Tafsir Surah Talaq Ayat 1 (Jangan berpisah selepas talaq)

Pengenalan: 

Surah Talaq ini dan surah selepas ini iaitu Surah Tahrim menyentuh tentang perhubungan suami isteri. Jadi ia mengandungi ayat-ayat umur munazimah iaitu Allah ‎ﷻ mengajar kita bagaimana berurusan dengan sesama manusia. Suami isteri adalah pasangan yang paling banyak sekali berhubungan maka kenalah ada ajaran bagaimana menjaga keharmonian suami isteri. Perjanjian pernikahan antara suami isteri bukanlah semudah perjanjian perniagaan. Ada banyak lagi perkara yang perlu diperhatikan. Kerana itulah perjanjian secara umum disebut sepintas lalu sahaja di dalam Al-Qur’an, akan tetapi perjanjian pernikahan disebut secara lebih mendalam.

Di dalam Surah Taghabun sebelum ini telah diajar bagaimana seorang suami dan isteri hendaklah melayan pasangannya dengan baik untuk menjaga keharmonian. Akan tetapi kita kena terima hakikat bahawa kadangkala perceraian tidak dapat dielakkan akan terjadi. Kenalah terima walaupun pahit kerana ini adalah realiti kehidupan. 

Kalimat ‘talaq’ daripada segi bahasa bermaksud ‘melepaskan’ iaitu perceraian. Iaitu apabila sesuatu itu tidak dapat dipegang lagi kerana ada ketegangan (tension). Ini seperti melepaskan busur panah setelah ditarik talinya yang menjadi tegang.

Jadi di dalam Al-Qur’an pun ada disebut tentang perceraian. Ini mengajar kita bahawa semua perkara telah diajar di dalam agama ini, tidak perlu kita susah-susah nak pecah kepala fikirkan. Begitulah hebatnya agama ini dan malang sekali kalau orang Islam sendiri tidak mempelajarinya. Oleh kerana institusi perkahwinan amat penting, maka penekanan telah diberikan di dalam Al-Qur’an tentangnya. Surah Nisa’ membincangkan tentang perkahwinan dan Surah Talaq ini pula membincangkan tentang perceraian. Sampaikan Surah Talaq ini juga dikenali sebagai Surah Nisa’ Sughra (Surah Nisa’ Kecil).

Surah ini termasuk Surah Madaniyah dan ia diturunkan selepas Surah al-Baqarah di mana di dalam Surah al-Baqarah telah disebut hukum perceraian dan ada beberapa perkara yang tidak disentuh maka ditambah di dalam Surah at-Talaq ini. 

Surah ini dan surah selepas ini juga adalah termasuk dalam surah-surah musabbihaat (yang dimulakan dengan tasbih) tetapi kalau surah-surah yang lain ada dimulai dengan tasbih tetapi kedua-dua surah ini dimulai dengan seruan kepada Nabi Muhammad ﷺ.

Surah at-Talaq ini juga adalah surah kelapan kepada rentetan 10 surah-surah berkenaan jihad dan infak di dalam surah-surah musabbihat.  Sebelum ini Surah at-Taghabun tentang infak dan sekarang diteruskan tema infak dalam surah ini. Ringkasannya:

1. Hadid – Infak & Jihad
2. Mujadilah – Jihad
3. Hashr – Jihad
4. Mumtahanah – Jihad
5. Saff – Jihad
6. Jumuah – Infak
7. Munafiqun – Infak
8. Taghabun – Infak
9. Talaq – Infak
10. Tahreem – Jihad & Infak

Jadi di dalam Surah Talaq ini juga kita akan belajar yang marah macam mana pun, infak (nafkah) kepada isteri tetap kena diberi dan dijaga.


Talaq Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 2 perenggan makro. Ayat 1 – 7 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia mengandungi hukum syariat berkenaan perceraian.

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ إِذا طَلَّقتُمُ النِّساءَ فَطَلِّقوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ وَأَحصُوا العِدَّةَ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ رَبَّكُم ۖ لا تُخرِجوهُنَّ مِن بُيوتِهِنَّ وَلا يَخرُجنَ إِلّا أَن يَأتينَ بِفٰحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ ۚ وَتِلكَ حُدودُ اللَّهِ ۚ وَمَن يَتَعَدَّ حُدودَ اللَّهِ فَقَد ظَلَمَ نَفسَهُ ۚ لا تَدري لَعَلَّ اللَّهَ يُحدِثُ بَعدَ ذٰلِكَ أَمرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Aṭ-Ṭalāq: Divorce.

O Prophet, when you [Muslims] divorce women, divorce them for [the commencement of] their waiting period and keep count of the waiting period,¹ and fear Allāh, your Lord. Do not turn them out of their [husbands’] houses, nor should they [themselves] leave [during that period] unless they are committing a clear immorality. And those are the limits [set by] Allāh. And whoever transgresses the limits of Allāh has certainly wronged himself. You know not; perhaps Allāh will bring about after that a [different] matter.²

  • See rulings in 2:228233. A wife should not be divorced except after the completion of her menstrual period but before sexual intercourse has occurred, or else during a confirmed pregnancy. The pronouncement of divorce begins her waiting period (‘iddah).
  • Such as regret or renewed desire for the wife.

(MELAYU)

Hai Nabi, apabila kamu menceraikan isteri-isterimu maka hendaklah kamu ceraikan mereka pada waktu mereka dapat (menghadapi) iddahnya (yang wajar) dan hitunglah waktu iddah itu serta bertakwalah kepada Allah Tuhanmu. Janganlah kamu keluarkan mereka dari rumah mereka dan janganlah mereka (diizinkan) ke luar kecuali mereka mengerjakan perbuatan keji yang terang. Itulah hukum-hukum Allah dan barangsiapa yang melanggar hukum-hukum Allah, maka sesungguhnya dia telah berbuat zalim terhadap dirinya sendiri. Kamu tidak mengetahui barangkali Allah mengadakan sesudah itu sesuatu hal yang baru.

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ

Hai Nabi, 

Ayat ini dimulai dengan seruan kepada Nabi Muhammad ﷺ tetapi selepas itu terus berubah kepada pemberitahuan kepada manusia. Maknanya ia bukanlah arahan dan ajaran kepada Nabi Muhammad ﷺ sahaja. Imam Qurtubi mengatakan kalau ia khusus kepada Nabi sahaja, maka kata seruan yang digunakan adalah ya ayyuhal Rasul.

Kalimah أَيُّهَا adalah usluubut takreem. Iaitu panggilan dalam bentuk penghormatan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Juga أَيُّهَا digunakan sebagai penekanan kerana hendak menarik perhatian pembaca. 

Kenapa tidak seru kepada orang mukmin sahaja? Kenapa permulaan ayat ini diseru kepada Nabi pula? Ini sebagai penekanan kepada Nabi untuk sampaikan dengan lebih kuat lagi kerana walaupun tidak ada panggilan ini pun Nabi Muhammad ﷺ kena sampaikan juga, bukan? Akan tetapi apabila diseru Nabi dahulu maka baginda kena ambil perkara ini dengan lebih serius dan kena betul-betul sampaikan kepada manusia dan juga mesti beri pengajaran yang lebih kepada manusia.

Kerana itu ulama’ mengatakan ada penambahan sebenarnya di dalam ayat ini, iaitu: Wahai Nabi, SAMPAIKAN KEPADA UMAT.

إِذا طَلَّقتُمُ النِّساءَ

apabila kamu menceraikan isteri-isterimu

Kalimah إذا dalam ayat maksudnya ‘jika’. Bukan mengambil maksudnya yang biasa iaitu ‘apabila’. Maknanya bukanlah ia pasti akan terjadi. Ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tapi tidaklah semestinya terjadi kepada kita. Semasa berkahwin, tidak sangka akan bercerai kerana hendak kekal sampai ke mati; namun ia bukan di dalam tangan kita. Kita tidak tahu apa yang akan terjadi di masa hadapan.

Perceraian ini memang kebanyakan pasangan tidak sangka ia akan berlaku kepada mereka kerana itu kebanyakan pasangan amat bersedih apabila ia terjadi kepada mereka. Walaupun ia sesuatu yang amat menyedihkan, tetapi harus juga disentuh jika berlaku. 

Jadi ilmu tentang perceraian ini bukan hanya diberitahu kepada mereka yang sudah mahu bercerai tetapi hendaklah disampaikan kepada semua orang dari awal lagi supaya mereka sudah tahu dan janganlah bila hendak bercerai baru hendak bertanya tentang hukum cerai.

Dibenarkan perceraian di dalam Islam juga adalah satu rahmat. Kerana bukan semua perkahwinan itu harmonis dan patut diteruskan. Bayangkan ada agama lain yang tidak membenarkan perceraian, maka pasangan itu terpaksa terus duduk di dalam situasi yang menyakitkan mereka.

Kita juga hendak memberitahu yang tidak ada masalah sangat dengan perceraian. Para sahabat dulu pun ramai yang bercerai. Allah tidak melarang perceraian. Dan hadis yang selalu digembar-gemburkan yang mengatakan Arash bergegar kalau bercerai itu adalah tidak benar.

‘Dikatakan’ bahawa Nabi SAW bersabda:

تَزَوَّجُوْا وَلَا تُطَلِّقُوْا، فَإِنَّ الطَّلَاقَ يَهْتَزُّ مِنْهُ العَرْشُ

Maksudnya: “Berkahwinlah dan janganlah kamu bercerai. Maka sesungguhnya talak (bercerai) itu akan menggegarkan ‘arash.”

Beberapa orang ulama yang faqih dalam ilmu hadis contohnya Imam Ibnu al-Jauzi, Imam al-Saghani, Imam al-Sakhawi dan Imam al-Suyuthi telah memberi komen tentang hadis tersebut dan mengatakan bahawa hadis ini adalah tidak sahih, palsu serta sanad hadisnya dhaif.

Selain daripada hadis di atas, ada sebuah lagi hadis yang agak terkenal berlegar dalam kalangan masyarakat Islam berkenaan talak.

Daripada Ibn Umar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقِ

Maksudnya: “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.” [Riwayat Abu Daud (2178) dan Ibn Majah (2018)]

Hadis ini telah diperselisihkan dalam kalangan ulama’ dalam menentukan kesahihannya. Sebahagian ulama’ hadis mengatakan bahawa hadis ini sahih dan sanadnya bersambung dan sebahagian lagi mengatakan bahawa sanadnya tidak bersambung (disebabkan gugurnya nama sahabat yang menjadi perawi dalam hadis ini).

Kalau hadis ini, tidaklah ada masalah sangat. Iaitu cerai masih halal, tapi tidaklah disukai. Maknanya, mengajar kita ia bukanlah perkara yang senang-senang dilakukan. Hanya kalau ia terpaksa, barulah diambil sebagai jalan dan langkah terakhir.

فَطَلِّقوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ

maka hendaklah kamu ceraikan mereka pada waktu mereka dapat (menghadapi) iddahnya (yang wajar) 

Ceraikan mereka bersesuaian dengan iddah mereka. Daripada ayat ini ulama’ mengambil isyarat bahawa jika hendak menceraikan isteri maka pastikan waktu cerai itu boleh terus dikira iddah bagi wanita itu. Ini bermaksud ceraikan mereka semasa mereka di dalam suci dan bukannya semasa mereka di dalam haid. 

عَنِ ابْنِ شِهَابٍ، أَخْبَرَنِي سَالِمٌ: أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ أَخْبَرَهُ: أَنَّهُ طَلَّقَ امْرَأَةً لَهُ وَهِيَ حَائِضٌ، فَذَكَرَ عمرُ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَتَغَيَّظَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَالَ: “لِيُرَاجِعْهَا، ثُمَّ يُمْسِكْهَا حَتَّى تَطْهُرَ، ثُمَّ تَحِيضَ فَتَطْهُرَ، فَإِنْ بَدَا لَهُ أَنْ يُطَلِّقَهَا فَلْيُطَلِّقْهَا طَاهِرًا قَبْلَ أَنْ يَمَسَّهَا، فَتِلْكَ الْعِدَّةُ الَّتِي أَمَرَ اللَّهُ، عَزَّ وَجَلَّ”

Dari Ibnu Syihab, telah menceritakan kepadaku Salim bahawa Abdullah ibnu Umar رضي الله عنهما pernah menceritakan kepadanya bahawa dirinya pernah menceraikan salah seorang isterinya yang sedang dalam haid. Kemudian Umar رضي الله عنه (ayahnya) menceritakan hal tersebut kepada Rasulullah ﷺ. Maka Rasulullah ﷺ marah dan bersabda: “Dia harus merujuknya, kemudian memegangnya hingga suci dari haidnya, lalu berhaid lagi dan bersuci, maka (sesudah itu) bila dia ingin menceraikannya, dia boleh menceraikannya dalam keadaan suci, sebelum dia menggaulinya. Itulah iddah yang diperintahkan oleh Allah ‎عَزَّ وَجَلَّ (untuk dijalani).” Sahih Bukhari.

Maka Islam menganjurkan talaq dilafazkan semasa isteri dalam keadaan suci. Iaitu bukan di dalam haidh dan belum lagi digauli oleh suaminya. Ini kerana apabila mereka dalam haid, masa iddah belum boleh kira bermula lagi dan mereka kena tunggu lebih lama. Sepatutnya mereka kena tunggu tiga kali suci, tetapi kalau diceraikan semasa mereka dalam haid, mereka kena tunggu empat kali suci pula. 

Lagi satu, kalau diceraikan dalam masa haid, entah-entah perangai isteri itu tidak betul kerana waktu itu mungkin dia sedang mengalami PMS (pre-menstrual syndrome) yang selalunya menyebabkan mereka tidak berapa betul sedikit. Mungkin perkara yang menyebabkan perceraian itu kerana marahkan isteri yang sedang tidak keruan. Jadi tunggulah dahulu waktu mereka sudah lepas waktu itu di mana mereka sedang dalam keadaan normal kerana kalau sedang normal, senang sedikit hendak berbincang, bukan?

Lagi satu, sebaik-baik waktu untuk menceraikan isteri adalah selepas mereka baru suci daripada haid kerana waktu mereka sedang suci dan tidak ada jimak lagi antara mereka. Maka kerana selepas haidh, maka kita tahulah yang mereka tidak ada isi kandungan dalam perut mereka. Apabila waktu suci itu tidak ada jimak lagi, maka kebarangkalian ada benih dalam perut isteri itu adalah tipis sekali. Maka waktu cerai yang terbaik adalah semasa isteri telah suci dan kita tidak jimak lagi dengan mereka.

Akan tetapi, adakah sah kalau talaq dilafazkan semasa isteri di dalam haidh? Jumhur ulama’ mengatakan ia tetap sah. Akan tetapi ada pendapat seperti pandangan Ibnu Qayyim al-Jauziyyah yang mengatakan ia tidak sah.

Maka, pertama sekali ayat ini mengingatkan kepada para lelaki supaya jangan kelam kabut hendak menceraikan isteri dan melafazkan talaq. Jangan kerana marah sahaja hendak ceraikan isteri. Ia adalah satu tindakan akhir setelah segala usaha dilakukan untuk meneruskan perkahwinan itu. Maka ia bukan terdetik sahaja, sudah lafazkan talaq. Ada banyak lagi cara lain yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Kalau terkesan dengan perasaan marah, itu bukanlah orang yang pandai kerana orang yang bijak pandai boleh mengawal nafsunya dan tidak terikut-ikut dengan emosi.

Maka ayat ini memberitahu para lelaki:

1. Jangan lafaz talaq semasa isteri dalam haid. Maka suami kenalah tahu aturan haidh isteri mereka.

2. Cerai mereka dengan talaq satu sahaja, jangan terus beri talaq tiga pula. Biarlah talaq satu sahaja dahulu dan tunggulah masa itu habis kerana mungkin ada peluang lagi untuk kembali rujuk. Kalau sudah talaq tiga terus, maka harapan untuk kembali memang tipis. Kerana kalau talaq tiga, tidak ada iddah lagi.

Kalau tidak rujuk dalam masa iddah pun, maka suami isteri itu masih boleh lagi menikah kalau mereka mahu. Kalau terus beri talaq tiga, maka isteri itu tidak boleh dikahwini lagi sehinggalah dia menikah dengan orang lain terlebih dahulu dan kemudian bercerai. Itu adalah kemungkinan yang amat jauh.

Kalau wanita itu mengandung pun masih boleh dilafazkan cerai lagi. Ini kerana sudah diketahui ada anak dalam perut isteri itu (maka tidak ada isu siapa bapa anak itu). Namun kalau dilafazkan cerai selepas ada percampuran benih, maka tidak tahu sama ada dia akan mengandung atau tidak. Maka ini tidak bagus kerana ada elemen ketidaktahuan.

Semua cara perlafazan talaq selain dari waktu suci itu, walaupun tidak mengikut sunnah, tetapi ia tetap juga sah. Isteri itu tetap juga tercerai. Cuma suami itu telah berdosa kerana tidak mengikut cara yang sunnah.

وَأَحصُوا العِدَّةَ

dan hitunglah waktu iddah itu

Dalam ayat Baqarah:228 telah diberitahu bahawa masa iddah itu adalah tiga quru’ dan Imam Syafi’iy berpegang yang ia bermaksud ‘tiga kali suci’. Jadi kalau seorang isteri itu ditalaq semasa suci maka masa iddah itu adalah apabila dia datang haid kali ketiga.

Kiraannya begini: suci (lafaz cerai) – haid pertama – suci kedua – haid kedua – suci ketiga – haid ketiga (habis iddah). Masuk haidh sahaja, iddah sudah tamat. Waktu ini suami tidak boleh rujuk isterinya lagi.

Kalau isteri itu dicerai semasa dalam haid, maka masanya jadi panjang: haid pertama (lafaz cerai) [kiraan tidak bermula lagi] – suci pertama – haid kedua – suci kedua – haid ketiga – suci ketiga – haid keempat (tamat iddah). Jadi masa menunggu sudah bertambah.

Kalimah العِدَّةَ diambil daripada katadasar ع د د yang bermaksud mengira, nombor, agak-agak, jangkamasa, bilangan. Bilangan iddah ini perlu dikira dan diperhatikan dengan tepat kerana Islam amat menjaga nasab keturunan. Amat penting diketahui siapakah bapa kepada anak itu (dibinkan kepada siapa). Iddah hendaklah dijaga kerana kita hendak memastikan bahawa isteri itu ada anak ataupun tidak di dalam perutnya. Ini kerana perkara ini memberi kesan yang besar tentang siapa yang akan menjaga anak itu.

Takut kalau wanita itu bernikah dengan orang lain dan sebenarnya sudah mengandung, takut nanti disangkakan bayi itu adalah anak suami baru pula sedangkan bukan. Sudah suami baru kena tanggung anak orang lain pula nanti. Atau dibinkan kepada orang lain (selain ayahnya yang sebenar).

Tambahan lagi, mungkin juga jikalau suami itu tahu isteri dia mengandung dia mungkin tidak sampai hati untuk menceraikan dia ataupun hati dia mungkin berubah daripada benci kepada sayang kembali. Ini kerana kalau kita tahu isteri kita mengandung, kita semakin sayang kepadanya dan timbul perasaan belas kepadanya.

Kalimah yang digunakan dalam ayat ini ditujukan kepada lelaki (para suami) akan tetapi ia juga perlu dikira oleh wanita. Dua-dua kena kira kerana entah mungkin isteri itu terlalai.

وَاتَّقُوا اللَّهَ رَبَّكُم

serta bertaqwalah kepada Allah Tuhanmu. 

Allah ‎ﷻ mengingatkan kita kepada Diri-Nya tetapi digunakan kalimah Rabb di dalam ayat ini kerana Rabb bermaksud ‘tuan’ yang menguruskan hal kita. Segala serba serbi dalam kehidupan kita ditentukan oleh Allah ‎ﷻ, maka kena ingat perkara ini.

Satu perkara menarik yang kita boleh lihat apabila Allah ‎ﷻ memperkatakan tentang perceraian, di dalam ayat-ayat itu pasti ada menyebut tentang Taqwa dan juga memberitahu yang Allah ‎ﷻ melihat. Berulangkali kita boleh lihat begitu. Kenapa begitu?

Ini kerana Allah ‎ﷻ hendak tekankan kena ada taqwa dalam keadaan seperti ini. Jika tiada taqwa maka senang sahaja pasangan hendak bercerai kerana waktu itu sudah tidak ingat Allah ‎ﷻ sangat. Ini kerana waktu itu hanya ingat kepada marah dan benci kepada pasangan masing-masing sahaja. Waktu itu pasangan hanya fikir diri sendiri sahaja. Kerana itulah taqwa banyak disebut sebagai peringatan. Ingatlah kepada Allah ‎ﷻ dan kenanglah hukum agama. Jangan ikut perasaan sangat. Kena fikir: [Allah suka ‎ﷻ atau tidak hal ini?].

Di dalam Allah ‎ﷻ memberi nasihat tentang perhubungan suami isteri dan juga perceraian, jika tidak ada taqwa maka ia tidak bermakna kerana mereka tidak mahu mendengar nasihat yang diberikan. Maka ramai yang ikut kehendak sendiri sahaja kerana waktu itu tengah marah sangat.

Maka Allah ‎ﷻ mengingatkan kepada kita yang kita kena jaga-jaga dan ambil berat tentang arahan yang diberikan di dalam ayat ini. Kalau ada taqwa dalam diri, hukum hakam yang Allah ‎ﷻ berikan akan bermakna dan takut untuk dilanggari. Tetapi kalau tidak ada taqwa, semua ikut sedap hati sahaja.

Di dalam ayat yang lain Allah ‎ﷻ telah memberi penekanan bahawa kontrak perkahwinan ini adalah perkara yang besar dan perkara yang besar ini tidak boleh diputuskan begitu sahaja dan kenalah menjadi proses-proses yang tertentu. Hendak menikah ikut proses, maka untuk bercerai pun kenalah ikut proses juga, bukan?

لا تُخرِجوهُنَّ مِن بُيوتِهِنَّ

Janganlah kamu keluarkan mereka dari rumah mereka

Allah ‎ﷻ berkata dalam ayat ini jangan keluarkan mereka dari ‘rumah mereka’ dan bukannya dari ‘rumah kamu’. Ini adalah kerana selagi iddahnya ada lagi berbaki, maka rumah itu masih lagi rumah mereka. Mereka memang layak lagi duduk tinggal di situ. Maknanya, suami jangan halau isteri mereka keluar dari rumah walaupun lafaz talaq sudah dilafazkan.

Isteri itu walaupun telah diceraikan, tetapi selagi masih dalam iddah hendaklah suami itu menanggungnya isterinya lagi kerana dia tetap isterinya lagi dan nafkah masih lagi wajib ke atas suami itu. Maka kalau keluarkan isterinya dari rumah, maka suami itu telah berdosa.

Perkara ini amat penting kerana ramai yang tidak tahu bahawa selepas dilafazkan talaq itu mereka masih lagi suami isteri dan ada masa untuk mereka berbaik semula. Waktu ini, senang sahaja suami hendak rujuk isterinya balik dengan mudah (aku hendak rujuk kamu baliklah….). Bila masih lagi bersuami isteri, maka sepatutnya mereka masih lagi tinggal bersama-sama. Maka janganlah dikeluarkan mereka daripada rumah dan tinggallah bersama-sama. Tetapi tidaklah duduk dalam bilik tidur yang sama lagi dan di katil yang sama lagi.

Selagi masih ada iddah, maka suami masih boleh rujuk isterinya. Maka eloklah kalau mereka duduk bersama supaya perkara ini dimudahkan. Selalunya apabila mereka terus berpisah dan tinggal berasingan selepas talaq dilafazkan, maka harapan untuk bersama kembali adalah tipis kerana mereka sudah ada fikiran yang macam-macam tentang bekas isteri ataupun suami itu. Kalau depan  mata, mungkin masih ada sayang lagi. Namun apabila jauh di mata, maka selalunya jauh di hati.

Maka tinggallah bersama dahulu kerana ada banyak terjadi lafaz cerai disebut kerana sedang marah dan selepas itu lelaki ataupun wanita itu mula sedar diri dan mahu rujuk kembali. Mungkin sudah rasa menyesal dan sudah terbayang-bayang kalau tidak tinggal bersama lagi. Kerana itulah ada ruang masa untuk dibenarkan rujuk kepada mereka yang telah melafazkan talaq itu. Jikalau tidak ada peluang itu ataupun mereka sudah keluar dan berpisah tempat tinggal, maka tidak ada harapan yang kuat. 

Selalunya orang kita akan hantar isterinya balik ke rumah ibubapa. Jadi suami hendak turut pun sudah susah kerana sudah duduk dengan orang lain. Sudah segan hendak turut isterinya di rumah keluarga dia. Kadangkala apabila sudah di rumah ibubapa dan jumpa pakcik makcik dan orang-orang kampung, sudah ada orang yang racun fikiran wanita itu. Biasalah kerana kebanyakan orang hendak pisahkan sahaja pasangan yang masih ada harapan untuk kembali bersama.

Padahal, mereka bukan tahu pun isu sebenar, tetapi hendak juga bagi nasihat (nasihat yang tidak diminta). Maka ini nasihat untuk orang luar: jangan menyibuk dengan hal pasangan yang kita tidak tahu hujung pangkal. Boleh beri nasihat, tetapi kena orang yang pandai sedikit dan tahu apakah yang terjadi terlebih dahulu. Bukan semua orang boleh dipakai nasihatnya.

Isteri yang telah diceraikan masih boleh tinggal di rumah suaminya selagi ada ruang untuk rujuk. Kalau cerai itu jenis tidak boleh dirujuk, maka isteri memang tidak ada hak lagi di rumah itu. Ini berdasarkan hadith Fatimah binti Qais رضي الله عنها.

Imam Ahmad رحمه الله telah meriwayatkan, telah menceritakan kepada kami Yahya ibnu Sa’id, telah menceritakan kepada kami Mujalid, telah menceritakan kepada kami Amir yang mengatakan bahawa aku tiba di Madinah, lalu aku mengunjungi Fatimah binti Qais رضي الله عنها. Maka beliau mencerita­kan kepadaku bahawa suaminya telah menceraikannya di masa Rasulullah ﷺ dan baginda mengirimkan suaminya bersama suatu pasukan khusus.

Fatimah binti Qais رضي الله عنها melanjutkan kisahnya, bahawa lalu saudara lelaki suaminya berkata kepadaku, “Keluarlah kamu dari rumah (saudaraku) ini.” Maka aku menjawab, “Sesungguhnya aku berhak mendapat nafkah dan tempat tinggal hingga masa iddahku habis.” Saudara suamiku berkata, “Tidak.” Fatimah binti Qais رضي الله عنها melanjutkan kisahnya, bahawa lalu aku menghadap Rasulullah ﷺ dan kukatakan kepadanya, “Sesungguhnya si Fulan telah menceraikanku, dan saudara lelakinya mengusirku dari rumah suamiku, dia tidak memberiku tempat tinggal dan nafkah.”

Maka Rasulullah ﷺ menanyakan saudara suaminya, “Mengapa kamu dan anak perempuan keluarga Qais ini?” Dia menjawab, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya saudaraku telah menceraikannya tiga kali seluruhnya.” Fatimah binti Qais رضي الله عنها melanjutkan, bahawa lalu Rasulullah ﷺ bersabda kepadanya:

“انْظُرِي يَا بِنْتَ آلِ قَيْسٍ، إِنَّمَا النَّفَقَةُ وَالسُّكْنَى لِلْمَرْأَةِ عَلَى زَوْجِهَا مَا كَانَ لَهُ عَلَيْهَا رَجْعَةٌ، فَإِذَا لَمْ يَكُنْ لَهُ عَلَيْهَا رَجْعَةٌ فَلَا نَفَقَةَ وَلَا سُكْنَى. اخْرُجِي فَانْزِلِي عَلَى فُلَانَةٍ”. ثُمَّ قَالَ: “إِنَّهُ يُتحَدّث إِلَيْهَا، انْزِلِي عَلَى ابْنِ أُمِّ مَكْتُومٍ، فَإِنَّهُ أَعْمَى لَا يَرَاكِ”

Perhatikanlah, hai anak perempuan keluarga Qais, sesungguhnya nafkah dan tempat tinggal bagi isteri dibebankan pada suaminya selama si suami masih punya hak untuk merujuknya. Dan apabila si suami tidak punya hak lagi untuk merujuknya, maka tiada nafkah dan tiada tempat tinggal lagi. Sekarang keluarlah engkau dan tinggallah di rumah si Fulanah. Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda lagi kepadanya: Tinggallah kamu di rumah Ibnu Ummi Maktum, kerana sesungguhnya dia adalah seorang yang sangat tua dan tidak dapat melihatmu. hingga akhir hadith.

وَلا يَخرُجنَ

dan janganlah mereka keluar 

Bukan sahaja para suami jangan keluarkan mereka, tetapi para isteri itu sendiri pun tidak patut keluar. Jangan mereka pula yang angkat kaki kerana mereka sepatutnya mesti tinggal di situ bersama dengan suaminya kerana dia masih lagi isteri orang.

Maka kena duduk di rumah itu lagi, tambahan pula kalau suaminya tidak beri kebenaran untuk keluar. Suami masih ada hak untuk menahan isterinya itu kerana isterinya itu masih lagi di bawah jagaannya. Isteri itu kena taat kepada arahan suami. Malah dia kena minta izin dari suaminya kalau hendak keluar ke mana-mana. Kalau isterinya keluar juga, maka isteri itu telah berdosa. Dia tidak layak mendapat nafkah semasa di dalam iddah itu lagi.

Cuma biasanya kita dengar kalau isteri sudah marah kepada suami, atau dia telah diceraikan, selalunya para isteri itu akan minta dihantar ke rumah ibubapanya. Ini mungkin kerana mereka tidak tahu ayat ini. Biasalah kalau tidak belajar, tidak akan tahu tentang perkara ini. Kerana itu ramai sahaja yang langgar.  

Akan tetapi, kalaulah rasa tidak selamat duduk dengan suaminya itu, maka bolehlah isteri itu keluar. Ini kena nilai sendiri.

إِلّا أَن يَأتينَ بِفٰحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ

kecuali mereka mengerjakan perbuatan keji yang terang.

Kecuali kalau para isteri itu telah melakukan perbuatan terkutuk dan jelas. Dan perbuatan ini mestilah sesuatu yang jelas dan kerana itu ada kalimah مُبَيِّنَةٍ di sini.

Ada ulama’ yang memberi maksud mereka telah melakukan zina tetapi ada juga ulama’ yang mengatakan jika mereka telah melakukan perbuatan yang buruk seperti memukul anak dan sebagainya. Juga termasuk mereka yang bersikap membangkang atau bersikap menghina keluarga suami dan menyakiti mereka dengan lisannya dan juga dengan perbuatannya.

Kenapa ini penting?

Kerana tadi telah disebut yang pasangan suami isteri itu patut tinggal bersama lagi selagi tempoh iddah masih berjalan. Mereka patut tinggal bersama di dalam satu rumah supaya ada kemungkinan untuk mereka bersama kembali. Akan tetapi jikalau kemungkinan itu memang tidak ada, maka tidak perlu untuk mereka tinggal bersama lagi.

Sebagai contoh, kalau suami itu menceraikan isterinya kerana isterinya itu telah berzina, maka tentulah dia tidak mahu hendak rujuk kembali. Maka mereka patut tinggal berasingan mulai daripada pelafazan talaq.

Ada juga berpendapat, potongan ayat ini adalah sambungan daripada ayat-ayat yang sebelumnya. Maksudnya kalau menghalau isteri keluar dari rumah atau isteri keluar dari rumah tanpa izin suami, itu adalah perbuatan yang termasuk perbuatan keji (fahishah yang jelas).

وَتِلكَ حُدودُ اللَّهِ

dan itulah hukum-hukum Allah 

Itulah dia kita telah sampaikan hukum Allah yang patut kita tahu dan ikuti. Ramai yang tidak ikuti kerana ramai yang tidak tahu, maka tugas kitalah sekarang untuk sampaikan.

Allah ‎ﷻ kata itu ‘Hudud Allah’. Kalimah ‘hudud’ selalunya dikaitkan dengan potong tangan, rotan di khalayak ramai dan rejam sahaja. Itulah sahaja fahaman masyarakat kita. Tetapi sekarang kita sudah tahu yang ‘hudud’ ini ada banyak sebenarnya dan ada di beberapa tempat dalam Al-Qur’an.

Maksud ‘hudud’ adalah ‘had’ atau penetapan had daripada Allah ‎ﷻ. Maka ia tidak boleh dilampaui kerana Allah ‎ﷻ telah tetapkan sendiri. Maka kita mestilah tahu had-had ini supaya kita tidak melampau. Perkara ini kalau tidak dipelajari, maka akan ada masalah kerana tidak tahu apakah kehendak Allah ‎ﷻ. Jadi ada jenis hukum hudud yang ada hukuman di dunia seperti potong tangan kalau mencuri; akan tetapi ada juga jenis hudud yang tidak ada hukuman di dunia. Akan tetapi hukuman tetap ada di akhirat kelak.

وَمَن يَتَعَدَّ حُدودَ اللَّهِ فَقَد ظَلَمَ نَفسَهُ

dan barangsiapa yang melanggar hukum-hukum Allah, maka sesungguhnya dia telah berbuat zalim terhadap dirinya sendiri.

Jangan main-main dengan hukum Allah ‎ﷻ kerana bahaya kepada diri sendiri. Sebagai contoh, mungkin ada suami yang hendak menyakiti isterinya itu maka dia suruh isterinya terus tinggal dengan dia supaya dia boleh menyeksa emosi isterinya itu.

Maka ini pun termasuk dalam mempermainkan agama Allah ‎ﷻ. Suami itu mungkin rasa dia menyusahkan isterinya itu tetapi dia tidak sedar yang dia sebenarnya menyusahkan ‘dirinya sendiri’ kerana dia akan ditanya oleh Allah ‎ﷻ di atas perbuatannya itu.

Allah sedang mengubah cara fikir kita sekarang. Jangan kita nampak kita menzalimi orang sahaja, tapi kena ingat yang kita sebenarnya menzalimi diri kita sendiri. Selalunya kalau kita tak nampak bahaya kepada diri kita, kita tak kisah sangat. Jadi sekarang Allah suruh fikirkan balik: kau sebenarnya menyusahkan diri kau sahaja.

لا تَدري لَعَلَّ اللَّهَ يُحدِثُ بَعدَ ذٰلِكَ أَمرًا

Kamu tidak mengetahui barangkali Allah mengadakan sesudah itu sesuatu hal yang baru.

Jadi isteri itu kena terus tinggal di rumah suaminya itu dan jangan keluar kerana mungkin selepas suaminya itu telah melafazkan talak, mungkin akan timbul perasaan lain di mana dia sayang kembali kepada isterinya itu. Dan apabila berbaik semula, kasih sayang antara mereka itu lebih baik dari yang sebelum itu lagi.

Kita kena ada harapan ini kerana Allah ‎ﷻ boleh mengubah hati manusia daripada benci kepada sayang. Kalau-kalau dia menyesal melafazkan talaq itu, mungkin dia hendak rujuk terus kepada isterinya itu. Maka kalau isterinya di tempat lain, sudah susah pula, bukan?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 9 Jun 2022

Ringkasan Surah Talaq


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solah

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s