Tafsir Surah an-Nahl Ayat 83 – 87 (Kufur nikmat jadi kufur akidah)

Nahl Ayat 83: Allah ﷻ beritahu apakah keadaan mereka itu.

يَعرِفونَ نِعمَتَ اللهِ ثُمَّ يُنكِرونَها وَأَكثَرُهُمُ الكٰفِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They recognize the favor of Allāh; then they deny it. And most of them are disbelievers.

(MELAYU)

Mereka mengetahui nikmat Allah, kemudian mereka mengingkarinya dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang kafir.

 

يَعرِفونَ نِعمَتَ اللهِ

Mereka mengetahui nikmat Allah,

Mereka itu bukan tidak tahu bahawa semua nikmat yang mereka dapat itu daripada Allah ﷻ. Kalimah يَعرِفونَ itu di dalam bentuk fi’il mudhori, maka ia bukan tentang Musyrikin Mekah sahaja tetapi ia berterusan sampai ke zaman sekarang. Kerana kalau kita tanya kepada orang yang ingkar dengan arahan Allah ﷻ, tentang dari mana nikmat mereka dapat, tentu mereka juga akan menjawab yang ia datang daripada Allah ﷻ.

Maka kalau tahu nikmat daripada Allah ﷻ, namun masih juga menolak arahan daripada Allah ﷻ, maka ini amatlah teruk. Ingatlah yang bukan Musyrikin Mekah itu sahaja akan ditanya tentang nikmat mereka dapat itu, tetapi kita juga seperti disebut dalam Takathur: 8

ثُمَّ لَتُسأَلُنَّ يَومَئِذٍ عَنِ النَّعيمِ
kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan

Cuba renungi hadith yang menakutkan kita ini,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ أَوْ لَيْلَةٍ فَإِذَا هُوَ بِأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ فَقَالَ مَا أَخْرَجَكُمَا مِنْ بُيُوتِكُمَا هَذِهِ السَّاعَةَ قَالَا الْجُوعُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ وَأَنَا وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَأَخْرَجَنِي الَّذِي أَخْرَجَكُمَا قُومُوا فَقَامُوا مَعَهُ فَأَتَى رَجُلًا مِنْ الْأَنْصَارِ فَإِذَا هُوَ لَيْسَ فِي بَيْتِهِ فَلَمَّا رَأَتْهُ الْمَرْأَةُ قَالَتْ مَرْحَبًا وَأَهْلًا فَقَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيْنَ فُلَانٌ قَالَتْ ذَهَبَ يَسْتَعْذِبُ لَنَا مِنْ الْمَاءِ إِذْ جَاءَ الْأَنْصَارِيُّ فَنَظَرَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَصَاحِبَيْهِ ثُمَّ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ مَا أَحَدٌ الْيَوْمَ أَكْرَمَ أَضْيَافًا مِنِّي قَالَ فَانْطَلَقَ فَجَاءَهُمْ بِعِذْقٍ فِيهِ بُسْرٌ وَتَمْرٌ وَرُطَبٌ فَقَالَ كُلُوا مِنْ هَذِهِ وَأَخَذَ الْمُدْيَةَ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِيَّاكَ وَالْحَلُوبَ فَذَبَحَ لَهُمْ فَأَكَلُوا مِنْ الشَّاةِ وَمِنْ ذَلِكَ الْعِذْقِ وَشَرِبُوا فَلَمَّا أَنْ شَبِعُوا وَرَوُوا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَتُسْأَلُنَّ عَنْ هَذَا النَّعِيمِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَخْرَجَكُمْ مِنْ بُيُوتِكُمْ الْجُوعُ ثُمَّ لَمْ تَرْجِعُوا حَتَّى أَصَابَكُمْ هَذَا النَّعِيمُ
[Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata; Pada suatu hari atau suatu malam Rasulullah ﷺ pergi keluar rumah, tiba-tiba baginda bertemu dengan Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan ‘Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Lalu baginda bertanya: “Mengapa kalian keluar rumah malam-malam begini?” Mereka menjawab; ‘Kami lapar, ya Rasulullah! ‘ Rasulullah ﷺ bersabda: “Demi Allah yang jiwaku dalam Tangan-Nya, aku juga keluar kerana lapar seperti kalian. Marilah!” Mereka pergi mengikuti baginda ke rumah sahabat Anshar (Abu Haitsam bin At Taihan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ). Namun sayang beliau tiada di rumah. Tetapi tatkala isterinya melihat Rasulullah ﷺ datang, beliau mengucapkan; “Marhaban wa Ahlan (selamat datang).” Maka Rasulullah ﷺ bertanya: “Ke mana si Fulan (Abu Haitsam رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ)?”‘ Isterinya menjawab; ‘Dia sedang mengambil air tawar untuk kami.’ Tiba-tiba suaminya datang dan melihat Rasulullah ﷺ berserta dua sahabat baginda, maka beliau berkata; ‘Alhamdulillah, tidak ada orang yang lebih bahagia daripadaku hari ini, kerana kedatangan tamu yang mulia.’ Lalu beliau mengambil setandan kurma, di antaranya ada yang masih muda, yang mulai masak, dan yang sudah masak betul. Katanya; ‘Silakan dimakan ini.’ Sambil beliau mengambil pisau. Nabi ﷺ bersabda: ‘Jangan disembelih yang lagi mempunyai susu.’ Maka dipotongnya seekor kambing, lalu mereka makan kambing, makan kurma setandan, dan minum. Setelah semuanya kenyang dan puas makan dan minum, Rasulullah ﷺ bersabda kepada Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan ‘Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ: ‘Demi Allah yang jiwaku berada dalam Tangan-Nya, kalian akan ditanya pada hari kiamat tentang nikmat yang kalian peroleh ini. Kalian keluar dari rumah kerana lapar dan pulang sesudah memperoleh nikmat ini.’
(Sahih Muslim (3799))

 

ثُمَّ يُنكِرونَها

kemudian mereka mengingkarinya

Akan tetapi walaupun mereka tahu, kemudian mereka tolak dengan menderhakai Allah ﷻ. Mereka buat-buat lupa bahawa segala nikmat yang mereka dapat itu adalah daripada Allah ﷻ. Kerana sepatutnya, kalau sudah tahu nikmat daripada Allah ﷻ, maka taat kepada Allah ﷻ sahaja, bukan? Tetapi mereka ingkar. Tetap juga melakukan syirik.

Mereka menyembah selain-Nya bersama Dia, dan mereka sandarkan pertolongan serta rezeki kepada selain-Nya. Sebagai contoh, mereka kata mereka dapat kesenangan dalam hidup kerana mereka selalu pergi ke kubur wali itu dan ini, kerana mereka zikir itu dan ini.

 

وَأَكثَرُهُمُ الكٰفِرونَ

dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang kafir.

Mereka kebanyakannya adalah kufur. Bermula daripada kufur nikmat, menjadi kufur akidah (buat syirik). Namun ayat ini agak pelik kerana Allah ﷻ kata ‘kebanyakan’ mereka. Bukankah mereka semuanya kufur? Maka ulama’ berpendapat kalimah اكثر tetapi bermaksud كل semuanya.

Pendapat yang kedua mengayakan yang dimaksudkan adalah orang-orang yang telah baligh dan mukallaf, tidak termasuk kanak-kanak.

Atau ada yang mengatakan pendapat bukan semua mereka itu kufur nikmat. Ada juga yang bersyukur kepada Allah ﷻ.

Ada yang membezakan antara kufur degil dan kufur jahil. Ada yang tahu tetapi tetap menolak, dan mereka inilah yang dimaksudkan di dalam ayat ini.

Yang dimaksudkan di dalam ayat ini kebanyakan daripada Arab Mekah. Ini adalah kerana ada alif lam makrifah pada kalimah الكافِرونَ yang merujuk kepada orang tertentu (Arab Mekah). Mereka itu teruk kerana mereka kenal dan lihat sendiri Nabi Muhammad ﷺ, mereka dengar Al-Qur’an daripada mulut Nabi ﷺ sendiri. Mereka didakwah sendiri dengan Nabi ﷺ yang tentunya sebaik-baik pendakwah.

Oleh itu, mereka sebenarnya sudah tahu dan kenal Allah ﷻ tetapi mereka degil. Mereka ini adalah ‘kafir degil’, bukan ‘kafir jahil’. Oleh kerana mereka itu sangat teruk, maka mereka itu disebut secara khusus oleh Allah ﷻ, hinggakan Allah ﷻ letak alif lam untuk merujuk kepada mereka.

Oleh kerana itu, kita harus sedar yang orang kafir yang ada sekarang tidak sama macam Quraisy yang menolak Nabi Muhammad ﷺ itu. Mereka itu adalah manusia yang paling teruk. Kita tidak akan jumpa orang yang teruk seperti mereka. Kerana orang kafir sekarang, memang mereka menolak agama Islam, tetapi kita kena ingat yang mereka tidak nampak Nabi Muhammad ﷺ. Sedangkan Musyrikin Mekah itu mereka kenal Nabi ﷺ namun masih lagi menolak Nabi Muhammad ﷺ. Orang kafir sekarang mungkin ada alasan lagi tidak masuk Islam; antaranya mereka tidak nampak kehebatan Islam kerana dikelabui oleh buruknya perangai golongan Muslim sekarang. Akan tetapi Musyrikin Mekah itu telah nampak kebaikan umat Islam, namun mereka sahaja yang degil.

Sekian Ruku’ 11 daripada 16 ruku’ surah ini.


 

Nahl Ayat 84: Bermula ayat ini ke ayat 89 adalah Perenggan Makro ke 3 (Bahagian 7). Ia berkenaan ancaman dengan diberikan gambaran Hari Akhirat yang dahsyat.

Maka ayat ini adalah Takhwif ukhrawi. Ia memberikan berita buruk kepada orang kafir.

وَيَومَ نَبعَثُ مِن كُلِّ أُمَّةٍ شَهيدًا ثُمَّ لا يُؤذَنُ لِلَّذينَ كَفَروا وَلا هُم يُستَعتَبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [mention] the Day when We will resurrect from every nation a witness [i.e., their prophet]. Then it will not be permitted to the disbelievers [to apologize or make excuses], nor will they be asked to appease [Allāh].

(MELAYU)

Dan (ingatlah) akan hari (ketika) Kami bangkitkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (rasul), kemudian tidak diizinkan kepada orang-orang yang kafir (untuk membela diri) dan tidak (pula) mereka dibolehkan meminta maaf.

 

وَيَومَ نَبعَثُ مِن كُلِّ أُمَّةٍ شَهيدًا

Dan (ingatlah) akan hari (ketika) Kami bangkitkan daripada tiap-tiap umat seorang saksi 

Allah ﷻ menceritakan keadaan di Mahsyar kelak. Semua manusia akan dibangkitkan dan dikumpulkan di Mahsyar nanti. Setiap umat akan ada saksi. Saksi yang dimaksudkan adalah Rasul mereka sendiri. Begitulah Nabi Muhammad ﷺ akan menjadi saksi ke atas kita seperti disebut dalam Baqarah: 143

وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيكُم شَهِيدًا
dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.

Maka para Rasul adalah salah satu daripada saksi yang akan dibangkitkan kelak. Kerana dalam ayat-ayat lain, ada disebut tentang saksi-saksi lain seperti tubuh badan kita sendiri.

Kenapa Rasul-rasul itu dibangkitkan sebagai saksi? Kerana Rasul dan Nabi-nabi itu akan ditanya tentang penerimaan umat mereka terhadap dakwah yang para Rasul itu telah sampaikan – adakah umat mereka terima atau tidak? Maka Rasul dan Nabi itu akan berkata yang benar, iaitu kebanyakan daripada mereka tidak terima. Kerana itulah Nabi Muhammad ﷺ rasa keberatan dengan hal ini seperti disebut tentang ayat Nisa’: 41

فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِن كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَىٰ هَٰؤُلَاءِ شَهِيدًا
Maka bagaimanakah (keadaan orang-orang kafir pada hari akhirat kelak), apabila Kami datangkan daripada tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan mereka), dan Kami juga datangkan engkau (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini?

Nabi Muhammad ﷺ menangis apabila dibacakan ayat ini kepada baginda seperti disebut di dalam hadith riwayat Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata,

قَالَ لِى النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – « اقْرَأْ عَلَىَّ » .قُلْتُ آقْرَأُ عَلَيْكَ وَعَلَيْكَ أُنْزِلَ قَالَ « فَإِنِّى أُحِبُّ أَنْ أَسْمَعَهُ مِنْ غَيْرِى » . فَقَرَأْتُ عَلَيْهِ سُورَةَ النِّسَاءِ حَتَّى بَلَغْتُ
( فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِنْ كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَى هَؤُلاَءِ شَهِيدًا )
قَالَ « أَمْسِكْ » . فَإِذَا عَيْنَاهُ تَذْرِفَانِ
“Nabi ﷺ berkata kepadaku,
“Bacalah Al Qur’an untukku.”
Maka aku menjawab, “Wahai Rasulullah, bagaimana aku membacakan Al Qur’an untukmu, bukankah Al-Qur’an diturunkan kepadamu?”
Nabi ﷺ bersabda, “Aku suka mendengarnya daripada selainku.”
Lalu aku membacakan untuknya surat An Nisaa’ hingga sampai pada ayat (yang ertinya), “Maka bagaimanakah (halnya orang kafir nanti), apabila Kami mendatangkan seseorang saksi (rasul) daripada tiap-tiap umat dan Kami mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu (sebagai umatmu)” (Nisa’: 41).
Baginda berkata, “Cukup.”
Maka aku menoleh kepada baginda, ternyata kedua mata baginda dalam keadaan bercucur air mata.”
(Bukhari No. 4582 dan Muslim No. 800)

 

ثُمَّ لا يُؤذَنُ لِلَّذينَ كَفَروا

kemudian tidak diizinkan kepada orang-orang yang kafir

Kalimah يُؤذَنُ daripada katadasar أ ذ ن yang bermaksud ‘izin’ dan juga ‘telinga’. Maknanya selepas para Rasul itu sudah memberikan persaksian, tentulah yang kufur itu mahu berhujah; tetapi mereka tidak diberi izin untuk berhujah; juga mereka tidak didengari lagi. Mereka tidak diberi izin untuk memberi keuzuran mereka.

Mereka tidak akan ada peluang untuk beri hujah mereka dan hujah mereka tidak didengar. Mereka tidak diberi izin untuk bela diri. Masa untuk mereka telah terlambat.

Ini sebenarnya adalah satu penghinaan kepada mereka. Bayangkan kalau di dalam kelas anak murid hendak bercakap dan memberikan alasan tetapi gurunya cakap: “Sudah! Awak senyap! Saya tak mahu dengar alasan awak lagi!”. Kalau itu terjadi, tentulah terkedu anak murid itu, bukan? Rasa terhina sungguh kalau begitu.

 

وَلا هُم يُستَعتَبونَ

dan tidak (pula) mereka dibolehkan meminta maaf.

Kalimah يُستَعتَبونَ daripada katadasar ع ت ب yang bermaksud kebenaran untuk membela diri. Mereka tidak diberi peluang untuk membela diri mereka dan buat dalihan lagi. ع ت ب digunakan apabila orang marah kita dan kita pujuk orang itu. Memang mereka akan cuba memujuk Allah ﷻ, tetapi mereka tidak akan diberi peluang. Ini seperti juga firman Allah ﷻ di dalam Mursalat: 35-36

هٰذا يَومُ لا يَنطِقونَ
Ini adalah hari, yang mereka tidak dapat berbicara (pada hari itu),

وَلا يُؤذَنُ لَهُم فَيَعتَذِرونَ
dan tidak diizinkan kepada mereka minta uzur sehingga mereka (dapat) minta uzur.

Maka janganlah kita jadi seperti mereka itu. Jangan kita sangka yang kita atau mereka akan ada peluang untuk bela diri, untuk pujuk, untuk berhujah langsung di akhirat kelak. Apabila Allah ﷻ telah buat keputusan, tidak ada peluang untuk ubah keputusan Allah ﷻ itu.

Namun bagaimana dengan ayat-ayat yang menunjukkan golongan kafir juga seolah-olah ada diberi peluang bercakap seperti di dalam Mukminon: 106-108?

قالوا رَبَّنا غَلَبَت عَلَينا شِقوَتُنا وَكُنّا قَومًا ضالّينَ
Mereka berkata: “Ya Tuhan kami, kami telah dikuasai oleh kejahatan kami, dan adalah kami orang-orang yang sesat.

رَبَّنا أَخرِجنا مِنها فَإِن عُدنا فَإِنّا ظٰلِمونَ
Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami daripadanya (dan kembalikanlah kami ke dunia), maka jika kami kembali (juga kepada kekafiran), sesungguhnya kami adalah orang-orang yang zalim”.

Maka bagaimanakah kita hendak selarikan ayat-ayat sebegini? Nampak macam boleh bercakap pula. Sebenarnya ia hanya peringkat permulaan sahaja. Kerana di dalam ayat seterusnya Allah ﷻ suruh mereka senyap dan tidak dibenarkan bercakap lagi.

قالَ اخسَئوا فيها وَلا تُكَلِّمونِ
Allah berfirman: “Tinggallah dengan hina di dalamnya, dan janganlah kamu berbicara dengan Aku.


 

Nahl Ayat 85: Setelah tidak diberi peluang untuk bela diri, mereka akan dibawa ke neraka. Dan ditunjukkan kepada mereka neraka itu sebelum mereka dimasukkan.

وَإِذا رَأَى الَّذينَ ظَلَمُوا العَذابَ فَلا يُخَفَّفُ عَنهُم وَلا هُم يُنظَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when those who wronged see the punishment, it will not be lightened for them, nor will they be reprieved.

(MELAYU)

Dan apabila orang-orang zalim telah menyaksikan azab, maka tidaklah diringankan azab bagi mereka dan tidak pula mereka diberi tangguh.

 

وَإِذا رَأَى الَّذينَ ظَلَمُوا العَذابَ

Dan apabila orang-orang zalim melihat azab, 

Sekarang mereka sudah dibawa ke neraka dan mereka sudah lihat sendiri azab itu. Orang-orang zalim yang dimaksudkan adalah orang-orang yang mengamalkan syirik kerana syirik adalah kezaliman yang paling besar seperti disebut di dalam Luqman: 13

لا تُشرِك بِاللهِ ۖ إِنَّ الشِّركَ لَظُلمٌ عَظيمٌ
“Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar”.

Alangkah menakutkan sekali kerana mereka nampak sendiri neraka di hadapan mereka. Tidak dapat dibayangkan perasaan mereka waktu itu. Bagaimana kalau kita dalam keadaan mereka itu? Nauzubillahi min dzaalik!

Allah ﷻ berfirman menggambarkan keadaan neraka Jahannam:

إِذَا رَأَتْهُمْ مِنْ مَكَانٍ بَعِيدٍ سَمِعُوا لَهَا تَغَيُّظًا وَزَفِيرًا وَإِذَا أُلْقُوا مِنْهَا مَكَانًا ضَيِّقًا مُقَرَّنِينَ دَعَوْا هُنَالِكَ ثُبُورًا لَا تَدْعُوا الْيَوْمَ ثُبُورًا وَاحِدًا وَادْعُوا ثُبُورًا كَثِيرًا
Apabila neraka itu melihat mereka dari tempat yang jauh, mereka mendengar kegeramannya dan suara nyalanya. Dan apabila mereka dilemparkan ke tempat yang sempit di neraka itu dengan dibelenggu, mereka di sana mengharapkan kebinasaan. (Akan dikatakan kepada mereka), “Jangan kamu sekalian mengharapkan satu kebinasaan, melainkan harapkanlah kebinasaan yang banyak.”
(Al-Furqan: 12-14)

 

فَلا يُخَفَّفُ عَنهُم

maka tidaklah diringankan azab bagi mereka

Apabila sudah dimasukkan ke dalam neraka, azab tidak akan diringankan. Kalau ada pun hanya bertambah sahaja, tidak berkurang. Ini seperti diberitahu oleh Allah ﷻ di dalam Naba’: 30

فَذوقوا فَلَن نَزيدَكُم إِلّا عَذابًا
(Setelah mereka masuk ke dalam neraka, dikatakan kepada mereka: “Oleh sebab kamu telah mendustakan ayat-ayat Kami) maka rasalah kamu (azab yang disediakan), kerana Kami tidak akan melakukan selain dari menambah berbagai azab kepada kamu”.

Mungkin mereka sangka, kalau sudah masuk neraka dan teruk diazab, ada harapan azab itu akan dikurangkan, tetapi Allah ﷻ tutup harapan itu. Rasa sakit itu tidak akan berkurang seperti dalam dunia. Bukankah kalau sudah lama diseksa, lama-lama akan lali dan tidak terasa teruk sangat seksaan itu? Namun itu tidak akan berlaku di neraka kelak. Memang tidak ada kekurangan langsung. Mereka tidak akan ada menjadi lali dengan azab itu.

Malaikat yang mengazab ahli neraka pula tidak ada belas kasihan langsung walau sedikit kerana mereka taat kepada Allah ﷻ. Maka mereka akan azab berterusan. Allah ﷻ tidak beri sifat Rahmah kepada para malaikat yang mengazab itu maka mereka tidak ada rasa belas kasihan langsung. Malah mereka bukannya perlu berhenti rehat kerana penat atau untuk makan, maka mereka akan berterusan mengazab! Allah ﷻ berfirman tentang mereka di dalam Tahreem: 6

عَلَيها مَلٰئِكَةٌ غِلاظٌ شِدادٌ لّا يَعصونَ اللَّهَ ما أَمَرَهُم وَيَفعَلونَ ما يُؤمَرونَ
penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.

Malah api neraka itu tidak akan malap apatah lagi padam. Ia akan berterusan panas dan semakin panas. Lihat Isra’: 97

مَأواهُم جَهَنَّمُ ۖ كُلَّما خَبَت زِدناهُم سَعيرًا
Tempat kediaman mereka adalah neraka jahannam. Tiap-tiap kali nyala api Jahannam itu akan padam, Kami tambah lagi bagi mereka nyalanya.

 

وَلا هُم يُنظَرونَ

dan tidak pula mereka diberi tangguh.

Kalimah يُنظَرونَ daripada katadasar ن ظ ر yang bermaksud ‘lihat’, ‘lihat’ dengan belas kasihan’, ‘tunggu’, ‘tangguh’. Maknanya mereka tidak akan dilihat pun. Mereka akan cuba untuk minta perhatian, meminta-minta tolong, minta dikurangkan azab kepada mereka, minta ditangguhkan, namun tidak akan dilayan. Ini seperti disebut dalam Ghafir: 49-50

وَقَالَ الَّذِينَ فِي النَّارِ لِخَزَنَةِ جَهَنَّمَ ادْعُوا رَبَّكُمْ يُخَفِّفْ عَنَّا يَوْمًا مِّنَ الْعَذَابِ
Dan berkatalah pula orang-orang yang ada dalam neraka kepada malaikat-malaikat penjaga neraka Jahannam: “Pohonkanlah kepada Tuhan kamu, supaya Dia meringankan sedikit azab seksa daripada kami, barang sehari”.

قَالُوا أَوَلَمْ تَكُ تَأْتِيكُمْ رُسُلُكُم بِالْبَيِّنٰتِ قَالُوا بَلَىٰ قَالُوا فَادْعُوا وَمَا دُعٰؤا الْكٰفِرِينَ إِلَّا فِي ضَلٰلٍ
Malaikat penjaga neraka menjawab: “Bukankah kamu telah didatangi Rasul-rasul kamu dengan membawa keterangan-keterangan (yang menyatakan akibat perbuatan derhaka kamu)?” Mereka menjawab: “Ya, telah datang”. Malaikat itu berkata: “Jika demikian, maka berdoalah kamu sendiri. Dan doa permohonan orang-orang yang kafir pada saat ini hanya menyebabkan mereka berada dalam keadaan dukacita dan kecewa sahaja”.

Kalau di penjara, penghuni penjara akan mencuba untuk panggil warden, untuk lihat mereka pun cukup kerana mereka mahu minta tolong, tetapi mereka tidak akan ada peluang. Malaikat penjaga neraka tidak toleh pun kepada mereka. Maka tidak ada harapan mahu tahan sebentar azab itu walau sehari atau sesaat. Memang terus diazab malah azab tidak berhenti walaupun sesaat.


 

Nahl Ayat 86: Mereka seperti ada peluang untuk berhujah kerana mereka nampak sembahan mereka. Namun sebenarnya tidak. Ini juga adalah penafian adanya syuraka’ (yang dijadikan sekutu buat Allah ﷻ) yang kononnya dapat membantu penyembahnya di akhirat kelak.

وَإِذا رَأَى الَّذينَ أَشرَكوا شُرَكاءَهُم قالوا رَبَّنا هٰؤُلاءِ شُرَكاؤُنَا الَّذينَ كُنّا نَدعو مِن دونِكَ ۖ فَأَلقَوا إِلَيهِمُ القَولَ إِنَّكُم لَكاذِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when those who associated others with Allāh see their “partners,” they will say, “Our Lord, these are our partners [to You] whom we used to invoke besides You.” But they will throw at them the statement, “Indeed, you are liars.”

(MELAYU)

Dan apabila orang-orang yang mempersekutukan (Allah) melihat sekutu-sekutu mereka, mereka berkata: “Ya Tuhan kami mereka inilah sekutu-sekutu kami yang dahulu kami sembah selain dari Engkau”. Lalu sekutu-sekutu mereka mengatakan kepada mereka: “Sesungguhnya kamu benar-benar orang-orang yang dusta”.

 

وَإِذا رَأَى الَّذينَ أَشرَكوا شُرَكاءَهُم

Dan apabila orang-orang yang mempersekutukan (Allah) melihat sekutu-sekutu mereka, 

Orang yang zalim dan telah melakukan syirik itu akan nampak syuraka’ yang mereka gunakan dalam amalan syirik mereka. Sebagai contoh, mereka akan nampak Abdul Qadir Jailani, Wali Songo, Tok Kenali, dan lain-lain wali (yang mereka sendiri lantik) yang mereka dulu pergi ke kuburan mereka itu.

Waktu di Mahsyar itu nanti mereka minta dipanggil syuraka’ mereka itu. Allah ﷻ bawakan segala ma’bud bathil mereka. Mereka nampak seperti ada peluang kerana dahulu semasa mereka di dunia, mereka telah seru berhala, roh-roh Nabi, wali dan malaikat itu. Mereka sangka tentu roh-roh Nabi, wali dan malaikat itu akan kenal mereka dan tolong mereka. Maka mereka mahu minta tolong.

 

قالوا رَبَّنا هٰؤُلاءِ شُرَكاؤُنَا

mereka berkata: “Ya Tuhan kami mereka inilah sekutu-sekutu kami

Orang musyrik itu berkata, itulah roh-roh yang mereka syirikkan dahulu. Inilah yang kami anggap sekutu Engkau, ya Allah.

 

الَّذينَ كُنّا نَدعو مِن دونِكَ

yang dahulu kami seru selain dari Engkau”.

Mereka berkata dahulu roh-roh itulah yang mereka sembah, yang mereka puja, yang mereka seru, yang mereka beri salam malam-malam, yang mereka sedekah Fatihah (amalan karut) setiap hari itu, yang mereka jadikan sebagai wasilah dalam doa mereka kepada Allah ﷻ.

Mereka mahu minta tolong kepada roh-roh itu; mereka mahu berkata: “Takkan tak kenal kami? Dulu kan kami buat ini dan itu untuk kamu?”

 

فَأَلقَوا إِلَيهِمُ القَولَ إِنَّكُم لَكاذِبونَ

Lalu sekutu-sekutu mereka mengatakan kepada mereka: “Sesungguhnya kamu benar-benar orang-orang yang dusta”.

Memang benar golongan musyrik itu sembah ma’bud bathil itu seperti yang mereka katakan. Maka kenapa dikatakan mereka berdusta pula (seolah-olah mereka tidak sembah)?

Maksudnya, yang dijadikan sebagai sembahan dan seruan itu akan pulangkan kembali kata-kata mereka kepada golongan penyembah itu. Roh-roh itu akan menidakkan sembahan-sembahan yang telah diberikan kepada mereka kerana mereka tidak pernah kenal dengan mereka yang seru mereka dulu.

Kerana mereka dulu duduk di alam lain, bagaimana mahu dengar seruan syirik daripada penyembah-penyembah itu. Roh-roh yang disembah itu tidak tahu menahu pun yang mereka dulu disembah, dipuja, diminta doa kepada mereka. Ini seperti disebut dalam Fatir: 14

إِن تَدعوهُم لا يَسمَعوا دُعاءَكُم وَلَو سَمِعوا مَا استَجابوا لَكُم ۖ وَيَومَ القِيٰمَةِ يَكفُرونَ بِشِركِكُم
Jika kamu menyeru mereka, mereka tiada mendengar seruanmu; dan kalau mereka mendengar, mereka tidak dapat memperkenankan permintaanmu. Dan di hari kiamat mereka akan mengingkari kemusyirikanmu

Roh-roh itu dulu tidak pernah menyuruh mereka dipuja dan diseru. Ini seperti yang disebutkan oleh Allah ﷻ dalam ayat lain melalui firman-Nya:

وَمَنْ أَضَلُّ مِمَّنْ يَدْعُو مِنْ دُونِ اللَّهِ مَنْ لَا يَسْتَجِيبُ لَهُ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَهُمْ عَنْ دُعَائِهِمْ غَافِلُونَ وَإِذَا حُشِرَ النَّاسُ كَانُوا لَهُمْ أَعْدَاءً وَكَانُوا بِعِبَادَتِهِمْ كَافِرِينَ
Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang menyembah sembahan-sembahan selain Allah yang tiada dapat memperkenankan (doa)nya sampai hari kiamat dan mereka lalai daripada (memperhatikan) doa mereka? Dan apabila manusia (mereka) dikumpulkan (pada hari kiamat) nescaya sembahan-sembahan itu menjadi musuh mereka dan mengingkari pemujaan-pemujaan mereka.
(Al-Ahqaf: 5-6)

Mereka sahaja yang reka amalan syirik itu atau mereka ikut ajaran sesat daripada guru-guru sesat yang mengajar mereka. Oleh kerana mereka tidak kenal wahyu, tidak belajar wahyu, maka mereka hanya ikut sahaja. Inilah bahananya kalau tersalah pilih guru.

Mereka sangka amalan itu baik, ada dalam Islam, maka mereka terus buat tanpa soal. Ini kerana yang ajar mereka itu pun nampak hebat juga, pakai jubah juga, pandai bercakap dalam berhujah membenarkan amalan syirik dan bid’ah mereka itu. Maka mereka tiada rasa bersalah apabila ikut amalan itu. Maka mereka pun serulah para Nabi, para wali, kononnya para Nabi dan wali itu akan tolong mereka di akhirat kelak. Namun sia-sia sahaja seperti firman Allah ﷻ,

وَاتَّخَذُوا مِنْ دُونِ اللَّهِ آلِهَةً لِيَكُونُوا لَهُمْ عِزًّا كَلا سَيَكْفُرُونَ بِعِبَادَتِهِمْ وَيَكُونُونَ عَلَيْهِمْ ضِدًّا
Dan mereka telah mengambil sembahan-sembahan selain Allah, agar sembahan-sembahan itu menjadi pelindung bagi mereka, sekali-kali tidak! Kelak mereka (sembahan-sembahan) itu akan mengingkari penyembahan terhadap mereka, dan mereka (sembahan-sembahan) itu akan menjadi musuh bagi mereka (yang menyembah).
(Maryam: 81-82)


 

Nahl Ayat 87: Memang kalau sudah nampak akhirat itu benar depan mata, semua akan jadi baik.

وَأَلقَوا إِلَى اللهِ يَومَئِذٍ السَّلَمَ ۖ وَضَلَّ عَنهُم مّا كانوا يَفتَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they will impart to Allāh that Day [their] submission, and lost from them is what they used to invent.

(MELAYU)

Dan mereka menyatakan ketundukannya kepada Allah pada hari itu dan hilanglah dari mereka apa yang selalu mereka ada-adakan.

 

وَأَلقَوا إِلَى اللهِ يَومَئِذٍ السَّلَمَ

Dan mereka menyatakan ketundukannya kepada Allah pada hari itu

Bila sudah nampak kebenaran di depan mata mereka, mereka sudah sedar yang mereka sudah salah amalan semasa di dunia, mereka akan serahkan diri mereka kepada Allah ﷻ. Waktu itu tunduk sungguh-sungguh kepada Allah ﷻ. Mereka orang yang paling mukmin sekali waktu itu. Allah ﷻ telah berfirman tentang mereka di dalam Sajdah: 12

وَلَو تَرىٰ إِذِ المُجرِمونَ ناكِسو رُءوسِهِم عِندَ رَبِّهِم رَبَّنا أَبصَرنا وَسَمِعنا فَارجِعنا نَعمَل صٰلِحًا إِنّا موقِنونَ
Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”.

Nota: potongan ayat ini adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita. Maka ia dibaca yaumaizinissalam.

 

وَضَلَّ عَنهُم مّا كانوا يَفتَرونَ

dan hilanglah daripada mereka apa yang selalu mereka ada-adakan.

Akan tetapi semua amalan rekaan yang mereka biasa buat sudah tidak ada untuk bantu mereka, sudah tidak jumpa satu pahala pun untuk membantu mereka. Semua sembahan-sembahan mereka tidak mengaku bahawa mereka itu kawan, sebaliknya menjadi lawan. Kalau berhala yang disembah, berhala itu pun akan dimasukkan ke dalam neraka sekali seperti disebut dalam Anbiya’: 98

إِنَّكُم وَما تَعبُدونَ مِن دونِ اللهِ حَصَبُ جَهَنَّمَ أَنتُم لَها وٰرِدونَ
Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah, adalah kayu api Jahannam, kamu pasti masuk ke dalamnya.

Mereka memang banyak amalan tetapi ia sedikitpun tidak dapat menolong mereka kerana tidak ada nilai. Itulah amalan-amalan syirik seperti tawasul dan amalan-amalan bid’ah dalam agama. Sia-sia sahaja mereka buat semasa mereka hidup di dunia. Begitulah apa yang akan terjadi kalau disuruh belajar tetapi mereka tidak mahu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 24 Januari 2024

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Maariful Qur’an

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin

Tafsir Surah an-Nahl Ayat 80 – 82 (Rumah sebagai Sakinah)

Nahl Ayat 80: Allah ﷻ menyebut lagi nikmat-nikmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada manusia.

وَاللهُ جَعَلَ لَكُم مِّن بُيوتِكُم سَكَنًا وَجَعَلَ لَكُم مِّن جُلودِ الأَنعٰمِ بُيوتًا تَستَخِفّونَها يَومَ ظَعنِكُم وَيَومَ إِقامَتِكُم ۙ وَمِن أَصوافِها وَأَوبارِها وَأَشعارِها أَثٰثًا وَمَتٰعًا إِلىٰ حينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Allāh has made for you from your homes a place of rest and made for you from the hides of the animals tents which you find light on your day of travel and your day of encampment; and from their wool, fur and hair is furnishing and enjoyment [i.e., provision] for a time.

(MELAYU)

Dan Allah menjadikan bagimu rumah-rumahmu sebagai tempat rehat dan Dia menjadikan bagi kamu rumah-rumah (khemah-khemah) dari kulit binatang ternak yang kamu berasa ringan (membawa)nya di waktu kamu berjalan dan waktu kamu bermukim dan (dijadikan-Nya pula) dari bulu domba, bulu unta dan bulu kambing, alat-alat rumah tangga dan perhiasan (yang kamu pakai) sampai waktu (tertentu).

 

وَاللهُ جَعَلَ لَكُم مِّن بُيوتِكُم سَكَنًا

Dan Allah menjadikan bagimu rumah-rumahmu sebagai tempat rehat

Di sini Allah ﷻ kata Dia yang jadikan rumah kita. Namun bukankah kita yang bina sendiri? Ya, kita ada usaha untuk membinanya akan tetapi dari mana datangnya bahan-bahan seperti tanah, simen, pelepah, kayu, besi dan sebagainya itu? Bukankah daripada Allah ﷻ juga? Bukankah Allah ﷻ yang ajar manusia bagaimana membina rumah sebagaimana Dia yang ajar lebah membuat rumahnya?

Allah ﷻ jadikan di rumah tempat untuk bertenang. Dalam ayat 78 telah disebut bagaimana Allah ﷻ mulanya telah mengeluarkan kita daripada perut ibu kita. Dalam perut ibu kita, kita duduk dalam keadaan tenang sahaja menunggu masa untuk keluar. Sekarang disebut tentang ketenangan dalam rumah pula. Dalam ayat 68 telah disebut bagaimana Allah ﷻ memberi ilham kepada lebah untuk buat rumah. Sekarang disebut tentang rumah kita pula.

Allah ﷻ mengingatkan betapa tenangnya kita kalau duduk di rumah kita. Ini mengajar kita untuk duduk di rumah. Kalau tidak ada keperluan, duduk di rumah sahaja kerana di rumah itu ada ketenangan. Jangan pergi berjalan-jalan tanpa arah tujuan sahaja siang malam.

Apabila Allah ﷻ telah jadikan rumah sebagai سَكَنًا maka hendaklah kita juga berusaha untuk menjadikan rumah sebagai tempat yang damai dan tenang. Supaya ia menjadi tempat yang aman untuk beribadah, berkeluarga dan berehat. Jangan diserabutkan rumah itu dengan perkelahian dan tempat maksiat. Jadikan rumah sebagai tempat ilmu berkembang dengan diadakan majlis ilmu dan tempat anak-anak belajar perkara yang baik.

 

وَجَعَلَ لَكُم مِّن جُلودِ الأَنعٰمِ بُيوتًا

dan Dia menjadikan bagi kamu rumah-rumah (khemah-khemah) daripada kulit binatang ternak

Ada rumah yang tetap seperti kebanyakan rumah kita tinggal sekarang. Akan tetapi pada bangsa Arab yang pertama sekali menerima Al-Qur’an ini, mereka ada rumah jenis lain – iaitu daripada kulit binatang ternak. Bukanlah semua tetapi untuk Arab Badwi sahaja. Kalau di Mekah dan Madinah, mereka duduk di rumah-rumah yang dibina.

Khemah orang Badwi diperbuat daripada kulit unta dan kambing

Dalam surah ini telah disebut tentang nikmat-nikmat yang Allah ﷻ berikan daripada binatang ternak; sekarang disebut salah satunya adalah daripada kulit binatang ternak itu, boleh dibuat khemah. Kulit itu diambil, diproses dan dijahit menjadi khemah. Ada dalam kalangan mereka yang memang tinggal di dalam khemah kerana mereka nomad, tidak ada tempat tinggal yang tetap.

 

تَستَخِفّونَها يَومَ ظَعنِكُم

yang kamu merasa ringan (membawa)nya di waktu kamu berjalan

Kelebihan khemah itu, ia mudah untuk dibuka. Ia ringan dan memudahkan mereka apabila mengembara ke tempat lain. Ini memudahkan mereka kerana mereka menggunakan unta untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat dan unta tidak boleh bawa barang yang banyak.

Malah pada zaman sekarang juga, ramai pula yang suka pergi berkhemah.

 

وَيَومَ إِقامَتِكُم

dan waktu kamu bermukim

Apabila mereka sampai ke satu-satu tempat itu, mereka boleh berhenti dan pasang khemah serta jadikan sebagai tempat mereka tinggal (tempat bermukim). Kalau kita sekarang, memang tidak boleh perkara ini kerana rumah kita di satu tempat sahaja. Kalau pindah, kena cari rumah tempat lain pula, bukan?

Selepas sebut rumah, Allah ﷻ sebut pula khemah. Kalau khemah itu tentunya tidak banyak kelengkapannya sampai boleh kita katakan suasana di rumah itu dhaif sahaja. Bandingkan dengan rumah kita yang kukuh, ada bermacam-macam. Namun adakah rumah kita tempat yang tenang damai buat kita? Entah-entah khemah yang dhaif itu lebih menenangkan bagi penghuninya. Maka tentang rumah ini bukan material pembuatannya yang penting, tetapi suasana di dalam rumah itu sendiri. Kerana itu disebut di awal ayat ini kalimah سَكَنًا, kerana ini yang paling penting.

Kerana itu di dalam Rum: 21 disebut,

وَمِن ءآيٰتِهِ أَن خَلَقَ لَكُم مِّن أَنفُسِكُم أَزوٰجًا لِّتَسكُنوا إِلَيها وَجَعَلَ بَينَكُم مَّوَدَّةً وَرَحمَةً
Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.

Ini kerana ketenangannya yang kita sebenarnya cari di dalam kehidupan berkeluarga dan berumahtangga untuk kita senang beribadah dan mengamalkan Islam dengan sempurna.

 

وَمِن أَصوافِها وَأَوبارِها وَأَشعارِها أَثٰثًا

dan (dijadikan-Nya pula) dari bulu biri-biri, bulu unta dan bulu kambing, menjadi alat-alat rumah

Kemudian Allah ﷻ sambung lagi nikmat kegunaan daripada binatang ternak itu. Daripada bulu biri-biri, bulu unta, dan bulu binatang lain, boleh dijadikan أَثاثًا (barang-barang di rumah). Contohnya sofa daripada kulit, beg kulit, kerusi kulit dalam kereta, dompet kulit dan sebagainya. Dhomir (kataganti) ها itu kembali kepada الأَنعامِ. Manusia boleh gunakan kreativiti mereka untuk mengambil bulu-bulu itu untuk membuat perhiasan dalam rumah dan barang kegunaan harian.

Di sini mengandungi hukum penggunaan barangan kulit dan bulu daripada binatang. Tidak disebut yang binatang itu perlu disembelih cara Islam pun. Ini kerana semua jenis kulit binatang menjadi suci dengan disamak (dibersihkan) sama ada kulit daripada binatang yang halal dimakan (seperti lembu, kambing dan kerbau) atau kulit daripada haiwan yang haram dimakan (seperti harimau, buaya, ular dan sebagainya). Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawa Nabi ﷺ bersabda:

إِذَا دُبِغَ الإِهَابُ فَقَدْ طَهُرَ
“Jika disamak kulit maka ia menjadi suci.”
(Riwayat Muslim (838))

Maksud samak ialah membersihkan kulit dengan membuang darah, daging dan lendiran yang boleh merosakkan kulit dengan menggunakan bahan-bahan penanggal atau penghakis. Untuk melakukan samakan tidak disyaratkan orang Islam. Oleh itu, harus (dibenarkan) kita menggunakan kulit yang disamak oleh orang bukan Islam jika samakannya memenuhi maksud samak tadi iaitu membuangkan daripada kulit segala lendiran, daging dan darah tadi (yakni yang tinggal hanya kulit sahaja).

Dikecualikan kulit anjing dan babi di mana terdapat khilaf dalam kalangan ulama’; apakah ia akan menjadi suci dengan samakan atau tidak? Menurut mazhab Syafie; semua jenis kulit menjadi suci dengan samakan kecuali kulit anjing dan babi. Kulit anjing dan babi tidak akan menjadi suci walaupun setelah disamak kerana kedua-duanya adakah haiwan najis ketika hidup dan selepas mati. Oleh itu, menurut mazhab Syafie; tidak harus orang Islam memakai kulit anjing dan babi sekalipun setelah ia disamak.

Menurut mazhab Hanafi; semua jenis kulit menjadi suci dengan disamak kecuali satu kulit sahaja iaitu kulit anjing. Adapun kulit babi, ia menjadi suci jika disamak. Mazhab yang paling terbuka dalam masalah kulit ini ialah mazhab Daud az-Zahiri iaitu semua jenis kulit menjadi suci dengan disamak termasuklah kulit anjing dan babi.

Mengenai bulu pula, telah disepakati oleh para ulama’ bahawa bulu daripada binatang yang halal dimakan (seperti bulu biri-biri) jika ia diambil ketika ia masih hidup (yakni dicabut atau dicukur ketika ia hidup), hukumnya adalah suci dan harus digunakan termasuk ketika solat. Adapun bulu binatang yang haram dimakan (harimau, singa, babi dan sebagainya), terdapat khilaf dalam kalangan ulamak. Menurut mazhab Syafie; ia adalah najis. Menurut mazhab Maliki dan Hanafi; ia adalah suci.

Para ulama’ juga berbeza pandangan tentang bulu daripada bangkai iaitu binatang yang mati tanpa disembelih (seperti lembu atau kambing yang mati tanpa disembelih) dan binatang yang tidak halal dimakan apabila ia mati; adakah bulunya boleh dimanfaatkan atau tidak? Menurut mazhab Syafie; bulunya adalah najis. Menurut mazhab Maliki dan Hanafi; bulunya adalah suci setelah dibasuh.

Kesimpulannya, dalam masalah bulu ini, mazhab Hanafi dan Maliki lebih terbuka berbanding mazhab Syafie. Menurut mazhab Syafie; hanya bulu haiwan yang halal dimakan sahaja yang suci dan boleh dibawa ke dalam solat dan itu pun disyaratkan bulu itu diambil ketika hidup atau dari haiwan yang disembelih (*yakni haiwan yang halal dimakan. Adapun haiwan yang haram dimakan, sekalipun disembelih ia tetap najis dan segala yang yang ada pada tubuhnya semuanya najis, kecuali kulit sahaja yang dapat menjadi suci dengan samakan). Sementara menurut mazhab Maliki dan Hanafi; semua jenis bulu adalah suci sama ada bulu dari haiwan yang halal dimakan atau yang haram dimakan, sama ada diambil ketika ia masih hidup atau selepas ia mati.

Maka kena bezakan antara kulit dan bulu. Kita beri satu contoh, menggunakan kulit atau bulu sebagai alas solat. Contohnya kita solat di atas karpet daripada kulit, atau daripada bulu. Jika melihat kepada mazhab Syafie, kulit dan bulu biri-biri itu adalah suci jika ia daripada biri-biri yang disembelih. Jika bukan daripada biri-biri yang disembelih, hendaklah dilihat;

a) Jika yang hendak digunakan itu adalah kulitnya sahaja (tanpa bulu), ia adalah suci jika terdapat tanda ia telah disamak (iaitu kulit itu telah bersih daripada lendiran, darah dan najis, yakni yang tinggal hanya kulit sahaja). Oleh itu, harus digunakan ketika solat.

b) Namun jika yang hendak digunakan ialah kulit dan juga bulunya, tidak harus digunakan ketika solat kerana menurut mazhab Syafie; bulu binatang yang mati tanpa disembelih adalah najis. Maka sekalipun kulitnya menjadi suci dengan samakan, tetapi bulunya tetap najis. Oleh itu, tidak harus ia dipakai ketika solat.

Akan tetapi, seperti telah disebut di atas, mazhab lain ada yang lebih luas dan terbuka tentang hal ini.

 

وَمَتاعًا إِلىٰ حينٍ

dan sebagai barang kegunaan sampai waktu (tertentu).

Bulu dan kulit itu boleh juga dijadikan sebagai barang kegunaan untuk kehidupan. Mereka pakai di rumah dan mereka juga gunakan untuk berjual beli.

Semua ini boleh digunakan sehingga waktu tertentu. Selagi mereka hidup, mereka boleh pakai. Tidaklah mereka kekal pakai semua barang itu sampai bila-bila. Sama ada mereka mati dulu atau barangan itu yang rosak dahulu.


 

Nahl Ayat 81: Dalil Aqli.

وَاللهُ جَعَلَ لَكُم مِّمّا خَلَقَ ظِلٰلًا وَجَعَلَ لَكُم مِّنَ الجِبالِ أَكنٰنًا وَجَعَلَ لَكُم سَرٰبيلَ تَقيكُمُ الحَرَّ وَسَرابيلَ تَقيكُم بَأسَكُم ۚ كَذٰلِكَ يُتِمُّ نِعمَتَهُ عَلَيكُم لَعَلَّكُم تُسلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Allāh has made for you, from that which He has created, shadows [i.e., shade] and has made for you from the mountains, shelters and has made for you garments which protect you from the heat and garments [i.e., coats of mail] which protect you from your [enemy in] battle. Thus does He complete His favor upon you that you might submit [to Him].

(MELAYU)

Dan Allah menjadikan bagimu tempat bernaung dari apa yang telah Dia ciptakan, dan Dia jadikan bagimu tempat-tempat tinggal di gunung-gunung, dan Dia jadikan bagimu pakaian yang memeliharamu dari panas dan pakaian (baju besi) yang memelihara kamu dalam peperangan. Demikianlah Allah menyempurnakan nikmat-Nya atasmu agar kamu berserah diri (kepada-Nya).

 

وَاللهُ جَعَلَ لَكُم مِّمّا خَلَقَ ظِلٰلًا

Dan Allah menjadikan bagimu tempat bernaung daripada apa yang telah Dia ciptakan,

Dalam ayat 48 Allah ‎ﷻ telah sebut tentang bayang-bayang. Ada juga gunanya bayang-bayang ini. Allah ﷻ jadikan bayang-bayang untuk kita kerana kita perlu kepadanya terutama di tempat yang panas terik.

Apabila ada benda besar seperti pokok, kita dapat berteduh di bayangan pokok itu. Ini penting kerana panas terik menyesakkan dan bila ada tempat berteduh, dapatlah berehat sementara menunggu perjalanan ke tempat yang lain. Sekarang ditarik perhatian orang musafir yang tengah kepanasan dalam perjalanan jauh, maka diperingatkan pula akan nikmat Allah ﷻ yang nampaknya kecil sahaja, tetapi amat diperlukan oleh para musafir itu. Dalam perjalanan yang jauh, dalam panas sangat teriknya tentu memerlukan keteduhan. Dari jauh telah kelihatan serumpun pohon tumbuh di padang, atau pinggir tebing. Mereka dapat berhenti sebentar ke sana untuk melepaskan lelah dan berlindung daripada teriknya panas matahari.

 

 

وَجَعَلَ لَكُم مِّنَ الجِبالِ أَكنٰنًا

dan Dia jadikan bagimu tempat-tempat berlindung di gunung-gunung,

Dalam ayat 15, Allah ﷻ sebut bagaimana Dia telah menjadikan gunung-gunung sebagai pasak bumi. Dengan gunung itu kita gunakan sebagai أَكنانًا (tempat perlindungan). Pada gunung itu selalunya ada gua dan manusia boleh gunakan gua itu untuk berlindung daripada panas terik atau ribut pasir. Kalau ada ribut pasir melanda, memang kena cari gua dalam gunung untuk menyelamatkan diri mereka. Mereka memang berasa sangat penting gua-gua itu.

Kita memang tidak berapa pandai menghargai gunanya gua-gua itu kerana tempat tinggal kita selamat sahaja. Namun bagi mereka yang memang bergelumang dengan ribut pasir dan panas terik di padang pasir, gua-gua itu cukup bermakna untuk mereka.

 

وَجَعَلَ لَكُم سَرٰبيلَ تَقيكُمُ الحَرَّ

dan Dia jadikan bagimu pakaian yang memeliharamu daripada panas

Sambung lagi tentang penjagaan daripada panas terik. Selain daripada bayang, gunung dan gua, setiap dari kita harus ada pakaian yang melindungi kita daripada panas terik. Kerana kalau matahari itu kena terus pada kulit, tentu akan rosak kulit kita. Apabila ada pakaian, ia akan melindungi dan menyebabkan keluar peluh yang menyejukkan kulit kita. Memang pakaian itu kita jahit dan tenun, tetapi bahan-bahannya daripada Allah ﷻ. Kalimah سَرٰبيلَ daripada katadasar س ر ب ل yang bermaksud pakaian; baju; baju besi.

Seperti yang kita tahu, pakaian bukan sahaja memelihara daripada kepanasan, tetapi ia juga memelihara daripada kesejukan. Namun kenapakah ayat ini sebut tentang kepanasan sahaja? Ini kerana kitab Al-Qur’an ini penerima pertamanya adalah bangsa Arab. Maka contoh-contoh yang diberikan adalah berkenaan mereka. Sebagai contoh, kita lihat dalam ayat ini, pakaian dikatakan sebagai pelindung kepada kepanasan kerana negara mereka memang negara yang panas. Sedangkan, di negara lain, pakaian itu pelindung daripada kesejukan, bukan?

Satu lagi pendapat adalah kerana di dalam ayat 5 telah disebut tentang pemelihara daripada kesejukan, maka ia tidak diulangi lagi di sini.

وَالأَنعٰمَ خَلَقَها ۗ لَكُم فيها دِفءٌ
Dan Dia telah menciptakan binatang ternak untuk kamu; padanya ada (bulu) yang menghangatkan

 

وَسَرٰبيلَ تَقيكُم بَأسَكُم

dan pakaian (baju besi) yang memelihara kamu dalam peperangan. 

Selain daripada baju biasa yang melindungi manusia daripada cuaca biasa, Allah ﷻ beri ilham kepada manusia untuk membuat baju besi untuk dijadikan sebagai pertahanan dalam perang. Ini pula untuk melindungi para pejuang semasa di dalam peperangan. Allah ﷻ berkata Dia yang berikan, kerana ilham untuk buat baju besi itu daripada Allah ﷻ juga. Disebut manusia pertama yang buat baju besi ini adalah Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

 

كَذٰلِكَ يُتِمُّ نِعمَتَهُ عَلَيكُم لَعَلَّكُم تُسلِمونَ

Demikianlah Allah menyempurnakan nikmat-Nya atasmu agar kamu berserah diri 

Begitulah kesempurnaan nikmat zahir yang Allah ﷻ berikan dan Allah ﷻ sebut-sebutkan supaya kita berserah diri. Maksud berserah diri itu adalah mentauhidkan-Nya. Jalalain رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan kalimah تُسلِمونَ di sini تُوَحِّدُونَ iaitu mengesakan Allah ﷻ. Kerana segala nikmat itu bukannya terjadi sendiri tetapi Allah ﷻ yang jadikan untuk kita. Tidak ada yang selain Allah ﷻ yang beri nikmat itu kepada kita, maka manusia haruslah sembah Allah ﷻ sahaja. Kenapa mahu sembah selain Allah ﷻ yang tidak memberikan segala nikmat itu?


 

Nahl Ayat 82: Ayat tasliah (pujukan) kepada Nabi ﷺ dan para pendakwah.

فَإِن تَوَلَّوا فَإِنَّما عَلَيكَ البَلٰغُ المُبينُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But if they turn away, [O Muḥammad] – then only upon you is [responsibility for] clear notification.

(MELAYU)

Jika mereka tetap berpaling, maka sesungguhnya kewajipan yang dibebankan atasmu (Muhammad) hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang.

 

فَإِن تَوَلَّوا

Jika mereka tetap berpaling,

Ini adalah berkenaan mereka yang ingkar – setelah diberikan dengan pelbagai dalil dan hujah; dan setelah diingatkan kepada mereka jasa-jasa dan nikmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka, tetapi mereka tetap berpaling juga daripada menerima akidah tauhid, menyerahkan diri bulat-bulat kepada Allah ﷻ.

Apabila begitu, apa lagi yang kita boleh buat? Kita hanya manusia sahaja, tidak berupaya mengubah pendirian mereka. Kadangkala kita memang berdepan dengan orang yang degil. Ini biasa sahaja.

 

فَإِنَّما عَلَيكَ البَلٰغُ المُبينُ

maka sesungguhnya kewajipan yang dibebankan atasmu (Muhammad) hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang sahaja.

Ini adalah tasliah kepada Nabi Muhammad ﷺ. Baginda rasa bersalah dan risau sangat kerana umat baginda ramai yang tidak menerima ajaran tauhid. Baginda telah berhempas pulas berdakwah kepada mereka dengan berbagai-bagai cara, tetapi tidak berjaya.

Maka Allah ﷻ beri kelegaan kepada baginda dan memujuk baginda dan para pendakwah. Allah ﷻ beritahu yang tugas baginda hanya menyampaikan sahaja ajaran agama dengan jelas. Memang baginda telah sampaikan. Itu sahaja yang baginda boleh lakukan kerana baginda tidak dapat mengubah hati mereka dan beri hidayah kepada umat baginda walaupun baginda teringin sangat. Kerana hidayah milik Allah ﷻ dan Allah ﷻ sahaja yang boleh mengubah hati manusia.

Begitu juga dengan kita – ramai dalam kalangan ahli keluarga kita dan kawan-kawan rapat dengan kita yang kita dakwah tentang tauhid dan ajaran Sunnah kepada mereka. Namun tidak semestinya semua menerima. Maka kita dipujuk oleh Allah ﷻ dengan ayat ini – kita hanya disuruh untuk menyampaikan sahaja. Sama ada mereka menerima atau tidak, bukan di tangan kita.

Maka jangan kita bersedih sangat kalau mereka tidak mahu terima. Teruskan dengan dakwah kepada mereka dan orang lain, selagi boleh.

Akan tetapi kena pastikan apa yang kita sampaikan adalah المُبينُ. Maknanya jelas daripada wahyu sama ada daripada Al-Qur’an atau hadith yang sahih. Ini amat penting kerana ramai dalam kalangan masyarakat kita tidak faham perkara ini. Mereka senang sahaja menyampaikan ajaran tanpa ada rujukan daripada wahyu yang sahih. Masyarakat kita pun senang sahaja terima apa yang disampaikan oleh para ustaz tanpa soal. Sedangkan bukan semua yang disampaikan di meja penceramah itu sahih belaka.

Ini kerana masyarakat kita telah lama jauh daripada ajaran wahyu. Maka banyak ajaran agama telah ditokok tambah dengan pendapat manusia.

Kebanyakan pendapat itu didapati di dalam kitab-kitab selalunya, selain daripada ajaran-ajaran di meja penceramah. Namun jangan salah faham pula. Kita tidak menolak ulama’ mahupun kitab secara pukal. Manakan mungkin kita dapat ilmu kalau rosak disampaikan oleh alim ulama’ termasuk yang mereka tulis di dalam kitab-kitab mereka. Cuma kita kena pastikan yang menulis itu ada memberikan sandaran kepada wahyu dan bukan pendapatnya semata-mata.

Malangnya ramai yang tidak peka perkara ini. Asalkan ustaz cakap, mereka terima begitu sahaja; begitu juga kalau yang menyampaikan itu berkata: “Ini ada dalam kitab, ulama’ itu dan ini kata begitu begini…”. Namun itu belumlah cukup lagi. Kata-kata manusia boleh sahaja salah. Maka dalam hal agama mesti ada dalil sandaran wahyu.

Yang pertama adalah Al-Qur’an, dan keduanya hadith. Hadith itu kenalah sahih. Cuma di dalam masyarakat kita, amat culas bab hadith. Sudah tidak dipastikan sahih atau benar. Asalkan dikata ada disebut dalam hadith sahaja mereka terima. Malah yang palsu pun mereka hendak pertahankan. Kadangkala memang sesuatu hadith itu masyhur, maka ramai yang sangka ia pasti sahih. Tidaklah semestinya.

Alhamdulillah kita ada alim ulama’ yang memberi pencerahan tentang hal ini. Mereka menyebut mana-mana hadith yang ada masalah kerana mereka adil dengan ilmu. Namun amat menyedihkan apabila ada pula golongan masyarakat yang jahil, marah kepada yang memberi penjelasan. Akal letak di mana kita pun tidaklah tahu. Amat malang kalau marah membabi buta tanpa ilmu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 21 Januari 2024

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin

Tafsir Surah an-Nahl Ayat 78 – 79 (Lihatlah kepada burung)

Nahl Ayat 78: Ini adalah Dalil Aqli Anfusi ketujuh. Sekali lagi Allah ﷻ suruh kita lihat diri kita.

وَاللهُ أَخرَجَكُم مِّن بُطونِ أُمَّهٰتِكُم لا تَعلَمونَ شَيئًا وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمعَ وَالأَبصٰرَ وَالأَفئِدَةَ ۙ لَعَلَّكُم تَشكُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Allāh has extracted you from the wombs of your mothers not knowing a thing, and He made for you hearing and vision and hearts [i.e., intellect] that perhaps you would be grateful.

(MELAYU)

Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur.

 

وَاللهُ أَخرَجَكُم مِّن بُطونِ أُمَّهٰتِكُم لا تَعلَمونَ شَيئًا

Dan Allah mengeluarkan kamu daripada perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun,

Allah ﷻ mengingatkan kita semasa Dia mengeluarkan kita daripada perut ibu kita. Sekarang disebut perut ibu pula kerana sebelum ini disebut perut lembu dan lebah. Daripada perut lembu dan lebah keluar minuman dan daripada perut ibu keluarnya anak.

Allah ﷻ menyebut ibu sahaja di dalam ayat ini sedangkan anak itu terjadi pun dengan adanya air mani daripada bapa bukan? Namun kenapa Allah ﷻ hanya sebut ibu sahaja? Kalau menghormati, disebut kedua-duanya sekali tetapi apabila menyebut jasa, Allah ﷻ hanya sebut ibu sahaja. Lihat Luqman: 14

وَوَصَّينَا الإِنسٰنَ بِوٰلِدَيهِ حَمَلَتهُ أُمُّهُ وَهنًا عَلىٰ وَهنٍ وَفِصٰلُهُ في عامَينِ أَنِ اشكُر لي وَلِوٰلِدَيكَ إِلَيَّ المَصيرُ
Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah kembalimu.

Allah ﷻ sebut jasa ibu kerana ibu yang paling banyak berjasa kepada anak itu di usia muda. Apabila anak-anak itu sudah besar dan boleh nampak dan ingat, mereka boleh perasan jasa ayahnya. Anak itu nampak ayahnya mengeluarkan belanja, beli itu dan ini. Namun ketika dia kecil, emaknya lah yang banyak berjasa mengandungkan, melahirkan, menyusukan, menjaga di malam dan dinihari. Anak-anak tidak ingat hal itu, maka Allah ﷻ ingatkan di dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an.

Kemudian Allah ﷻ ingatkan yang kita semasa keluar itu tidak tahu apa-apa ilmu lagi melainkan apa sahaja yang Allah ﷻ ilhamkan dan naluri yang Allah ﷻ berikan. Ini seperti sudah tua nanti akan kembali tidak tahu (nyanyuk) seperti yang telah disebut dalam ayat-ayat sebelum ini. Allah ﷻ yang berikan ilmu yang kita perlukan semenjak lahir lagi dan nanti akan ada yang Allah ﷻ tarik kembali. Kalau bukan Allah ﷻ yang berikan, memang terus tidak tahu apalah kita ini.

Pertamanya ilmu yang diperlukan oleh bayi itu adalah tangisan. Itulah cara bayi itu mengadu dan minta sesuatu kerana dia tidak boleh bercakap lagi. Kalau tidak ada cara tangisan, ibu dan ayah dia tidak akan tahu ada sesuatu yang tidak kena dengan anak itu. Allah ﷻ yang ajar anak itu untuk menangis. Kemudian ilmu lain yang Allah ﷻ berikan adalah cara menyusu daripada payudara ibunya. Kalau ilmu ini tidak diberi, maka akan susahlah anak itu untuk makan. Kemudian sedikit demi sedikit, ilmu cara hidup diberikan kepada anak itu seperti merangkak, berjalan, makan bubur dan sebagainya. Allah ﷻ juga yang beri ilmu itu kepada mereka.

Ayat sebelum ini tentang kiamat di mana kita akan dihidupkan semula. Sejak mati sehingga hidup semula. Allah ﷻ mahu ingatkan yang kita dulu juga pernah mati (sebelum kita ada) dan dihidupkan, iaitu ketika keluar daripada perut ibu. Allah ﷻ mengingatkan bahawa Dia yang keluarkan kita. Apabila kiamat, kita akan dikeluarkan daripada perut bumi pula. Itu pun perut juga tetapi perut yang lain. Maka ada kaitan rapat antara dua perkara ini. Allah ﷻ sebut tentang keluar daripada perut ibu, tetapi beri isyarat kepada keluar daripada perut bumi.

 

وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمعَ وَالأَبصٰرَ وَالأَفئِدَةَ

dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan-penglihatan dan hati-hati,

Selepas kita dilahirkan, kemudian Allah ﷻ berikan pendengaran, penglihatan dan hati sedikit demi sedikit. Dengan tiga fakulti inilah manusia dapat menangkap dan memasukkan ilmu. Allah ﷻ tidak sebut percakapan di sini kerana sekarang hendak ditekankan punca ilmu masuk. Sedangkan percakapan adalah cara ilmu disampaikan. Ilmu adalah nikmat yang terbesar bagi manusia. Saluran untuk mendapatkan ilmu itu adalah dengan tiga fakulti inilah. Maka ia amat penting sekali.

Kerana itulah walaupun ada banyak lagi anggota dan fakulti lain, Allah ﷻ hanya sebut tiga fakulti ini sahaja kerana ia berkait dengan ilmu. Ilmu amat penting terutama sekali ilmu agama. Amat malang kalau memiliki segala pancaindera sempurna untuk mendapatkan ilmu tetapi tidak digunakan pula. Di dalam A’raf: 179 Allah ﷻ kata mereka itu lebih teruk daripada binatang ternak!

وَلَقَد ذَرَأنا لِجَهَنَّمَ كَثيرًا مِّنَ الجِنِّ وَالإِنسِ ۖ لَهُم قُلوبٌ لّا يَفقَهونَ بِها وَلَهُم أَعيُنٌ لّا يُبصِرونَ بِها وَلَهُم آذانٌ لّا يَسمَعونَ بِها ۚ أُولٰئِكَ كَالأَنعٰمِ بَل هُم أَضَلُّ ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الغٰفِلونَ
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak daripada jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.

Di dalam ayat ini dan banyak ayat lain juga, Allah ﷻ sebut pendengaran dahulu sebelum disebut penglihatan kerana dengan cara pendengaranlah ilmu paling banyak masuk. Memang semasa bayi pun mata mereka tertutup maka mereka hanya terima maklumat luar melalui telinga sahaja. Kalau mata mereka terbuka pun, sebenarnya mereka tidak nampak apa-apa pun lagi kerana ia masih di dalam pembentukan lagi. Semasa itu kabur sahaja pandangan mata mereka.

Oleh itu pendengaran itu amatlah penting dalam proses pembelajaran. Kerana itulah kalau kita perasan, tidak sama orang yang pekak dengan orang yang buta. Orang buta walaupun dia pekak, namun dia masih lagi boleh menerima ilmu dengan baik (malah mungkin lebih baik daripada orang yang celik). Akan tetapi kalau orang pekak, dia akan susah bercakap (sebab dia tidak pernah dengar percakapan orang) dan tahap pemikirannya pun agak rendah kerana cara masuk ilmu amat kurang. Banyak istilah mereka tidak faham kerana akal mereka tidak sampai ke situ. Memang pengajaran kepada mereka amat mencabar.

Melalui fakulti telinga dan mata yang menerima maklumat luaran, disampaikan pula kepada hati kita untuk diproses. Kalimah الأَفئِدَةَ adalah hati yang ada perasaan dan emosi (seperti marah, suka, benci dan sebagainya). Untuk maksud hati sahaja, kalimah قَلبٌ yang digunakan. Hati akan menentukan apakah tindakan yang akan dilakukan. Kita mungkin sangka maklumat dari luar diproses di otak, tetapi Al-Qur’an memberitahu kita di sini, ia sebenarnya diproses di fu’ad. Ada juga pendapat yang mengatakan الأَفئِدَةَ itu juga adalah akal.

Kemudian ia akan disimpan di dalam hati. Hati amat penting kerana apa-apa tindakan kita banyak dipandu oleh hati. Maka kalau hati itu baik, maka baiklah kita. Kalau sebaliknya, maka musnahlah kita. Ini seperti disebut di dalam hadith yang masyhur,

Daripada Nu’man bin Basyir رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, aku mendengar Nabi ﷺ bersabda:
أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً، إِذَا صَلَحَتْ، صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ، فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ
“Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).”
(Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599))

Ada perbincangan tentang perbezaan antara qalb, fu’ad dan sadr. Ketiga-tiganya digunakan di dalam Al-Qur’an dan selalunya diterjemahkan secara pukal sebagai ‘hati’. Namun apakah ada perbezaan antara ketiga-tiga fakulti ini?


Definisi Sadr (Dada)

Dari sudut bahasa, sadr merupakan kata terbitan daripada (ص-د-ر). Kata jamaknya adalah (صدور) yang bererti sesuatu yang berada di antara leher dan perut. Ia juga bererti sesuatu yang mendahului sesuatu, seperti siang yang mendahului malam dan sampul buku yang mendahului isi buku.

Al-Hakim al-Tirmidzi رَحِمَهُ اللَّهُ meletakkan sadr sebagai martabat yang pertama kerana ia merupakan punca bagi segala perbuatan. Dari sudut fungsinya, sadr berfungsi sebagai ruang di mana hati dan nafsu bertemu, serta tempat bagi akal. Perumpamaannya, sadr adalah tempat mesyuarat bagi raja dan para pembesar dalam sebuah kerajaan. Sebagai tempat bagi akal, sadr berfungsi sebagai tempat untuk menghafal ilmu yang diperoleh melalui pelajaran dan didapati daripada kekuatan pancaindera. Contohnya, hukum-hakam, maklumat, dan semua ilmu yang disampaikan dengan lisan. Maka, sadr di sisi Al-Hakim al-Tirmidzi رَحِمَهُ اللَّهُ adalah seperti putihnya mata atau ruang bagi rumah atau tempat minyak bagi sebuah lampu, yang menampung sesuatu di dalam atau di luarnya.

Definisi Qalb (Hati)

Qalb boleh didefinisikan sebagai fu’ad dan akal yang murni (al-‘aql al-mahd). Qalb adalah kata terbitan daripada (ق-ل-ب). Dipanggil qalb kerana perubahan yang terjadi padanya. Ibn Manzur رَحِمَهُ اللَّهُ menyatakan: “qalbu al-qalbi: ay tahwil al-syai’ ‘an wajhihi”, yang bererti perubahan sesuatu pada keadaannya.

Kalimah al-qalb ditemui pada 130 tempat dalam 45 surah dan 112 ayat yang mempunyai erti dan makna yang pelbagai, sesuai dengan konteks ayatnya. Menurut al-Hakim رَحِمَهُ اللَّهُ, qalb merupakan martabat kedua setelah sadr. Qalb ibarat warna hitam bagi anak mata, atau kota Mekah yang berada dalam Tanah Haram, atau sumbu yang berada dalam lampu atau ruang tamu yang berada di sebuah rumah atau isi buah badam selepas kulit yang menutupinya.

Qalb merupakan tempat bagi ilmu kerana dengannya manusia bertadabbur dan bertafakkur. Umpama sumur, qalb merupakan sumber mata air dan sadr adalah tempat menampung mata air tersebut. Daripada mata air tersebut, air muncul yang terkumpul dalam sumur dan daripadanya ilmu tertuang di dalam sadr.

Imam al-Ghazali رَحِمَهُ اللَّهُ mendefinisikan qalb sebagai sesuatu yang halus, bersifat ketuhanan, kerohanian dan mempunyai hubungan yang erat dengan jantung. Kehalusan inilah yang mampu mencerap, mengetahui dan mengenali sesuatu perkara (Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 8/1344).

Definisi Fu’ad (Hati Kecil)

Al-Qur’an menyebutkan berkenaan fu’ad dalam beberapa bentuk. Kalimah (الفؤاد) ada dalam 3 ayat, (فؤادك) sebanyak 2 ayat, (أفئدة) boleh didapati dalam 8 ayat dan (أفئدتهم) sebanyak 3 ayat. Fu’ad adalah ibarat iris mata yang berada di dalam anak mata yang berwarna hitam pada bola mata, atau Masjid al-Haram yang berada di dalam Makkah, atau almari yang berada di rumah, atau sumbu yang terletak di tengah-tengah lampu, atau serat buah badam.

Al-Hakim رَحِمَهُ اللَّهُ menjelaskan bahawa fu’ad dan qalb memiliki makna yang sama sebagai penglihatan batin/mata hati (basirah). Pun begitu, fungsinya adalah berbeza. Fu’ad adalah tempat ru’yah batiniyyah manakala qalb merupakan tempat bagi ilmu. Apabila bergabung penglihatan (fu’ad) dan pengetahuan (qalb), maka akan tersingkaplah segala yang tertutup di mana seseorang hamba oleh meminta pertolongan-Nya dengan ilmu, musyahadah dan iman.

 

لَعَلَّكُم تَشكُرونَ

agar kamu bersyukur.

Kita pun sudah tahu perkara ini namun Allah ﷻ ingatkan kepada kita lagi supaya kita bersyukur dan beriman. Ini penting kerana kita harus beri perhatian kepada kejadian yang biasa terjadi dan ingat kembali bahawa itu semua adalah nikmat daripada Allah ﷻ. Kebanyakan kita semua dikurniakan pancaindera yang sempurna dan selalunya kita terlupa yang itu semua adalah pemberian daripada Allah ﷻ. Maka bersyukurlah dengan pemberian Allah ﷻ kepada kita dengan segala pancaindera ini untuk memasukkan ilmu kepada kita.

Ini adalah peringatan untuk kita supaya menggunakan segala yang Allah ﷻ berikan untuk mentaati-Nya. Segala apa yang kita ada itu (pendengaran, penglihatan dan hati) adalah daripada Allah ﷻ, maka gunakanlah untuk mentaati-Nya. Jangan gunakan untuk ingkar kepada-Nya pula. Memang tidak patut kalau begitu. Sebagai contoh, ibubapa kita telah melahirkan kita dan telah membesarkan kita. Adalah amat teruk kalau kita tidak taat malah menentang ibubapa kita pula.

Pendengaran dan penglihatan ini sebenarnya adalah ujian daripada Allah untuk menguji kita bagaimana kita menggunakannya. Kalau salah guna, maka diberikan dengan azab; kalau baik gunanya maka akan mendapat balasan nikmat di dalam syurga. Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam Insan: 1-5

هَل أَتىٰ عَلَى الإِنسٰنِ حينٌ مِّنَ الدَّهرِ لَم يَكُن شَيئًا مَّذكورًا
Bukankah telah datang atas manusia satu waktu dari masa, sedang dia ketika itu belum merupakan sesuatu yang dapat disebut?

إِنّا خَلَقنَا الإِنسٰنَ مِن نُّطفَةٍ أَمشاجٍ نَّبتَليهِ فَجَعَلنٰهُ سَميعًا بَصيرًا
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada setitis mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.

إِنّا هَدَينٰهُ السَّبيلَ إِمّا شاكِرًا وَإِمّا كَفورًا
Sesungguhnya Kami telah menunjukinya jalan yang lurus; ada yang bersyukur dan ada pula yang kafir.

إِنّا أَعتَدنا لِلكٰفِرينَ سَلٰسِلَ وَأَغلٰلًا وَسَعيرًا
Sesungguhnya Kami menyediakan bagi orang-orang kafir rantai, belenggu dan neraka yang menyala-nyala.

إِنَّ الأَبرارَ يَشرَبونَ مِن كَأسٍ كانَ مِزاجُها كافورًا
Sesungguhnya orang-orang yang berbuat kebajikan minum daripada gelas (berisi minuman) yang campurannya adalah air kafur,

Maksud bersyukur bukan hanya sekadar melafazkan alhamdulillah, tetapi kena taat kepada Allah ﷻ dalam segala arahan dan larangan-Nya. Tentang hal ini kita telah jelaskan di banyak tempat di dalam tafsir surah ini.


 

Nahl Ayat 79: Sekarang Allah ﷻ suruh lihat alam udara pula – dipanggil alam jawwi.

أَلَم يَرَوا إِلَى الطَّيرِ مُسَخَّراتٍ في جَوِّ السَّماءِ ما يُمسِكُهُنَّ إِلَّا اللهُ ۗ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآياتٍ لِقَومٍ يُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do they not see the birds controlled in the atmosphere of the sky? None holds them up except Allāh. Indeed in that are signs for a people who believe.

(MELAYU)

Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung yang dimudahkan terbang di angkasa bebas. Tidak ada yang menahannya selain daripada Allah. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang beriman.

 

أَلَم يَرَوا إِلَى الطَّيرِ مُسَخَّراتٍ في جَوِّ السَّماءِ

Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung yang dikawal yang terbang di udara. 

Dalam ayat sebelum ini telah disebut penglihatan – sekarang Allah ﷻ suruh kita gunakan penglihatan itu untuk lihat alam. Mereka yang tidak beriman ini tidak nampakkah angkasa langit itu? Allah ﷻ suruh menggunakan penglihatan sedangkan pendengaran tidak disebut dalam ayat ini kerana sepatutnya kita sudah dengar Al-Qur’an ini. Namun kalau Al-Qur’an ini pun kamu tidak mahu dengar, maka sekurang-sekurangnya gunakanlah penglihatan yang Allah ﷻ telah beri itu untuk melihat alam ini.

Allah ﷻ suruh kita lihat kepada burung-burung yang ditundukkan (di bawah kawalan) yang terbang di langit. Kalimah جَوِّ bermaksud giat, kerana angin yang giat bergerak di langit atas kita. Bukankah kita selalu lihat burung-burung berterbangan di langit? Ada yang terbang bersendirian dan ada yang terbang berkumpulan. Hari-hari kita lihat, bukan?

Apakah kelebihan burung sampai disebut di dalam Al-Qur’an? Kalau Allah ﷻ suruh lihat, maka dengan melihat burung itu menjadi ibadah sebenarnya. Bukanlah lihat kosong begitu sahaja, tetapi lihat dan memikirkan kehebatan Allah ﷻ. Maka apakah kelebihan burung? Kenapa tidak disebut ayam atau kambing?

Kalau ayam atau kambing, itu biasa sahaja kerana mereka hidupnya di tanah. Namun burung terbang di udara dengan bebas. Tidak banyak binatang boleh terbang. Kalau terbang seperti layang-layang dan wau itu tidaklah hebat sebab ada tali. Namun burung itu terbang sendiri ke sana ke mari. Sampaikan kita kadangkala terfikir: “Alangkah baiknya kalau aku jadi burung, boleh terbang dengan ceria?”

Hebatnya kejadian burung ini, contoh tawakal pun Rasulullah ﷺ gunakan burung. Baginda suruh kita tiru tawakal burung seperti disebut di dalam hadith,

عن عمر بن الخطاب قال
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم لو أنكم كنتم توكلون على الله حق توكله لرزقتم كما يرزق الطير تغدو خماصا وتروح بطانا
Daripada Umar bin Al Khathab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, Rasulullah ﷺ bersabda, “Andai saja kalian bertawakal kepada Allah dengan sebenarnya, nescaya kalian diberi rezeki seperti rezekinya burung, pergi dengan perut kosong di pagi hari dan pulang di petang hari dengan perut terisi penuh.”
(Sunan Tirmidzi (2266))
Dinilai Sahih oleh Albani

Burung juga disebut sebagai tentera Allah ﷻ iaitu yang menghancurkan tentera Abrahah. Maknanya burung telah pernah menyelamatkan Ka’bah dan kisah mereka ini disebut di dalam Surah Al-Fil:

وَأَرْسَلَ عَلَيْهِمْ طَيْرًا أَبَابِيلَ
dan Dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong,

Apabila Allah ﷻ beri contoh nikmat dalam syurga, Allah ﷻ beri contoh daging burung seperti disebut dalam Waqiah: 21

وَلَحمِ طَيرٍ مِّمّا يَشتَهونَ
Serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini.

Maknanya, memang ada keistimewaan pada spesis burung ini, maka kerana itulah Allah ﷻ suruh kita lihat burung yang terbang di udara.

 

 

ما يُمسِكُهُنَّ إِلَّا اللهُ

Tidak ada yang menahannya selain daripada Allah.

Kita nampak mereka terbang dengan hebat dan senang sahaja. Kalimah مُسَخَّراتٍ boleh juga diterjemahkan sebagai ‘dipermudahkan’. Di sini Allah ﷻ memberitahu kita bahawa tiada yang memegangnya di langit kecuali Allah ﷻ. Tiada yang membolehkan burung-burung itu terbang melainkan Allah ﷻ sahaja. Kalau Allah ﷻ tidak pegang dan tahan mereka di udara, maka burung-burung itu akan jatuh ke tanah juga.

Kita sangka burung terbang kerana sayapnya, bentuk badannya yang ‘aerodynamic’, angin yang meniup dan memegangnya di udara (dipanggil ‘drag’ dalam istilah sains), tetapi sebenarnya Allah ﷻ yang izinkan burung itu supaya boleh terbang dan bertahan di udara.

Allah izinkan burung terbang dan bertahan di udara

 

Hal ini diungkapkan oleh Allah ﷻ melalui firman-Nya:

أَوَلَمْ يَرَوْا إِلَى الطَّيْرِ فَوْقَهُمْ صَافَّاتٍ وَيَقْبِضْنَ مَا يُمْسِكُهُنَّ إِلا الرَّحْمَنُ إِنَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ بَصِيرٌ
Dan apakah mereka tidak memperhatikan burung-burung yang mengembangkan dan mengatupkan sayapnya di atas mereka? Tidak ada yang menahannya (di udara) selain Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Dia Maha melihat segala sesuatu.
(Al-Mulk: 19)

Maka kalau ditanya kepada kita bagaimana burung boleh terbang, apakah jawapan kita? Kalau kita jawab sebab burung ada sayap, itu adalah salah dan bukan jawapan daripada Allah ﷻ. Kerana Allah ﷻ telah beritahu kita di dalam ayat-ayat ini yang burung boleh terbang di udara kerana Dia yang menahan mereka.

 

إِنَّ في ذٰلِكَ لَآياتٍ لِقَومٍ يُؤمِنونَ

Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang beriman.

Dalam satu perkara seperti burung berterbangan di udara itu sendiri sahaja ada banyak pengajaran yang kita boleh dapat. Kerana angin itu kuat meniup dan ke sana sini, tentunya susah kalau kita fikirkan untuk terbang, tetapi Allah ﷻ yang tahan burung itu supaya boleh kekal berada di angkasa.

Dalam keadaan susah itu, Allah ﷻ masih tetap boleh menjadikan burung boleh terbang yang nampaknya mudah sahaja bagi burung itu. Ini memberi isyarat kepada kita, bila kita susah, kita boleh naik lagi tinggi. Jangan takut dengan masalah yang menimpa kita. Mungkin kita nampak macam ia boleh menjatuhkan kita, tetapi kalau kita tawakal kepada Allah ﷻ, berusaha dan berdoa, Allah ﷻ boleh bantu kita.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 21 Januari 2024

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solahudin

Tafsir Surah an-Nahl Ayat 75 – 77 (Analogi dengan Hamba sahaya)

Nahl Ayat 75: Allah ﷻ buat perbandingan sekali lagi untuk memberikan penjelasan tentang Tauhid dan Syirik kepada kita. Allah ﷻ terus buat perumpamaan selepas cakap tentang perumpamaan dalam ayat sebelum ini. Dalam ayat sebelum ini Allah ﷻ larang kita reka bandingan untuk-Nya, sekarang Allah ﷻ sendiri beri perbandingan. Maka gunakanlah bandingan yang Allah ﷻ sendiri beri ini.

۞ ضَرَبَ اللهُ مَثَلًا عَبدًا مَّملوكًا لّا يَقدِرُ عَلىٰ شَيءٍ وَمَن رَّزَقنٰهُ مِنّا رِزقًا حَسَنًا فَهُوَ يُنفِقُ مِنهُ سِرًّا وَجَهرًا ۖ هَل يَستَوونَ ۚ الحَمدُ ِللهِ ۚ بَل أَكثَرُهُم لا يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh presents an example: a slave [who is] owned and unable to do a thing and he to whom We have provided from Us good provision, so he spends from it secretly and publicly. Can they be equal? Praise to Allāh! But most of them do not know.

(MELAYU)

Allah membuat perumpamaan dengan seorang hamba sahaya yang dimiliki yang tidak dapat bertindak terhadap sesuatu pun dan seorang yang Kami beri rezeki yang baik dari Kami, lalu dia menafkahkan sebahagian dari rezeki itu secara sembunyi dan secara terang-terangan, adakah mereka itu sama? Segala puji hanya bagi Allah, tetapi kebanyakan mereka tiada mengetahui.

 

ضَرَبَ اللهُ مَثَلًا عَبدًا مَّملوكًا لّا يَقدِرُ عَلىٰ شَيءٍ

Allah membuat perumpamaan seorang hamba sahaya yang dimiliki yang tidak dapat mampu terhadap sesuatu pun

Sekarang Allah ﷻ suruh kita lihat seorang hamba yang dimiliki. Memang kalau seseorang itu dinamakan hamba, tentulah dia tidak memiliki apa-apa, sedangkan dirinya sendiri dimiliki, bukan? Seorang hamba memang tidak boleh buat apa-apa pun tanpa kebenaran daripada tuannya. Sepanjang masa dia kena ikut arahan tuannya.

Kenapa Allah ﷻ gunakan kalimah ضَرَبَ yang bermaksud ‘pukul’ untuk perumpamaan? Kerana Dia hendak menekankan bahawa perumpamaan yang hendak diberikan ini adalah penting, maka kena beri perhatian. Ini seolah-olah kita menekankan sesuatu perkara sampaikan kita bercakap sambil menepuk meja.

.

 

وَمَن رَّزَقنٰهُ مِنّا رِزقًا حَسَنًا

dan seorang yang Kami beri rezeki yang baik dari Kami,

Allah ﷻ suruh bandingkan hamba tadi dengan seorang yang Allah ﷻ telah berikan rezeki yang baik. Maknanya dia adalah seorang yang kaya raya.

Allah ﷻ tekankan di sini bahawa rezeki itu daripada-Nya. Memang manusia berusaha untuk mendapatkan harta, akan tetapi yang buat keputusan untuk beri adalah Allah ﷻ. Rezeki yang Allah ﷻ berikan kepada lelaki itu adalah baik dan banyak.

 

 

فَهُوَ يُنفِقُ مِنهُ سِرًّا وَجَهرًا

lalu dia menafkahkan sebahagian daripada rezeki itu secara sembunyi dan secara terang-terangan, 

Dengan rezeki yang Allah ﷻ berikan kepadanya itu, dia infaqkan harta itu dengan cara rahsia dan terbuka. Maknanya dia seorang yang baik kerana dia infaq kerana Allah ﷻ. Kerana itu dia infaq secara rahsia kerana dia tidak mahu orang lain tahu. Ini kerana dia ikhlas untuk infaq harta itu.

Di dalam ayat ini Allah ﷻ sebut infaq secara sembunyi dahulu sebelum disebut infaq secara terang-terangan. Ini adalah kerana infaq secara sembunyi itu lebih baik lagi seperti yang Allah ﷻ jelaskan di dalam Baqarah: 271

إِن تُبدُوا الصَّدَقٰتِ فَنِعِمّا هِيَ ۖ وَإِن تُخفوها وَتُؤتوهَا الفُقَراءَ فَهُوَ خَيرٌ لَّكُم
Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu;

Dengan infaq secara sembunyi, maka kita akan dapat menjaga hati kita daripada riak. Kerana takut kalau orang tahu kita infaq nanti akan terselit rasa bangga pula di hati kita. Memang susah untuk dijaga hati ini, maka sebaiknya kita cuba elak. Tidak perlu post di medsos tentang aktiviti anda walaupun anda rasa tidak mengapa, aku ikhlas, aku tidak riak. Kerana kita tidak dapat pastikan yang kita dapat menjaga hati kita. Kerana kalau ada riak, maka sia-sialah pahala infaq itu.

Kerana itulah Allah ﷻ berjanji untuk memberi perlindungan di Mahsyar bagi golongan yang sedekah secara sembunyi seperti disebut di dalam satu hadith,

عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهُ فِيْ ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ: اَلْإِمَامُ الْعَادِلُ، وَشَابٌّ نَشَأَ بِعِبَادَةِ اللهِ ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْـمَسَاجِدِ ، وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللهِ اِجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ ، وَرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ ، فَقَالَ : إِنِّيْ أَخَافُ اللهَ ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِيْنُهُ ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللهُ عَنْهُ, daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda, “Tujuh golongan yang dinaungi Allah dalam naungan-Nya pada hari di mana tidak ada naungan kecuali naungan-Nya: (1) Imam (pemimpin) yang adil, (2) pemuda yang menyibukkan dirinya dengan ibadah kepada Allah, (3) seorang yang hatinya selalu terikat ke masjid, (4) dua orang yang saling mencintai di jalan Allah, keduanya berkumpul kerana-Nya dan berpisah kerana-Nya, (5) seorang laki-laki yang diajak berzina oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan lagi cantik, lalu dia berkata, ‘Sesungguhnya aku takut kepada Allah.’ Dan (6) seseorang yang bersedekah dengan satu sedekah lalu dia menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang diinfaqkan tangan kanannya, serta (7) seseorang yang berzikir kepada Allah dalam keadaan sepi lalu dia menitiskan air matanya.”
(Bukhari (no. 660, 1423, 6479, 6806), Muslim (no. 1031 (91))

Kalau infaq secara terang-terangan pun tidaklah salah kerana ia juga ada kelebihan. Kerana kadangkala bila kita infaq, orang lain pun terkesan juga dan mereka juga turut infaq. Dan kita pun akan dapat pahala dari perbuatan mereka itu. Rasulullah ﷺ bersabda,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلَالَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنْ الْإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللهُ عَنْهُ] bahawasanya Rasulullah ﷺ telah bersabda: “Barang siapa mengajak kepada kebaikan, maka dia akan mendapat pahala sebanyak pahala yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikit pun. Sebaliknya, barang siapa mengajak kepada kesesatan, maka dia akan mendapat dosa sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikit pun.”
(Sahih Muslim (4831))

 

 

Selain itu saya ingin berkongsi sebuah lagi hadith yang selalu disalahtafsir oleh golongan pengamal bid’ah. Mereka kata tidak salah kalau memulakan sesuatu yang ‘baik’ (mereka sahaja anggap ia baik). Mereka selalu potong hadith ini tetapi sekarang saya akan berikan hadith yang penuh.

عَنْ جَرِيرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ جَاءَ نَاسٌ مِنْ الْأَعْرَابِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَيْهِمْ الصُّوفُ فَرَأَى سُوءَ حَالِهِمْ قَدْ أَصَابَتْهُمْ حَاجَةٌ فَحَثَّ النَّاسَ عَلَى الصَّدَقَةِ فَأَبْطَئُوا عَنْهُ حَتَّى رُئِيَ ذَلِكَ فِي وَجْهِهِ قَالَ ثُمَّ إِنَّ رَجُلًا مِنْ الْأَنْصَارِ جَاءَ بِصُرَّةٍ مِنْ وَرِقٍ ثُمَّ جَاءَ آخَرُ ثُمَّ تَتَابَعُوا حَتَّى عُرِفَ السُّرُورُ فِي وَجْهِهِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ
Daripada [Jarir bin ‘Abdullah رَضِيَ اللهُ عَنْهُ] dia berkata; “Pada suatu ketika, beberapa orang Arab Badwi datang menemui Rasulullah ﷺ dengan mengenakan pakaian daripada bulu biri-biri (wool). Lalu Rasulullah ﷺ memperhatikan keadaan mereka yang menyedihkan. Nampak mereka sangat memerlukan pertolongan. Maka Rasulullah ﷺ menganjurkan para sahabat untuk memberikan sedekah kepada mereka. Tetapi sayangnya, para sahabat lambat untuk melaksanakan anjuran Rasulullah ﷺ itu, hingga kekecewaan terlihat pada wajah baginda.” Jarir رَضِيَ اللهُ عَنْهُ berkata; ‘Tidak lama kemudian seorang sahabat daripada puak Ansar datang memberikan bantuan sesuatu yang dibungkus dengan daun dan kemudian diikuti oleh beberapa orang sahabat lainnya. Setelah itu, datanglah beberapa orang sahabat yang turut serta menyumbangkan sedekah (untuk diserahkan kepada orang-orang Arab Badwi tersebut) hingga nampaklah keceriaan pada wajah Rasulullah ﷺ.’ Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Barang siapa dapat memberikan contoh tauladan yang baik dalam Islam, lalu contoh tauladan tersebut diikuti oleh orang-orang sesudahnya, maka akan dicatat untuknya pahala sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi sedikit pun pahala yang mereka peroleh. Sebaliknya, barang siapa memberikan suri tauladan yang buruk dalam Islam, lalu suri tauladan tersebut diikuti oleh orang-orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya dosa sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa yang mereka peroleh sedikit pun.’
(Sahih Muslim (4830))

Nota: Mengetahui hadith ini secara lengkap penting kerana geng bid’ah hasanah selalunya hanya menyebut potongan ini sahaja: مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ (Barang siapa dapat memberikan contoh tauladan yang baik dalam Islam, lalu contoh tauladan tersebut diikuti oleh orang-orang sesudahnya, maka akan dicatat untuknya pahala sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi sedikit pun pahala yang mereka peroleh). Maka mereka dengan jahilnya mengatakan: tidak mengapa buat amalan baru sebab sahabat ada buat, dapat pahala pula!

 

هَل يَستَوونَ

adakah mereka itu sama?

Allah ﷻ tanya: adakah mereka sama? Tentulah tidak sama – yang satu memberi manfaat kepada orang dan satu lagi tidak. Di dalam ayat ini hendak membandingkan antara Allah ﷻ dan sembahan-sembahan (ma’bud bathil) selain Allah ﷻ. Allah ﷻ memberikan rezeki kepada makhluk tetapi sembahan-sembahan yang lain itu tidak dapat berbuat begitu. Tentulah tidak sama, bukan? Kalau hendak sembah tuhan, mestilah yang boleh bantu kita, bukan? Maka Allah ﷻ suruh pembaca Al-Qur’an berfikir terutama sekali yang menyembah selain-Nya.

Di sini juga Allah ﷻ suruh kita bandingkan diri kita dengan makhluk lain seperti binatang yang tidak ada duit untuk infaq kepada orang. Maka kita ada kelebihan berbanding binatang kerana kita yang ada peluang untuk infaq. Maka jangan kita lepaskan peluang untuk infaq kepada yang memerlukan.

Allah ﷻ juga bandingkan antara hamba yang kafir dan hamba yang mukmin. Hamba yang kafir tidak menafkahkan rezeki mereka sedangkan orang mukmin akan menafkahkan rezekinya. Walaupun orang kafir itu mungkin bukan seorang hamba, tetapi kerana dia tidak nampak kepentingan infaq, tidak percaya dengan janji Allah ﷻ, dia tidak infaq dan sedekah pun. Maka dia seolah-olah sama sahaja seperti seorang hamba!

 

الحَمدُ ِللهِ

Segala puji hanya bagi Allah,

Kerana kelebihan yang Allah ﷻ berikan kepada kita itu, kita haruslah menyebut alhamdulillah. Kerana ada yang Allah ﷻ jadikan sebagai hamba dan ada yang dijadikan sebagai tuan. Maka kalau kita dijadikan sebagai tuan yang diberikan dengan rezeki dan kita boleh gunakan rezeki itu untuk infaq, maka itu adalah kelebihan yang Allah ﷻ berikan kepada kita.

Kalimah الحَمدُ ِللهِ adalah Kalimah Tauhid. Golongan Musyrikin Mekah juga adalah memuji berhala-berhala mereka dan sembahan mereka yang lain. Kalimah الحَمدُ dengan tambahan ال adalah pujian yang khusus yang diberikan kepada ilah. Maka ia hanya layak diberikan kepada Allah ﷻ sahaja. Ini penting dan kerana itulah setiap hari kita diingatkan dengan kalimat ini di dalam ayat Surah Fatihah ٱلحَمدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلعَـٰلَمِينَ (Segala puji yang khusus hanya untuk Allah, Tuhan sekelian alam).

Dalam konteks kita, tidaklah kita sembah berhala pula, bukan? Akan tetapi bagaimana dengan ketaatan kita? Adakah kita benar-benar taat kepada arahan Allah ﷻ? Cuba fikirkan. Bukankah kita lebih taat kepada pemimpin kita, bos kita, suami kita atau isteri kita? Kalau bab masuk kerja, kita jaga betul-betul masa masuk, tetapi bab solat kita tidak jaga; kalau tutup aurat pula ramai yang tidak tutup aurat. Bila kerajaan wajibkan menutup hidung dan mulut ketika Covid melanda, kita taat sungguh.

 

بَل أَكثَرُهُم لا يَعلَمونَ

tetapi kebanyakan mereka tiada mengetahui.

Akan tetapi Allah ﷻ merungut kerana kebanyakan manusia tidak tahu tentang perkara ini. Ramai yang menyembah selain Allah ﷻ kerana tidak kenal Allah ﷻ. Ramai yang telah ditipu oleh syaitan dan kerana mereka jauh daripada ilmu wahyu, mereka senang ditipu oleh syaitan. Mereka sembah dan memohon doa kepada berhala yang tidak berkuasa apa-apa itu, tidak memiliki apa-apa, buta, pekak, bisu, lumpuh, hanyalah kayu, tembaga, batu dan pasir. Yang lemah sebegitu yang mereka jadikan tempat meminta tolong, lalu mereka lupakan Allah ﷻ yang bebas memberi apa yang Dia sukai, sebab Dia yang memiliki dan menguasai semua di dalam alam ini.

Dalam hal infaq juga Allah ﷻ merungut akan mereka dapat rezeki tetapi tidak gunakan kelebihan itu untuk infaq kepada orang lain. Mereka tidak tahu kelebihan infaq itu yang amat banyak. Ramai yang nampak duit mereka berkurang bila sedekah, tetapi mereka tidak tahu betapa banyaknya ganjaran yang Allah ﷻ berikan.


 

Nahl Ayat 76: Sekarang diberikan misal yang kedua. Ia adalah perumpamaan antara orang yang melakukan syirik dan orang lain yang mengamalkan tauhid.

وَضَرَبَ اللهُ مَثَلًا رَّجُلَينِ أَحَدُهُما أَبكَمُ لا يَقدِرُ عَلىٰ شَيءٍ وَهُوَ كَلٌّ عَلىٰ مَولٰهُ أَينَما يُوَجِّههُ لا يَأتِ بِخَيرٍ ۖ هَل يَستَوي هُوَ وَمَن يَأمُرُ بِالعَدلِ ۙ وَهُوَ عَلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Allāh presents an example of two men, one of them dumb and unable to do a thing, while he is a burden to his guardian. Wherever he directs him, he brings no good. Is he equal to one who commands justice, while he is on a straight path?

(MELAYU)

Dan Allah membuat (pula) perumpamaan: dua orang lelaki yang seorang bisu, tidak dapat berbuat sesuatu pun dan dia menjadi beban atas penanggungnya, ke mana saja dia disuruh oleh penanggungnya itu, dia tidak dapat mendatangkan suatu kebajikan pun. Samakah orang itu dengan orang yang menyuruh berbuat keadilan, dan dia berada pula di atas jalan yang lurus?

 

وَضَرَبَ اللهُ مَثَلًا

Dan Allah membuat perumpamaan: 

Allah ﷻ buat lagi satu perumpamaan. Allah ﷻ banyak mengajar dengan cara menggunakan perumpamaan dengan perumpamaan, kita senang faham. Memang begitulah salah satu cara Allah ﷻ mengajar kita. Kerana kita manusia memang senang faham kalau diberikan dengan contoh. Maknanya Allah ﷻ hendak kita faham Al-Qur’an ini. Namun kenapalah ada pihak yang mengatakan kita orang biasa tidak boleh memahami tafsir Al-Qur’an ini?

 

رَّجُلَينِ أَحَدُهُما أَبكَمُ لا يَقدِرُ عَلىٰ شَيءٍ

dua orang lelaki yang seorang bisu, tidak dapat berbuat sesuatu pun

Sekarang bayangkan dua orang hamba lelaki pula. Salah seorang daripada mereka itu tidak boleh bercakap kerana bisu. Dia tidak berupaya buat apa-apa pun kerana dia seorang yang cacat. Dia bisu itu pun mungkin kerana dia pun tidak boleh mendengar (pekak). Oleh kerana tidak pernah dengar percakapan, maka dia pun tidak boleh bercakap.

 

وَهُوَ كَلٌّ عَلىٰ مَولٰهُ

dan dia menjadi beban atas tuannya,

Oleh kerana dia bisu dan tidak boleh buat apa-apa dengan tenaganya sendiri, dia menjadi beban kepada tuannya. Kalimah كَلٌّ daripada katadasar ك ل ل yang selalunya bermaksud ‘semuanya’. Maknanya dia bergantung sepenuhnya kepada tuannya.

Oleh itu hamba sahaja jenis ini tentulah tidak boleh menolong tuannya seperti hamba yang biasa, sebagai contoh tidak boleh tolong berniaga, mengemas rumah dan sebagainya. Kerana kita hendak beri arahan kepadanya pun dia tidak dengar. Maka payah pula untuk berurusan kerja dengannya dan malah tuannya itu pula yang kena menjaga dia sebabkan dia hendak jaga dirinya sendiri pun tidak mampu. Bayangkan, budak hamba itu pula yang menjadi beban kepada tuannya.

 

أَينَما يُوَجِّههُ لا يَأتِ بِخَيرٍ

ke mana sahaja dia dihadapkan (oleh tuannya), dia tidak dapat mendatangkan suatu kebajikan pun.

Dia tidak dapat membantu kerana ke mana sahaja tuannya suruh dia buat, dia tidak boleh buat. Maka dia adalah seorang hamba yang tidak membantu sedikit pun. Dia tidak dapat membuahkan hasil dan tidak dapat menunaikan hajat tuannya. Ini adalah kerana dia cacat. Tuannya pula yang kena jaga dia.

 

هَل يَستَوي هُوَ وَمَن يَأمُرُ بِالعَدلِ

Samakah orang itu dengan orang yang menyuruh dengan adil, 

Sekarang Allah ﷻ suruh bandingkan dengan yang seorang lagi. Adakah mereka sama? Namun bandingkan dengan siapa? Tentulah kita kena bandingkan dengan seorang hamba yang boleh bekerja dan membantu tuannya. Begitulah kalau ikut logik: tadi cerita tentang lelaki bisu yang tidak boleh kerja, bukan? Maka kalau hendak bandingkan, sepatutnya lelaki yang boleh bercakap dan boleh buat kerja sepatutnya.

Akan tetapi dalam ayat ini, Allah ﷻ suruh kita bandingkan dengan seorang yang menyuruh kepada keadilan. Kenapa pula begitu?

Perumpamaan ini sebenarnya Allah ﷻ samakan dengan keadaan Musyrikin Quraisy. Mereka yang tidak beriman itu sebenarnya tahu bahawa apa yang Nabi Muhammad ﷺ bawa dan sampaikan itu adalah benar dan mereka setuju. Akan tetapi mereka tidak berani mahu kata setuju dan menyokong Nabi ﷺ kerana kalau mereka cakap begitu, mereka akan susah, tidak boleh ikut nafsu mereka lagi.

Maka mereka terus أَبكَمُ (membisukan diri). Kerana itu, perumpamaan yang satu lagi adalah orang yang mengajak kepada keadilan, merujuk kepada sahabat yang beriman dan sanggup menyatakan keimanan mereka serta sanggup berdakwah kepada orang lain.

Oleh itu, dalam ayat ini, Allah ﷻ sebenarnya menegur Quraisy yang tidak beriman. Juga termasuklah mereka yang sama seperti mereka – tahu kebenaran tetapi tidak berani mahu menyatakan kebenaran dan menyokong kebenaran. Ini termasuklah orang kita yang sudah belajar agama, sudah belajar tafsir Al-Qur’an tetapi takut untuk sampaikan kebenaran kepada manusia lain kerana takut dituduh Wahabi, contohnya.

Allah ﷻ mahu katakan bahawa mereka itu seperti beban sahaja atas bumi ini – tidak ada guna dan menyusahkan sahaja.

Ada satu lagi tafsir bagi perumpamaan ini. Iaitu Allah ﷻ buat perumpamaan bagi berhala yang golongan Musyrik sembah itu, yang tidak dapat berbuat sesuatu apa pun malahan berhala-berhala itulah yang memberati kepada tuannya kerana yang empunya itulah yang kena angkat dan mengangkutnya dari satu tempat ke tempat lain. Maka terkata Tuhan; “Samakah berhala yang memberati ini dengan yang memerintahkan berbuat adil?” Pertanyaan yang mengandung herdikan sekali, yang menjelaskan bahawa Tuhan bersabda. “Tidaklah sama di antara berhala dengan berhala yang Pencipta alam”.

Kalau kita hendak sembah ilah pun, mestilah ada pulangannya, bukan? Yang boleh bantu, beri rezeki dan sebagainya. Kalau sikit habuk pun tifak boleh bantu kita, menyusahkan kita pula, memang buang masa sahaja.

 

وَهُوَ عَلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ

dan dia berada pula di atas jalan yang lurus

Allah ﷻ memuji pula orang yang mengajak kepada keadilan itu kerana orang itu berada di atas jalan yang lurus. Allah ﷻ umpamakan manusia yang syirik seperti orang cacat dan orang yang menerima tauhid seperti orang yang mahir dan berguna.

Sekarang jikalau yang dimaksudkan perumpamaan itu adalah antara berhala dan Allah ﷻ. Adalah Allah ﷻ itu berada di atas jalan yang lurus, tidak berkata melainkan yang benar, tidak menyuruh melainkan yang adil dan tidak Dia berbuat melainkan apa yang baik dan mempunyai rahmat, hikmah dan adil. Dia selalu di atas kebenaran dalam kata-kata-Nya dan perbuatan-Nya dan Dia tidak pernah Dia melakukan kezaliman kepada hamba-Nya dan tidak Dia menghukum jikalau hamba-Nya tidak melakukan kesalahan. Dia tidak mengurangi kurniaan-Nya sedikit pun. Malah tidak pula ditanggungkan ke atas diri seorang hamba-Nya satu kesalahan yang diperbuat oleh hamba-Nya yang lain. Dia tidak berbuat satu perbuatan yang tidak terpuji kerana segala sesuatu yang Dia buat mempunyai hikmah.

Maka begitulah perumpamaan-perumpamaan yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita. Kena ada usaha untuk memahaminya. Sebahagian ulama Salaf mengatakan, “Apabila aku membaca suatu masal (perumpamaan) dari Al-Qur’an, lalu aku tidak memahaminya, maka aku menangisi diriku sendiri, kerana Allah ﷻ telah berfirman: ‘dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.’ (Al-Ankabut: 43).”

وَتِلكَ الأَمثٰلُ نَضرِبُها لِلنّاسِ ۖ وَما يَعقِلُها إِلَّا العٰلِمونَ
Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia; dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.

Malangnya orang kita rata-ratanya tidak kisah pun. Jangankan perumpamaan, ayat-ayat yang muhkam tanpa perumpamaan pun mereka tidak faham. Ramai yang baca sahaja tanpa faham sebutir habuk pun apa yang ada dalam Al-Qur’an itu. Lalu bagaimana hendak mengambil hidayah daripadanya?

Sekian Ruku’ 10 daripada 16 ruku’ surah ini.


 

Nahl Ayat 77: Sebelum ini telah disebut dengan banyak dalil aqli. Dan telah diberikan dua misalan untuk pemahaman kita. Sekarang disebutkan natijah dan khulasah (rumusan) daripada dalil-dalil aqli dan misalan itu. Ayat ini juga mengandungi takhwif ukhrawi.

وَِللهِ غَيبُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۚ وَما أَمرُ السّاعَةِ إِلّا كَلَمحِ البَصَرِ أَو هُوَ أَقرَبُ ۚ إِنَّ اللهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to Allāh belongs the unseen [aspects] of the heavens and the earth. And the command for the Hour is not but as a glance of the eye or even nearer. Indeed, Allāh is over all things competent.

(MELAYU)

Dan kepunyaan Allah-lah segala apa yang tersembunyi di langit dan di bumi. Tidak adalah kejadian kiamat itu, melainkan seperti sekejap mata atau lebih cepat (lagi). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

 

وَلِلهِ غَيبُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Dan kepunyaan Allah-lah segala apa yang tersembunyi di langit dan di bumi.

Ketahuilah kita bahawa Allah ﷻ sahaja yang memiliki ilmu tentang perkara ghaib di langit dan di bumi. Tidak ada makhluk lain yang tahu, baik para Rasul atau para malaikat. Melainkan yang diberitahu kepada mereka sahaja.

Apabila kalimah لِلهِ ditaqdimkan (diawalkan), ia membawa maksud eksklusif. Iaitu hanya Allah ﷻ sahaja yang memiliki ilmu ghaib itu. Tidak ada diberikan kepada sesiapa langsung. Maka kalau kita ada kata tok guru, ustaz atau sesiapa sahaja tahu ilmu ghaib, maka itu adalah perbuatan syirik. Kerana telah memberikan sifat Allah ﷻ kepada makhluk.

Perkara ghaib boleh dibahagikan kepada dua: ghaib nisbi dan ghaib mutlak. Ghaib nisbi adalah perkara ghaib bagi seseorang, tetapi tidak bagi seseorang. Contohnya perkara yang terjadi di Jepun sekarang adalah ghaib bagi kita, tetapi tidak bagi orang yang berada di sana. Ghaib mutlak pula adalah seperti jin, malaikat, syurga, neraka, Allah ﷻ yang memang kita tidak nampak dan tidak tahu melainkan yang diberitahu kepada kita.

 

وَما أَمرُ السّاعَةِ إِلّا كَلَمحِ البَصَرِ

Tidak adalah urusan kiamat itu, melainkan seperti sekelip mata

Termasuk perkara yang paling rahsia adalah bilakah akan terjadinya Hari Kiamat itu. Tidak ada sesiapa yang tahu melainkan Allah ﷻ sahaja.

Ayat ini adalah takhwif ukhrawi. Hari Kiamat itu akan terjadi dalam sekelip mata sahaja. Bila dikatakan ‘sekelip mata’ ia hanya secara majazi (kiasan) sahaja, bukan secara hakikat. Maknanya ia akan akan datang sekaligus dan semua akan terjadi dengan segera. Tidak ada tanda yang beritahu manusia sebelum ia akan terjadi. Bila terjadi sahaja, ia berlaku dalam sekelip mata sahaja. Mudah sahaja bagi Allah ﷻ untuk melakukannya seolah-olah seperti sekelip mata sahaja. Kerana Allah ﷻ tidak perlu buat persediaan yang susah-susah macam kita apabila kita hendak melakukan perkara yang besar-besar.

 

أَو هُوَ أَقرَبُ

atau lebih cepat (lagi).

Kiamat itu akan terjadi dalam sekelip mata atau lebih cepat lagi. Tidak tahu bagaimana lagi cepat melebihi sekelip mata lagi (kerana sekelip mata pun sudah cepat). Allahu Akbar, sangat menakutkan! Begitulah kuasa Allah ﷻ yang tidak ada hadnya.

 

إِنَّ اللهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Allah ﷻ boleh sahaja buat semua Hari Kiamat yang besar itu dalam sekelip mata atau lebih cepat lagi, kerana Qudrat Allah ﷻ itu Maha Luas. Allah ﷻ boleh lakukan apa sahaja yang Dia kehendaki. Kemudian setelah Dia matikan semua sekali, untuk bangkitkan semua makhluk yang telah mati itu pun mudah sahaja bagi Allah ﷻ. Lihat firman Allah ﷻ di dalam Luqman: 28

مّا خَلقُكُم وَلا بَعثُكُم إِلّا كَنَفسٍ وٰحِدَةٍ
Tidaklah Allah menciptakan dan membangkitkan kamu (dari dalam kubur) itu melainkan hanyalah seperti (menciptakan dan membangkitkan) satu jiwa saja.

Satu lagi kekuasaan Allah ﷻ, Allah ﷻ boleh buat bila-bila sahaja Kiamat itu. Walaupun ada disebut tanda-tanda Kiamat, tetapi seandainya Allah ﷻ hendak buat sebentar lagi pun, terpulang kepada Allah ﷻ. Buktinya, apabila ada angin kuat bertiup, Rasulullah ﷺ pun menjadi takut.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 19 Januari 2024

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin

Tafsir Surah an-Nahl Ayat 72 – 74 (Menghargai keluarga)

Nahl Ayat 72: Dalil aqli lagi. Allah ﷻ terus kenangkan jasa Dia kepada kita.

وَاللهُ جَعَلَ لَكُم مِّن أَنفُسِكُم أَزوٰجًا وَجَعَلَ لَكُم مِّن أَزوٰجِكُم بَنينَ وَحَفَدَةً وَرَزَقَكُم مِّنَ الطَّيِّبٰتِ ۚ أَفَبِالبٰطِلِ يُؤمِنونَ وَبِنِعمَتِ اللهِ هُم يَكفُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Allāh has made for you from yourselves mates and has made for you from your mates sons and grandchildren and has provided for you from the good things. Then in falsehood do they believe and in the favor of Allāh they disbelieve?

(MELAYU)

Allah menjadikan bagi kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri dan menjadikan bagimu dari isteri-isteri kamu itu, anak-anak dan cucu-cucu, dan memberimu rezeki dari yang baik-baik. Maka mengapakah mereka beriman kepada yang bathil dan mengingkari nikmat Allah?”

 

وَاللهُ جَعَلَ لَكُم مِّن أَنفُسِكُم أَزوٰجًا

Allah menjadikan bagi kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri

Setelah Allah ﷻ jadikan kita, Allah ﷻ tidak biarkan kita keseorangan. Kerana kalau duduk berseorangan, tentu kita sunyi. Ramai dalam kalangan kita yang ada pasangan hidup – suami atau isteri.

Allah ﷻ jadikan pasangan daripada jenis kita juga, iaitu jenis manusia juga. Ini pun adalah satu nikmat juga, bukan? Bayangkan kalau pasangan hidup kita jenis harimau? Tidakkah susah hidup kita? Bagaimana pula kalau dalam kalangan jin? Ini pun susah kerana kita tidak boleh nampak jin. Maka bersyukurlah Allah ﷻ tetapkan pasangan hidup kita dalam kalangan manusia juga.

Ini menjawab persoalan orang yang tanya: Bolehkah kita berkahwin dengan jin? Tentu tidak, kerana jin bangsa lain dan kita bangsa lain. Tidak akan sama dan tidak ada selera kita dengan bangsa jin sama seperti kita tidak ada selera dengan lembu. Yang cerita manusia menikah dengan jin itu hanya diambil daripada kisah dongeng manusia sahaja.

Oleh itu ingatlah yang pasangan hidup kita adalah nikmat yang Allah ﷻ berikan. Apabila ia nikmat, maka hendaklah kita menghargainya dan tidak merosakkannya. Layanilah pasangan hidup kita dengan sebaik-baik dan semampu kita. Jangan dicemari pernikahan kita dengan perkara-perkara yang memalukan. Malangnya kita lihat ramai yang tidak tahu menghargai pasangan hidup mereka. Mereka layan dengan buruk, zalim kepada pasangan dan berbagai-bagai lagi. Mereka ini jauh daripada hidayah wahyu terutama sekali ayat-ayat seperti Rum: 21

وَمِن ءآيٰتِهِ أَن خَلَقَ لَكُم مِّن أَنفُسِكُم أَزوٰجًا لِّتَسكُنوا إِلَيها وَجَعَلَ بَينَكُم مَّوَدَّةً وَرَحمَةً
Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang.

 

وَجَعَلَ لَكُم مِّن أَزوٰجِكُم بَنينَ وَحَفَدَةً

dan menjadikan bagimu dari isteri-isteri kamu itu, anak-anak dan cucu-cucu,

Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang rezeki. Antara rezeki adalah anak cucu. Kalimah حَفَدَةً daripada katadasar ح ف د yang bermaksud melakukan sesuatu dengan cepat, menteri, lincah dalam bekerja, terus menerus dalam perjalanan atau langkah, aktif atau tangkas dalam melakukan sesuatu, berkhidmat dan bekerja, membantu, cucu; anak perempuan. Maksud asal kalimah ini adalah membantu dan diterjemahkan dalam ayat ini sebagai ‘cucu’. Ia memberi isyarat yang anak cucu itu mestilah sentiasa berkhidmat dan membantu ibu bapa mereka.

Allah ﷻ tidak sebut anak sahaja tetapi sebut cucu sekali kerana kelangsungan hidup manusia mestilah berterusan melahirkan. Tidak cukup dengan lahirkan anak sahaja, tetapi anak itu pun kena lahirkan anak juga dan seterusnya, dan seterusnya.

Kita sebagai manusia memang ada naluri inginkan anak cucu sebagai kelangsungan hidup kita. Kalau tidak percaya, tanyalah mereka yang sudah berkahwin tetapi tidak dapat anak lagi. Tentu mereka sedih dan rasa diri mereka tidak lengkap kerana tidak ada anak cucu yang menyambung keturunan mereka.

Bukan semua manusia mendapat anak cucu tetapi kebanyakan daripada manusia ada anak cucu yang Allah ﷻ berikan sebagai rezeki. Apabila dapat anak, tidak tahu bagaimana mahu cakap kegembiraan itu – tambahan lagi apabila dapat cucu, lagilah suka.

Hati kita gembira sekali apabila melihat anak cucu bermain-main. Mereka melayan kita sampai kita bergelak ketawa melayan kerenah mereka. Merekalah hiburan kita. Ada daripada anak cucu itu yang menjadi pembantu kita dalam kehidupan kita – dari segi perniagaan, sara hidup, pertolongan, malah dalam peperangan jikalau perlu. Iaitu mereka yang akan melindungi kita kerana mereka lebih muda dan gagah daripada kita.

Anak cucu kita bukan sahaja bermanfaat ketika kita hidup, tetapi terlebih penting lagi ketika kita sudah mati. Ini kerana mereka itu menjadi ‘saham’ pahala kita apabila kita telah tiada di dunia ini. Kalau kita didik mereka dengan baik, mereka akan mengalirkan pahala berterusan kepada kita. Ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah ﷺ riwayat Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
“Apabila matinya seseorang insan maka akan terputuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan juga anak soleh yang mendoakan untuk kedua ibubapanya.”
(Riwayat Muslim (1631))

Kerana itulah doa yang baik diamalkan adalah seperti firman Allah ﷻ di dalam Furqan: 74

وَالَّذينَ يَقولونَ رَبَّنا هَب لَنا مِن أَزوٰجِنا وَذُرِّيّٰتِنا قُرَّةَ أَعيُنٍ وَاجعَلنا لِلمُتَّقينَ إِمامًا
Dan orang orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa.

 

Kalau kita perhatikan ayat ini, Allah ﷻ mengatakan anak itu lahir daripada pasangan kita مِن أَزوٰجِكُم iaitu ibu itu. Sedangkan anak di dalam kandungan ibu itu bukanlah tiba-tiba ada, tetapi kena ada juga sperma daripada bapa, bukan? Tidaklah Allah ﷻ sebut di sini kerana yang lebih pentingnya adalah tugas ibu itu. Ayah hanya titiskan sperma sahaja tetapi yang mengandung, menjaga, melahirkan, menyusukan dan menjaga anak itu di waktu kecil adalah ibu.

 

 

وَرَزَقَكُم مِّنَ الطَّيِّبٰتِ

dan memberimu rezeki dari yang baik-baik.

Kemudian Allah ﷻ tidak biarkan kita hidup dalam kesusahan. Ada anak isteri yang ramai pun Allah ﷻ berikan rezeki untuk kita dan mereka. Macam-macam Allah ﷻ beri lagi kepada kita – antaranya makanan yang baik, kesihatan, tempat tinggal, kerja yang baik dan macam-macam lagi.

Semua itu juga adalah rezeki. Anak-anak itu selain mereka sendiri adalah rezeki, mereka juga dapat bantu kita meraih rezeki. Kalau dahulu, anak lelaki sahaja yang dipandang boleh membantu, tetapi zaman sekarang anak perempuan pun boleh bantu ibubapa mereka.

Rezeki kita baik kerana ia tidak sama seperti yang diberikan kepada binatang. Kalau lembu contohnya makan rumput yang itulah sahaja setiap hari tetapi kita makan pancake, nasi ayam, steak, nasi kerabu, pasta dan macam-macam lagi. Sudah makan satu jenis makanan, makan makanan lain pula. Allah ﷻ berikan rezeki yang istimewa kepada kita kerana kemuliaan kita sebagai manusia.

Di sini juga mengajar kita bahawa tidak salah memakan hasil rezeki daripada Allah ﷻ. Tidaklah perlu zuhud sampai makan pun hanya makan nasi tanpa kuah dan lauk. Ambillah dan makanlah rezeki yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita, yang sesuai dengan naluri kita sebagai manusia, sesuai dengan perut kita.

 

أَفَبِالبٰطِلِ يُؤمِنونَ

Maka adakah mereka beriman kepada yang bathil

Setelah Allah ﷻ beri segala nikmat yang telah disebut dan tidak disebut itu, adakah mereka masih percaya dengan kebathilan pula? Adakah mereka mahu beragama dengan agama yang tidak benar? Adakah mereka masih sembah berhala yang tidak pernah beri mereka apa-apa itu? Adakah mereka tidak mahu berpegang dengan Al-Qur’an dan Sunnah? Tentu tidak patut kalau begitu – tidak mengenang budi namanya.

Adakah ada selain Allah ﷻ yang beri isteri, anak-anak dan rezeki kepada mereka? Maka kalau hanya Allah ﷻ yang beri, kenapa sembah selain Allah ﷻ? Lihat hujah Allah ﷻ di dalam Fatir: 3

يٰأَيُّهَا النّاسُ اذكُروا نِعمَتَ اللهِ عَلَيكُم ۚ هَل مِن خٰلِقٍ غَيرُ اللهِ يَرزُقُكُم مِّنَ السَّماءِ وَالأَرضِ ۚ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ ۖ فَأَنّىٰ تُؤفَكونَ
Hai manusia, ingatlah akan nikmat Allah kepadamu. Adakah pencipta selain Allah yang dapat memberikan rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Tidak ada ilah selain Dia; maka mengapakah kamu berpaling?

Yang disembah selain Allah ﷻ itu langsung tidak boleh memberi rezeki kepada manusia. Bukan sahaja tidak mampu beri, mereka hendak tolong cari pun tidak mampu seperti firman Allah ﷻ di dalam Hajj: 73

يا أَيُّهَا النّاسُ ضُرِبَ مَثَلٌ فَاستَمِعوا لَهُ ۚ إِنَّ الَّذينَ تَدعونَ مِن دونِ اللهِ لَن يَخلُقوا ذُبابًا وَلَوِ اجتَمَعوا لَهُ ۖ وَإِن يَسلُبهُمُ الذُّبابُ شَيئًا لّا يَستَنقِذوهُ مِنهُ ۚ ضَعُفَ الطّالِبُ وَالمَطلوبُ
Hai manusia, telah dibuat perumpamaan, maka dengarkanlah olehmu perumpamaan itu. Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah sekali-kali tidak dapat menciptakan seekor lalat pun, walaupun mereka bersatu menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu daripada mereka, tiadalah mereka dapat merebutnya kembali daripada lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah (pulalah) yang disembah.

Hendak buat lalat pun tidak boleh, hendak halau lalat pun tidak boleh. Maka kalau mereka hendak bekerja pun tidak boleh. Karut betul kalau disembah-sembah patung-patung dan sembahan lain itu.

 

وَبِنِعمَتِ اللهِ هُم يَكفُرونَ

dan mengingkari nikmat Allah?”

Adakah mereka sanggup kufur nikmat? Iaitu tidak menghargai segala nikmat yang Allah ﷻ telah berikan itu? Allah ﷻ yang beri segala nikmat itu tetapi mereka tidak kata yang ia daripada Allah ﷻ? Mereka menggunakan segala nikmat itu tetapi mereka tidak sembah Allah ﷻ sahaja?

Mereka menolak Allah ﷻ dengan perlakuan syirik mereka. Mereka tidaklah kutuk Allah ﷻ, tidaklah secara terang menolak Allah ﷻ. Akan tetapi mereka menolak Allah ﷻ dengan perbuatan mereka. Begitulah masyarakat kita lakukan sekarang. Yang Muslim pun tentulah tidak mengutuk Allah ﷻ dan kata mereka hendak buat syirik; tapi dengan perbuatan mereka yang berdoa kepada selain Allah ﷻ, sujud kepada kuburan yang mereka dakwa kubur wali, jumpa bomoh dan percaya kepada bomoh, dan macam-macam lagi. Itu semua adalah perbuatan ingkar kepada Allah ﷻ dan menolak Allah ﷻ.

Kalau kita betul-betul mensyukuri nikmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita, apakah yang kita kena lakukan? Tentulah kita kena taat kepada perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Itulah baru betul dikatakan bersyukur. Bukannya setakat sebut alhamdulillah, alhamdulillah sahaja.

Janganlah guna sahaja, tetapi haruslah bersyukur kepada Allah ﷻ. Syukur itu bukan hanya menyebut alhamdulillah sahaja, tetapi harus taat kepada Allah ﷻ. Jangan pula semua nikmat Allah ﷻ kita mahu gunakan, tetapi hukum Dia kita tidak ikut pula. Ini tidak patut sama sekali.

Yang lebih penting kita kena tahu adalah bagaimana cara bersyukur? Adakah hanya dengan menyebut Alhamdulillah sahaja? Itu tidak cukup kerana perbuatan syukur yang sebenar adalah dengan mentaati perintah Allah ﷻ dan meninggalkan larangan-Nya. Barulah dikira benar-benar syukur. Kalau kita mendapat sesuatu daripada orang, adakah kita akan lawan cakap dia? Tentu tidak, bukan? Maka begitulah juga dengan Allah ﷻ. Dengan segala nikmat yang telah diberikan kepada kita, adakah layak kita melawan arahan-Nya? Allah ﷻ ajar kita cara bersyukur seperti disebut dalam Baqarah: 172

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا كُلُوْا مِنْ طَيِّبٰتِ مَا رَزَقْنٰكُمْ وَاشْكُرُوْا لِلّٰهِ اِنْ كُنْتُمْ اِيَّاهُ تَعْبُدُوْنَ
Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.

Di dalam ayat ini Allah ﷻ memberitahu yang jikalau kita mendapat rezeki makanan, maka hendaklah bersyukur. Ayat ini kena dibaca dengan Mukminoon: 51 untuk mendapat pemahaman tentang apakah itu syukur.

يا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلوا مِنَ الطَّيِّبٰتِ وَاعمَلوا صٰلِحًا
Hai rasul-rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh.

Kalau dibaca kedua-dua ayat ini, kita boleh kaitkan bahawa syukur yang dimaksudkan di dalam Baqarah: 172 itu adalah dengan melakukan amal soleh seperti disebut pula di dalam Mukminoon: 51. Inilah kaitan antara syukur dan beramal soleh. Maka ia bukanlah dari segi iktikad dan melafazkan Alhamdulillah sahaja, tetapi hendaklah diikuti dengan melakukan amal soleh. Kerana itulah Rasulullah ﷺ banyak melakukan ibadat seperti yang disebut di dalam hadith yang masyhur,

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّى قَامَ حَتَّى تَفَطَّرَ رِجْلَاهُ قَالَتْ عَائِشَةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتَصْنَعُ هَذَا وَقَدْ غُفِرَ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ فَقَالَ يَا عَائِشَةُ أَفَلَا أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا
Aisyah رضي الله عنها berkata, Rasulullah ﷺ ketika melaksanakan salat maka baginda berdiri hingga kedua kakinya bengkak. Aisyah رضي الله عنها bertanya, “Wahai Rasulullah, apa yang engkau perbuat, sedangkan dosamu yang telah lalu dan yang akan datang telah diampuni?” Lalu baginda menjawab, “Wahai Aisyah, bukankah seharusnya aku menjadi hamba yang banyak bersyukur?”.
(Sahih Muslim (5046))

Dari sini kita dapat belajar bahawa semakin banyak nikmat yang kita dapat, hendaklah kita menunjukkan syukur dengan lebih banyak melakukan ibadah.

Apakah lagi maksud syukur? Ia juga bermaksud taat kerana kalau tidak taat, itu adalah kufur. Ini seperti yang Allah ﷻ telah sebut dalam Baqarah: 152

وَاشكُروا لي وَلا تَكفُرونِ
dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur

Cuma kufur itu ada banyak jenis. Ada kufur yang mengeluarkan seseorang itu daripada Islam dan ada yang tidak. Contohnya seperti ayat Baqarah: 152 ini, ia bermaksud kufur nikmat. Iaitu tidak iktiraf yang Allah ﷻ telah beri nikmat kepada kita. Ada orang yang mendapat segala nikmat namun dia tidak kata itu daripada Allah ﷻ, tetapi daripada kepandaian dia bekerja atau berniaga katanya.

Satu lagi kufur nikmat adalah dengan tidak menggunakan pemberian Allah ﷻ itu untuk kebaikan seperti yang telah disebut di atas tadi.

Juga kena ingat yang kita sekarang menikmati segala pemberian daripada Allah ﷻ. Jika Allah ﷻ yang telah memberikan segalanya kepada kita, takkan kita hendak melawan Dia pula? Bayangkan ada orang yang beri hadiah dan kurnia kepada kita, tetapi kita lawan cakapnya, bagaimana?


 

Nahl Ayat 73: Ayat Zajrun (teguran) tentang mereka yang ingkar. Mereka diciptakan oleh Allah ﷻ tetapi mereka menyembah selain Allah ﷻ pula.

وَيَعبُدونَ مِن دونِ اللهِ ما لا يَملِكُ لَهُم رِزقًا مِّنَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ شَيئًا وَلا يَستَطيعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they worship besides Allāh that which does not possess for them [the power of] provision from the heavens and the earth at all, and [in fact], they are unable.

(MELAYU)

Dan mereka menyembah selain Allah, sesuatu yang tidak punya kuasa memberikan rezeki kepada mereka sedikit pun dari langit dan bumi, dan tidak berkuasa (sedikit jua pun).

 

وَيَعبُدونَ مِن دونِ اللهِ

Dan mereka menyembah selain Allah,

Mereka terus menyembah selain Allah ﷻ, walaupun Allah ﷻ telah beri mereka dengan segala nikmat, mereka berdoa kepada berhala-berhala itu juga.

Maka tersebutlah di dalam riwayat-riwayat bahawa ada orang musyrikin jahiliyah itu yang sebelum pergi berburu atau berjudi, sebelum itu mereka pergi dahulu memuja-muja berhalanya, dan memberikan saji-sajian, mengharap dia dimenangkan. Setelah dia pergi mengadu untungnya, rupanya kalah, yang berburu pulang dengan tangan kosong, yang berjudi pulang membawa kekalahan. Maka dengan murkanya dia pergi kepada berhalanya tadi, lalu disepakkannya atau diludahinya dan dimaki-makinya berhala itu.

 

ما لا يَملِكُ لَهُم رِزقًا مِّنَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ شَيئًا

sesuatu yang tidak punya kuasa memberikan rezeki kepada mereka sedikit pun dari langit dan bumi,

Yang mereka sembah itu tidak miliki kuasa apa-apa pun. Berkata ulama’: فاقد الشيء لا يعطيه (yang tidak memiliki sesuatu, tidak dapat memberi sesuatu itu). Sembahan mereka itu tidak ada kuasa untuk memberi rezeki kepada manusia yang menyembah mereka. Dalam ayat-ayat sebelum ini, Allah ﷻ mengingatkan pembaca Al-Qur’an ini, siapakah yang menurunkan rezeki kepada makhluk dan segala macam jasa-Nya lagi.

Ini disebut kerana agama lain kononnya ada banyak tuhan yang jaga itu dan ini. Macam ada bahagian pula tuhan-tuhan itu. Sedangkan itu tipu sahaja kerana memang tidak ada pun tuhan-tuhan itu. Segala rezeki diberikan oleh Allah ﷻ. Kalau mereka harapkan daripada tuhan mereka, memang tidak makan lah mereka.

 

وَلا يَستَطيعونَ

dan tidak berkuasa

Sedangkan ilah-ilah itu tidak mampu jua untuk membantu sesiapa pun. Mereka tidak boleh hendak rampas milik Allah ﷻ dan berikan kepada penyembah-penyembah mereka. Sedikit pun mereka tidak boleh ambil dan beri. Malah mereka tidak mampu pun untuk membantu diri mereka sendiri. Sudahlah mereka juga tidak mampu menyediakan rezeki bagi yang sembah mereka, hendak menjaga diri mereka sendiri pun tidak boleh.


 

Nahl Ayat 74: Larangan mengadakan perbandingan tentang Tuhan dengan cara  yang tidak betul.

فَلا تَضرِبوا ِللهِ الأَمثالَ ۚ إِنَّ اللهَ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So do not assert similarities to Allāh.¹ Indeed, Allāh knows and you do not know.

  • As there is nothing comparable to Him.

(MELAYU)

Maka janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah. Sesungguhnya Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.

 

فَلا تَضرِبوا ِللهِ الأَمثالَ

Maka janganlah kamu mengadakan contoh-contoh bagi Allah.

Jangan samakan kedudukan Allah ﷻ dengan makhluk. Ini sama seperti firman Allah ﷻ di dalam Baqarah: 22

فَلا تَجعَلوا لِلهِ أَندادًا وَأَنتُم تَعلَمونَ
maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa).

Kalimah أَندادًا bermaksud ‘tandingan-tandingan’ bagi Allah ﷻ. Kononnya mereka sama kedudukan dengan Allah ﷻ, sampaikan sembah Allah ﷻ boleh, sembah mereka pun; doa kepada Allah ﷻ boleh, doa kepada mereka pun boleh! Mana mungkin ini diterima! Allah ﷻ larang perkara ini dengan jelas, tetapi ramai manusia tidak mengerti.

Allah ﷻ juga melarang untuk buat contoh bandingan dengan Allah ﷻ. Iaitu membandingkan Allah ﷻ dengan makhluk. Ini kerana hanya ada satu Allah ﷻ sahaja dan tidak dapat dibandingkan dengan apa-apa sahaja. Oleh itu jangan bandingkan Allah ﷻ dengan makhluk kerana tidak akan sama. Maka tidak ada sifat Allah ﷻ yang ada pada makhluk. Maka tidak ada selain Allah ﷻ yang layak disembah seperti Allah ﷻ.

Kerapkali orang yang mempersekutukan yang lain dengan Allah ﷻ, untuk mempertahankan kemusyrikannya itu, memisalkan Allah ﷻ dengan makhluk. Apabila mereka ditegur: mengapa jika berdoa dan memohon kepada Allah ﷻ tidak secara terus sahaja, mengapa gunakan perantaraan dengan berhala atau dengan kubur-kubur orang soleh?

Mereka menjawab, tidaklah layak kita makhluk yang hina ini terus sahaja datang meminta kepada Allah ﷻ dengan tidak melalui perantaraan, sedangkan hendak menghadap seorang menteri, mesti dengan melalui pesuruh atau penjaga pintu pejabat pak menteri itu. Mereka kata, apatah lagi dengan Allah ﷻ. Banyak bukan kita dengar hujah ini diberikan? Lihatlah alasan yang mereka berikan ini untuk berbuat syirik.

Inilah suatu permisalan yang amat jahat terhadap Allah ﷻ, sampai dimisalkan dengan seorang Menteri. Sedangkan menteri itu adalah makhluk yang lemah, yang tidak dapat menerima tetamu sampai beratus atau beribu banyaknya, dan kalau tidak ada orang yang mengatur dan menyusun pintu pejabat dia, tentu ramai yang melulu masuk. Adakah itu sama dengan Allah ﷻ? Yang setiap waktu menantikan doa daripada hamba-Nya yang tidak terkira banyaknya? Pak Menteri itu pun perlu masa rehat, terbatas masa untuk manusia berjumpa dengannya. Namun sesekali tidak dengan Allah ﷻ, bila-bila masa pun boleh minta terus kepada-Nya.

Satu lagi contoh bandingan yang dilakukan oleh manusia yang jahil adalah membandingkan Allah ﷻ dengan raja. Iaitu mereka lihat kedudukan Allah ﷻ itu seperti raja yang mereka telah faham. Maka mereka lihat seorang raja itu tidak mampu memerintah kerajaan seorang diri dan memerlukan menteri, dan kakitangan yang lain. Kemudian bandingkan pula dengan Allah ﷻ! Kerana itulah ada yang memberikan kuasa tasarruf (mentadbir) kepada Nabi, wali dan malaikat. Mereka kata ya, Allah ﷻ yang menjadikan alam ini dan berkuasa, akan tetapi Allah ﷻ ada beri tugasan kepada Nabi, wali dan malaikat untuk mentadbir juga.

Mereka kata mereka tidaklah salah kalau meminta tolong kepada Nabi, wali atau malaikat itu! Maka di sini Allah ﷻ suruh mereka hentikan buat perbandingan sebegitu kerana kerajaan Allah ﷻ tidak sama dengan kerajaan makhluk. Makhluk itu lemah akan tetapi Allah ﷻ tidak lemah. Allah ﷻ tidak memerlukan sesiapa untuk membantu-Nya mentadbir alam ini.

Satu lagi maksud, untuk Allah ﷻ adalah misal bandingan yang baik. Kalau ada yang buat perbandingan, hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh buat misalan itu. Kalau kita lihat dalam Al-Qur’an pun, Allah ﷻ tidak beri contoh untuk Dzat-Nya. Akan tetapi Allah ﷻ ada beri perumpamaan untuk hubungan-Nya dengan makhluk. Dengan mengetahui contoh bandingan itu, kita boleh kenal Allah ﷻ. Iaitu kenal sifat Allah ﷻ. Maka jangan kita memandai-mandai buat contoh bandingan bagi Allah ﷻ melainkan yang disebut oleh Allah ﷻ sendiri atau Rasulullah ﷺ. Kerana takut kalau kita tersalah buat contoh, salah pula.

 

إِنَّ اللهَ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ

Sesungguhnya Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.

Allah ﷻ sahaja yang tahu bagaimana mahu buat mithal (contoh bandingan) dan kita manusia tidak tahu. Kerana tidak jaga perkara inilah yang menyebabkan masalah syirik yang menjadikan Allah ﷻ sama dengan makhluk. Ini seperti agama Kristian yang berkata Tuhan itu seperti ‘meja’ – kerana meja ada banyak kaki, tetapi satu kerusi sahaja. Ini adalah kerana mereka mahu bandingkan Allah ﷻ dengan konsep triniti mereka yang sesat itu.

Ada juga yang umpamakan Tuhan seperti air, telur dan macam-macam lagi. Itu semua adalah perbuatan tidak wajar. Allah ﷻ tidak benarkan kita buat begitu kerana tidak layak untuk kita bandingkan Allah ﷻ dengan cara begitu. Maka jangan samakan Allah ﷻ dengan makhluk. Sifat Allah ﷻ tidak akan sama dengan sifat manusia.

Sebagai contoh, salah satu sifat Allah ﷻ adalah sombong – kalau sifat sombong pada Allah ﷻ itu kalau ada pada manusia, memang buruk tetapi memang sifat itu patut dengan Allah ﷻ.

Allah ﷻ juga suka dipuji, tetapi kalau manusia suka dipuji, itu juga adalah satu sifat yang buruk. Maka jangan samakan Allah ﷻ dengan makhluk.

Maka sedarlah yang kita sebagai manusia ini tidak tahu melainkan yang Allah ﷻ beritahu sahaja. Kerana itulah kita amat memerlukan panduan daripada wahyu untuk memberi ilmu kepada kita.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 18 Januari 2024

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin