Tafsir Surah Takweer Ayat 15 – 29 (Keinginan Allah dan keinginan manusia)

Ayat 15: Sekarang kita masuk kepada perenggan yang kedua atau bahagian kedua surah ini. Sekarang masuk tentang akidah. Ayat 15 – 21 adalah Perenggan Makro Ketiga. Allah ﷻ hendak menegaskan dalam perenggan ini bahawa Al-Qur’an itu bukan kata-kata syaitan.

Untuk lebih memahami perbincangan seterusnya, kita kena faham tentang fikiran Musyrikin Mekah – mereka percaya kepada perkara khurafat seperti kesialan. Sebagai contoh, percaya yang anak perempuan itu sial. Ini adalah salah satu dari fahaman karut mereka. Dan ada lagi kepercayaan karut tentang bintang dan sebagainya.

Orang kita pun ada juga fahaman khurafat yang karut (kaca pecah, kucing hitam lalu, terserandung di tangga, lalu bawah tangga, lalu bawa sidai dan macam-macam lagi). Ini tidak menghairankan kerana sebab ada perangai dan akidah yang sama antara orang kita dan Musyrikin Mekah.

فَلا أُقسِمُ بِالخُنَّسِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So I swear by the retreating stars –

(MALAY)

Sungguh, Aku bersumpah dengan bintang-bintang,

 

Allah ﷻ bersumpah dengan bintang yang tenggelam dan timbul. Ada banyak kalimah tentang bintang dalam Al-Quran dan semuanya ada jenis-jenis bintang tertentu. Digunakan contoh bintang kerana masyarakat Arab waktu itu memang suka melihat bintang, oleh itu mereka ada banyak nama bagi bintang, bergantung kepada sifat bintang-bintang itu. Kalau orang Melayu, pakai nama bintang sahaja. Oleh itu, الخُنَّسِ adalah jenis bintang yang berjalan ke belakang dan kemudian lenyap hilang.

Kenapa sebut bintang pula? Inilah yang masuk kepada pemahaman tentang kepercayaan karut orang Musyrikin Mekah itu. Allah ﷻ sebut bintang kerana hendak menegur dan menempelak orang Musyrik yang percayakan kepada penilik nasib: dalam Al-Quran digunakan nama kaahin. Mereka ini memang menjadi pakar rujuk zaman itu.

Mereka mendakwa bahawa mereka boleh mendapat maklumat dengan melihat bintang. Kalau bintang begini malap, bintang begitu cerah, ada membawa makna sekian-sekian. Benda ini sampai jadi satu industri dalam masyarakat mereka. Mereka rasa ada petunjuk dalam bintang itu. Kalau cerah bintang maksud apa dan kalau gelap maksud apa. Dan ramai yang mengaku mereka boleh baca tanda-tanda pada bintang itu.

Ini adalah perkara yang berlaku dulu dan sekarang pun orang masih percaya lagi. Boleh terjadi di kalangan ramai orang, sampai ada eksekutif pun percaya juga. Kita sangkakan mereka itu sudah berpelajaran tinggi, tetapi masih percaya benda-benda macam ini.

Dan malangnya, masih ramai dari kalangan kita ada yang percaya kepada horoskop dalam akhbar. Ini amat memalukan sekali. Mereka juga ada yang percaya kalau orang ini lahir bulan ini, haribulan ini, perangai begini dan begitu. Itu semua tipu sahaja dan karut sekali. Tetapi ramai yang percaya pula. Masih ada lagi yang buat bisnes dengan hal bintang ini.

Seperti yang kita telah beritahu, bintang adalah satu perkara yang penting dalam kehidupan masyarakat Arab. Ramai yang percaya benda-benda karut, kerana pergerakan bintang itu. Maka Allah ﷻ beritahu Dia yang mengawal bintang-bintang itu sebenarnya, tidak ada kena mengena dengan nasib seseorang.

Allah ﷻ yang kawal mana bintang yang keluar dan mana bintang yang hilang. Kerana itu ada kalimat فَلا (maka janganlah) kerana itu adalah arahan untuk mereka menolak fahaman sesat dan khurafat mereka tentang bintang itu. Jangan lagi percaya perkara itu.


 

Ayat 16: Ini sambungan terus dari ayat sebelum ini.

الجَوارِ الكُنَّسِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those that run [their courses] and disappear [i.e., set] –

(MALAY)

yang beredar dan terbenam,

 

Kalimah الجَوارِ menyebutkan sifat bintang yang telah disebut sebelum ini. الكُنَّسِ adalah tempat bersembunyi seperti tempat bersembunyinya rusa. Kalau kita kejar rusa, rusa itu lari dan hilang tiba-tiba. Jadi ini menunjukkan sifat bintang yang bergerak pada orbitnya dan ada yang hilang. Macam meteor.

Allah ﷻ gunakan sifat bintang ini sebab Musyrikin Mekah ada yang gunakan bintang sebagai kepercayaan khurafat mereka. Mereka kata mereka dapat maklumat dari bintang itu. Maka Allah ﷻ bersumpah dengannya kerana hendak menunjukkan bahawa Dia ﷻlah yang mengawal bintang-bintang itu, tidak ada yang lain.

Kalau mereka kata mereka pakai bintang itu, bagaimana kalau bintang itu hilang? Kalau kahin-kahin kata jin boleh mendapat maklumat dari bintang-bintang itu, apa yang mereka dapat kalau bintang itu tiada? Mereka kata mereka dapat maklumat dari bintang, tetapi sebenarnya, dalam ayat yang lain, Allah ﷻ beritahu tahi bintang digunakan oleh Allah ﷻ untuk memanah jin-jin yang cuba untuk mendapatkan maklumat dari langit. Ini ada disebut antaranya dalam Mulk:5.

Lalu bagaimana mereka boleh kata mereka dapat maklumat dari bintang, tetapi sebaliknya, bintang itu digunakan untuk rejam mereka? Sudah terbalik dari dakwaan mereka.

Sebahagian imam mengatakan bahawa sesungguhnya bintang-bintang itu dinamakan khunnas mengingat saat terbitnya, kemudian saat beredar di falaknya dinamakan jawarin, sedangkan di saat tenggelamnya dinamakan kunnas. Ini diambil dari kata-kata orang Arab أوى الظبي إلى كناسة (masuk rusa ke dalam sarang). Dikatakan demikian apabila bintang itu masuk ke dalam sarangnya.


 

Ayat 17: Allah ﷻ bersumpah lagi:

وَاللَّيلِ إِذا عَسعَسَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And by the night as it closes in¹

  • An alternative meaning is “as it departs.”

(MALAY)

demi malam apabila telah hampir meninggalkan gelapnya,

 

Apabila malam hampir habis, semakin tidak nampak, sudah kabur kerana cahaya semakin hendak keluar. Semasa itu, bintang tidak lagi kelihatan (kerana bintang kelihatan bila langit benar-benar sudah gelap), maka apakah yang akan dipakai oleh kahin-kahin itu? Sebab mereka kata mereka tengok bintang, tetapi bintang tengah tidak ada, apa yang mereka gunakan sudah tidak nampak lagi.

Allah ﷻ hendak beritahu Dia ﷻlah yang mengawal bintang-bintang itu. Sama ada hendak bagi ada dan tiada, itu semua dalam Qudrat Allah ﷻ. Bukannya manusia yang kawal bintang-bintang itu. Allah ﷻ kawal berapa banyak bintang yang kita boleh tengok. Bukannya kerana sebab-sebab tertentu sampai boleh digunakan sebagai alat meramal nasib pula.

Itu adalah fahaman yang salah. Qada’ dan qadar kita tidak ada kena mengena dengan bintang-bintang itu. Kalau kalau ada yang kata qada’ dan qadar ditentukan oleh bintang-bintang itu, maka itu sudah masuk dalam ruang syirik.


 

Ayat 18: Allah ﷻ bersumpah lagi. Kalau kita lihat, Allah ﷻ bersumpah dengan kejadian yang berlaku hari-hari dan manusia boleh lihat. Supaya senang kita hendak kaitkan dengan pemahaman kita. Kerana kalau pakai benda yang kita tidak kenal, susah juga.

وَالصُّبحِ إِذا تَنَفَّسَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And by the dawn when it breathes [i.e., stirs]

(MALAY)

dan demi subuh apabila fajarnya mulai menyingsing,

 

Apabila siang dapat ‘bernafas’ selepas ‘dicengkam’ malam (baru hendak dapat bernafas). Ini adalah seumpama peribahasa – maknanya apabila fajar menyingsing. Dan waktu itu pun bintang tidak kelihatan juga, apakah yang para kahin hendak lihat lagi sebagai pedoman? Mereka kata mereka boleh baca bintang, tetapi apabila waktu pagi, bintang sudah tidak kelihatan lagi, macam mana?

Allah ﷻ hendak beritahu yang Dia ﷻ yang kawal apa yang manusia boleh nampak. Dan apa yang dikatakan oleh kahin dan sesiapa yang kata boleh baca bintang itu, tidak boleh dipercayai.

Dari ayat 15 tadi, semua itu adalah sumpah. Apabila ada sumpah, tentu ada jawabnya, maka apakah jawapan sumpah Allah ﷻ itu? Jawapan sumpah itu adalah: kamu akan bertemu dan menempuhi peringkat demi peringkat hari kiamat dan akhirat itu, sama ada baik atau buruk. Pasti kamu akan bertemu di akhirat nanti, satu demi satu.

Kita akan jumpa kematian, kemudian langit pecah, laut bergelora dan sebagainya; kemudian akan dihidupkan kembali dan akan dinampakkan dengan berbagai-bagai perkara seperti yang telah disebut sebelum ini.


 

Ayat 19: Telah disebut kononnya bintang boleh digunakan sebagai pemberi maklumat tentang apa yang berlaku dan apa yang telah berlaku. Allah ﷻ hendak beritahu yang semua itu bukanlah sumber maklumat yang betul. Itu semua karut sahaja, penipuan sahaja dari mereka yang hendak mengambil kesempatan dari mereka yang jahil.

Dan sekarang Allah ﷻ hendak beritahu manakah sumber maklumat yang benar.

إِنَّهُ لَقَولُ رَسولٍ كَريمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[That] indeed, it [i.e., the Qur’ān] is a word [conveyed by] a noble messenger [i.e., Gabriel]

(MALAY)

sesungguhnya Al-Qur’an itu benar-benar firman (Allah yang dibawa oleh) utusan yang mulia (Jibril),

 

Sekarang Allah ﷻ hendak mula memberitahu tentang wahyu dari Allah ﷻ. Amat berbeza sekali wahyu dan apa yang disampaikan oleh kahin; bezanya adalah seperti bezanya antara kegelapan malam (وَاللَّيلِ إِذا عَسعَسَ) dan cahaya pagi (وَالصُّبحِ إِذا تَنَفَّسَ).

Perkataan رَسولٍ yang merujuk kepada Malaikat Jibril. Mungkin ramai yang tidak tahu, bahawa Malaikat Jibril عليه السلام juga adalah رَسولٍ, kerana رَسولٍ maksudnya seseorang yang menyampaikan sesuatu, yang membawa risalah.

Lihat bagaimana Allah ﷻ menggunakan perkataan ‘قَولُ’ dalam ayat ini dan bukan ‘kalam’. Sebab kalau ‘kalam’ yang digunakan, itu bermakna apa yang disampaikan itu adalah perkataan Jibril عليه السلام sendiri. Tetapi tentu tidak tepat kerana beliau hanya menyampaikan kalam Allah ﷻ sahaja. Kalimat ‘kalam’ akan digunakan kalau merujuk kepada Allah ﷻ – sebagai contoh: kalamullah (Kalam Allah).

Oleh itu, perkataan قَولُ boleh digunakan untuk menerangkan yang seseorang menyampaikan secara ulangan apa yang disampaikan kepadanya. Dalam konteks ayat ini, Jibril عليه السلام bukanlah menyampaikan kalamnya sendiri tetapi kalam Allah ﷻ, dan beliau hanya mengulangnya semula sebutir demi sebutir tanpa pengubahan, penambahan atau pengurangan.

Allah ﷻ memberitahu sifat Rasul itu yang كَريمٍ (mulia). Ayat ini mengukuhkan kedudukan penyampai wahyu itu (Jibrail). Dia seorang yang mulia dan boleh dipercayai dan tidak boleh hendak dibandingkan dengan para kahin yang hanya menipu sahaja.

Kalau mereka tidak berniat menipu pun, mereka sampaikan dari kata-kata jin yang memang penipu. Penyampai yang mulia hanya memberitahu kebenaran sahaja. Integrasi Risalah Al-Qur’an itu sendiri telah dijelaskan dalam Surah Abasa sebelum ini dalam dari ayat 13 – 16

في صُحُفٍ مُكَرَّمَةٍ (di dalam kitab-kitab yang dimuliakan)

مَرفوعَةٍ مُطَهَّرَةٍ (yang ditinggikan lagi disucikan)

بِأَيدي سَفَرَةٍ (di tangan para penulis (malaikat))

كِرامٍ بَرَرَةٍ (yang mulia lagi berbakti)

Dan sekarang Allah ﷻ tekankan yang penyampai risalah wahyu dan cara penyampaian pun boleh dipercayai.


 

Ayat 20: Lagi tentang sifat Jibril عليه السلام itu.

ذي قُوَّةٍ عِندَ ذِي العَرشِ مَكينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Who is] possessed of power and with the Owner of the Throne, secure [in position],

(MALAY)

yang mempunyai kekuatan, yang mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah yang mempunyai ‘Arsy,

 

Jibril عليه السلام mempunyai kekuatan. Ini penting untuk menunjukkan yang Jin takkan dapat hendak curi informasi dari dia. Jin tidak mampu untuk mengalahkan malaikat. Memang jin cuba hendak curi-curi dengar maklumat dari langit tetapi mereka akan kena lempar dengan tahi bintang. Maknanya, jin itu tidak kuat untuk melawan malaikat yang jaga langit. Ini disebut dalam Jin:9

وَأَنّا كُنّا نَقعُدُ مِنها مَقاعِدَ لِلسَّمعِ ۖ فَمَن يَستَمِعِ الآنَ يَجِد لَهُ شِهابًا رَصَدًا

dan sesungguhnya kami dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mendengar-dengarkan (berita-beritanya). Tetapi sekarang barangsiapa yang (mencuba) mendengar-dengarkan (seperti itu) tentu akan menjumpai panah api yang mengintai (untuk membakarnya).

Malaikat biasa pun mereka tidak dapat lawan, apatah lagi kalau Jibril عليه السلام. Kerana ditekankan dalam ayat ini yang Jibrail عليه السلام itu kuat.

Jibril عليه السلام pula dekat dengan Arash Allah ﷻ. Ini hendak menunjukkan betapa rapatnya dia dengan Allah ﷻ. Ini juga hendak menunjukkan yang Jibril  عليه السلام mendapatkan wahyu dari Allah ﷻ yang duduk di Arash. Kalimah مَكينٍ bermaksud tempat yang tetap, memberi isyarat yang Arash itu di kedudukan yang tinggi.


 

Ayat 21: Lagi ayat menerangkan sifat Jibril عليه السلام.

مُطاعٍ ثَمَّ أَمينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Obeyed there [in the heavens] and trustworthy.

(MALAY)

yang ditaati di sana (di alam malaikat) lagi dipercayai.

 

Malaikat Jibril عليه السلام ditaati di langit. Jibail عليه السلام mempunyai pengikut-pengikut yang mentaatinya dan mereka berada berdekatan dengan Arash Allah ﷻ. Kalimah طاعٍ bermaksud diikuti dengan sayang. Ini merujuk kepada para malaikat lain yang mengikut arahan dan taat kepada Jibril عليه السلام itu dengan senang hati, bukan kena paksa.

Maknanya, Jibril عليه السلام ada pengikut dan ini kita dapat tahu lagi kerana semasa Jibril عليه السلام turun menyampaikan wahyu, ada pengikut yang ramai dari kalangan malaikat yang ikut turun sekali menyampaikan wahyu kepada Rasulullah ﷺ. Kalau dalam dunia, apabila ada benda teramat penting yang disampaikan, yang sampaikan adalah pembawa yang kedudukan tinggi dan pengikut yang ada ikut sekali.

Akan tetapi ini bukanlah hendak menunjukkan yang Jibril عليه السلام memerlukan pengawal pula kerana Jibril عليه السلام itu sendiri sudah kuat. Tetapi ramai yang ikut kerana kedudukan wahyu yang tinggi dan memberi penghormatan kepada wahyu yang hendak disampaikan itu.

Kalimah ثَمَّ bermaksud ‘di sana’. Ayat sebelum ini menyebut Arash, jadi maksud ‘di sana’ adalah ‘di Arash’. Maksudnya, Jibril عليه السلام ditaati dari Arash lagi. Lafaz ثَمَّ juga digunakan untuk menguatkan penerangan selepasnya, iaitu أَمينٍ.

Kalimah أَمينٍ bermaksud Jibril عليه السلام sangat boleh dipercayai. Apabila ditambah kalimah ثَمَّ ini hendak menekankan sifat Jibril عليه السلام yang ‘sangat’ boleh dipercayai. Sifat ini penting, kerana kalau kuat dan banyak pengikut pun, tetapi kalau tidak boleh dipercayai, ada niat jahat, tidak guna juga.

Jadi beberapa ayat ini adalah untuk menekankan kekuatan penghantaran wahyu itu. Jadi ayat-ayat ini adalah tentang Risalah. Sudahlah wahyu itu mulia, cara penghantarannya pun menggunakan pembawa risalah yang mulia juga, yang kuat, yang ditaati dan dipercayai.


 

Ayat 22: Ayat 22 – 25 adalah Perenggan Makro Keempat. Allah menegaskan yang Rasulullah itu bukan orang gila.

Sekarang Allah ﷻ bertukar kepada bercakap terus kepada para kuffar. Di akhirat nanti Allah ﷻ takkan cakap dengan mereka, tetapi sekarang dalam Al-Qur’an Allah ﷻ masih mahu bercakap dengan mereka. Ini adalah kerana mereka masih ada harapan untuk bertaubat dan ubah sikap mereka, kalau mereka mahu memberi perhatian dan buka hati mereka kepada wahyu Allah ﷻ ini.

وَما صاحِبُكُم بِمَجنونٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And your companion [i.e., Prophet Muḥammad ()] is not [at all] mad.¹

  • Literally, “possessed by jinn.”

(MALAY)

Dan temanmu (Muhammad) itu bukanlah sekali-kali orang yang gila.

 

Allah ﷻ berkata kepada kaum Musyrikin Mekah bahawa Nabi Muhammad ﷺ yang tinggal bersama mereka bukanlah orang yang gila. Ataupun orang yang telah disampuk jin. Baginda ﷺ mendapat wahyu dari Jibril dan sifat Jibril yang hebat telah disebut sebelum ini.

Lihat bagaimana kalimat صاحِبُكُم (sahabat kamu) digunakan. صاحِبُ adalah orang yang menemani bersama kamu (digunakan juga dalam kalimah Sahabat Nabi ﷺ). Allah ﷻ hendak menekankan dalam ayat ini yang Nabi Muhammad ﷺ itu tinggal dengan mereka, sudah lama. Bukan tinggal sekejap-sekejap dan mereka bukan baru kenal baginda. Oleh kerana baginda sudah lama tinggal dengan mereka, mereka patut sudah kenal sangat dengan baginda.

Baginda sentiasa bersama mereka tidak pergi ke tempat yang jauh. Jadi mereka tidaklah boleh kata baginda ada belajar ilmu baru di tempat lain, sebab baginda tidak pernah tinggalkan mereka dalam jangka masa yang lama. Dalam sejarah, dua kali sahaja baginda pergi ke luar Mekah untuk berdagang – sekali semasa baginda muda dan sekali lagi semasa baginda sudah dewasa. Itu pun bukanlah baginda pergi bersendirian, dengan rombongan juga.

Oleh itu, mereka sendiri tahu siapa baginda, mereka pun tahu yang baginda tidak gila, dan baginda juga bukan kahin (tukang tilik). Dahulu pun mereka sampai panggil baginda sebagai al-amin (yang dipercayai). Sebelum baginda jadi Nabi ﷺ pun Musyrikin Mekah sudah kenal baginda dan percaya kepada baginda.

Kita pun tentu sudah tahu serba sedikit tentang jin. Mereka itu dinamakan ‘jin’ dari katadasar جنن yang bermaksud ‘ditutup pandangan’ kerana kita tidak nampak mereka, telah ditutup pandangan dari mereka. Oleh itu, kalimah مَجنونٍ (dari katadasar yang sama dengan kalimah ‘jin’) boleh bermaksud orang yang akal mereka telah ditutup dan orang yang macam itu adalah orang gila.

Ataupun kalau dikaitkan dengan jin, ia merujuk kepada orang yang telah dirasuk oleh jin – dua-dua boleh diterima kerana itulah fahaman Arab Mekah waktu itu. Pada mereka, kalau kena sampuk dengan jin, boleh jadi gila.

Allah ﷻ hendak tekankan dalam ayat ini yang Nabi ﷺ tidak gila, dan tidak dirasuk jin. Oleh itu, Allah ﷻ juga menidakkan yang baginda mendapat maklumat dari jin. Ini adalah kerana ada juga puak kuffar yang kata baginda dapat maklumat dari jin. Allah ﷻ  menidakkan pendapat itu dan menekankan yang baginda dapat wahyu dari Jibril عليه السلام yang menyampaikan pula wahyu itu dari Allah ﷻ.


 

Ayat 23:

وَلَقَد رَآهُ بِالأُفُقِ المُبينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he has already seen him [i.e., Gabriel] in the clear horizon.¹

  • i.e., the eastern horizon, where the sun rises. See footnote to 53:6.

(MALAY)

Dan sesungguhnya Muhammad itu telah melihat Jibril di ufuk yang terang.

 

Betul-betul Rasulullah ﷺ telah pernah melihat Jibril عليه السلام di ufuk yang jelas. Ufuk adalah tempat langit dan bumi bertemu – tempat matahari naik dan turun. Dalam riwayat ada disebut yang Nabi ﷺ nampak Jibril عليه السلام dari tempat matahari naik sampai ke atas kerana besarnya Jibril عليه السلام waktu itu (Jibril boleh membesar dan mengecilkan badannya). Hal ini disebutkan oleh firman-Nya:

وَلَقَدْ رَآهُ بِالْأُفُقِ الْمُبِينِ يَعْنِي وَلَقَدْ رَأَى مُحَمَّدُ جِبْرِيلَ الَّذِي يَأْتِيهِ بِالرِّسَالَةِ عَنِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ عَلَى الصُّورَةِ الَّتِي خَلَقَهُ اللَّهُ عَلَيْهَا لَهُ سِتُّمِائَةُ جَنَاحٍ بِالْأُفُقِ الْمُبِينِ أَيِ الْبَيِّنُ وَهِيَ الرُّؤْيَةُ الْأَوْلَى الَّتِي كَانَتْ بِالْبَطْحَاءِ وَهِيَ الْمَذْكُورَةُ فِي قَوْلِهِ: عَلَّمَهُ شَدِيدُ الْقُوى ذُو مِرَّةٍ فَاسْتَوى وَهُوَ بِالْأُفُقِ الْأَعْلى ثُمَّ دَنا فَتَدَلَّى فَكانَ قابَ قَوْسَيْنِ أَوْ أَدْنى فَأَوْحى إِلى عَبْدِهِ مَا أَوْحى

yang diajarkan kepadanya oleh (Jibril) yang sangat kuat, Yang mempunyai akal yang cerdas; dan (Jibril itu) menampakkan diri dengan rupa yang asli, sedangkan dia berada di ufuk yang tinggi. Kemudian dia mendekat, lalu bertambah dekat lagi, maka jadilah dia dekat (pada Muhammad sejarak) dua ujung busur panah atau lebih dekat (lagi). Lalu dia menyampaikan kepada hamba-Nya (Muhammad) apa yang telah Allah wahyukan. (An-Najm: 5-10)

Allah ﷻ hendak menegaskan yang memang baginda nampak Jibrail عليه السلام itu dengan jelas, bukannya samar-samar atau khayalan baginda sahaja. Allah ﷻ hendak bandingkan dengan para kaahin yang mengaku mereka dapat melihat apa yang orang biasa tidak nampak. Tapi betulkah mereka ada nampak? Allah ﷻ mempersoalkan maklumat dari kaahin-kaahin itu. Para kaahin itu mereka kata dapat maklumat dari luar juga, tetapi dari sesuatu yang tidak nampak.


 

Ayat 24:

وَما هُوَ عَلَى الغَيبِ بِضَنينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he [i.e., Muḥammad ()] is not a withholder of [knowledge of] the unseen.¹

  • Prophet Muḥammad () did not withhold that knowledge of the unseen which Allāh had revealed to him in the Qur’ān.

(MALAY)

Dan dia (Muhammad) bukanlah orang yang bakhil untuk menerangkan yang ghaib.

 

Bukanlah Nabi ﷺ menyimpan maklumat perkara ghaib yang didapatinya. Nabi ﷺ beri sahaja kepada umat dengan tidak ada yang dikurangkan. Nabi ﷺ tidak minta bayaran pun untuk sampaikan perkara yang memang baginda kena sampaikan. Kerana Nabi ﷺ memang kena sampaikan dengan percuma. Baginda tidak kedekut untuk sampaikan ilmu.

Kalimah ضَني adalah mereka yang hanya memberikan maklumat apabila mendapat upah. Macam kaahin itu, mereka kata boleh bagi maklumat, tetapi kena bayar dulu. Macam tukang tilik nasib zaman sekarang, mereka hendak duit sahaja. Ini kerana mereka buat duit dengan perkara itu.


 

Ayat 25:

وَما هُوَ بِقَولِ شَيطانٍ رَجيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And it [i.e., the Qur’ān] is not the word of a devil, expelled [from the heavens].

(MALAY)

Dan Al Qur’an itu bukanlah perkataan syaitan yang terkutuk,

 

Maklumat-maklumat dari wahyu itu bukanlah dari syaitan yang direjam. Kalimah شَيطانٍ diambil dari kalimah شَطنٍ – yang bermaksud jauh dari kebenaran. Kita pun sudah tahu yang syaitan memang jauh dari kebenaran – mereka mengajak kepada kesesatan yang jauh sangat dari kebenaran.

Atau kalimah شَيطانٍ boleh juga dari شَط – yang diselubungi dengan perasaan marah macam diselubungi oleh api. Kerana iblis marah sangat apabila Nabi Adam عليه السلام dilantik menjadi khalifah dunia. Dan kemarahan iblis itu sampai sekarang. Iblis dan para pengikutnya marah sampaikan mereka hendak menyesatkan manusia supaya masuk neraka bersama dengan mereka. Maka kerana itu mereka direjam.

Jadi, wahyu yang Allah ﷻ sampaikan itu bukanlah dari jin syaitan. Ia adalah dari Allah ﷻ. Kalau kaahin-kaahin itu, mereka dapat maklumat mereka dari jin. Kerana jin mencuri maklumat dari langit dan mereka sampaikan maklumat itu kepada para kaahin. Tetapi mereka campur adukkan dengan berita tipu dan maklumat tipu.

Oleh kerana ada satu dua yang benar, maka kaahin dan manusia lain percaya terus kepada mereka. Jangan samakan wahyu Al-Qur’an itu dengan apa yang mereka dapati dari jin itu. Sebagaimana yang disebutkan dalam firman-Nya:

وَما هُوَ بِقَوْلِ شَيْطانٍ رَجِيمٍ أَيْ وَمَا هَذَا الْقُرْآنُ بِقَوْلِ شَيْطَانٍ رَجِيمٍ أَيْ لَا يَقْدِرُ عَلَى حَمْلِهِ وَلَا يُرِيدُهُ وَلَا يَنْبَغِي له كما قال تعالى: وَما تَنَزَّلَتْ بِهِ الشَّياطِينُ وَما يَنْبَغِي لَهُمْ وَما يَسْتَطِيعُونَ إِنَّهُمْ عَنِ السَّمْعِ لَمَعْزُولُونَ

Dan Al-Qur’an itu bukanlah dibawa turun oleh syaitan-syaitan. Dan tidaklah patut mereka membawa turun Al-Qur’an itu, dan mereka pun tidak akan kuasa. Sesungguhnya mereka benar-benar dijauhkan dari mendengar Al-Qur’an itu. (Asy-Syu’ara: 210-212)


 

Ayat 26: Ayat 26 – 29 (Akhir surah) adalah Perenggan Makro Kelima. Ia bertanya: ke mana lagi hendak lari? Tidak ada tempat lain lagi maka hendaklah beriman dengan Al-Qur’an.

فَأَينَ تَذهَبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So where are you going?¹

  • In your denial of the Qur’ān and in your accusations against the Prophet (). The meaning is essentially “Surely, you have strayed far from Allāh’s path.”

(MALAY)

maka ke manakah kamu akan pergi?

 

Ini adalah ayat yang penting dalam surah ini. Allah ﷻ hendak tanya mereka, selepas segala maklumat ini telah diberikan, apa yang mereka hendak buat? Dalam surah-surah sebelum ini, telah disebut soalan-soalan dari puak kufur Mekah itu. Kali ini Allah ﷻ pula tanya kepada mereka. Allah ﷻ tanya soalan penting. Allah ﷻ tanya ‘ke mana kamu hendak pergi?’

Ke arah kebenarankah atau kepalsuan? Kamu hendak pilih yang mana? Sebab sekarang ada maklumat dari wahyu, tetapi kamu hendak terima atau tidak? Kalau kamu tidak mahu terima, ke mana lagi kamu hendak pergi untuk cari kebenaran? Atau, kalau kamu tinggalkan Al-Qur’an ini, ke mana lagi kamu boleh dapat pedoman?

Adakah kamu hendak masuk syurga atau kamu hendak masuk ke neraka? Tidakkah kamu tahu yang kamu sedang menuju akhirat sekarang? Oleh kerana kita semua memang akan ke arah akhirat pun, jadi ini adalah soalan retorik sahaja.

Jadi, ini adalah soalan yang amat penting sekali. Macam kita sekarang ada Al-Qur’an di hadapan kita. Kita hendak belajar sampai faham atau tidak? Kita hendak pakai Al-Qur’an atau tidak? Kita hendak masuk ke dalam syurga atau tidak?


 

Ayat 27: Maklumat yang benar, tidak lain dan tidak bukan, kena cari dalam Al-Qur’an.

إِن هُوَ إِلّا ذِكرٌ لِلعالَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is not except a reminder to the worlds

(MALAY)

Al-Qur’an itu tiada lain hanyalah peringatan bagi semesta alam,

 

Ini adalah peringatan kepada sekalian alam. Ianya diberikan kepada semua orang, tetapi yang menerimanya adalah mereka yang mahu mengambil peringatan sahaja. Oleh itu, kalau Musyrikin Mekah tidak mahu terima wahyu ini, tidak mengapa, kerana ada orang yang boleh ambil peringatan darinya.

Oleh itu, jangan mereka berlagak sangat. Kerana Al-Qur’an ini bukan untuk Quraisy, bukan untuk bangsa Arab sahaja. Mereka diberi penghormatan kerana ia diturunkan dalam bahasa mereka, tapi kalau mereka tolak, mereka yang rugi.

Kalimah ذِكرٌ bermaksud peringatan. Selalunya peringatan diberikan kalau orang sudah tahu, bukan? Tetapi bukankah maklumat dalam Al-Qur’an itu adalah maklumat baru, sampaikan Musyrikin Mekah tidak pernah tahu dan rasa pelik dengannya, dan kerana itulah mereka menentangnya?

Kita kena faham yang peringatan dalam Al-Qur’an ini bukanlah baharu, kerana ilmu akidah yang benar telah ada dalam diri kita kerana kita telah dimasukkan dengan fitrah yang kenal Allah ﷻ, kenal tauhid.

Kalimah عالَمينَ bermaksud ‘semua alam-alam’, tetapi lebih tepat lagi, dalam konteks ayat ini, ia  bermaksud jin atau manusia. Kerana jin dan manusialah yang ada tanggungjawab syarak untuk beragama dan ikut hukum dari Allah ﷻ yang disampaikan dalam Al-Qur’an ini.


 

Ayat 28: Peringatan Al-Qur’an itu adalah untuk semua, tetapi siapa sahaja yang boleh terima?

لِمَن شاءَ مِنكُم أَن يَستَقيمَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For whoever wills among you to take a right course.

(MALAY)

(iaitu) bagi siapa di antara kamu yang mahu menempuh jalan yang lurus.

 

Peringatan kepada mereka yang mahukan jalan yang lurus. يَستَقيمَ dari katadasar ق و م yang bermaksud ‘berdiri tegak’. Itulah jalan yang lurus, jalan yang tegak, jalan yang benar. Oleh itu, kalau kamu mahu, kamu boleh mendapat manfaat darinya.

Kalimah شاءَ (mahu) dari شيأ (benda). Satu lagi kalimah untuk ‘mahu’ adalah أرادا. Tetapi apa bezanya? شاءَ digunakan kalau ada keinginan yang jitu, bukan main-main dan ‘rasa’ sahaja. Apabila kemahuan itu tidak kukuh, lafaz yang digunakan adalah أرادا. أرادا mungkin di kepala sahaja lagi tetapi tidak di hati. Ini macam ada orang yang kata hendak jadi baik, tetapi tidak buat pun lagi, cakap sahaja dan dia baru terfikir sahaja.

Jadi apabila hendak ditekankan keinginan yang kuat, digunakan lafaz شاءَ seperti dalam ayat ini. Oleh itu, mereka yang ada kemahuan yang kuat, merekalah yang akan mendapat kebaikan dari wahyu yang Allah ﷻ berikan itu. Kalau terfikir sahaja, tetapi tidak ada keinginan yang kuat, tidaklah akan terjadi apa-apa.

Oleh itu, janganlah setakat kata: “kalaulah aku tahu tafsir Al-Qur’an…kalaulah aku tahu hal agama…” namun tidak menjalankan usaha untuk belajar, untuk mengulangkaji, maka jangan harapkan akan dapat faham begitu sahaja. Kerana untuk memahami Al-Qur’an, memerlukan usaha. Kena pergi belajar, kena beri ruang masa untuk berfikir dan tadabbur ayat-ayat Al-Qur’an. Ia bukanlah senang dan enteng, tapi tidaklah susah sangat sampai tidak boleh dipelajari. Nak ambil peperiksaan SPM lagi susah dari belajar tafsir Al-Qur’an.


 

Ayat 29: Memang kita kena ada keinginan, tetapi keinginan kita itu bergantung kepada Allah ﷻ juga.

وَما تَشاءونَ إِلّا أَن يَشاءَ اللَّهُ رَبُّ العالَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you do not will except that Allāh wills – Lord of the worlds.

(MALAY)

Dan kamu tidak dapat menghendaki (menempuh jalan itu) kecuali apabila dikehendaki Allah, Tuhan semesta alam.

 

Kamu tidak akan berkehendak melainkan Allah ﷻ juga berkehendak. Maknanya, kalau Allah ﷻ mahu, baru kita ada kehendak itu dan mendapat taufik untuk terus berusaha untuk mendapat kebaikan.

Ini adalah tentang kehendak Tuhan ﷻ dan usaha manusia. Dalam dua ayat terakhir ini, disebut dahulu keinginan manusia dahulu, kemudian baru disebut keinginan Allah ﷻ. Ada maklumat yang penting di situ: Allah ﷻ suruh kita buat keinginan dan usaha dahulu, kemudian Allah ﷻ akan jadikan mudah untuk kita mendapatnya.

Allah ﷻ hendak tengok keinginan dan usaha kita dahulu. Tetapi kita memang memerlukan pertolongan dari Allah ﷻ. Kita memang tidak ada kekuatan apa-apa. Kalau tidak faham perkara ini, manusia rasa mereka boleh apa sahaja. Mereka lupa kepada kehendak Allah ﷻ dan tidak berdoa kepada Allah ﷻ. Sedangkan kita kena selalu ada pengharapan kepada Allah ﷻ.

Jangan putus pengharapan kepada Allah ﷻ. Untuk beriman pun kita kena minta kepada Allah ﷻ, walaupun kalau kita fikirkan, tentulah iman itu dari diri kita sendiri, bukan? Tetapi tidak; hendak beriman pun kena minta kepada Allah ﷻ. Kena ada sifat inaabah (condong kepada kebenaran). Kena ada keinginan dalam hati hendak tahu mana jalan kebenaran.

Kita sudah sampai ke penghujung surah ini. Di awal surah ini, telah disentuh tentang Qudrat Allah ﷻ menghancurkan alam. Itu semua dalam kehendak Allah ﷻ yang tidak dapat dihalang lagi. Dan sekarang di hujung surah ini, telah disebut tentang kehendak kita pula.

Sebelum itu Allah ﷻ sudah tanya, ke arah yang kita hendak tuju? Ini menunjukkan Allah ﷻ mahu kita buat usaha dan kemudian Allah ﷻ akan bantu. Oleh itu kita kena jalankan strategi. Jangan setakat mahu sahaja, tetapi tidak buat apa-apa. Kerana hendak dapatkan hidayah pun kena ada usaha, tidak boleh tunggu sahaja. Kena cari guru, kena rajin membaca, mengkaji, menulis nota, mengajar.

Oleh itu, kalau kita dapat hidayah, terima hidayah, itu semua adalah kerana dari taufik Allah ﷻ. Taufik itu adalah Allah ﷻ gerakkan kita untuk terus jadi baik, terus mahu belajar. Sebab itu kadang-kadang kita lihat, ada orang yang ada Al-Qur’an depan dia, tetapi dia tidak teringin pun hendak tahu apakah yang diperkatakan oleh Al-Qur’an itu. Maknanya, hidayah sudah ada di depan mata, tapi taufik tidak ada untuk menerimanya.

Semoga kita terus mendapat hidayah dan taufik dari Allah ﷻ. Semoga Allah ﷻ terus pandu kita untuk mendapat ilmu dan kefahaman dalam agama.

Allahu a’lam. Tamat Surah Takweer ini. Sambung ke surah yang seterusya, Surah Infithar.

Kemaskini: 26 September 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Tawbah Ayat 90 – 94 (Jangan redha kepada puak munafik)

GOLONGAN BADWI YANG TIDAK SETIA

Tawbah Ayat 90: Ini pula adalah teguran kepada Arab Badwi. Mereka ini adalah golongan yang duduk di luar pekan dan terbelakang sedikit dari segi tamadun mereka. Mereka itu agak ketinggalan daripada ilmu agama tambahan pula mereka selalu berpindah randah. Kalau bahasa kita, mereka itu dikenali sebagai ‘orang darat’ orang asli. Dalam kalangan mereka pun ada juga yang munafik.

Ada golongan Arab Bandar yang munafik dan ada yang Arab Badwi yang munafik. Mereka belum memahami ajaran Islam lagi. Mereka tidak tahu bagaimana hukum dan adab dalam agama. Apabila diwajibkan berjihad seperti Perang Tabuk itu, mereka pun mahu meminta izin juga untuk tidak berperang kerana mereka dengar-dengar, boleh minta izin kalau tidak mahu pergi jihad.

وَجاءَ المُعَذِّرونَ مِنَ الأَعرابِ لِيُؤذَنَ لَهُم وَقَعَدَ الَّذينَ كَذَبُوا اللَّهَ وَرَسولَهُ ۚ سَيُصيبُ الَّذينَ كَفَروا مِنهُم عَذابٌ أَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those with excuses among the bedouins came to be permitted [to remain], and they who had lied¹ to Allāh and His Messenger sat [at home]. There will strike those who disbelieved among them a painful punishment.

  • i.e., claimed faith.

(MALAY)

Dan datang (kepada Nabi) orang-orang yang mengemukakan ‘uzur, iaitu orang-orang Arab Badwi agar diberi izin bagi mereka (untuk tidak berjihad), sedang orang-orang yang mendustakan Allah dan Rasul-Nya, duduk berdiam diri saja. Kelak orang-orang yang kafir di antara mereka itu akan ditimpa azab yang pedih.

 

وَجاءَ المُعَذِّرونَ مِنَ الأَعرابِ لِيُؤذَنَ لَهُم

Dan datang (kepada Nabi) orang-orang yang mengemukakan ‘uzur, iaitu orang-orang Arab Badwi agar diberi izin bagi mereka

Golongan munafik yang mengada-adakan keuzuran dalam kalangan Arab Badwi datang kepada Nabi ﷺ untuk meminta izin dilepaskan daripada pergi jihad. Arab Badwi itu adalah kaum nomad yang tidak tinggal di pekan tetapi duduk di lereng bukit, di padang-padang pasir dalam khemah. Mereka duduk di satu tempat dan kemudian berpindah ke tempat lain kerana mereka tidak ada tempat tinggal yang tetap. Kerana itu kalimah yang digunakan adalah الأَعرابِ. Kalau العربي barulah bermaksud Arab yang berada di pekan. Mereka ini mengaku juga sebagai Muslim dan minta supaya mereka jangan diserang sebab mereka pun Muslim juga.

Maknanya, mereka masuk Islam supaya mereka selamat sahaja daripada diganggu, bukannya kerana mereka benar-benar mahu memeluk Islam. Maka mereka mengaku Muslim, tetapi bila disyariatkan jihad, mereka datang jumpa Nabi ﷺ meminta izin tidak ikut berperang. Ini adalah kerana iman mereka tidak kuat untuk ikut serta dalam jihad itu.

Ada juga pendapat yang mengatakan mereka itu golongan Mukmin tetapi mereka itu memang ada uzur. Kerana itu kalimah yang digunakan adalah المُعَذِّرونَ iaitu golongan yang ada uzur. Mereka datang untuk memberitahu Rasulullah ﷺ apakah uzur mereka itu.

 

وَقَعَدَ الَّذينَ كَذَبُوا اللَّهَ وَرَسولَهُ

dan orang-orang yang mendustakan Allah dan Rasul-Nya, duduk berdiam diri saja.

Namun ada juga yang tidak datang menemui Nabi ﷺ langsung untuk meminta izin. Mereka itu adalah orang yang betul-betul mendustakan Allah ﷻ dan Rasul. Maknanya, ada yang jenis keras kepala sampai tidak muncul datang meminta izin dengan Nabi ﷺ pun. Sombong sangatlah kiranya mereka ini. Yang boleh datang bolehlah buat kira sikit, kerana mereka datang juga.

 

سَيُصيبُ الَّذينَ كَفَروا مِنهُم عَذابٌ أَليمٌ

Kelak orang-orang yang kafir di antara mereka itu akan ditimpa azab yang pedih.

Natijah yang mereka akan terima: pasti mereka akan ditimpa azab. Allah ﷻ sebut mereka itu kafir kerana mereka itu termasuk dalam golongan munafik yang kufur. Namun bukanlah semua kerana kalimah مِنهُم digunakan. Maknanya ada yang kufur dan ada yang tidak pergi jihad itu kerana malas sahaja. Mereka tetap bersalah namun tidaklah sama azab yang dikenakan kepada mereka.


 

ALASAN-ALASAN YANG SAH DAN DITERIMA

Tawbah Ayat 91: Ini tentang kebenaran/keizinan untuk tidak berperang yang diberikan oleh Allah ﷻ. Memang ada yang tidak diwajibkan berperang walaupun ada nafrul am (jihad yang wajib).

لَيسَ عَلَى الضُّعَفاءِ وَلا عَلَى المَرضىٰ وَلا عَلَى الَّذينَ لا يَجِدونَ ما يُنفِقونَ حَرَجٌ إِذا نَصَحوا لِلَّهِ وَرَسولِهِ ۚ ما عَلَى المُحسِنينَ مِن سَبيلٍ ۚ وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

There is not upon the weak or upon the ill or upon those who do not find anything to spend any discomfort [i.e., guilt] when they are sincere to Allāh and His Messenger. There is not upon the doers of good any cause [for blame]. And Allāh is Forgiving and Merciful.

(MALAY)

Tiada dosa (lantaran tidak pergi berjihad) atas orang-orang yang lemah, orang-orang yang sakit dan atas orang-orang yang tidak memperoleh apa yang akan mereka nafkahkan, apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan Rasul-Nya. Tidak ada jalan sedikit pun untuk menyalahkan orang-orang yang berbuat baik. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang,

 

لَيسَ عَلَى الضُّعَفاءِ

Tiada dosa (lantaran tidak pergi berjihad) atas orang-orang yang lemah, 

Apabila Nafrul Am dikeluarkan, maka setiap mereka yang mampu untuk berjihad, mestilah turun berjihad kerana itu termasuk dalam jihad yang wajib, seperti yang terjadi pada Perang Tabuk. Akan tetapi tidak ada kesalahan kepada orang yang betul-betul dhaif.

Mereka itu ada keizinan dari segi syarak untuk tidak menyertai jihad. Mungkin kerana mereka itu wanita, kanak-kanak, terlalu tua, tempang, buta dan sebab-sebab lain.

 

وَلا عَلَى المَرضىٰ

orang-orang yang sakit 

Tidak ada kesalahan dan dosa atas orang yang memang sakit.

 

وَلا عَلَى الَّذينَ لا يَجِدونَ ما يُنفِقونَ حَرَجٌ

dan atas orang-orang yang tidak memperoleh apa yang akan mereka nafkahkan, tidak ada kesalahan

Ini pula tentang mereka yang tidak ada harta untuk diinfakkan. Kalau mereka tidak ada wang untuk menyediakan alat pengangkutan untuk berjihad, atau tidak ada wang untuk diberikan kepada mereka yang pergi berjihad. Ini adalah kerana ketika itu mereka yang pergi berjihad terpaksa pergi dengan belanja dan kenderaan sendiri.

 

إِذا نَصَحوا لِلَّهِ وَرَسولِهِ

apabila mereka ikhlas kepada Allah dan Rasul-Nya.

Tidak ada kesalahan apabila mereka yang benar-benar ikhlas. Iaitu benar-benar mereka tidak mampu, bukannya kerana sengaja beralasan sahaja. Penting mesti ada ikhlas dan perkara ini hanya mereka sahaja yang tahu. Kalau mereka menipu Nabi ﷺ, khalifah, para pemimpin, mereka mungkin selamat kerana manusia tidak dapat periksa sama ada benar atau tidak; tetapi bolehkah mereka menipu Allah ﷻ? Tentu tidak sama sekali.

Dari segi bahasa, kalimah نصح bererti sesuatu yang bersih atau murni (tidak bercampur dengan sesuatu yang lain). Sesuatu disebut (الناصح) (an-naasih), jika sesuatu tersebut tidak bercampur atau tidak bercampur dengan sesuatu yang lain, misalnya madu murni atau sejenisnya. Di antara turunan kata نصح adalah النصيحة (an-nasiihah). (Lihat Lisaanul ‘Arab, 2/615-617).

Bagaimana pula ia membawa maksud ikhlas? Kita mungkin agak-agak faham maksud nasihat, bukan? Kita pun pernah dengar hadith yang berbunyi الدِّينُ النَّصِيحَةُ (agama itu adalah nasihat). Namun bagaimana pula dengan sambungan hadith tersebut: النَّصِيحَةُ لِلَّهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ (Agama itu ialah nasihat kepada Allah ‎ﷻ, kepada Rasul-Nya, dan kepada pemimpin-pemimpin orang-orang Islam dan kepada orang awam). Kalau nasihat kepada pemimpin dan orang awam, kita boleh faham bab nasihat itu tetapi bagaimana ‘nasihat’ kepada Allah ‎ ﷻ dan Rasul pula? Itulah makna asal nasihah adalah ‘ikhlas’.

 

ما عَلَى المُحسِنينَ مِن سَبيلٍ

Tidak ada jalan sedikit pun untuk menyalahkan orang-orang yang berbuat baik.

Orang-orang yang tidak dapat pergi kerana keuzuran yang disebut tadi, tidak ada hukuman untuk mereka; juga jangan kita kata apa-apa yang tidak baik tentang mereka kerana kita tidak tahu bagaiman keadaan mereka yang sebenar.

Siapakah المُحسِنينَ? Mereka ini adalah orang yang baik, yang melakukan kebaikan. Sentiasa melakukan kebaikan dan menambah atas kebaikan itu. Malah mereka bukan sahaja berbuat baik untuk diri sendiri tetapi memberi kebaikan kepada orang lain juga.

 

وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang,

Kalau mereka benar-benar tidak boleh berjihad, maka Allah ﷻ akan ampunkan mereka (jika mereka ikhlas) kerana Allah ﷻ itu bersifat Maha Penyayang dan Allah ﷻ tidak menyusahkan hamba-Nya. Kalau memang tidak boleh, Allah ﷻ tidak paksa.

Selalu di dalam Al-Qur’an, apabila Allah ﷻ menyebut sifat-Nya غَفورٌ digandingkan dengan sifat رَّحيمٌ juga. Kenapa? Kerana Allah ﷻ hendak memberitahu yang Dia bukan sahaja memaafkan (menutup dosa) itu tetapi selepas Dia maafkan, dia akan sayangkan hamba itu. Ini berbeza dengan kita, kadangkala selepas kita maafkan, kita masih ada lagi rasa marah atau dendam dengan orang yang telah membuat kesalahan kepada kita. Mungkin sukar untuk melupakan serta menghilangkan perasaan terkilan, terluka itu. Akan tetapi Allah ﷻ sangatlah penyayang sampaikan jikalau telah bertaubat, Allah ﷻ akan masukkan ke dalam senarai hamba yang disayangi-Nya. Maka ini sepatutnya menjadi motivasi kepada kita hamba-Nya untuk segera bertaubat.


 

Tawbah Ayat 92: Ini ada satu lagi golongan yang dimaafkan kerana tidak pergi berjihad.

وَلا عَلَى الَّذينَ إِذا ما أَتَوكَ لِتَحمِلَهُم قُلتَ لا أَجِدُ ما أَحمِلُكُم عَلَيهِ تَوَلَّوا وَّأَعيُنُهُم تَفيضُ مِنَ الدَّمعِ حَزَنًا أَلّا يَجِدوا ما يُنفِقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Nor [is there blame] upon those who, when they came to you that you might give them mounts, you said, “I can find nothing for you to ride upon.” They turned back while their eyes overflowed with tears out of grief that they could not find something to spend [for the cause of Allāh].

(MALAY)

dan tiada (pula) berdosa atas orang-orang yang apabila mereka datang kepadamu, supaya kamu memberi mereka kenderaan, lalu kamu berkata: “Aku tidak memperoleh kenderaan untuk membawamu”. Lalu mereka kembali, sedang mata mereka bercucuran air mata kerana kesedihan, lantaran mereka tidak memperoleh apa yang akan mereka nafkahkan.

 

وَلا عَلَى الَّذينَ إِذا ما أَتَوكَ لِتَحمِلَهُم

dan tiada (pula) berdosa atas orang-orang yang apabila mereka datang kepadamu, supaya kamu memberi mereka kenderaan,

Ada juga yang datang mengadap kepada Nabi Muhammad ﷺ supaya baginda memberikan mereka kenderaan untuk dibawa keluar jihad. Mereka memang hendak sangat pergi berjihad, namun mereka itu dhaif, tidak mempunyai kuda atau unta, tidak ada biaya untuk membeli unta atau kuda.

Situasi ini adalah untuk perang yang memerlukan kenderaan seperti Perang Tabuk, yang memakan perjalanan yang jauh. Namun ada juga perang yang mempunyai tentera pejalan kaki. Kalau zaman sekarang, tentulah berkenaan dengan kenderaan seperti kereta dan sebagainya. Hendaklah dibaca ayat ini bersesuai dengan zaman.

Berkenaan dengan kenderaan unta, terdapat sebuah hadith yang masyhur tentang Saidina Uthman رضي الله عنه yang menginfakkan 300 ekor unta untuk Perang Tabuk ini. Kita lihat hadithnya dahulu,

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ خَبَّابٍ قَالَ شَهِدْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَحُثُّ عَلَى جَيْشِ الْعُسْرَةِ فَقَامَ عُثْمَانُ بْنُ عَفَّانَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ عَلَيَّ مِائَةُ بَعِيرٍ بِأَحْلَاسِهَا وَأَقْتَابِهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ ثُمَّ حَضَّ عَلَى الْجَيْشِ فَقَامَ عُثْمَانُ بْنُ عَفَّانَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ عَلَيَّ مِائَتَا بَعِيرٍ بِأَحْلَاسِهَا وَأَقْتَابِهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ ثُمَّ حَضَّ عَلَى الْجَيْشِ فَقَامَ عُثْمَانُ بْنُ عَفَّانَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ عَلَيَّ ثَلَاثُ مِائَةِ بَعِيرٍ بِأَحْلَاسِهَا وَأَقْتَابِهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَأَنَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَنْزِلُ عَنْ الْمِنْبَرِ وَهُوَ يَقُولُ مَا عَلَى عُثْمَانَ مَا عَمِلَ بَعْدَ هَذِهِ مَا عَلَى عُثْمَانَ مَا عَمِلَ بَعْدَ هَذِهِ
Daripada [Abdurrahman bin Khabbab] dia berkata; Aku melihat Nabi ﷺ ketika baginda memberi cadangan terhadap pasukan ‘Usrah (pasukan Tabuk). Lalu ‘Uthman bin ‘Affan berdiri sambil berkata; “Wahai Rasulullah, aku akan memberikan seratus unta lengkap dengan muatan dan pelananya untuk (berjuang) di jalan Allah ﷻ.” Kemudian baginda memberi cadangan terhadap pasukan tersebut, maka Uthman bin ‘Affan berdiri sambil berkata; “Wahai Rasulullah, saya tambah dua ratus lagi lengkap dengan muatan dan pelananya untuk (berjuang) di jalan Allah ﷻ.” Kemudian baginda memberi cadangan terhadap tentara, maka Uthman bin ‘Affan berdiri sambil berkata; “Wahai Rasulullah, aku akan menambah tiga ratus unta lagi lengkap dengan muatan dan pelananya untuk (berjuang) di jalan Allah ﷻ.” Maka aku melihat Rasulullah ﷺ turun dari mimbar sambil bersabda: “Maka tidak ada lagi yang dapat membahayakan Uthman setelah kebaikannya ini, tidak ada lagi yang dapat membahayakan Uthman setelah kebaikannya ini (dosa dan kesalahannya terampuni baik yang lalu dan akan datang -pent).”
(Sunan Tirmidzi (3633))
Status: Dhaif

Nota: Kisah ini masyhur akan tetapi hadith sandarannya adalah dhaif. Kita masukkan di sini kerana ramai kitab tafsir menyebutkan tentang hal ini.

 

قُلتَ لا أَجِدُ ما أَحمِلُكُم عَلَيهِ

lalu kamu berkata: “Aku tidak memperoleh kenderaan untuk membawamu”. 

Mereka datang kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk meminta kenderaan untuk pergi ke Tabuk, lalu baginda jawab yang baginda tidak ada kenderaan untuk mereka. Tidak ada unta atau kuda untuk diberikan kepada mereka. Kerana waktu itu Islam dalam keadaan yang susah lagi, tidak ada harta.

 

تَوَلَّوا وَّأَعيُنُهُم تَفيضُ مِنَ الدَّمعِ حَزَنًا أَلّا يَجِدوا ما يُنفِقونَ

Lalu mereka berpaling, sedang mata mereka bercucuran air mata kerana kesedihan, kerana mereka tidak ada apa yang untuk mereka nafkahkan.

Lalu mereka itu terpaksa pergi dari sisi Nabi ﷺ dengan air mata mereka mencurah-curah kerana sedih mereka tidak ada apa harta untuk diinfakkan ke jalan Allah ﷻ. Sebenarnya ayat ini menyebut ‘mata’ mereka yang melimpah. Ini menambah maksud betapa sedihnya hati mereka kerana tidak dapat menyertai jihad itu.

Ini menunjukkan mereka benar-benar ikhlas. Mereka memang hendak pergi, namun apakan daya. Mereka ini menangis dan sedih bukannya kerana tidak dapat harta tetapi kerana tidak dapat berjihad (yang mungkin boleh menyebabkan nyawa mereka melayang!). Bandingkan dengan puak munafik – ada yang kaya dan mampu, tetapi mereka enggan pergi. Apabila mereka diizinkan untuk tidak berperang, mereka suka pula. Berbeza sekali dengan mereka yang benar-benar ikhlas itu.

Ibn Kathir di dalam kitab tafsirnya telah menukilkan asbabun nuzul bagi ayat ini,

وقال محمد بن إسحاق في سياق غزوة تبوك : ثم إن رجالا من المسلمين أتوا رسول الله – صلى الله عليه وسلم – وهم البكاءون – وهم سبعة نفر من الأنصار وغيرهم ، من بني عمرو بن عوف : سالم بن عمير وعلبة بن زيد أخو بني حارثة ، وأبو ليلى عبد الرحمن بن كعب ، أخو بني مازن بن النجار ، وعمرو بن الحمام بن الجموح ، أخو بني سلمة ، وعبد الله بن المغفل المزني ؛ وبعض الناس يقول : بل هو عبد الله بن عمرو المزني ، وهرمي بن عبد الله ، أخو بني واقف ، وعرباض بن سارية الفزاري ، فاستحملوا رسول الله – صلى الله عليه وسلم – وكانوا أهل حاجة ، فقال : لا أجد ما أحملكم عليه فتولوا وأعينهم تفيض من الدمع حزنا ألا يجدوا ما ينفقون .
Muhammad ibnu Ishaq dalam konteks riwayat mengenai Perang Tabuk mengatakan bahawa ada segolongan kaum lelaki datang menghadap Rasulullah ﷺ sambil menangis, mereka adalah tujuh orang yang terdiri dalam kalangan Ansar dan lain-lainnya. Daripada Bani Amr ibnu Auf adalah Salim ibnu Umair, lalu Ulayyah ibnu Zaid (saudara lelaki Bani Harisah), Abu Laila Abdur Rahman ibnu Ka’b (saudara lelaki Bani Mazin ibnun Najjar), Amr ibnul Hamam ibnul Jamuh (saudara lelaki Bani Salamah), dan Abdullah ibnul Mugaffal Al-Muzani. Menurut sebahagian orang, dia adalah Abdullah ibnu Amr Al-Muzani, lalu Harami ibnu Abdullah (saudara lelaki Waqif), dan Iyad ibnu Sariyah Al-Fazzari. Mereka meminta kenderaan kepada Rasulullah ﷺ agar dapat berangkat berjihad, kerana mereka adalah orang-orang yang tidak mampu. Maka Rasulullah ﷺ bersabda, seperti yang disebut oleh firman-Nya:
“Aku tidak memperoleh kenderaan untuk membawa kalian,” nescaya mereka kembali, sedangkan mata mereka bercucuran air mata kerana kesedihan, lantaran mereka tidak memperoleh apa yang akan mereka nafkahkan.

Ada daripada golongan mereka ini adalah Ahli Suffah iaitu mereka yang tinggal di serambi Masjid Nabi. Mereka itu tidak ada harta langsung malah baju pun tidak ada. Namun mereka memiliki iman yang tebal dan bersedia untuk berjihad. Begitulah mereka itu telah bersedia untuk berjihad akan tetapi terhalang kerana kefakiran mereka. Ini kerana Allah ﷻ uji mujahideen bukan sahaja dengan jiwa dan badan mereka tetapi dengan harta juga. Akan tetapi mereka yang mahu pergi tetapi terhalang itu tetap mendapat pahala walaupun tidak menyertai jihad secara fizikal. Rasulullah ﷺ telah bersabda,

عَنْ مُوسَى بْنِ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَقَدْ تَرَكْتُمْ بِالْمَدِينَةِ أَقْوَامًا مَا سِرْتُمْ مَسِيرًا وَلَا أَنْفَقْتُمْ مِنْ نَفَقَةٍ وَلَا قَطَعْتُمْ مِنْ وَادٍ إِلَّا وَهُمْ مَعَكُمْ فِيهِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَكَيْفَ يَكُونُونَ مَعَنَا وَهُمْ بِالْمَدِينَةِ فَقَالَ حَبَسَهُمْ الْعُذْرُ
Daripada [Musa bin Anas bin Malik رضي الله عنه], daripada [ayahnya], bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Sungguh aku telah meninggalkan di Madinah beberapa orang, tidaklah kalian melakukan suatu perjalanan dan memberikan suatu infak serta melewati sebuah bukit melainkan mereka bersama dengan kalian.” Mereka berkata; wahai Rasulullah, bagaimana mereka bersama dengan kami sementara mereka berada di Madinah? Baginda berkata: “Mereka tertahan oleh uzur.”
(Sahih Bukhari (2147))

Ayat ini mengajar kita kemiskinan bukanlah penghalang untuk menjadi ahli syurga. Jangan dek kerana miskin harta, kita juga miskin ilmu. Kerana itulah ilmu agama ini perlu disampaikan juga kepada golongan yang miskin. Jangan dikenakan yuran kepada mereka kerana mereka hendak makan pun payah.

Nota: Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata).

Jamak bagi عين boleh bermaksud dua sama ada أعيُن atau عُيُون dan kedua-duanya digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air.


 

ALASAN-ALASAN YANG TIDAK SAH

Tawbah Ayat 93: Ayat zajrun. Mereka yang mendapat teguran kerana tidak menyertai jihad walaupun mampu.

۞ إِنَّمَا السَّبيلُ عَلَى الَّذينَ يَستَئذِنونَكَ وَهُم أَغنِياءُ ۚ رَضوا بِأَن يَكونوا مَعَ الخَوالِفِ وَطَبَعَ اللَّهُ عَلىٰ قُلوبِهِم فَهُم لا يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The cause [for blame] is only upon those who ask permission of you while they are rich. They are satisfied to be with those who stay behind, and Allāh has sealed over their hearts, so they do not know.

(MALAY)

Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang-orang yang meminta izin kepadamu, padahal mereka itu orang-orang kaya. Mereka rela berada bersama orang-orang yang tidak ikut berperang dan Allah telah mengunci mati hati mereka, maka mereka tidak mengetahui (akibat perbuatan mereka).

 

إِنَّمَا السَّبيلُ عَلَى الَّذينَ يَستَأذِنونَكَ وَهُم أَغنِياءُ

Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang-orang yang meminta izin kepadamu, padahal mereka itu orang-orang kaya.

Sebenarnya jalan untuk menerima hukuman daripada Allah ﷻ adalah ke atas mereka yang meminta izin kepada untuk tidak berjihad, sedangkan mereka mampu. Mereka memiliki wang untuk infak dan mempunyai kenderaan dan belanja untuk pergi berjihad. Mereka juga sihat tubuh badan. Maka mereka sebenarnya tidak ada alasan untuk tidak pergi. Kepada mereka ini, bolehlah dipersalahkan, bolehlah dimarahi.

 

رَضوا بِأَن يَكونوا مَعَ الخَوالِفِ

Mereka rela berada bersama orang-orang yang tidak ikut berperang

Mereka berasa seronok pula boleh duduk tinggal bersama-sama dengan golongan wanita, kanak-kanak dan mereka yang tidak keluar berjihad (kerana ada alasan yang sah). Mereka lebih suka tidak menjalankan tanggungjawab mereka, berbanding pergi berjihad demi memperolehi ganjaran yang amat besar. Ternyata mereka telah tersalah pilih dalam membuat keputusan.

 

وَطَبَعَ اللَّهُ عَلىٰ قُلوبِهِم فَهُم لا يَعلَمونَ

dan Allah telah mengunci mati hati mereka, maka mereka tidak mengetahui

Sebab sebenarnya mereka jadi begitu adalah kerana Allah ﷻ telah kunci mati hati (khatmul qalbi) mereka dan kerana itu mereka tidak memahami mana yang baik dan mana yang buruk. Hati mereka sudah tertutup sampai mereka tidak berasa salah dan rugi pun kalau tidak berjihad.

Allah ﷻ tutup mati hati mereka kerana mereka sendiri telah berkali-kali menolak hidayah dan tidak berusaha untuk mendapat hidayah.

Mentadabburi ayat-ayat ini amat menakutkan kita. Kalaulah kita sendiri yang diajak untuk berjihad, adakah kita akan pergi? Mungkin kita sedap sahaja membaca tentang kesalahan golongan Munafik ini, namun entah-entah kita pun termasuk dalam golongan mereka? Entah-entah kita ini munafik? Ya mungkin mungkin kita bukan Munafik Akidah, tetapi bagaimanakah dengan Munafik Amalan? Adakah kita terselamat? Maka ayat-ayat ini mengingatkan kita untuk selami diri kita dan perbetulkan di mana yang salah. Cuba bayangkan kalau kita yang berada di kedudukan mereka, adakah kita akan sertai jihad itu? Atau kita pun sama sahaja seperti mereka yamg mendatangkan seribu satu alasan?

TAMAT JUZ 10


 

Tawbah Ayat 94:

يَعتَذِرونَ إِلَيكُم إِذا رَجَعتُم إِلَيهِم ۚ قُل لّا تَعتَذِروا لَن نُّؤمِنَ لَكُم قَد نَبَّأَنَا اللَّهُ مِن أَخبارِكُم ۚ وَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُم وَرَسولُهُ ثُمَّ تُرَدّونَ إِلىٰ عٰلِمِ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They will make excuses to you when you have returned to them. Say, “Make no excuse – never will we believe you. Allāh has already informed us of your news [i.e., affair]. And Allāh will observe your deeds, and [so will] His Messenger; then you will be taken back to the Knower of the unseen and the witnessed,¹ and He will inform you of what you used to do.”

  • See footnotes to 6:73.

(MALAY)

Mereka (orang-orang munafik) mengemukakan ‘uzurnya kepadamu, apabila kamu telah kembali kepada mereka (dari medan perang). Katakanlah: “Janganlah kamu mengemukakan ‘uzur; kami tidak percaya lagi kepadamu, (kerana) sesungguhnya Allah telah memberitahukan kepada kami beritamu yang sebenarnya. Dan Allah serta Rasul-Nya akan melihat amalmu, kemudian kamu dikembalikan kepada Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahukan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.

 

يَعتَذِرونَ إِلَيكُم إِذا رَجَعتُم إِلَيهِم

Mereka (orang-orang munafik) mengemukakan ‘uzurnya kepadamu, apabila kamu telah kembali kepada mereka (dari medan perang).

Apabila Nabi Muhammad ﷺ dan para mukmin pulang dari medan Perang Tabuk, puak munafik telah datang berjumpa dengan para mukmin dan mereka memberi dalih dan alasan kenapa mereka tidak menyertai puak mukmin di medan jihad. Allah ﷻ beritahu perkara ini sebelum mereka tiba di Madinah lagi.

 

قُل لّا تَعتَذِروا لَن نُؤمِنَ لَكُم

Katakanlah: “Janganlah kamu mengemukakan ‘uzur; kami tidak percaya lagi kepadamu, 

Allah ﷻ suruh para sahabat beritahu kepada mereka: “Tidak perlulah beri alasan, kami tidak akan percaya”.

Allah ﷻ beritahu kepada golongan mukmin supaya jangan lagi percaya kepada mereka. Sebelum ini mereka kata Nabi Muhammad ﷺ hanya dengar dan terima sahaja apa alasan mereka. Namun sekarang, jangan lagi percaya kepada mereka dan para sahabat pun diberitahu perkara yang sama.

 

قَد نَبَّأَنَا اللَّهُ مِن أَخبارِكُم

sesungguhnya Allah telah memberitahukan kepada kami beritamu yang sebenarnya. 

Beritahu kepada puak munafik itu, sebab tidak akan percaya lagi kepada mereka, kerana Allah ﷻ sendiri telah menceritakan segala perangai dalaman mereka, apa yang ada dalam hati mereka. Allah ﷻ telah bongkarkan di dalam Al-Qur’an ini. Allah ﷻ telah beritahu apa yang ada dalam hati mereka dan apa yang mereka tunjukkan di luaran tidak sama. Zahir sahaja mereka nampak Mukmin tetapi dalam hati, tidak.

 

وَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُم وَرَسولُهُ

Dan Allah serta Rasul-Nya akan melihat amalmu, 

Beritahu kepada mereka, selepas ini Allah ﷻ akan lihat amalan kamu, sama ada ikhlas atau tidak. Sama ada kamu mahu bertaubat atau tidak. Kalau kamu bertaubat, Allah ﷻ boleh terima taubat kamu itu.

Rasulullah ﷺ juga akan lihat. Maka ubahlah sikap kamu dan akidah kamu itu.

 

ثُمَّ تُرَدّونَ إِلىٰ عٰلِمِ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ

kemudian kamu dikembalikan kepada Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata,

Kemudian para sahabat disuruh mengingatkan puak Munafik itu yang mereka akan bertemu Allah ﷻ bila mati nanti, kepada Allah ﷻ yang tahu perkara yang ghaib dan nyata. Mereka tidak boleh menipu Allah ﷻ kerana Allah ﷻ tahu segalanya. Kalau mereka rasa mereka telah berjaya menipu Rasulullah ﷺ dan golongan Mukmin, ingatlah yang mereka tidak akan dapat menipu Allah ﷻ.

Di sini disebut الغَيبِ dan الشَّهٰدَةِ. Allah ﷻ sebut الغَيبِ dahulu kerana itulah yang membezakan antara Allah ﷻ dan makhluk. Ini kerana untuk الشَّهٰدَةِ itu, kita manusia pun boleh nampak kerana ia adalah sesuatu yang nyata. Akan tetapi dalam boleh tahu itu pun, pemahaman kita masih lagi terbatas. Contoh mudah perkara zahir yang sepatutnya kita boleh nampak dan dengar seperti tiga orang anak kita masing-masing berebut mahu bercerita serentak kepada kita, pasti kita tidak mampu menangkap setiap butir patah perkataan mereka tuturkan.

 

فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ

lalu Dia memberitahukan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.

Ingatkan mereka yang nanti Allah ﷻ akan menceritakan semula segala perbuatan mereka yang pernah mereka lakukan. Cerita semula itu bukan untuk saja-saja tetapi untuk membalas segala perbuatan buruk mereka dengan adil.

Oleh itu, kena ingat yang balasan yang diberikan kepada kita adalah setimpal dengan amal perbuatan kita. Allah ﷻ bukan menilai ilmu yang kita ada, tetapi amal perbuatan kita. Tiada guna ilmu melangit tetapi tidak diamalkan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 14 Julai 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah Tawbah Ayat 85 – 89 (Jangan terpesona dengan golongan Munafik)

Tawbah Ayat 85: Ayat takhwif duniawi dan ukhrawi.

وَلا تُعجِبكَ أَموٰلُهُم وَأَولٰدُهُم ۚ إِنَّما يُريدُ اللَّهُ أَن يُعَذِّبَهُم بِها فِي الدُّنيا وَتَزهَقَ أَنفُسُهُم وَهُم كٰفِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And let not their wealth and their children impress you. Allāh only intends to punish them through them in this world and that their souls should depart [at death] while they are disbelievers.

(MALAY)

Dan janganlah harta benda dan anak-anak mereka menarik hatimu. Sesungguhnya Allah menghendaki akan mengazab mereka di dunia dengan harta dan anak-anak itu dan agar melayang nyawa mereka, dalam keadaan kafir.

 

وَلا تُعجِبكَ أَموٰلُهُم وَأَولٰدُهُم

Dan janganlah harta benda dan anak-anak mereka menarik hatimu.

Allah ﷻ mengingatkan kita supaya jangan terpikat dengan harta mereka yang banyak dan anak pinak mereka yang ramai. Anak pinak itu juga boleh ditafsirkan sebagai para pengikut.

Ini adalah kali kedua perkara ini disebut. Ayat ini telah disebut dalam ayat 55 sebelum ini cuma ada beza pada permulaan ayat di mana dalam ayat 55, ia dimulakan dengan فلا تعجبك. Apabila harf ف digunakan, ia bermaksud sambungan daripada ayat sebelumnya. Di dalam ayat 85 ini, ia dimulakan dengan harf و yang membawa maksud ini adalah tajuk atau perenggan yang baru.

Allah ﷻ ingatkan supaya jangan terpesona dengan kesenangan hidup golongan Munafik itu. Ini adalah kerana selepas Perang Tabuk, akan ada perang lain lagi, bukan? Peperangan akan dijalankan, sudah tentu memerlukan belanja yang besar dan infak yang banyak daripada umat Islam. Maka ada kemungkinan pemimpin Islam ada rasa memerlukan pertolongan mereka yang Munafik itu. Namun Allah ﷻ ingatkan, jangan minta daripada mereka, jangan ambil dari mereka.

Ayat ini sama dengan firman Allah ﷻ yang mengatakan:

وَلا تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ إِلَى مَا مَتَّعْنَا بِهِ أَزْوَاجًا مِنْهُمْ زَهْرَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا لِنَفْتِنَهُمْ فِيهِ وَرِزْقُ رَبِّكَ خَيْرٌ وَأَبْقَى
Dan janganlah kamu tujukan kedua matamu kepada apa yang telah Kami berikan kepada golongan-golongan daripada mereka, sebagai bunga kehidupan dunia untuk Kami uji mereka dengannya. Dan kurnia Tuhan kamu adalah lebih baik dan lebih kekal.

(Taha: 131)

Maka jangan kita terpengaruh dengan kekayaan dan kesenangan orang lain. Mungkin ada yang melihat golongan Munafik yang tidak mengamalkan Islam dengan sempurna tetapi mendapat rezeki yang banyak dan hidup senang lenang pula dengan anak-anak dan pengikut yang ramai. Allah ﷻ kata tidak perlu ta’jub dengan kesenangan mereka itu. Itu rezeki mereka dan bahagian mereka daripada qadar Allah ﷻ. Buang masa sahaja kalau kita terpengaruh dan bercita-cita teringin menjadi seperti mereka.

Satu lagi jangan dengki juga dengan mereka. Dengki ini satu perasaan yang akan memakan diri sendiri sahaja dan menidakkan qada’ dan qadar Allah ﷻ. Sabda Rasulullah ﷺ:

لاَ حَسَدَ إِلاَّ فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالاً فَسُلِّطَ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الْحَقِّ، وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْحِكْمَةَ، فَهْوَ يَقْضِي بِهَا وَيُعَلِّمُهَا
Perasaan hasad dan dengki itu dilarang kecuali pada dua perkara: dengki terhadap seseorang yang Allah ﷻ kurniakan kepadanya harta dan dia membelanjakannya pada jalan kebenaran, serta seseorang yang dikurniakan hikmah dan dia berhukum dengannya dan mengajarkannya.
(Sahih al-Bukhari (73))

Kalau dilihat kepada lafaz ayat ini, seolah-olah ia ditujukan kepada Rasulullah ﷺ. Sebenarnya ia ditujukan kepada kita cuma khitabnya sahaja kepada Rasulullah ﷺ untuk baginda sampaikan kepada umat. Ini kerana kita tahu yang Rasulullah ﷺ tidak terkesan pun dengan harta yang ada pada manusia. Apa-apa sahaja yang ada baginda, baginda akan infakkan seperti disebut dalam banyak hadith, antaranya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – أَجْوَدَ النَّاسِ ، وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِى رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ ، وَكَانَ يَلْقَاهُ فِى كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ ، فَلَرَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ
Rasulullah ﷺ adalah orang yang paling dermawan. Dan kedermawanannya memuncak pada bulan Ramadhan ketika Jibril عليه السلام menemuinya. Jibril عليه السلام menemuinya setiap malam untuk tadarus Al-Qur’an. Sungguh Rasulullah ﷺ lebih murah hati melakukan kebaikan daripada angin yang bertiup.
(Sahih Bukhari No. 6)

Harta baginda bukannya menimbun, malah kalau ada sahaja harta, baginda akan sedekahkan seperti contoh,

عَنْ عُقْبَةَ قَالَ صَلَّيْتُ وَرَاءَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْمَدِينَةِ الْعَصْرَ فَسَلَّمَ ثُمَّ قَامَ مُسْرِعًا فَتَخَطَّى رِقَابَ النَّاسِ إِلَى بَعْضِ حُجَرِ نِسَائِهِ فَفَزِعَ النَّاسُ مِنْ سُرْعَتِهِ فَخَرَجَ عَلَيْهِمْ فَرَأَى أَنَّهُمْ عَجِبُوا مِنْ سُرْعَتِهِ فَقَالَ ذَكَرْتُ شَيْئًا مِنْ تِبْرٍ عِنْدَنَا فَكَرِهْتُ أَنْ يَحْبِسَنِي فَأَمَرْتُ بِقِسْمَتِهِ
Daripada [‘Uqbah رضي الله عنه] dia berkata, “Aku pernah solat ‘Asar di belakang Nabi ﷺ di kota Madinah. Setelah salam, tiba-tiba baginda berdiri dengan tergesa-gesa sambil melangkahi leher-leher orang ramai menuju sebahagian kamar isteri-isterinya. Orang-orang pun merasa hairan dengan ketergesa-gesaan baginda. Setelah itu baginda keluar kembali menemui orang ramai, dan baginda lihat orang-orang merasa hairan. Maka baginda pun bersabda: “Aku teringat dengan sebongkah emas yang ada pada kami. Aku khuatir itu dapat menggangguku, maka aku perintahkan untuk dibahagi-bahagikan.”
(Sahih Bukhari (804))

Baginda sebenarnya memang kaya (dari segi hakikat). Kaya itu maksudnya tidak memerlukan apa-apa. Allah ﷻ telah cukupkan bagi baginda sampaikan baginda berharap hanya kepada Allah ﷻ sahaja dan tidak memerlukan manusia dan harta. Ini seperti disebut dalam Dhuha: 8

وَوَجَدَكَ عائِلًا فَأَغنىٰ
Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan.

Ternyata yang miskin itu adalah mereka yang memiliki harta banyak tetapi berasa tidak cukup.

 

إِنَّما يُريدُ اللَّهُ أَن يُعَذِّبَهُم بِها فِي الدُّنيا

Sesungguhnya Allah menghendaki akan mengazab mereka di dunia dengan harta dan anak-anak itu

Sebenarnya, Allah ﷻ limpahkan kesenangan dan kekayaan kepada mereka kerana Allah ﷻ akan azab mereka di dunia ini lagi. Sebagai contoh, kerana mereka tidak infak, Allah ﷻ akan jadikan harta dan anak-anak mereka itu sebagai penyesalan untuk mereka nanti. Dengan kerana harta itu mereka jadi sibuk untuk jaga, untuk cari lagi harta kekayaan sampaikan terabai kehidupan dan keluarga. Hidup mereka tidak tenang dan mereka akan kepenatan ke sana dan ke sini.

Dengan anak pula mungkin anak-anak mereka tidak hormat mereka, buat perkara yang memalukan mereka, jadi penjenayah, hantar mereka ke rumah orang tua dan apa-apa sahaja boleh terjadi. Anak yang mereka banggakan semasa muda akhirnya memalukan mereka di masa tua. Di dunia lagi anak-anak itu tidak menjadi orang, apatah lagi apabila ibubapa itu sudah mati dan masuk ke alam kubur.

Di dunia mungkin ibubapa perlukan bantuan anak-anak untuk menjaganya selama 10 tahun sahaja, tetapi di alam kubur mereka lebih memerlukan bantuan daripada anaknya. Ini kerana anak-anak adalah ‘saham’ bagi ibubapanya. Supaya daripada amalan anak-anak terus mengalir menjadi pahala tambahan buat ibubapa itu. Ini seperti disebut di dalam sebuah hadith yang masyhur,

عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Daripada [Abu Hurairah رضي الله عنه], bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Apabila salah seorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariyah, ilmu yang bermanfa’at baginya dan anak soleh yang selalu mendoakannya.”
(Sahih Muslim (3084))

Namun kalau di dunia lagi mereka akan nampak yang anak-anak mereka itu tidak boleh diharap untuk bantu mereka selepas mereka tidak ada. Maknanya mereka sudah dibalas di dunia lagi supaya mereka akan rasa menyesal yang amat sangat. Harta dan anak-anak mereka itu yang akan menyeksa jiwa mereka nanti. Dalam ayat yang lain, Allah ﷻ berfirman:

أَيَحْسَبُونَ أَنَّمَا نُمِدُّهُمْ بِهِ مِنْ مَالٍ وَبَنِينَ نُسَارِعُ لَهُمْ فِي الْخَيْرَاتِ بَل لَا يَشْعُرُونَ
Apakah mereka sangka bahawa harta dan anak-anak yang Kami berikan kepada mereka itu (bererti bahawa) Kami bersegera memberikan kebaikan-kebaikan kepada mereka? Tidak, sebenarnya mereka tidak sedar. (Al-Mu’minun: 55-56)

Al-Hasan Al-Basri رحمه الله mengatakan bahawa makna yang dimaksudkan ialah mereka dibebani untuk membayar zakatnya dan menginfakkan sebahagian daripadanya di jalan Allah ﷻ (padahal semuanya itu tidak diterima daripada mereka).

Maka jangan pandang sangat dan kejar sangat harta di dunia ini. Di dalam Taghabun:15. Allah ﷻ memberitahu kita hakikat harta dan anak-anak itu,

إِنَّما أَموٰلُكُم وَأَولٰدُكُم فِتنَةٌ ۚ وَاللَّهُ عِندَهُ أَجرٌ عَظيمٌ
Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah cubaan (bagimu), dan di sisi Allah-lah pahala yang besar.

Allah ﷻ beritahu kita di sini yang harta dan anak-anak itu adalah fitnah (ujian). Kalau ujian, adakah manusia berbangga dengannya? Tentu tidak. Maka ia adalah sesuatu yang diberikan untuk menduga kita. Kalau kita tersilap langkah, kita akan binasa. Bukanlah harta dan anak-anak itu buruk terus, tetapi yang bahaya adalah kalau kita gagal dengan ujian itu sampai melupakan persediaan kita kepada akhirat.

Harta dan anak-anak juga boleh menyebabkan manusia berbangga dan rasa diri mereka serba cukup sampaikan mereka sudah tidak rasa mereka memerlukan Allah ﷻ lagi. Ini disebut dalam Alaq: 6-7

كَلَّآ إِنَّ ٱلإِنسَـٰنَ لَيَطغَىٰٓ
Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas,

أَن رَّءَاهُ ٱستَغنَىٰٓ
kerana dia melihat dirinya serba cukup.

Begitulah bahayanya harta ini sampaikan menyebabkan sifat materialistik dan hanya pentingkan dunia sahaja. Ramai manusia yang terpengaruh dengan gemerlapan kekayaan dan kesenangan orang lain. Maka orang itulah yang dijadikan sebagai idola mereka. Maka cara hidup mereka yang kaya raya itu dijadikan contoh dan bukannya orang berilmu. Lihatlah pengajaran yang Allah ﷻ beri dengan contoh Qarun di dalam Qasas: 79-80

فَخَرَجَ عَلىٰ قَومِهِ في زينَتِهِ ۖ قالَ الَّذينَ يُريدونَ الحَيَوٰةَ الدُّنيا يٰلَيتَ لَنا مِثلَ ما أوتِيَ قٰرونُ إِنَّهُ لَذو حَظٍّ عَظيمٍ
Maka keluarlah Qarun kepada kaumnya dalam kemegahannya. Berkatalah orang-orang yang menghendaki kehidupan dunia: “Moga-moga kiranya kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Qarun; sesungguhnya dia benar-benar mempunyai keberuntungan yang besar”.

Ramai masyarakat di sekeliling Qarun telah terpengaruh dengan materialistik kerana dikelabui oleh kekayaan Qarun. Alhamdulillah ada yang tidak terpengaruh dan mereka telah memberi nasihat kepada kaum itu. Ini adalah kerana mereka itu ada ilmu. Ada ilmu baru selamat ya tuan-tuan. Lihat apa mereka kata,

وَقالَ الَّذينَ أوتُوا العِلمَ وَيلَكُم ثَوابُ اللهِ خَيرٌ لِّمَن ءآمَنَ وَعَمِلَ صٰلِحًا وَلا يُلَقّٰها إِلَّا الصّٰبِرونَ
Berkatalah orang-orang yang dianugerahi ilmu: “Kecelakaan yang besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan tidak diperoleh pahala itu, kecuali oleh orang-orang yang sabar”.

 

وَتَزهَقَ أَنفُسُهُم وَهُم كٰفِرونَ

dan agar melayang nyawa mereka, dalam keadaan kafir.

Kalimat تَزهَقَ dari lafaz ز ه ق yang bermaksud ‘berpisah’. Maksudnya Allah ﷻ akan cabut nyawa daripada badan mereka dengan keadaan mereka kafir tidak beriman. Bukan sahaja mereka akan diseksa jiwa di dunia, di akhirat nanti pun mereka akan diseksa juga. Kerana mereka akan dicabut nyawa mereka dalam keadaan mereka kafir. Mereka tidak sempat mengucap syahadah dan mereka akan mati begitu sahaja.

Dan bila mereka mati dalam keadaan kafir, mereka akan diseksa sebagai orang kafir, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan mereka tidak akan keluar sampai bila-bila. Mereka mungkin nampak dari segi luaran sebagai orang Muslim dan mereka mengaku Muslim, tetapi mereka mati dalam keadaan kufur. Alangkah menakutkan sekali! Allah ﷻ sebut tentang hal ini di dalam Muzzammil: 11-13

وَذَرني وَالمُكَذِّبينَ أُولِي النَّعمَةِ وَمَهِّلهُم قَليلًا
Dan biarkanlah Aku sahaja membalas orang-orang yang mendustakan (bawaanmu) itu, orang-orang yang berada dalam kemewahan, dan berilah tempoh kepada mereka sedikit masa;

إِنَّ لَدَينا أَنكالًا وَجَحيمًا
Kerana sesungguhnya di sisi Kami disediakan (untuk mereka) belenggu-belenggu dan neraka yang menjulang-julang,

وَطَعامًا ذا غُصَّةٍ وَعَذابًا أَليمًا
Serta makanan yang menjadikan pemakannya tercekik, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Oleh kerana itu, harta mereka yang banyak itu menjadi istidraj bagi mereka – iaitu harta itu menarik-narik mereka untuk melakukan mungkar, bukannya melakukan kebaikan.

Sekali lagi Allah ﷻ sebut di dalam Muddaththir:11-17 dan kali ini disebut nikmat ada anak yang ramai. Bukan sahaja ramai, anak-anaknya itu membesar dan duduk bersamanya dan dia dapat selalu berjumpa. Akan tetapi dia tidak mengamalkan agama seperti yang sepatutnya maka mereka akan dibalas dengan azab seksa.

ذَرني وَمَن خَلَقتُ وَحيدًا
Biarkanlah Aku sahaja membalas orang yang Aku ciptakan dia (dalam keadaan) seorang diri

وَجَعَلتُ لَهُ مالًا مَّمدودًا
Dan Aku jadikan baginya harta kekayaan yang panjang,

وَبَنينَ شُهودًا
Serta anak pinak (yang ramai), yang sentiasa ada di sisinya.

وَمَهَّدتُ لَهُ تَمهيدًا
Dan Aku siapkan dia dengan segala persiapan.

ثُمَّ يَطمَعُ أَن أَزيدَ
Kemudian dia tamak, supaya Aku tambahi lagi;

كَلّا ۖ إِنَّهُ كانَ لِأَيَـٰتِنَا عَنيدًا
Tidak sekali-kali (akan ditambahi)! Kerana sesungguhnya dia menentang dengan degilnya ayat-ayat Kami

سَأُرهِقُهُ صَعودًا
Aku akan mengenakan dia dengan azab yang menaik.

 


 

MEREKA YANG TIDAK SETIA

Tawbah Ayat 86: Ayat zajrun (teguran) lagi kepada para munafik itu.

وَإِذا أُنزِلَت سورَةٌ أَن ءآمِنوا بِاللَّهِ وَجٰهِدوا مَعَ رَسولِهِ استَئذَنَكَ أُولُو الطَّولِ مِنهُم وَقالوا ذَرنا نَكُن مَّعَ القٰعِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when a sūrah was revealed [enjoining them] to believe in Allāh and to fight with His Messenger, those of wealth among them asked your permission [to stay back] and said, “Leave us to be with them who sit [at home].”

(MALAY)

Dan apabila diturunkan suatu surat (yang memerintahkan kepada orang munafik itu): “Berimanlah kamu kepada Allah dan berjihadlah berserta Rasul-Nya”, nescaya orang-orang yang sanggup di antara mereka meminta izin kepadamu (untuk tidak berjihad) dan mereka berkata: “Biarkanlah kami berada bersama orang-orang yang duduk”.

 

وَإِذا أُنزِلَت سورَةٌ أَن ءآمِنوا بِاللَّهِ وَجٰهِدوا مَعَ رَسولِهِ

Dan apabila diturunkan suatu surat (yang memerintahkan): “Berimanlah kamu kepada Allah dan berjihadlah berserta Rasul-Nya”, 

Ini apabila diturunkan mana-mana surah supaya manusia beriman dengan Allah ﷻ, beriman dengan Rasul, berlaku ikhlaslah dan jangan jadi munafik. Atau ia boleh bermaksud mana-mana ayat yang suruh mereka berjihad dengan Rasul. Mereka tidak akan suka kerana mereka tidak suka berjihad. Kerana mereka takut mati, tidak mahu susah dan kedekut untuk mengeluarkan harta mereka. Maka ayat-ayat sebegitu akan menyesakkan fikiran mereka.

Kesannya mereka tidak suka dengan Al-Qur’an secara umum. Maka begitulah juga dengan munafik zaman ini yang tidak suka belajar tafsir Al-Qur’an. Kerana bila belajar, maka akan adalah arahan yang mereka tidak mahu buat; dan ada larangan yang mereka tidak mahu tinggalkan. Jadi dari susah hati mereka, mereka terus sahaja tidak belajar dan terus berada dalam kejahilan wahyu. Mereka redha dengan kejahilan mereka.

 

استَئذَنَكَ أُولُو الطَّولِ مِنهُم

nescaya orang-orang yang sanggup di antara mereka meminta izin kepadamu

Izin yang dimaksudkan adalah mereka akan minta izin untuk tidak pergi berjihad. Yang permintaan izin itu datang dari أُولُو الطَّولِ iaitu daripada orang-orang yang sanggup, iaitu orang-orang kaya dan mampu dari kalangan mereka. Mereka cukup keperluan dari segi harta, cukup kuat tubuh badan; sepatutnya mereka boleh pergi, tidak ada alasan lagi. Namun mereka tetap mahu meminta izin untuk tinggal juga untuk tidak menyertai jihad. Oleh itu, permintaan izin ini datangnya daripada orang yang tidak sepatutnya diminta izin.

 

وَقالوا ذَرنا نَكُن مَّعَ القٰعِدينَ

dan mereka berkata: “Biarkanlah kami berada bersama orang-orang yang duduk”.

Mereka kata biarlah mereka tinggal duduk di Madinah sahaja, duduk dengan orang yang tidak boleh pergi kerana keuzuran, kerana sakit, wanita dan anak-anak. Mereka berkata biarkanlah mereka sendiri, jangan kacau mereka. Mereka mahu menjadi pondan agaknya kerana hendak duduk dengan golongan wanita.


 

Tawbah Ayat 87: Apakah kesan dan hukuman kepada mereka?

رَضوا بِأَن يَكونوا مَعَ الخَوالِفِ وَطُبِعَ عَلىٰ قُلوبِهِم فَهُم لا يَفقَهونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They were satisfied to be with those who stay behind, and their hearts were sealed over, so they do not understand.

(MALAY)

Mereka rela berada bersama orang-orang yang tidak berperang, dan hati mereka telah dikunci mati maka mereka tidak memahami (kebahagiaan beriman dan berjihad).

 

رَضوا بِأَن يَكونوا مَعَ الخَوالِفِ

Mereka rela berada bersama orang-orang yang tidak berperang, 

Mereka lebih suka duduk dengan golongan yang tinggal di belakang tidak berjihad, duduk di rumah seperti wanita dan kanak-kanak. Mereka tidak berasa malu pun malah mereka berasa bangga kerana mereka berjaya menyelamatkan diri mereka.

 

وَطُبِعَ عَلىٰ قُلوبِهِم

dan hati mereka telah dikunci mati 

Mereka jadi begitu, sebenarnya kerana hati mereka telah dikunci hati. Ini sudah sampai ke tahap Khotmul Qalbi. Mereka tidak akan ada peluang untuk mendapat hidayah lagi.

 

فَهُم لا يَفقَهونَ

maka mereka tidak memahami

Oleh kerana hati mereka telah dikunci, iaitu ditutup rapat daripada menerima hidayah, mereka tidak akan dapat memahami agama dan maksud jihad. Cakaplah bagaimana sekalipun, mereka tidak akan faham.


 

MEREKA YANG SETIA

Tawbah Ayat 88: Ayat tabshir (berita gembira). Selepas diberitahu tentang golongan yang tidak mahu berjihad, sekarang Allah ﷻ imbangkan dengan disebut golongan yang berjihad pula.

لٰكِنِ الرَّسولُ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ جٰهَدوا بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم ۚ وَأُولٰئِكَ لَهُمُ الخَيرٰتُ ۖ وَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But the Messenger and those who believed with him fought with their wealth and their lives. Those will have [all that is] good, and it is those who are the successful.

(MALAY)

Tetapi Rasul dan orang-orang yang beriman bersama dia, mereka berjihad dengan harta dan diri mereka. Dan mereka itulah orang-orang yang memperoleh kebaikan, dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.

 

لٰكِنِ الرَّسولُ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ جٰهَدوا بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم

Tetapi Rasul dan orang-orang yang beriman bersama dia, mereka berjihad dengan harta mereka dan diri mereka.

Puak munafik tidak mahu berjihad, akan tetapi Rasulullah ﷺ dan orang beriman dengan baginda, mereka berjihad dengan harta dan diri mereka. Mereka sanggup keluar berjihad dan mereka mengeluarkan harta mereka untuk menjayakan jihad – kerana jihad memerlukan belanja yang besar.

Sesiapa sahaja boleh kata mereka beriman, namun apakah tanda dan buktinya? Tanda orang mukmin ketika zaman Nabi ﷺ adalah mereka keluar berjihad bersama dengan baginda. Maka begitu jugalah dengan kita. Kalau tidak boleh berjihad sekarang, tetap kena ada niat; dan jikalau tidak ada jihad perang, maka kena jihad lisan (dakwah).

Di dalam ayat ini dan banyak lagi contoh ayat sebegini, Allah ﷻ akan sebut أَموٰلِ (harta) sebelum sebut أَنفُسِ (jiwa). Dari segi kepentingan, manakah yang lebih penting? Tentunya nyawa, bukan? Kalau dibandingkan antara mati dengan keluarkan belanja, tentu keluar belanja lebih mudah. Akan tetapi kenapa Allah ﷻ sebut harta dahulu? Allah ﷻ sebut harta walaupun ia lebih rendah nilainya adalah kerana harta yang lebih mudah dikeluarkan. Maka Allah ﷻ hendak lembutkan dengan sebut perkara yang lebih mudah dan ringan untuk dikorbankan iaitu harta.

Begitulah para Rasul dan sahabat mereka yang sanggup berjihad walaupun mengalami kepayahan yang amat tinggi. Seperti disebut di dalam Baqarah: 214. Akan tetapi inilah ujian yang mesti dihadapi oleh orang-orang Mukmin.

أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ وَلَمّا يَأتِكُم مَّثَلُ الَّذينَ خَلَوا مِن قَبلِكُم ۖ مَّسَّتهُمُ البَأساءُ وَالضَّرّاءُ وَزُلزِلوا حَتّىٰ يَقولَ الرَّسولُ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ مَتىٰ نَصرُ اللَّهِ ۗ أَلا إِنَّ نَصرَ اللَّهِ قَريبٌ
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).

 

وَأُولٰئِكَ لَهُمُ الخَيرٰتُ

Dan mereka itulah orang-orang yang memperoleh kebaikan,

Oleh kerana mereka sanggup berjihad, mereka akan diberi segala kebaikan yang banyak. Kalimah yang digunakan adalah الخَيرٰتُ sahaja tanpa diberikan pengkhususan maka ia boleh menjadi apa-apa sahaja bentuk kebaikan yang ditentukan oleh Allah ﷻ sendiri. Tidak perlu kita hendak risau, ia tentu baik dan hebat.

Tidak diberitahu di manakah mereka akan mendapat kebaikan itu, maka ia mungkin diberikan di dunia dan juga di akhirat sekali. Kebaikan itu boleh diberi ketika masih di dunia lagi hasil daripada jihad mereka. Sebagai contoh, mereka akan mendapat kemenangan dan memperoleh harta ghanimah yang banyak. Jika mereka kalah, mereka akan mati syahid dan pasti masuk syurga terus, tanpa perlu menunggu timbangan di Mahsyar. Sudah pasti mereka akan mendapat lebih banyak kebaikan di Akhirat.

Akan tetapi الخَيرٰتُ itu bukanlah seperti yang dianggap oleh golongan jahil seperti disebut dalam Mukminoon:55-61

أَيَحسَبونَ أَنَّما نُمِدُّهُم بِهِ مِن مّالٍ وَبَنينَ
Apakah mereka mengira bahawa harta dan anak-anak yang Kami berikan kepada mereka itu (bererti bahawa),

نُسارِعُ لَهُم فِي الخَيرٰتِ ۚ بَل لّا يَشعُرونَ
Kami bersegera memberikan kebaikan-kebaikan kepada mereka? Tidak, sebenarnya mereka tidak sedar.

Maka orang jahil itu menyangka harta yang banyak dan anak pinak yang ramai itulah yang dikira sebagai الخَيرٰتُ tetapi Allah ﷻ telah menafikannya di dalam Surah Mukminoon ini. Kemudian Allah ﷻ sebut siapa yang akan mendapat الخَيرٰتُ dan apakah yang mereka telah lakukan sehingga mereka layak mendapat الخَيرٰتُ itu. Kita sambung lagi daripada ayat-ayat Surah Mukminoon ini untuk mengetahuinya,

إِنَّ الَّذينَ هُم مِّن خَشيَةِ رَبِّهِم مُّشفِقونَ
Sesungguhnya orang-orang yang berhati-hati kerana takut akan Tuhan mereka,

وَالَّذينَ هُم بِئايٰتِ رَبِّهِم يُؤمِنونَ
Dan orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Tuhan mereka,

وَالَّذينَ هُم بِرَبِّهِم لا يُشرِكونَ
Dan orang-orang yang tidak mempersekutukan dengan Tuhan mereka (sesuatu apapun),

وَالَّذينَ يُؤتونَ ما آتَوا وَّقُلوبُهُم وَجِلَةٌ أَنَّهُم إِلىٰ رَبِّهِم رٰجِعونَ
Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut, (kerana mereka tahu bahawa) sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhan mereka,

أُولٰئِكَ يُسٰرِعونَ فِي الخَيرٰتِ وَهُم لَها سٰبِقونَ
mereka itu bersegera untuk mendapat kebaikan-kebaikan, dan merekalah orang-orang yang segera memperolehinya.

Jikalau kita hendak mendapatkan الخَيرٰتُ daripada Allah ﷻ ini, maka hendaklah kita ikut satu persatu perkara yang Allah ﷻ sebut di atas.

Apakah sandaran hadith pula?

Daripada Shuhaib, dia berkata, Rasulullah ﷺ bersabda,
عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
“Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin. Seluruhnya urusannya itu baik. Ini tidaklah didapati kecuali pada seorang mukmin. Jika mendapatkan kesenangan, maka dia bersyukur. Itu baik baginya. Jika mendapatkan kesusahan, maka dia bersabar. Itu pun baik baginya.”
(Sahih Muslim No. 2999)

Di dalam hadith di atas, Rasulullah ﷺ menyatakan orang Mukmin sebenar sentiasa mendapat خَيْرًا tidak kira dalam situasi senang ataupun susah. Namun bagaimanakah caranya untuk mendapat خَيْرًا ini? Bersyukur ketika senang dan bersabar ketika susah. Kalaulah seorang Muslim mampu menghayati dan mengamalkan dua perkara ini (kerana hidup ini memang antara dua sahaja, antara susah atau senang), maka itu pun sudah dikira الخَيرٰتُ. Kelebihan ini bukanlah semua orang ada. Ramai yang tidak bersyukur ketika mendapat kesenangan, dan kebanyakannya akan mengomel, merungut dan merengus apabila ditimpa kesusahan.

 

وَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.

Mereka itulah orang-orang yang benar-benar berjaya dunia dan akhirat. Kejayaan sebenar bukanlah kekayaan dan kesenangan di dunia ini, namun kejayaan sebenar adalah di akhirat kelak. Yang selamat di Akhiratlah yang benar-benar berjaya.


 

Tawbah Ayat 89: Ini adalah bayan (penerangan) kepada apakah الخَيرٰتُ itu.

أَعَدَّ اللَّهُ لَهُم جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها ۚ ذٰلِكَ الفَوزُ العَظيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh has prepared for them gardens beneath which rivers flow, wherein they will abide eternally. That is the great attainment.

(MALAY)

Allah telah menyediakan bagi mereka syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.

 

أَعَدَّ اللَّهُ لَهُم جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ

Allah telah menyediakan bagi mereka syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai,

Ini adalah penerangan tentang apakah الخَيرٰتُ yang dimaksudkan dalam ayat sebelum ini. Mereka yang berjihad itu akan dimasukkan ke dalam kebun-kebun syurga (bukan satu kebun tetapi ada banyak kebun). Allah ‎ﷻ telah menyediakan khas syurga itu untuk mereka. Ini sebagai dalil bahawa syurga dan begitu juga neraka sudah ada, telah siap dicipta.

Ini adalah janji daripada أَعَدَّ اللَّهُ لَهُم maka jangan kita khuatir akan perkara ini. Kalau Allah ﷻ sendiri yang memberitahunya, ia pasti terjadi. Malah apabila digunakan kalimah أَعَدَّ اللَّهُ لَهُم, ia bermaksud syurga-syurga itu telah ada menunggu ahlinya. Bukanlah telah Kiamat dan ketika hendak dimasukkan ahli syurga, barulah syurga dijadikan. Maknanya sekarang pun syurga sudah ada.

Disebut sungai mengalir di bawah rumah-rumah syurga itu sebagai menceritakan bagaimana hebat sekali tempat tinggal di syurga itu nanti. Ini kerana manusia memang sukakan air dan tinggal di kawasan yang ada air. Maka ini adalah motivasi untuk manusia melakukan amal kebaikan supaya mendapat tempat tinggal yang ada air di akhirat kelak.

Sungai-sungai itu pula bukanlah sungai biasa. Telah disebut sifat-sifat syurga itu di dalam ayat-ayat yang lain; antaranya ada 4 jenis sungai, ia di bawah kawalan ahli syurga itu dan sebagainya. Semuanya ini adalah untuk menarik minat manusia untuk berusaha bagi mendapatkannya.

 

خٰلِدينَ فيها

mereka kekal di dalamnya.

Mereka tidak perlu risau kalau-kalau nikmat syurga itu akan berakhir kerana mereka akan kekal di dalamnya. Mereka akan terus menikmati segala nikmat dalam syurga itu untuk selama-lamanya.

Kalau dapat duduk tinggal di tempat yang hebat tetapi tidak kekal, itu bukanlah nikmat yang sempurna. Ini kerana ada rasa takut yang kita akan dikeluarkan. Namun kalau di syurga nanti, tidak ada sesiapa pun yang akan dikeluarkan.

 

ذٰلِكَ الفَوزُ العَظيمُ

Itulah kemenangan yang besar.

Itulah kemenangan yang sebenar, kerana mereka terselamat daripada memasuki neraka. Maknanya, mereka telah melalui Titian Sirat (yang di atas neraka) dan mereka terselamat daripada ditarik ke dalam neraka. Itulah kemenangan tertinggi yang amat bernilai sekali, kerana mereka telah nampak bahaya dengan mata mereka sendiri. Alangkah leganya mereka apabila telah selamat daripada bahaya itu.

Habis Ruku’ 11 daripada 16 ruku’ dalam surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 12 Julai 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Takweer Ayat 1 – 14 (6 Perkara sebelum dan 6 selepas)

Pengenalan:

Surah ini adalah kesinambungan tentang kejadian pada hari Kiamat yang telah diceritakan di dalam Surah Abasa sebelum surah ini. Surah ini menerangkan dengan lebih lanjut lagi tentang hari kiamat menyambung apa yang telah disebut dalam surah-surah sebelum ini. Dalam surah ini juga ada tentang risalah – kenabian Nabi Muhammad ﷺ.

Akan terjadi enam perkara sebelum enam perkara pada Hari Kiamat nanti. Enam perkara selepas tiupan Sangkakala Pertama dan enam perkara lagi akan terjadi selepas tiupan yang kedua. Semua perkara ini akan terjadi sebelum Hisab Amal di Mahsyar. Surah ini menceritakan enam perkara yang pertama dan yang kedua.

Ar-Rabi’ ibnu Anas telah meriwayatkan dari Abul Aliyah, dari Ubay ibnu Ka’b yang mengatakan bahawa ada enam petanda sebelum hari kiamat. Iaitu ketika manusia sedang berada di pasar-pasar mereka, tiba-tiba cahaya matahari lenyap. Dan ketika mereka dalam keadaan demikian, tiba-tiba bintang-bintang jatuh berserakan. Dan ketika mereka dalam keadaan demikian, tiba-tiba gunung-gunung jatuh ke permukaan bumi (yang datar), lalu bergerak dan menimbulkan gempa yang hebat dan terjadilah huru-hara, maka jin merasa kaget dan berdatangan kepada manusia, begitu pula sebaliknya manusia berdatangan kepada jin kerana kaget. Haiwan-haiwan ternak, burung-burung, dan haiwan-haiwan liar sebahagian darinya bercampur baur dengan yang lainnya menjadi satu kerana terkejut dengan peristiwa itu. Dan apabila binatang-binatang liar dikumpulkan. (At-Takwir:5) Yakni bercampur aduk menjadi satu. Dan apabila unta-unta yang bunting ditinggalkan (tidak dipedulikan). (At-Takwir:4) Iaitu diabaikan oleh para pemiliknya (kerana mereka panik menyaksikan huru-hara hari kiamat itu). Dan apabila lautan dipanaskan. (At-Takwir:6)

Ini semua termasuk dalam ayat-ayat jenis takhwif ukhrawi.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ، أَخْبَرَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ بَحِيرٍ الْقَاصُّ: أَنَّ عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ يَزِيدَ الصَّنْعَانِيَّ أَخْبَرَهُ: أَنَّهُ سَمِعَ ابْنَ عُمَرَ يَقُولُ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “مَنْ سَرَّه أَنْ يَنْظُرَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُ رأيُ عَيْنٍ فَلْيَقْرَأْ: ” إِذَا الشَّمْسُ كُوِّرَتْ “، وَ ” وإذَا السَّمَاءُ انفَطَرَتْ “، وَ ” إِذَا السَّمَاءُ انْشَقَّتْ “

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abdur Razzaq, telah menceritakan kepada kami Abdullah ibnu Buhairul Qas, bahawa Abdur Rahman ibnu Yazid As-San’ani pernah menceritakan kepadanya bahawa dia pernah mendengar Ibnu Umar mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Barang siapa yang ingin memandang hari kiamat seakan-akan dia menyaksikannya dengan mata kepala sendiri, hendaklah dia membaca surat At-Takwir, surat Al-Infithar, dan surat Al-Insyiqaq.

Hal yang sama telah diriwayatkan oleh Imam Turmuzi, dari Al-Abbas ibnu Abdul Azim Al-Anbari, dari Abdur Razzaq dengan sanad yang sama.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 5 perenggan makro. Ayat 1 – 6 adalah Perenggan Makro Pertama dan ia adalah gambaran peringkat awal Kiamat. Ia adalah Peringkat Kehancuran Dunia. Maka sekarang Allah ﷻ akan beritahu apakah perkara pertama yang akan terjadi.

إِذَا الشَّمسُ كُوِّرَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

When the sun is wrapped up [in darkness]

(MALAY)

Apabila matahari digulung,

 

Surah ini berkenaan kejadian di Hari Kiamat nanti. Kalimat إِذَا adalah dalam bentuk present tense dan إِذ adalah dalam bentuk past tense. Jadi, apabila digunakan lafaz إِذَا dalam ayat ini, Allah ﷻ suruh kita yakin yang Hari Kiamat itu pasti akan berlaku. Ini lain dengan kalau digunakan ‘ان’ yang bermaksud ‘jika’. Kiamat itu satu kepastian, bukan kebarangkalian.

Allah ﷻ suruh kita bayangkan apabila matahari كُوِّرَت (dilingkari) cahayanya dan ia akan menjadi malap. Kerana apabila sesuatu dilingkari sampai tertutup, tentulah ianya tertutup terus, seperti matahari yang telah dililit itu.

Al-Qur’an menggunakan kalimat dalam bentuk past tense (كُوِّرَت) walaupun tidak terjadi lagi. Kenapa pula begitu? Sebab hendak menunjukkan bahawa ianya pasti akan terjadi. Ini adalah salah satu kehebatan dalam Bahasa Arab yang kena belajar baru dapat faham.

Dalam Bahasa Arab, kata kerja yang akan diletakkan dahulu dalam susunan ayat. Tetapi dalam ayat ini, subjek (الشَّمسُ) yang disebut dahulu. Walaupun dari segi nahu Bahasa Arab, ini tidak salah tetapi sudah terbalik dari yang kebiasaan. Dan kalau terbalik, itu suatu yang abnormal, memberi isyarat bahawa ada perkara yang hendak disampaikan secara tersirat.

Apakah perkara itu? Kita kena ingat yang surah-surah Juz Amma ini turun di Mekah dan khitab pertama adalah kepada orang-orang Mekah yang menolak dakwah tauhid dan mereka tidak percaya kepada Hari Kebangkitan. Jadi kerana bercakap dengan orang yang tidak percaya, Allah ﷻ ubah sikit susunan ayat supaya lain sedikit dari normal supaya menarik perhatian mereka.

Begitulah hebatnya Al-Qur’an dan sebahagian dari ilmu ini kita boleh dapat kalau kita belajar ilmu balaghah.

Apabila membicarakan perkara sebegini, iaitu tentang azab, Allah ﷻ bercakap dalam bentuk pasif. Maksudnya Allah ﷻ tidak sebut pun yang Dia ﷻlah yang menggulung matahari itu. Padahal, pada hakikatnya, memang Allah ﷻlah yang melakukannya.

Kalau kita tidak percaya dengan orang yang bercakap dengan kita, kita tidak mahu bercakap dengan dia atau yang disampaikan dari dia. Kerana sebelum cakap pun kita sudah tidak percaya. Oleh itu, Allah ﷻ gunakan dalam bentuk pasif sahaja, tidak sebut yang Dia ﷻ yang menggulung matahari itu.

Dari satu segi lain, Allah ﷻ buat begitu kerana hendak tekankan tentang kejadian itu sendiri. Jangan tengok kepada siapa yang bercakap (atau siapa yang melakukannya) tetapi lihatlah apa yang dikatakan. Dalam ayat ini, Allah ﷻ menekankan tentang perkara, bukan Diri-Nya. Jadi dalam ayat ini, Allah ﷻ tekankan tentang kejadian penggulungan matahari itu, sesuatu yang amat besar sekali.

Ayat ini dibacakan kepada mereka yang tidak mempercayai ayat-ayat Allah ﷻ. Maka lihatlah nanti apabila matahari yang hari-hari kamu tengok itu, akan padam cahayanya. Orang Arab waktu itu memang melihat matahari kerana mereka memang melihat alam sepanjang masa. Mereka tidak ada TV dan handphone hendak dihadap, jadi alam adalah sesuatu yang amat rapat dengan mereka.

Jadi kalau disebut yang matahari itu padam, tentu ia akan menarik perhatian mereka. Tentu mereka akan terkejut dan hendak melihat apakah yang akan disebutkan selepas itu. Oleh itu, Allah ﷻ mulakan dengan sesuatu yang amat mengejutkan untuk menarik perhatian mereka.

Untuk bayangkan bagaimana kejadian كُوِّرَ itu, bayangkan seperti melilit serban yang diikat keliling kepala dan menutup kepala. Bayangan yang hendak disampaikan dalam ayat ini, matahari akan ditutup cahayanya. Bayangkan matahari yang begitu kuat cahayanya, tetapi masih kena tutup cahayanya.


 

Ayat 2: Perkara kedua.

وَإِذَا النُّجومُ انكَدَرَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the stars fall, dispersing,

(MALAY)

dan apabila bintang-bintang berjatuhan,

 

Apabila bintang-bintang hilang warnanya (انكَدَرَ) dan jatuh berselerakan. Ia dari katadasar ك د ر yang bermaksud berlumpur, tidak jelas, hilang cahaya dan jatuh.

Orang Arab memang kebiasaan mereka melihat bintang. Malam-malam mereka tiada apa sangat hendak buat, jadi kadang-kadang mereka akan baring melihat bintang sahaja. Sampai kebiasaan mereka adalah tidur di atas bumbung rumah dinaungi bintang malam sahaja.

Sekarang memang kita tidak perasan warna bintang pun sebab kita jarang nampak. Sudahlah kita jarang tengok dan kalau hendak tengok pun, negara kita banyak awan, jadi bintang itu tidak berapa kelihatan. Tetapi orang Arab memang selalu tengok, dan apabila diceritakan yang bintang-bintang itu akan jatuh, adalah satu lagi kejadian yang menghairankan dan juga menakutkan bagi mereka. Maka berilah perhatian kepada ayat-ayat seterusnya.

Jadi siang dan malam pun akan hancur apabila datangnya Kiamat. Dalam ayat 1, tentang siang – apabila matahari dimalapkan; sekarang bintang yang keluar malam hari pun jadi malap juga. Siang tiada, malam pun tiada, apa lagi yang ada?


 

Ayat 3: Perkara ketiga.

وَإِذَا الجِبالُ سُيِّرَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the mountains are removed

(MALAY)

dan apabila gunung-gunung digerakkan,

 

Apabila gunung ganang bergerak, bergerak secara selamba. Bayangkan, gunung yang  dahulunya berdiri kukuh sekarang hancur dan bergerak begitu sahaja. سيرَ bermaksud bergerak dengan cara biasa, selamba. Ini adalah kerana gunung yang besar dan kukuh itu akan hancur dan menjadi debu dan terbang ditiup angin.

Mereka yang melihatnya nanti sampai tidak percaya dengan matanya sendiri. Ianya adalah sesuatu yang tidak disangka langsung. Kerana sekarang kalau gempa bumi pun, gunung masih berdiri kukuh.


 

Ayat 4: Perkara keempat.

وَإِذَا العِشارُ عُطِّلَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when full-term she-camels¹ are neglected

  • Those ten months pregnant and nearing delivery. This verse alludes to distraction from the most valued of possessions.

(MALAY)

dan apabila unta-unta yang bunting sepuluh bulan ditinggalkan (tidak diperdulikan)

 

Apabila unta yang telah bunting sepuluh bulan (العِشارُ dari ع ش ر yang bermaksud ‘sepuluh’) ditinggalkan begitu sahaja. Sebab semua orang sibuk dengan kejadian Hari Kiamat. Pada orang Arab, unta bunting 10 bulan begitu berharga sekali kerana sudah hampir hendak bersalin dan mereka tidak akan tinggalkan begitu sahaja kerana mereka sayang sangat kepada unta itu waktu itu. Kerana itulah harta mereka yang paling bernilai.

Tetapi itu pun tuannya buat sudah tidak kisah. Kerana waktu itu manusia sudah tidak fikirkan pun tentang harta benda mereka. Padahal semasa hidup dahulu mereka jaga sungguh, tetapi bila sudah Kiamat, terus lupa langsung apa yang mereka ada, apa yang mereka sayang.

Kalimah عطلَ bermaksud jadi tidak bernilai, tidak berguna lagi. Dibiarkan begitu sahaja. Tiada siapa yang kisah, dibiarkan jalan sendiri sahaja. Kerana semua sibuk dengan keadaan hari kiamat yang mengejutkan. Macam kalau rumah kita sedang terbakar, kita sudah tidak kisah tentang berapa duit kita dalam bank waktu itu bukan?

Memang nanti waktu Kiamat orang mungkin sudah tidak ada unta, tetapi ini adalah gambaran kepada keadaan di mana barang yang paling kita sayang, kita tinggalkan begitu sahaja.

Isyarat kepada kehamilan sudah disebut di sini. Nanti akan disebut tentang kehamilan lagi, apabila sampai pada ayat bagaimana anak perempuan yang baru lahir disebut.


 

Ayat 5: Perkara kelima.

وَإِذَا الوُحوشُ حُشِرَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the wild beasts are gathered

(MALAY)

dan apabila binatang-binatang liar dikumpulkan,

 

Binatang-binatang yang liar pun akan dihimpunkan. Sehingga mereka boleh datang berhimpun bersama di tempat manusia. Kalimah الوُحوشُ bermaksud binatang-binatang buas, yang dahulunya kalau keadaan normal tidak boleh duduk bersama. Jenis binatang yang tidak jinak dan tidak boleh dijinakkan.

Kalau di dunia, kejadian ini boleh terjadi semasa banjir dan ada kawasan kecil sahaja yang kering, jadi binatang datang dan berkumpul. Kalau jadi keadaan yang mengharukan, barulah semua akan kumpul di situ. Sekarang kalau keadaan biasa, binatang-binatang itu kalau nampak manusia, mereka akan lari jauh-jauh; tetapi kali ini mereka boleh berkumpul dengan manusia, kerana mereka pun takut juga.

Maknanya binatang pun akan terkesan dengan keributan Hari Kiamat itu sampai tidak kisah pun dengan kebiasaan mereka. Sebab ada perkara lain yang lebih besar lagi yang dirisaukan.

Dalam Surah Abasa sebelum ini, telah disebut bagaimana ada manusia lari dari sesama manusia, tetapi sekarang disebut binatang berkumpul. Kedua-dua perkara itu adalah lari dari kebiasaan. Kerana manusia selalunya berkumpul, tetapi hari akhirat mereka akan menjauhkan diri dari orang lain; binatang ini pula jenis duduk berjauhan antara satu sama lain, tetapi hari akhirat, mereka akan berkumpul.

Ini semua menceritakan tentang keadaan yang mengejutkan sangat sampai kebiasaan pun ditinggalkan dan jadi terbalik.


 

Ayat 6: Perkara keenam.

وَإِذَا البِحارُ سُجِّرَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the seas are filled with flame¹

  • Or “when the seas have overflowed [into each other].”

(MALAY)

dan apabila lautan dijadikan meluap

 

Apabila semua lautan di dunia ini akan menggelegak dan menjadi seperti minyak yang akan dinyalakan dan api akan memarak dengan teruk sekali. Ini memberi isyarat yang air lautan akan menjadi seperti minyak yang akan menyemarakkan api.

Sepatutnya air memadamkan api, bukan? Tetapi kali ini ia yang akan membakar pula. Ada yang kata ini mungkin kerana datang dari api yang berada di dasar laut. Kerana ada kajian yang mengatakan di bawah dasar laut itu ada kandungan larva dan larva itu akan melimpah ruah.

Habis tentang 6 perkara yang akan terjadi apabila Sangkakala Pertama ditiupkan.


 

Ayat 7: Ini pula adalah enam perkara yang terjadi selepas Tiupan Sangkakala Kedua. Iaitu selepas semua makhluk dihidupkan kembali. Ini perkara kedua yang akan berlaku.

Ayat 7 – 14 adalah Perenggan Makro Kedua surah ini. Ia adalah gambaran Peringkat Kedua Kiamat. Ini adalah Peringkat Manusia dibangkitkan daripada Kubur

وَإِذَا النُّفوسُ زُوِّجَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the souls are paired¹

  • With another like soul. It can also mean “joined” (with their groups or sects).

(MALAY)

dan apabila roh-roh dipertemukan

 

Apabila tiap-tiap diri akan dipasangkan dengan pasangannya (roh dan jasad). Selepas tiupan sangkakala kedua, semua roh akan ditemukan semua dengan badannya. Masa mati dahulu, roh diceraikan dari badan dan apabila dibangkitkan kembali, roh akan dipertemukan dengan tubuhnya semula.

Satu pendapat (daripada Saidina Umar رضي الله عنه) mengatakan maksud ayat ini adalah makhluk yang baik akan dipasangkan dengan makhluk yang baik juga, dan diri yang jahat akan dipasangkan dengan diri yang jahat juga. Pendapat ini dikuatkan lagi dengan ayat-ayat lain yang mengatakan manusia akan dibahagikan kepada tiga puak: ada puak kanan, puak kiri dan mereka yang dekat dengan Allah ﷻ (muqarraboon). Juga telah disebut dalam satu hadis:

قَالَ ابْنُ أَبِي حَاتِمٍ: حَدَّثَنَا أَبِي، حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الصَّبَّاحِ الْبَزَّارُ، حَدَّثَنَا الْوَلِيدُ بْنُ أَبِي ثَوْرٍ، عَنْ سمَاك، عَنِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ أَنَّهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: {وَإِذَا النُّفُوسُ زُوِّجَتْ} قَالَ: الضُّرَبَاءُ، كُلُّ رَجُلٍ مَعَ كُلِّ قَوْمٍ كَانُوا يَعْمَلُونَ عَمَلَهُ”، وَذَلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَقُولُ: {وَكُنْتُمْ أَزْوَاجًا ثَلاثَةً فَأَصْحَابُ الْمَيْمَنَةِ مَا أَصْحَابُ الْمَيْمَنَةِ وَأَصْحَابُ الْمَشْأَمَةِ مَا أَصْحَابُ الْمَشْأَمَةِ وَالسَّابِقُونَ السَّابِقُونَ} [الْوَاقِعَةِ: 7 -10] ، قَالَ: هُمُ الضُّرَبَاءُ

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami ayahku, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnus Sabah Al-Bazzar, telah menceritakan kepada kami Al-Walid ibnu Abu Saur, dari Sammak, dari An-Nu’man ibnu Basyir yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ membaca firman-Nya: dan apabila roh-roh dipertemukan (dengan tubuh). (At-Takwir: 7) Lalu baginda bersabda, bahawa yang dimaksudkan adalah teman-teman sejawat; setiap lelaki dikumpulkan dengan kaum yang mempunyai amal yang sama dengannya. Demikian itu kerana Allah عز وجل telah berfirman: dan kamu menjadi tiga golongan. Iaitu golongan kanan. Alangkah mulianya golongan kanan itu. Dan golongan kiri. Alangkah sengsaranya golongan kiri itu. Dan orang-orang yang paling dahulu beriman, merekalah yang paling dulu (masuk syurga). (Al-Waqi’ah: 7-10Mereka adalah bergolong-golongan, masing-masing orang dihimpunkan bersama dengan golongannya yang seamalan dengannya.


 

Ayat 8: Perkara kedua.

وَإِذَا المَوءودَةُ سُئِلَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the girl [who was] buried alive is asked

(MALAY)

dan apabila bayi-bayi perempuan yang dikuburkan hidup-hidup ditanya,

 

Ini adalah apabila Allah ﷻ bertanya kepada bayi perempuan yang telah dibunuh semasa kecil iaitu semasa dilahirkan. Kenapa Allah ﷻ tanya kepada anak kecil itu sedangkan dia tidak tahu apa-apa lagi?

Ini adalah kerana Allah ﷻ marah sangat sampai Dia tidak mahu bercakap dengan ayahnya lagi. Allah ﷻ tidak tanya kepada ayahnya kenapa buat begitu, tetapi tanya kepada anak yang dibunuh itu terus. Kenapa tanya kepada anak itu?

Kerana waktu mereka dibunuh, mereka tidak dapat mempertahankan diri mereka, sekarang Allah ﷻ beri kelebihan itu kepada mereka. Begitulah di akhirat nanti, mereka yang ditindas, yang tidak ada peluang untuk mempertahankan diri, mereka akan diberi peluang untuk berhujah. Tentulah anak itu tidak salah apa-apa sampai menyebabkan dia dibunuh.

Ada anak perempuan yang dibunuh semasa kecil lagi semasa zaman Jahiliah. Begitulah keadaannya sebelum kedatangan Islam. Kerana mereka tidak suka sungguh kalau yang lahir adalah anak perempuan. Kerana pada mereka, ia menghinakan mereka kalau tidak boleh dapat anak lelaki – kelelakian mereka tercabar.

Dan kerana pada mereka, anak perempuan menyusahkan – kena dijaga dari kecil sampai besar dan kemudian kena beri kepada orang lain sebagai isteri – macam bukan pelaburan yang bagus pula.

Dan lagi, kerana anak perempuan tidak dapat tolong dalam keluarga, dalam perang dan dalam cari nafkah. Inilah kepercayaan orang jahiliah waktu itu. Begitulah kalau sudah jadi musyrik, mereka sampai boleh buat perkara yang tidak disangka boleh dilakukan oleh manusia normal kerana sudah ditipu oleh syaitan dengan teruk sekali. Ini adalah kerana mereka telah dikawal oleh syaitan.

Sebelum ini telah disebut tentang unta yang bunting sepuluh bulan. Bayangkan, unta bunting mereka suka dan jaga baik-baik, tetapi isteri mereka lahirkan anak perempuan mereka marah pula, sampai mereka sanggup bunuh anak itu. Ada yang sudah siap buat lubang bila isteri mereka hendak bersalin – kalau anak perempuan, terus masuk lubang.

Dan ada yang bawa isteri mereka jauh dari kampung halaman kalau mengandung kerana dia tidak mahu orang tahu kalau-kalau dia dapat anak perempuan. Kalau dapat anak lelaki, barulah dia bawa isterinya itu balik dengan anak barunya itu; kalau tidak, terus dibunuh anak itu dan dimasukkan dalam lubang yang telah disediakan sahaja. Lihatlah betapa teruknya mereka dan sudah terbalik dah otak mereka.

Perlu juga kalau diingatkan, bahawa kejadian ini tidaklah berlaku kepada seluruh bangsa Arab, lebih-lebih bagi puak Quraish. Ianya hanya berlaku di kalangan setengah-setengah qabilah Bani Tamim dan Asad. Dalam isu ini ada kisah yang tidak benar, tetapi berlegar dalam masyarakat kita. Iaitu tentang Saidina Umar رضي الله عنه pernah membunuh anak perempuannya.

Ini adalah kisah yang tidak benar tetapi direka oleh puak Syiah untuk memburukkan beliau. Fikirkanlah, beliau adalah bangsa Quraisy dan bangsa Quraisy tidak buat perkara ini. Keduanya, kalau dia bunuh anak perempuannya, macam mana dia ada anak perempuan (Hafsah رضي الله عنها) yang berkahwin dengan Nabi Muhammad ﷺ? Jadi, tidak benar Umar رضي الله عنه  pernah membunuh anak perempuannya.

Kenapa ada disentuh tentang anak-anak perempuan yang dibunuh? Ini adalah kerana dakwah para Nabi عليهم السلام menyentuh kesalahan-kesalahan yang dilakukan pada zaman mereka. Sebagai contoh, pada zaman Nabi Luth  عليه السلام – homoseksual; zaman Nabi Musa عليه السلام – amalan sihir; Oleh itu, pada zaman Nabi Muhammad ﷺ, kerana ada masalah sembelih anak, maka Al-Qur’an menyentuh perkara itu.

Oleh kerana itu, kita kena tengok apakah masalah zaman kita. Mungkin boleh dikatakan zaman kita ini ada masalah riba, masalah media massa yang terbuka sangat dan macam-macam lagi. Jadi kita kena buat kajian apakah masalah zaman kita dan kita kena tegur dan baiki. Kita kena ikut sunnah Al-Qur’an yang menegur tentang masalah-masalah manusia zaman Nabi-Nabi sebelum ini dan menyebut tentang kezaliman yang telah dikenakan kepada mereka.

Semua masalah-masalah yang ada itu adalah penyakit masyarakat itu dan ada yang menanggung kesusahan kerananya. Maka Allah ﷻ menyentuh kesalahan yang ada pada setiap zaman untuk memberi keadilan kepada mereka yang tertindas, supaya nasib mereka dijaga.

Begitu jugalah dengan kita. Kalau masalah riba yang kita sentuh, ia sebenarnya untuk menjaga ekonomi rakyat, kerana riba ini memberi kekayaan melampau kepada mereka yang ada duit dan menindas dengan teruk sekali mereka yang tidak ada duit. Dengan konsep riba, ramai yang terduduk jatuh muflis dan terpaksa tidur di jalanan; malah negara pun ada yang porak peranda dek kerana sistem riba rekaan Yahudi ini.

Tetapi amat menyedihkan kerana kesalahan umat-umat terdahulu yang dimusnahkan itu juga diamalkan oleh masyarakat kita. Semuanya ada: amalan syirik, menipu dalam timbangan, homoseksual (lagi teruk sebab LGBT), amalan sihir dan lain-lain lagi. Malah bunuh anak pun ada juga. Memang tidak dimasukkan ke dalam lubang, tapi ada yang menggugurkan anak. Ini lagi teruk sebab sudah tidak kira anak lelaki atau perempuan. Kalau pasangan tidak halal mengandung, ramai yang menggugurkan anak itu.


 

Ayat 9:

بِأَيِّ ذَنبٍ قُتِلَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For what sin she was killed

(MALAY)

kerana dosa apakah dia dibunuh,

 

Anak-anak perempuan yang dibunuh itu akan ditanya, dosa apakah mereka dibunuh? Allah ﷻ tanya kepada anak itu sendiri: “ada salahkah kamu dibunuh?” Kalau dosa besar sudah tentu tidak ada, dosa kecil ada tak? Kalau sudah lahir-lahir kena bunuh, tentu tidak ada dosa langsung.

Allah ﷻ tanya sendiri kepada anak-anak perempuan itu kerana mereka tidak ada peluang untuk mempertahankan diri mereka semasa mereka dibunuh dulu. Dan kerana tidak ada sesiapa pun yang mempertahankan mereka juga. Kerana kalau bunuh seseorang yang dari puak lain, orang dari puak itu ada yang akan membalas dendam, balas balik, marah atau buat apa sahaja, bukan? Tetapi kalau ayah bunuh anak sendiri, tidak ada sesiapa yang akan tanya, marah atau balas dendam untuk bayi itu. Maka Allah ﷻ beri peluang kepada anak-anak perempuan yang dibunuh itu untuk bercakap, untuk didengari suara mereka.

Dan ini akan lebih menakutkan mereka yang telah membunuh anak-anak perempuan mereka. Mereka dengar sahaja bagaimana anak-anak mereka yang mereka telah zalimi itu ditanya. Kerana sesungguhnya apabila orang yang teraniaya ditanya, maka terlebih lagi beratnya hukuman yang dikenakan terhadap pelaku aniaya.


 

Ayat 10: Perkara ketiga.

وَإِذَا الصُّحُفُ نُشِرَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the pages¹ are spread [i.e., made public]

  • On which are recorded the deeds of all people.

(MALAY)

dan apabila catatan-catatan (amal perbuatan manusia) dibuka,

 

Selepas tiupan Sangkalala Kedua dibunyikan, buku amalan manusia akan dibuka. الصُّحُفُ adalah lembaran yang digunakan untuk menulis dan membaca. Kerana itu Al-Qur’an kita dipanggil ‘mushaf’.

Mushaf dalam ayat ini merujuk kepada kitab yang menulis segala amalan kita. Kerana bersama kita adalah malaikat yang menulis sahaja apa sahaja yang kita lakukan sepanjang hari. Mereka akan tulis perkara kecil dan besar.

Digunakan kalimat نُشِرَت (dihamparkan) kerana buku catatan amal itu akan dibuka macam skrol. Bukan macam buku yang kita ada sekarang ini. Tetapi ianya akan panjang, dan bila dibuka, ianya akan terbentang di hadapan dan panjangnya adalah sejauh mata memandang. Kerana banyak perbuatan yang ditulis, dari yang sekecil-kecilnya sampai sebesar-besarnya. Oleh itu, memang banyak yang tertulis di dalamnya.

Jadi الصُّحُفُ merujuk kepada buku kitab amalan kita. Tetapi ia juga boleh digunakan untuk merujuk kepada wahyu dari Allah ﷻ dalam bentuk tulisan – Kitab Wahyu; dalam kes kita, tentulah Al-Qur’an. Ini memberi isyarat kepada kita, kalau kita tidak endahkan الصُّحُفُ yang dalam bentuk wahyu itu (Al-Qur’an), kita akan ada masalah dengan الصُّحُفُ dalam bentuk amalan kita.

Maknanya ada kaitan, bukan? Maka, kalau orang Islam kita buat tidak kisah sahaja tentang pembelajaran tafsir Al-Qur’an ini, bagaimana mereka beramal? Adakah amalan mereka itu ikut seperti yang dikehendaki oleh Al-Qur’an? Janganlah kita jadi orang yang menyesal apabila melihat Kitab Amalannya seperti firman-Nya:

يَوْمَ تَجِدُ كُلُّ نَفْسٍ مَا عَمِلَتْ مِنْ خَيْرٍ مُحْضَراً وَما عَمِلَتْ مِنْ سُوءٍ تَوَدُّ لَوْ أَنَّ بَيْنَها وَبَيْنَهُ أَمَداً بَعِيداً

Pada hari ketika tiap-tiap diri mendapati segala kebajikan yang dilakukan(nya) dihadapkan (di mukanya), begitu (juga) kejahatan yang telah dikerjakannya; dia ingin kalau kiranya antara dia dengan hari itu ada masa yang jauh. (Ali Imran: 30)


 

Ayat 11: Perkara keempat. Sekarang sambung balik tentang langit yang ditinggalkan selepas ayat kedua.

وَإِذَا السَّماءُ كُشِطَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the sky is stripped away

(MALAY)

dan apabila langit dilenyapkan,

 

Kalimah كُشِطَت (dilapah) menceritakan bagaimana ‘langit dilapah’. Kenapa digunakan begitu? Ini adalah hendak memberi bayangan kepada kita, kerana apabila kulit binatang dilapah, warnanya akan merah kerana darah. Dan begitulah nanti pada Hari Kiamat nanti, kerana dalam ayat lain, disebut bagaimana pada kiamat nanti, warna langit akan menjadi merah.

Langit yang sekarang kita lihat warna kebiruan, tetapi akan jadi kemerahan. Kenapa langit menjadi merah? Langit menjadi merah kerana memantulkan keadaan bumi waktu itu. Sekarang bumi tenang, maka warnanya biru kerana reflect warna laut. Nanti apabila bumi kacau bilau, warnanya akan menjadi merah.

Maksud kedua, langit itu seperti kulit yang dilapah kulitnya, dicabut dari tempatnya.


 

Ayat 12: Perkara kelima.

وَإِذَا الجَحيمُ سُعِّرَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when Hellfire is set ablaze

(MALAY)

dan apabila neraka Jahim dinyalakan,

 

Apabila api neraka dinyalakan. سُعِّرَت bermaksud api yang dijadikan tinggi, semakin bersemarak, semakin membesar panas. Al-Qur’an menceritakan tentang ketinggian api neraka jahanam itu.

Muka manusia yang engkar jadi hitam seperti yang disebut dalam Abasa:40-41 sebelum ini, kerana api inilah. Neraka itu dinyalakan dan dibawakan dekat kepada mereka yang engkar dan kerana itu muka mereka jadi gelap, berdebu.


 

Ayat 13: Perkara keenam.

وَإِذَا الجَنَّةُ أُزلِفَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when Paradise is brought near,

(MALAY)

dan apabila syurga didekatkan,

 

Apabila syurga dibawakan dekat dengan orang mukmin. Syurga itu didekatkan kepada mereka semasa mereka menunggu di Mahsyar. Ini dijadikan sebagai satu penghormatan kepada para mukmin. Macam beri hadiah kepada mereka, dan sebelum dimasukkan, ditunjukkan dahulu syurga itu.

Ini sebagai salah satu lagi dalil yang syurga itu memang telah ada. Ia menunggu sahaja orang mukmin untuk masuk ke dalamnya. Ini menolak fahaman golongan Muktazilah yang kata syurga neraka tidak ada lagi.

Dalam surah sebelum ini, dalam Abasa:38-39, telah dikatakan yang muka orang mukmin bergembira dan mereka tertawa kegembiraan, kenapa? Kerana mereka tengok syurga inilah. Mereka sudah tahu yang mereka akan dapat masuk ke dalamnya, maka mereka telah gembira.


 

Ayat 14: Dari ayat 7 sampai ayat 13, telah banyak disebut إِذَا, إِذَا (apabila, apabila). Persoalannya, apa yang hendak disampaikan? Apakah yang akan terjadi apabila jiwa disatukan dengan tubuh, anak perempuan yang dibunuh ditanya, kitab amalan dibukakan, langit dilapah, neraka dipanaskan dan syurga didekatkan? Ayat ini adalah jawapan kepada ayat-ayat sebelum ini.

عَلِمَت نَفسٌ ما أَحضَرَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

A soul will [then] know what it has brought [with it].¹

  • i.e., all of one’s deeds from worldly life, which have accompanied the soul to the Hereafter.

(MALAY)

maka tiap-tiap jiwa akan mengetahui apa yang telah dikerjakannya.

 

Apabila semua yang di atas tadi berlaku, maka tiap-tiap orang akan tahu apa yang dibawanya sebagai amalan. Mereka akan lihat sendiri Kitab Amalan mereka dan mereka sudah tahu apa keputusannya. Mereka pun teringat baliklah segala perbuatan salah mereka di dunia, segala peluang untuk buat baik yang mereka lepaskan, segala tanggungjawab yang mereka tidak penuhi semasa di dunia. Seperti firman Allah ﷻ:

يُنَبَّؤُا الْإِنْسانُ يَوْمَئِذٍ بِما قَدَّمَ وَأَخَّرَ

Pada hari itu diberitakan kepada manusia apa yang telah dikerjakannya dan apa yang dilalaikannya. (Al-Qiyamah:13)

Tetapi waktu itu sudah terlambat hendak buat apa-apa lagi. Waktu itulah mereka sibuk dengan nasib mereka seperti yang disebut dalam Abasa:37 sebelum ini. Mereka ini seumpama macam pelajar yang kena bentang kerja rumah dia ke hadapan cikgu. Tetapi dia tahu kerjanya tidak siap, banyak yang salah. Jadi dia tidak mahu hendak bentangkan sebenarnya, tetapi terpaksa juga kena buat. Itu baru kerja rumah, kalau kerja kita sepanjang hidup bagaimana pula?

Dikatakan semua orang akan takut, tidak kira siapa. Walaupun orang itu orang mukmin kerana orang beriman pun takut juga sebab pengadilan belum selesai lagi. Dan apabila belum selesai, mereka tidak tahu nasib mereka. Macam pelajar tunggu keputusan peperiksaan – walaupun mereka pelajar yang baik, sudah belajar bersungguh-sungguh dan jawab sebaik mungkin, tetapi masih takut juga kerana selagi tidak lihat keputusan peperiksaan, belum tentu selamat lagi.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 26 September 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Tawbah Ayat 82 – 84 (Kurangkan ketawa dan banyakkan menangis)

Tawbah Ayat 82: Lalu bagaimanakah keadaan mereka di neraka itu?

فَليَضحَكوا قَليلًا وَليَبكوا كَثيرًا جَزاءً بِما كانوا يَكسِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So let them laugh a little and [then] weep much as recompense for what they used to earn.

(MALAY)

Maka hendaklah mereka tertawa sedikit dan menangis banyak, sebagai pembalasan dari apa yang selalu mereka kerjakan.

 

فَليَضحَكوا قَليلًا وَليَبكوا كَثيرًا

Maka hendaklah mereka tertawa sedikit dan menangis banyak,

Mereka sepatutnya sedikit ketawa dan banyak menangis kerana tempat mereka adalah di neraka nanti. Akan tetapi kenapalah mereka suka sangat ketawa dan bergembira semasa di dunia? Kerana mereka rasa mereka selamat, mereka rasa mereka telah berjaya, maka mereka banyak tertawa dan bersenang hati semasa di dunia. Namun adakah mereka akan selamat? Tentu tidak!

Satu lagi tafsir ayat ini, ia adalah keadaan mereka di Akhirat kelak. Walaupun kalimah فَليَضحَكوا dan وَليَبكوا adalah dalam bentuk arahan, tetapi ia bukanlah dalam bentuk arahan tetapi pemberitahuan (khabar). Allah ﷻ menggunakan kalimah dalam fi’il amr kerana ia pasti akan berlaku.

Di sini Allah ﷻ hendak memberitahu yang gelak ketawa mereka sekarang di dunia ini sebenarnya sedikit sahaja sebenarnya kerana berapa lama sangat mereka boleh bersuka-sukaan di dunia? Hakikatnya dunia ini kehidupan yang sekejap sahaja. Maka sebenarnya yang akan terjadi adalah mereka akan menangis dengan amat banyak sekali di neraka.

Ramai juga yang salah faham tentang ayat ini. Mereka kata kita sebagai orang Islam kena banyak bersedih dan kurangkan gelak, selepas membaca ayat ini. Bukan itu maksud ayat ini. Ayat ini adalah tentang puak munafikin – kerana mereka akan dimasukkan ke dalam neraka, bukannya untuk kita. Mana mungkin kita dilarang daripada ketawa sedangkan Nabi Muhammad ﷺ sendiri ada tertawa sampai kadang-kadang ternampak gusi baginda? Kadang-kadang baginda berjenaka dengan para sahabat. Namun tidaklah ia kerap berlaku.

Oleh kerana itu, para sahabat senang sekali duduk dengan baginda kerana sikap baginda yang menyenangkan dan lembut. Tidaklah baginda berwajah bengis sahaja – sebagaimana kadang-kadang ‘orang alim’ kita. Kadang-kadang tu, kalau sudah bergelar ‘ustaz’, menjadi imam surau, imam masjid, tok siak, sudah kena berwajah garang dan masam sahaja. Orang hendak tegur pun malas sebab jika ditegur sahaja, tentu dimarahi oleh mereka – ada sahaja yang tidak kena di mata mereka. Ini bukan ajaran agama Islam sebenar. Oleh itu, kena baca ayat ini dengan konteks ayat ini – ia tentang orang munafik.

Begitu pun, kita kadang-kadang perlu untuk melembutkan hati kita dengan menangis. Lebih-lebih ketika kita berseorangan, bersendirian di malam hari semasa bermunajat kepada Allah ﷻ. Allah ﷻ berfirman di dalam Isra’: 109

وَيَخِرّونَ لِلأَذقانِ يَبكونَ وَيَزيدُهُم خُشوعًا
Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyu’.

Ada juga hadith yang menyebut tentang kelebihan menangis:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: “يَا أَيُّهَا النَّاسُ، ابْكُوا، فَإِنْ لَمْ تَبْكُوا فَتَبَاكَوْا، فَإِنَّ أَهْلَ النَّارِ يَبْكُونَ حَتَّى تَسِيلَ دُمُوعُهُمْ فِي وُجُوهِهِمْ كَأَنَّهَا جَدَاوِلُ، حَتَّى تَنْقَطِعَ الدُّمُوعُ فَتَسِيلَ الدِّمَاءُ فَتَقَرَّحُ الْعُيُونُ. فَلَوْ أَنَّ سُفُنًا أُزْجِيَتْ فِيهَا لَجرَت”.
Daripada Anas ibnu Malik رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ yang mengatakan bahawa dia pernah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: Hai manusia, menangislah kalian. Jika kalian tidak dapat menangis, maka berpura-pura menangislah, kerana sesungguhnya penghuni neraka itu akan terus menangis hingga air mata mereka mengalir ke wajahnya bagaikan air pancuran. Bila air mata mereka habis, maka yang mengalir adalah darah, dan mata mereka bernanah. Seandainya perahu-perahu dilayarkan pada air mata mereka, nescaya akan dapat berlayar (kerana banyaknya air mata mereka seperti lautan).
(Riwayat Ibnu Majah (4324))
Hadith ini agak masyhur tetapi didhaifkan oleh Syeikh al-Albani dalam Silsilah Hadith Dhaif No. 6889.

Akan tetapi kita boleh rujuk di dalam hadith yang lain,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ الْإِمَامُ الْعَادِلُ وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ اجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ وَرَجُلٌ طَلَبَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ فَقَالَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ أَخْفَى حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ] daripada Nabi ﷺ bersabda: “Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah ﷻ pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya; pemimpin yang adil, seorang pemuda yang menyibukkan dirinya dengan ‘ibadah kepada Rabbnya, seorang laki-laki yang hatinya terpaut dengan masjid, dua orang laki-laki yang saling mencintai kerana Allah ﷻ; mereka tidak bertemu kecuali kerana Allah ﷻ dan berpisah kerana Allah ﷻ, seorang laki-laki yang diajak berbuat maksiat oleh seorang wanita kaya lagi cantik lalu dia berkata, ‘Aku takut kepada Allah ﷻ’, dan seorang yang bersedekah dengan menyembunyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya, serta seorang laki-laki yang berzikir kepada Allah ﷻ dengan mengasingkan diri hingga kedua matanya basah kerana menangis.”
(Sahih Bukhari (620))

Di dalam hadith yang lain, disabdakan oleh Nabi ﷺ dengan riwayat daripada Ibnu Abbas,

عَيْنَانِ لاَ تَمَسُّهُمَا النَّارُ عَيْنٌ بَكَتْ مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ وَعَيْنٌ بَاتَتْ تَحْرُسُ فِى سَبِيلِ اللَّهِ
“Dua mata yang tidak akan tersentuh oleh api Neraka iaitu mata yang menangis kerana takut kepada Allah ﷻ dan mata yang bermalam untuk berjaga-jaga (daripada serangan musuh) ketika berperang di jalan Allah ﷻ.”
(Jami’ Tirmidzi No. 1649)
(Status: Hasan)

Walaupun kita tidaklah dilarang daripada bergelak ketawa, akan tetapi janganlah keterlaluan. Apa-apa perkara pun dalam dunia, janganlah berlebihan kerana ia boleh membawa kepada keburukan, bukan? Sebagaimana tidur dan makan berlebihan akan mendatangkan mudarat kepada kita. Tentang ketawa ini Rasulullah ﷺ pernah bersabda,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تُكْثِرُوا الضَّحِكَ فَإِنَّ كَثْرَةَ الضَّحِكِ تُمِيتُ الْقَلْبَ
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ dia berkata, “Rasulullah ﷺ bersabda: Janganlah kalian banyak tertawa, kerana banyak tertawa akan mematikan hati.”
(Sunna Ibnu Majah No: 4183)
Status: Hasan

Ini dikuatkan lagi dengan hadith Rasulullah ﷺ,

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنِّي أَرَى مَا لَا تَرَوْنَ وَأَسْمَعُ مَا لَا تَسْمَعُونَ إِنَّ السَّمَاءَ أَطَّتْ وَحَقَّ لَهَا أَنْ تَئِطَّ مَا فِيهَا مَوْضِعُ أَرْبَعِ أَصَابِعَ إِلَّا وَمَلَكٌ وَاضِعٌ جَبْهَتَهُ سَاجِدًا لِلَّهِ وَاللَّهِ لَوْ تَعْلَمُونَ مَا أَعْلَمُ لَضَحِكْتُمْ قَلِيلًا وَلَبَكَيْتُمْ كَثِيرًا وَمَا تَلَذَّذْتُمْ بِالنِّسَاءِ عَلَى الْفُرُشَاتِ وَلَخَرَجْتُمْ إِلَى الصُّعُدَاتِ تَجْأَرُونَ إِلَى اللَّهِ وَاللَّهِ لَوَدِدْتُ أَنِّي كُنْتُ شَجَرَةً تُعْضَدُ
Daripada [Abu Dzar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ] beliau berkata, “Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya aku mengetahui sesuatu yang tidak kalian ketahui, dan mendengar apa yang tidak kalian dengar. Sesungguhnya langit merintih dan diberikan kepadanya hak untuk merintih. Kerana tidaklah dalam posisi empat jari kecuali ada Malaikat yang meletakkan keningnya bersujud kepada Allah ﷻ. Demi Allah ﷻ, seandainya kalian mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kalian akan sedikit tertawa dan banyak menangis, dan kalian tidak akan merasakan enaknya di atas kasur (tilam) bersama isteri, dan kalian akan keluar menuju bukit-bukit untuk berdoa dengan suara keras kepada Allah ﷻ. Demi Allah ﷻ, aku sangat ingin seandainya aku menjadi sebatang pohon yang ditebang.”
(Sunan Ibn Majah (4180))
Status: Hasan

 

جَزاءً بِما كانوا يَكسِبونَ

sebagai pembalasan dari apa yang selalu mereka kerjakan.

Semua yang diancam kepada golongan munafik, dan yang akan dikenakan kepada mereka adalah sebagai balasan di atas segala perbuatan mereka yang kufur dan nifak. Mereka memang layak mendapat segala azab itu. Bukannya Allah ﷻ menzalimi mereka tetapi mereka yang menzalimi diri mereka sendiri.

Senang sekali hati mereka hidup di dunia sambil mengabaikan nasib mereka di Akhirat kelak. Allah ﷻ perli mereka di dalam Baqarah:175

أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ ٱشتَرَوُاْ ٱلضَّلَـٰلَةَ بِٱلهُدَىٰ وَٱلعَذَابَ بِٱلمَغفِرَةِ‌ۚ فَمَآ أَصبَرَهُم عَلَى ٱلنَّارِ
Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk (ugama Allah), dan (membeli) azab seksa neraka dengan meninggalkan keampunan Tuhan. Maka sungguh ajaib kesanggupan mereka menanggung seksa api neraka itu.

Maka mereka sekarang diperli: Oh kamu tidak kisah pun nasib kamu nanti masuk neraka ya? Sabar ya kamu dalam neraka nanti? Baik, duduklah kamu dalam neraka.


 

ARAHAN KEPADA RASULULLAH ﷺ

Tawbah Ayat 83:

فَإِن رَّجَعَكَ اللَّهُ إِلىٰ طائِفَةٍ مِّنهُم فَاستَئذَنوكَ لِلخُروجِ فَقُل لَّن تَخرُجوا مَعِيَ أَبَدًا وَلَن تُقٰتِلوا مَعِيَ عَدُوًّا ۖ إِنَّكُم رَضيتُم بِالقُعودِ أَوَّلَ مَرَّةٍ فَاقعُدوا مَعَ الخٰلِفينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If Allāh should return you to a faction of them [after the expedition] and then they ask your permission to go out [to battle], say, “You will not go out with me, ever, and you will never fight with me an enemy. Indeed, you were satisfied with sitting [at home] the first time, so sit [now] with those who stay behind.”

(MALAY)

Maka jika Allah mengembalikanmu kepada suatu golongan dari mereka, kemudian mereka minta izin kepadamu untuk keluar (berperang), maka katakanlah: “Kamu tidak boleh keluar bersamaku selama-lamanya dan tidak boleh memerangi musuh bersamaku. Sesungguhnya kamu telah rela tidak pergi berperang kali yang pertama. Kerana itu duduklah bersama orang-orang yang tidak ikut berperang”.

 

فَإِن رَّجَعَكَ اللَّهُ إِلىٰ طائِفَةٍ مِّنهُم

Maka jika Allah mengembalikanmu kepada suatu golongan dari mereka, 

Maknanya, sekiranya Allah ﷻ mengizinkan kamu (Nabi Muhammad ﷺ) dapat kembali dari Tabuk berjumpa dengan mana-mana puak munafik di Madinah, yang tidak keluar berjihad. Allah ﷻ hendak beritahu yang Dialah yang menentukan Rasulullah ﷺ boleh balik atau tidak. Kalau Allah ﷻ hendak menahan Rasulullah ﷺ di Tabuk dan mati di sana, itu di dalam hak Allah ﷻ.

Di dalam ayat ini Allah ﷻ menyebut perkara yang akan terjadi kepada Rasulullah ﷺ. Iaitu kalau baginda pulang ke Madinah, tentu golongan Munafik itu akan datang bertemu dengan Nabi ﷺ. Kenapa mereka terus bertemu baginda?

 

فَاستَئذَنوكَ لِلخُروجِ

kemudian mereka minta izin kepadamu untuk keluar (berperang), 

Allah ﷻ beritahu yang ketika itulah mereka akan meminta izin untuk berjihad pada lain kali. Konon hendak kata mereka bukan tidak mahu berjihad, lain kali mereka mahu ikut lah. Cuma kali ini (Tabuk) sahaja yang mereka tidak boleh dan macam-macam alasan mereka akan beri kepada baginda. Ini seumpama budak-budak buat salah tidak pergi sekolah, dia akan beri harapan dengan berjanji dia tidak akan ponteng lagi, dan akan pergi ke sekolah dan di lain kali tidak ponteng lagi. Hari ini sahaja tidak pergi sekolah, nanti akan pergi.

Mereka sebenarnya malu dan takut dituduh sebagai pengecut. Nanti sampai keturunan mereka akan dikutuk kerana pengecut. Maka mereka hendak menyelamatkan maruah mereka dengan meminta izin untuk berjihad di lain waktu.

 

فَقُل لَّن تَخرُجوا مَعِيَ أَبَدًا

maka katakanlah: “Kamu tidak boleh keluar bersamaku selama-lamanya

Allah ﷻ suruh kata kepada mereka: tidak perlulah kamu keluar jihad bersama aku selama-lamanya. Maknanya mereka tidak boleh keluar berjihad dengan Nabi ﷺ lagi, kerana Nabi ﷺ akan wafat tidak lama lagi dan Tabuk itulah jihad terakhir dengan Nabi ﷺ. Maka peluang mereka untuk jihad bersama Nabi ﷺ sudah tidak ada sebenarnya dan Tabuk itulah kali yang terakhir. Maknanya mereka telah terlepas peluang.

Juga boleh bermaksud, mereka itu tidak boleh ikut berjihad dengan orang mukmin yang lain lagi selepas itu. Sumbangan mereka tidak diperlukan lagi dalam jihad dan dalam agama. Maka ini adalah polisi kenegaraan. Khalifah lain pun harus bertindak sebegitu juga iaitu mereka ini digugurkan daripada senarai mujahideen terus. Tidak boleh dimasukkan nama dalam borang pun selepas ini. Ini kerana Allah ﷻ pun tidak mahu memasukkan mereka itu dalam senarai mujahideen.

Atau, ia bermaksud itu adalah kata-kata mereka sahaja untuk keluar berjihad lain kali. Akan tetapi Allah ﷻ tahu apa yang di dalam hati mereka dan kelemahan mereka untuk keluar berjihad. Maka Allah ﷻ suruh beritahu, kalau kamu kata kamu hendak keluar berjihad pun nanti, apabila sampai masanya pun sama sahaja kamu tidak akan keluar berjihad.

 

وَلَن تُقٰتِلوا مَعِيَ عَدُوًّا

dan tidak boleh memerangi musuh bersamaku. 

Tidaklah perlu mereka berperang atas nama Allah ﷻ dalam mana-mana jihad bersama baginda lagi kerana Tabuk itulah jihad bersama Nabi ﷺ yang terakhir.

Atau tafsir lain ia bermaksud larangan kepada mereka.

 

إِنَّكُم رَضيتُم بِالقُعودِ أَوَّلَ مَرَّةٍ

Sesungguhnya kamu telah rela tidak pergi berperang kali yang pertama. 

Kerana sesungguhnya mereka dulu sudah berpuas hati dengan tidak berjihad, suka duduk tidak berjihad. Kamu memang tidak suka berjihad pun, maka tidak perlu sibuk berkata hendak pergi berjihad pula. Dulu kamu macam itu, nanti di masa hadapan pun macam itulah juga.

 

فَاقعُدوا مَعَ الخٰلِفينَ

Kerana itu duduklah bersama orang-orang yang tidak ikut berperang”.

Nanti selepas ini, sampai bila-bila kamu duduklah bersama golongan yang tidak berperang, iaitu mereka yang ada keuzuran, wanita dan kanak-kanak. Maknanya mereka itu macam pondanlah kerana duduk dengan wanita dan kanak-kanak. Maka ini adalah penghinaan kepada mereka sebenarnya.


 

Tawbah Ayat 84:

وَلا تُصَلِّ عَلىٰ أَحَدٍ مِّنهُم مّاتَ أَبَدًا وَلا تَقُم عَلىٰ قَبرِهِ ۖ إِنَّهُم كَفَروا بِاللَّهِ وَرَسولِهِ وَماتوا وَهُم فٰسِقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not pray [the funeral prayer, O Muḥammad], over any of them who has died – ever – or stand at his grave. Indeed, they disbelieved in Allāh and His Messenger and died while they were defiantly disobedient.

(MALAY)

Dan janganlah kamu sekali-kali menyembahyangkan (jenazah) seorang yang mati di antara mereka, dan janganlah kamu berdiri (mendoakan) di kuburnya. Sesungguhnya mereka telah kafir kepada Allah dan Rasul-Nya dan mereka mati dalam keadaan fasik.

 

وَلا تُصَلِّ عَلىٰ أَحَدٍ مِّنهُم مّاتَ أَبَدًا

Dan janganlah kamu sekali-kali menyembahyangkan (jenazah) seorang yang mati di antara mereka,

Allah ﷻ beritahu kalau mereka mati pun, Nabi ﷺ jangan solatkan jenazah mereka. Jangan sekali-kali solatkan jenazah orang-orang yang munafik itu. Ini adalah kata-kata yang amat berat sekali, menunjukkan mereka tidak layak disolatkan oleh Rasulullah ﷺ. Bayangkan yang ayat ini dikatakan di atas muka mereka terus. Mereka sedang membaca dan sedang mendengar ayat ini dikatakan terus kepada mereka.

Akan tetapi tidak ada riwayat yang menyebut mana-mana jenazah para sahabat yang baginda tidak solatkan kerana munafik. Maka mungkin baginda tidak diberitahu siapakah yang munafik dalam kalangan mereka itu. Memang ada senarai orang Munafik yang baginda telah diberitahu akan tetapi mungkin mereka mati selepas baginda wafat.

 

وَلا تَقُم عَلىٰ قَبرِهِ

dan janganlah kamu berdiri (mendoakan) di kuburnya.

Jangan kata solat, berdiri di kubur mereka setelah dikebumikan pun tidak boleh. Maksud berdiri itu adalah sama ada menanamnya, menziarahinya atau pun untuk berdoa. Ini adalah kerana itu pun sebagai satu penghormatan juga. Ini sudah berat sekali, menunjukkan ada pemisahan dengan mereka yang telah pasti munafik itu. Kalau mereka mati, Nabi ﷺ kena biarkan sahaja mereka.

Adapun mengenai berdiri di kubur orang mukmin yang meninggal dunia, maka Imam Abu Daud رحمه الله menyebutkan bahawa Rasulullah ﷺ apabila telah selesai mengebumikan jenazah, maka baginda berdiri di kuburannya dan bersabda:

اسْتَغْفِرُوا لِأَخِيكُمْ، وَاسْأَلُوا لَهُ التَّثْبِيتَ، فَإِنَّهُ الْآنَ يُسْأَلُ”.
Mohonkanlah ampun bagi saudara kalian, dan mintakanlah keteguhan buatnya, kerana sesungguhnya sekarang dia sedang disoal.
(Sunan Abu Daud (322))
Status: Sahih

Ini mengajar kita untuk duduk di kuburan sekejap untuk berdoa bagi si mati. Harus diinagatkan ia dilakukan sambil berdiri, bukannya duduk keliling seperti yang orang kita banyak lakukan sekarang (siap hampar tikar dan ada bumbung).

Larangan di dalam ayat ini khusus kepada Nabi Muhammad ﷺ sahaja kerana Nabi ﷺ tahu siapakah yang munafik yang tidak ada harapan untuk menerima hidayah. Kita janganlah buat begitu pula. Janganlah berlebih-lebihan dalam hal ini kerana kita tidak tahu siapakah yang munafik dan siapa yang tidak; siapa kufur dan siapa tidak.

Ramai juga yang salah faham ayat ini, kata tidak mahu menyembahyangkan jenazah seseorang sebab kata orang itu ‘munafik’. Siapa kamu yang tahu siapa munafik atau tidak? Maka kepada kita, selagi orang itu adalah orang Islam, maka tetaplah mesti disolatkan dan diuruskan jenazah mereka.

Ayat ini juga dijadikan sebagai hujah untuk tidak boleh menyertai majlis pengebumian orang kafir. Ini kerana pergi ke majlis itu seperti menghormati mereka. Sikap kita dengan mereka semasa hidup adalah seperti firman Allah ﷻ,

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِين
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.”

(Al-Mumtahanah: 8)

Akan tetapi Allah ﷻ memberikan ancaman yang sangat keras bagi kaum muslimin yang memberikan kesetiaan kepada orang kafir. Allah ﷻ berfirman,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani sebagai wali (kekasih); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka.”
[Al-Maidah: 51]

Para ulama’ menggolongkan menghadiri jenazah orang kafir termasuk bentuk memberikan kesetiaan. Kerana itulah mereka melarang kaum muslimin menghadiri jenazah non muslim.

Ketika Abu Thalib meninggal, Rasulullah ﷺ tidak mengurusi mayatnya sama sekali. Baginda hanya menyuruh Ali bin Abi Thalib رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ untuk menguburkannya (kerana Saidina Ali رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ adalah anaknya). Padahal kita tahu, Nabi ﷺ sangat sayang kepada bapa saudaranya itu. Namun baginda tidak pergi untuk mengikuti pengebumian itu.

عَنْ عَلِيٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ إِنَّ أَبَا طَالِبٍ مَاتَ فَقَالَ اذْهَبْ فَوَارِهِ قَالَ إِنَّهُ مَاتَ مُشْرِكًا قَالَ اذْهَبْ فَوَارِهِ فَلَمَّا وَارَيْتُهُ رَجَعْتُ إِلَيْهِ فَقَالَ لِي اغْتَسِلْ
Daripada [Ali رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ] bahawa dia datang kepada Rasulullah ﷺ untuk mengabarkan bahawa Abu Thalib meninggal dunia. Baginda bersabda, ” Pergilah ke sana dan kuburlah” Ali رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ berkata; dia mati dalam keadaan musyrik. Rasul ﷺ bersabda; “pergilah ke sana dan kuburlah” Ali رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ berkata, “Setelah selesai menguburnya aku pulang, lalu baginda ﷺ bersabda kepadaku; ‘Mandilah. ‘”
(Sunan Abu Dawud (190) )
Status: Hasan

 

إِنَّهُم كَفَروا بِاللَّهِ وَرَسولِهِ

Sesungguhnya mereka telah kafir kepada Allah dan Rasul-Nya

Nabi ﷺ dilarang untuk solat jenazah mereka dan mendoakan jenazah mereka kerana mereka itu telah kufur. Allah ﷻ sebut mereka kufur kepada Allah ﷻ dan juga Rasul. Ini bermakna, kalau kufur kepada Rasulullah ﷺ juga bermakna kufur kepada Allah ﷻ. Maka kita kena taat kepada arahan dan ajaran Allah ﷻ.

 

وَماتوا وَهُم فٰسِقونَ

dan mereka mati dalam keadaan fasik.

Semasa hidup mereka, mereka telah kufur dan sampai mati pun mereka mati dalam keadaan fasik. Fasik di sini bermaksud mereka telah terkeluar daripada Islam. Maka baginda tidak boleh solati jenazah mereka kerana solat jenazah hanya dilakukan ke atas orang Islam.

Abdullah ibn Ubay ibn Salul dikatakan sebagai ketua puak munafik. Apabila dia mati, anaknya minta Nabi ﷺ menyolati jenazah ayahnya itu dan beliau (anaknya) adalah seorang sahabat yang setia. Maka Nabi ﷺ solati juga jenazah Abdullah ibn Ubay. Anaknya juga minta baju Nabi ﷺ untuk selimutkan tubuh ayahnya dan baginda berikan.

Kemudian Allah ﷻ beri teguran kepada Nabi ﷺ supaya jangan buat lagi. Oleh itu, kita dapat tahu yang semasa Abdullah bin Ubay itu meninggal, ayat ini belum diturunkan lagi. Maka, ayat ini merupakan hukum yang bersifat umum berlaku terhadap setiap orang yang telah dikenal kemunafikannya, sekalipun penyebab turunnya ayat ini berkenaan dengan Abdullah ibnu Ubay ibnu Salul, pemimpin orang-orang munafik.

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ أُبَيٍّ لَمَّا تُوُفِّيَ جَاءَ ابْنُهُ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَعْطِنِي قَمِيصَكَ أُكَفِّنْهُ فِيهِ وَصَلِّ عَلَيْهِ وَاسْتَغْفِرْ لَهُ فَأَعْطَاهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَمِيصَهُ فَقَالَ آذِنِّي أُصَلِّي عَلَيْهِ فَآذَنَهُ فَلَمَّا أَرَادَ أَنْ يُصَلِّيَ عَلَيْهِ جَذَبَهُ عُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ فَقَالَ أَلَيْسَ اللَّهُ نَهَاكَ أَنْ تُصَلِّيَ عَلَى الْمُنَافِقِينَ فَقَالَ أَنَا بَيْنَ خِيَرَتَيْنِ قَالَ { اسْتَغْفِرْ لَهُمْ أَوْ لَا تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ إِنْ تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ سَبْعِينَ مَرَّةً فَلَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَهُمْ } فَصَلَّى عَلَيْهِ فَنَزَلَتْ { وَلَا تُصَلِّ عَلَى أَحَدٍ مِنْهُمْ مَاتَ أَبَدًا وَلَا تَقُمْ عَلَى قَبْرِهِ }
Daripada [Ibnu’Umar رضي الله عنهما] bahawa ketika ‘Abdullah bin Ubay wafat, anaknya datang menemui Nabi ﷺ lalu berkata: “Wahai Rasulullah ﷺ: “Berikanlah kepadaku bajumu untuk aku gunakan mengafani (ayahku) dan solatlah untuknya serta mohonkanlah ampunan baginya”. Maka Nabi ﷺ memberikan bajunya kepadanya lalu berkata: “izinkanlah aku untuk mensolatkannya”. Ketika baginda hendak mensolatkannya tiba-tiba ‘Umar bin Al Khathab رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ datang menarik baginda seraya berkata: “Bukankah Allah telah melarang anda untuk mensolatkan orang munafik?” Maka baginda bersabda: “Aku berada pada dua pilihan daripada firman Allah Ta’ala (QS. At-Taubah ayat 80, yang ertinya): “Kamu mohonkan ampun buat mereka atau kamu tidak mohonkan ampun buat mereka (sama sahaja bagi mereka). Sekalipun kamu memohonkan ampun buat mereka sebanyak tujuh puluh kali, Allah sekali-kali tidak akan mengampuni mereka”. Maka baginda ﷺ mensolatkannya. Lalu turunlah ayat: (QS. At-Taubah ayat 84 yang ertinya): “Janganlah kamu solatkan seorang pun yang mati daripada mereka selamanya dan janganlah kamu berdiri di atas kuburannya”.
(Sahih Bukhari (1190))

Beberapa perkara yang kita boleh ambil pemahaman daripada hadith ini:

1. Rasulullah ﷺ menyolati jenazah Abdullah bin Ubay itu atas permintaan anaknya, seorang Mukmin yang baik. Maka baginda hendak menjaga hati anaknya itu.

2. Baginda juga berikan baju itu sebagai menghormati anaknya juga. Kenapa baju? Sebagai barakah dan tabarruk.

3. Ada juga yang mengatakan ketika tawanan perang Badr, salah seorang daripada yang ditawan adalah bapa saudara Rasulullah ﷺ, iaitu Saidina Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ. Ketika mencari pakaian untuk beliau, tidak ada pakaian lain (kerana ketinggian Saidina Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ) kecuali pakaian Abdullah bin Ubay. Maka baginda membalasnya atas perkara itu.

4. Kenapa Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ melarang Rasulullah ﷺ dengan berkata: “Bukankah Allah ﷻ telah melarang anda untuk mensolatkan orang munafik?” sedangkan waktu itu belum lagi ada larangan menyolati orang Munafik? Mungkin Saidina Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ faham begitu daripada ayat 80 yang mengatakan doa pengampunan untuk mereka tidak terima maka termasuklah solat.

5. Rasulullah ﷺ berhati mulia walaupun terhadap orang Munafik yang telah banyak menyusahkan baginda. Dari segi perbuatan baginda pun mengajar kita untuk melayan baik orang lain walaupun musuh. Baginda mungkin mahu para sahabat melihat bagaimana tindakan seorang ketua kepada umat Islam yang lain. Ada diriwayatkan seramai seribu orang daripada Bani Khazraj telah memeluk Islam kerana melihat perbuatan Rasulullah ﷺ ini.

6. Akan tetapi larangan secara khusus untuk menyolati orang Munafik telah ada, maka baginda tidak boleh melakukannya lagi. Ini mungkin hendak menjaga hati golongan Mukmin. Kalau baginda melayan orang Munafik sama seperti orang Mukmin, mereka mungkin terasa hati. Maka Allah ﷻ telah larang.

7. Bagi kita pula, kita tidak tahu siapa yang munafik atau tidak. Maka kita terus solatkan sahaja jenazah orang yang dikenali sebagai Muslim. Akan tetapi sekiranya jelas orang itu telah melakukan perkara yang mengeluarkannya daripada Islam, maka kita pun tidaklah boleh menyolatkannya.

Disebutkan bahawa Khalifah Umar ibnul Khattab رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ tidak mahu menyolatkan jenazah orang yang tidak dikenalinya, kecuali bila Huzaifah ibnul Yaman رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ mahu menyolatkannya, maka barulah dia mahu menyolatkannya. Saidina Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ buat begitu kerana Huzaifah ibnul Yaman رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ mengetahui satu per satu daripada orang-orang munafik itu, kerana Nabi ﷺ telah menceritakan hal itu kepadanya. Oleh sebab itu, Huzaifah ibnul Yaman رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ diberi julukan sebagai pemegang rahsia yang tidak diketahui oleh sahabat lainnya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 12 Julai 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin