Ayat 17: Dalam ayat sebelum ini, telah disebut tentang Hari Akhirat. Sekarang Allah teruskan lagi penerangan tentang Hari itu.
اليَومَ تُجزىٰ كُلُّ نَفسٍ بِما كَسَبَت ۚ لا ظُلمَ اليَومَ ۚ إِنَّ اللهَ سَريعُ الحِسابِ
This Day every soul will be recompensed for what it earned. No injustice today! Indeed, Allah is swift in account.
“Pada hari ini, tiap-tiap diri dibalas dengan apa yang telah diusahakannya; tidak ada hukuman yang tidak adil pada hari ini. Sesungguhnya Allah amat cepat hitungan hisabNya.
الْيَوْمَ تُجْزَىٰ كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ
Pada hari itu dibalas setiap jiwa dengan apa yang telah dilakukan.
Makhluk akan dibalas dengan apa yang mereka perbuat sahaja. Kalau tidak buat, tidak dapat balasan azab atau balasan pahala. Ini menolak pegangan kebanyakan orang kita yang percaya pahala boleh disedekahkan kepada orang yang sudah mati.
Maka, mereka akan baca Surah Fatihah apabila dengar orang mati, mereka ada yang baca Al-Qur’an selama beberapa hari untuk sedekahkan pahala bacaan kepada si-mati, dan ramai yang buat Majlis Tahlil supaya buat amal ibadat baca Al-Qur’an dan zikir untuk dihadiahkan pahala kepada si-mati.
Ayat ini dengan jelas menolak pendapat itu. Maknanya, kalau nak dapat pahala, kena buat sendiri. Tidak boleh orang lain yang buat amal, tapi serahkan pahalanya kepada orang lain. Bukan ayat ini sahaja yang menolak pendapat sedekah pahala itu, tapi banyak ayat-ayat yang lain.
Tidak ada dalil dari perbuatan mereka melainkan dalil-dalil yang tidak kuat sahaja. Maka eloklah berhenti dari melakukan perkara yang tidak berfaedah dan membazir wang dan masa. Seeloknya, kita buat yang sunnah sahaja, iaitu mendoakan supaya si-mati diampunkan dosanya dan dimasukkan ke dalam syurga.
Tidak dinafikan pada pendapat ulama’ yang kata pahala itu sampai. Tapi itu hanya pendapat sahaja dan tidak ada dalil khusus tentangnya. Maka kita dengan hormatnya tidak berpegang dengan pendapat itu.
لَا ظُلْمَ الْيَوْمَ
Tidak dizalimi mereka pada hari itu.
Allah hendak memberitahu kepada kita bahawa Dia tidak zalim walaupun Dia boleh melakukan apa sahaja yang dikehendakiNya. Supaya kita jangan takut yang Dia akan memberi keputusan dengan zalim.
Banyak ayat dalam Al-Qur’an berkenaan ‘tidak ada kezaliman’. Memang tidak ada kezaliman kerana pahala dibalas sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda, dan boleh sampai berjuta-juta kali ganda. Dosa pula, kalau buat satu, akan dibalas satu juga, tidak lebih, atau boleh diampun terus. Maknanya, tak zalimlah kalau macam tu.
Tidak akan dikurangkan sedikit pun balasan pahala kepada mereka yang melakukan kebaikan; tidak akan diazab kepada mereka yang tidak melakukan kesalahan.
Ini berbeza dengan dunia. Sebagai contoh, kalau di dunia kita kerja lebih, majikan kadang-kadang tidak beri gaji lebih pun, sebab dia tidak tahu kita buat kerja lebih itu; tapi Allah Maha Tahu dengan segala perbuatan kita.
Begitu juga, kadang-kadang di dunia, seseorang manusia boleh dijatuhkan hukuman di mahkamah kerana kesalahan yang mereka tidak buat. Mungkin mereka kena fitnah dan segala bukti menunjukkan mereka bersalah, maka mahkamah terpaksa buat keputusan yang mereka kena penjara dan sebagainya. Ini adalah kerana mahkamah tidak tahu apakah yang sebenarnya terjadi; tapi Allah Maha Tahu apa yang kita lakukan dan apa yang kita tidak lakukan. Jadi, Allah tidak akan tersalah hukum makhluk.
إِنَّ اللهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ
Sesungguhnya Allah menghisab amal itu sangat cepat sekali.
Ini adalah lawan kepada ‘zalim’. Kalau di dunia, kalau penghakiman dilakukan lambat, ianya adalah satu kezaliman. Kadang-kadang kena tunggu bertahun-tahun barulah keputusan dibuat. Itu adalah kezaliman kepada mereka yang tertindas. Kerana mereka kena tunggu lama dan penantian itu sebenarnya adalah satu penyeksaan.
Tapi Allah tidak biarkan makhlukNya tunggu lama. Perbicaraan dan keputusan akan diberikan dalam masa setengah hari sahaja. Allah boleh buat penghakiman di Mahsyar serentak kepada semua orang pada satu masa. Boleh sahaja Allah buat dan tidak mustahil bagi Allah.
Caranya, kita tidak tahu dan tidak perlu tahu. Mungkin akal kita tidak dapat terima bagaimana Allah boleh buat – tapi percayalah yang Allah mampu melakukannya.
Dan setiap orang akan jumpa Tuhan seorang, seorang. Duduk depan Tuhan. Dan akan ditanya, apa kamu buat untuk Aku atas umur kamu serta 4 soalan berikut:
1. Seumur hidup kamu, apa kamu buat untuk Allah?
2. Ilmu ugama yang diberi, apa yang kamu buat untuk Tuhan? Nak jawab macam mana? Jadi, kena sebar balik pengetahuan agama yang kita dapat. Dan apabila sebar agama kepada orang lain, Allah akan balas dengan kebaikan. Kalau kita tidak boleh mengajar, kita ajak mereka ke kelas-kelas pengajian Sunnah. Atau kita sampaikan kepada mereka bahan bacaan. Atau, kita beri bantuan kewangan kepada kumpulan yang menjalankan kerja dakwah.
Kadang-kadang, memang kita rasa amat sukar nak sampaikan kebenaran kepada manusia. Amat susah nak cakap tentang perkara bidaah yang orang buat hari-hari. Rasa macam gunung atas kepala apabila kita nak sampaikan. Kerana amat ramai yang melakukan perkara bidaah, dan yang buatnya pula imam, mufti dan orang lain yang amat ramai.
Tapi kita terpaksa beritahu juga. Kalau tak beritahu, kita akan dipanggil ‘syaitan bisu’. Maknanya jadi syaitan juga. Masuk neraka juga akhirnya.
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah رحمه الله pernah berkata: “Orang yang berdiam diri dari menyampaikan kebenaran (padahal dia mampu menyampaikannya) adalah Syaitan Akhros (Syaitan yang Bisu dari jenis manusia).” (Lihat Majmu’ Fatawa Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah).
3. Harta kamu, selepas kamu keluarkan zakat dan sebagainya, apa yang kamu buat untuk ugama Allah? Takkan nak kata apa yang kita beri di masjid pada hari Jumaat sahaja? Cukup sudah apa yang kita sudah tidak buat dulu. Mulakan melakukan perkara yang baik. Mula infakkan dan sedekahkan harta kita untuk jalan agama.
4. Masa muda kamu, kamu buat apa untuk agama? Akan ditanya tentang umur masa muda sebab masa muda lain dengan masa tua. Masa tua, semua sudah jadi orang baik, sudah mula pergi masjid kerana tenaga nak buat jahat pun sudah tidak ada; tapi masa muda, bagaimana?
Waktu zaman muda itulah dugaan amat berat. Macam-macam perkara tak tentu hala yang kita nak buat. Tenaga memang tengah kuat waktu itu dan kerana itu macam-macam perkara lagha kita nak buat. Maka, kalau kita sudah ada atas jalan agama masa kita muda, itu amat berharga.
Kalau kita tidak gunakan masa muda untuk belajar agama, maka itu amatlah rugi. Kerana masa mudalah otak masih segar untuk belajar agama. Kerana belajar agama mengambil masa juga dan kalau sudah tua baru nak belajar, maka sudah banyak kerugian di situ.
Kerana itulah kita lihat AJK Masjid dan Surau itu selalunya banyak masalah, kerana sudah tua baru nak dekat kepada agama, tapi pengetahuan agama amat kurang. Tapi kita nak tegur mereka pula mereka tidak mahu dengar sebab mereka sudah sombong kerana sudah dapat pangkat jadi AJK Masjid. Jadi mereka rasa mereka hebat dan tidak boleh ditegur dan diajar lagi.
5. Masa sihat sebelum sakit. Adakah kita isi masa lapang kita dengan perkara-perkara agama, atau kita hanya buang masa untuk keduniaan sahaja?
Yang paling penting kita kena jaga adalah akidah kita. Itulah perkara penting yang akan menentukan kita masuk syurga atau neraka. Kalau ada masalah dengan akidah, kita akan duduk di neraka, kekal tak keluar. Ini adalah kerana Allah sudah beritahu yang Dia tidak akan ampunkan dosa syirik. Kalau dosa lain, ada kemungkinan Allah boleh ampunkan lagi. Tapi kalau dosa syirik, tidak ada harapan.
Ayat 18: Ini adalah ayat Takhwif Ukhrawi
وَأَنذِرهُم يَومَ الآزِفَةِ إِذِ القُلوبُ لَدَى الحَناجِرِ كٰظِمينَ ۚ ما لِلظّٰلِمينَ مِن حَميمٍ وَلا شَفيعٍ يُطاعُ
And warn them, [O Muhammad], of the Approaching Day, when hearts are at the throats, filled [with distress]. For the wrongdoers there will be no devoted friend and no intercessor [who is] obeyed.
Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada mereka tentang (hari kiamat) yang dekat (masa datangnya), iaitu ketika hati seseorang merasa resah gelisah, kerana cemas takut, sambil masing-masing menahan perasaannya itu. (Pada saat itu) orang-orang yang zalim tidak akan mendapat seorang sahabat pun yang boleh membelanya, dan tidak akan mendapat pemberi syafaat yang diterima pertolongannya.
وَأَنذِرْهُمْ يَوْمَ الْآزِفَةِ
Dan berilah ancaman kepada mereka tentang hari yang mendekat
Tidak banyak masa antara kita dan Hari Kiamat itu. Kita sahaja yang rasa macam lama, tapi sebenarnya tidak. Adakah kita bersedia? Memang kena buat persediaan kerana ianya amat dekat. Mati sahaja, terus bermula hari akhirat bagi kita, iaitu dalam alam kubur. Dan kita semuanya menunggu mati sahaja. Dan entah bila-bila sahaja kita boleh mati, sebentar lagi pun tidak mustahil.
Maka ini adalah arahan dari Allah untuk Nabi mengingatkan manusia tentang hari akhirat yang kian mendekat. Dan kita sebagai penyambung tugas Nabi hendaklah bersedia sentiasa untuk memberitahu kepada manusia tentang Hari Kiamat.
إِذِ الْقُلُوبُ لَدَى الْحَنَاجِرِ
ketika jantung naik ke halqum.
Ini adalah peribahasa Arab. Kenapa jantung naik sampai ke halqum? Kerana waktu itu dalam keadaan takut yang amat sangat. Rasa macam jantung nak pecah. Tidak pernah manusia mengalami rasa takut yang sebegini. Ini adalah kerana kalau kita dalam ketakutan sangat, kita rasa ada lump di tekak kita, bukan? Nak bercakap pun tak keluar, bukan? Maka orang Arab kata itu seperti jantung naik ke halqum.
Waktu itu semua dalam ketakutan, sama ada mereka akan dimasukkan ke dalam golongan yang selamat atau dimasukkan ke dalam golongan ahli neraka. Semua dalam ketakutan menunggu keputusan dibuat oleh Allah.
كٰظِمِينَ
memendam perasaan
Memendam perasaan atau menahan di halqum takut jantung keluar. Mereka menahan ketakutan, kesedihan dan kesesalan dalam hati mereka. Mereka juga amat marah kepada diri sendiri kerana kesalahan yang mereka telah lakukan.
Mereka akan cuba tahan, tapi akhirnya akan keluar juga perasaan itu pada wajah mereka. Mereka akan rasa sesal yang amat sangat kerana peluang untuk menyelamatkan diri tidak ada lagi. Kerana peluang itu hanya ada semasa hidup di dunia. Tapi kalau lepaskan peluang itu, tidak ada apa lagi yang boleh dilakukan di akhirat kelak.
مَا لِلظّٰلِمِينَ مِنْ حَمِيمٍ
Tidak ada bagi orang-orang zalim ini sebarang teman rapat
‘Zalim’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah zalim dalam akidah – melakukan syirik. Mereka tidak akan ada yang akan menolong mereka. Kalau dalam dunia, kita ada kawan rapat yang akan membantu kita kalau kita ada masalah. Tapi di akhirat kelak, tidak ada sesiapa yang akan membantu.
Mungkin ada yang menaruh harapan kepada sembahan-sembahan mereka yang mereka sembah semasa di dunia dulu – Nabi, wali dan malaikat yang mereka puja, mereka jadikan sebagai wasilah, yang mereka seru minta berkat, syafaat dan sebagainya dulu.
Puak-puak sesat rasa mungkin sembahan-sembahan mereka itu boleh menyelamatkan mereka, sebab semasa di dunia, mereka itu selalu puja dan seru sembahan itu. Tapi Allah jawab dalam ayat ini bahawa tidak ada harapan langsung.
وَلَا شَفِيعٍ يُطَاعُ
dan tidak ada yang beri syafaat yang ditaati.
Tidak ada sesiapa yang akan boleh beri syafaat kepada mereka. Dan kalau ada juga yang nak tolong beri syafaat kepada mereka, ianya tidak akan diterima – tidak akan ditaati syafaat mereka itu. Syafaat mereka itu tidak laku di sisi Allah.
Syafaat akan diterima kalau penerima syafaat itu layak untuk menerima syafaat. Oleh itu, orang yang buat syirik tidak layak menerima syafaat. Maka, kalau ada yang nak beri pun, mereka tidak akan dapat menerima syafaat itu.
Maka, janganlah kita berharap dan meminta-minta syafaat dalam dunia ini kalau dalam masa yang sama kita ada buat kezaliman kepada Allah. Itulah kezaliman syirik yang banyak dilakukan oleh manusia kerana mereka tidak sedar bahawa apa yang mereka lakukan selama hari ini adalah perkara syirik.
Kalau mereka tidak melakukan syirik, maka ada harapan untuk dapat syafaat lagi. Kerana ada orang yang tidak melakukan syirik, tapi kerana mereka banyak dosa, maka mereka dimasukkan ke dalam neraka. Tapi Allah boleh benarkan Nabi dan orang-orang lain memberi syafaat kepada mereka.
Tapi ianya hanya terbuka kepada mereka yang tidak mengamalkan syirik, tidak berdoa kepada selain dari Allah. Tapi, kalau di dunia dahulu, mereka bertawasul kepada para Nabi, wali dan malaikat, tidak ada harapan lagi. Kerana mereka mengamalkan syirik dalam berdoa.
Ayat 19: Allah hendak memberitahu yang Dia Mengetahui segala yang dilakukan oleh makhlukNya. Makhluk kadang-kadang lupa apa yang telah dilakukan kerana memang manusia bersifat pelupa. Kelmarin buat, hari ini sudah lupa.
Tapi Allah tahu segala-galanya. Masalahnya, apabila manusia lupa dengan dosa yang telah dilakukan, maka mereka rasa bebas dan tidak rasa bersalah. Mereka tidak sedar yang dosa sedang bertumpuk di belakang mereka.
يَعلَمُ خائِنَةَ الأَعيُنِ وَما تُخفِي الصُّدورُ
He knows that which deceives the eyes and what the breasts conceal.
Allah mengetahui pengkhianatan pandangan mata seseorang, serta mengetahui akan apa yang tersembunyi di dalam hati.
يَعْلَمُ خَائِنَةَ الْأَعْيُنِ
Dia mengetahui khianat mata.
Allah tahu apakah kesalahan yang dilakukan oleh mata manusia. Ada orang yang tengok maksiat dengan hujung-hujung mata. Kepala tak gerak, tapi mata curi pandang. Sebagai contoh, mata orang lelaki yang nakal melihat kepada perempuan yang bukan mahramnya.
Kalau kali pertama kita terlihat, itu dimaafkan. Tapi kalau kita melihat semula, itulah yang salah. Inilah satu masalah dengan mata, ianya senang sangat nak buat salah dengan mata ini. Inilah dugaan kepada kita dan memang susah hendak dijaga.
Allah hendak memberitahu kita, perkara sekecil pandangan mata yang mencuri-curi tengok pun akan dibentangkan dan akan diadili. Kalau yang kecil pun kena bentang, apatah lagi kalau perkara yang besar-besar? Ma sha Allah!
Ada orang yang melakukan kesalahan dengan kerlingan mata sahaja. Contohnya, dia sedang bercakap dengan seseorang dan dalam masa yang sama, dia akan kerling kepada orang yang di belakang untuk melakukan khianat kepada lelaki yang di hadapannya. Orang itu mungkin tidak tahu, tapi Allah tahu.
Termasuk juga dalam perkara ini adalah melihat perkara yang kita tidak patut lihat, seperti kita lihat surat-surat rahsia orang lain, hak-hak orang lain, fail-fail orang lain. Kita sangka tidak ada sesiapa yang tahu, tapi Allah tahu. Allah Maha Tahu apa yang dilihat oleh mata kita. Oleh itu, berhati-hatilah dengan pandangan mata kita.
Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata).
Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air.
وَمَا تُخْفِي الصُّدُورُ
dan apa yang tersembunyi dalam dada.
Pandangan mata adalah kesalahan zahir yang dilakukan oleh manusia. Bagaimana pula kalau perkara dalam hati? Allah beritahu dalam ayat ini yang Dia juga Maha Tahu apa yang dalam hati kita. Allah akan balas dengan apa yang disimpan dalam hati kita. Kadang-kadang mulut kita kata lain, tapi hati kata lain.
Tapi, yang diambil kira adalah perkara yang ada niat. Kalau lintasan hati sahaja, tidaklah dipertanggungjawabkan. Kerana lintasan hati sentiasa sahaja ada, tapi tidak sampai ke tahap ‘niat’ lagi. Niat adalah apabila sudah ada kehendak untuk melakukan sesuatu.
Ayat 20: Ini adalah ayat Tanwirul Dakwa – Tambahan kepada Dakwa Surah
وَاللهُ يَقضي بِالحَقِّ ۖ وَالَّذينَ يَدعونَ مِن دونِهِ لا يَقضونَ بِشَيءٍ ۗ إِنَّ اللهَ هُوَ السَّميعُ البَصيرُ
And Allah judges with truth, while those they invoke besides Him judge not with anything. Indeed, Allah – He is the Hearing, the Seeing.
Dan Allah memutuskan hukum dengan adil, sedang yang mereka sembah yang lain dari Allah – tidak dapat memberikan sebarang keputusan. Sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
وَاللهُ يَقْضِي بِالْحَقِّ
Dan Allah beri keputusan dengan benar.
Allah boleh buat keputusan dengan adil, kerana Allah tahu segala-galanya. Dalam ayat sebelum ini, kita telah diberitahu yang Allah tahu apa yang kita lihat dan apa yang kita simpan dalam hati kita. Kalau Allah sudah tahu segalanya, maka keputusan yang Allah buat tentulah tepat.
Kalau dalam dunia, seorang hakim tidak tahu segala-galanya – dia tidak tahu apakah sebenarnya yang kita lakukan, apa yang kita lihat dan apa yang kita simpan dalam hati kita. Oleh itu, keputusan yang seorang hakim itu buat belum tentu tepat. Dia hanya boleh membuat keputusan berdasarkan luaran sahaja. Tapi, Allah tidak begitu. Keputusan yang Allah buat adalah adil, kerana Allah tahu segala-galanya.
Ayat ini juga bermaksud, Allah menentukan (taqdir) segala kejadian di dunia. Allah yang menentukan siapa yang akan dapat apa semasa mereka di dunia. Semua yang terjadi dalam alam ini adalah atas keputusan Allah yang dilakukan atas kebijaksanaanNya.
وَالَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِهِ
dan yang diseru selain dariNya,
Bermaksud segala seruan-seruan merangkumi Nabi, wali, malaikat dan jin yang diseru oleh manusia. Iaitu sembahan-sembahan kepada tuhan dan ilah selain Allah.
لَا يَقْضُونَ بِشَيْءٍ
mereka tidak boleh membuat keputusan apa-apa pun
Sembahan-sembahan yang diseru selain Allah itu tidak dapat membuat keputusan apa-apa kerana mereka tidak ada pengetahuan sepertimana yang Allah ada. Allah telah beritahu yang Dia Maha Mengetahui segala-galanya, termasuk pandangan mata kita dan apa yang ada dalam dada kita – oleh itu, Allah sahaja yang boleh memberi keputusan yang adil.
Seperti yang telah disebut, hanya Allah sahaja yang taqdirkan segala kejadian dalam alam ini. Selain dari Allah tidak boleh. Mereka tidak ada kuasa untuk buat apa-apa pun. Oleh itu, kenapa nak seru selain Allah? Perbuatan itu sia-sia sahaja.
إِنَّ اللهَ هُوَ السَّمِيعُ
SesungguhNya Allah Dia Maha Mendengar.
Ini adalah Jumlah Ta’liliyah. Oleh kerana Allah Maha Mendengar segala-galanya, maka sepatutnya hanya kepada Dia sahaja tempat kita berdoa kerana selain Allah tidak mendengar. Kalau kita minta kepada Nabi, wali dan malaikat, mereka tidak mendengar permintaan kita. Jadi doa tawasul kepada mereka adalah sia-sia kerana mereka tidak dengar pun. Mereka hidup di alam yang lain, lalu bagaimana nak dengar permintaan doa kita?
Allah juga hendak memberitahu yang Dia Maha Mendengar rintihan orang yang sebar agama. Susah payah kita dakwah agama ini kepada manusia akan dibalas oleh Allah. Dan juga Allah maha mendengar kata-kata orang yang mengutuk mereka yang sebar agama. Semua itu akan dibalas oleh Allah nanti di akhirat.
الْبَصِيرُ
Dia Maha Melihat.
Begitu juga, oleh kerana Allah sahaja yang Maha Melihat segalanya, Dialah sahaja tempat berdoa kerana selain Allah, tidak mempunyai kuasa ini.
Allah Maha Melihat usaha orang yang sebar agama, orang yang taat kepada agama dan juga orang-orang yang engkar.
Oleh itu, hanya Allah sahaja yang boleh membuat keputusan yang adil. Dan hanya Allah sahaja yang layak diseru.
Habis Ruku’ ke 2 dari 9 ruku’ dalam surah ini.
Ayat 21: Ini adalah ayat Takhwif Duniawi. Selepas Allah memberitahu dalam ayat-ayat sebelum ini kejadian dan balasan yang boleh dikenakan di akhirat, Allah sekarang hendak memberitahu kita semua, terutama Musyrikin Mekah itu, bahawa azab itu bukan sahaja boleh dikenakan di akhirat sahaja, tapi boleh dikenakan semasa di dunia lagi pun.
Allah ceritakan juga tentang azab yang di dunia, kerana manusia kadang-kadang terkesan kalau apa-apa terjadi kepada mereka semasa di dunia, kerana mereka amat mementingkan dunia. Bila mereka dengar tentang azab di akhirat, mereka mungkin rasa jauh sahaja dari mereka lagi. Allah amat kenal hambaNya, maka Dia tahu bagaimana nak mengingatkan manusia.
۞ أَوَلَم يَسيروا فِي الأَرضِ فَيَنظُروا كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ الَّذينَ كانوا مِن قَبلِهِم ۚ كانوا هُم أَشَدَّ مِنهُم قُوَّةً وَءآثارًا فِي الأَرضِ فَأَخَذَهُمُ اللهُ بِذُنوبِهِم وَما كانَ لَهُم مِّنَ اللهِ مِن واقٍ
Have they not traveled through the land and observed how was the end of those who were before them? They were greater than them in strength and in impression on the land, but Allah seized them for their sins. And they had not from Allah any protector.
Tidakkah mereka telah mengembara di muka bumi, dengan itu tidakkah mereka memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu adalah orang-orang yang lebih dari mereka tentang kekuatan tenaga dan tentang kesan-kesan usaha pembangunan di muka bumi. Maka sekalipun demikian, Allah binasakan mereka dengan sebab dosa-dosa mereka, dan tiadalah bagi mereka sesiapapun yang dapat menyelamatkan mereka dari azab Allah.
أَوَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ
Tidakkah mereka pergi bermusafir di muka bumi
Allah menyebut kehairanan tentang penolakan Musyrikin Mekah itu. Tidakkah mereka telah mengembara melihat tempat-tempat di dunia ini? Mereka juga ada mengembara semasa musafir perdagangan mereka, bukan? Dengan mengembara di atas dunia ini, kita boleh belajar banyak benda, bukan? Tidakkah mereka lihat tempat kaum-kaum dahulu yang telah dimusnahkan?
Ayat ini bukanlah suruhan kepada kita untuk mengembara di dunia melihat tempat-tempat kemusnahan kaum-kaum yang degil. Kerana ada larangan dari Nabi untuk berbuat demikian. Kerana tidak perlu kita pergi ke tempat-tempat itu. Cuma kalau mereka yang menentang, barulah disuruh mereka pergi ke tempat-tempat itu.
فَيَنظُرُوا
dan perhatikan.
Perhatikanlah apa yang ada dalam dunia ini. Sebagai contoh, perhatikan tempat tinggalan Firaun, tempat kaum Aad, kaum Madyan dan sebagainya. Atau tentang mereka yang membunuh Nabi Yahya dalam Surah Yaasin, iaitu di Antioch.
كَيْفَ كَانَ عٰقِبَةُ الَّذِينَ كَانُوا مِن قَبْلِهِمْ
bagaimanakah kesudahan orang-orang yang dahulu sebelum mereka?
Kita boleh tengok contoh mereka yang buat syirik dulu. Boleh nampak kesan-kesan peninggalan mereka. Kita boleh lihat bagaimana mereka yang telah melakukan kesalahan terhadap Allah, Allah telah binasakan mereka.
Memang mereka hebat semasa kehidupan di dunia dahulu, tapi kita bukan nak tengok kehidupan mereka semasa di dunia, tapi apakah kesudahan mereka. Kita nak tengok bagaimana mereka semasa mereka hendak mati. Mereka telah dimusnahkan dan oleh kerana itu, cara mereka hidup tidak boleh diikuti.
Kerana itu kita disuruh ikut orang yang telah mati yang telah selamat, seperti para sahabat. Kerana mereka mati dalam iman. Kalau kita ikut cara orang yang masih hidup, mereka belum tentu lagi akan selamat kerana fitnah masih ada atas mereka dan kita tidak tahu adakah cara mereka selamat atau tidak.
Bolehlah kalau kita nak ikut mereka yang masih hidup, tapi kena pastikan yang mereka itu ikut cara-cara mereka yang telah selamat.
كَانُوا هُمْ أَشَدَّ مِنْهُمْ قُوَّةً
Mereka dulu lebih kuat dari mereka
Tubuh badan mereka yang telah dimusnahkan itu lebih kuat dari orang-orang Mekah. Kaum Aad boleh cabut pokok kurma dengan sebelah tangan sahaja. Kaum-kaum yang lain pun kuat-kuat juga, hebat-hebat juga. Sebab itulah mereka boleh bina Piramid, buat rumah dari batu-batu gunung.
Allah nak beritahu Musyrikin Mekah supaya jangan berlagak dengan apa sahaja kehebatan yang mereka ada – orang-orang dahulu yang dimusnahkan itu lebih kuat dari mereka pun, tapi dimusnahkan juga akhirnya. Kalau nak dibandingkan orang-orang dahulu dengan Musyrikin Mekah yang sedang tolak Nabi waktu itu, mereka tidak ada apa-apa. Tapi dalam tidak ada apa-apa itu, mereka masih lagi nak degil dari terima ajaran wahyu.
وَءآثَارًا فِي الْأَرْضِ
dan mereka meninggalkan lebih banyak kesan sejarah di muka bumi.
Contohnya kesan Firaun yang kita boleh lihat sampai hari ini iaitu Piramid. Orang Mekah itu tidak ada apa-apa peninggalan pun selain dari Kaabah itu. Mekah itu memang tidak ada apa-apa, sampai bahan makanan pun mereka bergantung kepada Syam dan Yaman sahaja.
فَأَخَذَهُمُ اللهُ بِذُنُوبِهِمْ
mereka diazab oleh Allah kerana dosa-dosa syirik mereka.
Mereka yang dahulu dimusnahkan bukan kerana mereka kuat/gagah/banyak pembangunan, tapi kerana dosa syirik mereka dahulu. Allah tak pandang apakah kejayaan keduniaan seseorang. Yang dipandang adalah apa yang mereka lakukan dalam agama. Oleh kerana mereka sesat, Allah hancurkan mereka sehancur-hancurnya – langsung tidak tinggal zuriat langsung.
Inilah ancaman dari Allah – Allah boleh sahaja untuk menurunkan azab kepada manusia yang engkar kepadaNya. Jangan kita sangka kita selamat. Kita pun Allah boleh kenakan azab sebegitu kalau Allah hendak.
وَمَا كَانَ لَهُم مِّنَ اللهِ مِن وَاقٍ
Dan tidak ada bagi mereka selain Allah sebarang penyelamat.
Mereka sangka ada yang akan menyelamatkan mereka, tetapi itu adalah harapan yang sia-sia sahaja. Kalau Allah sudah tentukan azab kepada manusia, tidak akan selamat mereka itu.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 17 Julai 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Taimiyyah Zubari
Berkenaan ayat 17 menerangkan kita akan berjumpa @ berdepan dengan Allah sorang demi soramg di hari penghakiman nanti.. Tapi apa yang saya faham kita hanya boleh dapat lihat Allah depan mata bila didalam Syurga saja.. Ahli neraka tak dapat lihat Allah depan mata.. ada percanggahan disitu.. boleh jelaskan?
LikeLike
Jumpa tanpa boleh lihat.
LikeLike