Tafsir Surah Baqarah Ayat 27 – 29 (Siapakah fasik?)

Baqarah Ayat 27: Sebelum ini telah disebut yang orang yang disesatkan oleh Al-Qur’an itu adalah orang-orang  yang fasik. Siapakah orang yang fasik itu? Sekarang disebut sebahagian daripada sifat-sifat mereka.

ٱلَّذِينَ يَنقُضُونَ عَهدَ ٱللَّهِ مِنۢ بَعدِ مِيثَـٰقِهِۦ وَيَقطَعُونَ مَآ أَمَرَ ٱللَّهُ بِهِۦۤ أَن يُوصَلَ وَيُفسِدُونَ فِى ٱلأَرضِ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلخَـٰسِرُونَ

Sahih International

Who break the covenant of Allah after contracting it and sever that which Allah has ordered to be joined and cause corruption on earth. It is those who are the losers.

Malay

(Iaitu) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya, dan memutuskan perkara yang disuruh Allah supaya diperhubungkan, dan mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi. Mereka itu ialah orang-orang yang rugi.

 

الَّذِينَ يَنْقُضُونَ عَهْدَ اللهِ

Orang-orang yang merombak perjanjian dengan Allah

Ayat ini ditujukan kepada Yahudi dan Musyrikin Mekah. Mereka merobohkan perjanjian untuk menegakkan agama tauhid. Atau, mereka sudah berjanji untuk mengikut keseluruhan agama, tetapi kemudian mereka terima sebahagian dan tolak sebahagian.

 

مِنْ بَعْدِ مِيثٰقِهِ

selepas mereka mengambil perjanjian itu;

Kalimah مِيثَـٰقِ atau مِيثاق adalah dalam bentuk isim yang bermaksud ‘peneguhan‘, ‘telah disahkan‘. Ini seperti perjanjian yang telah sah. Perjanjian yang telah dibuat, telah diteguhkan. Ia daripada kata dasar: و ث ق yang bermaksud meletakkan kepercayaan kepada seseorang, bergantung kepada seseorang, ikat.

Perjanjian antara Allah ﷻ dengan mereka adalah mereka telah mengucap ‘la ilaha illa Allah’, Muhammadur Rasulullah. Itulah perjanjian kita dengan Allah ﷻ. Mengaku untuk puja dan sembah Allah ﷻ sahaja, dan Nabi Muhammad ﷺ itu kita mengaku sebagai rasul kita. Kalau syahadah orang Yahudi, mereka akan berkata bahawa Nabi mereka adalah rasul mereka: contohnya, yang pada zaman Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan kata: Musa Rasulullah, dan seterusnya.

Namun malangnya, ada yang mencipta sendiri syariat ugama yang tidak pernah diajar oleh Allah ﷻ atau Nabi ﷺ. Itulah amalan yang dinamakan bid’ah. Itu dipanggil mereka-reka syariat agama sendiri kerana Nabi ﷺ tidak pernah ajar. Kalau bukan yang daripada Nabi ﷺ ajar, maknanya itu kita buat ugama sendiri.

Itulah kenapa berat sekali kalau kita buat amalan bid’ah. Bukanlah kesalahan itu kesalahan yang ringan seperti yang disangka oleh kebanyakan umat Islam di Malaysia ini. Setiap kali melakukan amalan yang bukan daripada syariat Islam yang diajar oleh Nabi ﷺ, setiap kali itu Allah ﷻ akan memberikan hijab kepada mereka. Akhir sekali, sampai kepada satu tahap di mana terkunci mati terus hati mereka.

Selain daripada syahadah yang kita telah lakukan, ada satu lagi perjanjian yang kita telah buat dengan Allah ﷻ sebelum kita lahir ke dunia ini lagi, iaitu ketika kita di alam roh di mana Allah ﷻ telah mengambil perjanjian dengan kita. Allah ﷻ berkata: “أَلَسۡتُ بِرَبِّكُمۡ‌ۖ?” – bukankah Aku Tuhan kamu semua? Kejadian ini disebut di dalam A’raf: 172

وَإِذ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَني ءآدَمَ مِن ظُهورِهِم ذُرِّيَّتَهُم وَأَشهَدَهُم عَلىٰ أَنفُسِهِم أَلَستُ بِرَبِّكُم ۖ قالوا بَلىٰ ۛ شَهِدنا ۛ أَن تَقولوا يَومَ القِيٰمَةِ إِنّا كُنّا عَن هٰذا غٰفِلينَ
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) daripada (tulang) belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”.

Maknanya semasa kita di alam roh lagi kita telah mengaku bahawa Allah ﷻ itu adalah Tuhan kita sebelum kita lahir ke dunia lagi. Inilah perjanjian semua orang, tidak kira sama ada dia seorang Muslim atau tidak. Akan tetapi kenapa kita boleh lupa? Kerana ia adalah ujian bagi kita. Ini biasa sahaja kerana kejadian itu di alam roh dan telah berlalu terlalu lama. Sedangkan mimpi semalam pun sudah lupa apa yang dimimpikan. Maka Allah ﷻ mengingatkan semula kejadian itu kepada kita di dalam Al-Qur’an.

Janji Allah ﷻ bersuara dalam batin manusia sendiri iaitu kesedaran akalnya. Apabila akal digunakan mestilah timbul kesedaran akan kekuasaan Tuhan dan perlindungan kepada kita manusia, kalau manusia itu insaf akan akalnya pastilah menimbulkan rasa terima kasih dan rasa pengabdian, ibadat kepada Allah ﷻ. Sekarang janji di dalam batin itu sendirilah yang mereka pecahkan, mereka rosakkan, lalu mereka turutkan hawa nafsu.

 

وَيَقطَعُونَ مَآ أَمَرَ ٱللَّهُ بِهِۦۤ أَن يُوصَلَ

dan mereka memutuskan suruhan Allah untuk disambung;

Lain yang Allah ﷻ suruh, lain pula yang dibuat. Yang Allah ﷻ tidak suruh, mereka buat pula. Kalau di atas tadi telah disebut hubungan dengan Allah ﷻ, sekarang disebut hubungan dengan makhluk pula, iaitu hubungan dengan ibubapa dan ahli keluarga, dengan jiran tetangga, dengan sesama Muslim dan sesama manusia. Kita disuruh untuk memenuhi semua haq, sama ada haq dengan Allah ﷻ dan haq sesama hamba.

Ayat ini bermaksud orang-orang fasik itu telah memutuskan silaturrahim, iaitu apa yang Allah ﷻ suruh kita sambungkan. Maksud ‘silaturrahim’ pula adalah perhubungan antara keluarga, kerana mereka yang berkongsi ‘rahim’ dengan kita. Bukanlah dengan semua orang.
Memang ada beberapa pendapat tentang siapakah yang disuruh sambungkan itu. Pertamanya, ada yang kata perhubungan silaturrahim ini adalah antara ummah. Maka, orang yang memutuskan hubungan silaturrahim itu tidak kisah apakah yang berlaku kepada saudara seIslam kita di negara lain.

Keduanya, hubungan antara keluarga kita sendiri. Kita boleh lihat bahawa orang-orang fasik itu ada masalah dalam keluarga mereka. Mereka berkelahi sesama mereka, sesama adik-beradik, ibubapa dan sebagainya. Dengan orang lain boleh pula berbaik, tetapi kalau dengan ahli keluarga sendiri, bermasam muka. Terdapat banyak ancaman di dalam hadith tentang perkara ini, antaranya,

Daripada Abu Ayyub al-Ansari رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Nabi ﷺ bersabda:
لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثِ لَيَالٍ
“Tidak halal bagi seorang muslim untuk tidak bertegur saudaranya melebihi tiga hari.”
(Riwayat Muslim (2560))

Di dalam hadith yang lain mengaitkannya dengan dosa membunuh

مَنْ هَجَرَ أَخَاهُ سَنَةً فَهُوَ كَسَفْكِ دَمِهِ
“Barangsiapa yang tidak bertegur saudaranya selama setahun sama seperti dia telah menumpahkan darahnya.”
(Riwayat Abu Daud (4915))
Sahih menurut Albani رَحِمَهُ اللَّهُ

Akhir sekali, ia boleh menyebabkan seseorang yang memutuskan silaturahim tidak dapat masuk syurga!

لاَ يَدْخُلُ الجَنَّةَ قَاطِعٌ
“Tidak masuk syurga orang yang memutuskan (silaturrahim).”
(Riwayat Bukhari (5984))

 

Ketiganya, memutuskan antara Al-Qur’an dan Nabi ﷺ. Mereka terima Al-Qur’an, tetapi mereka tidak terima Nabi Muhammad ﷺ. Dari zaman Nabi ﷺ lagi, sudah ada orang yang bersikap begini. Apabila sesuatu hukum diturunkan, mereka akan tanya: “Ini daripada Allah atau daripada Nabi?”.

Walhal apa sahaja yang Nabi ﷺ sebut (tentang agama) adalah daripada Allah ﷻ. Maka, pada zaman sekarang, sudah timbul banyak kumpulan yang tidak menerima hadith Nabi lagi. Kononnya mereka hanya menerima Al-Qur’an sahaja. Itu adalah kumpulan-kumpulan yang sesat.

 

وَيُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ

Dan mereka berbuat kerosakan di muka bumi

Mereka melakukan kerosakan dengan melakukan amalan-amalan yang di luar syariat, iaitu amalan yang bukan agama tetapi mereka kata ia adalah agama. Juga boleh bermaksud mereka yang melakukan amalan-amalan yang telah mansukh dalam agama.

Sebagai contoh, syariat agama lain sebelum Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ, telah dimansukhkan dengan turunnya Al-Qur’an. Mereka juga melakukan maksiat dalam perkara agama.

 

أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلخَـٰسِرُونَ

Orang-orang yang seperti itu adalah mereka yang paling rugi sekali;

Yang mempunyai sifat-sifat yang disebut di atas adalah mereka yang rugi di dunia sampai ke akhirat.

Kalau kita lihat, yang berbuat kerosakan di dunia itu akan menyusahkan orang lain. Akan tetapi Allah ﷻ kata dalam ayat ini, mereka yang berbuat kerosakan itulah yang rugi sendiri. Ini adalah kerana, balasan yang mereka akan dapat di akhirat nanti adalah lebih teruk daripada kerosakan yang mereka lakukan semasa di dunia.

Sekarang bandingkan dengan sifat orang Mukmin seperti disebut di dalam Ra’d: 21

وَالَّذينَ يَصِلونَ ما أَمَرَ اللهُ بِهِ أَن يوصَلَ وَيَخشَونَ رَبَّهُم وَيَخافونَ سوءَ الحِسابِ
dan orang-orang yang menghubungkan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan, dan mereka takut kepada Tuhannya dan takut kepada hisab yang buruk.


 

ALLAH YANG MENCIPTA ALAM INI

Baqarah Ayat 28: Untuk memujuk manusia ikut ajaran wahyu, maka sekarang Allah ﷻ mengingatkan tentang rahmat yang telah diberikan kepada kita. Allah ﷻ mengajar kita untuk mengenang budi, terutama sekali budi daripada Allah ﷻ. Kalau ada orang yang telah berjasa kepada kita, takkan kita hendak menentangnya, bukan? Maka takkan hendak menentang Allah ﷻ kalau Allah ﷻ telah berikan segalanya kepada kita?

كَيفَ تَكفُرونَ بِاللهِ وَكُنتُم أَموٰتًا فَأَحيٰكُم ۖ ثُمَّ يُميتُكُم ثُمَّ يُحييكُم ثُمَّ إِلَيهِ تُرجَعونَ

Sahih International

How can you disbelieve in Allah when you were lifeless and He brought you to life; then He will cause you to die, then He will bring you [back] to life, and then to Him you will be returned.

Malay

Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Dia menghidupkan kamu; setelah itu Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).

 

كَيْفَ تَكْفُرُونَ بِاللهِ

Bagaimana kamu boleh kufur dengan Allah?;

Kalimah كَيْفَ adalah di dalam bentuk istifham (soalan). Akan tetapi bukanlah Allah ﷻ hendak bertanya tetapi mengutuk mereka dan menunjukkan kehairanan atas sikap buruk mereka. Secara umumnya ada tiga jenis istifham:

1. Istifham Haqiqi (benar-benar soalan untuk bertanya dan ingin mendapatkan maklumat). Soalan sebegini tidak ada di dalam Al-Qur’an

2. Istifham Inkari (bukan soalan sebenarnya tetapi hendak menolak fahaman yang salah. Selalunya jawapan bagi soalan ini adalah ‘tidak’)

3. Istifham Taqriri (bukan juga soalan tetapi hendak mengiyakan sahaja. Jawapan bagi soalan ini adalah ‘ya’)

Maka kalimah كَيْفَ di dalam ayat ini adalah istifham inkari. Allah ﷻ tanya bagaimana lagi manusia itu boleh kufur? Kenapakah manusia boleh kufur? Padahal Allah ﷻlah yang menjadikan mereka. Maka ayat ini di dalam bentuk soalan, tetapi persoalan yang mengandungi kecaman dan kehairanan dengan kekafiran mereka.

Soalan yang diberikan ini adalah: ‘bagaimana’, bukan ‘mengapa’, kerana soalan mengapa biasanya dijawab dengan jawapan ilmiah, sedangkan mereka bukan orang-orang yang menggunakan akalnya sehingga tidak wajar mereka ditanya dengan pertanyaan sedemikian. Allah ﷻ bukan tanya kerana hendakkan jawapan, tetapi hendak mengecam mereka.

 

وَكُنْتُمْ أَمْوٰتًا

sedangkan kamu dulu dalam keadaan mati;

Maksudnya dahulu mereka itu mati, bentuk pun tidak ada kerana tidak pernah wujud. Tidak dikenali langsung oleh manusia, tanpa nama tanpa ada apa-apa. Mereka tidak ada apa-apa langsung.

‘Mati’ di sini adalah tanpa nyawa. Bukanlah kita mati di hujung nyawa kita sahaja, tetapi sebenarnya kita telah pernah mati sebelum kita hidup juga. Ini seperti di dalam ayat Mulk: 2

الَّذي خَلَقَ المَوتَ وَالحَيَوٰةَ لِيَبلُوَكُم أَيُّكُم أَحسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ العَزيزُ الغَفورُ
Dialah yang telah menjadikan adanya mati dan hidup – untuk menguji kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun;

Di dalam Mulk: 2 ini juga Allah ﷻ menyebut sebelum kita hidup, kita dalam keadaan mati juga.

 

فَأَحْيٰكُمْ

Kemudian Allah menghidupkan kamu

Allah ﷻ lahirkan mereka dalam dunia ini. Allah ﷻ beri segala keperluan dalam kehidupan. Ramai daripada mereka yang kufur itu telah diberi dengan kesenangan keduniaan.

 

ثُمَّ يُمِيتُكُمْ

kemudian Allah mematikan kamu

Setelah menjalani kehidupan di dunia, apabila sampai ajal, akan matilah kita semua. Maka masuklah kita ke Alam Barzakh. Ia adalah alam di antara kehidupan dan akhirat.

Ada juga ulama’ yang enggan menjadikan penggalan ayat ini sebagai bertujuan mengingatkan nikmat Allah ﷻ, dengan pandangan bahawa kematian bukanlah satu nikmat. Alasan ini tidak sepenuhnya benar. Kematian dapat merupakan nikmat bagi yang hidup dan yang mati. Seandainya tidak ada kematian maka bumi ini akan penuh sesak dengan manusia yang terlalu ramai. Kematian juga merupakan nikmat kerana ia adalah pintu gerbang bagi yang taat untuk masuk ke syurga. Kematian adalah proses yang harus dilalui manusia untuk mencapai kesempurnaan evolusinya.

 

ثُمَّ يُحْيِيكُمْ

kemudian menghidupkan kamu semula

Kita akan dihidupkan semula dan akan dikumpul di Mahsyar. Golongan yang kufur itu tidak sedar atau buat-buat lupa tentang perkara ini. Mereka tidak kisah tentang kehidupan mereka setelah mati. Mereka hanya nampak kehidupan dalam dunia sahaja. Mereka tidak buat persediaan kepada akhirat dan sekarang Allah ﷻ mengingatkan mereka.

Selepas disebut tentang kehidupan ini, tidak disebut tentang kematian pula kerana memang tidak akan ada kematian lagi. Ini adalah kehidupan yang terakhir. Kerana itulah ia dinamakan ‘Akhirat’ kerana ia adalah hari atau alam terakhir. Tidak ada alam lain lagi selepas ini. Tidak ada kematian kerana ‘mati’ pun akan dibunuh seperti disebut di dalam sebuah hadith riwayat Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ,

فَإِذَا أَدْخَلَ اللَّهُ أَهْلَ الْجَنَّةِ الْجَنَّةَ وَأَهْلَ النَّارِ النَّارَ قَالَ أُتِيَ بِالْمَوْتِ مُلَبَّبًا فَيُوقَفُ عَلَى السُّورِ بَيْنَ أَهْلِ الْجَنَّةِ وَأَهْلِ النَّارِ ثُمَّ يُقَالُ يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ فَيَطَّلِعُونَ خَائِفِينَ ثُمَّ يُقَالُ يَا أَهْلَ النَّارِ فَيَطَّلِعُونَ مُسْتَبْشِرِينَ يَرْجُونَ الشَّفَاعَةَ فَيُقَالُ لِأَهْلِ الْجَنَّةِ وَأَهْلِ النَّارِ هَلْ تَعْرِفُونَ هَذَا فَيَقُولُونَ هَؤُلَاءِ وَهَؤُلَاءِ قَدْ عَرَفْنَاهُ هُوَ الْمَوْتُ الَّذِي وُكِّلَ بِنَا فَيُضْجَعُ فَيُذْبَحُ ذَبْحًا عَلَى السُّورِ الَّذِي بَيْنَ الْجَنَّةِ وَالنَّارِ ثُمَّ يُقَالُ يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ خُلُودٌ لَا مَوْتَ وَيَا أَهْلَ النَّارِ خُلُودٌ لَا مَوْتَ
Setelah Allah memasukkan penghuni syurga ke syurga dan penghuni neraka ke neraka, kematian didatangkan dengan diseret kemudian didirikan di atas benteng antara penghuni syurga dan penghuni neraka, setelah itu dikatakan kepada penghuni syurga: Hai penghuni syurga! Mereka melihat dalam keadaan takut. Dan dikatakan kepada penghuni neraka: Wahai penghuni neraka! Mereka melihat dalam keadaan senang, mereka berharap mendapatkan syafaat. Lalu dikatakan kepada penghuni syurga dan penghuni neraka: Apa kalian mengetahui apa ini? Mereka menjawab: Kami mengetahuinya, itu adalah kematian yang diserahi untuk (mencabut nyawa) kami. Ia dibaringkan lalu disembelih di atas benteng antara syurga dan neraka, setelah itu dikatakan: Wahai penghuni syurga, sekarang tiba saatnya berkekalan, tiada lagi kematian dan wahai penghuni neraka, kalian juga kekal tiada kematian.”
(Jami’ Tirmizi (2480))
Status: Hasan Sahih

Hal ini bertepatan dengan firman Allah ﷻ di dalam Fatir:36

وَالَّذِينَ كَفَرُوا لَهُمْ نَارُ جَهَنَّمَ لَا يُقْضَىٰ عَلَيْهِمْ فَيَمُوتُوا وَلَا يُخَفَّفُ عَنْهُم مِّنْ عَذَابِهَا ۚ كَذَٰلِكَ نَجْزِي كُلَّ كَفُورٍ
Dan orang-orang yang kafir, bagi mereka neraka Jahannam; mereka tidak dijatuhkan hukuman bunuh supaya mereka mati (dan terlepas daripada seksa), dan tidak pula diringankan azab neraka itu daripada mereka; dan demikianlah Kami membalas tiap-tiap orang yang melampau kufurnya.

 

ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

dan kamu akan kembali akan jumpa Dia

Kita akan dihadapkan kepada Allah ﷻ untuk menghadapi perbicaraan di Mahsyar. Hanya mengadap Allah ﷻ sahaja kerana diawalkan (taqdim) kalimah إِلَيْهِ itu. Terus mengadap Allah ﷻ, tidaknya mengadap jumpa mana-mana Nabi, mana-mana wali dulu. Ini hanya akidah sesat sahaja. Orang Kristian sangka mereka akan cari Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan baginda akan menjadi ‘peguam’ bagi pihak mereka untuk menyelamatkan mereka. Yang sekarang sibuk memuja pada wali pun sangka wali-wali yang mereka sembah itu akan selamatkan mereka. Ini semua tidak ada. Semua akan mendapat Allah ﷻ, termasuk para Nabi dan orang-orang yang digelar ‘wali’ itu (siapalah yang melantik mereka sebagai wali, entahlah).

Inilah akidah yang sesat. Sama seperti Musyrikin Mekah juga. Musyrikin Mekah itu bukanlah menolak Allah ﷻ, tetapi mereka menolak konsep tauhid kepada Allah ﷻ. Ini kerana mereka kenal yang Allah ﷻ itu Tuhan. Namun dalam masa yang sama, mereka banyak membuat perkara yang syirik. Maka kita kena belajar apakah fahaman syirik mereka kerana banyak daripada fahaman mereka itu sebenarnya diamalkan pun oleh orang Muslim tanpa mereka sedari (kerana jahil). Ini akan disebut dengan panjang lebar dalam ayat-ayat tentang syirik nanti.

Ayat ini memberitahu yang kita dua kali mati dan dua kali hidup. Ayat ini memberi ringkasan hidup manusia. Daripada tidak ada – kepada ada – kemudian mati – kemudian akan dihidupkan kembali. Allah ﷻ ringkaskan perjalanan hidup kita sebagai peringatan buat kita.

Kalau kita ingkar dengan arahan ibubapa kita yang melahirkan kita dan banyak berjasa kepada kita pun sudah teruk, apatah lagi kalau dengan Allah ﷻ yang lagi banyak jasa-Nya kepada kita, bukan? Tambahan pula kalau dengan ibubapa kita, selepas mati kita tidak bertemu lagi; tetapi dengan Allah ﷻ, kita kena mengadap Dia pula dan kena jawab atas segala perbuatan kita di dunia? Apa yang kita akan jawab di hadapan-Nya nanti?

 


 

Baqarah Ayat 29: Kalau sebelum ini Allah ﷻ suruh kita lihat kepada diri kita sendiri (alam diri), sekarang Allah ﷻ suruh lihat kepada alam (alam luar) pula. Ini adalah dalil aqli afaqi. Allah ﷻ suruh kita lihat kepada alam. Allah ﷻ bukan sahaja menjadikan diri kita sahaja seperti yang telah disebut dalam ayat sebelum ini, tetapi Allah ﷻ juga menjadikan segala alam ini untuk kita.

هُوَ ٱلَّذِى خَلَقَ لَكُم مَّا فِى ٱلأَرضِ جَمِيعًا ثُمَّ ٱستَوَىٰٓ إِلَى ٱلسَّمَآءِ فَسَوَّٮٰهُنَّ سَبعَ سَمَـٰوٰتٍ۬‌ۚ وَهُوَ بِكُلِّ شَىءٍ عَلِيمٌ

Sahih International

It is He who created for you all of that which is on the earth. Then He directed Himself to the heaven, [His being above all creation], and made them seven heavens, and He is Knowing of all things.

Malay

Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Dia menuju dengan kehendakNya ke arah langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

 

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُمْ مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Dialah yang menciptakan untuk kamu semua yang ada di bumi;

Allah ﷻ jadikan alam dunia ini untuk kegunaan kita. Maksud kalimah لَكُمْ adalah ‘bagi kamu’. Maknanya dunia ini untuk kita sebenarnya yang memberi manfaat kepada kita secara langsung atau tidak langsung. Antaranya Allah ﷻ telah jadikan bumi ini rata untuk kita boleh diami di dalamnya, rumput untuk makanan binatang ternak. Walaupun kita tidak makan rumput itu, tetapi kita pula makan binatang. Allah ﷻ juga telah ciptakan udara untuk kita, pokok dan sebagainya. Terlalu banyak yang telah diciptakan untuk kita. Semuanya diciptakan untuk kita. Bukan untuk orang Islam sahaja, tetapi semua manusia.

Ayat ini menjadi dalil bagi ulama’ mengatakan manusia boleh menggunakan apa sahaja yang terbentang di dunia ini untuk kegunaan kita. Melainkan jikalau ada dalil yang melarangnya. Maka hukum asalnya adalah boleh digunakan apa sahaja.

Syurga juga telah dijadikan untuk manusia dan ia hanya untuk orang yang beriman sahaja. Maka untuk sampai ke syurga, dunia ini perlu dijadikan sebagai landasan untuk pulang ke syurga. Jadikan dunia yang Allah ﷻ jadikan untuk kita ini tempat untuk mengumpul pahala, bukannya mengumpul dosa.

Kalimah لَكُمْ adalah satu lagi makna yang lebih penting, yakni bahawa Allah ﷻ menciptakannya agar manusia berperanan sebagai khalifah, berperanan aktif dan utama di pentas bumi ini; berperanan utama dalam peristiwa-peristiwanya serta pengembangannya. Manusia telah dilantik sebagai pengelola bumi dan pemilik alat, bukan dikelola oleh bumi dan menjadi hamba yang diatur atau dikuasai oleh alat. Tidak juga tunduk pada perubahan dan perkembangan-perkembangan yang dilahirkan oleh alat-alat, sebagaimana diduga bahkan dinyatakan oleh fahaman materialisme.

 

ثُمَّ اسْتَوَىٰ إِلَى السَّمَاءِ

kemudian Dia fokus kepada langit pula;

Setelah diciptakan bumi, barulah dicipta langit. Dalilnya adalah kalimah ثُمَّ di sini. Kalimah استَوَى adalah dalam bentuk fi’il madhi yang bermaksud ‘beralih‘ seperti beralih pandangan. Ia darpadai kata dasar س و ي yang bermaksud bernilai, sama taraf, lengkap, susun, menjadikan sama, sesuai, menyempurnakan sesuatu, meletakkan sesuatu dalam keadaan baik, kukuh, beralih pandangan kepada sesuatu, mendaki, sihat. Kalimah اسْتَوَىٰ ini boleh digunakan untuk berbagai maksud. Ia bergantung kepada kalimah yang digunakan selepasnya; kalau digunakan على, maksudnya ‘bersemayam’, manakala untuk kalimah اسْتَوَىٰ sahaja, ia bermaksud ‘sempurna’ dan apabila digunakan kalimah إلى seperti di dalam ayat ini, ia bermaksud ‘menuju’.

Maksudnya kemudian menghadaplah Dia ke langit, lalu Dia jadikan tujuh langit. Ertinya diselesaikan-Nya dahulu nasibmu di sini, dibereskan-Nya segala keperluanmu di dunia, barulah Allah ﷻ menghadapkan perhatian-Nya menyusun tingkatan langit, yang sebelum itu adalah Dukhan, iaitu asap belaka. Maka Tuhan pun mengatur kelompok-kelompoknya, yang dikatakan-Nya kepada kita kepada tujuh. Bagaimana tujuhnya kita tidak tahu. Kita hanya percaya; sebab urusan kekayaan langit itu tidaklah terlalu banyaknya.

 

فَسَوّٰهُنَّ سَبْعَ سَمٰوٰتٍ

Dan Allah ciptakan langit itu pula dalam tujuh lapis;

Dari sini kita dapat tahu bahawa langit itu ada tujuh lapis. Ini seperti disebut di dalam Mulk: 3

الَّذي خَلَقَ سَبعَ سَمٰوٰتٍ طِباقًا ۖ مّا تَرىٰ في خَلقِ الرَّحمٰنِ مِن تَفٰوُتٍ ۖ فَارجِعِ البَصَرَ هَل تَرىٰ مِن فُطورٍ
Dialah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan – (mu) – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?

Apakah maksud 7 lapis itu? Ia bukan bermaksud ‘berkeping-keping’, tetapi ‘berkubah’. Kita boleh bayangkan ia di dalam bentuk sfera. Langit pertama meliputi dunia, langit kedua meliputi langit pertama, akhirnya langit ketujuh meliputi langit keenam. Akhirnya, Arasy meliputi semua sekali.

 

وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Dan Dia terhadap segala sesuatu itu, Maha Mengetahui;

Allah ﷻ beritahu bahawa hanya Dialah yang Maha Tahu. Kita tidak perlu ambil tahu perkara yang kita tidak perlu ambil tahu. Kita tidak akan mampu mencapai tahap untuk tahu apa yang Allah ﷻ lakukan dan apa yang Allah ﷻ putuskan. Sedangkan apa yang ada di dunia ini pun kita tidak dapat tahu kesemuanya, apatah lagi untuk mengetahui tentang apa yang ada di langit dan di Arasy.

Kita hanya perlu tahu bahawa Allah ﷻlah yang Maha Mengetahui. Allah ﷻ ajar kepada kita yang baca Al-Qur’an ini, yang Allah ﷻ ada Qudrat yang sempurna dan juga ilmu yang sempurna. Maka kerana sempurnanya ilmu Allah ﷻ, maka Dia boleh cipta segala-galanya. Kerana untuk cipta sesuatu, kena ada ilmu, bukan?

 

Sekarang kita bincangkan Komposisi Cincin yang ketiga. Ini bagi ayat 21 – 29. Sila rujuk Ayat 5 pengenalan kepada Komposisi Cincin ini.

Kaitan antara Bahagian:

[A3.1]/[A3.1’] – Bahagian [A3.1] bermula dengan Allah ‎ﷻ mengajak manusia untuk beribadah kepada-Nya sahaja kerana Dialah خَلَقَكُمۡ. Kemudian Allah ‎ﷻ menyenaraikan jasa-Nya seperti mencipta bumi dan langit dan keperluan hidup kita. Seterusnya, Allah ‎ﷻ menegur orang kafir yang mengambil ilah-ilah lain sedangkan mereka mengetahui (تَعۡلَمُونَ). Perhatikan ada kalimat خَلَقَ dan عَلِمَ. Di dalam Bahagian [A3.1’] pula Allah ‎ﷻ menyebut Dia yang menghidupkan kita, mematikan dan kemudian menghidupkan semula. Dia juga خَلَقَ semua yang ada di bumi dan Dialah juga yang menjadikan tujuh langit. Akhir sekali Dia mengatakan Dialah atas segala sesuatu عَلِيمٌ.

[A3.2]/[A3.2’] – Kedua-dua bahagian ini berkenaan orang kafir yang kegagalan mereka berinteraksi dengan Al-Qur’an. Di dalam Bahagian [A3.2] mereka dicabar untuk membuat satu surah yang sama dengan Al-Qur’an, mereka gagal. Di dalam [A3.2′] disebut bagaimana setelah mereka gagal, mereka mempersoalkan pula isi Al-Qur’an itu antaranya dengan mempersoal perumpamaan-perumpamaan yang ada di dalamnya. Mereka dengan itu tidak dapat memanfaatkan kelebihan yang ada di dalam Al-Qur’an.

[A3.3] – Di antara ayat-ayat yang menceritakan tentang orang kafir, Allah ‎ﷻ menceritakan tentang balasan bagi orang yang beriman dan beramal dengan kebaikan sebagai imbangan.

 

Sekian Ruku’ 3 daripada 40 ruku’ surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 6 Julai 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Heavenly Order

Tafsir Surah Baqarah Ayat 26 (Ada manusia sesat kerana Al-Qur’an)

KELEBIHAN MENGGUNAKAN PERUMPAMAAN

Baqarah Ayat 26: Di dalam ayat sebelum ini telah diberi tentang syurga dan buah kerana Allah ﷻ hendak beri perumpamaan tentang keadaan di dalam syurga. Sekarang adalah jenis Jumlah Musta’nifah الجملة المستأنفة. Isti’naf (إستئناف) menurut bahasa ertinya permulaan. Sedangkan menurut istilah maksudnya adalah Kalimat jumlah yang tidak ada hubungan dengan kalimat sebelumnya baik dari segi makna mahupun dari segi i’rab. Di sini Allah ﷻ hendak menjawab kesamaran atau soalan daripada golongan manusia. Namun tidak pula disebut apakah soalan itu. Memang kadangkala Al-Qur’an begitu; kadang ada soalan tetapi tidak ada jawapan dan kadang ada jawapan tanpa soalannya. Soalan yang tidak disebut itu adalah tentang perumpamaan-perumpamaan yang Allah ﷻ gunakan di dalam Al-Qur’an.

Maka sekarang Allah ﷻ menyentuh tentang ayat-ayat perumpamaan yang banyak di dalam Al-Qur’an. Ayat ini adalah jawapan bagi kesamaran kedua. Kesamaran pertama, ada manusia yang tidak yakin yang Al-Qur’an itu daripada Allah ﷻ. Maka Allah ﷻ cabar mereka untuk buat surah yang sama dengan Al-Qur’an. Maka, tentunya mereka tidak boleh buat.

Ini pula adalah kesamaran kedua. Manusia, apabila mereka tidak boleh lawan dengan menggunakan hujah, mereka mula akan menghina dengan mempersoalkan. Mereka menyoal bukannya kerana hendak tahu tetapi kerana hendak menghina. Mereka beri gelaran untuk menghina dan memberi aib. Ini semua datang daripada bisikan syaitan. Ini adalah sifat biasa manusia yang mudah termakan dengan bisikan syaitan.

Selepas tidak dapat mendatangkan surah yang sama seperti Al-Qur’an, puak kafir Mekah telah mengkritik Al-Qur’an. Kata mereka ada kekurangan dalam Al-Qur’an. Akan tetapi hujah mereka itu amat lemah sekali. Atau, boleh jadi mereka yang dimaksudkan ini adalah golongan Munafik yang memandang rendah akan Al-Qur’an.

Ini sama sahaja seperti puak bid’ah sekarang, apabila kita berhujah dengan mereka, kita katakan kepada mereka yang dalil itu kenalah yang sahih dan sarih. Janganlah hanya ambil sahaja dalil yang tidak kena. ‘Sahih’ itu bermaksud yang benar-benar Nabi ﷺ ada kata. ‘Sarih’ pula bermaksud ‘jelas’ iaitu bersesuaian dengan tajuk yang dibincangkan.

Selalunya, puak bid’ah akan keluarkan hadith yang tidak sahih. Ada pula antara mereka akan keluarkan dalil yang memang sahih daripada Nabi ﷺ tetapi tidak sesuai dikaitkan dengan perbincangan dan perdebatan. Sebagai contoh, kalau berbincang tentang puasa, kenalah hadith yang dibawa memang berkenaan dengan puasa. Janganlah hadith tentang solat dipusing-pusing kepada hujah puasa pula. Oleh itu, kita kena ingat, hanya dalil yang sahih dan sarih sahaja yang boleh digunakan sebagai dalil.

Begitu juga untuk perbincangan tentang akidah, kenalah rujuk dalil yang qat’ie (ertinya: “suatu (nas) yang menunjukkan kepada makna tertentu yang difahami daripada nas itu dan tidak mengandungi kemungkinan ta’wil (interpretasi) serta tidak ada tempat peluang untuk memahami makna selain makna tersebut daripada kata itu”).

Maka, sekiranya menggunakan hadith, pastikan hadith tersebut sahih. Kena pastikan status hadith itu supaya dipastikan ia adalah benar dan kuat. Jikalau ia agak lemah, maka boleh dikuatkan dengan dalil-dalil yang lain. Ini memerlukan pembelajaran atau kita rujuk keputusan yang telah diberikan oleh ulama’ hadith. Bukan itu sahaja, sesuatu hadith itu kita kena belajar apakah makna dan pengajaran daripadanya. Kena difahami sesuatu hadith itu dengan pemahaman ulama’ salaf. Sekiranya kita hanya merujuk terjemahan sahaja, tetapi tidak tahu apa syarahnya, maka akan ke laut juga.

Proses pemahaman dan penggunaan hadith ini amat penting sekali demi menjaga kesucian agama. Terutama sekali hal akidah, kita mesti amat berjaga-jaga. Agama Islam ini bukan agama sebarangan, ia adalah agama yang hebat. Maka, untuk mendapat dalil yang sahih dan sarih itu, kenalah datang belajar. Malang sekali, agak kurang yang berminat untuk belajar dalam kalangan orang kita yang rata-ratanya cukup malas untuk belajar. Lebih-lebih lagi untuk ilmu akhirat. Hal agama diambil mudah sahaja. Untuk hal keduniaan kebanyakan sanggup pula bergolok gadai mengorbankan wang ringgit, masa dan tenaga demi keuntungan dunia. Sepatutnya kita yang mengaku muslim ini melebihkan akhirat berbanding dunia. Sedih sekali tidak ramai yang sedar akan hakikat ini.

Begitulah, orang yang degil akan menggunakan kata-kata yang buruk apabila mereka tidak mempunyai hujah. Mereka berkeras mahu memburukkan juga perkara yang benar supaya ditolak oleh manusia yang lain. Mereka mahu menjatuhkan juga orang lain. Mereka akan memburukkan individu yang beri hujah itu. Maka ayat ini adalah kritikan mereka yang jahil untuk mencela Al-Qur’an.

Mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini, sama ada Musyrikin Mekah atau Yahudi. Memang mereka tidak boleh lawan hujah-hujah kuat yang diberikan oleh Allah ﷻ. Maka Musyrikin Mekah yang ketandusan idea telah pergi ke Madinah (yang bernama Yathrib waktu itu) untuk bertemu dengan pendeta-pendeta Yahudi semata-mata untuk mendapatkan hujah bagi melawan Nabi Muhammad ﷺ. Tujuan mereka hanyalah untuk mengalahkan Nabi ﷺ. Bukannya mahu mencari kebenaran. Apabila mereka bertemu ahli kitab, ahli kitab mengambil kesempatan ke atas mereka. Ahli Kitab nampak ini adalah peluang untuk menjatuhkan Islam dari dalam.

Kita kena sedar yang ada jenis ulama’ dalam dunia yang boleh memberi fatwa mengikut apa yang kita kehendaki. Sebagai contoh, katakanlah seseorang ini ada satu permasalahan agama. Mungkin sudah ada seorang ustaz sudah memberi hukum yang ia adalah haram. Namun dia yang tidak berpuas hati. Maka dia mencari ustaz-ustaz lain yang boleh memberi hujah yang lain, sebagaimana yang dia kehendaki, bersesuaian dengan nafsunya. Mereka boleh dapatkan daripada sumber-sumber yang entah dari mana. Begitulah cara pendeta Yahudi dulu. Sekiranya ada umat yang mahu keputusan untuk sesuatu hukum, mereka akan cari manakah pendeta yang boleh memberi hukum sebagimana yang mereka kehendaki. Maka pendeta itulah yang akan diberikan bayaran upah. Begitulah agama menjadi rosak apabila hukum hakam boleh difatwakan mengikut kehendak hati.

Dalam kes ini, apabila Musyrikin Mekah datang bertemu pendeta Yahudi itu, mereka nampak ruang untuk mengambil peluang menjatuhkan Islam. Sebab mereka tahu yang Musyrikin Mekah itu adalah jenis tidak ada kitab dan jahil ilmu agama. Mereka boleh cakap apa sahaja dan akan dipercayai oleh Musyrikin Mekah itu.

Maka, mereka kononnya buatlah kajian tentang ayat-ayat Al-Qur’an yang Nabi ﷺ sampaikan itu. Mereka kata dalam ayat-ayat itu ada perumpamaan tentang lalat, lebah, labah-labah dan nyamuk. Mereka pun beritahu kepada Musyrikin Mekah yang datang itu, tidak layak kalau Kalam Allah menggunakan perumpamaan yang remeh temeh seperti itu.

Maka Yahudi kata, Al-Qur’an itu bukanlah Kalam Allah. Maka Musyrikin Mekah itu bawakan apa yang diberitahu oleh Yahudi itu dan menjaja kisah itu di Mekah. Tujuannya adalah untuk menjatuhkan kedudukan Nabi Muhammad ﷺ dan juga Al-Qur’an. Inilah nasib orang jahil yang tiada neraca untuk bandingkan mana benar dan mana salah.

Mereka terima bulat-bulat sahaja kata-kata pendeta itu walaupun hujah yang diberikan itu tidak kuat. Maka terbukalah peluang untuk Yahudi untuk cuba menjatuhkan Islam melalui penduduk Mekah. Ini adalah satu pendapat yang mengatakan Musyrikin Mekah telah pergi berjumpa dengan Yahudi di Yathrib. Ataupun mungkin juga Musyrikin Mekah sendiri dengar ayat-ayat Al-Qur’an tentang perumpamaan itu dan mereka kritik terus sebab mereka memang mahu tolak.

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَستَحىِۦۤ أَن يَضرِبَ مَثَلاً مَّا بَعُوضَةً فَمَا فَوقَهَا‌ۚ فَأَمَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَيَعلَمُونَ أَنَّهُ ٱلحَقُّ مِن رَّبِّهِمۡ‌ۖ وَأَمَّا ٱلَّذِينَ ڪَفَرُواْ فَيَقُولُونَ مَاذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِهَـٰذَا مَثَلاً۬‌ۘ يُضِلُّ بِهِۦ ڪَثِيرًا وَيَهدِى بِهِۦ كَثِيرًا‌ۚ وَمَا يُضِلُّ بِهِۦۤ إِلَّا ٱلفَـٰسِقِينَ

 Sahih International

Indeed, Allah is not timid to present an example – that of a mosquito or what is smaller than it. And those who have believed know that it is the truth from their Lord. But as for those who disbelieve, they say, “What did Allah intend by this as an example?” He misleads many thereby and guides many thereby. And He misleads not except the defiantly disobedient,

Malay

Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya). Kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka; dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata: “Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?” (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik;

 

إِنَّ اللهَ لا يَستَحيي أَن يَضرِبَ مَثَلًا

Bahawasanya Allah tidak malu untuk membuat contoh misalan

Maka Allah ﷻ jawab dalam ayat ini. Allah ﷻ tidak malu untuk menggunakan bandingan-bandingan itu supaya bandingan itu dapat memberi hidayah kepada manusia dan memberi kesan kepada pemahaman manusia. Allah ﷻ banyak membuat perbandingan atau misalan di dalam Al-Qur’an ini dan kita pun telah menemuinya sebelum ini di dalam Surah Baqarah.

Golongan penentang itu hendak merendahkan Nabi Muhammad ﷺ tetapi Allah ﷻ beritahu perumpamaan itu semua bukannya daripada baginda akan tetapi daripada Allah ﷻ sendiri. Oleh itu, jangan main-main.

 

مَّا بَعُوضَةً

seperti nyamuk

Allah ﷻ tidak kisah menggunakan makhluk-Nya yang kecil sebagai perumpamaan. Allah ﷻ juga ada menggunakan contoh haiwan kecil yang lain seperti lalat. Kenapa Allah ﷻ menggunakan lalat sebagai perumpamaan? Ini untuk menunjukkan betapa lemahnya sembahan mereka itu sampai tidak boleh menghalau lalat yang singgah padanya. Allah ﷻ hendak tunjuk begitu bodohnya mereka yang menyembah patung berhala yang tidak boleh berbuat apa-apa. Ini disebut di dalam Hajj: 73

يا أَيُّهَا النّاسُ ضُرِبَ مَثَلٌ فَاستَمِعوا لَهُ ۚ إِنَّ الَّذينَ تَدعونَ مِن دونِ اللهِ لَن يَخلُقوا ذُبابًا وَلَوِ اجتَمَعوا لَهُ ۖ وَإِن يَسلُبهُمُ الذُّبابُ شَيئًا لّا يَستَنقِذوهُ مِنهُ ۚ ضَعُفَ الطّالِبُ وَالمَطلوبُ
Hai manusia, telah dibuat perumpamaan, maka dengarkanlah olehmu perumpamaan itu. Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah sekali-kali tidak dapat menciptakan seekor lalat pun, walaupun mereka bersatu menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu daripada mereka, tiadalah mereka dapat merebutnya kembali daripada lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah (pulalah) yang disembah.

Labah-labah pula dijadikan sebagai perumpamaan lemahnya pergantungan mereka kepada sembahan mereka yang selain Allah ﷻ. Ia seperti sarang labah-labah, malah lebih teruk lagi. Ini disebut dalam Ankabut: 41

مَثَلُ الَّذينَ اتَّخَذوا مِن دونِ اللهِ أَولِياءَ كَمَثَلِ العَنكَبوتِ اتَّخَذَت بَيتًا ۖ وَإِنَّ أَوهَنَ البُيوتِ لَبَيتُ العَنكَبوتِ ۖ لَو كانوا يَعلَمونَ
Perumpamaan orang-orang yang mengambil pelindung-pelindung selain Allah adalah seperti labah-labah yang membuat rumah. Dan sesungguhnya rumah yang paling lemah adalah rumah labah-labah kalau mereka mengetahui.

Baik, kita hendak bincang tentang nyamuk sebenarnya, sebagai haiwan yang pertama disebut di dalam Al-Qur’an. Allah ﷻ tidak malu menggunakan contoh nyamuk ataupun makhluk yang lebih besar atau lebih kecil daripadanya. Ini kerana terdapat pengajaran dalam makhluk yang Allah ﷻ jadikan, walaupun kecil. Sebagai contoh, disebabkan nyamuk yang kecil itu, boleh menyebabkan satu daerah boleh kelam kabut kerana penyakit denggi atau malaria atau chikunguya dan sebagainya.

Namun ia juga ada kebaikannya – ramai yang dapat meraih keuntungan melalui perniagaan dan pekerjaan dengan adanya nyamuk ini – jual ubat nyamuk, kelambu, aerosol dan sebagainya. Lihatlah bagaimana besarnya kesan nyamuk itu walaupun dari segi fizikalnya, ia kecil sahaja. Kecil-kecil pun, bila ia mengganggu bising di telinga kita malam-malam, tidak boleh tidur juga.

Selain daripada itu, pernahkah anda terfikir apakah manfaat yang terdapat pada nyamuk? Nyamuk merupakan salah satu serangga yang menjadi makanan bagi haiwan seperti ikan, katak dan cicak. Secara tidak langsung, ia terlibat dalam keseimbangan ekosistem. Nyamuk juga menyebarkan debunga ketika ia menghisap nektar daripada tumbuh-tumbuhan.

Ada mukjizat Al-Qur’an di dalam ayat ini. Allah ﷻ menggunakan kalimah بَعُوضَةً untuk menyebut nyamuk. Akan tetapi kalimah بَعُوضَةً di dalam bentuk feminin kerana ada ة padanya. Ini hebat kerana sains zaman moden telah mengetahui bahawa nyamuk yang menggigit dan menyedut darah manusia hanyalah nyamuk betina. Memang nyamuk betina yang jahat. Umumnya, makanan utama nyamuk jantan dan betina adalah nektar dan zat manis lainnya yang sebahagian besar diperolehi daripada tanaman seperti buah-buahan. Namun, nyamuk jantan cukup memakan nektar untuk tenaga dan kelangsungan hidup, kerana mereka tidak memerlukan zat protein tambahan untuk bertelur. Sementara nyamuk betina memerlukan protein tambahan dengan memakan darah manusia dan setidaknya dua kali sehari untuk bertelur. Darah manusia terdiri daripada protein dan asid amino yang penting bagi nyamuk betina untuk menghasilkan dan mengembangkan sel telur mereka.

Nyamuk ini bukan main-main ya. Walaupun ia kecil halus sahaja tetapi ia adalah binatang yang paling mematikan di dunia yang menyebabkan kematian pada manusia jika dibandingkan dengan binatang lain seperti ular. Serangga kecil ini diketahui membunuh lebih daripada 700,000 orang setiap tahun dan merupakan penyebab utama penyakit menular di seluruh dunia, termasuk Dengue, Zika dan Malaria.

Anopheles gambiae, sejenis nyamuk pembawa penyakit malaria. Allah ﷻ tidak malu membuat perbandingan tentang makhluk-Nya yang kecil ini

Hebat tak hebat nyamuk ini, ia spesis binatang yang sangat tua! Siapa yang sangka yang nyamuk ini sudah ada sejak zaman dinosaur, dengan bukti ditemukan fosil serangga menggigit ini yang diidentifikasi berasal dari Zaman Triassic yang berlalu antara 199 – 251 juta tahun yang lalu!

 

فَمَا فَوْقَهَا

atau lebih kecil daripada itu;

Allah ﷻ tidak malu, sebab semua itu Dia yang cipta. Manusia tidak mampu cipta waima sekadar sebelah sayap nyamuk pun. Memang ada lagi yang lebih kecil daripada nyamuk. Lihatlah hadith Nabi tentang sebelah sayap nyamuk. Iaitu bahagian tubuhnya yang lebih kecil lagi daripada keseluruhan badan.

عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ قَالَ كُنَّا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِذِي الْحُلَيْفَةِ فَإِذَا هُوَ بِشَاةٍ مَيِّتَةٍ شَائِلَةٍ بِرِجْلِهَا فَقَالَ أَتُرَوْنَ هَذِهِ هَيِّنَةً عَلَى صَاحِبِهَا فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَلدُّنْيَا أَهْوَنُ عَلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ عَلَى صَاحِبِهَا وَلَوْ كَانَتْ الدُّنْيَا تَزِنُ عِنْدَ اللَّهِ جَنَاحَ بَعُوضَةٍ مَا سَقَى كَافِرًا مِنْهَا قَطْرَةً أَبَدًا
Daripada [Sahl bin Sa’d رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata, “Kami pernah bersama Rasulullah ﷺ di Dzul Hulaifah, tiba-tiba ada seekor kambing mati dengan kaki terangkat, maka baginda pun bersabda: “Bukankah kalian melihat bahawa hal ini merupakan suatu yang hina bagi pemiliknya? Demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sungguh dunia itu lebih hina di hadapan Allah daripada (bangkai) ini atas pemiliknya, sekiranya dunia itu memiliki nilai seberat sayap nyamuk di sisi Allah, nescaya Dia tidak akan memberikan setitis pun terhadap orang kafir.”
(Sunan Ibn Majah (4100))
Status: Hasan

Cuma ada satu perkara yang lebih menarik tentang hal ini. Kalimah فَوْقَهَا bermaksud ‘yang di atasnya’ iaitu di atas nyamuk itu. بَعُوضَةٍ adalah nyamuk betina. Kajian moden semenjak tahun 1922 telah menemui yang nyamuk pun kena hisap darah juga. Iaitu ada parasit yang melekat pada nyamuk dan hanya nyamuk betina. Parasit itu memerlukan bahan makanan seperti protein daripada nyamuk betina itu dan ini boleh didapati daripada darah yang ada pada nyamuk betina itu.

Hebat, bukan? Maklumat ini adalah maklumat moden tetapi ia telah disebut 1,400 tahun dahulu dalam Al-Qur’an yang mengandungi mukjizat dan ternyata kini maklumat sains moden semakin membuka rahsianya. Semakin maklumat ini terbuka, semakin kita yakin yang Al-Qur’an ini memang daripada Allah ﷻ.

 

فَأَمَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَيَعلَمُونَ أَنَّهُ ٱلحَقُّ مِن رَّبِّهِم

Maka orang-orang yang beriman sempurna, mereka tahu bahawasanya contoh-contoh ini adalah benar dari Tuhan mereka;

Iaitu mereka yang tidak melakukan syirik. Mereka ini yang hatinya prihatin dengan kehendak Allah ﷻ. Mereka juga mahukan kebenaran. Mereka taat dan memandang tinggi apa sahaja yang datang daripada Allah ﷻ. Mereka berpegang dengan wahyu. Mereka tahu yang kalau perumpamaan itu tidak penting tidaklah Tuhan akan mengambilnya menjadi perumpamaan. Sebab semua perhitungan Allah ﷻ itu adalah teliti sekali.

Oleh kerana mereka beriman, mereka sanggup dan terus menerima bahawa perumpamaan itu daripada Allah ﷻ. Walaupun mereka mungkin tidak faham lagi dengan perumpamaan itu. Ini kerana untuk memahami sesuatu misalan yang dibuat oleh Allah ﷻ, memerlukan intelek dan pengajian juga. Sebab itu kena belajar tafsir kalau hendak faham misalan-misalan yang ada dalam Al-Qur’an.

Kita kena belajar untuk faham perumpamaan yang Allah ﷻ berikan kerana ada sebab yang hendak disampaikan oleh Allah ﷻ. Kadang-kadang perumpamaan itu tidak jelas kepada yang tidak belajar. Akan tetapi walaupun seorang mukmin itu tidak faham apakah maksud perumpamaan Allah ﷻ itu, namun dia tetap terima bahawa itu adalah daripada Allah ﷻ. Dia akan terima seadanya. Inilah permulaan kepada kefahaman (kena terima dahulu). Kemudian kenalah berusaha untuk memahaminya. Ia bermula dengan terima yang Allah ﷻ pasti tidak akan melakukan sesuatu secara sia-sia seperti disebut di dalam Ali Imran: 191

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَـٰمًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَٰطِلًا
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia,

Memang sedih dan bahaya kalau tidak tahu misalan yang Allah ﷻ berikan dalam Al-Qur’an. Sebahagian ulama Salaf mengatakan, “Apabila aku membaca suatu masal (perumpamaan) dari Al-Qur’an, lalu aku tidak memahaminya, maka aku menangisi diriku sendiri, kerana Allah ﷻ telah berfirman: ‘dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.’ (Al-Ankabut: 43).”

وَتِلكَ الأَمثٰلُ نَضرِبُها لِلنّاسِ ۖ وَما يَعقِلُها إِلَّا العٰلِمونَ
Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia; dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.

 

وَأَمَّا الَّذينَ كَفَروا فَيَقولونَ ماذا أَرادَ اللهُ بِهٰذا مَثَلًا

Dan adapun orang-orang kafir, mereka berkata: apa yang Allah inginkan dengan contoh-contoh kecil seperti ini?

Mereka bertanya itu adalah untuk mempersendakan Al-Qur’an. Orang kafir akan ada sahaja perkara yang mereka tidak puas hati dan mereka akan mencari-cari apa sahaja yang mereka rasa seperti tidak kena. Kejahilan ini lahir daripada sifat mereka yang ragu-ragu sejak mula dari lagi. Orang kafir yang dimaksudkan boleh jadi orang Yahudi, orang Munafik yang menyembunyikan kekafiran mereka atau jenis kafir yang lain.

Orang yang baca Al-Qur’an ini ada bermacam jenis. Ada yang baca untuk mencari kebenaran, maka mereka akan mendapat maklumat yang akan menguatkan iman mereka; dan ada yang membaca Al-Qur’an sebab hendak tolak, maka mereka akan mencari kesalahan-kesalahan dalam Al-Qur’an (kesalahan pada pandangan mereka kerana mereka ada niat buruk). Maka mereka memang akan berjumpa dengan sesuatu yang mereka sangka sebagai hujah untuk tidak menerima Al-Qur’an itu. Mereka sahaja sangka begitu sedangkan tidak ada kekurangan pada Al-Qur’an.

Mereka bukannya mencari ‘kebenaran’, tetapi mereka mencari ‘pembenaran’. Mereka mencari-cari perkara untuk membenarkan prejudis mereka yang sudah salah dari mula. Kerana itu kalau belajar Al-Qur’an untuk menolaknya, maka seseorang itu akan sesat. Akan tetapi kalau baca sebab mahu faham dan mahu ikut (mencari kebenaran), Allah ﷻ akan beri hidayah kepada orang itu. Yang degil inilah orang-yang jahil. Mereka tidak belajar kerana untuk memahami perumpamaan yang ada di dalam Al-Qur’an memang memerlukan pembelajaran.

Alhamdulillah kita telah banyak melihat ramai orang yang asalnya membaca Al-Qur’an kerana hendak mencari kesalahan di dalamnya, akan tetapi kemudian apabila mereka mengkajinya, mereka telah melihat kehebatan Al-Qur’an itu dan mereka mula percaya. Beruntunglah orang-orang sebegini kerana mereka telah melihat sendiri kehebatan Al-Qur’an kerana mereka mengkaji.

Di dalam ayat ini juga kita dapat tahu bahawa antara tujuan Allah ﷻ menjadikan perumpamaan-perumpamaan adalah untuk menguji manusia dengannya. Melalui ujian itu ada yang gagal kerana mereka tidak membuka hati mereka kepada kebenaran. Yang mereka nampak adalah kekurangan sahaja, ini pun kerana mereka telah ada prejudis yang buruk terhadap Al-Qur’an.

 

يُضِلُّ بِهِ كَثِيرًا

Dengannya (Al-Qur’an itu) boleh menyesatkan kebanyakan manusia;

Sama ada dimaksudkan dengan perumpamaan itu, atau dengan Al-Qur’an sendiri, memang ia boleh menyebabkan orang sesat. Bagaimana pula Al-Qur’an boleh menyebabkan orang sesat? Kerana mereka dari asal tidak beriman dan dari asal mereka memang mencari ‘pembenaran’ kepada prejudis mereka. Apabila mereka tidak setuju dan benci dengan Al-Qur’an, maka mereka akan mencari kesalahan. Begitulah ada ayat-ayat Al-Qur’an yang menjadi ujian kepada manusia, sama ada terima atau menjadikannya sebagai punca untuk menolak. Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam Muddaththir: 30-31

عَلَيها تِسعَةَ عَشَرَ
Pengawal dan penjaganya adalah sembilan belas (malaikat).

وَما جَعَلنا أَصحٰبَ النّارِ إِلّا مَلَـٰٓٮِٕكَةً ۙ وَما جَعَلنا عِدَّتَهُم إِلّا فِتنَةً لِّلَّذينَ كَفَروا
Dan (ketahuilah bahawa hikmat) Kami tidak menjadikan pengawal-pengawal neraka itu melainkan (dalam kalangan) malaikat, (kerana merekalah sekuat-kuat dan sebenar-benar makhluk yang menjalankan perintah Kami); dan (hikmat) Kami tidak menerangkan bilangan mereka melainkan dengan satu bilangan yang menyebabkan kesesatan dan kesengsaraan orang-orang kafir itu,

Ada orang yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an dengan benar, maka mereka tidak faham apakah yang hendak disampaikan oleh Allah ﷻ. Mereka cuba hendak faham sendiri dan selalunya fahaman itu salah. Ataupun mereka diajar oleh guru yang tidak juga belajar tafsir Al-Qur’an, akibatnya mereka akan tersesat. Itulah bahayanya kalau faham Al-Qur’an bukan dengan cara pemahaman para sahabat dan salafussoleh. Inilah bahaya kalau salah belajar.

Timbul juga persoalan, bagaimana kita boleh tahu yang kita belajar itu benar? Agak susah hendak tentukan. Maka hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah ﷻ supaya diberikan ilmu yang bermanfaat. Mesti berdoa kepada Allah ﷻ supaya kita ditunjukkan ilmu yang benar. Boleh amalkan doa ini selalu:

اَللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اتِّـبَاعَهُ وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ
Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai suatu perkara yang benar, dan anugerahilah kami kekuatan mengikuti kebenaran itu. Dan tunjukkanlah kepada kami kesalahan itu sebagai suatu perkara yang salah, dan anugerahilah kami kekuatan untuk menjauhi kesalahan itu.

 

وَيَهْدِي بِهِ كَثِيرًا

Dan dengan Al-Qur’an juga boleh memberi hidayat kepada ramai manusia

Kalau hendak mencari kebenaran, orang yang membaca Al-Qur’an akan menemui kebenaran itu. Ini diberikan kepada mereka yang memang mahu mencari kebenaran. Mereka akan memperolehinya kerana niat mereka yang baik itu. Maka kena jaga niat kita.

 

وَما يُضِلُّ بِهِ إِلَّا الفٰسِقينَ

Tetapi tidaklah Allah menyesatkan dengan Al-Qur’an itu melainkan orang yang buat fasik sahaja;

Tujuan Al-Qur’an bukanlah untuk menyesatkan manusia tetapi ada yang menggunakan Al-Qur’an untuk menyesatkan orang lain dan ada yang baca Al-Qur’an dan faham sendiri sampai mereka dapat fahaman yang salah. Inilah bahayanya kalau tidak belajar dengan betul.
Contoh: kita dulu baca terjemahan Al-Qur’an juga, tetapi tidak faham, baru sekarang baru jelas apakah yang hendak disampaikan oleh Al-Qur’an setelah belajar tafsir. Mungkin dulu yang kita faham itu salah.

Namun kalau kita jadikan Al-Qur’an itu sebagai ‘pembenaran’ bagi fahaman yang kita pegang dulu, maka kita akan menemuinya juga dalam Al-Qur’an. Contohnya, kita hendak mencari dalil untuk mengatakan boleh zikir beramai-ramai, kita boleh sahaja menemuinya – walaupun itu adalah pemahaman yang salah. Iaitu ada yang beri dalil ada ayat Al-Qur’an yang sebut disuruh kita zikir, duduk diri dan berbaring. Ini bukanlah dalil yang sarih. Namun ada juga yang tertipu dengan dalil sebegini. Ini adalah jenis orang yang buat dahulu amalan ikut selera, kemudian baru cari dalil – ini adalah cara yang salah.

Akan tetapi kalau kita mahu mencari kebenaran, Allah ﷻ akan tunjukkan kebenaran kepada kita. Orang yang sesat itu kerana mereka yang mahu ayat Al-Qur’an pula yang turut kehendak dia. Yang sedihnya, ada juga guru yang tidak belajar tafsir, tetapi mengajar tafsir pula. Hasilnya, tafsir yang mereka berikan itu tidak benar. Akibatnya, maklumat yang didapati oleh anak murid mereka tidak benar. Maka akan berterusanlah kejahilan dalam masyarakat sebab yang mengajar tafsir pun tidak belajar lagi.

Allah ﷻ tidak akan menyesatkan dengan Al-Qur’an itu, melainkan orang yang fasik. Iaitu mereka yang memang mahu menolak Al-Qur’an, mereka yang enggan mengikut wahyu. Kefasikan adalah sifat yang menjadikan manusia keluar dan menjauh daripada kebenaran dan keadilan. Buah yang busuk ditunjuk dengan menggunakan akar kata fasik, kerana kulit buah yang busuk terkelupas dengan sendirinya atau amat mudah dikelupas kulitnya sehingga ia terpisah daripada isinya. Demikian juga seorang fasik. Ia keluar dengan kemahuannya sendiri daripada tuntunan Ilahi, atau dengan mudah dikeluarkan daripada kebenaran yang tadinya telah melekat pada dirinya.

Kalimah فٰسِقِِين atau فاسِقِِين adalah dalam bentuk isim jamak bagi فاسق iaitu ‘orang-orang yang fasik‘. Fasik maksudnya ‘terkeluar daripada ketaatan’ iaitu ketaatan kepada Allah ﷻ. Boleh jadi berdosa, boleh jadi kafir terus. Ia daripada kata dasar: ف س ق yang bermaksud tidak taat, sesat, melanggar perintah, tidak teratur, menjadi jahat, melakukan dosa.

Kefasikan ada bermacam-macam dan bertingkat-tingkat, puncaknya adalah kekufuran. Al-Qur’an pun menggunakannya untuk makna-makna itu. Namun demikian dari segi pandangan hukum, dan setelah para pakar mengamati sekian banyak dalil, maka pakar-pakar daripada kelompok Ahl as-Sunnah menyimpulkan bahawa kefasikan bukanlah terus bermaksud kekufuran. Walaupun kefasikan sering dilakukan, tetapi itu tidak menjadikannya seorang kafir selama ia tetap mengakui — walau dengan lidahnya saja — keesaan Allah ﷻ dan kerasulan Nabi Muhammad ﷺ. Maka kena dilihat apakah yang mereka tolak. Boleh jadi mereka terkeluar terus daripada Islam dan mungkin tidak.

Fasik ada dua jenis: Akbar atau Asghar.

1. Fasik Akbar (besar) yang bersifat menyeluruh

Makna fasik akbar adalah keluar daripada Islam secara keseluruhan dan ini sama dengan kufur. Hal ini jika dia melakukan perbuatan kufur. Sehingga orang kafir disebut fasik pada pembahagian ini. Sebagai contoh firman Allah ﷻ di dalam ayat 26 ini dan Sajdah: 20

وَأَمَّا الَّذينَ فَسَقوا فَمَأوٰهُمُ النّارُ ۖ كُلَّما أَرادوا أَن يَخرُجوا مِنها أُعيدوا فيها وَقيلَ لَهُم ذوقوا عَذابَ النّارِ الَّذي كُنتُم بِهِ تُكَذِّبونَ
Dan sebaliknya orang-orang yang fasik, maka tempat kediaman mereka ialah neraka; tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, mereka dikembalikan kepadanya, serta dikatakan kepada mereka: “Rasalah azab neraka yang kamu sentiasa mendustakannya di dunia dahulu”.

Disebut juga di dalam Baqarah: 99

وَلَقَد أَنزَلنا إِلَيكَ اٰيٰتٍۢ بَيِّنٰتٍۚ وَما يَكفُرُ بِها إِلَّا ٱلفَـٰسِقُونَ
“Dan sungguh Kami telah turunkan kepadamu ayat-ayat yang nyata dan tidaklah mengafirinya kecuali orang-orang yang fasik.”

 

2. Fasik Asghar (kecil)

Makna Fasik Asghar adalah keluar daripada ketaatan kepada Allah ﷻ dengan terjatuh pada perbuatan yang tergolong dosa besar selain syirik. Ini seperti disebut di dalam Nur: 4

وَالَّذينَ يَرمونَ المُحصَنٰتِ ثُمَّ لَم يَأتوا بِأَربَعَةِ شُهَداءَ فَاجلِدوهُم ثَمٰنينَ جَلدَةً وَلا تَقبَلوا لَهُم شَهٰدَةً أَبَدًا ۚ وَأُولٰئِكَ هُمُ الفٰسِقونَ
Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka rotanlah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali rotan, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 17 Julai 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Maariful Qur’an

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 25 (Berita gembira di syurga)

BALASAN KEPADA ORANG BERIMAN

Baqarah Ayat 25: Ini adalah ayat tabshir – berita gembira. Berita gembira kepada orang-orang beriman. Kalau sebelum ini telah disebut orang kafir, sekarang disebut orang berjaya pula. Ini adalah kebiasaan Al-Qur’an, setelah menyebut satu kumpulan maka kemudian akan dibandingkan dengan kumpulan yang lain pula. Kalau menolak Al-Qur’an maka akan dimasukkan ke dalam neraka, sebaliknya kalau beriman dengannya maka akan dimasukkan ke dalam syurga. Apabila kita sudah terima Allah ﷻ yang Maha Esa, dan terima Nabi Muhammad ﷺ sebagai Rasul, dan kita terima cara hidup yang diredhai oleh Allah ﷻ, kita akan berjaya.

وَبَشِّرِ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ أَنَّ لَهُم جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ ۖ كُلَّما رُزِقوا مِنها مِن ثَمَرَةٍ رِّزقًا ۙ قالوا هٰذَا الَّذي رُزِقنا مِن قَبلُ ۖ وَأُتوا بِهِ مُتَشٰبِهًا ۖ وَلَهُم فيها أَزوٰجٌ مُّطَهَّرَةٌ ۖ وَهُم فيها خٰلِدونَ

Sahih International

And give good tidings to those who believe and do righteous deeds that they will have gardens [in Paradise] beneath which rivers flow. Whenever they are provided with a provision of fruit therefrom, they will say, “This is what we were provided with before.” And it is given to them in likeness. And they will have therein purified spouses, and they will abide therein eternally.

Malay

Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: “Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu”; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.

 

وَبَشِّرِ الَّذِينَ ءآمَنُوا 

Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang telah beriman,

Sekurang-kurangnya mereka kenalah beriman dengan Rukun-rukun Iman. Namun itu pun tidaklah cukup sebenarnya kerana yang dapat masuk ke dalam syurga adalah orang-orang yang beriman ‘sempurna’. Bukan setakat beriman sahaja tetapi mestilah iman sempurna. Iaitu mereka yang tidak membuat syirik kepada Allah ﷻ. Itulah yang bermaksud beriman sempurna, kerana kalau beriman sahaja tidak cukup. Ini kerana ada yang beriman dengan Allah ﷻ, namun dalam masa yang sama, dia beriman kepada entiti selain Allah ﷻ juga. Mereka sangka ada entiti selain Allah ﷻ yang ada kuasa Allah ﷻ walaupun tidak selengkap kuasa Allah ﷻ. Itu maksudnya iman mereka tidak sempurna.

Maka untuk mendapat iman sempurna, seorang Muslim itu mestilah faham apa itu iman dan apa itu syirik kerana kalau setakat tahu iman sahaja, tetapi tidak tahu tentang syirik, mungkin seseorang itu melakukan syirik tanpa disedarinya. Untuk tahu tentang syirik dan iman, ia disentuh di dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an. Maka seseorang itu tidak sempurna imannya jikalau dia tidak belajar tafsir Al-Qur’an dengan lengkap.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ yang beritahu kepada orang yang beriman itu. Wajib bagi baginda untuk menyampaikannya kerana kalimah بَشِّرِ itu adalah di dalam bentuk perintah. Allah ﷻ tidak terus berikan sendiri berita gembira itu. Ini adalah kerana orang yang beriman, kena juga percaya kepada Nabi Muhammad ﷺ. Tidak boleh hanya percaya kepada Allah ﷻ sahaja.

Tambahan pula Al-Qur’an yang disampaikan ini disampaikan melalui mulut Nabi ﷺ kepada kita. Kalau kita tidak percayakan Nabi, bagaimana boleh kita percayakan Al-Qur’an dan Allah ﷻ? Sedangkan kita tidak dapat melihat Allah ﷻ. Maka, keimanan itu bukan hanya percaya kepada Allah ﷻ, taetpi memerlukan kita percaya kepada Nabi Muhammad ﷺ juga. Maka, dalam ayat ini juga adalah konsep Risalah yang disampaikan.

Kalimah بَشِّرِ adalah daripada kata dasar ب ش ر yang bermaksud kulit, kecantikan, berita gembira, tidur bersama, golongan manusia. Apa kaitan kulit dengan gembira? Ini adalah kerana kegembiraan manusia itu tampak pada wajahnya.

Kita manusia memang suka berita gembira seperti dapat anak, dapat harta, dapat naik pangkat dan sebagainya. Di dalam ayat ini berita gembira lagi hebat iaitu dapat masuk ke dalam syurga. Akan tetapi untuk merealisasikan berita gembira ini, kena ingat yang kita kenalah ikut seperti apa yang Allah ﷻ dan Rasul-Nya suruh kita lakukan.

Untuk mendapat efek berita gembira ini, hendaklah kita tahu apa yang kita akan dapat di dalam syurga itu. Kalau setakat kata di syurga itu ‘sedap’, ‘tempat best’, belum cukup lagi. Kena tahulah serba sedikit apa yang akan didapati di syurga itu. Ia adalah tempat yang tidak ada kerja, tidak ada ibadah, tidak tidur, tidak lapar, tidak ada kerisauan. Ia adalah tempat untuk memuaskan syahwat sahaja. Tubuh kita akan dinaiktaraf untuk mampu menerima segala nikmat itu, nafsu berhubungan kelamin akan naik, nafsu makan akan naik. Tidak ada perasaan buruk, menyedihkan atau apa-apa sahaja emosi yang tidak menyenangkan. Ini semua untuk dibayangkan supaya kita memang rasa kegembiraan itu. Kalau tidak ada maklumat ini, maka kita akan baca ‘kosong’, sambil lalu sahaja tanpa memberi kesan kepada kita.

Ini penting kerana Allah ﷻ sebut di sini وَبَشِّرِ الَّذينَ ءآمَنوا (dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang beriman). Maka jikalau kita tidak gembira, maknanya kita bukanlah orang-orang beriman, bukan? Oleh itu, kalau kita beriman, memang kita sepatutnya akan bergembira.

 

وَعَمِلُوا الصّٰالِحٰتِ

dan mereka yang beramal dengan amalan-amalan yang soleh

Iaitu dengan melakukan amalan sepertimana yang diajar oleh Nabi ﷺ. Allah ﷻ mengkhususkan dalam ayat ini, bukan setakat ‘beriman’ sahaja, tetapi kenalah buat amalan yang baik – amal soleh. Amalan yang soleh dan baik itu adalah apa yang diajar dan dibuat oleh Nabi ﷺ. Bukan yang kita manusia reka sendiri.

Amalan yang diterima hanyalah amalan yang soleh. Bukan ‘amalan’ sahaja, tetapi ‘amalan yang soleh’. Iaitu amalan yang menepati seperti yang diajar oleh Nabi ﷺ. Oleh itu, kalau amalan itu adalah amalan bid’ah seperti yang banyak dilakukan oleh masyarakat Muslim kita sekarang, maka ia tidak diterima. Oleh itu, syarat untuk diterima sesuatu amalan itu mestilah:

Ikhlas
Ikut Sunnah Rasulullah ﷺ

Kalau Allah ﷻ sebut ‘orang-orang yang beriman’ sahaja, ia mungkin termasuk orang-orang yang beriman sedikit sahaja, atau orang munafik, sebab mereka pun mengaku beriman juga. Maka, Allah ﷻ masukkan sekali dengan satu lagi syarat – beramal soleh supaya orang-orang yang tidak beramal itu jangan perasan boleh masuk ke dalam syurga.

Allah ﷻ menggunakan kalimah الصّٰالِحٰتِ yang di dalam bentuk jamak, tetapi jamak yang sedikit. Istilahnya adalah ‘jamak qillah’. Maksudnya tidaklah amal itu kena banyak. Di dalam ayat-ayat yang lain, Allah ﷻ sebut amal yang terbaik. Maka ia memberikan kelegaan kepada kita juga supaya tidaklah kita rasa terbeban dengan rasa terpaksa melakukan amal yang banyak. Kita buat yang termampu sahaja, ikut apa yang kita boleh buat. Bukannya kita kena ikut kuantiti amal orang lain kerana yang terlebih penting adalah kualiti.

Selain daripada syarat ibadah diterima, ada lagi syarat ketika melakukan ibadah itu iaitu kena ada mahabbah dan ta’zim.

Mahabbah bermaksud cinta kepada Allah ﷻ. Bukankah kalau kita cinta kepada seseorang, senang sahaja kita berkhidmat kepadanya? Sebagai contoh isteri kita yang kita cintai meminta kita buat sesuatu, senang sahaja kita buat, bukan? Begitu juga kalau ada rasa cinta kepada Allah ﷻ, maka senang untuk kita melakukan ibadah. Kalau kita tidak ada rasa itu, maka berat bagi kita hendak melakukan ibadah seperti solat contohnya. Maka Allah ﷻ tidak terima ibadah sebegitu seperti firman-Nya di dalam Nisa’: 142 mengutuk solat orang Munafik,

إِنَّ المُنٰفِقينَ يُخٰدِعونَ اللهَ وَهُوَ خٰدِعُهُم وَإِذا قاموا إِلَى الصَّلوٰةِ قاموا كُسالىٰ يُراءونَ النّاسَ وَلا يَذكُرونَ اللهَ إِلّا قَليلًا
Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).

Ta’zim bermaksud mengagungkan Allah ﷻ. Umumnya terbit daripada perasaan kerendahan dan kelemahan dalam diri. Ta’zim kepada Allah ﷻ terbit daripada rasa kehambaan dan kehinaan kepada-Nya. Apabila kita ada rasa ini ketika melakukan ibadah, maka kita akan merendahkan diri di hadapan Allah ﷻ semasa melakukannya dan inilah sikap yang perlu ada. Tidak diterima ibadah daripada orang yang sombong dengan Allah ﷻ. Apabila ada rasa ta’zim ini maka kita akan takut untuk melakukan dosa, terutama sekali meninggalkan ibadah yang wajib kepada-Nya.

 

أَنَّ لَهُمْ جَنّٰتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهٰرُ

bahawa bagi mereka itu kebun-kebun (Syurga) yang mengalir di bawahnya, anak-anak sungai;

Mereka yang layak akan dimasukkan ke dalam جَنّٰتٍ yang dari segi bahasa bermaksud taman-taman. Di dalam bahasa kita dipanggil ‘syurga’. Kalimah ‘syurga’ daripada bahasa Sanskrit suarga atau sawarga. Akhirnya kita menggunakannya menjadi syurga. Kalimah جَنّٰتٍ juga bermaksud seorang penghuni syurga bukan sahaja dapat sebuah taman tetapi banyak taman kerana kalimah جَنّٰتٍ itu di dalam bentuk jamak.

Allah ﷻ sebut ‘sungai-sungai’ mengalir di bawah syurga. Kenapa? Manusia memang sukakan air. Kalau sekarang pun, kalau rumah itu jenis yang ‘oceanview’, harganya akan mahal. Itu adalah kawasan perumahan yang paling mahal. Sebab naluri manusia memang suka kepada air. Yang lagi mahal adalah rumah yang di bawahnya adalah air. Allah ﷻ beri perumpamaan kepada manusia bahawa kalau mereka beriman sempurna, mereka akan diberikan dengan rumah yang amat hebat.

Naluri manusia memang hendakkan tempat tinggal yang baik. Selagi tidak ada rumah, selagi itu mereka rasa tidak lengkap. Ramai yang sanggup berhutang bertahun-tahun asalkan mereka ada rumah yang mereka boleh kata itu adalah rumah mereka sendiri.

Syurga itu adalah taman yang indah tetapi bukan ada pokok-pokok sahaja, malah ada sungai-sungai. Sungai-sungai itu mengalir di dalam syurga itu. Ini amat indah sekali. Tambahan pula kepada bangsa Arab waktu itu yang jarang dapat melihat sungai kerana tempat mereka hanya ada padang pasir sahaja. Maka ini sangat menarik perhatian mereka dan dapat memberi motivasi yang amat tinggi kepada mereka.

Allah ﷻ banyak kali menyebut tentang sungai-sungai di dalam Al-Qur’an untuk memberitahu motivasi kepada kita untuk beriman dan beramal. Ini kerana manusia memang sukakan air seperti sungai. Ramai yang suka berkelah di sungai tetapi kena pergi jauh sebab sungai selalunya jauh dari tempat tinggal kita. Apatah lagi orang Arab yang mungkin tidak pernah melihat sungai pun, dengar cerita sahaja. Maka Allah ﷻ hendak menarik perhatian manusia.

Di sini tidak disebut apakah jenis sungai itu tetapi disebut di dalam ayat yang lain iaitu Muhammad: 15

فيها أَنهارٌ مِّن مّاءٍ غَيرِ ءآسِنٍ وَأَنهٰرٌ مِّن لَّبَنٍ لَّم يَتَغَيَّر طَعمُهُ وَأَنهٰرٌ مِّن خَمرٍ لَّذَّةٍ لِّلشّٰرِبينَ وَأَنهٰرٌ مِّن عَسَلٍ مُّصَفًّى
ada sungai-sungai daripada air yang tiada berubah rasa dan baunya, sungai-sungai daripada air susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai daripada khamr yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai daripada madu yang disaring

Cerita tentang sungai ini pun sudah hebat kerana ia tidak sama dengan sungai di dunia ini. Ini semua untuk menaikkan semangat kita untuk memasuki syurga.

Allah ﷻ kata bahawa Dia boleh berikan rumah yang paling baik kepada mereka. Tidak ada rumah yang lagi baik dari tempat tinggal yang Allah ﷻ akan berikan ini. Tambahan pula, pendengar ayat ini yang awalnya adalah para sahabat yang telah berkorban meninggalkan rumah dan kampung halaman mereka di Mekah untuk berhijrah ke Madinah. Allah ﷻ mahu sejukkan hati mereka dengan mengatakan bahawa mereka akan diberikan rumah yang lebih baik daripada yang mereka tinggalkan itu. Pengorbanan mereka tidak sia-sia.

Apa lagi penerangan tentang syurga? Kita boleh dapat maklumat daripada hadith-hadith Nabi yang banyak tentang hal ini. Antaranya,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا لَنَا إِذَا كُنَّا عِنْدَكَ رَقَّتْ قُلُوبُنَا وَزَهِدْنَا فِي الدُّنْيَا وَكُنَّا مِنْ أَهْلِ الْآخِرَةِ فَإِذَا خَرَجْنَا مِنْ عِنْدِكَ فَآنَسْنَا أَهَالِينَا وَشَمَمْنَا أَوْلَادَنَا أَنْكَرْنَا أَنْفُسَنَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ أَنَّكُمْ تَكُونُونَ إِذَا خَرَجْتُمْ مِنْ عِنْدِي كُنْتُمْ عَلَى حَالِكُمْ ذَلِكَ لَزَارَتْكُمْ الْمَلَائِكَةُ فِي بُيُوتِكُمْ وَلَوْ لَمْ تُذْنِبُوا لَجَاءَ اللَّهُ بِخَلْقٍ جَدِيدٍ كَيْ يُذْنِبُوا فَيَغْفِرَ لَهُمْ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ مِمَّ خُلِقَ الْخَلْقُ قَالَ مِنْ الْمَاءِ قُلْنَا الْجَنَّةُ مَا بِنَاؤُهَا قَالَ لَبِنَةٌ مِنْ فِضَّةٍ وَلَبِنَةٌ مِنْ ذَهَبٍ وَمِلَاطُهَا الْمِسْكُ الْأَذْفَرُ وَحَصْبَاؤُهَا اللُّؤْلُؤُ وَالْيَاقُوتُ وَتُرْبَتُهَا الزَّعْفَرَانُ مَنْ دَخَلَهَا يَنْعَمُ لَا يَبْأَسُ وَيَخْلُدُ لَا يَمُوتُ لَا تَبْلَى ثِيَابُهُمْ وَلَا يَفْنَى شَبَابُهُمْ ثُمَّ قَالَ ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ الْإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حِينَ يُفْطِرُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ يَرْفَعُهَا فَوْقَ الْغَمَامِ وَتُفَتَّحُ لَهَا أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَيَقُولُ الرَّبُّ عَزَّ وَجَلَّ وَعِزَّتِي لَأَنْصُرَنَّكِ وَلَوْ بَعْدَ حِينٍ
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] berkata: Kami berkata: Wahai Rasulullah, kenapa kami bila berada di dekat engkau, hati kami melunak, kami zuhud di dunia dan kami termasuk ahli akhirat, tetapi bila kami bergegas meninggalkan engkau lalu kami bergaul dengan keluarga kami, mencium anak-anak kami, kami mengingkari diri kami sendiri. Rasulullah ﷺ bersabda: “Andai kalian bila pergi meninggalkanku berada dalam keadaan kalian seperti itu, nescaya para malaikat mengunjungi kalian di rumah-rumah kalian dan seandainya kalian tidak berbuat dosa, nescaya Allah menciptakan makhluk baru agar mereka berbuat dosa lalu Allah akan mengampuni mereka.” Berkata Abu Hurairah: Aku berkata: Wahai Rasulullah, daripada apa makhluk diciptakan? Rasulullah ﷺ menjawab: “Daripada air.” Kami bertanya: Syurga, apa bangunannya? Baginda menjawab: Bata daripada perak dan bata daripada emas, simennya minyak kasturi yang harum, tanahnya mutiara dan permata, debunya za’faran, barangsiapa memasukinya, dia bersenang-senang dengan tidak jemu, kekal, tidak mati, baju mereka tidak usang, kemudaan mereka tidak lenyap.” Setelah itu baginda bersabda: “Tiga orang yang doanya tidak tertolak; imam yang adil, orang puasa saat berbuka dan doa orang yang terzalimi, doanya diangkat di atas awan dan pintu-pintu langit dibukakan, Rabb عَزَّ وَجَلَّ berfirman: Demi keperkasaan-Ku, aku akan menolongmu meski setelah selang berapa lama.”
(Jami’ Tirmizi (2449) dengan sanad yang sahih)

Walaupun begitu, hadith-hadith itu sebagai bayangan sahaja kepada kita kerana di dalam hadith yang lain, Rasulullah ﷺ telah bersabda di dalam sebuah Hadith Qudsi,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ أَعْدَدْتُ لِعِبَادِيَ الصَّالِحِينَ مَا لَا عَيْنٌ رَأَتْ وَلَا أُذُنٌ سَمِعَتْ وَلَا خَطَرَ عَلَى قَلْبِ بَشَرٍ قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ وَمِنْ بَلْهَ مَا قَدْ أَطْلَعَكُمْ اللَّهُ عَلَيْهِ اقْرَءُوا إِنْ شِئْتُمْ { فَلَا تَعْلَمُ نَفْسٌ مَا أُخْفِيَ لَهُمْ مِنْ قُرَّةِ أَعْيُنٍ جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ } قَالَ وَكَانَ أَبُو هُرَيْرَةَ يَقْرَؤُهَا مِنْ قُرَّاتِ أَعْيُنٍ
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Allah عَزَّ وَجَلَّ berfirman; “Aku persiapkan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga, dan tidak pernah terlintas pada hati manusia.” Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; “Barangsiapa di antara kalian yang benaknya telah di perlihatkan, maka bacalah, jika kalian mahu: “Seorang pun tidak akan mengetahui apa yang disembunyikan bagi mereka iaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata, sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.” Sajdah: 17.
(Sahih Bukhari (4319))

Syarah: perhatikan susunan hadith ini. Allah ﷻ sebut mata – telinga – hati. Kenapa ikut susunan ini? Kerana mata itu hanya dapat melihat di hadapan sahaja, maka ia terhad. Akan tetapi telinga dapat mendengar dari semua arah, maka ia lebih lagi daripada mata. Namun hati itu dapat membayangkan lebih lagi walaupun benda yang tidak pernah dilihat atau didengari. Allah ﷻ beritahu kita di sini, jangankan mata yang terhad dan telinga yang lebih luas itu tidak pernah lihat dan dengar keadaan di dalam syurga, hati yang lebih luas itu pun tidak akan dapat membayangkan syurga yang amat hebat itu.

 

كُلَّمَا رُزِقُوا مِنْهَا مِنْ ثَمَرَةٍ رِّزْقًا

Setiap kali mereka diberi daripada buah dari syurga sebagai rezeki;

Di syurga nanti, bermacam-macam buah mereka boleh dapat. Bukanlah hanya dapat makan buah sahaja di syurga; tetapi diberikan contoh buah kerana masyarakat Arab sangat suka makan buah. Bukan hanya buah yang mereka pernah lihat di dunia, tetapi buahan yang mereka tidak pernah lihat pun mereka akan dapat juga nanti. Buah-buahan ini semua orang suka dan ia bukanlah makanan yang ruji. Seperti nasi atau roti, bukannya sedap pun kalau dimakan kosong. Namun kita makan kerana ia makanan yang mengenyangkan. Sedangkan buah ini manusia makan bukan untuk kenyang tetapi kerana ia sedap.

Mereka diberi rezeki dengan percuma, tanpa kerja dan tanpa usaha. Kalau di dunia ini rezeki memang daripada Allah ﷻ, tetapi kita tetap kena usaha. Akan tetapi di syurga nanti, memang tunggu sahaja rezeki sampai. Malah tidak perlu usaha untuk makan, kerana semuanya dimudahkan. Hendak makan sahaja, makanan sampai tanpa perlu pergi ke tempat makan, apatah lagi memasaknya. Allah ﷻ beritahu kita di dalam Haqqah: 23

قُطوفُها دانِيَةٌ
buah-buahannya dekat,

 

قَالُوا هَٰذَا الَّذِي رُزِقْنَا مِنْ قَبْلُ

mereka berkata: ini adalah buah yang pernah diberi kepada kami sebelumnya

Mereka kata rezeki itu pernah diberi dahulu kepada mereka. Ada dua kemungkinan: sama ada diberi semasa di dunia dahulu atau telah diberikan di akhirat sebelum itu.

Oleh itu, mungkin penghuni syurga diberi sesuatu yang nampak seperti sama dengan apa yang ada semasa di dunia. Mungkin nampak seperti buah durian, tetapi tentunya rasa yang lain. Ia nampak sama, tetapi rasanya lebih sedap lagi daripada buah durian dunia.

Atau, kalau yang dimaksudkan adalah benda sama seperti yang pernah diterima sebelum itu di syurga juga, maknanya mereka sudah pernah makan. Iaitu ia yang mempunyai rupa yang sama, tetapi apabila diberi lagi, rasanya sudah berlainan kerana ia bertambah sedap lagi.

Kata-kata mereka ini bukan menunjukkan bahawa apabila mereka nampak buah itu, mereka rasa tidak suka sebab dapat buah yang sama. Tidak begitu. Mereka suka apabila nampak buah itu lagi. Sebab mereka sudah pernah makan, dan mereka tahu buah itu sedap sangat. Bukankah pernah kita makan sesuatu yang kita ingat makanan itu sedap, dan apabila kita jumpa lagi, kita mahu makan lagi sebab kita masih ingat kesedapan makanan itu? “Ini aku dah pernah makan ni…. sedap….!”. Tentu ada. Beginilah perasaan mereka.

Mengapa Allah ﷻ menyerupakan buah-buah yang dihidangkan itu dengan apa yang telah diberikan sebelumnya? Tampaknya, agar mereka tidak ragu memakannya, kerana sesuatu yang belum pernah dicuba boleh jadi menimbulkan tanda tanya di dalam benak yang dapat mengakibatkan seseorang enggan mencicipinya.

 

وَأُتُوا بِهِ مُتَشٰبِهًا

dan telah diberikan yang serupa dengannya;

Buah itu nampak seperti sama dengan buah yang mereka pernah rasa dulu. Mereka ingat lagi memang buah itu sedap. Namun, buah-buah yang mereka makan berubah-ubah semakin sedap dan semakin sedap lagi. Ia lebih sedap daripada apa yang mereka pernah makan dulu. Walaupun mungkin nampak sahaja sama.

Kemudian nanti, mereka akan diberikan dengan buah yang nampak sama. Waktu itu pun mereka ingat sedap lagi, sama seperti yang mereka pernah makan, tetapi ia akan jadi lagi sedap lagi. Masya Allah, semoga kita dapat menikmati kenikmatan itu nanti.

Begitu juga dengan orang yang duduk dalam syurga itu sendiri, mereka semakin lama semakin cantik. Semua perkara semakin sedap, semakin wangi dan sebagainya. Tidak akan jemu-jemu, sampai bila-bila.

 

وَلَهُمْ فِيهَا أَزْوٰجٌ مُّطَهَّرَةٌ

Dan bagi mereka itu pasangan-pasangan yang disucikan;

Sebuah rumah tidak lengkap jikalau tidak ada pasangan. Kita makhluk sosial yang suka mempunyai pasangan dan teman. Berkenaan tempat tinggal dan makanan telah disebut dengan hebat tadi. Sekarang, Allah ‎ﷻ sebut yang Allah ﷻ tambah kehidupan yang hebat itu dengan pasangan hidup.

Pasangan pula bukanlah pasangan seperti di dunia iaitu di syurga nanti kita akan diberikan dengan pasangan yang tidak ada perasaan hasad dengki, cemburu, riak dan sebagainya. Tuhan sudah membuang belaka perasaan yang tidak elok itu. Pasangan itu suci dari segi perangai, percakapan mereka dan sebagainya. Ini kerana mereka disucikan oleh Allah. Kalimah مُطَهَّرَةٌ perlu untuk diterjemahkan sebagai bentuk pasif (disucikan) dan bukan suci bersih.

Fizikal mereka juga sempurna. Bau busuk dan tidak menyenangkan tidak langsung ada pada mereka. Kalau wanita, tidak ada haid kerana haid itu adalah sesuatu yang kotor. Tidak ada najis keluar daripada mereka. Dalam syurga, tidak akan ada yang buang najis. Makan banyak mana pun, tidak perlu pergi ke tandas untuk buang air. Ia hanya akan keluar sebagai peluh dan peluh itu berbau wangi.

Oleh itu, pasangan yang diberikan adalah yang suci bersih. Iaitu suci bersih dari segi fizikal dan dari segi akhlak. Tidak ada kekotoran apa-apa seperti pasangan yang di dunia. Malah bukan itu sahaja, akhlaknya pun amat molek sekali. Kerana di dunia, ada orang yang cantik tetapi perangai tidak molek. Kalau kita sayang bagaimana sekalipun, sekali sekala akan menjemukan juga. Kadang-kadang pening kepala kita juga untuk melayan karenah mereka. Namun di syurga kelak, penghuni syurga akan diberi pasangan yang molek fizikalnya dan molek akhlaknya.

Maka memang syurga adalah tempat memuaskan nafsu sahaja. Sampaikan sibuk menikmati segala macam nikmat itu, tidak ingat benda yang lain. Allah ﷻ beritahu keadaan ahli syurga itu di dalam Yaasin: 55

إِنَّ أَصحٰبَ الجَنَّةِ اليَومَ في شُغُلٍ فٰكِهونَ
Sesungguhnya penghuni syurga pada hari itu bersenang-senang dalam kesibukan.

Di dunia tentulah kita tidak dapat semua itu kerana memang dunia adalah tempat ujian dan penuh dengan kekurangan. Janganlah diharap kesempurnaan daripada pasangan kita pula. Tidak akan dapat lagi seperti yang akan ada di syurga itu. Allah ﷻ telah menasihati kita di dalam Nisa’: 19

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ فَإِن كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا
Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).

 

وَهُمْ فِيهَا خٰلِدُونَ

Mereka duduk dalam syurga kekal buat selama-lamanya;

Kalau duduk sebentar pun tidak hebat kerana nikmat yang tidak kekal bukanlah nikmat sebenarnya. Contohnya kita dapat duduk di hotel paling mahal di dunia pun, kita tahu di dalam hati kita yang tempat itu bukan milik kita dan kita akan keluar juga dari hotel itu akhirnya. Mendapat tempat yang kekal menjadi cita-cita semua orang yang normal. Sebab itu ramai yang bergolok gadai untuk membeli rumah daripada menyewa. Kerana kalau duduk rumah sewa, ada kemungkinan kita akan dihalau sekiranya tuan punya mahukan rumahnya itu. Allah ﷻ yang buat kita tahu kehendak kita, maka syurga bukan seperti kehidupan di dunia kerana di syurga ahli syurga akan tinggal untuk selama-lamanya. Penghuninya akan mengecapi kenikmatan selama-lamanya. Tidak ada ketakutan kemungkinan dihalau dari syurga itu. Ahli syurga pun tidak akan berfikir untuk berhijrah dari syurga itu kerana nikmatnya yang hebat. Ini seperti disebut dalam Kahf: 108

خٰلِدينَ فيها لا يَبغونَ عَنها حِوَلًا
Mereka kekal di dalamnya, (dan) tidak ingin berpindah daripadanya.

Di dunia ini, kita tidak boleh kata kita akan dapat tinggal di sesuatu tempat itu sampai bila-bila. Sesiapa pun tidak boleh kata begitu kerana belum tentu lagi dia berterusan di situ. Berapa banyak manusia yang sangka mereka akan tinggal terus di sesuatu negara, tetapi terpaksa meninggalkan negara yang mereka sayangi kerana peperangan dan sebagainya? Berapa ramai yang beli rumah sendiri tetapi terpaksa meninggalkan rumah itu kerana malapetaka seperti tanah runtuh dan sebagainya?

Allah ﷻ beri jaminan bahawa tempat tinggal mereka di Syurga itu nanti adalah yang kekal abadi. Semoga kita semua menjadi ahli Syurga hendaknya. Mereka akan hidup bergembira dalam keredhaan Allah ﷻ. Semoga Allah ﷻ memilih kita untuk memasuki syurga dan tinggal selama-lamanya di sana. Ameen.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 12 Jun 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 24 (Al-Qur’an tidak akan mampu ditiru)

Baqarah Ayat 24: Ayat ini adalah dalam bentuk takhwif ukhrawi – menakutkan manusia dengan balasan azab di akhirat kelak. Allah ﷻ suruh manusia yang sudah dicabar itu untuk berfikir.

فَإِن لَّم تَفعَلوا وَلَن تَفعَلوا فَاتَّقُوا النّارَ الَّتي وَقودُهَا النّاسُ وَالحِجارَةُ ۖ أُعِدَّت لِلكٰفِرينَ

Sahih International

But if you do not – and you will never be able to – then fear the Fire, whose fuel is men and stones, prepared for the disbelievers.

Malay

Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir.

 

فَإِنْ لَّمْ تَفْعَلُوا

Dan sekiranya kamu tidak dapat melakukannya;

Perkataan ‘لَمْ’ dalam ayat ini bermakna perkara yang sudah lepas. Ini bermakna, orang-orang kafir itu telah cuba untuk membuat ayat Al-Qur’an untuk menandingi kehebatan Al-Qur’an. Maka Allah ﷻ ingatkan semula yang mereka memang telah cuba tetapi tidak berjaya, bukan?

 

وَلَنْ تَفْعَلُوا

dan tidak mungkin selama-lamanya kamu dapat melakukannya;

Akan tetapi cubaan mereka itu tidak berjaya. Ini adalah potongan mu’taridah (tambahan) daripada Allah ﷻ untuk beritahu kita satu fakta. Bukan sahaja semasa ayat ini diturunkan di Mekah, malah sehingga ke Hari Kiamat tidak akan ada yang mampu melakukannya kerana bahasa Al-Qur’an bukanlah bahasa manusia biasa, tetapi ia adalah Kalam Allah ﷻ. Allah ﷻ kata: وَلَن تَفعَلوا – kamu tidak akan mampu buat sampai bila-bila kerana ia adalah Kalam Allah ﷻ kerana perkataan لَن itu bermaksud ‘tidak sampai bila-bila’. Allah ﷻ juga telah berfirman di dalam Isra’: 88

قُل لَّٮِٕنِ ٱجتَمَعَتِ ٱلإِنسُ وَٱلجِنُّ عَلَىٰٓ أَن يَأتُواْ بِمِثلِ هَـٰذَا ٱلقُرءَانِ لَا يَأتُونَ بِمِثلِهِۦ وَلَو كَانَ بَعۡضُهُمۡ لِبَعضٍ ظَهِيرًا
Katakanlah: “Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa Al-Qur’an ini, nescaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengannya, sekali pun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain”.

Maka ini adalah hujah daripada Allah ﷻ dan hujah yang sama digunakan untuk membuktikan Tauhid di dalam ayat 22 di mana Allah ﷻ menceritakan benda-benda yang makhluk tidak boleh buat (maka sembahlah Dia sahaja). Sekarang ditunjukkan lagi satu bukti yang manusia memang tidak boleh buat Al-Qur’an sendiri, maka terimalah sahaja yang ia adalah daripada Allah ﷻ, Tuhan yang Satu.

Ayat cabaran dan amaran ini sepatutnya sudah cukup untuk mematahkan hujah orang-orang kafir yang tidak percaya dengan Al-Qur’an. Kalau kita berdebat dengan orang-orang kafir sekarang pun, sepatutnya kita gunakan hujah ini sahaja. Namun malangnya, kerana ramai tidak belajar tafsir Al-Qur’an, tidak memahami Kalam Allah ini, maka mereka tidak mampu berhujah dengan orang kafir. Kita sendiri pun mungkin tidak mampu menunjukkan di mana hebatnya bahasa Al-Qur’an ini.

Lihatlah bagaimana para sahabat yang mampu menyebar agama Islam ke seluruh dunia dengan berbekalkan Al-Qur’an sahaja. Kalau kita faham Al-Qur’an seperti mereka, kita pun boleh menghasilkan usaha sebegitu juga. Kita juga boleh menjadi hebat seperti mereka yang menakluk dunia jikalau kita pun ada pertalian kukuh dengan Al-Qur’an sebagaimana mereka.

Ayat ini juga menjadi dalil bagi kenabian Nabi Muhammad ﷺ. Ini adalah kerana kalau manusia pun tidak boleh buat sama seperti Al-Qur’an, maka takkan Nabi Muhammad ﷺ pula boleh buat? Maka kalau baginda tidak boleh buat, maka dari mana datangnya Al-Qur’an itu kalau bukan daripada Allah ﷻ.

Ia juga menjadi dalil mukjizat Al-Qur’an kerana kehebatannya itu mengalahkan manusia. Al-Qur’an adalah mukjizat yang kekal sampai Kiamat. Para Rasul lain pun ada mukjizat juga diberikan kepada mereka, akan tetapi ia datang dan hilang bersama mereka. Sebagai contoh, kita tidak dapat melihat sendiri tongkat Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Akan tetapi Al-Qur’an ini sentiasa sahaja bersedia untuk kita kaji jikalau ada sesiapa yang hendak kritik kehebatannya. Oleh kerana cabaran ini masih lagi berkuasa sampai ke hari ini, ia juga bermaksud mukjizat ini terbukti sehingga sekarang.

Tentang mukjizat Al-Qur’an ini banyak sekali dikaji oleh para ulama’. Malah di dalam penulisan kita ini juga akan menyebut tentang mukjizat-mukjizat itu apabila sampai ke tempatnya nanti. Di sini kita boleh senaraikan beberapa kehebatan Al-Qur’an:

1. Al-Qur’an mengandungi terlalu banyak ajaran yang merangkumi terlalu banyak topik. Seandainya ada manusia yang meragui Al-Qur’an, maka mereka kena ingat yang turunnya Al-Qur’an ini ketika keadaan manusia tidak banyak ilmu penulisan lagi pada waktu itu. Berbeza dengan zaman sekarang di mana seorang penulis mempunyai banyak sekali bahan rujukan untuk dikaji tentang sesuatu topik, akan tetapi pada zaman itu, bagaimana mungkin Nabi Muhammad ﷺ mampu hendak buat kajian?

2. Al-Qur’an bukan sahaja mengandungi ajaran dan nasihat, tetapi ia juga disampaikan dalam bahasa yang amat indah. Ini tidak dapat tidak, diakui juga oleh para penentang Nabi Muhammad ﷺ dan ajaran Tauhid. Mereka membenci Al-Qur’an, tetapi mereka tidak dapat menolak kehebatannya. Mereka terpesona mendengarnya sampaikan antara cubaan mereka untuk menolak manusia lain beriman adalah dengan menghalang mereka daripada mendengarnya. Mereka juga cuba untuk mengatakan Al-Qur’an itu adalah puisi, akan tetapi itu pun mereka tidak yakin boleh gunakan hujah itu. Ahli puisi zaman itu pun tidak dapat membuat seperti ayat-ayat Al-Qur’an walaupun mereka waktu itu hebat dengan bahasa (sampaikan kalau diminta mereka cipta puisi, saat itu juga mereka boleh terus buat).

3. Al-Qur’an menyebut perkara yang akan terjadi di masa hadapan dan ia benar-benar terjadi. Sebagai contoh, Al-Qur’an menyebut kemenangan Rom ke atas Parsi beberapa tahun sebelum ia berlaku.

4. Al-Qur’an juga menyebut tentang sejarah masa lalu yang tidak diketahui oleh manusia. Sebagai contoh disebut tentang sejarah para Nabi yang tidak diketahui pun oleh ulama’ Ahli Kitab.

5. Al-Qur’an ada menyebut lintasan hati manusia dan orang itu terpaksa mengaku yang memang mereka berkata begitu di dalam hati mereka. Sebagai contoh seperti ayat Mujadilah: 8

وَيَقولونَ في أَنفُسِهِم لَولا يُعَذِّبُنَا اللهُ بِما نَقولُ
Dan mereka mengatakan kepada diri mereka sendiri: “Mengapa Allah tidak menyeksa kita disebabkan apa yang kita katakan itu?”

6. Al-Qur’an mengatakan yang manusia tertentu tidak akan mampu melakukan sesuatu dan memang benar mereka tidak mampu melakukannya. Walaupun kalau difikirkan, boleh sahaja mereka lakukan kalau mereka hendak membuktikan Al-Qur’an telah menipu. Sebagai contoh lihat ayat Jumuah: 7

وَلا يَتَمَنَّونَهُ أَبَدًا
Mereka tiada akan mengharapkan kematian itu selama-lamanya

Sekiranya orang-orang Yahudi itu hendak membuktikan Al-Qur’an menipu, mereka mintalah untuk dimatikan. Akan tetapi mereka tidak berani kerana mereka sebenarnya percaya yang Al-Qur’an adalah kalimah Allah ﷻ dan jikalau mereka benar-benar minta dimatikan, mereka akan mati pada saat itu juga.

7. Ayat Al-Qur’an amat indah untuk didengar. Sama ada orang itu faham bahasa Arab ataupun tidak. Ini kerana ia sangat indah dan menenangkan hati. Sampai sekarang pun kita boleh lihat video-video Non-Muslim pertama kali mendengar Al-Qur’an dan mereka terpesona dengan alunan Al-Qur’an. Ini tidak boleh dibuat-buat.

8. Mana-mana buku, atau mana-mana lagu pun, kalau dibaca berulangkali tentu akan menjadi bosan walaupun pada mulanya ia sangat menyenangkan sekali bagi kita. Namun sebaliknya dengan Al-Qur’an ini, walaupun dibaca beribu kali, ia tetap indah. Sebagai contoh anda telah baca Surah Fatihah semenjak kecil lagi, adakah anda bosan membacanya? Tentu tidak!

9. Kitab-kitab wahyu lain banyak yang hilang, atau kalau ada pun tidaklah di dalam bentuk yang lengkap dengan teks yang asal. Sedangkan Al-Qur’an ini ada di mana-mana dan semuanya sama belaka. Ini adalah kerana Allah ﷻ telah berjanji akan menjaga Al-Qur’an. Salah satu caranya adalah dengan memudahkan manusia menghafalnya sampaikan seluruh dunia ini ada berjuta-juta manusia menghafalnya, tua atau muda. Tidak ada mana-mana buku agama lain yang dihafal sebegini meluas dan banyak sekali.

10. Nasihat dan kata-kata hikmah yang terkandung di dalam Al-Qur’an adalah menyeluruh dan menyentuh banyak perkara yang tidak ada di dalam mana-mana buku lagi.

11. Al-Qur’an bukan ajaran teori tetapi ia telah diamalkan zaman berzaman dan telah mengubah tamadun manusia dalam masa yang singkat. Bayangkan negeri Arab yang tidak bertamadun dan tidak dipandang oleh kuasa besar dunia pada waktu itu, telah menakluk hampir keseluruhan dunia dalam masa yang singkat sahaja. Ini kerana umat waktu itu berpegang teguh dengan ajaran Al-Qur’an yang amat hebat ini.

 

فَاتَّقُوا النَّارَ

maka takutlah kamu akan api neraka;

Allah ﷻ berfirman lagi: “Kalau kamu tidak boleh buat, dan masih lagi degil untuk menerima Al-Qur’an, maka ingatlah yang kamu akan diazab di neraka nanti”. Ini adalah ayat amaran yang keras yang diberikan kepada semua manusia.

Allah ﷻ juga suruh mereka supaya bersedia dengan apa yang mereka ada untuk menyelamatkan diri mereka daripada api neraka. Apa-apa sahaja yang mereka boleh usaha untuk selamatkan diri mereka nanti, gunalah kalau boleh. Ini kerana Allah ﷻ sudah suruh mereka takut kepada Allah ﷻ dalam ayat ini. Sebelum ini diajak takut kepada Allah ﷻ, mereka berdegil tidak mahu. Sekarang bersedialah untuk api neraka itu.

Allah ﷻ tidak suruh pula mereka beriman dengan Al-Qur’an, bukan? Padahal sebelum ini mereka tidak percaya dan setelah gagal untuk membuat satu surah seperti Al-Qur’an, sepatutnya boleh sahaja Allah ﷻ berfirman: ‘Kalau begitu, berimanlah kamu dengan Al-Qur’an’. Akan tetapi tidak Allah ﷻ sebut begitu sebaliknya sebut tentang neraka? Kenapa? Kerana kalau setakat suruh beriman sahaja, ia tidak menakutkan dan tidak menggerakkan mereka. Sebaliknya Allah ﷻ beri ancaman neraka kerana ia lebih menakutkan dan manusia selalunya akan bertindak jikalau mereka takut. Sebagai contoh kalau kerajaan suruh penduduk suatu tempat berpindah kerana di tempat baru akan mendapat peluang pekerjaan dan rumah baru, mungkin ramai yang buat tidak tahu sahaja. Akan tetapi kalau disuruh pindah kerana kawasan mereka itu terancam akan dilanda banjir tidak lama lagi, maka semuanya akan terus berpindah dengan segera.

Di dalam ayat ini juga mengandungi pengajaran kepada kita, untuk menyelamatkan diri dari neraka adalah dengan mengikuti ajaran Al-Qur’an. Bukan setakat baca sahaja, tetapi hendaklah difahami dan diamalkan. Daripada Abu Musa Al Asy’ariy, Rasulullah ﷺ bersabda,

الْمُؤْمِنُ الَّذِى يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَعْمَلُ بِهِ كَالأُتْرُجَّةِ ، طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَرِيحُهَا طَيِّبٌ ، وَالْمُؤْمِنُ الَّذِى لاَ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَعْمَلُ بِهِ كَالتَّمْرَةِ ، طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَلاَ رِيحَ لَهَا ، وَمَثَلُ الْمُنَافِقِ الَّذِى يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَالرَّيْحَانَةِ ، رِيحُهَا طَيِّبٌ وَطَعْمُهَا مُرٌّ ، وَمَثَلُ الْمُنَافِقِ الَّذِى لاَ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَالْحَنْظَلَةِ ، طَعْمُهَا مُرٌّ – أَوْ خَبِيثٌ – وَرِيحُهَا مُرٌّ
“Permisalan orang yang membaca Al Qur’an dan mengamalkannya adalah bagaikan buah utrujah, rasa dan baunya enak. Orang mukmin yang tidak membaca Al-Qur’an dan mengamalkannya adalah bagaikan buah kurma, rasanya enak namun tidak beraroma. Orang munafik yang membaca Al Qur’an adalah bagaikan royhanah, baunya menyenangkan namun rasanya pahit. Dan orang munafik yang tidak membaca Al-Qur’an bagaikan hanzholah, rasa dan baunya pahit dan tidak enak.”
(Sahih Bukhari No. 5059)

Namun begitu kita pun boleh perhatikan yang orang kita ramainya hanya membaca sahaja Al-Qur’an tanpa memahami apa yang mereka baca. Mereka tidak mengambil manfaat pun daripada ajaran Al-Qur’an itu. Kita takut kita akan dikutuk oleh Al-Qur’an nanti. Ini kerana Rasulullah ﷺ bersabda,

وَالقُرْاَنُ حُجَّةٌ لَكَ أَوْ عَلَيْك
“Al Qur’an itu bisa menjadi pembelamu atau musuh bagimu.”
(Sahih Muslim No. 223)

Maknanya kalau kita baca, tetapi kita langgar apa yang kita baca, Al-Qur’an akan menjadi musuh kita di akhirat nanti. Allahu musta’an. Semoga kita menjadi ahli Al-Qur’an dan mendapat bantuan daripada Al-Qur’an, seperti sabda Rasulullah ﷺ,

الصيام والقرآن يشفعان للعبد يوم القيامة
“Puasa dan Al-Quran akan memberikan syafaat pada seorang hamba di hari kiamat kelak”.
(Riwayat Ahmad: 6626, dan al-Hakim: 1/554, hasan li ghairihi)

 

الَّتي وَقودُهَا النّاسُ وَالحِجارَةُ

yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu;

Allah ﷻ beri sedikit gambaran tentang neraka. Allah ﷻ sebut apakah bahan bakar dalam neraka itu; iaitu manusia dan batu. Batu itu terdiri daripada batu-batu berhala Dalil berhala akan dibakar adalah ayat Anbiya’: 98

إِنَّكُم وَما تَعبُدونَ مِن دونِ اللهِ حَصَبُ جَهَنَّمَ أَنتُم لَها وٰرِدونَ
Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah, adalah kayu api Jahannam, kamu pasti masuk ke dalamnya.

Apa salah batu itu sampai dibakar sekali dalam neraka? Allah ﷻ akan bakar batu-batu dalam neraka adalah kerana mereka yang menyembah selain Allah ﷻ akan dimasukkan dengan apa yang mereka sembah itu kerana ada antara mereka yang sembah batu (seperti berhala), maka mereka akan dimasukkan sekali dengan batu yang mereka sembah itu.

Apabila mereka lihat batu itu pun dibakar sekali bersama mereka, maka habislah harapan mereka. Batu yang mereka sembah pun turut dibakar, apatah lagi mereka? Semakin banyak bahan bakar, semakin panas neraka itu. Kerana itulah ahli neraka akan marah kepada ahli neraka yang baru masuk. Ini kerana semakin ramai masuk, semakin banyak bahan bakar dan semakin panas neraka itu. Ini disebut di dalam A’raf: 38

قالَ ادخُلوا في أُمَمٍ قَد خَلَت مِن قَبلِكُم مِّنَ الجِنِّ وَالإِنسِ فِي النّارِ
Allah berfirman: “Masuklah kamu ke dalam neraka bersama-sama umat-umat yang terdahulu daripada kamu, daripada jin dan manusia. Tiap-tiap satu umat yang masuk, mengutuk akan saudaranya (golongannya sendiri);

Yang diseksa itulah yang menjadi bahan bakar api neraka. Api neraka itu tidaklah dapat dibayangkan bahang kepanasannya dek kerana ia terlampau panas. Bagaimanakah perumpamaannya? Daripada Abu Hurairah , sesungguhnya Nabi ﷺ bersabda:

نَارُكُمْ هذِهِ الَّتِي يُوْقِدُ ابْنُ آدَمَ جُزْءٌ مِنْ سَبْعِيْنَ جُزْءًا مِنْ حَرِّ جَهَنَّمَ. قَالُوْا: وَاللهِ إِنْ كَانَتْ لَكَافِيُةً يَارَسُوْلَ اللهِ. قَالَ: فَإِنَّهَا فُضِّلَتْ عَلَيْهَا بِتِسْعَةٍ وَسِتِّيْنَ جُزْءًَا كُلُّهَا مِثْلُ حَرِّهَا.
“Api kamu ini, yang anak cucu Adam menyalakannya adalah satu bahagian daripada tujuh puluh bahagian daripada panasnya neraka Jahanam. “Mereka bertanya: “Demi Allah, sesungguhnya sudah cukup panas, wahai Rasulullah. “Baginda menjawab: “Sesungguhnya dilebihkan atasnya dengan enam puluh sembilan bahagian, semuanya sama seperti panasnya“.
Muttafaqun ‘alaih.
(HR Bukhari 3265, dan Muslim 2843)

 

أُعِدَّتْ لِلْكٰفِرِينَ

yang disediakan khas untuk orang-orang kafir;

Makna perkataan ‘kafir’ itu diambil daripada kata asal ‘ك ف ر’ yang bermaksud ‘dalam tanah’. Orang kafir itu sebenarnya menyembunyikan (tanam dalam-dalam) iman yang sebenarnya telah ada dalam diri mereka. Mereka menolak kebenaran secara degil. Allah ﷻ telah meletakkan fitrah keimanan ke dalam diri setiap insan, tetapi orang-orang kafir tidak mahu mengeluarkannya. Mereka menyembunyikan fitrah keimanan itu dalam diri mereka.

Ayat ini juga menunjukkan bahawa neraka dan begitu juga syurga, telah ada sekarang ini. Sedang menunggu sahaja siapa yang akan masuk ke dalamnya. Ini menolak pendapat mereka yang mengatakan yang syurga dan neraka hanya akan dijadikan selepas Kiamat nanti.

Kenapa Allah ﷻ sediakan siap-siap neraka itu? Bukankah Allah ﷻ boleh sahaja siapkan neraka itu sekelip mata? Allah ﷻ sudah siapkan dan beritahu kita yang ia sudah ada untuk menakutkan kita. Kalau benda belum ada, kuranglah takutnya. Contohnya kita ancam anak kita: “Nanti ayah akan beli rotan untuk rotan kamu!”. Ini tidak menakutkan sangat kerana rotan belum ada. Akan tetapi apa kata kalau rotan itu memang sudah ada di rumah? Tentu ia menakutkan anak itu, bukan?

Apabila kita membaca Al-Qur’an, banyaklah nanti akan bertemu dengan ayat-ayat sebegini, menceritakan dengan neraka dan menakutkan manusia. Mungkin ada yang berkata: “Buku apa ini, asyik hendak menakutkan sahaja?” Kita kena faham bahawa inilah rahmat daripada Allah ﷻ kerana Allah ﷻ beri peringatan kepada kita dari awal lagi. Kerana Allah ﷻ hendak kita menjadi orang yang baik. Antara cara untuk memberi peringatan dan membentuk manusia adalah dengan beri ancaman. Sekiranya tiada ancaman, maka ramai yang ambil enteng sahaja tentang amalan dan perbuatan mereka.

Di dalam ayat ini disebut neraka itu disediakan bagi orang kafir. Namun ada dalil yang memberitahu kita bahawa orang Muslim pun ada juga dimasukkan ke dalam neraka, bagaimana pula? Maka kita kena faham bahawa yang kekal di dalam neraka adalah orang kafir sahaja. Orang Muslim yang mempunyai pegangan Tauhid kalau dimasukkan ke dalam neraka adalah tidak kekal, setakat untuk membersihkan dosa mereka sahaja. Ini disebut di dalam banyak hadith, antaranya,

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِي اللهُ عَنْه عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَدْخُلُ أَهْلُ الْجَنَّةِ الْجَنَّةَ وَأَهْلُ النَّارِ النَّارَ ثُمَّ يَقُولُ اللهُ تَعَالَى أَخْرِجُوا مِنَ النَّارِ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ حَبَّةٍ مِنْ خَرْدَلٍ مِنْ إِيمَانٍ فَيُخْرَجُونَ مِنْهَا قَدِ اسْوَدُّوا فَيُلْقَوْنَ فِي نَهَرِ الْحَيَا أَوِ الْحَيَاةِ شَكَّ مَالِكٌ فَيَنْبُتُونَ كَمَا تَنْبُتُ الْحِبَّةُ فِي جَانِبِ السَّيْلِ أَلَمْ تَرَ أَنَّهَا تَخْرُجُ صَفْرَاءَ مُلْتَوِيَةً قَالَ وُهَيْبٌ حَدَّثَنَا عَمْرٌو الْحَيَاةِ وَقَالَ خَرْدَلٍ مِنْ خَيْرٍ. [رواه البخاري: 21 ومسلم: 270]
“Daripada Abu Sa’id al-Khudri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, daripada Nabi ﷺ baginda bersabda: Penghuni syurga akan masuk syurga dan penghuni neraka akan masuk neraka, kemudian Allah ta’ala memerintahkan: Keluarkan dari neraka orang-orang yang dalam hatinya ada iman seberat biji sawi. Maka dikeluarkanlah mereka dari neraka yang warna (badannya) benar-benar hitam, lalu dimasukkan ke dalam sungai hidup atau sungai kehidupan, lalu tumbuhlah mereka seperti biji yang tumbuh setelah air bah, adakah engkau tidak melihatnya, sesungguhnya ia keluar berwarna kuning yang melilit.”
(Riwayat Bukhari (21) dan Muslim (270))

Di dalam sebuah lagi hadith,

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ مَسْعُودٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنِّي لَأَعْلَمُ آخِرَ أَهْلِ النَّارِ خُرُوجًا مِنْهَا وَآخِرَ أَهْلِ الْجَنَّةِ دُخُولاً الْجَنَّةَ رَجُلٌ يَخْرُجُ مِنَ النَّارِ حَبْوًا فَيَقُولُ اللهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى لَهُ اذْهَبْ فَادْخُلِ الْجَنَّةَ فَيَأْتِيهَا فَيُخَيَّلُ إِلَيْهِ أَنَّهَا مَلْأَى فَيَرْجِعُ فَيَقُولُ يَا رَبِّ وَجَدْتُهَا مَلْأَى فَيَقُولُ اللهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى لَهُ اذْهَبْ فَادْخُلِ الْجَنَّةَ قَالَ فَيَأْتِيهَا فَيُخَيَّلُ إِلَيْهِ أَنَّهَا مَلْأَى فَيَرْجِعُ فَيَقُولُ يَا رَبِّ وَجَدْتُهَا مَلْأَى فَيَقُولُ اللهُ لَهُ اذْهَبْ فَادْخُلِ الْجَنَّةَ فَإِنَّ لَكَ مِثْلَ الدُّنْيَا وَعَشَرَةَ أَمْثَالِهَا أَوْ إِنَّ لَكَ عَشَرَةَ أَمْثَالِ الدُّنْيَا قَالَ فَيَقُولُ أَتَسْخَرُ بِي أَوْ أَتَضْحَكُ بِي وَأَنْتَ الْمَلِكُ قَالَ لَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ضَحِكَ حَتَّى بَدَتْ نَوَاجِذُهُ قَالَ فَكَانَ يُقَالُ ذَاكَ أَدْنَى أَهْلِ الْجَنَّةِ مَنْزِلَةً . [رواه البخاري: 6086 ومسلم: 272)
“Daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: bersabda Nabi ﷺ: Sesungguhnya aku benar-benar mengetahui penduduk neraka terakhir masuk neraka dan penduduk syurga terakhir masuk syurga. Seorang laki-laki keluar dari neraka dengan merangkak, maka Allah memerintahkan (kepada orang itu): “Pergilah dan masuklah ke syurga!” Laki-laki itu mendatangi syurga itu sambil menyangka bahawa syurga itu telah penuh. Lalu dia kembali dan berkata: “Wahai Tuhan aku dapati syurga itu telah penuh.” Allah memerintahkan: “Pergilah dan masuklah ke syurga!” Maka dia mendatanginya sambil menyangka bahawa syurga itu telah penuh. Lalu dia kembali dan berkata: “Wahai Tuhan aku dapati syurga itu telah penuh.” Maka Allah berfirman: “Pergilah dan masuklah ke syurga, maka sesungguhnya (syurga) itu semisal dunia dan sepuluh kalinya atau sesungguhnya syurga itu sepuluh kali dunia.” Laki-laki itu berkata: “Engkau mengejek dan mentertawakanku sedangkan Engkau pemilik(nya).” Aku (Ibnu Mas’ud) melihat Rasulullah ﷺ tertawa hingga tampak gigi gerahamnya. Dan pernah pula dikatakan: “Yang demikian itu adalah penduduk syurga yang paling rendah tingkatannya.”
(Riwayat al-Bukhari (6086) dan Muslim (272))

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 14 Julai 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Maulana Hadi

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 23 (Cabaran tiru Al-Qur’an)

CABARAN DARI AL-QUR’AN

Baqarah Ayat 23: Ada dua konsep utama yang disebut di dalam Al-Qur’an, pertamanya Tauhid dan ini telah disebut di dalam ayat sebelum ini. Yang keduanya adalah Risalah (kenabian) yang akan disebut sekarang. Ayat ini memberi bukti akan kenabian Rasulullah ﷺ yang telah menerima wahyu daripada Allah ﷻ.

وَإِن كُنتُم في رَيبٍ مِّمّا نَزَّلنا عَلىٰ عَبدِنا فَأتوا بِسورَةٍ مِّن مِّثلِهِ وَادعوا شُهَدآءَكُم مِّن دونِ اللهِ إِن كُنتُم صٰدِقينَ

Sahih International

And if you are in doubt about what We have sent down upon Our Servant [Muhammad], then produce a surah the like thereof and call upon your witnesses other than Allah , if you should be truthful.

Malay

Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Qur’an) kepada hamba Kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Qur’an itu, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.

 

وَإِنْ كُنْتُمْ فِي رَيْبٍ مِّمَّا نَزَّلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا

Dan sekiranya kamu ragu-ragu tentang Al-Qur’an yang Kami turunkan ke atas hamba Kami,

Kalimah عَبْدِنَا merujuk kepada Nabi Muhammad ﷺ. Allah ﷻ menggelar Nabi Muhammad ﷺ dengan gelaran ‘hamba Kami’. Tidak disebut nama baginda (walaupun ada surah lain yang sebut nama baginda) dan tidak disebut pangkat baginda (Nabi atau Rasul). Ini adalah kedudukan yang tertinggi yang boleh dicapai oleh seorang makhluk. Nabi Muhammad ﷺ adalah manusia paling mulia dan Allah ﷻ gunakan kalimah ‘hamba’ untuk baginda, maka itu bermaksud status ‘hamba’ adalah status tertinggi bagi manusia. Allah ﷻ puji baginda di sini kerana Nabi Muhammad ﷺ adalah insan yang patuh dan taat kepada Allah ﷻ di dalam segala hal.

Ini menunjukkan bahawa kedudukan hamba daripada Allah ﷻ adalah kedudukan yang tinggi. Ia juga mengajar kita bahawa kedudukan yang tinggi adalah apabila boleh menjadi hamba kepada Allah ﷻ. Berbeza status seorang hamba kepada manusia memang kedudukan yang hina, tetapi kalau dinisbahkan hamba kepada Allah ﷻ, itu adalah kedudukan yang tinggi. Kerana itulah di dalam ayat Furqan: 63, Allah ﷻ memuji hamba yang baik dengan menggunakan kalimah عِبادُ الرَّحمٰنِ.

وَعِبادُ الرَّحمٰنِ الَّذينَ يَمشونَ عَلَى الأَرضِ هَونًا وَإِذا خاطَبَهُمُ الجٰهِلونَ قالوا سَلٰمًا
Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah diri dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandungi) keselamatan.

Menggunakan kalimah ‘hamba’ juga untuk merendahkan kedudukan baginda. Ini penting supaya jangan ditinggikan kedudukan baginda melebihi seorang manusia pula. Nabi Muhammad ﷺ bukanlah Rabb dan juga bukan Nur (cahaya). Begitulah yang terjadi apabila ada yang berlebihan mengangkat darjat baginda sehingga menganggap baginda bukan manusia biasa tetapi dijadikan daripada nur pula sebagaimana mereka yang memegang fahaman sesat ‘Nur Muhammad’ itu.

Kenapakah konsep hamba ini penting? Kerana manusia kalau salah faham, akan meninggikan kedudukan baginda. Ini telah terjadi kepada Nabi Isa , bukan? Bukankah umat Islam ada juga yang sesat yang mengagungkan kedudukan Nabi Muhammad ﷺ terlebih-lebih? Sampai yang ada berdoa kepada baginda, malah paling teruk sekali sampai mengatakan baginda adalah Tuhan!

Allah ﷻ mulakan dengan perkataan وَإِن كُنتُم في رَيبٍ (Dan kalau kamu ada menaruh syak). Iaitu ada yang ragu-ragu dengan wahyu Allah ﷻ kerana Nabi Muhammad ﷺ itu nampak seperti manusia biasa sahaja. Mungkin ada yang susah untuk terima apa yang disampaikan oleh baginda kerana baginda nampak biasa sahaja. Kalimah مِّمَّا نَزَّلْنَا pula bermaksud Al-Qur’an. Al-Qur’an itu hebat, tidak mungkin ia sampai kepada Nabi Muhammad ﷺ pula kata mereka.

Namun Allah ﷻ gunakan kalimah نَزَّلْنَا (Kami turunkan), bukan disebut Al-Qur’an, bukan juga ‘apa yang telah diturunkan’, tetapi ada penekanan ‘Kami’ iaitu Allah ﷻ di situ. Ini kerana Allah ﷻ hendak menekankan yang Al-Qur’an itu diturunkan daripada-Nya, Tuhan kita. Maka ia adalah sesuatu yang hebat dan amat penting kerana bayangkan sekiranya kita mendapat surat daripada seseorang individu yang penting, tentu kita akan ambil perhatian. Apatah lagi surat daripada Allah ﷻ yang mengandungi arahan daripada-Nya, mengandungi panduan hidup untuk keselamatan kita di dunia dan di akhirat. Maka takkan kita buat tidak tahu sahaja?

Musyrikin Mekah mengejek Nabi ﷺ dengan mengatakan Nabi Muhammad ﷺ itu sama sahaja macam mereka, duduk hidup dan makan minum macam mereka sahaja. Banyak ayat-ayat yang disebut dalam Al-Qur’an bagaimana Musyrikin Mekah menolak Nabi Muhammad ﷺ kerana sama seperti manusia lain sahaja, tiada beza, tiada kelebihan yang nyata. Keraguan itu telah dibisikkan oleh syaitan kepada mereka. Macam masyarakat kitalah juga, kalau ada orang yang nampak luar biasa sedikit, boleh buat perkara ajaib, ramai yang percaya kepada guru-guru sesat itu.

Musyrikin Mekah dan golongan munafik nampak Nabi ﷺ itu macam manusia biasa sahaja. Namun tentulah Allah ﷻ menurunkan seorang pendakwah yang sama sahaja dengan manusia yang hendak disampaikan dakwah itu. Maka, hasil daripada bisikan syaitan, mereka telah ragu-ragu kepada Nabi ﷺ. Mereka rasa sepatutnya malaikatlah yang Allah ﷻ turunkan untuk beri peringatan kepada mereka (barulah mereka mahu dengar). Namun cuba fikirkan: Takkan makhluk lain pula dijadikan contoh kepada manusia? Kerana kalau malaikat yang dijadikan pendakwah kepada manusia, tentu manusia akan pasti akan beralasan: Mereka tidak boleh ikut malaikat-malaikat itu kerana malaikat tidak ada nafsu.

Ternyata, memang selayaknya yang diutus untuk menyampaikan dakwah kepada manusia adalah manusia juga.

Penerimaan kepada Nabi Muhammad ﷺ adalah perkara pertama yang perlu diterima oleh masyarakat sebelum dapat menerima tauhid. Maka, hal Nabi hendaklah dijelaskan dengan betul. Inilah kepentingan menerima ilmu Risalah. Ini kerana, apabila boleh terima Nabi Muhammad ﷺ sebagai Rasul, barulah ajaran agama boleh diterima.

Sebelum ini di dalam ayat 2 surah ini telah disebut ذٰلِكَ الكِتٰبُ لا رَيبَ ۛ فيهِ (Kitab Al-Qur’an ini, tidak ada sebarang syak padanya) dan sekarang disebut contoh syak manusia terhadap Al-Qur’an. Yang pertama syak itu adalah Musyrikin Mekah yang menentang Nabi Muhammad ﷺ. Bagi mereka itu, ada cabaran daripada Allah ﷻ terhadap mereka.

Allah ﷻ gunakan kalimah رَيبَ di sini kerana ia adalah jenis ragu-ragu yang tidak ada dasar. Sepatutnya jenis ragu-ragu sebegini senang sahaja untuk dipatahkan dengan sedikit pemikiran. Orang yang ada akal sepatutnya tidak ada رَيبَ terhadap Al-Qur’an, sama ada dia orang Islam atau pun tidak. Ini seperti disebut di dalam Muddaththir: 31

وَلا يَرتابَ الَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ وَالمُؤمِنونَ
dan juga supaya orang-orang yang diberi Kitab dan orang-orang yang beriman itu tidak ragu-ragu (tentang kebenaran keterangan itu);

Ayat ini menyebut tentang orang kafir dan munafik yang ragu dengan Al-Qur’an. Namun bagaimana dengan kita? Adakah kita selamat daripadakeraguan ini? Kalau benar kita tidak ragu, maka kenapa ramai yang tidak baca, faham dan amalkan Al-Qur’an di dalam kehidupan mereka? Kenapa ramai yang buat tidak tahu dengannya? Sampaikan nanti di akhirat Rasulullah ﷺ akan mengadu kepada Allah ﷻ seperti disebut di dalam Furqan: 30?

وَقالَ الرَّسولُ يٰرَبِّ إِنَّ قَومِي اتَّخَذوا هٰذَا القُرآنَ مَهجورًا
Berkatalah Rasul: “Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku menjadikan Al Qur’an itu sesuatu yang tidak diacuhkan”.

Maknanya, masyarakat Islam kita pun ada juga penyakit ragu-ragu ريب ini. Ini dapat dilihat melalui sikap kita terhadap Al-Qur’an. Ini kerana kalau tidak ada penyakit ini, maka kita akan sentiasa bersama dengan Al-Qur’an, bukan?

 

فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِّنْ مِّثْلِهِ

maka kamu bawalah satu surah yang seperti Al-Qur’an

Sebelum kita dapat menerima seseorang sebagai layak untuk melakukan sesuatu, kita kenalah melihat bukti kelayakan seseorang itu bukan? Sebagai contoh, untuk kita berubat dengan seorang doktor, kenalah kita lihat sijil kelayakan dia, bukan? Kita juga mesti pastikan yang sijil dia itu adalah sijil yang asli.

Lalu, bagaimana kita dapat tahu yang Nabi ﷺ itu adalah sebenar-benar Nabi? Maka, Allah ﷻ beri hujjah-Nya dalam ayat ini. Sekiranya kamu ragu dengan apa yang disampaikan oleh Nabi ﷺ itu, maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Qur’an itu. Kalimah yang digunakan di sini adalah سُورَةٍ di dalam bentuk nakirah (umum) dan bukannya السُورَةٍ. Maka boleh pilih mana-mana surah untuk bandingkan. Sekurang-kurangnya tiga ayat kerana sependek-pendek ayat dalam satu surah adalah tiga ayat. Contohnya Surah al-Asr.

Musyrikin Mekah memberi dua tuduhan terhadap Al-Qur’an:

1. Al-Qur’an itu adalah rekaan daripada Nabi Muhammad ﷺ sendiri. Atau,

2. Nabi Muhammad ﷺ dapat Al-Qur’an itu daripada orang lain, yang mereka kata Nabi Muhammad ﷺ belajar dengan orang itu. Atau baginda cedok daripada kitab-kitab yang lain.

Allah ﷻ cabar mereka, kalau tidak percaya, maka buatlah Al-Qur’an itu kalau mereka mampu. Ini kerana kalau mereka kata Nabi Muhammad ﷺ yang manusia itu boleh menghasilkan Al-Qur’an, maka tentunya mereka manusia yang lebih pandai dari segi bahasa, boleh menghasilkan sebuah surah daripada Al-Qur’an juga, bukan? Sebenarnya ini adalah cabaran yang ketiga dan paling kurang kerana sebelum itu telah diberikan cabaran yang lain dan mereka tidak mampu juga. Allah ﷻ telah mencabar mulanya untuk membuat Al-Qur’an yang sama seperti disebut di dalam Isra’: 88

قُل لَّٮِٕنِ ٱجتَمَعَتِ ٱلإِنسُ وَٱلجِنُّ عَلَىٰٓ أَن يَأتُواْ بِمِثلِ هَـٰذَا ٱلقُرءَانِ لَا يَأتُونَ بِمِثلِهِۦ وَلَو كَانَ بَعۡضُهُمۡ لِبَعضٍ ظَهِيرًا
Katakanlah: “Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa Al-Qur’an ini, nescaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengannya, sekali pun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain”.

Kalau satu Qur’an tidak mampu, maka buat sahaja 10 surah seperti disebut di di dalam Hud: 13

أَم يَقولونَ افتَرىٰهُ ۖ قُل فَأتوا بِعَشرِ سُوَرٍ مِّثلِهِ مُفتَرَيٰتٍ وَادعوا مَنِ استَطَعتُم مِّن دونِ اللَّهِ إِن كُنتُم صٰدِقينَ
Bukan itu sahaja kata-kata mereka bahkan mereka menuduh dengan mengatakan: “Dia (Muhammad) yang mereka-reka Al-Qur’an itu! “katakanlah (wahai Muhammad): “(Jika demikian tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan yang sebanding dengan Al-Qur’an itu, dan panggillah siapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya, yang lain daripada Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar”.

Ternyata itu pun tentunya mereka tidak sanggup, maka Allah ﷻ kurangkan kepada sebuah surah sahaja seperti disebut di dalam ayat ini dan juga di dalam Yunus: 38

أَم يَقولونَ افتَرىٰهُ ۖ قُل فَأتوا بِسورَةٍ مِّثلِهِ وَادعوا مَنِ استَطَعتُم مِّن دونِ اللَّهِ إِن كُنتُم صٰدِقينَ
(Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian itu) bahkan mereka mengatakan: “Dia lah (Muhammad) yang mengada-adakan Al-Qur’an menurut rekaannya”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalau demikian, datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Qur’an itu, dan panggillah siapa sahaja yang kamu dapat memanggilnya, yang selain Allah (untuk membantu kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar!”.

Cabaran yang diberi kepada mereka adalah untuk buat ayat-ayat seperti Al-Qur’an dengan menggunakan ketinggian bahasa kerana bahasa Al-Qur’an bukanlah bahasa yang biasa. Salah satunya adalah, Allah ﷻ menghasilkan ayat-ayat hukum dalam bentuk sastera yang indah dibaca. Ini memang hebat dan tidak mampu dilakukan oleh manusia. Lihatlah kalau kita baca buku undang-undang, ia dalam nada tegas sahaja. Untuk tulisan sastera pula, ia tidak mengandungi hukum undang-undang di dalamnya.

Terlalu banyak lagi mukjizat Al-Qur’an yang dikaji oleh ulama zaman berzaman sampai sekarang. Bidang ini dikenali sebagai i’jazul Al-Qur’an. Maka, cubalah buat sebuah surah sahaja yang sama dengan Al-Qur’an itu kalau kamu tidak percaya yang Al-Qur’an itu daripada Allah ﷻ.

 

وَادْعُوا شُهَدَآءَكُمْ

dan kamu panggillah saksi-saksi kamu;

Iaitu panggillah orang-orang yang mahir dalam kalangan kamu. Panggillah sesiapa sahaja. Kalimah yang digunakan di sini adalah شُهَداءَ yang bermaksud seseorang yang hadhir, ada ketika sesuatu itu terjadi, melihat kejadian itu. Kalimah شُهَداءَ selalunya bermaksud ‘saksi-saksi’ kerana orang yang ada dan melihat kejadian sahajalah yang boleh menjadi saksi. Di sini ia bermaksud ‘penolong’ kerana penolong itu kena hadhir untuk menolong.

Allah ﷻ sebut lagi: “Kalau kamu sendiri tak mampu buat, maka panggillah sesiapa sahaja yang kamu rasa boleh tolong kamu.” Nah, kalau tidak sanggup buat sendiri, ajaklah sesiapa sahaja yang kamu sangka boleh bantu kamu. Kalimah شُهَداءَكُم dalam ayat ini boleh bermaksud manusia, sembahan-sembahan mereka seperti berhala yang mereka rasa boleh menolong mereka. Dalam ayat yang lain, Allah ﷻ cabar minta tolong jin sekali kerana kalau perkara yang susah, tentulah mereka memerlukan pertolongan. Tidak kira, boleh panggil sesiapa sahaja untuk tolong mereka.

Di zaman Mekah ataupun di zaman Madinah, bukan sedikit ahli-ahli syair dan ada pula Kahin atau tukang mantra yang dapat mengeluarkan kata tersusun. Namun tidak ada satupun yang dapat menandingi Al-Qur’an. Bahkan sampai kepada zaman kita ini pun bangsa Arab tetap mempunyai pujangga- pujangga besar. Mereka pun tidak sanggup membanding dan mengadakan tandingan daripada Al-Qur’an.

Dr. Thaha Husain, pujangga Arab yang terkenal dan diakui kesarjanaannya dan diberi gelar Docror Honoris Couso oleh beberapa Universiti Eropah, Universiti di Sepanyol, Itali, Yunani, iaitu sesudah dicapainya PHD di Sorbonne, mengatakan bahawa bahasa Arab itu mempunyai dua macam sastera, iaitu prosa (manzhum) dan puisi (mantsur) dan yang ketiga ialah Al-Qur’an. Beliau tegaskan bahawa Al-Qur’an bukan prosa, bukan puisi: Al-Qur’an ialah Al-Qur’an.

 

مِنْ دُونِ اللهِ

selain dari Allah

Mereka puja selain daripada Allah ﷻ, maka mintalah pertolongan kepada sembahan-sembahan mereka yang selain Allah ﷻ itu.

 

إِنْ كُنْتُمْ صٰدِقِينَ

sekiranya kamu benar;

Kalau kamu benar di dalam dakwaan kamu itu, maka bawalah ke mari satu sahaja surah yang seperti surah Al-Qur’an dan ada ciri-ciri Al-Qur’an itu. Ayat ini adalah cabaran daripada Allah ﷻ kepada manusia yang masih tidak percaya. Mereka masih tidak percaya selepas diberikan dakwah kepada mereka. Ayat sebegini dalam bahasa Arab dipanggil تَحَدَّى yang bermaksud ‘tentangan’. تَحَدَّى ini akan berlaku terus sampai ke akhir zaman. Untuk merasai betapa hebatnya tentangan ini dan betapa pula bungkamnya jawapan atas tentangan, sepatutnya kita faham bahasa Arab dan dapat membaca Al-Qur’an itu dengan memahaminya.

Dengan demikian kita akan mencapai keyakinan baru daripada tentangan ini. Bertambah kita mendalaminya, mempelajari sastera-sasteranya dan tingkat-tingkat kemajuannya, maka akan bertambah kita dapat menguasai ilmu bahasa itu, dan bertambah yakinlah kita bahawa tidak dapat akan dikemukakan sebuah surah pun untuk menandingi Al-Qur’an.

Akan tetapi kena ingat, tidaklah cabaran ini diberikan terus kepada orang yang kita mula-mula kita hendak dakwah kepadanya. Kita kenalah memberikan ajaran-ajaran daripada Al-Qur’an dulu. Janganlah kita jumpa orang kafir, kita terus suruh dia buat sebuah surah daripada Al-Qur’an pula. Dia kenal Al-Qur’an pun tidak. Kitalah yang kena kenalkan dahulu Al-Qur’an kepada dia. Allah ﷻ pun tidaklah terus terjah suruh orang kafir buat Al-Qur’an tetapi suruh mereka lihat alam, gunakan fikiran dahulu. Apabila mereka tetap berdegil barulah cabaran ini diberikan kepada mereka untuk suruh mereka berfikir juga.

Ini adalah sebuah cabaran yang hebat. Selalunya kalau manusia yang tulis buku, mereka tidak berani berkata begitu, sebab mereka tahu tentulah ada salah silap dalam penulisannya. Namun kerana cabaran ini datangnya daripada Allah ﷻ, maka Allah ﷻ tahu yang Al-Qur’an itu adalah sebuah kitab yang sempurna dan tidak akan ada yang dapat menandinginya.

Cabaran ini sebenarnya telah disahut oleh orang Kafir. Mereka telah cuba mengadakan ayat-ayat seperti Al-Qur’an. Ternyata sebenarnya ia langsung tidak sama. Ia boleh menipu orang yang tidak tahu tentang Al-Qur’an. Namun kepada mereka yang tahu betapa indahnya bahasa Al-Qur’an ini, mereka akan dapat nampak bahawa apa yang mereka buat itu tidak sama langsung dengan Al-Qur’an.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 14 Julai 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Maulana Hadi

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah