Tafsir Surah al-Ikhlas: Pengenalan (Surah Tauhid)

Pengenalan:

Apakah kaitan surah al-Ikhlas ini dengan surah al-Masad sebelum ini:

1 – Menggunakan kaedah (sajak) yang sama. Lihatlah bagaimana hujung setiap ayat diakhiri dengan qalqalah.

2 – Mengubah perhatian kepada perkara yang lebih penting. Sebelum ini surah al-Masad memperkatakan tentang Abu Lahab yang mengganggu dakwah Nabi Muhammad. Abu Lahab mengganggu perhatian Nabi kerana Abu Lahab sentiasa mengganggu dakwah Nabi dan menentang secara terang-terangan. Yang membuatkan Nabi susah hati adalah kerana Abu Lahab adalah bapa saudaranya sendiri.

Kerana tertekan dengan perbuatan Abu Lahab itu, Nabi asyik fikir tentang Abu Lahab sahaja. Tambahan pula dia adalah bapa saudara Nabi dan tinggal juga di sebelah rumah baginda sahaja. Jadi, tentu selalu mereka berjumpa. Jadi, apabila saudara sendiri menolak dakwah dan menghalang orang lain daripada mengikut baginda, maka ini memang mengganggu dakwah. Kerana orang jahil boleh berkata: “keluarga dia sendiri juga tidak mengikut dia!”

Oleh itu, dalam surah sebelum ini Allah berjanji kepada baginda untuk memusnahkan Abu Lahab sedikit demi sedikit. Dan Allah beritahu yang usaha Abu Lahab itu tidak akan berjaya untuk mengganggu dakwah baginda. Abu Lahab tidak akan berhasil untuk memusnahkan agama Islam.

Ini menghilangkan satu kerisauan dari kerisauan baginda yang besar supaya baginda boleh tumpukan perhatian kepada perkara yang lebih penting lagi. Kalau dalam Surah al-Kaafiroon, Allah menyuruh Nabi Muhammad yang beritahu kepada orang kafir (dengan kalimah قل), tapi dengan Abu Lahab, Allah sendiri yang berkata terus (tiada penekanan menyuruh Nabi berkata). Ini memberi erti, Allah sendiri yang akan berurusan dengan Abu Lahab itu – Nabi tidak perlu bimbang, semuanya akan diuruskan. Cuma fokus kepada dakwah sahaja sekarang.

Surah ini juga ada kaitan dengan surah terawal sekali, iaitu surah al-Fatihah. Ada kaitan yang menarik juga. Kalau kita lihat ada perkara yang disentuh dalam surah al-Fatihah dan disambung dalam surah-surah terakhir ini:

1. Dalam al-Fatihah, kita sebut الحَمدُ لِلَّهِ (Segala pujian untuk Allah) dan dalam Surah al-Ikhlas ini Allah sambung memberitahu kita siapakah Allah itu.

2. Dalam al-Fatihah, kita baca رَبِّ العالَمينَ (Tuhan sekalian alam) dan kalimah ini disentuh sekali lagi dalam surah al-Falaq dan an-Naas.

Oleh itu, sesuatu yang dimulakan dalam awal Al-Qur’an dilengkapkan di hujung Al-Qur’an.

Kita telah sentuh tentang sifat 10 surah-surah terakhir dalam Al-Qur’an dan kita telah lihat bagaimana 7 surah sebelum ini adalah tentang sirah Nabi yang dihabiskan dengan surah al-Masad. Sekarang surah Al-Qur’an ini kembali kepada agenda yang utama iaitu tentang tauhid.

Allah ingatkan balik tentang apakah yang utama kita kena ingat. Kadang-kadang kalau kita sudah berperang sekian lama, berdakwah sekian lama, bekerja sekian lama, kita sampai lupa kenapa kita berperang pada awalnya. Kita mungkin boleh terlupa tujuan asal kita berdakwah dulu. Jadi Allah ingatkan kembali apakah punca utama kenapa umat Islam dan orang kafir bertegang urat dan tidak dapat bersama – ini adalah kerana perbezaan fahaman dan pegangan tentang tauhid.

Dari hadith, kita dapat tahu yang Nabi Muhammad selalu membaca surah al-Ikhlas ini bersama dengan surah al-Kaafiroon. Ini memerlukan perhatian kita, kerana walaupun dua surah ini tidak berturutan, tapi kenapa baginda membacanya dalam rakaat pertama dan rakaat kedua? Tentu ada kaitan antara dua surah ini, tapi apakah ia?

1 – Dalam surah al-Kaafiroon, sudah jelas yang Islam dan kufur bukanlah agama yang sama. Mereka ada agama mereka dan kita ada agama kita. Tidak ada kompromi langsung antara keduanya. Walaupun sekali lihat seolah-olah ada persamaan. Sebagai contoh, Musyrikin Mekah ada juga beribadat di Ka’bah seperti juga umat Islam; mereka juga kenal Allah sebagai Tuhan yang satu.

Oleh itu, memang ada persamaan, tapi tidaklah itu sebagai dalil yang Islam dan kufur itu sama. Ini jelas di hujung surah itu: لَكُم دينُكُم وَلِيَ دينِ. [begitulah juga dengan agama Syiah – mereka itu bukan Islam dan bukan salah satu mazhab dari agama Islam walaupun ada sedikit persamaan. Apabila dikatakan yang mereka itu satu ‘mazhab’, maka banyak masalah akan timbul kerana manusia tidak nampak kesesatan mereka].

Baik, kembali kepada perbincangan tentang surah al-Kaafiroon dan al-Ikhlas. Dalam surah al-Kaafiroon telah diberikan pembeza antara dua agama yang amat berlainan ini – agama Islam dan agama kufur. Dan diterangkan dalam Surah al-Ikhlas bahawa agama Islam itu bezanya dengan agama lain adalah kerana tauhid.

Begitu juga perbezaan ajaran Al-Qur’an dengan amalan masyarakat Muslim kita. Kalau ada sudah membaca sampai ke sini, maka tentu anda sudah perasan bagaimana sudah disentuh perkara-perkara tauhid yang amat berlawanan dengan fahaman masyarakat kita.

Maka, surah al-Ikhlas adalah tentang tauhid dan serangan kepada tauhid adalah dari dalam dan luar. Serangan dari luar disentuh dalam surah al-Falaq dan serangan dari dalam disentuh dalam surah an-Nas yang kita akan belajar nanti. Oleh itu, ketiga-tiga surah ini ada kaitan (kerana itu ia dikenali sebagai Tiga Qul).

2. Di dalam surah al-Kaafiroon, nama Allah tidak disebut sama sekali. Cuma disebut yang mereka tidak sembah apa yang kita sembah – tapi apakah yang kita sembah? Maka, dalam surah al-Ikhlas ini diterangkan dengan jelas yang kita hanya menyembah Allah sahaja dan diterangkan pula sifat-sifat Allah di dalamnya.

3 – Surah Al-Kaafiroon dimulakan dengan kalimah قُل dan begitu juga dengan surah al-Ikhlas ini. Sedangkan surah al-Masad di tengahnya tidak ada kalimah قُل. Jadi, ini juga menunjukkan ada kaitan yang rapat antara surah al-Kaafiroon dan al-Ikhlas ini.

4. – Surah al-Kaafiroon dan surah al-Ikhlas mempunyai nama lain yang sama. Para sahabat memang memberi nama timangan yang banyak untuk surah-surah yang mereka suka dan mereka banyak baca. Sebagai contoh, nama surah al-Ikhlas ada lebih dari 20 nama yang lain.

Salah satu nama yang diberikan kepada surah al-Ikhlas adalah al Mukashkish – yang menghilangkan penyakit. Dan nama ini juga sebenarnya digunakan juga untuk surah al-Kaafiroon. Ini adalah kerana kedua-duanya menyembuhkan manusia dari penyakit syirik. Surah al-Kaafiroon menyembuhkan dari ‘syirik amalan’ dan surah al-Ikhlas menyembuhkan dari ‘syirik hati’.

Berikut adalah nama-nama lain bagi surah al Ikhlas:

2 – Surah at-Tafreed – yang bermaksud ‘tunggal’ kerana surah ini memperkatakan sifat Allah yang tunggal – tidak ada yang sama dengan-Nya.

3 – Surah at-Tajreed – surah yang membuang segala salah faham terhadap Allah.

4 – Surah at-Tawheed – surah tentang tauhid kerana ia memperkatakan sifat Allah yang tauhid.

5 – Surah al-Ma’rifah – yang bermaksud ‘pengenalan’. Ianya memperkenalkan Allah dan kalau tidak faham surah ini, bermakna seseorang itu tidak kenal siapakah Allah.

6 – Surah as-Samad – Kalimah ini kita akan belajar nanti. Dalam Al-Qur’an, pada surah ini sahaja digunakan kalimah ini. Dan kerana itulah surah al-Ikhlas juga dikenali sebagai surah as-Samad.

7 – Surah al-Assaas – yang bermaksud ‘pati’. Ini adalah kerana di dalam surah ini disebut tentang asas atau pati dakwah Rasulullah iaitu mentauhidkan Allah.

Dan tauhid ini adalah perkara yang amat penting sekali perlu ditekankan dan difahami oleh semua manusia. Begitu pentingnya tauhid ini dan buruknya syirik, hinggakan Allah amat murka apabila ada yang mengatakan Allah mempunyai anak. Ini disebut  di dalam surah Maryam: 90.

تَكادُ السَّماواتُ يَتَفَطَّرنَ مِنهُ وَتَنشَقُّ الأَرضُ وَتَخِرُّ الجِبالُ هَدًّا

hampir-hampir langit pecah kerana ucapan itu, dan bumi belah, dan gunung-gunung runtuh,

Begitu murka sekali Allah kalau ada manusia yang melakukan amalan syirik hinggakan hampir-hampir alam ini pecah dan hancur berderai. Maka, kita mestilah benar-benar faham tentang tauhid dan syirik supaya kita boleh mengamalkan tauhid dan tinggalkan amalan syirik. Tidak mungkin ada ilah lain selain Allah kerana kalau begitu, akan kacau bilaulah alam ini seperti yang disebut dalam surah Anbiya:22

لَو كانَ فيهِما آلِهَةٌ إِلَّا اللَّهُ لَفَسَدَتا

Sekiranya ada di langit dan di bumi ilah-ilah selain Allah, tentulah keduanya (langit dan bumi) itu telah rosak binasa.

Alam akan hancur binasa kalau ada tuhan yang lain kerana seorang tuhan ingin begini dan seorang lagi tuhan ingin begitu – maka, akan kacau bilau jadinya. Sebab itu, kita lihat agama yang ada lebih daripada satu tuhan mempunyai kekarutan yang amat sangat – seperti agama Hindu, agama Greek dan lain-lain lagi. Selalu kita baca tentang kisah tuhan-tuhan mereka berkelahi dan berlawanan sesama mereka.

Memang mengarut sungguh. Kalau sudah ada banyak yang ada kuasa, sudah tentu ada perlawanan antara mereka. Maka, ini adalah sebagai hujah juga untuk mengatakan yang tidak mungkin ada lebih daripada satu tuhan. Hanya ada satu Tuhan sahaja iaitu Allah.

Sebelum ini telah disebut tentang kemenangan umat Islam dalam surah an-Nasr. Kemenangan umat Islam itu adalah kerana mereka mentauhidkan Allah. Apabila mentauhidkan Allah, Allah akan beri bantuan. Zaman sekarang kita rasa amat lemah sekali kalau dibandingkan dengan kuasa orang kafir. Selalu kita sebut-sebut tentang kehebatan sejarah umat Islam dan berharap supaya Islam kembali kuat.

Kalau mahu kembali kepada kemenangan zaman dahulu, maka kita hendaklah kembali kepada tauhid. Jadi, ini dimulai dengan belajar tafsir Al-Qur’an. Ini kerana, kehebatan dan kemenangan umat Islam dahulu adalah kerana berpegang kepada ajaran Al-Qur’an. Bukannya kerana mereka hanya umat Islam sahaja. Maka, kita tidak boleh berharap kepada kemenangan dan kekuatan umat Islam selagi pemahaman tafsir Al-Qur’an ini berleluasa. Kalau sekarang kita lihat, hanya segelintir sahaja yang belajar ilmu tafsir ini.

Terdapat khilaf sama ada surah ini adalah Makkiyyah atau Madaniyyah. Ada juga yang mengatakan ianya diturunkan dua kali – sekali di Mekah dan sekali lagi di Madinah. Ini mungkin timbul kerana ada yang baru mendengar surah ini dibacakan di Madinah maka mereka sangka ianya diturunkan di Madinah, sedangkan ianya telah diturunkan di Mekah.

Seperti yang kita tahu, Musyrikin Mekah juga mengenal Allah dan mereka juga menggunakan nama ‘Allah’ juga di dalam agama mereka. Masalah dengan mereka adalah, mereka mengadakan ilah-ilah lain selain Allah. Oleh itu, apabila Nabi Muhammad mengajar mereka tentang tauhid dan memberitahu mereka tentang Tuhan dan ilah itu hanya Allah sahaja, mereka hairan dan marah.

Mereka menjadi keliru, adakah Allah yang dimaksudkan oleh Rasulullah itu sama dengan Allah yang mereka kenal? Terdapat di dalam beberapa riwayat yang dibawakan oleh ahli tafsir bahawa asal mula surah ini diturunkan adalah kerana pernah orang musyrikin meminta kepada Rasulullah SAW: صف لنا ربك – Shif lanaa rabbaka’ (Cuba jelaskan kepada kami apa macamnya Tuhanmu itu, emaskah dia atau tembaga atau loyangkah?).

Menurut hadith yang diriwayatkan oleh Tarmidzi daripada Ubay bin Ka’ab, memang ada orang musyrikin meminta kepada Nabi SAW supaya dihuraikannya nasab (keturunan atau sejarah) Tuhannya itu. (Kerana baginda kata semua dijadikan oleh Allah, tapi siapakah yang menjadikan Allah?) Maka, datanglah surah yang tegas ini tentang Tuhan. Persoalan mereka itu telah menyebabkan Rasulullah murka dan Allah menurunkan surah al-Ikhlas ini untuk menjawab persoalan mereka itu.

Kelebihan surah ini: 

Hadith A’isyah Radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ بَعَثَ رَجُلاً عَلَى سَرِيَّةٍ، وَكَانَ يَقْرَأُ لأَصْحَابِهِ فِي صَلاَتِهِ، فَيَخْتِمُ بِـ قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ، فَلَمَّا رَجَعُوا، ذَكَرُوا ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ ، فَقَالَ: ((سَلُوْهُ، لأَيِّ شَيْءٍ يَصْنَعُ ذَلِكَ؟))، فَسَأَلُوْهُ، فَقَالَ: لأَنَّهَا صِفَةُ الرَّحْمَنِ، وَأَنَا أُحِبُّ أَنْ أَقْرَأَ بِهَا، فَقَالَ النَّبِيُّ : ((أَخْبِرُوْهُ أَنَّ اللهَ يُحِبُّهُ)).

“Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam mengutus seseorang kepada sekelompok pasukan, dan ketika orang itu mengimami yang lainnya di dalam solatnya, dia membaca, dan mengakhiri (bacaannya) dengan قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ, maka tatkala mereka kembali pulang, mereka menceritakan hal itu kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam, lalu beliau pun bersabda: “Tanyalah dia, mengapa dia berbuat demikian?” Lalu mereka bertanya kepadanya. Dia pun menjawab: “Kerana surah ini (mengandung) sifat ar Rahman, dan aku mencintai untuk membaca surat ini,” lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Beritahu dia, sesungguhnya Allah pun mencintainya”. Riwayat Bukhari dan Muslim.

Hadith Anas bin Malik Radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata :

كَانَ رَجُلٌ مِنَ الأَنْصَارِ يَؤُمُّهُمْ فِي مَسْجِدِ قُبَاءٍ، وَكَانَ كُلَّمَا اِفْتَتَحَ سُوْرَةً يَقْرَأُ بِهَا لَهُمْ فِي الصَّلاَةِ مِمَّا يَقْرَأُ بِهِ، اِفْتَتَحَ قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ، حَتَّى يَفْرَغَ مِنْهَا. ثُمَّ يَقْرَأُ سُوْرَةً أُخْرَى مَعَهَا، وَكَانَ يَصْنَعُ ذَلِكَ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ. فَكَلَّمَهُ أَصْحَابُهُ، فَقَالُوا: إِنَّكَ تَفْتَتِحُ بِهَذِهِ السُّوْرَةِ، ثُمَّ لاَ تَرَى أَنَّهَا تُجْزِئُكَ حَتَّى تَقْرَأَ بِأُخْرَى، فَإِمَّا تَقْرَأُ بِهَا، وَإِمَّا أَنْ تَدَعَهَا وَتَقْرَأَ بِأُخْرَى. فَقَالَ: مَا أَنَا بِتَارِكِهَا، إِنْ أَحْبَبْتُمْ أَنْ أَؤُمَّكُمْ بِذَلِكَ فَعَلْتُ، وَإِنْ كَرِهْتُمْ تَرَكْتُكُمْ. وَكَانُوا يَرَوْنَ أَنَّهُ مِنْ أَفْضَلِهِمْ، وَكَرِهُوا أَنْ يَؤُمَّهُمْ غَيْرُهُ. فَلَمَّا أَتَاهُمْ النَّبِيُّ  أَخْبَرُوْهُ الخَبَرَ، فَقَالَ: ((يَا فُلاَنُ، مَا يَمْنَعُكَ أَنْ تَفْعَلَ مَا يَأْمُرُكَ بِهِ أَصْحَابُكَ؟ وَمَا يَحْمِلُكَ عَلَى لُزُوْمِ هَذِهِ السُّوْرَةِ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ؟)) فَقَالَ: إِنِّي أُحِبُّهَا، فَقَالَ: ((حُبُّكَ إِيَّاهَا أَدْخَلَكَ الْجَـنَّةَ)).

“Seseorang (sahabat) dari Ansar mengimami (solat) mereka (para sahabat lainnya) di Masjid Quba. Setiap dia membuka bacaan (di dalam solatnya), dia membaca sebuah surah dari surah-surah (lainnya) yang dia (selalu) membacanya. Dia membuka bacaan surah di dalam solatnya dengan قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ, sampai dia selesai membacanya, kemudian dia lanjutkan dengan membaca surat lainnya bersamanya. Dia pun melakukan hal demikian itu di setiap rakaat (solat)nya. (Akhirnya) para sahabat lainnya berbicara kepadanya, mereka berkata: “Sesungguhnya engkau membuka bacaanmu dengan surah ini, kemudian engkau tidak menganggap hal itu telah cukup bagimu sampai (engkau pun) membaca surah lainnya. Maka, (jika engkau ingin membacanya) bacalah surah itu (saja), atau engkau tidak membacanya dan engkau (hanya boleh) membaca surah lainnya”. Dia berkata: “Aku tidak akan meninggalkannya. Jika kalian suka untuk aku imami kalian dengannya, maka aku lakukan. Namun, jika kalian tidak suka, aku tinggalkan kalian,” dan mereka telah menganggapnya orang yang paling utama di antara mereka, sehingga mereka pun tidak suka jika yang mengimami (solat) mereka adalah orang selainnya. Sehingga tatkala Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam mendatangi mereka, maka mereka pun menceritakan khabar (tentang itu), lalu dia (Nabi) bersabda: “Wahai fulan, apa yang menghalangimu untuk melakukan sesuatu yang telah diperintahkan para sahabatmu? Dan apa pula yang membuatmu selalu membaca surah ini di setiap rakaat (solat)?” Dia menjawab,”Sesungguhnya aku mencintai surah ini,” lalu Rasulullah bersabda: “Cintamu kepadanya memasukkanmu ke dalam syurga”. Riwayat Bukhari, Tirmizi dan Ahmad.

Jadi kita boleh lihat bagaimana cintanya sahabat kepada surah ini dan bagaimana Nabi ﷺ membenarkan apa yang mereka lakukan.

Nilai surah ini sama dengan sepertiga Al-Qur’an:

Hadith Abu Sa’id al Khudri Radhiyallahu ‘anhu, dia berkata:

أَنَّ رَجُلاً سَمِعَ رَجُلاً يَقْرَأُ: قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ يُرَدِّدُهَا، فَلَمَّا أَصْبَحَ جَاءَ إِلَى رَسُوْلِ اللهِ ، فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ، وَكَأَنَّ الرَّجُلَ يَتَقَالُّهَا، فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ : ((وَالَّذِيْ نَفْسِيْ بِيَدِهِ، إِنَّهَا لَتَعْدِلُ ثُلُثَ القُرْآنِ.

“Sesungguhnya seseorang mendengar orang lain membaca قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ dengan mengulang-ulangnya, maka tatkala pagi harinya, dia mendatangi Rasulullah dan menceritakan hal itu kepadanya, dan seolah-olah orang itu menganggap remeh surah itu, maka bersabdalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam: “Demi Dzat yang jiwaku berada di tanganNya, sesungguhnya surah itu sebanding dengan sepertiga Al -Qur’an”. (Riwayat Bukhari (434), Abu Dawud, Nasaie).

Hadith Abu Sa’id al Khudri رضي الله عنه , dia berkata:

قَالَ النَّبِيُّ لأَصْحَابِهِ: ((أَيُـعْجِزُ أَحَدُكُمْ أَنْ يَقْرَأَ ثُلُثَ القُرْآنِ فِي لَيْلَةٍ))، فَـشَقَّ ذَلِكَ عَلَيْهِمْ، وَقَالُوا: أَيُّـنَا يُطِيْقُ ذَلِكَ يَا رَسُوْلَ اللهِ؟ فَقَالَ: ((اللهُ الوَاحِدُ الصَّمَدُ، ثُلُثُ القُرْآنِ)).

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam berkata kepada para sahabatnya: “Apakah seseorang dari kalian tidak mampu membaca sepertiga Al-Qur’an dalam satu malam (saja)?” Hal itu membuat mereka keberatan, (sehingga) mereka pun berkata: “Siapa di antara kami yang mampu melakukan hal itu, wahai Rasulullah?” Lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Allahul Wahidush Shamad (surah al -Ikhlas), (adalah) sepertiga Al -Qur`an”. Riwayat Bukhari.

Nota: Maksudnya, kandungan surah ini adalah khulasah (kesimpulan) kepada 1/3 dari kandungan Al-Qur’an. Ini adalah kerana ia memperkatakan tentang tauhid dan ia adalah perkara yang utama dalam Al-Qur’an. Bukan ia bermaksud sekali membaca surah al-Ikhlas ini, sama juga ‘sudah membaca’ 1/3 dari Al-Qur’an.

Jangan salah faham akan hal ini. Kerana itu, ada juga kita mendengar hujah orang jahil, mereka berkata yang mereka sudah khatam Al-Qur’an kerana sudah membaca tiga kali surah al-Ikhlas ini. Janganlah berfikiran cetek. Kalau fahaman ini dibiarkan berleluasa, maka kalau begitu, tidak perlu membaca semua surah di dalam Al-Qur’an. Untuk apa hendak belajar membaca Al-Qur’an lagi? Belajar satu surah sahaja!

Membaca Surah al-Ikhlas menjadi penyebab untuk masuk syurga: 

Hadith Abu Hurairah رضي الله عنه , dia berkata:

أَقْبَلْتُ مَعَ رَسُوْلِ اللهِ ، فَسَمِعَ رَجُلاً يَقْرَأُ قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ. اللهُ الصَّمَدُ، فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ : ((وَجَبَتْ))، قُلْتُ: وَمَا وَجَبَتْ؟ قَالَ: ((الجَـنَّةُ)).

“Aku datang bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam, lalu baginda mendengar seseorang membaca:

قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ. اللهُ الصَّمَدُ

Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Telah wajib,” aku bertanya: “Apa yang wajib?” Beliau bersabda, “(Telah wajib baginya) syurga.” Riwayat Tirmizi dan Nasaie – disahihkan oleh Albani.

Nota: Ini juga satu perkara yang perlu dijelaskan. Kerana masyarakat kita ini sangat jahil, sampai kadangkala baca hadith dan ayat Al-Qur’an tanpa belajar. Bukanlah bermaksud baca surah al-Ikhlas sahaja boleh terus masuk ke syurga. Kalau begitu, tidak perlu Nabi Muhammad ﷺ berdakwah sampai 23 tahun. Kalau benar membaca sahaja sudah boleh masuk syurga, Nabi ﷺ jadi Rasul tiga hari juga sudah cukup, ajar membaca surah al-Ikhlas sahaja.

Maksud hadith ini sebenarnya adalah, hendaklah membaca, faham dan mengamalkan tauhid seperti yang diajar di dalam surah ini. Surah ini adalah khulasah sahaja kepada cerita tauhid di dalam Al-Qur’an. Maka, hendaklah belajar apa yang disampaikan di dalam Al-Qur’an itu tentang tauhid. Maka, memang tidak dapat dielak, mestilah belajar tafsir Al-Qur’an juga.

Surah ini menjadi pelindung kalau dibaca bersama dengan surah al-Falaq dan an-Nas

Hadith Uqbah bin ‘Amir al Juhani رضي الله عنه , beliau berkata:

بَيْنَا أَنَا أَقُوْدُ بِرَسُوْلِ اللهِ رَاحِلَتَهُ فِي غَزْوَةٍ، إِذْ قَالَ: ((يَا عُقْبَةُ، قُلْ!))، فَاسْتَمَعْتُ، ثُمَّ قَالَ: ((يَا عُقْبَةُ، قُلْ!))، فَاسْتَمَعْتُ، فَقَالَهَا الثَّالِثَةَ، فَقُلْتُ: مَا أَقُوْلُ؟ فَقَالَ: قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ فَقَرَأَ السُّوْرَةَ حَتَّى خَتَمَهَا، ثُمَّ قَرَأَ قُلْ أَعُوْذُ بِرَبِّ الفَلَقِ، وَقَرَأْتُ مَعَهُ حَتَّى خَتَمَهَا، ثُمَّ قَرَأَ قُلْ أَعُوْذُ بِرَبِّ النَّاسِ، فَقَرَأْتُ مَعَهُ حَتَّى خَتَمَهَا، ثُمَّ قَالَ: ((مَا تَعَوَّذَ بِمِثْلِهِنَّ أَحَدٌ)).

“Tatkala aku menuntun kenderaan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam dalam sebuah peperangan, tiba-tiba baginda bersabda: “Wahai Uqbah, katakan,” aku pun mendengarkan, kemudian beliau berkata (lagi): “Wahai Uqbah, katakan,” aku pun mendengarkan. Dan beliau mengatakannya sampai tiga kali, lalu aku bertanya: “Apa yang aku katakan?” Beliau pun bersabda: “Katakan قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ”, lalu baginda membacanya sampai selesai. Kemudian baginda membaca قُلْ أَعُوْذُ بِرَبِّالفَلَقِ, aku pun membacanya bersamanya hingga selesai. Kemudian baginda membaca قُلْ أَعُوْذُ بِرَبِّ النَّاسِ, aku pun membacanya bersamanya hingga selesai. Kemudian baginda bersabda: “Tidak ada seorang pun yang berlindung (dari segala keburukan) seperti orang orang yang berlindung dengannya (tiga surah) tersebut”. (Riwayat Nasaei – disahihkan oleh Albani)

Allahu a’lam. Sambung ke ayat 1 surah ini.

Kemaskini: 2 Oktober 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Tafsir Surah al-Masad Ayat 3 – 5 (Isteri yang paling teruk)

Ayat 3: Balasan yang dikenakan ke atas Abu Lahab.

سَيَصلىٰ نارًا ذاتَ لَهَبٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He will [enter to] burn in a Fire of [blazing] flame

(MALAY)

Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak.

 

Ayat sudah berubah sekarang kerana ia akan memperkatakan tentang masa hadapan. Kita tahu kerana ada huruf س dalam kalimah سَيَصلىٰ (dia akan masuk) itu. Selalunya apabila perkara masa hadapan disebut, ianya tentang perkara yang akan berlaku tidak lama lagi (sama ada di dunia atau di akhirat). Ayat ini tentang kejadian di neraka.

Bagaimana pula jika neraka itu tidak lama lagi? Ini adalah kerana pada Allah ianya dekat sahaja. Kita sahaja yang menyangka ianya lambat lagi. Lihat ayat Ma’arij:7 وَنَراهُ قَريبًا (Sedangkan Kami memandangnya dekat).

Abu Lahab akan dimasukkan ke dalam نارًا ذاتَ لَهَبٍ (api yang ada bara merah). Bukankah لَهَبٍ itu nama gelarannya? Ini adalah serangan dan hinaan kepada Abu Lahab – kamu suka digelar Abu Lahab, bukan? Jadi, sekarang diberitahu yang dia akan dimasukkan ke dalam لَهَبٍ!


 

Ayat 4: Sekarang masuk kepada kutukan terhadap isteri Abu Lahab pula – Umm Jamil. Ayat 4 – 5 adalah Perenggan Makro Kedua dan ia mengandungi ramalan tentang akibat buruk yang akan diterima oleh isteri Abu Lahab.

وَامرَأَتُهُ حَمّالَةَ الحَطَبِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And his wife [as well] – the carrier of firewood.¹

  • She used to put thorns in the Prophet’s path and slander him (). The word “firewood” was used by the Arabs to allude to slander and backbiting.

(MALAY)

Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar.

 

Kalimah امرَأَتُهُ (isterinya) yang dimaksudkan adalah Umm Jamil. Siapakah dia?

    • Dia adalah cucu kepada Ummayyah, seorang yang terkenal di Mekah pada zaman dahulu. Dia juga adalah adik Abu Sufyan, salah seorang pemimpin Mekah pada waktu itu. Jadi dia adalah daripada keturunan pembesar.
    • Dia amat berbangga dengan kedudukannya di dalam masyarakat. Jadi, dia akan menunjuk-nunjuk kelebihannya itu. Tambahan pula dia berkahwin dengan Abu Lahab, juga seorang yang terkenal. Mereka ini adalah pasangan yang dipandang tinggi dalam masyarakat pada waktu itu.
    • Dikatakan bahawa, dia memakai rantai yang mahal dan didedahkan di khalayak ramai. Kalau dia ternampak Nabi Muhammad SAW lalu, dia akan memegang rantai itu dan dia bersumpah dengan nama berhala Lat dan Uzza yang dia sanggup untuk menggadai rantainya itu untuk menjatuhkan Nabi Muhammad SAW. Begitu marah dia hinggakan dia sanggup hendak menggadai rantai kesayangannya itu.
    • Umm Jamil ini pernah mengutuk Nabi Muhammad SAW dengan menggelar baginda ‘Mudhamam’ (yang terkutuk). Nama Nabi kita adalah Muhammad, tapi dia hendak ubah jadi Mudhamam pula, hingga dia mengarang syair tentang nama ini.

Dia sungguh marah selepas turunnya surah ini hinggakan dia mengutuk Nabi Muhammad SAW dengan memberi nama Mudhamam itu. Bila ada orang memberitahu kepada baginda tentang perkara ini, Nabi Muhammad SAW menjawab, tidak perlu kisah kerana yang dikutuk adalah Mudhamam, sedangkan nama baginda adalah Muhammad (jadi bukan sebut tentang baginda).

Ini mengajar kita untuk bersabar dan belajar melihat mana yang perlu dilayan dan mana yang tidak perlu dilayan. Kalau anjing menyalak kita, adakah bijak kalau kita menyalak semula kepada anjing tersebut? Oleh itu, kalau ada yang mengarut tentang kita, tidak perlu kita hendak balas dengan mengarut semula, buang masa dan buat malu kita sahaja.

Masalahnya sekarang ada blog, ada group whatsapp, dan selalu ada pertelingkahan di antara penulis-penulis ‘sambilan’. Kadang-kadang ada yang menggunakan bahasa kasar dan kita rasa macam hendak balas sahaja bahasa kasar mereka.

Tapi ini membuang masa sahaja. Mereka memang hendak melihat bagaimana kita melompat dan melatah. Maka, orang Islam hendaklah belajar tentang perkara ini. Kalau hendak berbincang dengan baik, barulah kita layan mereka. Kalau hendak berlawan dan menggunakan kata-kata kesat atau bodoh, tidak perlu hendak layan.

Contohnya, kalau ada yang mengutuk Wahabi, biarlah. Kita bukan wahabi. Hendak kutuk wahabi, kutuklah, tidak ada kena mengena dengan kita.

Kalimah yang digunakan dalam ayat ini adalah امرَأَة (isteri). Selain dari امرَأَة, ada satu lagi kalimah digunakan yang membawa maksud isteri iaitu زوجة. Kedua-duanya digunakan dalam Al=Qur’an dan bertukar-tukar, sekejap guna زوجة dan sekejap guna امرَأَة. Sebagai contoh, untuk isteri Firaun, isteri Nabi Zakariya digunakan kalimah امرَأَة seperti yang digunakan untuk Umm Jamil. Apakah beza antara keduanya?

Pertamanya, kita hendaklah tahu yang kalau digunakan kalimah امرَأَة, tidak semestinya untuk mereka yang buruk kerana isteri Firaun dan isteri Nabi Zakariya juga menggunakan kalimah itu. Kedua-dua mereka adalah orang yang baik. Jadi, ada sebab tertentu kenapa ianya digunakan dan tidak digunakan kalimah زوجة.

Bahasa Al-Qur’an adalah tepat dan tentu ada sebab yang hendak disampaikan dengan cara tersirat. Perkara ini tidak diketahui kalau setakat membaca terjemahan sahaja.

Objektif perkahwinan yang utama ada dua: untuk meninggikan kebaikan dalam masyarakat dan untuk mendapatkan anak. Ini kerana cara untuk mendapatkan anak dengan sah adalah dengan pernikahan. Kalau salah satu dari dua perkara ini hilang atau tiada, maka Allah menggunakan kalimah امرَأَة. Dan apabila kedua-duanya ada, maka Allah menggunakan kalimah زوجة.

Sebagai contoh, isteri Nabi Zakariya adalah seorang yang baik, tapi dia tidak ada anak maka digunakan kalimah امرَأَة untuk menyebut tentang dirinya. Tidaklah berkurang kemuliaannya kerana tidak ada anak. Kita hendaklah ingat yang ketiadaan anak tidak semestinya tidak mulia. Berapa ramai daripada kalangan orang kita yang tidak ada anak, tapi mereka itu orang yang baik? Itu semua adalah dugaan untuk mereka.

Berbalik kepada isteri Nabi Zakariya, apabila isterinya itu sudah dapat anak, barulah digunakan gelaran زوجة untuk dirinya (boleh lihat perubahan yang Allah gunakan). Lihatlah bagaimana tepatnya penggunaan kalimah dalam Al-Qur’an. 

Oleh kerana itu, digunakan kalimah امرَأَة untuk Umm Jamil – dia ada anak tapi tidak ada kebaikan padanya. Dia melakukan sesuatu yang buruk. Anak yang dia ada itu juga tidak menyebabkan kebaikan baginya.

Kalimah وَامرَأَتُهُ dalam ayat ini adalah sambungan dari ayat sebelumnya. Ia adalah khabar kedua selepas khabar pertama dalam ayat sebelum itu – kerana ada dhommah padanya (baris hadapan). Apakah maksudnya? Kalau diambil dari ayat sebelum: “Abu Lahab akan dimasukkan ke dalam api neraka yang ada bara dan begitu juga dengan isterinya.”

Mereka bergabung semasa di dunia untuk menyakiti hati Nabi dan cuba untuk menjatuhkan dakwah baginda, maka Allah akan masukkan kedua-duanya bergabung ke dalam neraka.

Kalimah حَمّالَةَ dalam bentuk mansoob kerana ada fatha (baris atas) padanya. Ini juga penting kerana mengandungi balaghah di dalamnya. Dalam bahasa Arab, ada 16 sebab kenapa fathah digunakan. Jadi, salah satunya adalah kerana hendak menunjukkan kemarahan. Maka, kalimah ini menunjukkan kemurkaan dan kebencian Allah kepada Umm Jamil, isteri Abu Lahab itu.

Kalimah حَمّالَةَ juga adalah dalam bentuk mubalaghah (bersangatan) kerana ada syaddah pada huruf م itu. Ini menunjukkan yang Umm Jamil tetap terus melakukannya, bukan sekali sahaja. Itulah perkara yang dia akan lakukan di neraka nanti.

Kalimah الحَطَبِ bermakna kayu kering yang digunakan untuk pembakaran (memasak, memanaskan rumah dan sebagainya). Begitulah cara mereka memperoleh kepanasan dalam rumah pada zaman itu. Selalunya kayu kering itu dibawa oleh hamba.

Jadi, sekarang Allah memanggil dia sebagai pembawa kayu bakar itu pula. Sedangkan dia seorang yang bangga dengan kedudukannya dalam masyarakat dan dia tidak akan melakukan kerja kerana pada dia, itu adalah kerja yang hina. Tapi, Allah hendak kata yang Dia tidak hormat status dia dalam masyarakat. Kalau seseorang itu menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam, maka orang itu hina sehina-hinanya pada pandangan Allah.

Kenapa dikatakan Umm Jamil itu membawa ‘kayu bakar’? Kerana dia suka mengapi-apikan antara manusia. Dia suka mereka-reka kisah buruk tentang Nabi Muhammad SAW supaya orang tidak suka kepada baginda. Dia suka membangkitkan perasaan tidak suka masyarakat terhadap Nabi Muhammad SAW.

Umm Jamil juga akan dimasukkan ke dalam neraka bersama suaminya Abu Lahab, dan dia sendiri akan membawa kayu kering untuk membakar dirinya dan suaminya itu. Ini adalah sebahagian dari azab seksa yang akan dikenakan kepada mereka. Dia akan berterusan melakukannya.


 

Ayat 5: 

في جيدِها حَبلٌ مِن مَسَدٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Around her neck is a rope of [twisted] fiber.

(MALAY)

Yang di lehernya ada tali dari sabut.

 

Ini adalah azab yang disebut dan dikenakan kepada Umm Jamil – ditambat pada leher dia tali yang diikat seperti anjing. Dia mulia semasa di dunia, tapi dia akan dihinakan di akhirat kelak.

Kita sekarang sudah sampai ke ayat yang penghujung surah ini. Ada dua tema dalam surah ini yang kita telah belajar:

    • Satu tema tentang Abu Lahab.
    • Satu lagi tentang isterinya, Umm Jamil.

Mereka berdua ini adalah jenis manusia yang paling teruk sekali. Kerana kita juga tahu yang manusia ini ada banyak jenis. Dari sirah Nabi, mereka ini terbahagi kepada empat jenis:

1. Bukan Muslim, tetapi seorang yang baik. Contohnya, seorang lelaki yang bernama Mu’tem bin Adiyy. Dia tidak masuk Islam di zaman Nabi, tapi dia mempertahankan baginda apabila baginda masuk ke Mekah. Begitu juga kita kenal bapa saudara Nabi, Abu Thalib yang tetap mempertahankan Rasulullah SAW walaupun dia sendiri tidak masuk Islam.

2. Ada musuh yang mulia. Mereka tetap tidak masuk Islam dan malah menentang Islam, tapi mereka itu sebenarnya hebat. Diri mereka memang hebat, tapi mereka tetap mahu mempertahankan kepercayaan mereka, cuma kepercayaan itu salah. Jikalau mereka masuk Islam, mereka akan menjadi orang yang mulia.

Contohnya, Abu Jahal. Dia memang ada kelebihan peribadi pada dirinya hinggakan Nabi pernah berdoa semoga dibukakan hati sama ada Abu Jahal atau Umar (untuk masuk Islam) kerana mereka berdua ini ada potensi dan kalau mereka masuk Islam, akan memudahkan dan memberi kebaikan kepada agama Islam. Ini kita sudah bincangkan dalam tafsir ayat surah al-Alaq:11.

3. Ada yang menentang Islam dan menjadi musuh Islam, tapi mereka tidak benci kepada personaliti yang bernama Muhammad itu. Sebagai contoh, Utbah ibn Rabiah. Dia tidak benci Nabi Muhammad SAW, tapi dia ada reputasi yang hendak dijaga sebagai orang besar di Mekah.

Begitu juga dengan Walid ibn Mughirah – dia rasa tercabar dengan Al-Qur’an kerana dia seorang penyair yang terkenal. Dia tidak dapat jelaskan apakah Al-Qur’an itu, tapi akhirnya dia kata Al-Qur’an itu adalah sihir (kerana ditekan oleh pemuka Quraish yang lain). Individu-individu ini boleh dipelajari tentang mereka di dalam sirah.

4. Akhir sekali adalah jenis yang paling teruk – benci agama Islam dan benci Nabi Muhammad SAW juga – Inilah perangai Abu Lahab. Dialah manusia yang paling teruk sekali, hinggakan Allah buatkan satu surah tentang dia.

Bukan sahaja dia itu ahli keluarga dan jiran Nabi; bahkan mereka suami isteri sama-sama membenci kepada baginda; mereka bukan sahaja membenci, tapi berusaha untuk menyerang Nabi; dan mereka jua yang paling awal menyerang baginda secara umum.

Bayangkan teruknya mereka itu, sampai meraikan kematian anak Nabi. Ini adalah kemuncak permusuhan terhadap baginda. Kalau musuh baginda yang lain juga tidak lakukan perkara seteruk ini.

Bahagian kedua surah ini menyentuh tentang isterinya, Umm Jamil. Dia ini adalah wanita yang sangat teruk. Kalau kita bahagikan jenis-jenis wanita, kita boleh bahagikan kepada 4 jenis juga:

    1. Wanita yang baik dengan wali yang baik. Ini seperti Maryam yang dijaga oleh Nabi Zakariya a.s.
    2. Wanita yang baik dengan wali yang teruk. Ini seperti Asiyah, isteri kepada Firaun yang teruk. Walaupun dia seorang mukminah, tapi dia hidup dengan seorang yang teruk. Walaupun begitu, dia tetap beriman.
    3. Wanita yang teruk tapi dengan wali yang baik. Ini seperti isteri kepada Nabi Nuh a.s. dan isteri kepada Nabi Luth a.s. Mereka ada suami yang berpangkat Nabi, tapi mereka tetap menjadi teruk.
    4. Yang paling teruk adalah wanita yang teruk dan tinggal dengan wali yang juga teruk. Inilah peringkat Umm Jamil ini – dia sendiri sudah teruk, tinggal pula dengan wali yang teruk (Abu Lahab). Jadi surah ini menyebut tentang lelaki yang paling teruk dan wanita yang paling teruk.

Kedudukan surah ini diletakkan selepas surah an-Nasr. Dalam surah itu, disebut perkara yang akan menyelamatkan kita di akhirat kelak – tasbih, tahmid dan istighfar. Jadi, dalam surah al-Masad ini disebut pula apa yang tidak dapat menyelamatkan kita: harta dan apa yang kita dapat dari usaha kita.

Surah ini juga adalah sambungan dari nikmat yang Allah berikan kepada Nabi Muhammad SAW. Abu Lahab dan Umm Jamil adalah musuh baginda yang paling teruk sekali. Jadi, dalam surah ini Allah beritahu yang mereka akan dimusnahkan – bukan sahaja di akhirat, tapi di dunia ini lagi mereka akan dimusnahkan.

Sebelum ini kita telah sebut bagaimana Firaun ditahan dari beriman dan sememangnya Firaun sampai ke waktu dia hendak mati, dia tidak beriman (dia cuma mahu beriman apabila dia dalam sakaratul maut dan imannya tidak bernilai lagi pada waktu itu).

Salah satu mukjizat Al-Qur’an adalah ia memberitahu perkara yang akan terjadi dan tidak ada yang berlawanan dengan Al-Qur’an. Oleh itu, apabila surah ini memberitahu yang Abu Lahab akan dimusnahkan, ia juga adalah sesuatu yang pasti berlaku. Tidak boleh syak lagi.

Kalau kita fikirkan, Abu Lahab ada satu peluang untuk mengatakan Al-Qur’an itu menipu – dia boleh sahaja mengaku beriman (walaupun dia menipu) dan dengan itu mengatakan Al-Qur’an tidak benar. Dia boleh sahaja berkata yang dia beriman dan berhujah: “tengok, Al-Qur’an kata aku tidak akan beriman, jadi sekarang aku beriman.” Dia ada masa bertahun-tahun untuk melakukan perkara ini, tapi dia tidak pernah lakukan.

Ini adalah salah satu mukjizat Al-Qur’an – mengatakan perkara yang benar, yang terbukti kebenarannya. Jikalau Abu Lahab di hujung hayatnya beriman, tentu ini akan melemahkan kedudukan Al-Qur’an, bukan? Tapi, terbukti Al-Qur’an itu benar. Allah membuktikan kebenaran Al-Qur’an itu apabila Abu Lahab langsung tidak beriman sampai ke hujung hayatnya.

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Ikhlas.

Kemaskini: 1 Oktober 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan.

Tafsir Surah al-Masad Ayat 1 – 2 (Musnahnya musuh Nabi)

Pengenalan

Ini adalah salah satu dari surah yang paling pendek di dalam Al-Qur’an. Ramai yang hafal surah ini tentunya. Ianya ditujukan kepada Abu Lahab dan isterinya. Kerana itu nama lain baginya adalah surah al-Lahab.

Ini adalah perkara yang menghairankan kerana Allah tidak melakukannya terhadap musuh-musuh Nabi Muhammad SAW yang lain. Kalau musuh Nabi disebut di dalam mana-mana ayat, selalunya nama tidak disebutkan. Sebagai contoh, Abu Jahal juga teruk, tapi namanya tidak pernah disebut dalam Al-Qur’an. Tapi kali ini, disebutkan sampai satu surah tentang Abu Lahab dan isterinya. Tentu ada sesuatu yang besar hendak disampaikan.

Jadi, siapakah Abu Lahab ini? Ringkasnya:

    • dia adalah seorang yang terkenal dan antara yang terkaya di Mekah.
    • ada yang mengatakan bahawa dia adalah penjaga BaitulMaal waktu itu.
    • namanya yang sebenar adalah Abdul Uzzah (hamba berhala Uzzah)

Dan seperti yang kita tahu, nama gelarannya adalah Abu Lahab. Kalimah لهب bermaksud api merah yang menyala dengan terang, menerangi sekelilingnya. Ia digunakan pada nama Abu Lahab sebagai penghormatan kepadanya kerana dia seorang yang tampan. Ini adalah kerana kulitnya kemerah-merahan.

Penggunaan ‘abu’ bukanlah semestinya bermaksud ‘bapa’. Ianya juga boleh digunakan kalau hendak mengaitkan seseorang dengan sesuatu. Sebagai contoh, pernah Nabi Muhammad SAW memanggil Saidina Ali dengan gelaran ‘Abu Turab’ (bapa tanah) kerana beliau berbaring di tanah dan baginda menyapu-nyapu tanah itu dari arah belakangnya.

Dan kita juga sudah tentu kenal Abu Hurairah (bapa kucing) dan tidaklah dia melahirkan kucing-kucing itu pula, bukan? Begitu juga penggunaan nama Abu Lahab – tidaklah dia ada anak yang bernama Lahab. Dia dipanggil begitu kerana kulitnya kemerahan dan dia memang seorang yang tampan. Jadi, dia ini adalah seolah-olah seorang selebriti pada zamannya. Kalau dalam istilah media sosial sekarang dia dipanggil ‘influencer’. Maklumat lain tentangnya:

    • dia dari keturunan yang hebat. Dia adalah cucu kepada Hashim Abd Manaf yang juga moyang kepada Nabi Muhammad SAW. Hashim ini adalah orang besar Mekah dan dialah yang memulakan memberi makan kepada orang yang mengerjakan Haji. Jadi keturunan Hashim adalah keturunan yang dihormati di Mekah, malah di Tanah Arab.
    • Abu Lahab ini juga adalah bapa saudara kepada Nabi Muhammad SAW.
    • dia juga adalah besan kepada baginda kerana dua anak baginda telah berkahwin dengan anak Abu Lahab.

Selain daripada Abu Lahab, isterinya juga disebut dalam ayat ini. Isterinya bernama Urwah. Siapakah dia?

    • dia juga orang yang berketurunan hebat – cucu kepada Umayyah, satu lagi keturunan yang dihormati di Tanah Arab. Oleh itu, apabila dia berkahwin dengan Abu Lahab, mereka adalah pasangan yang terkenal kerana kedua-duanya dari keturunan yang hebat. Memang ‘wedding of the year’.
    • dia memang berbangga dengan keturunannya dan selalu mengingatkan orang tentangnya.
    • nama panggilannya adalah Umm Jamil (ibu kecantikan) kerana dia seorang yang cantik juga; sudahlah Abu Lahab tampan, dia pula cantik. Oleh kerana itu, mereka memang pasangan yang selalu dipandang oleh masyarakat (power couple).

Kita sudah kenal serba sedikit dengan Abu Lahab ini. Maka, kenapakah dia teruk sekali dikutuk oleh Allah? Ini adalah kerana banyak keburukan dia:

    • dia adalah musuh Nabi yang paling kuat. Memang ada orang lain yang memusuhi baginda tapi Abu Lahab ini lebih teruk daripada orang lain.
    • dia juga jiran kepada Nabi Muhammad SAW; mereka berkongsi dinding. Kerana benci sangat kepada baginda, dia dan isterinya telah membuang kotoran, sampah, dan benda-benda yang teruk apabila baginda membaca Al-Qur’an. Kerana mereka dibalik dinding sahaja dan rumah dulu tidak ada penghadang. Maka, senang sahaja dia hendak melemparkan kekotoran itu ke dalam rumah baginda. Ini adalah perbuatan yang amat teruk sekali dan ini juga sebenarnya melanggar adat orang Arab. Dia sanggup melanggar adat kerana kebencian teramat sangat kepada Rasulullah.
    • dua anaknya telah berkahwin dengan dua anak Rasulullah (ini terjadi sebelum Islam). Apabila Rasulullah mula berdakwah secara terbuka, dia telah mengarahkan dua anaknya itu untuk menceraikan anak-anak Rasulullah. Salah seorang menantu Rasulullah itu telah datang dan meludah depan baginda. Kiranya dia meludah depan bapa mertua dia – bukan sahaja menceraikan anak baginda, meludah pula lagi. Kerana perbuatan bekas menantu yang teruk itu, Rasulullah mendoakan keburukan untuknya. Apabila Abu Lahab mendengar doa baginda, dia menjadi takut (maknanya jauh di sudut hati dia, dia percaya juga yang baginda adalah Nabi dan doa baginda makbul). Maka, dia menjaga anaknya betul-betul hinggakan dia meletak pengawal. Tapi dalam satu perjalanan musafir, anaknya itu mati juga dibaham singa.
    • apabila anak lelaki Rasullah mati waktu kecil, dialah orang pertama yang tahu dan dialah orang pertama yang meraikannya. Ini adalah teruk sekali kerana kalau musuh sekalipun, bila ada musuh yang kematian anak, tidaklah sanggup musuhnya bergembira dan mengutuk. Tapi Abu Lahab memang tidak ada berperi -kemanusiaan dan dia memang seorang musuh yang paling teruk sekali. Perkara ini disebut di dalam Surah Kawthar.

Jadi, ini adalah antara perkara yang menyebabkan Abu Lahab dikutuk dengan amat teruk oleh Allah. Kerana memang perkara yang dilakukannya itu adalah amat teruk, tidak dapat dimaafkan. Bayangkan, cucu saudaranya sendiri mati juga dia boleh bersorak lagi? Musuh Nabi yang lain juga tidak lakukan seperti mana yang dia lakukan ini.

Dialah juga yang pertama sekali menolak dakwah tauhid daripada baginda. Apabila Rasulullah diarahkan untuk berdakwah kepada keluarga baginda, baginda telah mengadakan jamuan makan kerana baginda hendak mula bercakap tentang Islam kepada keluarganya. Maka, Abu Lahab dan yang lain-lain juga dijemput. Apabila Nabi Muhammad SAW hendak bercakap sahaja tentang Islam, dialah yang pertama membuat bising dan menolak. Dia berkata: تباً لهذا الدين (musnahlah agama ini!)

Apabila Nabi Muhammad SAW naik ke atas bukit dan bercakap dengan Arab Mekah untuk berdakwah secara terbuka, dan memperkenalkan mereka dengan ajaran tauhid, Abu Lahab jua yang menghina baginda dan mengatakan baginda menipu. Dia menjerit: تباً لّك (musnahlah kamu!)

Waktu itu baginda naik ke atas bukit dan selalunya hal itu dilakukan jikalau ada seseorang yang hendak memberitahu berita gempar – mungkin ada orang hendak serang dan sebagainya. Marah dia kerana apa yang Nabi lakukan adalah kalau ada kecemasan sahaja. Lihat bagaimana dia menggunakan kalimah تب dalam kedua-dua situasi. Nanti Allah akan gunakan kalimah yang sama juga.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 2 perenggan makro. Ayat 1 – 3 adalah Perenggan Makro Pertama dan ia mengandungi ramalan tentang akibat buruk yang akan diterima oleh Abu Lahab.

تَبَّت يَدا أَبي لَهَبٍ وَتَبَّ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Masad: Fiber. This sūrah is also known as al-Lahab (Flame).

May the hands of Abū Lahab be ruined, and ruined is he.¹

  • Abū Lahab (the Prophet’s uncle), who was an enemy of Islām.

(MALAY)

Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa.

 

Oleh kerana Abu Lahab menggunakan kalimah تب dua kali (sekali semasa jamuan dan sekali lagi semasa baginda di atas bukit) maka dalam ayat ini, kalimah تب digunakan dua kali juga.

Allah mengatakan yang kedua tangan Abu Lahab akan musnah. Apabila ayat ini turun, Abu Lahab menghina ayat itu. Dia akan pergi ke khalayak ramai dan dia akan tunjuk tangan dia – dan dia berkata yang tangan dia tidak jadi apa-apa pun.

Kalimah تَبَّت adalah dalam bentuk fi’il madhi untuk kalimah تبب ataupun diringkaskan menjadi تبّ. Ianya dalam bentuk muannast (feminine) kerana pada Arab, tubuh badan berpasang seperti tangan dan kaki adalah ‘perempuan’. Kerana itu juga kalimah تَبَّت ada huruf ت yang menunjukkan ianya muannast.

Dari segi balaghah, Allah menggunakan fi’il madhi (past tense) kerana dalam bahasa Arab, ia menunjukkan kepastian – PASTI tangan Abu Lahab akan dimusnahkan. Ini adalah kerana sesuatu yang dikatakan akan berlaku esok belum tentu lagi, tapi apa yang telah berlaku semalam sudah pasti, bukan?

Ayat ini mengandungi dua kalimah تبّ:

a. تَبَّت يَدا أَبي لَهَبٍ (semoga musnah kedua tangan Abu Lahab)
b. وَتَبَّ yang kedua ini adalah sebagai ketetapan – pasti tangannya itu musnah!

Kalimah تَبَّ bermaksud sesuatu yang musnah sedikit demi sedikit. Ianya sesuatu yang semakin teruk dan teruk sampai akhirnya musnah terus. Ia tidaklah musnah terus. Kalau kereta terlibat dalam kemalangan, kereta itu terus musnah, bukan? Jadi itu bukan تبّ.

Oleh itu, Allah maksudkan bahawa Abu Lahab tidaklah musnah terus tapi dia akan musnah sedikit demi sedikit. Kalau dia dimusnahkan terus, kalimah yang digunakan adalah هلك.

Kalimah تبّ ini ada juga digunakan dalam Hud:101

وَما ظَلَمناهُم وَلٰكِن ظَلَموا أَنفُسَهُم ۖ فَما أَغنَت عَنهُم آلِهَتُهُمُ الَّتي يَدعونَ مِن دونِ اللَّهِ مِن شَيءٍ لَمّا جاءَ أَمرُ رَبِّكَ ۖ وَما زادوهُم غَيرَ تَتبيبٍ

Dan Kami tidaklah menganiaya mereka tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri, kerana itu tiadalah bermanfaat sedikit pun kepada mereka sembahan-sembahan yang mereka seru selain Allah, di waktu azab Tuhanmu datang. Dan sembahan-sembahan itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali kebinasaan belaka.

Kalimah yang digunakan dalam ayat Hud:101 ini adalah تَتبيبٍ (tatbeeb) yang diambil dari kata dasar ت ب ب juga, cuma dalam wazan yang berlainan. Ayat ini memberitahu helah puak musyrik itu tidak akan memanfaatkan mereka walau sedikit. Yang menariknya, dalam surah Hud:101 juga ada kalimah أَغنَت di mana dalam surah Masad juga ada kalimah أَغنىٰ.

Kalimah أَغنىٰ dan أَغنَت dari kata dasar غ ن ي yang bermaksud ‘tidak memerlukan’ – kerana itu Allah adalah al-Ghaniy kerana Allah tidak memerlukan apa-apa daripada makhluk. Oleh itu, orang yang kaya juga dikatakan ghaniy kerana mereka banyak harta dan tidak memerlukan bantuan kewangan daripada orang lain. Orang-orang yang kaya selalunya ada harta dan ada antara mereka yang rasa mereka tidak memerlukan bantuan lagi.

Tapi, Allah menyebut yang harta mereka tidak dapat menyelamatkan mereka langsung dari memberikan pertolongan. Walaupun mereka kaya harta, tapi di akhirat kelak mereka tetap memerlukan pertolongan daripada Allah. Walaupun mereka kaya, tapi mereka ‘tidak cukup’ lagi.

Dalam surah Hud:101 disebut bagaimana musyrikin itu bergantung dengan ilah palsu mereka dan dalam surah al-Masad ini, Abu Lahab bergantung kepada hartanya. Oleh itu, satu ilah palsu dan satu lagi harta. Antara kedua ini, mana lagi komprehensif? Tentulah ilah palsu kerana harta juga boleh jadi sebahagian dari ilah palsu (subset kepada ilah palsu sahaja).

Oleh kerana ilah palsu itu lebih komprehensif, maka kalimah yang digunakan dalam surah Hud:101 adalah تَتبيبٍ dan lebih kuat lagi dari kalimah تَبَّت yang digunakan dalam surah Masad. Ini kerana, dalam surah Masad, yang disentuh adalah satu ilah sahaja, jadi tidak digunakan تبّ dalam bentuk yang kuat. Ini menunjukkan ketepatan penggunaan bahasa Al-Qur’an – ini dinamakan pembelajaran balaghah.

Satu lagi kalimah تبّ digunakan dalam Ghafir:37 yang menceritakan rancangan Firaun yang menjadikan dia semakin musnah.

أَسبٰبَ السَّمٰوٰتِ فَأَطَّلِعَ إِلىٰ إِلٰهِ موسىٰ وَإِنّي لَأَظُنُّهُ كٰذِبًا ۚ وَكَذٰلِكَ زُيِّنَ لِفِرعَونَ سوءُ عَمَلِهِ وَصُدَّ عَنِ السَّبيلِ ۚ وَما كَيدُ فِرعَونَ إِلّا في تَبابٍ

“(Iaitu) ke pintu-pintu langit, supaya aku dapat melihat Tuhan Musa; dan sesungguhnya aku percaya Musa itu seorang pendusta!” Demikianlah diperhiaskan (oleh Syaitan) kepada Firaun akan perbuatannya yang buruk itu untuk dipandang baik, serta dia dihalangi dari jalan yang benar; dan tipu daya Firaun itu tidak membawanya melainkan ke dalam kerugian dan kebinasaan. 

Dia memang ada lakukan banyak rancangan tapi semua itu tidak menjadi: mulanya dia hendak bunuh anak-anak lelaki Bani Israil kerana dia tidak mahu ada dari kalangan mereka yang menjatuhkan takhtanya. Rancangan itu memang dijalankan, tapi dia sebaliknya membesarkan pembunuhnya (Nabi Musa) di dalam istananya.

Apabila Nabi Musa datang memperkenalkan diri baginda sebagai Rasul dan membawa ajaran tauhid, dia mencabar Nabi Musa, tapi Nabi Musa memalukannya dengan berhujah dan menunjukkan dua mukjizat – tongkat menjadi ular dan tangan bercahaya.

Untuk menjatuhkan kredibiliti Nabi Musa a.s., Firaun kemudian telah menganjurkan perlawanan dengan ahli sihir yang dia kumpul – kali ini di khalayak ramai pula. Dia menyangka kan yang dia akan memalukan Nabi Musa, tapi sebaliknya pula yang berlaku – semua rakyat nampak bagaimana ahli sihir itu kalah teruk dan mereka pula yang masuk Islam kerana jelas yang Nabi Musa itu adalah seorang Rasul.

Bayangkan Firaun yang beri ruang untuk Musa berdakwah di khalayak ramai! Rancangannya itu semua adalah ke arah kehancurannya akhir nanti. Dia juga tidak langsung beriman sampai ke akhirnya kerana dia ditahan dari jalan yang lurus. Maksudnya, bagaimana Firaun ditahan dari masuk Islam ini nanti akan disebut berkenaannya.

Makna lain bagi kalimah تبّ

    • Mati dengan cara teruk.
    • Mengalami kerugian besar.
    • Menjadi teruk seperti buah yang membusuk lama kelamaan.
    • Jadi tidak berguna dan dibuang begitu sahaja.
    • Tidak ada langsung kebaikan sedikit pun.

Dalam ayat ini digunakan kalimah: تَبَّت يَدا – musnahlah dua tangan. Kenapa kedua-dua tangan yang disebut dimusnahkan?

    • Ini adalah kerana kita selalunya lakukan perkara dengan menggunakan dua tangan, bukan satu sahaja, bukan? Ia merujuk kepada usaha seseorang itu, bukannya tangan yang fizikal sahaja. Oleh itu, ia bermaksud – biarkan dia dan segala usaha yang dilakukan oleh tangannya itu musnah. Bukankah dia cuba memusnahkan dakwah Nabi? Tapi, segala usaha dia itu tidak berjaya bukan?
    • Oleh itu, tangannya itu akan musnah, sekali dengan agamanya, dunianya dan segala apa yang dia telah lakukan dan harapkan.
    • Dua tangan Abu Lahab itu jugalah yang pernah cuba untuk membaling Nabi Muhammad dengan batu.
    • Orang Arab mengatakan, tangan kanan digunakan untuk menyerang dan tangan kiri digunakan untuk mempertahankan diri. Apabila Allah berkata kedua-dua tangannya itu akan dimusnahkan, ia bermaksud dia sudah tidak boleh menyerang sesiapa lagi dan dia tidak dapat mempertahankan dirinya. Jadi, tidak ada harapan langsung.

Dalam ayat ini digunakan أَبي لَهَبٍ – kenapa Allah memberi kun’yah (gelaran) kepada dia? Dalam penggunaan bangsa Arab, selalunya kalau ada kun’yah itu adalah sebagai penghormatan. Jadi, memang gelaran Abu lahab asalnya sebagai pujian baginya kerana dia adalah seorang yang tampan dan kemerahan kulitnya. Maksudnya, memang gelaran itu diberi oleh masyarakat Arab waktu itu sebagai penghormatan dan pujian untuknya. (ini tidak sama dengan nama Abu Jahal yang digunakan sebagai gelaran menghina). Tapi, mari kita lihat lagi siapakah Abu Lahab ini:

    • Namanya yang sebenar adalah Abdul Uzzah (hamba Uzzah), dan Uzzah itu adalah salah satu dari berhala Musyrikin Mekah. Jadi, Allah tidak mahu menggunakan nama berhala dalam merujuk kepadanya. Tidak akan hendak pakai pula kerana tidak ada sesiapa juga yang menjadi hamba kepada Uzzah kerana Uzzah itu adalah rekaan manusia jahil sahaja. Jadi, kalau pakai namanya Abdul Uzzah, ia adalah suatu penipuan.
    • Jadi, kun’yah Abu Lahab ini adalah sesuai dengan dia kerana dia akan menjadi penghuni api yang membakar. Allah akan memasukkan dia ke dalam neraka yang apinya membara dan itulah maksud ‘lahab’ juga. Jadi bila guna nama ini amat sesuai. Memang masyarakat memberi gelaran itu sebagai penghormatan, tapi Allah telah menjadikan makna baru bagi nama itu. Sekarang dia bukan dipanggil kerana dia seorang yang tampan, tapi kerana dia adalah ahli neraka yang membara.
    • Abu Lahab seorang yang takut hendak berperang. Ini berlainan dengan Abu Jahal yang berani. Oleh kerana Abu Lahab ini penakut, maka dia akan suruh orang lain yang berperang bagi pihak dia. Apabila ada orang yang berhutang dengan dia, maka dia akan  berkata untuk selesai hutang, hendaklah berperang bagi pihak dia.

Penerangan penggunaan kalimah وَتَبَّ: bahagian pertama ayat ini iaitu تَبَّت يَدا أَبي لَهَبٍ adalah dalam bentuk doa. Kalau doa, belum tentu dapat lagi, bukan? Tapi dengan tambahan kalimat وَتَبَّ ini, ia bermaksud tangannya itu pasti akan musnah kerana ia adalah dalam bentuk ‘khabr’ (berita, pemberitahuan). Oleh itu, Allah hendak memberitahu yang pasti kedua-dua tangan Abu Lahab itu pasti musnah.

Maksud kedua: تَبَّت يَدا yang pertama adalah tentang usahanya dan dirinya yang musnah di dunia, dan وَتَبَّ yang kedua itu adalah kemusnahannya di akhirat kelak. Oleh itu, kalau ada riwayat yang mengatakan dia dapat minum air di akhirat kerana kononnya pernah meraikan kelahiran Nabi Muhammad SAW itu adalah bohong belaka. Kerana Abu Lahab tidak akan dapat kebaikan langsung.

Penghujung hidup Abu Lahab amat mengerikan. Dia telah dijangkiti penyakit yang teruk hinggakan seluruh badannya membengkak. Anak-anaknya, pembantunya, keluarganya dan kawannya yang lain tidak berani mendekatinya kerana takut mereka juga terkena penyakit yang sama juga. Akhirnya, dia mati secara perlahan bersendirian dan tidak ada orang yang dekat dengannya.

Mayatnya terbiar sahaja di rumah yang jauh kerana tidak ada sesiapa yang berani mendekatinya dan menyentuhnya. Akhirnya, keluarganya telah mengupah orang lain untuk mengangkat mayatnya dan memasukkannya ke dalam lubang di padang pasir dan mereka memenuhkan lubang itu dengan batu. Janji Allah telah ditepati – dia mati secara perlahan dan di dunia lagi dia telah dikenakan dengan azab.

Oleh itu, ini adalah janji Allah kepada Nabi Muhammad SAW yang Dia akan musnahkan musuh baginda yang paling teruk sekali. Kerana Abu Lahab ini adalah teruk sekali sikap dan permusuhannya dengan baginda. Menyebabkan baginda susah hati dan tidak dapat tumpukan sepenuhnya kepada dakwah.

Bayangkan, dia siap upah orang untuk susahkan kehidupan baginda. Dia menggunakan kekayaan dan harta yang dia ada untuk menyusahkan dakwah baginda.

Apabila Nabi pergi berdakwah kepada seseorang, dia akan ikut di belakang. Selepas baginda habis bercakap dengan orang itu, dia pula akan berjumpa orang itu dan melarang orang itu ikut seruan Nabi Muhammad SAW. Dia berkata yang dia tahu Nabi Muhammad SAW itu gila kerana dia adalah bapa saudaranya. Oleh itu, Allah musnahkan Abu Lahab supaya Nabi dapat lebih mudah berdakwah.


 

Ayat 2:

ما أَغنىٰ عَنهُ مالُهُ وَما كَسَبَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

His wealth will not avail him or that which he gained.

(MALAY)

Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang dia usahakan.

 

Kekayaan dan hartanya tidak dapat membantunya langsung untuk menyelamatkan dirinya. Dalam ayat ini digunakan kalimah ما (tidak). Dalam bahasa Arab, ada beberapa cara untuk menyatakan ‘tidak’. Salah satunya dengan menggunakan kalimah لم. Tapi, kalimah ما lebih kuat lagi dari kalimah لم.

Kerana ia bermakna ‘tidak langsung sama sekali’. Ia digunakan untuk menolak fahaman seseorang. Maknanya ada yang menyangkakan bahawa hartanya dapat menyelamatkan Abu Lahab – maka Allah menidakkan fahaman itu dengan mengatakan ‘tidak sama sekali, itu adalah pandangan salah’. Ini terkandung maknanya apabila kalimah ما digunakan – walaupun pendek sahaja, tapi ada makna yang banyak disampaikan. Abu Lahab dan puak Quraish sangka hartanya yang banyak itu dapat memberi kebaikan kepadanya dan menyelamatkannya dalam sebarang hal, tapi tidaklah begitu.

Kalimah ما أَغنىٰ adalah dalam bentuk past tense kerana hendak membawa maksud ianya pasti berlaku. Ianya juga hendak memberi jaminan bahawa hartanya itu tidak akan dapat memberi kebaikan kepadanya di masa hadapan juga – ia tidak pernah memberi kebaikan kepadanya di masa lalu, begitu juga di masa hadapan.

Mari kita lihat maksud وَما كَسَبَ ini. Kalimah كَسَبَ bermaksud sesuatu yang didapati dari usaha. Ia juga termasuk dengan anak-anak, kerana pada orang Arab, status dan kelebihan terdapat pada bilangan anak yang banyak juga. Jadi ayat ini hendak memberitahu bahawa tidak ada apa-apa jua yang akan memberi keselamatan kepada Abu Lahab, termasuklah harta dan anak-anaknya.

Segala amalannya semasa dia hidup dulu, walaupun baik tidak akan memberi kebaikan kepadanya kerana dia mati dalam keadaan syirik. Jadi, kalau ada orang yang berkata, orang yang mati kafir itu akan dapat kebaikan di akhirat kalau dia ada buat kebaikan semasa di dunia, itu adalah tidak benar. Kerana mereka yang mati kafir dan syirik, tidak akan dapat kebaikan apa-apa pun di akhirat kelak. Jadi, jangan kita ada pemahaman yang sebegitu kerana ia berlawanan dengan dalil dari wahyu.

Lihatlah bagaimana Allah tidak bercakap terus dengan Abu Lahab dalam ayat ini tapi berfirman dalam bentuk pihak ketiga. Ini adalah kerana dia tidak akan dapat penghormatan itu – dia tidak layak langsung.

Kenapa disebut tentang مالُ dan كَسَبَ? Kerana مالُ adalah harta yang dia sudah ada, dan كَسَبَ adalah perkara yang dia sedang usahakan dan dia mungkin dapat di kemudian hari. Allah hendak beritahu, kalau campur keduanya juga, tidak ada berguna untuknya. Tidak kira berapa banyak harta dan anak yang dia ada.

Antara perkara yang menyebabkan dia rasa selamat adalah kerana dia ada mengeluarkan sedekah menolong orang. Jadi, dia mungkin rasa yang dia akan dapat kebaikan, tapi Allah hendak kata, itu juga dia tidak dapat. Ini seperti orang yang ada menderma dan rasa mereka sudah buat hal yang baik, sedangkan mereka tidak menjaga agama mereka, zalim kepada orang lain dan zalim kepada Allah. Orang-orang yang sebegitu memang tidak ada gunanya.

Begitulah nasib Abu Lahab yang telah menentang dakwah Nabi Muhammad SAW dan menyakiti baginda. Dia berbangga dengan dua perkara yang ada padanya: rupanya yang tampan dan kekayaannya. Kedua-dua perkara ini Allah musnahkan dalam dua ayat ini. Rupanya yang tampan itu Allah musnahkan dengan diberikan penyakit yang akhirnya mematikannya; dan kekayaannya Allah beritahu tidak berguna langsung untuk menyelamatkan dirinya.

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 1 Oktober 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Surah an-Nasr Ayat 2 (Manusia masuk Islam berbondong-bondong)

Ayat 2: Ayat 2 ini adalah Perenggan Makro Kedua. Allah ‎ﷻ memberitahu yang penerimaan masyarakat Tanah Arab kepada Islam juga adalah dengan nasrullah (pertolongan Allah).

وَرَأَيتَ النّاسَ يَدخُلونَ في دينِ اللَّهِ أَفواجًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you see the people entering into the religion of Allāh in multitudes,

(MALAY)

dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong,

Kalimah رَأَيتَ bermaksud ‘kamu telah melihat’ atau ‘kamu akan melihat’ – bergantung kepada mana pendapat yang dipegang (sama ada surah ini Makkiah atau Madaniah).  Allah ‎ﷻ bercakap terus dengan baginda ﷺ (kita tahu dari dhomir تَ yang digunakan).

Semasa di Mekah, Rasulullah ﷺ bersedih kerana ramai manusia tidak menerima dakwah baginda. Maka Allah ‎ﷻ beritahu baginda yang baginda akan melihat ramai manusia masuk Islam secara berbondong-bondong. Ini adalah hadiah daripada Allah ‎ﷻ kepada baginda kerana baginda akan melihat dengan mata baginda sendiri.

Kalau manusia masuk Islam secara ramai-ramai juga sudah nikmat yang besar, tetapi Allah ‎ﷻ tambah dengan memberi mereka masuk agama Islam semasa hidup Nabi Muhammad ﷺ sendiri supaya baginda dapat lihat dengan mata kepala baginda sendiri. Ini juga adalah sebahagian dari janji Allah ﷻ kepada baginda seperti yang disebut dalam surah [Dhuha:5]

وَلَسَوفَ يُعطيكَ رَبُّكَ فَتَرضىٰ

Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan kurnia-Nya kepadamu, lalu (hati) kamu menjadi puas.

Kalimah النّاسَ bermaksud ‘manusia’. Beratus-ratus manusia waktu itu telah datang mengadap Rasulullah ﷺ, belajar terus daripada baginda dan para sahabat selama beberapa hari dan mereka kembali ke puak mereka dan menyebarkan agama Islam. Setelah itu, puak mereka ramai-ramai pula masuk Islam.

Dalam surah al-Kaafiroon sebelum ini, telah disebut bagaimana penentang Rasulullah ﷺ dan agama Islam digelar oleh Allah ‎ﷻ sebagai ‘kafir’. Jadi, sekarang dalam surah ini disebut bagaimana النّاسَ (manusia) masuk Islam. Iaitu Allah ‎ﷻ menggelar mereka sebagai النّاسَ.

Oleh itu, maksudnya mereka sebelum itu tidak Islam. Tetapi, kenapa Allah ‎ﷻ tidak gelar mereka ‘kafir’ juga? Jadi kita kena tahu bagaimana hendak membezakan mana yang kafir dan mana yang tidak. Tidaklah semua orang yang tidak beragama Islam itu digelar ‘kafir’. Kalau kita melihat penggunaan gelaran ‘kafir’ di dalam Al-Qur’an, mereka itu adalah jenis yang:

    1. Sudah mendengar hujah dan dalil dari wahyu, sudah faham apa itu agama Islam, namun masih juga menolaknya. Seterusnya,
    2. Mereka menentang agama Islam dan melakukan tindakan untuk menjatuhkan agama Islam.

Sila lihat surah [Baqarah:6]

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا سَواءٌ عَلَيهِم أَأَنذَرتَهُم أَم لَم تُنذِرهُم لا يُؤمِنونَ

Sesungguhnya orang-orang kafir, sama sahaja bagi mereka, kamu beri peringatan atau tidak kamu beri peringatan, mereka tidak juga akan beriman.

Ayat ini memberitahu kita yang orang kafir itu tidak akan beriman, walaupun kalau kita mengajak mereka dan berdakwah kepada mereka. Oleh itu, kalau kita mengatakan bahawa semua orang bukan Islam itu sebagai ‘kafir’, tentu tidak ada gunanya kita berdakwah kepada Ah Chong, Muniandy dan John dalam masyarakat kita – kerana mereka tidak beriman, bukan?

Jadi non-Muslim bukanlah bermaksud mereka itu ‘kafir’. Kafir itu adalah mereka yang sudah tahu, sudah diberi ajakan, tetapi mereka masih menolak dan mereka melawan pula agama Islam. Sedangkan kebanyakan orang bukan Islam dalam kalangan masyarakat kita belum dengar lagi dakwah daripada kita. Kalau mereka juga tahu serba sedikit, mereka tidaklah menentang agama Islam.

Begitu juga dengan kemasukan manusia ke dalam Islam pada zaman Nabi Muhammad ﷺ. Ada antara mereka yang tidak menentang dakwah baginda. Jadi, mereka diberi peluang untuk mengenali agama Islam. Lihat  surah [Tawbah:6]

وَإِن أَحَدٌ مِنَ المُشرِكينَ استَجارَكَ فَأَجِرهُ حَتّىٰ يَسمَعَ كَلامَ اللَّهِ

Dan jika seorang di antara orang-orang musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah dia supaya ia sempat mendengar firman Allah,

Dalam ayat ini, kalau ada yang tidak mengenali Islam lagi, maka mereka diberi peluang untuk mengenali Islam, walaupun setelah Pembukaan Mekah. Ini adalah kerana mereka waktu itu ada lagi yang tidak tahu apakah Islam itu dengan sebenarnya. Tetapi, lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ menggelar mereka المُشرِكينَ, bukannya الكافرون.

Kalimah النّاسَ itu bermaksud manusia yang ada akal. Ini berlawanan dengan binatang yang tidak ada akal. Oleh itu, ini adalah isyarat bahawa mereka yang masuk Islam itu adalah mereka yang ada akal dan mereka yang masih tidak mahu masuk Islam adalah mereka yang tidak ada akal! Lihat surah al-[A’raf:179]

وَلَقَد ذَرَأنا لِجَهَنَّمَ كَثيرًا مِنَ الجِنِّ وَالإِنسِ ۖ لَهُم قُلوبٌ لا يَفقَهونَ بِها وَلَهُم أَعيُنٌ لا يُبصِرونَ بِها وَلَهُم آذانٌ لا يَسمَعونَ بِها ۚ أُولٰئِكَ كَالأَنعامِ بَل هُم أَضَلُّ ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الغافِلونَ

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) banyak dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.

Kalimah أَفواجًا bermaksud ‘berbondong-bondong’. Kumpulan demi kumpulan datang dan masuk Islam. Sebelum itu, orang masuk Islam datang bersendirian, seorang demi seorang. Tetapi, sekarang mereka masuk Islam beramai-ramai.

Bagaimana mereka lambat masuk Islam, tetapi Allah masih menggunakan gelaran yang baik terhadap mereka? Ini menunjukkan rahmat Allah ‎ﷻ – walaupun mereka lambat masuk Islam tetapi kalau mereka sudah masuk Islam, mereka masih diterima lagi. Tidaklah mereka dikutuk kerana lambat masuk Islam.

Tetapi, lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ berfirman: يَدخُلونَ في دينِ اللَّهِ  (mereka masuk ke dalam agama Allah) iaitu masuk Islam, bukannya ‘mereka beriman’. Ini adalah kerana iman belum tentu masuk lagi ke dalam hati mereka. Untuk masuk iman, mereka hendaklah berusaha untuk mendapatnya.

Ini disebabkan oleh, mereka mungkin masuk Islam beramai-ramai (أَفواجًا) kerana mengikut orang sahaja. Kerana waktu itu, jikalau ketua suku masuk Islam, anak-anak suku terpaksa masuk Islam juga kerana taat kepada puak mereka. Jadi mungkin ada yang tidak ikhlas masuk Islam dan kerana itu ada yang dikenali sebagai ‘munafik’.

Mereka itu tidak sama seperti para sahabat yang telah lama dalam agama Islam dan telah berjuang dan membuktikan keimanan mereka – mereka itu digelar ‘mukminoon’. Oleh itu, kalau baru masuk Islam, gelaran yang layak bagi mereka adalah ‘muslimoon’. Dari luarannya, mereka sudah nampak beragama Islam.

Orang-orang Arab di sekitar beramai-ramai masuk Islam. Mereka sudah mula percaya kepada agama Islam dan kepada Rasulullah ﷺ. Ini adalah kerana kalau muslimeen dapat memenangi Ka’bah, maka tentunya ia adalah agama yang benar. Kerana semua tahu kisah Tentera Bergajah Abrahah (as-hab al Feel) yang datang untuk menyerang Ka’bah tetapi mereka telah dihancurkan dengan teruk sekali.

Jadi semua tahu yang Ka’bah itu dijaga oleh Allah‎ ﷻ. Dan apabila Rasulullah ﷺ berjaya menakluknya, maka tentulah itu adalah tanda bahawa baginda adalah Rasul ﷺ yang benar. Kerana mereka yakin yang Allah ‎ﷻ tidak akan membenarkannya kalau bukan Rasul ﷺ yang benar datang. Oleh kerana itu, ramai berbondong-bondong masuk Islam.

Sebelum itu, mereka duduk di tepian melihat sahaja kerana mereka tidak pasti. Kalau sebelum itu mereka menghormati Quraish kerana Quraish penjaga Ka’bah, sekarang mereka menghormati Rasulullah ﷺ pula kerana sekarang Rasulullah ﷺ adalah penjaga Ka’bah pula – dan mereka menghormati dan mengagungkan Ka’bah.

Memang ini bukanlah kayu ukur yang bagus, kerana Rasulullah ﷺ memang sudah benar juga sebelum menguasai Ka’bah. Sebab itulah Allah ‎ﷻ katakan yang mereka itu hanya baru masuk Islam sahaja, belum tentu beriman lagi. Lihat apa yang Allah ‎ﷻ firman dalam surah [Hujurat:14]

قالَتِ الأَعرابُ آمَنّا ۖ قُل لَم تُؤمِنوا وَلٰكِن قولوا أَسلَمنا وَلَمّا يَدخُلِ الإيمانُ في قُلوبِكُم

Orang-orang Arab Badui itu berkata: “Kami telah beriman”. Katakanlah: “Kamu belum beriman, tetapi katakanlah ‘kami telah tunduk’, kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu;

Ada satu riwayat yang menakutkan:

وقال أبو عمار حدثني جابر لجابر ، قال : سألني جابر عن حال الناس ، فأخبرته عن حال اختلافهم وفرقتهم ؛ فجعل يبكي ويقول : سمعت رسول الله – صلى الله عليه وسلم – يقول : إن الناس دخلوا في دين الله أفواجا ، وسيخرجون من دين الله أفواجا .

Telah menceritakan Jabir kepada Jabir, dia berkata: Jabir bertanya kepadaku tentang hal manusia, lalu aku menceritakan kepadanya tentang perbezaan dan perpecahan manusia. Dia menangis dan berkata: “Aku mendengar dari Rasulullah SAW – baginda bersabda: “Sesungguhnya manusia memasuki agama Allah berbondong-bondong, dan mereka akan keluar dari agama Allah berbondong-bondong.”

Maksudnya perpecahan umat Islam seperti mereka yang mengikut Musaylimah al Kadhdhab (Nabi Penipu), dan mereka yang keluar dari Islam (riddah) semasa zaman Khilafah Abu Bakr رضي الله عنه. Memang ramai manusia masuk Islam, tetapi mereka yang keluar juga ramai. Alangkah menakutkan kalau kita juga termasuk dalam kumpulan mereka itu.

Ramai yang ‘Islam keturunan’ sahaja – tidak mempelajari agama Islam dan kerana itu tidak faham dan tidak kuat pegangan mereka. Mereka itu Muslim hanya kerana ibubapa mereka dulu Muslim dan mereka hidup dalam suasana semua orang Muslim. Tetapi, mereka tidak kisah pun dengan agama. Lain dengan manusia yang ada keikhlasan untuk mempelajari agama dan mereka menghambakan diri kepada Allah ‎ﷻ dengan sebenarnya. Mereka yang sebegitu tidak akan mudah meninggalkan agama Islam.

Oleh itu, jangan kita menyangkakan bahawa anak-anak kita yang lahir-lahir sudah beragama itu akan kekal dalam Islam – kita kena terapkan ilmu Islam ke dalam hati dan akal mereka. Kalau kita biarkan sahaja, syaitan dan nafsu akan mengambil peluang untuk menyesatkan mereka.

Semoga Allah ‎ﷻ kekalkan kita dalam Islam dan matikan kita juga dalam agama Islam yang sebenar. Aameen.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 30 September 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah an-Nasr Ayat 1 (Kemenangan Pembukaan Mekah)

Pengenalan:

Dalam surah al-Kaafiroon sebelum ini, Musyrikin Mekah digelar dengan ‘kafir’. Itu sudah menjadi perisytiharaan permusuhan dengan mereka, dan memberi isyarat akan ada peperangan. Surah an-Nasr ini juga menjanjikan kejayaan bagi pihak Islam.

Surah ini adalah tasliah (pujukan) kepada Nabi Muhammad ﷺ dan Allah ‎ﷻ hendak memberitahu: umat Islam akan mendapat kemenangan apabila putuskan hubungan dengan orang kafir. Iaitu apabila mereka tidak mahu ikut kita, kita tinggalkan mereka. Begitulah yang terjadi pada umat Islam di zaman Rasulullah. Ia mengajar kita untuk tegas dengan akidah kita. Jangan ada kompromi dengan akidah syirik mereka. Maka, begitulah juga kita dengan akidah syirik masyarakat kita juga. Hendaklah tegas dan tolak.

Allah ‎ﷻ telah menjanjikan nikmat yang Nabi ﷺ akan redha dengannya. Salah satu daripada nikmat itu adalah menghilangkan kesedihan baginda. Salah satu kesedihan baginda adalah umat tidak menerima dakwah baginda walaupun baginda telah berhempas pulas berdakwah. Baginda amat sayangkan dan risaukan umat baginda dan kerana itu baginda bersedih kalau mereka tidak menerima dakwah baginda kerana baginda tahu apakah nasib mereka sekiranya mereka tidak beriman.

Lagi satu, baginda ditugaskan untuk menyampaikan dakwah kepada seluruh manusia hingga akhir zaman, tidak ada Nabi lain selepas baginda. Maka, tentu baginda lebih risau lagi. Ini berbeza dengan Rasul lain yang hanya ditugaskan untuk menyampaikan dakwah kepada umat mereka sahaja. Jadi, kalau ada yang lakukan syirik, akan datang Rasul lain untuk memperbetulkan akidah yang salah. Tetapi, Nabi Muhammad ﷺ tahu yang tidak ada Rasul lain lagi selepas baginda.

Maka, tanggungjawab ini menakutkan baginda sampai baginda rasa hendak mati. Untuk menghilangkan kerisauan baginda adalah dengan baginda dapat melihat ramai manusia masuk Islam semasa hayat baginda lagi. Nabi Muhammad ﷺ akan melihat dengan ‘mata’ baginda sendiri bagaimana ramai yang akan masuk Islam secara berbondong-bondong.

Oleh itu, baginda wafat dengan puas hati kerana umat baginda ramai. Nabi lain tidak dapat nikmat ini. Lihatlah bagaimana Nabi Ya’kub عليه السلام risaukan anak-anak baginda dan Nabi Ibrahim عليه السلام juga risau. Nabi Musa عليه السلام wafat sedangkan umat baginda sesat di Padang Tih. Baginda tidak dapat melihat kejayaan umat baginda. Tetapi Nabi Muhammad ﷺ diberi nikmat melihat kejayaan dakwah baginda.

Selepas mendapat kejayaan hebat itu, maka tugas Nabi Muhammad ﷺ sebenarnya sudah selesai. Kerana itulah yang datang kemudian adalah kewafatan baginda. Ada sebuah riwayat daripada Ibnu ‘Abbas رضي الله عنه , dia berkata,

“Umar Pernah mengajakku dalam sebuah majlis orang dewasa, sehingga sebahagian sahabat bertanya “Mengapa si anak kecil ini engkau ikut sertakan, kami juga punya anak-anak kecil seperti dia?” Umar menjawab, “Seperti itulah yang kalian tahu.”

Suatu hari Umar mengundang mereka dan mengajakku bersama mereka. Seingatku, Umar tidak mengajakku saat itu selain untuk mempertontonkan kepada mereka kualiti keilmuanku. Lantas Umar bertanya, “Bagaimana komentar kalian tentang ayat (yang ertinya), “Seandainya pertolongan Allah dan kemenangan datang (1) dan kau lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong (2) –hingga akhir surat. [QS. An Nasr: 1-3]. Sebahagian sahabat berkomentar (menafsirkan ayat tersebut), “Tentang ayat ini, setahu kami, kita diperintahkan agar memuji Allah dan meminta ampunan kepada-Nya, ketika kita diberi pertolongan dan diberi kemenangan.” Sebahagian lagi berkomentar, “Kami tidak tahu.” Atau bahkan tidak ada yang berkomentar sama sekali.

Lantas Umar bertanya kepadaku, “Wahai Ibnu Abbas, beginikah kamu mentafsirkan ayat tadi? “Tidak”, jawabku. “Lalu bagaimana tafsiranmu?”, tanya Umar. Ibnu Abbas menjawab, “Surah tersebut adalah pertanda wafatnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sudah dekat. Allah memberitahunya dengan ayatNya: “Jika telah datang pertolongan Allah dan kemenangan’, itu bererti penaklukan Makkah dan itulah tanda ajalmu (Muhammad), kerananya “Bertasbihlah dengan memuji Rabbmu dan mohonlah ampunan, sesungguhnya Dia Maha Menerima taubat.” Kata Umar, “Aku tidak tahu pentafsiran ayat tersebut selain seperti yang kamu (Ibnu Abbas) ketahui.”” (HR. Bukhari no. 4294)

Jadi, surah an-Nasr ini adalah tanda yang tugas Nabi Muhammad ﷺ sudah hampir tamat dan kerana itu tidak lama lagi hayat baginda akan berakhir. Maka, kerana itulah apabila surah ini diturunkan, Abu Bakr رضي الله عنه menangis kerana dia faham apakah maksud surah ini. Aisyah رضي الله عنها juga memberitahu bahawa selepas baginda dapat surah ini, baginda banyak beristighfar. Sememangnya surah ini menyuruh baginda beristighfar.

Tidak syak lagi yang surah ini ada memberi kesan kepada kehidupan Rasulullah ﷺ. Bahagian pertama surah ini tentang perkara luar (kejayaan memenangi Mekah); dan bahagian akhir pula berkenaan dengan amalan Nabi ﷺ (kesan dalaman). Kenapa pula kejayaan yang di luar menyebabkan perubahan dalam amalan Nabi ﷺ? Nanti kita akan terangkan.

Ada yang berkata surah ini adalah Surah Madaniyyah tetapi ada juga yang berkata ianya adalah Surah Makkiah. Kalau surah ini diturunkan di Mekah, bagaimana pula dengan jawapan Ibn Abbas yang telah disebut sebelum ini? Bukankah ianya sebagai petanda yang mereka akan dapat menakluk Mekah (oleh itu sepatutnya diturunkan di Madinah). Ini yang agak musykil, bukan?

Kepada mereka yang melihat ia diturunkan di Makkah, ia bermaksud bila perkara itu sudah terjadi (ramai sudah masuk Islam) maka itu adalah tanda yang tugas baginda sudah selesai. Pendapat yang menguatkan bahawa ianya diturunkan di Mekah adalah kerana ada kalimah إِذا (apabila) di ayat 1 surah ini.

Kalimah إِذا dan إِذ kedua-duanya bermaksud ‘apabila’. Tetapi, kalimah إِذ digunakan untuk masa yang telah lepas, sedangkan kalimah إِذا adalah untuk sesuatu yang akan berlaku di masa hadapan. Iaitu pemberitahuan Allah ‎ﷻ yang pasti akan berlaku. Oleh kerana itu, ada pendapat yang mengatakan ayat ini adalah Makkiah, kerana Allah ‎ﷻ memberi janji yang Islam akan mendapat kejayaan. Ia belum berlaku lagi, tetapi ia adalah janji sahaja.

Kalimah الفَتحُ dalam ayat ini merujuk kepada kejayaan Pembukaan Mekah. Ianya adalah tahun kejayaan kepada Islam kerana ramai wakil dari kawasan luar yang datang berjumpa Nabi Muhammad ﷺ dan mereka membawa agama Islam kepada masyarakat mereka. Sejak itu ramai yang masuk Islam secara berbondong-bondong.

Bandingkan keadaan ini dengan baginda 10 tahun lepas yang cuba membawa agama Islam kepada orang luar, tetapi mereka tidak terima. Namun sekarang, ramai yang datang berjumpa baginda pula – amat berbeza sekali.


Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 3 perenggan makro. Ayat 1 ini adalah Perenggan Makro Pertama. Allah ‎ﷻ memberitahu yang penaklukan Mekah adalah hasil pertolongan Allah‎ ﷻ (nasrullah).

إِذا جاءَ نَصرُ اللَّهِ وَالفَتحُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

An-Naṣr: Victory.

When the victory of Allāh has come and the conquest,¹

  • The conquest of Makkah.

(MALAY)

Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan,

إِذا جاءَ نَصرُ اللَّهِ

Apabila datang pertolongan Allah

Seperti yang kita telah sebut di atas, kalimah إِذا bermaksud ‘apabila’ dan ia merujuk kepada perkara yang akan berlaku di masa hadapan.

Kalimah جاءَ bermaksud ‘datang’. Selain daripada جاءَ, ada lagi kalimah lain yang membawa maksud ‘datang’ juga seperti اتي tetapi tidak digunakan dalam ayat ini. Kenapa? Ini adalah kerana kalimah جاءَ lebih kuat dan lebih berat daripada kalimah اتي. Sebagai contoh, digunakan dalam [Abasa:33]

فَإِذَا جَاءتِ الصَّاخَّةُ

Dan apabila datang suara yang memekakkan (tiupan sangkakala yang kedua),

Kalimah جاءَ dalam ayat ini digunakan untuk merujuk kepada kedatangan suara sangkakala. Jadi ini bukanlah perkara yang kecil, bukan? Lihat juga ayat [Naaziat:34]

فَإِذَا جَاءتِ الطَّامَّةُ الْكُبْرَى

Maka apabila malapetaka yang sangat besar (hari kiamat) telah datang.

Lihatlah bagaimana kalimah جاءَ digunakan pula untuk kedatangan Hari Kiamat. Maksudnya itu adalah perkara yang amat besar. Oleh itu, kalimah إِذا جاءَ نَصرُ اللَّهِ وَالفَتحُ bukanlah kedatangan perkara yang kecil, tetapi ianya adalah perkara yang amat besar.

Ianya adalah peristiwa amat bersejarah dan ianya tidak datang dengan mudah, bukan? Ianya berlaku selepas banyak usaha, masa yang lama untuk berdakwah, peperangan demi peperangan, perit jerih, tangisan dan darah yang melimpah. Selepas itu, barulah Allah ‎ﷻ memberikan kejayaan yang besar ini.

Perkataan نَصرُ اللَّهِ (pertolongan Allah) juga menunjukkan kehebatan peristiwa ini. Kalimah نصرُ bermaksud ‘pertolongan’/’bantuan’. Dari segi bahasa, ia bermaksud pertolongan yang banyak. Ini kerana, ada lagi perkataan lain yang boleh digunakan untuk ‘pertolongan’ seperti ista’ana, ayyada, az’ara, madda, azazza, rafadda, dhaahara, ista’in. Tetapi, semua perkataan itu tidak digunakan dan yang digunakan adalah نصرُ.

Semua kalimat yang telah disebut itu bermaksud ‘pertolongan’ tetapi jenis dan tingkatan yang berbeza-beza. Jadi, apakah kelebihan نصرُ?

Apabila kita diserang oleh musuh, kita memerlukan نصرُ. Ia juga bermakna pertolongan yang diperlukan daripada penindas. Ia bermaksud pertolongan yang diperlukan untuk kita mengalahkan orang lain, menguasai orang lain. Jadi, ini adalah pertolongan yang besar, bukan?

Bukan sahaja kalimah نصرُ itu sudah besar, ditambah lagi kebesarannya kerana ia dinisbahkan kepada Allah‎ ﷻ -‎ ‎نَصرُ اللَّهِ ‎(Pertolongan Allah), bukan pertolongan makhluk, tetapi pertolongan daripada Allah‎ ﷻ. Oleh itu, ianya adalah pertolongan yang amat hebat. Memang kalau dikaitkan dengan Allah‎ ﷻ, ia bermaksud ia sesuatu yang besar, seperti ‘Baitullah’ dan juga ‘Unta Allah’ seperti Allah‎ ﷻ sebut dalam surah [Hud:64] tentang unta sebagai mukjizat Nabi Saleh عليه السلام:

وَيَا قَوْمِ هَـذِهِ نَاقَةُ اللّهِ لَكُمْ آيَةً 

Hai kaumku, inilah unta betina dari Allah, sebagai mukjizat (yang menunjukkan kebenaran) untukmu,

Oleh itu, unta itu bukanlah unta biasa, tetapi unta mukjizat. Oleh itu, apabila digunakan kalimah  نَصرُ اللَّهِ, ianya bukanlah pertolongan yang biasa. Ianya tidak dapat dibandingkan dengan pertolongan makhluk.

Dalam surah al-Kaafiroon sebelum ini, telah disebut bagaimana puak Musyrikin telah menawarkan kompromi kepada baginda untuk mereka bertukar-tukar agama – setahun amal tauhid dan setahun amal syirik. Mereka menyangka bahawa, baginda tentu akan terima kerana nampak baginda dalam kedudukan yang lemah dan baginda amat berharap supaya mereka beriman bersama baginda.

Tetapi, Allah ‎ﷻ mengarahkan baginda untuk tidak berkompromi langsung di dalam perkara agama. Baginda juga tidak perlu takut menolak cadangan Musyrikin itu kerana Allah ‎ﷻ akan bantu baginda dengan  نَصرُ اللَّهِ. Kalau Allah ‎ﷻ sudah tolong baginda, siapa lagi yang boleh mencederakan baginda? Tentu tidak ada.

Ini penting kerana apabila baginda menolak cadangan mereka dan memanggil pula mereka dengan panggilan ‘kafir’, tentu ini akan menyebabkan mereka marah kepada baginda dan perhubungan yang tidak baik dahulu juga akan bertukar menjadi lebih buruk lagi. Tetapi, Allah ‎ﷻ berikan ketenangan kepada baginda – jangan takut kerana Allah ‎ﷻ akan memberi bantuanNya.

‘Pembantu’ dalam Al-Qur’an selalu disebut sebagai ‘wali’ dan ‘mawlaa’. Allah ‎ﷻ sebut dalam surah [Baqarah:257] bahawa orang beriman ada wali dan orang kafir juga ada wali.

اللَّهُ وَلِيُّ الَّذينَ آمَنوا يُخرِجُهُم مِنَ الظُّلُماتِ إِلَى النّورِ ۖ وَالَّذينَ كَفَروا أَولِياؤُهُمُ الطّاغوتُ يُخرِجونَهُم مِنَ النّورِ إِلَى الظُّلُماتِ ۗ

Allah Pelindung orang-orang yang beriman; Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindungnya ialah syaitan, yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan (kekafiran).

‘Wali’ adalah kawan baik dengan kita yang mahu membantu kita. Ianya adalah tempat kita meminta pertolongan dan perlindungan. Kerana itulah wali bagi perempuan yang hendak berkahwin adalah bapa, datuk atau abang dia, iaitu seseorang yang rapat dengannya dan mahu membantu dan menjaganya. Dan wali itu adalah lebih kuat daripada kita yang kita berharap pertolongan mereka.

Daripada ayat [Baqarah:257] itu, ada dua jenis golongan yang disebut:
1. Orang mukmin dan wali mereka adalah Allah‎ ﷻ‎ . اللَّهُ وَلِيُّ الَّذينَ آمَنوا.
2. Orang kafir dan awaliya’ (jamak bagi wali) adalah taghut. وَالَّذينَ كَفَروا أَولِياؤُهُمُ الطّاغوتُ.

Dari segi susunan juga ada maksud: untuk orang beriman, nama Allah ‎ﷻ disebut dahulu (takdim) dan dalam ayat tentang taghut, taghut disebut ‘selepas’ orang kafir itu (ta’khir) – ini adalah tanda pertama yang mereka dihinakan. Kerana tidak akan sama perwalian Allah ‎ﷻ dan perwalian daripada taghut itu.

Keduanya, walaupun kita baca yang orang mukmin ada wali dan orang kafir juga ada wali, tetapi tidaklah sama. Lihat [Muhammad:11]

ذٰلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ مَولَى الَّذينَ آمَنوا وَأَنَّ الكافِرينَ لا مَولىٰ لَهُم

Yang demikian itu kerana sesungguhnya Allah adalah mawla orang-orang yang beriman dan sesungguhnya orang-orang kafir itu tidak mempunyai mawla.

Untuk faham ayat ini, kita hendaklah tahu apakah beza antara ‘wali’ dan ‘mawla’. Mawla itu lebih tinggi lagi daripada wali. Mawla adalah seseorang yang ‘boleh’ memberi perlindungan dan pertolongan. Mereka memang memberi pertolongan dan perlindungan itu; sedangkan wali adalah seseorang yang ‘mahu’ memberi pertolongan tetapi belum tentu dia akan tolong atau dia mampu untuk menolong.

Oleh itu, kita telah beritahu, orang mukmin dan orang kafir kedua-duanya ada wali, tetapi mawla hanya ada pada orang mukmin sahaja dan orang kafir tidak ada mawla sebagaimana yang disebut dalam surah [Muhammad:11] . Oleh itu, apabila Allah ‎ﷻ gunakan kalimah نَصرُ اللَّهِ, ianya juga adalah dalam bentuk مَولَى juga.

Tetapi adakah pertolongan itu didapati dengan mudah sahaja? Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ memberi janji pertolongan kepada Nabi Musa عليه السلام dalam [ash-Shu’ara:15]

قالَ كَلّا ۖ فَاذهَبا بِآياتِنا ۖ إِنّا مَعَكُم مُستَمِعونَ

Allah berfirman: “Jangan takut, maka pergilah kamu berdua dengan membawa ayat-ayat Kami (mukjizat-mukjizat); sesungguhnya Kami bersamamu mendengarkan (apa-apa yang mereka katakan),

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ memberi janji yang Dia akan memberi perlindungan kepada Nabi Musa عليه السلام . Dan baginda memang memerlukan kata-kata ini daripada Allah ‎ﷻ kerana baginda disuruh untuk berdakwah kepada Firaun. Baginda sendiri sudah pernah lari dari Mesir setelah terbunuh lelaki berbangsa Qibti dan kemudian baginda disuruh untuk berdakwah kepada Firaun.

Itulah Firaun yang sama mengaku tuhan dan zalimnya tidak cukup pena kita hendak tulis. Tetapi, sekarang baginda mestilah memberitahu Firaun yang akidah Firaun itu salah. Memang amat menakutkan. Akan tetapi, Allah ‎ﷻ menjanjikan perlindunganNya. Namun begitu, perlindungan itu tidak datang dengan mudah. Kejayaan hanya didapati oleh Nabi Musa عليه السلام setelah baginda melalui segala dugaan dan halangan.

Begitulah juga kejayaan yang dijanjikan kepada Rasulullah ﷺ dalam Surah Al-Nasr ini – ia pasti datang, tetapi selepas melalui berbagai-bagai peringkat usaha dan cabaran yang tidak kecil. Walaupun dijamin kejayaan telah diberi, tetapi baginda hendaklah banyak bersabar dan banyak berusaha. Dugaan ini juga disebut dalam surah [Baqarah:214]

أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ وَلَمّا يَأتِكُم مَثَلُ الَّذينَ خَلَوا مِن قَبلِكُم ۖ مَسَّتهُمُ البَأساءُ وَالضَّرّاءُ وَزُلزِلوا حَتّىٰ يَقولَ الرَّسولُ وَالَّذينَ آمَنوا مَعَهُ مَتىٰ نَصرُ اللَّهِ ۗ أَلا إِنَّ نَصرَ اللَّهِ قَريبٌ

Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (dugaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.

Ayat surah [Baqarah:214] mengandungi kalimah نَصرُ اللَّهِ, apabila mereka bertanya bilakah datangnya نَصرُ اللَّهِ itu? Maka, jawapannya ada dalam an-Nasr ini إِذا جاءَ نَصرُ اللَّهِ وَالفَتحُ. Ianya pasti datang.

Kalimah نصر ini boleh digunakan dalam bentuk kata-kerja dan juga kata-nama. Ini juga ada bezanya dari segi balaghah dalam Al-Qur’an. Contoh نصر dalam bentuk kata-kerja adalah dalam ayat surah [Ali Imran:123]

وَلَقَد نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدرٍ وَأَنتُم أَذِلَّةٌ

Sungguh Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu adalah (ketika itu) orang-orang yang lemah.

Dalam ayat ini, kalimah نصر adalah dalam bentuk kata-kerja (verb). Dan bentuk kata-kerja adalah kurang, lemah dan tidak kekal kalau dibandingkan dengan kata-nama (noun). Oleh itu, walaupun Allah ‎ﷻ telah memberi pertolongan kepada tentera mukmin semasa di Badr, kemenangan itu tidak kekal. Memang mereka mengalahkan Quraish waktu itu, tetapi masih ada lagi peperangan selepas itu dengan Quraish.

Sedangkan penggunaan kalimah نصر dalam surah An-Nasr adalah dalam bentuk kata-nama – jadi ianya adalah kemenangan yang sempurna. Ia merujuk kepada Pembukaan Mekah dan selepas kemenangan itu, tidak ada lagi peperangan dengan Quraish. Ia juga bermakna, pertolongan Allah‎ ﷻ dalam Pembukaan Mekah itu lebih hebat lagi.

Apabila Allah ‎ﷻ menyebut tentang pertolongan daripada-Nya itu, Allah ‎ﷻ tidak memuji Rasulullah dan para sahabat. Ini hendak menekankan bahawa pertolongan itu datang DARI DIA (Allah ‎ﷻ). Jadi, kalau kita berjaya dalam sesuatu apa jua, ingatlah yang kejayaan itu datang daripada Allah‎ ﷻ. Hendaklah sedar dan jangan bangga sangat.

Oleh kerana kejayaan itu daripada Dia, maka kesyukuran juga mestilah ditujukan untuk Dia. Kerana itulah, di hujung surah ini nanti, Allah ‎ﷻ menyuruh Nabi Muhammad ﷺ (dan kita juga) untuk tasbih, tahmid dan istighfar kepada-Nya.

Bagaimanakah cara untuk mendapatkan نَصرُ اللَّهِ وَالفَتحُ? Allah sebut dalam [Saff:10-13]

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا هَل أَدُلُّكُم عَلىٰ تِجارَةٍ تُنجيكُم مِن عَذابٍ أَليمٍ

تُؤمِنونَ بِاللَّهِ وَرَسولِهِ وَتُجاهِدونَ في سَبيلِ اللَّهِ بِأَموالِكُم وَأَنفُسِكُم ۚ ذٰلِكُم خَيرٌ لَكُم إِن كُنتُم تَعلَمونَ

يَغفِر لَكُم ذُنوبَكُم وَيُدخِلكُم جَنّاتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهارُ وَمَساكِنَ طَيِّبَةً في جَنّاتِ عَدنٍ ۚ ذٰلِكَ الفَوزُ العَظيمُ

وَأُخرىٰ تُحِبّونَها ۖ نَصرٌ مِنَ اللَّهِ وَفَتحٌ قَريبٌ ۗ وَبَشِّرِ المُؤمِنينَ

Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih?

(iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.

Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam jannah ‘Adn. Itulah keberuntungan yang besar.

Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.

Inilah perniagaan yang amat menguntungkan – beriman dan berjihad. Allah ‎ﷻ akan memberikan syurga dan pengampunan-Nya. Bukan itu sahaja, Allah ‎ﷻ akan memberikan pertolongan dan kejayaan yang dekat!

Maksudnya, Allah ‎ﷻ bukan sahaja memberi kejayaan di akhirat kelak, tetapi Allah ‎ﷻ boleh juga memberi kejayaan di dunia ini lagi. Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah نَصرُ اللَّهِ dan وَالفَتحُ sama seperti yang digunakan dalam Surah an-Nasr ini. Tidakkah kita mahu melihat sendiri kejayaan itu semasa kita hidup lagi?

Akan tetapi, kalau dilihat di dalam Surah Saff itu, kalimah yang digunakan adalah نَصرٌ مِنَ اللَّهِ (pertolongan ‘dari’ Allah) sedangkan kalimah yang digunakan dalam an-Nasr adalah  نَصرُ اللَّهِ (Pertolongan Allah). Ini berbeza sedikit kerana apabila ada kalimah مِنَ, ia memberi erti ‘sebahagian’ dan kalau terus نَصرُ اللَّهِ, ia bermaksud lebih sempurna lagi.

وَالفَتحُ

dan kemenangan,

Sekarang kita lihat maksud kalimah الفَتحُ pula. Ia berasal daripada kata dasar ف ت ح yang bermaksud ‘pembukaan’. Apabila umat Islam telah menguasai Mekah, maka ia telah dibuka menjadi Negara Islam. Kerana sesuatu tempat itu ikut penduduknya, kalau penduduknya Muslim dan mengamalkan cara Islam, maka tempat itu adalah tempat Islam.

Maksud الفَتحُ juga adalah kemenangan yang jelas, di mana kita tahu siapakah yang menang dan siapakah yang kalah. Kemenangan boleh juga menggunakan kalimah lain seperti ظفر seperti yang digunakan dalam surah [Fath:24]

وَهُوَ الَّذي كَفَّ أَيدِيَهُم عَنكُم وَأَيدِيَكُم عَنهُم بِبَطنِ مَكَّةَ مِن بَعدِ أَن أَظفَرَكُم عَلَيهِم

Dan Dialah yang menahan tangan mereka dari (membinasakan) kamu dan (menahan) tangan kamu dari (membinasakan) mereka di tengah Kota Mekah sesudah Allah memenangkan kamu atas mereka

Kalimah ظفر walaupun bermaksud ‘kemenangan’, tetapi ianya bukanlah kemenangan yang jelas. Kadang-kadang tidak jelas siapa menang dan kalah, bukan? Lihatlah pertandingan dalam pilihanraya, tidak jelas siapa menang kerana ada pengiraan semula dan sebagainya (ada yang mendapat undi lebih banyak secara keseluruhan tetapi kalah juga dari segi kiraan tempat undian. Oleh kerana itu, mereka dikira kalah juga).

Begitu juga kalau ada debat ilmu, kita tidak tahu dengan jelas siapa yang  akan menang. Ini tidak terjadi kalau kalimah فتح yang digunakan. Lihat penggunaan kalimah ini dalam [Fath:1]

إِنّا فَتَحنا لَكَ فَتحًا مُبينًا

Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata,

Ayat ini adalah tentang Perjanjian Hudaybiah. Kita juga tahu kisah sedikit sebanyak tentang perjanjian ini, bukan? Allah ‎ﷻ mengatakan bahawa kemenangan itu مُبينًا (jelas). Tetapi ada banyak perkara yang menyebabkan ada yang musykil apabila perjanjian ini diadakan dahulu, kerana ia nampak seperti berat sebelah:

– Muslim tidak dibenarkan untuk mengerjakan Haji pada tahun itu. Mereka ditolak apabila mereka telah sampai ke Mekah. Bayangkan, mereka tidak dapat mengerjakan Haji walaupun mereka telah jauh perjalanan untuk sampai (bukan naik kapal terbang).

– Jikalau ada yang masuk Islam semasa dia di Mekah dan berhijrah ke Madinah, dia hendaklah dipulangkan ke Mekah. Sedangkan kalau orang Madinah yang murtad dan lari ke Mekah, mereka tidak akan dikembalikan.

Oleh kerana dari zahirnya nampak seperti berat sebelah, maka ramai para sahabat (termasuklah Saidina Umar Al-Khattab) terkejut dan menjadi marah waktu itu. Dia tidak boleh terima kerana padanya, kenapa mereka harus tunduk kepada Musyrikin Mekah sedangkan mereka di pihak yang benar? Rasulullah ﷺ cuba menenangkan mereka sehinggalah Allah ‎ﷻ menurunkan ayat surah [Fath:4]

هُوَ الَّذي أَنزَلَ السَّكينَةَ في قُلوبِ المُؤمِنينَ لِيَزدادوا إيمانًا مَعَ إيمانِهِم

Dialah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka

Hanya selepas Allah ‎ﷻ memberikan ‘sakinah’ ke dalam hati mereka, barulah mereka boleh menerima keputusan tentang Perjanjian Hudaybiah itu.

Tetapi, lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah فتح untuk menerangkan tentang Perjanjian Hudaybiah itu. Ianya bukan sahaja kemenangan kecil, tetapi ianya adalah فَتحًا مُبينًا  kemenangan yang jelas nyata. Walaupun para sahabat tidak nampak lagi waktu itu, tetapi mereka akan menyaksikan bagaimana memang ianya adalah kemenangan yang jelas. Kisah Perjanjian Hudaibiyah dan bagaimana ia memang kejayaan yang jelas telah diterangkan dalam surah al-Fath.

Mari kita kaji lagi: ada dua jenis فتح yang kita telah tahu:
– Fat-h Hudaybia [Perjanjian Hudaybiah]
– Fat-h al Makkah. [Pembukaan Mekah]

Untuk memahami dua kemenangan ini, kita kena telusuri perjalanan kenabian dan usaha Nabi Muhammad ﷺ :

Rasulullah ﷺ mengajak Arab Mekah untuk beriman tauhid kepada Allah ‎ﷻ. Hanya segelintir sahaja daripada kalangan mereka yang beriman dan tidak lama kemudian mereka dilihat sebagai ‘orang pelik’ kerana mengamalkan perkara yang berlainan dengan kebiasaan waktu itu (amalan syirik).

Masyarakat Arab Jahiliah waktu itu melihat Islam sebagai ajaran sesat yang menyebabkan perpecahan di kalangan keluarga dan umat manusia. Mereka bukan sahaja melihat para sahabat sebagai pelik, tetapi mereka juga menindas, menghina dan menyakiti para sahabat.

Walaupun begitu, para sahabat terus berdakwah dan lama-kelamaan kumpulan Muslim membesar. Musyrikin Mekah terus memikirkan cara bagaimana untuk menghalang penyebaran tauhid ini berterusan. Kalau dulu mereka sikit, sekarang sudah semakin banyak hingga menyebabkan kerisauan di kalangan pemimpin masyarakat Arab Jahiliyah.

Mereka mula bertindak semakin kasar dan ganas terhadap puak Muslim. Mereka akan menangkap, mencederakan, menuduh kumpulan Muslim itu sebagai pengganas dan sebagainya. Tujuannya supaya orang luar tidak mendekati Islam dan menjadi benci serta was-was terhadap agama tauhid ini. Kumpulan Muslim itu dilihat sebagai pemberontak dan anasir yang perlu dihapuskan.

Maka, sudah tentulah tidak ada perhubungan diplomasi antara pemimpin Arab Jahiliyah dan umat Islam waktu itu. Kerana mereka adalah kerajaan waktu itu dan umat Islam adalah ‘pengganas’. Arab Jahiliyah tidak mengiktiraf kumpulan Islam itu.

Tetapi, itu berubah semasa Perjanjian Hudaybiah. Bayangkan waktu itu terjadinya ‘perjanjian rasmi’ antara dua golongan ini. Setelah sekian lama (13 tahun di Mekah dan 6 tahun di Madinah), pihak Quraish tidak ada pilihan lain lagi selain daripada mengiktiraf kumpulan umat Islam itu. Ini terjadi apabila ada perjanjian antara mereka.

Bayangkan juga, kumpulan umat Islam waktu itu bukannya datang dengan bersenjata dan perisai, tetapi mereka telah mendapat kedudukan yang cukup membuatkan pihak Quraish terpaksa mengadakan perjanjian dengan mereka. Pihak Quraish sudah habis ikhtiar untuk memusnahkan terus agama Islam setelah sekian lama mereka mencuba.

Apabila berita perjanjian itu tersebar ke tempat-tempat lain, puak Arab yang lain telah membuka mata mereka terhadap Islam. Mereka sedar, apabila pihak Quraish terpaksa mengadakan perjanjian damai dengan pihak Islam, ini bermakna pihak Islam sudah mencapai status yang tinggi yang mungkin hampir sama dengan pihak Quraish.

Ini terjadi setelah Perjanjian Hudaybiah itu ditandatangani – ini adalah titik tolak kepada kejayaan penuh nanti di masa hadapan. Mulanya, ia telah membuka mata masyarakat Arab yang lain. Waktu itulah juga Rasulullah ﷺ telah mengadakan perjanjian persefahaman dengan puak-puak Arab yang lain. Ada yang berpihak kepada pasukan Islam dan ada yang duduk di atas pagar (sekurang-kurangnya mereka berjanji tidak menyerang umat Islam).

Pengaruh Rasulullah ﷺ semakin kuat dan dalam masa yang sama, pengaruh Quraish semakin berkurang. Dan ini dicapai tanpa pertumpahan darah. Tanpa pihak Quraish sedari, mereka telah memulakan kejatuhan mereka secara keseluruhan.

Tahun selepas Perjanjian Hudaybiah itu, umat Islam dapat masuk dengan aman untuk mengerjakan Haji dan pihak Quraish tidak dapat melakukan apa-apa. Kerana itulah Allah ‎ﷻ mengatakan yang Perjanjian Hudaybiah itu sebagai فَتحًا مُبينًا kemenangan yang jelas nyata.

Tetapi, Perjanjian Hudaybiah itu juga tidak sehebat Pembukaan Mekah. Kerana kalimah yang digunakan adalah فَتحًا (dengan tanwin) sedangkan Surah an-Nasr kalimah yang digunakan adalah الفَتحُ (dengan ال) yang lebih kuat lagi. Kalimah الفَتحُ bermaksud kemenangan yang mutlaq.

Allah ‎ﷻ berfirman dalam surah ini: نَصرُ اللَّهِ وَالفَتحُ. Huruf و yang digunakan dalam وَالفَتحُ itu tidak semestinya bermaksud ‘dan’. Ia juga boleh bermaksud ‘yakni’. Iaitu pertolongan Allah ‎ﷻ itu dalam bentuk kemenangan.

Sedikit sejarah tentang Pembukaan Mekah:

1 – Kehebatan Pembukaan Mekah: ianya adalah satu-satunya penaklukan yang tidak melibatkan pertumpahan darah. Dalam mana-mana sejarah penaklukan lain, apabila satu kuasa mengambil kuasa atau tempat lain, mesti akan ada pertumpahan darah. Tetapi secara umumnya, penaklukan Mekah adalah aman. Memang ada sedikit pertelingkahan tetapi tidak ada pertumpahan darah.

2 – Ianya adalah satu-satunya penaklukan di mana tentera yang menang tidak mengambil peluang terhadap penduduk yang ditakluk. Mereka dilayan dengan baik. Tidak ada pembunuhan, tidak ada perogolan, tidak ada pengambilan harta langsung.

Bandingkan dengan penaklukan mana-mana tentera lain. Dari dahulu sampai sekarang, kalau ada yang menakluk, mereka akan di rompak, di rampas dan di rogol. Tetapi, apabila Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat mengambil alih Mekah, ianya aman sekali. Yang ada hanyalah لا تَثريبَ عَلَيكُمُ اليَومَ (Dia (Yusuf) berkata: “Pada hari ini tak ada cercaan terhadap kamu) seperti yang difirmankan dalam surah [Yusuf:92].

3 – Tidak ada perarakan, tarian atau kenaikan bendera seperti yang selalu terjadi dalam penaklukan lain. Yang ada adalah penyembahan kepada Allah‎ ﷻ. Nabi Muhammad ﷺ sendiri masuk ke Kota Mekah dengan menundukkan diri baginda. Baginda waktu itu sedang menaiki kuda dan kepala baginda rapat dengan tengkuk kuda itu sebagai isyarat kepada sujud.

Baginda meraikan kemenangan itu dengan sujud kepada Allah‎ ﷻ. Subhanallah! Kerana baginda tahu yang kemenangan bermaksud harus bersyukur kepada Allah‎ ﷻ. Kerana kemenangan itu juga kerana pertolongan Allah ‎ﷻ (nasrullah).

4. Setelah itu, baginda membersihkan Ka’bah daripada berhala dan gambar-gambar yang ada di dalam Ka’bah. Jadi, ini adalah satu kemenangan unik yang tidak berlaku dalam sejarah manusia, dahulu sehingga kini.

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 30 September 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan