Tafsir Surah al-Maidah Ayat 34 – 38 (Salah faham tentang wasilah)

Maidah Ayat 34:

إِلَّا الَّذينَ تابوا مِن قَبلِ أَن تَقدِروا عَلَيهِم ۖ فَاعلَموا أَنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Except for those who return [repenting] before you overcome [i.e., apprehend] them. And know that Allāh is Forgiving and Merciful.

(MALAY)

kecuali orang-orang yang taubat (di antara mereka) sebelum kamu dapat menguasai (menangkap) mereka; maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

إِلَّا الَّذينَ تابوا مِن قَبلِ أَن تَقدِروا عَلَيهِم

kecuali orang-orang yang taubat (di antara mereka) sebelum kamu dapat menguasai (menangkap) mereka;

Hukuman kesalahan-kesalahan samun dan rompak itu akan dikenakan kepada mereka yang telah melakukannya, kecuali yang sempat bertaubat sebelum ditangkap. Kalau sudah ditangkap, tidak ada pengecualian kepada mereka, mereka tetap akan dikenakan dengan hukuman.

Dan bukan cukup dengan mereka bertaubat sahaja, mereka kena hantar balik barang yang mereka samun dan rompak itu. Kalau pernah bunuh orang, maka hukum hudud, qisas atau ta’zir (yang mana berkenaan) akan dikenakan kepada mereka.

Allah ‎ﷻ sedang memberi motivasi kepada golongan penyamun untuk bertaubat kerana mereka itu sedang melakukan kerosakan yang besar kepada masyakat, menakutkan masyarakat dan menyusahkan kerajaan. Maka kalau mereka berhenti daripada kerja-kerja mereka itu, banyak yang akan senang.

Dalam sejarah umat Islam, ada kisah golongan penyamun yang bertaubat kerana mendengar ayat ini. Ali Asadi yang menyamun di Madinah telah dimaafkan oleh Khalifah Marwan; manakala Haritha ibn Badr telah diampunkan oleh Saidina Ali رضي الله عنه .

 

فَاعلَموا أَنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Ingatlah yang Allah ‎ﷻ Maha Pengampun dan Maha Pengasih. Kalau berkenaan kesalahan kepada Allah ‎ﷻ, maka boleh bertaubat sahaja, tetapi tidak lepas kalau kesalahan itu berkenaan dengan manusia. Itu sebab mereka yang bertaubat itu kena pulangkan barang yang mereka ambil dan kena minta maaf. Kena bezakan antara hak Allah ‎ﷻ dan hak manusia.

Sekian Ruku’ 5 dari 16 ruku’ dalam surah ini.


 

Maidah Ayat 35: Allah ‎ﷻ mengingatkan kita supaya jangan duduk sahaja kerana kalau duduk sahaja tanpa berusaha, iman kita akan dirosakkan oleh orang lain. Ini kerana tentu sekali ada usaha untuk menyesatkan manusia (sama ada dari luar atau dalaman kita), maka kita kena berusaha juga untuk  membawa manusia kepada tauhid, dan salah satunya dengan menjalankan jihad perang.

Sebelum ini telah disebut hukum rompak samun dan tidak lama lagi akan disebut tentang hukum mencuri pula. Di antara ayat-ayat hukum jenayah itu, sekarang Allah ‎ﷻ sebut tentang taqwa dan jihad. Allah ‎ﷻ bukan hendak sebut tentang hukuman sahaja, tetapi Allah ‎ﷻ hendak dakwah ajak kepada apa sebenarnya yang kita perlu buat sebagai manusia.

Dalam ayat ini juga, Allah ‎ﷻ mengingatkan kita kenapa kita berperang. Kita kena ingat bahawa semua yang kita lakukan adalah untuk Allah ‎ﷻ. Jihad itu dilakukan supaya manusia kenal dan sembah Allah ‎ﷻ sahaja.

Ayat ini juga adalah anjuran untuk mendekatkan diri dengan Allah ‎ﷻ. Kita kena cari jalan bagaimana untuk mendekatkan diri dengan Allah ‎ﷻ sepanjang masa.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا اتَّقُوا اللهَ وَابتَغوا إِلَيهِ الوَسيلَةَ وَجٰهِدوا في سَبيلِهِ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, fear Allāh and seek the means [of nearness] to Him and strive in His cause that you may succeed.

