaplah sayang tetapi tidaklah sama interaksi antara anak yang kecil dan besar.

 

وَنَحنُ عُصبَةٌ

padahal kita (ini) adalah satu golongan

Kalimah عُصبَةٌ bermaksud kumpulan yang kuat yang terdiri daripada 5 – 10 orang. Daripada kalimah inilah jadi asabiyyah – yang bermaksud perkauman yang melebihkan keturunan dan puak sendiri. Di sini kita dapat tahu yang abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berasakan mereka lebih kuat kerana mereka lebih ramai daripada Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Bunyamin. Mereka rasa kekuatan kekeluargaan 10 orang mereka itu lebih kuat dan mereka berlagak dengan kumpulan sendiri. Mereka juga sudah besar dan lebih banyak dapat membantu ayah mereka jika dibandingkan dengan anak-anak yang kecil itu. Jadi mereka rasa mereka patut lebih disayangi oleh bapa mereka.

Padahal Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lebih sayangkan dua adik beradik itu kerana memang bersifat dan berakhlak baik berbanding dengan abang-abang mereka. Lebih-lebih lagi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang bakal menjadi Nabi, maka tentu Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sayangkannya lebih lagi kerana akan meneruskan perjuangannya nanti. Akan tetapi mereka tidak nampak perkara itu. Mereka hanya nampak dari segi fizikal sahaja, iaitu mereka lebih kuat, banyak membantu bapa mereka dalam kerja, angkat itu dan ini, mempertahankan keselamatan rumah dan sebagainya. Mereka tidak nampak elemen spiritual dalam kehidupan ini. Mereka hanya nampak ini kami buat, itu kami buat sahaja.

Mereka rasa kalau mereka sudah bantu ibubapa mereka dengan jaga mereka, beri duit dan sebagainya, itu sudah cukup. Jadi mereka boleh buat segala perkara yang tidak bermoral asalkan mereka sudah buat kerja-kerja fizikal. Seolah-olah ibubapa mereka tidak boleh nilai mereka dan tegur mereka kerana mereka sudah beri jagaan dan beri duit. Maka ini adalah satu kesilapan dalam berfikir.

 

إِنَّ أَبانا لَفي ضَلٰلٍ مُّبينٍ

Sesungguhnya ayah kita adalah dalam kekeliruan yang nyata.

Sekarang mereka mengutuk ayah mereka pula. Mereka buat andaian yang ayah mereka itu telah membuat kesilapan dengan lebih menyayangi dua beradik itu. Bayangkan mereka bukannya tidak kenal siapa ayah mereka. Seorang Nabi, anak seorang Nabi dan cucu seorang Nabi, mereka kata telah keliru? Jadi siapa agaknya yang keliru? Ini kerana mereka telah mencipta naratif dalam akal mereka sendiri sampaikan mereka telah lupa kedudukan ayah mereka itu.

Begitulah sifat dengki manusia tidak ada batasan. Sudahlah mereka benci kepada dua beradik itu, sekarang mereka salahkan ayah mereka pula. Mereka kata ayah mereka tidak betul, jadi apabila ayahnya itu memberi nasihat, mereka tidak dengar kerana mereka telah buat keputusan yang ayah mereka sudah dari awal lagi keliru.

Kalimah ضَلالٍ selalunya bermaksud ‘sesat’ tetapi di dalam ayat ini bukan bermaksud ‘sesat’, tetapi ‘silap’ atau ‘keliru’ sampai buat kesilapan dalam keputusan. Jangan kita silap terjemah pula kerana dalam ayat Al-Qur’an yang lain, ada digunakan kalimah ضَلالٍ untuk membawa maksud ‘sesat’. Takkan seorang Nabi itu sesat pula. Maka kita kena pandai lihat kepada konteks ayat.

Begitulah bahayanya perasaan dengki dalam hati. Ia sampai boleh membawa kepada pembunuhan. Dengki juga menghilangkan pahala amal kebaikan seperti api memakan kayu api seperti disebut dalam hadith;

إِيَّاكُمْ وَالْحَسَدَ فَإِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ
Hendaklah kalian menjauhi sifat hasad dengki, kerana ia menghapuskan kebaikan, sepertimana api menghanguskan kayu.

(Sunan Abi Dawud No. 4903)

Alamat dengki:

    1. Tidak boleh melihat orang lain mendapat kesenangan.
    2. Merasa puas hati apabila melihat orang lain mendapat kesusahan, di mana mereka yang dengki akan berkata: “Padan muka dia”.

Dengki itu telah ditiup-tiup oleh syaitan. Syaitan akan membisikkan manusia dengan bisikan was-was yang akan menimbulkan perasaan tidak baik di dalam hati manusia. Perhatikan adik beradik ini siapa bapa mereka? Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ! Mereka pun tahu yang bapa mereka itu seorang Nabi Allah, namun lihatlah perangai mereka. Ini mengajar kita yang tidak ada sesiapa pun akan terselamat daripada bisikan syaitan. Apa kita sangka ada tempat syaitan tidak boleh pergi? Dalam masjid pun syaitan boleh masuk sampai AJK masjid pun boleh berkelahi sesama sendiri.

Ia juga mengajar kita yang kita tidak boleh memastikan anak-anak kita akan menjadi orang yang baik walaupun kita berikan pendidikan dan belaian kasih mesra yang selengkapnya kepada anak beranak. Bayangkan tentulah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah mendidik anaknya dan melayan mereka dengan baik, bukan? Namun itu pun belum selamat lagi kerana akhirnya ia kembali kepada diri orang itu sendiri. Kalau dia baik, bapa Firaun pun boleh selamat dan menjadi orang baik seperti Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Akan tetapi kalau memang sudah ada kejahatan di dalam diri, maka ia akan keluar seperti anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan anak Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Jadi anak siak masjid dan anak ustaz pun belum tentu selamat. Berapa ramai anak ustaz yang menjadi ‘hantu’. Kadangkala ustaz sendiri pun menjadi ‘hantu’!

 

Kuiz (Soalan Pendek)

Jawab setiap soalan dalam 2-3 ayat.

  1. Apakah dua perkara utama yang ditekankan dalam “Tauhid” sebagai dakwah penting dalam Surah Yusuf?
  2. Bagaimanakah kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ membuktikan kerasulan Nabi Muhammad ﷺ?
  3. Apakah maksud “آيَاتٌ” (tanda-tanda) dalam konteks kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan adik-beradiknya?
  4. Siapakah golongan “لِّلسّائِلينَ” (orang-orang yang bertanya) yang dimaksudkan secara khusus dalam Ayat 7, dan mengapa kisah ini relevan bagi mereka?
  5. Apakah kepentingan bertanya dalam proses pembelajaran ilmu menurut petikan ini?
  6. Mengapakah abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berpakat jahat terhadapnya menurut tafsir Al-Qurtubi?
  7. Siapakah Bunyamin, dan apakah hubungan kekeluargaan beliau dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?
  8. Bagaimana pandangan abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terhadap layanan ayah mereka kepada Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Bunyamin? Adakah pandangan mereka ini tepat?
  9. Jelaskan maksud ‘عُصبَةٌ’ yang digunakan oleh abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan implikasinya terhadap pemikiran mereka.
  10. Apakah maksud kalimah ‘ضَلٰلٍ’ dalam konteks “ayah kita adalah dalam kekeliruan yang nyata” (إِنَّ أَبانا لَفي ضَلٰلٍ مُّبينٍ), dan apakah bahaya utama perasaan dengki yang disebut dalam petikan?

 

Glosari Istilah Penting

  • Jumlah Mu’taridah: Ayat sisipan atau ringkasan pembukaan sesuatu kisah dalam Al-Quran.
  • Risalah: Perutusan Nabi; kebenaran kenabian Nabi Muhammad ﷺ sebagai utusan Allah ‎ﷻ.
  • آيَاتٌ (Ayat): Tanda-tanda; merujuk kepada bukti kekuasaan, kebijaksanaan, dan pengajaran daripada Allah ‎ﷻ dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
  • لِّلسّائِلينَ (Lil-sa’ilin): Bagi orang-orang yang bertanya; merujuk kepada mereka yang mencari ilmu pengetahuan dan kebenaran, khususnya orang Yahudi pada waktu itu, dan juga umat Islam secara umum.
  • Kambing Hitam: Individu atau kelompok yang disalahkan atas kesilapan atau masalah yang dilakukan oleh orang lain.
  • Bunyamin (Benjamin): Adik kandung Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada ibu yang sama (Rahil).
  • إِخوَة (Ikhwah): Abang-abang (plural).
  • أَخو (Akhu): Adik (singular).
  • عُصبَةٌ (Usbah): Kumpulan yang kuat, biasanya terdiri daripada 5-10 orang.
  • Asabiyyah: Perkauman atau semangat kesukuan yang melebihkan keturunan dan puak sendiri.
  • ضَلٰلٍ مُّبينٍ (Dalalin Mubin): Kekeliruan yang nyata; dalam konteks ayat ini, ‘silap’ atau ‘keliru’, bukan ‘sesat’.
  • Hasad/Dengki: Perasaan tidak senang hati melihat orang lain mendapat kesenangan dan berharap kesenangan itu hilang, atau puas hati melihat orang lain mendapat kesusahan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 17 Ogos 2026

Ringkasan Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 6 (Berita gembira untuk Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)

Yusuf Ayat 6: Setelah memberi nasihat kepada anaknya itu untuk menyembunyikan tentang mimpi itu, sekarang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menenangkan hati dan menggembirakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula. Jadi kalau dalam ayat sebelum ini temanya negatif, sekarang temanya positif pula. Begitulah apabila memberi nasihat kepada seseorang, kita mulakan dengan berita buruk dahulu, kemudian kita gembirakan dia dengan berita baik pula. Inilah imbangan yang kena ada apabila kita memberi nasihat. Kalau berita sedih dan negatif sahaja, tentu akan memurungkan orang; kalau berita gembira dan positif sahaja, itu pula berangan sahaja.

Perhatikan juga ayat ini terbahagi kepada masa hadapan dan sejarah. Di masa hadapan, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan mendapat nikmat (masa hadapan) sepertimana yang telah diberikan kepada bapa-bapa mereka yang dahulu (sejarah).

وَكَذٰلِكَ يَجتَبِيكَ رَبُّكَ وَيُعَلِّمُكَ مِن تَأوِيلِ ٱلأَحَادِيثِ وَيُتِمُّ نِعمَتَهُ ۥ عَلَيكَ وَعَلَىٰٓ ءَالِ يَعقُوبَ كَمَآ أَتَمَّهَا عَلَىٰٓ أَبَوَيكَ مِن قَبلُ إِبرٰهِيمَ وَإِسحَـٰقَ‌ۚ إِنَّ رَبَّكَ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And thus will your Lord choose you and teach you the interpretation of narratives [i.e., events or dreams] and complete His favor upon you and upon the family of Jacob, as He completed it upon your fathers before, Abraham and Isaac. Indeed, your Lord is Knowing and Wise.”

(MALAY)

Dan demikianlah Tuhanmu, memilih kamu (untuk menjadi Nabi) dan diajarkan-Nya kepadamu sebahagian daripada ta’bir mimpi-mimpi dan disempurnakan-Nya nikmat-Nya kepadamu dan kepada keluarga Ya’qub, sebagaimana Dia telah menyempurnakan nikmat-Nya kepada dua orang bapamu sebelum itu, (iaitu) Ibrahim dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

 

وَكَذٰلِكَ يَجتَبيكَ رَبُّكَ

Dan demikian itu, Tuhanmu telah memilihmu

Oleh itu, dalam ayat ini, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberi amaran dan dalam masa yang sama, memberi berita gembira kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini mengajar kita supaya jangan hanya beri amaran dan marah sahaja kepada anak kita. Kita janganlah negatif sangat dengan anak-anak. Dalam perkara ini ada kesilapan dalam cara didikan ramai ibubapa. Kalau kita perhatikan, ramai yang selalu merungut sahaja tentang anak-anak mereka: “Kenapa kamu tak jadi macam anak orang sebelah?”, “Kenapa kamu tak jadi pandai macam sepupu kamu?” dan sebagainya. Kata-kata seperti ini semua akan memusnahkan jati-diri anak itu. Sepatutnya kalau kita mahukan anak kita menjadi seseorang yang yakin dengan diri sendiri dan menjadi lebih baik, kenalah beri semangat kepada mereka. Kita dahulu pun bukannya hebat sangat, bukan? Kita semua memerlukan masa untuk meningkat naik dari kecil menuju ke usia remaja. Dalam meningkat naik itu, memang kita amat memerlukan sokongan daripada orang-orang yang kita hormati seperti ibubapa kita. Maka ibubapa kenalah belajar cara-cara psikologi dengan anak-anak supaya didikan yang diberikan lebih baik.

Kalimah كَذٰلِكَ di dalam ayat Al-Qur’an selalunya susah untuk ditafsirkan. Ia bermaksud ‘begitulah’ tetapi apakah maksudnya? Jadi kita kena cuba kaitkan dengan ayat yang sebelum ini. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tentunya sudah perasan ada kelebihan pada anaknya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Baginda tertunggu-tunggu siapakah di antara anaknya yang akan menggantikannya sebagai Nabi dan bilakah. Jadi apabila Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mendapat mimpi itu, maka ‘begitulah’ rupanya pelantikan itu sudah bermula.

Satu lagi, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ nampak kepandaian akal Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ apabila menceritakan mimpinya itu. Baginda boleh melihat anaknya itu ada adab dalam berkata-kata apabila menceritakan mimpinya itu. Maka jelaslah kepada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ada sifat-sifat ‘begitulah’ yang menyebabkan Allah ‎ﷻ melantik baginda menjadi Nabi untuk meneruskan tradisi keluarga mereka.

Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengatakan yang Allah ‎ﷻ telah memilih untuk memberi banyak nikmat kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Di dalam ayat sebelum ini banyak kita sentuh tentang usaha syaitan untuk menimbulkan huru hara dalam kalangan manusia. Seolah-olah kita akan kalah dengan mereka. Nah, sekarang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberitahu yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dilantik oleh رَبُّكَ maka tentulah baginda akan mendapat perlindungan daripada رَبُّكَ. Antara syaitan dan رَبُّكَ, siapakah yang akan menang?

Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan kalimah يَجتَبيكَ (memilihmu). Ada maksud tertentu kenapa ijtiba’ ini berbeza dengan kalimah lain yang digunakan untuk ‘pemilihan’ walaupun ada lagi kalimah-kalimah lain. Ada kalimah ikhtiyar (اِخْتِيَار) dan kalimah istifa’ (اِصْطِفَاء). Kalau kalimah ‘ikthiar’ (daripada kalimah خير) yang digunakan, ia memilih berdasarkan kebaikan atau kelebihan seseorang. Ini seperti Allah ﷻ memberitahu Dia telah memilih Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti disebut di dalam Taha:13

وَأَنَا اخْتَرْتُكَ فَاسْتَمِعْ لِمَا يُوحَىٰ
“Dan Aku telah memilihmu (ikhtartuka), maka dengarkanlah apa yang akan diwahyukan kepadamu.”

Kalau kalimah istifa’ yang digunakan, ia kerana kesucian seseorang atau sesuatu. Kalimah ini berasal daripada صَفَا (safa), yang bermaksud “bersih,” “suci,” atau “pilih.” Ini seperti digunakan di dalam pemilihan Maryam seperti disebut di dalam Ali Imran:42

وَإِذْ قَالَتِ الْمَلَائِكَةُ يَا مَرْيَمُ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَاكِ وَطَهَّرَكِ وَاصْطَفَاكِ عَلَىٰ نِسَاءِ الْعَالَمِينَ
“Dan (ingatlah) ketika Malaikat berkata: ‘Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu (istafaki), menyucikanmu, dan melebihkanmu daripada wanita-wanita di seluruh alam.'” 

Akan tetapi kalau digunakan kalimah ijtiba, ia daripada kata dasar ج ب ي yang bermaksud pilih; mengumpul; kumpulkan bersama; mengetahui. Ia bermaksud pemilihan berdasarkan kepada kebolehan. Ini seperti mengambil orang untuk bekerja dengan kita – ini kerana mereka ada kelebihan dan kebolehan untuk melakukan kerja itu. Ini seperti kita memilih tukul untuk bertukang, kita pilih tukul yang sesuai untuk apa yang kita hendak tukangkan. Akan tetapi, apa yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah lakukan sampai baginda dikatakan ada kebolehan itu? Kalau hendak kirakan, baginda tidak berbuat apa-apa pun lagi. Memang baginda akan ada kelebihan dan itu bukan setakat mendapat mimpi sahaja kerana dalam surah ini nanti kita akan lihat bagaimana orang kafir pun mendapat mimpi yang benar juga. Mungkin orang yang dipilih itu pun tidak tahu yang dia mampu melakukannya, akan tetapi orang yang memilih itu tahu yang dia orang paling sesuai. Jadi walaupun Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak tahu kelebihannya lagi, tetapi Allah ﷻ sudah tahu dan kerana itu Allah ﷻ memilih baginda.

Walaupun baginda belum lagi mendapat kelebihan-kelebihan itu tetapi sebenarnya Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dapat melihat yang anaknya itu ada kelebihan kerana akhlaknya yang baik. Baginda dapat memahami tentang mimpinya itu. Maknanya baginda telah nampak kebijaksanaan pada anaknya itu berdasarkan kepada tentang mimpi yang pertama. Nanti akan ada dua kisah lagi tentang mimpi, iaitu mimpi raja dan mimpi dua orang banduan dalam penjara. Kedua-dua mereka itu nanti akan bertanya apakah maksud mimpi mereka itu. Namun lihatlah bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak minta dita’bir mimpinya sendiri dan ini menunjukkan yang baginda tahu apakah maksud mimpinya itu. Maknanya, baginda sudah ada kelebihan menta’bir mimpi walaupun baginda masih kecil lagi.

Satu lagi maksud ijtiba’ adalah ia merujuk kepada pemilihan yang bersifat “menarik” atau “menghampiri” seseorang secara khusus. Ia membawa makna bahawa Allah ‎ﷻ mendekatkan atau menarik seseorang kepada-Nya, dengan memberikan hidayah, petunjuk, dan kecintaan yang mendalam. Individu yang di-ijtiba’ adalah seseorang yang dipilih untuk mendapat rahmat yang istimewa.

Kita akan lihat di dalam kisah ini apabila kita semakin mempelajarinya yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan menerima banyak dugaan dan ujian. Semua itu telah disusun oleh Allah ‎ﷻ untuk mendidik dan mengajar baginda. Allah ‎ﷻ telah memilih ujian yang sesuai kepada orang yang sesuai. Maka begitulah ujian-ujian dalam hidup yang Allah ‎ﷻ telah pilih bagi kita.

 

وَيُعَلِّمُكَ مِن تَأويلِ الأَحاديثِ

dan diajarkan-Nya kepadamu sebahagian daripada ta’wil kata-kata 

Kalimah يُعَلِّمُ di sini selalu diterjemahkan sebagai mengajar. Namun begitu yang lebih tepat ia bermaksud mula mengajar. Kerana mengajar itu mengambil masa dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ baru peringkat awal. Allah ﷻ kata يُعَلِّمُ bukannya يُخَبِّرُ. Kalau يُخَبِّرُ cakap sekali boleh terus tahu akan tetapi kalau يُعَلِّمُ ia mengambil masa.

Kalimah takwil (تأويل): Berasal daripada kata آلَ (āla), yang bermaksud “kembali” atau “kembali ke asal.” Ta’wil lebih merujuk kepada menjelaskan makna batin (tersembunyi) atau hakikat sesuatu. Secara umum, ia merujuk kepada penjelasan atau pentafsiran terhadap sesuatu yang tersembunyi, sama ada mimpi, ramalan, atau perkara yang terjadi. Jadi ia memberi maksud asal, iaitu maksud yang sebenarnya.

Selalu apabila digunakan kalimah تَأويلِ untuk Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini dikatakan tentang kelebihan baginda menta’bir maksud mimpi. Akan tetapi cuba lihat kembali bagaimana kalimah yang digunakan adalah الأَحاديثِ. Ia boleh difahami sebagai peristiwa-peristiwa yang terjadi, baik dalam bentuk mimpi mahupun yang terjadi di dunia nyata. Oleh itu, baginda boleh mengetahui maksud bagi sesuatu peristiwa, sesuatu perkara yang berlaku – bukan setakat mimpi sahaja. Ia juga boleh bermaksud kata-kata dan kerana itu ada orang bercakap dengan baginda, baginda boleh tahu apakah maksud orang itu yang tersirat. Ini adalah mukjizat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Dari segi bahasa, ada 3 jenis kalimah yang digunakan untuk interpretasi sesuatu yang susah dan kompleks untuk difahami:

    1. ta’wil – digunakan dalam bentuk umum.
    2. ifta’ (dari sinilah menjadi kalimah ‘mufti’ iaitu orang yang ada ilmu untuk mengambil hukum daripada persoalan manusia)
    3. ta’bir – Ini digunakan khusus untuk mimpi.

Kita lihat bagaimana Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan kalimah تَأويلِ, maknanya bukan tadbir mimpi sahaja, tetapi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ boleh ‘membaca manusia’ – kerana الأَحاديثِ tidak bermaksud mimpi sahaja, tetapi termasuk dengan percakapan juga. Maksudnya apabila baginda jumpa orang dan lihat sedikit sahaja, baginda akan tahu apakah yang tersembunyi dan yang tersirat. Bukanlah baginda boleh membaca hati orang pula, tetapi melalui tanda-tanda yang ada, baginda boleh agak. Nanti di dalam ayat 21 nanti kita akan bertemu kalimah ini digunakan sekali lagi

وَقالَ الَّذِي اشتَرٰهُ مِن مِّصرَ لِامرَأَتِهِ أَكرِمي مَثوىٰهُ عَسىٰ أَن يَنفَعَنا أَو نَتَّخِذَهُ وَلَدًا ۚ وَكَذٰلِكَ مَكَّنّا لِيوسُفَ فِي الأَرضِ وَلِنُعَلِّمَهُ مِن تَأويلِ الأَحاديثِ
Dan orang Mesir yang membelinya berkata kepada isterinya: “Berikanlah kepadanya tempat (dan layanan) yang baik, boleh jadi dia bermanfaat kepada kita atau kita ambil dia sebagai anak”. Dan demikian pulalah Kami memberikan kedudukan yang baik kepada Yusuf di muka bumi (Mesir), dan agar Kami ajarkan kepadanya ta’bir kejadian.

Ayat 21 ini adalah kisah setelah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dimasukkan dan bekerja di rumah Pembesar Mesir. Baginda menjadi orang yang dipercayai sehinggakan di dalam Bible ada disebut kunci rumah pun diberikan kepada baginda. Apabila baginda berada di rumah itu, baginda didedahkan dengan perbincangan politik dan perbualan serta perbincangan orang besar-besar. Kemudian baginda diberikan mungkin pergi ke pasar, maka baginda berjumpa orang-orang di pasar; kemudian baginda bergaul dengan golongan pembantu rumah dan berbagai lagi perkara yang baginda temui dan pelajari. Nanti baginda dimasukkan pula ke dalam penjara dan baginda bergaul dengan golongan banduan pula. Semua ini memberi pengalaman kepada baginda dan baginda beri perhatian dan belajar dengannya. Akhirnya nanti apabila baginda menjadi orang besar pula di Mesir, baginda akan menggunakan segala pengalaman dan ilmu yang baginda dengar ini.

Tentang mimpi yang benar, orang Islam pun boleh mendapat mimpi yang benar. Mimpi benar akan diberikan kepada mereka yang benar dan jujur dalam kehidupan mereka. Namun begitu kena berhati-hatilah kerana ramai yang menyalahgunakan mimpi ini. Ada golongan tarekat dan sufi yang menggunakan mimpi untuk membenarkan ajaran sesat mereka. Mereka reka amalan dan kata mereka dapat dalam mimpi. Entah jin mana yang datang dalam mimpi mereka tetapi mereka kata itu adalah wali. Atau mereka kata Nabi Muhammad ﷺ sendiri yang ajar sesuatu amalan dalam mimpi mereka. Padahal yang ajarkan kepada mereka adalah syaitan yang menjelma dalam bentuk orang alim atau Nabi Muhammad ﷺ. Bagaimana mereka boleh mendapat mimpi yang benar, sedangkan amalan mereka banyak yang syirik dan bidaah?

Bolehkah manusia selain daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menta’bir mimpi? Ya, manusia selain Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga boleh menta’wil atau menafsirkan mimpi. Namun, kebolehan ini memiliki batasan dan syarat tertentu. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memiliki anugerah yang istimewa daripada Allah ‎ﷻ untuk menta’wil mimpi dengan ketepatan yang luar biasa, kerana ia adalah sebahagian daripada kenabiannya. Riwayat sejarah Islam juga menunjukkan bahawa orang-orang selain Nabi pernah menafsirkan mimpi. Terdapat riwayat bahawa para sahabat Nabi Muhammad ﷺ, seperti Abu Bakar As-Siddiq رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, juga pernah menafsirkan mimpi. Nabi Muhammad ﷺ sendiri mengiktiraf kebolehan Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dalam bidang ini. Ini menunjukkan bahawa ta’wil mimpi bukanlah hak eksklusif para Nabi, tetapi juga boleh diberikan kepada orang-orang yang soleh dan berilmu.

Ada satu kisah pada suatu hari Imam kita Asy-Syaf’i رَحِمَهُ اللَّهُ bermimpi di Mesir mengenai diri sahabat karibnya dan muridnya yang alim, Imam kita Ahmad bin Hanbal رَحِمَهُ اللَّهُ. Imam Syafi’i رَحِمَهُ اللَّهُ mendapat kesan dalam mimpinya itu bahawa sahabat dan muridnya yang amat dihormatinya itu sedang terancam suatu bahaya besar. Esoknya juga dia berkirim surat kepada Ahmad bin Hanbal رَحِمَهُ اللَّهُ yang berada di Baghdad menyuruh beliau bersedia-sedia menerima suatu ujian sebab ujian itu akan datang. Memang, tidak berapa lama kemudian datanglah ujian yang terkenal itu, beliau dipaksa mengakui bahawa Al-Qur’an itu makhluk, dan sampai beliau dimasukkan ke dalam penjara 28 bulan lamanya, kerana tidak mahu mengubah pendiriannya, walaupun bagaimana beliau dipaksa, bahkan sampai dipukul.

Meskipun manusia biasa boleh menafsirkan mimpi, ada beberapa syarat dan batasan penting yang perlu dipatuhi:

1. Hanya Tafsirkan Mimpi yang Baik:

    • Seperti yang diajarkan oleh Nabi Muhammad ﷺ, hanya mimpi yang baik yang boleh ditafsirkan.
    • Mimpi yang buruk tidak boleh ditafsirkan, dan kita harus memohon perlindungan daripada Allah ‎ﷻ daripada keburukannya.

2. Ilmu dan Kebijaksanaan:

    • Tafsiran mimpi memerlukan ilmu yang mendalam, kebijaksanaan, dan pemahaman yang luas tentang simbol-simbol dalam mimpi. Jadi ini adalah ilmu khusus yang perlu dipelajari.
    • Ia juga memerlukan ketaqwaan dan keperibadian yang baik, kerana tafsiran yang salah boleh membawa mudarat.
    • Hadith Nabi ﷺ mengingatkan kita agar tidak menceritakan mimpi melainkan kepada orang yang berakal atau penyayang, yang akan memberikan tafsiran yang positif dan membina.

3. Bukan Sumber Hukum:

    • Mimpi yang ditafsirkan oleh orang biasa bukanlah wahyu dan tidak boleh dijadikan sumber hukum atau dasar akidah.
    • Ia hanya dianggap sebagai petunjuk peribadi atau khabar gembira yang tidak mengikat syariat.

Akhir sekali kalimah الأَحاديثِ juga bermaksud sesuatu yang berlaku. Jadi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukan sahaja menta’wil mimpi dan kata-kata, malah baginda juga boleh menta’wil peristiwa. Apabila sesuatu terjadi, baginda boleh memahami maksud di sebaliknya. Kerana itu walaupun baginda mengalami kejadian yang pelik-pelik dan sangat menyusahkan dirinya, namun baginda tenang sahaja dan menerima dengan redha kerana baginda ada sesuatu di sebalik perkara yang terjadi. Allah ‎ﷻ mengadakan berbagai perkara kepada baginda dan nanti Allah ‎ﷻ akan menerangkan kepada baginda apakah maksud sesuatu kejadian itu. Kalau kita pun boleh jadi seperti baginda ini sangatlah bagus; tidaklah melompat atau gelabah kalau apa-apa terjadi kepada kita sebaliknya hendaklah kita terima dengan redha. Kerana kita tidak tahu, entah ada sesuatu yang Allah ‎ﷻ hendak ajar kepada kita.

 

وَيُتِمُّ نِعمَتَهُ ۥ عَلَيكَ وَعَلَىٰٓ ءَالِ يَعقُوبَ

dan disempurnakan-Nya nikmat-Nya ke atasmu dan ke atas keluarga Ya’qub,

Kalimat يُتِمُّ نِعمَتَهُ عَلَيكَ (disempurnakan nikmat-Nya atasmu) maksudnya Allah ‎ﷻ akan menyempurnakan nikmat dengan melantik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjadi Nabi. Ini adalah pendapat majoriti ulama’

Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah نِعمَتَهُ (nikmat-Nya) mengingatkan kita bahawa semua nikmat daripada Allah ‎ﷻ dan bukannya kerana usaha kita. Maka ini mengingatkan kita untuk bersyukur di atas segala nikmat-nikmat itu.

Satu lagi tafsiran ulama’ tentang kalimah يُتِمُّ نِعمَتَهُ bukanlah bermaksud pelantikan sebagai Nabi. Ini kerana pelantikan sebagai Nabi telah disebut di dalam permulaan ayat يَجتَبيكَ رَبُّكَ. Mereka berpendapat kalimah penyempurnaan nikmat ini mempunyai maksud yang lain. Apabila kita berkata tentang nikmat, kita boleh bahagikan nikmat itu kepada dua bahagian utama: nikmat agama dan nikmat keduniaan. Nikmat agama adalah iman dan apabila sudah dapat iman, maka ia tidak hilang selagi kita menjaganya.

Sedangkan nikmat dunia itu adalah berbagai perkara yang kita suka seperti harta, kesenangan hidup, kesihatan tubuh badan, keluarga dan sebagainya. Apabila Allah ‎ﷻ sebut tentang penyempurnaan nikmat, ia merujuk kepada pemberian dua-dua nikmat ini apabila ia digabungkan. Allah ‎ﷻ juga memberi nikmat yang sempurna ini kepada Nabi Muhammad ﷺ seperti disebut di dalam Maidah:3

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلٰمَ دِينًا
Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu jadi agama bagimu

Ayat Maidah:3 ini turun di hampir penghujung hayat Nabi ﷺ apabila baginda telah melepasi ujian-ujian berat baginda dalam menyebarkan agama Islam. Umat Islam ketika itu sudah kuat, sudah kaya, sudah ramai. Baginda sudah dapat mengerjakan Haji kerana Mekah dan Ka’bah sudah di tangan umat Islam. Maknanya nikmat iman dan nikmat dunia telah diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ ketika itu. Baginda sudah dapat mengislamkan masyarakat baginda di Mekah dan dulunya menentang baginda. Waktu di awal Islam, baginda tentu takut dengan serangan daripada musuh-musuh dari dalam dan luar tetapi sekarang baginda tidak takut lagi.

Maka kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga diberikan dengan janji daripada Allah ‎ﷻ itu. Iaitu baginda akan mengalami berbagai-bagai ujian di dalam kehidupan baginda yang menjadi pengajaran dan silibus yang baginda perlu lalui. Akan tetapi akhirnya baginda akan diberikan dengan nikmat keduniaan apabila baginda dilantik menjadi Menteri Kewangan, baginda dapat bergabung dengan keluarga baginda, baginda ada tempat tinggal yang baginda boleh bawa keluarga baginda dan Bani Israil.

Ayat Maidah:3 ini diberikan setelah kejayaan umat Islam. Namun begitu para sahabat sudah mendengar kalimah yang sama digunakan di dalam Surah Yusuf Ayat 6 ini ketika surah itu diturunkan di Mekah sebelum berhijrah ke Madinah. Maka mereka tahu apakah maksudnya iaitu kejayaan dari segi iman dan keduniaan. Akan tetapi bagi kita yang sedang membaca kedua-dua kisah boleh mengambil pengajaran daripada kedua-dua peristiwa itu; iaitu kedua-duanya telah didapati dengan melalui berbagai ujian dan dugaan. Ia bukan diberikan terus kepada kita hanya kerana kita umat Islam dan beriman. Iman itu mestilah dibuktikan dengan melakukan kerja-kerja dakwah, mengajak orang kepada agama Islam dan itu akan dilalui dengan susah dan payah yang akan menduga kita.

Kalimat عَلىٰ آلِ يَعقوبَ (atas keluarga Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) bermaksud keluarga mereka pun akan mendapat nikmat itu. Ini kerana kejadian yang terjadi itu bukan untuk Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja tetapi untuk keluarga mereka juga. Ini menunjukkan yang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berbangga dengan anaknya itu. Baginda sudah nampak yang masa hadapan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan cerah. Walaupun ketika itu abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak sukakan baginda, akan tetapi kelebihan yang diberikan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ nanti akan dapat dirasai juga oleh abang-abangnya itu. Mereka pun nanti akan dapat tempiasnya juga.

Cuma memang ada pendapat yang mengatakan apabila disebut وَيُتِمُّ نِعمَتَهُ عَلَيكَ وَعَلىٰٓ آلِ يَعقوبَ, adik beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga dilantik sebagai Nabi. Begitu juga pendapat ini mengatakan apabila mereka diibaratkan sebagai ‘bintang’ maka ini tanda mereka itu akan menjadi Nabi. Akan tetapi ini adalah pendapat yang lemah kerana nikmat itu tidak semestinya menjadi Nabi. Nanti para Nabi banyak datang daripada keturunan abang-abangnya, bukan daripada keturunan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Itu pun nikmat juga.

 

كَمآ أَتَمَّها عَلىٰٓ أَبَوَيكَ مِن قَبلُ إِبرٰهيمَ وَإِسحٰقَ

sebagaimana Dia telah menyempurnakan nikmat-Nya kepada dua orang bapamu sebelum itu, (iaitu) Ibrahim dan Ishaq.

Setelah habis tentang harapan bagi masa hadapan, sekarang masuk bahagian melihat ke belakang (sejarah). Pangkat kenabian yang diberikan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu adalah kesinambungan daripada pangkat kenabian yang telah diberikan kepada keluarga mereka dari zaman Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ishak عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lagi. Mereka turun temurun mendapat pangkat kenabian itu.

Perhatikan susunan nama para Nabi itu. Sepatutnya kalau susunan disebutlah nama Nabi Ishaq عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ setelah disebut nama Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, akan tetapi disebut nama Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dahulu kerana kedudukan baginda yang tinggi. Legasi baginda adalah taat kepada arahan Allah ‎ﷻ, tidak kira apa dan walaupun terpaksa melibatkan ahli keluarga yang baginda sayangi. Baginda berdakwah kepada bapanya yang menjadi pembuat berhala, sampaikan baginda dihalau oleh bapanya itu. Kemudian setelah sekian lama baru baginda mendapat anak pertama (Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ), apabila baginda diarahkan untuk sembelih anak kesayangannya itu, baginda sanggup. Jadi sayang kepada keluarga tidak menghalang baginda taat kepada Allah ‎ﷻ.

Mungkin kita sangka ini kisah keluarga mereka sahaja dan tidak melibatkan kita. Ini tidak benar kerana semua kisah ini menjadi pengajaran kepada kita dan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu bukannya orang asing bagi kita. Perhatikan ayat Hajj:78 yang diberikan kepada kita pula,

وَجٰهِدوا فِي اللهِ حَقَّ جِهادِهِ ۚ هُوَ اجتَبٰكُم وَما جَعَلَ عَلَيكُم فِي الدّينِ مِن حَرَجٍ ۚ مِّلَّةَ أَبيكُم إِبرٰهيمَ ۚ هُوَ سَمّٰكُمُ المُسلِمينَ مِن قَبلُ وَفي هٰذا
Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang Muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Qur’an) ini

Perhatikan di dalam ayat Hajj:78 ini Allah ‎ﷻ beritahu yang bukan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja dipilih tetapi kita juga. Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukan bapa kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan tetapi bapa kepada kita juga. Kaitan kita dengan mereka amat rapat kerana sebagaimana mereka itu Muslimin, kita juga memakai nama yang sama. Itulah juga gelaran yang dipakai oleh anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti disebut di dalam Baqarah:133

أَم كُنتُم شُهَداءَ إِذ حَضَرَ يَعقوبَ المَوتُ إِذ قالَ لِبَنيهِ ما تَعبُدونَ مِن بَعدي قالوا نَعبُدُ إِلٰهَكَ وَإِلٰهَ ءَابَآٮِٕكَ إِبرٰهِـۧمَ وَإِسمَـٰعِيلَ وَإِسحَـٰقَ إِلٰهًا وٰحِدًا وَنَحنُ لَهُ مُسلِمونَ
(Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Ya’qub hampir mati, ketika dia berkata kepada anak-anaknya: “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?” Mereka menjawab: “Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepada-Nyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman)”.

Jadi Allah ‎ﷻ telah pilih mereka dan kita di atas agama Islam ini. Kalau Allah ‎ﷻ yang pilih kita, maka tentulah ada kebolehan dan kemampuan kita untuk menjaga agama ini. Namun begitu setakat kebolehan sahaja tidak cukup, hendaklah kita menjalankannya. Sebagai contoh, kalau ada seseorang yang ada kemampuan mengajar, tetapi dia tidak mengajar, adakah dia telah menjalankan tanggungjawabnya? Begitulah kita telah dipilih oleh Allah ‎ﷻ untuk menganut agama Islam ini tetapi kalau kita sia-siakan, maka kita telah gagal.

Begitulah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberi nasihat kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Baginda mengajar baginda untuk berharap kepada masa depan yang baik sambil memandang kepada legasi yang di belakang. Begitulah kita kena pandang hadapan dan belakang sekali. Dalam menjalani kehidupan di dunia ini, kita selalu menghadapi ujian dan musibah. Kalau kita pandang ke hadapan iaitu tujuan hidup kita dan kejayaan yang di hadapan, pasti ia akan lebih mudah bagi kita. Kalau kita tidak nampak masa hadapan yang indah itulah yang menyebabkan kita sukar menghadapi ujian yang sekarang di hadapan kita. Jangan pandang ke belakang sahaja.

 

إِنَّ رَبَّكَ عَليمٌ حَكيمٌ

Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Allah ‎ﷻ maha tahu apakah yang akan diberikan kepada Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Allah ‎ﷻ dengan kebijaksanaan-Nya akan melakukan sesuatu yang baik bagi baginda. Ini kerana Allah Tahu segalanya. Nanti Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ada kepandaian yang amat tinggi tetapi Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ingatkan yang lebih tahu adalah Allah ﷻ. Jadi jangan berbangga dan berlagak dengan kelebihan ilmu yang Allah ﷻ berikan.

Sekian nasihat yang hebat daripada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai bekalan kepada anaknya. Kita tidak tahu adakah lagi nasihat yang lain diberikan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ selepas itu akan tetapi setakat yang disebut di dalam surah ini, inilah nasihat terakhir yang baginda berikan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Tidak lama nanti kita pun tahu yang mereka akan berpisah dan berjumpa lagi entah berapa puluh tahun selepas itu. Namun dengan bekalan nasihat daripada ayahnya inilah yang menjadi modal baginya untuk menghadapi segala ujian dan dugaan yang amat banyak yang baginda lalui nanti.

Habis Ruku’ 1 daripada 12 ruku’ surah ini.

 

Soalan Kuiz (10 Soalan Pendek)

Jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat setiap satu.

  1. Mengapa Nabi Ya’qub memilih untuk memberi nasihat kepada Nabi Yusuf dengan menyeimbangkan amaran dan berita gembira?
  2. Apakah makna kalimah “كَذٰلِكَ” (demikianlah) dalam konteks ayat 6 Surah Yusuf dan bagaimana ia dikaitkan dengan pemilihan Nabi Yusuf?
  3. Jelaskan perbezaan antara kalimah “Ikhtiyar”, “Istifa'”, dan “Ijtiba'” dalam konteks pemilihan oleh Allah.
  4. Mengapa dikatakan bahawa Nabi Yusuf memiliki kebolehan menta’bir mimpi walaupun masih kecil?
  5. Apakah maksud “وَيُعَلِّمُكَ” dalam ayat ini, dan mengapa ia tidak bermaksud “memberitahu” semata-mata?
  6. Terangkan tiga jenis kalimah yang digunakan untuk interpretasi sesuatu yang susah dan kompleks untuk difahami, dan fokuskan pada bagaimana “ta’wil” berbeza daripada yang lain.
  7. Selain mimpi, apakah lagi yang boleh ditafsirkan oleh Nabi Yusuf berdasarkan kalimah “الأَحاديثِ”?
  8. Apakah dua jenis nikmat yang disebutkan dalam tafsiran sebagai “penyempurnaan nikmat” kepada Nabi Yusuf dan keluarga Ya’qub?
  9. Bagaimana legasi Nabi Ibrahim dikaitkan dengan pemilihan Nabi Yusuf dan juga umat Islam masa kini?
  10. Apakah kepentingan penegasan “إِنَّ رَبَّكَ عَليمٌ حَكيمٌ” (Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana) pada akhir ayat ini?

 

Glosari Istilah Utama

  • كَذٰلِكَ (Kadzaalika): Bermaksud “dan demikianlah” atau “begitulah”, kalimah yang menunjukkan kaitan dengan apa yang telah disebut sebelumnya atau penjelasan lanjut.
  • يَجتَبيكَ (Yajtabiika): Kalimah dari akar kata j-b-y, bermaksud “memilihmu” atau “menarikmu secara khusus”. Berkaitan dengan pemilihan Allah berdasarkan kebolehan dan penarikan hamba-Nya.
  • Ikhtiyar (اِخْتِيَار): Memilih berdasarkan kebaikan atau kelebihan (dari kata dasar khair).
  • Istifa’ (اِصْطِفَاء): Memilih kerana kesucian atau kebersihan (dari kata dasar safa).
  • تَأويلِ (Ta’wil): Dari kata dasar a-w-l, bermaksud “kembali ke asal” atau “menjelaskan makna batin/tersembunyi”. Merujuk kepada interpretasi mimpi, peristiwa, atau perkara yang belum terjadi.
  • الأَحاديثِ (Al-Ahadith): Bermaksud “peristiwa-peristiwa”, “kata-kata”, atau “naratif”. Dalam konteks ayat ini, ia melangkaui tafsiran mimpi sahaja.
  • Ifta’ (اِفْتَاء): Memberi fatwa atau mengeluarkan hukum, dari kalimah “mufti”.
  • Ta’bir (تَعْبِير): Tafsiran khusus untuk mimpi.
  • آلِ يَعقوبَ (Aali Ya’qub): Keluarga Nabi Ya’qub, termasuk anak-anaknya.
  • Nabi Ishaq عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ: Anak Nabi Ibrahim, juga seorang Nabi.
  • Ruku’: Pembahagian dalam Al-Quran yang biasanya menandakan satu bahagian tema atau perenggan yang lengkap ceritanya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 6 Ogos 2025

Ringkasan Surah Yusuf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 5 (Syaitan Musuh Manusia) Part 2

إِنَّ الشَّيطٰنَ لِلإِنسٰنِ عَدُوٌّ مُبينٌ

Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia

Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tahu yang syaitan akan mengambil kesempatan dengan mimpi itu pula nanti. Ini kerana syaitan akan membisikkan cadangan-cadangan jahat ke dalam hati abang-abangnya nanti. Syaitan tidak akan melepaskan peluang kerana ia memang amat memusuhi keturunan Bani Adam dan akan berbuat apa sahaja untuk menyesatkan manusia.

Ayat ini mengajar kita yang syaitan adalah punca kepada yang buruk. Seorang manusia mungkin asalnya baik tetapi dek kerana bisikan syaitan menyebabkan dia menjadi jahat. Begitulah sifat iblis yang telah menipu Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dari dahulu lagi. Semasa Allah ‎ﷻ hendak melantik Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai khalifah, iblis senyap sahaja tidak berkata apa-apa tetapi senyap-senyap dia menyimpan dendam terhadap Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka begitulah juga dengan adik beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mereka tidak cakap apa-apa kepada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi mereka simpan di dalam diri mereka, menunggu masa untuk meletup sahaja. Tidak tahu bila mereka akan mengambil tindakan. Kerana itu Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ risau kalau Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menceritakan mimpinya itu kerana mungkin itulah insiden yang akan menyebabkan abang-abangnya itu bertindak. Selama hari ini mereka simpan dalam hati sahaja.

Maka ini mengajar kita supaya jangan simpan rasa benci dan dendam dalam hati. Jangan biarkan syaitan membisikkan perasaan dengki ke dalam hati itu. Perkara itu akan digunakan oleh syaitan untuk merosakkan kita. Kejayaan sesiapa sahaja adalah pemberian daripada Allah ‎ﷻ, bukan hak kita untuk mempersoalkan. Kalau seseorang mendapat nikmat, itu mungkin kerana usaha dia, mungkin kerana Allah ‎ﷻ beri pada waktu itu dan pada waktu lain Allah ‎ﷻ tarik. Siapa kita untuk mempersoalkan tindakan Allah ‎ﷻ? Jangan hiraukan bisikan syaitan itu. Kita kena sedar yang syaitan sentiasa membisikkan benda-benda yang buruk ke dalam hati kita. Kalau kita sudah ada ilmu, maka kita senang perasan: “Ini bisikan syaitanlah ni… jangan layan!”.

Ada disebut di dalam Hadis #35 Arbain Nawawiah tentang hasad. Ia hadis yang panjang, tapi di permulaannya,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ: لاَ تَحَاسَدُوا
Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, dia berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Janganlah kalian saling mendengki

Ia mengajar kita yang adik beradik kita tidak semestinya baik belaka. Mereka itu adalah dugaan daripada Allah ‎ﷻ kepada kita kerana kita bukannya boleh pilih adik beradik sepertimana kita pilih kawan-kawan. Sebagaimana mereka itu ujian bagi kita, jangan lupa kita juga ujian bagi mereka. Jangan perasan kita baik sangat. Kalau ada kekurangan pada mereka, biarlah dan bersabarlah kerana mungkin mereka sedang ditipu oleh syaitan. Kita doakan yang baik-baik sahaja. Bayangkan anak beranak Nabi pun boleh ditipu syaitan, apatah lagi kita? Tidak ada sesiapa yang selamat daripada diganggu syaitan. Ini adalah dalil anak-anak Nabi tidak maksum. Jadi kalau ada keturunan Habib sangka mereka maksum, itu adalah pemahaman yang sangat salah.

Begitulah jangan kita perasan ahli keluarga kita baik-baik belaka. Jangan kita pertahankan anak-anak kita kalau mereka telah melakukan kesalahan. Banyak kali bukan kita dengar kisah ibubapa dipanggil ke sekolah dan apabila guru kata anak mereka buat itu dan ini, emaknya akan pertahankan dengan kata: “Eh anak saya ni baik cikgu…. dia tak pandai buat salah!” Janganlah naif sangat kerana walaupun anda tidak ajar mereka buat jahat, syaitan ada untuk ajar mereka. Begitulah juga kalau seorang adik itu baik, tidak semestinya abangnya pun baik kerana sifat masing-masing. Belajarlah daripada kisah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini yang kenal anak-anaknya dan tidak naif.

Nabi Ya’qub menyebut tentang syaitan setelah menyebut tentang abang-abang Nabi Yusuf. Tapi Nabi Ya’qub tidak kata syaitan musuh kepada abang-abang itu tapi kepada semua manusia إِنَّ الشَّيطٰنَ لِلإِنسٰنِ عَدُوٌّ مُّبينٌ. Jadi kita pun tidak terselamat dari syaitan. Maka ada baiknya kita bincangkan bagaimana syaitan menipu manusia. Contoh-contohnya telah ada di dalam Surah Yusuf ini. Dan kita boleh kaitkan dengan diri kita kerana contoh-contoh itu boleh sahaja terjadi kepada kita. Kisah-kisah ini akan kita apabila kita semakin masuk ke dalam tafsir surah ini nanti.

1. Pertamanya, syaitan membisikkan kecemburuan dalam diri abang-abang Nabi Yusuf itu. Cemburu juga adalah penyakit iblis, bukan? Iblis cemburu kerana merasakan Allah lebih sayang kepada Nabi Adam dari dirinya. Jadi syaitan membisikkan perkara yang sama kepada abang-abang itu (Ayah lagi sayang kat Yusuf ni… buat tak tahu kat kita dah….).

2. Yang kedua, syaitan memusingkan konsep cinta. Iblis kononnya mahu berkhidmat kepada Allah dan mengharap cinta Allah. Tapi apabila dia rasa ada yang lebih baik darinya, dia tidak boleh terima. Jadi ia bukanlah sebenarnya mencari cinta Allah, tapi hendak menaikkan diri sendiri. Begitulah juga dengan abang-abang Nabi Yusuf itu. Mereka cakap dengan diri mereka yang apa yang mereka lakukan adalah kerana ayah, tapi sebenarnya untuk diri mereka.

3. Syaitan bagi nampak ringan sahaja dosa yang manusia lakukan. Apa yang telah dilakukan oleh abang-abang itu sangat berat, tapi mereka cakap macam ia tidak berat sangat. Mereka tenangkan diri mereka dengan kata, nanti adalah orang akan pungut dan selamatkan: يَلتَقِطهُ بَعضُ ٱلسَّيَّارَةِ (supaya dia dipungut oleh beberapa orang musafir) Ayat 10. Begitulah syaitan akan tipu manusia dengan menghiasi amalan buruknya supaya nampak baik seperti disebut di dalam ayat-ayat Al-Qur’an seperti An’am:43

وَلٰكِن قَسَت قُلوبُهُم وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيطٰنُ ما كانوا يَعمَلونَ
Yang sebenarnya hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran), dan Syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan.

4. Syaitan boleh bagi manusia hilang terus sifat rahmah, kasih sayang sesama manusia. Kita sebagai manusia sepatutnya kalau lihat orang susah, kita akan terus tolong, bukan? Tapi perhatikan bagaimana syaitan boleh hilangkan sifat rahmah dari abang-abang itu sampai mereka sanggup melakukan perkara yang teruk sekali kepada adik mereka sendiri! Begitulah syaitan boleh merosakkan manusia sampai begitu sekali.

5. Untuk menjalankan kerja terkutuk mereka itu, abang-abang itu telah menipu bapa mereka. Bapa yang mereka kononnya kata mereka sayang itu dan hendak mendapatkan cinta bapa mereka, selamba sahaja mereka tipu! Mereka kata mereka hendak bawa adik mereka bermain-main, tapi sebenarnya mereka hendak buang! Setelah mereka tinggalkan di dalam telaga, mereka balik ke rumah dengan pura-pura menangis! Begitulah syaitan ajar manusia menipu sampaikan sekarang kita pun tidak tahu orang yang di hadapan kita bercakap benar atau tidak.

6. Kemudian kita lihat para peniaga yang jumpa Nabi Yusuf di dalam telaga itu. Sepatutnya mereka selamatkan, tapi tidak. Kerana mereka nampak itu adalah peluang untuk buat duit dengan menjual budak yang nampak hebat itu. Allah sebut di dalam Ayat 19, وَأَسَرّوهُ بِضٰعَةً (Kemudian mereka menyembunyikan dia sebagai barang dagangan).

Ini selalu terjadi dalam dunia ini, bukan? Kita bukan tengok manusia lain sebagai insan, tapi kita melihat sebagai punca duit! Kalau di hospital, mereka suka kalau orang sakit lagi ramai sebab mereka boleh buat duit banyak. Syarikat farmasi ada ubat yang boleh menyembuhkan manusia, tapi mereka naikkan harga ubat beratus kali ganda kerana hendak untung. Tidak kisahlah pembeli ubat itu terpaksa jual rumah atau tanah, asalkan mereka dapat keuntungan besar. Guru-guru ada yang luluskan budak-budak yang gagal dalam peperiksaan kerana kalau mereka gagalkan, mereka juga kena jawap dengan Kementerian Pendidikan dan ini mengganggu punca pendapatan mereka. Jadi dapatlah kita mat rempit yang lulus periksa, tapi langsung tidak berguna kepada masyarakat. Begitulah syaitan mengelabui mata manusia supaya nampak manusia lain sebagai punca kewangan sahaja.

7. Menteri Al-Aziz dan ahli-ahli politik di Mesir juga di dalam tangan syaitan. Mereka akan kuasa dan mereka salah gunakan kuasa mereka itu. Al-Aziz itu pada peringkat awal kita perhatikan dia kagum dengan Nabi Yusuf dan dia berikan tempat tinggal kepada baginda. Tapi perbuatan baiknya itu adalah kerana kepentingan dirinya juga. Kalau betul dia sayang kepada Nabi Yusuf, tentu dia akan berusaha untuk tanya asal dari mana, kenapa jadi hamba dan kemudian pulangkan kembali Nabi Yusuf itu. Tapi tidak, bukan? Dan apabila Al-Aziz dan para menteri nampak skandal Nabi Yusuf dan isteri Al-Aziz itu boleh menggoncang kedudukan mereka, mereka terus sahaja penjarakan dan senyapkan Nabi Yusuf!

8. Al-Aziz itu tidak kisah pun isterinya duduk di rumah dengan Nabi Yusuf. Dia tidak menjaga ikhtilat di rumahnya. Padahal Nabi Yusuf itu punyalah kacak tapi dia biarkan sahaja dan tidak pandang penting pun perkara itu. Begitulah kita dalam hubungan kerja dan keluarga, kadang-kadang kita tidak perasan perkara ini. Kadang-kadang ahli keluarga kita bercampur gaul walaupun mereka itu ajnabi, begitu juga keadaan di pejabat sampai ada hubungan tidak sihat antara isteri orang dan suami orang. Syaitan suruh kita abaikan perkara itu, tak perlu sibuk akan hubungan sebegitu, biarkan sahaja. Padahal perkara ini telah merosakkan rumahtangga, kehidupan dan keharmonian di dalam masyarakat.

9. Dan apabila skandal telah berlaku, apa yang yang Al-Aziz dan para menteri pentingkan? Mereka pentingkan kedudukan mereka! Al-Aziz apabila sudah tahu apa yang telah dilakukan oleh isterinya, apa dia cakap kepada Nabi Yusuf? يُوسُفُ أَعرِض عَن هَـٰذَا‌ۚ (Yusuf: “Berpalinglah daripada ini) Ayat 29. Kerana syaitan bisikkan kepadanya bahawa kedudukannya dan statusnya yang dipandang tinggi lebih baik dijaga dari menegakkan keadilan. Imej di mata manusia yang selalu dijaga manusia, walaupun ia menyebabkan ada orang yang terzalimi.

10. Sebagai seorang suami dan ketua keluarga, apakah tindakan Al-Aziz itu benar? Tentu tidak! Dia sepatutnya menangani perkara itu dengan memisahkan Nabi Yusuf dan isterinya. Tapi nanti kita akan perhatikan yang isterinya masih lagi boleh mengawal Nabi Yusuf, sampai mempamer beliau di hadapan isteri-isteri menteri yang lain!

Begitulah syaitan membisikkan kepada ketua keluarga supaya tidak buat apa-apa walaupun telah ada isu, skandal dan masalah di dalam keluarga. Syaitan akan suruh senyapkan sahaja supaya tak malu dengan orang kampung. Kalau anak perempuan belum berkahwin pun sudah terberanak, senyapkan sahaja, kata syaitan! Janji jangan malu dengan masyarakat, kata syaitan.

Bukan hanya ketua keluarga sahaja, tapi mana-mana ketua yang ada tanggungjawab untuk membetulkan isu yang timbul. Ini boleh jadi dalam negara, dalam komuniti, dalam tempat kerja malah di mana-mana sahaja.

11. Kemudian dari isteri Al-Aziz kita belajar tentang bisikan syaitan yang biasa terjadi iaitu berselingkuh. Yang ini berlaku zaman berzaman dan agaknya syaitan sudah pakar bagaimana hendak menggelincirkan manusia dalam hal ini. Tidak kira orang biasa atau orang agama, sama-sama boleh melakukan maksiat sebegini. Yang terjerumus itu bukannya tidak tahu apa yang mereka lakukan itu salah, tapi kerana mengikut perasaan, nafsu dan bisikan syaitan, mereka abaikan apa yang fikiran mereka nasihatkan. Fikiran akan nasihat: “jangan buat ini, monyet…..”, tapi mereka tetap juga lakukan kerana desakan nafsu dan syaitan lebih kuat.

12. Tapi yang lebih teruk adalah bagaimana setelah isteri Al-Aziz itu dibongkarkan kesalahannya, dia tidak bertaubat terus tapi masih lagi menjalankan tipu helahnya. Dia tetap lagi hendakkan Nabi Yusuf dan malah mengugut Nabi Yusuf dengan penjara! Begitulah syaitan tidak membenarkan manusia bertaubat akan tetapi meneruskan kesalahan mereka. Alang-alang buat, kata syaitan.

13. Isteri Al-Aziz itu juga tidak menghormati suaminya. Mungkin ada yang dia tidak puas hati dengan suaminya, maka dia mencari ruang untuk melepaskan ketidakpuasan hatinya. Sepatutnya kalau tidak suka lagi dengan suami, tinggalkanlah, dan carilah suami lain yang lebih baik. Tapi dia tidak lakukan begitu kerana dia tetap mahukan kekayaan dan kesenangan dari harta suaminya. Begitulah ramai yang ada suami, tapi masih lagi mencari lelaki lain untuk memuaskan nafsu mereka. Suami juga ada buat begitu, isteri juga ada buat begitu. Sedangkan Islam mengajar harmoni di dalam hubungan suami isteri. Tapi syaitan akan sentiasa membisikkan supaya tidak suka sesama pasangan.

14. Setelah dia kantoi, dia telah menuduh Nabi Yusuf yang hendak merogol dia. Jadi menyalahkan orang lain adalah bisikan syaitan juga. Syaitan tidak suruh kita mengaku tapi syaitan akan suruh kita jaga nama kita dan salahkan orang lain. Persetankan kalau orang yang tidak bersalah dizalimi, asalkan nama baikmu terjaga!

15. Kadangkala orang yang telah ditangkap kerana melakukan kesalahan, mereka akan berubah. Ia menjadi titik perubahan bagi mereka kerana mereka tidak mahu melalui detik-detik menakutkan dan memalukan sebegitu. Akan tetapi bagi sesetengah orang, syaitan lagi membisikkan supaya orang itu menjadi lebih teruk. Orang yang menangkap dia yang dijadikan sebagai musuh dan dia bertindak lebih teruk dari sebelumnya. Begitulah yang terjadi kepada isteri Al-Aziz itu; dia melihat Nabi Yusuf yang menyebabkan dia malu, jadi dia telah merancang supaya baginda dipenjarakan.

16. Tapi apa salah Nabi Yusuf kepadanya? Tidak ada salah apa-apa pun, kerana baginda hanya mempertahankan diri baginda dan maruah baginda dan itu memang patut baginda lakukan. Tapi syaitan tetap membisikkan permusuhan ke dalam jiwa isteri Al-Aziz itu sampai dia menjadikan Nabi Yusuf sebagai musuhnya. Dan begitulah syaitan suka menimbulkan permusuhan di kalangan manusia. Syaitan suka kalau manusia berkelahi dan merosakkan sesama sendiri. Jadi syaitan akan membisikkan bibit-bibit permusuhan walaupun tidak ada pun sebenarnya.

17. Dan isteri itu rasa dia boleh lakukan rancangannya kerana dia rasa dia ada kuasa. Dia hendak apa yang dia mahu, dan kerana dia ada kuasa sedikit, dia hendak menguasai orang lain. Begitulah di dalam jiwa manusia dibisikkan dengan kehendak menguasai orang lain. Mereka rasa mereka berkuasa dan bernilai kalau orang lain kena dengar cakap dia, kena tunduk dan patuh. Mereka sudah tidak kira apakah kesan itu kepada orang yang mereka tekan itu, asalkan mereka dapat rasa berkuasa.

18. Kemudian kita akan berjumpa kisah isteri-isteri para menteri  yang lain. Mereka sibuk hendak tahu apa yang terjadi di rumah Al-Aziz itu. Kenapa sampai isteri Al-Aziz itu mahu berselingkuh dengan hamba sahayanya? Maka mereka pun berkumpul dan bercakap-cakap sesama mereka, menyibukkan diri dengan gosip. Dan begitulah cara syaitan memerangkap manusia, dengan gosip. Sibuk memperkatakan tentang orang lain, sibuk mencari maklumat, sibuk memburukkan orang lain. Maka direkalah kisah-kisah yang tidak benar, dijaja kisah orang keliling kampung. Mereka sudah tidak kira maklumat itu betul atau tidak, tapi mereka sampaikan sahaja. Rosak masyarakat apabila manusia mendengar bisikan syaitan dan buat hal ini.

19. Dan kemudian syaitan membisikkan kepada mereka sampai mereka rasa merekalah yang terpaling suci. Mereka kata di dalam Ayat 30: إِنَّا لَنَرَٮٰهَا فِى ضَلَـٰلٍ مُّبِينٍ (Sesungguhnya kami memandangnya dalam ketidakwarasan yang nyata). Merasa diri paling suci adalah bahaya kerana kita akan memandang rendah orang lain dan rasa diri telah selamat. Kerana itu Allah berfirman di dalam Najm:72

فَلا تُزَكّوا أَنفُسَكُم
maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa)

Ini pun penyakit bagi orang agama. Mereka sentiasa menasihati orang lain, memandang kesalahan orang lain, sampai lupa dia pun tidak sempurna.

20. Seterusnya mereka mahu masuk ke rumah Al-Aziz itu untuk melihat sendiri apa yang berlaku. Mereka hendak mencari-cari kesalahan isteri Al-Aziz itu. Maka inilah yang terjadi kepada ramai manusia yang mencari-cari kesalahan orang lain. Ini kerana mereka rasa mereka sudah baik dan suci, maka perlu pula dicari apakah kesalahan orang lain. Ini amat bahaya apabila menjaga tepi kain orang lain, dan Rasulullah telah menegur hal ini, di dalam hadis riwayat Imam Abu Dawud dan Imam At-Tirmidzi daripada Abu Barzah Al-Aslami R.A, Rasulullah SAW bersabda:

يَا مَعْشَرَ مَنْ آمَنَ بِلِسَانِهِ وَلَمْ يَدْخُلِ الإِيمَانُ قَلْبَهُ، لَا تَغْتَابُوا الْمُسْلِمِينَ، وَلَا تَتَّبِعُوا عَوْرَاتِهِمْ، فَإِنَّهُ مَنِ اتَّبَعَ عَوْرَاتِهِمْ يَتَّبِعِ اللَّهُ عَوْرَتَهُ، وَمَنْ يَتَّبِعِ اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ فِي بَيْتِهِ
“Wahai sekalian orang yang beriman dengan lidahnya namun iman belum masuk ke dalam hatinya! Janganlah kamu mengumpat orang Islam dan janganlah kamu mencari-cari keaiban mereka. Kerana sesiapa yang mencari-cari keaiban mereka, Allah akan mencari keaibannya. Dan sesiapa yang Allah cari keaibannya, Allah akan mendedahkan keaibannya (memalukannya) walaupun di dalam rumahnya sendiri.”

(Hadis Riwayat Abu Dawud, no. 4880 — Dinilai Sahih)

Jadi ini menyebabkan ramai orang mahu masuk ke rumah orang lain, hanya untuk cari keburukan tuan rumah itu dan rumahnya! Saya pernah mendengar nasihat yang baik. Nasihatnya begini: “Kalau engkau pergi ke rumah orang dan perasan rumah itu kotor, ada habuk, ada sampah sana dan sini, jangan lagi pergi ke rumah itu” Kenapa tak boleh pergi ke rumah itu? Sebab rumah itu kotor? “Tidak, sebab hati engkau yang kotor! Orang sudah jemput engkau ke rumahnya, beri engkau makan, melayan engkau dengan baik…. tapi yang engkau perasan adalah kotornya rumah itu!”.

21. Kita pun sudah tahu kejadian di rumah itu apabila para wanita itu nampak Nabi Yusuf. Mereka pun jadi gatal, sudah lupa diri dek melihat ketampanan baginda sampai terluka jari mereka kerana tidak sedar diri. Padahal, mereka ini kumpulan aristokrat, isteri para pembesar negara yang selalunya menjaga penampilan mereka, bukan? Begitulah manusia, apabila bersama dengan geng-geng yang tidak malu, masing-masing sudah jadi tidak malu. Di hadapan orang kebanyakan, di khalayak ramai, mereka jaga maruah mereka kononnya. Tapi apabila di kalangan geng-geng sama jenis mereka, sudah hilang rasa malu kerana masing-masing tahu keburukan masing-masing dan selera masing-masing! Syaitan akan kata: relekslah… kau dengan geng sekarang… boleh buat apa yang kau hendak buat!

Sebab itu wanita yang selalunya berpakaian sopan, apabila di pantai peranginan dan semua orang buka aurat, mereka sudah tidak segan lagi untuk buka aurat. Kadang orang yang baik, tapi bila masuk ke kelab malam dan semua orang terkinja-kinja menari, mereka pun sudah tidak segan lagi. Begitulah syaitan suka suasana di mana maksiat berleluasa kerana syaitan tahu, manusia yang selalunya tidak buat maksiat pun akan senang buat maksiat di dalam keadaan sebegitu.

22. Setelah Nabi Yusuf dimasukkan ke dalam penjara, para isteri itu pun tahu yang baginda tidak bersalah langsung. Tapi tidak seorang pun cakap apa-apa untuk menyelamatkan baginda. Mereka tutup mulut kerana takut bocor rahsia, takut nama mereka terpalit, takut nanti kawan-kawan marah dan boikot pula nanti. Syaitan akan bisikkan supaya manusia membisukan diri dalam keadaan sebegini. Syaitan tidak benarkan manusia menyatakan kebenaran. Syaitan suruh manusia lebih pentingkan kedudukan daripada menyatakan kebenaran.

23. Di dalam penjara Nabi Yusuf telah berdakwah dan mengingatkan dua orang banduan tentang Allah, tentang agama. Tapi mereka tidak disebut telah beriman. Begitulah manusia, ramai yang diberi peringatan tapi mereka buat bodoh, buat tak dengar sahaja. Kerana mereka hendak hidup seperti cara hidup mereka sekarang; kalau mula hendak beragama, sudah susah pula nanti, kena solat, kena jadi baik. Jadi para pendakwah datang dan pergi, sikit pun mereka tidak hiraukan. Syaitan akan pekakkan telinga mereka dari mendengar kebenaran. Kalau mereka dengar pun, syaitan akan sibukkan mereka dengan hal lain supaya mereka lupa apa yang mereka dengar itu.

24. Setelah salah seorang banduan itu selamat keluar dari penjara, dia buat tidak ingat sahaja akan permintaan Nabi Yusuf. Padahal Nabi Yusuf telah berlaku baik kepadanya, tapi bertahun dia lupa dan abaikan permintaan Nabi Yusuf itu. Akhirnya yang mengingatkan dia balik adalah raja sendiri yang bertanya ta’bir mimpinya. Begitulah syaitan akan bagi kita lupa akan jasa orang lain, melupakan kita untuk berbuat baik kepada orang lain. Syaitan suruh pentingkan diri sendiri sahaja, asalkan kita selamat, makan pakai semua cukup, tak perlu hirau tentang orang lain.

25. Dan setelah raja bertanya siapa boleh ta’bir mimpi, dia kata dia tahu. Dia tidak cakap terus tentang Nabi Yusuf. Kemudian dia pergi jumpa Nabi Yusuf dan bertanya apakah ta’bir mimpi itu. Dia bukan hendak selamatkan Nabi Yusuf. Tapi dia hendak gunakan ilmu Nabi Yusuf itu untuk menaikkan namanya, menaikkan pangkatnya. Begitulah kita kadangkala dibisik oleh syaitan untuk ambil hasil usaha orang dan jadikan ia sebagai usaha kita untuk menguntungkan kita. Kita plagiat hasil usaha orang, tesis orang, kerja orang, tanpa beri kredit kepada orang itu.

26. Seterusnya kita boleh bincangkan tentang para penasihat raja. Apabila raja minta mereka ta’bir mimpinya, mereka kata di Ayat 44, قَالُوٓاْ أَضغَـٰثُ أَحلَامٍ ۖ وَمَا نَحنُ بِتَأوِيلِ ٱلأَحلَـٰمِ بِعَـٰلِمِينَ  (Mereka menjawab: “(Itu) adalah mimpi-mimpi yang kosong dan kami sekali-kali tidak tahu menta’birkan mimpi itu”). Padahal mereka tak tahu hendak menta’bir mimpi itu tapi kerana tak mahu kalah, tak mahu mengaku tak tahu, mereka kata mimpi itu yang mengarut.

27. Tapi yang lebih teruk adalah mereka kata mereka pandai menta’bir mimpi. Kerana kalau kita lihat di dalam Ayat 43, raja itu kata, يَـٰٓأَيُّهَا ٱلمَلَأُ أَفتُونِى فِى رُءيَـٰىَ إِن كُنتُم لِلرُّءيَا تَعبُرُونَ (Hai orang-orang yang terkemuka: “Terangkanlah kepadaku tentang ta’bir mimpiku itu jika kamu dapat mena’birkan mimpi). Maknanya pernah satu ketika mereka kata mereka pandai ta’bir mimpi. Sedangkan ta’bir mimpi memerlukan ilmu wahyu. Kerana itu kalau kita minta orang ta’bir mimpi, orang itu kena tahu hadis-hadis yang berkenaan. Kerana bukan boleh kita pakai belasah sahaja untuk terjemah mimpi orang.

Akan tetapi begitulah ada manusia yang menipu dalam hal-hal ghaib dan ramai pula yang percaya. Ada orang yang beri servis ta’bir mimpi, selesaikan masalah orang, sembuhkan penyakit orang, buang dan halau jin dan sebagainya. Sedangkan mereka tidak ada pun kuasa itu. Mereka menggunakan penipuan untuk mengambil upah dari manusia yang bodoh (kerana percaya mereka ini) dan mereka menggunakan istilah-istilah agama. Ramailah yang tertipu dan kerana itulah Ibnu Sina pernah berkata: “Jika kamu ingin menguasai orang bodoh, bungkuslah setiap perkara yang batil dengan kemasan agama.”

Dalam bahagian ini, memang syaitan senang menipu manusia kerana ramai yang jahil. Mereka akan tipu individu supaya jadi penyembuh, dan syaitan akan tipu masyarakat supaya percaya dengan orang sebegitu.

 

Syaitan adalah Musuh yang Nyata

Kenapa syaitan dikatakan musuh yang nyata sedangkan mereka itu ghaib pada pandangan kita? Dalam ayat 1 telah disebut ءآيٰتُ الكِتٰبِ المُبينِ dan sekarang syaitan pula yang مُبينِ? Jadi kena faham bahawa bukanlah sifat syaitan sama macam Al-Qur’an pula. Maksud مُبينِ bagi syaitan itu adalah permusuhan mereka yang jelas, bukannya mereka yang jelas.

1. Kerana mereka tidak menyembunyikan kebencian mereka terhadap anak Adam. Kalau musuh kita dalam kalangan manusia, kadangkala kita tidak tahu pun mereka musuh kerana mereka menyembunyikannya dan tidak mengaku. Akan tetapi iblis telah berjanji di hadapan Allah ‎ﷻ untuk menyesatkan anak cucu Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka syaitan tidak pernah berhenti berusaha untuk menyesatkan kita dari dahulu sampai sekarang. Sampai kiamat mereka tidak akan berhenti.

2. Manusia pertama iaitu Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun iblis sudah cuba sesatkan dan berjaya menyebabkan baginda diturunkan dari syurga. Jadi bukan calang-calang penipuan mereka kerana Nabi yang bijak pun boleh tertipu.

3. Maknanya mereka tidak buang masa menipu manusia, malah bermula dengan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lagi mereka telah menipu. Jadi adakah anda sangka mereka akan berhenti?

4. Mereka pula lebih banyak bilangannya daripada kita. Syaitan itu sembilan kali ganda bilangan mereka daripada bilangan kita. Kalau kita boleh nampak mereka dengan nyata, kita pun tidak boleh hendak hidup kerana mereka ada di mana-mana. Oleh kerana ramainya mereka, kita pun tentu susah hendak melawan syaitan yang ramai.

5. Kalau bermusuhan dengan manusia, ada yang lama-lama tidak bermusuhan lagi dan malah ada yang jadi kawan pula. Namun tidak sama sekali dengan syaitan; dengan mereka bukannya boleh bawa bincang.

6. Kalau musuh dalam kalangan manusia, mereka pun tidaklah sentiasa bermusuhan dengan kita. Mereka juga perlu kerja, makan dan sebagainya. Akan tetapi syaitan tidak ada masa rehat untuk mereka menipu dan menyesatkan kita kerana mereka bukannya ada kerja menjadi cikgu, jurutera dan peguam. Memang kerja sepenuh masa mereka adalah menipu manusia.

7. Kalau musuh manusia yang zahir, senanglah kita lawan mereka dan mengelak daripada mereka. Akan tetapi kalau daripada syaitan bangsa jin yang kita tidak nampak, bagaimana kita hendak perasan mereka sedang menipu kita?

8. Mereka lambat mati kalau dibandingkan dengan kita. Kalau umur 300 tahun itu, masih dalam kategori budak lagi dalam alam jin dan syaitan. Jadi, banyak yang mereka boleh buat untuk menyesatkan kita kerana mereka banyak pengalaman.

Bunyi macam hebat pula puak-puak syaitan ini, bukan? Maka bolehkah kita selamat daripada mereka? Dengan izin Allah ‎ﷻ, boleh. Kita kena belajar agama untuk kita kawal diri kita supaya tidak terus terjebak dengan bisikan syaitan. Jangan kita anggap mereka kuat kerana Allah ‎ﷻ telah beritahu yang tipudaya mereka lemah seperti disebut di dalam Nisa’:76

إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطٰنِ كَانَ ضَعِيفًا
sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.

Maka soalan yang lebih patut ditanya adalah bagaimana hendak mengelak daripada ditipu oleh syaitan? Allah ‎ﷻ ajar di dalam Baqarah:208,

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءَامَنُواْ ادخُلوا فِي السِّلمِ كافَّةً وَلا تَتَّبِعوا خُطُوٰتِ ٱلشَّيطَـٰنِ‌ ۚ إِنَّهُ لَكُم عَدُوٌّ مُّبينٌ
Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

Di dalam ayat ini mengandungi juga kalimat إِنَّهُ لَكُم عَدُوٌّ مُّبينٌ dan sebelum itu Allah ‎ﷻ sebut tentang ادخُلوا فِي السِّلمِ كافَّةً. Maka amalkan keseluruhan agama Islam tanpa tinggalkan satu pun. Jangan solat tetapi tidak puasa, jangan belajar tentang Tauhid tetapi tidak belajar tentang adab, jangan amalkan suruhan dalam Al-Qur’an tetapi tidak belajar sunnah. Ini kerana kalau kita tidak belajar keseluruhan agama Islam dan mengamalkannya, maka syaitan akan ada peluang untuk menipu kita di bahagian yang kita tidak belajar dan amalkan.

Setelah mendengar Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak memberitahu hal itu kepada abang-abangnya. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ semakin berhati-hati menjaga Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan tidak meninggalkannya siang atau malam. Akan tetapi itu hanyalah usaha baginda sahaja dan kita akan lihat nanti baginda tidak dapat menyelamatkan pun anaknya Yusuf itu. Begitulah kadang-kadang jaga macam mana pun, namun takdir Allah ‎ﷻ mendahului. Bandingkan dengan ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang berusaha menjaga keselamatan anaknya dari dibunuh, dan berjaya pula. Semuanya di dalam takdir Allah ‎ﷻ.

Soalan Kuiz

Arahan: Jawab setiap soalan dalam 2-3 ayat.

  1. Apakah panggilan yang digunakan oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan apakah maknanya?
  2. Mengapakah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menasihati Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk tidak menceritakan mimpinya kepada saudara-saudaranya?
  3. Bagaimanakah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diketahui sebagai seorang ayah yang “model contoh”?
  4. Apakah perbezaan antara “كيد” (kaid) dan “مكر” (makr) dalam konteks tafsiran ini?
  5. Apakah maksud hadis Nabi Muhammad ﷺ yang menyarankan untuk “meminta pertolongan untuk kejayaan hajat-hajat kamu dengan menyembunyikannya”?
  6. Sebutkan tiga jenis mimpi yang dijelaskan dalam hadith Nabi Muhammad ﷺ.
  7. Mengapakah mimpi para Nabi dianggap sebagai wahyu?
  8. Bagaimanakah syaitan mengganggu mimpi manusia? Berikan satu contoh.
  9. Walaupun syaitan tidak kelihatan, mengapa ia disebut sebagai “musuh yang nyata” bagi manusia?
  10. Bagaimanakah seseorang dapat mengelak daripada ditipu oleh syaitan menurut Surah Al-Baqarah ayat 208?

Glosari Istilah Penting

  • Tashghir: Bentuk perkecilan dalam bahasa Arab yang digunakan untuk menunjukkan kelembutan, kasih sayang, atau merujuk kepada sesuatu yang kecil.
  • Asbabun Nuzul: Sebab-sebab atau peristiwa yang menyebabkan penurunan sesuatu ayat Al-Quran.
  • Ghibah: Mengumpat atau membicarakan keburukan orang lain di belakang mereka, yang diharamkan dalam Islam melainkan dalam keadaan tertentu.
  • Dengki (Hasad): Perasaan iri hati atau benci terhadap nikmat yang diperoleh orang lain, dengan keinginan agar nikmat itu hilang daripada mereka.
  • Wahyu: Petunjuk atau ilham daripada Allah yang disampaikan kepada para Nabi.
  • Sanad: Rangkaian perawi hadith yang menyampaikan riwayat dari sumber asalnya hingga kepada penulis hadith.
  • Dha’if: Status hadith yang lemah disebabkan terdapat masalah pada sanadnya atau perawinya.
  • Sahih: Status hadith yang kukuh dan dipercayai kesahihannya, memenuhi kriteria yang ketat.
  • Hasan: Status hadith yang baik, sedikit kurang dari sahih tetapi masih boleh diterima sebagai hujah.
  • Maksum: Bebas daripada dosa atau kesalahan, biasanya dikaitkan dengan para Nabi dan Rasul dalam Islam.
  • كَيد (Kaid): Rancangan atau tipu daya, boleh jadi untuk kebaikan atau kejahatan, dan seringkali melibatkan banyak langkah.
  • مكر (Makr): Rancangan jahat atau tipu daya khusus untuk merosakkan seseorang.
  • Al-Albani: Ulama hadith kontemporari yang terkenal dengan penilaian hadithnya.
  • Bani Israil: Keturunan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, merujuk kepada bangsa Yahudi.
  • Bani Ismail: Keturunan Nabi Ismail, عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ merujuk kepada bangsa Arab, termasuk Nabi Muhammad ﷺ.
  • Takfir: Mengkafirkan atau menuduh seseorang sebagai kafir.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 29 Julai 2026

Ringkasan Surah Yusuf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 5 (Nasihat Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) Part 1

Yusuf Ayat 5:

قالَ يٰبُنَيَّ لا تَقصُص رُءياكَ عَلىٰٓ إِخوَتِكَ فَيَكيدوا لَكَ كَيدًا ۖ إِنَّ الشَّيطٰنَ لِلإِنسٰنِ عَدُوٌّ مُّبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “O my son, do not relate your vision to your brothers or they will contrive against you a plan. Indeed Satan, to man, is a manifest enemy.

(MALAY)

Ayahnya berkata: “Hai anakku, janganlah kamu ceritakan mimpimu itu kepada saudara-saudaramu, maka mereka merancang rancangan terhadapmu. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia”.

 

قالَ يٰبُنَيَّ

Ayahnya berkata: “Wahai anakku, 

Lihatlah kalimah yang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ gunakan untuk memanggil anaknya: يا بُنَيَّ (wahai anakku yang tercinta). Ini adalah panggilan lembut seorang ayah kepada anaknya – panggilan manja. Maka begitulah kita juga kena gunakan kalimah yang lebih kurang sama dengan anak kita. Cakap dengan lembut, dengan penuh kasih sayang dengan mereka. Kalimah بُنَيَّ adalah dalam bentuk tasghir (perkecilan) maksudnya anak kecil. Macam kitab kecil dipanggil kutaib, kalau Umar yang kecil dipanggil Umair. Macam nama Abu Hurairah itu adalah gelaran yang Rasulullah ﷺ berikan kepada sahabat baginda yang terkenal itu dan Hurairah adalah ‘kucing kecil’ yang asalnya adalah hirrah.

Selalunya kita sebut nama seseorang apabila dia jauh. Akan tetapi apabila Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyebut panggilan kepada anaknya itu walaupun anaknya itu dekat, menunjukkan kelembutan kepada anaknya itu. Sebelum ini kita telah sebutkan yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ agak risau untuk memberitahu tentang mimpinya itu, maka sekarang kita lihat Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bercakap dengan lembut untuk menenteramkan anaknya itu. Ada masa kita kena tegas dengan anak tetapi di waktu yang lain, hendaklah kita berlembut dengan mereka. Di rumah tidak perlu hendak kasar dan marah-marah dengan anak kerana nanti mereka menjadi takut dan otak tidak berkembang dengan baik.

Lihatlah apa kata Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam ayat ini. Kita selalunya tidak layan sangat mimpi budak-budak, bukan? Namun lihatlah bagaimana Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melayan dan mendengar apa yang disampaikan oleh anaknya itu. Nanti kita akan lihat mimpi raja disebut di dalam ayat 44 dan apabila raja bertanya kepada para penasihatnya, mereka hanya jawab:

قالوا أَضغٰثُ أَحلٰمٍ
Mereka menjawab: “(Itu) adalah mimpi-mimpi yang kosong

Ini menunjukkan yang baginda adalah seorang ayah yang baik dan kita kena perhatikan dan cuba untuk menirunya dengan melayan anak-anak kita dengan sebaik mungkin. Ini penting kerana kalau dari waktu mereka kecil kita tidak layan mereka, nanti bila mereka sudah meningkat dewasa, jangan hairan dan mengeluh kalau mereka tidak mahu bercakap dengan kita lagi. Ini kerana semasa mereka memerlukan kita, kita tidak layan mereka sebaik-baiknya, maka balasannya nanti, apabila kita memerlukan mereka, mereka sudah tidak mahu melayan kita lagi. Ini kerana mereka berasa jauh sahaja dengan kita kerana semasa mereka kecil, kita tidak ambil perhatian dengan perasaan dan kehendak mereka. Ini adalah pengajaran yang amat penting untuk kita perhatikan.

Perhatikan juga Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini, baginda terus pergi kepada ayahnya untuk menceritakan apa yang telah berlaku untuk mendapatkan nasihat baginda. Ini juga hebat kerana selalunya kalau kita lihat, perkara ini tidak berlaku sekarang. Selalunya seorang anak itu tidak mengadu kepada ayahnya kerana selalunya mereka akan pergi mengadu kepada ibu mereka. Kerana selalunya ayah garang dan tidak melayan anaknya, bukan? Ini menunjukkan kepada kita, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah seorang yang pandai melayan anaknya sampai anaknya sendiri rasa senang dan selesa untuk berjumpa dan mengadu dengannya. Oleh itu Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini adalah ‘model contoh’ seorang ayah. Kita kena belajar apa yang baginda lakukan dan cuba mencontohi baginda.

Maka dengan belajar begini, tidaklah seorang ayah mengeluh lagi kalau anak mengganggu kita – mungkin kita sedang bercakap waktu itu, sedang menyelesaikan pekerjaan penting, sedang kepenatan, sedang menonton TV, sedang kepeningan dengan entah apa masalah, – apa sahaja, tetaplah panggil anak kita dengan panggilan sayang dan kasih. Letak ke tepi dulu kerja kita dan layanlah mereka kerana bagi mereka, apa yang mereka katakan itu adalah penting walaupun ia tidak penting bagi kita. Jangan tengking dan marahkan mereka kerana mengganggu kita. Begitulah dengan anak kena bersabar sikit sebab akal mereka lain dengan kita. Mereka rasa apa yang mereka jumpa adalah perkara penting dan baru bagi mereka padahal semua perkara yang mereka ceritakan kita sudah tahu tetapi kenalah berlakon tidak tahu, barulah mereka suka.

Seorang anak menjadi orang dewasa yang hebat selalunya kerana hasil didikan ibubapa mereka. Kalau kita jumpa orang hebat dan bertanya mereka, mungkin mereka akan menceritakan bagaimana semasa mereka dahulu, didikan emak dan ayah merekalah yang menyebabkan mereka jadi begitu. Kita pun tentu sudah tahu bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjadi insan yang hebat dan akhirnya sampai menyelamatkan negeri Mesir. Jadi perhatikan didikan baginda bermula di sinilah, iaitu dengan layanan dan didikan ayahnya.

 

لا تَقصُص رُءياكَ عَلىٰ إِخوَتِكَ

janganlah kamu ceritakan mimpimu itu kepada saudara-saudaramu, 

Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menasihati Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ supaya jangan beritahu saudara-saudaranya kerana mereka akan dengki. Walaupun mereka itu adik beradik sekali pun, jangan cerita kepada mereka. Sebab kalau mereka dengar mimpi itu pun mereka pun pasti faham apakah maksudnya. Tidak habis SPM pun boleh tahu yang 11 bintang itu merujuk kepada mereka dan matahari dan bulan pula merujuk kepada ibu dan bapa mereka. Nanti mereka akan buat rancangan yang akan menyusahkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kerana mereka pun memang sudah ada sedikit dengki dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dapat pula mimpi ini pasti mereka akan lebih dengki dan dengki yang membawa mereka melakukan sesuatu buruk pula nanti.

Maknanya, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah tahu sebelum adanya mimpi itu, abang-abangnya sudah mengganggu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana tidak suka kepadanya. Kalau mereka tahu baginda dapat mimpi seperti itu, maka lagilah akan bertambah dengki lagi mereka itu dengan baginda. Tentu akan bertambah-tambah kebencian mereka terhadapnya. Ini mengajar kita supaya prihatin dengan cara berfikir anak-anak kita supaya kita boleh menangani mereka dengan sebaiknya. Perhatikan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ beritahu jangan beritahu kepada abang-abangnya sahaja, tidak sebut pun emak. Ini bermakna yang masalah hanya ada pada adik beradik sahaja.

Kenapa Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yakin yang mereka akan dengki dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Kerana mereka semua tahu yang bapa, datuk dan moyang mereka adalah Nabi dan mereka juga sudah dapat agak yang pangkat kenabian akan jatuh kepada salah seorang di antara mereka. Mereka juga berharap yang merekalah yang diangkat menjadi Nabi menggantikan bapa mereka nanti. Namun sekiranya ia diberikan kepada adik mereka Yusuf, tentu mereka rasa jaki. Tambahan pula mereka sudah nampak ayah mereka melebihkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Bunyamin sahaja, maka bertambahlah kedengkian mereka nanti.

Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mungkin tahu tentang kedengkian abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu melalui wahyu atau baginda sendiri sudah kenal anak-anaknya itu. Mungkin baginda nampak yang mereka 10 orang itu banyak bersama sahaja dan tidak langsung mahu melibatkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Baginda mungkin boleh mengagak melalui cara mereka bercakap dengan baginda, cara mereka memandang, cara mereka berinteraksi sesama sendiri. Seorang ayah kena perhati anaknya betul-betul. Tentulah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seorang yang bijak dan prihatin maka baginda tahu yang kedengkian itu bukan baru tetapi sudah lama sebenarnya.

Kita telah beritahu salah satu asbabun nuzul ayat ini adalah soalan daripada golongan Yahudi. Sekarang jawapan sedang diberikan kepada mereka. Di sini juga sudah Allah ‎ﷻ perli mereka. Mereka itu sudah sekian lama menunggu-nunggu kedatangan Nabi Akhir Zaman dan mereka yakin ia pasti akan diberikan kepada Bani Israil juga. Mereka tidak sangka yang ia akan diberikan kepada Bani Ismail (orang Arab) dan kerana itulah mereka tidak boleh terima, juga kerana dengki. Maka sebagaimana abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengki, Allah ‎ﷻ perli mereka: Kalian pun dengki juga, bukan? Kerana kalian Bani Israil dan Bani Ismail sebenarnya adik beradik sepupu sepapat juga kerana sama-sama daripada keturunan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja.

Secara umumnya, ramai menganggap Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lebih menyayangi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berbanding adik beradiknya yang lain. Ada pendapat yang mengatakan kerana baginda kacak, baginda tidak ada ibu lagi, dan sebagainya. Beginilah juga fahaman abang-abangnya seperti disebut di dalam ayat 8 nanti:

إِذ قالوا لَيوسُفُ وَأَخوهُ أَحَبُّ إِلىٰ أَبينا مِنّا
(Iaitu) ketika mereka berkata: “Sesungguhnya Yusuf dan saudara kandungnya (Bunyamin) lebih dicintai oleh ayah kita daripada kita sendiri

Namun itu hanyalah kata-kata mereka sahaja. Adakah patut seorang Nabi pilih kasih di antara anak-anaknya? Jadi satu lagi pendapat yang saya suka adalah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidaklah pilih kasih. Begitu juga seorang ayah tidak patut pilih kasih kepada anak-anaknya melainkan kena sayang sama rata kerana semua adalah anaknya. Namun begitu, dalam keadaan tertentu, tentulah kita memuji dan menegur anak-anak kita, bukan? Kalau mereka buat baik, maka kita puji; dan kalau mereka nakal, kita tegur. Ini biasalah. Ada kemungkinan juga, anak yang selalu ditegur akan rasa yang ayahnya lebih sayang kepada anak yang lain kerana ayah selalu memuji anak itu. Mereka tidak nampak pun yang ayah itu memuji kerana anak itu melakukan perkara baik. Sedangkan anak yang ditegur itu degil dan selalu melawan, maka memanglah patut ditegur. Sedangkan kalau anak yang degil itu berubah menjadi baik, dia pun akan dipuji juga. Jadi ada pengajaran kepada ayah dan anak di sini. Ayah jangan pilih kasih dan anak janganlah buat hal sampai asyik kena tegur. Takkan perangai kamu macam adik beradik setan tetapi kamu harap emak ayah akan puji pula?

Apa yang dinasihatkan oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini memang bertepatan dengan hadith Nabi Muhammad ﷺ. Memang kita kena tahu apa yang kita perlu lakukan dengan mimpi dan jangan terus bercerita kepada orang. Ini telah diajar oleh Rasulullah ﷺ:

عَنْ أَبِي سَلَمَةَ قَالَ كَانَ أَبُو قَتَادَةَ يُحَدِّثُ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: “الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ مِنَ اللَّهِ وَالْحُلُمُ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَإِذَا حَلَمَ أَحَدُكُمْ حُلُمًا يَخَافُهُ فَلْيَبْصُقْ عَنْ يَسَارِهِ وَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ شَرِّهَا فَإِنَّهَا لَا تَضُرُّهُ، وَإِذَا رَأَى أَحَدُكُمُ الرُّؤْيَا الْحَسَنَةَ فَلْيُبَشِّرْ بِهَا وَلَا يُحَدِّثْ بِهَا إِلَّا مَنْ يُحِبُّ”
Daripada Abu Salamah, dia berkata, “Abu Qatadah menceritakan, dia mendengar Nabi ﷺ bersabda: ‘Mimpi yang baik itu datang daripada Allah, sedangkan mimpi yang buruk itu daripada syaitan. Jika salah seorang di antara kalian bermimpi sesuatu yang menakutkan, maka hendaklah dia meludah ke sebelah kirinya dan memohon perlindungan kepada Allah daripada keburukannya, kerana sesungguhnya mimpi itu tidak akan memudaratkannya. Dan jika salah seorang di antara kalian melihat mimpi yang baik, maka hendaklah dia gembira dengannya, dan janganlah dia menceritakannya melainkan kepada orang yang dicintainya (orang yang dia percayai).'”

(Hadith riwayat Bukhari No. 6995 dan Muslim No. 2261)

Ini kerana hadith ini menjelaskan bahawa mimpi boleh mempunyai kesan realiti, terutamanya jika ia ditafsirkan. Disebut di dalam hadith yang lain,

عَنْ أَبِي رَزِينٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “الرُّؤْيَا عَلَى رِجْلِ طَائِرٍ مَا لَمْ تُعَبَّرْ، فَإِذَا عُبِّرَتْ وَقَعَتْ. فَلَا تَقُصَّهَا إِلَّا عَلَى وَادٍّ أَوْ ذِي رَأْيٍ”
Daripada Abu Razin, dia berkata: “Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Mimpi itu berada di kaki burung selama ia belum ditafsirkan. Apabila sudah ditafsirkan, ia akan berlaku.’ Maka janganlah kamu menceritakannya melainkan kepada orang yang penyayang (mencintai) atau orang yang berakal (berpendapat baik).”

(Hadith Riwayat Abu Daud No. 5022 dan Tirmidzi No. 2272)
Status: Sahih (Al-Albani)

Berdasarkan hadith-hadith di atas, ada adab menceritakan mimpi bergantung kepada jenis mimpi itu. Mimpi ada tiga jenis:

⊕ Mimpi yang Baik (Rukyah): Menceritakan mimpi yang baik adalah dibolehkan, tetapi hanya kepada orang yang anda cintai atau percayai, yang diyakini akan memberikan tafsiran yang baik. Jangan menceritakannya kepada orang yang mungkin iri hati atau akan memberikan tafsiran negatif.

Dalam Islam, mimpi yang baik seringkali datang dalam bentuk simbol, bukan secara literal. Kerana itulah mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini disebut bintang, matahari dan bulan. Mimpi jenis ini memerlukan tafsiran untuk memahami maknanya. Ini adalah salah satu keunikan mimpi yang datang daripada Allah ‎ﷻ, yang berfungsi sebagai petunjuk atau berita gembira. Dalam Islam, tafsiran mimpi bukanlah satu perkara yang boleh dibuat sewenang-wenangnya. Ia memerlukan ilmu dan keperibadian yang baik.

    1. Hanya Tafsirkan Mimpi yang Baik: Kita hanya dibenarkan menafsirkan mimpi yang baik, dan bukan mimpi yang buruk.
    2. Rujuk kepada yang Berilmu: Tafsiran mimpi haruslah dibuat oleh orang yang berilmu, warak, dan berpegang teguh pada Al-Qur’an dan Sunnah.
    3. Tafsiran Perlu Positif: Seperti yang diajarkan oleh Nabi Muhammad ﷺ, kita perlu memastikan tafsiran itu positif, untuk menguatkan semangat dan keyakinan, bukan sebaliknya.

Selain itu, mimpi para Nabi seperti Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini adalah wahyu. Ya walaupun baginda belum dilantik menjadi Nabi, mimpi itu adalah sebahagian daripada wahyu dan ia menjadi tanda yang baginda akan menjadi Nabi. Malah Nabi Muhammad ﷺ sebelum menerima wahyu di Gua Hira’ telah mendapat mimpi. Hadith ini diriwayatkan oleh Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا, yang menceritakan permulaan wahyu kepada Rasulullah ﷺ.

كَانَ أَوَّلُ مَا بُدِئَ بِهِ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مِنَ الْوَحْىِ الرُّؤْيَا الصَّادِقَةُ فِي النَّوْمِ، فَكَانَ لاَ يَرَى رُؤْيَا إِلاَّ جَاءَتْ مِثْلَ فَلَقِ الصُّبْحِ
“Permulaan wahyu yang datang kepada Rasulullah ﷺ adalah mimpi yang benar ketika tidur. Tidak ada mimpi yang baginda lihat melainkan ia datang bagaikan cahaya subuh (iaitu menjadi kenyataan).”

(Sahih Bukhari No. 3 dan Muslim No. 160)

Manusia biasa juga boleh mendapat ilham atau isyarat yang benar daripada mimpi. Ini seperti disebut oleh Rasulullah ﷺ dan diriwayatkan oleh Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang menyebut bahawa mimpi yang benar adalah sebahagian daripada kenabian.

عَنْ أَنَسٍ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ”
“Daripada Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: ‘Mimpi yang baik adalah sebahagian daripada empat puluh enam bahagian kenabian.'”

(Sahih Bukhari No. 6987 dan Muslim No. 2263)

Bukanlah bermakna mimpi benar itu menjadi Nabi pula; maksudnya Nabi sudah tidak ada lagi dan sudah tidak ada wahyu lagi, tetapi Allah ‎ﷻ meneruskan memberikan ilham kepada sesiapa yang layak. Ia dikira 1/46 kenabian kerana begini: Nabi Muhammad ﷺ menjadi Rasul selama 23 tahun. Sebelum baginda menjadi Rasul, baginda telah diberikan mimpi yang benar selama 6 bulan. 6 bulan daripada 23 tahun adalah 1/46.

Namun kita kenalah berhati-hati dengan mimpi. Kalau mimpi manusia selain Nabi, ia ada kemungkinan boleh tersalah dan diganggu oleh syaitan. Oleh kerana itu kalau mimpi Habib, ulama’ dan orang selain Nabi, ia tidak semestinya benar dan ia tidak boleh dijadikan hujah. Kerana itu kita tidak memandang hujah-hujah yang datang daripada mimpi manusia kerana ia belum tentu benar. Semua mimpi perlu dinilai dengan dalil yang ada dan perlu diperiksa, jangan terus dipercayai. Malangnya ramai yang menggunakan mimpi mereka untuk mengeluarkan syariat yang baru atau sebagai tanda yang mereka itu kononnya wali, dapat arahan daripada Allah ‎ﷻ dan berbagai-bagai lagi dakwaan yang salah.

Kita juga boleh mengambil panduan daripada mimpi kita kerana Allah ‎ﷻ memberi panduan peribadi kepada kita di dalam mimpi. Akan tetapi untuk mendapat mimpi yang baik dan jauh daripada gangguan syaitan, kita kenalah menjadi orang yang baik dahulu. Rasulullah ﷺ telah bersabda,

“أَصْدَقُكُمْ رُؤْيَا أَصْدَقُكُمْ حَدِيثًا”
“Orang yang paling benar mimpinya adalah orang yang paling benar percakapannya.”

(Sahih Muslim No. 2263)

Syarah: Ini bermakna mimpi orang yang jujur dan benar dalam percakapannya akan lebih cenderung menjadi kenyataan atau mengandungi makna yang jelas dan bermanfaat. Ibnul Qayyim رَحِمَهُ اللَّهُ menulis: “Dan barangsiapa yang ingin mimpinya itu benar, hendaklah dia melatih dirinya dalam kejujuran, berkata benar, jangan campur bohong, dan hendaklah memakan harta yang halal, dan selalu menjaga perintah dan larangan Allah ‎ﷻ. Maka kalau hendak tidur, hendaklah dia berwudhu’ terlebih dahulu dengan sempurna, lalu berbaring dengan menghadap Kiblat, dan ingat akan Allah ‎ﷻ (zikir) sampai matanya tertidur. Kalau dia lakukan demikian, maka mimpinya tidaklah akan buruk. Mimpi yang paling benar, ialah mimpi di waktu sahur, kerana waktu sahur itulah waktu turunnya Ilahi ke langit dunia, dan rahmat di waktu itu jadi dekat, dan ampunan Ilahi pun hampir dan syaitan sedang tidak sibuk.”

Maka inilah yang dinamakan المُبَشِّرَاتُ (al-Mubasy-syiraat) seperti yang disebut di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang menjelaskan perkara ini dengan lebih terang.

عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “لَمْ يَبْقَ مِنَ النُّبُوَّةِ إِلَّا الْمُبَشِّرَاتُ” قَالُوا: وَمَا الْمُبَشِّرَاتُ؟ قَالَ: “الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ”
Daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Tidak ada lagi yang tinggal daripada kenabian melainkan al-Mubasy-syiraat.” Para sahabat bertanya: “Apakah itu al-Mubasy-syiraat?” Baginda menjawab: “Mimpi yang benar.”

(Sahih Al-Bukhari No. 6990)

Syarah: المُبَشِّرَاتُ berasal daripada akar kata Arab yang bermaksud “berita gembira” atau “khabar gembira.” Dalam konteks hadith ini, ia merujuk kepada mimpi yang benar (ar-ru’ya as-solihah) yang berfungsi sebagai khabar gembira daripada Allah ‎ﷻ untuk hamba-Nya. Walaupun wahyu kenabian telah terputus, Allah ‎ﷻ masih memberikan mimpi yang benar kepada orang-orang soleh sebagai penghibur, petunjuk, atau peringatan. Mimpi ini berfungsi untuk menguatkan iman mereka dan memberi motivasi dalam menjalani kehidupan.

Paling penting, hadith ini tidak bermaksud bahawa mimpi boleh dijadikan sumber hukum atau dalil untuk mencipta ajaran baru dalam Islam. Tafsiran ini sering disalahgunakan oleh golongan yang ingin menjustifikasikan amalan yang tidak bersumber daripada Al-Qur’an dan Sunnah. Ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah sepakat bahawa mimpi yang benar hanya bersifat peribadi dan tidak boleh digunakan untuk mengubah syariat yang telah sempurna.

⊕ Mimpi yang Buruk (حُلْمٌ Hulm): Jangan sekali-kali menceritakan mimpi yang buruk kepada sesiapa pun. Ini kerana ia akan terus menakutkan kita. Sebaliknya buat tidak tahu sahaja dan lupakan sahaja. Kalau diceritakan kepada orang, akan menyusahkan kita nanti kalau ia dijadikan sebagai realiti.

Dalam ajaran Islam, syaitan boleh mengganggu dan mempengaruhi mimpi manusia. Ini adalah kerana syaitan boleh membisikkan kepada manusia tanpa manusia sedar. Bisikan itu menyebabkan manusia itu asyik memikirkannya sampai terbawa-bawa ke dalam mimpi. Mimpi jenis inilah dikenal sebagai al-hulm (الحُلم), yang merupakan salah satu daripada tiga jenis mimpi yang dijelaskan oleh Rasulullah ﷺ.

Tujuan utama syaitan mengganggu mimpi adalah untuk menakut-nakutkan, menyedihkan, dan membuat seseorang merasa resah gelisah sampai hidup tidak keruan. Syaitan tidak memberikan petunjuk atau wahyu, kerana itu adalah kekuasaan Allah ‎ﷻ semata-mata. Sebaliknya, syaitan hanya boleh memanipulasi minda dan emosi seseorang. Kalau berjaya, dia akan suka kerana telah mengganggu kehidupan manusia. Gangguan syaitan dalam mimpi boleh mengambil beberapa bentuk:

    1. Mimpi yang Menakutkan: Ini adalah mimpi di mana seseorang dikejar, diserang, atau berada dalam keadaan bahaya. Tujuannya adalah untuk menimbulkan ketakutan dan kekacauan emosi.
    2. Mimpi yang Menyedihkan: Mimpi ini mungkin menunjukkan kejadian yang tidak menyenangkan, seperti kehilangan orang yang disayangi atau kegagalan yang menyedihkan, yang menyebabkan seseorang bangun dengan perasaan sedih atau kecewa.
    3. Mimpi yang Mengandungi Gangguan: Ini termasuk mimpi-mimpi yang mengandungi unsur-unsur haram, syahwat, atau perkara-perkara yang dilarang dalam Islam, sebagai cubaan untuk mengganggu ketenangan dan keimanan seseorang.

⊕ Ada satu lagi mimpi yang dinamakan Mimpi Kosong (أَضْغَاثُ أَحْلَامٍ Adghath al-Ahlam). Istilah ini nanti kita akan lihat apabila masuk cerita mimpi raja Mesir. Mimpi ini datang daripada bisikan hati atau fikiran sendiri. Ia adalah hasil daripada aktiviti mental dan emosi yang dialami seseorang sepanjang hari. Mimpi ini tidak mempunyai makna atau petunjuk yang perlu diberi perhatian. Contoh: Memimpikan pekerjaan atau masalah yang anda hadapi, atau memimpikan hal-hal yang tidak masuk akal dan bercampur aduk. Mimpi jenis ini tidak mempunyai makna yang perlu ditafsirkan dan ia tidak perlu diberi perhatian atau diceritakan kepada orang lain.

Itulah tiga jenis mimpi seperti disebut oleh Rasulullah ﷺ di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

الرُّؤْيَا ثَلاَثَةٌ: فَالرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ بُشْرَى مِنَ اللَّهِ، وَالْحُلُمُ مِنَ الشَّيْطَانِ، وَأَضْغَاثُ أَحْلاَمٍ مِنَ الَّذِي يُحَدِّثُ بِهَا الرَّجُلُ نَفْسَهُ
“Mimpi itu ada tiga: Mimpi yang baik adalah berita gembira daripada Allah, mimpi yang buruk adalah daripada syaitan, dan mimpi kosong adalah daripada apa yang dibisikkan oleh diri seseorang sendiri.”

(Riwayat Ibnu Majah No. 3907) Status: Sahih (Al-Albani)

 

فَيَكيدوا لَكَ كَيدًا

maka mereka merancang rancangan terhadapmu.

Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ amat yakin dengan kecemburuan abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sampaikan baginda tidak berkata: “Aku takut mereka akan membuat tipu daya” melainkan baginda dengan yakin berkata: “Mereka akan merancang tipu daya”. Kalimah كَيدًا adalah di dalam bentuk maf’ul mutlak sebagai penekanan yang mereka pasti akan lakukan. Maknanya baginda kenal sangat dengan anak-anak baginda.

Perhatikan di dalam masa yang sama, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yakin yang anaknya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu suci hatinya, lapang dadanya dan baik hati sehinggakan maklumat yang diberikan itu tidaklah akan menyebabkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ marah kepada abangnya pula dan mengeruhkan keadaan. Jadi baginda boleh beritahu hal itu kepada anaknya.

Allah ‎ﷻ menggunakan ‘كيد’ dalam ayat ini dan bukan ‘مكر’. Kedua-duanya digunakan dalam bahasa Arab sebagai ‘rancangan’, tetapi tidak sama di antara keduanya. Kalimah مكر adalah rancangan jahat untuk merosakkan seseorang. Untuk كيد pula, ia boleh digunakan mungkin rancangan untuk kebaikan ataupun untuk kejahatan. Kalimah كيد merujuk kepada rancangan yang banyak langkah, bukan datang dengan tiba-tiba. Ini menunjukkan yang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak pasti apa yang abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu akan buat. Cuma baginda suruh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berjaga-jaga sahaja. Ini menunjukkan kebijaksanaan baginda.

Apakah tafsir mimpi itu? Mimpi itu bererti bahawa kelak semua saudara Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan tunduk dan menghormatinya dengan penghormatan yang sangat besar; mereka akan bersujud kepadanya demi menghormati, mengagungkan, dan memuliakannya. Maka Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ merasa khuatir jika Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menceritakan mimpinya itu kepada saudara-saudaranya, kerana mereka pasti akan merasa dengki terhadapnya, lalu mereka akan membuat tipu daya untuk membinasakannya.

Di sini Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberitahu ada kemungkinan abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan melakukan sesuatu jikalau mereka tahu tentang mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Secara tidak langsung, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah memburukkan mereka, bukan? Tidakkah ini ghibah? Tidak sama sekali kerana memberitahu tentang rancangan jahat seseorang bukanlah ghibah yang haram itu.

Di sini juga mengajar kita bahawa bukan semua perkara kita kena cerita dengan orang. Kenalah gunakan kebijaksanaan melihat reaksi dan perangai orang itu bagaimana. Takkan kita hendak cerita semuanya kepada kaki bawang? Kalau kita rasa orang tidak suka dengan kejayaan dan nikmat yang kita dapat kerana ditakuti mereka jadi dengki, maka kita kena rahsiakan. Ini juga ada diajar oleh Rasulullah ﷺ,

اسْتَعِينُوا عَلَى إِنْجَاحِ الْحَوَائِجِ بِالْكِتْمَانِ، فَإِنَّ كُلَّ ذِي نِعْمَةٍ مَحْسُودٌ
“Mintalah pertolongan untuk kejayaan hajat-hajat kamu dengan menyembunyikannya, kerana sesungguhnya setiap orang yang memiliki nikmat itu akan didengki.”

Hadis ini diriwayatkan oleh beberapa sumber utama, namun ia seringkali diklasifikasikan dengan status yang berbeza-beza oleh para ulama hadith:

  • Imam Al-Baihaqi dalam kitabnya Syu’ab al-Iman.
  • Imam Abu Nu’aim dalam Hilyat al-Auliya’.
  • Imam Al-Tabarani dalam Al-Mu’jam Al-Kabir dan Al-Mu’jam Al-Ausat.

Meskipun demikian, terdapat perbincangan di kalangan ulama mengenai sanad (rangkaian perawi) hadith ini:

  • Beberapa ulama menganggapnya dha’if (lemah) kerana ada masalah pada sanadnya, seperti adanya perawi yang tidak dikenali atau sanad yang terputus.

  • Namun, majoriti ulama, termasuk Syeikh Al-Albani, menganggap matan (isi) hadith ini sahih atau hasan (baik) kerana ia disokong oleh banyak riwayat lain dan selari dengan ajaran Al-Qur’an dan Sunnah yang lain.

Ini juga mengajar kita bahawa dengki dalam kalangan adik beradik itu biasa berlaku. Kalau anak-anak para Nabi pun boleh berlaku, apatah lagi dengan anak-anak kita? Maka kita sahaja kena prihatin dengan perkara ini dan cuba mendidik mereka supaya menjaga hati jangan dengki dengan orang lain. Walau bagaimanapun kita boleh nasihat dan ajar sahaja namun tidaklah boleh kita hendak mengubah hati manusia.

Ia menunjukkan yang baginda sedar dengan realiti semasa. Baginda sedar yang tidak semestinya anak-anaknya itu walaupun anak seorang Nabi, mereka itu semuanya baik sahaja. Ini mengajar kita yang kalau kita sudah cuba mendidik anak kita dengan ajaran baik pun, tidak semestinya mereka akan menjadi baik. Jadi kalau anak ustaz tidak baik, jangan salahkan ustaz itu kerana mungkin ustaz itu sudah jalankan tanggungjawab mengajar dan mendidik anaknya, cuma anaknya itu sahaja yang degil. Lihatlah contoh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini – baginda adalah seorang Nabi namun anak baginda ada yang tidak baik. Begitu juga Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang ada anak yang tidak mahu ikut baginda.

Disebabkan tidak sedar tentang perkara inilah yang menyebabkan ramai ibubapa marah kalau guru di sekolah marahkan anak mereka. Mereka kata anak mereka baik, di rumah senyap sahaja, tidak mungkin di sekolah berperangai buruk pula? Itu adalah perasaan  dan anggapan mereka sahaja. Mereka bukannya tahu anak mereka sebenarnya macam mana bila di luar rumah dan di belakang mereka.

Ini juga mengajar bahawa kita tidak boleh mengawal orang lain dan kita kenalah bersabar sahaja dengan mereka. Memang kita tidak dapat mengawal segala apa yang orang di bawah kita lakukan, bukan? Masa anak kita kecil, bolehlah kalau kita hukum mereka, tahan mereka, paksa mereka, tetapi kalau mereka sudah besar sedikit, bagaimana? Nanti apabila mereka sudah besar, kita akan sedar yang kita hanya boleh nasihatkan mereka sahaja dan berikan ajaran sebaik mungkin, tetapi hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang mampu menjaga mereka dan berikan hidayah kepada mereka, bukan kita. Maka terimalah hakikat yang kita memang tidak boleh kawal mereka dan ini kadang-kadang susah untuk kita terima.

Ayat ini ada kaitan dengan dugaan Nabi Muhammad ﷺ. Baginda juga diganggu oleh kaum keluarga baginda semasa berdakwah di Mekah. Ini kerana yang menentang baginda termasuk ahli keluarga baginda sendiri. Maka adalah perkara biasa sahaja kalau adik beradik dan ahli keluarga kita sendiri tidak bersama dengan kita dan tidak suka dengan dakwah kita. Ini adalah dugaan. Sebagai contoh, Muhammad bin Abdul Wahhab, adalah seorang ulama dari Najd yang selalu dikaitkan dengan gerakan Wahabisme. Beliau mempunyai seorang abang bernama Sulaiman bin Abdul Wahhab. Sulaiman juga seorang ulama. Pada awalnya, beliau tidak sependapat dengan pandangan-pandangan saudaranya, Muhammad bin Abdul Wahhab, terutamanya mengenai isu takfir (mengkafirkan orang Islam) dan interpretasi yang keras terhadap beberapa amalan agama.

 

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 29 Julai 2026

Ringkasan Surah Yusuf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 4 (Mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)

MIMPI NABI YUSUF عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ

Yusuf Ayat 4: Sekarang barulah bermula kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ setelah 3 ayat mukaddimah sebelum ini. Nanti kita akan pelajari tentang 4 kisah permulaan dan seterusnya kisah-kisah lain. Sekarang dimulakan dengan kisah permulaan. Selalunya, manusia akan ingat kisah yang besar-besar, tetapi lupa kisah-kisah kecil. Allah ‎ﷻ bawakan kepada kita sekarang kisah yang kecil mengenai seorang anak kecil yang bercakap dengan bapanya. Jika dalam filem, inilah babak pertama.

إِذ قالَ يوسُفُ لِأَبيهِ يٰأَبَتِ إِنّي رَأَيتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوكَبًا وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ رَأَيتُهُم لي سٰجِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Of these stories mention] when Joseph said to his father,¹ “O my father, indeed I have seen [in a dream] eleven stars and the sun and the moon; I saw them prostrating to me.”

  • The prophet Jacob (upon whom be peace)

(MALAY)

(Ingatlah), ketika Yusuf berkata kepada ayahnya: “Wahai ayahku, sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan; kulihat semuanya sujud kepadaku”.

 

إِذ قالَ يوسُفُ لِأَبيهِ يٰأَبَتِ

(Ingatlah), ketika Yusuf berkata kepada ayahnya: “Wahai ayahku,

Dalam ilmu tafsir Al-Qur’an, kalimah إِذ seringkali diterjemahkan sebagai أذكر “ingatlah” atau “ingatlah ketika”. Ini adalah salah satu makna yang paling umum dan penting dari perkataan tersebut. Meskipun secara harfiah إِذ bermaksud “ketika” atau “pada ketika”, ia sering digunakan sebagai kata seru untuk menarik perhatian pembaca atau pendengar kepada suatu peristiwa penting yang telah berlaku pada masa lalu. Dalam konteks ini, ia berfungsi sebagai arahan daripada Allah ﷻ kepada Nabi Muhammad ﷺ dan umatnya untuk mengingati kembali kisah atau pengajaran tertentu.

Permulaan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini bermula dengan mimpi baginda. Mari kita lihat dialog di antara Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan ayahnya, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Baginda menggunakan kalimah يا أَبَتِ (wahai ayahku) dengan ayahnya itu. Kalau penggunaan yang biasa, hanya disebut يا أَبَ (wahai ayah) sahaja akan tetapi dengan penambahan huruf ت itu ia menambah makna yang memberi isyarat ayah yang disayangi dan dihormati. Bukan semua ayah disayangi. Ada ayah yang disayangi tetapi tidak dihormati sampai anak tidak takut dengannya dan boleh bercakap lebih kurang sahaja. Ada anak-anak kita yang kecil, apabila perlukan perhatian kita, bagaimana caranya? Kadang-kadang kita dengar mereka menjerit memanggil kita, bukan? Namun lihat bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang waktu itu muda juga, tetapi baginda menggunakan bahasa dan budi bicara yang baik.

Ada pula ayah yang dihormati dan ditakuti tetapi tidak disayangi kerana mungkin ayahnya garang. Ini jelas yang kalau ayah balik sahaja, suasana rumah terus berubah kerana ayah sudah balik! Maka dengan penggunaan kalimah أَبَتِ menunjukkan hubungan jenis apa yang ada antara Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Selalunya di dalam Al-Qur’an, apabila disebut tentang interaksi antara ayah dan anaknya, selalunya dialog itu dimulai oleh ayah seperti kisah Luqman, kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Namun kali ini kita melihat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri bercakap dengan ayahnya. Ini mengajar kita tentu ada sesuatu yang betul yang dilakukan oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sehingga menyebabkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berasa selesa untuk pergi bertemu dengan ayahnya dan menceritakan kehairanannya tentang apa yang berlaku kepada dirinya itu.

Malah melalui kalimah panggilan yang digunakan oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah menunjukkan yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bercakap dengan nada lembut dan mesra yang menunjukkan baginda amat sayang dan hormatkan ayahnya. Begitulah yang sepatutnya kita lakukan terhadap ibubapa kita. Cuma lihat bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lakukan dan bandingkan dengan anak-anak kita sekarang. Bagaimana keadaan mereka dengan kita? Kalau ada yang tidak kena, jadi kena tanya diri kita balik bagaimanakah cara kita berinteraksi dengan mereka?

Perhatikan di dalam ayat ini diulang perkataan ayah sebanyak dua kali. Ada kalimah لِأَبيهِ dan sekali lagi ada kalimah يٰأَبَتِ. Kalau ada satu sahaja pun sudah cukup dan kita boleh faham seperti إِذ قالَ يوسُفُ لِأَبيهِ إِنّي رَأَيتُ atau إِذ قالَ يوسُفُ يٰأَبَتِ إِنّي رَأَيتُ. Pengulangan kalimah bapa ini menunjukkan hubungan mereka yang baik. Maka ibu dan bapa terutama sekali bapa kena melayan anak-anak mereka. Kalau anak datang dan hendak bercakap dengan anda, lupakan sekejap kerja yang anda sedang lakukan supaya anda boleh beri perhatian kepada apa yang anak-anak. Jangan nanti anda menyesal di hari tua anda, apabila anda berharapkan perhatian anak anda ketika itu, tetapi anak anda sudah tidak ada hubungan lagi dengan anda. Ya anda masih bapa mereka tetapi tidaklah sampai menjadi kawan mereka lagi. Masalahnya mungkin ramai bapa sangka tugas mereka hanyalah untuk menyediakan makan pakai dan rumah kepada anak-anak dan mereka rasa itu sudah cukup. Namun begitu alangkah salahnya kerana anak-anak bukan perlukan nafkah fizikal sahaja akan tetapi mereka juga memerlukan nafkah emosi juga. Mereka perlukan perhatian ibubapa mereka untuk tumbesaran mereka yang sihat.

Kisah ringkas ini juga mengajar kepada anak untuk berani ada interaksi dengan ayah. Ramai anak-anak sudah malas untuk bercakap dengan ayah mereka kerana semasa mereka kecil dulu sudah tidak ada layanan daripada ayah. Ayah selalu sibuk dan kalau anak hendak bercakap, mereka akan suruh diam, suruh cakap dengan emak dan sebagainya. Sampaikan anak itu fikir, tak payahlah jumpa dan bercakap dengan ayah. Akan tetapi perbuatan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk merujuk kepada ayahnya mengajar kita yang ayah yang pandai adalah salah satu dari tempat untuk merujuk. Dalam kisah ini kita boleh agak kehairanan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kenapa bintang, matahari dan bulan itu sujud kepada baginda? Baginda tentu hairan. Mungkin baginda risau ayahnya terasa hati pula kerana termasuk di dalam mimpi itu ayahnya sendiri sujud kepadanya. Ada kemungkinan ayahnya itu akan terasa hati. Akan tetapi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetap juga memberitahu ayahnya dan mendapatkan nasihat ayahnya.

Maka begitulah ayat-ayat dialog antara Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan ayahnya Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini ringkas sahaja. Kita boleh sahaja terjemahkan dengan ringkas dan kita sudah faham apakah maksudnya. Akan tetapi kalau kita kupas dari segi psikologi pendidikan anak-anak, ia memberi pengajaran kepada kita yang amat besar.

 

إِنّي رَأَيتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوكَبًا وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ

sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan; 

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memulakan kisahnya dengan kalimah penekanan إِنّ kerana hendak menekankan yang betul-betul baginda ada melihat di dalam mimpi itu. Mimpi itu bukanlah satu mimpi yang biasa. Ia mengandungi maksud yang amat dalam maka Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memerlukan pandangan daripada ayahnya yang dia sayangi dan hormati itu.

Kalimah رَأَيتُ secara harfiah bermaksud ‘aku telah melihat’. Akan tetapi sepakat ulama’ mengatakan yang ia bermaksud melihat di dalam mimpi, bukannya nyata. Ia merujuk kepada sesuatu yang mustahil untuk dilihat dengan mata kasar di alam nyata. Bintang, matahari, dan bulan tidak bersujud kepada seorang manusia. Kejadian seperti ini hanya boleh berlaku dalam alam mimpi, yang mana ia sering menggunakan simbol-simbol untuk menyampaikan sesuatu makna. Ayat selepas ini pun kita akan melihat Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan kalimah رُؤْيَاكَ yang bermaksud ‘mimpimu’.

Baginda memberitahu kepada ayahnya, bahawa baginda telah bermimpi yang sebelas (11) bintang, matahari dan bulan. Apakah maksud bintang, matahari dan bulan itu?

    • 11 bintang itu adalah adik beradik baginda. Ini senang sahaja untuk difahami.
    • Matahari itu adalah ayahnya. Ada yang kata matahari itu ibu baginda kerana matahari dalam Arab berjantina perempuan. Tidak kisah pun dan tidak perlu ditetapkan mana satu matahari dan mana satu bulan.
    • Bulan itu adalah ibunya. Sekiranya diambil pendapat yang mengatakan matahari itu ibu, maka bulan adalah ayahnya (Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ).

Ibu kandung Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebenarnya telah tiada. Akan tetapi menurut Al-Qurtubi, oleh kerana Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah mengahwini kakak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah mengahwini kakak isterinya, maka ibu saudara juga dikira sebagai ibu. Kerana sayangnya seorang ibu saudara hampir sama dengan sayangnya seorang ibu.

Susunan kenapa disebut matahari dahulu sebelum bulan pun ada dibincangkan ulama’. Kalau ikut susunan dunia malam ada bintang dan bulan, kemudian datang siang barulah datang matahari. Jadi kenapa disebut matahari dahulu sebelum bulan? Ada pendapat yang mengatakan kerana planet adalah bintang dan matahari dan mereka ada cahaya sendiri sedangkan bulan mengambil cahaya daripada matahari sahaja, tidak ada cahaya sendiri.

Kenapa digunakan objek-objek di langit sebagai perumpamaan? Kenapa tidak guna bungakah, atau buahkah dan sebagainya? Ini pun dibincangkan. Pengajaran yang kita boleh lihat adalah mungkin kerana bintang itu jauh. Kita boleh tahu yang bintang itu merujuk kepada adik beradiknya kerana ada 11 dan adik beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ada 11 orang. Bintang itu memang ada, tetapi jauh sahaja dan kita tidak perlukan sangat. Maka dengan adik beradik kadangkala mereka duduk jauh dan mereka ada keluarga sendiri. Akan tetapi bulan dan matahari amat penting dalam kehidupan kita seperti juga ibu dan ayah kita. Ketika siang kita perlukan matahari untuk cahaya dan ketika malam kita perlukan bulan sebagai sumber cahaya. Bulan dan matahari juga penting dalam kehidupan kita terutama sekali zaman dahulu yang menjadikan objek langit sebagai panduan masa dan hari. Kalau zaman sekarang kita perlukan jam dan kalendar, Allah ‎ﷻ sebenarnya telah letakkan jam dan kalendar yang Dia buat di langit. Untuk menentukan masa seperti masa solat, kita gunakan matahari dan untuk menentukan ibadah seperti puasa, Haji dan Eid, kita perlukan bulan untuk menentukan tarikh. Maka amat sesuai ibu dan bapa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diumpamakan sebagai bulan dan matahari.

Dengan cara mimpi ini Allah ‎ﷻ memberi isyarat yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan mendapat pangkat kenabian. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tentunya berharap anak-anaknya akan meneruskan tradisi kenabian daripada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang turun kepada Nabi Ishaq عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kemudian turun kepadanya. Akan tetapi kalau dilihat kepada abang-abangnya yang 10 orang itu, tidak ada satu pun yang ada kriteria boleh meneruskan tradisi ini. Maka dengan mimpi ini memberi harapan kepada baginda.

Maknanya mimpi ini menunjukkan yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan mendapat rahmat dan kedudukan daripada Allah ‎ﷻ. Malah keluarga baginda iaitu ibu dan bapanya dan adik beradiknya sekali pun termasuk juga mendapat rahmat itu kerana mereka semua termasuk di dalam mimpi baginda.

 

رَأَيتُهُم لي سٰجِدينَ

kulihat mereka sujud kepadaku”.

Bahagian pertama tadi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kata baginda nampak bintang-bintang, matahari dan bulan itu. Kali ini di dalam bahagian ini disebut pula apakah yang mereka lakukan. Kita boleh rasa ada kehairanan dan kerisauan di pihak Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sampaikan ada ‘pause’ di sini. Jadi ayat ini ada bahagian: إِذ قالَ يوسُفُ لِأَبيهِ يٰأَبَتِ إِنّي رَأَيتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوكَبًا وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ pause. Kemudian baru sambung balik: رَأَيتُهُم لي سٰجِدينَ. Bahagian pertama sebut tentang baginda melihat bintang-bintang, matahari dan bulan di dalam mimpinya. Ini pun sudah pelik kerana matahari dan bulan tidaklah ada bersama di dalam dunia bukan sebab kalau ada matahari tidaklah ada bulan. Akan tetapi yang lebih pelik adalah semuanya sujud kepada baginda.

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah seorang yang amat pandai dan telah diberikan kepandaian untuk mentakwil mimpi. Maka baginda mungkin sudah faham kenapa Allah ‎ﷻ menggunakan objek langit sebagai contoh dan baginda mungkin faham yang objek langit itu jauh. Namun kemudian di dalam mimpi itu objek langit itu datang mendekat dan sujud kepada baginda. Maka baginda tentu kehairanan, kenapa mereka kena duduk jauh daripada baginda? Apakah yang terjadi? Tentu baginda risau.

Takwil mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini baru terjadi sesudah selang empat puluh tahun (40) kemudian, pendapat lain mengatakan sesudah lapan puluh (80) tahun. Ia terjadi ketika Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mempersilakan kedua orang tuanya untuk menduduki kursi singgahsananya, sedangkan semua saudaranya berada di hadapannya dan ini disebut dalam ayat 100:

وَخَرُّوا لَهُ سُجَّدًا وَقَالَ يَا أَبَتِ هَذَا تَأْوِيلُ رُؤْيَايَ مِنْ قَبْلُ قَدْ جَعَلَهَا رَبِّي حَقًّا
Dan mereka (semuanya) merebahkan diri seraya sujud kepada Yusuf. Dan berkata Yusuf “Wahai ayahku, inilah ta’bir mimpiku yang dahulu itu; sesungguhnya Tuhanku telah menjadikannya suatu kenyataan.”

Apakah hukum sujud kepada makhluk? Di dalam ayat 4 ini ia hanya mimpi sahaja akan tetapi di dalam ayat 100 nanti kita benar-benar baca bahawa keluarganya sujud kepada baginda. Maka perkara ini menjadi isu perbincangan juga dalam kalangan ulama’. Berikut adalah hujah dan pandangan utama mengenai isu ini:

1. Sujud Penghormatan, Bukan Sujud Ibadah. Majoriti ulama tafsir berpendapat bahawa sujud yang dilakukan oleh ibu bapa dan saudara-saudara Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah sujud penghormatan (sujud at-ta’dhim), bukan sujud ibadah (sujud al-‘ibadah) yang hanya boleh dilakukan kepada Allah ‎ﷻ. Ini kerana ibadah hanya untuk Allah ‎ﷻ. Sujud ibadah hanya dibenarkan jika ditujukan kepada Allah ‎ﷻ. Jika ia ditujukan kepada makhluk, perbuatan itu adalah syirik yang sangat dilarang dalam semua syariat nabi-nabi. Tidak mungkin para nabi seperti Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan keturunannya (yang semuanya beriman) melakukan syirik.

2. Perbezaan Hukum Syariat: Ada yang mengatakan syariat Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ membenarkan sujud penghormatan kepada pembesar atau orang yang mulia. Namun, dalam syariat Nabi Muhammad ﷺ, sujud penghormatan ini sudah tidak dibenarkan. Nabi Muhammad ﷺ melarang umatnya bersujud kepada selain Allah ‎ﷻ. Jika sujud kepada manusia itu dibenarkan, baginda pasti tidak akan melarangnya, terutama dalam konteks penghormatan.

3. Sujud Sebagai Tanda Kesempurnaan Janji Allah ‎ﷻ

Perbuatan sujud ini adalah manifestasi daripada tafsir mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang diceritakan di awal surah (ayat 4). Bintang, matahari, dan bulan yang sujud kepadanya dalam mimpi itu ditafsirkan sebagai saudara-saudaranya dan kedua ibu bapanya. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri dalam ayat itu berkata, “inilah tafsir mimpiku yang dahulu itu.” Ini mengesahkan bahawa sujud itu adalah penutup dan penzahiran mimpi yang diwahyukan oleh Allah ‎ﷻ. Tindakan sujud mereka adalah tanda pengakuan dan penyerahan diri kepada kekuasaan Allah ‎ﷻ yang telah meninggikan darjat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Jadi mereka bukanlah sujud kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Ini adalah pandangan yang lebih selamat kerana moyang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan baginda telah membina kembali Ka’bah sebagai tempat sujud kepada Allah ‎ﷻ dan membersihkan syirik. Maka tidak mungkin anak cucunya tidak tahu tentang syirik pula dan melakukan sujud kepada selain Allah ‎ﷻ.

4. Sujud Kepada Allah ‎ﷻ sebagai tanda syukur

Ini juga pendapat yang mengatakan mereka sebenarnya tidak sujud kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ secara langsung, tetapi sujud kepada Allah ‎ﷻ sebagai tanda syukur atas pertemuan kembali dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mereka berhujah bahawa tidak ada satu pun syariat yang membenarkan sujud kepada selain Allah ‎ﷻ, walaupun sebagai penghormatan. Oleh itu, sujud itu ditujukan kepada Allah ‎ﷻ.

Namun, pendapat ini dikritik kerana ia bercanggah dengan zahir (makna literal) ayat yang menyatakan “sujud kepadanya” (لَهُ). Di dalam Baqarah:34 juga Allah ﷻ telah pernah mengarahkan para malaikat untuk sujud kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Apabila arahan telah diberikan oleh Allah ﷻ sendiri, maka ia menjadi ibadah.

وَإِذ قُلنا لِلمَلٰئِكَةِ اسجُدوا لِآدَمَ
Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: “Sujudlah kepada Nabi Adam”.

Mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini adalah wahyu walaupun baginda belum lagi menjadi Nabi (maknanya baginda adalah bakal Nabi). Daripada mimpi ini, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tahu yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan menjadi seorang Nabi. Tambahan pula mimpi baginda itu kemudian menjadi kenyataan seperti mimpi Nabi Muhammad ﷺ sebelum baginda menerima wahyu yang pertama lagi. Bintang-bintang, matahari, dan bulan yang sujud kepadanya adalah isyarat yang jelas tentang kedudukan tinggi yang akan dicapainya di kemudian hari.

Mari lihat kalimat لي ساجِدينَ. Melalui susunan ini, kita tahu yang susunan ini tidak normal seperti kebiasaan bahasa Arab. Kalau penggunaan yang biasa adalah ساجِدينَ لي. Baginda berkata begitu kerana baginda terkejut sangat sampai tersasul baginda berkata-kata. Ini kerana baginda tidak sangka yang bintang, matahari dan bulan itu akan sujud kepadanya.

Satu lagi tafsir, apabila diawalkan kalimah لي itu, ia membawa maksud eksklusif. Ini adalah sebahagian dari Ilmu Balaghah (Taqdim wa Ta’khir). Maknanya baginda nampak bintang, matahari dan bulan itu hanya sujud kepadanya sahaja, tidak kepada yang lain. Selain itu, apabila diawalkan لي itu ia memberi maksud kehairanan.

Ada juga pendapat yang mengatakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah tahu siapakah yang dimaksudkan dengan bintang, matahari dan bulan itu. Ini kita tahu melalui penggunaan kalimah رَأَيتُهُم لي سٰجِدينَ yang digunakan. Ini adalah kerana dari segi nahu, bintang, matahari dan bulan itu adalah objek, dan sepatutnya digunakan kalimah muannast (feminin), tetapi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan kalimah هُم dan ساجِدينَ yang hanya digunakan untuk kehidupan bernyawa seperti manusia. Kalau bukan, maka yang sepatutnya digunakan adalah رَأَيتُهُنَّ لي سٰجِداتٍ. Maka ini menguatkan pendapat yang mengatakan baginda sudah tahu siapakah yang dimaksudkan dengan bintang, matahari dan bulan itu. Maknanya semenjak kecil lagi baginda sudah diberikan kelebihan menta’bir mimpi.

Nota amaran: ada pula ajaran sesat yang mengajar ayat ini adalah ‘ayat pengasih’. Kononnya apabila bersama dengan pasangan, maka baca ayat ini. Untuk disayangi masyarakat, baca 3 kali selepas solat. Maka kita katakan yang ayat ini bukanlah ayat pengasih. Tidak ada apa-apa makna dalam ayat ini yang mengandungi doa supaya orang kasih kepada kita. Kita telah baca maknanya, dan telah baca tafsirnya, tidak ada kena mengena dengan pengasih, bukan? Maka, ayat ini tidak menanggung kehendak pengamalnya. Ini adalah seperti hendak tolak kereta, tetapi menggunakan pen. Apakah kaitan pen dengan perbuatan menolak kereta? Katakanlah ada orang keretanya tersadai, maka, dia meminta bantuan kita untuk menolaknya. Kita pun berlari ke rumah sebab hendak mengambil pen untuk tolak kereta itu. Bukankah bodoh tindakan itu? Namun begitulah kalau manusia jahil dengan wahyu, ada orang cakap sahaja mereka akan percaya, tidak tahu hendak tolak bagaimana.

 

Kuiz (10 Soalan Jawapan Pendek)

Sila jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat.

  1. Apakah makna kalimah “إِذ” seperti yang sering diterjemahkan dalam ilmu tafsir Al-Qur’an dan apakah fungsinya dalam konteks permulaan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?
  2. Bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan kalimah “يا أَبَتِ” ketika bercakap dengan ayahnya, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dan apakah makna tambahan yang tersirat daripadanya?
  3. Mengapakah pengulangan perkataan “ayah” (لِأَبيهِ dan يٰأَبَتِ) dalam ayat ini dianggap signifikan oleh penulis?
  4. Apakah kepentingan Nabi Yusuf memulakan dialog dengan ayahnya, berbanding kebiasaan interaksi antara ayah dan anak dalam Al-Qur’an?
  5. Apakah yang dimaksudkan dengan “sebelas bintang,” “matahari,” dan “bulan” dalam mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?
  6. Mengapakah ulama’ sepakat bahawa “رَأَيتُ” dalam ayat ini bermaksud melihat dalam mimpi dan bukan di alam nyata?
  7. Bilakah tafsiran mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini menjadi kenyataan, dan apakah yang digambarkan dalam ayat 100 Surah Yusuf berkaitan dengan peristiwa ini?
  8. Terangkan pandangan majoriti ulama tafsir mengenai hukum sujud yang dilakukan oleh keluarga Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepadanya dalam ayat 100.
  9. Bagaimanakah kedudukan kalimah “لي” dalam frasa “لي سٰجِدينَ” menunjukkan keunikan dan makna eksklusif mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?
  10. Mengapakah penulis tafsir menekankan penggunaan kalimah “هُم” dan “ساجِدينَ” oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk merujuk kepada bintang, matahari, dan bulan?

 

Glosari Istilah Utama

  • إِذ (Idh): Kata dalam bahasa Arab yang bermaksud “ketika” atau “pada ketika.” Dalam ilmu tafsir Al-Qur’an, ia sering diterjemahkan sebagai “ingatlah” (أذكر) dan berfungsi sebagai kata seru untuk menarik perhatian kepada peristiwa masa lalu.
  • يا أَبَتِ (Ya Abati): Panggilan hormat dan mesra untuk “wahai ayahku” dalam bahasa Arab, dengan penambahan huruf ‘ت’ yang menunjukkan kasih sayang dan penghormatan yang mendalam.
  • Sujud Penghormatan (Sujud at-Ta’dhim): Sujud yang dilakukan sebagai tanda penghormatan atau pengagungan terhadap seseorang, tetapi bukan sebagai bentuk ibadah. Ia berbeza dengan sujud ibadah yang hanya khusus untuk Allah ‎ﷻ.
  • Sujud Ibadah (Sujud al-‘Ibadah): Sujud yang dilakukan sebagai bentuk penyembahan dan ketundukan mutlak, yang hanya boleh ditujukan kepada Allah ‎ﷻ. Melakukan sujud ibadah kepada selain Allah ‎ﷻ dianggap syirik.
  • Mimpi Nabi Yusuf: Mimpi yang dialami oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di awal usianya, di mana beliau melihat sebelas bintang, matahari, dan bulan bersujud kepadanya. Mimpi ini adalah petanda kenabian dan kedudukan tinggi yang akan dicapainya.
  • Takwil Mimpi: Penafsiran atau penjelasan makna tersembunyi di sebalik mimpi, terutamanya mimpi yang mengandungi simbol dan isyarat dari Allah ﷻ. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dikurniakan kepandaian dalam takwil mimpi.
  • Muannast (Feminin): Bentuk kata nama atau kata ganti nama dalam bahasa Arab yang merujuk kepada jantina perempuan.
  • Jamak Berakal (untuk Manusia): Bentuk jamak dalam bahasa Arab yang digunakan khusus untuk kata nama atau kata ganti nama yang merujuk kepada makhluk berakal seperti manusia.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 3 Ogos 2024

Ringkasan Surah Yusuf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)