Tafsir Surah al-Ikhlas Ayat 1 (Allah itu Tunggal)

Ikhlas Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 2 perenggan makro. Ayat 1 – 2 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia mengandungi keterangan tentang 2 sifat positif Allah ‎ﷻ untuk kenal tauhid, iaitu: أحد dan صمد.

قُل هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Ikhlāṣ: Purification, i.e., the purification of faith – the sūrah’s theme. In narrations by al-Bukhārī and Aḥmad, the Prophet () described this sūrah as being equivalent to one third of the Qur’ān.

Say, “He is Allāh, [who is] One,¹

  • i.e., single, unique and indivisible.

(MALAY)

Katakanlah: “Dialah Allah, Yang Maha Esa.

Kalimah قُلKatakanlah. Ini adalah arahan kepada Rasulullah ﷺ untuk:

1 – Belajar dan memahami untuk diri baginda sendiri.
2 – Mengajarnya kepada orang lain, kerana baginda memang tidak boleh simpan sendiri. Ini adalah kerana ianya adalah mesej tauhid dan berkait rapat dengan tugas baginda untuk menyampaikan (dakwah).

Kalimah هُوَDia. Kalimah ini dari segi bahasa, tidak diperlukan dalam ayat ini kerana Allah ‎ﷻ boleh sahaja menggunakan ayat begini: قُل اللَّهُ أَحَدٌ (Katakanlah: Allah itu Satu). Maksud sudah sampai. Akan tetapi, kata ganti nama (dhomir) هُوَ digunakan apabila yang disebut itu dikenali.

Contohnya, kita sedang bercakap dengan seorang kenalan kita dan kita berkata: “dia telah habis belajar dari universiti”. Kalimah ‘dia’ dalam ayat ini datang tiba-tiba tapi kita gunakan kerana kita tahu dan orang yang mendengar itu juga tahu siapakah yang kita maksudkan. Begitulah Allah ‎ﷻ menggunakan dhomir هُوَ dalam ayat ini kerana Allah ‎ﷻ memang telah dikenali oleh manusia, kerana Dialah Pencipta, Tuhan semesta alam.

Jadi, apabila digunakan kalimah هُوَ dalam ayat ini, Allah hendak memberitahu kita, yang Dia itu sebenarnya Tuhan yang telah dikenali, bukannya Tuhan yang baru. Terutama kepada Ahli Kitab yang telah lebih mengenal Allah ‎ﷻ itu. Begitu juga Musyrikin Mekah yang memang telah kenal dengan Allah‎ ﷻ. Jadi ini untuk mengingatkan mereka sahaja. Sebab itulah dalam ayat ini tidak ada kalimah tahkik إنّ kerana memang mereka sudah tahu.

Akan tetapi ada juga golongan sesat yang mentafsir dhomir ‘dia’ dalam ayat ini merujuk kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ini adalah tafsiran yang sesat daripada golongan bathaniah yang hendak mendewakan Nabi Muhammad ﷺ. Tidak pernah ada tafsiran sebegitu daripada kalangan ulama’ tafsir silam (yang lebih pandai daripada kita).

Ia menjadi malang bagi masyarakat awam yang mendengar ‘tafsiran’ ini daripada golongan yang dikenali sebagai ‘ustaz’ di media sosial. Orang awam tidak dapat membezakan siapa yang boleh diambil ilmu darinya dan siapa yang tidak boleh. Mereka sangka, kalau gelaran ‘ustaz’ sahaja, tentulah ilmu itu ilmu yang benar.

Kita katakan bahawa zaman berzaman, agama bukanlah dirosakkan oleh tukang kasut dan tukang kebun, tetapi dirosakkan oleh ‘golongan agamawan’ sebenarnya. Kerana kalau tukang kasut dan tukang kebun yang bercakap tentang agama, orang awam tidak ikut dengar. Tetapi bila yang berkata itu adalah agamawan, sama ada paderi, rahib, sami, rabai, pendeta, ustaz, maka ia memberi kesan kepada masyarakat awam.

Maka kita kena nilaikan balik apa sahaja yang kita dapat daripada bidang ilmu. Kerana ilmu ada yang benar, dan malangnya ada juga yang salah. Kalau tidak ada ilmu yang salah, maka tentulah tidak ada ajaran sesat dalam dunia, bukan? Kalau tidak ada yang merosakkan agama dan mengubah perkara dalam agama, tentulah agama dalam dunia ini hanya ada agama Islam sahajalah, bukan? Kerana agama daripada Nabi Adam عليه السلام adalah agama Islam sahaja, cuma ia menjadi agama yang berbagai-bagai itu kerana diubah oleh manusia. Adakah yang ubah agama mereka itu tukang kasut dan tukang kebun? Tentu tidak.

2 – Kalimah هُوَ ini juga adalah jawapan kepada mereka yang bertanya siapakah Tuhan yang disembah oleh Nabi Muhammad ﷺ itu? Kerana ada Musyrikin Mekah yang tanya: من هو؟ Siapa Dia? ما هو؟ Apakah ia? Mereka bertanya kerana mereka tengok apa yang Nabi Muhammad ﷺ sampaikan itu seakan lain dengan pemahaman mereka tentang Allah ‎ﷻ.

Jadi apabila dijawab, digunakan kalimah هُوَ sebagai jawapan terus kepada soalan itu. Allah ‎ﷻ jawab, Dia itu adalah bernama Allah‎ ﷻ, Tuhan yang sama juga yang mereka kenal (tetapi ada banyak salah faham) dan Dia itu tunggal.

3 – Ayat ini adalah dua ayat yang digabungkan bersama. Ada kalimat yang dihazafkan. Kalau ayat penuh: قُل هُوَ اللَّهُ, قُل هُوَ أَحَدٌ Katakanlah Dia adalah Allah‎ ﷻ, katakanlah Dia itu tunggal.

Maksudnya, ayat ini nampak sahaja satu tapi ada dua khabar. Ini adalah kerana ada dua khabar dalam ayat ini.

Perbincangan tentang kalimah: Allah: 

Ada perbincangan panjang di antara ulama’ tentang kalimah ‘Allah’. Tujuan kita bukan untuk mengatakan mana yang salah, tetapi kita lihat hujah yang diberikan dan kita buat pilihan.

A – Ada ulama’ yang mengatakan kalimah Allah itu adalah Isim Mushtaq – maksudnya asal kalimah Allah adalah daripada kalimah lain yang telah ditukar bentuk.

B – Ada juga ulama’ yang mengatakan kalimah Allah itu adalah Isim Jamid – maksudnya ia tidak berasal daripada mana-mana kalimah; ia unik dan berdiri sendiri.

A – Pendapat yang mengatakan kalimah الله itu adalah isim musytaq, mereka mengatakan ianya kata terbitan dari ءله (ilah). Maknanya ال ditambah kepada ءله menjadi kalimah الله (kerana percampuran itu, huruf ء dihilangkan).

Kalimah ءله bermaksud sesuatu yang dipuja; ia juga digunakan untuk menerangkan keadaan seorang bayi yang dahaga dan mencari-cari ibunya untuk mendapatkan susu. Oleh itu, ءله adalah sesuatu yang dipuja, ditaati dan didambai oleh manusia.

B – Pendapat yang mengatakan kalimah الله itu adalah isim jamid, mereka mengatakan kalimah الله itu adalah kalimah asal dan tidak ada kata dasar. Pendapat ini mempunyai beberapa hujah padanya yang kuat:

1 – Ia adalah nama Tuhan dan sebenarnya ia digunakan dalam mana-mana bahasa pun. Oleh itu, setiap Nabi tidak kira dari mana, mereka mengenali Tuhan dengan nama الله, tidak kira apakah bahasa yang mereka gunakan. Kerana itu, walaupun dalam bahasa Aramaic dan Hebrew, mereka menggunakan nama Tuhan sebagai Eloah אלוה [dalam Hebrew] and Ellah [dalam Aramaic].

2 – Dari segi bahasa juga, kita dapati tidak betul dari segi bahasa Arab. Lihat apabila kita menggunakan kalimat: يا الله (wahai Allah). Apabila kita menggunakan ‘kata panggilan, seruan’ يا, sepatutnya kita hendaklah buang ال pada kalimah itu.

Sebagai contoh, untuk nama Allah الرَّحمٰنِ, kalau kita campur dengan يا, ia menjadi يا رّحمٰنِ, bukan يا الرحمن. Jadi, kalau kita mengatakan kalimah الله adalah isim musytaq, kita hendaklah panggil Allah begini: يا ءله, tetapi kita tidak panggil Allah ‎ﷻ begitu, bukan? Ini menunjukkan memang kalimah الله itu adalah nama Allah yang lengkap dan tidak boleh ditukar-tukar lagi.

3 – Dalam mana-mana ayat Al-Qur’an juga, ia digunakan sebagai kata nama yang lengkap. Sebagai contoh, dalam surah al-Fatihah: الحَمدُ لِلَّهِ (segala puji bagi Allah) dan kalimat الرَّحمٰنِ dan الرَّحيمِ adalah sifat bagi الله.

4 – Begitu juga, penggunaan ‘Allahumma’ adalah unik di mana ia bermaksud ‘wahai Allah’ dan tidak digunakan dalam bentuk yang lain.

5 – Cara penyebutan nama Allah juga lain dari yang lain. Selalunya apabila ditambah ال pada sesuatu kalimah, ada cara sebutan yang biasa. Jadi, kalau kita kata ianya adalah musytaq, maka kita sebut kalimah الله sebagai al-lah (bayangkan seorang Cina yang pelat sebut nama Allah). Tetapi tidak begitu bukan? Kita sebut nama lain dengan cara yang lain sedikit (lebih mirip kepada bunyi: Alloh) – iaitu kita beratkan pada huruf ل itu. Ini adalah kerana, memang الله adalah nama khas. Cara sebutan kita juga sudah lain.

Kesimpulan: pendapat yang lebih kuat adalah nama الله – isim jamid, dan bukan isim musytaq.

Perbincangan kalimah أَحَدٌ pula. Dari segi bahasa, ia bermaksud satu, tunggal, Esa. Tetapi, kalau hendak kata maksud ‘satu’, kalimah واحد (waahid) juga boleh digunakan. Jadi, apa beza antara أَحَدٌ dan واحد? Kenapa Allah ‎ﷻ tidak menggunakan ayat ini: ٌقُل هُوَ اللَّهُ وَاحِد? Mari kita lihat penerangannya:

1 – Kalimah أَحَدٌ sebenarnya digunakan dalam kalimat negatif/penolakan sahaja; sedangkan وَاحِد digunakan dalam kalimat positif sahaja. Apakah maksudnya? Kita beri contoh ayat dan lihat perbezaan antara keduanya:

a. ليس أحد موجود في المسجد (tidak ada walau seorang yang ada di masjid). Maksudnya masjid itu kosong, walau seorang juga tidak ada. Ini adalah dalam bentuk negatif – menidakkan.

b. ليس واحد موجود في المسجد (bukan seorang yang ada di masjid). Maksudnya, ada lebih daripada seorang. Ini dalam bentuk positif.

Akan tetapi kita lihat Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah أَحَدٌ di dalam surah al-Ikhlas ini untuk menceritakan tentang Diri-Nya. Ini adalah berlainan dengan penggunaan bahasa Arab kerana selalunya ianya digunakan dalam bentuk negatif (contoh ‘a’ di atas).

Dan ini adalah suatu kehebatan bahasa Al-Qur’an kerana Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah ini untuk menggambarkan uniknya Diri-Nya. Oleh itu, Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah yang selalunya digunakan dalam bentuk negatif tetapi kali ini digunakan dalam bentuk positif pula.

Dengan menggunakan kalimah أَحَدٌ ini dalam bentuk ini, Allah ‎ﷻ menekankan Sifat Tunggal-Nya, Sifat Esa-Nya dan tidak ada yang sama dengan-Nya. Maksudnya, dengan bahasa juga Allah ‎ﷻ sudah tekankan. Penggunaan kalimah أَحَدٌ dengan cara begini ada di dalam Al-Qur’an sahaja.

2 – Kalimah أَحَدٌ datang dari kata dasar و ح د yang bermaksud seorang yang tunggal, bersendirian, tidak sama dengan yang lain. Jadi, Allah ‎ﷻ tidak menggunakan kata dasar asal  واحد itu kerana ia juga digunakan untuk makhluk. Oleh itu, Allah ‎ﷻ tidak dapat dibandingkan dengan makhluk langsung. Jadi kalimah أَحَدٌ lebih halus lagi dari kalimah واحد kerana menekankan bahawa tiada sesuatu apa pun di samping Allah ‎ﷻ dan tiada sesuatu pun yang setanding dengan Allah‎ ﷻ.

Sememangnya penggunaan أَحَدٌ dalam bentuk ini amat mengejutkan. Ada juga agama lain yang mengatakan Tuhan mereka satu واحد juga. Tetapi, mereka melakukan kesilapan kerana mereka mengatakan sifat Tuhan mereka itu ada persamaan dengan sifat manusia. Dan ini adalah fahaman yang salah.

Kita hendaklah membezakan sifat Allah ‎ﷻ daripada sifat manusia. Allah ‎ﷻ itu أَحَدٌ, bukan واحد. Kerana itu akan ditekankan dalam surah ini nanti bagaimana Allah ‎ﷻ unik dalam Esa-Nya. Sifat-sifat Allah ‎ﷻ yang ditekankan dalam surah ini adalah unik untuk Allah ‎ﷻ sahaja (kalimat اللَّهُ, أَحَدٌ, الصَّمَدُ, لَم يَلِد, لَم يولَد semuanya khusus untuk Allah ‎ﷻ sahaja, tidak dikongsi dengan makhluk).

3 –  Memang ada sifat-sifat Allah ‎ﷻ yang seolah-olah ada persamaan dengan sifat makhluk. Sebagai contoh, Aleem (mengetahui), Raheem (pemurah), Ra’oof (lembut), Baseer (melihat) dan sebagainya. Tetapi, sifat Allah ‎ﷻ tidak sama dengan makhluk. Sebagai contoh, kita ambil sifat Aleem (mengetahui). Tidak sama pengetahuan makhluk dan pengetahuan Allah‎ ﷻ, bukan?

1 – Pengetahuan Allah ‎ﷻ infinitif, tidak ada mula dan tidak ada hujung; sedangkan pengetahuan makhluk, tidak begitu (ada mula dan hujungnya). Kita semua bermula dari tidak tahu semasa bayi, kemudian baru tahu setelah akal berkembang sedikit.

2 – Pengetahuan Allah ‎ﷻ tidak ada had; sedangkan pengetahuan makhluk ada had (tidak semua makhluk tahu). Tidak ada yang tersembunyi daripada Allah‎ ﷻ.

3 – Pengetahuan kita diberi oleh Allah ‎ﷻ sedangkan pengetahuan Allah ‎ﷻ tidak ada sesiapa yang memberi kepada-Nya, ianya adalah Haq-Nya.

Jadi, walaupun nampak dari segi penggunaan bahasa, kita ada sifat yang sama dengan Allah‎ ﷻ, tetapi kita kena nilai sifat itu dengan 3 kriteria di atas. Kalau kita lakukan begitu, barulah kita terselamat daripada syirik. Kita tidak meletakkan sifat Allah‎ ﷻ kepada sifat makhluk. Tidak akan sama sifat makhluk dengan sifat Allah‎ ﷻ. Allah berfirman dalam [Shura:11]

لَيسَ كَمِثلِهِ شَيءٌ

Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia

Hendaklah faham betul-betul perkara ini, barulah dapat faham ilmu tauhid.

Masih lagi pada kalimah أَحَدٌ. Kalau kita lihat, kalimah ini tidak ada ال, sedangkan kalimah الصَّمَدُ ada pula ال. Oleh itu, أَحَدٌ adalah dalam bentuk nakirah. Tetapi kalimah أَحَدٌ ada tanwin padanya sebagai penegasan untuk memberi penekanan bahawa Allah ‎ﷻ itu ESA! (bahasa Arab tidak ada tanda seruan, jadi tanda seruan digunakan dalam bentuk tanwin).

Tanwin pada أَحَدٌ itu juga sebagai jawapan kepada soalan yang diberikan oleh Musyrikin Mekah yang bertanya: “siapa/apakah yang kamu sembah?” Maka, jawapan yang diberikan itu dalam bentuk tanwin iaitu Allah ‎ﷻ itu أَحَدٌ.

Kalimah inilah yang menyebabkan Bilal bin Rabbah diseksa kerana masuk Islam. Apabila dia diseksa dengan diletakkan batu besar atas tubuhnya, apakah kalimah yang disebut-sebut olehnya? Bukankah أَحَدٌ, أَحَدٌ, أَحَدٌ?

Bilal dan para sahabat yang lain faham apa maksud kalimah ini dan mereka mengamalkannya dalam kehidupan mereka. Tetapi, sekarang kita sudah jauh daripada kefahaman mereka. Kita tidak yakin yang Allah ‎ﷻ itulah yang Esa, satu-satunya tempat pengharapan kita. Hinggakan kita tidak berapa kisah dengan Allah‎ ﷻ. Ya, kita tahu Allah ‎ﷻ itu Tuhan kita, kita sebut Nama-Nya setiap hari, tetapi adakah kita beramal dan percaya seperti amalan dan kepercayaan para sahabat?

Tumpuan hidup mereka adalah menjadi hamba kepada Allah ‎ﷻ. Mereka taat kepada suruhan Allah‎ ﷻ dan meninggalkan larangan-Nya. Ini yang kita perlu sematkan dalam diri kita. Kerana kalau kita tidak menjadi hamba-Nya, kita akan jadi hamba kepada yang lain – kepada badan kita, kepada kerja, kepada anak, kepada wang dan sebagainya; itu sahaja yang mereka fikirkan dan kehidupan mereka diisi dengan benda lain selain Allah‎ ﷻ.

Kita hendaklah bertanya kepada diri kita: adakah kita benar-benar mentauhidkan Allah ‎ﷻ dalam kehidupan kita? Adakah Allah ‎ﷻ yang paling penting dalam kehidupan kita? Adakah Allah ‎ﷻ‎ ‘أَحَدٌ’ dalam diri kita? Adakah kita hanya bergantung harap kepada Allah ‎ﷻ sahaja ataupun kita ada juga meletakkan pengharapan kita kepada makhluk?

Apabila hati kita telah bersih daripada segala perasaan terhadap yang lain daripada Allah‎ ﷻ yang tunggal maka ketika itu hati kita akan bebas daripada segala belenggu dan ikatan, juga bebas daripada sebarang ketakutan. Apabila mantapnya kefahaman ini yang tidak melihat di alam ini selain hakikat Allah ‎ﷻ sahaja, maka hati akan melihat hakikat ini kepada segala kejadian yang lain.

Malah, seseorang itu juga akan melihat ‘hasil tangan’ Allah ‎ﷻ dalam segala yang berlaku. Sesuatu itu tidak akan berlaku tanpa kehendak Allah ‎ﷻ seperti disebut di dalam beberapa ayat,

وَما رَمَيتَ إِذ رَمَيتَ وَلٰكِنَّ اللَّهَ رَمىٰ

dan bukan kamu yang melempar ketika kamu melempar, tetapi Allah-lah yang melempar (Anfal:17)

وَمَا النَّصرُ إِلّا مِن عِندِ اللَّهِ

Dan kemenangan itu hanyalah dari sisi Allah (Anfal:10)

وَما تَشاءونَ إِلّا أَن يَشاءَ اللَّهُ

Dan kamu tidak dapat menghendaki (menempuh jalan itu) kecuali apabila dikehendaki Allah (Takweer:29)

Apabila kita dapat sematkan pemahaman ini dalam hati kita, maka akan tercurahlah rasa ketenteraman dalam hati dan dapatlah kita menyerahkan diri kita kepada Allah‎ ﷻ dengan sepenuhnya dan berlindung kepadanya apabila berasa takut dan bersifat tenang terhadap segala hal yang berlaku.

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 15 Ogos 2023


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Maulana Hadi

Fi Zilalil Qur’an

Tafsir Surah al-Ikhlas: Pengenalan (Surah Tauhid)

Pengenalan:

Apakah kaitan surah al-Ikhlas ini dengan surah al-Masad sebelum ini:

1 – Menggunakan kaedah (sajak) yang sama. Lihatlah bagaimana hujung setiap ayat diakhiri dengan qalqalah.

2 – Mengubah perhatian kepada perkara yang lebih penting. Sebelum ini surah al-Masad memperkatakan tentang Abu Lahab yang mengganggu dakwah Nabi Muhammad. Abu Lahab mengganggu perhatian Nabi kerana Abu Lahab sentiasa mengganggu dakwah Nabi dan menentang secara terang-terangan. Yang membuatkan Nabi susah hati adalah kerana Abu Lahab adalah bapa saudaranya sendiri.

Kerana tertekan dengan perbuatan Abu Lahab itu, Nabi asyik fikir tentang Abu Lahab sahaja. Tambahan pula dia adalah bapa saudara Nabi dan tinggal juga di sebelah rumah baginda sahaja. Jadi, tentu selalu mereka berjumpa. Jadi, apabila saudara sendiri menolak dakwah dan menghalang orang lain daripada mengikut baginda, maka ini memang mengganggu dakwah. Kerana orang jahil boleh berkata: “keluarga dia sendiri juga tidak mengikut dia!”

Oleh itu, dalam surah sebelum ini Allah berjanji kepada baginda untuk memusnahkan Abu Lahab sedikit demi sedikit. Dan Allah beritahu yang usaha Abu Lahab itu tidak akan berjaya untuk mengganggu dakwah baginda. Abu Lahab tidak akan berhasil untuk memusnahkan agama Islam.

Ini menghilangkan satu kerisauan dari kerisauan baginda yang besar supaya baginda boleh tumpukan perhatian kepada perkara yang lebih penting lagi. Kalau dalam Surah al-Kaafiroon, Allah menyuruh Nabi Muhammad yang beritahu kepada orang kafir (dengan kalimah قل), tapi dengan Abu Lahab, Allah sendiri yang berkata terus (tiada penekanan menyuruh Nabi berkata). Ini memberi erti, Allah sendiri yang akan berurusan dengan Abu Lahab itu – Nabi tidak perlu bimbang, semuanya akan diuruskan. Cuma fokus kepada dakwah sahaja sekarang.

Surah ini juga ada kaitan dengan surah terawal sekali, iaitu surah al-Fatihah. Ada kaitan yang menarik juga. Kalau kita lihat ada perkara yang disentuh dalam surah al-Fatihah dan disambung dalam surah-surah terakhir ini:

1. Dalam al-Fatihah, kita sebut الحَمدُ لِلَّهِ (Segala pujian untuk Allah) dan dalam Surah al-Ikhlas ini Allah sambung memberitahu kita siapakah Allah itu.

2. Dalam al-Fatihah, kita baca رَبِّ العالَمينَ (Tuhan sekalian alam) dan kalimah ini disentuh sekali lagi dalam surah al-Falaq dan an-Naas.

Oleh itu, sesuatu yang dimulakan dalam awal Al-Qur’an dilengkapkan di hujung Al-Qur’an.

Kita telah sentuh tentang sifat 10 surah-surah terakhir dalam Al-Qur’an dan kita telah lihat bagaimana 7 surah sebelum ini adalah tentang sirah Nabi yang dihabiskan dengan surah al-Masad. Sekarang surah Al-Qur’an ini kembali kepada agenda yang utama iaitu tentang tauhid.

Allah ingatkan balik tentang apakah yang utama kita kena ingat. Kadang-kadang kalau kita sudah berperang sekian lama, berdakwah sekian lama, bekerja sekian lama, kita sampai lupa kenapa kita berperang pada awalnya. Kita mungkin boleh terlupa tujuan asal kita berdakwah dulu. Jadi Allah ingatkan kembali apakah punca utama kenapa umat Islam dan orang kafir bertegang urat dan tidak dapat bersama – ini adalah kerana perbezaan fahaman dan pegangan tentang tauhid.

Dari hadith, kita dapat tahu yang Nabi Muhammad selalu membaca surah al-Ikhlas ini bersama dengan surah al-Kaafiroon. Ini memerlukan perhatian kita, kerana walaupun dua surah ini tidak berturutan, tapi kenapa baginda membacanya dalam rakaat pertama dan rakaat kedua? Tentu ada kaitan antara dua surah ini, tapi apakah ia?

1 – Dalam surah al-Kaafiroon, sudah jelas yang Islam dan kufur bukanlah agama yang sama. Mereka ada agama mereka dan kita ada agama kita. Tidak ada kompromi langsung antara keduanya. Walaupun sekali lihat seolah-olah ada persamaan. Sebagai contoh, Musyrikin Mekah ada juga beribadat di Ka’bah seperti juga umat Islam; mereka juga kenal Allah sebagai Tuhan yang satu.

Oleh itu, memang ada persamaan, tapi tidaklah itu sebagai dalil yang Islam dan kufur itu sama. Ini jelas di hujung surah itu: لَكُم دينُكُم وَلِيَ دينِ. [begitulah juga dengan agama Syiah – mereka itu bukan Islam dan bukan salah satu mazhab dari agama Islam walaupun ada sedikit persamaan. Apabila dikatakan yang mereka itu satu ‘mazhab’, maka banyak masalah akan timbul kerana manusia tidak nampak kesesatan mereka].

Baik, kembali kepada perbincangan tentang surah al-Kaafiroon dan al-Ikhlas. Dalam surah al-Kaafiroon telah diberikan pembeza antara dua agama yang amat berlainan ini – agama Islam dan agama kufur. Dan diterangkan dalam Surah al-Ikhlas bahawa agama Islam itu bezanya dengan agama lain adalah kerana tauhid.

Begitu juga perbezaan ajaran Al-Qur’an dengan amalan masyarakat Muslim kita. Kalau ada sudah membaca sampai ke sini, maka tentu anda sudah perasan bagaimana sudah disentuh perkara-perkara tauhid yang amat berlawanan dengan fahaman masyarakat kita.

Maka, surah al-Ikhlas adalah tentang tauhid dan serangan kepada tauhid adalah dari dalam dan luar. Serangan dari luar disentuh dalam surah al-Falaq dan serangan dari dalam disentuh dalam surah an-Nas yang kita akan belajar nanti. Oleh itu, ketiga-tiga surah ini ada kaitan (kerana itu ia dikenali sebagai Tiga Qul).

2. Di dalam surah al-Kaafiroon, nama Allah tidak disebut sama sekali. Cuma disebut yang mereka tidak sembah apa yang kita sembah – tapi apakah yang kita sembah? Maka, dalam surah al-Ikhlas ini diterangkan dengan jelas yang kita hanya menyembah Allah sahaja dan diterangkan pula sifat-sifat Allah di dalamnya.

3 – Surah Al-Kaafiroon dimulakan dengan kalimah قُل dan begitu juga dengan surah al-Ikhlas ini. Sedangkan surah al-Masad di tengahnya tidak ada kalimah قُل. Jadi, ini juga menunjukkan ada kaitan yang rapat antara surah al-Kaafiroon dan al-Ikhlas ini.

4. – Surah al-Kaafiroon dan surah al-Ikhlas mempunyai nama lain yang sama. Para sahabat memang memberi nama timangan yang banyak untuk surah-surah yang mereka suka dan mereka banyak baca. Sebagai contoh, nama surah al-Ikhlas ada lebih dari 20 nama yang lain.

Salah satu nama yang diberikan kepada surah al-Ikhlas adalah al Mukashkish – yang menghilangkan penyakit. Dan nama ini juga sebenarnya digunakan juga untuk surah al-Kaafiroon. Ini adalah kerana kedua-duanya menyembuhkan manusia dari penyakit syirik. Surah al-Kaafiroon menyembuhkan dari ‘syirik amalan’ dan surah al-Ikhlas menyembuhkan dari ‘syirik hati’.

Berikut adalah nama-nama lain bagi surah al Ikhlas:

2 – Surah at-Tafreed – yang bermaksud ‘tunggal’ kerana surah ini memperkatakan sifat Allah yang tunggal – tidak ada yang sama dengan-Nya.

3 – Surah at-Tajreed – surah yang membuang segala salah faham terhadap Allah.

4 – Surah at-Tawheed – surah tentang tauhid kerana ia memperkatakan sifat Allah yang tauhid.

5 – Surah al-Ma’rifah – yang bermaksud ‘pengenalan’. Ianya memperkenalkan Allah dan kalau tidak faham surah ini, bermakna seseorang itu tidak kenal siapakah Allah.

6 – Surah as-Samad – Kalimah ini kita akan belajar nanti. Dalam Al-Qur’an, pada surah ini sahaja digunakan kalimah ini. Dan kerana itulah surah al-Ikhlas juga dikenali sebagai surah as-Samad.

7 – Surah al-Assaas – yang bermaksud ‘pati’. Ini adalah kerana di dalam surah ini disebut tentang asas atau pati dakwah Rasulullah iaitu mentauhidkan Allah.

Dan tauhid ini adalah perkara yang amat penting sekali perlu ditekankan dan difahami oleh semua manusia. Begitu pentingnya tauhid ini dan buruknya syirik, hinggakan Allah amat murka apabila ada yang mengatakan Allah mempunyai anak. Ini disebut  di dalam surah Maryam: 90.

تَكادُ السَّماواتُ يَتَفَطَّرنَ مِنهُ وَتَنشَقُّ الأَرضُ وَتَخِرُّ الجِبالُ هَدًّا

hampir-hampir langit pecah kerana ucapan itu, dan bumi belah, dan gunung-gunung runtuh,

Begitu murka sekali Allah kalau ada manusia yang melakukan amalan syirik hinggakan hampir-hampir alam ini pecah dan hancur berderai. Maka, kita mestilah benar-benar faham tentang tauhid dan syirik supaya kita boleh mengamalkan tauhid dan tinggalkan amalan syirik. Tidak mungkin ada ilah lain selain Allah kerana kalau begitu, akan kacau bilaulah alam ini seperti yang disebut dalam surah Anbiya:22

لَو كانَ فيهِما آلِهَةٌ إِلَّا اللَّهُ لَفَسَدَتا

Sekiranya ada di langit dan di bumi ilah-ilah selain Allah, tentulah keduanya (langit dan bumi) itu telah rosak binasa.

Alam akan hancur binasa kalau ada tuhan yang lain kerana seorang tuhan ingin begini dan seorang lagi tuhan ingin begitu – maka, akan kacau bilau jadinya. Sebab itu, kita lihat agama yang ada lebih daripada satu tuhan mempunyai kekarutan yang amat sangat – seperti agama Hindu, agama Greek dan lain-lain lagi. Selalu kita baca tentang kisah tuhan-tuhan mereka berkelahi dan berlawanan sesama mereka.

Memang mengarut sungguh. Kalau sudah ada banyak yang ada kuasa, sudah tentu ada perlawanan antara mereka. Maka, ini adalah sebagai hujah juga untuk mengatakan yang tidak mungkin ada lebih daripada satu tuhan. Hanya ada satu Tuhan sahaja iaitu Allah.

Sebelum ini telah disebut tentang kemenangan umat Islam dalam surah an-Nasr. Kemenangan umat Islam itu adalah kerana mereka mentauhidkan Allah. Apabila mentauhidkan Allah, Allah akan beri bantuan. Zaman sekarang kita rasa amat lemah sekali kalau dibandingkan dengan kuasa orang kafir. Selalu kita sebut-sebut tentang kehebatan sejarah umat Islam dan berharap supaya Islam kembali kuat.

Kalau mahu kembali kepada kemenangan zaman dahulu, maka kita hendaklah kembali kepada tauhid. Jadi, ini dimulai dengan belajar tafsir Al-Qur’an. Ini kerana, kehebatan dan kemenangan umat Islam dahulu adalah kerana berpegang kepada ajaran Al-Qur’an. Bukannya kerana mereka hanya umat Islam sahaja. Maka, kita tidak boleh berharap kepada kemenangan dan kekuatan umat Islam selagi pemahaman tafsir Al-Qur’an ini berleluasa. Kalau sekarang kita lihat, hanya segelintir sahaja yang belajar ilmu tafsir ini.

Terdapat khilaf sama ada surah ini adalah Makkiyyah atau Madaniyyah. Ada juga yang mengatakan ianya diturunkan dua kali – sekali di Mekah dan sekali lagi di Madinah. Ini mungkin timbul kerana ada yang baru mendengar surah ini dibacakan di Madinah maka mereka sangka ianya diturunkan di Madinah, sedangkan ianya telah diturunkan di Mekah.

Seperti yang kita tahu, Musyrikin Mekah juga mengenal Allah dan mereka juga menggunakan nama ‘Allah’ juga di dalam agama mereka. Masalah dengan mereka adalah, mereka mengadakan ilah-ilah lain selain Allah. Oleh itu, apabila Nabi Muhammad mengajar mereka tentang tauhid dan memberitahu mereka tentang Tuhan dan ilah itu hanya Allah sahaja, mereka hairan dan marah.

Mereka menjadi keliru, adakah Allah yang dimaksudkan oleh Rasulullah itu sama dengan Allah yang mereka kenal? Terdapat di dalam beberapa riwayat yang dibawakan oleh ahli tafsir bahawa asal mula surah ini diturunkan adalah kerana pernah orang musyrikin meminta kepada Rasulullah SAW: صف لنا ربك – Shif lanaa rabbaka’ (Cuba jelaskan kepada kami apa macamnya Tuhanmu itu, emaskah dia atau tembaga atau loyangkah?).

Menurut hadith yang diriwayatkan oleh Tarmidzi daripada Ubay bin Ka’ab, memang ada orang musyrikin meminta kepada Nabi SAW supaya dihuraikannya nasab (keturunan atau sejarah) Tuhannya itu. (Kerana baginda kata semua dijadikan oleh Allah, tapi siapakah yang menjadikan Allah?) Maka, datanglah surah yang tegas ini tentang Tuhan. Persoalan mereka itu telah menyebabkan Rasulullah murka dan Allah menurunkan surah al-Ikhlas ini untuk menjawab persoalan mereka itu.

Kelebihan surah ini: 

Hadith A’isyah Radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ بَعَثَ رَجُلاً عَلَى سَرِيَّةٍ، وَكَانَ يَقْرَأُ لأَصْحَابِهِ فِي صَلاَتِهِ، فَيَخْتِمُ بِـ قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ، فَلَمَّا رَجَعُوا، ذَكَرُوا ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ ، فَقَالَ: ((سَلُوْهُ، لأَيِّ شَيْءٍ يَصْنَعُ ذَلِكَ؟))، فَسَأَلُوْهُ، فَقَالَ: لأَنَّهَا صِفَةُ الرَّحْمَنِ، وَأَنَا أُحِبُّ أَنْ أَقْرَأَ بِهَا، فَقَالَ النَّبِيُّ : ((أَخْبِرُوْهُ أَنَّ اللهَ يُحِبُّهُ)).

“Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam mengutus seseorang kepada sekelompok pasukan, dan ketika orang itu mengimami yang lainnya di dalam solatnya, dia membaca, dan mengakhiri (bacaannya) dengan قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ, maka tatkala mereka kembali pulang, mereka menceritakan hal itu kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam, lalu beliau pun bersabda: “Tanyalah dia, mengapa dia berbuat demikian?” Lalu mereka bertanya kepadanya. Dia pun menjawab: “Kerana surah ini (mengandung) sifat ar Rahman, dan aku mencintai untuk membaca surat ini,” lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Beritahu dia, sesungguhnya Allah pun mencintainya”. Riwayat Bukhari dan Muslim.

Hadith Anas bin Malik Radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata :

كَانَ رَجُلٌ مِنَ الأَنْصَارِ يَؤُمُّهُمْ فِي مَسْجِدِ قُبَاءٍ، وَكَانَ كُلَّمَا اِفْتَتَحَ سُوْرَةً يَقْرَأُ بِهَا لَهُمْ فِي الصَّلاَةِ مِمَّا يَقْرَأُ بِهِ، اِفْتَتَحَ قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ، حَتَّى يَفْرَغَ مِنْهَا. ثُمَّ يَقْرَأُ سُوْرَةً أُخْرَى مَعَهَا، وَكَانَ يَصْنَعُ ذَلِكَ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ. فَكَلَّمَهُ أَصْحَابُهُ، فَقَالُوا: إِنَّكَ تَفْتَتِحُ بِهَذِهِ السُّوْرَةِ، ثُمَّ لاَ تَرَى أَنَّهَا تُجْزِئُكَ حَتَّى تَقْرَأَ بِأُخْرَى، فَإِمَّا تَقْرَأُ بِهَا، وَإِمَّا أَنْ تَدَعَهَا وَتَقْرَأَ بِأُخْرَى. فَقَالَ: مَا أَنَا بِتَارِكِهَا، إِنْ أَحْبَبْتُمْ أَنْ أَؤُمَّكُمْ بِذَلِكَ فَعَلْتُ، وَإِنْ كَرِهْتُمْ تَرَكْتُكُمْ. وَكَانُوا يَرَوْنَ أَنَّهُ مِنْ أَفْضَلِهِمْ، وَكَرِهُوا أَنْ يَؤُمَّهُمْ غَيْرُهُ. فَلَمَّا أَتَاهُمْ النَّبِيُّ  أَخْبَرُوْهُ الخَبَرَ، فَقَالَ: ((يَا فُلاَنُ، مَا يَمْنَعُكَ أَنْ تَفْعَلَ مَا يَأْمُرُكَ بِهِ أَصْحَابُكَ؟ وَمَا يَحْمِلُكَ عَلَى لُزُوْمِ هَذِهِ السُّوْرَةِ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ؟)) فَقَالَ: إِنِّي أُحِبُّهَا، فَقَالَ: ((حُبُّكَ إِيَّاهَا أَدْخَلَكَ الْجَـنَّةَ)).

“Seseorang (sahabat) dari Ansar mengimami (solat) mereka (para sahabat lainnya) di Masjid Quba. Setiap dia membuka bacaan (di dalam solatnya), dia membaca sebuah surah dari surah-surah (lainnya) yang dia (selalu) membacanya. Dia membuka bacaan surah di dalam solatnya dengan قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ, sampai dia selesai membacanya, kemudian dia lanjutkan dengan membaca surat lainnya bersamanya. Dia pun melakukan hal demikian itu di setiap rakaat (solat)nya. (Akhirnya) para sahabat lainnya berbicara kepadanya, mereka berkata: “Sesungguhnya engkau membuka bacaanmu dengan surah ini, kemudian engkau tidak menganggap hal itu telah cukup bagimu sampai (engkau pun) membaca surah lainnya. Maka, (jika engkau ingin membacanya) bacalah surah itu (saja), atau engkau tidak membacanya dan engkau (hanya boleh) membaca surah lainnya”. Dia berkata: “Aku tidak akan meninggalkannya. Jika kalian suka untuk aku imami kalian dengannya, maka aku lakukan. Namun, jika kalian tidak suka, aku tinggalkan kalian,” dan mereka telah menganggapnya orang yang paling utama di antara mereka, sehingga mereka pun tidak suka jika yang mengimami (solat) mereka adalah orang selainnya. Sehingga tatkala Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam mendatangi mereka, maka mereka pun menceritakan khabar (tentang itu), lalu dia (Nabi) bersabda: “Wahai fulan, apa yang menghalangimu untuk melakukan sesuatu yang telah diperintahkan para sahabatmu? Dan apa pula yang membuatmu selalu membaca surah ini di setiap rakaat (solat)?” Dia menjawab,”Sesungguhnya aku mencintai surah ini,” lalu Rasulullah bersabda: “Cintamu kepadanya memasukkanmu ke dalam syurga”. Riwayat Bukhari, Tirmizi dan Ahmad.

Jadi kita boleh lihat bagaimana cintanya sahabat kepada surah ini dan bagaimana Nabi ﷺ membenarkan apa yang mereka lakukan.

Nilai surah ini sama dengan sepertiga Al-Qur’an:

Hadith Abu Sa’id al Khudri Radhiyallahu ‘anhu, dia berkata:

أَنَّ رَجُلاً سَمِعَ رَجُلاً يَقْرَأُ: قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ يُرَدِّدُهَا، فَلَمَّا أَصْبَحَ جَاءَ إِلَى رَسُوْلِ اللهِ ، فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ، وَكَأَنَّ الرَّجُلَ يَتَقَالُّهَا، فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ : ((وَالَّذِيْ نَفْسِيْ بِيَدِهِ، إِنَّهَا لَتَعْدِلُ ثُلُثَ القُرْآنِ.

“Sesungguhnya seseorang mendengar orang lain membaca قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ dengan mengulang-ulangnya, maka tatkala pagi harinya, dia mendatangi Rasulullah dan menceritakan hal itu kepadanya, dan seolah-olah orang itu menganggap remeh surah itu, maka bersabdalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam: “Demi Dzat yang jiwaku berada di tanganNya, sesungguhnya surah itu sebanding dengan sepertiga Al -Qur’an”. (Riwayat Bukhari (434), Abu Dawud, Nasaie).

Hadith Abu Sa’id al Khudri رضي الله عنه , dia berkata:

قَالَ النَّبِيُّ لأَصْحَابِهِ: ((أَيُـعْجِزُ أَحَدُكُمْ أَنْ يَقْرَأَ ثُلُثَ القُرْآنِ فِي لَيْلَةٍ))، فَـشَقَّ ذَلِكَ عَلَيْهِمْ، وَقَالُوا: أَيُّـنَا يُطِيْقُ ذَلِكَ يَا رَسُوْلَ اللهِ؟ فَقَالَ: ((اللهُ الوَاحِدُ الصَّمَدُ، ثُلُثُ القُرْآنِ)).

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam berkata kepada para sahabatnya: “Apakah seseorang dari kalian tidak mampu membaca sepertiga Al-Qur’an dalam satu malam (saja)?” Hal itu membuat mereka keberatan, (sehingga) mereka pun berkata: “Siapa di antara kami yang mampu melakukan hal itu, wahai Rasulullah?” Lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Allahul Wahidush Shamad (surah al -Ikhlas), (adalah) sepertiga Al -Qur`an”. Riwayat Bukhari.

Nota: Maksudnya, kandungan surah ini adalah khulasah (kesimpulan) kepada 1/3 dari kandungan Al-Qur’an. Ini adalah kerana ia memperkatakan tentang tauhid dan ia adalah perkara yang utama dalam Al-Qur’an. Bukan ia bermaksud sekali membaca surah al-Ikhlas ini, sama juga ‘sudah membaca’ 1/3 dari Al-Qur’an.

Jangan salah faham akan hal ini. Kerana itu, ada juga kita mendengar hujah orang jahil, mereka berkata yang mereka sudah khatam Al-Qur’an kerana sudah membaca tiga kali surah al-Ikhlas ini. Janganlah berfikiran cetek. Kalau fahaman ini dibiarkan berleluasa, maka kalau begitu, tidak perlu membaca semua surah di dalam Al-Qur’an. Untuk apa hendak belajar membaca Al-Qur’an lagi? Belajar satu surah sahaja!

Membaca Surah al-Ikhlas menjadi penyebab untuk masuk syurga: 

Hadith Abu Hurairah رضي الله عنه , dia berkata:

أَقْبَلْتُ مَعَ رَسُوْلِ اللهِ ، فَسَمِعَ رَجُلاً يَقْرَأُ قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ. اللهُ الصَّمَدُ، فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ : ((وَجَبَتْ))، قُلْتُ: وَمَا وَجَبَتْ؟ قَالَ: ((الجَـنَّةُ)).

“Aku datang bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam, lalu baginda mendengar seseorang membaca:

قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ. اللهُ الصَّمَدُ

Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Telah wajib,” aku bertanya: “Apa yang wajib?” Beliau bersabda, “(Telah wajib baginya) syurga.” Riwayat Tirmizi dan Nasaie – disahihkan oleh Albani.

Nota: Ini juga satu perkara yang perlu dijelaskan. Kerana masyarakat kita ini sangat jahil, sampai kadangkala baca hadith dan ayat Al-Qur’an tanpa belajar. Bukanlah bermaksud baca surah al-Ikhlas sahaja boleh terus masuk ke syurga. Kalau begitu, tidak perlu Nabi Muhammad ﷺ berdakwah sampai 23 tahun. Kalau benar membaca sahaja sudah boleh masuk syurga, Nabi ﷺ jadi Rasul tiga hari juga sudah cukup, ajar membaca surah al-Ikhlas sahaja.

Maksud hadith ini sebenarnya adalah, hendaklah membaca, faham dan mengamalkan tauhid seperti yang diajar di dalam surah ini. Surah ini adalah khulasah sahaja kepada cerita tauhid di dalam Al-Qur’an. Maka, hendaklah belajar apa yang disampaikan di dalam Al-Qur’an itu tentang tauhid. Maka, memang tidak dapat dielak, mestilah belajar tafsir Al-Qur’an juga.

Surah ini menjadi pelindung kalau dibaca bersama dengan surah al-Falaq dan an-Nas

Hadith Uqbah bin ‘Amir al Juhani رضي الله عنه , beliau berkata:

بَيْنَا أَنَا أَقُوْدُ بِرَسُوْلِ اللهِ رَاحِلَتَهُ فِي غَزْوَةٍ، إِذْ قَالَ: ((يَا عُقْبَةُ، قُلْ!))، فَاسْتَمَعْتُ، ثُمَّ قَالَ: ((يَا عُقْبَةُ، قُلْ!))، فَاسْتَمَعْتُ، فَقَالَهَا الثَّالِثَةَ، فَقُلْتُ: مَا أَقُوْلُ؟ فَقَالَ: قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ فَقَرَأَ السُّوْرَةَ حَتَّى خَتَمَهَا، ثُمَّ قَرَأَ قُلْ أَعُوْذُ بِرَبِّ الفَلَقِ، وَقَرَأْتُ مَعَهُ حَتَّى خَتَمَهَا، ثُمَّ قَرَأَ قُلْ أَعُوْذُ بِرَبِّ النَّاسِ، فَقَرَأْتُ مَعَهُ حَتَّى خَتَمَهَا، ثُمَّ قَالَ: ((مَا تَعَوَّذَ بِمِثْلِهِنَّ أَحَدٌ)).

“Tatkala aku menuntun kenderaan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam dalam sebuah peperangan, tiba-tiba baginda bersabda: “Wahai Uqbah, katakan,” aku pun mendengarkan, kemudian beliau berkata (lagi): “Wahai Uqbah, katakan,” aku pun mendengarkan. Dan beliau mengatakannya sampai tiga kali, lalu aku bertanya: “Apa yang aku katakan?” Beliau pun bersabda: “Katakan قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ”, lalu baginda membacanya sampai selesai. Kemudian baginda membaca قُلْ أَعُوْذُ بِرَبِّالفَلَقِ, aku pun membacanya bersamanya hingga selesai. Kemudian baginda membaca قُلْ أَعُوْذُ بِرَبِّ النَّاسِ, aku pun membacanya bersamanya hingga selesai. Kemudian baginda bersabda: “Tidak ada seorang pun yang berlindung (dari segala keburukan) seperti orang orang yang berlindung dengannya (tiga surah) tersebut”. (Riwayat Nasaei – disahihkan oleh Albani)

Allahu a’lam. Sambung ke ayat 1 surah ini.

Kemaskini: 2 Oktober 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Tafsir Surah al-Masad Ayat 3 – 5 (Isteri yang paling teruk)

Ayat 3: Balasan yang dikenakan ke atas Abu Lahab.

سَيَصلىٰ نارًا ذاتَ لَهَبٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He will [enter to] burn in a Fire of [blazing] flame

(MALAY)

Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak.

 

Ayat sudah berubah sekarang kerana ia akan memperkatakan tentang masa hadapan. Kita tahu kerana ada huruf س dalam kalimah سَيَصلىٰ (dia akan masuk) itu. Selalunya apabila perkara masa hadapan disebut, ianya tentang perkara yang akan berlaku tidak lama lagi (sama ada di dunia atau di akhirat). Ayat ini tentang kejadian di neraka.

Bagaimana pula jika neraka itu tidak lama lagi? Ini adalah kerana pada Allah ianya dekat sahaja. Kita sahaja yang menyangka ianya lambat lagi. Lihat ayat Ma’arij:7 وَنَراهُ قَريبًا (Sedangkan Kami memandangnya dekat).

Abu Lahab akan dimasukkan ke dalam نارًا ذاتَ لَهَبٍ (api yang ada bara merah). Bukankah لَهَبٍ itu nama gelarannya? Ini adalah serangan dan hinaan kepada Abu Lahab – kamu suka digelar Abu Lahab, bukan? Jadi, sekarang diberitahu yang dia akan dimasukkan ke dalam لَهَبٍ!


 

Ayat 4: Sekarang masuk kepada kutukan terhadap isteri Abu Lahab pula – Umm Jamil. Ayat 4 – 5 adalah Perenggan Makro Kedua dan ia mengandungi ramalan tentang akibat buruk yang akan diterima oleh isteri Abu Lahab.

وَامرَأَتُهُ حَمّالَةَ الحَطَبِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And his wife [as well] – the carrier of firewood.¹

  • She used to put thorns in the Prophet’s path and slander him (). The word “firewood” was used by the Arabs to allude to slander and backbiting.

(MALAY)

Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar.

 

Kalimah امرَأَتُهُ (isterinya) yang dimaksudkan adalah Umm Jamil. Siapakah dia?

    • Dia adalah cucu kepada Ummayyah, seorang yang terkenal di Mekah pada zaman dahulu. Dia juga adalah adik Abu Sufyan, salah seorang pemimpin Mekah pada waktu itu. Jadi dia adalah daripada keturunan pembesar.
    • Dia amat berbangga dengan kedudukannya di dalam masyarakat. Jadi, dia akan menunjuk-nunjuk kelebihannya itu. Tambahan pula dia berkahwin dengan Abu Lahab, juga seorang yang terkenal. Mereka ini adalah pasangan yang dipandang tinggi dalam masyarakat pada waktu itu.
    • Dikatakan bahawa, dia memakai rantai yang mahal dan didedahkan di khalayak ramai. Kalau dia ternampak Nabi Muhammad SAW lalu, dia akan memegang rantai itu dan dia bersumpah dengan nama berhala Lat dan Uzza yang dia sanggup untuk menggadai rantainya itu untuk menjatuhkan Nabi Muhammad SAW. Begitu marah dia hinggakan dia sanggup hendak menggadai rantai kesayangannya itu.
    • Umm Jamil ini pernah mengutuk Nabi Muhammad SAW dengan menggelar baginda ‘Mudhamam’ (yang terkutuk). Nama Nabi kita adalah Muhammad, tapi dia hendak ubah jadi Mudhamam pula, hingga dia mengarang syair tentang nama ini.

Dia sungguh marah selepas turunnya surah ini hinggakan dia mengutuk Nabi Muhammad SAW dengan memberi nama Mudhamam itu. Bila ada orang memberitahu kepada baginda tentang perkara ini, Nabi Muhammad SAW menjawab, tidak perlu kisah kerana yang dikutuk adalah Mudhamam, sedangkan nama baginda adalah Muhammad (jadi bukan sebut tentang baginda).

Ini mengajar kita untuk bersabar dan belajar melihat mana yang perlu dilayan dan mana yang tidak perlu dilayan. Kalau anjing menyalak kita, adakah bijak kalau kita menyalak semula kepada anjing tersebut? Oleh itu, kalau ada yang mengarut tentang kita, tidak perlu kita hendak balas dengan mengarut semula, buang masa dan buat malu kita sahaja.

Masalahnya sekarang ada blog, ada group whatsapp, dan selalu ada pertelingkahan di antara penulis-penulis ‘sambilan’. Kadang-kadang ada yang menggunakan bahasa kasar dan kita rasa macam hendak balas sahaja bahasa kasar mereka.

Tapi ini membuang masa sahaja. Mereka memang hendak melihat bagaimana kita melompat dan melatah. Maka, orang Islam hendaklah belajar tentang perkara ini. Kalau hendak berbincang dengan baik, barulah kita layan mereka. Kalau hendak berlawan dan menggunakan kata-kata kesat atau bodoh, tidak perlu hendak layan.

Contohnya, kalau ada yang mengutuk Wahabi, biarlah. Kita bukan wahabi. Hendak kutuk wahabi, kutuklah, tidak ada kena mengena dengan kita.

Kalimah yang digunakan dalam ayat ini adalah امرَأَة (isteri). Selain dari امرَأَة, ada satu lagi kalimah digunakan yang membawa maksud isteri iaitu زوجة. Kedua-duanya digunakan dalam Al=Qur’an dan bertukar-tukar, sekejap guna زوجة dan sekejap guna امرَأَة. Sebagai contoh, untuk isteri Firaun, isteri Nabi Zakariya digunakan kalimah امرَأَة seperti yang digunakan untuk Umm Jamil. Apakah beza antara keduanya?

Pertamanya, kita hendaklah tahu yang kalau digunakan kalimah امرَأَة, tidak semestinya untuk mereka yang buruk kerana isteri Firaun dan isteri Nabi Zakariya juga menggunakan kalimah itu. Kedua-dua mereka adalah orang yang baik. Jadi, ada sebab tertentu kenapa ianya digunakan dan tidak digunakan kalimah زوجة.

Bahasa Al-Qur’an adalah tepat dan tentu ada sebab yang hendak disampaikan dengan cara tersirat. Perkara ini tidak diketahui kalau setakat membaca terjemahan sahaja.

Objektif perkahwinan yang utama ada dua: untuk meninggikan kebaikan dalam masyarakat dan untuk mendapatkan anak. Ini kerana cara untuk mendapatkan anak dengan sah adalah dengan pernikahan. Kalau salah satu dari dua perkara ini hilang atau tiada, maka Allah menggunakan kalimah امرَأَة. Dan apabila kedua-duanya ada, maka Allah menggunakan kalimah زوجة.

Sebagai contoh, isteri Nabi Zakariya adalah seorang yang baik, tapi dia tidak ada anak maka digunakan kalimah امرَأَة untuk menyebut tentang dirinya. Tidaklah berkurang kemuliaannya kerana tidak ada anak. Kita hendaklah ingat yang ketiadaan anak tidak semestinya tidak mulia. Berapa ramai daripada kalangan orang kita yang tidak ada anak, tapi mereka itu orang yang baik? Itu semua adalah dugaan untuk mereka.

Berbalik kepada isteri Nabi Zakariya, apabila isterinya itu sudah dapat anak, barulah digunakan gelaran زوجة untuk dirinya (boleh lihat perubahan yang Allah gunakan). Lihatlah bagaimana tepatnya penggunaan kalimah dalam Al-Qur’an. 

Oleh kerana itu, digunakan kalimah امرَأَة untuk Umm Jamil – dia ada anak tapi tidak ada kebaikan padanya. Dia melakukan sesuatu yang buruk. Anak yang dia ada itu juga tidak menyebabkan kebaikan baginya.

Kalimah وَامرَأَتُهُ dalam ayat ini adalah sambungan dari ayat sebelumnya. Ia adalah khabar kedua selepas khabar pertama dalam ayat sebelum itu – kerana ada dhommah padanya (baris hadapan). Apakah maksudnya? Kalau diambil dari ayat sebelum: “Abu Lahab akan dimasukkan ke dalam api neraka yang ada bara dan begitu juga dengan isterinya.”

Mereka bergabung semasa di dunia untuk menyakiti hati Nabi dan cuba untuk menjatuhkan dakwah baginda, maka Allah akan masukkan kedua-duanya bergabung ke dalam neraka.

Kalimah حَمّالَةَ dalam bentuk mansoob kerana ada fatha (baris atas) padanya. Ini juga penting kerana mengandungi balaghah di dalamnya. Dalam bahasa Arab, ada 16 sebab kenapa fathah digunakan. Jadi, salah satunya adalah kerana hendak menunjukkan kemarahan. Maka, kalimah ini menunjukkan kemurkaan dan kebencian Allah kepada Umm Jamil, isteri Abu Lahab itu.

Kalimah حَمّالَةَ juga adalah dalam bentuk mubalaghah (bersangatan) kerana ada syaddah pada huruf م itu. Ini menunjukkan yang Umm Jamil tetap terus melakukannya, bukan sekali sahaja. Itulah perkara yang dia akan lakukan di neraka nanti.

Kalimah الحَطَبِ bermakna kayu kering yang digunakan untuk pembakaran (memasak, memanaskan rumah dan sebagainya). Begitulah cara mereka memperoleh kepanasan dalam rumah pada zaman itu. Selalunya kayu kering itu dibawa oleh hamba.

Jadi, sekarang Allah memanggil dia sebagai pembawa kayu bakar itu pula. Sedangkan dia seorang yang bangga dengan kedudukannya dalam masyarakat dan dia tidak akan melakukan kerja kerana pada dia, itu adalah kerja yang hina. Tapi, Allah hendak kata yang Dia tidak hormat status dia dalam masyarakat. Kalau seseorang itu menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam, maka orang itu hina sehina-hinanya pada pandangan Allah.

Kenapa dikatakan Umm Jamil itu membawa ‘kayu bakar’? Kerana dia suka mengapi-apikan antara manusia. Dia suka mereka-reka kisah buruk tentang Nabi Muhammad SAW supaya orang tidak suka kepada baginda. Dia suka membangkitkan perasaan tidak suka masyarakat terhadap Nabi Muhammad SAW.

Umm Jamil juga akan dimasukkan ke dalam neraka bersama suaminya Abu Lahab, dan dia sendiri akan membawa kayu kering untuk membakar dirinya dan suaminya itu. Ini adalah sebahagian dari azab seksa yang akan dikenakan kepada mereka. Dia akan berterusan melakukannya.


 

Ayat 5: 

في جيدِها حَبلٌ مِن مَسَدٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Around her neck is a rope of [twisted] fiber.

(MALAY)

Yang di lehernya ada tali dari sabut.

 

Ini adalah azab yang disebut dan dikenakan kepada Umm Jamil – ditambat pada leher dia tali yang diikat seperti anjing. Dia mulia semasa di dunia, tapi dia akan dihinakan di akhirat kelak.

Kita sekarang sudah sampai ke ayat yang penghujung surah ini. Ada dua tema dalam surah ini yang kita telah belajar:

    • Satu tema tentang Abu Lahab.
    • Satu lagi tentang isterinya, Umm Jamil.

Mereka berdua ini adalah jenis manusia yang paling teruk sekali. Kerana kita juga tahu yang manusia ini ada banyak jenis. Dari sirah Nabi, mereka ini terbahagi kepada empat jenis:

1. Bukan Muslim, tetapi seorang yang baik. Contohnya, seorang lelaki yang bernama Mu’tem bin Adiyy. Dia tidak masuk Islam di zaman Nabi, tapi dia mempertahankan baginda apabila baginda masuk ke Mekah. Begitu juga kita kenal bapa saudara Nabi, Abu Thalib yang tetap mempertahankan Rasulullah SAW walaupun dia sendiri tidak masuk Islam.

2. Ada musuh yang mulia. Mereka tetap tidak masuk Islam dan malah menentang Islam, tapi mereka itu sebenarnya hebat. Diri mereka memang hebat, tapi mereka tetap mahu mempertahankan kepercayaan mereka, cuma kepercayaan itu salah. Jikalau mereka masuk Islam, mereka akan menjadi orang yang mulia.

Contohnya, Abu Jahal. Dia memang ada kelebihan peribadi pada dirinya hinggakan Nabi pernah berdoa semoga dibukakan hati sama ada Abu Jahal atau Umar (untuk masuk Islam) kerana mereka berdua ini ada potensi dan kalau mereka masuk Islam, akan memudahkan dan memberi kebaikan kepada agama Islam. Ini kita sudah bincangkan dalam tafsir ayat surah al-Alaq:11.

3. Ada yang menentang Islam dan menjadi musuh Islam, tapi mereka tidak benci kepada personaliti yang bernama Muhammad itu. Sebagai contoh, Utbah ibn Rabiah. Dia tidak benci Nabi Muhammad SAW, tapi dia ada reputasi yang hendak dijaga sebagai orang besar di Mekah.

Begitu juga dengan Walid ibn Mughirah – dia rasa tercabar dengan Al-Qur’an kerana dia seorang penyair yang terkenal. Dia tidak dapat jelaskan apakah Al-Qur’an itu, tapi akhirnya dia kata Al-Qur’an itu adalah sihir (kerana ditekan oleh pemuka Quraish yang lain). Individu-individu ini boleh dipelajari tentang mereka di dalam sirah.

4. Akhir sekali adalah jenis yang paling teruk – benci agama Islam dan benci Nabi Muhammad SAW juga – Inilah perangai Abu Lahab. Dialah manusia yang paling teruk sekali, hinggakan Allah buatkan satu surah tentang dia.

Bukan sahaja dia itu ahli keluarga dan jiran Nabi; bahkan mereka suami isteri sama-sama membenci kepada baginda; mereka bukan sahaja membenci, tapi berusaha untuk menyerang Nabi; dan mereka jua yang paling awal menyerang baginda secara umum.

Bayangkan teruknya mereka itu, sampai meraikan kematian anak Nabi. Ini adalah kemuncak permusuhan terhadap baginda. Kalau musuh baginda yang lain juga tidak lakukan perkara seteruk ini.

Bahagian kedua surah ini menyentuh tentang isterinya, Umm Jamil. Dia ini adalah wanita yang sangat teruk. Kalau kita bahagikan jenis-jenis wanita, kita boleh bahagikan kepada 4 jenis juga:

    1. Wanita yang baik dengan wali yang baik. Ini seperti Maryam yang dijaga oleh Nabi Zakariya a.s.
    2. Wanita yang baik dengan wali yang teruk. Ini seperti Asiyah, isteri kepada Firaun yang teruk. Walaupun dia seorang mukminah, tapi dia hidup dengan seorang yang teruk. Walaupun begitu, dia tetap beriman.
    3. Wanita yang teruk tapi dengan wali yang baik. Ini seperti isteri kepada Nabi Nuh a.s. dan isteri kepada Nabi Luth a.s. Mereka ada suami yang berpangkat Nabi, tapi mereka tetap menjadi teruk.
    4. Yang paling teruk adalah wanita yang teruk dan tinggal dengan wali yang juga teruk. Inilah peringkat Umm Jamil ini – dia sendiri sudah teruk, tinggal pula dengan wali yang teruk (Abu Lahab). Jadi surah ini menyebut tentang lelaki yang paling teruk dan wanita yang paling teruk.

Kedudukan surah ini diletakkan selepas surah an-Nasr. Dalam surah itu, disebut perkara yang akan menyelamatkan kita di akhirat kelak – tasbih, tahmid dan istighfar. Jadi, dalam surah al-Masad ini disebut pula apa yang tidak dapat menyelamatkan kita: harta dan apa yang kita dapat dari usaha kita.

Surah ini juga adalah sambungan dari nikmat yang Allah berikan kepada Nabi Muhammad SAW. Abu Lahab dan Umm Jamil adalah musuh baginda yang paling teruk sekali. Jadi, dalam surah ini Allah beritahu yang mereka akan dimusnahkan – bukan sahaja di akhirat, tapi di dunia ini lagi mereka akan dimusnahkan.

Sebelum ini kita telah sebut bagaimana Firaun ditahan dari beriman dan sememangnya Firaun sampai ke waktu dia hendak mati, dia tidak beriman (dia cuma mahu beriman apabila dia dalam sakaratul maut dan imannya tidak bernilai lagi pada waktu itu).

Salah satu mukjizat Al-Qur’an adalah ia memberitahu perkara yang akan terjadi dan tidak ada yang berlawanan dengan Al-Qur’an. Oleh itu, apabila surah ini memberitahu yang Abu Lahab akan dimusnahkan, ia juga adalah sesuatu yang pasti berlaku. Tidak boleh syak lagi.

Kalau kita fikirkan, Abu Lahab ada satu peluang untuk mengatakan Al-Qur’an itu menipu – dia boleh sahaja mengaku beriman (walaupun dia menipu) dan dengan itu mengatakan Al-Qur’an tidak benar. Dia boleh sahaja berkata yang dia beriman dan berhujah: “tengok, Al-Qur’an kata aku tidak akan beriman, jadi sekarang aku beriman.” Dia ada masa bertahun-tahun untuk melakukan perkara ini, tapi dia tidak pernah lakukan.

Ini adalah salah satu mukjizat Al-Qur’an – mengatakan perkara yang benar, yang terbukti kebenarannya. Jikalau Abu Lahab di hujung hayatnya beriman, tentu ini akan melemahkan kedudukan Al-Qur’an, bukan? Tapi, terbukti Al-Qur’an itu benar. Allah membuktikan kebenaran Al-Qur’an itu apabila Abu Lahab langsung tidak beriman sampai ke hujung hayatnya.

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Ikhlas.

Kemaskini: 1 Oktober 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan.

Tafsir Surah al-Masad Ayat 1 – 2 (Musnahnya musuh Nabi)

Pengenalan

Ini adalah salah satu dari surah yang paling pendek di dalam Al-Qur’an. Ramai yang hafal surah ini tentunya. Ianya ditujukan kepada Abu Lahab dan isterinya. Kerana itu nama lain baginya adalah surah al-Lahab.

Ini adalah perkara yang menghairankan kerana Allah tidak melakukannya terhadap musuh-musuh Nabi Muhammad SAW yang lain. Kalau musuh Nabi disebut di dalam mana-mana ayat, selalunya nama tidak disebutkan. Sebagai contoh, Abu Jahal juga teruk, tapi namanya tidak pernah disebut dalam Al-Qur’an. Tapi kali ini, disebutkan sampai satu surah tentang Abu Lahab dan isterinya. Tentu ada sesuatu yang besar hendak disampaikan.

Jadi, siapakah Abu Lahab ini? Ringkasnya:

    • dia adalah seorang yang terkenal dan antara yang terkaya di Mekah.
    • ada yang mengatakan bahawa dia adalah penjaga BaitulMaal waktu itu.
    • namanya yang sebenar adalah Abdul Uzzah (hamba berhala Uzzah)

Dan seperti yang kita tahu, nama gelarannya adalah Abu Lahab. Kalimah لهب bermaksud api merah yang menyala dengan terang, menerangi sekelilingnya. Ia digunakan pada nama Abu Lahab sebagai penghormatan kepadanya kerana dia seorang yang tampan. Ini adalah kerana kulitnya kemerah-merahan.

Penggunaan ‘abu’ bukanlah semestinya bermaksud ‘bapa’. Ianya juga boleh digunakan kalau hendak mengaitkan seseorang dengan sesuatu. Sebagai contoh, pernah Nabi Muhammad SAW memanggil Saidina Ali dengan gelaran ‘Abu Turab’ (bapa tanah) kerana beliau berbaring di tanah dan baginda menyapu-nyapu tanah itu dari arah belakangnya.

Dan kita juga sudah tentu kenal Abu Hurairah (bapa kucing) dan tidaklah dia melahirkan kucing-kucing itu pula, bukan? Begitu juga penggunaan nama Abu Lahab – tidaklah dia ada anak yang bernama Lahab. Dia dipanggil begitu kerana kulitnya kemerahan dan dia memang seorang yang tampan. Jadi, dia ini adalah seolah-olah seorang selebriti pada zamannya. Kalau dalam istilah media sosial sekarang dia dipanggil ‘influencer’. Maklumat lain tentangnya:

    • dia dari keturunan yang hebat. Dia adalah cucu kepada Hashim Abd Manaf yang juga moyang kepada Nabi Muhammad SAW. Hashim ini adalah orang besar Mekah dan dialah yang memulakan memberi makan kepada orang yang mengerjakan Haji. Jadi keturunan Hashim adalah keturunan yang dihormati di Mekah, malah di Tanah Arab.
    • Abu Lahab ini juga adalah bapa saudara kepada Nabi Muhammad SAW.
    • dia juga adalah besan kepada baginda kerana dua anak baginda telah berkahwin dengan anak Abu Lahab.

Selain daripada Abu Lahab, isterinya juga disebut dalam ayat ini. Isterinya bernama Urwah. Siapakah dia?

    • dia juga orang yang berketurunan hebat – cucu kepada Umayyah, satu lagi keturunan yang dihormati di Tanah Arab. Oleh itu, apabila dia berkahwin dengan Abu Lahab, mereka adalah pasangan yang terkenal kerana kedua-duanya dari keturunan yang hebat. Memang ‘wedding of the year’.
    • dia memang berbangga dengan keturunannya dan selalu mengingatkan orang tentangnya.
    • nama panggilannya adalah Umm Jamil (ibu kecantikan) kerana dia seorang yang cantik juga; sudahlah Abu Lahab tampan, dia pula cantik. Oleh kerana itu, mereka memang pasangan yang selalu dipandang oleh masyarakat (power couple).

Kita sudah kenal serba sedikit dengan Abu Lahab ini. Maka, kenapakah dia teruk sekali dikutuk oleh Allah? Ini adalah kerana banyak keburukan dia:

    • dia adalah musuh Nabi yang paling kuat. Memang ada orang lain yang memusuhi baginda tapi Abu Lahab ini lebih teruk daripada orang lain.
    • dia juga jiran kepada Nabi Muhammad SAW; mereka berkongsi dinding. Kerana benci sangat kepada baginda, dia dan isterinya telah membuang kotoran, sampah, dan benda-benda yang teruk apabila baginda membaca Al-Qur’an. Kerana mereka dibalik dinding sahaja dan rumah dulu tidak ada penghadang. Maka, senang sahaja dia hendak melemparkan kekotoran itu ke dalam rumah baginda. Ini adalah perbuatan yang amat teruk sekali dan ini juga sebenarnya melanggar adat orang Arab. Dia sanggup melanggar adat kerana kebencian teramat sangat kepada Rasulullah.
    • dua anaknya telah berkahwin dengan dua anak Rasulullah (ini terjadi sebelum Islam). Apabila Rasulullah mula berdakwah secara terbuka, dia telah mengarahkan dua anaknya itu untuk menceraikan anak-anak Rasulullah. Salah seorang menantu Rasulullah itu telah datang dan meludah depan baginda. Kiranya dia meludah depan bapa mertua dia – bukan sahaja menceraikan anak baginda, meludah pula lagi. Kerana perbuatan bekas menantu yang teruk itu, Rasulullah mendoakan keburukan untuknya. Apabila Abu Lahab mendengar doa baginda, dia menjadi takut (maknanya jauh di sudut hati dia, dia percaya juga yang baginda adalah Nabi dan doa baginda makbul). Maka, dia menjaga anaknya betul-betul hinggakan dia meletak pengawal. Tapi dalam satu perjalanan musafir, anaknya itu mati juga dibaham singa.
    • apabila anak lelaki Rasullah mati waktu kecil, dialah orang pertama yang tahu dan dialah orang pertama yang meraikannya. Ini adalah teruk sekali kerana kalau musuh sekalipun, bila ada musuh yang kematian anak, tidaklah sanggup musuhnya bergembira dan mengutuk. Tapi Abu Lahab memang tidak ada berperi -kemanusiaan dan dia memang seorang musuh yang paling teruk sekali. Perkara ini disebut di dalam Surah Kawthar.

Jadi, ini adalah antara perkara yang menyebabkan Abu Lahab dikutuk dengan amat teruk oleh Allah. Kerana memang perkara yang dilakukannya itu adalah amat teruk, tidak dapat dimaafkan. Bayangkan, cucu saudaranya sendiri mati juga dia boleh bersorak lagi? Musuh Nabi yang lain juga tidak lakukan seperti mana yang dia lakukan ini.

Dialah juga yang pertama sekali menolak dakwah tauhid daripada baginda. Apabila Rasulullah diarahkan untuk berdakwah kepada keluarga baginda, baginda telah mengadakan jamuan makan kerana baginda hendak mula bercakap tentang Islam kepada keluarganya. Maka, Abu Lahab dan yang lain-lain juga dijemput. Apabila Nabi Muhammad SAW hendak bercakap sahaja tentang Islam, dialah yang pertama membuat bising dan menolak. Dia berkata: تباً لهذا الدين (musnahlah agama ini!)

Apabila Nabi Muhammad SAW naik ke atas bukit dan bercakap dengan Arab Mekah untuk berdakwah secara terbuka, dan memperkenalkan mereka dengan ajaran tauhid, Abu Lahab jua yang menghina baginda dan mengatakan baginda menipu. Dia menjerit: تباً لّك (musnahlah kamu!)

Waktu itu baginda naik ke atas bukit dan selalunya hal itu dilakukan jikalau ada seseorang yang hendak memberitahu berita gempar – mungkin ada orang hendak serang dan sebagainya. Marah dia kerana apa yang Nabi lakukan adalah kalau ada kecemasan sahaja. Lihat bagaimana dia menggunakan kalimah تب dalam kedua-dua situasi. Nanti Allah akan gunakan kalimah yang sama juga.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 2 perenggan makro. Ayat 1 – 3 adalah Perenggan Makro Pertama dan ia mengandungi ramalan tentang akibat buruk yang akan diterima oleh Abu Lahab.

تَبَّت يَدا أَبي لَهَبٍ وَتَبَّ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Masad: Fiber. This sūrah is also known as al-Lahab (Flame).

May the hands of Abū Lahab be ruined, and ruined is he.¹

  • Abū Lahab (the Prophet’s uncle), who was an enemy of Islām.

(MALAY)

Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa.

 

Oleh kerana Abu Lahab menggunakan kalimah تب dua kali (sekali semasa jamuan dan sekali lagi semasa baginda di atas bukit) maka dalam ayat ini, kalimah تب digunakan dua kali juga.

Allah mengatakan yang kedua tangan Abu Lahab akan musnah. Apabila ayat ini turun, Abu Lahab menghina ayat itu. Dia akan pergi ke khalayak ramai dan dia akan tunjuk tangan dia – dan dia berkata yang tangan dia tidak jadi apa-apa pun.

Kalimah تَبَّت adalah dalam bentuk fi’il madhi untuk kalimah تبب ataupun diringkaskan menjadi تبّ. Ianya dalam bentuk muannast (feminine) kerana pada Arab, tubuh badan berpasang seperti tangan dan kaki adalah ‘perempuan’. Kerana itu juga kalimah تَبَّت ada huruf ت yang menunjukkan ianya muannast.

Dari segi balaghah, Allah menggunakan fi’il madhi (past tense) kerana dalam bahasa Arab, ia menunjukkan kepastian – PASTI tangan Abu Lahab akan dimusnahkan. Ini adalah kerana sesuatu yang dikatakan akan berlaku esok belum tentu lagi, tapi apa yang telah berlaku semalam sudah pasti, bukan?

Ayat ini mengandungi dua kalimah تبّ:

a. تَبَّت يَدا أَبي لَهَبٍ (semoga musnah kedua tangan Abu Lahab)
b. وَتَبَّ yang kedua ini adalah sebagai ketetapan – pasti tangannya itu musnah!

Kalimah تَبَّ bermaksud sesuatu yang musnah sedikit demi sedikit. Ianya sesuatu yang semakin teruk dan teruk sampai akhirnya musnah terus. Ia tidaklah musnah terus. Kalau kereta terlibat dalam kemalangan, kereta itu terus musnah, bukan? Jadi itu bukan تبّ.

Oleh itu, Allah maksudkan bahawa Abu Lahab tidaklah musnah terus tapi dia akan musnah sedikit demi sedikit. Kalau dia dimusnahkan terus, kalimah yang digunakan adalah هلك.

Kalimah تبّ ini ada juga digunakan dalam Hud:101

وَما ظَلَمناهُم وَلٰكِن ظَلَموا أَنفُسَهُم ۖ فَما أَغنَت عَنهُم آلِهَتُهُمُ الَّتي يَدعونَ مِن دونِ اللَّهِ مِن شَيءٍ لَمّا جاءَ أَمرُ رَبِّكَ ۖ وَما زادوهُم غَيرَ تَتبيبٍ

Dan Kami tidaklah menganiaya mereka tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri, kerana itu tiadalah bermanfaat sedikit pun kepada mereka sembahan-sembahan yang mereka seru selain Allah, di waktu azab Tuhanmu datang. Dan sembahan-sembahan itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali kebinasaan belaka.

Kalimah yang digunakan dalam ayat Hud:101 ini adalah تَتبيبٍ (tatbeeb) yang diambil dari kata dasar ت ب ب juga, cuma dalam wazan yang berlainan. Ayat ini memberitahu helah puak musyrik itu tidak akan memanfaatkan mereka walau sedikit. Yang menariknya, dalam surah Hud:101 juga ada kalimah أَغنَت di mana dalam surah Masad juga ada kalimah أَغنىٰ.

Kalimah أَغنىٰ dan أَغنَت dari kata dasar غ ن ي yang bermaksud ‘tidak memerlukan’ – kerana itu Allah adalah al-Ghaniy kerana Allah tidak memerlukan apa-apa daripada makhluk. Oleh itu, orang yang kaya juga dikatakan ghaniy kerana mereka banyak harta dan tidak memerlukan bantuan kewangan daripada orang lain. Orang-orang yang kaya selalunya ada harta dan ada antara mereka yang rasa mereka tidak memerlukan bantuan lagi.

Tapi, Allah menyebut yang harta mereka tidak dapat menyelamatkan mereka langsung dari memberikan pertolongan. Walaupun mereka kaya harta, tapi di akhirat kelak mereka tetap memerlukan pertolongan daripada Allah. Walaupun mereka kaya, tapi mereka ‘tidak cukup’ lagi.

Dalam surah Hud:101 disebut bagaimana musyrikin itu bergantung dengan ilah palsu mereka dan dalam surah al-Masad ini, Abu Lahab bergantung kepada hartanya. Oleh itu, satu ilah palsu dan satu lagi harta. Antara kedua ini, mana lagi komprehensif? Tentulah ilah palsu kerana harta juga boleh jadi sebahagian dari ilah palsu (subset kepada ilah palsu sahaja).

Oleh kerana ilah palsu itu lebih komprehensif, maka kalimah yang digunakan dalam surah Hud:101 adalah تَتبيبٍ dan lebih kuat lagi dari kalimah تَبَّت yang digunakan dalam surah Masad. Ini kerana, dalam surah Masad, yang disentuh adalah satu ilah sahaja, jadi tidak digunakan تبّ dalam bentuk yang kuat. Ini menunjukkan ketepatan penggunaan bahasa Al-Qur’an – ini dinamakan pembelajaran balaghah.

Satu lagi kalimah تبّ digunakan dalam Ghafir:37 yang menceritakan rancangan Firaun yang menjadikan dia semakin musnah.

أَسبٰبَ السَّمٰوٰتِ فَأَطَّلِعَ إِلىٰ إِلٰهِ موسىٰ وَإِنّي لَأَظُنُّهُ كٰذِبًا ۚ وَكَذٰلِكَ زُيِّنَ لِفِرعَونَ سوءُ عَمَلِهِ وَصُدَّ عَنِ السَّبيلِ ۚ وَما كَيدُ فِرعَونَ إِلّا في تَبابٍ

“(Iaitu) ke pintu-pintu langit, supaya aku dapat melihat Tuhan Musa; dan sesungguhnya aku percaya Musa itu seorang pendusta!” Demikianlah diperhiaskan (oleh Syaitan) kepada Firaun akan perbuatannya yang buruk itu untuk dipandang baik, serta dia dihalangi dari jalan yang benar; dan tipu daya Firaun itu tidak membawanya melainkan ke dalam kerugian dan kebinasaan. 

Dia memang ada lakukan banyak rancangan tapi semua itu tidak menjadi: mulanya dia hendak bunuh anak-anak lelaki Bani Israil kerana dia tidak mahu ada dari kalangan mereka yang menjatuhkan takhtanya. Rancangan itu memang dijalankan, tapi dia sebaliknya membesarkan pembunuhnya (Nabi Musa) di dalam istananya.

Apabila Nabi Musa datang memperkenalkan diri baginda sebagai Rasul dan membawa ajaran tauhid, dia mencabar Nabi Musa, tapi Nabi Musa memalukannya dengan berhujah dan menunjukkan dua mukjizat – tongkat menjadi ular dan tangan bercahaya.

Untuk menjatuhkan kredibiliti Nabi Musa a.s., Firaun kemudian telah menganjurkan perlawanan dengan ahli sihir yang dia kumpul – kali ini di khalayak ramai pula. Dia menyangka kan yang dia akan memalukan Nabi Musa, tapi sebaliknya pula yang berlaku – semua rakyat nampak bagaimana ahli sihir itu kalah teruk dan mereka pula yang masuk Islam kerana jelas yang Nabi Musa itu adalah seorang Rasul.

Bayangkan Firaun yang beri ruang untuk Musa berdakwah di khalayak ramai! Rancangannya itu semua adalah ke arah kehancurannya akhir nanti. Dia juga tidak langsung beriman sampai ke akhirnya kerana dia ditahan dari jalan yang lurus. Maksudnya, bagaimana Firaun ditahan dari masuk Islam ini nanti akan disebut berkenaannya.

Makna lain bagi kalimah تبّ

    • Mati dengan cara teruk.
    • Mengalami kerugian besar.
    • Menjadi teruk seperti buah yang membusuk lama kelamaan.
    • Jadi tidak berguna dan dibuang begitu sahaja.
    • Tidak ada langsung kebaikan sedikit pun.

Dalam ayat ini digunakan kalimah: تَبَّت يَدا – musnahlah dua tangan. Kenapa kedua-dua tangan yang disebut dimusnahkan?

    • Ini adalah kerana kita selalunya lakukan perkara dengan menggunakan dua tangan, bukan satu sahaja, bukan? Ia merujuk kepada usaha seseorang itu, bukannya tangan yang fizikal sahaja. Oleh itu, ia bermaksud – biarkan dia dan segala usaha yang dilakukan oleh tangannya itu musnah. Bukankah dia cuba memusnahkan dakwah Nabi? Tapi, segala usaha dia itu tidak berjaya bukan?
    • Oleh itu, tangannya itu akan musnah, sekali dengan agamanya, dunianya dan segala apa yang dia telah lakukan dan harapkan.
    • Dua tangan Abu Lahab itu jugalah yang pernah cuba untuk membaling Nabi Muhammad dengan batu.
    • Orang Arab mengatakan, tangan kanan digunakan untuk menyerang dan tangan kiri digunakan untuk mempertahankan diri. Apabila Allah berkata kedua-dua tangannya itu akan dimusnahkan, ia bermaksud dia sudah tidak boleh menyerang sesiapa lagi dan dia tidak dapat mempertahankan dirinya. Jadi, tidak ada harapan langsung.

Dalam ayat ini digunakan أَبي لَهَبٍ – kenapa Allah memberi kun’yah (gelaran) kepada dia? Dalam penggunaan bangsa Arab, selalunya kalau ada kun’yah itu adalah sebagai penghormatan. Jadi, memang gelaran Abu lahab asalnya sebagai pujian baginya kerana dia adalah seorang yang tampan dan kemerahan kulitnya. Maksudnya, memang gelaran itu diberi oleh masyarakat Arab waktu itu sebagai penghormatan dan pujian untuknya. (ini tidak sama dengan nama Abu Jahal yang digunakan sebagai gelaran menghina). Tapi, mari kita lihat lagi siapakah Abu Lahab ini:

    • Namanya yang sebenar adalah Abdul Uzzah (hamba Uzzah), dan Uzzah itu adalah salah satu dari berhala Musyrikin Mekah. Jadi, Allah tidak mahu menggunakan nama berhala dalam merujuk kepadanya. Tidak akan hendak pakai pula kerana tidak ada sesiapa juga yang menjadi hamba kepada Uzzah kerana Uzzah itu adalah rekaan manusia jahil sahaja. Jadi, kalau pakai namanya Abdul Uzzah, ia adalah suatu penipuan.
    • Jadi, kun’yah Abu Lahab ini adalah sesuai dengan dia kerana dia akan menjadi penghuni api yang membakar. Allah akan memasukkan dia ke dalam neraka yang apinya membara dan itulah maksud ‘lahab’ juga. Jadi bila guna nama ini amat sesuai. Memang masyarakat memberi gelaran itu sebagai penghormatan, tapi Allah telah menjadikan makna baru bagi nama itu. Sekarang dia bukan dipanggil kerana dia seorang yang tampan, tapi kerana dia adalah ahli neraka yang membara.
    • Abu Lahab seorang yang takut hendak berperang. Ini berlainan dengan Abu Jahal yang berani. Oleh kerana Abu Lahab ini penakut, maka dia akan suruh orang lain yang berperang bagi pihak dia. Apabila ada orang yang berhutang dengan dia, maka dia akan  berkata untuk selesai hutang, hendaklah berperang bagi pihak dia.

Penerangan penggunaan kalimah وَتَبَّ: bahagian pertama ayat ini iaitu تَبَّت يَدا أَبي لَهَبٍ adalah dalam bentuk doa. Kalau doa, belum tentu dapat lagi, bukan? Tapi dengan tambahan kalimat وَتَبَّ ini, ia bermaksud tangannya itu pasti akan musnah kerana ia adalah dalam bentuk ‘khabr’ (berita, pemberitahuan). Oleh itu, Allah hendak memberitahu yang pasti kedua-dua tangan Abu Lahab itu pasti musnah.

Maksud kedua: تَبَّت يَدا yang pertama adalah tentang usahanya dan dirinya yang musnah di dunia, dan وَتَبَّ yang kedua itu adalah kemusnahannya di akhirat kelak. Oleh itu, kalau ada riwayat yang mengatakan dia dapat minum air di akhirat kerana kononnya pernah meraikan kelahiran Nabi Muhammad SAW itu adalah bohong belaka. Kerana Abu Lahab tidak akan dapat kebaikan langsung.

Penghujung hidup Abu Lahab amat mengerikan. Dia telah dijangkiti penyakit yang teruk hinggakan seluruh badannya membengkak. Anak-anaknya, pembantunya, keluarganya dan kawannya yang lain tidak berani mendekatinya kerana takut mereka juga terkena penyakit yang sama juga. Akhirnya, dia mati secara perlahan bersendirian dan tidak ada orang yang dekat dengannya.

Mayatnya terbiar sahaja di rumah yang jauh kerana tidak ada sesiapa yang berani mendekatinya dan menyentuhnya. Akhirnya, keluarganya telah mengupah orang lain untuk mengangkat mayatnya dan memasukkannya ke dalam lubang di padang pasir dan mereka memenuhkan lubang itu dengan batu. Janji Allah telah ditepati – dia mati secara perlahan dan di dunia lagi dia telah dikenakan dengan azab.

Oleh itu, ini adalah janji Allah kepada Nabi Muhammad SAW yang Dia akan musnahkan musuh baginda yang paling teruk sekali. Kerana Abu Lahab ini adalah teruk sekali sikap dan permusuhannya dengan baginda. Menyebabkan baginda susah hati dan tidak dapat tumpukan sepenuhnya kepada dakwah.

Bayangkan, dia siap upah orang untuk susahkan kehidupan baginda. Dia menggunakan kekayaan dan harta yang dia ada untuk menyusahkan dakwah baginda.

Apabila Nabi pergi berdakwah kepada seseorang, dia akan ikut di belakang. Selepas baginda habis bercakap dengan orang itu, dia pula akan berjumpa orang itu dan melarang orang itu ikut seruan Nabi Muhammad SAW. Dia berkata yang dia tahu Nabi Muhammad SAW itu gila kerana dia adalah bapa saudaranya. Oleh itu, Allah musnahkan Abu Lahab supaya Nabi dapat lebih mudah berdakwah.


 

Ayat 2:

ما أَغنىٰ عَنهُ مالُهُ وَما كَسَبَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

His wealth will not avail him or that which he gained.

(MALAY)

Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang dia usahakan.

 

Kekayaan dan hartanya tidak dapat membantunya langsung untuk menyelamatkan dirinya. Dalam ayat ini digunakan kalimah ما (tidak). Dalam bahasa Arab, ada beberapa cara untuk menyatakan ‘tidak’. Salah satunya dengan menggunakan kalimah لم. Tapi, kalimah ما lebih kuat lagi dari kalimah لم.

Kerana ia bermakna ‘tidak langsung sama sekali’. Ia digunakan untuk menolak fahaman seseorang. Maknanya ada yang menyangkakan bahawa hartanya dapat menyelamatkan Abu Lahab – maka Allah menidakkan fahaman itu dengan mengatakan ‘tidak sama sekali, itu adalah pandangan salah’. Ini terkandung maknanya apabila kalimah ما digunakan – walaupun pendek sahaja, tapi ada makna yang banyak disampaikan. Abu Lahab dan puak Quraish sangka hartanya yang banyak itu dapat memberi kebaikan kepadanya dan menyelamatkannya dalam sebarang hal, tapi tidaklah begitu.

Kalimah ما أَغنىٰ adalah dalam bentuk past tense kerana hendak membawa maksud ianya pasti berlaku. Ianya juga hendak memberi jaminan bahawa hartanya itu tidak akan dapat memberi kebaikan kepadanya di masa hadapan juga – ia tidak pernah memberi kebaikan kepadanya di masa lalu, begitu juga di masa hadapan.

Mari kita lihat maksud وَما كَسَبَ ini. Kalimah كَسَبَ bermaksud sesuatu yang didapati dari usaha. Ia juga termasuk dengan anak-anak, kerana pada orang Arab, status dan kelebihan terdapat pada bilangan anak yang banyak juga. Jadi ayat ini hendak memberitahu bahawa tidak ada apa-apa jua yang akan memberi keselamatan kepada Abu Lahab, termasuklah harta dan anak-anaknya.

Segala amalannya semasa dia hidup dulu, walaupun baik tidak akan memberi kebaikan kepadanya kerana dia mati dalam keadaan syirik. Jadi, kalau ada orang yang berkata, orang yang mati kafir itu akan dapat kebaikan di akhirat kalau dia ada buat kebaikan semasa di dunia, itu adalah tidak benar. Kerana mereka yang mati kafir dan syirik, tidak akan dapat kebaikan apa-apa pun di akhirat kelak. Jadi, jangan kita ada pemahaman yang sebegitu kerana ia berlawanan dengan dalil dari wahyu.

Lihatlah bagaimana Allah tidak bercakap terus dengan Abu Lahab dalam ayat ini tapi berfirman dalam bentuk pihak ketiga. Ini adalah kerana dia tidak akan dapat penghormatan itu – dia tidak layak langsung.

Kenapa disebut tentang مالُ dan كَسَبَ? Kerana مالُ adalah harta yang dia sudah ada, dan كَسَبَ adalah perkara yang dia sedang usahakan dan dia mungkin dapat di kemudian hari. Allah hendak beritahu, kalau campur keduanya juga, tidak ada berguna untuknya. Tidak kira berapa banyak harta dan anak yang dia ada.

Antara perkara yang menyebabkan dia rasa selamat adalah kerana dia ada mengeluarkan sedekah menolong orang. Jadi, dia mungkin rasa yang dia akan dapat kebaikan, tapi Allah hendak kata, itu juga dia tidak dapat. Ini seperti orang yang ada menderma dan rasa mereka sudah buat hal yang baik, sedangkan mereka tidak menjaga agama mereka, zalim kepada orang lain dan zalim kepada Allah. Orang-orang yang sebegitu memang tidak ada gunanya.

Begitulah nasib Abu Lahab yang telah menentang dakwah Nabi Muhammad SAW dan menyakiti baginda. Dia berbangga dengan dua perkara yang ada padanya: rupanya yang tampan dan kekayaannya. Kedua-dua perkara ini Allah musnahkan dalam dua ayat ini. Rupanya yang tampan itu Allah musnahkan dengan diberikan penyakit yang akhirnya mematikannya; dan kekayaannya Allah beritahu tidak berguna langsung untuk menyelamatkan dirinya.

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 1 Oktober 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Surah an-Nasr Ayat 2 (Manusia masuk Islam berbondong-bondong)

Ayat 2: Ayat 2 ini adalah Perenggan Makro Kedua. Allah ‎ﷻ memberitahu yang penerimaan masyarakat Tanah Arab kepada Islam juga adalah dengan nasrullah (pertolongan Allah).

وَرَأَيتَ النّاسَ يَدخُلونَ في دينِ اللَّهِ أَفواجًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you see the people entering into the religion of Allāh in multitudes,

(MALAY)

dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong,

Kalimah رَأَيتَ bermaksud ‘kamu telah melihat’ atau ‘kamu akan melihat’ – bergantung kepada mana pendapat yang dipegang (sama ada surah ini Makkiah atau Madaniah).  Allah ‎ﷻ bercakap terus dengan baginda ﷺ (kita tahu dari dhomir تَ yang digunakan).

Semasa di Mekah, Rasulullah ﷺ bersedih kerana ramai manusia tidak menerima dakwah baginda. Maka Allah ‎ﷻ beritahu baginda yang baginda akan melihat ramai manusia masuk Islam secara berbondong-bondong. Ini adalah hadiah daripada Allah ‎ﷻ kepada baginda kerana baginda akan melihat dengan mata baginda sendiri.

Kalau manusia masuk Islam secara ramai-ramai juga sudah nikmat yang besar, tetapi Allah ‎ﷻ tambah dengan memberi mereka masuk agama Islam semasa hidup Nabi Muhammad ﷺ sendiri supaya baginda dapat lihat dengan mata kepala baginda sendiri. Ini juga adalah sebahagian dari janji Allah ﷻ kepada baginda seperti yang disebut dalam surah [Dhuha:5]

وَلَسَوفَ يُعطيكَ رَبُّكَ فَتَرضىٰ

Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan kurnia-Nya kepadamu, lalu (hati) kamu menjadi puas.

Kalimah النّاسَ bermaksud ‘manusia’. Beratus-ratus manusia waktu itu telah datang mengadap Rasulullah ﷺ, belajar terus daripada baginda dan para sahabat selama beberapa hari dan mereka kembali ke puak mereka dan menyebarkan agama Islam. Setelah itu, puak mereka ramai-ramai pula masuk Islam.

Dalam surah al-Kaafiroon sebelum ini, telah disebut bagaimana penentang Rasulullah ﷺ dan agama Islam digelar oleh Allah ‎ﷻ sebagai ‘kafir’. Jadi, sekarang dalam surah ini disebut bagaimana النّاسَ (manusia) masuk Islam. Iaitu Allah ‎ﷻ menggelar mereka sebagai النّاسَ.

Oleh itu, maksudnya mereka sebelum itu tidak Islam. Tetapi, kenapa Allah ‎ﷻ tidak gelar mereka ‘kafir’ juga? Jadi kita kena tahu bagaimana hendak membezakan mana yang kafir dan mana yang tidak. Tidaklah semua orang yang tidak beragama Islam itu digelar ‘kafir’. Kalau kita melihat penggunaan gelaran ‘kafir’ di dalam Al-Qur’an, mereka itu adalah jenis yang:

    1. Sudah mendengar hujah dan dalil dari wahyu, sudah faham apa itu agama Islam, namun masih juga menolaknya. Seterusnya,
    2. Mereka menentang agama Islam dan melakukan tindakan untuk menjatuhkan agama Islam.

Sila lihat surah [Baqarah:6]

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا سَواءٌ عَلَيهِم أَأَنذَرتَهُم أَم لَم تُنذِرهُم لا يُؤمِنونَ

Sesungguhnya orang-orang kafir, sama sahaja bagi mereka, kamu beri peringatan atau tidak kamu beri peringatan, mereka tidak juga akan beriman.

Ayat ini memberitahu kita yang orang kafir itu tidak akan beriman, walaupun kalau kita mengajak mereka dan berdakwah kepada mereka. Oleh itu, kalau kita mengatakan bahawa semua orang bukan Islam itu sebagai ‘kafir’, tentu tidak ada gunanya kita berdakwah kepada Ah Chong, Muniandy dan John dalam masyarakat kita – kerana mereka tidak beriman, bukan?

Jadi non-Muslim bukanlah bermaksud mereka itu ‘kafir’. Kafir itu adalah mereka yang sudah tahu, sudah diberi ajakan, tetapi mereka masih menolak dan mereka melawan pula agama Islam. Sedangkan kebanyakan orang bukan Islam dalam kalangan masyarakat kita belum dengar lagi dakwah daripada kita. Kalau mereka juga tahu serba sedikit, mereka tidaklah menentang agama Islam.

Begitu juga dengan kemasukan manusia ke dalam Islam pada zaman Nabi Muhammad ﷺ. Ada antara mereka yang tidak menentang dakwah baginda. Jadi, mereka diberi peluang untuk mengenali agama Islam. Lihat  surah [Tawbah:6]

وَإِن أَحَدٌ مِنَ المُشرِكينَ استَجارَكَ فَأَجِرهُ حَتّىٰ يَسمَعَ كَلامَ اللَّهِ

Dan jika seorang di antara orang-orang musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah dia supaya ia sempat mendengar firman Allah,

Dalam ayat ini, kalau ada yang tidak mengenali Islam lagi, maka mereka diberi peluang untuk mengenali Islam, walaupun setelah Pembukaan Mekah. Ini adalah kerana mereka waktu itu ada lagi yang tidak tahu apakah Islam itu dengan sebenarnya. Tetapi, lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ menggelar mereka المُشرِكينَ, bukannya الكافرون.

Kalimah النّاسَ itu bermaksud manusia yang ada akal. Ini berlawanan dengan binatang yang tidak ada akal. Oleh itu, ini adalah isyarat bahawa mereka yang masuk Islam itu adalah mereka yang ada akal dan mereka yang masih tidak mahu masuk Islam adalah mereka yang tidak ada akal! Lihat surah al-[A’raf:179]

وَلَقَد ذَرَأنا لِجَهَنَّمَ كَثيرًا مِنَ الجِنِّ وَالإِنسِ ۖ لَهُم قُلوبٌ لا يَفقَهونَ بِها وَلَهُم أَعيُنٌ لا يُبصِرونَ بِها وَلَهُم آذانٌ لا يَسمَعونَ بِها ۚ أُولٰئِكَ كَالأَنعامِ بَل هُم أَضَلُّ ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الغافِلونَ

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) banyak dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.

Kalimah أَفواجًا bermaksud ‘berbondong-bondong’. Kumpulan demi kumpulan datang dan masuk Islam. Sebelum itu, orang masuk Islam datang bersendirian, seorang demi seorang. Tetapi, sekarang mereka masuk Islam beramai-ramai.

Bagaimana mereka lambat masuk Islam, tetapi Allah masih menggunakan gelaran yang baik terhadap mereka? Ini menunjukkan rahmat Allah ‎ﷻ – walaupun mereka lambat masuk Islam tetapi kalau mereka sudah masuk Islam, mereka masih diterima lagi. Tidaklah mereka dikutuk kerana lambat masuk Islam.

Tetapi, lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ berfirman: يَدخُلونَ في دينِ اللَّهِ  (mereka masuk ke dalam agama Allah) iaitu masuk Islam, bukannya ‘mereka beriman’. Ini adalah kerana iman belum tentu masuk lagi ke dalam hati mereka. Untuk masuk iman, mereka hendaklah berusaha untuk mendapatnya.

Ini disebabkan oleh, mereka mungkin masuk Islam beramai-ramai (أَفواجًا) kerana mengikut orang sahaja. Kerana waktu itu, jikalau ketua suku masuk Islam, anak-anak suku terpaksa masuk Islam juga kerana taat kepada puak mereka. Jadi mungkin ada yang tidak ikhlas masuk Islam dan kerana itu ada yang dikenali sebagai ‘munafik’.

Mereka itu tidak sama seperti para sahabat yang telah lama dalam agama Islam dan telah berjuang dan membuktikan keimanan mereka – mereka itu digelar ‘mukminoon’. Oleh itu, kalau baru masuk Islam, gelaran yang layak bagi mereka adalah ‘muslimoon’. Dari luarannya, mereka sudah nampak beragama Islam.

Orang-orang Arab di sekitar beramai-ramai masuk Islam. Mereka sudah mula percaya kepada agama Islam dan kepada Rasulullah ﷺ. Ini adalah kerana kalau muslimeen dapat memenangi Ka’bah, maka tentunya ia adalah agama yang benar. Kerana semua tahu kisah Tentera Bergajah Abrahah (as-hab al Feel) yang datang untuk menyerang Ka’bah tetapi mereka telah dihancurkan dengan teruk sekali.

Jadi semua tahu yang Ka’bah itu dijaga oleh Allah‎ ﷻ. Dan apabila Rasulullah ﷺ berjaya menakluknya, maka tentulah itu adalah tanda bahawa baginda adalah Rasul ﷺ yang benar. Kerana mereka yakin yang Allah ‎ﷻ tidak akan membenarkannya kalau bukan Rasul ﷺ yang benar datang. Oleh kerana itu, ramai berbondong-bondong masuk Islam.

Sebelum itu, mereka duduk di tepian melihat sahaja kerana mereka tidak pasti. Kalau sebelum itu mereka menghormati Quraish kerana Quraish penjaga Ka’bah, sekarang mereka menghormati Rasulullah ﷺ pula kerana sekarang Rasulullah ﷺ adalah penjaga Ka’bah pula – dan mereka menghormati dan mengagungkan Ka’bah.

Memang ini bukanlah kayu ukur yang bagus, kerana Rasulullah ﷺ memang sudah benar juga sebelum menguasai Ka’bah. Sebab itulah Allah ‎ﷻ katakan yang mereka itu hanya baru masuk Islam sahaja, belum tentu beriman lagi. Lihat apa yang Allah ‎ﷻ firman dalam surah [Hujurat:14]

قالَتِ الأَعرابُ آمَنّا ۖ قُل لَم تُؤمِنوا وَلٰكِن قولوا أَسلَمنا وَلَمّا يَدخُلِ الإيمانُ في قُلوبِكُم

Orang-orang Arab Badui itu berkata: “Kami telah beriman”. Katakanlah: “Kamu belum beriman, tetapi katakanlah ‘kami telah tunduk’, kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu;

Ada satu riwayat yang menakutkan:

وقال أبو عمار حدثني جابر لجابر ، قال : سألني جابر عن حال الناس ، فأخبرته عن حال اختلافهم وفرقتهم ؛ فجعل يبكي ويقول : سمعت رسول الله – صلى الله عليه وسلم – يقول : إن الناس دخلوا في دين الله أفواجا ، وسيخرجون من دين الله أفواجا .

Telah menceritakan Jabir kepada Jabir, dia berkata: Jabir bertanya kepadaku tentang hal manusia, lalu aku menceritakan kepadanya tentang perbezaan dan perpecahan manusia. Dia menangis dan berkata: “Aku mendengar dari Rasulullah SAW – baginda bersabda: “Sesungguhnya manusia memasuki agama Allah berbondong-bondong, dan mereka akan keluar dari agama Allah berbondong-bondong.”

Maksudnya perpecahan umat Islam seperti mereka yang mengikut Musaylimah al Kadhdhab (Nabi Penipu), dan mereka yang keluar dari Islam (riddah) semasa zaman Khilafah Abu Bakr رضي الله عنه. Memang ramai manusia masuk Islam, tetapi mereka yang keluar juga ramai. Alangkah menakutkan kalau kita juga termasuk dalam kumpulan mereka itu.

Ramai yang ‘Islam keturunan’ sahaja – tidak mempelajari agama Islam dan kerana itu tidak faham dan tidak kuat pegangan mereka. Mereka itu Muslim hanya kerana ibubapa mereka dulu Muslim dan mereka hidup dalam suasana semua orang Muslim. Tetapi, mereka tidak kisah pun dengan agama. Lain dengan manusia yang ada keikhlasan untuk mempelajari agama dan mereka menghambakan diri kepada Allah ‎ﷻ dengan sebenarnya. Mereka yang sebegitu tidak akan mudah meninggalkan agama Islam.

Oleh itu, jangan kita menyangkakan bahawa anak-anak kita yang lahir-lahir sudah beragama itu akan kekal dalam Islam – kita kena terapkan ilmu Islam ke dalam hati dan akal mereka. Kalau kita biarkan sahaja, syaitan dan nafsu akan mengambil peluang untuk menyesatkan mereka.

Semoga Allah ‎ﷻ kekalkan kita dalam Islam dan matikan kita juga dalam agama Islam yang sebenar. Aameen.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 30 September 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir