Tafsir Surah Baqarah Ayat 128 (Amalan kena ada dalil)

Baqarah Ayat 128: Bukan itu sahaja doa mereka. Mereka berdua menyambung lagi doa mereka. Doa inilah yang Allah ‎ﷻ makbulkan sampai terdirinya umat Nabi Muhammad ﷺ.

رَبَّنا وَاجعَلنا مُسلِمَينِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنا أُمَّةً مُّسلِمَةً لَّكَ وَأَرِنا مَناسِكَنا وَتُب عَلَينا ۖ إِنَّكَ أَنتَ التَّوّابُ الرَّحيمُ

Sahih International

Our Lord, and make us Muslims [in submission] to You and from our descendants a Muslim nation [in submission] to You. And show us our rites and accept our repentance. Indeed, You are the Accepting of repentance, the Merciful.

Malay

“Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani;

 

رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ

Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami ini dua orang yang berserah diri kepada Engkau sahaja;

Iaitu menjadi orang yang menerima ajaran tauhid dan mengesakan Allah ‎ﷻ sahaja. Muslim yang sejati bermakna orang yang berserah kepada Allah ‎ﷻ, sentiasa melakukan apa yang Allah ‎ﷻ suruh. Taat setia kepada Allah ‎ﷻ seratus peratus.

Lihatlah doa mereka berdua. Nak jadi orang beriman pun kena Allah ﷻ izinkan. Tapi bukankah seumur hidup mereka, mereka telah melakukan ketaatan kepada Allah? Telah banyak pengorbanan yang telah dilakukan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail pun kita tahu kisahnya rela disembelih oleh ayahnya. Jadi kenapa masih lagi minta berdoa kepada Allah? Kerana mereka sedar hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh pandu mereka yang berkehendak kepada iman. Walaupun mereka telah beriman dan telah taat, tapi mereka sedar yang mereka masih juga ada kekurangan. Maka kita kena selalu minta Allah ﷻ pandu hati kita dan mendidik jiwa kita kerana kita tidaklah sehebat Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Kita lagi banyak kurang dari mereka. Dan kita tidak tahu pengakhiran hidup kita nanti. Ya sekarang mungkin tengah beriman, tapi bagaimana pula kalau tidak tetap iman kita itu? Sedangkan yang dikira oleh Allah adalah pengakhiran hidup kita nanti.

وَإِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالخَوَاتِيمِ
“Sesungguhnya amalan itu dilihat pada pengakhirannya.”
[Riwayat al-Bukhari (6607)]

Sekali lagi kita lihat contoh doa Nabi Ibrahim yang Allah sampaikan kepada kita. Di sini kita boleh belajar doa yang terbaik adalah doa yang Allah sendiri suruh kita buat. Memang Allah suruh kita jadi Muslim yang baik, maka sekarang kita lihat Nabi Ibrahim berdoa supaya Allah jadikan baginda dan anaknya Nabi Ismail sebagai Muslim yang sejati. Di ayat lain ada doa Nabi Ibrahim meminta supaya mereka jadi rajin solat (rujuk Maidah:35). Memang Allah suruh solat pun, jadi Nabi Ibrahim berdoa supaya dibantu untuk rajin solat. Inilah contoh doa-doa yang terbaik.

 

وَمِنْ ذُرِّيَّتِنَا أُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَ

Dan juga dari zuriat-zuriat kami satu umat yang berserah diri bulat-bulat kepada Kamu sahaja;

Lihatlah doa Nabi Ibrahim ini yang mendoakan untuk anak cucu keturunannya. Mereka bukan memikirkan tentang diri mereka sahaja akan tetapi anak keturunan juga. Inilah tanda sayang kepada anak cucu, bukannya setakat jaga makan pakai dan kelangsungan harta benda sahaja. Terlebih penting adalah menjaga agama dan selamat dari melakukan syirik. Dan Allah makbulkan doa Nabi Ibrahim ini kerana ramai dari keturunan baginda yang amat baik sekali agama mereka. Walaupun di zaman jahiliah sekali pun, walaupun yang mengamalkan syirik, tapi ada yang tidak menyembah berhala. Ada nama-nama seperti Zaid ibn Amr bin Nufayl dan Quss ibn Sa’idah.

Dari doa inilah lahirnya umat Nabi Muhammad ﷺ. Allah ‎ﷻ memakbulkan doa baginda ini. Ada yang bertanya kepada Nabi SAW, “Apa awal mula perkara baginda?” Rasulullah SAW bersabda:

يقول – صلى الله عليه وسلم -: أنا دعوة إبراهيم، وبشرى عيسى، رأت أمي حين حملت بي كأن نورا خرج منها أضاءت له قصور بصرى من أرض الشام
Rasulullah ﷺ bersabda: “Aku adalah doa Nabi Ibrahim, khabar gembira Nabi Isa, dan ibuku melihat ketika dia mengandungku seolah-olah cahaya keluar darinya menerangi istana-istana Bushra di Negeri Syam.”
Hadis ini disahihkan oleh asy-syaikh al-Albani dalam Sahih al-Jaami’ 1463 – 3451, Diriwayatkan oleh Ahmad (5/262), dan al-Hakim (4230).

Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام menyusun doa baginda. Sebelum ini Allah ‎ﷻ telah memberitahu baginda bahawa janji Allah ‎ﷻ tidak akan sampai kepada mereka yang zalim. Jadi, dalam doa baginda kali ini, Nabi Ibrahim عليه السلام memohon supaya ada dari kalangan zuriatnya yang akan menjadi mereka yang berserah kepada Allah ‎ﷻ. Kalau tidak semua pun, sekurang-kurangnya ada. Begitulah doa Nabi Ibrahim عليه السلام kerana itu digunakan kalimah من dalam ayat ini yang bermaksud ‘sebahagian’. Ia dinamakan من التَّبْعِيْض (min tab’idh). Ini adalah adab Nabi Ibrahim kerana sebelum ini telah disebut yang bukan semua keturunan baginda boleh menjadi imam.

Di ayat yang lain, ada ayat yang mengatakan bahawa hendaklah ada di antara kamu satu umat yang menyeru manusia kepada kebaikan – kembali kepada Islam. Dan menyuruh mereka kepada kembali kepada Al-Qur’an dan Sunnah. Dan mencegah manusia daripada mungkar dan bidaah dalam agama. Tetapi malangnya kita banyak hanya menyuruh manusia melakukan kebaikan dalam agama dan hanya menegah manusia daripada membuat dosa-dosa yang jelas sahaja macam minum arak. Itu tidak cukup sebenarnya. Kita kena seru orang supaya kembali kepada agama secara keseluruhan – bukan hanya dosa-dosa yang jelas sahaja.

Itulah yang dinamakan jihad fi lisan. Iaitu jihad dengan lidah.  Menyuruh mereka kembali kepada Al-Qur’an dan sunnah dan melarang mereka daripada melakukan bid’ah. Tetapi guru-guru agama kebanyakannya takut hendak menegur manusia daripada melakukan bid’ah kerana telah banyak sangat bid’ah yang diamalkan masyarakat sampai sudah sebati dalam masyarakat. Jadi apabila ditegur nanti, takut masyarakat tidak dapat terima dan guru-guru itu pula disisih. Apabila disisih, maka mereka sudah tidak dipanggil lagi untuk mengajar, dan kalau itu terjadi, sudah hilang pengaruh mereka, sudah hilang punca pendapatan mereka mengajar (kerana kalau mengajar, mereka ambil upah). Itu semua adalah bisikan syaitan sahaja yang menakutkan kita untuk menyebut kebenaran. Akhirnya, masyarakat rasa tidak salah buat bidaah, kerana guru yang mengajar agama kepada mereka pun tidak menegur. Apabila tidak ditegur, mereka rasa betullah apa yang mereka lakukan itu.

 

وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا

Dan tunjukkan kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadah haji;

Di sini, disebutkan baginda minta diajar cara mengerjakan ibadah Haji sahaja. Ini adalah kerana baginda sedang membina Ka’bah, dan sedang berada di Mekah, maka doa baginda kena dengan keadaan. Haji hanya boleh dilakukan di Mekah sahaja, maka doa ini khusus kepada keadaan waktu itu. Kerana doa Nabi Ibrahim ini, maka Jibril telah turun dan mengajar baginda bagaimana cara melakukan ibadah Haji dan tempat-tempat yang terlibat. Sampai sekarang kita mengamalkan cara melakukan ibadah ini dan ketahuilah yang ia berasal dari doa Nabi Ibrahim di sini.

Walaupun istilah manasik selalu dikaitkan dengan ibadah Haji, akan tetapi ia juga boleh digunakan untuk ibadah-ibadah yang lain juga. Kalimah مَنَاسِك adalah dalam bentuk isim jamak dan ia bermaksud ‘cara-cara melakukan ibadah‘.  Ia dari kata dasar: ن س ك yang bermaksud menjalani kehidupan yang taat, saleh, beribadat kepada Tuhan, berkorban, menyembelih haiwan korban, melakukan upacara ibadah, membersihkan dan bersuci.

Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام me‎minta supaya ditunjukkan cara-cara untuk menjalankan ibadah Haji – maknanya cara-cara manasik Haji itu dan ini menunjukkan yang amalan Haji itu bukan ibadat rekaan Nabi Ibrahim عليه السلام. Nabi Ibrahim عليه السلام pun meminta ajaran daripada Allah ‎ﷻ. Maknanya amalan sesuatu ibadah itu mesti bersumber daripada Allah ‎ﷻ juga. Cara melakukan ibadah juga daripada Allah ‎ﷻ. Maka benarlah tidak ada rekaan dalam amalan agama. Malangnya dalam masyarakat kita, ada amalan yang tidak diajar dalam agama pun, tetapi ramai yang selamba sahaja melakukannya. Sebagai contoh, Majlis Tahlil tidak diajar caranya dalam agama tetapi selalu sangat diamalkan dengan berleluasa dalam masyarakat kita. Terlebih malang, ada yang dapat amalan dari mimpi. Entah dari siapalah mereka jumpa dalam mimpi itu. Ada yang kata kononnya Nabi, ada yang kata kononnya wali. Ini tidak dibenarkan dalam Islam. Kalau jumpa Nabi pun, tidak boleh baginda amalan dan ajaran baru pun di dalam mimpi itu. Jadi kalau dikatakan jumpa Nabi, ia tidak benar sama sekali.

Ingatlah, tidak ada amalan bid’ah dalam agama yang diterima walaupun yang dinamakan ‘bid’ah hasanah’ dalam Islam. Sesuatu ibadat itu mesti ada dalil Al-Qur’an atau dalil hadith. Kalau tiada, tidak boleh buat, tidak perlu buat. Tetapi kalau benda baharu tentang kehidupan, tidak mengapa, kita boleh buat apa yang kita rasakan perlu. Selagi tidak dilarang dalam agama. Contohnya, kita ingin makan apa sahaja, makanlah selagi tidak haram. Hendak menggunakan kereta apa jenis pun sebagai kenderaan pun boleh juga. Janganlah sampai ada yang kata: “Kalau tak boleh buat bid’ah, jangan pakai keretalah sebab Nabi pakai unta dulu”. Kalau hendak bodoh sikit-sikit tidak mengapa, tetapi janganlah bodoh teruk sangat. Perkara bid’ah yang dilarang dalam Islam adalah dalam perkara agama sahaja, bukannya dalam segenap kehidupan kita. Bid’ah yang tidak boleh dilakukan adalah tentang ibadat dan tentang agama. Contohnya, dahulu Nabi ﷺ naik unta atau kuda untuk bergerak daripada satu tempat ke satu tempat yang lain, tetapi kita sekarang naik kereta. Itu tidak mengapa kerana zaman kemajuan telah memperkenalkan kita kepada kereta. Naik kenderaan bukannya hal ibadah, jadi terpulang kepada kita.

Ada kaedah fiqh yang cukup ma’ruf di kalangan para ulama,

الأصل في العبادات التحريم
“Hukum asal ibadah adalah haram (sampai adanya dalil).”

Akan tetapi ramai dari kalangan umat Islam tidak faham tentang hal ini. Mereka sangka boleh sahaja buat ibadah asalkan ia ‘baik’ (baik pada pandangan mereka sahaja). Dengan ini mereka telah mengubah dan reka agama sendiri. Sedangkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam setiap memulai khutbah biasanya baginda mengucapkan,

أَمَّا بَعْدُ فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَخَيْرُ الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ وَشَرُّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ
“Amma ba’du. Sesungguhnya sebaik-baik perkataan adalah kitabullah dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam. Sejelek-jelek perkara adalah (perkara agama) yang diada-adakan, setiap (perkara agama) yang diada-adakan itu adalah bid’ah, setiap bid’ah adalah kesesatan”
(Sahih Muslim no. 867)

Akan tetapi telah lama isu bid’ah ini timbul dan sampai sekarang umat Islam di negara ini berpecah kepada beberapa golongan tentangnya. Ini mungkin kerana fahaman yang tidak sama. Bukan semua orang boleh menggarap sesuatu perkara agama, lebih-lebih lagi kalau bertembung dengan amalan kebiasaan masyarakat. Dan bukan senang untuk meninggalkan perkara yang telah lama diamalkan turun temurun. Dan bukan semua orang ada kapasiti akal untuk memahami perbincangan tentang mana bid’ah dan mana tidak. Jadi dalam hal ini, memerlukan pengajaran dan pembelajaran. Ramai yang sangka kalau sesuatu itu baik, maka Allah akan suka. Tapi bukan begitu cara kita beramal. Lihatlah kisah Ibnu Umar r.a melarang orang berselawat ketika bersin seperti yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi:

عَنْ نَافِعٍ، أَنَّ رَجُلاً، عَطَسَ إِلَى جَنْبِ ابْنِ عُمَرَ فَقَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ ‏.‏ قَالَ ابْنُ عُمَرَ وَأَنَا أَقُولُ الْحَمْدُ لِلَّهِ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ وَلَيْسَ هَكَذَا عَلَّمَنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَلَّمَنَا أَنْ نَقُولَ الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَال ‏
Daripada Nafi’, bahawa seorang lelaki bersin berhampiran dengan Ibnu ‘Umar, lalu lelaki itu membaca: Segala puji bagi Allah, salam ke atas Rasulullah s.a.w. Ibnu ‘Umar berkata: Aku juga membaca ‘Segala puji bagi Allah, salam ke atas Rasulullah’ akan tetapi bukan begini Rasulullah s.a.w mengajar kami. Baginda mengajar kami menyebut: Alhamdulillah, ‘ala kulli haal (segala puji bagi Allah atas setiap keadaan).
[Jami’ at-Tirmizi, Kitab al-Adab, hadis no: 2738, hasan].

Hadis ini dan banyak lagi hadis-hadis yang lain mengajar kita supaya jangan menambah-nambah dalam hal agama. Kena berhati-hati apabila kita melakukan sesuatu yang ada kaitan dengan agama. Kerana takut ia termasuk di dalam hal bi’dah.

 

Ayat ini juga menunjukkan tidak cukup dengan beriman sahaja dengan Allah ‎ﷻ. Ibadat pun kena buat juga. Kita kena tunjukkan iman kita dengan melakukan ibadat. Ibadat itu tanda adanya iman kita. Kita kena ikut apa yang Allah ‎ﷻ perintahkan kita buat.

Kita tidak akan tahu cara beribadat kalau Allah ‎ﷻ tidak tunjukkan kepada kita. Ini kerana akal kita tidak akan sampai bagaimana cara untuk melakukannya. Kerana itulah Allah ‎ﷻ bangkitkan para Nabi dan Rasul untuk mengajar kita. Walaupun kita cinta dan bersyukur kepada Allah ‎ﷻ, kita tidak akan tahu bagaimana hendak beribadat kepada Allah ‎ﷻ sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Sebagai contoh, katakanlah kita hendak memberi hadiah kepada seseorang. Kalau dia adalah orang yang istimewa, tentulah kita hendak memberikan benda yang dia suka, bukan? Siapakah yang lebih tahu tentang benda apa yang dia suka, melainkan dirinya sendiri? Maka, untuk tahu apakah yang perlu dilakukan untuk beribadat kepada Allah ‎ﷻ, hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu. Allah ‎ﷻ memang telah ajar satu persatu di dalam Al-Qur’an dan juga dalam Sunnah yang disampaikan oleh Nabi ﷺ.

Lihatlah orang Arab Jahiliah. Mereka tidak tahu apakah yang Allah ‎ﷻ hendak sebenarnya. Maka mereka mereka-reka amalan mereka sendiri. Antaranya, mereka telah tawaf bertelanjang kerana mereka sangka itulah yang Allah ‎ﷻ suka. Ini kerana ada di antara pemimpin agama mereka yang berkata, lebih baik kalau mereka tawaf dalam keadaan telanjang kerana mereka akan mengadap Tuhan nanti pun dalam keadaan telanjang juga. Ini adalah satu contoh bidaah dalam ajaran dan fahaman.

Dalam Islam, tidak ada ibadat yang boleh direka. Tidak ada ‘agak-agak’ dalam perkara ibadat. Semua ibadat perlu melalui ajaran Nabi yang datang dari Allah ‎ﷻ. Kita sebagai manusia, tidak akan dapat tahu caranya kalau tidak diajar. Jadi bagaimana mereka yang melakukan ibadat bidaah akan jawab di hadapan Allah ‎ﷻ nanti apabila mereka ditanya kenapa mereka melakukan sesuatu ibadat yang tidak diajar Nabi ﷺ? Adakah kita memandai-mandai dalam hal agama?

 

وَتُبْ عَلَيْنَا

dan terimalah taubat kami;

Perkara yang kita amat-amat perlukan adalah keampunan daripada Allah ‎ﷻ. Salah satu cara untuk mendapat pengampunan adalah dengan mengerjakan ibadat haji. Dalam hadith telah dikatakan bahawa jikalau ibadat Haji kita diterima, dosa-dosa kita akan dibersihkan semua sekali. Selain daripada mengerjakan haji, kita pun kenalah selalu minta ampun kepada Allah ‎ﷻ kerana kita tentunya banyak dosa.

Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi Ismail عليه السلام memohon supaya mereka diampunkan. Padahal, bukannya baginda sedang berbuat dosa. Baginda sedang melakukan ketaatan kepada Allah ‎ﷻ dengan mendirikan Rumah Allah ‎ﷻ. Namun baginda tetap meminta ampun lagi, kenapa begitu?

Inilah satu lagi ubat kepada ujub. Kita kena rasa ada kurang dengan ibadah kita. Kita tidak boleh yakin yang pahala sudah tentu dapat kerana walaupun kita sedang melakukan ketaatan, kita tidak pasti ia adalah seperti yang Allah ‎ﷻ kehendaki ataupun tidak. Entah ada kurang di mana-mana, kita pun tidak tahu.

Kerana itulah Nabi Muhammad ﷺ telah mengajar kita untuk terus istighfar tiga kali selepas sahaja salam dalam salat. Ini adalah kerana kita tidak tahu sama ada salat kita itu cukup ataupun tidak, kita khusyuk ataupun tidak, kita baca betul ataupun tidak dan macam-macam lagi kekurangan yang ada.

 

إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ

Sesungguhnya Engkau Maha Menerima taubat dan amat belas kasihan kepada makhluk.

Perkataan التَّوَّابُ bermakna Allah ‎ﷻ adalah Dzat yang banyak menerima taubat kita. Kalimah التَّوَّابُ adalah di dalam sighah mubalaghah (bersangatan) atau hyperbole. Walaupun berkali-kali kita telah melakukan kesalahan, dan setiap kali kita akan memohon ampun kepada Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ tidak jemu untuk mengampunkan kita. Kalau kena dengan syarat-syaratnya (kena rujuk syarat taubat). Jadi, jangan jemu untuk minta ampun kepada Allah ‎ﷻ. Walaupun atas kesalahan yang sama. Kalaulah bukan Allah bersifat التَّوَّابُ, hanya mengampun dalam tahap biasa-biasa sahaja, maka tentulah ramai lagi yang akan masuk neraka.

Jangan terpedaya dengan syaitan yang membisikkan kepada kita: “Tak payahlah kau minta ampun sekarang… nanti kau akan buat dosa yang sama juga.” Jangan, jangan terpedaya dengan bisikan itu. Walaupun dosa yang sama kita lakukan berkali-kali, hendaklah kita minta ampun juga. Maka, kerana itu, Nabi Ibrahim عليه السلام berdoa supaya Allah ‎ﷻ sentiasa menerima taubat mereka, bukan hari itu sahaja.

Selepas Allah ﷻ sebut sifatnya yang banyak menerima taubat (التَّوَّابُ) Allah ﷻ selalu sebut sifat رَحِيمٌ. Ini sebenarnya memberi motivasi kepada kita untuk segera bertaubat. Apabila kita bertaubat, Allah ﷻ akan memasukkan kita ke dalam rahmah-Nya. Maka untuk segera dapat rahmah, maka bersegeralah meminta ampun. Perumpamaannya begini, katakanlah kita ada berbuat salah dengan seorang yang kaya. Kemudian dia kata kalau kita meminta maaf kepadanya, bukan sahaja dia akan maafkan kita, tetapi dia juga akan hadiahkan kita sebuah kereta BMW baru! Apa kita akan buat kalau begitu? Tentulah kita akan segera meminta maaf, bukan?

Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام pun memohon keampunan dari Allah. Tambahan pula kita? Kenapa pula seorang Nabi yang maksum meminta ampun daripada Allah ‎ﷻ? Kita tahu yang Nabi Ibrahim عليه السلام telah melakukan segala apa yang disuruh Allah ‎ﷻ, bukan? Tetapi baginda memohon keampunan dari Allah ‎ﷻ jikalau apa yang baginda lakukan itu tidak mencukupi lagi, atau tidak lengkap seperti yang Allah ‎ﷻ hendak. Begitulah murninya hati baginda.

Walaupun mereka itu Nabi maka mereka maksum, maka ini menunjukkan kerendahan hati mereka; dan juga menjadi pengajaran bagi kita yang datang kemudian. Mengajar kita untuk berdoa meminta ampun walaupun selepas melakukan ketaatan kepada Allah ﷻ.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 19 November 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 127 (Makna Muslim sejati)

MENAIKKAN DASAR KA’BAH

Baqarah Ayat 127: 

وَإِذ يَرفَعُ إِبرٰهِـۧمُ القَواعِدَ مِنَ البَيتِ وَإِسمَـٰعِيلُ رَبَّنا تَقَبَّل مِنّا ۖ إِنَّكَ أَنتَ السَّميعُ العَليمُ

Sahih International

And [mention] when Abraham was raising the foundations of the House and [with him] Ishmael, [saying], “Our Lord, accept [this] from us. Indeed You are the Hearing, the Knowing.

Malay

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui;

 

وَإِذْ يَرْفَعُ إِبرٰهِـۧمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسمَـٰعِيلُ

Dan ketika Nabi Ibrahim mendirikan asas-asas binaan Ka’bah dengan Nabi Ismail;

Dari ayat ini, kita dapat tahu yang bukan Nabi Ibrahim yang pertama mendirikan Ka’bah, hanya mereka meninggikan dasar-dasarnya telah ada. Kalimah قَوَاعِدُ adalah dalam bentuk isim jamak dan ia bermaksud ‘dasar-dasar‘. Ia dari kata dasar: ق ع د yang bermaksud duduk, tinggal di belakang (tidak ikut), menahan diri, lambat, duduk menunggu, duduk senyap, tidak bergerak, berhenti, menjauhkan diri, menunggu untuk serang hendap, dasar, wanita yang sudah lepas umur melahirkan anak, orang yang duduk sahaja di rumah (tidak bekerja lagi), tempat duduk, stesen, tempat berkhemah.

Dalil lain adalah ayat Ibrahim:37.

رَبَّنا إِنّي أَسكَنتُ مِن ذُرِّيَّتي بِوادٍ غَيرِ ذي زَرعٍ عِندَ بَيتِكَ المُحَرَّمِ
Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati

Maknanya, semasa baginda menghantar Nabi Ismail yang kecil ketika itu ke Mekah yang tanah gersang tidak ada apa-apa, sudah disebut tentang Baitullah. Dan di dalam ayat lain iaitu Hajj:26, Allah telah menunjukkan tempat Ka’bah kepada Nabi Ibrahim.

وَإِذ بَوَّأنا لِإِبرٰهيمَ مَكانَ البَيتِ
Dan (ingatlah), ketika Kami memberikan tempat kepada Ibrahim di tempat Baitullah

Dan telah disebut di dalam Ali Imran:96 yang Baitullah adalah rumah peribadatan pertama yang dibina.

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا
Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat

Akan tetapi persoalannya, siapa yang mula-mula membina Ka’bah? Adakah ketika hidupnya Nabi Adam atau sebelum lagi? Allahu a’lam. Al-Qur’an tidak menyebutnya dan begitu juga hadis yang sahih. Walaupun ada berbagai ceritera, akan tetapi ia tidak dapat dipertanggungjawabkan.

Yang lebih menarik adalah kalimah katakerja perbuatan mereka يَرْفَعُ adalah di dalam bentuk fi’il mudhari’ sedangkan perbuatan itu telah lama beribu tahun dahulu. Seolah-olah Allah hendak kita bayangkan perbuatan mereka ketika sedang mendirikannya. Mengingatkan kita yang mereka membinanya dengan susah payah tanpa alat moden dan tanpa upah. Kalau zaman sekarang pun tentu susah, apatah lagi kalau zaman dahulu.

Dalam ayat ini juga, kita dapat tahu yang bukan Nabi Ibrahim عليه السلام seorang sahaja yang mendirikan binaan Ka’bah tetapi baginda membinanya bersama Nabi Ismail عليه السلام. Namun begitu, oleh kerana Nabi Ibrahim عليه السلام adalah “Chief Architect” (Ketua Arkitek), maka nama Nabi Ismail عليه السلام disebut di hujungnya sahaja.

Ini juga memberitahu kita yang Nabi Ibrahim عليه السلام bukan sahaja mengajar agama, tetapi baginda juga mendirikan masjid. Maka, mendirikan masjid adalah sunnah para Nabi juga termasuk Nabi Ibrahim عليه السلام. Kerana itulah perkara pertama yang Rasulullah lakukan apabila baginda hijrah di Madinah adalah mendirikan masjid di Quba’.

Ka’bah yang dibina oleh Nabi Ibrahim bukanlah seperti model yang kita lihat hari ini. Ia sebenarnya rendah sahaja, dan ada dua pintu: satu untuk masuk dan satu untuk keluar. Malah, pintu itu pun tidak bertutup, sentiasa terbuka sahaja. Boleh lihat modelnya di bawah ini:

 

رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا

Wahai Tuhan kami, terimalah dari kami;

Ini adalah Nabi Ibrahim setelah selesai mendirikan Ka’bah. Lihatlah bagaimana doa Nabi Ibrahim عليه السلام. Selepas baginda membuat amal, baginda berdoa supaya amal baginda itu diterima. Ini dinamakan bertawassul dengan amal ibadat dan ini adalah antara tawassul yang dibenarkan malah digalakkan. Dan ini adalah doa minta amalan ibadah diterima oleh Allah. Maka, setiap hari kita kena doa sebegini. Kena minta supaya Tuhan terima ibadat kita. Ini kerana belum tentu Allah ‎ﷻ terima lagi ibadat kita kerana kekurangan yang banyak di dalamnya. Kita takut sangat kalau-kalau ibadah kita tidak diterima dan menjadi debu sahaja di akhirat kelak seperti disebut di dalam Furqan:23

وَقَدِمنا إِلىٰ ما عَمِلوا مِن عَمَلٍ فَجَعَلنٰهُ هَباءً مَّنثورًا
Dan kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan.

Mereka berdua telah berdoa begitu sambil membuat kerja membangunkan binaan Ka’bah. Nabi Ibrahim عليه السلام menggunakan perkataan ‘Wahai Tuhan kami’ – mewakili baginda dan Nabi Ismail عليه السلام. Bijak Nabi Ibrahim عليه السلام, baginda memasukkan Nabi Ismail عليه السلام sekali ke dalam doanya. Dalam ayat sebelumnya, Allah ‎ﷻ mengatakan bahawa janji-Nya tidak termasuk kepada orang yang zalim. Nabi Ibrahim عليه السلام telah menerima firman Allah ‎ﷻ itu. Tetapi dalam ayat ini, Nabi Ibrahim عليه السلام sekali lagi berdoa dan baginda memasukkan Nabi Ismail عليه السلام di dalam doa baginda. Seolah-olah baginda berdoa: “walaupun Engkau tidak berjanji memasukkan semua keturunanku yang lain, sekurang-kurangnya masukkan anakku ini, Ismail.”

Walaupun baginda seorang Nabi lagi Rasul dan baginda sedang melakukan kerja yang amat besar iaitu mendirikan Rumah Allah ‎ﷻ, atas arahan Allah ‎ﷻ pula, tetapi baginda masih lagi berdoa supaya diterima amalan baginda itu. Begitulah sunnah yang kita kena ikuti. Jangan terus sangka segala amal ibadat kita akan tentunya diterima. Kita jangan rasa selamat dengan amal ibadah yang kita lakukan. Kita kena doa dan berharap semoga Allah ‎ﷻ menerima ibadat kita. Berapa banyak ibadat yang manusia lakukan tetapi nanti akhirnya Allah ‎ﷻ tidak terima dan campak ke muka kita?! Antaranya kerana kita tidak ikhlas dalam ibadat kita itu. Ramai antara kita yang sibuk dengan perlakuan ibadah, tapi terlupa untuk berharap Allah terima ibadah kita, bukan? Maka orang yang benar-benar Mukmin memang akan risau sama ada amalan mereka diterima atau tidak. Allah berfirman tentang mereka ini dalam Mukminoon:60

وَالَّذينَ يُؤتونَ ما آتَوا وَّقُلوبُهُم وَجِلَةٌ أَنَّهُم إِلىٰ رَبِّهِم رٰجِعونَ
Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut, (kerana mereka tahu bahawa) sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhan mereka,

Ini adalah ubat bagi sifat ujub. Ujub adalah perasaan yang rasa hebat dengan amal ibadat yang telah dilakukan. Perasaan ini timbul kalau rasa yang Allah ‎ﷻ terus terima amal ibadat kita. Kalau begitu, kita akan rasa sudah banyak amal kita dan akan menjadikan kita ujub. Ini adalah salah satu daripada Talbis Iblis iaitu menjadikan kita ujub. Syaitan akan bisikkan supaya kita rasa amal kita sudah banyak. Maka kena sedar yang tidak semestinya semua amal kita Allah ‎ﷻ akan terima. Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام pun doa supaya Allah ‎ﷻ terima amalnya. Padahal baginda adalah seorang Nabi dan amalnya adalah membina Ka’bah! Tentu hati baginda dan amal baginda lebih baik daripada  kita. Namun baginda tetap berdoa supaya Allah ‎ﷻ terima amalnya. Baginda tidak terus sangka Allah ‎ﷻ pasti terima. Maka kita pun kena ada perasaan begitu.

Kita kena takut yang amal-amal kita tidak diterima. Kerana ibadah kita tidak semestinya diterima. Ada dua syarat utama: Ia mesti ikhlas dan mesti mengikut sunnah Rasulullah. Akan tetapi ada satu lagi syarat yang menakutkan seperti disebut di dalam Maidah:27.

قالَ إِنَّما يَتَقَبَّلُ اللهُ مِنَ المُتَّقينَ
Berkata Habil: “Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa”.

 

إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ

bahawasanya Kamu yang Maha Mendengar rayuan hati kami;

Allah ‎ﷻ Maha Mendengar doa kita. Maka Nabi Ibrahim عليه السلام telah memuji Allah ‎ﷻ. Begitulah dalam berdoa hendaklah kita memuji-Nya. Dan kena yakin yang Allah ﷻ mendengar doa kita. Barulah kita senang nak doa, barulah khusyuk dalam doa kita.

Mudah sahaja patutnya untuk kita memahami sifat mendengar Allah. Iaitu pendengaran Allah tidak seperti pendengaran kita. Maka janganlah kita reka fahaman baru pula seperti Allah sebenarnya ‘bukan mendengar’ kerana disusahkan oleh fahaman ahli kalam.

Allah mendengar setiap suara di muka bumi baik yang nampak mahu pun yang tersembunyi. Allah Maha Mendengar juga dapat bermakna Allah mengabulkan doa setiap hamba-Nya. Maka ini pertanda bahawa setiap perkataan kita selalu diawasi dan didengari oleh Rabb di atas Langit yang tujuh. Begitu pula menjadi pelajaran bahawa Allah mudah mengabulkan doa setiap hamba walau setiap mereka menyampaikan dalam berbagai bahasa dan diutarakan dalam satu waktu.

Sifat mendengar ini mencakup seluruh makhluk yang didengar oleh Allah. Setiap suara baik di langit dan di bumi didengar oleh Allah baik yang dibisikkan mahu pun yang dikeraskan, yang Allah dengar seperti satu suara, tidak bercampur suara yang satu dan lainnya. Allah pun mendengar setiap bahasa dan memahaminya. Dia pun mendengar suara yang dekat mahu pun jauh. Suara yang sirr (senyap) dan yang ‘alaniyah (keras) pun sama di sisi Allah.

 

Ada dua macam sifat mendengar bagi Allah:

1- Mendengar dengan maksud mendengar suara iaitu segala suara baik yang lahir mahu pun batin, baik yang jelas mahu pun yang tersembunyi, Allah mengetahui itu semua.

2- Mendengar dengan maksud mengabulkan (memperkenankan) setiap permintaan dan do’a dari hamba, juga memberikan balasan pahala. Di antara dalilnya adalah firman Allah di dalam Ibrahim: 39,

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي وَهَبَ لِي عَلَى الْكِبَرِ إِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ إِنَّ رَبِّي لَسَمِيعُ الدُّعَاءِ
“Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku di hari tua (ku) Ismail dan Ishaq. Sesungguhnya Rabbku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) doa.”

Begitu pula ketika seseorang solat, bukankah kita diajar untuk mengucapkan,

سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ
Allah memperkenankan permintaan orang yang memuji-Nya

 

Mendengar dengan maksud mendengar suara ada tiga maksud:

1- Sebagai ancaman. Sebagaimana disebutkan dalam Zukhruf: 80,

أَمْ يَحْسَبُونَ أَنَّا لَا نَسْمَعُ سِرَّهُمْ وَنَجْوَاهُمْ بَلَى وَرُسُلُنَا لَدَيْهِمْ يَكْتُبُونَ
Apakah mereka mengira, bahawa Kami tidak mendengar rahsia dan bisikan-bisikan mereka? Sebenarnya (Kami mendengar), dan utusan-utusan (malaikat-malaikat) Kami selalu mencatat di sisi mereka

Mendengar di sini bermakna tahdid (ancaman).

 

2- Dengan maksud menolong. Sebagaimana disebutkan dalam Taha: 46,

قَالَ لَا تَخَافَا إِنَّنِي مَعَكُمَا أَسْمَعُ وَأَرَى
“Allah berfirman: “Janganlah kamu berdua khawatir, sesungguhnya Aku berserta kamu berdua, Aku mendengar dan melihat

Maksud mendengar di sini adalah Allah menolong Musa dan Harun.

 

3- Maksudnya adalah mendengar yang sifatnya meliputi. Allah Ta’ala berfirman di dalam Mujadilah:1,

قَدْ سَمِعَ اللَّهُ قَوْلَ الَّتِي تُجَادِلُكَ فِي زَوْجِهَا وَتَشْتَكِي إِلَى اللَّهِ وَاللَّهُ يَسْمَعُ تَحَاوُرَكُمَا إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ بَصِيرٌ
Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan wanita yang mengajukan aduan kepada kamu tentang suaminya, dan mengadukan (halnya) kepada Allah. Dan Allah mendengar soal jawab antara kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat

Maksud mendengar di sini adalah Allah mendengar setiap suara dan keluhan.

 

Jika seorang hamba mengimani nama Allah Yang Maha Mendengar, maka dia akan berusaha menjaga lisan dan setiap ucapannya. Dia akan selalu mengisi waktunya dengan zikir dan bersyukur pada Allah. Dia pun akan banyak meminta pada Allah. Ketika berdoa, dia pun akan bertawassul dengan nama Allah untuk membawa harapannya dan diberi apa yang diminta. Dan banyak disebut dalam Al-Qur’an, para nabi bertawassul dengan nama Allah ini. Seperti do’a Ibrahim di dalam Ibrahim:39,

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي وَهَبَ لِي عَلَى الْكِبَرِ إِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ إِنَّ رَبِّي لَسَمِيعُ الدُّعَاءِ
Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku di hari tua (ku) Ismail dan Ishaq. Sesungguhnya Rabbku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) doa.

Begitu pula perkataan Nabi Ibrahim dan Nabi Isma’il di dalam Baqarah:127 ini,

وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلُ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Dan (ingatlah), ketika Ibrahim meninggikan (membina) dasar-dasar Baitullah bersama Ismail (seraya berdoa): “Ya Tuhan kami terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui

Dan setiap doa yang dipanjatkan akan dikabulkan oleh Allah. Lihatlah bagaimana do’a Nabi Yusuf ketika baginda selamat dari godaan wanita seperti disebut di dalam Yusuf:34,

فَاسْتَجَابَ لَهُ رَبُّهُ فَصَرَفَ عَنْهُ كَيْدَهُنَّ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
“Maka Rabbnya memperkenankan doa Yusuf dan Dia menghindarkan Yusuf dari tipu daya mereka. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Allah pun memerintah untuk meminta perlindungan dari godaan syaitan dan Allah ingatkan pada hamba-Nya bahawa Dia Maha Mendengar di dalam Fussilat:36,

وَإِمَّا يَنْزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
“Dan jika syaitan mengganggumu dengan suatu gangguan, maka mohonlah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

 

الْعَلِيمُ

Maha Mengetahui

Allah ‎ﷻ mengetahui segala perkara. Tidak ada perkara yang tersembunyi daripada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ maha mengetahui selok belok kedudukan segala perkara; Allah ‎ﷻ juga Maha Tahu doa dalam hati kita yang kita tidak sebutkan di mulut, tetapi kita simpan di hati. Itu pun Allah ‎ﷻ tahu juga. Oleh kerana Allah ﷻ sahaja yang tahu semua perkara, maka Allah ﷻlah sahaja yang tahu apa yang kita perlukan. Kerana itulah kita berdoa kepada Allah ﷻ sahaja. Selain dari Allah ﷻ tidak tahu apa yang mahu, apa yang kita perlukan. Oleh kerana Allah ﷻ tahu apa yang kita perlukan, maka Dia akan beri yang terbaik untuk kita.

Ini adalah dua perkara yang kita kena sematkan dalam fahaman kita tentang fiqh doa. Kita berdoa kepada Allah sahaja kerana Dia ada dua sifat ini: Dia sahaja yang Maha Mendengar permintaan doa kita dan Dia sahaja yang tahu apa yang kita perlukan. Kalau dapat faham dua sifat ini, maka kita tidak akan berdoa kepada selainNya. Dan dengan mengetahui dua perkara ini, kita akan memperbanyakkan doa.

 

Apakah yang kita perlu ketahui dari sifat الْعَلِيمُ ini?

Pertama: Penetapan bahawa Allah memiliki ilmu yang sempurna dan meliputi segala sesuatu, dan itu hanya dimiliki oleh Allah, tidak ada satu makhluk pun yang mengetahui sesempurna ilmu Allah. Hal ini seperti disebutkan dalam ayat tentang perkara ghaib, di dalam An’am:59

وَعِنْدَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ ۚوَيَعْلَمُ مَا فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ ۚوَمَا تَسْقُطُ مِنْ وَرَقَةٍ إِلَّا يَعْلَمُهَا وَلَا حَبَّةٍ فِي ظُلُمَاتِ الْأَرْضِ وَلَا رَطْبٍ وَلَا يَابِسٍ إِلَّا فِي كِتَابٍ مُبِينٍ
Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib; tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji-pun dalam kegelapan bumi, dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfudz)

Kedua: Allah Yang Maha Mengetahui bererti tahu segala sesuatu yang telah terjadi, yang akan terjadi, dan tidak terjadi seandainya itu terjadi. Sebagaimana disebutkan dalam Hajj: 70,

أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا فِي السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ ۗإِنَّ ذَٰلِكَ فِي كِتَابٍ ۚإِنَّ ذَٰلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ
“Apakah kamu tidak mengetahui bahwa sesungguhnya Allah mengetahui apa saja yang ada di langit dan di bumi?; bahwasanya yang demikian itu terdapat dalam sebuah kitab (Lauh Mahfuzh). Sesungguhnya yang demikian itu amat mudah bagi Allah.”

Ketiga: Makhluk tidak mengetahui tentang Sang Khaliq kecuali yang Dia khabarkan sahaja. Secara umum pula kita tidak tahu apa pun kecuali yang Allah ajarkan pada kita. Sebagaimana disebutkan dalam Taha: 110,

يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلَا يُحِيطُونَ بِهِ عِلْمًا
Allah mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang ilmu mereka tidak dapat meliputi ilmu-Nya

Sebagaimana Nabi Adam diajarkan ilmu seperti disebut di dalam Baqarah: 31,

وَعَلَّمَ آدَمَ الْأَسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلَائِكَةِ فَقَالَ أَنْبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَٰؤُلَاءِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ
Dan Allah mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para Malaikat lalu berfirman: “Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu mamang benar orang-orang yang benar

Keempat: Ilmu manusia dibandingkan dengan ilmu Allah sangatlah jauh berbeza. Allah Ta’ala berfirman di dalam Isra’: 85,

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ ۖقُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُمْ مِنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا
“Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: ‘Roh itu termasuk urusan Tuhan-ku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit’.”

Kelima: Hanya Allah yang mengetahui perkara ghaib seperti disebutkan dalam Luqman:34 selain ayat yang disebutkan di atas,

إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ ۖوَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَدًا ۖوَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ ۚإِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat; dan Dialah Yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya besok. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 18 November 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 126 (Allah ajar cara doa)

DOA NABI IBRAHIM

Baqarah Ayat 126: Selepas Nabi Ibrahim عليه السلام diperintahkan untuk mendirikan semula Kaabah, maka baginda telah mengambil kesempatan itu untuk berdoa. Ayat ini lanjutan kepada huraian tentang keutamaan yang dianugerahkan kepada Nabi Ibrahim.

وَإِذ قالَ إِبرٰهِـۧمُ رَبِّ اجعَل هٰذا بَلَدًا ءَامِنًا وَارزُق أَهلَهُ مِنَ ٱلثَّمَرٰتِ مَن ءَامَنَ مِنهُم بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ ۖ قالَ وَمَن كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ قَليلًا ثُمَّ أَضطَرُّهُ إِلىٰ عَذابِ النّارِ ۖ وَبِئسَ المَصيرُ

Sahih International

And [mention] when Abraham said, “My Lord, make this a secure city and provide its people with fruits – whoever of them believes in Allah and the Last Day.” [ Allah ] said. “And whoever disbelieves – I will grant him enjoyment for a little; then I will force him to the punishment of the Fire, and wretched is the destination.”

Malay

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka”. Allah berfirman:” (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga dia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali”.

 

وَإِذْ قَالَ إِبرٰهِـۧمُ

Dan ingatlah ketika Nabi Ibrahim berdoa

Lihatlah sunnah berdoa yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim عليه السلام. Selepas sahaja baginda selesai melakukan ibadat kepada Allah ‎ﷻ, baginda mengambil peluang untuk berdoa kepada Allah ‎ﷻ. Doa ini baginda baca selepas baginda dan anaknya Nabi Ismail عليه السلام selesai membangunkan kembali Kaabah. Pengajaran kepada kita, kita pun kenalah ambil peluang berdoa selepas kita selesai mengerjakan satu-satu ibadat. Tidak kira ibadah mana, sama ada salat, baca Al-Qur’an, malah perkara yang baik seperti baru selepas menolong orang atau kelas pengajian.

Kita telah belajar yang Nabi Ibrahim diperintahkan dengan berbagai-bagai ujian berat. Antara ujian itu adalah meninggalkan anak isterinya di Mekah yang kering kontang dan gersang waktu itu. Tapi sayangkan baginda kepada mereka, baginda berdoa kepada Allah untuk menjadikan tempat itu sesuai untuk didiami.

Di sini kita belajar yang seorang Nabi pun berdoa kepada Allah. Maka jangan kita lupa untuk berdoa dan berharap kepada Allah dalam segala hal. Jangan kita sombong untuk berdoa kepada Allah. Orang-orang yang jahil ada berkata tidak perlunya berdoa kerana takdir telah ditentukan oleh Allah. Mereka ini sebenarnya jahil kerana tidak faham bahawa doa itu adalah sebagai asbab untuk kita mendapatkan sesuatu. Sebagai contoh, Allah memang telah takdirkan kita akan dapat makan, akan tetapi adalah asbabnya iaitu kita bekerja, kemudian kita suapkan makanan dalam mulut kita, barulah kenyang. Maka begitu jugalah dengan doa adalah asbab untuk kita mendapatkan sesuatu dari Allah. Jadi jangan kita anggap enteng doa ini. Rasulullah pernah bersabda,

عَنْ ثَوْبَانَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَزِيدُ فِي الْعُمْرِ إِلَّا الْبِرُّ وَلَا يَرُدُّ الْقَدَرَ إِلَّا الدُّعَاءُ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيُحْرَمُ الرِّزْقَ بِخَطِيئَةٍ يَعْمَلُهَا
Dari [Tsauban] dia berkata; Rasulullah صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ bersabda: “Tidak menambah umur kecuali perbuatan baik, tidak ada yang menolak takdir kecuali doa, dan sungguh, seorang laki-laki tertahan dari rezekinya kerana kesalahan yang telah dia lakukan.”
Jami’ Tirmizi (87) disahihkan oleh Albani

Malah doa ini termasuk ibadah yang kita lakukan kepada Allah.

الدعاء هو العبادة
“Doa itu adalah ibadat”
Hadith riwayat Tirmizi. 

Maka kerana itulah dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an dan hadis, kita diajar tentang doa para Nabi dan orang yang berilmu.

 

رَبِّ اجْعَلْ هَٰذَا بَلَدًا ءَامِنًا

Wahai Tuhanku, jadikanlah negeri ini, negeri yang aman

Allah ajar cara berdoa dalam ayat ini, dengan menukilkan doa Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim tidak menggunakan kalimah يا (wahai) di dalam doa baginda ini. Jadi ini tidak mengapa jikalau kita pun terus menggunakan cara yang sama. Lihatlah baginda mengguna kalimah ‘rabb’ bagi Allah kerana rabb bermaksud Tuhan yang menguruskan segalanya, yang mentarbiyah dan mendidik. Ini adalah tawasul (perantaraan) dengan nama Allah yang sesuai. Maka memang sesuai kalau kita memanggil Allah dengan nama Rabb ini.

Sebelum ini telah disebut Tanah Haram dan Ka’bah adalah tempat yang aman. Sekarang disebut doa Nabi  Ibrahim yang berdoa semoga keamanan itu berterusan hingga akhir masa. Atau, menganugerahkan kepada penduduk dan pengunjungnya kemampuan untuk menjadikannya aman dan tenteram. Sebelum ini disebut MasjidilHaram itu adalah tempat untuk tawaf, i’tikaf dan solat. Maka untuk merealisasikan semua ini, tempat itu kenalah aman.

Doa baginda ini telah dikabulkan oleh Allah ‎ﷻ. Sampaikan negeri Mekah dijadikan sebagai suatu negeri yang suci, darah manusia tidak boleh ditumpahkan, seorang pun tidak boleh dianiaya, tidak boleh juga diburu binatang buruan di situ dan tidak boleh dicabut tanaman-tanaman di situ walaupun rumputnya. Begitulah Allah telah berfirman di dalam Quraisy:3-4

فَليَعبُدوا رَبَّ هٰذَا البَيتِ
Maka hendaklah mereka menghambakan diri kepada Tuhan Pemilik rumah ini (Ka’bah).

الَّذي أَطعَمَهُم مِن جوعٍ وَآمَنَهُم مِن خَوفٍ
Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan.

Dan perhatikan juga Ankabut:67

أَوَلَم يَرَوا أَنّا جَعَلنا حَرَمًا ءآمِنًا وَيُتَخَطَّفُ النّاسُ مِن حَولِهِم
Dan apakah mereka tidak memperhatikan, bahawa sesungguhnya Kami telah menjadikan (negeri mereka) tanah suci yang aman, sedang manusia sekitarnya diculik.

Perkataan بَلَدًا bermaksud tempat yang dihuni. Maknanya, dalam doa ini sendiri sudah ada doa baginda supaya Mekah itu dihuni orang. Supaya tidaklah anak isterinya sahaja yang tinggal di situ kebosanan tapi ada orang lain juga bersama mereka. Ia juga akan memudahkan mereka hidup kerana hidup bersendirian tentulah sukar untuk mendapatkan bantuan kehidupan. Bayangkan, tempat yang tandus tanaman tidak boleh hidup tetapi ada ramai orang duduk di situ. Baginda doa begitu kerana baginda akan meninggalkan keluarga baginda di situ, jadi baginda berharap ada orang lain bersama dengan mereka. Doa yang lebih kurang sama ada dalam Ibrahim:35

وَإِذ قالَ إِبراهيمُ رَبِّ اجعَل هٰذَا البَلَدَ آمِنًا
Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berkata: “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini (Mekah), negeri yang aman”

Akan tetapi lihat di dalam ayat itu ditambah ال pada kalimah البَلَدَ. Kerana waktu itu Mekah sudah ada penghuni. Sedangkan pada ayat Baqarah ini, ia ketika Mekah itu tempat yang gersang dan belum ada apa-apa lagi maka ia di dalam bentuk nakirah (umum) sahaja.

Aman juga bermaksud selamat dari segi agama. Oleh kerana itu, kalau hendak selamat agama, kena duduk di sana. Ini kerana Allah ‎ﷻ jaga tempat itu supaya menjadi rujukan bagi amalan manusia seluruh dunia. Di situlah agama terpelihara. Malangnya, ramai pula orang kata ini ‘tempat Wahabi’. Ini memang tidak kena langsung dan disebut oleh orang yang jahil sahaja. Mereka sampai ke tahap kata tidak salah solat di belakang Imam Haramain itu! Sampaikan pakcik dan makcik yang ke sana tertipu dan solat di hotel-hotel sahaja. Alahkah ruginya…. alangkah bodoh dan jahilnya mereka ini.

Allah makbulkan doa Nabi Ibrahim sampaikan Mekah tidak pernah diserang dan ditakluk oleh orang kafir. Sedangkan waktu itu memang huru hara zamannya, perang dan rompakan berlaku di sana sini. Kita pun selalu dengar kisah dalam Surah al-Fil di mana orang kafir hendak menakluknya tidak boleh. Ini kerana Allah jaga Ka’bah itu. Kalau dalam sejarah pun amat jarang tempat ini bergelora. Kalau perang terjadi seperti pada zaman kekuasaan al-Hajjaj dan diserang oleh puak Qaramitah, ia pun dari kalangan orang yang mengaku Muslim, bukannya orang kafir. Malah dalam hadis diberitahu bahawa di akhir zaman nanti, Dajjal pun tidak boleh masuk ke Mekah. Walaupun dia berkuasa di tempat-tempat lain, tapi Mekah tidak dapat dimasukinya. Ini seperti disebut di dalam hadis,

قَالَ : أَمَا إِنَّ ذَاكَ خَيْرٌ لَهُمْ أَنْ يُطِيعُوهُ ، وَإِنِّي مُخْبِرُكُمْ عَنِّي ، إِنِّي أَنَا الْمَسِيحُ ، وَإِنِّي أُوشِكُ أَنْ يُؤْذَنَ لِي فِي الْخُرُوجِ ، فَأَخْرُجَ فَأَسِيرَ فِي الأَرْضِ فَلاَ أَدَعَ قَرْيَةً إِلاَّ هَبَطْتُهَا فِي أَرْبَعِينَ لَيْلَةً غَيْرَ مَكَّةَ وَطَيْبَةَ ، فَهُمَا مُحَرَّمَتَانِ عَلَيَّ كِلْتَاهُمَا ، كُلَّمَا أَرَدْتُ أَنْ أَدْخُلَ وَاحِدَةً ، أَوْ وَاحِدًا ، مِنْهُمَا اسْتَقْبَلَنِي مَلَكٌ بِيَدِهِ السَّيْفُ صَلْتًا ، يَصُدُّنِي عَنْهَا ، وَإِنَّ عَلَى كُلِّ نَقْبٍ مِنْهَا مَلاَئِكَةً يَحْرُسُونَهَا ،
قَالَتْ : قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَطَعَنَ بِمِخْصَرَتِهِ فِي الْمِنْبَرِ : هَذِهِ طَيْبَةُ ، هَذِهِ طَيْبَةُ ، هَذِهِ طَيْبَةُ ، يَعْنِي الْمَدِينَةَ ، أَلاَ هَلْ كُنْتُ حَدَّثْتُكُمْ ذَلِكَ ؟ فَقَالَ النَّاسُ : نَعَمْ ، فَإِنَّهُ أَعْجَبَنِي حَدِيثُ تَمِيمٍ ، أَنَّهُ وَافَقَ الَّذِي كُنْتُ أُحَدِّثُكُمْ عَنْهُ ، وَعَنِ الْمَدِينَةِ وَمَكَّةَ ، أَلاَ إِنَّهُ فِي بَحْرِ الشَّأْمِ ، أَوْ بَحْرِ الْيَمَنِ ، لاَ بَلْ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ مَا هُوَ ، مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ مَا هُوَ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ ، مَا هُوَ وَأَوْمَأَ بِيَدِهِ إِلَى الْمَشْرِقِ ، قَالَتْ : فَحَفِظْتُ هَذَا مِنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
“Ia (Dajjal) berkata, “Sesungguhnya adalah lebih baik bagi mereka untuk mentaatinya dan sungguh aku akan mengatakan kepada kamu tentang diriku. Aku adalah al-Masih Dajjal, dan sesungguhnya aku hampir sahaja dibenarkan untuk keluar. Maka aku akan keluar dan berjalan di muka bumi dan tidak ada satu pun negeri kecuali aku memasukinya dalam masa 40 malam selain Makkah dan Thaibah, kedua-dua negeri itu terlarang bagiku. Setiap kali aku ingin memasuki salah satu dari negeri itu maka aku dihadang oleh malaikat yang di tangannya ada pedang berkilau dan sangat tajam untuk menghambatku dari kedua-dua negeri tersebut. Dan di setiap jalan-jalan yang ada di Kota Madinah terdapat malaikat yang menjaganya. “
“Fatimah berkata, “Rasulullah SAW bersabda sambil menghentakkan tongkatnya di atas mimbar,” Inilah Thaibah, inilah Thaibah, inilah Thaibah (maksudnya Kota Madinah). Bukankah aku sudah menyampaikan kepada kamu tentang hal itu? “Para Sahabat menjawab,” Benar. Baginda SAW bersabda,”Aku tertarik dengan apa yang dikatakan oleh Tamim al-Dari, kerana ia bersesuaian dengan apa yang pernah aku sampaikan kepada kamu tentang dia (Dajjal) dan tentang Madinah dan Makkah. Ketahuilah, tempatnya (Dajjal) terletak di laut Syam atau laut Yaman. Ia datang dari arah Timur, dari arah Timur, dari arah Timur. Rasulullah SAW mengisyaratkan tangannya ke arah Timur.”
Riwayat Muslim (7496)

Ayat ini mengandungi ajaran kepada kita untuk berdoa semoga wilayah tempat tinggal kita juga aman dan selamat. Ini kerana kalau aman maka senanglah untuk hidup dan mengamalkan agama dengan baik. Kalau porak peranda, tentu susah pula kita sibuk dengan urusan hendak mengamankan negara.

 

وَارْزُقْ أَهْلَهُ مِنَ ٱلثَّمَرٰتِ

dan berilah rezeki kepada ahlinya dari buah-buahan

Nabi Ibrahim عليه السلام berdoa supaya negeri Mekah itu diberikan dengan makanan. Ini kerana tempat itu gersang. Namun walaupun gersang, Nabi Ibrahim عليه السلام minta supaya makanan akan ada sahaja di situ. Jadi walaupun disebut ‘buah-buahan’ di dalam ayat ini, tapi yang dimaksudkan adalah makanan yang dapat menjadi penerus hidup di situ.

Jadi, baginda telah meminta dua perkara yang penting: Keamanan dan sumber kehidupan. (“Peace and Prosperity”). Dua perkara ini amat penting untuk sesuatu tamadun berkembang baik. Kalau sesuatu tempat itu aman, tetapi tidak ada sumber makanan pun, tidak akan ada manusia yang akan tinggal lama di situ. Begitu juga kalau ada sumber kehidupan, tetapi tidak aman – katakanlah kalau kecurian selalu berlaku, pembunuhan bermaharajalela, pemerintah yang zalim, maka tidak akan lama manusia tinggal di situ.

Allah ‎ﷻ telah memberikan banyak rezeki kepada tanah Mekah. Pada zaman dahulu, buah-buahan banyak diambil dari Syam dan juga Taif. Kalau zaman sekarang, entah dari mana buah-buahan itu diambil sampaikan segala jenis buah-buahan ada di tanah Mekah itu. Oleh kerana Mekah itu satu tempat yang tidak ada tanah dan pokok, maka Nabi Ibrahim عليه السلام berdoa supaya negeri Mekah itu diberikan buah-buahan walaupun tidak ada pokok yang tumbuh dengan subur. Baginda berdoa semoga Mekah itu dijadikan aman supaya tidak ada pembunuhan di situ. Sampai sekarang, banyak jenis buah ada di Mekah dijual di pasar-pasar, buah durian pun ada. Semua jenis buah ada di Mekah. Semua buah yang ada di tempat lain, sampai juga ke Mekah.

Kita boleh lihat yang tidaklah Nabi Ibrahim berdoa supaya tanah Mekah itu jadi subur pula. Tapi baginda minta supaya buah-buahan dan makanan yang dibawa ke situ, bukannya ditanam di situ. Ini adalah supaya keturunan baginda tidak disibukkan dengan bercucuk tanam supaya lebih banyak masa boleh diberikan untuk menjaga Ka’bah. Memang itulah yang Allah sebut dalam Qasas:57

حَرَمًا ءآمِنًا يُجبىٰ إِلَيهِ ثَمَرٰتُ كُلِّ شَيءٍ
daerah haram (tanah suci) yang aman, yang didatangkan ke tempat itu buah-buahan dari segala macam

Kalimah يُجبىٰ dalam ayat ini bermaksud yang makanan ‘dibawa’ ke Mekah, dan bukannya ditanam di situ. Dan kalimah yang digunakan adalah ثَمَرٰتُ كُلِّ شَيءٍ yang bermaksud hasil dari segala jenis, bukan setakat buah-buahan dan tanaman sahaja. Kerana itulah di Mekah bukan sahaja ada buah-buahan, tanam-tanaman akan tetapi berjenis-jenis benda ada di sana yang diperlukan oleh kehidupan manusia.

 

مَن ءَامَنَ مِنهُم بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ

kepada orang yang beriman di antara mereka kepada Allah dan hari akhirat;

Namun begitu Nabi Ibrahim عليه السلام meletakkan had atau syarat di dalam doa baginda. Baginda minta supaya rezeki dan keamanan itu diberikan kepada mereka yang beriman sahaja. Iaitu yang beriman kepada Allah ‎ﷻ serta mengamalkan ajaran tauhid dan percaya kepada Hari Akhirat. Ini adalah kerana di dalam ayat 124, baginda telah meminta kedudukan imam diberikan kepada seluruh keturunan baginda (قالَ وَمِن ذُرِّيَّتي) akan tetapi Allah menjawab di situ bahawa orang beriman tidak dapat kedudukan itu (قالَ لا يَنالُ عَهدِي ٱلظَّـٰلِمِينَ). Maka Nabi Ibrahim belajar dari situ (sangkaan baginda) maka baginda hanya mendoakan kebaikan bagi orang beriman sahaja. Jadi dalam doa Nabi Ibrahim عليه السلام kali ini, baginda ubah sikit doa baginda. Nabi Ibrahim عليه السلام seorang yang bijak. Baginda belajar daripada kesilapan. Begitulah kita sepatutnya ambil pengajaran dari perkara itu. Kalau doa kita tidak menjadi, tentu ada kesilapan dalam doa itu. Maka kita kena ubah doa kita.

Nabi Ibrahim عليه السلام berdoa macam itu pun supaya kejayaan dan kekayaan diberikan kepada orang yang beriman sahaja. Ini kerana baginda mahu supaya pemerintahan itu terus berada di atas tangan orang yang beriman. Kalau mereka yang mendapat rezeki dari Allah ‎ﷻ, bermakna pemerintahan akan berada dalam tangan orang beriman sahaja. Kalau rezeki dan keamanan diberikan kepada orang yang zalim, nanti kezaliman pula yang bermahajalela.

Akan tetapi Allah ‎ﷻ tidak berkenan dengan doa baginda sebegitu. Kerana ia menyempitkan doa. Pernah seorang Arab Badwi menyempitkan doa dan telah ditegur oleh Rasulullah,

أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ قَالَ قَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى الصَّلَاةِ وَقُمْنَا مَعَهُ فَقَالَ أَعْرَابِيٌّ وَهُوَ فِي الصَّلَاةِ اللَّهُمَّ ارْحَمْنِي وَمُحَمَّدًا وَلَا تَرْحَمْ مَعَنَا أَحَدًا فَلَمَّا سَلَّمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِلْأَعْرَابِيِّ لَقَدْ تَحَجَّرْتَ وَاسِعًا يُرِيدُ رَحْمَةَ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ
Abu Hurairah berkata; “Rasulullah صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ berdiri untuk salat dan kami ikut berdiri dengannya, lalu ada seorang Badwi yang berbicara dalam salat; ‘Ya Allah, kasihanilah aku dan Muhammad, janganlah Engkau kasihani seorang pun bersama kami! ‘ Setelah Rasulullah صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ mengucapkan salam, baginda bersabda kepada orang Badwi tersebut: ‘Engkau telah menyempitkan sesuatu yang luas! ‘ Maksudnya adalah rahmat Allah Azza wa Jalla.”
Sahih Bukhari (1201)

Lihatlah juga bagaimana doa Nabi Ibrahim عليه السلام. Baginda meminta untuk orang lain sahaja. Sebelum ini, baginda minta supaya keturunannya yang kemudian diberikan juga pangkat imam. Sekarang doa dalam ayat ini meminta supaya diberikan makanan dan keamanan kepada mereka yang tinggal di Mekah. Ini menunjukkan betapa besarnya hari seorang Nabi yang hanya memikirkan tentang orang lain sahaja, bukan dirinya sendiri. Maka ini mengajar kita dalam berdoa, jangan asyik fikirkan kebaikan untuk diri kita sahaja, tapi ingatlah orang lain juga.

Baginda hanya minta diberikan kepada orang beriman sahaja, tetapi Allah ‎ﷻ berkata seterusnya:

 

قَالَ وَمَنْ كَفَرَ

Allah berfirman: dan kepada orang kafir juga;

Walaupun Nabi Ibrahim عليه السلام hanya doakan rezeki untuk orang beriman sahaja, tetapi Allah ‎ﷻ hendak berikan juga kepada orang kafir yang ada di Mekah. Memang Allah tidak membezakan pemberian udara, air, kehangatan dan cahaya matahari, akan diberikan kepada semua Muslim atau kafir. Ini adalah daripada Sifat Rahman (Maha Pemurah) Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ sanggup berikan rezeki kepada mereka yang kufur dan engkar kepada-Nya pun. Jadi yang Allah tidak beri adalah kedudukan ‘imam’ (kepemimpinan) akan tetapi rezeki kehidupan Allah boleh sahaja beri kepada sesiapa. Kepemimpinan hanya diberikan kepada orang mukmin sahaja.

Ini adalah isyarat bahawa akan ada sahaja orang yang jahat dalam dunia ini, walaupun di Mekah. Kita tidak dapat elak perkara ini kerana ini adalah kehendak Allah ‎ﷻ. Mereka juga akan mendapat rezeki yang Allah ‎ﷻ akan berikan kepada mereka. Selalunya mereka lebih kaya daripada orang Islam. Dari dahulu sampai sekarang, orang kafir selalunya lebih kaya daripada orang Islam. Dalam surah Quraish, ada diceritakan tentang kemewahan yang didapati oleh orang-orang Arab di Mekah yang musyrik itu.

 

فَأُمَتِّعُهُ قَلِيلًا

Maka Aku akan beri sedikit kesenangan

Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia akan memberi sedikit kesenangan kepada mereka semasa mereka hidup di dunia. Semasa mereka di dunia, memang mereka akan mendapat rezeki, kesenangan dan sebagainya. Kesenangan itu sama ada sedikit atau sementara sahaja kalau dibandingkan dengan azab yang mereka akan terima di akhirat kelak.

 

ثُمَّ أَضْطَرُّهُ إِلَىٰ عَذَابِ النَّارِ

kemudian Aku akan paksa dia kepada azab neraka;

Akhirnya, selepas mereka mati, mereka akan kembali kepada-Nya juga. Mereka akan mendapat balasan yang setimpal di atas perbuatan mereka di dunia. Maknanya, mereka hanya senang di dunia sahaja. Bukanlah kesenangan yang mereka nikmati di dunia itu sebagai tanda Allah ‎ﷻ sayangkan mereka. Di akhirat nanti mereka akan dipaksa, maksudnya mereka tidak ada pilihan lagi. Kalimah أَضْطَرُّهُ dari kata dasar sama ض ر ر yang bermaksud menyakiti, mengganggu, menyusahkan, kejahatan, kebuluran, waktu susah, penyakit, kematian, kehilangan, memaksa.

Ini menolak salah faham Musyrikin Mekah. Mereka sangka mereka diberi dengan segala nikmat itu kerana Allah ‎ﷻ sayangkan mereka dan mereka telah melakukan perkara yang benar. Mereka tersilap. Mereka sangka mereka dapat banyak nikmat itu tanda Allah sayang. Padahal kesenangan dalam kehidupan bukanlah tanda Allah sayang. Allah boleh sahaja beri rezeki kepada orang Islam atau orang kafir. Akan tetapi orang mukmin akan menggunakan rezeki pemberian Allah untuk kebaikan tapi sebaliknya yang dilakukan oleh orang kafir.

Allah ‎ﷻ tolak fahaman mereka. Kesenangan yang Allah ‎ﷻ berikan kepada makhluk bukan tanda Allah ‎ﷻ sayang. Allah ‎ﷻ boleh sahaja beri kesenangan kepada orang yang engkar pun. Maka jangan perasan.

 

وَبِئْسَ الْمَصِيرُ

dan ia adalah seburuk-buruk tempat kembali;

Neraka itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. Kalimah مَصِيرُ adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘tempat kembalian‘. Ia dari kata dasar: ص ي ر yang bermaksud pergi, menjadi, condong kepada sesuatu, perjalanan, meninggalkan sesuatu tempat, keputusan, mengeluarkan.

Berdoalah supaya kita selamat dari Neraka. Yang tidak takut neraka itu hanyalah mereka yang tidak belajar sahaja bagaimana keadaan neraka itu. Sampaikan ada daripada kalangan umat Islam yang sangka mereka akan duduk di Neraka sekejap sahaja dan akhirnya akan masuk ke syurga juga akhirnya nanti (kerana kononnya mereka beragama Islam). Alangkah bodohnya mereka. Mereka seperti tidak tahu betapa hebatnya azab di neraka itu. Kalau duduk sekejap, sesaat pun mereka tidak akan tahan. Itu adalah kerana mereka tidak belajar. Mereka telah lama jauh dari ilmu wahyu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 18 November 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

TafsirWeb

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 125 (Kelebihan Ka’bah)

Baqarah Ayat 125: Kelebihan kedua yang disebut adalah kelebihan Ka’bah. Ia adalah tempat asas agama Nabi Ibrahim عليه السلام dan ia juga adalah tempat asas agama Nabi Muhammad ﷺ. Oleh itu, dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ hendak menceritakan kelebihan Mekah pula. Ini adalah kerana ia ada kena mengena dengan kisah Nabi Ibrahim juga. Di dalam ayat sebelum ini disebut Nabi Ibrahim sebagai ikutan. Dan salah satu ikutan baginda yang kita ikuti sampai sekarang adalah berkenaan dengan Baitullah.

Di Mekah ada Ka’bah, ia adalah satu-satunya masjid yang orang salat menghadap ke tengah. Kalau masjid lain, semua mengadap ke dinding, bukan? Tetapi di Ka’bah ini ada kelebihan yang tidak ada pada masjid lain. Ini kita akan bincangkan di sini secara panjang lebar berdasarkan wahyu Ilahi.

Yahudi mencemuh Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda bukan dari keturunan mereka. Dan mereka anggap perbuatan solat mengadap Ka’bah adalah rekaan orang Arab sahaja. Maka sekarang Allah ﷻ hendak memberitahu yang bahawa arahan mengadap Ka’bah itu adalah benar. Ka’bah sendiri dibina (sebenarnya bina semula kerana ia sudah pernah ada) oleh Nabi Ibrahim  عليه السلا yang mereka sendiri kenal dan terima sebagai Nabi mereka juga. Dan arahan mengadap Ka’bah itu dari Allah ﷻ juga.

وَإِذ جَعَلنَا البَيتَ مَثابَةً لِّلنّاسِ وَأَمنًا وَاتَّخِذوا مِن مَّقامِ إِبرٰهِـۧمَ مُصَلًّى ۖ وَعَهِدنا إِلىٰ إِبرٰهِـۧمَ وَإِسمَـٰعِيلَ أَن طَهِّرا بَيتِيَ لِلطّائِفينَ وَٱلعَـٰكِفِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجودِ

Sahih International

And [mention] when We made the House a place of return for the people and [a place of] security. And take, [O believers], from the standing place of Abraham a place of prayer. And We charged Abraham and Ishmael, [saying], “Purify My House for those who perform Tawaf and those who are staying [there] for worship and those who bow and prostrate [in prayer].”

Malay

Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): “Bersihkanlah Rumahku (Ka’bah dan Masjid Al-Haraam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud”.

 

وَإِذْ جَعَلْنَا الْبَيْتَ

Dan ingatlah ketika Kami jadikan Baitillah

Kalimah الْبَيْتَ yang dimaksudkan adalah Baitullah (Rumah Allah). Ia adalah rumah ibadat pertama yang didirikan di dunia ini seperti disebut di dalam Ali Imran:96

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعٰلَمِينَ
Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.

Digunakan istilah rumah kerana rumah adalah tempat kembali untuk beristirehat. Jika seseorang kepenatan setelah bermusafir, atau gelisah kerana apa-apa sahaja punca, maka dia akan kembali ke rumahnya, tempat berehat dan bertenang. Demikian juga dengan Baitullah yang menyebabkan hati manusia selalu terpanggil untuk sampai ke sana. Kalau berada di sana, segala masalah dan kerja di kampung halaman dilupai kerana sibuk untuk beribadah dan kerana seronoknya berada di sana.

Sebelum ini Nabi Ibrahim عليه السلام memohon kepada Allah ‎ﷻ supaya dijadikan daripada keturunannya juga imam-imam yang menjadi ikutan selepas baginda. Sekarang Allah ‎ﷻ terus memperkatakan tentang Ka’bah selepas sentuh tentang keturunan tadi. Ini adalah kerana Ka’bah adalah umpama ‘ibu’ kepada masjid-masjid yang lain di dalam dunia ini. Maka, ada kaitan masjid di dalam pembinaan akhlak anak-anak. Oleh itu ibubapa kena mesrakan anak-anak dengan masjid. Kena bawa mereka ke masjid supaya mereka tidak janggal dengan masjid.

Yang menyedihkan adalah, masjid di Malaysia ini tidak mesra kanak-kanak. Mereka dilayan seperti warganegara kelas ketiga di masjid. Mereka selalu dimarahi apabila mereka berada di masjid. Ini kerana kejahilan mereka yang menguruskan masjid dan surau. Kalau pun mereka dibenarkan salat, mereka diberikan tempat yang jauh daripada orang-orang dewasa. Mereka ada tempat khas salat. Mereka kata ia ‘saf kanak-kanak’ tetapi sebenarnya ia adalah ‘saf kanak-kanak bermain’.

Kemudian mereka selalu dimarahi oleh orang-orang tua di dalam masjid, seolah-olah mereka tidak patut berada di sana. Kalau mereka dapat pengalaman yang tidak bagus tentang masjid semasa umur muda, bagaimana mereka hendak mesra dengan masjid apabila mereka sudah dewasa nanti? Sebab itu orang-orang muda kita tidak rapat dengan masjid kerana pengalaman tidak menarik di sana. Ini kerana ada orang-orang tua yang tidak pandai menjaga hati manusia. Mereka perasan mereka sudah bagus.

 

مَثَابَةً لِّلنَّاسِ

sebagai satu tempat kembalian bagi manusia

Perkataan مَثَابَةً bermaksud suatu tempat rujukan yang akan didatangi berkali-kali bagi seluruh manusia. Ia dari kata dasar ث و ب yang bermaksud memulangkan, berpatah balik, mengembalikan ke keadaan asal, bertaubat, mengumpulkan, memanggil berkali-kali, mengalir, menjadi banyak, sesuatu yang dipulangkan, membayar balik, tempat pulang, tempat orang berkumpul, rumah, khemah, pakaian. Memang sesiapa yang sudah pergi ke sana akan berharap untuk pergi melawatnya lagi. Ia juga adalah sebagai tempat berkumpul dan berlindung. Zaman Nabi ﷺ dahulu dan sahabat, Mekah adalah tempat rujukan. Jikalau ada pengumuman besar dari kerajaan Islam zaman duhulu untuk disampaikan ke serata dunia Islam, mereka akan lakukannya ketika musim Haji. Khutbah Nabi ﷺ yang paling panjang adalah semasa di Mekah. Cuma zaman sekarang ia menjadi tempat tumpuan semasa musim Haji sahaja.

Padahal pada zaman dahulu, itulah pusat pemerintahan kerajaan Islam. Itulah zaman keemasan Islam. Kalau ada masalah umat islam sedunia, kena selesaikan di sana. Pemimpin Muslim akan berkumpul dan berdiskusi di sana dan pengumuman yang penting-penting akan dilakukan di sana. Terutamanya semasa Musim Haji kerana umat Islam akan berkumpul di sana dan para pemimpin turut akan datang dan berbincang di sana. Pengumuman penting akan dilakukan di sana.

Kalimah مَثَابَةً yang dari katadasar ث و ب yang antara lain bermaksud ‘bayar balik’ yang merujuk kepada pahala. Maka kerana itulah Tanah Haram dan Baitullah adalah tempat kumpul pahala. Solat di MasjidilHaram diberikan dengan pahala yang berganda sehingga 100 ribu kali ganda seperti sabda Rasulullah:

صَلَاةٌ فِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ مِائَةُ أَلْفِ صَلَاةٍ، وَصَلَاةٌ فِي مَسْجِدِي أَلْفُ صَلاةٍ، وَفِي بَيْتِ الْمَقْدِسِ خَمْسُمِائَةٍ صَلَاةٌ
“Melaksanakan solat di Masjidilharam (pahalanya) sebanding dengan 100,000 kali solat (di masjid yang lain), solat di masjidku (Masjid Nabawi) pahalanya sebanding dengan 1,000 kali solat (di masjid yang lain), sedangkan solat di Baitul Maqdis (MasjidilAqsa) pahalanya sebanding dengan 500 kali solat (di masjid yang lain).”
(Riwayat Bazar, Ibnu Khuzaimah, & Thabrani dari Jabir bin Abdullah)

Ulama’ ada mengatakan salah satu tanda Haji seseorang itu diterima adalah keinginan hatinya untuk kembali ke Mekah. Kalau difikirkan balik, ini adalah sesuatu yang pelik. Kerana Mekah itu bukannya ada apa sangat dari segi pemandangan kerana padang pasir sahaja dan panas. Tapi tetapi memang mereka yang telah pergi ke sana sangat teringin untuk kembali. Ini pun kerana doa Nabi Ibrahim juga seperti disebut di dalam Hajj:37

رَبَّنا إِنّي أَسكَنتُ مِن ذُرِّيَّتي بِوادٍ غَيرِ ذي زَرعٍ عِندَ بَيتِكَ المُحَرَّمِ رَبَّنا لِيُقيمُوا الصَّلَوٰةَ فَاجعَل أَفئِدَةً مِّنَ النّاسِ تَهوي إِلَيهِم وَارزُقهُم مِّنَ الثَّمَرٰتِ لَعَلَّهُم يَشكُرونَ
Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan beri rezeki kepada mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.

Memang hati orang Mukmin akan tersangkut dengan Ka’bah. Walaupun kita tidak berada di sana, atau tidak pernah pergi, setiap hari kita akan mengadap kepadanya di dalam solat. Maka kerana itulah hati kita sentiasa tertaut kepadanya.

 

وَأَمْنًا

dan sebagai satu tempat yang aman;

Allah telah jadikan Baitullah itu sebagai tempat yang aman. Allah telah juga berfirman di dalam Ali Imran:97

فِيهِ ءآيَاتٌ بَيِّنٰتٌ مَّقَامُ إِبْرٰهِيمَ وَمَن دَخَلَهُ كَانَ ءآمِنًا وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعٰلَمِينَ
Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.

A rare picture taken by a French photographer from the air of a convoy of pilgrims, near the village of Al-Juhfa. It shows Hujjaj from Morocco, Algeria, Tunisia, Libya, and Egypt, making the journey to Makkah together on camels. The photo was taken in 1934 CE, 90 years ago.

 

Bukan Ka’bah sahaja tempat yang aman akan tetapi Tanam Haram keseluruhannya. Mekah adalah satu tempat yang aman sampaikan binatang dan tumbuhan pun tidak boleh dikacau, apatah lagi manusia. Di Mekah tidak boleh merompak, mencuri dan membunuh. Maka binatang juga tidak boleh dibunuh (melainkan yang membahayakan) dan pokok-pokok pun tidak boleh ditebang atau diambil (kecuali untuk keperluan kehidupan).

Jika pada zaman dahulu, kalau ada yang membunuh keluarganya sendiri, tidak akan seseorang itu membunuh orang yang bersalah itu kalau sudah memasuki ke dalam Masjidil Haram. Sesiapa yang masuk dalam Masjidil Haram tidak akan dibunuh. Kalau seorang waris nampak pembunuh ahli keluarganya pun, dia akan menundukkan muka kerana dia tahu yang dia tidak boleh membalas dendam di Baitullah.

Ayat ini bukan bererti bahawa Ka’bah yang memberi  keamanan, tetapi perintah kepada manusia untuk memberi rasa aman kepada siapa yang berkunjung dan masuk ke Ka‘bah. Siapa pun yang masuk  ke mssjid di mana Ka’bah itu berada, dia tidak boleh diganggu, kerana Allah  menghendaki agar siapa pun yang mengunjunginya dengan tulus, akan merasa tenang dan tenteram, terhindar dari rasa takut terhadap segala macam gangguan lahir dan batin. Kerana itu, manusia diperintahkan untuk mewujudkan kehendak Allah itu. Jadi perkara ini dijaga oleh masyarakat Arab pada waktu itu walaupun mereka itu dipanggil ‘jahiliyyah’. Ini adalah kerana ada lagi saki baki ajaran Nabi Ibrahim pada mereka. Dan memang syariat Islam meneruskan hukum ini. Hanya beberapa ketika sahaja dibenarkan kepada Nabi Muhammad semasa baginda dan umat Islam menakluk Mekah. Hal ini disebut dalam Hadis.

Tetapi malangnya Musyrikin Mekah menghalang Nabi ﷺ daripada salat di Ka’bah. Ini adalah kerana mereka amat benci kepada apa yang disampaikan oleh baginda sampaikan apa yang mereka lakukan selama itu mereka lupakan. Memang Mekah pada zaman itu aman kalau dibandingkan dari tempat-tempat yang lain. Kalau tempat lain, bermaharajela pembunuhan, rompakan dan serangan. Akan tetapi tidak di Mekah kerana penduduk Tanah Arab penyembah berhala waktu itu dan selalunya ada berhala mereka diletakkan di Ka’bah. Maka mereka menghormati juga Ka’bah dan Mekah tidak akan diserang.

Pada waktu itu kerajaan besar adalah Rom dan Parsi. Dua kerajaan ini juga tidak menyerang Mekah kerana tidak ada kepentingan bagi mereka. Mekah itu jauh daripada tamadun dan tidak ada kepentingan bagi mereka. Mereka buat tidak tahu sahaja dengan Mekah. Maka Mekah selamat daripada dijajah. Ia juga terletak di kawasan berbukit yang susah untuk diserang.

Maka kawasan Ka’bah dan sekitarnya adalah tempat yang aman, tidak boleh berlaku kezaliman di situ. Malah tidak boleh diadakan hukuman hadd di situ. Jadi kalau ada pesalah yang melarikan diri dan berlindung di Tanah Haram, maka mereka hanya boleh ditangkap dan dihukum di tempat lain.

Ka‘bah yang disebut sebagai أَمْنًا, memberi kesan bahawa keamanan itu bukan saja menyatu dengan Ka‘bah, tetapi wujudnya sendiri adalah keamanan. Sehinggakan sesiapa sahaja yang mengujunginya dan merasakan kehadirannya sebagai rumah Allah, pasti akan merasakan keamanan. Betapa tidak, bukankah yang berkunjung itu berada di rumah Allah, yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Kuasa, dan Maha Damai?

 

وَاتَّخِذُوا مِنْ مَّقَامِ إِبرٰهِـۧمَ مُصَلًّى

Dan kamu jadikanlah Maqam Ibrahim sebagai tempat sembahyang;

Allah ‎ﷻ telah memberi arahan kepada kita untuk menjadikan Maqam Ibrahim itu sebagai tempat salat iaitu yang dimaksudkan adalah Salat Sunat. Selepas tawaf, dianjurkan untuk salat sunat di situ. Ayat ini walaupun nampak seperti arahan, tapi ia bukanlah membawa kepada maksud wajib. Cuma ada perincian ulama’ tentang hal ini: Kalau tawaf wajib, maka wajib solat. Akan tetapi kalau tawaf sunat, maka sunat sahaja untuk solat. Iaitu solat berdekatan dengan Maqam Ibrahim ini. Kalau boleh solat berdekatan, maka ini lebih baik. Tapi kalau tidak, boleh sahaja solat di mana-mana kawasan dalam Tanah Haram. Kerana ada juga pendapat yang mengatakan ‘Maqam Ibrahim’ ini merujuk kepada keseluruhan Tanah Haram.

Dalam riwayat ada disebut selepas Rasulullah memberitahu Saidina Umar tentang Maqam Ibrahim itu maka beliau telah bertanya bolehkah solat di situ? Maka kerana itulah turunnya ayat ini. Jadi ini adalah asbabun nuzul bagi ayat ini.

Ini adalah kerana para sahabat enggan solat di belakang maqam kerana mereka tidak ingin ada sesuatu yang menghalang mereka dari terus mengadap Ka’bah. Keengganan itu menjadikan arah di mana Maqam Ibrahim berada seringkali tidak digunakan untuk salat. Untuk itu, Umar ra. mengusulkan kepada Nabi saw. agar arah di mana Maqam itu berada dibenarkan pula untuk menjadi tempat salat. Usul Umar ra. itu diperkenankan Allah, maka turunlah perintah menjadikan Maqam Ibrahim sebagai tempat salat. Bahkan kini, tempat itu menjadi “rebutan” pengunjung Ka‘bah.

Maksud مَّقَامِ bermaksud ‘tempat berdiri’. Ulama memberikan banyak makna kepada Maqam Ibrahim itu. Yang paling masyhur adalah ianya adalah bekas tapak kaki Nabi Ibrahim pada batu itu semasa baginda berpijak di batu tersebut semasa membina Kaabah bersama Nabi Ismail. Ada yang kata dulu ianya bukanlah batu tapi seperti tanah liat. Itulah sebabnya boleh ada bekas tapak kaki baginda. Dan lama-lama keras tanah itu jadi keras. Tapi kalau kita kata begitu, tidaklah ada kelebihan apa sangat pada batu itu. Sememangnya kita terima ianya memang batu. Ianya adalah salah satu mukjizat yang Allah tunjukkan kepada manusia. Seperti juga semasa kisah Nabi Musa semasa kainnya dilarikan batu. Batu itu hidup bergerak dan selepas itu Nabi Musa memukulnya sampai meninggalkan bekas. Batu yang Nabi Ibrahim jugakan sebagai alas itu semacam satu lif kepada baginda. Apabila Nabi Ibrahim hendak meletakkan batu Kaabah di bahagian atas, batu itu akan membawanya ke atas. Kalau nak bergerak ke kiri, batu itu akan bergerak ke kiri. Saidina Anas bin Malik pernah menyebut yang beliau ada nampak bekas tapak kaki itu.

Kedudukannya sekarang adalah mengadap ke pintu Ka’bah. Dahulu ia bersandar dengan Ka’bah dan kemudian Saidina Umar menempatkannya di tempat ia berada sekarang. Ia adalah kerana apabila manusia solat di situ, maka ia mengganggu orang ramai hendak melakukan tawaf. Akan tetapi kita akan beritahu ada kritikan terhadap pendapat ini.

Ada juga pendapat yang mengatakan Maqam Ibrahim bukanlah tempat berdiri baginda ketika mendirikan Ka’bah akan tetapi ketika baginda mendirikan solat. Kerana itulah kita disunatkan untuk mendirikan solat di sini sebagai mengikut sunnah baginda.

Jadi Maqam Ibrahim bukanlah kubur baginda pula (orang Melayu panggil kubur makam). Kerana kubur dalam bahasa Arab adalah maqbarah. Takut ada pula orang kita yang sangka Nabi Ibrahim disemadikan di situ pula. Ini kerana memang ada yang berpendapat begitu dan menjadikan ini sebagai dalil boleh adanya kubur dalam masjid. Sedangkan perkara ini tidak dibenarkan di dalam Islam.

Tetapi bekas tapak kaki itu telah ditutup supaya mereka yang pergi ke sana, tidak nampak. Itu pun orang sudah sapu dan cium bekas yang diletakkan batu itu sebab mereka hendak mengambil berkat. Ini adalah perbuatan yang salah. Manusia kalau iman tidak kuat, mereka akan cari benda-benda seperti itu untuk diambil sebagai berkat.

Kenapa Maqam Ibrahim ini penting? Ianya untuk kita di zaman ini adalah sebagai simbol jejak Nabi Ibrahim. Kita disuruh untuk ikut ajaran agama baginda. Dalam bahasa kita pun kita selalunya menggunakan perkataan ‘jejak langkah’. Begitu jugalah dalam hal ini. Kita disuruh ikut jejak langkah baginda dalam beragama. Nabi Ibrahim pengasas kepada agama yang sampai kepada kita. Asas ajaran Islam dari dia. Itulah sebabnya di dalam Al-Qur’an kita disuruh mengambil dari Nabi Ibrahim, ‘ugama bapa kamu’.

Ada juga yang mengatakan bahawa Maqam Ibrahim itu adalah keseluruhan Tanah Haram. Ada juga yang mengatakan bahawa ianya merangkumi tempat-tempat dilakukan ibadat haji. Bermakna, ia termasuk juga dengan kawasan Ka’bah dan Saie. Kalau mengikut pendapat-pendapat ini, bermakna Maqam Ibrahim itu merangkumi kawasan yang luas. Tapi ulama’ seperti Imam Bukhari memegang bahawa Maqam Ibrahim itu adalah batu tempat berpijaknya Nabi Ibrahim semasa membangun Kaabah. Ini kita boleh lihat di dalam Sahih Bukhari apabila beliau membawa hadis,

عَمْرُو بْنُ دِينَارٍ قَالَ سَأَلْنَا ابْنَ عُمَرَ عَنْ رَجُلٍ طَافَ بِالْبَيْتِ الْعُمْرَةَ وَلَمْ يَطُفْ بَيْنَ الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ أَيَأْتِي امْرَأَتَهُ فَقَالَ قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَطَافَ بِالْبَيْتِ سَبْعًا وَصَلَّى خَلْفَ الْمَقَامِ رَكْعَتَيْنِ وَطَافَ بَيْنَ الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ وَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ
وَسَأَلْنَا جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ فَقَالَ لَا يَقْرَبَنَّهَا حَتَّى يَطُوفَ بَيْنَ الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ
‘Amru bin Dinar berkata, “Kami pernah bertanya kepada Ibnu ‘Umar tentang seseorang yang telah bertawaf di Ka’bah untuk ‘Umrah tetapi tidak melakukan sa’i antara Shafa dan Marwah. Apakah dia boleh berhubungan (jima’) dengan isterinya?” Maka Ibnu ‘Umar berkata, “setelah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam datang Makkah, lalu thawaf mengelilingi Ka’bah tujuh kali, salat di belakang Maqam ibrahim dua rakaat, lalu sa’i antara antara Shafa dan Marwah. Dan sungguh bagi kalian ada contoh tauladan yang baik pada diri Rasulullah.”
Dan kami pernah bertanya kepada Jabir bin ‘Abdullah tentang masalah ini. Maka ia menjawab, “Dia sama sekali tidak mendekati isterinya hingga dia melaksanakan sa’i antara bukit Shafa dan Marwah.” Sahih Bukhari (381)

Imam Bukhari meletakkan hadis ini di bawah tajuk: بَاب قَوْلِ اللَّهِ تَعَالَى { وَاتَّخِذُوا مِنْ مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى }
Bab Firman Allah Ta`ala: Dan Jadikanlah Tempat Sembahyang Bermula Dari Maqam (Nabi) Ibrahim

Hadis ini menunjukkan bahawa Nabi telah solat di belakang Maqam Ibrahim. Itu yang hendak dibawa oleh Imam Bukhari. Ini adalah seperti yang disebut di dalam ayat Al-Qur’an yang kita sedang bincangkan. Hadis ini menunjukkan juga bahawa selepas thawaf, baginda telah melakukan solat sunat dua rakaat.

Tujuan Imam Bukhari membawa tajuk ini dan hadis yang digunakan sebagai dalil bahawa perintah Allah dalam ayat Al-Qur’an itu bukan perintah wajib. Bermakna, tidaklah semestinya kita kena solat di Maqam Ibrahim itu. Dari tiga hadis yang dikemukakan dalam tajuk ini, satu sahaja yang menunjukkan Nabi buat begitu. Setiap perintah dalam Al-Qur’an tidak semestinya wajib untuk diikuti. Kita kena faham apakah status perintah Allah itu. Ini memerlukan kita belajar dengan lebih mendalam lagi.

Sebelum kita meneruskan lagi, ada baiknya kita jelaskan bahawa Kiblat adalah tapak di bawah Ka’bah, bukannya Maqam Ibrahim. Dan makna Maqam Ibrahim pun boleh jadi macam-macam seperti yang kita jelaskan di atas tadi. Yang pasti adalah kita mengadap ke Ka’bah dalam solat kita dan bukannya Maqam Ibrahim itu.

Dari segi hukum, perintah ini adalah sunat untuk solat di Maqam Ibrahim itu. Iaitu sunat solat tawaf lepas tawaf di situ. Ada mengatakan bahawa sunat jikalau kita melakukan tawaf sunat dan wajib jika melakukan tawaf wajib.

Satu lagi mengatakan bahawa perintah ini adalah salah satu dari perintah yang dinamakan Amar Irsyadi. Iaitu sesuatu perintah yang memudahkan kita dalam kehidupan kita. Bukan melibatkan pahala jika membuatnya. Bermakna, kita disuruh untuk solat di Maqam Ibrahim itu supaya orang boleh tawaf dengan selesa dan kita tidak solat betul-betul di situ. Kerana kedudukannya adalah jauh sedikit dari dinding Ka’bah, maka kita tidak mengganggu orang lain. Amar Irsyadi ini juga sama macam suruhan ambil dua saksi perempuan di dalam urusan perniagaan. Dalam surah Baqarah dikatakan bahawa hendaklah mengambil dua saksi. Tetapi jikalau perempuan, dua orang perempuan sama dengan seorang saksi lelaki kerana seorang perempuan boleh mengingatkan seorang lagi. Ini adalah kerana pada zaman itu, perempuan tidak biasa berurusan dalam perniagaan. Oleh kerana itu, mereka mungkin tidak biasa. Jadi itulah kerana mereka memerlukan lebih lagi saksi. Tapi pada zaman sekarang, tidak ada beza lagi, malahan ada perempuan yang lagi pandai dari lelaki, tidaklah perlu untuk menggunakan perintah ini secara zahirnya. Dengan memegang pendapat ini, tidaklah Islam dikatakan sebagai memandang rendah kepada wanita.

Ada yang kata Khalifah Umar ubah kedudukan Maqam Ibrahim. Mereka kata sepatutnya ia dekat betul dengan dinding Ka’bah. Tapi sebenarnya, semasa ia dekat dengan dinding Ka’bah itu adalah kerana orang letakkan di situ selepas ianya hanyut selepas banjir. Umar buat itu pun bukan dia buat sendiri tapi selepas berbincang dengan para sahabat yang lain. Kedudukan sekarang adalah kedudukan yang sepatutnya sepertimana dari dulu semasa zaman Nabi Ibrahim lagi. Ini semua adalah kerja-kerja puak Syiah yang telah memesongkan cerita untuk memburukkan Saidina Umar.

Allah ‎ﷻ sedang memberi isyarat tentang ibadat Haji dalam ayat ini. Sedangkan ayat ini diturunkan semasa umat Islam ketika itu berada di Madinah dan mereka tidak boleh ke Mekah lagi kerana masih dikuasai oleh puak Musyrikin Mekah. Maka, Allah ‎ﷻ sedang memberi isyarat kepada mereka bahawa mereka akan dapat pergi buat Haji ke Mekah nanti. Ia adalah isyarat kepada berita gembira untuk mereka. Iaitu nanti mereka akan dapat menguasai Mekah dan dapat mengerjakan ibadah Umrah dan Haji dengan aman.

 

وَعَهِدْنَآ إِلَىٰ إِبرٰهِـۧمَ وَإِسمَـٰعِيلَ

Dan ketika Kami titahkan arahan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail

Perkataan عهد bermaksud ‘perjanjian’, tetapi apabila ditambah dengan perkataan إِلَىٰ, ia bermaksud arahan untuk melakukan sesuatu. Allah ‎ﷻ sebut juga Nabi Ismail عليه السلام dalam ayat ini. Maknanya ada arahan titah daripada Allah ‎ﷻ kepada mereka berdua. Arahan Allah ini juga telah disebut di dalam Hajj:26

وَإِذ بَوَّأنا لِإِبرٰهيمَ مَكانَ البَيتِ أَن لّا تُشرِك بي شَيئًا وَطَهِّر بَيتِيَ لِلطّائِفينَ وَالقائِمينَ وَالرُّكَّعِ السُّجودِ
Dan (ingatlah), ketika Kami memberikan tempat kepada Ibrahim di tempat Baitullah (dengan mengatakan): “Janganlah kamu mensyirikkan sesuatu pun dengan Aku dan sucikanlah rumah-Ku ini bagi orang-orang yang thawaf, dan orang-orang yang beribadat dan orang-orang yang ruku’ dan sujud.

Dalam ayat sebelum ini, Nabi Ibrahim عليه السلام berdoa supaya keturunannya juga dijadikan sebagai imam. Allah ‎ﷻ beritahu yng janji-Nya itu tidak diberikan kepada orang yang zalim. Tetapi dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ menyebut Nabi Ismail عليه السلام, anaknya. Bermakna, ada dari keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام yang baik-baik. Antaranya yang disebut adalah Nabi Ismail عليه السلام. Maka ini adalah satu berita yang amat gembira baginya.

Ingatlah bahawa ayat ini sedang dibaca oleh orang Yahudi juga. Mereka tidak menerima Nabi Ismail ‎عليه السلام kerana Nabi Ismail عليه السلام adalah bapa bagi keturunan Arab. Orang Yahudi hanya menerima Nabi Ishak عليه السلام sahaja, anak Nabi Ibrahim عليه السلام juga. Oleh kerana Orang Yahudi tidak menerima Nabi Ismail عليه السلام, Allah ‎ﷻ memuliakan Nabi Ismail عليه السلام dalam ayat ini.

Ayat ini menceritakan Allah ‎ﷻ memberi arahan kepada Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi Ismail عليه السلام. Ini juga sebagai isyarat bahawa seorang ayah kena bawa anaknya ke masjid. Bukan pergi seorang sahaja kerana anak itu perlu dididik. Kita telah sebutkan sebelum ini yang seorang ayah kena mesrakan anak ke masjid. Masalah sekarang, ayah pun jarang ke masjid. Kalau ayah pun tidak ke masjid, bagaimana anaknya hendak ikut ke masjid?

Dalam ayat ini arahan juga diberikan kepada Nabi Ismail عليه السلام. Maka ini bermakna yang baginda sudah dewasa. Dulunya baginda ditinggalkan semasa bayi lagi. Dan sekarang mungkin sudah berumah tangga kerana dalam sirah kita dapat yang baginda bernikah kepada puak Jurhum yang datang ke sana.

 

أَنْ طَهِّرَا بَيْتِيَ

supaya menyucikan rumahKu ini;

Lihatlah Allah mengatakan Ka’bah itu بَيْتِيَ (rumahKu) dan kerana itulah nama lain baginya adalah Baitullah (rumah Allah). Dengan ini Ka’bah telah diangkat kedudukannya menjadi mulia dan salah satu syiar utama agama Islam. Nabi Adam عليه السلام yang mula-mula sekali membangunkan kembali Ka’bah (kerana kita tidak tahu dengan pasti siapakah yang  mula-mula membinanya). Dari kisah Israiliyat, ada disebut yang para malaikat yang mula membina asasnya di dunia, dan diteruskan oleh Nabi Adam. Kemudian ia telah rosak bila banjir besar Nabi Nuh عليه السلام. Maka dikatakan Nabi Nuh عليه السلام telah membetulkannya balik. Kemudian manusia berbuat syirik dan letak berhala di Ka’bah. Lama kelamaan ia telah hilang ditelan zaman. Dan sekarang disebut yang Allah ‎ﷻ telah arahkan mereka berdua (Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail) untuk menyucikan Ka’bah daripada benda-benda yang pernah mengotori Ka’bah. Pada zaman Nabi Muhammad ﷺ telah ada macam-macam kemungkaran di Ka’bah ketika itu. Maknanya, dari zaman Nabi Nuh عليه السلام lagi sudah ada orang buat perangai syirik di situ. Ia telah dijadikan tempat memuja selain Allah ‎ﷻ.

Maka kerana itu Allah ‎ﷻ mengarahkan mereka berdua untuk membersihkan Ka’bah. Akan tetapi pada waktu itu berkemungkinan tidak ada berhala di situ kerana tidak ada penempatan manusia di situ. Kerana itu Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail عليهما السلام kena membersihkannya dari kekotoran fizikal. Tapi bukan kekotoran fizikal sahaja yang perlu dibersihkan akan tetapi kekotoran akidah dan kekufuran. Nabi Ibrahim yang telah pernah berhadapan dengan kaum yang menyembah berhala sedar tentang bahayanya amalan syirik itu maka kerana itulah baginda berdoa supaya baginda dan anak cucunya diselamatkan dari menyembah berhala seperti disebut di dalam Ibrahim:36 walaupun ia belum terjadi lagi.

وَإِذ قالَ إِبرٰهيمُ رَبِّ اجعَل هٰذَا البَلَدَ ءآمِنًا وَاجنُبني وَبَنِيَّ أَن نَّعبُدَ الأَصنامَ
Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berkata: “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini (Mekah), negeri yang aman, dan jauhkanlah aku berserta anak cucuku daripada menyembah berhala-berhala.

Kalau diambil maksud umum, maka bukan Masjidil Haram sahaja yang perlu dibersihkan, akan tetapi semua masjid kerana semua masjid adalah ‘rumah Allah’, bukan? Dalilnya Nur:36 di mana Allah menggunakan istilah بُيوتٍ untuk merujuk kepada masjid.

في بُيوتٍ أَذِنَ اللهُ أَن تُرفَعَ وَيُذكَرَ فيهَا اسمُهُ يُسَبِّحُ لَهُ فيها بِالغُدُوِّ وَالآصالِ
Bertasbih kepada Allah di masjid-masjid yang telah diperintahkan untuk dimuliakan dan disebut nama-Nya di dalamnya, pada waktu pagi dan waktu petang

Maka ini adalah arahan untuk memastikan semua masjid di dunia ini bersih dari segi fizikal dan tidak dilakukan perkara kufur dan syirik di dalamnya. Kerana itulah sepatutnya masjid-masjid itu bersih kerana membersihkan masjid adalah kerja yang mulia. Akan tetapi malangnya kalau kita ke tandas masjid sekarang, ada yang kembang tekak kita untuk menjalankan urusan kita di dalamnya. Kerana umat Islam ramai yang tidak ada adab dan tidak mengamalkan cara kebersihan yang diajar di dalam Islam. Bayangkan Rasulullah mengajar kita untuk membersihkan diri apabila ke masjid dan malah melarang orang yang makan bawang untuk datang ke masjid kerana ia boleh mengganggu jemaah lain. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

مَنْ أَكَلَ مِنْ هَذِهِ الشَّجَرَةِ ـ يَعْنِي الثُّومَ ـ فَلاَ يَقْرَبَنَّ مَسْجِدَنَا
Sesiapa yang makan dari pohon ini (iaitu bawang putih) maka janganlah dia mendekati masjid kami.
Riwayat Al-Bukhari (853)

Jadi membersihkan masjid adalah kerja yang mulia. Kalau sekarang kita perhatikan Kerajaan Arab Saudi amat menjaga perkara ini dan kita boleh lihat kebersihan yang mereka jaga. Menarik kalau kita lihat bagaimana cara kontraktor sekarang membersihkan kawasan Ka’bah itu dengan efisien sekali. Dan kerana mulianya perbuatan membersihkan masjid, maka Rasulullah memuliakan orang yang membersihkan masjid. Lihat satu kisah yang ramai rasanya tahu tentangnya,

أَنَّ امْرَأَةً سَوْدَاءَ كَانَتْ تَقُمُّ الْمَسْجِدَ أَوْ شَابًّا فَفَقَدَهَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَسَأَلَ عَنْهَا – أَوْ عَنْهُ – فَقَالُوا: مَاتَ، قَالَ: أَفَلَا كُنْتُمْ آذَنْتُمُونِي. قَالَ: فَكَأَنَّهُمْ صَغَّرُوا أَمْرَهَا أَوْ أَمْرَهُ. فَقَالَ: دُلُّونِي عَلَى قَبْرِهِ، فَدَلُّوهُ، فَصَلَّى عَلَيْهَا، ثُمَّ قَالَ: إِنَّ هَذِهِ الْقُبُورَ مَمْلُوءَةٌ ظُلْمَةً عَلَى أَهْلِهَا، وَإِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ يُنَوِّرُهَا لَهُمْ بِصَلَاتِي عَلَيْهِمْ.
Ada seorang wanita atau pemuda berkulit hitam bekerja sebagai tukang sapu masjid. Ketika Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam tidak menemukan orang tersebut baginda bertanya (kepada sahabat) tentangnya. Mereka mengatakan bahawa orang itu telah meninggal dunia. Kata Nabi sallahu ‘alaihi wasallam: “Kenapa kamu semua tidak beritahu kepadaku?” Perawi hadis ini berkata: “Seolah-olah para sahabat menganggap remeh kematian orang itu.” Lalu kata Nabi: “Tunjukkanlah kepadaku kuburnya.” Maka ditunjukkan mereka kepada baginda kuburnya, lalu baginda solat (jenazah) ke atasnya. Kemudian baginda bersabda: “Kubur ini sangat gelap bagi penghuninya. Sesungguhnya Allah ‘azza wa jalla akan meneranginya setelah aku solat di atasnya.”
Riwayat Muslim (no. 956) daripada hadis Abu Hurairah

Nabi marah kerana baginda sudah berpesan kalau wanita itu mati, diberitahu kepada baginda. Akan tetapi para sahabat tidak melakukannya kerana kematiannya di malam hari dan mereka tidak menganggap wanita itu penting kerana orang biasa sahaja pada mereka (sedangkan tidak, beliau seorang yang mulia kerana kebiasaan beliau membersihkan masjid). Di dalam riwayat yang lain ada disebut nama wanita itu dan kenapa beliau dimuliakan oleh Rasulullah. Walaupun ia dhaif akan tetapi ia menjelaskan hadis sahih di atas.

كَانَتْ امْرَأَةٌ بِالْمَدِينَةِ تَقُمُّ الْمَسْجِدَ فَمَاتَتْ فَلَمْ يَعْلَمْ بِهَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَمَرَّ عَلَى قَبْرِهَا فَقَالَ مَا هَذَا الْقَبْرُ؟ فَقَالُوا أُمُّ مِحْجَنٍ، قَالَ الَّتِي كَانَتْ تَقُمُّ الْمَسْجِدَ؟ قَالُوا نَعَمْ، فَصَفَّ النَّاسَ فَصَلَّى عَلَيْهَا ثُمَّ قَالَ أَيَّ الْعَمَلِ وَجَدْت أَفْضَلَ؟ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتَسْمَعُ؟ قَالَ مَا أَنْتُمْ بِأَسْمَعَ مِنْهَا، فَذَكَرَ أَنَّهَا أَجَابَتْهُ قَمَّ الْمَسْجِدِ.
Ada seorang wanita di Madinah yang selalu membersihkan masjid. Kemudian dia meninggal dunia dan Nabi salahu ‘alaihi wasallam tidak tahu tentang kematiannya. Nabi sallahu ‘alaihi wasallam melalui kuburnya lalu bertanya: “Kubur siapakah ini?” Para sahabat menjawab: “Ummu Mihjan.” Nabi bertanya lagi: “Yang membersihkan masjid?” Para sahabat menjawab: “Ya.” Nabi dan para sahabat lalu berbaris dan bersolat untuknya. Kemudian Nabi bertanya (kepada Ummu Mihjan): “Amalan apakah yang kamu dapati merupakan sebaik-baik amalan?” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah dia dengar?” Nabi menjawab: “Dia lebih dengar daripada kamu semua.” Kemudian Nabi menyebut bahawa dia menjawab: “Membersihkan masjid.”
Diriwayatkan oleh Abu al-Syeikh dalam Thawab al-A’mal daripada hadis ‘Ubaid bin Marzuq secara mursal (daif).

Begitu juga ada riwayat daripada hadis Buraidah yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (no. 7101) yang menyebutkan nama wanita tersebut sebagai Ummu Mihjan. Hadis Buraidah ini dinilai sebagai hasan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fath al-Bari.

Maka kita jangan lepaskan peluang membersihkan masjid. Libatkanlah diri dengan masjid dan berkhidmatlah dengan masjid di kawasan kita. Sekurang-kurangnya jangan kotorkan masjid apabila kita berada di sana. Saya teringat satu kisah arwah Tuan Guru Nik Aziz yang disampaikan oleh pemandunya. Kebiasaan beliau adalah berhenti pada masjid di hening hari di dalam musafirnya dan secara senyap-senyap membersihkan tempat wuduk. Beliau mengambil peluang untuk menambah pahala dan tidak mahu orang tahu mengenainya. Semoga Allah merahmati roh beliau.

Ingat kembali bahawa arahan Allah kepada Nabi Muhammad dan para sahabat ini diberikan ketika mereka berada di Madinah iaitu setelah mereka terpaksa berhijrah meninggalkannya. Maknanya mereka sekarang jauh, jadi bagaimana hendak membersihkannya? Maka ada isyarat yang umat Islam kena mengambil alih Ka’bah itu dari puak Musyrikin Mekah. Cuma arahan jihad menakluk Tanah Haram belum dikeluarkan lagi buat masa ini. Tapi isyarat telah diberikan dan nanti kita akan bertemu ayat arahan Allah untuk menukarkan kiblat dari BaitulMaqdis ke Ka’bah nanti. Dan akhirnya pada Tahun 8 Hijrah umat telah cuba mengerjakan Umrah akan tetapi mereka ditahan dan terjadilah Perjanjian Hudaibiyah. Ini kita akan belajar di dalam Surah Fath. Kemudian apabila perjanjian itu dilanggar oleh Musyrikin Mekah, maka ia telah membawa kepada serangan umat Islam yang menakluk Mekah pada tahun ke 9 Hijrah. Dengan itu berjayalah Nabi Muhammad untuk membersihkan Ka’bah dan Tanah Haram dari berhala yang banyak berada di sekitarnya. Dan Rasulullah telah mengarahkan para sahabat yang diketuai oleh Abu Bakr untuk menyampaikan larangan kepada musyrik untuk tawaf lagi di Ka’bah. Ini nanti kita belajar di dalam Surah Tawbah.

 

لِلطَّائِفِينَ

bagi orang orang yang tawaf

Diutamakan dan didahulukan Ka’bah untuk orang yang tawaf di situ. Ini kerana di Ka’bah sahaja tempat tawaf. Sebab itulah dibolehkan melintas mereka yang salat sunat untuk mengerjakan tawaf kerana ia adalah khas di Ka’bah sahaja.

Sebab keutamaan mengerjakan tawaflah yang menyebabkan penjaga-penjaga di sekeliling Ka’bah akan berusaha untuk memberikan ruang untuk mereka yang tawaf.

 

وَٱلعَـٰكِفِينَ

dan orang-orang yang i’tikaf;

I’tikaf bermaksud masuk masjid dan niat untuk duduk dalam masjid untuk beberapa lama. Ia dari kata dasar ع ك ف yang bermaksud menyusun, berterusan dalam sesuatu, menahan, menyendiri. Jadi ia bukan hanya masuk sahaja. Macam sekarang, orang kita faham kalau masuk masjid untuk salat sahaja, sudah dikira i’tikaf. Walaupun memang ada pendapat yang mengatakan masuk sesaat pun boleh berniat i’tikaf, tapi pendapat yang lebih kuat, kenalah duduk lama.

Sebenarnya, i’tikaf itu adalah masuk dan tidak keluar selama beberapa waktu yang lama. Maknanya, sudah lain makna i’tikaf sekarang dengan yang sepatutnya. I’tikaf hanya boleh dilakukan di masjid, maka kita tidak boleh i’tikaf atas kubur. Yang i’tikaf di kuburan itu adalah golongan quburiyyun, termasuk golongan Habib sekarang.

Dari segi bahasa, i’tikaf itu adalah ‘bertapa’. Selalunya selama sehari semalam (walaupun ada juga pendapat yang mengatakan boleh waktu pendek, walaupun sesaat). Tetapi dalam Islam, tidak ada syariat untuk bertapa. Jadi, i’tikaf kita hanya boleh dilakukan di masjid. Bukanlah itu lebih baik? Daripada bertapa di gunung, bukit, lembah atau dalam kubur?

Tetapi tarekat-tarekat sesat telah mengajar anak murid mereka untuk bertapa di tempat-tempat kotor macam itu. Mereka reka satu amalan pula: bersuluk. Kononnya boleh meningkatkan maqam/darjat ilmu. Masih banyak lagi dilakukan sekarang. Ini adalah kerana masih ramai lagi yang tertipu dengan ajaran-ajaran sesat sebegitu. Ini kerana jahil agama sahaja. Memang yang jahil-jahil sahaja akan masuk tarekat.

 

وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ

dan bagi orang yang rukuk dan sujud;

Maksudnya, Ka’bah adalah tempat untuk manusia mendirikan sembahyang. Walaupun yang dimaksudkan adalah solat, akan tetapi Allah menyebut dua perbuatan utama di dalamnya. Mengingatkan kita bahawa ketika melakukan rukuk dan sujud ini kita kenalah merendahkan diri kepada Allah dan sedar kepentingan perbuatan kita itu.

Maknanya, Ka’bah itu adalah tempat bagi orang tawaf, i’tikaf dan melakukan salat. Daripada ayat ini, yang kita disuruh buat di Ka’bah adalah banyakkan membuat tawaf, i’tikaf dan salat di Masjidil Haram. Bukanlah kita disuruh buat umrah banyak-banyak kali macam yang dilakukan oleh ramai orang sekarang. Maka tidak sepatutnya orang buat umrah sampai dua tiga kali. Ada yang buat sampai tujuh kali (sampai lembik mereka di sana). Sahabat tidak ada buat begitu. Kecualilah kalau mereka ada urusan lain dan keluar semula. Iaitu mereka keluar itu kerana ada urusan. Banyak yang salah faham tentang perkara ini. Sampai ada yang buat umrah banyak-banyak kali. Selalunya mereka hendak mengejar sampai cukup tujuh kali buat Umrah. Ini adalah kerana salah faham dengan hadith Nabi ﷺ yang mengatakan kalau tujuh kali umrah, bersamaan pahala dengan buat Haji sekali. Tetapi hadith itu tidak sahih maka tidak boleh dijadikan sebagai hujah. Kita kena lihat amalan Nabi dan sahabat. Adakah Nabi ﷺ buat umrah banyak kali setiap kali Nabi ﷺ pergi ke sana? Tidak, bukan? Maka sepatutnya kita buat umrah sekali, kemudian kita banyakkan buat ibadat tawaf seperti yang diisyaratkan dalam ayat ini.

Jadi, tuntutan kepada kita apabila berada di Masjidil Haram adalah melakukan tawaf, i’tikaf dan salat sahaja. Yang buat umrah banyak kali itu, mereka sudah tidak sempat untuk salat sunat di Masjidil Haram. Sebab tidak sempat untuk mengejar masa ke tempat miqat. Mereka buat benda yang tidak perlu dibuat sampai tertinggal buat benda yang sepatutnya dilakukan. Atau, mereka sudah tidak buat salat sunat dan ibadah lain sebab mereka sudah tidak larat untuk ke sana sini. Padahal, setiap kali salat di Masjidil Haram, pahala salat itu akan digandakan sebanyak seratus ribu kali. Ini adalah dari hadith yang sahih yang kita telah kongsikan di atas. Adakah Nabi ﷺ menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda kalau buat umrah banyak kali? Tidak. Manakala apabila mereka mengerjakan umrah banyak kali, mereka tidak akan melakukan tawaf sunat lagi. Maka yang sebetulnya kena banyakkan salat dan tawaf di Masjidil haram. Rugi kalau kita tidak solat di Masjidil haram banyak kali sebab satu waktu bersamaan seratus ribu pahala berbanding salat di tempat lain.

Lihatlah juga keindahan bahasa Al-Qur’an yang tepat. Allah ‎ﷻ sebut:

Kalimah لِلطَّائِفِينَ untuk orang-orang yang bertawaf

Kalimah وَالْعَاكِفِينَ: DAN orang-orang yang beriktikaf

Kalimah وَالرُّكَّعِ DAN orang-orang yang rukuk

Dan kalimah السُّجُودِ bermaksud Sujud. Tidak ada kata DAN di antara rukuk dan sujud kerana dua-dua ada dalam salat.

Begitu juga ada susunan yang tepat ‘daripada sedikit kepada banyak’ dalam susunan ibadah-ibadah itu:

Tawaf: ibadat yang paling kurang di antara semua ibadah yang disebut. Kerana hanya boleh dilakukan di Ka’bah sahaja.

I’tikaf: lagi banyak dilakukan oleh manusia. Kerana boleh dilakukan di mana-mana masjid jami’ (masjid yang diadakan solat Jumaat padanya) sedangkan tawaf hanya boleh dilakukan di Ka’bah sahaja. Tetapi lagi kurang daripada rukuk.

Rukuk: lagi banyak dilakukan daripada i’tikaf. Tetapi lagi kurang daripada sujud. Ia adalah sebahagian dari solat yang boleh dilakukan di mana-mana sahaja, tidak perlu di masjid atau surau.

Sujud: paling banyak dilakukan. Kita rukuk sekali sahaja dalam satu rakaat, tetapi sujud dua kali. Dan manusia juga boleh melakukan sujud sunat (tidak ada rukuk sunat) jadi bilangan sujud itu lebih banyak lagi.

Lihat juga ada perubahan susunan daripada ibadat yang khas kepada ibadat yang umum. Tawaf adalah khusus bagi orang yang berada di MasjidilHaram, kemudian i’tikaf yang boleh dilakukan di masjid dan kemudian solat yang boleh dilakukan oleh semua orang. Begitulah hebatnya Allah ‎ﷻ susun perkataan dan kalimah di dalam Al-Qur’an. Begitulah kalau setakat baca tanpa belajar tafsir dan melakukan tadabbur, kita tidak akan berjumpa hal ini. Amatlah rugi bagi kebanyakan umat Islam yang tidak mengendahkan pengetahuan tentang Al-Qur’an.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 16 November 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Maariful Qur’an

TafsirWeb

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 124 (Kisah Nabi Ibrahim)

NABI IBRAHIM DI MEKAH

Baqarah Ayat 124: Ini adalah berkenaan dengan kisah Nabi Ibrahim عليه السلام. Ini adalah kali pertama kita berjumpa kisah baginda di dalam Al-Qur’an. Allah ‎ﷻ hendak menceritakan permulaan kebangkitan umat akhir zaman (umat Nabi Muhammad ﷺ). Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa ada keistimewaan pada umat Nabi Muhammad ﷺ. Bukan umat Bani Israil sahaja yang ada keistimewaan. Jadi mereka sepatutnya jangan pandang rendah sangat kepada ‘Bani Ismail’ itu.

Jadi dalam ayat-ayat ini Allah ﷻ menceritakan tentang Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail. Allah ﷻ mengingatkan bahawa Nabi Ibrahim عليه السلام bukan hanya ada Nabi Ishaq عليه السلام sahaja (bapa keturunan Yahudi) tapi ada seorang lagi iaitu Nabi Ismail عليه السلام, abang sulung kepada Nabi Ishaq عليه السلام.

Umat Nabi Muhammad ﷺ lahir dari doa seorang Nabi dan yang mendoakan untuk mereka itu adalah Nabi Ibrahim عليه السلام, seorang Nabi yang hebat, yang unggul. Bani Israil juga mengenali baginda. Sebelum ini telah banyak disebut tentang kisah-kisah mereka dan sekarang kita akan belajar tentang datuk mereka dan juga datuk kita juga, iaitu Nabi Ibrahim عليه السلام.

Yahudi menerima Nabi Ibrahim عليه السلام juga walaupun mereka menolak Nabi Isa عليه السلام dan Nabi Muhammad ﷺ. Mereka sampai ada beri nama Ibrahim kepada anak-anak mereka (Abraham). Begitu juga Nasara menerima Nabi Ibrahim عليه السلام (mereka menamakan anak mereka Abraham) walaupun mereka tolak Nabi Muhammad ﷺ. Jadi ayat-ayat ini adalah untuk memperkenalkan baginda. Yahudi dan Nasara perasan Nabi Ibrahim adalah Yahudi atau Nasrani maka pemahaman mereka ditolak di dalam kisah tentang Nabi Ibrahim ini.

Ayat 124 – 141 adalah peringatan kepada Bani Israil supaya kembali kepada ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام. Mereka jangan ikut ajaran tok nenek mereka sahaja tapi kena kembali kepada ajaran asal mereka iaitu bawaan Nabi Ibrahim yang mereka sendiri terima. Ini juga pengajaran kepada kita sebenarnya untuk kembali kepada ajaran Islam yang asal. Jangan tengok hanya kepada Islam yang sampai di negara ini dan diamalkan turun temurun, tapi kembalilah kepada ajaran Islam yang asal.

Juga diingatkan tentang seruan Nabi Ya’qub عليه السلام (anak Nabi Ishak dan cucu kepada Nabi Ibrahim) supaya mentauhidkan Allah ‎ﷻ. Nabi Muhammad ﷺ juga merupakan keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام hasil daripada doa Nabi Ibrahim عليه السلام sendiri.

Ahli kitab diingatkan supaya tidak membezakan rasul-rasul, terima semuanya daripada Allah ‎ﷻ. Ahli kitab diperintahkan menerima syariat daripada rasul terakhir dan tinggalkan ajaran terdahulu yang telah banyak diselewengkan.

وَإِذِ ابتَلىٰ إِبرٰهِـمَ رَبُّهُ بِكَلِمَـٰتٍ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قالَ إِنّي جاعِلُكَ لِلنّاسِ إِمامًا ۖ قالَ وَمِن ذُرِّيَّتي ۖ قالَ لا يَنالُ عَهدِي ٱلظَّـٰلِمِينَ

Sahih International

And [mention, O Muhammad], when Abraham was tried by his Lord with commands and he fulfilled them. [ Allah ] said, “Indeed, I will make you a leader for the people.” [Abraham] said, “And of my descendants?” [ Allah ] said, “My covenant does not include the wrongdoers.”

Malay

Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia”. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: “(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)”. Allah berfirman: “(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.”

 

وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبرٰهِـمَ رَبُّهُ

Ketika diuji Nabi Ibrahim oleh Tuhannya

Allah ‎ﷻ memulakan dengan kisah perjuangan Nabi Ibrahim عليه السلام. Ini kerana hebatnya manusia adalah kerana perjuangan mereka. Baginda telah diuji dengan perkara-perkara keagamaan dengan ujian yang besar-besar. Baginda telah mendapat julukan Khalilullah (Kekasih Allah) kerana ujian dan sanggupnya baginda menghadapi segala ujian itu.

Kalimah اِبتِلَى adalah dalam bentuk fi’il madhi dan ia bermaksud ‘telah menguji‘. Ia di dalam format Wazan VIII (افتعل) Ia dari kata dasar ب ل و yang bermaksud cubaan, ujian sama ada baik atau jahat; menjadi tua dan usang, haus dan lusuh, layu, reput; tidak mengambil berat, tidak mempedulikan, tidak mengendahkan, atau memberi perhatian; menganugerahkan nikmat, faedah atau berkat; bersumpah, perjanjian; memaklumkan; berkenalan; mendedahkan; menjelma; membuatkan jelas; bersaing; berusaha atau bersegera.

Siapakah Nabi Ibrahim? Ada yang mengatakan nama Ibrahim itu dari gabungan ab (ayah) dan rahim (penuh kasih). Maknanya baginda adalah seorang ayah yang penuh kasih sayang. Ada juga pendapat yang mengatakan Abram adalah bahasa Ibrani (Hebrew) yang bermaksud ayah kepada kelompok manusia yang banyak.

Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lahir dan membesar di bumi Iraq. Ini sekitar 4 ribu tahun yang lalu di wilayah Kasdim atau Kaldan. Kemudian baginda telah hijrah ke Palestin. Baginda turut menziarahi bumi Mesir, dan di sinilah berlakunya peristiwa Sarah di’rampas’ oleh Raja Mesir dalam Hadith Bukhari dengan kisah yang panjang. Dengan ketakutan Raja tersebut, lantas menghadiahkan seorang hamba yang bernama Hajar kepada Sarah, lalu mereka pulang ke Palestin. Selepas kelahiran Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Allah ﷻ memerintahkan Baginda untuk berhijrah ke bumi Hijjaz (Mekah). Al-Qur’an merekodkan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkunjung ke Mekah hanya beberapa kali sahaja melalui plot yang bersejarah: iaitu ketika Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ masih bayi, kemudian ketika Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah berkahwin, kemudian membina Ka’bah dan terakhir ketika peristiwa penyembelihan Qurban.

Baginda diberi gelaran yang amat tinggi iaitu Khalilullah (Kekasih Allah). Ini seperti disebut di dalam Nisa’:125

وَاتَّخَذَ اللَهُ إِبْرٰهِيمَ خَلِيلًا
dan Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya.

Sesungguhnya baginda telah mencapai kedudukan tingkatan khullah (kekasih) yang merupakan kedudukan mahabbah yang tertinggi. Ini adalah kerana baginda telah melepasi segala ujian yang Allah telah kenakan ke atas baginda. Perlu juga diingatkan bahawa bukan Nabi Ibrahim sahaja yang mendapat gelaran Khalilullah akan tetapi Nabi Muhammad juga seperti sabda Nabi Muhammad:

فَإِنَّ اللَّهَ قد اتَّخَذَنِي خَلِيلًا كَمَا اتَّخَذَ إِبْرَاهِيمَ خَلِيلًا
Sesungguhnya Allah telah menjadikanku sebagai khalil (iaitu kekasih) sebagaimana Dia telah menjadikan Ibrahim sebagai khalil.
Riwayat Muslim (532)

Jadi salahlah jikalau kita menggelar Rasulullah sebagai habibullah. Inilah gelaran yang kemudiannya digunakan bagi golongan Habaib sesat itu. Kenapa ia tidak patut? Kerana kedudukan habib lebih rendah dari kedudukan khalil. Maka dari itu, siapa yang menyifatinya dengan habib sahaja, maka dia telah menurunkan baginda Nabi Muhammad dari martabatnya, kerana sifat khalil lebih mulia dan lebih tinggi dari habib. Setiap mukmin adalah kekasih Allah (habibullah), tetapi Rasulullah shalallahu ‘alaihi wa sallam berada pada martabat yang lebih tinggi dari itu, iaitu khalil, kerana Allah telah menjadikannya sebagai khalil (kekasih) seperti Ibrahim. Maka dari itu kita kena katakan bahawa Nabi Muhammad adalah Khalilullah, kerana kata khalil mengandung di dalamnya kata habib, dan khalil adalah puncak tertinggi dari mahabbah.

Apakah ujian yang dimaksudkan? Ada riwayat yang kata ujian itu adalah dengan 10 perkara amalan fitrah seperti potong kuku, simpan janggut dan sebagainya. Tetapi itu tidak berapa tepat kerana itu bukanlah perkara-perkara yang besar. Malah yang kata sampai 40 ujian kesemuanya. Yang besarnya adalah perjuangan baginda memperjuangkan tauhid.

Dan kisah perjuangan baginda itu ada disebut dalam Al-Qur’an di pelbagai tempat. Bayangkan baginda telah bertembung dengan raja dunia, Namrud. Namrud itu adalah raja yang besar, kerana dia adalah Raja Dunia, tidak macam Firaun, kerana Firaun adalah Raja Negara Mesir sahaja. Bayangkan, Nabi Ibrahim عليه السلام yang miskin diperintahkan untuk mengajak raja satu dunia untuk beriman. Ini bukan hal yang kecil.

Baginda diuji untuk menegakkan kalimah tauhid. Bukan sahaja kaum baginda sedang melakukan syirik, malah ayahnya sendiri. Baginda kemudian terpaksa berhijrah ke Syria. Dan dari Syria untuk baginda kena bawa pula anak isterinya ke Mekah yang tidak ada apa-apa di situ pada waktu itu. Bukan sahaja itu, baginda kena tinggalkan mereka pula di situ! Kisah ini menyayat hati kalau kita baca tentangnya. Nabi Ibrahim terlalu ingin taat kepada Allah sampaikan baginda apabila sampai sahaja terus meninggalkan isteri dan anaknya tanpa memberitahu tentang arahan Allah itu.

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ لَمَّا كَانَ بَيْنَ إِبْرَاهِيمَ وَبَيْنَ أَهْلِهِ مَا كَانَ خَرَجَ بِإِسْمَاعِيلَ وَأُمِّ إِسْمَاعِيلَ وَمَعَهُمْ شَنَّةٌ فِيهَا مَاءٌ فَجَعَلَتْ أُمُّ إِسْمَاعِيلَ تَشْرَبُ مِنْ الشَّنَّةِ فَيَدِرُّ لَبَنُهَا عَلَى صَبِيِّهَا حَتَّى قَدِمَ مَكَّةَ فَوَضَعَهَا تَحْتَ دَوْحَةٍ ثُمَّ رَجَعَ إِبْرَاهِيمُ إِلَى أَهْلِهِ فَاتَّبَعَتْهُ أُمُّ إِسْمَاعِيلَ حَتَّى لَمَّا بَلَغُوا كَدَاءً نَادَتْهُ مِنْ وَرَائِهِ يَا إِبْرَاهِيمُ إِلَى مَنْ تَتْرُكُنَا قَالَ إِلَى اللَّهِ قَالَتْ رَضِيتُ بِاللَّهِ
Dari [Ibnu ‘Abbas radliallahu ‘anhuma] berkata; “Ketika Ibrahim keluar berkelana bersama Isma’il dan ibu Isma’il, mereka membawa geriba (kantung empat air) yang berisi air, ibu Isma’il minum dari persediaan air dalam geriba tersebut sehingga dia dapat menyusui bayinya. Ketika tiba di Makkah, Ibrahim menempatkan keduanya di bawah sebuah pondok. Tatkala Ibrahim hendak kembali kepada keluarganya, ibu Isma’il mengikutinya di belakang hingga ketika sampai di dataran yang agak tinggi, ibu Isma’il memanggilnya dari belakang; “Wahai Ibrahim, kepada siapa engkau meninggalkan kami?”. Ibrahim menjawab; “Kepada Allah”. Hajar berkata; “Kalau begitu, aku telah redha kepada Allah”.
Sahih Bukhari (3114)

Banyak pelajaran yang dapat kita petik daripada kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam menghadapi ujian yang datangnya daripada Allah ﷻ. Sekurang-kurangnya ada empat ujian yang diberikan Allah ﷻ kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang kita boleh cerita panjang sikit di sini:

 

1. Dibakar Raja Namrud

Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lahir di Fadan Aram Irak, di tengah kaum penyembah berhala, termasuk ayahnya sendiri, yang disebut di dalam Al-Qur’an sebagai Azar). Sedangkan rajanya bernama Namrud. Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengajak ayahnya untuk beriman, antaranya seperti disebut di dalam An’am: 74

وَإِذ قالَ إِبرٰهيمُ لِأَبيهِ آزَرَ أَتَتَّخِذُ أَصنامًا ءآلِهَةً ۖ إِنّي أَرٰىكَ وَقَومَكَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: “Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata”.

Akan tetapi bapanya menolak dan menghalau baginda seperti disebut di dalam Maryam: 46,

قالَ أَراغِبٌ أَنتَ عَن آلِهَتي يٰۤاِبرٰهِيمُ‌ۚ ۖ لَئِن لَّم تَنتَهِ لَأَرجُمَنَّكَ ۖ وَاهجُرني مَلِيًّا
(Bapanya) menjawab: “Adakah engkau bencikan tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim? Demi sesungguhnya jika engkau tidak berhenti (daripada menyeru dan menasihati daku) sudah tentu aku akan melontarmu dengan batu; dan (ingatlah lebih baik) engkau tinggalkan daku sepanjang masa”.

Kemudian, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menghancurkan patung berhala mereka. Kerana itu, Raja Namrud akhirnya memerintahkan rakyatnya untuk membakar Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hidup-hidup. Namun, api yang berkobar yang hendak membakar Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjadi dingin atas perintah Allah ﷻ. Di dalam Anbiya: 69, Allah ﷻ berfirman:

قُلْنَا يَا نَارُ كُوْنِيْ بَرْدًا وَّسَلَمًا عَلَى إِبْراهِيْمَ
“Kami berfirman, ‘Wahai api! Jadilah kamu dingin, dan penyelamat bagi Ibrahim!’,”

Begitulah hebatnya ujian api Allah kenakan kepada baginda. Allah boleh sahaja selamatkan baginda sebelum masuk api itu tapi Allah tunggu sampai baginda masuk dalam api barulah Allah suruh api itu jadi sejuk. Ini untuk menguji kepercayaan Nabi Ibrahim kepada janji Allah untuk menyelamatkannya. Setelah peristiwa itu, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersama isterinya berhijrah ke Syam untuk beribadah dengan tenang.

 

2. Diperintahkan khitan

Pada usia 99 tahun, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diperintahkan oleh Allah ﷻ untuk melakukan khitan, maka kemudian baginda berkhitan bersama anaknya Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang berusia 13 tahun ketika itu. Sejak saat itu Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mulai melaksanakan khitan dalam keluarganya sehingga menjadi sunnah bagi kita sekarang.

Atau, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dikhitan pada usia 80 tahun, sesuai hadith daripada Rasulullah ﷺ.

اختتن إبراهيم عليه السلام وهو ابن ثمانين سنة بالقدوم
Rasulullah ﷺ bersabda, “Ibrahim al Khalil berkhitan setelah mencapai usia 80 tahun dan beliau berkhitan menggunakan kapak.”
(Sahih Bukhari No. 3107)

 

3. Diperintahkan menyembelih anaknya

Allah ﷻ juga memerintah dan memberikan ujian kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk menyembelih puteranya Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, yang masih berusia 13 tahun sebagai qurban. Demi membuktikan kecintaannya kepada Allah ﷻ, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun melaksanakannya dengan penuh ketaatan, keimanan dan keikhlasan yang tinggi. Ini disebut di dalam Saffat: 102

فَلَمّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعيَ قالَ يٰبُنَيَّ إِنّي أَرىٰ فِي المَنامِ أَنّي أَذبَحُكَ فَانظُر ماذا تَرىٰ ۚ قالَ يٰأَبَتِ افعَل ما تُؤمَرُ ۖ سَتَجِدُني إِن شاءَ اللهُ مِنَ الصّٰبِري
Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” Dia menjawab: “Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar”.

Ini adalah ujian yang amat besar kerana Nabi Ibrahim sudah tua dan tidak pernah ada anak. Maka mendapat anak itu adalah satu perkara besar bagi baginda dan tentulah amat berat untuk baginda melakukannya. Akan tetapi ini pun Nabi Ibrahim telah melakukannya. Namun, Allah ﷻ kemudian menggantikannya dengan menyembelih haiwan. Peristiwa besar ini telah diteruskan umat Islam sampai saat ini hingga hari akhir yang disebut dengan Hari Raya Qurban atau Idul Adha.

 

4. Diperintahkan membangunkan Ka’bah

Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diperintahkan Allah ﷻ untuk membangun Ka’bah menjadi kiblat solat umat Islam seluruh dunia hingga saat ini. Ka’bah menjadi salah satu bukti kebesaran maqam Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di sisi Allah ﷻ.

Ka’bah merupakan sebuah bangunan suci yang sangat bersejarah dan akan tetap abadi hingga sampai hari akhir nanti. Dalam membangun Ka’bah ini, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri yang menjadi tukangnya dan dibantu oleh puteranya Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menjadi kulinya, serta dibantu Malaikat Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menjadi arkiteknya. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Baqarah: 127

وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلُ
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu

 

Antara soalan yang mungkin timbul tentang ayat ini adalah: Kenapa Allah ﷻ menguji baginda? Ada beberapa sebab mengapa seseorang itu diuji, antaranya kerana kesalahan itu sendiri. Atau kerana ujian untuk mengetahui kedudukan orang yang diuji. Akan tetapi ini bukanlah kesnya di sini. Nabi Ibrahim tidak melakukan kesalahan dan Allah ﷻ tidak perlu uji baginda untuk tahu siapa baginda kerana Allah ﷻ lebih tahu. Jawapannya kita boleh lihat dari penggunaan kalimah رب yang Allah ﷻ gunakan untuk merujuk kepada DiriNya. Maksud رب dari segi bahasa adalah seseorang yang mendidik dan mentarbiyah. Maka ia bermaksud ujian yang diberikan oleh Allah ﷻ itu adalah mendidik baginda. Ianya untuk menzahirkan kualiti terbaik yang ada dalam diri baginda.

Dalam potongan ayat ini, kita boleh lihat yang nama Nabi Ibrahim عليه السلام didahulukan sebelum nama Allah ﷻ. Ini adalah sebagai penghormatan kepada baginda, berbanding para Nabi yang lain. Allah juga menyandarkan namaNya kepada Nabi Ibrahim iaitu رَبُّهُ. Allah boleh sahaja berfirman: وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبرٰهِـمَ رَبُّ dan ia juga benar. Akan tetapi dengan menggunakan kalimat رَبُّهُ (Tuhannya) Allah menekankan yang memang Nabi Ibrahim benar-benar menjadi Allah sebagai Rabbnya dengan menjadi hamba yang amat taat.

 

بِكَلِمَـٰتٍ

dengan beberapa kalimah (suruhan dan larangan);

Seperti yang telah disebut, baginda telah diuji dengan berbagai-bagai lagi ujian. Di dalam ayat ini Allah menggunakan istilah كَلِمَـٰتٍ yang dari segi bahasa bermaksud ‘kata-kata’. Ulama’ tafsir berpendapat كَلِمَـٰتٍ yang dimaksudkan adalah kata-kata yang mengandungi perintah dari Allah ﷻ. Cuma para alim termasuk para sahabat pun tidak sepakat berapa banyak ujian yang telah diberikan kepada baginda; seperti yang telah disebut di atas, ada yang kata sepuluh ujian tapi ada yang kata sampai tiga puluh malah sampai empat puluh. Cuma yang pasti ujian yang telah diberikan kepada baginda bukanlah ujian bertulis seperti peperiksaan kita atau ujian kesihatan sebelum masuk kerja kerajaan. Ujian yang diberikan kepada baginda adalah untuk menguji kesediaan Nabi Ibrahim untuk taat kepada Allah dan kesabaran baginda di dalam taat kepada Allah.

Kita tahu banyak perkara yang telah diarahkan kepada baginda. Kita telah sebut beberapa perkara di atas dan sebagai tambahan lagi antara ujian yang diberi kepada baginda adalah kena berpisah dengan ayah dan kampung halaman kerana baginda telah dihalau dari kampung halamannya; baginda terpaksa berpisah dengan isteri-isterinya untuk jangka masa yang lama. Baginda terpaksa meninggalkan isterinya Sarah, hanya empat kali sahaja jumpa isterinya dalam setahun. Isterinya yang kedua, Hajar, harus ditinggalkan di Mekah. Baginda juga harus meninggalkan anaknya Nabi Ismail  عليه السلام. Hanya dapat ziarah setahun sekali. Kalau kita perhatikan, memang teruk-teruk ujian yang dikenakan ke atas baginda. Selain dari waktu yang disebut di atas, baginda mesti pula menyebarkan Islam ke seluruh dunia.

Apakah pengajaran bagi kita di dalam kehidupan kita ini? Kalau kekasihNya pun diuji, maka janganlah kita tidak redha atau pelik kalau kita pun diuji. Bersabarlah dengan segala ujian hidup kita kerana memang hidup ini adalah ujian. Ujian yang dikenakan kepada kita tidaklah seteruk  yang dikenakan kepada para Nabi kerana Rasulullah pernah bersabda,

أَشَدُّ النَّاسِ بَلاَءً الأَنْبِيَاءُ ، ثُمَّ الصَّالِحُونَ، ثُمَّ الأَمْثَلُ فَالأَمْثَلُ
“Manusia yang paling berat ujiannya adalah para nabi, lalu orang-orang soleh dan seterusnya.”
Riwayat al-Nasa’ie (7440) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9776)

Ini adalah kerana manusia itu diuji di atas kadar tinggi atau rendah imannya. Dan para Nabi itu mempunyai tingkatan iman yang tinggi, maka ujian yang dikenakan kepada mereka adalah berat. Kerana itu selepas para Nabi, mereka yang menerima ujian yang berat selepasnya adalah orang soleh. Ini bertepatan dengan sabda Baginda SAW bersabda:

يُبْتَلَى الرَّجُلُ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ، فَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ صَلَابَةٌ زِيدَ فِي بَلَائِهِ
“Seseorang diuji sesuai dengan kadar keagamaannya. Apabila agamanya kuat, maka ujiannya akan ditambah.”
Riwayat Ahmad (1481) Sanadnya Hasan menurut Arna’uth

Tapi segala ujian ini bukan percuma sahaja. Ini adalah satu anjakan paradigma bagi kita sebenarnya kalau kita faham. Iaitu segala ujian yang kita dapat ini menjadi pembersih kepada dosa kita seperti yang telah disebut oleh Rasulullah,

مَا يَزَالُ الْبَلاَءُ بِالْمُؤْمِنِ وَالْمُؤْمِنَةِ فِي نَفْسِهِ وَوَلَدِهِ وَمَالِهِ حَتَّى يَلْقَى اللَّهَ وَمَا عَلَيْهِ خَطِيئَةٌ ‏
Bala berterusan akan menimpa orang Mukmin lelaki dan perempuan sama ada pada dirinya sendiri, anaknya atau hartanya (yang menyebabkan dosa-dosanya sentiasa gugur) sehingga dia bertemu dengan Allah SWT dalam keadaan dia tidak mempunyai apa-apa dosa.
Riwayat Tirmizi (2399) Hasan menurut Darussalam

Begitulah rahmat yang Allah berikan kepada orang Mukmin. Dari Shuhaib, dia berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
“Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin. Seluruhnya urusannya itu baik. Ini tidaklah didapati kecuali pada seorang mukmin. Jika mendapatkan kesenangan, maka dia bersyukur. Itu baik baginya. Jika mendapatkan kesusahan, maka dia bersabar. Itu pun baik baginya.”
(Sahih Muslim, no. 2999)

Cuma kita kena ingat yang ujian itu bukan sahaja dalam bentuk musibah, tetapi dalam bentuk nikmat juga. Ramai mungkin lebih suka jika diuji dengan nikmat berbanding musibah. Malah tidak kurang yang mungkin menyangka bahawa mendapat nikmat ialah tanda Allah ﷻ sayang manakala musibah ialah tanda Allah ﷻ benci. Pemahaman ini perlu diluruskan.

Pertamanya, perlu diingatkan bahawa kedua-dua nikmat dan musibah ialah ujian Allah ﷻ atas manusia bagi menentukan antara mereka yang bersyukur dengan mereka yang sabar. Ini bermakna nikmat itu tidak semestinya baik khususnya jika orangnya kufur dan tidak bersyukur. Demikian sebaliknya, musibah tidak semestinya buruk apatah lagi jika orangnya bersabar. Kerana itu Allah ﷻ berfirman di dalam Baqarah:216:

وَعَسَىٰٓ أَن تَكۡرَهُواْ شَيۡ‍ٔٗا وَهُوَ خَيۡرٞ لَّكُمۡۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّواْ شَيۡ‍ٔٗا وَهُوَ شَرّٞ لَّكُمۡۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ
“Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Sedangkan Allah jualah yang mengetahui dan kamu tidak.”

Justeru Muslim seharusnya beringat bahawa rasa suka dengan nikmat dan benci pada musibah haruslah berpada-pada. Usah terlalu gembira jika mendapat nikmat atau terlalu bersedih jika ditimpa musibah sampai hilang pedoman. Ini kerana kesudahannya kita tidak tahu yang mana sebenarnya baik untuk kita; mendapat nikmat atau ditimpa musibah. Betapa ramainya mereka yang sesat sesudah Allah ﷻ uji dengan nikmat, dan tidak kurang mereka yang kembali ke pangkal jalan sesudah Allah ﷻ uji dengan musibah. Berdasarkan hakikat ini Khalifah Umar al-Khattab r.a. berkata:

مَا أُبَالِي عَلَى أَيِّ حَالٍ ‌أَصْبَحْتُ، ‌عَلَى ‌مَا ‌أُحِبُّ أَوْ عَلَى مَا أَكْرَهُ، لِأَنِّي لَا أَدْرِي الْخَيْرَ فِيمَا أُحِبُّ أَوْ فِيمَا أَكْرَهُ
“Aku tidak peduli sama ada keadaan yang aku terpaksa hadapi itu aku suka atau tidak. Ini kerana aku tidak tahu kebaikan itu ada pada yang aku suka atau pada yang aku benci.”
[al-Zuhd oleh Ibnu Mubarak]

 

فَأَتَمَّهُنَّ

Semuanya Nabi Ibrahim sempurnakan;

Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini yang Nabi Ibrahim عليه السلام telah menyempurnakan dan melepasi segala ujian-ujian itu. Kalimah أَتَمَّ adalah dalam bentuk fi’il madhi dan ia bermaksud ‘telah memenuhi‘. Ia di dalam Format Wazan IV (أفعل). Ia dari kata dasar: ت م م yang bermaksud penuh, berbunga, telah masak, lengkap, sempurna, berjaya, kuat, teguh, keras. Kalimah yang menggunakan kata dasar ini seperti tamat (tammat), juga ‘tamimah’ yang bermaksud: tangkal. Dan huruf ف di sini memberi isyarat yang baginda terus menyempurnakannya tanpa lengah dan menunda-nunda. Begitulah kita dengan arahan Allah, teruslah buat jangan tangguh-tangguh lagi.

Kita semua memang diuji selama kita di dunia. Tetapi kita tidak tahu sama ada kita telah melepasi ujian kita. Namun lihatlah Nabi Ibrahim عليه السلام dapat tahu semasa di dunia lagi yang baginda telah melepasi ujiannya. Alangkah beruntungnya Nabi Ibrahim عليه السلام. Memang baginda telah menyempurnakan segala arahan kepadanya seperti disebut di dalam Najm:37

وَإِبرٰهيمَ الَّذي وَفّىٰ
Dan juga (lembaran-lembaran) Nabi Ibrahim yang memenuhi dengan sempurnanya (segala yang diperintahkan kepadanya)?

Antara banyak-banyak ujiannya yang kita pernah dengar, yang paling selalu kita dengar adalah tentang bagaimana baginda telah disuruh untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail عليه السلام. Baginda telah bermimpi bahawa Allah ‎ﷻ telah mengarahkan baginda untuk menyembelih Nabi Ismail عليه السلام. Baginda amat sayangkan anaknya itu, namun baginda sedar bahawa itu adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ. Sudahlah baginda sebelum itu tidak pernah ada anak walaupun isterinya ada dua. Setelah anaknya Nabi Ismail ‎ﷻ itu besar, sudah boleh menolong baginda dalam kerja-kerja dakwah, baginda disuruh pula untuk menyembelih anaknya itu. Maka baginda telah bertanya pendapat Nabi Ismail ‎ﷻ tentang perkara itu dan Nabi Ismail ‎ﷻ pun sanggup untuk menerima ujian itu. Nabi Ibrahim ‎ﷻ telah menjalankan suruhan Allah ‎ﷻ itu. Tetapi Allah ‎ﷻ telah menggantikan Nabi Ismail ‎ﷻ dengan seekor kibas. Jadi, Nabi Ismail ‎ﷻ tidak disembelih akhirnya. Maka, kita telah diarah untuk mengabadikan kisah itu ke dalam amalan berkorban. Setiap tahun kita akan berkorban dan kita mengingati peristiwa Nabi Ibrahim ‎ﷻ telah menjalankan suruhan Allah ‎ﷻ tanpa bantahan.

Kalau kita fikirkan secara logik, tentulah tidak patut seorang ayah untuk menyembelih anaknya sendiri. Tetapi oleh kerana ia adalah perintah Allah ‎ﷻ, maka Nabi Ibrahim عليه السلام telah jalankan juga. Itulah satu contoh bagaimana seorang Nabi tidak melanggar arahan Allah ‎ﷻ dan telah melakukannya tanpa soal. Jadi ujian kepada Nabi Ibrahim عليه السلام bukanlah ujian bertulis, ujian matematik atau ujian kepandaian baginda. Akan tetapi ujian sama ada baginda taat perintah atau tidak. Ini memberi pengajaran tentang ketaatan kepada kita. Walaupun ia kedengaran tidak logik pada akal kita, namun begitulah juga, sepatutnya kita menjalankan suruhan Allah ‎ﷻ tanpa persoalan. Walaupun kita tidak tahu apakah hikmat dalam perbuatan itu. Seperti contohnya, Allah ‎ﷻ telah mengarahkan kita semua menjalankan hukum hudud. Lalu bagaimana lagi kita boleh membantahnya?

Malangnya, banyaklah alasan-alasan akal yang diberikan oleh manusia sebagai mengatakan bahawa ia tidak boleh dilakukan. Ada yang kata ia tidak sesuai dijalankan pada zaman ini. Mereka sebenarnya hendak menggunakan akal untuk menghujah hukum yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita. Padahal, hikmat sesuatu perkara itu hanya akan didapati apabila kita telah menjalankannya.

Kita selalu menyebut-nyebut kisah Nabi Ibrahim عليه السلام itu tetapi kita tidak mengambil pengajaran daripadanya. Pengajarannya adalah kita sebagai manusia hendaklah mengikut perintah Allah ‎ﷻ tanpa apa-apa alasan lagi. Bukanlah kita boleh menggunakan akal untuk membincangkan sama ada arahan Allah ‎ﷻ itu sesuai ataupun tidak. Kerana akal kita tidak akan dapat menilainya. Akal kita tidak akan sampai untuk mencapai maksudnya.

 

قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا

Allah berfirman: sesungguhnya Aku hendak menjadikan kamu bagi manusia semua sekali sebagai imam;

Maksud ‘imam’ itu adalah ‘sebagai ikutan’, pemimpin atau teladan. Ikutan bagi semua manusia kerana imam dalam salat duduk di hadapan dan menjadi ikutan makmum, bukan? Kalimah إمَامًا adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘pemimpin’, ‘orang yang menjadi ikutan’. Kita biasa dengan kalimah ‘imam’ dalam solat atau gelaran seperti Imam Syafie, Imam Malik dan sebagainya. Ia dari kata dasar أ م م yang bermaksud mencadangkan, menuju ke sesuatu tempat, ibu, punca, prinsip, buta huruf, tiada ilmu kitab, puak, komuniti, umat, generasi, ciptaan Allah, iman, agama, masa, orang yang dijadikan contoh, orang beragama, pemimpin, imam, di hadapan.

Ini adalah satu penghormatan yang besar kepada Nabi Ibrahim عليه السلام. Imam yang dimaksudkan sebagai ikutan daripada segi sifat. Kerana ‘Imam’ yang menjadi ikutan ada banyak – bidang hadith, bidang feqah dan sebagainya. Tetapi Nabi Ibrahim عليه السلام ini adalah ikutan dari segi sifat baginda. Antaranya, sifat taatnya, sifat kemanusiaan yang sempurna. Baginda telah menjadi contoh teladan bagi seluruh umat. Dan kerana kita membincangkan tentang kedudukan Nabi Ibrahim, maka kedudukan ‘imam’ yang dimaksudkan ini juga boleh jadi khusus, iaitu sebagai seorang Rasul.

Kalau kita sebagai manusia ini juga diajar untuk menjadi imam supaya menjadi contoh tauladan kepada orang Mukmin yang lain seperti disebut di dalam doa yang diajar oleh Allah di dalam Furqan:74

وَالَّذينَ يَقولونَ رَبَّنا هَب لَنا مِن أَزوٰجِنا وَذُرِّيّٰتِنا قُرَّةَ أَعيُنٍ وَاجعَلنا لِلمُتَّقينَ إِمامًا
Dan orang orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.

Memang layak pangkat Imam ini diberikan kepada Nabi Ibrahim kerana baginda telah melepasi ujian yang Allah berikan. Imamat yang sejati tidaklah mudah didapat oleh sebarang orang. Kekayaan harta boleh diwariskan kepada anak, pangkat jabatan jadi Raja boleh diturunkan, akan tetapi Imamat yang sejati haruslah melalui ujian. Di dalam Sajdah:34, Allah menjelaskan bahawa di antara pengikut- pengikut Nabi Musa ada yang diangkat Tuhan menjadi Imam, diberi pula petunjuk dan pimpinan, setelah ternyata akan keteguhan hati, ketabahan mereka dan sabar mereka menempuh berbagai ujian hidup.

وَجَعَلنا مِنهُم أَئِمَّةً يَهدونَ بِأَمرِنا لَمّا صَبَروا ۖ وَكانوا بِئايٰتِنا يوقِنونَ
Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.

Kita boleh kaitkan kisah ini dengan kisah Nabi Adam bermula ayat 30 surah ini. Di situ telah diberitahu yang Nabi Adam menjadi patron/bapa bagi seluruh manusia, sekarang disebut lantikan kepada Nabi Ibrahim pula yang menjadi imam atau tauladan kepada seluruh manusia. Malah Nabi Muhammad pun telah diperintahkan untuk mengikuti Nabi Ibrahim seperti firman Allah di dalam Nahl:123

ثُمَّ أَوحَينا إِلَيكَ أَنِ اتَّبِع مِلَّةَ إِبرٰهيمَ حَنيفًا ۖ وَما كانَ مِنَ المُشرِكينَ
Kemudian Kami wahyukan kepadamu (Muhammad): “Ikutilah agama Ibrahim seorang yang hanif” dan bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan.

 

قَالَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي

Nabi Ibrahim jawab: dan daripada anak cucu aku juga;

Nabi Ibrahim عليه السلام meminta supaya Allah ‎ﷻ melantik juga keturunan baginda sebagai imam yang akan menjadi ikutan manusia juga. Baginda tidak mahu baginda seorang sahaja yang menjadi ikutan. Baginda hendakkan keturunannya dijadikan sebagai contoh juga. Maknanya, Nabi Ibrahim عليه السلام ini memikirkan tentang orang lain juga, bukan dirinya sahaja.

Permintaan Nabi Ibrahim pun tidaklah berlebihan sebenarnya. Kerana kalau kita lihat kalimat yang digunakan adalah: وَمِنْ ذُرِّيَّتِي (dan sebahagian dari keturunanku); bukannya: وَذُرِّيَّتِي (dan keturunanku). Nabi Ibrahim عليه السلام meminta supaya keturunannya menjadi imam juga kerana baginda tahu ajaran yang dibawanya akan menjadi ikutan. Maka baginda mengharap supaya akan ada yang mentadbir selepas baginda tiada nanti.

Tapi lihatlah cara Nabi Ibrahim عليه السلام meminta. Baginda bermohon kepada Allah ‎ﷻ selepas baginda telah melakukan suruhan dan ujian Allah ‎ﷻ. Begitulah juga kita, seeloknya kita berdoa selepas kita telah melakukan ibadat kepada Allah ‎ﷻ, sama ada salat, baca Al-Qur’an, tolong orang lain dan sebagainya. Iaitu selepas kita melakukan taat kepada Allah ‎ﷻ kerana waktu itu doa kita lebih diterima.

 

قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي ٱلظَّـٰلِمِينَ

Allah jawab: tidak akan terima perjanjian ini kepada orang yang zalim;

Walaupun seseorang itu adalah anak cucu Nabi Ibrahim عليه السلام, tetapi kalau dia melakukan syirik, dia tidak akan diterima untuk menjadi imam, untuk jadi ikutan. Maknanya, bukanlah Allah ﷻ tidak kabulkan, tapi Allah ﷻ beritahu, bukan semua dari keturunannya yang akan imam. Memang ramai dari keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام seperti Nabi Ishak عليه السلام yang menjadi Nabi dan rasul. Memang tidak dinafikan ramai daripada keturunan baginda yang beriman. Namun ada juga yang sesat dan zalim. Zalim di dalam ayat ini adalah bermaksud syirik kepada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ kata golongan zalim tidak akan dapat mencapai kedudukan Imam itu. Maknanya ada keturunan Nabi Ibrahim  عليه السلام yang zalim juga.

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu Nabi Ibrahim عليه السلام bahawa bukan semua dari keturunannya akan jadi baik. Ada juga yang tidak menjadi, kerana iman bukan boleh diwarisi. Kalau Allah ‎ﷻ telah memberikan sesuatu kelebihan kepada seseorang, bukanlah bermakna keturunannya pun akan dapat juga. Jadi janganlah kita mengagungkan keturunan, walaupun keturunan itu dari keturunan Rasulullah ﷺ sekalipun. Sedangkan keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام sendiri tidak diterima secara menyeluruh. Sekarang ini sudah ada satu pemahaman di kalangan masyarakat kita yang mengagung-agungkan keturunan Nabi Muhammad ﷺ. Iaitu yang dipanggil golongan Habib. Ini adalah produk rekaan baru manusia kerana kalau dahulu kita tidak dengar pun golongan ini. Mereka kebanyakannya datang dari Yaman dan mereka telah mengelabui mata mereka yang jahil dalam negara kita ini.

Ramai masyarakat kita yang menerima bulat-bulat amalan dan ajaran daripada mereka itu walaupun apa yang mereka ajar itu bukanlah bawaan dari Nabi Muhammad ﷺ. Tetapi, kerana masyarakat kita sayang kepada Nabi ﷺ, maka mereka sangka betullah anak cucu keturunan baginda juga. Ini adalah fahaman yang cetek sangat. Ingatlah bahawa kalau benar pun mereka dari keturunan Nabi ﷺ (ini pun belum tentu lagi sebenarnya), tetapi kalau apa yang mereka bawa itu adalah ajaran dan amalan bidaah, ia tetap tidak akan diterima. Maka golongan Habib ini kena ditolak dan dibongkarkan kesesatan mereka.

Masyarakat kita pun kalau ada di kalangan mereka yang ada Sayed, atau Syed sahaja sudah layan mereka lain macam. Ketahuilah bahawa tidak ada kelebihan apa-apa kalau pun mereka memang benar daripada keturunan Nabi ﷺ. Mereka juga sama macam kita. Kalau apa yang mereka amalkan itu benar, akan diterima. Malah mereka lebih lagi daripada kita kerana mereka itu keturunan Rasulullah ﷺ. Tetapi kalau amalan mereka itu salah, tetap tidak akan diterima walaupun mereka daripada keturunan Nabi Muhammad ﷺ yang sah pun.

Ayat di atas juga mengisyaratkan bahawa kepemimpinan dan ketauladan harus berdasarkan kepada keimanan dan ketakwaan, pengetahuan, dan keberhasilan dalam aneka ujian. Kerana itu kepemimpinan tidak akan dapat dianugerahkan oleh Allah kepada orang-orang yang zalim, yakni yang melakukan aniaya

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 15 November 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

TafsirWeb

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah