Bab 10: Penggabungan Sebahagian Nama-nama Allah Dengan Sebahagian Yang Lain.

Bab 10: Penggabungan Sebahagian Nama-nama Allah Dengan Sebahagian Yang Lain.

Sesungguhnya di antara hal yang berharga dan layak diperhatikan dalam memahami nama-nama Allah yang baik adalah penggabungan nama-nama dalam beberapa tempat dari Al-Qur’ an dan Sunnah, seperti As-Sami’ Al-Bashir, Al-Ghafur Ar-Rahim, A-Ghani Al-Hamid, Al-Khabir Al-Bashir, Ar-Rauuf Ar-Rahiim, A-Hakim Al-‘Alim, Al-Hamid Al-Majid, Al-‘Aziz Al-Hakim, Al-‘Ali Al-Adzim, Al-Fattaah Al-‘Alim, Al-Lathif Al-Khabir, Asy-Syakur Al-Halim, Al-Afwu Al-Ghafur, Al-Ghani Al-Karim dan masih sangat banyak lagi contoh-contohnya nama yang digabungkan ini.

Tidak diragukan lagi bahawa penggabungan ini mengandung hikmah yang agung dan faedah yang mulia serta manfaat yang besar, yang menunjukkan akan kesempurnaan Rabb Ta’ala ditambah lagi dengan pujian dan sanjungan kepada-Nya. Kerana setiap nama dari nama-nama-Nya mengandung sifat kesempurnaan bagi-Nya dan apabila digabung dengan nama yang lain, maka bagi-Nya pujian bagi setiap nama-Nya dan pujian bagi penggabungan terhadap nama-nama-Nya. Hal ini merupakan nilai tambah dari sekadar penyebutan secara tersendiri.

[Satu nama sahaja sudah hebat, apatah lagi ditambah pula kehebatan nama-nama itu apabila digabungkan.]

1. Kebanyakan dalam Al-Qur’an disebutkan “Al-‘Aziz Al-Hakim” secara bergabung. Nama tersebut menunjukkan akan kesempurnaan yang khusus bagi nama tersebut yaitu sifat kemuliaan pada nama “Al-Aziz” dan sifat hikmah dan hukum dalam nama “Al-Hakim.”

Penggabungan antara keduanya menunjukkan akan kesempurnaan yang lain, yaitu bahawasanya kemuliaan-Nya digabungkan dengan sifat hikmah, kemuliaan-Nya tidak menyebabkan kezaliman, kecurangan, dan perbuatan semena-mena, seperti yang ada pada diri makhluk-Nya kerana kemuliaan sebahagian mereka terkadang mendorong mereka untuk berbuat dosa, kezaliman, kecurangan, dan tindakan semena-mena. Demikian pula dengan hukum dan hikmah-Nya digabungkan dengan kemuliaan yang sempurna, berlainan dengan hukum makhluk dan hikmahnya yang diiringi oleh kehinaan.

[Ada orang yang gagah menyalahgunakan kegagahannya. Namun tidak dengan Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ tidak akan sesekali menyalahgunakan kekuasaan yang ada pada-Nya. Kuasa yang ada pada Allah ‎ﷻ digunakan dengan penuh kebijaksanaan. Sekiranya seorang manusia berkuasa, dia mungkin menjadi diktator dan zalim, bukan? Maka bila kita tahu yang Allah ‎ﷻ penuh bijaksana maka dada kita menjadi lapang.

Manusia tidak ada kebijaksanaan kerana manusia tidak ada ilmu yang lengkap. Mao Zedong, Diktator China pada tahun 50an telah mengarahkan supaya semua burung pipit dibunuh kerana ia banyak makan gandum. Kononnya dengan alasan mahu membantu para penternak untuk mengurangkan kerugian. Jutaan burung dibunuh sehingga hampir pupus. Namun begitu pada tahun berikutnya terjadi masalah baru pula kerana rupanya burung-burung itu bukan sahaja memakan gandum, tetapi turut memakan serangga yang merosakkan tanaman. Bila tidak ada burung, maka serangga bermaharajalela dan tanaman banyak yang rosak. Selama 3 tahun seramai 45 juta manusia mati kerana kebuluran disebabkan oleh kesilapan ini.

Banyak bukan kita dengar kisah orang zalim yang berkuasa? Seperti kisah Hajjaj bin Yusuf di mana dia membunuh sesiapa sahaja yang dia tidak suka.

 

2. Di dalam Al-Qur’an juga sering diulang penggabungan “Al-Ghani Al-Hamid.”

[Al-Ghani bermaksud ‘Maha Kaya’ yang tidak memerlukan, dan Al-Hamid bermaksud ‘Yang Maha Terpuji’.

Kaya maksudnya tidak perlu kepada yang lain. Bagi manusia yang kaya, mereka masih lagi memerlukan orang lain, tetapi tidak bagi Allah ‌‎ﷻ. ]

Allah Taala berfirman,

للهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۚ إِنَّ اللهَ هُوَ الغَنِيُّ الحَميدُ

“Kepunyaan Allah-lah apa yang di langit dan yang di bumi. Sesungguhnya Allah Dia-lah Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.” (Luqman: 26)

 

۞ يٰأَيُّهَا النّاسُ أَنتُمُ الفُقَراءُ إِلَى اللهِ ۖ وَاللهُ هُوَ الغَنِيُّ الحَميدُ

“Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah Dia-lah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji.” (Fathir: 15)

 

وَقالَ موسىٰ إِن تَكفُروا أَنتُم وَمَن فِي الأَرضِ جَميعًا فَإِنَّ اللهَ لَغَنِيٌّ حَميدٌ

“Dan Musa berkata, “Jika kamu dan orang yang ada di bumi semuanya mengingkari (nikmat Allah), maka sesungguhnya Allah Mahakaya, Maha Terpuji.” (Ibrahim: 8)

Al-Ghina (kecukupan atau kekayaan) merupakan sifat kesempurnaan dan Al-Hamdu (pujian) merupakan sifat kesempurnaan juga. Penyatuan Al-Ghina dan Al-Hamdu mengandung kesempurnaan yang lain. Bagi-Nya sanjungan dalam sifat kecukupan dan pujian serta dalam penggabungan keduanya.

Contoh: Barangsiapa yang bersyukur kepada Allah atas nikmat-nikmat-Nya dan memuji-Nya atas kurnia dan pemberian-Nya. Sesungguhnya Allah Ta’ala adalah Dzat yang selayaknya disanjung dan dipuji. Milik-Nya, segala pujian di dunia dan di akhirat. Pujian orang yang memuji dan rasa syukur orang yang bersyukur tidak dapat menambah kekuasaan-Nya, kerana Allah Ta’ala Yang Mahakaya, tidak bermanfaat bagi-Nya, juga tidaklah ketaatan orang yang taat dan tidak memudharatkan-Nya kemaksiatan orang yang berbuat maksiat.

 

وَمَن يَشكُر فَإِنَّما يَشكُرُ لِنَفسِهِ ۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللهَ غَنِيٌّ حَميدٌ

“Dan barangsiapa bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan barangsiapa tidak bersyukur (kufur), maka sesungguhnya Allah Mahakaya, Maha Terpuji.” (Luqman: 12)

[Jika Allah ‎ﷻ memberi sesuatu kepada kita, maka memang Dia terpuji. Begitu jugalah sekiranya orang memberi kita sesuatu, kita akan puji orang itu. Akan tetapi bagi Allah ‎ﷻ, jikalau Dia tidak memberi apa-apa pun kepada kita, Dia tetap terpuji kerana Dia memang layak. Namun mustahillah kalau Dia tidak memberi apa-apa kerana Dia sudah terlalu banyak memberi.

Bagi orang miskin dan sakit pun, sebenarnya banyak sudah nikmat yang Allah ‎ﷻ berikan kepada mereka. Sebagai contoh, orang kaya mungkin diberikan banyak harta, tetapi tidak diberikan sifat sabar seperti diberikan kepada orang miskin. Sebab itu ramai orang kaya tidak sabar contohnya situasi ketika beratur di tol. Kalau ada orang di depan dia lambat sikit, mulalah dia marah. Sedangkan bagi orang miskin, mungkin dia senang sahaja untuk sabar. Dan bila dia sabar, dia mendapat lebih banyak lagi pahala daripada Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ tidak memerlukan pujian dan ibadah kita. Ia tidak menambah kerajaan-Nya. Allah ‎ﷻ tidak memerlukan para malaikat itu. Itu semua hanya sebagai lambang kekuasaan-Nya sahaja. Ini sebagaimana seorang raja yang dipandu keretanya. Bukannya dia tidak boleh memandu sendiri tetapi sebagai raja kenalah ada orang bawahan yang memandu. Jangan sangka raja itu dipandu kerana dia tidak pandai memandu pula.

Begitu juga Allah ‎ﷻ tidak memerlukan Nabi Muhammad ﷺ. Maka kerana itulah apabila awan mendung, Nabi ﷺ takut sungguh kerana takut sudah hampir kiamat. Kerana zaman dahulu ada umat yang dikenakan azab dimulai dengan awan mendung. Padahal semua tanda kiamat belum ada lagi. Dan baginda pula Nabi terakhir. Ini kerana Nabi ﷺ tahu yang Allah ‎ﷻ tidak memerlukan baginda. Allah boleh sahaja menggantikan baginda dengan sesiapa sahaja Dia kehendaki.

Para sahabat pun takut kalau Nabi ﷺ lama tidak kelihatan kerana mereka faham Allah ‎ﷻ tidak terikat dengan apa-apa perjanjian. Allah ‎ﷻ boleh membuat apa yang Dia kehendaki. Kita beramal baik pun belum tentu Allah akan selamatkan kita kalau Dia tidak mahu. Terdapat pula ustaz ustazah memandai mengajar amalan pelik-pelik untuk selamat kononnya. Yang bodoh pula mudah sangat untuk percaya.

Apakah anda ingat Allah ‎ﷻ terkesan dengan amalan itu? Adalah anda sangka Allah ‎ﷻ orang suruhan kita untuk memberi apa yang kita suruh? Adakah anda sangka Allah ‎ﷻ memerlukan amalan kita? Allah ‎ﷻ kaya dan tidak memerlukan amalan kita terutama sekali amalan bid’ah. Padahal segala amal kita dapat buat itu pun kerana Allah ‎ﷻ izinkan kita membuatnya. Maka jangan sesekali berlagak dengan amalan yang banyak.

Apa-apa sahaja yang Allah ‎ﷻ kurniakan nikmat kepada kita adalah kerana Allah ‎ﷻ hendak beri. Bukannya Allah ‎ﷻ terpaksa beri. Maka kita kena doa meminta kebaikan dan nikmat daripada-Nya.

Allah ‎ﷻ tidak memerlukan kita. Sekiranya kita tidak menjalankan kerja menegakkan agama Allah ‎ﷻ ini, senang sahaja Allah ‎ﷻ gantikan dengan umat yang lain.

Allah ‎ﷻ telah sebut dalam Maidah: 54

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَن يَرْتَدَّ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ذَٰلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad daripada agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan merekapun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad dijalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui.

Sebagaimana Islam tersebar di Eropah sekarang bukannya hasil kerja dakwah kita, bukan? Allah ‎ﷻ boleh kembangkan agama-Nya tanpa usaha kita pun.

Oleh itu semasa meminta kepada Allah ‎ﷻ kenalah ada rasa kita amat memerlukan-Nya tetapi Dia tidak memerlukan kita. Kita wajib meminta kepada Allah ‎ﷻ namun harus sahaja bagi Allah ‎ﷻ sama ada hendak beri atau tidak. Kita mungkin sudah meminta perlindungan kepada Allah ‎ﷻ dan telah mengambil segala langkah untuk menjaga keselamatan kita tetapi jika Allah ‎ﷻ hendak mengenakan musibah kepada kita, ia tetap juga terjadi. ]

 

3. Sering kali pula diulang dalam surat Asy Syu’ara’ pada penutupan kisah para nabi bersama kaum mereka dengan firman Allah,

وَإِنَّ رَبَّكَ لَهُوَ العَزيزُ الرَّحيمُ

“Dan sesungguhnya Rabbmu benar-benar Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.”(Asy-Syu’ara’: 9)

Di dalamnya terdapat penjelasan bahawa apa yang Allah takdirkan bagi para nabi-Nya dari pertolongan dan ketinggian serta kemenangan merupakan pengaruh dari sifat rahmat Allah yang Dia khususkan bagi mereka. Allah selalu menjaga, menguatkan, menolong, dan membantu mereka.

Selain itu, apa yang Allah takdirkan dari kekalahan, kehinaan, seksa, dan azab merupakan pengaruh dari sifat keperkasaan-Nya. Allah menolong para rasul-Nya dengan rahmat-Nya dan mengazab para musuh mereka dengan kemuliaan-Nya. Penyebutan dua nama Allah tersebut sekaligus dalam konteks ayat di atas merupakan suatu hal yang sangat tepat.

[Di dunia lagi mereka dikenakan azab. Cuma hanya selepas diturunkan kitab Taurat sudah tidak ada azab sebegitu dikenakan kerana sudah disyariatkan jihad. Oleh itu jangan tunggu azab dari langit untuk musuh kita. Lihat Qasas: 43.

وَلَقَدْ آتَيْنَا مُوسَى الْكِتَابَ مِن بَعْدِ مَا أَهْلَكْنَا الْقُرُونَ الْأُولَىٰ بَصَائِرَ لِلنَّاسِ وَهُدًى وَرَحْمَةً لَّعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Musa Al-Kitab (Taurat) sesudah Kami binasakan generasi-generasi yang terdahulu, untuk menjadi pelita bagi manusia dan petunjuk dan rahmat, agar mereka ingat.

Ada hint (petunjuk) di sini yang sebelum Taurat diturunkan, umat-umat terdahulu dibinasakan. Akan tetapi tidak lagi selepas Taurat diturunkan. Jika dilihat kepada sejarah pun selepas Taurat diturunkan, tidak ada diturunkan azab yang besar-besar. Kalau dikenakan azab pun sikit-sikit sahaja.]

 

4. Sering diulang dalam Al-Qur’an penggabungan antara “Al-Aziz Al-Alim.”

Hal ini disebutkan dalam konteks penjelasan makhluk-makhluk Allah yang tinggi dan apa yang terkandung di dalamnya dari penciptaan pagi hari dan malam sebagai tempat peristirahatan serta diperjalankannya matahari dan bulan dengan perhitungan yang matang, dan dihiasinya langit dunia dengan bintang-bintang sebagai penjaganya. Allah Ta’ala berfirman,

فالِقُ الإِصباحِ وَجَعَلَ اللَّيلَ سَكَنًا وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ حُسبانًا ۚ ذٰلِكَ تَقديرُ العَزيزِ العَليمِ

“Dia menyingsingkan pagi dan menjadikan malam untuk beristirahat, dan (menjadikan) matahari dan bulan untuk perhitungan. Itulah ketentuan Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.” (Al-An’am: 96)

[Kita mengalami waktu siang kerana ada cahaya matahari tetapi kalau kita keluar dari atmosfera, ia gelap. Maknanya siang hanyalah selapis sahaja. Ini sebagaimana ketika kita berada di dalam ‘shopping mall’, di mana kita bagaikan tidak sedar sama ada di luar sudah malam ataupun siang. Allah ‎ﷻ ada menyebut tentang fenomena ini dalam [Hijr: 14-15]

وَلَو فَتَحنا عَلَيهِم بابًا مِنَ السَّماءِ فَظَلّوا فيهِ يَعرُجونَ

Dan jika seandainya Kami membukakan kepada satu pintu langit, lalu mereka terus menerus naik ke atasnya,

لَقالوا إِنَّما سُكِّرَت أَبصارُنا بَل نَحنُ قَومٌ مَسحورونَ

tentulah mereka berkata: “Sesungguhnya pandangan kamilah yang dikaburkan, bahkan kami adalah orang orang yang kena sihir”.

Begitulah bagi manusia sekiranya keluar dari atmosfera, tengok-tengok sudah gelap.

Manusia memerlukan siang untuk bekerja dan malam untuk berehat. Sebab itulah Allah ‎ﷻ menjadikan malam supaya kita boleh berehat. Biasanya kita dinasihatkan untuk tidak tidur dengan memasang lampu kerana ada kajian mengatakan ia boleh mengakibatkan barah sebab badan tidak dapat berehat. Ada sebab Allah ‎ﷻ menjadikan siang dan malam iaitu untuk kebaikan kita. Dan siang dan malam ini adalah dalam kuasa Allah ‎ﷻ seperti Allah ‎ﷻ sebut dalam [Qasas: 71 – 72]

قُل أَرَءيتُم إِن جَعَلَ اللهُ عَلَيكُمُ اللَّيلَ سَرمَدًا إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ مَن إِلٰهٌ غَيرُ اللهِ يَأتيكُم بِضِياءٍ ۖ أَفَلا تَسمَعونَ

Katakanlah: “adakah engkau fikirkan, jika Allah menjadikan untukmu malam itu terus menerus sampai hari kiamat, siapakah ilah selain Allah yang akan mendatangkan sinar terang kepadamu? Maka apakah kamu tidak mendengar?”

قُل أَرَءيتُم إِن جَعَلَ اللهُ عَلَيكُمُ النَّهارَ سَرمَدًا إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ مَن إِلٰهٌ غَيرُ اللهِ يَأتيكُم بِلَيلٍ تَسكُنونَ فيهِ ۖ أَفَلا تُبصِرونَ

Katakanlah: “adakah engkau fikirkan, jika Allah menjadikan untukmu siang itu terus menerus sampai hari kiamat, siapakah ilah selain Allah yang akan mendatangkan malam kepadamu yang kamu beristirehat padanya? Maka apakah kamu tidak memperhatikan?”]

 

وَالشَّمسُ تَجري لِمُستَقَرٍّ لَّها ۚ ذٰلِكَ تَقديرُ العَزيزِ العَليمِ

“Dan matahari berjalan di tempat peredarannya. Demikianlah ketetapan Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.” (Yasin: 38)

[Pada waktu dahulu, manusia tidak mengetahui yang matahari berpusing pada paksinya dan ramai tidak tahu yang matahari pun bergerak juga di atas laluannya mengelilingi orbit juga.]

فَقَضٰهُنَّ سَبعَ سَمٰوٰتٍ في يَومَينِ وَأَوحىٰ في كُلِّ سَماءٍ أَمرَها ۚ وَزَيَّنَّا السَّماءَ الدُّنيا بِمَصٰبيحَ وَحِفظًا ۚ ذٰلِكَ تَقديرُ العَزيزِ العَليمِ

“Dan Kami hiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang yang cemerlang dan Kami memeliharanya dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.” (Fushshilat: 12)

Penutupan akhir ayat mencakup penggabungan antara dua nama yang menjelaskan bahawa penciptaan yang teratur ini bersumber dari kemuliaan dan ilmu-Nya, bukan suatu yang kebetulan yang tidak sepatutnya pelakunya untuk dipuji dan disanjung seperti dalam setiap hal yang bersifat kebetulan.

[Kita sepatutnya berasa takjub dengan penciptaan alam ini. Jika dilihat akan planet dan juga yang lain, semuanya bergerak. Sekiranya berhenti, akan hancur kesemuanya. Ini semua kita patut lihat dan belajar tentangnya, sebab Allah ‎ﷻ menjadikan alam ini sebagai ‘ayat’ iaitu tanda-tanda bagi kekuasaan-Nya.

Alam ini tidaklah terjadi secara kebetulan seperti sangkaan golongan Atheis itu. Tidak mungkin alam yang sebegini hebat boleh terjadi dengan sendiri. ]

 

5. Allah Ta’ala menutup perintah-Nya untuk ber-isti’adzah (meminta perlindungan) dari gangguan syaitan dengan menggabungkan “As-Sami’ Al-Bashir” pada dua tempat dalam Al-Quran. Dalam firman-Nya,

وَإِمّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيطانِ نَزغٌ فَاستَعِذ بِاللَّهِ ۚ إِنَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

“Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan syaitan, maka berlindunglah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Al-A’raaf: 200)

وَإِمّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيطٰنِ نَزغٌ فَاستَعِذ بِاللهِ ۖ إِنَّهُ هُوَ السَّميعُ العَليمُ

“Dan jika syaitan mengganggumu dengan suatu gangguan, maka mohonlah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Fushshilat: 36)

[Sebab itulah doa Nabi ﷺ ada menambah dua nama Allah ‎ﷻ ini:

Daripada hadith Abu Sa‘id al-Khudri. Rasulullah ﷺ apabila hendak mengerjakan salat, baginda membaca doa berikut: أَعُوْذُ بِاللهِ السَّمِيْعِ الْعَلِيْـمِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْـمِ، مِنْ هَمْزِهِ وَنَفْخِهِ وَنَفْثِهِ “
Aku berlindung kepada Allah Yang Maha mendengar lagi Maha mengetahui, daripada kesombongan, kegilaan, tiupan, dan (bisikan) syaitan yang terkutuk.” (HR Ahmad, at-Tirmidzi, dan Abu Dawud).

Nabi ﷺ membaca doa ini kerana antara perbuatan syaitan jin adalah mengganggu manusia di dalam salat. Maka digalakkan menambah dua nama ini dalam Isti’azah kita.

Syaitan ini kita tidak nampak mereka, tetapi mereka selalu membisikkan arahan jahat kepada kita. Antaranya dengan mengapi-apikan perasaan buruk dalam diri kita menyebabkan kita marah dan sebagainya. Dengan syaitan jin bukan boleh berdiplomasi untuk dibawa berbincang dengan mereka. Maka haruslah terus meminta perlindungan daripada syaitan. Buang masa sahaja dukun dan uskun yang berbincang dengan jin yang mengganggu manusia. Dengan jin pun mereka boleh kena tipu sebab belajar sangat benda-benda mengarut.

Terlalu banyak kekeliruan berlaku dalam masyarakat Melayu disebabkan kejahilan ilmu agama dan terutama sekali ramai tidak faham tentang jin syaitan. Senang sangat ditipu oleh jin. Percaya sangat jin boleh buat apa sahaja sampai sanggup meminta pertolongan daripada jin. Itu adalah perbuatan syirik. Sedangkan jin itu bukannya ada kuasa dan tidak tahu pun ilmu ghaib. Namun amat menyedihkan apabila ramai dalam kalangan orang jahil kita menyangka jin boleh menolong, boleh mengetahui hal ghaib. Ya mereka makhluk ghaib di mata kita tetapi tidaklah mereka tahu perkara ghaib.

Kelam kabutlah manusia yang jahil itu meminta pertolongan daripada dukun dan uskun (ustaz dukun), menunaikan suruhan jin yang mengarut itu, sedangkan mereka lupa kepada Allah ﷻ. Allah ﷻ suruh minta doa kepada-Nya dan ini telah banyak disebut dalam Al-Qur’an contohnya [Baqarah: 186]

وَإِذا سَأَلَكَ عِبادي عَنّي فَإِنّي قَريبٌ ۖ أُجيبُ دَعوَةَ الدّاعِ إِذا دَعانِ

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.]

Sedangkan perintah untuk ber-isti’adzah dari kejahatan manusia ditutup dengan “As-Sami’ Al-Bashir” pada firman-Nya,

إِنَّ الَّذينَ يُجٰدِلونَ في ءآيٰتِ اللهِ بِغَيرِ سُلطٰنٍ أَتٰهُم ۙ إِن في صُدورِهِم إِلّا كِبرٌ مّا هُم بِبٰلِغيهِ ۚ فَاستَعِذ بِاللهِ ۖ إِنَّهُ هُوَ السَّميعُ البَصيرُ

“Sesungguhnya orang-orang yang memperdebatkan tentang ayat-ayat Allah tanpa alasan yang sampai kepada mereka tidak ada dalam dada mereka melainkah hanyalah (keinginan akan) kebesaran yang mereka sekali-kali tiada akan mencapainya, maka mintalah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat. ” (Ghafir: 56)

Allah mengakhiri Al-Isti’adzah dari syaitan yang kita yakini keberadaannya, tetapi kita tidak mampu melihatnya dengan As-Sami’ Al-Alim dan mengakhiri Al-Isti’adzah dari kejahatan manusia yang mampu dilihat dengan As-Sami’ Al-Bashir, kerana perbuatan manusia mampu dilihat dengan penglihatan mata. Adapun gangguan syaitan dan bisikannya dilemparkan ke dalam hati manusia yang hal itu berkaitan dengan ilmu.

[Janganlah berasa pelik pula apabila disebut syaitan dalam kalangan manusia. Ramai yang tidak tahu yang syaitan itu adalah sifat. Sekiranya jin jahat, ia adalah syaitan; dan jika manusia pun jahat, maka dia pun adalah syaitan juga. Dalilnya ada di dalam Al-Qur’an, antaranya [An’am: 112]

وَكَذٰلِكَ جَعَلنَا لِكُلِّ نَبِىٍّ عَدُوًّا شَيَـٰطِينَ ٱلإِنسِ وَٱلجِنِّ

Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh daripada Syaitan-syaitan manusia dan jin.

Ramai yang terkejut apabila diberitahu hal ini, kerana mereka sangka jin dan syaitan itu sama. Mereka menyangka jin sahaja syaitan. Atau, mereka sangka jin itu lain dan syaitan itu lain. ]

 

6. Disebutkan dalam sebahagian penutupan ayat-ayat Al-Qur’an firman Allah, “Allah Maha luas lagi Maha Mengetahui. ” Di antaranya firman Allah,

مَثَلُ الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُم في سَبيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَت سَبعَ سَنابِلَ في كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضٰعِفُ لِمَن يَشاءُ ۗ وَاللَّهُ وٰسِعٌ عَليمٌ

“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Alah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai: seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah: 261)

[Orang yang bijak akan mengambil peluang ini untuk menambah pahalanya di akhirat kelak. Kerana di sana nanti mungkin ada perbalahan tentang salah dan silap kita dengan orang lain. Waktu itu tidak bernilai lagi wang ringgit, tetapi pahala. Maka pahala sepatutnya dikumpulkan supaya kita ada ‘modal’ nanti untuk bayar di sana. Entah-entah kita ada menzalimi orang dan bila dia tuntut, kita boleh bayar dengan pahala kita. ]

Penutupan seperti ini sangat tepat, dan di antara manfaatnya adalah bahawa seorang hamba tidak selayaknya untuk merasa tidak yakin akan dilipatgandakan pahala ibadah tersebut, kerana yang melipatgandakan adalah Dzat Yang Maha luas pemberian dan kurnia-Nya, dan Maha Kaya. Akan tetapi jangan dikira bahawa keluasan kurnia-Nya mengharuskan setiap orang boleh mendapatkannya, kerana Dia mengetahui siapa saja yang layak untuk mendapatkan pahala yang berlipat ganda tersebut,

وَاللَّهُ يُؤتي مُلكَهُ مَن يَشاءُ ۚ وَاللَّهُ واسِعٌ عَليمٌ

“Allah memberikan pemerintahan kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah:247)

وَاللَّهُ يُضٰعِفُ لِمَن يَشاءُ ۗ وَاللَّهُ وٰسِعٌ عَليمٌ

“Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah: 261)

[Pengajarannya adalah kita mesti percaya yang Allah ‎ﷻ boleh memberi gandaan yang banyak itu kerana sifat Allah ‎ﷻ yang Maha Luas. Sekiranya Allah ‎ﷻ hendak memberikan semua benda yang semua manusia minta, tidak berkurangan khazanah Allah ‎ﷻ. Perumpamaan yang Nabi ﷺ beritahu, ia adalah seumpama air yang melekat pada benang apabila dicelup ke dalam laut sahaja.

Maka jikalau manusia lain mendapat nikmat, jangan kita anggap kita tidak boleh dapat juga. Kerana Allah ﷻ boleh sahaja memberikannya kepada kita juga. Ini sebagaimana Nabi Zakaria عليه السلام yang telah nampak apa yang Allah ‎ﷻ berikan kepada Maryam, maka baginda terus berdoa. Ini kerana baginda tahu, sepertimana Maryam boleh diberikan nikmat makanan, baginda juga boleh diberikan nikmat anak. Ia mudah sahaja bagi Allah ﷻ.

Cuma Allah ﷻ tidak memberikan semua yang manusia minta kerana sifat-Nya yang Maha Mengetahui. Kita hendaklah melayakkan diri kita untuk mendapat balasan daripada Allah ﷻ itu. Antaranya kenalah niat yang ikhlas, bukannya kerana ingin menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Ini kerana Allah ﷻ tahu apa sahaja di dalam hati kita. Bukannya tidak boleh tunjuk langsung, cuma lebih baik bagi kita jika kita merahsiakannya. Seperti Allah ﷻ telah sebut dalam [ Baqarah: 271 ]

إِن تُبدُوا الصَّدَقٰتِ فَنِعِمّا هِيَ ۖ وَإِن تُخفوها وَتُؤتوهَا الفُقَراءَ فَهُوَ خَيرٌ لَّكُم
Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu;

Allah ﷻ juga tahu mengqadar pemberian-Nya. Allah ﷻ beri kepada sesiapa yang layak. Maka janganlah kita berasa dengki dengan pemberian Allah ﷻ. Contohnya pemberian kedudukan kepada sahabat pun tidak sama seperti kisah Ukasyah. Rasulullah ﷺ bersabda:

‘Di antara umatku nanti terdapat 70,000 orang akan masuk Syurga tanpa hisab. Wajah mereka bersinar sebagaimana bulan purnama’.” Abu Hurairah رضي الله عنه berkata, “Kemudian Ukasyah bin Mihshan al-Asadi berdiri sambil mengangkat nimarah lalu berkata, ‘Wahai Rasulullah, doakanlah aku kepada Allah agar aku termasuk dalam kelompok itu.’ Rasulullah ﷺ bersabda, ‘Ya Allah masukkanlah Ukasyah ke dalam rombongan itu!’ Kemudian seorang sahabat daripada golongan Ansar berkata, ‘Ya Rasulullah, doakan pula aku agar termasuk ke dalam rombongan itu.’ Nabi ﷺ bersabda, ‘Ukasyah telah mendahuluimu’.” ( Imam al-Bukhari dan Muslim) 

Maka ini mengajar kita untuk redha dengan ketentuan Allah ﷻ. Ada sebab kenapa Allah ﷻ tidak memberikan sesuatu yang kita minta. Itulah tujuan kita belajar maksud nama-nama Allah ﷻ ini, iaitu supaya kita kenal Allah ﷻ dan redha dengan perbuatan-Nya. ]

 

7. Banyak ayat Al-Qur’an yang ditutup dengan dua nama-Nya, “At-Tawwaab Ar-Rahiim”, seperti firman Allah,

فَتَلَقّىٰ ءآدَمُ مِن رَّبِّهِ كَلِمٰتٍ فَتابَ عَلَيهِ ۚ إِنَّهُ هُوَ التَّوّابُ الرَّحيمُ

“Kemudian Adam menerima beberapa kalimat dari Rabbnya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” (Al-Baqarah: 37)

ثُمَّ تابَ عَلَيهِم لِيَتوبوا ۚ إِنَّ اللَّهَ هُوَ التَّوّابُ الرَّحيمُ

“Kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat, Maha Penyayang.” (At-Taubah: 118)

وَاتَّقُوا اللهَ ۚ إِنَّ اللهَ تَوّابٌ رَّحيمٌ

“Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” (Al-Hujurat: 12)

Yang demikian itu, dalam konteks penyebutan rahmat, ampunan, taufik dan kelembutan-Nya. Dan bahawasanya ketika Dia adalah At-Tawwab Ar-Rahim, maka Dia menerima taubat orang-orang yang bertaubat kepada-Nya dan memberinya taufik untuk meraih jalan menuju kepada taubat dan menggapai rahmat-Nya, kemudian Allah pun akan mengampuni, dan merahmati mereka. Pertama, Allah menerima taubat mereka dengan memberi taufik kepada mereka untuk bertaubat dan meraih jalan-jalannya. Kemudian Allah menerima taubat mereka dan mengabulkan permintaan mereka sebagai bentuk kelembutan dan rahmat-Nya kepada mereka.

[Allah ‎ﷻ membuka pintu taubat dahulu. Itulah maksud taufik iaitu Allah ‎ﷻ mudahkah kita untuk bertaubat. Kalau tidak, kita tidak akan dapat bertaubat dengan kita tahu yang Allah ‎ﷻ bersifat Tawwab. Allah ‎ﷻ beritahu kita sifat-Nya itu untuk menggalakkan kita bertaubat supaya hati kita jadi senang untuk bertaubat. Taufik maksudnya Allah ‎ﷻ bimbing kita untuk membuat amal yang soleh.

Allah ‎ﷻ memang hendak kita bertaubat. Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ terima taubat Nabi Adam عليه السلام selepas baginda diturunkan dari syurga. Malah Allah ‎ﷻ juga yang ajar baginda cara berdoa minta ampun seperti disebut dalam A’raf: 23.

Begitulah sayangnya Allah ‎ﷻ kepada hamba-Nya. Ada orang yang digerakkan untuk bertaubat dengan diberikan sakit teruk, ada yang beri nasihat yang sampai ke hatinya, ada yang diilhamkan untuk bertaubat dengan cara yang lain.

Selepas Allah ‎ﷻ buka pintu taubat, Allah ‎ﷻ terima pula taubat manusia setelah manusia itu bertaubat. Allah ‎ﷻ juga tidak tergesa-gesa menghukum makhluk-Nya maka kita ada peluang dan masa untuk bertaubat. Tidaklah buat dosa sahaja terus dimatikan dan dimasukkan ke dalam neraka. Maksudnya Allah ‎ﷻ juga yang bantu kita untuk bertaubat.

Jelas di sini bahawa kita dapat bertaubat itu pun daripada rahmat Allah ‎ﷻ. Maka jangan berbangga kalau kita orang yang bertaubat. Dapat bertaubat itu pun kerana Allah ‎ﷻ jua. Selepas bertaubat, Allah ‎ﷻ beri ganjaran rahmat pula. Terdapat dua rahmat: rahmat kita boleh bertaubat, kemudian setelah bertaubat, diberi rahmat lagi. Maka berganda-ganda sebenarnya rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Dalam taubat, ada rahmat Allah ‎ﷻ.

Contoh: kita bergerak menuju ke masjid. Sudahlah diampunkan dosa, diberi pahala pula lagi. ]

 

8. Di dalam Al-Qur’an disebutkan penutupan sebahagian ayat yang dengan menyebutkan jalan-jalan menuju rahmat dan seksa dengan menggabungkan dua nama Allah “Al-Ghafur Ar-Rahiim.”

Di sini terdapat penjelasan akan keagungan nikmat Allah Ta’ala dan bahawasanya rahmat-Nya mendahului kemurkaan-Nya, hingga rahmat-Nya lebih nampak daripada kemurkaan-Nya dan setiap orang yang memiliki sedikit saja sebab rahmat-Nya akan memperolehnya. Ini merupakan pembahasan yang luas bagi yang mahu merenungkannya, Allah Ta’ala-lah satu-satunya pemberi taufik.

[Dua nama ini selalu disebut di hujung ayat-ayat yang di dalam ayat-ayat itu Allah ‎ﷻ menceritakan jikalau melakukan keburukan akan mendapat azab, dan jika melakukan kebaikan akan mendapat syurga. Akan tetapi Allah ‎ﷻ menutup ayat-ayat itu dengan beritahu dia maha menerima taubat.

Contohnya lihat ayat Baqarah: 182

فَمَنْ خَافَ مِن مُّوصٍ جَنَفًا أَوْ إِثْمًا فَأَصْلَحَ بَيْنَهُمْ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

(Akan tetapi) barangsiapa khuatir terhadap orang yang berwasiat itu, berlaku berat sebelah atau berbuat dosa, lalu ia mendamaikan antara mereka, maka tidaklah ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Di dalam ayat ini ada punca dosa dan punca rahmat. Sekiranya diubah ketetapan pembahagian harta, maka seseorang itu akan mendapat dosa. Akan tetapi kalau diubah kembali mengikut seperti yang sepatutnya maka dia akan mendapat rahmat kerana membetulkan yang salah.

Allah ‎ﷻ hendak beritahu kepada kita yang Dia maha Pengampun segala dosa-dosa yang manusia lakukan asalkan mereka mahu untuk meminta ampun. Rahmat-Nya lebih besar daripada murka-Nya. Maka jangan takut kalau sudah terbuat dosa walaupun sebesar mana dan sebanyak manapun. Mintalah ampun sahaja. Allah ‎ﷻ tidak mudah hendak mencampak hamba-Nya ke dalam neraka. Allah ‎ﷻ sayangkan hamba-Nya.

Begitulah kita dapat faham daripada sebuah hadith riwayat Umar bin Al Khattab رضي الله عنه, beliau menuturkan:

ﻗﺪﻡ ﻋﻠﻰ ﺍﻟﻨﺒﻲ ﺻﻠﻰ ﺍﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ ﺳﺒﻲ، ﻓﺈﺫﺍ ﺍﻣﺮﺃﺓ ﻣﻦ ﺍﻟﺴﺒﻲ ﻗﺪ ﺗﺤﻠﺐ ﺛﺪﻳﻬﺎ ﺗﺴﻘﻲ، ﺇﺫﺍ ﻭﺟﺪﺕ ﺻﺒﻴﺎً ﻓﻲ
ﺍﻟﺴﺒﻲ ﺃﺧﺬﺗﻪ، ﻓﺄﻟﺼﻘﺘﻪ ﺑﺒﻄﻨﻬﺎ ﻭﺃﺭﺿﻌﺘﻪ، ﻓﻘﺎﻝ ﻟﻨﺎ ﺍﻟﻨﺒﻲ ﺻﻠﻰ ﺍﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ : (ﺃﺗﺮﻭﻥ ﻫﺬﻩ ﻃﺎﺭﺣﺔ ﻭﻟﺪﻫﺎ ﻓﻲ ﺍﻟﻨﺎﺭ ). ﻗﻠﻨﺎ: ﻻ، ﻭﻫﻲ ﺗﻘﺪﺭ ﻋﻠﻰ ﺃﻥ ﻻ ﺗﻄﺮﺣﻪ، ﻓﻘﺎﻝ: (ﻟﻠﻪ ﺃﺭﺣﻢ ﺑﻌﺒﺎﺩﻩ ﻣﻦ ﻫﺬﻩ ﺑﻮﻟﺪﻫﺎ

Rasulullah ﷺ kedatangan rombongan tawanan perang. Di tengah-tengah rombongan itu ada seorang ibu yang sedang mencari-cari bayinya.
Tatkala dia berjaya menemui bayinya di antara tawanan itu, maka dia pun memeluknya erat-erat ke tubuhnya dan menyusuinya.
Rasulullah ﷺ bertanya kepada kami,
“Apakah menurut kalian ibu ini akan sanggup melemparkan anaknya ke dalam api panas yang membakar?”
Kami menjawab, “Tidak mungkin, demi Allah. Sementara dia sanggup untuk mencegah bayinya terlempar ke dalamnya.”
Maka Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sungguh Allah lebih sayang kepada hamba-hamba-Nya daripada ibu ini kepada anaknya.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Rahmat Allah ﷺ mendahului murka-Nya.

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِىِّ – صلى الله عليه وسلم – قَالَ « لَمَّا خَلَقَ اللَّهُ الْخَلْقَ كَتَبَ فِى كِتَابِهِ – هُوَ يَكْتُبُ عَلَى نَفْسِهِ ، وَهْوَ وَضْعٌ عِنْدَهُ عَلَى الْعَرْشِ – إِنَّ رَحْمَتِى تَغْلِبُ غَضَبِى »

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda, “Tatkala Allah menciptakan makhluk-Nya, Dia menulis dalam kitab-Nya, yang kitab itu terletak di sisi-Nya di atas ‘Arsy, “Sesungguhnya rahmat-Ku lebih mengalahkan kemurkaan-Ku.” (HR. Bukhari no. 7404 dan Muslim no. 2751)

Allah ﷻ suka mengampunkan hamba-Nya walaupun mereka telah melakukan dosa berkali-kali. Hal ini dijelaskan oleh Nabi ﷺ dalam hadith baginda:

أَذْنَبَ عَبْدٌ ذَنْبًا فَقَالَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي ذَنْبِي فَقَالَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى أَذْنَبَ عَبْدِي ذَنْبًا فَعَلِمَ أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِالذَّنْبِ ثُمَّ عَادَ فَأَذْنَبَ فَقَالَ أَيْ رَبِّ اغْفِرْ لِي ذَنْبِي فَقَالَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى عَبْدِي أَذْنَبَ ذَنْبًا فَعَلِمَ أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِالذَّنْبِ ثُمَّ عَادَ فَأَذْنَبَ فَقَالَ أَيْ رَبِّ اغْفِرْ لِي ذَنْبِي فَقَالَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى أَذْنَبَ عَبْدِي ذَنْبًا فَعَلِمأَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِالذَّنْبِ اعْمَلْ مَا شِئْتَ فَقَدْ غَفَرْتُ

“Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: HambaKu melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya –dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya-. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya–dalam riwayat yang lain ditambah: aku ampunkan dosanya-. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hambaKu ini, buatlah apa yang kau mahu aku ampunkan engkau”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).]

Sambung ke bab yang seterusnya

Rujukan: Kuliah Ustaz Adli Saad syarahan kitab Fikih Asma’ul Husna

Tafsir Surah Hud Ayat 101 – 105 (Suasana di Akhirat)

Hud Ayat 101:

وَما ظَلَمنٰهُم وَلٰكِن ظَلَموا أَنفُسَهُم ۖ فَما أَغنَت عَنهُم ءآلِهَتُهُمُ الَّتي يَدعونَ مِن دونِ اللَّهِ مِن شَيءٍ لَّمّا جاءَ أَمرُ رَبِّكَ ۖ وَما زادوهُم غَيرَ تَتبيبٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We did not wrong them, but they wronged themselves. And they were not availed at all by their gods which they invoked other than Allāh when there came the command of your Lord. And they did not increase them in other than ruin.

(MALAY)

Dan Kami tidaklah menganiaya mereka tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri, tiadalah bermanfaat sedikit pun kepada mereka sembahan-sembahan yang mereka seru selain Allah, di waktu azab Tuhanmu datang. Dan sembahan-sembahan itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali kebinasaan belaka.

 

وَما ظَلَمنٰهُم وَلٰكِن ظَلَموا أَنفُسَهُم

Dan Kami tidaklah menganiaya mereka tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri,

Banyak ayat-ayat menyebut Allah ﷻ menghancurkan umat-umat yang derhaka. Allah ﷻ hendak beritahu dalam ayat ini, Allah ﷻ hancurkan mereka bukan kerana Allah ﷻ zalim, bukan kerana Allah ﷻ ini Tuhan yang pemarah, suka menghancurkan makhluk sahaja, bukan. Allah ﷻ beritahu yang mereka yang telah menzalimi diri mereka dengan melakukan syirik dan kerana itulah Allah ﷻ hancurkan mereka.

Tidaklah pula Allah ﷻ terus hancurkan mereka, akan tetapi Allah ﷻ telah berkali-kali memberikan peringatan kepada mereka di dalam bentuk para Nabi yang memberi peringatan mengajar dan mengancam mereka tentang azab yang mengenai mereka itu. Mereka sendiri yang menzalimi diri mereka sendiri. Mereka tidak sedar yang mereka sedang menzalimi diri mereka kerana mereka sangka mereka sedang menzalimi orang.

Di dalam ayat ini Allah ﷻ mengatakan mereka itu zalim, dan Allah ﷻ tidak kata mereka itu ‘kafir’. Ini kerana jikalau Allah ﷻ kata mereka itu kafir, maka orang-orang yang mengaku Muslim sangka mereka tidak termasuk dalam kalangan orang-orang yang telah melakukan kesalahan itu. Akan tetapi apabila Allah ﷻ menyebut sifat yang zalim, bermakna orang-orang yang Muslim akan tetapi telah melakukan kesalahan syirik pun akan mendapat nasib yang sama.

Malang sekali ramai yang tidak sedar akan hal ini. Mereka ada peluang untuk beriman kepada Allah ﷻ semasa di dunia, tetapi mereka tidak ambil peluang itu. Akan tetapi mereka terus melakukan perkara yang menjerumuskan mereka ke dalam neraka. Janganlah kita menggadaikan nasib kita di akhirat kelak. Semoga kita tidak termasuk di dalam golongan orang yang rugi seperti disebut di dalam ayat ini.

Allah ﷻ tidak menzalimi makhluk-Nya tetapi makhluk-Nya yang tidak menerima hidayah yang telah disampaikanlah yang menzalimi diri mereka sendiri. Dengan tidak menerima hidayah itu, mereka akan hidup dalam dosa dan apabila mati nanti, mereka akan diazab. Itu dinamakan zalim kepada diri sendiri. Merekalah yang akan menanggung sendiri seperti disebut dalam Isra’: 17

مَنِ اهتَدىٰ فَإِنَّما يَهتَدي لِنَفسِهِ ۖ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّما يَضِلُّ عَلَيها ۚ وَلا تَزِرُ وازِرَةٌ وِزرَ أُخرىٰ ۗ وَما كُنّا مُعَذِّبينَ حَتّىٰ نَبعَثَ رَسولًا
Barangsiapa yang berbuat sesuai dengan hidayah (Allah), maka sesungguhnya dia berbuat itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri; dan barangsiapa yang sesat maka sesungguhnya dia tersesat bagi (kerugian) dirinya sendiri. Dan seorang yang menanggung tidak dapat memikul dosa orang lain, dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutus seorang rasul.

Allah ﷻ banyak mengingatkan tentang kezaliman umat-umat terdahulu yang menolak dakwah Rasul mereka. Allah ﷻ juga sebut mereka telah menzalimi diri mereka dengan menolak kebenaran itu. Semua itu menjadi pengajaran kepada kita supaya tidak menjadi seperti mereka. Contohnya Allah ﷻ sebut dalam Tawbah: 70

أَلَم يَأتِهِم نَبَأُ الَّذينَ مِن قَبلِهِم قَومِ نوحٍ وَعادٍ وَثَمودَ وَقَومِ إِبراهيمَ وَأَصحابِ مَديَنَ وَالمُؤتَفِكاتِ ۚ أَتَتهُم رُسُلُهُم بِالبَيِّناتِ ۖ فَما كانَ اللَّهُ لِيَظلِمَهُم وَلٰكِن كانوا أَنفُسَهُم يَظلِمونَ
Tidakkah datang kepada mereka berita penting tentang orang-orang yang sebelum mereka, (iaitu) kaum Nuh, ‘Aad, Tsamud, kaum Ibrahim, penduduk Madyan dan negeri yang telah ditelungkup? Telah datang kepada mereka rasul-rasul dengan membawa keterangan yang nyata, maka Allah tidaklah sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.

Sekiranya lambat mengambil hidayah itu pun sudah dikira sebagai zalim. Bukan hanya menolak sahaja. Ini kerana kalau tidak ambil dengan segera pun sudah salah. Ditakuti Allah ﷻ menutup hati kita sampai bila-bila. Terlalu banyak ayat Allah ﷻ sebut suruh kita bersegera. Maka jangan tangguhkan, apabila sampai hidayah pada kita, terus ambil sahaja. Allah ﷻ sebut  dalam Ali Imran: 133

وَسارِعوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُم وَجَنَّةٍ عَرضُهَا السَّمٰوٰتُ وَالأَرضُ
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi,

 

فَما أَغنَت عَنهُم ءآلِهَتُهُمُ

tiadalah bermanfaat sedikit pun kepada mereka sembahan-sembahan mereka

Kalimah أَغنَت daripada katadasar غ ن ي yang bermaksud kaya dan senang, memenuhi kehendak. Apabila telah datang keputusan azab daripada Allah ﷻ, ilah-ilah mereka, sembahan-sembahan mereka, tuhan-tuhan mereka, tidak dapat membantu langsung. Mereka memang tidak ada kuasa langsung untuk melepaskan diri mereka daripada azab.

 

الَّتي يَدعونَ مِن دونِ اللَّهِ مِن شَيءٍ

yang mereka seru selain Allah, 

Kalimah يَدعونَ bermaksud menyeru. Maka ini mengajar kita yang kita hanya boleh menyeru Allah ﷻ sahaja untuk meminta pertolongan. Jangan seru entiti ghaib selain Allah ﷻ. Semua ini dipanggil ma’bud bathil (yang diseru secara salah). Sekiranya kita seru orang yang di hadapan kita meminta pertolongan, ini tidak mengapa. Namun kalau yang ghaib, jangan sekali-kali. Inilah kesesatan yang diamalkan oleh sesetengah masyarakat kita yang menyeru para Nabi, wali yang di dalam kubur, dan juga malaikat.

Ma’bud bathil yang mereka seru itu tidak dapat membantu mereka langsung. Itulah Nabi, wali, malaikat dan jin yang mereka seru selain Allah ﷻ. Apabila digunakan kalimah مِن شَيءٍ maka ia bermaksud apa-apa sahaja. Sama ada dalam bentuk berhala, bentuk gambar atau apa sahaja.

Mereka sangka sembahan mereka itu boleh membantu mereka di dunia dan kalau mereka mati nanti. Atau kalimah مِن شَيءٍ itu bermaksud semua ma’bud bathil itu tidak boleh membantu mereka sedikit pun. Jangan kata banyak, sedikit pun tidak dapat tolong mereka.

 

لَّمّا جاءَ أَمرُ رَبِّكَ

di waktu azab Tuhanmu datang.

Apabila datang keputusan daripada Allah ﷻ, tidak ada sesiapa yang boleh halang. Tidak ada Nabi, wali dan malaikat pun yang dapat halang atau dapat bantu. Maka, kalau masyarakat Islam pun ada yang bergantung kepada Nabi, wali atau malaikat, itu semua pun sia-sia belaka.

Memang ada umat Islam yang tidak faham tentang agama terutama sekali wahyu Al-Qur’an, di mana mereka meletakkan pengharapan kepada Nabi, wali atau malaikat kerana mereka sangka Nabi, wali dan malaikat itu boleh membantu menyelamatkan mereka, atau menahan mereka daripada musibah dan azab. Itu adalah fahaman syirik yang perlu ditinggalkan. Namun untuk faham, kenalah belajar tafsir Al-Qur’an.

 

وَما زادوهُم غَيرَ تَتبيبٍ

Dan sembahan-sembahan itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali kebinasaan.

Roh-roh itu tidak menambah kebaikan kepada mereka melainkan kebinasaan sahaja. Kalimah تَتبيبٍ daripada katadasar ت ب ب yang bermaksud potong, binasa, hilang, rosak. Mereka yang menyeru selain Allah ﷻ itu telah melakukan perkara yang sia-sia kerana roh-roh sembahan mereka itu pun tidak mengaku yang mereka dipuja. Sebagai contoh, apabila ditanya kepada Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, baginda tidak mengaku yang baginda pernah menyuruh umatnya menyembah baginda.

Nanti roh-roh pujaan mereka itu bukannya akan menyelamatkan mereka sebaliknya mereka yang akan menjadi saksi atas puak yang menyembah itu, mengatakan mereka itu sembah ‘bertepuk sebelah tangan’ sahaja. Yang disembah tidak tahu menahu pun yang mereka disembah kerana mereka telah mati. Cuma puak yang menyembah sahaja yang memandai-mandai sembah.

Ini adalah kerana mereka hanya menurut membabi buta cakap guru-guru sesat mereka yang mengajar. Sebagaimana ramai dalam kalangan orang kita yang belajar silat, apabila mendapat apa-apa amalan daripada guru silat mereka, mereka amalkan sahaja. Sedangkan amalan mereka itu banyak yang menyeru jin, tetapi disebabkan mereka jahil, mereka tidak tahu. Mereka hanya memandang guru silat mereka hebat, mereka sangka kalau mereka amalkan amalan yang sama, mereka pun menjadi hebat juga.

Kerana kepercayaan mereka itulah yang menyebabkan kebinasaan kepada mereka. Mereka membuang masa dengan amalan yang salah dan kerana mereka percaya dengan perkara syirik itu, mereka tetap terus mengamalkannya. Inilah bahayanya apabila mengikut orang yang salah seperti disebut dalam Nuh: 21

قالَ نوحٌ رَبِّ إِنَّهُم عَصَوني وَاتَّبَعوا مَن لَم يَزِدهُ مالُهُ وَوَلَدُهُ إِلّا خَسارًا
Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya, mereka telah menderhaka kepadaku, dan mereka telah menurut orang yang harta bendanya dan anak-pinaknya tidak menambahinya melainkan kerugian (di akhirat kelak).

Maka ini mengajar kita supaya berhati-hati di dalam mengikut orang di dalam hal agama kerana jikalau kita tersilap pilih orang untuk dijadikan sebagai ikutan kita, maka kita akan rugi di dunia dan juga di akhirat.


 

Hud Ayat 102: Takhwif duniawi.

وَكَذٰلِكَ أَخذُ رَبِّكَ إِذا أَخَذَ القُرىٰ وَهِيَ ظٰلِمَةٌ ۚ إِنَّ أَخذَهُ أَليمٌ شَديدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And thus is the seizure of your Lord when He seizes the cities while they are committing wrong. Indeed, His seizure is painful and severe.

(MALAY)

Dan begitulah azab Tuhanmu, apabila Dia mengazab penduduk negeri-negeri yang berbuat zalim. Sesungguhnya azab-Nya itu adalah sangat pedih lagi keras.

 

وَكَذٰلِكَ أَخذُ رَبِّكَ

Dan begitulah azab Tuhanmu,

Begitulah Allah ﷻ telah menceritakan azab-azab yang dikenakan kepada mereka yang mengamalkan syirik, menolak rasul-rasul mereka dan berbuat kerosakan agama di dunia. Apabila Allah ﷻ letak كَذٰلِكَ bermaksud sebagaimana telah dikenakan terhadap umat-umat sebelum ini, maka ia boleh dikenakan pada mana-mana zaman. Maka ambillah pengajaran daripada apa yang terjadi kepada mereka itu. Azab Allah ﷻ itu tidak ada siapa pun yang dapat menghalangnya.

 

إِذا أَخَذَ القُرىٰ وَهِيَ ظٰلِمَةٌ

apabila Dia mengazab penduduk negeri-negeri yang berbuat zalim. 

Kisah-kisah azab itu dikenakan kepada kawasan-kawasan itu ketika mereka zalim dalam syirik. Memang mereka tidak ada alasan lagi untuk mempertahankan diri mereka. Sepertimana orang yang ditangkap semasa sedang membuat kesalahan, bak kata pepatah Inggeris: ‘Caught red handed’.


Ini adalah PERINGATAN KERAS daripada Allah ﷻ, bahawa hukuman yang telah disebut kepada umat-umat itu akan tetap dijatuhkan kepada negeri-negeri selanjutnya. Bukan di zaman Nuh, Hud, Saleh, Ibrahim atau Luth atau Syu’aib atau Musa itu sahaja. Bahkan di setiap zaman dan di setiap kaum, selama di dunia ini masih ada negeri-negeri, dan selama negeri-negeri itu masih ada manusia.

Sekiranya mereka bertindak menganiayai, berbuat zalim, tidak menegakkan keadilan dan kebenaran; semuanya akan dijatuhkan hukuman yang setimpal. Entah taufan dan ribut dahsyat sehingga banjir besar yang menimpa kaum Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Entah angin besar yang dahsyat menghancurkan seluruh kampung halaman dan penduduknya, sebagaimana yang telah dikenakan kaum Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, entah pekik suara seram yang memusnahkan seperti yang dikenakan kepada kaum Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Syu’aib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, atau ditunggang-balikkan seperti kaum Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, entah ditenggelamkan di lautan seperti Fir’aun yang merasa diri gagah perkasa itu. Maka janganlah berasa selesa sangat ya.

 

إِنَّ أَخذَهُ أَليمٌ شَديدٌ

Sesungguhnya azab-Nya itu adalah sangat pedih lagi keras.

Ketahuilah, azab Allah ﷻ itu amat menyakitkan, tidak ada sesiapapun yang akan sanggup menghadapinya. Malah akan kekal pula di dalam azab itu, mahukah kamu mengalami perkara sedemikian? Maka, janganlah meringan-ringankan perkara tentang syirik ini, memang tidak berbaloi langsung. Kalau ada perkara-perkara yang meragukan, tinggalkanlah sahaja, itu lebih selamat.

Nabi ﷺ pernah bersabda tentang ayat ini:

عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ لَيُمْلِي لِلظَّالِمِ حَتَّى إِذَا أَخَذَهُ لَمْ يُفْلِتْهُ قَالَ ثُمَّ قَرَأَ وَكَذَلِكَ أَخْذُ رَبِّكَ إِذَا أَخَذَ الْقُرَى وَهِيَ ظَالِمَةٌ إِنَّ أَخْذَهُ أَلِيمٌ شَدِيدٌ
Daripada [Abu Musa رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ] dia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya Allah ﷻ akan menangguhkan seksaan bagi orang yang berbuat zalim. Dan apabila Allah ﷻ telah menghukumnya, Dia tidak akan pernah melepaskannya.” Kemudian Rasulullah ﷺ membaca ayat yang berbunyi: ‘Begitulah azab Tuhanmu, apabila Dia mengazab penduduk negeri-negeri yang berbuat zalim. Sesungguhnya azab-Nya itu sangat pedih dan keras.’ (Hud:102).
(Sahih Bukhari (4318))


 

HARI PEMBALASAN

Hud Ayat 103: Ayat takhwif ukhrawi.

إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لِّمَن خافَ عَذابَ الآخِرَةِ ۚ ذٰلِكَ يَومٌ مَّجموعٌ لَّهُ النّاسُ وَذٰلِكَ يَومٌ مَّشهودٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed in that is a sign for those who fear the punishment of the Hereafter. That is a Day for which the people will be collected, and that is a Day [which will be] witnessed.

(MALAY)

Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat pelajaran bagi orang-orang yang takut kepada azab akhirat. Hari kiamat itu adalah suatu hari yang semua manusia dikumpulkan untuk (menghadapi)nya, dan hari itu adalah suatu hari yang disaksikan (oleh segala makhluk).

 

إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لِّمَن خافَ عَذابَ الآخِرَةِ

Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda bukti bagi orang-orang yang takut kepada azab akhirat.

Telah disebut dalam ayat-ayat sebelum ini tentang azab dunia yang dikenakan kepada mereka yang ingkar. Memang azab dunia yang telah disebut itu sebagai pengajaran yang besar, namun ia hanya berkesan bagi sesiapa yang takutkan azab di akhirat kelak kerana bukanlah semua mendapat azab dunia. Ada yang selamat sahaja. Namun kita kena sedar dan yakin bahawa akan ada azab akhirat untuk mereka yang zalim.

Maka begitulah peringatan yang sangat hebat daripada Al-Qur’an ini hanya memberi manfaat kepada orang yang takut kepada akhirat sahaja seperti disebut dalam Qaf: 45

فَذَكِّر بِالقُرءآنِ مَن يَخافُ وَعيدِ
Maka beri peringatanlah dengan Al-Qur’an kepada orang yang takut dengan ancaman-Ku.

Maka kerana itulah peringatan yang kita berikan kepada manusia mesti mengandungi ancaman tentang azab-azab di akhirat. Jangan pula di dalam kita berdakwah kita hanya memberikan berita-berita gembira sahaja kepada manusia kerana manusia memerlukan ancaman disampaikan kepada mereka. Ini kerana dengan ada rasa takut dengan ancaman itulah yang menyebabkan manusia taat kepada arahan Allah ‎ﷻ.

Meletusnya gunung, mengalirnya lahar, menderunya angin taufan dan bunyi guruh-petir yang amat menakutkan, negeri yang ditenggelamkan dalam lahar, atau hancur kerana gempa, dan lain-lain sebagainya, semuanya itu adalah tanda, atau bukti akan betapa mudahnya bagi Tuhan melakukan kehendak-Nya. Semuanya itu belum seberapa jika dibandingkan dengan azab akhirat kelak. Orang yang beriman akan bertambah takut dan patuhnya kepada Tuhan apabila membaca ancaman di akhirat.

 

ذٰلِكَ يَومٌ مَّجموعٌ لَّهُ النّاسُ

Hari kiamat itu adalah suatu hari yang semua manusia dikumpulkan di dalamnya,

Kalimah لَهُ di dalam ayat ini bermaksud في. Semua manusia akan dikumpulkan pada satu tempat (yang dinamakan Mahsyar) untuk menghadapi perbicaraan Allah ‎ﷻ. Segala perbuatan kita semasa di dunia akan diaudit dan akan dinilai. Waktu itu sudah terlambat kalau hendak memperbaiki segala kesalahan kita semasa di dunia dulu kerana tidak boleh kembali ke dunia lagi. Maka janganlah kita tunggu hari Mahsyar itu baru kita mahu beriman, baru mahu mengubah perangai kita.

Mahsyar itu bukanlah tempat untuk kita memperbaiki diri kita lagi, akan tetapi ia adalah tempat yang amat menyesakkan diri. Ini kerana manusia akan berada di Mahsyar untuk jangka masa yang lama, ulama’ mengatakan jangka masa di sana adalah selama 50,000 tahun. Jikalau kita ada masalah beragama semasa kita di dunia, maka di Mahsyar lagi kita sudah mendapat azab sengsara kerana penantian yang sangat lama.

 

وَذٰلِكَ يَومٌ مَّشهودٌ

dan hari itu adalah suatu hari yang disaksikan

Semua akan nampak segala kejadian pada hari itu dengan jelas, dengan mata kepala sendiri. Kalau dulu semasa di dunia tidak percaya, nah waktu itu semua akan nampak dengan jelas sekali.

Itulah hari yang sangat besar, dihadiri oleh para malaikat; pada hari itu berkumpul pula semua para rasul, dan semua makhluk yang terdiri atas golongan jin, manusia, burung-burung, binatang-binatang liar serta semua binatang ternak dihimpunkan. Lalu pada hari itu Tuhan Yang Maha Adil akan menjalankan hukum-Nya tanpa berbuat aniaya walau seberat zarrah pun; jika amal perbuatan berupa suatu kebaikan, maka Dia melipatgandakan pahalanya.


 

Hud Ayat 104:

وَما نُؤَخِّرُهُ إِلّا لِأَجَلٍ مَّعدودٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We do not delay it except for a limited term.

(MALAY)

Dan Kami tiadalah melewatkannya, melainkan sampai waktu yang tertentu.

 

Allah ‎ﷻ boleh menjadikan Hari Kiamat itu bila-bila masa sahaja, tetapi ia tidak terjadi lagi kerana Allah ﷻ telah tentukan bila ia akan terjadi. Kalimah مَّعدودٍ daripada katadasar ع د د yang bermaksud mengira; nombor; bilangan yang ditentukan; tempoh yang ditetapkan; menyediakan. Waktu itu telah ditetapkan dan hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu bilakah ia akan berlaku. Ia adalah rahsia Allah ﷻ dan tidak ada sesiapa yang mengetahuinya termasuklah para malaikat yang hampir dengan Allah ﷻ.

Lihatlah firman Allah ﷻ ini di dalam Ma’arij:6-7

إِنَّهُم يَرَونَهُ بَعيدًا
Sesungguhnya mereka memandang azab itu jauh (daripada berlaku),

وَنَرىٰهُ قَريبًا
Sedang Kami memandangnya dekat,

Sekiranya kita terasa lama lagi hari itu akan datang, sedarlah kerana kita alpa akan ia. Namun apabila kita menggunakan akal fikiran yang sihat, dapatlah kita perbandingkan kepada usia kita sendiri dalam dunia ini. Kita kadang-kadang merasa usia kita masih panjang dan saat kematian masih jauh. Padahal kita telah lupa bahawa setiap hari yang berlalu, sehari usia kita telah kurang. Kita sebenarnya sedang menuju kepada Kiamat Kecil kita yang akan datang sebelum Kiamat Besar. Jangan kita leka sangat dengan dunia ini sampai tidak membuat persediaan untuk akhirat.


 

Hud Ayat 105: Takhwif Ukhrawi

يَومَ يَأتِ لا تَكَلَّمُ نَفسٌ إِلّا بِإِذنِهِ ۚ فَمِنهُم شَقِيٌّ وَسَعيدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The Day it comes no soul will speak except by His permission. And among them will be the wretched and the prosperous.

(MALAY)

Di kala datang hari itu, tidak ada seorang pun yang berbicara, melainkan dengan izin-Nya; maka di antara mereka ada yang celaka dan ada yang berbahagia.

 

يَومَ يَأتِ لا تَكَلَّمُ نَفسٌ إِلّا بِإِذنِهِ

Di kala datang hari itu, tidak ada seorang pun yang berbicara, melainkan dengan izin-Nya; 

Pada hari itu, tidak boleh sesiapa pun yang bercakap melainkan dengan izin Allah ﷻ. Memang waktu itu semua dalam keadaan ketakutan sampai tidak berani untuk bersuara walau sepatahpun kerana terlalu takut. Semasa di dunia, mereka pandai berhujah, bercakap sana sini, tetapi di hari akhirat itu tidak berani bercakap langsung.

Di sini dibayangkan betapa hebat, betapa dahsyatnya hari itu kelak. Kalau sekarang di dunia, 5 orang ada bersama tetapi tidak bercakap pun sudah pelik, bukan? Apabila hari itu datang, hari itu tidak akan diundur-undur, kerana masanya telah ditentukan di dalam rencana Allah ﷻ. Waktu itu, tidak ada seorang jua pun yang akan dapat membuka mulutnya, kerana kehebatan dan kedahsyatannya. Padahal entah berapa orang nanti akan ada di sana. Dari yang pertama dicipta sehinggalah yang terakhir sekali mati pada hari Kiamat. Semuanya senyap! Allah ﷻ sebut keadaannya di dalam Taha: 108

يَومَئِذٍ يَتَّبِعونَ الدّاعِيَ لا عِوَجَ لَهُ ۖ وَخَشَعَتِ الأَصواتُ لِلرَّحمٰنِ فَلا تَسمَعُ إِلّا هَمسًا
Pada hari itu mereka menurut seruan panggilan yang menyeru mereka dengan tidak dapat melencong daripada menurutnya; dan diam khusyuklah segala suara kepada Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya sehingga engkau tidak mendengar melainkan bunyi yang amat perlahan.

Begitulah keadaan yang menakutkan sampai tidak akan mampu untuk berkata-kata. Di dalam hadith disebut bayangan keadaan di Mahsyar nanti,

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ يُحْشَرُ النَّاسُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حُفَاةً عُرَاةً غُرْلًا قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ النِّسَاءُ وَالرِّجَالُ جَمِيعًا يَنْظُرُ بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ قَالَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا عَائِشَةُ الْأَمْرُ أَشَدُّ مِنْ أَنْ يَنْظُرَ بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ
[Aisyah رضي الله عنها] berkata: Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Manusia dikumpulkan pada hari kiamat dalam keadaan tidak beralas kaki, telanjang dan kulup.” Aku bertanya: Wahai Rasulullah, wanita-wanita dan lelaki-lelaki semua saling melihat satu sama lain? Baginda menjawab: “Wahai Aisyah, permasalahnnya lebih sulit daripada saling melihat satu sama lain.”
(Sahih Muslim (5102))

Jika berada di mahkamah di dunia pun, apabila hakim-hakim telah bersidang, dan setelah hakim-hakim mengambil tempat duduknya, tidak seorang pun yang berani membuka mulut kerana terpukau oleh kebesaran dan kehebatan majlis itu, apatah lagi di hari Kiamat, yang Allah ‎ﷻ sendiri yang membuka persidangan itu. Tiada mulut yang dapat dibuka, terdiam terpaku semuanya.

Sememangnya tidak dibenarkan sesiapa pun bercakap, melainkan Allah ﷻ sahaja yang memberi kebenaran untuk bercakap. Apabila Allah ﷻ sudah beri kebenaran, baru berani untuk bercakap. Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam Naba’: 38

يَومَ يَقومُ الرّوحُ وَالمَلائِكَةُ صَفًّا ۖ لا يَتَكَلَّمونَ إِلّا مَن أَذِنَ لَهُ الرَّحمٰنُ وَقالَ صَوابًا
(Tambahan pula) pada masa Jibril dan malaikat-malaikat yang lain berdiri bersaf-saf (menunggu perintah Tuhan), tidak ada yang berani berkata-kata (memohon pertimbangan) melainkan yang telah diizinkan baginya oleh Tuhan Yang Maha Pemurah, serta dia berkata benar.

Antara yang dibenarkan bercakap adalah para Nabi, juga orang-orang yang rapat dengan Allah ﷻ. Iaitu mereka itu hanya boleh bercakap setelah diizinkan oleh Allah ﷻ dan setelah ketakutan mereka itu reda sedikit. Disebut juga dalam Taha: 108-109

يَومَئِذٍ يَتَّبِعونَ الدّاعِيَ لا عِوَجَ لَهُ ۖ وَخَشَعَتِ الأَصواتُ لِلرَّحمٰنِ فَلا تَسمَعُ إِلّا هَمسًا
Pada hari itu mereka menurut seruan panggilan yang menyeru mereka dengan tidak dapat melencong daripada menurutnya; dan diam khusyuklah segala suara kepada Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya sehingga engkau tidak mendengar melainkan bunyi yang amat perlahan.

يَومَئِذٍ لا تَنفَعُ الشَّفاعَةُ إِلّا مَن أَذِنَ لَهُ الرَّحمٰنُ وَرَضِيَ لَهُ قَولًا
Pada hari itu, tidak berfaedah syafaat (daripada dan kepada sesiapapun) kecuali orang yang diizinkan oleh Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya, dan kepada orang yang diredhai perkataannya.

Dalam ayat Naba’: 38 pemberi syafaat hanya boleh memberi syafaat apabila dibenarkan oleh Allah ﷻ sahaja. Manakala di dalam ayat Taha: 109 ini pemberian syafaat itu hanya diberikan kepada yang layak sahaja. Maka siapakah yang diredhai itu? Tentulah mereka yang mengikut ajaran para Rasul.

Seandainya ada yang hendak mempertahankan diri mereka, mereka akan disuruh senyap seperti disebut dalam Mukminoon: 108

قالَ اخسَئوا فيها وَلا تُكَلِّمونِ
Allah berfirman: “Tinggallah dengan hina di dalamnya, dan janganlah kamu berbicara dengan Aku.

Balaghah: hazf pada huruf ي pada kalimah يَأتِ yang bermaksud ‘datang’. Kalimah يَأتِ daripada kata dasar أ ت ي yang sepatutnya ada ي tetapi telah dihilangkan (hazf). Apabila ada hazf dan tidak disebabkan oleh nahu, maka ada elemen balaghah di dalamnya. Iaitu ada sesuatu yang Allah ﷻ hendak beritahu secara tersirat.

Apabila ada hazf pada huruf ي, dari segi balaghah ia hendak membawa maksud ‘berterusan’. Allah ﷻ hendak membezakan Hari Akhirat itu dengan hari-hari kita yang biasa sekarang kerana hari kita sekarang bersilih ganti. Hari ini lain dan hari esok bertukar kepada hari yang baru.

Akan tetapi Hari Akhirat yang dimaksudkan dalam ayat ini berkekalan. Tidak akan bertukar ganti, apabila ia datang, ia akan terus sahaja sampai bila-bila kerana akhirat tidak ada penghujung. Sebab itulah namanya pun ‘akhir’ kerana tidak ada hari lain selepas itu.

Sekarang bandingkan dengan ayat Baqarah: 258

قَالَ إِبْرَاهِيمُ فَإِنَّ اللَّهَ يَأْتِي بِالشَّمْسِ مِنَ الْمَشْرِ
Nabi Ibrahim berkata lagi: “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur,

Dalam ayat Baqarah ini, digunakan kalimah يَأْتِي di mana ي dikekalkan. Ini adalah kerana terbit matahari dari timur itu tidak berterusan. Nanti akan datang satu waktu yang matahari akan terbit dari barat. Keluarnya matahari tidak kekal kerana apabila kiamat nanti, ia tidak keluar lagi kerana matahari akan dihancurkan.

Begitu, lihat Ibrahim: 31. Cerita dalam ayat ini lebih kurang dengan Hud: 105 ini tetapi zikru ي di dalamnya.

قُل لِّعِبَادِيَ الَّذِينَ آمَنُوا يُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُنفِقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِيَ يَوْمٌ لَّا بَيْعٌ فِيهِ وَلَا خِلَالٌ
Katakanlah kepada hamba-hamba-Ku yang beriman: hendaklah mereka mendirikan sembahyang dan mendermakan daripada apa yang kami kurniakan kepada mereka, sama ada dengan merahsiakan pemberiannya itu atau dengan terbuka; sebelum datangnya hari yang tidak ada jual beli padanya, dan tidak ada sahabat handai (yang dapat memberikan pertolongan).

Kita lihat ada zikru (pengekalan) ya dalam يَأْتِيَ. Ini adalah kerana Allah ﷻ suruh solat dan infak kepada orang yang beriman. Namun arahan ini bukanlah untuk selama-lamanya. Bila akhirat sudah bermula, maka tidak ada lagi ibadat; atau apabila seseorang itu sudah mati, tentulah tiada amal dalam alam barzakh.

 

فَمِنهُم شَقِيٌّ وَسَعيدٌ

maka di antara mereka ada yang celaka dan ada yang berbahagia.

Manusia akan dibahagikan kepada dua golongan nanti: Ahli Neraka dan Ahli Syurga. Akhirnya nanti setelah perbicaraan dijalankan, hanya ada dua golongan ini sahaja. Di dunia ada banyak mazhab namun di akhirat kelak hanya ada dua ini sahaja.

Sebenarnya, tempat kita di akhirat telah ditentukan, sama ada menjadi ahli syurga atau ahli neraka. Ini adalah persoalan tentang qada’ dan qadar yang menjadi rahsia Allah. Para sahabat juga sudah bertanyakan hal ini sebelum kita,

عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ لَمَّا نَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةَ { فَمِنْهُمْ شَقِيٌّ وَسَعِيدٌ } سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ يَا نَبِيَّ اللَّهِ فَعَلَى مَا نَعْمَلُ عَلَى شَيْءٍ قَدْ فُرِغَ مِنْهُ أَوْ عَلَى شَيْءٍ لَمْ يُفْرَغْ مِنْهُ قَالَ بَلْ عَلَى شَيْءٍ قَدْ فُرِغَ مِنْهُ وَجَرَتْ بِهِ الْأَقْلَامُ يَا عُمَرُ وَلَكِنْ كُلٌّ مُيَسَّرٌ لِمَا خُلِقَ لَهُ
Dari [Umar bin Al Khaththab] berkata: Ketika turun ayat: “Maka di antara mereka ada yang celaka dan ada yang berbahagia.” (Hud: 105) aku bertanya kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Salam: Wahai Nabi Allah, apakah kami melakukan amalan berdasarkan sesuatu yang telah ditentukan ataukah berdasarkan sesuatu yang belum ditentukan? Baginda menjawab: “Berdasarkan sesuatu yang telah ditentukan (takdirnya), dan itu telah digariskan oleh pena, wahai Umar. Akan tetapi setiap orang diberi kemudahan untuk sesuatu yang diciptakan untuknya.”
Jami’ Tirmizi (3036) Status: Hasan Gharib

Aduh, alangkah takutnya! Kalimah شَقِيٌّ daripada katadasar ش ق ي yang bermaksud sengsara; jahat; celaka; tidak berpuas hati; paling jahat; bermasalah. Ia lawan kepada سَعيدٌ yang bermaksud berbahagia. Keputusan yang diberikan kepada mereka ini bergantung kepada amalan yang mereka lakukan semasa di dunia. Oleh itu mereka hanya diberikan dengan hasil usaha mereka sahaja iaitu mereka yang mengikut ajaran para Rasul.

Sedangkan di dunia ini pun sudah gelisah anak-anak pelajar menurut tarafnya, baik siswa atau mahasiswa yang menunggu, dan menunggu lagi, dengan dada berdebar-debar, adakah dia lulus dan diterima, atau dia jatuh dalam ujian dan masa depannya menjadi gelap. Sedangkan itu pun sudah mendebarkan hati, maka apalah ertinya yang demikian itu jika dibandingkan dengan keadaan di hari yang dijanjikan itu, di mana berbondong manusia yang tidak dapat digambarkan berapa banyaknya mereka dan kita nanti.

Takutlah mereka nanti menunggu keputusan nasib. Sedang perhitungan dijalankan, mereka tentu teringat akan kesalahan yang pernah dilakukan di kala hidup, adakah agaknya mendapat ampunan Tuhan atau tidak. Bgi yang pernah berbuat kebaikan pula mereka tentu akan terfikir: diterimakah agaknya di sisi Tuhan? Manakah agaknya yang berat, kejahatankah atau kebaikan? Nerakakah yang menunggu atau Syurga?

Akan tetapi Allah ﷻ juga ada menyebut tentang orang-orang yang menjadi gembira kerana mereka diberi dengan balasan atas kebaikan yang mereka telah lakukan semasa di dunia. Semoga kita semua menjadi orang yang bernasib baik dan dapat bergembira di akhirat kelak. Aameen.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 11 Mei 2025

Ringkasan Surah Hud


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah Hud Ayat 97 – 100 (Balasan kepada Firaun)

Hud Ayat 97:

إِلىٰ فِرعَونَ وَمَلَإيْهِ فَاتَّبَعوا أَمرَ فِرعَونَ ۖ وَما أَمرُ فِرعَونَ بِرَشيدٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

To Pharaoh and his establishment, but they followed the command of Pharaoh, and the command of Pharaoh was not [at all] discerning.

(MALAY)

kepada Fir’aun dan pemimpin-pemimpin kaumnya, tetapi mereka mengikut perintah Fir’aun, padahal perintah Fir’aun sekali-kali bukanlah (perintah) yang benar.

 

إِلىٰ فِرعَونَ وَمَلَإيْهِ

kepada Fir’aun dan pemimpin-pemimpin kaumnya,

Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diutuskan kepada Firaun dan pemimpin-pemimpin bawahannya yang memerintah Mesir waktu itu. Walaupun bukanlah kepada mereka sahaja, namun ditekankan tentang mereka kerana merekalah yang banyak menentang dakwah baginda dan juga kerana mereka itu pemimpin. Masyarakat selalunya akan mengikut pemimpin. Kalau pemimpin sudah terima hidayah, maka senang masyarakat untuk terima. Walaupun Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (dan Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) diutuskan kepada bangsa Qibti secara keseluruhan, di sini hanya disebut Firaun dan para pemimpin sahaja.

Kenapa kena pergi kepada Firaun dan dakwah kepadanya? Kerana dia sudah melampau sangat. Disebut dalam Naazi’at: 17

ٱذهَب إِلَىٰ فِرعَونَ إِنَّهُ ۥ طَغَىٰ
“Pergilah kamu kepada Fir’aun, sesungguhnya dia telah melampaui batas,

Apabila berdakwah dan menegur orang yang salah, kena pergi kepada orang itu. Bukannya tunggu orang itu yang datang kerana orang yang zalim, tidak sesekali akan menyerah tengkuknya untuk kita menegurnya pula. Malah tentu sekali dia tidak akan mengaku salah, maka kita kena berhujah dengan dia.

Disebabkan itulah ada masalah dengan gerakan dakwah di negara kita kerana kebanyakan pendakwah hanya menunggu orang ramai untuk datang ke kelas. Kemudian kelas itu dikenakan yuran pula. Memang tidaklah ada orang yang datang. Kalau ada yang datang pun, itu sudah tentu orang yang sudah baik-baik, yang memang hendak belajar.

Ternyata berdakwah ini memang bukan kerja yang senang. Maka kerana itulah Allah ﷻ menyediakan bekal apakah yang perlu dilakukan oleh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ apabila berhadapan dengan Firaun. Allah ﷻ ajar di dalam Taha: 42-44

اذهَب أَنتَ وَأَخوكَ بِآياتي وَلا تَنِيا في ذِكرِي
“Pergilah, engkau dan saudaramu, membawa mukjizat-mukjizat pengurniaan-Ku dan janganlah kamu berdua lemah dan cuai dalam menyebut serta mengingati Daku.

اذهَبا إِلىٰ فِرعَونَ إِنَّهُ طَغىٰ
“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya.

فَقولا لَهُ قَولًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَو يَخشىٰ
“Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut”.

Pengajaran juga kepada kita dalam ayat-ayat ini, semasa berdakwah jangan lupa ingat Allah ﷻ kerana Allah ﷻlah yang memberi hidayah dan kekuatan kepada kita untuk berdakwah. Malah hujah pun datang daripada Allah ﷻ juga. Selain itu, hendaklah kita menggunakan bahasa yang lembut kerana manusia melihat kepada akhlak kita sebenarnya. Kalau kita berkasar dan berkeras, maka orang akan tutup telinga mereka daripada mendengar kata-kata kita.

Dalam ayat ini disebut ‘pembesar-pembesar’. Mereka inilah yang ada masalah selalunya. Mereka adalah orang-orang yang berkuasa pada zaman mereka. Mereka inilah golongan yang ada kuasa, ada harta dan ada pengaruh dalam masyarakat. Mereka tidak suka kalau agama yang benar ditegakkan kerana mereka akan kerugian dalam bentuk keduniaan. Bagaimana dengan orang kebanyakan? Orang kebanyakan akan mengikut sahaja kata-kata pembesar mereka.

Mereka inilah juga yang selalunya menjadi penentang jalan Sunnah yang kuat di Malaysia ini. Kalau di masjid, mereka itu adalah imam-imam, pengerusi masjid, ahli jawatankuasa surau. Kalau di kampung pula, mereka itulah ahli JKKK dan sebagainya iaitu mereka yang ada pangkat. Orang awam kemudian mengikut sahaja kata-kata orang yang ada kuasa ini. Yang disebut ini sebagai contoh sahaja, bukanlah mereka itu semestinya menentang agama. Cuma di sini hendak menjelaskan siapakah ketua masyarakat itu.

Firaun ada para penyokongnya, yang boleh juga ditafsirkan dengan orang-orang yang mengelilinginya, atau dalam bahasa yang lebih moden lagi: ‘Rejim’nya atau gengnya. Kebiasannya seorang raja yang memerintah dengan kehendak sendiri, mesti mempunyai geng, atau penyokong-penyokong, pembantu atau staf atau lebih besar lagi; “orang-orang yang mengelilingi” atau penjilat-penjilat yang selalu memuji dan memuja dan memasukkan usul dan saranan untuk memperkuat kedudukan “daulat tuanku” yang sedang berkuasa itu. Sudah terang bagaimanapun puncak kekuasaan yang dicapai oleh seorang ketua, dia tidak akan dapat memperkukuh kekuasaan, kalau tidak ada rejim yang menyokong. Di antara orang-orang seperti ini dengan si puncak kekuasaan adalah beri-memberi: ‘Aku sudah puji engkau, jadi naikkan pangkat aku. Aku beri engkau kehormatan tertinggi, jadi puja aku seperti Tuhan!

 

فَاتَّبَعوا أَمرَ فِرعَونَ

maka mereka mengikut perintah Fir’aun,

Pemimpin masyarakat dan termasuk juga kaumnya hanya mengikut arahan Firaun dan bukan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mereka takut kalau mereka ikut Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan tinggalkan Firaun, akan jatuh kedudukan mereka dalam masyarakat dan akan susah di dunia, maka mereka tetap taat kepada Firaun dan tidak berani untuk menolak arahan Firaun. Mereka sanggup menolak seorang Rasulullah hanya kerana mahu mengikut seorang pemimpin yang zalim.

Dek kerana taat setia kepada Firaun, lama-lama kemerdekaan jiwa mereka tidak ada lagi, mereka tidak merdeka lagi menyebut kebenaran, sebab lidah mereka telah dipotong dengan harta, mulut mereka telah disumbat dengan emas, dan kebebasan diri telah terikat dan terbelenggu oleh pangkat-pangkat yang tinggi. Maka terjadilah apa yang selalu bertemu dalam ungkapan kuno: “Ampun Tuanku. ⁣Titah perintah Tuanku, patik junjung di atas batu jemala patik.”. Walaupun titah itu jauh daripada garis kebenaran.

Memang selama itu mereka akan ikut sahaja apa kata Firaun. Ini adalah kerana Firaun ini bukan sahaja pandai beri hujah, tetapi dia juga pandai memerintah dengan cara kuku besi. Dia mengamalkan apa yang dikatakan ‘pecah dan perintah’. Dia memperbodohkan rakyatnya supaya tidak ada yang pandai sampai berani menentangnya. Memang kalau rakyat pandai, susah untuk kerajaan diktator mengawal mereka. Oleh kerana itulah diktator hanya memberikan ilmu cukup-cukup sahaja, setakat boleh baca sahaja. Cara Firaun ini disebut dalam Zukhruf: 54

فَاستَخَفَّ قَومَهُ فَأَطاعوهُ ۚ إِنَّهُم كانوا قَومًا فٰسِقينَ
maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasiq – derhaka.

Dalam ayat Zukhruf: 54 ini kita mendapat tahu yang mereka itu diperbodohkan oleh Firaun kerana mereka itu fasiq. Inilah balasan yang Allah ﷻ berikan kepada mereka kerana mereka fasiq.

Semoga kerajaan dan pemimpin kita dan orang-orang yang di atas kita tidaklah melakukan perkara yang sama seperti Firaun ini. Untuk negara menjadi maju, maka rakyatnya mestilah diberikan dengan ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan yang paling utama adalah ilmu agama dan ilmu agama yang paling utama adalah tafsir Al-Qur’an dan juga pemahaman hadith.

Alhamdulillah negara kita sudah menuju ke arah itu apabila sudah mula untuk mengadakan silibus pengajian 40 hadith Imam Nawawi. Semoga kerajaan menjadi semakin berani untuk menerapkan pelajaran tafsir Al-Qur’an pula kepada anak-anak kita di sekolah. Bayangkan kalau semenjak muda lagi sudah diterapkan tafsir Al-Qur’an ke dalam pendidikan anak-anak kita ini, alangkah hebatnya kita nanti! Barulah boleh kita menguasai dunia kembali seperti zaman awal Islam!

 

وَما أَمرُ فِرعَونَ بِرَشيدٍ

padahal perintah Fir’aun sekali-kali bukanlah (perintah) yang bijaksana.

Mereka menurut sahaja arahan Firaun walaupun arahan itu tidak betul, bukan bijak pula kata-katanya. Dia bukanlah pemimpin yang baik malah menghancurkan mereka. Kajian tentang apa yang terjadi ini perlu dilakukan kerana walaupun ia telah berlaku beribu tahun dahulu, tetapi perkara yang sama berlaku lagi sepanjang zaman. Ramai rakyat hanya mengikut apa yang dikatakan oleh pemimpin mereka sahaja, tanpa usul periksa. Mereka sanggup menolak kebenaran walaupun ia akan membahayakan mereka.

Begitulah juga dengan masyarakat kita. Kalau dalam beragama, mereka akan mengikut sahaja ustaz-ustaz yang popular yang banyak pengikut berstatus selebriti dan pernah masuk TV dan terkenal di media sosial. Walaupun ajaran para ustaz itu tidak ada dalil tetapi setakat pendapat atau dicedok daripada kitab sahaja. Kadang-kadang viral pendapat yang karut, menjadikan susah pula kerja kita terpaksa memberikan penerangan untuk menjelaskan yang kata-kata ustaz di media sosial itu tidak benar, tidak mengikut dalil, ikut sedap mulut dia sahaja. Mujurlah juga pada hari ini sudah ramai asatizah sunnah melakukan video-video ‘react’, untuk memberikan maklumat tentang kesalahan asatizah nusantara di meja penceramah.

Perintah Firaun tidak mengandungi kebenaran, tidak pula mempunyai petunjuk; melainkan hanyalah kebodohan, kesesatan, kekufuran, dan keingkaran. Sebagaimana mereka mengikuti Firaun di dunia sehingga Firaun berada di hadapan mereka sebagai pemimpin mereka, maka demikian pula halnya kelak di hari kiamat; Firaun berada di hadapan mereka menuju neraka Jahanam, lalu dia memasukkan mereka ke dalamnya dan merasakan azab tempat yang dimasukinya. Sedangkan Firaun sendiri memperoleh bahagian yang paling banyak daripada azab yang sangat besar itu.


 

Hud Ayat 98:

يَقدُمُ قَومَهُ يَومَ القِيٰمَةِ فَأَورَدَهُمُ النّارَ ۖ وَبِئسَ الوِردُ المَورودُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He will precede his people on the Day of Resurrection and lead them into the Fire; and wretched is the place to which they are led.

(MALAY)

Dia berjalan di muka kaumnya di hari kiamat lalu memasukkan mereka ke dalam neraka. Neraka itu seburuk-buruk tempat yang didatangi.

 

يَقدُمُ قَومَهُ يَومَ القِيٰمَةِ

Dia berjalan di muka kaumnya di hari kiamat

Maksudnya dia akan mendahului kaumnya masuk neraka. Dia yang di hadapan. Kalimah يَقدُمُ daripada katadasar ق د م yang bermaksud mendahului, bergerak ke hadapan. Sebagaimana di dunia ini jika Firaun berangkat ke mana-mana, dia yang berjalan di muka sekali, kenderaannya didahulukan daripada kenderaan yang lain, dan yang lain adalah semata-mata iring-iringan, maka dibayangkanlah dalam ayat ini bahawa sampai ke akhirat pun Firaun akan di muka sekali juga di dalam perjalanan menuju azab llahi.

Kejadian ini adalah di Hari Kiamat. Sedangkan selepas mereka dimatikan dalam laut itu, mereka terus dikenakan dengan azab api barzakh – mereka telah diseksa di alam barzakh. Maknanya di alam barzakh lagi mereka telah diseksa dan apabila kiamat telah bermula, Firaun akan berjalan di hadapan kaumnya. Dia dahulu yang akan masuk neraka.

 

فَأَورَدَهُمُ النّارَ

lalu memasukkan mereka ke dalam neraka. 

Dia akan mendahului pengikutnya ke dalam neraka. Kalimah أَورَدَ daripada katadasar و ر د yang bermaksud membawa seseorang dekat kepada sesuatu. Kalimah أَورَدَ bermaksud membawa seseorang ke tempat yang ada air. Di padang pasir, ini adalah perbuatan yang amat besar kerana sekiranya mereka sesat di padang pasir, kalau ada orang yang bawakan mereka ke tempat yang ada air, ini adalah jasa yang amat besar sekali.

Sebaliknya, dalam kes Firaun ini, ia adalah sebagai ejekan kepada dirinya. Ini kerana memang dia yang membawa kaumnya kepada air, tetapi kepada air yang membunuh mereka, bukan menghilangkan dahaga mereka. Iaitu bawa ke Laut Khulzum yang menyebabkan mereka semua tenggelam mati kelemasan.

Di akhirat nanti dia akan membawa kaumnya dan pengikutnya ke dalam neraka pula. Kaum dan pengikutnya pun bersalah juga, kerana mereka dahulu hanya mengikut sahaja apa yang Firaun katakan. Maka itulah balasan bagi mereka. Ini kerana seorang raja atau kepala negara tidaklah akan berani menyatakan dirinya sama berkuasa dengan Allah ﷻ, atau menjadi Tuhan, kalau tidak ada yang menyokong, kalau tidak ada yang menuhankan.

Di dalam sejarah hasil penyelidikan tentang Firaun-firaun Mesir itu terdapat keterangan bahawa pendeta-pendeta atau kahin-kahin, berdiri di samping Firaun untuk menanamkan kepada rakyat akan keyakinan bahawa Firaun itu memang Tuhan. Beribu tahun lamanya telah tertanam di dalam jiwa orang Mesir kuno itu bahawa Firaun adalah keturunan Dewa Oziris, iaitu Tuhan Langit. Dengan memelihara dan memupuk kepercayaan seperti ini, dengan gandingan Firaun dengan pemimpin-pemimpin agama, pendeta, kahin atau pedanda, kekallah kepercayaan itu dan mudahlah rakyat diperintah. Maka memang patut mereka semua dihumban masuk ke dalam neraka bersama dengan Firaun.

Sebenarnya semua kita akan melalui neraka. Lihat Maryam:71

وَإِن مِّنكُم إِلّا وارِدُها ۚ كانَ عَلىٰ رَبِّكَ حَتمًا مَّقضِيًّا
Dan tiada seorang pun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya; (yang demikian) adalah satu perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu.

Lihat kalimah وارِدُها menggunakan katadasar yang sama dengan kalimah فَأَورَدَهُمُ. Akan tetapi orang Mukmin tidaklah akan terjatuh ke dalam neraka. Ini seperti disebut dalam sebuah hadith,

الْمُؤْمِنُ عَلَيْهَا كَالطَّرْفِ وَكَالْبَرْقِ وَكَالرِّيحِ وَكَأَجَاوِيدِ الْخَيْلِ وَالرِّكَابِ فَنَاجٍ مُسَلَّمٌ وَنَاجٍ مَخْدُوشٌ وَمَكْدُوسٌ فِي نَارِ جَهَنَّمَ حَتَّى يَمُرَّ آخِرُهُمْ يُسْحَبُ سَحْبًا
( متفق عليه)
“Orang Mukmin (berada) di atasnya (sirat), ada yang secepat kerdipan mata, ada yang secepat kilat, ada yang secepat angin, ada yang secepat kuda yang amat kencang berlari, dan ada yang secepat pengendara. Maka ada yang selamat setelah tertatih-tatih dan ada pula yang dilemparkan ke dalam neraka. Mereka yang paling terakhir merangkak secara perlahan-lahan”.
(Muttafaqun ‘alaih)

 

وَبِئسَ الوِردُ المَورودُ

Neraka itu seburuk-buruk tempat yang didatangi.

Kalimah الوِردُ boleh bermaksud ‘tempat yang didatangi’. Mereka masuk ke neraka kerana mengikut Firaun dan taat kepadanya. Ternyata mereka telah membuat keputusan yang amat salah.

Kalimah الوِردُ juga boleh bermaksud ‘mereka yang dahaga’. Mereka yang dahaga selalunya akan mengikut orang yang boleh membawa mereka kepada air. Sebaliknya pengikut Firaun itu adalah teruk sekali kerana mereka mengikut Firaun bukannya kepada air yang dapat menghilangkan dahaga mereka, tetapi kepada air yang mematikan dan neraka yang akan membakar mereka.

Walaupun mereka itu pengikut sahaja, tetapi mereka tidak mempunyai alasan untuk mengelakkan diri mereka lagi kerana Allah ﷻ telah kurniakan semua manusia dengan akal untuk membuat keputusan yang waras. Akal telah diberi tetapi tidak digunakan dengan sepatutnya, hanya mengikut sahaja tanpa soal, maka jangan salahkan sesiapa apabila Allah ﷻ masukkan ke dalam neraka nanti!

Banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an membicarakan perkara ini. Ramai yang akan menyalahkan guru/pemimpin/ustaz mereka yang telah menyesatkan mereka. Mereka marah sekali tetapi kemarahan mereka itu tidak dapat menyelamatkan mereka pun nanti, kerana mereka akan sama-sama masuk ke dalam neraka dengan guru/pemimpin/ustaz mereka yang sesat.

Allah ﷻ menceritakan pula perihal orang-orang kafir, bahawa mereka di dalam neraka mengatakan:

رَبَّنَا إِنَّا أَطَعْنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَاءَنَا فَأَضَلُّونَا السَّبِيلَ رَبَّنَا آتِهِمْ ضِعْفَيْنِ مِنَ الْعَذَابِ وَالْعَنْهُمْ لَعْنًا كَبِيرًا
Dan mereka berkata, “Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan (yang benar). Ya Tuhan kami, berilah kepada mereka azab dua kali lipat ” (Al-Ahzab: 67-68), hingga akhir ayat.

Kalimah المَورودُ pula bermaksud mereka yang mengikut orang yang membawa kepada air. Juga merujuk kepada pengikut-pengikut Firaun. Mereka mahukan dunia, lalu mereka mengikut arahan Firaun maka mereka akan dimasukkan ke dalam neraka yang tidak ada peluang untuk keluar lagi. Mereka akan kekal di dalamnya.

Namun sekarang pun Firaun dan pengikutnya sedang merasai azab di Alam Barzakh. Ini disebut dalam Ghafir: 46

النَّارُ يُعْرَضُونَ عَلَيْهَا غُدُوًّا وَعَشِيًّا وَيَوْمَ تَقُومُ السَّاعَةُ أَدْخِلُوا آلَ فِرْعَوْنَ أَشَدَّ الْعَذَابِ
Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh); dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!”


 

Hud Ayat 99:

وَأُتبِعوا في هٰذِهِ لَعنَةً وَيَومَ القِيٰمَةِ ۚ بِئسَ الرِّفدُ المَرفودُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they were followed in this [world] with a curse and on the Day of Resurrection. And wretched is the gift¹ which is given.

  • i.e., the curse which follows them in both worlds.

(MALAY)

Dan mereka selalu diikuti dengan laknat di dunia ini dan (begitu pula) di hari kiamat. Laknat itu seburuk-buruk pemberian yang diberikan.

 

وَأُتبِعوا في هٰذِهِ لَعنَةً

Dan mereka selalu diikuti dengan laknat di sini 

Mereka itu telah dilaknat semasa di dunia lagi. Laknat itu akan ikut mereka sahaja ke mana sahaja mereka pergi. Laknat itu maksudnya mereka tidak akan mendapat rahmat daripada Allah ﷻ.

 

وَيَومَ القِيٰمَةِ

dan (begitu pula) di hari kiamat.

Bukan sahaja di dunia mereka mendapat laknat, di Hari Kiamat juga nanti mereka tidak akan mendapat rahmat daripada Allah ﷻ kerana Allah ﷻ mahu menghukum mereka secukup-cukupnya.

 

بِئسَ الرِّفدُ المَرفودُ

Laknat itu seburuk-buruk pemberian yang diberikan.

Kalimah الرِّفدُ daripada katadasar ر ف د yang bermaksud hadiah, pemberian, kongsi, bantuan. Maka kalimah الرِّفدُ asalnya adalah pertolongan yang diberikan kepada mereka yang tidak berupaya. Kalimah المَرفودُ pula bermaksud orang yang diberi dengan hadiah atau bantuan itu.

Namun adakah laknat dan segala azab itu boleh dikatakan sebagai ‘pertolongan’? Tentu tidak. Maka Allah ﷻ hendak mengejek mereka seperti banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an dalam bentuk sarkastik. Ia memang hadiah, tetapi hadiah yang amat buruk sekali.


 

BALASAN KEPADA KEZALIMAN

Hud Ayat 100: Ini adalah Perenggan Makro ke 8 dan terakhir. Ia adalah rumusan bagi surah ini. Allah ﷻ hendak memberitahu yang ramai kaum telah dimusnahkan kerana kesalahan mereka sendiri. Kemudian Allah ﷻ kembali mengatakan tentang Tauhid Ibadah (Tauhid Uluhiyyah) seperti yang telah disebut dalam Makro Pertama.

ذٰلِكَ مِن أَنباءِ القُرىٰ نَقُصُّهُ عَلَيكَ ۖ مِنها قائِمٌ وَحَصيدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is from the news of the cities, which We relate to you; of them, some are [still] standing and some are [as] a harvest [mowed down].¹

  • Their structures have been completely destroyed.

(MALAY)

Itu adalah sebahagian dan berita-berita negeri (yang telah dibinasakan) yang Kami ceritakan kepadamu (Muhammad); di antara negeri-negeri itu ada yang masih ada bekas-bekasnya dan ada (pula) yang telah musnah.

 

ذٰلِكَ مِن أَنباءِ القُرىٰ نَقُصُّهُ عَلَيكَ

Itu adalah sebahagian dan berita-berita negeri (yang telah dibinasakan) yang Kami ceritakan kepadamu

Itulah kisah-kisah besar dan penting yang disampaikan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Bukan semua, tetapi sebahagian sahaja, namun cukuplah untuk diambil sebagai peringatan dan kajian kita. Supaya kita dapat tahu bahawa perkara yang terjadi pada zaman sekarang, telah berlaku semenjak dahulu lagi. Allah ﷻ banyak menggunakan konsep penceritaan untuk mendidik manusia kerana manusia memang sukakan cerita. Ini akan lebih menarik perhatian manusia. Semua kisah-kisah itu disampaikan kepada Nabi ﷺ dalam bentuk wahyu. Apakah tujuannya?

Banyak kisah para Nabi disampaikan di dalam Al-Qur’an yang menjadi ibrah (pengajaran) kepada kita. Ini sebagaimana yang Allah ‎ﷻ sebut di dalam Yusuf: 111

لَقَد كانَ في قَصَصِهِم عِبرَةٌ لِأُولِي الأَلبابِ
Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal

Keduanya, kisah-kisah mereka itu sebagai tasbit al qalbi (menguatkan hati). Ini kerana kita akan belajar kisah-kisah dugaan yang mereka terima dalam menjalankan dakwah mereka. Allah ‎ﷻ hendak beritahu kita: Kalau mereka boleh bersabar, maka kenapa tidak kita? Allah ‎ﷻ sebut di dalam Hud: 120

وَكُلًّا نَقُصُّ عَلَيكَ مِن أَنباءِ الرُّسُلِ ما نُثَبِّتُ بِهِ فُؤادَكَ
Dan semua kisah daripada rasul-rasul Kami ceritakan kepadamu, ialah kisah-kisah yang dengannya Kami teguhkan hatimu

Ketiga, disebut juga di dalam ayat yang sama, sebagai nasihat dan peringatan,

وَجاءَكَ في هٰذِهِ الحَقُّ وَمَوعِظَةٌ وَذِكرىٰ لِلمُؤمِنينَ
dan dalam surat ini telah datang kepadamu kebenaran serta pengajaran dan peringatan bagi orang-orang yang beriman

 

مِنها قائِمٌ وَحَصيدٌ

di antara negeri-negeri itu ada yang masih ada bekas-bekasnya dan ada (pula) yang telah musnah.

Walaupun disampaikan dalam bentuk kisah, namun ada tempat-tempat itu yang masih قائِمٌ (berdiri) lagi dan ada yang orang masih tinggal lagi di tempat itu. Maka masih boleh pergi lagi ke tempat-tempat itu kalau tidak percaya. Ada yang masih dapat dilihat bekasnya, runtuhan rumahnya, jalan-jalan kampungnya, yang masih dapat disaksikan dengan mata untuk menjadi i’tibar, contohnya bekas negeri kaum Tsamud yang didatangi Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, yang sehingga kepada zaman Nabi Muhammad ﷺ masih dapat disaksikan, bahkan sampai masa tafsir ini ditulis.

Ada yang حَصيدٌ (sudah hancur). Kalimah حَصيدٌ daripada katadasar ح ص د yang bermaksud ‘tuai’. Apabila waktu tuaian, tanaman-tanaman itu ditarik, dipetik dan dicabut sampai tidak ada lagi di pokok atau di tanah. Begitu jugalah dengan sesetengah kisah dalam Al-Qur’an. Ada tempat yang kesan peninggalan tidak ada lagi, seperti tanaman yang telah dituai sampai tidak ada kesan lagi. Semuanya telah runtuh dan hilang sama sekali, terbenam ke dalam lapisan bumi, seperti negeri kaum Luth.

Semua itu menjadi pengajaran kepada kita. Kita kena bandingkan mereka dengan diri kita. Kita kena ambil pengajaran daripada kesalahan yang mereka telah lakukan. Inilah yang Allah ﷻ firmankan seperti disebut dalam Rum: 9

أَوَلَم يَسيروا فِي الأَرضِ فَيَنظُروا كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ الَّذينَ مِن قَبلِهِم ۚ كانوا أَشَدَّ مِنهُم قُوَّةً وَأَثارُوا الأَرضَ وَعَمَروها أَكثَرَ مِمّا عَمَروها وَجاءَتهُم رُسُلُهُم بِالبَيِّنٰتِ
Dan apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi dan memperhatikan bagaimana akibat (yang diderita) oleh orang-orang sebelum mereka? Orang-orang itu adalah lebih kuat daripada mereka (sendiri) dan telah mengolah bumi (tanah) serta memakmurkannya lebih banyak daripada apa yang telah mereka makmurkan. Dan telah datang kepada mereka rasul-rasul mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 29 Ogos 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah Hud Ayat 93 – 96 (Kisah Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ & Firaun)

Hud Ayat 93:

وَيٰقَومِ اعمَلوا عَلىٰ مَكانَتِكُم إِنّي عٰمِلٌ ۖ سَوفَ تَعلَمونَ مَن يَأتيهِ عَذابٌ يُخزيهِ وَمَن هُوَ كٰذِبٌ ۖ وَارتَقِبوا إِنّي مَعَكُم رَقيبٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And O my people, work according to your position; indeed, I am working. You are going to know to whom will come a punishment that will disgrace him and who is a liar. So watch; indeed, I am with you a watcher, [awaiting the outcome].”

(MALAY)

Dan (dia berkata): “Hai kaumku, berbuatlah menurut kemampuanmu, sesungguhnya aku pun berbuat (pula). Kelak kamu akan mengetahui siapa yang akan ditimpa azab yang menghinakannya dan siapa yang berdusta. Dan tunggulah azab (Tuhan), sesungguhnya aku pun menunggu bersama kamu”.

 

وَيٰقَومِ اعمَلوا عَلىٰ مَكانَتِكُم إِنّي عٰمِلٌ

Dan (dia berkata): “Hai kaumku, berbuatlah menurut kedudukanmu, sesungguhnya aku pun beramal juga.

Akhirnya, setelah kaumnya itu tidak mahu juga hendak beriman, tidak mahu mengikut ajaran baginda, maka baginda berkata buatlah apa yang mereka hendak buat. Mereka amallah apa yang mereka hendak amal dan baginda akan amal apa yang Allah ﷻ telah arahkan kepada baginda. Kalau mereka rasa kedudukan mereka hebat sangat, maka buatlah! Janganlah pula sangka yang ini adalah pelepasan daripada baginda atau baginda benar-benar suruh mereka berbuat apa sahaja yang mereka suka. Ternyata ini adalah ancaman daripada baginda.

Ini baginda bercakap dalam rangka sudah berputus asa dengan mereka. Kalau tidak mahu berubah juga, biarlah kamu seperti itu. Kerana kamu degil sangat, maka kamu buatlah amalan syirik dan bid’ah yang kamu hendak buat, dan aku akan buat amalan aku yang berdasarkan sunnah.

Beginilah juga kata-kata kita kepada umat Islam yang degil tidak mahu kembali kepada ajaran Al-Qur’an dan sunnah. Kita katakan begini setelah kita berkali-kali berdakwah kepada mereka. Kalau masih tidak faham juga, biarlah mereka. Namun kenalah beri penjelasan kepada mereka. Kalau mereka masih buka telinga lagi, terus sampaikan. Namun kalau sudah melawan sangat, barulah tinggalkan mereka.

 

سَوفَ تَعلَمونَ مَن يَأتيهِ عَذابٌ يُخزيهِ وَمَن هُوَ كٰذِبٌ

Kelak kamu akan mengetahui siapa yang akan ditimpa azab yang menghinakannya dan siapa yang berdusta.

Namun ingat, ini bukan pelepasan bagi mereka. Bukanlah setelah dikatakan begitu, mereka mendapat tiket untuk berbuat apa sahaja. Ini adalah ancaman sebenarnya: kalau kamu hendak buat juga amalan kamu itu, nanti kamu akan tahu siapa yang akan mendapat azab dan siapa yang mendustakan agama. Akukah yang menipu atau kamu yang menipu? Kelak kamu akan tahu.

Memang kamu berkuasa di dunia sekarang, kamu boleh degil, tetapi nanti di akhirat kamu tidak akan dapat pergi ke mana-mana. Waktu itu sudah tidak terlambat, tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Kalau di akhirat baru tahu selama ini kamu tertipu, sudah terlambat. Memang apabila dimasukkan ke dalam neraka adalah satu perkara yang amat memalukan dan menghinakan.

Kita hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah ﷻ untuk menyelamatkan diri kita daripada azab yang hina ini seperti yang disebut di dalam Ali Imran: 194

رَبَّنَا وَءآتِنَا مَا وَعَدتَّنَا عَلَىٰ رُسُلِكَ وَلَا تُخْزِنَا يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ إِنَّكَ لَا تُخْلِفُ الْمِيعَادَ
Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji”.

Inilah antara ayat-ayat yang Rasulullah ﷺ baca apabila baginda bangun untuk mengerjakan Solat Tahajjud seperti disebut dalam sebuah hadith,

أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَبَّاسٍ أَخْبَرَهُ أَنَّهُ بَاتَ لَيْلَةً عِنْدَ مَيْمُونَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهِيَ خَالَتُهُ فَاضْطَجَعْتُ فِي عَرْضِ الْوِسَادَةِ وَاضْطَجَعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَهْلُهُ فِي طُولِهَا فَنَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى إِذَا انْتَصَفَ اللَّيْلُ أَوْ قَبْلَهُ بِقَلِيلٍ أَوْ بَعْدَهُ بِقَلِيلٍ اسْتَيْقَظَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَلَسَ يَمْسَحُ النَّوْمَ عَنْ وَجْهِهِ بِيَدِهِ ثُمَّ قَرَأَ الْعَشْرَ الْآيَاتِ الْخَوَاتِمَ مِنْ سُورَةِ آلِ عِمْرَانَ ثُمَّ قَامَ إِلَى شَنٍّ مُعَلَّقَةٍ فَتَوَضَّأَ مِنْهَا فَأَحْسَنَ وُضُوءَهُ ثُمَّ قَامَ يُصَلِّي
[‘Abdullah bin ‘Abbas رضي الله عنهما] mengabarkan, bahawa beliau pada suatu malam pernah bermalam di rumah Maimunah, isteri Nabi ﷺ, dan ibu saudara sebelah ibunya. Katanya, “Aku berbaring di sisi bantal sementara Nabi ﷺ dan isterinya berbaring pada bahagian panjang (tengahnya). Rasulullah ﷺ lalu tidur hingga pada tengah malam, atau kurang sedikit, atau lewat sedikit, baginda bangun dan duduk sambil mengusap sisa-sisa mengantuk yang ada di wajahnya dengan tangan. Baginda kemudian membaca sepuluh ayat terakhir daripada Surah Ali ‘Imran. Kemudian berdiri menuju tempat wudhu’, baginda lalu berwudhu’ dengan memperbaguskan wudhu’nya, lalu solat.”
(Sahih Bukhari (177))

Apabila Allah ﷻ sebut azab yang ‘menghinakan’, maka tentu juga ada azab yang tidak menghinakan, bukan? Kerana manusia yang beriman dan menegakkan iman mereka di hadapan orang zalim juga ada diazab. Akan tetapi azab mereka itu tidak menghinakan, malah menjadi kemuliaan kepada mereka kerana mereka tetap teguh di atas iman.

Kalimah yang digunakan di dalam ayat ini adalah سَوفَ تَعلَمونَ (kelak kamu akan mengetahui). Maknanya nanti di akhirat golongan yang ingkar itu akan menerima azab. Malangnya ada juga yang mentafsir ayat ini dengan mengatakan hanya di akhirat baru tahu siapa yang salah dan siapa yang benar. Ini disebut oleh seorang ahli tafsir Indonesia yang bernama Muhammad Quraish Shihab. Dia berhujah dengan ayat sebegini mengatakan yang Islam belum tentu benar lagi. Hanya di akhirat nanti akan diketahui. Ini adalah tafsiran yang bahaya maka kena berhati-hati dengan tafsiran dia ini.

 

وَارتَقِبوا إِنّي مَعَكُم رَقيبٌ

Dan tunggulah azab (Tuhan), sesungguhnya aku pun memerhatikan”.

Kamu lihatlah dengan betul-betul, tunggulah dengan betul-apa yang akan terjadi. Kalimah رقب bermaksud menunggu dengan betul-betul seperti menunggu serangan daripada musuh. Sekiranya musuh akan menyerang bila-bila tentu kita akan berjaga bersungguh-sungguh, bukan? Maka, ini bukan tunggu biasa sahaja, tetapi tunggu yang bersungguh-sungguh. Oleh itu kalimah رقيب bermaksud mengawas. Inilah juga sifat dua malaikat yang menjaga kita seperti disebut dalam Qaf: 18

مّا يَلفِظُ مِن قَولٍ إِلّا لَدَيهِ رَقيبٌ عَتيدٌ
Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir.

Jelas dalam ayat ini menunjukkan bahawa رقيب bukanlah nama Malaikat tetapi sifat malaikat yang mengawas.

Setelah Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyampaikan dakwahnya dan kaumnya itu tidak mahu menerima, maka baginda berhenti. Baginda tidak memaksa mereka, tidak bertegang urat dengan mereka. Ini kerana manusia diberikan dengan pilihan untuk membuat keputusan sendiri. Kita haruslah bersikap ‘gentleman’; kalau tidak mahu terima maka cukup sampai di sini sahaja. Kamu sudah membuat keputusan sendiri, maka nanti terimalah balasan dan kesannya.


 

AZAB YANG DIKENAKAN

Hud Ayat 94: Akhirnya azab telah dikenakan kepada mereka

وَلَمّا جاءَ أَمرُنا نَجَّينا شُعَيبًا وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ بِرَحمَةٍ مِّنّا وَأَخَذَتِ الَّذينَ ظَلَمُوا الصَّيحَةُ فَأَصبَحوا في دِيٰرِهِم جٰثِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when Our command came, We saved Shu‘ayb and those who believed with him, by mercy from Us. And the shriek seized those who had wronged, and they became within their homes [corpses] fallen prone

(MALAY)

Dan tatkala datang azab Kami, Kami selamatkan Syu’aib dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengan dia dengan rahmat dari Kami, dan orang-orang yang zalim dibinasakan oleh satu suara yang mengguntur, lalu jadilah mereka mati bergelimpangan di rumahnya.

 

وَلَمّا جاءَ أَمرُنا نَجَّينا شُعَيبًا وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ

Dan tatkala datang azab Kami, Kami selamatkan Syu’aib dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengan dia

Apabila kaum Madyan tetap berdegil, tetap menolak ajakan tauhid, tetap melakukan syirik, tetap melawan Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, maka Allah ﷻ mengenakan azab yang menghinakan kepada mereka.

Namun sebelum azab itu dikenakan, seperti selalunya, Allah ‎ﷻ menyelamatkan Rasul dan umat yang beriman bersama baginda. Sebagaimana Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berserta orang beriman dinaikkan ke dalam bahtera dahulu sebelum banjir besar, keluarga Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disuruh meninggalkan tempat tinggal mereka dan jangan pandang belakang, maka Syu’aib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disuruh untuk menyelamatkan diri.

 

بِرَحمَةٍ مِّنّا

dengan rahmat daripada Kami,

Allah ﷻ mengingatkan yang mereka diselamatkan kerana rahmat daripada Allah ﷻ. Selalunya Allah ﷻ akan menghantar malaikat untuk berjumpa dengan Nabi dan suruh baginda selamatkan diri dengan meninggalkan tempat itu bersama-sama dengan pengikut baginda.

Mereka itu diselamatkan bukannya kerana mereka solat dan berpuasa, tetapi Allah ﷻ beritahu بِرَحمَةٍ مِّنّا (dengan rahmat daripada Kami). Hanya kerana rahmat Allah ﷻ sahaja mereka selamat. Iaitu kerana kasih sayang Allah ﷻ. Kerana itu kita kena berharap kepada rahmat Allah ﷻ. Untuk masuk ke dalam syurga pun bukannya bergantung kepada ibadah solat dan puasa kita, tetapi bergantung kepada rahmat Allah ﷻ juga. Ini seperti disebut di dalam sebuah hadith,

عَنْ جَابِرٍ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يُدْخِلُ أَحَدًا مِنْكُمْ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ وَلَا يُجِيرُهُ مِنْ النَّارِ وَلَا أَنَا إِلَّا بِرَحْمَةٍ مِنْ اللَّهِ
Daripada [Jabir] beliau berkata: Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Tidak seorang pun daripada kalian yang dimasukkan syurga oleh amalnya dan tidak juga diselamatkan dari neraka kerananya, tidak juga aku kecuali kerana rahmat daripada Allah ﷻ.”
(Riwayat Muslim (5042))


Kerana Allah ﷻ boleh sahaja mengenakan azab itu kepada semua orang, termasuk orang yang beriman juga seperti disebut dalam Anfal: 25

وَاتَّقوا فِتنَةً لّا تُصيبَنَّ الَّذينَ ظَلَموا مِنكُم خاصَّةً
Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu.

 

وَأَخَذَتِ الَّذينَ ظَلَمُوا الصَّيحَةُ

dan orang-orang yang zalim dibinasakan oleh satu suara yang mengguntur,

Orang-orang kafir itu dikenakan dengan azab tempikan daripada Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan gegaran dari bumi. Azab yang dikenakan kepada mereka itu bersesuaian dengan penolakan kepada Nabi mereka – apabila mereka berbuat kurang ajar kepada Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, maka mereka telah dikenakan dengan tempikan yang amat kuat sehingga mematikan mereka.

Kita pun mengetahui berbagai-bagai bunyi dalam alam ini yang menimbulkan kengerian dan ketakutan. Misalnya bunyi ombak di laut yang terlalu besar, apabila angin taufan datang. Atau bunyi letupan gunung berapi atau bunyi lahar seketika ia dimuntahkan oleh puncak gunung berapi dan derak lahar itu ketika bergerak ke bawah melanda dan menumbangkan pohon-pohon yang besar. Atau bunyi kilat sambung-menyambung. Atau bunyi air mengalir seketika terjadi banjir besar. Semuanya itu menimbulkan kengerian dan ketakutan manusia, sehingga banyak yang mati terlebih dahulu kerana dahsyatnya ketakutan. Bayangkan bunyi siren di waktu perang, atau deru kapal-udara ketika ia datang untuk menjatuhkan bom kepada sebuah kota, atau bunyi tembakan meriam yang kuat, semuanya itu mampu menyebabkan orang mati ketakutan, ada yang tersungkur dan pecah hempedunya dan ada bergoncang jantungnya yang lemah, semuanya itu sampaikan boleh membawa maut; apatah lagi azab seksa yang telah diatur Tuhan.

Dalam surah-surah yang lain, disebut azab yang dikenakan kepada mereka lain pula, kerana penekanan kesalahan mereka dalam surah-surah itu berlainan. Dalam surah ini, ia adalah tentang mereka kurang ajar kepada Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, maka mereka disebut dimatikan dengan suara pekikan.

Ini adalah antara kehalusan bahasa dalam Al-Qur’an, yang bersesuaian dengan ayat-ayat yang sebelumnya. Maksudnya, mereka dikenakan dengan semua azab itu, tetapi azab yang disebut dalam surah adalah berkaitan dengan cara mereka menolak.

 

فَأَصبَحوا في دِيٰرِهِم جٰثِمينَ

lalu jadilah mereka mati bergelimpangan di rumah mereka. 

Oleh kerana tempikan yang sangat dahsyat itu sehingga boleh mematikan mereka. Mereka terjatuh mati di rumah mereka dalam keadaan bergelimpangan. Mereka mati begitu sahaja. Allah ﷻ sebut mereka mati di tempat mereka tinggal iaitu tempat yang mereka selesa. Tempat itu sepatutnya menjadi tempat yang selamat bagi mereka akan tetapi mudah sahaja bagi Allah ﷻ untuk memusnahkan mereka dan Allah ﷻ pilih tempat tinggal untuk menghina mereka.


 

Hud Ayat 95:

كَأَن لَّم يَغنَوا فيها ۗ أَلا بُعدًا لِّمَديَنَ كَما بَعِدَت ثَمودُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

As if they had never prospered therein. Then, away with Madyan as Thamūd was taken away.

(MALAY)

Seolah-olah mereka belum pernah berdiam di tempat itu. Ingatlah, kebinasaanlah bagi penduduk Mad-yan sebagaimana kaum Tsamud telah binasa.

 

كَأَن لَّم يَغنَوا فيها

Seolah-olah mereka belum pernah berdiam di tempat itu. 

Mereka mati senyap sunyi sampaikan bila dilihat, bagaikan tidak ada kesan mereka pernah hidup di situ dahulu. Dahulu mereka hidup dengan gembira, dengan kehebatan mereka, namun oleh kerana mereka dimatikan dengan cara begitu, hanya mereka sahaja yang mati dan tidak ada kesan langsung peninggalan mereka di situ.

Mereka dihancurkan sampai tidak ada kesan yang mereka pernah tinggal di situ. Kalimah يَغنَوا daripada katadasar غ ن ي yang bermaksud tinggal; berkembang; memanfaatkan; mendiami; menjadi kaya atau dalam keselesaan hidup; bebas daripada kekurangan; memperkayakan; menjadikan kaya; mengeluarkan; kaya raya; berdikari; mampu melakukan tanpa bantuan orang lain; seseorang yang cukup atau berdiri di tempat orang lain; memenuhi sesuatu keperluan.

Maknanya mereka telah hidup dengan selesa dan mencari kekayaan di situ akan tetapi apabila Allah ﷻ musnahkan mereka langsung tidak ada kesan mereka di situ. Seakan-akan mereka tidak pernah wujud di situ. Sampai begitu sekali Allah ﷻ azab mereka.

Melihat kepada bekas kehancuran itu tidaklah dapat dibayangkan lagi yang negeri itu dahulunya pernah didiami manusia. Negeri Madyan akhirnya kosong daripada manusia, sampaikan takut orang berjalan berdekatannya, seakan-akan didiami oleh hantu belaka, yang di dalam ungkapan orang Melayu disebut: ‘Laksana negeri dilanda garuda’ atau “padang jarak padang tekukur”.

 

أَلا بُعدًا لِّمَديَنَ كَما بَعِدَت ثَمودُ

Ingatlah, jauhlah bagi penduduk Mad-yan sebagaimana kaum Tsamud telah binasa.

Mereka ditakdirkan jauh daripada rahmat Allah ﷻ. Tidak ada harapan untuk mendapat rahmat lagi. Maka penduduk Madyan itu mati seperti kaum Tsamud juga.

Habis Ruku’ 8 dari 10 ruku’ surah ini


 

KISAH NABI MUSA عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ

Hud Ayat 96: Sekarang kita masuk kepada Kisah Ke 7, iaitu kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Firaun. Daripada ayat ini ke ayat 99 adalah juga Perenggan Makro 7 surah ini.

Kisah ini menekankan Dakwa Ketiga – tidak boleh ada kekurangan dalam menyampaikan wahyu. Sekeras mana pun umat menentang, kena sampaikan semua maksud daripada wahyu. Tidak boleh kurangkan sedikit pun, kena sampaikan kesemuanya sekali.

وَلَقَد أَرسَلنا موسىٰ بِئآيٰتِنا وَسُلطٰنٍ مُّبينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We did certainly send Moses with Our signs and a clear authority

(MALAY)

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Musa dengan tanda-tanda (kekuasaan) Kami dan mukjizat yang nyata,

 

وَلَقَد أَرسَلنا موسىٰ بِئآيٰتِنا

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Musa dengan tanda-tanda (kekuasaan) Kami 

Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak perlu diperkenalkan lagi kerana banyak sekali kisah baginda dalam Al-Qur’an. Allah ﷻ telah menghantar Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan membawa wahyu daripada Allah ﷻ untuk disampaikan kepada Firaun, bangsa Qibti dan juga Bani Israil.

Kisah baginda disebut di 136 tempat di dalam Al-Qur’an dan kisah musuhnya Firaun pula disebut di 74 tempat. Ini adalah kerana dakwah baginda yang berat dan musuh baginda juga hebat. Teruknya Firaun sampai mengaku tuhan yang tidak pernah dilakukan oleh manusia lain.

Selain itu, Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga berhadapan dengan Bani Israil yang semua sangatlah teruk dan kaum yang degil. Kisah baginda banyak diceritakan supaya menjadi pengajaran bagi Nabi Muhammad ﷺ dan kita sebagai umat baginda. Cuma di dalam surah ini kisah baginda tidak panjang kerana di tempat lain sudah ada banyak kisah yang panjang.

Allah ﷻ juga telah menghantar Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan tanda-tanda kebesaran-Nya, iaitu dengan membawa mukjizat sebagai tanda kenabian baginda. Mukjizat yang ditunjukkan adalah dalam bentuk fizikal yang boleh dilihat. Banyak sekali mukjizat yang ditunjukkan oleh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, seperti tongkat baginda dan tangan yang bercahaya. Selain dari itu baginda diberi dengan 9 mukjizat seperti disebut dalam Isra’:101

وَلَقَد آتَينا موسىٰتِسعَ ءَايَـٰتِۭ بَيِّنَـٰتٍ
Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Musa sembilan buah mukjizat yang nyata

Apakah 9 mukjizat itu? Al-Qur’an memberikan keterangan terkait sembilan mukjizat Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, iaitu tongkat, tangan yang memancarkan cahaya, taufan/banjir, belalang, kutu, katak, darah, laut yang terbelah, dan gunung (Sinai) diangkat.

Kisah tongkat baginda menjadi ular banyak disebut dalam Al-Qur’an, antaranya di dalam A’raf:107

فَأَلقىٰ عَصاهُ فَإِذا هِيَ ثُعبانٌ مُّبينٌ
Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang jelas nyata.

Kemudian mukjizat tangan baginda yang bercahaya disebut dalam ayat seterusnya.

وَنَزَعَ يَدَهُ فَإِذا هِيَ بَيضاءُ لِلنّٰظِرينَ
Dan Nabi Musa mengeluarkan tangannya, tiba-tiba tangannya (menjadi) putih (bersinar-sinar) bagi orang-orang yang melihatnya.

Allah ﷻ sebut lagi tanda-tanda lain dalam A’raf:133

فَأَرسَلنا عَلَيهِمُ الطّوفانَ وَالجَرادَ وَالقُمَّلَ وَالضَّفادِعَ وَالدَّمَ ءآيٰتٍ مُّفَصَّلٰتٍ فَاستَكبَروا وَكانوا قَومًا مُّجرِمينَ
(Allah berfirman): Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka.

Terbelahnya lautan disebut dalam Syuara’:63

فَأَوحَينا إِلىٰ موسىٰ أَنِ اضرِب بِّعَصاكَ البَحرَ ۖ فَانفَلَقَ فَكانَ كُلُّ فِرقٍ كَالطَّودِ العَظيمِ
Lalu Kami wahyukan kepada Musa: “Pukullah lautan itu dengan tongkatmu”. Maka terbelahlah lautan itu dan tiap-tiap belahan adalah seperti gunung yang besar.

Terangkatnya Gunung Sinai disebut dalam Baqarah: 63

وَإِذ أَخَذنا مِيثَـٰقَكُم وَرَفَعنا فَوقَكُمُ الطّورَ
Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil perjanjian setia kamu semasa Kami angkatkan Gunung Tursina di atas kamu

 

وَسُلطٰنٍ مُّبينٍ

dan bukti yang nyata,

Kalimah سُلطٰنٍ mungkin kita sudah biasa kerana sultan pemerintah negeri-negeri kita menggunakan gelaran ini. Ia daripada katadasar س ل ط yang bermaksud menjadi kuat; keras; tajam; memperkasakan; menang; pihak berkuasa; rayuan; hujah; kuasa; demonstrasi; bukti yang meyakinkan. Maka di dalam ayat ini سُلطٰنٍ bermaksud dalil, bukti dan hujah. Ia tersangat jelas dan kuat sampaikan ia menundukkan hujah lawan.

Sebelum ini kita dapat tahu bahawa Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ membawa tanda daripada Tuhan (بِئآيٰتِنا) dalam bentuk mukjizat. Para Nabi diberikan dengan mukjizat sebagai bukti yang mereka adalah Nabi. Ini adalah kerana mereka membawa perkara yang besar, maka perlu dibuktikan yang mereka adalah Nabi. Sekarang disebut hujah dan bukti pula. Ia adalah hujah dalam bentuk wahyu dan ini pun mestilah jelas. Sebab itu kita kena rujuk kepada wahyu dalam hal agama. Tidak boleh kita buat fahaman sendiri. Apa-apa dakwaan tentang agama mestilah datang daripada Allah ﷻ.

Sifatnya mesti مُّبينٍ (jelas). Memang apa-apa sahaja daripada Tuhan adalah jelas. Yang tidak jelas adalah apabila tidak belajar dan berhati keras kerana tidak mahu menerima kebenaran. Wahyu adalah jelas, maka salahlah fahaman sesetengah orang agama yang kata tidak boleh belajar tafsir Al-Qur’an bagi orang awam. Seolah-olah orang istimewa sahaja yang boleh belajar. Mereka sampai kata kalau belajar tafsir, boleh keliru dan malah boleh menjadi sesat! Ini adalah pandangan yang salah dan merbahaya.

Bayangkan Al-Qur’an adalah sumber utama kita tetapi kita tidak boleh belajar untuk memahaminya? Amatlah rugi kalau begitu. Di dalam masa yang sama, kita faham juga kerisauan mereka. Memang kalau tidak belajar dengan orang yang mahir, ia boleh menyebabkan salah faham dan ya, boleh sampai sesat. Kita pun pernah baca fahaman-fahaman yang mengarut daripada orang yang tafsir Al-Qur’an mengikut nafsu sendiri, hanya berdasarkan terjemahan sahaja.

Maka nasihat kami adalah kena belajar tafsir, tetapi hendaklah berhati-hati. Dapatkan ilmu daripada guru yang mahir. Selain itu mestilah belajar lebih daripada seorang guru supaya dapat dibanding-bandingkan. Kalau kita baru belajar, kita tidak tahu guru itu ajar betul atau tidak. Maka kena bandingkan dengan guru yang lain juga. Kerana itu seeloknya belajar secara talaqqi (berdepan) supaya boleh bertanya soalan.

Allah ﷻ mengutuskan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk membawa kebenaran dengan menunjukkan mukjizat daripada Allah ﷻ. Malah kisah yang paling banyak di dalam Al-Qur’an adalah mukjizat Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (sehingga terdapat 9 mukjizat yang disebut).

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 26 Mei 2026

Ringkasan Surah Hud


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah A’raf Ayat 206 (Zikir para malaikat)

A’raf Ayat 206: Selepas Allah ‎ﷻ sebut tentang zikir, sekarang Allah ‎ﷻ beritahu kita makhluk yang banyak berzikir

إِنَّ الَّذينَ عِندَ رَبِّكَ لا يَستَكبِرونَ عَن عِبادَتِهِ وَيُسَبِّحونَهُ وَلَهُ يَسجُدونَ ۩

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who are near your Lord [i.e., the angels] are not prevented by arrogance from His worship, and they exalt Him, and to Him they prostrate.

MALAY

Sesungguhnya mereka (malaikat) yang ada di sisi Tuhanmu tidak bersikap angkuh (ingkar) daripada beribadat kepadaNya, dan mereka pula bertasbih bagiNya, dan kepadaNyalah jua mereka sujud.

 

إِنَّ الَّذينَ عِندَ رَبِّكَ

Sesungguhnya mereka (malaikat) yang ada di sisi Tuhanmu

Yang dimaksudkan adalah para malaikat. Malaikat sentiasa ada dengan Tuhan. Terutama malaikat yang rapat dengan Allah ‎ﷻ dan berada di kedudukan yang tinggi.

 

لا يَستَكبِرونَ عَن عِبادَتِهِ

tidak bersikap angkuh (ingkar) daripada beribadat kepada-Nya,

Allah ‎ﷻ beritahu yang makhluk yang sentiasa zikir kepada Allah ‎ﷻ adalah malaikat. Malaikat itu adalah makhluk yang direka khas oleh Allah ‎ﷻ. Jika manusia tidak jadikan diri mereka sentiasa berzikir, malaikat tetap ada berzikir kepada Allah ‎ﷻ. Maknanya, Allah ‎ﷻ tidak perlukan zikir kita. Kalau Dia mahukan makhluk berzikir kepada-Nya, Allah‎ﷻ  sudah ada banyak malaikat yang berzikir kepada-Nya.

Malaikat tidak pernah sombong untuk beribadat kepada Allah ‎ﷻ. Siapakah yang pertama sekali sombong? Itulah iblis. Dia sombong untuk ikut perintah Allah ‎ﷻ. Dua perkara yang ditekankan dalam surah ini adalah: lalai dan sombong. Lalai adalah contoh Nabi Adam عليه السلام dan sombong adalah contoh Iblis. Kedua-dua perkara ini kita kena elakkan dan kita telah sentuh perkara ini di awal surah ini.

Apakah kesan kalau kita enggan dan sombong untuk ingat dan zikir kepada Allah ﷻ? Allah ﷻ sebut ancaman-Nya di dalam Hashr: 19

وَلا تَكونوا كَالَّذينَ نَسُوا اللهَ فَأَنسٰهُم أَنفُسَهُم ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الفٰسِقونَ

Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik.

Apabila mereka lupa kepada Allah ﷻ dan kewajipan dalam agama, maka Allah ﷻ jadikan mereka lupa diri mereka. Bukanlah hilang ingatan sampai lupa nama, lupa alamat rumah. Maksud lupa itu adalah ‘lupa’ untuk selamatkan diri sendiri. Lupa untuk membuat persediaan kepada hari akhirat. Iaitu mereka yang hanya ingat tentang dunia sahaja sepanjang masa.

Mereka inilah yang malang kerana telah dikuasai oleh syaitan. Kita lupa Allah ﷻ kerana kita telah ditipu dan menjadi hamba syaitan. Ini disebut dalam Mujadilah: 19

استَحوَذَ عَلَيهِمُ الشَّيطٰنُ فَأَنسٰهُم ذِكرَ اللهِ ۚ أُولٰئِكَ حِزبُ الشَّيطٰنِ ۚ أَلا إِنَّ حِزبَ الشَّيطٰنِ هُمُ الخٰسِرونَ

Syaitan telah menguasai mereka lalu menjadikan mereka lupa mengingat Allah; mereka itulah golongan syaitan. Ketahuilah, bahawa sesungguhnya golongan syaitan itulah golongan yang merugi.

Malah syaitan akan mendampingi mereka seperti disebut dalam Zukhruf: 36

وَمَن يَعشُ عَن ذِكرِ الرَّحمٰنِ نُقَيِّض لَهُ شَيطٰنًا فَهُوَ لَهُ قَرينٌ

Dan sesiapa yang tidak zikir kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.

 

وَيُسَبِّحونَهُ

dan mereka pula bertasbih bagi-Nya,

Tadi adalah sifat akidah mereka dan sekarang perbuatan mereka pula. Para malaikat itu sentiasa menyucikan Allah ﷻ. Maksud menyucikan Allah ﷻ adalah: membersihkan Allah ﷻ daripada sifat-sifat syirik. Menidakkan kesyirikan yang dilakukan oleh makhluk.

Para malaikat itu berzikir tanpa henti sedangkan mereka tidak mendapat imbuhan pun daripada Allah ﷻ. Namun begitu untuk menggalakkan kita berzikir, Allah ﷻ telah menjanjikan sangat banyak ganjaran jika kita melakukannya. Maka tidak malukah kita dengan para malaikat itu?

Bukan sahaja mereka berzikir, tetapi mereka juga mendoakan pengampunan bagi orang yang beriman seperti disebut dalam Ghafir: 7

الَّذينَ يَحمِلونَ العَرشَ وَمَن حَولَهُ يُسَبِّحونَ بِحَمدِ رَبِّهِم وَيُؤمِنونَ بِهِ وَيَستَغفِرونَ لِلَّذينَ ءآمَنوا رَبَّنا وَسِعتَ كُلَّ شَيءٍ رَّحمَةً وَعِلمًا فَاغفِر لِلَّذينَ تابوا وَاتَّبَعوا سَبيلَكَ وَقِهِم عَذابَ الجَحيمِ

Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji TuhanNya; dan beriman kepada-Nya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): “Wahai Tuhan kami! Rahmat-Mu dan Ilmu-Mu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalan-Mu, dan peliharalah mereka daripada azab neraka.

 

وَلَهُ يَسجُدونَ

dan kepada-Nyalah jua mereka sujud.

Para malaikat itu tunduk kepada Allah ﷻ. Sebelum ini kita telah belajar bagaimana iblis tidak mahu tunduk sujud setelah Allah ﷻ arahkan. Oleh itu, Allah ﷻ akhiri surah ini tentang sujud.

Ayat ini merupakan Ayat Sajdah (atau Sujud Tilawah) di dalam Al-Qur’an, iaitu salah satu di antara ayat-ayat yang disunatkan bagi pembaca dan pendengarnya melakukan sujud tilawah, menurut kesepakatan ijma.

 

1. Keutamaan Sujud Tilawah

Sujud ini dianjurkan dan dalilnya adalah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah رضي الله عنه, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

إِذَا قَرَأَ ابْنُ آدَمَ السَجْدَةَ فَسَجَدَ اعْتَزَلَ الشَيْطَانُ يَبْكِي يَقُولُ: يَا وَيْلَه أمِرَ ابْنُ آدَمَ بِالسُجُودِ فَسَجَدَ فَلَهُ الجَنَّة وَ أُمِرْتُ بالسُجُودِ فَأَبَيْتُ فَلِي الناَّر

Maksudnya: Jika seorang anak Adam membaca ayat al-Sajdah kemudian dia sujud, maka syaitan akan melarikan diri dan menangis sambil berkata: “Celakalah aku, anak Adam disuruh untuk sujud dan dia sujud dengan patuh, dan baginya Syurga. Tetapi aku diperintahkan untuk sujud dan aku enggan untuk sujud, maka bagi aku Neraka.”

(Sahih Muslim, 1:87)

Ia memang pernah dilakukan oleh Rasulullah ﷺ seperti diriwayatkan daripada Abdullah Bin Umar رضي الله عنهما bahawa beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيهِ وَ سَلَّمَ يَقْرَأ عَلَيْنَا السُورَةَ فِيهَا السَجْدَةُ فَيَسْجُدَ وَ نَسْجُد

Pada satu ketika, Rasulullah ﷺ membacakan kepada kami satu surah yang mempunyai ayat Sajdah, maka Baginda pun sujud lalu kami pun ikut sujud juga.
(Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 2:556)

 

2. Hukum Sujud Tilawah

Ibadah sujud tilawah disyariatkan bagi sesiapa yang membaca atau mendengar ayat-ayat sajdah. Ini berdasarkan dalil daripada Al-Qur’an dan hadith, antaranya ialah:

Firman Allah ﷻ :

قُلْ آمِنُوا بِهِ أَوْ لَا تُؤْمِنُوا ۚ إِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ مِن قَبْلِهِ إِذَا يُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ يَخِرُّونَ لِلْأَذْقَانِ سُجَّدًا

Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang yang ingkar itu): “Sama ada kamu beriman kepada Al-Quran atau kamu tiada beriman, (tidaklah menjadi hal); kerana sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka segera tunduk sujud (dalam keadaan hiba dan khusyuk).
(Surah al-Israa’: 107)

Sujud Tilawah adalah sunat, dan bukan wajib. Nabi ﷺ pernah Sujud Tilawah dan pernah tidak sujud apabila dibacakan ayat Sajdah. Begitu juga Umar رضي الله عنه pernah melakukan sedemikian. Maka ini menjadi hujah yang ianya sunat. Walaupun ia tidak wajib, tetapi ia mengandungi keutamaan. Nabi ﷺ dan Umar رضي الله عنه tidak melakukannya Sujud Tilawah itu kerana hendak mengajar manusia bahawa ia adalah tidak wajib.

Para ulama’ Syafi’iyyah dan Hanabilah berpendapat bahawa sujud tilawah selepas daripada membaca atau mendengar ayat tilawah ialah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) (Rujuk Mausu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah, 24:213).

Ia bukanlah sesuatu ibadah yang wajib kerana Nabi ﷺ pernah meninggalkan sujud tilawah setelah mendengar ayat daripada Surah al-Najm yang mempunyai ayat sajdah di dalamnya. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan Zaid Ibn Thabit رضي الله عنه, bahawa beliau berkata:

قَرَأْتُ عَلَى النَبِيّ وَ النَجْم فَلَم يَسْجُد فِيهَا. وَ فِي رِوَايَةٍ : فَلَمْ يَسْجُدْ منَّا أَحَدٌ

Aku (Zaid Ibn Thabit) membacakan kepada Nabi Surah al-Najm (yang mempunyai ayat sajdah di dalamnya), dan Baginda tidak sujud padanya. Dalam riwayat yang lain pula: Maka kami pun ikut tidak sujud juga.
(Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 2:554)

Sebagai makluman, ulama’ Hanafiyah mewajibkan Sujud Tilawah. Maka walaupun kita pegang pendapat yang mengatakan ia sunat, hendaklah kita menjaga perkara ini dan melakukannya. Nanti kita akan belajar yang ianya mudah sahaja, boleh dilakukan di mana-mana. Mungkin sebelum ini kita tidak tahu bagaimana cara melakukannya.

Disunatkan sujud tilawah, walaupun bukan kita yang membaca ayat Sajdah itu.

 

3. Ayat-ayat Sajdah

Di dalam Al-Quran ada lima belas (15) ayat yang kita disunnahkan untuk bersujud saat membacanya. Kelima belas ayat tersebut dikenal dengan ayat-ayat sajdah. Ya, sajdah, bukan sajadah. Seringkali masyarakat kita tertukar menyebutnya sebagai ayat sajadah, padahal yang benar adalah ayat sajdah. Sekali lagi, yang benar adalah ayat sajdah, bukan sajadah.

Lalu, apa saja ayat-ayat sajdah tersebut? (Bukan sajadah). Berikut senarai daripada kelima belas ayat sajdah yang perlu kita ketahui.

1. Ayat ke-206 dari Surah Al-A’raf
2 .Ayat ke-15 dari Surah Ar-Ra’d
3. Ayat ke-50 dari Surah An-Nahl
4. Ayat ke-109 dari Surah Al-Isra’
5. Ayat ke-58 dari Surah Maryam
6. Ayat ke-18 dari Surah Al-Hajj
7. Ayat ke-77 dari Surah Al-Hajj
8. Ayat ke-60 dari Surah Al-Furqan
9. Ayat ke-26 dari Surah An-Naml
10. Ayat ke-15 dari Surah As-Sajdah
11. Ayat ke-38 dari Surah Fussilat
12. Ayat ke-62 dari Surah An-Najm
13. Ayat ke-21 dari Surah Al-Insyiqaq
14. Ayat ke-19 dari Surah Al-‘Alaq
15. Ayat ke-24 dari Surah Sad

Nota: tidak perlu hafal, di mushaf Al-Quran ada tanda dia. Boleh periksa di mushaf masing-masing sekarang.

Senarai ini tidak disepakati dan mungkin anda lihat senarai yang lain. Ada dua ayat yang menjadi khilaf dalam kalangan ulama’.

a. Ayat 24, Surah Sad menurut mazhab Syafi’iy dan Hanbali tidak termasuk dalam Ayat Sajdah, tetapi ayat tersebut disunatkan untuk Sujud Syukur tetapi ada yang memasukkannya sebagai ayat Sajdah.

b. Ayat 77, Surah al-Hajj pula menurut mazhab Syafi’iy dan Hanbali dimasukkan sebagai Ayat Sajdah.

 

4. Adakah Sujud Tilawah ikut syarat seperti dalam Salat?

Adakah perlu wudhu’ semasa Sujud Sajdah?
Adakah perlu menutup aurat?
Adakah perlu mengadap kiblat?

Dalam isu ini, para ulama’ tidak sependapat.
Majoriti ulama’ termasuk keempat-empat mazhab fiqh berpandangan wajib ada pada sujud tilawah syarat-syarat sahnya salat seperti wajib suci daripada hadas, mengadap kiblat, menutup aurat dan seumpamanya. Mereka berpandangan sujud tilawah adalah salat, atau sebahagian dari salat atau berada pada kedudukan salat.

Sebahagian ulama’ lain berpandangan sujud tilawah tidak disyaratkan apa-apa yang disyaratkan untuk salat kerana sujud tilawah bukan salat.

Imam Bukhari رحمه الله ada meriwayatkan daripada Ibn ‘Umar رضي الله عنهما yang pernah sujud tilawah tanpa wudhu’. Perbuatan Ibn ‘Umar رضي الله عنهما ini menjadi salah satu sandaran pendapat yang mengatakan sujud tilawah tidak disyaratkan apa-apa yang disyaratkan untuk salat, termasuklah tidak disyaratkan perlu berwudhu’ dan menutup aurat.

Antara yang memegang pandangan ini ialah Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah رحمه الله di dalam kitabnya al-Fatawa al-Kubra 5/340 dan lainnya. Pandangan ini dikuatkan lagi dengan hadith-hadith tentang sujud tilawah yang tidak memiliki bukti bagi menunjukkan wajib bersuci atau berwudhu’. Bahkan bukti yang boleh diambil dari hadith-hadith tersebut untuk mengatakan tidak wajib wudhu’.

Al-Imam asy-Syaukani رحمه الله pernah berkata:

ليس في أحاديث سجود التلاوة ما يدل على اعتبار أن يكون الساجد متوضئا ، وقد كان يسجد معه – صلى الله عليه وسلم – من حضر تلاوته ، ولم ينقل أنه أمر أحدا منهم بالوضوء ، ويبعد أن يكونوا جميعا متوضئين . وأيضا قد كان يسجد معه المشركون كما تقدم ، وهم أنجاس لا يصح وضوؤهم

“tiada di dalam hadith-hadith berkaitan sujud tilawah apa-apa bukti yang boleh diambil kira orang yang sujud itu dalam keadaan berwudhu’. Telah sujud bersama baginda ﷺ sesiapa yang hadir ketika bacaan baginda (akan ayat yang ada sujud tilawah) dan tiada nukilan baginda memerintahkan seorang pun dari kalangan mereka semua yang ada untuk berwudhu’. Amat jauh sekali untuk diandaikan kesemua mereka yang ada pada ketika itu dalam keadaan berwudhu’. Demikian juga turut sujud bersama dengan mereka ketika itu orang-orang musyrikin seperti yang telah dinyatakan sebelum ini dan mereka itu (musyrikin) kotor akidahnya dan jika mereka berwudhu’pun tidak dikira sah wudhu’ mereka tersebut.” (Nail al-Awthor 5/347)

Hadith yang dimaksudkan oleh asy-Syaukani ini diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Ibn ‘Abbas رضي الله عنهما yang berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَجَدَ بِالنَّجْمِ ، وَسَجَدَ مَعَهُ المُسْلِمُونَ وَالمُشْرِكُونَ ، وَالجِنُّ وَالإِنْسُ

“Bahawa Nabi ﷺ pernah sujud (tilawah) kerana membaca surah an-Najm dan turut serta sujud bersama baginda orang-orang muslimin dan musyrikin demikian juga jin dan manusia.”

Syarah: Sehubungan dengan hadith di atas, Imam Bukhari رحمه الله mengatakan, hadith ini mengisyaratkan bahawa orang musyrik pun melakukan sujud sajdah. Sebagaimana diketahui, bahawa orang musyrik tentu mereka tidak mempunyai wudhu’ kerana mereka adalah najis (berhadas besar dan kecil).

Kalau seandainya sujud Sajdah ini harus dilakukan oleh orang yang mempunyai wudhu’, tentu Rasulullah ﷺ akan melarang orang-orang musyrik tersebut untuk Sujud Tilawah, tetapi ternyata baginda tidak melarangnya. Ini bererti, Sujud Sajdah tidak mesti berwudhu’ sebelumnya.

Sujud bukanlah ‘salat’ kerana tidak cukup syarat menjadi salat. Ia adalah cuma sebahagian daripada salat sahaja. Maka syarat-syarat untuk salat tidak dikenakan kepada Sujud Sajdah. Maka tidak perlu berwudhu’, menutup aurat atau mengadap kiblat.

Namun begitu tentunya kalau kesemua syarat itu ada, lebih molek dan lebih afdhal. Ini tidak dinafikan.

 

Penutup: 

Sombong itu terjadi apabila kita mementingkan diri kita, kita sangka kita lebih baik daripada orang lain. Apabila kita bandingkan diri kita dengan orang lain, kita akan lupa kepada Allah ‎ﷻ.

Sementara lalai (ghaflah) pula adalah masalah besar manusia. Ada banyak perkara yang melalaikan kita sekarang. Dengan FB, youtube, TV, games, filem dan sebagainya. Banyak lagi. Semua itu boleh menyebabkan kita lupa kepada Allah ‎ﷻ. Syaitan memang suka kalau kita banyak meluangkan masa dengan perkara yang melalaikan.

Syaitan akan biarkan sahaja kita sibuk dengan benda-benda itu. Itulah sebabnya kalau main games, berjam-jam pun tidak perasan tetapi kalau salat sekejap sahaja, atau baca Al-Qur’an sekejap sahaja, sudah bosan. Ini kerana syaitan akan kacau kita bersungguh-sungguh kalau kita buat amal ibadat yang benar.

Kita sekarang ini terlalu banyak terikat dengan perkara yang melalaikan. Ia membuka pintu kepada dosa. Memang kita nampak yang ia adalah tidak haram, tetapi apabila kita sudah lalai, ia membuka kepada banyak perkara dosa.

Benda-benda itu semua boleh merosakkan hati kita. Sebagai contoh, entah berapa banyak filem yang tidak elok yang menyebabkan kita jadi berdosa apabila menontonnya. Hati kita menjadi gelap.

Oleh itu, kita kena hilangkan semua perkara itu dan gantikan dengan zikir kepada Allah ‎ﷻ. Kita kena jauhkan diri kita daripada hiburan yang melalaikan. Mungkin ia bermula dengan perkara biasa sahaja, tetapi kalau kita layan, jadi benda lain. Sebagai contoh, kalau sibuk dengan permainan dan filem, kita sudah tidak buat ibadat. Masa kita banyak terluang dengan perkara sia-sia. Sepatutnya lepas Isyak, kita terus tidur, tetapi kita sibuk dengan benda-benda lagha itu.

Hiburan itu semua bukannya memberi kebaikan kepada minda dan tubuh kita, malah ia lebih banyak merosakkan fikiran kita. Lama-lama kita terbelenggu dengan kekotoran fikiran. Sebagai contoh, apabila kita lihat pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram dalam TV, fikiran kita lama-lama melihatnya sebagai perkara biasa sahaja, sedangkan ia adalah haram. Akan tetapi disebabkan selalu tengok, maka ia menjadi kita sudah tidak sensitif lagi.

Oleh itu, kita kena isikan diri kita dengan amalan yang baik. Isikan masa kita yang lapang dengan ibadat – baca Al-Qur’an, salat, zikir dan sebagainya. Jaga masa kita di malam hari dan siang hari. Tidur awal dan bangun awal.

Allahu a’lam. Tamatlah sudah tafsir Surah al-A’raf ini. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Anfal.

Kemaskini: 7 Ogos 2023

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an