Tafsir Surah Anfal Ayat 50 – 55 (Cara malaikat matikan orang kafir)

Anfal Ayat 50: Ayat takhwif ukhrawi (penakutan dengan azab di akhirat).

وَلَو تَرىٰ إِذ يَتَوَفَّى الَّذينَ كَفَرُوا ۙ المَلٰئِكَةُ يَضرِبونَ وُجوهَهُم وَأَدبٰرَهُم وَذوقوا عَذابَ الحَريقِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if you could but see when the angels take the souls of those who disbelieved…¹ They are striking their faces and their backs and [saying], “Taste the punishment of the Burning Fire.

  • This sentence is left incomplete for additional effect. Its conclusion is left to the imagination of the reader or listener and estimated as “…you would see a dreadful sight.”

(MALAY)

Kalau kamu melihat ketika para malaikat mencabut jiwa orang-orang yang kafir seraya memukul muka dan belakang mereka (dan berkata): “Rasakanlah olehmu seksa neraka yang membakar”, (tentulah kamu akan merasa ngeri).

 

وَلَو تَرىٰ إِذ يَتَوَفَّى الَّذينَ كَفَرُوا

Kalaulah kamu melihat ketika para malaikat mencabut jiwa orang-orang yang kafir

Allah ﷻ menakutkan mereka yang tidak beriman dengan ayat ini. Kalaulah mereka dapat lihat semasa orang kafir dimatikan atau dicabut nyawa mereka oleh malaikat, tentulah mereka akan melihat sesuatu yang amat mengerikan.

Dalam konteks ayat ini, ia tentang Musyrikin Mekah yang telah mati di medan Badr. Ada 70 orang daripada Musyrikin Mekah yang maut di medan perang. Sudahlah mereka mati di mata pedang, malah selepas mati pun terus mereka diseksa. Amat seksa sekali apa yang mereka alami.

Dari segi bahasa, kalimah لو di awal ayat ini adalah Law Syarthiyah (لو شرطية) yang sepatutnya ada jawapannya (contohnya: “kalau engkau pergi, mesti engkau akan nampak”). Namun di sini kalimah لو itu tergantung (“kalaulah engkau dapat lihat”). Ini menambahkan rasa takut kepada kita yang membacanya. Ini seperti kita ada buat salah dan emak kita cuma cakap: “Tunggulah nanti ayah kau balik!” dengan tidak diberitahu apa yang akan terjadi bila ayah balik. Kita pula yang bermain perasaan entahlah apalah aku kena nanti….

Oleh itu, jawapan kepada Law Syarthiyah itu dihazafkan (dihilangkan) kerana boleh fikir sendiri. Sekiranya nampak, tentulah amat ngeri sekali.

 

المَلٰئِكَةُ يَضرِبونَ وُجوهَهُم وَأَدبٰرَهُم

malaikat itu memukul muka dan belakang mereka

Sekarang baru disebut siapa yang mematikan mereka, iaitu para malaikat. Susunan biasanya disebut pelakunya siapa, tetapi di sini Allah ‎ﷻ mendahulukan siapa yang dikenakan dengan tindakan ini. (Allah ‎ﷻ mendahulukan maf’ulun bihi). Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ hendak menekankan tentang orang-orang kafir itu, bukannya para malaikat.

Di dalam ayat ini disebut para malaikat yang mencabut nyawa (ramai malaikat). Sedangkan dalam ayat lain disebut Allah ‎ﷻ yang mematikan seperti di dalam [ Zumar: 42 ] ٱللَّهُ يَتَوَفَّى ٱلْأَنفُسَ حِينَ مَوْتِهَا (Allah memegang jiwa (orang) ketika matinya); dan di dalam ayat lain disebut Malaikat Maut (seorang malaikat) yang mencabut nyawa seperti di dalam [ Sajdah: 11 ] قُلْ يَتَوَفّٰىكُمْ مَّلَكُ الْمَوْتِ (Katakanlah, ‘Malaikat maut yang diserahi untuk (mencabut nyawa)mu). Kenapakah ada perbezaan begini? Ada percanggahankah?

Sebenarnya tidak. Memang Allah ‎ﷻ yang sebenarnya mencabut nyawa, kerana Dia yang tentukan tetapi diserahkan tugas itu kepada malaikat. Semasa mencabut nyawa, ada ramai malaikat terlibat. Mereka yang menarik roh manusia daripada dalam dirinya. Di penghujung proses terakhir, iaitu apabila nyawa sudah di halqum, maka Malaikat Maut yang mengambil nyawa itu.

Di dalam ayat ini disebut para malaikat yang ditugaskan untuk mengambil nyawa mereka itu mengambil nyawa itu sambil memukul muka mereka dan belakang mereka. Kenapa muka dan belakang? Kerana apabila muka dipukul, orang yang dipukul itu akan menutup muka mereka. Maka belakang mereka yang akan dipukul. Apabila belakang pula dipukul, mereka akan menutup belakang mereka dan menunjukkan muka mereka. Maka bertukar-tukarlah, sekejap pukul muka, sekejap pukul belakang.

Oleh kerana roh orang kafir itu tidak mahu keluar dengan rela, maka malaikat akan menggunakan kekerasan untuk mengeluarkannya. Seperti yang disebutkan di dalam hadith perjalanan roh Bara’ bin ‘Azib:

…. قَالَ وَإِنَّ الْعَبْدَ الْكَافِرَ إِذَا كَانَ فِي انْقِطَاعٍ مِنَ الدُّنْيَا وَإِقْبَالٍ مِنَ الْآخِرَةِ نَزَلَ إِلَيْهِ مِنَ السَّمَاءِ مَلَائِكَةٌ سُودُ الْوُجُوهِ مَعَهُمُ الْمُسُوحُ فَيَجْلِسُونَ مِنْهُ مَدَّ الْبَصَرِ ثُمَّ يَجِيءُ مَلَكُ الْمَوْتِ حَتَّى يَجْلِسَ عِنْدَ رَأْسِهِ فَيَقُولُ أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْخَبِيثَةُ اخْرُجِي إِلَى سَخَطٍ مِنَ اللَّهِ وَغَضَبٍ قَالَ فَتُفَرَّقُ فِي جَسَدِهِ فَيَنْتَزِعُهَا كَمَا يُنْتَزَعُ السَّفُّودُ مِنَ الصُّوفِ الْمَبْلُولِ فَيَأْخُذُهَا فَإِذَا أَخَذَهَا لَمْ يَدَعُوهَا فِي يَدِهِ طَرْفَةَ عَيْنٍ حَتَّى يَجْعَلُوهَا فِي تِلْكَ الْمُسُوحِ وَيَخْرُجُ مِنْهَا كَأَنْتَنِ رِيحِ جِيفَةٍ وُجِدَتْ عَلَى وَجْهِ الْأَرْضِ فَيَصْعَدُونَ بِهَا فَلَا يَمُرُّونَ بِهَا عَلَى مَلَإٍ مِنَ الْمَلَائِكَةِ إِلَّا قَالُوا مَا هَذَا الرُّوحُ الْخَبِيثُ فَيَقُولُونَ فُلَانُ بْنُ فُلَانٍ بِأَقْبَحِ أَسْمَائِهِ الَّتِي كَانَ يُسَمَّى بِهَا فِي الدُّنْيَا حَتَّى يُنْتَهَى بِهِ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيُسْتَفْتَحُ لَهُ فَلَا يُفْتَحُ لَهُ…

Baginda bersabda: “Sedangkan hamba yang kafir, jika meninggalkan dunia dan menghadap akhirat, datanglah kepadanya para malaikat dengan wajah yang hitam dengan membawa kain kasar. Mereka duduk sepanjang pandangan daripadanya. Kemudian datanglah Malaikat Maut dan duduk berdekatan kepalanya seraya berkata:

“Wahai jiwa yang buruk, keluarlah menuju kemurkaan dan kemarahan Allah.” Baginda bersabda: “Kemudian jiwa itu berpecah belah di dalam tubuhnya. Lalu Malaikat Maut mencabutnya bagaikan tongkat (dengan cabang yang banyak) dicabut daripada kapas yang basah. Ketika mengambilnya, Malaikat Maut tidak meletakkannya di tangan sekelip mata pun akan tetapi dia meletakkannya di atas kain kasar. Roh tersebut keluar dengan bau bangkai yang paling busuk di muka bumi. Mereka membawa roh itu naik ke atas. Tidaklah melewati sekelompok malaikat pun, kecuali ditanyakan : “Roh siapakah yang busuk ini?”

Mereka menjawab: “Fulan bin Fulan” –dengan menyebutkan namanya yang paling buruk di dunia– sehingga mereka membawanya sampai ke langit dunia. Mereka meminta agar pintu dibukakan, akan tetapi tidak dibukakan untuknya…

(Hadith Riwayat Ahmad 4/287, 288, 295, 296, Abu Daud No. 3212, 4753, dll, disahihkan Syeikh Al-Albani dalam Sahih Abu Daud dan Ahkamul Jana`’iz)

Begitulah teruknya cara nyawa orang kafir diambil oleh para malaikat. Ini sepatutnya menakutkan kita. Cara pengambilan nyawa mereka juga disebut di dalam [ An’am: 93 ]

وَلَو تَرىٰ إِذِ الظّٰلِمونَ في غَمَرٰتِ المَوتِ وَالمَلٰئِكَةُ باسِطو أَيديهِم أَخرِجوا أَنفُسَكُمُ

Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dalam penderitaan “sakratul-maut” (ketika hendak putus nyawa), sedang malaikat-malaikat pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): “Keluarkanlah nyawa kamu (daripada tubuh kamu sendiri);

 

وَذوقوا عَذابَ الحَريقِ

“Rasakanlah olehmu seksa api yang membakar”,

Sambil tubuh badan mereka dipukul, para malaikat itu berkata pula kepada mereka: rasailah azab yang membakar. Ada yang mengatakan عَذابَ الحَريقِ itu adalah cemeti daripada api yang dipukul di tubuh mereka. Itulah adalah kata-kata menghina dan menakutkan mereka. Sudahlah fizikal mereka diseksa, jiwa mereka pun diseksa juga.

Manakala api itu disebut الحَريقِ kerana ia bukan bakar sekejap sahaja, tetapi terus membakar. Sepertimana kita membakar sampah, apabila sampah sudah habis, api pun padam, bukan? Akan tetapi api الحَريقِ tidak akan padam-padam. Ia akan terus membakar mereka.

Cuma kita sahaja tidak nampak apa yang berlaku kerana ini sudah termasuk kejadian di Alam Barzakh yang ghaib. Ini mengajar kita yang seksaan sudah dikenakan sebaik sahaja kematian mereka. Tidak perlu tunggu masuk kubur, mereka sudah dikenakan dengan azab.


 

Anfal Ayat 51:

ذٰلِكَ بِما قَدَّمَت أَيديكُم وَأَنَّ اللَّهَ لَيسَ بِظَلّٰمٍ لِّلعَبيدِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is for what your hands have put forth [of evil] and because Allāh is not ever unjust to His servants.”

(MALAY)

Demikian itu disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri. Sesungguhnya Allah sekali-kali tidak menganiaya hamba-Nya,

 

ذٰلِكَ بِما قَدَّمَت أَيديكُم

Demikian itu disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri.

Ini sambungan kata-kata para malaikat itu kepada mereka yang diazab itu. Mereka diberitahu yang azab yang dikenakan kepada mereka itu kerana amalan yang mereka sendiri lakukan sendiri. Disebut tangan kerana perbuatan selalunya dilakukan dengan tangan. Ia boleh jadi dengan kaki, mulut atau lain-lain lagi. Mereka memang layak dikenakan dengan azab itu dan azab yang akan menanti mereka di akhirat.

 

وَأَنَّ اللَّهَ لَيسَ بِظَلّٰمٍ لِّلعَبيدِ

Sesungguhnya Allah sekali-kali tidak menganiaya hamba-Nya,

Oleh kerana apa yang dikenakan kepada mereka itu memang patut dikenakan kepada mereka, maka tidaklah Allah ‎ﷻ zalim dengan mengenakannya. Allah ‎ﷻ menekankan yang Dia tidak zalim. Allah ‎ﷻ tidak pernah zalim dalam tindakan-Nya kepada hamba. Apa yang dikenakan itu adalah sesuatu yang patut.


 

Anfal Ayat 52: Azab yang dikenakan itu bukan pertama kali, kerana pernah dikenakan kepada umat terdahulu pun.

كَدَأبِ ءآلِ فِرعَونَ ۙ وَالَّذينَ مِن قَبلِهِم ۚ كَفَروا بِئايٰتِ اللَّهِ فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ بِذُنوبِهِم ۗ إِنَّ اللَّهَ قَوِيٌّ شَديدُ العِقابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Theirs is] like the custom of the people of Pharaoh and of those before them. They disbelieved in the signs of Allāh, so Allāh seized them for their sins. Indeed, Allāh is Powerful and severe in penalty.

(MALAY)

(keadaan mereka) serupa dengan keadaan Fir’aun dan pengikut-pengikutnya serta orang-orang yang sebelumnya. Mereka mengingkari ayat-ayat Allah, maka Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosanya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi amat keras seksaan-Nya.

 

كَدَأبِ ءآلِ فِرعَونَ ۙ وَالَّذينَ مِن قَبلِهِم

(keadaan mereka) serupa dengan keadaan Fir’aun dan pengikut-pengikutnya serta orang-orang yang sebelumnya.

Allah ‎ﷻ beritahu yang keadaan orang kafir Mekah itu sama sahaja seperti keadaan Firaun dan orang kafir sebelum mereka seperti kaum Nabi Nuh عليه السلام, Aad dan Tsamud. Kalimah كَدَأبِ bermaksud adat kebiasaan yang telah dilakukan. Maksudnya perbuatan Musyrikin Mekah itu sama sahaja iaitu meneruskan apa yang dilakukan oleh orang-orang terdahulu yang kufur kepada Allah ‎ﷻ.

Firaun kenal Nabi Musa عليه السلام dan tahu yang mukjizat yang baginda bawa itu adalah benar. Namun tetap juga Firaun menolak Nabi Musa عليه السلام. Begitu juga dengan Musyrikin Mekah yang kenal Rasulullah ﷺ sebagai al-Amin dan sedar dengan kehebatan Al-Qur’an. Namun mereka tetap menolak baginda. Maka, sama sahaja mereka dengan Firaun.

 

كَفَروا بِئآيٰتِ اللَّهِ فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ بِذُنوبِهِم

Mereka mengingkari ayat-ayat Allah, maka Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosanya.

Mereka itu semuanya telah kufur kepada ayat-ayat Allah ‎ﷻ. Apabila disampaikan ayat-ayat Allah ‎ﷻ kepada mereka, mereka tidak mahu beriman. Lalu Allah ‎ﷻ turunkan azab kepada mereka kerana dosa mereka. Inilah sunnatullah, iaitu perkara berulang yang akan berlaku. Kalau mereka menentang dan kufur terhadap ayat-ayat Allah ‎ﷻ, maka mereka akan dikenakan dengan azab.

 

إِنَّ اللَّهَ قَوِيٌّ شَديدُ العِقابِ

Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi amat keras seksaan-Nya.

Allah ‎ﷻ mengingatkan kita yang Dia amat berkuasa untuk melakukan apa sahaja. Tidak ada sesiapa yang dapat menghalang dan menahan azab yang Allah ‎ﷻ kenakan. Mereka di zaman dahulu sangka mereka sudah kuat dan hebat, namun akhirnya semua hancur belaka.

Allah ‎ﷻ mengingatkan di sini yang azab yang akan dikenakan oleh-Nya itu akan keras sekali. Azab itu bukan daripada makhluk lain, tetapi daripada Allah ‎ﷻ yang maha berkuasa. Maka, beringat-ingatlah. Jangan kufur dengan ayat-ayat daripada Allah ‎ﷻ itu.


 

Anfal Ayat 53:

ذٰلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ لَم يَكُ مُغَيِّرًا نِّعمَةً أَنعَمَها عَلىٰ قَومٍ حَتّىٰ يُغَيِّروا ما بِأَنفُسِهِم ۙ وَأَنَّ اللَّهَ سَميعٌ عَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is because Allāh would not change a favor which He had bestowed upon a people until they change what is within themselves. And indeed, Allāh is Hearing and Knowing.

(MALAY)

(Seksaan) yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dianugerahkan-Nya kepada suatu kaum, hinggalah kaum itu mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka sendiri, dan sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

 

ذٰلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ لَم يَكُ مُغَيِّرًا نِّعمَةً أَنعَمَها عَلىٰ قَومٍ

yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dianugerahkan-Nya kepada suatu kaum,

Lafaz ذٰلِكَ itu bermaksud: demikian sunnatullah yang telah disebut sebelum ini. Terdapat jumlah muqaddar (tambahan maklumat) di sini: Demikianlah Allah ‎ﷻ mengazab orang yang kufur dan yang derhaka supaya kamu semua meyakini.

Allah ‎ﷻ tidak akan mengubah apa-apa nikmat yang diberikan kepada manusia, sehingga mereka mengubah pendirian mereka. Selagi mereka melakukan taat kepada Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ akan berlaku baik kepada mereka dan terus memberi nikmat kepada mereka.

Telah terlalu banyak nikmat yang Allah ‎ﷻ berikan. Nikmat yang Allah ‎ﷻ berikan itu bukannya atas hasil usaha manusia, kerana sebelum manusia ada lagi, nikmat itu sudah disediakan untuk mereka. Kalau mereka belum ada, apalah usaha mereka, bukan? Namun begitu nikmat sudah menunggu mereka. Sekiranya nikmat itu diberi kerana hasil amal kebaikan manusia, maka tentulah tidak ada nikmat yang mereka akan dapat.

 

حَتّىٰ يُغَيِّروا ما بِأَنفُسِهِم

hinggalah kaum itu mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka sendiri,

Maksudnya, nikmat yang Allah ‎ﷻ berikan sebelum itu, Dia tidak tarik sehinggalah manusia mengubah sifat daripada beriman kepada kufur. Apabila sudah jadi begitu baru Allah ‎ﷻ menarik nikmat. Sebagaimana Firaun yang telah diberikan kekuasaan di Mesir dan ia menjadi kerajaan yang hebat sehingga dia dihormati oleh kerajaan lainnya. Namun mereka telah menjadikan Bani Israel sebagai hamba. Kemudian apabila Nabi Musa عليه السلام datang, mereka telah mendustakan baginda.

Lafaz ‘ubah’ yang dimaksudkan itu bukanlah ubah atau ikhtiar dalam bentuk dunia tetapi dalam bentuk agama. Memang ramai yang salah sangka ubah keadaan dunia mereka. Maka mereka berusaha untuk mengubah rancangan mereka, cara hidup mereka, fikiran mereka dan sebagainya untuk mengubah keadaan mereka. Bukan itu yang Allah ‎ﷻ maksudkan. Yang Allah ‎ﷻ maksudkan adalah perubahan dari segi iman dan amal ibadah.

Nikmat yang dimaksudkan dalam konteks surah ini adalah: Musyrikin Mekah itu telah diberikan dengan segala kemudahan, mereka dihormati kerana menjadi penjaga Masjidilharam. Kalau mereka pergi ke mana-mana tempat dalam tanah Arab, orang tempat itu akan hormat dan tidak mengganggu mereka kerana penduduk hormat sungguh dengan Kaabah.

Inilah nikmat besar yang telah diberikan kepada Musyrikin Mekah. Mereka waktu itu tidaklah baik sangat kerana melakukan syirik. Namun mereka ada sedikit sebanyak kebaikan: mereka menghormati jiran, mereka menjaga Ka’bah, mereka melayan orang yang datang ke Ka’bah dan sebagainya.

Kemudian mereka diberikan dengan nikmat yang paling besar iaitu Rasul Akhir Zaman, wahyu terakhir dalam bentuk kitab diturunkan kepada mereka. Akan tetapi mereka menentang dan melawan. Mereka mula tidak menghormati jiran dan keluarga mereka sendiri yang hendak masuk Islam; mereka menahan para sahabat untuk salat di Ka’bah.

Mereka tidak mengubah akidah mereka yang salah, amal mereka menjadi semakin buruk, mereka tidak taat kepada Allah ‎ﷻ dan Rasul-Nya, maka walaupun mereka penjaga Kaabah, mereka tetap dikalahkan oleh Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ menarik segala nikmat keamanan dan kesenangan yang mereka ada sebelum ini.

Seperti juga Allah ‎ﷻ telah berikan kekayaan dan kuasa kepada Firaun, kaum Aad dan sebagainya, dan Allah ‎ﷻ menariknya semula apabila mereka ingkar. Kesenangan yang mereka ada itu tidak menjadikan mereka beriman, malah mereka menjadi ingkar. Segala nikmat yang mereka dapat itu adalah istidraj.

Istidraj secara bahasa adalah diambil daripada perkataan da-ra-ja (درج) yang ertinya adalah naik daripada satu tingkatan ke tingkatan selanjutnya. Manakala istidraj daripada Allah ‎ﷻ terhadap hamba adalah berupa nikmat-nikmat yang diberikan kepada mereka yang akan menyebabkan mereka lupa bersyukur. Allah ‎ﷻ membiarkan seseorang dan tidak disegerakan azabnya. Firman-Nya:

سَنَسْتَدْرِجُهُم مِّنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ

“Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.”

[ Al-Qalam: 44 ]

Dengan nikmat yang banyak itu dan menjadikan mereka hidup dengan selesa, tidaklah menjadikan mereka bersyukur dan taat, tetapi menjadikan mereka sombong untuk menerima kebenaran. Begitu jugalah dengan keadaan kita sekarang. Sekiranya kita sedang menikmati segala nikmat kesenangan yang Allah ‎ﷻ berikan, Allah ‎ﷻ juga tidak menariknya sehinggalah kita sudah meninggalkan agama kita. Berapa banyak kerajaan Islam telah dikalahkan kerana mereka telah meninggalkan amalan agama yang benar?

Bagaimana kita hendak bezakan nikmat yang kita ada ini adalah kurniaan daripada Allah ‎ﷻ ataupun istidraj? Rasulullah ﷺ pernah menerangkannya di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada ‘Uqbah bin ‘Amir رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda:

إِذَا رَأَيْتَ اللهَ تَعَالَى يُعْطِي الْعَبْدَ مِنَ الدُّنْيَا مَا يُحِبُّ وَهُوَ مُقِيمٌ عَلَى مَعَاصِيْهِ فَإِنَّمَا ذَلِكَ مِنهُ اسْتِدْرَاجٌ

“Apabila kamu melihat Allah ‎ﷻ memberi kepada hamba daripada (perkara) dunia yang diinginkannya, sedangkan dia terus melakukan maksiat kepada-Nya, maka (ketahuilah) bahawa perkara itu adalah istidraj daripada Allah ‎ﷻ.”

(Riwayat Ahmad (17311), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4220)
dan al-Tabarani dalam al-Ausat (8/110))

Allah ‎ﷻ menyebutkan tentang keadilan dan kebijaksanaan-Nya dalam hukum yang telah ditetapkan-Nya, bahawa Dia tidak akan mengubah suatu nikmat yang telah Dia berikan kepada seorang hamba kecuali disebabkan dosa yang dikerjakan hamba yang bersangkutan, seperti yang disebutkan oleh ayat lain melalui firman-Nya:

{إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلا مَرَدَّ لَهُ وَمَا لَهُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْوَالٍ}

Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap suatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya, dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.

[ Ar-Ra’d: 11 ]

Ayat daripada Surah Ra’d itu juga ramai yang salah faham. Ramai yang tafsir ayat ini hanya berkenaan keduniaan sahaja, sedangkan yang dimaksudkan adalah perkara dalam hal agama.

 

وَأَنَّ اللَّهَ سَميعٌ عَليمٌ

dan sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Allah ‎ﷻ tahu apa yang dilakukan oleh manusia. Maka tidaklah salah kalau Allah ‎ﷻ buat tindakan yang menyebabkan kesusahan kepada mereka. Ini adalah kerana ia berpunca daripada kesalahan mereka sendiri juga. Allah ‎ﷻ juga tahu dengan tepat apa yang manusia telah lakukan. Oleh itu, apa sahaja hukuman yang dikenakan kepada manusia itu adalah tepat dan tidak salah. Tidaklah Allah ‎ﷻ tersalah hukum (menghukumi orang yang tidak membuat salah).


 

Anfal Ayat 54: Allah ‎ﷻ memberikan contoh perubahan nikmat yang telah diberikan kepada manusia ingkar sebelum puak Musyrikin Mekah. Dalam ayat ini juga ada takhwif ukhrawi.

كَدَأبِ ءآلِ فِرعَونَ ۙ وَالَّذينَ مِن قَبلِهِم ۚ كَذَّبوا بِئآيٰتِ رَبِّهِم فَأَهلَكنٰهُم بِذُنوبِهِم وَأَغرَقنا ءآلَ فِرعَونَ ۚ وَكُلٌّ كانوا ظٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Theirs is] like the custom of the people of Pharaoh and of those before them. They denied the signs of their Lord, so We destroyed them for their sins, and We drowned the people of Pharaoh. And all [of them] were wrongdoers.

(MALAY)

(keadaan mereka) serupa dengan keadaan Fir’aun dan pengikut-pengikutnya serta orang-orang yang sebelumnya. Mereka mendustakan ayat-ayat Tuhannya maka Kami membinasakan mereka disebabkan dosa-dosanya dan Kami tenggelamkan Fir’aun dan pengikut-pengikutnya; dan kesemuanya adalah orang-orang yang zalim.

 

كَدَأبِ ءآلِ فِرعَونَ

(keadaan mereka) serupa dengan keadaan golongan Fir’aun

Azab yang dikenakan kepada Musyrikin Mekah itu sama seperti yang dikenakan kepada ahli-ahli Firaun juga. Mereka telah mendapat segala nikmat keduniaan tetapi kerana mereka menolak ayat-ayat Allah ‎ﷻ, maka mereka juga dikenakan dengan azab.

 

وَالَّذينَ مِن قَبلِهِم

serta orang-orang yang sebelumnya. 

Perkara yang sama juga dikenakan kepada orang lain sebelum zaman Firaun itu lagi. Zaman berzaman dikenakan azab kepada mereka yang ingkar. Ini adalah sunnatullah.

 

كَذَّبوا بِئآيٰتِ رَبِّهِم

Mereka mendustakan ayat-ayat Tuhannya

Ini adalah kerana mereka telah mendustakan ayat-ayat Allah ‎ﷻ apabila sampai wahyu itu kepada mereka. Apabila mereka tolak sahaja wahyu daripada Allah ‎ﷻ, maka mereka ditarik dari nikmat yang ada pada mereka.

Dalam ayat 52 sebelum ini, Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah كَفَروا dan di sini Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah كَذَّبوا pula. Sebenarnya ia sama sahaja kerana yang mendustakan bermaksud dia kufur kepadanya. Ulama’ mengatakan yang Allah ﷻ gunakan kalimah berlainan untuk mempelbagaikan dan hendak memberitahu yang dua-duanya adalah salah.

Lihatlah bagaimana Firaun sudah tidak lagi memerintah sedangkan mereka dulu amat kuat sekali. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ telah menarik semula nikmat yang diberikan kepadanya dan mana-mana kaum pun. Kita kena ambil pengajaran daripada ayat ini.

Di dalam ayat 52, Allah ‎ﷻ menggunakan kalimat كَفَروا بِئآيٰتِ اللَّهِ dan di sini digunakan kalimah رَبِّهِم pula. Ini menambahkan beratnya kesalahan yang mereka lakukan. Ini kerana maksud Rabb adalah yang menjadikan dan mendidik kita. Allah ‎ﷻ telah memberikan segala nikmat kepada mereka sebagai Rabb yang telah menjadikan kita dan mentadbir alam. Akan tetapi kalau kita derhaka kepada Rabb, maka ini menunjukkan betapa kita tidak mengenang budi langsung. Ini contohnya kita derhaka kepada guru yang mendidik kita. Antara melawan guru dengan melawan bos tempat kerja, manakah lebih buruk? Tentulah melawan guru, bukan?

 

فَأَهلَكنٰهُم بِذُنوبِهِم

maka Kami membinasakan mereka disebabkan dosa-dosanya

Allah ‎ﷻ telah membinasakan mereka disebabkan oleh dosa-dosa mereka. Bukan kerana Allah ‎ﷻ sengaja hendak mengazab mereka. Memang mereka itu layak dikenakan dengan azab.

 

وَأَغرَقنا ءآلَ فِرعَونَ

dan Kami tenggelamkan Fir’aun

Khusus kepada ahli-ahli Firaun, Allah ‎ﷻ telah menenggelamkan Firaun dan pengikutnya. Azab yang dikenakan kepada kaum-kaum dan umat-umat lain disebut di tempat yang lain.

 

وَكُلٌّ كانوا ظٰلِمينَ

dan kesemuanya adalah orang-orang yang zalim.

Mereka semua dikenakan dengan azab yang teruk kerana mereka telah menzalimi diri mereka sendiri. Maka mereka layak dikenakan dengan hukuman azab daripada Allah ‎ﷻ. Kepada Musyrikin Mekah, azab kehancuran yang mereka terima adalah kekalahan di tangan umat Islam di Perang Badr. Ketua-ketua mereka telah dibunuh dan kedudukan mereka di mata masyarakat Arab waktu itu telah semakin lemah. Akhirnya mereka dikalahkan semasa Pembukaan Mekah.

Zalim ada tiga jenis:

1. Zalim yang Allah ‎ﷻ tidak akan ampunkan iaitu syirik.

2. Zalim yang Allah ‎ﷻ tidak peduli. Iaitu kalau berbuat dosa kepada-Nya. Allah ‎ﷻ boleh ampunkan.

3. Zalim yang Allah ‎ﷻ tidak akan biarkan. Iaitu kalau melakukan kezaliman kepada orang lain. Allah ‎ﷻ‎ tidak akan maafkan selagi tidak mendapat kemaafan daripada orang yang dizalimi.


 

Anfal Ayat 55: Ayat zajrun (teguran) lagi. Sekarang kita masuk ke perenggan Makro yang seterusnya dalam surah ini. Allah ‎ﷻ mengajar kita bagaimana kita patut bersikap terhadap peperangan dan perdamaian.

إِنَّ شَرَّ الدَّوابِّ عِندَ اللَّهِ الَّذينَ كَفَروا فَهُم لا يُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, the worst of living creatures in the sight of Allāh are those who have disbelieved, and they will not [ever] believe –

(MALAY)

Sesungguhnya binatang (makhluk) yang paling buruk di sisi Allah ialah orang-orang yang kafir, kerana mereka itu tidak beriman.

 

Allah ‎ﷻ beritahu kita, seburuk-buruk makhluk di atas muka bumi ini adalah makhluk yang kufur kepada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ menggunakan lafaz الدَّوابِّ yang bermaksud makhluk hidup yang berjalan di muka bumi termasuk binatang yang melata. Allah ‎ﷻ tidak kata pun mereka ‘manusia’ sebagai penghinaan kepada mereka.

Ini kerana manusia adalah makhluk yang mulia selagi mereka beriman. Betapa mulianya manusia, Allah ‎ﷻ telah memerintahkan para malaikat untuk sujud hormat kepada Nabi Adam عليه السلام. Ini adalah adalah kerana dalam diri manusia itu ada roh, makhluk yang mulia yang Allah ‎ﷻ jadikan. Orang yang kafir tidak menjaga rohnya yang memerlukan makanan keimanan. Maka rohnya tidak bernilai.

Apabila dia tidak ada roh, apakah dia masih mulia melebihi binatang? Tidak lagi. Kerana binatang tidak ada roh dan kalau manusia pun tidak menjaga rohnya, maknanya, dia pun seperti binatang sahaja. Malah mereka lebih teruk daripada binatang, kerana binatang memang tidak ada roh semenjak asalnya, berbanding manusia yang mempunyai roh tetapi dia tidak menjaganya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 25 Oktober 2022

Ringkasan Surah Anfal


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah Anfal Ayat 47 – 49 (Cara syaitan menipu manusia)

Anfal Ayat 47: Ayat zajrun (ayat teguran). Dalam perjuangan agama, antara perkara paling penting adalah ikhlas. Ikhlas dalam beribadat dan berjuang kerana Allah ‎ﷻ. Sedangkan golongan Musyrikin Mekah adalah golongan yang tidak ada maksud keagamaan. Walaupun mereka doa kepada Allah ‎ﷻ dengan memegang kelambu Kaabah, tetapi mereka buat itu adalah dengan tujuan memperlihatkan kehebatan mereka kepada orang lain.

Memang mereka ada berdoa kepada Allah ‎ﷻ tetapi mereka ada juga berdoa kepada selain Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ hendak beritahu kita sifat mereka dalam ayat ini. Walaupun ayat ini tentang Musyrikin Mekah, tetapi ayat ini ditujukan kepada semua orang lain dan kita kenalah ambil perhatian supaya jangan jadi begitu. Maka Allah ‎ﷻ sambung nasihat kepada para pejuang di dalam ayat ini.

وَلا تَكونوا كَالَّذينَ خَرَجوا مِن دِيٰرِهِم بَطَرًا وَرِئَاءَ النّاسِ وَيَصُدّونَ عَن سَبيلِ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ بِما يَعمَلونَ مُحيطٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not be like those who came forth from their homes insolently and to be seen by people and avert [them] from the way of Allāh. And Allāh is encompassing¹ of what they do.

  • In knowledge. See 2:19.

(MALAY)

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar dari kampungnya dengan rasa angkuh dan dengan maksud riya’ kepada manusia serta menghalangi (orang) dari jalan Allah. Dan (ilmu) Allah meliputi apa yang mereka kerjakan.

 

وَلا تَكونوا كَالَّذينَ خَرَجوا مِن دِيٰرِهِم بَطَرًا وَرِئَاءَ النّاسِ

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar dari kampungnya dengan rasa angkuh dan dengan maksud riya’ kepada manusia

Allah ‎ﷻ mengingatkan kita supaya jangan jadi seperti pihak kafir Mekah yang keluar dari Mekah dalam keadaan sombong. Mereka sombong untuk menerima kebenaran. Kemudian mereka bongkak dan berasa mereka kuat sangat dan boleh menghancurkan puak Muslim itu. Maka ayat ini menceritakan sifat mereka supaya kita jangan jadi seperti mereka. Sifat angkuhlah yang menyebabkan kuasa-kuasa dunia dahulukala jatuh terduduk. Kita umat Islam pernah kekalahan di dalam Perang Hunain kerana sombong dengan ramainya tentera Islam pada waktu itu.

Lafaz بَطَرًا bermaksud angkuh iaitu menunjukkan diri yang ada status yang tinggi. Ini adalah seperti seorang pengurus syarikat yang melayan pekerjanya dengan kurang ajar dan tidak patut. Mereka jadi begitu kerana kekayaan dan kekuasaan mereka. Inilah sifat yang ditunjukkan oleh Musyrikin Mekah apabila mereka keluar untuk berperang dengan pihak Muslim di Madinah.

Mereka juga berjuang untuk memperlihatkan kepada orang ramai betapa hebatnya mereka. Sudahlah mereka sombong tidak mahu terima kebenaran, kemudian tujuan jihad mereka pun salah. Yang mereka hendak adalah nama mereka diagung-agungkan.

كما قال أبو جهل – لما قيل له : إن العير قد نجا فارجعوا – فقال : لا والله لا نرجع حتى نرد ماء بدر ، وننحر الجزر ، ونشرب الخمر ، وتعزف علينا القيان ، وتتحدث العرب بمكاننا فيها يومنا أبدا

Seperti dikatakan oleh Abu Jahal ketika dikatakan kepadanya, “Kafilah Quraisy telah selamat (daripada penghadangan pasukan kaum mukmin), maka kembalilah.” Tetapi Abu Jahal berkata “Tidak, demi Allah, kami tidak akan kembali sebelum sampai di mata air Badr, lalu menyembelih unta dan minum-minum khamr serta mendengarkan nyanyian para biduan yang bernyanyi untuk kami. Kemudian kelak orang-orang Arab semuanya akan membicarakan perihal kekuatan kami pada hari itu untuk selama-lamanya.” (Rujuk Tafsir Ibnu Kathir)

Dari sini kita tahu yang tujuan asal mereka untuk keluar menuju ke Badr sudah tidak ada. Mereka boleh sahaja berpatah balik apabila maklumat telah diterima yang kafilah Abu Sufyan telah selamat. Namun mereka tetap teruskan juga kerana mereka hendak memusnahkan umat Islam, kononnya.

Mereka sangka mereka boleh menang kerana mereka tahu yang mereka ramai dan kuat. Akhirnya mereka telah kalah. Maka Allah ‎ﷻ mengajar umat Islam jangan jadi bongkak, angkuh dan sombong dengan kekuatan yang ada. Tidak akan masuk syurga sesiapa yang ada sifat sombong sedikit pun. Sabda Nabi Muhammad ﷺ:

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ

Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong.

(Sahih Muslim (51))

 

وَيَصُدّونَ عَن سَبيلِ اللَّهِ

serta menghalangi (orang) dari jalan Allah.

Tujuan mereka keluar berperang adalah hendak menghalang manusia sekitar tanah Arab daripada masuk Islam. Mereka bertujuan untuk menghancurkan Islam terus dari muka bumi. Begitu tingginya kebencian mereka kepada agama Islam yang menegur kesalahan fahaman dan amalan mereka. Manusia memang tidak suka diperbetulkan. Mereka lebih suka terus dengan amalan lama, tidak kira benar atau salah.

 

وَاللَّهُ بِما يَعمَلونَ مُحيطٌ

Dan (ilmu) Allah meliputi apa yang mereka kerjakan.

Tujuan mereka itu tidak dapat mereka capai kerana Allah ‎ﷻ meliputi mereka dengan ilmu-Nya. Mereka seperti dalam pagar dan tidak boleh keluar kerana telah diliputi. Mereka sangka mereka berkuasa penuh tetapi sebenarnya tidak. Mereka sahaja yang rasa begitu.

Dengan kata lain, Allah ‎ﷻ mengetahui niat yang mendorong kedatangan mereka dan untuk apa mereka datang. Kerana itulah Allah ‎ﷻ menimpakan pembalasan yang sangat buruk terhadap mereka.


 

Anfal Ayat 48: Ini adalah sebab keempat kenapa harta rampasan perang itu ditentukan oleh Allah ‎ﷻ. Ini adalah kerana peperangan itu adalah daripada kehendak Allah ‎ﷻ. Sebelum mereka keluar, iblis telah menghasut mereka untuk pergi menentang Nabi ﷺ. Ini adalah atas takdir Allah ‎ﷻ juga kerana Allah ‎ﷻ hendak perang Badr itu berjalan juga.

Sewaktu mereka sedang berbincang untuk keluar berperang, syaitan datang dan menghasut mereka. Mereka tidak bulat hati hendak keluar pada waktu itu. Maka, syaitan telah datang untuk menyesatkan dan memberi semangat kepada orang Mekah. Allah ‎ﷻ yang menghantar syaitan itu supaya orang kafir berani untuk melawan orang Islam.

Maka ini adalah Perenggan Makro yang ke-6: Peranan Syaitan. Di sini kita belajar bahawa syaitan itu adalah penasihat utama orang kafir yang hendak menentang Islam.

وَإِذ زَيَّنَ لَهُمُ الشَّيطٰنُ أَعمٰلَهُم وَقالَ لا غالِبَ لَكُمُ اليَومَ مِنَ النّاسِ وَإِنّي جارٌ لَّكُم ۖ فَلَمّا تَراءَتِ الفِئَتانِ نَكَصَ عَلىٰ عَقِبَيهِ وَقالَ إِنّي بَريءٌ مِّنكُم إِنّي أَرىٰ ما لا تَرَونَ إِنّي أَخافُ اللَّهَ ۚ وَاللَّهُ شَديدُ العِقابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [remember] when Satan made their deeds pleasing to them and said, “No one can overcome you today from among the people, and indeed, I am your protector.” But when the two armies sighted each other, he turned on his heels and said, “Indeed, I am disassociated from you. Indeed, I see what you do not see; indeed, I fear Allāh. And Allāh is severe in penalty.”

(MALAY)

Dan ketika syaitan menjadikan mereka memandang baik pekerjaan mereka dan mengatakan: “Tidak ada seorang manusia pun yang dapat menang terhadapmu pada hari ini, dan sesungguhnya aku ini adalah pelindungmu”. Maka tatkala kedua pasukan itu telah dapat saling lihat melihat (berhadapan), syaitan itu balik ke belakang seraya berkata: “Sesungguhnya aku berlepas diri daripada kamu, sesungguhnya aku dapat melihat apa yang kamu sekalian tidak dapat melihat; sesungguhnya aku takut kepada Allah”. Dan Allah sangat keras seksa-Nya.

 

وَإِذ زَيَّنَ لَهُمُ الشَّيطٰنُ أَعمٰلَهُم

Dan ketika syaitan menjadikan mereka memandang baik pekerjaan mereka

Syaitan yang menghasut mereka itu telah memperlihatkan amalan kufur mereka nampak baik dalam bentuk memberi sokongan kepada mereka. Lafaz أَعمالَ selalunya digunakan untuk amalan yang baik, kecualilah kalau ditambah dengan lafaz ‘buruk’ untuk menunjukkan yang itu adalah amalan buruk. Maka apakah maksud lafaz أَعمالَ dalam ayat ini kerana tidak dikatakan ia adalah amal yang buruk?

Maksudnya, memang amal yang dimaksudkan adalah amal mereka yang baik. Walaupun mereka itu musyrik, tetapi tentulah mereka ada juga amalan yang baik. Sebagai contoh, mereka itu adalah penjaga Kaabah. Maka, syaitan memuji mereka dalam kerja mereka yang telah menjaga Kaabah selama hari ini.

Syaitan menjadikan mereka berasa sedap hati, sehinggakan mereka rasa mereka sebagai penjaga Kaabah boleh berbuat apa sahaja dan mereka sangka apa yang mereka lakukan itu adalah untuk kebaikan. Ini kerana pada mereka, merekalah di pihak yang benar. Iblis menghasut mereka supaya mereka berasa begitu. Bagi mereka, mereka menyerang bertujuan untuk menghancurkan umat Islam itu adalah kerana mereka membuat kebaikan. Kerana itulah mereka berdoa di Kaabah kepada Allah ‎ﷻ untuk memberi kemenangan kepada pihak yang paling baik (الهم انصر اهدى الطائفتين ya Allah, berikan bantuan kepada pihak yang paling terpimpin di antara dua kumpulan ini).

Oleh itu, kenalah berhati-hati dengan bisikan syaitan ini. Dia memang pandai menipu manusia. Dia akan buat bagi kita rasa kitalah yang benar dengan memuji diri kita. Pujiannya itu supaya menjadikan kita rasa tindakan kita itu benar. Sebagai contoh, dia akan kata kita ini sudah lama beribadah, takkan ibadah kita itu salah? Sedangkan entah ibadah itu ikhlas atau tidak, sunnah atau bid’ah. Kerana itu ramai yang menolak ajakan dakwah sunnah kerana rasa mereka sudah melakukan banyak ibadah dan sudah pandai.

Satu lagi cara syaitan adalah menampakkan amal buruk kita nampak baik. Contohnya adalah seperti zikir-zikir bid’ah yang banyak diamalkan. Ia tidak baik, tetapi syaitan menghiasinya sehingga nampak baik dan suci sahaja.

 

وَقالَ لا غالِبَ لَكُمُ اليَومَ مِنَ النّاسِ

dan mengatakan: “Tidak ada seorang manusia pun yang dapat menang terhadapmu pada hari ini,

Syaitan berkata dalam penipuannya itu: “Tiada yang boleh mengalahkan kamu pada hari ini dalam kalangan manusia”. Ini kerana syaitan mahu mereka berasa mereka hebat, boleh mengalahkan sesiapa sahaja. Syaitan menghasut agar mereka berasa mereka amat kuat dan tidak akan kalah dan supaya mereka tidak takut untuk keluar berperang dengan umat Islam di Madinah. Ini kerana mereka pada waktu itu takut kalau mereka keluar, nanti Mekah diserang pula. Tetapi iblis beritahu yang mereka tidak boleh diserang dan dikalahkan.

Di sini kita boleh tahu salah satu cara syaitan menghasut manusia. Selalunya mereka akan membisikkan was-was dan ajakan ke dalam hati manusia. Adakalanya mereka akan menjelma terus untuk menghadapi manusia dan mengajak mereka ke lembah durjana. Maka jangan senang-senang sahaja ikut orang lain tanpa usul periksa sama ada benar atau tidaknya ajakannya itu kerana entah-entah dia adalah syaitan yang menjelma sebagai manusia.

 

وَإِنّي جارٌ لَّكُم

dan sesungguhnya aku ini adalah pelindungmu”. 

Syaitan berkata dia sendiri akan menolong dan membantu mereka dalam mempertahankan mereka. Lafaz جارٌ bermaksud ‘jiran’ kerana dia pun akan ikut serta dalam kumpulan kafir itu. Dia pun sudah duduk bersebelahan dengan mereka. Namun ingat, tidaklah dia menampakkan dirinya sebagai syaitan tetapi sebagai seorang manusia.

Kata-kata iblis ini telah memberi semangat kepada mereka. Ini kerana Musyrikin Mekah sebenarnya ada satu isu yang menyebabkan mereka tidak terus pergi ke Badr. Ini adalah kerana mereka ada satu lagi ancaman daripada puak lain iaitu Banu Bakar. Mereka takut jikalau mereka pergi ramai-ramai ke Badr, Mekah tidak ada pelindung lagi dan mereka takut anak-anak dan wanita mereka akan diganggu oleh Banu Bakar.

Namun apabila iblis datang menghasut maka, mereka menjadi yakin dengan kata-kata iblis yang mereka orang Mekah tidak boleh dikalahkan oleh sesiapa pun termasuk Banu Bakar itu.

 

فَلَمّا تَراءَتِ الفِئَتانِ نَكَصَ عَلىٰ عَقِبَيهِ

Maka tatkala kedua pasukan itu telah dapat saling lihat melihat (berhadapan), syaitan itu berpusing balik ke belakang

Lafaz نَكَصَ عَلىٰ عَقِبَيهِ bermaksud ‘dia berpatah balik atas tumitnya’. Maksudnya, apabila dua kumpulan itu saling pandang memandang, syaitan itu menghilangkan diri daripada pasukan kafir itu.

Ini adalah kerana dia nampak ramai para malaikat mula turun. Dia takut kerana kalau malaikat pukul mereka, mereka akan rasa sakit. Kerana itu mereka lari. Oleh itu, syaitan yang datang untuk menghasut orang kafir itu telah lari dan mereka tidak meneruskan peperangan dengan kafir Mekah.

Memang jin syaitan takut dengan malaikat. Maka kita jangan takut dengan jin syaitan kerana bersama dengan kita adalah malaikat yang menjaga kita. Akan tetapi masyarakat Melayu kita ini semenjak kecil selalu dimomokkan dengan kisah hantu, jin dan syaitan sampai mereka menjadi takut tidak tentu arah.

Di sini Allah ‎ﷻ hanya sebut الفِئَتانِ (dua puak) yang berperang sahaja. Allah ‎ﷻ tidak perlu sebut satu itu puak Islam dan satu lagi puak kafir. Ini kerana puak Islam tidak sepatutnya berperang sesama sendiri.

 

وَقالَ إِنّي بَريءٌ مِّنكُم

seraya berkata: “Sesungguhnya aku berlepas diri daripada kamu,

Maksudnya, iblis berlepas diri daripada membantu Musyrikin Mekah. Terus tidak jadi membantu kerana dia tidak sanggup lagi.

إِنّي أَرىٰ ما لا تَرَونَ

sesungguhnya aku melihat apa yang kamu sekalian tidak dapat melihat; 

Iblis dan syaitan lari kerana mereka nampak apa yang pihak kafir itu tidak nampak – iaitu nampak malaikat. Namun tidaklah dia bercakap dengan orang Mekah itu. Dia cuma kata kepada dirinya sahaja. Allah ‎ﷻ sebutkan kembali apa yang dikatakan olehnya untuk pengetahuan kita.

Atau boleh jadi memang dia ada berkata begitu kepada Musyrikin Mekah itu.

 

إِنّي أَخافُ اللَّهَ

sesungguhnya aku takut kepada Allah”.

Syaitan kata dia takut kepada Allah ‎ﷻ. Namun bukankah ‘takut kepada Allah ‎ﷻ’ itu adalah perkara yang baik? Adakah syaitan beriman pula? Tentulah tidak. Ada pendapat yang mengatakan dia menipu sahaja. Ada yang mengatakan memang dia benar-benar takut kepada Allah ‎ﷻ. Akan tetapi takut tanpa iman tidak bererti apa-apa.

Maksud ‘takut’ di sini bukan takut biasa, tetapi takut kepada pukulan Allah ‎ﷻ. Dia tahu dia akan sakit sekiranya dipukul oleh para malaikat. Dia bukan takut mati kerana dia tidak mati sampai hari kiamat. Cuma dia takut sakit.

Maka di sini syaitan meninggalkan kawannya dalam kalangan manusia. Sudah menjadi kebiasaan syaitan untuk mengajak manusia melakukan keburukan dan kemudian akan meninggalkan mereka. Ini juga disebut di dalam [ Hashr: 16 ]

كَمَثَلِ الشَّيطٰنِ إِذ قالَ لِلإِنسٰنِ اكفُر فَلَمّا كَفَرَ قالَ إِنّي بَريءٌ مِّنكَ إِنّي أَخافُ اللهَ رَبَّ العٰلَمينَ

Ini seperti (pujukan) syaitan ketika dia berkata kepada manusia: “Kafirlah kamu”, maka tatkala manusia itu telah kafir, maka ia berkata: “Sesungguhnya aku berlepas diri daripada kamu, kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Rabb semesta Alam”.

 

وَاللَّهُ شَديدُ العِقابِ

Dan Allah sangat keras seksa-Nya.

Sesungguhnya seksaan Allah ‎ﷻ amat keras dan tidak sanggup dihadapi oleh sesiapa walau iblis sekalipun.

Maka di sini kita tahu yang iblis kenal Allah ‎ﷻ malah takut kepada Allah ‎ﷻ. Dia cuma memberikan janji kosong sahaja kepada manusia. Nanti akan ditinggalkannya sesiapa yang mengikutinya. Oleh itu kita kena ingat yang syaitan tidak ada kuasa untuk mengawal manusia, cuma dia boleh ajak sahaja. Begitulah nanti di neraka pun dia akan beri khutbah kepada pengikutnya yang telah tertipu seperti disebut dalam [ Ibrahim: 22 ]

وَقالَ الشَّيطانُ لَمّا قُضِيَ الأَمرُ إِنَّ اللهَ وَعَدَكُم وَعدَ الحَقِّ وَوَعَدتُكُم فَأَخلَفتُكُم ۖ وَما كانَ لِيَ عَلَيكُم مِن سُلطانٍ إِلّا أَن دَعَوتُكُم فَاستَجَبتُم لي ۖ فَلا تَلوموني وَلوموا أَنفُسَكُم ۖ ما أَنا بِمُصرِخِكُم وَما أَنتُم بِمُصرِخِيَّ ۖ إِنّي كَفَرتُ بِما أَشرَكتُمونِ مِن قَبلُ ۗ إِنَّ الظّالِمينَ لَهُم عَذابٌ أَليمٌ

Dan berkatalah syaitan tatkala perkara (hisab) telah diselesaikan: “Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan aku pun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku akan tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku sekali-kali tidak dapat menolongmu dan kamu pun sekali-kali tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu”. Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu mendapat seksaan yang pedih.

Habis Ruku’ 6 daripada 10 ruku’ surah ini.


 

Anfal Ayat 49: Ini adalah sebab kelima kenapa pembahagian harta ghanimah itu perlu diserahkan kepada Allah ‎ﷻ untuk pembahagiannya. Allah ‎ﷻ memberitahu, semasa orang Islam Madinah keluar untuk bertemu dengan pasukan musuh, golongan munafik sudah mula mengata-ngata tentang orang Islam. Mereka kata orang mukmin telah ditipu oleh agama. Namun begitu Allah ‎ﷻ kuatkan juga semangat orang mukmin untuk berperang.

إِذ يَقولُ المُنٰفِقونَ وَالَّذينَ في قُلوبِهِم مَّرَضٌ غَرَّ هٰؤُلاءِ دينُهُم ۗ وَمَن يَتَوَكَّل عَلَى اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Remember] when the hypocrites and those in whose hearts was disease [i.e., arrogance and disbelief] said, “Their religion has deluded those [Muslims].” But whoever relies upon Allāh – then indeed, Allāh is Exalted in Might and Wise.

(MALAY)

(Ingatlah), ketika orang-orang munafik dan orang-orang yang ada penyakit di dalam hatinya berkata: “Mereka itu (orang-orang mukmin) ditipu oleh agamanya”. (Allah berfirman): “Barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, maka sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.

 

إِذ يَقولُ المُنٰفِقونَ وَالَّذينَ في قُلوبِهِم مَّرَضٌ

ketika orang-orang munafik dan orang-orang yang ada penyakit di dalam hatinya berkata:

Allah ‎ﷻ mengeluarkan semula kata-kata orang munafik dan orang yang ada dalam hati mereka penyakit kufur. Mereka itu tidak keluar untuk pergi berperang, cuma sibuk mengata-ngata dan berbuat kerosakan dalam hati dan fikiran manusia lain. Akidah mereka sendiri pun sudah rosak, tetapi mereka mahu rosakkan orang lain pula.

Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah يقول yang di dalam bentuk fi’il mudhari’ (present tense) di sini. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ hendak memberi isyarat yang perbuatan ini berterusan dilakukan oleh golongan yang seperti mereka. Jika Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah قال (telah berkata) maka itu merujuk kepada perbuatan sekali itu sahaja.

Munafik adalah orang yang berpura-pura beriman tetapi siapa pula yang ada ‘penyakit’ dalam hatinya itu? Mereka itu sebenarnya orang beriman, tetapi iman mereka lemah. Penyakit yang ada di dalam hati mereka itu adalah penyakit syak di mana mereka tidak yakin lagi dengan agama Islam dan Rasulullah ﷺ.

Ini adalah peringkat pertama kufur iaitu syak dan tidak yakin. Sekiranya tidak ditangani (dengan ilmu) maka ia akan menjadi lebih teruk lagi. Mereka boleh menjadi munafik terus atau kafir terus. Allah ‎ﷻ berfirman dalam [ Baqarah: 10 ]

فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ فَزَادَهُمُ ٱللَّهُ مَرَضًا‌

Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka;

Biasa sahaja kalau ada manusia yang syak dengan perkara yang baru seperti Islam ini. Jarang ada yang terus beriman (kerana mungkin sebelum itu mereka mencari-cari kebenaran). Masih ada isu yang bermain-main di fikiran mereka. Namun jangan dibiarkan sahaja. Kenalah buat kajian untuk memastikan mana yang benar. Mesti banyak bertanya dengan orang yang pandai untuk menjawab persoalan-persoalan yang ada di dalam minda.

Kalau tidak, akan menjadi lebih teruk iaitu kufur peringkat kedua. Ini adalah apabila sudah mula menolak tetapi di dalam hati. Peringkat ketiga adalah menolak dengan mulut dan perbuatan dan akhirnya peringkat keempat Allah ‎ﷻ akan menutup pintu hati (qatmul qalbi) daripada menerima hidayah terus.

Di sini kita dapat dalil bahawa penyakit itu ada dua: penyakit fizikal/jasmani dan penyakit hati. Yang dihadapi di dalam ayat ini adalah penyakit hati. Ia adalah amat bahaya kerana ia menjerumuskan ke lembah kehinaan. Namun ramai buat tidak kisah sahaja. Kebanyakan manusia lebih sibuk dengan fizikal, bukan? Sedangkan sepatutnya penyakit hatilah yang mereka ubati dengan segera.

Apa kata orang-orang munafik dan lemah iman itu?

 

غَرَّ هٰؤُلاءِ دينُهُم

“Mereka itu (orang-orang mukmin) ditipu oleh agamanya”.

Orang-orang munafik itu berkata, agama Islam yang dianuti oleh Muslim telah memperdayakan kehidupan orang Islam itu, telah mengheret mereka sampai mati. Ini adalah kata-kata mereka tentang para sahabat yang menyertai Nabi ﷺ. Mereka berkata, puak Muslim itu tertipu dengan agama sampai menyebabkan mereka akan terbunuh. Kata-kata ini bahaya kerana boleh melemahkan semangat orang mukmin yang mendengarnya.

Juga boleh dimaksudkan yang berkata begitu adalah puak Musyrikin Mekah. Ketika mereka melihat jumlah sahabat Nabi ﷺ yang sedikit, maka mereka berkata, “Mereka itu ditipu oleh agamanya, hingga dengan kekuatan yang sedikit itu mereka nekad juga datang ke medan perang, padahal jumlah musuh mereka banyak.”

Lebih spesifik lagi, apakah ‘penipuan’ yang mereka maksudkan? Iaitu janji Allah ‎ﷻ akan beri kemenangan. Orang munafik, yang lemah iman, dan Musyrikin Mekah kata orang Mukmin telah ditipu dengan janji itu, sampaikan sanggup menyerah diri untuk mati.

 

وَمَن يَتَوَكَّل عَلَى اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ

“Barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, maka sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”. 

Walaupun ada orang yang cuba merosakkan fikiran orang Islam, namun untuk orang yang hatinya bertawakal kepada Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ akan menjaga hati mereka daripada terpesong. Allah ‎ﷻ akan bantu umat Islam setelah kita menyempurnakan syariat yang ditetapkan, kerana Allah ‎ﷻ itu maha perkasa – boleh mengalahkan musuh. Itulah maksud al-Aziz.

Maksud حكيم pula adalah حاكم (pemberi hukum) dan حكمة (kebijaksanaan). Maksudnya Allah ‎ﷻ yang menentukan segalanya dengan memberi hukum dan segala keputusan daripada Allah ‎ﷻ itu adalah amat bijaksana. Oleh kerana itu senanglah hati kita untuk tawakal dan serahkan urusan kita kepada Allah ‎ﷻ. Ini juga yang kita belajar dalam [ Talaq: 3 ]

وَمَن يَتَوَكَّل عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسبُهُ

Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya.

Oleh itu, dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ berikan galakan kepada para sahabat yang keluar berperang di Badr. Mereka telah keluar berperang kerana mereka yakin dengan janji Allah ‎ﷻ yang Dia akan memberi kemenangan kepada mereka. Oleh itu, mereka telah bertawakal kepada Allah ‎ﷻ kerana kalau mereka tidak ada tawakal dan tidak ada iman, mereka tidak akan keluar. Mereka tidak hiraukan kata-kata golongan munafik itu.

Di sini Allah ‎ﷻ memberitahu kita yang Dia akan beri kemenangan kepada sesiapa yang tawakal kepada-Nya. Walaupun dari segi lahiriah nampak lemah, akan tetapi Allah ‎ﷻ berkuasa untuk memberi kemenangan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.

Bukan di dunia sahaja tetapi di akhirat. Anda hendak masuk syurga tanpa hisab? Maka hendaklah bertawakal kepada Allah ‎ﷻ. Dalilnya adalah sebuah hadith diriwayatkan daripada Imran bin al-Husain رضي الله عنه, Nabi ﷺ bersabda:

يَدْخُلُ الجَنَّةَ مِن أُمَّتي سَبْعُونَ ألْفًا بغيرِ حِسابٍ، قالوا: مَن هُمْ يا رَسولَ اللهِ؟ قالَ: هُمُ الَّذِينَ لا يَسْتَرْقُونَ، ولا يَتَطَيَّرُونَ، ولا يَكْتَوُونَ، وعلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

“Tujuh puluh ribu daripada umatku akan masuk syurga tanpa hisab.” Para sahabat bertanya: “Siapakah mereka wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Mereka adalah orang-orang yang tidak minta diruqyah (dengan ruqyah yang syirik), tidak mengamalkan tatayyur, tidak menggunakan pengubatan dengan besi (yang dilarang) dan mereka selalu bertawakkal pada Rabbnya.”

(Riwayat al-Bukhari (5752) dan Muslim (220))  

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 Disember 2022

Ringkasan Surah Anfal


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah Anfal Ayat 43 – 46 (Mimpi Rasulullah ﷺ sebelum perang)

Anfal Ayat 43: Ini adalah sebab yang kedua kenapa Allah ﷻ sahaja yang layak untuk menentukan pembahagian harta rampasan itu.

إِذ يُريكَهُمُ اللَّهُ في مَنامِكَ قَليلًا ۖ وَلَو أَرىٰكَهُم كَثيرًا لَّفَشِلتُم وَلَتَنٰزَعتُم فِي الأَمرِ وَلٰكِنَّ اللَّهَ سَلَّمَ ۗ إِنَّهُ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Remember, O Muḥammad], when Allāh showed them to you in your dream as few; and if He had shown them to you as many, you [believers] would have lost courage and would have disputed in the matter [of whether to fight], but Allāh saved [you from that]. Indeed, He is Knowing of that within the breasts.

(MALAY)

(iaitu) ketika Allah menampakkan mereka kepadamu di dalam mimpimu (berjumlah) sedikit. Dan sekiranya Allah memperlihatkan mereka kepada kamu (berjumlah) banyak tentu saja kamu menjadi gentar dan tentu saja kamu akan berbantah-bantahan dalam urusan itu, akan tetapi Allah telah menyelamatkan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala isi hati.

 

إِذ يُريكَهُمُ اللَّهُ في مَنامِكَ قَليلًا

ketika Allah menampakkan mereka kepadamu di dalam mimpimu (berjumlah) sedikit.

Nabi ﷺ telah bermimpi berkenaan apa yang akan terjadi semasa Perang Badr itu. Ini terjadi pada malam sebelum berperang. Akan tetapi dalam mimpi Nabi ﷺ, bilangan orang kafir tidak ramai dan Nabi ﷺ sampaikan kepada mereka. Oleh kerana itu, para sahabat boleh menerima kata-kata Nabi ﷺ dan ajakan Nabi ﷺ untuk meneruskan berperang kerana memikirkan pihak musuh itu tidak ramai.

Padahal, mereka sebenarnya sudah tahu yang bilangan tentera musuh yang akan datang itu seramai seribu orang (kerana mereka telah mengetahui bilangan unta yang disembelih setiap hari, boleh dijadikan sebagai anggaran bilangan orang). Namun, dalam mimpi Nabi ﷺ, mereka tetap nampak sedikit sahaja.

Ini adalah kerana Nabi ﷺ hanya dinampakkan dengan mereka yang benar-benar kafir sahaja kerana ada dalam kalangan orang Mekah yang datang menyerang umat Islam itu yang akan masuk Islam akhirnya nanti. Mereka datang adalah kerana terpaksa sahaja sedangkan hati mereka bukannya memusuhi Islam sangat pun.

Sememangnya mimpi Nabi ﷺ adalah wahyu yang sebenar. Mimpi Nabi ﷺ adalah mimpi yang benar, bukannya mimpi para Habib yang selalu dijadikan hujah golongan mereka. Oleh kerana mimpi baginda itu, dalam perang yang sebenar, pasukan Islam yang berperang itu dinampakkan yang musuh kafir itu sedikit juga sebagaimana dalam mimpi itu. Walaupun dari segi bilangan mereka, seramai seribu orang namun pada mata mereka, dinampakkan sedikit sahaja.

Di sebelah pihak orang kafir pula, ketika sebelum perang, mereka mendapat maklumat yang orang Islam itu sedikit sahaja. Ketika hendak mula berperang sekalipun, mereka dinampakkan oleh Allah ﷻ yang orang Islam itu sedikit juga, supaya mereka mahu berperang juga. Ini kerana jika mereka nampak ramai, nanti mereka lari dan tidak jadi berperang pula.

Ini adalah kerana Allah ﷻ hendak jadikan perang itu terjadi juga. Biar kedua-dua pihak mahu meneruskan peperangan dan tidak menarik diri. Allah ﷻ tetap adakan Perang Badr itu, kerana Allah ﷻ hendak menzahirkan kebenaran: iaitu walaupun orang yang benar itu sedikit, tetapi mereka tetap menang juga jika Allah ﷻ izinkan kemenangan berpihak kepada mereka.

Sekiranya tidak faham tentang ayat ini, mungkin ada masalah. Ini kerana jika sekali baca, nampak seolah-olah ayat ini tidak tepat dengan realiti pada waktu itu. Orientalis menggunakan ayat ini sebagai hujah untuk mengatakan yang Allah ﷻ telah menipu Nabi-Nya. Sedangkan sebenarnya, ada hikmah di sebalik apa yang Allah ﷻ lakukan itu.

Allah ﷻ hanya menunjukkan realiti pihak musuh itu. Memang dari segi bilangan, mereka ramai, tetapi mereka sebenarnya tidak bersatu, dan oleh itu sebenarnya mereka bukannya ramai tetapi sedikit sahaja. Allah ﷻ menunjukkan realiti sebenar tentera kafir itu.

 

وَلَو أَرىٰكَهُم كَثيرًا لَّفَشِلتُم

Dan sekiranya Allah memperlihatkan mereka kepada kamu (berjumlah) banyak tentu saja kamu menjadi hilang keberanian

Allah ﷻ menampakkan pihak musuh itu sedikit kepada Nabi ﷺ, supaya Nabi ﷺ sampaikan kepada para sahabat supaya mereka tidak takut untuk berperang. Sekiranya dinampakkan ramai, tentu gentar pula hati para sahabat. Allah ﷻ hendak memastikan peperangan itu terjadi juga.

 

وَلَتَنٰزَعتُم فِي الأَمرِ

dan tentu saja kamu akan berbantah-bantahan dalam urusan itu, 

Sekiranya para sahabat رضي الله عنهم tahu yang tentera Kafir Mekah itu ramai, tentu nanti mereka gentar dan menjadikan itu sebagai alasan untuk tidak meneruskan peperangan. Nanti ada yang mengajak tentera Islam balik ke Madinah.

 

وَلٰكِنَّ اللَّهَ سَلَّمَ

akan tetapi Allah telah menyelamatkan kamu.

Allah ﷻ tidak mahu tentera Muslim pulang ke Madinah, kerana Allah ﷻ tetap mahu perang itu berjalan juga. Allah ﷻ selamatkan mereka daripada membuat keputusan yang akan memudaratkan mereka. Allah ﷻ menyelamatkan mereka daripada rasa takut untuk menghadapi perang itu kerana jika mereka tidak meneruskan peperangan itu, maka mereka telah melanggar perintah Allah ﷻ dan Rasul-Nya.

Allah ﷻ selamatkan juga mereka dari berbantah-bantah kerana ia perkara yang tidak elok. Dan akhirnya Allah ﷻ selamatkan mereka dari bahaya perang itu dan dari kekalahan.

 

إِنَّهُ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala isi hati.

Allah ﷻ lakukan semua itu kerana Allah ﷻ tahu hati manusia. Allah ﷻ tahu yang jika mereka nampak tentera musuh ramai, ada yang akan menarik diri kerana gentar.

Maka, oleh kerana semua itu perancangan daripada Allah ﷻ, maka Allah ﷻlah yang layak untuk memberi keputusan tentang pembahagian harta rampasan itu, bukannya mereka yang berperang.


 

Anfal Ayat 44: Ini adalah sebab yang keempat kenapa Allah ﷻ yang layak menentukan pembahagian harta rampasan perang itu.

وَإِذ يُريكُموهُم إِذِ التَقَيتُم في أَعيُنِكُم قَليلًا وَيُقَلِّلُكُم في أَعيُنِهِم لِيَقضِيَ اللَّهُ أَمرًا كانَ مَفعولًا ۗ وَإِلَى اللَّهِ تُرجَعُ الأُمورُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [remember] when He showed them to you, when you met, as few in your eyes, and He made you [appear] as few in their eyes so that Allāh might accomplish a matter already destined. And to Allāh are [all] matters returned.

(MALAY)

Dan ketika Allah menampakkan mereka kepada kamu sekalian, ketika kamu berjumpa dengan mereka berjumlah sedikit pada penglihatan matamu dan kamu ditampakkan-Nya berjumlah sedikit pada penglihatan mata mereka, kerana Allah hendak melakukan suatu urusan yang mesti dilaksanakan. Dan hanyalah kepada Allahlah dikembalikan segala urusan.

 

وَإِذ يُريكُموهُم إِذِ التَقَيتُم في أَعيُنِكُم قَليلًا

Dan ketika Allah menampakkan mereka kepada kamu sekalian, ketika kamu berjumpa dengan mereka berjumlah sedikit pada penglihatan matamu

Allah ﷻ menampakkan tentera kufur Mekah itu sedikit sahaja kepada pasukan Islam ketika mereka bertembung dalam Perang Badr. Kalau dalam ayat 43, ia ditunjukkan dalam mimpi Rasulullah ﷺ, sekarang ini di medan pertempuran pun mereka nampak sedikit sahaja. Padahal musuh mereka ketika itu berjumlah seribu orang, iaitu tiga kali ganda daripada mereka. Ini terjadi dengan ketentuan Allah ﷻ. Ibn Mas’ud رضي الله عنه berkata kepada sahabat di sebelahnya yang pihak musuh hanya dalam 90 orang tetapi sahabatnya kata tidak, mereka mungkin seratus orang.

Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata).

Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air.

 

وَيُقَلِّلُكُم في أَعيُنِهِم

dan kamu ditampakkan-Nya berjumlah sedikit pada penglihatan mata mereka,

Pada pandangan mata pihak musuh, tentera Islam itu pun sedikit juga dan sememangnya bilangan mereka kurang. Allah ﷻ boleh sahaja beri mereka nampak ramai, tetapi Allah ﷻ kekalkan mereka nampak sedikit. Abu Jahal pada waktu itu kata tentera Muslim mungkin makan seekor unta sahaja. Ketika zaman itu untuk menganggar bilangan tentera, mereka akan mengira berapa ekor unta yang disembelih. Seekor unta boleh dimakan seratus orang.

Atau, ia boleh bermaksud, tentera Mekah nampak pasukan Muslim waktu itu ‘sedikit’ dari segi kelengkapan perang. Ini menyebabkan pasukan tentera Mekah itu menjadi yakin yang mereka akan mengalahkan tentera Islam. Mereka sudah merasa pasti akan menang.

Oleh itu, apabila mereka kalah, ia telah menjadi satu pukulan yang lebih berat ke atas mereka. Ini kerana mereka sudah yakin sangat yang mereka akan menang, namun akhirnya kalah – tentu itu memberi tekanan kepada emosi mereka. Mereka tidak langsung bersedia untuk kalah.  Allah ﷻ hendakkan mereka berasa lebih teruk lagi.

Walaupun sebelum berperang tentera kafir nampak tentera Muslim berjumlah sedikit, tetapi apabila mereka sudah mula berperang, Allah ﷻ telah menurunkan para malaikat untuk membantu pasukan Muslim, maka pada waktu itu barulah tentera kafir nampak pasukan Muslim dua kali ganda daripada mereka seperti yang disebutkan oleh Allah ‎ﷻ melalui firman-Nya:

{قَدْ كَانَ لَكُمْ آيَةٌ فِي فِئَتَيْنِ الْتَقَتَا فِئَةٌ تُقَاتِلُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَأُخْرَى كَافِرَةٌ يَرَوْنَهُمْ مِثْلَيْهِمْ رَأْيَ الْعَيْنِ وَاللَّهُ يُؤَيِّدُ بِنَصْرِهِ مَنْ يَشَاءُ إِنَّفِي ذَلِكَ لَعِبْرَةً لأولِي الأبْصَارِ}

Sesungguhnya telah ada tanda bagi kalian pada dua golongan yang telah bertemu (bertempur). Segolongan berperang di jalan Allah dan (segolongan) yang lain kafir, yang dengan mata kepala melihat (seakan-akan) orang-orang muslimin dua kali jumlah mereka. Allah menguatkan dengan bantuan-Nya sesiapa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai peng­lihatan hati.

[ Ali Imran: 13 ]

 

لِيَقضِيَ اللَّهُ أَمرًا كانَ مَفعولًا

kerana Allah hendak melakukan suatu urusan yang mesti dilaksanakan. 

Allah ‎ﷻ menjadikan semua itu, supaya akan berlaku keputusan yang tetap akan berlaku di mana Allah ‎ﷻ tetap mahukan Perang Badr itu terjadi. Tujuannya adalah kerana Allah ‎ﷻ hendak menunjukkan kepada manusia, kalah dan menang itu adalah dalam penentuan Allah ‎ﷻ, bukannya pada bilangan dan kekuatan manusia.

Maka memanglah patut kalau Allah ‎ﷻ yang menentukan cara pembahagian harta ghanimah itu, kerana Allah ‎ﷻ yang menjadikan perang itu terjadi.

 

وَإِلَى اللَّهِ تُرجَعُ الأُمورُ

Dan hanyalah kepada Allahlah dikembalikan segala urusan.

Segala keputusan dan ketentuan di tangan Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ yang menentukan segala-galanya. Maka kita hanya boleh terima sahaja. Kita kena redha dengan ketentuan daripada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ boleh membuat apa sahaja. Dia boleh menjadikan yang ramai nampak sedikit, dan yang sedikit nampak ramai. Dia boleh memenangkan kumpulan yang besar dan Dia boleh memenangkan kumpulan yang sedikit. Semuanya tidak mustahil bagi Allah ‎ﷻ kerana Dia yang menentukan segalanya.

Habis Ruku’ 5 daripada 10 ruku’ surah ini


 

Anfal Ayat 45: Ini adalah undang-undang perang pertama dalam bahagian kedua. Ada tujuh semua sekali. Allah ‎ﷻ memberitahu, dalam peperangan hendaklah meneguhkan kaki dan hati.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِذا لَقيتُم فِئَةً فَاثبُتوا وَاذكُرُوا اللَّهَ كَثيرًا لَّعَلَّكُم تُفلِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, when you encounter a company [from the enemy forces], stand firm and remember Allāh much that you may be successful.

(MALAY)

Hai orang-orang yang beriman. apabila kamu memerangi pasukan (musuh), maka berteguh hatilah kamu dan sebutlah (nama) Allah sebanyak-banyaknya agar kamu berjaya.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang yang beriman.

Allah ‎ﷻ hendak memberi semangat dan nasihat kepada orang Islam yang akan berperang. Ini juga adalah punca kemenangan umat Islam di dalam peperangan, selagi mereka mentaati perkara-perkara ini.

 

إِذا لَقيتُم فِئَةً فَاثبُتوا

apabila kamu memerangi pasukan (musuh), maka berteguhlah kamu

Allah ‎ﷻ mengingatkan umat Islam, apabila bertemu dengan kumpulan musuh, hendaklah meneguhkan kaki, jangan lari dari medan perang. Namun yang lebih penting adalah keteguhan hati. Tanpa keteguhan hati, tidak akan ada keteguhan kaki dan ini diketahui oleh semua panglima perang.

Ayat ini turun selepas Perang Badr. Ini hendak mengingatkan umat Islam untuk bersedia di peperangan yang lain selepas Perang Badr. Ia memberi isyarat kepada Perang Uhud yang akan terjadi tidak lama lagi.

 

وَاذكُرُوا اللَّهَ كَثيرًا

dan sebutlah (nama) Allah sebanyak-banyaknya

Selain daripada meneguhkan kaki dalam perang, umat Islam hendaklah meneguhkan hati dengan mengingati Allah ‎ﷻ banyak-banyak semasa berperang itu. Ini kerana apabila ingat Allah ‎ﷻ dengan banyak, hati yang gelisah pun akan menjadi tenang;

قَالَ عَبْدُ الرَّزَّاقِ، عَنْ سُفْيَانَ الثَّوْرِيِّ، عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ زِيَادٍ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ يَزِيدَ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “لَا تَتَمَنَّوْا لِقَاءَ الْعَدُوِّ، وَاسْأَلُوا اللَّهَ الْعَافِيَةَ فَإِذَا لَقِيتُمُوهُمْ فَاثْبُتُوا وَاذْكُرُوا اللَّهَ فَإِنْ أَجْلَبُوا وَضَجُّوا فَعَلَيْكُمْ بِالصَّمْتِ

Abdur Razzaq telah meriwayatkan daripada Sufyan As-Sauri, daripada Abdur Rahman ibnu Ziyad, daripada Abdullah ibnu Yazid, daripada Abdullah ibnu Amr yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Janganlah kalian mengharapkan untuk bersua dengan musuh, tetapi mohonlah keselamatan kepada Allah; dan apabila kalian bersua dengan mereka, maka hadapilah dengan hati yang teguh dan berzikirlah kepada Allah. Dan jika mereka gaduh dan berteriak-teriak, maka kalian harus tetap diam.

(Hadith Riwayat Abdurrazzaq dalam Musannafnya (9283))

Daripada Abdullah bin Amru رضي الله عنهما. Ibnu Hajar menilai hadith ini hasan dengan syawahidnya dalam al-Futuhat Rabbaniyah.

 

Inilah sumber kekuatan umat Islam. Di dalam pihak tentera cuba untuk menguatkan tentera mereka dengan senjata dan teknik peperangan yang berbagai, umat Islam mempunyai senjata yang mampan ini.

Memang semasa perang, fikiran tentulah entah ke mana kerana dalam kesibukan perang dan nyawa di hujung pedang akan tetapi ada penekanan Allah ‎ﷻ supaya umat Islam yang berperang ingat kepada-Nya dan diberi penekanan dengan kalimah كَثيرًا (sebanyak-banyaknya) di dalam ayat ini.

Kalimah كَثيرًا tidak digunakan bagi ibadah-ibadah yang lain seperti tidak ada salatlah كَثيرًا atau berpuasalah كَثيرًا. Tidak ada. Ini adalah kerana zikir ini amat mudah dilakukan, di mana-mana sahaja. Tidak perlu berhenti daripada membuat kerja, tidak perlu tukar pakaian, tidak perlu wudhu’, boleh dilakukan sama ada berdiri, duduk atau berbaring.

Tidaklah berat untuk melakukan zikir kepada Allah ‎ﷻ dalam berperang. Antaranya boleh sebut Allahu akbar berterusan. Ia dapat mengingatkan kita kepada Allah ‎ﷻ yang maha besar. Apa sahaja yang kita lakukan, Allah ‎ﷻ lebih besar. Dan tujuan kita berperang itu pun untuk membesarkan Allah ‎ﷻ, bukan?

 

لَّعَلَّكُم تُفلِحونَ

agar kamu berjaya.

Dengan meneguhkan kaki dan meneguhkan hati itu, mudah-mudahan pihak Islam akan mendapat kemenangan. Oleh sebab itu, sudah ada dua suruhan dan Allah ‎ﷻ berjanji di sini yang jikalau dapat menjaganya, kejayaan adalah milik umat Islam.

Allah ‎ﷻ memerintahkan para mujahideen untuk teguh dalam memerangi musuh dan sabar dalam berlaga dengan mereka di medan perang, tidak boleh lari, tidak boleh mundur, dan tidak boleh berhati pengecut.

Hendaklah mereka selalu menyebut nama Allah ‎ﷻ dalam keadaan itu, tidak boleh melupakan-Nya. Bahkan hendaklah meminta pertolongan kepada-Nya, bertawakal kepada-Nya. dan memohon kemenangan kepada-Nya dalam menghadapi musuh-musuh mereka.

Hendaklah mereka taat kepada Allah ‎ﷻ dan Rasul-Nya dalam keadaan tersebut, segala apa yang dipe­rintahkan Allah ‎ﷻ kepada mereka harus mereka lakukan, dan semua yang dilarang-Nya harus mereka tinggalkan.

Janganlah mereka saling berbantahan sesama mereka yang akibatnya akan mencerai-beraikan persatuan mereka sehingga mereka akan dikalahkan dan mengalami kegagalan.


 

Anfal Ayat 46:

وَأَطيعُوا اللَّهَ وَرَسولَهُ وَلا تَنٰزَعوا فَتَفشَلوا وَتَذهَبَ ريحُكُم ۖ وَاصبِروا ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصّٰبِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)
And obey Allāh and His Messenger, and do not dispute and [thus] lose courage and [then] your strength would depart; and be patient. Indeed, Allāh is with the patient.

(MALAY)
Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.

 

وَأَطيعُوا اللَّهَ وَرَسولَهُ

Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya

Ini adalah sambungan daripada undang-undang perang. Kena taat kepada arahan Allah‎ ﷻ dan Rasul-Nya. Oleh kerana Allah ‎ﷻ tidak memberi arahan terus kepada manusia, maka kena taat kepada arahan Nabi ﷺ. Kita tidak ada apa-apa lagi kalau tidak ada ketaatan kepada Allah ‎ﷻ dan Rasul.

Untuk taat kepada Allah ‎ﷻ, kenalah rujuk kepada Al-Qur’an dan untuk taat kepada Rasul, kenalah rujuk kepada Hadith. Ini dibincangkan dengan panjang lebar dalam [ Nisa: 59 ]

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا أَطيعُوا اللهَ وَأَطيعُوا الرَّسولَ وَأُولِي الأَمرِ مِنكُم ۖ فَإِن تَنٰزَعتُم في شَيءٍ فَرُدّوهُ إِلَى اللهِ وَالرَّسولِ إِن كُنتُم تُؤمِنونَ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ ۚ ذٰلِكَ خَيرٌ وَأَحسَنُ تَأويلًا

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dalam kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Qur’an) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

 

وَلا تَنٰزَعوا فَتَفشَلوا

dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi hilang keberanian

Jangan sekali-kali berselisih pendapat sesama Muslim yang menyebabkan lemah semangat dan menjadi gentar di medan perang. Jangan berkelahi sesama sendiri kerana kekuatan kita adalah kekuatan bersama. Jika sudah berpecah, maka kekuatan itu akan hilang. Sudah tiada sinergi sesama kita. Kerana itulah ada pepatah: bersatu teguh, bercerai roboh. Semangat yang ada bila beramai-ramai akan hilang dan kita akan berasa keseorangan dan akan gentar menghadapi musuh.

Malangnya, inilah yang telah terjadi di Medan Perang Uhud. Umat Islam telah tidak taat kepada arahan Nabi ﷺ dan telah berselisih sesama mereka. Maka, selepas Perang Badr ini, Allah ‎ﷻ sudah memberikan peringatan awal-awal lagi sebelum Perang Uhud lagi. Maknanya Allah ‎ﷻ sudah mengingatkan awal-awal sebelum kejadian di Perang Uhud itu lagi.

Amat bahaya sekali kalau umat Islam tidak bersatu. Apabila umat Islam tidak bersatu, maka semangat akan mudah hilang. Sebagai contoh, katakanlah ada satu persatuan Islam hendak membuat kerja amal. Kita pun datang menghadirkan diri kerana kita hendak memberi pertolongan mana yang kita boleh bantu. Namun apabila kita tiba di tempat persatuan itu, kita lihat ahli persatuan sedang berkelahi sesama sendiri; adakah anda rasa anda hendak meneruskan niat anda untuk menolong persatuan itu? Adakah anda ada semangat lagi untuk beri bantuan? Tentu tidak ada. Begitulah juga sekiranya tentera yang berperang tidak bersatu dan berselisih sesama sendiri. Memang akan hilang motivasi.

 

وَتَذهَبَ ريحُكُم

dan hilang kekuatanmu

Jika tidak bersatu dan berselisih, memang tidak ada kekuatan langsung. Lafaz وَتَذهَبَ ريحُكُم bermaksud ‘angin sudah pergi’. Seperti kapal layar yang tidak ada angin untuk meniup kapal itu bergerak, adakah kapal itu boleh bergerak? Tentu tidak.

Begitu jugalah kita dalam medan pertempuran. Tentu kita memerlukan ‘angin’ yang memberikan kekuatan tubuh kepada kita. Ini kerana kadang-kadang badan kita penat namun kalau ada ‘angin’, kita boleh menggerakkan lagi badan kita. Begitulah kadangkala kita tidak tahu dari mana datang kekuatan baru untuk berlari, berlawan dan sebagainya. Ini dinamakan fenomena ‘second wind’. Namun jika pada waktu itu umat Islam sedang bercakaran, tuduh menuduh, tidak bersatu, tentu tidak ada ‘angin’ itu.

Angin juga digunakan sebagai perumpamaan dalam ayat ini kerana angin itu boleh menjadi lembut dan boleh menjadi kuat. Lihatlah jika angin kuat yang menjadi tornado, mampu memusnahkan satu bandar disebabkan olehnya. Oleh itu, angin merujuk kepada kekuatan.

Maka, elakkan daripada bergaduh sesama sendiri. Jangan termakan dengan bisikan syaitan kerana syaitan tahu taktik ini. Mereka akan bisikkan ke telinga setiap ahli pasukan untuk menyebabkan mereka berkelahi. Kalau kita tidak perasan apa yang dilakukan oleh syaitan, maka kita akan ada masalah besar nanti.

 

وَاصبِروا

dan bersabarlah.

Selain bersatu, kita kenalah sabar sahaja dalam apa sahaja keadaan. Keadaan semasa sedang berjuang dalam peperangan tentulah tidak selesa. Fikiran bercelaru, tidak tenang dan kacau bilau pada waktu itu kerana ramai sangat manusia. Namun Allah ‎ﷻ suruh kita bersabar. Terima sahaja apa yang berlaku dan redha.

Sabar ini ada tiga jenis:

1. Sabar dalam taat. Iaitu untuk memenuhi arahan daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul.

2. Sabar dalam meninggalkan larangan daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul. Ini pun memerlukan kesabaran juga.

3. Sabar dalam menerima musibah dan ujian.

Dalam jihad perang itu, ada ketiga-tiga jenis sabar ini, iaitu sabar untuk jihad seperti suruhan Allah ‎ﷻ, meninggalkan larangan yang Allah ‎ﷻ dan Rasul berkenaan jihad (seperti lari dari medan perang) dan kesusahan yang tentunya amat tinggi semasa perang. Kerana itulah Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَمَنَّوْا لِقَاءَ الْعَدُوِّ فَإِذَا لَقِيتُمُوهُ فَاصْبِرُوا

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, beliau berkata, Rasulullah ﷺ bersabda, “Janganlah kalian berharap bertemu dengan musuh, maka jika kalian berjumpa dengan mereka hendaklah kalian bersabar.

(Riwayat Ahmad (10356))

Disahihkan oleh Arnauth رحمه الله.

Dilihat daripada susunan nasihat daripada Allah ‎ﷻ ini setelah disebut tentang jangan berpecah belah, sikap sabarlah yang penting seharusnya ada. Ini kerana walaupun kita di dalam satu pasukan, tetapi kita semua tidak sama. Pengalaman hidup, kematangan fikiran, pendidikan dan sebagainya akan mempengaruhi idiosinkratik (berfikiran atau kelakuan aneh) kita. Keputusan kita tidak semestinya sama dengan orang lain kerana minda dan emosi kita sendiri tidak sama.

Oleh itu, kadangkala pendapat kita berlainan dengan orang lain. Kalau kita tidak ada sabar di dalam diri kita, mungkin kita hendak juga idea kita diterima dan disokong oleh orang lain. Namun orang lain pun hendakkan idea dia juga diterimapakai, bukan? Maka, kadangkala perkara ini boleh menyebabkan perbalahan dan pasukan akan menjadi lemah. Oleh sebab itu, kenalah simpan sahaja fikiran dan idea kita jikalau ia boleh menyebabkan perpecahan.

Ini agak sukar untuk dilakukan jika tidak ada sifat sabar. Namun Allah ‎ﷻ menjanjikan balasan yang besar kepada orang yang dapat bersabar. Sabar ini tidak ada disebut pahalanya kerana ia tidak ada had dan terpulang kepada Allah ‎ﷻ berapa banyak Dia hendak beri. Allah ‎ﷻ  sebut di dalam [ Zumar: 10 ]

إِنَّما يُوَفَّى الصّٰبِرونَ أَجرَهُم بِغَيرِ حِسابٍ

Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira

 

إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصّٰبِرينَ

Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.

Allah ‎ﷻ berikan janji-Nya dalam ayat ini, kalau kita bersabar, Allah ‎ﷻ akan bersama dengan kita, berada di pihak kita dan akan bantu kita. Kalau Allah ‎ﷻ berada di pihak kita, adakah kita akan celaka lagi? Tentu tidak. Maka, ini adalah janji Allah ‎ﷻ yang amat hebat diberikan kepada para mujahideen. Sesungguhnya tiada sesiapa dapat menandingi kehebatan para sahabat dalam hal keberanian dan ketaatan kepada Allah‎ ﷻ dan Rasul.

Dengan berkah daripada Rasul dan ketaatan kepadanya dalam semua apa yang diperintahkannya kepada mereka, akhirnya mereka berhasil membuka hati manusia dan berhasil pula membuka banyak daerah —baik yang ada di kawasan timur mahupun barat—dalam waktu yang singkat. Padahal jumlah mereka sedikit kalau dibandingkan dengan pasukan daerah lainnya seperti pasukan bangsa Romawi, Persia, Turki, Saqalibah, Barbar, Habsyah, bangsa-bangsa yang berkulit hitam, bangsa Qibti, dan keturunan Bani Adam lainnya.

Para sahabat berhasil mengalahkan kesemuanya sehingga kalimah Allah ‎ﷻ menjadi tinggi dan agama-Nya menang di atas semua agama lainnya. Kerajaan Islam makin meluas kekuasaannya di belahan timur dan barat bumi ini dalam waktu yang kurang daripada tiga puluh tahun.

Semoga Allah ‎ﷻ melimpahkan redha-Nya kepada mereka dan membuat mereka puas akan pahala-Nya. dan semoga Allah ‎ﷻ menghimpunkan kita semua ke dalam golongan mereka. Sesungguhnya Dia Maha Mulia lagi Maha Pemberi.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 24 November 2022

Ringkasan Surah Anfal


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah Anfal Ayat 40 – 42 (Pembahagian Ghanimah)

Anfal Ayat 40:

وَإِن تَوَلَّوا فَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ مَولىٰكُم ۚ نِعمَ المَولىٰ وَنِعمَ النَّصيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But if they turn away – then know that Allāh is your protector. Excellent is the protector, and excellent is the helper.

(MALAY)

Dan jika mereka berpaling, maka ketahuilah bahwasanya Allah Pelindungmu. Dia adalah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.

 

وَإِن تَوَلَّوا فَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ مَولىٰكُم

Dan jika mereka berpaling, maka ketahuilah bahwasanya Allah Pelindungmu. 

Sekiranya orang kafir itu sanggup beriman, maka jangan perangi mereka lagi. Namun jikalau mereka tidak berhenti, mesti teruskan perangi mereka dan yakinlah yang Allah ‎ﷻ adalah pelindung kita. Allah ﷻ akan tetap menjaga kita dan Dia mampu untuk menjaga kita kerana Allah ﷻ maha berkuasa.

Dengan yakin dan percaya kepada kata-kata Allah ﷻlah inilah yang menyebabkan para sahabat yang berjuang tidak takut kepada musuh. Ini kerana mereka tahu yang Allah ﷻ adalah pelindung mereka.

 

نِعمَ المَولىٰ وَنِعمَ النَّصيرُ

Dia adalah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.

Allah ﷻ sebaik-baik pelindung dan pembantu. Seperti yang pernah kita sebutkan di tempat lain, ‘mawla’ tidak sama dengan ‘wali’. Wali adalah seseorang yang rapat dengan kita dan mahu membantu dan melindungi kita. Namun tidak semestinya dia berkeupayaan membantu dan melindungi kita.

Sekiranya digunakan lafaz ‘mawla’, ia bermaksud seseorang yang mahu melindungi dan mampu untuk melindungi. Siapakah lagi yang mampu untuk melindungi kita jika bukan Allah ﷻ? Allah ﷻlah sebaik-baik pelindung dan yang boleh memberi bantuan.

Kalimah المَولىٰ dan النَّصيرُ sebenarnya lebih kurang sahaja. Namun apabila diletakkan berdekatan, bermaksud ada sedikit perbezaan. المَولىٰ bermaksud yang akan melindung kita dan النَّصيرُ bermaksud yang akan bantu kita mendapatkan apa yang kita hajatkan. Allah ﷻ meletakkan kedua-duanya kerana Allah ﷻ boleh melakukan kedua-duanya sekali. Berbeza dengan manusia, mungkin mampu melakukan salah satu sahaja.

AKHIR JUZUK 9.


 

Anfal Ayat 41: Sekarang kita sudah masuk bahagian kedua surah ini. Allah ﷻ mengulang semula perkara yang telah disebut dalam bahagian pertama, cuma ada perubahan sedikit di sana sini. Sebagai contoh, kali ini ada 5 sebab pembahagian harta rampasan dan 7 undang-undang peperangan.

Dalam susunan Makro surah ini, kita sekarang sedang masuk ke Makro ke 5 di mana Allah ﷻ memberitahu cara pembahagian harta rampasan perang. Perenggan ini bermula daripada ayat ini dan berlanjutan sehingga ke ayat 47.

وَاعلَموا أَنَّما غَنِمتُم مِّن شَيءٍ فَأَنَّ لِلَّهِ خُمُسَهُ وَلِلرَّسولِ وَلِذِي القُربىٰ وَاليَتامىٰ وَالمَسٰكينِ وَابنِ السَّبيلِ إِن كُنتُم ءآمَنتُم بِاللَّهِ وَما أَنزَلنا عَلىٰ عَبدِنا يَومَ الفُرقانِ يَومَ التَقَى الجَمعانِ ۗ وَاللَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And know that anything you obtain of war booty – then indeed, for Allāh is one fifth of it and for the Messenger¹ and for [his] near relatives² and the orphans, the needy, and the [stranded] traveler,³ if you have believed in Allāh and in that which We sent down to Our Servant° on the day of criterion [i.e., decisive encounter] – the day when the two armies met [at Badr]. And Allāh, over all things, is competent.

  • To be spent in Allāh’s cause.
  • The tribes of Banū Hāshim and Banū Muṭṭalib, who were not eligible for zakāh.
  • The remaining four fifths are divided among the soldiers.
  • Prophet Muḥammad ().

(MALAY)

Ketahuilah, sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil, jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Muhammad) di hari Furqaan, iaitu di hari bertemunya dua pasukan. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

 

وَاعلَموا أَنَّما غَنِمتُم مِّن شَيءٍ

Ketahuilah, sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, 

Ini adalah ayat tentang pembahagian harta ghanimah (harta rampasan perang). Awal surah ini telah disebut tentang para sahabat yang berbeza pendapat tentang bagaimanakah harta itu patut dibahagikan. Maka ayat ini adalah jawapan dan penerangan lanjut bagi ayat 1 surah ini يَسأَلونَكَ عَنِ الأَنفالِ ۖ قُلِ الأَنفالُ لِلَّهِ وَالرَّسولِ (Mereka menanyakan kepadamu tentang (pembahagian) harta rampasan perang. Katakanlah: “Harta rampasan perang kepunyaan Allah dan Rasul). Dalam masa yang sama, di sini kita dapat pastikan bahawa kalimah ‘ghanimah’ dan ‘anfal’ itu adalah sama.

Lihatlah sekarang baru dijawab tentang pembahagiannya, setelah disebut dalam 40 ayat tentang perkara-perkara yang lebih penting dahulu. Diberitahu segala perkara itu untuk memperjelaskan manakah yang penting, apakah yang patut mereka utamakan dahulu daripada pembahagian harta ghanimah itu.

Sebelum disebut pembahagian itu kita kena ingat bahawa alam ini milik Allah ﷻ. Oleh itu, sekiranya ada pemilikan apa-apa sekalipun, ia mestilah dengan izin Allah ﷻ. Allah ﷻ berikan kita memiliki harta di dunia ini adalah sebagai rahmat dan nikmat daripada-Nya. Ini seperti Allah ﷻ sebut dalam [ Yaasin: 71 ]

أَوَلَم يَرَوا أَنّا خَلَقنا لَهُم مِّمّا عَمِلَت أَيدينا أَنعٰمًا فَهُم لَها مٰلِكونَ

Tidakkah mereka melihat dan memikirkan, bahawa Kami telah menciptakan untuk mereka binatang-binatang ternak, di antara jenis-jenis makhluk yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami lalu mereka memilikinya?

Maknanya, Allah ﷻ yang memberikan kebenaran kepada mereka untuk memilikinya. Sebab binatang itu semua bukan manusia yang buat tetapi Allah ﷻ, bukan? Begitulah, bagi para Nabi (sebelum Nabi Muhammad) yang menjalankan jihad terhadap musuh Islam, mereka tidak dapat mengambil harta rampasan itu. Harta itu dilonggokkan dan akan ada api yang akan membakarnya.

Hanya kepada umat Nabi Muhammad sahaja dibenarkan mengambil harta ghanimah daripada musuh Islam itu. Perbuatan ini pun berlaku di atas izin Allah ﷻ kerana mereka itu telah menentang Allah ﷻ dan Rasul, maka mereka tidak layak lagi memiliki harta yang mereka ada itu. Oleh sebab itu, kenalah faham konsep ini terlebih dahulu. Jikalau tidak faham, maka akan nampak seolah-olah umat Islam ini kerjanya merampas harta orang pula.

Harta ghanimah pula adalah harta yang paling suci. Kenapakah begitu? Harta yang kita dapat melalui usaha kita bekerja, berniaga dan lain-lain, sememangnya halal. Namun dalam rantaian pemilikan daripada orang lain ke orang lain sehingga sampai kepada kita, entah ada perkara-perkara syubhat yang terlibat, bukan? Akan tetapi ia berbeza dengan harta ghanimah ini.

Harta ghanimah ini asalnya milik orang kafir. Kemudian ia diambil kembali oleh Allah ﷻ kerana mereka tidak layak lagi menjaganya. Kemudian Allah ﷻ berikan terus kepada umat Islam yang terlibat dalam perang itu. Kita terima harta itu terus daripada Allah ﷻ, tidak melalui tangan-tangan lain. Maka, ia tidak ada tercampur dengan hal-hal syubhat.

Di dalam ayat ini disebut مِّن شَيءٍ (daripada sedikitpun). Maknanya harta rampasan perang itu semuanya hendaklah dibahagikan. Tidak boleh mengambilnya untuk diri sendirinya sahaja. Contohnya seorang mujahid bunuh musuh dan dia seorang sahaja yang tahu tentang harta pada orang yang baru dibunuhnya. Kalau dia ambil harta itu, itu adalah dosa besar dan dia akan menanggung dosa yang berat di akhirat kelak. Disebut dalam sebuah hadith:

عَنْ أُمِّ حَبِيبَةَ بِنْتِ الْعِرْبَاضِ، عَنْ أَبِيهَا: أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَأْخُذُ الْوَبَرَةَ مِنْ فَيْءِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ، فَيَقُولُ: مَا لِي مِنْ هَذَا إِلَّا مِثْلَ مَا لِأَحَدِكُمْ إِلَّا الْخُمُسَ، وَهُوَ مَرْدُودٌ فِيكُمْ، فَأَدُّوا الْخَيْطَ وَالْمَخِيطَ فَمَا فَوْقَهُمَا، وَإِيَّاكُمْ وَالْغُلُولَ، فَإِنَّهُ عَارٌ وَشَنَارٌ عَلَى صَاحِبِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Daripada Ummu Habîbah binti al-‘Irbâdh, daripada bapanya bahawa Rasûlullâh ﷺ mengambil rambut daripada fai pemberian Allâh ﷻ (harta ghanîmah), lalu baginda ﷺ bersabda, “Aku tidak memiliki hak daripada harta (ghanimah) ini kecuali seperti hak salah seorang di antara kalian daripadanya (juga), kecuali yang seperlima. Itupun dikembalikan kepada kamu. Maka serahkanlah (ghanimah/harta rampasan, baik berupa) benang, jarum dan semua barang lainnya yang lebih besar daripada keduanya. Janganlah kamu melakukan ghulûl, kerana itu merupakan celaan dan aib bagi pelakunya pada hari kiamat”. 

(Hadith Riwayat Ahmad (17154); Al-Bazzar (1734); Ath-Thabrani dalam al-Ausath (2443))

Hadith hasan lighairihi

Lihatlah untuk diambil jarum dan benang pun tidak dibenarkan. Perbuatan ini dinamakan ghulul dan ia adalah dosa besar. Ini bukanlah mencuri yang biasa. Allah ﷻ telah berfirman dalam [ Ali Imran: 161 ]

وَمَا كَانَ لِنَبِيٍّ أَنْ يَغُلَّ ۚ وَمَنْ يَغْلُلْ يَأْتِ بِمَا غَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۚ ثُمَّ تُوَفَّىٰ كُلُّ نَفْسٍ مَا كَسَبَتْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

“Tidak mungkin seorang nabi berbuat ghulûl (berkhianat dalam urusan harta rampasan perang). Barangsiapa berkhianat dalam urusan rampasan perang itu, maka pada hari kiamat dia akan datang membawa apa yang dikhianatkannya itu, kemudian tiap-tiap jiwa akan diberi pembalasan tentang apa yang dia kerjakan dengan (pembalasan) setimpal, sedang mereka tidak dianiaya.”

Ancaman yang Allah ﷻ berikan adalah ancaman di akhirat kerana beratnya dosa itu. Seorang mujahid mestilah sedar akan perkara ini. Ini kerana jika dia tidak takut dengan Allah ﷻ dan balasan di akhirat, senang sahaja untuk dia ambil barang itu, bukan? Mungkin orang lain tidak nampak, akan tetapi Allah ﷻ mengingatkan yang Dia nampak apa yang mereka lakukan.

 

فَأَنَّ لِلَّهِ خُمُسَهُ وَلِلرَّسولِ وَلِذِي القُربىٰ وَاليَتامىٰ وَالمَسٰكينِ وَابنِ السَّبيلِ

maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil,

Lafaz غَنِم itu dari segi bahasa bermaksud harta yang didapati tanpa usaha, dapat dengan percuma.

Harta ghanimah itu hendaklah dibahagikan kepada lima bahagian. Katakanlah ada 5 juta. 1 juta diberikan kepada kerajaan, untuk dibahagikan pula kepada orang-orang tertentu. Bahagian itu diberikan untuk Allah ﷻ, Rasul, kerabat baginda, orang miskin dan musafir (yang putus bekalan di tengah jalan). Maka kesemuanya berjumlah 6 bahagian.

Namun begitu tentulah kita tidak beri terus kepada Allah ﷻ, tetapi diberikan kepada Nabi ﷺ, kerana Nabi ﷺlah nanti yang akan membahagikan kepada yang memerlukan. Nabi ﷺ pun ada juga keluarga dan memang ramai yang ditanggung oleh baginda. Ada pendapat yang mengatakan, Nabi ﷺ menanggung lebih daripada 50 orang kaum kerabat baginda. Sememangnya itu dibenarkan untuk Nabi ﷺ. Lihatlah bagaimana ada huruf ل untuk lafaz لِلَّهِ, لِلرَّسولِ dan لِذِي القُربىٰ. Itu menunjukkan ada penekanan di situ.

Nabi ﷺ mengambil sebahagian daripada bahagiannya itu dengan segenggam tangannya, kemudian memperuntukkannya buat Ka’bah: apa yang baginda ambil itu merupakan bahagian Allah ﷻ. Setelah itu baginda membahagikan yang tersisa menjadi lima bahagian, iaitu untuk dirinya, untuk kaum kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, dan Ibnu sabil.

Ada juga pendapat yang mengatakan yang dibahagikan hanya 5 bahagian sahaja. Sedangkan yang dimaksudkan untuk Allah ﷻ adalah ‘milik Allah ﷻ’ kerana semua harta adalah milik Allah ﷻ. Oleh itu, hanya ada 5 bahagian sahaja yang dibahagikan.

Oleh itu, 1/5 untuk bahagian Allah ﷻ dan Rasul, kerabat Nabi, anak yatim, puak miskin dan musafir. Keturunan Nabi ﷺ mendapat harta ghanimah kerana mereka tidak layak menerima zakat. Bahagian mereka akan dibahagikan oleh kerajaan. Untuk bahagian Rasulullah ﷺ itu, baginda akan ambil setakat belanja untuk setahun. Seperti yang kita tahu, Rasulullah ﷺ dan keturunannya tidak boleh menerima harta zakat dan sedekah. Ini berdasarkan hadith yang berbunyi:

اِنَّ هَذِهِ الصَّدَقَةَ أَوْسَاخُالنَّاسِ وَأِنَّهَالاَتَحِلُّ لِمُهَمَّدٍوَلاَلِآ لِ مُحَمَّدٍ

“Sesungguhnya sedekah (zakat) adalah kotoran manusia, tidak halal untuk Muhammad dan keturunan Muhammad”.

(Hadith Riwayat Muslim)

Harta yang layak bagi keluarga baginda adalah harta yang paling bersih iaitu harta ghanimah kerana ia diberikan daripada Allah ﷻ sendiri, tidak melalui tangan-tangan yang lain. Sekiranya melalui tangan manusia, entah ada syubhah di dalamnya ketika berlakunya transaksi antara manusia.

Bagaimanakah pula cara pembahagian 1/5 itu? Ini adalah satu lagi kehebatan penggunaan perkataan di dalam Al-Qur’an yang mungkin kita tidak perasan. Lihat semula kalimat لِلرَّسولِ وَلِذِي القُربىٰ وَاليَتامىٰ وَالمَسٰكينِ وَابنِ السَّبيلِ. Daripada 5 penerima itu, huruf ل hanya ada pada dua sahaja iaitu Rasul dan kaum kerabat baginda. Oleh itu, ini memberikan isyarat bahawa pembahagian itu ditentukan oleh Rasulullah ﷺ. Baginda tidak perlu membahagikan sama rata pun jikalau baginda kehendaki.

Sekiranya hendak dibahagikan sama rata pun memang susah kerana penerima itu kadangkala orang yang sama. Sebagai contoh, seorang anak yatim mungkin juga seorang yang miskin, malah dia juga boleh menjadi seorang yang musafir. Takkan dia sampai dapat tiga bahagian pula? Maka pembahagian itu tidak ditetapkan dengan tepat, terpulang kepada Rasulullah ﷺ. Ada yang baginda tidak beri pun, sebagai contoh anaknya Fatimah رضي الله عنها pernah meminta sumbangan tetapi baginda tidak beri. Sedangkan Fatimah رضي الله عنها itu bukankah kaum kerabat baginda?

Dibincangkan juga, adakah kaum kerabat baginda terus mendapat bahagian daripada harta ghanimah ini setelah ketiadaan baginda? Sejarah merekodkan khulafa ur Rasyidin terus memberikannya kepada mereka. Siapakah mereka? Mereka itu adalah ahli keturunan Banu Hashim dan juga Banu Abdul Mutallib. Banu Hashim adalah ahli keluarga Rasulullah ﷺ sendiri dan Banu Abdul Mutallib, walaupun jauh, tetapi mereka ada bersama dengan Nabi ﷺ. Semasa Banu Hashim diboikot di zaman Jahiliyah, Banu Abdul Mutallib walaupun boleh menjauhkan diri dan selamat, tetapi mereka tetap bersama Banu Hashim.

Silsilah Nabi ialah Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hasyim. Hasyim di sini memiliki saudara-saudara yang membentuk klan tersendiri yang sama-sama merupakan keturunan Abdu Manaf. Klan tersebut ialah Bani Hasyim, Bani Muthalib, Bani Naufal dan Bani ‘Abdu Syamsy.

Ringkasnya, ungkapan ayat ini mengandung makna taukid (pastiyang mengukuhkan pembahagian lima, baik yang dibahagikan itu sedikit ataupun banyak. Sehingga jangan tertinggal barang sekecil apa pun, seperti jarum dan benangnya. Kalau khianat, ancaman berat seperti disebut dalam ayat Ali Imran:161.

Apabila hal ini telah diakui dan diketahui kebenarannya, maka timbul persoalan pula: daripada bahagian yang diambil oleh Nabi ﷺ daripada khumus ituuntuk siapakah pula bahagian ini sesudah Nabi ﷺ tiada?

Sebahagian ulama mengatakan bahawa bahagian tersebut diberikan kepada orang yang menggantikan baginda sesudah baginda tiada (yakni untuk para khalifah sesudahnya). Pendapat ini diriwayatkan daripada Abu Bakar, Ali, dan Qatadah serta sejumlah ulama; dan sehubungan dengan hal ini terdapat sebuah hadith marfu’ yang menguatkannya.

Ulama lain mengatakan bahawa bahagian tersebut dibelanjakan untuk keperluan kemaslahatan kaum Muslim. Ada pula ulama yang mengata­kan bahagian tersebut dikembalikan untuk asnaf lainnya iaitu kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, dan ibnu sabil.” Pendapat inilah yang dipilih oleh Ibnu Jarir.

Ulama lainnya berpendapat bahawa bahagian Nabi ﷺ dan bahagian kaum kerabatnya dikembalikan untuk anak-anak  yatim dan orang-orang miskin serta ibnu sabil. Pendapat ini dikatakan oleh sejumlah ulama Iraq.

Di dalam ayat ini tidak disebut golongan fakir. Memang tidak disebut kerana ia termasuk di dalam golongan miskin. Ini kerana fakir itu lebih teruk lagi keadaan mereka berbanding dengan golongan miskin. Untuk orang miskin, mungkin ada juga harta sedikit (cuma tidak cukup sahaja) sedangkan untuk fakir, mereka memang langsung tidak ada apa-apa.

Oleh itu, Khumus asalnya (1/5) dibahagikan kepada Rasulullah ﷺ daripada harta ghanimah iaitu ia mestilah hasil daripada peperangan. Namun agama Syiah (kerana mereka bukan agama Islam) telah menyalahgunakan perundangan ini dengan mengatakan penganut Syiah hendaklah memberikan 1/5 daripada hasil pendapatan mereka kepada ketua agama mereka. Mereka telah menyalahgunakan ayat Al-Qur’an untuk kepentingan nafsu mereka. Orang bodoh memang senang tertipu.

Akan tetapi bagaimana pula dengan 4/5 itu? Ia tidak disebut, bukan? Ini adalah kehebatan Al-Qur’an di mana perkara yang boleh difahami tidak perlu disebut. Ia sebenarnya sudah ada isyarat di dalam kalimah غَنِمتُم di awal ayat ini iaitu apa yang kamu dapati daripada harta ghanimah. Yang dimaksudkan adalah para mujahid. Maka bahagian 4/5 dibahagikan di antara mereka.

 

إِن كُنتُم ءآمَنتُم بِاللَّهِ

jika kamu beriman kepada Allah

Itulah penjelasan tentang pembahagian 1/5 daripada harta ghanimah itu. Ia adalah satu ketetapan, jika kamu mengaku kamu beriman kepada Allah ﷻ. Orang yang beriman mestilah menerima apa yang telah ditetapkan, tidak ada jalan untuk menolaknya.

4/5 lagi dibahagikan sesama tentera yang terlibat dalam peperangan itu. Pembahagian itu pula tidaklah sama dan ini diterangkan di dalam hadith. Ada yang dapat lebih dan ada yang dapat kurang. Tentera yang berperang dengan kuda mendapat bahagian yang lebih besar daripada tentera yang hanya berjalan kaki.

Ini adalah kerana tentera berkuda dikehendaki pergi dulu untuk berperang, di mana ada kemungkinan mereka akan mati dahulu kerana merekalah yang merempuh musuh dahulu. Selepas mereka membuka ruang di medan pertempuran, barulah memberi peluang kepada tentera berjalan kaki untuk masuk ke dalam medan pertempuran.

Selain daripada itu, mereka perlu menanggung keperluan kuda mereka untuk berperang dan ini maksudnya mereka mengeluarkan belanja yang lebih besar jika dibandingkan dengan tentera yang berjalan kaki. Maka tidak hairanlah kalau mereka mendapat bahagian yang lebih besar.

 

وَما أَنزَلنا عَلىٰ عَبدِنا يَومَ الفُرقانِ

dan kepada apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Muhammad) di hari Furqaan,

Bukan sahaja mereka mesti beriman kepada Allah ﷻ, mereka juga mesti beriman kepada wahyu yang diberikan kepada Rasulullah ﷺ pada ‘Hari Perbezaan’ antara tauhid dan syirik iaitu Perang Badr. Wahyu yang dimaksudkan adalah Surah Anfal ini. Surah Anfal tentang pembahagian harga ghanimah ini diturunkan pada waktu Perang Badr. Oleh itu, mestilah beriman dengan wahyu ini.

Allah ﷻ sebut baginda Nabi ﷺ sebagai ‘hamba’ dan tidak ‘Rasul’ di dalam ayat ini. Ini kerana hendak menekankan Nabi Muhammad ﷺ adalah hamba Allah ﷻ yang terbaik. Siang dan malam baginda diperuntukkan untuk Allah ﷻ.

Lafaz ‘furqan’ maksudnya ‘pembeza’. Hari Peperangan Badr itu Allah ﷻ gelar sebagai Hari Furqaan kerana waktu itu Allah ﷻ membezakan manakah pihak yang benar dan manakah pihak yang salah.

Maka, kalau beriman dengan Allah ﷻ dan beriman dengan Surah Anfal ini, maka kenalah ikut cara pembahagian yang Allah ﷻ sedang terangkan ini.

 

وَاللَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Allah ﷻ maha berkuasa dalam segala hal, termasuk menentukan siapakah yang menang dalam mana-mana pertempuran.

Allah ﷻ juga berkuasa untuk memberikan keputusan mana satu pihak yang mendapat bahagian harta ghanimah dan apakah bahagian mereka. Tidak ada sesiapa yang boleh menentang pembahagian ini. Apabila Allah ﷻ telah tetapkan, maka mesti ikut.


 

Anfal Ayat 42: Ini adalah sebab pertama (dalam bahagian kedua ini) kenapa harta ghanimah itu mesti dibahagikan mengikut pembahagian daripada Allah ﷻ. Dalam bahagian pertama surah ini telah diberitahu 7 sebab dan dalam bahagian kedua ini ada 5 sebab. Ini adalah sebab pertama.

إِذ أَنتُم بِالعُدوَةِ الدُّنيا وَهُم بِالعُدوَةِ القُصوىٰ وَالرَّكبُ أَسفَلَ مِنكُم ۚ وَلَو تَواعَدتُم لَاختَلَفتُم فِي الميعٰدِ ۙ وَلٰكِن لِّيَقضِيَ اللَّهُ أَمرًا كانَ مَفعولًا لِّيَهلِكَ مَن هَلَكَ عَن بَيِّنَةٍ وَيَحيىٰ مَن حَيَّ عَن بَيِّنَةٍ ۗ وَإِنَّ اللَّهَ لَسَميعٌ عَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Remember] when you were on the near side of the valley, and they were on the farther side, and the caravan was lower [in position] than you. If you had made an appointment [to meet], you would have missed the appointment. But [it was] so that Allāh might accomplish a matter already destined – that those who perished [through disbelief] would perish upon evidence and those who lived [in faith] would live upon evidence; and indeed, Allāh is Hearing and Knowing.

(MALAY)

(Iaitu di hari) ketika kamu berada di pinggir lembah yang dekat dan mereka berada di pinggir lembah yang jauh sedang kafilah itu berada di bawah kamu. Sekiranya kamu mengadakan persetujuan (untuk menentukan hari pertempuran), pastilah kamu tidak sependapat dalam menentukan hari pertempuran itu, akan tetapi (Allah mempertemukan dua pasukan itu) agar Dia melakukan suatu urusan yang mesti dilaksanakan, agar orang yang binasa itu binasa dengan keterangan yang nyata dan agar orang yang hidup itu hidupnya dengan keterangan yang nyata (pula). Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui,

 

إِذ أَنتُم بِالعُدوَةِ الدُّنيا

ketika kamu berada di pinggir lembah yang dekat 

Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang ‘Hari Furqan’ iaitu Perang Badr. Dalam ayat ini, Allah ﷻ menjelaskan lagi tentang perang itu iaitu ketika puak Muslim berada di tepi sebelah kawasan Madinah yang berpasir, air pun tidak ada.

Lafaz العُدوَةِ adalah kawasan lembah kecil yang ada bahagian tinggi di sebelah kiri dan kanannya. Ia adalah kawasan yang agak luas di mana tentera boleh berkumpul. Lafaz ‘dekat’ yang dimaksudkan adalah dekat dengan Madinah.

Lafaz ‘dunya’ dalam ayat ini bermaksud dekat dan rendah. Bukannya ‘dunia’ seperti yang kita biasa faham itu. Ini kerana sememangnya dunia tempat tinggal kita ini pun dekat dan rendah kalau dibandingkan dengan langit dan akhirat.

Kedudukan Badr

Oleh itu, kedudukan tentera umat Islam pada waktu itu tidaklah baik. Tanah mereka berpasir dan kedudukan sumber air pun jauh dari situ.

 

وَهُم بِالعُدوَةِ القُصوىٰ

dan mereka berada di pinggir lembah yang jauh

Tentera kafir Mekah waktu itu menunggu di bahagian lembah yang jauh iaitu jauh dari Madinah dan dalam perjalanan menuju ke Mekah. Kawasan itu berbukit dan tanah berselut, tetapi masih boleh berjalan lagi sebelum Allah ﷻ menurunkan hujan (yang menyebabkan mereka kesusahan). Di kawasan pihak musuh ini juga ada sumber air. Maka memang asalnya mereka berada di kedudukan yang lebih baik.

Kedudukan Medan Perang Badr

Jika diperhatikan, kedudukan musuh ini berada dekat dengan telaga yang berfungsi. Kerana itulah masing-masing menuju ke Badr kerana di sini ada sumber air. Akan tetapi pihak musuh yang lebih dahulu sampai maka mereka sudah memperolehi kelebihan sumber air. Ini belum lagi dikira kekuatan ketumbukan masing-masing. Seperti kita tahu, bilangan dan kekuatan tentera Muslim amatlah kurang.

Lihatlah betapa lemahnya ketumbukan batalion umat Islam jika dibandingkan dengan musuh. Seperti yang telah disebut sebelum ini, mereka tidaklah bersedia untuk berperang. Mereka umpama tentera ‘bidan terjun’ sahaja. Oleh kerana itu tidak ramai yang menyertainya dan masa untuk membuat persediaan amatlah singkat.

 

وَالرَّكبُ أَسفَلَ مِنكُم

sedang kafilah itu berada di bawah kamu.

Ketika tentera Muslim tiba ke Badr, rombongan perniagaan Abu Sufyan jaraknya sudah lima (atau tiga) batu jauhnya daripada mereka. Ini kerana Abu Sufyan telah mengetahui tentang rancangan puak Muslim untuk menangkap kafilahnya, maka beliau telah melarikan diri awal-awal lagi mengikut jalan pantai. Sudah jauh daripada mereka di kawasan yang lebih rendah, iaitu berdekatan dengan pantai. Oleh itu, kafilah beliau sudah terlalu jauh untuk dikejar oleh tentera Muslim.

Pergerakan Kafilah Abu Sufyan

وَلَو تَواعَدتُم لَاختَلَفتُم فِي الميعٰدِ

Sekiranya kamu mengadakan persetujuan (untuk menentukan hari pertempuran), pastilah kamu tidak sependapat dalam menentukan hari pertempuran itu,

Allah ﷻ kata, sekiranya puak Islam itu berusaha untuk mengadakan perjanjian di mana tempat untuk bertemu dengan puak kafir itu, nescaya mereka akan berselisih pendapat tentang tempat bertemu dengan puak kafir itu – tentu tidak akan menemui titik persetujuan.

Ini adalah kerana ada antara puak Islam itu yang hendak meneruskan perjuangan dengan puak kafir dan ada juga yang tidak mahu. Memang ada dalam kalangan mereka yang tidak mahu berperang kerana tujuan asal adalah hanya untuk menyekat rombongan perniagaan Abu Sufyan sahaja (yang tidak ramai dan tidak lengkap dengan senjata). Maka, bila ada cadangan untuk berperang dengan tentera dari Mekah, yang lebih ramai dan lebih lengkap bersenjata daripada mereka, sudah tentu ada yang tidak mahu berperang.

Atau, ia juga bermaksud, sekiranya puak Islam dan puak kafir berbincang untuk bertemu di mana, mereka pasti tidak akan mencapai kata persetujuan. Puak Mukminin tentu berasa tidak mampu untuk berperang dan puak Kafir pula sudah ditanamkan rasa takut dalam hati mereka seperti disebut sebelum ini. Maka kalau dalam perkiraan peperangan normal yang lain, di mana-mana pun dalam dunia, perang ini tidak akan terjadi.

Namun begitu Allah ﷻ menjadikan peperangan itu dalam keadaan tergesa-gesa sampaikan tidak ada masa untuk kedua-dua pihak berfikir. Di pihak Mekah, mereka hendak selamatkan kafilah Abu Sufyan maka mereka terus menuju ke Badr; sedangkan di pihak Muslim, mereka sangka mereka mengejar kafilah Abu Sufyan sahaja yang tidak memerlukan kekuatan tentera sangat.

 

وَلٰكِن لِّيَقضِيَ اللَّهُ أَمرًا كانَ مَفعولًا

akan tetapi Allah tetap menjalankan urusan, urusan yang mesti dilaksanakan, 

Walaupun ada dalam kalangan pasukan Islam yang tidak mahu berperang, tetapi Allah ﷻ tetap jalankan apa yang terjadi. Tetap akan berlaku juga peperangan itu walaupun tanpa perjanjian semua orang dalam pasukan Islam itu. Golongan Kufar tetap juga terlibat di dalam perang itu walaupun mereka takut dengan orang Islam asalnya. Ini semua terjadi kerana Allah ﷻ telah menetapkan yang Perang Badr pasti akan berlaku pada waktu yang tepat seperti yang telah diqadarkan.

 

لِّيَهلِكَ مَن هَلَكَ عَن بَيِّنَةٍ

agar orang yang binasa itu binasanya dengan keterangan yang nyata

Allah ﷻ menjalankan juga peperangan itu supaya binasalah mereka yang jelas nyata menolak wahyu. Lafaz هَلَكَ bermaksud kematian jenis yang keras, terseksa. Inilah kehendak Allah ﷻ  tujuan Dia menjadikan perang ini.

Maksud عَن بَيِّنَةٍ itu adalah setelah mereka mendapat keterangan yang nyata. Mereka tetap juga hendak menentang kebenaran selepas itu. Maka mereka sudah tahu apa yang mereka sedang serang iaitu umat Islam. Nanti mereka tidak boleh pertikaikan kenapa mereka dimusnahkan kerana bukti nyata telah diberikan kepada mereka selama ini.

 

وَيَحيىٰ مَن حَيَّ عَن بَيِّنَةٍ

dan agar orang yang hidup itu hidupnya dengan keterangan yang nyata

Supaya akan hidup mereka yang jelas menerima wahyu Al-Qur’an. Juga supaya mereka hidup kemudian itu di atas keterangan yang nyata daripada wahyu Al-Qur’an.

Maksud عَن بَيِّنَةٍ itu adalah setelah mereka mendapat keterangan yang nyata. Setelah mendapat tahu tentang kebenaran, maka mereka sanggup taat kepada perintah Allah ﷻ dan Rasul.

Selain itu, Allah ﷻ hendak nyatakan bukti kebenaran tentang umat Islam di Madinah itu. Merekalah di pihak yang benar sampaikan Allah ﷻ berikan kemenangan kepada mereka yang tidak disangka-sangka. Kalaulah mereka hanya dapat menawan kafilah Abu Sufyan sahaja, ia tidak membuktikan apa-apa kerana memang mudah sahaja.

 

وَإِنَّ اللَّهَ لَسَميعٌ عَليمٌ

Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui,

Allah ﷻ mendengar dan mengetahui apa yang dilakukan oleh manusia, sama ada baik atau jahat. Allah ﷻ tahu kedudukan manusia, siapa yang layak dimatikan dan siapa yang layak diselamatkan.

Allah ﷻ juga maha mendengar rintihan dan doa hamba-Nya kepada-Nya. Antaranya Allah ﷻ tahu kata-kata umat Islam yang ada dalam kalangan mereka yang tidak mahu berperang dan isi hati mereka yang enggan.

Allah ﷻ juga telah membantu puak Islam kerana Allah ﷻ maha mengetahui bahawa puak Islam lah yang layak mendapat kemenangan itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 17 November 2022

Ringkasan Surah Anfal


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah Anfal Ayat 37 – 39 (Perang hingga tiada syirik)

Anfal Ayat 37: Di akhirat pula nanti akan dibezakan antara yang baik dan yang buruk, yang bersih dan yang kotor, yang haq dan yang batil. Ini adalah antara hikmah peperangan.

لِيَميزَ اللَّهُ الخَبيثَ مِنَ الطَّيِّبِ وَيَجعَلَ الخَبيثَ بَعضَهُ عَلىٰ بَعضٍ فَيَركُمَهُ جَميعًا فَيَجعَلَهُ في جَهَنَّمَ ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الخٰسِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[It is] so that Allāh may distinguish the wicked from the good and place the wicked some of them upon others and heap them all together and put them into Hell. It is those who are the losers.

(MALAY)

supaya Allah memisahkan (golongan) yang buruk dari yang baik dan menjadikan (golongan) yang buruk itu sebahagiannya di atas sebahagian yang lain, lalu kesemuanya ditumpukkan-Nya, dan dimasukkan-Nya ke dalam neraka Jahannam. Mereka itulah orang-orang yang merugi.

 

لِيَميزَ اللَّهُ الخَبيثَ مِنَ الطَّيِّبِ

supaya Allah memisahkan (golongan) yang buruk daripada yang baik

Allah ‎ﷻ menjadikan peperangan itu untuk membezakan manusia, manakah golongan yang buruk dan manakah yang baik; manakah yang munafik dan manakah mukmin yang sebenar.

Kalimah لِيَميزَ berasal daripada dari katadasar م ي ز yang bermaksud membezakan. Sebab itulah kita ada istilah mumayyiz iaitu jangka umur kanak-kanak yang sudah boleh membezakan mana yang baik dan buruk.

Dengan adanya peperangan itu, boleh dibezakan mana yang benar dan mana yang salah. Perihalnya sama dengan makna yang terkandung di dalam firman-Nya:’

{وَمَا أَصَابَكُمْ يَوْمَ الْتَقَى الْجَمْعَانِ فَبِإِذْنِ اللَّهِ وَلِيَعْلَمَ الْمُؤْمِنِينَ وَلِيَعْلَمَ الَّذِينَ نَافَقُوا وَقِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا قَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَوِ ادْفَعُوا قَالُوا لَوْ نَعْلَمُ قِتَالا لاتَّبَعْنَاكُمْ}

Dan apa yang menimpa kalian pada hari bertemunya dua pasukan, maka (kekalahan) itu adalah dengan izin (takdir) Allah dan agar Allah mengetahui dengan nyata orang-orang yang beriman, dan supaya Allah mengetahui dengan nyata orang-orang yang munafik kepada mereka dikatakan, “Marilah berperang di jalan Allah atau pertahankanlah (diri kalian).” Mereka berkata, “Sekiranya kami mengetahui akan terjadi peperangan, tentulah kami mengikuti kalian.”

[ Ali Imran: 166-167 ]), hingga akhir ayat.

Di akhirat nanti dua kumpulan ini akan dibezakan. Satu kumpulan akan mendapat azab seksa dan satu kumpulan lagi akan mendapat nikmat selamanya. Di dunia mungkin yang kaya dan kuat nampak hebat dan berkuasa, namun di akhirat kelak masing-masing akan mendapat bahagian selayak bagi mereka.

Di dalam ayat sebelum ini telah disebut yang orang kafir turut mengeluarkan harta mereka untuk tujuan yang buruk. Harta mereka itu walaupun banyak, ia adalah harta yang الخَبيثَ iaitu buruk, kotor dan tidak berharga. Sedangkan bagi orang mukmin yang mengeluarkan harta mereka untuk jalan kebaikan terutama sekali untuk jihad, walaupun sedikit tetapi ia adalah harta yang الطَّيِّبِ iaitu yang baik dan suci.

Balasan bagi mereka juga tidak sama. Bagi orang mukmin, infaq mereka itu akan dibalas dengan syurga dan bagi orang kafir, infaq mereka itu dibalas dengan neraka. Bahkan di dunia lagi mereka telah diberikan dengan kekalahan demi kekalahan. Sebagai contoh di dalam Perang Badr, mereka telah menginfaq harta yang banyak, namun semuanya itu hilang dan mereka pun ramai yang kehilangan nyawa. Mereka kembali ke Mekah dengan perasaan yang teramat malu.

 

وَيَجعَلَ الخَبيثَ بَعضَهُ عَلىٰ بَعضٍ فَيَركُمَهُ جَميعًا

dan menjadikan (golongan) yang buruk itu sebahagiannya di atas sebahagian yang lain, lalu kesemuanya ditumpukkan-Nya,

Allah ‎ﷻ menyatukan sesetengah yang buruk ke atas sesetengah yang lain. Allah ‎ﷻ akan kumpulkan semuanya sekali. Mereka akan dilonggokkan di dalam tempat yang sempit. Maksud فَيَركُمَهُ adalah mereka akan dihempapkan di atas satu sama lain. Dalam neraka bukannya ada bilik-bilik tempat mereka boleh melepak tetapi semua akan dihumbankan ke tempat yang sama. Kemudian mereka akan dibakar bersama-sama.

Kita kena ingat yang kafir itu terdiri daripada golongan kafir yang nyata dan ada kafir yang munafik. Yang munafik itu tidak jelas di mata manusia. Golongan munafik itu ada yang telah memberikan maklumat-maklumat rahsia tentang puak Islam kepada kawan mereka dalam kalangan Yahudi.

Puak Yahudi itu walaupun telah ada perjanjian dengan Nabi Muhammad ﷺ, tetapi dalam senyap-senyap mereka telah melakukan perkara yang bertujuan menjejaskan agama Islam dari dalam. Mereka musuh tidak nyata. Maka dengan adanya peperangan itu, dapat dinyatakan mereka semua dan dapat dikumpulkan mereka sekali. Mereka dilambakkan di atas satu sama lain.

 

فَيَجعَلَهُ في جَهَنَّمَ

dan dimasukkan-Nya ke dalam neraka Jahannam. 

Selepas mereka dikumpulkan, mereka kemudiannya Allah ‎ﷻ masukkan semua sekali ke dalam neraka jahanam kerana orang kafir tidak akan dapat masuk ke dalam syurga seperti firman Allah ‎ﷻ dalam [ Yaasin: 59 ]

وَامتٰزُوا اليَومَ أَيُّهَا المُجرِمونَ

Dan (dikatakan kepada orang-orang kafir): “Berpisahlah kamu (daripada orang-orang mukmin) pada hari ini, hai orang-orang yang berbuat jahat.

 

أُولٰئِكَ هُمُ الخٰسِرونَ

Mereka itulah orang-orang yang merugi.

Amat rugi sekali mereka itu kerana mereka akan diazab di akhirat selama-lamanya. Tidak ada harapan untuk keluar dari neraka langsung. Allah ‎ﷻ memberikan penekanan di dalam ayat ini dengan ditambah kalimah هُم (mereka) sedangkan kalimah أُولٰئِكَ pun sudah membawa maksud mereka, bukan?

Mereka menjadi orang yang amat rugi kerana segala amalan baik mereka semasa di dunia tidak dikira lagi. Segala khidmat Musyrikin Mekah yang telah menjaga Ka’bah selama hari itu pun tidak dikira amalan mereka itu. Semuanya menjadi debu.

Mereka telah merugikan diri mereka dan juga kaum keluarga mereka seperti disebut di dalam [ Zumar: 15 ]

قُل إِنَّ الخٰسِرينَ الَّذينَ خَسِروا أَنفُسَهُم وَأَهليهِم يَومَ القِيٰمَةِ ۗ أَلا ذٰلِكَ هُوَ الخُسرانُ المُبينُ

Katakanlah: “Sesungguhnya orang-orang yang rugi (dengan sebenar-benarnya) ialah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri dan pengikut-pengikutnya pada hari kiamat (dengan sebab perbuatan mereka memilih kekufuran atau kederhakaan). Ingatlah, yang demikian itulah kerugian yang jelas nyata.”

Untuk rugi di dunia pun manusia sudah tidak suka, apatah lagi rugi di akhirat. Musyrikin Mekah itu telah terasa kerugian infaq mereka yang banyak yang mereka keluarkan untuk berperang dengan puak Muslim. Akhirnya infaq mereka itu hilang begitu sahaja, diambil oleh umat Islam. Namun begitu Allah ‎ﷻ mengingatkan yang itu rugi di dunia sahaja, rugi di akhirat akan lebih lagi.

Bagaimana dengan kita? Adakah kita orang Islam akan rugi? Eh jangan sangka kita akan selamat daripada kerugian ini. Kalau kita tidak menjalankan tugas kita semasa di dunia pun kita akan rugi. Rujuk [ Surah al-Asr ]

وَالعَصرِ

إِنَّ الإِنسانَ لَفي خُسرٍ

إِلَّا الَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ وَتَواصَوا بِالحَقِّ وَتَواصَوا بِالصَّبرِ

Demi Masa! 

Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; 

Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. 

Di dalam Surah ini disebut 4 perkara yang umat Islam perlu lakukan yang jika tidak, automatik terus menjadi orang yang rugi! Maka jangan sangka kita sebagai Muslim terus selamat ya. Ada banyak lagi perkara yang kita perlu lakukan.

Habis Ruku’ 4 daripada 10 ruku’ surah ini


 

Anfal Ayat 38:

قُل لِّلَّذينَ كَفَروا إِن يَنتَهوا يُغفَر لَهُم مّا قَد سَلَفَ وَإِن يَعودوا فَقَد مَضَت سُنَّتُ الأَوَّلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say to those who have disbelieved [that] if they cease, what has previously occurred will be forgiven for them. But if they return [to hostility] – then the precedent of the former [rebellious] peoples has already taken place.¹

  • This is a warning that punishment is always the result of rebellion against Allāh and His messengers.

(MALAY)

Katakanlah kepada orang-orang yang kafir itu: “Jika mereka berhenti (dari kekafirannya), nescaya Allah akan mengampuni mereka tentang dosa-dosa mereka yang sudah lalu; dan jika mereka kembali lagi sesungguhnya telah berlaku (kepada mereka) sunnah (Allah terhadap) orang-orang dahulu”.

 

قُل لِّلَّذينَ كَفَروا

Katakanlah kepada orang-orang yang kafir itu:

Orang kafir yang menentang Nabi ﷺ dan umat Islam itu masih ada harapan lagi. Ini adalah nasihat kepada mereka.

 

إِن يَنتَهوا يُغفَر لَهُم مّا قَد سَلَفَ

“Jika mereka berhenti (dari kekafirannya), nescaya Allah akan mengampuni mereka tentang dosa-dosa mereka yang sudah lalu; 

Sepatutnya mereka dengarlah nasihat ini: sekiranya mereka sanggup berhenti daripada menentang Nabi ﷺ dan umat Islam, Allah ‎ﷻ berjanji akan mengampunkan dosa mereka yang telah lalu. Dosa mereka yang banyak itu boleh dimaafkan oleh Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ Maha Pengampun.

Bukan sahaja mereka mesti berhenti daripada melawan umat Islam, tetapi mereka kenalah juga masuk Islam. Barulah semua dosa mereka yang dilakukan sebelum Islam itu akan dibersihkan. Lihatlah kisah seorang sahabat terkenal bernama ‘Amru bin Al-‘Ash رضي الله عنه ini:

عَنْ ابْنِ شِمَاسَةَ الْمَهْرِيِّ قَالَ
حَضَرْنَا عَمْرَو بْنَ الْعَاصِ وَهُوَ فِي سِيَاقَةِ الْمَوْتِ فَبَكَى طَوِيلًا وَحَوَّلَ وَجْهَهُ إِلَى الْجِدَارِ فَجَعَلَ ابْنُهُ يَقُولُ يَا أَبَتَاهُ أَمَا بَشَّرَكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَذَا أَمَا بَشَّرَكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَذَا قَالَ فَأَقْبَلَ بِوَجْهِهِ فَقَالَ إِنَّ أَفْضَلَ مَا نُعِدُّ شَهَادَةُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ إِنِّي كُنْتُ عَلَى أَطْبَاقٍ ثَلَاثٍ لَقَدْ رَأَيْتُنِي وَمَا أَحَدٌ أَشَدَّ بُغْضًا لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنِّي وَلَا أَحَبَّ إِلَيَّ أَنْ أَكُونَ قَدْ اسْتَمْكَنْتُ مِنْهُ فَقَتَلْتُهُ فَلَوْ مُتُّ عَلَى تِلْكَ الْحَالِ لَكُنْتُ مِنْ أَهْلِ النَّارِ فَلَمَّا جَعَلَ اللَّهُ الْإِسْلَامَ فِي قَلْبِي أَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ ابْسُطْ يَمِينَكَ فَلْأُبَايِعْكَ فَبَسَطَ يَمِينَهُ قَالَ فَقَبَضْتُ يَدِي قَالَ مَا لَكَ يَا عَمْرُو قَالَ قُلْتُ أَرَدْتُ أَنْ أَشْتَرِطَ قَالَ تَشْتَرِطُ بِمَاذَا قُلْتُ أَنْ يُغْفَرَ لِي قَالَ أَمَا عَلِمْتَ أَنَّ الْإِسْلَامَ يَهْدِمُ مَا كَانَ قَبْلَهُ وَأَنَّ الْهِجْرَةَ تَهْدِمُ مَا كَانَ قَبْلِهَا وَأَنَّ الْحَجَّ يَهْدِمُ مَا كَانَ قَبْلَهُ وَمَا كَانَ أَحَدٌ أَحَبَّ إِلَيَّ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَا أَجَلَّ فِي عَيْنِي مِنْهُ وَمَا كُنْتُ أُطِيقُ أَنْ أَمْلَأَ عَيْنَيَّ مِنْهُ إِجْلَالًا لَهُ وَلَوْ سُئِلْتُ أَنْ أَصِفَهُ مَا أَطَقْتُ لِأَنِّي لَمْ أَكُنْ أَمْلَأُ عَيْنَيَّ مِنْهُ وَلَوْ مُتُّ عَلَى تِلْكَ الْحَالِ لَرَجَوْتُ أَنْ أَكُونَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ ثُمَّ وَلِينَا أَشْيَاءَ مَا أَدْرِي مَا حَالِي فِيهَا فَإِذَا أَنَا مُتُّ فَلَا تَصْحَبْنِي نَائِحَةٌ وَلَا نَارٌ فَإِذَا دَفَنْتُمُونِي فَشُنُّوا عَلَيَّ التُّرَابَ شَنًّا ثُمَّ أَقِيمُوا حَوْلَ قَبْرِي قَدْرَ مَا تُنْحَرُ جَزُورٌ وَيُقْسَمُ لَحْمُهَا حَتَّى أَسْتَأْنِسَ بِكُمْ وَأَنْظُرَ مَاذَا أُرَاجِعُ بِهِ رُسُلَ رَبِّي

Daripada Ibnu Syimasah Al-Mahri, beliau berkata, “Kami pernah menghadiri ‘Amru bin Al-‘Ash, sementara beliau tengah sibuk memandikan orang yang meninggal. Kemudian beliau menangis selang waktu yang lama dan memalingkan wajahnya ke tembok. Maka anaknya pun berkata, “Wahai ayahku, tidakkah Rasulullah ﷺ telah memberikan khabar gembira kepadamu dengan hal demikian? Tidakkah Rasulullah ﷺ telah memberikan khabar gembira kepadamu dengan hal demikian?”

Perawi berkata, lalu ‘Amr menghadap dengan wajahnya seraya berkata, ‘Sesungguhnya sesuatu yang paling utama yang telah kita persiapkan adalah persaksian bahawa tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) kecuali Allah dan Muhammad adalah utusan Allah. Sesungguhnya aku tengah berada pada tiga keadaan;

Kulihat diriku, tidak ada seorang pun yang lebih membenci Rasulullah ﷺ daripadaku. Dan tidak ada sesuatu yang lebih aku sukai daripada aku dekat dengan baginda, sehingga aku dapat membunuhnya. Kalau seandainya aku meninggal dalam keadaan tersebut, nescaya aku termasuk penghuni neraka. Ketika Allah menganugerahkan Islam di dalam hatiku, maka kudatangi Rasulullah ﷺ dan kukatakan, ‘Bentangkan tangan kananmu, maka aku akan membaiatmu.’

Maka baginda membentangkan tangan kanannya.” Amru bin Al ‘Ash رضي الله عنه melanjutkan, ‘Lalu kutarik tanganku.’

Baginda pun bertanya: ‘Ada apa denganmu wahai Amr?’

Aku menjawab, ‘Aku ingin memberikan persyaratan.’

Baginda bersabda, “Kamu meminta syarat apa?’ Aku menjawab, ‘Dengan syarat aku diampuni.’ Baginda bersabda, “Apakah kamu tidak tahu bahawa Islam telah menghapuskan dosa yang telah lampau, begitupun hijrah juga menghapuskan dosa yang telah lampau, dan haji menghapuskan dosa yang telah lampau.’

Dan kemudian tidak ada seorang pun yang lebih kucintai daripada Rasulullah ﷺ, dan tidak ada yang lebih agung di mataku daripada baginda. Tidak akan pernah aku memberanikan diri untuk melihat sekilas wajahnya kerana pengagungan kepadanya. Jika aku diminta untuk menggambarkannya, aku tidak mampu melakukannya, kerana aku belum melihatnya sepenuhnya. Dan kalau aku mati pada kondisi itu, aku sangat berharap menjadi salah seorang penghuni syurga.

Kemudian kami melalui sesuatu yang mana aku tidak mengetahui bagaimana keadaanku di dalamnya. Maka apabila aku meninggal, jangan biarkan ada yang menangis meraung-raung menemaniku dan tidak pula api. Apabila kalian menguburkanku, maka taburkanlah tanah padaku, kemudian berdirilah kalian di sekitar kuburanku sekitar jarak unta disembelih dan dibahagikan dagingnya, hingga aku mendengar kalian dan melihat apa yang dibawa utusan (malaikat) Rabb-ku.

(HR. Muslim no. 121)

Lihatlah Amr رضي الله عنه ini dahulunya penentang kuat Rasulullah ﷺ sampaikan baginda terasa susah dengannya. Amru رضي الله عنه pernah bertegas bahawa sekiranya semua orang Quraisy memeluk Islam, dia sekali-kali tidak. Akhirnya Allah ‎ﷻ memberikan keimanan kepadanya dan yang mengajaknya masuk Islam adalah Negus Raja Habsyi iaitu ketika Amru رضي الله عنه ditugaskan untuk bertemu Negus supaya merayu untuk tidak membenarkan orang Islam yang berhjirah ke sana untuk terus tinggal di Habsyah.

Rupa-rupanya kedatangannya ke Habsyah adalah berkebetulan dengan peng-Islaman Raja Najasyi (Negus) tanpa diketahui oleh Amru رضي الله عنه. Maka Raja Najasyi pun telah menyarankan Amru رضي الله عنه pula yang masuk Islam. Maka misinya sudah menjadi sebaliknya pula. Dengan segera beliau mencari kapal untuk menuju ke Madinah dan di dalam kapal itu pula beliau berjumpa dengan dua orang lain Musyrikin Mekah yang juga hendak masuk Islam dengan Rasulullah ﷺ di Madinah, iaitu Khalid bin Walid dan Utsman bin Thalhah رضي الله عنهما.

Ma sha Allah, mereka ini adalah orang-orang hebat dari Mekah. Mereka kuat menentang Islam namun akhirnya dengan masuk Islam seluruh dosa mereka diampunkan serta merta. Ketika Rasulullah ﷺ melihat ketiga orang itu datang, wajah baginda pun berseri-seri, lalu berkata kepada para sahabat, “Mekah telah melepaskan jantung-jantung hatinya kepada kita.” ‘Amru bin Al-‘Ash رضي الله عنه telah memasukkan Mesir ke dalam Islam dan Umar al Khattab رضي الله عنه telah menjadikannya gebenor di sana.

Allah ‎ﷻ menjanjikan pengampunan dosa kepada orang yang masuk Islam. Mereka seumpama bayi yang baru lahir tanpa dosa langsung. Mungkin inilah sebabnya kita lihat orang yang masuk Islam setelah dewasa itu lebih faham agama daripada orang kita yang beragama Islam semenjak lahir. Mereka itu tidak ada dosa, maka senang ilmu agama hendak masuk ke dalam hati mereka. Mereka tidaklah buat amalan yang mengarut-ngarut seperti orang kita lahir sahaja sudah Muslim.

 

وَإِن يَعودوا فَقَد مَضَت سُنَّتُ الأَوَّلينَ

dan jika mereka kembali lagi sesungguhnya telah berlaku (kepada mereka) sunnah (Allah terhadap) orang-orang dahulu”.

Akan tetapi, jika mereka mengulang semula menentang agama Islam, telah berlalu cara Allah ‎ﷻ mengalahkan musuh pada masa yang lalu. Jika dulu Allah ‎ﷻ sudah memusnahkan golongan penentang, maka Allah ‎ﷻ boleh lagi untuk melakukan perkara yang sama, mudah sahaja bagi Allah ‎ﷻ.


 

Anfal Ayat 39: Ini adalah DAKWA Surah ini: Jihad qital (perang) itu dilakukan kerana hendak menegakkan tauhid.

وَقٰتِلوهُم حَتّىٰ لا تَكونَ فِتنَةٌ وَيَكونَ الدّينُ كُلُّهُ لِلَّهِ ۚ فَإِنِ انتَهَوا فَإِنَّ اللَّهَ بِما يَعمَلونَ بَصيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And fight them until there is no fitnah¹ and [until] the religion [i.e., worship], all of it, is for Allāh.² And if they cease – then indeed, Allāh is Seeing of what they do.

  • Persecution. See 2:193.
  • i.e., until polytheism is no longer dominant.

(MALAY)

Dan perangilah mereka, supaya jangan ada fitnah dan supaya agama itu semata-mata untuk Allah. Jika mereka berhenti (dari kekafiran), maka sesungguhnya Allah Maha Melihat apa yang mereka kerjakan.

 

وَقٰتِلوهُم حَتّىٰ لا تَكونَ فِتنَةٌ

Dan perangilah mereka, sehingga tidak ada fitnah

Allah ‎ﷻ mengarahkan umat Islam untuk berperang dengan orang kafir sehingga tidak ada syirik lagi di atas muka bumi. Lafaz ‘fitnah’ yang dimaksudkan adalah ‘syirik’ atau ‘kufur’ dan bukannya fitnah (tohmahan) sebagaimana kita faham itu. Dari segi bahasa, ‘fitnah’ itu bermaksud ‘ujian’ dan di dalam konteks ayat ini, ia bermaksud ‘syirik’.

Ad-Dahhak رحمه الله telah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما sehubungan dengan makna firman-Nya: Dan perangilah mereka, supaya jangan ada fitnah (Al-Anfal: 39) Yang dimaksudkan dengan ‘fitnah’ dalam ayat ini menurutnya adalah kemusyrikan. Hal yang sama telah dikatakan oleh Abul Aliyah, Mujahid,. Al-Hasan, Qatadah, Ar-Rabi’ ibnu Anas, As-Saddi, Muqatil ibnu Hayyan, dan Zaid ibnu Aslam.

Ini juga telah disebut di dalam [ Al-Baqarah: 191 ] dan [ Al-Baqarah: 217 ] yang lebih kurang bermaksud ‘fitnah’ itu lebih bahayanya dan dosanya daripada pembunuhan.

والفتنة أشد من القتل dan وَالْفِتْنَةُ أَكْبَرُ مِنَ الْقَتْلِ

Kedua-dua ayat ini selalu disebut-sebut oleh orang kita dan mereka sangka ia adalah fitnah dalam bahasa Melayu, iaitu apabila mengatakan sesuatu pembohongan terhadap orang lain. Tidak benar sama sekali. Itulah bahayanya jikalau tidak belajar tafsir (setakat dibaca terjemahannya sahaja). Maka kita tegaskan di sini yang fitnah yang dimaksudkan di dalam Al-Qur’an adalah syirik. Inilah yang lebih berat daripada pembunuhan.

Walau bagaimanapun maksud asal fitnah adalah ujian, maka bagaimana pula ia menjadi syirik? Imam at-Thabari رحمه الله mengatakan makna fitnah dalam ayat والفتنة أشد من القتل ialah syirik, kerana ayat ini bermaksud penentangan kaum kafir musyrikin terhadap orang Mu’min sehingga dia kembali menjadi musyrik, adalah lebih dahsyat dan lebih memudaratkan berbanding dia dibunuh dalam keadaan dia tetap berpegang teguh pada agamanya (Islam). Beliau turut menukilkan pandangan Mujahid yang mempunyai maksud yang sama dalam hal ini. (Rujuk Jami’ul Bayan fi Ta’wil al-Qur’an, 3/565)

Oleh itu, pengajaran yang kita sepatutnya ambil daripada ayat-ayat ini adalah jihad hendaklah diteruskan sehingga tidak ada lagi syirik di atas muka bumi. Pendapat ini diperkuat dengan apa yang diriwayatkan di dalam kitab Sahih Bukhari dan Muslim daripada Rasulullah ﷺ, bahawa baginda pernah bersabda:

“أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَقُولُوا: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، فَإِذَا قَالُوهَا، عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلَّا بِحَقِّهَا، وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللَّهِ، عَزَّ وَجَلَّ”

Aku diperintahkan untuk memerangi manusia hingga mereka mahu mengucapkan, “Tidak ada Tuhan selain Allah.” Apabila mereka mahu mengucapkannya, bererti mereka telah memelihara darah dan harta benda mereka daripadaku, kecuali dengan alasan yang benar, sedangkan perhitungan mereka berada pada Allah Azza wa Jalla.

(Sahih Bukhari No. 1954)

Akan tetapi tentulah bukan mudah untuk mendapatkan satu dunia tidak ada syirik. Maka kerana itulah mesti ada usaha jihad tidak berhenti sehinggalah ke hari Kiamat. Ini adalah kerana tujuan hidup kita adalah menegakkan dan mengamalkan tauhid, maka kita kena sampaikan ajaran tauhid itu kepada manusia. Sekiranya terpaksa berperang untuk mencapai matlamat itu, maka kenalah berperang.

Oleh sebab itu, tujuan berperang adalah untuk menghilangkan syirik, bukannya berperang sesama Muslim. Jangan pula ‘fitnah’ itu diheret membawa kepada maksud yang lain pula. Apabila salah faham, maka akan ada kekeliruan seperti yang diperbetulkan oleh Ibnu Umar di dalam hadith ini:

وقال عبيد الله ، عن نافع ، عن ابن عمر ؛ أنه أتاه رجلان في فتنة ابن الزبير فقالا إن الناس قد صنعوا ما ترى ، وأنت ابن عمر بن الخطاب ، وأنت صاحب رسول الله – صلى الله عليه وسلم – فما يمنعك أن تخرج ؟ قال : يمنعني أن الله حرم علي دم أخي المسلم . قالوا : أو لم يقل الله : ( وقاتلوهم حتى لا تكون فتنة ويكون الدين كله لله ) ؟ قال : قد قاتلنا حتى لم تكن فتنة ، وكان الدين كله لله ، وأنتم تريدون أن تقاتلوا حتى تكون فتنة ، ويكون الدين لغير الله .

Ubaidillah telah meriwayatkan daripada Nafi’, daripada Ibnu Umar رضي الله عنهما, bahawa Ibnu Umar رضي الله عنهما pernah kedatangan dua orang lelaki di masa fitnah yang melanda di masa Ibnu Zubair. Keduanya bertanya, “Sesungguhnya orang-orang telah berbuat seperti apa yang telah engkau lihat sedangkan engkau adalah Ibnu Umar ibnu Khattab dan sahabat Rasulullah ﷺ, maka apakah yang menyebabkan engkau tidak keluar berperang?” Ibnu Umar رضي الله عنهما menjawab, “Ia dicegah oleh Allah ‎ﷻ yang telah mengharamkan darah saudara semuslim.” Mereka mengatakan, “Bukankah Allah ‎ﷻ telah berfirman: ‘Dan perangilah mereka, supaya jangan ada fitnah, dan supaya agama itu semata-mata bagi Allah.’ (Al-Anfal: 39)?” Ibnu Umar رضي الله عنهما menjawab, “Kami telah berperang hingga tidak ada fitnah lagi, dan agama itu hanya semata-mata bagi Allah, Sedangkan kalian dalam perang kalian bertujuan agar timbulnya fitnah dan agama itu bagi selain Allah.”

(Sahih Bukhari (4153))

Cuma sekarang kita tidak ada jihad kerana keadaan tidak sesuai sekarang (kerana kita pun tidak ada khalifah). Maka yang perlu dijalankan adalah jihad di dalam bentuk dakwah yang ini tidak boleh berhenti. Ini seperti yang Allah ‎ﷻ sebut di dalam [ Tahrim: 9 ]

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ جٰهِدِ الكُفّارَ وَالمُنٰفِقينَ

Hai Nabi, perangilah orang-orang kafir dan orang-orang munafik

Daripada ayat Tahrim: 9 ini kita disuruh melakukan jihad terhadap orang kafir dan orang munafik. Untuk perang menggunakan pedang, bolehlah dengan orang kafir tetapi bagaimana pula dengan orang munafik? Tentulah tidak boleh. Maka yang dimaksudkan ada jihad dakwah.

Maksud kedua bagi kalimah ‘fitnah’ adalah ujian dan dugaan yang dikenakan kepada umat Islam yang diterima daripada Musyrikin Mekah. Selagi mereka berkuasa di Mekah, mereka akan menjadi musibah kepada umat Islam. Mereka mengganggu Muslim yang berada di Mekah (tidak dapat hijrah ke Madinah) dan juga mereka menyerang umat Islam di Madinah. Maka mereka itu mesti dihapuskan dan jihad mesti dijalankan terhadap mereka.

 

وَيَكونَ الدّينُ كُلُّهُ لِلَّهِ

dan supaya agama itu semata-mata untuk Allah. 

Hendaklah perangi orang kafir untuk menyampaikan agama tauhid itu supaya ibadah dan ketaatan hanya kepada Allah ‎ﷻ. Ini bertujuan agar hanya ada agama Islam sahaja di atas muka bumi ini. Maknanya, arahan perang itu bukan sahaja setakat Perang Badr sahaja tetapi mesti diteruskan selepas itu.

Di dalam kitab Sahihain disebutkan pula daripada Abu Musa Al-Asy’ari, bahawa Rasulullah ﷺ pernah ditanya mengenai seseorang yang berperang kerana dia seorang yang berani, berperang kerana hamiyyah (kesombongan), dan berperang kerana hendak menunjuk-nunjuk, manakah di antaranya yang berada pada jalan Allah ‎ﷻ? Rasulullah ﷺ menjawab melalui sabdanya:

“من قاتل لتكون لِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا، فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، عَزَّ وَجَلَّ”

Barang siapa yang berperang untuk membela kalimah Allah agar tinggi, maka dia berada di jalan Allah عَزَّ وَجَلَّ.

(Sahih Bukhari No. 3126)

Akan tetapi perlu diingatkan yang bukan semua orang kafir itu Kafir Harbi. Selagi mereka tidak menentang umat Islam, maka kita tidaklah perlu perangi mereka. Yang penting adalah dakwah Islam dapat berjalan. Kalau mereka tidak menyekat usaha dakwah, maka kita tidak perlu menyerang mereka. Ini kerana kita hidup di dalam dunia yang hormat menghormati antara negara dan bangsa. Kita boleh sahaja ada perjanjian perdamaian dengan negara dan agama-agama lain.

Walau bagaimanapun jikalau umat Islam diserang dan mereka mengenakan fitnah (ujian musibah) terhadap umat Islam, maka mereka itu perlu diperangi habis-habisan sehinggalah umat Islam kembali selamat dan merdeka.

Lihat kalimat الدّينُ كُلُّهُ لِلَّهِ (agama itu semata-mata untuk Allah ‎ﷻ). Ini mengajar kita yang kita melakukan amal ini untuk sembah Allah ‎ﷻ. Maka mestilah seru Allah ‎ﷻ, sembah Allah ‎ﷻ, menghambakan diri kepada Allah ‎ﷻ. Bukannya buat benda-benda pelik seperti seru Nabi, wali dan malaikat.

 

فَإِنِ انتَهَوا فَإِنَّ اللَّهَ بِما يَعمَلونَ بَصيرٌ

Jika mereka berhenti (daripada kekafiran), maka sesungguhnya Allah Maha Melihat apa yang mereka kerjakan.

Sekiranya orang-orang kafir itu berhenti daripada melakukan kufur dan syirik, maka Allah ‎ﷻ maha melihat apa yang mereka lakukan. Allah ‎ﷻ sendirilah yang akan menilai mereka, bukan kita. Apabila Allah ‎ﷻ kata Dia melihat apa yang mereka kerjakan, bermakna Allah ‎ﷻ akan memberi balas yang setimpal. Dan ini Allah ‎ﷻ sahaja yang mampu kerana Allah ‎ﷻ melihat segalanya.

Sedangkan kita sebagai manusia hanya dapat menilai dari segi luaran sahaja. Di dalam sebuah hadith sahih disebutkan bahawa ketika Usamah mengangkat pedangnya kepada seorang lelaki, lalu lelaki itu mengucapkan, “Tidak ada Tuhan selain Allah.”

عن أسامة بن زيد رضي الله عنهما ، قال: بَعَثَنَا رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم إلى الحُرَقَةِ من جُهَيْنَةَ فَصَبَّحْنَا القَوْمَ على مِيَاهِهِم، ولَحِقْتُ أنا ورجلٌ من الأنصارِ رجلًا منهم، فلما غَشِينَاهُ، قال: لا إله إلا الله، فَكَفَّ عنه الأَنْصَارِيُّ، وطَعَنْتُهُ بِرُمْحِي حَتَّى قَتَلْتُهُ، فَلَمَّا قَدِمْنَا المدينةَ، بَلَغَ ذَلِكَ النبيَّ صلى الله عليه وسلم فقال لي: «يا أسامةُ، أَقَتَلْتَهُ بَعْدَ مَا قَالَ: لا إلهَ إلَّا اللهُ؟!» قُلْتُ: يا رسولَ اللهِ، إنما كان مُتَعَوِّذًا، فقال: «أَقَتَلْتَهُ بعد ما قال: لا إلهَ إلَّا اللهُ؟!» فَمَا زَالَ يُكَرِّرُهَا عَلَيَّ حتى تَمَنَّيْتُ أَنِّي لم أَكُنْ أَسْلَمْتُ قَبْلَ ذَلِكَ اليَوْمِ

Daripada Usamah bin Zaid -رضي الله عنهما, dia berkata, “Rasulullah -ﷺ – mengutus kami ke daerah Huraqah dari suku Juhainah. Kami menyerang mereka secara mendadak di pagi buta di pusat air mereka. Aku dan seorang lelaki dari Ansar bertemu dengan seorang lelaki daripada golongan mereka. Setelah kami dekat dengannya, dia mengucapkan, “Lā ilāha illallāh“. Orang Ansar tersebut menahan dirinya daripada membunuhnya. Sedangkan aku menusuknya dengan tombakku hingga dia terbunuh. Sesampainya kami di Madinah, berita tersebut sampai kepada Nabi Muhammad -ﷺ- lalu baginda bertanya kepadaku, “Wahai Usamah, apakah kamu membunuhnya setelah dia mengucapkan, “Lā ilāha illallāh”? Aku berkata, “Wahai Rasulullah, sebenarnya orang itu hanya ingin mencari perlindungan sahaja.” Baginda bersabda, ” Apakah kamu membunuh dia setelah mengucapkan, “Lā ilāha illallāh“? Baginda terus-menerus mengulangi perkataan itu kepadaku hingga aku berangan-angan andai diriku belum masuk Islam sebelum hari itu.”

(Sahih Bukhari (4269))

Maka di dalam ayat ini Allah‎ ﷻ memberi orang kafir peluang untuk mengubah arah mereka. Allah ‎ﷻ maha pengampun dan suka menerima taubat hamba-Nya. Ayat ini semakna dengan ayat lain yang disebutkan melalui firman-Nya:

{فَإِنْ تَابُوا وَأَقَامُوا الصَّلاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ فَخَلُّوا سَبِيلَهُمْ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ}

Jika mereka bertaubat, mendirikan solat, dan menunaikan zakat, maka berilah kebebasan kepada mereka untuk berjalan. [ At-Taubah: 5 ], hingga akhir ayat.

Apakah maksud Allah ‎ﷻ melihat? Maksudnya Allah ‎ﷻ akan membalas dan memberikan pahala kepada mereka. Allah ‎ﷻ akan memberi ganjaran kepada mereka di atas iman mereka dan amal mereka berganda-ganda.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 10 November 2022

Ringkasan Surah Anfal


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien