Apakah ibadah yang soleh?
Ada dua syarat untuk ibadat itu diterima.
1. Ibadat yang dilakukan hanya untuk Allah. Inilah maksud ikhlas.
2. Mengikut cara yang Nabi ajar. Barulah dinamakan ibadat yang soleh kalau ianya ada ajaran dari Nabi.
Banyak yang salah faham dengan dua syarat ini. Mereka sangka, kalau mereka melakukan sesuatu itu ikhlas kerana Allah, tentu Allah terima. Itu adalah fahaman yang salah. Dalam Al-Qur’an, berkali-kali Allah memberi isyarat bahawa kena ada dua-dua elemen ini.
Sebagai contoh, dalam Sajdah:19, Allah berfirman:
أَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ فَلَهُمْ جَنَّاتُ الْمَأْوَىٰ نُزُلًا بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh, maka bagi mereka jannah sebagai tempat kediaman, sebagai balasan terhadap apa yang mereka kerjakan.
Dalam Kahfi:88 pula, Allah berfirman lagi:
وَأَمَّا مَنْ آمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا فَلَهُ جَزَاءً الْحُسْنَىٰ وَسَنَقُولُ لَهُ مِنْ أَمْرِنَا يُسْرًا
Adapun orang-orang yang beriman dan beramal saleh, maka baginya pahala yang terbaik sebagai balasan, dan akan kami titahkan kepadanya (perintah) yang mudah dari perintah-perintah kami”.
Dan dalam Asr:3, Allah berfirman:
إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.
Dan banyak lagi ayat-ayat dalam Al-Qur’an yang meletakkan perkataan ‘iman’ dengan ‘amal soleh’. Ini bermakna, dua syarat itu perlu dipenuhi. Kalau ibadat yang tidak ikut amal yang diajar oleh Nabi, itu bukan amalan soleh. Itu adalah amalan yang ‘bidaah‘. Di negara kita, memang tengah kecoh tentang hal ini. Banyak yang sudah faham, tapi banyak lagi yang tidak faham.
Dari pemahaman ini, kita boleh bahagikan manusia kepada 4 golongan:
1. Golongan yang ikhlas dalam ibadat mereka dan dalam masa yang sama, mereka melakukan ibadat ikut cara Nabi. Inilah orang yang faham dan mengamalkan إِيَّاكَ نَعۡبُدُ. Mereka melakukan semua amal kebaikan kerana Allah. Tidak mengharap balasan atau pujian selain Allah. Tidak kisah apa orang lain kata.
Dan dalam masa yang sama, mereka melakukan amalan mengikut sunnah. Bukan mengikut apa yang dicipta oleh manusia. Sebagai contoh, mereka tidak buat Majlis Tahlilan kerana itu tidak pernah dibuat Nabi dan sahabat. Itu adalah satu contoh ibadah yang tidak soleh.
2. Golongan yang tidak ikhlas dan tidak ikut cara ibadat Nabi yang Nabi ajar. Mereka hanya melakukan ibadat yang bidaah dan hanya harap balasan dari manusia, bukan dari Allah. Sudahlah ibadah mereka tidak ikut cara Nabi. Ini adalah seperti mereka yang jadi imam solat Hajat berjemaah, dan dia mengharapkan upah dari dia jadi imam itu.
3. Golongan yang ikhlas dalam melakukan ibadah itu, tapi bukan ikut cara ibadat yang Nabi ajar. Contoh yang paling banyak golongan ini adalah golongan sufi. Contohnya, mereka menerima dan mengamalkan ibadah seperti zikir mereka dari guru-guru mereka, dan ianya bukanlah dari zikir yang Nabi ajar. Mereka memang menjaga bab hati mereka, tapi dari bab amalan mereka tidak jaga.
Mereka terima tanpa usul periksa. Mereka buat begitu kerana mereka sebenarnya tidak berilmu. Mereka senang kena tipu apabila tidak berilmu. Berkemungkinan mereka hendak dekat kepada agama, tapi jalan yang mereka nampak adalah jalan sufi. Mereka terus sahaja sangka itu adalah ajaran dalam Islam, tapi sebenarnya tidak.
Tidak dinafikan mereka memang melakukannya dengan ikhlas kerana mereka memang menjaga hati mereka. Tapi mereka tidak menjaga diri mereka dari melakukan amalan bidaah. Bukan golongan sufi sahaja yang mempunyai masalah ini. Kebanyakan dari masyarakat kita pun ada juga buat amalan-amalan ala sufi tarekat ini kerana ada juga yang mereka dapat sikit-sikit dari kalangan ustaz.
Ini adalah kerana mereka tidak mendapat ajaran yang sebenarnya. Mereka hanya ikut-ikut sahaja apa yang diajarkan oleh guru-guru mereka. Mereka sangka kalau ustaz yang ajar, tentulah benar amalan itu. Yang ustaz itu pun ikut sahaja apa yang dilakukan oleh tok nenek kita dahulu. Mereka sangka ianya betul kerana ramai yang buat.
Mereka juga salah faham dengan konsep ‘ikhlas’. Mereka kata: “kalau ianya ikhlas, tentu Allah terima”. Itu adalah salah faham yang berlawanan dengan ayat Al-Qur’an yang kita telah beri di atas.
4. Golongan yang ikut amalan ibadat cara Nabi tapi tak ikhlas. Mereka alhamdulillah telah melakukan amalan yang Sunnah, tapi malangnya, tidak diterima amal itu. Kerana amalan yang diterima hanyalah amalan yang dilakukan kerana Allah.
Contohnya, mereka melakukan solat tapi hanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada orang yang mereka telah melakukan ibadah. Kepada mereka ini, amalan mereka itu akan dilemparkan ke muka mereka nanti kerana ianya tiada nilai.
Maka memang terdapat salah faham dalam maksud ‘ibadat’ itu. Ada yang sangka ibadat itu hanya yang ibadat ritual sahaja. Seperti solat, puasa, haji dan sebagainya. Padahal konsep ibadat itu lebih luas lagi. Maka oleh kerana mereka telah sempitkan pemahaman ‘ibadat’, maka ada yang buat ibadat yang ritual tapi dalam masa yang sama, mereka buat perkara haram juga.
Kerana mereka sangka mereka telah menyempurnakan tuntutan ibadat dengan solat, puasa dan sebagainya. Kita kena ingat bahawa kita dalam lingkungan ibadat sepanjang 24 jam setiap hari. Iaitu dalam sepanjang kehidupan kita, kita kena taat kepada Allah kerana kita adalah hamba Allah sepanjang masa, bukannya semasa buat ibadah sahaja. Dalam setiap perbuatan kita, kita kena tahu apakah tuntutan Allah dalam perkara itu.
Sebagai contoh, kita tentunya akan makan setiap hari. Maka, kita kena tahu apakah tuntutan Allah dalam hal pemakanan. Adakah ianya wajib, sunat, harus, makruh atau haram? Apabila kita makan mengikut apa yang Allah suruh, maka itu bermakna kita telah menjadikan proses makan itu sebagai satu ibadah kepada Allah; Itulah konsep ibadat yang menyeluruh yang kita diingatkan tentangnya setiap kali kita baca Surah Al-Fatihah ini.
Kerana ianya adalah satu perkara yang amat penting, maka kita diingatkan selalu. Apabila kita faham konsep ibadat ini, maka makan jadi ibadat, tidur jadi ibadat, pergi kerja jadi ibadat, bersama isteri, bersama keluarga jadi ibadat dan macam-macam lagi.
Kembali kepada Allah
Kita kena sedar yang diri kita ini amat lemah. Walaupun kita tahu yang kita kena sentiasa melakukan ibadat kepada Allah, tapi kadang-kadang kita tak dapat capai. Walaupun kita tahu dosa itu amat buruk kesannya kepada kita, tapi kadang-kadang kita terjerumus juga dengan buat dosa. Apabila kita buat dosa, kita sebenarnya telah menzalimi diri kita sendiri. Kerana kalau kita buat dosa, Allah tak terjejas apa-apa. Kita sahaja yang akan menanggung kesan dari perbuatan dosa kita itu.
Tapi kita kena ingat supaya jangan putus asa. Allah tahu kita buat dosa. Sebab kita ini manusia. Apa yang kita perlu lakukan adalah bertaubat kepada Allah. Kita menyesal dari perbuatan dosa kita itu dan kita bertekad untuk tidak melakukannya lagi. Allah suka bila kita sedar yang kita telah berbuat dosa dan melakukan taubat. Allah amat suka kita apabila kita memohon ampun kepadaNya. Allah suka apabila kita kembali kepadaNya.
Sampaikan di dalam satu hadis seperti di bawah ada disebut, yang Allah akan tukar kita dengan makhluk yang lain kalau kita tak buat dosa. Bukanlah Allah suka kita buat dosa. Jangan salah faham pula. Tapi Allah suka kita bertaubat. Kalau kita tidak buat dosa, maka kita tidak bertaubat.
والذي نفسي بيدِه ! لو لم تذنبوا لذهب اللهُ بكم ، ولجاء بقومٍ يذنبون ، فيستغفرون اللهَ ، فيغفرُ لهم
الراوي : أبو هريرة | المحدث : مسلم | المصدر : صحيح مسلم
الصفحة أو الرقم: 2749“Demi Dzat yang jiwaku berada di tangannya, kalau seandainya kalian tidak berdosa maka Allah akan membinasakan kalian dan sungguh Allah akan mendatangkan suatu kaum yang berdosa lalu mereka beristighfar kepada Allah lalu Allah mengampuni mereka”
(Jalur Abu Hurairah Sahih Muslim no 2749)
Padahal, Allah suka kita bertaubat, maka Allah akan tukar dengan makhluk lain yang buat dosa, kemudian bertaubat kepadaNya. Tapi kenalah faham, bukanlah Allah suruh kita sengaja buat dosa, kemudian bertaubat. Kena jelaskan perkara ini, sebab masyarakat banyak yang jahil sekarang. Bila baca hadis, tapi tak faham, macam-macam andaian yang mereka dapat. Kadangkala fahaman mereka macam kapal juga: selalunya ke laut.
Jadi, kalau kita buat dosa tidaklah kita terkeluar dari Islam. Bukanlah seorang hamba itu tidak berdosa langsung. Kita masih lagi hamba Allah walaupun banyak dosa yang kita lakukan.
Tentang Cinta
Salah satu ibadah yang kita hendak sebutkan di sini adalah ‘ibadah cinta’. Kita semuanya ada perasaan cinta, bukan? Tapi ada banyak jenis cinta. Ada cinta semulajadi dan ada cinta syar’i.
Cinta semulajadi adalah cinta yang terbit semulajadi dalam diri kita kerana kita adalah manusia dan Allah telah tanam perasaan itu dalam diri kita. Sebagai contoh, seorang lelaki mencintai seorang perempuan, kepada ibubapa, cinta kepada tanah air, cinta kepada rumah, kepada benda-benda yang cantik dan sebagainya.
Cinta syar’i adalah sesuatu yang Allah suruh kita cinta kepadanya. Sebagai contoh, Allah suruh kita cinta kepada Allah, kepada Nabi, kepada ibu bapa dan sebagainya. Banyak perkara yang Allah suruh kita sayang. Ini kena belajar satu persatu.
Oleh itu, ada dua jenis cinta di sini. Apabila ada pertentangan antara dua cinta ini, cinta syar’i kena lebih kuat lagi. Cinta Syar’i akan mengalahkan cinta semulajadi. Kerana dalam cinta syar’i ada elemen intelek selain dari emosi sahaja. Kerana kadang-kadang cinta semulajadi itu hanya terbit dari emosi sahaja. Dalam buat keputusan, kena pentingkan cinta syar’i.
Sebagai contoh, kita tentunya sayangkan anak kita. Tapi kalau dia menentang ajaran Nabi kita, kita kena pertahankan Nabi kita walaupun kita sayang anak kita kerana cinta kepada Nabi adalah cinta syar’i dan cinta anak itu cinta semulajadi.
Kepentingan bermasyarakat
Dalam ayat ini, Allah telah menggunakan kata ganti diri ‘kami’ semasa kita membaca ayat ini. Allah suruh kita kata begini dan tentunya ada sebab. Ini menunjukkan penekanan tentang kehidupan sosial atau bermasyarakat. Kita disuruh bermasyarakat dan bukan hidup sendiri-sendiri, lebih-lebih lagi dalam hal melakukan ibadah.
Dalam kita melakukan ibadah, bukan hanya kita lakukannya sendirian. Kita disuruh untuk melakukannya bersama-sama orang lain – berjemaah. Inilah cara Islam yang diajar oleh Nabi kepada kita. Bukan macam agama lain. Sebagai contoh, kalau kita lihat para rahib, mereka selalunya akan melakukan ibadat berseorangan.
Kita juga diingatkan yang semasa kita berdoa dengan menggunakan ayat ini, kita bukan membacanya untuk diri kita sahaja. Kita juga mendoakan untuk orang lain juga. Ingatlah bahawa banyak lagi orang lain dalam dunia. Jangan kita ingat nak lepaskan diri kita sahaja. Jangan kita ingat kita sahaja yang berdoa kepada Allah. Jangan kita sangka kita sahaja yang perlu kepada Allah. Ramai lagi yang memerlukan Allah selain dari kita. Allah itu layak untuk dipuja oleh ramai orang. Allah bukan Tuhan kepada diri kita sahaja.
Ada kelebihan kalau ramai orang yang berdoa kepada Allah dalam masa yang sama. Semoga Allah ada makbulkan doa sesiapa yang ramai-ramai itu. Mungkin ada orang doanya dimakbulkan Allah waktu itu. Dan bayangkan apabila orang itu mendoakan untuk semua.
Dan kalau kita termasuk dalam orang-orang yang didoakan olehnya, alangkah beruntungnya kita kalau kita mendapat kebaikan yang didoakan oleh orang itu. Lihatlah bagaimana Allah telah menyusunnya sebegitu rupa. Di mana-mana sahaja ada kebaikan yang Allah telah susunkan untuk kita. Alangkah hebatnya ayat ini. Setiap kali ada orang yang membaca ayat ini, dia akan mendoakan untuk orang lain secara automatik.
Kita mendoakan untuk semua orang kerana kita semua ada tujuan yang sama – menjadi hamba kepada Allah dan beribadat kepada Allah. Apabila kita mendoakan orang lain bersama-sama, ini menimbulkan rasa kekitaan antara kita. Rasa sayang akan timbul kalau kita faham maksud ayat ini. Memang Allah akan menimbulkan rasa sayang sesama orang mukmin. Lihatlah apa yang Allah firman dalam Maryam:96.
Kita juga kena ingat bahawa hidayah itu bukan untuk kita sahaja tapi untuk semua. Kita semuanya mengharapkan hidayah dari Allah.
Doa yang kolektif ini memberi isyarat bahawa memang ada ibadah yang dibuat berjemaah. Walaupun begitu, bukan semua ibadah dibuat beramai-ramai. Ada ibadah yang memang untuk dibuat sendiri. Sebagai contoh, wajib untuk kaum lelaki melakukan solat fardhu berjemaah di masjid.
Dalam masa yang sama, solat sunat tidak boleh dilakukan berjemaah melainkan ada dalil pernah dilakukan oleh Rasulullah. Kena buat sendiri-sendiri kecuali kalau ada solat sunat yang telah pernah dilakukan berjemaah oleh Nabi dan sahabat – sebagai contoh, solat sunat Tarawih memang sunat dilakukan berjemaah.
Oleh kerana kita semua mempunyai tujuan yang sama, maka kita kena tolong sesama kita untuk mencapai tujuan itu. Oleh itu, ayat yang Allah ajarkan kepada kita ini memberikan kepada kita semua ikrar yang sama. Kita ini umat yang satu, maka jangan kita berpecah belah. Jangan kita beza-bezakan antara sesama Muslim.
Jangan ada kumpulan itu dan kumpulan ini. Kita semuanya umat Islam. Jangan ada kumpulan tarekat itu dan ini, kumpulan salafi dan khalaf, kumpulan tabligh dan macam-macam lagi. Amat bahaya apabila kita meletakkan diri kita dalam kumpulan yang berbeza. Kerana nanti akan ada satu perasaan yang kumpulan kita lebih baik dari kumpulan lain. Allah telah beri peringatan kepada kita dalam ayat Mukminoon:53:
فَتَقَطَّعُوا أَمْرَهُم بَيْنَهُمْ زُبُرًا كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ
Kemudian umat Rasul-rasul itu berpecah-belah dalam urusan ugama mereka kepada beberapa pecahan, tiap-tiap golongan bergembira dengan apa yang ada pada mereka.
Inilah bahaya kalau kita ada kumpulan-kumpulan. Tapi sedihnya sekarang, memang ada banyak kumpulan dan kerananya, kita telah berpecah belah. Semua sangka mereka yang benar dan mereka kumpulan yang paling hebat. Semua sangka mereka lebih pandai, lebih baik dari kumpulan lain dan orang lain. Mereka hanya ikut kata ketua mereka sahaja. Sudah tidak ikut dalil yang diberikan oleh pihak yang bukan dari kalangan mereka. Ini adalah amat bahaya sekali.
Oleh itu, kita kena ingat yang kita ini adalah umat yang satu. Kita kena bekerjasama. Kita adalah umat yang satu – Ummah Muslim! Inilah kita diingatkan dengan konsep ini setiap kali kita membaca fatihah.
Konsep Doa
Dalam ayat ini, bahagian pertama kita membaca ‘hanya kepada Engkau kami sembah’ – ini menetapkan kepada kita apakah tujuan hidup kita, mission statement kita. Kemudian kita terus membaca bahagian kedua ayat ini: ‘dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan’. Apakah kaitan antara dua bahagian ini?
Cara untuk mendapatkan tujuan hidup ibadat kita kepada Allah adalah dengan pertolongan Allah. Kita tidak akan dapat mencapainya tanpa pertolongan Allah. Kerana kita amat lemah. Kita baca bahagian pertama dan terus kita mengaku yang kita tak boleh mencapainya tanpa pertolongan Allah. Memang kita hendak beribadat kepada Allah, tapi kita tetap perlukan pertolongan Allah untuk melakukan ibadah itu.
Oleh itu, kita memohon pertolongan Allah untuk membantu kita dalam melakukan ibadat kita. Ini adalah satu faham yang amat penting. Iaitu kita tidak ada daya dan upaya melainkan dengan bantuan Allah. Walaupun dalam melakukan ibadah. Dengan ada faham ini pun sudah dikira satu ibadat (ibadah hati).
Kita memang memerlukan pertolongan Allah dalam segala hal. Kerana kita pun sedar bahawa ada banyak elemen yang mengganggu kita kita dari mencapai tujuan hidup kita untuk beribadat kepada Allah. Iaitu dari nafsu kita sendiri dan dari syaitan. Bisikan nafsu adalah gangguan dalaman dan bisikan syaitan adalah gangguan luaran.
Maka masa baca tu kita berniat memerlukan pertolongan Allah. Dan Allah sudah kata dalam hadis Qudsi tentang ayat ini yang kita akan diberikan apa yang kita minta.
Lepas solat pun kita disuruh doa untuk mendapatkan bantuan Allah dalam melakukan ibadat ini.
“اللَّهُمَّ أعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ، وَشُكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
Ya Allah! Berilah pertolongan kepadaku untuk menyebut nama-Mu, mensyukuri-Mu dan ibadah yang baik kepada-Mu.
Oleh itu, bahagian kedua ayat ini adalah doa dan pengharapan kita kepada Allah.
وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
Dalam kata-kata ini, kita merendahkan diri dengan Allah. Kita Mengaku yang kita tidak ada daya dan usaha tanpa bantuanNya. Walaupun dalam buat perkara yang baik dan amal ibadat pun. Kita hendaklah selalu mengaku kekurangan diri kita ini. Dan kita pun diajar begini dalam doa-doa kita. Sebagai contoh, apabila azan, apabila dilaungkan
حيّ على الصَّلاَه
Marilah mendirikan solat,
dan
حيّ على الفلاح
Marilah menuju kejayaan,
kita diajar untuk jawab:
لا حول ولا قوّة إلّا بالله العلىّ العظيم
Tiada daya dan kuasa melainkan dengan kuasa Allah yang Maha Tinggi dan Maha Agung.
Dalam doa ini menjawab azan ini, kita mengaku yang tidak ada dan kuasa pada kita melainkan dengan kuasa Allah.
Perkara paling utama dalam hidup ini adalah untuk jadi hamba kepada Allah. Bila kita mengaku jadi hamba, maka kita kenalah melakukan ibadat kepada Allah. Maka, permintaan kita yang paling utama adalah minta Allah bantu kita dalam ibadat kepadaNya. Iaitu kita minta Allah bantu kita mencapai tujuan utama hidup kita. Kerana dalam kita berdoa, hendaklah kita meminta perkara yang paling penting sekali.
Dalam hadis Qudsi berkenaan Surah Al-Fatihah ini, Allah telah mengatakan yang hamba yang berdoa dengan doa dalam Fatihah ini, dia akan dapat apa yang dihajatinya. Oleh itu, kita boleh ambil kesimpulan yang doa kita untuk menjadi hamba kepada Allah akan dipenuhiNya.
Cuma tentulah ada perjanjian lain dengan Allah untuk dimakbulkan doa ini. Kalau kita penuhkan tuntutan Allah, Allah akan penuhkan janjiNya itu.
Jadi, ayat ini adalah satu doa sebenarnya. Bukan kita baca kosong sahaja. Kita hendaklah ingat Doa juga adalah satu ibadah. Ramai yang tidak faham bahawa doa adalah ibadah. Lagi banyak ibadah kita buat lagi Allah akan bantu kita. Semakin kita rapat dengan Allah, Allah akan datang lagi dekat kepada kita.
Kita telah sebut bahawa ayat ini adalah satu doa. Tapi tidak disebutkan apa yang kita hendak dalam ayat ini. Ini adalah kerana apa yang kita minta kepada Allah adalah secara umum. Tak sempat kita nak sebutkan satu persatu. Kita mengharapkan pertolongan Allah dalam semua perkara. Dalam semua perkara yang melibatkan dunia dan akhirat. Seperti kita telah sentuh tentang ‘ibadah’ dalam bahagian yang sebelum ini – iaitu Ibadah adalah satu perkara yang menyeluruh. Maka doa pun menyeluruh.
Allah bantu kita dengan berbagai cara. Allah boleh tolong kita dalam dunia dan juga akhirat. Kita tak tahu bagaimana cara Allah akan beri pertolongan itu. Kadang-kadang kita pun tidak sedar bagaimana cara Allah bantu kita. Tapi hendaklah kita tahu bahawa Allah telah membantu kita dengan cara yang kadang-kadang kita tak faham.
Yang sedar pertolongan Allah dalam segenap kehidupan kita adalah mereka yang beriman. Oleh itu, merekalah yang lebih banyak bersyukur kepada Allah. Apabila kita rasa kita telah mendapat nikmat, barulah kita akan senang hendak bersyukur. Tapi ramai yang lalai. Mereka tak perasan ‘tangan’ Allah yang telah membantu mereka dalam segala hal.
Tentunya kita mengharapkan pertolongan Allah dalam semua perkara. Lebih-lebih lagi dalam keadaan susah. Lebih-lebih lagi kalau waktu itu, kita tahu tidak asa sesiapa lagi yang dapat membantu kita melainkan Allah sahaja. Untuk mendapatkan pertolongan Allah, hendaklah kita ingat Allah dalam waktu susah dan senang.
Kalau kita ingat Allah dalam waktu senang, Allah akan tolong kita masa kita sedang susah. Jangan masa susah sahaja baru nak ingat Allah, baru nak minta tolong kepada Allah. Tapi entah berapa ramai yang hanya ingat Allah apabila susah sahaja. Itu adalah amalan orang jahiliah dulu. Bila ada masalah besar, baru mereka minta kepada Allah. Kalau waktu senang, mereka akan minta kepada berhala-berhala mereka.
Bayangkan kalau ada seseorang yang selalu kita minta tolong kepadanya. Dan dia memang selalu menolong kita pun. Tapi, kalau kita hanya berjumpa dengannya apabila kita ada masalah, tentulah dia akan berasa hati – ada masalah baru cari dia. Lama kelamaan, kalau kita susah pun dia sudah tak mahu tolong lagi.
Salah satu syarat supaya doa kita diterima adalah kita seorang yang taat kepada Allah. Kalau kita taat, bukan sahaja Allah akan bantu kita, tapi Allah akan bantu juga orang yang kita sayang. Macam yang telah disebut dalam Surah Kahf. Dalam ayat ke 82, Allah berfirman:
وَأَمَّا الْجِدَارُ فَكَانَ لِغُلَامَيْنِ يَتِيمَيْنِ فِي الْمَدِينَةِ وَكَانَ تَحْتَهُ كَنزٌ لَّهُمَا وَكَانَ أَبُوهُمَا صَالِحًا فَأَرَادَ رَبُّكَ أَن يَبْلُغَا أَشُدَّهُمَا وَيَسْتَخْرِجَا كَنزَهُمَا رَحْمَةً مِّن رَّبِّكَ وَمَا فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي ذَٰلِكَ تَأْوِيلُ مَا لَمْ تَسْطِع عَّلَيْهِ صَبْرًا
Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada “harta terpendam” kepunyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya”.
Kerana ayah mereka soleh, maka Allah telah menjaga harta peninggalannya untuk dua anaknya itu. Begitulah kepentingan kita menjaga amal yang soleh. Bukan sahaja Allah akan menjaga kita, tapi orang yang kita sayang juga. Itulah rahmat Allah.
Allah juga telah berfirman yang mafhumnya, kepada mereka yang bertaqwa, Allah akan memberikan jalan keluar seperti yang disebut dalam ayat At-Talaq:2
وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا
dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),
Cara Allah memakbulkan doa kita dengan berbagai cara: kadang-kadang Allah akan beri apa yang kita minta, dan kadang-kadang Allah akan beri dengan cara lain; sebagai contoh, Allah mungkin akan jauhkan perkara yang boleh merosakkan kita. Contohnya jauhkan kita dari kedudukan tinggi, kekayaan dan sebagainya. Kerana Allah tahu, kalau kita jadi kaya, dapat kedudukan yang tinggi, maka kita tak dapat mengawal diri kita dan kita akan terjerumus ke lembah kehinaan.
Ayat ini mengajar kita untuk hanya memohon pertolongan kepada Allah sahaja. Mintalah hanya kepada Allah dalam semua perkara. Seperti nasihat Nabi kepada Ibn Abbas.
“Wahai budak! Sesungguhnya aku ingin mengajarkan kepadamu beberapa kalimah: Peliharalah Allah, nescaya Dia akan memeliharamu. Peliharalah Allah, kamu akan mendapatiNya bersamamu. Apabila kamu meminta sesuatu, maka mintalah daripada Allah. Apabila kamu meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan daripada Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya jika seluruh manusia berhimpun untuk memberi sesuatu manfaat kepadamu, mereka sekali-kali tidak akan dapat memberikan manfaat itu kepadamu kecuali sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah untukmu. Dan sekiranya mereka berhimpun untuk mendatangkan sesuatu bencana ke atasmu, mereka tidak akan dapat mendatangkannya kecuali dengan sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah ke atas mu. Telah diangkat pena dan telah keringlah lembaran”
(Diriwayatkan dari Ibnu Abbas oleh Imam At Tirmidzi, katanya: Hadith hasan sahih)
Memang hukumnya harus untuk meminta tolong kepada sesama makhluk. Yang harus adalah minta kepada mereka yang boleh beri. Iaitu, orang yang kita minta tolong itu, memang dia mampu nak tolong kita. Sebagai contoh, kita minta dia tolong angkat barang. Atau kita minta dia tolong belikan barang untuk kita. Atau kita minta tolong dia masak untuk kita. Dan sebagainya lagi.
Tapi kalau dalam meminta kepada manusia pun, kita kena cuba untuk elakkan. Kerana tidak elok kalau kita berharap kepada manusia. Kerana mereka pun manusia dan tiada kuasa juga. Apa sahaja bantuan yang mereka nampak pada zahir boleh beri, tidaklah dia boleh tolong kita tanpa keizinan dari Allah jua. Maka dalam minta tolong kepada manusia, dalam masa yang sama kita kena berharap juga kepada Allah. Kita kena faham dalam hati kita yang sebenarnya memberi pertolongan itu adalah Allah sebenarnya.
Dalam masa yang sama, ada permintaan kepada manusia yang haram. Iaitu meminta perkara yang memang mereka tidak ada kuasa. Contohnya, kalau kita minta kepada manusia sama ada yang telah mati atau hidup untuk tambah iman kita, atau beri hidayah. Ini adalah haram kerana iman itu hanya Allah sahaja yang boleh beri. Malangnya, banyak yang minta kepada yang mati.
Begitu juga ramai yang minta ‘berkat’ kepada yang hidup atau yang mati. Ini pun satu kesesatan kerana manusia tidak boleh beri berkat kepada manusia lain. Allah sahaja yang boleh beri berkat. Oleh itu, mintalah keberkatan kepada Allah. Kalau kita minta berkat dari orang lain, itu adalah satu kesyirikan. Kerana kita menganggap orang itu pun boleh beri berkat sama macam Allah juga. Ini adalah syirik kerana menyamakan makhluk dengan Allah.
Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya.
Kemaskini: 11 Oktober 2019
Rujukan:
Nouman Ali Khan
Jamal Zarabozo