(MALAY)

Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepada-Nya, dan berjihadlah pada jalan-Nya, mudah-mudahan kamu mendapat kemenangan.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا اتَّقُوا اللهَ

Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah

Pertamanya, Allah ‎ﷻ mengingatkan kita untuk bertaqwa kepada-Nya. Ini memang selalu diulang-ulang di dalam Al-Qur’an. Oleh itu kena taqwa dan kena tinggalkan segala larangan. Kita kena ingat, kalau sudah beriman, kena taqwa pula.

Maksudnya, iman tidak sama dengan taqwa. Ada orang beriman, tetapi tidak bertaqwa. Taqwa maksudnya kena jaga hukum dan taat kepada Allah ‎ﷻ dalam setiap sudut dan masa, iaitu dengan membuat apa yang Allah ‎ﷻ suruh dan meninggalkan apa yang Allah ‎ﷻ telah larang.

Maka ajakan ini disebut di antara ayat-ayat tentang samun dan curi. Maka orang-orang yang sebenarnya takut dan taqwa kepada Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh meninggalkan amalan salah itu. Bagi mereka, kalau tidak ada hukuman dunia pun, mereka tidak akan melakukan perbuatan yang teruk itu. Hukuman-hukuman keduniaan itu sebenarnya untuk mengawal manusia yang tidak ada taqwa sahaja.

 

وَابتَغوا إِلَيهِ الوَسيلَةَ

dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepada-Nya, 

Dan kedua, carilah ‘wasilah’ untuk hampir kepada Allah ‎ﷻ iaitu, carilah jalan yang membolehkan kita menghampiri Allah ‎ﷻ. Ayat inilah yang menyebabkan ramai orang Islam keliru. Ketahuilah, semua kitab tafsir muktabar berkata maksud ayat ini: meninggalkan yang haram dan membuat yang makruf, iaitu jalan yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan.

Janganlah ditafsir mengikut fahaman yang karut. Malangnya, ramai yang tafsir dengan cara karut kerana mereka tidak belajar tafsir. Mereka kata yang dimaksudkan dengan wasilah itu adalah ‘perantara’ seperti tok wali lah, Nabi lah dan sebagainya. Oleh kerana itu mereka mengatakan yang ini adalah dalil yang Allah ‎ﷻ menyuruh kita mengamalkan tawasul dalam ibadah dan doa.

Ini adalah tafsiran orang yang jahil tentang Al-Qur’an dan kita jangan mengikut orang jahil. Memang kalau kita baca sendiri ayat ini dan cuba faham sendiri tanpa belajar tafsir, nampak memang seperti ada suruhan supaya menggunakan Nabi, wali dan malaikat sebagai wasilah kita dalam ibadat dan doa dan memang ramai yang menggunakan ayat ini sebagai dalil mereka bagi mengamalkan tawasul. Namun itu hanyalah kepada mereka yang jahil sahaja.

Apakah maksud ‘wasilah’? Ia adalah cara untuk mendapatkan sesuatu iaitu membuat sesuatu untuk mendekatkan diri dengan seseorang. Dalam ayat ini, ia tentang mendekatkan diri kepada Allah ‎ﷻ. Namun kerana salah faham, ramai yang menggunakan orang alim sebagai wasilah mereka sampai ada yang menggunakan ‘berkat’ ahli kubur dan sebagainya.

Ini sedang banyak diperkenalkan oleh golongan yang menggelarkan diri mereka ‘Habib’ di Malaysia. Mereka memang mengamalkan melawat kubur di tempat asal mereka dan meminta tolong kepada orang dalam kubur (yang mereka dakwa sebagai ‘wali’) dan kerana orang kita ‘import’ mereka datang ke sini, sedikit demi sedikit mereka telah memperkenalkan amalan syirik itu. Ramai yang tertipu dengan perawakan golongan Habib ini.

Wasilah juga bermaksud kedudukan yang tinggi. Oleh itu, ayat ini menganjurkan kita berbuat sesuatu untuk mendapatkan kedudukan yang tinggi dan dekat dengan Allah ‎ﷻ. Di dalam kitab Sahih Bukhari telah disebutkan melalui jalur Muhammad ibnul Munkadir, daripada Jabir ibnu Abdullah, yang telah menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ قَالَ حِينَ يَسْمَعُ النِّدَاءَ: اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ، وَالصَّلَاةِ الْقَائِمَةِ، آتِ مُحَمَّدًا الْوَسِيلَةَ وَالْفَضِيلَةَ، وَابْعَثْهُ مَقَامًا مَحْمُودًا الَّذِي وَعَدْتَهُ، إلا حَلَّتْ له الشفاعة يوم القيامة”.

Barang siapa ketika mendengar suara azan (yakni sesudahnya) mengucapkan doa berikut: “Ya Allah, Tuhan pemilik seruan yang sempurna ini dan (Tuhan) salat yang didirikan, berikanlah (kedudukan) al-wasilah dan keutamaan, dan tempatkanlah dia pada kedudukan yang terpuji seperti apa yang telah Engkau janjikan kepadanya, “nescaya syafaat akan diperolehnya pada hari kiamat.

Kedudukan al-wasilah dalam hadith ini adalah khusus kepada Nabi Muhammad ﷺ. Di dalam kitab Sahih Muslim disebutkan melalui hadis Ka’b ibnu Alqamah, daripada Abdur Rahman ibnu Jubair, daripada Abdullah ibnu Amr ibnul As, bahawa dia pernah mendengar Nabi ﷺ bersabda:

إِذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ، ثُمَّ صلُّوا عَليّ، فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَليّ صَلَاةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا، ثُمَّ سَلُوا اللَّهَ لِيَ الْوَسِيلَةَ، فَإِنَّهَا منزلة فِي الْجَنَّةِ، لَا تَنْبَغِي إِلَّا لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللَّهِ، وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ، فَمَنْ سَأَلَ لِيَ الْوَسِيلَةَ حَلًّتْ عَلَيْهِ الشَّفَاعَةُ.”

Apabila kalian mendengar suara muazin, maka ucapkanlah seperti apa yang diucapkannya, kemudian bacalah selawat untukku, kerana sesungguhnya barang siapa yang membaca selawat sekali untukku, Allah‎ ﷻ membalas sepuluh kali selawat untuknya. Kemu­dian mohonkanlah al-wasilah untukku, kerana sesungguhnya al-wasilah adalah suatu kedudukan di dalam syurga yang tidak layak kecuali bagi seseorang hamba Allah ‎ﷻ saja, dan aku berha­rap semoga aku adalah hamba yang dimaksudkan itu. Dan barang siapa yang memohonkan al-wasilah buatku, nescaya akan mendapat syafaat (dariku).

Daripada hadith ini, kita dapat tahu bahawa inilah satu cara untuk mendapatkan syafaat daripada Nabi ﷺ, tidak ada lagi cara lain seperti yang banyak diajar oleh guru-guru yang salah. Tidak perlu dan tidak boleh meminta syafaat kepada Nabi ﷺ, kerana Nabiﷺ  tidak boleh beri syafaat itu kepada kita. Kena faham yang bagi hanya ‘menyampaikan’ sahaja syafaat itu, bukannya buat keputusan siapa boleh dapat syafaat itu.

Baginda telah ajar kita bagaimana cara untuk mendapatkan syafaat itu, antaranya hadith tentang doa selepas wudhu’ itu. Jadi, amalkanlah cara ini sahaja (dan cara-cara lain yang sahih). Kenapa perlu amalkan cara lain yang tidak diajar oleh Nabi ﷺ? Janganlah ikut puak Habib yang sesat itu yang meminta-minta syafaat daripada Nabi ﷺ dalam lagu Ya Hanana mereka, sampai penuh satu stadium dengan orang-orang yang jahil, melambai-lambai kepada Nabi ﷺ? Mereka memang golongan yang suka mereka amalan-amalan baru dalam agama (amalan bid’ah).

Oleh itu, secara ringkasnya, ayat ini suruh kita bertaqwa kepada Allah ‎ﷻ. Dan cara-cara itu telah banyak diajar oleh Nabi Muhammad ﷺ. Kita pun tahu bahawa banyak sekali amalan-amalan sunnah yang telah diajar oleh baginda. Maka, amalkanlah segala yang diajar itu. Tidak perlu menggunakan cara yang tidak pernah diajar dan diamalkan oleh Nabi ﷺ. Siapa kita untuk memperbaharui agama ini yang telah disampaikan oleh Nabi kita Muhammad ﷺ?

 

وَجٰهِدوا في سَبيلِهِ

dan berjihadlah pada jalan-Nya,

Dan antara wasilah yang paling hebat adalah jihad di jalan Allah ‎ﷻ. Selepas disebut tentang wasilah, Allah ‎ﷻ terus sebut tentang jihad menunjukkan keutamaan jihad. Ia adalah salah satu daripada wasilah. Inilah jalan wasilah yang paling hebat.

Sebenarnya kalau tidak disebut pun, jihad fi sabilillah sudah termasuk dalam salah satu wasilah, tetapi Allah ‎ﷻ takhsis (sebutkan secara khusus) lagi kerana hendak menunjukkan kelebihan jihad. Sekurang-kurangnya berjihad itu adalah menyampaikan wahyu kepada orang lain supaya mereka boleh menghampirkan diri kepada Allah ‎ﷻ. Inilah yang dinamakan ‘jihad lisan’.

Maka kita hendaklah memperkenalkan Allah‎ ﷻ kepada manusia dan ajak mereka mendekati Allah ‎ﷻ. Itulah pentingnya belajar, mengajar dan menyampaikan akidah tauhid dan ajar fahaman Al-Qur’an. Kita kena sampaikan kepada mereka dan ini adalah perkara besar dalam jihad. Inilah asal jihad, iaitu menggunakaan Al-Qur’an dalam dakwah dan menyampaikan Al-Qur’an kepada manusia.

Oleh itu susunan saranan dalam ayat ini: taqwa – wasilah – jihad.

 

لَعَلَّكُم تُفلِحونَ

mudah-mudahan kamu mendapat kemenangan.

Mudah-mudahan, kalau kita melakukan semua itu, kita akan berjaya. Kalimah فلح adalah jenis kejayaan yang didapati setelah berusaha bersungguh-sungguh. Maknanya, bukannya dengan goyang kaki boleh dapat kejayaan itu, tetapi kena berusaha bersungguh-sungguh.

Usaha yang pertama adalah belajar wahyu Allah ‎ﷻ. Ini pun ramai yang sudah tidak sanggup kerana ia memerlukan masa, kekuatan minda dan kadang-kadang belanja. Ramai yang tidak sanggup mengharungi perkara ini kerana ramai lebih suka tengok cerekarama sahaja. Budaya melazimi ilmu masih lagi jauh daripada kebanyakan masyarakat kita. Yang rajin belajar itu masih tidak ramai lagi.


 

Maidah Ayat 36: Ayat takhwif ukhrawi. Sekarang disebut balasan bagi orang yang menentang hukum Allah ﷻ.

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا لَو أَنَّ لَهُم مّا فِي الأَرضِ جَميعًا وَمِثلَهُ مَعَهُ لِيَفتَدوا بِهِ مِن عَذابِ يَومِ القِيٰمَةِ ما تُقُبِّلَ مِنهُم ۖ وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who disbelieve – if they should have all that is in the earth and the like of it with it by which to ransom themselves from the punishment of the Day of Resurrection, it will not be accepted from them, and for them is a painful punishment.

(MALAY)

Sesungguhnya orang-orang yang kafir sekiranya mereka mempunyai apa yang di bumi ini seluruhnya dan mempunyai yang sebanyak itu (pula) untuk menebusi diri mereka dengan itu dari azab hari kiamat, nescaya (tebusan itu) tidak akan diterima dari mereka, dan mereka beroleh azab yang pedih.

 

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا

Sesungguhnya orang-orang yang kafir

Iaitu mereka yang mati dalam kafir dan tidak sempat bertaubat. Tentunya mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.

 

لَو أَنَّ لَهُم مّا فِي الأَرضِ جَميعًا

sekiranya mereka mempunyai apa yang di bumi ini seluruhnya

Kalaulah mereka ada segala harta yang ada dalam dunia ini seluruhnya. Tentulah tidak ada sesiapa pun yang mempunyai harta seluas bumi. Orang kafir sememangnya ramai di antara mereka yang mempunyai harta, tetapi tidaklah harta mereka memenuhi seluruh bumi ini. Jadi ini adalah bidalan sahaja.

 

وَمِثلَهُ مَعَهُ

dan mempunyai yang sebanyak itu

Atau mereka mempunyai sekali ganda daripada harta sebanyak seluas bumi. Memang lagi tidak masuk akal kalau ada manusia yang ada harta sekali ganda bumi. Allah ‎ﷻ menggunakan bahasa yang ekstrem di sini untuk menyampaikan maksud yang hendak diberitahu kepada kita.

 

لِيَفتَدوا بِهِ مِن عَذابِ يَومِ القِيٰمَةِ

untuk menebusi diri mereka dengan itu dari azab hari kiamat,

Kalaulah mereka ada harta sebanyak itu, mereka pasti akan menggunakan harta itu semuanya sekali untuk menebus diri mereka supaya mereka diselamatkan daripada azab neraka. Mereka itu memang sayang sangat kepada harta dan kerana itulah mereka terus kufur, tetapi mereka sanggup memberikan kesemuanya sekali, kerana mereka akan berusaha dengan segala cara untuk menyelamatkan diri kerana mereka sudah dapat lihat betapa dahsyat sangat azab yang menanti mereka.

 

ما تُقُبِّلَ مِنهُم

nescaya (tebusan itu) tidak akan diterima daripada mereka, 

Allah ‎ﷻ memberitahu jika mereka menebus diri mereka dengan harta dua kali ganda luas bumi, tebusan itu tidak akan diterima pun. Harta dunia pada waktu itu tidak bernilai lagi. Kalau mereka beriman dan menginfaqkan harta semasa di dunia, maka itu barulah ada nilainya.

Dan memang tidak ada sesiapa yang ada harta sebanyak itu, jadi maksudnya tidak usahlah bermimpi. Oleh itu, kita hendaklah beringat semasa di dunia ini kerana apa sahaja tebusan pada waktu itu tidak akan diterima. Hanya amal dan iman sahaja yang bermakna ketika itu. Allah ‎ﷻ tidak memerlukan harta kita langsung. Harta yang kita ada pun, datang daripada Dia juga, jadi apa perlunya Dia kepada harta itu?

 

وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ

dan mereka beroleh azab yang pedih.

Mereka yang mati dalam kufur itu tetap akan dikenakan azab akhirat yang amat pedih kerana perbuatan mereka semasa di dunia. Harta yang banyak tidak akan menyelamatkan mereka sedikit pun. Allah ‎ﷻ tidak memerlukan harta benda mereka.

Maka ini adalah berita yang penting untuk disampaikan. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu yang harta yang banyak, tidak ada gunanya kalau akidah dan iman itu lemah. Manusia sahaja yang mementingkan harta dunia, sampaikan boleh menyebabkan mereka menjadi kufur kalau tidak berhati-hati dengannya. Ini kerana harta yang banyak itu tidak mampu untuk menyelamatkan mereka.


 

Maidah Ayat 37: Takhwif Ukhrawi lagi.

يُريدونَ أَن يَخرُجوا مِنَ النّارِ وَما هُم بِخٰرِجينَ مِنها ۖ وَلَهُم عَذابٌ مُّقيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They will wish to get out of the Fire, but never are they to emerge therefrom, and for them is an enduring punishment.

(MALAY)

Mereka ingin keluar dari neraka, padahal mereka sekali-kali tidak dapat keluar daripadanya, dan mereka beroleh azab yang kekal.

 

يُريدونَ أَن يَخرُجوا مِنَ النّارِ

Mereka ingin keluar dari neraka, 

Mereka tidak sanggup untuk menghadapi azab api neraka itu. Tentunya mereka hendak keluar. Mereka akan cuba segala upaya untuk keluar dari neraka. Mereka akan menipu, cuba memberi rasuah, menuduh orang lain menyesatkan mereka, dan pelbagai cara lagi. Tetapi adakah mereka akan berjaya?

 

وَما هُم بِخٰرِجينَ مِنها

padahal mereka sekali-kali tidak dapat keluar darinya, 

Tetapi tentunya mereka tidak dapat keluar dari neraka itu. Neraka itu bukanlah seperti penjara dunia yang kadang-kadang ada manusia yang dapat lari keluar.

Mereka akan cuba melakukan berbagai-bagai cara. Antaranya, mereka akan meminta supaya dikeluarkan sekejap sahaja walaupun seketika (sebab mereka hendak balik ke dunia dan hendak membuat kebaikan). Tetapi mereka akan kekal di dalam neraka itu dengan tidak ada harapan langsung untuk keluar.

Semasa hidup, mereka dilalaikan dengan dunia (sampai tidak bersedia untuk akhirat), mereka kumpul dan menimbunkan harta mereka dan tidak infaqkan. Akan tetapi mereka sanggup untuk memberikan segala harta dunia itu di akhirat nanti untuk menebus diri mereka. Namun begitu sudah diberitahu yang mereka tidak akan berjaya.

Begitulah malangnya nasib mereka. Mereka sibuk sangat dengan pencarian harta dunia, padahal mereka bukan dapat menggunakan pun harta dunia itu di akhirat.

قَالَ حَمَّادُ بْنُ سَلَمَةَ، عَنْ ثَابِتٍ، عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “يُؤتَى بِالرَّجُلِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ، فَيَقُولُ: يَا ابْنَ آدَمَ، كَيْفَ وَجَدْتَ مَضْجَعك؟ فَيَقُولُ: شَرَّ مَضْجَعٍ، فَيَقُولُ: هَلْ تَفْتَدِي بقُراب الْأَرْضِ ذَهَبًا؟ ” قَالَ: “فَيَقُولُ: نَعَمْ، يَا رَبُّ! فَيَقُولُ: كَذَبْتَ! قَدْ سَأَلْتُكَ أَقَلَّ مِنْ ذَلِكَ فَلَمْ تَفْعَلْ: فَيُؤْمَرُ بِهِ إِلَى النَّارِ”.

Hammad ibnu Salamah telah meriwayatkan daripada Sabit, daripada Anas ibnu Malik yang mengatakan bahwa Rasulullah ﷺ telah bersabda: Seorang lelaki dalam kalangan ahli neraka dihadapkan, lalu dikatakan kepadanya, “Hai anak Adam, bagaimanakah rasanya tempat tinggalmu?” Dia menjawab, “Sangat buruk.” Dikatakan, “Apakah kamu mahu menebus dirimu dengan emas sepenuh bumi?” Dia menjawab, “Ya, wahai Tuhanku.” Maka Allah ‎ﷻ berfirman, “Kamu dusta, sesungguhnya Aku pernah meminta kepadamu yang lebih kecil daripada itu, lalu kamu tidak melakukannya” Maka dia diperintahkan untuk dimasukkan ke dalam neraka.

Hal yang sama telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim melalui jalur Mu’az ibnu Hisyam Ad-Dustuwai, daripada ayahnya, daripada  Qatadah, daripada Anas dengan lafaz yang sama. 

 

وَلَهُم عَذابٌ مُّقيمٌ

dan mereka beroleh azab yang kekal.

Mereka akan kekal di dalam neraka itu kerana mereka telah mengamalkan amalan dan fahaman yang syirik. Allah‎ ﷻ tidak akan memaafkan mereka dan  tidak akan mengeluarkan mereka dari neraka. Maka kita kena kenangkan, apakah berbaloi senang di dunia tetapi rugi di akhirat?


 

Maidah Ayat 38: Ini adalah hukum melibatkan perbuatan mencuri tetapi ia rendah sedikit daripada hukum samun. Mungkin curi semasa orang itu tidak ada di rumah, contohnya. Jadi dalam ayat-ayat ini, Allah ‎ﷻ sedang mengajar kepada kita tentang hukum jenayah. Dalam masa yang sama, Allah ‎ﷻ memberi isyarat yang Dia sahaja yang layak memberi hukum, bukan makhluk seperti Nabi Isa عليه السلام atau ibunya.

وَالسّارِقُ وَالسّارِقَةُ فَاقطَعوا أَيدِيَهُما جَزاءً بِما كَسَبا نَكٰلًا مِّنَ اللهِ ۗ وَاللهُ عَزيزٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[As for] the thief, the male and the female, amputate their hands in recompense for what they earned [i.e., committed] as a deterrent [punishment] from Allāh. And Allāh is Exalted in Might and Wise.

(MALAY)

Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai seksaan dari Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

وَالسّارِقُ وَالسّارِقَةُ فَاقطَعوا أَيدِيَهُما

Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya

Ini adalah salah satu daripada Hukum Hudud. Dalam ayat ini, disebut lelaki dahulu sebelum perempuan. Dalam bab balaghah (ketepatan dan keindahan bahasa), ada perbincangan tentang perkara ini. Ada ketikanya, disebut perempuan dahulu, seperti dalam bab zina Surah An-Nur. Dalam surah itu, disebut perempuan dahulu kerana kalau perempuan goda lelaki, zina akan menjadi  lebih mudah dan cepat. Lihat Nur:2

الزّانِيَةُ وَالزّاني فَاجلِدوا كُلَّ واحِدٍ مِنهُما مِائَةَ جَلدَةٍ

Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka sebatlah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebatan,

Tetapi dalam bab mencuri, disebut lelaki dahulu sebab yang mahukan kepada harta selalunya adalah lelaki kerana mereka yang menanggung kehidupan keluarga mereka. Mereka yang paling berhajat kepada harta dan ada ketikanya, kalau tidak jumpa cara halal, mereka akan menggunakan cara haram. Oleh itu, lebih ramai lelaki yang mencuri kalau dibandingkan dengan wanita.

Satu lagi sebab, lelaki itu telah diberikan dengan kudrat untuk mencari rezeki dengan cara yang halal, maka apabila dia mencuri maka itu adalah suatu perkara yang berat. Sedangkan dalam bab zina, wanita itu telah diberikan dengan sifat malu yang tinggi kalau dibandingkan dengan lelaki. Maka kalau dia berzina juga, itu adalah perkara yang berat.

Selalunya dalam bab ibadah, selalunya Allah tidak sebut pun wanita kerana kalau sudah disebut lelaki, ia termasuk juga wanita. Akan tetapi dalam bab hukum hudud, Allah ‎ﷻ hendak menjelaskan supaya tidak ada kekeliruan: jika wanita  mencuri, mereka akan dikenakan hukuman potong tangan juga.

Jadi jelas dalam ayat ini, hukum mencuri adalah potong tangan. Dahulu di masa Jahiliyyah hukum potong tangan ini telah berlaku, kemudian disetujui oleh Islam dan ditambahkan kepadanya syarat-syaratnya.

Dalam Undang-undang Islam, bab jenayah curi ini dan lain-lain telah lengkap dibincangkan. Sebagai contoh, kalau curi barang yang bernilai lebih daripada 10 dirham sahaja sudah dikenakan hukuman potong tangan. Sedangkan kalau ada yang mematahkan jari seorang yang lain, dia dikenakan bayaran dengan 25 ekor unta sebagai diyat. Kenapa terus dipotong, tidakkah itu perkara yang berat sekali?

Ini adalah kerana, tangan yang tidak menghargai hukum, kelima-lima jari akan dikerat begitu sahaja. Dan kalau dia ditangkap mencuri lagi, potong lagi tangan yang sebelah. Islam menetapkan yang tangan itu perlu dikerat kerana ada orang yang mencuri kerana ketagihan.

Walaupun mereka ada duit, tetapi masih hendak mencuri juga. Jadi hendaklah ditunjukkan kepada orang lain bahawa tidak elok perbuatan itu dan mesti berhenti daripada membuat perkara itu. Selain daripada itu, ia juga sebagai tanda kepada orang-orang lain bahawa mereka ini adalah pencuri dan hendaklah berjaga-jaga dengan mereka.

Namun begitu, tidaklah semua pencuri dipotong tangan mereka. Ada syarat-syarat yang perlu dipenuhi. Antaranya, barang yang dicuri itu mestilah yang berharga 10 dirham ke atas. Dalam perkara ini terdapat khilaf antara ulama’ tentang nisabnya. Pada zaman Jahiliyyah, pencuri itu dipotong tangannya walaupun barang yang dicuri itu sedikit ataupun banyak.

Dan barang-barang itu mestilah barang yang dijaga atau dikunci. Contohnya, kalau basikal kita dibiarkan begitu sahaja, dan ada orang mencurinya, maka tidak boleh dipotong tangannya. Tetapi kalau kita sudah merantai basikal itu, dan dicuri juga, barulah boleh dipotong tangannya.

Barang yang dicuri juga mestilah ada pemilik. Kalau ia dimiliki oleh umum, maka tidak boleh dipotong tangan. Contohnya kalau mencuri dari dewan milik masyarakat maka tidak jelas siapa yang memilikinya. Dia tidak boleh dipotong tangan jika mencuri milik harta awam.

Akan tetapi hakim dalam kes pencurian yang tidak boleh dikenakan hukum hudud, hakim atau kerajaan boleh mengenakan hukum ta’zir (bukan potong tangan). Tidaklah kalau tidak boleh dipotong tangan, orang itu lepas begitu sahaja. Tetap ada hukum dikenakan kepada mereka, cuma bukanlah hukum hudud.

Jadi tidaklah bermudah-mudah sahaja untuk memotong tangan seseorang. Tidaklah benar apabila ada orang menganjing hukum hudud bila mereka kata: “Nanti Kelantan boleh buat buat sup tanganlah banyak-banyak sebab banyak kena potong tangan bila mereka amal hukum hudud nanti”.

 

جَزاءً بِما كَسَبا نَكٰلًا مِّنَ اللهِ

pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai peringatan dari Allah.

Hukuman itu sebagai seksaan di atas apa yang mereka telah lakukan dan نَكالًا (peringatan) daripada Allah ‎ﷻ. Maksudnya, lain kali jangan dibuat lagi supaya orang yang sudah mencuri tidak mencuri lagi dan orang yang teringat hendak mencuri pun tidak berani hendak mencuri.

Oleh sebab itu urusan potong tangan ini dilakukan di khalayak ramai supaya masyarakat boleh melihat sendiri dan menjadi pengajaran bagi mereka. Ini adalah untuk membuat mereka berfikir: berbaloikah hilang tangan? Lihatlah bagaimana dengan ada hukuman ini, Tanah Arab sudah tidak ada kecurian lagi. Atau kalau ada pun, tidak banyak sedangkan dahulu memang selalu terjadi.

Allah ‎ﷻ tahu perangai kita, psikologi kita, dan Allah ‎ﷻ Maha bijaksana. Percayalah, kalau kita amalkan hukum hudud ini, ada banyak kebaikan untuk kita, sama ada kita mahu percaya atau tidak. Ia pastinya akan menakutkan orang yang menyebabkan mereka berfikir dua, tiga, empat kali sebelum hendak mencuri. Negara tempat tinggal kita akan menjadi aman.

Sedangkan kalau hukuman rekaan manusia zaman sekarang, tidak ada susah sangat pun kalau ditangkap mencuri. Siap ada yang suka duduk dalam penjara pun ada kerana mereka dapat duduk percuma dan makan percuma lagi. Siapa yang tanggung mereka? Tentulah orang-orang yang mereka curi lagi bila keluar dari penjara.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ menekankan yang hukuman ini adalah من الله (daripada  Allah). Maknanya penetapan hukum ini daripada Allah ‎ﷻ, dan kalau langgar, ia telah melanggar hukum Allah ‎ﷻ. Walaupun mencuri itu mengambil harta orang, tetapi dalam masa yang sama, yang mencuri itu telah melanggar hukum Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ telah melarang perbuatan mencuri, bukan?

Jadi hukuman ini tetap dijalankan jika orang yang mencuri itu telah ditangkap. Walaupun orang yang dicuri itu ingin memaafkan orang yang mencuri hartanya, ia tidak diterima kerana orang yang mencuri itu telah langgar hukum Allah ‎ﷻ. Ini berlainan dengan hukum Qisas. Dalam qisas, yang dizalimi masih boleh memaafkan sebelum hukum dikenakan.

 

وَاللهُ عَزيزٌ حَكيمٌ

Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Allah ‎ﷻ itu Maha Gagah Perkasa dan Dia boleh berbuat apa sahaja yang Dia kehendaki. Allah ‎ﷻ boleh memberikan seksaan kepada sesiapa sahaja bila-bila masa sahaja. Kita tidak layak untuk mempersoalkan hukum dan ketetapan daripada Allah ‎ﷻ.

Namun begitu, Allah ‎ﷻ juga memberitahu yang Dia yang Maha Bijaksana. Maksudnya hukum ini bukanlah dibuat oleh Satu yang berkuasa, tetapi daripada yang bijaksana juga. Hukum yang Allah ‎ﷻ berikan ini akan memberi kebaikan kepada masyarakat kalau diamalkan. Dan ia boleh diamalkan zaman berzaman (bukan zaman Nabi sahaja). Jadi jangan pandang ringan hukum ini. Kalau tidak nampak kebaikannya, maknanya kita yang tidak bijaksana.

Dan Allah ‎ﷻ memberitahu juga yang sifat bijaksana ini bermakna Allah ‎ﷻ boleh menangguhkan hukuman untuk memberi peluang kepada manusia bertaubat. Allah ‎ﷻ tidak terus menghukum apabila manusia itu melakukan kesalahan. Ini kerana kalau terus diberi azab, tentulah teruk sekali manusia itu. Jadi kalau orang yang mencuri itu hendak bertaubat, dia masih boleh buat lagi sebelum dia ditangkap. Dia masih ada peluang.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 31 Oktober 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment