Tafsir Surah Talaq Ayat 1 – 2 (Jangan berpisah selepas talaq)

Pengenalan: 

Surah Talaq ini dan surah selepas ini iaitu Surah Tahrim menyentuh tentang perhubungan suami isteri.

Jadi ia mengandungi  ayat-ayat umur munazimah iaitu Allah mengajar kita bagaimana berurusan dengan sesama manusia. Dan suami isteri adalah pasangan yang banyak sekali berhubungan maka kenalah ada ajaran bagaimana nak jaga keharmonian suami isteri. 

Di dalam Surah Taghabun sebelum ini telah diajar bagaimana seorang suami dan isteri hendaklah melayan pasangannya dengan baik untuk jaga keharmonian. Akan tetapi kita kena terima hakikat bahawa kadangkala tidak dapat dielak perceraian akan terjadi. Kenalah terima walaupun pahit kerana ini adalah realiti kehidupan. 

Kalimat ‘talaq’ dari segi bahasa bermaksud ‘melepaskan’. Iaitu apabila sesuatu itu tidak dapat dipegang lagi kerana ada tensi (tension). Seperti melepaskan busur panah setelah ditarik talinya yang menjadi tegang.

Surah ini diturunkan selepas Surah al-Baqarah di mana di dalam Surah  al Baqarah telah disebut hukum perceraian dan ada beberapa perkara yang tidak disentuh maka ditambah di dalam surah Talaq ini. 

Surah ini dah surah selepas ni juga adalah surah-surah musabbihaat (dimulakan dengan tasbih) tetapi kalau surah-surah yang lain ada dimulai dengan tasbih tetapi kedua-dua surah ini dimulai dengan seruan kepada Nabi Muhammad.


Ayat 1:

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ إِذا طَلَّقتُمُ النِّساءَ فَطَلِّقوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ وَأَحصُوا العِدَّةَ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ رَبَّكُم ۖ لا تُخرِجوهُنَّ مِن بُيوتِهِنَّ وَلا يَخرُجنَ إِلّا أَن يَأتينَ بِفٰحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ ۚ وَتِلكَ حُدودُ اللَّهِ ۚ وَمَن يَتَعَدَّ حُدودَ اللَّهِ فَقَد ظَلَمَ نَفسَهُ ۚ لا تَدري لَعَلَّ اللَّهَ يُحدِثُ بَعدَ ذٰلِكَ أَمرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Aṭ-Ṭalāq: Divorce.

O Prophet, when you [Muslims] divorce women, divorce them for [the commencement of] their waiting period and keep count of the waiting period,¹ and fear Allāh, your Lord. Do not turn them out of their [husbands’] houses, nor should they [themselves] leave [during that period] unless they are committing a clear immorality. And those are the limits [set by] Allāh. And whoever transgresses the limits of Allāh has certainly wronged himself. You know not; perhaps Allāh will bring about after that a [different] matter.²

  • See rulings in 2:228233. A wife should not be divorced except after the completion of her menstrual period but before sexual intercourse has occurred, or else during a confirmed pregnancy. The pronouncement of divorce begins her waiting period (‘iddah).
  • Such as regret or renewed desire for the wife.

(MELAYU)

Hai Nabi, apabila kamu menceraikan isteri-isterimu maka hendaklah kamu ceraikan mereka pada waktu mereka dapat (menghadapi) iddahnya (yang wajar) dan hitunglah waktu iddah itu serta bertakwalah kepada Allah Tuhanmu. Janganlah kamu keluarkan mereka dari rumah mereka dan janganlah mereka (diizinkan) ke luar kecuali mereka mengerjakan perbuatan keji yang terang. Itulah hukum-hukum Allah dan barangsiapa yang melanggar hukum-hukum Allah, maka sesungguhnya dia telah berbuat zalim terhadap dirinya sendiri. Kamu tidak mengetahui barangkali Allah mengadakan sesudah itu sesuatu hal yang baru.

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ

Hai Nabi, 

Ayat ini di mulai dengan panggilan kepada Nabi Muhammad tetapi selepas itu terus berubah kepada pemberitahuan kepada manusia. Maknanya ia bukanlah arahan dan ajaran kepada Nabi Muhammad sahaja.

Kalimah أَيُّهَا adalah usluubut takreem. Iaitu dalam bentuk penghormatan kepada Nabi Muhammad SAW. Juga أَيُّهَا digunakan sebagai penekanan kerana hendak tarik perhatian pembaca. 

Kenapa tidak seru kepada orang mukmin sahaja? Kepada permulaan ayat ini diseru kepada Nabi pula?

Ini sebagai penekanan kepada Nabi untuk sampaikan dengan lebih kuat lagi kerana walaupun tidak ada panggilan ini pun Nabi Muhammad kena sampaikan juga, bukan? Akan tetapi apabila diseru Nabi dahulu maka Baginda kena ambil perkara ini dengan lebih serius dan kena betul-betul sampaikan kepada manusia dan juga mesti beri pengajaran yang lebih kepada manusia.

إِذا طَلَّقتُمُ النِّساءَ

apabila kamu menceraikan isteri-isterimu

Kalimah إذا dalam ayat maksudnya ‘jika’. Bukan mengambil maksudnya yang biasa iaitu ‘apabila’. Maknanya bukanlah ia pasti akan terjadi. Kalau ia terjadi sahaja. Dan kita pun tahu ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja.

Perceraian ini memang kebanyakan pasangan tidak sangka ia akan berlaku kepada mereka. Kerana ia pasangan amat bersedih apabila ia terjadi. Jadi walaupun ianya sesuatu yang amat menyedihkan, tapi kena sentuh walaupun sedih jika berlaku. 

Jadi ilmu tentang perceraian ini bukan hanya diberitahu kepada mereka yang sudah mahu bercerai tetapi hendaklah disampaikan kepada semua orang dari awal lagi supaya mereka sudah tahu dan jangablah bila nak bercerai baru nak tanya hukum cerai.

فَطَلِّقوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ

maka hendaklah kamu ceraikan mereka pada waktu mereka dapat (menghadapi) iddahnya (yang wajar) 

Dari ayat ini ulama mengambil isyarat bahawa jika hendak menceraikan isteri maka pastikan waktu cerai itu boleh terus  kira iddah. Dan ini bermaksud ceraikan mereka semasa mereka di dalam suci dan bukannya semasa mereka di dalam haid. 

قَالَ الْبُخَارِيُّ: حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ بُكَيْر، حَدَّثَنَا اللَّيْثُ وَعُقَيْلٌ، عَنِ ابْنِ شِهَابٍ، أَخْبَرَنِي سَالِمٌ: أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ أَخْبَرَهُ: أَنَّهُ طَلَّقَ امْرَأَةً لَهُ وَهِيَ حَائِضٌ، فَذَكَرَ عمرُ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَتَغَيَّظَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَالَ: “لِيُرَاجِعْهَا، ثُمَّ يُمْسِكْهَا حَتَّى تَطْهُرَ، ثُمَّ تَحِيضَ فَتَطْهُرَ، فَإِنْ بَدَا لَهُ أَنْ يُطَلِّقَهَا فَلْيُطَلِّقْهَا طَاهِرًا قَبْلَ أَنْ يَمَسَّهَا، فَتِلْكَ الْعِدَّةُ الَّتِي أَمَرَ اللَّهُ، عَزَّ وَجَلَّ”

Imam Bukhari mengatakan, telah menceritakan kepada kami Yahya ibnu Bukair, telah menceritakan kepada kami Al-Lais, telah menceritakan kepadaku Aqil, dari Ibnu Syihab, telah menceritakan kepadaku Salim bahawa Abdullah ibnu Umar pernah menceritakan kepadanya bahawa dirinya pernah menceraikan salah seorang isterinya yang sedang dalam haid. Kemudian Umar r.a. (ayahnya) menceritakan hal tersebut kepada Rasulullah Saw. Maka Rasulullah Saw. marah dan bersabda: Dia harus merujuknya, kemudian memegangnya hingga suci dari haidnya, lalu berhaid lagi dan bersuci, maka (sesudah itu) bila dia ingin menceraikannya, dia boleh menceraikannya dalam keadaan suci, sebelum dia menggaulinya. Itulah iddah yang diperintahkan oleh Allah Swt. (untuk dijalani).

Maka Islam menganjurkan talaq dilafazkan semasa isteri dalam keadaan suci. Ini kerana apabila mereka dalam haidh, masa iddah belum boleh kira bermula lagi dan mereka kena tunggu lebih lama. Sepatutnya mereka kena tunggu kita kali suci, tapi kalau diceraikan semasa mereka dalam haidh, mereka kena tunggu empat kali suci pula. 

Lagi satu, kalau diceraikan dalam masa haidh, entah-entah perangai isteri itu tidak betul kerana waktu itu sedang PMS (pre-menstrul syndrome) yang selalunya menyebabkan mereka tidak berapa betul sikit. Jadi tunggulah dulu waktu mereka dah lepas waktu itu dimana mereka sedang dalam keadaan normal. Kerana kalau sedang normal, senang sikit nak berbincang, bukan?

Lagi satu, sebaik-baik waktu untuk menceraikan isteri adalah selepas mereka baru suci dari haidh kerana waktu mereka sedang suci dan tidak ada jimak lagi antara mereka. Maka kerana selepas haidh, maka kita tahulah yang mereka tidak ada isi kandungan dalam perut mereka. Dan apabila waktu suci itu tidak ada jimak lagi, maka kebarangkalian ada benih dalam perut isteri itu adalah tipis sekali.

Maka, pertama sekali ayat ini mengingatkan kepada para lelaki supaya jangan kelam kabut nak menceraikan isteri dan melafazkan talaq. Jangan kerana marah sahaja nak cerai isteri. Ada banyak lagi cara lain yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Kalau terkesan dengan perasaan marah, itu bukanlah orang yang pandai.

Maka ayat ini memberitahu para lelaki:

1. Jangan lafaz talaq semasa isteri dalam haidh.
2. Cerai mereka talaq satu sahaja, jangan terus beri talaq tiga pula. Biarlah talaq satu sahaja dan tunggulah masa itu habis. Kerana mungkin ada peluang lagi untuk kembali rujuk. Kalau dah talaq tiga terus, maka harapan untuk kembali memang tipis.

Kalau tak dirujuk dalam masa iddah pun, maka suami isteri itu masih boleh lagi menikah kalau mereka mahu. Kalau terus beri talaq tiga, maka isteri itu tidak boleh dikahwini lagi sehinggalah dia menikah dengan orang lain dulu dan kemudian bercerai. Itu adalah kemungkinan yang amat jauh.

Kalau wanita itu mengandung pun masih boleh dilafazkan cerai lagi. Ini kerana sudah diketahui ada anak dalam perut isteri itu. Tapi kalau dilafazkan cerai selepas ada percampuran benih, maka tidak tahu samada dia akan mengandung atau tidak. Maka ini tidak bagus kerana ada elemen ketidaktahuan.

Semua cara perlafazan talaq itu walaupun tidak mengikut sunnah, tapi ia tetap juga sah. Isteri itu tetap juga tercerai. Cuma suami itu telah berdosa kerana tidak mengikut cara yang sunnah.

وَأَحصُوا العِدَّةَ

dan hitunglah waktu iddah itu

Dalam ayat Baqarah:228 telah diberitahu bahawa masa iddah itu adalah tiga quru’ dan Imam Syafie berpegang yang ianya bermaksud tiga kali suci. Jadi kalau seorang isteri itu ditalaq semasa suci maka masa iddah itu adalah apabila dia datang haidh kali ketiga.

Kiraannya begini: suci (lafaz cerai) – haidh pertama – suci kedua – haidh kedua – suci ketiga – haidh ketiga (habis iddah). Waktu ini suami tidak boleh rujuk isterinya lagi.

Kalau isteri itu dicerai semasa dalam haidh, maka masanya jadi panjang: haidh pertama (lafaz cerai) [kiraan tidak bermula lagi] – suci pertama – haidh kedua – suci kedua – haidh ketiga – suci ketiga – haidh keempat (tamat iddah). Jadi masa menunggu sudah bertambah.

Bilangan iddah ini perlu dikira dan diperhatikan dengan tepat kerana Islam amat menjaga nasab keturunan. Iddah kena dijaga kerana kita hendak memastikan bahawa isteri itu ada anak ataupun tidak di dalam perutnya. Ini kerana perkara ini memberi kesan yang besar tentang siapa yang menjaga anak itu.

Takut kalau wanita itu bernikah dengan orang lain dan mengandung pula, takut nanti disangkakan bayi itu adalah anak suami baru pula sedangkan bukan. Dah suami baru kena tanggung anak orang lain pula nanti.

Dan juga mungkin jikalau suami itu tahu isteri dia mengandung dia mungkin tidak sampai hati untuk menceraikan dia ataupun hati dia mungkin berubah daripada benci kepada sayang kembali. 

وَاتَّقُوا اللَّهَ رَبَّكُم

serta bertakwalah kepada Allah Tuhanmu. 

Allah mengingatkan kita kepada DiriNya tetapi digunakan kalimah Rabb di dalam ayat ini kerana Rabb bermaksud ‘tuan’ yang menguruskan hal kita.

Satu perkara menarik yang kita lihat apabila Allah memperkatakan tentang perceraian, maka di dalam ayat-ayat itu pasti ada menyebut tentang Taqwa dan juga memberitahu yang Allah melihat. Berulangkali kita boleh lihat  begitu. Kenapa begitu?

Kerana Allah nak tekankan kena ada taqwa dalam keadaan ini. Jika tiada taqwa maka senang sahaja pasangan nak bercerai kerana waktu itu sudah tidak ingat Allah sangat dah. Ini kerana waktu itu hanya ingat kepada marah dan benci kepada pasangan masing-masing sahaja.

Waktu itu pasangan hanya fikir diri sendiri sahaja. Kerana itu taqwa banyak disebut sebagai peringatan. Ingatlah kepada Allah dan kenanglah hukum agama.

Dan di dalam Allah memberi nasihat tentang perhubungan suami isteri dan juga perceraian, jika tidak ada taqwa maka ianya tidak bermakna kerana mereka tidak mahu mendengar nasihat yang diberikan. Maka ramai yang ikut kehendak sendiri sahaja kerana waktu itu tengah marah sangat.

Maka Allah mengingatkan kepada kita yang kita kena jaga-jaga dan ambil berat tentang arahan yang diberikan di dalam ayat ini. 

Di dalam ayat yang lain Allah telah memberi penekanan bahawa kontrak perkahwinan ini adalah perkara yang besar dan perkara yang besar ini tidak boleh diputuskan begitu sahaja dan kenalah menjadi proses-proses yang tertentu.  

لا تُخرِجوهُنَّ مِن بُيوتِهِنَّ

Janganlah kamu keluarkan mereka dari rumah mereka

Allah berkata dalam ayat ini jangan keluarkan mereka dari ‘rumah mereka’ dan bukannya dari ‘rumah kamu’. Ini adalah kerana selagi iddahnya ada lagi berbaki, maka rumah itu masih lagi rumah mereka. Maknanya, jangan halau mereka keluar dari rumah walaupun lafaz talaq sudah dilafazkan.

Isteri itu walaupun telah diceraikan, tapi selagi masih dalam iddah hendaklah suami itu menanggungnya isterinya lagi. Kerana dia tetap isterinya dan nafkah masih lagi wajib ke atas suami itu. Maka kalau keluarkan isterinya dari rumah, maka suami itu telah berdosa.

Maksud ini amat penting kerana ramai yang tidak tahu bahawa selepas dilafazkan talak itu mereka masih lagi suami isteri dan ada masa untuk mereka berbaik semula. Bila masih lagi bersuami isteri, maka sepatutnya mereka masih lagi tinggal bersama-sama. Maka janganlah dikeluarkan mereka daripada rumah dan tinggallah bersama-sama.

Selagi masih ada iddah, maka suami masih boleh nak rujuk isterinya lagi. Maka eloklah kalau mereka duduk bersama supaya perkara ini dimudahkan. Selalunya apabila mereka terus berpisah dan tinggal berasingan selepas talak dilafazkan, maka harapan untuk bersama kembali adalah tipis kerana mereka sudah ada fikiran yang macam-macam tentang bekas isteri ataupun suami itu. Kalau depan  mata, mungkin masih ada sayang lagi. Tapi bila jauh di mata, maka selalunya jauh di hati.

Maka tinggallah bersama dulu. Kerana ada banyak terjadi lafaz cerai disebut kerana sedang marah dan selepas itu lelaki ataupun wanita itu mula sedar diri dan mahu rujuk kembali. Kerana dah rasa menyesal dan dah terbayang-bayang kalau tidak tinggal bersama lagi. Kerana itulah ada ruang masa untuk dibenarkan rujuk kepada mereka yang telah melafazkan talaq itu. Jikalau tidak ada peluang itu ataupun mereka sudah keluar dan berpisah tempat tinggal, maka tidak ada harapan yang kuat. 

Selalunya orang kita akan hantar isterinya balik ke rumah ibubapa. Jadi suami nak turut pun dah susah. Dan kadangkala bila dah di rumah ibubapa dan jumpa pakcik makcik dan orang-orang kampun, dah ada orang yang racun fikiran wanita itu. Biasalah kerana kebanyakan orang nak pisahkan sahaja pasangan yang masih ada harapan kembali bersama.

Isteri yang telah diceraikan masih boleh tinggal di rumah suaminya selagi ada ruang untuk rujuk. Kalau cerai itu jenis tidak boleh dirujuk, maka isteri memang tidak ada hak lagi di rumah itu. Ini berdasarkan hadis Fatimah binti Qais.

Imam Ahmad telah meriwayatkan, telah menceritakan kepada kami Yahya ibnu Sa’id, telah menceritakan kepada kami Mujalid, telah menceritakan kepada kami Amir yang mengatakan bahawa aku tiba di Madinah, lalu aku mengunjungi Fatimah binti Qais. Maka dia mencerita­kan kepadaku bahawa suaminya telah menceraikannya di masa Rasulullah Saw. dan beliau Saw. mengirimkan suaminya bersama suatu pasukan khusus.

Fatimah binti Qais melanjutkan kisahnya, bahawa lalu saudara lelaki suaminya berkata kepadaku, “Keluarlah kamu dari rumah (saudaraku) ini.” Maka aku menjawab, “Sesungguhnya aku berhak mendapat nafkah dan tempat tinggal hingga masa iddahku habis.” Saudara suamiku berkata, “Tidak.” Fatimah binti Qais melanjutkan kisahnya, bahawa lalu aku menghadap Rasulullah Saw. dan kukatakan kepadanya, “Sesungguhnya si Fulan telah menceraikanku, dan saudara lelakinya mengusirku dari rumah suamiku, dia tidak memberiku tempat tinggal dan nafkah.”

Maka Rasulullah Saw. menanyai saudara suaminya, “Mengapa kamu dan anak perempuan keluarga Qais ini?” Dia menjawab, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya saudaraku telah menceraikannya tiga kali seluruhnya.” Fatimah binti Qais melanjutkan, bahawa lalu Rasulullah Saw. bersabda kepadanya:

“انْظُرِي يَا بِنْتَ آلِ قَيْسٍ، إِنَّمَا النَّفَقَةُ وَالسُّكْنَى لِلْمَرْأَةِ عَلَى زَوْجِهَا مَا كَانَ لَهُ عَلَيْهَا رَجْعَةٌ، فَإِذَا لَمْ يَكُنْ لَهُ عَلَيْهَا رَجْعَةٌ فَلَا نَفَقَةَ وَلَا سُكْنَى. اخْرُجِي فَانْزِلِي عَلَى فُلَانَةٍ”. ثُمَّ قَالَ: “إِنَّهُ يُتحَدّث إِلَيْهَا، انْزِلِي عَلَى ابْنِ أُمِّ مَكْتُومٍ، فَإِنَّهُ أَعْمَى لَا يَرَاكِ”

Perhatikanlah, hai anak perempuan keluarga Qais, sesungguhnya nafkah dan tempat tinggal bagi isteri dibebankan pada suaminya selama si suami masih punya hak untuk merujuknya. Dan apabila si suami tidak punya hak lagi untuk merujuknya, maka tiada nafkah dan tiada tempat tinggal lagi. Sekarang keluarlah engkau dan tinggallah di rumah si Fulanah. Kemudian Rasulullah Saw. bersabda lagi kepadanya: Tinggallah kamu di rumah Ibnu Ummi Maktum, kerana sesungguhnya dia adalah seorang yang sangat tua dan tidak dapat melihatmu. hingga akhir hadis.

وَلا يَخرُجنَ

dan janganlah mereka keluar 

Bukan sahaja para suami jangan keluarkan mereka, tapi para isteri itu sendiri pun tidak patut keluar. Mereka sepatutkan mesti tinggal di situ bersama dengan suaminya.

Tambahan pula kalau suaminya tidak beri kebenaran untuk keluar. Dan suami ada hak untuk tahan isterinya itu kerana isterinya itu masih lagi di bawah jagaannya. Dan isteri itu kena taat kepada arahan suami. Kalau isterinya keluar juga, maka isteri itu telah berdosa. Dan dia tidak layak mendapat nafkah semasa di dalam iddah itu lagi.

Cuma biasanya kita dengar kalau isteri dah marah kepada suami, atau dia telah diceraikan, selalunya para isteri itu akan minta dihantar ke rumah ibubapanya. Ini mungkin kerana mereka tidak tahu ayat ini. Biasalah kalau tidak belajar, tidak akan tahu tentang perkara ini. Kerana itu ramai sahaja yang langgar.  

إِلّا أَن يَأتينَ بِفٰحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ

kecuali mereka mengerjakan perbuatan keji yang terang. 

Kecuali kalau mereka telah melakukan perbuatan terkutuk. Dan ini mestilah sesuatu yang jelas dan kerana itu ada kalimah مُبَيِّنَةٍ di sini.

Ada ulama yang memberi maksud mereka telah melakukan zina tetapi ada juga ulama yang mengatakan jika mereka telah melakukan perbuatan yang buruk seperti pukul anak dan sebagainya. Juga termasuk mereka yang bersikap membangkang atau bersikap menghina keluarga suami dan menyakiti mereka dengan lisannya dan juga dengan perbuatannya, Kenapa ini penting?

Kerana tadi telah disebut yang pasangan suami isteri itu patut tinggal bersama lagi selagi tempoh iddah masih berjalan. Mereka patut tinggal bersama di dalam satu rumah supaya ada kemungkinan untuk mereka bersama kembali. Akan tetapi jikalau kemungkinan itu memang tidak ada, maka tidak perlu untuk mereka tinggal bersama lagi.

Sebagai contoh, kalau suami itu menceraikan isterinya kerana isterinya itu telah berzina, maka tentulah dia tidak mahu nak rujuk kembali. Maka mereka patut tinggal berasingan mulai dari pelafazan talaq.

Ada juga berpendapat, potongan ayat ini adalah sambungan dari ayat-ayat yang sebelumnya. Maksudnya kalau menghalau isteri keluar dari rumah atau isteri keluar dari rumah tanpa izin suami, itu adalah perbuatan yang termasuk perbuatan keji.

وَتِلكَ حُدودُ اللَّهِ

Itulah hukum-hukum Allah 

Itulah dia kita telah sampaikann hukum Allah yang patut kita tahu dan ikuti. Ramai yang tidak ikuti kerana ramai yang tidak tahu, maka tugas kitalah sekarang untuk sampaikan.

Allah kata itu ‘Hudud Allah’. Kalimah ‘hudud’ selalunya dikaitkan dengan potong tangan, rotan di khalayak ramai dan rejam sahaja. Itulah sahaja fahaman masyarakat kita. Tapi sekarang kita sudah tahu yang ‘hudud’ ini ada banyak sebenarnya dan ada di beberapa tempat dalam Qur’an.

Maksud ‘hudud’ adalah ‘had’ atau penetapan had dari Allah. Maka ia tidak boleh dilampaui kerana Allah telah tetapkan sendiri. Maka kita mestilah tahu had-had ini supaya kita tidak melampau. Dan perkara ini kalau tidak dipelajari, maka akan ada masalah kerana tidak tahu apakah kehendak Allah.

وَمَن يَتَعَدَّ حُدودَ اللَّهِ فَقَد ظَلَمَ نَفسَهُ

dan barangsiapa yang melanggar hukum-hukum Allah, maka sesungguhnya dia telah berbuat zalim terhadap dirinya sendiri.

Jangan main-main dengan hukum Allah kerana bahaya kepada diri sendiri. Sebagai contoh, mungkin ada suami yang hendak menyakiti isterinya itu maka dia suruh isterinya terus tinggal dengan dia supaya dia boleh menyeksa emosi isterinya itu.

Maka ini pun termasuk dalam mempermainkan agama Allah. Suami itu mungkin rasa dia menyusahkan isterinya itu tetapi dia tidak sedar yang dia sebenarnya menyusahkan ‘dirinya sendiri’ kerana dia akan ditanya oleh Allah di atas perbuatannya itu.

لا تَدري لَعَلَّ اللَّهَ يُحدِثُ بَعدَ ذٰلِكَ أَمرًا

Kamu tidak mengetahui barangkali Allah mengadakan sesudah itu sesuatu hal yang baru.

Jadi isteri itu teruslah tinggal di rumah suaminya itu dan jangan keluar kerana mungkin selepas suaminya itu telah melafazkan talak, tetapi mungkin akan timbul perasaan lain dimana dia sayang kembali kepada isterinya itu.

Kita kena ada harapan ini kerana Allah boleh mengubah hati manusia daripada benci kepada sayang. 


Ayat 2: Apakah yang terjadi apabila iddah sudah habis?

فَإِذا بَلَغنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمسِكوهُنَّ بِمَعروفٍ أَو فارِقوهُنَّ بِمَعروفٍ وَأَشهِدوا ذَوَي عَدلٍ مِّنكُم وَأَقيمُوا الشَّهٰدَةَ لِلَّهِ ۚ ذٰلِكُم يوعَظُ بِهِ مَن كانَ يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ ۚ وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجعَل لَّهُ مَخرَجًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when they have [nearly] fulfilled their term, either retain them according to acceptable terms or part with them according to acceptable terms. And bring to witness two just men from among you and establish the testimony for [the acceptance of] Allāh. That is instructed to whoever should believe in Allāh and the Last Day. And whoever fears Allāh – He will make for him a way out¹

  • i.e., relief from distress.

(MELAYU)

Apabila mereka telah mendekati akhir iddahnya, maka rujukilah mereka dengan baik atau lepaskanlah mereka dengan baik dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu dan hendaklah kamu tegakkan kesaksian itu kerana Allah. Demikianlah diberi pengajaran dengan itu orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.

فَإِذا بَلَغنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمسِكوهُنَّ بِمَعروفٍ

Apabila mereka telah mendekati akhir iddahnya, maka rujukilah mereka dengan baik

Dan apabila waktu iddah itu telah hampir tamat, maka jikalau suami itu buat keputusan untuk memegangnya kembali (rujuk), maka peganglah isterinya itu dengan cara ma’ruf . Maksudnya dengan cara yang semua orang tahu adalah cara yang baik. Tidak perlu nak diperhalusi apakah ‘ma’ruf’ ini kerana ianya adalah perkara yang tidak perlu diajar secara terperinci pun di dalam agama.

Ini kerana semua orang tahu samada sesuatu itu baik atau tidak, termasuklah orang yang kafir pun tahu juga. Kerana ia hanya perlu kepada akal yang sihat sahaja. Jadi ini mengajar kita yang kena ikut adat dalam masyarakat dan bukannya ikut kepala otak kita. 

Ini penting kerana kadang-kadang suami ataupun isteri akan buat sesuatu perkara ikut kehendak dia sendiri, sampaikan tidak boleh diterima oleh masyarakat yang sihat. Tapi ada juga yang masih mahu menegakkan keputusan mereka itu seolah-olah keputusan mereka itulah yang benar. 

Maka kalau dah buat keputusan untuk rujuk, maka ambillah balik isteri itu dengan baik. Jangan lagi buat perkara yang boleh menyebabkan perlafazan cerai hari itu. Sekali dah terlepas cakap maka kenalah berhati-hati sekarang. Kenalah ingat yang ada dua peluang sahaja untuk talaq boleh rujuk. Kalau dah talaq sampai kali ketiga, memang harapan untuk rujuk kembali hampir tidak ada.

Rujuk ini kenalah dilakukan sebelum habis tempoh iddah. Maka jangan tunggu lama-lama.

Selepas ambil balik isteri itu, maka berilah layanan kepadanya dengan baik (ma’ruf). Janganlah ambil balik mereka kerana nak seksa mereka atau jiwa mereka.

أَو فارِقوهُنَّ بِمَعروفٍ

atau lepaskanlah mereka dengan baik

Dan jikalau suami ttu telah buat keputusan untuk terus berpisah dengan isterinya maka berpisahlah dengan cara baik. Jangan ada permusuhan antara mereka dan di dalam Surah al-Baqarah (ayat 241) sampai ada disebut untuk kita beri hadiah kepada mereka. Dan kalau ada mahr yang berhutang lagi, maka bayarlah mahr itu. 

Malangnya di dalam masyarakat kita tidak menjaga perkara ini dimana apabila mereka berpisah maka mereka bermusuhan sehinggakan anak-anak menjadi mangsa. Mereka benci sangat kepada pasangan lama sampaikan mereka tidak boleh melihat pasangan lamanya. 

Maka anak itu pun perasan kebencian antara ibu dan bapa mereka sampaikan mereka pun kena pilih untuk setia kepada siapa. Kerana kadang-kadang ibu atau bapa itu akan memburukkan pasangan lama mereka kepada anak-anak supaya anak-anak pun benci sekali. Ini amat teruk sekali. Anak itu akan mendapat tekanan jiwa akhirnya dan tidak membesar dengan baik. 

Ingatlah yang bekas pasangan itu itu adalah ibu ataupun ayah kepada anak-anak kita dan mereka juga hamba Allah yang ada masalah dan ada kebaikan mereka. Maka janganlah buat musuh dengan orang yang dulunya baik dan juga rapat dengan kita. Yang masalah yang terjadi itu letaklah di tepi sahaja dan jangan libatkan orang luar terutama anak-anak. Jangan simpan kebencian di dalam hati kerana ia akan memakan hati kita dan menyebabkan kita sakit jiwa sahaja.

Satu lagi masalah adalah banyak pihak yang terlibat dalam keluarga itu yang cuba untuk beri masalah kepada perhubungan itu. Ini seperti ibubapa, adik beradik, kawan-kawan, pakcik dan makcik, satu kampung, satu bandar dan sebagainya. Mereka itu tidak layak nak beri nasihat pun kerana tidaklah pandai mana, tapi biasalah orang bodoh pun teringin juga nak beri nasihat.

Kerana ramai yang perasan mereka pandai. Maka nasihat yang mereka beri itu selalunya nasihat yang seperti tikus membaiki labu. Langsung tidak bawa kepada kebaikan tapi membawa kepada keburukan. 

وَأَشهِدوا ذَوَي عَدلٍ مِّنكُم

dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu

Kalau boleh, adakan saksi dari kalangan orang-orang yang adil untuk menjadi saksi bahawa memang suami telah melafazkan talak dan juga masa iddah telah habis. Ini supaya kalau perkara itu perlu dibawa ke mahkamah maka ada orang adil yang boleh memberitahu kedudukan perkara yang sebenar.

Ini bukanlah wajib, tapi sunat sahaja. Talaq dan rujuk tetapi sah samada ada saksi atau tidak. Jadi ini adalah arahan irsyadi sahaja sebagai anjuran baik untuk dilakukan. Kerana kalau ada perbicaraan di mahkamah, ada orang yang boleh jadi saksi.

Telah diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Imam Ibnu Majah dari Imran ibnu Husain, bahwa dia pernah ditanya tentang seorang lelaki yang menceraikan isterinya, kemudian dia menggaulinya, tanpa memakai saksi atas perceraiannya dan juga atas rujuknya itu. Maka Imran ibnu Husain r.a. menjawab, “Wanita itu diceraikan dengan talak yang bukan talak sunnah dan dirujuk dengan rujuk yang bukan sunnah. Aku bersaksi atas perceraian dan juga rujuknya, tetapi jangan terulang lagi peristiwa ini.”

وَأَقيمُوا الشَّهٰدَةَ لِلَّهِ

dan hendaklah kamu tegakkan kesaksian itu kerana Allah. 

Apabila orang yang menjadi saksi dipanggil, maka hendaklah mereka datang untuk menegakkan keadilan.

 

ذٰلِكُم يوعَظُ بِهِ مَن كانَ يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ

Demikianlah diberi pengajaran dengan itu orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Begitulah nasihat yang Allah berikan kita untuk menjaga perhubungan manusia. Dan kalau kamu orang yang mengatakan kamu beriman, maka hendaklah kamu ikut undang-undang dan cara-cara yang Allah telah ajar ini. Ianya untuk kebaikan kita sebenarnya, bukan Allah. 

Kalimah يوعَظُ yang digunakan dalam ayat ini bermaksud yang anjuran-anjuran hendaklah diikuti oleh orang yang beriman. Tapi kalau ia tidak dijalankan, maka perceraian dan rujuk tetap sah. Jadi kalau,

– suami tidak menceraikan isteri dengan cara sunnah,
– isteri dikeluarkan dari rumah,
– isteri keluar dari rumah,
– suami rujuk isteri hanya untuk menzalimi isteri itu,
– tiada saksi semasa perceraian dan rujuk,

perceraian dan rujuk tetap sah cuma ia bukanlah cara seorang muslim sejati.

 

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجعَل لَّهُ مَخرَجًا

Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.

Selalunya orang-orang yang baru bercerai akan rasa hidup mereka tunggang-langgang dan masalah itu amat besar kepada mereka tetapi Allah memberi nasihat di dalam ayat ini yang jikalau mereka bertaqwa kepada Allah, maka Allah akan berikan jalan keluar daripada masalah mereka itu.

Maksud taqwa itu adalah dengan jaga hukum yang Allah tetapkan untuk kebaikan kita. Dalam semua perkara kena dijaga hukum, terutama sekali tentang cerai. 

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ahmad ibnu Mansur Ar-Ramadi, telah menceritakan kepada kami Ali ibnu Ubaid, telah menceritakan kepada kami Zakaria, dari Amir, dari Syittir ibnu Syakal yang mengatakan bahwa dia pernah mendengar Abdullah ibnu Mas’ud mengatakan bahawa sesungguhnya ayat yang paling global dalam Al-Qur’an adalah firman-Nya: Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan. (An-Nahl: 90) Dan ayat yang paling besar mengandung jalan keluar dalam Al-Qur’an adalah firman Allah Swt.: Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. (Ath-Thalaq: 2)

Nota: hujung ayat ini adalah sebahagian dari ‘Ayat Seribu Dinar’ yang banyak diamalkan oleh orang yang jahil dalam masyarakat kita. Amalan itu tidak ada dalil, dan mereka yang mengamalkannya pun tidak tahu apa yang mereka baca. Kerana mereka tidak belajar ayat ini pun, tapi ikut orang lain sahaja.

Kerana tidak faham dengan agama, maka mereka mengulang-ngulang ayat ini dibaca, malah lebih teruk lagi ditampal dan digantung di rumah, kedai dan pejabat. Mereka sangka itu akan memberikan jalan keluar dari masalah dan dapat memberi rezeki kepada mereka.

Padahal ayat ini dimulakan dengan kalimat ‘barangsiapa bertaqwa kepada Allah’. Maka kalau mereka hendak mendapat manfaat dari ayat ini, maka yang perlu dilakukan adalah bertaqwa kepada Allah dan bukannya baca sahaja dan tampal ayat ini di mana-mana.

As-Saddi mengatakan bahawa seorang lelaki dari kalangan sahabat Rasulullah Saw. yang dikenal dengan nama Auf ibnu Malik Al-Asyja’i mempunyai seorang anak lelaki yang tertawan di kalangan kaum musyrik. Dan anaknya itu berada di tangan kaum musyrik, sedangkan ayahnya selalu mendatangi Rasulullah Saw. mengadukan nasib yang dialami oleh anaknya itu dan juga tentang kemiskinan yang menimpa dirinya. Dan Rasulullah Saw. selalu menganjurkan kepadanya untuk bersabar menghadapi semua musibah itu dan bersabda kepadanya: Sesungguhnya Allah akan menjadikan bagimu jalan keluar. Tidak lama kemudian ternyata anaknya itu dapat meloloskan diri dari tangan musuh dan melarikan diri, kemudian dia bersua dengan ternak kambing milik musuhnya, maka dia menggiring ternak kambing itu dan pulang ke rumah ayahnya dengan membawa ternak kambing hasil jarahannya. Lalu diturunkanlah ayat berikut berkenaan dengan peristiwa ini, yaitu firman-Nya: Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar, dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. (Ath-Thalaq: 2-3)

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 17 Mei 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s