Tafsir Surah Baqarah Ayat 36 (Iblis menggelincirkan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)

Baqarah Ayat 36: Allah ﷻ memperkenalkan ‘pihak keempat’ di dalam kisah ini. Ada satu sahaja larangan yang diberikan oleh Allah ﷻ dan itulah yang digunakan oleh iblis untuk merosakkan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

فَأَزَلَّهُمَا الشَّيطٰنُ عَنها فَأَخرَجَهُما مِمّا كانا فيهِ ۖ وَقُلنَا اهبِطوا بَعضُكُم لِبَعضٍ عَدُوٌّ ۖ وَلَكُم فِي الأَرضِ مُستَقَرٌّ وَمَتٰعٌ إِلىٰ حينٍ

Sahih International

But Satan caused them to slip out of it and removed them from that [condition] in which they had been. And We said, “Go down, [all of you], as enemies to one another, and you will have upon the earth a place of settlement and provision for a time.”

Malay

Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)”.

 

فَأَزَلَّهُمَا الشَّيْطٰنُ عَنْهَا

Telah menggelincirkan mereka berdua oleh syaitan daripada syurga;

Kalimah اَزَلَّ daripada kata dasar: ز ل ل yang bermaksud bergerak dari tepi ke tepi, gelincir, melakukan kesalahan, kurang baik, pemindahan. Perhatikan juga harf ف di dalam kalimah فَاَزَلَّهُمَا yang memberi isyarat berlaku dengan segera. Ini memberitahu kita yang syaitan tidak membuang masa berlengah-lengah untuk menghasut Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ setelah baginda tinggal di syurga. Dari segi sikap ini (tidak berlengah-lengah), ternyata syaitan lebih baik daripada kita.

Perhatikan yang Allah ﷻ telah mempertanggungjawabkan ke atas kedua-duanya sekali. Dari segi ketaatan kepada Allah ﷻ, kedua-duanya mempunyai tanggungjawab yang sama. Kisah ini berbeza dengan kisah dalam penceritaan Kristian, kerana mereka berpegang bahawa Hawwa’ lah yang telah menggoda Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk makan daripada pohon tersebut. Maka ibu kita Hawwa’ dipersalahkan. Amat melampau sekali sehingga mereka membuat tuduhan yang punca segala kejahatan berpunca daripada Hawa (kalimah ‘evil’ diambil daripada ‘Eve’). Namun bukan begitu pegangan kita di dalam Islam. Kita percaya kedua-dua mereka sama-sama dipertanggungjawabkan di atas kesalahan tersebut.

Siapa pula الشَّيْطٰنُ ini? Adakah pelakon keempat selepas Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Hawwa’ dan iblis? Tidak, kerana الشَّيْطٰنُ ini merujuk kepada iblis lah juga. Nama khas dalam IC dia adalah iblis, dan الشَّيْطٰنُ adalah gelaran baginya kerana ada sifat شَيْطٰنُ. Ia daripada kata dasar sama dengan ش ط ن yang bermaksud jauh daripada sesuatu, berpaling dalam melawan, syaitan, seseorang yang terlalu bangga diri, tidak percaya, terbakar, ular. Maka شَيْطٰنُ adalah sifat, bukannya nama satu entiti. Cuma apabila kalimah الشَّيْطٰنُ yang digunakan seperti di dalam ayat ini, ia merujuk kepada iblis kerana ada ال makrifah di situ. Sekiranya kalimah شَيْطٰنُ sahaja yang digunakan, ia merujuk kepada jenis makhluk yang mempunyai sifat syaitan.

Aspek terjemahan kalimah syaitan ini amat meluas. Antara lain syaitan membawa maksud “terbakar“, “kesulitan“, “hancur terbakar” dan pelbagai lagi erti syaitan menurut bahasa.

Dari segi istilah pula, syaitan bermaksud “segala yang buruk dan jahat “. Sebenarnya kalimah Syaitan bukanlah mutlak berasal daripada kalimah bahasa Arab kerana di dalam bahasa Ibrani, syaitan disebut sebagai Satan [satanot – jamak] yang turut merujuk kepada “kejahatan” dan terma satan banyak digunakan di dalam kitab-kitab agama Yahudi sejak beribu tahun dahulu.

Oleh itu, kalimah ‘Syaitan’ sebenarnya adalah kata sifat yang dinaqalkan kepada sesuatu yang buruk sifatnya tidak kira sama ada manusia, jin, haiwan, penyakit atau sesuatu yang berkaitan dengannya. Namun terma syaitan lebih utama digunakan terhadap jin dan manusia.

Ramai yang tidak tahu dan pelik apabila kita beritahu hal ini kerana mereka sangka syaitan ini satu jenis bangsa makhluk pula. Mereka sangka ada manusia, malaikat, jin dan juga syaitan. Tidak sebenarnya, kerana makhluk yang ada akal hanya tiga sahaja iaitu jin, manusia, malaikat. Maka ‘syaitan’ ini boleh jadi dalam kalangan jin dan juga kalangan manusia. Benar, jangan pelik manusia pun ada yang mempunyai sifat syaitan itu. Dalilnya daripada ayat yang kita selalu baca, iaitu Nas: 6

مِنَ الجِنَّةِ وَالنّاسِ
“(Iaitu pembisik dan penghasut) dalam kalangan jin dan manusia”.

Setelah iblis enggan sujud kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, maka Allah ﷻ telah menghalau iblis dari syurga. Apabila dihalau, iblis memandang perkara itu terjadi berpunca daripada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sebab itulah iblis menyimpan dendam kesumat terhadap Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, lalu dia telah membuat keputusan akan menyesatkan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ malah bukan baginda sahaja tetapi seluruh anak cucu Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sekali. Supaya nanti akhirnya manusia akan masuk ke dalam neraka bersama dengannya. Kerana itulah dia minta dipanjangkan umurnya dan dibenarkan oleh Allah ﷻ untuk iblis menggoda anak cucu Adam. Ini adalah sebagai dugaan dan ujian bagi manusia. Allah ﷻ berfirman tentang azam iblis ini di dalam Hijr: 39

قالَ رَبِّ بِما أَغوَيتَني لَأُزَيِّنَنَّ لَهُم فِي الأَرضِ وَلَأُغوِيَنَّهُم أَجمَعينَ
Iblis berkata: “Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya,

Menjadi persoalan juga, bagaimanakah Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ boleh terjerumus ditipu oleh iblis sedangkan iblis sudah dihalau dari syurga? Ada banyak pendapat tentang bagaimana ini boleh terjadi:

1. Allah ﷻ membenarkan iblis untuk memasukkan hasutan ke dalam fikiran Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka, walaupun dia tidak berjumpa dengan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, tetapi dia masih lagi boleh menghasut dari jauh.

2. Mungkin iblis sebagai sejenis jin mempunyai kebolehan untuk bertukar rupanya kepada makhluk lain seperti ular atau lainnya dan berjaya masuk ke dalam syurga. Mungkin kerana penyamaran inilah yang menyebabkan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak mengenali iblis.

Atau mungkin Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetap kenal iblis, tetapi mungkin telah terlupa yang iblis adalah musuhnya dan dia pandai menipu dengan licik sekali, lalu Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah termakan hasutan iblis. Ini kerana cara penipuan iblis ini seolah-olah mereka berdialog seperti disebut di dalam A’raf: 20-21

فَوَسوَسَ لَهُمَا الشَّيطٰنُ لِيُبدِيَ لَهُما ما وورِيَ عَنهُما مِن سَوءٰتِهِما وَقالَ ما نَهٰكُما رَبُّكُما عَن هٰذِهِ الشَّجَرَةِ إِلّا أَن تَكونا مَلَكَينِ أَو تَكونا مِنَ الخٰلِدينَ
Maka syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya apa yang tertutup daripada mereka iaitu auratnya dan syaitan berkata: “Tuhan kamu tidak melarangmu dan mendekati pohon ini, melainkan supaya kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang-orang yang kekal (dalam syurga)”.

وَقاسَمَهُما إِنّي لَكُما لَمِنَ النّاصِحينَ
Dan dia (syaitan) bersumpah kepada keduanya. “Sesungguhnya aku adalah termasuk orang yang memberi nasihat kepada kamu berdua”,

Syaitan telah berkomunikasi dengan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menceritakan serta menipu dengan berkata yang dia telah dihalau dari syurga. Dia menasihati Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ supaya jangan jadi sepertinya. Kononnya dia mahu menasihati Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ cara untuk kekal dalam syurga. Maka, dia telah menyuruh Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memakan pokok yang terlarang itu. Ini disebut di dalam Taha: 120

فَوَسوَسَ إِلَيهِ الشَّيطانُ قالَ يا آدَمُ هَل أَدُلُّكَ عَلىٰ شَجَرَةِ الخُلدِ وَمُلكٍ لا يَبلىٰ
Kemudian setan membisikkan (fikiran jahat) kepadanya, dengan berkata, “Wahai Adam! Mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon keabadian (khuldi) dan kerajaan yang tidak akan binasa?”

Namun Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kata yang baginda tidak boleh makan pokok itu sebab baginda masih ingat lagi bahawa Allah ﷻ telah melarangnya menghampiri pokok itu. Iblis kata, Allah ﷻ juga telah menyekat dia dan kerana dia tidak makan pokok itulah yang menyebabkan dia dihalau dari Syurga. Lihatlah bagaimana liciknya helah daripada iblis.

Oleh kerana rayuan dan bisikan iblis itu datang bertalu-talu, lalu akhirnya Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah termakan pujukan iblis. Tambahan pula iblis mengaku dia sebagai penasihat, bersumpah pula dengan nama Allah ﷻ. Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak menyangka orang yang bersumpah dengan nama Allah ﷻ sanggup menipu, maka baginda telah terperdaya dan termakan pujukan iblis itu. Sebagai ‘punahsihat’, iblis kata, sekiranya Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memakan pokok itu, baginda akan menjadi seperti malaikat dan akan hidup kekal dalam syurga. Malah dia menambahkan lagi hujahnya dengan berkata, yang Tuhan kata, ‘jangan hampiri’, bukanlah Dia kata ‘jangan makan’.

Begitulah, Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akhirnya telah memakan pokok larangan itu. Bila baginda makan, baginda pun mengajak Hawwa’ memakannya juga. Bimbang pula nanti sekiranya Hawwa’ tidak makan, mereka akan berpisah. Akan tetapi dalam tafsir lain dikatakan bahawa iblis menggoda Hawwa’ dan Hawwa’lah yang menyebabkan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ makan.

Itu adalah fitnah kepada Hawwa’ kerana ia memburukkan kaum wanita. Itu semua adalah karut sahaja. Padahal dalam Al-Qur’an, dikatakan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُlah yang makan dulu pokok itu. Orang Kristian sampai menamakan Hawwa’ dengan nama ‘Eve’, dan mereka kata daripada kata nama Eve itulah datangnya kata nama ‘evil’ – kejahatan. Kepada mereka, Eve lah punca segala kejahatan!

Setelah dimakan pokok itu, lalu terlucutlah pakaian mereka dengan sendiri. Telanjanglah mereka berdua. Maka, tahulah Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bahawa mereka telah derhaka dengan Tuhan dan Allah ﷻ telah murka kepada mereka sehingga dilucutkan pakaian kebesaran dan kemewahan mereka. Mereka telah mengambil daun daripada pokok-pokok dalam Syurga untuk menutupi tubuh mereka kerana memang sudah dijadikan dalam fitrah manusia, malu dan menjaga aurat.

 

فَأَخْرَجَهُمَا مِمَّا كَانَا فِيهِ

Maka dikeluarkan mereka berdua daripada syurga, tempat yang pernah mereka tinggal padanya; 

Allah ﷻ kata ‘jangan’, tetapi iblis tipu dengan kata ‘boleh’. Maknanya dalam kehidupan seharian kita, syaitan akan mencari helah mana yang tidak boleh, dia akan suruh kita buat. Inilah caranya. Dia terbalikkan yang boleh dan tidak boleh.

Syaitanlah penyebab turunnya Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dari syurga. Allah ﷻ yang keluarkan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa’ akan tetapi disebut di sini iblis yang keluarkan kerana dialah penyebab. Dia bukannya suruh Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ membuat salah tetapi dia pandai memujuk. Dia telah memutarbelitkan larangan Allah ﷻ. Dia kata larangan daripada Allah ﷻ itu adalah kerana sekiranya Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ makan, Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan kekal di syurga. Syaitan kata Allah ﷻ tidak benarkan memakan pokok itu sebab Allah ﷻ mahu keluarkan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dari syurga.

Begitulah licik iblis itu sehingga dia memandai-mandai menamakan pokok itu Pokok Khuldi – Pokok Kekal. Panjang dan lama dia memujuk Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sampai Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ termakan pujukannya. Akhirnya iblis berjaya menghalalkan yang haram.

Syaitan akan sentiasa hendak menggelongsorkan manusia daripada mengikut syariat. Lalu bagaimana kita mahu melawan syaitan kerana kita tidak nampak mereka? Allah ﷻ ajar dalam ayat ini yang jikalau ada keinginan untuk menolak syariat, itu adalah bisikan syaitan. Memang iblis tidak suka wahyu ditegakkan. Allah ﷻ beri peringatan jangan kita menjadi seperti tok nenek dulu.

 

وَقُلْنَا اهْبِطُوا

Dan Kami (Allah) berfirman: Keluarlah kamu dari syurga ini;

Kalimah اهْبِطُوا daripada kata dasar: ه ب ط yang bermaksud maju ke hadapan, menuruni dari tempat yang tinggi ke bawah, bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain, memasuki, bertukar keadaan, menjadi rendah, diturunkan kedudukan.

Melalui bahasa yang digunakan, bukan bermaksud ‘kamu berdua’. Akan tetapi arahan itu diberikan kepada ramai kerana ia dalam bentuk jamak (plural). Maka, ada mufassir yang berpendapat, yang disuruh keluar dalam ayat ini termasuk sekali dengan iblis kerana mungkin iblis masih lagi ada di langit pada waktu itu (walaupun bukan dalam syurga).

 

بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ

Sebahagian daripada kamu akan menjadi musuh kepada sebahagian yang lain;

Permusuhan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan iblis akan berterusan sehingga ke dunia. Apabila Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa’ sudah tiada, permusuhan diteruskan dengan anak cucu dan generasi demi generasi yang seterusnya pula. Ia bermakna bahawa syaitan menjadi musuh manusia, dan manusia pun mesti menjadikannya sebagai musuh. Jangan sesekali berbaik-baik dengannya, jangan memberinya maaf, kerana kalaupun syaitan dimaafkan, ia akan kembali memusuhi. Jangan sekali-kali menduga bahawa ia pada suatu saat dapat bersikap lembut terhadap kita, apatah lagi menjadi teman manusia. Memang, manusia yang bermusuhan dengan manusia lain boleh bertukar menjadi teman pada suatu ketika, namun syaitan tidak akan sesekali menjadi teman. Ia adalah musuh abadi hingga akhir zaman.

Keturunan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa’ juga bermusuhan apabila mereka mempunyai zuriat. Menjadi musuh sebahagian yang lain sudah tentunya menyedihkan ibu bapa (Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa’), iaitu kita akan balik kepada kejadian asal manusia. Ini kerana setiap manusia ada nafsu yang berlainan. Keinginan juga berlainan. Ia membawa kepada perbezaan pendapat dan akan terjadilah permusuhan. Tidak perlu menunggu lama, anak Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa’ iaitu Habil dan Qabil juga telah bermusuhan sehingga terjadilah kes pembunuhan pertama di dunia.

Orang yang berada di atas al-haq akan sentiasa dimusuhi oleh orang yang berfahaman batil dan berbagai-bagai lagi jenis permusuhan yang ada. Dalam hal yang remeh seperti bermain bola pun manusia boleh bermusuhan. Begitulah tidak sunyi manusia daripada permusuhan yang tidak habis-habis.

Tidak dapat disangkal lagi, pencetus utama penindasan ini adalah syaitan. Terdapat segolongan manusia yang menggunakan nama Islam tetapi telah mengeluarkan kata-kata paling kesat berbaur syaitan. Sesetengah daripada mereka menindas wanita atas nama Islam. Sudah pasti mereka telah menyalahgunakan nama agama untuk mencapai tujuan mereka ini. Mereka telah memutarbelitkan hukum hakam agama sehingga menjadi bertentangan dengan sunnah Rasulullah ﷺ. Ini adalah merupakan sebuah tragedi ummah. Propaganda terburuk terhadap Islam sebenarnya telah dilakukan oleh tangan-tangan Muslim sendiri secara sedar atau tidak. Kenyataan ini amat memeritkan sekali. Lihatlah sekarang bagaimana kita saling bercakaran di antara satu sama lain walaupun dalam hal-hal yang remeh sahaja.

Siapakah yang memberikan kita lesen untuk menghakimi hati dalaman seseorang? Lebih memburukkan keadaan apabila ia dilakukan oleh mereka yang alim dan kononnya berpengetahuan tinggi dalam bidang agama dalam masyarakat.

Oleh itu, apabila Allah ﷻ berfirman yang kita akan saling bermusuhan di antara satu sama lain, jangan sangka yang permusuhan ini adalah hanya di antara golongan mukmin dan kafir sahaja. Ia lebih daripada itu kerana kita hidup dalam keadaan di mana manusia ada yang menggunakan nama Islam untuk menyatakan segala kata-kata yang amat buruk sekali. Akibatnya, ini menyebabkan manusia semakin jauh daripada Islam. Mereka telah mengaitkan Allah ﷻ dan Rasulullah ﷺ dengan perkara yang amat terpesong sekali.

Oleh hal yang demikian, ini adalah perjuangan kita: untuk menuntut semula Kitab Allah ini dan mencari keadilan yang sebenarnya di atas segala Sunnah Rasulullah ﷺ. Perjuangan untuk merampas semula daripada mereka yang telah menzalimi dan menindas di atas nama Allah ﷻ dan Rasulullah ﷺ. Lihatlah betapa beraninya mereka. Inilah hakikat yang sedang berlaku di sekeliling kita.

 

وَلَكُمْ فِي الْأَرْضِ مُسْتَقَرٌّ

Bagi kamu di bumi itu tempat tinggal yang sementara; 

Kalimah مُسْتَقَرٌّ daripada kata dasar: ق ر ر yang bermaksud senyap, tetap, tegap, segar, kukuh, bersetuju, tempat tetap, nyaman. Allah ﷻ mengingatkan yang keturunan anak cucu Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan menetap dalam dunia namun tidaklah lama, hanya duduk sekejap sahaja. Manusia akan mati akhirnya dan akan pergi ke tempat yang kekal selama-lamanya di akhirat. Kalimah istiqrar bermaksud untuk tinggal dan tinggal di dalam ketenteraman. Ia juga bermaksud kedinginan. Dalam bahasa mudah, sebagai manusia yang telah diturunkan ke bumi, kita akan mendapati bumi ini adalah tempat untuk berseronok. Kita akan akan menemui segala kesenangan dan kemudahan. Semuanya diberikan sehingga waktu tertentu.

Akan tetapi tentunya kehidupan di dunia bagi Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ amat susah kerana baginda telah pernah hidup di syurga yang penuh kenikmatan. Allah ﷻ telah mengingatkan perkara ini dari awal lagi seperti disebut di dalam Taha: 117-119

فَقُلنا يا آدَمُ إِنَّ هٰذا عَدُوٌّ لَكَ وَلِزَوجِكَ فَلا يُخرِجَنَّكُما مِنَ الجَنَّةِ فَتَشقىٰ
Maka, Kami berfirman: “Wahai Adam sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah ia menyebabkan kamu berdua keluar dari Syurga, kerana dengan yang demikian engkau (dan isterimu) akan menderita.

إِنَّ لَكَ أَلّا تَجوعَ فيها وَلا تَعرىٰ
“Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa engkau tidak akan lapar dalam Syurga itu dan tidak akan bertelanjang.

وَأَنَّكَ لا تَظمَأُ فيها وَلا تَضحىٰ
“Dan sesungguhnya engkau juga tidak akan dahaga dalam Syurga itu, dan tidak akan merasa panas matahari”.

 

وَمَتٰعٌ إِلَىٰ حِينٍ

dan suatu kesenangan sehingga tempoh kamu mati;

Perkataan مَتَاعٌ yang digunakan dalam ayat ini bermaksud ‘barang keperluan yang digunakan’. Namun barang itu tidaklah penting sepertimana sehelai kain buruk kita buat lap meja sahaja. Ia memang digunakan, tetapi tidaklah ia menjadi satu barang yang penting dan berharga.

Maka inilah hakikat dunia. Ia hanya untuk keperluan hidup kita semasa di dunia sahaja. Oleh itu, jangan kita bersikap materialistik sehingga dunia itu masuk ke dalam hati kita. Kena ingat yang dunia ini hanyalah untuk keperluan sahaja.

Kita adalah anak cucu Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang tidak bersalah makan pokok itu. Namun sekarang kita duduk di dunia kerana dalam ayat ini, ia adalah perintah daripada Allah ﷻ untuk kita tinggal di dunia. Sememangnya Allah ﷻ telah takdirkan dari dulu lagi yang kita akan menetap dalam dunia. Kita akan diuji di dunia ini untuk melayakkan kita masuk ke dalam syurga yang kekal abadi.

Oleh itum yang penting pengajaran yang kita boleh ambil daripada kisah ini. Pengusiran dari syurga yang penuh kenikmatan, seharusnya mendorong manusia untuk berusaha kembali ke sana seperti cara yang akan ditunjukkan Allah ﷻ. Huraian ayat di atas juga bertujuan untuk menanamkan rasa penyesalan ke dalam jiwa manusia sekaligus menunjukkan betapa syaitan merupakan musuh dan sumber malapetaka yang kita mesti berhati-hati. Ini diharapkan dapat menghasilkan dorongan untuk terus menerus memusuhi syaitan dan menjauh daripada segala rayuan dan ajakannya.

Namun begitu terdapat sesetengah Muslim yang telah menyalah anggap dengan berfikir yang kita tidak boleh menikmati dunia pula. Apa yang Allah ﷻ tekankan adalah jangan keterlaluan dalam menikmati dunia sehingga lupa akan akhirat, itu sahaja. Jangan lupa yang dunia ini adalah sementara. Cuba kaji sejarah hidup Nabi ﷺ kita. Baginda hidup di Madinah ketika zaman perang. Walaupun begitu, Baginda tidak menegur atau menghina sahabat-sahabatnya yang menikmati dunia ini. Baginda berjuang namun dalam masa yang sama baginda menikmati dunia ini juga. Siapalah kita yang mahu berlebihan pula melebihi para sahabat itu? Kita harus ingat yang Allah ﷻ telah menganugerahkan kehidupan dunia ini untuk kita nikmati dan mensyukuri kepada-Nya. Bagaimana mungkin kita mampu bersyukur jika kita tidak menikmati segala pemberian-Nya?

Ingatkah peristiwa ketika ada tetamu yang mengunjungi Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Bukankah baginda telah menjamu mereka dengan hidangan mewah berupa lemak daging? Bukankah itu merupakan nikmat dunia? Oleh sebab itu, kita tidak sepatutnya mengutuk dan mencerca dunia ini, cuma kita harus hidup secara sederhana, seimbang dunia dan akhirat. Itu sahaja.

Allah ﷻ mahukan kebahagiaan untuk hamba-hamba-Nya yang beriman dunia dan akhirat. Maka, hargailah kurniaan Allah ﷻ ini kepada kita. Kita harus ingat, yang keindahan dunia yang Allah ﷻ ciptakan ini merupakan kebanggaan buat Allah ﷻ.

Sebab itulah Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diperintahkan untuk menggunakan مَتَاعٌ di dunia ini. Baginda bukanlah dihukum. Walau bagaimanapun kita harus ingat yang baginda telah melihat Jannah malah sempat merasai nikmat di dalamnya. Kesenangan dunia ini tiada apa-apa jika dibandingkan dengan Jannah. Tidak dapat kita bayangkan kesedihan yang baginda alami.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 26 Julai 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Mualana Hadi

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 35 (Pokok Khuldi nama rekaan iblis)

GODAAN DAN KEGAGALAN

Baqarah Ayat 35: Sekarang masuk ke episod yang baru kisah Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini.

وَقُلنا يٰئآدَمُ اسكُن أَنتَ وَزَوجُكَ الجَنَّةَ وَكُلا مِنها رَغَدًا حَيثُ شِئتُما وَلا تَقرَبا هٰذِهِ الشَّجَرَةَ فَتَكونا مِنَ الظّٰلِمينَ

Sahih International

And We said, “O Adam, dwell, you and your wife, in Paradise and eat therefrom in [ease and] abundance from wherever you will. But do not approach this tree, lest you be among the wrongdoers.”

Malay

Dan Kami berfirman: “Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim”.

 

وَقُلْنَا يٰئآدَمُ اسْكُنْ أَنْتَ وَزَوْجُكَ الْجَنَّةَ

Dan Kami berfirman kepada Nabi Adam: Tinggallah kamu dan pasangan kamu dalam syurga;

Allah ﷻ mengizinkan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk tinggal dalam syurga. Tidak dinyatakan في الْجَنَّةَ (dalam syurga) tetapi hanya الْجَنَّةَ tanpa harf في di sini. Kebiasaannya apabila kita katakan kita tinggal di sesuatu tempat, kita akan katakan ‘di’ Dallas, Johor dan sebagainya. Akan tetapi di sini tiada ‘di’. Kenapa?

Ini kerana kalimah في (di dalam) akan menghilangkan sifat luas terbentangnya Jannah itu. Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak diberitahu untuk tinggal di dalam Jannah kerana baginda boleh tinggal di mana-mana sahaja di Jannah itu. Baginda boleh tinggal di mana-mana sahaja di seluruh Jannah yang tidak berpenghujung itu.

Dalam ayat-ayat sebelum ini (diajar nama, malaikat disuruh sujud), kejadian itu semua berlaku di mana? Tidak disebut di dalam nas Al-Qur’an atau hadith. Oleh kerana itu ada ahli tafsir berpendapat ia berlaku di luar syurga, kerana selepas itu barulah Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diperintahkan untuk masuk tinggal di dalam syurga seperti disebut di dalam ayat ini. Akan tetapi ada juga yang berpendapat, semua yang terjadi sebelum ini pun tempatnya di dalam syurga, cuma Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak tahu yang baginda akan tinggal terus di dalamnya. Sehingga sekarang barulah keluar arahan inilah tempat tinggal baginda. Allahu a’alm.

Bukanlah baginda tinggal seorang sahaja kerana kalau tinggal seorang diri, tentulah baginda bosan. Maka telah dijadikan pasangan buat baginda yang namanya Hawwa’. Asalnya baginda seorang sahaja tetapi kemudian telah diciptakan Hawwa’. Ada juga kisah penciptaan beliau iaitu dikatakan dijadikan daripada tulang Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Di dalam kisah Israiliyyat, dikatakan beliau dijadikan daripada tulang rusuk, dan tulang itu diambil ketika baginda sedang tidur. Umumnya begini jugalah pandangan kebanyakan orang Islam dan ia dikuatkan dengan hadith yang masyhur,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ فَإِنَّ الْمَرْأَةَ خُلِقَتْ مِنْ ضِلَعٍ وَإِنَّ أَعْوَجَ شَيْءٍ فِي الضِّلَعِ أَعْلَاهُ فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيمُهُ كَسَرْتَهُ وَإِنْ تَرَكْتَهُ لَمْ يَزَلْ أَعْوَجَ فَاسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] berkata, Rasulullah ﷺ bersabda: “Nasihatilah para wanita kerana wanita diciptakan daripada tulang rusuk yang bengkok dan yang paling bengkok daripada tulang rusuk adalah pangkalnya, jika kamu cuba untuk meluruskannya maka dia akan patah namun bila kamu biarkan maka dia akan tetap bengkok. Untuk itu nasihatilah para wanita”.
(Sahih Bukhari (3084))

Apabila kita perhatikan bunyi hadith ini dengan saksama, tidaklah ia dapat dijadikan dalil untuk mengatakan bahawa perempuan, atau terutama Hawwa’, terjadi daripada tulang rusuk Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Tidak ada disebut sama sekali dalam hadith ini daripada hal tulang rusuk Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Yang terang maksud hadith ini ialah membuat perumpamaan tentang hal bengkok atau bengkoknya jiwa orang perempuan, sehingga payah membentuknya, sama keadaannya dengan tulang rusuk; tulang rusuk tidaklah dapat diluruskan dengan paksa. Kalau dipaksa-paksa meluruskannya, ia akan patah. Seandainya dibiarkan sahaja, tidak dihadapi dengan sabar, ia berterusan dalam keadaan bengkok.

Yang menjadi isunya adalah penggunaan kalimah مِنْ pada kalimat خُلِقَتْ مِنْ ضِلَعٍ. Ramai yang menterjemahkan ‘wanita diciptakan daripada tulang rusuk yang bengkok’. Sedangkan kalimah مِنْ boleh juga membawa maksud ‘seperti’. Ini dikuatkan lagi dengan hadith yang lain,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الْمَرْأَةَ كَالضِّلَعِ إِنْ ذَهَبْتَ تُقِيمُهَا كَسَرْتَهَا وَإِنْ تَرَكْتَهَا اسْتَمْتَعْتَ بِهَا عَلَى عِوَجٍ
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] beliau berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya wanita itu seperti tulang rusuk; Jika kamu ingin meluruskannya maka kamu akan mematahkannya dan jika kamu membiarkannya maka kamu boleh bersenang-senang dengannya, namun ia masih dalam keadaan bengkok.”
(Sahih Bukhari (1109))

Kali ini digunakan kalimah yang lebih jelas iaitu كَالضِّلَعِ (seperti tulang rusuk). Maka di sini kita dapat tahu bahawa tulang rusuk itu hanyalah perumpamaan sahaja. Ini kerana seorang lelaki hendaklah berhati-hati di dalam menasihati dan membentuk wanita kerana mereka itu seumpama tulang rusuk yang sifatnya bengkok. Kalau dibiarkan, terus bengkok dan ini tidak patut dibiarkan; namun kalau keras nasihat kita kepadanya, maka ia akan mematahkannya kerana sifatnya seperti tulang yang kalau dibentuk dengan keras, ia boleh patah. Ini adalah kerana wanita mengikut hawanya iaitu sentimen mereka, emosi mereka.

Hadith-hadith ini telah memberi petunjuk bagi seorang lelaki terutama bagi seorang suami, bagaimana caranya menggauli isterinya dan mendidik anak-anaknya yang perempuan. Ini amat penting sekali agar dapat membina rumahtangga yang bahagia. Seorang lelaki itu hendaklah mengenali akan kelemahan jiwa perempuan ini, iaitu laksana tulang rusuk yang bengkok. Seorang suami yang berpengalaman dapat mengerti dan memahami apa maksud hadith-hadith ini. Sekiranya bijak berkomunikasi, maka tenanglah jiwa dan tidaklah terbang pinggan mangkuk; sebaliknya jika berkeras, maka cerailah jawabnya.

Daripada pasangan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini mengajar kita yang sunnah dalam agama adalah menikah. Kita adalah makhluk yang sememangnya memerlukan pasangan hidup yang halal. Maka jangan kita terpengaruh dengan sesetengah orang yang berasa lebih senang hidup sendirian sahaja. Jangan begitu. Kita tidaklah sampai mengatakan yang menikah itu wajib, kerana lain orang lain masalahnya. Bukan senang juga untuk mencari pasangan yang sesuai. Akan tetapi yang penting hendaklah disimpan niat untuk menikah kerana itulah yang dilakukan oleh ibubapa kita yang dimulai oleh Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa’.

Perkataan ‘سكن’ yang digunakan itu pun sudah bermaksud bahawa Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa’ tidak akan tinggal lama di Syurga itu. Ini kerana makna perkataan itu dalam bahasa Arab adalah untuk tinggal sekejap sahaja dan kemudian nanti akan meneruskan perjalanan ke tempat lain. Dalam dalam ayat 30 sebelum ini pun Allah ﷻ telah berfirman kepada malaikat bahawa Dia hendak menjadikan khalifah di bumi. Maka, memang tempat Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah di bumi, bukan terus duduk di Syurga. Allah ﷻ tahu yang mereka tidak akan tinggal tetap di situ dan kerana itulah Allah ﷻ menggunakan kalimah اسْكُنْ di sini. Tambahan pula, syarat untuk tinggal di syurga adalah dengan iman dan amal setelah berjaya melepasi ujian, sedangkan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa’ belum lagi diuji.

Arahan untuk tinggal ini adalah kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa’ sahaja kerana memang Allah ﷻ tahu yang mereka tidak akan sempat beranak pinak di situ.

Selain itu, terdapat juga makna lain untuk اسْكُنْ. Di dalam ayat Rum: 21, Allah ﷻ berfirman:

وَمِنْ اٰيٰتِهٖٓ اَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِّنْ اَنْفُسِكُمْ اَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوْٓا اِلَيْهَا
Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu daripada jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram terhadapnya.

Agar kamu mendapat ketenteraman terhadapnya. Maka, daripada اسْكُنْ Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Hawwa’ telah diciptakan. Di sini mengajar juga kepada kita, bahawa kunci ketenangan dan ketenteraman sesebuah rumahtangga terletak di tangan suami. Kadangkala, si isteri mungkin terlalu marah sehingga mengeluarkan kata-kata yang sangat buruk, namun ketika inilah si suami harus mewujudkan ketenangan itu. Suami haruslah bertenang, dengar sahaja apa yang isteri ingin katakan dan jangan terus mengambil hati dengan kata-katanya. Suami harus sahaja berkata: “Ya”. Jangan sesekali berpaling dan menjawab. Jangan. Biarkan sahaja. Lepaskan sahaja. Biarkan si isteri meluahkan perasaannya sehingga lega. Ini kerana menjaga ketenteraman adalah tanggungjawab si suami. Jangan harapkan perkara ini daripada isteri kerana dia tidak mampu sebenarnya. Tidak dinafikan, kadangkala ia adalah amat sukar sekali. Namun ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kita sebagai suami. Oleh itu, kalimat لِّتَسْكُنُوْٓا اِلَيْهَا bermaksud: agar kamu merasa tenteram terhadapnya. Ini bermakna ketenangan anda ditujukan langsung kepada isteri anda.

Akan tetapi kenapakah Allah ﷻ memasukkan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ke dalam syurga walaupun Dia tahu yang Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak akan kekal di situ? Kerana Allah ﷻ hendak tunjukkan tempat asal baginda dan tempat baginda akan kekal abadi nanti setelah baginda menjalani ujian dahulu di dunia.

Di dalam ayat ini Allah ﷻ bercakap terus kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana baginda adalah ketua keluarga. Ketua keluarga dalam sesuatu keluarga itu adalah lelaki. Maka arahan diberikan kepadanya dan dialah yang kena sampaikan kepada Hawwa’. Ini juga menjadi sumber hukum yang seorang suami wajib menyediakan tempat tinggal bagi isteri; dan isteri mesti tinggal di rumah suaminya tinggal. Oleh itu untuk hubungan PJJ (Perhubungan Jarak Jauh) memang tidak baik sebenarnya.

Allah ﷻ memerintahkan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa’ tinggal di syurga. Namun syurga yang mana? Tentang syurga ini ulama’ khilaf, adakah ia syurga yang akan dimasuki oleh orang beriman nanti setelah bermula hari akhirat atau syurga yang lain? Yang mengatakan ia syurga yang lain adalah kerana sifat syurga ini tidak seperti syurga yang kita dijanjikan nanti. Ini kerana syurga tempat Nabi Adam  ini ada larangan, boleh berlaku maksiat serta iblis pun boleh memasukinya. Akan tetapi yang mengatakan ia adalah syurga yang sama pula berhujah, Allah ﷻ boleh sahaja jadikan syurga itu dengan sifat yang lain, kemudian nanti akan diubah sifatnya (tiada larangan lagi dan tiada maksiat akan berlaku di situ). Allahu a’lam. Yang pasti ia adalah tempat nikmat kerana الْجَنَّةَ dari segi bahasa bermaksud kebun dan kebun itu adalah tempat yang selesa dan memiliki nikmat.

 

وَكُلَا مِنْهَا رَغَدًا

dan kedua-dua kamu makanlah dengan penuh selera;

Kali ini arahan diberikan kepada mereka berdua (Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa’) kerana kalimah yang digunakan adalah كُلَا iaitu dalam fi’il amar (arahan) kepada dua orang. Untuk arahan tinggal di syurga, Allah ﷻ menggunakan kalimah اسْكُنْ (yang ditujukan kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُsahaja) kerana Hawwa’ kena tinggal dengan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di kediaman yang sama. Akan tetapi kali ini digunakan kalimah كُلَا di mana arahan diberikan kepada kedua-duanya sekali. Ini kerana isteri tidak semestinya kena makan apa yang suami makan kerana selera lain orang berbeza.

Kalimah رَغَدًا daripada kata dasar: ر غ د yang bermaksud banyaknya perkara baik, makan dengan senang hati dan sepuas-puasnya, hidup dalam kesenangan. Maka kalimah رَغَدًا bermaksud rezeki yang diterima tanpa perlu bekerja, tanpa usaha, tidak akan habis atau berkurang. Demikianlah nikmat besar yang telah diberikan kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Hendak makan apa, makanlah, seberapa banyak pun, makanlah. Mahu guna apa, gunalah kerana tidak ada sekatan.

Di syurga nanti memang tempat makan yang رَغَدًا. Boleh makan sepuas-puasnya, yang lazat sahaja tanpa halangan dan larangan dan tanpa berkurang. Memang tempat makan sahaja di syurga nanti. Makan pula bukannya kerana lapar tetapi kerana hendak menikmati makanan itu sahaja. Selepas makan pun tidak ada masalah perlu mengeluarkan makanan pula dengan pergi ke tandas dan sebagainya sebagaimana diceritakan oleh Nabi ﷺ di dalam hadith berikut:

Daripada Jabir bin Abdillah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
إنَّ أهْلَ الجَنَّةِ يَأْكُلُونَ فيها ويَشْرَبُونَ، ولا يَتْفُلُونَ ولا يَبُولونَ ولا يَتَغَوَّطُونَ ولا يَمْتَخِطُونَ قالوا: فَما بالُ الطَّعامِ؟ قالَ: جُشاءٌ ورَشْحٌ كَرَشْحِ المِسْكِ، يُلْهَمُونَ التَّسْبِيحَ والتَّحْمِيدَ، كما تُلْهَمُونَ النَّفَس
“Sesungguhnya penduduk syurga, mereka makan dan minum di dalam syurga, namun mereka tidak meludah, tidak kencing, tidak buang air besar, dan tidak mengeluarkan kahak.” Para sahabat bertanya: ‘Lalu bagaimana nasib makanan di perut mereka?’ Jawab Nabi ﷺ, “Menjadi sendawa, dan keringat yang berbau misk. Mereka diilhamkan untuk selalu bertasbih dan bertahmid, sebagaimana kalian selalu bernafas.”
(HR. Muslim No. 2835)

Allah ﷻ berfirman tentang makanan di dalam syurga di dalam Waqiah: 32-33

وَفٰكِهَةٍ كَثيرَةٍ
Serta buah-buahan yang banyak,

لّا مَقطوعَةٍ وَلا مَمنوعَةٍ
Yang tidak putus-putus dan tidak pula terlarang mendapatnya,

 

حَيْثُ شِئْتُمَا

di mana sahaja kamu berdua ingini;

Maknanya, buatlah apa yang kamu berdua mahu buat, jadikan syurga itu sebagai rumah sendiri. Mereka boleh menikmati apa sahaja yang ada di dalam syurga itu. Mereka hendak ke mana-mana pun boleh. Ini mengajar kita yang manusia boleh sahaja bergerak dan berpindah randah mengikut kehendaknya sendiri.

Akan tetapi ada larangan satu tempat jangan mereka dekati dan makan:

 

وَلَا تَقْرَبَا هَٰذِهِ الشَّجَرَةَ

dan jangan kamu hampiri pokok ini;

Dalam banyak-banyak tempat yang Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa’ boleh pergi, terdapat sepohon pokok sahaja yang mereka dilarang untuk pergi dan mendekatinya. Maknanya, mereka tahu pokok itu berada di mana dan mereka ditegah daripada pergi menghampirinya.

Allah ﷻ titahkan perkara kedua kepada mereka berdua: Jangan hampiri pokok. Sekali lagi, Allah ﷻ tujukan kepada kedua-dua mereka (لَا تَقْرَبَا). Larangan ini adalah di antara mereka dengan Allah ﷻ dan si suami tidak boleh menghalang, begitu juga si isteri. Ini kerana perbuatan ini dilakukan kerana Allah ﷻ. Malangnya terdapat segolongan suami yang menghalang isteri daripada taat kepada Allah ﷻ seperti melarang isterinya memakai hijab; sementara terdapat pula segolongan isteri yang melarang suaminya solat di masjid. Semua ini adalah salah. Jika hal yang melibatkan antara kita dan Allah ﷻ, tiada sesiapa mempunyai hak untuk menghalangnya, tidak kira apa sahaja. Keseimbangan ini, adakalanya sukar untuk dicapai. Adakalanya kita mahu taat perintah Allah ﷻ, tetapi terpaksa pula melawan kehendak suami. Namun di antara Allah ﷻ dan suami, redha Allah ﷻ yang mesti didahulukan.

Ini bermaksud terdapat dua arahan di sini iaitu satu adalah titah suruhan dan satu lagi adalah titah larangan. Titah suruhan itu luas (makanlah apa sahaja, buatlah apa sahaja, pergilah ke mana sahaja); tetapi titah larangan itu satu sahaja, iaitu jangan dekati sebatang pokok. Pokok apa kita tidak tahu. Nabi ﷺ tidak beritahu dan sahabat pun tidak bertanya. Maka kita pun tidak perlu tahu. Ingat, nama pokok itu bukanlah ‘Pokok Khuldi’, tetapi ia adalah sejenis pokok. Tidak ada dalam nas yang sahih yang menyebut nama pokok itu. Yang memandai-mandai menamakan pokok itu adalah pokok keabadian (Khuldi), adalah iblis seperti disebut di dalam Taha: 120

فَوَسوَسَ إِلَيهِ الشَّيطانُ قالَ يا آدَمُ هَل أَدُلُّكَ عَلىٰ شَجَرَةِ الخُلدِ وَمُلكٍ لا يَبلىٰ
Kemudian syaitan membisikkan (fikiran jahat) kepadanya, dengan berkata, “Wahai Adam! Mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon keabadian (khuldi) dan kerajaan yang tidak akan binasa?”

Oleh itu, kita tidak boleh menggunapakai nama itu kerana adakah kita mahu tertipu dengan tipuan iblis itu? Ada mufassirin yang mengatakan ia adalah pokok gandum dan lain-lain, namun tidak dapat dipastikan dengan jelas. Maka tidak perlu untuk kita tentukan pokok apa. Jika dilihat dalam fahaman Kristian, mereka akan meletakkan buah epal, bukan? Ini adalah kerana salah faham dengan perkataan Latin ‘malum‘ yang bermaksud dosa, keburukan dan juga digunakan untuk epal juga. Inilah punca kekeliruan berlaku.

Terdapat masalah sekiranya sibuk sangat hendak tahu apakah jenis pokok itu. Masyarakat kita pun ada begitu yang sibuk sekali untuk mengetahui perkara yang tidak perlu. Sibuk hendak tahu jenis pokok apa, apa rahsia dia, apa hikmat dia dan lain-lain lagi. Maka maklumat yang mereka dapat tentunya daripada maklumat yang karut-marut sahaja.

Demikianlah terdapat satu larangan sahaja. Sudah mudah sangat sepatutnya, jika mahu dikirakan. Yang lain buatlah apa sahaja yang diinginkan. Maka Allah ﷻ berikan arahan yang iumum dan hanya ada satu larangan sahaja. Namun begitulah memang sudah menjadi tabiat manusia, yang dilarang itulah yang mereka mahu buat. Kadang-kadang bukan mereka hendak buat sangatpun, tetapi dek kerana bisikan syaitan yang dengki kepada manusia.

Allah ﷻ mahu beri isyarat dalam ayat ini yang syariat Allah ﷻ itu mudah sahaja. Yang menjadi berat itu adalah apabila manusia reka sendiri perkara yang tidak disuruh dalam syarak. Ini termasuk golongan yang menambah-nambah perkara yang bid’ah yang kemudiannya menyusahkan manusia sahaja. Kerana itulah kena belajar tafsir Al-Qur’an dan syarah hadith. Semoga dengan adanya sedikit ilmu dapatlah kita menjadi lebih bijak sedikit untuk bertanya dari mana asal sesuatu amalan dan fahaman itu.

Di dalam ayat ini Allah ﷻ berfirman dengan menggunakan kalimah تَقْرَبَا (jangan dekati). Allah ﷻ tidaklah secara langsung melarang untuk memakan pokok itu, tetapi kenapakah hanya melarang untuk mendekatinya? Ini adalah satu konsep yang penting di dalam agama yang dinamakan Sadd al-Zara’ie. Sadd maksudnya ‘tutup’ dan zari’ah (ذريعة) atau kata jamaknya zara’ie (ذرائع) dari sudut bahasa bermaksud suatu wasilah yang boleh menyampaikan kepada sesuatu. Oleh itu jikalau sesuatu itu adalah haram, maka jalan untuk membawa kepadanya juga dilarang. Berikut merupakan antara contoh sadd al-zara’ie:

•  Pengharaman berkhalwat dengan ajnabi untuk mengelakkan berzina.
•  Pengharaman melihat kepada wanita bukan mahram tanpa keperluan.
• Larangan untuk seorang lelaki meminang pinangan orang lain untuk mengelakkan permusuhan dan kebencian.
•  Larangan untuk melakukan ihtikar (monopoli), kerana ia merupakan satu jalan untuk menyempitkan urusan manusia dalam makanan asasi mereka.

Oleh itu kita pun hendaklah menjaga diri kita. Jangan pergi ke tempat-tempat maksiat kerana kalau kita pergi, takut kita pun akan terikut pula nanti. Jangan pergi ke kelas pengajian asatizah yang mengamalkan bid’ah kerana takut kita termakan dengan fahaman mereka. Malah banyak lagi perkara yang kita boleh aplikasikan konsep ini.

Larangan ini menunjukkan kasih sayang Allah ﷻ terhadap Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan pasangannya serta anak cucu mereka. Allah ﷻ Maha Mengetahui bahawa wujudnya kecenderungan manusia untuk ingin mendekati, lalu mengetahui, dan merasakan sesuatu yang indah dan menarik. Di sini, langkah awal segera dilarang oleh-Nya, agar tidak mengundang langkah berikutnya.

Jika diamati larangan-larangan Al-Qur’an, ditemukan ada yang tertuju secara langsung kepada objek yang dilarang, dan ada juga yang lebih ketat lagi iaitu larangan mendekatinya. Biasanya larangan mendekati tertuju kepada hal-hal yang mengandungi rangsangan kuat, seperti hubungan seks baik terhadap lawan seks yang haram (perzinaan) mahupun yang halal (isteri) tetapi ada kondisi yang melarangnya seperti dalam keadaan beri‘tikaf.

 

فَتَكُونَا مِنَ الظّٰلِمِينَ

maka kamu berdua akan menjadi orang yang zalim;

Selepas Allah ﷻ beritahu larangan, Allah ﷻ beritahu juga akibat apa yang akan terjadi kalau mereka langgar juga larangan itu. Sekiranya mereka tetap juga pergi kepada pokok itu, mereka akan dikira sebagai orang yang zalim. Ini adalah ancaman daripada Allah ﷻ. Mereka akan dikira sebagai zalim kerana melanggar perintah Allah ﷻ dan akhirnya mereka akan masuk neraka.

Namun begitu, bukankah para-Nabi terpelihara daripada melakukan dosa? Istilah ini dinamakan ma’sum. Majoriti ulama’ berpendapat para Nabi terpelihara daripada dosa kecil dan besar sedangkan sebahagian kecil berpendapat mereka terpelihara daripada dosa-dosa besar sahaja. Tujuan mereka ini adalah ma’sum kerana mereka ini menjadi contoh kepada umat mereka. Jikalau ada dosa yang mereka lakukan, lalu bagaimanakah umat hendak menjadikan mereka sebagai contoh?

Akan tetapi kita lihat juga di dalam Al-Qur’an seperti menyebut para Nabi ada juga melakukan kesalahan seperti yang dilakukan oleh Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di sini. Oleh itu kita kena jelaskan perkara ini. Iaitu memang para Nabi melakukan juga kesilapan akan tetapi ia kerana salahfaham atau kelupaan sahaja. Bukannya mereka sengaja hendak melakukan kesalahan itu. Maka secara teknikal, ia bukanlah ‘dosa’ sangat. Cuma di dalam Al-Qur’an digunakan kalimah yang memberi maksud dosa, atau zalim, kerana kedudukan mereka tersangatlah tinggi dan kayu ukur yang dikenakan kepada mereka adalah ketat. Untuk kesalahan kecil yang tidak disengajakan pun, sudah disebut sebagai ‘dosa’ bagi mereka sedangkan kesalahan itu tidaklah besar bagi orang lain.

Kesilapan dan kesalahan tidak semestinya terus menjadi dosa kerana itulah seorang mujtahid walaupun melakukan kesilapan di dalam kajiannya dan membuat keputusan, tetaplah dia diberi satu pahala. Ini kerana mereka bukannya sengaja membuat kesalahan itu. Kalaulah ia dosa, takkanlah Allah ﷻ berikan satu pahala pula, bukan?

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا حَكَمَ الْحَاكِمُ فَاجْتَهَدَ فَأَصَابَ فَلَهُ أَجْرَانِ وَإِذَا حَكَمَ فَأَخْطَأَ فَلَهُ أَجْرٌ وَاحِدٌ
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] beliau berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Jika seorang hakim menetapkan hukum dalam suatu perkara, lalu berijtihad dan ijtihadnya itu benar, maka dia memperolehi dua pahala, namun jika dia menetapkan hukum suatu perkara dan dalam ijtihadnya dia salah, maka dia mendapatkan satu pahala.”
(Sahih Bukhari (1248))

Ulama’ ada juga memberikan penjelasan tentang kesilapan yang telah dilakukan oleh Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini,

a. Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah salah faham kerana telah ditunjukkan pokok yang dilarang untuk dekati. Baginda sangka pokok itu sahaja akan tetapi sebenarnya yang dilarang adalah semua pokok daripada jenis yang sama. Ini seperti disebutkan di dalam sebuah hadith daripada Saidina Ali bin Abi Talib رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:

إِنَّ نَبِيَّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخَذَ حَرِيرًا فَجَعَلَهُ فِي يَمِينِهِ، وَأَخَذَ ذَهَبًا فَجَعَلَهُ فِي شِمَالِهِ، ثُمَّ قَالَ: إِنَّ هَذَيْنِ حَرَامٌ عَلَى ذُكُورِ أُمَّتِي
Sesungguhnya Nabi ﷺ mengambil sutera dan memegangnya dengan tangan kanannya, dan emas di tangan kirinya, kemudian bersabda: Sesungguhnya dua benda ini haram ke atas umatku yang lelaki.
(Hadith Riwayat Imam Ahmad (935))

Nah, mungkin ada terkeliru dengan kata-kata Nabi ﷺ ini. Adakah yang diharamkan itu sutera dan emas di tangan baginda atau semua sutera dan emas dalam dunia? Kemungkinan kekeliruan ini telah dieksploitasi oleh iblis.

b. Iblis mungkin menipu Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan mengatakan larangan itu pada peringkat awal sahaja.

c. Iblis telah menipu Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan mengatakan jikalau makan pokok itu akan menyebabkan dia kekal di dalam syurga.

d. Kesilapan yang Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lakukan ini adalah sebelum baginda dilantik menjadi Nabi. Maka kerana itulah baginda belum lagi ma’sum.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 26 Julai 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 34 (Arahan sujud kepada Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)

Baqarah Ayat 34:

وَإِذ قُلنا لِلمَلٰئِكَةِ اسجُدوا لِآدَمَ فَسَجَدوا إِلّآ إِبليسَ أَبىٰ وَاستَكبَرَ وَكانَ مِنَ الكٰفِرينَ

Sahih International

And [mention] when We said to the angels, “Prostrate before Adam”; so they prostrated, except for Iblees. He refused and was arrogant and became of the disbelievers.

Malay

Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.

 

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلٰئِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ

Maka ketika Kami berfirman kepada malaikat: sujudlah kamu kepada Adam,

Perlu diingatkan di sini, pada waktu itu ada juga seekor jin yang bernama iblis. Ia telah dinaikkan pangkat sampai duduk dalam kalangan para malaikat. Walaupun arahan itu diberikan kepada para malaikat, akan tetapi kerana ia ketika itu berada dalam kalangan mereka, maka arahan itu juga perlu dipatuhi olehnya. Jangan pula ada berhujah: “Eh, tapi arahan ini kepada malaikat, iblis bukan malaikat tapi jin, jadi tidak salahlah dia tak sujud!” Tidaklah pula si iblis itu menggunakan hujah sebegitu : ‘Allah suruh malaikat je sujud, aku tak termasuk malaikat sebab aku kan jin!’). Akan tetapi Allah ﷻ sebut malaikat sahaja kerana mereka itu lebih mulia. Sekiranya makhluk yang lebih mulia darjatnya pun kena sujud kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, apatah lagi makhluk iblis yang lebih rendah kedudukannya.

Allah ﷻ suruh para malaikat sujud kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Namun begitu, timbul pula persoalan: ‘Bukankah haram sujud kepada manusia?’ Ini ada seperti disebut di dalam hadith antaranya,

لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِأَحَدٍ لَأَمَرْتُ المَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا
“Jika aku boleh memerintahkan seseorang itu untuk sujud kepada seseorang, maka aku memerintahkan isteri untuk sujud pada suaminya.”
(Riwayat at-Tirmidzi (1159))
Imam al-Tirmidzi mengatakan hadith ini melalui jalur Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ adalah hasan gharib. Hadith ini juga disahihkan oleh Imam al-Hakim di dalam al-Mustadrak melalui jalur Mu’az bin Jabal [Lihat: al-Mustadrak, 190/4]

Ternyata tidak boleh sujud kepada manusia kerana sujud isteri kepada suami pun tidak dibenarkan. Maka bagaimana dengan arahan sujud kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini? Terdapat beberapa pendapat tentang perbuatan sujud ini.

Pertama, ia sebagai tanda hormat kepada Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dan ia dibenarkan dalam syariat terdahulu. Awal dahulu ia dibenarkan tetapi lama kelamaan apabila ia menjadi satu bentuk pengabdian dan ibadah kepada selain Allah ﷻ, maka di dalam syariat Nabi Muhammad ﷺ, perbuatan ini telah dilarang untuk menjaga iman dan tauhid manusia. Pada waktu dahulu, sujud boleh sahaja dijadikan sebagai bentuk penghormatan kepada seseorang yang lain. Namun begitu untuk zaman sekarang yang dibenarkan adalah setakat berjabat tangan dan mencium tangan sahaja lah. Lagi pun, para malaikat itu sedar yang Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukanlah Tuhan, maka ia bukanlah sujud ibadah, tetapi sujud kerana menurut perintah; apabila ada perintah daripada Allah ﷻ, maka makhluk kena taat tanpa soal. Atau ada yang kata ia adalah ‘sujud hormat’ sahaja.

Akan tetapi terdapat pendapat kedua yang tidak bertentangan dengan syariat. Jika kita belajar makna sujud, ia hanya dilakukan jika suatu yang hebat berlaku. Jika Allah ﷻ melakukan sesuatu yang hebat, kita sujud. Contohnya, ketika tongkat Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang memakan ular-ular ahli sihir, mereka terus sujud; ketika golongan Nasrani mendengar ayat-ayat Al-Qur’an dibacakan, mereka juga sujud; begitu juga ketika kaum Quraisy datang untuk berdebat dengan Rasulullah ﷺ dan mereka mendengar ayat-ayat Al-Qur’an dibacakan, mereka yang Musyrikin juga turun sujud (tanpa sedar). Begitu juga ketika abang-abang Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melihat adik yang mereka telah tinggalkan di dalam perigi buta sekarang telah menjadi seorang yang hebat dan berpengaruh, mereka terlalu kagum dengan perancangan Allah ﷻ sehingga mereka terus turun sujud. Ini disebut dalam Yusuf: 100

وَرَفَعَ أَبَوَيهِ عَلَى العَرشِ وَخَرّوا لَهُ سُجَّدًا
Dan dia menaikkan kedua ibu-bapanya ke atas singgahsana. Dan mereka (semuanya) merebahkan diri seraya sujud kepada Yusuf.

Pendapat yang ketiga, ada juga ulama’ yang kata sujud yang seperti sujud dalam solat kerana jelas kalimah yang digunakan adalah اسْجُدُوا dan kita pun faham apakah perbuatan ini. Oleh kerana ia adalah arahan daripada Allah ﷻ, maka ia wajib dilakukan. Yang haram pun boleh menjadi wajib jika ia adalah suruhan Allah ﷻ. Ini kerana yang mengharamkan pada asalnya pun adalah Allah ﷻ juga, bukan? Sebagai contoh, membunuh anak adalah haram, tetapi Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah bersedia untuk membunuh anaknya, seperti disebut di dalam Saffat: 102

قالَ يٰبُنَيَّ إِنّي أَرىٰ فِي المَنامِ أَنّي أَذبَحُكَ فَانظُر ماذا تَرىٰ ۚ قالَ يٰأَبَتِ افعَل ما تُؤمَرُ
brahim berkata: “Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” Dia menjawab: “Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu;

Membunuh budak kecil juga haram, akan tetapi apabila ia adalah arahan Allah ﷻ kepada Khadr seperti disebut kisahnya di dalam Kahf: 74, maka ia wajib dilakukan.

فَٱنطَلَقَا حَتَّىٰٓ إِذَا لَقِيَا غُلَـٰمًا فَقَتَلَهُ
Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu dia membunuhnya.

 

فَسَجَدُوا

semua sekali sujud 

Sekarang, ketika Nabi Adam  dijadikan, walaupun pada awalnya para malaikat ada mempunyai persoalan tentang kejadian baginda, tetapi setelah memahami penjelasan daripada Allah ﷻ, maka mereka terus sahaja sujud kepada Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Harf ف di dalam فَسَجَدُوا bermaksud mereka terus sujud, tidak tunggu lama, tidak tunggu untuk melihat teman lain sujud kah tidak, mahu berbincang kah dahulu, tidak sama sekali!

Sujud ini berlaku setelah roh dimasukkan ke dalam jasad Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ia merupakan sebuah keajaiban daripada Allah ﷻ sehingga mereka terlalu kagum dan terus sujud. Tambahan pula Allah ﷻ sudah suruh mereka sujud.

 

إِلَّا إِبْلِيسَ

kecuali Iblis;

Semua malaikat sujud tetapi tidak iblis. Sekarang kita bertemu dengan karektor baru dalam Al-Qur’an: iblis. Perkataan ‘iblis’ itu dikatakan daripada أَبلَسَ yang maksudnya ‘putus asa daripada rahmat’. Sampai bila-bila dia tidak akan mendapat rahmat kerana dia pernah derhaka kepada Allah ﷻ. Makhluk yang paling kecewa untuk duduk dalam syurga kerana memang ia tidak ada harapan langsung.

Ada yang berpendapat bahawa kata iblis itu bukan terambil daripada bahasa Arab. Kononnya asalnya daripada bahasa Yunani, yakni Diabolos. Kata ini terdiri daripada kata dia yang bererti di tengah dan ballein yang bererti melontar atau mencampakkan. Daripada penggabungannya lahir beberapa makna antara lain menentang, menghalang, dan yang berada antara dua pihak untuk memecah belah dan mencipta kesalahfahaman antara keduanya.

Maka arahan sujud telah diberikan oleh Allah ﷻ sendiri, tetapi iblis mempunyai masalah dengan arahan daripada Allah ﷻ ini. Dia telah melihat Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dijadikan daripada tanah dan dia tidak memperakui roh yang telah ditiup ke dalam jasad Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kita pun telah jelaskan sebelum ini betapa hasadnya dia terhadap Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka, dia enggan sujud kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ walaupun diperintahkan oleh Allah ﷻ.

Terdapat sedikit masalah di dalam terjemahan ini. Lihat ayat ini: ‘Semua pelajar datang kecuali Kareem.’ Bukankah ini bermaksud Kareem juga merupakan seorang pelajar? Maka, jika Allah ﷻ berfirman yang semua malaikat sujud kecuali iblis, adakah ia seolah-olah bermaksud iblis itu adalah malaikat? Akan tetapi bukankah ia adalah jin? Ini jelas disebut di dalam Kahf: 50

وَإِذ قُلنَا لِلمَلَـٰٓٮِٕكَةِ ٱسجُدُواْ لِأَدَمَ فَسَجَدُوٓاْ إِلَّآ إِبلِيسَ كَانَ مِنَ ٱلجِنِّ
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal daripada golongan jin,

Di sinilah indahnya Bahasa Arab. Kalimah فَسَجَدُوْٓا bermaksud mereka (para malaikat) sujud. Seandainya iblis adalah sebahagian daripada malaikat itu, maka ayat yang sepatutnya adalah begini: فَسَجَدُوْٓا اِلَّآ اِبْلِيْسُ (Iblisu، bukannya Iblisa) di mana dhommah diletakkan pada kalimah اِبْلِيْسَۗ. Akan tetapi, jika sesuatu itu tidak termasuk dalam kumpulan yang sama, maka kita meletakkan nasb (harakat fathah) ke atas kata nama itu dan kerana itulah ayat itu berbunyi: فَسَجَدُوْٓا اِلَّآ اِبْلِيْسَ.

Sekarang mari kita berikan contoh dalam ayat yang lebih mudah: ‘Semua pelajar hadir kecuali Ustaz Nouman.’ Sekarang, adakah ini bermaksud Ustaz Nouman ini adalah di antara pelajar? Tidak, bukan? Ya, dia termasuk sebahagian daripada ahli di dalam kelas tetapi dia tidak diletakkan dalam kumpulan yang sama. Anda tahu tentang perkara ini kerana kita telah menambah perkataan ‘ustaz’. Akan tetapi dalam Bahasa Arab kita tidak perlu berbuat demikian. Kita hanya perlu ubah harakahnya dan kita akan tahu yang ia bukanlah di dalam kumpulan yang sama dan sebab itulah untuk mereka yang pandai berbahasa Arab, ayat ini tidak mengelirukan mereka. Sebab itulah juga anda perlu belajar Bahasa Arab untuk mengetahui maksud rafa’, nasb dan jarr.

Untuk segelintir orang, mempelajari Bahasa Arab adalah susah dan boleh menjadi agak membosankan. Sesetengah daripada mereka hanya mahu terus belajar ke bahagian yang penting dan menarik sahaja daripada Al-Qur’an. Namun untuk sampai ke situ, anda perlulah belajar selangkah demi selangkah.

 

أَبَىٰ

dia enggan;

Perkataan ini bermaksud – tidak mahu mengikut arahan orang yang memiliki kuasa ke atasnya. Kadang-kadang ada kawan meminta tolong dengan kita, namun kita enggan – tetapi itu adalah enggan bukan kepada orang yang berkuasa ke atas kita. Akan tetapi kalimah yang digunakan bermaksud enggan mengikut perintah. Keengganan Iblis itu adalah dosa besar kerana enggan menurut perintah Allah ﷻ. Maka dia ini adalah jenis kafir degil.

 

وَاسْتَكْبَرَ

dan dia sombong;

Kenapa iblis enggan? Kerana dia sombong dalam hati. Kalimah اسْتَكْبَرَ ini di dalam wazan استفعل yang mengandungi penambahan huruf س dan ت yang menguatkan kalimah كبر. Kedua-dua huruf ini berfungsi menggambarkan betapa mantap dan kukuhnya keangkuhan itu. Dengan demikian, kata اسْتَكْبَرَ menunjukkan keangkuhan yang luar biasa. Bahasa Arab ketika bermaksud menggambarkan keangkuhan, selalu menggunakan penambahan huruf-huruf seperti bentuk kata di atas.

Keangkuhan merupakan usaha seseorang untuk melebihkan dirinya daripada pihak lain, kelebihan yang dibuat-buat yang tidak pernah wajar disandangnya. Dari sini ‘keangkuhan’ berbeza dengan ‘kebanggaan’, kerana yang membanggakan diri belum tentu menganggap dirinya lebih daripada orang lain, bahkan boleh jadi saat itu dia masih tetap mengakui keunggulan pihak lain atau sama dengannya. Adapun keangkuhan, maka ia adalah membanggakan diri, ditambah dengan merendahkan pihak lain. Keangkuhan tidak terjadi kecuali jika pelakunya melihat dirinya memiliki kelebihan (sama ada benar-benar ada kelebihan itu ataupun tidak) seterusnya melihat orang lain tidak memiliki kelebihan, atau memiliki tetapi lebih rendah daripada kelebihannya.

Definisi sombong telah diberitahu oleh Rasulullah ﷺ. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda,

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً قَالَ إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ
“Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji sawi.” Ada seseorang yang bertanya, “Bagaimana dengan seorang yang suka memakai baju dan sandal yang bagus?” Baginda menjawab, “Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan orang lain.
(Riwayat Muslim No. 91)

Iblis merasakan dia lebih mulia daripada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dari segi kejadian seperti disebut di dalam A’raf: 12

قالَ ما مَنَعَكَ أَلّا تَسجُدَ إِذ أَمَرتُكَ ۖ قالَ أَنا خَيرٌ مِنهُ خَلَقتَني مِن نّارٍ وَخَلَقتَهُ مِن طينٍ
Allah berfirman: “Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu?” Menjawab iblis “Aku lebih baik daripadanya: Engkau ciptakan aku daripada api sedang dia Engkau ciptakan daripada tanah”.

Dia fikir dia lebih mulia sebab dia dijadikan daripada api dan lebih mulia daripada makhluk yang dijadikan daripada tanah. Api duduk di atas dan tanah duduk di bawah. Maka, dia fikir dia lebih mulia. Maknanya dia menggunakan akal untuk menolak wahyu. Allah ﷻ ajar kepada kita, yang menggunakan akal untuk menolak wahyu telah menjadi iblis, maka seandainya kita pun menggunakan akal untuk tolak wahyu, maka kita juga menjadi iblis lah!

Iblis juga sombong kerana dia telah lama hidup dan telah lama beribadat kepada Allah ﷻ. Maka dia berasa dia lebih layak daripada Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana padanya, Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ baru sahaja dijadikan dan tidak ada buat amal ibadat lagi seperti dia.

Apakah yang iblis mahu? Dia sebenarnya mahukan pangkat tetapi bukanlah pangkat yang tinggi pun. Kita sebagai manusia selalunya berebut pangkat pemimpin, pangkat tertinggi dalam kerajaan dan sebagainya. Namun apa yang diberikan kepada Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah pangkat menjadi ‘hamba’ kepada Allah ﷻ.

Terdapat juga pangkat dalam agama di mana ada juga yang berebut berkehendakkan pangkat ini. Bukan setakat pangkat yang tinggi sahaja. Sejak dahulu lagi sering kali kita melihat bagaimana dalam masyarakat kita ini ada sahaja yang berebut pangkat untuk menjadi imam surau, berebut hendak menjadi siak masjid, atau menjadi ahli jawatankuasa dalam surau.

Begitulah pangkat dalam agama pun ada yang berebut. Maka, berhati-hatilah. Kalau kita pun ada berperangai sebegitu, maka kita telah mengikuti perangai iblis. Bukan sahaja pangkat rasmi seperti imam, pengerusi atau AJK menjadi rebutan, malah pangkat kedudukan yang bukan rasmi seperti mempunyai kedudukan rapat dengan guru pun menjadi rebutan dalam masyarakat kita ini. Akibatnya timbul rasa hasad sesama mereka untuk berebutkan perhatian daripada guru, maka mereka mula lah cuba memburuk-burukkan mereka yang rapat itu supaya guru mengalihkan perhatian kepada mereka dan rapat dengan mereka pula. Ini lah dia perangai iblis. Sememangnya mereka yang berbuat begitu tidak sedar mereka memiliki sifat iblis. Penyakit iri dan berkeinginan pangkat ini boleh menimpa sesiapa sahaja walaupun dia telah khatam tadabbur 30 juzuk Al-Qur’an!

Sekarang, mari kita cuba selami sedikit perasaan iblis pada masa itu. Mari kita lihat satu lagi analogi untuk menjelaskan perkara ini. Bayangkan seorang pemuda yang bekerja di sebuah syarikat dan dia bermula bekerja dengan memegang jawatan paling rendah, katakanlah tukang sapu. Kemudian dia dinaikkan menjadi pengawal keselamatan, kemudian penjaga kaunter hadapan. Seterusnya dia dinaikkan pula menjadi pengurus pejabat. Begitulah dia terus dinaikkan pangkat selama 40 tahun bekerja di syarikat itu. Sampailah dia sudah menjadi Naib Presiden syarikat. Hanya tinggal satu jawatan sahaja yang lebih tinggi daripadanya iaitu Presiden.

Pada suatu hari, Presiden itu masuk ke dalam pejabatnya dengan seorang pemuda berusia 16 tahun. Pemuda itu adalah anak saudaranya. Presiden itu mengarahkan Naib Presiden itu untuk memberikan jawatan Naib Presiden itu kepada pemuda itu. Malah lebih menyakitkan hatinya lagi, Presiden itu terus memberikan arahan pula: “Sekarang pergi ambilkan kopi untuk kami”.

Bolehkah anda bayangkan apa yang berlaku selepas itu? Sudah tentu Naib Presiden itu berasa marah, bukan? Mungkin dia menjerit-jerit dalam kemarahannya kerana sudah tidak dapat dibendung lagi. Sekiranya kita yang mendengar kisah sebegini, sudah pasti kita merasa simpati dengannya, bukan? Kerana mungkin kita rasakan tidak masuk akal perkara sebegini boleh terjadi.

Akan tetapi kita bukan hendak menceritakan kisah malang Naib Presiden itu di sini sebenarnya. Ia hanyalah sebuah analogi sahaja. Kita sebenarnya sedang bercerita tentang kisah iblis laknatullah. Dia telah berusaha keras sepanjang hidup untuk menaikkan darjatnya sehingga hampir setaraf malaikat. Dia telah membantu menghalau jin yang membuat kerosakan di bumi. Namun, tiba-tiba Allah ﷻ telah membuat pengumuman yang para malaikat mesti sujud kepada Nabi Adam . Adakah ini kedengaran adil? Iblis mesti telah berkata: “Selama ini aku yang bersusah payah bekerja keras berkhidmat sepanjang hidupku. Tiba-tiba orang lain yang dinaikkan darjat sampai aku mesti sujud kepadanya pula?”

Adakah Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dimuliakan Allah ﷻ? Ya. Pada suatu ketika, iblis juga telah mendapat kemuliaan itu. Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diberikan kedudukan yang tinggi, begitu juga iblis. Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah melanggar perintah Allah ﷻ, begitu juga iblis. Maka, sehingga saat itu, mereka masing-masing mempunyai persamaan, bukan? Kerana dua-dua pernah membuat kesalahan. Cuma ada satu perbezaan. Ketika Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diturunkan ke dunia, baginda boleh sahaja bertanya kepada Allah ﷻ: “Ya Allah, Kau sejak awal lagi sudah merancang aku turun ke bumi, maka bagaimana pula perkara yang berlaku ini adalah salahku?” Namun adakah baginda bertanyakan soalan itu? Tidak.

Iblis boleh juga bertanyakan satu soalan yang logik: “Engkau telah jadikan aku daripada api, dan Engkau jadikan dia daripada tanah. Jadi apakah hebatnya dia?”

Kedua-dua mereka boleh sahaja bertanyakan soalan begitu kepada Allah ﷻ. Namun salah seorang daripada mereka telah dilaknat selamanya, manakala seorang lagi pintu harapan sentiasa terbuka untuknya. Kenapa? Kerana Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sedar, walaupun apa sahaja keputusan Allah ﷻ walaupun kedengaran seakan tidak logik di akalnya, tetapi baginda mesti yakin dengan kebijaksanaan Allah ﷻ. Jika terdapat kepincangan, semua itu salah dirinya dan baginda yang harus bertanggungjawab di atasnya.

Berlainan dengan iblis. Apabila dia melakukan kesilapan, dia terus menyalahkan Allah ﷻ. Begitulah, jika kita suka menyalahkan Allah ﷻ di atas sesuatu perkara, maknanya kita telah mengikut ‘sunnah’ iblis. Sebaliknya jika kita sanggup mengambil tanggungjawab di atas kesilapan kita, maka kita telah mengikut sunnah Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Itulah perbezaan di antara Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan iblis. Lagi pun Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melakukan dosa kerana terlupa sahaja seperti disebut di dalam Taha: 115

وَلَقَد عَهِدنا إِلىٰ آدَمَ مِن قَبلُ فَنَسِيَ وَلَم نَجِد لَهُ عَزمًا
Dan demi sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu, tetapi dia lupa; dan Kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh.

 

وَكَانَ مِنَ الْكٰفِرِينَ

Maka dia dalam kalangan yang kafir;

Iblis telah kufur kerana tidak taat kepada Allah ﷻ, bukannya kerana tidak sujud. Ini kerana kalau tidak melakukan arahan sahaja, tidaklah menjadikan seseorang itu terus kafir, bukan? Sebagai contoh, orang yang tidak solat telah melanggar arahan Allah ﷻ; tetapi tidaklah dia terus menjadi kufur. Akan tetapi kalau dia menganggap solat itu tidak wajib, maka barulah dia dikira sebagai kufur. Begitulah dengan iblis, dia bukannya setakat melanggar satu arahan sahaja, tetapi dia menganggap dia tidak patut sujud kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ walaupun telah diarahkan oleh Allah ﷻ.

Kekufuran ini berlaku kerana iblis telah melakukan dua kesalahan: enggan untuk taat dan sombong. Kita manusia pun ramai yang ada bersifat begitu. Ada orang yang apabila diajak belajar tentang tauhid, enggan terima kerana sombong tidak mahu belajar. Mereka sombong kerana sangka mereka telah tahu. Kemudian mereka tidak taat kepada arahan Allah ﷻ kerana mereka tidak tahu pun apa arahan Allah ﷻ kerana arahan itu ada dalam Al-Qur’an.

Apabila Allah ﷻ menggunakan kalimah كان dalam ayat ini, ada beberapa kemungkinan. Ini kerana kalimah كان mengisyaratkan perkara yang telah berlaku sebelum itu.

a. Allah ﷻ hendak mengatakan bahawa iblis itu telah kafir sebelum disuruh sujud kepada Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lagi. Cuma dia menyembunyikan kekafirannya itu akan tetapi Allah ﷻ telah tahu di dalam ilmu-Nya.
b. sejak dahulu sebelum turunnya ayat 34 ini, bukannya sebelum turunnya perintah sujud itu.
c. ada yang memahami kalimah كان bermaksud ‘menjadi’, iaitu setelah iblis enggan, barulah dia menjadi kafir.

Dalam ayat dalam surah lain nanti, kita akan belajar bagaimana iblis telah memberi alasan kenapa dia tidak mahu sujud kepada Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Dia kata kerana dia telah dijadikan daripada api dan Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada tanah. Dia telah menggunakan hujah logik untuk memberi alasan kepada keengganannya menurut perintah itu. Begitulah juga kita, kalau kita pun menggunakan alasan yang kita sangka sebagai logik, tetapi menolak arahan Allah ﷻ, maka kita pun telah mengikuti jejak langkah iblis.

Iblis ini telah mencapai satu tahap yang tinggi yang sampai menyebabkan dia telah diangkat boleh duduk bersama kalangan para malaikat walaupun dia sebenarnya daripada sejenis jin sahaja. Maka dari sudut ilmu dan amalan ibadah, dia memang hebat. Akan tetapi yang menakutkan kita, individu sebegini pun boleh jatuh terpesong apabila ada sifat sombong di dalam dirinya. Ilmunya dan ibadahnya tidak dapat menyelamatkan dirinya daripada jatuh kufur. Oleh itu, jangan berbangga dengan ilmu dan ibadah kita kerana kita belum tentu selamat lagi selagi kita belum mati. Semoga Allah ﷻ tetapkan iman kita hingga ke hujung nyawa kita, Aameen.

 

Sekarang kita bincangkan Komposisi Cincin yang keempat. Ini bagi ayat 30 – 34. Sila rujuk Ayat 5 pengenalan kepada Komposisi Cincin ini.

Kaitan antara Bahagian:

[A4.1]/[A4.1’] – Di dalam bahagian ini, disebut bahawa penciptaan manusia dan pelantikannya sebagai Khalifah di bumi telah diiktiraf oleh para Malaikat apabila mereka sujud kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

[A4.2]/[A4.2’] – Kedua-dua bahagian menyebut tentang ilmu Allah yang tidak diberikan kepada sesiapa pun.

[A4.3]/[A4.3’] – Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diajar akan nama segala benda dan kemudian baginda telah menyebutnya kepada para malaikat.

[A4.4] – Di antara ayat-ayat tentang ilmu yang telah diberikan kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, di sini disebut para malaikat mengaku yang mereka tidak ada ilmu dan Allah ‎ﷻlah yang Maha Mengetahui.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 6 Julai 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Heavenly Order

Tafsir Surah Baqarah Ayat 33 (Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberitahu nama-nama)

Baqarah Ayat 33: Selepas bercakap dengan para malaikat, Allah ﷻ kembali berfirman kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Allah ﷻ hendak membuktikan kemampuan khalifah yang baru dilantik oleh-Nya ini.

قالَ يٰٓئادَمُ أَنبِئهُم بِأَسمآئِهِم ۖ فَلَمّآ أَنبَأَهُم بِأَسمآئِهِم قالَ أَلَم أَقُل لَّكُم إِنّيٓ أَعلَمُ غَيبَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَأَعلَمُ ما تُبدونَ وَما كُنتُم تَكتُمونَ

Sahih International

He said, “O Adam, inform them of their names.” And when he had informed them of their names, He said, “Did I not tell you that I know the unseen [aspects] of the heavens and the earth? And I know what you reveal and what you have concealed.”

Malay

Allah berfirman: “Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka”. Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: “Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?”.

 

قَالَ يٰٓئادَمُ أَنْبِئْهُمْ بِأَسْمَآئِهِمْ

Allah berkata kepada Nabi Adam: Ceritalah kepada mereka nama-nama benda itu;

Sekarang Allah ﷻ berpaling pula kepada Adam. قَالَ يٰٓاٰدَمُ اَنْۢبِئْهُمْ بِاَسْمَاۤىِٕهِمْ Dia (Allah) berfirman, “Wahai Adam! Beritahukanlah kepada mereka nama-nama itu!” Allah ﷻ telah memerintahkan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk memberitahu malaikat nama-nama kita semua. Sekarang bukan sahaja Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang tahu nama-nama kita, tetapi para malaikat juga. Seterusnya, nanti Allah ﷻ akan mengirimkan penjaga dalam kalangan para malaikat untuk kita semua, berdasarkan masalah yang kita hadapi kerana merekalah yang menjaga kita. Oleh sebab itulah mereka mesti kenal kita dan segala kelebihan dan masalah kita.

Perhatikan, apabila Allah ﷻ suruh malaikat beritahu nama-nama itu, Allah ﷻ gunakan kalimah أَنْبِئُونِي (beritahu Aku); akan tetapi apabila Allah ﷻ suruh Nabi Adam  beritahu kepada para malaikat, Allah ﷻ gunakan kalimah أَنْبِئْهُمْ (beritahu mereka). Ini adalah kerana kedudukan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada para malaikat ketika itu adalah seperti guru, kerana baginda lebih berilmu daripada mereka. Begitulah Allah ﷻ mengangkat darjat orang yang berilmu seperti disebut di dalam Mujaadilah: 11

يَرفَعِ اللهُ الَّذينَ ءآمَنوا مِنكُم وَالَّذينَ أوتُوا العِلمَ دَرَجٰتٍ
nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.

Namun begitu bukanlah di sini Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengajar malaikat pula kerana kalimah yang digunakan adalah أَنْبِئْهُمْ (beritahu mereka) dan bukannya عَلَّمَهُم. Pengajaran mengharuskan adanya upaya daripada yang mengajar supaya bahan pengajarannya difahami oleh yang diajarnya, sehingga kalau perlu pengajar itu hendaklah mengulang-ulangi pengajaran sehingga benar-benar difahami oleh pelajarnya. Ini berbeza dengan penyampaian pelajaran atau berita. Penyampaian berita tidak mengharuskan pengulangan, tidak juga yang diberitakan harus faham.

Akan tetapi perhatikan bahawa berita yang disampaikan oleh Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah berita penting kerana kalimah yang digunakan adalah أَنْبِئْهُمْ. Ia daripada kata dasar: ن ب أ yang bermaksud yang bersifat tinggi, memberitahu, menjelaskan, bercakap dengan suara yang senyap, nabi, datang, maklumat, penerangan, berita, cerita dan lain-lain. Akan tetapi ia tidak sama dengan khabar خبر yang hanya berita di dalam bentuk umum sahaja. Kalimah naba’ digunakan apabila berita yang disampaikan itu adalah penting.

Ini mengisyaratkan bahawa apa yang diajarkan kepada Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan yang kemudian diperintahkan kepada baginda untuk menyampaikannya kepada malaikat adalah informasi yang sangat penting. Kepentingannya bukan sahaja pada nilai informasi itu, atau bahawa ia menjadi bukti kebenaran pilihan Allah ﷻ dalam menugaskan manusia menjadi khalifah, tetapi juga kerana informasi itu merupakan syarat bagi berjayanya tugas-tugas kekhalifahan yang merupakan salah satu tujuan utama penciptaan manusia.

 

فَلَمَّآ أَنْبَأَهُمْ بِأَسْمَآئِهِمْ

Tatkala Nabi Adam menceritakan kepada mereka nama benda-benda itu;

Huruf ‘fa’ dalam ayat ini menunjukkan Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terus jawab. Tidak perlu berfikir lama sebab baginda memang sudah tahu. Allah ﷻ telah memberikan kelebihan ilmu kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Walaupun malaikat merupakan makhluk-makhluk suci yang tidak mengenal dosa, tetapi mereka tidak wajar menjadi khalifah, kerana yang bertugas berkaitan sesuatu urusan haruslah yang memiliki pengetahuan tentang aspek-aspek yang berkaitan dengan tugasnya. Khalifah yang akan bertugas di bumi, harus mengenali apa yang ada di bumi, paling sedikit nama-namanya termasuk potensi yang dimilikinya. Ini tidak diketahui oleh malaikat, tetapi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengetahuinya. Oleh sebab itu, dengan jawapan para malaikat sebelum ini dan penyampaian Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada mereka, terbuktilah kewajaran makhluk yang diciptakan Allah ﷻ itu untuk menjadi khalifah di dunia.

 

قَالَ أَلَمْ أَقُلْ لَّكُمْ إِنِّيٓ أَعْلَمُ غَيْبَ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

Allah berkata: Tidakkah aku telah katakan kepada kamu bahawa Aku mengetahui apa yang ghaib yang berada di tujuh langit dan tujuh bumi

Yang tahu segala perkara ghaib hanya Allah ﷻ sahaja. Oleh itu, jangan kita kata ada makhluk lain yang tahu ilmu ghaib. Ramai yang ada masalah dengan hal ini. Ramai yang sangka ada makhluk yang tahu ilmu ghaib. Ini adalah fahaman syirik.

Allah ﷻ menyebut tentang bumi kerana soalan malaikat adalah tentang bumi dan khalifahnya. Ayat ini begitu indah sekali apabila Allah ﷻ menyebut kedua-duanya sekali langit dan bumi kerana Adam  telah dijadikan daripada dua bahagian ini: tubuh badan fizikalnya adalah dari bumi, manakala roh pula dari langit.

Maka, kelebihannya bukan sahaja dijadikan daripada tanah dan roh, tetapi sesuatu yang begitu luar biasa sekali. Oleh hal yang demikian, jangan sesekali merendah-rendahkan manusia. Manusia bukanlah haiwan tetapi mereka adalah makhluk yang begitu istimewa sekali. Haiwan hanya tahu beranak pinak dan makan minum untuk kelangsungan hidup sahaja. Akan tetapi manusia tidak begitu, mereka mempunyai begitu banyak potensi. Kita mampu untuk mencipta, berkasih sayang, mencari keadilan, bersyukur, berfikiran tinggi, mencipta keindahan, memiliki nilai-nilai tinggi dan sebagainya.

Namun, amat malang sekali, dalam industri hiburan kita telah digalakkan dengan pemikiran untuk meraikan perubahan manusia menjadi haiwan pula. Lihatlah lirik-lirik lagu yang mengandungi kata-kata kotor dan jijik. Siapakah yang menggemari kata-kata begini jika tidak anjing atau haiwan lain? Ini amat menyedihkan sekali kerana Allah ﷻ telah tunjukkan betapa hebatnya manusia ini, tetapi terdapat segolongan manusia yang telah berubah menjadi buruk. Kita sekarang hidup pada zaman di mana perangai buruk umpama haiwan diraikan dengan hebat sekali. Ini merupakan sebuah tragedi dek kerana kehancuran jiwa-jiwa roh manusia.

Lihatlah juga kepada karya seni pada hari ini. Ia bagaikan telah hilang nilai-nilai kemanusiaannya. Cuba bandingkan karya seni Islam di masa silam. Karya ahli seni dahulu adalah tentang simetri kerana ia diilhamkan daripada ayat-ayat Allah ﷻ yang mengatakan bahawa Dia telah mencipta segala-galanya dalam penuh kesempurnaan dan tersusun. Hasilnya, seni Islam terdahulu cuba mencontohi kesempurnaan ini dengan menghasilkan konsep simetri dalam seni lukisan mereka. Cuba bandingkan karya seni pada hari ini pula, penuh dengan kelucahan yang amat mengganggu sekali apabila melihatnya.

Allah ﷻ telah mengatakan yang Dia tahu apa yang tersembunyi di langit dan di bumi. Tentang manusia pula, Dia telah kurniakan potensi yang pelbagai kepada kita. Ini amatlah indah sekali kerana manusia sememangnya mempunyai kebaikan di dalam diri mereka.

 

وَأَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ

dan Aku Maha Mengetahui apa yang kamu nyatakan

Apa yang malaikat sebut, Allah ﷻ tahu. Iaitu malaikat telah berkata yang manusia akan berbuat kerosakan dan menumpahkan darah.

 

وَمَا كُنْتُمْ تَكْتُمُونَ

dan apa yang kamu sembunyikan;

Allah ﷻ juga tahu apa yang disembunyikan. Sama ada malaikat atau apa-apa sahaja makhluk yang mahu sembunyikan daripada Allah ﷻ, Allah ﷻ pasti tahu.

Persoalan di sini adalah, kenapa Allah ﷻ kata ‘apa yang kamu sembunyikan’? Takkan malaikat hendak sorok daripada Allah ﷻ pula. Maka ulama’ mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan ayat ini adalah iblis kerana iblis ketika itu berada dalam kalangan malaikat. Waktu itu tentunya para malaikat keliru kerana mereka tidak pernah menyembunyikan apa-apa pun daripada Allah ﷻ. Mereka tidak sedar yang di antara mereka terdapat satu makhluk bangsa jin (iblis) yang telah dimuliakan (sehingga dapat duduk dalam kalangan para malaikat) yang sedang menyembunyikan perasaannya selama ini. Allah ﷻ telah menyentuh tentangnya. Ia belum berlaku lagi, tetapi Allah ﷻ sedang memberi sedikit petanda dan petunjuk tentang jin ini. Keengganan untuk sujud belum lagi terjadi tetapi Allah ﷻ sudah tahu akan perkara ini.

Iblis ragu-ragu terhadap Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi dia simpan sahaja perasaannya itu. Walhal dia sudah berasa amat cemburu terhadap Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Terdapat sebahagian manusia yang kadangkala cemburukan anda walaupun mereka belum mengenali anda. Kenapa? Mereka rasa tergugat dengan kewujudan anda. Hanya dengan kewujudan anda seolah-olah telah merampas kedudukan hebat mereka itu.

Malangnya, dalam dunia Islam pun berlaku sikap cemburu sesama ahli agama. Mereka yang sepatutnya yang membantu untuk memajukan ummah tetapi mereka pula yang telah jatuh ke dalam perangkap syaitan. Ini terjadi apabila terdapat puak-puak yang datang daripada kumpulan masjid atau mazhab yang berbeza. Mereka bersengketa sesama sendiri. Masing-masing merasakan diri mereka sahaja yang benar kerana mereka sedang menjalankan kerja Allah ﷻ.

Apabila ini terjadi, mereka itu tidak ubah seperti iblis sahaja. Ingatlah, iblis juga telah menjalankan kerja Allah ﷻ. Kebanggaannya adalah mendapat pengiktirafan daripada Allah ﷻ di atas segala khidmatnya kepada Allah ﷻ. Oleh itu, jika anda tersasar dalam perangkap mahukan kebanggaan begini, maka anda sebenarnya mempunyai sikap seperti iblis juga.

Terdapat pengajaran yang amat penting di sini. Mengapakah dalam Al-Qur’an Allah ﷻ telah menekankan segala perkara buruk yang telah dilakukan oleh para ulama Yahudi? Selepas ini nanti kita akan banyak belajar tentang golongan Yahudi dan masalah mereka. Mereka itu dimurkai kerana mereka telah berbangga dan sombong dengan status mereka. Oleh itu, kita juga harus berwaspada agar tidak menjadi mereka itu. Jika kita inginkan penghargaan untuk kerja-kerja kita hanya dengan menjatuhkan orang lain, maka kita sedang menghadapi masalah yang amat besar kerana tidak ada bezanya kita dengan iblis.

Amat malang sekali, dalam masyarakat Islam kita ini, terdapat terlalu banyak yang mempunyai sikap suka menjatuhkan orang lain. Adakah sikap begini dapat memajukan ummah? Tentu sekali tidak, dan kerana itu sikap begini harus dihentikan. Jangan hiraukan perkara yang remeh temeh. Ketahuilah, mereka yang suka menyebarkan perkara remeh begini hanya membuang masa sahaja dan ini juga adalah perangai syaitan. Maka, janganlah diikuti jejak langkah syaitan.

Dialah yang menyembunyikan sesuatu. Malaikat yang lain pun tidak tahu apakah yang disimpan oleh iblis waktu itu. Iblis sebenarnya dalam kalangan jin dan sesama jin, iblis kata Allah ﷻ tidak akan menjadikan makhluk yang lebih mulia daripada mereka. Itulah yang disembunyikan oleh golongan jin. Akan tetapi Allah ﷻ tahu juga. Sama sahaja sama ada luahkan atau tidak, Allah ﷻ tahu.

Melalui ayat ini, kita dapat tahu bahawa manusia boleh menjadi lebih mulia daripada malaikat dan jin disebabkan ilmu. Kelebihan itu kerana ilmu, bukan kerana amal. Kalau tiada ilmu, tiadalah kelebihan kepada kita. Maka kita kenalah prihatin kepada potensi kelebihan kita ini. Kita katakan ‘potensi’ sahaja kerana walaupun ayat ini menunjukkan ketidakmampuan malaikat menjawab apa yang ditanyakan kepadanya, dan kemampuan Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, tetapi ini sama sekali tidak dapat dijadikan bukti bahawa jenis manusia lebih mulia daripada malaikat. Memang ini dapat menunjukkan adanya keistimewaan Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ atas sejumlah malaikat, tetapi bukanlah semua manusia atas semua malaikat, Yang pasti Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu mulia, maka tahulah kita bahawa asal salasilah kita ini adalah hebat.

Ternyata yang menyembunyikan perasaan itu adalah iblis. Akan tetapi ada juga pendapat yang mengatakan para malaikat juga ada menyembunyikan sesuatu. Ini kerana kalimah كُنْتُمْ menunjukkan telah terjadinya satu peristiwa di masa lalu. Ini menimbulkan kesan bahawa sejak dahulu sebelum dialog ini lagi, telah ada sesuatu yang tidak diungkap oleh para malaikat itu. Pengarang Tafsir al-Jalalain menyatakan yang disimpan itu adalah dugaan mereka bahawa Allah ﷻ tidak akan menciptakan makhluk yang lebih mulia dan lebih mengetahui daripada para malaikat. Seandainya pendapat ini diterima, maka itu mereka sembunyikan di dalam benak mereka, dalam erti mereka tidak mengungkapkannya kerana mengucapkannya dapat mengandungi makna keangkuhan, padahal mereka telah bebas daripada sifat angkuh atau berbangga diri.

Pengajaran kepada kita adalah untuk sedar dan ingat bahawa Allah ﷻ tahu apa sahaja yang di dalam hati kita. Allah ﷻ tahu kita ikhlas atau tidak semasa melakukan ibadah atau sedekah dan lain-lain. Maka kena jaga hati kita agar sentiasa ikhlas kepada Allah ﷻ.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 25 Julai 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 31 – 32 (Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diberi ilmu)

Baqarah Ayat 31: Di dalam ayat sebelum ini, Allah ﷻ beritahu yang Dia mengetahui apa yang para malaikat itu tidak tahu. Seolah-olah Allah ﷻ memberitahu kepada para malaikat: Kamu mungkin fikir perkara yang sama akan berlaku jika meletakkan manusia di bumi, bukan? Akan tetapi ada suatu yang berbeza pada kali ini.

Ayat ini setelah Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dijadikan. Allah ﷻ terus menceritakan kejadian selepas baginda dijadikan dan tidak disebutkan kisah kejadian Adam itu. Harus diingatkan Al-Qur’an bukanlah buku sejarah yang mengikut kronologi atau novel yang menceritakan kisah berturutan semuanya. Ada disebut dalam hadith bagaimana Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dijadikan maka kenalah dirujuk kepada hadith akan kisahnya itu.

وَعَلَّمَ ءآدَمَ الأَسمآءَ كُلَّها ثُمَّ عَرَضَهُم عَلَى المَلٰٓئِكَةِ فَقالَ أَنبِئوني بِأَسماءِ هٰٓؤُلاءِ إِن كُنتُم صٰدِقينَ

Sahih International

And He taught Adam the names – all of them. Then He showed them to the angels and said, “Inform Me of the names of these, if you are truthful.”

Malay

Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Dia berfirman: “Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar”.

 

وَعَلَّمَ ءآدَمَ الْأَسْمَآءَ كُلَّهَا

Dan Allah mengajar Nabi Adam nama-nama benda semua sekali;

Sekarang disebut nama khalifah yang akan dijadikan itu. Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ namanya dan baginda adalah datuk kita. Kita semua adalah keturunan baginda. Kerana itu gelaran kepada baginda adalah ‏أبو البشر. Terdapat juga banyak pendapat yang tidak boleh dipertanggungjawabkan yang kita ini adalah keturunan versi Adam ke 40 lah, Adam ke berapa dan sebagainya. Kononnya terdapat banyak versi Adam telah dijadikan. Ini semua adalah dongeng sahaja kerana tidak ada dalilnya.

Di dalam ayat 29 telah disebut nikmat-nikmat material yang telah diberikan kepada manusia. Namun begitu terdapat juga jenis nikmat material (zahir) dan ada jenis yang bukan material seperti ilmu pengetahuan. Ini pun nikmat juga. Nanti kita akan lihat dengan nikmat inilah yang telah mengangkat status Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melebihi para malaikat. Kerana ilmu yang ada inilah yang menyebabkan manusia lebih layak menjadi khalifah di muka bumi, bukannya para malaikat.

Allah ﷻ telah ajarkan Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ nama-nama segala benda semuanya sekali tanpa satu pun yang ditinggalkan. Kalimah الْاَسْمَاۤءَ boleh diterjemahkan sebagai nama-nama, dan juga kualiti (kelebihan). Sebab itulah nama-nama Allah ﷻ dipanggil الْاَسْمَاۤءَ الحسني. Ia bukanlah sekadar nama tetapi merangkumi kualiti Allah ﷻ sekali. Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diberikan dengan ilmu untuk mengenal benda. Setiap benda akan ada namanya. Maka Allah ﷻ ajar nama-nama segala bentuk objek benda, makhluk, batu, tanah, pasir, air, daun, serangga, haiwan, planet, matahari, bintang, langit, angkasa sama ada bernyawa atau tidak itu dan kegunaan dan kelebihannya sekali. Begitu juga jenis-jenis pokok yang segala macam, cara untuk menanamnya dan lain-lain lagi. Allah ﷻ berikan keistimewaan kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, boleh mengenali segala jenis benda dan boleh mengingati nama-namanya. Allah ﷻ sendiri yang ajar kepada Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Jelas di sini bermakna, ilmu tentang dunia datangnya daripada Allah ﷻ juga. Maka ingatlah yang kita semua bergantung ilmu daripada Allah ﷻ. Ini penting diberitahu kerana ada yang kata memang ilmu syariat agama daripada Allah ﷻ tetapi ilmu keduniaan datang daripada manusia sendiri. Namun begitu dalam ayat ini, kita dapat tahu bahawa ilmu dunia pun daripada Allah ﷻ juga.

Ada juga yang mengatakan bahawa ilmu yang dimaksudkan adalah Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diberikan dengan potensi untuk mengetahui. Bukanlah dia diberikan dengan pengetahuan tentang semua benda kerana bukan semua benda ada lagi. Akan tetapi baginda sudah ada potensi untuk mengenalinya nanti.

Satu lagi pendapat adalah Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diajar dengan kemahiran nama. Iaitu Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diajarkan nama dan kualiti segala benda, dan ini bermakna baginda telah diajar segala jenis bahasa. Ini kerana semua bahasa akan memperkenalkan kata nama (noun) sesuatu benda itu. Sebagaimana seorang anak kecil yang baru belajar, dia akan belajar mengenali nama sesuatu benda terlebih dahulu. Ini daddy, itu mummy, ini meja dan sebagainya. Maka, kata nama adalah asas sesuatu bahasa, malah semua bahasa yang wujud di dunia ini. Oleh itu sekarang kita tahu yang manusia pertama yang diajar kosa kata secara keseluruhan adalah Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Kita pula sebagai anak cucu Adam diajar hanya sebahagian bahasa dan ia adalah ‘anak’ kepada induk bahasa yang telah diajar kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kita kena ingat yang Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diajar secara langsung oleh Allah ﷻ sendiri. Maka, ini bermaksud yang semua bahasa telah diajar oleh Allah ﷻ melalui wahyu. Tidak ada satu bahasa pun yang wujud di bumi ini yang bukan datang daripada-Nya. Ini kerana semua bahasa berasal daripada nenek moyang kita, dan nenek moyang itu berasal daripada moyang di atasnya sehinggalah sampai kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diajar oleh Allah ﷻ. Maka, di sini juga mengajar kita bahawa semua bahasa haruslah dimuliakan kerana semuanya telah diajar oleh Allah ﷻ. Kita tidak sepatutnya mengejek-ejek sesuatu bahasa atau dialek kerana ia seumpama mengejek Allah ﷻ, bukan?

Satu lagi implikasi daripada pelbagai bahasa ini adalah penggunaan istilah di dalam ilmu. Setiap pengetahuan ilmu dan sains ada istilahnya tersendiri. Bidang kedoktoran ada istilahnya, bidang kepeguaman ada istilahnya dan seterusnya dalam semua bidang lain. Dengan erti kata lain, segala ilmu yang telah diberikan kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah asas kepada seluruh kemajuan intelektual manusia. Segala-galanya telah diajar kepada manusia pertama ini agar baginda dapat menurunkan ilmunya ini kepada generasi seterusnya.

Nenek moyang kita telah mencatat semua ilmu-ilmu ini dan diberikan terma-terma (istilah-istilah) yang bersesuaian. Manusia kemudiannya selepas itu menambah baik terma-terma tersebut. Dengan ini, bidang ilmu dapat berkembang menjadi semakin canggih. Ini bermakna, manusia tidak dapat bergerak maju ke hadapan tanpa ilmu-ilmu asas ini. Kemajuan dan pembangunan ilmu manusia di dalam semua bidang merupakan perancangan Allah ﷻ sejak awal lagi dan ia bermula dengan Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Oleh sebab itu, apabila anda belajar ilmu fizik, biologi, perubatan, kewangan dan apa sahaja bidang pun, anda sebenarnya menyambung pembelajaran dan ilmu yang berasal daripada Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka, jangan kata yang belajar pengajian agama sahaja yang berkait rapat dengan Allah ﷻ, sedangkan semua bidang pengajian berkait rapat dengan Allah ﷻ! Anda sendiri yang membuat pengasingan itu, bukannya Allah ﷻ.

Kitab Allah mahukan kita mendalami segala ilmu-ilmu di alam ini dan mengajak kita mempelajari tentang segala-galanya yang bermanfaat. Allah ﷻ berfirman di dalam Hud: 61

هُوَ اَنْشَاَكُمْ مِّنَ الْاَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيْهَا
Dia telah menciptakanmu dari bumi (tanah) dan menjadikanmu pemakmurnya,

Dalam Bahasa Arab moden kalimah اسْتَعْمَر bermaksud menjajah. Manakala dalam Bahasa Arab lama pula ia bermaksud Allah ﷻ meletakkan kita di bumi dan Dia mahukan kita membangunkan dan memajukan bumi. Bagaimanakah kita boleh memajukan dan memakmurkan bumi jika kita tidak belajar sains?

Sebagai contoh, pertanian dapat dilakukan apabila manusia belajar cara pengairan yang betul. Dari situ, bandar-bandar dapat berkembang maju. Ini tidak akan dapat berlaku tanpa ilmu sains. Tahukah anda dari mana asalnya tamadun Islam? Ia berasal daripada ilmu sains juga. Malangnya, kita telah lama dipengaruhi oleh pemikiran sekular yang mengasingkan agama dan sains sehingga kita menganggap ilmu sekular ini tidak penting. Sedangkan kita belajar di sini yang Allah ﷻ telah mewahyukan ilmu sekular terlebih dahulu kepada manusia. Allah ﷻ tidak pun menyebut lagi tentang ibadah kepada Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, bukan?

Amat malang sekali umat Islam telah berada dalam kebekuan intelektual sehingga kita telah mengasingkan dan membezakan pengetahuan ilmu agama dengan ilmu sains. Atau kita boleh katakan di antara ‘ilmu wahyu’ dan ‘ilmu penciptaan’. Di sini kita telah mempelajari bahawa Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diberikan kemuliaan untuk mempelajari ilmu ciptaan dan itu merangkumi segala jenis ilmu. Allah ﷻ tidak menghadkan ilmu ciptaan kerana Dia telah berfirman وَعَلَّمَ اٰدَمَ الْاَسْمَاۤءَ كُلَّهَا di mana kalimah كُلَّهَا bermaksud segala-galanya, termasuk segala idea dan konsep yang abstrak. Maka ilmu yang diberikan kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah teramat luas sekali.

Apa yang telah dikurniakan kepada Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tentulah amatlah mengagumkan. Malah ada di antara kita telah dikurniakan sebahagian daripada ilmu yang istimewa ini. Ada di antara kita diberikan ilmu sastera dan puisi, ada pula yang berseni dan ada pula yang hebat dalam bidang sejarah dan bahasa, dan ada pula yang mahir dalam bidang sains dan perubatan.

Oleh itu, walau dalam bidang apapun kehebatan anda itu, ia merupakan sebahagian kecil pecahan daripada ilmu yang telah dikurniakan kepada Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ilmu itu telah diberikan kepada Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk diturunkan kepada kita semua. Oleh sebab itu juga, janganlah berasa bersalah pula jika kita mahir ilmu keduniaan ini. Jika anda hebat dalam ilmu apa sekalipun, ingatlah bahawa ia merupakan anugerah daripada Allah ﷻ yang telah diturunkan daripada generasi ke generasi sehingga sampai kepada anda.

Satu lagi pendapat maksud الْاَسْمَاۤءَ adalah nama-nama manusia iaitu anak cucunya. Maksud ini boleh diambil daripada hadith berikut:

حَدَّثَنَا عَبْدُ بْنُ حُمَيْدٍ، حَدَّثَنَا أَبُو نُعَيْمٍ، حَدَّثَنَا هِشَامُ بْنُ سَعْدٍ، عَنْ زَيْدِ بْنِ أَسْلَمَ، عَنْ أَبِي صَالِحٍ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ لَمَّا خَلَقَ اللَّهُ آدَمَ مَسَحَ ظَهْرَهُ فَسَقَطَ مِنْ ظَهْرِهِ كُلُّ نَسَمَةٍ هُوَ خَالِقُهَا مِنْ ذُرِّيَّتِهِ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَجَعَلَ بَيْنَ عَيْنَىْ كُلِّ إِنْسَانٍ مِنْهُمْ وَبِيصًا مِنْ نُورٍ ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى آدَمَ فَقَالَ أَىْ رَبِّ مَنْ هَؤُلاَءِ قَالَ هَؤُلاَءِ ذُرِّيَّتُكَ فَرَأَى رَجُلاً مِنْهُمْ فَأَعْجَبَهُ وَبِيصُ مَا بَيْنَ عَيْنَيْهِ فَقَالَ أَىْ رَبِّ مَنْ هَذَا فَقَالَ هَذَا رَجُلٌ مِنْ آخِرِ الأُمَمِ مِنْ ذُرِّيَّتِكَ يُقَالُ لَهُ دَاوُدُ ‏.‏ فَقَالَ رَبِّ كَمْ جَعَلْتَ عُمْرَهُ قَالَ سِتِّينَ سَنَةً قَالَ أَىْ رَبِّ زِدْهُ مِنْ عُمْرِي أَرْبَعِينَ سَنَةً ‏.‏ فَلَمَّا انْقَضَى عُمْرُ آدَمَ جَاءَهُ مَلَكُ الْمَوْتِ فَقَالَ أَوَلَمْ يَبْقَ مِنْ عُمْرِي أَرْبَعُونَ سَنَةً قَالَ أَوَلَمْ تُعْطِهَا ابْنَكَ دَاوُدَ قَالَ فَجَحَدَ آدَمُ فَجَحَدَتْ ذُرِّيَّتُهُ وَنَسِيَ آدَمُ فَنَسِيَتْ ذُرِّيَّتُهُ وَخَطِئَ آدَمُ فَخَطِئَتْ ذُرِّيَّتُهُ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ ‏.‏ وَقَدْ رُوِيَ مِنْ غَيْرِ وَجْهٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ‏.‏
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata, Rasulullah ﷺ bersabda, “Tatkala Allah menciptakan Adam, Dia mengusap punggungnya, maka berjatuhanlah semua roh yang bakal Dia ciptakan daripada anak keturunannya sampai hari kiamat. Dan Dia letakkan di antara kedua mata setiap orang daripada mereka seberkas cahaya, kemudian Dia tunjukkan kepada Adam. Adam pun bertanya, “Duhai Rabb-ku, siapakah mereka ini?” Allah berfirman, “Mereka ini adalah keturunanmu.” Lalu dia melihat salah seorang daripada mereka yang cahaya di antara kedua matanya menakjubkannya, lantas dia berkata, “Duhai Rabb-ku, siapakah dia ini?” Kata Allah, “Dia salah seorang keturunanmu dalam kalangan umat terkemudian, namanya Dawud.” Lalu Adam berkata lagi, “Duhai Rabb-ku, berapakah Engkau jadikan umurnya?” Kata Allah, “Enam puluh tahun.” Adam berkata, “Duhai Rabb-ku, tambahkanlah untuknya daripada umurku sebanyak empat puluh tahun.” Ketika umur Adam telah habis, Malaikat Maut mendatanginya. Baginda pun berkata, “Bukankah usiaku ini masih tersisa empat puluh tahun lagi?” Malaikat berkata, “Bukankah telah engkau berikan untuk putramu Dawud?” Baginda (Rasulullah) bersabda, “Adam melakukan pengingkaran, maka anak cucunya juga melakukan pengingkaran, Adam lupa, maka anak cucunya juga lupa, dan Adam bersalah, maka anak cucunya juga bersalah.”
(Jami’ At-Tirmidzi 3076)
Status: Hasan (Darussalam)

Setiap seorang daripada kita berada di situ ketika kejadian itu dan ini bermakna roh kita semua telah ditunjukkan kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sebelum ini, apa yang kita tahu adalah Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diberitahu tentang nama-nama kita, bukan? Jangan lupa yang Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga diberitahu mengenai kualiti kita juga. Sebagaimana seorang bapa yang seharusnya mengenali anak-anaknya.

Maka, di sini kita boleh lihat maksud kalimah الْاَسْمَاۤءَ juga membawa maksud nama-nama kita. Ia bukan bermaksud ‘benda’ sahaja. Pelajar bahasa Arab boleh menghargai fakta ini kerana Allah ﷻ telah menyambung firman-Nya dengan ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلٰۤىِٕكَةِ kemudian Dia perlihatkan kepada para malaikat. Dhomir (kata ganti) هم bukan digunakan untuk benda yang tidak bernyawa tetapi untuk manusia. Ini kerana Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diajar nama-nama manusia terlebih dahulu dan kemudian barulah ditunjukkan kita kepada para malaikat.

 

ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلٰٓئِكَةِ

kemudian dibentangkan benda-benda itu kepada malaikat;

Allah ﷻ tunjukkan benda-benda dan nama-nama itu kepada para malaikat pula. Mereka diberi peluang pula untuk menamakan benda-benda atau nama yang telah diajarkan. Akan tetapi masa yang diberikan adalah lama kerana kalimah yang digunakan adalah ثُمَّ yang bermaksud ‘selepas’ iaitu selepas sengkang waktu yang lama. Maknanya bukanlah terus ditunjukkan kepada para malaikat.

 

فَقَالَ أَنْبِئُونِي بِأَسْمَآءِ هَٰٓؤُلَاءِ

kemudian Dia berkata kepada malaikat: beritahu kepadaKu nama benda-benda ini

Allah ﷻ bentangkan benda-benda itu kepada malaikat supaya malaikat boleh sebut nama benda-benda itu. Allah ﷻ menyoal malaikat untuk sebut nama benda-benda itu. Sebenarnya perintah ini bukan bertujuan untuk mereka menjawab, kerana Allah ﷻ tahu yang mereka tidak akan dapat menjawabnya, tetapi pertanyaan itu bertujuan untuk membuktikan kekeliruan mereka.

 

إِنْ كُنْتُمْ صٰدِقِينَ

sekiranya kamu benar. 

Sekiranya mereka benar seperti yang mereka dakwa yang makhluk yang diciptakan itu (manusia) akan menjadi seperti makhluk yang sebelum itu (jin). Atau, sekiranya benar sangkaan para malaikat itu yang mereka itu lebih layak untuk menjadi khalifah di mukabumi.

Maka soalan Allah ﷻ: “Bolehkah kamu namakan kesemua manusia ini dan kualiti yang ada pada mereka?” Malaikat tidak dapat menjawabnya. Allah ﷻ tanyakan soalan ini kepada mereka kerana mereka yang terlebih dahulu bertanyakan soalan kepada Allah ﷻ. Iaitu soalan mereka yang bertanyakan mengapa Allah ﷻ mahu menjadikan khalifah baru di bumi. Maka, sekarang Allah ﷻ memberitahu mereka jenis khalifah apakah yang akan diletakkan di bumi ini. “Adakah kamu tahu nama-nama mereka, kualiti dan kelebihan yang ada pada diri mereka, wahai malaikat?” “Tidak”, jawab mereka. Mereka tidak tahu.

Maksudnya Allah ﷻ sedang menegaskan yang malaikat tidak boleh menuduh yang manusia akan mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh jin sebelum ini. Itu adalah pemikiran yang pra matang. Mereka tidak boleh menghukum manusia berdasarkan apa yang makhluk sebelumnya telah lakukan.

Apakah pengajarannya di sini? Prinsip ini bukan sahaja ditujukan kepada malaikat tetapi untuk kita juga. Jika seseorang telah melakukan kesilapan di masa silam, ini tidaklah bermakna yang anak cucunya akan terus melakukan kesilapan yang sama.

Jika seorang Muslim telah melakukan dosa di masa silamnya, tidaklah bermakna generasi seterusnya akan melakukan dosa yang sama. Malang sekali, kita telah membina satu perasaan yang merisaukan tentang masa depan kita berdasarkan sejarah silam kita. Sama ada tentang diri kita sendiri ataupun ummah. Kaum Muslim suka melakukan perkara ini, bukan? Malah bukan hanya untuk Muslim sahaja, bahkan untuk bukan Islam juga. Kita biasa dengar, “Ah, puak kafir ni sudah sebati perangai macam ni, takkan berubah dah!” Adakah anda mendapat jaminan daripada Allah ﷻ yang mereka akan berterusan berperangai dan bersikap begitu sampai bila-bila?

Lihatlah perangai puak Quraisy. Ya, pada masa silam merekalah yang paling kuat menentang Rasulullah ﷺ. Namun begitu, daripada puak yang samalah lahirnya manusia hebat imannya seperti Khalid ibn Walid رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan ramai lagi para sahabat lain yang tiada tolok bandingnya hebat. Oleh sebab itu, janganlah kita menghakimi manusia berdasarkan masa silam mereka. Para malaikat telah diajar yang cara pemikiran sebegini adalah tidak betul. Maka, kita juga harus mengambil pengajaran yang sama di sini.

Adakah jin sebelum kita itu telah diajar ilmu sains dan teknologi? Tidak, hanya manusia diberikan ilmu tersebut. Maka, apabila manusia menjadi khalifah di bumi, mereka akan melakukan perkara yang hebat. Daripada bahan-bahan mentah di bumi ini, manusia akan mencipta, mereka bentuk benda-benda baru. Anda sendiri boleh melihatnya sedang berlaku, bukan? Lihatlah tahap mana kita berada sekarang. Ia telah terbukti sejak zaman berzaman. Maka, di sini Allah ﷻ sedang memberitahu para malaikat agar tidak memandang rendah manusia ini kerana dalam kalangan mereka akan ada para nabi dan rasul.

Lihat hadith di atas mengenai Nabi Dawud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Nabi Dawud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah menarik perhatian Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sehingga baginda telah menghadiahkan 40 tahun daripada jangka hayat hidupnya kepada Nabi Dawud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Jika anda mempelajari mengenai Nabi Dawud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam Al-Qur’an apakah yang akan anda temui? Agaknya apakah yang telah menjadikannya begitu istimewa sekali? Baginda telah diberikan kelebihan untuk mengharmonikan alam. Apabila baginda memuji-muji Allah ﷻ, gunung-ganang dan unggas menyertai baginda. Baginda telah mencipta baju besi yang menunjukkan ilmu pengetahuannya yang tinggi. Baginda juga telah diberikan kelebihan mentadbir urus yang hebat yang tidak diberikan kepada rasul-rasul yang lain.

Dalam erti kata yang lain, baginda telah benar-benar menjaga bumi dan menjadi khalifah yang sebenar. Baginda merupakan seorang khalifah yang benar-benar istimewa sekali. Maka sebab itulah, Nabi Dawud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah menarik perhatian Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan baginda mengaguminya dan berasakan beliau layak untuk tinggal lebih lama lagi di atas bumi ini. Ini kerana Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah mengenali ciri-ciri kelebihan dan kualiti setiap daripada anak-anaknya.


 

Baqarah Ayat 32: Malaikat adalah sejenis makhluk yang tidak makan, tidak minum, tidak tidur dan sebagainya. Maka, mereka tidak perlu kepada nama-nama benda yang diketahui oleh Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka memang mereka tidak mengenali nama semua benda itu.

قالوا سُبحٰنَكَ لا عِلمَ لَنآ إِلّا ما عَلَّمتَنآ ۖ إِنَّكَ أَنتَ العَليمُ الحَكيمُ

Sahih International

They said, “Exalted are You; we have no knowledge except what You have taught us. Indeed, it is You who is the Knowing, the Wise.”

Malay

Malaikat itu menjawab: “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

 

قَالُوا سُبْحٰنَكَ

Malaikat jawab: Maha Suci Engkau

Subhanallah – Maha Suci Engkau daripada jahil. Kami sahaja yang jahil, tetapi Engkau tidak. Kami tidak tahu melainkan apa yang Engkau ajar kepada kami. Engkau sahaja yang Maha Mengetahui. Malaikat menjawab Allah ﷻ sempurna, tidak ada kekurang sedikit pun. Maknanya tasbih mereka itu menyucikan Allah ﷻ daripada apa sahaja sifat kekurangan. Untuk kita pula, bilakah waktunya kita mengucapkan tasbih? Ketika kita mengatakan sesuatu yang tidak sepatutnya. Ini bermaksud yang mereka sedang menarik semula kata-kata mereka yang melampau apabila mereka telah salah sangka dengan kebolehan manusia.

Ucapan tasbih darpadai para malaikat ini mereka kemukakan sebelum menyampaikan ketidaktahuan mereka, menunjukkan betapa mereka tidak bermaksud membantah atau memprotes ketetapan Allah ﷻ menjadikan manusia sebagai khalifah di bumi, sekaligus sebagai pertanda “penyesalan” mereka atas ucapan atau kesan yang ditimbulkan oleh pertanyaan mereka sebelum ini.

Di sini juga mengandungi pengajaran, untuk menjadi pemimpin (khalifah) memerlukan ilmu, barulah pentadbiran menjadi baik. Begitulah kita telah sebutkan sebelum ini di dalam Yusuf: 55 bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meminta baginda dilantik sebagai Menteri Kewangan kerana kelayakan baginda dari segi ilmu.

قالَ اجعَلني عَلىٰ خَزائِنِ الأَرضِ ۖ إِنّي حَفيظٌ عَليمٌ
Berkata Yusuf: “Jadikanlah aku bendaharawan negara (Mesir); sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan”.

 

لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَآ

Tidaklah ada pengetahuan pada kami melainkan apa yang Engkau ajar kepada kami;

Malaikat lihat benda-benda itu tetapi tidak boleh menyebut namanya. Maknanya malaikat pun tidak tahu. Mereka hanya ada ilmu yang Allah ﷻ sampaikan kepada mereka sahaja. Tidaklah mereka ada ilmu ghaib dengan sendiri melainkan apa yang Allah ﷻ beritahu. Maka tidak patut kalau manusia sembah malaikat. Tidak juga patut kita berdoa minta tolong kepada malaikat kerana untuk seseorang itu bantu kita, hendaklah dia tahu apa yang kita perlukan, apa yang terbaik untuk diberikan kepada kita, bukan? Hanya Allah ﷻ sahaja tempat yang layak untuk kita berdoa kerana Allah ﷻ tahu permintaan kita, Allah ﷻ tahu apa yang terbaik buat kita.

Mungkin ada yang kata, mana adil kalau begitu – ajar nama benda-benda kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kemudian tanya baginda, kemudian tanya kepada malaikat tanpa diajar nama-nama benda itu. Ini bukanlah isu adil atau tidak. Allah ﷻ beri ilmu kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kerana itu ada kelebihan kepada baginda. Allah ﷻ boleh beri kelebihan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Itu hak Allah ﷻ. Tidak disebut yang Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diajar ilmu itu secara rahsia; mungkin diberitahu kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan juga para malaikat secara umum, tetapi mereka sahaja yang tidak boleh tangkap atau tidak boleh faham. Atau, cara ilmu itu diberi kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ secara ilham, sebagaimana fitrah seorang bayi tidak perlu diajar mencari puting susu ibunya, tetapi terus sahaja dia tahu.

Begitulah, ada juga yang mengatakan Allah ﷻ juga mengajar nama benda-benda itu kepada malaikat, tetapi mereka tidak dapat mengingatinya. Ini kerana manusia seperti memiliki sekeping cip dalam otak untuk membolehkan kita mengingati dalam jangka yang lama. Ini merupakan pandangan kedua, dan kedua-dua pendapat boleh diterima.

Di sini para malaikat mengaku yang mereka tidak tahu. Ini adalah kualiti yang bagus; bila tidak tahu, cakap sahaja tidak tahu. Kebiasaannya ini adalah penyakit orang berilmu; mereka mempunyai ego yang tinggi menyebabkan mereka susah hendak mengaku tidak tahu kerana takut kedudukan mereka menjadi rendah di mata manusia terutama sekali di mata anak murid mereka. Semoga kita belajar daripada para malaikat yang mengaku apabila mereka tidak tahu. Antara contoh yang boleh dikongsi dalam permasalahan sebegini adalah kisah Imam Malik رَحِمَهُ اللَّهُ apabila ditanya kepadanya beberapa persoalan oleh murid-muridnya:

سُئِلَ عَنْ ثَمَانِيَةٍ وَأَرْبَعِينَ مَسْأَلَةً فَقَالَ فِي ثِنْتَيْنِ وَثَلَاثِينَ مِنْهَا: لَا أَدْرِي
“Ditanya (Imam Malik) 48 persoalan, maka jawab Imam Malik 32 daripadanya dengan aku tidak tahu.”
[Lihat: Syarah al-Zurqani ‘ala al-Muwatta’, 1/54]

Kisah ini menunjukkan kepada kita bahawa seorang imam yang hebat di zamannya sehingga Imam Malik رَحِمَهُ اللَّهُ digelar sebagai Imam Dar al-Hijrah tidak malu untuk mengatakan beliau tidak tahu dalam sesuatu permasalahan. Suasana pada hari ini cukup berbeza apabila kebanyakan para penceramah tanpa segan dan malu menjawab setiap persoalan yang diajukan tanpa didasari dengan ilmu. Kesan daripada sikap sebegini, masyarakat akan menjadi huru-hara dan akan timbul banyaknya fitnah.

Oleh itu jangan malu untuk berkata: لَا أَدْرِي. Di dalam Sunan al-Darimi ada diriwayatkan bahawa al-Sya’bi رَحِمَهُ اللَّهُ (seorang tabein) telah berkata dengan sanad yang sahih:

لَا أَدْرِي نِصْفُ الْعِلْمِ
“Ucapan aku tidak tahu separuh daripada ilmu.”
(Riwayat al-Darimi (186), 1/276)

Kita sepatutnya berasa bimbang kalau mengeluarkan pendapat sendiri kerana takut ia adalah salah. Tambahan pula kita ditakutkan dengan sebuah hadith daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

مَنْ أُفْتِيَ بِغَيْرِ عِلْمٍ كَانَ إِثْمُهُ عَلَى مَنْ أَفْتَاهُ
“Barangsiapa yang diberi fatwa tanpa ilmu, maka dosanya akan ditanggung oleh orang yang memberi fatwa.”
(Riwayat Abu Daud (3657))
Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai hasan dan sanad hadith ini kesemua perawinya adalah thiqah

 

إِنَّكَ أَنْتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ

Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana

Allah ﷻ yang Maha Tahu segala-galanya, ilmu Allah ﷻ tidak terbatas. Di sini dalam kalimah إِنَّكَ sudah ada maksud ‘Engkau’ jadi kenapa ditambah dengan kalimah أَنْتَ pula? Ia adalah sebagai penekanan dan juga eksklusif iaitu *hanya* Allah ﷻ sahaja yang memiliki sifat الْعَلِيمُ dan الْحَكِيمُ.

Kalimah الْعَلِيمُ daripada kalimah علم yang menurut pakar-pakar bahasa bererti menjangkau sesuatu sesuai dengan keadaannya yang sebenar. Allah ﷻ dinamai الْعَلِيمُ kerana pengetahuan-Nya yang amat jelas sehingga terungkap baginya hal-hal yang sekecil-kecilnya apa pun.

Kalimah الْحَكِيمُ maksudnya Maha Bijaksana. Yang Memiliki hikmah, dan hikmah antara lain bererti mengetahui yang paling utama untuk segala-galanya, baik pengetahuan mahupun perbuatan. Seorang yang ahli dalam melakukan sesuatu dinamai ‘hakeem’. Hikmah juga diertikan sebagai sesuatu yang bila digunakan atau diperhatikan akan menghalang terjadinya mudharat atau kesulitan yang lebih besar atau mendatangkan kemaslahatan dan kemudahan yang lebih besar. Allah ﷻ Maha Bijaksana yang membuat keputusan manakah yang patut dilakukan. Di dalam ayat ini Allah ﷻ bijaksana di dalam memilih mana pengetahuan yang diketahui oleh satu makhluk dan tidak yang lainnya.

Ayat ini hendak mengatakan, kalau tidak kerana kurnia Allah ﷻ untuk memberikan ilmu kepada kita, kita tidak akan tahu apa-apa. Sama ada ilmu tentang agama, atau ilmu tentang kehidupan juga.

Maka tahulah para malaikat bahawa ketetapan Allah ﷻ menjadi manusia sebagai khalifah di bumi adalah keputusan yang tepat. Dulu mereka kata mereka boleh menjadi khalifah kerana mereka itu dan ini, bukannya kerana mereka berlagak. Namun mereka cuma menawarkan khidmat mereka sahaja. Sekarang mereka sedar yang mereka tidak layak sebenarnya.

Walaupun kedudukan mereka begitu rapat dengan Allah ﷻ, mereka masih sedar akan batas dan sentiasa merendah diri. Namun, bagaimana dengan kita? Mungkin kita sebagai pelajar agama yang telah belajar peringkat demi peringkat, menghadiri kursus demi kursus, seminar demi seminar dan seterusnya telah berjaya menjadi pelajar yang penuh dengan ilmu di dada dan paling cemerlang di antara pelajar lain. Bagaimana dengan sikap kita? Malangnya ramai yang kita lihat semakin tinggi ilmunya, semakin bongkak pula malah suka memandang rendah orang lain.

Sepatutnya lagi tinggi ilmu seseorang itu, makin rendah dia tunduk ke bumi. Itulah tanda keilmuan, dan para malaikat sedar akan hakikat ini. Malaikat telah diajar agar tidak menghakimi sesuatu perkara terlalu awal. Begitu juga dengan kita, apabila kita bertemu seseorang buat pertama kali dan langsung tidak tahu apa-apa mengenai diri mereka, janganlah kita tergesa-gesa membuat penghakiman ke atas diri mereka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 24 Julai 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah