Tafsir Surah Kahfi Ayat 57 – 61 (Nabi Musa mencari Khidr)

Ayat 57: Zajrun.

وَمَن أَظلَمُ مِمَّن ذُكِّرَ بِئآيٰتِ رَبِّهِ فَأَعرَضَ عَنها وَنَسِيَ ما قَدَّمَت يَداهُ ۚ إِنّا جَعَلنا عَلىٰ قُلوبِهِم أَكِنَّةً أَن يَفقَهوهُ وَفي ءآذانِهِم وَقرًا ۖ وَإِن تَدعُهُم إِلَى الهُدىٰ فَلَن يَهتَدوا إِذًا أَبَدًا

 Sahih International

And who is more unjust than one who is reminded of the verses of his Lord but turns away from them and forgets what his hands have put forth? Indeed, We have placed over their hearts coverings, lest they understand it, and in their ears deafness. And if you invite them to guidance – they will never be guided, then – ever.

Malay

Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu dia berpaling daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya; sesungguhnya (disebabkan bawaan mereka yang buruk itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya, dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak). Dan jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka dengan keadaan yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah petunjuk selama-lamanya.

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ ذُكِّرَ بِئآيٰتِ رَبِّهِ

Dan siapakah yang lebih zalim lebih dari seorang yang telah diberi peringatan ayat-ayat Tuhannya

Bila Allah sebut: ‘siapa yang lebih zalim?’, maksudnya tidak ada lagi yang lebih zalim dari orang itu. Macam kita tanya orang: “siapa lagi kuat?” itu bermaksud dia nak beritahu yang dia yang paling kuat dan tidak ada yang lebih kuat dari dia.

Peringatan yang dimaksudkan itu adalah ayat-ayat Qur’an. Tentu ada pendakwah yang telah menyampaikan ayat-ayat Qur’an kepada manusia dan mengajar mereka pemahaman kepada ayat-ayat Qur’an itu. Orang yang telah belajar wahyu selalunya tidak akan duduk diam kerana dia akan sampaikan kepada orang lain.

Ini mengingatkan kita yang dakwah kenalah dijalankan menggunakan Qur’an. Kena sampaikan Qur’an dulu kepada manusia. Kalau perkara lain itu datang kemudian. Yang penting kena mulakan dengan sampaikan Qur’an kerana Qur’an lah yang menjadi kayu pengukur kepada perkara-perkara yang lain. Kalau hadis pun kena dibaca dengan pemahaman Qur’an. Kerana hadis pun tidak boleh bercanggah dengan Qur’an.

فَأَعْرَضَ عَنْهَا

lalu dia berpaling darinya 

Orang yang paling zalim itu tidak mendengar pun ayat-ayat Qur’an yang disampaikan kepadanya. Dia berpaling dari pengajaran dari Qur’an itu. Begitulah yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah dan manusia zaman berzaman.

Ayat ini merujuk kepada orang kafir. Tapi kalau kita pun diberi peringatan ayat-ayat Qur’an dan kita tidak mengambil pengajaran darinya, kita pun macam orang kafir juga. Kerana kafir itu bermaksud ‘engkar’ dan tidak semestinya orang bukan Islam sahaja yang engkar. Ada juga orang yang nama sahaja Muslim tapi engkar dengan wahyu.

Sepatutnya apabila ayat Qur’an dibacakan, seorang yang mengaku sebagai Muslim kena dengar dan tengok pengajaran dari ayat-ayat itu.

وَنَسِيَ مَا قَدَّمَتْ يَدَاهُ

dan dia lupa apa yang telah dikerjakan oleh tangannya;

Dia lupa sebab banyak sangat dosa yang dia telah lakukan sepanjang hidup dia. Sebab sudah selalu sangat dia melakukan dosa yang sama. Begitulah kalau kita tanya orang berjudi berapa kali dia berjudi, dia tidak akan ingat berapa kali. Kalau kita tanya kepada orang yang minum arak itu, berapa kali dia minum arak, dia pun tidak akan ingat. Sebab sudah banyak kali sangat buat.

Tapi ada malaikat yang tetap menulis berapa kali dia berjudi dan berapa kali dia minum arak. Dan Allah sendiri tahu apa yang kita lakukan, tidak perlu malaikat untuk tuliskan. Mereka mungkin lupa, tapi Allah tidak lupa. Dan Allah akan balas segala perbuatan dosa mereka itu.

إِنَّا جَعَلْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ أَكِنَّةً أَنْ يَفْقَهُوهُ

Sesungguhnya Kami jadikan ke atas hati-hati mereka itu satu tutupan yang menghalang mereka dari memahami kebenaran;

Tutupan yang dimaksudkan adalah tutupan dalam bentuk rohani (tutupan maknawi). Sebab kita tak nampak tutupan itu, tapi ianya ada. Maksudnya hati mereka ditutup dari faham isi kandung Qur’an. Apabila kita sampaikan kepada mereka ayat-ayat Qur’an dan ajaran di dalamnya, mereka tidak akan faham.

Allah berikan tutupan ini selepas mereka tidak mahu mendengar ayat-ayat Qur’an. Dan bukan sahaja mereka tidak menerimanya malah mereka menentangnya. Jangan kita sangka yang Allah terus tutup pintu hati seseorang dari awal lagi. Allah akan beri peluang kepada mereka dahulu. Tapi apabila mereka sentiasa menolak ajakan tauhid, barulah Allah akan tutup. Ini dinamakan Khatmul Qalbi (Penutupan Hati). Hanya Allah sahaja yang boleh tentukan.

Perkataan أَكِنَّةً bermaksud tutupan yang tidak membenarkan cahaya masuk. Ini adalah penggunaan yang tepat kerana ‘hidayah’ Qur’an selalu dikaitkan dalam bentuk cahaya. Jadi mereka tidak mendapat hidayah itu kerana Allah sudah buat keputusan untuk tutup pintu hati mereka. Ini kerana Allah sudah buat keputusan untuk azab mereka, kerana itu Allah sudah tidak benarkan hidayah sampai kepada mereka.

Apakah maksud faqih فقه itu? Ianya adalah pemahaman yang mendalam. Ianya juga bermaksud faham dan kemudian amalkan. Ini kerana kadang-kadang kita faham, tapi kita tak mahu ikut, jadi itu bukan فقه. Ada yang sudah faham terjemahan ayat-ayat Qur’an dan faham apakah arahan yang dimaksudkan. Tapi mereka tidak memasukkan pemahaman dan pengajaran itu dalam diri mereka.

Macam kita juga, kalau kita dengar khutbah yang diberikan, kita bukan nak ambil pengajaran, tapi kita komen pula khutbah itu. Kita kata macam-macam komen terhadap cara khatib itu cakap, suara dia kuat atau tidak kuat dan macam-macam lagi. Kita kata kalau khatib itu cakap lebih kuat, atau memasukkan cerita-cerita lagi, tentu lebih menarik.

Begitulah yang banyak dilakukan tapi semua komen mereka itu tidak penting, kerana yang penting adalah apakah pengajaran yang kita boleh ambil. Kadangkala kita fokus kepada benda tidak penting dan meninggalkan benda yang penting.

وَفِي ءآذَانِهِمْ وَقْرًا

dan pada telinga-telinga mereka ada sumbatan;

Bukan sahaja hati mereka telah ditutup tapi telinga mereka juga telah ditutup. Ini pun sumbatan rohani kerana kalau nak korek buang, tidak boleh. Mereka yang telah disumbat telinga mereka itu memang dengar ayat Qur’an dibaca dan ditafsirkan, tetapi mereka tak faham. Kadang-kadang banyak kali kita sudah beritahu kepada mereka, tapi mereka tak faham-faham.

Ataupun mereka tidak mahu dengar pun. Bila kita baca dan sampaikan kepada mereka, mereka macam masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Mereka duduk tidak selesa dan sentiasa tengok jam untuk cari peluang melarikan diri dari dengar dakwah kita. Ini bahaya sekali kerana untuk mendapat pemahaman agama, kena sedia untuk beri telinga untuk mendengar ajaran. Kalau dengar pun sudah tidak mahu, memang tidak ada harapan.

وَإِنْ تَدْعُهُمْ إِلَى الْهُدَىٰ

Dan jika kamu menyeru mereka kepada petunjuk,

Bagaimana pula kalau kita seru mereka untuk menerima hidayah? Kita sentiasa mencari peluang untuk menyampaikan kepada manusia, tapi bagaimana tindakan mereka?

Kita kena juga sampaikan dakwah kepada manusia tidak kira siapa mereka. Kita tidak boleh kata: “ahhh… dia ni dah kena khatmul qalbi ni.. buang masa jer kalau aku sampaikan dakwah kepada dia…takkan terima punya…”. Ini tidak boleh terjadi kerana kita manusia tidak tahu siapa yang Allah telah tutup pintu hati. Kerana kita tidak tahu, maka kita sampaikan sahaja. Kalau mereka tidak terima pun, kita tetap dapat pahala dakwah.

فَلَنْ يَهْتَدُوا إِذًا أَبَدًا

mereka tidak mungkin akan mendapat petunjuk selama-lamanya. 

Mereka yang sudah ditutup pintu hati dan telinga mereka dari menerima hidayah, tidak akan dapat hidayah itu. Tidak kira disampaikan dari sesiapa pun. Kerana Allah telah buat keputusan untuk masukkan mereka ke dalam neraka. Mereka itu mereka tunggu mati sahaja untuk diazab dalam alam akhirat.

Inilah yang kita takut terjadi kepada kita atau orang yang kita kenal. Jadi kita amat takut kalau mereka yang didakwah itu menolak. Kalau mereka tidak mahu terima tidak mengapa lagi kerana ada peluang. Tapi kalau mereka mula menentang, maka takut Allah buat keputusan untuk terus tutup hati mereka. Kita tidak tahu bilakah Allah buat keputusan itu.


Ayat 58:

وَرَبُّكَ الغَفورُ ذُو الرَّحمَةِ ۖ لَو يُؤاخِذُهُم بِما كَسَبوا لَعَجَّلَ لَهُمُ العَذابَ ۚ بَل لَّهُم مَّوعِدٌ لَّن يَجِدوا مِن دونِهِ مَوئِلًا

 Sahih International

And your Lord is the Forgiving, full of mercy. If He were to impose blame upon them for what they earned, He would have hastened for them the punishment. Rather, for them is an appointment from which they will never find an escape.

Malay

Dan Tuhanmu Maha Pengampun, lagi melimpah-limpah rahmatNya. Jika Dia mahu menyeksa mereka (di dunia) disebabkan apa yang mereka telah usahakan, tentulah Dia menyegerakan azab itu menimpa mereka; (tetapi Dia tidak berbuat demikian) bahkan ditentukan bagi mereka satu masa yang mereka tidak sekali-kali akan dapat sebarang tempat perlindungan daripadanya.

وَرَبُّكَ الْغَفُورُ

Dan Tuhan kamu itu Maha Pengampun

Allah ingatkan yang Dia sanggup untuk mengampunkan dosa hambaNya. Tidak kira berapa banyak dosa manusia itu, kalau dia sanggup untuk bertaubat, Allah sanggup untuk mengampunkan dosanya. Maka ambillah peluang keemasan ini sebelum terlambat.

ذُو الرَّحْمَةِ

yang memiliki rahmat;

Allah sanggup mengampuni segala dosa manusia tidak kira berapa banyak, kerana Dia ada rahmah (kasih sayang). Dialah juga yang memberi rahmat kepada manusia.

Apakah tanda Allah itu mempunyai rahmat?

لَوْ يُؤَاخِذُهُمْ بِمَا كَسَبُوا

Kalaulah Dia hendak menyeksa mereka dengan apa yang mereka telah lakukan;

Kalaulah Allah nak seksa manusia itu semasa mereka di dunia lagi, tentu sahaja boleh. Bayangkan berapa banyak manusia yang engkar dan melakukan syirik. Adakah Allah tidak mampu nak terus azab mereka? Tentu boleh sahaja.

لَعَجَّلَ لَهُمُ الْعَذَابَ

Maka tentu Dia akan segerakan bagi mereka azab itu

Kalau Allah nak terus matikan mereka dan beri azab kepada mereka semasa di dunia, Allah boleh sahaja buat. Kalau Allah nak azab terus kerana kesalahan yang mereka lakukan, maka sekarang juga Allah sudah boleh azab. Tidak ada sesiapa yang boleh halang dan tahan azab itu. Allah tidak perlu tunggu sesiapa.

بَلْ لَّهُمْ مَّوْعِدٌ

Akan tetapi bagi mereka itu sudah tempoh;

Kalimah مَّوْعِدٌ dari katadasar و ع د yang antara lain bermaksud janji, ancaman. Perjanjian apa? Iaitu selagi tak mati, Allah tidak beri azab. Kerana semasa hidup itu, mereka sedang berada dalam ujian. Allah hanya akan azab mereka apabila mereka mati nanti. Inilah janji Allah kepada DiriNya iaitu beri tangguh kepada manusia.

Maka مَّوْعِدٌ yang dimaksudkan itu adalah Hari Kiamat nanti. Buatlah apa yang mereka hendak buat semasa di dunia. Tapi, apabila mati nanti, siaplah mereka. Bilakah azab itu akan diberikan telah ditentukan oleh Allah dan Dia sahaja yang tahu.

Mereka yang menentang akan diberi tangguh kecuali kalau mereka melawan orang yang menyebar agama dan mengancam untuk membunuh para Rasul atau pendakwah. Kalau mereka buat begitu, mereka akan diazab semasa di dunia lagi. Seperti yang telah dikenakan kepada Kaum Aad dan Tsamud dan banyak lagi kaum lain.

لَّنْ يَجِدُوا مِنْ دُونِهِ مَوْئِلًا

Tidak mungkin mereka akan mendapati tempat berlindung/berlepas;

Apabila Allah telah kenakan azab kepada mereka, sama ada di dunia atau di akhirat, tiada tempat berlindung dari azab itu lagi.

Perkataan مَوْئِلً dari katadasar و أ ل yang bermaksud mencari perlindungan, cari jalan keluar menyelamatkan diri, cari naungan. Ia bermaksud tempat yang disediakan kepada binatang-binatang ternak daripada ancaman-ancaman luar seperti serigala dan binatang buas yang lain.

Perkataan yang digunakan ini menunjukkan bahawa mereka nanti akan cuba menyorok seperti binatang menyorok. Tapi tidak ada tempat hendak menyorok lagi. Ke mana sahaja mereka hendak lari, tetap kena juga dengan azab itu. Mereka tidak akan dapat melarikan diri lagi.


Ayat 59: Takhwif Duniawi. Allah menyebut tentang kaum-kaum yang telah dikenakan dengan azab semasa di dunia lagi.

وَتِلكَ القُرىٰ أَهلَكنٰهُم لَمّا ظَلَموا وَجَعَلنا لِمَهلِكِهِم مَّوعِدًا

 Sahih International

And those cities – We destroyed them when they wronged, and We made for their destruction an appointed time.

Malay

Dan penduduk negeri-negeri (yang derhaka) itu Kami telah binasakan ketika mereka melakukan kezaliman, dan Kami telah tetapkan satu masa yang tertentu bagi kebinasaan mereka.

وَتِلْكَ الْقُرَىٰ أَهْلَكْنٰهُمْ

Dan itulah penduduk-penduduk negara/kampung yang telah Kami binasakan mereka;

Ini adalah umat-umat terdahulu dari generasi-generasi yang telah berlalu yang Allah telah binasakan disebabkan kekufuran dan keengkaran mereka untuk menerima kebenaran. Mereka bukan sahaja engkar tapi mereka juga telah mengancam untuk membunuh atau mencederakan Rasul mereka.

Maka waktu inilah para Rasul itu angkat tangan untuk berdoa dan Allah makbulkan dan musnahkan mereka. Allah suruh pembaca Qur’an ambil pengajaran dengan apa yang terjadi kepada mereka.

لَمَّا ظَلَمُوا

tatkala mereka melakukan kezaliman;

Waktu mereka dikenakan dengan azab itu, mereka sedang melakukan kezaliman. Yang dimaksudkan dengan ‘zalim’ di sini adalah melakukan syirik. Tidak diazab sesuatu kaum itu melainkan mereka telah melakukan syirik. Ini menunjukkan yang bala datang kerana syirik kepada Allah.

Oleh itu tidak ada Solat Tolak Bala seperti yang dilakukan oleh mereka yang jahil. Untuk tolak bala, kena minta ampun dari dosa syirik yang telah kita lakukan. Ini adalah kerana mereka dikenakan dengan bala adalah kerana amalan syirik. Maka amalkanlah doa-doa bertaubat supaya Allah terima taubat kita. Antaranya, doa Nabi Adam yang diajar oleh Allah. Doa itu ada dalam Surah A’raf. Janganlah pula buat perkara bidaah seperti Solat Tolak Bala dan Solat Hajat pula kerana amalan itu tidak ada contoh dari Nabi dan para sahabat.

Kalimat لَمَّا ظَلَمُوا yang digunakan adalah indah sekali. Ianya bermaksud mereka bukan diazab selepas mereka berbuat zalim. Tapi selepas berkali-kali mereka berbuat zalim. Maknanya, Allah beri peluang banyak kali kepada mereka tapi mereka tidak ambil peluang itu.

وَجَعَلْنَا لِمَهْلِكِهِمْ مَّوْعِدًا

Dan Kami jadikan kebinasaan mereka itu pada waktu dan tempat yang memang telah ditentukan; 

Bermakna masa kehancuran mereka telah ditetapkan oleh Allah. Tidak didahulukan dan tidak dilambatkan bilakah akan terjadinya kebinasaan itu. Seperti Firaun, telah ditetapkan bilakah dia akan mati dan tempatnya. Dia tidak mati di istananya, tapi dalam laut. Semua itu telah ditetapkan oleh Allah. Kita tidak dapat mengubahnya. Masalahnya, kita pun tidak tahu bilakah masa itu.

Habis Ruku’ ke 8 dari 12 ruku’ di dalam surah ini.


Ayat 60: Sekarang ini kita masuk ke dalam kisah berkenaan Nabi Khidr a.s. Ini juga adalah satu syubhah pada manusia. Dari ayat ini sehingga ke ayat 82 adalah Perenggan Makro Keempat iaitu tentang Nabi Musa dan Nabi Khidr. Ia tentang ujian kepada orang berilmu.

Dalam Surah Kahfi ini, terdapat empat cerita. Semuanya kisah untuk mencungkil apa yang ada dalam hati manusia. Kisah Pemuda Kahfi, Kisah orang kaya, Kisah Nabi Musa dan Khidr dan akhir sekali adalah Kisah Dzulkarnain. Ini sekarang kita masuk kepada kisah ketiga iaitu tentang Nabi Musa dan Khidr a.s.

Latarbelakang kisah: Nabi Musa pernah ditanya oleh umatnya, adakah ada orang lain yang lebih pandai dari baginda? Maka Nabi Musa jawab dalam bentuk umum yang memang dia yang paling pandai. Kerana memang seorang Nabi adalah orang yang paling alim sekali dalam kalangan umatnya. Jadi, baginda jawab yang dia adalah yang paling alim. Tetapi baginda tidak sertakan dengan kata ‘wallahu a’lam’ (dan Allah lebih mengetahui).

Kerana tidak disertakan dengan kalimah itulah, Nabi Musa telah diuji oleh Allah. Allah beritahu baginda bahawa ada lagi yang lebih alim dari baginda. Iaitu alim dari sudut lain. Bila Nabi Musa tahu ada orang yang lebih alim darinya, baginda ingin untuk belajar dengan orang itu. Dia tanya kepada Tuhan di manakah dia boleh jumpa orang itu?

Allah beritahu bahawa dia boleh berjumpa orang itu di pertengahan dua laut. Dia perlu bawa ikan kering dan ikan kering itu akan membuat satu perbuatan yang pelik. Bila jadi begitu, di situlah tempatnya yang dia akan bertemu dengan orang yang dicarinya itu.

Jadi, adab dalam berilmu adalah memulangkan kembali ilmu itu kepada Allah dengan mengatakan ‘Allahu a’lam’. Bukan hanya dalam ilmu agama sahaja, bahkan dalam matematik, geografi dan sebagainya. Kerana apa sahaja ilmu yang kita ada, tidak semestinya ianya tepat kerana ia hanya setakat apa yang kita ada sahaja.

Bolehkah seorang manusia lebih pandai dari Nabi? Boleh, jikalau orang itu juga seorang Nabi. Kerana tidak boleh seorang manusia biasa lebih pandai dari Nabi dalam perkara agama. Kalau dalam perkara kehidupan biasa, tidak mustahil seorang manusia biasa lebih pandai dari Nabi. Tetapi secara umumnya, seorang Nabi itu adalah seorang yang bijak. Mereka bersifat fatonah (bijaksana).

وَإِذ قالَ موسىٰ لِفَتٰهُ لا أَبرَحُ حَتّىٰ أَبلُغَ مَجمَعَ البَحرَينِ أَو أَمضِيَ حُقُبًا

Sahih International

And [mention] when Moses said to his servant, “I will not cease [traveling] until I reach the junction of the two seas or continue for a long period.”

Malay

Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada temannya: “Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun”.

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِفَتٰهُ

Dan ketika Nabi Musa berkata kepada pembantunya;

Nama pembantu itu adalah Yusha’ bin Noon. Beliau adalah murid kepada Nabi Musa. Waktu itu dia adalah seorang yang muda dan dia berkhidmat kepada Nabi Musa. Ini juga menjadi contoh kepada kita, bahawa elok kalau seorang yang anak murid membantu gurunya. Akhirnya nanti Yusha’ ini akan menjadi Nabi juga mengganti Nabi Musa.

Kita boleh lihat dalam sejarah hidup Nabi juga, banyak sahabat yang berkhidmat kepada baginda. Sama ada yang tua atau pun yang muda. Mereka berkhidmat supaya memudahkan tugas Nabi menjalankan dakwahnya dan menguruskan hal-hal yang lebih penting.

Maknanya, kita selesaikan hal-hal kecil guru supaya dia dapat lebih tumpukan kepada pengajaran dan pemberian ilmu. Dengan berkhidmat dengan guru, kita akan mendapat peluang untuk mendapat ilmu yang lebih lagi. Banyak terjadi ada ulama yang asalnya hamba kepada orang alim yang lain. Mereka jadi pandai kerana mereka meluangkan masa dengan tuan mereka yang alim. Oleh kerana itu, kita kena meluangkan masa bersama guru.

Yusha’ kemudian akan diangkat menjadi Nabi selepas Nabi Musa wafat. Dialah nanti yang akan membawa Bani Israil keluar dari tempat sesat mereka di padang pasir selama 40 tahun itu. Seperti kita telah tahu, Nabi Musa bersama kaumnya sesat di padang pasir selama 40 tahun. Nabi Musa pun telah ditakdirkan sesat bersama mereka dan tidak dapat keluar dari padang pasir itu. Hanya pada masa Yusya’ menjadi Nabi barulah beliau bawa Bani Israil untuk mengalahkan puak Amaliqah yang berada di Palestin dan mengambil alih Palestin dan BaitulMaqdis.

لَا أَبْرَحُ

Aku tidak akan berhenti;

Kalimah أَبْرَحُ dari katadasar ب ر ح yang bermaksud menarik diri, putus asa, berhenti, lemah. Nabi Musa berniat untuk tidak berhenti berjalan mencari tempat pertemuan itu.

Ini menunjukkan motivasi dan prihatin baginda terhadap mencari ilmu. Ini adalah adab dalam mencari ilmu. Kalau kita tahu ada guru yang boleh mengajar, kita kena cari dia sampai dapat. Mencari ilmu memerlukan usaha dan pengorbanan. Kerana itu kalau kita baca kisah-kisah ulama, kita akan tahu yang mereka banyak mengembara untuk mendapatkan ilmu.

Tapi sekarang, kadang-kadang bukan nak kena cari, ustaz dari jauh sudah datang ke tempat kita tapi masih ada juga yang masih malas lagi nak datang belajar. Tak elok macam tu kerana Allah sudah mudahkan kerana sepatutnya kita yang kena cari guru.

حَتَّىٰ أَبْلُغَ مَجْمَعَ الْبَحْرَيْنِ

sehinggalah aku sampai ke tempat pertemuan dua laut;

Baginda tekad tidak akan berhenti sehingga jumpa tempat pertemuan dua lautan yang disebut oleh Allah sebagai tempat baginda akan bertemu dengan orang yang lebih pandai dari baginda itu.

Mengikut kisah, ini terdapat di kawasan Laut Mediterranean. Macam-macam tafsiran yang diberikan. Kalau dalam Tafsir Jalalain disebut: Antara Laut Romawi dan Laut Parsi dari sebelah Timurnya. Ada yang mengatakan bahawa dua lautan itu adalah antara laut masin dan tawar. Mana yang benar itu tidak penting. Yang penting adalah kisah pengajaran yang hendak disampaikan. Allah pun tidak beritahu tentang tempat itu, bermakna ianya tidak penting.

Ini adalah dalil mengatakan kalau kena pergi seberang laut nak belajar pun, kita kena belajar. Tapi sekarang, tak payah seberang laut pun, sudah ada guru banyak di Malaysia ni. Cuma tinggal nak belajar sahaja lagi.

Jadi kita dapat belajar dari keazaman Nabi Musa ini yang baginda sendiri walaupun seorang guru, tapi baginda juga boleh menjadi pelajar. Dan baginda bersungguh-sungguh mahu belajar. Tidak salah kalau kita menambah ilmu dengan belajar dari orang lain walaupun kita sudah digelar ustaz.

أَوْ أَمْضِيَ حُقُبًا

Atau aku terus berjalan untuk masa yang amat panjang;

Nabi Musa bertekad kerana keinginannya untuk mendapatkan ilmu. Kalimah أَمْضِيَ bermaksud terus dan kalimah حُقُبًا bermaksud masa yang lama. Baginda tidak kisah berapa lama dan berapa jauh untuk baginda sampai ke tempat pertemuan itu. Kita pun kena macam tu. Kalau kita kena pergi jauh pun, kita kena pergi.

Kita boleh lihat contoh yang diberikan oleh Nabi Musa ini. Walaupun baginda seorang Nabi dan telah diberikan ilmu yang banyak, tapi apabila diberitahu ada lagi guru yang lebih pandai, dia tidak sombong untuk belajar dengan orang itu. Dan dia sanggup untuk berusaha mencari orang itu untuk belajar.

Inilah yang patut kita contohi. Jangan kita sombong dengan ilmu kita. Kerana walau bagaimana pandai pun kita, ada lagi orang lain yang lebih pandai dari kita. Kita kena terus belajar lagi. Itulah tanda guru yang benar.


Ayat 61:

فَلَمّا بَلَغا مَجمَعَ بَينِهِما نَسِيا حوتَهُما فَاتَّخَذَ سَبيلَهُ فِي البَحرِ سَرَبًا

Sahih International

But when they reached the junction between them, they forgot their fish, and it took its course into the sea, slipping away.

Malay

Maka apabila mereka berdua sampai ke tempat pertemuan dua laut itu, lupalah mereka akan hal ikan mereka, lalu ikan itu menggelunsur menempuh jalannya di laut, yang merupakan lorong di bawah tanah.

فَلَمَّا بَلَغَا مَجْمَعَ بَيْنِهِمَا

Apabila mereka sampai pertemuan dua laut;

Nabi Musa dan Yusha’ sebenarnya tidak pasti di manakah tempat pertemuan itu. Mereka hanya diberikan isyarat sahaja. Nabi Musa hanya diberitahu bahawa ikan yang mereka bawa itu akan melakukan perkara yang pelik. Ikan itu adalah ikan kering yang dibawa sebagai bekalan makanan.

Ada yang kata ikan itu adalah ikan sebelah, tapi bukan. Ikan itu mereka sudah makan sebelahnya dan kemudian mereka masukkan balik ke dalam bekas mereka.

نَسِيَا حُوتَهُمَا

mereka berdua lupa tentang hal ikan itu;

Sebelum ini telah diberitahu yang jikalau mereka berdua kehilangan ikan yang menjadi bekalan makanan mereka itu, maka di sanalah orang yang berilmu itu akan berada. Nabi Musa telah disuruh bawa ikan yang telah dimasinkan. Ikan itu adalah jenis ikan yang besar. Mereka tahu tentang perkara ini tapi apabila kejadian ini terjadi mereka dua-dua terlupa tentang ikan itu.

Sebenarnya yang lupa itu adalah Yusha’ kerana yang melihat kejadian itu adalah dia dan Nabi Musa sendiri tidak nampak. Yusha’ sendiri nampak ikan itu hidup balik dan melompat keluar tapi dia lupa nak beritahu Nabi Musa pada waktu itu juga.

فَاتَّخَذَ سَبِيلَهُ فِي الْبَحْرِ سَرَبًا

lalu ikan itu mengambil jalan ke dalam laut;

Ikan itu hidup kembali dan keluar dari bekasnya dan melompat terjun ke dalam laut. Kalimah سَرَبًا dari katadasar س ر ب yang bermaksud pergi dengan bebas, melarikan diri, pergi dengan jelas. Ini adalah amat pelik: ikan yang sudah mati dan sudah dimakan pun boleh hidup balik dan keluar dari bekas dan masuk dalam air laut.

Apabila ikan itu kena sahaja pada air laut, terjadi lubang di pantai sebagai terowong dan ikan itu masuk dalam terowong itu. Atau ikan itu masuk dalam air laut dan Allah jadikan air laut itu membeku dan keras dan boleh nampak lorong yang masuk jauh ke dalam laut itu.

Yusha’ nampak kejadian itu, tapi dia sudah biasa melihat mukjizat Nabi Musa jadi dia tidak teringat untuk menceritakan terus kepada Nabi Musa. Kalau kita nampak sekarang, tentu kita akan kelam kabut cerita kepada semua orang. Waktu itu Nabi Musa sedang tidur dan beliau rasa ralat hendak gerak baginda.

Ikan itu ditakdirkan mengambil jalannya dan telah meninggalkan tanda-tanda perjalanannya. Bayangkan kalau satu kapal berlayar di laut, kita akan nampak kesan-kesan riak air di belakangnya. Begitulah yang dimaksudkan dengan perkataan سَرَبًا itu. Ia meninggalkan kesan tinggalan yang jelas.

Maka apabila mereka berdua tidak perasan (dan terlupa) maka bila mereka teringat dan kembali, maka mereka boleh cari balik kesan-kesan itu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 28 April 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s