Tafsir Surah al-An’am Ayat 32 – 35 (Mukjizat bukan pilihan Nabi)

Ayat 32: Ayat tarhib min ad-dunya. Allah mahu hamba beringat tentang dunia. Kerana manusia kandas kerana dunia. Ada orang bijak pun tertipu dengan dunia.

وَمَا الحَيَوٰةُ الدُّنيا إِلّا لَعِبٌ وَلَهوٌ ۖ وَلَلدّارُ الآخِرَةُ خَيرٌ لِّلَّذينَ يَتَّقونَ ۗ أَفَلا تَعقِلونَ

Sahih International

And the worldly life is not but amusement and diversion; but the home of the Hereafter is best for those who fear Allah,  so will you not reason?

Malay

Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?

وَمَا الْحَيَوٰةُ الدُّنْيَا

Dan tidaklah kehidupan dunia

Kehidupan ‘dunia’ adalah kehidupan yang ‘rendah’. Kita telah lihat makna ‘dunya’ dalam ayat sebelum ini.

إِلَّا لَعِبٌ وَلَهْوٌ

melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan:

Apabila digunakan perkataan لَعِبٌ – permainan, ianya memberi maksud sesuatu yang melibatkan fizikal. Macam kalau kita main bola, bukankah kita akan berlari ke sana sini? Itu melibatkan fizikal. Oleh itu, bila dikatakan لَعِبٌ, bermaksud kita akan sibuk ke sana dan ke sini. Dari pagi sampai malam tak habis-habis dengan urusan dunia. Pergi ke sana sini, melancong sana sini, berkumpul bersembang sana sini. Sampai bila kita buat begitu? Sampailah hidup kita berakhir.

Yang paling teruk adalah mereka yang mempermainkan agama. Sekarang sampai ada rancangan agama yang melibatkan orang menyanyi. Samada ada di TV atau di stadium-stadium. Mereka sampai tepuk-tepuk tangan, melambai-lambai, berjoget-joget dan terkinja-kinja.

Itulah rancangan selawat sesat yang dibawa oleh para Habib. Masyarakat kita yang jahil terpesona dengan mereka. Tak cukup dengan guru ajaran salah dalam negara, kita sampai import dari Yemen. Kalau buat benda yang betul tidak mengapa, masalahnya, mereka mengajar yang sesat.

Perkataan لَهْوٌ pula merujuk kepada ‘sesuatu yang melalaikan kita’. Kita leka dengan sesuatu kerana ianya menggembirakan kita. Hatinya terikat kepada sesuatu yang tidak berfaedah. Kalau لَعِبٌ melibatkan gangguan pada fizikal, لَهْوٌ pula melibatkan emosi dan pemikiran.

Jadi fizikal dan hati terikat dengan sesuatu yang melalaikan. Yang buang masa. Semasa dia buat perkara itu, dia suka tapi akhirnya ianya akan berakhir. Macam kehidupan dunia ini juga – akan berakhir. Macam kalau kita main game kat PlayStation contohnya, suka sangat kita main. Tapi selepas beberapa jam, permainan itu akan berakhir. Dan kita tidak dapat apa-apa faedah pun darinya.

Ingatlah dunia ini sekejap sahaja sebenarnya. Tapi ianya melekakan. Macam orang kita tengok bola sepak masa Piala Dunia. Semasa perlawanan itu, mereka leka dan suka. Tapi akhirnya ianya akan berakhir juga. Sekejap sahaja dah habis. Tapi apa yang kita dapat? Apa kebaikan kepada negara, kepada keluarga kita, kepada diri kita? Tidak ada langsung. Oleh itu, jangan lah kita terikat sangat dengan dunia kerana ianya tidak kekal.

Yang mereka jadikan hiburan pula bukan sesuatu yang benar. Menunjuk-nunjuk sahaja. Tak benar pun apa yang mereka nyanyikan itu. Ini termasuklah samada nyanyian bintang komersil yang popular ataupun nyanyian lagu nasyid dan qasidah yang sekarang semakin popular. Ingatlah bahawa nyanyian adalah sesuatu yang haram.

Dalam surah Syu’ara, Allah telah menghukum yang nyanyian itu adalah haram. Dengan sekarang ya hanana dan sebagainya, apakah mereka ingat itu adalah benar? Mereka kata ianya hendak berdakwah. Tapi tanya balik, adakah Nabi ada buat cara dakwah sebegitu? Ingatlah, bahawa perkara yang salah tidak boleh digunakan untuk dakwah.

Berhentilah kita ikut cara Kristian. Paderi Kristian telah mereka nyanyian dalam gereja mereka supaya menarik minat umat Kristian yang semakin kurang datang ke gereja. Kalau kita sampai bawa masuk nasyid dan qasidah dalam masjid kita, itu memang sudah tiru bulat-bulat dengan cara Kristian. Kita pun tahu yang Kristian itu kafir dan sesat, habis kenapa nak ikut cara mereka?

Jangan juga kita jadikan senda gurau dalam majlis agama kita. Malangnya, sekarang sudah banyak ustaz yang mengajar sambil memasukkan senda gurau dalam pengajaran mereka. Samada di masjid, stadium mahupun tv. Sampai mengilai-ngilai orang gelak dengan lawak mereka. Bila balik ke rumah, tak tahu apa yang mereka belajar. Yang mereka ingat hanyalah lawak-lawak yang diceritakan dalam ceramah itu. Jangan begitu, kerana ajaran agama ini adalah berkenaan syurga dan neraka. Maknanya, ianya adalah benda yang berat. Bukan perkara yang diambil ringan.

وَلَلدَّارُ الْآخِرَةُ خَيْرٌ

dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik

Allah bandingkan dunia dan akhirat. Banyak ayat-ayat Qur’an yang sebegini – selepas disebut tentang dunia, Allah akan sebut tentang akhirat pula. Supaya kita boleh bandingkan.

Dunia tidak kekal. Yang kekal adalah akhirat. Negeri Akhirat itu خَيْرٌ lebih baik – tapi lebih baik kepada siapa?

لِّلَّذِينَ يَتَّقُونَ

bagi orang-orang yang bertaqwa.

Akhirat itu hanya خَيْرٌ kepada mereka yang bertaqwa sahaja. Bukan semua akan dapat kebaikan di akhirat itu.

Taqwa adalah berhati-hati dalam menjalani kehidupan. Mereka akan fikirkan hukum dalam kehidupannya. Sebelum buat sesuatu, mereka akan fikirkan halal-haramnya. Kalau dilarang dalam agama, mereka tidak lakukan.

أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?

Kenapa kamu tak mahu berfikir dan gunakan intelek kamu? Lihatlah dunia ini dan fikirkan, adakah kebaikan kalau kita meletakkan segala harapan dan masa kita kepada dunia yang tidak kekal ini?


Ayat 33: Kembali kepada tema utama surah ini. Ayat ini adalah sebagai pujuk rayu kepada penyebar tauhid. Jadi ayat ini adalah Ayat Tasliah untuk menghilangkan kesedihan.

قَد نَعلَمُ إِنَّهُ لَيَحزُنُكَ الَّذي يَقولونَ ۖ فَإِنَّهُم لا يُكَذِّبونَكَ وَلٰكِنَّ الظّٰلِمينَ بِئآيٰتِ اللهِ يَجحَدونَ

Sahih International

We know that you, [O Muhammad], are saddened by what they say. And indeed, they do not call you untruthful, but it is the verses of Allah that the wrongdoers reject.

Malay

Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu menyebabkan engkau (wahai Muhammad) berdukacita; (maka janganlah engkau berdukacita) kerana sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat keterangan Allah sebenarnya.

قَدْ نَعْلَمُ

Sesungguhnya Kami mengetahui

Allah menenangkan hati Nabi dengan memberitahu baginda bahawa Allah dengar, Allah tahu yang Nabi dalam kesedihan. Bukan Allah tak tahu. Kalau seseorang itu tahu yang ada yang mendengar keluhan hatinya, faham apa yang dirasainya, bukankah ada kurang sikit rasa resahnya itu? Allah nak mengurangkan kesedihan baginda.

إِنَّهُ لَيَحْزُنُكَ الَّذِي يَقُولُونَ

bahawa apa yang mereka katakan itu menyebabkan engkau berdukacita;

Nabi kena ejek dengan teruk sekali. Musyrikin kata macam-macam kepada baginda. Kata baginda ahli sihir lah, gila lah, pemecah belah masyarakat lah dan macam-macam lagi. Allah beritahu kepada Nabi bahawa Allah tahu apa yang dikatakan kepada baginda itu. Bukannya Allah tidak tahu. Tapi itulah ujian buat baginda.

Macam juga kita kena ejek dengan gelaran ‘Wahabi’. Sebab kita selalu membicarakan tentang syurga dan neraka, Qur’an dan hadis Nabi. Diejek dengan kata “tiada benda lain kah lagi? Asyik tauhid, syirik, Qur’an, hadis sahaja kamu bawa ni?”

فَإِنَّهُمْ لَا يُكَذِّبُونَكَ

kerana sebenarnya mereka bukan mendustakanmu,

Allah kata mereka sebenarnya bukan mendustakan dan mengejek Nabi Muhammad tapi sebenarnya mendusta dan mengejek Allah. Kerana Nabi Muhammad hanya menyampaikan ayat-ayat dari Allah dari wahyu itu dari Allah, bukan dari baginda. Oleh itu, Allah ingatkan Nabi supaya jangan bersedih.

وَلَٰكِنَّ الظّٰلِمِينَ بِئآيٰتِ اللهِ يَجْحَدُونَ

tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat keterangan Allah

Yang mereka debat dan lawan adalah ayat-ayat Allah. Mereka menentang Allah sebenarnya.

Perkataan يَجْحَدُونَ dari katadasar ج ح د yang bermaksud ‘menolak sesuatu selepas tahu’. Musyrikin Mekah memang tahu bahawa Nabi itu rasul dan ayat Qur’an itu dari Allah, tapi mereka masih juga menolak. Kerana mereka sombong dan keras kepala.

Allah suruh Nabi sabar. Kalau yang marah sepatutnya Allah, bukan Nabi. Sama juga nasihat ini kepada kita. Kita pun kena sabar dan buat tak tahu. Kita cuma sampaikan sahaja. Kalau mereka tak terima, mereka bukan menolak kita, tapi menolak Allah sebenarnya.

Orang yang tak mahu terima dakwah tauhid bukanlah mereka tak suka dengan pendakwah itu, tapi dengan mesej yang dibawa. Sebagai contoh, katakanlah anda telah belajar agama dan kerana anda tahu ianya benar, maka anda ceritakan kepada rakan lama. Yang lama kenal dan memang kawan baik. Yang mungkin sama-sama jahil dan nakal dahulu.

Selepas kita dakwah kepadanya, dia akan kata: “kamu ni dah lain dah. Dulu tak macam ni. Dulu kita boleh duduk lepak sama-sama, sekarang dah susahlah nampaknya. Kau belajar kat mana ni?” Begitulah yang selalu terjadi. Kalau nak kata dia tak suka kepada kita, bukankah dia telah lama kenal dan kawan dengan kita bukan? Maksudnya, yang dia tak boleh terima adalah mesej tauhid yang kita dakwahkan kepadanya.


Ayat 34: Allah beri contoh apa yang berlaku kepada Rasul-rasul terdahulu

وَلَقَد كُذِّبَت رُّسُلٌ مِن قَبلِكَ فَصَبَروا عَلىٰ ما كُذِّبوا وَأوذوا حَتّىٰ أَتٰهُم نَصرُنا ۚ وَلا مُبَدِّلَ لِكَلِمٰتِ اللهِ ۚ وَلَقَد جاءَكَ مِن نَّبَإِ المُرسَلينَ

Sahih International

And certainly were messengers denied before you, but they were patient over [the effects of] denial, and they were harmed until Our victory came to them. And none can alter the words of Allah . And there has certainly come to you some information about the [previous] messengers.

Malay

Dan demi sesungguhnya, Rasul-rasul sebelummu pernah juga didustakan, maka mereka sabar terhadap perbuatan orang-orang yang mendustakan mereka dan menyakiti mereka, sehingga datanglah pertolongan Kami kepada mereka; dan sememangnyalah tiada sesiapa pun yang dapat mengubah Kalimah-kalimah Allah (janji-janjiNya); dan demi sesungguhnya, telah datang kepadamu sebahagian dari khabar berita Rasul-rasul itu.

وَلَقَدْ كُذِّبَتْ رُّسُلٌ مِّن قَبْلِكَ

Dan demi sesungguhnya, Rasul-rasul sebelummu pernah juga didustakan,

Nabi dan Rasul sebelum ini pun dah didustakan. Ini bukan perkara baru. Itulah sebabnya Allah ceritakan tentang Nabi-Nabi dahulu kepada Nabi dan kepada kita. Supaya kita tahu apa yang telah terjadi kepada mereka.

Begitu juga ulama dan guru agama dahulu kala pun dah ramai kena tolak. Imam Ibn Taimiyyah, Imam Bukhari, Imam Ahmad malah banyak lagi. Dan yang ditolak itu adalah dalam hal berkenaan tauhid, bukan tentang hal wirid, tentang ibadat. Kalau kita sentuh tentang perkara ibadat, mereka tak kisah, mereka terima sahaja.

Cuma tentang tauhid yang kalau diberitahu kepada mereka, mereka akan lawan dan tolak. Mereka tak tahu, yang sebenarnya tentang tauhidlah yang paling penting sekali. Ibadat memang penting juga, tapi kalau tauhid tak betul, buat banyak ibadat pun tak guna kerana selagi masih buat syirik, selagi itu ibadat tidak diterima.

فَصَبَرُوا عَلَىٰ مَا كُذِّبُوا

maka mereka sabar terhadap perbuatan orang-orang yang mendustakan mereka

Mereka tahan dengan penuh kesabaran. Mereka tak marah dengan apa yang kena kepada mereka. Kerana apa yang mereka lakukan adalah kerana Allah. Mereka tidak mengharapkan balasan dari umat yang mereka dakwahkan itu, tapi mereka hanya mengharapkan balasan dari Allah sahaja. Mereka terus berdakwah dan tidak tinggalkan kaum mereka.

Maka kalau mereka boleh bersabar, maka kamu pun bersabarlah juga.

وَأُوذُوا

dan menyakiti mereka,

Mereka disakiti dengan kata-kata dan juga dengan fizikal. Apabila umat yang kufur itu tidak dapat melawan dengan kata-kata kerana mereka tidak ada hujah, mereka akan menggunakan keganasan fizikal pula.

حَتَّىٰ أَتٰهُمْ نَصْرُنَا

sehingga datanglah pertolongan Kami kepada mereka;

Allah beri pertolongan kepada rasul-rasul itu dimana mereka telah diberikan kemenangan dan musuh mereka telah dihancurkan.

Allah beri isyarat kepada Nabi dalam ayat ini bahawa pertolongan Allah akan tiba. Tunggu sahaja.

وَلَا مُبَدِّلَ لِكَلِمٰتِ اللهِ

dan tiada sesiapa pun yang dapat mengubah Kalimah-kalimah Allah;

Apakah كَلِمَاتِ اللهِ? Banyak sekali. Dalam surah Kahfi telah disebut bahawa kalaulah kalimat-kalimat Allah ditulis, tidak akan habis walaupun dua kali ganda air lautan di dunia ini dijadikan dakwat untuk menulisnya.

Termasuk dalam kalimat-kalimat Allah adalah janji-janjiNya. JanjiNya untuk rasulNya dan para pendakwah.

Kalimat Allah juga termasuk segala puji-pujian untukNya. Amat banyak sekali.

Termasuk juga hukum-hukum. Hukum-hukum Allah tidak boleh diubah. Kita tak boleh tukar. Walaupun ayat-ayat itu keras, ramai orang tak suka, tapi begitulah. Kena sampaikan macam itu juga. Jangan kita tengok orang tak suka, kita ubah tafsir ayat itu untuk ‘sesuaikan’ dengan keadaan semasa. Tak boleh macam tu.

Atau kita simpan sesetengah ayat, tak sebarkan ayat-ayat yang kita rasa orang tak suka dengar. Kita ajar ayat-ayat yang tak menyebabkan orang sakit hati sahaja. Kita ajar ayat-ayat yang ringan sahaja.

Salah satu janji Allah adalah kalau kita dakwah ajaran tauhid, mesti akan jadi begini. Memang pendakwah akan ditolak, pasti ada musuh untuk mereka. Masalahnya, ramai yang takut kena ejek dan kena tentang. Oleh itu, mereka tak berani nak beritahu kepada orang lain. Oleh itu, kepada kita yang belajar tauhid ini, tak boleh sembunyi apa yang kita telah belajar ini. Kena sampaikan kepada masyarakat yang ramai tidak tahu.

Kerana kalau kita sembunyi, kita akan kena laknat oleh Allah dan mereka-mereka yang melaknati. Jangan takut dengan apa yang akan kena dari mereka yang menentang. Memang kewajipan menyampaikan kepada manusia adalah berat. Tapi kita kena juga lakukan. Takut kita tak buat bidaah dan syirik, tapi sebab simpan ilmu itu dan tidak sebarkan, kita akan kena laknat dan akan disumbatkan ke dalam neraka sama seperti orang yang buat syirik juga.

Kena sampaikan ilmu tauhid. Jangan hanya cerita perkara ibadah sahaja. Kita takut kita jadi macam Jemaah Tabligh yang mengajak manusia kepada agama, tapi tidak melarang orang dari buat syirik. Cuma ajak orang pergi solat sahaja. Inilah satu sindrom yang akan menyebabkan manusia makin sesat. Kerana kesalahan akidah manusia tidak ditegur.

Satu lagi makna: tiada orang yang boleh ubah pertolongan Allah. Apabila pertolongan Allah tiba, ianya akan tiba.

وَلَقَدْ جَاءَكَ مِن نَّبَإِ الْمُرْسَلِينَ

dan sesungguhnya, telah datang kepadamu sebahagian dari khabar berita Rasul-rasul itu.

Ada banyak kisah yang telah disampaikan kepada Nabi Muhammad. Banyak lagi yang tidak diberitahu. Kisah-kisah itu sepatutnya boleh menenangkan Nabi. Bagaimana dalam kisah itu telah disebutkan bagaimana Nabi-Nabi dulu telah diselamatkan dan diberikan kemenangan. Pertolongan Allah pasti datang.

Kisah para rasul itu juga telah sampai kepada kita melalui Nabi Muhammad. Cerita Rasul dan Nabi-nabi, semua orang tahu. Tapi hal tauhid yang dibawa oleh Rasul-Rasul itu tidak diambil tahu. Mereka cuma ambil tahu tentang kisah-kisah perjalanan hidup mereka sahaja. Padahal, semua kisah Nabi dan Rasul dahulu adalah tentang tauhid.

Yang menyedihkan pula, dalam kisah-kisah yang disampaikan kepada masyarakat tentang Nabi-Nabi dulu, ada banyak kisah-kisah tambahan yang melalut-lalut. Yang karut pun ada. Antaranya kisah Nabi Sulaiman yang hendakkan Puteri Balqis, kisah Nabi Yusuf dan Zulaikha berkahwin dan sebagainya.

Kisah itu sampaikan mencemarkan nama pada Nabi pula. Memang ada dalam kitab tapi kitab apa? Orang kita, kalau sebut kitab sahaja, terus terima tanpa ilmu. Oleh itu, yang jadi masyhur adalah kisah-kisah yang tak penting sahaja. Yang kisah dakwah mereka tentang tauhid tidak diberitahu kepada masyarakat.


Ayat 35: Ayat ini tentang Mukjizat. Ayat ini merujuk kepada Nabi. Soalan: Mukjizat itu Nabi boleh buat sendiri atau anugerah Tuhan? Bolehkah Nabi-Nabi buat mukjizat ikut suka mereka? Jawapannya, tidak. Hal mukjizat pun kita kena faham juga. Kalau tak, kita akan keliru dengan kebolehan manusia-manusia yang seperti ada kuasa pula.

Oleh kerana kagum dengan kebolehan mereka, orang kita pun ikutlah ajaran sesat mereka. Begitulah yang terjadi dengan pengikut-pengikut Ayah Pin. Mereka lihat Ayah Pin boleh buat itu dan ini, maka mereka telah terima ajaran sesat darinya.

Selalunya mukjizat itu dilakukan oleh para Nabi sekali sahaja. Jarang ada mukjizat dibuatkan berkali-kali. Sebagai contoh, pernah beberapa kali Nabi diberi mukjizat mengeluarkan air dari jari-jarinya.

Tapi tidaklah kelebihan itu digunakan setiap kali. Tidaklah setiap kali tiada air, para cari Nabi bawa baldi minta baginda keluarkan air. Mereka tidak buat begitu, kerana mereka tahu, keluar air dari jari baginda bukanlah dengan kehendaknya. Maknanya, mukjizat adalah anugerah, bukan kehendak Nabi.

Maka begitulah juga dengan karamah. Ianya adalah anugerah Allah kepada wali. Bukan dengan kehendak wali. Kalau ianya sesuatu yang dipelajari dan boleh dilakukan setiap kali, maka itu bukan karamah tapi sihir. Macam ada guru yang boleh tunjuk monyet atas pokok dan monyet itu jatuh. Itu sihir.

Tapi anak murid yang jahil pandang tinggi guru itu dan kata itu adalah karamah. Karamah itu diberikan kepada wali, dan untuk menjadi wali mestilah seorang guru yang mengajar. Bukan yang pegang tasbih buat wirid sahaja. Guru pula kenalah mengajar Qur’an dan hadis dan menegur kesalahan yang manusia lakukan. Bukanlah wali itu macam yang diceritakan oleh pengikut-pengikut tarekat itu. Itu bukan Wali Allah, tapi Wali Syaitan. Maaf, kalau kasar bahasa, tapi itulah hakikatnya.

وَإِن كانَ كَبُرَ عَلَيكَ إِعراضُهُم فَإِنِ استَطَعتَ أَن تَبتَغِيَ نَفَقًا فِي الأَرضِ أَو سُلَّمًا فِي السَّماءِ فَتَأتِيَهُم بِئآيَةٍ ۚ وَلَو شاءَ اللهُ لَجَمَعَهُم عَلَى الهُدىٰ ۚ فَلا تَكونَنَّ مِنَ الجٰهِلينَ

Sahih International

And if their evasion is difficult for you, then if you are able to seek a tunnel into the earth or a stairway into the sky to bring them a sign, [then do so]. But if Allah had willed, He would have united them upon guidance. So never be of the ignorant.

Malay

Dan jika perbuatan mereka berpaling (daripada menerima apa yang engkau bawa wahai Muhammad) terasa amat berat kepadamu; maka sekiranya engkau sanggup mencari satu lubang di bumi (untuk menembusi ke bawahnya) atau satu tangga untuk naik ke langit, supaya engkau dapat bawakan mukjizat kepada mereka, (cubalah lakukan jika engkau sanggup). Dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah Dia himpunkan mereka atas hidayah petunjuk. (Tetapi Allah tidak menghendakinya), oleh itu janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang jahil.

وَإِن كَانَ كَبُرَ عَلَيْكَ

Dan jika terasa amat berat kepadamu;

Sebelum ini telah disebut bagaimana Nabi pun sedih dengan penolakan kaumnya terhadap dakwahnya. Sampai baginda hampir rasa tak larat nak tahan. Sebab dah banyak sangat dah. Kalau sikit-sikit boleh tahan lagi. Tapi kalau dah lama, banyak sangat, tentu memberi kesan kepada baginda.

Tambahan pula baginda seorang yang hatinya lembut. Baginda tahu tanggungjawab baginda menyampaikan risalah ini dan baginda sayang kepada umatnya. Dan baginda juga manusia biasa juga, bukan macam malaikat. Jangan kita terikut dengan fahaman sesat yang kata Nabi Muhammad itu bukan manusia biasa. Baginda pun ada emosi macam manusia biasa juga.

Oleh kerana itu, dia memang terasa sangat dengan penolakan dan ejekan kaumnya. Baginda dalam masa yang sama, teramat ingin supaya kaumnya selamat dari neraka. Macam kita dengan ibubapa kita, tentu kita tak mahu mereka masuk neraka atas kesalahan syirik yang mereka lakukan, bukan? Oleh itu, kita sedih sangat kalau kita dakwah kepada ibubapa kita, tapi mereka tak mahu terima.

إِعْرَاضُهُمْ

perbuatan mereka berpaling

Apabila musyrik Mekah tidak mahu ikut, mungkin Nabi ada perasaan kalaulah baginda tunjukkan mukjizat, seperti yang mereka minta, mungkin mereka akan beriman sebab nampak keajaiban yang ada pada baginda. Maka Allah tegur Nabi Muhammad dalam ayat ini.

فَإِنِ اسْتَطَعْتَ

maka sekiranya engkau sanggup

Kalaulah engkau mampu, wahai Nabi Muhammad, kau buatlah. Buat apa?

أَن تَبْتَغِيَ نَفَقًا فِي الْأَرْضِ

mencari satu lubang yang dalam ke bumi

Lubang yang dalam yang menembusi bumi. Kerana perkataan نَفَقًا bermaksud satu lubang yang mesti ada dua bukaan – masuk dan keluar.

Allah cabar Nabi untuk cari lubang itu dan kalau tidak ada, gali sendiri lubang itu.

أَوْ سُلَّمًا فِي السَّمَاءِ

atau satu tangga untuk naik ke langit,

Atau buatlah tangga yang boleh sampai ke langit. Untuk apa? Untuk cari mukjizat itu di langit.

فَتَأْتِيَهُم بِئآيَةٍ

supaya engkau dapat bawakan mukjizat kepada mereka,

Kalau kamu Muhammad tak tahan dengan penolakan mereka dan mahu bawakan mukjizat kepada mereka, buatlah.

Kalau Allah dah cabar begini, maknanya memang tak boleh cari dan buat sendiri. Kalau kita fikir sendiri pun, kita dah tahu yang itu tidak mungkin akan berlaku.

Nabi diingatkan untuk tunggu penolongan Allah. Allah yang tentukan bila ianya akan diberi. Bukan terletak di tangan Nabi Muhammad.

وَلَوْ شَاءَ اللهُ

Dan sekiranya Allah menghendaki,

Maksudnya Allah hendak memberitahu, Dia boleh sahaja lakukan kalau Dia mahu.

لَجَمَعَهُمْ عَلَى الْهُدَىٰ

tentulah Dia himpunkan mereka atas hidayah petunjuk.

Allah boleh buat semua kaumnya beriman, sampai Nabi tak payah dakwah pun, tunggu sahaja mereka beriman. Tapi Allah tak hendak macam itu. Allah memang boleh buat macam itu. Lihatlah bagaimana Allah menjadikan seluruh para malaikat itu beriman belaka, taat belaka kepadaNya.

Allah juga boleh sahaja berikan segala mukjizat yang diminta oleh musyrikin Mekah itu sampai mereka beriman. Tapi Allah tak mahu macam tu. Allah hendak kita beriman dengan perkara yang ghaib. Barulah ada nilai dengan iman itu. Kalau kita beriman kerana dah nampak dengan mata kepala kita, ianya tidak bernilai sangat.

فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْجٰهِلِينَ

oleh itu janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang jahil.

Jangan jadi bodoh. Jangan kita nak harap semua orang akan senang nak beriman. Kalau semua orang senang sahaja beriman, maka tidaklah ada pahala dakwah untuk kita lagi.

‘Jahil’ dalam bahasa Arab bermaksud ‘terikut sangat dengan emosi’ sampaikan berfikir dengan emosi, bukan dengan intelek lagi dah. Kalau jadi begitulah yang manusia jadi jahil. Jangan nak buat perkara yang kita tak mampu nak buat.

Allah nak beritahu kepada Nabi supaya jangan ikut emosi yang inginkan semua umatnya beriman. Dan jangan baginda jadi jahil dengan berharap supaya segala permintaan mereka dipenuhi. Allah tegur Nabi dalam ayat ini. Allah boleh sahaja cakap begini. Kerana Nabi Muhammad adalah hambaNya, Allah boleh tegur.

Hendaklah kita ingat bahawa ada perkara yang diluar kuasa kita. Allah yang lebih tahu apakah yang kita perlukan. Kadang-kadang kita tak suka dengan rumah kita contohnya. Tapi tak jumpa rumah lain yang kita rasa sesuai. Kita tak sabar.

Kalau nak ikut emosi kita, kita nak cepat-cepat selesai masalah kita. Tapi ingatlah bahawa Allah lah al-Hakeem – Maha Bijaksana – Dia tahu macam mana nak selesaikan masalah kita. Kita cuma kena bersabar. Orang yang tak sabar adalah orang yang jahil. Kerana kalau kita tak sabar pun, tidak ada apa yang akan berubah.

Sekurang-kurangnya kalau kita bersabar, kita akan dapat pahala. Kerana semua dugaan dalam dunia adalah satu ujian kepada kita. Dan apabila kita bersabar, kita akan dikurniakan dengan pahala atas kesabaran kita itu.

Kalau anak kita tak ikut cakap kita, tak buat amal ibadat seperti yang kita suruh, itu pun kena sabar juga. Banyak lagi contoh-contoh di mana kesabaran kita amat diperlukan. Semoga kita menjadi orang yang bersabar.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 8 Februari 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s