Tafsir Surah Baqarah Ayat 21 – 22 (Jangan melakukan Syirik!)

ARAHAN UNTUK SEMBAH ALLAH SAHAJA

Baqarah Ayat 21: Ini adalah ‘Dakwa‘ Surah Al-Baqarah yang pertama. Ada tiga Dakwa di dalam Surah Al-Baqarah.

Ayat 1-20 telah menceritakan tentang golongan-golongan yang celaka. Ada yang selamat dan ada yang celaka. Maka ayat seterusnya ini adalah rawatan kepada mereka yang celaka itu.

Ayat 21 – 29 ini adalah seruan kepada Tauhid kepada sekalian manusia. Mereka mesti kembali kepada ajaran agama yang sebenar.

Ayat 21 dan 22 adalah tentang tauhid – iaitu mengajar manusia untuk sembah Allah ﷻ sahaja.

Kemudian ayat 23 dan 24 tentang Risalah (Kenabian) kerana untuk kita kenal agama dan selamat dunia akhirat, kita kena ikut ajaran Nabi.

Oleh itu jika mahu selamat, mestilah terima tauhid dan Risalah. Allah ﷻ beritahu dalam ayat 25 yang natijah kalau terima keduanya, balasannya adalah syurga. Syurga adalah tentang akhirat. Memang ayat-ayat Al-Qur’an selalunya berlegar antara tiga perkara ini: Tauhid – Risalah – Akhirat.

يٰأَيُّهَا النّاسُ اعبُدوا رَبَّكُمُ الَّذي خَلَقَكُم وَالَّذينَ مِن قَبلِكُم لَعَلَّكُم تَتَّقونَ

Sahih International

O mankind, worship your Lord, who created you and those before you, that you may become righteous –

Malay

Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.

 

يٰأَيُّهَا النَّاسُ

Wahai manusia semua sekali;

Sekarang Allah ﷻ bercakap kepada semua manusia, tidak kira sama ada orang itu Muslim, tidak kira sama ada orang itu kafir atau munafik. Semua manusia kena dengar nasihat ini. Ini adalah kerana setelah Allah ﷻ terangkan tentang tiga golongan tadi, Allah ﷻ hendak rangkumkan apakah yang perlu manusia lakukan.

Akan tetapi, kita pun tahu yang orang kafir ramai yang tidak baca Al-Qur’an. Lalu bagaimana mana hendak tahu? Maka kitalah yang kena sampaikan. Inilah tanggungjawab kita sebagai pelajar Al-Qur’an ini untuk menyampaikan kepada mereka. Jangan kita jadi sepert orang Yahudi yang menyimpan kalam suci Allah ﷻ dengan mereka sahaja dan tidak sampaikan kepada orang lain.

 

اعْبُدُوا رَبَّكُمُ

Sembahlah Tuhan kamu sahaja;

Inilah yang penting sekali manusia mesti lakukan; sembah Allah ﷻ sahaja. Pujalah, ibadatlah, sembahlah, agungkanlah Allah ﷻ sahaja. Buatlah ibadat kepada Allah ﷻ sahaja. Bukan hanya sembah, tetapi sembah Dia sahaja kerana ada orang yang sembah Allah ﷻ tetapi di dalam masa yang sama, mereka sembah juga selain Allah ﷻ dan ini adalah salah. Apabila Allah ﷻ suruh sembah Dia, maka kena sembah Dia sahaja, jangan sembah selain-Nya. Inilah janji kita yang kita baca setiap hari sekurang-kurangnya di dalam solat kita iaitu Fatihah: 5

إِيَّاكَ نَعۡبُدُ
Hanya Engkau yang layak kami sembah

Kenapa kena sembah dan buat ibadat kepada Dia sahaja? Allah ﷻ beritahu dalil dalam bahagian yang seterusnya. Namun sebelum itu, apakah maksud ‘ibadah’? Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah رَحِمَهُ اللَّهُ memberikan pengertian Ibadah sebagai:

العبادة هي اسم جامع لكل ما يحبه الله ويرضاه من الأقوال والاعمال الباطنة والظاهرة فالصلاة والزكاة والصيام والحج وصدق الحديث وأداء الأمانة وبر الوالدين وصلة الأرحام والوفاء بالعهود والأمر بالمعروف والنهي عن المنكر والجهاد للكفار والمنافقين والاحسان الى الجار واليتيم والمسكين وابن السبيل والمملوك من الآدميين والبهائم والدعاء والذكر والقراءة وأمثال ذلك من العبادة وكذلك حب الله ورسوله وخشية الله والإنابة إليه وإخلاص الدين له والصبر لحكمه والشكر لنعمه والرضا بقضائه والتوكل عليه والرجاء لرحمته والخوف لعذابه وأمثال ذلك هي من العبادة لله.
“Ibadah ialah kata nama yang menghimpunkan setiap sesuatu yang disukai oleh Allah dan diredhai-Nya terdiri daripada perkataan dan perbuatan yang batin dan zahir. Maka solat, zakat, puasa, haji, bercakap benar, melaksanakan amanah, berbuat baik kepada kedua ibu-bapa, menghubungkan silaturrahim, menunaikan janji, al-Amr bi al-Makruf wa al-Nahy ‘an al-Mungkar, berjihad dengan orang kafir dan munafiqin, berbuat baik kepada jiran, anak yatim, orang miskin, orang yang terputus bekalan dalam permusafiran, yang dimiliki sama ada insan atau binatang ternak, berzikir, membaca Al-Qur’an dan seumpama yang lain daripada ibadat, demikian juga kecintaan kepada Allah dan rasul-Nya, takutkan Allah, menyerah urusan kepada-Nya, ikhlas kepada-Nya, sabar dengan hukum-Nya, syukur dengan nikmat-nikmat-Nya, redha dengan ketentuan-Nya, bertawakkal kepadanya, berharap kepada Rahmat-Nya, takut akan azab-Nya dan seumpamanya adalah termasuk di dalam ibadah kepada Allah.
(Kitab al-‘Ubudiyyah)

Maksud اعْبُدُوا juga adalah ‘menghambakan’ diri kepada Allah ﷻ. Maksudnya bukan sahaja melakukan ibadat tetapi kena terima kedudukan sebagai hamba kepada Allah ﷻ. Apabila sedar kita ini adalah hamba, maka kena taat kepada apa sahaja yang Allah ﷻ suruh kita buat. Apabila tidak faham perkara ini, maka ada yang sembah Allah ﷻ semasa melakukan ibadah, tetapi luar ibadah mereka tidak menghambakan diri kepada Allah. Sebagai contoh, ada orang yang tidak tinggal solat (ibadah) akan tetapi mereka ambil pinjaman riba, tidak beri hak isteri dan anak-anak, berlaku zalim kepada orang lain dan macam-macam lagi. Ini adalah kerana perkara itu luar ibadah, bukan? Ini semua terjadi kerana mereka tidak faham, sebagai manusia kena menghambakan diri sepanjang masa kepada Allah ﷻ dan ini bermakna taat hukum hakam Allah ﷻ.

Di sini Allah ﷻ gunakan kalimah Rabb yang bermaksud antara lain adalah Pendidik dan Pemelihara. Allah ﷻ yang memberi segala keperluan kepada kita untuk kita hidup. Tidak pernah kita tidak memerlukan-Nya. Malah kalau Allah ﷻ marah dan murka kepada kita pun di atas sifat Rabb itu juga. Dia hanya mahukan kebaikan buat diri kita. Bukankah kalau seorang ayah marah kepada anaknya kerana dia sayang kepada anaknya dan mahu anak itu berjaya dan dan menjadi anak yang baik?

Maka amat penting kita melakukan ibadah dan menghambakan diri kepada Allah ﷻ kerana inilah tujuan kita dijadikan seperti disebut di dalam Dzariyat:56

وَما خَلَقتُ الجِنَّ وَالإِنسَ إِلّا لِيَعبُدونِ
Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.

 

الَّذِي خَلَقَكُمْ

Kerana Dialah Dzat yang mencipta kamu;

Untuk setiap Dakwa, mesti ada dalil. Selepas Allah ﷻ suruh buat sesuatu, Allah ﷻ beritahu kenapa kita kena ikut arahan-Nya itu. Inilah cara pengajaran terbaik, iaitu beritahu sebab apa kita kena melakukan sesuatu. Ini seperti kita ajar anak kita, sepatutnya kita beritahu kepada dia kenapa, supaya dia faham dan senang hati untuk dia melakukannya.

Dalil pertama yang diberikan adalah jenis ‘Dalil Aqli Anfusi – iaitu Allah ﷻ suruh lihat kepada diri kita sendiri. Kita kena taat kepada Allah ﷻ kerana Allah ﷻ sahaja yang boleh menjadikan kita. Kita kena sembah Allah ﷻ sahaja, kerana makhluk lain tidak mampu mencipta kita.

 

وَالَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ

dan orang-orang yang sebelum kamu;

Dalil yang kedua, Allah ﷻ sebut yang bukan kita sahaja yang dicipta tetapi semua yang sebelum kita pun telah dijadikan oleh Allah ﷻ. Semua sekali, bapa, datuk dan nenek kita semua sekali telah diciptakan oleh Allah ﷻ. Bermula daripada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sampailah ke manusia terakhir yang mati pada Hari Kiamat. Sebab itu kita kena sembah Dia, hanya Dia.

Apabila digabungkan umat sekarang dengan umat terdahulu, ia hendak menekankan kesatuan manusia sejak dahulu hingga akhir zaman. Semua manusia dilahirkan dengan menggunakan unsur yang sama, tujuan yang sama dan Tuhan yang sama.

Jelas sekali tok nenek kita semua pun dijadikan oleh Allah ﷻ, maka mereka pun kenalah sembah Allah ﷻ sahaja. Jika mereka tidak melakukannya, maka mereka telah melakukan kesalahan besar dan kita tidak boleh ikut mereka. Ini amat penting kerana ramai yang ikut fahaman dan amalan tok nenek dan perkara ini banyak ditegur di dalam Al-Qur’an. Antaranya teguran Allah ﷻ kepada Kaum Tsamud di dalam Hud: 62

قالوا يٰصٰلِحُ قَد كُنتَ فينا مَرجُوًّا قَبلَ هٰذا ۖ أَتَنهٰنا أَن نَّعبُدَ ما يَعبُدُ ءآباؤُنا وَإِنَّنا لَفي شَكٍّ مِّمّا تَدعونا إِلَيهِ مُريبٍ
Kaum Tsamud berkata: “Hai Saleh, sesungguhnya kamu sebelum ini adalah seorang di antara kami yang kami harapkan, apakah kamu melarang kami untuk menyembah apa yang disembah oleh bapak-bapak kami? Dan sesungguhnya kami betul-betul dalam keraguan terhadap agama yang kamu serukan kepada kami”.

Allah ﷻ tidak pula sebut ‘orang-orang selepas kamu’. Ini adalah kerana tidak ada lagi umat Nabi selain daripada umat Nabi Muhammad ﷺ. Semenjak bangkitnya Nabi Muhammad ﷺ sebagai Rasul, maka manusia dari waktu itu sehingga ke Hari Kiamat, semuanya adalah umat Nabi Muhammad ﷺ. Ini kerana tidak akan ada lagi Nabi yang akan dilantik selepas Nabi Muhammad ﷺ.

 

لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Mudah-mudahan kamu akan dapat taqwa. 

Dalil-dalil ini diberi supaya kita boleh terima dan buat ibadat dan menghambakan diri kepada Allah ﷻ dan semoga kita bertaqwa. Dengan menghambakan diri kepada Allah ﷻ dan taat kepada segala perintah-Nya, kita boleh menjadi orang yang bertaqwa. Semoga dengan itu kamu akan selamat dari neraka. Maka kalau orang tanya kenapa kita melakukan ibadat, jawapan daripada ayat ini adalah supaya kita boleh menjadi orang bertaqwa.

Syarat taqwa sekurang-kurangnya ada syarat yang melibatkan zahir dan batin:

Zahir: jaga hukum
Batin: takut kepada Allah ﷻ

Ibadah yang kita disuruh lakukan itu bukanlah untuk kepentingan Allah ﷻ kerana Allah ﷻ tidak memerlukan ibadah kita. Akan tetapi ia untuk kebaikan diri kita juga, supaya kita bertaqwa dan boleh dimasukkan ke dalam syurga.

Namun kalimah yang yang digunakan di sini adalah لَعَلَّ yang bermaksud ‘mudah-mudahan’, ‘semoga’. Ini seolah-olah menidakkan kepastian, bukan? Maka kalau kita benar-benar ikut arahan Allah ﷻ dan Rasul-Nya, adakah tidak pasti kita akan selamat dari neraka dan masuk ke dalam syurga?

Maka ini harus dijelaskan iaitu kita tidak akan dapat masuk ke dalam syurga dengan iman dan amal kita sahaja. Tidak cukup tambang untuk masuk ke dalam syurga melainkan dengan rahmat Allah ﷻ. Ini seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ جَابِرٍ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يُدْخِلُ أَحَدًا مِنْكُمْ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ وَلَا يُجِيرُهُ مِنْ النَّارِ وَلَا أَنَا إِلَّا بِرَحْمَةٍ مِنْ اللَّهِ
Daripada [Jabir رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] beliau berkata: Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Tidak seorang pun dari kalian yang dimasukkan syurga oleh amalnya dan tidak juga diselamatkan dari neraka kerananya, tidak juga aku kecuali kerana rahmat daripada Allah.”
(Riwayat Muslim (5042))

Digunakan juga kalimah لَعَلَّ kerana belum pasti lagi manusia akan terus beriman kerana manusia telah diberi pilihan antara derhaka ataupun taat. Allah ﷻ memang mahu kita taat dan meninggalkan derhaka, tetapi ia terpulang kepada manusia. Maka kalimah لَعَلَّ digunakan kerana tidak jelas lagi nasib mereka.


 

Baqarah Ayat 22: Ini dalil ketiga, bukan sekadar Dia telah menciptakan manusia sahaja, malah seluruh alam ini. Selepas Allah ﷻ suruh lihat pada diri kita, lihat pula kepada alam yang hebat ini.

الَّذي جَعَلَ لَكُمُ الأَرضَ فِرٰشًا وَالسَّمآءَ بِنآءً وَأَنزَلَ مِنَ السَّمآءِ مآءً فَأَخرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرٰتِ رِزقًا لَّكُم ۖ فَلا تَجعَلوا لِلهِ أَندادًا وَأَنتُم تَعلَمونَ

Sahih International

[He] who made for you the earth a bed [spread out] and the sky a ceiling and sent down from the sky, rain and brought forth thereby fruits as provision for you. So do not attribute to Allah equals while you know [that there is nothing similar to Him].

Malay

Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa).

 

الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ

Dialah juga yang mencipta untuk kamu, bumi ini

Allah ﷻ juga yang jadikan bumi sebagai hamparan buat kita. Sebagai tempat duduk dan tempat cari rezeki. Bumi ini adalah tempat ujian bagi kita dan Allah ﷻ yang tentukan ia begitu. Hanya Allah ﷻ sahaja yang mampu menjadikan alam ini, tidak ada tuhan yang lain sama sekali.

Kalimah جَعَلَ yang digunakan di sini adalah berlainan daripada خلق yang kadang-kadang digunakan juga di dalam Al-Qur’an yang juga bermaksud ‘menjadikan’. Cuma kalau جَعَلَ yang digunakan, ia mengandungi maksud mewujudkan sesuatu daripada bahan yang telah ada sebelumnya sambil menekankan bahawa yang wujud itu sangat bermanfaat dan harus diraih manfaatnya, khususnya kepada yang mewujudkan sesuatu itu, yakni oleh manusia. Jika demikian, manusia yang untuknya dijadikan bumi ini terhampar haruslah meraih manfaat lahir dan batin, material dan spiritual. Jangan biarkan bumi, ia mestilah dikelola dengan baik. Makmurkan ia untuk kemaslahatan hidup.

Thahir Ibn ‘Asyur رَحِمَهُ اللَّهُ menjelaskan bahawa memahami makna kata جَعَلَ dalam erti menjadikan iaitu mewujudkan sesuatu daripada bahan yang telah ada sebelumnya – memberi isyarat bahawa bumi yang kita huni sekarang ini telah mengalami perubahan demi perubahan dan berpindah daripada keadaan ke keadaan yang lain hingga menjadi seperti sekarang.

Potongan ayat ini juga sebagai dalil bahawa bumi ini dijadikan untuk kita. Segala yang ada di bumi ini adalah untuk kegunaan kita. Sebagai contoh, ada binatang juga hidup di dunia ini, bukan? Maka binatang itu untuk kita sebenarnya.

Ayat ini juga menjadi dalil bahawa tempat tinggal untuk manusia ini adalah planet bumi ini, bukan tempat yang lain. Kalau boleh pergi ke planet lain, boleh lawatlah sahaja, bukan untuk tinggal.

 

فِرٰشًا

terhampar;

Allah ﷻ hamparkan bumi ini seluas-luasnya untuk mudah kita tinggal di atasnya. Allah ﷻ tetapkan bumi ini tidak bergerak dan bergegar, walaupun bumi ini sebenarnya bergerak pada kelajuan yang tinggi mengelilingi matahari di angkasa. Bayangkan, kalau bergegar sahaja bumi, rumah, bangunan apa sahaja binaan akan runtuh. Sangat sukar untuk kita bergerak, hendak pandu kereta pun tidak boleh, malah apa sahaja aktiviti pasti terbatas.

Allah ﷻ jadikan bumi ini terbentang luas, mudah untuk kita hidup dan bergerak di atasnya. Tidaklah seluruh tempat berbukit bukau kerana itu akan menyukarkan. Tidaklah juga berair semua tempat seperti paya kerana itu pun akan menyusahkan juga. Tanah yang kita pijaki ini tidaklah keras seperti batu dan tidaklah lembut sampai jerlus pula kaki. Memang elok-elok molek sahaja untuk berjalan di dalamnya. Kalau keras macam batu, susah kita hendak bercucuk tanam; kalau lembik susah pula kita berjalan di atasnya.

Maksud terhampar itu pula bukanlah bermaksud bumi ini rata dan tidak sfera. Ini pun penat juga untuk kita jelaskan kepada manusia. Ayat-ayat Al-Qur’an tidak ada yang jelas membuktikan untuk golongan yang mengatakan bumi ini datar. Maksud terhampar di sini adalah kerana luasnya ia, maka ia memudahkan kehidupan kita di atasnya.

 

وَالسَّمَآءَ بِنَآءً

Dan langit sebagai binaan yang kukuh

Dalil keempat pula, Allah ﷻ mengingatkan kita yang Dia juga yang menjadikan langit. Langit adalah satu binaan yang kukuh dan luas. Kalimah السَّمَآءَ dari segi bahasa bererti segala yang berada di atas.

Ia diibaratkan sebagai bangunan بِنَآءً di dalam ayat ini. Persamaannya adalah sebagaimana bangunan menjadi pelindung bagi manusia daripada bahaya yang dapat mengancamnya, maka langit juga melindungi manusia dan makhluk-makhluk bumi daripada bahaya yang dapat mengancamnya dan yang bersumber daripada lapisan-lapisan “langit” yang berada di atas “langit” yang kita lihat seperti kubah berwarna biru itu. Para ilmuwan menjelaskan bahawa ada lapisan ozon dalam stratosfera berfungsi sebagai payung yang melindungi kehidupan di bumi terhadap radiasi ultra-violet yang berbahaya dengan cara menyerap gelombang pendek daripada radiasi itu. Jika tidak ada ozon yang menyerapnya maka radiasi itu dapat menyebabkan sekian macam penyakit serta mengurangkan sistem kekebalan tubuh dan bahan manusia.

Tinggi dan hebatnya langit itu ia tersergam indah tanpa ada tiang pun. Langit adalah pasangan bagi bumi. Bumi itu ibarat perempuan dan langit itu ibarat lelaki. Maka langit adalah sesuatu yang amat cantik untuk diperhatikan. Kerana itu ramai yang berminat untuk mengkaji langit. Juga menjadi memang kebiasaan orang Arab pada waktu itu di malam hari adalah berbaring di bumbung dan melihat langit. Ia adalah termasuk ibadah yang disebut di dalam Al-Qur’an iaitu Mulk: 3-5

الَّذي خَلَقَ سَبعَ سَمٰوٰتٍ طِباقًا ۖ مّا تَرىٰ في خَلقِ الرَّحمٰنِ مِن تَفٰوُتٍ ۖ فَارجِعِ البَصَرَ هَل تَرىٰ مِن فُطورٍ
Dialah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan – (mu) – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?

ثُمَّ ارجِعِ البَصَرَ كَرَّتَينِ يَنقَلِب إِلَيكَ البَصَرُ خاسِئًا وَهُوَ حَسيرٌ
Kemudian ulangilah pandangan (mu) berkali-kali, nescaya pandanganmu itu akan balik kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia).

وَلَقَد زَيَّنَّا السَّماءَ الدُّنيا بِمَصٰبيحَ وَجَعَلنٰها رُجومًا لِّلشَّيٰطينِ ۖ وَأَعتَدنا لَهُم عَذابَ السَّعيرِ
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap Syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang.

 

وَأَنْزَلَ مِنَ السَّمَآءِ مَآءً

Dan Dia menurunkan dari langit air

Allah ﷻ sebut bumi – langit – hujan. Penyebutan bumi dan langit bukan sahaja kerana keduanya sangat dekat di benak manusia, tetapi juga kerana pada keduanya terdapat nikmat yang sangat diperlukan manusia iaitu air di bumi dan udara di langit. Di sisi lain, penyebutan dengan urutan tersebut mengisyaratkan pula bahawa air bersumber dari bumi, kemudian menguap ke udara, lalu turun kembali ke bumi dan kerana itu lanjutan ayat ini berbicara tentang nikmat Allah ﷻ menurunkan air dari langit.

Allah ﷻ mengingatkan kita bahawa air hujan yang kita lihat turun sentiasa itu adalah daripada Allah ﷻ. Bila dikatakan ia turun dari langit, tidaklah terus turun dari langit, tetapi dari atas dan menggunakan awan untuk membawa hujan itu. Di dalam ayat lain, memang Allah ﷻ sebut tentang air turun dari awan seperti ayat Waqiah: 69

ءأَنتُم أَنزَلتُموهُ مِنَ المُزنِ أَم نَحنُ المُنزِلونَ
Kamukah yang menurunkannya dari awan (sebagai hujan), atau Kami yang menurunkannya?

Di sini Allah ﷻ mengingatkan kita yang bukanlah hujan itu turun sendiri tetapi ia adalah daripada perbuatan Allah ﷻ. Maka setiap kali hujan turun, kita diingatkan dengan kuasa Allah ﷻ. Kerana itulah Nabi Muhammad ﷺ selalu membuka bajunya apabila hujan dan mengenakan kulit tubuhnya dengan air hujan itu.

عَنْ أَنَسٍ ، قَالَ : قَالَ أَنَسٌ : ” أَصَابَنَا وَنَحْنُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَطَرٌ ، قَالَ : فَحَسَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَوْبَهُ حَتَّى أَصَابَهُ مِنَ الْمَطَرِ ، فَقُلْنَا : يَا رَسُولَ اللَّهِ لِمَ صَنَعْتَ هَذَا ؟ قَالَ : ” لِأَنَّهُ حَدِيثُ عَهْدٍ بِرَبِّهِ تَعَالَى ”
Anas  berkata: Kami bersama-sama Rasulullah ﷺ pernah ditimpa hujan, lalu Rasulullah ﷺ menyelak pakaiannya, sehingga hujan menimpa (tubuhnya). Kami bertanya: Wahai Rasulullah, kenapa engkau lakukan hal ini. Baginda ﷺ menjawab: Kerana ia adalah makhluk yang Allah baru ciptakan.
(Sahih Muslim, No. 898)

Allah ﷻ hendak mengingatkan kita tentang kehebatan-Nya. Kita mungkin tidak perasan kerana kita hari-hari dapat air. Ia suatu perkara yang mudah diperolehi sehingga kita tidak sedar akan nikmat besar ini. Akan tetapi kalau kita hendak menurunkan air dari langit, tentu kita sesekali tidak mampu. Hebatnya Allah ﷻ turunkan air dari langit tetapi asalnya adalah dari bumi, bukan? Ia diambil dari air laut yang kalau kita terus minum boleh mati kerana ia terlalu masin untuk kita. Memang patut pun air laut itu masin kerana ia adalah tempat kehidupan dan juga kematian banyak hidupan. Kalaulah air itu tidak masin dan tidak bergelora, tentulah busuk kerana terlalu banyak bangkai di dalamnya.

Allah ﷻ naikkan air laut ke langit melalui proses penyejatan, lalu Allah ﷻ simpan di dalam awan kemudian gerakkan awan itu ke tempat yang memerlukan air. Proses ini berlaku setiap hari tanpa susah bagi Allah ﷻ. Tidak perlu mesin atau kilang untuk membersihkan air laut itu untuk digunakan kerana sistem Allah ﷻ itu lebih canggih lagi dan kerana itu air yang kita minum adalah air tawar yang manis seperti disebut dalam Mursalat:27

وَجَعَلنا فيها رَوٰسِيَ شٰمِخٰتٍ وَأَسقَينٰكُم مّاءً فُراتًا
dan Kami jadikan padanya gunung-gunung yang tinggi, dan Kami beri minum kamu dengan air tawar?

Allah ﷻ suruh kita fikirkan tentang nikmat yang amat hebat ini. Kita mungkin tidak perasan kerana kita dengan mudahnya memperolehi air setiap hari namun jika kita mahu fikirkan sejenak akan nikmat yang Allah ﷻ berikan kepada kita ini seperti disebut dalam Waqiah: 68-70

أَفَرَأَيتُمُ الماءَ الَّذي تَشرَبونَ
Tidakkah kamu melihat air yang kamu minum?

ءأَنتُم أَنزَلتُموهُ مِنَ المُزنِ أَم نَحنُ المُنزِلونَ
Kamukah yang menurunkannya dari awan (sebagai hujan), atau Kami yang menurunkannya?

لَو نَشاءُ جَعَلنٰهُ أُجاجًا فَلَولا تَشكُرونَ
Kalau Kami kehendaki, Kami akan jadikan ia masin, maka kenapa kamu tidak bersyukur?

Kenapakah Allah ﷻ turunkan dari langit (dari atas)? Kerana seandainya Allah ﷻ beri air dari bawah, yang duduk di kawasan tinggi tidak dapat air pula, bukan? Maka Allah ﷻ uruskan supaya air itu diturunkan dari atas supaya yang rendah dapat air, yang duduk di kawasan tinggi pun dapat air juga. Hebat, bukan? Semua kehidupan boleh mendapat air itu seperti manusia, haiwan dan juga tumbuh-tumbuhan. Kita yang duduk di rumah pun boleh dapat air, tidak perlu order di Shopee pun.

Pemahaman ayat-ayat Al-Qur’an seperti dikemukakan ini, memang belum diketahui oleh masyarakat umat manusia ketika turunnya Al-Qur’an. Dari satu sisi, ini merupakan salah satu isyarat ilmiah Al-Qur’an yang dapat menjadi bukti kebenarannya, di sisi lain ini menunjukkan bahawa kitab suci Al-Qur’an dapat menampung makna yang beraneka ragam, serta dapat difahami oleh ilmuan mahupun orang kebanyakan. Masing-masing menimba sesuatu berdasarkan kadar dan besarnya timba akal yang mereka miliki. Yang akal lebih hebat, dia akan fahami lebih banyak lagi. Namun begitu bagi orang yang tidak berilmu pun dapat juga pemahaman setakat yang mereka mampu garap.

 

فَأَخْرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرٰتِ رِزْقًا لَّكُمْ

Dan Allah keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai buahan sebagai rezeki kepada kamu;

Air hujan itu amat diperlukan untuk tanaman. Air hujan itu sejenis sahaja tetapi berbagai jenis tumbuh-tumbuhan yang timbul dengannya. Ia menjadi rezeki kepada kita kerana kita makan tanam-tanaman itu yang berbagai jenis.

Di sini mengingatkan kita bahawa rezeki itu daripada Allah ﷻ. Maka kenapa kita tinggalkan ibadah kepada Allah ﷻ? Sebagai contoh, ada orang yang kerana sibuk mencari rezeki, mereka tinggalkan solat. Allah ﷻ berfirman di dalam Taha: 132

وَأمُر أَهلَكَ بِالصَّلاةِ وَاصطَبِر عَلَيها ۖ لا نَسأَلُكَ رِزقًا ۖ نَحنُ نَرزُقُكَ ۗ وَالعاقِبَةُ لِلتَّقوىٰ
Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.

Di dalam Taha: 132 ini mulanya Allah ﷻ bercerita tentang solat. Kemudian disentuh tentang rezeki. Allah ﷻ menegur ramai manusia yang tinggalkan solat kerana sibuk mencari rezeki. Sedangkan pemberi rezeki itu adalah Allah ﷻ!

Di sini Allah ﷻ beritahu Dia yang keluarkan rezeki itu. Mungkin ada yang kata tanaman itu diusahakan oleh manusia juga. Namun di sini Allah ﷻ tekankan yang Dia juga yang mengeluarkan tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan itu. Manusia hanya masukkan benih, jaga benih itu daripada rosak. Selepas itu manusia tidak mampu untuk tumbuhkan. Kerana itulah Allah ﷻ telah ingatkan di dalam Waqiah: 63

أَفَرَأَيتُم مّا تَحرُثونَ
Maka (mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu melihat apa yang kamu tanam?

ءأَنتُم تَزرَعونَهُ أَم نَحنُ الزّٰرِعونَ
Kamukah yang menumbuhkannya atau Kami yang menumbuhkannya?

Itulah segala bukti yang Allah ﷻ berikan. Kalau Allah ﷻ yang jadikan semua ini, sembahlah Allah ﷻ sahaja dan kenapa mahu sembah selain Dia? Kenapa hendak puja Nabi, wali atau malaikat? Apa yang mereka buat?

Oleh sebab itu,

 

فَلَا تَجْعَلُوا لِلهِ أَنْدَادًا

Jangan kamu jadikan bagi Allah itu, tandingan-tanding;

Kalau hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh jadikan bumi dan binaan langit, turunkan hujan dan hidupkan tanaman, maka kenapa jadikan selain Allah ﷻ pada kedudukan-Nya yang tinggi itu? Kalimah أَنْدَادًا bermaksud setanding atau sama kedudukan. Sepatutnya kita hanya sembah dan doa kepada Allah ﷻ sahaja, bukan? Kenapa Allah ﷻ harus bertanding dengan selain Dia pula? Ada pula orang yang minta kepada selain Allah ﷻ. Sebagai contoh, ada yang minta tok guru buang sial pada kereta mereka dan sebagainya. Mereka kalau ada kemalangan, akan pergi berjumpa kepada Tok Guru, dan minta tok guru buang sial.

Atau kalau beli kereta baru, mereka akan minta Tok Guru menggunakan kereta itu untuk beberapa hari supaya kereta itu ada berkat. Mereka akan bayar guru itu untuk ‘perkhidmatan’ guru itu. Ada pula yang renjis-renjis kereta kononnya untuk beri keselamatan kepada kereta itu. Banyak yang kaya raya sebab buat kerja sebegini. Seolah-olah mereka boleh pula mempunyai kuasa untuk sekat-sekat bala Tuhan. Kenapa mahu menjadi seperti sami Hindu pula?

Semuanya itu adalah pemahaman yang salah. Tidak ada sesiapa pun boleh sekat bala yang Allah ﷻ hendak beri. Namun begitu mereka meneruskan juga amalan ini kerana mereka menjadikan kerja-kerja itu sebagai punca pendapatan mereka. Mereka ikut sahaja amalan-amalan tok nenek yang salah. Apabila kita tegur, bermacam pula dalihan dan hujah bathil yang mereka berikan.

Ini adalah ayat tentang Tauhid dan larangan melakukan syirik. Ia adalah doktrin terpenting yang disebut di dalam Al-Qur’an. Ia bermula dengan mengenal Allah ﷻ yang Maha Berkuasa melakukan segalanya dan memberi segala keperluan kepada kita. Kerana itulah ayat ini dimulakan dengan menyebut tentang kuasa dan jasa-Nya sebelum menegur kesalahan manusia yang menjadikan tandingan bagi Allah ﷻ.

 

وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Sedangkan kamu tahu;

Kamu sendiri tahu bahawa Allah ﷻ tidak berkongsi di dalam penciptaan langit dan bumi. Semasa Allah ﷻ cipta alam ini, tidak ada sesiapa pun yang tolong Dia. Maka kenapa rasa yang ada makhluk yang ada kuasa seperti Allah ﷻ? Kenapa kamu masih lagi melakukan syirik?

Insya Allah nanti kita akan masukkan amalan-amalan salah tok guru-tok guru untuk kita ceritakan di manakah kesalahan mereka. Kita akan tunjukkan mana amalan salah itu dan manakah yang syiriknya dengan amalan itu. Atau anda boleh tanya berkenaan amalan-amalan pelik manusia yang anda dengar dan boleh kita semak sama-sama sama ada amalan itu benar atau tidak.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 12 Julai 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Maulana Hadi

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 18 – 20 (Munafik takut kebenaran Al-Qur’an)

Baqarah Ayat 18: Masih lagi tentang golongan Kafir Degil. Sekarang dijelaskan kenapa mereka tidak menerima hidayah.

صُمُّۢ بُكمٌ عُمىٌ فَهُم لَا يَرجِعُونَ

Sahih International

Deaf, dumb and blind – so they will not return [to the right path].

Malay

Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran).

 

صُمٌّ

Pekak

Kalimah صُمٌّ adalah di dalam bentuk jamak (pekak-pekak) dan ada kalimah yang dihazafkan (tidak dimasukkan) iaitu هم (mereka).

Telinga mereka masih boleh lagi mendengar, tetapi mereka tidak boleh mendengar kebenaran. Bila disampaikan kebenaran wahyu kepada mereka, mereka tidak boleh faham. Mereka tidak beri telinga mereka untuk dengar dahulu apa yang disampaikan oleh pendakwah dan guru.

Telinga dan pendengaran adalah sesuatu pancaindera yang amat penting kerana ia adalah punca utama atau tempat utama untuk kita menerima ilmu. Jikalau telinga tidak boleh mendengar, atau seseorang itu tidak mampu/mahu mendengar, maka hidayah dan ilmu tidak boleh masuk. Bukan sahaja ilmu agama tetapi apa-apa ilmu sekalipun. Sebab itulah kita kena faham kenapa orang pekak (OP) agak lembam kalau dibandingkan dengan manusia biasa.

Manusia yang mahukan kebenaran akan beri telinga mereka untuk dengar penjelasan daripada pendakwah dan juga guru yang mengajar. Akan tetapi orang munafik itu mahu mendengar. Allah ﷻ tegur orang yang sebegini di dalam Anfal: 21

وَلا تَكونوا كَالَّذينَ قالوا سَمِعنا وَهُم لا يَسمَعونَ
dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (munafik) yang berkata “Kami mendengar, padahal mereka tidak mendengarkan.

Begitulah, ada orang yang apabila bercakap dengannya dan menyampaikan ilmu wahyu kepada mereka, nampak macam mereka dengar dan angguk-angguk kepala, tetapi sebenarnya mereka tidak mendengar pun. Maka ini adalah sifat orang Munafik.

 

بُكْمٌ

Bisu

Kalimah بُكْمٌ adalah di dalam bentuk jamak (pekak-pekak) dan ada kalimah yang dihazafkan (tidak dimasukkan) iaitu هم (mereka).

Mereka ada mulut dan boleh bercakap tetapi mereka tidak bercakap tentang kebenaran. Malah golongan Munafik ini pandai bercakap sampaikan orang lain boleh terpedaya dengan kata-kata mereka. Akan tetapi mereka tidak bercakap perkara yang benar, kosong sahaja. Ini seperti disebut di dalam Munafiqoon: 4

وَإِذا رَأَيتَهُم تُعجِبُكَ أَجسامُهُم ۖ وَإِن يَقولوا تَسمَع لِقَولِهِم ۖ كَأَنَّهُم خُشُبٌ مُّسَنَّدَةٌ
Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum. Dan jika mereka berkata, kamu mendengarkan perkataan mereka. Mereka adalah seakan-akan kayu yang tersandar.

Percakapan juga amat penting di dalam mendapat ilmu kerana ia digunakan untuk bertanya dan mendapatkan penjelasan. Jikalau kemampuan ini tidak ada, maka ia akan mengganggu kemasukan ilmu ke dalam hati seseorang.

 

عُمْيٌ

Buta; 

Kalimah عُمْيٌ adalah di dalam bentuk jamak (pekak-pekak) dan ada kalimah yang dihazafkan (tidak dimasukkan) iaitu هم (mereka).

Mata mereka masih boleh nampak lagi, tetapi mereka tidak boleh nampak kebenaran. Walaupun kebenaran itu ditunjuk di hadapan mereka. Akan tetapi mereka tidak mampu memahaminya dan menerimanya.

Ketiga-tiga cara (pendengaran, percakapan dan penglihatan) untuk mendapat ilmu telah dihilangkan daripada mereka. Kalau hilang satu atau dua pancaindera itu, sekurang-kurangnya mereka ada lagi deria untuk mendapat maklumat. Namun apabila Allah ﷻ telah hilangkan ketiga-tiganya, mereka tidak ada harapan lagi.

Begitulah perumpamaan kepada mereka yang kafir degil. Mereka tidak akan dapat menerima kebenaran lagi. Hati mereka telah dikunci mati. Peluang untuk mendapat hidayah telah ditarik daripada mereka.

 

فَهُمْ لَا يَرْجِعُونَ

Maka mereka sekali-kali tidak dapat kembali;

Mereka tidak akan dapat kembali kepada jalan tauhid kerana mereka telah kehilangan tiga-tiga pancaindera itu. Mereka sudah tidak ada peluang lagi. Mereka juga tidak ada cara untuk meminta tolong kerana percakapan pun sudah ditarik daripada mereka. Ia seperti kenderaan yang telah masuk ke dalam jurang maka tidak akan dapat diselamatkan lagi.

Maka mereka tidak dapat kembali ke jalan tauhid yang dibawa oleh Nabi ﷺ. Mulanya mereka sudah ada peluang kerana Nabi ﷺ ada bersama-sama mereka, tetapi apabila mereka telah tenggelam dalam lembah kesesatan, mereka sudah kehilangan peluang lagi.

Mereka hilang peluang itu kerana mereka telah sampai kepada tahap kafir ‘Peringkat Keempat’, iaitu apabila Allah ﷻ sudah kunci mati hati mereka daripada kebenaran. Ini adalah kerana mereka telah termakan dengan kata-kata orang Yahudi yang telah mengelabui mereka.


 

Baqarah Ayat 19: Ini pula ada perumpamaan kepada golongan kafir jahil – Munafikin dan Nasara dan mereka yang bersifat seperti mereka, tidak kira sama ada mereka itu mengaku Muslim atau tidak.

أَو كَصَيِّبٍ مِّنَ السَّماءِ فيهِ ظُلُمٰتٌ وَرَعدٌ وَبَرقٌ يَجعَلونَ أَصٰبِعَهُم في ءآذانِهِم مِّنَ الصَّوٰعِقِ حَذَرَ المَوتِ ۚ وَاللهُ مُحيطٌ بِالكٰفِرينَ

Sahih International

Or [it is] like a rainstorm from the sky within which is darkness, thunder and lightning. They put their fingers in their ears against the thunderclaps in dread of death. But Allah is encompassing of the disbelievers.

Malay

Atau (bandingannya) seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit, bersama dengan gelap-gelita, dan guruh serta kilat; mereka menyumbat jarinya ke dalam telinga masing-masing dari mendengar suara petir, kerana mereka takut mati. (Masakan mereka boleh terlepas), sedang (pengetahuan dan kekuasaan) Allah meliputi orang-orang yang kafir itu.

 

أَوْ كَصَيِّبٍ مِّنَ السَّمَاءِ

Atau seperti ditimpa dari langit air hujan;

Perkataan صَيِّبٍ bermaksud hujan lebat yang turun dari langit. Ada lagi kalimah lain bagi hujan iaitu مطر akan tetapi مطر selalunya untuk hujan yang membawa musibah sedangkan صَيِّبٍ bermaksud hujan yang umum. Ia boleh jadi musibah, boleh jadi rezeki.

Dalam ayat ini, air hujan itu adalah isyarat kepada wahyu Allah ﷻ. Ini kerana tumbuhan memerlukan air hujan untuk hidup subur, dan manusia memerlukan tumbuhan untuk perkembangan tubuh badannya. Maka batin kita juga memerlukan makanan iaitu makanan rohani daripada ayat-ayat Al-Qur’an.

Allah ﷻ memberikan perumpamaan menggunakan hujan untuk mengajar kita. Allah ﷻ suruh kita lihat hujan dan keadaannya. Memang sebelum hujan yang sebegitu, tentunya ada awan yang tebal dan gelap sampaikan menutupi cahaya matahari.

 

فِيهِ ظُلُمٰتٌ

di dalamnya ada kegelapan;

Apabila awan tebal, suasana pun menjadi gelap. Yang dimaksudkan dengan ‘kegelapan’ adalah akidah syirik, amalan-amalan dan ilmu-ilmu salah yang mereka lakukan, diisyaratkan dalam ayat ini dalam bentuk kegelapan.

 

وَرَعْدٌ

dan guruh:

Bayangkan suasana ini, apabila guruh gempita. Ia amat menakutkan. Ia bermaksud ancaman-ancaman dalam Al-Qur’an tentang orang-orang yang akidah salah, akan kekal dalam neraka dan lain-lain ancaman lagi.

 

وَبَرْقٌ

dan kilat:

Kilat pula sabung menyabung dalam bentuk cahaya yang terang. Ia adalah isyarat kepada dalil-dalil daripada Al-Qur’an dan hadith tentang kebenaran Islam.

Sebelum turun hujan, mula-mulanya suasana gelap, selepas itu guruh, dan kemudian petir. Lepas petir barulah turunnya hujan. Gelap adalah akidah syirik dan amalan bid’ah yang manusia buat. Maknanya, sebelum diberitahu mereka ajaran tauhid, kena beritahu apa akidah syirik mereka dahulu.

Guruh adalah ancaman-ancaman tentang syirik kepada Allah ﷻ dan bid’ah yang mereka lakukan. Banyak amalan syirik dan bid’ah yang masyarakat buat. Maka kita kena beritahu mereka. Jangan biarkan sahaja. Memang pahit dan susah hendak beritahu, tetapi begitulah cara ilmu disampaikan kepada manusia. Hakikatnya nasihat kebenaran itu amat pahit untuk ditelan.

Kilat adalah yang cahaya yang menerangi, iaitu dalil-dalil daripada Allah ﷻ tentang pentingnya beriman penuh kepada-Nya. Cahaya itu yang boleh menunjukkan jalan. Ia adalah ‘hujah’ dan ‘bukti’ daripada Allah ﷻ tentang betapa jelasnya kesalahan dalam perbuatan dan fahaman syirik itu dan betapa nikmatnya tauhid. Ia menampakkan dengan jelas semua perkara, sepertimana juga dengan kilat. Lihatlah bagaimana apabila kilat datang, semua akan cerah sahaja seketika.

Semua itu adalah isyarat yang air hujan akan turun. Air hujan itu semua tahu, memberi manfaat dan memang ditunggu-tunggu oleh manusia – lebih-lebih lagi kalau orang Arab yang jarang mendapat hujan. Namun sebelum hujan turun, keadaan akan ada gelap, petir dan kilat akan datang dahulu.

Semua orang tahu perkara ini. Dari dulu sampai sekarang, di negara mana pun mereka berada. Maka, apabila perbandingan ini diberikan, semua boleh bayangkan. Ia turun dalam keadaan berat – sepertimana awan gelap, petir dan kilat. Akan tetapi walaupun ia berat, tetapi orang tahu yang ia adalah nikmat. Wahyu Al-Qur’an begitulah juga. Selalunya kalau sesiapa yang mula belajar, memang ada ayat-ayat yang tepat sekali terkena batang hidung kita sendiri.

 

يَجعَلونَ أَصٰبِعَهُم في ءآذانِهِم

Mereka akan memasukkan jari-jari mereka ke dalam telinga-telinga mereka;

Mereka mengharapkan hujan turun, tetapi mereka takut oleh mendung gelapnya, takut suara guruhnya dan cahaya kilat, dan petirnya yang sambung- menyambung di udara. Padahal tiap-tiap hujan lebat sebagai penutup kemarau panjang, mestilah diiringi oleh gelap, guruh kilat dan petir.

Mereka punyalah takut sampai kalau boleh mereka hendak memasukkan ‘semua’ jari-jari mereka ke dalam telinga. Bukan satu jari sahaja yang mereka hendak masukkan, tetapi ‘semua’ jari-jari mereka. Sebenarnya, bukan boleh masuk semua jari dalam telinga (satu jari pun tidak boleh). Namun ini adalah sebagai mubalaghah, bahasa kiasan. Maksudnya beriya-iya benar mereka hendak menutup telinga mereka, sampaikan kalau boleh semua jari di tangan mereka hendak masukkan ke dalam telinga.

Kenapa mereka tutup telinga mereka dengan jari-jari mereka? Kerana mereka tidak mahu mendengar kebenaran yang disampaikan kepada mereka. Kerana ayat-ayat Al-Qur’an itu tidak sesuai dengan jiwa mereka, nafsu mereka. Banyak sangat ayat-ayat itu yang menegur mereka dan mereka tidak suka. Memang ayat-ayat Al-Qur’an mengandungi kritikan dan kecaman untuk menyembuhkan penyakit jiwa manusia. Maka jangan terasa sangat kalau ditegur di dalam Al-Qur’an. Terima sahaja dan baiki kerana ia adalah teguran daripada Allah ﷻ.

Begitu juga dengan tulisan di sini (atau mana-mana kelas tafsir), ia bukan teguran daripada saya tetapi teguran daripada Allah ﷻ, cuma melalui saya sahaja. Jangan berhati tisu sangat, senang koyak. Ingatlah sebelum anda terpesit ditegur dengan ayat-ayat ini, saya dahulu lagi sudah terkena. Ia perkara biasa sahaja apabila belajar wahyu. Kita pun bukan malaikat yang tidak ada langsung kesalahan dan dosa. Maka memang patutlah kalau ada teguran yang kena terus ke batang hidung kita.

Ini bermakna, mata mereka sepatutnya masih nampak lagi. Namun mereka buat tidak nampak. Mata pun mereka akan tutup juga.

Mereka sumbat telinga mereka dengan jari. Akan tetapi, lubang telinga memang kecil, mana boleh masuk jari pun. Begitulah Allah ﷻ tunjuk bagaimana mereka tidak mahu sangat kepada Al-Qur’an sampaikan kalau boleh, kelima-lima jari mereka mereka hendak masukkan dalam telinga.

 

مِنَ الصَّوٰعِقِ

daripada mendengar petir,

Mereka tidak mahu mendengar guruh itu. Macam budak-budak yang menutup telinga mereka kerana takut dengar bunyi guruh yang amat kuat. Ini adalah isyarat kepada mereka tidak mahu mendengar ancaman dan dalil-dalil daripada Al-Qur’an dan Hadith. Mereka lebih rela berada dalam kegelapan daripada mendapat cahaya. Mereka jenis tidak boleh ditegur atau dinasihati lagi.

 

حَذَرَ الْمَوْتِ

kerana takut mati;

Kenapa حَذَرَ المَوتِ? Kenapa mereka ‘takut mati’. Kerana pada mereka, kalau tinggalkan syirik, bid’ah dan maksiat itu, seolah-olah rasa mati pada mereka. Begitulah sayangnya mereka kepada apa yang mereka amalkan selama hari ini. Dek kerana amalan-amalan syirik dan bid’ah itu sudah sebati dengan diri mereka. Mereka rasa tidak boleh amalkan apa yang diajar oleh agama. Mereka tetap mahu mengamalkan apa yang diajar oleh guru dan tok nenek mereka.

Orang-orang munafik itu juga takut mati. Mereka tidak mahu melalui cabaran yang perlu dilalui dalam perjuangan menegakkan Islam. Mereka tahu kalau mereka bersama dengan orang Islam, ada banyak cabaran dan antara cabarannya adalah berperang dan mungkin akan mati dalam peperangan itu.

 

وَاللهُ مُحِيطٌ بِالْكٰفِرِينَ

Dan Allah meliputi (ilmu-Nya) terhadap orang-orang kafir ini. 

Mereka bukan boleh pergi ke mana pun kerana Allah ﷻ meliputi mereka – Allah ﷻ tahu apa yang mereka lakukan. Azab Allah ﷻ akan dikenakan juga kepada mereka walau ke mana pun mereka pergi. Ini bermaksud Allah ﷻ pasti akan mengazab mereka.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ memberitahu kita bahawa mereka itu kafir sebenarnya. Lihatlah perkataan kafir yang digunakan oleh Allah ﷻ dalam hujung ayat ini. Ini kerana Allah ﷻ tahu bahawa mereka itu kafir.


 

Baqarah Ayat 20: Ini adalah sambungan perbandingan untuk golongan Kafir Jahil itu.

يَكادُ البَرقُ يَخطَفُ أَبصٰرَهُم ۖ كُلَّمآ أَضاءَ لَهُم مَّشَوا فيهِ وَإِذٓا أَظلَمَ عَلَيهِم قاموا ۚ وَلَو شآءَ اللهُ لَذَهَبَ بِسَمعِهِم وَأَبصٰرِهِم ۚ إِنَّ اللهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Sahih International

The lightning almost snatches away their sight. Every time it lights [the way] for them, they walk therein; but when darkness comes over them, they stand [still]. And if Allah had willed, He could have taken away their hearing and their sight. Indeed, Allah is over all things competent.

Malay

Kilat itu pula hampir-hampir menyambar (menghilangkan) penglihatan mereka; tiap-tiap kali kilat itu menerangi mereka (dengan pancarannya), mereka berjalan dalam cahayanya. Dan apabila gelap menyelubungi mereka, berhentilah mereka (menunggu dengan bingungnya). Dan sekiranya Allah menghendaki, nescaya dihilangkanNya pendengaran dan penglihatan mereka; sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 

يَكَادُ الْبَرْقُ يَخْطَفُ أَبْصٰرَهُمْ

Hampir-hampir kilat itu menyambar penglihatan mereka;

Ayat ini bermaksud, hampir-hampir hujah Al-Qur’an itu menghairankan mereka dan memberi kesan kepada mereka. Hampir-hampir hujah itu mereka mahu terima kerana hujah itu memang sudah benar dan tidak boleh ditolak oleh akal yang sihat. Akan tetapi orang munafik walaupun jelas bagaimana sekalipun, mereka tetap tidak mahu terima juga.

 

كُلَّمَآ أَضَاءَ لَهُمْ

Setiap kali kilat itu menerangi mereka, 

‘Menyinari’ itu bermaksud apabila mereka nampak keuntungan dunia, mereka akan ikut agama. Contohnya mereka boleh dapat duit zakat, harta ghanimah rampasan perang dan sebagainya.

Ataupun ia boleh bermaksud mukjizat Nabi ﷺ yang ditunjukkan kepada mereka.

 

مَّشَوْا فِيهِ

mereka ikut;

Maksudnya, mereka duduk dalam majlis Nabi ﷺ dan sahabat untuk kepentingan dunia sahaja. Sebab takut nyawa mereka melayang kalau orang lain tahu yang mereka itu sebenarnya tidak beriman. Mereka pergi solat berjemaah supaya mereka dilihat sebagai orang Islam sahaja.

Sebab itu Nabi ﷺ kata orang munafik berat untuk datang solat Subuh dan Isyak kerana waktu itu suasana gelap maka tidak ada orang nampak. Bila suasana gelap, bolehlah mereka buat alasan tidak datang, kerana mereka hanya datang waktu boleh dilihat sahaja.

Apabila ada kepentingan, terus mereka berlari untuk mendapatkannya. Mula mereka duduk dalam gelap, bila ada cahaya kilat itu, mereka akan berlari sebab mereka baru nampak ada cahaya. Ini isyarat bahawa jikalau ada hukum-hukum agama yang menguntungkan mereka, mereka akan ikut. Contohnya kalau bab zakat, mereka suka; bab ghanimah pun mereka suka. Hanya keuntungan dunia sahaja yang mereka cari.

Atau, ia bermaksud mereka ikut juga sikit-sikit apa yang mereka dengar daripada Al-Qur’an. Akan tetapi sekejap sahaja. Macam orang baru dengar ceramah, mereka menjadi semangat kejap. Namun mereka tidak ada istiqamah, tidak lama selepas itu segala nasihat itu hilang belaka, hangat-hangat tahi ayam sahaja.

 

وَإِذَآ أَظْلَمَ عَلَيْهِمْ قَامُوا

Dan apabila gelap menyelubungi mereka, mereka berdiri;

Kemudian apabila mereka lihat agama Islam tidak memberi faedah dan menyusahkan mereka serta tidak selari dengan nafsu mereka, mereka berdiri tidak bergerak, tidak mahu ikut.

Namun sebaliknya bagi orang beriman, apabila kilat memancar, mereka akan mengikut panduan daripada cahaya kilat itu (dalil wahyu). Lalu ketika masa gelap mereka akan terus mampu berjalan kerana ketika cerah itu mereka akan nampak halangan-halangan yang ada. Berbeza dengan orang munafik, semasa terang sekejap itulah sahaja yang mereka berlari, itupun jika mereka nampak faedah untuk diri mereka. Begitulah orang munafik masuk Islam hanya kerana mahukan sesuatu faedah sahaja.

 

وَلَوْ شَآءَ اللهُ

Kalaulah Allah kehendaki,

Allah ﷻ boleh sahaja kalau Allah ﷻ hendak buat, tetapi tidak semestinya Allah ﷻ lakukan. Allah ﷻ hendak beritahu kekuasaan-Nya sahaja dalam ayat ini.

 

لَذَهَبَ بِسَمْعِهِمْ وَأَبْصٰرِهِمْ 

nescaya Allah telah hilangkan pendengaran dan penglihatan mereka;

Allah ﷻ boleh sahaja menghilangkan pendengaran dan penglihatan mereka supaya mereka terus menjadi pekak dan bisu semasa di dunia lagi. Namun Allah ﷻ tidak buat begitu kepada mereka. Kerana ia akan menjadi hujjah di akhirat kelak yang mereka telah dapat segalanya yang perlukan untuk beriman (tetapi masih tetap tidak mahu beriman). Maka Allah ﷻ biarkan mereka di dalam keadaan begitu adalah kerana atas dasar rahmat Allah ﷻ.

Allah ﷻ biarkan mereka ada alat pancaindera mereka yang lengkap supaya mereka tidak boleh jadikan alasan yang mereka di dunia dulu tidak dengar dan tidak nampak kebenaran, maka mereka tidak dapat terima Islam kerana pancaindera mereka tidak lengkap.

Allah ﷻ boleh buat, tetapi Tuhan masih lagi memberi mereka kebolehan mendengar dan melihat kebenaran dan akan hanya ditutup apabila sakaratul maut nanti. Maknanya, Tuhan memang sayangkan makhluk-Nya.

 

إِنَّ اللهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Sesungguhnya Allah atas segala sesuatu itu berkuasa sungguh.

Walaupun Allah ﷻ tidak buat, tetapi Allah ﷻ sebut dalam ayat ini kerana hendak memberitahu yang Dia boleh buat apa sahaja yang Dia kehendaki. Jangan sangka Allah ﷻ tidak mampu. Kalau kita beriman dengan ayat ini, maka kita tidak risau apabila kita serahkan kepada Allah ﷻ. Sebagai contoh kalau doktor kata isteri kita ada 3 bulan sahaja untuk hidup kerana dia menghidap kanser, kita serahkan kepada Allah ﷻ kerana Allah ﷻ mampu melakukan apa sahaja. Jangan kita persoalkan apa yang Allah ﷻ boleh lakukan.

Maka, tafsir ayat غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ, berhenti di sini. Panjang sedikit ayat tentang orang Munafik dalam ayat-ayat ini. Ini adalah kerana orang mukmin itu jelas, orang kafir itu jelas. Akan tetapi orang munafik ini lain sedikit. Pada luaran mereka menunjukkan mereka Muslim, tetapi dalaman mereka tidak. Maka memerlukan ayat-ayat yang lebih banyak untuk menceritakan tentang mereka.

Sekian ayat-ayat tentang golongan Munafik di dalam rentetan ayat-ayat daripada Surah Baqarah ini. Nanti akan disebut lagi di dalam ayat yang lain dan di dalam surah-surah yang lain. Dengan melihat kepada penerangan tentang sifat-sifat mereka, dapatlah kita menilai diri kita supaya kita dapat mengelak daripada mempunyai sifat-sifat itu. Kalau ada, maka perbaikilah diri kita kerana kita kena ada rasa takut kalau-kalau kita terpalit dengan sifat-sifat ini. Tidak boleh kita rasa tenang, rasa selamat daripada sifat nifak ini. Lihatlah kata-kata orang berilmu. Demikianlah sifat para sahabat, mereka takut tertimpa kemunafikan.

وقال ابنُ أبي مُلَيْكَة : أَدْرَكْتُ ثَلاَثِيْنَ مِنْ أَصْحَابِ النَّبيِّ – صلى الله عليه وسلم – كُلُّهُمْ يَخَافُ النِّفَاقَ عَلَى نَفْسِهِ .
“Ibnu Abi Mulaikah pernah berkata: Aku telah mendapati 30 orang sahabat Nabi ﷺ semuanya khuatir pada dirinya tertimpa kemunafikan.”
(Sahih Bukhari No. 36)

Ada kata-kata daripada Imam Ahmad رَحِمَهُ اللَّهُ,

وسُئِلَ الإمامُ أحمد : مَا تَقُوْلُ فِيْمَنْ لاَ يَخَافُ عَلَى نَفْسِهِ النِّفَاق ؟ فقال : وَمَنْ يَأمَنُ عَلَى نَفْسِهِ النِّفَاقَ ؟
Imam Ahmad رَحِمَهُ اللَّهُ pernah ditanya, “Apa yang kau katakan pada orang yang tidak khuatir pada dirinya kemunafikan?” Beliau menjawab, “Apa ada yang merasa aman daripada sifat kemunafikan?”

Al Hasan Al Bashri رَحِمَهُ اللَّهُ berkata,

مَا خَافَهُ إِلاَّ مُؤْمِنٌ ، وَلاَ أَمَنَهُ إلِاَّ مُنَافِقٌ
“Orang yang khuatir terjatuh pada kemunafikan, itulah orang mukmin. Yang selalu merasa selamat daripada kemunafikan, itulah senyatanya munafik.”
(Jami’ul ‘Ulum wal Hikam)

Apabila Saidina Umar رضي الله عنه tahu bahawa Huzaifah رضي الله عنه ada senarai nama-nama orang munafik, beliau telah pergi ke Huzaifah رضي الله عنه dan bertanya adakah nama beliau tersenarai di dalam senarai itu. Sedangkan pada waktu itu beliau sudah pun dijanjikan sebagai ahli syurga. Lihatlah jikalau Umar رضي الله عنه sendiri pun risau sama ada beliau ada sifat-sifat munafik, maka siapakah kita yang rasa aman daripada sifat itu?

 

Sekarang kita bincangkan Komposisi Cincin yang kedua. Sila rujuk Ayat 5 pengenalan kepada Komposisi Cincin ini.

Penjelasan kaitan antara topik:

[A2.1]/[A2.1’] – Di dalam bahagian ini disebut pancaindera mereka telah ditutup yang menyebabkan pekak, bisu dan buta dan tidak dapat menerima kebenaran wahyu yang disampaikan kepada mereka.

[A2.2]/[A2.2’] – Di dalam kedua-dua bahagian ini digunakan kalimah ءَامَنَّا. Di dalam [A2.2] Allah ﷻ menyebut tentang golongan munafik yang berkata ءَامَنَّا walaupun mereka sebenarnya tidak beriman. Mereka sebenarnya hendak menipu Allah ‎ﷻ dan orang beriman. Sekali lagi disebut di dalam [A2.2’] mereka berkata ءَامَنَّا kepada orang beriman dan mereka kemudian mengaku yang mereka berolok-olok sahaja. Oleh kerana perbuatan mereka berolok-olok itu, Allah ‎ﷻ balas dengan memperolok-olok mereka kembali.

[A2.3]/[A2.3’] – Di dalam kedua-dua bahagian ini ada kalimat وَإِذَا قِيلَ لَهُمۡ. Di Bahagian [A2.3] mereka dinasihati supaya jangan buat kerosakan dan di dalam Bahagian [A2.3’] mereka diajak beriman. Akan tetapi mereka menolak dan kita perhatikan penolakan mereka disebut di dalam kedua-dua bahagian dengan أَلَآ إِنَّهُمۡ هُمُ.

 

Sekian Ruku’ 2 daripada 40 ruku’ surah ini

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 5 Julai 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Maulana Hadi

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Heavenly Order

Tafsir Surah Baqarah Ayat 14 – 17 (Perumpamaan golongan Munafik)

Baqarah Ayat 14:

وَإِذا لَقُوا الَّذينَ ءآمَنوا قالوٓا ءآمَنّا وَإِذا خَلَوا إِلىٰ شَيٰطينِهِم قالوٓا إِنّا مَعَكُم إِنَّما نَحنُ مُستَهزِءونَ

Sahih International

And when they meet those who believe, they say, “We believe”; but when they are alone with their evil ones, they say, “Indeed, we are with you; we were only mockers.”

Malay

Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: ” Kami telah beriman “, dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula:” Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)”.

 

وَإِذَا لَقُوا الَّذِينَ ءآمَنُوا

Apabila mereka berjumpa dengan orang beriman;

Kalimah لَقُوا selalu digunakan untuk perjumpaan tidak sengaja, kebetulan, mungkin di jalanan. Atau, ia boleh juga terjadi di majlis Rasulullah ﷺ kerana mereka juga sesekali datang menghadiri majlis Nabi ﷺ. Iaitu apabila mereka berjumpa sahabat-sahabat Nabi ﷺ. Iaitu apabila mereka berada dalam kalangan orang beriman.

Ada perkara pelik yang mereka lakukan. Yang lebih pelik adalah sebelum ini disebut mereka mengutuk mengatakan orang beriman itu bodoh-bodoh, tetapi sekarang bila berjumpa, sibuk pula mengaku mereka beriman. Maka ini menunjukkan golongan Munafik ini tidak tetap prinsip mereka. Bagai lalang ditiup angin. Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam Nisa’: 143

مُذَبذَبينَ بَينَ ذٰلِكَ لا إِلىٰ هٰؤُلاءِ وَلا إِلىٰ هٰؤُلاءِ
Mereka berkeadaan “muzabzab” (tidak mempunyai pendirian yang tetap) antara (iman dan kufur) itu; mereka tidak berpihak terus kepada golongan (kafir) dan tidak pula berpihak kepada golongan (yang beriman).

Mereka hanya memilih pihak mana yang boleh memberi keuntungan kepada mereka sahaja.

 

قَالُوا ءآمَنَّا

Mereka berkata: “Kami beriman”; 

Pelik apa yang dikatakan oleh golongan Munafik itu. Pelik bukan apabila orang datang berjumpa kita dan tiba-tiba kata: “Eh kau tahu tak aku ni orang beriman?” Iman ini bukannya benda yang kita kena sebut kepada orang tetapi kita tunjukkan keimanan kita dengan amal perbuatan kita. Begitulah mereka tahu mereka bersalah, maka mereka cepat-cepat berkata bahawa mereka sebenarnya beriman. Mereka tidak mahu nampak canggung kalau tidak mengaku beriman dengan Rasulullah ﷺ.

Mungkin timbul persoalan: Kenapakah agaknya golongan Munafik itu tidak terus sahaja tinggalkan Nabi ﷺ dan para sahabat yang beriman? Kenapa tidak cakap sahaja mereka itu tidak percaya dengan Islam? Bukankah senang kalau begitu? Tidak perlulah hendak susah bermuka-muka, bukan?

Golongan munafik itu tidak terus mengaku kafir dan duduk terus sebelah pihak Yahudi kerana kalau mereka mengaku kafir, mereka takut mereka akan dibunuh. Mereka takut dimusuhi pula oleh orang Mukmin di kemudian hari. Lagi pun mereka mahu mendapat keuntungan daripada Islam. Kalau Islam kuat, mereka turut menjadi kuat juga; harta zakat mereka dapat dan seandainya menang peperangan mereka akan juga akan mendapat harta ghanimah.

Akan tetapi mereka kenalah berlakon. Hakikatnya, hidup mereka susah sebenarnya. Bila duduk dengan para sahabat yang beriman, mereka kata mereka beriman juga an mereka pergi majlis Nabi ﷺ juga. Mereka hidup berpura-pura. Dalam masa yang sama hati mereka tidak tenang kerana takut isi hati mereka akan dibongkarkan; mereka juga sentiasa takut diturunkan ayat-ayat yang menceritakan hal mereka. Akibatnya sentiasa sahaja hati mereka tidak tenang.

Mereka ini takut dengan manusia sahaja tetapi tidak takut dengan Allah ﷻ. Maka mereka banyak mencari redha manusia dan bukannya mencari redha Allah ﷻ. Mereka sanggup bersumpah untuk mencari redha manusia seperti disebut di dalam Tawbah: 96

يَحلِفونَ لَكُم لِتَرضَوا عَنهُم ۖ فَإِن تَرضَوا عَنهُم فَإِنَّ اللَّهَ لا يَرضىٰ عَنِ القَومِ الفٰسِقينَ
Mereka akan bersumpah kepadamu, agar kamu redha kepada mereka. Tetapi jika sekiranya kamu redha kepada mereka, sesungguhnya Allah tidak redha kepada orang-orang yang fasik itu.

 

وَإِذَا خَلَوْا إِلَىٰ شَيٰطِينِهِمْ

Dan apabila mereka berpaling pergi kepada syaitan-syaitan mereka;

Kalimah خَلَوْا daripada kata dasar: خ ل و yang bermaksud kosong, bebas daripada tuduhan, bersendirian, melepaskan sesuatu, membenarkan, meninggalkan sesuatu, jauh daripada sesuatu. Daripada kata dasar ini, kita biasa dengar ‘khalwat’ apabila berdua-duaan dengan seseorang. Yang dimaksudkan tok guru-tok guru mereka dalam kalangan Pendeta Yahudi itu. Bukanlah mereka ada membela syaitan pula atau berkawan dengan syaitan jenis jin itu. Atau, ia boleh jadi ketua mereka dalam kalangan mereka atau geng-geng mereka dalam kalangan orang munafik juga.

Nota: Di sini kita boleh lihat satu lagi dalil dan hujah untuk mengatakan bahawa ‘syaitan’ itu adalah sifat sebenarnya. Ramai dalam kalangan umat Islam sangka yang syaitan itu adalah sejenis makhluk. Mereka sangka ada jin, manusia, malaikat dan syaitan. Ini tidak benar.

Sebenarnya, ‘syaitan’ itu adalah sifat. Iaitu sifat menjauhkan manusia daripada Allah ﷻ. Ia daripada kalimah شطن yang bermaksud ‘jauh’ kerana mereka telah jauh daripada agama yang benar. Atau kerana mereka itu sifatnya menjauhkan manusia dari jalan Allah ﷻ. Ini kerana kalau setakat dia sahaja sesat dan tidak mengajak orang lain, ia tidak digelar syaitan lagi. Ia boleh jadi dalam kalangan manusia atau jin. Kalau jin yang menghasut manusia, maka dia syaitan; kalau manusia yang menghasut manusia lain, maka dia juga syaitan.

Kita boleh lihat dalam ayat ini. Golongan munafik itu berjumpa golongan Yahudi, iaitu golongan manusia. Bukannya berjumpa makhluk lain. Namun Allah ﷻ kata mereka itu ‘syaitan-syaitan’. Ini adalah kerana sifat mereka yang menjauhkan golongan munafik itu dari Allah. Satu lagi dalil yang kita boleh lihat adalah An’am: 112

وَكَذٰلِكَ جَعَلنَا لِكُلِّ نَبِىٍّ عَدُوًّا شَيَـٰطِينَ ٱلإِنسِ وَٱلجِنِّ
Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh daripada Syaitan-syaitan manusia dan jin,

 

قَالُوا إِنَّا مَعَكُمْ

Mereka berkata: Kami sebenarnya bersama kamu;

Apabila mereka pergi kepada ‘syaitan-syaitan’ mereka (iaitu golongan Yahudi), mereka berkata lain pula. Mereka beritahu kepada puak-puak Yahudi itu yang hati mereka sebenarnya bersama puak Yahudi itu.

Kalimah yang digunakan ada penekanan إِنَّا (sesungguhnya kami) kerana hendak betul-betul menekankan yang mereka itu tetap bersama dengan golongan Yahudi itu. Takut sangat orang Yahudi itu tidak percayakan mereka lagi.

Hati golongan Munafik sebenarnya bersama puak Yahudi itu, walaupun tubuh badan mereka bersama Nabi Muhammad ﷺ. Mereka sudah lama berhubungan dengan kumpulan Yahudi itu, dengar-dengar hal agama atau bermuamalat dengan golongan Yahudi yang kaya dan pandai berniaga itu. Mereka tidak mahu kehilangan hubungan baik mereka itu. Maka mereka terpaksa menipu kerana kalau tidak tunjuk yang mereka sokong Nabi Muhammad ﷺ, mereka akan disisih oleh masyarakat mereka.

Akan tetapi mereka melakukan kerosakan kerana telah memberitahu rahsia umat Islam kepada orang Yahudi. Disebabkan mereka mahu berbaik juga dengan golongan Yahudi itu maka kenalah buka rahsia umat Islam. Maknanya, mereka hendak berbaik dengan orang Islam, dan mereka hendak berbaik dengan orang Yahudi juga.

Ini tidak boleh dilakukan oleh seorang Muslim. Kita tidak boleh menjadikan orang kafir sebagai teman rapat kita. Teman rapat adalah orang yang kita berkongsi rahsia dengan mereka. Kalau setakat berkawan biasa sahaja, bolehlah.

 

إِنَّمَا نَحْنُ مُسْتَهْزِئُونَ

Sebenarnya kami hendak mengejek-ngejek mereka sahaja;

Mereka menambah kata-kata ini sebagai penguat, menjelaskan kenapa mereka duduk bersama dengan golongan Mukmin itu. Mereka takut Yahudi tidak percayakan mereka lagi. Mereka kata yang mereka duduk bersama golongan Mukmin hanya untuk memperlekeh orang-orang beriman itu dengan menipu kata mereka beriman. Mereka mengaku mempersendakan para sahabat yang beriman dan mereka hendak memperdayakan puak-puak yang beriman.

Akan tetapi di dunia lagi Allah ﷻ telah memalukan mereka. Kedua-dua pihak tidak percayakan mereka. Orang beriman tidak percayakan mereka, orang Yahudi pun tidak percayakan mereka. Ini terjadi pada zaman sekarang pun. Ada orang Islam yang hendak berkawan dengan kedua-dua pihak – di pihak Sunnah mereka hendak berkawan, di pihak Bid’ah pun mereka mahu berkawan juga.

Balaghah: penggunaan nahu dalam bahasa Arab Al-Qur’an membawa makna yang tertentu. Kalau kita tahu, ia semakin memberi kefahaman kepada ayat-ayat Al-Qur’an yang tidak akan dapat dikenalpasti kalau setakat baca terjemahan sahaja. Apakah yang hendak disampaikan?
Ada perbezaan antara penggunaan kata-kerja (verb) dan kata-nama (noun) dalam Al-Qur’an. Penggunaan kata-nama lebih kuat daripada kata-kerja. Kalau kata-kerja digunakan, ia bermaksud sementara sahaja sedangkan kalau kata-nama yang digunakan, ia bermaksud lebih kekal.

Kalau kita lihat kalimah ءآمَنَّا (kami beriman), ia dalam bentuk kata-kerja jadi ia bermaksud sementara sahaja tetapi kalau kita lihat kalimah مُسْتَهْزِئُونَ (kami memperolok-olokkan), ia dalam bentuk kata-nama, maka ia membawa maksud berkekalan. Maka walaupun golongan munafik ini hendak membeli jiwa golongan mukmin dan juga golongan Yahudi, tetapi dari segi bahasa yang digunakan sudah nampak mereka lebih condong kepada siapa.


 

Baqarah Ayat 15:

اللهُ يَستَهزِئُ بِهِم وَيَمُدُّهُم في طُغيٰنِهِم يَعمَهونَ

Sahih International

[But] Allah mocks them and prolongs them in their transgression [while] they wander blindly.

Malay

Allah (membalas) memperolok-olok, dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka (yang melampaui batas itu).

 

اللهُ يَسْتَهْزِئُ بِهِمْ

Allah lah yang mempersenda-sendakan mereka

Allah ﷻ jawab dalam ayat ini yang Allah ﷻ lah yang memperbodohkan munafik itu. Begitulah Allah ﷻ akan membalas sesuai dengan perbuatan dosa manusia. Kalau mereka melakukan olok-olok, maka Allah ﷻ juga akan balas dengan mengolok-ngolok mereka. Perbuatan melakukan olok-olok adalah buruk dan nampak seperti tidak sesuai pula digunakan pada Allah ﷻ. Akan tetapi digunakan di sini sebagai majaz (bayangan) untuk bersamaan dengan perbuatan dosa mereka. Allah ﷻ tekankan nama-Nya di sini sebagai menekankan yang Dia sendiri yang membalas kerana kadang-kadang Allah ﷻ tidak letakkan pun nama-Nya.

Di sini kita dapat tahu yang Allah ﷻ beri balasan terus kepada mereka semasa di dunia lagi. Allah ﷻ tidak perlu tunggu di akhirat untuk beri balasan kepada mereka. Mereka hendak mempersendakan manusia lain, tetapi Allah ﷻ pula yang mempersendakan mereka.

Akan tetapi tidak disebut bagaimana cara mereka dipersenda-sendakan. Ada contoh yang Allah ﷻ beri di dalam Hadid: 13

يَومَ يَقولُ المُنٰفِقونَ وَالمُنٰفِقٰتُ لِلَّذينَ ءآمَنُوا انظُرونا نَقتَبِس مِن نّورِكُم قيلَ ارجِعوا وَراءَكُم فَالتَمِسوا نورًا
Pada hari ketika orang-orang munafik laki-laki dan perempuan berkata kepada orang-orang yang beriman: “Tunggulah kami supaya kami dapat mengambil sebahagian daripada cahayamu”. Dikatakan (kepada mereka): “Kembalilah kamu ke belakang dan carilah sendiri cahaya (untukmu)”.

Allah ﷻ mempersenda mereka dengan suruh pergi cari cahaya di dunia, sedangkan dunia pun tidak ada lagi pun untuk mereka pergi.

Di dunia lagi mereka telah ditipu. Iaitu mereka dibiarkan dengan perbuatan mereka, maka mereka sangka Rasulullah ﷺ dan sahabat tidak tahu pun perlakuan mereka itu. Mereka dibiarkan tidak dikenakan terus dengan musibah dan azab. Allah ﷻ biarkan sahaja mereka supaya mereka sangka mereka selamat dan terus membuat dosa, nanti di akhirat Allah ﷻ akan balas mereka cukup-cukup.

 

وَيَمُدُّهُمْ

Dan Allah membiarkan mereka

Allah ﷻ biarkan sahaja mereka buat apa yang mereka hendak buat. Mereka sangka perbuatan mereka itu Allah ﷻ tidak tahu, atau Allah ﷻ buat tidak kisah sahaja. Maka mereka terus di dalam hal mereka itu. Namun ingat, bukanlah bermakna yang Allah ﷻ redha dengan perbuatan mereka. Jangan ada pula yang sangka, kalau Allah ﷻ biarkan, itu adalah kerana Allah ﷻ redha. Allah ﷻ ‘benarkan’ tidak semestinya Allah ﷻ ‘redha’.

Jangan kita keliru dengan perkara itu. Memang ramai yang keliru dan kerana kekeliruan ini, ramai yang terus berada dalam kesesatan kerana mereka fikir: “Kalau Allah tak setuju, takkan Allah benarkan aku buat benda ni..”.

 

فِي طُغْيٰنِهِمْ

Dalam kesesatan mereka

Allah ﷻ biarkan mereka terus menjadi bodoh. Allah ﷻ biarkan mereka dalam kesesatan wahyu supaya tidak faham wahyu dan buta hati. Kalau mahu sesat, Allah ﷻ boleh sahaja biarkan mereka sesat kerana mereka yang buat pilihan untuk tidak mahu mendengar kebenaran.

 

يَعْمَهُونَ

kebingungan

Mereka menjadi bodoh kebingungan kerana buta hati. Hati mereka tidak keruan, sekejap ke sana dan sekejap ke sini. Hati mereka tidak tetap dan sentiasa tidak tenang. Allah ﷻ akan memberi peluang kepada mereka untuk berbuat kerosakan supaya mereka nanti akan dimasukkan ke dalam neraka yang paling dalam.


 

Baqarah Ayat 16:

أُولٰئِكَ الَّذينَ اشتَرَوُا الضَّلٰلَةَ بِالهُدىٰ فَما رَبِحَت تِّجٰرَتُهُم وَما كانوا مُهتَدينَ

Sahih International

Those are the ones who have purchased error [in exchange] for guidance, so their transaction has brought no profit, nor were they guided.

Malay

Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayah.

 

أُولَٰئِكَ

Mereka itulah orang-orang,

Janganlah kita jadi seperti mereka. Maka kerana itu kita kena belajar tentang mereka supaya kita dapat menjauhkan diri kita daripada sifat-sifat mereka.

 

الَّذِينَ اشْتَرَوُا الضَّلٰلَةَ بِالْهُدَىٰ

yang membeli kesesatan dengan jual petunjuk;

Ini adalah kerana mereka menukar hidayah dengan kesesatan. Bayangkan mereka ini telah berjumpa Nabi ﷺ sendiri. Mereka dengar sendiri wahyu Allah ﷻ dibacakan kepada mereka oleh Nabi ﷺ sendiri. Mereka boleh lihat akhlak Nabi ﷺ di hadapan mata mereka sendiri dan mereka solat di belakang Nabi ﷺ di dalam Masjid Nabi. Namun mereka masih lagi tidak beriman. Pelik benar kesesatan mereka. Mereka ada peluang yang amat baik sekali kerana mereka bersama Nabi ﷺ tetapi mereka tidak mahu mengambil peluang itu.

Mereka telah membuang peluang keemasan mereka yang dapat duduk dengan Nabi ﷺ dan duduk dengan para sahabat yang lain. Ayat ini kata, mereka membeli kesesatan dengan menjual hidayah. Bukanlah ia maksudnya mereka sudah mendapat hidayah tetapi mereka telah tukar peluang mendapat hidayah itu dengan kesesatan. Makna الْهُدَىٰ di dalam ayat ini adalah sumber untuk mendapatkan hidayah iaitu ilmu wahyu Al-Qur’an dan Sunnah Nabi. Maka bukanlah mereka pernah ada hidayah sebenarnya. Mereka tukar peluang, tidak mengambil peluang yang mereka ada itu.

Jelaslah ini merupakan satu lagi sifat Munafik. Mereka mahukan keuntungan dunia sahaja. Ini sahaja yang mereka terkejar-kejar. Mereka masuk Islam kerana hendak menjaga kedudukan mereka, juga supaya mereka boleh mendapat keuntungan dunia. Sebagai contoh kalau menang perang dapat harta Ghanimah, begitu juga zakat pun mereka dapat. Maka mereka ambil peluang untuk keduniaan semata sebaliknya ilmu agama mereka tidak ambil dan tidak amalkan.

Oleh itu manusia yang menggunakan agama untuk kepentingan dunia, mereka itu juga ada sifat munafik. Ramai yang buat duit dengan agama, bukan? Mereka menjadi tekong solat hajat, tekong doa selamat, tekong itu dan ini. Kalau solat jenazah kena beri upah kepada puak-puak ini. Sekurang-kurangnya kena beri makan baru mereka hendak berdoa.

Begitulah amalan-amalan bid’ah itu kalau kita perhatikan semua kena ada modal baru boleh jalan kerana puak-puak bid’ah tidak akan buat kalau tidak mendapat keuntungan dunia. Maka kalau ada amal ibadah yang dimestikan membayar upah, kita fikir-fikirkanlah kerana ajaran agama Islam bukan menggunakan duit. Agama Islam untuk orang kaya dan juga untuk orang miskin. Yang kenakan bayaran itu selalunya adalah amalan bid’ah.

Oleh kerana golongan bid’ah ini buat duit dengan ajaran dan amalan bid’ah mereka, maka mereka amat menentang ajaran Sunnah yang membongkar kesalahan mereka. Dengan berkembangnya ajaran Sunnah ini, maka peluang mereka untuk buat duit sudah terganggu. Susahlah mereka hendak dapat sampul duit lagi. Mereka akan jaga peluang pendapatan mereka dengan membusukkan imej golongan yang Sunnah ini dengan tuduhan Wahabi dan sebagainya.

Di sini Allah ﷻ menggunakan kalimah اشْتَرَوُا yang asalnya bermaksud tukar dan boleh digunakan untuk bermaksud ‘beli’. Kenapa Allah ﷻ gunakan istilah beli sedangkan kalau digunakan kalimah ‘pilih’ pun boleh, bukan? Ada balaghah di sini. Iaitu Allah ﷻ hendak memberitahu kita tentang buruknya pilihan mereka. Mereka memang suka kepada kesesatan kerana kita kalau beli, mesti barang yang kita mahu dan kita suka, bukan? Ini menunjukkan mereka memang suka kesesatan itu.

Allah ﷻ hendak menunjukkan betapa bodohnya mereka itu kerana suka membeli barang yang buruk. Kalau suami anda membeli peti ais yang rosak dengan harga RM10,000, tentu anda kata suami anda bodoh, bukan? Benda buruk tidak dibeli dengan harga yang mahal. Pertama, ia tidak dibeli pun; kedua, lagi bodoh kalau dibeli dengan harga yang mahal. Maka harga apa yang ditukar oleh golongan Munafik itu? Peluang untuk mendapat hidayah, bukan? Alangkah bodohnya!

 

فَمَا رَبِحَتْ تِجٰرَتُهُمْ

Tidaklah untung perniagaan mereka

Allah ﷻ buat perbandingan iman dengan perniagaan. Kalau berniaga, tentulah kita mahukan keuntungan, bukan? Allah ﷻ beritahu yang mereka itu akan menyebabkan mereka tidak akan untung sampai bila-bila. Malah mereka rugi modal. Kalau dalam perniagaan, modalnya adalah wang, akan tetapi di sini modal yang mereka hilang adalah fitrah keimanan yang telah diberi kepada semua manusia. Semoga Allah ﷻ selamatkan kita daripada menjadi seperti mereka.

Dengan menggunakan perumpamaan perniagaan di sini, Allah ﷻ hendak menghina mereka yang kononnya pandai ini: berniaga pun tidak tahu. Maka teruk sangat mereka ini di dalam berfikir.

Maka perniagaan apa pula yang menguntungkan? Ia disebut dalam Saff: 10-11

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا هَل أَدُلُّكُم عَلىٰ تِجٰرَةٍ تُنجيكُم مِن عَذابٍ أَليمٍ
Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih?

تُؤمِنونَ بِاللَّهِ وَرَسولِهِ وَتُجٰهِدونَ في سَبيلِ اللَّهِ بِأَموٰلِكُم وَأَنفُسِكُم ۚ ذٰلِكُم خَيرٌ لَّكُم إِن كُنتُم تَعلَمونَ
(iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.

 

وَمَا كَانُوا مُهْتَدِينَ

Dan tidaklah mereka terpimpin. 

Mereka sangka mereka terpimpin, dapat hidayah, tetapi Allah ﷻ menafikan hal itu. Mereka tidak terpimpin langsung. Maka kalimah وَمَا digunakan di sini untuk menidakkan mereka ada hidayah. Kerana mungkin kita nampak mereka ada fahaman agama yang hebat dengan pakaian dan kata-kata mereka, sedangkan sebenarnya tidak. Mereka memang pandai bercakap dan manusia mudah tertipu dengan mereka.

Maka kita amat takut kalau kita pun begitu juga. Kita rasa kita sudah beriman, sudah benar-benar seorang Muslim sejati, sudah terpimpin. Akan tetapi takut-takut rupanya kita tergolong dalam golongan orang munafik pula. Maka kena belajar lagi apakah sifat-sifat orang munafik dalam Al-Qur’an dan dalam hadith. Kena baca keseluruhan ayat-ayat berkenaan munafik untuk mendapat maklumat yang penuh tentang mereka.

Ia juga mengajar kita supaya janganlah mudah tertipu dengan penampilan dan kata-kata manusia yang lemah lembut ini. Janganlah mudah terpedaya dengan kata-kata mereka ini yang lembut gigi daripada lidah. Jangan juga terpedaya dengan keturunan, contohnya kononnya keturunan Nabi ﷺ katanya. Kita kena lihat apa yang mereka sampaikan. Kalau keturunan Nabi ﷺ datang ke Malaysia berupa paras tampan, segak, berseri-seri penuh cahaya keimanan kononnya, tolonglah jangan terus percaya. Dengar dan perhati apa yang dia ajar. Kalau setakat ajar kunyah makanan 40 kali, lupakanlah. Jangan tertipu dengan tebalnya serban, tetapi lihatlah tebalnya ilmu dia. Serban itu tidak bernilai apa-apa kalau ajaran bukan daripada ajaran wahyu.


 

Baqarah Ayat 17: Sekarang kita akan melihat perumpamaan pertama di dalam Al-Qur’an. Allah ﷻ beri ayat-ayat bandingan atau perumpamaan supaya lebih jelas apa yang hendak disampaikan. Ini adalah jenis Ilmu Bayan supaya jelas kepada manusia yang membaca dan belajar Al-Qur’an. Ayat 17 – 18 adalah ayat bandingan tentang orang Musyrikin dan Yahudi iaitu mereka yang jenis ‘kafir degil’. Manakala ayat 19 – 20 pula adalah ayat bandingan untuk mereka yang ‘kafir jahil’ iaitu Munafikin dan Nasara.

Ayat-ayat bandingan ini memang banyak perselisihan sebab banyak perbahasan dan pendapat tentang siapakah yang dimaksudkan dalam bandingan-bandingan itu. Namun dalam pengajian kita, kita mengikut apa yang telah disampaikan iaitu ayat 17 – 18 tentang Kafir Degil dan ayat 19 – 20 tentang Kafir Jahil.

مَثَلُهُم كَمَثَلِ ٱلَّذِى ٱستَوقَدَ نَارًا فَلَمَّآ أَضَآءَت مَا حَولَهُ ۥ ذَهَبَ ٱللَّهُ بِنُورِهِم وَتَرَكَهُم فِى ظُلُمَـٰتٍ لَّا يُبصِرُونَ

Sahih International

Their example is that of one who kindled a fire, but when it illuminated what was around him, Allah took away their light and left them in darkness [so] they could not see.

Malay

Perbandingan hal mereka samalah seperti orang yang menyalakan api; apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka, dan dibiarkannya mereka dalam gelap-gelita, tidak dapat melihat (sesuatu pun).

 

مَثَلُهُمْ

Contoh mereka itu

Allah ﷻ beri perbandingan dan contoh bagaimana keadaan orang yang ‘kafir degil’ itu. Allah ﷻ banyak beri pengajaran dalam bentuk bandingan kerana kita lebih senang faham kalau ada bandingan. Allah ‎ﷻ selalu menggunakan cara ini untuk memberi pengajaran kepada manusia. Allah ﷻ sebut di dalam Zumar: 27

وَلَقَد ضَرَبنا لِلنّاسِ في هٰذَا القُرءآنِ مِن كُلِّ مَثَلٍ لَّعَلَّهُم يَتَذَكَّرونَ
Dan demi sesungguhnya Kami telah huraikan daripada Qur’an ini kepada manusia semua sekali, daripada berbagai contoh bandingan mudah-mudahan mereka mengambil peringatan.

Namun begitu perumpamaan-perumpamaan yang diberikan perlukan dipelajari kerana ia bukannya terus boleh difahami. Memang sedih dan bahaya kalau tidak tahu misalan yang Allah ﷻ berikan dalam Al-Qur’an. Sebahagian ulama’ Salaf mengatakan, “Apabila aku membaca suatu masal (perumpamaan) daripada Al-Qur’an, lalu aku tidak memahaminya, maka aku menangisi diriku sendiri, kerana Allah ﷻ telah berfirman: ‘dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.’ (Al-Ankabut: 43).”

وَتِلكَ الأَمثٰلُ نَضرِبُها لِلنّاسِ ۖ وَما يَعقِلُها إِلَّا العٰلِمونَ
Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia; dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.

Malangnya orang kita rata-ratanya tidak kisah pun. Jangankan perumpamaan, ayat-ayat yang muhkam tanpa perumpamaan pun mereka tidak faham. Ramai yang baca sahaja tanpa faham sebutir habuk pun apa yang ada dalam Al-Qur’an itu. Lalu bagaimanakah hendak mengambil hidayah daripadanya?

 

كَمَثَلِ الَّذِي اسْتَوْقَدَ نَارًا

Seperti satu orang yang menyalakan api;

Orang yang menyalakan api itu adalah isyarat kepada Nabi Muhammad ﷺ.

نارًا – ‘Api’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘ayat-ayat Al-Qur’an’ kerana sebagaimana api menerangi kegelapan, cahaya Al-Qur’an juga menerangi kegelapan syirik. Ia juga mengandungi dalil-dalil Al-Qur’an tentang Islam. Maka Nabi Muhammad ﷺ telah menyampaikan cahaya wahyu kepada manusia.

 

فَلَمَّا أَضَاءَتْ مَا حَوْلَهُ

apabila ia menerangi yang di sekelilingnya

Untuk memahami ayat ini, istilah idmaj ادماج perlu digunakan dalam ayat ini. Iaitu kita kena taqdirkan (masukkan lafaz-lafaz) dalam ayat ini di antara lafaz نَارًا dan فَلَمَّا.

Lafaz yang dimasukkan adalah: (beberapa orang lelaki duduk mendengar kepada Nabi ﷺ). Ia memang tidak dimasukkan dalam Al-Qur’an, tetapi untuk kita memahaminya, kita kena masukkan lafaz ini dalam tafsir.

Lelaki-lelaki yang dimaksudkan itu adalah mereka yang kafir degil iaitu Arab Mekah. Oleh kerana Surah Al-Baqarah ini adalah Surah Madaniyyah, maka ia juga merujuk kepada golongan kafir degil yang satu lagi yang ada di Madinah: Golongan Yahudi.

 

ذَهَبَ اللهُ بِنُورِهِمْ

Allah tarik dan hilangkan nur hidayat dari mereka

Apabila cahaya Al-Qur’an itu dinyalakan (dibacakan) kepada mereka, ذَهَبَ اللَّهُ بِنورِهِم – Allah ﷻ tarik cahaya itu daripada mereka. Sepatutnya mereka mendapat cahaya itu, tetapi Allah ﷻ tarik daripada mereka disebabkan kedegilan mereka. Mulanya mereka dapat juga cahaya itu kerana mereka sanggup mengaku beriman dan duduk dengar juga majlis Nabi; tetapi oleh kerana mereka tidak ikhlas, maka Allah ﷻ tarik balik.

Sebelum ini, kalimah terangnya api disebutkan dengan kata أَضَاءَ, manakala cahaya yang dihilangkan Allah ﷻ sebut dengan kata نُورِ. Api yang sinarnya bersumber daripada dirinya sendiri disebut oleh bahasa Al-Qur’an dengan kata yang diambil daripada akar kata أَضَاءَ. Sedangkan suatu yang bercahaya tetapi merupakan pantulan daripada sesuatu yang lain dinamakan نُورِ. Itu sebabnya di dalam Yunus: 5 Allah ﷻ berfirman:

هُوَ الَّذي جَعَلَ الشَّمسَ ضِياءً وَالقَمَرَ نورًا
Dia lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya,

Ini adalah kerana matahari mengeluarkan cahaya sendiri sedangkan bulan hanya mendapat pantulan cahaya sahaja. Maka ayat di atas menunjukkan bahawa ada sinar dari api yang menerangi jalan mereka. Itulah petunjuk-petunjuk Al-Qur’an. Akan tetapi kerana sinar tersebut tidak mereka manfaatkan, maka Allah ﷻ menutupi cahaya yang menerangi mereka. Al-Qur’an tidak dapat ditutupi, tetapi yang menjauhkan daripada mereka adalah pantulan daripada sinar yang terang benderang itu. Al-Qur’an tetap berada di tengah mereka, tetapi cahaya petunjuknya telah berjauhan daripada mereka.

Beginilah perbandingan yang diberikan oleh Allah ﷻ supaya kita boleh faham. Ini kerana ada orang yang akan faham apabila diberikan penerangan dalam bentuk perbandingan. Inilah cara Al-Qur’an untuk menjelaskan agama kepada manusia.

Tetapi yang lebih menarik adalah penggunaan bahasa di dalam Al-Qur’an yang sangat hebat dan mengandungi maksud tersirat kalau kita mengkajinya. Mari kita perhatikan frasa ذَهَبَ اللهُ بِنُورِهِمْ dan kita bedah sikit. Kenapa Allah gunakan huruf ب dan bukan hanya أذَهَبَ اللهُ نُورِهِمْ? Apakah fungsi huruf ب yang kecil molek ini? Hendak senang kerja, kita katakan ia Bā’ Zā’idah (باء زائدة) sahaja (merujuk kepada fungsi huruf Bā’ (ب) dalam Bahasa Arab di mana ia diletakkan di dalam sesebuah ayat atau frasa, tetapi tidak memberikan makna nahu yang baru dan boleh digugurkan tanpa mengubah makna asas ayat tersebut). Akan tetapi kalau kita faham ayat-ayat Al-Qur’an, takkan sesuatu itu diletakkan oleh Allah tanpa makna?

Penjelasan: Huruf ب di dalam بِنُورِهِمْ adalah Ba’ Al-Ilsāq (باء الإلصاق). Secara ringkas, Bā’ Al-Ilsāq bermaksud “Ba’ yang menunjukkan perlekatan atau persambungan.” Ilsāq (الإلصاق) secara bahasa bermaksud melekat, melekatkan, menyambungkan, atau menyentuh. Jadi ia bermaksud api itu benar-benar melekat kepada mereka. Dan apabila Allah tarik cahaya itu dari mereka, cahaya itu tidak akan menyala lagi. Ini berbeza kalau digunakan frasa أذَهَبَ اللهُ نُورِهِمْ yang memberi maksud cahaya itu mungkin hilang sekarang akan tetapi ia mungkin datang menyala semula.

Persoalan kedua adalah kenapa frasa itu adalah ذَهَبَ اللهُ بِنُورِهِمْ dan bukan ذَهَبَ اللهُ بِنُورِهِمْ sedangkan kalau kita lihat balik permulaan ayat adalah tentang api (اسْتَوْقَدَ نَارًا). نَارً adalah api sedangkan نُورِ adalah cahaya. Kenapa mula cakap api kemudian cakap cahaya pula? Pertamanya kedua-dua نُورِ dan نَارً dari kata dasar yang sama, jadi memang ada kaitan antara keduanya. Bukankah api mengeluarkan cahaya juga? Jadi apabila Allah beritahu yang Dia tarik cahaya mereka itu, Allah hanya tarik cahaya sahaja, tapi api itu masih ada. Yang paling utama mereka perlukan adalah cahaya sebagai penerang dan bukannya api. Jadi ini bermakna mereka hilang petunjuk dan nanti mereka akan dimasukkan ke dalam api neraka!

 

وَتَرَكَهُمْ فِي ظُلُمٰتٍ

Dan Allah membiarkan mereka dalam kegelapan;

Apabila Allah ﷻ tarik cahaya wahyu itu daripada mereka, kesan kepada mereka adalah mereka terbiar dalam kegelapan. Oleh kerana mereka telah pernah ada cahaya itu, maka ia lebih teruk lagi kerana mereka telah pernah merasa cahaya. Ini seperti orang yang pernah melihat tetapi kemudian matanya buta. Ia tidak sama dengan orang yang buta semenjak lahir (mereka tidak pernah nampak cahaya maka mereka tidak rasa kehilangan sangat).

Kegelapan itu adalah syirik kufur. Namun bukan satu kegelapan sahaja kerana kalimah yang digunakan adalah ظُلُمٰتٍ yang di dalam bentuk jamak. Maka kegelapan mereka ini merangkumi kegelapan kesesatan, kegelapan murka Allah ﷻ dan kegelapan seksa di akhirat nanti. Amalan kufur yang mereka lakukan tentunya banyak jenis.

Begitulah apabila menyebut tentang kesesatan, kalimah yang digunakan adalah ظُلُمٰتٍ yang bermaksud ada banyak jenis kesesatan dan kekufuran. Kufur jenis munafik, kufur jenis menentang dan sebagainya. Malah jalan membawa kepada kekufuran itu juga banyak, sedangkan jalan membawa kepada hidayah hanya satu sahaja iaitu panduan wahyu.

 

لَا يُبْصِرُونَ

mereka tidak dapat melihat;

Mereka tidak dapat melihat bahawasanya mereka sedang duduk dalam syirik kufur. Bila kita ceritakan kepada mereka tentang syirik kufur, mereka tidak faham. Ini kerana Allah ﷻ telah tutup pemahaman daripada akal mereka kerana mereka begitu kuat sekali menolak sebelum itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 26 November 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Al-Qur’an yang telah Didekatkan (Mohd Dzul Khairi)

Tafsir Surah Baqarah Ayat 11 – 13 (Sikap orang munafik)

Baqarah Ayat 11: Allah ﷻ ajar cara bagaimana untuk mengenali golongan Munafik. Bukan untuk kita melabel atau menuduh mereka tetapi untuk kita bandingkan dengan diri kita. Entah kita pun ada sifat mereka. Kalau kita nampak pada orang lain, maka kita boleh berhati-hati dengan mereka supaya tidak terpengaruh dengan kata-kata mereka. Ini kerana mereka itu pandai berkata-kata dan kalau kita tidak berhati-hati, kita boleh termakan dengan kata-kata mereka.

Kalau Allah ﷻ tidak ajar dan beritahu kita tentang mereka, kita tidak tahu kerana ia tidak jelas kepada kita disebabkan ia adalah penyakit dalaman. Melalui tanda-tanda yang Allah ﷻ beri tentang mereka, kita boleh kenali sifat-sifat itu. Macam juga kalau kita nampak asap, itu adalah tanda adanya api.

Pertama, mereka salah faham dengan kebenaran. Mereka tidak nampak kebenaran dan mana yang benar, sebaliknya yang salah, mereka kata betul. Apabila kita tunjuk dalil-dalil daripada Al-Qur’an kepada mereka dan mereka tolak, kita sudah boleh agak yang mereka itu ada penyakit munafik dalam diri mereka.

Begitulah mereka, apabila diberi dalil dan bukti yang sahih, mereka susah hendak terima. Mereka mahu menggunakan fahaman mereka sahaja. Padahal, yang kita bawa adalah nas Al-Qur’an, bukannya kata-kata kita sendiri. Memang sepatutnya kita kena dakwah dengan ayat Al-Qur’an dan sunnah. Jangan bawa dalil yang lain.

وَإِذا قيلَ لَهُم لا تُفسِدوا فِي الأَرضِ قالوٓا إِنَّما نَحنُ مُصلِحونَ

Sahih International

And when it is said to them, “Do not cause corruption on the earth,” they say, “We are but reformers.”

Malay

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi”, mereka menjawab: ” Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan”.

 

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ

Dan apabila dikatakan kepada mereka:

Sahabat Nabi ﷺ yang melihat perangai mereka pun rasa lain macam. Sebab mereka boleh lihat yang golongan Munafik itu membuat perkara yang pelik-pelik seperti pergi berjumpa dengan orang Yahudi. Mereka wala’ kepada orang kafir pula sedangkan sepatutnya mereka lebih rapat dan wala’ dengan umat Islam. Maka, para sahabat yang beriman pun telah menegur mereka, kenapa pergi lagi ke majlis orang Yahudi?

Begitulah orang yang sudah belajar, apabila mereka lihat sesuatu yang tidak kena, mereka akan terus tegur kesalahan orang lain, tidaklah tengok sahaja. Disebabkan ramai yang takut menegurlah yang menyebabkan kemungkaran berterusan. Apabila yang tahu tidak menegur, maka yang melakukan kesalahan sangka mereka tidak melakukan kesalahan pun.

Apabila digunakan kalimah قِيلَ (dikatakan), ia adalah di dalam bentuk pasif. Iaitu tidak diberitahu di sini siapakah yang bercakap. Ini adalah kerana siapa yang bercakap tidak penting, yang penting adalah mesej yang disampaikan.

 

لَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ

Janganlah kamu berbuat kerosakan di atas muka bumi;

Orang-orang yang beriman memberi nasihat kepada orang-orang Munafik itu supaya jangan membuat kerosakan. Apakah ‘kerosakan’ yang dimaksudkan itu? Untuk kita memahami ayat ini, kita kena faham sejarah Madinah sebelum zaman Nabi Muhammad ﷺ datang ke Madinah. Orang Ansar mempunyai tok guru daripada golongan Yahudi.

Orang Yahudi itu adalah sumber rujukan mereka dalam agama. Itu adalah sebelum kedatangan Islam. Mereka jadikan Yahudi sumber rujukan kerana mereka tahu bahawa orang-orang Yahudi itu telah lama beragama dan ada kitab daripada Allah ﷻ. Maka mereka menghormati golongan Yahudi itu.

Apabila Nabi Muhammad ﷺ sudah ada dalam kalangan mereka, mereka akan berjumpa dengan pendiea Yahudi menceritakan tentang ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ. Pendeta Yahudi akan berkata begini dan begitu. Orang Yahudi akan menggunakan peluang itu untuk merosakkan Islam dari dalam. Mereka akan beri maklumat salah untuk merosakkan Islam. Kemudian golongan Munafik itu akan membawakan apa yang mereka dapat daripada pendeta Yahudi kepada kaum mereka.

Mereka kata pendeta Yahudi itu yang betul kerana Yahudi itu lebih lama mendapat ilmu agama jika dibandingkan dengan Nabi Muhammad ﷺ. Maka, mereka melaga-lagakan sahabat Nabi dengan Nabi Muhammad ﷺ. Mereka kata Nabi ﷺ pula yang tidak betul. Itulah kerosakan yang dimaksudkan dalam ayat ini.

Orang munafik itu masih lagi berkawan dengan pendeta Yahudi yang mereka rujuk itu walaupun setelah Nabi Muhammad ﷺ berada dalam kalangan mereka dan mereka pun mengaku telah beragama Islam. Mereka masih tidak percaya sepenuhnya kepada Nabi Muhammad ﷺ. Maka mereka mahu berkawan dengan kedua-dua pihak.

Mereka mahu lihat siapakah yang akan menang. Mereka tidak sepenuhnya duduk dalam Islam. Oleh kerana mereka masih tetap pergi berjumpa dengan orang Yahudi, orang lain yang melihat mereka pun berasa seperti tidak salah pula untuk pergi berjumpa dengan Yahudi dan mengambil agama daripada Yahudi. Ini juga merosakkan fahaman agama orang lain. Ini bermakna mereka merosakkan agama dari dalam.

Ini terjadi sebab mereka tidak ada pegangan agama yang kuat. Mereka tidak faham agama dengan sebenarnya, kerana mereka tidak belajar dengan betul. Mereka kejap ke sana dan kejap ke sini.

Sebenarnya tidak boleh begitu, kerana ajaran yang suci tidak boleh campur aduk dengan yang tercemar. Sepatutnya salah faham mereka itu mesti dibersihkan terus. Mereka sepatutnya sudah tidak boleh merujuk lagi kepada pendeta-pendeta Yahudi itu.

Adakah perkara yang sama berlaku zaman sekarang? Memang ada. Ada yang dengar apa yang ustaz Sunnah katakan dan mereka balik beritahu kepada ustaz-ustaz mereka yang mengajar perkara bid’ah. Ustaz itu pula kata tidak betul ajaran yang kita sampaikan sebab tidak sama ilmu kita dan mereka. Perkara ini pula kemudian dimasukkan ke dalam medsos dan ramailah yang akan komen dan komen.

Memang tidak sama kerana kita menggunakan dalil daripada Al-Qur’an dan Sunnah, tetapi guru-guru mereka tidak pula belajar Al-Qur’an dan Hadith Nabi. Maka kerosakan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah melaga-lagakan Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat. Begitu juga ada orang yang melagakan antara ajaran berasaskan sunnah dan tidak sunnah pada zaman sekarang.

Maka kerosakan yang dilakukan oleh golongan Munafik adalah melemahkan Islam dari dalam. Berbeza dengan orang kafir itu kita memang tahu mereka ada usaha untuk merosakkan agama Islam, tetapi dari luar. Ia senang ditolak kerana ia datang daripada musuh. Namun kalau yang merosakkan itu dari dalam, bagaimana? Ia lagi susah kerana ia seolah-olah datang daripada orang Islam sendiri.

Kerosakan yang dilakukan oleh mereka itu amat teruk sampaikan ada penambahan فِي الْأَرْضِ (di mukabumi) dan tidak cukup dengan disebut لَا تُفْسِدُوا (jangan buat kerosakan) sahaja. Ini memberi isyarat kepada kita yang kerosakan yang mereka lakukan itu boleh merebak ke seluruh dunia jikalau tidak dibendung.

Selain daripada itu, banyak lagi kerosakan lain dalam perkara agama yang dilakukan oleh golongan Munafik itu, iaitu kepercayaan yang bertentangan dengan wahyu. Mereka melakukan kemungkaran dan maksiat. Perbuatan mereka itu diikuti pula oleh orang lain. Ini adalah kerana perbuatan buruk selalunya diikuti oleh orang lain. Maka ini bukannya kerosakan fizikal seperti menebang pokok dan tarah bukit. Itu pun salah juga, tetapi bukan itu yang dimaksudkan di sini.

Selain daripada kerosakan dalam agama, sebenarnya mereka juga menyebabkan kerosakan pada alam fizikal juga. Ini adalah kerana dosa akan menyebabkan murka Allah ﷻ dan menyebabkan Allah ﷻ menurunkan bala. Kerana itulah jikalau bala turun, maka manusia dianjurkan untuk bertaubat dan istighfar. Sebagai contoh, untuk menurunkan rezeki seperti hujan, dianjurkan untuk istighfar seperti disebut di dalam Nuh: 10-11

فَقُلتُ استَغفِروا رَبَّكُم إِنَّهُ كانَ غَفّارًا
“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun.

يُرسِلِ السَّماءَ عَلَيكُم مِدرارًا
“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;

 

قَالُوٓا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ

Mereka jawab: Sebenarnya kami orang yang hendak berbuat baik;

Selepas ditegur, puak munafik itu menjawab seperti yang disebut dalam surah ini, dalam nada membantah. Maka ini adalah juga sikap orang Munafik: apabila ditegur, mereka membantah dan menolak teguran orang terhadap mereka. Mereka tidak boleh terima teguran tetapi menunjukkan sifat mujadalah (melawan) mereka yang buruk. Kita boleh lihat balasan mereka itu adalah dengan hujah-hujah yang mengarut; mereka sahaja nampak ia sebagai alasan yang betul, tetapi sebenarnya tidak.

Lagi satu sifat mereka, bila berbalah itu mereka berlebihan dan zalim menentang. Bukannya mereka hendak berhujah dengan hujah yang bernas dan baik, sebaliknya mengutuk sana dan sini. Mereka jatuhkan kedudukan orang, melabelkan dengan labelan yang teruk-teruk. Dalilnya tidak diberi-beri pun di dalam hujah mereka. Kalau diberi pun, disalahfahami ikut kepala mereka. Ini seperti disebut di dalam hadith,

أَرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا خَالِصًا ، وَمَنْ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْهُنَّ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنَ النِّفَاقِ حَتَّى يَدَعَهَا إِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ وَإِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ ، وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ
“Ada empat tanda, jika seseorang memiliki empat tanda ini, maka ia disebut munafik tulen. Jika ia memiliki salah satu tandanya, maka dalam dirinya ada tanda kemunafikan sampai ia meninggalkan perilaku tersebut, iaitu: jika diberi amanat, khianat; jika berbicara, dusta; jika membuat perjanjian, tidak dipenuhi; jika berselisih, dia akan berbuat zalim,
(HR. Muslim)

Di dalam ayat ini kita boleh lihat hujah mereka: “Kami ini hendak mendamaikan orang yang berbalah, sebenarnya”; Ini adalah kerana mereka kata mereka nampak Nabi ﷺ ada kebenarannya, tetapi mereka nampak puak Yahudi pun ada kebenaran juga, maka kononnya mereka ingin menjadi orang tengah.

Cuba perhatikan, mereka menggunakan kalimah إِنَّمَا yang bukan sahaja bermaksud penekanan, tetapi ia juga menolak orang lain. Maksudnya mereka kata mereka sahaja yang membuat kebaikan dan orang lain tidak. Inilah maksud إِنَّمَا dari segi bahasa.

Kalimah صلح bermaksud melakukan pembaikan. Iaitu kalau ada sesuatu yang rosak, dibaiki; atau kalau sesuatu itu sudah elok, ditambah elok lagi. Golongan Munafik itu sangka itulah yang mereka lakukan. Mereka perasan sahaja.

Di dalam Islam, kata-kata orang yang mengaku dia buat benda baik tidak dikira. Macam kalau kita sedekah dan kata ‘ini derma ikhlas’ tidaklah menjadikan sedekah itu terus menjadi ikhlas. Ia hendaklah menepati syarat-syarat barulah menjadi ikhlas dan baik.

Kononnya mereka hendak menjadi ‘orang tengah’ supaya dua pihak itu mencari persamaan antara mereka dan dapat berdamai. Mereka rasa mereka sedang membuat kebaikan, tetapi sebenarnya tidak. Mereka kata mereka bukan mereka mahu lagakan, tetapi hendak berbuat baik.

Mereka kata mereka sebenarnya mencari kebenaran. Namun itu tidak benar. Apa yang mereka lakukan adalah membunuh ajaran agama. Mereka sebenarnya membuat kerosakan.

Ini sama seperti perbezaan antara puak Sunnah dan puak sekolah pondok pada zaman sekarang. Puak Sunnah berpegang kepada ajaran Sunnah tetapi puak sekolah Pondok banyak yang berpegang kepada ajaran yang bidaah (ajaran tok nenek yang sudah lama diamalkan di negara ini). Maka, adalah golongan yang kononnya ingin menyatukan dua kumpulan yang berbeza pegangan ini. Kononnya hendak meneutralkan kedua-dua fahaman.

Nampak macam sedap dan molek apa yang mereka katakan itu. Akan tetapi mereka tidak faham bahawa kebenaran hanya satu sahaja. Yang mereka nampak kedua-dua belah pihak ada juga kebenaran itu adalah kerana mereka jahil. Kefahaman mereka tidak jelas dan tidak betul. Sahabat lain sudah faham, tetapi mereka sahaja yang masih tidak faham.

Ada banyak perkara yang memang tidak akan bertembung, maka cubaan dengan niat yang murni itu tidak akan berjaya. Ia membuang masa sahaja dan yang melakukannya adalah orang-orang yang naif. Mereka tidak tahu sudah beratus tahun sudah orang cuba melakukannya tetapi gagal; tiba-tiba mereka rasa macam mereka pula boleh menjadi orang tengah mahu mendamaikan.

Contohnya perbezaan antara aliran Salaf dan Asya’irah. Memang tidak akan bertembung sampai bila-bila. Maka sebenarnya kena pilih salah satu sahaja, bukannya hendak menggabungkan antara keduanya. Orang yang sudah aliran Asya’irah tidak akan mahu menerima aliran Salafi (melainkan dia belajar ilmu wahyu kembali) dan golongan Salafi tidak akan mahu menggunakan aliran Asya’irah yang banyak masalah itu.

Begitu juga antara Syiah dan Sunnah. Memang tidak akan bertembung mencapai titik persetujuan. Memang telah lama ada cuba melakukan taqrib antara keduanya, tetapi tidak berjaya. Ia tidak akan Berjaya kerana fahaman asas sudah berbeza. Manusia bukan senang berubah. Kalau yang berubah pun, secara individu sahaja. Iaitu seseorang yang sudah tidak percaya lagi dengan aliran yang dianutinya dulu dan dia pun berubah. Bukannya keseluruhan aliran itu berubah.


 

Baqarah Ayat 12: Apa Allah ﷻ kata tentang alasan mereka itu?

أَلَآ إِنَّهُم هُمُ ٱلمُفسِدُونَ وَلَـٰكِن لَّا يَشعُرُونَ

Sahih International

Unquestionably, it is they who are the corrupters, but they perceive [it] not.

Malay

Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.

 

أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ الْمُفْسِدُونَ

Ketahuilah, mereka itulah sebenarnya berbuat kerosakan

Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini yang orang-orang Munafik itu sebenarnya berbuat kerosakan, kerana mereka telah menjadikan kebenaran kelihatan samar. Sepatutnya kebenaran itu sudah jelas. Dek kerana mereka jahil, mereka tidak sedar.

Bayangkan, orang luar yang nampak mereka, akan menjadi ragu-ragu. Apabila mereka lihat golongan munafik itu pergi rujuk kepada golongan Yahudi, mereka menjadi ragu. Mereka akan terfikir, kalau Nabi Muhammad ﷺ itu sudah benar, kenapa pula ada golongan yang pergi juga kepada orang Yahudi? Itu menjadi satu kerosakan yang besar.

Dengan secara diam-diam munafik Yahudi telah mencari daya-upaya bagaimana supaya segala rencana Nabi ﷺ terkandas. Orang-orang Arab Badwi yang belum ada kepercayaan, sekiranta datang ke Madinah, ada kesempatan, mereka mencemuh Islam. Padahal sejak Nabi ﷺ datang ke Madinah, telah diikat janji akan hidup berdampingan secara damai. Mereka tidak sedar bahawa perbuatan mereka itu merosak dan berbahaya, terutama kepada kedudukan mereka sendiri, sebab Islam tidak akan lemah tetapi akan bertambah kuat. Kalau ditanyakan, mereka menyatakan bahawa maksud mereka baik, mencari jalan damai. Jelaslah bahwa perbuatan mereka yang amat berbahaya itu tidak mereka sedari, kerana hawa nafsu belaka.

Orang munafik Arab pun sentiasa mencari helah untuk melemahkan Islam dari dalam. Mereka akan menghasut orang Arab yang lain dengan menimbulkan kesangsian kepada ajaran Nabi ﷺ, keluarga Nabi ﷺ dan macam-macam lagi.

Teruk sekali kerosakan yang dilakukan oleh golongan Munafik itu sampaikan Allah ﷻ menggunakan kalimah الْمُفْسِدُونَ untuk merujuk kepada mereka. Ini adalah dalam bentuk kata-nama dan ia lebih kuat lagi daripada kalau kata-kerja yang digunakan. Ini berbeza antara orang yang menyanyi (kata-kerja) dengan penyanyi (kata-nama). Tentu penyanyi lebih banyak menyanyi daripada orang yang sekali sekala menyanyi, bukan?

Ini dikuatkan lagi dengan kalimat إِنَّهُمْ هُمُ الْمُفْسِدُونَ yang mempunyai penekanan إِنَّ dan penambahan هُمُ. Ini kerana hendak menjawab perkataan yang mengatakan hanya mereka sahaja yang melakukan pembaikan (إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ).

 

وَلَـٰكِن لَّا يَشعُرُونَ

Sedangkan mereka itu tidak sedar

Namun mereka sendiri tidak sedar kerana mereka salah faham. Sepatutnya apabila diberi pengajaran daripada Al-Qur’an, mereka kena terima sepenuhnya, bukan terima sesetengahnya sahaja. Kalau tidak terima sepenuhnya, maka mereka akan terus berada dalam keraguan. Maka Allah ﷻ telah sebut kesalahan mereka dalam ayat ini.

Allah ﷻ telah cabutkan kefahaman agama daripada mereka kerana mereka bersifat munafik sejak mulanya lagi. Mereka tidak ada ilmu dan kefahaman. Teruknya akal mereka itu, senang sangat ditipu oleh syaitan. Oleh kerana itulah benda yang buruk mereka nampak baik; benda busuk pada mereka wangi; yang syirik mereka anggap tauhid. Mereka ini terbalik. Sebab itu mereka tidak nampak kesalahan yang mereka lakukan. Allah ﷻ berfirman di dalam Kahf: 103-104

قُل هَل نُنَبِّئُكُم بِالأَخسَرينَ أَعمٰلًا
Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?

الَّذينَ ضَلَّ سَعيُهُم فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَهُم يَحسَبونَ أَنَّهُم يُحسِنونَ صُنعًا
(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan”.

Sebab itulah kita nampak ramai golongan pengamal bid’ah tidak akan berubah. Ini kerana mereka tidak cukup kefahaman agama untuk faham kesalahan bid’ah itu. Pada otak mereka, apa yang mereka lakukan itu sudah amat baik, maka kenapa perlu ditinggalkan? Syaitan pula bisikkan kepada mereka: “banyak sangat dah pahala kau buat ni… teruskan nak….”

Begitulah bahayanya kalau duduk di tempat yang sudah lama mengamalkan amalan bid’ah. Mereka sudah tidak nampak ia buruk maka ia sudah lali, sudah biasa. Ini macam orang yang duduk lama di kandang kambing, bau tahi kambing sudah tidak ada lagi pada mereka. Padahal orang luar kalau berjumpa dengan mereka, bau badan mereka pun sudah tercium bau kambingnya; mereka sahaja yang tidak perasan lagi. Maka begitulah juga dengan negara kita yang sudah terlalu biasa dengan amalan bid’ah sampaikan masyarakat awam yang tidak belajar Sunnah, tidak nampak buruknya amalan itu.

Satu lagi maksud tidak sedar adalah mereka tidak sedar yang Rasulullah ﷺ dan para sahabat sudah mengenali mereka dan sikap mereka.

Kenapa mereka tidak sedar? Kerana mereka telah ditipu oleh syaitan. Syaitan menampakkan benda yang buruk kepada mereka. Syaitan juga membisikkan kepada mereka yang kononnya mereka telah banyak melakukan kebaikan. Maka mereka perasan mereka orang yang baik.

Ayat ini jenis takhliah. Iaitu nasihat untuk menghilangkan sifat munafik. Berbeza dengan tahliah, iaitu sesuatu yang perlu dipenuhi dalam hati. Maka dalam agama ini, ada yang mesti dikosongkan (tinggalkan), dan ada yang mesti diisikan. Kerana kalau tidak ditinggalkan, iman tidak dapat masuk. Selagi membuat dosa, maka akan menggelapkan hati. Bila gelap hati, hidayah tidak dapat masuk. Sebab itu bila kita ajar ajaran tauhid dan tafsir Al-Qur’an mereka tidak akan faham.

Maka janganlah lagi keliru, memang amalan bid’ah adalah amalan berdosa. Pahala tidak ada, yang ada hanyalah dosa. Mereka tidak akan tinggalkan amalan bid’ah itu kerana mereka sangka ia adalah baik. Mereka kena belajar apa itu sunnah, barulah mereka akan faham. Selagi tidak belajar dengan baik, akal mereka tidak akan terima.


 

Baqarah Ayat 13: Kenapakah terjadinya sifat munafik itu? Kerana jiwa yang kosong dengan ilmu tetapi rasa diri itu pandai. Akan dijawab di dalam ayat ini.

Di dalam ayat sebelum ini mengandungi nahi mungkar, sekarang disebut amar ma’ruf pula. Memang dalam memberi dakwah dan nasihat, didahulukan dengan menghentikan perbuatan buruk dahulu, barulah diisi dengan perbuatan yang baik.

وَإِذَا قِيلَ لَهُم ءَامِنُواْ كَمَآ ءَامَنَ ٱلنَّاسُ قَالُوٓاْ أَنُؤمِنُ كَمَآ ءَامَنَ ٱلسُّفَهَآءُ‌ۗ أَلَآ إِنَّهُم هُمُ ٱلسُّفَهَآءُ وَلَـٰكِن لَّا يَعلَمُونَ

Sahih International

And when it is said to them, “Believe as the people have believed,” they say, “Should we believe as the foolish have believed?” Unquestionably, it is they who are the foolish, but they know [it] not.

Malay

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman”. Mereka menjawab: “Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?” Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

 

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ

Dan apabila dinasihatkan kepada mereka:

Ini apabila nasihat diberikan kepada mereka lagi. Maknanya tetap ada yang memberi nasihat dan teguran kepada mereka. Teguran yang diberikan itu adalah kerana sayang kepada mereka dan mahu mereka menjadi baik.

 

ءآمِنُوا كَمَآ ءآمَنَ النَّاسُ

Berimanlah kamu sepertimana berimannya manusia;

Nasihat diberikan lagi kepada mereka, supaya duduk dan mengambil ilmu dengan Nabi ﷺ sahaja. Berimanlah seperti para sahabat Nabi ﷺ yang mukmin. Tidak perlu belajar Taurat atau Injil lagi. Tidak perlu pergi kepada pendeta Yahudi dan ambil ilmu daripada mereka.

Ini adalah nasihat dalam bentuk tahliah – untuk buat sesuatu, masukkan sesuatu. Iaitu ambil ilmu yang Nabi ﷺ sampaikan. Mereka dinasihati untuk mengikut contoh para sahabat Nabi ﷺ yang setia. Sahabat yang setia dan beriman itu duduk belajar dengan Nabi ﷺ sahaja. Mereka sudah tidak merujuk kepada golongan Yahudi lagi. Mereka sudah tahu ada masalah dengan golongan Yahudi itu sebenarnya.

Begitu juga dengan orang yang hendak terima Sunnah. Tidak perlu lagi pergi belajar dengan guru-guru yang mengajar tanpa mengikut ajaran Sunnah. Jangan pergi lagi kepada guru yang mengajar bid’ah. Yang belum benar-benar berpegang dengan Sunnah sahaja yang masih lagi ambil ilmu daripada asatizah yang bukan Sunnah. Kenapa lagi hendak ambil ilmu daripada mereka? Penat pula perlu ditapis ilmu yang berikan, bukan? Baik tinggalkan sahaja mereka itu.

Di sini Allah ﷻ gunakan kalimah النَّاسُ yang dari segi bahasa bermaksud ‘manusia’. Akan tetapi yang dimaksudkan adalah para sahabat, bukan manusia secara umum. Ini mengajar kita yang iman yang perlu diikuti dan cara beragama yang perlu diikuti adalah para sahabat. Merekalah kayu ukur agama yang benar kerana mereka yang belajar dengan Nabi ﷺ sendiri. Hasilnya mereka lebih faham agama kerana mereka belajar dengan insan yang paling pandai.

Oleh kerana itu hendaklah difahami maksud sebenar apabila dikatakan Ahli Sunnah wal Jama’ah. Sunnah itu merujuk kepada sunnah Nabi ﷺ, dan jama’ah itu merujuk kepada jemaah para sahabat. Mereka inilah golongan salaf yang perlu diikuti. Kita kena ikut cara mereka faham agama, kena ikut cara mereka beribadah. Tidak perlu kita hendak reka-reka fahaman dan syariat yang baru.

Malangnya ramai tidak faham hal ini. Ada yang salah faham mengatakan ‘jama’ah’ di dalam Ahli Sunnah wal Jama’ah itu adalah golongan majoriti. Ini tidak benar. Takkan kena ikut majoriti pula? Seandainya suatu masa nanti Syiah menjadi majoriti, takkan kena ikut ajaran Syiah pula? Cubalah bawa berfikir sedikit. Tambahan pula setiap hari kita berdoa di dalam Surah Fatihah ayat 7,

صِرٰطَ الَّذينَ أَنعَمتَ عَلَيهِم
Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka

Siapakah mereka yang telah diberikan nikmat itu? Itulah golongan para sahabat kerana mereka yang telah mendahului jalan agama ini dan mereka yang telah dipuji oleh Allah ﷻ. Mereka yang datang kemudian (khalaf), belum tentu mereka benar lagi.

 

قَالُوٓا أَنُؤْمِنُ كَمَآ ءآمَنَ السُّفَهَاءُ

Mereka jawab: patutkah kami beriman sepertimana berimannya orang yang bodoh-bodoh?

Apabila mereka diberi nasihat sebegitu, puak-puak Munafik itu jawab: puak yang duduk dengan Nabi Muhammad ﷺ sahaja itu jenis orang yang bodoh. Mereka pula sudah biasa mengaji dengan puak Yahudi. Mereka kata mereka belajar dengan orang yang tahu baca Kitab, sedangkan Nabi Muhammad ﷺ itu tidak tahu pun baca kitab. Mereka kata: Lihatlah bagaimana orang kampungnya (Mekah) sendiri menghalaunya, bukan?

Kalimah أَنُؤْمِنُ adalah di dalam bentuk istifham (soalan) namun ia bukanlah di dalam bentuk soalan, akan tetapi hendak menghina (adakah patut kami beriman?) dan merendahkan.

Mereka memandang rendah pada Nabi Muhammad ﷺ; mereka juga melihat sahabat Nabi ﷺ yang taat dengan Nabi ﷺ itu pun jenis tidak pandai, tidak pandai mencari harta macam orang Yahudi. Memang pun orang Yahudi itu kaya raya.

Kumpulan munafik itu juga mengatakan orang-orang Muhajirin yang telah berpindah dari Mekah itu bodoh-bodoh belaka. Mereka kata Muhajirin itu bodoh kerana meninggalkan segala apa yang mereka ada semasa di Mekah dulu. Mereka tidak mahu bersama dengan orang-orang yang mereka kata bodoh itu.

Maka ini adalah satu lagi sifat Munafik. Mereka memandang orang-orang yang miskin dan tidak ada pengaruh sebagai bodoh. Ini kerana mereka hanya memandang kebendaan dan kedudukan. Kalau ustaz naik kereta biasa, tidak nampak gah dan kaya, pengikut pun tidak ramai, golongan ini tidak mahu belajar. Mereka akan banding-bandingkan dengan ustaz mereka yang apabila live, beribu sertai. Sedangkan ustaz Sunnah, sedikit sahaja yang ikuti. Memanglah begitu kerana lebih ramai orang jahil daripada orang berilmu dalam dunia ini. Kerana itulah orang jahil akan pergi dengar kepada orang jahil juga. Bukan begitu?

Ini juga satu lagi sifat golongan Munafik. Mereka menuduh golongan yang berilmu pula yang bodoh. Sedangkan mereka itu tidak berilmu tetapi senang-senang sahaja mereka menuduh golongan yang belajar sebagai bodoh. Maka kepada orang yang belajar, bersedialah untuk dituduh bodoh oleh manusia. Ketahuilah itu adalah orang-orang Munafik. Maka tidak perlu terkejut sangat kalau dituduh sebegitu.

Zaman sekarang pun ada juga orang sebegini. Apabila kita ajak mereka untuk belajar sepertimana orang-orang yang sudah belajar Al-Qur’an dan Sunnah, mereka akan kata mereka yang belajar Al-Qur’an dan Sunnah itu bodoh. Mereka akan suruh kita belajar lagi. Mereka akan kata kita tidak habis belajar lagi. Ini kerana mungkin mereka pun ada pengajian mereka (pondok, tarekat dan sebagainya) yang pada mereka lebih hebat lagi daripada belajar tafsir Al-Qur’an dan hadith Nabi.

Mereka rasa mereka sudah pandai kerana mereka telah belajar dengan banyak guru dan banyak sudah mentelaah kitab-kitab karangan manusia. Padahal mereka tidak sedar bahawa yang mereka belajar itu adalah ilmu yang salah kerana tidak berdasarkan Al-Qur’an dan sunnah.

 

أَلَآ إِنَّهُمْ هُمُ السُّفَهَاءُ

Ketahuilah, sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh

Allah ﷻ beritahu kepada kita siapa yang bodoh sebenarnya. Mereka yang telah silap pilih fahaman dalam agama, maka merekalah yang bodoh, bukannya orang lain yang belajar ilmu wahyu.

Di dalam ayat ini, Allah ﷻ gunakan istilah السُّفَهَاءُ. Agak keras bahasa yang digunakan oleh Allah ﷻ di sini. Memang kadangkala Allah ﷻ menggunakan istilah yang agak keras untuk mengajar. Ini mengajar kita, boleh gunakan istilah ‘bodoh’ tetapi sekali sekala lah sahaja. Sebagaimana Allah ﷻ pun bukan selalu gunakan, maka kita janganlah pula berlebihan, asyik panggil orang ‘boddo’, ‘boddo’ sahaja. Takut nanti terkena kepada diri kita sendiri pula.

 

وَلَـٰكِن لَّا يَعلَمُونَ

tetapi mereka tidak tahu;  

Mereka tidak sedar bahawasanya merekalah yang tidak berilmu. Walaupun orang-orang Munafik itu kata pengikut-pengikut Nabi ﷺ itu bodoh, namun sebenarnya merekalah yang bodoh, iaitu bodoh dan jahil dalam hal agama. Al-Qur’an yang benar pun mereka tidak mahu belajar. Mereka tidak boleh bezakan manakah nafsu dan mana wahyu. Yang mereka kejar adalah nafsu, bukannya wahyu.

Mereka tidak tahu perkara-perkara yang benar, kerana kalau hendak tahu, kena belajar. Namun mereka tidak mahu belajar.

Maka ini mengajar kita termasuk orang yang dipanggil ahli agama untuk banyak berfikir dan menggunakan akal yang waras. Jangan sangka diri terlalu pandai sampai tidak boleh ditegur. Janganlah pandang orang lain sebelah mata. Buka fikiran untuk menilai juga fahaman orang lain supaya kita tidak menuduh orang lain bodoh, sedangkan entah-entah kita yang bodoh. Jangan gunakan bahasa yang kasar menuduh orang lain bodoh, kerana entah-entah pandangan dia yang betul. Gunakan dalil dan hujah yang sahih untuk menilai dan berbincanglah jikalau ada fahaman yang berbeza. Contohnya ada puak yang tiada hujah tetapi setakat boleh kata: “Ini fahaman Wahabi!” Kita pun tertunggu-tunggu juga mana hujahnya selepas kutukannya itu, tetapi sampai ke sudah ‘krik’-‘krik’ sahaja.

Di dalam ayat sebelum ini digunakan kalimah لا يَشعُرُونَ sedangkan di sini digunakan pula لا يَعلَمُونَ kerana di sini hendak menidakkan pengetahuan ilmu agama mereka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 7 Julai 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 8 – 10 (Pengenalan kepada golongan munafik)

SIFAT-SIFAT GOLONGAN MUNAFIK

Baqarah Ayat 8: Ayat ini adalah berkenaan golongan Munafik. Sebelum ini dua ayat tentang orang yang menzahirkan kekufuran mereka. Selepas ini ada 13 ayat menerangkan tentang golongan kafir, tetapi tidak menzahirkan kekufuran mereka. Kisah mereka ini diceritakan sampai 13 ayat kerana mereka ini lebih berbahaya.

Maka mulai ayat ke 8 hingga ayat ke 20 adalah tentang ciri-ciri orang Munafik. Ingatlah bahawa orang munafik ini solat berjemaah dengan Nabi ﷺ di Masjid Nabi. Mereka tidak meninggalkan solat berjemaah bersama Nabi ﷺ, kecuali solat Subuh dan Isya’. Jihad pun kadang-kadang mereka pergi, zakat pun kadang-kadang mereka bayar.

Mereka bersama Nabi ﷺ dan para sahabat yang lain, tetapi mereka tidak beriman sebenarnya. Maka Allah ﷻ kata mereka kafir kerana mereka jahil dan mereka tidak menepati kehendak Islam dan kerana mereka itu ‘jahil akidah’. Jahil akidah ini adalah amat bahaya sekali. Masyarakat kita pun ramai yang jahil akidah dan mereka dikira sudah berada di atas pagar munafik. Maka kalau mereka duduk bersama dengan kita, solat dengan kita, belum tentu mereka selamat lagi.

Ubatnya adalah belajar faham Al-Qur’an dari awal hingga akhir. Kita kena ajar mereka kerana takut mereka mati dalam ‘kufur jahil’. Iaitu mereka tidak tahu perkara yang mereka wajib tahu dan yang wajib mereka tolak. Kita takut tanpa sedar mereka ini munafik. Bukan mereka sahaja, tetapi kita pun kena takut diri kita pun tergolong dalam golongan munafik juga.

Oleh itu, kena ajak mereka datang belajar tafsir Al-Qur’an dan kita sendiri kena habis belajar tafsir Al-Qur’an. Kalau sudah belajar tafsir Al-Qur’an, mereka sendiri akan sedar yang adakah yang mereka dulu ada membuat perkara yang salah.

Walaupun ayat-ayat yang kita akan baca ini adalah tentang Munafik di Madinah pada zaman Nabi, akan tetapi sifat mereka ini sama sahaja dengan munafik pada mana-mana zaman termasuk zaman sekarang. Ini kerana Al-Qur’an bukanlah buku sejarah untuk menceritakan hal orang dahulu akan tetapi menceritakan pengajaran yang boleh diambil daripada kejadian masa dahulu. Banyak maklumat tentang sifat munafik yang Allah ﷻ sebut dalam Al-Qur’an sebab ramai yang punah kerana jahil dalam agama. Orang munafik itu, pada zahirnya mereka nampak Muslim, tetapi batinnya mereka kufur. Mereka itu bukan jenis ‘kufur ingkar’, tetapi ‘kufur jahil’. Maka, amat bahaya kalau tidak belajar tafsir Al-Qur’an.

Kita juga kena faham antara ‘jahil akidah’ dan ‘jahil amalan’. Kalau ada yang hanya melakukan amalan munafik, masalah mereka kurang sedikit sebab akhirnya mereka akan masuk syurga selepas duduk dalam neraka. Itu jikalau mereka tidak ada masalah akidah. Akan tetapi kalau ada masalah akidah, tempat mereka adalah di dalam neraka selama-lamanya.

Dalam ayat-ayat selepas ini kita akan belajar tentang golongan Munafik. Namun harus diingatkan kita mestilah berhati-hati, bukan tugas kita untuk mengatakan atau menuduh orang lain sebagai munafik. Bukan ajaran Nabi ﷺ untuk mengatakan seseorang itu munafik. Yang kita kena buat adalah kena belajar supaya kita boleh periksa diri kita takut-takut kita pun munafik juga.

Iaitu kita kena periksa diri kita dahulu, bukan gunakan pengetahuan ini untuk melihat atau menilai seseorang itu munafik atau tidak. Bukannya untuk kita senang-senang menuduh orang lain munafik, lebih-lebih lagi kalau mereka tidak setuju dengan kita. Oleh itu, berhati-hatilah dan jaga hati kita daripada terjerumus dalam perkara ini.

وَمِنَ النّاسِ مَن يَقولُ ءآمَنّا بِاللهِ وَبِاليَومِ الآخِرِ وَما هُم بِمُؤمِنينَ

Sahih International

And of the people are some who say, “We believe in Allah and the Last Day,” but they are not believers.

Malay

Dan di antara manusia ada yang berkata: “Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat”; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.

 

وَمِنَ النّاسِ مَن يَقولُ ءآمَنّا بِاللهِ وَبِاليَومِ الآخِرِ

Dan ada diantara manusia itu yang berkata: “Kami beriman dengan Allah dan dengan hari akhirat”;

Mereka itu adalah golongan munafik. Kalau bab mengaku, memang mereka nombor satu. Merata-rata mereka akan canangkan iman mereka. Namun kenapa disebut dua akidah ini sahaja? Bagaimana pula dengan yang lain? Ia adalah ringkasan kepada akidah yang lain. Kerana percaya kepada Allah ﷻ adalah yang paling utama dan percaya kepada akhirat itu adalah yang kedua. Orang yang percaya kepada akhirat sahajalah yang akan menjaga agama mereka dan takut berbuat dosa. Mereka yang percaya tahu yang mereka akan disoal di akhirat kelak. Maka Allah ﷻ selalunya sebut dua perkara ini sahaja apabila berkata tentang iman.

Atau, boleh jadi dua inilah sahaja yang disebut oleh golongan munafik itu dan Al-Qur’an ulang secara tepat apa yang mereka sendiri katakana kerana mereka sama ada dalam kalangan Yahudi atau golongan Arab yang baik dengan Yahudi. Oleh itu mereka hanya sebut tentang dua jenis iman yang juga dipercayai oleh orang Yahudi. Sebab itulah mereka tidak sebut tentang iman kepada Nabi Muhammad ﷺ.

Allah ﷻ sebut مِنَ النّاسِ dengan tidak menyebut secara spesifik siapakah mereka. Ini adalah kerana Allah ﷻ sedang menyindir mereka tanpa menelanjangi mereka di khalayak ramai. Allah ﷻ menegur mereka dengan sebut secara umum sahaja kerana ini adalah ayat awal yang menyebut tentang mereka. Allah ﷻ tidak memalukan mereka. Begitulah juga tidak diketahui siapakah nama-nama orang munafik di zaman Nabi itu (kecuali beberapa orang sahaja) kerana memberi peluang kepada mereka untuk berubah. Ini seperti kita hendak menegur seseorang tetapi kita tidak sebut nama dia sebaliknya kita kata: “Adalah orang itu kan, dia kata begini dan begini….”. Kerana kita tidak mahu memalukannya, tetapi kita tetap kena beri teguran itu. Memang nanti akan disebut ‘munafik’ secara terus akan tetapi itu akan datang kemudian. Di dalam Surah Baqarah yang baru memperkenalkan mereka ini, tidak disebut secara khusus lagi.

Kalimat munafik atau sifat nifaq itu asal ertinya ialah lubang tempat bersembunyi di bawah tanah. Lubang perlindungan daripada bahaya udara, disebut nafaq. Dari sinilah diambil erti orang yang menyembunyikan keadaan yang sebenarnya, sebagai suatu helah atau penipuan. Seolah-olah mereka menyorok di dalam lubang itu.

Golongan munafik ini memang mengaku mereka beriman dan mereka menampakkan keislaman mereka dari segi zahir atau lahiriah. Mereka mengaku begitu kerana mereka takut disisih oleh masyarakat.

Dalam ayat ini, mereka mendakwa dengan lidah mereka yang mereka beriman. Mereka mengatakan mereka beriman dengan dua rukun iman: ‘percaya kepada Allah’ dan ‘percaya kepada Hari Akhirat’. Disebut hanya dua rukun iman untuk merangkumi kesemua rukun iman yang lain. Tidak perlu disebut kesemua rukun iman.

Akan tetapi, walaupun mereka mengaku dengan mulut mereka sendiri, Allah ﷻ menafikan keimanan dalam hati mereka. Lafaz mereka benar, tetapi hati mereka yang tidak benar. Mereka hanya mendakwa dengan lidah sahaja sedangkan lidah bukan tempat iman. Iman yang duduknya di dalam hati. Mereka ini ‘cakap tak serupa bikin’, tidak sama seperti yang di dalam hati mereka. Maka ini adalah sifat orang munafik. Cuba fikirkan, adakah kita pernah begitu? Sedangkan Allah ﷻ telah berfirman melarang hal ini di dalam Saf: 2

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لِمَ تَقولونَ ما لا تَفعَلونَ
Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?

Orang munafik memang akan mengaku yang mereka beriman. Mereka kata mereka solat dan mereka beriman juga. Hakikat sebenarnya hati mereka tidak. Lihatlah bagaimana mereka sendiri berasa bahawa mereka itu ada masalah. Maka mereka akan datang sendiri tanpa dipinta untuk menyatakan ‘keislaman’ mereka. Ini sama seperti anak-anak kita yang tiba-tiba akan beritahu mereka tidak bersalah – bermakna, mereka mesti ada berbuat salah.

Kita akan belajar isi jiwa orang munafik di Madinah ketika Islam mulai berkembang di sana. Kaum munafik itu dua jenis. Pertama munafik dalam kalangan orang Yahudi, yang kian lama kian merasa bahawa mereka telah terdesak, padahal selama ini merekalah yang menjadi tuan di Madinah, kerana kehidupan mereka lebih makmur daripada penduduk Arab asli, dan merasa lebih pintar. Kian lama kian mereka merasakan bahawa kekuasaan Nabi Muhammad ﷺ dan kebebasan Islam semakin naik, dan mereka semakin terdesak ke tepi. Mereka inilah yang mengatakan percaya kepada Allah ﷻ dan percaya kepada Hari Akhirat, tetapi sengaja mereka tidak menyebut bahawa mereka pun percaya kepada Kerasulan Muhammad ﷺ dan Wahyu Al-Qur’an.

Munafik kedua ialah golongan orang Arab Madinah sendiri, yang dipimpin oleh Abdullah bin Ubay. Sebelum Nabi ﷺ datang, dialah yang dipandang sebagai pemuka masyarakat Arab Madinah yang terdiri daripada persukuan Aus dan Khazraj. Akan tetapi dengan datangnya Nabi ﷺ dia semakin ditinggalkan orang, sebab semakin nyata bahawa dia tidak jujur. Kerjanya hanya mencemuh dan mengutuk keperibadian Nabi ﷺ. Di hadapan Nabi ﷺ dia tidak berani bercakap begitu maka kena berlakon baik sahaja di hadapan baginda.

 

وَمَا هُمْ بِمُؤْمِنِينَ

Mereka sebenarnya tidak beriman.

Allah ﷻ sendiri beritahu yang mereka itu tidak beriman. Kalimah ما digunakan untuk menafikan sesuatu dan ia tidak sama dengan لا. Di sini ia hendak menafikan kata-kata mereka yang beriman. Mereka tidak beriman dalam hati mereka. Mereka mungkin beramal dengan amalan ibadah orang Islam tetapi mereka sebenarnya tidak beriman sebenarnya. Mereka bukan ‘mukmin’.

Mungkin mereka ada sedikit sebanyak iman di dalam hati mereka, tetapi iman mereka lemah, kerana kurangnya ilmu mereka. Maka bukanlah semua orang munafik itu kafir, tetapi ada di antara mereka yang lemah iman mereka. Di dalam Al-Qur’an banyak disebut ‘orang-orang yang beriman’. Ia tidak sama dengan ‘mukmin’. Perumpamaan seperti ‘orang menyanyi’ dan ‘penyanyi’ yang tidak sama.

Allah ﷻ tahu apa yang dalam hati mereka dan kerana itu Allah ﷻ boleh kata mereka itu munafik (kita tidak boleh sesuka hati menuduh orang lain). Mereka hanya dipanggil ‘Muslim’ kerana duduk sekali dengan orang Islam yang lain.

Kalau mereka duduk tinggal di Amerika contohnya, mereka akan ikut perangai orang Amerika. Sebab waktu itu, mereka tidak malu dengan sesiapa lagi. Cuma sebab mereka duduk sekali dengan orang Muslim lainlah yang mereka kena buat perangai Islam tu.


 

Baqarah Ayat 9: Apakah sifat mereka ini?

يُخٰدِعونَ اللهَ وَالَّذينَ ءآمَنوا وَما يَخدَعونَ إِلّآ أَنفُسَهُم وَما يَشعُرونَ

Sahih International

They [think to] deceive Allah and those who believe, but they deceive not except themselves and perceive [it] not.

Malay

Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.

 

يُخٰدِعُونَ اللهَ

Mereka hendak tipu Allah Taala;

Ini adalah sifat utama orang munafik: menipu. Malah dengan Allah ﷻ pun mereka cuba hendak tipu. Namun bolehkah mereka hendak menipu Allah ﷻ? Tentu tidak boleh. Kerana syarat utama hendak berjaya dalam penipuan adalah orang yang ditipu itu tidak tahu dia ditipu. Mereka sahaja sangka dalam hati mereka yang mereka menipu Allah ﷻ dan ini kerana mereka tidak kenal Allah ﷻ seperti yang sepatutnya. Mereka tidak tahu yang Allah ﷻ tahu apa sahaja yang di dalam hati mereka.

Kalau mereka tidak dapat menipu Allah ﷻ, mereka menipu wakil Allah ﷻ, iaitu Nabi Muhammad ﷺ. Itu pun tidak berjaya kerana Allah ﷻ pelihara baginda daripada kesan tipu daya mereka.

Di sini digunakan kalimah يُخٰدِعُونَ dan nanti kita akan bertemu dengan kalimah يَخدَعونَ tidak lama lagi. Beza يُخٰدِعُونَ adalah cubaan menipu dengan bersungguh-sungguh sedangkan يَخدَعونَ adalah menipu biasa sahaja, dalam bentuk umum sahaja. Ia daripada kata خدع iaitu penipuan yang dilakukan tetapi di dalam masa yang sama tunjuk seolah-olah membuat perkara baik. Perbuatan ini tercela dalam semua keadaan apa pun kecuali di dalam peperangan kerana الحرب خدعة (peperangan adalah tipu daya).

 

وَالَّذِينَ ءآمَنُوا

Dan (mereka mahu menipu) orang-orang yang beriman.

Iaitu mereka mahu menipu para sahabat Nabi ﷺ. Mereka cuba hendak menipu orang beriman. Mereka hendak dilihat sebagai orang beriman juga dan tidak canggung dengan orang Muslim yang lain kerana mereka tidak mahu diperangi oleh orang Islam yang lain. Tujuan mereka juga supaya mereka boleh mendapat imbuhan daripada Islam seperti zakat, sedekah dan harta ghanimah.

Kenapa mereka dikira menipu? Kerana mereka sebut apa yang bukan dalam hati mereka.

 

وَما يَخدَعونَ إِلّآ أَنفُسَهُم

Tidaklah mereka menipu melainkan diri mereka sendiri

Kesan penipuan itu akan terkena kepada diri mereka kerana penipuan itu akan menyebabkan bahana kepada diri mereka sendiri. Tidaklah penipuan mereka itu akan memberi kesan bahaya kepada orang lain melainkan diri mereka sendiri sahaja. Malangnya, mereka sendiri pun tidak sedar.

 

وَمَا يَشْعُرُونَ

dan mereka sebenarnya tidak sedar. 

Akhirnya mereka menipu diri mereka sendiri, tetapi mereka tidak sedar. Ini adalah kerana mereka tidak ada kefahaman dalam agama. Mereka tidak faham agama dengan kefahaman yang sebenar. Mereka tidak faham yang kefahaman agama kena ikut neraca Al-Qur’an. Bukannya ikut suka sendiri dan kata-kata guru-guru mereka.

Ibn Asyur رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan mereka tidak sedar kerana mereka tidak memiliki kecerdasan berfikir kerana mereka orang dungu. Maknanya Allah ﷻ kutuk mereka kerana kebodohan mereka. Kalimah يَشْعُرُونَ daripada شعر yang bermaksud ‘rasa’. Ia juga digunakan untuk bulu tubuh kita kerana kadang kita tidak perasan pun ia jatuh sampai masuk dalam makanan kita.

Maka di sini Allah ﷻ hendak beritahu yang mereka tidak rasa pun mereka tertipu kerana orang pandai kalau ditipu sekurang-kurangnya mereka tahu mereka sedang ditipu, tetapi orang bodoh tidak akan sedar bahawa mereka sebenarnya sedang ditipu.

Mereka sendiri tidak sedar bahawa mereka adalah munafik. Mereka sangka mereka sudah Muslim. Begitulah dengan kita, kita amat takut kalau-kalau kita sekarang ini pun munafik juga. Kita sekarang sangka kita sudah Muslim. Namun mungkin tanpa kita sedar, kita rupanya tergolong dalam golongan munafik juga.

Oleh itu, kita kenalah periksa diri kita dan bandingkan dengan kehendak dalam Al-Qur’an. Munafik ini adalah satu penyakit hati. Kalau sesuatu penyakit itu, mesti ada tanda-tandanya. Kita kena tahu apakah tanda orang munafik itu. Tanda-tanda itu diterangkan dalam ayat-ayat seterusnya.

Lihatlah, kalau duduk dengan Nabi ﷺ pun boleh menjadi salah faham, boleh keliru, lalu bagaimana agaknya dengan kita zaman sekarang? Ini amat menakutkan sekali.

Nabi ﷺ tidak sebut siapakah yang munafik pada zamannya itu kerana mungkin mereka akan beriman berkat duduk dengan Nabi ﷺ dan rapat dengan Al-Qur’an. Maka itulah sebabnya Nabi ﷺ tidak pernah sebut nama mereka (untuk menjaga nama baik mereka). Begitu jugalah kita ini. Kita harap dengan kita terus belajar Al-Qur’an ini akan dapat mengeluarkan kemunafikan jika ada dalam diri kita.


 

Baqarah Ayat 10: Kenapa mereka jadi begitu?

فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ فَزَادَهُمُ ٱللَّهُ مَرَضً۬ا‌ۖ وَلَهُم عَذَابٌ أَلِيمُۢ بِمَا كَانُواْ يَكذِبُونَ

Sahih International

In their hearts is disease, so Allah has increased their disease; and for them is a painful punishment because they [habitually] used to lie.

Malay

Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).

 

فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ

Dalam hati mereka ada penyakit;

Mereka itu digelar sebagai munafik kerana dalam hati mereka ada ‘penyakit’. Disebabkan oleh penyakit ini, keimanan tidak dapat masuk ke dalam diri mereka. Apakah maksud ‘penyakit’ dalam ayat ini?

Penyakit yang dimaksudkan adalah penyakit hati, bukan penyakit fizikal. Antaranya adalah penyakit akidah yang rosak. Dalam ayat lain, maksud penyakit lain pula, oleh kerana itu tidak semua penyakit itu sama. Kena lihat kepada apa yang hendak disampaikan dalam ayat itu. Jangan kita sangka kalau disebut ‘penyakit’ dalam ayat-ayat yang lain, ia bermaksud penyakit akidah pula.

Penyakit dalam ayat ini juga bermaksud dengki, atau benci kepada kebenaran. Ia juga bermaksud dengki dengan orang yang membawa kebenaran. Ini adalah satu sifat yang amat bahaya dan perlu dikeluarkan. Kalau seseorang itu dapat membuang perasaan itu, barulah boleh masuk iman ke dalam hatinya. Kalau tidak, sampai bila-bila pun iman tidak dapat masuk. Golongan Munafik itu dengki dengan Islam dan kejayaan Islam. Oleh itu mereka cuba untuk melemahkannya dari dalam.

Dengki dengan orang yang membawa kebenaran adalah penyakit hati yang amat buruk. Berapa ramai yang ada masalah ini? Tentulah ramai yang kita tahu berpenyakit seperti ini. Iaitu mereka yang apabila maksud Al-Qur’an dibawa kepada mereka, mereka benci dan tolak kerana ia berlainan dengan fahaman mereka dan kumpulan mereka. Selagi kita tidak berpegang dengan fahaman yang mereka anuti, mereka akan bermusuh dengan kita.

Susunan ayat yang Allah ﷻ gunakan juga mempunyai makna yang tersirat (balaghah). Susunan ayat yang biasa di dalam bahasa Arab adalah begini: ‏مرض في قلوبهم. Akan tetapi Allah ﷻ dahulukan kalimah قلوب kerana hendak menekankan hati di sini. Ini adalah satu kaedah di dalam Al-Qur’an di mana Allah ﷻ mendahulukan sebut perkara yang hendak ditekankan atau yang lebih utama. Ini kerana penyakit hati adalah amat bahaya. Penyakit hati boleh membawa ke neraka sedangkan penyakit fizikal hanya setakat di dunia sahaja. Namun malangnya manusia lebih pentingkan penyakit fizikal sahaja. Sebab itu apabila Covid melanda dunia, semua orang kelam kabut tetapi tidak ramai yang risaukan penyakit hati mereka.

Allah ﷻ tekankan penyakit hati untuk kita ubati. Penyakit fizikal pun kita prihatin juga tetapi itu tidaklah seteruk penyakit hati. Ini kerana penyakit fizikal kalau tidak diubati pun tidak wajib seperti dalil disebut di dalam sebuah hadith yang terkenal,

عَنْ عَطَاءِ بْنِ أَبِي رَبَاحٍ قَالَ: قَالَ لِي ابْنُ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا: أَلَا أُرِيكَ امْرَأَةً مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ؟ قُلْتُ: بَلَى، قَالَ: هَذِهِ الْمَرْأَةُ السَّوْدَاءُ أَتَتْ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَتْ: إِنِّي أُصْرَعُ وَإِنِّي أَتَكَشَّفُ فَادْعُ اللَّهَ لِي قَالَ: إِنْ شِئْتِ صَبَرْتِ وَلَكِ الْجَنَّةُ وَإِنْ شِئْتِ دَعَوْتُ اللَّهَ أَنْ يُعَافِيَكِ قَالَتْ: أَصْبِرُ قَالَتْ: فَإِنِّي أَتَكَشَّفُ فَادْعُ اللَّهَ أَنْ لَا أَتَكَشَّفَ فَدَعَا لَهَا
Diriwayatkan daripada ‘Atha’ ibn Abi Rabah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: “Ibnu ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bertanya kepadaku: ‘Mahukah aku perlihatkan kepadamu salah satu wanita penghuni Syurga?’ Aku menjawab: ‘Tentu.’ Beliau berkata: ‘Inilah seorang wanita kulit hitam yang suatu hari datang kepada Nabi ﷺ lalu berkata: ‘Sesungguhnya aku terkena penyakit epilepsi dan auratku terbuka (ketika dia terkena epilepsi itu –pent), maka sudilah kiranya engkau berdoa untukku kepada Allah (agar Allah memberikan kesembuhan kepadaku –pent)’ Baginda bersabda: ‘Jika kamu kamu sabar maka kamu akan mendapatkan Syurga. Dan jika kamu mahu aku akan berdoa kepada Allah agar Allah memberikan kesembuhan kepadamu.’ Wanita itu menjawab: ‘Aku akan bersabar.’ Lalu dia berkata lagi: ‘Akan tetapi auratku tersingkap (ketika kejadian –pent), maka sudilah kiranya engkau berdoa untukku kepada Allah agar auratku tidak tersingkap (saat kambuh –pent).’ Lalu Nabi ﷺ berdoa untuk wanita tadi agar tidak tersingkap.”
(HR. Al-Bukhari, no. 5220 dan Muslim, no. 4673)

Syarah: lihatlah di dalam hadith ini di mana wanita itu meminta Nabi ﷺ mendoakan kesembuhannya. Akan tetapi Nabi ﷺ mengajar kita bahawa kalau kita bersabar dengan sakit itu, ia boleh menghapuskan dosa kita dan menyebabkan kita masuk ke syurga. Kalau sembuh daripada sakit itu wajib, tentu Nabi ﷺ telah mendoakan wanita itu.

Satu lagi penyakit hati yang amat bahaya adalah keras hati. Keras daripada menerima kebenaran, keras hati untuk ingat kepada Allah ﷻ dan suruhannya, keras hati daripada dakwah. Apabila keras hati, maka nasihat tidak diterima dan tidak lembut tubuh untuk mengikut arahan Allah ﷻ. Allah ﷻ berfirman di dalam Zumar: 22

أَفَمَن شَرَحَ اللَهُ صَدرَهُ لِلإِسلٰمِ فَهُوَ عَلىٰ نورٍ مِّن رَّبِّهِ ۚ فَوَيلٌ لِّلقٰسِيَةِ قُلوبُهُم مِّن ذِكرِ اللهِ ۚ أُولٰئِكَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ
Adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu dia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) daripada Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata.

Apakah ada harapan lagi bagi orang yang ada masalah dengan hati mereka? Keras hati, dengki, benci, ragu-ragu, dan banyak lagi penyakit hati. Itu semua akan membahayakan orang itu. Ini seperti disebut di dalam hadith yang masyhur,

Daripada Nu’man bin Basyir berkata, aku mendengar Nabi ﷺ bersabda:
أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً، إِذَا صَلَحَتْ، صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ، فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ
“Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).”
(Riwayat Bukhari (52) dan Muslim (1599))

Pokok penyakit yang terutama di dalam hati mereka pada mulanya ialah kerana merasa diri lebih pintar. Kalau mereka ada kedudukan, mereka takut kedudukan mereka terganggu. Mereka sebenarnya tidak faham agama, tetapi tidak mahu mengaku terus terang.

Satu lagi penyakit mereka adalah syak dan ragu-ragu tentang Allah ﷻ. Mereka ragu dengan Tuhan sendiri. Mereka ragu-ragu dan mempersoalkan arahan agama. Ini disebabkan oleh kerana hawa nafsu. Penyakit itu telah mengakibatkan rosak akidah. Yang mereka ragukan itu adalah tentang agama.

Sebagai contoh mereka rasa kalau mereka doa terus sendiri kepada Allah ﷻ, Allah ﷻ tidak layan doa mereka, maka mereka perlu mendapatkan orang lain untuk doakan untuk mereka. Inilah yang dinamakan tawasul dalam doa (yang dilarang).

Golongan Munafik ini juga mementingkan diri sendiri. Mereka ada penyakit cintakan dunia. Maka mereka itu masuk Islam kerana hendak mendapatkan habuan keduniaan sahaja. Kalau Islam mendatangkan faedah kepada mereka, mereka terima, kalau tiada keuntungan buat mereka, mereka akan tolak. Golongan Munafik zaman Nabi masuk Islam kerana hendak mendapatkan zakat dan harta ghanimah kerana itu adalah kesukaan mereka kepada harta.

Allah ﷻ sendiri kata dalam ayat ini bahawa Munafik itu adalah satu jenis penyakit. Maka kita kena tahu apakah simptom-simpton penyakit itu kerana setiap penyakit ada tanda-tandanya. Sebab itulah perkara ini disebut di dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an membongkar apa yang ada dalam hati mereka. Antara surah lain yang banyak menyebut tentang golongan Munafik adalah Surah Tawbah.

 

فَزَادَهُمُ اللهُ مَرَضًا

Maka Allah akan tambah bagi mereka penyakit baru;

Apabila mereka sudah ada penyakit itu, Allah ﷻ akan tambah penyakit baru. Ia akan bertambah apabila semakin banyak ayat Al-Qur’an yang mereka tolak. Penyakit itu akan bertimpa-timpa ke atas mereka. Ini kerana hati yang rosak akan ada banyak titik-titik hitam dan hidayah tidak akan masuk. Apabila hidayah tidak masuk, maka kemaksiatan sahaja yang akan bertambah.

Apakah penyakit yang ditambah itu? Asalnya ragu-ragu sahaja tetapi apabila tidak diubati, terus menjadi lebih teruk dengan menolak. Asalnya menolak dengan hati dan lama kelamaan boleh menolak dengan perkataan pula.

Apabila tidak menerima ajaran Islam, maka mereka akan membuat dosa. Ini kerana tiada kefahaman Islam yang benar. Dosa mereka itu akan bertambah semakin teruk sampai akhirnya mereka akan berbuat syirik kepada Allah ﷻ. Ini seperti orang yang sangka kalau mereka berdoa sendiri, doa mereka tidak diterima kerana mereka rasa mereka tidak layak didengar oleh Allah ﷻ disebabkan mereka banyak dosa dan sebagainya. Maka mereka akan menggunakan orang lain sebagai perantaraan untuk menyampaikan doa mereka kepada Allah ﷻ. Mereka akan bertawasul dalam berdoa. Maka itu adalah perbuatan syirik. Asalnya mereka ada perasaan ragu-ragu. Kemudian Allah ﷻ tambah penyakit itu apabila mereka terus di dalam perasaan itu. Apabila mereka melaksanakannya, maka mereka telah melakukan perbuatan syirik. Mula-mula ragu sahaja, tetapi kemudian mereka laksanakan.

Ingatlah, jikalau kita sombong dalam ibadat untuk membaca doa terus kepada Allah ﷻ (tanpa melalui perantaraan), Allah ﷻ akan masukkan kita ke dalam neraka jahannam. Mereka yang buruk sangka kepada Tuhan menyangka yang Tuhan tidak akan makbulkan doa mereka kalau mereka berdoa sendiri. Padahal, Allah ﷻ itu Maha Mendengar rintihan hamba-Nya. Sememangnya Allah ﷻ mahukan kita doa terus kepada-Nya. Bukan melalui perantaraan. Mereka yang ada prasangka begitu adalah kerana mereka rasa sangsi dengan Allah ﷻ.

Bagi orang Munafik yang dengki dengan kejayaan Islam di Madinah itu, Allah ﷻ tambah lagi perasaan sakit hati mereka itu dengan memberikan kejayaan demi kejayaan kepada Islam. Segala usaha mereka untuk menjatuhkan Islam, gagal. Mereka ragu dengan kebenaran Islam.

Ragu itu biasa sahaja ada pada mulanya. Majoriti sahabat pun ragu dengan Islam juga pada mulanya, tetapi mereka sanggup menimbang kembali untuk mencari kebenaran dan hilanglah keraguan itu akhirnya. Akan tetapi kalau ragu tidak diubati dengan menjadi apa yang benar, maka penyakit itu akan bertambah buruk. Ini seperti seseorang yang sudah ada sakit sedikit tetapi enggan jumpa doktor. Maka penyakit lama kelamaan akan bertambah melarat ke tahap yang parah dan susah diubati. Padahal kalau dia jumpa doktor dan makan ubat dari awal, tidaklah teruk sangat.

Di dalam ayat ini, berulangnya kalimah مَّرَضٌ. Kedua-duanya di dalam bentuk nakirah (umum) kerana tidak ada ال. Ada kaedah yang mengatakan kalau pengulangan kalimah nakirah, maka yang kedua itu adalah perkara yang lain. Maka kita boleh katakan penyakit yang asalnya itu bertambah dengan penyakit baru yang lain. Macam orang yang tidak menjaga tahap penyakit kencing manisnya, lama kelamaan akan merebak pergi ke penyakit jantung pula.

Ayat ini berbunyi فَزَادَهُمُ اللهُ iaitu nampak Allah ﷻ yang tambah penyakit mereka itu. Ini adalah kerana Allah ﷻ yang menetapkan sunnatullah. Iaitu kalau penyakit tidak diubati dari mula, maka akan bertambah teruk sesuatu penyakit itu atau bertambah dengan penyakit yang lain pula. Akan tetapi kenapa disebut nama Allah ﷻ pula? Disebut nama Allah ﷻ di sini kerana hendak menekankan memang Allah ﷻ sendiri murka dengan mereka.

 

وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

dan bagi mereka azab yang pedih;  

Untuk orang munafik, diberikan ‘azab yang pedih’. Azab ini lebih teruk daripada yang diberikan kepada orang kafir. Azab yang pedih bermaksud azab yang tidak berkurangan langsung. Di dalam Nisa’: 145 kita diberitahu yang tempat mereka adalah di neraka yang paling dalam (paling teruk)

إِنَّ المُنٰفِقينَ فِي الدَّركِ الأَسفَلِ مِنَ النّارِ وَلَن تَجِدَ لَهُم نَصيرًا
Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka.

Ini adalah kerana mereka ini lebih teruk daripada orang kafir di mana mereka mengaku beriman namun sebenarnya tidak. Orang Mukmin sangka mereka itu kawan mereka tetapi sebenarnya mereka melemahkan Islam dari dalam. Mereka menghasut umat Islam supaya menjadi lemah iman seperti mereka juga. Maka kerana itu mereka layak mendapat azab yang paling teruk sekali.

 

بِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ

dengan apa yang mereka dustakan;

Mereka bohong kerana cakap apa yang bukan dalam hati mereka. Mereka dikenakan azab itu adalah kesalahan mereka sendiri.

Maka, ini adalah simptom pertama orang yang ada penyakit munafik – mereka suka menipu. Kita pun sudah tahu yang salah satu daripada sifat munafik adalah menipu bila berkata-kata. Kita pun sudah pastinya pernah membaca hadith ini,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Tanda-tanda munafik ada tiga; jika berbicara dusta, jika berjanji mengingkari dan jika diberi amanat dia khianat”.
(Sahih Bukhari (32))

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 7 Julai 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah