Dalam ayat 5 ini, tidak disebutkan apakah pertolongan yang kita perlukan. Selalunya, jikalau kita minta tolong kepada sesiapa, kita akan sebut apakah pertolongan yang kita perlukan – sama ada bantuan wang atau bantuan tenaga dan sebagainya. Tapi tidak disebutkan dalam ayat ini. Ada beberapa sebab ianya tidak disebut:
-
- Allah Maha Mengetahui apakah yang kita perlukan. Maka tidak perlu disebut lagi.
- Terlalu banyak pertolongan yang kita perlukan sampaikan kalau kita nak senaraikan, akan jadi terlalu banyak.
- Atau permintaan pertolongan ini adalah di kala kita memang sangat-sangat memerlukan pertolongan sehingga tidak sempat kita hendak menyebutnya. Contohnya, kita hampir terjatuh ke dalam gaung. Kita tidak sebut dengan jelas apakah yang kita perlukan sebab waktu itu memang kita memerlukan sangat. Maka kita hanya minta ‘tolong’ sahaja.
Ayat ini ada bersangkutan dengan ayat sebelumnya. Iaitu kita mengaku kita sebagai hamba. Untuk menjadi hamba yang sebenarnya kepada Allah adalah susah, kerana kita selalu terpedaya dengan hawa nafsu dan syaitan. Jadi, perkara pertama yang kita perlukan pertolongan kepada Allah adalah untuk menjadikan kita sebagai hamba yang sebenarnya.
Kaitan dengan ayat sebelumnya
Kita boleh melihat pertukaran penggunaan kata-ganti dalam ayat ini. Dalam tiga ayat pertama Surah Al-Fatihah sebelum ini, kita memperkatakan ‘tentang’ Allah. Sekarang, dalam ayat ini, kita bercakap terus dengan Allah. Kita berkata-kata dengan Allah – ‘Engkaulah’ yang kami sembah, dan kepada ‘Engkaulah’ yang kami memohon.
Penukaran kata-ganti dalam Al-Qur’an ini adalah satu keistimewaan dalam Al-Qur’an dan ianya selalu digunakan dalam banyak ayat. Ianya dipanggil kaedah ‘Iltifat‘. Ini adalah salah satu dari keindahan stail bahasa Arab. Tujuannya adalah untuk menyedarkan dan menarik perhatian pembaca. Ianya menjadikan pembacaan Al-Qur’an lebih menarik. Kalau kita hanya memperkatakan tentang sesuatu dengan satu cara sahaja, lama kelamaan ianya akan membosankan.
Bayangkan kalau sesuatu penulisan yang tiada dialog dan bandingkan penulisan yang ada dialog di dalamnya. Dengan penggunaan iltifat, ianya sesuatu yang memberikan kesan yang menyegarkan pembaca. Kita pun akan lebih berwaspada – lebih berjaga-jaga – kerana tiba-tiba penggunaan kata ganti telah bertukar dan kita akan tertanya-tanya: “Kenapa begini?”. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang tahu nahu bahasa Arab. Otak kita pun berjalan semasa membaca Al-Qur’an.
Mungkin mereka yang tidak tahu bahasa Arab tidak perasan pun perkara ini. Jadi, ini adalah sesuatu yang indah dalam Al-Qur’an. Kalau kita dapat tahu serba sedikit bahasa Arab, ia tentu akan memberikan pemahaman yang lebih dan lebih memberi takjub kepada kita.
Jadi ianya adalah sesuatu yang hebat. Akan tetapi, ada juga orang yang menyerang konsep ini digunakan dalam Al-Qur’an. Mereka kata Al-Qur’an tidak konsisten, sekejap bercakap tentang seseorang, dan kemudian tiba-tiba berkata dengan orang itu pula. Serangan seperti ini mungkin kerana tidak tahu kewujudan kaedah ini atau mereka ada niat jahat yang tersembunyi.
Dalam ayat pertama, kita memuji-muji Allah dengan menyebut sifat-sifatNya. Kita juga dalam tiga ayat pertama itu dapat lebih mengenal lebih lagi siapakah Allah. Selepas kita mengenal Allah, kita menjadi lebih rapat denganNya. Itu adalah salah satu kesan selepas mengenali seseorang. Pepatah Melayu ada mengatakan: ‘tidak kenal, maka tak cinta’.
Begitu juga dengan kita dengan Allah. Tapi, dengan Allah, malah lebih lagi timbul rasa sayang dan rasa takjub kita. Selepas kita mengenaliNya dan mengetahui segala kehebatan Allah yang tidak ada tolok bandingnya, kita tentunya dan sepatutnya, MAHU menjadi dekat kepadaNya. Keinginan untuk menyembahNya sepatutnya semakin meningkat. Ini sepatutnya yang terjadi dengan semulajadi. Tidak perlu dipaksa-paksa lagi.
Pecahan ayat
1. إِيَّاكَ نَعۡبُدُ: Hanya Engkau yang layak kami sembah
2. إِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ: Hanya Engkau yang layak kami minta pertolongan.
Lihatlah susunan dalam Surah Al-Fatihah ini yang amat cantik sekali. Selepas kita menyatakan sifat-sifatNya, barulah kita memperkatakan tentang beribadat kepadaNya. Ini menunjukkan kita sepatutnya beribadat kepada Allah hanya selepas kita mengenaliNya. Oleh itu, kita kena ada ilmu sebelum beribadat. Kenalah kita kenal siapa Allah dulu sebelum kita melakukan ibadat.
Kerana kalau kita tidak kenal, takut-takut kita tidak tahu siapa yang kita sembah. Tapi tentulah kita tidak mengenal Allah secara keseluruhan. Kita tidak berupaya untuk mengenal Allah sepenuhnya – hanya dengan apa yang Allah telah sebutkan tentang DiriNya dalam Al-Qur’an dan daripada hadis Nabi.
Penting untuk kita mengetahui apa kata Nabi tentang Allah, kerana dialah yang paling kenal Allah. Jadi, selain dari ayat-ayat Al-Qur’an, kita kena belajar juga hadis Nabi. Itulah sekurang-kurangnya yang perlu dilakukan oleh seorang Muslim. Ia dikira ilmu asas. Yang lain-lain seperti kitab yang banyak-banyak itu, itu adalah ilmu tambahan. Ada yang mampu belajar lebih lagi.
Dan memang capaian ilmu seorang pun tidak sama dengan seorang yang lain. Tapi kita berusaha setakat mana yang mampu. Kerana kalau kita tidak mengenalNya, ibadah yang kita buat itu tidak bermakna, tidak ada pahala. Kerana kalau kita tidak kenal Allah, kepada siapa kita beribadah itu? Yang lebih malang kalau kita ada andaian yang salah tentang Allah kerana diajar dari ilmu yang bukan datang dari wahyu!
Ayat kelima Surah Al-Fatihah ini adalah ayat yang paling banyak dibincangkan oleh ulama. Mereka mengatakan agama Islam ini berlegar di antara ayat ini. Ini adalah kerana ada dua elemen yang ada dalam ayat ini yang kita akan cuba untuk kupaskan secara ringkas. Kalau kita faham dua konsep yang disebut dalam ayat ini, ianya adalah satu pemahaman yang amat penting sekali. Kerana itulah ulama’ mengatakan ayat ini adalah ayat terpenting dalam surah Fatihah ini.
Ayat ini adalah satu ikrar dari kita di hadapan Allah. Iaitu kita berikrar dan berjanji kepada Allah bahawa kita akan *hanya* beribadat kepada Allah dan *hanya* berdoa kepada Allah sahaja. Ianya adalah satu ikrar yang besar. Bayangkan kita menyebutnya sekurang-kurangnya 17 kali sehari di dalam solat. Kita ulang ikrar itu berkali-kali. Itu pun kalau kita hanya membacanya dalam solat fardhu sahaja. Kalau ditambah dengan waktu lain, maka ia berikrar dengan lebih banyak lagi.
Persoalannya sekarang, adakah kita pegang ikrar dan janji kita itu? Atau adakah kita baca dengan kosong sahaja? Kalau kita baca dengan kosong, maka itulah sebabnya ianya tidak memberi kesan kepada diri kita. Sebab itu ramai yang mengaku nak sembah Allah sahaja, tapi dalam masa yang sama, mereka sembah juga entiti selain Allah (selalunya tanpa mereka sedari). Sebagai contoh, ada yang sembah sultan, padahal baru tadi dalam solat mengaku tak sembah yang lain melainkan Allah sahaja.
Susunan ayat
Ayat ini terdapat susunan yang lain dari kebiasaan susunan bahasa Arab. Kerana kalau hendak disampaikan maksud “kami sembah kepada Engkau”, perkataan ٓنٓعبُدُك boleh digunakan. Iaitu perkataan ‘kamu’ dalam bentuk ك diletakkan di hujung. Tapi susunan dalam ayat ini berlainan. إِيّٓكٓ (hanya Engkau) diletakkan di permulaan ayat. Kenapakah begini?
Pertamanya, ini adalah sebagai menunjukkan adab kepada Allah, di mana disebutkan Allah dahulu kerana Allah lebih mulia.
Keduanya, ini menekankan sesuatu yang eksklusif. Apabila struktur ayat diletakkan berlainan dari biasa, ada maksud yang hendak disampaikan. Iaitu, *hanya* kepada Allah sahaja kita sembah. Dan *hanya* kepada Allah sahaja kita kita memohon pertolongan dan bantuan.
Bukan itu sahaja, perkataan إِيّٓكٓ digunakan dua kali. Sedangkan dalam bahasa Arab, boleh sahaja digunakan ayat sebegini: : إِيَّاكَ نَعْبُدُ ونَسْتَعِينُ dan ia masih satu ayat yang lengkap dan kita pun faham maksudnya. Tapi tidak begitu yang dilakukan oleh Allah. Tentu ada sebab kenapa Allah jadikan begitu. Allah meletakkan ayat dalam Surah Al-Fatihah ini sebegini: إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
Iaitu diulang perkataan إِيَّاكَ sebanyak dua kali sebagai penekanan kepada dua-dua maksud itu: ‘sembah’ dan ‘memohon pertolongan’. Kerana kalau tidak ada إِيَّاكَ sebelum perkataan نَسْتَعِينُ, mungkin boleh diandaikan bahawa perkataan نَعْبُدُ lebih penting dari perkataan نَسْتَعِينُ. Tapi tidak begitu. Sedangkan kedua-dua elemen itu amat penting. Dua-dua elemen itu hendak diberi penekanan oleh Allah. Dan Allah tunjukkan kepentingan keduanya kepada kita dalam susunan perkataan yang digunakan. Ini adalah sebahagian dari ilmu Balaghah.
Ingatlah bagaimana Allah membuatkan kita membaca ayat ini setiap hari sekurang-kurangnya sebanyak 17 kali dalam sehari. Ini adalah kerana ayat ini adalah satu pernyataan dan doa yang amat hebat. Kerana atas sifat rahmat Allahlah yang menyuruh dan memberi peluang kepada kita untuk membaca ayat ini berkali-kali sebagai peringatan untuk kita.
Kerana kalau Allah ajar kita satu doa yang hebat, kita mungkin baca dan mungkin tidak. Mungkin kita ingat untuk baca tapi kemungkinan kita akan lupa. Mungkin kita hanya amalkan sekejap sahaja. Tapi lihatlah Surah Al-Fatihah ini. Sudahnya ianya adalah satu surah yang mengandungi doa yang hebat, Allah telah mewajibkan kita untuk membacanya sebagai satu sistem supaya kita sentiasa ingat dan kita amalkan. Subhanallah!
Kalau kita lihat susunan dalam ayat ini, ia menyebut tentang ‘ibadah’, kemudian baru disambung dengan ‘berdoa’ kepada Allah. Ini adalah kerana ‘doa’ adalah salah satu dari ibadah yang dilakukan oleh kita. Maka, Allah menyebut ibadat dalam bentuk umum sebelum diberikan pengkhususan ibadah, iaitu ‘doa’. Ini adalah kerana doa adalah salah satu dari ibadah.
Allah memerintah makhlukNya untuk beribadat kepadaNya. Tapi hakikatnya, kita tidak akan berupaya untuk melakukan ibadat kepada Allah tanpa bantuan Allah dan rahmat dariNya. Laluan untuk beribadat kepadaNya adalah melaluiNya juga. Tidak ada melalui cara lain.
Oleh itu, kita memohon rahmat dan bantuan dariNya, untuk beribadat kepadaNya dan juga untuk berdoa kepadaNya. Oleh itu, dari sini, kita dapat kesimpulan bahawa tujuan hidup kita adalah beribadat kepada Allah dan cara untuk beribadat kepada Allah adalah melalui bantuan dariNya. Oleh itu, ayat ini menyebut ‘tujuan’ dan ‘cara’ dalam satu ayat.
Ayat ini juga mengajar kita bagaimana cara berdoa. Hendaklah kita memujiNya sebelum kita memohon sesuatu kepadaNya. Apabila kita menyebut kita hendak beribadat kepadaNya, maka itu akan menyebabkan Allah akan memakbulkan doa kita, in sha Allah.
Oleh itu, dalam berdoa, hendaklah kita memulakan dengan memuji-mujiNya dahulu. Oleh itu kita boleh lihat dalam empat ayat sebelum ini, kita memujiNya dan sekarang kita baru hendak memulakan doa kita. Selain dari itu, ada banyak contoh hadis dari Nabi yang menunjukkan sebelum baginda memulakan doa dan memulakan bercakap sesuatu, baginda akan memuji-muji Allah.
Oleh itu, kedua-dua bahagian dalam ayat ini menguatkan satu sama lain dan bersangkut paut. Tentulah tidak sesuai kalau kita menyembah Allah, tapi apabila tiba masa berdoa, kita meminta pertolongan kepada selain dari Allah. Ingatlah, tidak boleh berdoa kepada selain Allah kerana doa itu pun dah satu ibadat. Tapi tadi kita sudah kata nak ibadat kepada Allah sahaja bukan?
Kalau kita berdoa kepada selain dari Allah, maka itu bermakna kita telah beribadat kepada selain dari Allah. Itulah syirik tersembunyi. Yang kadang-kadang kita tidak perasan. Sebab itulah kadang-kadang ada kalangan manusia yang minta kepada selain Allah. Macam orang kita pun ada ramai yang buat. Iaitu mereka melakukan ‘tawasul’. Mereka minta kepada perantaraan dahulu supaya perantara itu akan menyampaikan doa kepada Allah. Itu sudah terkeluar dari ikrar kita untuk berdoa hanya kepada Allah.
Maka kita kena faham apakah tawasul itu dan apakah cara doa yang terus kepada Allah tanpa perantaraan. Itu disebut dan diajar dalam surah dan ayat-ayat yang lain. Dalam Surah Al-Fatihah ini diberikan pengenalan sahaja, tapi pemahaman lengkap kena rujuk kepada ayat-ayat yang lain.
Ayat ini juga menyatakan bahawa kita mengaku kita tiada kuasa pada diri kita dan mengharap *hanya* kepada Allah.
Dua ayat ini boleh memberi kesan kepada roh kita.
1. Buang sifat riya’ dalam diri dengan pemahaman kalimah نَعۡبُدُ. Kerana orang riya’ beribadat kerana nak orang tengok. Mereka melakukan ibadat bukan kerana Allah lagi (atau kerana Allah tapi sudah bercampur dengan niat yang lain). Ayat ini memberi kesan kepada kita dengan mengikhlaskan ibadat kita kepada Allah. Kita melakukan sesuatu ibadah itu hanya kerana Allah.
2. Buang sifat kibr (besar diri) dengan pemahaman kalimah نَسۡتَعِينُ. Kerana kita tahu kedudukan kita yang amat rendah (kerana itu kita mohon doa) – lalu apa yang nak dibanggakan? Kita tidak ada apa-apa, semuanya mengharapkan pertolongan dari Allah.
Ibadah
Apakah maksud ibadah? Penting untuk tahu maksud ibadah. Sebab sudah bercampur baur dengan terma-terma lain yang digunakan sekarang. Agama lain pun pakai kalimah ibadah juga dan kita takut kita faham terma agama lain pula. Kerana agama lain pun ada ibadah juga kepada tuhan mereka. Maka kita kena bezakan ibadah kita dengan ibadah mereka.
Contohnya, kita ada sembahyang, agama Hindu pun ada ‘sembahyang’ juga. Orang Kristian pun ada ‘sembahyang’ mereka juga. Tapi takkan sama antara sembahyang kita dan sembahyang mereka, bukan?
Ibadah itu adalah menyerah diri sebagai hamba. Serah diri dan taat seluruhnya kepada Allah. Dilakukan dengan hati yang ikhlas. Iaitu ada keinginan dalam hati kita untuk berkhidmat kepada Allah. Kalau tidak ada keinginan itu, ianya bukanlah ibadah. Contohnya, seseorang itu nampak macam buat ibadah, tapi dia mungkin dia buat kerana malu dengan orang lain yang buat. Mungkin kerana orang lain ramai-ramai Solat Tarawih, mereka pun oleh kerana malu, ikut juga.
Tapi sebenarnya, mereka tidak ada keinginan untuk beribadah itu. Oleh kerana tidak ikhlas, ibadah itu tidak dikira dan tidak diberi pahala. Oleh itu kena ada cinta kepada Allah. Kena ibadah dalam cinta kepada Allah. Dua-dua kena ada – cinta dan ibadah – Kalau cinta tanpa taat pun tidak cukup. Kerana ada yang kata dan mengaku mereka cinta kepada Allah, tapi tak nampak pun mereka buat ibadat. Sebagai contoh, mereka kata mereka beriman, tapi mereka tak pakai tudung pun. Itu bermaksud mereka tidak taat kepada Allah.
Maka asas ibadah adalah cinta kepada Allah. Hasilnya kita akan taat kepada suruhan dan laranganNya. Dan untuk taat kepada Allah, kita kena ikut Nabi. Kerana dalam Al-Qur’an ada dikatakan kalau kita cinta Allah, maka kena ikut Nabi. Dan apabila kita cinta kepada Allah, kita akan mengharap cintaNya kepada kita.
Kerana kalau kita tidak mengharap cintaNya kembali, itu bukanlah cinta sebenar. Kerana apabila kita mencintai seorang wanita atau lelaki, kita juga mengharapkan cintanya. Dengan manusia, tidak pasti yang mereka akan mencintai kita balik. Tapi kalau dengan Allah, kalau kita mencintaiNya, Dia akan mencintai kita semula.
Melakukan ibadah dan menghambakan diri kepada Allah adalah tujuan hidup kita. Tidak ada kedudukan yang lebih besar dari menjadi hamba kepada Allah. Malangnya zaman sekarang banyak elemen yang menarik kita dari sembah Allah. Ada sahaja yang menyebabkan kita leka dan lalai dengan dunia. Senang sangat untuk mendapatkan hiburan yang melekakan. Tekan sahaja butang, akan keluar lagu di radio dan MP3. Tekan komputer satu dunia boleh keluar dari internet. Ada Facebook, ada Twitter, ada YouTube dan entah apa lagi.
Balik rumah, TV selalunya sudah siap terbuka. Saluran TV beratus channel kita boleh pilih. Dengan iklannya, dengan rancangan yang berbagai-bagai. Semuanya ada potensi untuk menarik perhatian kita. Dan media amat pandai untuk buat rancangan yang menarik minat kita. Mereka pandai psikologi dan tahu bagaimana fikiran manusia berfungsi. Kalau kita tidak sedar kepentingan ibadah, maka semuanya itu kita rasa lebih baik dari menjalankan ibadah kepada Allah.
Kehidupan moden sekarang rasanya sudah semakin sibuk. Setidak-tidaknya masa ibadah kita terbahagi antara kehidupan agama dan kehidupan suka-suka. Ditolak lagi dengan tugas hakiki kita di pejabat dan melapangkan masa dengan isteri, anak-anak dan keluarga yang memang perlu dilakukan, maka makin sedikit sebenarnya ruang masa untuk beribadah kepada Allah. Maka, kita kena sedar kepentingan ibadah supaya kita boleh mencari masa untuk beribadah juga kepada Allah.
Ibadah adalah tujuan hidup kita. Kita mengaku perkara itu dalam ayat ini apabila kita mengatakan إِيَّاكَ نَعۡبُدُ.
Kita juga mengaku bahawa kita adalah hamba Allah. Kerana perkataan نَعۡبُدُ berasal dari perkataan عبد yang bermaksud ‘hamba’. Secara umumnya, semua makhluk adalah hamba Allah, sama ada mereka terima atau tidak, tahu atau tidak. Dalam ayat ini, seorang hamba menyatakan dengan khusus yang mereka mengaku yang mereka adalah hamba Allah.
Inilah yang sepatutnya kita lakukan. Kita sepatutnya terima Allah sebagai tuan kita dan kita adalah hambaNya, dengan rela. Kerana kalau kita tidak mengaku pun, kita ini adalah hambaNya juga. Maka lebih baik kita mengaku dan ingatkan diri kita sendiri kedudukan kita sebagai hamba.
Taat kepada Allah adalah satu-satunya tujuan hidup kita. Itulah tujuan kita dihidupkan. Semasa kita membaca ayat ini, kita mengakuinya dengan rela. Inilah yang sepatutnya terjadi, tapi ada yang mempunyai konflik dengan hal ini. Ada yang sembah Allah tapi dalam masa yang sama, mereka juga mahu kenikmatan dunia yang dilarang.
Dan kadang-kadang kita buat sesuatu yang Allah tak suka. Memang manusia begitu keadaannya, manusia sentiasa melakukan kesalahan. Apa yang perlu kita lakukan adalah sentiasa memohon ampun atas kesalahan dan kesilapan yang kita lakukan setiap hari, sama ada kita sedar atau tidak.
Ianya adalah satu rahmat apabila kita hanya ada satu Tuan sahaja. Bayangkan kalau kita ada lebih dari satu ilah. Susah untuk kita puaskan lebih dari satu. Tambahan pula kalau ramai ilah, tentunya setiap ilah ada kehendak mereka masing-masing. Allah beri perumpamaan seorang hamba yang mempunyai lebih dari satu tuan dalam dalam Zumar:29
ضَرَبَ اللهُ مَثَلًا رَّجُلًا فِيهِ شُرَكَاءُ مُتَشَاكِسُونَ وَرَجُلًا سَلَمًا لِّرَجُلٍ هَلْ يَسْتَوِيَانِ مَثَلًا الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
Allah membuat perumpamaan (iaitu) seorang laki-laki (budak) yang dimiliki oleh beberapa orang yang bersyarikat yang dalam perselisihan dan seorang budak yang menjadi milik penuh dari seorang laki-laki (saja); Adakah kedua budak itu sama halnya? Segala puji bagi Allah tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.
Tentulah amat susah kalau kita ada lebih dari satu tuan. Seorang tuan akan suruh kita buat A dan seorang tuan lagi suruh kita B pula. Tentunya kita tidak dapat memuaskan kedua-dua tuan itu. Tambahan pula kalau A dan B itu berlawanan! Oleh itu, ianya adalah satu rahmat apabila kita hanya disuruh memuaskan Allah sahaja. Kepala tak perlu pening kerana ikut satu arahan sahaja.
Seperti telah disebut tadi, permulaan ibadah adalah cinta kepada Allah. Kita bukan dituntut untuk melakukan amalan sahaja. Itulah hasil dari baca tiga ayat pertama dalam Surah Al-Fatihah sebelum ini. Apabila kita sudah dapat pengetahuan tentang siapakah Allah, maka senang untuk kita cinta Allah dan senang untuk kita beribadah kepada Allah. Kerana kita sudah tahu yang Allah itu Tuhan sekalian alam, Dia bersifat ar-Rahman dan ar-raheem tapi Dia juga mengingatkan kita bahawa Dia akan memberi balasan di Hari Kiamat nanti.
Apabila kita berkata tentang ibadah, kita kena faham skop ibadah itu yang melibatkan beberapa perkara: lidah, hati dan juga tubuh.
Ibadah hati: tahu siapa Allah dan terima Allah sebagai Rabb kita.
Ibadat Lidah: mengucapkan syahadah dan menyampaikan pemahaman itu kepada orang lain.
Ibadat Tubuh: melakukan ibadat seperti solat, puasa, haji dan sebagainya.
Oleh itu, kita kena faham bahawa ibadah itu merangkumi keseluruhan kehidupan kita. Jangan kita sempitkan pemahaman ibadah itu hanya kepada ibadat tubuh seperti solat dan puasa sahaja.
Kefahaman tauhid
Kita juga perlu tahu elemen Tauhid dalam ibadat.
1. Ibadat hanya untuk Allah. Sujud dan taat kepada yang lain adalah syirik.
2. Serah diri hanya kepada Allah. Ikut hanya arahan Allah. Bukanlah kita sembah Allah, tapi kemudian ikut taghut (sesuatu yang menjauhkan kita dari Allah). Hukum hakam yang diterimapakai adalah hanya dari Allah. Kena pakai hukum Allah yang Dia telah tetapkan dan disampaikan melalui RasulNya Nabi Muhammad.
Jangan kita jadi macam orang Kristian dan Yahudi yang pakai hukum dari paderi dan rabai mereka. Sebagaimana kita sekarang banyak pakai kata-kata ustaz dan meninggalkan kata-kata Allah dan Nabi.
3. Cinta hanya kepada Allah. Kalau cinta kepada yang lain, seperti ibubapa kita, isteri kita, anak-anak kita pun, itu adalah kerana Allah juga. Kita juga kena benci apa yang Allah benci. Inilah konsep wala’ wal bara’ (mendekatkan dan menjauhkan).
Apakah yang termasuk dalam ibadah? Itulah melakukan semua perkara yang Allah suka. Dalam setiap perkara dan perbuatan kita, kita kena tahu manakah yang lebih Allah suka. Ini dapat diketahui apabila kita semakin banyak belajar. Kerana kita tidak boleh agak dengan kesukaan dan kegemaran kita sahaja, kerana ia mungkin tidak sama dengan kehendak Allah.
Ibn Qayyim kata, kita kena melakukan ibadat yang sesuai dengan masanya. Sebagai contoh, apabila dilaungkan azan, maka kita kena dengar dan menjawab azan waktu itu, kemudian melakukan solat.
Kerana waktu itu, ibadah yang utama adalah mendirikan solat. Kalau waktu jihad, maka jihadlah ibadat yang sesuai pada waktunya, bukan solat. Waktu tetamu datang bertandang, maka kita kena layan mereka kerana itulah ibadat yang utama waktu itu. Bukanlah waktu tetamu datang, kita buat solat sunat pula.
Contoh ini kita boleh lihat hadis kisah Salman Al Farisi dan Abu Dardak. Kisahnya lebih kurang begini:
Diriwayatkan bahawa suatu ketika beliau pernah menziarahi Abu Darda’, yang dipersaudarakan oleh Nabi dengannya ketika sampai di Madinah. Beliau dapati isteri Abu Darda’ berada dalam keadaan tidak terurus lalu beliau pun bertanya:
“Mengapa dengan engkau ini?”
“Saudaramu tidak lagi menghiraukan dunia ini,” jawabnya.
Bila Abu Darda’ datang, dia menyambut kedatangan Salman dan menjamunya makanan. Salman menyuruhnya makan tetapi Abu Darda’ berkata:
“Aku sedang berpuasa.”
“Aku bersumpah tidak akan makan kecuali engkau juga memakannya.”
Salman bermalam di rumah Abu Darda’. Pada waktu malam, Abu Darda’ bangun tetapi Salman memegangnya lalu berkata:
“Hai Abu Darda’! Tuhanmu mempunyai hak ke atasmu. Keluargamu mempunyai hak ke atasmu dan dirimu juga mempunyai hak ke atasmu. Maka berikanlah hak kepada masing-masingnya.”
Pada waktu subuh, mereka solat berjemaah. Kemudian, mereka keluar menemui Rasulullah SAW dan menceritakan kisah yang telah berlaku. Rasulullah SAW menyokong perbuatan Salman itu.
Kalau perkara mubah (harus) dilakukan kerana Allah, maka ianya adalah juga ibadat. Kita akan mendapat pahala kalau kita lakukan perbuatan itu dengan niat yang baik. Dan kalau kita buat dengan tahu bahawa Allah telah membenarkan kita lakukan itu pun dah dapat pahala. Sebagai contoh, kalau kita berjimak dengan isteri kita pun, kita akan dapat pahala.
Ini adalah kerana Allah telah benarkan perlakuan itu. Ini berdasarkan kepada Hadis Nabi juga. Pakai baju cantik pun satu ibadah juga kerana ianya dibenarkan dalam Islam. Kerana waktu kita pakai baju yang cantik, kita sedang menunjukkan nikmat yang Allah telah berikan kepada kita. Maka, bukanlah kita kena pakai baju yang lusuh dan buruk, kononnya nak tunjukkan tawaduk kita. Itu hanya dilakukan oleh ahli zuhud (ahli sufi) yang jahil sahaja.
Jangan kita jadikan ibadat sebagai adat (kebiasaan) sahaja. Iaitu kita lakukan kerana semua orang buat. Atau kita lakukan kerana malu kalau orang lihat kita tak buat, maka kita lakukan juga walaupun kita tak berniat nak buat. Contohnya, ada orang yang tak sembahyang, tapi sebab semua orang lain sedang solat, dia pun solat juga.
Atau dia lakukan sebagai adat kerana sudah biasa buat dari kecil. Atau seorang wanita pakai tudung kerana dia sudah ‘biasa’ pakai tudung. Kalau dia tak pakai tudung, dia rasa lain. Dia bukan pakai tudung kerana hendak taat kepada Allah. Dia memang sudah buat perkara yang baik, cuma dia kena perbaharui niat dia supaya boleh dapat pahala.
Kita kena ikhlas dalam ibadat kita iaitu yang dilakukan bukan kerana ada kepentingan dunia tetapi untuk mencari redha Allah.
Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya.
Kemaskini: 11 Oktober 2019
Rujukan:
Nouman Ali Khan
Jamal Zarabozo
Benar… untuk mudah melakukan ibadat mesti ada rasa CINTA kepada ALLAH swt. Iaitu ilah dan rabb yang di yakininya
LikeLike