Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 2 perenggan makro. Ayat 1 – 2 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia mengandungi keterangan tentang 2 sifat positif Allah untuk kenal tauhid, iaitu: أحد dan صمد.
قُل هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Al-Ikhlāṣ: Purification, i.e., the purification of faith – the sūrah’s theme. In narrations by al-Bukhārī and Aḥmad, the Prophet (ṣ) described this sūrah as being equivalent to one third of the Qur’ān.
Say, “He is Allāh, [who is] One,¹
- i.e., single, unique and indivisible.
(MALAY)
Katakanlah: “Dialah Allah, Yang Maha Esa.
Kalimah قُل – Katakanlah. Ini adalah arahan kepada Rasulullah SAW untuk:
1 – Belajar dan memahami untuk diri baginda sendiri.
2 – Mengajarnya kepada orang lain, kerana baginda memang tidak boleh simpan sendiri. Ini adalah kerana ianya adalah mesej tauhid dan berkait rapat dengan tugas baginda untuk menyampaikan (dakwah).
Kalimah هُوَ – Dia. Kalimah ini dari segi bahasa, tidak diperlukan dalam ayat ini kerana Allah boleh sahaja menggunakan ayat begini: قُل اللَّهُ أَحَدٌ (Katakanlah: Allah itu Satu). Maksud sudah sampai. Akan tetapi, kata ganti nama (dhomir) هُوَ digunakan apabila yang disebut itu dikenali.
Contohnya, kita sedang bercakap dengan seorang kenalan kita dan kita berkata: “dia telah habis belajar dari universiti”. Kalimah ‘dia’ dalam ayat ini datang tiba-tiba tapi kita gunakan kerana kita tahu dan orang yang mendengar itu juga tahu siapakah yang kita maksudkan. Begitulah Allah menggunakan dhomir هُوَ dalam ayat ini kerana Allah memang telah dikenali oleh manusia, kerana Dialah Pencipta, Tuhan semesta alam.
Jadi, apabila digunakan kalimah هُوَ dalam ayat ini, Allah hendak memberitahu kita, yang Dia itu sebenarnya Tuhan yang telah dikenali, bukannya Tuhan yang baru. Terutama kepada Ahli Kitab yang telah lebih mengenal Allah itu. Begitu juga Musyrikin Mekah yang memang telah kenal dengan Allah. Jadi ini untuk mengingatkan mereka sahaja. Sebab itulah dalam ayat ini tidak ada kalimah tahkik إنّ kerana memang mereka sudah tahu.
Akan tetapi ada juga golongan sesat yang mentafsir dhomir ‘dia’ dalam ayat ini merujuk kepada Nabi Muhammad. Ini adalah tafsiran yang sesat dari golongan bathaniah yang hendak mendewakan Nabi Muhammad. Tidak pernah ada tafsiran sebegitu dari kalangan ulama’ tafsir silam (yang lebih pandai dari kita).
Ia menjadi malang bagi masyarakat awam yang mendengar ‘tafsiran’ ini dari golongan yang dikenali sebagai ‘ustaz’ di media sosial. Orang awam tidak dapat membezakan siapa yang boleh diambil ilmu darinya dan siapa yang tidak boleh. Mereka sangka, kalau gelaran ‘ustaz’ sahaja, tentulah ilmu itu ilmu yang benar.
Kita katakan bahawa zaman berzaman, agama bukanlah dirosakkan oleh tukang kasut dan tukang kebun, tapi dirosakkan oleh ‘golongan agamawan’ sebenarnya. Kerana kalau tukang kasut dan tukang kebut yang bercakap tentang agama, orang awam tak ikut dengar. Tapi bila yang berkata itu adalah agamawan, sama ada paderi, rahib, sami, rabai, pendita, ustaz, maka ia memberi kesan kepada masyarakat awam.
Maka kita kena nilaikan balik apa sahaja yang kita dapat dari bidang ilmu. Kerana ilmu ada yang benar, dan malangnya ada juga yang salah. Kalau tidak ada ilmu yang salah, maka tentulah tidak ada ajaran sesat dalam dunia, bukan? Kalau tidak ada yang merosakkan agama dan mengubah perkara dalam agama, tentulah agama dalam dunia ini hanya ada agama Islam sahajalah, bukan? Kerana agama dari Nabi Adam adalah agama Islam sahaja, cuma ia menjadi agama yang berbagai-bagai itu kerana diubah oleh manusia. Adakah yang ubah agama mereka itu tukang kasut dan tukang kebun? Tentu tidak.
2 – Kalimah هُوَ ini juga adalah jawapan kepada mereka yang bertanya siapakah Tuhan yang disembah oleh Nabi Muhammad itu? Kerana ada Musyrikin Mekah yang tanya: من هو؟ Siapa Dia? ما هو؟ Apakah ia? Mereka bertanya kerana mereka tengok apa yang Nabi Muhammad sampaikan itu seakan lain dengan pemahaman mereka tentang Allah.
Jadi apabila dijawab, digunakan kalimah هُوَ sebagai jawapan terus kepada soalan itu. Allah jawab, Dia itu adalah bernama Allah, Tuhan yang sama juga yang mereka kenal (tapi ada banyak salah faham) dan Dia itu tunggal.
3 – Ayat ini adalah dua ayat yang digabungkan bersama. Ada kalimat yang dihazafkan. Kalau ayat penuh: قُل هُوَ اللَّهُ, قُل هُوَ أَحَدٌ Katakanlah Dia adalah Allah, katakanlah Dia itu tunggal.
Maksudnya, ayat ini nampak sahaja satu tapi ada dua khabar. Ini adalah kerana ada dua khabar dalam ayat ini.
Perbincangan tentang kalimah: Allah:
Ada perbincangan panjang di antara ulama’ tentang kalimah ‘Allah’. Tujuan kita bukan untuk mengatakan mana yang salah, tapi kita lihat hujah yang diberikan dan kita buat pilihan.
A – Ada ulama’ yang mengatakan kalimah Allah itu adalah Isim Mushtaq – maksudnya asal kalimah Allah adalah dari kalimah lain yang telah ditukar bentuk.
B – Ada juga ulama’ yang mengatakan kalimah Allah itu adalah Isim Jamid – maksudnya ia tidak berasal dari mana-mana kalimah; ia unik dan berdiri sendiri.
A – Pendapat yang mengatakan kalimah الله itu adalah isim musytaq, mereka mengatakan ianya kata terbitan dari ءله (ilah). Maknanya ال ditambah kepada ءله menjadi kalimah الله (kerana percampuran itu, huruf ء dihilangkan).
Kalimah ءله bermaksud sesuatu yang dipuja; ia juga digunakan untuk menerangkan keadaan seorang bayi yang dahaga dan mencari-cari ibunya untuk mendapatkan susu. Oleh itu, ءله adalah sesuatu yang dipuja, ditaati dan didambai oleh manusia.
B – Pendapat yang mengatakan kalimah الله itu adalah isim jamid, mereka mengatakan kalimah الله itu adalah kalimah asal dan tidak ada kata dasar. Pendapat ini mempunyai beberapa hujah padanya yang kuat:
1 – Ia adalah nama Tuhan dan sebenarnya ia digunakan dalam mana-mana bahasa pun. Oleh itu, setiap Nabi tidak kira dari mana, mereka mengenali Tuhan dengan nama الله, tidak kira apakah bahasa yang mereka gunakan. Kerana itu, walaupun dalam bahasa Aramaic dan Hebrew, mereka menggunakan nama Tuhan sebagai Eloah אלוה [dalam Hebrew] and Ellah [dalam Aramaic].
2 – Dari segi bahasa juga, kita dapati tidak betul dari segi bahasa Arab. Lihat apabila kita menggunakan kalimat: يا الله (wahai Allah). Apabila kita menggunakan ‘kata panggilan, seruan’ يا, sepatutnya kita hendaklah buang ال pada kalimah itu.
Sebagai contoh, untuk nama Allah الرَّحمٰنِ, kalau kita campur dengan يا, ia menjadi يا رّحمٰنِ, bukan يا الرحمن. Jadi, kalau kita mengatakan kalimah الله adalah isim musytaq, kita hendaklah panggil Allah begini: يا ءله, tapi kita tidak panggil Allah begitu, bukan? Ini menunjukkan memang kalimah الله itu adalah nama Allah yang lengkap dan tidak boleh ditukar-tukar lagi.
3 – Dalam mana-mana ayat Al-Qur’an juga, ia digunakan sebagai kata nama yang lengkap. Sebagai contoh, dalam surah al-Fatihah: الحَمدُ لِلَّهِ (segala puji bagi Allah) dan kalimat الرَّحمٰنِ dan الرَّحيمِ adalah sifat bagi الله.
4 – Begitu juga, penggunaan ‘Allahumma’ adalah unik di mana ia bermaksud ‘wahai Allah’ dan tidak digunakan dalam bentuk yang lain.
5 – Cara penyebutan nama Allah juga lain dari yang lain. Selalunya apabila ditambah ال pada sesuatu kalimah, ada cara sebutan yang biasa. Jadi, kalau kita kata ianya adalah musytaq, maka kita sebut kalimah الله sebagai al-lah (bayangkan seorang Cina yang pelat sebut nama Allah). Tapi tidak begitu bukan? Kita sebut nama lain dengan cara yang lain sikit (lebih mirip kepada bunyi: Alloh) – iaitu kita beratkan pada huruf ل itu. Ini adalah kerana, memang الله adalah nama khas. Cara sebutan kita juga sudah lain.
Kesimpulan: pendapat yang lebih kuat adalah nama الله – isim jamid, dan bukan isim musytaq.
Perbincangan kalimah أَحَدٌ pula. Dari segi bahasa, ia bermaksud satu, tunggal, Esa. Tapi, kalau hendak kata maksud satu, kalimah واحد (waahid) juga boleh digunakan. Jadi, apa beza antara أَحَدٌ dan واحد? Kenapa Allah tidak menggunakan ayat ini: ٌقُل هُوَ اللَّهُ وَاحِد? Mari kita lihat penerangannya:
1 – Kalimah أَحَدٌ sebenarnya digunakan dalam kalimat negatif/penolakan sahaja; sedangkan وَاحِد digunakan dalam kalimat positif sahaja. Apakah maksudnya? Kita beri contoh ayat dan lihat perbezaan antara keduanya:
a. ليس أحد موجود في المسجد (tidak ada walau seorang yang ada di masjid). Maksudnya masjid itu kosong, walau seorang juga tidak ada. Ini adalah dalam bentuk negatif – menidakkan.
b. ليس واحد موجود في المسجد (bukan seorang yang ada di masjid). Maksudnyal, ada lebih daripada seorang. Ini dalam bentuk positif.
Akan tetapi kita lihat Allah menggunakan kalimah أَحَدٌ di dalam surah al-Ikhlas ini untuk menceritakan tentang Diri-Nya. Ini adalah berlainan dengan penggunaan bahasa Arab kerana selalunya ianya digunakan dalam bentuk negatif (contoh ‘a’ di atas).
Dan ini adalah suatu kehebatan bahasa Al-Qur’an kerana Allah menggunakan kalimah ini untuk menggambarkan uniknya Diri-Nya. Oleh itu, Allah menggunakan kalimah yang selalunya digunakan dalam bentuk negatif tapi kali ini digunakan dalam bentuk positif pula.
Dengan menggunakan kalimah أَحَدٌ ini dalam bentuk ini, Allah menekankan Sifat Tunggal-Nya, Sifat Esa-Nya dan tidak ada yang sama dengan-Nya. Maksudnya, dengan bahasa juga Allah sudah tekankan. Penggunaan kalimah أَحَدٌ dengan cara begini ada di dalam Al-Qur’an sahaja.
2 – Kalimah أَحَدٌ datang dari kata dasar و ح د yang bermaksud seorang yang tunggal, bersendirian, tidak sama dengan yang lain. Jadi, Allah tidak menggunakan kata dasar asal واحد itu kerana ia juga digunakan untuk makhluk. Oleh itu, Allah tidak dapat dibandingkan dengan makhluk langsung.
Sememangnya penggunaan أَحَدٌ dalam bentuk ini amat mengejutkan. Ada juga agama lain yang mengatakan Tuhan mereka satu واحد juga. Tapi, mereka melakukan kesilapan kerana mereka mengatakan sifat Tuhan mereka itu ada persamaan dengan sifat manusia. Dan ini adalah fahaman yang salah.
Kita hendaklah membezakan sifat Allah dari sifat manusia. Allah itu أَحَدٌ, bukan واحد. Kerana itu akan ditekankan dalam surah ini nanti bagaimana Allah unik dalam Esa-Nya. Sifat-sifat Allah yang ditekankan dalam surah ini adalah unik untuk Allah sahaja (kalimat اللَّهُ, أَحَدٌ, الصَّمَدُ, لَم يَلِد, لَم يولَد semuanya khusus untuk Allah sahaja, tidak dikongsi dengan makhluk).
3 – Memang ada sifat-sifat Allah yang seolah-olah ada persamaan dengan makhluk. Sebagai contoh, Aleem (mengetahui), Raheem (pemurah), Ra’oof (lembut), Baseer [melihat] dan sebagainya. Tapi, Sifat Allah tidak sama dengan makhluk. Sebagai contoh, kita ambil sifat Aleem (mengetahui). Tidak sama pengetahuan makhluk dan pengetahuan Allah, bukan?
1 – Pengetahuan Allah infinitif, tidak ada mula dan tidak ada hujung; sedangkan pengetahuan makhluk, tidak begitu (ada mula dan hujungnya). Kita semua bermula dari tidak tahu semasa bayi, kemudian baru tahu setelah akal berkembang sedikit.
2 – Pengetahuan Allah tidak ada had; sedangkan pengetahuan makhluk ada had (tidak semua makhluk tahu). Tidak ada yang tersembunyi daripada Allah.
3 – Pengetahuan kita diberi oleh Allah sedangkan pengetahuan Allah tidak ada sesiapa yang memberi kepada-Nya, ianya adalah Haq-Nya.
Jadi, walaupun nampak dari segi penggunaan bahasa, kita ada sifat yang sama dengan Allah, tapi kita kena nilai sifat itu dengan 3 kriteria di atas. Kalau kita lakukan begitu, barulah kita terselamat dari syirik. Kita tidak meletakkan sifat Allah kepada sifat makhluk. Tidak akan sama sifat makhluk dengan sifat Allah. Allah berfirman dalam Shura:11
لَيسَ كَمِثلِهِ شَيءٌ
Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia
Hendaklah faham betul-betul perkara ini, barulah dapat faham ilmu tauhid.
Masih lagi pada kalimah أَحَدٌ. Kalau kita lihat, kalimah ini tidak ada ال, sedangkan kalimah الصَّمَدُ ada pula ال. Oleh itu, أَحَدٌ adalah dalam bentuk nakirah. Tapi kalimah أَحَدٌ ada tanwin padanya sebagai penegasan untuk memberi penekanan bahawa Allah itu ESA! (bahasa Arab tidak ada tanda seruan, jadi tanda seruan digunakan dalam bentuk tanwin).
Tanwin pada أَحَدٌ itu juga sebagai jawapan kepada soalan yang diberikan oleh Musyrikin Mekah yang bertanya: “siapa/apakah yang kamu sembah?” Maka, jawapan yang diberikan itu dalam bentuk tanwin iaitu Allah itu أَحَدٌ.
Kalimah inilah yang menyebabkan Bilal bin Rabbah diseksa kerana masuk Islam. Apabila dia diseksa dengan diletakkan batu besar atas tubuhnya, apakah kalimah yang disebut-sebut olehnya? Bukankah أَحَدٌ, أَحَدٌ, أَحَدٌ?
Bilal dan para sahabat yang lain faham apa maksud kalimah ini dan mereka mengamalkannya dalam kehidupan mereka. Tapi, sekarang kita sudah jauh dari kefahaman mereka. Kita tidak yakin yang Allah itulah yang Esa, tempat pengharapan kita. Hinggakan kita tidak berapa kisah dengan Allah. Ya, kita tahu Allah itu Tuhan kita, kita sebut Nama-Nya setiap hari, tapi adakah kita beramal dan percaya seperti amalan dan kepercayaan para sahabat?
Tumpuan hidup mereka adalah menjadi hamba kepada Allah. Mereka taat kepada suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Ini yang kita perlu sematkan dalam diri kita. Kerana kalau kita tidak menjadi hamba-Nya, kita akan jadi hamba kepada yang lain – kepada badan kita, kepada kerja, kepada anak, kepada wang dan sebagainya; itu sahaja yang mereka fikirkan dan kehidupan mereka diisi dengan benda lain selain Allah.
Kita hendaklah bertanya kepada diri kita: adakah kita benar-benar mentauhidkan Allah dalam kehidupan kita? Adakah Allah yang paling penting dalam kehidupan kita? Adakah Allah ‘أَحَدٌ’ dalam diri kita?
Semoga Allah menjadikan kita umat yang mengamalkan tauhid. Ameen.
Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 24 September 2021
Rujukan:
Nouman Ali Khan
Maulana Hadi