Tafsir Surah Maryam Ayat 96 – 98 (Kasih sayang sesama Muslim)

Ayat 96: Ini tentang mereka yang selamat.

إِنَّ الَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ سَيَجعَلُ لَهُمُ الرَّحمٰنُ وُدًّا

Sahih International

Indeed, those who have believed and done righteous deeds – the Most Merciful will appoint for them affection.

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang melimpah-limpah rahmatnya akan menanamkan bagi mereka perasaan kasih sayang.

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا

Sesungguhnya orang-orang yang beriman

Iaitu mereka percaya kepada Allah dan perkara-perkara ghaib. Iaitu perkara yang telah termaktub dalam aqidah yang benar.

Ia juga bermaksud mereka yang ikhlas dalam ibadat mereka. Kerana mereka beriman dengan Allah, maka mereka beramal kerana Allah.

Ia juga bermaksud mereka yang tidak melakukan syirik atau memiliki fahaman syirik. Ini pun penting kerana kadangkala ada yang tidak buat amalan syirik tapi ada pula fahaman syirik. Maklumat tentang apakah syirik dan apakah tidak, amat penting dalam masyarakat. Kerana ramai yang tidak jelas tentang perkara ini dan kerana itu mereka ada fahaman syirik atau beramal dengan amalan syirik tanpa mereka sedari.

Bagaimana untuk tahu mana syirik dan mana tidak? Mahu tidak mahu, kena juga belajar tafsir Qur’an kerana bab tauhid dan bab syirik diajar dengan panjang lebar dalam Qur’an.

وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ

dan beramal soleh,

Mereka bukan hanya cakap beriman sahaja tapi kenalah ditunjukkan dengan perbuatan mereka. Iman itu hendaklah ditunjukkan dengan perbuatan. Banyak ayat-ayat Qur’an akan menyebut tentang amal selepas disebutkan tentang iman.

Maka kita kena tunjukkan kita orang beriman. Sebagai contoh, sembahyang adalah tanda kita beriman. Kalau kita beriman, tanda kita beriman adalah kita akan meluangkan masa untuk solat kepada Allah.

Inilah dua perkara yang penting yang kena ada. Iman dan amal soleh sahaja yang boleh menyelamatkan kita. Bukan nak harap syafaat sahaja.

Dari sudut nahu bahasa Arab, الصَّالِحَاتِ bermaksud bilangan yang banyak (plural) tapi bukan banyak sangat. Allah bukan nak lihat kita buat amalan yang banyak tapi yang terbaik. Mereka hanya perlu buat setakat yang mampu, asalkan istiqamah.

سَيَجْعَلُ لَهُمُ الرَّحْمَٰنُ

Tuhan ar-Rahman akan menjadikan bagi mereka

Sekali lagi disebutkan nama Allah ar-Rahman dalam ayat ini. Banyak kali sifat Allah ini disebutkan sampaikan para penafsir ada memanggil surah ini sebagai ‘Surah Rahmah’. Banyak disebutkan dalam ayat ini tentang rahmat yang Allah berikan. Ini mengingatkan kita tentang sifat Allah ini.

Dalam surah ini, walaupun dalam ayat yang memberi peringatan kepada orang yang kufur, sifat ini juga disebut. Kerana hendak mengingatkan mereka yang mereka telah lupa kepada sifat Allah. Setelah segala apa yang Allah berikan, mereka masih lagi kufur.

Kenapa dalam ayat yang menyebut tentang hukuman balasan kepada kekufuran digunakan nama Allah yang menyebut sifatNya yang maha penyayang? Mungkin ada yang kata macam tidak sesuai – kerana hukuman dan sifat rahmah itu berlawanan sekali. Tapi Allah sendiri telah letakkan begitu dalam Qur’an. Maksudnya, ianya adalah sesuai dan ada sesuatu yang hendak disampaikan.

Ini juga sebenarnya menjelaskan sifat Rahman Allah juga. Sebab sifat Rahman Allahlah yang memberitahu kita dan mengingatkan kita berkali-kali tentang balasan buruk kalau kita buat salah. Kalau Allah tak ingatkan kita, bagaimana? Tentu kita akan buat salah dalam kita tidak tahu yang kita telah melakukan kesalahan. Jadi, Allah sudah beritahu siap-siap kepada kita apakah balasannya kalau buat salah.

وُدًّا

perasaan kasih sayang.

Iaitu perasaan kasih sayang yang tidak terbanding.

Ayat ini dalam bentuk yang terbuka. Tidak dijelaskan dengan terperinci apakah yang dimaksudkan dengan ‘kasih sayang’ itu. Mungkin Allah hendak memberitahu kita bahawa kalau kita beriman dan beramal soleh, Allah akan menyayangi kita dengan banyak sekali. Allah akan sayang kepada mereka yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pun sayang kepada Allah.

Dan bukan itu sahaja, Allah akan letakkan perasaan kasih sayang sesama Muslim. Ini kerana kita ada satu persamaan sesama kita, percaya dengan Allah dan percaya kepada Rasulullah. Lihatlah betapa ramai makhluk cintakan Nabi Muhammad. Sahabat cintakan Nabi, binatang, malah pokok-pokok pun cintakan Nabi. Maka kalau kita pun cintakan Nabi Muhammad, maka kita pun bersama dengan mereka yang bersama-sama cintakan Nabi.

Allah kata dalam ayat ini bahawa cinta itu datangnya dari Allah. Kita tidak boleh bagi orang sayang kepada kita. Hanya Allah sahaja boleh buat. Kita hanya perlu beriman dan beramal soleh sahaja. Selain dari itu Allah yang akan uruskan.

Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah, Nabi bersabda:

Sesungguhnya Allah, jika mencintai seorang hamba, Dia akan memanggil Jibril dan berfirman: ‘Hai Jibril, sesungguhnya Aku mencintai si fulan, maka cintailah dia.’ Lalu Jibril pun mencintainya. Kemudian Jibril memanggil seluruh penghuni langit dan berkata: ‘Sesungguhnya Allah mencintai si fulan, maka cintailah dia.’ Lalu seluruh penghuni langit pun akan mencintainya. Kemudian, diletakkanlah baginya penerimaan di muka bumi. Sesungguhnya Allah, jika membenci seorang hamba, Dia akan memanggil Jibril dan berfirman: ‘Hai Jibril, Aku membenci si fulan, maka bencilah dia.’ Lalu Jibril pun membencinya dan memanggil penghuni langit sambil berkata: ‘Sesungguhnya Allah membenci si fulan, maka bencilah dia,’ lalu penghuni langit pun membencinya. Kemudian diletakkan baginya kemurkaan di muka bumi.” Hadis Riwayat Muslim, Ahmad, Bukhari)

Jangan kita hendak orang terima kita, orang sayang kita, kita cakap apa yang mereka suka dengar. Begitulah yang terjadi dengan ramai guru agama. Mereka takut nak cakap perkara yang mereka takut akan menyebabkan orang tak suka dengar. Oleh kerana itu mereka akan ajar benda-benda yang tak mengejutkan orang sahaja.

Maka, masyarakat jadi jahil tentang agama. Mereka buat benda yang salah kerana guru-guru agama tak ajar pun mereka apakah yang salah. Sikit-sikit ajar tentang fekah sahaja. Sedangkan tentang akidah dan tentang tauhid, jarang sekali. Kalau ajar pun, ajar sikit-sikit.


Ayat 97: Ini adalah peringatan akhir yang diberikan kepada Nabi Muhammad dalam surah ini.

فَإِنَّما يَسَّرناهُ بِلِسانِكَ لِتُبَشِّرَ بِهِ المُتَّقينَ وَتُنذِرَ بِهِ قَومًا لُدًّا

Sahih International

So, [O Muhammad], We have only made Qur’an easy in the Arabic language that you may give good tidings thereby to the righteous and warn thereby a hostile people.

Malay

Maka sesungguhnya Kami memudahkan turunnya Al-Qur’an ini dengan bahasamu (wahai Muhammad), supaya engkau memberi khabar gembira dengannya kepada orang-orang yang bertaqwa, dan supaya engkau memberi amaran dengannya kepada kaum yang degil dalam kekufurannya.

فَإِنَّمَا يَسَّرْنَاهُ

Maka sesungguhnya Kami telah memudahkan Al-Qur’an ini

Apakah maksud ‘memudahkan’? Ianya bukanlah bermaksud Qur’an ini mudah sangat. Kalau mudah sangat, sudah hilanglah kehebatan Qur’an. Untuk memahami Qur’an, kena ada usaha. Kena luangkan masa untuk belajar. Ambil masa bertahun untuk belajar, baru boleh faham.

Tapi, Allah telah berikan kemudahan untuk kita faham. Kalau kita mahu belajar, mahu faham ayat-ayat Allah, Allah akan bantu kita.

بِلِسَانِكَ

dengan bahasamu,

Kalimah لِسَانِ dalam bahasa Arab bukan sahaja bermakna ‘bahasa’. Tapi termasuk juga ‘lenggok bahasa’. Iaitu bahasa yang senang difahami. Oleh itu untuk faham Qur’an, pertama kena belajar bahasa Arab. Tapi bukan itu sahaja kerana kalau tahu bahasa sahaja diterjemahkan, kita masih tidak dapat faham sepenuhnya Qur’an itu. Kena tahu lenggok bahasa itu juga.

Seperti yang kita telah tahu, Allah telah pilih Qur’an diturunkan dalam Bahasa Arab. Bahasa Arab adalah bahasa yang tepat. Satu-satu ayat itu dapat menyampaikan makna yang mendalam. Ini tidak boleh dilakukan dalam bahasa lain. Kalau Qu’ran itu dalam bahasa Melayu, entah berapa tebal Qur’an itu agaknya.

لِتُبَشِّرَ بِهِ

ialah supaya engkau memberi khabar gembira dengannya

Kalimah ‘dengannya’ bermaksud Nabi menggunakan ayat-ayat Qur’an untuk berdakwah kepada manusia. Itulah cara terbaik untuk berdakwah. Itulah cara terbaik untuk memberi khabar gembira kepada manusia.

Kenapa Qur’an itu dimudahkan? Untuk memberi memberi berita gembira kepada manusia sebagai motivasi. Motivasi kepada mereka untuk berbuat kebaikan. Kepada mereka yang bertaqwa, dijanjikan balasan yang baik untuk mereka.

الْمُتَّقِينَ

orang-orang yang bertaqwa,

Yang paling utama mendapat berita gembira adalah orang-orang bertaqwa. Mereka itu menjaga diri mereka dari melakukan dosa kerana mereka takut kepada Allah. Dan kerana mereka takut kepada Allah, maka mereka berhati-hati dengan segala perbuatan mereka. Apa-apa sahaja yang mereka lakukan, mereka akan fikir: adakah Allah hendak begini?

Kepada mereka, akan diberikan berita gembira dalam Qur’an.

وَتُنذِرَ بِهِ

dan supaya engkau memberi amaran dengannya

Huruf بِهِ bermaksud menggunakan Qur’an untuk beri berita gembira dan beri ancaman. Ini bermakna, Qur’an adalah alat utama dalam dakwah. Kita kena sampaikan ayat-ayat Qur’an sebelum kita beri pendapat kita. Pendapat kita mesti berdasarkan kepada dalil Qur’an dan hadis.

Tapi, orang kita yang berdakwah, jarang pakai Qur’an. Mereka akan guna akal, guna kitab-kitab ajaran manusia dan sebagainya. Padahal ayat-ayat dalam Qur’an itulah yang perlu disampaikan dahulu kepada manusia.

قَوْمًا لُّدًّا

kepada kaum yang degil dalam kekufurannya.

Kalimah لُّدًّا bermaksud ‘amat suka berkelahi’. Suka cari pasal dan suka kalau dalam keadaan macam itu.

Kalau kita lihat susunan ayat ini, mula-mula Allah cakap tentang memberi motivasi kemudian barulah beri ancaman. Maknanya, kena mula dengan bagi berita gembira dahulu. Kalau itu tidak berjaya, teruskan dengan memberi ancaman.

Kita beri peringatan dan ancaman itu adalah kerana kita sayang kepada mereka. Kita tak mahu mereka salah langkah. Kita tak mahu mereka masuk neraka. Bukan kita hendak menakutkan mereka semata-mata.


Ayat 98: Allah berikan kata-kata akhir kepada orang yang tidak mahu menerima Islam.

وَكَم أَهلَكنا قَبلَهُم مِن قَرنٍ هَل تُحِسُّ مِنهُم مِن أَحَدٍ أَو تَسمَعُ لَهُم رِكزًا

Sahih International

And how many have We destroyed before them of generations? Do you perceive of them anyone or hear from them a sound?

Malay

Dan amatlah banyaknya kaum-kaum kafir yang Kami telah binasakan sebelum mereka; engkau tidak menyedari ataupun mendengar suara yang sayup bagi seseorang pun dari orang-orang yang telah dibinasakan itu.

وَكَمْ أَهْلَكْنَا قَبْلَهُم مِّن قَرْنٍ

Dan amatlah banyaknya kaum-kaum kafir yang Kami telah binasakan sebelum mereka;

Banyak sangat kaum yang telah dibinasakan di zaman dahulu. Ada yang kita tahu kisah mereka dari Qur’an dan ada yang kita tak tahu pun. Sampai sekarang, ada lagi kesan-kesan peninggalan mereka itu. Allah sengaja tinggalkan kesan-kesan itu supaya kita boleh ambil pengajaran dari kejadian itu.

هَلْ تُحِسُّ مِنْهُم مِّنْ أَحَدٍ

Adakah engkau menyedari dari orang-orang yang telah dibinasakan itu?

Kau tidak tahu sikit pun tentang mereka. Macam mereka tidak wujud pun dulu. Kerana Allah telah hancurkan mereka semuanya. Begitulah nasib mereka. Mereka sampai dilupakan terus. Kalau Qur’an tak beritahu kepada kita, kita pun tidak tahu.

أَوْ تَسْمَعُ لَهُمْ رِكْزًا

ataupun mendengar suara yang sayup bagi seseorangpun

Kalimah رِكْزًا adalah ‘suara yang halus sahaja’. Digunakan juga untuk bunyi buzzing lebah, atau bunyi cengkerik. Macam tidak ada apa-apa bunyi. Maknanya, suara yang halus tentang mereka pun tidak ada. Langsung tak dengar suara mereka, langsung tak dengar tentang mereka. Allah hancurkan mereka sampai tidak ada bunyi langsung dari mereka.

Ini adalah amaran kepada mereka yang menentang Nabi dan tidak mahu menerima dakwah Nabi. Mereka sangka mereka besar dan hebat, tapi mereka pun boleh jadi macam orang-orang yang telah dihancurkan dulu.

Dan ayat ini juga adalah isyarat kepada Nabi untuk meneruskan dakwah. Jangan hirau nasib mereka kerana Allah sendiri akan uruskan mereka. Allah akan balas mereka sama ada dalam dunia atau di akhirat kelak.

Surah ini bermula dengan suara yang perlahan – iaitu cara Nabi Zakaria berdoa dengan suara yang lembut. Dan surah ini berakhir dengan suara yang halus pula. Itulah persamaan antara permulaan ayat dan akhir ayat. Ini menunjukkan kehebatan susunan ayat-ayat Qur’an.

Sekian sahaja tafsir Surah Maryam ini. Allahu a’lam. Sambung surah seterusnya, Surah Taha.

Kemaskini: 7 Mei 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Shaikh Nasir Jangda

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s