Tafsir Surah Maryam Ayat 77 – 82 (Allah hadiahkan syaitan)

Ayat 77:

أَفَرَءَيتَ الَّذي كَفَرَ بِـَٔايَـٰتِنَا وَقالَ لَأوتَيَنَّ مالًا وَوَلَدًا

Sahih International

Then, have you seen he who disbelieved in Our verses and said, “I will surely be given wealth and children [in the next life]?”

Malay

Maka tidakkah engkau merasa hairan memikirkan, akan orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami serta dia berkata: “Demi sesungguhnya, aku akan diberikan harta kekayaan dan anak-pinak pada hari akhirat?”

 

أَفَرَءَيتَ الَّذِي كَفَرَ بِـَٔايَـٰتِنَا

Maka tidakkah engkau merasa hairan memikirkan akan orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat Kami?

Huruf ف dalam perkataan أَفَرَأَيْتَ itu hendak menyampaikan maksud ‘konklusi’. Setelah segala maklumat yang diberikan kepada mereka, apakah konklusinya? Masih ramai lagi yang tidak mahu percaya dengan wahyu.

Mereka masih lagi mahu ingkar dengan ayat-ayat Allah ‎ﷻ. Mereka tidak mahu percaya kerana mereka tidak mahu belajar. Macam orang kita juga, macam-macam ilmu agama mereka telah belajar, tetapi tafsir Al-Qur’an tak pernah belajar lagi.

Keseluruhan makna perkataan أَفَرَأَيْتَ bermaksud: “Boleh percaya tak dengan perbuatan mereka? Boleh percaya tak, yang ada manusia yang tak terima ayat Allah ‎ﷻ? Setelah diberikan petunjuk dari Allah ‎ﷻ dari segi ciptaan Allah ‎ﷻ dan kalamNya?”

Padahal mereka boleh lihat alam ini dan mereka boleh baca ayat-ayat Allah ‎ﷻ. ‘Ayat-ayat’ Allah ‎ﷻ bukan sahaja dalam bentuk ayat-ayat Al-Qur’an sahaja, tetapi termasuk juga dengan tanda-tanda yang ada dalam alam ini (itu pun dipanggil ‘tanda’ juga). Sepatutnya kejadian alam yang amat indah ini, menjadi peringatan kepada manusia bahawa tentunya ada satu Tuhan yang menjadikannya. Tentunya ia tidak terjadi dengan sendiri.

وَقَالَ لَأُوتَيَنَّ مَالًا

serta dia berkata: “Demi sesungguhnya aku akan diberikan harta kekayaan pada hari akhirat

Bukan sahaja mereka ingkar dengan ayat-ayat Allah ‎ﷻ, tetapi mereka mempunyai harapan dan fahaman yang amat salah. Mereka sangka mereka akan diberikan dengan kebaikan kalau benar mereka akan dibangkitkan di akhirat kelak.

Mereka sebenarnya tidak percaya pada hari kebangkitan. Tetapi mereka kata, kalau adapun Hari Kebangkitan, tentunya mereka akan dapat kesenangan kerana mereka telah hidup senang di dunia ini.

Ini adalah fahaman salah kebanyakan manusia. Faham mereka: kalau senang di dunia, maka tentu akan senang di akhirat nanti. Kalau Tuhan sayang mereka di dunia (kerana beri kesenangan kepada mereka), tentulah Tuhan akan sayang juga mereka apabila di akhirat kelak.

Itu sangkaan mereka sahaja. Padahal, kesenangan hidup di dunia bukanlah tanda yang mereka itu disayangi Allah ‎ﷻ kerana kekayaan itu adalah ujian sahaja. Kalau tanda Allah ‎ﷻ sayang itu senang di dunia, tentulah para Nabi dan para sahabat semua kaya raya belaka, bukan?

Asbabun Nuzul ayat ini: seorang sahabat Nabi ﷺ yang bernama Khabab رضي الله عنه telah meminjamkan sejumlah wang kepada seorang lelaki yang musyrik. Apabila Khabab minta dipulangkan wangnya, lelaki itu tak mahu pulangkan duit Khabab melainkan Khabab tinggalkan agama Islam. Dia nak gunakan wang itu untuk menyuruh Khabab tinggalkan Islam.

Tentunya Khabab tidak mahu. Khabab marah dan terus berkata yang dia tak akan tinggalkan Islam dan beliau berkata kepada lelaki itu untuk tunggulah balasannya pada hari kebangkitan. Lelaki itu kata, kalau dia akan dibangkitkan, dia akan bayar Khabab apabila dia dibangkitkan. Dia kata dia akan dapat kekayaan juga di sana sebab, kalau di dunia dia sudah banyak harta, tentunya dia juga akan dapat kekayaan juga di akhirat. Khabab menceritakan kejadian ini kepada Nabi ﷺ, maka itulah diturunkan ayat ini.

Orang Islam sekarang pun ramai yang merasa mereka akan dapat balasan yang baik di akhirat kelak. Kenapa mereka rasa begitu? Kerana ada kalangan mereka yang banyak beri derma kepada anak yatim, orang susah dan sebagainya.

Sebagai contoh, mereka akan beri banyak derma semasa mereka jadi wakil rakyat. Lebih-lebih lagi apabila musim pilihanraya. Namun apakah niat mereka semasa beri derma itu? Adakah mereka ikhlas? Tentunya kita tidak dapat tahu hati manusia. Tetapi, kalau nak tahu mereka ikhlas atau tidak, kita lihat apabila mereka tidak jadi wakil rakyat lagi. Kalau selepas berhenti menjadi wakil rakyat, mereka sudah tidak menderma lagi, maknanya mereka tidak ikhlas semasa memberi itu – mereka hendakkan sokongan undi sahaja.

Jadi, apabila mereka telah beri banyak derma, mereka sangka bahawa mereka akan mendapat balasan yang baik. Mereka sangka mereka sudah banyak pahala kerana mereka telah banyak memberi. Namun mereka lupa, sedekah yang tidak ikhlas tidak akan dikira. Ini adalah satu contoh bagaimana ada orang yang sangka mereka akan mendapat kebaikan di Akhirat kelak.

وَوَلَدًا

dan anak-pinak”

Ayat ini bukan sahaja sahaja bermaksud ‘anak-anak’ sahaja. Boleh juga bermaksud ‘ramai pengikut’. Orang yang menentang wahyu itu berbangga kerana di sisinya ada ramai orang. Mungkin ramai ahi keluarga, ramai hamba atau ramai pekerja.

Bukan lelaki musyrik itu sahaja yang berfahaman begini. Zaman sekarang pun banyak yang berfahaman begini. Sebagai contoh, ada pemahaman dalam Kristian yang mengatakan tanda tuhan sayang kepada seseorang itu adalah tuhan akan memberikan kemewahan kepada seseorang itu. Oleh itu, mereka akan mencari harta sebanyak mungkin kerana mereka sangka dengan banyak harta, itu menunjukkan yang tuhan sayang mereka.

Ini adalah kefahaman yang salah. Tidaklah menjadi petanda yang kalau Allah ‎ﷻ beri kemewahan kepada seseorang itu, bermaksud dia akan mendapat balasan yang baik di akhirat kelak. Kekayaan dan kemiskinan adalah ujian dari Allah ‎ﷻ. Miskin itu ujian, kaya juga ujian. Ia bukanlah petanda nasib mereka di akhirat kelak. Kalau dia kaya, tetapi dia salah gunakan kekayaannya itu, dia akan disoal di akhirat kelak.

Ayat ini adalah pengulangan konsep salah faham manusia dengan kekayaan dunia. Mereka sangka kalau mereka beruntung di dunia, mereka akan beruntung juga di akhirat. Kisah ini disebut dalam Surah Kahf tentang bagaimana seorang lelaki yang telah diberikan harta yang banyak berupa kebun yang hebat semasa di dunia. Dia juga merasa bahawa dia akan mendapat kelebihan juga di akhirat kerana dia rasa dia istimewa di dunia.


 

Ayat 78: Allah ‎ﷻ menempelak dan mengejek mereka yang berkata begitu.

أَطَّلَعَ الغَيبَ أَمِ اتَّخَذَ عِندَ الرَّحمٰنِ عَهدًا

Sahih International

Has he looked into the unseen, or has he taken from the Most Merciful a promise?

Malay

Adakah dia telah mengetahui akan perkara yang ghaib, atau adakah dia telah membuat perjanjian dengan (Allah) Ar-Rahman mengenainya?

أَطَّلَعَ الْغَيْبَ

Adakah dia telah mengetahui akan perkara yang ghaib,

Mereka boleh lihat alam ghaibkah sampai mereka tahu yang mereka akan selamat? Perkataan طَّلَعَ bermaksud ‘mengintai’. Atau bermaksud memanjat gunung dan mengintai dari atas.

Maksudnya: Adakah mereka sudah naik intai keadaan di syurga dan telah nampak tempat duduk mereka di akhirat kelak? Adakah mereka nampak istana mereka yang kononnya mereka akan dapat di syurga kelak? Tentu tidak ada. Tidak ada sesiapa yang boleh lihat alam ghaib. Maka itu adalah angan-angan kosong mereka sahaja.

أَمِ اتَّخَذَ عِندَ الرَّحْمَٰنِ عَهْدًا

atau adakah dia telah membuat perjanjian dengan (Allah) Ar-Rahman mengenainya?

Kalimah عَهْدًا bermaksud suatu perjanjian, seperti kontrak. Allah ‎ﷻ menempelak mereka, adakah mereka tahu sangatkah tentang akhirat sampai berani kata begitu? Mereka sudah yakin sangat yang mereka akan selamat? Mereka ada perjanjian dengan Allah ‎ﷻ yang mengatakan mereka pasti akan selamat?

Kalimah الرَّحْمَٰنِ diulang sekali lagi dalam ayat ini. Banyak sekali sifat Allah ‎ﷻ ini ditekankan dalam Surah Maryam ini, sampaikan 16 kali disebut. Berbagai-bagai nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan yang disebut dalam surah ini. Ini adalah untuk mengingatkan kita betapa Allah‎ ﷻ telah banyak memberi kepada kita.

Kalau Allah ‎ﷻ telah banyak memberi kepada kita, kenapa kita tidak menyembahNya sahaja? Kenapa kita tidak ikut apa yang Allah ‎ﷻ telah arahkan kepada kita? Kalau manusia yang banyak berbudi dengan kita pun, kita segan dengan mereka, ikut kata mereka, sayang mereka, apatah lagi Allah ‎ﷻ yang telah memberikan segalanya kepada kita? Adakah sesiapa yang beri lebih banyak daripada Allah ‎ﷻ? Tentu tidak ada.


 

Ayat 79: Dalam ayat sebelum ini, Allah ‎ﷻ tanya adakah mereka boleh nampak kedudukan mereka di akhirat kelak. Allah ‎ﷻ beri jawapannya dalam ayat ini.

Allah ‎ﷻ jawab kerana kalau tak jawab, mungkin ada yang kata boleh jadi mereka akan dapat apa yang mereka kata itu. Allah ‎ﷻ tak beri ruang langsung untuk timbul kebarangkalian itu. Maka, Allah ‎ﷻ jawab dengan sejelas-jelasnya:

كَلّا ۚ سَنَكتُبُ ما يَقولُ وَنَمُدُّ لَهُ مِنَ العَذابِ مَدًّا

Sahih International

No! We will record what he says and extend for him from the punishment extensively.

Malay

Tidak sekali-kali! Kami akan menulis apa yang dikatakannya, dan Kami akan tambahi baginya dari azab seksa, berganda-ganda.

كَلَّا

Tidak sekali-kali!

Tidaklah mereka boleh nampak nasib mereka di akhirat kelak dan tidaklah mereka ada perjanjian dengan Allah ‎ﷻ yang mengatakan mereka akan dapat itu dan ini apabila mereka mati nanti.

Perkataan ‘kalla’ ini digunakan untuk menidakkan apa yang telah disebut sebelum ini dan menguatkan apa yang hendak dikatakan selepas ini.

سَنَكْتُبُ مَا يَقُولُ

Kami akan menulis apa yang dikatakannya,

Sebaliknya, semua perbuatan mereka akan ditulis. Dalam Surah Kahf ada disebut bagaimana orang yang malang akan kehairanan dengan betapa terperincinya Kitab Amalan nanti. Semua akan ditulis, kecil dan besar semuanya akan ditulis. Dan akan ditunjukkan kembali segala apa yang mereka telah katakan. Ini disebut dalam ayat 49 surah Kahf.

Kalau kita ingat ini, tentulah kita akan takut untuk berbuat kesalahan. Tentulah kita takut untuk bercakap benda-benda yang tidak patut. Nak buat dosa kecil pun kita takut.

وَنَمُدُّ لَهُ مِنَ الْعَذَابِ

dan Kami akan memanjangkan azab seksa baginya,

Mereka telah diberi masa yang panjang di dunia, maka mereka akan diberikan masa azab yang panjang. Semasa di dunia, mereka telah diberi masa panjang untuk mereka bertaubat dan kembali kepada Islam.

Orang seperti Abu Sufyan dan Khalid al Walid telah mengambil peluang itu dan menjadi Muslim yang baik. Walaupun bertahun mereka menentang dan berperang dengan Nabi ﷺ namun akhirnya mereka memeluk Islam.

Tetapi, kepada mereka yang tidak mengambil peluang itu, masih lagi berterusan dalam kekufuran, maka mereka akan dikenakan azab yang panjang, azab yang berkekalan. Setiap kali mereka rasa azab mereka akan berakhir, azab itu akan ditambah lagi, ditambah lagi. Begitulah nasib mereka nanti. Mereka sangka mereka akan masuk syurga, tapi akhirnya mereka akan masuk neraka.

مَدًّا

Yang amat lama.

Ini adalah ayat penegasan (maf’ul mutlaq) untuk menekankan betapa masa mereka diazab itu adalah amat panjang. Mereka akan rasa bahawa azab itu tidak berhenti-henti dek kerana lamanya azab itu.

Kadang-kadang, ada penjenayah di dunia diberikan 500 tahun hukuman penjara (kerana dicampur semua kesalahan dia). Tetapi itu tidak mungkin dapat dilakukan kerana penjenayah itu akan mati dalam masa 10 tahun sahaja. Namun, di akhirat kelak, hukuman sebegitu boleh dikenakan kepada manusia yang ingkar, malah lebih lagi kerana penghuni neraka tidak mati-mati.


 

Ayat 80:

وَنَرِثُهُ ما يَقولُ وَيَأتينا فَردًا

Sahih International

And We will inherit him [in] what he mentions, and he will come to Us alone.

Malay

Dan Kami akan warisi (harta benda dan anak-pinak) yang dikatakannya itu, dan dia akan datang kepada kami dengan seorang diri.

وَنَرِثُهُ مَا يَقُولُ

Dan Kami akan warisi apa yang dikatakannya itu,

Allah ‎ﷻ maha tahu apa yang mereka kata. Padahal semua malaikat yang menulis amalan kita semua sudah mati. Iaitu apabila Allah ‎ﷻ sudah matikan semua makhluk termasuk malaikat. Tapi Allah ‎ﷻ tetap tahu.

Apakah yang dia kata dulu? Dia kata dia akan dapat balasan kekayaan dan anak pinak yang ramai kerana dia ada banyak harta dan banyak anak pinak semasa di dunia. Dia amat berbangga dengan apa yang dia ada.

Yang dia banggakan itu akan diambil oleh Allah ‎ﷻ akhirnya. Apabila dia meninggal nanti, dia akan tinggalkan hartanya dan anaknya dan semua itu akan diambil oleh Allah ‎ﷻ. Itulah maksud ‘warisi’.

Sebagai contoh, apabila kita mati, harta-harta kita akan diwarisi oleh orang yang selepas kita. Tetapi Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini, semuanya itu akhirnya akan diwarisi oleh Allah ‎ﷻ.

وَيَأْتِينَا فَرْدًا

dan dia akan datang kepada kami dengan seorang diri.

Sebelum ini dia banggakan anak-anak dan penyokongnya yang ramai. Anak-anak dan penyokong itu semua akan melarikan diri daripada dia pada hari kiamat. Dia akan datang berjumpa Tuhan berseorangan sahaja, tanpa ada sesiapa yang teman dia dalam keadaan telanjang bulat. Tiada siapa yang akan menolong.

Tiada siapa lagi yang akan memberi sokongan. Ini ada disebut dalam Abasa:34 dan seterusnya. Ada disebutkan bagaimana manusia akan melarikan diri daripada orang yang mereka kenal.


 

Ayat 81: Kenapa mereka jadi begitu? Allah ‎ﷻ beritahu kita dalam ayat ini.

وَاتَّخَذوا مِن دونِ اللَّهِ ءَالِهَةً لِّيَكونوا لَهُم عِزًّا

Sahih International

And they have taken besides Allah [false] deities that they would be for them [a source of] honor.

Malay

Dan mereka (yang kafir) menyembah benda-benda yang lain dari Allah sebagai tuhan-tuhan, supaya benda-benda yang mereka sembah itu menjadi penolong-penolong yang memberi kemuliaan dan pengaruh kepada mereka.

وَاتَّخَذُوا مِن دُونِ اللَّهِ ءآلِهَةً

Dan dulu mereka menyembah benda-benda yang lain dari Allah sebagai ilah-ilah,

Ada manusia yang sembah berhala. Ada yang sembah tuhan-tuhan selain Allah ‎ﷻ. Itu adalah mereka yang jelas kekafiran mereka. Namun, malangnya mereka yang mengaku beragama Islam, ada juga yang menyembah selain Allah ‎ﷻ. Dalam mereka sembah Allah ‎ﷻ, mereka sembah dan puja entiti-entiti lain.

Mereka puja wali, malaikat dan Nabi. Mereka beri salam kepada malaikat, Nabi dan wali. Mereka berharap kepada entiti-entiti itu walaupun sebenarnya kita sepatutnya hanya berharap dengan Allah ‎ﷻ. Mereka berdoa kepada entiti-entiti itu sebagai wasilah. Mereka sudah tidak berdoa terus kepada Allah ‎ﷻ.

Kalau kita tanya kepada orang Hindu pun, mereka bukan sembah patung itu, tapi ‘dewa’ yang ada dalam patung itu. Dewa itu pula, pada fahaman mereka adalah seperti malaikat pada fahaman kita. Mereka pun tahu bahawa bukan dewa itu yang menyempurnakan hajat mereka. Tapi mereka mengharapkan supaya dewa itu menyampaikan doa mereka itu kepada tuhan yang satu.

Fahaman itu sama sahaja dengan fahaman kebanyakan dari orang kita. Mereka minta ustaz doakan hajat mereka. Ustaz itu akan bertawasul kepada Nabi, wali atau malaikat. Supaya Nabi, wali atau malaikat itu menyampaikan doa itu kepada Allah ‎ﷻ. Maka ini sama sahaja akidah mereka dengan akidah Hindu!

Jangan kita sempitkan آلِهَةً itu hanya merujuk kepada sembahan seperti berhala sahaja, tuhan yang jelas disembahi sahaja, macam Vishnu, Buddha, Jesus dan sebagainya. Tapi kita kena tafsir آلِهَةً sebagai sembahan, pujaan, harapan. Sebagai contoh, ada yang sudah sampai memuja Nabi Muhammad ﷺ, bukan setakat memuji lagi.

Ada yang berzikir kepada Nabi Muhammad ﷺ tanpa sedar. Diulang-ulang pujian mereka kepada Nabi, macam berzikir. Ada yang mengharap kepada entiti lain seperti puak tarekat yang berdoa kepada wali-wali mereka. Mereka rasa kalau doa terus kepada Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ tak dengar. Itu adalah kerana mereka telah salah anggap kepada Allah ‎ﷻ.

Mereka ‘buruk sangka’ yang Allah ‎ﷻ tidak mendengar doa mereka kerana mereka orang yang jauh dari Allah ‎ﷻ. Padahal, Allah ‎ﷻ tidak pernah pun kata Dia tidak menerima doa orang yang berdosa. Tambahan pula, dalam Al-Qur’an, Allah ‎ﷻ berkali-kali suruh kita doa terus kepadanya, dan Allah ‎ﷻ larang kita menggunakan perantaraan.

Itu semua adalah contoh-contoh ‘ilah’ kepada manusia. Bukan hanya sembah berhala sahaja yang syirik tapi banyak perkara lagi. Kalau kita sangka berhala sahaja yang dilarang sembah, maka sedaplah hati kita. Sebab kita perasan kita selamat kerana tidak sembah berhala. Padahal kita ada juga buat syirik dengan perkara yang lain.

Kebanyakan dari kita sangka ayat-ayat Al-Qur’an tentang larangan  syirik itu hanya ditujukan kepada agama lain sahaja. Padahal, yang baca Al-Qur’an itu kita. Ingatlah bahawa ayat Al-Qur’an ditujukan kepada kita belaka. Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan kita supaya jangan jadi macam orang kafir yang salah faham dan salah sangka dalam agama kerana dalam kalangan Muslim pun ada banyak salah sangka tentang Allah ‎ﷻ dan buat syirik tanpa mereka sedari.

لِّيَكُونُوا لَهُمْ عِزًّا

supaya benda-benda yang mereka sembah itu menjadi penolong-penolong yang memberi kemuliaan dan pengaruh kepada mereka.

Kalimah عِزًّا bermaksud ‘sumber kekuatan dan kekuasaan’. Mereka mahukan kekuasaan di dunia. Mereka mahu disanjung di dunia. Oleh kerana itu mereka menjadikan pujaan-pujaan mereka itu sebagai pelindung-pelindung mereka.

Sebagai contoh, mereka rasa kalau ada orang yang berniat tidak baik dengan mereka, pujaan-pujaan mereka itu akan melindungi mereka. Kalau nak buat sesuatu yang penting, mereka sangka pujaan-pujaan itu akan menolong mereka memudahkannya. Jadi, kalau orang Islam pun ada fahaman bahawa ada entiti lain yang boleh begitu selain dari Allah ‎ﷻ maka kita pun sama sahaja dengan mereka itu.

Sebagai contoh, ramai yang buat sesuatu di kubur-kuburan yang dikatakan ‘kubur wali’ dan mereka sangka kerana mereka selalu melawat, sembelih itu ini, buat ibadah itu ini di kuburan itu, ‘tok wali’ dalam tanah itu akan bantu mereka.

Jangan sangka kalau kita sudah beragama Islam, kita boleh buat sesuka hati kita sahaja. Jangan sangka kita sudah selamat dan pasti masuk syurga. Jangan terus sangka ajaran tok-tok guru kita yang selama ini sudah lama diamalkan terus betul belaka.

Sebagai orang yang prihatin dengan agama, kenalah kita periksa balik dan bandingkan dengan dalil daripada Al-Qur’an dan sunnah. Janganlah kita bodoh sangat sampai terima sahaja bulat-bulat.

Orang-orang yang sesat itu sangka mereka boleh dapat kuasa dengan menggunakan entiti-entiti ini. Sebagai contoh, guru-guru tarekat akan ajar tawasul kepada wali dan Nabi. Mereka kata manusia tidak layak berdoa terus kepada Allah ‎ﷻ. Mereka kata kena doa melalui perantaraan. Mereka sahaja yang cipta fahaman yang salah itu. Kemudian akan ditanya bagaimana pula caranya untuk berdoa?

Maka mereka juga yang reka caranya – kena buat begini, begitu. Sebab amalan itu mereka dimestikan direka kaifiat yang baru, sebab dalam sunnah tidak ada. Dan untuk mendapatkan cara itu, kena belajar dengan mereka. Memang sudah kena belajar dengan mereka sebab orang lain tak tahu kerana memang tidak ada dalam syarak.

Contohnya kalau saya reka satu ciptaan baru, anda kenalah datang belajar dengan saya sebab saya yang reka ciptaan itu. Begitu jugalah amalan-amalan bid’ah dan sesat ini. Kena belajar dengan mereka yang menciptanya. Tapi tentulah tidak percuma nak belajar, mestilah ada kosnya.

Dan kemudian mereka kata doa itu akan lebih mantap lagi kalau mereka sendiri dijadikan perantaraan juga kerana kononnya mereka lebih rapat dengan perantaraan-perantaraan itu. Jadi anak murid mereka akan bertawasul kepada mereka, mereka pula akan bertawasul kepada wali, malaikat dan Nabi. Apabila kena melalui mereka, maka mereka berkuasa dan kosnya pun lebih lebat lagi!

Malangnya ramai anak murid mereka yang jahil itu sanggup melakukan segalanya untuk mereka. Itulah sebabnya kalau anda belajar tarekat seperti tarekat Naqsyabandiah, mereka akan membayangkan wajah guru mereka dalam mereka berdoa kerana mereka iktikad bahawa guru mereka itu akan menyampaikan doa itu kepada wali, dan wali itu akan menyampaikan doa itu kepada Allah ‎ﷻ. Ini adalah amalan syirik.


 

Ayat 82:

كَلّا ۚ سَيَكفُرونَ بِعِبادَتِهِم وَيَكونونَ عَلَيهِم ضِدًّا

Sahih International

No! Those “gods” will deny their worship of them and will be against them opponents [on the Day of Judgement].

Malay

Tidak sekali-kali! Bahkan benda-benda yang mereka pertuhankan itu mengingkari perbuatan mereka menyembahnya, dan akan menjadi musuh yang membawa kehinaan kepada mereka.

كَلَّا

Tidak sekali-kali!

Itu semua adalah fahaman yang sesat sama sekali. Semua cara-cara itu salah dan jauh terpesong dari agama. Apa yang mereka ajar itu adalah ajaran salah dan sesat. Maka jangan tertipu dengan hujah-hujah batil mereka. Mereka akan memberikan hujah yang hanya menggunakan akal sahaja.

Perkataan ‘kalla’ adalah menidakkan dengan kuat apa yang telah disebut sebelum ini dan menguatkan apa yang akan disebut selepasnya. Maka ini adalah penegasan dari Allah ‎ﷻ. Maka kita kena periksa amalan-amalan yang sedang diajar dalam masyarakat, dari mana datangnya.

سَيَكْفُرُونَ بِعِبَادَتِهِمْ

Bahkan benda-benda yang mereka pertuhankan itu akan mengingkari perbuatan mereka menyembahnya,

Mereka yang disembah itu tidak mengaku yang mereka disembah. Yang disembah akan kata mereka tak pernah suruh pun mereka disembah. Mereka yang menyembah sahaja yang memandai-mandai.

Macam Imam-imam Syiah, mereka itu semua baik, tapi mereka tidak pernah mengaku pun mereka itu Imam Syiah. Penganut Syiah sahaja yang telah tertipu oleh syaitan dan melantik mereka itu sebagai imam mereka dan dijadikan wasilah dalam doa.

Sebagai contoh lagi, Jesus akan kata, baginda tidak pernah suruh pun penganut Kristian untuk sembah baginda. Ini ada disebut dalam Surah Maidah, Ayat 116 dan seterusnya.

وَإِذْ قَالَ اللَّهُ يَا عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ أَأَنْتَ قُلْتَ لِلنَّاسِ اتَّخِذُونِي وَأُمِّيَ إِلَٰهَيْنِ مِنْ دُونِ اللَّهِ ۖ قَالَ سُبْحَانَكَ مَا يَكُونُ لِي أَنْ أَقُولَ مَا لَيْسَ لِي بِحَقٍّ ۚ إِنْ كُنْتُ قُلْتُهُ فَقَدْ عَلِمْتَهُ ۚ تَعْلَمُ مَا فِي نَفْسِي وَلَا أَعْلَمُ مَا فِي نَفْسِكَ ۚ إِنَّكَ أَنْتَ عَلَّامُ الْغُيُوبِ

Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa ibni Maryam! Engkaukah yang berkata kepada manusia: `Jadikanlah daku dan ibuku dua tuhan selain dari Allah? ‘ “Nabi `Isa menjawab: “Maha Suci Engkau (wahai Tuhan)! Tidaklah layak bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak (mengatakannya). Jika aku ada mengatakannya, maka tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku, sedang aku tidak mengetahui apa yang ada pada diriMu; kerana sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib.

Itu adalah contoh bagaimana Nabi Isa عليه السلام sendiri menolak sembahan-sembahan mereka yang menyembahnya. Yang selainnya juga akan berkata begitu juga. Dalam Yunus:28 ada disebut perkara ini:

وَيَوْمَ نَحْشُرُهُمْ جَمِيعًا ثُمَّ نَقُولُ لِلَّذِينَ أَشْرَكُوا مَكَانَكُمْ أَنْتُمْ وَشُرَكَاؤُكُمْ ۚ فَزَيَّلْنَا بَيْنَهُمْ ۖ وَقَالَ شُرَكَاؤُهُمْ مَا كُنْتُمْ إِيَّانَا تَعْبُدُونَ

Dan (ingatlah) masa Kami himpunkan mereka semua (pada hari kiamat), kemudian Kami berfirman kepada orang-orang yang berbuat syirik itu: “Tunggulah di tempat kamu ini kamu semua, kamu dan makhluk-makhluk yang kamu jadikan sekutu”; sesudah itu Kami putuskan perhubungan di antara mereka. Dan berkatalah makhluk-makhluk yang kena sembah itu (sebagai berlepas diri): “Bukanlah kami yang kamu puja dan taat (sebenarnya kamu hanya memuja dan mentaati hawa nafsu kamu sendiri)!

Kalimah تَعْبُدُونَ itu bukan hanya bermaksud ‘sembah’ sahaja. Tapi termasuklah beri salam, sedekah Fatihah, zikir, puja, dan sebagainya.

Sebagai contoh, masyarakat kita ada yang bagi salam kepada Nabi, malaikat dan sebagainya. Itu adalah dari ajaran karut orang-orang dahulu yang kita terus sahaja amalkan tanpa usul periksa. Mereka itu semua yang diberi seruan, pujian dan Fatihah itu sudah mati dan tidak mendengar apa yang kita katakan. Malaikat pula tidak ada apa-apa perhubungan dengan kita.

Dalam ayat dari surah Yunus itu, mereka yang kena sembah itu akan kata bahawa bukan mereka yang puak-puak itu sembah. Mereka tak pernah suruh pun diibadati.

Mereka yang kena sembah, kena puja, diberi salam, disedekah Fatihah itu, langsung tak terima pun sembahan-sembahan, hadiah-hadiah mereka itu. Ini diterangkan dalam ayat seterusnya daripada surah Yunus itu.

فَكَفَىٰ بِاللَّهِ شَهِيدًا بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ إِن كُنَّا عَنْ عِبَادَتِكُمْ لَغَافِلِينَ

“(Allah mengetahui apa yang sebenarnya); oleh itu, cukuplah Allah sebagai saksi antara kami dengan kamu, bahawa sesungguhnya kami tidak menyedari pujaan atau penyembahan kamu (kepada kami)”.

Orang kita sedekah Fatihah, bagi salam, qasidah dan sebagainya itu sebab nak bodek, nak rasuah mereka yang dipuja itu. Dengan harapan nanti mereka yang diseru itu akan beri pertolongan nanti. Tapi lihatlah ayat ini, mereka langsung tak tahu pun! Bertepuk sebelah tangan sahaja sebenarnya mereka yang berhempas pulas buat amalan-amalan bid’ah dan syirik itu.

Nabi ﷺ tak pernah suruh kita beri salam, sedekah Fatihah kepadanya. Yang ada, hanyalah selawat sahaja. Lafaz-lafaz selawat itu pun telah diajar kepada umat. Tidak perlu dicipta lafaz-lafaz selawat yang baru. Ini adalah bahaya kerana kalau kita lihat lafaz-lafaz selawat yang dicipta, ada lafaz selawat yang mempunyai pujian yang diberikan kepada Nabi ﷺ yang melampau, sampaikan boleh sampai ke tahap mensyirikkan Allah ‎ﷻ.

Sebagai contoh, lafaz Selawat Syifa’ dan Selawat Tafrijiyyah itu ada elemen syirik. Secara ringkasnya lafaz selawat Syifa’ mengatakan Nabi Muhammad ﷺ ada kuasa untuk menyembuhkan penyakit – padahal, Allah ‎ﷻlah yang menyembuhkan penyakit. Lafaz selawat Tafrijiyyah pula mengatakan Nabi ﷺ adalah punca penyelesaian masalah – adakah ini benar? Siapa yang cakap?

Malangnya, amalan ini diamalkan di masjid-masjid, surau-surau malah telah masuk ke dalam TV pun sekarang, diajar kepada seluruh masyarakat. Apabila telah banyak diamalkan, maka orang kita yang tidak faham agama, hanya ikut-ikut sahaja, terus sangka bahawa ia adalah sesuatu yang benar.

Dan kalau kita tegur, mereka akan kata: “begitu ramai orang buat, takkan salah?” Adakah agama Islam ini satu parti politik, sampaikan kalau majoriti buat, ia akan menang? Adakah Allah ‎ﷻ ikut suara majoriti? Adakah begitu?

وَيَكُونُونَ عَلَيْهِمْ ضِدًّا

dan akan menjadi musuh kepada mereka.

Kalimah ضِدًّا bermaksud ‘lawan’ kepada mereka. Bayangkan dalam mahkamah dunia sekarang, mereka itu seperti saksi kepada pendakwaraya dan kita pula jadi tertuduh. Kita sebenarnya hendakkan saksi yang baik kepada kita, bukan jadi lawan kita.

Maknanya, sudah jadi terbalik daripada apa yang mereka harapkan. Mereka harap entiti-entiti itu yang beri sokongan kepada mereka, namun sebaliknya yang terjadi. Bayangkan penyesalan mereka di akhirat nanti.

Habis Ruku’ 5 dari 6 Ruku’ surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya:

Kemaskini: 22 Mei 2020


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Syaikh Nasir Jangda

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Maryam Ayat 77 – 82 (Allah hadiahkan syaitan)”

    1. kalau berdoa sahaja, tidaklah ada tawasul. yang jadi tawasul kalau dalam doa itu ada pula tawasul dengan Nabi, wali atau lain-lain.

      maklumat tambahan: boleh sahaja berdoa dalam majlis. tapi jangan pula buat majlis khusus untuk doa (macam kenduri selamat tu). Ini bid’ah.

      Like

Leave a comment