Tafsir Surah Ibrahim Ayat 1 – 2 (Tujuan diturunkan Al-Qur’an)

Pengenalan:

Surah Ibrahim merupakan Surah Makkiyah pada zaman akhir. Ia diturunkan selepas Surah Ra’d dalam lingkungan Tahun 11-13 di Mekah. Ia mengandungi 52 ayat dan ada 8 Perenggan Makro.

Dakwa surah ini ada pada ayat 1. Dakwa surah ini adalah tentang Risalah – kerasulan. Seperti yang kita tahu, Dakwa surah-surah Al-Qur’an terbahagi kepada 3: sama ada tentang Tauhid, tentang Risalah atau tentang Akhirah. Maksud Risalah yang hendak disampaikan dalam surah ini: tugas Nabi ialah untuk mengeluarkan manusia daripada syirik ke arah nur tauhid melalui perantaraan wahyu.

Surah ini juga membicarakan tentang Tauhid iaitu Tauhid di dalam Tasarruf (pentadbiran) dan juga Doa. Akan tetapi ia di dalam bentuk cerita yang kita akan sampaikan. Begitulah Allah ﷻ menggunakan berbagai-bagai cara untuk menjelaskan Tauhid kepada kita. Ada orang yang dapat faham melalui pemberitahuan, tetapi ada yang lebih mudah faham melalui cerita.

Kerana itulah di dalam surah ini, Allah ﷻ adakan peristiwa sebagai pengajaran untuk kita dan ada 6 kisah semuanya. Ada 4 kisah tentang akhirat dan 2 lagi tentang dunia. Allah ﷻ berikan cerita kerana ada orang yang boleh berubah ke arah kebaikan dengan mendengar kisah-kisah. Surah ini dinamakan Surah Ibrahim kerana ada kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam ayat 35 – 40.

Ada orang yang kita beri hujah, mereka tidak terima, tetapi apabila mereka baca kisah-kisah, hati mereka tersentuh dan mereka boleh terima. Ini adalah kerana kita sebagai manusia mempunyai cara memproses informasi berbeza dan ada orang yang terkesan dengan cara lain daripada orang lain.

Surah-surah daripada 10: Yunus hingga 15: Hijr adalah 6 surah yang bermula dengan Alif-Lam-Ro ( الر ), kecuali Surah 13: Ra’d yang bermula dengan Alif-Lam-Mim-Ro (الٓـمّٓرٰ). Surah Ibrahim ini berkaitrapat dan ada persamaan dengan surah sebelum dan selepasnya iaitu Surah Ra’d dan Surah Hijr.

 

Kaitan dengan surah sebelum dan selepas:

Surah Ra’d:

1. Tujuan Al-Qur’an diturunkan adalah untuk membenarkan seruan tauhid daripada Tuhan [13:1]
2. Disebut Golongan Ulul Albab sebagai contoh Golongan Beriman
3. Al-Qur’an diturunkan dalam bahasa Arab [13:37]
4. Allah ﷻ membinasakan kaum yang zalim.
5. Makr (Rancangan Khianat) atas Nabi Muhammad [13:42]

Surah Ibrahim

1. Tujuan Al-Qur’an diturunkan adalah untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya menuju kepada beriman dengan Allah. [14:1]
2. Golongan yang bersyukur adalah Golongan Beriman.
3. Setiap Rasul dihantar mengikut bahasa kaum masing-masing. [14:4]
4. Belajar daripada sejarah Kaum Terdahulu. Allah ﷻ pasti akan membinasakan orang-orang yang zalim itu
5. Makr besar menentang Allah. [14:46]

Surah Hijr

1. Al-Qur’an diturunkan untuk memberi penjelasan. [15:1]
2. Mengkhabarkan tentang Kaum Lut (2100 SM), Penduduk Aikah (1400 SM), Syuaib, Tsamud -Penduduk al-Hijr (2500 SM) dan bagaimana mereka dibinasakan.

Terdapat perumpamaan-perumpamaan yang digunakan di dalam Surah Ibrahim ini contohnya tauhid dinukilkan sebagai cahaya yang terang manakala syirik pula dianggap sebagai kegelapan. Ini ada disebut di dalam ayat 1 dan 5 nanti. Selain itu di dalam ayat 24 dan 25 akan diceritakan tentang kalimah Tauhid diumpamakan seperti pohon yang baik, akar teguh dan cabang menjulang ke langit, malah pohon itu pula menghasilkan buah-buahan. Sebaliknya kalimah buruk atau syirik diumpakan seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akarnya dari permukaan bumi serta tidak dapat berdiri tegak. Ini ada diceritakan dalam ayat 26 nanti.

Kata kunci iaitu Nikmat Allah ﷻ boleh ditemukan dalam ayat-ayat berikut:

 Ayat 16: Musa berkata kepada kaumnya: “Ingatlah nikmat Allah atasmu ketika Dia menyelamatkan kamu daripada (Fir’aun dan) pengikut-pengikutnya, ….

Manakala Janji dan Amaran Allah ﷻ boleh ditemukan Ayat 17: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”.

Jika semua manusia tidak bersyukur pun tidak menjejaskan apa-apa sifat Allah ﷻ. Ini ada disebut di dalam Ayat 8: “Jika kamu dan orang-orang yang ada di muka bumi semuanya mengingkari (nikmat Allah), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji”.

Juga di dalam Ayat 28: Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang menukar nikmat Allah dengan kekafiran dan menjatuhkan kaumnya ke lembah kebinasaan?

Akhirnya di dalam Ayat 34: Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) daripada segala apa yang kamu mohonkan kepadanya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah kamu dapat mengiranya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah)


 

AMARAN KEPADA ORANG KAFIR

Ibrahim Ayat 1: Ini adalah Dakwa Surah ini iaitu berkaitan Risalah. Ayat 1 sehingga ayat 4 adalah Perenggan Makro Pertama Surah ini (ada 8 perenggan semuanya). Dalam perenggan ini, Allah ﷻ memberitahu kita yang Al-Qur’an ini hendak mengeluarkan manusia daripada kegelapan syirik kepada Nur Tauhid.

الر ۚ كِتٰبٌ أَنزَلنٰهُ إِلَيكَ لِتُخرِجَ النّاسَ مِنَ الظُّلُمٰتِ إِلَى النّورِ بِإِذنِ رَبِّهِم إِلىٰ صِرٰطِ العَزيزِ الحَميدِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Ibrāheem: (The Prophet) Abraham.

Alif, Lām, Rā.¹ [This is] a Book which We have revealed to you, [O Muḥammad], that you might bring mankind out of darknesses into the light by permission of their Lord – to the path of the Exalted in Might, the Praiseworthy –

  • See footnote to 2:1.

(MELAYU)

Alif, laam raa. (Ini adalah) Kitab yang Kami turunkan kepadamu supaya kamu mengeluarkan manusia daripada gelap gelita kepada cahaya terang benderang dengan izin Tuhan mereka, (iaitu) menuju jalan Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji.

 

الر

Alif, laam raa.

Kita tidak tahu makna huruf ini kerana ia adalah perkara ghaib. Huruf-huruf sebegini dinamakan huruf muqattaah. Dari segi bahasa bermaksud: huruf yang dipotong-potong. Kita tidak tahu apakah maksudnya. Ia tidak difahami kerana tidak diajar oleh Nabi ﷺ dan para sahabat pun tidak bertanyakan maksudnya. Rasulullah ﷺ pula tidak beritahu (kalau baginda tahu) kerana ia tidak perlu untuk diketahui kerana kalau ia perlu diketahui oleh umat Islam, pasti baginda sudah menyampaikannya.

Ada pendapat yang mengatakan bukanlah ia tidak ada makna kerana Allah ﷻ tidak melakukan perkara yang sia-sia. Cuma kita sahaja yang tidak tahu kerana kemampuan akal kita yang terbatas.

Akan tetapi, ada juga pendapat yang mengatakan memang tidak ada. Kerana, jikalau ia ada makna tetapi Allah ﷻ sahaja yang tahu, mesti Rasulullah ﷺ sudah beritahu. Namun begitu tidak sampai maklumat kepada kita tentang hal ini. Maka ia kekal sebagai pendapat sahaja yang mungkin benar dan mungkin tidak. Pendapat ini mengatakan memang ayat-ayat muqatta’ah ini tidak ada makna kerana kalau terputus begitu, ia tidak membawa apa-apa maksud. Contohnya kalau ك ت ا ب tidak ada makna, tetapi kalau disambungkan menjadi كتاب, barulah ada makna.

Walaupun kita tidak tahu maksudnya, namun kita masih boleh mengambil manfaat daripadanya. Ayat-ayat muqatta’ah ini mengingatkan kita bahawa kita mula belajar tafsir surah ini dengan tidak tahu apa-apa melainkan apa yang Allah ﷻ dan Nabi-Nya sampaikan kepada kita sahaja. Memang banyak yang cuba mentafsir maksud huruf-huruf muqatta’ah ini, namun ia bukanlah berdasarkan dalil yang sahih.

Pengajaran yang kita boleh ambil adalah: Kalau Tuhan tidak mahu ajar kepada kita, maka kita tidak dapat tahu walau satu benda pun. Kita sangat bergantung kepada Allah ﷻ untuk memberikan ilmu pengetahuan kepada kita. Allah ﷻ akan buka kefahaman sesuatu perkara itu kepada mereka yang Dia mahu berikan pengetahuan.

Ayat ini juga menunjukkan kepada kita bahawa ada banyak lagi perkara yang Tuhan tidak beritahu kepada kita. Ia merendahkan diri kita supaya kita sedar bahawa kita tidak berilmu sebenarnya, melainkan apa yang Allah ﷻ berikan kepada kita sahaja.

Bangsa Arab ketika zaman Nabi ﷺ amat mementingkan bahasa. Bahasa Arab terbukti memang hebat (sebab itulah Al-Qur’an diturunkan dalam Bahasa Arab). Mereka banyak mengadakan pertandingan sajak dan syair kerana ia adalah kebanggaan bagi mereka. Sampaikan kalau ada sajak atau syair yang memenangi pertandingan akan digantungkan di Kaabah. Maka, apabila ada ayat-ayat yang dimulai dengan huruf-huruf muqatta’ah ini, ia amat menarik perhatian orang Arab.

Mereka tidak biasa dengan penggunaan bahasa Arab sebegini kerana kebiasaannya, kalau dieja huruf alif, lam dan ra’, tentulah dibaca oleh mereka sebagai ‘alar’. Namun tidak pula dalam kes Surah Ibrahim ini (dan banyak surah-surah lain) ia pelik kerana huruf itu disebut satu persatu. Maka perkara ini membuatkan mereka tertanya-tanya. Ia telah menarik perhatian mereka untuk dengar lebih lagi.

Oleh itu, ada mufassir yang mengatakan bahawa salah satu tujuan huruf-huruf muqatta’ah ini adalah untuk menarik perhatian manusia dan jin untuk mendengarnya. Oleh kerana kebanyakan ayat-ayat selepas huruf muqatta’ah adalah tentang Al-Qur’an, maka mereka berpendapat Allah ﷻ hendak menarik perhatian manusia kepada Al-Qur’an. Maka kita sebagai umat Islam ini sepatutnya tertarik untuk tahu apakah yang Allah ﷻ hendak sampaikan di dalam Al-Qur’an ini.

Satu lagi pendapat mengatakan yang Allah ﷻ sebenarnya mencabar bangsa Arab untuk membuat Al-Qur’an yang lain kerana Al-Qur’an ini menggunakan huruf-huruf mereka juga. Maka Allah ﷻ beri huruf-huruf itu dan cabar mereka. Kalau hebat sangat, buatlah satu lagi kitab yang seperti Al-Qur’an ini dan gunakanlah huruf-huruf itu.

Walaupun saya lebih condong kepada pendapat yang mengatakan huruf Muqatta’ah ini ada maknanya (Allah ﷻ sahaja yang tahu) akan tetapi memang ada yang berpendapat ia memang tidak ada makna. Ini kerana dalam mana-mana bahasa pun, kalau hanya dengan huruf sahaja, tidak ada makna, maka begitu jugalah dengan bahasa Arab.

 

كِتٰبٌ أَنزَلنٰهُ إِلَيكَ

Kitab yang Kami turunkan kepadamu

Yang dimaksudkan ialah Al-Qur’an dan Al-Qur’an adalah sebuah kitab yang agung. Al-Qur’an diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Apabila Allah ﷻ kata Dia turunkan, maksudnya mesti turun dari atas, bukan? Maka ini juga hujah bagi mengatakan bahawa Allah ﷻ memang di atas.

Allah ﷻ juga hendak mengingatkan kita yang Dia lah yang menurunkan Al-Qur’an kepada Nabi Muhammad ﷺ. Maka, hendaklah kita mengambil perhatian dengan Al-Qur’an ini dan jangan kita buat tidak tahu tentangnya. Hendaklah kita belajar dan sampaikan kepada manusia lain kerana kepentingannya untuk memahami kehendak Allah ﷻ dan apakah agama ini.

Ramai orang belajar bermacam-macam kitab agama, tetapi tafsir Al-Qur’an mereka belum habis belajar lagi. Ini tidak patut sama sekali. Oleh kerana tidak belajar tafsir Al-Qur’an, maka kebanyakan manusia jahil agama. Akibatnya mereka sukar untuk mendapatkan al-Furqan; tidak mampu membezakan dengan jelas di antara mana yang benar dan mana pula yang bathil. Hasilnya amal ibadah mereka banyak bercampur aduk di antara yang sunnah dan syirik.

Allah ﷻ menegaskan di sini yang Al-Qur’an itu adalah daripada-Nya. Kedua, penerima pertama adalah Rasulullah ﷺ. Maka ini meninggikan kedudukan baginda kerana wahyu diberikan terus kepada baginda. Ternyata, Al-Qur’an itu hebat kerana ia diturunkan daripada Allah ﷻ, dan kedua, Rasulullah ﷺ juga hebat kerana menjadi penerima pertama.

 

لِتُخرِجَ النّاسَ مِنَ الظُّلُمٰتِ إِلَى النّورِ

supaya kamu mengeluarkan manusia daripada gelap gelita kepada cahaya

Ini adalah Dakwa surah ini dan diberi di awal-awal lagi. Apakah tujuan Allah ﷻ turunkan Al-Qur’an ini dan kenapa Nabi ﷺ perlu sampaikan kepada manusia? Kalimah النّاسَ merujuk kepada semua manusia yang ada pada zaman itu sehinggalah ke Hari Kiamat. Tidak ada yang terkecuali kerana ia bukan khusus kepada mana-mana bangsa dan mana-mana zaman.

Tujuannya adalah untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan. Kalimah الظُّلُمٰتِ itu di dalam bentuk jamak kerana ada banyak jenis kegelapan dalam diri manusia. Kalimah النّورِ itu pula di dalam bentuk mufrad kerana hanya ada satu cahaya sahaja iaitu cahaya kebenaran daripada Allah ﷻ. Allah ﷻ menggunakan perumpamaan gelap dan cahaya untuk memberitahu kita bezanya antara kebenaran dan kebathilan itu sepertimana bezanya gelap dan cahaya. Sebagaimana kita memerlukan cahaya untuk berjalan di bumi ini, maka kita juga perlukan cahaya ilahi daripada wahyu Allah ﷻ.

Maka ada banyak kegelapan, tetapi apakah yang dimaksudkan? Yang pertama adalah kegelapan kejahilan. Kerana itulah Musyrikin Mekah digelar sebagai Jahiliyyah kerana mereka jahil tidak ada ilmu agama yang menyebabkan mereka melakukan banyak kesalahan. Maka inilah yang hendak dibasmikan dengan ilmu wahyu. Daripada jahil inilah yang menyebabkan banyak perkara salah dan maksiat yang dilakukan oleh manusia. Kerana itu amat penting ilmu kepada manusia. Orang yang jahil tidak akan masuk syurga kerana mereka akan sentiasa ditipu oleh syaitan yang akan menyesatkan mereka.

Maka kena belajar dan ambil ilmu daripada wahyu terutama sekali wahyu Al-Qur’an. Ini juga mengajar kita yang sekiranya kita ini jahil wahyu, maka kita juga sebenarnya juga layak digelar jahiliyyah jugalah sebenarnya. Kalau kita masih lagi degil tidak mahu mengambil ilmu dengan belajar tafsir Al-Qur’an, maka umat kita akan berterusan berada di dalam kegelapan kejahilan.

Yang kedua adalah kegelapan syirik dan ketiga adalah kegelapan maksiat yang dilakukan oleh manusia. Hanya dengan Al-Qur’an ini sahajalah yang mampu mengeluarkan manusia daripada kegelapan syirik kepada cahaya tauhid. Ini seperti yang diungkapkan oleh Allah ﷻ dalam ayat lain melalui firman-Nya:

اللَّهُ وَلِيُّ الَّذِينَ آمَنُوا يُخْرِجُهُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَوْلِيَاؤُهُمُ الطَّاغُوتُ يُخْرِجُونَهُمْ مِنَ النُّورِ إِلَى الظُّلُمَاتِ
Allah Pelindung orang-orang yang beriman; Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindungnya ialah syaitan, yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan (kekafiran).
(Al-Baqarah: 257)

Maka untuk selamat, adalah dengan Al-Qur’an, namun bukanlah dengan hanya membacanya sahaja tanpa faham dan amal. Tidak ada cara lain melainkan dengan faham dan amal Al-Qur’an. Dengan belajar tafsir Al-Qur’an inilah kita akan dapat pemahaman tauhid kerana telah jelas Allah ﷻ sebutkan tentang tauhid satu persatu dan diulang banyak kali dalam Al-Qur’an ini. Sampaikan mereka yang telah belajar ayat-ayat dalam Al-Qur’an, maka lengkaplah kefahaman mereka tentang tauhid. Akan tetapi kenalah belajar tafsir Al-Qur’an baru dapat faham. Ini kerana susah jika hendak cuba faham sendiri melalui terjemahan sahaja.

Daalam Al-Qur’an ini juga banyak lagi ayat lain selain tentang tauhid. Di dalam Al-Qur’an inilah ada disebut pati-pati agama. Alangkah malang sekali manusia ini kalau tidak dapat memahami Al-Qur’an ini kerana ia merupakan perkara yang amat penting dan kerana itu kita tekankan pembelajaran tafsir Al-Qur’an ini wajib dijalankan di semua tempat. Belajarlah bersungguh-sungguh dan kemudian sampaikan kepada manusia yang lain. Dengan Al-Qur’an inilah sahaja yang kita akan selamat.

هُوَ الَّذِي يُنزلُ عَلَى عَبْدِهِ آيَاتٍ بَيِّنَاتٍ لِيُخْرِجَكُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ
Dialah yang menurunkan kepada hamba-Nya ayat-ayat yang terang (Al-Qur’an) supaya Dia mengeluarkan kalian daripada kegelapan kepada cahaya.
(Al-Hadid: 9)

 

بِإِذنِ رَبِّهِم

dengan izin Tuhan mereka, 

Nabi ﷺ diberi dengan wahyu ini untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan. Akan tetapi tentu baginda tidak dapat melakukannya sendiri; ia hanya dapat dilakukan hanya dengan izin Allah – بِإِذنِ رَبِّهِم . Maknanya faham dan terima tauhid, mestilah juga dengan taufik Tuhan. Sekiranya Allah ﷻ hanya sebut لِتُخرِجَ النّاسَ مِنَ الظُّلُمٰتِ إِلَى النّورِ sahaja, maka ini menunjukkan seolah-olah Rasulullah ﷺ berkemampuan untuk memberi hidayah pula kepada manusia. Sedangkan di dalam Qasas: 56 telah diberitahu yang baginda pun tidak boleh memberi hidayah kepada bapa saudaranya sendiri.

إِنَّكَ لا تَهدي مَن أَحبَبتَ وَلٰكِنَّ اللهَ يَهدي مَن يَشاءُ
Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya,

Maka kerana itu ditambah di sini dengan kalimat بِإِذنِ رَبِّهِم. Nabi Muhammad ﷺ hanya boleh ikhtiar dan sampaikan sahaja, tetapi hanya yang Allah ﷻ izinkan sahaja yang boleh keluar. Begitu jugalah, kita sebagai pendakwah hanya boleh menyampaikan sahaja. Sama ada manusia terima atau tidak, terpulang kepada Allah ﷻ . Sekiranya mereka ada keinginan dan sanggup membuka hati mereka untuk faham agama, hendak mencari kebenaran, Allah ﷻ akan pasti membuka hati mereka untuk faham.

Akan tetapi cara Allah ﷻ memberi hidayah kepada manusia adalah melalui Rasulullah ﷺ. Baginda yang sampaikan Al-Qur’an dan pengajarannya kepada manusia. Maka tidak boleh tinggalkan baginda seperti yang dilakukan oleh golongan sesat seperti golongan Anti-Hadith, Qur’aniyyun dan sebagainya. Mereka ini keliru sampaikan mereka sangka boleh dapat hidayah terus daripada Allah ﷻ melalui Al-Qur’an. Ini adalah fahaman yang cetek dan terpesong sekali.

Allah ﷻ menggunakan kalimah Rabb di sini untuk mengingatkan kita yang Dia lah yang mencipta, memelihara kita. Maka apa yang Dia hendak beri kepada kita adalah kebaikan. Maka kerana itulah Dia berikan kita dengan panduan hidup melalui wahyu dan Rasul supaya kita selamat. Ini kerana Dia sayang kepada kita dan bukannya kerana Dia terhutang budi kepada kita. Hanya semata-mata kerana kasih-Nya lah yang menyebabkan Dia memberi petunjuk kepada kita. Juga, tidak ada sesiapa yang memaksa Allah ﷻ untuk melakukannya. Ia adalah kerana kehendak Allah ﷻ sendiri.

 

إِلىٰ صِرٰطِ العَزيزِ الحَميدِ

menuju jalan Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji.

Ini adalah badal (penjelasan) yang pertama iaitu apakah Nur itu. Yang dimaksudkan dengan ‘nur’ adalah ‘jalan’. Iaitu kita kena ikut jalan yang Allah ﷻ telah adakan. Iaitu jalan yang lurus seperti yang disebut dalam Surah Fatihah dan yang selalu kita minta kepada Allah ﷻ di dalam solat kita setiap hari itu. Maka untuk tahu dan ikut jalan Allah ﷻ , jalan yang lurus, maka hendaklah kita belajar wahyu Allah ﷻ ini dan belajar sunnah Nabi Muhammad ﷺ.

Kena ikut jalan Allah ﷻ, tetapi siapakah Allah ﷻ ? Allah ﷻ adalah al-Aziz – Maha Gagah Perkasa. Allah ﷻ boleh buat apa sahaja yang Dia kehendaki dan tidak ada sesiapa yang dapat mengalahkan-Nya. Dia boleh buat apa-apa sahaja, bila-bila sahaja, di mana-mana sahaja dan tidak ada sesiapa yang boleh halang.

Allah ﷻ juga adalah al-Hameed – Maha Terpuji. Ini adalah kerana sifat-sifat kesempurnaan-Nya yang tidak dimiliki oleh mana-mana makhluk pun. Allah ﷻ Maha Terpuji dalam semua perbuatan, perkataan, syariat, perintah, dan larangan-Nya; lagi Maha benar dalam berita-Nya.

Tuhan itu Maha Gagah Perkasa menentukan jalan-Nya. Jalan itu lurus, tidak boleh dibelokkan ke kiri dan ke kanan. Barangsiapa yang menyeleweng dari jalan itu akan dihukum oleh kegagah-perkasaan Ilahi, celaka dia dalam perjalanan, baik sedang di atas dunia ataupun di akhirat. Tuhan itu pun Maha Terpuji; kerana Dia akan segera memberikan petunjuk dan bimbingan bagi barangsiapa yang menuruti jalan yang lurus itu dia akan lepas dari ruang yang gelap-gelita dalam jiwa. Dia akan dihantarkan ke dalam suasana yang terang-benderang dalam iman dan dalam hidup sehingga selamat dengan bimbingan Tuhan sendiri.


 

Ibrahim Ayat 2: Dalil Aqli yang pertama. Kenapa kita kena ikut Allah ﷻ?

اللهِ الَّذي لَهُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۗ وَوَيلٌ لِّلكٰفِرينَ مِن عَذابٍ شَديدٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh, to whom belongs whatever is in the heavens and whatever is on the earth. And woe [i.e., destruction] to the disbelievers from a severe punishment –

(MELAYU)

Allah-lah yang memiliki segala apa yang di langit dan di bumi. Dan kecelakaanlah bagi orang-orang kafir kerana seksaan yang sangat pedih,

 

اللهِ الَّذي لَهُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

Allah-lah yang memiliki segala apa yang di langit dan yang ada di bumi.

Kalimah اللهِ dalam ayat ini adalah dalam bacaan jar kerana mengikuti sifat Allah ﷻ dalam ayat sebelumnya, iaitu lafaz Al-Hamid. Dalam ayat sebelum ini telah dikatakan kita perlu ikut jalan العَزيزِ الحَميدِ . Siapakah yang dimaksudkan? Itulah Allah ﷻ .

Maka ayat ini adalah athaf bayan daripada ayat sebelum ini. Iaitu Allah ﷻ memberitahu yang Dia itu Maha Gagah Perkasa untuk melakukan apa sahaja. Allah ﷻ juga memiliki langit dan bumi.

Apabila kalimah لَهُ ditaqdimkan (didahulukan) ia bermaksud eksklusif. Hanya Allah ﷻ sahaja yang memiliki alam ini, tidak ada yang lain, dan Allah ﷻ tidak berkongsi dengan sesiapa. Maka sia-sia kalau meminta atau berdoa kepada selain Allah ﷻ. Ramai yang jahil tentang hal ini maka mereka minta tolong kepada Nabi, wali, malaikat dan jin.

Apabila Allah ﷻ sahaja yang memiliki alam ini, maka kita hendaklah bergantung harap kepada Allah ﷻ. Kalau kita mahukan sesuatu seperti harta, kesenangan dunia dan akhirat, maka kena dekatkan diri dengan Allah ﷻ. Bukannya jauhkan diri daripada-Nya. Ini pelik sangat. Kita hendakkan dunia, tetapi cari dengan cara menjauhkan diri daripada Allah ﷻ, sedangkan yang memiliki dunia adalah Allah ﷻ.

Maka kerana tidak faham hal ini, maka ramai yang mengabaikan akhirat untuk kejar dunia. Mereka sibuk bekerja sampaikan akhirat terabai, ibadah entah ke mana, keluarga juga ditinggalkan. Mereka tidak tahu yang kalau mereka dekatkan diri dengan Allah ﷻ, maka Allah ﷻ akan cukupkan keperluan mereka di dunia ini. Malah bukan dunia sahaja Allah ﷻ akan beri, akhirat pun mereka akan dapat juga.

Kalau langit dan bumi Allah ﷻ punya, maka begitu juga dunia dan akhirat. Kita hendak kebaikan pada kedua-duanya seperti kita diajar berdoa seperti di dalam Baqarah: 201

رَبَّنا ءَاتِنَا فِي الدُّنيا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنا عَذابَ النّارِ
“Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami daripada azab neraka”.

Cuma doa ini mestilah diperbetulkan fahamannya. Kita bukannya minta dunia (رَبَّنا ءَاتِنَا الدُّنيا) akan tetapi kita minta ‘kebaikan’ di dalam dunia. Iaitu kita mahu dunia ini menjadi baik untuk kita. Jangan kita dapat dunia yang banyak, tetapi ia merosakkan kita. Berapa ramai yang kita lihat mereka yang mempunyai banyak harta namun lalai kerananya?

Maka yang sebenarnya kita minta dunia kita menjadi baik. Kalau kita ada kereta, supaya kereta itu digunakan untuk kebaikan terutama kebaikan agama – dapat pergi kelas mengajar atau mengajar, berdakwah, mencari rezeki halal. Bukannya membawa kita pergi bermaksiat. Kalau dapat harta yang banyak, supaya kita gunakan untuk infak dan kebaikan-kebaikan lain. Maksudnya, dunia ini ada kebaikan yang membawa kita kepada kebaikan di akhirat. Nah, sila perbetulkan fahaman anda selama hari ini.

Maknanya akhirat itu yang terlebih utama. Dunia ini hanya tempat ujian, hanya tempat untuk mengumpul pahala. Cuma janganlah kejar dunia sampai melupakan langsung akhirat.

Namun begitu, sebaliknya, ada pula yang hanya pandang akhirat sahaja, sampai dunia dilupakan terus. Tidak bekerja, tidak berkeluarga, tidak bercampur gaul dengan masyarakat. Sebab itu Allah ﷻ mengingatkan manusia di dalam Qasas: 77

وَابتَغِ فيما ءآتٰكَ اللهُ الدّارَ الآخِرَةَ ۖ وَلا تَنسَ نَصيبَكَ مِنَ الدُّنيا
Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) duniawi

Ayat ini bukannya menyuruh kita mencari akhirat dan dunia bersama-sama (sama kuat, sama penting). Di dalam ayat ini Allah ﷻ suruh kita cari akhirat. Inilah yang utama. Namun di dalam masa yang sama, jangan lupakan juga dunia. Ramai yang salah faham ayat ini maka akhirat mereka hendak, dunia pun mereka hendak sama rata juga. Tidaklah boleh begitu. Banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang membandingkan dunia dan akhirat dan dunia itu tidak setaraf akhirat.

 

وَوَيلٌ لِّلكٰفِرينَ مِن عَذابٍ شَديدٍ

Dan kecelakaanlah bagi orang-orang kafir kerana seksaan yang sangat keras,

Ini adalah takhwif ukhrawi. Orang kafir adalah mereka yang menutup kebenaran – setelah mereka tahu apakah kebenaran itu. Kepada mereka, kecelakaan yang besar. Kecelakaan ini adalah bagi golongan yang ingkar, tidak mahu menerima kebenaran.

Apakah kecelakaan itu? Ia adalah azab. Azab itu sendiri sudah berat tetapi Allah ﷻ tambah dengan kalimah عَذابٍ شَديدٍ iaitu ada penambahan شَديدٍ pula yang bermaksud keras. Maka ini bukan azab biasa-biasa.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 27 September 2023

Ringkasan Surah Ibrahim


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Surah ar-Ra’d Ayat 32 – 34 (Menghadapi ejekan manusia)

Ra’d Ayat 32: Ini adalah ayat Tasliah (pujukan) pada Nabi ﷺ dan para pendakwah.

وَلَقَدِ استُهزِئَ بِرُسُلٍ مِّن قَبلِكَ فَأَملَيتُ لِلَّذينَ كَفَروا ثُمَّ أَخَذتُهُم ۖ فَكَيفَ كانَ عِقابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And already were [other] messengers ridiculed before you, and I extended the time of those who disbelieved; then I seized them, and how [terrible] was My penalty.

(MALAY)

Dan sesungguhnya telah diperolok-olokkan beberapa rasul sebelum kamu, maka Aku beri tangguh kepada orang-orang kafir itu kemudian Aku binasakan mereka. Alangkah hebatnya seksaan-Ku itu!

 

وَلَقَدِ استُهزِئَ بِرُسُلٍ مِّن قَبلِكَ

Dan sesungguhnya telah diperolok-olokkan beberapa rasul sebelum kamu,

Ini adalah ayat tasliah (pujukan) kepada Nabi Muhammad ﷺ dan para pendakwah. Allah ﷻ hendak beritahu, kalau sekarang baginda diolok-olokkan, dulu pun ramai para Nabi yang telah dihina. Maknanya, bukan Nabi Muhammad ﷺ seorang sahaja yang kena begitu.

Allah ﷻ beri tasliah ini kerana Nabi ﷺ dipersendakan oleh Musyrikin Mekah. Apabila baginda diolok-olokkan, baginda telah bersedih hati dek kerana kata-kata mereka itu yang amat menyakitkan hati. Memang teruk sekali apa yang telah dikatakan kepada Nabi Muhammad ﷺ, dan kalau orang lain, sudah lama berhenti daripada sampaikan wahyu.

Bagaimana ini menjadi pujukan pula? Ia memujuk kita kerana kalau kita tahu ada orang lain kena dugaan sebegitu juga, maka kita pun berasa lega sikit. Tidaklah kita rasa kita sahaja yang kena. Contohnya kalau kita pergi kenduri dan sakit perut kerana makan makanan rosak, tentu kita marah. Akan tetapi kalau kita tahu ada orang lain yang terkena sakit perut juga, psikologi kita berubah dan kita akan berasa kurang sakit.

Lagi satu, apabila Allah ﷻ sebut tentang ejekan yang baginda terima, maka itu bermaksud Dia tahu. Kita akan lebih tenang kalau orang yang kita sayang tahu tentang masalah yang kita hadapi, bukan? Di dalam ayat lain juga Allah ﷻ beritahu dengan lebih jelas yang Dia tahu apa yang baginda lalui seperti di dalam Hijr: 95-98 dan Dia memberi perlindungan kepada baginda.

إِنّا كَفَيناكَ المُستَهزِئينَ
Sesungguhnya Kami memelihara kamu daripada (kejahatan) orang-orang yang memperolok-olokkan (kamu),

الَّذينَ يَجعَلونَ مَعَ اللهِ إِلٰهًا آخَرَ ۚ فَسَوفَ يَعلَمونَ
(Iaitu) orang-orang yang menganggap adanya ilah yang lain di samping Allah; maka mereka kelak akan mengetahui (akibat-akibatnya).

وَلَقَد نَعلَمُ أَنَّكَ يَضيقُ صَدرُكَ بِما يَقولونَ
Dan Kami sungguh-sungguh mengetahui, bahawa dadamu menjadi sempit disebabkan apa yang mereka ucapkan,

فَسَبِّح بِحَمدِ رَبِّكَ وَكُن مِنَ السّاجِدينَ
maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan jadilah kamu di antara orang-orang yang bersujud (solat),

وَاعبُد رَبَّكَ حَتّىٰ يَأتِيَكَ اليَقينُ
dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal).

Ayat-ayat daripada surah Hijr ini amat menarik. Allah ﷻ beritahu yang Dia tahu apa yang sedang dilalui oleh baginda, kemudian Allah ﷻ beri saranan bagaimana menghadapinya. Iaitu jangan layan dan sibukkan diri dengan ibadah kerana kalau dilayan mereka, akan bertambah sakit hati, maka sebaliknya berpalinglah kepada Allah ﷻ. Luangkan masa dengan Allah ﷻ lebih baik dan lebih menenangkan, bukan?

Selain itu, apabila Allah ﷻ beritahu yang para Nabi terdahulu pun telah diejek dan ditolak, maka yang perlu diamalkan oleh Rasulullah ﷺ dan para pendakwah adalah sabar. Kalimah صبِر daripada katadasar ص بِ ر yang bermaksud untuk mengikat; tabah; tetap; bertahan dengan sabar; berpegang teguh pada akal dan perintah; tenang. Maka ada elemen ikat nafsu di sini. Tetap melakukan benda yang baik dan tidak goyang ketika mengalami tekanan dan dugaan.

Dari segi bahasa, الصبر itu adalah الحَبسُ dan المَنعُ. Tahukah apa itu الحبس والمنع? Tidak tahu bukan? Hendak tahu? Sabar, memang hendak beritahu pun. الحَبسُ bermaksud ‘tahan’ dan المَنعُ bermaksud ‘halang’.

Pertamanya tahan diri daripada marah. Apa-apabila berlaku, jangan melenting, tahan perasaan anda. Jangan layan perasaan kerana jika anda marah, maka anda telah kalah dengan syaitan. Ini memerlukan kekuatan seperti yang diriwayatkan daripada Abū Hurayrah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الغَضَبِ
Orang kuat itu bukanlah orang yang kuat bergusti, akan tetapi orang kuat adalah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah.
(Riwayat Bukhārī (6114))

Keduanya, halang tubuh kita sama ada lidah atau anggota yang lain. Lidah jangan laju sahaja untuk menjerit atau memaki orang; jangan tampar muka dan koyakkan baju (perbuatan orang Arab dulu); tangan jangan laju untuk memukul orang, pecahkan barang atau baling pinggan mangkuk. Halang semua itu daripada berlaku.

Begitulah dalam banyak perkara, kita kena sabar. Sabar adalah sikap daripada jiwa yang besar dan terlatih. Iaitu terlatih dengan akhlak-akhlak yang diajar di dalam Al-Qur’an. Hendak sampaikan dakwah kepada umat pun, kena sabar; hendak menegur orang lain, kena sabar; hendak buat amal ibadat pun, kena sabar. Memang sepanjang hidup kita di atas dunia ini kena bersabar sepanjang masa. Kena latih diri untuk terima apa sahaja yang Allah ﷻ kenakan kepada kita.

Sebagaimana para Nabi juga mengalami kesusahan, maka kita pun kena bersabar. Kadang-kadang kita terpaksa menghadapi ejekan, tohmahan, amarah daripada orang lain dan sebagainya. Sebab itu Allah ﷻ sebut tentang sabar di dalam Muzzammil: 10 iaitu antara surah yang awal diturunkan kepada Rasulullah ﷺ semasa baginda memulakan dakwah,

وَاصبِر عَلىٰ ما يَقولونَ وَاهجُرهُم هَجرًا جَميلًا
Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu daripada mereka dengan cara yang baik.

Surah Muzzammil ini adalah surah terawal yang diturunkan kepada Rasulullah ﷺ apabila baginda dilantik menjadi Rasul. Maknanya dari peringkat permulaan lagi baginda sudah disuruh bersabar kerana baginda memang akan sakit telinga menadah kata-kata buruk daripada para penentang. Ini sama sahaja dengan kita kalau kita menjalankan kerja dakwah. Memang akan ada penentang dan bahasa mereka memang macam air longkang. Namun pekakkan sahaja telinga kerana inilah ujian bagi para pendakwah.

Soalan: bilakah perlu sabar? Ia hendaklah bermula sejak pertama kali ia berlaku. Kita selalunya melenting apabila sesuatu yang kita tidak suka terjadi, bukan? Namun dua tiga hari selepas itu barulah datang sabar. Ini tidak dikira sabar kerana itu adalah perkara normal bagi manusia (lama kelamaan apabila sudah terima hakikat, memang semua orang akan jadi sabar). Akan tetapi itu tidak dikira sebenarnya kerana Rasulullah ﷺ beritahu kita yang sabar itu dari mula-mula lagi,

عَنْ أَنَسٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الصَّبْرُ فِي الصَّدْمَةِ الْأُولَى
Daripada [Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Kesabaran itu ada pada saat pertama kali tertimpa (musibah) “.
(Sahih Bukhari (908))

Oleh itu sekiranya baru bersabar setelah lama masa berlalu, itu bukannya kerana Allah ﷻ lagi, tetapi kebiasaan manusia. Ia tidaklah mencabar sangat kalau sabar setelah lama ujian itu berlalu maka ia bukanlah sesuatu hebat sangat. Maka golongan Ulul Albaab akan terus sabar dari mula lagi kerana mereka hendak mencari redha Allah ﷻ. Mereka tahu yang Allah ﷻ suka kalau hamba-Nya sabar dengan melakukan taat dan sabar dalam menghadapi ujian daripada-Nya. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Qalam: 48 tentang contoh orang yang tidak sabar,

فَاصبِر لِحُكمِ رَبِّكَ وَلا تَكُن كَصاحِبِ الحوتِ إِذ نادىٰ وَهُوَ مَكظومٌ
Maka bersabarlah kamu (hai Muhammad) terhadap ketetapan Tuhanmu, dan janganlah kamu seperti orang yang berada dalam (perut) ikan ketika dia berdoa sedang dia dalam keadaan marah (kepada kaumnya).

Yang dimaksudkan adalah Nabi Yunus عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang tidak sabar dengan penolakan kaumnya. Maka ia menjadi contoh bagi kita untuk bersabar kerana Allah ﷻ. Kerana sabar itu kalau bukan kerana Allah ﷻ, ia tidaklah mendapat pahala.

 

فَأَملَيتُ لِلَّذينَ كَفَروا ثُمَّ أَخَذتُهُم

maka Aku beri tangguh kepada orang-orang kafir itu kemudian Aku binasakan mereka.

Mereka yang memperolok-olokkan Nabi itu tidak terus dikenakan azab. Tidaklah mereka itu ejek dan kutuk Nabi sahaja terus disambar petir. Kalimah أَملَي daripada katadasar م ل و yang bermaksud membuat sesiapa sahaja menikmati apa-apa dalam masa yang lama; memanjangkan tali kendali; memberi harapan palsu; berikan masa yang cukup untuk bertaubat; memberi tangguh; tahan lama; ruang masa; untuk seketika; sementara waktu.

Maknanya Allah ‎ﷻ lewatkan azab bagi mereka. Mereka itu memang patut sudah dikenakan dengan azab akan tetapi Allah ﷻ sengaja panjangkan umur mereka, biar mereka buat apa yang mereka hendak buat. Allah ﷻ tangguhkan azab untuk mereka dan Allah ﷻ tidak terus beri azab, tidak terus matikan mereka. Ini juga ujian bagi Rasulullah dan para sahabat kerana mereka kena tahan dan sabar dengan kerenah para penentang itu.

Namun kenapa Allah ﷻ beri tangguh?

1. Kerana Allah ﷻ beri peluang untuk mereka bertaubat. Ramai para penentang Nabi Muhammad ﷺ yang akhirnya beriman seperti Abu Sufyan, Khalid al Walid dan ramai lagi. Seandainya Allah ﷻ terus berikan azab, maka tentulah orang-orang yang hebat sebegini tidak ada peluang. Kita pun Allah ﷻ telah beri tangguh, bukan? Kalau dulu kita buat syirik dan maksiat dan Allah ﷻ terus azab, bagaimana?

2. Allah ﷻ tahu bila masa yang sesuai untuk kenakan azab kepada mereka. Ini Allah ﷻ sahaja yang tahu maka kita serahkan kepada Allah ﷻ. Ada yang Allah ﷻ azab semasa mereka di dunia lagi dan ada yang Allah ﷻ tangguhkan sampai ke akhirat. Sebagai contoh, Allah ﷻ boleh sahaja musnahkan Firaun apabila dia terus menolak Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Akan tetapi Allah ﷻ beri tempoh masa yang lama, kerana Allah ﷻ hendak matikan Firaun dan pengikutnya beramai-ramai dalam laut.

Maka kita yang tidak dikenakan dengan azab lagi ini, jangan gembira sangat kerana mungkin Allah ﷻ belum tentukan bila kita akan diazab. Ini amat menakutkan sekali kerana entah-entah azab yang menunggu kita.

3. Kerana Allah ﷻ hendak mengazab mereka cukup-cukup. Allah ﷻ biarkan sahaja mereka mengumpul dosa mereka banyak-banyak – semakin panjang umur, semakin banyak dosa yang mereka buat. Kemudian bila sudah mati, baru Allah ﷻ kenakan azab seksa kepada mereka. Sampai masa, mereka akan dikenakan dengan azab yang amat teruk sekali. Kerana umur mereka panjang, maka mereka menambah-nambah dosa dan Allah ﷻ akan kenakan azab yang lebih teruk.

 

فَكَيفَ كانَ عِقابِ

Alangkah hebatnya seksaan-Ku itu!

Alangkah teruknya azab itu. Tidak dapat dibayangkan.

Ini juga tasliah kepada Nabi dan para pendakwah. Kalau kita tahu golongan penentang itu akan mendapat balasan atas perbuatan mereka, maka kita pun berasa tenang sedikit. Tidaklah kita marah sangat kerana kita tahu yang Allah ﷻ adil dan akan beri balasan yang setimpal kepada mereka.

 


 

Ra’d Ayat 33: Ayat tanbih yang ke sepuluh. Ini adalah ayat perbandingan.

أَفَمَن هُوَ قائِمٌ عَلىٰ كُلِّ نَفسٍ بِما كَسَبَت ۗ وَجَعَلوا لِلهِ شُرَكاءَ قُل سَمّوهُم ۚ أَم تُنَبِّئونَهُ بِما لا يَعلَمُ فِي الأَرضِ أَم بِظٰهِرٍ مِّنَ القَولِ ۗ بَل زُيِّنَ لِلَّذينَ كَفَروا مَكرُهُم وَصُدّوا عَنِ السَّبيلِ ۗ وَمَن يُضلِلِ اللهُ فَما لَهُ مِن هادٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then is He who is a maintainer of every soul, [knowing] what it has earned, [like any other]? But to Allāh they have attributed partners. Say, “Name them. Or do you inform Him of that¹ which He knows not upon the earth or of what is apparent [i.e., alleged] of speech?”² Rather, their [own] plan has been made attractive to those who disbelieve, and they have been averted from the way. And whomever Allāh leaves astray – there will be for him no guide.

  • i.e., other “deities.”
  • i.e., your attributing of divinity to other than Allāh.

(MALAY)

Maka apakah Tuhan yang menjaga setiap diri terhadap apa yang diperbuatnya (sama dengan yang tidak demikian sifatnya)? Mereka menjadikan beberapa sekutu bagi Allah. Katakanlah: “Sebutkanlah nama-nama mereka itu”. Apakah kamu hendak memberitakan kepada Allah apa yang tidak diketahui-Nya di bumi, atau kamu mengatakan (tentang hal itu) sekadar perkataan pada lahirnya sahaja? Sebenarnya orang-orang kafir itu dijadikan (oleh syaitan) memandang baik tipu daya mereka dan dihalanginya dari jalan (yang benar). Dan barangsiapa yang disesatkan Allah, maka baginya tak ada seorang pun yang akan memberinya petunjuk.

 

أَفَمَن هُوَ قائِمٌ عَلىٰ كُلِّ نَفسٍ بِما كَسَبَت

Maka apakah Dia yang menjaga setiap jiwa terhadap apa yang diperbuatnya

Allah ﷻ mengingatkan Musyrikin Mekah yang Dia sentiasa memerhatikan perilaku dan amalan mereka. Allah ﷻ catat semua yang mereka lakukan dan semua itu akan dibalas nanti. Tidakkah mereka takut? Adakah mereka sangka Allah ﷻ akan biarkan sahaja apa yang mereka lakukan itu?

Kalimah قائِمٌ juga bermaksud Allah ﷻ yang mencipta dan menjaga mereka selama hari ini. Mereka hidup pun kerana Allah ﷻ, kekal hidup pun kerana Allah ﷻ. Apabila mereka melakukan syirik dan menolak tauhid, maka amat teruklah kerana mereka menentang Tuhan yang telah banyak berjasa kepada mereka.

Kalau kita baca, kita boleh lihat bahawa ayat ini bukan ayat yang penuh. Maknanya Allah ﷻ beri persoalan perbandingan kepada mereka: adakah sama Allah ﷻ seperti sembahan-sembahan dan ilah-ilah mereka yang tidak ada sifat seperti itu? Tentu tidak sama. Hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu segala perkara yang kita semua lakukan. Ini banyak sekali disebut dalam Al-Qur’an, contohnya:

وَمَا مِنْ دَابَّةٍ فِي الأرْضِ إِلا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُبِينٍ
Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allahlah yang memberi rezeki-nya, dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpanannya. Semuanya tertulis dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfuz). (Hud: 6)

Maka apakah Tuhan yang memiliki sifat tersebut sama dengan berhala-berhala dan ilah-ilah yang mereka sembah, padahal berhala-berhala itu tidak dapat mendengar, tidak dapat melihat, tidak berakal, dan tidak memiliki manfaat buat dirinya sendiri, tidak pula buat para penyembahnya; dan tidak dapat melenyapkan mudarat daripada dirinya, tidak pula daripada diri para pengabdinya? Begitu juga dengan ilah-ilah, roh-roh yang sembah dan minta tolong itu (Nabi, wali dan malaikat), adakah mereka ada sifat sama seperti Allah ﷻ?

Tentu tidak. Inilah jawapannya bagi soalan dengan kalimah من (siapa) di atas. Kalau hendak memuja selain Allah ﷻ pun, sekurang-kurangnya yang disembah itu dapatlah memberi bantuan dan perlindungan kepada mereka, bukan? Akan tetapi semuanya tidak boleh dilakukan oleh yang disembah itu.

Allah ﷻ tanya mereka sepatah: Adakah mereka tidak mahu beriman kepada Dzat yang tahu segala apa yang mereka lakukan? Beranikah mereka tidak mahu beriman kepada Allah ﷻ yang berkuasa penuh terhadap segala jiwa?

 

وَجَعَلوا لِلهِ شُرَكاءَ

Mereka menjadikan sekutu-sekutu bagi Allah. 

Mereka masih ingkar, masih tetap juga berbuat syirik terhadap Allah ﷻ. Kalimah شُرَكاءَ dalam bentuk jamak kerana banyak benda yang mereka sembah selain Allah ﷻ. Mereka masih lagi seru sekutu-sekutu lain dalam sembahan dan dalam doa mereka. Ini adalah satu perkara yang amat pelik. Kenapakah lagi mereka mahu meminta kepada selain Allah ﷻ?

Ini tidak lain tidak bukan kerana mereka jahil. Begitu jugalah dengan masyarakat kita yang jahil tentang Tauhid dan tentang Syirik. Ramai sekali yang melakukan amalan syirik kerana mereka tidak sedar yang itu adalah perbuatan syirik.

 

قُل سَمّوهُم

Katakanlah: “Sebutkanlah nama-nama mereka itu”.

Allah ﷻ suruh golongan musyrik itu panggil ilah-ilah yang mereka seru itu. Lihat ada datang atau tidak? Ada sahut atau tidak? Boleh tolong atau tidak? Tentulah tidak. Yang diseru itu pun tidak tahu yang mereka diseru. Ini seperti bertepuk sebelah tangan sahaja.

Atau, Allah ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ cabar mereka: beritahu nama-nama ilah mereka. Beritahulah nama mereka, berserta sifat yang mereka ada-adakan itu. Ceritakanlah dari mana mereka, apa sejarah mereka, bagaimana boleh diangkat menjadi tuhan, menjadi sembahan, menjadi wasilah untuk menyampaikan doa.

Memang kalau kita lihat sembahan-sembahan manusia, mereka reka bermacam-macam sifat kepada ilah-ilah itu; yang ini boleh beri anak, yang ini tunjuk jalan di muka bumi supaya tidak sesat, yang ini boleh beri rezeki, dan lain-lain lagi. Semua itu adalah rekaan semata-mata kerana semua kisah itu tidak ada dalilnya. Memang akan gagap kalau mereka mahu ceritakan semula.

 

أَم تُنَبِّئونَهُ بِما لا يَعلَمُ فِي الأَرضِ

Apakah kamu hendak memberitahu kepada Allah apa yang tidak diketahui-Nya di bumi,

Allah ﷻ perli mereka: Adakah mereka mahu beritahu benda yang tidak ada dalam dunia ini? Kamu benar yakin ada tuhan lain lagikah yang beritahu maklumat-maklumat ini? Adakah kamu mahu mengajar Allah ﷻ pula? Adakah kamu mahu mengajar benda yang Dia tidak tahu? Entah-entah ada benda yang Allah ﷻ tidak tahu? Entah-entah Allah ﷻ tidak tahu ada ilah lain selain Dia? Berani kamu berkata begitu dengan Allah ﷻ?

Terjemah kedua: Adakah kamu mahu beritahu Allah ﷻ, sesuatu yang kamu seru sedangkan yang kamu seru itu tidak tahu pun? Sebagai contoh, mereka minta pertolongan kepada wali yang telah mati untuk sampaikan hajat mereka kepada Allah ﷻ. Sedangkan wali-wali itu sendiri tidak dengar dan tidak tahu pun permintaan mereka yang meminta itu (kerana wali-wali itu sudah mati). Memang mereka tidak tahu pun apa yang berlaku di muka bumi.

 

أَم بِظٰهِرٍ مِّنَ القَولِ

atau kamu mengatakan sekadar perkataan pada lahirnya saja.

Adakah dakwaan mereka itu benar atau itu hanya kata-kata mereka sahaja? Rekaan mereka sahaja? Hanya hendak menzahirkan perkara yang memang tidak ada hakikat. Memang rekaan mereka itu tidak ada hakikat pun. Mana ada ilah yang lain melainkan itu lafaz zahir mereka sahaja. Mereka dapat itu pun daripada tok nenek mereka dan tok nenek mereka itu dapat daripada bisikan syaitan sahaja.

Sama sahaja seperti ajaran-ajaran sesat di negara kita ini. Semua perkara yang tidak ada dalil, hanya menggunakan kata-kata manusia sahaja. Ini seperti yang disebut di dalam ayat lain,

إِنْ هِيَ إِلا أَسْمَاءٌ سَمَّيْتُمُوهَا أَنْتُمْ وَآبَاؤُكُمْ مَا أَنزلَ اللَّهُ بِهَا مِنْ سُلْطَانٍ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلا الظَّنَّ وَمَا تَهْوَى الأنْفُسُ وَلَقَدْ جَاءَهُمْ مِنْ رَبِّهِمُ الْهُدَى
Itu tidak lain hanyalah nama-nama yang kalian dan bapa-bapa kalian ada-adakannya; Allah tidak menurunkan suatu keterangan pun untuk (menyembah)nya. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti sangkaan-sangkaan, dan apa yang diingini oleh hawa nafsu mereka, dan sesungguhnya telah datang petunjuk kepada mereka daripada Tuhan mereka.
(An-Najm: 23)

 

بَل زُيِّنَ لِلَّذينَ كَفَروا مَكرُهُم

Sebenarnya dicantikkan bagi orang-orang kafir itu tipu daya mereka

Walaupun tidak ada dalil, namun mereka masih juga membuat amalan dan pemujaan yang sesat itu. Ini adalah kerana kesalahan mereka telah ‘dicantikkan’ kepada mereka. Iaitu diperlihatkan indah pada pandangan mereka oleh syaitan. Sedangkan itu adalah khayalan mereka sahaja. Ini adalah kerana syaitan telah mengelabui mata mereka.

Makna ayat ini sama dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya Fussilat: 25:

وَقَيَّضنا لَهُم قُرَناءَ فَزَيَّنوا لَهُم مّا بَينَ أَيديهِم وَما خَلفَهُم
Dan Kami adakan untuk mereka teman-teman rapat (daripada jin dan manusia), lalu teman-teman itu memperhiaskan kepada mereka (fahaman-fahaman sesat) mengenai perkara-perkara dunia yang ada di hadapan mereka, serta perkara-perkara lepas yang di belakang mereka;

 

وَصُدّوا عَنِ السَّبيلِ

dan dihalanginya dari jalan

Oleh kerana itulah mereka nampak amalan mereka indah dan baik, maka mereka telah dijauhkan dari jalan Allah ﷻ. Mereka terhalang dari jalan yang benar, kerana mereka nampak amalan syirik dan kufur mereka itu benar.

Bukan sahaja Musyrikin Mekah ada masalah itu, tetapi dalam kalangan masyarakat Muslim kita ada juga masalah ini. Ramai yang mengamalkan amalan syirik dan bid’ah kerana mereka jahil wahyu. Mereka rasa dan sangka yang perbuatan mereka itu benar dan molek – kerana telah diamalkan turun temurun; ada dalam kitab itu dan ini; diajar oleh ‘ustaz’, ‘tok guru’; amalan itu menjadi; dan macam-macam lagi alasan mereka. Lebih-lebih lagi di era ledakan medsos ini berbagai amalan bercampur aduk mudah sangat tersebar. Ada yang benar ada yang jauh daripada kebenaran, tambahan disebarkan oleh pempengaruh serta selebriti popular tanahair. Ramai pengikut hanya membabi buta sahaja mengikut amalan yang disebarkan itu. Maka bertambah ramai tertipu dengan amalan syirik dan bid’ah yang disangka benar. Mereka telah ditipu oleh syaitan tetapi mereka tidak sedar.

 

وَمَن يُضلِلِ اللهُ فَما لَهُ مِن هادٍ

Dan barangsiapa yang disesatkan Allah, maka baginya tak ada seorang pun yang akan memberi petunjuk.

Oleh kerana mereka telah menutup pintu hati mereka kepada kebenaran, maka Allah ﷻ telah buat keputusan untuk menutup terus hati mereka daripada menerima hidayah. Ini dinamakan Khatmul Qalbi (penutupan hati). Sesiapa yang Allah ﷻ sesatkan, tidak akan ada yang boleh jadi petunjuk untuk mereka.

Mereka akan terus sahaja dalam kesesatan. Tidak ada sesiapa pun yang boleh beri hidayah kepada mereka lagi. Dakwah dan ajar lah bagaimana sekalipun, mereka tidak akan terima. Tentunya ini amat menakutkan sekali seandainya terjadi kepada diri kita, keluarga kita atau sesiapa sahaja yang kita kenal.

Akan tetapi kita jangan salah faham pula. Allah ﷻ sesatkan orang yang pasti sesat itu adalah kerana mereka tidak mengambil berbagai-bagai peluang yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka. Oleh kerana mereka banyak menentang, maka baru Allah ﷻ membuat keputusan untuk tutup hati mereka daripada menerima kebenaran. Ini kita telah sentuh tentang Khatmul Qalbi dalam perbincangan-perbincangan yang lepas.

Ini penting kerana ramai yang keliru. Mereka kata Allah ﷻ yang sesatkan mereka, Allah ﷻ tidak beri hidayah kepada mereka, maka bukan salah mereka, Allah ﷻ yang salah! Subhanallah! Ini amat jahil sekali kerana baca terjemahan tanpa belajar, dan baca satu ayat sahaja sudah buat keputusan yang melulu. Sedangkan Allah ﷻ bukan sewenang-wenangnya menyesatkan manusia. Yang Allah ﷻ sesatkan adalah kerana manusia itu sendiri yang pilih kesesatan. Ini disebut di dalam ayat-ayat lain. Sebab itulah kita kena belajar keseluruhan tafsir 30 juzuk supaya tidak keliru sebegini rupa! Allah ﷻ sebut di dalam Saf: 5

فَلَمّا زاغوا أَزاغَ اللَّهُ قُلوبَهُم ۚ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ
Maka tatkala mereka berpaling (daripada kebenaran), Allah memalingkan hati mereka; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.

Maknanya Allah ﷻ sesatkan manusia yang telah berpaling daripada kebenaran. Mereka sendiri yang pilih untuk menjadi sesat, maka Allah ﷻ teruskan kehendak mereka itu. Ini kerana Allah ﷻ tidak memaksa manusia untuk beriman. Manusia ada pilihan sendiri seperti yang Allah ﷻ sebut dalam Kahf: 29

وَقُلِ الحَقُّ مِن رَّبِّكُم ۖ فَمَن شاءَ فَليُؤمِن وَمَن شاءَ فَليَكفُر
Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang daripada Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”.

Manusia yang diberikan dengan hidayah adalah manusia yang mahukan kebenaran. Dia mungkin tidak dilahirkan dalam keluarga orang beriman, tetapi mereka pilih untuk beriman dan membersihkan hati mereka daripada kesyirikan seperti disebut dalam Syams: 8-10 maka mereka itulah yang beruntung.

فَأَلهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقوَٮٰهَا
serta Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya.

قَد أَفلَحَ مَن زَكَّٮٰهَا
sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu,

وَقَد خَابَ مَن دَسَّٮٰهَا
dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.

Oleh itu, di sini kita tahu bahawa keimanan itu terpulang kepada diri sendiri. Jangan memandai hendak salahkan Allah ﷻ pula. Jangan lagi keliru tentang perkara ini. Belajarlah tafsir Al-Qur’an sampai pandai.


 

Ra’d Ayat 34: Takhwif duniawi dan ukhrawi

لَّهُم عَذابٌ فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا ۖ وَلَعَذابُ الآخِرَةِ أَشَقُّ ۖ وَما لَهُم مِّنَ اللهِ مِن واقٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For them will be punishment in the life of [this] world, and the punishment of the Hereafter is more severe. And they will not have from Allāh any protector.

(MALAY)

Bagi mereka azab dalam kehidupan dunia dan sesungguhnya azab akhirat adalah lebih keras dan tak ada bagi mereka seorang pelindung pun dari (azab) Allah.

 

لَّهُم عَذابٌ فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا

Bagi mereka azab dalam kehidupan dunia

Di dunia lagi mereka akan dikenakan azab seperti musibah-musibah yang sesekali dikenakan kepada mereka. Antaranya Musyrkin Mekah itu akan dikalahkan dalam perang. Yakni melalui tangan orang-orang mukmin, ada yang dibunuh, ada pula yang ditawan.

 

وَلَعَذابُ الآخِرَةِ أَشَقُّ

dan sesungguhnya azab akhirat adalah lebih keras

Musibah yang menimpa di dunia itu memang sudah teruk tetapi seksaan di akhirat lagi teruk. أَشَقُّ bermaksud azab yang tidak sanggup ditanggung kerana terlampau teruk. Memang mereka tidak akan sanggup untuk menanggung azab itu.

Sebenarnya azab yang dikenakan itu, kalau makhluk dunia kena, sepatutnya sudah mati, tetapi Allah ﷻ tidak matikan mereka yang dikenakan azab dalam neraka itu. Maknanya, mereka dikenakan dengan azab yang teruk dan patut sudah mati, tetapi tidak mati-mati. Alangkah teruknya! Kerana kalau mati, sekali sahaja diazab, maka Allah ﷻ tidak mati-matikan mereka. Ini kerana tubuh badan ahli neraka telah dinaiktaraf: mereka rasa sakit azab itu, tetapi mereka tidak mati.

 

وَما لَهُم مِّنَ اللهِ مِن واقٍ

dan tak ada bagi mereka seorang pelindung pun dari Allah.

Iaitu tidak ada pelindung daripada azab Allah ﷻ. Di akhirat kelak, tidak akan sesiapa yang boleh membantu menyelamatkan mereka. Kalau di dunia, mereka mungkin ada banyak kawan, banyak pengikut yang boleh bantu dan selamatkan mereka, tetapi tidak akan ada di akhirat kelak.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 22 September 2023

Ringkasan Surah Ra’d


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Tafsir Surah ar-Ra’d Ayat 30 – 31 (Permintaan Mukjizat Musyrikin Mekah)

Ra’d Ayat 30: Bermula ayat ini sehingga ke hujung surah ini (ayat 43) adalah Perenggan Makro ke 3. Ia menceritakan kesudahan kepada mereka yang beriman. Pertamanya Allah ﷻ beri semangat kepada Rasulullah ﷺ.

كَذٰلِكَ أَرسَلنٰكَ في أُمَّةٍ قَد خَلَت مِن قَبلِها أُمَمٌ لِّتَتلُوَ عَلَيهِمُ الَّذي أَوحَينا إِلَيكَ وَهُم يَكفُرونَ بِالرَّحمٰنِ ۚ قُل هُوَ رَبّي لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ عَلَيهِ تَوَكَّلتُ وَإِلَيهِ مَتابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Thus have We sent you to a community before which [other] communities have passed on so you might recite to them that which We revealed to you, while they disbelieve in the Most Merciful. Say, “He is my Lord; there is no deity except Him. Upon Him I rely, and to Him is my return.”

(MALAY)

Demikianlah, Kami telah mengutus kamu pada suatu umat yang sungguh telah berlalu beberapa umat sebelumnya, supaya kamu membacakan kepada mereka (Al Qur’an) yang Kami wahyukan kepadamu, padahal mereka kafir kepada Tuhan Yang Maha Pemurah. Katakanlah: “Dialah Tuhanku tidak ada Tuhan selain Dia; hanya kepada-Nya aku bertawakal dan hanya kepada-Nya aku pulang”.

 

كَذٰلِكَ أَرسَلنٰكَ في أُمَّةٍ

Demikianlah, Kami telah mengutus kamu pada suatu umat

Kalimah كَذٰلِكَ dalam ayat ini boleh diterjemahkan begini: “bagi kesempurnaan itulah”. Untuk mencapai kesempurnaan agama ini, Allah ﷻ telah memilih Nabi Muhammad ﷺ sebagai Rasul untuk umat akhir zaman. Kita sekarang inilah umat Nabi Muhammad ﷺ yang juga umat akhir zaman. Tidak ada lagi umat selepas kita.

 

قَد خَلَت مِن قَبلِها أُمَمٌ

sungguh telah berlalu beberapa umat sebelumnya, 

Sudah ada banyak umat sebelum Nabi Muhammad ﷺ dan umat baginda. Memang kita umat yang terakhir dan tentunya entah berapa banyak umat sebelum kita yang telah berlalu zaman berzaman. Oleh itu, kita kena belajar daripada apa yang telah dilakukan oleh umat-umat terdahulu.

Ramai daripada mereka itu dulu yang telah kufur. Walaupun mereka sudah mendapat rahmat daripada Allah ﷻ, namun mereka masih tidak beriman juga. Maka Allah ﷻ mengambil semula rahmat daripada mereka. Maknanya, rahmat boleh diberi dan boleh ditarik balik.

 

لِّتَتلُوَ عَلَيهِمُ الَّذي أَوحَينا إِلَيكَ

supaya kamu membacakan kepada mereka (Al Qur’an) yang Kami wahyukan kepadamu, 

Rasulullah ﷺ telah dibekalkan dengan Al-Qur’an ini. Tujuan Nabi Muhammad ﷺ diutuskan kepada umat ini adalah untuk menyampaikan wahyu Al-Qur’an kepada mereka. Lihatlah Allah ﷻ sebut Al-Qur’an dan berkali-kali disebut tentang Al-Qur’an. Ini adalah kerana ia adalah sumber ilmu utama yang kita ada. Namun malangnya ramai yang buat tidak tahu sahaja tentang ilmu pengajian tafsir Al-Qur’an. Maka ramai yang setakat baca sahaja Al-Qur’an ini, tetapi tidak memahaminya.

 

وَهُم يَكفُرونَ بِالرَّحمٰنِ

padahal mereka kafir kepada Tuhan Yang Maha Pemurah. 

Golongan musyrik itu bukan tidak kenal Allah ﷻ, tetapi bila disebut nama ar-Rahman, mereka buat-buat tidak tahu. Mereka kata: “Beritahu kami siapakah ar-Rahman itu? Sebab kami tak kenal.” Allah ﷻ menggunakan nama-Nya ar-Rahman untuk mengingatkan semua manusia bahawa Dialah yang telah memberikan segala macam nikmat kepada makhluk. Mereka kenal nama Allah ﷻ, sekarang diberitahu yang Dialah juga ar-Rahman.

Musyrikin Mekah menolak penyebutan Allah ﷻ dengan sifat Rahman dan Rahim-Nya. Dalam perjanjian Hudaibiyah mereka menolak menulis kalimat Bismillahir Rahmanir Rahim, dan mereka mengatakan, “Kami tidak mengenal Rahman dan Rahim” Demikianlah yang dikatakan oleh Qatadah, sedangkan hadith mengenainya berada di dalam kitab Sahih Bukhari. Padahal Allah ﷻ telah berfirman di dalam Kitab-Nya:

قُلِ ادْعُوا اللَّهَ أَوِ ادْعُوا الرَّحْمَنَ أَيًّا مَا تَدْعُوا فَلَهُ الأسْمَاءُ الْحُسْنَى
Katakanlah, “Serulah Allah, atau serulah Ar-Rahman. Dengan nama yang mana saja kalian seru, Dia mempunyai al-asma-ul husna (nama-nama yang terbaik).
(Al-Isra: 110)

 

قُل هُوَ رَبّي لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ

Katakanlah: “Dialah Tuhanku tidak ada Tuhan selain Dia; 

Allah ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ beritahu umat yang selain Allah ﷻ, tidak ada ilah lain, tidak ada tempat harapan lain lagi. Ini adalah ayat tauhid yang mengingatkan kita bahawa tidak boleh memuja selain Dia. Maka jangan berputus asa dalam dakwah. Apabila ada penolakan, jangan hiraukan mereka, teruskan kerja!

Kesimpulannya di dalam ayat ini tergabung tiga rukun Tauhid iaitu Tauhid Rububiyyah (رَبّي), Uluhiyyah (لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ) dan Asma wa Sifat (الرَّحمٰنِ).

 

عَلَيهِ تَوَكَّلتُ

hanya kepada-Nya aku bertawakal 

Beritahu kepada umat baginda yang hanya kepada Allah ﷻ sahaja baginda menyerah diri dan bertawakal. Maka umat baginda pun kena juga ikut baginda tawakal hanya kepada Allah ﷻ sahaja.

Ini mengingatkan kita supaya bertawakal kepada Allah ﷻ kalau kita benar-benar beriman. Tidak ada cara lain. Kita hendaklah berharap kepada Allah ﷻ sahaja. Hendaklah mereka serahkan semua urusan kita kepada Allah ﷻ. Memang inilah sifat tawakal yang semua orang beriman kena ada kerana kita adalah makhluk yang lemah. Formula untuk tawakal telah disebut di dalam Ahzab: 22.

وَلَمّا رَءَا المُؤمِنونَ الأَحزابَ قالوا هٰذا ما وَعَدَنَا اللهُ وَرَسولُهُ وَصَدَقَ اللهُ وَرَسولُهُ ۚ وَما زادَهُم إِلّا إيمٰنًا وَتَسليمًا
Dan tatkala orang-orang mukmin melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata: “Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita”. Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. Dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali iman dan ketundukan.

Kita boleh belajar betapa hebatnya tawakal Rasulullah ﷺ kepada Allah ﷻ seperti disebut di dalam satu hadis,

أَنَّ جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَخْبَرَ أَنَّهُ غَزَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قِبَلَ نَجْدٍ فَلَمَّا قَفَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَفَلَ مَعَهُ فَأَدْرَكَتْهُمْ الْقَائِلَةُ فِي وَادٍ كَثِيرِ الْعِضَاهِ فَنَزَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتَفَرَّقَ النَّاسُ يَسْتَظِلُّونَ بِالشَّجَرِ فَنَزَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَحْتَ سَمُرَةٍ وَعَلَّقَ بِهَا سَيْفَهُ وَنِمْنَا نَوْمَةً فَإِذَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدْعُونَا وَإِذَا عِنْدَهُ أَعْرَابِيٌّ فَقَالَ إِنَّ هَذَا اخْتَرَطَ عَلَيَّ سَيْفِي وَأَنَا نَائِمٌ فَاسْتَيْقَظْتُ وَهُوَ فِي يَدِهِ صَلْتًا فَقَالَ مَنْ يَمْنَعُكَ مِنِّي فَقُلْتُ اللَّهُ ثَلَاثًا وَلَمْ يُعَاقِبْهُ وَجَلَسَ
Bahawa [Jabir bin ‘Abdullah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] mengabarkan bahawa dia berangkat berperang bersama Rasulullah ﷺ melewati Najd. Ketika Rasulullah ﷺ kembali dan Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا pun ikut kembali, mereka menjumpai sungai di bawah lembah yang banyak pepohonannya. Maka Rasulullah ﷺ turun dan orang-orang pun bertebaran mencari tempat berteduh di bawah pohon. Dan Rasulullah ﷺ singgah berteduh di bawah suatu pohon lalu menggantungkan pedang baginda pada pohon tersebut kemudian baginda tidur sejenak. Ketika Rasulullah ﷺ memanggil kami, di hadapan baginda ada seorang lelaki Badwi. Baginda berkata: “Orang ini telah mengambil pedangku ketika aku tidur lalu aku bangun sedang tangannya sudah memegang pedang yang terhunus lalu dia berkata: “Siapa yang dapat melindungimu daripadaku?” Aku jawab: “Allah” sebanyak tiga kali. Maka orang itu tidak dapat berbuat apa-apa kepada baginda lalu dia terduduk lemah.
(Sahih Bukhari (2694))

Maka kita diajar untuk membiasakan diri ingat kepada tawakal. Maka satu amalan yang boleh mengingatkan kita adalah zikir yang dibaca ketika keluar rumah,

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا خَرَجَ الرَّجُلُ مِنْ بَيْتِهِ فَقَالَ بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ قَالَ يُقَالُ حِينَئِذٍ هُدِيتَ وَكُفِيتَ وَوُقِيتَ فَتَتَنَحَّى لَهُ الشَّيَاطِينُ فَيَقُولُ لَهُ شَيْطَانٌ آخَرُ كَيْفَ لَكَ بِرَجُلٍ قَدْ هُدِيَ وَكُفِيَ وَوُقِيَ
Dari [Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] bahawa Nabi ﷺ bersabda: “Jika seorang laki-laki keluar dari rumahnya lalu mengucapkan: ‘BISMILLAHI TAWAKKALTU ‘ALAALLAHI LAA HAULA WA LAA QUWWATA ILLA BILLAH (Dengan nama Allah aku bertawakal kepada Allah, tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan izin Allah). ‘ Beliau bersabda: “Maka pada saat itu akan dikatakan kepadanya, ‘Kamu telah mendapat petunjuk, telah diberi kecukupan dan mendapat penjagaan’, hingga syaitan-syaitan menjauh darinya. Lalu syaitan yang lainnya berkata, “Bagaimana (engkau akan menggoda) seorang laki-laki yang telah mendapat petunjuk, kecukupan dan penjagaan.”
(Sunan Abi Dawud (4431))
Status: Sahih

Maka amalkan doa ini dan faham maksudnya apabila anda membacanya. Kalau selalu dilakukan, maka anda akan mendapat pertolongan dan perlindungan daripada Allah ﷻ. Ia juga akan mengingatkan anda kepada tawakal kerana setiap kali hendak keluar, anda akan menyebutnya.

Bukan itu sahaja, kita haruslah faham apa maksud tawakal. Bukan setakat menyerah sahaja urusan kita kepada Allah ﷻ. Akan tetapi kena ada usaha, kemudian serah kepada Allah ﷻ, dan selepas itu apa-apa sahaja keputusan Allah ﷻ berikan kepada kita, kita kena redha. Janganlah pula kata tawakal, tetapi apabila Allah ﷻ buat keputusan yang kita tidak suka, kita marah pula.

Maknanya kita buat yang terbaik dan kemudian kita serah keputusan akhirnya kepada Allah ﷻ. Kerana kita hanya boleh berusaha sahaja dan kesannya nanti terpulang kepada Allah ﷻ. Namun pastikan ada usaha, bukannya serah kosong sahaja. Ini disebut di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi ﷺ bersabda:

لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصاً وَتَرُوحُ بِطَاناً
“Seandainya kamu semua benar-benar bertawakal pada Allah, sungguh Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.”
(Riwayat Ahmad (1/30), al-Tirmizi (2344), Ibn Majah (4164), Ibn Hibban (730) dan al-Hakim (7894))

Makna daripada hadith ini, kena keluar dan berusaha, bukannya tunggu rezeki di rumah sahaja. Oleh itu umat Islam kena jalankan usaha dengan cara terbaik yang kita boleh lakukan, gunakan segala strategi yang kita ada, segala taktik dan teknik yang ada, kemudian setelah kita lakukan, kita serah kepada Allah ‎ﷻ. Melalui sirah pun kita tahu bagaimana berbagai usaha dan strategi yang digunakan oleh Rasulullah ﷺ sebelum berperang dan semasa berperang. Rasulullah ﷺ juga pernah berkata kepada seorang lelaki pemilik unta:

اَعقِلْهَا وَتَوَكَّلْ
Ikatlah (untamu), baru kamu bertawakal.
(Riwayat al-Tirmizi (2157) dan Ibn Hibban (708))

Maka daripada hadith ini kita tahu yang kita bukannya bergantung kosong sahaja tetapi hendaklah kita mengambil langkah-langkah untuk memastikan apa yang kita hendak itu boleh tercapai. Cuma kita tahu yang apa-apa sahaja usaha kita itu tidak akan berjaya jikalau Allah ﷻ tidak izinkan dan kerana itu kita serah kepada Allah ﷻ.

 

وَإِلَيهِ مَتابِ

dan hanya kepada-Nya aku pulang”.

Kepada-Nya tempat baginda akan kembali. Segala ibadah diserahkan kepada Allah ﷻ. Segala permintaan diserahkan kepada Allah ﷻ. Akhirnya kita semua akan kembali bertemu Allah ﷻ dan kita akan dipertanggungjawabkan dengan segala perbuatan kita.


 

Ra’d Ayat 31: Ayat zajrun dan syikayah. Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa wahyu Al-Qur’an ini hebat. Namun Musyrikin Mekah telah meminta perkara yang tidak patut kepada Rasulullah ﷺ.

وَلَو أَنَّ قُرآنًا سُيِّرَت بِهِ الجِبالُ أَو قُطِّعَت بِهِ الأَرضُ أَو كُلِّمَ بِهِ المَوتىٰ ۗ بَل لِّلِهِ الأَمرُ جَميعًا ۗ أَفَلَم يَاْيئَسِ الَّذينَ ءآمَنوا أَن لَّو يَشاءُ اللهُ لَهَدَى النّاسَ جَميعًا ۗ وَلا يَزالُ الَّذينَ كَفَروا تُصيبُهُم بِما صَنَعوا قارِعَةٌ أَو تَحُلُّ قَريبًا مِّن دارِهِم حَتّىٰ يَأتِيَ وَعدُ اللهِ ۚ إِنَّ اللهَ لا يُخلِفُ الميعادَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if there was any qur’ān [i.e., recitation] by which the mountains would be removed or the earth would be broken apart or the dead would be made to speak,¹ [it would be this Qur’ān], but to Allāh belongs the affair entirely. Then have those who believed not accepted that had Allāh willed, He would have guided the people, all of them? And those who disbelieve do not cease to be struck, for what they have done, by calamity – or it will descend near their home – until there comes the promise of Allāh. Indeed, Allāh does not fail in [His] promise.

  • As suggested by the disbelievers.

(MALAY)

Dan sekiranya ada suatu bacaan (kitab suci) yang dengan bacaan itu gunung-gunung dapat digerakkan atau bumi jadi terbelah atau oleh kerananya orang-orang yang sudah mati dapat berbicara, (tentulah Al Qur’an itulah dia). Sebenarnya segala urusan itu adalah kepunyaan Allah. Maka tidakkah orang-orang yang beriman itu mengetahui bahawa seandainya Allah menghendaki (semua manusia beriman), tentu Allah memberi petunjuk kepada manusia semuanya. Dan orang-orang yang kafir senantiasa ditimpa bencana disebabkan perbuatan mereka sendiri atau bencana itu terjadi dekat tempat kediaman mereka, sehingga datanglah janji Allah. Sesungguhnya Allah tidak menyalahi janji.

 

وَلَو أَنَّ قُرآنًا سُيِّرَت بِهِ الجِبالُ

Dan sekiranya ada suatu bacaan (kitab suci) yang dengan bacaan itu gunung-gunung dapat digerakkan

Kalaulah ada bacaan yang dengannya gunung boleh bergerak. Kalimah قُرآنًا adalah dalam bentuk nakirah (umum) maka ia bukan sahaja merujuk kepada Al-Qur’an, tetapi juga merujuk kepada kitab-kitab sebelum ini. Ini kerana kalimah قُرآنًا daripada katadasar ق ر ا yang bermaksud membaca; membaca sesuatu yang tertulis; membacakan; mengisytiharkan; menyampaikan; panggilan; berlatih; menghantar; menyampaikan; untuk mengumpul bersama; mengatur; haidh. Oleh itu kalimah قُرآنًا bemaksud sesuatu yang dibaca dan juga bermaksud mengumpulkan. Kesemua kitab-kitab dahulu (bukan Al-Qur’an sahaja) juga dibaca dan terkumpul di dalamnya hukum hakam.

Ayat ini adalah jawapan kepada permintaan kurang ajar Musyrikin Mekah kepada Nabi Muhammad ﷺ. Mereka mencabar baginda keluarkan mukjizat yang boleh menyebabkan gunung ganang dan bukit bukau di Mekah itu diratakan supaya mereka bercucuk tanam. Kerana mereka kata tanah di Mekah itu sedikit, banyaknya bukit bukau dan gunung ganang. Maka kalau benar baginda seorang Nabi, maka ubahlah kedudukan gunung ganang itu.

Mereka ulang ayat Al-Qur’an yang mengatakan gunung ganang bertasbih bersama Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka takkan Nabi Muhammad ﷺ sendiri tidak boleh kawal gunung ganang itu? Ini seperti disebut dalam Sad: 18

إِنّا سَخَّرنَا الجِبالَ مَعَهُ يُسَبِّحنَ بِالعَشِيِّ وَالإِشراقِ
Sesungguhnya Kami menundukkan gunung-gunung untuk bertasbih bersama dia (Daud) di waktu petang dan pagi,

Maka Allah ﷻ jawab permintaan mereka ini. Kalau ada mana-mana kitab yang dibaca boleh melakukannya, Al-Qur’an lah sahaja yang boleh melakukannya. Di sini Allah ﷻ beritahu bahawa memang benar kesan Al-Qur’an ini sebenarnya boleh mencabut gunung ganang kerana takutnya mereka dengan Allah ﷻ. Ini seperti yang Allah ﷻ sebut di dalam Hashr: 21

لَو أَنزَلنا هٰذَا القُرءآنَ عَلىٰ جَبَلٍ لَّرَأَيتَهُ خٰشِعًا مُّتَصَدِّعًا مِّن خَشيَةِ اللهِ ۚ وَتِلكَ الأَمثٰلُ نَضرِبُها لِلنّاسِ لَعَلَّهُم يَتَفَكَّرونَ
Kalau sekiranya Kami turunkan Al-Qur’an ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan ketakutannya kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir.

Memang sudah terbukti hebatnya Al-Qur’an itu mengubah hidup manusia dan pola kerajaan di dunia. Bayangkan dengan pengajaran daripada Al-Qur’an ini, dua kerajaan besar pada waktu itu iaitu Rom dan Parsi telah tunduk kepada umat Islam. Asalnya mereka itu duduk di padang pasir dan tidak dipandang pun oleh dua tamadun dunia itu.

 

أَو قُطِّعَت بِهِ الأَرضُ

atau bumi jadi terbelah dengan bacaan Al-Qur’an itu

Permintaan kurang ajar yang kedua daripada golongan Musyrikin Mekah itu adalah supaya baginda memudahkan perjalanan mereka ke Syam dan Yaman. Kerana mereka kata baginda sendiri pernah beritahu yang Nabi Sulaiman عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ boleh menguasai angin dan memperjalankan baginda dengan laju. Ini seperti disebut dalam Saba’: 12

وَلِسُلَيمٰنَ الرّيحَ غُدُوُّها شَهرٌ وَرَواحُها شَهرٌ
Dan Kami (tundukkan) angin bagi Sulaiman, yang perjalanannya di waktu pagi sama dengan perjalanan sebulan dan perjalanannya di waktu petang sama dengan perjalanan sebulan

Mereka minta baginda membelah bumi agar dapat mendekatkan perjalanan mereka. Ini sepertimana ada sesetengah orang yang beramal sesat kononnya sampai boleh ‘belah bumi’ dan boleh bergerak dengan cepat ke tempat lain. Maka Allah ﷻ jawab boleh sahaja kalau Allah ﷻ hendak lakukan dengan Al-Qur’an. Dengan Al-Qur’an itu telah terbelahnya bumi yang asalnya dikuasai oleh golongan kafir tetapi telah terbelah menjadi bahagian negara yang Muslim dan ada sebahagian yang kafir.

 

أَو كُلِّمَ بِهِ المَوتىٰ

atau oleh kerananya orang-orang yang sudah mati dapat berbicara,

Cabaran ketiga daripada Musyrikin Mekah adalah supaya Nabi Muhammad ﷺ menghidupkan orang mati sepertimana yang pernah dilakukan oleh Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti disebut dalam Ali Imran: 79. Musyrikin Mekah mencabar Nabi Muhammad ﷺ supaya baginda menghidupkan tok nenek mereka yang sudah mati. Mereka suruh baginda hidupkan tok nenek mereka seperti Qusay supaya mereka boleh cakap sendiri yang memang Nabi Muhammad ﷺ seorang Rasul.

وَرَسولًا إِلىٰ بَني إِسرٰءِيلَ أَنّي قَد جِئتُكُم بِـَٔايَةٍ مِّن رَّبِّكُم ۖ أَنّي أَخلُقُ لَكُم مِّنَ الطّينِ كَهَيئَةِ الطَّيرِ فَأَنفُخُ فيهِ فَيَكونُ طَيرًا بِإِذنِ اللَّهِ ۖ وَأُبرِئُ الأَكمَهَ وَالأَبرَصَ وَأُحيِي المَوتىٰ بِإِذنِ اللَّهِ
Dan (akan melantiknya) menjadi seorang Rasul kepada Bani Israil, (dengan menegaskan kepada mereka): “Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda (mukjizat) daripada Tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat untuk kamu daripada tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah; dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah;

Begitulah permintaan-permintaan Musyrikin Mekah yang kurang ajar dan mengarut itu. Ini seperti disebut di dalam sebuah hadith yang dinaqalkan oleh Ibnu Kathir رَحِمَهُ اللَّهُ dan HAMKA رَحِمَهُ اللَّهُ,

وقال ابن أبي حاتم : حدثنا أبو زرعة ، حدثنا منجاب بن الحارث ، أنبأنا بشر بن عمارة ، حدثنا عمر بن حسان ، عن عطية العوفي قال : قلت له : ( ولو أن قرآنا سيرت به الجبال ) الآية ، قالوا لمحمد ، صلى الله عليه وسلم : لو سيرت لنا جبال مكة حتى تتسع فنحرث فيها ، أو قطعت لنا الأرض كما كان سليمان يقطع لقومه بالريح ، أو أحييت لنا الموتى كما كان عيسى يحيي الموتى لقومه فأنزل الله هذه الآية . قال : قلت : هل تروون هذا الحديث عن أحد من أصحاب النبي ، صلى الله عليه وسلم ؟ قال : نعم ، عن أبي سعيد ، عن النبي ، صلى الله عليه وسلم .
Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Zar’ah, telah menceritakan kepada kami Minjab ibnul Haris, telah menceritakan kepada kami Bisyr ibnu Imarah, telah menceritakan kepada kami Umar ibnu Hissan, daripada Atiyyah Al-Aufi. Umar ibnu Hissan mengatakan bahawa dia menanyakan kepada Atiyyah tentang makna ayat berikut: Dan sekiranya ada suatu bacaan (kitab suci) yang dengan bacaan itu gunung-gunung dapat digoncangkan. (Ar-Ra’d: 31), hingga akhir ayat. Atiyyah menjawab bahawa mereka (orang-orang musyrik Mekah) berkata kepada Nabi Muhammad ﷺ, “Mengapa engkau tidak menyingkirkan gunung-gunung Mekah ini daripada kami sehingga tanahnya menjadi luas, maka kami akan bercucuk tanam padanya; atau engkau belahkan bumi bagi kami, sebagaimana Sulaiman membelah angin buat kaumnya; atau engkau hidupkan bagi kami orang-orang yang telah mati, sebagaimana Isa menghidupkan orang-orang mati bagi kaumnya?” Maka Allah menurunkan ayat ini. Umar ibnu Hissan bertanya, “Apakah engkau pernah melihat hadith ini daripada salah seorang sahabat Nabi ﷺ?” Atiyyah menjawab, “Ya, daripada Abu Sa’id, daripada Nabi ﷺ”

Akan tetapi Allah ﷻ matikan sahaja ayat ini di sini tanpa menjawab lengkap atau memberi penjelasan. Maka kena ada taqdir (penambahan maklumat). Muqaddarnya adalah: kalau ada bacaan yang boleh menyebabkan gunung ganang bergerak, bumi terbelah dan orang mati boleh bercakap, Al-Qur’anlah yang boleh melakukannya kerana hebatnya Al-Qur’an ini.

Hebatnya Al-Qur’an kalau dipelajari, difahami dan diamalkan oleh manusia. Sekarang tidak nampak kehebatan Al-Qur’an kerana manusia tidak mengendahkannya termasuklah umat Islam sendiri. Lihatlah orang kita, hanya tahu baca sahaja Al-Qur’an dan kemudian disimpan di rak-rak buku. Maka kerana itulah kita umat Islam sekarang lemah selemah-lemahnya dan diperkotak-katikkan sahaja oleh musuh Islam. Salah siapa? Salah kita juga, bukan? Ada kitab begini punya hebat, disimpan-simpan sahaja dan baca di bulan Ramadan sahaja. Kemudian bila orang kafir tekan kita, marah sana sini, menyalak di FB sahaja.

Telah terbukti dengan Al-Qur’an ini telah dapat menghidupkan hati yang mati. Manusia yang bergelumang sekian lama menyembah berhala, batu, pokok dan kubur telah menjadi murni hati mereka daripada segala kesyirikan itu. Mereka telah kembali kepada Tauhid. Sampai sekarang Al-Qur’an membuka hati manusia yang mahu kepada kebenaran dan mahu mengenal Allah ﷻ.

Atau, satu lagi muqaddarnya adalah: mereka tetap tidak akan beriman. Ini seperti disebut dalam An’am: 111

۞ وَلَوْ اَنَّنَا نَزَّلْنَآ اِلَيْهِمُ الْمَلٰۤىِٕكَةَ وَكَلَّمَهُمُ الْمَوْتٰى وَحَشَرْنَا عَلَيْهِمْ كُلَّ شَيْءٍ قُبُلًا مَّا كَانُوْا لِيُؤْمِنُوْٓا اِلَّآ اَنْ يَّشَاۤءَ اللّٰهُ وَلٰكِنَّ اَكْثَرَهُمْ يَجْهَلُوْنَ
Dan jika Kami turunkan malaikat pun kepada mereka, dan orang-orang yang mati (hidup semula lalu) berkata-kata dengan mereka, dan kami himpunkan pula tiap-tiap sesuatu di hadapan mereka (untuk menjadi saksi tentang kebenaran Nabi Muhammad), nescaya mereka tidak juga akan beriman, kecuali jika dikehendaki Allah; tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenar).

Musyrikin Mekah itu memang degil. Permintaan mereka ini menunjukkan mereka menolak mukjizat yang pernah ditunjukkan oleh Rasulullah ﷺ kepada mereka. Malah telah pernah ditunjukkan mukjizat-mukjizat yang lebih hebat pun. Sebagai contoh, terbelahnya bulan itu lebih hebat daripada menggerakkan gunung ganang; Isra’ Mi’raj Rasulullah ﷺ itu lebih hebat daripada penguasaan angin oleh Nabi Sulaiman عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ; batu yang bercakap-cakap dengan Rasulullah ﷺ lebih hebat daripada bercakapnya orang yang telah mati kerana batu tidak boleh bercakap.

Akan tetapi golongan penentang itu hanya sekadar mencari helah sahaja untuk mengutuk Rasulullah ﷺ. Apabila baginda tidak beri apa yang mereka mahu itu, mereka bolehlah kata baginda bukannya Rasulullah sebab Allah ﷻ tidak tunaikan apa yang baginda minta. Di dalam ayat lain disebut lagi hujah-hujah penolakan mereka seperti di dalam Furqan: 8

أَو يُلقىٰ إِلَيهِ كَنزٌ أَو تَكونُ لَهُ جَنَّةٌ يَأكُلُ مِنها ۚ وَقالَ الظّٰلِمونَ إِن تَتَّبِعونَ إِلّا رَجُلًا مَّسحورًا
atau (mengapa tidak) diturunkan kepadanya perbendaharaan, atau (mengapa tidak) ada kebun baginya, yang dia dapat makan daripada (hasil)nya?” Dan orang-orang yang zalim itu berkata: “Kamu sekalian tidak lain hanyalah mengikuti seorang lelaki yang kena sihir”.

 

بَل لِّلِهِ الأَمرُ جَميعًا

Sebenarnya segala urusan itu adalah kepunyaan Allah. 

Ini adalah jawapan kepada potongan ayat sebelum ini. Walaupun Al-Qur’an itu hebat, dan boleh buat tiga perkara yang mereka minta di atas tadi, Allah ﷻ tidak melakukannya kerana Allah ﷻ tahu yang mereka tetap juga tidak mahu beriman. Allah ﷻ bukannya tidak boleh buat apa yang mereka minta itu, malah lebih lagi. Namun Allah ﷻ hendak beritahu, kalaulah kesan itu mereka boleh lihat sendiri: gunung ganang bergerak, bumi terbelah dan orang mati boleh bercakap, mereka tetap tidak akan beriman. Ini adalah kerana mereka amat degil. Kalau apa yang mereka minta itu diberikan, mereka tetap tidak akan beriman. Allah ﷻ tahu apa yang di dalam hati mereka.

Ini adalah kerana Allah ﷻ yang menentukan urusan kedudukan iman mereka. Apa yang dikehendaki-Nya pasti terjadi, dan apa yang tidak dikehendaki-Nya pasti tidak akan terjadi. Seandainya Allah ﷻ mahukan mereka beriman, pasti mereka akan beriman. Begitu juga seandainya Allah ﷻ mahu terus sesatkan mereka, mereka akan tetap sesat kerana iman dalam hati adalah urusan Allah ﷻ. Barangsiapa yang disesatkan oleh Allah ﷻ, maka tiada seorang pun yang dapat memberi petunjuk kepadanya; barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah ﷻ, maka tiada seorang pun yang dapat menyesatkannya.

 

أَفَلَم يَاْيئَسِ الَّذينَ ءآمَنوا أَن لَّو يَشاءُ اللهُ لَهَدَى النّاسَ جَميعًا

Maka tidakkah orang-orang yang beriman itu berputus asa, bahawa seandainya Allah menghendaki (semua manusia beriman), tentu Allah memberi petunjuk kepada manusia semuanya.

Adakah orang beriman sudah putus asa? Kalimah يَاْيئَسِ daripada katadasar ي ا س yang bermaksud putus asa; putus harapan; tahu; berkenalan; sedar; melepasi usia kesuburan; mandul (wanita); putus haid. Di dalam ayat ini ia mengambil maksud putus asa atau putus harapan. Ini adalah kerana para sahabat waktu itu sudah berputus asa dengan penolakan Musyrikin Mekah. Mereka berharap Allah ﷻ tunaikanlah permintaan golongan Mekah itu supaya mereka ramai-ramai masuk Islam.

Namun Allah ﷻ tegur golongan mukminin itu. Apa tidakkah orang beriman itu tahu bahawa semua yang berlaku adalah atas kehendak Allah ﷻ? Allah ﷻ yang beri hidayah atau kesesatan. Sekiranya Allah ﷻ mahu, Allah ﷻ boleh sahaja jadikan semua manusia dan jin beriman. Akan tetapi Allah ﷻ tidak kehendaki begitu. Allah ﷻ beri peluang kepada manusia untuk memilih iman atau kufur kerana Allah ﷻ mahu menguji manusia itu.

Allah ﷻ sebut begini kerana para sahabat waktu itu berharap tiga permintaan/cabaran daripada Musyrikin Mekah itu boleh diberikan supaya golongan itu beriman. Maka Allah ﷻ jawab dalam ayat ini, semua urusan itu terpulang kepada Allah ﷻ. Jangan mereka sangka yang kalau diberikan segala yang mereka minta itu, Musyrikin Mekah akan beriman. Oleh itu, orang yang beriman hendaklah jangan berputus asa dalam dakwah. Teruskan berdakwah walaupun orang kafir itu tidak beriman. Jangan putus asa.

Allah ﷻ tidak perlu pun tunjuk mukjizat untuk menjadikan Musyrikin Mekah itu beriman. Allah ﷻ boleh sahaja terus menjadikan mereka beriman. Namun Allah ﷻ tidak mahu mereka beriman dengan cara begitu. Mereka mesti ada kehendak sendiri untuk beriman kerana kalau iman kerana terpaksa, itu bukanlah iman yang sebenar.

Allah ﷻ beritahu kepada golongan mukmin supaya jangan layan sangat permintaan golongan Musyrikin Mekah itu. Mereka hanya memandangkan keduniaan sahaja. Lihatlah mereka minta diratakan tanah Mekah dan dipendekkan perjalanan mereka kerana hendakkan hal dunia sahaja, mahu tingkatkan ekonomi mereka sahaja. Lalu kenapakah harus dilayan permintaan yang sebegitu? Kalau benar mereka hendak beriman, buka hati mereka kepada kebenaran, sudah lama mereka beriman sebenarnya.

Maka begitulah juga senario kita hari ini. Jangan gunakan ayat-ayat Al-Qur’an ini untuk azimat dan dapatkan itu dan ini. Ini adalah penyalahgunaan Al-Qur’an! Ramai orang kita sibuk sangat bab ini. Ayat ini untuk dapat apa, ayat itu untuk apa pula. Cerita mahukan magik dan sakti sahaja mereka itu. Itu sahaja yang mereka belajar dan tahu. Mahu jadi kebal, mahu terbang, mahu berubat, inginkan orang suka, tunduk, hormat, itu sahaja fungsi Al-Qur’an ini bagi mereka. Untuk ambil pengajaran daripada Al-Qur’an, jauh sekali! Inilah kejahilan masyarakat kita sebenarnya, semoga mereka jadi pandailah sedikit selepas ini. Inilah perjuangan kita untuk menyedarkan masyarakat.

Mereka tidak tahu bahawa itu adalah sihir. Ya, sihir tetapi menggunakan Al-Qur’an! Tetap juga sihir. Sebab itu ada ajaran sesat yang kata ayat-ayat Al-Qur’an ini ada khadam. Mana ilmu sesat mereka dapat, entahlah. Ada juga yang gunakan Al-Qur’an untuk panggil rijaalul ghaib (lelaki ghaib). Ada juga menggunakan nombor seperti 786 untuk merujuk kepada basmalah. Ini semua diajar oleh syaitan dan pasti bukan daripada Allah ﷻ dan Rasululllah.

 

وَلا يَزالُ الَّذينَ كَفَروا تُصيبُهُم بِما صَنَعوا قارِعَةٌ

Dan orang-orang yang kafir senantiasa ditimpa bencana disebabkan perbuatan mereka sendiri 

Orang kafir akan terus dikenakan dengan musibah kerana perbuatan mereka sendiri. Kalimah القارِعَةُ daripada katadasar ق ر ع yang bermaksud apabila dua benda berlanggaran sesama sendiri dengan kuat dan menyebabkan bunyi yang kuat dan mengejutkan. Kalau bunyi itu tidak kuat dan tidak mengejut, ia bukanlah القارِعَةُ.

Oleh itu, kalau dua kereta berlanggar dalam kemalangan, ia juga boleh dipanggil القارِعَةُ kerana ia mengeluarkan bunyi yang kuat dan mengejutkan mereka yang mendengar dan melihatnya. Begitu juga, ayat قرع على الباب bermaksud mengetuk pintu di malam hari, kerana kalau ada orang ketuk pintu rumah kita pada malam hari, tentu akan menyebabkan kita terkejut, bukan?

القارِعَةُ adalah musibah atau bala bencana yang mengetuk dan mengejutkan puak Musyrikin Mekah itu. Ini kerana mereka telah menolak untuk beriman, maka Allah ﷻ kenakan musibah kepada mereka. Walaupun apa yang mereka buat untuk menghalang musibah itu, apa yang akan dikenakan kepada mereka akan tetap dikenakan juga. Sebagai contoh, mereka terus diserang oleh puak lain, ditawan, dikenakan dengan musim kemarau dan lain-lain lagi musibah.

Kenapa Allah ﷻ kenakan mereka dengan musibah sebegitu? Kerana hendak merendahkan ego mereka. Orang yang hidup senang lenang, ego mereka tinggi sebenarnya, susah hendak mendengar nasihat orang lain. Lalu Allah ﷻ sekali sekala akan kenakan musibah seperti kemarau itu untuk merendahkan ego mereka dan senang untuk menerima dakwah Rasulullah ﷺ.

 

أَو تَحُلُّ قَريبًا مِّن دارِهِم

atau bencana itu terjadi dekat tempat kediaman mereka, 

Atau benda itu akan dilepaskan (dihalalkan) tidak lama lagi dekat dengan kediaman mereka. Maksudnya benda buruk akan terjadi kepada mereka, antaranya kekalahan dalam Perang Badr.

Kalimah يَحِلُّ daripada katadasar ح ل ل yang bermaksud untuk membuka ikatan (simpul); memaafkan (dosa); menyelesaikan (kesukaran); buka ikatan; membebaskan; menjadi wajib; menjadi sah; dibunuh atau dilakukan sebarang bahaya; tempat korban; menubuhkan; menyelesaikan; mengubah kedudukan; membenarkan. Kita selalu gunakan katadasar ini untuk kalimah ‘halal’. Sekarang kita tahu yang ia ada banyak makna lain. Di sini ia digunakan di dalam bentuk ‘penurunan’ dari satu tempat. Asalnya adalah kalimah حَلَّ.

Maknanya musibah yang dikenakan bukanlah kepada mereka terus, tetapi kepada kawasan berdekatan. Ini adalah kerana Allah ﷻ hendak memberi peringatan kepada mereka. Kalau nampak penduduk di kampung sebelah kena teruk, sepatutnya mereka kena berfikirlah, takkan masih mahu tunggu bala datang ke tempat mereka?

 

حَتّىٰ يَأتِيَ وَعدُ اللهِ

sehingga datanglah janji Allah.

Janji Allah ﷻ pasti akan datang. Iaitu janji untuk membinasakan mereka sekali gus. Ulama’ tafsir ada mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah Penaklukan Kota Mekah. Maknanya mereka akan dikenakan dengan musibah demi musibah seperti kekalahan perang sehinggalah akhirnya Mekah itu akan dimenangi oleh umat Islam.

Ada juga pendapat yang mengatakan وَعدُ اللهِ yang dimaksudkan adalah Hari Akhirat di mana Allah ﷻ telah berjanji akan memberi balasan kepada golongan yang buat kemungkaran dan kebaikan, sesuai dengan apa yang mereka telah lakukan semasa di dunia.

 

إِنَّ اللهَ لا يُخلِفُ الميعادَ

Sesungguhnya Allah tidak menyalahi janji.

Ini pasti berlaku kerana Allah ﷻ tidak akan mungkir janji-Nya.

فَلا تَحْسَبَنَّ اللَّهَ مُخْلِفَ وَعْدِهِ رُسُلَهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ ذُو انْتِقَامٍ
Kerana itu, janganlah sekali-kali kamu mengira Allah akan menyalahi janji-Nya kepada rasul-rasul-Nya; sesungguhnya Allah Maha perkasa lagi mempunyai pembalasan seksa.
(Ibrahim: 47)

Maka ia adalah berita baik kepada Rasulullah ﷺ dan para sahabat pada ketika itu. Iaitu mereka akan mendapat kemenangan akhirnya (Penaklukan Mekah) dan juga di akhirat kelak. Maka jangan berputus asa, teruslah beriman dan berdakwah. Bayangkan iman umat Islam ketika itu. Ketika ayat ini diturunkan, mereka lemah, sedikit dan ditindas dengan teruk sekali. Akan tetapi Allah ﷻ telah beri janji kepada mereka dan mereka percaya dan berpegang kepadanya. Soalannya, adakah kita percaya? Kalau percaya, kenapa tidak belajar dan memahami Al-Qur’an ini supaya kita pun boleh menjadi hebat?

Habis Ruku’ 4 daripada 6 ruku’ dalam surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 22 September 2023

Ringkasan Surah Ra’d


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahuddin

Tafsir Surah Yusuf Ayat 108 (3) (Ikut Rasul tinggal Syirik)

أَنَا۟ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِى‌

aku dan orang-orang yang mengikutiku

Frasa ini membawa implikasi yang luar biasa. Ayat itu boleh difahami sebegini: “Aku menyeru kepada Allah. (Dan) di atas wawasan aku (berdiri) dan sesiapa yang mengikutiku.” (أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي عَلَىٰ بَصِيرَةٍ). Implikasinya sangat mendalam: Baseerah bukan sahaja asas untuk berdakwah, tetapi ia adalah asas kepada keseluruhan identiti seorang Muslim. “Berdiri di atas wawasan” adalah definisi sebenar seorang pengikut Nabi Muhammad ﷺ. Al-Qur’an sering mencela mereka yang tidak mempunyai asas, dengan menyatakan mereka “tidak berdiri di atas apa-apa pun” (لَيْسُوا عَلَىٰ شَيْءٍ). Bagi seorang Muslim, Baseerah adalah asas yang sah bagi kewujudannya.

Siapakah وَمَنِ ٱتَّبَعَنِى itu? Yang pertama tentunya para sahabat yang mula-mula beriman dan berjuang menegakkan agama Islam dengan Rasulullah ﷺ. Allah ‎ﷻ memilih para sahabat untuk mendampingi Nabi ﷺ, menegakkan agama, dan menyebarkan risalah. Mereka adalah orang-orang yang paling baik hatinya, paling dalam ilmunya, paling sedikit berpura-pura, paling lurus petunjuknya, dan paling baik keadaannya. Mereka dipilih Allah ‎ﷻ untuk menjadi penolong agama-Nya dan pendamping Nabi-Nya. Para sahabat memiliki darjat yang tinggi di sisi Allah ‎ﷻ dan Rasul-Nya. Mereka adalah orang-orang yang paling dekat dengan Nabi ﷺ, paling mirip dengan baginda dalam perilaku, akhlak, dan keutamaan. Para sahabat berjuang dengan harta dan jiwa mereka untuk menegakkan Islam, menasihati umat, dan menyebarkan agama hingga Islam tersebar luas dan syirik serta kebatilan dihancurkan. Apa pentingnya bagi kita? Kita hendaklah belajar daripada mereka, buat apa yang mereka buat dan tinggalkan perkara yang mereka tidak buat dalam hal agama. Kalau mereka tidak sambut Maulidur Rasul, sudah kenapa kita memandai hendak sambut? Kalau mereka buat tidak tahu tentang Nisfu Sya’ban, maka kenapa kita pula berlebih-lebihan pula?

Kemudian kalimah وَمَنِ ٱتَّبَعَنِى menghubungkan kita zaman sekarang secara langsung dengan Rasulullah ﷺ pada tahap yang lebih intim. Mengikut baginda, bukan sekadar meniru perbuatan luaran (sunnah), tetapi juga berkongsi asas dalaman yang sama. Apabila kita berusaha membina wawasan kita sendiri tentang agama ini, kita sebenarnya sedang berusaha untuk memiliki setitis daripada lautan Baseerah yang dimiliki oleh baginda. Oleh itu, wawasan ini adalah satu cabaran dan seruan. Untuk benar-benar menjadi pengikut sejati, seseorang mesti berusaha untuk membangunkan pemahaman yang mendalam tentang agamanya, bukan hanya mengamalkannya secara ritual atau tradisi.

Frasa ini mengajak kita untuk mengikut Sunnah Rasulullah. Jarak masa kita dengan baginda beribu tahun, akan tetapi ayat ini menghubungkan kita dengan baginda. Kalau kita makan dengan tangan kanan, kita berhubung dengan baginda; begitu juga kalau kita masuk tandas dengan kaki kiri dan keluar dengan kaki kanan, itu juga menghubungkan kita dengan baginda. Ketika melakukannya, kita ingat yang aku buat begini kerana Rasulullah ﷺ yang suruh, Rasulullah ﷺ buat begini dan aku hendak ikut cara baginda. Dan ada banyak lagi Sunnah-sunnah baginda yang kita boleh pelajari. Semua itu menghubungkan kita dengan baginda. Tidakkah kita mahu berhubung dengan baginda? Baginda sudah ada Baseerah, takkan kita tidak mahu ada sedikit daripada Baseerah yang baginda ada itu?

Perhatikan frasa dalam ayat ini: “Aku dan sesiapa yang mengikutiku“. Dari sudut retorik, pengulangan perkataan ana (aku) memberi penekanan yang sangat kuat. Ia seperti berkata, “Sayalah yang mengajar bahasa Arab dan pembantu saya juga.” Ini berbeza daripada sekadar berkata, “Saya dan pembantu saya mengajar bahasa Arab.” Pengulangan “saya” itu menegaskan peranan utama dan kemudiannya menyertakan orang yang lain ke dalam misi yang sama.

Apakah maksudnya? Maksudnya, orang yang bersama dengan baginda itu bukan sahaja bersama baginda di atas jalan itu, tetapi mereka juga bersama-sama baginda mengajak orang lain ke atas jalan itu. Ia bermaksud sesiapa yang benar-benar memilih untuk menjadi pengikut Rasulullah ﷺ secara automatik telah mendaftar untuk satu misi: misi menyeru manusia kepada Allah ‎ﷻ. Ia bukan satu pilihan tambahan; ia adalah komitmen yang tersirat dan aktif. Menjadi pengikut bukan sekadar amalan peribadi yang pasif. Ia adalah satu pengisytiharan bahawa anda kini membawa obor yang sama yang dibawa oleh Rasulullah ﷺ. Anda juga adalah seorang penyeru, pendakwah kepada Allah ‎ﷻ.

 

وَسُبحـٰنَ ٱللَّهِ

dan Maha Suci Allah, 

Ada muqaddar (penambahan perkataan) di dalam ayat ini: “Aku akan sentiasa kata Allah ‎ﷻ yang maha suci.” Ertinya, ini adalah kalimah pernyataan yang menyucikan Allah ‎ﷻ, mengagungkan-Nya, dan membesarkan-­Nya daripada semua kemusyrikan, tandingan, persamaan, anak, ibubapa, isteri, pembantu atau penasihat. Mahasuci dan Mahatinggi Allah ‎ﷻ daripada memiliki kesemuanya itu dengan ketinggian yang sebesar-besarnya. Mensucikan Allah ‎ﷻ daripada segala sifat yang lemah.

 

Maksud Tasbih

Kita sering mengulang-ulang zikir, doa, dan ayat-ayat suci. Kalimah seperti “Subhanallah” meluncur dengan laju di bibir, tetapi pernahkah kita berhenti seketika dan bertanya: “Apakah sebenarnya yang saya lafazkan?” Kadang-kadang, makna yang paling mendalam tersembunyi di sebalik frasa yang paling biasa kita gunakan. Maka di dalam kalimah tasbih ini terkandung kebijaksanaan yang luar biasa. 

“Subhanallah” sering diterjemahkan sebagai “Maha Suci Allah”, tetapi makna sebenarnya jauh lebih mendalam. Kata akarnya س ب ح bermaksud berenang atau terapung. Bayangkan sebuah objek yang terapung di atas air, tidak tenggelam. Inilah konsep Subhanallah yang kita boleh bayangkan. Ia bukan sekadar pengakuan pasif tentang kesempurnaan Allah ‎ﷻ. Sebaliknya, ia adalah satu penegasan aktif untuk menolak sebarang sifat kekurangan atau ketidaksempurnaan daripada dikaitkan dengan-Nya. Ia adalah satu ikrar untuk secara proaktif melindungi konsep ketuhanan daripada sebarang pencemaran.

Apabila kita menyebut “Subhanallah”, kita sebenarnya sedang membuat satu pengisytiharan yang menyeluruh: “Aku berikrar bahawa aku tidak akan sekali-kali mengatakan atau membayangkan apa-apa sahaja tentang Allah yang kurang daripada sempurna. Rahmat-Nya sempurna, perancangan-Nya sempurna, apa sahaja… kalau berkenaan DiriNya…. adalah sempurna. Petunjuk-Nya sempurna malah apa sahaja, jika ia dinisbahkan kepada-Nya, pasti sempurna. Jika ia datang daripada-Nya, ia semestinya sempurna…” Ia adalah satu komitmen untuk melihat segala yang datang daripada Allah ‎ﷻ sebagai sesuatu yang sempurna, dan kita secara aktif menolak untuk mengaitkan sebarang kecacatan kepada-Nya.

Jadi, ia bukan sekadar zikir kosong yang dilakukan kebanyakan orang, subhanallah…. subhanallah…. subhanallah…. subhanallah…. tetapi tidak faham pun yang disebutnya. Hanya sebutan di mulut dan bibir sahaja, dengan nada yang lemah longlai rasa sekejap lagi hendak tidur sahaja. Malah ada yang melanggar kalimah itu kerana melakukan syirik terhadap Allah ‎ﷻ! Kerana kalau kita melakukan syirik, maka kita telah merendahkan kedudukan Allah ‎ﷻ sama seperti makhluk! Subhanallah maksudnya berlawanan dengan syirik, tetapi mereka buat pula syirik! 

 

Merendahkan diri

Ayat 108 ini bermula dengan banyak penekanan pada diri: “Katakanlah (wahai Muhammad): Inilah jalanku“, “aku menyeru”, “aku dan sesiapa yang mengikutiku“. Penekanan pada peranan “aku” ini sangat kuat. Namun, sejurus selepas penekanan ini, Al-Qur’an meletakkan kalimah Subhanallah. Mengapa? Ia berfungsi sebagai pengimbang yang amat penting. Ia adalah peringatan segera bahawa walaupun peranan si penyeru itu besar, kesempurnaan mutlak hanya milik Allah ‎ﷻ.

Al-Qur’an secara konsisten meletakkan Rasulullah ﷺ pada kedudukan manusia yang paling mulia, tetapi pada masa yang sama, sentiasa menegaskan bahawa Allah ‎ﷻ jauh lebih tinggi. Nabi Muhammad ﷺ juga adalah manusia dan ada kesalahan yang baginda lakukan dan Allah ‎ﷻ akan terus menegur baginda. Jadi ini penting untuk difahami untuk mengelakkan bahaya pendewaan. Umat terdahulu, kerana cinta yang mendalam terhadap Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, telah mengangkatnya ke taraf Tuhan. Bayangkan betapa besar risiko itu bagi umat Islam, yang rasa cintanya kepada Nabi Muhammad ﷺ begitu meluap-luap. Kerana tidak faham perkara inilah, memang sudah ramai umat Islam yang mendewakan Rasulullah ﷺ, bukan? Malah ada ajaran sesat yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Allah!

Pengajaran praktikalnya amat jelas: bagi sesiapa sahaja yang berkongsi ilmu agama hari ini, kalimah Subhanallah adalah benteng melawan ego. Ia menghalang diri daripada perasan hebat sangat. Ia adalah peringatan untuk sentiasa merendah diri dan memastikan fokus sentiasa kembali kepada Allah ‎ﷻ, bukan kepada diri sendiri.

 

Sifat Allah

Pada zaman Nabi Muhammad ﷺ, perkataan “Allah” bukanlah sesuatu yang asing. Penganut Kristian dan Yahudi di Semenanjung Arab juga menggunakannya. Malah di Malaysia juga ada golongan Kristian yang tanpa segan silu hendak menggunakan Nama Allah bagi Tuhan mereka. Jadi, apabila Nabi ﷺ berkata “aku menyeru kepada Allah,” apa yang membezakan seruan baginda? Allah yang mana yang dimaksudkan oleh Rasulullah ﷺ di dalam ayat ini?

Jawabnya terletak pada kalimah Subhanallah. Seruan Islam bukan sekadar seruan kepada “Tuhan”, tetapi seruan kepada Tuhan yang Maha Sempurna (Subhan), yang bebas daripada sifat-sifat kemanusiaan (seperti berdendam, menyesal, atau berat sebelah) yang sering digambarkan dalam kepercayaan lain. Ia tidak sama dengan tuhan-tuhan mereka yang memiliki sifat-sifat manusia seperti cemburu, benci, takut, berdendam dan sebagainya. Itu bukan Allah yang sebenar.

Perbuatan Tasbih ini juga menghalang kita daripada memandai mengatakan tentang Allah ‎ﷻ daripada fikiran kita sendiri. Ini boleh terjadi kepada kita yang tidak belajar tentang sifat-sifat Allah, kemudian kita sendiri buat pandai mengatakan Allah ‎ﷻ begitu dan begini. Ini amatlah salah kerana yang kita reka itu adalah fikiran kita tentang sifat-sifat manusia yang kita tempekkan kepada Allah ‎ﷻ, sedangkan Allah ‎ﷻ tidak begitu! Allah ‎ﷻ adalah Tuhan yang bukan makhluk. Jadi kita kena tahu sifat-sifat Allah daripada apa yang Dia sendiri beritahu tentang Diri-Nya di dalam Al-Qur’an dan sifat-Nya yang Rasulullah ﷺ terangkan kepada kita. Maknanya, kena ada sandaran kepada wahyu.

Frasa “menyeru kepada Allah” itu sendiri adalah satu istilah payung yang merangkumi segalanya. Ia bukan sekadar “menyeru kepada kepercayaan”, tetapi menyeru kepada Allah ﷻ sebagai destinasi akhir yang nyata. Ia adalah seruan ke satu jalan yang memuncak dengan pertemuan literal bersama Allah ﷻ, di mana wajah-wajah akan bercahaya melihat-Nya. Ia merangkumi seruan kepada hidayah, kedamaian, keselamatan, dan syurga, kerana semua jalan kebaikan ini akhirnya menuju kepada-Nya.

 

وَمَآ أَنَا۟ مِنَ ٱلمُشرِكِينَ

dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik”.

Lawan kepada Tasbih adalah syirik kerana fahaman dan perbuatan syirik itu telah merendahkan kedudukan Allah (sama ada meninggikan kedudukan makhluk ke tahap Allah…. atau merendahkan kedudukan Allah ke tahap makhluk). Maka untuk menguatkan lagi tasbih tadi, sekarang ditambah lagi dengan mengatakan baginda tidak akan melakukan syirik!

Ini adalah pernyataan yang agak kuat kerana ia disebut kepada golongan Musyrikin Mekah yang mengamalkan syirik. Jadi ia adalah satu penolakan kepada mereka dan ini adalah pernyataan yang berani sekali. Bayangkan ketika hampir semua orang di Mekah ketika itu mengamalkan syirik, kita kata kita tolak! Ini kerana agama syirik itu adalah seperti agama negeri itu dan kalau kita menolaknya, seumpama kita menolak kerakyatan tempat itulah, bukan? Namun, baginda sebut juga kerana itulah yang Allah ‎ﷻ suruh baginda lakukan. Maka bagi kita juga jangan takut menolak kesyirikan yang dilakukan oleh masyarakat kita. Mana yang salah kita sebut sahaja ia salah, jangan takut dengan penerimaan orang yang mendengarnya.

Inilah pegangan dan perjuangan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kita telah menyebutkan kaitan antara Nabi Muhammad ﷺ dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan dengan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mengajak meninggalkan syirik adalah dakwah mereka zaman berzaman. Allah ‎ﷻ sebut di dalam An’am:79 kata-kata Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ,

إِنّي وَجَّهتُ وَجهِيَ لِلَّذي فَطَرَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ حَنيفًا ۖ وَما أَنا مِنَ المُشرِكينَ
“Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku daripada orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)”.

Dan bagaimana dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Baginda sebut pula di dalam Yusuf:38 

وَٱتَّبَعتُ مِلَّةَ ءَابَآءِىٓ إِبرٰهِيمَ وَإِسحَـٰقَ وَيَعقُوبَ‌ۚ مَا كَانَ لَنَآ أَن نُّشرِكَ بِٱللَّهِ مِن شَيءٍ
Dan aku pengikut agama bapa-bapaku iaitu Ibrahim, Ishaq dan Ya’qub. Tiadalah patut bagi kita mempersekutukan sesuatu apapun dengan Allah. 

Ternyata menentang syirik dan mengajak manusia meninggalkan syirik adalah perbuatan para Rasul zaman berzaman. Maka amat menyedihkan apabila masyarakat Islam sekarang sudah berlembut dengan syirik. Ada yang melakukan ibadah kepada makhluk, ada yang berdoa kepada makhluk, ada yang mengatakan Allah ‎ﷻ ada pembantu dan sebagainya. Ini amatlah membimbangkan dan kita tahu kenapa ini terjadi. Kerana masyarakat Muslim sudah jauh daripada wahyu…. malah ia dianggap asing sama sekali. Yang dipegang sekarang adalah kata-kata manusia sahaja tanpa disandarkan kepada wahyu. Al-Qur’an ini hanya dibaca-baca tanpa memahami apakah maksudnya. Jangan kata hendak belajar tafsirnya, tengok terjemahannya pun tidak dilakukan!

Ramai yang perasan mereka itu telah beriman, telah menggunakan nama Islam, memakai jubah, solat, puasa, pergi Umrah dan Haji dan lain-lain lagi. Namun, adakah mereka benar-benar tidak melakukan syirik? Ingat lagi Ayat 106?

وَما يُؤمِنُ أَكثَرُهُم بِاللهِ إِلّا وَهُم مُّشرِكونَ
Dan sebahagian besar daripada mereka tidak beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan mempersekutukan Allah.

Maka, sekali lagi Allah ‎ﷻ mengingatkan Rasulullah ﷺ untuk menekankan tentang syirik ini dengan kalimah وَمَآ أَنَا۟ مِنَ ٱلمُشرِكِينَ supaya kita benar-benar meninggalkan syirik ini kerana ia amat buruk sekali! Malangnya, ramai sekali tidak tahu apa itu syirik, bukan? Maka kenalah belajar bersungguh-sungguh sampai tahu mana Tauhid dan mana Syirik.

Di dalam ayat ini, Nabi Muhammad ﷺ berkata bahawa baginda tidak akan melakukan syirik. Dalam ayat ini, Nabi ﷺ tidak berkata ‘kami’ seperti dalam ayat yang lain. Walaupun tadi ada ayat وَمَنِ اتَّبَعَني (dan yang mengikutku), tetapi baginda tidak sebut tentang iman orang lain kerana akidah adalah perkara dalam hati. Nabi Muhammad ﷺ tidak boleh mengiyakan akidah yang ada dalam diri para sahabat dan orang lain kerana akidah ini mestilah diperiksa sendiri dan pastikan tidak ada syirik sendiri. Nabi Muhammad ﷺ tidak boleh berkata yang pengikut baginda tidak melakukan syirik kerana baginda tidak tahu apa yang dalam hati pengikut baginda, sahabat baginda.

Begitu juga dengan kita, kita kena belajar apakah tauhid dan syirik seperti yang disampaikan dalam Al-Qur’an, dan pastikan bahawa akidah kita dan akidah Al-Qur’an adalah sama. Kena sentiasa periksa akidah dan iman kita sama ada selari dengan Al-Qur’an ataupun tidak.

Hanya melalui satu ayat, kita telah mengembara melalui lapisan-lapisan makna; daripada psikologi dakwah, komitmen seorang pengikut, falsafah ketuhanan, hinggalah kepada benteng melawan ego. Ia menunjukkan betapa kayanya dan padatnya setiap kalimah dalam Al-Qur’an. Ia mengajar kita bahawa menjadi seorang Muslim yang berkesan bukan hanya tentang apa yang kita katakan, tetapi bagaimana kita memahaminya, menghayatinya, dan menyampaikannya dengan Baseerah dan kerendahan hati.

Setelah melihat kedalaman makna ini, apakah kalimah biasa yang lain yang akan anda renungkan dengan pandangan yang baharu?

 

Kuiz Kefahaman (Soalan Jawapan Pendek)

Sila jawab soalan-soalan berikut berdasarkan maklumat yang terdapat dalam teks sumber.

1. Apakah implikasi frasa “di atas wawasan (Baseerah)” terhadap identiti seorang Muslim?

2. Siapakah golongan pertama yang dimaksudkan sebagai “orang-orang yang mengikutiku” dalam ayat ini?

3. Bagaimanakah seseorang Muslim pada zaman sekarang boleh menghubungkan diri secara intim dengan Rasulullah SAW menurut teks?

4. Apakah kesan retorik pengulangan perkataan “Ana” (Aku) dalam ayat ini?

5. Mengapakah menjadi pengikut Rasulullah SAW dianggap sebagai satu pendaftaran automatik untuk misi dakwah?

6. Secara etimologi, apakah makna akar kata “Subhanallah” dan bagaimanakah ia digambarkan secara visual?

7. Mengapakah kalimah “Subhanallah” diletakkan sejurus selepas penekanan terhadap peranan “Aku” (si penyeru)?

8. Apakah perbezaan antara konsep “Allah” dalam Islam dengan konsep tuhan dalam kepercayaan lain yang disebut dalam teks?

9. Mengapakah Nabi Muhammad SAW menggunakan pernyataan “Aku” dan bukannya “Kami” apabila merujuk kepada penolakan terhadap syirik?

10. Apakah kaitan antara dakwah Nabi Muhammad SAW dalam ayat ini dengan perjuangan Nabi Ibrahim dan Nabi Yusuf AS?

 

Glosari Istilah Penting

Istilah
Definisi
Baseerah (Wawasan)
Pemahaman dan persepsi mendalam yang menjadi asas sah bagi kewujudan serta identiti seorang Muslim dan pendakwah.
Tasbih
Penegasan aktif (melalui kalimah Subhanallah) untuk menyucikan Allah daripada segala sifat kekurangan, kecacatan, atau keserupaan dengan makhluk.
Syirik
Perbuatan merendahkan kedudukan Allah dengan menyertakan tandingan, pembantu, atau menyifatkan Allah dengan sifat-sifat lemah makhluk.
Sunnah
Perbuatan atau cara hidup Rasulullah SAW yang menghubungkan para pengikut dengan baginda merentasi zaman.
Muqaddar
Penambahan perkataan yang tersirat dalam struktur ayat untuk melengkapkan kefahaman makna (contoh: “Aku akan sentiasa kata…”).
Musyrikin
Golongan yang menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, yang ditentang oleh para Rasul dari zaman Nabi Ibrahim hingga Nabi Muhammad SAW.
Dawah
Misi menyeru manusia kepada Allah yang menjadi komitmen tersirat bagi setiap pengikut Rasulullah SAW.
S-B-H (س ب ح)
Akar kata bagi tasbih yang membawa maksud asal berenang atau terapung, melambangkan pemeliharaan konsep ketuhanan agar tidak “tenggelam” dalam pencemaran sifat makhluk.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 4 Februari 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah ar-Ra’d Ayat 27 – 29 (Soluti Kesihatan Mental)

Ra’d Ayat 27: Ini adalah hujah yang dikeluarkan oleh Musyrikin Mekah untuk menolak Nabi Muhammad ﷺ. Ia adalah ayat Syikayah (rungutan Allah ﷻ tentang kata-kata golongan penentang).

وَيَقولُ الَّذينَ كَفَروا لَولا أُنزِلَ عَلَيهِ ءآيَةٌ مِّن رَّبِّهِ ۗ قُل إِنَّ اللهَ يُضِلُّ مَن يَشاءُ وَيَهدي إِلَيهِ مَن أَنابَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who disbelieved say, “Why has a sign not been sent down to him from his Lord?” Say, [O Muḥammad], “Indeed, Allāh leaves astray whom He wills and guides to Himself whoever turns back [to Him] –

(MALAY)

Orang-orang kafir berkata: “Mengapa tidak diturunkan kepadanya (Muhammad) tanda (mukjizat) dari Tuhannya?” Katakanlah: “Sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki dan menunjuki orang-orang yang bertaubat kepada-Nya”,

 

وَيَقولُ الَّذينَ كَفَروا لَولا أُنزِلَ عَلَيهِ ءآيَةٌ مِّن رَّبِّهِ

Orang-orang kafir berkata: “Mengapa tidak diturunkan kepadanya (Muhammad) tanda (mukjizat) dari Tuhannya?”

Ini adalah pengulangan kepada ayat 7 surah ini. Kalimah ءآيَةٌ di sini bermaksud mukjizat. Ini kerana maksud ءآيَةٌ adalah ‘tanda’ dan mukjizat itu adalah tanda kekuasaan Allah ﷻ (bukannya kuasa Nabi ﷺ). Kenapa disebut tentang ءآيَةٌ mukjizat pula?

Kerana salah satu daripada hujah golongan musyrik untuk menolak Nabi Muhammad ﷺ, mereka berhujah begini: “Kenapa Muhammad itu tidak dapat mukjizat?” Sebenarnya, Nabi Muhammad ﷺ sudah pernah tunjukkan mukjizat kepada mereka untuk membuktikan kerasulan baginda. Akan tetapi mereka masih juga minta lagi dan lagi. Apakah mukjizat yang pernah ditunjukkan kepada mereka? Bulan terbelah seperti disebut dalam Qamar: 1-2 tetapi mereka tetap menolak juga.

اقتَرَبَتِ السّاعَةُ وَانشَقَّ القَمَرُ
Telah hampir saat (kedatangan hari kiamat) dan terbelahlah bulan.

وَإِن يَّرَوا ءآيَةً يُّعرِضوا وَيَقولوا سِحرٌ مُّستَمِرٌّ
Dan kalau mereka (kaum musyrik Mekah) melihat sesuatu mukjizat, mereka berpaling ingkar sambil berkata: (Ini ialah) sihir yang terus menerus berlaku.

Mereka pernah pula mengatakan dengan nada ingkar yang isinya meminta agar Nabi Muhammad ﷺ mengubah Bukit Safa menjadi emas buat mereka, dan semua bukit di Mekah dilenyapkan, lalu digantikan dengan ladang-ladang dan sungai-sungai. Allah ﷻ berfirman menjawab mereka dalam ayat lainnya:

وَمَا مَنَعَنَا أَنْ نُرْسِلَ بِالآيَاتِ إِلا أَنْ كَذَّبَ بِهَا الأوَّلُونَ
Dan sekali-kali tidak ada yang menghalangi Kami untuk mengirimkan (kepadamu) tanda-tanda (kekuasaan Kami), melainkan kerana tanda-tanda itu telah didustakan oleh orang-orang dahulu.
(Isra’: 59)

Dengan tidak memberikan mukjizat seperti yang mereka minta itu sebenarnya adalah rahmat daripada Allah ﷻ kerana seandainya Allah ﷻ beri juga dan mereka tolak selepasnya, maka azab akan terus diturunkan kepada mereka. Ini kerana kalau yang diminta telah diberi, tetapi masih berdegil juga, maka sudah tidak ada harapan lagi buat mereka.

Di sini Allah ﷻ beri contoh kaum Tsamud yang meminta mukjizat unta berita. Kemudian ia telah diberikan dan kita pun tahu yang mereka tetap kufur terhadap Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Akhirnya mereka telah dikenakan dengan azab yang teruk. Maka Allah ﷻ tidak beri mukjizat yang diminta oleh Musyrikin Mekah itu kerana Allah ﷻ sedang memberi mereka peluang.

Allah ﷻ beri peluang untuk mereka berfikir. Jangan gopoh minta sesuatu yang tidak patut-patut. Apabila mereka minta mukjizat lain, ini bermakna mereka tidak nampak hebatnya mukjizat Al-Qur’an itu sendiri yang telah diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Maka mereka kena fikirkan tentang Al-Qur’an yang mereka sendiri pun pening untuk menolaknya. Mereka pun takjub juga dengan Al-Qur’an itu! Kenapa perlu kepada mukjizat yang lain?

Mereka yang Nabi Muhammad ﷺ berhujah: kenapa tidak ada mukjizat yang dikeluarkan oleh Nabi Muhammad ﷺ? Sebenarnya sudah ada mukjizat yang ditunjukkan oleh baginda, namun mereka tanya kenapa tidak diturunkan lagi? Mereka minta macam-macam perkara yang mengarut, semuanya ikut kehendak nafsu mereka. Sudah diberi apa yang mereka minta, mereka minta mukjizat lain. Ini adalah kerana mereka main-main sahaja, bukannya mahu jadikan mukjizat itu sebagai punca untuk beriman. Di dalam sebuah hadith disebutkan bahawa Allah ﷻ menurunkan wahyu kepada Rasul-Nya ketika kaumnya meminta baginda mengubah Bukit Safa menjadi emas buat mereka,

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَتْ قُرَيْشٌ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ادْعُ لَنَا رَبَّكَ أَنْ يَجْعَلَ لَنَا الصَّفَا ذَهَبًا وَنُؤْمِنُ بِكَ قَالَ وَتَفْعَلُونَ قَالُوا نَعَمْ قَالَ فَدَعَا فَأَتَاهُ جِبْرِيلُ فَقَالَ إِنَّ رَبَّكَ عَزَّ وَجَلَّ يَقْرَأُ عَلَيْكَ السَّلَامَ وَيَقُولُ إِنْ شِئْتَ أَصْبَحَ لَهُمْ الصَّفَا ذَهَبًا فَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ مِنْهُمْ عَذَّبْتُهُ عَذَابًا لَا أُعَذِّبُهُ أَحَدًا مِنْ الْعَالَمِينَ وَإِنْ شِئْتَ فَتَحْتُ لَهُمْ بَابَ التَّوْبَةِ وَالرَّحْمَةِ قَالَ بَلْ بَابُ التَّوْبَةِ وَالرَّحْمَةِ
Daripada [Ibnu ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا], dia berkata; Orang-orang Quraisy berkata kepada Nabi ﷺ; “Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, agar merubah bukit Safaa menjadi emas maka kami akan beriman kepadamu.” Baginda bersabda: “Sungguh kalian akan melakukannya (beriman)?” Mereka menjawab; “Ya.” Maka baginda berdoa lalu datanglah Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan berkata; “Sesungguhnya Tuhanmu عَزَّ وَجَلَّ menyampaikan salam untukmu.” Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melanjutkan; “Jika engkau menghendaki maka bukit Safaa akan berubah emas untuk mereka. Siapa sahaja di antara mereka kafir setelah itu, Aku akan menyeksanya dengan seksaan yang belum pernah Aku seksakan kepada seorang pun di alam semesta ini. Dan jika engkau menghendaki Aku akan membukakan pintu taubat dan rahmat untuk mereka.” Baginda bersabda: “Bahkan pintu taubat dan rahmat (yang aku kehendaki).”
(Musnad Ahmad (2058))
Status: Sahih

Maka dengan Allah ﷻ tidak memberikan mukjizat yang mereka minta itu pun adalah kebaikan untuk mereka sebenarnya. Lagi pun bukankah sudah ada di hadapan mereka satu mukjizat yang amat hebat? Itulah dia ءآيَةٌ Al-Qur’an. Itu pun adalah mukjizat juga (yang kita sampai sekarang pegang di tangan kita). Apabila mereka minta mukjizat lain, ini memberitahu kita yang mereka sebenarnya memang tidak menghargai ayat-ayat Allah ﷻ di dalam bentuk Al-Qur’an sampai pergi minta pula mukjizat dan ayat yang lain. Dasar tidak kenal dek untung!

Maka kalau masyarakat kita pun tidak kenal Al-Qur’an, maka sama sahajalah dengan Musyrikin Mekah itu. Ada Al-Qur’an di hadapan mata pun buat tidak tahu sahaja, tidak langsung teringin hendak mengetahui kenapa ya Al-Qur’an ini mukjizat? Apa yang ada di dalamnya? Namun berapa ramai yang meluangkan masa untuk belajar tafsir Al-Qur’an dan menjumpai segala macam kehebatan di dalamnya?

 

قُل إِنَّ اللهَ يُضِلُّ مَن يَشاءُ

Katakanlah: “Sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki 

Allah ﷻ beritahu, tidak perlu tanyalah tentang mukjizat. Allah ﷻ pilih siapa yang patut dapat hidayah. Sekiranya seseorang itu sudah dapat hidayah dari awal, dia tidak perlukan mukjizat untuk jadikan dia beriman kerana bukan mukjizat itu yang menyebabkan dia akan beriman.

Kalau diberi beratus mukjizat pun, namun kalau Allah ﷻ tidak beri hidayah untuk masuk ke dalam hatinya, tidak akan beriman juga. Di dalam ayat lain disebutkan oleh firman-Nya:

وَلَو جاءَتهُم كُلُّ ءآيَةٍ حَتّىٰ يَرَوُا العَذابَ الأَليمَ
Walaupun datang kepada mereka segala jenis keterangan dan tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah dan kebenaran Rasul-rasul-Nya), sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.
(Yunus: 97)

وَمَا تُغْنِي الآيَاتُ وَالنُّذُرُ عَنْ قَوْمٍ لَا يُؤْمِنُونَ
Tidaklah bermanfaat tanda kekuasaan Allah dan rasul-rasul yang memberi peringatan bagi orang-orang yang tidak beriman
(Yunus: 101)

Akan tetapi kita jangan salah faham pula. Allah ﷻ sesatkan orang yang pasti sesat itu adalah kerana mereka tidak mengambil berbagai-bagai peluang yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka. Oleh kerana mereka banyak menentang, maka baru Allah ﷻ buat keputusan untuk menutup hati mereka daripada menerima kebenaran. Ini kita telah sentuh tentang Khatmul Qalbi dalam perbincangan-perbincangan yang lepas.

Ini penting kerana ramai yang keliru. Mereka kata Allah ﷻ yang sesatkan mereka, Allah ﷻ tidak beri hidayah kepada mereka, maka bukan salah mereka, Allah ﷻ yang salah! Subhanallah! Ini amat jahil sekali kerana baca terjemahan tanpa belajar, dan baca satu ayat sahaja sudah buat keputusan yang melulu. Sedangkan Allah ﷻ bukan sewenang-wenangnya menyesatkan manusia. Yang Allah ﷻ sesatkan adalah kerana manusia itu sendiri yang pilih kesesatan. Ini disebut di dalam ayat-ayat lain. Sebab itulah kita kena belajar keseluruhan tafsir 30 juzuk supaya tidak keliru sebegini rupa! Allah ﷻ sebut di dalam Saf :5

فَلَمّا زاغوا أَزاغَ اللَّهُ قُلوبَهُم ۚ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ
Maka tatkala mereka berpaling (daripada kebenaran), Allah memalingkan hati mereka; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.

Maknanya Allah ﷻ sesatkan manusia yang telah berpaling daripada kebenaran. Mereka sendiri yang pilih untuk menjadi sesat, maka Allah ﷻ teruskan kehendak mereka itu. Ini kerana Allah ﷻ tidak paksa manusia untuk beriman. Manusia ada pilihan sendiri seperti yang Allah ﷻ sebut dalam Kahf: 29

وَقُلِ الحَقُّ مِن رَّبِّكُم ۖ فَمَن شاءَ فَليُؤمِن وَمَن شاءَ فَليَكفُر
Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang daripada Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”.

Manusia yang diberikan dengan hidayah adalah manusia yang mahukan kebenaran. Dia mungkin tidak dilahirkan dalam keluarga orang beriman, tetapi mereka pilih untuk beriman dan membersihkan hati mereka daripada kesyirikan seperti disebut dalam Syams: 8-10 maka mereka itulah yang beruntung.

فَأَلهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقوَٮٰهَا
serta Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya.

قَد أَفلَحَ مَن زَكَّٮٰهَا
sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu,

وَقَد خَابَ مَن دَسَّٮٰهَا
dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.

Di sini kita tahu bahawa keimanan itu terpulang kepada diri sendiri. Jangan memandai hendak salahkan Allah ﷻ pula. Jangan lagi keliru tentang perkara ini. Belajarlah tafsir Al-Qur’an sampai pandai.

 

وَيَهدي إِلَيهِ مَن أَنابَ

dan menunjuki orang-orang yang cenderung kepada-Nya”,

Sebaliknya, bagi manusia yang ada keinginan untuk kembali kepada Allah ﷻ, mereka pasti akan nampak kebenaran, dan tidak perlukan mukjizat untuk mengubah pendirian mereka. Mereka inilah yang ada inabah dalam diri mereka. Kalimah أَنابَ daripada katadasar ن و ب yang bermaksud bertaubat dan kembali lagi dan lagi dan berturut-turut (kepada Allah ﷻ) dengan amal yang ikhlas apabila ditimpa musibah; kembali (kepada Allah ﷻ) dengan bertaubat lagi dan lagi dengan keikhlasan. Inabah adalah sifat condong kepada Allah ﷻ, mahu kepada Allah ﷻ.

Berbeza sekali dengan orang degil diberi dengan banyak mukjizat namun mereka tetap tidak nampak tanda-tanda itu kerana mereka tidak ada keinginan untuk melihat dan mencari kebenaran. Yang boleh terima dan dapat hidayah adalah mereka yang ada sifat inabah ini. Sifat ‘inabah’ adalah keinginan untuk tahu kebenaran kerana bila dalam hati ada keinginan kepada kebenaran, mereka tidak degil, mudah menerima dan boleh beriman dengan mudah.

Entah berapa ramai orang yang telah jumpa kebenaran, dan apabila kita tanya kepada mereka apa yang menyebabkan mereka jumpa kebenaran itu, mereka akan jawab bahawa pada satu ketika mereka berdoa supaya diberikan dan ditunjukkan kebenaran. Maknanya hati mereka telah bersedia untuk menerima kebenaran, dan apabila kebenaran itu ditunjukkan kepada mereka, mereka telah bersedia untuk menerimanya. Mereka terus ambil dan pegang dengan kemas.


 

Ra’d Ayat 28: Siapakah yang ada sifat inabah itu?

الَّذينَ ءآمَنوا وَتَطمَئِنُّ قُلوبُهُم بِذِكرِ اللهِ ۗ أَلا بِذِكرِ اللهِ تَطمَئِنُّ القُلوبُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who have believed and whose hearts are assured by the remembrance of Allāh. Unquestionably, by the remembrance of Allāh hearts are assured.”

(MALAY)

(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.

 

الَّذينَ ءآمَنوا

(iaitu) orang-orang yang beriman

Itulah mereka yang mahu beriman benar-benar kepada Allah ﷻ. Ini adalah ‘iman yang sempurna’. Iaitu beriman dengan fahaman tauhid dan fahaman tauhid ini kenalah menolak syirik. Kalau tolak syirik barulah iman itu sempurna kerana kalau beriman sahaja, tetapi dalam masa yang sama masih lagi ada fahaman dan amalan syirik, ini bukan ‘iman yang sempurna’. Oleh itu, kena belajar apakah yang dimaksudkan dengan syirik.

 

وَتَطمَئِنُّ قُلوبُهُم بِذِكرِ اللهِ

dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah.

Satu lagi sifat mereka, hati mereka menjadi tenang dengan ingat kepada Allah ﷻ. Yang tenang itu adalah di hati. Bukannya pada fizikal, pada pakaian atau sebagainya. Hati ini yang menjadi tempat ketenangan itu. Yang sukar untuk dijelaskan melainkan kepada orang yang merasainya.

‘Zikir’ yang dimaksudkan adalah fahaman tauhid yang diambil melalui kitab wahyu. Inilah yang dinamakan ‘zikir tauhid’. Iaitu kita ingat kepada Allah ﷻ, dalam kita kenal Allah ﷻ dalam fahaman ‘tauhid’. Kita kena kenal Allah ﷻ dalam faham tauhid. Cara untuk mengetahui perkara ini dengan paling sempurna adalah dengan mempelajari dan memahami tafsir Al-Qur’an.

Zikir terbesar adalah dengan mentaati Allah ﷻ. Apabila taat kepada Allah ﷻ, maka orang itu senang untuk melakukan zikir-zikir lain seperti solat, baca Al-Qur’an, tasbih, tahmid, takbir dan sebagainya. Apabila mereka melakukan perkara itu hati mereka menjadi tenang setenang tenangnya.

Kalimah تَطمَئِنُّ daripada katadasar ط م ن yang bermaksud berehat daripada sesuatu; bergantung kepada sesuatu; membongkok; menenangkan supaya jadi tenang; menenangkan; ketenangan; selamat daripada bahaya; senyap dan kedamaian. Maka ini adalah satu sifat yang kita kejar-kejar selama ini, iaitu rasa tenang sentosa, tidak ribut-ribut. Apa-apa terjadi pun mereka tenang-tenang sahaja. Mereka sentiasa tenang bukan sekali sekala kerana kalimah yang digunakan adalah تَطمَئِنُّ iaitu di dalam bentuk fi’il mudhari’.

Sebelum ini telah disebut bagaimana orang yang tidak beriman itu bergembira dengan kehidupan dunia (فَرِحوا). Namun فَرِح, itu adalah kegembiraan yang sekejap sahaja. Sebaliknya apabila digunakan kalimah تَطمَئِنُّ, ia adalah perasaan yang tenang yang lebih kekal.

Oleh kerana mereka dapat merasai kemanisan zikir itu, maka mereka semakin suka hendak melakukannya. Kerana itulah kita tahu ada orang yang rajin solat, rajin baca Al-Qur’an, rajin zikir dan sebagainya. Ini kerana mereka merasa nikmat melakukannya. Maka mereka hendak sentiasa melakukannya. Kalau kita rasa malas, maka ini adalah kerana ia menjadi satu beban bagi kita, tidak manis bagi kita. Kerana itu ramai yang solat seperti melepaskan batuk di tangga, malas baca Al-Qur’an (kalau baca pun seolah-olah seperti terpaksa).

 

أَلا بِذِكرِ اللهِ تَطمَئِنُّ القُلوبُ

Ingatlah, dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.

Ini adalah idkhal Ilahi. Allah ﷻ hendak memberitahu sesuatu. Memang dengan mengingati Allah ﷻ, hati akan menjadi tenang. Ayat ini juga memberitahu kita yang hanya dengan mengingati Allah ﷻ sahaja hati ini boleh tenang yang berpanjangan. Bukannya kerana tidur, kerana melancong, kerana ambil dadah, kerana bercinta, kerana duduk-duduk ‘healing’ di laut atau di sungai atau di mana-mana sahaja. Itu semua adalah tenang yang sementara sahaja.

Tenang yang dimaksudkan adalah ketenangan apabila dalam mentaati Allah ﷻ. Iaitu apabila solat, baca Al-Qur’an dan buat amal-amal kebaikan yang lain. Semakin dia tenang, semakin dia suka untuk melakukan kebaikan itu lagi dan lagi. Kerana itulah Rasulullah ﷺ boleh solat berjam-jam kerana baginda sudah sampai ke tahap ini. Ini amat berbeza dengan orang yang buat maksiat. Hati mereka sebenarnya tidak tenang pun kerana mereka sedang melawan fitrah mereka di mana ada satu naluri di dalam hati mereka yang ingin, mahu taat dan kenal kepada Allah ﷻ. Akan tetapi apabila fitrah itu dilanggar dan tidak dipenuhi, maka jiwa kita akan memberontak sebenarnya.

Dalam perkara ini, mengajar kita penyelesaian kepada masalah psikologi. Kita manusia selalu sahaja ada masalah hati dan kadang-kadang manusia menggunakan cara yang tidak baik untuk menghilangkan masalah psikologi mereka – ada yang minum arak, ada yang pukul orang, ada yang berbuat zalim kepada orang dan macam-macam lagi perkara yang menjahanamkan diri mereka.

Tahap kesihatan mental masyarakat kita semakin teruk. Statistik Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2015 mendedahkan satu per tiga rakyat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas berdepan masalah mental. Pada tahun 2019 pula, KKM telah merekodkan sebanyak 2.3% orang dewasa dan 9.5% kanak-kanak berusia 10-15 tahun mengalami masalah mental dan KKM mengunjurkan peratusan tersebut dijangka akan terus meningkat.

Permasalahan kesihatan mental di Malaysia turut dikaitkan dengan tingkah laku bunuh diri di mana terdapat 1,142 kes dilaporkan pada tahun 2021 dan 631 kes dilaporkan pada tahun 2020. Jumlah kes bagi tahun 2021 menunjukkan peningkatan ketara iaitu sebanyak 81 peratus berbanding tahun 2020 (Sumber: Berita Harian, Oktober 10, 2022). Tingkah laku bunuh diri menunjukkan kadar membimbangkan dan kita belum pasti perangkaan bagi tahun 2022.

Lebih daripada itu, masalah kesihatan mental kini turut menular kepada golongan kanak-kanak. Seorang daripada 20 orang kanak-kanak berusia 5 hingga 9 tahun di Malaysia kini mengalami gangguan mental. Kini KKM telah merekodkan 424,000 kanak-kanak di Malaysia disahkan mengalami masalah mental. UNICEF turut merekodkan 12.3 % remaja 10-17 tahun yang mendiami Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Klang mengalami masalah kesihatan mental dan cenderung untuk membunuh diri (Sumber: Harian Metro, Mac, 18, 2023). Pada 18 Jun 2022, Setiausaha Agung PBB, Antonio Gutteres menyatakan hampir 1 billion penduduk dunia mengalami masalah mental.

Sekarang di dalam ayat ini, kita diajar dengan satu solusi yang hebat – dengan mengingati Allah ﷻ. Oleh itu, kalau ada masalah emosi, kita kena ingat kepada Allah ﷻ iaitu melalui cara-cara dan pemahaman yang diajar melalui kitab Allah ﷻ. Ini penting untuk dijelaskan kerana orang buat syirik pun ada zikir kepada Allah ﷻ juga.

Sebagai contoh, ahli tarekat ramai yang berzikir kepada Allah ﷻ dan mereka kata mereka sentiasa ingat Allah ﷻ. Akan tetapi cara mereka ‘mengingati’ itu tidak sama kerana mereka tidak ingat Allah ﷻ dalam bentuk tauhid. Begitu juga orang kafir pun ada zikir juga, tetapi yang mereka amalkan adalah zikir syirik, oleh itu tidak ada hasil seperti yang dikehendaki.

Dengan ayat ini kepada kita dijelaskan bahawa iman menyebabkan senantiasa ingat kepada Tuhan, atau zikir. Iman menyebabkan hati kita mempunyai pusat ingatan atau tujuan ingatan. Ingatan kepada Tuhan itu menimbulkan ketenteraman, dan dengan sendirinya hilanglah segala macam kegelisahan, fikiran kusut, putus asa, ketakutan, kecemasan, keragu-raguan dan dukacita. Ketenteraman hati adalah pokok kesihatan rohani dan jasmani.

Ragu dan gelisah adalah pangkal segala penyakit. Orang lain tidak dapat menolong orang yang meracun hatinya sendiri dengan kegelisahan. Kalau hati telah ditumbuhi penyakit, dan tidak segera diubati dengan iman, iaitu iman yang menimbulkan zikir dan zikir yang menimbulkan thuma’ninoh, maka celakalah yang akan menimpa. Hati yang telah sakit akan bertambah sakit. dan puncak segala penyakit hati ialah kufur akan nikmat Allah ﷻ.

Di sini telah disebut jiwa yang tenang. Al-Qur’an telah membahagikan tingkat nafsu kepada tiga, iaitu:

1. An-Nafsul Ammarah Bissu’ seperti disebut dalam Yusuf: 53, iaitu nafsu yang selalu menyuruh dan mendorong supaya berbuat yang jahat, kerana nafsu yang demikian telah dapat ditunggangi oleh syaitan,

وَما أُبَرِّئُ نَفسي ۚ إِنَّ النَّفسَ لَأَمّارَةٌ بِالسّوءِ إِلّا ما رَحِمَ رَبّي
Dan aku tidak membebaskan diriku (daripada kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku.

2. An-Nofsul Lawwamah seperti yang disebut dalam Qiyamah: 2, iaitu tekanan batin dan penyesalan kerana telah terlanjur.

وَلا أُقسِمُ بِالنَّفسِ اللَّوّامَةِ
Dan Aku bersumpah dengan “Nafsul Lawwaamah”!

3. Kerana pengalaman-pengalaman diri yang memperturutkan An-Nafsul Ammarah Bissu’, yang menimbulkan sesal kepda An-Nofsul Lawwamah, bagi orang yang mengambil pengalaman daripada beberapa kegagalan, dapatlah dia mencapai An-Nofsul Muthmainnah. Ini seperti disebut dalam Fajr: 27-28. Ini adalah nafsu yang telah mencapai ketenteramannya, setelah menempuh berbagai pengalaman.

يٰأَيَّتُهَا النَّفسُ المُطمَئِنَّةُ
Hai jiwa yang tenang.

ارجِعي إِلىٰ رَبِّكِ راضِيَةً مَّرضِيَّةً
Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya.

Namun bagaimana kita boleh dapat ketenangan ini? Iaitu dengan ilmu. Apabila kita semakin belajar dan semakin faham, maka hati kita akan tenang. Ini seperti yang disebut dalam Baqarah: 260

وَإِذ قالَ إِبرٰهِـۧمُ رَبِّ أَرِني كَيفَ تُحيِي المَوتىٰ ۖ قالَ أَوَلَم تُؤمِن ۖ قالَ بَلىٰ وَلٰكِن لِّيَطمَئِنَّ قَلبي
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?” Allah berfirman: “Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)?” Nabi Ibrahim menjawab: “Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya)”.

Di dalam ayat ini, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ingin lebih menenangkan hatinya dengan iman. Baginda sudah ada ilmul yaqin (keyakinan tahap ilmu), maka bukanlah baginda tidak percaya kuasa Allah ﷻ. Namun baginda hendak menambah iman baginda dengan ainul yaqin (keyakinan setelah melihat sendiri). Tentunya kita tidak boleh dapat tahap iman Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang Allah ﷻ tunjukkan sendiri kuasa-Nya. Akan tetapi kita boleh meningkatkan iman kita dan ketenangan kita dengan menambah ilmu kita. Belajarlah tafsir Al-Qur’an dan tadabburlah berkali-kali sampai timbul rasa yakin itu di dalam diri kita. Maka asas kepada iman dan ketenangan adalah ilmu. Tanpa ilmu, kita tidak ke mana.

Kita juga dianjurkan untuk sentiasa berdoa kepada Allah ﷻ untuk memberikan ketenangan kepada kita. Antaranya kita boleh baca doa,

اللَّهُمَّ إنِّي أسألُكَ نَفْسًا مُطمَئِنَّةً ، تُؤْمِنُ بِلِقَائِكَ ، وتَرْضَى بِقَضَائِكَ ، وتَقْنَعُ بِعَطَائِكَ
“Ya Allah, aku memohon kepada-Mu jiwa yang merasa tenang kepada-Mu, yang yakin akan bertemu dengan-Mu, yang redha dengan ketetapan-Mu, dan yang merasa cukup dengan pemberian-Mu.”
(Riwayat Imam Thabrani)
Walaupun ia didhaifkan oleh Albani, akan tetapi ia boleh dibaca kerana maknanya bagus.


 

Ra’d  Ayat 29:

الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ طوبىٰ لَهُم وَحُسنُ مَئآبٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who have believed and done righteous deeds – a good state is theirs and a good return.

(MALAY)

Orang-orang yang beriman dan beramal saleh, bagi mereka kebahagiaan dan tempat kembali yang baik.

 

الَّذينَ ءآمَنوا

Orang-orang yang beriman

Iaitu iman yang sempurna – bukan setakat mempercayai apa yang perlu dipercayai sahaja, tetapi kena tinggalkan fahaman syirik. Untuk kenal apakah syirik, tetap kena belajar tafsir Al-Qur’an sehingga tamat 30 juzuk.

 

وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

dan beramal soleh,

Iman bukan sahaja di mulut sahaja tetapi perlu ditunjukkan dengan amalan. Amalan itu mestilah amalan yang soleh, iaitu ada sunnah daripada Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat – bukan amalan bid’ah. Malangnya masyarakat Islam kita tidak kenal mana bid’ah dan mana sunnah, maka banyak amalan ibadat orang kita adalah amalan bid’ah.

Kalimah الصّٰلِحٰتِ dalam bentuk jamak, tetapi bukanlah jamak yang banyak. Maka ini mengajar kita bukanlah amalan banyak yang dipandang, tetapi kualiti. Kalau banyak tetapi tidak ada kualiti pun tidak berguna. Kalau berkualiti dan banyak, tentulah lagi bagus.

 

طوبىٰ لَهُم

bagi mereka kebahagiaan

Kalimah طوبىٰ adalah dari katadasar ط ي ب yang bermaksud kebaikan, kesenangan, kegembiraan, keberkatan. Bagi mereka yang beriman sempurna dan beramal dengan amalan sunnah, mereka akan mendapat طوبىٰ iaitu kegembiraan yang menerangkan hati dan segala pancaindera. Maknanya, bukan setakat rasa dalam emosi sahaja, malah tubuh badan pun rasa segar. Amat bertuahlah mereka itu. Maka طوبىٰ adalah kehidupan yang baik, kehidupan yang toyyib. Ia adalah kepuasan di dunia. Di akhirat kelak dia akan dimasukkan ke dalam syurga.

Ibnu Jarir رَحِمَهُ اللَّهُ pula ada meriwayat pendapat yang mengatakan bahawa طوبىٰ adalah nama sebuah pohon di dalam syurga; semua pepohonan syurga berasal daripadanya, ranting-rantingnya berasal daripada sebalik tembok syurga. Imam Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ dan Imam Muslim رَحِمَهُ اللَّهُ meriwayatkan:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فِي الْجَنَّةِ شَجَرَةٌ يَسِيرُ الرَّاكِبُ فِي ظِلِّهَا مِائَةَ عَامٍ لَا يَقْطَعُهَا وَقَالَ ذَلِكَ الظِّلُّ الْمَمْدُودُ
Daripada [Abu Sa’id Al Khudri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] daripada Nabi ﷺ baginda bersabda: “Di dalam syurga ada pohon (yang panjangnya sejauh) seorang pengendera berjalan di bawah naungannya selama seratus tahun dan tidak mampu menyelesaikannya, ” dan baginda berkata: Itulah maksud naungan yang terbentang luas.”
(Sahih Bukhari (2447))

Akan tetapi ada banyak kisah pelik yang diambil daripada sumber israiliyyat tentang pohon ini yang dinamakan Pohon Tuba. Kita tidak berharap kepadanya.

 

وَحُسنُ مَئآبٍ

dan tempat kembali yang baik.

Mereka mendapat tempat pulangan yang baik iaitu syurga yang mereka akan kekal di dalamnya. Tidak ada tempat yang lebih baik daripada syurga. Ia diberikan kepada orang yang ada sifat مَئآبٍ. Kalimah مَئآبٍ daripada katadasar ا و ب yang bermaksud kembali daripada sesuatu, bertaubat, bintang yang keluar, mengulangi, kembali (daripada kemaksiatan kepada ketaatan), bergema, turun pada waktu malam. Kalimat taubat diambil daripada katadasar ini juga.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 19 September 2023

Ringkasan Surah Ra’d


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin