Tafsir Surah al-Qamar Ayat 19 – 33 (Kisah unta mukjizat)

Ayat 19:

إِنّا أَرسَلنا عَلَيهِم ريحًا صَرصَرًا في يَومِ نَحسٍ مُّستَمِرٍّ

Sahih International

Indeed, We sent upon them a screaming wind on a day of continuous misfortune,

Malay

Sesungguhnya Kami telah menghantarkan kepada mereka angin ribut yang kencang, pada hari nahas yang berlanjutan; –

إِنَّا أَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحًا صَرْصَرًا

Sesungguhnya Kami telah mengutus kepada mereka angin yang sangat kencang

Kalimah صَرْصَرًا bermaksud ‘sangat sejuk’, ‘sangat bising’ dan ‘sangat laju’. Angin itu sejuk sangat sampaikan tubuh mereka terus jadi beku. Lagi satu sifatnya, ia mempunyai suara/bunyi yang amat menakutkan.

 

فِي يَوْمِ نَحْسٍ مُّسْتَمِرٍّ

pada hari yang penuh celaka yang terus menerus,

Bermaksud, apabila angin itu sudah mula dikenakan kepada mereka, ianya memberi kecelakaan kepada mereka tanpa henti. Dalam Haqqah:7 telah diberitahu yang angin sejuk itu bertiup menghancurkan mereka selama 8 hari dan 7 malam.

Ada dikatakan yang hari pertama angin itu adalah hari Rabu. Dan kerana itu ada fahaman khurafat yang kata hari Rabu adalah hari celaka. Dan fahaman ini termasuk dalam masyarakat Islam kita juga, sampaikan bila Pilihanraya dibuat hari Rabu pun keluarlah hadis-hadis tidak sahih tentang kecelakaan hari Rabu.

Oleh itu mengatakan hari Rabu itu sial adalah fahaman sesat. Kerana semua hari adalah milik Allah dan Allah tidak tentukan mana-mana hari sebagai sesat. Yang sial seperti dalam ayat ini adalah hari-hari yang angin bertiup menghancurkan kaum Aad itu sahaja.

Dan kecelakaan itu tidak berhenti apabila mereka mati saja kerana ianya berterusan di dalam kubur di Mahsyar dan di neraka nanti.


 

Ayat 20:

تَنزِعُ النّاسَ كَأَنَّهُم أَعجازُ نَخلٍ مُّنقَعِرٍ

Sahih International

Extracting the people as if they were trunks of palm trees uprooted.

Malay

Yang menumbangkan manusia gugur bergelimpangan, seolah-olah mereka batang-batang pohon kurma yang terbongkar.

تَنزِعُ النَّاسَ

yang memetik manusia

Kalimah تَنزِعُ dari katadasar ن ز ع yang bermaksud ‘menarik sesuatu dari tempatnya’. Apabila angin itu mula bertiup, mereka mula mencari tempat perlindungan dan cuba berpegang dengan sesuatu, tetapi angin itu tetap menarik mereka dari tempat mereka. Mereka ditumbangkan dari tempat mereka berdiri.

 

كَأَنَّهُمْ أَعْجَازُ نَخْلٍ مُّنقَعِرٍ

seakan-akan mereka perdu pokok kurma yang ditumbangkan.

Allah memberi perumpamaan bagaimana kuatnya angin itu, sampaikan dapat menarik dan merebahkan pokok kurma. Bayangkan pokok kurma yang dicabut dengan akar-akarnya sekali.

Seperti kita tahu, pokok kurma adalah pokok yang kuat yang akarnya masuk dalam tanah. Kaum Aad ini diumpamakan sebagai pokok kurma kerana mereka bertubuh besar dan gagah sekali. Seperti yang disebut dalam ayat Fussilat:15

فَأَمَّا عَادٌ فَاسْتَكْبَرُوا فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَقَالُوا مَنْ أَشَدُّ مِنَّا قُوَّةً أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّ اللَّهَ الَّذِي خَلَقَهُمْ هُوَ أَشَدُّ مِنْهُمْ قُوَّةً وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يَجْحَدُونَ

Adapun kaum ‘Aad maka mereka menyombongkan diri di muka bumi tanpa alasan yang benar dan berkata: “Siapakah yang lebih besar kekuatannya dari kami?” Dan apakah mereka itu tidak memperhatikan bahawa Allah Yang menciptakan mereka adalah lebih besar kekuatan-Nya daripada mereka? Dan adalah mereka mengingkari tanda-tanda (kekuatan) Kami.

Jadi ayat ini memberitahu kepada kita yang walaupun tubuh badan kaum Aad itu besar dan gagah, tetapi angin itu lebih kuat lagi sampaikan boleh menjatuhkan dan menarik mereka. Maka janganlah Musyrikin Mekah dan juga kita bangga dengan apa sahaja kekuatan yang kita ada. Mudah sahaja kalau Allah nak hancurkan kita.


 

Ayat 21:

فَكَيفَ كانَ عَذابي وَنُذُرِ

Sahih International

And how [severe] were My punishment and warning.

Malay

Maka perhatikanlah, bagaimana buruknya azabKu dan kesan amaran-amaranKu!

Allah menarik perhatian kita kepada dahsyatnya azab yang diberikan kepada kaum Aad yang engkar itu. Jangan kita jadi macam itu. Jangan kita menolak ajaran Nabi kita. Jangan kita amalkan syirik dan amalan bidaah.

Belajarlah tafsir Al-Qur’an dan amalan-amalan sahih dari Nabi supaya kita tidak terbuat amalan yang bidaah kerana terikut-ikut dengan amalan orang lain yang jahil.


 

Ayat 22: Allah ulang lagi ayat yang telah disebut sebelum ini. Berkali-kali ayat ini diulang dalam Surah Qamar ini. Kerana pentingnya ayat ini, maka hendaklah kita mengambil perhatian.

وَلَقَد يَسَّرنَا القُرءآنَ لِلذِّكرِ فَهَل مِن مُّدَّكِرٍ

Sahih International

And We have certainly made the Qur’an easy for remembrance, so is there any who will remember?

Malay

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Qur’an untuk peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?

وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْءآنَ لِلذِّكْرِ

Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al Qur’an untuk dipelajari,

Sekali lagi diulang ayat ini. Al-Qur’an ini boleh dipelajari dan difahami jadi jangan kata ianya susah dan tidak dapat dipelajari. Maka jangan putus asa untuk belajar. Memanglah pada awal semua perkara susah tapi lama kelamaan ia akan jadi mudah dan pelajar akan mula faham sedikit demi sedikit. Waktu akan timbul cinta kepada Al-Qur’an dan kepada agama.

Allah yang akan beri kefahaman itu kepada kita, asalkan kita mahu berusaha. Lain orang lain pemahamannya berdasarkan kepada usaha dan kehendak Allah terhadap kita. Kalau Allah beri sedikit ilmu, maka bersyukur; semoga Allah tambah lagi ilmu itu dengan kesyukuran kita itu.

 

فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ

maka adakah orang yang mengambil pelajaran?

Allah pujuk manusia untuk ambil pelajaran dari Al-Qur’an. Benda sudah mudah, maka pelajarilah. Jangan lupa untuk ambil pelajaran dari Al-Qur’an ini. Carilah tempat belajar, berkenalanlah dengan mereka yang sudah belajar. Alhamdulillah, zaman sekarang pembelajaran Tafsir Al-Qur’an semakin mudah untuk didapati.

Habis Ruku’ 1 dari 3 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 23: Sekarang disebut pula kisah kaum Tsamud. Ayat 23 – 32 adalah Perenggan Makro Keempat dan ia adalah berkenaan pendustaan kaum Tsamud.

كَذَّبَت ثَمودُ بِالنُّذُرِ

Sahih International

Thamud denied the warning

Malay

(Demikian juga) kaum Thamud telah mendustakan peringatan dan amaran (yang disampaikan oleh Rasul mereka, Nabi Soleh).

 

Kepada kaum Tsamud, telah diutuskan Nabi Saleh a.s. kepada mereka. Kaum Tsamud telah menolak Nabi Saleh dan mengatakan baginda berdusta sahaja dalam ajakan dan dakwah baginda.

Kalimah النُّذُرِ adalah  dalam sighah jamak walaupun Kaum Tsamud itu tolak Rasul mereka sahaja, Nabi Saleh a.s. Tapi kenapa digunakan sighah jamak seolah-olah seperti mereka menolak semua Rasul pula?

Ini adalah kerana kalau tolak satu Rasul sahaja sudah dikira tolak semua Rasul kerana semua Rasul itu bawa perkara dan ajaran wahyu yang sama sahaja. Yang berbeza adalah dari segi syariat sahaja, tapi dari segi Tauhid, sama sahaja bawaan semua Nabi dan Rasul.


 

Ayat 24: Mari kita lihat apakah hujah penolakan yang digunakan oleh kaum Tsamud.

فَقالوا أَبَشَرًا مِّنّا وٰحِدًا نَّتَّبِعُهُ إِنّا إِذًا لَّفي ضَلٰلٍ وَسُعُرٍ

Sahih International

And said, “Is it one human being among us that we should follow? Indeed, we would then be in error and madness.

Malay

Lalu mereka berkata: Patutkah kita menurut manusia dari jenis kita, lagi yang berseorangan? Jika demikian, sesungguhnya kita berada dalam keadaan sesat dan gila!

فَقَالُوا أَبَشَرًا مِّنَّا وٰحِدًا نَّتَّبِعُهُ

Maka mereka berkata: “Adakah patut kita mengikuti seorang manusia (biasa) di antara kita?”

Mereka mempersoalkan kenapa mereka perlu ikut seorang manusia sahaja. Nabi Saleh seorang diri sahaja tanpa pengikut yang ramai dan tentera yang mengiringinya.

Oleh kerana itu, mereka pandang rendah kepada Nabi Saleh dan tidak mahu mengikut baginda. Mereka juga mengatakan yang Nabi Saleh itu adalah seorang manusia yang sama sahaja seperti mereka, jadi tidak perlu nak diikuti.

Jadi ini adalah satu ‘hijab rasmi’ namanya. Iaitu ramai sangat yang buat sampaikan semua sangka ianya benar. Mereka meletakkan kebenaran pada ramainya orang yang mengikuti satu-satu fahaman itu. Mereka sangka kalau ramai yang percaya tentulah itu yang benar. Dan kalau yang ajar fahaman itu sikit sahaja pengikutnya, maka tentulah tidak benar.

Maka kerana itu juga ramai masyarakat kita menolak ajaran Sunnah kerana mereka lihat tak ramai yang amalkan ajaran sunnah. Ramai yang amalkan ajaran bidaah dan kerana itu mereka sangka itulah ajaran dan amalan yang benar. Maka kita perlu keluar dari kepompong salah faham ini.

Kena sedar yang kebenaran bukannya kalau ramai orang amalkan. Kerana agama ini bukannya ikut majoriti. Agama ini bukannya demokrasi yang ikut siapa yang ramai itulah yang menang. Tapi kebenaran itu adalah ajaran yang berlandaskan dalil dari Al-Qur’an dan juga hadis yang sahih.

 

إِنَّا إِذًا لَّفِي ضَلٰلٍ وَسُعُرٍ

Sesungguhnya kalau kita begitu, benar-benar kita berada dalam keadaan sesat dan gila”.

Mereka kata sesama mereka yang kalau mereka mengikut dakwah Nabi Saleh itu, merekalah yang sudah sesat dan gila. Mereka kata orang yang beriman dengan Nabi Saleh itu yang gila kerana ikut ajaran seorang manusia biasa sahaja. Itulah bahaya hijab rasmi itu kalau sudah menular dalam masyarakat.

Ringkasnya, ada tiga hujah yang digunakan oleh kaum Tsamud untuk menolak Nabi Saleh a.s. Dan hujah yang sama juga digunakan oleh Musyrikin Mekah untuk menolak Nabi Muhammad ﷺ.

1. Nabi Saleh manusia biasa sahaja, bukan luar biasa. Makan dan minum macam mereka juga.

2. Nabi Saleh orang tempatan, berasal dan duduk dengan mereka dari kecil lagi. Oleh itu mereka lihat tiada istimewanya baginda kalau dibandingkan dengan mereka.

Ini pun ada masalah dengan masyarakat kita. Senang nak terima kata-kata dari orang luar, tapi tidak percaya dengan masyarakat sendiri. Kerana itu ramai yang senang terpengaruh dan ternganga dengan datangnya puak Habib yang sesat itu. Kerana mereka orang luar dan bawa perawakan ala-ala alim.

3. Dia seorang sahaja dan bukanlah dari kalangan orang yang ada kedudukan. Bukan ketua kaum atau orang yang kaya dan berpengaruh dari kalangan mereka.

Ini pun masyarakat kita ada masalah. Mereka nak pilih dan ikut orang yang ada kedudukan dalam masyarakat. Mereka sudah tidak kisah apa yang disampaikan itu ikut Al-Qur’an atau tidak.


 

Ayat 25: Ini adalah ejekan mereka kepada Nabi Saleh a.s.

أَءُلقِيَ الذِّكرُ عَلَيهِ مِن بَينِنا بَل هُوَ كَذّابٌ أَشِرٌ

Sahih International

Has the message been sent down upon him from among us? Rather, he is an insolent liar.”

Malay

Tidaklah patut wahyu peringatan itu diturunkan kepadanya (padahal orang-orang yang lebih layak ada) di antara kita. Bahkan dialah seorang pendusta, lagi sombong angkuh.

أَءُلْقِيَ الذِّكْرُ عَلَيْهِ مِن بَيْنِنَا

Apakah wahyu itu diturunkan kepadanya di antara kita?

Mereka mempersoalkan kebenaran wahyu yang diberikan kepada Nabi Saleh. Mereka nak kata dalam banyak-banyak orang, kenapa pula wahyu diberikan kepada Nabi Saleh? Tidak ada orang lain lagikah?

Mereka nak kata, ada lagi orang lain yang lebih layak untuk diberikan wahyu itu. Mereka kata ada lagi orang yang lebih berpengaruh dari Nabi Saleh dalam masyarakat mereka.

Ini pun hujah yang sama digunakan terhadap Nabi Muhammad. Musyrikin Mekah persoalkan keputusan Allah. Mereka kata kenapakah tidak diberikan wahyu itu kepada salah seorang dari dua orang besar dari Mekah atau Taif?

Adakah mereka pula yang lebih pandai dari Allah? Adakah mereka lebih tahu siapakah yang layak diberikan dengan wahyu? Ini memang kata-kata mereka yang amat jahil tentang Allah dan kedudukan Allah.

 

بَلْ هُوَ كَذَّابٌ أَشِرٌ

Sebenarnya dia adalah seorang yang amat pendusta lagi sombong.

Kerana mereka tidak percaya kepada Nabi Saleh, maka mereka tuduh baginda seorang pendusta. Ini adalah kata-kata tuduhan tanpa hujah dan bukti. Mereka kata ikut sedap mulut sahaja.

Perkataan أَشِرٌ bermaksud ‘sombong’ tetapi bukan sombong yang biasa, tetapi sombong yang peringkat tertinggi sekali. Iaitu mereka yang menegaskan di mana-mana tempat bahawa mereka hebat.

Mereka tuduh Nabi Saleh sombong kerana tidak ikut kehendak mereka. Begitulah manusia akan mengatakan orang lain sombong kalau tidak ikut mereka. Oleh kerana ini disebut dalam Al-Qur’an, maka ia akan tetap ada sahaja dalam masyarakat dalam setiap zaman. Kerana itu yang bawa kebenaran pula yang dikatakan sombong.

Kalau zaman sekarang, orang yang hendak bawa ajaran sunnah pula yang dikatakan sombong. Ahli bidaah kata kita sombong kerana tidak ikut ‘kata-kata ulama’ dan orang terdahulu. Padahal sombong itu mengikut definisi Allah adalah orang yang menolak kebenaran apabila telah sampai kepada mereka. Tapi kerana masyarakat telah jahil, maka mereka telah terbalik fahaman mereka.


 

Ayat 26: Ayat tasliah (pujukan) dari Allah. Ini adalah jawapan Allah kepada hujah-hujah mereka tadi.

سَيَعلَمونَ غَدًا مَّنِ الكَذّابُ الأَشِرُ

Sahih International

They will know tomorrow who is the insolent liar.

Malay

Mereka akan mengetahui esok siapakah orangnya yang pendusta, lagi sombong angkuh itu.

Kalimah غَدًا (esok) boleh bermaksud ‘Hari Pembalasan’ ataupun apabila mereka dikenakan dengan azab nanti (di dunia lagi).

Mereka tuduh Nabi Saleh itu berdusta dan sombong, tapi itu adalah bohong sahaja. Nanti, mereka akan mengetahui siapakah yang sebenarnya yang berdusta dan sombong – iaitu mereka sendiri.


 

Ayat 27:

إِنّا مُرسِلُو النّاقَةِ فِتنَةً لَّهُم فَارتَقِبهُم وَاصطَبِر

Sahih International

Indeed, We are sending the she-camel as trial for them, so watch them and be patient.

Malay

Sesungguhnya Kami menghantarkan unta betina (yang menjadi mukjizat) sebagai satu ujian bagi mereka. Lalu (Kami perintahkan Rasul Kami): Tunggulah (apakah yang mereka akan lakukan) serta bersabarlah (terhadap tentangan mereka).

إِنَّا مُرْسِلُو النَّاقَةِ

Sesungguhnya Kami mengirimkan unta betina

Kaum Nabi Saleh telah mencabar baginda untuk buktikan kenabian baginda dengan mengeluarkan satu mukjizat. Sebagaimana juga puak Musyrikin Mekah minta mukjizat daripada Nabi Muhammad, begitulah juga kaum Nabi Saleh. Seperti di awal surah ini, telah disebut bagaimana mereka minta Nabi tunjukkan mukjizat dan bagaimana Allah telah memberi mukjizat Pembelahan Bulan kepada baginda.

Kaum Tsamud telah cabar Nabi Saleh untuk mengeluarkan seekor unta dari bukit batu. Unta itu pula mestilah unta betina. Unta itu juga mestilah berwarna merah. Bukan itu sahaja, mereka kata unta itu mesti bunting bila dikeluarkan dari batu. Dan unta itu hendaklah melahirkan unta yang betina juga dan anak unta itu juga mestilah unta merah juga.

Itulah syarat-syarat yang mereka keluarkan kepada Nabi Saleh. Kalau dikirakan secara logik akal, tentulah syarat-syarat itu adalah syarat-syarat yang mustahil. Tetapi Allah telah mengeluarkan seperti mana yang mereka minta. Mudah sahaja bagi Allah.

 

فِتْنَةً لَّهُمْ

sebagai cubaan bagi mereka,

Unta itu dikatakan sebagai ‘ujian’ kepada mereka kerana bila unta itu diberikan kepada mereka, ini akan membuka ruang kepada mereka untuk melakukan dosa. Mereka mungkin berlaku zalim kepada unta itu ataupun mereka boleh membunuh unta itu.

Kerana bila unta itu diberikan, ianya datang dengan syarat-syarat dari Allah. Mereka tidak boleh menganiaya unta itu, dan mereka mesti membiarkan unta itu tanpa gangguan. Mereka juga perlu berkongsi air dengan untuk itu. Telaga di tempat itu hanya ada satu sahaja. Dan satu hari diuntukkan bagi unta itu minum, dan esok baru mereka boleh minum dari telaga itu. Hari unta minum air, mereka tidak boleh ke telaga itu.

Dan ini adalah ujian yang amat berat. Kerana mereka minta mukjizat dan Allah berikan. Bila sudah diberikan dengan mukjizat yang diminta tapi masih lagi degil menolak, maka azab yang akan dikenakan lebih teruk dari mereka yang tidak diberikan mukjizat.

Mereka minta mukjizat ditunjukkan kepada mereka, tanpa mereka sedari yang permintaan mereka itu adalah ujian berat kepada mereka yang akan menyusahkan mereka. Ini juga ingatan dan amaran kepada Musyrikin Mekah yang selalu meminta-minta mukjizat dari Nabi Muhammad. Allah nak ingatkan kepada Musyrikin Mekah, kalau mukjizat diberikan seperti yang mereka minta, ia bahaya bagi mereka.

 

فَارْتَقِبْهُمْ وَاصْطَبِرْ

maka tunggulah (tindakan) mereka dan bersabarlah.

Lihatlah apa yang mereka akan lakukan. Adakah mereka akan beriman atau tidak. Nabi Saleh disuruh bersedia sahaja. Allah sudah tahu apa yang mereka akan lakukan.

Bersabarlah dengan mereka dan apa yang mereka akan lakukan. Itu memerlukan kesabaran yang lebih tinggi dari biasa. Sebab itu perkataan وَاصْطَبِرْ yang digunakan. Kalau sabar, perkataan وَاصْبِرْ boleh digunakan. Dalam bahasa Arab, kalau perkataan itu dipanjangkan dan ditambah dengan huruf, ianya bermaksud ada sesuatu yang lebih yang dimaksudkan. Apabila huruf ط dimasukkan dalam وَاصْطَبِرْ, ianya hendak memberitahu kepada Nabi Saleh bahawa baginda perlu bersabar lebih dari biasa.


 

Ayat 28: Setelah mereka meminta Nabi Saleh a.s. mengeluarkan unta itu, dan Allah telah mengeluarkannya, maka ada syarat-syarat yang perlu dipenuhi.

وَنَبِّئهُم أَنَّ الماءَ قِسمَةٌ بَينَهُم ۖ كُلُّ شِربٍ مُّحتَضَرٌ

Sahih International

And inform them that the water is shared between them, each [day of] drink attended [by turn].

Malay

Dan khabarkanlah kepada mereka, bahawa sesungguhnya air (telaga mereka) terbahagi di antara mereka dengan unta itu, tiap-tiap bahagian air itu dihadiri oleh yang berhak mengambilnya (pada hari gilirannya).

وَنَبِّئْهُمْ أَنَّ الْمَاءَ قِسْمَةٌ بَيْنَهُمْ

Dan beritakanlah kepada mereka bahawa sesungguhnya air itu terbahagi antara mereka (dengan unta betina itu);

Kalimah قِسْمَةٌ bermaksud pembahagian kepada dua bahagian. Sumber air mereka perlu dibahagikan antara mereka dan juga unta itu. Hanya ada satu telaga sahaja di tempat tinggal mereka itu. Satu hari mereka boleh minum dan esoknya air itu hanya diperuntukkan untuk unta itu sahaja. Mereka bergilir hari untuk menggunakan air itu.

 

كُلُّ شِرْبٍ مُّحْتَضَرٌ

tiap-tiap giliran minum dihadiri (oleh yang punya giliran)

Giliran minuman itu perlu dijaga. Jikalau hari itu adalah hari minuman untuk manusia, mereka boleh hadir dan unta itu tidak akan datang kepada tempat minuman. Unta itu di bawah kawalan Allah dan taat. Kalau bukan gilirannya, dia tidak akan datang.

Dan jikalau hari itu adalah giliran unta itu, manusia tidak boleh hadir untuk mengambil air minuman itu. Bukan mereka sahaja, ternakan mereka pun tidak boleh dibawa untuk minum dari telaga itu.

Unta itu pula memang makan dan minum air dengan banyak. Sampaikan kalau gilirannya, tidak ada lebihan air untuk manusia dan ternakan yang lain. Dalam ayat ini, hanya diberikan maklumat ringkas sahaja. Dalam A’raf:73 ada disebut lagi tentang perkara ini:

وَإِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَٰهٍ غَيْرُهُ قَدْ جَاءَتْكُم بَيِّنَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ هَٰذِهِ نَاقَةُ اللَّهِ لَكُمْ آيَةً فَذَرُوهَا تَأْكُلْ فِي أَرْضِ اللَّهِ وَلَا تَمَسُّوهَا بِسُوءٍ فَيَأْخُذَكُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Dan (Kami telah mengutus) kepada kaum Tsamud saudara mereka Shaleh. Ia berkata: “Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selain-Nya. Sesungguhnya telah datang bukti yang nyata kepadamu dari Tuhanmu. Unta betina Allah ini menjadi tanda bagimu, maka biarkanlah ia makan di bumi Allah, dan janganlah kamu mengganggunya dengan gangguan apapun, (yang kerananya) kamu akan ditimpa seksaan yang pedih”.

Dalam Syu’ara:155-156 juga ada disebut perkara ini:

قَالَ هَٰذِهِ نَاقَةٌ لَّهَا شِرْبٌ وَلَكُمْ شِرْبُ يَوْمٍ مَّعْلُومٍ

Saleh menjawab: “Ini seekor unta betina, ia mempunyai giliran untuk mendapatkan air, dan kamu mempunyai giliran pula untuk mendapatkan air di hari yang tertentu.

وَلَا تَمَسُّوهَا بِسُوءٍ فَيَأْخُذَكُمْ عَذَابُ يَوْمٍ عَظِيمٍ

Dan janganlah kamu sentuh unta betina itu dengan sesuatu kejahatan, yang menyebabkan kamu akan ditimpa oleh azab hari yang besar”.

Dalam ayat ini, dengan jelas telah diberitahu kepada mereka supaya jangan aniaya unta itu. Kalau mereka menganiaya unta itu, mereka akan ditimpa dengan azab.


 

Ayat 29: Seperti yang telah disebut sebelum ini, Kaum Tsamud disuruh berkongsi sumber air dengan unta itu. Dan jangan mengganggu unta itu. Tapi mereka rasa susah dengan adanya unta itu. Mereka sudah susah hidup mereka kerana kena berkongsi air dengan unta itu. Maka mereka telah membuat pakatan jahat.

فَنادَوا صاحِبَهُم فَتَعاطىٰ فَعَقَرَ

Sahih International

But they called their companion, and he dared and hamstrung [her].

Malay

(Mereka selepas itu merasa bosan dengan keadaan unta itu dan berkira hendak membunuhnya), lalu mereka memanggil kawan mereka (yang sanggup membunuhnya), dia pun bertindak sampai dapat membunuhnya.

فَنَادَوْا صَاحِبَهُمْ

Maka mereka memanggil kawan mereka,

Apabila unta itu minum air dari telaga, ia akan minum dengan banyak kerana ia adalah unta yang besar. Tambahan pula, unta itu sedang hamil. Maka air mereka jadi kurang. Maka, mereka telah berpakat hendak membunuh unta itu.

Lelaki yang mereka panggil untuk menyembelih unta itu adalah yang paling jahat bernama Kudar Ibn Salif. Dia adalah tukang sembelih (atau ketua salah satu puak). Dialah yang berani untuk membunuh unta itu.

Sebenarnya kaum itu walaupun tidak suka dengan unta itu, mereka tidak berani nak bunuh sendiri atau bunuh ramai-ramai. Walaupun Nabi Saleh a.s tidak ada tentera nak mempertahankan unta itu, mereka tetap takut kerana mereka rasa unta itu keramat. Kerana itu mereka kena panggil orang lain. Mereka pilih jenis orang yang kepala gila tak takut apa-apa.

Walaupun dia seorang sahaja yang bunuh, tapi sighah dalam ayat ini dalam bentuk jamak kerana ramai lagi yang sefahaman dengan lelaki itu. Walaupun tangannya sahaja yang sembelih unta itu tapi kerana mereka yang lain itu redha sahaja dan tidak buat apa-apa, maka azab dikenakan kepada mereka semua.

 

فَتَعَاطَىٰ فَعَقَرَ

lalu kawannya menangkap (unta itu) dan membunuhnya.

Dia telah menangkap dan telah mencekik unta itu. Kalau unta yang besar, tentu susah untuk menjatuhkannya. Kalau cara yang betul untuk menyembelih unta, satu kaki unta kena diikat dan tekaknya dicucuk dan unta itu akan jatuh sendiri. Itu adalah cara sembelih yang betul.

Tapi, yang dilakukan kepada unta Nabi Saleh, mereka telah memotong kaki unta itu. Selepas unta itu jatuh, mereka membiarkan unta itu mati dalam seksa. Itu adalah cara yang kejam kerana unta itu tidak terus mati.


 

Ayat 30: Kerana kejahatan mereka itu, mereka telah diberikan dengan seksa yang amat berat

فَكَيفَ كانَ عَذابي وَنُذُرِ

Sahih International

And how [severe] were My punishment and warning.

Malay

Maka perhatikanlah, bagaimana buruknya azabKu dan kesan amaran-amaranKu!

 

Dipendekkan cerita, mereka telah dikenakan dengan azab yang amat teruk! Nanti akan disebut dalam ayat selepas ini apakah azab itu.

Allah suruh Musyrikin Mekah dan kita untuk membayangkan bagaimana azab yang hebat telah dikenakan kepada mereka. Dalam surah yang lain, telah diberitahu yang mereka telah diberi tiga hari untuk bersuka-suka dan selepas tiga hari itu, azab telah dijatuhkan ke atas mereka. Apakah azab yang telah dikenakan kepada mereka?


 

Ayat 31: Inilah balasan azab kepada mereka.

إِنّا أَرسَلنا عَلَيهِم صَيحَةً وٰحِدَةً فَكانوا كَهَشيمِ المُحتَظِرِ

Sahih International

Indeed, We sent upon them one blast from the sky, and they became like the dry twig fragments of an [animal] pen.

Malay

Sesungguhnya Kami hantarkan kepada mereka satu pekikan (yang dahsyat), lalu menjadilah mereka (hancur) seperti ranting-ranting dan daun-daun yang pecah hancur, yang dikumpulkan oleh pemilik kandang binatang ternak.

إِنَّا أَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ صَيْحَةً وٰحِدَةً

Sesungguhnya Kami menimpakan atas mereka satu suara yang keras mengguntur,

Yang menempik itu adalah malaikat Jibril. Dan tempikan itu hanya sekali sahaja tetapi dengan tempikan itu telah mencairkan otak mereka. Pecah kepala mereka kerana tempikan Jibrail itu. Pekikan itu juga sampai menggempakan bumi kerana kuatnya pekikan itu.

 

فَكَانُوا كَهَشِيمِ الْمُحْتَظِرِ

maka jadilah mereka seperti dahan kering tinggalan kandang binatang.

Rumput kering kalau dipegang atau dipijak pun sudah hancur. Perkataanالْمُحْتَظِرِ adalah dari kata dasar ح ظ ر yang bermaksud ‘memagar sesuatu’ untuk menjaga sesuatu. الْمُحْتَظِرِ bermaksud seseorang yang membuat pagar. Membuat pagar dengan dahan kering untuk menjaga binatang.

Allah hendak menceritakan bagaimana mereka seumpama seperti tinggalan dahan kering dari binaan pagar. Kalau tukang buat pagar dari dahan kering, ada sedikit bahagian yang jatuh dari tubuh dia, bukan? Serpihan itulah mereka diibaratkan oleh Allah. Mereka hancur berkecai sampai jadi seperti dahan kering sahaja. Yang mudah hancur kalau disentuh.

Orang Arab faham bahasa yang pepatah yang digunakan dalam ayat ini dan mereka boleh bayangkan teruknya keadaan itu.


 

Ayat 32: Sekali lagi Allah berfirman dengan ayat ini. Setiap kali selepas disebut kisah umat-umat terdahulu dalam surah ini, Allah mengeluarkan ayat ini supaya kita mengambil peringatan darinya.

وَلَقَد يَسَّرنَا القُرءآنَ لِلذِّكرِ فَهَل مِن مُّدَّكِرٍ

Sahih International

And We have certainly made the Qur’an easy for remembrance, so is there any who will remember?

Malay

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Qur’an untuk peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?

وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْءآنَ لِلذِّكْرِ

Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al-Qur’an untuk diambil peringatan,

Sekali lagi diulang ayat keramat ini. Allah ingatkan kita, kalau sudah mudah tu, cubalah belajar supaya dapat faham.

 

فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ

maka adakah orang yang mengambil pelajaran?

Allah bertanya kepada kita, siapakah yang mahu mengambil pengajaran, peringatan dan berdakwah menggunakan Al-Qur’an ini? Sudah banyak peringatan dan kisah zaman dahulu tentang kaum yang menentang kebenaran dihancurkan, tidakkah kamu mahu ambil peringatan?

Kita kenalah jawab dalam hati kita yang kitalah yang mahu mengambilnya. Kita akan mengambil peringatan dan pengajaran dari Al-Qur’an ini dan kita akan menjadikan Al-Qur’an ini sebagai wadah dakwah kita kepada manusia untuk mengajak kepada tauhid.


 

Ayat 33: Ini pula adalah ringkasan kisah kaum Nabi Luth a.s. Kisah yang lebih lanjut ada tersebut dalam surah-surah yang lain. Ayat 33 – 40 adalah Perenggan Makro Kelima dan ia adalah berkenaan pendustaan kaum Luth.

كَذَّبَت قَومُ لوطٍ بِالنُّذُرِ

Sahih International

The people of Lot denied the warning.

Malay

(Demikian juga) kaum Nabi Lut telah mendustakan peringatan dan amaran (yang disampaikan oleh Rasulnya).

 

Ini pula peringatan Allah tentang kaum Nabi Luth yang tinggal di Lost City of Atlantis itu. Nabi Luth adalah anak saudara Nabi Ibrahim a.s. Mereka telah berhijrah dari negara asal mereka dan duduk kawasan penempatan mereka semasa kejadian ini. Jadi Nabi Luth bukanlah penduduk asal di situ.

Kita pun rasanya sudah tahu apakah dosa besar yang mereka lakukan iaitu homoseksual.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 5 April 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah al-Qamar Ayat 10 – 18 (Qur’an itu dipermudahkan)

Ayat 10: Ini adalah kisah doa Nabi Nuh kepada Allah sampai menyebabkan kejadian Banjir Besar.

Dari sini kita dapat tahu yang senjata para Nabi ini adalah doa. Itulah cara para Nabi menghadapi suasana yang genting dan menyedihkan. Walaupun mereka juga ada ikhtiar lain yang dilakukan, tapi Allah menceritakan mereka banyak berdoa.

Maka kita kena ikut sunnah mereka itu, sentiasalah berdoa dalam apa sahaja keperluan kita.

فَدَعا رَبَّهُ أَنّي مَغلوبٌ فَانتَصِر

Sahih International

So he invoked his Lord, “Indeed, I am overpowered, so help.”

Malay

Lalu dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Sesungguhnya aku ini dikalahkan (oleh kaumku yang ingkar), oleh itu menangkanlah daku (terhadap mereka)!

فَدَعَا رَبَّهُ

Maka dia mengadu kepada Tuhannya:

Nabi Nuh a.s. berdoa dan merayu kepada Allah selepas 950 tahun berdakwah di seluruh dunia. Berbagai cara telah dilakukan dalam usaha dakwah baginda. Ada yang baginda dakwah dengan bersendirian dan ada yang baginda berceramah dalam khalayak ramai.

Apakah kesesatan kaum Nabi Nuh itu? Yang paling besarnya mereka memuja lima orang wali. Dan wali-wali itu diabadikan dalam bentuk berhala. Tapi tidaklah batu yang mereka sembah tapi ‘wali’ yang dinisbahkan itu.

Mereka menggunakan wali-wali itu sebagai wasilah (perantara) dalam doa mereka. Bukanlah mereka dikatakan menyembah berhala seperti yang selalu ditafsirkan. Bila diterjemahkan apa yang mereka sembah itu sebagai ‘berhala’, maka ramai yang rasa tak kena kepada diri mereka.

Masyarakat kita yang mengamalkan tawasul juga akan berkata yang mereka tidak sembah berhala pun, jadi tidaklah mereka buat salah. Padahal, apa yang mereka lakukan itu adalah sama sahaja dengan apa yang dilakukan oleh kaum Nabi Nuh. Ramai dari kalangan masyarakat kita yang mengamalkan syirik tanpa mereka sedari.

Masyarakat kita ramai yang mengamalkan tawasul dengan menggunakan wali-wali yang telah mati sebagai perantaraan dalam doa mereka. Ada yang pergi ke kubur tok wali, ada yang menyeru nama-nama wali itu, ada yang beri salam malam-malam, ada yang sedekah Fatihah kepada wali-wali itu, dan sebagainya.

Tetapi kerana yang membawa ajaran ini nampak seperti orang alim, pakai serban, ramai pengikut, perawakan pun lembut sahaja, ramai yang ikut sahaja apakah yang diajar oleh guru salah itu. Sebagai contoh, masyarakat kita sekarang memandang tinggi kepada Puak Habib yang sedang mendapat perhatian sekarang.

Mereka ikut sahaja amalan puak-puak Habib itu berselawat ramai-ramai, menyanyi-nyanyi ya hanana di stadium, di masjid dan sebagainya. Tapi mereka tidak sedar bahawa puak-puak Habib itu mengajar masyarakat kita untuk bertawasul kepada para wali yang telah mati. Itu semua adalah perbuatan kufur.

Inilah ajaran puak Habib
Inilah ajaran puak Habib
Mereka mengajar masyarakat kita berdoa menggunakan orang mati sebagai perantara
Mereka mengajar masyarakat kita berdoa menggunakan orang mati sebagai perantara

أَنِّي مَغْلُوبٌ

“bahwasanya aku ini adalah orang yang dikalahkan

Nabi Nuh mengaku yang baginda lemah dan telah dikalahkan oleh kaumnya itu. Baginda bukan sahaja dihina dan dikutuk, tapi baginda sampai pernah dipukul oleh kaum baginda.

Bayangkan susahnya baginda menjalankan dakwah baginda selama 950 tahun. Tidak ramai yang mahu mengikut baginda: ada yang kata 80 orang dan malah ada yang kata hanya 40 orang sahaja. Itulah mereka yang akhirnya naik sekali dengan baginda dalam bahtera.

Maka, baginda dan pengikut-pengikut baginda tidak ramai. Dan oleh itu, baginda lemah kalau dibandingkan dengan puak musyrik. Baginda senang dikalahkan kerana golongan penentang lebih ramai. Macam kita sekarang juga, tidak ramai golongan sunnah dan kuasa tidak ada di tangan kita.

 

فَانتَصِرْ

oleh sebab itu tolonglah (aku)”.

Nabi Nuh bermohon kepada Allah untuk menolong baginda terhadap kaumnya itu. Pendek sahaja doa Nabi Nuh seperti yang disebut dalam ayat ini. Memang selalunya doa-doa para Nabi pendek sahaja. Walaupun pendek, tapi ianya didengar dan dimakbulkan oleh Allah. Bukan macam doa para-para imam dan tekong tahlil di negara kita.

Panjang-panjang doa mereka – kerana kalau pendek sahaja doa, macam tak patut pula kalau dapat upah yang banyak. Kerana mahukan upah yang banyak, maka panjanglah doa-doa mereka dalam majlis-majlis bidaah mereka seperti Tahlilan dan Selamatan.

Nabi Nuh berdoa itu pun selepas Allah memberitahu baginda yang tidak ada lagi yang akan beriman selain daripada mereka yang telah beriman dengan baginda. Maknanya, tidak akan bertambah jumlah pengikut baginda selepas itu. Jadi bukanlah baginda dari awal lagi berdoa berharap kemusnahan kaum baginda itu.

Sebab itulah Nabi Nuh berdoa supaya Allah membantu baginda membalas kepada kaumnya yang musyrik itu. Kalau tak, Nabi Nuh mungkin tidak berdoa begitu. Allah memberitahu Nabi keputusan Allah itu dalam Hud:36

وَأُوحِيَ إِلَىٰ نُوحٍ أَنَّهُ لَن يُؤْمِنَ مِن قَوْمِكَ إِلَّا مَن قَدْ آمَنَ فَلَا تَبْتَئِسْ بِمَا كَانُوا يَفْعَلُونَ

Dan diwahyukan kepada Nuh, bahawasanya sekali-kali tidak akan beriman di antara kaummu, kecuali orang yang telah beriman (saja), kerana itu janganlah kamu bersedih hati tentang apa yang selalu mereka kerjakan.

Seperti yang telah kita sebutkan, tidak ramai yang beriman dengan baginda. Ada riwayat mengatakan hanya 83 orang dan ada riwayat lain pula yang kata hanya 40 orang sahaja. Allahu a’lam. Malah, bukan semua ahli keluarganya beriman dengannya. Bayangkan seorang Rasul yang mulia pun ada ditolak oleh ahli keluarganya sendiri (anak dan isterinya).

Oleh kerana baginda tahu yang tidak akan ada lagi yang akan beriman, maka tidaklah salah kalau Nabi Nuh berdoa begitu. Tambahan pula baginda telah lama berdakwah kepada mereka. Lebih-lebih lagi mereka telah mencederakan baginda dan mengugut untuk bunuh baginda.

Janganlah pula kita kalau baru ditolak terus hendak mendoakan kemusnahan mereka yang tidak mahu menerima dakwah kita. Kalau kita sudah dakwah sebanyak dan selama Nabi Nuh berdakwah, barulah layak kalau kita hendak berdoa memusnahkan musuh kita. Kerana kita tidak tahu apakah kesudahan orang-orang yang kita dakwah itu.

Walaupun sekarang mereka menolak kita, belum tentu lagi mereka akan sesat selamanya. Dalam kes Nabi Nuh ini, Allah sendiri yang beritahu kepada baginda yang tidak ada lagi yang akan beriman. Kalau tidak, tentu baginda akan terus bersabar dan terus berdakwah kepada mereka.


 

Ayat 11:

فَفَتَحنا أَبوٰبَ السَّماءِ بِماءٍ مُّنهَمِرٍ

Sahih International

Then We opened the gates of the heaven with rain pouring down

Malay

Maka Kami bukakan pintu-pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah.

فَفَتَحْنَا أَبْوٰبَ السَّمَاءِ

Maka Kami bukakan pintu-pintu langit

Allah memberi perumpamaan bagaimana pintu langit itu boleh dibuka untuk menurunkan sesuatu. Tidaklah kalau kita pergi ke langit kita boleh nampak pintu langit itu pula. Maka ini adalah maklumat dari Allah kepada kita tentang hal ghaib di langit. Allah boleh buka pintu langit itu kerana langit itu Dia yang buat.

 

بِمَاءٍ مُّنْهَمِرٍ

dengan (menurunkan) air yang tercurah.

Apabila pintu langit dibuka, maka mencurah-curahlah air turun dari langit. Kalimah مُّنْهَمِرٍ dari katadasar ه م ر yang bermaksud sesuatu yang jatuh dan mengalir dengan banyak macam air terjun. Airnya turun tidak berhenti-henti.

Lagi satu, ia bermaksud air itu turun dengan kuantiti yang sangat banyak, dengan meluncur deras seperti air terjun.

Maka bayangkan air sebegitu turun dari langit semasa zaman Nabi Nuh ini.

Bayangan air yang mencurah-curah turun

 

Kalau zaman sekarang, memang ada banjir yang sentiasa berlaku. Tapi banjir itu tidak pernah serentak di banyak tempat, hanya beberapa tempat sahaja, bukan? Tapi banjir Nabi Nuh ini adalah banjir serentak seluruh dunia. Allah memang boleh buat kerana Allah nak tenggelamkan semua sekali penduduk bumi pada waktu itu.


 

Ayat 12: Air bukan sahaja turun dari langit, tapi naik dari bawah juga.

وَفَجَّرنَا الأَرضَ عُيونًا فَالتَقَى الماءُ عَلىٰ أَمرٍ قَد قُدِرَ

Sahih International

And caused the earth to burst with springs, and the waters met for a matter already predestined.

Malay

Dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air-mata air (di sana sini), lalu bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk (melakukan) satu perkara yang telah ditetapkan.

وَفَجَّرْنَا الْأَرْضَ عُيُونًا

Dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air-mata air,

Air dari tanah juga keluar dengan banyak. Bukan satu mata-air. tapi banyak mata-air. Merata-rata tempat di bumi ada mata air yang mengeluarkan air dengan banyak.

Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata).

Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air.

 

فَالْتَقَى الْمَاءُ

maka bertemulah air-air itu

Air dari langit dan air dari bumi bertemu. Bertambah-tambah banyak air yang melimpahi bumi. Memang tidak dapat dibayangkan, kita cuma boleh agak sahaja. Kerana tidak pernah terjadi di depan mata kita.

 

عَلَىٰ أَمْرٍ قَدْ قُدِرَ

atas suatu urusan yang sungguh telah ditetapkan.

Tujuan air dari langit dan bumi itu adalah kerana satu tujuan: memusnahkan kaum Nabi Nuh. Inilah yang Allah telah taqdirkan berlaku.

Ayat ini menunjukkan kekuasaan Allah. Kalau kita tidak taat, Allah boleh musnahkan kita semuanya sekali. Allah boleh lagi keluarkan air dari langit dan dari bumi. Sekarang Allah simpan sahaja.


 

Ayat 13:

وَحَمَلنٰهُ عَلىٰ ذاتِ أَلوٰحٍ وَدُسُرٍ

Sahih International

And We carried him on a [construction of] planks and nails,

Malay

Dan Kami bawa naik Nabi Nuh (berserta pengikut-pengikutnya) di atas (bahtera yang dibina) dari keping-keping papan dan paku;

Yang dimaksudkan adalah satu bahtera. Allah selamatkan Nabi Nuh dan pengikutnya atas satu bahtera. Sekarang kita tahu yang bahtera itu dibina dengan papan dan paku. Nabi Nuh a.s. telah membina bahtera itu dengan ajaran dari Allah.

Semasa baginda membina bahtera itu, kaumnya mentertawakan baginda. Kerana bahtera itu dibina sebelum ada air lagi, maka tentulah penduduk yang tidak percaya kepada baginda akan kata yang baginda gila sebab bina bahtera atas tanah kering. Tapi dengan bahtera itulah yang menyelamatkan baginda.


 

Ayat 14:

تَجري بِأَعيُنِنا جَزاءً لِّمَن كانَ كُفِرَ

Sahih International

Sailing under Our observation as reward for he who had been denied.

Malay

Yang belayar laju dengan pemeliharaan dan pengawasan Kami; (Kami melakukan yang demikian dan menimpakan taufan itu) sebagai balasan bagi orang-orang yang kufur ingkar!

تَجْرِي بِأَعْيُنِنَا

Yang berlayar dengan pemerhatian Kami

Apabila Allah ‘memerhati’, itu bermaksud Allah memelihara mereka semuanya. Kapal itu diselamatkan dari karam, dari hilang, dari rosak, dari sesat dan sebagainya. Tiada lain yang selamat melainkan kapal itu dan sesiapa yang di dalamnya.

Di dalam surah yang lain telah disebut bagaimana Allah telah mengajar Nabi Nuh bagaimana cara untuk membuat kapal itu kerana baginda tidak pernah belajar bagaimana membuat kapal. Memang sebelum baginda membina bahtera itu tidak ada manusia yang pernah membina kapal.

Di dalam surah ini juga diberi isyarat bagaimana Allah bantu Nabi Nuh untuk mengawal kapal itu. Kerana Nabi Nuh tidak ada pengalaman dalam mengemudi kapal laut. Tambahan pula kejadian banjir ini bukanlah seperti keadaan laut yang biasa.

Ketika itu, laut berombak dengan kadar yang tidak pernah berlaku di dalam sejarah dunia. Kalau bukan Allah yang mengemudi kapal itu, tentulah Nabi Nuh dan mereka yang bersamanya di dalam kapal itu akan tenggelam dan mati kelemasan.

Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata).

Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air.

 

جَزَاءً لِّمَن كَانَ كُفِرَ

sebagai balasan bagi orang-orang yang diingkari (Nuh).

Ini adalah balasan bagi kaum baginda yang mengengkarinya. Baginda juga tidak dihargai oleh mereka. Selama 950 tahun baginda berdakwah kepada mereka. Tapi lihatlah bagaimana Allah memberi balasan dengan menyelamatkan baginda. Walaupun manusia tidak menghargai baginda, tapi Allah hargai baginda.

Dari sini kita dapat tahu yang Allah menghargai hambaNya. Asalkan hambaNya itu menjalankan kerja Allah, maka Allah akan balas dengan kebaikan.


 

Ayat 15: Apakah tujuan kisah Nabi Nuh itu?

وَلَقَد تَّرَكنٰها ءآيَةً فَهَل مِن مُّدَّكِرٍ

Sahih International

And We left it as a sign, so is there any who will remember?

Malay

Dan demi sesungguhnya! Kami telah jadikan bahtera itu sebagai satu tanda yang menjadi pengajaran, maka adakah orang yang mahu beringat dan insaf?

وَلَقَد تَّرَكْنٰهَا ءآيَةً

Dan sesungguhnya telah Kami tinggalkan kapal itu sebagai tanda,

Satu pendapat mengatakan yang Allah telah selamatkan kapal itu tanpa rosak. Allah biarkan supaya umat kemudian dapat melihatnya dan boleh beriman dengan kisah ini.

Atau, ia bermaksud ‘kisah’ ini yang ditinggalkan untuk manusia. Allah menceritakan kisah ini berkali-kali dalam Al-Qur’an supaya terus menjadi ingatan kepada manusia.

Kalau kita ambil pendapat yang mengatakan ia merujuk kepada kapal itu, maka ayat ini memberi isyarat kepada kita bahawa kapal itu akan ditemui. Sekarang pun sudah ada orang yang mendakwa kapal itu telah dijumpai di Turki. Tapi tidak ada kepastian yang 100% lagi kerana banyak sangat pendapat.

Mungkin kapal itu akan ditunjukkan kepada manusia satu masa nanti untuk membuktikan bahawa memang kejadian banjir besar ini pernah berlaku dan apa yang dikatakan dalam Al-Qur’an adalah benar. Ianya menjadi peringatan kepada manusia. Mungkin apabila ramai sangat manusia menolak kejadian ini.

 

فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ

maka adakah orang yang mahu mengambil pelajaran?

Kalimah مُّدَّكِرٍ sebenarnya adalah dari perkataan مُذدٓكِر yang berasal dari katadasar ذ ك ر yang bermaksud ‘ingat’. مُّدَّكِرٍ adalah mereka yang mengambil peringatan dan pelajaran dari apa yang diberitahu kepada mereka.

Hendaklah kita menjadi orang yang sebegitu. Setelah kita diberitahu dengan ajaran tauhid dan ajaran agama, maka ubahlah cara hidup kita ke arah kebaikan. Ambillah pengajaran dari wahyu Allah.

Lihatlah bagaimana kalimah yang Allah gunakan kepada kita dalam ayat ini. Allah seperti merayu dan mengajak kita untuk mengambil pelajaran dari kisah ini. Iaitu jangan kita jadi sesat seperti kaum Nabi Nuh itu yang menggunakan lima orang wali yang telah mati sebagai perantaraan.


 

Ayat 16: Ini sambungan dari kisah bagaimana kaum Nabi Nuh telah diberikan azab Banjir Besar.

فَكَيفَ كانَ عَذابي وَنُذُرِ

Sahih International

And how [severe] were My punishment and warning.

Malay

Oleh itu, perhatikanlah bagaimana buruknya azabKu dan kesan amaran-amaranKu.

Allah mengingatkan kita kepada betapa dahsyatnya azab yang Allah berikan kepada kaum Nabi Nuh itu. Mereka telah dimatikan semua sekali dalam banjir besar itu.

Allah juga mengingatkan kita kepada ‘ancaman’ yang telah diberikan kepada mereka itu. Bukan untuk kita baca sebagai bahan sejarah sahaja. Mereka telah diberi ancaman oleh Nabi Nuh sebelum dikenakan dengan banjir itu selama 950 tahun tapi mereka tidak mahu dengar.

Kesannya mereka semua telah menerima azab di dunia. Dan mereka akan menerima azab yang lebih keras lagi di akhirat kelak. Kalau kita pun engkar juga, kita pun boleh dikenakan dengan azab dunia dan tentunya azab akhirat.

Amaran yang diberikan kepada mereka adalah jelas. Begitulah juga amaran yang diberikan kepada kita. Entah berapa banyak ayat Al-Qur’an dan hadis yang mengingatkan kita tentang azab-azab itu. Tidak ada alasan lagi untuk kita kata kita tidak tahu.

Ayat ini untuk menakutkan kita dengan azab Allah. Maka jangan ambil mudah dengan amaranNya. Jangan kita baca ayat ini dengan senang lenang sahaja. Jangan kita sangka yang ianya tidak akan terjadi kepada kita. Kalau Allah boleh kenakan kepada umat terdahulu kerana keengkaran mereka, Allah boleh sahaja kenakan kepada kita juga.


 

Ayat 17: Ayat ini diulang sebanyak lima kali dalam surah ini. Maka ia adalah ayat yang amat penting. Maka kena perhatian berkenaan ayat ini.

وَلَقَد يَسَّرنَا القُرءآنَ لِلذِّكرِ فَهَل مِن مُّدَّكِرٍ

Sahih International

And We have certainly made the Qur’an easy for remembrance, so is there any who will remember?

Malay

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Qur’an untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?

وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْءآنَ لِلذِّكْرِ

Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al-Qur’an untuk diambil peringatan,

Al-Qur’an ini mudah sahaja untuk dipelajari kepada mereka yang mahu belajar. Iaitu kepada mereka yang mahu mencari kebenaran. Tafsir Al-Qur’an ini lebih mudah untuk difahami dari belajar subjek peperiksaan SPM pun. Tidak perlu untuk jadi ulama’ untuk faham Al-Qur’an ini.

‘Mudah’ itu bukanlah bermaksud senang sangat sampaikan baca sekali sahaja sudah boleh faham. Bukanlah mudah sangat sampaikan pelajar sekolah rendah pun boleh faham. Ianya masih lagi memerlukan intelek untuk memahaminya. Tapi tidaklah sampai kena belajar tinggi berpuluh tahun baru boleh faham.

Kita memang tidak akan dapat faham keseluruhan kandungan Al-Qur’an ini kerana ianya adalah Kalam Allah. Allah sahaja yang tahu keseluruhan maknanya. Tapi sekurang-kurangnya kita telah berusaha untuk memahaminya sedikit.

‘Mudah’ bermaksud Allah telah memberikan keperluan dan alat-alat untuk kita memahami Al-Qur’an ini. Kalau kita luangkan masa untuk berusaha memahaminya, kita akan berjaya. Kerana Allah telah beri segala keperluan kepada kita untuk memahami ayat-ayatNya.

Ulama-ulama tafsir telah mengkaji Al-Qur’an ini dan telah menulis kitab-kitab tafsir untuk dipelajari oleh kita. Mereka telah mengupas ayat-ayat Al-Qur’an itu satu persatu. Dan ramai guru-guru yang boleh menyampaikan maksud Al-Qur’an ini kepada kita.

Jangan pula kita sangka bahawa ayat-ayat Al-Qur’an ini ‘mudah’ kerana ayat-ayat Al-Qur’an ini adalah kalam Allah dan ianya mempunyai kehebatan yang amat tinggi. Ia adalah kata-kata yang disampaikan di dalam lenggok bahasa yang amat tinggi dan indah.

Oleh itu kalau kita terjemahkan يَسَّرْ sebagai ‘mudah’, itu adalah tidak sesuai. Oleh itu maksud يَسَّرْ  adalah ‘dipermudahkan’ yang bermaksud Al-Qur’an itu mampu dipelajari. Atau dalam Inggeris bermaksud ‘possible’. Maknanya kita sebagai manusia biasa ini mampu untuk memahami apa yang Allah hendak sampaikan.

Malangnya, ada puak agama yang mengajar orang awam bahawa Al-Qur’an ini hanya untuk dibaca sahaja dan tidak boleh difahami. Mereka kata yang boleh faham adalah para ulama’ sahaja. Sampaikan pernah ada negeri yang melarang tafsir Al-Qur’an diajar di masjid dan surau kerana ‘takut masyarakat keliru’.

Ada juga meletakkan syarat kena tahu ‘ilmu-ilmu Alat’, baru boleh faham Al-Qur’an. Sampai berbelas-belas cabang ilmu kena mahir dahulu sebelum boleh faham tafsir Al-Qur’an. Contohnya mereka kata kena pandai bahasa Arab, tahu ilmu qiraat, ilmu nahu dan sarf, ulum al-qur’an, ilmu usuluddin, usul fiqh dan ilmu-ilmu lain seperti ilmu sosiologi dan antropologi, zoologi dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan maklumat umum seperti sejarah, geografi, psikologi dan sebagainya. Itu dinamakan ‘Ilmu Alat’, kata mereka. Kena tahu semua itu baru boleh belajar tafsir Al-Qur’an, kata mereka.

Kalau itulah keperluan untuk mengetahui Al-Qur’an, maka tidaklah ‘dipermudahkan’ Al-Qur’an itu untuk dipelajari. Sudah jadi terlalu sukar pula. Dan sampai bila baru boleh kita mendapat pengajaran dari Al-Qur’an itu? Kebanyakan orang akan sampai bila-bila tidak akan dapat mendalami ‘Ilmu-ilmu Alat’ itu.

Maka, sampai bila-bilalah dia tidak akan faham arahan Allah. Kerana syarat-syarat yang diletakkan inilah yang menyebabkan ramai masyarakat kita tidak mencuba pun belajar tafsir. Hasilnya, ramai mereka yang mengamalkan syirik tanpa sedar.

Memang ilmu-ilmu itu perlu untuk mentafsir Al-Qur’an. Iaitu untuk tafsir sendiri seperti yang dilakukan oleh ulama-ulama tafsir. Tapi apa yang kita lakukan sekarang adalah hanya mempelajari tafsir yang telah dikupas oleh ulama-ulama itu.

Maka, tidaklah perlu sampai kita mengetahui segala macam ilmu yang disebut di atas untuk memahami Al-Qur’an. Asalkan kita ada kehendak untuk mengetahui kalam Allah, Allah akan bantu kita untuk memahaminya. Dan itu bergantung kepada tahap ilmu kita.

Dan jangan terikut dengan salah faham yang terlalu memudahkan pula: kerana ada yang kata ayat ini kata Al-Qur’an ini mudah sahaja, maka ada yang sampai tafsir sendiri ayat Al-Qur’an ikut pemahaman mereka. Ini pun adalah fahaman yang salah dan amat bahaya. Tafsir Al-Qur’an perlu dipelajari dan ditafsir mengikut cara yang telah digariskan oleh ulama. Jangan pandai-pandai nak tafsir sendiri.

Maksud ذِكْر dalam ayat ini membawa maksud Al-Qur’an itu memberi kita ingat balik perkara yang kita tahu. Kerana itulah banyak peringatan yang menakutkan dalam Al-Qur’an itu. Supaya kita ingat balik. Kita bukannya tidak tahu, kerana kita sudah belajar lama tentang perkara itu. Dari alam roh lagi kita telah kenal Allah, maka Al-Qur’an mengingatkan kita balik.

Dan memang telah ditanamkan fitrah dalam diri manusia yang sudah kenal Tuhan, kenal mana baik dan buruk sebelum dilahirkan pun lagi. Tapi kerana kita adalah manusia yang mudah lupa, maka kita perlu selalu diingatkan dari masa ke semasa.

Perkataan ذِكْر juga bermaksud ‘hafalan’. Ia membawa maksud, Al-Qur’an itu senang dihafal. Kerana lenggok bahasa yang digunakan itu amat indah, maka ianya senang dihafal. Banyak perkataan juga diulang-ulang dan itu memudahkan kita untuk menghafalnya.

Kerana itu, Al-Qur’an adalah satu-satunya kitab agama dalam dunia ini yang banyak dihafal oleh penganutnya. Tidak ada kitab lain dalam dunia yang sebegini. Sampaikan kalaulah semua kitab Al-Qur’an dalam dunia ini hilang, dalam masa sehari sahaja Al-Qur’an baru boleh dikeluarkan kerana amat ramai sekali yang menghafalnya dan boleh tulis balik.

Al-Qur’an ini mudah dihafal sampaikan banyak sekolah tahfiz dalam dunia ini. Mereka yang dapat menghafal 30 juzuk itu pun ada yang tidak faham pun apa yang mereka hafal itu. Tapi kerana Al-Qur’an itu mudah dihafal, maka ianya boleh dilakukan walaupun tidak faham. Oleh itu, jangan kita kata yang susah untuk hafal Al-Qur’an kerana Allah telah mudahkan. Maka, hendaklah kita mulakan proses menghafal ayat-ayat Allah ini sedikit demi sedikit.

Oleh kerana Allah sudah kata Al-Qur’an itu sudah dipermudahkan, maka kita tidak boleh kata Al-Qur’an itu susah pula untuk dipelajari. Yang kata Al-Qur’an itu susah adalah bohong sahaja atau dia sendiri keliru kerana dia sendiri tidak belajar. Amat malang kalau yang cakap itu adalah mereka yang digelar sebagai ustaz.

 

فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ

maka adakah orang yang mengambil pelajaran?

Diulang ayat ini kerana ianya penting. Itulah juga salah satu teknik yang digunakan oleh Al-Qur’an untuk memudahkan kita mengambil pelajaran Allah dengan mengulang-ulang ingatan yang sama kepada pembacanya.

Ada juga banyak topik-topik yang di ulang-ulang dalam Al-Qur’an tetapi dipersembahkan dengan berbagai-bagai cara yang berbeza. Ini dinamakan konsep Tasrif. Kadang-kadang apabila satu perkara diberitahu kepada kita, kita tidak faham tetapi apabila diberitahu dengan cara lain baru kita faham.

Sebagai contoh, penjelasan tentang tawasul amat banyak di dalam Al-Qur’an dan diberikan penerangan dengan berbagai-bagai cara. Ini adalah kerana ianya adalah perkara yang amat penting untuk difahami.

Serba sedikit penerangan tentang asal perkataan مُّدَّكِرٍ. Kata dasarnya adalah ذكر seperti yang kita telah sebut sebelum ini. Dari perkataan itu, terjadilah perkataan مُذْتَكِر yang bermaksud ‘seseorang yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mengambil peringatan dari sesuatu’.

Tetapi, perkataan مُذْتَكِر susah disebut. Dalam bahasa Arab, sesuatu perkataan itu kalau susah disebut, akan dipermudahkan penyebutannya. Maka, perkataan مُذْتَكِر telah ditukar kepada مُذَّكِر. Tapi, itu pun ditukar lagi kerana huruf د lebih mudah disebut dari huruf ذ. Oleh itu, perkataan مُذَّكِر telah diubah kepada perkataan مُّدَّكِرٍ untuk memudahkan kita menyebutnya.

Terdapat satu isyarat di dalam perkataan مُّدَّكِرٍ itu. Allah telah memudahkan Al-Qur’an ini untuk dipelajari, dibaca, dihafal dan diambil pelajaran. Asalnya kita berikan usaha yang sedikit pun, kita sudah boleh mendapat hasil darinya. Kalau kita beri lebih lagi usaha, tentulah kita akan mendapat lebih lagi ilmu.

Satu lagi tafsir ayat ini: Al-Qur’an ini adalah peringatan yang lebih mudah kalau dibandingkan dengan peringatan dengan cara azab yang Allah telah berikan kepada kaum terdahulu. Segala azab musibah itu juga adalah peringatan, tapi itu dengan cara yang keras. Maka adakah tidak lebih baik kalau gunakan peringatan yang sudah ada dalam Al-Qur’an ini dan ambil peringatan darinya? Jangan tunggu sudah kena azab baru nak beriman.


 

Ayat 18: Sebelum ini telah disebut kisah Kaum Nabi Nuh. Sekarang kisah Kaum Aad pula. Ayat 18 – 22 adalah Perenggan Makro Ketiga dan ia adalah tentang pendustaan kaum Aad.

كَذَّبَت عادٌ فَكَيفَ كانَ عَذابي وَنُذُرِ

Sahih International

‘Aad denied; and how [severe] were My punishment and warning.

Malay

(Demikian juga) kaum Aad telah mendustakan Rasulnya (lalu mereka dibinasakan); maka perhatikanlah, bagaimana buruknya azabKu dan kesan amaran-amaranKu!

كَذَّبَتْ عَادٌ

Kaum ‘Aad pun mendustakan (pula)

Bukan kaum Nabi Nuh dan puak Musyrikin Mekah sahaja yang mendustakan Nabi mereka, tapi kaum Aad juga mendustakan Rasul mereka, iaitu Hud a.s.

Perkataan ‘mendustakan’ itu bermaksud ‘menolak’. Kerana apabila tidak menerima apa yang dibawa oleh Rasul, maka dalam ertikata lain, mereka nak kata bahawa apa yang dibawa oleh para Rasul itu adalah dusta sahaja.

Iaitu mereka kata apa yang Rasul mereka bawa kepada mereka itu adalah dusta. Kerana mereka tidak mahu terima ajakan tauhid itu, mereka kata Nabi mereka berbohong dengan membawa ajaran yang salah. Ini sama sahaja apabila masyarakat menolak ajaran Sunnah: kerana mereka sangka pendakwah sunnah itu bawa ajaran salah.

 

فَكَيْفَ كَانَ عَذَابِي وَنُذُرِ

Maka alangkah dahsyatnya azab-Ku dan ancaman-ancaman-Ku.

Penolakan mereka itu tidak dibiarkan begitu sahaja. Mereka dibalas semasa mereka di dunia lagi. Ayat ini pertama sekali dibacakan kepada Musyrikin Mekah. Ianya sebagai amaran kepada mereka.

Mereka diingatkan kepada apa yang terjadi kepada kaum Aad kerana mereka kenal kaum Aad itu dan tahu apakah yang terjadi kepada kaum Aad itu. Mereka melalui kawasan penempatan kaum Aad itu dalam musafir mereka. Jadi Allah cuma ingatkan sahaja kepada mereka.

Dan sekarang, kita pula membaca ayat ini, maka ayat ini menjadi peringatan kepada kita juga. Kenanglah apa yang terjadi kepada kaum Aad itu yang menolak ajakan tauhid itu dan apakah yang terjadi kepada mereka. Jangan kita jadi seperti mereka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 21 Mac 2022


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah al-Qamar Ayat 5 – 9 Dugaan Nabi Nuh)

Ayat 5:

حِكمَةٌ بٰلِغَةٌ ۖ فَما تُغنِ النُّذُرُ

Sahih International

Extensive wisdom – but warning does not avail [them].

Malay

(Yang demikian ialah) pengajaran yang cukup sempurna; dalam pada itu, segala peringatan dan amaran tidak akan mendatangkan faedah (kepada mereka yang ingkar).

 

حِكْمَةٌ بٰلِغَةٌ

Itulah suatu hikmah yang sempurna

Al-Qur’an ini mengandungi penuh hikmah. Bukan sahaja mengandungi ancaman-ancaman, tapi mempunyai ajaran-ajaran penuh hikmah untuk menjadi panduan dalam hidup kita.

Kalimah حِكْمَةٌ bermaksud ‘kebijaksanaan’. Dari segi bahasa, hikmah bermaksud ‘meletakkan sesuatu pada tempatnya yang sesuai’. Itulah syariat yang Allah berikan kepada kita. Ianya adalah perbuatan-perbuatan dan arahan-arahan yang amat sesuai untuk diamalkan oleh kita. Bukannya sia-sia sahaja apa yang Allah suruh kita buat itu.

Kalimah بَالِغَةٌ dari katadasar ب ل غ yang bermaksud ‘sampai’. Macam kalau kita kata seseorang itu sudah ‘baligh’, bermaksud dia sudah ‘sampai umur’. Jadi perkataan بَالِغَةٌ dalam ayat ini bermaksud ‘sempurna’ kerana sesuatu yang telah sampai ke destinasi yang hendak dituju bermaksud telah sempurna apa yang hendak dilakukan.

Oleh itu ayat ini bermaksud, tidak ada perkara yang perlu disampaikan tentang agama yang tertinggal dalam Al-Qur’an. Semuanya telah ada di dalamnya dan telah sempurna. Semuanya telah disentuh, cuma diperincikan di dalam hadis Rasulullah.

Kalimah بَالِغَةٌ dalam ayat ini juga bermaksud Al-Qur’an ini diturunkan dalam bahasa yang hebat yang ‘sampai’ kepada hati manusia. Bahasa Arab dan cara penyampaian di dalam Al-Qur’an menggunakan cara yang halus sampaikan ianya amat efektif untuk manusia. Kerana itu ramai manusia yang masuk Islam selepas mereka mendengar Al-Qur’an dan faham apa yang disampaikan.

Tentulah ianya hebat kerana ianya adalah Kalam Allah. Allah tahu bagaimana hati dan akal kita kerana Dia yang menjadikan kita. Antaranya Allah gunakan cara marah manusia. Kerana kadang-kadang kita perlu dimarahi. Kerana kalau tidak, kita tak sedar. Macam anak-anak kita juga, tak boleh dibiarkan sahaja mereka kalau mereka telah buat salah. Kena marah sekali sekala baru mereka sedar.

 

فَمَا تُغْنِ النُّذُرُ

peringatan-peringatan itu tidak berguna (bagi mereka).

Peringatan dalam Al-Qur’an ini tidak berguna langsung kepada mereka yang engkar. Iaitu mereka yang kepala degil. Mereka langsung tidak mahu memikirkan kebenaran yang ada dalam Al-Qur’an itu. Walaupun telah disampaikan dengan penuh hikmah dan dengan cara yang paling efektif.

Ianya tidak digunakan oleh mereka kerana mereka tidak mengubah pun cara hidup mereka. Ini kerana walaupun Al-Qur’an itu hebat, tapi hati yang dibacakan Al-Qur’an itu hendaklah bersedia untuk menerima kebenaran. Kalau hati dari asalnya sudah degil, maka disampaikan dalil-dalil dari Al-Qur’an pun, mereka tidak menerimanya.

Kita pun kena ingat juga. Kita yang sudah baca tafsir ini dan telah belajar tafsir Al-Qur’an, adakah kita sudah mendapat manfaat dari pembelajaran tafsir Al-Qur’an ini? Atau sama sahaja dulu dan sekarang? Atau kita belajar sahaja supaya dikatakan ‘alim’?

Kerana segala pelajaran agama ini sepatutnya mengubah diri kita ke arah kebaikan. Kalau sudah belajar tapi tidak ada kesan kebaikan dari segi akhlak kita, maka tentu ada sesuatu yang tidak kena dalam pembelajaran kita. Berapa ramai yang sudah belajar dan ada ilmu, tapi akhlaknya masih buruk lagi?


 

Ayat 6: Ayat Tasliah (pujukan).

فَتَوَلَّ عَنهُم ۘ يَومَ يَدعُ الدّاعِ إِلىٰ شَيءٍ نُّكُرٍ

Sahih International

So leave them, [O Muhammad]. The Day the Caller calls to something forbidding,

Malay

Oleh itu, berpalinglah dari mereka (wahai Muhammad dan janganlah dihiraukan). (Ingatlah) masa (malaikat) penyeru menyeru (mereka pada hari kiamat) kepada perkara yang tidak diingini (oleh orang yang bersalah);

 

فَتَوَلَّ عَنْهُمْ

Maka berpalinglah kamu dari mereka.

Setelah mereka didengarkan dengan ayat dan ajaran dari Al-Qur’an, diberi segala macam peringatan, tapi masih lagi menolak, maka Nabi Muhammad ﷺ telah disuruh untuk ‘berpaling’ dari mereka.

Maksudnya jangan peduli kata-kata mereka. Bukanlah maknanya terus berhenti dakwah kepada mereka. Kerana kita tetap kena dakwah kepada mereka. Tapi jangan hiraukan sangat kata-kata penolakan mereka itu. Kita terus dakwah kepada mereka dan buat pekak sahaja dengan kata-kata penolakan dari mereka itu.

 

يَوْمَ يَدْعُ الدَّاعِ

(Ingatlah) hari (ketika) menyeru seorang penyeru

Biarkan mereka sampai pada hari seorang ‘penyeru’ akan ‘menyeru’. Maknanya terus berdakwah sampai kepada satu masa bila dakwah sudah tidak berguna lagi.

Siapakah ‘Penyeru’ itu? Itulah Israfil. Yang diseru itu bermaksud seruan dalam bentuk tiupan Sangkakala apabila datang hari Kiamat nanti. Sangkakala adalah seperti satu serunai yang diperbuat dari cahaya dan Sangkakala itu telah lama siap-siap berada di mulut Israfil untuk ditiupnya. Setiap hari beliau mendongak kepalanya ke arah Allah untuk menunggu arahan untuk meniupnya.

 

إِلَىٰ شَيْءٍ نُّكُرٍ

menyeru kepada sesuatu yang tidak menyenangkan

Kalimah نُّكُرٍ bermaksud sesuatu yang teruk sekali. Nak bayangkan pun takut kerana keburukan yang dibawanya. Apakah yang dimaksudkan?:

1. Kesusahan pada hari Kiamat itu memang akan menakutkan. Tidak dapat dibayangkan bagaimana keadaan hari itu. Tidak dapat dibandingkan dengan kejadian yang pernah terjadi dalam dunia. Seteruk-teruk kejadian buruk dalam dunia ini, tidak dapat dibandingkan dengan malapetaka di hari Kiamat nanti.

2. Keduanya, نُّكُرٍ bermaksud sesuatu yang ‘asing kepada manusia’. Kerana itu perbuatan munkar adalah dosa yang tidak dikenali oleh manusia sebagai sesuatu yang baik. Orang baik tidak kenal perbuatan salah itu sebagai ‘baik’.

Manusia yang degil menolak kebenaran kerana ia nampak asing kepada mereka. Oleh kerana nampak asing, kedengaran asing pada mereka, mereka tak percaya. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang menolak datangnya hari Kiamat itu. Jadi apabila mereka nampak Kiamat itu, mereka lagi akan terkejut. Kerana mereka tak sangka ianya akan terjadi.

Macam kalau kita tak sangka sesuatu perkara akan terjadi, kita akan terkejut apabila ianya berlaku. Maka, Kiamat yang asing kepada mereka itu tetap akan datang kepada mereka apabila ditiup Sangkakala nanti.

3. Kalimah نُّكُرٍ juga bermaksud ‘sesuatu yang tidak disukai’. Mereka akan cuba lari dari hari itu. Bayangkan seorang penjenayah yang akan dibawa ke muka pengadilan. Tentulah dia tidak senang hati kalau dipanggil untuk pergi ke penjara atau ke tali gantung. Kerana dia tahu yang dia bersalah dan bukti semua telah ada. Dia sendiri tahu yang dia tidak akan selamat. Maka dia akan cuba melarikan dirinya.


 

Ayat 7: Sambungan ayat sebelum ini tentang tiupan Sangkakala dan permulaan kepada hari Kiamat.

خُشَّعًا أَبصٰرُهُم يَخرُجونَ مِنَ الأَجداثِ كَأَنَّهُم جَرادٌ مُّنتَشِرٌ

Sahih International

Their eyes humbled, they will emerge from the graves as if they were locusts spreading,

Malay

(Pada saat itu) masing-masing dengan keadaan menundukkan pandangannya kerana ketakutan, keluar dari kubur seperti belalang yang terbang bertebaran.

خُشَّعًا أَبْصٰرُهُمْ

sambil menundukkan pandangan mata mereka

Mata mereka tunduk dalam keadaan hina pada hari Kiamat nanti. Kerana waktu itu mereka berada dalam keadaan yang amat-amat takut. Dalam Sajdah:12 Ada diterangkan dengan lebih lanjut:

وَلَوْ تَرَىٰ إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُءُوسِهِمْ عِندَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ

Dan, jika sekiranya kamu melihat mereka ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata): “Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal saleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin”.

Mereka telah beriman sungguh waktu itu, tetapi alangkah ruginya mereka kerana walaupun mereka tunduk khusyuk dan mengakui kesalahan mereka dan telah beriman pada hari Kiamat nanti, tapi ianya tidak akan berharga apa-apa. Kerana ianya sudah terlambat.

Apakah maksud ‘khusyuk’? Khusyuk itu terjadi apabila kita takut sangat. Dan rasa takut itu kelihatan pada tubuh badan kita sampai badan kaku tidak bergerak. Khusyuk pada mata itu boleh diketahui apabila seseorang itu hanya melihat ke bawah sahaja. Itulah sebabnya kita disuruh untuk menundukkan pandangan mata kita ke bawah semasa dalam solat. Sebab itulah tubuh kita kena kawal semasa dalam solat.

Mereka yang dibangkitkan dari kubur itu nanti amat takut untuk melihat ke hadapan iaitu tempat mereka mereka akan ditujukan di neraka, maka mereka tunduk melihat ke bawah sahaja. Mereka takut menunggu nasib malang yang akan menimpa mereka kerana mereka sudah tahu apa yang akan dikenakan kepada mereka.

Ringkasnya, mata mereka tunduk kerana:

1. Mereka dalam keadaan takut sangat kerana keadaan dunia yang baru. Mereka tidak biasa dengan suasana yang menakutkan itu.

2. Mereka malu dan takut kerana akhirat yang mereka dustakan selama di dunia dulu sekarang benar-benar terjadi. Mereka sedar yang kerana mereka tidak mempercayainya, mereka tidak buat persiapan pun untuk menghadapinya dan mereka tahu yang mereka akan jadi insan yang malang.

3. Mereka takut melihat kejadian mengejutkan, aneh dan pelik yang berlaku di hadapan mereka, maka mereka nak lihat dengan tepat pun takut. Maka mereka tundukkan pandangan mata mereka.

 

يَخْرُجُونَ مِنَ الْأَجْدَاثِ

mereka keluar dari kuburan

Ayat ini tentang keadaan di akhirat kelak apabila makhluk dibangkitkan dari mati mereka. Kita semua akan dibangkitkan dari kubur kita. Maknanya mereka keluar-keluar sahaja daripada kubur mereka, kepala dan mata mereka sudah tunduk.

‘Kubur’ itu bukanlah semestinya kubur yang formal, kerana ada sahaja manusia yang mati tidak dikuburkan di tanah perkuburan. Oleh itu, ‘kubur’ itu boleh bermaksud di mana sahaja manusia itu mati dan reput dalam tanah (termasuk dalam laut pun).

Lebih spesifik lagi, kalimah الْأَجْدَاثِ bermaksud kubur lama yang sudah tidak ada tanda sebab sudah lama sangat. Sebab sudah lama sangat kubur itu ditinggalkan orang. Sampaikan orang yang melihatnya pun tidak tahu yang itu adalah kubur.

Seperti yang kita tahu, tanah kubur itu hanya tinggi sedikit sahaja daripada tanah biasa (lebih kurang sejengkal sahaja tingginya). Tidak boleh kita meletakkan binaan-binaan yang lain. Tanah itu ditinggikan sedikit pun adalah sebagai tanda bahawa ianya adalah kubur, supaya tidak ada orang buat ibadat di situ.

Kalau kubur baru kita boleh kenal lagi, tetapi tanah kubur lama kemungkinan besar ianya telah sama sahaja dengan tanah di tepinya sampai tidak boleh dikenal lagi sebagai kubur. Inilah maksud ayat ini – mereka keluar dari kubur mereka yang lama.

Ini adalah tempelak kepada golongan yang sombong semasa mereka hidup di dunia. Mereka sangka mereka kuat dan berkuasa dan dikenali semasa di dunia, tapi apabila mereka mati, lama kelamaan orang pun sudah tak ingat dan kisah pada mereka. Dalam Yaasin:51 juga Allah telah berfirman:

وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَإِذَا هُم مِّنَ الْأَجْدَاثِ إِلَىٰ رَبِّهِمْ يَنسِلُونَ

Dan ditiuplah sangkalala, maka tiba-tiba mereka keluar dengan segera dari kuburnya (menuju) kepada Tuhan mereka.

 

كَأَنَّهُمْ جَرَادٌ مُّنتَشِرٌ

seakan-akan mereka belalang yang berterbangan merata-rata

Semua makhluk akan kelihatan seperti belalang berterbangan pada hari itu kerana semua makhluk akan dibangkitkan serentak. Bayangkan makhluk yang pertama dicipta, sampai kepada makhluk yang akhir sekali mati pada hari Kiamat akan dibangunkan pada masa yang sama.

Kalau semua makhluk yang sedang ada pada saat ini pun kalau dikumpulkan pada satu tempat pun, sudah ramai, bayangkanlah kalau dikumpulkan semuanya sekali. Memang tidak dapat dibayangkan kerana ramai sangat! Keadaan amat kelam kabut!

Pada hari itu juga manusia diibaratkan seperti ‘belalang yang berterbangan’ kerana mereka akan jadi seperti kumpulan belalang yang bergerak ke sana ke sini tidak ada arah tujuan. Begitulah nanti keadaan manusia dan makhluk-makhluk yang lain pada hari kebangkitan nanti.

Keadaan waktu itu amat kecoh, dengan manusia kelam kabut tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Tidak ada tempat yang selamat, tidak ada tempat menyorok. Mereka tidak tahu ke mana mereka hendak tuju. Semua dalam keadaan takut berlari-lari ke sana sini.


 

Ayat 8:

مُّهطِعينَ إِلَى الدّاعِ ۖ يَقولُ الكٰفِرونَ هٰذا يَومٌ عَسِرٌ

Sahih International

Racing ahead toward the Caller. The disbelievers will say, “This is a difficult Day.”

Malay

Masing-masing dengan cepatnya menuju kepada penyeru itu. (Pada saat yang demikian), orang-orang yang kafir berkata: Hari ini ialah hari yang amat sukar!

مُّهْطِعِينَ إِلَى الدَّاعِ

mereka datang dengan cepat kepada penyeru itu.

Dalam keadaan kelam kabut selepas dibangkitkan dan tidak ada arah tujuan, maka terdengarlah suara arahan dari para malaikat. Para malaikat akan menyuruh semua makhluk yang bangun daripada kubur mereka itu untuk pergi beramai-ramai ke Mahsyar.

Ada berbagai-bagai cara mereka akan pergi ke sana. Kepada mereka yang beriman, mereka akan dibawa dengan kenderaan yang mewah. Kalau zaman sekarang, kita bayangkan mereka pergi ke Mahsyar itu dengan jet eksekutif. Dijemput dengan secara baik oleh malaikat untuk ke sana. Itu adalah tingkatan yang tertinggi sekali.

Kemudian ada yang pergi dengan kereta, kemudian ada yang pergi dengan motosikal. Ini adalah perumpamaan sahaja kerana kita pun tidak tahu apakah kenderaan di masa itu.

Ada yang pergi dengan basikal dan sebagainya. Itu sebagai perumpamaan mereka yang mendapat kenderaan dan kenderaan itu bergantung kepada tingkatan amal dan iman mereka.

Kemudian ada mereka yang berjalan kaki. Ada pula yang merangkak. Ada yang mengesot dan ada yang berguling. Dan ada juga yang berjalan dengan muka mereka. Itu adalah mereka yang tidak beramal dan tidak beriman semasa mereka di dunia.

Akhirnya, semua manusia akan sampai ke tempat yang sama untuk diadili oleh Allah. Tidak tahu berapa lama masa yang akan diambil. Mereka itu dihalau oleh malaikat dan kerana itu mereka akan bergerak dengan secepat mungkin. Mereka tidak boleh lari lagi. Semua akan taat pada waktu itu.

Di dalam perjalanan itu, ada Telaga Kautsar. Itu adalah tempat di mana Nabi Muhammad ﷺ akan menunggu umatnya untuk diberikan minum dari Air Telaga Kautsar itu. Sesiapa yang dapat minum dari air telaga itu, tidak akan dahaga selama-lamanya. Tetapi, bukan semua akan dapat minum dari air itu. Dalam Sahih Bukhari, ada disebutkan tentang perkara ini:

حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ حَدَّثَنَا بِشْرُ بْنُ السَّرِيِّ حَدَّثَنَا نَافِعُ بْنُ عُمَرَ عَنْ ابْنِ أَبِي مُلَيْكَةَ قَالَ قَالَتْ أَسْمَاءُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَنَا عَلَى حَوْضِي أَنْتَظِرُ مَنْ يَرِدُ عَلَيَّ فَيُؤْخَذُ بِنَاسٍ مِنْ دُونِي فَأَقُولُ أُمَّتِي فَيُقَالُ لَا تَدْرِي مَشَوْا عَلَى الْقَهْقَرَى قَالَ ابْنُ أَبِي مُلَيْكَةَ اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ أَنْ نَرْجِعَ عَلَى أَعْقَابِنَا أَوْ نُفْتَنَ
Telah menceritakan kepada kami ‘Ali bin Abdullah Telah menceritakan kepada kami Bisyir bin As Sari telah menceritakan kepada kami Nafi’ bin Umar dari Ibnu Abi Mulaikah mengatakan, Asma’ mengatakan dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam; “aku berada di telagaku menunggu-nunggu orang yang datang kepadaku, tiba-tiba orang di belakangku ditangkap dan dijauhkan dariku sehingga aku berteriak-teriak; ‘Itu umatku, itu umatku! ‘ Tiba-tiba ada suara menjawab; ‘Kamu tidak tahu! Mereka berjalan dengan melakukan bid’ah, maksiat dan dosa besar’.” Ibnu Abi Mulaikah terus memanjatkan doa; Ya Allah, aku berlindung kepada-MU dari berbalik ke belakang atau terkena hentaman fitnah! Hadis Riwayat Al-Bukhari

Nabi Muhammad ﷺ nampak umatnya yang berjalan ke arahnya. Dan baginda kenal orang Islam kerana nampak cahaya keluar dari bekas wuduk mereka. Tapi, ada yang tidak dibenarkan untuk meminum air telaga itu. Walaupun Nabi memanggil mereka, tapi mereka telah dihalau oleh malaikat.

Kenapa? Kerana mereka mengamalkan bidaah semasa hidup mereka. Mereka itu walaupun Muslim, walaupun mereka juga melakukan solat, mereka tidak layak untuk minum dari air telaga itu kerana amalkan bidaah dalam ibadah mereka. Nabi akan menghalau mereka. Maka jangan sangka kalau orang Islam sahaja akan terus dapat minum dari air telaga itu.

Oleh itu, jangan sangka yang perkara bidaah itu adalah perkara ringan. Ianya adalah perbuatan dosa, yang akan menyebabkan pelakunya masuk neraka dan tidak layak digelar sebagai umat Nabi Muhammad ﷺ. Berbagai hujah dan alasan yang diberi oleh mereka yang mengamalkan bidaah ini semasa di dunia. Tapi bagaimana nanti mereka hendak berhujah dengan Nabi Muhammad ﷺ, dengan Allah?

Berdoalah supaya kita dapat minum dari Air Telaga Kautsar itu. Janganlah kita mengamalkan bidaah walau bagaimanapun orang ajak kita. Jangan kita amalkan sedikit pun amalan bidaah. Ianya langsung tidak menguntungkan.

 

يَقُولُ الْكٰفِرُونَ

Orang-orang kafir berkata:

Yang akan berkata begini hanyalah orang-orang yang kafir engkar saja. Allah tak kata semua manusia akan berkata begini tetapi orang yang engkar sahaja. Tidak kira sama ada mereka itu orang Islam atau tidak, kalau mereka engkar wahyu semasa di dunia, mereka akan berkata yang sama juga.

Apakah aduan dan keluhan mereka nanti?

 

هَٰذَا يَوْمٌ عَسِرٌ

“Ini adalah hari yang amat sukar”.

Hari itu memang hari yang amat sukar, tapi ianya lebih sukar lagi kepada orang-orang yang kufur engkar. Firman Allah di dalam Muddaththir:9-10

فَذَٰلِكَ يَوْمَئِذٍ يَوْمٌ عَسِيرٌ

maka waktu itu adalah waktu (datangnya) hari yang sulit,

عَلَى الْكَافِرِينَ غَيْرُ يَسِيرٍ

bagi orang-orang kafir lagi tidak mudah.

Ianya amat sukar kepada orang kufur dan engkar, tetapi kepada orang-orang yang beriman, hari itu akan dipermudahkan bagi mereka. Susah atau mudah itu adalah subjektif. Sebagai perumpamaan, lihatlah bagaimana cara kita mengerjakan solat.

Ada orang yang rasa solat itu payah sangat dan ada pula orang yang rasa sedap mengerjakan solat. Ada orang yang rasa sedap bila solat walau lama mana pun tetapi ada yang kalau solat tiga minit pun mereka sudah rasa lama dan rasa gelisah sahaja.

Bezanya adalah tahap keimanan seseorang itu. Perbuatan yang sama, tapi lain rasanya kepada lain orang. Begitulah nanti di Mahsyar nanti – ada yang rasa susah dan ada yang rasa senang. Allah akan jadikan senang hari itu kepada orang yang beriman. Semoga kita termasuk orang yang senang di Mahsyar nanti. Aameen.


 

Ayat 9: Sekarang Allah berikan contoh takhwif duniawi (penakutan dengan azab dunia). Allah menceritakan tentang umat terdahulu sebagai peringatan untuk Musyrikin Mekah dan juga kita. Mari kita baca tentang kaum Nabi Nuh a.s.

Ayat 9 – 17 ini adalah Perenggan Makro Kedua dan ia tentang pendustaan Kaum Nuh terhadap kebenaran yang dibawa oleh Nabi Nuh.

كَذَّبَت قَبلَهُم قَومُ نوحٍ فَكَذَّبوا عَبدَنا وَقالوا مَجنونٌ وَّازدُجِرَ

Sahih International

The people of Noah denied before them, and they denied Our servant and said, “A madman,” and he was repelled.

Malay

Sebelum mereka, kaum Nabi Nuh juga telah mendustakan (Rasulnya); iaitu mereka mendustakan hamba Kami (Nabi Nuh) serta mereka menuduhnya dengan berkata: Dia seorang gila dan dia telah diancam (dan dihalang daripada menjalankan dakwah agama).

كَذَّبَتْ قَبْلَهُمْ قَوْمُ نُوحٍ

Sebelum mereka, telah mendustakan (pula) kaum Nuh,

Sebelum bangsa Arab mendustakan Nabi Muhammad ﷺ pun, kaum Nabi Nuh juga telah mendustakan Nabi Nuh, Nabi mereka.

Nabi Nuh adalah Rasul yang pertama (Nabi Adam a.s. dan Nabi Idris a.s. hanya Nabi, bukan Rasul). Nabi Muhammad ﷺ pula adalah Rasul yang terakhir. Maka, dari Rasul pertama sampai ke Rasul yang terakhir, mereka telah didustakan oleh kaum mereka.

Oleh itu, Allah hendak memberitahu kepada Nabi Muhammad ﷺ, bukan baginda sahaja yang didustakan, tapi Nabi-nabi terdahulu sebelum baginda pun menerima nasib yang sama. Maka, ini pun adalah ayat tasliah (pujukan) dari Allah kepada baginda.

 

فَكَذَّبُوا عَبْدَنَا

maka mereka mendustakan hamba Kami

Kalimah عَبْدَنَا (hamba Kami) yang dimaksudkan adalah Nabi Nuh a.s. Allah gunakan kalimat ‘hamba Kami’ sebagai penghormatan kepada baginda. Ini macam pemimpin besar kata tentang seseorang: “dia tu orang saya”.

Dalam ayat ini, Nabi Nuh dibahasakan sebagai ‘hamba’. Kenapa? Kerana menjadi ‘hamba Allah’ adalah satu kedudukan yang tinggi kerana ia dinisbahkan kepada Allah (berbeza kalau kita hamba kepada manusia lain). Kita semua adalah hamba Allah sama ada kita mengaku atau tidak.

Kalau kita redha menjadi hamba Allah, maka itu adalah kemuncak matlamat kehidupan kita. Kerana tidaklah kita ini dijadikan melainkan untuk menjadi hamba Allah.

Apabila kita mengaku sebagai hamba Allah, maka kita akan taat kepada arahan dan larangan Allah. Kerana itulah sifat hamba, taat kepada tuannya. Mereka yang mengaku hamba Allah, tapi tidak taat kepada suruhan dan tidak meninggalkan larangan Allah, bukanlah sebenar-benar hamba.

Ada beberapa tingkatan ‘hamba’. Memang setiap kita adalah hamba Allah, tapi tak sama tingkatan. Sama ada mengaku atau tidak, kita semua adalah hamba Allah. Kalau akal kita tidak taat kepada Allah pun, tubuh kita tentunya taat kepada Allah.

Sebagai contoh, mereka yang hidup, tentu akan bernafas. Bernafas itu pun adalah satu ketaatan kepada perintah Allah kerana Allah suruh tubuh kita bernafas, bukan? Cubalah kalau boleh untuk tidak bernafas….

Dan kalau kita tidak mengaku sebagai hamba di dunia pun, kita akan mengaku sebagai hamba Allah di akhirat juga nanti seperti firman Allah dalam Maryam:93

إِن كُلُّ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ إِلَّا آتِي الرَّحْمَٰنِ عَبْدًا

Tidak ada seorang pun di langit dan di bumi, kecuali akan datang kepada Tuhan Yang Maha Pemurah selaku seorang hamba.

Tingkatan hamba yang tinggi adalah mereka yang mengaku sebagai hamba Allah semasa di dunia lagi. Mereka itulah yang taat kepada perintah dan meninggalkan larangan Allah. Mereka ini dipanggil sebagai ‘ibaadur Rahman‘. Sifat-sifat mereka disebut dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an seperti yang disebut dalam Furqan:63 dan seterusnya. 

وَعِبَادُ الرَّحْمَٰنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَامًا

Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandung) keselamatan.

Ada lagi tingkatan yang lebih tinggi lagi iaitu tingkatan hamba para Nabi Allah. Kerana itulah selalu dalam Al-Qur’an, para Rasul dan Nabi dipanggil sebagai ‘hamba Allah’. Ini adalah kedudukan yang tinggi yang manusia biasa tidak akan dapat capai. Ada banyak ayat Al-Qur’an yang menggelar para Nabi sebagai hamba Allah seperti Furqan:1

تَبَارَكَ الَّذِي نَزَّلَ الْفُرْقَانَ عَلَىٰ عَبْدِهِ لِيَكُونَ لِلْعَالَمِينَ نَذِيرًا

Maha suci Allah yang telah menurunkan Al Furqaan (Al Qur’an) kepada hamba-Nya, agar dia menjadi pemberi peringatan kepada seluruh alam,

 

وَقَالُوا مَجْنُونٌ وَازْدُجِرَ

dan mengatakan: “Dia seorang gila dan dia sudah pernah diberi ancaman.

Mereka gelar Nabi Nuh itu gila sebab buat kapal atas bukit. Memang tidak dibuat oleh orang yang siuman tapi apa yang Nabi Nuh lakukan itu adalah atas arahan Allah. Dan memang begitulah para Nabi selalunya digelar sebagai ‘gila’ seperti firman Allah dalam Dzariyat:52

كَذَٰلِكَ مَا أَتَى الَّذِينَ مِن قَبْلِهِم مِّن رَّسُولٍ إِلَّا قَالُوا سَاحِرٌ أَوْ مَجْنُونٌ

Demikianlah tidak seorang rasul pun yang datang kepada orang-orang yang sebelum mereka, melainkan mereka mengatakan: “Dia adalah seorang tukang sihir atau seorang gila”.

Bukan sahaja Nabi Nuh dihina, tapi baginda juga sudah diugut untuk berhenti dari berdakwah kepada manusia. Teruk sekali apa yang mereka ugut Nabi Nuh itu. Mereka kata nak bunuh baginda kalau tak berhenti. Mereka ugut nak rejam baginda seperti firman Allah dalam Shuara:116

قَالُوا لَئِن لَّمْ تَنتَهِ يَا نُوحُ لَتَكُونَنَّ مِنَ الْمَرْجُومِينَ

Mereka berkata: “Sungguh jika kamu tidak berhenti hai Nuh, nescaya benar-benar kamu akan termasuk orang-orang yang direjam“.

Perkataan وَازْدُجِرَ telah disebut di dalam surah ini dalam ayat 4. Dalam ayat itu, telah disebut bagaimana sebenarnya Kalam Allahlah yang mengandungi ugutan kepada manusia tetapi lihatlah bagaimana mereka pula yang memberi ugutan kepada Nabi Nuh.

Begitulah para Nabi-nabi dan juga penyeru-penyeru tauhid daripada zaman dahulu sampai sekarang telah diugut untuk diseksa dan dibunuh oleh puak musyrikin. Entah berapa ramai pula dari mereka yang telah dibunuh.

Kita telah dengar bagaimana ulama’-ulama’ telah dipenjara, diseksa dan sebagainya seperti Imam Ibn Taimiyyah, imam mazhab yang empat itu dan malah ramai lagi. Akan ada sahaja golongan sesat dan kufur yang akan menggunakan kedudukan dan kuasa mereka untuk menindas golongan yang menyeru kepada tauhid. Zaman kita pun penyebar dakwah Sunnah pun diugut oleh sesetengah pihak untuk tidak sampaikan ‘ajaran Wahabi’. Takut benar mereka dengan kebenaran.

Ini juga menunjukkan tuduhan ‘gila’ kepada Nabi dan pendakwah ini sudah ada dari dulu lagi. Mereka dituduh sebagai gila kerana memperkatakan benda yang sama berulang-ulang. Iaitu asyik cerita tentang Al-Qur’an dan tauhid sahaja.

Keduanya, mereka dikatakan gila kerana memperkatakan sesuatu yang tidak nampak secara fizikal. Kerana syurga dan neraka tidak nampak dengan mata. Bukan sahaja tidak nampak dengan mata, ianya memperkatakan sesuatu yang tidak nampak keuntungannya secara zahir. Kerana untungnya bukan di dunia ini tapi di akhirat kelak.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 8 Februari 2022


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah al-Qamar Ayat 1 – 4 (Bulan terbelah)

Pengenalan:

Surah ini berkenaan ‘akhirat’. Musyrikin Mekah tidak ada maklumat tentang hari akhirat kerana mereka sudah lama tidak ada Rasul dan Nabi; dan mereka juga tidak ada kitab. Kerana itu mereka jahil tentang Kiamat, kebangkitan semula dan Hari Akhirat.

Mereka memang tidak tahu kerana untuk tahu berkenaan akhirat, mestilah dapatkan maklumat itu dari wahyu. Akal manusia tidak akan dapat mencapai maklumat itu dengan sendiri.

Surah ini juga menceritakan tentang taqdir, dimana Allah menekankan yang taqdir itu dalam tangan Allah taala. Maka ini mengajar kita untuk menerima takdir bagaimana pun ia datang. Jangan melawan takdir dan jangan mengeluh kerana ianya adalah penentuan dari Allah.

Asbabun Nuzul surah ini: Musyrikin Mekah telah berkata kepada Nabi Muhammad ﷺ, kalau betul baginda itu Nabi, maka cubalah belah bulan itu. Maka, Jibril datang kepada Nabi atas arahan Allah untuk suruh baginda mengumpulkan semua orang di tempat terbuka pada malam hari. Maka Nabi disuruh untuk tunjuk kepada bulan, dan bulan itu terbelah dengan izin Allah.

Ini adalah mukjizat Nabi ﷺ yang diberikan oleh Allah. Maka, kita kena ingat, bukanlah Nabi ada kuasa sendiri. Mukjizat itu hanya berlaku sekali sahaja. Bukanlah selepas itu Nabi boleh belah planet lain pula atau suka-suka nak belah bulan lagi (Owh tak percaya ya? Mari aku belah lagi bulan itu).

Begitu jugalah dengan Karamah. Kalau mukjizat itu diberikan kepada Nabi, karamah diberikan kepada para wali. Dan ini adalah perkara yang menjadi kekeliruan dalam fikiran mereka yang jahil agama.

Kita mestilah tahu yang mereka yang dikatakan sebagai ‘wali’ itu kenalah seorang guru yang mengajar Al-Qur’an dan Hadis, bukannya seperti pemahaman ahli tarekat tentang ‘wali’. Orang kita yang terjerumus ke dalam tarekat, ada satu pemahaman ‘wali’ yang salah. Ramai betul kononnya ‘wali’ di kalangan mereka. Senang sangat mereka nak gelar orang itu dan ini sebagai ‘wali’.

Dan mereka kata ‘wali’ itu kononnya ada karamah. Mereka itu tidak tahu yang seperti juga mukjizat, karamah pun berlaku sekali sahaja. Maka kalau ada guru yang boleh buat karamah berkali-kali, itu bukanlah ‘Karamah’, tapi itu adalah ‘sihir’. Maknanya, guru mereka itu ada amalan salah yang menjadi ‘sihir’.

Dan lagi satu, ‘wali’ ini adalah rahsia Allah. Kita tidak siapakah wali itu kerana bukannya ada majlis perlantikan wali pula, atau ada majlis beri ijazah kepada wali pula. Malangnya golongan tarekat ini suka sangat nak lantik orang itu dan ini sebagai wali; dan tidak kurang juga guru-guru tarekat yang mengaku mereka itu sebagai wali. Selalunya kerana kononnya mereka mimpi mereka dilantik sebagai wali.

Semoga kita sebarkan ilmu wahyu ini supaya tidaklah senang orang kena tipu lagi dengan golongan sebegini. Kerana ini semua adalah penipuan syaitan sahaja.

Surah ini adalah Surah Makkiah. Ianya turun di akhir-akhir waktu baginda di Mekah sebelum berhijrah ke Madinah. Surah-surah Makkiah banyak menyentuh tentang tauhid. Itu adalah pokok utama dalam surah-surah Makkiah. Nabi selalu membacakan surah ini di majlis yang ramai orang seperti dalam Solat Hari Raya. Ini adalah kerana surah ini memberikan peringatan yang amat mendalam kepada manusia.

Maka, Nabi ﷺ gunakan ayat ini sebagai pemberi peringatan kepada manusia yang ramai. Memang begitulah yang sepatutnya kita lakukan – mendapatkan peringatan dari ayat-ayat Al-Qur’an, terutama dalam solat. Tapi, kerana kita tak belajar dan tidak faham Al-Qur’an, maka bacaan Al-Qur’an dalam solat kita seperti tidak bermakna. Ramai pandai baca, tapi tak ramai yang faham apakah yang dibaca. Itu adalah amat rugi sekali.

Surah ini hendak memberitahu kita bahawa semua makhluk adalah dalam pentadbiran Allah. Allah tadbir sendiri, tanpa berkongsi pentadbiran alam ini dengan sesiapa. Tidaklah Allah kongsi pentadbiran alam ini dengan mana-mana Nabi atau wali seperti pemahaman golongan tarekat. Ini adalah fahaman yang syirik yang berleluasa dalam masyarakat. Antaranya mereka kata Syeikh Qadir Jailani tadbir ‘masa’.

Jadi alam ini di dalam pentadbiran Allah dan Allah yang menentukan segala-galanya. Tapi manusia banyak kehendak dan keinginan. Macam-macam perkara yang diingini oleh hati manusia.

Maka, untuk mengharapkan segala kehendak itu, hendaklah manusia berdoa. Manusia wajib berdoa kepada Allah kalau berharap kepada sesuatu. Kerana inilah cara seorang hamba Allah.

Tapi dalam hal doa ini, hendaklah manusia berdoa *terus* kepada Allah. Jangan gunakan perantaraan sebagaimana yang dilakukan oleh kebanyakan manusia. Semua perantaraan adalah tawasul. Kerana salah faham tentang tawasul, menyebabkan manusia jadi kufur.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 7 perenggan makro. Ayat 1 – 8 ini adalah Perenggan Makro Pertama. Ia menyebut pendustaan Musyrikin Mekah.

اقتَرَبَتِ السّاعَةُ وَانشَقَّ القَمَرُ

Sahih International

The Hour has come near, and the moon has split [in two].

Malay

Telah hampir saat (kedatangan hari kiamat) dan terbelahlah bulan.

 

اقْتَرَبَتِ السَّاعَةُ

Telah hampir datangnya ‘saat’ itu

Perkataan اقْتَرَبَتِ dari kata dasar ق ر ب yang bermaksud ‘dekat’. Seperti kita selalu gunakan untuk ‘rakan qarib’. Apabila ditambah dengan huruf ت dalam perkataan اقْتَرَبَتِ itu, ianya bermaksud yang sesuatu itu sudah ‘sangat hampir’. Apabila ditambah huruf pada sesuatu kalimah, ia menambah maksud pada kalimah itu.

Perkataan السَّاعَةُ dari segi bahasa literal, bermaksud ‘waktu’. Tapi dalam Al-Qur’an, perkataan السَّاعَةُ dikhususkan untuk membawa maksud ‘hari Kiamat’. Iaitu saat datangnya Kiamat.

Memang datangnya Kiamat itu sudah hampir. Nabi Muhammad ﷺ pernah menunjukkan dengan dua jarinya, yang zaman baginda dan datangnya Kiamat adalah antara dua jari sahaja – maknanya, dekat sangat Kiamat itu. Bayangkan yang itu adalah pada zaman Nabi.

Bagaimana pula kalau dibandingkan dengan zaman kita sekarang? Dan memang tanda-tanda Kiamat sudah banyak ada. Dalam Muhammad:18, Allah telah menyentuh ‘tanda-tanda’ hari Kiamat itu:

فَهَلْ يَنظُرُونَ إِلَّا السَّاعَةَ أَن تَأْتِيَهُم بَغْتَةً فَقَدْ جَاءَ أَشْرَاطُهَا فَأَنَّىٰ لَهُمْ إِذَا جَاءَتْهُمْ ذِكْرَاهُمْ

Maka tidaklah yang mereka tunggu-tunggu melainkan hari kiamat (iaitu) kedatangannya kepada mereka dengan tiba-tiba, kerana sesungguhnya telah datang tanda-tandanya. Maka apakah faedahnya bagi mereka kesedaran mereka itu apabila Kiamat sudah datang?

Kalau tandanya telah ada, maka tentulah masanya tidak lama lagi. Dan salah satu tanda kedatangan Kiamat itu adalah datangnya Nabi Muhammad ﷺ. Kerana baginda adalah Nabi terakhir dan tidak ada Nabi selepas itu.

Tapi kenapa masih lagi tidak datang Kiamat itu? Sedangkan masa antara baginda dan kita sudah hampir 1,500 tahun – suatu jangka masa yang lama juga. Maka, bagaimana boleh dikatakan masa antara baginda dan Kiamat itu sudah dekat?

Sebenarnya, yang dimaksudkan ‘dekat’ itu adalah kalau kita bandingkan jarak masa antara baginda dan kiamat, dan bandingkan dengan masa dari asal kejadian alam ini. Kita pun tidak tahu bilakah asal dunia ini entah berjuta atau berapa bilion tahun.

Itulah waktu bandingan yang digunakan. Kalau dibandingkan waktu datangnya Kiamat dan waktu penciptaan dunia ini, amat sedikit masa antara baginda diangkat menjadi Nabi dan Kiamat. Kita pun tak tahu berapa lama sudah alam ini bermula. Jadi memang kita tak boleh nak agak.

Dalam Najm:57 juga Allah telah berfirman tentang dekatnya Hari Kiamat:

أَزِفَتِ الْآزِفَةُ

Telah dekat terjadinya hari kiamat.

 

وَانشَقَّ الْقَمَرُ

dan telah terbelah bulan.

Terbelahnya bulan juga adalah salah satu dari tanda-tanda Kiamat. Seperti yang telah kita sebut, kedatangan Nabi Muhammad ﷺ sendiri adalah tanda Kiamat sudah dekat. Dan apabila bulan terbelah juga adalah tanda dekatnya kiamat juga.

Kejadian ini telah berlaku pada zaman Nabi ﷺ. Ianya berlaku lima tahun sebelum Hijrah. Memang ianya benar berlaku dan bukanlah seperti kata sesetengah orang yang mengatakan kejadian terbelahnya bulan ini akan berlaku pada hari Kiamat nanti. Pendapat itu tidak kuat kerana telah ada hadis sahih yang menceritakan tentang terbelahnya bulan itu pada zaman Nabi.

Tambahan pula perkataan وَانشَقَّ adalah dalam bentuk past tense. Memang dari segi nahu, ia boleh sahaja digunakan untuk merujuk kepada masa hadapan, tapi kalau dilihat dari konteks ayat, kenapa perkara yang akan terjadi di masa hadapan menjadi dalil bagi dekatnya Hari Kiamat?

Tambahan pula, ayat kedua selepas ini menyebut Musyrikin Mekah telah melihat kejadian itu tapi mereka tidak percaya dan mengatakan ianya adalah sihir. Ini seperti yang disebut dalam satu hadis sahih:

“Pada zaman Rasulullah SAW bulan telah terbelah dua, benar-benar terlihat dua belahannya, satu di bukit sebelah kanan, satu di bukit sebelah kiri. Orang-orang kafir berkata Muhammad telah melakukan sihir. Ada pula di kalangan mereka yang menjawab, kalau sihir dilakukan, maka yang kena sihir adalah kita di sini, dan sihir tidak mungkin terkena kepada semua orang di tempat lain.” (Hadis riwayat Al-Bukhari).

Oleh kerana ada yang percaya bahawa itu adalah sihir Nabi, maka ada yang memberi cadangan untuk menunggu mereka yang pulang dari musafir, sama ada mereka pun ada melihat juga bulan itu terbelah. Ternyata, apabila ada yang pulang dari jauh, mereka pun kata mereka ada juga melihat bulan terbelah dari tempat mereka yang jauh.

Jadi, kejadian itu adalah kejadian yang benar. Kerana, kalau benar ianya sihir, takkan Nabi boleh sampai menyihir mereka yang jauh juga.

Sekadar ilustrasi
Sekadar ilustrasi

Musyrikin Mekah memang sentiasa meminta mukjizat ditunjukkan kepada mereka. Kononnya kalau mereka ditunjukkan mukjizat, mereka akan beriman. Ini ada disebut dalam banyak ayat, antaranya Ankabut:50

وَقَالُوا لَوْلَا أُنزِلَ عَلَيْهِ آيَاتٌ مِّن رَّبِّهِ قُلْ إِنَّمَا الْآيَاتُ عِندَ اللَّهِ وَإِنَّمَا أَنَا نَذِيرٌ مُّبِينٌ

Dan orang-orang kafir Mekah berkata: “Mengapa tidak diturunkan kepadanya mukjizat-mukjizat dari Tuhannya?” Katakanlah: “Sesungguhnya mukjizat-mukjizat itu terserah kepada Allah. Dan sesungguhnya aku hanya seorang pemberi peringatan yang nyata”.

Maknanya, apa-apa sahaja mukjizat, ianya ditentukan oleh Allah. Nabi tak boleh nak minta diberikan mukjizat kepada baginda. Nabi tak boleh nak buat mukjizat sendiri.

Mereka minta ditunjukkan mukjizat itu sebenarnya bukan nak beriman. Mereka nak cari helah sahaja untuk mengenakan baginda. Kalau Nabi tak tunjukkan mukjizat, mereka nak kata yang Nabi itu bukanlah sebenarnya Nabi. Tapi bila sudah ditunjuk, mereka degil tidak mahu beriman pula.

Banyak perbincangan tentang kejadian Pembelahan Bulan ini. Ada yang memberikan berbagai-bagai pendapat. Ada yang bertanya, bagaimana dengan tempat lain, adakah mereka juga nampak kejadian itu? Tidak semestinya kita kena jumpa dalam sejarah tentang ada negara-negara lain seperti China atau India atau negara-negara lain yang nampak juga kejadian ini.

Kerana mungkin ada yang berkata: “Kalau betul bulan itu terbelah, tentulah tempat-tempat lain dalam dunia ini pun nampak juga. Tentu kejadian besar sebegini akan disebut dalam sejarah mereka juga, seperti kejadian banjir Nabi Nuh yang tertulis dalam banyak sejarah.”

Hujah ini tidak boleh dipakai sebegitu kerana bulan hanya keluar pada waktu malam sahaja. Maka kejadian ini berlaku di Mekah untuk beberapa jam sahaja. Maka tentunya negara lain yang belum malam lagi tidak akan nampak bulan terbelah itu.

Mungkin ada yang hairan dengan kejadian ini. Mereka rasa macam tak masuk akal sahaja Nabi Muhammad boleh membelah bulan. Untuk menjawab pertanyaan ini, kita kena faham bahawa bukanlah Nabi Muhammad yang membelah bulan. Walaupun Nabi mengangkat tangan dan menunjukkan kepada bulan itu, tapi bukanlah baginda yang membelah bulan, tapi Allah!

Nabi tidak ada kuasa sendiri. Allah sahaja yang benarkan bulan itu terbelah. Apabila kita tahu Allah yang membelah, maka tidak ada persoalan lagi. Allah boleh buat apa-apa sahaja. Jadi apa yang hendak dipelikkan? Bukankah Allah sendiri yang menjadikan bulan itu pada asalnya? Tentulah lebih ajaib lagi proses menjadikan bulan itu kalau dibandingkan dengan membelahnya, bukan?

Bulan itu adalah hak Allah. Allah boleh nak buat apa-apa sahaja dengannya. Dan ianya amat mudah bagi Allah. Jangan kita kehairanan macam mana Allah boleh buat.

Kisah kejadian bulan terbelah ini boleh dibaca dengan lebih lanjut dalam seerah Nabi.

Tambahan pula, bukankah nanti pada hari Kiamat, bulan itu akan dipecahkan juga bersama-sama dengan bumi ini, matahari, malah planet-planet lain pun. Kalau Allah boleh pecahkan waktu Kiamat, kenapa tidak boleh pecahkan waktu itu?

Dan kejadian pembelahan bulan ini menjadi dalil yang amat kuat tentang adanya Hari Kiamat. Kalau Allah boleh membelah bulan dan kemudian mencantumkannya kembali, maka tentu Allah mampu nak menghancurkan alam ini dan menjadikan alam yang baru. Ini penting difahami kerana mereka yang menolak Hari Kiamat dan kebangkitan semula susah untuk menerima yang Allah mampu melakukan semua itu.

Alam ini di dalam genggaman Allah, dan Dia boleh melakukan apa sahaja. Sistem alam ini terlaksana secara terperinci dan kerana itu ia teguh. Sebagai contoh, kalau bergerak sahaja matahari atau bulan dari kedudukannya sekarang, tentulah seluruh sistem ini hancur. Kerana ada tarikan antara satu planet dan planet yang lain. Ia seperti rantaian pada rantai dan kalau terputus, ia akan menyebabkan seluruhnya hancur. Tapi sistem alam ini Allah yang buat, maka Dia boleh ubah mengikut kehendakNya.


 

Ayat 2: Apa tindakan mereka setelah mereka melihat mukjizat bulan dibelah itu?

وَإِن يَّرَوا ءآيَةً يُّعرِضوا وَيَقولوا سِحرٌ مُّستَمِرٌّ

Sahih International

And if they see a miracle, they turn away and say, “Passing magic.”

Malay

Dan kalau mereka (kaum musyrik Mekah) melihat sesuatu mukjizat, mereka berpaling ingkar sambil berkata: (Ini ialah) sihir yang terus menerus berlaku.

 

وَإِن يَّرَوْا ءآيَةً يُّعْرِضُوا

Dan jika mereka (orang-orang musyrikin) melihat suatu tanda (mukjizat),

Kejadian terbelahnya bulan itu benar, tapi Musyrikin Mekah yang telah melihat dengan mata kepala mereka sendiri bagaimana bulan itu terbelah, masih juga tidak mahu beriman.

Kejadian pembelahan bulan itu adalah salah satu tanda kebenaran Nabi sebagai Rasul. Dan kerana mereka tidak mahu menerima kerasulan baginda, mereka tetap tolak juga mukjizat yang mereka telah nampak dengan mata mereka sendiri.

 

وَيَقُولُوا سِحْرٌ مُّسْتَمِرٌّ

mereka berpaling dan berkata: “(Ini adalah) sihir yang terus menerus”.

Mereka tuduh Nabi Muhammad melakukan sihir. Sebab mereka tak boleh nak terima juga yang Nabi Muhammad itu seorang Rasul. Mereka hanya tahu menuduh sahaja tanpa bawakan bukti. Maka jangan kita jadi seperti orang kafir yang hanya pandai menuduh sahaja tanpa bawakan bukti.

Mereka mengatakan yang sihir itu adalah jenis مُّسْتَمِرٌّ. مُّسْتَمِرٌّ dari katadasar م ر ر yang bermaksud ‘lalu’, ‘berterusan’, ‘mengalahkan’, ‘kuat’. Mereka tuduh dengan mengatakan sihir yang Nabi bawa itu adalah sangat kuat. Kuat sampaikan boleh memberi kesan kepada bulan. Bulan pun boleh jadi terbelah dengan kekuatan sihir Muhammad itu, mereka kata.

Keduanya, ianya boleh bermaksud ‘berterusan’. Terus berkesan dalam masa yang lama. Begitulah hebatnya sihir Muhammad mereka, sampaikan lama mereka terkesan dengan sihir itu.

Mereka juga bermaksud ianya berterusan dari orang dahulu. Mereka kata Nabi belajar ilmu sihir ini dari orang dahulu. Dari dahulu lagi orang lain boleh buat juga. Mereka hendak kata ianya adalah sihir sahaja seperti yang diamalkan oleh orang-orang dahulu.

Ia juga bermaksud sesuatu yang akan ‘lalu’, iaitu tidak kekal berterusan kerana walaupun lama, ia tetap akan hilang juga akhirnya. Mereka kata ia tidak kekal pun.

Kenapa mereka kata ianya adalah sihir? Kerana kejadian ini adalah sesuatu yang hebat dan kalau mereka terima ianya sebagai mukjizat, sebagai bukti kenabian baginda, maka mereka sudah tidak ada alasan lagi nak tolak dakwah baginda.

Maka mereka kena namakan ia sebagai satu nama lain – sihir. Kalau sihir, tidaklah ada apa-apa sangat kerana orang lain pun ada yang boleh buat sihir juga. Bila sudah label ia sebagai ‘sihir’ maka bolehlah mereka nak tolak apa yang baginda sampaikan (mereka nak kata ia tidak tiada apa-apa, sihir sahaja).

Macam sama sahaja dengan orang jahil dari kalangan masyarakat kita yang namakan gerakan sunnah sebagai ‘Wahabi’. Bila mereka beri nama ‘Wahabi’, tidaklah rasa salah sangat kalau mereka tolak. Sebab nampak mereka tolak ‘Wahabi’ sahaja, bukan tolak ‘Sunnah’.

Sihir juga dinamakan ‘Silap Mata’ dalam bahasa kita kerana ianya bukan terjadi pun, tapi mata kita yang ditipu. Macam kita nampak Ahli Silap Mata memotong badan manusia lain – bukannya dia betul-betul potong tapi mata kita telah ditipu sampai kita nampak macam kena potong. Maknanya, Musyrikin Mekah nak kata, bukan betul pun bulan terbelah, tapi permainan mata sahaja.

Nota: Mungkin baik kalau kita sentuh sikit tentang sihir, mukjizat dan karamah. Kepercayaan kepada perkara-perkara khawariqul Adah (mencarik adat – luar dari kebiasaan) juga adalah satu masalah besar kepada masyarakat kita. Mereka mudah sangat percaya kepada guru-guru yang boleh melakukan perkara-perkara yang luar biasa.

Kerana jahil, mereka akan kata guru-guru itu mempunyai ‘karamah’. Ada guru yang boleh terbang, boleh ghaib, boleh mengubat orang dengan pegang sahaja, boleh baca fikiran orang, nampak perkara-perkara yang ghaib dan sebagainya.

Jadi taksublah anak murid kepada guru mereka yang ada kelebihan-kelebihan ajaib sebegitu. Padahal karamah itu seperti juga mukjizat, tidak boleh dilakukan berkali-kali. Ianya adalah anugerah dari Allah pada satu-satu masa sahaja, maka ianya hanya berlaku sekali. Bukan diminta pun oleh seorang wali itu. Ianya berlaku kerana Allah nak beri.

Kalau ianya berlaku berkali-kali, mengikut kehendak pembuatnya, maka itu bukanlah ‘karamah’ tetapi itu adalah ‘sihir’. Sihir ini boleh dicapai dengan amalan yang jika diamalkan, memang akan menjadi. Allah benarkan ianya terjadi kerana orang itu hendak sangat ianya terjadi, maka Allah benarkan. Tapi tidak semestinya Allah redha. Ingatlah bahawa hukuman mengamalkan sihir ini adalah hukuman mati. Dan ia diajar oleh syaitan.

Dan jangan kita terkejut jikalau amalan itu kadang-kadang memang menggunakan ayat Al-Qur’an. Tapi sebelum dibaca ayat itu, pengamal akan bertawasul dahulu dengan Nabi, wali, malaikat atau orang-orang tertentu. Dan kalau ayat Al-Qur’an pun yang dibaca, tapi niat semasa membaca itu kerana hendak mendapatkan ‘sesuatu’ kelebihan, maka itu akan menjadi amalan sihir, hatta yang dibaca adalah ayat Al-Qur’an sekalipun.

Kerana pandangan masyarakat beginilah yang menyebabkan ada sekolah-sekolah pondok yang terkenal kerana gurunya mempunyai kuasa luar biasa. Sebagai contoh, ada guru pondok di Kelantan yang ada kebolehan untuk menjatuhkan burung dan tupai dengan hanya menunjuk sahaja kepada tupai itu di atas pokok.

Sepatutnya, kalau kita faham beza karamah dan sihir, kita tidak mudah tertipu dengan kelebihan-kelebihan itu. Kelebihan yang luar biasa seperti itu, bukanlah dalil untuk mengatakan orang itu hebat, orang itu benar.


 

Ayat 3: Allah memberitahu kenapa puak musyrikin itu degil. Ini adalah kerana mereka itu ada kedegilan dalaman. Nafsu mereka tidak membenarkan mereka menerima kebenaran yang berlawan dengan kehendak nafsu mereka.

وَكَذَّبوا وَاتَّبَعوا أَهواءَهُم ۚ وَكُلُّ أَمرٍ مُّستَقِرٌّ

Sahih International

And they denied and followed their inclinations. But for every matter is a [time of] settlement.

Malay

Dan mereka mendustakan (Nabi Muhammad dan mukjizat-mukjizat yang dibawanya) serta mereka menurut hawa nafsu mereka, sedang tiap-tiap perkara telah tetap (menurut keadaan yang ditentukan oleh Allah).

 

وَكَذَّبُوا

Dan mereka mendustakan

Mereka mendustakan ajaran Nabi kerana degil sahaja. Setelah ditunjukkan dengan mukjizat bulan dibelah itu pun, mereka tetap menolak kebenaran. Ini adalah kerana kehendak nafsu mereka berlawanan dengan apa yang telah disampaikan oleh Nabi Muhammad ﷺ. Mereka sudah tidak kisah dengan dalil yang disampaikan kepada mereka.

Dan begitulah juga puak bidaah di negara ini. Mereka tolak ajakan tauhid itu kerana ajaran tauhid itu tidak sama dengan pemahaman salah mereka tentang agama. Mereka tetap juga hendak mengikut kehendak nafsu mereka. Walaupun dalil dari Al-Qur’an dan Sunnah telah diberikan, mereka tetap tidak mahu ikut.

 

وَاتَّبَعُوا أَهْوَاءَهُمْ

dan mengikuti hawa nafsu mereka,

Mereka nak ikut apa yang nafsu mereka suruh buat sahaja. Kalau mereka terima ajaran Nabi, maka mereka sudah tak boleh nak buat sesuka hati mereka. Mereka sudah tak boleh berzina, menipu, menindas orang lain dan sebagainya.

Kalau mereka terima adanya wahyu, mereka sudah kena ikut syariat yang tidak kena dengan jiwa dan nafsu mereka. Maka, mereka mendustakan – iaitu mereka tolak. Mereka kata apa yang Nabi bawa itu adalah dusta. Puak bidaah kata apa yang Puak Sunnah bawa ini adalah dusta belaka. Mereka kata cara kita tafsir itu salah dan macam-macam lagi alasan mereka.

Dan alasan itu dinamakan alasan ‘nafsu’ sahaja kerana tidak berdasarkan dalil. Apa-apa hujah yang tidak bersandarkan dalil wahyu, ianya dinamakan dalil ‘nafsu’ sahaja. Kerana hanya ikut kehendak nafsu sahaja.

Apabila ajaran agama tidak mengikut dalil yang sah iaitu dari Al-Qur’an dan hadis, maka yang mereka ikuti adalah ‘hawa nafsu’. Musyrikin Mekah tidak mengikut dalil dari ajaran Nabi Ibrahim, dan masyarakat kita pula kebanyakannya tidak mengikut dalil dari ajaran Nabi Muhammad ﷺ. Mereka sahaja kata Rasul itu Muhammad ﷺ, tapi ajaran baginda mereka tidak mahu ikut pun.

Jadi, ajaran yang tidak ikut dalil adalah ajaran hawa nafsu. Maka, dalil-dalil yang puak-puak bidaah gunakan untuk membolehkan maulid, talqin, solat hajat berjemaah, tahlilan, selamatan dan sebagainya itu adalah dalil mengikut hawa nafsu. Dalil nafsu adalah apabila ianya tidak didasari oleh bukti dan ilmu.

Jadi ini adalah salah satu dari ‘hijab’ (penutup) manusia kepada kebenaran. Hijab yang menutup kepada kebenaran. Kerana hijab ini ada, maka kebenaran tidak sampai kepada manusia. Iaitu apabila ikut sahaja pendapat dan amalan orang lain tanpa usul periksa. Sebagai contoh, mereka lihat sesuatu amalan itu banyak dilakukan oleh orang ramai (majoriti), maka mereka sangka ianya tentulah benar.

 

وَكُلُّ أَمْرٍ مُّسْتَقِرٌّ

sedang tiap-tiap urusan telah ada ketetapannya

1. Perkataan مُّسْتَقِرٌّ dari katadasar ق ر ر yang bermaksud ‘menjadi tetap’. Seperti sesuatu yang bergerak dan akhirnya berhenti tetap. Perjalanan hidup kita akan menemui ketetapan yang akhir – mati. Tidak ada apa-apa pun dalam hidup ini yang akan kekal. Kita akan mati dan alam ini akan hancur akhirnya.

Yang melakukan kebaikan akan dibalas dengan baik, dan yang melakukan kejahatan akan dibalas juga dengan keburukan. Maknanya, segala kesyirikan dan bidaah yang mereka lakukan akan dibalas nanti.

2. Ayat ini juga membawa maksud yang Allah juga telah tetapkan hukum agama dan amalan agama. Maka kalau Allah sudah tetapkan, maka janganlah kita menambah-nambah cara ibadat dalam agama ini. Janganlah kita menambah pemahaman baru dalam agama, seperti konsep Nur Muhammad, Allah tidak bertempat dan sebagainya.

Penambahan itulah yang dinamakan ‘bidaah’ yang banyak dilakukan oleh masyarakat kita. Allah menempelak Musyrikin Mekah dan kita yang menolak ajakan tauhid dan mengikut hawa nafsu kita.

3. Ia juga bermaksud, takkan berterusan penolakan mereka terhadap Nabi Muhammad ﷺ dan Allah biarkan sahaja. Nanti pasti akan sampai satu masa yang kebenaran akan diserlahkan oleh Allah. Allah akan tunjukkan dengan benar siapakah yang benar dan siapakah yang salah. Allah akan beri kemenangan kepada golongan mukmin.

Begitulah jugalah dengan ajaran Sunnah di negara ini. Pasti Allah akan tunjukkan manakah ajaran yang benar: ajaran Sunnahkah atau ajaran bidaah yang sekarang berleluasa di negara kita.


 

Ayat 4: Takhwif duniawi.

وَلَقَد جاءَهُم مِّنَ الأَنباءِ ما فيهِ مُزدَجَرٌ

Sahih International

And there has already come to them of information that in which there is deterrence –

Malay

Dan sesungguhnya! Telah sampai kepada mereka (dengan perantaraan Al-Qur’an), sebahagian dari kisah-kisah dan berita (umat-umat yang telah lalu), yang mengandungi perkara-perkara yang cukup untuk mencegah mereka (dari perbuatan kufur itu).

 

وَلَقَدْ جَاءَهُم مِّنَ الْأَنبَاءِ

Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka dari berita-berita penting.

Kalimah الْأَنبَاءِ bermaksud ‘berita-berita penting dan besar’ yang diberikan kepada manusia untuk menggerakkan mereka dari tidur yang lama. Mereka sudah lama lena dalam kesesatan. Berita-berita itu adalah berita-berita besar yang sepatutnya diambil perhatian oleh manusia.

Ianya bukan sahaja untuk diketahui, tetapi selepas mengetahui berita itu, manusia hendaklah mengambil tindakan. Sebagai contoh, kalau kita mendengar berita bahawa tempat tinggal kita akan dilanda banjir, tentulah kita tidak akan berpeluk tubuh, kita tentu akan mengambil langkah untuk menyelamatkan diri kita dari banjir itu. Begitulah juga apabila kita mendengar berita-berita besar dari Al-Qur’an itu. Kita kena ambil tindakan, kita kena ubah cara hidup kita.

Kalimah الْأَنبَاءِ yang dimaksudkan dalam ayat ini juga adalah berita-berita yang telah disampaikan di dalam Al-Qur’an. Sama ada kisah azab-azab yang telah diberikan kepada umat-umat terdahulu yang engkar, ataupun ancaman azab yang akan diberikan kepada manusia jikalau mereka berpaling dari Al-Qur’an.

Oleh itu, ada kisah terdahulu, dan ada kisah masa hadapan. Kita kena beri perhatian dengan kisah-kisah itu. Bukan baca kosong sahaja. Kalau tidak belajar tafsir, maka akan baca kosong sahaja.

 

مَا فِيهِ مُزْدَجَرٌ

yang di dalamnya terdapat pencegahan

Perkataan مُزْدَجَرٌ adalah dari katadasar ز ج ر (kalimah zajrun dari kata dasar ini) yang bermaksud ‘jeritan yang kuat’ yang dilakukan untuk memberhentikan seseorang. Ianya adalah jeritan untuk menghalang seseorang dari melakukan sesuatu.

Kisah-kisah di dalam Al-Qur’an dan azab-azab yang berikan kepada kaum-kaum terdahulu itu diberikan dalam bentuk yang keras untuk menakutkan manusia. Supaya kita takut untuk melakukan kesalahan-kesalahan umat-umat terdahulu. Begitu juga dengan ancaman-ancaman akhirat yang diberikan dalam bentuk yang menakutkan. Diberikan supaya kita mengambil perhatian.

Kenapa berita-berita itu diberikan dalam bentuk yang keras? Bayangkan kalau seseorang sedang berjalan ke arah gaung, tentulah kita akan menegurnya bukan dalam bentuk yang lembut tetapi kita akan menjerit kepadanya dengan sekuat-kuat suara kita untuk menyelamatkan dia. Tujuannya adalah untuk kebaikan dia sebenarnya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 3 April 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah an-Najm Ayat 47 – 62 (Menangislah)

Ayat 47: Setelah terima taqdir yang Allah sahaja yang menjadikan makhluk, maka kena terima juga yang Allah boleh hidupkan kembali makhluk itu selepas mati.

وَأَنَّ عَلَيهِ النَّشأَةَ الأُخرىٰ

Sahih International

And that [incumbent] upon Him is the next creation

Malay

Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang tetap menghidupkan semula (makhluk-makhluk yang mati);

 

Permulaan penciptaan makhluk itu dari sperma air mani seperti yang telah disebut sebelum ini. Dari sperma itu, Allah jadikan kehidupan itu dalam bentuk yang lain: Kalau manusia, jadi sperma yang telah disenyawakan, akan jadi segumpal darah, kemudian jadi segumpal daging, tulang, organ dan seterusnya sampai jadi manusia sempurna.

Ayat ini juga membawa maksud penciptaan kita dalam bentuk kejadian yang lain apabila kita sudah dibangkitkan kelak dari mati. Kita akan diberi dengan tubuh badan yang baru, yang lain dari tubuh kita sekarang ini. Tubuh kita akan ‘dinaiktaraf’ di akhirat kelak untuk masuk syurga atau neraka. Kalau kita dibangkitkan kelak dalam tubuh kita semasa di dunia ini, ianya tidak akan tahan dengan segala seksaan dalam neraka.

Kalau dia masuk syurga pula, tubuh yang di dunia ini juga tidak akan dapat menanggung segala nikmat yang Allah berikan di syurga itu. Maka, Allah akan berikan tubuh yang lebih besar dan lebih kuat. Bayangkan, dari hadis Nabi telah disebut bagaimana besarnya tubuh kita nanti. Gigi sahaja sebesar bukit Uhud!

Ini adalah satu kepercayaan yang amat penting. Kepercayaan kepada kewujudan Tuhan sahaja tidak cukup, tapi kena ada sekali dengan kepercayaan kepada kehidupan yang lain di akhirat kelak.

Inilah yang ramai manusia sesat susah nak percaya. Terutama kepada Musyrikin Mekah, atheist dan mereka yang seumpamanya. Orang-orang yang berfahaman atheist tidak mahu percaya kepada adanya Tuhan kerana mereka fikir, kalau ada Tuhan, kenapa dunia ini tidak adil?

Mereka nampak ada sahaja kekurangan, kekejaman, kesusahan dan sebagainya, kata mereka. Hanya kerana itu, mereka menolak kewujudan Tuhan sama sekali. Itulah logik akal yang mereka sebut-sebutkan. Itu adalah logik yang amat bodoh sekali.

Itu adalah satu konklusi yang amat salah. Kita memang tidak nafikan yang memang ada ketidakadilan dalam dunia ini. Ada yang zalim menindas yang lemah, yang menipu dapat keuntungan dalam perniagaan, pemimpin yang zalim yang dilantik ke kedudukan yang tinggi, malah banyak lagi yang tidak kena dalam alam ini. Memang benar dan tidak kita nafikan.

Tapi kita yang beriman ini percaya bahawa ada kehidupan di Akhirat kelak. Di situlah nanti keadilan yang sebenar-benarnya akan ditegakkan. Allah akan membalas dengan seadil-adilnya di sana.

Sebagai contoh, bayangkan seorang penjahat yang membunuh seratus orang di dunia, dan katakanlah polis berjaya tangkap dia. Apakah balasan yang setimpal untuknya semasa di dunia? Kalau dia dibalas bunuh, iaitu hukuman yang paling berat boleh dikenakan, berapa kali kita boleh bunuh dia? Sekali sahaja.

Tapi bayangkan di akhirat kelak, keadilan Allah akan ditegakkan di mana orang itu akan mendapat balasan yang setimpal di atas kejahatannya semasa di dunia. Allah boleh seksa manusia yang membunuh itu berkali-kali.

Kalimat وَأَنَّ عَلَيْهِ bermaksud Allah telah ‘menetapkan’ ke atas DiriNya untuk menjadikan kehidupan yang lain. Dalam erti kata lain, Allah ‘mewajibkan’ ke atas Dirinya. Apakah yang Allah tetapkan?

Allah telah tetapkan ke atas DiriNya untuk mengadakan hari Kiamat. Kerana di sanalah nanti keadilan sebenar akan ditegakkan. Maksudnya, Allah PASTI akan jadikan hari Kiamat itu. Itulah jaminan kepada keadilan Allah. Maka kalau kita tidak mendapat keadilan semasa di dunia, yakinlah bahawa kita akan mendapat keadilan di akhirat kelak.

Jadi ini adalah ubat hati untuk mereka yang dizalimi. Mereka boleh rasa tenang kalau mereka ingat yang di akhirat nanti mereka akan dapat keadilan dengan setimpalnya.


 

Ayat 48:

وَأَنَّهُ هُوَ أَغنىٰ وَأَقنىٰ

Sahih International

And that it is He who enriches and suffices

Malay

Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang memberikan (sesiapa yang dikehendakiNya) apa yang diperlukannya dan memberikannya kecukupan;

 

Perkataan أَغْنَىٰ berasal dari katadasar غ ن ى yang bermaksud ‘cukup’, ‘kaya’. Jadi perkataan أَغْنَىٰ bermaksud ‘menjadikan seseorang kaya’ dengan memberikan harta kepadanya, dan dengan itu memberikan keperluan hidup kepada orang itu. Allah mencukupkan bagi orang itu.

Kalimah أَقْنَىٰ pula dari katadasar ق ن ى yang bermaksud ‘mempunyai harta’, iaitu harta yang tidak boleh digerakkan seperti tanah, ladang, rumah, pokok dan sebagainya. Apabila kita ada harta yang sebegitu, kita akan rasa ‘cukup’. Kerana harta macam ini tidak boleh untuk diambil, dicuri orang. Kalau wang, emas dan perak, orang lain boleh curi, kena rompak atau ianya boleh hilang.

Jadi, satu maksud أَقْنَىٰ yang kita boleh faham adalah: Allahlah yang memberikan manusia perasaan ‘cukup’ itu. Inilah yang dipanggil qana’ah. Lihatlah bagaimana ada manusia yang kaya dan segala keperluan yang cukup, tetapi dia masih lagi ada rasa tidak kena, tidak cukup. Oleh itu, perasaan cukup dan puas itu juga adalah satu rahmat dari Allah. Kalau Allah tak berikan, berapa banyak harta pun tak cukup juga.

Ada satu lagi makna أَقْنَىٰ. Ia juga boleh dimaksudkan ‘menjadikan seseorang faqir’. Faqir itu bermaksud ‘memerlukan’, iaitu maksud yang berlawanan dengan ‘cukup’. Kalau seseorang itu faqir, dia amat memerlukan harta, wang dan sebagainya. Bagaimana pula boleh begini?

Ini adalah kerana, dalam Bahasa Arab ada konsep menyebut satu perkataan, tetapi maksudnya berlawanan dengan yang disebut. Oleh itu, walaupun yang disebut dari segi literal adalah ‘cukup’, tapi maksud yang hendak dibawa adalah ‘memerlukan’.

Ayat ini bermakna Allahlah sahaja boleh memberi kekayaan kepada seseorang dan Dialah juga yang menjadikan seseorang itu faqir. Betapa pandai pun dia dalam bekerja atau berniaga, kalau Allah takdirkan dia jadi orang yang miskin dan faqir, maka faqirlah dia. Keputusan itu hanya ada dalam Tangan Allah.

Dalam ayat-ayat sebelum ini, ada disebutkan bagaimana ada manusia yang meninggalkan untuk meneruskan melakukan kebaikan. Kenapa? Manusia meninggalkan perbuatan amal kebaikan dan meninggalkan untuk belajar agama adalah kerana sibuk mencari keperluan hidup dunia.

Sebab itulah Allah menekankan ayat ini bahawa yang memberi rezeki adalah Dia. Bukannya kerja kita, bukannya syarikat kita bekerja, dan bukan juga bos kita. Bekerja keras pun sampai tidak buat ibadat dan tidak belajar agama, tapi kalau Allah tidak beri rezeki, orang itu pun tidak akan mendapat rezeki juga.


 

Ayat 49:

وَأَنَّهُ هُوَ رَبُّ الشِّعرىٰ

Sahih International

And that it is He who is the Lord of Sirius

Malay

Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah Tuhan (Pencipta) “Bintang Syi’ra;

 

Bintang Syi’ra adalah bintang yang terkenal pada zaman Jahiliyah. Ianya disembah oleh Musyrikin Mekah juga. Iaitu disembah oleh Puak Khuza’ah di mana mereka menjadikannya sebagai wasilah (perantara) dalam doa mereka. Maknanya, Arab Jahiliyah bukan sahaja menyembah berhala, tapi ada juga yang menyembah bintang.

Ada juga yang mengatakan yang Bintang Syi’ra itu adalah bintang Jupiter. Dan ada yang mengatakan ianya adalah Bintang Sirius. Orang Mesir juga pada zaman dahulu ada menyembah bintang ini. Kepada mereka, bintang itulah yang menyebabkan air Sungai Nil itu ada dan terus mengalir. Kalau tak sembah bintang itu, mereka takut yang Sungai Nil akan kekeringan.

Allah memberitahu kepada puak Musyrikin Mekah bahawa Allah jugalah Tuhan kepada bintang ini. Maka janganlah sembah Bintang Syi’ra itu, tetapi sembahlah kepada Tuhannya yang menjadikannya. Allah yang mengawal kehidupan makhluk dan bukannya bintang itu.


 

Ayat 50: Allah memberi peringatan kepada mereka yang tidak ada iman, bahawa Allah boleh menghancurkan mereka seperti mana Dia telah menghancurkan kaum dan umat-umat yang terdahulu.

وَأَنَّهُ أَهلَكَ عادًا الأولىٰ

Sahih International

And that He destroyed the first [people of] ‘Aad

Malay

Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang membinasakan kaum “Aad” yang pertama (kaum Nabi Hud), –

 

Ini merujuk kepada Kaum Aad yang menjalankan kehidupan mereka lama dahulu. Itulah yang dimaksudkan dengan perkataan الْأُولَىٰ.

Atau perkataan الْأُولَىٰ bermaksud ‘yang awal’. Ini bermaksud ada dua kaum Aad. Aad yang kedua adalah Kaum Tsamud. Apabila kaum Aad yang mula-mula itu telah dihancurkan, kaum Tsamud diangkat menggantikan mereka. Jadi kaum Tsamud adalah ‘Aad yang kedua’.

Jadi kaum Aad itu telah dihancurkan kerana mereka telah berpaling dari agama Allah sebagaimana juga Allah telah berfirman di dalam Fussilat:13

فَإِنْ أَعْرَضُوا فَقُلْ أَنذَرْتُكُمْ صَاعِقَةً مِّثْلَ صَاعِقَةِ عَادٍ وَثَمُودَ

Jika mereka berpaling maka katakanlah: “Aku telah memperingatkan kamu dengan petir, seperti petir yang menimpa kaum ‘Aad dan Tsamud”.

Aad adalah keturunan kelima Nabi Nuh selepas kejadian ‘Banjir Besar’. Yang bersama dengan Nabi Nuh itu semuanya orang beriman. Tapi, apabila sampai kepada keturunan yang kelima, sudah ada yang sesat dan buat syirik secara terang terangan.

Memang begitulah manusia yang cenderung untuk melakukan kesyirikan. Ini adalah kerana syaitan akan ambil peluang untuk membisikkan fahaman sesat kepada mereka. Oleh itu, kita pun tak pasti tentang keturunan kita nanti. Kita berdoa semoga mereka tidak sesat. Tapi kalau kita tidak jalankan kerja dakwah dan ajar tauhid kepada manusia, mereka akan jadi sesat sepertimana juga kaum-kaum terdahulu.

Sekarang pun ramai yang sudah sesat, bayangkan kalau tidak ada orang yang mengajar agama yang benar. Kerana manusia ini kalau tidak diberikan peringatan, mereka akan condong kepada kesyirikan. Dan memang begitu sifat kebanyakan manusia.

Nota: Ayat ini adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita. Boleh rujuk di sini untuk maklumat lanjut.


 

Ayat 51:

وَثَمودَاْ فَما أَبقىٰ

Sahih International

And Thamud – and He did not spare [them] –

Malay

Dan kaum “Thamud” (kaum Nabi Soleh). Maka tidak ada seorang pun (dari kedua-dua kaum itu) yang dibiarkan hidup.

 

Dan selepas Kaum Aad, dibangkitkan Kaum Tsamud. Mereka juga mengamalkan syirik dan menentang Rasul mereka. Maka semua sekali ahli kaum itu dimatikan. Tidak ada yang ditinggalkan hidup. Maknanya, tidak ada baka pun yang dibiarkan hidup. Allah boleh musnahkan keseluruhan kaum sampai tidak tinggal baka langsung. Itulah balasan kepada kaum yang engkar.


 

Ayat 52:

وَقَومَ نوحٍ مِّن قَبلُ ۖ إِنَّهُم كانوا هُم أَظلَمَ وَأَطغىٰ

Sahih International

And the people of Noah before. Indeed, it was they who were [even] more unjust and oppressing.

Malay

Dan kaum Nabi Nuh sebelum itu (telah juga dibinasakan). Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang sangat zalim dan sangat melampaui batas.

 

وَقَوْمَ نُوحٍ مِّن قَبْلُ

Dan kaum Nuh sebelum itu.

Sebelum wujud kaum Aad dan Tsamud itu, telah ada kaum Nabi Nuh. Mereka juga telah dihapuskan dengan dijadikan banjir besar yang menghapuskan semua manusia kecuali beberapa orang yang bersama dengan Nabi Nuh.

Sebelum Quraisy juga telah ada kaum yang lain. Allah ingatkan kepada mereka bagaimana kaum-kaum yang hebat itu pun telah dihancurkan kerana mereka berpaling dari ajaran Nabi mereka. Maka janganlah mereka menentang Nabi mereka pula sekarang (Nabi Muhammad).

 

إِنَّهُمْ كَانُوا هُمْ أَظْلَمَ وَأَطْغَىٰ

Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang lebih zalim dan lebih durhaka,

‘Zalim’ itu bermaksud ‘syirik’. Mereka melakukan Tawasul kepada lima orang wali. Iaitu orang-orang alim dahulu kala. Tapi kerana bisikan syaitan, orang-orang alim yang telah mati itu dijadikan sebagai perantara dalam berdoa. Dan kemudiannya telah dijadikan sebagai tuhan pula oleh mereka.

Mereka itu dikatakan dalam ayat ini ‘lebih zalim’ dan ‘lebih derhaka’ daripada kaum Aad dan Tsamud kerana mereka telah diberikan Rasul yang berada bersama mereka untuk jangkamasa yang lebih lama iaitu 950 tahun. Sepanjang waktu yang lama itu, mereka menolak dakwah Nabi Nuh dan terus zalim dan derhaka.


 

Ayat 53:

وَالمُؤتَفِكَةَ أَهوىٰ

Sahih International

And the overturned towns He hurled down

Malay

Dan bandar-bandar yang ditunggang balikkan itu, Dia lah yang (mengangkatnya ke angkasa dan) menghempaskannya ke bumi;

 

Negeri yang dimaksudkan adalah negeri Sodom tempat kaum Nabi Luth. Satu pendapat mengatakan itulah Atlantis yang dicari-cari oleh manusia. Dicungkil negeri itu dan diangkat ke langit dan dihempas ke bumi. Sampaikan semasa diangkat ke langit itu, penduduk langit pertama boleh dengar bunyi ayam berkokok. Yang mengangkat itu adalah Malaikat Jibril.

Perkataan الْمُؤْتَفِكَةَ juga boleh digunakan untuk memperkatakan tentang mereka, kerana mereka telah ‘menterbalikkan’ fitrah manusia yang mengadakan hubungan antara lelaki dan perempuan. Sebaliknya mereka telah menukar fitrah dengan mengamalkan homoseksual. Kalimah ‘liwath’ diambil dari nama Nabi Luth Ini tidak pernah dilakukan oleh manusia sebelum mereka dan juga oleh binatang. Maka mereka lebih teruk dari binatang!

Malangnya zaman sekarang LGBT seolah-olah telah mendapat tempat di mata masyarakat dunia. Kalau yang kafir itu kita faham juga kerana mereka tidak ada pegangan. Tapi kalau orang Muslim pun boleh bersangka baik dengan mereka, melayan mereka seperti mereka tidak buat dosa, bagaimana pula?

Perkataan الْمُؤْتَفِكَةَ juga digunakan kepada Kaum Nabi Luth kerana seluruh negeri mereka telah diterbalikkan sebelum dihempaskan bumi semula.


 

Ayat 54:

فَغَشّٰها ما غَشّىٰ

Sahih International

And covered them by that which He covered.

Malay

Lalu (penduduk) bandar-bandar itu diliputi azab seksa yang meliputinya.

 

Setelah negeri kaum Luth itu dihempaskan semula ke bumi, mereka telah dihujani dengan batu pula. Ini seperti disebut dalam Hud:82

فَلَمَّا جَاءَ أَمْرُنَا جَعَلْنَا عَالِيَهَا سَافِلَهَا وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهَا حِجَارَةً مِّن سِجِّيلٍ مَّنضُودٍ

Maka tatkala datang azab Kami, Kami jadikan negeri kaum Luth itu yang di atas ke bawah (Kami balikkan), dan Kami hujani mereka dengan batu dari tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi.

Dalam surah sebelum ini telah diberitahu setiap batu itu telah mempunyai nama mangsanya masing-masing. Memang batu itu mencari mangsanya. Kerana ada yang pergi musafir ke tempat lain, tapi batu dia tetap kena kepadanya.

Allah menggunakan perkataan مَا غَشَّىٰ (apa yang menutupi) mereka untuk menunjukkan apa yang menghentam mereka adalah amat berat sekali. Ianya untuk memberikan perasaan takut kepada manusia.


 

Ayat 55:

فَبِأَيِّ ءآلاءِ رَبِّكَ تَتَمارىٰ

Sahih International

Then which of the favors of your Lord do you doubt?

Malay

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhanmu (yang tidak terhingga itu) engkau ragu-ragukan (wahai manusia)?

 

Ini adalah tempelak kepada Musyrikin Mekah. Dikatakan kepada mereka: Adakah yang kamu tidak puas hati lagi? Dengan segala nikmat yang telah diberikan kepada manusia, ada lagi yang kamu tak puas hati sampai tak mahu nak taat kepadaNya? Masih lagi mereka nak menentang Nabi Muhammad? Maka itu amat tidak patut sama sekali.


 

Ayat 56: Allah kembali memperkatakan tentang Nabi Muhammad. Ayat 56 – 62 adalah Perenggan Makro Kelima dan terakhir. Ia menyuruh kita belajar tauhid dan akidah dengan Al-Qur’an.

هٰذا نَذيرٌ مِّنَ النُّذُرِ الأولىٰ

Sahih International

This is a warner like the former warners.

Malay

Ini adalah pemberi amaran di antara jenis-jenis amaran yang telah lalu!

 

Ajaran tauhid yang dibawa oleh Nabi Muhammad sama sahaja dengan yang dibawa oleh Nabi-Nabi dahulu. Dalam ayat sebelum ini telah disebut kaum-kaum Nabi terdahulu dan Rasul-Rasul terdahulu.

Semuanya membawa ajaran tauhid yang sama. Mungkin ada perbezaan dari segi syariat antara satu Nabi ke Nabi yang lain, tetapi sama sahaja ajaran tauhid yang dibawa oleh para Nabi dan Rasul itu.

Dan di dalam pengajaran itu ada amaran keras: kalau tidak ikut, mereka boleh dikenakan dengan azab sama ada di dunia lagi dan pastinya di akhirat kelak. Amaran mereka kena diberikan kepada manusia, kerana kalau tidak, mereka tidak sedar-sedar.

Oleh itu, kita pun kena ikut langkah mereka dengan memberi peringatan tentang tauhid kepada manusia di seluruh dunia ini. Berapa banyak kesesatan yang ada dalam dunia ini tapi apa yang kita lakukan? Adakah kita hanya melihat sahaja tanpa buat apa-apa?


 

Ayat 57:

أَزِفَتِ الآزِفَةُ

Sahih International

The Approaching Day has approached.

Malay

Telah hampir masa datangnya saat yang dekat itu (hari kiamat);

 

Perkataan أَزِفَتِ dari kata dasar ء ز ف yang bermaksud ‘masa yang tinggal sedikit’. Maksudnya sudah dekat nak jadi. Maksudnya Kiamat semakin mendekat. Janganlah kita leka dengan kehidupan dunia lagi. Marilah belajar agama dan amalkan agama.

Kalimah الْآزِفَةُ juga bermaksud ‘yang sedang mendekat’, iaitu Hari Kiamat. Tak lama lagi akan berlaku. Dalam Ghafir:18, telah disebut juga tentang Hari Kiamat yang semakin mendekat itu:

وَأَنذِرْهُمْ يَوْمَ الْآزِفَةِ إِذِ الْقُلُوبُ لَدَى الْحَنَاجِرِ كَاظِمِينَ مَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ حَمِيمٍ وَلَا شَفِيعٍ يُطَاعُ

Berilah mereka peringatan dengan hari yang dekat (hari kiamat iaitu) ketika hati (menyesak) sampai di kerongkongan dengan menahan kesedihan. Orang-orang yang zalim tidak mempunyai teman setia seorang pun dan tidak (pula) mempunyai seorang pemberi syafa’at yang diterima syafa’atnya.

Salah satu tanda kedatangan Kiamat tidak lama lagi adalah kedatangan Nabi Muhammad sendiri. Apabila Nabi akhir zaman sudah dibangkitkan, bermaksud Kiamat akan berlaku tidak lama lagi kerana tidak ada apa peristiwa penting lagi selepas itu melainkan Kiamat sahaja. Iaitu tidak ada Nabi lain dan tidak ada umat lain lagi.

Maka kebangkitan Nabi Muhammad sendiri adalah permulaan tanda Kiamat. Dan akhir sekali adalah apabila matahari terbit dari barat. Waktu itu, segala taubat tidak diterima lagi. Maka apa lagi yang kita hendak tangguh-tangguh lagi?


 

Ayat 58:

لَيسَ لَها مِن دونِ اللهِ كاشِفَةٌ

Sahih International

Of it, [from those] besides Allah , there is no remover.

Malay

Tidak ada sesiapapun selain Allah yang dapat menghapuskan huru-hara “hari kiamat” itu.

 

Hanya Allah sahaja yang tahu bilakah berlakunya kiamat itu. Oleh itu, sesiapa yang kata mereka tahu bilakah akan terjadinya kiamat, adalah kufur. Malangnya, ada kalangan agamawan sesat dalam negara ini yang telah membuat andaian bilakah terjadinya Hari Kiamat itu. Padahal Allah telah sebut dalam A’raf:187

يَسْأَلُونَكَ عَنِ السَّاعَةِ أَيَّانَ مُرْسَاهَا قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ رَبِّي لَا يُجَلِّيهَا لِوَقْتِهَا إِلَّا هُوَ ثَقُلَتْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَا تَأْتِيكُمْ إِلَّا بَغْتَةً يَسْأَلُونَكَ كَأَنَّكَ حَفِيٌّ عَنْهَا قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ اللَّهِ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Mereka menanyakan kepadamu tentang kiamat: “Bilakah terjadinya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang kiamat itu adalah pada sisi Tuhanku; tidak seorang pun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia. Kiamat itu amat berat (huru haranya bagi makhluk) yang di langit dan di bumi. Kiamat itu tidak akan datang kepadamu melainkan dengan tiba-tiba”. Mereka bertanya kepadamu seakan-akan kamu benar-benar mengetahuinya. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.

Dalam ayat ini, dijelaskan bahawa Nabi Muhammad sendiri tidak tahu bilakah akan terjadinya Kiamat itu. Lalu bagaimana ada ‘ulama’ dalam negara ini yang boleh ramal bilakah terjadinya Kiamat itu? Itulah orang yang tidak berpegang dengan Al-Qur’an. Maknanya, bukan semua ustaz boleh dipercayai. Mereka nama sahaja ustaz, tapi amat jahil dan menjahilkan masyarakat pula.

Kalimah كَاشِفَةٌ juga bermaksud ‘mengangkat’ yang bermaksud ‘menghilangkan’. Ini bermaksud selain Allah, tidak ada sesiapa yang akan dapat menidakkan atau melambatkan kedatangan hari Kiamat itu. Apabila telah sampai masa yang telah ditentukan oleh Allah, ianya akan sampai, tidak akan lambat sesaat dan tidak akan terawal sesaat. Dan apabila ia datang, tidak ada siapa pun yang boleh mengangkatnya kembali.


 

Ayat 59: Ayat Zajrun.

أَفَمِن هٰذَا الحَديثِ تَعجَبونَ

Sahih International

Then at this statement do you wonder?

Malay

Maka patutkah kamu merasa hairan terhadap keterangan-keterangan Al-Qur’an ini?

 

Perkataan هَٰذَا الْحَدِيثِ bermaksud berita tentang Hari Kiamat itu yang telah baru sahaja disebut sebelum ini. Adakah kamu hairan dengan pemberitahuan tentang kedatangan Kiamat itu yang ada dalam Al-Qur’an? Adakah kerana kamu tak tahu tentangnya, kamu tak mahu terima?

Musyrikin Mekah jadikan wahyu yang diberikan kepada Rasulullah itu sebagai bahan ketawa. Mereka tidak tahu jadi mereka menolak dan mengejek-ngejek.

Ini amat bahaya, kerana ada antara masyarakat kita yang tak tahu sesuatu perkara tentang agama, mereka tolak. Sebagai contoh, ada yang tak pernah dengar bahawa Nabi menggerak-gerakkan jarinya dalam tasyahud, maka dia tolak dan mengejek mereka yang melakukannya.

Padahal, dia tak dengar itu sebab dia tak belajar. Tapi sebab dia tak pernah dengar, maka adakah bermaksud amalan itu tiada? Maka kita kena berhati-hati dalam menidakkan sesuatu. Kerana entah kita yang jahil.

Makna kedua perkataan هَٰذَا الْحَدِيثِ adalah ia bermaksud ‘Al-Qur’an’. Ini seperti yang telah disebut dalam Qaf:2

بَلْ عَجِبُوا أَن جَاءَهُم مُّنذِرٌ مِّنْهُمْ فَقَالَ الْكَافِرُونَ هَٰذَا شَيْءٌ عَجِيبٌ

(Mereka tidak menerimanya) bahkan mereka tercengang kerana telah datang kepada mereka seorang pemberi peringatan dari (kalangan) mereka sendiri, maka berkatalah orang-orang kafir: “Ini adalah suatu yang amat ajaib”.

Orang kafir yang tidak mahu beriman, merasa hairan dengan Al-Qur’an. Mereka hairan yang Allah hendak menurunkan satu kitab dariNya kepada manusia. Tapi ta’jub mereka itu bukan menyebabkan mereka beriman, tapi menyebabkan mereka kufur. Kerana mereka tidak dapat nak percaya (maka mereka tolak).

Memang ada banyak keajaiban dalam Al-Qur’an itu. Itu adalah mukjizat Al-Qur’an. Sampai sekarang pun, banyak lagi yang kita tidak tahu. Antara keajaiban dalam Al-Qur’an, kata-kata orang musyrik dan kufur telah ada dalam Al-Qur’an walaupun mereka tak cakap lagi. Allah telah sebut apa yang ada dalam hati mereka. Kerana sama sahaja apa yang dikatakan dalam Al-Qur’an dengan perbuatan manusia.

Hujah-hujah manusia sudah ada dalam Al-Qur’an itu. Sebagai contoh, dalam ayat Zumar:3, alasan mereka yang mengamalkan tawasul telah disebut awal-awal lagi. Cuma yang mengamalkan tawasul itu sahaja yang tak tahu kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an.

Ketiga, perkataan هَٰذَا الْحَدِيثِ boleh bermaksud ‘mesej dalam Al-Qur’an’ yang mengandungi tauhid. Memang mesej utama yang dibawa dalam Al-Qur’an adalah tentang Allah dan tentang tauhid. Mereka amat kehairanan dengan ajakan tauhid dalam Al-Qur’an ini kerana mereka tidak biasa belajar memahami Al-Qur’an. Contoh kehairanan manusia itu adalah disebut dalam Sad:5

أَجَعَلَ الْآلِهَةَ إِلَٰهًا وَاحِدًا إِنَّ هَٰذَا لَشَيْءٌ عُجَابٌ

Mengapa dia menjadikan tuhan-tuhan itu Tuhan Yang Satu saja? Sesungguhnya ini benar-benar suatu hal yang sangat menghairankan.

Mereka hairan kenapa perlu sembah hanya satu Tuhan sahaja. Ini kerana mereka sudah biasa sembah banyak tuhan, tiba-tiba Al-Qur’an kata hanya sembah satu Tuhan sahaja? Memang pelik betul Al-Qur’an kepada mereka. Macam juga peliknya ilmu tauhid ini kepada kebanyakan manusia yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an dengan benar.

Begitulah juga masyarakat kita yang masih tak tahu bahawa terdapat ajaran tauhid dalam Al-Qur’an itu. Yang tak tahu itu termasuklah para ustaz pun. Yang mereka sangka, Al-Qur’an itu hanya menceritakan hal hukum dan sejarah dan perkara lain.

Mereka sangka kisah musyrik yang banyak dalam Al-Qur’an itu adalah tentang Musyrikin Mekah sahaja. Mereka tak tahu yang kisah Musyrikin Mekah itu adalah untuk singgung mereka. Tapi masyarakat kita, termasuk para ustaz-ustaz pun, tidak tahu tentang perkara ini kerana mereka tak belajar tafsir Al-Qur’an.

Jadi, apabila mereka tak tahu, dan kita beritahu tentang hal tauhid yang ada dalam Al-Qur’an itu, mereka ta’jub kehairanan. Dan kerana hairan itu, mereka tolak. Mereka tolak kerana ianya tidak kena dengan akidah mereka.


 

Ayat 60: Hari Kiamat sudah dekat, tapi bagaimanakah sifat mereka yang musyrik?

وَتَضحَكونَ وَلا تَبكونَ

Sahih International

And you laugh and do not weep

Malay

Serta kamu tertawa, dan kamu tidak mahu menangis

 

Musyrikin Mekah mengejek-ejek Al-Qur’an yang diturunkan kepada Nabi Muhammad itu. Mereka langsung tidak menghormati Al-Qur’an. Macam-macam tohmahan yang berikan kepada Nabi Muhammad dan Al-Qur’an itu.

Begitu jugalah ahli-ahli bidaah dalam masyarakat kita yang mengejek apabila diberitahu tentang tafsir Al-Qur’an. Mereka mentertawakan golongan yang hendak mengamalkan sunnah dengan mengatakan ahli sunnah itu ‘Golongan Wahabi’. Itu adalah gelaran mengejek-ejek dan mentertawakan orang lain. Sebagaimana Musyrikin Mekah mengejek Nabi Muhammad, begitulah juga ahli bidaah mengejek orang yang hendak mengamalkan sunnah.

Mereka juga buat tak kisah dan tak takut pun apabila disebutkan tentang hari Kiamat. Padahal hari Kiamat itu sudah dekat seperti yang disebut dalam ayat 57 tadi. Apabila dikatakan mereka ‘tidak menangis’, bermaksud mereka tak takut pun dengan azab Allah. Mereka tak menyesal pun dengan kesalahan amalan mereka.

Begitulah puak bidaah di negara ini. Mereka tak takut pun dengan kesalahan amalan bidaah mereka. Mereka tak takut kerana mereka tak tahu pun bahawa apa yang mereka lakukan itu sebenarnya adalah dosa. Mereka sangka ianya akan memberi pahala, tapi sebenarnya ia memberi dosa kepada mereka.

Itulah sebabnya orang yang mengamalkan bidaah itu lebih teruk dari mereka yang mengamalkan maksiat. Kerana mereka yang buat maksiat itu, tahu yang mereka buat itu adalah dosa dan kalau mereka diberi kesempatan oleh Allah, mereka akan bertaubat.

Tapi, mereka yang mengamalkan bidaah, tidak tahu pun yang mereka buat itu adalah dosa. Maka, tentu mereka TAKKAN minta ampun atas bidaah yang mereka lakukan kerana mereka rasa mereka tidak berdosa.


 

Ayat 61:

وَأَنتُم سٰمِدونَ

Sahih International

While you are proudly sporting?

Malay

Sedang kamu sombong angkuh? 

 

Allah menempelak mereka yang buang masa berhibur ke sana ke sini dan tidak peduli tentang Al-Qur’an. Mereka tak kisah dengan Al-Qur’an. Dan kalau ditafsirkan Al-Qur’an untuk mereka, mereka menolak pula. Mereka tidak mahu pun belajar tafsir Al-Qur’an. Pada mereka, buang masa sahaja belajar tafsir Al-Qur’an ini.

Kalimah سَامِدُونَ dari katadasar س م د yang bermaksud ‘mengangkat kepala’ dengan bangga dan sombong. Oleh kerana itu mereka menolak ajakan dakwah. Mereka sombong untuk terima ajakan tauhid dari Nabi Muhammad. Mereka sangka mereka lebih baik, dah pandai tidak perlu diajar lagi.

Ibn Abbas tafsir kalimah سَامِدُونَ ini dengan maksud ghina’ iaitu menyanyi. Memang kalau kita lihat orang yang minat nyanyian, mereka tidak suka dengan Qur’an. Mereka suka dengar lagu sedangkan Qur’an ini sepatutnya yang menjadi hiburan untuk orang mukmin. Kerana Al-Qur’an ini memang molek dilagukan dengan tajwid. Tapi kalau sudah ada lagu lain yang mereka suka, maka tak belajar Al-Qur’an lagi.

Maka ini mengajar kita yang nyanyian adalah fitnah besar untuk manusia. Maka kalau anak-anak kita suka dengan nyanyian lagu, maka itu adalah perkara yang perlu dirisaukan. Kalau nak menghafal Al-Qur’an, tidak boleh suka dengan lagu. Kerana kalau lagu sudah ada dalam kepala manusia, maka susah nak hafal Al-Qur’an kerana mereka sudah hafal lagu.

Kalimah سَامِدُونَ juga bermaksud mereka yang mengangkat tinggi kepala mereka dan tidak melihat ke bawah, kiri dan ke kanan lagi, yang bermaksud mereka itu tidak memikirkan tentang hal agama ini. Mereka sibuk dengan dunia sampaikan tidak memikirkan tentang agama. Mereka angkat kepala nampak dunia sahaja.

Maka kalau kita lihat pendapat Ibnu Abbas, maksud سَامِدُونَ itu adalah leka dengan hiburan. Leka dengan muzik, dengan nyanyian, filem dan lain-lain. Sepatutnya mereka sibuk tentang Al-Qur’an, tentang agama, tapi mereka sibuk dengan hiburan. Dalam Fussilat:26, telah diberitahu yang kalau dibacakan Al-Qur’an, mereka tidak suka.

وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَا تَسْمَعُوا لِهَٰذَا الْقُرْآنِ وَالْغَوْا فِيهِ لَعَلَّكُمْ تَغْلِبُونَ

Dan orang-orang yang kafir berkata: “Janganlah kamu mendengar akan Al-Qur’an ini dan buatlah hiruk-pikuk terhadapnya, supaya kamu dapat mengalahkan mereka”.

Begitulah Musyrikin Mekah menggunakan hiburan untuk menghalang manusia dari mendengar ajaran Al-Qur’an. Maka, zaman sekarang, apabila sibuk dengan hiburan, maka kita akan lalai dari Al-Qur’an, dari jalan agama.

Malangnya, ada golongan yang kononnya hendak kepada agama, tapi gunakan pentas hiburan pula untuk berdakwah! Itu adalah cara yang amat salah. Al-Qur’an larang kita dari lalai dengan hiburan, tapi mereka pula bawakan hiburan kepada manusia atas nama agama?!


 

Ayat 62: Arahan kepada orang beriman.

فَاسجُدوا ِللهِ وَاعبُدوا ۩

Sahih International

So prostrate to Allah and worship [Him].

Malay

Oleh yang demikian, hendaklah kamu sujud kepada Allah (yang telah menurunkan Al-Qur’an itu), dan beribadatlah kamu kepadaNya (dengan sepenuh-penuh tauhid).

 

Di awal surah ini, disebut tentang ‘bintang terbenam’. Di hujung surah ini sekarang, disebut yang kita pun disuruh tunduk sujud kepadaNya. Lihatlah bagaimana bintang itu besar dan tinggi di langit, tapi apabila Allah mengarahkannya untuk jatuh terbenam, ia taat.

Kita pun kena taat begitu juga. Kita kenalah rendahkan diri kepada Allah. Kalimah ‘sujud’ di dalam ayat ini membawa maksud ‘taubat’. Iaitu tunduk mengaku kesalahan lampau.

Dan kita disuruh taat dan sembah kepada Allah, bukannya sibuk dengan dunia, sibuk dengan hiburan. Maka kalimah ‘sembah’ dalam ayat ini bermaksud ‘taat’.

Ayat ini adalah ayat Sajdah, maka disunatkan untuk sujud sekarang. Tidak perlu wuduk, tutup aurat dan mengadap kiblat untuk melakukan Sujud Tilawah ini. Terus sahaja sujud dan kalau tidak tahu baca apa pun, boleh.

 

Penutup:
Kita telah sebutkan bagaimana surah ini dibacakan oleh Nabi Muhammad dari mula sampailah kepada ayat Sajdah ini. Surah ini adalah arahan dari Allah kepada baginda untuk menyerang tuhan-tuhan sembahan Musyrikin Mekah seperti Lata, Uzza dan Manat. Bayangkan Nabi membacakan ayat ini kepada Musyrikin Mekah yang memang waktu itu menyembah berhala-berhala itu.

Bacaan surah ini amatlah mengasyikkan, tambahan pula dibaca oleh Nabi Muhammad sendiri, menyebabkan Musyrikin Mekah yang mendengarnya juga terpukau. Apabila Nabi habis baca sahaja, semua yang ada di situ telah sujud, termasuklah Musyrikin Mekah sekalipun! Mereka terpanggil untuk sujud, macam mereka tidak ada pilihan lain. Itulah kekuatan dan kehebatan Al-Qur’an!

Kejadian itu telah menyebabkan satu kekecohan yang hebat. Semua orang sudah tahu yang mereka ramai-ramai telah sujud dalam majlis itu. Orang ramai sudah mula berkata bahawa Musyrikin Mekah telah beriman dengan Muhammad! Kerana malu, mereka kata mereka sebenarnya sujud kepada Lata dan Uzza, kerana dalam Surah Najm ini, ada disebut nama tuhan berhala mereka itu. Itu alasan sahaja kerana mereka sudah malu.

Jangan sangka pula yang surah ini hanya ditujukan kepada Musyrikin Mekah sahaja. Tapi ianya ditujukan kepada kita dengan menceritakan kesalahan yang dilakukan mereka sebagai contoh. Ada amalan mereka yang masyarakat kita pun ada lakukan.

Iaitu berdoa menggunakan wasilah. Maka, selepas membaca tentang surah ini, jangan lagi ikut amalan golongan Musyrikin Malaysia yang berdoa kepada selain Allah. Jangan ikut mereka yang menggunakan perantaraan dalam doa mereka kepada Allah. Sebaliknya hendaklah kita berdoa terus kepada Allah.

 

Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Qamar

Kemaskini: 2 April 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair