Tafsir Surah Yusuf Ayat 2 (Maksud istilah Al-Qur’an)

Yusuf Ayat 2:

إِنّآ أَنزَلنٰهُ قُرءٰنًا عَرَبِيًّا لَّعَلَّكُم تَعقِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, We have sent it down as an Arabic Qur’ān¹ that you might understand.

  • i.e., revealed in the Arabic language.

(MALAY)

Sesungguhnya Kami menurunkannya Al-Qur’an dengan berbahasa Arab, agar kamu memahaminya.

 

إِنّآ أَنزَلنٰهُ قُرءٰنًا عَرَبِيًّا

Sesungguhnya Kami menurunkannya Al-Qur’an dengan berbahasa Arab,

Dikatakan di sini dan banyak ayat-ayat Al-Qur’an bahawa Allah ﷻ ‘menurunkan’ Al-Qur’an. Kenapa diturunkan? Kerana Allah ﷻ di langit. Bukanlah Allah ﷻ wujud tanpa tempat dan Allah ﷻ berada di mana-mana. Semua wahyu jelas mengatakan Allah ﷻ di langit. Selesai.

Secara umumnya keseluruhan Al-Qur’an diturunkan di dalam Bahasa Arab. Khusus bagi surah ini adalah kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diceritakan di dalam Bahasa Arab. Kita kena ingat bahawa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah Nabi Bani Israil jadi ia adalah kisah mereka dan dahulunya ia di dalam Bahasa Ibrani. Akan tetapi sekarang apabila Allah ‎ﷻ menceritakannya semula di dalam Bahasa Arab, maka ia menjadi kisah kita umat Islam pula, bukan hanya mereka.

Di dalam ayat 1, Allah ‎ﷻ merujuk kepada Al-Qur’an sebagai الكِتٰبِ dan sekarang digunakan istilah القرءآن pula. Jadi kedua-dua sifatnya disebut, iaitu sifatnya yang tertulis (الكِتٰبِ) dan sifatnya yang sentiasa dibaca (القرءآن). Sekarang kita lihat apakah istilah القرءآن ini.

Secara bahasa (etimologi), Al-Qur’an (القرءآن) berasal daripada bahasa Arab. Ada beberapa pandangan ulama linguistik dan mufassir mengenai asal kata dan maknanya:

1. Daripada kata “Qara’a” (قرأ)

Ini adalah pandangan yang paling popular dan diterima luas. Ia daripada akar Kata: Al-Qur’an berasal daripada kata kerja قَرَأَ (qara’a) yang bererti membaca, mengumpulkan, atau menghimpun. Dengan demikian, Al-Qur’an bermakna “bacaan” atau “yang dibaca”.

Ia disebut Al-Qur’an kerana ia adalah kitab yang wajib dibaca dan yang paling banyak dibaca oleh umat Islam. Selain itu, ia juga mengumpulkan atau menghimpun berbagai kisah, hukum, perintah, larangan, janji, dan ancaman. Pendapat disokong Imam Syafi’i, Al-Farra’, dan majoriti ulama. Ayat-ayat Al-Qur’an sendiri juga menguatkan makna ini, seperti firman Allah ‎ﷻ di dalam Qiyamah:17-18

“إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ * فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ”
Sesungguhnya atas tanggungan Kamilah mengumpulkannya (di dadamu) dan membacanya. Apabila Kami telah selesai membacakannya maka ikutilah bacaannya itu.)

Kata “قُرْآنَهُ” (qur’ānahu) di sini jelas merujuk pada “bacaannya”. Memang tidak ada mana-mana buku atau kitab yang dibaca dan dihafal seperti Al-Qur’an ini.

 

2. Daripada kata “Qarana” (قرن)

Ia daripada akar Kata قَرَنَ (qarana) yang bererti menggabungkan atau mengiringkan. Menurut pandangan ini, Al-Qur’an disebut demikian kerana ayat-ayat dan surah-surahnya saling berkaitan dan digabungkan satu sama lain, atau kerana ia menggabungkan berita dan hukum.

 

3. Tidak Berasal daripada Kata Apa pun (Ism Jāmid)

Sebahagian kecil ulama’, termasuk Asy-Syafi’i رَحِمَهُ اللَّهُ dalam salah satu pendapatnya, berpendapat bahawa Al-Qur’an adalah nama diri (ism jāmid) yang khusus untuk Kalamullah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ia tidak diturunkan daripada akar kata apapun, melainkan sebuah nama yang unik, mirip dengan Taurat dan Injil yang tiada akar kata.

Al-Qur’an itu telah diturunkan dalam bahasa Arab. Maka kalau kita baca kitab terjemahan, itu bukanlah Al-Qur’an sebenarnya. Kita kena faham terdapat perbezaan di antara ‘terjemahan’ dan Al-Qur’an itu sendiri kerana Al-Qur’an itu hendaklah di dalam bahasa Arab. Terjemahan itu tidak mungkin tepat dan tidak akan ada terjemahan yang tepat kerana itu adalah salah satu pendapat sahaja tentang maksud satu-satu ayat Al-Qur’an kerana ayat Al-Qur’an ada banyak makna dan tidak mungkin dapat diterjemahkan sepenuhnya. Ini adalah kerana Al-Qur’an itu adalah bahasa yang kaya dan tidak mungkin dapat diterjemahkan dengan sempurna di dalam bahasa selain Arab. Cuma kita gunakan kitab terjemahan itu sebagai panduan sahaja.

Apabila dikatakan Al-Qur’an itu di dalam bahasa Arab, ini bermakna yang Allah ‎ﷻ menurunkan terus Al-Qur’an itu di dalam bahasa Arab, maksudnya bukan menggunakan kalimah daripada Nabi Muhammad ﷺ. Al-Qur’an itu sememangnya telah siap diturunkan dalam bahasa Arab dan bukanlah Nabi Muhammad ﷺ yang mengeluarkannya dalam bahasa Arab pula. Ini berbeza dengan hadith. Memang hadith juga adalah wahyu tetapi Nabi ﷺ diberikan ilham dan kefahaman kepada baginda dan baginda sendiri yang menggunakan bahasa baginda untuk menjelaskan apa yang baginda faham. Maka, hadith tidak diturunkan dalam bahasa Arab, tetapi menggunakan bahasa Nabi Muhammad ﷺ sendiri.

Allah ‎ﷻ menggunakan Bahasa Arab kerana Bahasa Arab adalah bahasa yang paling jelas, paling terang, paling luas, dan paling banyak perbendaharaan kata-katanya untuk mengungkapkan pelbagai pengertian untuk meluruskan jiwa manusia. Allah ﷻ telah memilih Bahasa Arab sebagai medium untuk menurunkan Al-Qur’an, dan ini bukan tanpa sebab. Ramai ulama dan ahli bahasa telah mengkaji kelebihan-kelebihan intrinsik bahasa Arab yang menjadikannya sangat sesuai untuk membawa risalah Ilahi yang abadi ini. Berikut adalah beberapa kelebihan utama Bahasa Arab yang menjadi alasan mengapa Al-Qur’an diturunkan di dalamnya:

1. Kefasihan (Fashahah) dan Kejelasan (Wudhoh)

Bahasa Arab dikenal sebagai bahasa yang sangat fasih dan jelas dalam menyampaikan makna. Seandainya digunakan Bahasa Melayu, agaknya Al-Qur’an hanya boleh dibawa dengan lori. Setiap kata dan frasa Bahasa Arab memiliki ketepatan yang tinggi, memungkinkan penyampaian yang rumit dengan ungkapan yang ringkas.

  • Lafaz yang indah: Susunan huruf dan kata dalam Bahasa Arab memiliki keindahan fonetik dan irama yang khas, sehingga Al-Qur’an terdengar sangat indah saat dibaca (tartil), bahkan bagi mereka yang tidak memahami maknanya. Sampai ada Non-Muslim yang suka mendengarnya.
  • Kejelasan makna: Bahasa Arab mampu menyampaikan makna secara langsung dan terang, tanpa banyak pusing sana dan sini. Ini penting untuk kitab yang berisi hukum dan petunjuk yang harus difahami dengan jelas.

 

2. Kekayaan Kosakata (Wus’ah al-Lughah)

Bahasa Arab memiliki kosakata yang sangat luas dan kaya. Satu kata dasar boleh membentuk banyak turunan kata dengan makna yang beragam, tergantung pada susunan huruf, harakat, dan konteksnya.

  • Sinonim dan Antonim: Banyak sinonim (kata-kata berbeza dengan makna serupa) dan antonim (kata-kata berlawanan) yang memungkinkan nuansa makna yang sangat halus. Ini memberikan keluasan dalam menyampaikan pesan dengan ketepatan yang luar biasa.
  • Derivasi (Isytiqaq): Daripada satu akar kata (biasanya tiga huruf), boleh dibentuk puluhan kata dengan makna yang terkait, namun spesifik. Misalnya, daripada akar kata k-t-b (ك-ت-ب), kita boleh mendapatkan kataba (menulis), kitab (buku/tulisan), katib (penulis), maktab (kantor/tempat menulis), maktabah (perpustakaan), dan lain-lain. Ini memungkinkan Al-Qur’an untuk menyampaikan berbagai konsep dengan akar makna yang sama.

 

3. Ketepatan Ungkapan dan Perincian Makna

Bahasa Arab memiliki kemampuan unik untuk menyampaikan makna yang sangat spesifik dan terperinci hanya dengan sedikit kata (digelar sebagai Ijaz).

  • Pembezaan Nuansa: Bahasa Arab mampu membezakan nuansa makna yang sangat halus. Misalnya, ada banyak kata untuk “cinta” (seperti hubb, wudd, ‘ishq, gharam, hawa) yang masing-masing membawa konotasi dan intensiti yang berbeza. Begitu pula untuk “air”, “singa”, dan sebagainya. Ini memungkinkan Al-Qur’an menyampaikan pesan dengan ketepatan yang tidak ada bandingannya.
  • Ijaz (Keringkasan dan Kepadatan Makna): Al-Qur’an seringkali menggunakan kalimat yang ringkas namun padat makna, sehingga satu ayat boleh mengandungi banyak pelajaran dan hukum. Ini adalah ciri khas kemukjizatan Al-Qur’an.

 

4. Struktur Gramatikal (Nahwu dan Sharf) yang Kokoh dan Fleksibel

Sistem tata bahasa Arab (Nahwu) dan morfologinya (Sarf) sangat teratur dan kukuh, namun juga fleksibel.

  • Pengaruh Harakat: Perubahan harakat (baris) pada huruf mengubah makna kata secara drastik (misalnya qara’a [dia membaca] vs quri’a [dibaca]). Ini menambah kedalaman dan ketepatan makna. Kalau menggunakan Bahasa Melayu, tentulah memerlukan tambahan kalimah baru boleh faham.
  • Struktur Kalimat: Tata letak kata dalam kalimat dapat mempengaruhi penekanan makna. Bahasa Arab memungkinkan penekanan pada subjek, predikat, atau objek hanya dengan mengubah susunan kalimat.

 

5. Sejarah dan Lingkungan Penurunan Al-Qur’an

  • Bahasa Nabi ﷺ dan Kaumnya: Al-Qur’an diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ yang berbahasa Arab, di tengah masyarakat Arab. Secara logik, wahyu harus disampaikan dalam bahasa yang difahami oleh mukhatab (pendengar) pertama agar mereka dapat memahami dan menyebarkan risalah tersebut. Allah ‎ﷻ berfirman dalam Ibrahim:4: وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوۡمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمۡ‌ “Kami tidak mengutus seorang Rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya ia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka.”
  • Kekuatan Sastera: Bangsa Arab pada masa itu dikenal sangat mahir dalam sastera, puisi, dan retorika. Jadi Bahasa Arab berkembang dengan amat pesat sekali kerana bangsanya suka dengan bahasa. Dengan diturunkannya Al-Qur’an dalam Bahasa Arab yang fasih, ia menjadi tentangan (tahaddi) terbesar bagi mereka untuk menandinginya, yang mana mereka tidak mampu melakukannya hingga hari ini. Ini membuktikan kemukjizatan Al-Qur’an.

 

6. Kekekalan dan Pemeliharaan

Seiring dengan janji Allah ‎ﷻ untuk menjaga Al-Qur’an daripada perubahan seperti disebut di dalam Hijr:9 إِنَّا نَحۡنُ نَزَّلۡنَا ٱلذِّكۡرَ وَإِنَّا لَهُ ۥ لَحَـٰفِظُونَ (Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Qur’an, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya), Bahasa Arab sebagai bahasa Al-Qur’an juga telah terpelihara keasliannya selama berabad-abad. Buktinya ia masih lagi digunakan sampai hari ini. Ini berbeza dengan bahasa-bahasa kitab suci terdahulu yang banyak mengalami perubahan seiring waktu. Bahasa kitab-kitab dahulu sudah tidak dituturkan.

Kerana itulah Allah ‎ﷻ menurunkan Kitab-Nya yang paling mulia dengan bahasa yang paling mulia di antara bahasa-bahasa lainnya yang disampaikan-Nya kepada Rasul yang paling mulia melalui perantaraan malaikat yang paling mulia. Malah penurunannya terjadi di bahagian bumi yang paling mulia, serta awal penurunannya (Al-Qur’an) terjadi di dalam bulan yang paling mulia, iaitu bulan Ramadan; sehingga sempurnalah kitab Al-Qur’an ini dari pelbagai seginya.

Tambahan pula Rasulullah ﷺ adalah orang Arab dan penerima pertama Al-Qur’an yang Nabi ﷺ sampaikan adalah orang Arab juga. Kalau ia hendak menjawab soalan puak Yahudi, yang bertanya itu pun adalah Yahudi yang duduk di Tanah Arab, jadi mereka pun akan faham juga bahasa Arab. Jadi takkan Al-Qur’an diturunkan di dalam bahasa asing pula. Kerana tujuan ia diturunkan adalah supaya pendengarnya boleh faham apa yang disampaikan. Akan tetapi bagaimana dengan kita orang Melayu dan bangsa lain yang lahir-lahir bukan tahu bahasa Arab pun? Sedangkan kita pun penerima Al-Qur’an juga seperti disebut di dalam Saba’:28?

وَما أَرسَلنٰكَ إِلّا كافَّةً لِّلنّاسِ
Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan kepada umat manusia seluruhnya

Maka kerana itu, sebenarnya kita sebagai umat Islam mestilah memahami bahasa Arab. Sekurang-kurangnya maksud ayat-ayat di dalam Al-Qur’an walaupun kita mungkin tidak boleh berdialog di dalam bahasa Arab sepenuhnya. Ini kerana kita wajib memahami Al-Qur’an dan kerana untuk memahami Al-Qur’an kita kena tahu bahasa Arab, maka kita kena tahu bahasa Arab juga. Ini adalah berdasarkan kaedah,

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب
“Sesuatu yang suatu kewajipan tidak sempurna kecuali dengannya, maka ia (sesuatu itu) juga menjadi wajib.”

Ini tidaklah pelik kerana pakar bahasa Arab pun ramai dalam kalangan non-Arab seperti Sibawaihi dan al-Farahidi. Mereka telah berusaha untuk memahami bahasa Arab supaya dapat memahami Al-Qur’an dengan baik. Malah sepatutnya bahasa percakapan kita umat Islam adalah bahasa Arab sebenarnya supaya kesatuan di antara umat Islam di seluruh dunia lebih rapat. Namun malang sekali apabila penjajah Barat telah menjajah umat Islam, maka semua telah dijauhkan daripada bahasa Arab; kalau dulu kita menggunakan tulisan Jawi yang diambil daripada bahasa Arab tetapi lama kelamaan orang kita pun sudah tidak kenal tulisan Jawi.

Apakah kesannya? Kesannya adalah apabila kita sendiri tidak tahu bahasa Arab, ia menjadi asing bagi kita dan hasilnya Al-Qur’an pun asing juga. Kita rasa jauh sangat, seperti ia satu tulisan yang kita tidak faham langsung apa yang disebut di dalamnya. Maka kerana itu orang kita baca sebagai azimat, digantung sebagai hiasan khat, sebagai pertandingan musabaqah, sebagai tangkal, buku sejarah, penyembuh penyakit, halau hantu, pendinding dan macam-macam lagi tapi tidak dijadikan sebagai panduan hidup. Sudah tidak faham, hendak dijadikan panduan macam mana?

Mungkin ada yang kata susah belajar bahasa Arab sebab kompleks. Namun begitu kalau untuk kerja dan lulus universiti, sanggup sahaja kita belajar bahasa asing. Boleh pula? Sedangkan itu adalah untuk kejayaan dunia semata sedangkan dengan belajar Bahasa Arab kita akan berjaya dunia dan akhirat. Cuma jangan jadikan alasan tangguh belajar tafsir kerana hendak belajar Bahasa Arab pula. Sekarang boleh sahaja mulakan belajar tafsir kerana ramai guru yang mengajar dalam bahasa kita dan banyak kitab rujukan. Cuma di dalam masa yang sama, belajarlah juga Bahasa Arab supaya kita lebih faham pelajaran tafsir itu. Takut hendak tunggu habis belajar Bahasa Arab, tidak sempat pula takut mati dahulu maka sia-sialah hidup.

 

لَّعَلَّكُم تَعقِلونَ

agar kamu memahaminya.

Al-Qur’an itu diturunkan dalam bahasa yang kita boleh baca dan faham, supaya kita boleh memikirkan apakah yang disampaikan di dalamnya. Supaya kita boleh tahu apakah hukum hakam yang disampaikan di dalamnya, kisah-kisahnya, pengajaran di dalam kisah-kisah itu, sejarah, ilmu yang berguna. Ia bukan setakat faham sahaja tetapi hendaklah kita gunakan kefahaman itu untuk kita didik diri kita dan gunakan di dalam segenap kehidupan kita. Ini kerana kalau setakat faham tetapi tidak amal, pun tidak berguna. Ia adalah untuk kebaikan kita tetapi kalau tidak belajar tafsir Al-Qur’an, bagaimanakah kebaikan itu boleh diambil?

Secara khususnya Allah ‎ﷻ mahu ‘kamu’ memahaminya iaitu kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang kita sedang belajar ini. Namun siapakah ‘kamu’? Yang pertama ia mungkin merujuk kepada Yahudi di Tanah Arab itu. Mereka duduk di Madinah (Yathrib) ketika itu tetapi mereka itu dirujuk juga oleh pemuka Quraisy di Mekah (mereka minta idea bagaimana hendak berhujah dengan Nabi Muhammad ﷺ). Jadi Allah ‎ﷻ hendak mereka tahu yang kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini adalah daripada Allah ﷻ. Maka ia menjadi bukti bahawa Nabi Muhammad ﷺ adalah benar seorang Nabi lagi Rasul kerana tidak mungkin baginda boleh dapat kisah ini dari mana-mana sumber lain.

Yang kedua ia ditujukan kepada umat Islam atau mana-mana pembaca Al-Qur’an. Supaya mereka mengambi pengajaran daripada kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Digunakan istilah القرءآن di sini kerana ia bermaksud ‘pembacaan’. Allah ﷻ mahu kita baca Al-Qur’an ini. Allah ﷻ boleh sahaja turunkan kitab wahyu bertulis seperti yang telah dilakukan terhadap Taurat yang diberikan kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ siap bertulis. Namun asal Al-Qur’an ini dibacakan daripada Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada Nabi Muhammad ﷺ dan baginda baginda bacakan pula kepada para sahabat dan seterusnya. Allah ﷻ juga telah jadikan Al-Qur’an sebagai pembacaan yang amat indah untuk didengar, walaupun kita tidak memahaminya. Kerana itu ia senang dihafal kerana memang ayat-ayatnya indah. Maka menjadi sunnah Al-Qur’an ini dibaca dan didengar. Mungkin kita sudah jarang melakukannya namun ingatlah yang beginilah cara para sahabat belajar dahulu. Nabi Muhammad ﷺ sendiri suka mendengar Al-Qur’an dibacakan dan salah satu hadith yang paling masyhur mengenai hal ini adalah daripada sahabat Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “اقْرَأْ عَلَيَّ الْقُرْآنَ”. فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَقْرَأُ عَلَيْكَ الْقُرْآنَ وَعَلَيْكَ أُنْزِلَ؟ قَالَ: “إِنِّي أُحِبُّ أَنْ أَسْمَعَهُ مِنْ غَيْرِي”. فَقَرَأْتُ عَلَيْهِ سُورَةَ النِّسَاءِ، حَتَّى إِذَا بَلَغْتُ إِلَى قَوْلِهِ: “فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِنْ كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَى هَؤُلاَءِ شَهِيدًا”. قَالَ: “حَسْبُكَ الآنَ”. فَالْتَفَتُّ إِلَيْهِ فَإِذَا عَيْنَاهُ تَذْرِفَانِ
Daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, ia berkata: “Rasulullah ﷺ bersabda kepadaku: ‘Bacakanlah Al-Qur’an kepadaku’. Aku bertanya: ‘Wahai Rasulullah, apakah aku harus membacakan Al-Qur’an kepadamu, padahal ia diturunkan kepadamu?’ Baginda menjawab: ‘Sesungguhnya aku suka mendengarnya daripada orang lain’. Maka aku membacakan Surah An-Nisa‘ kepadanya, hingga ketika aku sampai pada ayat: ‘Maka bagaimanakah (keadaan orang-orang kafir pada hari kiamat) apabila Kami mendatangkan seorang saksi (Nabi) daripada tiap-tiap umat, dan Kami mendatangkan engkau (Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu.’ (Nisa:41), baginda bersabda: ‘Cukuplah sekarang’. Aku menoleh kepadanya, dan ternyata kedua mata baginda mengalirkan air mata.”
(Sahih Bukhari No. 4583 dan Muslim (No. 800)

Maka ini mengajar kita, sesekali kita duduk dengar Al-Qur’an dibacakan supaya kita dapat menghayati satu sunnah daripada Rasulullah ﷺ.

Ada yang berhujah, jikalau Al-Qur’an ini untuk semua umat manusia, kenapa ia hanya diturunkan di dalam satu bahasa sahaja? Kenapa tidak ada banyak versi, untuk orang Cina dalam Bahasa Cina, untuk orang Melayu di dalam Bahasa Melayu dan seterusnya? Jawapannya, bahasa lain tidak sama dengan Bahasa Arab. Ini kita kena telusuri perkembangan Bahasa Arab dari zaman dahulu. Allah ‎ﷻ telah mempersiapkan dan menjaga Bahasa Arab ini untuk dijadikan sebagai bahasa yang digunakan di dalam Kitab Wahyu yang terakhir daripada-Nya. Kedudukan Tanah Arab dalam peta dunia adalah terasing daripada tamadun lain pada waktu itu. Ia tidak ada tanah yang subur, ia tidak ada sumber galian (minyak belum ditemui lagi ketika itu). Jadi tamadun lain tidak ambil endah tentang Tanah Arab. Ketika itu ada kerajaan besar seperti Parsi, Rom dan Habashah. Mereka mengembangkan tanah jajahan mereka tetapi Tanah Arab mereka biarkan sahaja kerana tidak ada apa-apa di situ. Buat malu dan buang masa sahaja jajah Tanah Arab sebab kalau sudah dapat, hendak buat apa?

Maka kesannya Tanah Arab terasing daripada bercampur dengan tamadun lain dan kesannya adalah Bahasa Arab itu terjaga. Bahasa lain tidak campur aduk ke dalam Bahasa Arab bahasa-bahasa lain yang ada banyak pengaruh dari luar kerana mereka itu ekonomi perdagangan jadi ada banyak interaksi dengan bangsa dan bahasa lain. Bahasa Arab tidak begitu dan ia terjaga tanpa ada banyak kemasukan istilah lain. Jadi orang Arab ketika itu amat menjaga bahasa mereka dan mereka kembangkan bahasa mereka menjadi sangat hebat. Satu benda ada banyak nama baginya. Sebagai contoh, unta pada kita adalah untalah sahaja tetapi bagi orang Arab, ada sekurang-kurangnya 14 nama bagi unta mengikut umurnya, fungsinya, tingkah lakunya. Jadi Allah ‎ﷻ menjaga ketulenan Bahasa Arab dari dahulu lagi supaya maksud-maksud kalimah yang digunakan di dalam Al-Qur’an boleh dirujuk semula kepada penggunaan Bahasa Arab yang asal. Kerana itu apabila mentafsir ayat-ayat Al-Qur’an, maksud sesuatu kalimah itu adalah kalimah yang klasik, yang asal ketika ia diturunkan. Ini kerana kalau merujuk kepada penggunaan Bahasa Arab sekarang, sudah tidak boleh kerana Bahasa Arab zaman sekarang pun sudah ada kemasukan bahasa asing.

Bahasa Arab dahulunya digunakan oleh bangsa Arab sahaja. Akan tetapi dengan datangnya agama Islam, maka ia menjadi bahasa antarabangsa. Kerana itu Saidina Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata,

تَعَلَّمُوا الْعَرَبِيَّةَ، فَإِنَّهَا تُثَبِّتُ الْعَقْلَ وَتَزِيدُ فِي الْمُرُوءَةِ
“Belajarlah Bahasa Arab, kerana sesungguhnya ia mengukuhkan akal dan menambah kemuliaan (murū’ah).”

Ia bukan sahaja menjadi bahasa satu bangsa, tetapi bahasa satu agama yang boleh dianuti oleh semua bangsa tidak kira dari mana mereka datang. Untuk mempelajari agama Islam dengan lebih mendalam, tidak dapat tidak mestilah dipelajari Bahasa Arab kerana ia adalah bahasa asal ia diturunkan. Jadi untuk menjawab soalan kenapa Al-Qur’an hanya diturunkan dalam satu bahasa sahaja: ia supaya seluruh umat Islam satu dunia ada satu sumber rujukan sahaja. Supaya mengurangkan perpecahan pandangan di antara umat Islam. Sebagai contoh kalau kita mahu faham istilah المُبينِ maka kita boleh rujuk kepada Bahasa Arab yang asal untuk memahaminya dan maksudnya tidak lari banyak. Tidaklah jadi seperti agama Kristian contohnya yang sudah ada banyak Bible yang mereka gunakan sampaikan mereka itu antara mazhab mereka berpecah habis tidak sama langsung antara satu sama lain.

Apabila kita ada satu sumber, maka semua ada peluang untuk mengetahui agama Islam dengan lengkap. Ini pun Islam berbeza dengan agama lain. Agama kita tidak ada Pope, Sami, Swami, Rabbi dan sebagainya. Sumber rujukan agama Islam adalah terbuka, semua penganut boleh baca dan cuba memahaminya. Kalau dalam agama lain, ia terhad kepada ahli agama mereka sahaja. Sebaliknya di dalam agama Islam, semua orang menggunakan rujukan yang sama dan boleh cuba memahaminya. Kerana itu Allah ‎ﷻ kata لَّعَلَّكُم تَعقِلونَ supaya kamu memahaminya. Memang Allah ‎ﷻ suruh kita belajar sampai faham!

Tentulah pemahaman seorang yang awam dengan seorang ulama’ tidak sama, tetapi masih tetap boleh difahami. Contohnya kalau kita hantar kereta kita ke mekanik. Kalau kita tidak tahu apa-apa, memang kena tipulah dengan mekanik itu. Semua benda dia akan suruh kita tukar, padahal kita hantar untuk dia periksa tayar sahaja. Akan tetapi sekiranya kita pun ada ilmu kereta sedikit, kita boleh berhujah balik dengan dia. Maka begitulah dengan agama ini. Kita kena pelajari supaya tidak mudah ditipu oleh ahli agama. Eh takkan ahli agama menipu pula? Memang dalam agama, yang menipu adalah ahli agamalah… kerana merekalah yang tahu istilah dan selok belok agama yang menyebabkan mereka boleh menipu orang! Kalau tukang kebun menipu dalam hal agama, orang pun takkan percaya. Akan tetapi kalau ahli agama cakap sesuatu, tentu ramai yang percaya kerana ‘takkan lebai menipu’.

Soalan Kuiz (Jawapan Ringkas)

Jawab setiap soalan dalam 2-3 ayat.

  1. Apakah dua istilah yang digunakan dalam Ayat 1 dan Ayat 2 Surah Yusuf untuk merujuk kepada Al-Qur’an, dan apakah sifat yang ditonjolkan oleh setiap istilah?
  2. Mengapakah kisah Nabi Yusuf yang asalnya dalam Bahasa Ibrani, apabila diceritakan semula dalam Al-Qur’an, menjadi kisah umat Islam?
  3. Nyatakan dua pandangan ulama linguistik dan mufassir mengenai asal kata “Al-Qur’an” dan terangkan secara ringkas maksudnya.
  4. Mengapakah terjemahan Al-Qur’an dalam bahasa lain tidak dianggap sebagai Al-Qur’an itu sendiri?
  5. Apakah perbezaan utama antara cara Al-Qur’an diturunkan dalam Bahasa Arab dengan cara hadis disampaikan oleh Nabi Muhammad ﷺ?
  6. Sebutkan tiga kelebihan utama Bahasa Arab yang menjadikannya sesuai sebagai medium penurunan Al-Qur’an.
  7. Bagaimanakah sejarah dan persekitaran Tanah Arab pada masa penurunan Al-Qur’an menyumbang kepada pemeliharaan ketulenan Bahasa Arab?
  8. Terangkan mengapa Saidina Umar menekankan kepentingan mempelajari Bahasa Arab.
  9. Bagaimanakah penurunan Al-Qur’an dalam satu bahasa sahaja (Bahasa Arab) dapat mengurangkan perpecahan pandangan di kalangan umat Islam?
  10. Apakah maksud “agar kamu memahaminya” (لَّعَلَّكُم تَعقِلونَ) dalam konteks ayat ini, dan mengapakah kefahaman ini penting?

 

Glosari Istilah Penting

  • Al-Qur’an (القرءآن): Kitab suci umat Islam yang diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Istilah ini juga bermaksud “bacaan” atau “yang dibaca”.
  • Al-Kitab (الكِتٰبِ): Salah satu sifat Al-Qur’an yang merujuk kepada sifatnya yang tertulis atau dicatatkan.
  • Tafsir: Ilmu untuk memahami dan menjelaskan makna ayat-ayat Al-Qur’an.
  • Wahyu: Firman Allah ‎ﷻ yang diturunkan kepada para Nabi dan Rasul-Nya.
  • Bahasa Ibrani: Bahasa asal yang digunakan untuk menceritakan kisah Nabi Yusuf dalam kitab-kitab suci terdahulu. Hebrew.
  • Qara’a (قرأ): Akar kata Bahasa Arab yang bermaksud “membaca”, “mengumpul”, atau “menghimpun”, dan merupakan pandangan paling popular mengenai asal kata Al-Qur’an.
  • Qarana (قرن): Akar kata Bahasa Arab yang bermaksud “menggabungkan” atau “mengiringkan”, salah satu pandangan mengenai asal kata Al-Qur’an.
  • Ism Jāmid: Nama diri yang tidak berasal daripada akar kata apapun, salah satu pandangan mengenai asal kata Al-Qur’an.
  • Fashahah (Kefasihan): Keupayaan Bahasa Arab menyampaikan makna dengan jelas dan tepat.
  • Wudhoh (Kejelasan): Sifat Bahasa Arab yang terang dan mudah difahami.
  • Wus’ah al-Lughah (Kekayaan Kosa kata): Jumlah perkataan yang luas dan pelbagai dalam Bahasa Arab, termasuk sinonim, antonim, dan derivasi.
  • Derivasi (Isytiqaq): Proses pembentukan kata-kata baharu daripada satu akar kata dasar dalam Bahasa Arab.
  • Ijaz (Keringkasan dan Kepadatan Makna): Ciri khas Bahasa Arab dan Al-Qur’an di mana ayat yang ringkas boleh mengandungi banyak pelajaran dan hukum.
  • Nahwu: Ilmu tatabahasa Arab yang mengkaji struktur kalimat dan perubahan pada hujung kata.
  • Sarf: Ilmu morfologi Arab yang mengkaji pembentukan kata dan perubahan bentuknya.
  • Harakat (Baris): Tanda vokal dalam tulisan Arab yang mengubah sebutan dan makna kata.
  • Mukhatab: Pendengar atau audiens.
  • Tahaddi: Cabaran, merujuk kepada cabaran Al-Qur’an kepada bangsa Arab untuk menandingi keindahan sasteranya.
  • Jawi: Sistem tulisan yang diadaptasi daripada abjad Arab untuk menulis Bahasa Melayu, yang dahulu digunakan secara meluas oleh umat Islam di Nusantara.
  • Musabaqah: Pertandingan, selalunya merujuk kepada pertandingan membaca Al-Qur’an.
  • Taurat: Kitab suci yang diturunkan kepada Nabi Musa.
  • Injil: Kitab suci yang diturunkan kepada Nabi Isa.
  • Sunnah: Amalan atau cara hidup Nabi Muhammad ﷺ.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 Ogos 2025

Ringkasan Surah Yusuf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 1 (Al-Qur’an yang Mubeen)

KISAH YANG TERBAIK

Yusuf Ayat 1: Walaupun surah ini panjang, namun dari segi Makro, ia boleh dibahagikan kepada 3 Perenggan sahaja. Ayat 1 & 2 adalah Perenggan Makro Pertama di mana Allah ‎ﷻ hendak menceritakan Tujuan Penurunan Al-Qur’an.

الر ۚ تِلكَ ءآيٰتُ الكِتٰبِ المُبينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Yūsuf: (The Prophet) Joseph.

Alif, Lām, Rā.¹ These are the verses of the clear Book.

  • See footnote to 2:1.

(MALAY)

Alif, laam, raa. Ini adalah ayat-ayat Kitab (Al Qur’an) yang nyata (daripada Allah).

 

الر

Alif, laam, raa.

Kita tidak tahu makna huruf ini kerana ia adalah perkara ghaib. Ada lima surah dalam Al-Qur’an yang dimulai dengan huruf-huruf الر (Alif, Lam, Ra):

      1. Surah Yunus (Surah ke-10)
      2. Surah Hud (Surah ke-11)
      3. Surah Yusuf (Surah ke-12)
      4. Surah Ibrahim (Surah ke-14)
      5. Surah Al-Hijr (Surah ke-15)

Walaupun setiap surah memiliki tema dan kisah spesifiknya sendiri, mereka memiliki beberapa persamaan dan ciri khas yang menarik:

1. Penegasan Al-Qur’an dan Wahyu: Hampir kesemua surah ini memulakan ayat-ayat selepas “الر” dengan penegasan tentang kemuliaan Al-Qur’an dan hakikatnya sebagai wahyu daripada Allah ﷻ.

2. Fokus pada Kisah-kisah Para Nabi dan Umat Terdahulu: Surah-surah ini kaya dengan kisah-kisah Nabi dan umat masa lalu sebagai pelajaran (ibrah) dan penegasan janji serta ancaman Allah ﷻ.

3. Penekanan pada Tauhid dan Azab Bagi Pendusta: Semua surah ini menekankan konsep tauhid (keesaan Allah ﷻ) dan mengingatkan akan azab bagi orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah ﷻ dan rasul-rasul-Nya.

4. Menghadapi Tuduhan dan Penolakan: Surah-surah ini sering kali menyentuh respons dan tuduhan kaum kafir terhadap Nabi Muhammad ﷺ dan Al-Qur’an, seperti tuduhan sihir, gila, atau pendusta.

5. Mengandungi Ayat-ayat Kauniyyah: Iaitu penyebutan tentang tanda-tanda kebesaran Allah ﷻ di alam semesta (ayat-ayat kauniyyah) seperti penciptaan langit dan bumi, pergantian siang dan malam, dan turunnya hujan, sebagai bukti kekuasaan Allah ﷻ dan kebenaran risalah.

6. Ditujukan kepada Kaum Musyrikin Mekah: Semua surah ini diturunkan di Mekah (Surah Ra’d tidak ada di dalam susunan ini dan memang ia adalah Surah Madaniyyah), dalam fasa awal dakwah Nabi Muhammad ﷺ, ketika penentangan terhadap Islam sangat kuat. Oleh itu, tema-tema utamanya adalah penegasan tauhid, ancaman bagi orang kafir, janji bagi orang beriman, dan peringatan melalui kisah-kisah.

Huruf-huruf sebegini dinamakan huruf muqatta’ah. Ia termasuk ayat-ayat Mutashabihaat (samar maknanya dan tidak jelas), bukan Muhkam. Dari segi bahasa bermaksud: huruf yang dipotong-potong atau terputus kerana huruf yang ada disebut satu persatu seperti dipotong-potong. Kita tidak tahu apakah maksudnya. Ia tidak diketahui kerana tidak diajar oleh Nabi ﷺ dan para sahabat pun tidak bertanyakan maksudnya. Rasulullah ﷺ pula tidak beritahu (kalau baginda tahu) kerana ia tidak perlu untuk diketahui kerana kalau ia perlu diketahui oleh umat Islam, pasti baginda sudah menyampaikannya.

Bukanlah ia tidak ada makna kerana Allah ﷻ tidak melakukan perkara yang sia-sia. Cuma kita sahaja yang tidak tahu kerana kemampuan akal kita yang terbatas. Akan tetapi ini juga adalah pendapat kerana Nabi Muhammad ﷺ pun tidak pernah beritahu kita: ia ada makna tetapi kita sahaja tidak tahu.

Walaupun kita tidak tahu maksudnya, namun kita masih boleh mengambil manfaat daripadanya. Ayat-ayat muqatta’ah ini mengingatkan kita bahawa kita mula belajar tafsir surah ini dengan tidak tahu apa-apa melainkan apa yang Allah ﷻ dan Nabi-Nya sampaikan kepada kita sahaja. Memang banyak yang cuba mentafsir maksud huruf-huruf muqatta’ah ini, namun ia bukanlah berdasarkan dalil yang sahih.

Pengajaran yang kita boleh ambil adalah: Kalau Tuhan tidak mahu ajar kepada kita, maka kita tidak dapat tahu walau satu benda pun. Dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang kita akan baca ini pun, tentu ada banyak pelakonnya tetapi kita hanya diberitahu dengan beberapa nama sahaja. Kerana mereka itulah yang penting untuk kita ambil pengajaran daripada mereka. Kerana tujuan Al-Qur’an adalah untuk memberi pengajaran, bukannya untuk menjadi dokumen sejarah. Memang ada sesetengah perkara yang kita teringin tahu tetapi Allah ‎ﷻ tidak beritahu kepada kita kerana ia tidak penting. Apabila Allah ‎ﷻ tidak beritahu, jadi tidak perlu kita sibuk untuk mengetahuinya. Ini penting kerana kadang-kadang sampai kepada kita soalan tentang perkara-perkara yang kita rasa tidak perlu pun untuk diketahui sebenarnya kerana ia kalau tahu pun tidaklah menambah iman.

Maka ini mengajar kita yang kita sangat bergantung kepada Allah ﷻ untuk memberikan ilmu pengetahuan kepada kita. Allah ﷻ akan buka kefahaman sesuatu perkara itu kepada mereka yang Dia mahu berikan pengetahuan. Maka ayat ini juga menunjukkan kepada kita bahawa ada banyak lagi perkara yang Tuhan tidak beritahu kepada kita. Ia merendahkan diri kita supaya kita sedar bahawa kita tidak berilmu sebenarnya, melainkan apa yang Allah ﷻ mahu berikan kepada kita sahaja.

Bangsa Arab ketika zaman Nabi ﷺ amat mementingkan bahasa. Bahasa Arab terbukti memang hebat (sebab itulah Al-Qur’an diturunkan dalam Bahasa Arab). Mereka banyak mengadakan pertandingan sajak dan syair kerana ia adalah kebanggaan bagi mereka. Sampaikan kalau ada sajak atau syair yang memenangi pertandingan akan digantungkan di Kaabah. Maka, apabila ada ayat-ayat yang dimulai dengan huruf-huruf muqatta’ah ini, ia amat menarik perhatian orang Arab. Ini kerana mereka tidak biasa dengan penggunaan bahasa Arab sebegini kerana kebiasaannya, kalau dieja huruf alif, lam dan ra’, tentulah dibaca oleh mereka sebagai ‘alar’. Namun tidak pula dalam kes Surah Yusuf ini (dan banyak surah-surah lain) dan ini pelik kerana huruf itu disebut satu persatu. Maka perkara ini membuatkan mereka tertanya-tanya. Ia telah menarik perhatian mereka untuk mendengar lebih lagi.

Oleh itu, ada mufassir yang mengatakan bahawa salah satu tujuan huruf-huruf muqatta’ah ini adalah untuk menarik perhatian manusia dan jin untuk mendengarnya. Oleh kerana kebanyakan ayat-ayat selepas huruf muqatta’ah adalah tentang Al-Qur’an, maka mereka berpendapat Allah ﷻ hendak menarik perhatian manusia kepada Al-Qur’an. Maka kita sebagai umat Islam ini sepatutnya tertarik untuk tahu apakah yang Allah ﷻ hendak sampaikan di dalam Al-Qur’an ini.

Selain itu, ada hikmah lain yang diutarakan. Tujuannya adalah untuk menzahirkan kehebatan Al-Qur’an iaitu sebagai cabaran dan sindiran kepada golongan Arab Mekah yang kononnya pandai bahasa itu. Allah ﷻ menyebut huruf yang ada di dalam bahasa Arab mereka itu seolah-olah menyindir mereka: ‘Inilah dia huruf daripada bahasa kamu juga. Kamu kata Muhammad yang reka Al-Qur’an ini, maka nah, sekarang pakailah juga huruf-huruf yang sama untuk membuat satu Al-Qur’an lagi kalau kamu hebat sangat!’

Walaupun saya lebih condong kepada pendapat yang mengatakan huruf Muqatta’ah ini ada maknanya (Allah ﷻ sahaja yang tahu) akan tetapi memang ada yang berpendapat ia memang tidak ada makna. Ini kerana dalam mana-mana bahasa pun, kalau hanya dengan huruf sahaja, tidak ada makna, maka begitu jugalah dengan bahasa Arab.

Ringkasnya, ada 4 pendapat tentang Huruf-huruf Muqatta’ah ini:

1. Ada makna dan maknanya alif untuk Allah ﷻ, lam untuk Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan mim untuk Muhammad ﷺ. Akan tetapi pendapat ini tiada dalil dan tidak boleh dipertanggungjawabkan. Maka jangan bersandar kepada sesuatu yang rapuh.

2. Ada makna tetapi hanya Allah ﷻ yang tahu. Ini pun tiada dalil.

3. Tidak ada makna (tetapi ada hikmah – iaitu untuk Allah ﷻ zahirkan kehebatan Al-Qur’an). Antara yang mengatakan tidak ada makna adalah Mujahid, tabein menggunakan tafsir Al-Qur’an.

4. Tawaqquf, tidak menyebelahi mana-mana pendapat tetapi serahkan sahaja kepada Allah ﷻ.

 

تِلكَ ءآيٰتُ الكِتٰبِ

Ini adalah ayat-ayat Kitab (Al Qur’an) 

Perkataan تِلْكَ (itulah) adalah kata penunjuk yang bermaksud sesuatu yang ditunjuk itu adalah jauh. Kenapakah begitu? Bukankah Al-Qur’an ini di tangan kita sahaja? Perkataan تِلْكَ dan ذٰلِكَ digunakan dalam Bahasa Arab untuk dua kegunaan: Pertama, untuk memberitahu kepada kita bahawa sesuatu yang ditunjuk itu jauh. Seandainya ini yang dimaksudkan, maka yang dirujuk adalah Al-Qur’an yang di Lauh Mahfuz. Ini seperti disebut di dalam Surah Al-Waqi’ah, ayat 77-78:

إِنَّهُ لَقُرْآنٌ كَرِيمٌ ۝ فِي كِتَابٍ مَّكْنُونٍ
“Sesungguhnya ia (yang Kami turunkan kepada kamu) adalah Al-Qur’an yang mulia, yang terdapat dalam Kitab yang terpelihara .”

Dalam ajaran Islam, terdapat keyakinan yang kuat bahawa Al-Qur’an adalah sebahagian daripada sebuah kitab induk yang lebih besar yang berada di sisi Allah ‎ﷻ. Kitab induk ini dikenali dengan beberapa nama dalam Al-Qur’an, di antaranya adalah Ummul Kitab (أم الكتاب) dan Lauh Mahfuzh (لوح محفوظ). Ummul Kitab atau Lauh Mahfuzh adalah induk atau sumber segala kitab suci yang diturunkan kepada para Nabi (Taurat, Injil, Zabur, dan suhuf-suhuf lainnya) serta semua ketetapan dan takdir alam semesta. Semua kitab itu telah ada di sisi Allah ‎ﷻ, cuma Allah ‎ﷻ turunkan sedikit demi sedikit. Ada yang diturunkan di dalam bahasa Ibrani atau bahasa lain, tetapi sekarang Allah ‎ﷻ menurunkan Al-Qur’an di dalam bahasa Arab pula.

Walaupun dahulu Allah ‎ﷻ telah pernah turunkan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini di dalam kitab-kitab wahyu sebelum Al-Qur’an tetapi sekarang Allah ‎ﷻ menceritakan kembali kisah itu di dalam Al-Qur’an. Allah ‎ﷻ bukan mengulang semula sebaliknya ia adalah penceritaan semula. Iaitu kisah yang sama tetapi ada maklumat tambahan yang dahulu tidak ada.

Keduanya, untuk memberitahu kepada kita bahawa perkara yang dimaksudkan itu adalah sesuatu yang tinggi dan mulia. Penggunaan kedua inilah yang digunakan dalam ayat ini. Ini seperti penggunaan ذٰلِكَ di dalam Baqarah:2 juga,

ذٰلِكَ الكِتٰبُ لا رَيبَ ۛ فيهِ ۛ هُدًى لِّلمُتَّقينَ
Itulah Kitab Al-Qur’an ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;

Dalam perkataan تِلْكَ ini pun Allah ﷻ sudah isyaratkan tentang kehebatan Al-Qur’an itu. Jangan kita pandang ringan sahaja Al-Qur’an yang di tangan kita kerana ia amat hebat. Belajarlah tafsir dan tadabbur, jangan degil.

Ayat-ayat Al-Qur’an dipanggil ‘ayat’ yang secara literal bermaksud: tanda (آية – āyah, jamak: آيات – āyāt) kerana beberapa alasan mendalam yang mencerminkan fungsi dan hakikatnya dalam Islam. Ini bukan sekadar nama, tetapi sebuah deskripsi tentang bagaimana ayat-ayat tersebut berfungsi sebagai bukti dan petunjuk. Kenapa ia dipanggil ‘tanda’?

1. Tanda Kebenaran Allah ‎ﷻ dan Kenabian Muhammad ﷺ

Setiap ayat dalam Al-Qur’an adalah tanda (bukti) yang nyata akan keesaan, kekuasaan, dan hikmah Allah ﷻ. Ia juga menjadi bukti kebenaran kenabian Nabi Muhammad ﷺ. Keindahan bahasa, kedalaman makna, dan kemukjizatan Al-Qur’an (yang tidak dapat ditandingi oleh manusia) adalah tanda-tanda yang jelas bahawa ia berasal daripada Tuhan, bukan ciptaan manusia.

2. Petunjuk dan Pedoman

Sebagai tanda diperlukan di dalam perjalanan di dunia yang tanpanya akan sesat dalam musafir, ayat-ayat Al-Qur’an berfungsi sebagai tanda jalan (guidance) bagi umat manusia. Mereka menunjukkan mana yang benar dan mana yang salah, mana yang halal dan mana yang haram, serta jalan menuju kebahagiaan di dunia dan akhirat. Mereka adalah penunjuk jalan yang menuntun manusia ke arah yang benar.

3. Pelajaran dan Peringatan

Banyak ayat Al-Qur’an yang menceritakan kisah-kisah umat terdahulu, peristiwa-peristiwa sejarah, atau fenomena alam. Kisah-kisah ini adalah tanda-tanda atau pelajaran bagi kita untuk merenung, mengambil iktibar, dan menghindari kesalahan yang sama. Mereka berfungsi sebagai peringatan tentang akibat dari ketaatan dan pembangkangan. Antaranya kita akan belajar pengajaran daripada kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini.

4. Mukjizat yang Berlanjutan

Al-Qur’an itu sendiri adalah mukjizat yang terus-menerus dan abadi. Setiap ayatnya, baik dari segi bahasa, ilmu pengetahuan yang terkandung di dalamnya (yang baru terbukti berabad-abad kemudian), mahupun pengaruhnya terhadap jiwa dan masyarakat, adalah tanda kemukjizatan yang tidak ada habisnya. Mukjizat adalah tanda kenabian bagi seseorang Nabi. Bagi Nabi Muhammad ﷺ, mukjizat terhebat baginda adalah Al-Qur’an. Ini berbeza dengan mukjizat nabi-nabi sebelumnya yang bersifat fizikal dan terjadi pada waktu tertentu (misalnya tongkat Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, unta Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ). Semua itu telah hilang dan tidak dapat dilihat lagi namun Al-Qur’an ini sentiasa ada bersama dengan kita. Kalau ditanya apakah mukjizat Nabi kita, kita boleh pergi ke rak buku dan tunjuk terus. Atau boleh tunjuk sahaja Al-Qur’an yang ada di dalam handphone kita.

5. Pembahagi dan Pemisah

Secara harfiah, آية (āyah) juga boleh bererti “tanda yang memisahkan” atau “batasan”. Dalam konteks ini, setiap ayat berfungsi sebagai tanda yang memisahkan satu kalimat atau gagasan daripada yang lain dalam struktur Al-Qur’an. Ini membantu dalam pembacaan dan pemahaman. Kalau panjang berjela, pening juga kita.

6. Merujuk pada Keajaiban Alam Semesta

Perlu diingatkan bahawa dalam Al-Qur’an, kata آية (āyah) juga sering digunakan untuk merujuk pada tanda-tanda kekuasaan Allah ‎ﷻ di alam semesta (ayat-ayat kauniyyah), seperti pergantian siang dan malam, penciptaan langit dan bumi, hujan, dan kehidupan. Ini menunjukkan bahawa baik wahyu tertulis (Al-Qur’an) mahupun ciptaan Allah ‎ﷻ di alam semesta, sama-sama adalah tanda-tanda yang mengarahkan manusia kepada Kebesaran Pencipta.

Kemudian Allah ‎ﷻ menggunakan istilah الكِتٰبِ yang dari segi bahasa bermaksud sesuatu yang tertulis yang kita boleh pegang. Satu pendapat mengatakan ia merujuk kepada Lauh Mahfuz yang tertulis di sisi Allah ‎ﷻ dan kita telah sebutkan tentang Lauh Mahfuz di atas.

Atau, ia boleh juga merujuk kepada kitab/buku di dunia ini. Seperti yang kita tahu, Al-Qur’an diturunkan bukan dalam bentuk tulisan tetapi dalam bentuk suara kepada Nabi Muhammad ﷺ. Baginda pun sampaikan kepada umat baginda ketika itu adalah secara oral sahaja. Pada ketika itu, bangsa Arab tidak memiliki kitab dan bidang penulisan bukanlah banyak, buku pun tidak ada ketika itu. Yang pandai membaca dan menulis pun sangatlah kurang. Namun begitu, Allah ‎ﷻ sudah menggunakan istilah ‘kitab’. Mungkin ini adalah pemberitahuan daripada Allah ‎ﷻ bahawa walaupun di waktu itu Al-Qur’an belum lagi di dalam bentuk buku/kitab tetapi di masa hadapan ia akan dijadikan dalam bentuk mushaf yang sekarang ia berada di dalam setiap rumah Muslim.

 

المُبينِ

yang jelas dan menjelaskan

Apabila digunakan kalimah المُبينِ, bermakna dalam surah ini akan ada dalil naqli sahaja; iaitu kisah-kisah yang disampaikan oleh Allah ‎ﷻ kepada kita. Kisah yang ada dalam surah ini diambil daripada wahyu dan bukan rekaan daripada Rasulullah ﷺ.

Sebelum ini kita telah temui pembukaan Surah Yunus:

الر ۚ تِلكَ ءآيٰتُ الكِتٰبِ الحَكيمِ
Alif, Laam Raa’ ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Qur’an) yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap teguh.

Sekarang ayat yang digunakan hampir sama tetapi di dalam Surah Yunus digunakan kalimah الحَكيمِ dan sekarang disebut المُبينِ pula. Permulaan yang digunakan di dalam dua-dua pembukaan ini memberi isyarat kepada kandungan surah ini. Dengan kalimah الحَكيمِ (Bijaksana) di Surah Yunus, bertemulah kita dalam surah itu beberapa tuntunan Hikmat daripada Allah ‎ﷻ untuk Nabi Muhammad ﷺ dan umatnya di dalam melancarkan kehendak Ilahi menegakkan agama. Terutama sekali Hikmat Tauhid dan Hikmat Hidup, baik dengan merenung alam ataupun merenung diri. Maka kali ini di dalam Surah Yusuf ini, digunakan kalimah المُبينِ (yang nyata dan yang jelas), sebab di antara kisah Nabi-nabi dan Rasul-rasul dalam Al-Quran, kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ inilah yang lebih dinyatakan dan dijelaskan.

Sifat yang pertama bagi المُبينِ adalah ia adalah jelas. Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa Al-Qur’an ini adalah jelas nyata. Namun ia hanyalah jelas nyata kepada mereka yang mahu belajar sahaja. Yang tidak faham-faham adalah mereka yang tidak mahu langsung belajar tafsir dan tadabbur. Sebenarnya senang sahaja untuk belajar tafsir Al-Qur’an, tidak sesusah belajar subjek Biologi SPM.

Apakah yang jelas bagi kita? Kalau kita telah belajar tafsir Al-Qur’an, maka kita akan yakin bahawa Al-Qur’an ini jelas daripada Allah ‎ﷻ dan bukannya rekaan Rasulullah ﷺ atau selainnya. Takkan Al-Qur’an yang sebegini punya hebat datang daripada manusia dan Allah ﷻ telah banyak memberi peluang kepada para penentang Al-Qur’an untuk mencipta tulisan yang sama seperti Al-Qur’an tetapi ia tidak pernah berjaya dilakukan oleh manusia.

Satu lagi yang jelas adalah apa yang Allah ﷻ mahu daripada kita. Allah ﷻ mahu kita berubah daripada buruk kepada baik, dari jalan menuju neraka kepada jalan menuju syurga. Al-Qur’an bukan bahan bacaan hiburan sebaliknya ia mendidik kita dan memberi panduan kepada kita. Kalau kita tidak belajar tafsir Al-Qur’an, kita pasti tidak akan tahu apa yang Allah ﷻ mahukan daripada kita.

Bukan sahaja ayat-ayat Al-Qur’an itu jelas, ia juga menjelaskan. Untuk menjelaskan, ia mestilah dahulu jelas, bukan? Kita telah terangkan yang Al-Qur’an menggunakan bahasa yang jelas. Al-Qur’an menjelaskan kebenaran dengan bahasa yang boleh difahami. Ia menggunakan bahasa yang tepat dan tidaklah berpusing-pusing sampai manusia tidak faham. Namun begitu, untuk faham itulah kita kata kenalah belajar.

Akan tetapi mungkin ada yang berkata, kalau Al-Qur’an ini sudah jelas, kenapa ramai tidak mengikutinya? Kenapa ramai buat tidak endah kepadanya? Maka jawapannya adalah kita yang sudah faham inilah yang kena jelaskan kepada umat manusia. Kalau kita tahu sesuatu yang baik, tentu kita akan berkongsi dengan orang lain, bukan? Kita manusia memang sifatnya suka berkongsi. Jadi kongsikan Al-Qur’an kepada mereka. Daripada kongsi video karenah kucing di internet, kisah politik yang tidak berkesudahan dan sukan sahaja, lebih baiklah kita kongsi tentang ayat-ayat Al-Qur’an.

Ringkasan

 

Kuiz (Sepuluh Soalan Jawapan Pendek)

Arahan: Jawab setiap soalan dalam 2-3 ayat ringkas.

  1. Apakah tujuan utama Perenggan Makro Pertama Surah Yusuf (Ayat 1 & 2) seperti yang dinyatakan dalam tafsir?
  2. Sebutkan dua ciri persamaan antara surah-surah yang dimulai dengan huruf muqatta’ah الر, selain Surah Yusuf.
  3. Bagaimanakah penggunaan huruf muqatta’ah الر dipercayai dapat menarik perhatian Bangsa Arab pada zaman Nabi Muhammad ﷺ?
  4. Apakah dua kegunaan perkataan تِلْكَ (itulah) dalam Bahasa Arab, dan kegunaan manakah yang ditekankan dalam Surah Yusuf Ayat 1?
  5. Terangkan mengapa ayat-ayat Al-Qur’an dipanggil ‘ayat’, yang secara literal bermaksud ‘tanda’. Berikan satu alasan.
  6. Selain merujuk kepada Lauh Mahfuz, apakah satu lagi kemungkinan makna perkataan ‘Kitab’ (الكِتٰبِ) dalam konteks Surah Yusuf Ayat 1?
  7. Apakah maksud Al-Qur’an itu ‘jelas’ (المُبينِ) bagi orang yang mempelajarinya?
  8. Bagaimanakah kalimah المُبينِ dalam Surah Yusuf ini berbeza dengan kalimah الحَكيمِ dalam Surah Yunus dari segi isyarat kandungan surah?
  9. Mengapa penting bagi umat Islam yang telah memahami Al-Qur’an untuk berkongsi pengetahuannya dengan orang lain?
  10. Sebutkan satu pengajaran penting yang boleh diambil daripada hakikat kita tidak mengetahui makna huruf muqatta’ah.

 

Glosari Istilah Penting

  • Perenggan Makro Pertama: Struktur pembahagian surah secara umum; dalam Surah Yusuf, Ayat 1 & 2 adalah perenggan pertama yang membincangkan tujuan penurunan Al-Qur’an.
  • Huruf Muqatta’ah: Huruf-huruf tunggal atau kombinasi huruf yang muncul di awal beberapa surah Al-Qur’an (contoh: الر, حم). Maknanya secara spesifik tidak diketahui oleh manusia.
  • Ayat Mutashabihaat: Ayat-ayat dalam Al-Qur’an yang maknanya samar atau tidak jelas, berbeza dengan ayat Muhkam yang maknanya jelas. Huruf muqatta’ah termasuk dalam kategori ini.
  • Ibrah: Pelajaran atau teladan yang diambil daripada kisah-kisah atau peristiwa dalam Al-Qur’an.
  • Tauhid: Konsep keesaan Allah ﷻ, kepercayaan bahawa hanya ada satu Tuhan yang patut disembah.
  • Ayat-ayat Kauniyyah: Tanda-tanda kebesaran Allah ﷻ yang terdapat di alam semesta, seperti penciptaan langit dan bumi, pergantian siang dan malam, dan fenomena alam lainnya.
  • Tawaqquf: Sikap menahan diri daripada membuat keputusan atau pendapat tentang sesuatu perkara, khususnya dalam ilmu agama, dan menyerahkan pengetahuan sepenuhnya kepada Allah ﷻ.
  • Lauh Mahfuzh (لوح محفوظ): Sebuah “kitab” atau “lembaran” yang terpelihara di sisi Allah ﷻ, tempat segala takdir, kejadian, dan wahyu dicatat sebelum diwahyukan kepada para Nabi. Juga dikenali sebagai Ummul Kitab (أم الكتاب).
  • Ummul Kitab (أم الكتاب): “Ibu Kitab”; istilah lain untuk Lauh Mahfuzh, menunjukkan ia adalah sumber segala kitab suci dan semua ketetapan Allah ﷻ.
  • Ayat (آية): Secara literal bermaksud “tanda”. Dalam konteks Al-Qur’an, ia merujuk kepada satu unit kalimat atau kumpulan kalimat dalam surah, yang juga berfungsi sebagai bukti, petunjuk, pelajaran, dan mukjizat.
  • Mukjizat: Sesuatu yang luar biasa yang dilakukan oleh Nabi dengan izin Allah ﷻ sebagai bukti kebenaran kenabiannya, yang tidak dapat ditiru oleh manusia biasa. Al-Qur’an adalah mukjizat abadi Nabi Muhammad ﷺ.
  • Kitab (الكِتٰبِ): Secara bahasa bermaksud sesuatu yang tertulis atau buku. Dalam konteks Al-Qur’an, ia boleh merujuk kepada Lauh Mahfuz atau Al-Qur’an dalam bentuk mushaf yang kita pegang.
  • Mushaf: Bentuk fizikal Al-Qur’an yang ditulis dan dihimpunkan dalam bentuk buku.
  • Dalil Naqli: Bukti atau hujah yang bersumber dari nash (teks) Al-Qur’an atau Hadith Nabi ﷺ, yang berkaitan dengan wahyu atau transmisi lisan.
  • Tafsir: Ilmu untuk memahami dan menjelaskan makna ayat-ayat Al-Qur’an.
  • Tadabbur: Merenung, memikirkan, dan memahami makna ayat-ayat Al-Qur’an secara mendalam untuk mengambil pelajaran dan mengamalkannya.
  • الحَكيمِ (Al-Hakim): Kata sifat yang bermaksud “Bijaksana”, digunakan untuk menggambarkan Al-Qur’an dalam Surah Yunus, mengisyaratkan kandungan hikmahnya.
  • المُبينِ (Al-Mubeen): Kata sifat yang bermaksud “yang jelas dan menjelaskan”, digunakan untuk menggambarkan Al-Qur’an dalam Surah Yusuf, mengisyaratkan kandungannya yang terperinci dan mudah difahami.

 

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 Ogos 2025

Ringkasan Surah Yusuf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah al-Ikhlas Ayat 2 – 4 (Allah tiada bandingan)

Ikhlas Ayat 2: Sekarang Allah ‎ﷻ beritahu satu lagi sifat-Nya:

اللَّهُ الصَّمَدُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh, the Eternal Refuge.¹

  • i.e., the one sought in times of difficulty and need, the one depended upon by all existence.

(MALAY)

Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu.

Kalimah الصَّمَدُ bermaksud:

    1. Sesuatu yang mencukupi kepada mereka yang merujuk kepada-Nya. Ini kerana Dialah yang memakbulkan segala permintaan dan harapan dan menjawab segala persoalan. Waktu kita memerlukan apa-apa, Dialah yang akan memberikannya. Maksudnya, cukuplah Allah‎ ﷻ sebagai tempat pengharapan kita.
    2. Maksud kedua, Allah ‎ﷻ jua tumpuan dan tujuan kita. Ini adalah kerana kalimah صمد juga bermaksud tempat tujuan. Inilah antara sebab kenapa surah ini dinamakan surah al-Ikhlas, kerana Allah ‎ﷻ jua tempat tujuan kita, bukan yang lain daripada-Nya. Kita melakukan apa-apa juga, kerana Allah ‎ﷻ jua.
    3. Kalimah الصَّمَدُ juga bermaksud Allah ‎ﷻ tidak memerlukan apa-apa dan sesiapa, kerana Dia berada di atas sekali. Tidak ada yang melebihi-Nya daripada segi kedudukan dan sifat.
    4. Ia juga bermaksud, tidak ada kecacatan dan kekurangan langsung.
    5. Tidak boleh dikalahkan. Allah ‎ﷻ boleh melaksanakan apa sahaja yang Dia kehendaki dan tidak ada sesiapa yang dapat menghalang-Nya.
    6. Yang paling hebat dan utama, kekal sampai bila-bila. Menjadi tempat pengharapan semua kerana kehebatan-Nya. Allah ‎ﷻ Maha Kekal kerana kalau tidak kekal, tidaklah boleh berharap kepada-Nya. Kerana itu kita tidak boleh berharap kepada mana-mana makhluk, kerana dia akan mati. Kalau dia mati, siapa yang akan bantu kita? Sedangkan Allah ‎ﷻ sentiasa sahaja ada untuk memberi keperluan kita.
    7. Dari segi sifat, الصَّمَدُ bermaksud sesuatu yang padat, tidak ada lubang dan ruang di dalamnya. Allah ‎ﷻ memenuhi nama yang dipilih-Nya. Sebagai contoh, kalau manusia nama Rahman (pemurah), sebenarnya dia tidak Rahman penuh pun. Berbeza dengan Allah‎ ﷻ, kerana Dia memenuhi dan memadatkan nama itu. Nama Allah ‎ﷻ juga adalah sifat-Nya.

Ayat ini menambah maklumat tentang Allah ‎ﷻ yang telah disebut dalam ayat 1 sebelum ini. Allah‎ ﷻ memberitahu lagi tentang sifat-Nya kerana Musyrikin Mekah tidak kenal dengan Allah‎ ﷻ. Mereka ada salah faham tentang sifat-sifat Allah ‎ﷻ.

Mereka memang menerima kedudukan Allah ‎ﷻ sebagai Pencipta, tetapi mereka tidak menerima-Nya sebagai أَحَدٌ dan juga sebagai الصَّمَدُ. Mereka tidak meletakkan ال pada الصَّمَدُ sebagai pernyataan bahawa Dialah tempat pengharapan yang utama. Kerana itu mereka minta juga kepada selain Allah‎ ﷻ.

Pemahaman الصَّمَدُ ini penting kerana apabila kita faham, kita lebih kenal Allah ‎ﷻ sebagai tempat pengharapan – semua makhluk memerlukan-Nya, namun sebaliknya Dia sendiri tidak memerlukan makhluk. Dalam Surah al-Masad sebelum ini telah disebut sifat Musyrikin Mekah seperti Abu Lahab yang rasa mereka kaya dan tidak memerlukan sesiapa; maka dalam ayat ini Allah ‎ﷻ hendak menegaskan bahawa hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tidak memerlukan sesiapa.

Oleh kerana itu, hendaklah kita memohon kepada Allah ‎ﷻ sahaja kerana Dialah الصَّمَدُ. Tidak perlu kita meminta kepada selain Allah‎ ﷻ. Kerana selain Allah ‎ﷻ tidak ada sifat ini. Malangnya, ramai orang Islam yang meminta kepada selain Allah‎ ﷻ.

Yang paling teruk adalah puak Syiah yang meminta terus kepada Hussein, Saidina Ali dan sebagainya. Itu adalah fahaman syirik dan perlu dijelaskan kepada masyarakat kita. Ramai yang masuk Syiah kerana jahil agama. Apabila jahil tidak belajar, maka senanglah ditipu oleh syaitan dan pengikut Syiah.


Ikhlas Ayat 3: Ayat 3 – 4 adalah Perenggan Makro Kedua surah ini. Kalau ayat 1 – 2 mengandungi sifat positif Allah (yang ada pada Allah), sekarang disebut 2 sifat negatif pula (yang tidak ada pada Allah‎ ﷻ).

لَم يَلِد وَلَم يولَد

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He neither begets nor is born,

(MALAY)

Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan,

Kalimah لَم bukan sahaja bermaksud ‘tidak’, tetapi ianya adalah penolakan untuk yang telah lepas (beza dengan لا). Jadi ia bermaksud ‘tidak pernah’. Ia mengubah kalimah selepasnya menjadi past tense – oleh itu, kalimat لَم يَلِد bermaksud ‘tidak pernah beranak’, dan bukannya ‘tidak beranak’. Ini kerana Allah ‎ﷻ tidak menggunakan kalimah لا يَلِد. Kenapa Allah ‎ﷻ gunakan لَم untuk masa lepas pula?

Ini kerana kalau Allah ‎ﷻ guna لا sahaja, ia bermaksud ‘sekarang’ Allah ‎ﷻ tidak beranak. Ini juga tidak lengkap kerana mungkin kalau sekarang Dia tidak melahirkan, entah ada kemungkinan yang Dia pernah melahirkan – dan ini adalah salah. Maka Allah ‎ﷻ beritahu yang dari dulu lagi Dia tidak beranak untuk tutup segala lubang kemungkinan fahaman yang salah.

Dalam ayat pertama Allah ‎ﷻ sudah mengatakan yang Dia adalah أَحَدٌ – dan kita telah jelaskan yang ia bermaksud Allah ‎ﷻ tidak sama dengan makhluk. Makhluk memang ada melahirkan anak dan keturunan, tetapi Allah ‎ﷻ berlainan dengan makhluk.

Jadi, kalimah لَم menidakkan yang dahulu Allah ‎ﷻ pernah ada melahirkan. Ini menolak fahaman Musyrikin Mekah yang mengatakan para malaikat adalah anak-anak perempuan Allah ‎ﷻ ; menolak juga fahaman golongan Yahudi yang mengatakan Uzair adalah anak Allah‎ ﷻ ; juga menidakkan fahaman Kristian yang mengatakan Nabi Isa عليه السلام adalah anak Allah ‎ﷻ.

Ayat ini turun selepas fahaman-fahaman itu telah ada. Maka, Allah ‎ﷻ tolak apa yang mereka katakan itu dengan menidakkan yang dahulu Allah ‎ﷻ ada anak. Mereka itu semuanya sesat kerana ada fahaman salah tentang Allah ‎ﷻ .

Tetapi, tidakkah dengan menidakkan perkara yang telah berlaku itu tidak lengkap? Kerana kalau dulu tidak beranak, entah sekarang ada beranak? Sebenarnya ini adalah satu perkara yang hebat juga – kerana agama yang kata Allah ‎ﷻ ada anak adalah agama-agama yang terdahulu. Agama baru tidak ada yang kata begitu – sebab itu tepat sekali apabila Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah لَم dan bukan لا.

Maka, kita boleh lihat semua agama yang mengatakan Allah ‎ﷻ ada anak itu adalah agama-agama yang datang sebelum Al-Qur’an turun. Jadi, tidak perlu untuk menolak perkara yang berlaku di masa hadapan kerana apabila Allah ‎ﷻ telah tolak yang Dia tidak pernah beranak dahulu, samalah juga dengan masa hadapan. Jawapan telah diberikan dari dahulu lagi. Bila ia tidak pernah berlaku, maka ia tidak akan berlaku di masa hadapan. Kalau dahulu tidak ada anak, kenapa sekarang pula hendak ada anak, bukan?

Tidak mungkin Allah ‎ﷻ ada anak kerana itu bermakna ada yang setara dengan Allah ‎ﷻ dan ini tidak mungkin. Kalau seekor kucing melahirkan anak, anaknya itu juga adalah kucing, bukan? (dan setara dengannya). Maka, kalau Allah ‎ﷻ melahirkan anak, tentulah anak itu ada sifat-sifat Dia juga, dan ini tidak mungkin sama sekali.

Lagi satu, untuk ada anak, kenalah ada pasangan dan ini tidak mungkin! Allah ‎ﷻ berfirman dalam An’am:101

أَنّىٰ يَكونُ لَهُ وَلَدٌ وَلَم تَكُن لَهُ صاحِبَةٌ

Bagaimana Dia mempunyai anak padahal Dia tidak mempunyai isteri.

Kalau Dia hendak beranak, tentu ada pasangan bukan? Seperti manusia yang beranak, setelah ada perhubungan dengan manusia juga. Tetapi, Allah ‎ﷻ tidak ada pasangan, tidak ada yang setara dengannya, maka hal ini tidak mungkin terjadi sama sekali.

Kenapa penting sekali kita menolak fahaman yang Allah ‎ﷻ ada anak ini? Apa masalahnya kalau Dia ada anak? Ianya penting kerana fahaman sesat inilah yang menyebabkan manusia melakukan syirik. Fahaman sesat inilah yang menjadikan manusia mengubah agama Allah ‎ﷻ (Yahudi dan Kristian asalnya adalah agama Allah ‎ﷻ juga). Fahaman sesat inilah yang menjadikan manusia kufur.

Kita buat perumpamaan supaya senang faham: bayangkan kalau kita bekerja di satu syarikat. Syarikat itu ada tuannya dan sepupu dia yang rapat dengannya juga ada bekerja dalam syarikat itu. Kita tahu yang tuan syarikat itu dengar cakap sepupunya (atau sayang sepupunya), maka apa yang ramai orang akan lakukan?

Tentu mereka akan cuba berkawan rapat dengan sepupu tuan syarikat itu, bukan? Mereka akan layan dia dengan baik supaya dia boleh tolong kalau ada masalah. Maka, macam-macam orang akan buat untuk sepupu itu – puji, belanja makan, tolong itu dan ini dan sebagainya. Sedangkan dengan tuan punya syarikat itu sendiri tidak lakukan apa-apa.

Begitulah yang terjadi dalam agama yang sesat. Mereka akan puja dan beribadat kepada yang dikatakan ‘anak Tuhan’ itu – seperti Nabi Isa عليه السلام, Uzair, para malaikat. Dengan Allah ‎ﷻ sendiri mereka sudah tidak buat apa. Tanyalah kepada orang Kristian sekarang, ada mereka berdoa dan sembah God the Father?

Tentu tidak, sebaliknya yang mereka sembah dan puja, minta doa dan minta ampun hanya kepada Jesus sahaja, bukan? Begitulah mereka telah disesatkan dengan fahaman sesat ini. Kerana itulah kena tolak sungguh-sungguh fahaman yang mengatakan Allah ‎ﷻ ada anak ini. Kerana itu adalah fahaman syirik.

Ini adalah kerana manusia mengharapkan ada ‘orang tengah’ antara mereka dan Allah‎ ﷻ. Mereka mengharap orang tengah itu yang akan menjadi peguam dan penyelamat mereka di akhirat kelak. Ini adalah salah faham tentang syafa’at yang banyak terjadi dalam masyarakat kita.

Maksudnya, salah faham agama sesat ini juga ada dalam kalangan umat Islam. Terkejut? Memang kita tidak kata Allah ‎ﷻ ada anak, tetapi ramai daripada kalangan orang kita yang ada salah faham tentang syafa’at hinggakan mereka sangka yang mereka boleh pula meminta syafa’at kepada Nabi ﷺ, wali dan malaikat. Kerana itulah Puak Habib itu memuja-muja Nabi Muhammad ﷺ dan meminta terus syafa’at daripada baginda.

Ini kerana salah faham tentang konsep syafa’at. Orang kita yang jahil pula, terpesona dengan nyanyian merdu dan perawakan mereka seolah-olah islamik, terkinja-kinja menari sambil memuja Nabi ﷺ . Membuang duit dan membuang masa. Itulah masalahnya kalau capal yang sepatutnya diletakkan di kaki, namun diletakkan di kepala. Maka, mereka telah meletakkan kedudukan terlalu tinggi kepada Nabi Muhammad ﷺ sampaikan mereka berdoa terus kepada baginda.

Kalau kita tidak tegur perkara ini, maka lama kelamaan agama Islam ini jadi seperti agama Kristian dan Yahudi (dan Syiah) yang berdoa terus kepada perantara. Tetapi memang dari dahulu sampai sekarang, orang yang menegur amalan dan fahaman salah inilah yang dikutuk dan ditohmah.

Maka, janganlah ada fahaman yang Allah ‎ﷻ memerlukan perantara sebegitu. Allah ‎ﷻ telah sebut yang Dia adalah الصَّمَدُ – satu-satunya tempat pengharapan. Janganlah berharap kepada selain dari-Nya. Dia tidak perlukan ‘anak’, ‘orang tengah’, ‘wasilah’ dan apa sahaja pemberi syafa’at selain dari-Nya, kerana Dialah pemberi syafa’at yang sebenar.

Allah ‎ﷻ juga memberitahu kita yang Dia وَلَم يولَد (tidak diperanakkan). Tidak ada yang melahirkan Allah‎ ﷻ. Allah ‎ﷻ tidak sama dengan makhluk. Makhluk memang dijadikan dari tidak ada kepada ada. Tetapi, Allah ‎ﷻ tidak ada bapa dan tidak ada asal.

Kalau Allah ‎ﷻ dilahirkan, ini bermaksud Allah ‎ﷻ ada ‘permulaan’. Jadi, yang ada ‘permulaan’, tentu ada ‘akhirnya’ dan ini bukan sifat Allah‎ ﷻ. Kerana Allah ‎ﷻ kekal sampai bila-bila. Kalau tidak kekal, bukan Tuhan maknanya.


Ikhlas Ayat 4: Ayat terakhir surah ini. Kalau kita lihat, setiap ayat adalah tafsir kepada ‘أَحَدٌ’. Iaitu menidakkan fahaman yang Allah ‎ﷻ sama dengan makhluk. Maka, sekarang dijelaskan lagi fahaman ini.

وَلَم يَكُن لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Nor is there to Him any equivalent.”

(MALAY)

dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia”.

Kalimah كُفُوًا adalah pasangan setanding, boleh juga jadi lawan yang sama kuat dalam peperangan. Iaitu seorang yang sama darjat dalam kedudukan, sama taraf. Kerana itu juga ia digunakan dalam istilah perkahwinan (perkahwinan sekufu adalah perkahwinan di mana suami dan isteri itu adalah sama taraf).

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ memberitahu kita semua yang Dia tidak ada kufu – tidak ada yang setanding atau sama taraf dengan-Nya.

Maksudnya ialah tiada sesiapa yang serupa dan setanding dengan-Nya, sama ada dari segi hakikat kewujudan, atau dari segi hakikat kuasa penciptaan, atau dari segi mana-mana sifat daripada sifat-sifat zatiyahNya. Pengertian ayat ini juga tercapai dengan sifat-Nya Yang Maha Esa, tetapi ia disebut dengan tujuan menguat dan mentafsirkannya dengan terperinci, iaitu menolak kepercayaan wujud dua tuhan yang mendakwa bahawa Allah ‎ﷻ sebagai tuhan kebaikan dan di sana ada lagi satu tuhan yang lain iaitu tuhan kejahatan yang menentang Allah ‎ﷻ dan menentang kebaikan-kebaikannya dan menebarkan kerosakan di muka bumi. Akidah dua tuhan yang paling masyhur ialah aqidah yang dianuti orang-orang Parsi yang percayakan ada tuhan nur dan ada tuhan gelap. Kepercayaan ini terkenal di selatan Semenanjung Tanah Arab di mana pernah terdirinya kerajaan dan kekuasaan Parsi.

Susunan ayat ini tidak menepati susunan normal bahasa Arab. Susunan yang normal begini: وَلَم يَكُن أَحَدٌ كُفُوًا لَهُ (dan tidak ada yang setanding untuk-Nya). Tetapi, tidak begini yang Allah ‎ﷻ susun dalam Al-Qur’an – Allah ‎ﷻ letak kalimah أَحَدٌ di hujung, kalimah لَهُ diawalkan dan kalimah كُفُوًا di tengah. Susunan yang normal akan meletakkan DiriNya (لَهُ) di hujung, tetapi Allah ‎ﷻ ubah dan letakkan kata ganti nama-Nya di awal.

Kaedah ini dinamakan taqdim – meletakkan sesuatu di awal (lain dari yang sepatutnya) dan ia mengandungi elemen balaghah yang tinggi. Ini adalah untuk menunjukkan eksklusif. Maksudnya, memang tidak ada langsung yang sama dengan-Nya – tidak ada langsung dahulu, sekarang dan akan datang.

Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tidak ada kufu dan selain daripada Allah ‎ﷻ ada sahaja kufu mereka. Contohnya, kalau raja, ada raja lain; kalau orang kaya, ada orang lain yang sama kaya dengan dia; dan kalau planet, ada lagi planet lain.

Khulasah surah ini: 

    1. Bahagian awal surah ini menceritakan tentang keunikan Allah ‎ﷻ.
    2. Bahagian kedua surah ini menceritakan tentang Rahmah Allah ‎ﷻ – kerana Dia jua tempat kita bergantung dan berharap.
    3. Bahagian ketiga surah ini menekankan yang Allah‎ ﷻ tidak ada kelemahan langsung. Kerana keperluan kepada anak adalah satu kelemahan. Manusia memerlukan anak untuk menjaganya di hari tuanya. Tetapi Allah ‎ﷻ tidak memerlukan semua itu kerana Dia kekal berkuasa. Kalau manusia tidak ada anak, dia dikira lemah; tetapi bagi Tuhan, ketiadaan anak itu adalah tanda kekuatan-Nya.

Penutup:

Surah ini adalah surah yang amat penting. Setiap orang hendaklah faham surah ini. Hendaklah mengajar maksud surah ini kepada anak-anak kita. Bukan setakat mereka membaca dan menghafal sahaja. Mereka hendaklah kenal Allah ‎ﷻ melalui surah ini.

Dengan surah ini juga kita tahu bahawa Allah ‎ﷻ akan sentiasa membantu kita kerana tidak ada sesiapa jua yang setara dengan-Nya untuk menghalang pertolongan-Nya. Kerana kalau ada yang sama kuat dengan Allah‎ ﷻ, tentu boleh dihalang pertolongan Allah ‎ﷻ itu. Tetapi tidak begitu – kalau seluruh dunia hendak halang kita, hendak bunuh kita tetapi kalau Allah ‎ﷻ tidak benarkan, ia tidak akan terjadi.

Oleh itu, kita hendaklah yakin dan serahkan diri kita kepada Allah ‎ﷻ sepenuhnya. Sebab itulah salah satu lagi nama surah ini adalah Surah an-Najaat – Surah Penyelamat – kerana ia menyelamatkan kita daripada kesedihan, kesusahan dari neraka.

Dan kerana para sahabat faham surah inilah yang menyebabkan mereka mencintainya dan suka membacanya. Oleh itu kalau kita ada masalah, kita rujuk dan serah diri kita kepada Allah ‎ﷻ. Jadi, malang kalau kita berharap dan minta tolong kepada selain Allah‎ ﷻ, kerana entah dapat ditolong atau tidak. Kerana mereka tidak dapat tolong juga kalau tidak ada pertolongan daripada Allah ‎ﷻ.

Semoga kita dapat menerapkan pemahaman surah ini di dalam diri kita. Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Falaq.

Kemaskini: 21 Ogos 2023

Ringkasan Surah al-Ikhlas


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Maulana Hadi

Fi Zilaalil Qur’an

Tafsir Surah Yusuf (Pengenalan)

Pengenalan:

Para sahabat telah meminta kisah yang indah daripada Rasulullah ﷺ maka Allah ‎ﷻ turunkan Surah Yusuf ini. Semua orang rasanya sudah tahu kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini serba sedikit akan tetapi marilah kita belajar apa yang Allah ﷻ sendiri hendak kita tahu melalui kisah baginda. Penting kita belajar kisah baginda daripada Al-Qur’an kerana banyak berlegar di dalam masyarakat Muslim sekarang kisah-kisah yang diambil daripada sumber Israiliyyat yang kita kena murnikan. Surah ini adalah surah yang sangat menarik untuk diajar kepada manusia; oleh itu sangat elok kalau mengajar tafsir, mulakan dengan surah ini supaya dapat menarik perhatikan orang awam yang umumnya suka kepada kisah-kisah. Barulah mereka tahu betapa menariknya belajar tafsir Al-Qur’an.

Surah Yusuf ini sebenarnya adalah lipatan sejarah dan kita banyak boleh belajar melalui sejarah. Akan tetapi cara penceritaan Allah ﷻ membuatkan apabila kita membacanya, ia tidaklah seperti membaca buku sejarah yang membosankan. Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini tidaklah terlalu pendek sampai kita tidak faham langsung kisahnya dan tidaklah terlalu panjang sampai membosankan. Ia pula disampaikan oleh Allah ‎ﷻ dalam bentuk kisah dan manusia memang suka membaca kisah. Malah yang lebih penting, ia bukan hanya menceritakan sejarah dalam bentuk kisah akan tetapi mengandungi banyak pengajaran yang kita boleh ambil dan amalkan.

Yang menariknya, surah ini dari awal hingga akhirnya adalah kisah tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja. Tidak disebut kisah baginda di surah-surah yang lain dan kalau ada pun hanya disebut nama baginda di dalam Surah An’am dan Ghafir. Ini berlainan dengan surah-surah lain kerana dalam surah lain, ada bercampur-campur banyak kisah. Sebagai contoh, kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ banyak dalam Al-Qur’an tetapi tidaklah diperuntukkan keseluruhan sebuah surah khas untuk kisahnya semata. Namun Surah Yusuf ini tidak putus dari awal hingga akhir adalah kisah tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ semata-mata secara keseluruhannya. Ini adalah sesuatu yang hebat.

Apakah kaitan Nabi Yusuf ‎عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan Nabi Muhammad ﷺ? Mereka berkongsi moyang iaitu Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang kisahnya kedua paling banyak disebut di dalam Al-Qur’an. Ramai keturunan baginda yang menjadi pemimpin dan imam kepada manusia. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sewaktu memperkenalkan diri baginda kepada dua orang banduan mengatakan baginda ikut agama Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti disebut di dalam ayat 38 nanti,

وَاتَّبَعْتُ مِلَّةَ آبَائِي إِبْرَاهِيمَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ ۚ مَا كَانَ لَنَا أَن نُّشْرِكَ بِاللَّهِ مِن شَيْءٍ ۚ ذَٰلِكَ مِن فَضْلِ اللَّهِ عَلَيْنَا وَعَلَى النَّاسِ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَشْكُرُونَ
“Dan aku mengikuti agama (millah) bapa-bapaku, iaitu Ibrahim, Ishaq, dan Ya’qub. Tiadalah patut bagi kami (para nabi) mempersekutukan sesuatu pun dengan Allah. Yang demikian itu adalah sebahagian daripada kurnia Allah kepada kami dan kepada manusia (seluruhnya), tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.”

Nabi Muhammad ﷺ pun mengikut juga millah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti disebut di dalam Nahl:123

ثُمَّ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ أَنِ اتَّبِعْ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا ۖ وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
“Kemudian Kami wahyukan kepadamu (Muhammad): “Ikutilah agama (millah) Ibrahim yang lurus, dan bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan.”

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada keturunan Bani Israil. Seperti yang kita tahu, mereka telah diberikan dengan ramai para Nabi dan Rasul silih berganti. Mati sahaja seorang Nabi akan diganti dengan Nabi yang lain dan malah kadang pada satu masa ada lebih daripada seorang Nabi (contohnya Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ). Akan tetapi sejarah mereka ini boleh dikatakan bermula selepas Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjadi pemimpin besar. Iaitu setelah mereka dibawa ke Mesir dan mendapat kedudukan yang tinggi.

 

Biodata Ringkas Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ

1. Nama Lengkap dan Gelaran

    • Nama: Yusuf bin Ya’qub bin Ishaq bin Ibrahim.
    • Gelaran: Shiddiq (Yang Benar/Jujur), kerana keteguhan dan kejujuran baginda dalam menghadapi berbagai ujian. Baginda juga terkenal dengan sebutan “Yusuf As-Siddiq”.
    • Keturunan: Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah keturunan Nabi-nabi mulia (Ibrahim, Ishaq, Ya’qub). Baginda adalah cucu Nabi Ishaq عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan cicit Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

2. Keluarga

    • Ayah: Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, yang juga dikenal sebagai Israil. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sangat mencintai Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melebihi anak-anaknya yang lain.
    • Ibu: Rachel (Rahil), isteri Nabi Ya’qub. Beliau meninggal dunia ketika melahirkan Bunyamin. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mempunyai 3 orang isteri semua sekali.
    • Saudara: Memiliki sebelas saudara laki-laki, sepuluh di antaranya daripada ibu yang berbeza (abang tiri) dan seorang saudara kandung bernama Bunyamin. Saudara-saudara tirinya iri dengan kasih sayang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terhadap Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

3. Kenabian dan Karakteristik

    • Kenabian: Diangkat sebagai nabi dan rasul oleh Allah ‎ﷻ.
    • Akhlak dan Sifat: Terkenal dengan kecantikan parasnya yang luar biasa, sehingga sering disebut sebagai “separuh ketampanan”. Baginda juga memiliki sifat kesabaran yang tinggi, ketabahan, kejujuran, kesucian diri, dan kecerdasan yang luar biasa, terutama dalam menafsirkan mimpi.
    • Mukjizat: Kemampuan menafsirkan mimpi adalah mukjizat khusus yang dianugerahkan Allah ‎ﷻ kepada baginda.

Memang ada banyak kisah para Rasul disebut di dalam Al-Qur’an. Selalunya ia menceritakan tentang kepayahan para Rasul itu menyampaikan dakwah tauhid dan penentangan kaum mereka. Ia menjadi tasliah (pujukan) kepada Rasulullah ﷺ dan para sahabat yang juga berhadapan dengan kaum mereka yang menentang. Akan tetapi lain sedikit dengan kisah yang terdapat di dalam Surah Yusuf ini. Ia menceritakan suka duka kehidupan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ semenjak kecil sampailah baginda dewasa. Maka ia menjadi tasliah bagi kita yang diuji dengan berbagai ujian dan musibah. Jadi bandingkanlah adakah ujian yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita ini sama susah dengan yang diberikan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini? Kalau tidak, maka ketahuilah yang ada orang lain yang menghadapi ujian yang lebih besar daripada kita. Ujian yang Allah ﷻ berikan kepada kita tidaklah setara mana maknanya.

Di dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini kita boleh lihat bagaimana sabarnya baginda menghadapi ujian daripada Allah ﷻ itu dan tidak ada satu pun ayat yang menyebut baginda mengeluh. Bukan baginda sahaja yang menerima ujian akan tetapi bapanya juga. Maka ada kisah bapa juga di dalam surah ini.

Secara ringkasnya, ada 4 perkara yang Allah ‎ﷻ hendak beritahu dalam surah ini. Oleh itu, surah ini mempunyai empat Dakwa:

  1. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang mengetahui perkara ghaib. Para Nabi pun tidak tahu. Maka ini adalah akidah yang kita kena pegang sentiasa. Jangan kita kata yang para Nabi pun tahu tentang perkara ghaib juga. Ini kita belajar dalam kisah-kisah para Nabi dalam surah ini.
  2. Allah ‎ﷻ berkuasa penuh di atas segala-galanya, bukan Nabi – sama ada semasa mereka hidup ataupun mati. Kuasa tasarruf (mengurus) hanya ada pada Allah ‎ﷻ sahaja. Terdapat kisah bermacam ikhtiar yang dibuat oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, adik beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan mereka yang lain dalam kisah ini tetapi apa yang berlaku adalah dengan izin dan kehendak Allah ‎ﷻ sahaja.
  3. Surah ini untuk menghiburkan hati Nabi Muhammad ﷺ. Ia diturunkan di Mekah. Ia memberitahu yang orang Mekah yang menentang Rasulullah ﷺ akhirnya akan mengalah sepertimana adik beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga. Walaupun pada peringkat permulaannya mereka bersikap buruk terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ namun akhirnya mereka ikut nasihat baginda juga. Oleh itu Rasulullah ﷺ tidak perlu bimbang sangat dengan layanan Musyrikin Mekah itu – baginda akan menang akhirnya.
  4. Semua Nabi apabila dipilih menjadi Nabi tidak boleh hidup bebas tetapi mereka akan diuji dengan tugasan mereka. Mereka tidak boleh hidup seperti orang lain lagi kerana mereka itu mempunyai tugas yang amat besar. Mereka mesti menjalankan tugas mereka menyampaikan dakwah dan sepanjang masa itu mereka akan diuji. Begitu juga dengan umat yang mengaku mengikuti Nabi dan sanggup untuk menyambung kerja Nabi untuk berdakwah, maka, mereka juga akan diuji. Namun sebagaimana Allah ‎ﷻ selamatkan para Nabi, begitu juga Allah ‎ﷻ akan selamatkan mereka yang menyambung tugas para Rasul itu.

Ada satu lagi asbabun nuzul surah ini: ada orang Yahudi yang bertanyakan soalan kepada Nabi Muhammad ﷺ, iaitu “Kenapakah Bani Israil ada di Mesir dan kenapa mereka keluar dari Mesir?” Sebenarnya, mereka sengaja bertanyakan soalan untuk merendahkan Nabi Muhammad ﷺ. Mereka sangka Nabi Muhammad tentu tidak tahu hal itu. Maka Allah ‎ﷻ jawab soalan kenapa Bani Israil ada di Mesir dengan Surah Yusuf ini; dan tentang kenapa mereka meninggalkan Mesir, itu dijawab di dalam Surah Taha yang banyak menceritakan tentang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini adalah bukti kenabian baginda kerana tentulah baginda mendapat maklumat itu daripada Allah ‎ﷻ yang sama seperti di dalam Kitab Taurat mereka; malah ada perkara yang mereka sendiri tidak tahu.

Surah ini Surah Makkiyyah yang bermaksud ia diturunkan sebelum Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah. Ia tidak ada nama lain selain Surah Yusuf dan dikenali begitu sejak zaman Nabi Muhammad ﷺ lagi. Ia diturunkan selepas kematian isteri baginda, Khadijah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا dan bapa saudaranya Abu Talib. Tahun kematian mereka dinamakan Tahun Kesedihan. Malah ia bersesuaian pula dengan nama Yusuf yang berasal daripada أ س ف yang bermaksud ‘sedih’. Oleh kerana kesedihan yang amat sangat pada Nabi Muhammad ﷺ, maka, Allah ‎ﷻ menghiburkan baginda dengan menurunkan surah ini. Tambahan pula ketika itu pemuka Musyrikin Mekah telah menguatkan serangan terhadap baginda dan para sahabat kerana dua tonggak Nabi telah tiada.

Allah ‎ﷻ menceritakan 15 keadaan yang berbeza dalam kisah ini dan kita akan kupaskan satu persatu nanti. Dalam Surah Hud sebelum ini, Dakwa kedua surah itu adalah hanya Allah ‎ﷻ yang mengetahui perkara ghaib dan kuasa tasarruf Allah ‎ﷻ meliputi segalanya. Surah Yusuf ini pula menceritakan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk membuktikan perkara itu. Allah ‎ﷻ memberikan contoh bagaimana dua sifat itu hanya ada pada Allah ‎ﷻ sahaja. Apabila diyakini kedua sifat Allah ‎ﷻ itu, maka barulah kita dapat terima dan yakin bahawa hanya Dia lah sahaja yang layak disembah.

Surah Hud menunjukkan bahawa tiada seorang pun walaupun seorang alim yang mengetahui perkara ghaib dan mempunyai kuasa tasarruf. Surah Yusuf ini pula membawakan kisah tentang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang tidak mempunyai kedua-dua sifat tadi walaupun baginda seorang Rasul dan berketurunan Nabi.

Orang Melayu pun memang suka dengan Surah Yusuf ini kerana kononnya kalau dibacakan kepada seorang wanita yang sedang hamil, maka anak yang lahir itu akan kacak macam Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga katanya. Kita katakan ini tidaklah benar kerana kalau emak dan ayahnya tidak seberapa rupanya, tidaklah anak itu tiba-tiba menjadi kacak pula. Ada pula yang ajar kalau dibacakan oleh seorang lelaki yang sedang merindui seorang wanita, maka kononnya dengan berkat surah ini, wanita itu pun akan ikut merinduinya pula. Ini juga ajaran yang karut marut dan dilakukan oleh mereka yang jahil sangat tentang ilmu wahyu. Allah ‎ﷻ suruh kita pelajari dan fahami panduan di dalam Al-Qur’an, bukannya digunakan sebagai azimat untuk mendapatkan sesuatu.

Kita telah sebutkan kaitan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Seorang lagi Nabi yang paling banyak disebut adalah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kisah baginda ada banyak kaitan dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Malah kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak akan ada kalau tidak ada kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah cicit atau keturunan daripada saudara laki-laki Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Jika dihitung daripada silsilah, Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berada pada generasi ke-4 atau ke-5 setelah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Meskipun sulit untuk memberikan angka pasti jarak mereka dalam tahun kerana perbezaan metodologi perhitungan dan tidak adanya data yang tepat dalam sumber-sumber utama (Al-Qur’an dan Hadith) mengenai jarak waktu spesifik antara nabi, perkiraan yang umum diterima jarak masa antara Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Musa berkisar عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ antara 400 hingga 500 tahun.

Walaupun jarak masa yang lama antara keduanya, namun ketika zaman Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ada disebut lagi nama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dan ini mengaitkan mereka dari segi sejarah. Perhatikan ayat Ghafir:34

وَلَقَد جاءَكُم يوسُفُ مِن قَبلُ بِالبَيِّنٰتِ فَما زِلتُم في شَكٍّ مِّمّا جاءَكُم بِهِ ۖ حَتّىٰ إِذا هَلَكَ قُلتُم لَن يَبعَثَ اللهُ مِن بَعدِهِ رَسولًا
“Dan demi sesungguhnya! Nabi Yusuf telah datang kepada kamu dahulu dengan membawa keterangan-keterangan (yang membuktikan kerasulannya), maka kamu tetap juga dalam keraguan mengenai apa yang disampaikannya kepada kamu sehingga apabila dia mati, kamu berkata: Allah tidak akan mengutuskan lagi Rasul sesudahnya;

Kata-kata ini dikeluarkan oleh seorang Lelaki Mukmin di istana Firaun. Beliau mengingatkan mereka bahawa apa yang dibawa oleh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu bukannya asing kerana perkara yang sama telah diberitahu oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pernah menjadi seorang yang berkedudukan besar di istana Mesir dan kisah baginda tentu ada tertulis di dalam sejarah mereka. Jadi apabila Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ditolak dengan keras oleh Firaun dan dituduh dengan berbagai-bagai tuduhan, Lelaki Mukmin itu mengingatkan tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Jangan buat tidak tahu, katanya.

Ada banyak persamaan dan perbezaan silang antara kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ia boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian:

 

Perbandingan Secara Umum

1. Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bermula di luar Mesir (Kan’an) dan berakhir di Mesir; kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula bermula di Mesir dan akhirnya ke luar Mesir.

2. Bani Israil di Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ masuk ke dalam Mesir dengan restu raja; sedangkan Bani Israil lari dari Mesir dengan kemarahan raja (Firaun)

3. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disanjung kerana dianggap sebagai penyelamat kepada negeri Mesir sedangkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dianggap sebagai pengkhianat Mesir.

4. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akhirnya menjadi sebahagian dari kerajaan Mesir sedangkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dianggap sebagai penentang kerajaan.

5. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bermula sebagai penggembala dan berakhir sebagai orang istana; Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bermula sebagai orang istana dan kemudian menjadi penggembala (setelah baginda lari ke Madyan setelah peristiwa kematian seorang bangsa Qibti).

 

Perbandingan Hubungan Ibu Bapa

1. Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bermula dengan bapanya sedangkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bermula dengan ibunya.

2. Bapa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ risaukan ancaman dalaman terhadap anaknya (adik beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) dan kerana Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ takut melepaskan anaknya; Ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ risaukan ancaman luaran (tentera Firaun yang hendak membunuh anaknya) dan beliau juga takut melepaskan anaknya itu.

3. Apabila melihat ancaman terhadap anaknya, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberikan belaian emosi dan spiritual kepada anaknya; sedangkan ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula memberikan belaian fizikal kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kedua-dua ini sangat diperlukan oleh seorang anak. Ketika anak itu kecil seperti Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, belaian fizikal lebih penting. Ketika anak sudah meningkat dewasa dan boleh berfikir, belaian emosi dan spiritual hendaklah diberikan kepada anak.

4. Ibu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak disebut langsung; bapa Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula tidak disebut langsung. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ hendak memberikan fokus yang berbeza dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

5. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akhirnya melepaskan anaknya pergi setelah didesak oleh anak-anaknya yang lain; ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melepaskan anaknya Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ setelah menerima wahyu (ilham) daripada ‎ﷻ.

6. Adik beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberikan alasan yang logik supaya ayah mereka melepaskan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk berpergian dengan mereka; ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melepaskan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ke sungai walaupun kalau ikut logik, itu tidak patut berlaku.

7. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ asalnya tidak mahu melepaskan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana risau, kemudian takut; sedangkan ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disuruh jangan takut, jangan risau. Ada perbezaan susunan antara risau dan takut di sini.

8. Apabila Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak ditemui, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersuara merayu kepada Allah ‎ﷻ, meminta bantuan Allah ‎ﷻ; sedangkan ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak disebut beliau mengeluarkan suara berdoa. Ini kerana beliau telah diberikan ilham akan keselamatan anaknya itu. Sedangkan beliau bukan seorang Nabi. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang seorang Nabi pula yang tidak diberikan wahyu berkenaan anaknya itu. Jadi pemberian wahyu atau ilham ini adalah kehendak Allah ﷻ. Orang biasa boleh mendapat ilham, seorang Nabi pun mungkin Allah ﷻ tidak maklumkan apa yang terjadi dan kerana itu kita katakan ilmu ghaib milik Allah ﷻ; seorang Nabi pun tidak ada ilmu wahyu.

9. Tentang mata pula. Oleh kerana terlalu banyak menangis, mata Nabi  Ya’qub dibutakan oleh Allah ﷻ. Sedangkan mata ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ditenangkan, sejuk sahaja.

10. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak ada pilihan lain melainkan hanya bersabar sahaja. Sebaliknya ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ada sesuatu yang beliau boleh lakukan dan kerana itu beliau arahkan anak perempuannya untuk mengikut pergerakan bakul hanyut di sungai yang membawa Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Mungkin kita boleh berhujah: ‘Ish takkan Nabi Ya’qub tak boleh paksa anak-anaknya beritahu perkara sebenar?’ Kita tidak ada dalam situasi itu, jadi kita tidak tahu apa yang baginda boleh buat dan tidak boleh buat. Berbagai alasan anak-anaknya boleh beri kalau baginda tetap paksa juga. Sedangkan kakak Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu yang sepatutnya ada alasan untuk menolak permintaan emaknya itu (‘Mak suruh saya ikut adik? Saya nak ikut macam mana mak? Itu tentera Firaun kot!’) namun tidak pun disebut beliau berkata apa-apa. Antara orang yang saya mahu berjumpa kalau saya dapat masuk syurga (aameen) adalah kakak Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Bagaimanalah boleh berani sangat? Dan bagaimana boleh pandai sangat sampai boleh pula membawa pulang adiknya itu ke rumah nanti?

11. Kedua-dua ibu dan bapa ini terus berharap kepada Allah ‎ﷻ. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetap berharap akan berjumpa anaknya walaupun tidak mendapat wahyu tentang hal itu. Ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula terus berharap dan beliau mendapat ilham daripada Allah ‎ﷻ. Kadang-kadang kita hanya terus percaya kepada Allah ‎ﷻ sahaja walaupun kita tidak ada maklumat tentang sesuatu hal.

12. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menasihati Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk merahsiakan mimpinya kepada adik beradiknya. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ harus diberitahu kerana baginda mungkin tidak faham perangai saudara-saudaranya itu. Sebaliknha kakak Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak perlu suruh berahsia oleh emaknya itu. Emaknya suruh ikut sahaja dan kakak itu sudah tahu apa yang perlu dibuat. Beliau ikut hanyutan adiknya itu tetapi beliau ikut dengan ekor matanya sahaja kerana tidak mahu tentera Firaun perasan.

13. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diberi wahyu daripada Allah ‎ﷻ (ketika baginda di dalam telaga) bahawa baginda dan keluarganya akan kembali bertemu. Sedangkan dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, ibunya yang diberi ilham daripada Allah ‎ﷻ.

14. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dibawa ke istana kerana dijemput oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ apabila baginda telah menjadi menteri. Sedangkan ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dibawa ke istana juga kerana anaknya akan tetapi datang sebagai ibu susu. Kedua-duanya dapat masuk istana walaupun dalam situasi yang berbeza.

15. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberi nasihat kepada anak-anak dengan cara terperinci apabila mereka hendak kembali ke Mesir (masuk ikut pintu berlainan supaya orang ramai tidak perasan). Akan tetapi arahan ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada anaknya ringkas sahaja (ikut adik kamu) dan beliau sudah tahu apa yang perlu dilakukan. Teringat pepatah Arab أَشِرْ عَلَى الْعَاقِلِ وَلَا تَأْمُرْهُ (Berilah isyarat kepada orang yang berakal, dan janganlah kamu memerintahnya). Maknanya bila beri arahan kepada orang yang pandai, kita tidak perlu pun bagi arahan terperinci, mereka sendiri sudah boleh fikirkan.

 

Perbandingan antara Adik-beradik

1. Adik beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ keluar dari rumah untuk mengeluarkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sedangkan kakak Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ keluar rumah untuk mengembalikan adiknya ke rumah.

2. Adik beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meninggalkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kakak Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak meninggalkan baginda walaupun bakul yang membawa baginda itu hanyut ke istana Firaun. Kakaknya itu menunggu di luar menunggu peluang.

3. Maka adik beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah penyebab kepada perpisahan dengan bapanya sedangkan kakak Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah penyebab pertemuan kembali dengan emaknya.

4. Adik beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah memungkiri amanah bapanya supaya menjaga adik mereka. Sebaliknya kakak Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menunaikan amanah emaknya. Seriously, mana nak dapat kakak macam ini?

5. Adik beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ begitu kreatif dalam memberi alasan kenapa adik mereka hilang. Kakak Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun kreatif juga apabila menawarkan emaknya sebagai ibu susuan kepada isteri Firaun.

6. Apabila Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberi hujah tidak membenarkan abang-abangnya membawa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ keluar, mereka berhujah balik. Sedangkan kakak Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diberi arahan untuk ikut adiknya, beliau langsung tidak memberi hujah atau alasan sebaliknya ikut dengan taat.

7. Adik beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ apabila membuat rancangan mereka itu, mereka langsung tidak tahu apa yang akan berlaku di masa hadapan. Rancangan mereka untuk membuang adik mereka itu berakhir dengan mereka sendiri akan mengadap baginda. Firaun pun tidak tahu bahawa bayi yang mereka bawa masuk ke istana itulah nanti yang akan menghancurkan kerajaannya.

8. Adik beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diajar dengan terperinci apa yang perlu dibuat apabila kembali ke kota Mesir. Sedangkan ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak perlu beri arahan terperinci ketika memberi arahan kepadanya.

9. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ masih ingat tentang kesalahan yang dilakukan oleh abang-abangnya itu. Walaupun akhirnya baginda memaafkan. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hanya ada kenangan yang indah tentang adik beradik baginda. Baginda memuji abangnya Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ketika memohon Allah ‎ﷻ mengangkat abangnya itu sebagai seorang Nabi juga.

 

Perbandingan Perjalanan Kehidupan

1. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diletakkan di dalam telaga dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dilemparkan ke dalam sungai. Dua-dua dimasukkan ke dalam air.

2. Dari telaga itu, ada orang yang akan mengambil Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sedangkan dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, baginda yang pergi dihanyutkan ke istana Firaun.

3. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akhirnya pergi ke istana kerana dinaikkan pangkat dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akhirnya ke istana juga untuk berdakwah kepada Firaun.

4. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diambil oleh seorang yang penting dalam kerajaan (Al-Aziz) dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun diambil oleh seorang yang penting dalam kerajaan (isteri Firaun).

5. Al-Aziz mengarahkan isterinya untuk mengambil Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan isteri Firaun merayu Firaun untuk mengambil Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Al-Aziz boleh memberi arahan kerana dia ketua keluarga.

6. Dalam dua-dua kisah ini ada dua protagonis: isteri Al-Aziz dan Firaun. Kedua-dua mereka diberikan pilihan oleh pasangan mereka iaitu sama ada ambil sebagai orang suruhan atau diambil sebagai anak angkat. Dalam kes Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ baginda diambil sebagai orang suruhan di rumah Al-Aziz dan dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ baginda diambil sebagai anak angkat.

7. Kedua-dua penjaga Nabi ini sayang kepada mereka. Akan tetapi ada perbezaan di antara cara sayang  mereka. Sayangnya isteri Al-Aziz itu jenis sayang yang merosakkan. Bayangkan dia sampai hendak berselingkuh dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sedangkan sayang Firaun kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana sayang itu telah ditanam oleh Allah ‎ﷻ ke dalam dadanya.

8. Oleh kerana sayang isteri Al-Aziz itu tidak dibalas oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, maka baginda telah diancam dengan penjara. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula diancam dengan penjara walaupun Firaun sayang kepadanya.

9. Jadi kedua-dua musuh atau antagonis adalah mereka yang sayang kepada dua Nabi itu.

10. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ membesar tanpa diberikan dengan pembelajaran spiritual. Ini kerana setelah baginda dikeluarkan dari rumah bapanya, baginda telah berpindah merata dan tidak mendapat ilmu agama kerana baginda membesar selepas itu di penempatan orang kafir. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula walaupun duduk di istana Firaun akan tetapi baginda mendapat didikan daripada ibunya dari sudut agama dan boleh dikatakan juga isteri Firaun juga seorang yang spiritual. Maka baginda mendapat juga didikan spiritual.

 

Pemuda yang Diuji (Perbandingan Ujian kepada mereka)

1. Kedua-dua mereka telah diberi dengan sifat muhsin. Maka ini menyebabkan mereka boleh menghadapi ujian berat yang Allah ‎ﷻ berikan. Allah ‎ﷻ menyebut kedua-dua mereka diberikan dengan kebijaksanaan dan ilmu. Kedua-dua Nabi duduk di rumah pemerintah (Al-Aziz dan Firaun maka mereka mendapat ilmu keduniaan kerana tentu terbiasa dengan perbincangan pemerintahan negara.

2. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diberikan dengan elok rupa paras dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diberikan dengan kekuatan luar biasa.

3. Keelokan rupa paras Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini menjadi punca kepada ujiannya; kekuatan luar biasa Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula yang menjadi punca kepada ujian baginya.

4. Dalam kedua-dua Surah Yusuf dan Surah Qasas (tentang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ), setelah disebut tentang kelebihan mereka, terus disebut tentang ujian.

5. Ujian yang diberikan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah di dalam rumah dan ia terjadi secara rahsia; ujian yang diberikan kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah di pasar iaitu di khalayak ramai.

6. Ujian yang diterima Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah daripada orang yang lebih tinggi kedudukannya (isteri Al-Aziz) sedangkan ujian kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ datang daripada orang yang lebih rendah kedudukannya. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ orang istana tetapi ujian datang daripada seorang Bani Israil yang dipandang hina oleh bangsa Qibti. Ini mengajar kita yang orang yang rendah kedudukan pun boleh menyebabkan ujian kepada kita.

7. Kedua-dua ujian itu dikenakan dengan panggilan untuk bersegera. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disuruh segera datang oleh isteri Al-Aziz dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ digesa supaya cepat datang untuk menyelamatkan lelaki daripada bangsa Bani Israil itu.

8. Ujian yang dikenakan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah ujian zina dan ujian kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah ujian bunuh. Menariknya dua ujian ini disebut di dalam Surah Isra’ dan Surah Furqan kerana ia biasa dilakukan oleh manusia.

9. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memohon doa perlindungan sebelum kejadian ujian itu dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memohon pengampunan daripada Allah ‎ﷻ selepas kejadian.

10. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersabda orang yang zalim tidak akan berjaya sedangkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersabda yang baginda telah menzalimi diri baginda.

11. Tentang kesetiaan. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak mahu melakukan dosa yang baginda diuji itu kerana mengenangkan kesetiaan kepada Al-Aziz yang telah berlaku baik kepadanya. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula berikrar tidak akan menolong orang yang bersalah hanya kerana menjaga kesetiaan kepada bangsanya.

12. Dalam kes Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, baginda lari menjauhi orang yang mengujinya sedangkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berlari ke arah orang yang mengujinya.

13. Apabila isteri Al-Aziz menyuruh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ datang segera, baginda Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mentafsir ajaran itu sebagai sesuatu yang tidak baik (walaupun baginda sudah biasa menerima arahan daripada wanita itu, tetapi kali ini suruhan itu lain pula). Mungkin kerana kelebihan baginda boleh mentafsir mimpi, maka baginda peka terhadap hal ini. Sebaliknya Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula apabila diminta supaya datang segera untuk menyelamatkan lelaki Bani Israil itu, baginda terus sahaja membantu tanpa menyelidiki situasi dan mentafsir keadaan pada ketika itu. Maka baginda telah melakukan kesalahan dengan tidak sengaja.

14. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ setia kepada tuannya. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula setia kepada bangsanya Bani Israil. Jadi walaupun baginda tinggal di istana tetapi baginda selalu ke pasar untuk membantu kaumnya.

15. Antagonis Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (isteri Al-Aziz) memberi persaksian palsu kepada suaminya dengan niat yang jahat untuk menyalahkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula, orang yang ditolongnya semalam juga memberi persaksian tetapi kali ini persaksian itu benar. Memang benar baginda telah membunuh seorang lelaki Qibti dengan tidak sengaja; akan tetapi persaksian lelaki daripada Bani Israil itu juga dengan niat yang tidak baik iaitu untuk menyelamatkan dirinya.

16. Antagonis Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengambil kesempatan dengan kedudukannya yang tinggi untuk menyalahkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ; lelaki Bani Israil itu pula menggunakan kedudukannya yang rendah untuk menyalahkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Jadi ini mengajar kita gangguan boleh datang dari mana-mana sahaja. Jangan sangka orang yang lemah tidak boleh menyebabkan diri kita susah.

17. Di dalam ujian yang dikenakan kepada dua Nabi itu, bukti yang digunakan adalah bukti fizikal iaitu baju yang koyak di belakang. Dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula ia adalah persaksian oral. Bukti fizikal dan saksi oral ini memang digunakan di mahkamah pun.

18. Dalam kes Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kesucian Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan keputusan yang baginda tidak bersalah telah diisytiharkan secara rahsia sahaja. Dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, keputusan yang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersalah telah diisytiharkan secara secara umum.

19. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ selamat daripada tidak melakukan zina kerana baginda hormat kepada tuannya. Sedangkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terlibat dengan ujian baginda kerana ada rasa marah dengan pemerintahan Mesir (Kerajaan Firaun) maka kerana itu apabila baginda nampak sahaja seorang lelaki Bani Israil seperti dizalimi, baginda telah datang membantu tanpa memeriksa dengan lanjut.

20. Setelah kejadian itu, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disuruh untuk merahsiakan kejadian itu. Dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, baginda sendiri yang merahsiakannya.

21. Dalam kes Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, bukti telah membersihkan nama baginda. Dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, persaksian telah menunjukkan baginda bersalah.

22. Dalam kes Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, pembunuhan karakter (character assassination) telah dilakukan terhadap baginda oleh isteri Al-Aziz. Dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, ia telah dilakukan oleh seorang pengacau daripada Bani Israil.

23. Ada dua kejadian yang menyusahkan kepada dua-dua Nabi ini. Dalam kes Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kali pertama dengan isteri Al-Aziz dan keduanya dengan para isteri menteri. Dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kali pertama apabila kejadian bunuh itu dan kali kedua esoknya ketika Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pergi lagi ke pasar dan lelaki Bani Israil itu buat hal lagi.

24. Kedua-dua kejadian yang kedua itu terjadi di khalayak ramai, bukan rahsia lagi.

25. Al-Aziz tidak berbuat apa pun untuk menyelamatkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ walaupun dia adalah orang kerajaan. Dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, baginda diselamatkan oleh seorang orang kerajaan yang memberitahu baginda supaya lari kerana Firaun sudah keluar arahan untuk menangkap Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

26. Dalam kes Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, golongan wanita elit yang menyebabkan baginda dipenjarakan. Dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, golongan lelaki elit yang hendak memasukkan baginda dipenjarakan.

27. Dalam kes Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kekaguman yang toksik yang telah menyebabkan baginda dipenjarakan. Tertarik sangat dengan baginda namun dek kerana baginda tidak layan, mereka mengadakan komplot memasukkan baginda ke dalam penjara. Dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kebencian yang toksik kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menyebabkan baginda dituduh sebagai penjenayah. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memang disayangi oleh Firaun dan baginda tinggal di istana dan mendapat layanan sebagai orang istana kerana baginda adalah anak angkat Firaun. Namun begitu semua pegawai istana tidak suka sebenarnya kerana mereka tahu yang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini bukannya bangsa Qibti tetapi mereka pula kena layan dia sebagai orang bangsawan sedangkan bagi mereka, Bani Israil adalah kaum hamba sahaja.

28. Rencana golongan wanita elit terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu telah dibayangkan oleh Al-Aziz (sebelum ia terjadi) apabila dia kata puak wanita memang suka merencana sesuatu yang buruk. Akan tetapi keputusan untuk menangkap Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak dibayangkan oleh sesiapa sehinggalah diberitahu oleh seorang lelaki daripada kerajaan.

29. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ didapati tidak bersalah akan tetapi tetap dipenjarakan. Sedangkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga didapati bersalah tetapi baginda dapat melepaskan diri baginda.

 

Tahun-tahun di Perantauan Dalam Buangan

1. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam buangan penjara dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam perantauan di padang pasir (baginda lari ke Madyan).

2. Di dalam penjara Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bertemu dua orang banduan dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula bertemu dua orang wanita.

3. Dua lelaki dalam penjara itu berjumpa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk meminta bantuan baginda sedangkan dua wanita itu berjumpa Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk membantu baginda.

4. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ membantu mereka mentafsir mimpi mereka menggunakan kelebihan baginda. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ membantu dua wanita itu mendapatkan air telaga dengan menggunakan kelebihan baginda pula iaitu kekuatan.

5. Apabila Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meluangkan  masa dengan dua banduan itu dalam rangka menolong mereka, baginda mengambil peluang itu untuk berdakwah kepada mereka. Sedangkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak berdakwah dengan dua wanita itu. Selesai sahaja kerja, baginda meninggalkan mereka. Ini boleh difahami kerana baginda tidak mahu menimbulkan fitnah. Ini mendidik kita dalam berdakwah jangan timbulkan fitnah. Jangan gunakan alasan berdakwah bagi lelaki dan wanita duduk bersama di dalam keadaan yang mencurigakan.

6. Setelah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mentafsir mimpi dua banduan itu, baginda kemudiannya meminta tolong kepada mereka berdua untuk menyampaikan hal baginda kepada orang yang berkuasa. Sedangkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terus meninggalkan dua orang wanita itu dan tidak minta tolong apa-apa kepada mereka walaupun baginda juga memerlukan bantuan juga kira-kiranya.

7. Walaupun dua banduan itu telah berjanji untuk sebut kes Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada orang lain kalau dapat keluar, akhirnya mereka tidak sebut pun. Sedangkan bagi Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, walaupun baginda tidak minta kisah baginda disebut, dua orang wanita itu telah menyampaikan hal baginda kepada bapa mereka.

8. Setelah sekian lama tidak hiraukan hal Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, salah seorang daripada banduan itu akhirnya telah menyebut hal Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada raja. Namun memakan masa bertahun jugalah. Sedangkan dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, salah seorang daripada dua wanita itu telah datang kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ setelah beberapa jam sahaja daripada perjumpaan mereka.

9. Lelaki yang asalnya banduan di dalam penjara dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu akhirnya datang mencari Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Akan tetapi dia datang itu kerana dia hendakkan sesuatu, bukannya kerana hendak menolong Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun. Ini kerana apabila raja memerlukan orang yang boleh tafsir mimpinya, lelaki itu nampak peluang dia boleh mendapat imbuhan dengan menggunakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sedangkan wanita yang datang mencari Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu bukan kerana hendakkan sesuatu.

10. Jadi lelaki itu dengan tanpa perasaan malu datang mencari Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ setelah melupakan hal Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bertahun lamanya. Datang itu buat biasa sahaja seolah-olah kenalan lama. Sedangkan wanita yang datang kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu datang dengan perasaan malu-malu walaupun sebenarnya dia hendak membantu baginda.

11. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meminta tolong untuk mengeluarkan baginda dari penjara. Sedangkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diajak untuk bekerja di kediaman wanita itu dan bapanya.

12. Semasa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersembang dengan dua orang banduan di dalam penjara itu, yang baginda ceritakan kepada mereka adalah tentang betapa banyak nikmat yang baginda dapat. Sedangkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ semasa berjumpa dengan bapa dua orang wanita itu baginda banyak bercerita tentang nasib buruknya dan ujian yang baginda hadapi. Mengajar kita tidak salah kalau kita menceritakan tentang masalah kita kepada orang yang sesuai.

13. Raja Mesir memerlukan bantuan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan memanggil baginda ke istana. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula memerlukan bantuan dan baginda dipanggil ke rumah bapa dua wanita itu.

14. Dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, baginda bertemu dua banduan lelaki tetapi kemudiannya kisah bersambung dengan seorang lelaki sahaja. Dalam kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, baginda asalnya bertemu dua wanita dan kemudiannya kisah kemudian bersambung dengan seorang wanita sahaja.

 

Penutup Kisah. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dipanggil ke Istana dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengadap Firaun

1. Kedua-dua raja dan Firaun mendapat mimpi. Raja Nabi Yusuf bermimpi lembu gemuk dan kurus itu dan Firaun mimpi ada lelaki yang akan menghancurkan kerajaannya. Jadi dua-dua kisah ada melibatkan mimpi.

2. Kedua-dua mimpi pemimpin itu tentang nasib negara Mesir.

3. Raja Nabi Yusuf bermimpi dan dia tidak tahu maksud mimpinya. Sedangkan Firaun tahu apa maksud mimpinya.

4. Dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ada tentang 7 tahun yang baik yang perlu digunakan untuk menghadapi zaman kemarau yang lagi 7 tahun. Akan tetapi dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Mesir telah dikenakan dengan 9 ujian dan tujuan ujian itu adalah untuk memberi peringatan kepada Firaun untuk berubah supaya kerajaan Mesir terus selamat.

5. Nama kedua-dua Nabi itu disebut di istana. Nama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disebut oleh bekas banduan itu sebagai penyelamat kepada negara Mesir. Nama Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga disebut di istana Firaun oleh seorang Lelaki Mukmin, juga baginda disebut sebagai penyelamat kepada kerajaan Mesir.

6. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berhajat untuk berjumpa raja untuk membersihkan namanya. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak berhajat berjumpa Firaun tetapi diarahkan oleh Allah ‎ﷻ untuk melakukannya.

7. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mahu pihak raja bertanya kepada golongan wanita elit tentang apa yang telah berlaku. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula ditanya oleh Firaun akan kisah silam baginda (kes membunuh seorang lelaki).

8. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akhirnya berjaya membuktikan dirinya tidak bersalah. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula mengaku memang baginda ada membunuh lelaki Qibti dengan tidak sengaja. Namun kenapa baginda tidak menyerah diri ketika itu? Kerana baginda tahu yang baginda tidak akan mendapat pengadilan yang adil.

9. Raja Nabi Yusuf telah mengambil baginda sebagai orang kepercayaan dalam kerajaan Mesir setelah dikeluarkan dari penjara. Sebaliknya Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula diancam akan dimasukkan ke dalam penjara oleh Firaun.

10. Penafsiran mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah menyelamatkan Mesir daripada musibah dan  meneruskan kegemilangan Mesir. Sedangkan bencana yang dikenakan kepada Mesir (kerana menolak Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) akhirnya telah menghancurkan kegemilangan Mesir.

11. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah ditawarkan menjadi penasihat peribadi kepada raja tetapi baginda meminta dijadikan Menteri Kewangan. Tidak salah apa yang baginda lakukan ini kerana baginda sedar yang bagindalah yang paling sesuai. Baginda bermula dari penjara tetapi kemudian menjadi orang penting dalam kerajaan. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula berasal dari istana tetapi telah ditawarkan untuk bekerja di rumah dua orang wanita itu.

12. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah dilantik kerana kejujuran baginda dan kepandaian baginda mentakwil mimpi dan perkataan manusia. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula ditawarkan kerja kerana kejujuran baginda dan kekuatan tubuh baginda. Ini mengajar kita bahawa pekerjaan kita bergantung kepada kepandaian dan kemampuan kita. Yang penting mesti ada kejujuran.

13. Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan isteri Al-Aziz menjadi pengajaran tentang apa yang tidak boleh berlaku antara lelaki dan wanita (zina). Sedangkan kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengajar kita tentang urusan perkahwinan yang patut berlaku di antara lelaki dan wanita. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akhirnya telah dipinang oleh bapa wanita itu.

14. Di dalam kedua-dua kisah ini ada disebut شَيۡخًا كَبِيرً dan شَيْخٌ كَبِيرٌ. Dalam kes Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, saudara baginda menggunakan bapa mereka untuk mendapat simpati daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sedangkan dua wanita itu menyebut bapa mereka yang شَيۡخًا كَبِيرً kerana menjelaskan kenapa mereka yang kena ambil air dari telaga.

15. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah bersatu semula dengan adiknya Bunyamin sebelum pertemuan dengan saudaranya yang lain dan baginda membuka rahsia bahawa baginda adalah Yusuf. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga telah bersatu semula dengan abangnya Harun sebelum bertemu dan berkonfrontasi dengan Firaun. Malah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri yang minta abangnya itu diangkat menjadi Nabi juga.

16. Cuma dalam kes Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, baginda yang menjadi penaung kepada adiknya Bunyamin. Sedangkan dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menjadi pembantu kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (kerana baginda kata baginda ada masalah dengan pertuturan).

17. Nasihat daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diterima oleh raja sedangkan nasihat daripada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ditolak Firaun.

18. Nasihat daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk meneruskan kegemilangan Mesir. Nasihat daripada Nabi pula untuk meneruskan kewujudan Mesir. Kerana ia ditolak, maka kerajaan Mesir telah hancur.

19. Tugas Bunyamin tidak disebut dan beliau senyap sahaja. Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun tidak banyak disebut kata-katanya di dalam Al-Qur’an.

20. Raja Nabi Yusuf mengisytiharkan supaya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ didekatkan kepada dirinya sendiri. Sebaliknya Firaun pula berkata biar dia sendiri yang membunuh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

21. Dalam kes Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan konfrontasi dengan saudaranya, baginda yang menjadi hakim. Maknanya seorang Nabi yang menjadi hakim. Sedangkan di dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Firaun yang menjadi hakim. Maknanya seorang Nabi yang dituduh. Ini mengajar kita yang kadang-kadang orang yang baik bukanlah di dalam kedudukan yang ada kuasa.

22. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengingatkan abang-abangnya tentang apa yang mereka pernah lakukan di masa dahulu. Dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Firaun pula yang mengingatkan baginda tentang kejadian pembunuhan dahulu.

23. Dalam kes Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Bani Israil yang menjadi antagonis (saudara Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ). Dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Bani Israil yang dizalimi.

24. Kedua-dua kisah ada sebut sajdah. Saudara Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ setelah mengetahui hal sebenar dan rasa bersalah, mereka telah sujud kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Dalam kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula, ahli-ahli sihir telah sujud dan beriman setelah melihat mukjizat Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

25. Di akhir kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kita telusuri bagaimana bermulanya penempatan Bani Israil di Mesir. Mereka dapat duduk di situ kerana kedudukan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan tetapi setelah beberapa generasi, Bani Israil telah dijadikan sebagai golongan hamba di Mesir. Kerana itu di permulaan kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, mereka adalah golongan yang hina di Mesir. Di hujung kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula mereka telah berpindah keluar dari Mesir dan mendapat penempatan baru pula di Jurusalem.

26. Bani Israil masuk ke Mesir kerana waktu itu mencari makanan sedangkan mereka keluar dari Mesir kerana mencari makanan dan keluar daripada perhambaan.

27. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pada mulanya dikhianati oleh saudaranya sendiri dan akhirnya dizalimi oleh orang Mesir. Dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, baginda mulanya dizalimi oleh orang Mesir tetapi akhirnya dikhianati oleh bangsanya sendiri.

28. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ penyebab Bani Israil masuk Mesir dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ penyebab Bani Israil keluar dari Mesir.

29. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akhirnya telah memaafkan abang-abangnya dan akhirnya tinggal dengan mereka. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula akhirnya tidak mahu ada kena mengena dengan Bani Israil dan memisahkan diri daripada mereka.

30. Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berakhir dengan ketenangan sedangkan kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Firaun berakhir dengan tragedi.

31. Kedua-dua antagonis dalam kisah ini mabuk dengan kuasa. Isteri Al-Aziz mabuk dengan kuasa dan menyalahgunakan kuasa itu dan Firaun pun mabuk dengan kuasa dan menyalahgunakan kuasa.

32. Orang yang bersalah dalam kes Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah bertaubat. Orang yang bersalah dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (Firaun) tidak sempat bertaubat. Taubatnya ketika hampir mati tidak diterima.

 

I. Soalan Kuiz (Jawapan Ringkas)

Jawab setiap soalan dalam 2-3 ayat.

  1. Mengapakah Surah Yusuf diturunkan sebagai tindak balas kepada permintaan para sahabat Rasulullah ﷺ?
  2. Apakah kepentingan utama mempelajari kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada Al-Qur’an berbanding sumber lain?
  3. Apakah keistimewaan Surah Yusuf berbanding surah-surah lain dalam Al-Qur’an dari segi penceritaannya?
  4. Apakah gelaran yang diberikan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan mengapa?
  5. Apakah mukjizat khusus yang dianugerahkan oleh Allah ‎ﷻ kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?
  6. Bagaimanakah Surah Yusuf berfungsi sebagai “tasliah” (pujukan) kepada Rasulullah ﷺ dan umat Islam?
  7. Sebutkan dua daripada empat “dakwah” utama yang ingin disampaikan oleh Allah ‎ﷻ melalui Surah Yusuf.
  8. Apakah “asbabun nuzul” (sebab turun) lain bagi Surah Yusuf yang berkaitan dengan soalan orang Yahudi?
  9. Mengapakah Surah Yusuf disebut sebagai “Surah Makkiyyah”?
  10. Nyatakan satu persamaan dan satu perbezaan umum antara kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

 

Glosari Istilah Utama

  • Tafsir: Penjelasan atau interpretasi terhadap ayat-ayat Al-Quran untuk memahami makna dan pengajaran di dalamnya.
  • Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ: Salah seorang Nabi dalam Islam, anak kepada Nabi Ya’qub. Tanda “عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ” adalah singkatan untuk “alaihis salam” (kesejahteraan ke atasnya).
  • Israiliyyat: Kisah-kisah yang berasal dari sumber-sumber Yahudi dan Kristian, yang kadang-kadang diserap ke dalam tafsir Islam tetapi perlu ditapis dan diteliti kesahihannya agar tidak bercanggah dengan Al-Qur’an dan Hadis.
  • Millah: Agama, cara hidup, atau tradisi keagamaan. Dalam konteks ini, merujuk kepada agama Tauhid yang dibawa oleh Nabi Ibrahim dan diteruskan oleh para Nabi selepasnya.
  • Bani Israil: Keturunan Nabi Ya’qub (Israيl), merujuk kepada golongan Yahudi.
  • Shiddiq: Gelaran bagi seseorang yang sangat benar, jujur, dan berpegang teguh pada kebenaran.
  • Mukjizat: Peristiwa luar biasa yang dilakukan oleh Nabi atau Rasul dengan izin Allah ‎ﷻ sebagai bukti kebenaran kenabian mereka.
  • Tasliah: Penghibur atau pujukan, sesuatu yang meringankan kesedihan atau kegelisahan.
  • Dakwa: Maksud atau tujuan utama yang ingin disampaikan.
  • Kuasa tasarruf: Kekuasaan penuh untuk mengurus, mengendalikan, dan mengatur segala sesuatu.
  • Asbabun Nuzul: Sebab-sebab atau peristiwa-peristiwa yang melatarbelakangi penurunan ayat atau surah tertentu dalam Al-Quran.
  • Surah Makkiyyah: Surah-surah dalam Al-Qur’an yang diturunkan di Makkah sebelum Nabi Muhammad ﷺ berhijrah ke Madinah.
  • Tahun Kesedihan: Tahun dalam sejarah Islam ketika isteri Nabi Muhammad ﷺ, Khadijah, dan bapa saudaranya, Abu Talib, meninggal dunia, menyebabkan kesedihan yang mendalam bagi baginda.
  • أ س ف (asaf): Akar kata Arab yang bermaksud ‘sedih’ atau ‘berdukacita’, yang dikaitkan dengan nama Nabi Yusuf dalam penulisan ini.
  • Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ: Salah seorang Nabi yang paling banyak disebut dalam Al-Quran, memimpin Bani Israil keluar dari Mesir.
  • Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ: Salah seorang Nabi penting dalam Islam, digelar bapa para Nabi dan Hanif.
  • Al-Aziz: Gelaran bagi seorang pembesar Mesir yang membeli Nabi Yusuf setelah baginda dijual, juga dikenali sebagai Perdana Menteri atau ketua istana.
  • Firaun: Gelaran bagi raja Mesir kuno yang disebutkan dalam Al-Qur’an, khususnya yang menindas Bani Israil di zaman Nabi Musa.
  • Muhsin: Orang yang melakukan kebaikan, yang berbuat ihsan.

 

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang pertama

Kemaskini: 31 Julai 2025

Ringkasan Surah Yusuf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Tafsir Surah al-Ikhlas Ayat 1 (Allah itu Tunggal)

Ikhlas Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 2 perenggan makro. Ayat 1 – 2 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia mengandungi keterangan tentang 2 sifat positif Allah ‎ﷻ untuk kenal tauhid, iaitu: أحد dan صمد.

قُل هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Ikhlāṣ: Purification, i.e., the purification of faith – the sūrah’s theme. In narrations by al-Bukhārī and Aḥmad, the Prophet () described this sūrah as being equivalent to one third of the Qur’ān.

Say, “He is Allāh, [who is] One,¹

  • i.e., single, unique and indivisible.

(MALAY)

Katakanlah: “Dialah Allah, Yang Maha Esa.

Kalimah قُلKatakanlah. Ini adalah arahan kepada Rasulullah ﷺ untuk:

1 – Belajar dan memahami untuk diri baginda sendiri.
2 – Mengajarnya kepada orang lain, kerana baginda memang tidak boleh simpan sendiri. Ini adalah kerana ianya adalah mesej tauhid dan berkait rapat dengan tugas baginda untuk menyampaikan (dakwah).

Kalimah هُوَDia. Kalimah ini dari segi bahasa, tidak diperlukan dalam ayat ini kerana Allah ‎ﷻ boleh sahaja menggunakan ayat begini: قُل اللَّهُ أَحَدٌ (Katakanlah: Allah itu Satu). Maksud sudah sampai. Akan tetapi, kata ganti nama (dhomir) هُوَ digunakan apabila yang disebut itu dikenali.

Contohnya, kita sedang bercakap dengan seorang kenalan kita dan kita berkata: “dia telah habis belajar dari universiti”. Kalimah ‘dia’ dalam ayat ini datang tiba-tiba tapi kita gunakan kerana kita tahu dan orang yang mendengar itu juga tahu siapakah yang kita maksudkan. Begitulah Allah ‎ﷻ menggunakan dhomir هُوَ dalam ayat ini kerana Allah ‎ﷻ memang telah dikenali oleh manusia, kerana Dialah Pencipta, Tuhan semesta alam.

Jadi, apabila digunakan kalimah هُوَ dalam ayat ini, Allah hendak memberitahu kita, yang Dia itu sebenarnya Tuhan yang telah dikenali, bukannya Tuhan yang baru. Terutama kepada Ahli Kitab yang telah lebih mengenal Allah ‎ﷻ itu. Begitu juga Musyrikin Mekah yang memang telah kenal dengan Allah‎ ﷻ. Jadi ini untuk mengingatkan mereka sahaja. Sebab itulah dalam ayat ini tidak ada kalimah tahkik إنّ kerana memang mereka sudah tahu.

Akan tetapi ada juga golongan sesat yang mentafsir dhomir ‘dia’ dalam ayat ini merujuk kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ini adalah tafsiran yang sesat daripada golongan bathaniah yang hendak mendewakan Nabi Muhammad ﷺ. Tidak pernah ada tafsiran sebegitu daripada kalangan ulama’ tafsir silam (yang lebih pandai daripada kita).

Ia menjadi malang bagi masyarakat awam yang mendengar ‘tafsiran’ ini daripada golongan yang dikenali sebagai ‘ustaz’ di media sosial. Orang awam tidak dapat membezakan siapa yang boleh diambil ilmu darinya dan siapa yang tidak boleh. Mereka sangka, kalau gelaran ‘ustaz’ sahaja, tentulah ilmu itu ilmu yang benar.

Kita katakan bahawa zaman berzaman, agama bukanlah dirosakkan oleh tukang kasut dan tukang kebun, tetapi dirosakkan oleh ‘golongan agamawan’ sebenarnya. Kerana kalau tukang kasut dan tukang kebun yang bercakap tentang agama, orang awam tidak ikut dengar. Tetapi bila yang berkata itu adalah agamawan, sama ada paderi, rahib, sami, rabai, pendeta, ustaz, maka ia memberi kesan kepada masyarakat awam.

Maka kita kena nilaikan balik apa sahaja yang kita dapat daripada bidang ilmu. Kerana ilmu ada yang benar, dan malangnya ada juga yang salah. Kalau tidak ada ilmu yang salah, maka tentulah tidak ada ajaran sesat dalam dunia, bukan? Kalau tidak ada yang merosakkan agama dan mengubah perkara dalam agama, tentulah agama dalam dunia ini hanya ada agama Islam sahajalah, bukan? Kerana agama daripada Nabi Adam عليه السلام adalah agama Islam sahaja, cuma ia menjadi agama yang berbagai-bagai itu kerana diubah oleh manusia. Adakah yang ubah agama mereka itu tukang kasut dan tukang kebun? Tentu tidak.

2 – Kalimah هُوَ ini juga adalah jawapan kepada mereka yang bertanya siapakah Tuhan yang disembah oleh Nabi Muhammad ﷺ itu? Kerana ada Musyrikin Mekah yang tanya: من هو؟ Siapa Dia? ما هو؟ Apakah ia? Mereka bertanya kerana mereka tengok apa yang Nabi Muhammad ﷺ sampaikan itu seakan lain dengan pemahaman mereka tentang Allah ‎ﷻ.

Jadi apabila dijawab, digunakan kalimah هُوَ sebagai jawapan terus kepada soalan itu. Allah ‎ﷻ jawab, Dia itu adalah bernama Allah‎ ﷻ, Tuhan yang sama juga yang mereka kenal (tetapi ada banyak salah faham) dan Dia itu tunggal.

3 – Ayat ini adalah dua ayat yang digabungkan bersama. Ada kalimat yang dihazafkan. Kalau ayat penuh: قُل هُوَ اللَّهُ, قُل هُوَ أَحَدٌ Katakanlah Dia adalah Allah‎ ﷻ, katakanlah Dia itu tunggal.

Maksudnya, ayat ini nampak sahaja satu tapi ada dua khabar. Ini adalah kerana ada dua khabar dalam ayat ini.

Perbincangan tentang kalimah: Allah: 

Ada perbincangan panjang di antara ulama’ tentang kalimah ‘Allah’. Tujuan kita bukan untuk mengatakan mana yang salah, tetapi kita lihat hujah yang diberikan dan kita buat pilihan.

A – Ada ulama’ yang mengatakan kalimah Allah itu adalah Isim Mushtaq – maksudnya asal kalimah Allah adalah daripada kalimah lain yang telah ditukar bentuk.

B – Ada juga ulama’ yang mengatakan kalimah Allah itu adalah Isim Jamid – maksudnya ia tidak berasal daripada mana-mana kalimah; ia unik dan berdiri sendiri.

A – Pendapat yang mengatakan kalimah الله itu adalah isim musytaq, mereka mengatakan ianya kata terbitan dari ءله (ilah). Maknanya ال ditambah kepada ءله menjadi kalimah الله (kerana percampuran itu, huruf ء dihilangkan).

Kalimah ءله bermaksud sesuatu yang dipuja; ia juga digunakan untuk menerangkan keadaan seorang bayi yang dahaga dan mencari-cari ibunya untuk mendapatkan susu. Oleh itu, ءله adalah sesuatu yang dipuja, ditaati dan didambai oleh manusia.

B – Pendapat yang mengatakan kalimah الله itu adalah isim jamid, mereka mengatakan kalimah الله itu adalah kalimah asal dan tidak ada kata dasar. Pendapat ini mempunyai beberapa hujah padanya yang kuat:

1 – Ia adalah nama Tuhan dan sebenarnya ia digunakan dalam mana-mana bahasa pun. Oleh itu, setiap Nabi tidak kira dari mana, mereka mengenali Tuhan dengan nama الله, tidak kira apakah bahasa yang mereka gunakan. Kerana itu, walaupun dalam bahasa Aramaic dan Hebrew, mereka menggunakan nama Tuhan sebagai Eloah אלוה [dalam Hebrew] and Ellah [dalam Aramaic].

2 – Dari segi bahasa juga, kita dapati tidak betul dari segi bahasa Arab. Lihat apabila kita menggunakan kalimat: يا الله (wahai Allah). Apabila kita menggunakan ‘kata panggilan, seruan’ يا, sepatutnya kita hendaklah buang ال pada kalimah itu.

Sebagai contoh, untuk nama Allah الرَّحمٰنِ, kalau kita campur dengan يا, ia menjadi يا رّحمٰنِ, bukan يا الرحمن. Jadi, kalau kita mengatakan kalimah الله adalah isim musytaq, kita hendaklah panggil Allah begini: يا ءله, tetapi kita tidak panggil Allah ‎ﷻ begitu, bukan? Ini menunjukkan memang kalimah الله itu adalah nama Allah yang lengkap dan tidak boleh ditukar-tukar lagi.

3 – Dalam mana-mana ayat Al-Qur’an juga, ia digunakan sebagai kata nama yang lengkap. Sebagai contoh, dalam surah al-Fatihah: الحَمدُ لِلَّهِ (segala puji bagi Allah) dan kalimat الرَّحمٰنِ dan الرَّحيمِ adalah sifat bagi الله.

4 – Begitu juga, penggunaan ‘Allahumma’ adalah unik di mana ia bermaksud ‘wahai Allah’ dan tidak digunakan dalam bentuk yang lain.

5 – Cara penyebutan nama Allah juga lain dari yang lain. Selalunya apabila ditambah ال pada sesuatu kalimah, ada cara sebutan yang biasa. Jadi, kalau kita kata ianya adalah musytaq, maka kita sebut kalimah الله sebagai al-lah (bayangkan seorang Cina yang pelat sebut nama Allah). Tetapi tidak begitu bukan? Kita sebut nama lain dengan cara yang lain sedikit (lebih mirip kepada bunyi: Alloh) – iaitu kita beratkan pada huruf ل itu. Ini adalah kerana, memang الله adalah nama khas. Cara sebutan kita juga sudah lain.

Kesimpulan: pendapat yang lebih kuat adalah nama الله – isim jamid, dan bukan isim musytaq.

Perbincangan kalimah أَحَدٌ pula. Dari segi bahasa, ia bermaksud satu, tunggal, Esa. Tetapi, kalau hendak kata maksud ‘satu’, kalimah واحد (waahid) juga boleh digunakan. Jadi, apa beza antara أَحَدٌ dan واحد? Kenapa Allah ‎ﷻ tidak menggunakan ayat ini: ٌقُل هُوَ اللَّهُ وَاحِد? Mari kita lihat penerangannya:

1 – Kalimah أَحَدٌ sebenarnya digunakan dalam kalimat negatif/penolakan sahaja; sedangkan وَاحِد digunakan dalam kalimat positif sahaja. Apakah maksudnya? Kita beri contoh ayat dan lihat perbezaan antara keduanya:

a. ليس أحد موجود في المسجد (tidak ada walau seorang yang ada di masjid). Maksudnya masjid itu kosong, walau seorang juga tidak ada. Ini adalah dalam bentuk negatif – menidakkan.

b. ليس واحد موجود في المسجد (bukan seorang yang ada di masjid). Maksudnya, ada lebih daripada seorang. Ini dalam bentuk positif.

Akan tetapi kita lihat Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah أَحَدٌ di dalam surah al-Ikhlas ini untuk menceritakan tentang Diri-Nya. Ini adalah berlainan dengan penggunaan bahasa Arab kerana selalunya ianya digunakan dalam bentuk negatif (contoh ‘a’ di atas).

Dan ini adalah suatu kehebatan bahasa Al-Qur’an kerana Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah ini untuk menggambarkan uniknya Diri-Nya. Oleh itu, Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah yang selalunya digunakan dalam bentuk negatif tetapi kali ini digunakan dalam bentuk positif pula.

Dengan menggunakan kalimah أَحَدٌ ini dalam bentuk ini, Allah ‎ﷻ menekankan Sifat Tunggal-Nya, Sifat Esa-Nya dan tidak ada yang sama dengan-Nya. Maksudnya, dengan bahasa juga Allah ‎ﷻ sudah tekankan. Penggunaan kalimah أَحَدٌ dengan cara begini ada di dalam Al-Qur’an sahaja.

2 – Kalimah أَحَدٌ datang dari kata dasar و ح د yang bermaksud seorang yang tunggal, bersendirian, tidak sama dengan yang lain. Jadi, Allah ‎ﷻ tidak menggunakan kata dasar asal  واحد itu kerana ia juga digunakan untuk makhluk. Oleh itu, Allah ‎ﷻ tidak dapat dibandingkan dengan makhluk langsung. Jadi kalimah أَحَدٌ lebih halus lagi dari kalimah واحد kerana menekankan bahawa tiada sesuatu apa pun di samping Allah ‎ﷻ dan tiada sesuatu pun yang setanding dengan Allah‎ ﷻ.

Sememangnya penggunaan أَحَدٌ dalam bentuk ini amat mengejutkan. Ada juga agama lain yang mengatakan Tuhan mereka satu واحد juga. Tetapi, mereka melakukan kesilapan kerana mereka mengatakan sifat Tuhan mereka itu ada persamaan dengan sifat manusia. Dan ini adalah fahaman yang salah.

Kita hendaklah membezakan sifat Allah ‎ﷻ daripada sifat manusia. Allah ‎ﷻ itu أَحَدٌ, bukan واحد. Kerana itu akan ditekankan dalam surah ini nanti bagaimana Allah ‎ﷻ unik dalam Esa-Nya. Sifat-sifat Allah ‎ﷻ yang ditekankan dalam surah ini adalah unik untuk Allah ‎ﷻ sahaja (kalimat اللَّهُ, أَحَدٌ, الصَّمَدُ, لَم يَلِد, لَم يولَد semuanya khusus untuk Allah ‎ﷻ sahaja, tidak dikongsi dengan makhluk).

3 –  Memang ada sifat-sifat Allah ‎ﷻ yang seolah-olah ada persamaan dengan sifat makhluk. Sebagai contoh, Aleem (mengetahui), Raheem (pemurah), Ra’oof (lembut), Baseer (melihat) dan sebagainya. Tetapi, sifat Allah ‎ﷻ tidak sama dengan makhluk. Sebagai contoh, kita ambil sifat Aleem (mengetahui). Tidak sama pengetahuan makhluk dan pengetahuan Allah‎ ﷻ, bukan?

1 – Pengetahuan Allah ‎ﷻ infinitif, tidak ada mula dan tidak ada hujung; sedangkan pengetahuan makhluk, tidak begitu (ada mula dan hujungnya). Kita semua bermula dari tidak tahu semasa bayi, kemudian baru tahu setelah akal berkembang sedikit.

2 – Pengetahuan Allah ‎ﷻ tidak ada had; sedangkan pengetahuan makhluk ada had (tidak semua makhluk tahu). Tidak ada yang tersembunyi daripada Allah‎ ﷻ.

3 – Pengetahuan kita diberi oleh Allah ‎ﷻ sedangkan pengetahuan Allah ‎ﷻ tidak ada sesiapa yang memberi kepada-Nya, ianya adalah Haq-Nya.

Jadi, walaupun nampak dari segi penggunaan bahasa, kita ada sifat yang sama dengan Allah‎ ﷻ, tetapi kita kena nilai sifat itu dengan 3 kriteria di atas. Kalau kita lakukan begitu, barulah kita terselamat daripada syirik. Kita tidak meletakkan sifat Allah‎ ﷻ kepada sifat makhluk. Tidak akan sama sifat makhluk dengan sifat Allah‎ ﷻ. Allah berfirman dalam [Shura:11]

لَيسَ كَمِثلِهِ شَيءٌ

Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia

Hendaklah faham betul-betul perkara ini, barulah dapat faham ilmu tauhid.

Masih lagi pada kalimah أَحَدٌ. Kalau kita lihat, kalimah ini tidak ada ال, sedangkan kalimah الصَّمَدُ ada pula ال. Oleh itu, أَحَدٌ adalah dalam bentuk nakirah. Tetapi kalimah أَحَدٌ ada tanwin padanya sebagai penegasan untuk memberi penekanan bahawa Allah ‎ﷻ itu ESA! (bahasa Arab tidak ada tanda seruan, jadi tanda seruan digunakan dalam bentuk tanwin).

Tanwin pada أَحَدٌ itu juga sebagai jawapan kepada soalan yang diberikan oleh Musyrikin Mekah yang bertanya: “siapa/apakah yang kamu sembah?” Maka, jawapan yang diberikan itu dalam bentuk tanwin iaitu Allah ‎ﷻ itu أَحَدٌ.

Kalimah inilah yang menyebabkan Bilal bin Rabbah diseksa kerana masuk Islam. Apabila dia diseksa dengan diletakkan batu besar atas tubuhnya, apakah kalimah yang disebut-sebut olehnya? Bukankah أَحَدٌ, أَحَدٌ, أَحَدٌ?

Bilal dan para sahabat yang lain faham apa maksud kalimah ini dan mereka mengamalkannya dalam kehidupan mereka. Tetapi, sekarang kita sudah jauh daripada kefahaman mereka. Kita tidak yakin yang Allah ‎ﷻ itulah yang Esa, satu-satunya tempat pengharapan kita. Hinggakan kita tidak berapa kisah dengan Allah‎ ﷻ. Ya, kita tahu Allah ‎ﷻ itu Tuhan kita, kita sebut Nama-Nya setiap hari, tetapi adakah kita beramal dan percaya seperti amalan dan kepercayaan para sahabat?

Tumpuan hidup mereka adalah menjadi hamba kepada Allah ‎ﷻ. Mereka taat kepada suruhan Allah‎ ﷻ dan meninggalkan larangan-Nya. Ini yang kita perlu sematkan dalam diri kita. Kerana kalau kita tidak menjadi hamba-Nya, kita akan jadi hamba kepada yang lain – kepada badan kita, kepada kerja, kepada anak, kepada wang dan sebagainya; itu sahaja yang mereka fikirkan dan kehidupan mereka diisi dengan benda lain selain Allah‎ ﷻ.

Kita hendaklah bertanya kepada diri kita: adakah kita benar-benar mentauhidkan Allah ‎ﷻ dalam kehidupan kita? Adakah Allah ‎ﷻ yang paling penting dalam kehidupan kita? Adakah Allah ‎ﷻ‎ ‘أَحَدٌ’ dalam diri kita? Adakah kita hanya bergantung harap kepada Allah ‎ﷻ sahaja ataupun kita ada juga meletakkan pengharapan kita kepada makhluk?

Apabila hati kita telah bersih daripada segala perasaan terhadap yang lain daripada Allah‎ ﷻ yang tunggal maka ketika itu hati kita akan bebas daripada segala belenggu dan ikatan, juga bebas daripada sebarang ketakutan. Apabila mantapnya kefahaman ini yang tidak melihat di alam ini selain hakikat Allah ‎ﷻ sahaja, maka hati akan melihat hakikat ini kepada segala kejadian yang lain.

Malah, seseorang itu juga akan melihat ‘hasil tangan’ Allah ‎ﷻ dalam segala yang berlaku. Sesuatu itu tidak akan berlaku tanpa kehendak Allah ‎ﷻ seperti disebut di dalam beberapa ayat,

وَما رَمَيتَ إِذ رَمَيتَ وَلٰكِنَّ اللَّهَ رَمىٰ

dan bukan kamu yang melempar ketika kamu melempar, tetapi Allah-lah yang melempar (Anfal:17)

وَمَا النَّصرُ إِلّا مِن عِندِ اللَّهِ

Dan kemenangan itu hanyalah dari sisi Allah (Anfal:10)

وَما تَشاءونَ إِلّا أَن يَشاءَ اللَّهُ

Dan kamu tidak dapat menghendaki (menempuh jalan itu) kecuali apabila dikehendaki Allah (Takweer:29)

Apabila kita dapat sematkan pemahaman ini dalam hati kita, maka akan tercurahlah rasa ketenteraman dalam hati dan dapatlah kita menyerahkan diri kita kepada Allah‎ ﷻ dengan sepenuhnya dan berlindung kepadanya apabila berasa takut dan bersifat tenang terhadap segala hal yang berlaku.

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 15 Ogos 2023


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Maulana Hadi

Fi Zilalil Qur’an