Tafsir Surah an-Nahl Ayat 113 – 114 (Makanan Halaalan Tayyiban)

Nahl Ayat 113: Kenapa mereka dikenakan dengan azab? Allah ﷻ jelaskan di dalam ayat ini.

وَلَقَد جاءَهُم رَسولٌ مِّنهُم فَكَذَّبوهُ فَأَخَذَهُمُ العَذابُ وَهُم ظٰلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And there had certainly come to them a Messenger from among themselves, but they denied him; so punishment overtook them while they were wrongdoers.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka seorang rasul dari mereka sendiri, tetapi mereka mendustakannya; kerana itu mereka dimusnahkan azab dan mereka adalah orang-orang yang zalim.

 

وَلَقَد جاءَهُم رَسولٌ مِّنهُم فَكَذَّبوهُ

Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka seorang rasul daripada mereka sendiri, tetapi mereka mendustakannya;

Apabila dimulakan dengan kalimah لَقَد, ia adalah satu penekanan kerana ia mengandungi dua kalimah taukid (penekanan dan penegasan) iaitu harf ل dan kalimah قد. Maknanya ada sesuatu yang penting yang Allah ﷻ hendak beritahu kita, maka hendaklah kita beri perhatian. Allah ﷻ telah mengangkat Rasul dalam kalangan mereka sendiri, iaitu dalam kalangan manusia dan daripada puak mereka. Yang dimaksudkan adalah Nabi Muhammad ﷺ. Namun mereka telah mendustakan baginda.

Maksud ‘mendustakan’ adalah mengatakan apa yang baginda bawa itu adalah dusta. Padahal apabila Rasulullah ﷺ diangkat dalam kalangan mereka, itu adalah suatu penghormatan yang amat besar daripada Allah ﷻ. Bukan sahaja rahmat diberikan dengan Rasul, malah dalam kalangan mereka pula. Maknanya mereka senang faham apa yang hendak disampaikan oleh Rasul itu, Rasul itu pula kenal mereka dan tahu serba serbi masalah dan karenah mereka. Mereka juga kenal baginda kerana baginda membesar bersama mereka. Maka mereka tahu yang baginda adalah seorang yang baik dan malah mereka gelar sebagai al-Amin (yang dipercayai). Mereka juga boleh berbangga dengan Rasul dalam kalangan mereka. Maka ini adalah nikmat yang amat besar. Memang Allah ﷻ selalunya akan berikan Rasul dalam kalangan umat itu sendiri seperti yang Allah ﷻ sebut dalam ayat yang lain:

لَقَدْ مَنَّ اللهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولا مِنْ أَنْفُسِهِمْ
Sesungguhnya Allah telah memberi kurnia kepada orang-orang yang beriman ketika Allah mengutus di antara mereka seorang rasul daripada golongan mereka sendiri.
(Ali Imran: 164)

Kerana itulah dakwah kepada sesuatu bangsa itu paling sesuai diberikan oleh bangsa itu sendiri. Sebagai contoh, kalau kaum Cina, orang Cina lah yang dakwah dan ajar mereka. Kalau orang Melayu yang datang kepada mereka, mungkin ada batas sedikit.

Kita pun selalu mendengar betapa hebatnya akhlak dan peribadi baginda di dalam berdakwah. Antaranya lihatlah hadith ini,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي أَوْفَى قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُكْثِرُ الذِّكْرَ وَيُقِلُّ اللَّغْوَ وَيُطِيلُ الصَّلَاةَ وَيُقْصِرُ الْخُطْبَةَ وَلَا يَأْنَفُ وَلَا يَسْتَنْكِفُ أَنْ يَمْشِيَ مَعَ الْأَرْمَلَةِ وَالْمِسْكِينِ فَيَقْضِيَ لَهُمَا حَاجَتَهُمَا
Daripada [Abdullah bin Abi Aufa] dia berkata; Nabi ﷺ selalu memperbanyak zikir, menghindari hal sia-sia, memperpanjang solat, memendekkan khutbah, tidak berbuat kasar, tidak merasa malu berbicara dengan para janda dan orang miskin untuk menyelesaikan urusan mereka.
(Sunan Nasa’i (74))
Status: Hasan

Begitulah Nabi Muhammad ﷺ di dalam berdakwah tidak memilih bulu. Baginda tidak canggung duduk bersama golongan marhaen. Sampaikan golongan yang ada kedudukan di dalam masyarakat rasa tidak selesa untuk memasuki kelas pengajian Nabi ﷺ dan ikut beriman. Mereka sampaikan hendak diadakan kelas khas untuk mereka yang tidak ada orang-orang marhaen itu. Baginda dilarang untuk melakukannya seperti disebut di dalam An’am: 52

وَلا تَطرُدِ الَّذينَ يَدعونَ رَبَّهُم بِالغَدوٰةِ وَالعَشِيِّ يُريدونَ وَجهَهُ ۖ ما عَلَيكَ مِن حِسابِهِم مِّن شَيءٍ وَما مِن حِسابِكَ عَلَيهِم مِّن شَيءٍ فَتَطرُدَهُم فَتَكونَ مِنَ الظّٰلِمينَ
Dan janganlah engkau usir orang-orang yang beribadat dan berdoa kepada Tuhan mereka pagi dan petang, sedang mereka menghendaki keredaan-Nya semata-mata. Tiadalah engkau bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amal mereka, dan mereka juga tidak bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amalmu. Maka (sekiranya) engkau usir mereka, nescaya menjadilah engkau daripada orang-orang yang zalim.

Maka ini menjadi pengajaran kepada kita. Sepatutnya dakwah kena banyak dijalankan kepada orang-orang miskin yang duduk di pedalaman. Mereka itu amat memerlukan pendidikan terutama sekali pendidikan agama. Sebaliknya yang banyaknya kita lihat adalah trend kelas-kelas pengajian banyak dilakukan di rumah-rumah orang kaya sekarang. Maka siapa yang akan mengajar orang-orang di estet dan ceruk kampung-kampung?

Musyrikin Mekah telah menolak Nabi Muhammad ﷺ. Namun penolakan manusia boleh berlaku dalam dua cara: cara pertama adalah dengan jelas menolak. Ini seperti dilakukan oleh Musyrikin Mekah itu. Mereka menentang, mengutuk, memfitnah, mengejek baginda. Akan tetapi ada satu lagi cara. Iaitu dengan cara perbuatan, seperti tidak mengendahkan ajaran baginda. Inilah yang banyak dilakukan oleh masyarakat kita. Ajaran baginda tidak diikuti, Sunnah baginda diabaikan. Sebaliknya ditambah-tambah ajaran baginda dengan fahaman dan amalan yang baru yang dinamakan bid’ah. Ini pun adalah cara penolakan kepada Rasulullah ﷺ tetapi ramai yang tidak sedar tentang hal ini.

Ada satu pengajaran penting yang kita boleh ambil di sini tentang dakwah. Allah ﷻ sebut وَلَقَد جاءَهُم رَسولٌ (Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka seorang rasul). Pengajarannya adalah Rasul itu yang datang berdakwah kepada mereka, bukannya mereka datang kepada baginda. Begitulah dalam proses dakwah, pendakwah tidaklah menunggu mad’u (yang didakwah) datang, tetapi mereka yang kena pergi kepada mad’u. Orang yang ada masalah dan yang paling memerlukan dakwah, tidaknya mereka datang kepada guru dan pendakwah. Yang datang mencari guru selalunya adalah orang-orang yang sudah baik dan ada kesedaran.

Maka kalau guru hanya menunggu sahaja anak murid datang, agak tidak benarlah begitu kerana amat ramai yang memerlukan bimbingan dan didikan daripada guru itu. Terutama sekali yang duduk di luar bandar dan terasing daripada pendidikan. Mereka juga selalunya tidak berkemampuan untuk ke kawasan bandar untuk belajar. Kalaulah kita biarkan mereka, kasihanilah kepada mereka; sudahlah susah, ilmu agama pun tiada. Akibatnya mereka itu kurang serba serbi dari segi keduniaan dan juga akhirat! Kalau para sahabat dulu memang mereka hidup susah dari segi kebendaan, tetapi dari segi ilmu agama, mereka hebat.

Akan tetapi bagi anda yang sudah ada kesedaran tentang agama, hendaklah mencari guru. Jangan pula tunggu guru datang sedangkan anda sudah tahu kepentingan agama. Lihat bagaimana para sahabat mencari Rasulullah ﷺ untuk mendapatkan ilmu seperti disebut contohnya di dalam Abasa: 8-9

وَأَمّا مَن جاءَكَ يَسعىٰ
Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersegera (untuk mendapatkan pengajaran),

وَهُوَ يَخشىٰ
sedang dia takut kepada (Allah),

Satu lagi adalah contoh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang telah diarahkan oleh Allah ﷻ untuk mencari Nabi Khidr عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka semangat Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk mencari Nabi Khidr عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disebut di dalam Kahf: 60

وَإِذ قالَ موسىٰ لِفَتٰهُ لا أَبرَحُ حَتّىٰ أَبلُغَ مَجمَعَ البَحرَينِ أَو أَمضِيَ حُقُبًا
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada temannya: “Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun”.

 

فَأَخَذَهُمُ العَذابُ وَهُم ظٰلِمونَ

kerana itu mereka dimusnahkan dengan azab dan mereka adalah orang-orang yang zalim.

Lalu mereka ditimpa azab dalam keadaan mereka menzalimi diri mereka sendiri. Zalim yang dimaksudkan adalah melakukan syirik, iaitu dosa terbesar sekali yang boleh dilakukan oleh manusia.

Sebenarnya Musyrikin Mekah itu dari sebelum kedatangan Nabi lagi mereka telah buat syirik, bukan? Namun begitu Allah ﷻ masih tetap berikan rahmat-Nya kepada mereka dengan diberikan rezeki. Akan tetapi hanya apabila mereka menolak rahmat yang paling besar, iaitu Nabi Muhammad ﷺ, barulah Allah ﷻ kenakan azab kepada mereka.

Ini kerana kita telah belajar sebelum ini bahawa kalau kufur nikmat, Allah ﷻ akan berikan azab. Di sini disebut azab yang paling besar adalah apabila diberikan dengan Nabi dan Rasul dalam kalangan mereka sendiri.

Begitulah mereka itu tidak tahu dek untung, sedangkan Rasulullah ﷺ itu amat prihatin untuk menyelamatkan mereka daripada api neraka tetapi mereka menolaknya. Rasulullah ﷺ telah membuat perbandingan tentang hal ini,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّمَا مَثَلِي وَمَثَلُ أُمَّتِي كَمَثَلِ رَجُلٍ اسْتَوْقَدَ نَارًا فَجَعَلَتْ الذُّبَابُ وَالْفَرَاشُ يَقَعْنَ فِيهَا وَأَنَا آخُذُ بِحُجَزِكُمْ وَأَنْتُمْ تَقَحَّمُونَ فِيهَا
Daripada [Abu Hurairah] bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya perumpamaanku dan perumpamaan umatku seperti seseorang yang menyalakan api kemudian lalat dan kupu-kupu jatuh di api itu, dan aku memegang ikatan kain kalian, sementara kalian tetap memasukinya.”
(Sahih Bukhari (2799))

Begitulah penerangan tentang betapa prihatinnya Rasulullah ﷺ terhadap umat baginda. Ini disebut juga di dalam Al-Qur’an seperti ayat Tawbah: 128

لَقَد جاءَكُم رَسولٌ مِّن أَنفُسِكُم عَزيزٌ عَلَيهِ ما عَنِتُّم حَريصٌ عَلَيكُم بِالمُؤمِنينَ رَءوفٌ رَّحيمٌ
Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul daripada kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin.


 

Nahl Ayat 114: Sekarang telah masuk ke bahagian kedua surah ini. Sekarang akan disentuh tentang ‘syirik amali’ pula (dari segi perbuatan). Antara syirik amali yang dilakukan manusia adalah mengharamkan perkara yang halal; dan buat nazar bukan atas nama selain Allah ﷻ.

Sekarang disebut arahan kepada orang Islam. Sebelum ini telah banyak ayat-ayat yang menyentuh orang kafir yang tidak bersyukur dengan pemberian Allah ﷻ. Mereka makan rezeki daripada Allah ﷻ, tetapi mereka tidak taat kepada Allah ﷻ. Maka sekarang Allah ﷻ beritahu apa yang sepatutnya dilakukan iaitu menikmati rezeki yang Allah ﷻ berikan dan kemudian bersyukurlah.

Selain itu, bermula ayat 114-119 adalah Perenggan Makro ke 4 (Bahagian ke 4) yang berkenaan hukum halal-haram. Manusia yang sewenangnya mengatakan itu halal ini haram adalah orang yang mendustakan Allah ﷻ. Allah ﷻ larang berpantang tanpa sebab atau kerana mengikuti ajaran sesat. Itu telah mengambil tugas Allah ﷻ yang hanya Dia sahaja yang boleh menghalalkan dan mengharamkan. Kalau ambil tugas Allah ﷻ, ia adalah perbuatan yang syirik.

فَكُلوا مِمّا رَزَقَكُمُ اللَهُ حَلٰلًا طَيِّبًا وَاشكُروا نِعمَتَ اللهِ إِن كُنتُم إِيّاهُ تَعبُدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then eat of what Allāh has provided for you [which is] lawful and good. And be grateful for the favor of Allāh, if it is [indeed] Him that you worship.

(MELAYU)

Maka makanlah yang halal lagi baik dari rezeki yang telah diberikan Allah kepadamu; dan syukurilah nikmat Allah, jika kamu hanya kepada-Nya saja menyembah.

 

فَكُلوا مِمّا رَزَقَكُمُ اللَهُ حَلٰلًا طَيِّبًا

Maka makanlah yang halal lagi baik daripada rezeki yang telah diberikan Allah kepadamu;

Ini adalah nasihat daripada Allah ﷻ. Allah ﷻ suruh kita makanlah makanan yang halal dan baik. Allah ﷻ ingatkan yang Dia yang beri rezeki makanan itu (رَزَقَكُمُ اللَهُ). Apa-apa sahaja rezeki adalah daripada Allah ﷻ. Kerana itu kalau Allah ﷻ suruh beri sedekah, Allah ﷻ ingatkan juga yang rezeki daripada Dia, maka janganlah hendak bakhil sangat kerana bukan daripada kita pun.

Allah ﷻ suruh kita makan makanan yang halal kerana makanan yang halal dan yang baik, sangat besar pengaruhnya kepada jiwa; ia membuat jiwa jadi tenang. Tidak asalkan boleh masuk perut saja, dengan tidak memandang lagi halalnya dan baiknya. Makanan yang baik akan memberi kesihatan kepada diri kita, supaya hidup kita lebih bermakna. Apabila kita sihat dan bertenaga, maka banyak perkara yang kita boleh lakukan, seperti membanyakkan ibadah. Namun apabila makan makanan yang tidak baik untuk kesihatan, ia akan mengganggu kualiti hidup kita.

Makanan yang halal itu kita sudah dapat agak (bukan babi, bukan darah dan sebagainya). Akan tetapi apakah maksud ‘baik’?

1. Baik itu bermaksud baik dari segi pemilikan makanan itu. Iaitu cara untuk mendapatkan makanan itu pun kena baik juga – maksudnya tidaklah dengan cara curi atau rampasan dan ia hendaklah didapati dengan cara ikut syariat. Antara cara tidak syariat adalah dengan cara penipuan atau dengan riba. Ini penting kerana apabila manusia sudah tidak kisah tentang makanan halal, dari mana dan cara mendapatkan hasil makanan itu, akan ada masalah.

2. Yang baik juga bermaksud yang elok dimakan. Sebagai contoh walaupun kambing itu halal, tetapi apabila hendak makan, masaklah dahulu, jangan dimakan mentah-mentah pula. Kalau makan mentah, tentulah rosak kesihatan kita, antaranya cacing boleh membiak di dalam perut kita.

3. Yang baik itu juga mestilah baik untuk kesihatan kita. Ada makanan yang halal, tetapi tidak baik, contohnya gula. Gula adalah bahan makanan yang sangat bahaya sebenarnya kepada kesihatan manusia. Ada banyak masalah kesihatan yang boleh terkait kerana gula.

Ada juga makanan yang baik, tetapi tidak halal. Contohnya wain merah ada banyak antioksida yang baik untuk kesihatan kita. Namun ia tidak halal, maka ini pun tidak boleh juga. Maka kita kena pastikan makanan itu bukan sahaja halal, tetapi ia juga baik.

Kalimah فَكُلوا adalah di dalam bentuk arahan. Maka kita boleh katakan ini adalah arahan Allah ﷻ. Iaitu memakan makanan juga adalah ibadah sebenarnya! Kerana kita manusia memang memerlukan makanan untuk sihat dan sihat diperlukan untuk beribadah. Kalau kita membahayakan kesihatan kerana tidak makan sampai menyebabkan kematian, kita telah melakukan dosa.

Namun begitu jika mampu, carilah makanan yang bagus untuk kesihatan. Kita kena tahu yang penyakit yang kita hadapi kebanyakannya sekarang adalah kerana pemakanan kita yang tidak bagus. Malangnya makanan kita sekarang tidak bagus. Banyak makanan yang diproses dan tidak tulen lagi. Telah banyak perubahan yang dilakukan terhadap bahan makanan kita untuk menguntungkan syarikat pemakanan. Ini kerana mereka hanya mementingkan makanan yang sedap untuk menarik minat pelanggan tanpa mengira sama ada ia bagus untuk kesihatan atau tidak. Sebab itulah mereka memasukkan bahan pewarna dan bahan pengawet yang menyebabkan bahaya kepada kesihatan.

Pengilang makanan pun menggunakan proses untuk ubah suai makanan yang dinamakan GMO. Makanan yang di ubah suai secara genetik atau juga dipanggil sebagai Genetically Modified Organism (GMO) di mana organisma seperti tumbuh-tumbuhan, haiwan atau mikroorganisma telah melalui proses pengubahsuaian bahan genetik iaitu DNA melalui proses kejuruteraan genetik. Ia juga dipanggil sebagai Bioteknologi moden atau gen teknologi. Menurut Tujuan GMO diperkenalkan adalah untuk memberi manfaat kepada manusia sebagai contoh meningkatkan kualiti, nutrisi, rasa, kelazatan atau daya tarikan pada sesuatu makanan, meningkatkan hasil tanaman, mengurangkan proses kematangan tumbuhan, menghalang penyakit atau serangga, dan meningkatkan pertahanan tumbuhan semasa kemarau atau banjir.

Namun terdapat lebih kurang 60 buah negara telah mengambil pendekatan untuk menyekat pengeluaran produk GMO seperti Australia, Jepun dan kesemua negara Kesatuan Eropah. Hal ini menunjukkan bahawa penghasilan produk GMO masih belum dapat meyakinkan masyarakat dunia mengenai kebaikannya walaupun banyak kajian yang mendakwa bahawa produk GMO memberi banyak manfaat. Walaubagaimanapun, dari suatu sudut yang lain banyak perkara yang belum pasti mengenai GMO dan ia telah menimbulkan banyak pertikaian dalam kalangan masyarakat mahupun ahli akademik sejak ia mula diperkenalkan.

Di Malaysia, kesedaran masyakat tentang kesan makanan yang berasaskan GMO masih lagi belum meluas sedangkan di negara luar terdapat banyak aktivis mahupun persatuan yang menentang pengeluaran produk GMO kerana kebimbangannya terhadap kesan jangka panjang pada manusia.

Maka kerana itulah tidak sama makanan sekarang dengan makanan yang dahulu. Sebagai contoh mungkin ada yang kata Nabi ﷺ pun makan roti, makan itu dan ini, akan tetapi itu adalah pada zaman dahulu. Makanan zaman dahulu tidak sama dengan makanan sekarang. Telah banyak perubahan yang telah dilakukan terhadap makanan yang diproses sekarang sampaikan ia memberi kesan kepada kesihatan kita. Kerana itulah penyakit-penyakit yang tidak ada zaman dahulu telah muncul zaman sekarang.

Maka kita kena berhati-hati dalam memilih makanan. Ada banyak perkara yang perlu diperhatikan dalam hal pemakanan ini yang tidaklah mampu dikupas di sini. Ringkasnya, cubalah makan makanan yang tidak diproses untuk menjaga kesihatan kita. Kerana pemakanan itu sangat penting untuk kita mendapat kualiti hidup. Kita tidak tahu hidup tetapi dikekangi dengan berbagai penyakit. Nanti hendak beribadat pun tidak boleh kerana sakit itu dan ini.

Islam menitikberatkan makanan yang bukan sahaja halal tetapi baik untuk kesihatan

 

وَاشكُروا نِعمَتَ اللهِ

dan syukurilah nikmat Allah, 

Apabila dapat makanan itu, dapat menikmati makanan yang baik dan halal itu, bersyukurlah. Ini yang paling penting. Kenanglah yang makanan itu daripada Allah ﷻ; Allah ﷻ yang memudahkan kita mendapatkannya.

Maksud syukur pula bukan hanya sebut alhamdulillah selepas sendawa. Namun hendaklah kita taat kepada-Nya, ikut segala hukum-Nya dan tinggalkan larangan-Nya. Oleh itu ada syukur dari segi sebutan dan ada cara syukur dari segi perbuatan. Janganlah kita makan daripada rezeki yang Allah ﷻ berikan, tanpa kita kisah halal dan haram, sah atau batal, baik atau tidak, syirik atau tauhid dan sunnah atau bid’ah. Haruslah ambil tahu dengan belajar.

Namun yang lebih penting kita kena tahu adalah bagaimana cara bersyukur? Adakah hanya dengan menyebut Alhamdulillah sahaja? Itu tidak cukup kerana perbuatan syukur yang sebenar adalah dengan mentaati perintah Allah ﷻ dan meninggalkan larangan-Nya. Barulah dikira benar-benar syukur. Kalau kita mendapat sesuatu daripada orang, adakah kita akan lawan cakap dia? Tentu tidak, bukan? Maka begitulah juga dengan Allah ﷻ. Dengan segala nikmat yang telah diberikan kepada kita, adakah layak kita melawan arahan-Nya? Allah ﷻ ajar kita cara bersyukur seperti disebut dalam Baqarah: 172

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا كُلُوْا مِنْ طَيِّبٰتِ مَا رَزَقْنٰكُمْ وَاشْكُرُوْا لِلّٰهِ اِنْ كُنْتُمْ اِيَّاهُ تَعْبُدُوْنَ
Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.

Maka di dalam ayat ini Allah ﷻ memberitahu yang jikalau kita mendapat rezeki makanan, maka hendaklah bersyukur. Ayat ini kena dibaca dengan Mukminoon: 51 untuk mendapat pemahaman tentang apakah itu syukur.

يا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلوا مِنَ الطَّيِّبٰتِ وَاعمَلوا صٰلِحًا
Hai rasul-rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh.

Kalau dibaca kedua-dua ayat ini, kita boleh kaitkan bahawa syukur yang dimaksudkan di dalam Baqarah: 172 itu adalah dengan melakukan amal soleh seperti disebut pula di dalam Mukminoon: 51. Inilah kaitan antara syukur dan beramal soleh. Maka ia bukanlah dari segi iktikad dan melafazkan Alhamdulillah sahaja, tetapi hendaklah diikuti dengan melakukan amal soleh. Kerana itulah Rasulullah ﷺ banyak melakukan ibadat seperti yang disebut di dalam hadith yang masyhur,

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّى قَامَ حَتَّى تَفَطَّرَ رِجْلَاهُ قَالَتْ عَائِشَةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتَصْنَعُ هَذَا وَقَدْ غُفِرَ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ فَقَالَ يَا عَائِشَةُ أَفَلَا أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا
Aisyah رضي الله عنها berkata, Rasulullah ﷺ ketika melaksanakan solat maka baginda berdiri hingga kedua kakinya bengkak. Aisyah رضي الله عنها bertanya, “Wahai Rasulullah, apa yang engkau perbuat, sedangkan dosamu yang telah lalu dan yang akan datang telah diampuni?” Lalu baginda menjawab, “Wahai Aisyah, bukankah seharusnya aku menjadi hamba yang banyak bersyukur?”.
(Sahih Muslim (5046))

Dari sini kita dapat belajar bahawa semakin banyak nikmat yang kita dapat, hendaklah kita menunjukkan syukur dengan lebih banyak melakukan ibadah.

Apakah lagi maksud syukur? Ia juga bermaksud taat kerana kalau tidak taat, itu adalah kufur. Ini seperti yang Allah ﷻ telah sebut dalam Baqarah: 152

وَاشكُروا لي وَلا تَكفُرونِ
dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur

Cuma kufur itu ada banyak jenis. Ada kufur yang mengeluarkan seseorang itu daripada Islam dan ada yang tidak. Contohnya seperti ayat Baqarah: 152 ini, ia bermaksud kufur nikmat. Iaitu tidak iktiraf yang Allah ﷻ telah beri nikmat kepada kita. Ada orang yang mendapat segala nikmat namun dia tidak kata itu daripada Allah ﷻ, tetapi daripada kepandaian dia bekerja atau berniaga katanya.

Satu lagi kufur nikmat adalah dengan tidak menggunakan pemberian Allah ﷻ itu untuk kebaikan seperti yang telah disebut di atas tadi.

Juga kena ingat yang kita sekarang menikmati segala pemberian daripada Allah ﷻ. Jika Allah ﷻ yang telah memberikan segalanya kepada kita, takkan kita hendak melawan Dia pula? Bayangkan ada orang yang beri hadiah dan kurnia kepada kita, tetapi kita lawan cakapnya, bagaimana?

 

إِن كُنتُم إِيّاهُ تَعبُدونَ

jika kamu hanya kepada-Nya saja menyembah.

Itu pun kalau kamu rasa kamu sembah Allah ﷻ sahaja. Kalimah تَعبُدونَ bermaksud ibadah, dan ketaatan kepada Allah ﷻ adalah juga ibadah. Kalimah تَعبُدونَ juga daripada kalimah ع ب د yang bermaksud ‘hamba’. Kalau kamu sedia menerima Allah ﷻ sebagai Tuan dan kamu sebagai hamba, maka hendaklah kamu taat kepada apa sahaja arahan daripada Allah ﷻ. Kerana itulah tugas kita dijadikan di dunia ini, untuk sembah Allah ﷻ dan untuk menjadi hamba Allah ﷻ.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 9 Februari 2024

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin

Tafsir Surah an-Nahl Ayat 111 – 112 (Balasan sempurna adalah di akhirat kelak)

Nahl Ayat 111: Sekarang Allah ﷻ mengingatkan kita kepada hari akhirat yang amat menakutkan. Yang waktu itu tidak ada yang boleh menyelamatkan kita melainkan amalan kita sahaja.

۞ يَومَ تَأتي كُلُّ نَفسٍ تُجٰدِلُ عَن نَّفسِها وَتُوَفّىٰ كُلُّ نَفسٍ مّا عَمِلَت وَهُم لا يُظلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

On the Day when every soul will come disputing [i.e., pleading] for itself, and every soul will be fully compensated for what it did, and they will not be wronged [i.e., treated unjustly].

(MELAYU)

(Ingatlah) suatu hari (ketika) tiap-tiap diri datang untuk membela dirinya sendiri dan bagi tiap-tiap diri disempurnakan (balasan) apa yang telah dikerjakannya, sedangkan mereka tidak dianiaya (dirugikan).

 

يَومَ تَأتي كُلُّ نَفسٍ تُجٰدِلُ عَن نَّفسِها

(Ingatlah) suatu hari (ketika) tiap-tiap diri datang untuk membela dirinya sendiri

Hari yang dimaksudkan adalah Hari Akhirat. Waktu itu manusia akan bertelagah dan sibuk membela diri. Kepada mereka yang baik seperti yang disebut di dalam ayat 110, Allah ﷻ akan beri rahmat kepada mereka pada hari itu. Namun bukan mereka sahaja yang akan kelam kabut, tetapi di dalam ayat ini Allah ﷻ sebut كُلُّ نَفسٍ yang bermakna semua sekali termasuklah para Nabi.

Ini adalah keadaan yang amat genting sampaikan pada hari itu semua akan nafsi-nafsi (akan sibuk dan hiraukan dirinya sendiri sahaja). Pada hari itu, setiap jiwa akan berusaha membela diri dan menyelamatkan diri sendiri. Tiada seorang pun yang akan membela ayahnya atau anaknya atau saudaranya atau isterinya. Allah ﷻ sebut situasi ini di dalam Abasa: 34-37

يَومَ يَفِرُّ المَرءُ مِن أَخيهِ
pada hari ketika manusia lari daripada saudaranya,

وَأُمِّهِ وَأَبيهِ
daripada ibu dan bapanya,

وَصاحِبَتِهِ وَبَنيهِ
daripada isteri dan anak-anaknya.

لِكُلِّ امرِئٍ مِنهُم يَومَئِذٍ شَأنٌ يُغنيهِ
Setiap orang daripada mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya.

Setiap manusia akan lari daripada orang-orang yang mereka rapat semasa di dunia. Mereka tidak mahu diminta tolong oleh ahli keluarganya sendiri kerana mereka pun dalam ketakutan dan hendak menyelamatkan diri, tidak sempat hendak fikir orang lain lagi. Juga kerana orang yang rapat dengan mereka dahulu tentu ada hak-hak yang tidak dipenuhi maka mereka akan lari jauh-jauh dari orang yang hendak menuntut hak mereka.

Mereka akan sanggup gadai, jual orang-orang yang rapat dengan mereka asalkan diri mereka selamat. Ini seperti disebut di dalam Ma’arij: 11-14

يُبَصَّرونَهُم ۚ يَوَدُّ المُجرِمُ لَو يَفتَدي مِن عَذابِ يَومِئِذٍ بِبَنيهِ
Padahal masing-masing diberi melihat setengahnya yang lain; (pada saat yang demikian) orang yang kafir suka kiranya dapat menebus dirinya daripada azab itu dengan anak-anaknya sendiri,

وَصاحِبَتِهِ وَأَخيهِ
Dan isteri serta saudaranya,

وَفَصيلَتِهِ الَّتي تُؤويهِ
Dan kaum kerabatnya yang melindunginya,

وَمَن فِي الأَرضِ جَميعًا ثُمَّ يُنجيهِ
Dan juga sekalian makhluk yang ada di bumi – kemudian (diharapkannya) tebusan itu dapat menyelamatkannya.

Malah kalau mereka ada harta sepenuh bumi pun sanggup mereka korbankan asalkan mereka selamat pada hari itu. Ini seperti Allah ﷻ sebut di dalam Zumar: 47

وَلَو أَنَّ لِلَّذينَ ظَلَموا ما فِي الأَرضِ جَميعًا وَمِثلَهُ مَعَهُ لَافتَدَوا بِهِ مِن سوءِ العَذابِ يَومَ القِيٰمَةِ
Dan sekiranya orang-orang zalim itu mempunyai segala apa jua yang ada di bumi, disertai sebanyak itu lagi, tentulah mereka rela menebus diri mereka dengannya daripada azab seksa yang buruk pada hari kiamat,

Padahal tentulah harta itu amat disayangi oleh manusia. Akan tetapi dek kerana ketakutan, mereka sanggup apa sahaja yang mereka ada asalkan mereka selamat. Begitulah teruknya keadaan manusia pada hari itu kelak! Memang kita tidak dapat hendak membayangkan sepenuhnya. Allah ﷻ ada lagi membayangkan lagi keadaan pada hari Kiamat di dalam Hajj: 1-2

إِنَّ زَلزَلَةَ السّاعَةِ شَيءٌ عَظيمٌ
sesungguhnya kegoncangan hari kiamat itu adalah suatu kejadian yang sangat besar (dahsyat).

يَومَ تَرَونَها تَذهَلُ كُلُّ مُرضِعَةٍ عَمّا أَرضَعَت وَتَضَعُ كُلُّ ذاتِ حَملٍ حَملَها وَتَرَى النّاسَ سُكٰرىٰ وَما هُم بِسُكٰرىٰ وَلٰكِنَّ عَذابَ اللهِ شَديدٌ
(Ingatlah) pada hari (ketika) kamu melihat kegoncangan itu, lalailah semua wanita yang menyusui anaknya daripada anak yang disusuinya dan gugurlah kandungan segala wanita yang hamil, dan kamu lihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk, akan tetapi azab Allah itu sangat kerasnya.

Lihatlah keadaan para Hari Kiamat yang amat menakutkan itu. Punyalah takut sampaikan seorang ibu akan melemparkan anaknya sendiri kerana takut. Ini tidak akan berlaku di dunia nyata sekarang, tetapi ia akan berlaku pada hari Kiamat kelak.

Kenapa Allah ﷻ ceritakan semua ini? Untuk mengingatkan kita dan ini juga adalah rahmat. Allah ﷻ telah beritahu siap-siap apa yang akan berlaku supaya kita boleh buat persediaan. Persediaan untuk selamat di akhirat bermula semasa kita di dunia lagi. Kalau Allah ﷻ tidak beritahu kita sekarang, tentu kita akan lagi terkejut semasa kejadian itu nanti.

 

 

وَتُوَفّىٰ كُلُّ نَفسٍ مّا عَمِلَت

dan bagi tiap-tiap diri disempurnakan (balasan) apa yang telah dikerjakannya,

Cubalah berdebat macam mana sekali pun, semua makhluk akan dapat apa yang mereka patut dapat. Tidak dikira hujah-hujah mereka itu kerana semua amalan mereka telah tertulis. Allah ﷻ tahu apa yang berada di dalam hati mereka – maka mahu beri hujah apa lagi? Memang tidak ada hujah.

Balasan yang penuh dan sempurna akan diberi di akhirat kelak. Kalau di dunia, tidak diberikan secara penuh, sama ada balasan pahala atau dosa. Ada orang yang melakukan dosa, dan Allah ﷻ beri balasan semasa di dunia lagi. Namun ia tidak sepenuhnya. Ada orang yang kerana kebaikan mereka, Allah ﷻ beri balasan yang baik semasa di dunia lagi. Namun itu pun tidak sempurna. Ia hanya sedikit sahaja. Bagi orang yang mendapat balasan azab semasa di dunia (orang kata Allah ﷻ bayar ‘cash’), itu adalah sebagai peringatan kepada orang itu untuk ubah diri dan minta ampun. Kerana kalau di akhirat lagi teruk. Bagi orang yang sudah melakukan kebaikan, tetapi hidupnya tetap susah, jangan putus semanga kerana bukan itulah balasan yang penuh. Balasan yang penuh kena tunggu di akhirat kelak.

Ini merupakan rahmat juga, Allah ﷻ hanya berikan sedikit sahaja di dunia, 1% sahaja. Selebihnya Allah ﷻ simpan untuk diberikan di akhirat kelak. Ini berdasarkan hadith yang masyhur,

Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi ﷺ bersabda:
إِنَّ لِلَّهِ مِائَةَ رَحْمَةٍ أَنْزَلَ مِنْهَا رَحْمَةً وَاحِدَةً بَيْنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ وَالْبَهَائِمِ وَالْهَوَامِّ، فَبِهَا يَتَعَاطَفُونَ، وَبِهَا يَتَرَاحَمُونَ، وَبِهَا تَعْطِفُ الْوَحْشُ عَلَى وَلَدِهَا، وَأَخَّرَ اللهُ تِسْعًا وَتِسْعِينَ رَحْمَةً، يَرْحَمُ بِهَا عِبَادَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Sesungguhnya Allah memiliki 100 rahmat. Allah menurunkan satu rahmat untuk jin, manusia, haiwan dan serangga. Dengan satu rahmat tersebut terhasilnya perasaan saling mengasihi sesama makhluk. Dengan satu rahmat tersebut juga seekor haiwan liar bersikap lunak kepada anaknya. Allah menyimpan 99 rahmat lagi dan dengan 99 rahmat tersebut Allah akan mengasihi para hamba-Nya (yang beriman) di hari kiamat.”
(Sahih Muslim (2725))

Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi ﷺ bersabda:
إِنَّ اللَّهَ خَلَقَ الرَّحْمَةَ يَوْمَ خَلَقَهَا مِائَةَ رَحْمَةٍ، فَأَمْسَكَ عِنْدَهُ تِسْعًا وَتِسْعِينَ رَحْمَةً، وَأَرْسَلَ فِي خَلْقِهِ كُلِّهِمْ رَحْمَةً وَاحِدَةً
“Sesungguhnya Allah telah menciptakan 100 rahmat. Allah simpan di sisi-Nya 99 rahmat dan menurunkan satu rahmat pada semua makhluk-Nya.”
(Sahih Bukhari (6469))

Bukanlah Allah ﷻ tidak beri langsung balasan di dunia, tetapi sedikit sahaja. Antara balasan yang diberikan di dunia adalah kehidupan yang baik seperti yang telah disebut di dalam Nahl: 97 sebelum ini,

مَن عَمِلَ صٰلِحًا مِّن ذَكَرٍ أَو أُنثىٰ وَهُوَ مُؤمِنٌ فَلَنُحيِيَنَّهُ حَيَوٰةً طَيِّبَةً
Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik laki-laki mahu pun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik

 

وَهُم لا يُظلَمونَ

sedangkan mereka tidak dianiaya

Yang pasti, setiap makhluk tidak akan dizalimi. Semua akan mendapat balasan yang setimpal dengan perbuatan mereka. Kalau telah lakukan amal kebaikan, mereka akan dibalas dengan seadilnya tanpa dikurangkan sedikit pun, malah akan dibalas berlebihan daripada apa yang mereka buat. Kadang-kadang kalau kita buat baik di dunia, orang tidak balas secara penuh, bukan? Contohnya majikan kita tidak tahu pun kita buat kerja lebih kerana ketua syarikat tidak sentiasa nampak kita buat kerja. Akan tetapi Allah ﷻ boleh balas dengan penuh kerana Allah ﷻ sentiasa memerhatikan kita sepanjang masa.

Namun, kalau yang bersalah pula, mereka hanya akan dibalas dengan perbuatan mereka sahaja, tidak dilebihkan azab kepada mereka. Dan tidaklah mereka dikenakan azab kerana kesalahan yang mereka tidak lakukan. Malah, Allah ﷻ boleh maafkan semua sekali jika Dia mahu dengan rahmat-Nya. Kalau di dunia, ada juga orang yang dikenakan dengan hukuman penjara walaupun dia tidak bersalah. Dia mungkin dituduh, ditipu dan sebagainya. Maknanya dia telah dizalimi dengan dihukum atas kesalahan yang dia tidak buat. Akan tetapi di akhirat kelak, ini tidak akan berlaku kerana Allah ﷻ Maha Mengetahui apa sahaja yang kita lakukan dan tidak lakukan.


 

Nahl Ayat 112: Allah ﷻ beri perumpamaan lagi.

وَضَرَبَ اللهُ مَثَلًا قَريَةً كانَت ءآمِنَةً مُّطمَئِنَّةً يَأتيها رِزقُها رَغَدًا مِّن كُلِّ مَكانٍ فَكَفَرَت بِأَنعُمِ اللهِ فَأَذٰقَهَا اللهُ لِباسَ الجوعِ وَالخَوفِ بِما كانوا يَصنَعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Allāh presents an example: a city [i.e., Makkah] which was safe and secure, its provision coming to it in abundance from every location, but it denied the favors of Allāh. So Allāh made it taste the envelopment of hunger and fear for what they had been doing.

(MELAYU)

Dan Allah telah membuat suatu perumpamaan (dengan) sebuah negeri yang dahulunya aman lagi tenteram, rezekinya datang kepadanya melimpah ruah dari segenap tempat, tetapi (penduduk)nya mengingkari nikmat-nikmat Allah; kerana itu Allah merasakan kepada mereka pakaian kelaparan dan ketakutan, disebabkan apa yang selalu mereka perbuat.

 

وَضَرَبَ اللهُ مَثَلًا

Dan Allah telah membuat suatu perumpamaan

Allah ﷻ suruh kita gunakan akal untuk melihat perumpamaan-perumpamaan yang Allah ﷻ telah berikan dalam Al-Qur’an. Ada banyak perumpamaan yang Allah ﷻ telah berikan untuk memberi pemahaman kepada kita tentang agama ini. Ini adalah cara pengajaran yang bagus, di mana dalam kita beri penjelasan kepada orang pun, kita akan gunakan analogi kepada orang yang kita ajar itu.

Memang sedih dan bahaya kalau tidak tahu misalan yang Allah ﷻ berikan dalam Al-Qur’an. Sebahagian ulama Salaf mengatakan, “Apabila aku membaca suatu masal (perumpamaan) daripada Al-Qur’an, lalu aku tidak memahaminya, maka aku menangisi diriku sendiri, kerana Allah Swt. telah berfirman: ‘dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.’ (Al-Ankabut: 43).”

وَتِلكَ الأَمثٰلُ نَضرِبُها لِلنّاسِ ۖ وَما يَعقِلُها إِلَّا العٰلِمونَ
Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia; dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.

Malangnya orang kita rata-ratanya berasa tidak kisah pun. Jangankan perumpamaan, ayat-ayat yang muhkam tanpa perumpamaan pun mereka tidak faham. Ramai yang baca sahaja tanpa faham sebutir habuk pun apa yang ada dalam Al-Qur’an itu. Lalu bagaimana hendak mengambil hidayah daripadanya?

 

قَريَةً كانَت ءآمِنَةً مُّطمَئِنَّةً

sebuah negeri yang dahulunya aman lagi tenteram,

Allah ﷻ menyuruh kita membayangkan satu negeri yang penduduknya aman dengan apa yang mereka ada. Walaupun tidak disebut negeri apakah yang dimaksudkan, tetapi jumhur mengatakan ini merujuk kepada Mekah. Memang Mekah adalah daerah yang aman tenteram dari dahulu lagi. Segala keperluan untuk mereka hidup telah diberikan dan mereka aman daripada serangan orang luar kerana ada Kaabah ada di situ.

Di dalam ayat ini, Allah ﷻ sebut ‘aman’ dahulu baru sebut ‘tenang’. Ini adalah kerana untuk penduduk sesuatu tempat itu menjadi tenang, tempat itu mestilah aman dahulu. Kalau tempat ramai perompak dan pencuri, tentulah tidak tenang hidup di situ. Lihatlah bagaimana susunan di dalam Al-Qur’an mempunyai makna yang tepat.

Orang luar tidak berani serang Mekah kerana takut mereka sendiri akan ditimpa bala (seperti yang dikenakan kepada Tentera Bergajah Abrahah). Kalau penduduknya pergi ke tempat lain, orang tidak berani kacau dan rompak kerana mereka orang Mekah. Mereka tidak berani kerana mereka simpan berhala mereka di Kaabah dan mereka takut kalau orang Mekah akan merosakkan berhala mereka. Dalilnya kita boleh lihat di dalam Surah Quraisy,

لِإيلافِ قُرَيشٍ
Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy,

إيلافِهِم رِحلَةَ الشِّتاءِ وَالصَّيفِ
(iaitu) kebiasaan mereka berpergian pada musim dingin dan musim panas.

فَليَعبُدوا رَبَّ هٰذَا البَيتِ
Maka hendaklah mereka menghambakan diri kepada Tuhan Pemilik rumah ini (Ka’bah).

الَّذي أَطعَمَهُم مِن جوعٍ وَآمَنَهُم مِن خَوفٍ
Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan.

Maka penduduk Mekah itu aman di Mekah dan aman jikalau keluar dari Mekah. Ini adalah sebelum Nabi Muhammad ﷺ menjadi Rasul lagi. Zaman berzaman memang Mekah diberikan dengan kelebihan yang tidak diberikan kepada penduduk tempat lain. Ini dijelaskan lagi di dalam Ankabut: 67

أَوَلَم يَرَوا أَنّا جَعَلنا حَرَمًا ءآمِنًا وَيُتَخَطَّفُ النّاسُ مِن حَولِهِم
Dan apakah mereka tidak memperhatikan, bahawa sesungguhnya Kami telah menjadikan (negeri mereka) tanah suci yang aman, sedang manusia sekitarnya diculik.

 

يَأتيها رِزقُها رَغَدًا مِّن كُلِّ مَكانٍ

rezekinya datang kepadanya melimpah ruah dari segenap tempat,

Walaupun mereka tinggal di tanah padang pasir yang tidak ada tumbuhan, namun makanan datang dari merata tempat dengan mudah. Mereka mudah dapat makanan yang enak dan mudah.

Ini adalah pemakbulan doa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk menjadikan negeri Mekah itu aman dan ada buah-buahan. Walaupun tumbuhan dan buah-buahan tidak ada di Mekah, tapi ia didatangkan dari segenap tempat kerana ramai yang datang ke Mekah. Allah ﷻ menyebut di dalam ayat yang lain:

وَقَالُوا إِنْ نَتَّبِعِ الْهُدَى مَعَكَ نُتَخَطَّفْ مِنْ أَرْضِنَا أَوَلَمْ نُمَكِّنْ لَهُمْ حَرَمًا آمِنًا يُجْبَى إِلَيْهِ ثَمَرَاتُ كُلِّ شَيْءٍ رِزْقًا مِنْ لَدُنَّا
Dan mereka berkata, “Jika kami mengikuti petunjuk bersama kamu, nescaya kami akan diusir dari negeri kami.” Dan apakah Kami tidak meneguhkan kedudukan mereka dalam daerah haram (Tanah Suci) yang aman. yang didatangkan ke tempat itu buah-buahan daripada segala macam (tumbuh-tumbuhan) untuk menjadi rezeki (bagi kalian) dari Kami?
(Al-Qashash: 57)

 

فَكَفَرَت بِأَنعُمِ اللهِ

tetapi (penduduk)nya mengingkari nikmat-nikmat Allah;

Namun dengan segala nikmat yang mereka dapat itu, mereka kufur dengan nikmat Allah ﷻ. Ini jelas setelah Nabi Muhammad ﷺ menjadi Rasul. Mereka tidak terima dakwah baginda, malah menentang baginda. Bukan sahaja mereka tidak terima, malah mereka lawan baginda dengan berbagai-bagai cara. Di dalam ayat lain disebutkan:

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ بَدَّلُوا نِعْمَةَ اللَّهِ كُفْرًا وَأَحَلُّوا قَوْمَهُمْ دَارَ الْبَوَارِ جَهَنَّمَ يَصْلَوْنَهَا وَبِئْسَ الْقَرَارُ
Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang telah menukar nikmat Allah dengan kekafiran dan menjatuhkan kaumnya ke lembah kebinasaan? Iaitu neraka Jahanam, mereka masuk ke dalamnya; dan itulah seburuk-buruk tempat kediaman.
(Ibrahim: 28-29)

 

فَأَذٰقَهَا اللهُ لِباسَ الجوعِ وَالخَوفِ

kerana itu Allah merasakan kepada mereka pakaian kelaparan dan ketakutan, 

Maka Allah ﷻ jadikan penduduk Mekah itu rasa kelaparan. Nikmat yang Allah ﷻ berikan, Allah ﷻ boleh sahaja tarik balik. Mudah sahaja bagi Allah ﷻ tarik balik. Maka kena ingat dan bersyukur dengan nikmat yang Allah ﷻ berikan kepada kita. Jangan kufur dan jangan ingkar kerana Allah ﷻ boleh sahaja tarik balik, gigit jari kita waktu itu.

Di dalam ayat ini digunakan kalimah لِباسَ (pakaian) kerana mereka dikenakan dengan musibah itu yang meliputi mereka seolah-olah pakaian yang meliputi mereka secara keseluruhan (semua sekali merasai hal itu). Ini adalah satu ungkapan atau kiasan yang fasih sekali. Pakaian kelaparan! Padahal biasanya pakaian bukanlah dirasakan, melainkan dipakai. Kalau direnungkan, memang kelaparan itu boleh dilihat ‘dipakai’ oleh yang menderita. Orang lapar tidak berketentuan lagi pakaiannya, mukanya pun pucat-lesi. Orang yang lapar tidak segan-segan lagi memakai karung guni, kulit kayu terap, tikar tua, robekan kain kasur dan sebagainya sebagaimana yang kita lihat di Zaman Pendudukan Jepun dahulu di Malaysia dan Indonesia. Waktu itu kelaparan telah menjadi ‘pakaian’.

Begitulah, selepas Nabi Muhammad ﷺ ditolak, dan baginda telah berhijrah ke Madinah, Mekah telah diliputi dengan kemarau selama tujuh tahun. Ini menurut al-Aufi رَحِمَهُ اللَّهُ yang menerima riwayat daripada Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا. Maka pemimpin Mekah telah berjumpa dengan Rasulullah ﷺ dan minta pertolongan daripada baginda. Kerana mereka kata yang menolak baginda hanyalah golongan yang telah dewasa sedangkan kanak-kanak dan golongan wanita tidak menolak baginda. Maka kerana itu baginda telah menghantar makanan ke Mekah. Baginda juga telah memohon kepada Allah ﷻ supaya diangkat kemarau itu.

Namun tidak ada ijmak tentang kejadian ini. Maka sama ada ia memang telah terjadi, atau Allah ﷻ beritahu yang ini boleh terjadi kepada mereka kalau mereka tetap dengan perangai mereka yang menentang baginda. Cuma memang ada disebut di dalam hadith sahih,

عَنْ مَسْرُوقٍ قَالَ كُنَّا عِنْدَ عَبْدِ اللَّهِ فَقَالَ إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمَّا رَأَى مِنْ النَّاسِ إِدْبَارًا قَالَ اللَّهُمَّ سَبْعٌ كَسَبْعِ يُوسُفَ فَأَخَذَتْهُمْ سَنَةٌ حَصَّتْ كُلَّ شَيْءٍ حَتَّى أَكَلُوا الْجُلُودَ وَالْمَيْتَةَ وَالْجِيَفَ وَيَنْظُرَ أَحَدُهُمْ إِلَى السَّمَاءِ فَيَرَى الدُّخَانَ مِنْ الْجُوعِ فَأَتَاهُ أَبُو سُفْيَانَ فَقَالَ يَا مُحَمَّدُ إِنَّكَ تَأْمُرُ بِطَاعَةِ اللَّهِ وَبِصِلَةِ الرَّحِمِ وَإِنَّ قَوْمَكَ قَدْ هَلَكُوا فَادْعُ اللَّهَ لَهُمْ قَالَ اللَّهُ تَعَالَى { فَارْتَقِبْ يَوْمَ تَأْتِي السَّمَاءُ بِدُخَانٍ مُبِينٍ } إِلَى قَوْلِهِ { إِنَّكُمْ عَائِدُونَ يَوْمَ نَبْطِشُ الْبَطْشَةَ الْكُبْرَى إِنَّا مُنْتَقِمُونَ } فَالْبَطْشَةُ يَوْمَ بَدْرٍ وَقَدْ مَضَتْ الدُّخَانُ وَالْبَطْشَةُ وَاللِّزَامُ وَآيَةُ الرُّومِ
Daripada [Masyruq] dia berkata, “Kami pernah bersama [‘Abdullah] ketika dia berkata, “Nabi ﷺ bersabda ketika melihat orang-orang berpaling (daripada Islam): “Ya Allah, timpakanlah kepada mereka kemarau tujuh tahun seperti kejadian zaman Yusuf.” Maka terjadilah masa kemarau tersebut di mana tidak ada tumbuhan-tumbuhan yang tumbuh sehingga mereka memakan kulit, bangkai dan barang-barang busuk. Kemudian ada seorang daripada mereka yang memandang ke langit melihat awan lantaran lapar. Lalu Abu Sufyan menemui baginda seraya berkata, “Ya Muhammad, engkau adalah orang yang memerintahkan untuk taat kepada Allah dan menyambung silaturahim, kaummu telah binasa, maka mintalah kepada Allah untuk mereka.” Allah lalu berfirman: ‘(Maka tunggulah hari ketika langit membawa kabut yang nyata) hingga firman-Nya: ‘(Sesungguhnya kamu akan kembali (ingkar). (Ingatlah) hari (ketika) kami menghentam mereka dengan hentaman yang keras. Sesungguhnya kami adalah pemberi balasan)’ (Dukhaan: 10-16). Seksaan (hentaman yang keras) adalah saat mereka terbunuh dalam perang Badar. Dan saat awan gelap sudah berlalu.”
(Sahih Bukhari (952))

Perhatikan di dalam ayat ini, Allah ﷻ sebut ‘kelaparan’ dulu, kemudian baru disebut ‘ketakutan’. Ini adalah kerana lapar akan datang dahulu, baru akan datangnya takut. Begitulah, kalau ekonomi sudah jatuh, penduduk setempat akan mula ketakutan. Keamanan pun hilang kerana apabila hidup menjadi susah, manusia yang tidak tahan akan sanggup untuk merampas hak orang lain untuk kelangsungan hidup mereka. Akibatnya hidup jadi tidak keruan, takut kena curi, kena rompak, kena serang, kena bunuh. Yang kuat menganiaya yang lemah sehingga tempa berlindung tidak ada lagi.

Sebab musababnya telah dijelaskan dalam ayat ini, iaitu kerana penduduk telah kufur, atau tidak menyambut dengan sepatutnya nikmat yang diberikan Allah ﷻ. Mereka tidak tahu berterima kasih. Hanya pandai menghabiskan yang telah ada dan tidak sanggup memelihara sumber nikmat itu. Semua berebut mencari keuntungan untuk diri sendiri. Lantaran itu maka kutuk laknat yang didatangkan Allah ﷻ adalah satu hal yang sewajarnya, tersebab kesalahan mereka sendiri.

Musyrikin Mekah telah diberikan dengan azab rasa takut kepada Rasulullah ﷺ dan para sahabatnya setelah baginda dan para sahabatnya hijrah ke Madinah. Yakni orang-orang kafir Mekah selalu dicengkam oleh rasa takut terhadap pembalasan Nabi ﷺ dan pasukan kaum muslim. Sehingga Allah ﷻ memberikan kemenangan kepada Rasul-Nya atas Kota Mekah.

 

بِما كانوا يَصنَعونَ

disebabkan apa yang selalu mereka perbuat.

Allah ﷻ bukan sengaja berikan musibah itu tetapi ia kerana hasil usaha tangan mereka sendiri. Begitulah, kalau musibah yang dikenakan kepada kita, ini adalah kerana dosa yang kita lakukan. Sebagai contoh, riba yang kita amalkan akan menyebabkan masalah kepada ekonomi dan akhirnya kepada masyarakat sekali.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 8 Februari 2024

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah an-Nahl Ayat 108 – 110 (Hijrah & Sabar)

Nahl Ayat 108:

أُولٰئِكَ الَّذينَ طَبَعَ اللهُ عَلىٰ قُلوبِهِم وَسَمعِهِم وَأَبصٰرِهِم ۖ وَأُولٰئِكَ هُمُ الغٰفِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those are the ones over whose hearts and hearing and vision Allāh has sealed, and it is those who are the heedless.

(MELAYU)

Mereka itulah orang-orang yang hati, pendengaran dan penglihatannya telah dikunci mati oleh Allah, dan mereka itulah orang-orang yang lalai.

 

أُولٰئِكَ الَّذينَ طَبَعَ اللهُ عَلىٰ قُلوبِهِم

Mereka itulah orang-orang yang hati telah dikunci mati oleh Allah,

Mereka yang kafir adalah mereka yang menentang Islam. Mereka itu tidak sama dengan orang bukan Islam yang tidak mengganggu agama Islam. Kepada mereka yang menentang agama Islam, Allah ﷻ akan tutup hati daripada menerima hidayah.

Bila Allah ﷻ telah tetapkan begitu, mereka tidak dapat memahami ajaran Islam dan kebenaran Islam. Ini adalah kerana Khatmul Qalbi telah berlaku. Iaitu Allah ﷻ tutup terus hati mereka daripada menerima hidayah. Begitulah hati adalah perkara yang paling penting kita kena jaga. Penyakit hati adalah penyakit yang lebih teruk daripada penyakit fizikal. Akan tetapi yang manusia selalu risau adalah penyakit fizikal. Kalau ada sakit sedikit, kelam kabut kita berubat, bukan? Namun hati kita tidak dijaga. Sedangkan penyakit fizikal kesannya hanya di dunia sahaja sedangkan penyakit hati itu membawa ke neraka.

Lihatlah Allah ﷻ tidak sebut pun tentang penyakit fizikal di dalam Al-Qur’an. Kalau penyakit fizikal tidak diubati pun tidak mengapa seperti disebut dalilnya di dalam satu hadith yang masyhur:

‘Ata’ bin Abu Rabah رَحِمَهُ اللَّهُ berkata:
قَالَ لِي ابْنُ عَبَّاسٍ: أَلاَ أُرِيكَ امْرَأَةً مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ ؟ قُلْتُ: بَلَى ، قَالَ: هَذِهِ المَرْأَةُ السَّوْدَاءُ ، أَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: إِنِّي أُصْرَعُ ، وَإِنِّي أَتَكَشَّفُ ، فَادْعُ اللَّهَ لِي ، قَالَ : إِنْ شِئْتِ صَبَرْتِ وَلَكِ الجَنَّةُ ، وَإِنْ شِئْتِ دَعَوْتُ اللَّهَ أَنْ يُعَافِيَكِ فَقَالَتْ: أَصْبِرُ ، فَقَالَتْ: إِنِّي أَتَكَشَّفُ ، فَادْعُ اللَّهَ لِي أَنْ لاَ أَتَكَشَّفَ ، فَدَعَا لَهَا حَدَّثَنَا مُحَمَّدٌ ، أَخْبَرَنَا مَخْلَدٌ ، عَنِ ابْنِ جُرَيْجٍ ، أَخْبَرَنِي عَطَاءٌ: أَنَّهُ رَأَى أُمَّ زُفَرَ تِلْكَ امْرَأَةً طَوِيلَةً سَوْدَاءَ ، عَلَى سِتْرِ الكَعْبَةِ
Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata kepadaku: “Mahukah engkau aku tunjukkan seorang perempuan penghuni syurga?” Aku berkata: “Baiklah.” Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata: “Dia adalah perempuan berkulit gelap ini yang datang kepada Nabi ﷺ lalu berkata: “Aku biasa sakit sawan dan kadang-kadang auratku terbuka. Doakanlah kepada Allah untukku.” Baginda ﷺ bersabda: “Jika engkau mahu, engkau bersabar dan bagimu syurga; dan jika engkau mahu, aku mendoakan kepada Allah agar Dia menyembuhkanmu.” Dia berkata: “Aku (memilih) bersabar.” Dia lalu berkata: “Sesungguhnya auratku terbuka (ketika serangan sawan), doakan kepada Allah untukku agar auratku tidak terbuka (ketika itu).” Maka Baginda ﷺ mendoakan untuknya.” Muhammad menceritakan kepada kami, Makhlad mengkhabarkan kepada kami, daripada Ibn Juraij, ‘Ata’ mengkhabarkan kepadaku, sesungguhnya dia melihat Umm Zufar seorang perempuan tinggi lagi hitam itu (berada) di kain penutup Ka‘bah.
(Riwayat Bukhari (5652))

Lihatlah perempuan itu lebih mementingkan syurga daripada disembuhkan sakitnya. Ini adalah kerana kalau ada penyakit fizikal dan kita bersabar dengannya, ia boleh menjadi asbab kita dimasukkan ke dalam syurga. Yang lebih penting adalah membaiki hati kita daripada rosak. Asalnya bermula dengan ragu-ragu terhadap agama seperti disebut di dalam Baqarah: 10

فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ فَزَادَهُمُ ٱللَّهُ مَرَضً۬ا‌ۖ
Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka;

Penyakit ragu-ragu menyebabkan seorang manusia itu tidak memikirkan tentang agama, tentang persediaan ke akhirat. Mereka buat tidak tahu sahaja tentang keselamatan mereka di akhirat. Keraguan itu sepatutnya diubati dengan mendapatkan maklumat yang benar dengan belajar dan bertanya. Akan tetapi jikalau tidak diubati, maka ia menjadi penyakit yang lebih teruk lagi seperti disebut di dalam ayat Baqarah: 10 ini. Mereka lama kelamaan akan menolak, kemudian menentang. Apabila menentang itulah yang menyebabkan hati mereka ditutup (khatmul qalbi). Di dalam pengajian kita, ini dipanggil kufur peringkat ke-empat.

 

وَسَمعِهِم وَأَبصٰرِهِم

juga pendengaran mereka dan penglihatan mereka

Bukan sahaja hati mereka tidak dapat menerima Islam, pendengaran dan penglihatan mereka juga ditutup dari mendengar dan melihat kebenaran. Walaupun mereka telah ditunjukkan dengan kebenaran dan didengarkan dengan kebenaran, mereka tetapi tidak dapat terima. Mereka tidak faham kerana Allah ﷻ tetap tutup deria pemahaman mereka dari memahami hidayah.

Allah ﷻ sebut pendengaran dan penglihatan mereka ditutup kerana dua pancaindera ini adalah punca masuk ilmu dan hidayah. Kalau kedua-duanya ditutup, maka mereka tidak ada peluang dapat hidayah. Allah ﷻ tidak hingin lagi untuk beri hidayah kepada mereka kerana Allah ﷻ hendak azab mereka.

.

 

وَأُولٰئِكَ هُمُ الغٰفِلونَ

dan mereka itulah orang-orang yang lalai.

Ghaflah (lalai) adalah apabila seseorang sudah tidak kisah dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka. Kerana itulah mereka tidak memahami kebenaran. Kalimah هُمُ di dalam ayat ini adalah penambahan untuk memberi penekanan. Ia bermaksud mereka itu sudah teruk sampai tidak dapat lagi mengambil pengajaran dari apa yang berlaku di sekeliling mereka. Mereka itu hanya hidup untuk makan, berak, tidur sahaja. Sama sahaja macam binatang.

Apakah puncanya? Kerana tertipu dengan dunia seperti disebut di dalam Yunus: 7-8

إِنَّ الَّذينَ لا يَرجونَ لِقاءَنا وَرَضوا بِالحَيَوٰةِ الدُّنيا وَاطمَأَنّوا بِها وَالَّذينَ هُم عَن ءآيٰتِنا غٰفِلونَ
Sesungguhnya orang-orang yang tidak menaruh ingatan akan menemui Kami (pada hari akhirat untuk menerima balasan), dan yang redha (berpuas hati) dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengannya, dan orang-orang yang tidak mengendahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda-tanda kekuasaan) Kami, –

أُولٰئِكَ مَأوىٰهُمُ النّارُ بِما كانوا يَكسِبونَ
Mereka yang demikian keadaannya (di dunia), tempat kediaman mereka (di akhirat) ialah neraka; disebabkan keingkaran dan penderhakaan yang mereka telah lakukan.

Mereka itu lalai daripada mengingati Allah ﷻ, lupa baca Al-Qur’an setiap hari, lupa buat persiapan untuk akhirat, lupa untuk buat kebaikan, lupa untuk belajar dan lain-lain lagi. Mereka tidak tahu menahu hal agama, tetapi mereka buat tidak tahu sahaja. Mereka redha duduk di dalam kejahilan. Kerana itu amat bahaya kalau jahil bab agama. Ini seperti yang Allah ﷻ sebut di dalam Rum: 59

كَذٰلِكَ يَطبَعُ اللهُ عَلىٰ قُلوبِ الَّذينَ لا يَعلَمونَ
Demikianlah Allah mengunci mati hati orang-orang yang tidak (mahu) mengetahui.

Mereka itu لا يَعلَمونَ kerana jahil bab agama. Mereka ikut-ikutan sahaja apa yang orang kata tanpa periksa mana yang benar, mana yang tidak. Oleh kerana itu mereka telah melakukan kesalahan dosa yang banyak kerana mengamalkan agama dengan cara yang tidak benar. Kerana itulah ramai dalam kalangan umat Islam sendiri yang mengamalkan amalan syirik dan juga bid’ah.

Yang pertama sekali mereka lalai adalah memikirkan tentang Al-Qur’an. Mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an, maka kerana itu mereka tidak akan tadabbur Al-Qur’an. Akibatnya hati mereka disesatkan oleh hawa nafsu dan syaitan yang akhirnya menyebabkan mereka lalai. Allah ﷻ telah berkali-kali mengingatkan kita untuk tadabbur Al-Qur’an seperti disebut di dalam Muhammad: 24

أَفَلا يَتَدَبَّرونَ القُرءآنَ أَم عَلىٰ قُلوبٍ أَقفالُها
Maka apakah mereka tidak tadabbur Al-Qur’an ataukah hati mereka terkunci?

Maknanya dengan jelas disebut di sini bahawa orang yang tidak mentadabbur Al-Qur’an itu hatinya telah terkunci pun. Kerana itu hidayah tidak dapat masuk ke dalam hati mereka. Kalau mereka dengar dan lihat pun, tetapi pandangan dan pendengaran rohani mereka telah ditutup. Kalau kita jelaskan pun kepada mereka, mereka tidak akan faham.

Kenapa mereka tidak mahu buka pintu hati mereka untuk tadabbur Al-Qur’an? Kerana mereka sombong untuk terima kebenaran. Mereka sangka mereka telah pandai, lebih tahu daripada orang lain. Lihat Ghafir: 35

الَّذينَ يُجٰدِلونَ في ءآيٰتِ اللهِ بِغَيرِ سُلطٰنٍ أَتٰهُم ۖ كَبُرَ مَقتًا عِندَ اللهِ وَعِندَ الَّذينَ ءآمَنوا ۚ كَذٰلِكَ يَطبَعُ اللهُ عَلىٰ كُلِّ قَلبِ مُتَكَبِّرٍ جَبّارٍ
“(Iaitu) orang-orang yang membantah mengenai maksud ayat-ayat Allah dengan tidak ada sebarang bukti yang sampai kepada mereka (daripada pihak yang diakui benarnya). (Bantahan yang demikian) besar kebenciannya dan kemurkaannya di sisi hukum Allah dan di sisi bawaan orang-orang yang beriman. Demikianlah Allah meterikan atas hati tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi bermaharajalela pencerobohannya!”


 

Nahl Ayat 109: Apakah kesudahan mereka?

لا جَرَمَ أَنَّهُم فِي الآخِرَةِ هُمُ الخٰسِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Assuredly, it is they, in the Hereafter, who will be the losers.

(MELAYU)

Pastilah bahawa mereka di akhirat nanti adalah orang-orang yang merugi.

 

Tidak syak lagi mereka akan rugi di akhirat. Mereka tidak ada peluang untuk masuk ke dalam syurga. Mereka akan kekal dalam neraka. Mereka itu rugi kerana mereka ada peluang untuk membuat bekal untuk akhirat tetapi mereka tidak ambil peluang itu. Allah ﷻ sebut lagi kesan kepada mereka ini di dalam Taha: 124-126

وَمَن أَعرَضَ عَن ذِكري فَإِنَّ لَهُ مَعيشَةً ضَنكًا وَنَحشُرُهُ يَومَ القِيامَةِ أَعمىٰ
“Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”.

قالَ رَبِّ لِمَ حَشَرتَني أَعمىٰ وَقَد كُنتُ بَصيرًا
Dia berkata: “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?”

قالَ كَذٰلِكَ أَتَتكَ آياتُنا فَنَسيتَها ۖ وَكَذٰلِكَ اليَومَ تُنسىٰ
Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan”.

Begitulah ruginya mereka nanti di akhirat. Kita selalu sibuk memikirkan tentang untung dan rugi di dunia ini akan tetapi kita lupa untuk rugi di akhirat. Sebenarnya rugi di akhirat itulah yang lebih teruk bagi kita. Allah ﷻ ingatkan di dalam Zumar: 15 tentang hal ini

فَاعبُدوا ما شِئتُم مِّن دونِهِ ۗ قُل إِنَّ الخٰسِرينَ الَّذينَ خَسِروا أَنفُسَهُم وَأَهليهِم يَومَ القِيٰمَةِ ۗ أَلا ذٰلِكَ هُوَ الخُسرانُ المُبينُ
“(Setelah kamu mengetahui pendirianku ini wahai kaum musyrik, dan kamu masih juga berdegil) maka sembahlah kamu apa yang kamu kehendaki, yang lain dari Allah, (kamu akan mengetahui akibatnya)”. Katakanlah lagi: “Sesungguhnya orang-orang yang rugi (dengan sebenar-benarnya) ialah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri dan pengikut-pengikutnya pada hari kiamat (dengan sebab perbuatan mereka memilih kekufuran atau kederhakaan). Ingatlah, yang demikian itulah kerugian yang jelas nyata.”


 

Nahl Ayat 110: Ayat tabshir ukhrawi. Setelah disebut tentang kekerasan yang dialami oleh golongan Mukminin di Mekah daripada tangan Musyrikin Mekah, sekarang Allah ﷻ beri berita gembira kepada mereka.

ثُمَّ إِنَّ رَبَّكَ لِلَّذينَ هاجَروا مِن بَعدِ ما فُتِنوا ثُمَّ جٰهَدوا وَصَبَروا إِنَّ رَبَّكَ مِن بَعدِها لَغَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then, indeed your Lord, to those who emigrated after they had been compelled [to say words of disbelief] and thereafter fought [for the cause of Allāh] and were patient – indeed, your Lord, after that, is Forgiving and Merciful

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Tuhanmu bagi orang-orang yang berhijrah sesudah menderita cubaan, kemudian mereka berjihad dan sabar; sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

ثُمَّ إِنَّ رَبَّكَ لِلَّذينَ هاجَروا مِن بَعدِ ما فُتِنوا

Dan sesungguhnya Tuhanmu bagi orang-orang yang berhijrah sesudah menderita cubaan, 

Sekarang Allah ﷻ buat perbandingan dengan mereka yang berhijrah selepas mereka teruk diuji. Mereka sanggup meninggalkan kampung halaman mereka dan segala harta benda mereka untuk menjaga keimanan mereka. Pada mereka, iman dan Islam lebih penting daripada habuan dan kesenangan keduniaan. Kenapa lagi hendak duduk di Negeri Mekah kalau susah untuk mengamalkan agama dan nyawa terancam seperti yang terjadi kepada Ammar bin Yasir رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ itu?

Inilah yang terjadi kepada Muhajireen di Mekah yang terpaksa meninggalkan Mekah untuk menyelamatkan iman mereka. Pertamanya hijrah ke Habashah sebanyak dua kali, dan kemudian hijrah ke Madinah. Allah ﷻ puji mereka kerana kesanggupan mereka. Kerana untuk keluar dari Mekah pun bahaya juga kerana mereka dipantau oleh Musyrikin Mekah; dan mereka pergi ke tempat yang bukan kampung halaman mereka, dengan tidak tahu apa untung nasib mereka di sana kelak.

Maka layaklah mereka mendapat pujian daripada Allah ﷻ. Akan tetapi bukan mereka sahaja yang boleh mendapat kelebihan ini, kerana hijrah ini tetap berlaku zaman berzaman. Kalau tempat tinggal kita yang asal tidak membenarkan kita mengamalkan agama dengan sempurna, maka kita kena tinggalkan dan berhijrah ke tempat yang lebih baik.

Berhijrah kerana hendak mengamalkan agama Allah ﷻ dengan sempurna adalah wajib jikalau kita dihalang mengamalkan agama. Allah ﷻ telah ingatkan perkara ini di dalam Nisa’: 97

إِنَّ الَّذينَ تَوَفّٰهُمُ المَلىٰئِكَةُ ظالِمي أَنفُسِهِم قالوا فيمَ كُنتُم ۖ قالوا كُنّا مُستَضعَفينَ فِي الأَرضِ ۚ قالوا أَلَم تَكُن أَرضُ اللَّهِ وٰسِعَةً فَتُهاجِروا فيها ۚ فَأُولٰئِكَ مَأوىٰهُم جَهَنَّمُ ۖ وَساءَت مَصيرًا
Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi”. Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.

Bayangkan ayat ini tentang golongan sahabat yang beriman, tetapi tetap mereka dikenakan dengan azab kerana mereka tidak berhijrah kerana cintakan dunia. Kepada mereka yang sanggup berhijrah, mereka dijanjikan dengan berbagai kelebihan.

 

ثُمَّ جٰهَدوا وَصَبَروا

kemudian mereka berjihad dan sabar; 

Selepas mereka berhijrah, mereka sanggup berjihad dan bersabar dalam mengamalkan Islam.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ telah beri isyarat kepada hijrah ke Madinah. Arahan hijrah tidak diberikan secara nyata tetapi diberikan dalam bentuk isyarat. Juga dalam ayat ini ada isyarat yang arahan jihad akan berlaku. Kita kena ingat yang surah ini adalah Surah Makkiyah.

Dalam Surah-surah Makkiyah, tidak ada lagi arahan jihad. Arahan jihad hanya berlaku di Madinah selepas penghijrahan umat Islam. Apabila jihad diwajibkan kepada Muslim di Madinah nanti, para sahabat telah taat dengan arahan Allah ﷻ untuk mengerjakan jihad. Maka ayat ini tentang mereka dan tentang orang-orang yang sanggup menyahut arahan jihad.

Mereka tetap sabar. Kalimah صبِر daripada katadasar ص بِ ر yang bermaksud untuk mengikat; tabah; tetap; bertahan dengan sabar; berpegang teguh pada akal dan perintah; tenang. Maka ada elemen ikat nafsu di sini. Tetap melakukan benda yang baik dan tidak goyang ketika mengalami tekanan dan dugaan. Ikut arahan seperti arahan Allah ﷻ untuk meninggalkan perkara yang dilarang. Sebelum ini telah disebut tentang istiqamah dan sabar juga mempunyai elemen istiqamah juga.

Kita mungkin rasa kita sudah tahu apa itu sabar, sebab itu kita selalu juga nasihat orang lain: sabar ya, sabar ya…. Namun tahukah anda maksud sebenar ‘sabar’ dari segi syarak? Dari segi bahasa, الصبر itu adalah الحَبسُ dan المَنعُ. Tahukah apa itu الحبس والمنع? Tidak tahu bukan? Hendak tahu? Sabar, memang hendak beritahu pun. الحَبسُ bermaksud ‘tahan’ dan المَنعُ bermaksud ‘halang’.

Pertamanya tahan diri daripada marah. Apa-apabila berlaku, jangan melenting, tahan perasaan anda. Jangan layan perasaan kerana jika anda marah, maka anda telah kalah dengan syaitan. Ini memerlukan kekuatan seperti yang diriwayatkan daripada Abū Hurayrah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الغَضَبِ
Orang kuat itu bukanlah orang yang kuat bergusti, akan tetapi orang kuat adalah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah.
(Riwayat Bukhārī (6114))

Keduanya, halang tubuh kita sama ada lidah atau anggota yang lain. Lidah jangan laju sahaja untuk menjerit atau memaki orang; jangan tampar muka dan koyakkan baju (perbuatan orang Arab dulu); tangan jangan laju untuk memukul orang, pecahkan barang atau baling pinggan mangkuk. Halang semua itu daripada berlaku.

Begitulah dalam banyak perkara, kita kena sabar. Sabar adalah sikap daripada jiwa yang besar dan terlatih. Iaitu terlatih dengan akhlak-akhlak yang diajar di dalam Al-Qur’an. Hendak sampaikan dakwah kepada umat pun, kena sabar; hendak menegur orang lain, kena sabar; hendak buat amal ibadat pun, kena sabar. Memang sepanjang hidup kita di atas dunia ini kena bersabar sepanjang masa. Kena latih diri untuk terima apa sahaja yang Allah ﷻ kenakan kepada kita.

Sebagaimana para Nabi juga mengalami kesusahan, maka kita pun kena bersabar. Kadang-kadang kita terpaksa menghadapi ejekan, tohmahan, amarah daripada orang lain dan sebagainya. Sebab itu Allah ﷻ sebut tentang sabar di dalam Muzzammil: 10 iaitu antara surah yang awal diturunkan kepada Rasulullah ﷺ semasa baginda memulakan dakwah,

وَاصبِر عَلىٰ ما يَقولونَ وَاهجُرهُم هَجرًا جَميلًا
Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu daripada mereka dengan cara yang baik.

Dalam kehidupan seharian kita, kita hendaklah mengamalkan sabar. Terutama sekali jikalau kita ditimpa masalah. Inilah pakaian kita yang kena sentiasa ada. Sabar itu ada tiga jenis:

1. Sabar dalam ketaatan. Iaitu untuk memenuhi arahan daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul.

2. Sabar dalam meninggalkan larangan daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul. Ini pun memerlukan kesabaran juga.

3. Sabar dalam menerima musibah dan ujian.

Daripada tiga jenis pula terdapat tiga peringkat:

1. Menahan diri daripada bercakap apa-apa dan menghalang diri daripada melakukan sesuatu. Ini adalah sabar peringkat pertama iaitu sudah dikira sebagai ‘sabar‘. Ini rasanya agak mudah untuk dilakukan.

2. Peringkat kedua adalah sabar dicampur redha dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah ﷻ. Ini agak sukar sedikit untuk dilakukan kerana ramai yang mempersoalkan ketentuan daripada Allah ﷻ. Orang yang dapat mencapai peringat ini sedar yang Allah ﷻ boleh buat apa sahaja kepada dirinya yang hanya seorang hamba. Dia sedar yang dunia ini adalah ujian dan hari ini Allah ﷻ hendak uji dengan satu musibah.

3. Peringkat ini sabar tertinggi dan paling sukar untuk dicapai. Iaitu sabar campur redha kemudian ditambah dengan syukur pula! Iaitu orang itu boleh bersyukur pula apabila Allah ﷻ kenakan musibah kepada dirinya kerana dia tahu tentu ada hikmah di dalam ujian itu. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Insan: 2-3

إِنّا خَلَقنَا الإِنسٰنَ مِن نُّطفَةٍ أَمشاجٍ نَّبتَليهِ فَجَعَلنٰهُ سَميعًا بَصيرًا
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.

إِنّا هَدَينٰهُ السَّبيلَ إِمّا شاكِرًا وَإِمّا كَفورًا
Sesungguhnya Kami telah menunjukinya jalan yang lurus; ada yang bersyukur dan ada pula yang kafir.

Lihatlah Allah ﷻ sebut bersyukur dengan ujian dan ada yang kufur dengan sebab ujian yang Allah ﷻ berikan. Maka kena letak dalam otak kita yang dunia ini ujian, dan selalunya ujian akan ada keputusan: sama ada lulus atau gagal! Tentu kita mahu lulus, bukan? Sebagai motivasi untuk kita bersabar dalam semua perkara, Allah ﷻ sebut balasan bagi orang yang bersabar di dalam Zumar: 10

إِنَّما يُوَفَّى الصّٰبِرونَ أَجرَهُم بِغَيرِ حِسابٍ
Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira

Apakah maksud ‘tanpa hisab’? Dibalas banyak sangat, sampai tidak boleh hendak kira. Hisab itu bermaksud ‘kira’. Balasan yang Allah ﷻ beri itu terlalu banyak sampai tidak terkira.

Tafsir kedua: ada juga hadith yang menunjukkan bahawa orang-orang yang sabar dengan dugaan berat yang mereka terima, tidak akan dihisab. Mereka terus sahaja masuk syurga. Padahal orang lain akan ditimbang-timbang dan dikira-kira amal ibadat mereka. Ini kerana menunggu untuk dihisab di Mahsyar itu pun sudah satu kesengsaraan juga kerana kena tunggu dalam masa yang amat lama. Maka kalau dapat masuk terus ke syurga tanpa hisab, itu adalah nikmat yang amat besar.

Kalau kita sabar dengan dugaan yang diberikan kepada kita, kita akan mendapat balasan daripada Allah ﷻ yang amat banyak. Ini kerana amalan ibadat seperti solat dan puasa akan dibalas dengan kadar amal kebaikan itu.

Antara sabar yang kita kena amalkan adalah dengan menahan marah. Ini kerana ia adalah sifat orang Mukmin seperti disebut dalam Ali Imran: 133-134

۞ وَسارِعوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُم وَجَنَّةٍ عَرضُهَا السَّمٰوٰتُ وَالأَرضُ أُعِدَّت لِلمُتَّقينَ
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;

الَّذينَ يُنفِقونَ فِي السَّرّاءِ وَالضَّرّاءِ وَالكٰظِمينَ الغَيظَ وَالعافينَ عَنِ النّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;

Mereka ini adalah orang yang ‘sabar dalam taat’. Maksudnya mereka mengerjakan segala suruhan Allah ﷻ dan meninggalkan larangan-Nya dengan sabar. Kalimah صَبَرُ ini perlu dilihat daripada makna bahasa Arabnya kerana kalau menggunakan bahasa kita, mungkin kita tidak berapa faham. Dari segi syariat, صَبَرُ bermaksud terus melakukan perintah Allah ﷻ dan meninggalkan larangan Allah ﷻ walau apa pun terjadi. Mungkin ada yang mereka rasa susah untuk lakukan, tetapi mereka tetap sabar melakukannya kerana mereka mahu tetap taat kepada Allah ﷻ.

Ini memerlukan kesabaran kerana syaitan akan sentiasa menghasut kita untuk meninggalkan taat. Antaranya syaitan akan beri kita rasa bosan untuk melakukan ibadat. Akan tetapi orang yang beriman akan tetap sabar untuk melakukannya.

Soalan: bilakah perlu sabar? Ia hendaklah bermula sejak pertama kali ia berlaku. Kita selalunya melenting apabila sesuatu yang kita tidak suka terjadi, bukan? Namun dua tiga hari selepas itu barulah datang sabar. Ini tidak dikira sabar kerana itu adalah perkara normal bagi manusia (lama kelamaan apabila sudah terima hakikat, memang semua orang akan jadi sabar). Akan tetapi itu tidak dikira sebenarnya kerana Rasulullah ﷺ beritahu kita yang sabar itu dari mula-mula lagi,

عَنْ أَنَسٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الصَّبْرُ فِي الصَّدْمَةِ الْأُولَى
Daripada [Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Kesabaran itu ada pada saat pertama kali tertimpa (musibah) “.
(Sahih Bukhari (908))

Oleh itu sekiranya baru bersabar setelah lama masa berlalu, itu bukannya kerana Allah ﷻ lagi, tetapi kebiasaan manusia. Ia tidaklah mencabar sangat kalau sabar setelah lama ujian itu berlalu maka ia bukanlah sesuatu hebat sangat. Mukmin yang sebenar akan terus sabar dari mula lagi kerana mereka hendak mencari redha Allah ﷻ. Mereka tahu yang Allah ﷻ suka kalau hamba-Nya sabar dengan melakukan taat dan sabar dalam menghadapi ujian daripada-Nya. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Qalam: 48 tentang contoh orang yang tidak sabar,

فَاصبِر لِحُكمِ رَبِّكَ وَلا تَكُن كَصاحِبِ الحوتِ إِذ نادىٰ وَهُوَ مَكظومٌ
Maka bersabarlah kamu (hai Muhammad) terhadap ketetapan Tuhanmu, dan janganlah kamu seperti orang yang berada dalam (perut) ikan ketika dia berdoa sedang dia dalam keadaan marah (kepada kaumnya).

Yang dimaksudkan adalah Nabi Yunus عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang tidak sabar dengan penolakan kaumnya. Maka ia menjadi contoh bagi kita untuk bersabar kerana Allah ﷻ. Kerana sabar itu kalau bukan kerana Allah ﷻ, ia tidaklah mendapat pahala. Semua orang boleh sabar sebenarnya. Namun sabar yang dituntut adalah kerana mencari redha Allah ﷻ.

Ramai orang boleh bersabar tetapi bukan kerana Allah ﷻ. Sebagai contoh, seorang pencuri penyabar juga orangnya. Dia akan tunggu sehingga tuan rumah tidur, kemudian sabar untuk membuka pintu rumah orang itu. Kemudian sabar memilih benda-benda yang dia boleh ambil. Atau, bila masuk rumah tengok tidak ada apa yang boleh diambil, dia pun sabar juga dan berlalu pergi rumah orang lain pula. Ini bukanlah sabar terpuji, bukannya kerana mencari redha Allah ﷻ, bukan?

Allah ﷻ janjikan ganjaran yang amat besar bagi orang yang boleh bersabar. Allah ﷻ berfirman di dalam Insan: 12. Bayangkan kunci syurga adalah sabar!

وَجَزىٰهُم بِما صَبَروا جَنَّةً وَحَريرًا
Dan Dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran mereka (dengan) syurga dan (pakaian) sutera,

 

إِنَّ رَبَّكَ مِن بَعدِها لَغَفورٌ رَّحيمٌ

sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Kepada mereka yang sanggup untuk berhijrah, jihad dan sabar, Allah ﷻ berjanji akan beri rahmat kepada mereka selepas mereka melalui dugaan-dugaan itu. Rahmat Allah ﷻ yang paling besar adalah syurga. Mereka akan masuk terus ke dalam syurga kerana mereka itu telah diampunkan oleh Allah ﷻ segala dosa-dosa mereka.

Allah ﷻ sebut dahulu tentang sifat pengampun-Nya sebelum menyebut tentang sifat rahmat-Nya kerana manusia ada dua perkara besar yang diperlukan daripada Allah ﷻ: tolak yang negatif dan mahukan yang positif. Di antara keduanya, kita lebih pentingkan tolak yang negatif dahulu. Iaitu untuk menghapuskan dosa-dosa kita yang banyak ini. Maka kita memerlukan pengampunan daripada Allah ﷻ. Kerana kalau ada dosa, maka kita akan dimasukkan ke dalam neraka!

Kemudian kalau sudah terlepas dari neraka, kita mahu masuk ke dalam syurga pula, bukan? Takkan tidak ke mana-mana pula? Untuk masuk ke dalam syurga memerlukan rahmat daripada Allah ﷻ. Ingatlah kembali sabda Rasulullah ﷺ ini,

عَنْ جَابِرٍ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يُدْخِلُ أَحَدًا مِنْكُمْ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ وَلَا يُجِيرُهُ مِنْ النَّارِ وَلَا أَنَا إِلَّا بِرَحْمَةٍ مِنْ اللَّهِ
Daripada [Jabir رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata: Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Tidak seorang pun daripada kalian yang dimasukkan syurga oleh amalnya dan tidak juga diselamatkan dari neraka kerananya, tidak juga aku kecuali kerana rahmat daripada Allah.”
(Riwayat Muslim (5042))

Akan tetapi bagaimana hendak mengharapkan rahmat daripada Allah ﷻ? Adakah dengan berharap kosong sahaja? Tentu tidak. Kena ada usaha daripada kita seperti disebut di dalam Baqarah: 218 tentang siapakah yang layak berharap rahmat daripada Allah ﷻ.

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَالَّذينَ هاجَروا وَجٰهَدوا في سَبيلِ اللَّهِ أُولٰئِكَ يَرجونَ رَحمَتَ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Maknanya kena berjuang atas agama Allah ﷻ, bantu agama Allah ﷻ, berdakwah dan sampaikan agama kepada orang lain, barulah boleh berharap. Ini macam pelajar universiti yang kena berusaha belajar dengan tekun, barulah boleh berharap untuk lulus peperiksaan dan dapat ijazah. Kalau duduk main gitar sepanjang semester, tidaklah ada harapan baginya. Belajarlah daripada sunnah yang ditinggalkan oleh para Pemuda Kahf yang berusaha menjaga akidah mereka sampai sanggup melarikan diri ke dalam gua. Setelah berusaha, maka barulah mereka berdoa dan Allah ﷻ nukilkan doa mereka di dalam Kahf: 10

إِذ أَوَى الفِتيَةُ إِلَى الكَهفِ فَقالوا رَبَّنا ءآتِنا مِن لَّدُنكَ رَحمَةً وَهَيِّئ لَنا مِن أَمرِنا رَشَدًا
(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami”.

Balasan kepada mereka ini Allah ﷻ sebut di dalam Kahf: 16 pula, iaitu Allah ﷻ limpahkan rahmat kepada mereka.

وَإِذِ اعتَزَلتُموهُم وَما يَعبُدونَ إِلَّا اللهَ فَأووا إِلَى الكَهفِ يَنشُر لَكُم رَبُّكُم مِّن رَّحمَتِهِ وَيُهَيِّئ لَكُم مِّن أَمرِكُم مِّرفَقًا
Dan apabila kamu telah mengasingkan diri daripada mereka dan daripada apa yang mereka sembah yang lain daripada Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan rahmat-Nya kepada kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan yang berguna”.

Sekian Ruku’ 14 daripada 16 ruku’surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 6 Februari 2024

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah an-Nahl Ayat 103 – 107 (Menyatakan kufur kerana terpaksa)

Nahl Ayat 103: Ayat Syikayah (Rungutan daripada Allah ﷻ). Ini adalah satu lagi syubhah yang ditimbulkan oleh syaitan di dalam hati manusia. Oleh kerana itulah kita kena minta perlindungan daripada gangguan syaitan. Kisahnya ada yang mendakwa Nabi Muhammad ﷺ mencedok Al-Qur’an ini daripada sumber luar. Antaranya ada yang kata baginda belajar dengan seorang lelaki Rom dan ini adalah jawapan Allah ﷻ kepada tohmahan itu.

وَلَقَد نَعلَمُ أَنَّهُم يَقولونَ إِنَّما يُعَلِّمُهُ بَشَرٌ ۗ لِّسانُ الَّذي يُلحِدونَ إِلَيهِ أَعجَمِيٌّ وَهٰذا لِسانٌ عَرَبِيٌّ مُّبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We certainly know that they say, “It is only a human being who teaches him [i.e., the Prophet ()].” The tongue of the one they refer to is foreign,¹ and this [recitation, i.e., Qur’ān] is [in] a clear Arabic language.

  • Having seen the Prophet () speaking with a foreign man on occasion, the Quraysh accused him of repeating the man’s words.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Kami mengetahui bahawa mereka berkata: “Sesungguhnya Al Qur’an itu diajarkan oleh seorang manusia kepadanya (Muhammad)”. Padahal bahasa orang yang mereka tuduhkan (bahawa) Muhammad belajar kepadanya bahasa ‘Ajam, sedang Al Quran adalah dalam bahasa Arab yang terang.

 

وَلَقَد نَعلَمُ أَنَّهُم يَقولونَ إِنَّما يُعَلِّمُهُ بَشَرٌ

Dan sesungguhnya Kami mengetahui bahawa mereka berkata: “Sesungguhnya Al Qur’an itu diajarkan oleh seorang manusia kepadanya”

Kalimah وَلَقَد adalah kalimah sumpah untuk menarik perhatian. Allah ﷻ beritahu di sini yang Dia tahu ada yang telah menuduh manusia lain yang ajar ayat-ayat Al-Qur’an kepada baginda. Ini adalah tuduhan daripada Ahli Kitab. Mereka kata tentu ada orang yang ajar baginda kerana kehebatan Al-Qur’an itu sendiri. Mereka berkata tidak mungkin Nabi Muhammad ﷺ yang tidak tahu membaca boleh membawa ayat yang begitu hebat?

Sebenarnya, kalau mereka kata begitu, tentu maksudnya mereka sudah takjub dengan kehebatan Al-Qur’an, bukan? Juga kerana ia begitu selari dengan maklumat yang ada di dalam kitab mereka. Mereka ingin katakan bahawa tidak mungkin Nabi Muhammad ﷺ mampu mereka Al-Qur’an ini sendiri.

Tambahan pula, memang pernah ada seorang lelaki yang dari Rom dan berada di Mekah sebagai tukang besi. Memang Nabi Muhammad ﷺ ada berbual dengannya ketika baginda berdakwah kepadanya. Maka Musyrikin Mekah menggunakan situasi tersebut untuk menuduh baginda mengambil ilmu daripada lelaki Rom itu.

Ada juga yang mengatakan ia adalah seorang pelayan milik salah satu puak daripada kabilah Quraisy. Lelaki itu seorang pedagang yang menjajakan barang-barangnya di Safa. Adakalanya Rasulullah ﷺ duduk dengannya dan berbincang-bincang dengannya mengenai sesuatu hal.

وقال ابن جرير : حدثني أحمد بن محمد الطوسي ، حدثنا أبو عامر ، حدثنا إبراهيم بن طهمان ، عن مسلم بن عبد الله الملائي ، عن مجاهد ، عن ابن عباس قال : كان رسول الله – صلى الله عليه وسلم – يعلم قينا بمكة ، وكان اسمه بلغام ، وكان أعجمي اللسان ، وكان المشركون يرون رسول الله – صلى الله عليه وسلم – يدخل عليه ويخرج من عنده ، قالوا : إنما يعلمه بلغام ، فأنزل الله هذه الآية : ( ولقد نعلم أنهم يقولون إنما يعلمه بشر لسان الذي يلحدون إليه أعجمي وهذا لسان عربي مبين ) .
Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepadaku Ahmad ibnu Muhammad At-Tusi, telah menceritakan kepada kami Abu Amir, telah menceritakan kepada kami Ibrahim ibnu Tuhman, dari Muslim ibnu Abdullah Al-Malai, dari Mujahid, daripada ibnu Abbas yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah mengajarkan kepada seorang penyanyi di Mekah, namanya Bal’am, padahal dia berbahasa ‘Ajam. Orang-orang musyrik melihat Rasulullah ﷺ sering mengunjunginya, lalu mereka mengatakan, “Sesungguhnya dia diajari oleh Bal’am,” Maka Allah menurunkan firman berikut: Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa mereka berkata, “Sesungguhnya Al-Qur’an itu diajarkan oleh seorang manusia kepadanya (Muhammad).” Padahal bahasa orang yang mereka tuduhkan (bahawa) Muhammad belajar kepadanya bahasa ‘Ajam, sedangkan Al-Qur’an adalah dalam bahasa Arab yang terang. (An-Nahl: 103)
Al-Tabari dalam ((Al-Tafsir)) (17/299), dan Al-Thaalabi dalam ((Al-Tafsir)) (6/43) dengan sedikit perbezaan.
Kata as-Suyuti; Isnadnya daif (ad-Dur al-Mansur no.177)

Allahu a’lam, tidak pasti siapakah individu yang tepat yang dimaksudkan di dalam ayat ini. Ada riwayat lain yang mengatakan lelaki itu Jabar, seorang Nasrani yang masuk Islam. Ada yang kata namanya adalah Ya’isy, yang pandai membaca kitab-kitab bahasa Ajam. Ada pula yang mengatakan namanya adalah Jabar. Allahu a’lam. Namun kita dapat mengambil pengajaran yang Musyrikin Mekah menuduh Nabi Muhammad ﷺ mendapat maklumat daripada orang lain dan memasukkannya ke dalam bacaan yang dikatakannya Al-Qur’an. Mungkin mereka mendapat idea itu daripada Ahli Kitab.

 

لِّسانُ الَّذي يُلحِدونَ إِلَيهِ أَعجَمِيٌّ

Padahal bahasa orang yang mereka tuduhkan (bahawa) Muhammad belajar kepadanya bahasa ‘Ajam,

Kalimah يُلحِدونَ daripada katadasar ل ح د yang bermaksud untuk membuat ceruk atau bekas untuk mayat; menyimpang; tersasar dari jalan yang benar; bertindak tidak adil; digunakan secara sesat; bertindak tidak senonoh; condong; mencari; menyinggung; kata-kata kotor; secara salah; tempat perlindungan. Musyrikin Mekah telah melakukan ‘ilhad’ iaitu bermaksud ‘penyimpangan’ kerana Musyrikin Mekah telah menyimpang daripada kebenaran dengan kata-kata mereka itu. Hanya kerana tidak mahu menerima yang Al-Qur’an itu daripada Allah ﷻ, mereka mengeluarkan berbagai-bagai tohmahan, sehingga mengatakan Nabi Muhammad ﷺ mencedok ilmu yang ditulisnya sendiri itu daripada orang Ajam (orang bukan Arab).

Allah ﷻ sekarang memberikan hujah yang mantap untuk mematahkan tohmahan mereka itu. Allah ﷻ beritahu yang sekiranya Nabi Muhammad ﷺ mengambil maklumat yang ada dalam Al-Qur’an itu daripada lelaki itu, dia bukannya orang Arab tetapi lelaki Ajam.

Maksud A’jam adalah bukan Arab. Ia bermaksud orang yang tidak tahu berbahasa Arab. Ia kemudian menjadi gelaran bagi orang bukan Arab. Bangsa Arab bahagikan manusia kepada dua jenis: Sama ada orang Arab atau orang A’jam. Bahasa Arab adalah bahasa yang indah yang tidak mungkin dapat dikuasai oleh orang luar seperti orang Ajam itu. Takkan Al-Qur’an yang begini hebat datangnya daripada orang luar? Bayangkan orang Cina yang duduk sekian lama dengan orang Melayu. Memanglah dia boleh berbahasa Melayu akan tetapi tidaklah dia akan sama fasihnya dengan orang yang lahir-lahir sudah Melayu?

Kalau Musyrikin Mekah itu tuduh orang Ajam itu boleh reka ayat-ayat di dalam Al-Qur’an, maka tentulah mereka sendiri pun boleh buat juga, bukan? Kerana mereka lebih fasih dengan bahasa Arab. Namun kita pun tahu yang mereka sendiri tidak mampu kerana Allah ﷻ telah beri cabaran kepada mereka untuk buat Al-Qur’an yang sama. Kalau tidak mampu buat satu Al-Qur’an, buatlah sepuluh surah, kalau tidak mampu juga, buatlah satu surah sahaja. Itu pun mereka tidak mampu.

 

وَهٰذا لِسانٌ عَرَبِيٌّ مُّبينٌ

sedang Al Qur’an adalah dalam bahasa Arab yang jelas.

Sedangkan Al-Qur’an ini dalam bahasa Arab yang jelas. Tidak sesekali akan sama pula dengan apa yang disampaikan oleh lelaki Rom itu? Memang tidak akan sama kerana bahasa Arab yang digunakan oleh Al-Qur’an itu adalah bahasa yang amat hebat. Kalau orang Arab sendiri hendak buat pun tidak boleh, apatah lagi kalau orang bukan Arab?

Maka sebenarnya hujah mereka itu terlalu bodoh dan senang sahaja dipatahkan. Akan tetapi Allah ﷻ tetap juga menjawab hujah mereka itu dengan hujah. Allah ﷻ tidaklah kata mereka bodoh atau hujah itu bodoh. Maka ini mengajar kita dalam berhujah dan mematahkan hujah lawan, tidak perlu label melabel. Beri sahaja hujah kita dengan sempurna.


 

Nahl Ayat 104: Takhwif Ukhrawi kepada mereka yang menentang kebenaran Al-Qur’an. Mereka memberikan berbagai-bagai tohmahan terhadap Al-Qur’an itu kerana hati mereka enggan untuk beriman dengannya.

إِنَّ الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِئآيٰتِ اللهِ لا يَهديهِمُ اللهُ وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who do not believe in the verses of Allāh – Allāh will not guide them, and for them is a painful punishment.

(MELAYU)

Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah (Al Qur’an), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada mereka dan bagi mereka azab yang pedih.

 

إِنَّ الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِئآيٰتِ اللهِ

Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah (Al Qur’an),

Mereka yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ ambil maklumat daripada orang lain itu, mereka sudah buat pilihan yang mereka tidak akan beriman dengan Al-Qur’an. Sampaikan mereka telah buat hujah yang sebegitu. Mereka telah menentang ayat-ayat Al-Qur’an. Begitu juga ada golongan Orientalis yang menggunakan hujah mengatakan Nabi Muhammad ﷺ mencedok ajaran agama daripada lelaki Rom, tukang besi.

 

لا يَهديهِمُ اللهُ

Allah tidak akan memberi petunjuk kepada mereka

Oleh kerana mereka telah membuat keputusan, maka Allah ﷻ tidak akan beri hidayah kepada mereka lagi. Kerana itu sampai bila-bila pun mereka tidak akan faham agama dan tidak akan mendapat hidayah. Ini dinamakan Khatmul Qalbi – penutupan hati daripada menerima hidayah. Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam Baqarah: 6-7

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا سَواءٌ عَلَيهِم ءأَنذَرتَهُم أَم لَم تُنذِرهُم لا يُؤمِنونَ
Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman.

خَتَمَ اللهُ عَلىٰ قُلوبِهِم وَعَلىٰ سَمعِهِم ۖ وَعَلىٰ أَبصٰرِهِم غِشٰوَةٌ ۖ وَلَهُم عَذابٌ عَظيمٌ
(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.

Mereka ini memang layak ditutup pintu hati mereka dan kemudian dikenakan dengan azab kerana mereka sendiri yang menolak hidayah. Sedangkan Allah ﷻ telah berikan hidayah kepada semua. Maknanya semua manusia mendapat hidayah, hanya mereka mahu terima atau tidak sahaja. Dalil Allah ﷻ beri hidayah kepada semua adalah Fussilat: 17

وَأَمّا ثَمودُ فَهَدَينٰهُم فَاستَحَبُّوا العَمىٰ عَلَى الهُدىٰ فَأَخَذَتهُم صٰعِقَةُ العَذابِ الهونِ بِما كانوا يَكسِبونَ
Adapun kaum Thamud, maka Kami beri petunjuk kepada mereka, lalu mereka mengutamakan kesesatan daripada hidayah petunjuk; maka mereka pun disambar oleh petir azab yang menghina dengan sebab apa yang mereka telah lakukan.

Hidayah ini bukan kita kena tunggu terkangkang goyang kaki sahaja. Kita kena berusaha untuk mendapatkannya. Memang kita kena minta dan kemudian kena usaha untuk mendapatkan hidayah itu. Ia sama sahaja seperti mencari rezeki mencari sesuap nasi. Memang kita kena doa minta rezeki kepada Allah ﷻ, akan tetapi kita pun tahu yang kita kena berusaha kerja dan sebagainya, bukan? Maka begitu jugalah dengan hidayah. Kita kena minta dan kena berusaha mendapatkannya. Ini seperti disebut di dalam Ankabut: 69

وَالَّذينَ جٰهَدوا فينا لَنَهدِيَنَّهُم سُبُلَنا
Dan orang-orang yang berjihad untuk Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami.

Maksud kalimah جٰهَدوا di dalam ayat ini adalah berusaha bersungguh-sungguh untuk memahami agama, maka barulah Allah ﷻ akan tunjukkan jalan-jalan kepada pemahaman agama. Kepada mereka yang ada keinginan hendak tahu kebenaran, maka Allah ﷻ akan tarik mereka ke arah kebenaran. Contohnya ada yang berdoa kepada Allah ﷻ minta ditunjukkan manakah jalan yang benar. Bagi orang ini Allah ﷻ akan tunjukkan jalan, mungkin ada kawan hadir menerangkan kepadanya, mungkin dia menemui buku atau video yang menjelaskan tentang agama yang benar, atau Allah ﷻ datangkan guru yang benar boleh mengajarnya. Pelbagai cara Allah ﷻ boleh beri. Namun kalau memang jenis orang yang memang hatinya tidak mahu kepada kebenaran, mereka tidak akan diberi dengan taufiq. Ini seperti disebut di dalam Anfal: 23

وَلَو عَلِمَ اللَّهُ فيهِم خَيرًا لَّأَسمَعَهُم ۖ وَلَو أَسمَعَهُم لَتَوَلَّوا وَهُم مُّعرِضونَ
Kalau sekiranya Allah mengetahui kebaikan ada pada mereka, tentulah Allah menjadikan mereka dapat mendengar. Dan jikalau Allah menjadikan mereka dapat mendengar, nescaya mereka pasti berpaling juga, sedang mereka memalingkan diri (daripada apa yang mereka dengar itu).

Maknanya Allah ﷻ tidak memaksa manusia dan jin untuk beriman. Namun kalau orang itu memang ada kebaikan dalam dirinya (keinginan kepada kebenaran), maka Allah ﷻ akan berikan dia mendengar perkara yang benar.

 

وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ

dan bagi mereka azab yang pedih.

Oleh kerana mereka telah sesat, maka mereka akan menerima azab yang pedih di akhirat kelak. Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan mereka tidak akan dikeluarkan sampai bila-bila.


 

Nahl Ayat 105: Mereka menuduh Nabi Muhammad ﷺ berdusta reka Al-Qur’an dengan mencedok maklumat daripada orang lain, tetapi sekarang Allah ﷻ beritahu siapakah yang sebenarnya berdusta.

إِنَّما يَفتَرِي الكَذِبَ الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِئآيٰتِ اللهِ ۖ وَأُولٰئِكَ هُمُ الكٰذِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They only invent falsehood who do not believe in the verses of Allāh, and it is those who are the liars.

(MELAYU)

Sesungguhnya yang mengada-adakan kebohongan, hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah, dan mereka itulah orang-orang pendusta.

 

إِنَّما يَفتَرِي الكَذِبَ

Sesungguhnya yang mengada-adakan kebohongan,

Oleh kerana hati mereka tidak dapat menerima kebenaran yang disampaikan oleh Al-Qur’an, kerana tidak kena dengan amalan dan hati mereka yang syirik, mereka telah mengadakan pembohongan. Mereka kena reka pembohongan untuk menjustifikasi keputusan mereka untuk tidak beriman itu.

Maksudnya, mereka kena reka alasan kenapa tidak mahu beriman. Hati mereka sepatutnya beriman kerana hujah Al-Qur’an yang hebat tetapi bila mereka menolak hati mereka sendiri, mereka kena reka alasan lain.

 

الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِئآيٰتِ اللهِ

hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah, 

Yang menipu adalah mereka yang tidak percaya kepada ayat-ayat Allah ﷻ. Bukannya Nabi ﷺ yang reka Al-Qur’an, tetapi mereka yang reka penipuan.

Bukan sahaja mereka reka penipuan terhadap Al-Qur’an, tetapi mereka reka agama. Macam kebanyakan manusia yang reka amalan agama juga. Mereka kata ia adalah agama, tetapi sebenarnya bukan agama. Sebagai contoh, mereka reka amalan tawasul dengan menggunakan Nabi, wali dan malaikat. Mereka kata itu adalah agama, tetapi sebenarnya ia menentang apa yang ada dalam Al-Qur’an.

 

وَأُولٰئِكَ هُمُ الكٰذِبونَ

dan mereka itulah orang-orang pendusta.

Allah ﷻ berkata mereka itulah yang pendusta. Bukannya Nabi Muhammad ﷺ. Ketika Heraklius, Raja Romawi, bertanya kepada Abu Sufyan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ tentang sifat yang dimiliki oleh Rasulullah ﷺ, iaitu antara lain Heraklius mengatakan, “Apakah kalian pernah menuduhnya sebagai pendusta sebelum dia mempermaklumatkan seruannya?”

Abu Sufyan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menjawab, ” Tidak pernah.” Maka Heraklius berkata, “Tidaklah logik bila dia meninggalkan kedustaan terhadap manusia, lalu dia pergi dan berbuat kedustaan terhadap Allah ﷻ “


 

Nahl Ayat 106: Ayat 106-113 adalah Perenggan Makro ke 4 (Bahagian 3). Ia berkenaan berita gembira kepada orang yang dizalimi. Allah ﷻ menjadikan Diri-Nya wali/pelindung kepada orang yang terpaksa berhijrah, menderita didera, sabar, dan berjihad.

Ayat 106 ini tentang orang-orang yang murtad. Ini adalah takhwif ukhrawi kepada mereka.

مَن كَفَرَ بِاللهِ مِن بَعدِ إيمٰنِهِ إِلّا مَن أُكرِهَ وَقَلبُهُ مُطمَئِنٌّ بِالإيمٰنِ وَلٰكِن مَّن شَرَحَ بِالكُفرِ صَدرًا فَعَلَيهِم غَضَبٌ مِّنَ اللهِ وَلَهُم عَذابٌ عَظيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Whoever disbelieves in [i.e., denies] Allāh after his belief¹ except for one who is forced [to renounce his religion] while his heart is secure in faith. But those who [willingly] open their breasts to disbelief, upon them is wrath from Allāh, and for them is a great punishment;

  • Based upon the conclusion of this verse, the omitted phrase concerning the apostate is understood to be “…has earned the wrath of Allāh…”

(MELAYU)

Barangsiapa yang kafir kepada Allah sesudah dia beriman (dia mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa kafir padahal hatinya tetap tenang dalam beriman (dia tidak berdosa), akan tetapi orang yang melapangkan dadanya untuk kekafiran, maka kemurkaan Allah menimpanya dan baginya azab yang besar.

 

مَن كَفَرَ بِاللهِ مِن بَعدِ إيمٰنِهِ

Barangsiapa yang kafir kepada Allah sesudah dia beriman

Sekarang Allah ﷻ menyebut tentang mereka yang murtad. Setelah sudah beriman, kemudian menukar iman dan mengambil kufur. Tentulah mereka ini mendapat kemurkaan daripada Allah ﷻ. Kerana mereka ini lebih bahaya kerana mereka sepatutnya telah merasai apa itu iman. Mereka meninggalkan Islam kerana hawa nafsu jahat mereka. Tentulah mereka ini lebih jahat lagi.

 

إِلّا مَن أُكرِهَ وَقَلبُهُ مُطمَئِنٌّ بِالإيمٰنِ

kecuali orang yang dipaksa kafir padahal hatinya tetap tenang dalam beriman

Allah ﷻ murka kepada mereka yang menyatakan kekufuran, kecuali orang yang dipaksa untuk berkata begitu, sedangkan hatinya tetap tenang dengan Islam. Mungkin dia terpaksa cakap dia tidak beriman kerana nyawanya diancam. Kalau dia tidak cakap, dia akan dibunuh.

Dalam keadaan begini, tidaklah bersalah kalau menyatakan kekufuran kerana dia cakap pada mulut sahaja, tetapi tidaklah dia percaya dengan apa yang dia katakan itu. Hatinya tetap dalam Islam.

Al-Aufi telah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan peristiwa yang dialami oleh Ammar Ibnu Yasir رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ di saat dia diseksa oleh orang-orang musyrik sehingga dia menyatakan kekafiran kepada Nabi Muhammad ﷺ. Waktu itu yang telah ditangkap adalah Ammar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bapanya Yasir رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan ibunya Sumayyah رضي الله عنها dan ada seorang lagi iaitu Khabbab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Yasir رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ telah dibunuh dan ibunya Sumayyah رضي الله عنها juga telah dibunuh dengan ditarik dua tangannya yang diikat pada dua unta. Khabbab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ telah diseksa dengan diracik-racik belakangnya dengan besi dan akhirnya yang tinggal hanya Ammar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ.

Dia dipaksa untuk menyatakan kufur dan kembali kepada agama syirik. Dia menuruti kemahuan mereka dalam hal tersebut kerana terpaksa. Setelah itu Ammar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ datang menghadap kepada Nabi ﷺ seraya meminta maaf, maka Allah ﷻ menurunkan ayat ini.

Dalam hadith disebutkan:

Bahawa orang-orang musyrik pernah menyeksa ‘Ammar bin Yasir رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Dia tidak dilepaskan sehinggalah dia mencela Nabi ﷺ dan menyanjung dengan kebaikan pada sembahan orang musyrik. Lalu setelah itu dia pun dilepaskan. Ketika ‘Ammar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mendatangi Rasulullah ﷺ, maka dia pun ditanya oleh Rasul, “Apa yang terjadi padamu?” “Celakalah aku, wahai Rasulullah. Aku tidaklah dilepaskan sampai aku mencelamu dan menyanjung-nyanjung sesembahan mereka.”
قَالَ : كَيْفَ تَجِدُ قَلْبَكَ ؟ قَالَ : مُطْمَئِنٌّ بِالإِيْمَانِ قَالَ : إِنْ عَادُوا فَعُدْ
Rasul ﷺ kembali bertanya, “Bagaimana hatimu saat itu?” Dia menjawab, “Hatiku tetap dalam keadaan tenang dengan iman.” Nabi ﷺ kembali mengatakan, “Kalau mereka memaksa (menyeksa) lagi, silakan engkau mengulanginya lagi seperti tadi.”
(Hadith riwayat Al-Hakim dalam Al-Mustadrak, 2: 389; Al-Baihaqi dalam Sunan Al-Kubra, 8: 208. Sanad hadith ini dha’if. Namun ada banyak jalur periwayatan kisah ini. Intinya kisah ini masih memiliki asal. Ibnu Hajar dalam Fath Al-Bari, 12: 312 menyatakan bahawa hadith ini termasuk hadith mursal yang saling menguatkan satu dan lainnya.)

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah رَحِمَهُ اللَّهُ dalam kitabnya Al-Istiqamah (2: 210) berkata,

وَلِهَذَا لَمْ يَكُنْ عِنْدَنَا نِزَاعٌ فِي أَنَّ الأَقْوَالَ لاَ يَثْبُتُ حُكْمُهَا فِي حَقِّ المُكْرَهِ بِغَيْرِ حَقٍّ
“Oleh kerana itu, kami tidak ada silang pendapat mengenai hukum bagi orang yang dipaksa tanpa jalan yang benar bahawa tidak dikenakan hukum padanya.”

Juga diperbolehkan untuk tetap menolak, seperti yang pernah dilakukan oleh sahabat Bilal رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ; beliau menolak keinginan mereka yang memaksanya untuk kafir. Kerana itulah mereka menyeksanya dengan berbagai macam seksaan, sehingga mereka meletakkan batu besar di atas dadanya di hari yang sangat panas. Beliau hampir mati melainkan telah diselamatkan oleh Saidina Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang datang menyelematkannya.

Mereka memerintahkan Bilal رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ untuk musyrik (mempersekutukan Allah ﷻ), tetapi Bilal رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menolak seraya mengucapkan, ” Esa, Esa (Allah Maha Esa).” Bilal رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mengatakan, ” Demi Allah, seandainya aku mengetahui ada kalimat yang lebih membuatkan kalian marah, tentulah aku akan mengatakannya.” Semoga Allah ﷻ melimpahkan redha-Nya kepada Bilal رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan memberinya pahala yang memuaskannya.

Maka ada situasi di sini, sama ada terus kekal teguh tidak menyatakan kekafiran atau menurut kata orang yang menyeksa dan hendak membunuh kita dengan menyatakan kekafiran untuk menjaga nyawa kita. Kalau tetap teguh dan dibunuh, kita akan mendapat pahala syahid. Jikalau menurut kehendak mereka pula (dan tetap tenang hati di atas Islam), ia tidak menjadi dosa dan mereka tidak jatuh murtad.

Maknanya ada dua hukum. Allah ﷻ beri kelonggaran tidaklah memaksa hamba-Nya tetap keras teguh enggan menyatakan kekufuran. Ini adalah kerana tahap iman manusia tidak sama. Apabila dipaksa melakukan sesuatu yang kita tidak rela, ini dinamakan ‘ikrah’. Ia ada dua peringkat:

1. Ikrah ghayr mulji’ اكره غير ملجئ. Iaitu apabila seseorang dipaksa akan tetapi nyawa atau tubuhnya tidak terancam (contohnya diancam potong tangan). Di dalam keadaan begini, menyatakan kufur adalah berdosa. Ini bukanlah terpaksa untuk jaga hati.

2. Ikrah mulji’ اكره ملجئ. Seseorang itu diancam akan dibunuh atau dipotong anggota badannya. Maka jikalau seseorang menyatakan kekufuran di dalam peringkat ini, dia tidak berdosa dan tidak murtad. Malah kalau dia dipaksa melakukan sesuatu perbuatan yang asalnya berdosa (kecuali membunuh) maka dia tidak berdosa.

Akan tetapi ada juga perbincangan tentang hal ini untuk berhati-hati. Kerana kisah ini hanya terjadi di zaman permulaan Islam sahaja, tidak ada lagi kisah seperti ini yang disampaikan kepada kita apabila Islam telah kuat. Lebih banyak kisah yang sampai kepada kita adalah tentang orang-orang yang tetap di atas iman walaupun mereka diseksa dan malah dibunuh.

Ini kerana kata-kata seperti ini adalah bahaya. Maka kena perhatikan apakah kesannya. Kalau kata-kata kita itu menyebabkan ramai orang yang akan meninggalkan agama Islam kerana ikut kita, maka haram bagi kita menyatakan kekufuran itu. Sebagai contohnya kita ustaz dan kita dipaksa untuk mengatakannya. Di dalam masa yang sama, ramai orang yang sedang memerhatikan kita. Ditakuti ada orang yang lemah imannya dan melihat kita pun sudah menyatakan kekufuran, maka ramai pula yang ikut.

 

وَلٰكِن مَّن شَرَحَ بِالكُفرِ صَدرًا فَعَلَيهِم غَضَبٌ مِّنَ اللهِ

akan tetapi orang yang melapangkan dadanya untuk kekafiran, maka kemurkaan Allah menimpanya

Ini adalah tentang sesiapa sahaja yang hatinya senang dengan kufur. Islam adalah agama yang benar dan ia adalah agama fitrah untuk kita sebagai manusia. Namun kenapa ada orang yang rasa senang sahaja dengan agama mereka yang sesat?

Seperti agama Hindu sekarang – kalau kita lihat amalan mereka, kita pun hairan kenapalah mereka percaya agama mereka itu? Mereka buat patung dan kemudian mereka sembah patung itu; mereka sanggup mandi dan minum air sungai yang kotor kerana mereka beranggapan yang air itu ‘berkat’. Malah bermacam-macam lagi fahaman mereka yang kita rasa amat pelik kalau ada manusia yang terima agama itu.

Itu adalah satu persoalan yang sentiasa bermain dalam akal kita dan ayat ini memberitahu kita, memang itu boleh terjadi. Mereka rasa senang dan tetap dalam agama sesat kerana mereka sudah suka dengan agama sesat mereka itu. Mereka rasa tenang sahaja.

Mempunyai perasaan begitu adalah perkara yang paling buruk sekali kerana naluri mereka telah mati. Ini terjadi kerana mereka sudah biasa begitu. Bayangkan seperti kita hidu benda busuk, tetapi kalau lama-lama asyik menghidu benda yang sama sahaja, kita sudah rasa terbiasa. Kalau orang lain hidu, mereka hairan kenapa kita tidak kisah.

Alhamdulillah, ada orang yang tidak tenang dengan agama yang mereka lahir dengannya. Mereka mempersoalkan fahaman agama mereka dan mereka mengkaji agama-agama yang ada di dalam dunia ini kerana mereka hendak mencari kebenaran. Maka selalunya mereka akan berjumpa dengan Islam dan mereka dapat terima yang agama Islam ini adalah agama yang benar.

Maka kerana itu ramai orang yang lahir dalam keluarga bukan Islam tetapi akhirnya mereka masuk Islam. Namun ramai yang buat tidak tahu sahaja, maka mereka terus duduk di dalam kesesatan.

 

وَلَهُم عَذابٌ عَظيمٌ

dan baginya azab yang besar.

Kepada mereka yang tetap senang dengan agama mereka yang sesat, mereka akan mendapat azab yang besar.


 

Nahl Ayat 107: Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang orang yang murtad. Biasanya murtad ini berlaku kerana tukar dunia dengan akhirat. Mereka itu lebih sayang kepada dunia dibandingkan dengan akhirat.

ذٰلِكَ بِأَنَّهُمُ استَحَبُّوا الحَيَوٰةَ الدُّنيا عَلَى الآخِرَةِ وَأَنَّ اللهَ لا يَهدِي القَومَ الكٰفِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is because they preferred the worldly life over the Hereafter and that Allāh does not guide the disbelieving people.

(MELAYU)

Yang demikian itu disebabkan kerana mereka mencintai kehidupan di dunia lebih dari akhirat, dan bahawasanya Allah tiada memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.

 

ذٰلِكَ بِأَنَّهُمُ استَحَبُّوا الحَيَوٰةَ الدُّنيا عَلَى الآخِرَةِ

Yang demikian itu disebabkan kerana mereka mencintai kehidupan di dunia lebih dari akhirat,

Murtad itu terjadi kerana melebihkan kehidupan dunia berbanding akhirat. Mereka tidak sanggup kehilangan dunia kerana berpegang kepada Islam; atau mereka tidak mahu ketinggalan dalam mendapatkan kelebihan keduniaan. Mereka rasa kalau mereka mengamalkan Islam, mereka akan kerugian dalam dunia ini.

Inilah bahayanya kalau sayang sangat kepada dunia. Jikalau umat Islam yang murtad sekarang sekali pun, kerana mereka itu cinta kepada dunia. Ini kerana tarikan dunia ini amat hebat dan kalau iman kurang, memang akan terkesan. Tentang hal ini juga Allah ﷻ telah berfirman di dalam Yunus: 7-8

إِنَّ الَّذينَ لا يَرجونَ لِقاءَنا وَرَضوا بِالحَيَوٰةِ الدُّنيا وَاطمَأَنّوا بِها وَالَّذينَ هُم عَن ءآيٰتِنا غٰفِلونَ
Sesungguhnya orang-orang yang tidak menaruh ingatan akan menemui Kami (pada hari akhirat untuk menerima balasan), dan yang redha (berpuas hati) dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengannya, dan orang-orang yang tidak mengendahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda-tanda kekuasaan) Kami, –

أُولٰئِكَ مَأوىٰهُمُ النّارُ بِما كانوا يَكسِبونَ
Mereka yang demikian keadaannya (di dunia), tempat kediaman mereka (di akhirat) ialah neraka; disebabkan keingkaran dan penderhakaan yang mereka telah lakukan.

 

وَأَنَّ اللهَ لا يَهدِي القَومَ الكٰفِرينَ

dan bahawasanya Allah tiada memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.

Kalau sudah menjadi orang kafir, dan menentang pula Islam, maka Allah ﷻ tidak akan memberi petunjuk lagi kepada mereka. Mereka itu Allah ﷻ telah tetapkan akan menjadi ahli neraka, tunggu mereka mati sahaja.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 2 Februari 2024

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah an-Nahl Ayat 99 – 102 (Siapa yang selamat daripada syaitan?)

Nahl Ayat 99: Selepas menyentuh tentang syaitan, Allah ﷻ terus membicarakan tentangnya. Siapakah yang selamat daripada syaitan?

إِنَّهُ لَيسَ لَهُ سُلطٰنٌ عَلَى الَّذينَ ءآمَنوا وَعَلىٰ رَبِّهِم يَتَوَكَّلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, there is for him no authority over those who have believed and rely upon their Lord.

(MELAYU)

Sesungguhnya syaitan itu tidak ada kekuasaannya atas orang-orang yang beriman dan bertawakal kepada Tuhannya.

 

إِنَّهُ لَيسَ لَهُ سُلطٰنٌ عَلَى الَّذينَ ءآمَنوا

Sesungguhnya syaitan itu tidak ada kekuasaannya atas orang-orang yang beriman

Walaupun syaitan itu boleh membisikkan kepada manusia perkara yang buruk, tetapi syaitan itu tidak ada kuasa atas mereka yang beriman sempurna kepada Allah ﷻ. Dia hanya boleh bisikkan sahaja tetapi syaitan tidak boleh mengawal orang yang beriman. Syaitan tidak dapat menyesatkan orang-orang yang beriman.

Memang iblis telah berniat dan berjanji akan menyesatkan semua anak Adam akan tetapi dia sendiri tahu ada golongan yang dia tidak dapat sesatkan. Ini disebut dalam Hijr: 39-40

قالَ رَبِّ بِما أَغوَيتَني لَأُزَيِّنَنَّ لَهُم فِي الأَرضِ وَلَأُغوِيَنَّهُم أَجمَعينَ
iblis berkata: “Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya,

إِلّا عِبادَكَ مِنهُمُ المُخلَصينَ
kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis di antara mereka”.

 

وَعَلىٰ رَبِّهِم يَتَوَكَّلونَ

dan bertawakal kepada Tuhannya.

Syaitan juga tidak dapat menguasai orang yang bertawakal kepada Allah ﷻ. Oleh itu kita kena tawakal kepada Allah ﷻ dalam setiap perkara, kerana kalau tidak, syaitan akan datang dan timbulkan kekeliruan di dalam hati kita.

Salah satu daripada senjata syaitan adalah: dia akan cuba menyebabkan kita putus asa. Syaitan akan menjadikan kita manusia was-was. Inilah masalah yang banyak dihadapi oleh manusia dari dulu sampai sekarang. Ramai yang asyik risau sahaja tentang hal dunia. Ada sahaja yang tidak kena, ada sahaja yang mereka takut – tentang kerja, tentang anak, tentang masa depan, tentang perasaan orang, tentang apa orang kata dan macam-macam lagi.

Maka Allah ﷻ ajar kita untuk bertawakal kepada Allah ﷻ – serahkan semuanya kepada Allah ﷻ. Walau apa pun yang terjadi, kita yakin dengan keputusan daripada Allah. Itulah ubat penawar untuk hati kita yang keluh kesah. Kalau kurang tawakal kepada Allah ﷻ, maka akan ada masalah dalam hati kita dan boleh sampai jadi depresi.

Itulah sebabnya zaman sekarang, semakin ramai yang ada masalah depresi sampai mereka buat perkara yang membahayakan diri mereka atau merosakkan diri mereka. Ada yang sampai terpaksa makan ubat penenang untuk bergaul dalam masyarakat kerana kalau tidak mereka tidak mampu berjumpa orang sekali pun. Apabila terjadi sebegitu, itu tandanya yang syaitan sudah mengawal mereka.

Satu lagi ubat adalah dengan melazimi membaca Al-Qur’an seperti yang disebut di dalam ayat-ayat sebelum ini. Bayangkan ayat-ayat Al-Qur’an itu sebagai kaunselor yang memberi khidmat nasihat kepada kita. Ada orang yang terpaksa mengeluarkan wang untuk bertemu dengan kaunselor tetapi sekarang kita sudah tahu yang Allah ﷻ sendiri akan memberi nasihat terus kepada kita di dalam ayat-ayat Al-Qur’an itu.

Kita hendaklah berharap kepada Allah ﷻ sahaja. Hendaklah mereka serahkan semua urusan kita kepada Allah ﷻ. Memang inilah sifat tawakal yang semua orang beriman kena ada kerana kita adalah makhluk yang lemah. Formula untuk tawakal telah disebut di dalam Ahzab: 22.

وَلَمّا رَءَا المُؤمِنونَ الأَحزابَ قالوا هٰذا ما وَعَدَنَا اللهُ وَرَسولُهُ وَصَدَقَ اللهُ وَرَسولُهُ ۚ وَما زادَهُم إِلّا إيمٰنًا وَتَسليمًا
Dan tatkala orang-orang mukmin melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata: “Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita”. Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. Dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali iman dan ketundukan.

Kita boleh belajar betapa hebatnya tawakal Rasulullah ﷺ kepada Allah ﷻ seperti disebut di dalam hadith,

أَنَّ جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَخْبَرَ أَنَّهُ غَزَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قِبَلَ نَجْدٍ فَلَمَّا قَفَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَفَلَ مَعَهُ فَأَدْرَكَتْهُمْ الْقَائِلَةُ فِي وَادٍ كَثِيرِ الْعِضَاهِ فَنَزَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتَفَرَّقَ النَّاسُ يَسْتَظِلُّونَ بِالشَّجَرِ فَنَزَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَحْتَ سَمُرَةٍ وَعَلَّقَ بِهَا سَيْفَهُ وَنِمْنَا نَوْمَةً فَإِذَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدْعُونَا وَإِذَا عِنْدَهُ أَعْرَابِيٌّ فَقَالَ إِنَّ هَذَا اخْتَرَطَ عَلَيَّ سَيْفِي وَأَنَا نَائِمٌ فَاسْتَيْقَظْتُ وَهُوَ فِي يَدِهِ صَلْتًا فَقَالَ مَنْ يَمْنَعُكَ مِنِّي فَقُلْتُ اللَّهُ ثَلَاثًا وَلَمْ يُعَاقِبْهُ وَجَلَسَ
Bahawa [Jabir bin ‘Abdullah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] mengabarkan bahawa dia berangkat berperang bersama Rasulullah ﷺ melewati Najd. Ketika Rasulullah ﷺ kembali dan Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا pun ikut kembali, mereka menjumpai sungai di bawah lembah yang banyak pepohonannya. Maka Rasulullah ﷺ turun dan para sahabat pun bertebaran mencari tempat berteduh di bawah pohon. Dan Rasulullah ﷺ singgah berteduh di bawah suatu pohon lalu menggantungkan pedang baginda pada pohon tersebut kemudian baginda tidur sejenak. Ketika Rasulullah ﷺ memanggil kami, di hadapan baginda ada seorang lelaki Badwi. Baginda berkata: “Orang ini telah mengambil pedangku ketika aku tidur lalu aku bangun sedang tangannya sudah memegang pedang yang terhunus lalu dia berkata: “Siapa yang dapat melindungimu daripadaku?” Aku jawab: “Allah” sebanyak tiga kali. Maka orang itu tidak dapat berbuat apa-apa kepada baginda lalu dia terduduk lemah.
(Sahih Bukhari (2694))

Maka kita diajar untuk membiasakan diri ingat kepada tawakal. Maka satu amalan yang boleh mengingatkan kita adalah zikir yang dibaca ketika keluar rumah,

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا خَرَجَ الرَّجُلُ مِنْ بَيْتِهِ فَقَالَ بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ قَالَ يُقَالُ حِينَئِذٍ هُدِيتَ وَكُفِيتَ وَوُقِيتَ فَتَتَنَحَّى لَهُ الشَّيَاطِينُ فَيَقُولُ لَهُ شَيْطَانٌ آخَرُ كَيْفَ لَكَ بِرَجُلٍ قَدْ هُدِيَ وَكُفِيَ وَوُقِيَ
Daripada [Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] bahawa Nabi ﷺ bersabda: “Jika seorang laki-laki keluar dari rumahnya lalu mengucapkan: ‘BISMILLAHI TAWAKKALTU ‘ALAALLAHI LAA HAULA WA LAA QUWWATA ILLA BILLAH (Dengan nama Allah aku bertawakal kepada Allah, tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan izin Allah). ‘ Beliau bersabda: “Maka pada saat itu akan dikatakan kepadanya, ‘Kamu telah mendapat petunjuk, telah diberi kecukupan dan mendapat penjagaan’, hingga syaitan-syaitan menjauh daripadanya. Lalu syaitan yang lainnya berkata, “Bagaimana (engkau akan menggoda) seorang laki-laki yang telah mendapat petunjuk, kecukupan dan penjagaan.”
(Sunan Abi Dawud (4431))
Status: Sahih

Maka amalkan doa ini dan faham maksudnya apabila anda membacanya. Kalau selalu dilakukan, maka anda akan mendapat pertolongan dan perlindungan daripada Allah ﷻ. Ia juga akan mengingatkan anda kepada tawakal kerana setiap kali hendak keluar, anda akan menyebutnya.

Bertawakallah sepertimana tawakalnya Hajar apabila ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di tanah tandus Mekah,

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ لَمَّا كَانَ بَيْنَ إِبْرَاهِيمَ وَبَيْنَ أَهْلِهِ مَا كَانَ خَرَجَ بِإِسْمَاعِيلَ وَأُمِّ إِسْمَاعِيلَ وَمَعَهُمْ شَنَّةٌ فِيهَا مَاءٌ فَجَعَلَتْ أُمُّ إِسْمَاعِيلَ تَشْرَبُ مِنْ الشَّنَّةِ فَيَدِرُّ لَبَنُهَا عَلَى صَبِيِّهَا حَتَّى قَدِمَ مَكَّةَ فَوَضَعَهَا تَحْتَ دَوْحَةٍ ثُمَّ رَجَعَ إِبْرَاهِيمُ إِلَى أَهْلِهِ فَاتَّبَعَتْهُ أُمُّ إِسْمَاعِيلَ حَتَّى لَمَّا بَلَغُوا كَدَاءً نَادَتْهُ مِنْ وَرَائِهِ يَا إِبْرَاهِيمُ إِلَى مَنْ تَتْرُكُنَا قَالَ إِلَى اللَّهِ قَالَتْ رَضِيتُ بِاللَّهِ قَالَ فَرَجَعَتْ فَجَعَلَتْ تَشْرَبُ مِنْ الشَّنَّةِ وَيَدِرُّ لَبَنُهَا عَلَى صَبِيِّهَا حَتَّى لَمَّا فَنِيَ الْمَاءُ قَالَتْ لَوْ ذَهَبْتُ فَنَظَرْتُ لَعَلِّي أُحِسُّ أَحَدًا قَالَ فَذَهَبَتْ فَصَعِدَتْ الصَّفَا فَنَظَرَتْ وَنَظَرَتْ هَلْ تُحِسُّ أَحَدًا فَلَمْ تُحِسَّ أَحَدًا فَلَمَّا بَلَغَتْ الْوَادِيَ سَعَتْ وَأَتَتْ الْمَرْوَةَ فَفَعَلَتْ ذَلِكَ أَشْوَاطًا ثُمَّ قَالَتْ لَوْ ذَهَبْتُ فَنَظَرْتُ مَا فَعَلَ تَعْنِي الصَّبِيَّ فَذَهَبَتْ فَنَظَرَتْ فَإِذَا هُوَ عَلَى حَالِهِ كَأَنَّهُ يَنْشَغُ لِلْمَوْتِ فَلَمْ تُقِرَّهَا نَفْسُهَا فَقَالَتْ لَوْ ذَهَبْتُ فَنَظَرْتُ لَعَلِّي أُحِسُّ أَحَدًا فَذَهَبَتْ فَصَعِدَتْ الصَّفَا فَنَظَرَتْ وَنَظَرَتْ فَلَمْ تُحِسَّ أَحَدًا حَتَّى أَتَمَّتْ سَبْعًا ثُمَّ قَالَتْ لَوْ ذَهَبْتُ فَنَظَرْتُ مَا فَعَلَ فَإِذَا هِيَ بِصَوْتٍ فَقَالَتْ أَغِثْ إِنْ كَانَ عِنْدَكَ خَيْرٌ فَإِذَا جِبْرِيلُ قَالَ فَقَالَ بِعَقِبِهِ هَكَذَا وَغَمَزَ عَقِبَهُ عَلَى الْأَرْضِ قَالَ فَانْبَثَقَ الْمَاءُ فَدَهَشَتْ أُمُّ إِسْمَاعِيلَ فَجَعَلَتْ تَحْفِزُ قَالَ فَقَالَ أَبُو الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ تَرَكَتْهُ كَانَ الْمَاءُ ظَاهِرًا قَالَ فَجَعَلَتْ تَشْرَبُ مِنْ الْمَاءِ وَيَدِرُّ لَبَنُهَا عَلَى صَبِيِّهَا قَالَ فَمَرَّ نَاسٌ مِنْ جُرْهُمَ بِبَطْنِ الْوَادِي فَإِذَا هُمْ بِطَيْرٍ كَأَنَّهُمْ أَنْكَرُوا ذَاكَ وَقَالُوا مَا يَكُونُ الطَّيْرُ إِلَّا عَلَى مَاءٍ فَبَعَثُوا رَسُولَهُمْ فَنَظَرَ فَإِذَا هُمْ بِالْمَاءِ فَأَتَاهُمْ فَأَخْبَرَهُمْ فَأَتَوْا إِلَيْهَا فَقَالُوا يَا أُمَّ إِسْمَاعِيلَ أَتَأْذَنِينَ لَنَا أَنْ نَكُونَ مَعَكِ أَوْ نَسْكُنَ مَعَكِ فَبَلَغَ ابْنُهَا فَنَكَحَ فِيهِمْ امْرَأَةً
Daripada [Ibnu ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] berkata; “Ketika Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ keluar berkelana bersama Isma’il dan ibu Isma’il, mereka membawa geriba (kantung empat air) yang berisi air, ibu Isma’il minum daripada persediaan air dalam geriba tersebut sehingga dia dapat menyusui bayinya. Ketika tiba di Makkah, Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menempatkan keduanya di bawah sebuah pondok. Tatkala Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hendak kembali kepada keluarganya, ibu Isma’il mengikutinya di belakang hingga ketika sampai di dataran yang agak tinggi, ibu Isma’il memanggilnya dari belakang; “Wahai Ibrahim, kepada siapa engkau meninggalkan kami?” Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjawab; “Kepada Allah”. Hajar berkata; “Kalau begitu, Aku telah redha kepada Allah”. Perawi berkata; “Lalu Hajar kembali (ke tempatnya semula dan minum geriba kunonya dan menyusui bayinya hingga ketika air persediaan habis dia berkata; “Sebaiknya aku pergi dan melihat-lihat barangkali ada orang”. Perawi berkata; “Maka dia pergi dan naik ke atas bukit Safaa lalu melihat-lihat adakah ada orang namun dia tidak merasakan ada seorang pun. Ketika sampai di lembah dia berlari-lari kecil dan mendatangi Marwa, dia melakukan yang demikian berkali-kali. Kemudian dia berkata; “Sebaiknya aku pergi dan melihatnya, yang dimaksudnya adalah bayinya. Maka dia pergi mendatangi bayinya yang ternyata keadaannya seperti ketika ditinggalkan seolah-olah menghisap nafas-nafas kematian sehingga hati Hajar tidak tenang. Dia berkata; “Sebaiknya aku pergi dan melihat-lihat barangkali ada orang”. Maka dia pergi untuk mendaki bukit Safaa lalu melihat-lihat namun tidak ada seorang pun yang ditemuinya hingga ketika dia telah melakukan upaya itu sebanyak tujuh kali (antara bukit Safaa dan Marwah) dia berkata; “Sebaiknya aku pergi dan melihat apa yang terjadi dengan bayiku”, ternyata dia mendengar suara, maka dia berkata; “Tolonglah (aku) jika memang kamu baik”. Ternyata (suara itu) adalah malaikat Jibril ‘عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Perawi berkata; Lalu Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berbuat dengan tumitnya begini. Dia mengais-ngais tanah dengan tumitnya”. Perawi berkata; “Maka memancarlah air dan ibu Ism’ail terperanjat dan segera menampungnya”. Perawi berkata; Berkata Abu Al Qasim ﷺ: “Seandainya Hajar membiarkannya pasti air akan mengalir”. Perawi berkata; “Maka Hajar minum air (zamzam) itu sehingga dapat menyusui bayinya”. Kemudian serombongan orang daripada suku Jurhum melewati di dasar lembah dan mereka melihat ada seekor burung, seakan mereka tidak percaya, Mereka berkata: “Tidak akan ada burung melainkan pasti kerana ada air”. Akhirnya mereka mengutus seorang utusan mereka untuk melihatnya yang ternyata mereka memang berada di kawasan yang ada air. Utusan itu kemudian kembali kepada mereka dan mengabarkan (apa yang dilihatnya). Kemudian mereka menemui Hajar dan berkata; “Wahai Ibu Isma’il, apakah kamu mengizinkan kami untuk tinggal bersama kamu atau kami hidup bertetangga bersama kamu?”. Kemudian anaknya (Isma’il) membesar menjadi seorang pemuda lalu menikah dengan seorang wanita”.
(Sahih Bukhari (3114))

Ya, kita harus bertawakal dalam apa jua keadaan sekalipun, namun apakah maksud tawakal yang sebenar-benarnya? Kena faham apa maksud tawakal. Bukan setakat serah sahaja urusan kita kepada Allah ﷻ. Namun kena ada usaha, kemudian serah kepada Allah ﷻ, dan selepas itu apa-apa sahaja keputusan Allah ﷻ berikan kepada kita, kita kena redha. Janganlah pula kata tawakal, tetapi apabila Allah ﷻ buat keputusan yang kita tidak suka, kita marah pula.

Maknanya kita buat yang terbaik dan kemudian kita serah keputusan akhirnya kepada Allah ﷻ kerana kita hanya boleh berusaha sahaja dan hasilnya nanti terpulang kepada Allah ﷻ. Namun kena pastikan ada usaha, bukannya serah kosong sahaja. Ini disebut di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi ﷺ bersabda:

لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصاً وَتَرُوحُ بِطَاناً
“Seandainya kamu semua benar-benar bertawakal pada Allah, sungguh Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.”
(Riwayat Ahmad (1/30), al-Tirmizi (2344), Ibn Majah (4164), Ibn Hibban (730) dan al-Hakim (7894))

Makna daripada hadith ini, kena keluar dan berusaha, bukannya tunggu rezeki di rumah sahaja. Oleh itu umat Islam kena jalankan usaha dengan cara terbaik yang kita boleh lakukan, gunakan segala strategi yang kita ada, segala taktik dan teknik yang ada, kemudian setelah kita lakukan, kita serah kepada Allah ﷻ. Melalui sirah pun kita tahu bagaimana berbagai usaha dan strategi yang digunakan oleh Rasulullah ﷺ sebelum berperang dan semasa berperang. Rasulullah ﷺ juga pernah berkata kepada seorang lelaki pemilik unta:

اَعقِلْهَا وَتَوَكَّلْ
Ikatlah (untamu), baru kamu bertawakal.
(Riwayat al-Tirmizi (2157) dan Ibn Hibban (708))

 

Maka daripada hadith ini kita tahu yang kita bukannya bergantung kosong sahaja tetapi hendaklah kita mengambil langkah-langkah untuk memastikan apa yang kita hendak itu boleh tercapai. Cuma kita tahu yang apa-apa sahaja usaha kita itu tidak akan berjaya jikalau Allah ﷻ tidak izinkan dan kerana itu kita serah kepada Allah ﷻ.

Oleh itu kita kena ingat bahawa ada syarat-syarat tawakal sebenarnya:

1. Tinggalkan dosa dan bertaubat kepada Allah ﷻ.

2. Sentiasa mentaati perintah Allah ﷻ.

3. Yakin apa yang Allah ﷻ telah catit di Lauh Mahfuz pasti akan berlaku sama ada baik atau buruk. Yakin bahawa apa yang Allah ﷻ taqdirkan adalah terbaik walaupun bukan seperti yang kita rancang dan kehendaki. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Tawbah: 51

قُل لَّن يُصيبَنا إِلّا ما كَتَبَ اللَّهُ لَنا هُوَ مَولىٰنا ۚ وَعَلَى اللَّهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ
Katakanlah: “Sekali-kali tidak akan menimpa kita melainkan apa yang telah ditetapkan Allah untuk kita. Dialah Pelindung kita, dan hanya kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakal”.

4. Mesti berusaha tidak kira sekecil manapun. Bukannya menunggu sahaja. Lihatlah bagaimana Allah ﷻ perintahkan Maryam menggoncang pokok kurma untuk menjatuhkan kurma seperti disebut dalam Maryam: 25. Kalau difikirkan dengan akal logik, apalah sangat goncangan seorang wanita yang baru sahaja melahirkan anak dapat lakukan terhadap pokok kurma yang teguh keras itu? Memang tidak ada apa-apa pun, tetapi Allah ﷻ hendak kita ada usaha.

وَهُزّي إِلَيكِ بِجِذعِ النَّخلَةِ تُسٰقِط عَلَيكِ رُطَبًا جَنِيًّا
Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.

5. Hendaklah yakin bahawa dengan tawakal kepada Allah ﷻ itu dia akan mendapat ganjaran yang paling besar iaitu redha dan cinta Allah ﷻ. Dalilnya Allah ﷻ berfirman dalam Ali Imran: 159

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ المُتَوَكِّلينَ
sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.

6. Mesti merasakan diri sebagai makhluk yang lemah dan sangat berhajat kepada Allah ﷻ yang Maha Hebat.


 

Nahl Ayat 100: Kalau syaitan tidak ada kuasa ke atas mereka yang beriman dan bertaqwa, siapakah yang di bawah takluk syaitan?

إِنَّما سُلطٰنُهُ عَلَى الَّذينَ يَتَوَلَّونَهُ وَالَّذينَ هُم بِهِ مُشرِكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

His authority is only over those who take him as an ally and those who through him associate others with Allāh.

(MELAYU)

Sesungguhnya kekuasaannya (syaitan) hanyalah atas orang-orang yang mengambilnya jadi pemimpin dan atas orang-orang yang mempersekutukannya dengan Allah.

 

إِنَّما سُلطٰنُهُ عَلَى الَّذينَ يَتَوَلَّونَهُ

Sesungguhnya kekuasaannya (syaitan) hanyalah atas orang-orang yang mengambilnya jadi pemimpin

Syaitan hanya ada kuasa atas mereka yang berkawan dengannya, menjadikan syaitan sebagai teman rapat dan pemimpin mereka. Apabila syaitan suruh, mereka ikut tanpa soal lagi. Ini adalah kerana mereka telah membiarkan syaitan menguasai mereka.

Mereka benarkan syaitan mendekati dan berbaik dengan mereka. Mulanya syaitan bagi bisikan dan ajakan sahaja. Namun apabila manusia terus ikut bisikan syaitan itu, ia akan sampai ke satu tahap di mana manusia itu akan terus ikut sahaja. Apabila itu terjadi, maka syaitan sudah kawal mereka. Ini amat malang sekali kerana Allah ﷻ banyak kali memberitahu kepada kita bahawa syaitan itu adalah musuh kita yang nyata. Sepatutnya kita kenalah jadikan syaitan sebagai musuh seperti disebut dalam Fatir: 6. Allah ﷻ suruh kita jadikan syaitan sebagai musuh kerana ramai yang tidak melakukannya, malah ikut pula bisikan syaitan.

إِنَّ الشَّيطٰنَ لَكُم عَدُوٌّ فَاتَّخِذوهُ عَدُوًّا ۚ إِنَّما يَدعو حِزبَهُ لِيَكونوا مِن أَصحٰبِ السَّعيرِ
Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh(mu), kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala

Mujahid mengatakan, makna yatawallaunahu ialah orang-orang yang taat kepada syaitan. Sedangkan yang lainnya mengatakan bahawa orang-orang yang menjadikan syaitan sebagai penolongnya, bukan Allah ﷻ. Begitulah Allah ﷻ telah berfirman di dalam Hijr: 42 tentang mereka ini,

إِنَّ عِبادي لَيسَ لَكَ عَلَيهِم سُلطٰنٌ إِلّا مَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الغاوينَ
Sesungguhnya hamba-hamba-Ku, tidak ada kekuasaan bagimu terhadap mereka, kecuali orang-orang yang mengikut kamu, iaitu orang-orang yang sesat.

Kalau kita perhatikan, kebanyakan manusia memang ikut bisikan dan arahan syaitan. Kerana itulah kita lihat banyak terjadi permusuhan di dunia ini. Kerana itulah umat Islam sekali pun lalai leka dari ingat kepada Allah ﷻ dan taat di dalam mengerjakan ibadah solat. Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam Maidah: 91

إِنَّما يُريدُ الشَّيطٰنُ أَن يوقِعَ بَينَكُمُ العَدٰوَةَ وَالبَغضاءَ فِي الخَمرِ وَالمَيسِرِ وَيَصُدَّكُم عَن ذِكرِ اللهِ وَعَنِ الصَّلوةِ ۖ فَهَل أَنتُم مُنتَهونَ
Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu daripada mengingat Allah dan sembahyang; maka adakah kamu hendak berhenti?

 

وَالَّذينَ هُم بِهِ مُشرِكونَ

dan atas orang-orang yang mempersekutukannya dengan Allah.

Manusia yang dikuasai oleh syaitan adalah mereka yang buat syirik. Iaitu mereka buat syirik dengan syaitan. Mereka menjadikan syaitan sebagai ilah mereka. Mereka minta kepada syaitan dalam doa mereka.

Namun tidaklah mereka minta: “wahai syaitan, tolong aku…”. Tidaklah begitu. Yang terjadi adalah mereka minta kepada selain Allah ﷻ. Mereka menggunakan tawasul dalam doa mereka. Iaitu mereka minta kepada Nabi, wali dan malaikat untuk menyampaikan doa mereka kepada Allah.

Mereka sangka mereka minta kepada para Nabi, wali dan malaikat, tetapi sebenarnya mereka minta kepada syaitan. Para Nabi dan wali sudah lama mati, maka mereka tidak dengar permintaan manusia; dan malaikat pula bukan kerja mereka mendengar doa manusia dan tunaikan.

Sekian Ruku’ 13 daripada 16 ruku’ surah ini.


 

Nahl Ayat 101: Syikayah yang berkaitan dengan Dalil Wahyi.

Latar belakang ayat ini tentang Musyrikin yang soal: kenapa bertukar hukum? Mereka kata pelik agama ini: Sekejap haram kemudian jadi harus pula. Sebagai contoh, mulanya ada larangan ziarah kubur pada awal Islam. Namun apabila golongan Muslim sudah mengenal tauhid, mereka dibenarkan untuk menziarahi kubur. Sebelum ini disebut tentang syaitan. Sekarang diajar kepada kita bahawa antara salah satu cara syaitan menyesatkan umat Islam adalah dengan mempersoalkan hukum agama.

Allah ﷻ hendak memberitahu yang ini adalah perkara biasa sahaja. Masalahnya, mereka kata Nabi Muhammad ﷺ yang reka sendiri syariat itu. Mereka gagal memahami perubahan dalam hukum adalah untuk maslahat manusia dan berdasarkan hikmah Allah ﷻ.

وَإِذا بَدَّلنا ءآيَةً مَّكانَ ءآيَةٍ ۙ وَاللهُ أَعلَمُ بِما يُنَزِّلُ قالوا إِنَّما أَنتَ مُفتَرٍ ۚ بَل أَكثَرُهُم لا يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when We substitute a verse in place of a verse – and Allāh is most knowing of what He sends down – they say, “You, [O Muḥammad], are but an inventor [of lies].” But most of them do not know.

(MELAYU)

Dan apabila Kami letakkan suatu ayat di tempat ayat yang lain sebagai penggantinya padahal Allah lebih mengetahui apa yang diturunkan-Nya, mereka berkata: “Sesungguhnya kamu adalah orang yang mengada-adakan saja”. Bahkan kebanyakan mereka tiada mengetahui.

 

وَإِذا بَدَّلنا ءآيَةً مَّكانَ ءآيَةٍ

Dan apabila Kami letakkan suatu ayat di tempat ayat yang lain sebagai penggantinya

Penukaran syariat adalah perkara yang biasa dalam agama. Ia boleh terjadi apabila Allah ﷻ tukar kitab (Taurat, Injil kemudian Al-Qur’an) – ini dipanggil nasikh mansukh. Oleh itu, ada masa Allah ﷻ tukar kitab dengan kitab yang lain; atau ada ayat Al-Qur’an yang dimansuhkan.

Ayat ini sama ertinya dengan firman Allah ﷻ. dalam ayat yang lain, iaitu Baqarah: 106:

ما نَنسَخ مِن ءَايَةٍ أَو نُنسِها نَأتِ بِخَيرٍ مِّنها أَو مِثلِها
Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang sebanding dengannya.

Begitu juga, hukum yang berasaskan hadith pun ada yang bertukar mengikut masa. Sebagai contoh, pada awal masa di Madinah, Rasulullah ﷺ suruh bunuh anjing, kemudian anjing hitam sahaja dan akhirnya mereka dibiarkan sahaja di Madinah; awal Islam boleh bercakap dalam solat, tetapi kemudian ditukar; awal Islam kalau makan makanan yang dimasak, batal wudhu’ tetapi kemudian tidak lagi; banyak lagi contoh perubahan hukum dalam sejarah Islam. Ini adalah perkara biasa.

Ini adalah perkara yang baik bagi umat Islam sebenarnya kerana Allah ﷻ tahu tentang kelemahan manusia. Maka Allah ﷻ beri keringanan kepada umat. Sebagai contoh pada awal Islam, hukum solat malam adalah wajib. Namun Allah ﷻ tahu yang manusia tidak mampu, maka ia telah ditukar kepada sunat sahaja.

 

وَاللهُ أَعلَمُ بِما يُنَزِّلُ

padahal Allah lebih mengetahui apa yang diturunkan-Nya,

Janganlah dipersoalkan apa yang Allah ﷻ turunkan dan kenapa Allah ﷻ tukar syariat dari masa ke semasa. Allah ﷻ lebih tahu apa yang Dia turunkan. Allah ﷻ akan turunkan yang bersesuaian ikut keadaan dan masa.

Janganlah kata: “Tidak akan Allah tidak tahu akan jadi begini dan begitu?” Sudah pasti Allah ﷻ tahu apa yang akan terjadi di masa hadapan. Namun ada hikmah dalam perubahan hukum. Lihatlah bagaimana Allah ﷻ haramkan arak – Allah ﷻ tidak terus haramkan pada awal Islam kerana keadaan belum sesuai. Kalau Allah ﷻ haramkan terus, tentu ramai yang tidak dapat menerimanya.

Maka Allah ﷻ haramkan arak dalam berperingkat. Sampaikan, apabila turun ayat mengharamkan terus arak, semua umat Islam membuang arak-arak mereka ke tanah, tanpa protes. Ini adalah kerana masa sudah sesuai untuk arahan mengharamkan arak diberikan kepada manusia.

 

قالوا إِنَّما أَنتَ مُفتَرٍ

mereka berkata: “Sesungguhnya kamu adalah orang yang mengada-adakan saja”.

Ini adalah tuduhan Musyrikin kepada Nabi Muhammad ﷺ: mereka berkata Nabi Muhammad ﷺ reka sahaja hukum syariat itu – sekejap kata begini dan sekejap kata begitu. Kalimah مُفتَرٍ dari katadasar ف ر ي yang bermaksud memotong; berpecah; belah; fitnah; mengada-adakan (bohong); terperanjat; kagum; menyalahkan; pembaikan; baru; pelik; luar biasa; tidak pernah didengari; belum pernah berlaku sebelum ini.

Oleh kerana ada pertukaran di dalam hukum dan juga ayat Al-Qur’an, maka orang kafir menuduh Nabi Muhammad ﷺ menipu. Sebaliknya, dengan penukaran itulah yang menjadi hujah bahawa Nabi Muhammad ﷺ tidak menipu. Kalaulah Nabi Muhammad ﷺ yang reka hukum dan ayat Al-Qur’an, tentulah baginda tidak akan ubah, bukan? Kerana ia membuka peluang kepada manusia untuk menuduh baginda mengubah-ngubah hukum. Akan tetapi apabila baginda menyampaikan hukum atau ayat yang telah diubah, ia menjadi bukti bahawa Nabi Muhammad ﷺ hanya menyampaikan hukum daripada Allah ﷻ sahaja.

 

بَل أَكثَرُهُم لا يَعلَمونَ

Bahkan kebanyakan mereka tiada mengetahui.

Allah ﷻ mahu beritahu yang baginda tidak reka syariat. Kamu sahaja yang tidak tahu bahawa ini adalah dalil daripada Allah ﷻ. Memang ramai manusia yang tidak tahu perkara sebenar kerana itu mereka bercakap tanpa berfikir. Mereka tidak nampak hikmah kenapa hukum boleh bertukar setelah sekian lama. Antaranya kerana:

1. Kerana meraikan kelemahan manusia.

2. Sebagai ujian kepada manusia untuk melihat siapa yang taat dan siapa yang tidak

3. Kerana menekankan kekuasaan Allah ﷻ yang boleh sahaja beri apa-apa hukum kepada manusia dan manusia kena taat.


 

Nahl Ayat 102: Jawapan syubhah kepada syikayah di atas.

قُل نَزَّلَهُ روحُ القُدُسِ مِن رَّبِّكَ بِالحَقِّ لِيُثَبِّتَ الَّذينَ ءآمَنوا وَهُدًى وَبُشرىٰ لِلمُسلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, [O Muḥammad], “The Pure Spirit [i.e., Gabriel] has brought it down from your Lord in truth to make firm those who believe and as guidance and good tidings to the Muslims.”

(MELAYU)

Katakanlah: “Ruhul Qudus (Jibril) menurunkan Al Qur’an itu dari Tuhanmu dengan benar, untuk meneguhkan (hati) orang-orang yang telah beriman, dan menjadi petunjuk serta khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)”.

 

قُل نَزَّلَهُ روحُ القُدُسِ مِن رَّبِّكَ بِالحَقِّ

Katakanlah: “Ruhul Qudus (Jibril) menurunkan Al Quran itu dari Tuhanmu dengan benar, 

Ulama’ sepakat yang kalimah روحُ القُدُسِ adalah Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kenapa beliau digelar begitu? Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ digelar roh kerana beliau menurunkan Al-Qur’an yang menghidupkan. Ini adalah kerana Al-Qur’an juga ada digelar sebagai roh di dalam ayat yang lain. Sepertimana roh kita ini kalau pada sudah diangkat, maka jasad kita pun mati, maka Al-Qur’an adalah roh yang menghidupkan hati yang mati. Tanpa roh Al-Qur’an di dalam dada kita, maka matilah hati kita. Maka oleh kerana Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menurunkan Al-Qur’an maka diberi gelaran kepada ‘roh’.

Apakah pula maksud القُدُسِ (suci)? Menurut Hamka dalam buku Tafsir al-Azhar Ruhul Qudus ertinya roh yang suci. Nama tersebut disematkan kepada Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana ia suci daripada sifat-sifat buruk. Sementara menurut Syaikh Muhammad Al-Utsaimin dalam buku Syarah Aqidah Wasithiyah, nama lain Malaikat Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini disematkan kerana kesuciannya daripada sifat khianat. Juga kerana beliau membawa apa yang suci iaitu Al-Qur’an.

Nabi Muhammad ﷺ disuruh untuk beritahu kepada umat baginda bahawa Al-Qur’an itu bukanlah rekaan baginda, tetapi Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menurunkan wahyu Al-Qur’an itu daripada Allah ﷻ. Maka ia adalah benar daripada Allah ﷻ, bukan daripada diri Nabi Muhammad ﷺ sendiri. Juga bukanlah wahyu itu daripada Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi daripada Allah ﷻ. Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hanya sampaikan sahaja.

Bukan saja-saja Allah ﷻ turunkan wahyu itu tetapi dengan sebab yang penting. Ada perkara penting yang Allah ﷻ hendak sampaikan dalam Al-Qur’an ini kepada manusia. Iaitu Allah ﷻ hendak memberitahu al-Haq iaitu kebenaran dalam agama. Apa yang di dalam Al-Qur’an itu adalah benar belaka. Wahyu itu tidak dirosakkan dengan kebathilan.

 

لِيُثَبِّتَ الَّذينَ ءآمَنوا

untuk meneguhkan (hati) orang-orang yang telah beriman, 

Tujuan Al-Qur’an itu diturunkan adalah untuk menguatkan hati mereka yang beriman. Orang yang beriman itu akan bertambah kukuh iman mereka selepas mereka membaca ayat-ayat Allah ﷻ. Mereka mulanya sudah beriman dan kemudian apabila ayat-ayat Al-Qur’an disampaikan kepada mereka (dan mereka faham), maka iman mereka bertambah.

Hati mereka menjadi kukuh dalam iman. Mungkin pada asalnya mereka ada juga ragu-ragu. Ini perkara biasa sahaja. Ramai dari kalangan orang yang menerima Sunnah ini asalnya bukan kenal Sunnah pun. Mereka pun terkejut apabila disampaikan dengan ajaran wahyu kerana mereka juga telah sekian lama hidup di dalam masyarakat Muslim yang tidak kenal Sunnah. Namun mereka cari maklumat, mereka kaji dan cari benarkah apa yang disampaikan itu? Maka kerana mereka cari, maka mereka jadi percaya.

Apabila kepercayaan itu berasaskan kepada kajian yang tentunya daripada dalil Al-Qur’an dan hadith (yang sahih tentunya), maka kepercayaan itu menjadi kukuh. Ia tidak mudah digoyang lagi. Kalau ada yang mempersoalkan fahaman Sunnah mereka, mereka tidak tergugat kerana mereka tahu bahawa apa yang mereka pegang itu benar.

Kita pun dengar kisah para Sahabat seperti Bilal رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang tetap teguh imannya walaupun diseksa untuk meninggalkan agama Islam. Ini kerana beliau dididik dengan Al-Qur’an dan kerana itu pemahaman beliau mantap dan tidak dapat digugat imannya.

 

وَهُدًى وَبُشرىٰ لِلمُسلِمينَ

dan menjadi sumber petunjuk serta khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri 

Al-Qur’an itu menjadi panduan hidup kepada mereka yang Muslim (menyerahkan diri). Di sini Allah ﷻ gunakan kalimah Muslim (bukan Mukmin) kerana hendak menekankan sifat menyerahkan diri kepada Allah ﷻ. Mereka menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai panduan menjalani kehidupan ini. Mereka hidup berpandukan Al-Qur’an. Kalau ada perselisihan dalam hal agama, maka akan digunakan Al-Qur’an untuk menentukan mana yang benar. Jangan kembali kepada kata orang itu dan ini. Mereka serahkan keputusan di dalam membuat pilihan kepada Allah ﷻ belaka.

Malangnya, ramai dalam kalangan masyarakat kita yang rajin membaca Al-Qur’an tetapi tidak memahami apa yang mereka baca, maka tidaklah mereka dapat menjadikan Al-Qur’an itu sebagai panduan hidup. Kerana kalau tidak faham, bagaimana mahu ambil pengajaran? Maka kenalah belajar tafsir Al-Qur’an supaya kita dapat faham dan dapat amalkan ajaran Al-Qur’an ini.

Dalam Al-Qur’an itu terdapat berita baik kepada Muslim. Muslim adalah mereka yang menyerahkan sepenuh diri mereka kepada Allah ﷻ. Mereka taat dengan segala arahan Allah ﷻ yang mereka jumpa dalam Al-Qur’an dan juga dalam hadith. Mereka itu akan mendapat berita baik tentang kehidupan yang baik di dunia dan juga di akhirat (terutama di akhirat). Mereka diberitahu yang mereka akan dimasukkan ke dalam syurga.

Bukan sahaja Al-Qur’an itu menjadi pedoman dan berita gembira untuk diri kita sahaja, tetapi hendaklah disampaikan kepada orang lain juga. Mesti gunakan Al-Qur’an sebagai bahan dakwah. Allah ﷻ berfirman di dalam Furqan: 1

تَبارَكَ الَّذي نَزَّلَ الفُرقانَ عَلىٰ عَبدِهِ لِيَكونَ لِلعٰلَمينَ نَذيرًا
Maha berkat Allah yang telah menurunkan Al Furqaan (Al Qur’an) kepada hamba-Nya, agar ia menjadi pemberi peringatan kepada seluruh alam,

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 31 Januari 2024

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solahudin

Ustaz Muien Ghulam Dakwah