Tafsir Surah Maryam Ayat 83 – 89 (Penerangan Syafaat)

Maryam Ayat 83: Ayat ini sebagai pemujuk kepada Nabi dan pendakwah agama. Iaitu apabila kita berjumpa dengan mereka yang teruk sangat. Walaupun berkali-kali berdakwah kepada mereka, mereka masih lagi tak terima.

Apabila itu terjadi, sedikit sebanyak, kita akan rasa lemah semangat. Kita rasa macam sia-sia sahaja kita buat jalan dakwah ini. Dalam ayat ini, Allah memberikan penjelasan kenapa mereka tidak mahu terima dakwah itu.

أَلَم تَرَ أَنّا أَرسَلنَا الشَّيٰطينَ عَلَى الكٰفِرينَ تَؤُزُّهُم أَزًّا

Sahih International

Do you not see that We have sent the devils upon the disbelievers, inciting them to [evil] with [constant] incitement?

Malay

Tidakkah engkau mengetahui (Wahai Muhammad) bahawa Kami telah menghantarkan Syaitan-syaitan kepada orang-orang kafir, untuk menggalakkan mereka mengerjakan perbuatan kufur dan maksiat dengan bersungguh-sungguh?

أَلَمْ تَرَ

Tidakkah engkau mengetahui

Tidakkah engkau lihat, tidakkah engkau memerhatikan? Tidakkah engkau tahu?

 

أَنَّا أَرْسَلْنَا الشَّيٰطِينَ عَلَى الْكٰفِرِينَ

bahawa Kami telah menghantarkan Syaitan-syaitan kepada orang-orang kafir,

Allah sendiri yang telah ‘mengutus’ syaitan-syaitan kepada mereka yang engkar itu. Iaitu setelah mereka memilih jalan yang salah, Allah akan hantar syaitan kepada mereka.

Jangan salah anggap pula tentang perkara ini. Bukanlah Allah hendak kita jadi sesat sampai Allah hantar syaitan-syaitan itu. Allah hantar syaitan-syaitan itu setelah manusia memilih jalan yang salah dan menolak berkali-kali. Kalau kita memilih jalan yang salah, Allah akan membuka jalan itu lagi dan memudahkan dia jadi sesat terus.

Ini kerana Allah sudah buat keputusan muktamad untuk menyeksa dia nanti di neraka. Allah tutup pintu hidayah kepada mereka (dinamakan Khatmul Qalbi) dan mereka tunggu mati sahaja untuk diseksa.

Syaitan sebenarnya terdiri dari golongan jin dan manusia. Kerana makna ‘syaitan’ adalah sesiapa yang mengajak untuk menjauhkan diri dari Allah. Kalau yang menjauhkan kita dari Allah adalah jin, maka jin itu adalah syaitan. Dan kalau yang menjauhkan kita dari Allah itu adalah manusia, maka manusia itu adalah syaitan.

Maksud ayat ini adalah Allah melepaskan syaitan-syaitan itu untuk menyesatkan manusia. Macam seorang pemburu melepaskan anjing buruan mereka kepada binatang buruan. Maka anjing itu akan meluru lari kepada binatang buruan itu, sama ada kijang kah, lembu kah dan sebagainya. Maka, bertempiaran larilah binatang yang diburu itu ke sana ke mari. Dikejar dari kiri, mereka akan lari ke kanan, dikejar dari kanan, mereka akan lari ke kiri.

Maksud ayat ini adalah, mereka yang menolak dakwah itu telah menjadi barang mainan syaitan sahaja. Yang boleh disuruh-suruh oleh syaitan. Syaitan suruh A, mereka buat A; syaitan suruh buat B, mereka buat B. Kerana syaitan telah ‘memiliki’ hati dan minda mereka. Mereka sudah tidak ada ‘penapis’ untuk menapis bisikan-bisikan dan ajakan syaitan-syaitan itu.

Memang dalam ayat lain pun Allah ada sebutkan lagi bahawa memang Allah akan ‘hadiahkan’ syaitan kepada manusia. Dalam Zukhruf:36, Allah berfirman:

وَمَن يَعْشُ عَن ذِكْرِ الرَّحْمَٰنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَانًا فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ

Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Qur’an yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.

‘Tidak mengendahkan’ dalam ayat ini bermaksud mereka tidak belajar isi kandung Al-Qur’an. Itulah mereka yang tidak mahu belajar tafsir. Mereka tidak ada usaha untuk faham apakah yang Allah hendak sampaikan dalam Al-Qur’an itu. Kalau setakat baca dan hafal sahaja, tanpa faham, ianya tidak akan memberikan pemahaman.

Ketahuilah Al-Qur’an ini kena dipelajari maksudnya. Kena kuatkan semangat untuk belajar. Kena buka minda dan hati untuk menerimanya. Kadang-kadang kita akan berjumpa dengan perkara yang kita tidak pernah dengar. Kadang-kadang nasihat yang diberikan kena tepat kepada batang hidung kita. Kadang-kadang kutukan Allah pun kena tepat kepada kita. Maka kena sabarlah dan baiki diri kita. Jangan tolak pula ayat Al-Qur’an itu sebab beri nasihat kepada kita.

Kita kena terima itu semua dan jangan sombong untuk memperbaiki diri. Lebih baik kita kena kutuk di dunia ini supaya kita boleh memperbetulkan perbuatan kita dari terus dilaknat di akhirat kelak.

Setelah Allah hadiahkan syaitan kepada mereka, apakah yang akan dilakukan oleh syaitan-syaitan itu?

 

تَؤُزُّهُمْ أَزًّا

untuk menggalakkan mereka mengerjakan perbuatan kufur dan maksiat dengan bersungguh-sungguh?

Syaitan akan membisikkan mereka untuk melakukan perkara-perkara yang jahat: buat amalan bid’ah, amalan syirik dan sebagainya. Kalimah تَؤُزُّهُمْ dan أَزًّا dari katadasar ا ز ز yang bermaksud untuk menghasut, membuat bunyi yang kuat, menghasilkan bunyi. Jadi kalimah أَزًّا bermaksud menghasut tanpa disedari. Syaitan tidak henti-henti membisikkan kepada mereka. Syaitan bukan ada kerja lain lagi melainkan menyesatkan manusia. Menyesatkan manusia adalah kerja sepenuh masa mereka. Mereka yang kufur ingkar itu akan ikut sahaja.

Itulah asal datangnya amalan-amalan yang salah yang diamalkan oleh masyarakat kita. Yang kita tahu, ianya telah lama diamalkan oleh tok nenek kita dahulu, ustaz-ustaz dari dulu lagi. Tapi asalnya yang awal dari mana? Asalnya dari bisikan syaitan.

Tujuan Allah adalah hendak memberi nasihat kepada Nabi supaya jangan putus asa kepada semua manusia. Bukan semua manusia macam itu. Yang teruk sahaja akan jadi begitu. Memang ada yang tak boleh buat apa-apa lagi dengan mereka. Berkali-kali kita beri nasihat mereka tetapi takkan terima. Mereka pula kata kita yang salah.

Dalam hal itu, tinggalkan sahaja mereka kepada Allah. Teruskan dengan kerja dakwah kepada orang lain kerana akan ada yang akan menerima dakwah kita.

Tapi janganlah kita awal-awal lagi terus cap seseorang itu termasuk dalam golongan sebegini. Kita kena usaha dakwah dulu kepada mereka. Cuba dakwah dulu dengan bersungguh-sungguh. Mungkin pertama kali mereka tak dengar, kena datang kali kedua dan ketiga.

Jangan bosan untuk berdakwah kerana setiap kali kita dakwah itu, kita akan dapat pahala. Kalau mereka tidak terima pun, pahala kita sudah tentu. Maka bukan sia-sia usaha kita itu. Mungkin mereka tidak mampu terima waktu ini, kita belum tahu masa hadapan.

Telah diberitahu bahawa syaitan juga ada dari kalangan manusia. Oleh itu, sepertimana kita minta berlindung kepada Allah dari syaitan, kita pun hendaklah minta perlindungan dari jin-jin dan manusia-manusia yang seperti ini.


 

Maryam Ayat 84: Dari ayat ini sehingga ke  hujung adalah Perenggan Makro Keenam yang merupakan penutup surah ini. Ia mengingatkan kita yang Al-Qur’an membawa khabar gembira dan peringatan.

Ayat ini adalah peringatan dari Allah bahawa memang ada jenis-jenis manusia yang tidak akan menerima dakwah kita. Walaupun telah berkali-kali kita berdakwah kepada mereka, dengan berbagai cara. Bukan sahaja mereka tak mahu terima, tapi mereka menentang kita pula.

Bila itu terjadi, tentulah kita akan sakit hati, sedih dengan tolakan mereka itu. Lebih-lebih lagi kalau yang tolak itu adalah ahli keluarga kita sendiri. Tapi jangan kita mendoakan keburukan kepada mereka.

 

فَلا تَعجَل عَلَيهِم ۖ إِنَّما نَعُدُّ لَهُم عَدًّا

Sahih International

So be not impatient over them. We only count out to them a [limited] number.

Malay

Oleh itu, janganlah engkau segera marah terhadap mereka yang ingkar itu, kerana sesungguhnya

فَلَا تَعْجَلْ عَلَيْهِمْ

Oleh itu, janganlah kamu tergesa-gesa terhadap mereka yang ingkar itu,

Jangan tergesa-gesa hendakkan mereka itu diberikan dengan balasan azab. Jangan doa kepada Allah supaya mereka itu diberikan azab, dimatikan atau doa-doa seumpama itu. Allah larang Nabi mendoakan keburukan kepada mereka yang seperti itu. Itu bukan kerja Nabi. Nabi kena teruskan dengan dakwah sahaja.

Begitu juga dengan kita. Memang ramai yang akan menentang kita. Ada yang sampai hina kita dengan kata-kata nista. Beri kita gelaran yang macam-macam seperti wahabi lah dan sebagainya. Ada yang sampai kata kita ini sesat pula, bawa ajaran salah dan macam-macam lagi tuduhan mereka. Dan memang kita akan sakit hati dengan kata-kata mereka yang menghina kita.

Tapi jangan kita doakan keburukan untuk mereka. Hanya doakan supaya mereka diberi hidayah. Itulah yang sebaik-baiknya. Kerana kalau kita mendoakan keburukan untuk mereka, bermaksud kita telah ‘tergesa-gesa’. Dan Allah telah larang kita dari tergesa-gesa dalam ayat ini.

Kerana apa dipanggil ‘tergesa-gesa’ itu? Kerana kita tak tahu kesudahan mereka. Memang mereka tolak kita sekarang, hina kita dan sebagainya. Tapi kita tidak tahu apa yang akan terjadi di masa hadapan. Allah boleh lagi bukakan pintu hati mereka untuk menerima hidayah. Lihatlah contoh Abu Sufyan dan Khalid al Walid. Berapa lama mereka menentang Islam, tapi akhirnya mereka masuk Islam.

Kecualilah kalau mereka ancam hendak bunuh kita, barulah kita angkat tangan dan doa kepada Allah. Selagi mereka tidak buat begitu, biarkan sahaja. Entah di masa hadapan, mereka jadi lebih baik dari kita.

 

إِنَّمَا نَعُدُّ لَهُمْ عَدًّا

kerana sesungguhnya Kami menghitung apa yang mereka lakukan dengan teliti.

Allah mengatakan bahawa Allah sedang mengira apa yang mereka lakukan. Mereka tidak akan dibiarkan begitu sahaja. Semua yang mereka lakukan akan ditulis dan mereka akan dibalas dari perbuatan mereka itu. Ini adalah sebagai satu pujukan dari Allah sebenarnya. Allah nak beritahu bahawa mereka tidak akan dibiarkan begitu sahaja. Barulah lega sedikit hati kita. Mereka tidak akan dibiarkan percuma.

Kalimah عَدًّا dalam ayat ini adalah kata penguat. Betul-betul perbuatan mereka akan dikira dengan teliti. Mereka dibiarkan berterusan buat dosa supaya mereka nanti akan diadili dan dosa mereka itu akan menyebabkan mereka kekal dalam neraka.

Ayat ini juga boleh bermaksud Allah menghitung masa sehingga mereka akan dikembalikan kepadaNya. Dari tahun, bulan hari dan jam sehingga mereka akan mati. Atau boleh bermaksud Allah menghitung nafas-nafas mereka. Maknanya, mereka tunggu masa sahaja untuk kembali dan mereka akan dapat yang mereka patut dapat.


 

Maryam Ayat 85: Ini pula adalah nasib kepada orang Mukmin.

يَومَ نَحشُرُ المُتَّقينَ إِلَى الرَّحمٰنِ وَفدًا

Sahih International

On the Day We will gather the righteous to the Most Merciful as a delegation

Malay

(Ingatlah) hari Kami himpunkan orang-orang yang bertaqwa untuk mengadap (Allah) Ar-Rahman, dengan berpasuk-pasukan.

يَوْمَ نَحْشُرُ الْمُتَّقِينَ

hari Kami himpunkan orang-orang yang bertaqwa

Orang-orang bertaqwa adalah mereka yang ingat kepada Allah dalam segala perbuatan mereka. Mereka akan menilai sama ada perbuatan itu disukai Allah atau tidak. Mereka amat berhati-hati dengan perbuatan mereka. Mereka sentiasa ingat apakah suruhan dan larangan Allah.

 

إِلَى الرَّحْمٰنِ وَفْدًا

untuk mengadap (Allah) Ar-Rahman, dengan berpasukan.

Iaitu mereka akan datang dalam bentuk delegasi. Ini adalah sebagai satu penghormatan kepada mereka. Bayangkan kalau delegasi satu-satu negara yang datang kepada negara lain, bukankah mereka akan dilayan dengan mulia? Mereka akan diberikan penghormatan dari mereka yang menyambut mereka (para malaikat).

Bandingkan dengan orang jahat yang datang berseorangan sahaja. Tentu amat menakutkan. Bayangkan apabila kita pergi ke sesuatu tempat yang asing, yang kita tak pernah sampai, tapi kita berseorangan. Apabila berkumpulan, suasana lebih senang dan meriah. Sebab kita manusia memang suka beramai-ramai. Kita suka bersama dengan kumpulan-kumpulan kita.

Bayangkan juga mereka itu datang bersama-sama dengan keluarga mereka. Bukankah kalau kita berjalan-jalan bersama keluarga kita, berjalan-jalan di taman, kita berada dalam suasana yang seronok, suasana yang menggembirakan?

Bayangkan juga keadaan itu seperti seorang yang ada pengikut yang ramai. Kalau dalam dunia sekarang, orang yang berkedudukan besar akan datang dengan pengikutnya yang ramai. Ramai yang mengikut dari belakang. Begitulah perumpamaan yang Allah berikan tentang kedatangan orang muttaqeen apabila mereka dikumpulkan nanti di akhirat kelak. Tidak sama antara orang beriman dan orang yang kufur.


 

Maryam Ayat 86: Ini pula keadaan orang yang kufur.

وَنَسوقُ المُجرِمينَ إِلىٰ جَهَنَّمَ وِردًا

Sahih International

And will drive the criminals to Hell in thirst

Malay

Dan Kami akan menghalau orang-orang yang bersalah ke neraka Jahannam, dalam keadaan dahaga.

وَنَسُوقُ الْمُجْرِمِينَ

Dan Kami akan menghalau orang-orang yang bersalah

Mereka akan dihalau macam dihalau binatang ternak untuk masuk kandang. Terma yang berbeza digunakan dari yang digunakan untuk orang muttaqeen. Begitu hinanya keadaan mereka waktu itu. Mereka dilayan macam binatang.

Dan mereka kena paksa untuk bergerak kerana mereka sudah tahu bahawa mereka akan dibawa ke muka pengadilan. Tentu mereka mengelak untuk pergi. Akan tetapi bagaimana cara pun mereka cuba elak, mereka tetap kena tolak juga. Ke mana?

 

إِلَىٰ جَهَنَّمَ وِرْدًا

ke neraka Jahannam, dalam keadaan penuh dahaga.

Ahli neraka akan masuk dalam neraka dalam keadaan dahaga. Dan dahaga itu sampai bila-bila tidak pernah berkurangan. Bandingkan dengan orang yang beriman, apabila mereka dapat minum air dari Telaga Kautsar, mereka tidak akan dahaga sampai bila-bila.

Apabila ahli neraka sudah masuk dalam neraka dalam keadaan dahaga, mereka akan meminta air dari malaikat penjaga Neraka. Berapa lama mereka akan minta? Seribu tahun minta minum barulah diberi minum. Yang diberi itu adalah air nanah, darah, air mayat.

Dan air itu amat panas, beribu juta darjah. Letak sahaja berdekatan muka mereka, muka mereka akan rosak dek kerana panasnya air itu. Itu belum dimasukkan ke dalam perut. Maknanya, air itu panas sangat sampaikan tidak dapat menghilangkan dahaga mereka pun walaupun mereka minum. Air itu pun jadi punca azab bagi mereka. Padahal, asalnya mereka yang minta.

Perkataan وِرْدًا juga bermaksud ‘di tepian’. Seperti kita bawa binatang ke gigi air untuk minum. Ini bermakna, mereka akan dibawa ke tepian neraka. Sebelum mereka dimasukkan, mereka akan diletakkan di situ dahulu. Mereka akan ditunjukkan dengan tempat yang mereka akan masukkan.

Ini adalah azab emosi. Iaitu mereka tak masuk lagi, tapi mereka telah ditunjukkan tempat mereka akan dimasukkan. Macam mereka yang akan digantung dalam penjara. Mereka akan ditempatkan di ‘Bilik Akhir’. Bilik Akhir itu berdekatan sahaja dengan tempat gantung itu. Mereka pula tidak tahu tarikh sebenar mereka akan digantung, jadi mereka sentiasa tertanya-tanya. Tiba-tiba sahaja subuh pada suatu hari, mereka dipanggil untuk digantung. Semoga kita tidak melalui seksaan ini. Jadi ini adalah termasuk dalam azab emosi.


 

Maryam Ayat 87:

لّا يَملِكونَ الشَّفٰعَةَ إِلّا مَنِ اتَّخَذَ عِندَ الرَّحمٰنِ عَهدًا

Sahih International

None will have [power of] intercession except he who had taken from the Most Merciful a covenant.

Malay

Mereka tidak berhak mendapat dan memberi syafaat, kecuali orang yang telah mengikat perjanjian (dengan iman dan amal yang soleh) di sisi Allah yang melimpah-limpah rahmatNya!

 

لَّا يَمْلِكُونَ الشَّفٰعَةَ

Mereka tidak memiliki syafaat,

Maksud ayat ini dalam bentuk pasif dan aktif. Maknanya, mereka tak boleh memberi syafaat, menerima syafaat pun tidak boleh.

Kita kena faham apakah maksud ‘syafaat’ itu. Selalunya ditafsirkan sebagai ‘memberi pertolongan’. Tapi pertolongan yang macam mana? Syafaat itu sebenarnya adalah rekomendasi – memberi cadangan sahaja. Kerana tidak ada sesiapa yang ada kuasa untuk suruh atau paksa Allah menyelamatkan sesiapa pun.

Maknanya kita cuma boleh minta tolong sahaja dengan beri rekomendasi. Minta tolong kepada Allah supaya berlembut dengan orang yang hendak ditolong itu. Tapi akhirnya, ia terpulang kepada Allah sama ada hendak menyelamatkan atau tidak. Kerana kuasa hanya pada Allah sahaja.

Kebolehan beri syafaat adalah sebagai satu penghormatan kepada mereka yang rapat dengan Allah. Allah benarkan mereka untuk bercakap bagi pihak orang lain. Ini adalah satu penghormatan yang besar kerana bukan semua boleh bercakap pada hari itu. Semuanya akan tunduk dalam ketakutan pada hari itu. Hanya yang diberi keizinan bercakap sahaja yang boleh berkata-kata pada hari itu.

Mereka yang boleh beri syafaat itu, hanya boleh beri kepada orang yang layak sahaja. Mereka yang boleh beri syafaat pun akan takut nak minta tolong untuk mereka yang tak layak. Kalau orang yang memang sudah jahat, mereka pun tak berani nak minta tolong. Jadi, kalau kita bukan tergolong dalam golongan mereka yang layak, jangan harap kita akan dapat syafaat.

Mereka yang layak itu adalah mereka yang tidak buat syirik kepada Allah. Atau kalau dia sudah pernah buat, dia sudah minta ampun sebelum dia mati. Mereka memang beriman, tapi adalah serba sedikit salah mereka. Tidak ada manusia yang tidak melakukan dosa. Jadi, permintaan Syafaat yang dimohon kepada Allah itu adalah supaya dosa mereka yang sedikit itu diampunkan.

Tapi kalau kita buat syirik, tidak ada harapan langsung untuk mendapat syafaat. Tapi adakah kita buat syirik? Tentulah kita tidak mahu buat syirik. Tapi adakah kita pasti yang kita tidak pernah buat syirik tanpa sedar? Bagaimana kita nak tahu yang kita tidak buat syirik kalau kita pun tidak tahu apakah ‘syirik’ itu?

Dan nak tahu syirik, kenalah belajar tafsir Al-Qur’an, kerana banyak diterangkan dalam ayat-ayat Allah ini apakah perkara syirik yang dilakukan.

Sesiapa yang boleh memberi syafaat, bermaksud Allah telah memuliakannya. Itulah cara Allah hendak menunjukkan bahawa orang yang memberi syafaat itu adalah rapat denganNya. Terbalik dengan keadaan di dunia. Kalau di dunia, orang yang mendapat pertolongan itu yang dimuliakan.

Orang yang ditolong dengan Syafaat itu, sebenarnya telah ditentukan oleh Allah yang dia akan diselamatkan. Cuma Allah memberi penghormatan kepada yang memberi syafaat itu untuk memohon kepadaNya untuk menyelamatkan orang itu. Jadi nampak macam kerana pertolongan orang yang memberi syafaat itulah yang menyebabkan dia terselamat. Tapi sebenarnya, tanpa dia beri Syafaat pun, orang itu memang sudah akan diselamatkan.

Banyak yang salah faham dengan hal syafaat ini. Ramai yang sangka mereka akan selamat kerana mereka akan dapat syafaat dari orang-orang tertentu. Kerana mereka sangka mereka telah buat itu dan ini untuk melayakkan mereka mendapat syafaat itu.

Contohnya, mereka sangka apabila mereka banyak nyanyi qasidah kepada Nabi Muhammad, minta syafaat kepada Nabi Muhammad, banyak buat Mawlid Nabi, maka mereka akan selamat kerana Nabi akan ingat mereka dan beri syafaat. Mereka sangka mereka pasti akan dapat pertolongan dari pemberi syafaat.

Maka, mereka sudah tidak menjaga agama mereka. Kerana mereka sudah sangka akan selamat. Macam kalau ayah seorang pelajar kenal baik dengan pensyarah, pelajar itu akan sangka mereka akan lulus peperiksaan dengan mudah. Jadi mereka sudah tidak belajar betul-betul. Itu kalau dalam dunia, dalam hal akhirat tentulah tidak semudah itu.

Salah faham dengan syafaat ini sampai boleh menyebabkan syirik. Kerana mereka akan memuja, menyembah, berdoa dan berharap kepada mereka yang mereka anggap boleh beri syafaat itu. Apa yang mereka lakukan itu adalah syirik kerana memuja, menyembah, berdoa dan berharap, hanya boleh dilakukan kepada Allah sahaja. Tapi berapa ramai yang tidak faham perkara ini, maka mereka telah melakukan sesuatu yang tidak pernah diajar Nabi?

Tidakkah di Malaysia sekarang, sampai satu stadium ramai-ramai ‘memuja’ Nabi dan meminta syafaat terus kepada Nabi Muhammad? Adakah Nabi ada kuasa untuk beri syafaat itu? Adakah Nabi dengar permintaan kita? Bukankah Nabi telah mati? Adakah orang yang sudah mati boleh dengar kata-kata kita?

Tentu tidak, kerana kalau Nabi boleh mendengar selepas baginda wafat, kenalah bawa dalil. Jadi kepada siapa mereka merayu supaya diberikan syafaat itu? Jadi, sebenarnya bukan Nabi yang menentukan siapa yang dapat syafaat, tapi baginda hanya ‘menyampaikan’ sahaja. Ini yang ramai susah nak bezakan.

 

إِلَّا مَنِ اتَّخَذَ عِندَ الرَّحْمَٰنِ عَهْدًا

kecuali orang yang telah mengikat perjanjian di sisi Tuhan ar-Rahman.

Apakah ‘perjanjian’ yang dimaksudkan dalam ayat ini? Itulah lafaz dua kalimah syahadah yang kita selalu baca itu. Itulah perjanjian kita untuk hanya sembah Allah, tidak syirik kepadaNya dan ikut sunnah Nabi. Apabila kita memenuhi janji itu, Allah akan memenuhi janjiNya. Barulah ada peluang untuk mendapat syafaat.

Malangnya, berapa ramai yang hari-hari sebut dua kalimah syahadah itu, tapi mereka tidak melakukan apa yang mereka lafazkan dengan mulut mereka. Mereka berjanji mereka nak ikut Nabi, tapi perbuatan amalan ibadat mereka adalah amalan bidaah semata-mata.

Ada yang memang sudah tahu perbuatan itu bukan dari perbuatan Nabi, tapi mereka buat juga amalan itu. Dan mereka kata kerana orang itu dan orang ini kata benda itu elok dibuat. Adakah mereka sudah lupa dengan syahadah mereka? Ataukah mereka termasuk dari golongan yang hanya tahu sebut sahaja, tapi tidak tahu makna syahadah itu?

Ayat ini mengatakan bahawa tidak ada syafaat untuk mereka. Tapi, ramai dalam masyarakat kita yang tidak faham tentang syafaat telah melakukan amalan yang salah. Apabila mereka dengar yang Nabi Muhammad akan memberi syafaat di Mahsyar, mereka sudah siap-siap minta dari Nabi semasa di dunia ini. Ada yang pergi ke kubur Nabi di Masjid Nabi dan minta syafaat dengan Nabi.

Ada pula yang minta syafaat dari Imam Mahdi. Yang Syiah minta dari Saidina Ali, Imam Hussein. Yang Tarekat, minta syafaat dari kubur wali, dari Syeikh Abdul Qadir, dari Uwais al Qarni dan macam-macam lagi. Itu semua adalah fahaman sesat belaka. Apabila masyarakat tidak belajar tafsir Al-Qur’an dan sunnah, mereka senang ditipu oleh ajaran-ajaran sesat.

Banyak disebut dalam Al-Qur’an tentang syafaat dengan jelas. Yang tak jelas hanya kepada mereka yang tidak belajar. Secara ringkasnya, syafaat itu hanyalah milik Allah sahaja. Kena belajar apakah yang dimaksudkan dengan syafaat itu.


 

Maryam Ayat 88: Ini adalah kesan buruk dalam salah faham hal syafaat. Allah jelaskan lagi hal syafaat ini dalam ayat ini.

وَقالُوا اتَّخَذَ الرَّحمٰنُ وَلَدًا

Sahih International

And they say, “The Most Merciful has taken [for Himself] a son.”

Malay

Dan mereka yang kafir berkata: “(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak.”

وَقَالُوا اتَّخَذَ الرَّحْمَٰنُ وَلَدًا

Dan mereka (yang kafir) berkata: “Tuhan Ar-Rahman, telah mengambil anak.”

Ayat ini menyebut tentang ‘anak Allah’ dalam bentuk umum sahaja. Allah tak sebut anak lelaki, anak perempuan atau penjelasan lain. Kerana ia digunakan untuk menempelak Yahudi, Kristian dan Musyrikin Mekah yang kata Allah mengambil anak. Semua agama sesat itu mengatakan Allah ada mengambil anak.

Begitu juga dengan agama-agama lain. Ada yang percaya bahawa ada entiti yang rapat dengan tuhan. Maka, mereka sangka, kalau mereka puja entiti-entiti rekaan mereka itu, tuhan akan lembut hati dari seksa mereka.

Sebagai contoh, katakanlah ketua syarikat kita seorang yang garang. Tapi dia ada seorang anak saudara yang bekerja sekali dalam syarikat itu. Dan kita tahu yang dia sayangkan anak saudaranya itu. Apa yang kita akan buat?

Kalau kita hendak mendapatkan kebaikan dari ketua syarikat, maka kita akan berbaik-baik dengan anak saudaranya itu. Kita beri hadiah, belanja dia makan dan berbagai lagi kita buat. Kita tak buat apa-apa dengan ketua syarikat sebab kita tahu yang dia itu garang dan tak ikut cakap kita. Maka, kita hanya layan anak saudaranya dan kita sangka kita akan selamat di syarikat itu. Kita rasa takkan ketua syarikat akan marah kita kalau kita baik dengan anak saudaranya.

Itu adalah dalam dunia. Sekarang kita fikirkan, adakah Allah macam itu juga? Adakah Allah serendah itu pemikiranNya? Tidak sama sekali. Kerajaan Allah tidak sama dengan kerajaan dunia.

Jadi, ‘anak’ dalam ayat ini bukanlah bermaksud anak kandung, kerana mereka tahu tuhan tidak beranak, tapi yang dimaksudkan adalah ‘anak angkat’. Ianya adalah satu konsep. Bukan secara literal bermaksud ‘anak’. Kalau dalam dunia, kalau kita baik dengan ‘anak angkat’ seseorang yang berpangkat, kita boleh menggunakan hubungan rapat anak angkat itu untuk mendapatkan sesuatu dari orang besar itu.

Jadi, banyaklah yang di’naikkan’ pangkat oleh manusia sebagai ‘anak angkat’ Allah. Terdiri dari Nabi, wali dan malaikat. Padahal, itu tidak benar sama sekali. Allah tidak pernah mengajar konsep ini kepada manusia untuk diamalkan. Mereka yang menyembah itu sahaja yang memandai beri pangkat itu kepada entiti-entiti itu. Memang mereka tidaklah kata entiti-entiti itu ‘anak angkat’ Allah, tapi ianya adalah sama dari segi konsep. Iaitu orang yang baik dengan seseorang yang besar.

Allah menggunakan nama ar-Rahman dalam ayat ini. Ini adalah kerana orang-orang Kristian menggunakan sifat Rahman Allah itu dalam hujjah mereka. Mereka kata kerana sifat rahmat Allahlah yang menyebabkan Tuhan menurunkan ‘anaknya’ untuk disembelihkan dan menghilangkan dosa manusia. Allah menempelak mereka dalam ayat ini. Allah nak kata: adakah kamu ingat RahmahKu memerlukan anak?


 

Maryam Ayat 89:

لَقَد جِئتُم شَيئًا إِدًّا

Sahih International

You have done an atrocious thing.

Malay

Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya!

 

لَّقَدْ جِئْتُمْ شَيْئًا إِدًّا

Demi sesungguhnya, kamu telah datang dengan membawa satu perkara yang besar salahnya!

Dalam perkataan لَّقَدْ sudah ada penekanan. Perkataan جِئْتُمْ dari perkataan جاء pula adalah ‘datang dengan cara yang berat’. Lihatlah penggunaan yang sama digunakan oleh umat pada zaman Maryam kepada Maryam (rujuk Maryam:27). Perkataan ini digunakan untuk menekankan lagi bahawa apa yang mereka katakan itu adalah sesuatu yang berat.

Kalimah إِدًّا adalah sesuatu yang tak patut langsung dilakukan. Ianya sesuatu yang menyebabkan kacau bilau. Ianya adalah perbuatan yang perlukan bantahan dari orang yang mendengarnya. Kita perlu hentikan apa yang mereka kata itu, bukan hanya tengok sahaja. Contohnya, kalau kita lihat ada orang yang memukul orang lain, takkan kita nak lihat sahaja?

Siapa yang kata mereka telah buat salah itu? Allah sendiri yang cakap. Allah menukarkan panggilan dari kata ganti ketiga kepada kata ganti kedua. Sebelum ini Allah memperkatakan tentang mereka dalam kata ganti diri ketiga – mereka, mereka. Tapi, dalam ayat ini, Allah tukar dari kata ganti diri ketiga kepada kata ganti diri kedua.

Perkataan جِئْتُمْ itu bermaksud ‘kamu datang’. Allah berkata terus dengan mereka kerana teruk sangat perbuatan mereka. Allah marah terus kepada mereka. Macam kita kalau marah sangat dengan seseorang, kita nak cakap sendiri dengan orang itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 1 September 2023

Ringkasan Surah Maryam


 

Rujukan:

Nouman Ali Khan

Shaikh Nasir Jangda

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment