Apakah tawasul dan hukumnya?

TAWASSUL

Dalam kehidupan seharian kita, dua perkara terpenting yang wajib kita titik beratkan adalah ibadat dan doa, kerana dua perkara inilah yang menjadi tunjang utama bagi kebahagiaan kita di dunia dan juga di akhirat. Kehidupan kita seharian pun sebenarnya berlegar antara dua perkara ini: ibadat dan doa. Kepentingan ibadat dan doa ini Allah zahirkan melalui intipati surat Al-Fatihah, iaitu ayat kelima yang juga merupakan ayat terpenting di dalam surah ini.

Iyyaka Na’budu Waiyyaka Nasta’in

إِيَّاكَ نَعْبُدُ

Hanya kepada Engkaulah kami sembah

وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan.

‘Sembah’ dalam ayat ini bermaksud ibadat, manakala ‘pertolongan’ di sini bermaksud doa. Inilah dua perkara terbesar yang membezakan penghuni syurga dan neraka. Kegagalan memahami maksud ayat ini telah menyebabkan ramai umat Nabi Muhammad saw tersungkur di pintu neraka, walaupun mereka sebenarnya berusaha bersungguh-sungguh untuk ke syurga.

Ayat kelima surah al-Fatihah ini menekankan agar kita mentauhidkan Allah dalam ibadat – ibadat dan doa-doa kita. Mentauhidkan Allah di sini bermaksud mentaati garis panduan yang sudah Allah tetapkan dalam melaksanakan ibadat dan dalam memohon doa. Kekeliruan dalam dua perkara inilah yang wajib kita perbetulkan.

Ibadat yang kita lakukan itu wajib berlandaskan sunnah, kerana salah faham tentang ibadat menyebabkan kita melakukan bidaah, iaitu pembaharuan atau penambahan dalam ibadat. Apabila berdoa, wajib kita panjatkan doa itu terus kepada Allah, dan jika kita gagal mengEsakan Allah dalam berdoa menyebabkan kita melakukan tawassul, iaitu menggunakan perantara dalam memohon doa.

Apakah itu Tawassul?

Tawassul adalah perbuatan menggunakan perantaraan dalam berdoa. Perantaraan di sini bermaksud menggunakan ‘orang tengah’ atau benda untuk membolehkan sesuatu hajat kita ditunaikan oleh Allah swt. Yang digunakan sebagai perantara itu dipanggil wasilah, iaitu sesuatu perkara yang dapat menyampaikan atau mendekatkan kita pada sesuatu. Sebagai contoh, ada kalangan masyarakat kita yang menggunakan Nabi, Malaikat atau wali sebagai wasilah dalam doa mereka.

Al Maidah ayat 35

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَ وَجَاهِدُوا فِي سَبِيلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan carilah wasilah untuk mendekatkan diri kepadaNya, dan berjihadlah di jalan-Nya agar kamu beruntung”.

Perkataan الْوَسِيلَةَ  wasilah dalam ayat di atas banyak menyebabkan umat Nabi SAW terkeliru, seterusnya terjerumus ke lembah kesesatan. Mereka kata, bukankah ayat ini menyuruh kita mengamalkan tawasul? Itu adalah kerana mereka salah dengan maksud wasilah dalam ayat itu. Apakah yang sebenarnya dimaksudkan dengan perkataan wasilah dalam ayat ini? Kenapakah ada sebahagian golongan agama yang membolehkan tawassul dan segolongan yang lain pula melarang?

Wasilah dalam ayat ini bermaksud ‘jalan’, iaitu kaedah atau cara yang diajar oleh Nabi saw. “Mendekatkan diri kepadaNya” dalam ayat ini bermaksud ‘beribadat’ dan ‘berdoa’ kepada Allah. Kesilapan dalam mentafsir ayat inilah yang menyebabkan ramai umat Nabi saw melakukan syirik. Kekeliruan yang bagaimana yang mengelirukan? Iaitu dengan mengertikan wasilah sebagai orang tengah iaitu ‘perantara’, menyebabkan timbul pula pengertian bahwa untuk sampai atau mendekatkan kepada Allah harus dengan menggunakan perantara.

Kemudian direka pula bahawa perantara itu merupakan roh-roh orang yang dianggap suci. Misalnya roh nabi-nabi, wali-wali, para syuhada’, dan orang-orang yang soleh. Kepada roh mereka yang telah meninggal itu, orang-orang yang berwasilah/menggunakan perantara tersebut memohon bantuan agar dapat menyampaikan do’a kepada Allah swt. Apakah ini yang dituntut oleh Rasulullah saw?

Sudah tentu tidak. Jika Allah perlukan perantara dalam mengabulkan doa hamba-hambanya, pastilah Dia akan beritahu kepada kita siapakah perantara itu. Sebagaimana Allah beritahu kira dengan jelas di dalam Quran bahawa Nabi Muhammad saw adalah Rasul yang diutuskan untuk menyampaikan syariat Islam yang wajib untuk kita taati. Tapi tidak ada unjuran dari Allah untuk menggunakan sesiapa pun sebagai perantara untuk mendekatkan diri kita denganNya.

Tidak ada dalil yang sahih yang mengajar kita bagaimana melakukan wasilah menggunakan perantara-perantara seperti Nabi, Wali dan Malaikat. Sebaliknya Allah perintahkan kita berdoa terus kepadaNya. Sebaliknya, ada dalil-dalil yang sahih yang mengajar kita apakah wasilah yang dibenarkan.

Seperti yang dijelaskan dalam Surah Al-Maidah ayat 3, Islam sudah sempurna. Jika sekecil-kecil perkara seperti untuk buang air kecil, makan, minum dan tidur pun Nabi saw ada terangkan caranya, inikan pula perkara besar seperti beribadat dan cara berdoa ini.

Tawassul Membawa kepada Syirik

Tawassul yang batil dilarang

Tawassul adalah dosa yang paling Allah murka. Pada kebiasaannya, tujuan utama bertawassul adalah kerana mereka merasakan doa mereka tidak didengari Allah kerana merasa diri mereka kotor oleh dosa-dosa yang mereka lakukan. Ini adalah penyakit hati yang ada dalam diri mereka. Apakah penyakit itu? Itulah penyakit ‘buruk sangka’ kepada Allah.

Mereka buruk sangka yang Allah tidak mendengar doa mereka, hanya dengar doa orang-orang tertentu sahaja. Penyakit inilah yang Allah sebut dalam ayat Baqarah:10

فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ فَزَادَهُمُ اللَّهُ مَرَضًا ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ
Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka seksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta.

Penyakit yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah: penyakit sangka buruk kepada Allah. Kalau kita sangka buruk dengan sesama manusia pun, mereka akan marah, tambahan lagi kalau kita sangka buruk dengan Tuhan kita sendiri.

Dan Allah akan tambah lagi penyakit itu: iaitu mereka akan melakukan syirik. Bagaimana ini boleh terjadi? Apabila ada fahaman yang kena guna perantaraan dalam berdoa, maka lama-kelamaan, mereka akan puja, sembah dan taat kepada perantara itu. Kerana mereka ingat, kalau mereka bodek perantara itu, maka perantara itu akan suka untuk menyampaikan doa kepada Allah. Lama-kelamaan, Allah mereka tak hiraukan dah, mereka akan tumpukan kepada perantara itu sahaja. Inilah asal kepada kesesatan agama-agama yang kafir.

Sebab kedua mereka melakukan tawasul adalah kerana mereka merasakan Allah lebih mendengar dan memakbulkan doa-doa orang tertentu. Sebagai contoh, kalau doa itu dibaca oleh golongan Habib, doa itu lebih makbul lagi. Atau kalau doa itu dibaca oleh guru agama, doa itu lebih makbul lagi.

Atau kerana diri mereka tidak mampu berdoa dengan baik, kerana tidak pandai berdoa dalam Bahasa Arab. Sedangkan Allah itu Maha Mendengar, Maha Mengetahui apa juga bahasa yang ada di dunia ini dan Maha memperkenankan doa permohonan. Ini ditambah dengan ajaran-ajaran salah guru yang sesat, yang mengajar syarat-syarat tertentu dalam berdoa. Sampaikan masyarakat yang jahil rasa mereka sendiri tak boleh buat doa seperti yang diajar itu, maka mereka memerlukan orang-orang tertentu untuk berdoa. Sebagai contoh, cara-cara tahlilan itu direka oleh manusia. Kebanyakan manusia tidak tahu cara itu. Jadi, mereka kena pakai lah golongan-golongan yang kononnya tahu dan mahir cara yang perlu dilakukan.

Mereka yang mengamalkan tawasul ini akhirnya akan menyembah perantara-perantara itu seperti yang disebut dalam Al-Maidah ayat 76

قُلْ أَتَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ مَا لَا يَمْلِكُ لَكُمْ ضَرًّا وَلَا نَفْعًا ۚ وَاللَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Patutkah kamu menyembah sesuatu yang lain dari Allah, yang tidak berkuasa memberi mudarat kepada kamu dan tidak juga berkuasa memberi manfaat? Padahal Allah Maha mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Mereka akan meminta kepada perantara-perantara yang mereka anggap boleh menyampaikan doa kepada Allah. Antaranya, ada yang meminta kepada Sheikh Abdul Qadir Jailani, kepada Nabi Muhammad, kepada Syeikh ini dan Syeikh itu. Ada yang sampai meminta kepada kubur-kubur para wali. Mereka ingat yang wali-wali yang telah mati itu boleh mendengar permintaan mereka.

Dari mana mereka dapat maklumat itu? Tentulah yang mati tidak dapat mendengar. Mereka sebenarnya telah ditipu oleh syaitan yang mengajar mereka perkara yang salah. Syaitan akan mula menyesatkan manusia dengan perkara-perkara kecil sahaja dahulu. Lama kelamaan sampai manusia menyembah perantara-perantara itu.

Tidak sembah kubur tapi
Alasan orang-orang yang bertawassul dengan roh-roh Nabi atau wali tidak diterima di sisi syariat. Tauhid mereka rosak dan punah segala amalan.

Dalam ayat ini, Allah menekankan sifatNya dengan firmanNya: وَاللَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ. Bermaksud Allah lah yang maha mendengar doa makhlukNya. Dia juga Maha Tahu apakah kehedak hati manusia. Sebelum manusia minta kepadaNya pun Dia dah tahu dah. Dia cuma nak dengar sahaja permintaan kita.

Allah sahaja yang Maha Mendengar, seperti yang difirmanNya dalam Ibrahim ayat 39

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي وَهَبَ لِي عَلَى الْكِبَرِ إِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ ۚ إِنَّ رَبِّي لَسَمِيعُ الدُّعَاءِ

Segala puji tertentu bagi Allah yang telah mengurniakan kepadaku semasa aku tua, Ismail dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mendengar dan Memperkenankan doa permohonan.

Maka, berdoalah terus sahaja kepada yang Maha Mendengar.

Tawassullah yang paling banyak menyesatkan umat Nabi saw. Kemurkaan Allah terhadap pelakuan tawassul ini dizahirkan di dalam ayat berikut:-

Surah Maryam ayat 88 – 90

وَقَالُوا اتَّخَذَ الرَّحْمَٰنُ وَلَدًا

Dan mereka yang kafir berkata: “(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak.”

‘Mempunyai anak’ dalam ayat ini bermaksud mempunyai wakil untuk menyampaikan hajat kepada Dia. ‘Anak’ disini, bermaksud ‘anak angkat’. Sebagaimana kalau seseorang mempunyai anak angkat, tentulah dia sayang anak angkat dia itu. Jadi, ada yang menggunakan anak angkat untuk memujuk, membodek bapa angkatnya itu.

Inilah dia tawassul yang dilarang. Sebagaimana Kristian mengatakan Nabi Isa anak Allah dan mereka berdoa kepada Nabi Isa. Pada sangkaan mereka, jika mahu meminta kepada bapa (Allah), kenalah minta melalui anak. Perlakuan sebegini adalah menyamakan kerajaan Allah dengan kerajaan manusia.

Ketahuilah, Allah bukanlah seperti pemimpin kita yang perlu dibodek untuk mendapatkan sesebuah projek. Allah ada sifat Maha Pemurah. Perkataan MAHA di sini bermaksud keterlaluan, iaitu yang tiada bandingnya. Tidak akan ada perkataan yang mampu menzahirkan betapa tingginya tahap pemurah Allah ini. Kita tidak akan mampu menjelaskannya dengan kata-kata. Dan lihatlah bagaimana Allah memanggil mereka yang kata Dia ada anak ini sebagai kafir.

Perbuatan itu sangat teruk sekali sampai Allah sambung dalam ayat seterusnya:

لَقَدْ جِئْتُمْ شَيْئًا إِدًّا

Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya!

Dosa yang besar salahnya dalam ayat ini bermaksud dosa syirik. Sebab pada ayat sebelumnya Allah menggunakan ganti nama kafir kepada mereka yang kata Allah ada anak. Jadi ayat ini adalah untuk menyatakan dengan jelas akan kesalahan mereka.

Bagaimanakah besar salah itu? Lihatlah apa yang hampir-hampir terjadi dalam ayat seterusnya:

تَكَادُ السَّمَاوَاتُ يَتَفَطَّرْنَ مِنْهُ وَتَنْشَقُّ الْأَرْضُ وَتَخِرُّ الْجِبَالُ هَدًّا

Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap

Dalam ayat ini, Allah menzahirkan kemurkaanNya kerana kita menyangka Dia perlu kepada perantaraan. Lihatlah betapa murkanya Allah terhadap sangkaan sebegini. Anggapan sedemikian tidak pernah diajar oleh Allah, dan tidak pernah disampaikan oleh Nabi. Maka, ianya hanyalah anggapan manusia yang sesat sahaja. Mereka memandai-mandai mengatakan tentang Allah yang tidak sepatutnya. Tentulah Allah marah kalau kita berbuat begitu, bukan?

Langit, bumi dan gunung ganang sampai terkejut sangat dengan perbuatan manusia sampai mereka hendak memusnahkan diri mereka bersama dengan manusia yang berbuat tawasul itu. Tapi, itu tidak terjadi kerana tidak dibenarkan oleh Allah. Allah masih lagi beri peluang kepada manusia yang engkar itu untuk bertaubat dan memperbetulkan kesalahan diri mereka. Begitulah tingginya sifat Rahmat Allah.

Orang-orang yang mengamalkan tawasul disifatkan dalam Quran sebagai mereka yang ‘rugi’. Di dalam Qur’an, jika Allah sebut perkataan rugi, seperti dalam ayat berikut, ia sudah membawa maksud hidup kekal di dalam neraka.

Ali Imran ayat 85

وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.

Jika perkataan rugi sahaja sudah menyebabkan kita kekal di dalam neraka, bayangkan bagaimana nasib kita di akhirat nanti apabila Allah murka seperti ayat ke 90 surah Maryam itu.

Surah Maryam ayat 91 – 92

أَنْ دَعَوْا لِلرَّحْمَٰنِ وَلَدًا

Kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak.

Inilah sebab kemurkaan Allah di dalam ayat 90 tadi, iaitu sangkaan kita bahawa Allah perlukan ‘wakil’ dalam menyampaikan hajat makhlukNya.

وَمَا يَنْبَغِي لِلرَّحْمَٰنِ أَنْ يَتَّخِذَ وَلَدًا

Padahal tiadalah layak bagi (Allah) Ar-Rahman, bahawa Ia mempunyai anak.

Jika Allah perlukan wakil untuk menyampaikan hajat makhluk-makhluknya, pasti Dia akan beritahu siapa wakilnya. Sebagaimana Allah mewakilkan Nabi SAW untuk menyampaikan syariat Islam kepada umat baginda, banyak ayat-ayat quran yang memberitahu kita tentang Nabi SAW. Allah telah kata, kalau Dia memerlukan perantaraan, tentu Dia dah beritahu. Ini ada disebut dalam Zumar:4

لَوْ أَرَادَ اللَّهُ أَنْ يَتَّخِذَ وَلَدًا لَاصْطَفَىٰ مِمَّا يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ ۚ سُبْحَانَهُ ۖ هُوَ اللَّهُ الْوَاحِدُ الْقَهَّارُ
Kalau sekiranya Allah hendak mengambil anak, tentu Dia akan memilih apa yang dikehendaki-Nya di antara ciptaan-ciptaan yang telah diciptakan-Nya. Maha Suci Allah. Dialah Allah Yang Maha Esa lagi Maha Mengalahkan.

Ingatlah, dalam perihal berdoa, Allah perintah kita minta terus kepada Dia jika mempunyai sebarang hajat. Perintah ini Dia sampaikan dalam ayat Ghafir:60:-

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.

Allah telah berfirman dalam ayat ini bahawa Dia bersedia memberi apa sahaja yang makhlukNya minta. Asalkan jangan ‘sombong’. Apakah maksud ‘sombong’ dalam ayat ini? Contohnya, kita ada beri maklumkan kepada masyarakat yang kita nak beri duit kepada siapa yang datang. Kita kata, siapa yang datang sahaja ke rumah, kita akan beri duit kepada mereka. Ramailah yang datang dan kita beri duit kepada dia.

Tapi ada seorang yang datang dan beritahu, dia wakilkan anak dia untuk ambil duit itu. Kita akan kata kepada orang itu: “sombongnya dia, nak datang ambil sendiri pun tak mahu. Kan saya dah cakap kena datang sendiri?”. Begitulah perumpamaan mereka yang sombong nak minta sendiri kepada Allah. Mereka meminta kepada Allah melalui perantaraan. Melalui broker.

Orang yang beragama Hindu, kalau kita jumpa mereka, dan kita tanya mereka sama ada berhala mereka itu tuhan mereka, mereka akan jawap itu bukan tuhan mereka. Mereka sedar yang mereka sendiri yang buat berhala itu. Mereka tahu yang itu adalah hanya barang buatan sahaja. Mereka kata, mereka pun tidak bodoh sampai menganggap itu tuhan mereka. Jadi apakah dia berhala itu? Apa yang patung itu lambangkan? Apakah yang mereka sembah itu?

Mereka akan kata itu adalah mewakili ‘dewa’ mereka. Tanya lagi kepada mereka: adakah dewa awak ini tuhan? Mereka akan kata, tidak. Mereka kata dewa itulah yang akan bawa doa mereka kepada tuhan yang satu. Nama tuhan itu? Mereka tak tahu nama tuhan itu. Jadi, dewa itu bukan tuhan pada pemahaman mereka. Jadi, kepada mereka, tuhanlah yang menyempurnakan doa itu.

Kenapa tidak doa sendiri kepada tuhan? Mereka akan kata, mereka banyak dosa, dan doa mereka tidak akan dimakbulkan. Tapi oleh kerana tok sami itu orang yang baik, maka doa sami itu akan sampai. Mereka ada sekali semasa sami itu berdoa. Tok sami akan doa kepada dewa dan dewa akan bawa doa kepada tuhan. Selepas itu mereka akan beri duit kepada tok sami itu.

Tanya kepada Kristian pula. Jesus bukan tuhan kepada mereka tapi ‘anak tuhan’. Tuhan bagi kuasa kepada dia untuk menyelesaikan masalah yang kecil-kecil. Kalau yang besar-besar, terus kena minta kepada ‘Tuhan Bapa’. Tapi kenapa tidak doa terus kepada tuhan? Sebab mereka banyak dosa. Mereka sampaikan kepada paderi, paderi akan sampaikan kepada Jesus dan Jesus akan sampaikan kepada Tuhan Bapa. Lepas itu mereka kasi akan duit juga lagi. Kita sebut tentang upah duit itu kerana memang itulah yang dilakukan oleh semua agama, termasuk oleh mereka yang Islam yang mengamalkan tawasul ini.

Tanya kepada Cina pula. Tokkong itu bukan tuhan mereka. Tokkong itu adalah ‘tok nenek’ mereka yang baik-baik semasa hidup di dunia dulu. Mereka berdoa kepada tok nenek mereka yang alim, yang pada mereka sudah dapat duduk dalam syurga kerana mereka orang yang baik-baik. Mereka anggap kerajaan tuhan macam kerajaan dunia. Mereka sangka tentulah tok nenek mereka ada kerja di istana tuhan. Apabila minta tolong tok nenek, mereka anggap boleh sampaikan kepada tuhan. Macam boleh ketuk pintu tuhan dan sampaikan hajat manusia. Begitulah anggapan mereka.

Itu semua adalah dinamakan ‘perantaraan’. Apa sahaja perantaraan yang digunakan adalah syirik kepada Allah. Tidak ada makhluk yang ada sifat Tuhan. Jadi kenapa kita seru wali, malaikat dan Nabi? Itu adalah syirik. Mereka adalah orang mulia di sisi Allah tapi kita telah salah dalam menggunakan mereka.

Dalam ayat ini juga, Allah telah terangkan bahawa mereka yang mengamalkan perbuatan yang salah ini, akan dimasukkan ke dalam neraka dalam keadaan ‘hina dina’. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan itu hendaknya. Maka, hendaklah kita faham benar-benar dengan kesalahan tawasul dan apakah cara doa yang betul.

Contoh-Contoh Tawassul

Bertawassul dengan Nabi Muhammad saw

Ini adalah antara tawassul yang paling popular. Umat Islam yang tersilap faham tentang Nabi saw, akan menyangka baginda memiliki sifat-sifat Tuhan seperti tahu perkara ghaib, boleh memberi syafaat kepada sesiapa yang baginda kehendaki, boleh kembali ke dunia untuk mendengar rintihan doa-doa umatnya, mampu menyembuhkan penyakit dan sebagainya.Syirik seru Madad ya Rasulullah

Bagaimanakah boleh jadi sebegini? Sedangkan baginda saw tidak pernah mengajar umatnya untuk bertawassul. Nabi tidak pernah mengajar umatnya untuk menggunakan baginda sebagai tempat tujuan ibadat. Seperti yang dijelaskan oleh ayat berikut:

Ali Imran ayat 79

مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَنْ يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا عِبَادًا لِي مِنْ دُونِ اللَّهِ وَلَٰكِنْ كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنْتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنْتُمْ تَدْرُسُونَ

Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai, “Hendaklah kami menjadi orang-orang yang menyembahkan dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah”. Tetapi (sepatutnya dia berkata): Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyyin (yang hanya menyembah Allah Taala – dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.

Nabi Muhammad bukanlah tempat dilakukan ibadat kepadanya. Tapi ada orang Islam yang menyebut-nyebut nama baginda sampai ke tahap memuja baginda. Ada orang berzikir dengan menyebut-nyebut nama baginda. Ada yang beri salam kepada baginda. Ada yang sedekah/hadiahkan fatihah kepada baginda. Dan macam-macam lagi perkara yang kita tidak tahu apa lagi yang dilakukan oleh masyarakat kita.

 

Ali Imran ayat 80

وَلَا يَأْمُرَكُمْ أَنْ تَتَّخِذُوا الْمَلَائِكَةَ وَالنَّبِيِّينَ أَرْبَابًا ۗ أَيَأْمُرُكُمْ بِالْكُفْرِ بَعْدَ إِذْ أَنْتُمْ مُسْلِمُونَ

Dan dia tidak pula patut menyuruh kamu menjadikan malaikat dan Nabi-Nabi sebagai tuhan-tuhan. Patutkah dia menyuruh kamu dengan kekufuran sesudah kamu menjadi orang Islam?

Berselawat

Cara mereka bertawassul yang paling utama adalah dengan berselawat. Contohnya ketika mahu berubat atau makan ubat, lebih-lebih lagi ubat-ubatan kampung atau tradisional. Bismillah akan dibaca sekali, manakala selawat pula 3 kali, 7 kali, 9 kali atau lebih lagi, dan jumlahnya pula mestilah ganjil.

Lafaz selawat pula biasanya ditambah Sayyidina, kononnya untuk memuliakan Nabi saw, walhal sebenarnya mereka sudah menyamakan Nabi saw dengan para sahabat yang dipanggil Sayyidina yang bermaksud ‘penghulu’. Ini bukan memuliakan, sebaliknya merendah-rendahkan pangkat yang Allah beri kepada Nabi saw. 3 pangkat/gelaran yang Allah berikan kepada nabi saw ialah:-

  1. Nabi Allah
  2. Rasul Allah dan
  3. Hamba Allah

Dalilnya adalah seperti dalam ayat-ayat berikut:

Al Ahzab ayat 40

مَا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَا أَحَدٍ مِنْ رِجَالِكُمْ وَلَٰكِنْ رَسُولَ اللَّهِ وَخَاتَمَ النَّبِيِّينَ ۗ وَكَانَ اللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا

Bukanlah Nabi Muhammad itu menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi dia adalah Rasul Allah dan kesudahan Nabi-Nabi. Dan Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Al-Jinn ayat 19

وَأَنَّهُ لَمَّا قَامَ عَبْدُ اللَّهِ يَدْعُوهُ كَادُوا يَكُونُونَ عَلَيْهِ لِبَدًا

Dan bahawa sesungguhnya ketika hamba Allah (Nabi Muhammad) berdiri mengerjakan ibadat kepadaNya, mereka hampir-hampir menindih satu sama lain mengerumuninya.

Selain menambah-nambah lafaz selawat, mereka juga mereka-reka selawat yang tidak pernah Nabi saw ajar kepada umatnya. Contohnya adalah:-

Selawat Syifa

Ya Allah, berilah rahmat ke atas penghulu kami, Muhammad saw yang menyembuhkan hati-hati kami, penawarnya dan kesejahteraan badan, kesembuhan juga cahaya penglihatan dan berilah rahmat keberkatan dan kesejahteraan atas keluarga dan sahabatnya.

Selawat Tafrijiyyah

Ya Allah Tuhan kami, limpahkanlah rahmat yang sempurna dan limpahkanlah kesejahteraan yang sempurnan ke atas penghulu kami Nabi Muhammad, yang dengannya akan terurailah segala simpul ikatan dan dengannya akan terhapuslah segala kesusahan dan dengannya akan tertunailah segala hajat, dan dengannya akan tercapailah segala maksud dan kesudahan umur yang baik (mati dalam iman), serta terkabullah permohonan meminta hujan dengan zatnya yang mulia dan ke atas keluarga dan sahabat-sahabatnya pada setiap kelipan mata dan tarikan nafas dengan bilangan segala apa juga yang engkau ketahui

Kedua-dua selawat di atas ini sudahlah bukan daripada Quran mahupun hadith, maksudnya sahaja sudah melambangkan kekufuran apabila memberikan sifat Tuhan kepada Nabi saw iaitu sifat menyembuh dan menawar penyakit, menyelesai masalah dan menunaikan hajat.

Salawat batil ditolak
Salawat-salawat rekaan atau mimpi tok guru semuanya tertolak.

Nabi saw hanyalah manusia biasa seperti kita. Baginda makan seperti kita, tidur seperti kita, mempunyai isteri dan anak seperti kita dan baginda tiada sebarang kuasa untuk melihat perkara ghaib, dan tiada kuasa untuk memberi manfaat dan mudharat. Bezanya, baginda dipilih Allah sebagai utusanNya untuk menyampaikan syariat Islam. Lihat pengakuan baginda dalam ayat-ayat berikut:

Al-A’raf ayat 188

قُلْ لَا أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلَا ضَرًّا إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ ۚ وَلَوْ كُنْتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لَاسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوءُ ۚ إِنْ أَنَا إِلَّا نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Katakahlah:”Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudharat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalaulah aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (pesuruh Allah) yang memberi amaran (kepada yang engkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman.

Sedekah Al-Fatihah / Beri Salam

Jika kita perasan, setiap kali bermulanya majlis-majlis doa selamat atau tahlil arwah, kita seringkali mendengar lafaz seperti ini:-

“Ila Hadratin Nabiyyil Mustofa Rasulullahi Saw Wa Ala Alihi Wa Ashabihi Wa Azwajihi Wa Zurriyatihi Wa Ahli Baitihi Wa Atba’ihi Syai’un Lillahi Lahum Al-fatihah”

 

Lafaz seperti ini bukanlah diambil daripada Quran mahupun Hadith. Ia adalah lafaz rekaan manusia yang bertujuan untuk bodek Nabi saw, supaya Nabi SAW akan sampaikan hajat mereka kepada Allah. Mereka yang beramal dengan amalan seperti ini menyangka Nabi SAW yang sudah ribuan tahun wafat boleh dengar apa yang mereka kata. Sedangkan itu adalah mustahil. Nabi sudah lama wafat. Mana mungkin Nabi saw boleh mendengar.

Lagi pula Roh manusia yang sudah wafat berada di alam barzakh, bukan di dunia. Kalau ada dalil yang shaih mengatakan yang Nabi tidak wafat, atau sudah wafat tapi masih dengar lagi permintaan kita, maka mereka yang kata begitu, kena bawa dalil. Kerana ini adalah perkara ghaib, perkara akidah, bukan perkara main-main.

Bukan senang-senang boleh cakap. Tidak boleh kita kata: “Nabi Muhammad adalah manusia paling mulia, ‘takkanlah’ Allah tidak boleh begitu dengan Nabi?”. Itu hanya kata-kata sahaja. Ingatlah bahawa agama ini kena ada dalil. Kalau kita terima sesuatu perkara tanpa dalil, maka akan sesatlah manusia kerana sesiapa sahaja boleh kata apa-apa sahaja.

Padahal, yang ada dalil adalah mereka yang telah mati, tidak boleh kembali lagi ke dunia:

Al-Mukminun ayat 100

 لَعَلِّي أَعْمَلُ صَالِحًا فِيمَا تَرَكْتُ ۚ كَلَّا ۚ إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَائِلُهَا ۖ وَمِنْ وَرَائِهِمْ بَرْزَخٌ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ

“Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan”. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap di dalamnya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat)

Ayat ini adalah ayat yang umum – orang yang mati tidak dapat kembali. Kerana ada batasan yang tidak dapat dilepasi oleh makhluk. Walaupun ianya berkenaan orang yang tidak beriman, tapi ianya juga sama juga kepada orang beriman. Kerana tidak ada dalil yang mengatakan orang beriman boleh kembali ke dunia.

Ada juga yang memberi salam kepada Nabi saw di kubur baginda. Contohnya jika ada seseorang ingin ke Mekah menunaikan haji atau umrah, ramai yang akan berkirim salam kepada Nabi saw. Ramai juga yang berdoa di kubur Nabi saw. Ini kononnya untuk mendapat keberkatan. Sedangkan berkat itu milik Allah. Lihatlah dalil ini:

Al-Furqaan ayat 1

تَبَارَكَ الَّذِي نَزَّلَ الْفُرْقَانَ عَلَىٰ عَبْدِهِ لِيَكُونَ لِلْعَالَمِينَ نَذِيرًا


Maha berkat Tuhan
yang menurunkan Al-Furqaan kepada hambaNya (Muhammad), untuk menjadi peringatan dan amaran bagi seluruh penduduk alam.

Al-Furqaan ayat 61

 تَبَارَكَ الَّذِي جَعَلَ فِي السَّمَاءِ بُرُوجًا وَجَعَلَ فِيهَا سِرَاجًا وَقَمَرًا مُنِيرًا

Maha berkat Tuhan yang telah menjadikan di langit, tempat-tempat peredaran bintang, dan menjadikan padanya matahari serta bulan yang menerangi.

Bertawassul Dengan Nabi-Nabi, Malaikat-Malaikat, Orang-Orang Alim, Benda Seperti Tangkal, Garam, Lada Hitam, Kayu Kokka, dan tempat seperti Kubur dan Gambar para Wali

Antara nabi-nabi yang popular dibuat tawassul ialah Nabi Khidir (kononnya penjaga air) dan Nabi Ilyas (kononnya penjaga tumbuh-tumbuhan). Tidaklah pernah mereka itu suruh kita bertawasul kepada mereka. Melainkan ianya adalah ajaran dari tok-tok nenek kita dahulu. Mereka tidak bawa dalil dengan membawa ajaran itu. Dan kita ramai-ramai ini pula tidak pernah pun tanya dalil sama ada benar atau tidak.

Kebiasaannya tawassul jenis ini adalah untuk golongan pesilat atau pengamal perubatan ‘Islam’. Pengamal-pengamal perubatan ‘Islam’ itu pun mengamalkan amalan salah mereka itu tanpa dalil juga.

Nabi Khidir – Jika nak masuk dalam laut atau sungai, kena bagi salam seperti ini “Assalamualaikum Ya Nabi Khidir”. Tujuannya adalah supaya Nabi Khidir yang mereka pandai-pandai beri tugas sebagai penjaga air ini memberi izin kepada mereka, seterusnya melindungi mereka agar tidak berlaku kecelakaan sewaktu berada di dalam air, atau mendoakan keselamatan mereka, atau pelbagai alasan-alasan tak masuk akal yang lain.

Nabi Ilyas – Jika nak masuk gelanggang silat, atau masuk hutan, atau memetik buah untuk digunakan dalam perubatan seperti buah delima, kena beri salam seperti ini “Assalamualaikum Ya Nabi Ilyas”. Tujuannya adalah supaya Nabi Ilyas yang mereka pandai-pandai beri tugas sebagai penjaga tanah dan tumbuh-tumbuhan memberi izin kepada mereka, seterusnya akan melindungi mereka agar tidak berlaku kecelakaan sewaktu berada di dalam gelanggang silat kerana biasanya di dalam gelanggang silat ini ada tanah atau rumput atau daun-daun, atau mendoakan keselamatan mereka sewaktu berada di dalam hutan, atau pelbagai alasan-alasan tak masuk akal yang lain.

Malaikat-malaikat – menyeru/menyebut nama malaikat sewaktu keluar dari rumah dengan beberapa lafaz tertentu. Contohnya “Allah Tuhanku, Jibril di kananku, Mikail di kananku, Israfil di depanku, Ad Dahil di belakangku. Kononnya apabila kita sudah menyeru, maka malaikat akan menjaga kita daripada sebarang kecelakaan. Sedangkan malaikat hanya mengikut perintah Allah. Malaikat tidak bertugas untuk manusia.

Orang-orang Alim – Seperti Sheikh Abdul Kadir Jailani dan Tok Kenali (golongan tarekat/sufi), Imam 12 (Syiah), serta Latta, Uzza dan Mannan (musyrikin Mekah). Mereka yang bertawassul ini biasanya akan menyebut nama orang-orang alim ni dalam doa mereka.

 Tawassul yang dibenarkan

Tawassul yang dibolehkan

Memang Allah telah suruh kita mencari wasilah (perantara) kepadaNya. Ini disebut dalam Ayat Maidah:35

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَ وَجَاهِدُوا فِي سَبِيلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepada-Nya, dan berjihadlah pada jalan-Nya, supaya kamu mendapat keberuntungan.

Dan juga dalam al-Isra’:57

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ يَدْعُونَ يَبْتَغُونَ إِلَىٰ رَبِّهِمُ الْوَسِيلَةَ أَيُّهُمْ أَقْرَبُ وَيَرْجُونَ رَحْمَتَهُ وَيَخَافُونَ عَذَابَهُ ۚ إِنَّ عَذَابَ رَبِّكَ كَانَ مَحْذُورًا
Orang-orang yang mereka seru itu, mereka sendiri mencari jalan kepada Tuhan mereka siapa di antara mereka yang lebih dekat (kepada Allah) dan mengharapkan rahmat-Nya dan takut akan azab-Nya; sesungguhnya azab Tuhanmu adalah suatu yang (harus) ditakuti.

Oleh, itu, ada beberapa kaedah yang boleh diguna pakai, kerana ada dalil sahih mengenainya, iaitu:

Berdoa kepada Allah dengan menggunakan perantara/tawassul nama Allah atau sifatNya. Contohnya lafaz seperti ini. “Ya Allah, atas sifatMu yang Maha Mengampunkan Dosa, aku mohon agar kau ampunkan semua dosa-dosa yang telah aku lakukan”

Screenshot_2015-06-15-11-22-29-1
Contoh doa sahih yang bertawassul dengan nama-nama Allah. Ya Haiyyu Ya Qaiyyum

Al-A’raaf ayat 180

وَلِلَّهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ فَادْعُوهُ بِهَا ۖ وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ ۚ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.

Berdoa kepada Allah dengan menggunakan perantara/tawassul amalan shalih yang dilakukan oleh orang yang berdoa. Contohnya lafaz seperti ini, “Ya Allah, Rasulmu bersabda antara waktu mustajab untuk berdoa adalah selepas melakukan ibadah, oleh itu atas sedekah yang aku lakukan ini, aku mohon agar Kau makbulkan doa aku”.

Ali Imraan ayat 193

رَبَّنَا إِنَّنَا سَمِعْنَا مُنَادِيًا يُنَادِي لِلْإِيمَانِ أَنْ آمِنُوا بِرَبِّكُمْ فَآمَنَّا ۚ رَبَّنَا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ الْأَبْرَارِ

Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: ` Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ‘, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti;

 

 

Kesimpulan

Berhati-hatilah wahai muslimin dan muslimat. Agama Islam adalah milik mutlak Allah. Hanya Dia yang layak menentukan segala-galanya. Dia tidak berkongsi dalam mencipta makhluknya, Dia tidak berkongsi dalam membuat hukum-hakam, dan Dia tidak berkongsi dalam mentadbir sekelian alam. Oleh itu, taatlah kepadaNya, beribadatlah kepada Dia semata-mata, dan berdoalah kepada Dia sahaja. Kita wajib mengambil-berat perihal agama, kerana kita ditegah melakukan perkara yang kita tidak tahu asal-usulnya.

Al-Hujuraat ayat 1

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُقَدِّمُوا بَيْنَ يَدَيِ اللَّهِ وَرَسُولِهِ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan RasulNya; dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Agama Islam adalah agama syariat, bukan agama yang berdasarkan niat. Niat yang baik, wajib menggunakan kaedah perlaksanaan yang baik.

Tafsir Surah al-An’am Ayat 31 – 34 (Mukjizat bukan pilihan Nabi)

An’am Ayat 31: Takhwif Ukhrawi.

قَد خَسِرَ الَّذينَ كَذَّبوا بِلِقاءِ اللهِ ۖ حَتّىٰ إِذا جاءَتهُمُ السّاعَةُ بَغتَةً قالوا يٰحَسرَتَنا عَلىٰ ما فَرَّطنا فيها وَهُم يَحمِلونَ أَوزارَهُم عَلىٰ ظُهورِهِم ۚ أَلا ساءَ ما يَزِرونَ

Sahih International

Those will have lost who deny the meeting with Allah, until when the Hour [of resurrection] comes upon them unexpectedly, they will say, “Oh, [how great is] our regret over what we neglected concerning it,” while they bear their burdens on their backs. Unquestionably, evil is that which they bear.

Malay

Sesungguhnya telah rugilah orang-orang yang mendustakan pertemuan mengadap Allah; sehingga apabila hari kiamat datang secara mengejut kepada mereka, mereka berkata; “Aduhai kesalnya kami atas apa yang telah kami cuaikan dalam dunia!” Sambil mereka memikul dosa-dosa mereka di atas belakang mereka. Ingatlah, amatlah buruk apa yang mereka pikul itu.

قَدْ خَسِرَ الَّذِينَ كَذَّبُوا

Sesungguhnya telah rugilah orang-orang yang mendustakan

Rugi yang teramat-amat rugi. Tidak ada lagi kerugian yang lebih besar daripada ini. Maka kita kena perhatikan perkara ini. Kena jaga apa yang kita buat di dunia supaya jangan kita termasuk orang-orang yang disebut dalam ayat ini.

بِلِقَاءِ اللهِ

pertemuan mengadap Allah;

Mereka tidak percaya yang mereka akan bertemu mengadap Allah ‎ﷻ di mana segala amal mereka akan ditimbang dan mereka akan ditanya tentang apakah yang mereka lakukan semasa mereka di dunia dahulu.

Oleh kerana mereka tidak menerimanya, mereka tidak bersedia untuk menghadapinya. Maka mereka telah melakukan dosa-dosa besar dan dosa-dosa syirik. Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan kekal di dalamnya.

Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita memikirkan yang kita akan bertemu dengan Allah ‎ﷻ? Kita sebagai orang beriman, tentunya percaya bahawa akan ada hari Kiamat dan semua akan dihadapkan ke hadapan Allah ‎ﷻ. Tetapi adakah kita sentiasa memikirkannya? Pernahkah kita mengharap untuk bertemu dengan Allah ‎ﷻ? Pernahkah kita terfikir apa akan terjadi pada waktu itu?

Amat rugi kalau kita tidak mengharap untuk bertemu dengan Allah ‎ﷻ. Padahal, kita selalu mengharap untuk masuk Syurga-Nya. Namun malangnya kita tidak teringat pula untuk minta untuk berjumpa dengan-Nya. Dengan orang lain kita hendak sangat jumpa. Contohnya, kalau ayah kita sudah mati, teringin sangat kita hendak jumpa ayah kita di akhirat kelak. Tetapi bagaimana dengan Allah ‎ﷻ? Adakah kita teringin untuk bertemu dengan Allah ‎ﷻ?

Hendaklah kita mengharap untuk bertemu dengan Allah ‎ﷻ. Berdoalah setiap hari agar kita dapat bertemu dengan-Nya. Kita hendak sangat bertemu dengan Allah ‎ﷻ. Ia merupakan satu nikmat Syurga yang paling besar sekali.

حَتَّىٰ إِذَا جَاءَتْهُمُ السَّاعَةُ

sehingga apabila hari kiamat datang kepada mereka,

Mereka tidak terima dan hidup dalam dusta sehingga saat itu tiba. Ia pasti akan datang. Sama ada mereka bersedia atau tidak, ia pasti akan datang juga.

بَغْتَةً

secara tiba-tiba.

Malangnya ia datang tanpa tanda apa pun. Tiba-tiba sahaja ia menjelma tanpa amaran. Ketika itu manusia sedang sibuk dengan hal dunia, sedang buat kerja seperti biasa, makan dan sebagainya. Sebagaimana hari-hari biasa sahaja. Namun ia tiba-tiba datang.

Kiamat pasti akan datang dan ia ada dua jenis: Kiamat besar dan Kiamat Kecil. Kiamat Besar adalah Hari Kiamat apabila segala alam ini akan dihancurkan. Kiamat kecil pula adalah kematian.

Semua orang pasti akan melalui kedua-dua kiamat ini. Kiamat Kecil ini pun akan datang dengan tiba-tiba. Sedang kita sibuk dengan hal dunia, tiba-tiba malaikat maut muncul tiba. Alangkah terkejutnya nanti mereka yang tidak memikirkan untuk bertemu Tuhan dan mereka mati tiba-tiba dan apa yang mereka dustakan akan jelas kepada mereka.

Orang beriman pun tidak tahu bilakah dia akan mati. Tetapi orang yang beriman akan sentiasa bersedia untuk mati. Oleh itu, apabila kematian datang, dia tidak terkejut sangat. Tetapi kepada mereka yang tidak memikirkan pun tentang mati, sedang leka dengan hidup, maka mereka menjadi sangat terkejut. Kepada merekalah mati itu akan datang secara tiba-tiba.

Ayat ini mengajar kita untuk sentiasa bersedia untuk mati. Tanya diri kita setiap hari: “Adakah aku bersedia untuk mati?” “Adakah Allah akan murka atau tidak kepadaku?”

Apabila kita bersedia untuk mati, kita bukan hanya memikirkan tempat tujuan kita di alam akhirat sahaja, tetapi kita juga kena memikirkan apa yang kita tinggalkan – iaitu dunia. Maka ini mengingatkan yang kita kena menyelesaikan hal-hal dunia yang mempunyai kesan kepada kita di akhirat. Sebagai contoh, kita kena memikirkan adakah terdapat barang kepunyaan orang lain dengan kita lagi? Kalau ada, kena pulangkan.

Jika ada hutang, maka kena bayar. Sekurang-kurangnya kita beritahu waris kita untuk memulangkannya apabila kita sudah tiada lagi. Jika kita ada membuat salah dengan orang, kita kena minta maaf dengan segera (jangan tangguh) kerana bukankah mati itu datang secara tiba-tiba? Ini adalah antara perkara yang kita kena lakukan dalam persediaan untuk menghadapi mati.

Jangan tunggu esok, minggu depan tahun hadapan baru hendak membuat perkara-perkara itu. Jangan lengahkan masa untuk mengubah diri kita dan yang paling penting, jangan tangguh untuk belajar tafsir. Ramai yang kononnya hendak belajar apabila sudah senang sedikit, ada masa luang dan berbagai-bagai lagi alasan lain. Jangan tangguh. Jangan sesekali tangguh untuk membuat amalan yang baik.

قَالُوا يٰحَسْرَتَنَا

mereka berkata; “Aduhai kesalnya kami

Kenapa jangan tangguh? Lihatlah kata-kata laungan penyesalan. Mana tidak? Mereka tidak bersedia langsung untuk mati dan mereka mati dengan tiba-tiba. Tentulah mereka menyesal.

عَلَىٰ مَا فَرَّطْنَا فِيهَا

atas apa yang telah kami cuaikan dalam dunia!”

Banyak perkara agama yang manusia sekarang cuai, mungkin termasuk kita sekali. Antaranya, cuai untuk belajar agama, cuai untuk belajar tafsir Al-Qur’an, cuai untuk beramal dan berbagailah lagi. Benda yang kita patut buat, kita tidak buat buat lagi. Maknanya kita ini tidak bersedia untuk menghadapi kematian. Sebaliknya kita sentiasa sibuk dengan benda yang tidak penting.

Kenapa penting belajar agama terutama sekali tafsir Al-Qur’an? Kerana apabila tidak belajar, seorang manusia itu akan membuat syirik tanpa sedar. Ini kerana dia tidak tahu yang apa yang sedang dilakukannya itu adalah syirik. Dan apabila membuat syirik, semua amalan tidak diterima.

Begitulah juga, apabila tidak tahu diri sendiri berbuat perkara syirik, tentulah dia tidak pernah meminta ampun di atas dosa syiriknya itu. Sedangkan dosa syirik kita kena minta ampun sendiri – tidak boleh mengharapkan orang lain mintakan bagi pihak kita.

Bila tidak belajar agama berlandaskan wahyu, selalunya umat Islam kita akan membuat amalan bid’ah. Mereka buat amalan yang bukan dripada ajaran Nabi ﷺ. Tetapi dalam syahadah, mereka mengaku Nabi Muhammad ﷺ itu rasul. Namun begitu, amalan mereka bukan mengikut ajaran baginda. Jadi maksudnya mereka tidak faham apakah maksud syahadah itu. Mereka tidak tahu kenapa mereka sebut ‘asyhadu anna Muhammadur Rasulullah’.

Apabila ditanya, kenapa mereka sebut syahadah itu, mereka akan jawab: “Kerana Nabi Muhammad itu adalah Rasulullah lah.”

Ingatlah yang walaupun kita tidak sebut, Nabi Muhammad ﷺ tetap Rasulullah. Jadi tidak ada kesan kepada kedudukan baginda kalau kita sebut atau tidak. Tetapi kenapa kita sebut dan selalu kita diingatkan tentang hal ini? Jawapannya, kerana itu adalah pernyataan daripada kita bahawa kita ‘akan ikut’ ajaran Nabi Muhammad ﷺ; Kita akan hanya mengamalkan amalan yang diajar oleh Nabi ﷺ sahaja. Kita akan mengamalkan agama Islam ini sebagaimana yang baginda bawa dan baginda ajar. Itulah sebabnya kita mengucap dua kalimah syahadah itu.

Jangan kita sangka ayat ini tentang orang kafir sahaja. Itu adalah salah tafsir daripada guru agama yang mengajar. Mereka hanya beritahu yang ayat ini menceritakan kesalahan orang kafir yang tidak beriman sahaja. Maka, apabila begitu, kita berasa sudah berada di kedudukan selesa, seolah-olah kita tidak ada salah pula. Jangan begitu. Hendaklah kita membandingkan sesuatu teguran Allah ‎ﷻ itu kalau-kalau ia terkena batang hidung kita sendiri.

وَهُمْ يَحْمِلُونَ أَوْزَارَهُمْ

Sambil mereka memikul beban mereka

Beban yang dimaksudkan adalah dosa-dosa mereka. Sebagai contoh, orang yang mencuri daripada orang lain akan membawa barang yang mereka curi itu. Apa sahaja perbuatan kita di dunia akan melekat dengan kita. Alangkah menakutkan!

Maka ini mengingatkan kita supaya jangan kita tambah dosa kita. Sebab ada yang kata: “Aku ni dah banyak dosa dah, sama sahaja kalau tambah lagi ….” Ingatlah yang dosa yang semakin bertambah akan menyusahkan kita lagi. Sedangkan dalam dunia pun kita tidak suka membawa beban, apatah lagi di akhirat kelak. Sebagai contoh, kalau kita hendak mengembara dan berada di lapangan terbang, tiba-tiba penerbangan ditangguhkan. Tentu kita berasa malas hendak membawa beg kita merata-rata, bukan?

Waktu itu kita akan resah dengan segala beg yang kita bawa. Kita kena bawa beg itu ke mana-mana. Rasa macam hendak tinggalkan sahaja, bukan? Walhal itu baru sekejap sahaja dan beg itu boleh diletakkan di dalam troli, bukan kena angkat pun dengan tangan kosong. Bayangkan kalau yang kita kena bawa itu adalah dosa kita yang bertimbun-timbun. Dan dosa yang di akhirat ini kita tanggung di belakang kita!

Walau bagaimanapun, hal ini terbalik dengan pahala. Pahala kita menjelma juga di akhirat, tetapi ia menjadi tunggangan kita.

عَلَىٰ ظُهُورِهِمْ

di atas belakang mereka.

Bukan bawa beban itu dalam beg, atas troli, tarik di belakang kita dan sebagainya, tidak tetapi di atas diri mereka sendiri. Alangkah beratnya! Kita kena membawanya selama kita di dalam neraka. Jika kita adalah ahli neraka yang kekal di dalam neraka, kita kena tanggung beban dosa itu selama-lamanya!

Tambahan pula, semua boleh nampak apakah dosa yang kita lakukan dahulu, maka ia juga adalah sebagai sesuatu yang amat memalukan.

أَلَا سَاءَ مَا يَزِرُونَ

Ketahuilah!, amatlah buruk apa yang mereka pikul itu.

Kita hendak bayangkan pun tidak boleh kerana ia adalah perkara ghaib. Jadi, kita kena terima kata-kata Allah‎ ﷻ ini bahawa ia adalah sesuatu yang amat buruk sekali.


An’am Ayat 32: Ayat ini adalah jenis tarhib min ad-dunya (peringatan tentang dunia) Allah‎ ﷻ mahukan hamba-Nya beringat-ingat tentang dunia dan jangan tertipu dengannya. Ini kerana manusia selalunya terkandas kerana dunia sampaikan mereka yang bijak pandai pun boleh tertipu dengan dunia. Maka sekarang Allah ‎ﷻ beritahu kepada kita hakikat dunia ini yang sebenarnya.

وَمَا الحَيَوٰةُ الدُّنيا إِلّا لَعِبٌ وَلَهوٌ ۖ وَلَلدّارُ الآخِرَةُ خَيرٌ لِّلَّذينَ يَتَّقونَ ۗ أَفَلا تَعقِلونَ

Sahih International

And the worldly life is not but amusement and diversion; but the home of the Hereafter is best for those who fear Allah,  so will you not reason?

Malay

Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?

وَمَا الحَيَوٰةُ الدُّنيا إِلّا لَعِبٌ وَلَهوٌ

Dan tidaklah kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan:

Kehidupan ‘dunia’ adalah kehidupan yang ‘rendah’. Kita telah lihat makna ‘dunya’ dalam ayat sebelum ini.

Apabila digunakan perkataan لَعِبٌ – permainan, ia memberi maksud sesuatu yang melibatkan fizikal. Seperti kita bermain bola, bukankah kita akan berlari ke sana sini? Itu melibatkan fizikal. Oleh itu, bila dikatakan لَعِبٌ, bermaksud kita akan sibuk ke sana dan ke sini. Dari pagi sampai malam tidak habis-habis dengan urusan dunia. Pergi ke sana sini, melancong sana sini, kerja sana sini, berkumpul bersembang sana sini. Sampai bila kita buat begitu? Sampailah hidup kita berakhir.

Yang paling teruk adalah mereka yang mempermainkan agama. Sekarang sampai ada rancangan agama yang melibatkan orang menyanyi di dalamnya. Sama ada di TV atau di stadium-stadium. Mereka sampai bertepuk tangan, melambai-lambai, berjoget-joget dan terkinja-kinja.

Itulah rancangan selawat sesat yang dibawa oleh para Habib. Masyarakat kita yang jahil terpesona dengan mereka. Tidak cukup dengan guru ajaran salah dalam negara sahaja, sekarang kita import pula dari Yaman dan dari negara jiran. Kalau buat benda yang betul tidak mengapa, tetapi masalahnya mereka mengajar yang sesat.

Perkataan لَهْوٌ pula merujuk kepada ‘sesuatu yang melalaikan kita’. Kita leka dengan sesuatu kerana ia menggembirakan kita. Hati yang telah terikat kepada sesuatu yang tidak berfaedah. Jika لَعِبٌ melibatkan gangguan pada fizikal, لَهْوٌ pula melibatkan gangguan emosi dan pemikiran.

Jadi, orang yang lalai adalah mereka yang fizikal dan hati telah terikat dengan sesuatu yang melalaikan, iaitu sesuatu perkara yang membuang masa. Semasa dia membuat perkara itu, dia suka tetapi akhirnya ia akan berakhir. Seperti juga kehidupan dunia ini – akan berakhir. Contohnya jika kita bermain permainan PlayStation, begitu asyik dan menyeronokkan sahaja yang dirasa. Tetapi selepas beberapa jam, permainan itu akan berakhir. Dan kita tidak mendapat apa-apa faedah pun daripadanya. Maka kemudian diulang kembali permainan itu tidak sudah-sudah dengan harapan keseronokan yang dirasakan itu juga akan terus dirasai.

Ingatlah dunia ini sekejap sahaja sebenarnya tetapi ia amat melekakan. Seperti juga orang kita suka menonton perlawanan bola sepak semasa Piala Dunia. Semasa perlawanan itu, mereka leka dan suka sehingga sanggup mengorbankan waktu tidur pada malam hari. Namun akhirnya ia akan berakhir juga. Sekejap sahaja keseronokan. Namun apakah yang kita dapat? Apa kebaikan kepada negara, kepada keluarga kita, kepada diri kita? Tidak ada langsung. Oleh itu, janganlah kita terikat sangat dengan dunia kerana ia tidak kekal.

Ramai dalam kalangan kita yang suka kepada nasyid dan qasidah. Mereka sangka ia baik tetapi yang mereka jadikan sebagai hiburan ‘islamik’ bukannya sesuatu yang benar. Menunjuk-nunjuk sahaja. Tidak benar pun apa yang mereka nyanyikan itu. Ini termasuklah sama ada nyanyian bintang komersil yang popular ataupun nyanyian lagu nasyid dan qasidah yang sekarang semakin popular. Ingatlah bahawa nyanyian adalah sesuatu yang haram.

Dalam Surah Syu’ara, Allah ‎ﷻ telah menghukum yang nyanyian itu adalah haram. Dengan sekarang ada qasidah ya hanana dan sebagainya, apakah mereka sangka itu adalah benar? Mereka kata ia adalah satu metode untuk berdakwah. Tetapi cuba tanya mereka semula, adakah Nabi ﷺ ada buat cara dakwah sebegitu? Ingatlah, bahawa perkara yang salah tidak boleh digunakan untuk dakwah.

Berhentilah kita mengikut cara Kristian. Paderi Kristian telah reka nyanyian dalam gereja mereka untuk menarik minat umat Kristian yang semakin kurang datang ke gereja. Kalau kita sampai bawa masuk nasyid dan qasidah ke dalam masjid kita, itu memang sudah tiru bulat-bulat dengan cara Kristian. Kita pun tahu yang Kristian itu kafir dan sesat, habis kenapa hendak diikut cara mereka?

Jangan juga kita jadikan senda gurau dalam majlis agama kita. Malangnya, sekarang sudah terlalu ramai ustaz yang mengajar sambil memasukkan senda gurau dalam pengajaran mereka. Sama ada di masjid, stadium mahupun TV. Sampai mengilai-ngilai pendengar tertawa dengan lawak mereka.

Bila balik ke rumah, tidak tahu apa yang mereka belajar. Yang mereka ingat hanyalah lawak-lawak yang diceritakan dalam ceramah itu. Jangan begitu, kerana ajaran agama ini adalah berkenaan syurga dan neraka. Maknanya, ia adalah benda yang berat. Bukan perkara yang diambil ringan.

وَلَلدَّارُ الْآخِرَةُ خَيْرٌ

dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik

Sekarang Allah ‎ﷻ membandingkan dunia dan akhirat. Terdapat banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang sebegini – selepas disebut tentang dunia, Allah ‎ﷻ akan sebut tentang akhirat pula agar kita boleh bandingkan. Setiap muka surat dalam Al-Qur’an akan ada yang sentuh tentang akhirat kerana ia adalah perkara yang amat penting dan perlu diberi peringatan.

Ingatlah yang dunia ini tidak kekal. Yang kekal adalah akhirat. Negeri Akhirat itu خَيْرٌ lebih baik – tetapi lebih baik kepada siapa?

لِّلَّذِينَ يَتَّقُونَ

bagi orang-orang yang bertaqwa.

Akhirat itu hanya خَيْرٌ kepada mereka yang bertaqwa sahaja. Bukan semua akan mendapat kebaikan di akhirat itu. Semoga kita termasuk golongan yang mendapat kebaikan ini, aameen.

Taqwa adalah berhati-hati dalam menjalani kehidupan. Orang bertaqwa akan memikirkan hukum dalam segenap kehidupannya. Sebelum membuat sesuatu, mereka akan fikirkan halal-haramnya. Kalau dilarang dalam agama, mereka tidak melakukannya.

أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?

Kenapa kamu tidak mahu berfikir dan menggunakan intelek kamu? Lihatlah dunia ini dan fikirkan, adakah terdapat kebaikan jika kita meletakkan segala harapan dan masa kita kepada dunia yang tidak kekal ini? Adakah kamu sanggup tertipu dengan keindahan dunia yang rendah dan tidak kekal? Kena timbang-timbangkan.


An’am Ayat 33: Kembali kepada tema utama surah ini. Ayat ini adalah sebagai pujuk rayu kepada penyebar tauhid. Jadi ayat ini adalah Ayat Tasliah (pujukan) untuk menghilangkan kesedihan kepada para penyebar tawhid dan pendakwah kepada kebenaran.

قَد نَعلَمُ إِنَّهُ لَيَحزُنُكَ الَّذي يَقولونَ ۖ فَإِنَّهُم لا يُكَذِّبونَكَ وَلٰكِنَّ الظّٰلِمينَ بِئآيٰتِ اللهِ يَجحَدونَ

Sahih International

We know that you, [O Muhammad], are saddened by what they say. And indeed, they do not call you untruthful, but it is the verses of Allah that the wrongdoers reject.

Malay

Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu menyebabkan engkau (wahai Muhammad) berdukacita; (maka janganlah engkau berdukacita) kerana sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat keterangan Allah sebenarnya.

قَدْ نَعْلَمُ

Sesungguhnya Kami mengetahui

Allah ‎ﷻ menenangkan hati Nabi ﷺ dengan memberitahu baginda bahawa Allah ‎ﷻ dengar, Allah ‎ﷻ tahu yang Nabi ﷺ dalam kesedihan. Bukanlah Allah‎ ﷻ tidak tahu apa yang baginda lalui. Kalau seseorang itu tahu yang ada yang mendengar keluhan hatinya, faham apa yang dirasainya, bukankah ada kurang sedikit rasa resahnya itu? Allah ‎ﷻ hendak mengurangkan kesedihan baginda dengan pujukan ini.

إِنَّهُ لَيَحْزُنُكَ الَّذِي يَقُولُونَ

bahawa apa yang mereka katakan itu menyebabkan engkau berdukacita;

Nabi Muhammad ﷺ diejek dengan teruk sekali. Berbagai tohmahan dilemparkan oleh Musyrikin Mekah kepada baginda. Mereka menuduh baginda ahli sihir lah, gila lah, pemecah belah masyarakat lah dan macam-macam lagi. Allah ‎ﷻ beritahu kepada Nabi ﷺ bahawa Allah‎ ﷻ tahu apa yang dikatakan kepada baginda dan baginda berasa sedih dengan perkara itu. Bukannya Allah‎ ﷻ tidak tahu. Tetapi itulah ujian buat baginda.

Seperti juga kita sekiranya diejek dengan gelaran ‘Wahabi’. Kita mendapat gelaran ini kerana kita selalu membicarakan tentang syurga dan neraka, Al-Qur’an dan hadith Nabi. Diejek dengan kata “Tiada benda lainkah lagi? Asyik tauhid, syirik, Al-Qur’an, hadith sahaja kamu bawa ni?” Tentu hati kita sedikit sebanyak tersentuh, bukan? Ingatlah bahawa Allah‎ ﷻ tahu apa yang kita lalui, maka bersabarlah.

فَإِنَّهُمْ لَا يُكَذِّبُونَكَ

kerana sebenarnya mereka bukan mendustakanmu,

Allah‎ ﷻ kata para penentang itu sebenarnya bukan mendustakan dan mengejek Nabi Muhammad tetapi sebenarnya mendusta dan mengejek Allah ‎ﷻ. Ini kerana Nabi Muhammad hanya menyampaikan ayat-ayat daripada Allah ‎ﷻ, bukanlah ayat-ayat rekaan daripada baginda. Oleh itu, Allah‎ ﷻ mengingatkan baginda agar jangan bersedih kerana mereka sebenarnya bukan mengejek dan menentang baginda.

وَلَٰكِنَّ الظّٰلِمِينَ بِئآيٰتِ اللهِ يَجْحَدُونَ

tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat keterangan Allah

Yang mereka debat dan lawan adalah ayat-ayat Allah ‎ﷻ. Mereka menentang Allah ‎ﷻ sebenarnya. Mereka sahaja yang tidak sedar yang mereka waktu itu sedang menolak Allah ‎ﷻ.

Perkataan يَجْحَدُونَ daripada katadasar ج ح د yang bermaksud ‘menolak sesuatu selepas tahu’. Musyrikin Mekah memang tahu bahawa Nabi ﷺ itu rasul dan ayat Al-Qur’an itu memang daripada Allah ‎ﷻ (hati mereka sendiri menerimanya), tetapi mereka masih juga menolak kerana mereka sombong dan degil.

Allah ‎ﷻ suruh Nabi ﷺ bersabar dengan dugaan ini. Yang sepatutnya marah adalah Allah ‎ﷻ, bukanlah baginda. Sama juga nasihat ini sekarang diberikan kepada kita. Kita pun kena sabar dan buat tidak tahu dengan kata-kata penentang. Kita cuma sampaikan sahaja. Kalau mereka tidak terima, mereka bukan menolak kita, tetapi menolak Allah‎ ﷻ sebenarnya.

Orang yang tidak mahu terima dakwah tauhid bukanlah mereka tidak suka dengan pendakwah itu, tetapi dengan mesej yang dibawa. Sebagai contoh, katakanlah anda telah belajar agama dan kerana anda tahu ia adalah benar, maka anda ceritakan kepada rakan dan keluarga. Ada yang sudah lama kenal dan memang kawan baik. Yang mungkin sama-sama jahil dan nakal dahulu.

Selepas kita dakwah kepadanya, dia akan kata: “Kamu ni dah lain dah. Dulu tak macam ni. Dulu kita boleh duduk lepak sama-sama, sekarang dah susahlah nampaknya. Kau belajar kat mana ni?”

Begitulah yang selalu terjadi. Kalau hendak kata dia tidak suka kepada kita, bukankah dia telah lama kenal dan kawan dengan kita, bukan? Maksudnya, yang dia tidak boleh terima adalah mesej tauhid yang kita sampaikan kepadanya. Maka jangan kita terasa sangat dengan mereka. Memang dakwah memerlukan kesabaran dan keteguhan hati.


An’am Ayat 34: Allah ‎ﷻ beri contoh apa yang berlaku kepada Rasul-rasul terdahulu sebagai sambungan pujukan kepada baginda.

وَلَقَد كُذِّبَت رُّسُلٌ مِن قَبلِكَ فَصَبَروا عَلىٰ ما كُذِّبوا وَأوذوا حَتّىٰ أَتٰهُم نَصرُنا ۚ وَلا مُبَدِّلَ لِكَلِمٰتِ اللهِ ۚ وَلَقَد جاءَكَ مِن نَّبَإِ المُرسَلينَ

Sahih International

And certainly were messengers denied before you, but they were patient over [the effects of] denial, and they were harmed until Our victory came to them. And none can alter the words of Allah . And there has certainly come to you some information about the [previous] messengers.

Malay

Dan demi sesungguhnya, Rasul-rasul sebelummu pernah juga didustakan, maka mereka sabar terhadap perbuatan orang-orang yang mendustakan mereka dan menyakiti mereka, sehingga datanglah pertolongan Kami kepada mereka; dan sememangnyalah tiada sesiapa pun yang dapat mengubah Kalimah-kalimah Allah (janji-janjiNya); dan demi sesungguhnya, telah datang kepadamu sebahagian dari khabar berita Rasul-rasul itu.

وَلَقَدْ كُذِّبَتْ رُّسُلٌ مِّن قَبْلِكَ

Dan demi sesungguhnya, Rasul-rasul sebelummu pernah juga didustakan,

Nabi dan Rasul sebelum ini pun sudah didustakan. Jadi ini bukan perkara baru. Itulah sebabnya Allah ‎ﷻ ceritakan tentang Nabi-Nabi dahulu kepada Nabi dan kepada kita supaya kita tahu apa yang telah terjadi kepada mereka.

Begitu juga ulama’ dan guru-guru agama dahulu kala pun sudah ramai ditolak. Imam Ibn Taimiyyah, Imam Bukhari, Imam Ahmad رحمهم الله malah banyak lagi. Dan yang ditolak itu adalah dalam hal berkenaan tauhid, bukan tentang hal wirid, tentang ibadat. Kalau kita sentuh tentang perkara ibadat, mereka tidak kisah sangat, mereka terima sahaja.

Cuma tentang tauhid yang kalau diberitahu kepada mereka, mereka akan lawan dan tolak bersungguh-sungguh. Mereka tidak tahu, yang sebenarnya tentang tauhidlah yang paling penting sekali. Ibadat memang penting juga, tetapi kalau tauhid bermasalah, buat banyak ibadat pun tidak berguna kerana selagi masih membuat syirik, selagi itu ibadat tidak diterima.

فَصَبَرُوا عَلَىٰ مَا كُذِّبُوا

maka mereka sabar terhadap perbuatan orang-orang yang mendustakan mereka

Allah ‎ﷻ beritahu yang orang-orang dahulu itu tahan dengan penuh kesabaran. Mereka tidak marah dengan apa yang dikenakan kepada mereka kerana apa yang mereka lakukan adalah kerana Allah ‎ﷻ. Mereka tidak mengharapkan balasan daripada umat yang mereka dakwahkan itu, tetapi mereka hanya mengharapkan balasan daripada Allah ‎ﷻ sahaja. Mereka terus berdakwah dan tidak meninggalkan kaum mereka.

Maka kalau mereka boleh bersabar, maka kamu pun bersabarlah juga.

وَأُوذُوا

dan menyakiti mereka,

Mereka disakiti dengan kata-kata dan juga dengan fizikal. Apabila umat yang kufur itu tidak dapat melawan dengan kata-kata kerana mereka tidak ada hujah, mereka akan menggunakan keganasan fizikal pula tetapi golongan terdahulu itu tetap bersabar.

حَتَّىٰ أَتٰهُمْ نَصْرُنَا

sehingga datanglah pertolongan Kami kepada mereka;

Allah ‎ﷻ memberi pertolongan kepada rasul-rasul itu di mana mereka telah diberikan kemenangan dan musuh mereka telah dihancurkan. Allah ‎ﷻmemberi isyarat kepada Nabi ﷺ dalam ayat ini bahawa pertolongan Allah ‎ﷻ akan tiba. Tunggu sahaja kerana kejayaan itu pasti. Dan Rasulullah ﷺ telah melihat kejayaan itu di dalam hidup baginda.

وَلَا مُبَدِّلَ لِكَلِمٰتِ اللهِ

dan tiada sesiapa pun yang dapat mengubah Kalimah-kalimah Allah;

Apakah كَلِمَاتِ اللهِ? Banyak sekali maksudnya. Dalam Surah Kahfi telah disebut bahawa kalaulah kalimat-kalimat Allah ‎ﷻ ditulis, tidak akan habis walaupun dua kali ganda air lautan di dunia ini dijadikan dakwat untuk menulisnya.

Termasuk dalam kalimat-kalimat Allah‎ ﷻ adalah janji-janji-Nya. Janji-Nya untuk rasul-Nya dan para pendakwah.

Kalimat Allah ‎ﷻ juga termasuk segala puji-pujian untuk-Nya. Amat banyak sekali.

Ia termasuk juga hukum-hukum. Hukum-hukum Allah ‎ﷻ tidak boleh diubah. Kita tidak boleh tukar ikut kehendak kita. Walaupun ayat-ayat itu keras, ramai orang tidak suka, tetapi begitulah ia tetap terpakai dan mesti diikuti. Kena sampaikan seperti itu juga. Jangan kita lihat orang tidak suka, kita ubah tafsir ayat itu untuk ‘sesuaikan’ dengan keadaan semasa.

Atau kita simpan sesetengah ayat, tidak sebarkan ayat-ayat yang kita rasa orang tidak suka dengar. Kita ajar ayat-ayat yang tidak menyebabkan orang sakit hati sahaja. Kita ajar ayat-ayat yang ringan sahaja.

Salah satu janji Allah ‎ﷻ adalah kalau kita dakwah ajaran tauhid, mesti akan jadi begini. Iaitu memang pendakwah akan ditolak, pasti ada musuh untuk mereka. Masalahnya, ramai yang takut diejek dan ditentang. Oleh itu, mereka tidak berani hendak beritahu kepada orang lain. Oleh itu, kepada kita yang belajar tauhid ini, tidak boleh sembunyikan apa yang kita telah belajar ini. Kena sampaikan kepada masyarakat yang ramai tidak tahu.

Ini kerana kalau kita sembunyikan ajaran sebenar, kita akan dilaknat oleh Allah ‎ﷻ dan mereka yang melaknati (makhluk lain seperti malaikat). Jangan takut dengan mereka yang menentang. Memang kewajipan menyampaikan kepada manusia adalah berat. Tetapi kita tetap kena juga lakukan. Ini kerana walaupun kita tidak membuat bid’ah dan syirik, tetapi oleh sebab kita simpan ilmu itu dan tidak sebarkan, kita akan dilaknat dan akan disumbatkan ke dalam neraka sama seperti orang yang membuat syirik juga.

Maka kesimpulannya kena sampaikan ilmu tauhid. Jangan hanya cerita perkara ibadah sahaja. Dibimbangi kita menjadi seperti Jemaah Tabligh yang mengajak manusia kepada agama, tetapi tidak melarang orang daripada membuat syirik. Cuma ajak orang pergi salat sahaja. Inilah satu sindrom yang akan menyebabkan manusia makin sesat kerana kesalahan akidah manusia tidak ditegur.

Satu lagi makna: tiada orang yang boleh mengubah pertolongan Allah ‎ﷻ. Apabila pertolongan Allah ‎ﷻ tiba, ia akan tiba. Maka ini mengajar kita supaya bersabar.

وَلَقَدْ جَاءَكَ مِن نَّبَإِ الْمُرْسَلِينَ

dan sesungguhnya, telah datang kepadamu sebahagian dari khabar berita Rasul-rasul itu.

Ada banyak kisah yang telah disampaikan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Banyak lagi yang tidak diberitahu. Kisah-kisah itu sepatutnya boleh menenangkan Nabi ﷺ. Bagaimana dalam kisah itu telah disebutkan bagaimana Nabi-Nabi dulu telah diselamatkan dan diberikan kemenangan. Ingatlah yang pertolongan Allah ‎ﷻ pasti datang.

Kisah para rasul itu juga telah sampai kepada kita melalui Nabi Muhammad  ﷺ. Cerita Rasul dan Nabi-nabi, semua orang tahu. Tetapi hal tauhid yang dibawa oleh Rasul-Rasul itu tidak diambil tahu. Mereka cuma ambil tahu tentang kisah-kisah perjalanan hidup mereka sahaja. Padahal, semua kisah Nabi dan Rasul dahulu adalah tentang tauhid. Mereka itu semuanya ditentang kerana membawa ajaran tauhid.

Yang menyedihkan pula, dalam kisah-kisah yang disampaikan kepada masyarakat tentang Nabi-Nabi dulu, ada banyak kisah-kisah tambahan yang melalut-lalut. Yang karut pun ada. Antaranya kisah Nabi Sulaiman عليه السلام yang hendakkan Puteri Balqis, kisah Nabi Yusuf عليه السلام dan Zulaikha berkahwin dan sebagainya.

Kisah itu pula sehingga mencemarkan nama para Nabi. Memang ada dalam kitab tetapi kitab apa? Orang kita, kalau sebut kitab sahaja, terus terima tanpa ilmu. Oleh itu, yang jadi masyhur adalah kisah-kisah yang tidak penting sahaja. Yang kisah dakwah mereka tentang tauhid tidak diberitahu kepada masyarakat.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 9 November 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Tafsir Surah al-An’am Ayat 26 – 30 (Ingin kembali ke dunia)

An’am Ayat 26: Bukan sahaja mereka tidak mahu terima, tetapi mereka halang orang lain juga. Ini sangat teruk, kerana bukan menyesatkan diri sendiri sahaja malah menyesatkan orang lain juga.

وَهُم يَنهَونَ عَنهُ وَيَنأَونَ عَنهُ ۖ وَإِن يُهلِكونَ إِلّا أَنفُسَهُم وَما يَشعُرونَ

Sahih International

And they prevent [others] from him and are [themselves] remote from him. And they do not destroy except themselves, but they perceive [it] not.

Malay

Dan mereka pula melarang orang ramai dari mendengar Al-Qur’an dan mereka juga menjauhkan diri daripadanya, padahal mereka (dengan perbuatan yang demikian) hanyalah membinasakan diri sendiri (dengan bala bencana dan azab yang disediakan untuk mereka di dunia dan di akhirat kelak), sedang mereka tidak menyedarinya.

 

وَهُمْ يَنْهَوْنَ عَنْهُ

Dan mereka melarang (orang lain) daripada Al-Qur’an

Pemuka-pemuka Musyrikin Mekah itu menghalang orang lain daripada pergi kepada Nabi ﷺ dan mendengar bacaan Al-Qur’an baginda. Dhomir ه dalam ayat ini boleh merujuk kepada Nabi ﷺ dan juga boleh juga merujuk kepada Al-Qur’an. Ini kerana Rasulullah ﷺ dan Al-Qur’an itu sama sahaja, maksudnya Nabi ﷺ akan ajar berlandaskan Al-Qur’an dan akhlak baginda adalah akhlak Al-Qur’an. Ada yang mengatakan baginda adalah ‘Al-Qur’an bergerak’.

Mereka halang manusia daripada mendekati Rasulullah ﷺ kerana mereka tahu, jika orang pergi mendengarnya, ada kemungkinan yang mendengar itu akan masuk Islam. Jadi mereka akan sedaya upaya halang manusia daripada mendekati baginda. Mereka kata tidak perlu dengar sebab ia hanyalah kisah-kisah dongeng sahaja, bukan boleh digunakan untuk zaman sekarang. Mereka juga kata jangan dengar Muhammad ﷺ itu kerana dia orang gila!

Pada zaman sekarang, mereka ini adalah golongan yang melarang orang lain belajar tafsir dengan ustaz yang mengajar tafsir Al-Qur’an dengan ajaran tauhid. Mereka tuduh itu adalah ajaran salah. Mereka kata itu adalah tafsiran ‘Wahabi’. Mereka halang daripada mendengar ajaran-ajaran sunnah kerana kadangkala kalau sudah mula dengar, akan ikut. Ini memang menjadi kebiasaan kerana ajaran sunnah memang ajaran yang mesra akal dan mesra wahyu. Jadi kalau mula belajar sunnah, memang akan sayang dan akan pegang sampai bila-bila.

Berbagai-bagai cara digunakan oleh manusia yang ingkar untuk menghalang manusia daripada mendengar kebenaran. Antaranya mereka akan mengeluarkan penipuan, beri hujah yang batil dan sebagainya.

 

وَيَنْأَوْنَ عَنْهُ

dan mereka sendiri menjauhkan diri daripadanya,

Inilah yang dilakukan oleh golongan penentang, tidak kiralah Musyrikin Mekah atau penentang kepada ajaran berlandaskan wahyu (ajaran sunnah). Sudahlah mereka halang anak murid mereka daripada belajar tafsir Al-Qur’an, malah mereka sendiri pun tidak mahu belajar. Kalimah وَيَنْأَوْنَ dari perkataan bermaksud ‘menjauhkan diri kerana sombong’. Mereka rasa mereka lagi pandai, mereka lagi benar.

Begitulah juga golongan bid’ah di negara ini. Mereka telah lama belajar seperti belajar di pondok-pondok, maka mereka sangka mereka telah faham agama dan tidak perlu lagi ajaran daripada yang lain. Maka walaupun ada ajaran yang mengajak kepada Al-Qur’an dan sunnah, mereka halang diri mereka daripada mendengar kepadanya.

 

وَإِن يُهْلِكُونَ إِلَّا أَنفُسَهُمْ

dan mereka tidaklah membinasakan sesiapa melainkan diri mereka sendiri,

Mereka membinasakan diri mereka kerana mereka tidak tahu tentang tauhid. Mereka buat benda yang syirik kerana mereka tidak tahu. Maka, amalan mereka dalam salat, puasa dan sebagainya tidak diterima. Tidak ada pahala langsung. Ia hilang lenyap begitu sahaja.

Sebut syirik pun belum lepas…

Kalau mereka tidak mahu kepada Al-Qur’an, mereka tidak merosakkan sesiapa pun melainkan dirinya sendiri. Dia sendiri yang rugi. Dirinya sendiri yang akan binasa.

 

وَمَا يَشْعُرُونَ

sedang mereka tidak menyedari.

Inilah yang menyedihkan. Mereka tidak sedar pun yang mereka sebenarnya telah sesat. Mereka tidak sedar mereka sedang memasukkan diri mereka ke dalam neraka.

Begitulah dengan Musyrikin Mekah, mereka sangka mereka benar kerana mereka penjaga Kaabah. Untuk golongan yang tidak mesra kepada wahyu, mereka sangka mereka sudah betul dan benar kerana mereka telah lama belajar agama. Akan tetapi jika sudah jauh daripada ajaran wahyu, maka tidak akan selamat.


 

An’am Ayat 27: Ayat jenis Takhwif Ukhrawi (amaran keras tentang azab di akhirat). Ini adalah apa yang akan terjadi di akhirat kelak. Allah ‎ﷻ beritahu supaya kita menjadi takut dan kita perbaiki keadaan diri kita semasa di dunia. Allah ‎ﷻ sentiasa mengingatkan kita tentang akhirat di dalam Al-Qur’an ini supaya kita beringat-ingat, jangan kita menyesal nanti di akhirat seperti mereka akan disebut ini.

وَلَو تَرىٰ إِذ وُقِفوا عَلَى النّارِ فَقالوا يٰلَيتَنا نُرَدُّ وَلا نُكَذِّبَ بِئآيٰتِ رَبِّنا وَنَكونَ مِنَ المُؤمِنينَ

Sahih International

If you could but see when they are made to stand before the Fire and will say, “Oh, would that we could be returned [to life on earth] and not deny the signs of our Lord and be among the believers.”

Malay

Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka didirikan di tepi neraka (untuk menyaksikan azabnya yang tidak terperi), lalu mereka berkata: “Wahai kiranya kami dikembalikan ke dunia, dan kami tidak akan mendustakan lagi ayat-ayat keterangan Tuhan kami, dan menjadilah kami dari golongan yang beriman”.

 

وَلَوْ تَرَىٰ

Dan jika kamu (Muhammad) melihat

Kalaulah kamu boleh melihat keadaan mereka yang menentang wahyu nanti di akhirat kelak. Ia adalah sesuatu yang amat menakutkan sekali. Allah ‎ﷻ suruh Rasulullah ﷺ dan kita cuba membayangkannya.

 

إِذْ وُقِفُوا عَلَى النَّارِ

ketika mereka diberhentikan di neraka,

Kalimah وُقِفُوا bermaksud berdiri di satu tempat seperti ‘wuquf’ di Arafah. Lebih tepat lagi, وُقِفُوا bermaksud mereka ‘diberhentikan’ oleh malaikat di situ. Bukanlah mereka suka-suka hendak duduk di hadapan neraka pula. Tetapi mereka akan dipaksa untuk berhenti. Inilah yang akan dikenakan kepada penentang-penentang ajaran Tauhid dari dulu sampai sekarang.

Iaitu mereka yang melarang orang belajar tafsir dan mereka sendiri tidak mahu belajar. Oleh kerana itu, mereka telah membuat kesalahan dalam agama. Mereka tidak tahu tentang agama Islam dengan sebenar dan sepatutnya. Maka, apabila ada orang Syiah datang, mereka tidak boleh melawan kerana akidah mereka dan Syiah itu sama sahaja. Contohnya, amalan Nisfu Syaaban itu sebenarnya adalah ajaran daripada fahaman Syiah. Begitu juga sambutan Mawlid Nabi pertama kali dilakukan oleh Kerajaan Syiah Fathimiyah. Jadi jika perkara ini masih kita amalkannya, kita sebenarnya mengamalkan Sunnah Syiah!

Mereka sahaja yang tidak tahu mana yang benar dan mana yang salah. Apabila mereka diajar dengan amalan yang salah, mereka tidak tahu pun yang amalan itu adalah amalan yang salah kerana mereka tidak ada neraca wahyu untuk membezakan mana yang benar dan mana yang batil.

 

فَقَالُوا يٰلَيْتَنَا

lalu mereka berkata: alangkah sesalnya kami, alangkah celakanya kami, 

Allah ‎ﷻ ulang kata-kata penyesalan mereka iaitu pada waktu itu mereka menyesal dan berharap supaya diberikan peluang untuk memperbaiki kesilapan mereka. Malangnya mereka berharap kepada sesuatu yang mereka tidak akan dapat.

Apakah yang mereka harapkan? Apakah yang mereka mahu?

 

نُرَدُّ

Kiranya kami dikembalikan (ke dunia)

Banyak sekali ayat sebegini disebut dalam Al-Qur’an iaitu mereka semua akan berharap semoga mereka dikembalikan ke dunia. Tidak ada disebut dalam Al-Qur’an yang mereka itu minta ampun di akhirat kelak kerana mereka tahu yang istighfar mereka tidak akan diterima.

Maka, yang mereka minta adalah dikembalikan ke dunia semula supaya mereka boleh memperbetulkan kesalahan mereka dahulu semasa mereka di dunia. Namun malangnya tidak mungkin mereka akan dikembalikan kerana dunia waktu itu pun sudah dihancurkan jadi mahu dikembalikan ke mana?

 

وَلَا نُكَذِّبَ بِئآيٰتِ رَبِّنَا

dan tidak mendustakan ayat-ayat Tuhan kami,

Mereka berhasrat kalaulah mereka dikembalikan, mereka akan memperbaiki kesalahan mereka. Baru mereka hendak terima ajaran dalam ayat-ayat Al-Qur’an, barulah mereka hendak buat kebaikan ikut arahan daripada Allah ‎ﷻ. Semasa di dunia, mereka tidak mahu beriman, sekarang sudah masuk neraka baru hendak beriman.

Maknanya, baru sekarang mereka mengaku yang dahulu mereka telah mendustakan ayat-ayat Allah ‎ﷻ. Hanya apabila sudah berada di Mahsyar baru mereka akan kata yang mereka tidak akan buat lagi kesilapan mendustakan dan menolak ajaran wahyu.

 

وَنَكُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

serta menjadi orang-orang yang beriman”,

Barulah mereka hendak beriman dengan sebenar-benar iman. Barulah mereka akan menolak syirik. Iman yang sebenarnya adalah menolak syirik. Ramai yang boleh beriman dengan apa yang perlu diimani, akan tetapi ramai yang susah untuk menolak syirik.

Maka sekarang mereka hendak benar-benar beriman. Mereka sudah tidak mahu mengamalkan syirik lagi, asalkan mereka dipulangkan ke dunia. Bolehkah begitu? Akan dijawab dalam ayat seterusnya.


 

An’am Ayat 28: Ayat sebelum ini disebut bagaimana golongan musyrik yang telah dihadapkan ke neraka akan berharap supaya mereka dikembalikan ke dunia. Mereka hendak kembali kerana mereka hendak buat amalan kebaikan, tidak mahu membuat syirik lagi.

Adakah mereka berjaya dikembalikan? Allah ‎ﷻ jawab dalam ayat ini:

بَل بَدا لَهُم مّا كانوا يُخفونَ مِن قَبلُ ۖ وَلَو رُدّوا لَعادوا لِما نُهوا عَنهُ وَإِنَّهُم لَكٰذِبونَ

Sahih International

But what they concealed before has [now] appeared to them. And even if they were returned, they would return to that which they were forbidden; and indeed, they are liars.

Malay

(Mereka mengatakan yang demikian bukanlah kerana hendak beriman) bahkan setelah nyata kepada mereka apa yang mereka selalu sembunyikan dahulu; dan kalau mereka dikembalikan ke dunia sekalipun, tentulah mereka akan mengulangi lagi apa yang mereka dilarang dari melakukannya; dan sesungguhnya mereka adalah tetap pendusta.

 

بَلْ بَدَا لَهُم

bahkan nyata kepada mereka

Perkataan بَلْ digunakan untuk menidakkan pernyataan dalam ayat sebelum ini, Iaitu mereka mengharap semoga mereka dikembalikan ke dunia. Perkataan بَلْ menyatakan mereka tidak akan ada peluang itu.

Sebaliknya akan dinyatakan kepada mereka, akan dikeluarkan untuk ditunjukkan kepada mereka. Apakah yang akan dikeluarkan?

Nota: Ada banyak kalimat berbeza-beza yang digunakan di dalam Al-Qur’an untuk menunjukkan makna ‘zahir’. Ini adalah kerana bahasa Arab ini amat kaya jadi semua kalimat itu walaupun diterjemahkan sebagai ‘menzahirkan’, akan tetapi ada perbezaan antara semuanya itu. Kita senaraikan di sini untuk perbandingan:

1. ظَهَرَ bermaksud luaran, yang senang nampak.; lawannya adalah بطن yang bermaksud ‘perut’, ‘dalaman’. Contohnya seperti Rum:41.

ظَهَرَ الفَسادُ فِي البَرِّ وَالبَحرِ

Telah nampak kerosakan di darat dan di laut

 

2. جَهْرً pula bermaksud terang jelas. Contohnya di dalam Baqarah:55.

وَإِذ قُلتُم يَـٰمُوسَىٰ لَن نُّؤمِنَ لَكَ حَتّىٰ نَرَى اللهَ جَهرَةً

Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)”

Ia juga digunakan untuk suara yang jelas seperti ‘Solat Jahr’ untuk Subuh, Maghrib dan Isya’.

Oleh itu lihat contoh yang kedua adalah dalam Nisa’:148 yang berkenaan dengan suara,

لا يُحِبُّ اللَّهُ الجَهرَ بِالسّوءِ مِنَ القَولِ إِلّا مَن ظُلِمَ

Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang;

 

3. بَدَا bermaksud jelas kelihatan tanpa kerelaaan orang itu. Ini seperti digunakan dalam An’am:28 ini.

بَل بَدا لَهُم مّا كانوا يُخفونَ مِن قَبلُ

bahkan setelah nyata kepada mereka apa yang mereka selalu sembunyikan dahulu;

Satu lagi contoh adalah di dalam A’raf:22

فَلَمّا ذاقَا الشَّجَرَةَ بَدَت لَهُما سَوءٰتُهُما

Tatkala keduanya telah merasai buah pokok itu, nampaklah bagi keduanya aurat-auratnya

Satu lagi contoh adalah Yusuf:35

ثُمَّ بَدا لَهُم مِن بَعدِ ما رَأَوُا الآياتِ لَيَسجُنُنَّهُ حَتّىٰ حينٍ

Kemudian jelas pada mereka setelah melihat tanda-tanda (kebenaran Yusuf) bahawa mereka harus memenjarakannya sampai sesuatu waktu.

 

4. عُثِرَ digunakan apabila seseorang menipu dan kemudian dia telah tersilap cakap sampaikan kebenaran itu terserlah. Ini seperti digunakan dalam Maidah:107

فَإِن عُثِرَ عَلىٰ أَنَّهُمَا استَحَقّا إِثمًا

Jika diketahui bahawa kedua (saksi itu) membuat dosa,

 

5. تَّبَيَّن apabila sesuatu itu jelas apabila dibandingkan dengan sesuatu yang lain. Contohnya di dalam Baqarah:256

قَد تَّبَيَّنَ الرُّشدُ مِنَ الغَيِّ

sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).

Satu lagi contoh adalah di dalam An’am:55

وَلِتَسْتَبِينَ سَبِيلُ الْمُجْرِمِينَ

dan supaya jelas pula jalan orang-orang yang berdosa.

 

6. حَصْحَصَ digunakan apabila sudah jelas apabila kebenaran telah timbul. Contohnya digunakan dalam Yusuf:51

قالَتِ امرَأَتُ العَزيزِ الآنَ حَصحَصَ الحَقُّ أَنا راوَدتُهُ عَن نَفسِهِ

Berkata isteri Al Aziz: “Sekarang jelaslah kebenaran itu, akulah yang menggodanya untuk menundukkan dirinya (kepadaku),

 

7. تَجَلَّىٰ digunakan apabila sesuatu yang cantik dan terang benderang seperti digunakan dalam A’raf:143

فَلَمّا تَجَلّىٰ رَبُّهُ لِلجَبَلِ جَعَلَهُ دَكًّا

Setelah Tuhannya “Tajalla” (menzahirkan kebesaranNya) kepada gunung itu, (maka) “TajalliNya” menjadikan gunung itu hancur lebur

 

8. شرع digunakan apabila sesuatu itu jelas kelihatan seperti digunakan di dalam A’raf:163

إِذ تَأتيهِم حيتانُهُم يَومَ سَبتِهِم شُرَّعًا

ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air;

 

مَّا كَانُوا يُخْفُونَ مِن قَبْلُ

apa yang mereka selalu sembunyikan dahulu;

Apa yang sembunyikan? Dalam kes Musyrikin Mekah dan Ahli Kitab, pada hari Kiamat akan jelas terkeluar bahawa mereka dulu semasa di dunia, tahu yang Nabi Muhammad ﷺ adalah seorang rasul dan membawa ajaran yang benar tetapi mereka sembunyikan dalam hati mereka.

Keduanya, akan terbongkar kekufuran orang-orang munafik. Mereka hidup di hadapan Nabi ﷺ dan manusia lainnya, sambil mereka mengaku beragama Islam dan menyembunyikan kekufuran mereka. Tetapi di hari Kiamat nanti, ia akan terkeluar, terbongkar. Maka, ada yang kita nampak seperti Muslim tetapi mereka dalam masa yang sama membuat syirik juga. Mereka tidak menerima ajakan tauhid.

Bukan orang munafik zaman Nabi ﷺ sahaja, yang munafik zaman kita pun akan terbongkar juga apa yang mereka sembunyikan dalam hati mereka. Mereka menyembunyikan kemunafikan mereka semasa mereka di dunia, tetapi mereka tidak dapat menyembunyikannya lagi di akhirat.

Apa  yang di dalam hati kita akan dinyatakan, dibongkar dan dinampakkan. Ini mengingatkan kita bahawa ada perkara yang kita lakukan tidak ikhlas. Kita sembunyikan niat kita dalam melakukannya. Sebagai contoh, kita mungkin buat amal kerana hendak menunjuk-nunjuk dan sebagainya. Tetapi di akhirat nanti, ia akan dikeluarkan.

Semua akan nampak apakah niat kita semasa melakukan amal itu. Oleh itu, hendaklah kita memperbetulkan niat kita. Hendaklah kita melakukan sesuatu amal ibadat itu kerana Allah ‎ﷻ semata-mata. Kena perbaiki niat kita dalam melakukan apa jua ibadah.

Begitu juga ada orang yang buat kesalahan dan menyorokkannya daripada orang lain. Ia juga akan dibongkarkan pada hari itu. Tidak ada yang dapat disembunyikan pada hari itu. Segala kezaliman akan ditunjukkan dan akan diadili.

Kesimpulannya, apa sahaja yang kita sembunyikan semasa di dunia akan dibongkar. Semasa di dunia, bolehlah kita tipu orang, namun di akhirat ia akan jelas kepada semua orang. Oleh itu, berhati-hatilah dengan apa yang kita lakukan.

 

وَلَوْ رُدُّوا

dan kalau pun mereka dikembalikan ke dunia,

Sebelum ini telah disebut mereka minta dikembalikan ke dunia semula. Memang mereka tidak akan dikembalikan, tetapi kalaulah mereka dikembalikan, apa yang mereka akan buat?

 

لَعَادُوا لِمَا نُهُوا عَنْهُ

tentulah mereka akan mengulangi lagi apa yang mereka dilarang daripada melakukannya;

Allah ‎ﷻ beritahu kita dalam ayat ini, bahawa kalau pun mereka dikembalikan ke dunia, mereka akan kembali membuat perkara syirik yang mereka lakukan dulu semasa di dunia. Kenapa mereka akan buat juga?

Kerana ia sudah menjadi sebati dengan perangai mereka. Walaupun mereka diberi peluang kedua, mereka akan buat juga apa yang dilarang. Ia sudah menjadi sifat mereka yang telah menebal dalam diri mereka. Seperti seseorang yang biasa sangat menipu, dia akan sentiasa menipu setiap hari. Ini kerana Allah ‎ﷻ tahu dalam takdir-Nya.

 

وَإِنَّهُمْ لَكٰذِبُونَ

dan sesungguhnya mereka adalah tetap pendusta.

Apakah dusta mereka? Iaitu mereka kata kalau mereka dikembalikan ke dunia, mereka akan berubah perangai. Semua itu adalah dusta sahaja kerana mereka itu memang kaki dusta. Kalau mereka kembali ke dunia, mereka pasti akan membuat syirik semula, buat zalim semula.

Mungkin timbul persoalan kenapa jika sudah nampak akhirat, (dan kalau mereka dikembalikan ke dunia), mereka masih lagi akan tolak kebenaran? Kenapa kedegilan yang amat sangat dalam diri mereka. Ini sama seperti golongan Yahudi di Madinah yang kenal Nabi Muhammad ﷺ sebagai Rasul, akan tetapi mereka tetap juga menolak.


 

An’am Ayat 29: Ayat jenis Syikayah (rungutan). Allah ‎ﷻ ulang apa kata-kata sesat mereka. Dari sini kita boleh faham betapa mereka tidak terima akhirat langsung.

وَقالوا إِن هِيَ إِلّا حَياتُنَا الدُّنيا وَما نَحنُ بِمَبعوثينَ

Sahih International

And they say, “There is none but our worldly life, and we will not be resurrected.”

Malay

Dan tentulah mereka akan berkata pula: “Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di dunia ini, dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula sesudah kita mati”.

 

وَقالوا إِن هِيَ إِلّا حَياتُنَا الدُّنيا

Dan tentulah mereka berkata: “Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini,

Mereka mendakwa tidak ada kehidupan selepas mati. Mereka tidak mahu percaya kepada kebangkitan di akhirat kelak kerana mereka sayang sangat dunia ini.

Kalimah الدُّنْيَا merujuk kepada kehidupan dunia ini. Kata dasarnya adalah: د ن و yang bermaksud ‘dekat’ kerana dunia ini dekat dengan kita. Ia juga bermaksud ‘rendah’ kerana kehidupan dunia adalah rendah kalau dibandingkan dengan kehidupan di akhirat.

Manusia memang kebanyakannya hanya memandang keindahan dunia sahaja kerana akal mereka hanya nampak yang boleh dilihat dengan mata sahaja. Mata hati mereka tidak dapat terima ada kehidupan yang lain. Oleh itu, mereka pegang betul dengan dunia ini.

Mereka akan buat segalanya yang mereka boleh supaya mereka boleh ambil hal dunia. Mereka tidak fikirkan lagi kesan di akhirat sebab mereka tidak nampak akhirat itu. Mereka hendak menikmati kehidupan dunia ini sepuas-puasnya kerana mereka fikir mereka ‘hidup hanya sekali’.

Kenapakah manusia hendak melebihkan kehidupan dunia yang lemah dan rendah ini? Ia adalah kehidupan yang amat menyesakkan. Tidak sunyi daripada kekurangan dan keresahan sahaja. Ia tidak kekal kerana sama ada ia yang rosak atau kita yang mati adan akan meninggalkannya nanti. Kalau ada kegembiraan pun sekejap dan sementara sahaja.

Padahal kehidupan akhiratlah yang lebih kekal. Ia adalah kekal abadi. Kehidupan yang baik di akhiratlah yang sepatutnya kita kejar. Bukan kehidupan dunia ini. Akan tetapi manusia yang pendek akal hanya mementingkan perkara yang dia boleh nampak sahaja (dunia) dan tolak ke tepi apa yang dia tidak nampak dengan pancainderanya (akhirat).

Maka mereka tidak buat persediaan untuk akhirat. Mereka merugikan sahaja masa yang mereka ada di dunia ini. Padahal, dunia ini sepatutnya menjadi tempat mereka bercucuk tanam menambah pahala supaya mereka dapat menuai hasilnya di akhirat kelak.

 

وَمَا نَحْنُ بِمَبْعُوثِينَ

dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula”.

Mereka tidak percaya yang akan ada kebangkitan semula. Ia nampak mustahil sangat bagi mereka. Pada mereka, bila sudah mati nanti, akan terus kekal matilah sahaja. Maka mereka akan tolak dengan kuat sekali konsep kebangkitan semula. Kenapa mereka tidak mahu terima adanya akhirat?

Kerana mereka hendak membuat apa yang mereka hendak buat semasa di dunia. Mereka tidak mahu ada kekangan. Jika mereka terima adanya akhirat, maka mereka kena menjaga hukum. Tidak boleh buat itu, tidak boleh buat ini. Mereka tidak mahu begitu. Mereka hendak buat apa sahaja yang nafsu mereka inginkan.

Ada juga terdapat orang Islam yang tidak kisah tentang kehidupan akhirat. Maka walaupun mereka mengaku Muslim, mereka tidak membuat persiapan untuk hari akhirat. Mereka lalai dan leka dengan kehidupan dunia. Kalau begitu keadaannya, maka, tidak banyak beza pun mereka itu dengan orang-orang kafir.


 

An’am Ayat 30: Apakah kesudahan mereka nanti?

وَلَو تَرىٰ إِذ وُقِفوا عَلىٰ رَبِّهِم ۚ قالَ أَلَيسَ هٰذا بِالحَقِّ ۚ قالوا بَلىٰ وَرَبِّنا ۚ قالَ فَذوقُوا العَذابَ بِما كُنتُم تَكفُرونَ

Sahih International

If you could but see when they will be made to stand before their Lord. He will say, “Is this not the truth?” They will say, “Yes, by our Lord.” He will [then] say, “So taste the punishment because you used to disbelieve.”

Malay

Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka dihadapkan kepada Tuhan mereka, lalu Allah berfirman: “Bukankah hari kiamat ini suatu perkara yang benar? Mereka menjawab: “Benar, demi Tuhan kami!” Allah berfirman lagi: “Oleh itu, rasalah azab seksa neraka dengan sebab kamu telah kufur ingkar”.

 

وَلَوْ تَرَىٰ

Dan sungguh ngeri jika engkau melihat

Diulang sekali lagi ayat ini. Sebelum ini disebut mereka berhenti tepi neraka. Sekarang mereka akan berhenti dihadapkan di hadapan Allah ‎ﷻ.

 

إِذْ وُقِفُوا عَلَىٰ رَبِّهِمْ

ketika mereka dihadapkan kepada Tuhan mereka,

Semua manusia akan dihadapkan, tetapi keadaan mereka akan berbeza di antara orang yang beriman dan beramal soleh. Allah ‎ﷻ tidak akan pandang mereka dengan pandangan rahmah.

 

قَالَ أَلَيْسَ هَٰذَا بِالْحَقِّ

lalu Allah berfirman: “Bukankah hari kiamat ini suatu perkara yang benar?

Allah ‎ﷻ tanya mereka tentang hari yang mereka dulu kata tidak ada. Sekarang sudah di hadapan mata mereka, bagaimana? Takkan hendak dikatakan tidak ada pula. Dahulu mereka tidak percaya tetapi sekarang sudah di depan mata.

 

قَالُوا بَلَىٰ وَرَبِّنَا

Mereka menjawab: “Benar, demi Tuhan kami!”

Mereka mengaku bahawa hari itu adalah benar, dengan bersumpah dengan nama Allah ‎ﷻ.

Di akhirat nanti, tidak ada alasan lagi yang boleh diberikan. Waktu itu terpaksa menerima kenyataan. Semasa di dunia dulu tidak mengaku, masih boleh melarikan diri daripada tanggungjawab, buat tidak tahu sahaja, tetapi tidak lagi boleh dilakukan apabila di hari Akhirat nanti.

Ujiannya adalah sama ada kita terima Allah ‎ﷻ sebagai Tuhan semasa di dunia lagi. Alangkah ruginya kalau kita hanya mengaku apabila di akhirat kelak. Maka, terimalah kenyataan bahawa hari Kiamat itu benar dan kita hendaklah bersedia untuk menghadapinya.

 

قَالَ فَذُوقُوا الْعَذَابَ

Allah berfirman lagi: “Oleh itu, rasalah azab seksa neraka

Walaupun mereka sudah mengaku, tetapi mereka tidak lepas daripada azab. Kalaupun mengaku pada waktu itu, ia sudah tidak berguna lagi. Maka kalau mengaku, hendaklah semasa di dunia lagi. Oleh kerana kamu tidak mengaku dahulu, maka kamu kena rasa azab itu di akhirat.

Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan فَذُوقُوا yang bermaksud ‘rasailah kamu semua’. Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan ‘rasa’. Kalau kita rasa makanan contohnya, bukankah kita akan dapat kepastian? Kalau makanan itu setakat cium bau sahaja, kita tidak pasti makanan itu sedap atau tidak. Tetapi kalau sudah ‘rasa’, memang kita pasti sungguh. Kalau lihat sahaja pun belum tentu pasti.

Dahulu mereka hendak rasa sangat kesedapan hidup dunia. Sekarang rasalah kesakitan dalam neraka.

 

بِمَا كُنتُمْ تَكْفُرُونَ

dengan sebab kamu telah kufur ingkar”.

Mereka dimasukkan ke neraka kerana kesalahan  mereka juga, bukannya kerana Allah ‎ﷻ zalim. Mereka yang ingkar untuk mengikut ajaran tauhid. Mereka kufur untuk beriman kepada hari Akhirat. Oleh kerana dahulunya mereka menolak akhirat, dan kerana itu mereka tidak menerima kebenaran, maka balasannya adalah azab.

 

Habis Ruku’ 3 dari 20 ruku’ dalam surah ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 30 Ogos 2023


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Tafsir Surah al-An’am Ayat 23 – 25 (Nak menipu di akhirat)

An’am Ayat 23:

ثُمَّ لَم تَكُن فِتنَتُهُم إِلّا أَن قالوا وَاللهِ رَبِّنا ما كُنّا مُشرِكينَ

Sahih International

Then there will be no [excuse upon] examination except they will say, “By Allah , our Lord, we were not those who associated.”

Malay

Kemudian tidaklah ada akidah kufur mereka selain dari mereka menjawab dengan dusta: “Demi Allah Tuhan kami, kami tidak pernah menjadi orang-orang yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)”.

 

ثُمَّ لَمْ تَكُن فِتْنَتُهُمْ

Kemudian tiadalah jawapan alasan daripada mereka,

Kalimah ثُمَّ digunakan untuk merujuk jawapan mereka selepas mereka ditanya: “Mana dia entiti-entiti yang mereka syirikkan dengan Allah itu?” Apabila digunakan kalimah ثُمَّ di dalam ayat ini, ia memberi maksud sengkang masa8 yang lama. Maka ini memberi maksud yang mereka ada masa lama untuk berfikir memberikan jawapan mereka.

Perkataan فِتْنَتُهُمْ itu daripada katadasar ف ت ن yang kita biasa faham sebagai fitan yang bermaksud ‘dugaan’, ‘ujian’. Ia juga bermaksud ‘alasan’ sepertimana yang digunakan dalam ayat ini. Selepas kita dituduh dengan sesuatu, kita beri alasan. Ini adalah kerana setiap soalan dan jawapan adalah dugaan sebenarnya kerana entah jawapan dan alasan kita itu diterima atau tidak.

 

إِلَّا أَن قَالُوا

kecuali mereka mengatakan:

Mereka tidak ada hujah. Mereka cuma boleh cakap sahaja. Ini adalah dakwaan kosong mereka sahaja. Mereka tentunya tidak ada jawapan yang baik kepada pertanyaan Allah ‎ﷻ itu. Yang mereka ada hanyalah alasan-alasan lemah sahaja.

 

وَاللهِ رَبِّنَا

“Demi Allah, Tuhan kami,

Tidak ada jawapan lain yang mereka boleh beri melainkan waktu itu mereka akan mengaku yang Allah ‎ﷻ adalah Tuhan mereka. Mereka sudah nampak azab, maka mereka terpaksa berbohong untuk melepaskan diri. Di dunia mereka telah berbohong, di akhirat pun hendak bohong juga.

 

مَا كُنَّا مُشْرِكِينَ

tiadalah kami mempersekutukan Allah”.

Ini sahaja jawapan yang mereka boleh berikan. Mereka tidak mengaku yang mereka telah membuat syirik semasa di dunia dulu. Mereka akan kata mereka sembah dan buat ibadat kepada sembahan-sembahan mereka itu kerana hendak ‘mendekatkan’ diri mereka dengan Allah ‎ﷻ sahaja. Mereka berhujah tujuan mereka sebenarnya baik.

Mereka waktu itu sebenarnya sedang berdusta di hadapan Tuhan kerana mereka tidak menyangka yang amalan tawasul mereka itu adalah syirik. Mereka lalai dalam mempelajari agama sehinggakan mereka tidak tahu yang apa yang mereka buat dulu di dunia adalah salah.

Ataupun mereka tahu, trtapi mereka buat juga amalan syirik mereka itu. Oleh itu, apabila Allah ‎ﷻ tanya mereka, mereka terpaksa menipu kerana mereka tidak ada jawapan lain. Mereka yang menipu di dunia akan menipu di akhirat juga nanti. Hujah semasa di dunia pun mereka hendak bawa di akhirat kelak. Sebab sudah selalu sangat menipu, ia sudah menjadi sebati dalam diri mereka. Mereka menipu secara automatik. Semoga kita tidak jadi begitu.

Dari sini juga kita tahu yang di akhirat nanti, ada manusia yang akan cuba menipu untuk melepaskan diri mereka. Namun penipuan mereka tidak akan berjaya. Mungkin di dunia mereka boleh tipu manusia. Mereka akan beri pelbagai dalil dan hujah untuk menghalalkan syirik dan tawasul yang mereka lakukan. Tetapi bolehkah mereka menipu di akhirat kelak? Tentu tidak.

وقال ابن أبي حاتم : حدثنا أبو سعيد الأشج ، حدثنا أبو يحيى الرازي ، عن عمرو بن أبي قيس ، عن مطرف ، عن المنهال ، عن سعيد بن جبير عن ابن عباس قال : أتاه رجل فقال يا أبا عباس . سمعت الله يقول : ( والله ربنا ما كنا مشركين ) قال : أما قوله : ( والله ربنا ما كنا مشركين ) فإنهم رأوا أنه لا يدخل الجنة إلا أهل الصلاة ، فقالوا : تعالوا فلنجحد ، فيجحدون ، فيختم الله على أفواههم ، وتشهد أيديهم وأرجلهم ولا يكتمون الله حديثا ، فهل في قلبك الآن شيء ؟ إنه ليس من القرآن شيء إلا قد نزل فيه شيء ، ولكن لا تعلمون وجهه

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Sa’id Al-Asyaj, telah menceritakan kepada kami Abu Yahya Ar-Razi’ dari Amr ibnu Abu Qais, daripada Mutarrif, daripada Al-Minhal, daripada Sa’id ibnu Jubair, daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما yang menceritakan bahawa seorang lelaki pernah datang dan bertanya kepadanya mengenai makna firman-Nya: Demi Allah, Tuhan kami, tiadalah kami mempersekutukan Allah. (Al-An’am: 23)
Ibnu Abbas رضي الله عنهما menjawab, adapun mengenai firman-Nya: Demi Allah, Tuhan kami, tiadalah kami mempersekutukan Allah. (Al-An’am: 23) Maka sesungguhnya mereka ketika melihat bahawa tidak akan masuk syurga kecuali orang-orang yang salat, maka mereka mengatakan, Marilah kita ingkari.” Ketika mereka hendak mengingkarinya, maka Allah ‎ﷻ mengunci mulut mereka sehingga tidak dapat berbicara, dan tangan serta kaki merekalah yang bersaksi; mereka tidak dapat menyembunyikan suatu peristiwa pun daripada Allah ‎ﷻ. Maka apakah di dalam kalbumu sekarang masih terdapat sesuatu? Sesungguhnya tiada sesuatu pun daripada Al-Qur’an melainkan diturunkan suatu keterangan mengenainya, tetapi kalian tidak mengerti takwilnya. 

Matan yang sahih. Boleh rujuk di dalam Kitab Takhrij bagi kitab al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil – Ibnu Jazi al-Kalbi

Mereka akan kata itu dan ini bukan syirik tetapi benda yang elok. Ini kerana mungkin mereka sendiri merasakan bahawa apa yang mereka lakukan itu tidaklah syirik. Perkara ini terjadi kerana mereka tidak belajar. Antaranya ada sahaja yang selamba minta tolong dengan jin, beramal dengan amalan-amalan yang jin ajar. Ada yang selamba minta tolong dengan bomoh. Pada mereka, ini semua adalah ‘usaha’ sahaja.

Dan ada yang berpegang dengan pendapat yang ringan tentang syirik. Antanya yang bertawasul dengan orang yang sudah mati. Mereka akan kata bahawa tawasul itu bagus, dituntut dalam agama. Mereka akan beri dalil-dalil batil – iaitu dalil daripada kitab, dalil akal, dalil ulama’ itu dan ini buat – dan pelbagai bentuk lagi. Itu semua adalah bohongan belaka. Pada mereka itu bukan syirik, jadi mereka kata “Eh, mereka tak buat syirik lah.”

Maka, mereka telah berhujah di dunia tentang bolehnya berbuat itu dan ini dan ia tidak syirik. Dan di akhirat juga mereka hendak berhujah untuk mengatakan mereka tidak melakukan syirik semasa di dunia. Akan tetapi di akhirat nanti, mereka tidak akan selamat. Lihatlah ayat seterusnya.

Tentulah ini terjadi sebelum mulut mereka ditutup. Akan sampai masanya nanti mulut mereka ditutup dan anggota tubuh mereka yang akan bercakap dan menjadi saksi atas mereka. Waktu itu sudah tidak boleh tipu lagi. Sekarang Allah ‎ﷻ beri peluang mereka bercakap lagi, untuk menunjukkan kepada semua bahawa mereka ini bukan di dunia sahaja menipu dan berdusta, tetapi di akhirat juga!


 

An’am Ayat 24:

انظُر كَيفَ كَذَبوا عَلىٰ أَنفُسِهِم ۚ وَضَلَّ عَنهُم مّا كانوا يَفتَرونَ

Sahih International

See how they will lie about themselves. And lost from them will be what they used to invent.

Malay

Lihatlah bagaimana mereka berdusta terhadap diri mereka sendiri, dan bagaimana hilang lenyapnya dari mereka apa yang telah mereka ada-adakan (sebagai sekutu Allah) itu.

 

انظُرْ

Lihatlah

Allah ‎ﷻ suruh kita ‘lihat’. Seolah-olah ia sedang berlaku dan kita sedang menyaksikan kejadian itu. Padahal ia belum terjadi lagi kerana ini adalah kejadian hari Akhirat. Kenapa begitu?

Ini adalah salah satu daripada lenggok bahasa Al-Qur’an. Walaupun ia belum berlaku lagi, namun oleh kerana ia PASTI akan berlaku, maka Allah ‎ﷻ menggunakan bahasa “present tense” seolah-olah ia sedang berlaku di hadapan mata kita. Allah ‎ﷻ suruh kita ambil pengajaran.

Juga, Allah ‎ﷻ suruh kita cuba bayangkan keadaan pada waktu itu nanti supaya kita rasa takut sangat dengan keadaan itu dan beringat-ingat. Semasa di dunia, kenalah jaga segala tingkah laku dan fahaman kita supaya selari dengan wahyu ilahi.

 

كَيْفَ كَذَبُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ

bagaimana mereka telah berdusta kepada diri mereka sendiri

Mereka sedang berdusta kepada Allah ‎ﷻ, tetapi kenapa dikatakan mereka mendustakan diri sendiri? Kerana setiap kali seseorang itu menipu, dia sebenarnya menyusahkan dirinya sendiri.

Ia hanya membawa mudarat sahaja. Tidaklah pernah penipuan itu akan menguntungkan orang yang menipu. Sebab itulah Allah ‎ﷻ kata mereka ‘berdusta kepada diri mereka sendiri’.

Tambahan pula segala penipuan mereka itu akan dijadikan hujah terhadap mereka nanti. Mereka akan dibentangkan dengan apa yang mereka telah katakan, dan akan dijadikan sebagai dalil hujah terhadap diri mereka sendiri sahaja nanti. Mereka lagi teruk akan kena.

Ini juga memberi pengajaran kepada kita tentang bahayanya menipu kerana jika sudah biasa sangat menipu (habitual liar), maka sampai ke akhirat nanti akan berdusta juga. Kerana itu Al-Qur’an dan Hadith selalu mengingatkan kita jangan berdusta. Bukan hanya wahyu, malah orang kafir dan naluri kita sendiri pun tahu yang menipu itu buruk sangat. Cuma kalau sudah biasa maka ia akan menjadi sebati.

Ingatlah hadith riwayat Abdullah Ibn Mas’ud رضي الله عنه, sabda Rasulullah ﷺ:

إِيَّاكُمْ وَالْكَذِبَ؛ فَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ، وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَمَا يَزَالُ الرَّجُلُ يَكْذِبُ وَيَتَحَرَّى الْكَذِبَ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللهِ كَذَّابًا

Jauhilah kalian daripada sikap suka berbohong kerana berbohong akan membawa kepada perbuatan kemaksiatan, dan perbuatan kemaksiatan akan membawa ke Neraka. Jika sekiranya seseorang itu sentiasa berdusta, maka kelak dia akan dicatat di sisi Allah ‎ﷻ sebagai pendusta.

(Hadith riwayat al-Bukhari: 6094)

 

وَضَلَّ عَنهُم مّا كانوا يَفتَرونَ

dan hilanglah daripada mereka sembahan-sembahan yang dahulu mereka ada-adakan.

Tidaklah ada yang dapat menolong mereka kerana apa yang mereka lakukan itu adalah sia-sia. Sembahan-sembahan mereka tidak ada yang akan menolong mereka.

Mana mungkin ada yang akan datang menolong, sedangkan sembahan-sembahan itu adalah hanya rekaan sahaja. Memang tidak wujud pun. Tidak ada Tuhan yang selain Allah‎ ﷻ, tidak ada ilah juga selain Allah ‎ﷻ.

Jikalau Nabi, wali dan malaikat dijadikan sebagai sembahan, sebagai tempat pengharapan, mereka tidak dapaat mendengar pun doa dan pujaan kita kepada mereka. Jadi tentulah mereka tidak akan datang menolong kerana mereka tidak ada kena mengena pun dengan penyembahan kita ke atas mereka.

Namun amat menyedihkan apabila manusia banyak yang reka ibadah-ibadah yang tidak ada di dalam Islam. Mereka lakukan kerana hendak mendapatkan pertolongan daripada Nabi, wali dan malaikat itu. Sebagai contoh, tidaklah pernah Nabi Muhammad ﷺ suruh sedekah bacaan Surah Fatihah kepadanya. Tidaklah malaikat suruh kita kita beri salam kepadanya. Tetapi bukankah ramai yang buat perkara ini?

Saya sendiri semasa belajar tarekat dulu diajar beri salam kepada sepuluh malaikat yang besar. Kononnya supaya malaikat-malaikat itu kenal kita dan boleh tolong bila diperlukan. Golongan pengamal silat juga banyak yang mengamalkan mantera syirik: ‘Jibril di kananku, Mikail di kiriku….’ dan banyak lagi amalan lain yang mengarut.

Ramai guru-guru di Malaysia ini yang buat amalan mengarut. Sebagai contoh, ada guru di Kelantan yang membaca seribu wirid fi kulli lamhatin wanafasin (salah satu zikir rekaan golongan bid’ah), pada seketul batu sungai, kemudian dia akan simpan batu itu. Apabila dia mati, dia wasiatkan kepada anak muridnya supaya dia ditanam dengan batu-batu itu. Kononnya, supaya batu itu menjadi saksi untuknya nanti.

Inilah kekeliruan umat Islam sekarang. Memang wirid dan zikir itu baik, tetapi apabila dijadikan dalam bentuk yang tidak pernah diajar oleh Nabi, maka ia menjadi amalan karut. Ramai yang tidak faham perkara ini malah mereka marah apabila kita tegur. Mereka tuduh kita halang berzikir pula…. Mana pula kita halang manusia berzikir? Tetapi kita ajak berzikir dengan cara yang Rasulullah ﷺ ajar sahaja. Jangan tambah dan reka kerana agama Islam ini telah lengkap.

Cukuplah sahaja kita dengan amalan yang Nabi ﷺ ajar kepada sahabat-sahabat baginda. Ikut itu sahaja pun belum tentu boleh habis lagi buat. Janganlah kita perasan kita lebih pandai daripada mereka pula. Ini kerana apabila anda mengamalkan amalan yang mereka tidak amalkan, maknanya ada perasan anda lebih hebat daripada mereka! Ini sungguh lawak!

Saya beri lagi contoh kekeliruan manusia dalam hal agama. Ada kisah bagaimana ada guru yang buat majlis tahlil dengan golongan mualaf (yang baru masuk Islam). Majlis Tahlil itu pula mereka ajar supaya diniatkan untuk ibubapa para mualaf itu yang kafir dulu. Ustaz itu kata supaya dengan bacaan tahlil itu mudah-mudahan ibubapa mereka yang mati kafir dulu itu boleh masuk syurga!

Subhanallah! Mana mungkin boleh jadi begitu? Sedangkan mereka itu telah mati tanpa pernah mengucap dua kalimah syahadah?! Itulah contoh-contoh amalan salah yang sekarang ini diamalkan oleh mereka yang jahil. Sudahlah amalan Bacaan Majlis Tahlil itu bid’ah, ditambah lagi dengan bid’ah sedekah kepada orang kafir pula! Begitulah yang berlaku apabila hanya menggunakan akal sahaja tanpa dilihat kepada dalil yang sahih. Kita bukan suruh tinggalkan akal, tetapi hendaklah akal yang berpandukan wahyu.

Oleh itu, apabila kita diberikan dengan sesuatu amalan oleh guru mana-mana, tanya kepada mereka: “Dapat dari mana amalan ini, ustaz?” Kalau mereka boleh beri dalil bahawa ia adalah daripada Nabi ﷺ, maka barulah kita amalkannya. Jika dia kata selain daripada itu, maka tinggalkan sahaja. Saya yakin para asatizah tidak mampu untuk memberikan dalil pun.  Malah tidak mustahil juga, kita pula yang dimaki kerana berani bertanya.

Maka tinggalkanlah asatizah sebegitu. Mungkin anda belum nampak lagi manakah salahnya amalan itu, tetapi kalau amalan itu bukan daripada Nabi ﷺ sahaja, maka kemungkinan besar, ia ada masalah.


 

An’am Ayat 25: Ayat Zajrun (ayat teguran). Allah ‎ﷻ menegur mereka yang walaupun telah duduk depan Nabi ﷺ pun masih tidak faham.

وَمِنهُم مَّن يَستَمِعُ إِلَيكَ ۖ وَجَعَلنا عَلىٰ قُلوبِهِم أَكِنَّةً أَن يَفقَهوهُ وَفي ءآذانِهِم وَقرًا ۚ وَإِن يَرَوا كُلَّ ءآيَةٍ لّا يُؤمِنوا بِها ۚ حَتّىٰ إِذا جاءوكَ يُجٰدِلونَكَ يَقولُ الَّذينَ كَفَروا إِن هٰذا إِلّا أَسٰطيرُ الأَوَّلينَ

Sahih International

And among them are those who listen to you, but We have placed over their hearts coverings, lest they understand it, and in their ears deafness. And if they should see every sign, they will not believe in it. Even when they come to you arguing with you, those who disbelieve say, “This is not but legends of the former peoples.”

Malay

Dan di antara mereka ada yang mendengarmu (membaca Al-Qur’an), pada hal Kami telah jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, yang menghalang mereka daripada memahaminya, dan Kami jadikan pada telinga mereka penyumbat (yang menjadikan mereka pekak); dan kalau pun mereka melihat tiap-tiap keterangan (dan mukjizat yang membuktikan kebenaran Rasul), mereka tidak juga akan beriman kepada keterangan itu; sehingga apabila mereka datang kepadamu, sambil membantahmu, berkatalah orang-orang yang kafir itu: “Ini tidak lain hanyalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu”.

 

وَمِنْهُم مَّن يَسْتَمِعُ إِلَيْكَ

Dan di antara mereka ada orang yang mendengar (bacaan)mu,

Ada antara Musyrikin Mekah itu yang datang dan mendengar bacaan Al-Qur’an Nabi Muhammad ﷺ. Mereka memang mendengar betul-betul kerana perkataan يَسْتَمِعُ digunakan (ada penambahan huruf ت di situ). Kalau سمع sahaja, itu baru ‘mendengar’ sahaja. Mereka dengar betul-betul sebab mereka suka mendengarnya.

Eh, kenapa mereka dengar bacaan Al-Qur’an pula? Sebab bacaan Al-Qur’an itu memang sedap pun, tambahan pula Nabi ﷺ yang baca, lagilah sedap didengari. Namun pendengaran mereka itu tidak memberikan hasil kepada mereka. Mereka masih juga tidak mahu beriman. Mereka setakat suka dengar sahaja. Sebagaimana kebanyakan masyarakat kita lah juga, suka baca Al-Qur’an, tetapi tidak faham pun apa yang mereka baca (sebab tidak belajar dan tidak ada keinginan hendak tahu).

Ayat ini juga menguatkan pengetahuan kita bahawa keindahan Al-Qur’an memang hebat sampaikan orang kafir pun boleh jadi suka dan terpesona dengan bacaannya. Dari dulu sampai sekarang. Sama ada mereka suka dengar bacaan atau mereka kagum dengan keindahan bahasa yang digunakan. Dan sampai sekarang memang ada yang mengkaji Al-Qur’an dan mengaku bahawa maklumat yang diberikan dalam Al-Qur’an adalah tepat sekali. Namun mereka masih tidak mahu beriman kerana mereka belajar hanya untuk ilmu, bukan untuk beriman.

Ayat ini mengisahkan bagaimana ada Musyrikin Mekah yang datang untuk mendengar-dengar sahaja Nabi ﷺ membaca dan mengajar Al-Qur’an tetapi mereka bukan hendak beriman. Dalam sirah, kita boleh tahu bahawa ayat ini berkenaan dengan tiga orang pemuka Quraish yang mendengar-dengar bacaan Al-Qur’an Nabi ﷺ semasa Nabi ﷺ salat qiyamullail di rumahnya.

Mereka mendengar secara senyap-senyap. Mereka pergi sendiri-sendiri tetapi akhirnya mereka telah bertembung sesama mereka. Mereka itu adalah Abu Jahal, Abu Sufyan dan Akhnaz bin Syuraikh. Ini boleh dibaca dalam tulisan lain.

Namun bukanlah setakat mereka bertiga itu sahaja kerana mereka bertiga itu sebagai contoh sahaja. ‘Mereka’ itu antaranya adalah mereka yang ada kedudukan dalam agama. Atau dipandang orang sebagai ‘tahu agama’. Jadi mereka datang kononnya hendak melihat betulkah ajaran itu. Seperti zaman sekarang pun ada juga yang datang kelas tafsir cuma hendqk mendengar-dengar sahaja. Mereka bukan hendak belajar betul-betul. Mungkin ada kawan atau keluarga mereka yang belajar tafsir dan mereka pun diajak juga, maka mereka ikut sama. Kononnya mereka hendak ‘periksa’, betulkah ajaran itu.

Namun hati mereka bukan mahukan kebenaran. Mereka sudah ada prejudis dalam hati mereka menolak apa sahaja yang disampaikan. Maksudnya mereka datang dengan ada prejudis, bukannya datang dengan gelas yang kosong. Jadi apabila dalam kelas itu disebut perkara-perkara yang tidak kena dengan fahaman mereka, dengan amalan mereka yang mereka amalkan selama ini, maka mereka tidak mahu terima. Mereka kata guru yang mengajar tafsir itu pula yang salah.

Namun begitu bukanlah semua seperti ini. Ayat ini dimulakan dengan perkataan مِنْهُم – sebahagian daripada mereka sahaja. Kita kena sedar yang orang kafir itu berjenis-jenis. Ada yang sembah berhala dan ada yang sembah benda lain. Ada yang jenis ketua (ada kedudukan) dan ada yang ikut-ikut sahaja. Ada yang menentang Islam dan ada juga yang buat tidak tahu sahaja.

Ada juga yang kafir tetapi mereka tolong juga orang Islam. Mereka tolong kerana hati mereka memang baik, cuma tidak terbuka lagi untuk terima Islam. Ada yang memang hati mereka mahukan kebenaran, maka setelah mereka mendengar Al-Qur’an (dan faham maksud yang disampaikan), mereka terus beriman.

 

وَجَعَلْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ أَكِنَّةً

padahal Kami telah meletakkan tutupan di atas hati mereka

Kenapa selepas mereka mendengar Al-Qur’an, mereka masih juga tidak mahu beriman? Kerana hati mereka telah tertutup kepada kebenaran. Mereka dari awal lagi tidak mahu beriman. Mereka telah ada prejudis sebelum mendengar tafsir Al-Qur’an. Mereka bukannya datang kerana hendakkan kebenaran. Oleh kerana mereka sudah ada prejudis, maka sebab itulah Allah ‎ﷻ letakkan tutupan di atas hati mereka.

Kalimah أَكِنَّةً adalah halangan atau penutup yang tidak dapat dipecahkan. Maka kerana itu ada orang yang belajar, tetapi tidak faham sampai bila-bila pun. Tidak kira berapa banyak kali mereka mendengar Al-Qur’an dibacakan kepada mereka. Maka jangan hairanlah kalau di dunia ini ada yang datang belajar tetapi masih tidak faham-faham.

 

أَن يَفْقَهُوهُ

(sehingga mereka tidak) memahaminya

Mereka sudah dengar tetapi mereka tidak dapat faham. Kenapa sampai begitu? Kerana mereka datang bukan hendak belajar tetapi hendak mendengar dan mencari-cari kesalahan sahaja. Mereka hendak mencari bukti bahawa apa yang Nabi ﷺ ajar itu adalah ajaran salah. Mereka tidak dapat terima kerana kesombongan mereka.

Sama sahaja dengan mereka yang datang kelas yang mengajar sunnah, tetapi mereka bukan hendak mencari kebenaran tetapi mereka hendak mencari hujah untuk menentang ajaran sunnah.

Oleh kerana hati mereka memang tidak mahu menerima agama dan kebenaran, maka Allah‎ ﷻ akan letakkan penutup itu atas hati mereka. Niat mereka sendiri sudah salah semasa mereka datang mendengar bacaan Al-Qur’an. Maka ini mengajar kita supaya memperbetulkan niat kita. Kena niatkan hati: “Aku hendak tahu apa yang benar ya Allah, tunjukkan kebenaran kepada diriku ini”.

 

وَفِي ءآذَانِهِمْ وَقْرًا

dan (Kami letakkan) sumbatan di telinganya.

Kalimah وَقْرًا daripada kata dasar و ق ر yang bermaksud ‘beban’. Seperti beban berat yang dibawa oleh keldai. Kalimah وَقْرًا digunakan dalam ayat ini untuk menceritakan keberatan seseorang untuk mendengar. Dia bukan pekak, tetapi berat hendak mendengar. Jadi ia adalah seperti sumbatan di telinga mereka.

Ayat ini juga mengajar kita bahawa tidak semua mereka yang mendengar Al-Qur’an itu akan mendapat manfaat. Mereka cuma dengar sahaja, tetapi tidak masuk ajaran Al-Qur’an itu dalam hati mereka kerana niat mereka dengar itu bukan hendak belajar, bukan hendak mendapat kefahaman agama.

Seperti kebanyakan orang kita juga. Ramai yang baca Al-Qur’an tetapi mereka tidak faham apa yang mereka baca. Ramai yang baca Al-Qur’an, tetapi menggunakan Al-Qur’an sebagai ‘azimat’ sahaja. Baca potongan ayat sekian-sekian, untuk dapat sekian-sekian. Sebagai contoh, baca ayat Seribu Dinar sebab hendak dapat rezeki. Itu semua mereka dapat daripada ajaran guru-guru yang tidak belajar agama dengan betul. Mereka dapat maklumat daripada kitab-kitab karangan manusia sahaja, bukan daripada wahyu.

Ini amat menakutkan kita. Takut kita pun tergolong dalam golongan yang baca dan dengar Al-Qur’an tetapi tidak mendapat manfaat daripada Al-Qur’an. Jadi kalau salah faham tentang wahyu, memang tidak ke mana.

 

وَإِن يَرَوْا كُلَّ ءآيَةٍ

Dan jika pun mereka melihat segala tanda (kebenaran),

Kalau pun mereka lihat semua tanda kenabian Nabi ﷺ, atau diberikan dengan berbagai-bagai dalil dan hujah. Adakah mereka akan terima?

 

لَّا يُؤْمِنُوا بِهَا

mereka tetap tidak mahu beriman kepadanya.

Mereka masih juga tidak mahu beriman. Mereka akan kata: “Ini bukan ajaran tok guru kita.” Apabila kita beri ayat Al-Qur’an yang mengandungi ajaran tauhid, mereka tidak terima. Mereka kata: “Takkan tok guru mereka salah; takkan tok guru mereka nak masuk neraka?”

Untuk ayat hukum hakam seperti salat dan sebagainya, mereka tiada masalah untuk terima. Oleh kerana itu, kalau di surau-surau dan masjid-masjid, selalunya yang diajar adalah tentang fiqh sahaja tidak habis-habis bertahun-tahun. Tentang tauhid, tidak diajar pula.

Ini memberitahu kepada kita, kalau seseorang itu sudah ada niat lain selain daripada hendak mencari kebenaran, maka mereka tidak akan mendapat manfaat. Ini bukan daripada Al-Qur’an sahaja, tetapi termasuk juga hujah yang benar. Katakanlah seseorang itu berhujah, berbincang tentang hal agama, namun dalam hatinya, bukan hendak mencari kebenaran tetapi hendak menegakkan hujahnya sahaja, maka dia tidak akan mendapat kebenaran. Walaupun kebenaran itu sudah berada betul-betul di hadapan matanya.

 

حَتَّىٰ إِذَا جَاءُوكَ

hingga apabila mereka datang kepadamu

Iaitu apabila mereka datang berdepan berjumpa dengan Rasulullah ﷺ.

 

يُجٰدِلُونَكَ

Mereka akan membantahmu,

Mereka hendak melawan sahaja. Walaupun mereka tidak ada alasan untuk menolak ayat-ayat Al-Qur’an itu, tetapi mereka tetap hendak menolak. Walaupun di sudut hati mereka, mereka tahu bahawa ia adalah satu kebenaran.

Pada zaman sekarang, ada yang tidak setuju dengan tafsir Al-Qur’an yang diberikan kepada mereka maka mereka membantah. Mereka tidak boleh mengatakan yang ayat Al-Qur’an itu salah, jadi mereka akan kata ‘tafsir’ kita yang salah kerana ia berlawanan dengan fahaman mereka selama ini. Mereka tetap hendak pegang fahaman mereka.

 

يَقُولُ الَّذِينَ كَفَرُوا

orang-orang kafir itu berkata:

Iaitu orang yang kafir degil. Sudah ada kebenaran depan mata pun masih tidak mahu terima. Mereka akan kata bagaimana?

 

إِنْ هَٰذَا إِلَّا أَسٰطِيرُ الْأَوَّلِينَ

“Al-Qur’an ini tidak lain hanyalah dongengan orang-orang dahulu”.

Kalimah أَسَاطِيرُ bermaksud kisah-kisah dongeng dahulukala. Ia daripada kata dasar س ط ر iaitu kisah yang dibuat-buat (orang barat ambil jadi ‘story’). Seperti kisah dongeng yang ditambah-tambah dengan maklumat-maklumat yang merapu. Termasuk juga kisah mitos di mana ramai yang tahu mengenainya, tetapi ia tidak benar. Semua orang tahu ia tidak benar, tetapi ramai mahu menceritakannya kerana masih  ramai juga suka hendak mendengarnya.

Itulah mereka kata tentang Al-Qur’an. Mereka beri hujah yang lemah. Mereka kata Al-Qur’an itu hanyalah kisah dongeng sahaja. Mereka cakap begitu kerana mereka hendak kata yang ia bukan wahyu daripada Allah ‎ﷻ tetapi diambil daripada kisah-kisah dahulu. Mereka beri berbagai alasan dan tuduhan.

Mereka kata mereka suka dengar sahaja seperti juga kalau mereka dengar kisah-kisah dongeng. Sebagaimana orang kita – suka mendengar musabaqah Al-Qur’an, tetapi mereka tidak faham pun apa yang dibaca. Apabila tidak faham, bagaimana hendak diambil pengajaran daripada Al-Qur’an?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 31 Oktober 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Tafsir Surah al-An’am Ayat 20 – 22 (Ahli Kitab kenal tauhid)

An’am Ayat 20: Ada Musyrikin Mekah yang mendakwa, mereka telah bertanya kepada Ahli Kitab tentang Nabi Muhammad ﷺ. Mereka kata, Ahli Kitab tidak mengaku pun yang baginda adalah Rasul. Maka Allah ‎ﷻ jawab tuduhan mereka dalam ayat ini.

الَّذينَ ءآتَينٰهُمُ الكِتٰبَ يَعرِفونَهُ كَما يَعرِفونَ أَبناءَهُمُ ۘ الَّذينَ خَسِروا أَنفُسَهُم فَهُم لا يُؤمِنونَ

Sahih International

Those to whom We have given the Scripture recognize it as they recognize their [own] sons. Those who will lose themselves [in the Hereafter] do not believe.

Malay

Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami berikan kitab kepada mereka, mereka mengenalinya (Nabi Muhammad), sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Orang-orang yang merugikan diri sendiri (dengan mensia-siakan pengurniaan Allah), maka mereka (dengan sebab yang tersebut) tidak beriman.

 

الَّذِينَ ءآتَيْنٰهُمُ الْكِتٰبَ

Orang-orang yang telah Kami berikan kitab kepadanya,

‘Kitab’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Kitab Taurat dan Injil. Jadi ayat ini merujuk kepada golongan Yahudi dan Kristian kerana merekalah yang telah diberi dengan kitab-kitab itu. Kenapa pula ada sebutan tentang mereka sedangkan ini surah Makkiyah?

Kerana di hujung-hujung waktu di Mekah, sudah ada interaksi dengan mereka. Waktu itu, selepas Musyrikin Mekah sudah habis modal untuk lawan Nabi ﷺ, mereka telah berjumpa dengan Yahudi di Madinah (waktu itu dikenali dengan nama Yathrib) untuk mendapat nasihat daripada mereka. Ini adalah kerana Musyrikin Mekah tahu yang orang-orang Yahudi itu ada kitab dan mereka telah lama ada agama.

Maka, mereka berharap semoga mereka mendapat idea cara untuk menentang Nabi Muhammad ﷺ. Orang Yahudi di Yathriblah yang memberi idea tambahan kepada Musyrikin Mekah. Mereka suruh bertanyakan itu dan ini.

Antaranya, mereka menyuruh Musyrikin Mekah tanya Nabi ﷺ tiga soalan yang Allah ‎ﷻ jawab dalam Surah Kahfi. Maka, telah ada hubungan dengan ahlil Kitab dan kerana itu dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ sudah mula menyentuh tentang mereka. Ini adalah satu fahaman/bacaan daripada ayat ini.

Satu lagi kefahaman yang kita boleh ambil adalah, ‘kitab’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Al-Qur’an. Bermaksud, orang Islam yang telah diberikan dengan Al-Qur’an. Yang memang menggelarkan diri mereka orang Islam. Seperti zaman sekarang, mereka ini adalah golongan ‘tok guru-tok guru agama’.

Merekalah yang mengamalkan dan mengajar tawasul kepada anak murid mereka. Merekalah yang mengajar amalan ‘tolak bala’, dengan bacaan-bacaan wirid-wirid yang salah, yang bid’ah, yang syirik dan sebagainya.

Ada ustaz yang terkenal yang mengajar manusia supaya jika beli kereta baru, mestilah diberikan kereta itu untuk digunakan oleh ustaz-ustaz dahulu supaya kereta itu tidak terkena bala. Subhanallah! Ingatlah bala itu bukannya boleh ditolak begitu. Bala itu datang daripada Allah ‎ﷻ kerana dosa kita atau sebagai ujian kita. Para ustaz tidak ada kuasa untuk membuang bala atau musibah.

Kalau kita terkena bala, maka mintalah ampun kepada Allah‎ ﷻ dan minta Allah‎ ﷻ selamatkan kita daripada musibah itu. Bukanlah dengan cara mencari ustaz  dan meminta bantuannya untuk tolak bala itu. Berhentilah menjadi seperti amalan sami Hindu dan sami Buddha dalam masyarakat kita. Janganlah amalan kita sama dengan amalan agama lain yang syirik. Memang dari zaman berzaman, agama ini bukan dirosakkan oleh golongan petani dan tukang kasut, tetapi oleh agamawan itu sendiri. Ini kerana masyarakat tidaklah mendengar kata-kata daripada petani atau tukang kasut, tetapi ahli agama.

Golongan yang sengal dalam agama

Oleh kerana golongan ini yang memegang kedudukan agama dalam masyarakat, maka masyarakat memandang benar belaka apa yang mereka buat. Padahal, semua amalan itu tidak ada dalil yang sahih dalam agama.

 

يَعْرِفُونَهُ

mereka mengenalnya

Perkataan يَعْرِفُونَهُ berasal daripada perkataan ع ر ف yang bermaksud ‘mengenali sesuatu daripada tandanya’. Sebagai contoh, semasa kita mencari anak kita dalam ramai-ramai budak, kita cari tanda-tandanya. Tentu kita tahu anak kita memakai baju merah pada hari itu, maka kita cari budak yang memakai baju berwarna merah. Atau anak kita seorang yang tinggi, jadi kita cari budak yang paling tinggi dalam ramai-ramai itu.

Ada dua kemungkinan yang dimaksudkan ‘kenal’ dalam ayat ini:

1. Kenal Nabi Muhammad ﷺ.
2. Kenal Allah ‎ﷻ atau kenal Tauhid. Mereka yang ada kitab sepatutnya kenal tauhid kerana tauhid ada disebut dalam kitab. Cuma mereka sahaja yang mengubahsuai kemudiannya.

Bagaimana kita tahu yang mereka kenal Nabi atau Allah ‎ﷻ? Kerana Allah ‎ﷻ tahu isi hati mereka dan Allah ‎ﷻ beritahu kita dalam ayat ini. Itu sudah cukup untuk meyakinkan kita. Maklumat tambahan kita dapat daripada kitab-kitab mereka sendiri. Memang kitab-kitab wahyu mereka menyebut tentang Tauhid.

Jika kita terima ‘kitab’ dalam ayat ini adalah Al-Qur’an, maka yang dikenal oleh mereka adalah Allah ‎ﷻ. Ini kerana jika ditanya siapakah yang menjadikan langit dan bumi, siapa beri rezeki, mereka akan kata: Allah. Mereka kenal Allah‎ ﷻ daripada kitab-kitab mereka.

Namun begitu, walaupun mereka sepatutnya kenal Allah ‎ﷻ, tetapi mereka beribadat kepada Allah‎ ﷻ bukan seperti yang Allah ‎ﷻ mahu. Mereka ikut amalan ibadat bukan seperti yang diajar oleh wahyu dan Nabi mereka tetapi mereka ambil daripada ajaran-ajaran manusia.

 

كَمَا يَعْرِفُونَ أَبْنَاءَهُمُ

seperti mereka mengenal anak-anak mereka sendiri.

Kalau yang dimaksudkan kenal itu Ahli Kitab, maka mereka kenal Nabi Muhammad ﷺ daripada ciri-ciri yang telah disebut dalam kitab-kitab mereka. Kalau yang dimaksudkan itu adalah Musyrikin Mekah, mereka memang kenal sangat dengan Nabi ﷺ kerana mereka tinggal bersama baginda. Mereka boleh lihat sendiri bagaimana tingkahlaku dan peribadi baginda.

Mereka tahu bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu adalah seorang Rasul kerana ada tanda-tanda kerasulan pada baginda. Atau sifat-sifat Nabi telah diberitahu kepada mereka oleh Nabi-Nabi mereka yang terdahulu yang telah terdapat dalam kitab-kitab suci mereka.

Dalam sirah, kita boleh belajar bagaimana seorang sahabat bernama Salman al Farisi رضي الله عنه yang mencari Nabi akhir zaman. Beliau telah merantau sehingga ke Madinah kerana beliau telah tahu bahawa di situlah nanti akan tiba Nabi akhir zaman. Salman رضي الله عنه tahu maklumat itu melalui pendita-pendita tempat beliau belajar semenjak kecil.

Oleh itu, apabila beliau menjumpai Nabi ﷺ, beliau telah membeli makanan dan sedekahkan kepada baginda. Beliau hendak lihat sama ada Nabi ﷺ makan atau tidak, kerana beliau tahu yang seorang Nabi ﷺ tidak boleh makan pemberian sedekah. Dan memang Nabi ﷺ tidak makan. Baginda telah menerimanya dan telah memberinya kepada sahabat yang lain.

Selain daripada Salman al-Farisi رضي الله عنه, terdapat juga kisah sahabat yang bernama Abdullah bin Salam رضي الله عنه dan juga Zayd ibn Sa’nah رضي الله عنه. Mereka juga memberitahu yang mereka telah kenal sifat Rasulullah daripada kitab-kitab mereka. Ia telah diberitahu dengan terperinci sekali. Malah, tentang para sahabat baginda pun ada disebut.

Oleh itu, apabila ahli Kitab yang telah diberikan dengan Taurat dan Injil melihat tanda-tanda yang ada pada Nabi Muhammad ﷺ, mereka kenal sangat. Sebagaimana mereka kenal anak mereka sendiri, bermaksud mereka 100% pasti. Takkan kita tidak kenal anak kita sendiri?

Kenapa dalam ayat ini hanya disebut ‘anak-anak lelaki’ dan tidak termasuk anak perempuan? Ini adalah kerana:

1. Nabi Muhammad ﷺ merupakan seorang lelaki maka digunakan perumpamaan anak lelaki dalam ayat ini.
2. Bangsa Arab mementingkan anak lelaki.
3. Anak lelaki lebih senang dikenali kerana perempuan selalunya berkelubung.

Namun walaupun mereka sudah kenal dan pasti, mereka masih lagi tidak mahu beriman. Ini kerana hati mereka degil.

 

الَّذِينَ خَسِرُوا أَنفُسَهُمْ

Orang-orang yang merugikan dirinya,

Mereka merugikan diri mereka kerana mereka tidak mahu beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ sedangkan mereka tahu yang Nabi Muhammad ﷺ itu memang seorang Rasul. Ini kerana mereka mahukan kedudukan dunia.

Mereka waktu itu dipandang tinggi dan mereka rasa jika mereka menerima kenabian Nabi Muhammad ﷺ, maka kedudukan mereka jatuh. Mereka tidak mahu ‘rugi’ di dunia, oleh sebab itu mereka akan ‘rugi’ di akhirat.

Mereka juga tidak boleh menerima Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda daripada keturunan Nabi Ismail عليه السلام manakala mereka pula daripada keturunan Nabi Ishak عليه السلام. Mereka sombong kerana merasakan yang mereka lebih mulia.

Mereka juga benci dan cemburu dengan Nabi Muhammad ﷺ kerana Allah ‎ﷻ memberikan pangkat kenabian itu kepada orang Arab. Selama ini, mereka pandang bangsa Arab sebagai satu bangsa yang hina kerana bangsa Arab tidak ada tamadun dan kerana mereka tidak ada agama yang ada kitab wahyu seperti mereka. Oleh kerana itu mereka tidak mahu menerima tauhid. Mereka tidak mahu meninggalkan amalan syirik mereka.

Ayat ini mengajar kita, jika kita telah nampak kebenaran, kita kena terima. Walaupun ia tidak sama dengan keinginan hati kita. Atau, kebenaran itu datang daripada mulut orang yang bukan daripada golongan kita. Kita jangan tolak kebenaran itu. Walaupun mungkin kadang-kadang kita tidak mampu lagi untuk menjalankan sepenuhnya.

Sebagai contoh, kita sudah tahu yang memakai tudung adalah wajib bagi perempuan. Ada yang tidak mampu lagi untuk memakainya. Itu memang berdosa. Tetapi adalah lebih teruk lagi jika bukan sahaja dia tidak mampu untuk memakainya, malah dia juga menolak terus hukum kewajipan bertudung itu.

Kita juga tahu daripada ayat ini bahawa kita kena terima kebenaran walau dari mana dan daripada siapa ia datang. Jangan kerana ia datang daripada seseorang yang kita tidak suka atau kita rasa rendah tarafnya daripada kita, maka kita tidak terima. Kebenaran tetap benar. Kita kena buka hati kita untuk menerima kebenaran.

Mereka yang tidak menerima kebenaran telah merugikan diri sendiri. Bukan Allah ‎ﷻ yang rugi. Bukan orang yang bawa kebenaran itu yang rugi. Mereka yang rugi sendiri.

 

فَهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ

mereka itu tidak beriman. 

Mereka itu sebenarnya tidak beriman, walaupun mereka pendita Yahudi dan paderi Kristian yang kononnya kenal agama. Oleh kerana takut rugi dan sombong dengan kedudukan mereka, mereka tidak mahu beriman.

Dan kalau kita bandingkan dengan zaman sekarang, yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah golongan-golongan ahli bid’ah. Mereka itu tidak beriman dengan wahyu yang sebenarnya, walaupun mereka itu digelar ‘ustaz’, orang yang kononnya tahu agama dan sebagainya. Ini kerana mereka telah lama memegang tampuk kedudukan agama.

Jika ada kenduri selamatan, merekalah yang dijemput untuk jadi tekong baca doa. Jika hendak buat Salat Hajat, Kenduri Arwah, merekalah yang dijemput. Jika hendak buat Majlis Tahlil, merekalah tekongnya. Mereka tolak dan tidak beriman dengan jalan Sunnah, kerana jika ikut Sunnah, tidak ada lagi amalan-amalan bid’ah yang menguntungkan mereka itu.

Habis Ruku’ 2 dari 20 ruku’ dalam surah ini.


 

An’am Ayat 21: Ayat Zajrun (ayat teguran).

وَمَن أَظلَمُ مِمَّنِ افتَرىٰ عَلَى اللهِ كَذِبًا أَو كَذَّبَ بِئآيٰتِهِ ۗ إِنَّهُ لا يُفلِحُ الظّٰلِمونَ

Sahih International

And who is more unjust than one who invents about Allah a lie or denies His verses? Indeed, the wrongdoers will not succeed.

Malay

Dan siapakah lagi yang lebih aniaya dari orang yang mengada-adakan perkara-perkara yang dusta terhadap Allah, atau yang mendustakan ayat-ayat keteranganNya? Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan berjaya.

 

وَمَنْ أَظْلَمُ

Dan siapakah yang lebih zalim

Siapakah lagi yang lebih zalim? Apabila ditanya sebegini, ia bermaksud tidak ada yang lebih zalim daripada mereka yang sifat mereka akan disebut di bahagian seterusnya dalam ayat ini. Maknanya, mereka ini adalah jenis yang paling zalim. Allah ‎ﷻ yang kata sendiri, bukan kita yang kata. Maknanya, memang mereka itu zalim.

Zalim itu ada pelbagai bentuk. Ada kezaliman yang dikenakan kepada diri kita, kepada orang lain dan kepada Allah ‎ﷻ juga. Tingkatan kezaliman pun banyak. Ayat ini memperkatakan tentang kezaliman yang paling tinggi sekali, iaitu berbuat kezaliman terhadap Allah ‎ﷻ.

Banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an yang dimulai dengan وَمَنْ أَظْلَمُ ini. Ia diulang-ulang kerana ia adalah perkara besar. Semoga kita memberi perhatian terhadap ayat-ayat yang dimulakan dengan perkataan ini.

 

مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللهِ كَذِبًا

daripada orang yang membuat-buat suatu kedustaan terhadap Allah,

Mereka itu mencipta dusta tentang Allah ‎ﷻ seperti ahli Kitab yang kata Allah‎ ﷻ ada anak lelaki. Yahudi kata Nabi Uzair عليه السلام adalah anak lelaki Allah ‎ﷻ; manakala Kristian pula mengatakan yang Nabi Isa عليه السلام adalah anak lelaki Allah ‎ﷻ.

Musyrikin Mekah pula kata yang kata Allah ‎ﷻ ada anak perempuan – iaitu mereka mengambil malaikat-malaikat sebagai anak perempuan Allah ‎ﷻ. Ada pula yang berkata Allah ‎ﷻ ada pasangan dan sebagainya. Itu semua adalah satu pendustaan yang amat besar sekali.

Bukan itu sahaja. Zaman sekarang pun ada ramai manusia yang berdusta atas nama Allah ‎ﷻ. Sebagai contoh, mereka mencipta sesuatu amalan baru dan mereka kata ia datang daripada Allah ‎ﷻ. Atau mereka kata ia adalah baik dalam agama. Padahal Allah ‎ﷻ tidak pernah kata begitu. Begitu juga amalan yang berleluasa di negara kita ini antaranya Salat Hajat berjama’ah, Talqin, Majlis Tahlil, Kenduri Arwah dan lain-lain lagi.

Inilah amalan dalam agama yang dinamakan ‘bid’ah’. Mereka yang kata ia adalah molek, tidak dapat pula memberikan dalil yang pernah Nabi atau sahabat buat, melainkan dalil yang batil sahaja – ramai orang buat, ulama’ kata boleh, ada dalam Kitab itu dan ini dan sebagainya. Perbuatan itu adalah menzalimi Allah ‎ﷻ kerana agama ini adalah hak Allah ‎ﷻ, dan kalau kita pandai-pandai reka amalan baru, kita sudah ambil alih kerja Allah ‎ﷻ.

Mereka akan ditanyakan tentang apakah amalan yang mereka cipta itu nanti. Lalu bagaimana pula dengan kita yang buat juga amalan itu tanpa usul periksa? Juga akan ada masalah nanti. Maka, tinggalkanlah amalan-amalan bid’ah yang salah itu.

Kalau kita kata manusia lain cakap sesuatu tetapi sebenarnya mereka tidak pernah cakap, pun adalah satu kesalahan besar. Itu baru dengan manusia. Apatah lagi kalau kita mereka-reka tentang Allah‎ ﷻ?

Sebagai contoh, mereka mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram. Ingatlah bahawa yang layak berbuat begitu hanya Allah ‎ﷻ sahaja. Jangan kita ambil alih kerja Allah‎ ﷻ.

Ramai juga ‘guru agama’ yang kata bermacam-macam perkara tanpa usul periksa. Antaranya, mereka kata kita ‘kena’ buang bala dengan amalan tolak bala mereka. Oleh itu, mereka buat amalan mandi tolak bala, mandi bunga, bacaan zikir-zikir tertentu yang direka manusia dan macam-macam lagi.

Perkataan افْتَرَىٰ bermaksud mereka-reka sesuatu perkara dengan mudah, tanpa rasa bersalah pun. Seolah-olah kecil sahaja perkara itu. Padahal, ia perkara yang besar. Mereka akan ditanya tentang perkara itu di hadapan Allah ‎ﷻ nanti. Mereka tidak perasan bahawa apa yang mereka lakukan adalah perkara yang besar.

Sebagai contoh, kenduri arwah. Ia nampak mudah sahaja kerana sudah ramai orang buat. Tetapi, mereka tidak sedar bagaimana ia telah menyusahkan keluarga yang kena susah payah memberi orang makan. Padahal mereka baru sahaja kehilangan ahli keluarga.

 

أَوْ كَذَّبَ بِئآيٰتِهِ

atau mendustakan ayat-ayat-Nya?

Mendustakan itu bermaksud mereka kata ayat-ayat Al-Qur’an yang dibaca itu adalah dusta belaka. Musyrikin Mekah tidak terima ayat-ayat Al-Qur’an. Pelbagai tohmahan mereka berikan. Antaranya mereka kata Nabi ﷺ reka sendiri, atau baginda cedok daripada kitab-kitab lama, dengan lama, dan sebagainya lagi.

‘Mendustakan’ itu juga bermaksud menolak ayat-ayat Al-Qur’an. Apabila diberitahu kepada mereka dalil daripada ayat-ayat Al-Qur’an, mereka tidak mahu terima. Sebab kalau mereka terima ayat-ayat itu benar, tentulah mereka mesti mengikutinya.

Oleh itu, kalau kita kata sesuatu perkara itu salah dan kita beri dalil daripada ayat Al-Qur’an, tetapi mereka buat tidak tahu sahaja, bermakna mereka juga mendustakan. Ini kerana jika mereka terima ia adalah benar, maka tentulah mereka akan terima. Kalau yang ini, orang kita sekarang pun ada buat juga, bukan?

 

إِنَّهُ لَا يُفْلِحُ الظّٰلِمُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang aniaya itu tidak mendapat kejayaan.

Perkataan يُفْلِحُ diambil daripada perkataan ف ل ح yang bermaksud ‘kejayaan’. Itu bermaksud seseorang itu:

1. Mencapai apa yang dikehendakinya
2. Selamat daripada apa yang tidak disukainya

Kena ada dua-dua perkara itu barulah dikatakan ف ل ح. Jika ada salah satu sahaja, maka ia tidak lengkap. Katakanlah seseorang itu dapat apa yang dia kehendaki, tetapi dia tidak selamat daripada apa yang tidak disukainya, itu bukanlah berjaya namanya.

Begitu juga jika dia selamat daripada apa yang tidak disukainya, tetapi dia tidak mendapat apa yang dia kehendaki, itu pun bukan kejayaan yang penuh.

Oleh itu, bukanlah kejayaan kalau seseorang itu hanya masuk syurga setelah masuk sekian lama dalam neraka. Kita tidak mahu langsung masuk neraka. Lihat pun tidak mahu, dengar pun tidak, cium bau neraka pun kita tidak mahu.

Ini ada satu masalah orang Islam kita: Mereka kata kalau orang Islam masuk neraka, ia hanya sementara sahaja – akhirnya akan masuk syurga juga. Itu adalah satu pemahaman yang amat bodoh sekali, itulah mereka yang tidak belajar apakah neraka sebenarnya, sampaikan mereka tidak takut neraka. Mereka sangka masuk neraka itu perkara kecil sahaja sampaikan mereka tidak takut.

Oleh itu, sesiapa yang mereka-reka tentang Allah ‎ﷻ dan tidak beriman dengan ayat-ayat Allah ‎ﷻ, maka dia tidak akan berjaya.

Namun begitu kadang-kadang kita lihat orang yang buat syirik pun berjaya juga dalam hidup mereka – mereka kaya dan mendapat sanjungan masyarakat. Tidakkah mereka berjaya? Tidak. Kerana kejayaan itu banyak jenis dan kejayaan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah kejayaan yang sebenar-benarnya iaitu dapat masuk syurga.

Kalau setakat kejayaan di dunia yang tidak kekal ini, ia tidak bermakna jika tidak berjaya di akhirat. Yang kita hendak adalah kejayaan di dunia dan akhirat.


 

An’am Ayat 22: Takhwif Ukhrawi. Sebelum ini telah disebut tentang kesalahan mereka yang menolak wahyu. Sekarang Allah ‎ﷻ cerita keadaan mereka di akhirat pula.

وَيَومَ نَحشُرُهُم جَميعًا ثُمَّ نَقولُ لِلَّذينَ أَشرَكوا أَينَ شُرَكاؤُكُمُ الَّذينَ كُنتُم تَزعُمونَ

Sahih International

And [mention, O Muhammad], the Day We will gather them all together; then We will say to those who associated others with Allah , “Where are your ‘partners’ that you used to claim [with Him]?”

Malay

Dan (ingatlah), hari (kiamat yang padanya) Kami himpunkan mereka semua, kemudian Kami berfirman kepada orang-orang musyrik: “Manakah orang-orang dan benda-benda yang dahulu kamu sifatkan (menjadi sekutu Allah):?”

 

وَيَوْمَ نَحْشُرُهُمْ جَمِيعًا

Dan (ingatlah), hari yang di waktu itu Kami menghimpun mereka semuanya

Kalimah نَحْشُرُهُمْ bermaksud mereka akan dikumpulkan sebagaimana mengumpul binatang iaitu yang dikumpul adalah yang memuja dan yang dipuja. Apabila dikumpulkan, mereka akan dimasukkan ke dalam kumpulan-kumpulan masing-masing. Semua makhluk akan dikumpulkan di Mahsyar nanti.

Namun begitu, layanan kepada mereka yang baik dan zalim tidak sama kerana ada yang dipuja seperti Nabi dan malaikat itu tidak salah.

Semua makhluk akan hadir. Tidak ada yang dapat lari. Kalau di dunia, kita boleh sahaja lari jika ada perkumpulan yang wajib, contohnya seperti dipanggil dengan mahkamah, masih ada lagi yang boleh lari tidak hadir ke mahkamah. Tetapi tidak dengan perhimpunan Allah ‎ﷻ nanti. Perhimpunan ini tidak boleh kita elakkan.

Begitu juga kalau perhimpunan di dunia kita susah hendak buat, maka kita akan susah dalam perhimpunan di Mahsyar nanti. ; iaitu kalau susah hendak salat berjama’ah (bagi lelaki) di masjid, kita akan susah dalam perhimpunan di akhirat nanti.

 

ثُمَّ نَقُولُ لِلَّذِينَ أَشْرَكُوا

kemudian Kami berkata kepada orang-orang musyrik:

Perkataan ثُمَّ dalam ayat ini merujuk kepada satu masa yang lama berlalu. Bukanlah selepas sahaja makhluk dibangkitkan di hari Kiamat, mereka terus dibicarakan. Namun ia adalah sebaliknya, iaitu, ia merupakan satu jangka masa yang amat lama akan berlalu barulah perbicaraan akan dijalankan.

Semua kena menunggu dalam masa yang lama. Masanya amat lama sampaikan mereka akan minta tolong kepada Nabi satu persatu untuk mempercepatkan hisab. Ini kerana keadaan pada waktu itu amat hiruk pikuk sekali dengan segala kegelisahan kerana sudah lama sangat menunggu di Mahsyar.

Di dalam hadith, ada disebut yang jangkamasa itu adalah selama 50 ribu tahun! Ada juga riwayat yang sebut seribu tahun. Perbezaan ini adalah kerana masa itu adalah subjektif. Ada orang akan rasa ia selama 50 ribu tahun dan ada yang rasa ia adalah selama seribu tahun.

Mereka akan mulakan minta pertolongan kepada Adam عليه السلام. Namun begitu,  daripada Nabi Adam عليه السلام sehinggalah kepada Nabi-Nabi yang lain tidak berani untuk berdoa kepada Allah‎ ﷻ untuk mempercepatkan hisab. Sehinggalah mereka sampai kepada Nabi Muhammad ﷺ. Barulah Nabi Muhammad ﷺ akan sujud berdoa kepada Allah ‎ﷻ. Kisah ini disebut dengan panjang lebar dalam hadith.

Setelah sekian lama, Allah ‎ﷻ akan bercakap kepada puak-puak Musyrik. Kita tidak tahulah bagaimana cara Allah ‎ﷻ bercakap itu. Tentunya dalam keadaan marah dan murka kepada mereka. Tentunya bukan dalam keadaan lemah lembut dengan mereka. Ini kerana mereka telah melakukan syirik semasa mereka di dunia dulu.

 

أَيْنَ شُرَكَاؤُكُمُ

“Di manakah sembahan-sembahan kamu?

Manakah entiti-entiti yang kamu jadikan sama kedudukan dengan Allah ‎ﷻ dulu? Mana dia pujaan bathil kamu yang kamu kata boleh beri bantuan kepada kamu?

Sepatutnya mereka sembah Allah ‎ﷻ sahaja, puja Allah‎ ﷻ sahaja, zikir kepada Allah ‎ﷻ sahaja, berharap kepada Allah‎ ﷻ sahaja – tetapi mereka buat perkara yang sama kepada makhluk yang lain. Itu adalah perbuatan syirik. Mana mereka? Kenapa mereka tidak ada di sini dan menolong kamu?

Allah ‎ﷻ gunakan perkataan شُرَكَاؤُكُمُ yang dalam bentuk jamak kerana ada banyak jenis syirik yang manusia lakukan. Banyak jenis tuhan-tuhan sembahan mereka. Ada yang puja berhala, ada yang puja Nabi, ada yang pula malaikat dan ada yang puja wali. Berjenis-jenis sampaikan tidak mungkin kita boleh senaraikan di sini.

 

الَّذِينَ كُنتُمْ تَزْعُمُونَ

yang dulu kamu yakin dengan mereka?”.

Kalimah تَزْعُمُونَ bermaksud ‘agak-agak yang yakin’ iaitu yakin tanpa ilmu. Percaya sahaja tanpa ada dalil yang sah. Perkara itu tidak ada ilmu, tetapi mereka yakin. Yakin dengan cara yang bodoh.

Dahulu mereka yakin yang wali, malaikat dan Nabi itu boleh jadi sebagai ‘kabel’ antara mereka dan Allah ‎ﷻ. Mereka sangka, Nabi, wali dan malaikat itulah yang akan jadi peguam untuk membela mereka. Dulu mereka yakin begitu. Sebab mereka yakinlah mereka telah mengamalkan tawasul (mengambil perantaraan dalam berdoa kepada Allah ‎ﷻ) dan berharap berkat dan bantuan.

Ayat ini menjelaskan bahawa mereka itu tidak dapat tolong langsung. Mereka tidak ada pun di Mahsyar untuk menolong mereka. Tentu mereka kelam kabut bila lihat yang mereka sangka akan bantu mereka, tidak ada.

Maka jangan berharap kepada selain Allah ‎ﷻ. Sama seperti benda dalam dunia – telefon, kereta, apa sahaja. Semua perkara selain Allah ‎ﷻ tidak boleh diharap. Boleh kita gunakan tetapi tidak boleh harap dan bergantung 100%. Dengan orang pun begitu juga. Jangan kita mengharap yang seseorang akan bantu kita sentiasa.

Sebagai contoh, kita ada pasangan hidup – dengan pasangan hidup kita pun kita tidak boleh yakin 100% yang dia akan tetap sayang kepada kita. Itu perkara yang jelas depan kita pun sudah tidak boleh diharap. Maka kalau tawasul kepada benda ghaib, tentulah tidak boleh sama sekali kerana tidak ada dalil amalan ini.

Ayat ini adalah tentang kejadian pada Hari Mahsyar nanti. Ini adalah satu contoh di mana Allah ‎ﷻ akan bertanya kepada ramai orang pada satu masa. Dalam keadaan lain pula, ada yang akan mengadap Allah ‎ﷻ seorang demi seorang. Dua-dua keadaan ini akan berlaku.

Ini mengingatkan kita bahawa kita akan dihadapkan ke hadapan Allah ‎ﷻ dan akan ditanya tentang apakah yang kita telah lakukan semasa di dunia. Apakah yang akan ditanya kepada kita agaknya?

Apakah jawapan kita nanti? Adakah kita akan jawab dengan yakin dan benar, atau kita akan cuba menipu Allah ‎ﷻ? Memang ayat ini tentang soalan kepada musyrikin. Namun kita ingatlah bahawa kita pun akan ditanya juga. Ma sha Allah!

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 24 Oktober 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an