Tafsir Surah Baqarah Ayat 74 – 76 (Golongan Munafik Yahudi)

Ayat 74:

ثُمَّ قَسَت قُلوبُكُم مِن بَعدِ ذٰلِكَ فَهِيَ كَالحِجارَةِ أَو أَشَدُّ قَسوَةً ۚ وَإِنَّ مِنَ الحِجارَةِ لَما يَتَفَجَّرُ مِنهُ الأَنهارُ ۚ وَإِنَّ مِنها لَما يَشَّقَّقُ فَيَخرُجُ مِنهُ الماءُ ۚ وَإِنَّ مِنها لَما يَهبِطُ مِن خَشيَةِ اللَّهِ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغافِلٍ عَمّا تَعمَلونَ

Sahih International

Then your hearts became hardened after that, being like stones or even harder. For indeed, there are stones from which rivers burst forth, and there are some of them that split open and water comes out, and there are some of them that fall down for fear of Allah. And Allah is not unaware of what you do.

Malay

Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.

ثُمَّ قَسَتْ قُلُوبُكُمْ

Kemudian tetap keras juga hati-hati kamu;

Segala peristiwa yang telah disebutkan dalam ayat-ayat tadi, sepatutnya menakutkan manusia. Tetapi tidak begitu yang terjadi kepada puak Yahudi. Sebaliknya hati mereka lebih keras lagi.

Allah ﷻ ceritakan hal ini kepada bangsa Arab Madinah, Wahai bangsa Arab Madinah, dengarlah bagaimana keras kepalanya tok nenek bangsa Yahudi yang sekarang duduk di Madinah itu. Kalau tok nenek mereka berperangai begitu, jangan terkejut kalau anak cucu mereka yang duduk di Madinah waktu itu pun berperangai begitu juga.

Hati yang dimaksudkan dalam ayat ini, iaitu hati-hati orang Yahudi. Mereka tak dapat terima hidayah yang diberi. Yang tidak mahu terima itu adalah hati, bukan akal. Kerana akal akan tetap berkembang dari sejak kita kecil dan akan meningkat ke usia tua. Tetapi hati itu akan sentiasa berbolak balik. Kadang-kadang hati yang membuat keputusan walaupun akal kita tahu yang ianya adalah salah.

Contohnya, orang-orang yang hisap rokok itu tahu yang merokok itu bahaya dan tidak elok tetapi mereka masih juga hisap rokok. Itu adalah kerana hati yang mahu.

Kadang kita dengar ceramah dan akan ada ilmu kita sudah tahu kerana sudah banyak kali dengar. Tetapi tetap kena dengar juga kerana hati yang perlu dicanai dan sentiasa diberi ingatan. Maka kita kena jaga hati kita. Kena belajar didik hati. Tidak boleh ikut hati kerana ikut hati akan mati. Akal kena lebih kuat dari hati.

مِنْ بَعْدِ ذَٰلِكَ

selepas yang demikian;

Selepas mereka melihat semua yang telah disebutkan dalam ayat-ayat sebelum ini, mereka masih tidak percaya dan taat kepada Allah ﷻ. Mereka masih lagi tidak mahu beriman. Padahal mereka adalah jenis bangsa yang telah diberikan ilmu pengetahuan yang banyak.

Dan mereka telah lihat sendiri bagaimana orang yang mati dihidupkan kembali dan macam-macam lagi perkara ajaib yang terjadi kepada mereka. Jadi akal mereka telah terima sebenarnya. Tetapi hati mereka yang degil tidak mahu terima juga. Begitulah kadang-kadang dengan manusia: apa yang akal tahu tidak semestinya sampai ke hati.

فَهِيَ كَالْحِجَارَةِ

Hati kamu itu umpama batu;

Allah ﷻ umpamakan hati mereka keras seperti batu. Sekarang kita akan masuk kepada satu perumpamaan yang hebat dari Allah ﷻ yang diletakkan dalam Qur’an berkenaan hati.

أَوْ أَشَدُّ قَسْوَةً

ataupun lebih keras daripada batu;

Malahan, hati mereka lebih keras lagi daripada batu, sebenarnya. Kerana batu pun tidak sekeras hati mereka. Kerana batu-batu itu ada juga yang berjenis-jenis. Ini akan diterangkan dalam bahagian ayat-ayat yang seterusnya nanti.

Ada batu yang boleh keluar sungai dari celahnya, ada batu yang pecah dan keluar air dari dalamnya, dan ada batu yang jatuh kerana takutkan Allah ﷻ. Batu yang keras pun, boleh jadi begitu, tetapi hati mereka sedikit pun tidak terkesan dengan apa yang telah diperlihatkan kepada mereka.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ akan beri perumpamaan tentang hati-hati manusia yang berbagai jenis:

وَإِنَّ مِنَ الْحِجَارَةِ لَمَا يَتَفَجَّرُ مِنْهُ الْأَنْهَارُ

Ada diantara batu itu mengalir darinya anak-anak sungai;

Ada batu yang boleh mengeluarkan air. Kalau mereka yang selalu berkembara pergi ke kawasan hutan dan berbukit, mereka boleh nampak ada batu yang merekah dan sungai keluar dari batu yang merekah itu.

Allah ﷻ menyebut hati sebagai ‘batu’ dan manakala ‘air’ pula adalah perumpamaan bagi iman. Ada orang yang ada potensi iman yang kuat di dalamnya. Jadi apabila disampaikan dakwah Islam kepada mereka, senang untuk mereka terima. Mereka ini adalah jenis orang yang memang mencari-cari apakah agama yang sebenar.

Hati mereka memang mencari-cari kebenaran. Jadi, apabila mereka diceritakan dengan Islam, mereka dengan mudah terima. Mereka ini adalah orang-orang seperti Saidina Abu Bakr رضي الله عنه. Mereka yang jenis macam ini, senang sahaja kita hendak dakwah kepada mereka. Sebab mereka senang hendak terima.

Kita cerita sedikit sahaja kelebihan belajar tafsir dan di mana ada kelas pengajian, mereka terus hendak datang dan belajar dan terus belajar. Mereka kata: “memang sudah lama saya mencari ilmu ini”.

وَإِنَّ مِنْهَا لَمَا يَشَّقَّقُ فَيَخْرُجُ مِنْهُ الْمَاءُ

Dan ada diantara batu itu yang pecah terbelah lalu keluar air daripadanya;

Mungkin kita jarang lihat perkara ini. Tetapi ada kawasan hutan di dunia ini yang memang ada batu yang pecah dan air keluar darinya. Air itu adalah air mineral. Tidak dapat dijelaskan dengan akal.

Batu ini kurang sedikit dari batu sebelum ini. Air yang keluar dari batu jenis kedua ini tidaklah sederas air dari batu pertama. Jadi ini adalah perumpamaan bagi hati jenis kedua. Kurang hebat sedikit dari hati yang pertama.

Dan ada orang pula yang susah sedikit hendak dakwah kepada mereka. Kerana hati mereka ada sedikit keras. Kena ada kerja sikit untuk memecahkan batu itu. Iman dia ada, cuma tertutup dalam hatinya. Dia akan berubah setelah dia dapat terima hujah yang mungkin hasil dari dakwah kita. Atau dari kejadian yang besar padanya yang menyebabkan dia terfikir tentang Islam.

Orang yang sebegini kena cari cara untuk dakwah kepada mereka. Kerana lain orang, lain cara untuk mereka boleh terima. Orang yang sebegini adalah seperti Saidina Umar رضي الله عنه. Dia tidak terus menerima Islam tetapi apabila didakwahkan kepadanya, dia boleh terima. Tetapi kena ada usaha untuk berdakwah kepada mereka dan adakalanya, susah sedikit. Namun apabila mereka sudah terima, mereka akan terima selama-lamanya. 

Ayat ini juga sebagai satu isyarat kepada kita untuk menangis kerana Allah ﷻ. Hati yang keras, langsung tidak menangis kerana Allah ﷻ. Tetapi hati yang lembut, mereka akan senang untuk menangis kerana Allah ﷻ.

وَإِنَّ مِنْهَا لَمَا يَهْبِطُ مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ

Dan ada diantara batu itu yang tergolek jatuh kerana takut kepada Allah;

Dan ada batu yang jatuh bergolek kerana takut kepada Allah ﷻ. Begitulah, kalau kita duduk di hutan, dan nampak batu tiba-tiba jatuh dari atas, ianya adalah kerana batu-batu itu takut kepada Allah ﷻ. Sebab tidak nampak apa sebab yang menyebabkan ianya jatuh, tetapi ia tiba-tiba jatuh sahaja. Orang-orang yang selalu ke hutan akan tahu perkara ini.

Beginilah hati yang ada sedikit iman dalam dirinya. Apabila disampaikan ayat-ayat Qur’an, ada bergetar sedikit hati mereka dan mereka tersentuh dan mereka tunduk. Tetapi manusia ramai yang tidak takut dengan Allah ﷻ. Bila dibacakan ayat-ayat Qur’an, mereka selamba sahaja macam tidak ada apa-apa.

Ada orang yang tahap mereka hanya Muslim sahaja (bukan Mukmin). Mereka sudah terima Islam, tetapi iman tidak masuk ke dalam hati mereka. Mereka ini adalah orang yang jenis macam orang Badwi semasa zaman Nabi ﷺ. Mereka adalah orang baik juga, tidak menentang Islam. Tetapi keimanan penuh belum masuk ke dalam hati mereka. Sekurang-kurangnya mereka telah terima Islam. Itu adalah langkah pertama.

Ini juga adalah isyarat kepada kita untuk sujud kepada Allah ﷻ kerana takut dan takjub kepadaNya. Tunduk sujud dalam solat. Dan apabila sampai kepada ayat-ayat Sajdah, kita sujud.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ memberi perumpamaan menggunakan subjek air dan batu. Ingatlah bahawa perumpamaan ini diberikan kepada Bani Israil pada zaman Nabi ﷺ. Dan perumpamaan ini amat sesuai sekali diberikan kepada Bani Israil kerana mereka sudah biasa belajar dalam sejarah mereka tentang tok nenek mereka dahulu pernah minum air yang terpancar dari batu selepas dipukul oleh Nabi Musa عليه السلام.

Jadi tidak pelik sebenarnya kepada mereka tentang batu yang keluar air. Begitulah, kita apabila memberi contoh, mestilah memberi contoh yang boleh difahami oleh orang yang mendengarnya. Barulah mereka senang faham.

وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Dan tidaklah Allah itu lalai dengan apa yang kamu lakukan;

Maksud Allah ﷻ tidak lupa dan lalai itu adalah, Allah ﷻ pasti akan balas nanti. Allah ﷻ tahu apa yang kita telah lakukan dan Allah ﷻ simpan dalam rekod tentang apa sahaja  yang kita lakukan. Jangan sangka Allah ﷻ tidak perasan dan Allah ﷻ tidak rekod simpan. Allah ﷻ pasti akan balas: Sama ada balas baik dengan diberikan syurga, atau balas dengan diberikan neraka.

Ia juga memberi isyarat kepada kita: kalau hati sudah keras, maka seseorang itu akan menjadi غَافِلٍ (lalai). Iaitu sudah tidak kisah dengan apa yang terjadi di sekelilingnya. Seperti lembu yang tidak kisah dengan apa yang terjadi. Begitulah orang-orang yang keras hatinya dan tidak kisah dengan apa yang terjadi di sekelilingnya.


 

Ayat 75: Sekarang, Allah ﷻ hendak memberitahu kelemahan-kelemahan golongan Yahudi dalam hal agama. Antaranya, mereka itu belajar Kitab Taurat tetapi mereka tidak berapa faham. Maknanya, mereka lemah kefahaman dalam ilmu agama.

Selepas ini Allah ﷻ sebutkan lima perangai buruk mereka. Mereka itulah yang merosakkan agama. Kita sebutkan dahulu jenis-jenis kumpulan dari kalangan Yahudi itu kelemahan dan keburukan itu supaya senang kita ikuti perbincangan selepas ini:

1. Dalam ayat 75 ini, yang dimaksudkan adalah ulama dan ahli ibadat Yahudi.
2. Ayat 76 adalah berkenaan golongan munafik Yahudi.
3. Ayat 78 pula adalah berkenaan orang awam Yahudi.
4. Ayat 79 adalah tentang ulama Yahudi yang mempersendakan agama sendiri.
5. Ayat 80 adalah tentang anak-anak bangsawan dan anak-anak ulama Yahudi.

أَفَتَطمَعونَ أَن يُؤمِنوا لَكُم وَقَد كانَ فَريقٌ مِنهُم يَسمَعونَ كَلامَ اللَّهِ ثُمَّ يُحَرِّفونَهُ مِن بَعدِ ما عَقَلوهُ وَهُم يَعلَمونَ

Sahih International

Do you covet [the hope, O believers], that they would believe for you while a party of them used to hear the words of Allah and then distort the Torah after they had understood it while they were knowing?

Malay

(Sesudah kamu – wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu – mengetahui tentang kerasnya hati orang-orang Yahudi itu) maka bolehkah kamu menaruh harapan bahawa mereka akan beriman kepada seruan Islam yang kamu sampaikan itu, padahal sesungguhnya telah ada satu puak dari mereka yang mendengar Kalam Allah (Taurat), kemudian mereka mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahui (bahawa perbuatan itu salah)?

أَفَتَطْمَعُونَ

Apakah kamu menaruh harapan besar

Khitab ayat ini adalah kepada para sahabat Nabi ﷺ. Allah ﷻ sedang bercakap kepada mereka dalam ayat ini. Allah ﷻ hendak kata: Kamu berharap mereka hendak jadi sahabat kamu dan memperjuangkan Islam seperti kamu? Jangan harap. Kalimah أَفَتَطْمَعُونَ dari طمع yang dalam bahasa kita: tamak. Iaitu hendak sangat kepada sesuatu.

Boleh kamu hendak dakwah kepada mereka, tetapi jangan harap sangat yang mereka akan ikut kamu. Agama mereka pun mereka tidak jaga, apatah lagi kalau agama baru. Allah ﷻ beritahu kepada para sahabat supaya mereka jangan anggap golongan Yahudi itu boleh senang-senang hendak beriman kepada Islam. Ini kerana para sahabat sangka, tentu golongan Yahudi itu senang terima Islam kerana mereka sudah ada kitab wahyu sebelum itu.

أَنْ يُؤْمِنُوا لَكُمْ

mereka akan beriman kepada kamu semua?

Ini adalah sebagai peringatan kepada orang Islam Arab Madinah yang sangka Bani Israil akan senang masuk Islam. Sebab mereka sangka Bani Israil itu sudah ada kitab wahyu dan sudah lama beragama, jadi mereka sangka mereka senanglah puak Yahudi itu nak beriman dengan Nabi ﷺ.

Tidak semudah itu. Allah ﷻ hendak bagi para sahabat sedar. Dan Allah ﷻ hendak beri mereka pujukan. Kerana tentu mereka hairan kenapalah Yahudi tidak terima Islam? Sedangkan dahulu mereka itulah yang banyak ajar Arab Madinah tentang agama, tentang Nabi dan sebagainya. Tetapi apabila benar-benar Nabi yang mereka tunggu telah datang, mereka tidak beriman pula.

وَقَدْ كَانَ فَرِيقٌ مِنْهُمْ

sedangkan sesungguhnya ada satu puak di kalangan mereka

Mereka yang dimaksudkan adalah golongan ulama, pembesar dan ahli agama dari kalangan orang Yahudi. Mereka mendengar Kitab Taurat dibacakan. Mereka itu memang ada belajar Kitab Taurat.

يَسْمَعُونَ كَلَامَ اللَّهِ

mendengar ayat-ayat Allah;

Mereka dengar Kitab Taurat dibacakan. Tok nenek mereka dahulu pernah lihat sendiri Taurat Allah ﷻ diturunkan apabila mereka dibawa oleh Nabi Musa عليه السلام naik Bukit Thur.

Jadi Allah ﷻ hendak ingatkan kepada orang Islam – kamu sangka mereka hendak dengar kata-kata kamu? Kata-kata Allah ﷻ sendiri mereka tidak dengar, apatah lagi kata-kata manusia.

ثُمَّ يُحَرِّفُونَهُ

kemudian mereka mengubah-ubahnya

Mereka berani ubahsuai Kitab Taurat dengan tangan mereka. Ini memang jenis orang yang amat teruk, sampai sanggup ubah Kitab Allah ﷻ. Seteruk-teruk orang Islam, memang tidak berani hendak ubah Qur’an.

مِنْ بَعْدِ مَا عَقَلُوهُ

setelah mereka faham apa yang mereka baca itu;

Mereka ubahsuai Kitab Taurat itu setelah mereka faham apakah yang disampaikan dalam kitab itu. Ada manusia yang ubahsuai agama sebelum mereka faham kerana mereka golongan jahil. Tetapi ulama-ulama Yahudi ini lagi teruk, kerana mereka ubahsuai Kalam Allah ﷻ itu setelah mereka faham yang disampaikan oleh Kitab Taurat.

Kenapa mereka ubahsuai? Kerana apa yang disampaikan dalam Kitab itu tidak sesuai dengan nafsu mereka.

Ayat ini merujuk kepada tok guru ahli agama dari kalangan puak Yahudi. Mereka ubah Kalam Allah ﷻ dengan perkataan yang tidak datang daripada Allah ﷻ. Begitu jugalah yang terjadi zaman sekarang. Ada yang ubahsuai agama setelah mereka memahaminya. Kerana apa yang disampaikan dalam Qur’an tidak sama seperti apa yang mereka hendak.

Sedangkan Nabi ﷺ telah menyuruh manusia supaya mengikut apa yang telah diajarnya dan dibawa oleh sahabat-sahabat. Tetapi ada pula golongan yang menyatakan bahawa sahabat-sahabat itu yang sesat. Itulah yang dikatakan oleh puak Syiah. Ini hanya sebagai satu contoh. Ada lagi yang lain.

Sebagai contoh, dalam Qur’an, telah jelas melarang bertawasul dengan para wali, para Nabi dan Malaikat. Tetapi ada juga golongan agamawan yang tafsir dengan maksud yang lain. Mereka tidak dapat ubah Qur’an, tetapi mereka ubah tafsir Qur’an itu. Mereka kata maksud ayat itu adalah maksud yang lain.

Ada golongan yang mengubah kerana mereka mendapat imbuhan dengan apa yang mereka ubah itu. Maknanya, mereka sanggup jual agama untuk mendapat upah yang sedikit.

وَهُمْ يَعْلَمُونَ

sedangkan mereka tahu;

Mereka tahu bahawa apa yang mereka buat itu adalah salah. Tetapi kerana hendak cari makan, mereka akan ubah kepada maksud yang lain. Sebagai contoh, kalau anak murid itu jenis yang suka bertawasul dengan para wali, mereka tidak tegur pun. Kerana kalau mereka tegur dan kata ianya salah, tentu anak-anak murid itu tidak setuju dengan mereka dan sudah tidak ajak mereka mengajar lagi.

Apabila mereka tidak dapat mengajar, mereka tidak dapat upah mengajar lagi. Sudah tidak dapat ‘sampul putih’. Padahal mereka tahu bahawa bertawasul dengan para wali yang sudah mati itu adalah salah dan dilarang oleh Allah ﷻ dalam Qur’an. Tetapi mereka sanggup tidak tegur kerana takut dengan anak murid.

Jadi, walaupun ayat Qur’an ini adalah berkenaan ulama Yahudi, tetapi ianya juga boleh merujuk kepada ahli agama Islam zaman sekarang. Ini termasuk ustaz-ustaz yang mengajar agama di masjid dan surau-surau. Kalau mereka pun buat perangai golongan agamawan Yahudi ini, maka mereka pun kena nasib yang sama juga.


Ayat 76: Ayat ini merujuk kepada Yahudi munafik di zaman Nabi Muhammad ﷺ.

وَإِذا لَقُوا الَّذينَ آمَنوا قالوا آمَنّا وَإِذا خَلا بَعضُهُم إِلىٰ بَعضٍ قالوا أَتُحَدِّثونَهُم بِما فَتَحَ اللَّهُ عَلَيكُم لِيُحاجّوكُم بِهِ عِندَ رَبِّكُم ۚ أَفَلا تَعقِلونَ

Sahih International

And when they meet those who believe, they say, “We have believed”; but when they are alone with one another, they say, “Do you talk to them about what Allah has revealed to you so they can argue with you about it before your Lord?” Then will you not reason?

Malay

Dan apabila mereka (orang-orang Yahudi pada zaman Rasulullah) bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: “Kami telah beriman”; dan apabila mereka berjumpa sesama sendiri, mereka berkata: “Patutkah kamu ceritakan kepada mereka (orang-orang Islam) dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah kepada kamu (di dalam Kitab Taurat mengenai kebenaran Nabi Muhammad) untuk menjadikannya sebagai hujah (bukti) yang dapat mengalahkah kamu di sisi Tuhan kamu? Tidakkah kamu berakal?”

وَإِذَا لَقُوا الَّذِينَ آمَنُوا

Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman

Mereka yang dimaksudkan adalah golongan Yahudi munafik. Mereka golongan bawahan yang ada berurusan dengan sahabat dalam perniagaan, contohnya. Mereka ada bertemu dan berkomunikasi dengan sahabat-sahabat Nabi ﷺ. Kalau golongan ulama mereka tidak buat macam tu.

قَالُوا آمَنَّا

mereka berkata: kami beriman;

Mereka kata mereka beriman apabila mereka berjumpa dengan sahabat-sahabat Nabi ﷺ. Ini kerana apabila mereka berjumpa dengan orang beriman, dan mereka menceritakan tentang apakah yang telah disebut dalam Qur’an, mereka kata semua itu pun sudah ada dalam Kitab Taurat mereka.

Jadi mereka mengiyakan apa yang diceritakan oleh sahabat-sahabat Nabi ﷺ. Mereka kata, mereka pun beriman sama seperti apa yang disebutkan dalam Qur’an itu.

وَإِذَا خَلَا بَعْضُهُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ

Dan apabila setengah mereka pergi berjumpa dengan setengah yang lain;

Iaitu apabila mereka berjumpa dengan ketua-ketua agama mereka, atau berjumpa dengan golongan Yahudi yang lain.

قَالُوا أَتُحَدِّثُونَهُمْ

mereka (ketua-ketua mereka) berkata: Patutkah kamu ceritakan kepada mereka (orang-orang Islam)

Apabila golongan munafik Yahudi itu bertemu dengan ulama mereka, ulama mereka itu telah memarahi golongan munafik itu. Kerana kadang-kadang mereka cerita benda-benda yang benar dari Taurat. Sahabat pun kata apa yang mereka sampaikan itu sama dengan apa yang ada dalam Qur’an. Sampai mereka ada beritahu kepada para sahabat yang akan datang Nabi akhir zaman yang akan duduk di Yathtib.

Marahlah ulama Yahudi bila mereka tahu yang golongan bawahan itu telah beritahu perkara-perkara itu. Ia seolah-olah rahsia mereka dan ada pula golongan mereka yang sampaikan rahsia itu kepada umat Islam.

بِمَا فَتَحَ اللَّهُ عَلَيْكُمْ

dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah kepada kamu;

Iaitu dengan memberitahu tentang apa yang ada di dalam Kitab Taurat yang memang ada menceritakan tentang kedatangan Nabi ﷺ, kebenaran Nabi ﷺ, dan sebagainya. Pendita Yahudi memarahi pengikut mereka memberitahu tentang kebenaran tentang Nabi Muhammad ﷺ yang memang disebut dalam Kitab Taurat.

لِيُحَاجُّوكُمْ بِهِ عِنْدَ رَبِّكُمْ

yang nanti mereka akan menggunakannya sebagai hujah mengalahkan kamu di sisi Tuhan kamu nanti?

Mereka takut nanti sahabat yang beriman akan guna balik kitab Taurat untuk lawan berdebat dengan mereka. Mereka takut nanti orang-orang Islam akan kata: memang orang Yahudi sendiri telah kata semua benda itu telah ada dalam kitab mereka.

Jadi, mereka takut orang Islam akan berhujah begitu untuk menyalahkan mereka. Dan mereka tidak mahu perkara itu akan menjadikan orang-orang beriman akan semakin kuat iman mereka kerana persamaan yang ada dalam kitab-kitab yang terdahulu. 

Golongan ulama itu juga takut yang hujah ini nanti akan digunakan di hadapan Allah ﷻ. Kerana nanti golongan Muslim akan berkata: “Ya Allah, memang golongan Yahudi ini telah tahu tentang Islam kerana dia sendiri beritahu saya tentang itu dan ini….”

Ini kerana mereka hendak guna hujah: “Kami tidak kenal Muhammad ini.. kalau kami kenal, tentu kami beriman…” Tetapi nanti para sahabat akan jadi saksi pula ke atas mereka: “Mereka bukan tidak kenal, akan tetapi mereka memang kenal. Kerana mereka sendiri cakap dengan kami.”

أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Apakah kamu tidak boleh berfikir?

Mereka marah pengikut mereka. “Kamu tidak fikirkah yang ini akan menyebabkan kita susah nanti?”

Allahu a’lam. Sambung ke ayat seterusnya.

Kemaskini: 26 Mei 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s