Tafsir Surah al-Ma’un Ayat 4 – 7 (Celaka orang Solat?)

Ma’un Ayat 4: Ayat 4 – 7 adalah Perenggan Makro Kedua dan terakhir. Allah ‎ﷻ memberitahu yang ibadat yang tidak ikhlas bukan merupakan sikap seorang hamba.

Ayat-ayat sebelum ini adalah tentang sifat buruk manusia dengan manusia yang lain. Sekarang Allah‎ ﷻ sebut tentang sifat mereka dengan Allah ‎ﷻ pula, iaitu dalam solat.

فَوَيلٌ لِلمُصَلّينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So woe to those who pray

(MALAY)

Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat,

Rasanya ramai yang hafal ayat ini. Kerana selalu digunakan sebagai hujah. Mari kita lihat apakah maksudnya. Apabila Allah ‎ﷻ gunakan huruf ف dalam ayat ini, ianya adalah kesinambungan daripada ayat yang sebelumnya. Maka, ini adalah sambungan cerita daripada awal surah, bukan cerita yang baharu.

Allah ‎ﷻ sedang mencelakakan mereka yang solat. Ini agak pelik. Oleh itu, kita kena berhati-hati dengan ayat ini. Kena faham dengan kemas, kalau tidak, boleh salah faham dan akhirnya, jadi sesat.

Banyak ayat dalam Al-Qur’an di mana Allah ‎ﷻ menyebut tentang kecelakaan. Sebagai contoh, dalam [Tur:11]

فَوَيلٌ يَومَئِذٍ لِلمُكَذِّبينَ

Maka kecelakaan yang besarlah di hari itu bagi orang-orang yang mendustakan,

Apabila Allah ‎ﷻ sudah kata ‘celaka’, maka malanglah nasib mereka yang dicelakakan itu. Tetapi dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ sebut يَومَئِذٍ (hari itu) yang bermaksud hari akhirat. Manakala kecelakaan yang disebut dalam Surah Ma’un ini tidak disebut يَومَئِذٍ , tetapi dalam bentuk umum sahaja. Maknanya, yang dimaksudkan bukanlah di akhirat sahaja, tetapi sekarang juga! Mereka akan musnah dan tidak perlu tunggu akhirat pun.

Kecelakaan yang dimaksudkan adalah untuk ‘mereka yang solat’. Kenapa Allah ‎ﷻ marah kepada mereka yang solat? Bukankah solat itu perbuatan yang baik?

Jadi, ayat ini menarik perhatian dan menyebabkan orang-orang yang solat terkejut. Ini akan dijelaskan dalam ayat seterusnya. Allah ‎ﷻ boleh sahaja hendak sambung dengan ayat selepas ini (jadikan dalam satu ayat), tetapi Allah ‎ﷻ tidak buat begitu. Ini kerana, Allah ‎ﷻ hendak menarik perhatian semua orang. Begitulah, Allah ‎ﷻ pecahkan ayatNya satu persatu supaya kita tadabbur setiap satu ayat.

Kalimah ‘solah’ sudah digunakan sebelum Al-Qur’an diturunkan pun oleh masyarakat Arab Jahiliyah. Kepada masyarakat Arab waktu itu, ia sudah bermaksud ‘sembahyang’ dan ‘doa’. Jadi ayat ini menarik perhatian Musyrikin Mekah dan juga orang Islam sendiri. Kedua-duanya terkesan dengan ayat ini. Ia memberi ‘dramatic effect’.

Dan kita pun terkesan juga dengan ayat ini, kerana kita pun solat juga, bukan? Maka berikan perhatian sekarang. Kerana yang datang selepas ini amat penting untuk diberi perhatian.

Kalimah مُصَلّينَ bukan sahaja bermaksud ‘orang yang solat’, malah ia bermaksud ‘orang yang selalu solat’. Kerana ianya dalam isim fa’il (pembuat). Maka, ini menyebabkan semua mereka yang solat akan takut dan tertanya-tanya: “aku pun solat juga, adakah aku termasuk dalam ayat ini? Apa Allah ‎ﷻ hendak cakap selepas ini?”

Ayat ini memang tidak boleh dibaca setakat ini sahaja – kalau kita baca dalam solat, jangan baca setakat ayat ini sahaja. Takkan orang yang selalu solat pula dicelakakan dalam ayat ini? Oleh itu, memang kita kena baca dengan ayat seterusnya juga.

Allah ‎ﷻ boleh sahaja kata Dia mengutuk orang ‘munafik’, (kerana orang munafik pun ada masalah dengan solat mereka) tetapi tidak begitu, Allah ‎ﷻ beritahu kita yang Dia sedang mengutuk ‘orang yang solat’. Jadi kita kena takut yang kita termasuk dalam golongan orang yang munafik juga kerana sifat orang munafik itu mereka tidak menjaga solat. Allah ‎ﷻ telah berfirman:

إِنَّ الْمُنافِقِينَ يُخادِعُونَ اللَّهَ وَهُوَ خادِعُهُمْ وَإِذا قامُوا إِلَى الصَّلاةِ قامُوا كُسالى يُراؤُنَ النَّاسَ وَلا يَذْكُرُونَ اللَّهَ إِلَّا قَلِيلًا

Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk salat, mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya’ (dengan salat) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali. [An-Nisa: 142]

Apa kaitan ayat ini dengan ayat sebelum ini? Kita dapat tahu, kalau sudah ada masalah dengan menzalimi manusia, selalunya orang itu juga akan ada masalah dengan kewajipan dengan Allah ‎ﷻ. Itulah yang diisyaratkan dalam ayat ini.

Jadi ianya tentang orang yang sama sahaja. Mereka itu solat pun tidak bagus, sehinggakan solat mereka itu tidak pun mengubah dirinya. Kita pun tahu yang sepatutnya solat mengubah diri kita menjadi baik. tetapi tidak pada seseorang. Ini kerana mereka tidak menjaga solat mereka seperti yang sepatutnya mereka lakukan.


Ma’un Ayat 5: Solat merupakan waktu khusus untuk ingat kepada Allah‎ ﷻ. Tetapi ramai yang tidak jaga solat mereka. Dan memang syaitan akan serang hamba untuk menghalang mereka daripada mengerjakan solat dengan benar. Kita sebagai seorang Muslim perlulah jaga supaya dalam solat kita tawajuh (fokus) hanya kepada Allah‎ ﷻ.

Memang akan celakalah kalau dalam solat yang sepatutnya kita ingat kepada Allah‎ ﷻ, tetapi lalai tidak ingat kepada Allah ‎ﷻ. Bayangkan, sekiranya orang duduk di hadapan kita, tidak wajarlah untuk kita main telefon sambil bercakap dengan dia. Apa perasaan kita kalau kita jumpa orang, tetapi orang itu tengok telefon dia sahaja dan tidak dengar apa yang kita kata? Tentu kita akan marah kalau begitu, bukan?

Allah ‎ﷻ mahu kita hadap Dia dan tumpu perhatian kepada Dia. Sudahlah waktu lain kita tidak ingat kepada Allah‎ ﷻ, takkan dalam solat pun kita tidak ingat kepada Allah‎ ﷻ ? Tetapi memang ramai ada masalah ini, bukan? Maka ayat ini semoga dapat memberi kejutan membina kepada kita.

الَّذينَ هُم عَن صَلاتِهِم ساهونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[But] who are heedless of their prayer¹ –

  • i.e., the hypocrites who are unconcerned if they miss prayers when no one sees them.

(MALAY)

(iaitu) orang-orang yang lalai tentang solatnya,

Ayat ini adalah sambungan kepada ayat sebelumnya. Seperti kita telah sebutkan, Allah ‎ﷻ boleh sahaja sambung terus ayat ini dengan ayat sebelumnya (letak dalam satu ayat). Tetapi Allah ‎ﷻ tidak lakukan begitu. Ini adalah supaya kita beri perhatian kepada setiap ayat. Kesannya adalah, kalimah ‘solat’ disebut dua kali dalam kedua-dua ayat ini – ini memberi kesan penekanan kerana dua kali disebut.

Mereka yang lalai dalam solat, tidak mendapat kebaikan daripada solat itu. Allah ‎ﷻ telah sebut dalam [Ankabut:45]

إِنَّ الصَّلاةَ تَنهىٰ عَنِ الفَحشاءِ وَالمُنكَرِ

Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar.

Kalau solat itu sudah mencegah orang yang mengerjakannya daripada perbuatan keji, kenapa pula mereka sanggup menindas dan menidakkan hak orang lain? Ini yang kita hendak jelaskan.

Dalam ayat 1, disebut أَرَأَيتَ الَّذي يُكَذِّبُ بِالدّينِ, menyebut tentang ‘seorang’ yang menipu tentang agama. Begitu juga, dalam ayat 2 dan 3, memperkatakan tentang orang yang sama. Tetapi dalam ayat 4 dan ayat 5 ini, digunakan kalimah لِلمُصَلّينَ dan الَّذينَ yang jelas dalam bentuk jamak pula. Kenapa pula ada perubahan dalam bentuk bilangan?

Ini adalah kerana mereka ini bukan solat bersendirian, tetapi mereka solat di tempat awam dan berjemaah. Kenapa mereka buat begitu? Akan dijelaskan dalam ayat 6 nanti.

Tuan-tuan, Allah ‎ﷻ telah menyumpah ramai golongan dalam Al-Qur’an. Antaranya dalam [Humazah:1]

وَيلٌ لِكُلِّ هُمَزَةٍ لُمَزَةٍ

Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela,

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ menyumpah mereka yang mencela dan mengumpat orang lain. Ini adalah jenayah terhadap manusia. (Celaka dalam Surah Ma’un ini adalah tentang solat – jenayah terhadap Allah‎ ﷻ). Allah ‎ﷻ juga ada menyumpah dalam [Mutaffifin:1]

وَيلٌ لِلمُطَفِّفينَ

Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan)

Ayat ini juga tentang jenayah dengan manusia – menipu dalam timbangan dan perniagaan. Allah ‎ﷻ juga ada menyumpah mereka yang melakukan jenayah yang amat berat, iaitu mengubah khitab Allah ‎ﷻ dan ini disebut dalam [Baqarah:79]

فَوَيلٌ لِلَّذينَ يَكتُبونَ الكِتابَ بِأَيديهِم ثُمَّ يَقولونَ هٰذا مِن عِندِ اللَّهِ

Maka kecelakaan yang besarlah bagi orang-orang yang menulis Al Kitab dengan tangan mereka sendiri, lalu dikatakannya; “Ini dari Allah”,

Jadi, kita boleh lihat bagaimana kesalahan-kesalahan yang telah disebut sehingga Allah ‎ﷻ mencelakakan mereka itu adalah kesalahan-kesalahan yang besar. Dan sekarang Allah ‎ﷻ memasukkan sumpahNya kepada mereka yang lalai daripada solat mereka. Jadi bayangkan beratnya kesalahan yang disebut dalam ayat ini. Allah ‎ﷻ samakan dengan mereka yang tipu orang lain, tulis khitab tiruan dan sebagainya. Maka lalai dalam solat bukan perkara main-main.

Apakah maksud ‘solat’ dalam ayat ini? Ada dua pendapat yang diberikan oleh ulama:

1 – Ada yang mengatakan yang dimaksudkan adalah solat orang munafik. Mereka itu solat kerana hendak menunjuk sahaja kepada orang lain. Mereka solat berjemaah bersama dengan para sahabat yang lain kerana mereka mahu dilihat sebagai orang Islam juga. Ini adalah bagi mereka yang berpendapat ayat ini diturunkan di Madinah (kerana kisah munafik selalunya terjadi di Madinah).

2 – Ada juga yang mengatakan ayat ini tentang solat pemimpin Quraish. Mereka juga ada mengamalkan solat. Kita jangan lupa bahawa mereka adalah keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام yang mula-mula membuka Mekah semula. Dan Nabi Ibrahim عليه السلام juga mengamalkan solat seperti yang disebut dalam [Ibrahim:37]

رَبَّنا إِنّي أَسكَنتُ مِن ذُرِّيَّتي بِوادٍ غَيرِ ذي زَرعٍ عِندَ بَيتِكَ المُحَرَّمِ رَبَّنا لِيُقيمُوا الصَّلاةَ

Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat,

Jadi kita tahu yang Nabi Ibrahim عليه السلام mengerjakan solat dan Nabi Ismail عليه السلام juga mengerjakan solat. Ini disebut dalam [Maryam:55]

وَكانَ يَأمُرُ أَهلَهُ بِالصَّلاةِ

Dan dia menyuruh ahlinya untuk bersembahyang

Jadi keturunan awal Quraish Mekah itu memang mengerjakan solat. Dan amalan solat itu diturunkan turun temurun kepada keturunan mereka. Jadi tentu Quraish Mekah itu tahu tentang amalan solat kerana mereka juga daripada keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi Ismail عليه السلام .

Tetapi Allah menegur amalan solat mereka. Ini kerana solat Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi Ismail عليه السلام itu adalah solat yang ikhlas, tetapi golongan Musyrikin telah mengubah cara solat itu dengan menambah perkara-perkara yang baru (bidaah) dan mereka tidak mengerjakannya dengan ikhlas. Mereka solat hanya untuk menunjuk kepada orang ramai sahaja. Walaupun solat mereka sudah lain, tetapi mereka masih lagi panggil ianya ‘solat’.

Mereka juga ساهونَ dalam solat mereka. Maksud ساهونَ diambil daripada kata dasar س ه و yang bermaksud kita terlupa sesuatu kerana lalai disebabkan ada benda yang lebih penting dalam fikiran kita. Kalimah ساهونَ pula adalah dalam format fa’il (pembuat), iaitu mereka yang melakukan kelalaian dan kelupaan itu.

Kalimah س ه و ini sebenarnya kita semua sudah tahu kerana kita selalu juga buat ‘Sujud Sahwi’, bukan? Iaitu apabila kita terlupa rakaat, terlupa hendak buat Tahiyat Awal dalam solat, maka kita disyariatkan untuk melakukan Sujud Sahwi sebelum atau selepas salam. Kenapa kita terlupa rakaat dalam solat? Kerana kita waktu itu sedang terfikirkan perkara lain, sehingga terlupa rakaat ke berapa dalam solat.

Kalimah س ه و juga boleh bermaksud, kita tidak kisah kalau kita solat atau tidak. Kadang-kadang kita pandang ringan sahaja solat itu, sampaikan kalau kita terlepas, kita tidaklah kisah sangat. Ramai orang begini. Kalau mereka dalam keadaan senang untuk melakukan solat, mereka akan kerjakan; tetapi kalau mereka di luar, susah hendak cari masjid/surau, mereka tidak kisah pun kalau mereka tidak solat.

Atau kalau mereka terlupa hendak solat, mereka tidaklah kelam kabut (beza dengan kalau lupa makan). Begitulah kadang-kadang kita sibuk kerja, sibuk tengok pertandingan bola sepak dan sebagainya, kita tidak kisah kalau terlepas solat. Jadi mereka-mereka yang sebegini, dikira sebagai ساهونَ.

Kebanyakan daripada kita rasa solat itu macam ringan sahaja, tetapi lihatlah bagaimana Allah‎ ﷻ bersumpah dan mencelakan (وَيلٌ) mereka yang bersifat seperti ini. Ianya adalah kebinasaan yang amat teruk. Kenapa sampai begitu sekali? Ini adalah kerana solat itu adalah amat penting sekali. Banyak sekali dalil tentang perkara ini:

1 – Lihatlah bagaimana pertama kali Allah ‎ﷻ memperkenalkan DiriNya kepada Nabi Musa عليه السلام dalam [Taha:14]

إِنَّني أَنَا اللَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا أَنا فَاعبُدني وَأَقِمِ الصَّلاةَ لِذِكري

Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada ilah selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingat Aku.

Lihatlah, pertama kali Allah ‎ﷻ berkata-kata dengan Nabi Musa عليه السلام, Allah ‎ﷻ menyebut tentang solat. Ini menunjukkan begitu penting sekali solat itu.

Dan Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini, salah satu tujuan solat adalah untuk mengingatiNya. Allah‎ ﷻ beritahu perkara ini kepada Nabi Musa عليه السلام sedangkan waktu itu Nabi Musa عليه السلام sudah bercakap dengan Allah ‎ﷻ, dan pastinya baginda tidak akan lupa dengan Allah ‎ﷻ lagi, bukan? Akan tetapi Allah‎ ﷻ beritahu juga kerana percakapan itu tidak cukup lagi, baginda kena solat juga lagi.

2 – Solat lebih penting daripada kehidupan dan kematian. Allah ‎ﷻ berfirman dalam [An’am:162]

قُل إِنَّ صَلاتي وَنُسُكي وَمَحيايَ وَمَماتي لِلَّهِ رَبِّ العالَمينَ

Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.

Lihatlah bagaimana solat disebut dahulu sebelum kehidupan dan kematian. Memang hidup dan mati itu sudah besar, tetapi Allah ‎ﷻ sebut solat juga dulu. Ini menunjukkan kepentingannya.

3 – Solat disamakan dengan ‘iman’. Lihat firman Allah ‎ﷻ dalam [Baqarah:143]

وَما جَعَلنَا القِبلَةَ الَّتي كُنتَ عَلَيها إِلّا لِنَعلَمَ مَن يَتَّبِعُ الرَّسولَ مِمَّن يَنقَلِبُ عَلىٰ عَقِبَيهِ ۚ وَإِن كانَت لَكَبيرَةً إِلّا عَلَى الَّذينَ هَدَى اللَّهُ ۗ وَما كانَ اللَّهُ لِيُضيعَ إيمانَكُم

Dan Kami tidak menetapkan kiblat yang menjadi kiblatmu (sekarang) melainkan agar Kami mengetahui (supaya nyata) siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang membelot. Dan sungguh (pemindahan kiblat) itu terasa amat berat, kecuali bagi orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah; dan Allah tidak akan menyia-nyiakan imanmu.

Ayat ini adalah berkenaan penukaran kiblat daripada mengadap BaitulMaqdis ke Ka’bah. Waktu itu puak Yahudi mengejek mengatakan yang solat-solat orang Islam sebelum ditukar ke Ka’bah itu sia-sia sahaja, kerana kononnya itu bukan kiblat yang sebenar.

Allah ‎ﷻ menolak kata-kata mereka itu dengan mengatakan solat orang Islam ke BaitulMaqdis itu tidak sia-sia. Kerana mereka melakukannya atas arahan Allah ‎ﷻ juga pada waktu itu. Yang menariknya, kita lihat bagaimana dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ tidak sebut ‘solat’ tetapi Allah ‎ﷻ sebut ‘iman’ mereka. Ini menunjukkan bahawa Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah ‘iman’ untuk ‘solat’.

Ini mengajar kita kepentingan solat itu sampai disamakan dengan iman. Iman itu duduknya di dalam hati dan begitu juga solat itu sendiri. Solat bukan amalan badan sahaja, tetapi kena ada amalan hati juga. Ada orang yang solat secara fizikal, tetapi mereka tidak ada ruh solat dalam hati mereka. Mereka tidak kisah tentang solat pun sebenarnya tetapi hendak menunjuk-nunjuk sahaja.

Ini juga menunjukkan kepada kita yang iman itu bukan di hati dan akal sahaja, tetapi kena ditunjukkan dengan perbuatan solat. Oleh itu, kalau orang yang tidak solat, maknanya ada masalah dengan hati dan iman mereka. Janganlah mengaku beriman dan hati itu baik kalau solat pun tidak dikerjakan dan diambil perhatian.

Imam ash-Shawkani mengatakan Allah ‎ﷻ menegur mereka yang tidak menjaga solat mereka:

– Ada yang kadang solat dan kadang tidak. Ikut suka mereka sahaja. 
– Ada yang tidak menjaga syarat-syarat dan kewajipan dalam mengerjakan solat. Tiada ilmu cara solat Rasulullah ﷺ.
– Ada pula yang solat seperti ayam mematuk makanan di tanah. Mereka solat tetapi solat dengan laju dan tidak menjaga tumakninah.
– Ada yang melengahkan solat dan hanya melakukannya di hujung-hujung waktu. Ini adalah kerana mereka tidak mementingkan solat sangat. Mereka solat itu seolah-olah mereka terpaksa melakukannya. Mereka tidak merasa kemanisan solat itu.

Begitu banyak sekali kesalahan-kesalahan yang disebut dalam pendapat ini. Kalau melakukan salah satu daripadanya pun sudah dikira sebagai ساهونَ.

Ini amat menakutkan sekali. Kerana kita pun melakukan solat juga, bukan? Tetapi bagaimana sikap kita terhadap solat? Kita selalunya tidak menjaga waktu solat kita. Sedangkan Allah ‎ﷻ telah berfirman dalam [Nisa’:103]

إِنَّ الصَّلاةَ كانَت عَلَى المُؤمِنينَ كِتابًا مَوقوتًا

Sesungguhnya solat itu adalah fardhu yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman.

Jadi kita sepatutnya jaga waktu solat. Kena solat dalam waktunya dan kena cari waktu yang afdhal. Kalau kita buat di akhir waktu, ditakuti kita akan tergesa-gesa dalam solat itu sampaikan tidak sempurna solat kita. Ini selalu terjadi kerana kita lebih mementingkan perkara lain daripada solat kita.

Selalunya, kita sanggup buat kerja lain dahulu, sampai waktu solat pula yang tergadai. Sepatutnya sebagai seorang Muslim, kenalah jaga waktu solat kita. Perkara-perkara lain yang kena diubah supaya bersesuaian dengan waktu solat. Bukannya solat yang kena ubah kerana hendak sesuaikan dengan perkara-perkara keduniaan yang lain.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah عَن صَلاتِهِم (berkenaan/tentang solat mereka). Maknanya yang dikutuk adalah lalai berkenaan solat. Alhamdulillah, Allah ‎ﷻ tidak sebut في صَلاتِهِم (‘dalam’ solat). Ini adalah rahmat daripada Allah‎ ﷻ. Kerana kalau yang dikutuk adalah mereka yang lalai ‘dalam’ solat, kita semua akan ada masalah!

Kerana kita semua tentunya kadang-kadang ada masalah dengan solat kita – selalunya kita tidak khusyuk. Kadang-kadang kita terlupa berapa rakaat, berapa sajdah kita sudah buat, kita terfikir tentang kerja, tentang makan dan macam-macam lagi.

Alhamdulillah, yang Allah ‎ﷻ kutuk adalah mereka yang lalai عَن صَلاتِهِم berkenaan solat mereka. Iaitu perkara-perkara yang di luar solat. Antaranya seperti yang kita sebut, tidak menjaga kepentingan solat. Ada yang tidak kisah sama ada mereka solat atau tidak – orang jenis begini yang dikutuk. Mereka lebih pentingkan perkara lain seperti yang Allah ‎ﷻ sebut dalam [Jumu’a:11]

وَإِذا رَأَوا تِجارَةً أَو لَهوًا انفَضّوا إِلَيها وَتَرَكوكَ قائِمًا

Dan apabila mereka melihat perniagaan atau permainan, mereka bubar untuk menuju kepadanya dan mereka tinggalkan kamu sedang berdiri

Inilah dua perkara yang selalu menyebabkan kita lalai daripada solat kita: perniagaan dan permainan (hiburan). Maka kita kena berhati-hati dengan keduanya. Jangan sampai kerja kita di pejabat, hiburan di TV dan permainan dengan anak-anak melalaikan kita dalam mengerjakan solat.

Jadi kita sudah faham apakah yang dimaksudkan dengan ‘lalai’ tentang solat itu – bukanlah kerana tidak khusyuk. Tetapi ini tidaklah mengatakan tidak penting khusyuk itu. Kita tetap kena jaga khusyuk dalam solat kerana ini adalah tuntutan. Kita kena cuba untuk mendapatkan khusyuk, tetapi kita pun tahu yang kita tidak dapat menjaganya sentiasa.

Oleh itu, kalau tidak khusyuk, tidaklah sampai Allah ‎ﷻ mencelakakan kita. Memang pahala berkurangan, tetapi tidaklah sampai kena cela oleh Allah ‎ﷻ.


Ma’un Ayat 6: Mereka melakukan ibadat itu bukan kerana hendak ingat sebenar kepada Allah‎ ﷻ, tetapi kerana hendak menunjuk-nunjuk sahaja.

الَّذينَ هُم يُراءونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who make show [of their deeds]

(MALAY)

orang-orang yang berbuat riya,

Mereka melakukan amal ibadat itu kerana hendak beri orang nampak sahaja. Allah ‎ﷻ amat marah kepada mereka sampaikan ada tiga penekanan dalam ayat ini. Di manakah penekanan itu?

1. الَّذينَ (mereka yang) – ini sudah dalam bentuk jamak

2. هُم (mereka) – ini ditambah sebagai penekanan. Kalau nak dikira, kalimah الَّذينَ sudah membawa maksud ‘mereka’.

3. يُراءونَ (mereka hendak menunjuk-nunjuk) – sebenarnya kalau digunakan kalimah ini pun sudah cukup sebenarnya, kerana ia sudah membawa maksud ‘mereka’, tetapi Allah ‎ﷻ tetap tambah dengan kalimah الَّذينَ dan هُم.

Daripada segi balaghah, Allah ‎ﷻ memberi penekanan itu kerana hendak menunjukkan murkaNya. Kerana banyak sekali kesalahan dan dosa mereka. Sampaikan Allah ‎ﷻ berkata: mereka, mereka, mereka itu.

Solat mereka itu untuk ditunjukkan kepada orang sahaja. Mereka tidak ikhlas dalam solat mereka. Kalau orang lain nampak mereka solat, solat mereka molek waktu itu – kemas sahaja, baca surah pun khusyuk sahaja, sujud dan rukuk pun lama sahaja.

Kalau tidak ada orang, mereka akan solat dengan cincai sahaja. Begitulah kalau kita hendak tahu kalau kita ini ikhlas dalam solat atau tidak – tengok cara kita solat depan orang dan kalau orang tidak lihat kita solat – kalau ada beza, maka ada masalah dengan keikhlasan kita.

Semua ini kerana mereka tidak kisah dengan solat mereka – mereka lalai, tidak kisah kalau mereka solat atau tidak, selalu melewat-lewatkan solat. Kerana hati mereka begitu, maka mereka hanya solat, atau solat dengan baik hanya kalau orang nampak mereka sedang solat.

Orang yang tidak jaga solat mereka akan susah untuk solat, terutama sekali Solat Subuh. Kerana susah untuk bangun daripada tidur yang memang sedap. Dan untuk bangun solat waktu itu memerlukan kekuatan dan kekuatan itu hanya ada kalau dia sedar kepentingan solat. Setiap kali kita hendak bangun, kita akan timbang, mana yang lebih kita hargai: solat kita atau tidur kita? Kalau kita tidak pandang tinggi solat itu, maka tidurlah yang akan menang (dan syaitan juga yang menang). Oleh itu, kena sedar kepentingan solat.

Dan kedua, pastikan jangan tidur lewat. Jangan buang masa waktu malam dengan main game, membaca, tengok filem tengok tv dan bersembang tidak tentu pasal. Kalau tidak ada hal penting, selepas Isyak dalam pukul 10 sahaja, teruslah tidur. Dan ketahuilah kepentingan Solat Subuh itu. Allah ‎ﷻ telah berfirman dalam [Isra’:78]

إِنَّ قُرآنَ الفَجرِ كانَ مَشهودًا

Sesungguhnya solat subuh itu disaksikan

Allah ‎ﷻ beritahu yang Solat Subuh itu disaksikan. Maksudnya disaksikan oleh malaikat dan juga Allah ‎ﷻ. Maka ada nilai tambahan pada Solat Subuh itu, maka janganlah kita ambil ringan tentangnya. Semoga Allah ‎ﷻ menyelamatkan kita daripada jadi orang yang ساهونَ dalam solat, ameen.

Kalimah يُراءونَ dari katadasar ر ء و yang bermaksud ‘melihat’. Kalau يُراءونَ pula di dalam wazan مفاعل iaitu menunjukkan ada usaha di dalamnya. Maka, kalimah يُراءونَ bermaksud mereka itu berusaha supaya orang melihat solat mereka. Mereka hendak menunjuk kononnya mereka itu orang yang beriman dan kuat beramal, sedangkan mereka itu tidak.

Allah ‎ﷻ sedang membuka pekung Quraish Mekah itu. Mereka solat itu hanya untuk dilihat oleh puak Arab yang lain supaya mereka dihormati sebagai penjaga Ka’bah. Kerana mereka itu penjaga Ka’bah, takkan tidak solat pula? Begitulah dalam hati mereka dan Allah ‎ﷻ buka apa yang ada dalam hati mereka dalam ayat ini.

Tetapi bukan sahaja Quraish Mekah yang dikutuk dalam ayat ini, termasuk juga sesiapa yang menunjuk-nunjuk dalam solat mereka. Antara yang termasuk adalah golongan munafik, dari dahulu sampailah sekarang. Ini disebut dalam [Nisa:142]

إِنَّ المُنافِقينَ يُخادِعونَ اللَّهَ وَهُوَ خادِعُهُم وَإِذا قاموا إِلَى الصَّلاةِ قاموا كُسالىٰ يُراءونَ النّاسَ وَلا يَذكُرونَ اللَّهَ إِلّا قَليلًا

Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk solat mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya’ (dengan solat) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali.

Maka kita kena jaga hati kita dari ada perasaan riak menunjuk-nunjuk amalan ibadat kita kepada orang lain. Sebagai nasihat, kalau kita solat, janganlah menunjuk kecuali kalau terpaksa kerana solat jemaah. Jadi solat sunat kita buatlah supaya orang lain tidak nampak. Kerana itulah sunnah solat sunat selepas solat fardhu itu sebenarnya dilakukan di rumah sahaja, bukan di masjid.

Perasaan riak adalah amat bahaya sekali. Ini adalah salah satu dari penyakit hati (sifat mazmumah). Ini termasuk dalam shirk khafi (syirik tersembunyi) kerana kita mengharapkan orang nampak amalan ibadat kita. Sepatutnya kita mahu Allah ‎ﷻ sahaja nampak amalan kita, bukan hendak menunjuk depan orang. Kita mahu pujian daripada Allah‎ ﷻ, bukan pujian daripada manusia.


Ma’un Ayat 7: Akhir sekali disebut satu lagi sifat buruk mereka: mereka menegah benda yang tidak patut ditegah. Ini adalah kerana mereka kedekut sangat.

وَيَمنَعونَ الماعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And withhold [simple] assistance.

(MALAY)

dan enggan (menolong dengan) barang berguna.

Ayat ini berkait dengan ayat 3 daripada segi konteksnya. Asal surah ini berkenaan kesalahan terhadap manusia, kemudian disebut tentang kesalahan dengan Allah ‎ﷻ (tentang solat) dan sekarang kembali kepada kesalahan terhadap manusia pula. Begitulah terkaitnya antara kesalahan terhadap manusia dan terhadap Allah‎ ﷻ.

Manusia ada yang membezakan antara dua perkara ini tetapi ingatlah yang ianya berkait rapat. Itulah sebabnya Allah ‎ﷻ susun begitu dalam surah ini sebagai isyarat yang ianya rapat antara satu sama lain. Kerana keliru perkara ini, ada orang kata mereka baik, suka memberi dan menolong kepada orang lain, tetapi mereka tidak solat dan jaga ibadat lain; ada pula yang jaga solat, tetapi tidak baik kepada orang lain, menindas, menzalimi dan sebagainya; ini adalah pembahagian yang salah, maka Allah ‎ﷻ ingatkan dengan kaitkan kedua-dua perkara ini dalam surah ini.

Ingatlah yang kita kena berbuat baik kepada manusia dan juga kepada Allah ‎ﷻ – tidak boleh tinggalkan salah satu daripadanya. Kena ada keseimbangan antara hubungan dengan manusia dan hubungan dengan Allah‎ ﷻ. Itulah habluminallah (tali dengan Allah‎ ﷻ) dan habluminannas (tali dengan manusia).

Jadi, mereka menghalang الماعونَ. Apakah ia? Ia adalah sesuatu yang kecil tidak bernilai besar, yang kalau hilang atau diberikan pun, ia tidak akan menyusahkan kita. Kerana itu ada para sahabat dan ulama yang mengatakan yang ianya merujuk kepada Zakat (kerana ia hanya 2.5% daripada harta kita pada tahun itu). Ianya tidak banyak kalau dibandingkan dengan harta kita yang lain.

Ianya juga boleh merujuk kepada benda yang kecil seperti timba, pen dan sebagainya yang kalau kita hilang benda itu pun tidaklah kita susah hati sangat. Ia adalah perkara yang kita tidak patut kedekut pun – contohnya air, kalau ada orang minta, kita patutnya senang sahaja untuk beri. Kerana ianya sangat murah dan tidak menyusahkan kita. Tidaklah dengan air pun kita kedekut, bukan?

Tetapi mereka yang berperangai buruk itu amat kedekut sampaikan benda macam itu pun mereka hendak kedekut. Mereka tidak menghargai senyuman mereka yang dapat benda-benda itu kalau diberikan kepada mereka. Otak mereka yang teruk itu fikir, “kenapa aku perlu bagi kepada orang itu, itu barang aku!”.

Ini adalah sifat yang datang dari hati yang buruk dan keras sekali. Fikiran mereka amat rendah (low class). Janganlah kita jadi begini. Hendaklah kita bermurah hati dan menolong orang lain dan cari peluang untuk membantu orang lain dengan apa cara yang kita boleh berikan, tidak kira berapa kecil pun pemberian itu. Sepatutnya bangun-bangun tidur dan sedang gosok gigi, terus simpan niat hendak bantu orang hari itu.

Orang yang teruk adalah mereka yang keras hati mereka daripada menolong orang lain. Lalu, bagaimana hendak mendapat hati yang lembut? Kita kena biasakan untuk:

    • solat (menjaga hubungan dengan Allah‎ ﷻ)
    • biasakan memberi kepada orang lain (menjaga hubungan dengan manusia)

Kita kena timbangkan iman kita dengan dua perkara ini. Kalau ada kekurangan dalam salah satunya (terutama sekali solat), maka kita kena ubah diri kita. Contohnya kalau kita ada masalah dengan solat, kita kena usaha untuk memperbaiki solat kita. Kalau kita ada masalah dengan hubungan kita dengan anak  yatim, kita juga kena perbaiki diri kita dalam hal itu. Kita kena cari anak yatim untuk membantu mereka.

Banyak lagi perkara dalam agama yang kita kena buat. Tetapi yang disebut dalam surah ini adalah perkara-perkara kecil sahaja dahulu. Kena usaha supaya kita selesai perkara itu kerana amat besar masalah kalau benda kecil macam ini pun tidak boleh buat.

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke surah seterusnya, Surah al-Kawthar.

Kemaskini: 27 September 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Quraish Ayat 2 – 4 (Tidak lapar dan tidak takut)

Quraish Ayat 2: Inilah kebiasaan nikmat yang golongan Quraish itu sentiasa dapat. Rombongan perniagaan mereka tidak diganggu semasa perjalanan perniagaan mereka itu. Ini adalah kerana kemuliaan Ka’bah.

Ayat 3 – 4 adalah Perenggan Makro Kedua. Sepatutnya mereka bersyukur dengan nikmat Allah itu dengan mentauhidkan dan menyembah Allah sahaja. Bukannya menjadikan Kaabah sebagai pusat menyembah berhala.

إيلافِهِم رِحلَةَ الشِّتاءِ وَالصَّيفِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Their accustomed security [in] the caravan of winter and summer¹–

  • i.e., the trading caravans that traveled south in winter and north in summer.

(MALAY)

(iaitu) kebiasaan mereka berpergian pada musim dingin dan musim panas.

 

Ada pengulangan kalimah إيلافِ dalam ayat ini – kenapa? Kerana hendak menekankan (taukid) kalimah itu. Begitulah penggunaan ulangan dalam bahasa Arab klasik. Allah hendak menekankan perkara yang Allah telah lakukan untuk melembutkan hati mereka. Apa yang Allah telah lakukan? Antara yang kita tahu:

    • Allah memusnahkan Tentera Abrahah
    • Allah berikan mereka Ka’bah dan mereka diberi kelebihan sebagai penjaganya
    • Mereka keturunan Nabi Ibrahim a.s.
    • Allah bangkitkan Rasul terakhir Nabi Muhammad SAW dari kalangan mereka.

Kalimah إيلافِ dalam ayat pertama adalah dalam bentuk umum, dan إيلافِ yang kedua dalam ayat ini adalah spesifik. Kalau إيلافِ yang dalam bentuk umum itu tidak melembutkan hati mereka lagi, maka Allah akan sebut إيلافِ yang seterusnya yang sepatutnya pasti melembutkan hati mereka.

Jadi sekarang dalam ayat ini Allah sebut tentang kafilah mereka yang pergi berniaga ke luar kawasan mereka. Itulah رِحلَةَ dan ianya dalam bentuk mansub (tandanya berbaris atas) kerana ianya menjelaskan apakah yang diberikan kepada mereka.

Kenapa Allah gunakan kalimah رِحلَةَ untuk perjalanan mereka? Ada beberapa kalimah lagi yang boleh digunakan seperti:

Safar سفر – untuk perjalanan yang jauh.
Saaha ساحة (i.e. siyahah) – untuk perjalanan jalan-jalan seperti melancong.
Nafara نفر – perjalanan untuk berperang.

Memang ada banyak kalimah lain, tapi Allah menggunakan kalimah yang tepat dalam Al-Qur’an. Kalimah رِحلَةَ bermaksud perjalanan yang membawa barang seperti beg. Oleh kerana mereka pergi untuk berniaga, maka mereka membawa banyak muatan untuk perdagangan mereka. Sebab itu رِحلَةَ amat sesuai digunakan dalam ayat ini kerana hendak memperkatakan perjalanan perdagangan mereka.

Tentunya mereka akan bergerak dengan unta mereka sebagai binatang tunggangan. Dan mereka akan letak barang dagangan mereka di atas unta mereka itu. Unta bukan ada bonet untuk sorok barang itu, maka orang lain boleh nampak dari jauh yang mereka sedang bawa barang. Selalunya waktu itu memang akan kena kacau dan kena rompak oleh perompak jalanan.

Akan tetapi, tidak ada yang berani merompak mereka. Kalau orang lain dari selain Mekah yang bawa begitu, tentu mereka tidak selamat. Tapi Allah hendak mengingatkan mereka, walaupun mereka bawa barang yang boleh dinampak oleh orang, kamu masih selamat lagi. Perampok jalanan boleh kenal yang itu adalah rihlah dari Mekah, maka mereka tidak kacau.

Dan dalam perjalanan mereka itu, mereka boleh berhenti di mana-mana tempat sahaja yang mereka hendak. Mereka boleh berhenti ambil cuti dari berniaga. Orang lain kena terus berniaga kerana mereka akan susah kalau mereka tidak berniaga. Tapi Quraish sudah memang kaya dan tidak memerlukan pun perniagaan itu. Kalau mereka tidak berniaga pun, mereka sudah senang lenang duduk di Mekah, kerana makan dan pakai mereka sudah cukup. Mereka tidak perlu keluar dari Mekah dan mereka boleh berniaga di Mekah sahaja kerana memang penduduk sekitar tanah Arab yang akan datang kepada mereka.

Kebiasaan mereka adalah berdagang ke Syria dan Yaman. Mereka akan tukar pada satu waktu pergi ke Syria dan satu lagi ke Yaman. Mereka amat suka ke dua-dua tempat itu sampaikan mereka buat puisi tentangnya. Dalam musim sejuk, mereka akan pergi ke Yaman kerana Yaman panas pada waktu itu dan pada musim panas, mereka akan ke Syria kerana Syria lebih sejuk waktu itu. Mereka siap boleh pilih-pilih mana tempat mereka hendak pergi – ini adalah satu nikmat yang amat besar sekali.

Kalimah رِحلَةَ dalam bentuk mufrad (satu) walaupun sebenarnya perjalanan Quraish itu ke dua tempat (satu pada musim sejuk dan satu lagi pada musim panas). Tapi disebut dalam bentuk mufrad sahaja kerana seolah-olah ianya satu perjalanan yang panjang. Mereka akan pergi ke Yaman, kemudian berhenti dan luangkan masa sekejap di Mekah dan kemudian sambung perjalanan ke Syria. Ianya seperti satu perjalanan yang panjang.

Allah sebut الشِّتاءِ (musim sejuk) sebelum sebut الصَّيفِ (musim panas) dan ini adalah penting. Ini adalah kerana musim sejuk dikaitkan dengan kekurangan makanan kerana waktu itu tumbuhan tidak berbuah dan masa menuai adalah pada musim panas. Allah sebut tentang musim sejuk yang dikaitkan dengan kekurangan makanan kerana mereka masih tetap dapat makanan pada musim sejuk dan ini adalah hebat dan ianya adalah kerana rahmat dari Allah.

Musim panas pula adalah waktu yang bahaya kerana pada waktu itu perompak jalanan akan menahan dan merompak kafilah yang sedang berdagang. Ini adalah kerana mereka akan tetap di tempat mereka pada musim sejuk dan hanya keluar pada musim panas.

Oleh itu, musim sejuk adalah masalah makanan/ekonomi dan musim panas adalah masalah keselamatan. Allah sebut tentang ekonomi/makanan sebelum masalah keselamatan kerana surah ini berkenaan dengan kelegaan ekonomi yang mereka dapat.


 

Quraish Ayat 3: Maka kerana kelebihan yang Allah berikan itu, maka hendaklah mereka mentauhidkan Allah.

فَليَعبُدوا رَبَّ هٰذَا البَيتِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Let them worship the Lord of this House,¹

  • i.e., the Ka‘bah.

(MALAY)

Maka hendaklah mereka menghambakan diri kepada Tuhan Pemilik rumah ini (Ka’bah).

 

Nikmat yang Allah berikan tidak boleh dihitung sebenarnya. Kalau mereka tidak nampak kelebihan-kelebihan lain yang banyak Allah telah berikan, maka sekurang-kurangnya, mereka sembahlah Allah sahaja (jangan sembah selainNya) kerana nikmat yang amat jelas ini – nikmat mereka hidup dengan senang.

Nikmat itu amat jelas sekali yang tidak diberikan pada orang lain yang hidup sewaktu dengan mereka. Dan kalau kita nak tambah lagi seperti yang telah disebut dalam Surah Fil, mereka juga hidup dengan aman dan selamat di Mekah itu, dan ini telah dibuktikan dengan pemusnahan Tentera Abrahah yang cuba hendak mengganggu ketenteraman mereka.

Juga ayat ini boleh bermaksud: supaya hati mereka menjadi lembut, maka hendaklah mereka menghambakan diri kepada Tuan kepada rumah ini (Ka’bah).

Kenapa Allah sebut: هٰذَا البَيتِ (Rumah ini)? Ini adalah kerana rumah ibadat itu dibina oleh Nabi Ibrahim a.s. dan kerana Ka’bah itulah yang menyebabkan kedudukan mereka tinggi di mata masyarakat Arab yang lain. Kerana itulah mereka tidak diserang dalam perjalanan perdagangan mereka. Ini kerana semua orang hormat mereka dan tidak berani serang mereka.

Dan kerana Ka’bah jugalah ekonomi mereka kuat. Ramai yang datang ke Mekah kerana melawat Ka’bah dan mereka dapat sumber kehidupan dari kedatangan orang ke sana. Dan inilah juga rumah yang Allah selamatkan dari serangan Tentera Abrahah; dan rumah inilah yang Allah telah berjanji untuk menjadikannya selamat dan diberi dengan makanan. Jadi Baitullah/Ka’bah ini amat penting dan kerana itu Allah sebut dalam ayat ini.

Maksud رَبَّ هٰذَا البَيتِ adalah Allah kerana Allah adalah Tuan kepada Ka’bah itu. Allah tidak perlu sebut namaNya kerana memang Musyrikin Mekah kenal pun Allah. Mereka tahu Allah itu adalah Tuhan pencipta alam ini. Dan mereka tahu Allah adalah tuan punya Ka’bah itu.

Allah boleh sahaja sebut: “maka bersyukurlah kepada Tuan rumah ini.” Tapi Allah tidak kata begitu, kenapa? Kenapa tidak disuruh mereka bersyukur kepadaNya? Sebaliknya Allah suruh mereka menghambakan diri kepadaNya. Ini memberi makna yang amat mendalam sekali – kalau hendak mensyukuri nikmat Allah yang banyak Allah telah berikan, caranya adalah dengan menghambakan diri kepadaNya – tidak ada cara lain lagi. Maka tidaklah boleh sebut ‘alhamdulillah’ sahaja, tapi kena tunjukkan dalam perbuatan kita.

Dan kita tafsirkan kalimah فَليَعبُدوا dengan bermaksud: maka hendaklah kamu semua ‘menghambakan’ diri – bukannya: maka hendaklah kamu ‘sembah’. Ini adalah kerana maksud ‘hamba’ itu lebih besar dari maksud ‘sembah’ sahaja. Kerana ada orang yang sembah Allah tapi tidak menghambakan diri kepada Allah.

Sebagai contoh, mereka mungkin puja Allah sahaja, buat ibadat seperti solat dan puasa, tapi mereka tidak ‘menghambakan’ diri sepenuhnya, kerana mereka tidak ikut arahan Allah yang lain. Kerana kalau betul-betul jadi hamba, maka segala arahan kena diikuti, bukannya setakat waktu melakukan ibadah sahaja. Maka lebih sesuai kalau kita kata, kena ‘hambakan’ diri kepada Allah dan ini termasuk juga menyembah dan melakukan ibadat kepada Allah sahaja.


 

Quraish Ayat 4: Allah sudahi surah ini dengan sambung sebut jasaNya lagi.

الَّذي أَطعَمَهُم مِن جوعٍ وَآمَنَهُم مِن خَوفٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who has fed them, [saving them] from hunger and made them safe, [saving them] from fear.

(MALAY)

Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan.

 

Ayat ini merujuk kepada puak Quraish yang telah diberikan dengan nikmat makanan dan keamanan dari Allah seperti yang telah disebut oleh Nabi Ibrahim a.s. dalam doa baginda.

Dari segi bahasa, apabila Allah menggunakan tanwin pada kalimah جوعٍ (lapar), ia bermaksud lapar yang sangat dan kalimah خَوفٍ (takut) bermaksud takut yang sangat. Dan cara Allah jauhkan mereka dari lapar itu adalah Allah benarkan perjalanan perdagangan mereka berdagang – dengan itu mereka dapat cari rezeki dengan banyak dan Allah selamatkan perjalanan kafilah perdagangan mereka dengan tidak diserang oleh orang lain. Allah sebut juga dalam Ankabut:67 tentang perkara ini:

أَوَلَم يَرَوا أَنّا جَعَلنا حَرَمًا آمِنًا وَيُتَخَطَّفُ النّاسُ مِن حَولِهِم ۚ أَفَبِالباطِلِ يُؤمِنونَ وَبِنِعمَةِ اللَّهِ يَكفُرونَ

Dan apakah mereka tidak memperhatikan, bahawa sesungguhnya Kami telah menjadikan (negeri mereka) tanah suci yang aman, sedang manusia sekitarnya rampok-merampok. Maka mengapa (sesudah nyata kebenaran) mereka masih percaya kepada yang bathil dan ingkar kepada nikmat Allah?

Bukan sahaja kafilah mereka selamat, tapi Mekah itu juga selamat. Bukan sahaja dari Tentera Abrahah tapi memang Mekah adalah tempat yang sentiasa aman – tempat lain banyak kejadian tidak baik, ramai yang kena rompak, kena culik dan harta mereka dicuri, tapi kejadian itu tidak berlaku di Mekah. Orang luar tidak kacau Mekah.

Waktu itu, memang itulah kebiasaan di tempat yang lain. Kalau bermusafir, ada kemungkinan besar akan dirompak (dan perompak akan beri mereka bekalan untuk pulang ke tempat asal mereka, supaya mereka boleh terus hidup dan bermusafir supaya mereka boleh dirompak lagi). Puak Quraish tidak mengalami masalah ini sama sekali.

Bayangkan Mekah itu di tengah-tengah padang pasir tanpa pengadang. Senang sahaja kalau orang nak serang. Tapi Allah tetap selamatkan mereka. Mereka sendiri tidak dapat mempertahankan diri mereka, kalau diserang. Sebagai contoh, tengoklah masa Abrahah serang mereka – ramai-ramai lari naik bukit. Ini kerana mereka memang tidak ada kekuatan ketenteraan untuk mempertahankan diri mereka.

Allah sentiasa menggunakan kalimah dan susunan yang tepat dalam Al-Qur’an. Lihatlah dalam Baqarah:155

وَلَنَبلُوَنَّكُم بِشَيءٍ مِنَ الخَوفِ وَالجوعِ وَنَقصٍ مِنَ الأَموالِ وَالأَنفُسِ وَالثَّمَراتِ

Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan.

Dalam ayat ini, Allah menyebut tentang ‘ketakutan’ sebelum disebut dugaan dalam bentuk ‘kelaparan’. Tapi dalam Surah Quraish ini, Allah sebut tentang kelaparan dulu sebelum ketakutan. Ini adalah kerana ayat Baqarah:155 itu tentang Perang Badr. Dan apabila perang, tentulah yang lebih ditakuti waktu itu adalah ketakutan hilang jiwa, bukannya takut ekonomi musnah.

Tapi dalam Surah Quraish, ianya bukan tentang perang tapi tentang ekonomi yang lebih ditekankan. Maka kerana itu Allah sebut tentang kelaparan dahulu sebelum tentang keselamatan. Begitu hebat sekali susunan ayat-ayat Al-Qur’an yang bertepatan dengan topik yang disentuh.

Dan lihatlah bagaimana Allah sebut الشِّتاءِ (musim sejuk) dahulu kerana ianya dikaitkan dengan kelaparan dan kemudian baru disebut dengan الصَّيف (musim panas) yang berkaitan dengan keselamatan. Hebat!

Tapi kenapa Allah sebut tentang ‘lapar’, bukan tentang ‘miskin’? Kenapa Allah selamatkan mereka dari lapar, bukan dari miskin? Kerana kalau kita berkata tentang ekonomi, tentulah kalimah yang berkenaan adalah kaya dan miskin, bukan? Ini juga adalah tepat kerana ianya bertepatan dengan doa Nabi Ibrahim a.s. Lihat kembali doa Nabi Ibrahim: وَارزُقهُم مِنَ الثَّمَراتِ (dan berilah rezeki kepada mereka dari buah-buahan). Maka rezeki yang dikaitkan itu adalah dengan makanan (buah-buahan).

Baik, kita telah banyak sebutkan tentang kelebihan yang telah diberikan kepada Quraish. Sepatutnya dengan segala nikmat yang jelas nyata itu, sepatutnya mereka menjadi hamba yang baik, lembut hati terhadap Allah, buat kebaikan di atas muka bumi ini. Tapi adakah mereka begitu? Jawapannya ada dalam surah seterusnya, Surah Ma’un.

 

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Ma’un.

Kemaskini: 27 September 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Usul 13: Mengetahui Katakunci Setiap Surah

(13) Keperluan Mengetahui Kata Kunci Setiap Surah.

Salah satu usul untuk memahami al-Qur’an ialah mengetahui kata kunci setiap Surah. Di dalam setiap Surah pasti ada beberapa kata kuncinya. Mengetahui kata-kata kunci itu sangat penting dan sangat membantu dalam memahami mesej utama sesuatu Surah. Analoginya adalah seperti kita membuka pintu rumah – senang kalau ada kuncinya. Dan ini adalah cara yang baik kerana ikut tertib masuk rumah.

Penuntut ilmu al-Qur’an mestilah merenunginya, lalu berusaha menentukan maksud dan tujuan Surah berpandukan kata-kata kunci itu. Ia mungkin hanya satu perkataan sahaja. Mungkin juga beberapa perkataan atau mungkin juga berupa rangkaian kata.

Anda dengan sendiri dapat memutuskan apabila melihat suatu ruang di dalam sesebuah rumah yang teratur rapi dengan sofa, meja kopi di hadapannya, meja sisi di sebelahnya, permaidani besar yang terhampar dan sebagainya, bahawa ia adalah ruang tamunya. Ruang makan akan dapat dipastikan oleh anda apabila melihat meja makan dengan makanan-makanan yang tersaji di atasnya. Demikian juga dengan bilik tidur, anda dengan mudah dapat memastikannya apabila melihat ada katil dengan tilam, bantal, selimut dan cadar yang tersedia di atasnya. Ditambah pula dengan meja, katil dan almari hias di sampingnya.

Begitulah juga dengan Surah-surah di dalam al-Qur’an. Ada beberapa lafaz atau perkataan yang amat relevan dengannya. Perkataan-perkataan itu sangat membantu penuntut ilmu al-Qur’an dalam mendapatkan mesej utama Surah.

Beberapa Contoh Kata Kunci Surah: 

(a) Perkataan زينة adalah kata kunci bagi Surah al-Kahfi. la disebut sebanyak tiga kali di dalamnya. Allah hendak menceritakan bagaimana indahnya Dia telah jadikan dunia ini. Dan semua yang ada dalam dunia ini adalah ujian. Ada empat ujian yang besar yang disebut dalam Surah Kahfi.

a. Tentang Iman – ini disebut dengan kisah Pemuda Kahfi. Mereka banyak kali diuji tapi mereka tetap beriman.
b. Tentang Harta – ini disentuh dalam kisah dua orang lelaki yang ada taman.
c. Tentang Ilmu – ini disentuh dalam kisah Nabi Musa a.s. dengan Nabi Khadr.
d. Tentang Kuasa – ini disentuh dalam kisah Iskandar Dzulkarnain.

Kerana Surah Kahfi adalah surah yang panjang, ada lagi katakunci-katakunci yang lain:

a. لِنَبلُوَهُم ujian untuk mereka
b. لِقائِ perjumpaan
c. kalimah wali, awliya dan wilayah.

(b) Rangkai kata ذو الجلال ولاكرام adalah kata kunci bagi Surah ar-Rahman. Ia disebut dua kali di dalamnya (ayat 27 dan 78). Ayat-ayat lain berputar-putar pada dua kalimah ini. Rangkai kata ini tidak terdapat di dalam mana-mana Surah yang lain.

Allah hendak memberitahu SifatNya dalam surah ini. Surah ini berkisar tentang dua sifat ini sahaja. Ada dua jenis sifat yang hendak ditekankan: Sifat Jalal dan Sifat Jamal.

Sifat Jalal adalah sifat kehebatan Allah. Kalaulah Allah nampakkan sifat ini kepada kita sekarang, tentu kita akan terus hancur seperti juga bukit pernah hancur apabila Allah tajalli pada bukit itu. Tapi Sifat ini akan nyata di akhirat kelak dan kita akan nampak dengan jelas.

Allah juga hendak memberitahu tentang SifatNya yang al-ikram yang bermaksud ‘Maha Pemurah’. Ini merangkumi Sifat-sifat yang Jamal seperti ar-Rahman, ar-Raheem dan sebagainya. Ianya adalah sifat yang kita suka, bagi kesenangan kepada kita.

Kedua-dua Sifat ini kita tidak dapat dustakan. Kalau kita dustakan, maka kita akan bertemu dengan Sifat JalalNya di akhirat kelak dan teruk kita nanti. Dan kalau kita terima Sifat-sifat ini dan beramal mengikut kehendakNya, maka kita akan bertemu dengan Sifat Ikram nanti di akhirat.

(c) Perkataan سبيل adalah kata kunci bagi Surah ad-Dahr, la disebut dua kali di dalamnya. Satu di awalnya dan satu lagi di akhirnya.

(d) Rangkai kata علا في الأرض yang tersebut di awal Surah al-Qashash dan علو في الأرض yang tersebut di akhirnya adalah kata kunci bagi Surah berkenaan.

(e) Perkataan كذّب، كذّبوا dan sebagainya yanغ lersebut di dalam Surah al-Qamar merupakan kata kuncinya.

Sekian, Allahu a’lam.


Rujukan: 

Katakunci

Tafsir Surah al-Kaafiroon Ayat 2 – 6 (meninggalkan Mekah)

Ayat 2:

لا أَعبُدُ ما تَعبُدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

I do not worship what you worship.

(MALAY)

Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.

 

Untuk memahami maksud تَعبُدونَ dalam ayat ini, kita hendaklah faham apakah maksud ‘ibadah’. Kadang-kadang ramai yang tidak faham. Mereka sangka yang ianya bermaksud amalan ibadat seperti solat dan puasa sahaja.

Tapi dari segi bahasa, تَعبُدونَ diambil dari kalimah عبد (hamba). Iaitu menghambakan diri kepada Allah SWT. Oleh kerana tidak faham, maka ramai manusia yang kuat melakukan ibadat, tapi tidak menghambakan diri kepada Allah. Mari kita lihat apakah yang dimaksudkan oleh ibadah seperti yang disebut oleh Imam Ibn Taymiyyah. Dia meletakkan ada 5 syarat untuk seseorang itu dikira sebagai ‘hamba Allah’:

1) Hendaklah ada taat kepada Allah. Ketaatan kita kepada Allah mesti lebih tinggi lagi dari taat kepada selain Allah. Kita boleh taat kepada pemimpin, ibu bapa, ketua kita tetapi ia tidak boleh melebihi taat kita kepada Allah. Kalau taat kepada selain Allah bermaksud kita meninggalkan taat kepada Allah, lawan hukum Allah, maka taat kepada mereka itu terlarang.

2) Hendaklah ada cinta kepada Allah. Kita mesti cinta (hubb) kepada Allah lebih lagi dari cinta kepada yang lain. Ini disebut dalam surah Al-Baqarah:165 وَالَّذينَ آمَنوا أَشَدُّ حُبًّا لِلَّهِ ۗ (Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah).

Memang kita ada cinta lain seperti cinta kepada pasangan kita, cinta kepada anak, cinta kepada negara dan sebagainya. Tapi semua cinta itu tidak boleh lebih lagi dari cinta kita kepada Allah.

3) Hendaklah ada tawakal kepada Allah. Maksudnya, percaya dan bergantung sepenuhnya kepada Tuhan. Kita mesti terima perkara ini kerana kita harus sedar yang kita adalah hamba sahaja dan kita telah menerimaNya sebagai Tuhan kita.

Oleh itu, apa sahaja arahan yang Dia berikan kepada kita, kita mesti percaya yang ianya adalah untuk kebaikan kita. Apa sahaja dugaan yang diberikanNya kepada kita, kita hendaklah terima dan serahkan segalanya kepada Allah.

Kita hendaklah yakin yang Allah hendak meringankan kita dengan berikan hukum dan undang-undang kepada kita untuk kita ikuti. Ini kita boleh lihat dalam surah An-Nisa:28 يُريدُ اللَّهُ أَن يُخَفِّفَ عَنكُم (Allah hendak memberikan keringanan kepadamu). Oleh itu, jangan kita sangka hukum yang Allah telah susun untuk kita itu adalah untuk menyusahkan kita. Jangan kita rasa terbeban dengan hukum-hukum itu.

4) Hendaklah ada keikhlasan. Apabila kita melakukan sesuatu, terutama dalam hal ibadah, kita mesti menjaga hati kita supaya kita lakukannya ikhlas kerana Allah. Kalau kita sedekah harta, jangan kita mahu orang lain tahu supaya kita disanjung.

Tentang ikhlas telah banyak disebut dalam surah-surah dan ayat-ayat yang lain termasuk dalam surah An’am:162 قُل إِنَّ صَلاتي وَنُسُكي وَمَحيايَ وَمَماتي لِلَّهِ رَبِّ العالَمينَ (Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam).

Kita juga hendaklah menjaga niat kita. Kadang-kadang kita mula untuk berkhidmat dalam memperkembangkan agama – dalam dakwah, dengan berceramah, dengan menulis, mengajar dan sebagainya. Mulanya kita memang ikhlas. Tapi lama kelamaan, kalau kita tidak jaga, nanti  bimbang akan terlari sedikit niat kita – kita mula berharap orang kenal kita, sanjung dan puji kita.

Tandanya, kalau orang tidak hargai usaha kita, kita mula terasa hati dan mula meninggalkan usaha kita. Dalam keadaan seperti itu, kita hendaklah bertanya semula diri kita – Apakah aku buat usaha agama ini kerana hendak mendapatkan pujian orang? Tidak, bukan? Kita lakukan usaha agama ini adalah kerana Allah, mengharapkan balasan daripada Allah, bukannya daripada manusia. Kadang-kadang kita tidak perasan perkara ini, maka mesti jaga sungguh-sungguh dan jaga sentiasa.

5) Sedar status kita sebagai hamba. Apabila kita dapat kerja, kita ada kontrak pekerjaan, bukan? Dalam kontrak itu menyenaraikan apakah tugas kita dan apa tugas syarikat. Ianya adalah satu kefahaman dan persetujuan dari kedua-dua belah pihak.

Begitu juga dalam perkahwinan, antara anak dan ibubapa, antara kerajaan dan rakyatnya – semua ada perjanjian sama ada bertulis ataupun tidak. Selalunya perjanjian itu adalah hasil dari kompromi, hasil perbincangan antara kedua pihak yang menyenaraikan hak-hak masing-masing.

Tapi dengan Allah, terma perjanjian itu adalah satu hala sahaja – kita tidak ada kuasa untuk kompromi dengan Allah. Ianya datang daripada Allah dan kita hendaklah terima sahaja, tidak boleh hendak berbincang lagi. Kita tidak layak untuk perbincangan apakah kewajipan kita dan sama ada kita mahu lakukan ataupun tidak. Kita mesti sedar yang kita adalah hamba dan tidak ada hak untuk hal itu.

Kafir Mekah memang mereka ada tawaf Ka’bah, solat, sujud dan sebagainya; tapi amalan ibadah mereka tidak ikut ketetapan daripada Allah – mereka reka sendiri sahaja. Itu tidak diterima. Kalau ianya ikut apa yang Allah suruh, barulah boleh diterima. Maka, untuk diterima, ianya mestilah datang daripada Rasul kerana Rasul yang menyampaikan kehendak Allah kepada umat. Jangan suka-suka buat ibadah dan cara sendiri.

Oleh itu, apabila melihat syarat-syarat di atas, kita dapat tahu yang ubudiyyah (penghambaan) bukan sahaja mengerjakan ibadah, ada banyak perkara yang kita mesti jaga. Semua perkara ini termaktub dalam maksud عبد.

Oleh itu, apabila Rasulullah disuruh beritahu mereka لا أَعبُدُ ما تَعبُدونَ, ia bukan sahaja bermaksud: “aku tidak akan sembah apa yang kamu sembah”, tapi ia juga bermaksud: “aku tidak akan memperhambakan diri kepada apa yang kamu hambakan diri itu”. Tapi susahlah untuk diterjemahkan begitu, maka itulah sebabnya perlu belajar tafsir dan tahu bahasa Arab juga. Kalau bergantung kepada terjemahan sahaja, memang tidak akan dapat kefahaman.

Oleh itu, kita tahu yang ‘ibadah’ adalah perbuatan-perbuatan tertentu, dalam waktu-waktu tertentu; tapi dalam masa yang sama, kita sentiasa menjadi hamba kepada Allah, dalam setiap ketika. Ini adalah amat penting sekali untuk difahami – kita bukan sahaja mesti melakukan ibadah kepada Allah, tapi di antara waktu-waktu ibadah itu, kita hendaklah menghambakan diri kepada Allah.

Maksudnya di sini, kita mesti ikut dan taat apa yang Allah suruh kita lakukan. Ramai orang yang menyembah Allah, tapi mereka tidak bersikap seperti seorang hamba Allah. Menjadi hamba adalah pekerjaan sepenuh masa – sama ada dalam ibadah atau tidak. Kerana tidak faham perkara inilah yang menyebabkan ada yang solat, tapi menjual arak di kedai mereka. Itu adalah kerana mereka rasa sudah cukup dengan melakukan ibadat sahaja.

Kalimah أَعبُدُ ini dinisbahkan kepada Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak pernah melakukan amalan syirik, walaupun sebelum baginda menjadi Nabi. Cuma, hanya apabila baginda diberikan dengan wahyu barulah baginda benar-benar menghambakan diri kepada Allah kerana sebelum itu baginda tidak ada maklumat.

Sebelum itu, baginda mencari-cari kebenaran dan Allah telah memberi kebenaran itu seperti yang difirmankan dalam surah Dhuha:7 وَوَجَدَكَ ضالًّا فَهَدىٰ (Dan Dia mendapatimu mencari-cari, lalu Dia memberikan petunjuk.)

Jadi Musyrikin Mekah itu ada dua masalah: satu, dalam ibadah mereka – kerana mereka tidak lakukan ibadah kepada Allah sahaja; dan kedua, mereka menghambakan diri kepada hawa nafsu mereka dan kerana itu mereka telah melakukan kezaliman.

Kalimah لا dalam ayat ini bukan sahaja bermaksud masa sekarang, tapi juga masa hadapan. Jadi jangan harap yang kita akan ikut perangai orang kafir itu. Bukan sekarang sahaja kita tidak ikut mereka, tapi selama-lamanya. Jadi hendaklah istiqamah.


 

Ayat 3:

وَلا أَنتُم عابِدونَ ما أَعبُدُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Nor are you worshippers of what I worship.

(MALAY)

Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah.

 

Dan sekarang Rasulullah disuruh untuk memberitahu di depan muka Musyrikin Mekah itu yang mereka tidak pernah dan tidak akan menyembah Tuhan yang orang Islam sembah.

Kalimah عابِدونَ adalah dalam bentuk isim fa’il, maka ia membawa maksud dulu, sekarang dan akan datang. Maksudnya, Allah beritahu yang mereka itu telah termaktub apa yang mereka akan lakukan – mereka tidak akan berubah.

Kenapa Allah boleh berfirman begini? Kerana begitulah hati mereka. Allah telah sebut dalam surah Zukhruf:79

أَم أَبرَموا أَمرًا فَإِنّا مُبرِمونَ

Atau adakah mereka itu telah mengambil keputusan? Maka Kami juga merancang.

Kalimah yang digunakan adalah إبرم. Ia bermaksud mengikat untuk bina rumah. Zaman dahulu mereka tidak ada simen, maka untuk bina rumah mereka menggunakan tali yang diikat bersama. Tali itu mestilah jenis yang kuat dan diikat serta dililit dengan kemas supaya ianya tidak terungkai.

Allah menggunakan kalimah إبرم itu untuk membayangkan hati mereka yang telah terikat kuat dalam kekufuran. Seperti tali rumah yang tidak akan terungkai kerana diikat kuat, begitu jugalah hati mereka yang telah terikat dengan kekufuran. Kalimah إبرم dalam ayat Zukhruf itu ada dua, tapi berlainan formatnya. Kalimah yang dikaitkan dengan mereka adalah أَبرَموا iaitu dalam format kata kerja (fi’il). Ini bermaksud ianya tidak kekal. Kerana di akhirat nanti, bila mereka sudah nampak kesalahan mereka, barulah mereka hendak buka kembali tali fahaman yang mereka telah ikat kuat itu.

Tapi, kalimah مُبرِمونَ yang Allah nisbahkan kepada DiriNya itu adalah dalam format kata nama (isim) bermaksud kekal. Maksudnya, Allah tidak akan lepaskan keputusanNya untuk memasukkan mereka ke dalam neraka.

Jadi, Allah memerintahkan Nabi beritahu mereka bahawa mereka tidak pernah sembah Allah dengan cara yang benar, dan mereka juga tidak pernah menghambakan diri kepada Allah dengan sepenuhnya.

Tiga ayat pertama dari Surah Kaafiroon ini tentang masa itu dan masa hadapan, bukan masa yang telah lalu sahaja. Oleh kerana Allah beritahu yang mereka tidak akan berubah, maka tidak mungkin ada kompromi dengan mereka. Kerana sampai bila-bila juga mereka tidak akan berubah dari fahaman dan amalan syirik mereka itu.


 

Ayat 4: Kalau dua ayat sebelum ini tentang waktu semasa dan masa hadapan, sekarang tentang masa yang lepas pula. Jadi dua ayat untuk masa hadapan dan dua ayat untuk masa lepas.

Ayat 4 – 5 adalah Perenggan Makro Kedua. Allah memberitahu yang kedua-dua pihak tetap dengan pendirian masing-masing.

وَلا أَنا عابِدٌ ما عَبَدتُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Nor have I been a worshipper of what you worship.

(MALAY)

Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah,

 

Allah memerintahkan Nabi beritahu yang baginda tidak pernah sembah Tuhan yang mereka sembah itu. Jangan mereka sangka yang Tuhan mereka dan Tuhan Nabi Muhammad SAW itu Tuhan yang sama. Jangan berkata yang baginda tinggalkan Tuhan dan ilah-ilah mereka.

Baginda tidak pernah menyembah berhala dan apa-apa selain Allah. Nabi Muhammad SAW dan mereka tidak pernah seangkatan. Kalau mereka dulu tidak pernah seangkatan, tidak akan sekarang mereka sangka yang mereka boleh berkompromi bersama-sama pula? Itu tidak mungkin terjadi.


 

Ayat 5:

وَلا أَنتُم عابِدونَ ما أَعبُدُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Nor you never worshipped what I worship.

(MALAY)

dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah.

 

Ayat ini sama sahaja dengan ayat ke 3, bukan? Tapi, pengulangan dalam ayat ke 5 ini adalah tentang masa lepas sedangkan ayat ke 3 adalah tentang waktu itu dan masa hadapan.

Pengulangan ini juga boleh ditafsir sebagai penegasan. Adakala, apabila kita hendak menekankan sesuatu perkara itu, kita akan ulang ayat itu, bukan? Contohnya kalau sangat benci kepada seseorang, maka kita akan berkata: “aku benci engkau, aku benci engkau!”

Oleh itu, pengulangan kali kedua ini adalah hendak menekankan kemarahan Allah kepada mereka. Kalau kali pertama (dalam ayat ke 3) itu mereka tidak faham, maka sekali lagi ini disebut dalam ayat ke 5.

Kenapa Allah menggunakan kalimah ما (apa) dalam ayat ini dan tidak من (siapa)? Allah tidak berfirman: وَلا أَنتُم عابِدونَ من أَعبُدُ. Kalimah ما selalunya digunakan untuk benda yang tidak bernyawa, bukan? Salah satu cara untuk memahaminya adalah, ia merujuk kepada ‘perbuatan’ menyembah itu. Maksudnya, Allah hendak tekankan yang mereka tidak melakukan perbuatan sembahan yang sama dengan Nabi lakukan. Cara amalan mereka itu adalah amalan yang salah dan bukan cara yang benar dalam agama.

Tafsiran kedua: apabila ما digunakan, ianya untuk merendahkan Tuhan yang mereka sembah. Alangkah rendahnya Tuhan yang mereka sembah kalau dibandingkan dengan Tuhan (Allah) yang Nabi Muhammad SAW sembah.

Ini adalah kerana ما dan من tidak sama. Kalau من ia melibatkan identiti (siapa yang dimaksudkan) dan kalau ما ia melibatkan kualiti atau sifat (dia peguam, peniaga…). Oleh itu, sifat Allah yang hebat dibandingkan apabila digunakan kalimah ما dalam ayat 3 dan 5 ini. Sifat Tuhan yang Nabi Muhammad SAW sembah itu adalah amat hebat dan sifat Tuhan yang mereka sembah itu adalah lemah sekali.

Seolah-olah Nabi Muhammad SAWA mengejek mereka: “kamu sangka Tuhan yang kamu sembah itu sama hebat dengan Tuhan yang aku sembah? Tidak sama sekali. Adakah kau sangka ibadah aku kepada Tuhan aku sama dengan ibadah kamu terhadap Tuhan kamu itu? Tidak sama sekali!”


 

Ayat 6:  Ayat 6 ini adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia menyuruh Nabi memberitahu mereka: “kamu bebas dengan agamamu dan aku juga bebas dengan agamaku”.

Ini adalah ayat terakhir surah ini. Tapi , ia mungkin ayat yang paling disalah tafsir oleh masyarakat kita. Mari kita lihat apakah sebenarnya tafsir ayat ini.

لَكُم دينُكُم وَلِيَ دينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For you is your religion, and for me is my religion.”

(MALAY)

Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku”.

 

Selalunya ayat ini diterjemahkan begini: “Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku”. Kita akan bincangkan kenapa terjemahan ini tidak berapa tepat dan perlu penjelasan lagi.

Kalimah لَكُم adalah taqdim (diawalkan). Kalau dalam bahasa Arab, penggunaan yang biasa adalah دينُكُم لَكُم. Apabila kalimah لَكُم ditaqdimkan (diawalkan), ia bermaksud takhassus – eksklusif – membawa maksud ‘hanya’. Oleh itu, yang dimaksudkan dalam ayat ini: cara hidup kamu itu (دينُكُم), HANYA untuk kamu sahaja. Ia tidak akan pernah jadi untuk aku (Nabi Muhammad SAW).

Jadi, sekali lagi kalimah لِيَ itu juga adalah dalam bentuk taqdim – membawa maksud takhassus juga – cara hidup (deen) aku ini adalah UNTUK aku sahaja – ianya tidak akan bertemu.

Dalam erti kata lain, Nabi Muhammad SAW sedang memberi isyarat bahawa baginda akan meninggalkan Mekah. Jadi, ayat ini adalah bibit-bibit awal kepada penghijrahan baginda ke Madinah. Ini kerana usaha dakwah kepada puak Musyrikin Mekah itu sudah habis dan sudah tiba masa untuk baginda meninggalkan mereka. Tujuan baginda di Mekah adalah untuk berdakwah kepada mereka dan kerana pintu dakwah telah ditutup, maka baginda tidak perlu lagi berada di situ.

Mari kita lihat kalimah دينِ sekali lagi. Perkara ini telah banyak disebut dalam penulisan tafsir ini dan kita cuma ulang sahaja. Ianya dari kata dasar د ي ن yang bermaksud ‘hutang’. Kalau kita berhutang RM100 dengan seseorang, maka kita mesti pulangkan RM100 semula kepadanya, bukan? Dalam syarak, ianya juga digunakan untuk membawa maksud يَومِ الدّينِ Hari Pembalasan kerana kita akan dapat apa yang sepatutnya kita dapat.

Oleh itu, dari maksud ini, salah satu maksud kalimat لَكُم دينُكُم adalah: “kamu akan dapat apa yang kamu patut dapat.” Apa yang akan dibalas di Hari Pembalasan nanti adalah khusus untuk kamu disebabkan oleh amalan kamu semasa di dunia dulu. Oleh kerana kamu kufur semasa di dunia, kamu akan mendapat balasan buruk di akhirat kelak. Dan maksud وَلِيَ دينِ adalah: “aku akan mendapat balasan yang khusus untuk aku dari amalan aku semasa di dunia.”

Jadi ini bukanlah bermaksud: “untuk kamu agama kamu dan untuk aku agama aku.” Itu seolah-olah membolehkan orang lain lakukan apa sahaja yang mereka suka, bukan? Seolah-olah kita berkata: aku tidak campur urusan kamu dan kamu jangan campur urusan aku.

Ini adalah kefahaman yang silap. Kerana ia tidak kena dengan konteks ayat. Kita mesti lihat semula siapakah Musyrikin Mekah itu – mereka telah mendengar dakwah Nabi sudah 10 tahun, tapi mereka masih juga hendak mengamalkan amalan kufur. Dan amalan mereka itu salah dan tidak patut kita membenarkan amalan mereka itu.

Jadi, ini juga bermaksud yang Nabi tidak akan membiarkan mereka berterusan begitu. Oleh kerana musyrikin itu tetap akan meletakkan berhala mereka di Ka’bah, dan tugas baginda adalah untuk membersihkan Ka’bah itu dari syirik seperti yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s., maka ini bermaksud akan ada konflik di antara Nabi Muhammad SAW dan Musyrikin Mekah itu nanti. Kerana untuk menegakkan agama Islam yang sebenar, agama amalan mereka tidak boleh ada lagi. Agama mereka mesti dimusnahkan.

Ini memberi isyarat akan peperangan antara mereka kerana kalau mereka tetap berdegil, maka tindakan keras akan diambil. Kerana tugas baginda disebut dalam surah Saff:9

هُوَ الَّذي أَرسَلَ رَسولَهُ بِالهُدىٰ وَدينِ الحَقِّ لِيُظهِرَهُ عَلَى الدّينِ كُلِّهِ وَلَو كَرِهَ المُشرِكونَ

Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya di atas segala agama-agama meskipun orang musyrik membenci.

Dalam ayat ini diberi isyarat peperangan antara mereka dan dalam ayat seterusnya nanti (surah an-Nasr) akan diberi isyarat kemenangan kepada pihak Islam.

Jadi, baginda akan tetap menjalankan tugas baginda walaupun baginda berseorangan. Lihatlah surah ini ditujukan kepada baginda. Allah menggunakan kalimah قل (katakanlah) yang dalam bentuk mufrad (satu) yang merujuk kepada baginda. Allah tidak berkata: قولوا (katakanlah kamu semua). Allah beri arahan kepada Nabi seorang sahaja.

Manusia menyangka yang Nabi memerlukan para sahabat untuk membantu baginda, namun tidak begitu sebenarnya. Allah telah beritahu kepada para sahabat, kalau mereka tidak membantu baginda, Allah tetap akan membantu baginda. Mereka diberi peluang sahaja untuk membantu, dan kalau tidak membantu sekalipun, mereka yang rugi. Lihatlah bagaimana pada Perang Hunayn, kerana tentera Islam diserang dengan tiba-tiba, mereka telah meninggalkan Rasulullah SAW. Tapi baginda tidak lari, tetap di tempat baginda. Ini kerana baginda yakin dengan bantuan Allah.

Balaghah: Kalimah دينِ (agamaku) sepatutnya dieja begini ديني (agamaku) kerana untuk menunjukkan kepunyaan (aku) mestilah ada huruf ي yang dinamakan ‘ya mutakallim’ (kepunyaan orang yang berkata). Ini bermaksud, ada hazaf (dihilangkan) pada kalimah دينِ itu.

Dalam ilmu balaghah apabila ada hazaf, ia membawa maksud berkekalan. Juga, kalau ada diletakkan huruf ي itu, maksudnya ia boleh berubah. Oleh itu, apabila digunakan دينِ dengan dihazafkan huruf ي itu, ia bermaksud agama Islam itu kekal, tidak berubah-ubah. Tidaklah agama Islam ini berubah-ubah – kejap begitu dan kejap begini seperti agama orang kafir itu.

Bayangkan Musyrikin Mekah itu berubah-ubah cara penyembahan mereka, ikut suka mereka. Ilah mereka juga boleh berubah, hinggakan kadang-kadang makanan juga menjadi berhala. Ada kisah bagaimana mereka bermusafir dan kerana hendak buat berhala, mereka jadikan kurma disusun-susun sebagai berhala. Tapi apabila lapar, mereka makan pula ‘berhala’ mereka dari kurma itu!

Tapi, agama Islam ada ketetapan. Allah yang disembah dari dulu hingga kini dan sampai bila-bila. Itulah Tuhan di masa senang dan di masa susah; itulah Tuhan di dalam rumah dan di luar rumah – di mana-mana sahaja.

Juga cara penyembahan kita tidak bertukar-tukar seperti agama lain. Sebab itulah kita larang orang dari lakukan bidaah, kerana itu adalah pengubahan dalam cara ibadah yang dilarang dalam agama. Agama Islam kita telah tetap dari dulu sampai bila-bila dan tidak perlu diubah-ubah.

Ada juga yang mengatakan yang hazaf ي dalam kalimah دينِ itu adalah sebagai taukid – penekanan.

 

Penutup:

Kita telah pernah sebut bagaimana 10 surah terakhir ini banyak menceritakan tentang Rasulullah SAW. Termasuk dalam perkara ini adalah bagaimana baginda meneruskan perjuangan Nabi Ibrahim a.s. Salah satu sunnah Nabi Ibrahim a.s. adalah meninggalkan kaum baginda seperti yang disebut dalam surah Mumtahinah:4.

قَد كانَت لَكُم أُسوَةٌ حَسَنَةٌ في إِبرٰهيمَ وَالَّذينَ مَعَهُ إِذ قالوا لِقَومِهِم إِنّا بُرَآءُ مِنكُم وَمِمّا تَعبُدونَ مِن دونِ اللهِ كَفَرنا بِكُم وَبَدا بَينَنا وَبَينَكُمُ العَدٰوَةُ وَالبَغضاءُ أَبَدًا حَتّىٰ تُؤمِنوا بِاللهِ وَحدَهُ

Sesungguhnya telah ada suri tauladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia; ketika mereka berkata kepada kaum mereka: “Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dari daripada apa yang kamu sembah selain Allah, kami ingkari (kekafiran)mu dan telah nyata antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sampai kamu beriman kepada Allah saja.

Begitulah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. dan sekarang dalam surah al-Kaafiroon ini pula disebut tentang Nabi Muhammad SAW juga meninggalkan kaum baginda kerana mereka telah tidak ada peluang untuk berubah. Maksudnya, apa yang baginda lakukan ini adalah sunnah Nabi Ibrahim a.s. juga, bukan baginda yang mula-mula lakukan.

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah an-Nasr.

Kemaskini: 30 September 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan.

Tafsir Surah al-Kaafiroon Ayat 1 (Deklarasi peperangan)

Pengenalan:

Surah ini sukar untuk ditafsirkan kerana walaupun ianya pendek sahaja, tapi ia mengandungi banyak pengajaran di dalamnya. Tidaklah nampak mudah sahaja. Tapi, kita cuba juga untuk mudahkan supaya kita dapat memahaminya sedikit sebanyak, in shaa Allah.

Surah ini adalah untuk memutuskan hubungan dengan orang kafir Mekah. Mereka memang ada agama, tapi agama yang salah. Tidak boleh hendak ikut apa yang mereka lakukan. Jadi, Allah ajar kita bagaimana berurusan dengan mereka – mereka mesti ikut kita dan kita tidak boleh ikut mereka. Kalau setelah dakwah mereka masih tidak mahu ikut, maka mestilah tinggalkan mereka dengan apa yang mereka lakukan itu. Tidak ada jalan tengah, tidak ada kompromi dengan mereka.

Sebelum itu, mari kita lihat kaitan surah ini dengan Surah al-Kauthar:

Dalam surah al-Kauthar, orang kafir telah menghina Nabi Muhammad SAW kerana baginda telah mengalami kematian anak lelakinya – mereka mengatakan keturunan baginda terputus. Allah jawab dalam surah itu bahawa mereka sebenarnya yang akan terputus, bukannya baginda.

Perbuatan mereka membenci Nabi itu adalah amat buruk sekali dan sekarang dalam surah al-Kaafiroon ini Allah memberitahu kita yang mereka membenci Nabi Muhammad SAW itu adalah kafir sebenarnya. Mereka berkata yang Nabi Muhammad SAW abtar, tapi Allah balas dengan berkata yang mereka itu kafir. Ada beberapa perkara tentang panggilan ini yang kita perlu bincangkan.

1) Penghinaan mereka terhadap Rasulullah itu tidak ada nilai kerana itu adalah kata-kata mereka sahaja. Mereka berkata bahawa ajaran baginda akan terputus kerana baginda tidak ada anak lelaki dan itu tidak terbukti – agama Islam terus berkembang.

Sedangkan panggilan ‘kafir’ kepada mereka itu datangnya daripada Allah dan itu adalah kebenaran. Kutuklah Nabi Muhammad SAW bagaimana juga, baginda tetap mulia.

2) Semasa mereka menghina baginda, ianya bukanlah atas akhlak buruk baginda kerana mereka memang tidak ada apa-apa hujah untuk mengutuk akhlak baginda kerana akhlak baginda adalah terbaik. Tapi, apabila Allah kutuk mereka dengan gelaran ‘kafir’ itu, ianya adalah berkait dengan sifat mereka yang buruk.

Itu memang kesalahan mereka yang mereka lakukan dan memang layak mereka diberikan dengan gelaran itu. Sedangkan yang mereka kutuk Nabi Muhammad SAW itu, itu bukanlah salah baginda.

3. Kaitan seterusnya dengan surah al-Kawthar, kita telah belajar bagaimana mereka yang memusuhi Nabi Muhammad SAW itu dikira sebagai شانِئَ dan ianya adalah jenis musuh yang paling teruk sekali. Allah telah memberitahu perangai mereka dan apa yang ada dalam hati mereka. Mereka itulah yang kufur sebenarnya.

Mereka telah didakwah bertahun-tahun dengan cara yang sebaik-baiknya, tapi mereka masih lagi tidak mahu beriman. Malah mereka menghina dan menyakitkan hati Nabi. Dalam Surah Al-Kawthar mereka digelar sebagai شانِئَ dan dalam surah al-Kaafiroon ini, mereka digelar sebagai ‘kafir’.

Tapi, mereka memang kuat dan berkuasa waktu itu kerana bilangan mereka yang ramai. Mereka hendak halang Nabi dan para sahabat dari berdakwah, nampaknya tidak berjaya. Maka, mereka menyangka yang dengan kedudukan mereka, mereka boleh buat kompromi dengan baginda.

Mereka tawarkan kepada baginda untuk berkongsi – tahun ini kita amalkan tauhid, tahun depan kita amalkan syirik pula, tukar-tukar. Dalam masa yang sama juga, mereka tawarkan kekayaan dan kedudukan kepada baginda asalkan baginda memberhentikan dakwah baginda. Itulah tawaran mereka yang terakhir sekali.

Mereka buat tawaran itu kerana mereka sudah agak yang baginda tidak akan meninggalkan dakwah baginda. Begitu juga dengan para sahabat yang lain. Jadi, mereka fikir dengan mendalam. Maka, itulah jalan penyelesaian yang mereka rasa boleh mereka ambil. Mereka cuba hendak mengambil hati Nabi. Dalam surah al-Qalam:9 Allah ada berfirman:

وَدّوا لَو تُدهِنُ فَيُدهِنونَ

Maka mereka menginginkan supaya kamu bersikap lunak lalu mereka bersikap lunak (pula kepadamu).

Ini juga adalah taktik syaitan. Kalau syaitan tidak dapat mengkufurkan kita sepenuhnya, mereka akan cuba ubah kita supaya ambil sedikit perkara yang salah supaya tidak sepenuhnya Islam. Sedang Allah telah berfirman dalam surah al-Baqarah:208

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنُوا ادخُلوا فِي السِّلمِ كافَّةً وَلا تَتَّبِعوا خُطُواتِ الشَّيطانِ

Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan.

Kita hendaklah mengambil dan mengamalkan Islam 100%. Jangan termakan dengan bisikan syaitan – maka, jangan ada kompromi. Kalau kita sudah kompromi sikit, maka nanti syaitan akan bisikkan lagi untuk ambil lagi perkara lain – akhirnya boleh jadi kafir terus.

Oleh itu, ambil sebahagian sahaja hukum Islam adalah mengikut jejak langkah syaitan sebenarnya. Salah satu cara syaitan adalah supaya kita menolak sebahagian sahaja dari ajaran Islam – tidak perlu sepenuhnya. Inilah bahayanya kompromi yang kita harus jaga dan berhati-hati. Hendak kompromi boleh, tapi lihat terlebih dahulu dalam hal apa. Kalau dalam hal tauhid, langsung tidak boleh.

Ini seumpama empangan yang ada retak. Retak itu kecil sahaja, tapi lama-lama ia akan membesar dan menyebabkan keseluruhan empangan itu pecah. Adakah kita mahu jadi seperti itu?

Nabi Muhammad SAW tidak melayan langsung kompromi mereka itu. Dalam surah al-Kawthar sebelum ini, telah disebut dengan nikmat-nikmat yang diberikan dan dijanjikan kepada baginda. Maka dengan janji itu, tidak ada apa lagi yang Musyrikin Mekah itu boleh tawarkan kepada baginda. Baginda ada yang lebih baik lagi dari apa yang mereka dapat tawarkan. Jadi , baginda tidak melayan tawaran mereka itu. Baginda tidak boleh disogok langsung.

Tambahan pula, baginda telah dijanjikan dengan kejayaan. Allah beritahu dalam surah al-Kawthar itu juga yang orang musyrikin itulah nanti yang akan terputus. Maksudnya, mereka akan mengalami kekalahan nanti. Jadi, baginda tidak dapat diancam dengan apa-apa pun. Baginda sudah tahu yang baginda akan menang.

Oleh itu, baginda tidak ada masalah untuk memanggil mereka dengan gelaran al-Kaafiroon walaupun panggilan itu mengundang marah mereka. Baginda tidak perlu takut dengan reaksi mereka. Mereka mungkin mahu menyerang baginda selepas itu, tapi mereka tidak akan menang.


 

Ayat 1: Ini yang Allah ajar bagaimana hendak bercakap dengan orang kafir Mekah itu. Surah ini boleh dibahagikan kepada 3 perenggan makro. Ayat 1 – 3 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia mengandungi deklarasi daripada Nabi Muhammad SAW yang baginda tidak akan sembah tuhan-tuhan golongan musyrik.

قُل يا أَيُّهَا الكافِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Kāfirūn: The Disbelievers. The Prophet () mentioned that this sūrah is disassociation from shirk(worship of anything other than Allāh) for him who recites it. (Narrated by Aḥmad, Abū Dāwūd and at-Tirmidhī – ḥasan.)

Say, “O disbelievers,

(MALAY)

Katakanlah: “Hai orang-orang kafir,

 

Allah suruh Nabi Muhammad SAW panggil mereka dengan gelaran الكافِرونَ. Walaupun Musyrikin Mekah itu sanggup untuk kompromi (satu tahun amal tauhid dan satu tahun lagi amal syirik), tapi Allah tetap menggelar kan mereka dengan gelaran الكافِرونَ.

Panggilan yang Allah gunakan itu penting untuk kita ketahui. Ia menunjukkan kepada kita mereka yang menolak Al-Qur’an itu adalah الكافِرونَ dan Allah tidak mahu bercakap terus dengan mereka. Ini adalah kerana Allah murka kepada mereka. Mereka tidak layak ditegur oleh Allah dan dalam ayat surah ini juga, Allah tidak bercakap terus dengan mereka, tapi Allah menyuruh Nabi Muhammad SAW yang bercakap dengan mereka.

Kita hendaklah mengingat kembali siapakah Musyrikin Mekah ini. Mereka kenal Allah dan mereka terima Allah itu sebagai Tuhan dan Pencipta. Kalau ditanya siapakah yang mencipta langit dan bumi dan semua yang ada dalam alam ini, mereka tetap akan kata: Allah. Tapi, mereka tetap digelar الكافِرونَ juga dalam ayat ini.

Selalunya, mereka digelar ‘musyrikin’, tapi kali ini mereka digelar الكافِرونَ. Kalau pemahaman kita yang biasa, الكافِرونَ itu adalah mereka yang menolak kewujudan Allah, bukan? Sedangkan musyrik itu adalah mereka yang terima Allah sebagai Tuhan, tapi dalam masa yang sama mereka menyembah juga kepada selain Allah. Selalunya kita panggil Quraish itu sebagai ‘musyrikin’, tapi kenapa kali ini mereka dipanggil الكافِرونَ pula?

Dalam sejarah disebut yang tawaran kompromi itu datang dari  Aswad b. Abdil Muttalib, Umayyah b. Khalf, Waleed b. Mughirah dan para pemimpin Quraish yang lain.

Kadangkala kita boleh lihat persamaan antara dakwah dan menjual barangan. Kalau dalam jualan, penjual mengharapkan pembeli akan membeli dan  kerana itu penjual mesti memujuk dan kadangkala hendaklah mengurangkan harga barang, beri barangan tambahan dan sebagainya, hanya untuk membuat jualan. Keputusan ada di tangan pembeli. Jadi, kalau mereka tahu penjual begitu mengharap untuk menjual, mereka akan buat bermacam-macam permintaan kerana mereka tahu keputusan berada di tangan mereka, bukan?

Kita juga tahu bagaimana Nabi Muhammad SAW bersungguh-sungguh berdakwah dan berharap supaya mereka masuk ke dalam agama Islam. Oleh kerana itu, mereka menyangka yang mereka berada di kedudukan di atas dan mereka boleh buat permintaan kerana mereka nampak Nabi Muhammad SAW beriya-iya sangat. Oleh kerana itu mereka telah menawarkan kompromi kepada baginda supaya mereka bertukar-tukar menyembah Allah dan menyembah juga sembahan lain di tahun seterusnya.

Mereka menyangka itu sudah menjadi satu tawaran yang bagus untuk baginda. Tapi Allah menyuruh Nabi menolak tawaran mereka itu dan bukan itu sahaja, Allah terus menyuruh panggil mereka dengan gelaran الكافِرونَ. Tidak perlu jawab apa yang mereka tawarkan itu, terus panggil sahaja mereka sebagai الكافِرونَ. Jadi, kenapa mereka digelar dengan gelaran yang keras itu?

Kalimah الكافِرونَ digunakan dalam bentuk isim iaitu isim fa’il (pembuat). Dari segi balaghah, ini lebih kuat lagi dari fi’il (kata kerja). Apabila digunakan dalam bentuk isim, ia memberi isyarat bahawa mereka itu sudah tenggelam dalam kekafiran mereka sama ada dulu, sekarang dan akan datang. Mereka itu tidak akan berubah sampai bila-bila. Allah juga tahu tentang perkara ini dan kerana itulah Allah menyuruh Nabi Muhammad SAW panggil mereka dengan gelaran الكافِرونَ itu kerana Allah sudah pasti – maksudnya bukan Nabi Muhammad SAW yang reka gelaran ini kerana Nabi tidak tahu hati mereka.

Oleh itu, penggunaan الكافِرونَ itu lain kalau Allah gunakan kalimat الذين كفروا (fi’il). Kerana kalau dalam bentuk fi’il sahaja, itu menunjukkan ada kemungkinan mereka akan berubah dari kekafiran itu. Tapi, apabila digunakan dalam bentuk isim, tidak ada lagi harapan itu. Nasib mereka telah diikat, hati mereka telah ditutup dari menerima hidayah (khatmul qalbi).

Jadi kita hendaklah berhati-hati – surah ini bukan tentang semua orang kafir – bukan semua Ah Chong dan Muniandy. Tapi, ianya tentang sekumpulan golongan yang telah diberi dengan segala dakwah dan peluang untuk beriman dan menerima agama Islam. Bayangkan Musyrikin Mekah itu telah menerima dakwah yang terbaik dari pendakwah yang terbaik dengan akhlak yang paling baik (Rasulullah SAW). Tidak ada lagi yang lebih baik daripada baginda.

Baginda telah memberikan sepenuh tenaga dan usaha untuk memperkenalkan Islam kepada mereka selama 13 tahun (3 tahun dakwah secara sembunyi dan 10 tahun dakwah secara terang), tapi mereka tetap menolak. Oleh itu, tiada gelaran yang lebih sesuai lagi untuk mereka, iaitu الكافِرونَ. Maka, janganlah kita memanggil jiran-jiran kita dengan gelaran الكافِرونَ kalau kita juga tidak pernah lagi berdakwah kepada mereka.

Ini penting untuk kita faham kerana kadang-kadang ada orang yang cuai dalam memahami Al-Qur’an dan cuai dalam cara berkomunikasi dengan orang lain. Ramai yang menggunakan kalimah ‘kafir’ ini kepada semua orang bukan Muslim (malah ada yang menggunakannya untuk orang Islam juga). Kita hendaklah tahu yang ianya tidak semudah itu. Jangan kita samakan semua orang bukan Muslim sebagai ‘kafir’ seperti dalam ayat ini.

Tapi, kenapa Musyrikin Mekah itu digelar الكافِرونَ dan bukan musyrikin? Kerana setelah sekian lama mereka tetap tidak mahu meninggalkan fahaman dan amalan syirik mereka itu, maka itu sendiri adalah perbuatan kufur.

Kebiasaannya apabila Allah menggunakan kalimah كفر, selalunya Allah akan sebut kufur dengan apa – kufur dengan Allah, dengan hari akhirat, kufur dengan nikmat dan sebagainya. Tapi dalam ayat ini, Allah tidak beritahu mereka kufur dengan apa – maksudnya mereka kufur dengan semua sekali.

Mereka menyangka yang mereka percaya dengan Allah dan menjadi penjaga Ka’bah, maka mereka sudah bagus, tapi tidak sama sekali. Mereka sebenarnya kufur dengan Rasulullah SAW dan menolak wahyu-Nya. Mereka juga telah menolak fitrah dalam diri mereka, iaitu fitrah keimanan seperti yang disebut dalam surah al-A’raf:172.

وَإِذ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَني آدَمَ مِن ظُهورِهِم ذُرِّيَّتَهُم وَأَشهَدَهُم عَلىٰ أَنفُسِهِم أَلَستُ بِرَبِّكُم ۖ قالوا بَلىٰ ۛ شَهِدنا ۛ أَن تَقولوا يَومَ القِيامَةِ إِنّا كُنّا عَن هٰذا غافِلينَ

Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka: “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi”. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)”,

Mereka yang kafir itu telah menolak apa yang telah ada dalam hati mereka dan luaran mereka, maka mereka itu memang layak digelar sebagai الكافِرونَ. Mereka menutup isi hati mereka. Ini adalah kerana kata dasar ك ف ر bermaksud ‘menutup’.

Salah satu dari maksud kufur adalah ‘kufur nikmat’. Iaitu mereka yang telah mendapat nikmat, tapi tidak menghargai nikmat itu. Musyrikin Mekah itu telah mendapat banyak nikmat dari kerana doa Nabi Ibrahim a.s. yang mendoakan supaya Mekah itu Allah jadikan negeri yang aman dan banyak makanan. Kita juga sudah membaca banyak kelebihan yang mereka dapat dalam surah al-Quraish.

Dan dalam surah al-Feel, telah disebut bagaimana mereka telah diselamatkan dari serangan Tentera Abrahah. Tapi, dengan segala nikmat yang Allah berikan itu, mereka tetap bukan menyembah Allah sahaja, sebaliknya mereka menyembah juga benda lain seperti berhala. Maka, mereka itu memang kufur nikmat.

Seperti yang kita ketahui, Nabi Muhammad SAW adalah seorang yang lembut dalam perwatakan baginda. Ini disebut dalam banyak ayat dalam Al-Qur’an selain dari hadis yang sahih. Sebagai contoh, dalam surah Ali Imran:159

فَبِما رَحمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُم

(Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka)

Memang baginda juga disuruh untuk berdakwah dengan lembut seperti yang disebut dalam surah an-Nahl:125

ادعُ إِلىٰ سَبيلِ رَبِّكَ بِالحِكمَةِ وَالمَوعِظَةِ الحَسَنَةِ ۖ وَجادِلهُم بِالَّتي هِيَ أَحسَنُ

(Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik).

Jadi, kalau daripada baginda sendiri, baginda tidak akan panggil mereka dengan gelaran yang kasar. Oleh itu, Allah yang suruh baginda panggil mereka dengan gelaran الكافِرونَ dengan arahan قُل (katakanlah). Maka, Nabi mesti berkata begitu juga. Baginda mesti berkata begitu kerana Allah menyuruh baginda berkata seperti itu. Selama hari itu, baginda tidak pernah menggunakan kata-kata yang kasar terhadap mereka walaupun mereka telah melakukan perkara yang amat teruk terhadap baginda dan para sahabat.

Ianya adalah kata pemutus/penamat daripada Allah dan Nabi. Maknanya, tidak ada dakwah lagi kepada mereka, kerana hati mereka memang telah tertutup. Mereka tidak akan beriman sampai bila-bila. Nabi juga tidak boleh tunjukkan kelembutan dan rahmah lagi kepada mereka. Kerana masa mereka telah habis.

Dari kalimah قُل itu sendiri ada banyak pengajaran. Ia menunjukkan bahawa bukan Nabi yang membuat keputusan mereka itu kafir, tapi Allah sendiri. Allah yang menyuruh baginda sampaikan kepada mereka. Maksudnya juga, Nabi tidak ada hak memutuskan untuk menerima kompromi mereka. Keputusan bukan di tangan Nabi. Nabi hanya menyampaikan dan itulah pangkat baginda Rasulullah SAW – sebagai pembawa risalah sahaja.

Bagaimanakah Rasulullah SAW menyampaikan surah ini kepada Musyrikin Mekah? Baginda datang berjumpa mereka ketika mereka sedang bermesyuarat dan baginda terus berjalan kepada mereka dan berkata: يا أَيُّهَا الكافِرونَ. Baginda tidak lagi panggil mereka dengan gelaran biasa: wahai orang Mekah, wahai Quraish dan sebagainya.

Oleh kerana mereka telah menolak baginda, maka baginda sedang menolak mereka. Apabila baginda memanggil mereka dengan gelaran itu, itu adalah tanda yang baginda sedang mengisytiharkan yang baginda sedang menanggalkan kerakyatan baginda dari Mekah. Ianya juga adalah satu perisytiharaan perang. Dan kita hendaklah ingat bahawa Allah yang menyuruh baginda berkata begitu.

Orang kafir Mekah itu tahu yang Nabi Muhammad SAW tidak menipu (walaupun mereka menuduh baginda penipu di khalayak ramai). Mereka juga tahu bagaimana baginda menggunakan bahasa yang paling baik dan paling lembut dengan sesiapa sahaja. Tapi, tentu mereka terkejut dengan penggunaan bahasa baginda sekarang. Ini menambahkan kepedihan di dalam ayat ini.

Maksudnya disini, mereka itu sangat teruk hinggakan seorang yang lembut dan berhati mulia juga memanggil mereka dengan gelaran yang teruk. Kalau orang yang biasa menggunakan bahasa yang kesat berkata, kita tidak kisah sangat, bukan? Tapi, kalau orang baik yang berkata, tentu menambahkan kesan.

Penggunaan kalimah يا أَيُّهَا juga perlu kita sentuh. Kalimah ini digunakan dalam suasana formal, bukan suasana biasa. Sebagai contoh, kita tidak gunakan untuk bercakap dengan budak-budak. Selalu kita lihat digunakan kepada Nabi Muhammad SAW (Yaa ayyuhaa- rasool atau yaa ayyuha an-nabi) sebagai penghormatan kepada baginda.

Keduanya, penggunaan يا أَيُّهَا memberi isyarat bahawa apa yang akan disebut selepas itu bukanlah cakap-cakap kosong tapi ianya adalah sesuatu yang penting, yang serius. Jadi ada elemen formal dan elemen serius – memberi isyarat yang ini bukanlah perbuatan yang mesra tapi ianya adalah perisytiharaan daripada baginda kepada Musyrikin Mekah itu.

Jadi, dari ayat pertama ini lagi sudah ada elemen yang memutuskan hubungan dengan Musyrikin Mekah itu. Orang selalu sangkakan yang ayat terakhir itu sahaja yang memutuskan hubungan – لَكُم دينُكُم وَلِيَ دينِ.

Oleh itu, dalam ayat pertama ini sahaja sudah menunjukkan kemurkaan Allah kepada Musyrikin Mekah. Setelah mereka menawarkan kompromi kepada Rasulullah SAW, jawapan dari pada baginda bukan setakat ‘tidak’ sahaja, tapi Allah menyuruh baginda panggil mereka يا أَيُّهَا الكافِرونَ. Ianya seperti menyumpah mereka kerana Allah sangat murka kepada mereka. Jadi, kalau tahu tafsir ayat ini, barulah kita tahu yang ianya bukanlah ayat biasa sahaja.

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 30 September 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan