Ayat 47: Setelah terima taqdir yang Allah sahaja yang menjadikan makhluk, maka kena terima juga yang Allah boleh hidupkan kembali makhluk itu selepas mati.
وَأَنَّ عَلَيهِ النَّشأَةَ الأُخرىٰ
And that [incumbent] upon Him is the next creation
Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang tetap menghidupkan semula (makhluk-makhluk yang mati);
Permulaan penciptaan makhluk itu dari sperma air mani seperti yang telah disebut sebelum ini. Dari sperma itu, Allah jadikan kehidupan itu dalam bentuk yang lain: Kalau manusia, jadi sperma yang telah disenyawakan, akan jadi segumpal darah, kemudian jadi segumpal daging, tulang, organ dan seterusnya sampai jadi manusia sempurna.
Ayat ini juga membawa maksud penciptaan kita dalam bentuk kejadian yang lain apabila kita sudah dibangkitkan kelak dari mati. Kita akan diberi dengan tubuh badan yang baru, yang lain dari tubuh kita sekarang ini. Tubuh kita akan ‘dinaiktaraf’ di akhirat kelak untuk masuk syurga atau neraka. Kalau kita dibangkitkan kelak dalam tubuh kita semasa di dunia ini, ianya tidak akan tahan dengan segala seksaan dalam neraka.
Kalau dia masuk syurga pula, tubuh yang di dunia ini juga tidak akan dapat menanggung segala nikmat yang Allah berikan di syurga itu. Maka, Allah akan berikan tubuh yang lebih besar dan lebih kuat. Bayangkan, dari hadis Nabi telah disebut bagaimana besarnya tubuh kita nanti. Gigi sahaja sebesar bukit Uhud!
Ini adalah satu kepercayaan yang amat penting. Kepercayaan kepada kewujudan Tuhan sahaja tidak cukup, tapi kena ada sekali dengan kepercayaan kepada kehidupan yang lain di akhirat kelak.
Inilah yang ramai manusia sesat susah nak percaya. Terutama kepada Musyrikin Mekah, atheist dan mereka yang seumpamanya. Orang-orang yang berfahaman atheist tidak mahu percaya kepada adanya Tuhan kerana mereka fikir, kalau ada Tuhan, kenapa dunia ini tidak adil?
Mereka nampak ada sahaja kekurangan, kekejaman, kesusahan dan sebagainya, kata mereka. Hanya kerana itu, mereka menolak kewujudan Tuhan sama sekali. Itulah logik akal yang mereka sebut-sebutkan. Itu adalah logik yang amat bodoh sekali.
Itu adalah satu konklusi yang amat salah. Kita memang tidak nafikan yang memang ada ketidakadilan dalam dunia ini. Ada yang zalim menindas yang lemah, yang menipu dapat keuntungan dalam perniagaan, pemimpin yang zalim yang dilantik ke kedudukan yang tinggi, malah banyak lagi yang tidak kena dalam alam ini. Memang benar dan tidak kita nafikan.
Tapi kita yang beriman ini percaya bahawa ada kehidupan di Akhirat kelak. Di situlah nanti keadilan yang sebenar-benarnya akan ditegakkan. Allah akan membalas dengan seadil-adilnya di sana.
Sebagai contoh, bayangkan seorang penjahat yang membunuh seratus orang di dunia, dan katakanlah polis berjaya tangkap dia. Apakah balasan yang setimpal untuknya semasa di dunia? Kalau dia dibalas bunuh, iaitu hukuman yang paling berat boleh dikenakan, berapa kali kita boleh bunuh dia? Sekali sahaja.
Tapi bayangkan di akhirat kelak, keadilan Allah akan ditegakkan di mana orang itu akan mendapat balasan yang setimpal di atas kejahatannya semasa di dunia. Allah boleh seksa manusia yang membunuh itu berkali-kali.
Kalimat وَأَنَّ عَلَيْهِ bermaksud Allah telah ‘menetapkan’ ke atas DiriNya untuk menjadikan kehidupan yang lain. Dalam erti kata lain, Allah ‘mewajibkan’ ke atas Dirinya. Apakah yang Allah tetapkan?
Allah telah tetapkan ke atas DiriNya untuk mengadakan hari Kiamat. Kerana di sanalah nanti keadilan sebenar akan ditegakkan. Maksudnya, Allah PASTI akan jadikan hari Kiamat itu. Itulah jaminan kepada keadilan Allah. Maka kalau kita tidak mendapat keadilan semasa di dunia, yakinlah bahawa kita akan mendapat keadilan di akhirat kelak.
Jadi ini adalah ubat hati untuk mereka yang dizalimi. Mereka boleh rasa tenang kalau mereka ingat yang di akhirat nanti mereka akan dapat keadilan dengan setimpalnya.
Ayat 48:
وَأَنَّهُ هُوَ أَغنىٰ وَأَقنىٰ
And that it is He who enriches and suffices
Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang memberikan (sesiapa yang dikehendakiNya) apa yang diperlukannya dan memberikannya kecukupan;
Perkataan أَغْنَىٰ berasal dari katadasar غ ن ى yang bermaksud ‘cukup’, ‘kaya’. Jadi perkataan أَغْنَىٰ bermaksud ‘menjadikan seseorang kaya’ dengan memberikan harta kepadanya, dan dengan itu memberikan keperluan hidup kepada orang itu. Allah mencukupkan bagi orang itu.
Kalimah أَقْنَىٰ pula dari katadasar ق ن ى yang bermaksud ‘mempunyai harta’, iaitu harta yang tidak boleh digerakkan seperti tanah, ladang, rumah, pokok dan sebagainya. Apabila kita ada harta yang sebegitu, kita akan rasa ‘cukup’. Kerana harta macam ini tidak boleh untuk diambil, dicuri orang. Kalau wang, emas dan perak, orang lain boleh curi, kena rompak atau ianya boleh hilang.
Jadi, satu maksud أَقْنَىٰ yang kita boleh faham adalah: Allahlah yang memberikan manusia perasaan ‘cukup’ itu. Inilah yang dipanggil qana’ah. Lihatlah bagaimana ada manusia yang kaya dan segala keperluan yang cukup, tetapi dia masih lagi ada rasa tidak kena, tidak cukup. Oleh itu, perasaan cukup dan puas itu juga adalah satu rahmat dari Allah. Kalau Allah tak berikan, berapa banyak harta pun tak cukup juga.
Ada satu lagi makna أَقْنَىٰ. Ia juga boleh dimaksudkan ‘menjadikan seseorang faqir’. Faqir itu bermaksud ‘memerlukan’, iaitu maksud yang berlawanan dengan ‘cukup’. Kalau seseorang itu faqir, dia amat memerlukan harta, wang dan sebagainya. Bagaimana pula boleh begini?
Ini adalah kerana, dalam Bahasa Arab ada konsep menyebut satu perkataan, tetapi maksudnya berlawanan dengan yang disebut. Oleh itu, walaupun yang disebut dari segi literal adalah ‘cukup’, tapi maksud yang hendak dibawa adalah ‘memerlukan’.
Ayat ini bermakna Allahlah sahaja boleh memberi kekayaan kepada seseorang dan Dialah juga yang menjadikan seseorang itu faqir. Betapa pandai pun dia dalam bekerja atau berniaga, kalau Allah takdirkan dia jadi orang yang miskin dan faqir, maka faqirlah dia. Keputusan itu hanya ada dalam Tangan Allah.
Dalam ayat-ayat sebelum ini, ada disebutkan bagaimana ada manusia yang meninggalkan untuk meneruskan melakukan kebaikan. Kenapa? Manusia meninggalkan perbuatan amal kebaikan dan meninggalkan untuk belajar agama adalah kerana sibuk mencari keperluan hidup dunia.
Sebab itulah Allah menekankan ayat ini bahawa yang memberi rezeki adalah Dia. Bukannya kerja kita, bukannya syarikat kita bekerja, dan bukan juga bos kita. Bekerja keras pun sampai tidak buat ibadat dan tidak belajar agama, tapi kalau Allah tidak beri rezeki, orang itu pun tidak akan mendapat rezeki juga.
Ayat 49:
وَأَنَّهُ هُوَ رَبُّ الشِّعرىٰ
And that it is He who is the Lord of Sirius
Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah Tuhan (Pencipta) “Bintang Syi’ra;
Bintang Syi’ra adalah bintang yang terkenal pada zaman Jahiliyah. Ianya disembah oleh Musyrikin Mekah juga. Iaitu disembah oleh Puak Khuza’ah di mana mereka menjadikannya sebagai wasilah (perantara) dalam doa mereka. Maknanya, Arab Jahiliyah bukan sahaja menyembah berhala, tapi ada juga yang menyembah bintang.
Ada juga yang mengatakan yang Bintang Syi’ra itu adalah bintang Jupiter. Dan ada yang mengatakan ianya adalah Bintang Sirius. Orang Mesir juga pada zaman dahulu ada menyembah bintang ini. Kepada mereka, bintang itulah yang menyebabkan air Sungai Nil itu ada dan terus mengalir. Kalau tak sembah bintang itu, mereka takut yang Sungai Nil akan kekeringan.
Allah memberitahu kepada puak Musyrikin Mekah bahawa Allah jugalah Tuhan kepada bintang ini. Maka janganlah sembah Bintang Syi’ra itu, tetapi sembahlah kepada Tuhannya yang menjadikannya. Allah yang mengawal kehidupan makhluk dan bukannya bintang itu.
Ayat 50: Allah memberi peringatan kepada mereka yang tidak ada iman, bahawa Allah boleh menghancurkan mereka seperti mana Dia telah menghancurkan kaum dan umat-umat yang terdahulu.
وَأَنَّهُ أَهلَكَ عادًا الأولىٰ
And that He destroyed the first [people of] ‘Aad
Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang membinasakan kaum “Aad” yang pertama (kaum Nabi Hud), –
Ini merujuk kepada Kaum Aad yang menjalankan kehidupan mereka lama dahulu. Itulah yang dimaksudkan dengan perkataan الْأُولَىٰ.
Atau perkataan الْأُولَىٰ bermaksud ‘yang awal’. Ini bermaksud ada dua kaum Aad. Aad yang kedua adalah Kaum Tsamud. Apabila kaum Aad yang mula-mula itu telah dihancurkan, kaum Tsamud diangkat menggantikan mereka. Jadi kaum Tsamud adalah ‘Aad yang kedua’.
Jadi kaum Aad itu telah dihancurkan kerana mereka telah berpaling dari agama Allah sebagaimana juga Allah telah berfirman di dalam Fussilat:13
فَإِنْ أَعْرَضُوا فَقُلْ أَنذَرْتُكُمْ صَاعِقَةً مِّثْلَ صَاعِقَةِ عَادٍ وَثَمُودَ
Jika mereka berpaling maka katakanlah: “Aku telah memperingatkan kamu dengan petir, seperti petir yang menimpa kaum ‘Aad dan Tsamud”.
Aad adalah keturunan kelima Nabi Nuh selepas kejadian ‘Banjir Besar’. Yang bersama dengan Nabi Nuh itu semuanya orang beriman. Tapi, apabila sampai kepada keturunan yang kelima, sudah ada yang sesat dan buat syirik secara terang terangan.
Memang begitulah manusia yang cenderung untuk melakukan kesyirikan. Ini adalah kerana syaitan akan ambil peluang untuk membisikkan fahaman sesat kepada mereka. Oleh itu, kita pun tak pasti tentang keturunan kita nanti. Kita berdoa semoga mereka tidak sesat. Tapi kalau kita tidak jalankan kerja dakwah dan ajar tauhid kepada manusia, mereka akan jadi sesat sepertimana juga kaum-kaum terdahulu.
Sekarang pun ramai yang sudah sesat, bayangkan kalau tidak ada orang yang mengajar agama yang benar. Kerana manusia ini kalau tidak diberikan peringatan, mereka akan condong kepada kesyirikan. Dan memang begitu sifat kebanyakan manusia.
Nota: Ayat ini adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita. Boleh rujuk di sini untuk maklumat lanjut.
Ayat 51:
وَثَمودَاْ فَما أَبقىٰ
And Thamud – and He did not spare [them] –
Dan kaum “Thamud” (kaum Nabi Soleh). Maka tidak ada seorang pun (dari kedua-dua kaum itu) yang dibiarkan hidup.
Dan selepas Kaum Aad, dibangkitkan Kaum Tsamud. Mereka juga mengamalkan syirik dan menentang Rasul mereka. Maka semua sekali ahli kaum itu dimatikan. Tidak ada yang ditinggalkan hidup. Maknanya, tidak ada baka pun yang dibiarkan hidup. Allah boleh musnahkan keseluruhan kaum sampai tidak tinggal baka langsung. Itulah balasan kepada kaum yang engkar.
Ayat 52:
وَقَومَ نوحٍ مِّن قَبلُ ۖ إِنَّهُم كانوا هُم أَظلَمَ وَأَطغىٰ
And the people of Noah before. Indeed, it was they who were [even] more unjust and oppressing.
Dan kaum Nabi Nuh sebelum itu (telah juga dibinasakan). Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang sangat zalim dan sangat melampaui batas.
وَقَوْمَ نُوحٍ مِّن قَبْلُ
Dan kaum Nuh sebelum itu.
Sebelum wujud kaum Aad dan Tsamud itu, telah ada kaum Nabi Nuh. Mereka juga telah dihapuskan dengan dijadikan banjir besar yang menghapuskan semua manusia kecuali beberapa orang yang bersama dengan Nabi Nuh.
Sebelum Quraisy juga telah ada kaum yang lain. Allah ingatkan kepada mereka bagaimana kaum-kaum yang hebat itu pun telah dihancurkan kerana mereka berpaling dari ajaran Nabi mereka. Maka janganlah mereka menentang Nabi mereka pula sekarang (Nabi Muhammad).
إِنَّهُمْ كَانُوا هُمْ أَظْلَمَ وَأَطْغَىٰ
Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang lebih zalim dan lebih durhaka,
‘Zalim’ itu bermaksud ‘syirik’. Mereka melakukan Tawasul kepada lima orang wali. Iaitu orang-orang alim dahulu kala. Tapi kerana bisikan syaitan, orang-orang alim yang telah mati itu dijadikan sebagai perantara dalam berdoa. Dan kemudiannya telah dijadikan sebagai tuhan pula oleh mereka.
Mereka itu dikatakan dalam ayat ini ‘lebih zalim’ dan ‘lebih derhaka’ daripada kaum Aad dan Tsamud kerana mereka telah diberikan Rasul yang berada bersama mereka untuk jangkamasa yang lebih lama iaitu 950 tahun. Sepanjang waktu yang lama itu, mereka menolak dakwah Nabi Nuh dan terus zalim dan derhaka.
Ayat 53:
وَالمُؤتَفِكَةَ أَهوىٰ
And the overturned towns He hurled down
Dan bandar-bandar yang ditunggang balikkan itu, Dia lah yang (mengangkatnya ke angkasa dan) menghempaskannya ke bumi;
Negeri yang dimaksudkan adalah negeri Sodom tempat kaum Nabi Luth. Satu pendapat mengatakan itulah Atlantis yang dicari-cari oleh manusia. Dicungkil negeri itu dan diangkat ke langit dan dihempas ke bumi. Sampaikan semasa diangkat ke langit itu, penduduk langit pertama boleh dengar bunyi ayam berkokok. Yang mengangkat itu adalah Malaikat Jibril.
Perkataan الْمُؤْتَفِكَةَ juga boleh digunakan untuk memperkatakan tentang mereka, kerana mereka telah ‘menterbalikkan’ fitrah manusia yang mengadakan hubungan antara lelaki dan perempuan. Sebaliknya mereka telah menukar fitrah dengan mengamalkan homoseksual. Kalimah ‘liwath’ diambil dari nama Nabi Luth Ini tidak pernah dilakukan oleh manusia sebelum mereka dan juga oleh binatang. Maka mereka lebih teruk dari binatang!
Malangnya zaman sekarang LGBT seolah-olah telah mendapat tempat di mata masyarakat dunia. Kalau yang kafir itu kita faham juga kerana mereka tidak ada pegangan. Tapi kalau orang Muslim pun boleh bersangka baik dengan mereka, melayan mereka seperti mereka tidak buat dosa, bagaimana pula?
Perkataan الْمُؤْتَفِكَةَ juga digunakan kepada Kaum Nabi Luth kerana seluruh negeri mereka telah diterbalikkan sebelum dihempaskan bumi semula.
Ayat 54:
فَغَشّٰها ما غَشّىٰ
And covered them by that which He covered.
Lalu (penduduk) bandar-bandar itu diliputi azab seksa yang meliputinya.
Setelah negeri kaum Luth itu dihempaskan semula ke bumi, mereka telah dihujani dengan batu pula. Ini seperti disebut dalam Hud:82
فَلَمَّا جَاءَ أَمْرُنَا جَعَلْنَا عَالِيَهَا سَافِلَهَا وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهَا حِجَارَةً مِّن سِجِّيلٍ مَّنضُودٍ
Maka tatkala datang azab Kami, Kami jadikan negeri kaum Luth itu yang di atas ke bawah (Kami balikkan), dan Kami hujani mereka dengan batu dari tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi.
Dalam surah sebelum ini telah diberitahu setiap batu itu telah mempunyai nama mangsanya masing-masing. Memang batu itu mencari mangsanya. Kerana ada yang pergi musafir ke tempat lain, tapi batu dia tetap kena kepadanya.
Allah menggunakan perkataan مَا غَشَّىٰ (apa yang menutupi) mereka untuk menunjukkan apa yang menghentam mereka adalah amat berat sekali. Ianya untuk memberikan perasaan takut kepada manusia.
Ayat 55:
فَبِأَيِّ ءآلاءِ رَبِّكَ تَتَمارىٰ
Then which of the favors of your Lord do you doubt?
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhanmu (yang tidak terhingga itu) engkau ragu-ragukan (wahai manusia)?
Ini adalah tempelak kepada Musyrikin Mekah. Dikatakan kepada mereka: Adakah yang kamu tidak puas hati lagi? Dengan segala nikmat yang telah diberikan kepada manusia, ada lagi yang kamu tak puas hati sampai tak mahu nak taat kepadaNya? Masih lagi mereka nak menentang Nabi Muhammad? Maka itu amat tidak patut sama sekali.
Ayat 56: Allah kembali memperkatakan tentang Nabi Muhammad. Ayat 56 – 62 adalah Perenggan Makro Kelima dan terakhir. Ia menyuruh kita belajar tauhid dan akidah dengan Al-Qur’an.
هٰذا نَذيرٌ مِّنَ النُّذُرِ الأولىٰ
This is a warner like the former warners.
Ini adalah pemberi amaran di antara jenis-jenis amaran yang telah lalu!
Ajaran tauhid yang dibawa oleh Nabi Muhammad sama sahaja dengan yang dibawa oleh Nabi-Nabi dahulu. Dalam ayat sebelum ini telah disebut kaum-kaum Nabi terdahulu dan Rasul-Rasul terdahulu.
Semuanya membawa ajaran tauhid yang sama. Mungkin ada perbezaan dari segi syariat antara satu Nabi ke Nabi yang lain, tetapi sama sahaja ajaran tauhid yang dibawa oleh para Nabi dan Rasul itu.
Dan di dalam pengajaran itu ada amaran keras: kalau tidak ikut, mereka boleh dikenakan dengan azab sama ada di dunia lagi dan pastinya di akhirat kelak. Amaran mereka kena diberikan kepada manusia, kerana kalau tidak, mereka tidak sedar-sedar.
Oleh itu, kita pun kena ikut langkah mereka dengan memberi peringatan tentang tauhid kepada manusia di seluruh dunia ini. Berapa banyak kesesatan yang ada dalam dunia ini tapi apa yang kita lakukan? Adakah kita hanya melihat sahaja tanpa buat apa-apa?
Ayat 57:
أَزِفَتِ الآزِفَةُ
The Approaching Day has approached.
Telah hampir masa datangnya saat yang dekat itu (hari kiamat);
Perkataan أَزِفَتِ dari kata dasar ء ز ف yang bermaksud ‘masa yang tinggal sedikit’. Maksudnya sudah dekat nak jadi. Maksudnya Kiamat semakin mendekat. Janganlah kita leka dengan kehidupan dunia lagi. Marilah belajar agama dan amalkan agama.
Kalimah الْآزِفَةُ juga bermaksud ‘yang sedang mendekat’, iaitu Hari Kiamat. Tak lama lagi akan berlaku. Dalam Ghafir:18, telah disebut juga tentang Hari Kiamat yang semakin mendekat itu:
وَأَنذِرْهُمْ يَوْمَ الْآزِفَةِ إِذِ الْقُلُوبُ لَدَى الْحَنَاجِرِ كَاظِمِينَ مَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ حَمِيمٍ وَلَا شَفِيعٍ يُطَاعُ
Berilah mereka peringatan dengan hari yang dekat (hari kiamat iaitu) ketika hati (menyesak) sampai di kerongkongan dengan menahan kesedihan. Orang-orang yang zalim tidak mempunyai teman setia seorang pun dan tidak (pula) mempunyai seorang pemberi syafa’at yang diterima syafa’atnya.
Salah satu tanda kedatangan Kiamat tidak lama lagi adalah kedatangan Nabi Muhammad sendiri. Apabila Nabi akhir zaman sudah dibangkitkan, bermaksud Kiamat akan berlaku tidak lama lagi kerana tidak ada apa peristiwa penting lagi selepas itu melainkan Kiamat sahaja. Iaitu tidak ada Nabi lain dan tidak ada umat lain lagi.
Maka kebangkitan Nabi Muhammad sendiri adalah permulaan tanda Kiamat. Dan akhir sekali adalah apabila matahari terbit dari barat. Waktu itu, segala taubat tidak diterima lagi. Maka apa lagi yang kita hendak tangguh-tangguh lagi?
Ayat 58:
لَيسَ لَها مِن دونِ اللهِ كاشِفَةٌ
Of it, [from those] besides Allah , there is no remover.
Tidak ada sesiapapun selain Allah yang dapat menghapuskan huru-hara “hari kiamat” itu.
Hanya Allah sahaja yang tahu bilakah berlakunya kiamat itu. Oleh itu, sesiapa yang kata mereka tahu bilakah akan terjadinya kiamat, adalah kufur. Malangnya, ada kalangan agamawan sesat dalam negara ini yang telah membuat andaian bilakah terjadinya Hari Kiamat itu. Padahal Allah telah sebut dalam A’raf:187
يَسْأَلُونَكَ عَنِ السَّاعَةِ أَيَّانَ مُرْسَاهَا قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ رَبِّي لَا يُجَلِّيهَا لِوَقْتِهَا إِلَّا هُوَ ثَقُلَتْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَا تَأْتِيكُمْ إِلَّا بَغْتَةً يَسْأَلُونَكَ كَأَنَّكَ حَفِيٌّ عَنْهَا قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ اللَّهِ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
Mereka menanyakan kepadamu tentang kiamat: “Bilakah terjadinya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang kiamat itu adalah pada sisi Tuhanku; tidak seorang pun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia. Kiamat itu amat berat (huru haranya bagi makhluk) yang di langit dan di bumi. Kiamat itu tidak akan datang kepadamu melainkan dengan tiba-tiba”. Mereka bertanya kepadamu seakan-akan kamu benar-benar mengetahuinya. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.
Dalam ayat ini, dijelaskan bahawa Nabi Muhammad sendiri tidak tahu bilakah akan terjadinya Kiamat itu. Lalu bagaimana ada ‘ulama’ dalam negara ini yang boleh ramal bilakah terjadinya Kiamat itu? Itulah orang yang tidak berpegang dengan Al-Qur’an. Maknanya, bukan semua ustaz boleh dipercayai. Mereka nama sahaja ustaz, tapi amat jahil dan menjahilkan masyarakat pula.
Kalimah كَاشِفَةٌ juga bermaksud ‘mengangkat’ yang bermaksud ‘menghilangkan’. Ini bermaksud selain Allah, tidak ada sesiapa yang akan dapat menidakkan atau melambatkan kedatangan hari Kiamat itu. Apabila telah sampai masa yang telah ditentukan oleh Allah, ianya akan sampai, tidak akan lambat sesaat dan tidak akan terawal sesaat. Dan apabila ia datang, tidak ada siapa pun yang boleh mengangkatnya kembali.
Ayat 59: Ayat Zajrun.
أَفَمِن هٰذَا الحَديثِ تَعجَبونَ
Then at this statement do you wonder?
Maka patutkah kamu merasa hairan terhadap keterangan-keterangan Al-Qur’an ini?
Perkataan هَٰذَا الْحَدِيثِ bermaksud berita tentang Hari Kiamat itu yang telah baru sahaja disebut sebelum ini. Adakah kamu hairan dengan pemberitahuan tentang kedatangan Kiamat itu yang ada dalam Al-Qur’an? Adakah kerana kamu tak tahu tentangnya, kamu tak mahu terima?
Musyrikin Mekah jadikan wahyu yang diberikan kepada Rasulullah itu sebagai bahan ketawa. Mereka tidak tahu jadi mereka menolak dan mengejek-ngejek.
Ini amat bahaya, kerana ada antara masyarakat kita yang tak tahu sesuatu perkara tentang agama, mereka tolak. Sebagai contoh, ada yang tak pernah dengar bahawa Nabi menggerak-gerakkan jarinya dalam tasyahud, maka dia tolak dan mengejek mereka yang melakukannya.
Padahal, dia tak dengar itu sebab dia tak belajar. Tapi sebab dia tak pernah dengar, maka adakah bermaksud amalan itu tiada? Maka kita kena berhati-hati dalam menidakkan sesuatu. Kerana entah kita yang jahil.
Makna kedua perkataan هَٰذَا الْحَدِيثِ adalah ia bermaksud ‘Al-Qur’an’. Ini seperti yang telah disebut dalam Qaf:2
بَلْ عَجِبُوا أَن جَاءَهُم مُّنذِرٌ مِّنْهُمْ فَقَالَ الْكَافِرُونَ هَٰذَا شَيْءٌ عَجِيبٌ
(Mereka tidak menerimanya) bahkan mereka tercengang kerana telah datang kepada mereka seorang pemberi peringatan dari (kalangan) mereka sendiri, maka berkatalah orang-orang kafir: “Ini adalah suatu yang amat ajaib”.
Orang kafir yang tidak mahu beriman, merasa hairan dengan Al-Qur’an. Mereka hairan yang Allah hendak menurunkan satu kitab dariNya kepada manusia. Tapi ta’jub mereka itu bukan menyebabkan mereka beriman, tapi menyebabkan mereka kufur. Kerana mereka tidak dapat nak percaya (maka mereka tolak).
Memang ada banyak keajaiban dalam Al-Qur’an itu. Itu adalah mukjizat Al-Qur’an. Sampai sekarang pun, banyak lagi yang kita tidak tahu. Antara keajaiban dalam Al-Qur’an, kata-kata orang musyrik dan kufur telah ada dalam Al-Qur’an walaupun mereka tak cakap lagi. Allah telah sebut apa yang ada dalam hati mereka. Kerana sama sahaja apa yang dikatakan dalam Al-Qur’an dengan perbuatan manusia.
Hujah-hujah manusia sudah ada dalam Al-Qur’an itu. Sebagai contoh, dalam ayat Zumar:3, alasan mereka yang mengamalkan tawasul telah disebut awal-awal lagi. Cuma yang mengamalkan tawasul itu sahaja yang tak tahu kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an.
Ketiga, perkataan هَٰذَا الْحَدِيثِ boleh bermaksud ‘mesej dalam Al-Qur’an’ yang mengandungi tauhid. Memang mesej utama yang dibawa dalam Al-Qur’an adalah tentang Allah dan tentang tauhid. Mereka amat kehairanan dengan ajakan tauhid dalam Al-Qur’an ini kerana mereka tidak biasa belajar memahami Al-Qur’an. Contoh kehairanan manusia itu adalah disebut dalam Sad:5
أَجَعَلَ الْآلِهَةَ إِلَٰهًا وَاحِدًا إِنَّ هَٰذَا لَشَيْءٌ عُجَابٌ
Mengapa dia menjadikan tuhan-tuhan itu Tuhan Yang Satu saja? Sesungguhnya ini benar-benar suatu hal yang sangat menghairankan.
Mereka hairan kenapa perlu sembah hanya satu Tuhan sahaja. Ini kerana mereka sudah biasa sembah banyak tuhan, tiba-tiba Al-Qur’an kata hanya sembah satu Tuhan sahaja? Memang pelik betul Al-Qur’an kepada mereka. Macam juga peliknya ilmu tauhid ini kepada kebanyakan manusia yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an dengan benar.
Begitulah juga masyarakat kita yang masih tak tahu bahawa terdapat ajaran tauhid dalam Al-Qur’an itu. Yang tak tahu itu termasuklah para ustaz pun. Yang mereka sangka, Al-Qur’an itu hanya menceritakan hal hukum dan sejarah dan perkara lain.
Mereka sangka kisah musyrik yang banyak dalam Al-Qur’an itu adalah tentang Musyrikin Mekah sahaja. Mereka tak tahu yang kisah Musyrikin Mekah itu adalah untuk singgung mereka. Tapi masyarakat kita, termasuk para ustaz-ustaz pun, tidak tahu tentang perkara ini kerana mereka tak belajar tafsir Al-Qur’an.
Jadi, apabila mereka tak tahu, dan kita beritahu tentang hal tauhid yang ada dalam Al-Qur’an itu, mereka ta’jub kehairanan. Dan kerana hairan itu, mereka tolak. Mereka tolak kerana ianya tidak kena dengan akidah mereka.
Ayat 60: Hari Kiamat sudah dekat, tapi bagaimanakah sifat mereka yang musyrik?
وَتَضحَكونَ وَلا تَبكونَ
And you laugh and do not weep
Serta kamu tertawa, dan kamu tidak mahu menangis
Musyrikin Mekah mengejek-ejek Al-Qur’an yang diturunkan kepada Nabi Muhammad itu. Mereka langsung tidak menghormati Al-Qur’an. Macam-macam tohmahan yang berikan kepada Nabi Muhammad dan Al-Qur’an itu.
Begitu jugalah ahli-ahli bidaah dalam masyarakat kita yang mengejek apabila diberitahu tentang tafsir Al-Qur’an. Mereka mentertawakan golongan yang hendak mengamalkan sunnah dengan mengatakan ahli sunnah itu ‘Golongan Wahabi’. Itu adalah gelaran mengejek-ejek dan mentertawakan orang lain. Sebagaimana Musyrikin Mekah mengejek Nabi Muhammad, begitulah juga ahli bidaah mengejek orang yang hendak mengamalkan sunnah.
Mereka juga buat tak kisah dan tak takut pun apabila disebutkan tentang hari Kiamat. Padahal hari Kiamat itu sudah dekat seperti yang disebut dalam ayat 57 tadi. Apabila dikatakan mereka ‘tidak menangis’, bermaksud mereka tak takut pun dengan azab Allah. Mereka tak menyesal pun dengan kesalahan amalan mereka.
Begitulah puak bidaah di negara ini. Mereka tak takut pun dengan kesalahan amalan bidaah mereka. Mereka tak takut kerana mereka tak tahu pun bahawa apa yang mereka lakukan itu sebenarnya adalah dosa. Mereka sangka ianya akan memberi pahala, tapi sebenarnya ia memberi dosa kepada mereka.
Itulah sebabnya orang yang mengamalkan bidaah itu lebih teruk dari mereka yang mengamalkan maksiat. Kerana mereka yang buat maksiat itu, tahu yang mereka buat itu adalah dosa dan kalau mereka diberi kesempatan oleh Allah, mereka akan bertaubat.
Tapi, mereka yang mengamalkan bidaah, tidak tahu pun yang mereka buat itu adalah dosa. Maka, tentu mereka TAKKAN minta ampun atas bidaah yang mereka lakukan kerana mereka rasa mereka tidak berdosa.
Ayat 61:
وَأَنتُم سٰمِدونَ
While you are proudly sporting?
Sedang kamu sombong angkuh?
Allah menempelak mereka yang buang masa berhibur ke sana ke sini dan tidak peduli tentang Al-Qur’an. Mereka tak kisah dengan Al-Qur’an. Dan kalau ditafsirkan Al-Qur’an untuk mereka, mereka menolak pula. Mereka tidak mahu pun belajar tafsir Al-Qur’an. Pada mereka, buang masa sahaja belajar tafsir Al-Qur’an ini.
Kalimah سَامِدُونَ dari katadasar س م د yang bermaksud ‘mengangkat kepala’ dengan bangga dan sombong. Oleh kerana itu mereka menolak ajakan dakwah. Mereka sombong untuk terima ajakan tauhid dari Nabi Muhammad. Mereka sangka mereka lebih baik, dah pandai tidak perlu diajar lagi.
Ibn Abbas tafsir kalimah سَامِدُونَ ini dengan maksud ghina’ iaitu menyanyi. Memang kalau kita lihat orang yang minat nyanyian, mereka tidak suka dengan Qur’an. Mereka suka dengar lagu sedangkan Qur’an ini sepatutnya yang menjadi hiburan untuk orang mukmin. Kerana Al-Qur’an ini memang molek dilagukan dengan tajwid. Tapi kalau sudah ada lagu lain yang mereka suka, maka tak belajar Al-Qur’an lagi.
Maka ini mengajar kita yang nyanyian adalah fitnah besar untuk manusia. Maka kalau anak-anak kita suka dengan nyanyian lagu, maka itu adalah perkara yang perlu dirisaukan. Kalau nak menghafal Al-Qur’an, tidak boleh suka dengan lagu. Kerana kalau lagu sudah ada dalam kepala manusia, maka susah nak hafal Al-Qur’an kerana mereka sudah hafal lagu.
Kalimah سَامِدُونَ juga bermaksud mereka yang mengangkat tinggi kepala mereka dan tidak melihat ke bawah, kiri dan ke kanan lagi, yang bermaksud mereka itu tidak memikirkan tentang hal agama ini. Mereka sibuk dengan dunia sampaikan tidak memikirkan tentang agama. Mereka angkat kepala nampak dunia sahaja.
Maka kalau kita lihat pendapat Ibnu Abbas, maksud سَامِدُونَ itu adalah leka dengan hiburan. Leka dengan muzik, dengan nyanyian, filem dan lain-lain. Sepatutnya mereka sibuk tentang Al-Qur’an, tentang agama, tapi mereka sibuk dengan hiburan. Dalam Fussilat:26, telah diberitahu yang kalau dibacakan Al-Qur’an, mereka tidak suka.
وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَا تَسْمَعُوا لِهَٰذَا الْقُرْآنِ وَالْغَوْا فِيهِ لَعَلَّكُمْ تَغْلِبُونَ
Dan orang-orang yang kafir berkata: “Janganlah kamu mendengar akan Al-Qur’an ini dan buatlah hiruk-pikuk terhadapnya, supaya kamu dapat mengalahkan mereka”.
Begitulah Musyrikin Mekah menggunakan hiburan untuk menghalang manusia dari mendengar ajaran Al-Qur’an. Maka, zaman sekarang, apabila sibuk dengan hiburan, maka kita akan lalai dari Al-Qur’an, dari jalan agama.
Malangnya, ada golongan yang kononnya hendak kepada agama, tapi gunakan pentas hiburan pula untuk berdakwah! Itu adalah cara yang amat salah. Al-Qur’an larang kita dari lalai dengan hiburan, tapi mereka pula bawakan hiburan kepada manusia atas nama agama?!
Ayat 62: Arahan kepada orang beriman.
فَاسجُدوا ِللهِ وَاعبُدوا ۩
So prostrate to Allah and worship [Him].
Oleh yang demikian, hendaklah kamu sujud kepada Allah (yang telah menurunkan Al-Qur’an itu), dan beribadatlah kamu kepadaNya (dengan sepenuh-penuh tauhid).
Di awal surah ini, disebut tentang ‘bintang terbenam’. Di hujung surah ini sekarang, disebut yang kita pun disuruh tunduk sujud kepadaNya. Lihatlah bagaimana bintang itu besar dan tinggi di langit, tapi apabila Allah mengarahkannya untuk jatuh terbenam, ia taat.
Kita pun kena taat begitu juga. Kita kenalah rendahkan diri kepada Allah. Kalimah ‘sujud’ di dalam ayat ini membawa maksud ‘taubat’. Iaitu tunduk mengaku kesalahan lampau.
Dan kita disuruh taat dan sembah kepada Allah, bukannya sibuk dengan dunia, sibuk dengan hiburan. Maka kalimah ‘sembah’ dalam ayat ini bermaksud ‘taat’.
Ayat ini adalah ayat Sajdah, maka disunatkan untuk sujud sekarang. Tidak perlu wuduk, tutup aurat dan mengadap kiblat untuk melakukan Sujud Tilawah ini. Terus sahaja sujud dan kalau tidak tahu baca apa pun, boleh.
Penutup:
Kita telah sebutkan bagaimana surah ini dibacakan oleh Nabi Muhammad dari mula sampailah kepada ayat Sajdah ini. Surah ini adalah arahan dari Allah kepada baginda untuk menyerang tuhan-tuhan sembahan Musyrikin Mekah seperti Lata, Uzza dan Manat. Bayangkan Nabi membacakan ayat ini kepada Musyrikin Mekah yang memang waktu itu menyembah berhala-berhala itu.
Bacaan surah ini amatlah mengasyikkan, tambahan pula dibaca oleh Nabi Muhammad sendiri, menyebabkan Musyrikin Mekah yang mendengarnya juga terpukau. Apabila Nabi habis baca sahaja, semua yang ada di situ telah sujud, termasuklah Musyrikin Mekah sekalipun! Mereka terpanggil untuk sujud, macam mereka tidak ada pilihan lain. Itulah kekuatan dan kehebatan Al-Qur’an!
Kejadian itu telah menyebabkan satu kekecohan yang hebat. Semua orang sudah tahu yang mereka ramai-ramai telah sujud dalam majlis itu. Orang ramai sudah mula berkata bahawa Musyrikin Mekah telah beriman dengan Muhammad! Kerana malu, mereka kata mereka sebenarnya sujud kepada Lata dan Uzza, kerana dalam Surah Najm ini, ada disebut nama tuhan berhala mereka itu. Itu alasan sahaja kerana mereka sudah malu.
Jangan sangka pula yang surah ini hanya ditujukan kepada Musyrikin Mekah sahaja. Tapi ianya ditujukan kepada kita dengan menceritakan kesalahan yang dilakukan mereka sebagai contoh. Ada amalan mereka yang masyarakat kita pun ada lakukan.
Iaitu berdoa menggunakan wasilah. Maka, selepas membaca tentang surah ini, jangan lagi ikut amalan golongan Musyrikin Malaysia yang berdoa kepada selain Allah. Jangan ikut mereka yang menggunakan perantaraan dalam doa mereka kepada Allah. Sebaliknya hendaklah kita berdoa terus kepada Allah.
Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Qamar
Kemaskini: 2 April 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Taimiyyah Zubair