Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 8 – 12 (Peluang kepada Bani Israil)

Ayat 8: Ini ayat berkenaan mukjizat yang kedua. Ia juga adalah khulasah ketiga dalam Kitab Taurat.

عَسىٰ رَبُّكُم أَن يَرحَمَكُم ۚ وَإِن عُدتُم عُدنا ۘ وَجَعَلنا جَهَنَّمَ لِلكافِرينَ حَصيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Then Allāh said], “It is expected, [if you repent], that your Lord will have mercy upon you. But if you return [to sin], We will return [to punishment]. And We have made Hell, for the disbelievers, a prison-bed.”

(MELAYU)

Mudah-mudahan Tuhanmu akan melimpahkan rahmat(Nya) kepadamu; dan sekiranya kamu kembali kepada (kederhakaan) nescaya Kami kembali (mengazabmu) dan Kami jadikan neraka Jahannam penjara bagi orang-orang yang tidak beriman.

عَسىٰ رَبُّكُم أَن يَرحَمَكُم

Mudah-mudahan Tuhanmu akan melimpahkan rahmat(Nya) kepadamu;

Allah mahu memberitahu bahawa Allah bukan benci kepada mereka dan Allah masih beri peluang lagi kepada mereka. Kalau mereka ikut syariat Nabi akhir zaman (Nabi Muhammad), mereka akan selamat. Allah masih sanggup untuk melimpahkan rahmatNya kepada mereka.

وَإِن عُدتُم عُدنا

dan sekiranya kamu kembali kepada (kederhakaan) nescaya Kami kembali (mengazabmu) 

Tetapi, Allah mahu tegaskan bahawa kalau mereka kembali semula kepada perangai lama mereka, Allah akan berikan nasib yang sama seperti yang telah diberikan dulu kepada mereka. Iaitu Bangsa Yahudi telah hancur sebanyak dua kali. Pada kali ini, kalau mereka tidak ambil peluang juga lagi untuk menerima ajaran daripada Nabi Muhammad, maka mereka akan mendapat nasib yang sama sekali lagi.

Tetapi seperti yang kita tahu dari sirah, kebanyakan daripada mereka tidak mengambil pengajaran. Maka, ada Yahudi di Madinah yang menentang Nabi Muhammad dan kerana itu mereka dihancurkan. Iaitu Bani Nadhir dan Bani Quraizah. Bani Nadhir semua telah dihalau keluar dan Bani Quraizah telah dibunuh semua sekali (kejadian pada 6H). Itulah balasan yang dikenakan kepada mereka.

وَجَعَلنا جَهَنَّمَ لِلكافِرينَ حَصيرًا

dan Kami jadikan neraka Jahannam penjara bagi orang-orang yang tidak beriman.

Yang disebut itu tadi adalah azab di dunia. Allah juga telah menyediakan neraka jahannam untuk orang-orang kafir yang akan mengepung mereka seperti penjara. Mereka tidak akan dapat keluar jahannam. Kalau penjara di dunia, mungkin ada harapan lagi untuk lari, namun tidak ada harapan kalau penjara di akhirat.


Ayat 9: Ini juga ayat tentang mukjizat. Allah menceritakan tentang Qur’an kerana ia adalah mukjizat terbesar dan ia masih berkekalan. Mukjizat-mukjizat lain yang dilakukan oleh Nabi lain, sudah tiada untuk dilihat lagi. Yang tahu tentangnya adalah mereka yang melihatnya dengan mata sendiri dan kemudian mereka menceritakan kepada anak-anak mereka.

Lama kelamaan ia menjadi seperti kisah sahaja. Tetapi, kita amat beruntung sekali kerana Qur’an ini adalah mukjizat yang masih kekal. Kalau ada orang yang tanya: ” Di manakah mukjizat Nabi kamu?”, kita boleh pergi ke almari kita, keluarkan Qur’an dan terus tunjuk kepada mereka, bukan?

إِنَّ هٰذَا القُرآنَ يَهدي لِلَّتي هِيَ أَقوَمُ وَيُبَشِّرُ المُؤمِنينَ الَّذينَ يَعمَلونَ الصّالِحاتِ أَنَّ لَهُم أَجرًا كَبيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, this Qur’ān guides to that which is most suitable and gives good tidings to the believers who do righteous deeds that they will have a great reward

(MELAYU)

Sesungguhnya Al Qur’an ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang Mukmin yang mengerjakan amal soleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar,

إِنَّ هٰذَا القُرآنَ يَهدي لِلَّتي هِيَ أَقوَمُ

Sesungguhnya Al Qur’an ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus

Mereka diberitahu bahawa peluang mereka untuk naik kembali dari kehinaan dan kemusnahan mereka adalah dengan menerima Qur’an yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Janganlah menentang, tetapi terimalah dengan baik.

Mereka masih ada lagi ajaran dan hukum yang ada di dalam kitab Taurat tetapi Allah hendak memberitahu bahawa Qur’an ini lebih baik dan lebih tegak lagi. Tentu mereka ada kelebihan dan kebolehan yang Allah telah berikan dan itu tidak ada masalah, tetapi Allah hendak memberitahu bahawa apa yang ada di dalam Qur’an ini lebih baik lagi dari apa yang mereka ada.

وَيُبَشِّرُ المُؤمِنينَ

dan memberi khabar gembira kepada orang-orang Mukmin

Qur’an memberi berita gembira kepada orang mukmin. Siapakah mereka itu dan apakah ciri-ciri mereka?

Yang pertama, hendaklah percaya dengan apa yang perlu dipercayai, barulah dikira sebagai mukmin. Mesti tahu apakah fahaman akidah yang benar dan berpegang dengannya. Maksud fahaman yang benar itu adalah dalam Qur’an, maka mestilah belajar akidah dari Qur’an. Jadi, yang pertama adalah akidah mesti sempurna.

الَّذينَ يَعمَلونَ الصّالِحاتِ

yang mengerjakan amal saleh

Mereka yang mukmin juga adalah mereka yang mengamalkan amalan soleh. Mereka bukan sahaja mengaku mereka beriman, tetapi mereka juga tunjukkan keimanan mereka dengan cara praktikal iaitu melakukan amal soleh.

Tetapi, kita mesti ingat yang amalan soleh itu adalah amalan sunnah, bukan amalan bidaah. Apabila lakukan amal ibadat, pastikan kita tahu tentang amalan itu dan harus tahu apakah dalilnya. Kita mesti pastikan amalan itu bertepatan dengan syariat Qur’an dan sunnah. Jangan main ikut sahaja. Kerana main ikut sahaja, maka ramai masyarakat kita mengamalkan amalan bidaah (dan bila ditegur, mereka marah kita pula).

Allah menekankan tentang kepentingan untuk melakukan amalan yang baik kerana bangsa Yahudi telah mengatakan bahawa kalau ada iman sahaja juga sudah cukup.

أَنَّ لَهُم أَجرًا كَبيرًا

bahawa bagi mereka ada pahala yang besar,

Allah menjanjikan pahala besar untuk mereka yang beriman dan beramal soleh. Kalau di dunia, kita menggunakan harta untuk berdagang, tapi di akhirat nanti, segala harta dan pendapatan tidak berguna lagi dan yang berguna hanyalah pahala.


Ayat 10: Ayat takhwif.

وَأَنَّ الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِالآخِرَةِ أَعتَدنا لَهُم عَذابًا أَليمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And that those who do not believe in the Hereafter – We have prepared for them a painful punishment.

(MELAYU)

dan sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat, Kami sediakan bagi mereka azab yang pedih.

وَأَنَّ الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِالآخِرَةِ

dan sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat,

Ini lawan kepada orang yang beriman dalam ayat sebelum ini. Kalau masih berdegil juga, tidak mahu beriman, tidak kisah tentang kehidupan akhirat. Allah beritahu yang mereka akan mendapat balasan yang buruk.

أَعتَدنا لَهُم عَذابًا أَليمًا

Kami sediakan bagi mereka azab yang pedih.

Allah sudah siap sediakan azab yang khusus untuk mereka sahaja. (Kerana kalimah لَهُم itu taqdim, maka ia menunjukkan eksklusif untuk mereka sahaja). Iaitu ada azab yang khusus untuk mereka, tentu lebih teruk dari orang lain.

Ini kerana mereka ini sepatutnya tahu kebenaran yang dibawakan oleh Nabi Muhammad, tetapi mereka tetap berdegil.


Ayat 11: Ayat zajrun. Dari ayat ini sehingga ayat 22 adalah Perenggan Makro ke 2 surah ini. Dalam perenggan ini Allah memberitahu maksud ujian dan kenapa Rasul diutus.

وَيَدعُ الإِنسانُ بِالشَّرِّ دُعاءَهُ بِالخَيرِ ۖ وَكانَ الإِنسانُ عَجولًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And man supplicates for evil [when angry] as he supplicates for good, and man is ever hasty.¹

  • i.e., impatient, emotional, and acting without forethought.

(MELAYU)

Dan manusia doa untuk kejahatan sebagaimana ia berdoa untuk kebaikan. Dan adalah manusia bersifat tergesa-gesa.

وَيَدعُ الإِنسانُ بِالشَّرِّ دُعاءَهُ بِالخَيرِ

Dan manusia doa untuk kejahatan sebagaimana dia berdoa untuk kebaikan. 

Allah menegur manusia yang minta keburukan sama seperti mereka meminta kebaikan. Ini kerana mereka menolak Nabi Muhammad kemudian dengan kurang ajarnya mereka minta terus dikenakan dengan azab yang dijanjikan. (Kamu kata kalau kami tolak, kami kena azab; mana azab itu?).

Atau ia bermaksud, manusia berdoa untuk kebaikan, tetapi kebaikan yang mereka sangkakan itu sebenarnya adalah keburukan. Mereka tidak tahu apa yang mereka minta. Ini disebabkan oleh kebodohan mereka kerana ada golongan Yahudi telah meminta kepada Allah untuk memberikan Nabi dari kalangan mereka. Mereka tidak mahu menerima Nabi Muhammad kerana Nabi Muhammad itu adalah dari bangsa Arab dan mereka hanya mahu Nabi dari kalangan Bani Israil sahaja.

Begitu juga bangsa Quraisy telah berdoa kepada Allah untuk memusnahkan Nabi Muhammad dan para sahabat. Kerana mereka sangka mereka itu yang benar dan Nabi Muhammad itu membawa ajaran sesat. (Hampir sama dengan golongan Islam di Malaysia yang berkata golongan sunnah ini adalah golongan sesat – mereka gelar sebagai Wahabi. Ini adalah kerana kejahilan).

Allah juga menceritakan tentang sifat manusia yang tergesa-gesa dan doa yang dilakukannya dalam keadaan tertentu untuk keburukan sama ada dirinya, anaknya atau harta bendanya. Yang dimaksudkan dengan keburukan ini adakalanya ingin mati, binasa, kehancuran, dan laknat serta sebagainya yang buruk akibatnya.

Seandainya Allah mengabulkan doanya, nescaya binasalah dia. Ayat ini sama erti dengan apa yang disebutkan oleh Allah SWT dalam ayat yang lain melalui firman-Nya:

{وَلَوْ يُعَجِّلُ اللَّهُ لِلنَّاسِ الشَّرَّ اسْتِعْجَالَهُمْ بِالْخَيْرِ لَقُضِيَ إِلَيْهِمْ أَجَلُهُمْ}

Dan kalau sekiranya Allah menyegerakan kejahatan bagi manusia. (Yunus: 11), hingga akhir ayat.

Hal yang sama telah ditafsirkan oleh Ibnu Abbas, Mujahid, dan Qatadah. Dalam sebuah hadith disebutkan:

“لَا تَدْعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ وَلَا عَلَى أَمْوَالِكُمْ، أَنْ تُوَافِقُوا مِنَ اللَّهِ سَاعَةَ إِجَابَةٍ يَسْتَجِيبُ فِيهَا”

Janganlah kalian berdoa untuk keburukan diri kalian, jangan pula untuk keburukan harta benda kalian, kerana dikhawatir­kan doa kalian akan bertepatan dengan sa’atul ijabah, lalu diperkenankan bagi kalian doa itu.

وَكانَ الإِنسانُ عَجولًا

Dan adalah manusia bersifat tergesa-gesa.

Memang kebanyakan manusia bersifat kelam kabut (tergopoh-gopoh). Begitulah, manusia tidak tahu apa yang mereka minta sebenarnya. Kadang-kadang kita minta kepada perkara yang tidak baik – sebagai contoh, kita minta supaya diberi sesuatu kerja tertentu, padahal kita tidak tahu bahawa kerja itu sebenarnya tidak elok bagi diri kita.

Oleh itu, kita sepatutnya meminta doa kepada Allah untuk memberi kebaikan kepada kita tanpa kita menyebut secara spesifik apakah yang kita hendak. Tidak perlu hendak mengajar Allah untuk memberi kita sesuatu yang spesifik kerana kita tidak tahu sama ada ianya membawa kebaikan atau tidak. (Atau, sekurangnya, kita tambah dalam doa kita begini – Ya Allah, kalau perkara ini memberi kebaikan untuk diriku, maka Kau kabulkan dan berikanlah).

Ingatlah yang kita tidak tahu apakah sebenarnya kebaikan untuk kita. Kerana kita tidak tahu perkara ghaib iaitu apa yang akan terjadi di masa hadapan. Maka, kita sepatutnya serahkan sahaja kepada Allah. Hanya memohon kebaikan sahaja.

Ada yang jahil sampai sanggup berdoa: “Ya Allah, kalau begini matikanlah sahaja aku…” Sepatutnya dia minta diselamatkan, tapi dia minta mati pula. Inilah kebodohan yang amat.


Ayat 12: Ayat Tauhid.

وَجَعَلنَا اللَّيلَ وَالنَّهارَ آيَتَينِ ۖ فَمَحَونا آيَةَ اللَّيلِ وَجَعَلنا آيَةَ النَّهارِ مُبصِرَةً لِتَبتَغوا فَضلًا مِن رَبِّكُم وَلِتَعلَموا عَدَدَ السِّنينَ وَالحِسابَ ۚ وَكُلَّ شَيءٍ فَصَّلناهُ تَفصيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have made the night and day two signs, and We erased the sign of the night and made the sign of the day visible¹ that you may seek bounty from your Lord and may know the number of years and the account [of time]. And everything We have set out in detail.

  • Or “giving sight.”

(MELAYU)

Dan Kami jadikan malam dan siang sebagai dua tanda, lalu Kami hapuskan tanda malam dan Kami jadikan tanda siang itu terang, agar kamu mencari kurnia dari Tuhanmu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun-tahun dan perhitungan. Dan segala sesuatu telah Kami terangkan dengan jelas.

وَجَعَلنَا اللَّيلَ وَالنَّهارَ آيَتَينِ

Dan Kami jadikan malam dan siang sebagai dua tanda,

Allah menjadikan malam dan siang sebagai tanda kepada kita. Iaitu tanda wujudnya Allah dan tanda qudrat Allah. Kita hendaklah sedar yang malam dan siang tidak terjadi sendiri, tetapi Allah yang menjadikannya. Bukanlah ia terjadi secara automatik apabila sampai waktunya kerana Allah yang menentukan ia terjadi.

Ada masa nanti yang Allah akan tahan siang menjadi panjang. Nanti di akhirat juga – tiada malam di syurga dan tiada siang di neraka. Maka itu adalah tanda yang malam dan siang tidak terjadi sendiri.

Siang dan malam juga adalah tanda yang memberi nasihat. Iaitu kepada mereka yang gopoh seperti yang disebut dalam ayat sebelum ini. Bagaimana ia menjadi nasihat? Kita disuruh melihat kepada malam dan siang kerana siang dan malam datang silih berganti dan tidak tergopoh-gopoh. Apabila sampai masanya, Allah akan jadikan siang datang dan apabila sampai masanya, Allah akan jadikan malam datang.

Maka, kita kena tunggu sahaja. Tunggu ketentuan dari Allah. Kalau kita sedang diuji dengan Allah, ujian itu tidaklah lama dan berterusan. Sampai masa yang Allah tetapkan, ia akan berakhir.

فَمَحَونا آيَةَ اللَّيلِ وَجَعَلنا آيَةَ النَّهارِ مُبصِرَةً

lalu Kami hapuskan tanda malam dan Kami jadikan tanda siang itu terang, 

Allah lah yang menghilangkan malam itu sedikit demi sedikit dengan mengeluarkan cahaya matahari. Dan apabila Allah hilangkan malam tidak ada sikit pun tanda malam itu masih ada.

Bila sudah siang, keadaan menjadi terang dan senang untuk melihat keadaan di luar. Tidaklah nak kena pakai lampu.

لِتَبتَغوا فَضلًا مِن رَبِّكُم

agar kamu mencari kurnia dari Tuhanmu, 

Dan Allah jadikan siang untuk kita mudah melihat. Dan apabila siang hari itu terang, maka senang untuk kita mencari kurniaan Allah dalam mencari rezeki. Nak ke mana-mana pun senang, nak buat kerja pun senang.

وَلِتَعلَموا عَدَدَ السِّنينَ وَالحِسابَ

dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun-tahun dan perhitungan.

Dan dengan siang dan malam itu kita boleh mengira takwim (kalender) dan kita boleh menyimpan sejarah. Kita boleh kira hari demi hari untuk cukupkan seminggu, sebulan, setahun dan sebagainya. Bayangkan kalau siang sahaja ataupun malam sahaja tentu kita susah hendak buat takwim. Tidak boleh mahu membuat perkiraan.

وَكُلَّ شَيءٍ فَصَّلناهُ تَفصيلً

Dan segala sesuatu telah Kami terangkan dengan jelas.

Allah jelaskan segala perkara kepada kita di dalam Qur’an. Yang dimaksudkan adalah perkara agama. Kerana tidaklah semua perkara kehidupan disebut dalam Qur’an kerana tidak cukup tempat. Tetapi kalau bab agama, terutama bab akidah, semuanya telah disebut. Sedangkan bab feqah dan hukum, disebut secara umum sahaja dan dijelaskan dengan panjang lebar dalam Sunnah (Hadis).

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 19 April 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalyn

Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 5 – 7 (Kemusnahan kali kedua)

Ayat 5: Ada dua kenaikan mereka dalam sejarah iaitu pada zaman Nabi Musa a.s. dan sekali lagi pada zaman Nabi Isa a.s.

فَإِذا جاءَ وَعدُ أولاهُما بَعَثنا عَلَيكُم عِبادًا لَنا أُولي بَأسٍ شَديدٍ فَجاسوا خِلالَ الدِّيارِ ۚ وَكانَ وَعدًا مَفعولًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So when the [time of] promise came for the first of them,¹ We sent against you servants of Ours – those of great military might, and they probed [even] into the homes,² and it was a promise fulfilled.

  • i.e., the promised punishment for the first of their two transgressions.
  • Violating their sanctity, to kill and plunder.

(MELAYU)

Maka apabila datang janji pertama dari kedua janji itu, Kami datangkan kepadamu hamba-hamba Kami yang mempunyai kekuatan yang besar, lalu mereka bermaharajalela sampai ke dalam rumah, dan itulah ketetapan yang pasti terlaksana.

 

فَإِذا جاءَ وَعدُ أولاهُما

Maka apabila datang janji pertama dari kedua janji itu, 

Untuk tahu ayat ini, kena tahu sejarah Bani Israil:

Selepas Bani Israil diarahkan untuk masuk ke dalam Bandar Palestin di zaman Nabi Musa selepas mereka menyeberangi Laut Tih, mereka enggan untuk masuk ke dalam bandar. Kerana untuk masuk ke dalam bandar, mereka harus berperang dengan puak Amalikah yang sedang menghuni bandar itu dan puak Amalikah itu pula kuat. Maka, kerana keengganan mereka, Allah telah takdirkan mereka terus sesat dalam padang pasir selama 40 tahun.

Nabi Musa juga telah wafat semasa puak Bani Israil itu sesat di dalam padang pasir itu. Jadi, hanya di bawah pimpinan Nabi Yusha’ barulah golongan yang baru (golongan tua dah mati semuanya) dari kalangan mereka yang sanggup berperang dan kerana itu mereka telah menang. Sememangnya pada waktu itu mereka sudah kuat.

Pada masa itu, mereka ada 12 puak. Selepas itu, mereka berpecah sesudah menang. Sepatutnya mereka bersatu sahaja kerana mereka berjaya menang pun kerana mereka bersatu. Tapi memang kebiasaan manusia, lama-lama akan terjadi perpecahan.

Maka, begitulah juga yang terjadi kepada kita sekarang. Kita semua beragama Islam, tetapi ada Muslim dari Sudan, dari Pakisan, dari Malaysia dan pelbagai negara lagi. Malangnya, kita masih tidak dapat bersatu walaupun kita semua beragama Islam. Kita juga yang buat begitu kerana masalah yang ada pada diri kita.

Jadi, apabila berpecah tentulah kekuatan berkurangan. Dari segi ketenteraan juga sudah tidak kuat kerana tidak bersatu. Ini menyebabkan mereka senang untuk diserang – jadi walaupun mereka sudah menang sebelum itu, tetapi orang luar mudah nak tawan mereka.

Begitulah yang terjadi apabila Nebuchadnezzar menyerang dan menakluk Palestin pada tahun 587 SM. Tetapi pada tahun 538 SM, Bani Israil telah kembali dari Babylon dan menakluk kembali Palestin. Mereka telah memenangkan kembali kerajaan Bani Israil.

Kalau kita bandingkan dengan kerajaan Islam juga, kerajaan Islam kuat semasa zaman Abu Bakr sampai ke zaman Uthman. Tetapi, pada zaman Saidina Ali umat Islam sudah mula berpecah menjadi dua kumpulan.

Semasa Bani Israil berpecah itu, waktu itulah mereka jauh dari agama, rasuah semakin menjadi-jadi. Kerana mereka tidak melihat diri mereka dalam satu agama, tetapi mereka bezakan antara agama dan umat. Ini sama seperti kita juga. Kita bezakan diri kita antara agama dan bangsa.

Kita mesti belajar dari apa yang telah terjadi kepada Bani Israil ini. Kerana apa yang Allah ceritakan dalam Qur’an ini bukanlah sebagai sejarah semata, tetapi kita hendaklah ambil pengajaran darinya. Kalau tahu sejarah sahaja, tetapi tidak ambil pengajaran darinya, maka rugilah kita. Ibarat bacaan kosong sahaja ayat-ayat ini.

 

بَعَثنا عَلَيكُم عِبادًا لَنا أُولي بَأسٍ شَديدٍ

Kami bangkitkan ke atas kamu, hamba-hamba Kami yang mempunyai kekuatan yang besar, 

Jadi, janji yang pertama ini adalah kemusnahan pertama Bani Israil. Ini apabila tentera Jalut serang dan takluk mereka. Kesalahan pertama mereka adalah kerana mereka bunuh Nabi Zakaria. Oleh kerana itu seluruh Israil telah ditakluki. Ramai yang telah dibunuh dan ramai juga yang telah ditawan dan diambil sebagai tawanan.

Ini adalah kekalahan besar yang pertama bagi mereka. Ini terjadi 450 tahun sebelum lahirnya Nabi Isa. Waktu inilah juga dikatakan Nabi Uzair yang berjalan ke kota yang hancur dan dia telah ditidurkan selama 100 tahun. Kemudian di bawah pemerintahan Nabi Uzair, golongan Yahudi telah naik kembali dan mereka dibenarkan untuk kembali ke tanah mereka.

Waktu itu, mereka telah membuka kerajaan yang baru. Tapi seperti biasa, apabila sesuatu kerajaan itu telah sangat besar dan sangat mewah, lama kelamaan mereka kembali jatuh. Apabila mereka sudah lemah kembali, mereka diserang pula oleh Greek. Lalu, kemudian mereka di bawah pemerintahan Roman dan waktu inilah Nabi Isa dilahirkan. Kemudian, 70 tahun selepas Nabi Isa tiada (diangkat ke langit), mereka telah diserang oleh Roman dan sekali lagi Masjidil Aqsa dihancurkan.

Golongan zalim itu hamba Allah juga. Maksudnya, hamba milik Allah. Tidaklah ini bermaksud mereka itu orang baik-baik. Kerana walau jahat atau baik, semuanya adalah hamba Allah juga, bukan? Tetapi mereka itu kuat kerana ada keberanian dalam peperangan yang sangat hebat.

Jadi, sebagaimana Yahudi ada dua kali kenaikan dan dua kali kejatuhan, sejarah Islam juga mengalami dua kali naik dan dua kali jatuh. Kali pertama kita naik pada zaman Khalifah Rasyidin dan kemudian kita dijatuhkan oleh bangsa Tartar. Dan kemudian Islam naik kembali di bawah Turki dan akhirnya dijatuhkan oleh pengambilan bangsa Eropah.

Itu adalah sejarah ringkas secara keseluruhan, tetapi ayat ini menceritakan tentang kekalahan bangsa Yahudi di tangan Babylon.

 

فَجاسوا خِلالَ الدِّيارِ

lalu mereka merempuh sampai ke dalam rumah,

Waktu mereka menyerang itu, mereka memang menghancurkan semua sekali negeri Palestin itu dan sampai mereka masuk ke dalam rumah-rumah bangsa Yahudi itu. Maksudnya mereka bunuh semua sekali orang Yahudi waktu itu.

Selalunya peperangan berlaku di luar kita sahaja tetapi apabila digunakan perkataan الدِّيارِ (rumah) di dalam ayat ini, ia menunjukkan bahawa kejadian itu amat besar sekali sampaikan tentera datang masuk ke dalam kota dan ke dalam rumah. Apabila diserang, musuh masuk dalam setiap pelosok negeri dan samun habis.

Allah buat begitu kerana mereka telah derhaka kepada Allah dan melanggar ajaran di dalam kitab Taurat. Maka kehancuran yang dikenakan kepada mereka amat hebat.

 

وَكانَ وَعدًا مَفعولًا

dan itulah ketetapan yang pasti terlaksana.

Kalau Allah telah tetapkan, maka ia akan tetap terjadi. Mereka tidak boleh menghalangnya. Maka ini adalah ancaman dari Allah kepada kita juga. Allah boleh hancurkan kita bila-bila masa dan kita tidak dapat melakukan apa-apa untuk menghalangnya.


 

Ayat 6: Allah hendak memberitahu yang Dia akan memberi kemenangan dan nikmat setelah bertaubat.

ثُمَّ رَدَدنا لَكُمُ الكَرَّةَ عَلَيهِم وَأَمدَدناكُم بِأَموالٍ وَبَنينَ وَجَعَلناكُم أَكثَرَ نَفيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then We gave back to you a return victory over them. And We reinforced you with wealth and sons and made you more numerous in manpower

(MELAYU)

Kemudian, Kami berikan kepadamu giliran untuk mengalahkan mereka kembali dan Kami membantumu dengan harta kekayaan dan anak-anak dan Kami jadikan kamu kelompok yang lebih besar.

 

ثُمَّ رَدَدنا لَكُمُ الكَرَّةَ عَلَيهِم

Kemudian Kami kembalikan kepadamu giliran untuk mengalahkan ke atas mereka

Allah benarkan Bani Israil untuk mendapat kemenangan dan merampas kerajaan mereka kembali. Selepas seratus tahun kekalahan mereka, Jalut dikalahkan dan Allah berikan kejayaan ini kerana mereka telah bertaubat dan kembali menjaga agama.

 

وَأَمدَدناكُم بِأَموالٍ وَبَنينَ

dan Kami membantumu dengan harta kekayaan dan anak-anak

Mereka diberikan dengan kekayaan dan keturunan yang baik-baik. Maka kerana itu mereka mendapat kekuatan dan kemenangan. Mereka mendapat harta yang banyak termasuk banyak pengikut dan anak-anak.

 

وَجَعَلناكُم أَكثَرَ نَفيرًا

dan Kami jadikan kamu kelompok yang besar.

Dan mereka diberikan dengan kekuatan ketenteraan. Jumlah mereka pun menjadi ramai dan kuat.


 

Ayat 7: Ini adalah kandungan dan khulasah kedua yang ada dalam Kitab Taurat.

Ia juga mengandungi takhwif duniawi: Azab pertama yang dikenakan kepada mereka adalah semasa Jalut dan pada kali kedua semasa di bawah Bukhtanesar.

إِن أَحسَنتُم أَحسَنتُم لِأَنفُسِكُم ۖ وَإِن أَسَأتُم فَلَها ۚ فَإِذا جاءَ وَعدُ الآخِرَةِ لِيَسوءوا وُجوهَكُم وَلِيَدخُلُوا المَسجِدَ كَما دَخَلوهُ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَلِيُتَبِّروا ما عَلَوا تَتبيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[And said], “If you do good, you do good for yourselves; and if you do evil, [you do it] to them [i.e., yourselves].” Then when the final [i.e., second] promise came, [We sent your enemies] to sadden your faces and to enter the masjid [i.e., the temple in Jerusalem], as they entered it the first time, and to destroy what they had taken over with [total] destruction.

(MELAYU)

Jika kamu berbuat baik (bererti) kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri dan jika kamu berbuat jahat, maka (kejahatan) itu bagi dirimu sendiri, dan apabila datang saat hukuman bagi (kejahatan) yang kedua, (Kami datangkan orang-orang lain) untuk menyuramkan muka-muka kamu dan mereka masuk ke dalam masjid, sebagaimana musuh-musuhmu memasukinya pada kali pertama dan untuk membinasakan sehabis-habisnya apa saja yang mereka kuasai.

 

إِن أَحسَنتُم أَحسَنتُم لِأَنفُسِكُم

Jika kamu berbuat baik, kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri 

Kalau manusia berbuat baik maka mereka sebenarnya berbuat baik terhadap diri mereka sendiri. Iaitu mereka yang akan mendapat kebaikan itu. Yang dimaksudkan berbuat baik adalah kalau ikut wahyu dan kalau Bani Israil, bermaksud kalau mereka ikut ajaran dalam Taurat.

 

وَإِن أَسَأتُم فَلَها

dan jika kamu berbuat jahat, maka (kejahatan) itu bagi dirimu sendiri,

Dan kalau manusia berbuat jahat, maka kesannya adalah ke atas diri mereka sendiri juga. Maksud berbuat kejahatan adalah apabila menolak wahyu.

Allah juga membalas kejahatan yang mereka telah lakukan itu. Kerana itu ada dua kali mereka melakukan kerosakan di atas muka bumi dan Allah telah membalas kepada mereka dua kali juga. Kerosakan yang dimaksudkan pula adalah kerosakan dalam agama.

 

فَإِذا جاءَ وَعدُ الآخِرَةِ لِيَسوءوا وُجوهَكُم

dan apabila datang janji yang akhir (yang kedua), disuramkan muka-muka kamu

Kali ini mereka dikenakan lagi dengan serangan dari tentera yang kuat. Kesalahan mereka kali ini adalah kerana mereka telah membunuh Nai Yahya a.s. Allah balas dengan beri kekalahan kepada mereka menyebabkan muka mereka suram, iaitu bermaksud mereka dimalukan.

 

وَلِيَدخُلُوا المَسجِدَ كَما دَخَلوهُ أَوَّلَ مَرَّةٍ

dan mereka masuk ke dalam masjid, sebagaimana musuh-musuhmu memasukinya pada kali pertama

Dan kali ini yang menyerang mereka juga masuk ke dalam Masjidil Aqsa. Kejadian ini berlaku 70 tahun selepas Nabi Isa, di mana Jerusalem sekali lagi ditawan seperti yang kali pertama juga dulu. Mereka dikenakan dengan kehinaan ini kerana mereka bunuh Nabi Zakariya dan Nabi Isa juga mereka rancang mahu bunuh.

 

وَلِيُتَبِّروا ما عَلَوا تَتبيرًا

dan untuk membinasakan sehabis-habisnya apa sahaja yang mereka kuasai.

Kemusnahan yang mereka lakukan adalah secara keseluruhan. Apa-apa pembinaan dan kejayaan yang mereka telah lakukan dahulu telah dimusnahkan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 19 April 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Muatiara al-Qur’an

Tafsir Jalalyn

Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 1 – 4 (Perjalanan Isra’)

Pengenalan:

Surah Isra’ ini amat rapat dengan Surah Kahf selepasnya dan ia mengandungi pengajaran yang amat penting sekali. Ada banyak persamaan antara surah ini dan Surah Kahf nanti yang kita akan perhatikan.

Surah ini juga dikenali dengan nama Surah Bani Israil, kerana banyak menyebut tentang sejarah mereka sebelum kebangkitan Nabi Muhammad. Ini penting kerana sejarah mereka penting untuk kita ketahui. Perkara yang berlaku kepada mereka akan berlaku kepada kita juga kalau kita tidak ambil pengajaran. Jadi, ada pengajaran penting yang kita harus tahu supaya kita dapat berhati-hati. Maka ambillah pengajaran dari surah ini.

Dakwa surah ini ada pada ayat 1 dan ayat akhir.

Ada dua cara Allah turunkan hujah kepada hambaNya.

  1. Satu dengan cara diberikan dalil-dalil ayat Qur’an, dan
  2. Satu lagi dengan cara mukjizat.

Oleh itu, ada 5 ayat berkenaan mukjizat dan 10 ayat-ayat Tauhid dalam surah ini. Iaitu ayat Tauhid dalam jenis dalil.

Ada juga dimasukkan ‘amalan tiga serangkai’. Ini boleh rujuk kepada Istilah Tafsir. Ringkasnya, ada tiga perkara yang  mesti dilakukan apabila ditimpa musibah – Jangan syirik – jangan zalim – hendaklah buat baik. Ini disebut dalam ayat 23-39.

Di dalam surah ini juga, Allah mengajar cara tabligh menyampaikan dakwah kepada manusia.


Ayat 1: Ayat Dalil Wahyi. Ia juga adalah Ayat Mukjizat dan Dakwa bagi surah ini.

Surah ini boleh dibahagikan kepada 10 Perenggan Makro. Ayat 1 – 10 adalah Perenggan Makro yang Pertama. Ia memberitahu bahawa Umat Islam akan membebaskan Mekah dan BaitulMaqdis.

سُبحانَ الَّذي أَسرىٰ بِعَبدِهِ لَيلًا مِنَ المَسجِدِ الحَرامِ إِلَى المَسجِدِ الأَقصَى الَّذي بارَكنا حَولَهُ لِنُرِيَهُ مِن آياتِنا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّميعُ البَصيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Isrā’: The Night Journey. The sūrah is also known as Banī Isrā’eel (The Children of Israel).

Exalted¹ is He who took His Servant [i.e., Prophet Muḥammad ()] by night from al-Masjid al-Ḥarām to al-Masjid al-Aqṣā,² whose surroundings We have blessed, to show him of Our signs. Indeed, He is the Hearing, the Seeing.

  • Above any imperfection or failure to do as He wills.
  • In Jerusalem.

(MELAYU)

Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (Kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

سُبحانَ الَّذي أَسرىٰ بِعَبدِهِ لَيلًا

Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam

Allah memulakan surah ini dengan mengagungkan DiriNya dengan sebutan Subhanallah.

Allah juga menyuruh kita mensucikanNya daripada apa yang dianggap oleh Musyrikin yang Dia memerlukan perantara atau wakil. Ini juga adalah maksud Subhanallah itu. Iaitu Allah suci dari pemahaman golongan musyrik itu.

Kalimah isra’ maksudnya ‘bawa berjalan malam hari’. Yang dimaksudkan adalah perjalanan isra’ mi’raj Nabi Muhammad. Ini adalah satu mukjizat yang Allah berikan kepada Nabi Muhammad SAW. Allah boleh memperjalankan baginda dalam satu malam sahaja melangkau perjalanan yang amat jauh.

Sebenarnya kalimah isra’ sendiri sudah ada membawa maksud ‘malam’, jadi kenapa tambah dengan kalimah لَيلًا (malam)? Ini kerana, hendak menekankan bahawa bukan sepanjang malam masa yang diambil oleh Nabi dalam isra’, tetapi sebahagian malam sahaja. Dan jangka masa itu amat pendek: kalaulah Nabi langgar daun dalam perjalanan itu, baginda pulang balik ke Makah sebelum sempat daun itu berhenti bergerak.

Jadi, ayat ini adalah tentang perjalanan isra’ mi’raj Nabi Muhammad. Isra’ adalah perjalanan peringkat pertama iaitu di bumi dan mi’raj pula adalah perjalanan kedua yang naik ke langit. Surah ini hanya sebut tentang isra’ sahaja dan surah Najm pula menyentuh tentang mi’raj.

Kita boleh lihat dalam ayat ini, Allah gelar Nabi Muhammad dengan gelaran ‘hambaNya’. Ini adalah kedudukan yang tertinggi yang boleh dicapai oleh seorang makhluk. Kerana Nabi Muhammad adalah manusia paling mulia dan Allah gunakan kalimah ‘hamba’ untuk baginda, maka itu bermaksud status ‘hamba’ adalah status tertinggi bagi manusia.

Ini menunjukkan bahawa kedudukan hamba daripada Allah adalah kedudukan yang tinggi. Ianya juga mengajar kita bahawa kedudukan yang tinggi adalah apabila boleh menjadi hamba kepada Allah. Kalau hamba kepada manusia memang kedudukan yang hina, tetapi kalau dinisbahkan hamba kepada Allah, itu adalah kedudukan yang tinggi.

Waktu kejadian ini, baginda sudah tidak ada pelindung lagi iaitu Abu Thalib yang sentiasa memelihara baginda dari kecil dan sehingga baginda menjadi Rasul. Walaupun Abu Thalib sendiri tidak beriman, tetapi beliau tetap percaya kepada Nabi Muhammad dan mempertahankan baginda dari diganggu oleh Musyrikin Mekah yang mahu menyakiti baginda. Musyrikin Mekah tidak dapat menyakiti fizikal baginda kerana menghormati kedudukan Abu Thalib dalam masyarakat mereka.

Tetapi, baginda tetap berdakwah walaupun Abu Thalib sudah tiada. Allah membawa Nabi Muhammad melalui perjalanan yang hebat itu untuk memberitahu kepada baginda: tidak mengapa bagi baginda kalau sudah tidak ada pelindung dari kalangan manusia, kerana sekarang Allah yang akan menjadi pelindung kepada baginda.

Allah tunjukkan bagaimana Dia boleh memperjalankan baginda dalam perjalanan yang jauh tapi dalam masa yang singkat dan ditunjukkan dengan berbagai kejadian hebat. Allah yang begini hebat akan menjaga baginda. Maka, jangan risau dengan apa yang hendak dilakukan oleh manusia terhadap baginda kerana Allah sahaja sudah cukup sebagai pelindung.

مِنَ المَسجِدِ الحَرامِ إِلَى المَسجِدِ الأَقصَى

dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsa

Isra’ adalah perjalanan Nabi Muhammad ke Jurusalem. Itu adalah tempat Bani Israil. Ini sebagai isyarat bahawa Nabi Muhammad bukan sahaja imam kepada Masjidil Haram di Mekah, tetapi imam kepada Masjidil Aqsa juga.

Kisah tentang perjalanan ini sangat panjang dan perlu dipelajari secara khusus di tempat lain. Yang penting untuk kita ketahui bahawa baginda telah menjadi imam kepada para Nabi di Masjidil Aqsa itu.

Ada hadis yang tidak sahih mengatakan Nabi mula perjalanan dari rumah Umm Hani’. Maka hadis itu berlawanan dengan ayat Qur’an ini. Kisah yang masyhur itu sebenarnya dari Syiah kerana mereka nak kaitkan juga keluarga Saidina Ali dalam kisah Isra’ Mi’raj. Mereka tambah kisah Umm Hani’ kerana Umm Hani’ itu adalah kakak Saidina Ali.

الَّذي بارَكنا حَولَهُ

yang telah Kami berkahi sekelilingnya

Allah telah berkati MasjidilAqsa itu. Ianya memang tempat yang subur. Tempat itu memang ada sungai dan juga buah-buahan tumbuh subur.

Akan tetapi selain itu, tempat tersebut telah diberikan dengan ramai para Nabi. Nabi Ibrahim juga pernah ke sana. Nabi Ishak telah ditinggalkan di situ oleh Nabi Ya’kub (Nabi Ismail pula di Mekah). Sekarang, keturunan Nabi Ibrahim juga (iaitu Nabi Muhammad) yang akan menggabungkan dua tempat suci ini.

لِنُرِيَهُ مِن آياتِنا

agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda Kami.

Tujuan Nabi Muhammad dibawa dalam perjalanan hebat itu adalah untuk menunjukkan sebahagian dari tanda Qudrat Allah. Diperlihatkan syurga neraka dan macam-macam lagi. Dalam ayat lain disebutkan melalui firman-Nya:

{لَقَدْ رَأَى مِنْ آيَاتِ رَبِّهِ الْكُبْرَى}

Sesungguhnya Dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (ke­kuasaan) Tuhannya yang paling besar. (An-Najm: 18)

Kejadian isra’ mi’raj ini berlaku selepas baginda dihalau apabila baginda berdakwah di Ta’if. Baginda telah berdakwah di sana kerana waktu itu baginda lihat yang penduduk Mekah ramai yang tidak mahu menerima dakwah Tauhid. Maka, baginda mencuba nasib dengan berdakwah di Ta’if pula. Namun malangnya, penduduk Ta’if juga tidak mahu menerima malah lebih teruk lagi menolak baginda hinggakan baginda dihalau dengan dihujani dengan batu.

Namun, hati baginda tetap cekal dalam dakwah. Kerana Nabi tidak kisah kalau orang tidak berkenan kepada baginda, asalkan Allah berkenan dengan baginda. Maka, Allah beri pengalaman isra’ mi’raj ini kepada baginda untuk menguatkan kecekalan hati baginda. Allah tunjuk syurga, neraka dan kerajaanNya kepada Nabi Muhammad.

Allah mahu memberitahu kepada baginda, siapa yang ikut baginda, mereka akan masuk syurga itu dan yang menolak baginda akan masuk neraka itu. Maka legalah hati Nabi setelah melihat itu semua.

إِنَّهُ هُوَ السَّميعُ البَصيرُ

Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Allah Maha Mendengar. Allah mahu memberitahu yang Dia dengar segala kata-kata dakwah Nabi dan segala kata-kata orang yang mengata dan menentang dan menohmah baginda. Dan Allah Maha Melihat segala hal yang berlaku.

Allah juga Maha Mendengar apakah kesan dari kejadian isra’ mi’raj itu. Apabila baginda beritahu tentang kejadian itu, ramai orang Mekah suka. Ini adalah kerana mereka pernah kata yang baginda gila, dan sekarang mereka ada bukti! Mereka mahu menggunakan kisah ini sebagai hujah kuat mereka.

Orang pertama yang mereka jumpa adalah Abu Bakr kerana mereka mahu ejek baginda. Mereka rasa tentu Abu Bakr juga akan meninggalkan baginda Rasul apabila mendengar kisah gila ini. Tetapi, apabila mereka kata yang menceritakan pengalaman itu adalah Nabi Muhammad sendiri, Abu Bakr kata jikalau Nabi Muhammad yang berkata, tentu ia benar.

Abu Bakr sanggup kata begitu kerana dia sungguh percaya kepada Nabi Muhammad. Beliau tahu yang Nabi Muhammad pasti tidak akan menipu kalau itu yang terjadi kepada baginda. Kerana itulah beliau digelar as-Siddiq kerana beliau membenarkan apa sahaja dari Nabi Muhammad tanpa sangsi sedikit pun.

Sekarang bandingkan dengan kebanyakan golongan Bani Israil yang walaupun mereka mengaku telah beriman dengan Nabi mereka, mereka tetap tidak percaya. Mereka itu cakap sahaja percaya tapi sebenarnya tidak pun. Maka ini peringatan kepada kita supaya jangan jadi seperti mereka.


Ayat 2: Dalil naqli. Oleh kerana surah ini tentang Bani Israil, maka Allah menyebut tentang Nabi Musa dan Kitab Taurat. Selalu Allah menyebut tentang kisah Nabi Musa selepas menyebut tentang Nabi Muhammad.

وَآتَينا موسَى الكِتابَ وَجَعَلناهُ هُدًى لِبَني إِسرائيلَ أَلّا تَتَّخِذوا مِن دوني وَكيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We gave Moses the Scripture and made it a guidance for the Children of Israel that you not take other than Me as Disposer of affairs,¹

  • i.e., trust in Allāh, knowing that He (subḥānahu wa ta‘ālā) is responsible for every occurrence.

(MELAYU)

Dan Kami berikan kepada Musa kitab (Taurat) dan Kami jadikan kitab Taurat itu petunjuk bagi Bani Israil (dengan firman): “Janganlah kamu mengambil penolong selain Aku,

وَآتَينا موسَى الكِتابَ

Dan Kami berikan kepada Musa kitab (Taurat) 

Allah sebut Nabi Bani Israil yang paling utama iaitu Nabi Musa a.s. Baginda telah diberikan dengan Taurat. Dan telah banyak kali disebut di tempat yang lain, Taurat itu sama dengan Qur’an dari segi akidah. Ajaran Tauhid yang ada dalam Qur’an sama sahaja dalam Taurat kerana ajaran Tauhid tidak pernah berubah.

وَجَعَلناهُ هُدًى لِبَني إِسرائيلَ

dan Kami jadikan kitab Taurat itu petunjuk bagi Bani Israil

Kitab Taurat itu sebagai pedoman kepada Bani Israil. Oleh itu, kita dapat tahu bahawa Taurat itu hanya kepada Bani Israil sahaja dan dalilnya dalam ayat ini. Qur’an yang diberikan untuk semua umat akhir zaman. Dan kalau Taurat itu petunjuk bagi Bani Israil, maka Qur’an ini adalah petunjuk bagi kita. Maka kita kena pegang Qur’an ini dan kena faham apakah yang disampaikan olehnya dengan mempelajari tafsir Qur’an.

أَلّا تَتَّخِذوا مِن دوني وَكيلًا

“Janganlah kamu mengambil penolong selain Aku,

Allah sebut perkara yang penting disebut dalam Taurat. Inilah khulasah Kitab Taurat. Sememangnya banyak perkara tentang agama yang ada dalam Taurat itu, tetapi Allah berikan patinya: Jangan jadikan pelindung selain Allah. Jangan jadikan selain Allah sebagai ilah yang mereka serahkan urusan kepadanya.

‘Wakil’ adalah seseorang yang dipercayai dalam hal peribadi. Kerana ada benda yang kita mahu lakukan sendiri, susah kita hendak beri kepada orang lain untuk dilakukan bagi pihak kita. Tetapi kalau kita percaya sangat kepada seseorang itu, kita sanggup beri dia buat perkara itu bagi pihak kita. Inilah kepercayaan yang diberikan kepada seorang ‘wakil’.

Allah beritahu mereka jangan percaya orang lain melainkan kepada Dia sahaja. Jangan letak kepercayaan penuh melainkan kepada Allah sahaja. Jangan jadikan pelindung selain Allah. Maksudnya jangan syirikkan Allah dengan sesuatu apa pun.


Ayat 3: Siapakah yang dimaksudkan ‘selain Allah’?

ذُرِّيَّةَ مَن حَمَلنا مَعَ نوحٍ ۚ إِنَّهُ كانَ عَبدًا شَكورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O descendants of those We carried [in the ship] with Noah. Indeed, he was a grateful servant.

(MELAYU)

(Iaitu) anak cucu dari orang-orang yang Kami bawa bersama-sama Nuh. Sesungguhnya dia adalah hamba (Allah) yang banyak bersyukur.

ذُرِّيَّةَ مَن حَمَلنا مَعَ نوحٍ

(iaitu) anak cucu dari orang-orang yang Kami bawa bersama-sama Nuh. 

Kita ini adalah keturunan daripada Nabi Nuh kerana selepas Banjir Besar itu, memang tidak ada manusia lain yang hidup. Maka, yang dimaksudkan adalah umat manusia keturunan Nabi Nuh a.s. Jadi, maksud ayat ini: Jangan ambil zuriat manusia sebagai wakil atau sebagai pelindung selain Allah.

Atau, ayat ini sambung dari ayat sebelum ini, jadi ia berbunyi begini: “jangan ambil wakil selain Allah, wahai zuriat selepas Nabi Nuh”.

إِنَّهُ كانَ عَبدًا شَكورًا

Sesungguhnya dia adalah hamba yang banyak bersyukur.

Selepas itu disebut pula tentang Nabi Nuh a.s. Baginda adalah seorang Nabi yang banyak bersyukur. Di dalam hadith dan atsar dari ulama Salaf disebutkan bahawa Nabi Nuh a.s. selalu memuji Allah bila makan, minum, berpakaian, dan dalam semua perbuatannya. Kerana itulah maka dia digelar sebagai hamba Allah yang banyak bersyukur.

Seperti yang kita telah tahu, Bani Israil telah diselamatkan dengan menyeberangi air laut apabila mereka lari dari Firaun dan kuncu-kuncunya. Tetapi Allah mahu mengingatkan yang itu bukan kali pertama manusia diselamatkan dengan cara yang melibatkan air. Kali pertama dalam sejarah adalah apabila Nabi Nuh dan pengikut baginda diselamatkan dari Banjir Besar dengan dimasukkan ke dalam bahtera Nabi Nuh. Allah juga mahu mengingatkan yang Bani Israil adalah keturunan Nabi Nuh juga. Iaitu dari anak baginda yang bernama Sam bin Nuh.

Nabi Nuh adalah seorang yang banyak bersyukur. Bila diberitahu begini, kita haruslah ikut baginda juga iaitu dengan banyak mengucapkan kesyukuran kepada Allah SWT. Jangan lupa bersyukur kepada Allah setiap masa.

Tetapi seolah-olah ada teguran Allah dalam ayat ini. Sebagai contoh, kalau diberitahu yang ayah seseorang itu baik secara tiba-tiba, ini seolah-olah mahu beritahu yang anak itu tidak baik (ayah kamu baik, kenapa kamu tidak jadi baik macam dia?) Jadi, seperti ada teguran kepada Bani Israil yang tidak banyak bersyukur atas segala nikmat yang telah diberikan kepada mereka.


Ayat 4: Takhwif duniawi. Bani Israil telah bunuh dua Nabi iaitu Nabi Yusha’ a.s. dan Nabi Zakariya a.s. Setiap kali mereka bunuh Nabi-nabi itu, maka Allah hantar golongan yang kuat untuk musnahkan mereka. Hukuman yang dikenakan kepada mereka adalah kerana kezaliman mereka terhadap Allah dan terhadap manusia lain.

Kumpulan pertama yang menyerang kerajaan Bani Israil adalah Bukhtanassar (Nebuchadnezzar). Beliau adalah seorang Raja yang besar selain Namrud. Beliau menyerang, menakluk dan memusnahkan Jurusalem sekitar tahun 587 SM.

وَقَضَينا إِلىٰ بَني إِسرائيلَ فِي الكِتابِ لَتُفسِدُنَّ فِي الأَرضِ مَرَّتَينِ وَلَتَعلُنَّ عُلُوًّا كَبيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We conveyed¹ to the Children of Israel in the Scripture that, “You will surely cause corruption on the earth twice, and you will surely reach [a degree of] great haughtiness.”

  • Foretold out of divine knowledge of what they would do.

(MELAYU)

Dan telah Kami tetapkan terhadap Bani Israil dalam Kitab itu: “Sesungguhnya kamu akan membuat kerosakan di muka bumi ini dua kali dan pasti kamu akan menyombongkan diri dengan kesombongan yang besar”.

وَقَضَينا إِلىٰ بَني إِسرائيلَ فِي الكِتابِ

Dan telah Kami tetapkan terhadap Bani Israil dalam Kitab itu: 

Telah ditakdirkan dalam kitab Taurat atau sebelumnya lagi iaitu dalam suhuf. Maksudnya Allah telah beritahu mereka awal-awal lagi.

Di dalam Tafsir al-Kasysyaaf az-Zamakhsyari menyebutkan, bahawa harus juga dikatakan قَضَينا sebagai fi’il yang bertindak seperti fi’il qasam. Dan لَتُفسِدُنَّ adalah jawabnya. Seolah-olahnya dikatakan, وأقسمنا لتفسدن (Kami telah bersumpah, bahawa sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan).

لَتُفسِدُنَّ فِي الأَرضِ مَرَّتَينِ

“Sesungguhnya kamu akan membuat kerosakan di muka bumi ini dua kali

Allah telah beritahu yang mereka pasti akan melakukan kerosakan di muka bumi sebanyak dua kali. Ini adalah kerana mereka ada kuasa, bukan? Bumi yang dimaksudkan itu adalah Syria.

وَلَتَعلُنَّ عُلُوًّا كَبيرًا

dan pasti kamu akan menyombongkan diri dengan kesombongan yang besar”.

Mereka akan buat kerosakan itu sebanyak dua kali – maknanya mereka akan naik tinggi dua kali dimana mereka akan mendapat kuasa dalam dunia.

Atau maksud mereka sombong sangat itu adalah kerana mereka membunuh Nabi yang menjadi lambang Tauhid. Oleh itu, maksud meninggi itu adalah mereka angkat kepala kerana derhaka. Mereka menjadi sombong terhadap hamba Allah yang lain, sampai mereka sanggup membunuh Nabi! Ini memang perbuatan yang amat teruk.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 19 April 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalyn