Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 29 – 30 (Jangan infak berlebihan)

PERINTAH: 5) BERBELANJA DENGAN SEDERHANA

Isra’ Ayat 29: Allah ﷻ ajar kita supaya dalam memberi, jangan memberi berlebihan sehingga habis, sehingga menyusahkan diri kita pula. Maka hendaklah berpada-pada.

وَلَا تَجعَل يَدَكَ مَغلُولَةً إِلَىٰ عُنُقِكَ وَلَا تَبسُطهَا كُلَّ ٱلبَسطِ فَتَقعُدَ مَلُومًا مَّحسُورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not make your hand [as] chained to your neck¹ or extend it completely¹ and [thereby] become blamed and insolvent.

  • i.e., refusing to spend.
  • i.e., being extravagant.

(MELAYU)

Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu dan janganlah kamu terlalu mengulurkannya kerana itu kamu menjadi tercela dan menyesal.

 

وَلا تَجعَل يَدَكَ مَغلولَةً إِلىٰ عُنُقِكَ

Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu

Ini adalah Pepatah Arab. Maksud ‘tangan di leher’ adalah ‘tangan terikat’ dengan tidak memberi infak atau tolong orang lain. Iaitu susah sangat hendak keluarkan duit. Mereka rasa susah sangat hendak keluarkan duit sebagai bantuan sampaikan terasa seolah dicekik kalau kena keluarkan juga duit itu. Mereka yang dimaksudkan adalah orang kedekut sangat untuk keluarkan duit. Kita memang digalakkan untuk berjimat cermat tetapi janganlah teruk sangat. Janganlah jadi Haji Bakhil pula.

Walaupun ayat ini khitab kepada Rasulullah ﷺ, akan tetapi ia ditujukan kepada kita umat baginda. Kerana apabila ia ditujukan kepada pemimpin, maka ia termasuklah kepada orang bawahannya sekali.

Kenapa manusia menjadi kedekut untuk infak? Kerana mereka takut harta mereka berkurangan. Mereka tidak nampak bahawa apa sahaja yang mereka infak ke arah kebaikan akan diganti oleh Allah ﷻ. Kerana itu Allah ﷻ menyebut apabila infak itu seumpama memberi pinjam di dalam Baqarah: 245. Apabila ‘beri pinjam’, isyaratnya adalah ia akan dipulangkan kembali kepada orang itu.

مَّن ذَا الَّذي يُقرِضُ اللَّهَ قَرضًا حَسَنًا فَيُضٰعِفَهُ لَهُ أَضعافًا كَثيرَةً ۚ وَاللَّهُ يَقبِضُ وَيَبسُطُ وَإِلَيهِ تُرجَعونَ
Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan.

 

وَلا تَبسُطها كُلَّ البَسطِ

dan janganlah kamu terlalu mengulurkannya

Namun begitu dalam masa yang sama jangan pula ‘mendepangkan’ tangan kita yang bermaksud memberi terlalu banyak kerana kita berangan-angan mahu menjadi seperti Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Janganlah kita beri kepada orang lain sampai tidak ada bahagian yang tinggal untuk diri kita dan ahli keluarga kita.

Janganlah kita baca kisah Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ itu sampai kita rasa itulah sahaja kayu ukur yang ada dalam kalangan para sahabat. Memang Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ beri seluruh hartanya untuk Islam. Namun kena ingat yang bukanlah semua sahabat mengeluarkan infak sampai 100% harta mereka. Bukan semua orang seperti Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang tahap imannya tidak mungkin dicapai oleh kita. Para sahabat yang lain pun ada juga mengeluarkan infak tetapi mereka tidaklah keluarkan semuanya sekali. Maka jangan kita bantu melebihi kemampuan kita.

Malangnya kadang-kadang kita selalu diwar-warkan kisah infak Sayidina Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ itu sampaikan seolah-olah itulah sahaja tanda aras iman seseorang. Sampaikan kita semua rasa apa yang kita berikan itu tidak mencukupi. Sedangkan siapakah kita dan siapakah Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ? Iman kita adakah sama dengan iman Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ? Yang kita patut beri adalah jikalau ada lebihan daripada keperluan hidup kita seperti firman Allah ﷻ di dalam Baqarah: 219

وَيَسأَلونَكَ ماذا يُنفِقونَ قُلِ العَفوَ
dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah – apa-apa) yang berlebih daripada keperluan (kamu).

Maka beri ikut kemampuan kita. Bukan semua orang seperti Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan juga Rasulullah ﷺ. Seperti yang kita tahu, baginda akan beri segalanya kepada orang lain. Baginda sanggup menahan kelaparan sampaikan pernah mengikat batu pada perut baginda untuk mengurangkan rasa lapar (batu itu menyebabkan rasa seolah-olah ada makanan pada perut). Kalau ada yang memang mampu jadi begini, maka silakan. Contoh cara infak Nabi ﷺ seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ عُقْبَةَ قَالَ صَلَّيْتُ وَرَاءَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْمَدِينَةِ الْعَصْرَ فَسَلَّمَ ثُمَّ قَامَ مُسْرِعًا فَتَخَطَّى رِقَابَ النَّاسِ إِلَى بَعْضِ حُجَرِ نِسَائِهِ فَفَزِعَ النَّاسُ مِنْ سُرْعَتِهِ فَخَرَجَ عَلَيْهِمْ فَرَأَى أَنَّهُمْ عَجِبُوا مِنْ سُرْعَتِهِ فَقَالَ ذَكَرْتُ شَيْئًا مِنْ تِبْرٍ عِنْدَنَا فَكَرِهْتُ أَنْ يَحْبِسَنِي فَأَمَرْتُ بِقِسْمَتِهِ
Daripada [‘Uqbah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata, “Aku pernah solat ‘Asar di belakang Nabi ﷺ di kota Madinah. Setelah salam, tiba-tiba baginda berdiri dengan tergesa-gesa sambil melangkahi leher-leher orang banyak menuju sebahagian kamar isteri-isterinya. Orang-orang pun merasa hairan dengan ketergesa-gesaan baginda. Setelah itu baginda keluar kembali menemui orang banyak, dan baginda lihat orang-orang merasa hairan. Maka baginda pun bersabda: “Aku teringat dengan sejongkong emas yang ada pada kami. Aku khuatir itu dapat menggangguku, maka aku perintahkan untuk dibahagi-bahagikan.”
(Sahih Bukhari No. 804)

Maka kalau kita memang mampu bersedekah dan tidak takut langsung dengan kemiskian seperti baginda ini, maka silakanlah lakukannya dan ayat ini tidaklah menghalang anda. Kerana kita pun tahu ada para sahabat yang sanggup memberikan segala milik mereka kepada manusia yang memerlukan. Mereka tidak mengeluh nasib mereka dan tidak menyesal di kemudian hari. Akan tetapi jikalau anda memaksa diri anda untuk berikan terlalu banyak dan kemudian nanti menyesal apabila duit tidak cukup, maka janganlah lakukannya.

 

فَتَقعُدَ مَلُومًا مَّحسُورًا

kerana itu kamu menjadi tercela dan menyesal.

Menjadi tercela kalau bakhil dan berat untuk membantu. Dia telah diperhambakan oleh hartanya itu. Malah tercela di mata manusia. Kerana orang yang memerlukan bantuan itu tahu yang diminta itu ada kelapangan untuk membantu, tetapi tidak mahu kerana kedekut. Maka orang akan mencela mereka kerana bakhil adalah perbuatan yang tercela dan memalukan.

Namun begitu kalau beri tanpa memikirkan diri sendiri cukup atau tidak, nanti akan menyesal pula. Kalimah مَحسورًا daripada katadasar ح س ر yang digunakan untuk haiwan yang telah berjalan jauh dan keletihan sampai tidak boleh bergerak lagi. Janganlah kita beri melebihi daripada kemampuan kita sampaikan kita pun lelah tidak dapat menguruskan kehidupan kita dan keluarga. Janganlah kita beri sampai kita jadi bangkrap tidak berduit langsung, sampai kita pun kena meminta kepada orang lain pula. Kalau itu terjadi, maka kita akan kecewa dan menyesal kerana telah tersalah beri. Ini semua adalah makna-makna yang boleh ditafsirkan/diterjemahkan daripada kalimah مَحسورًا ini kerana ia mengandungi banyak makna.

Maka kita kenalah cari jalan pertengahan antara dua ekstrem itu (tahan tangan dan beri terlalu banyak). Ini penting kerana takut nanti kita akan tercela dan menyesal. Kita kenalah menjadi seorang Muslim yang bijak dalam berbelanja dan dalam memberi. Kita kenalah pandai menguruskan ekonomi diri sendiri. Ini seperti sabda Rasulullah ﷺ,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا عَالَ مَنْ اقْتَصَدَ
Daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidak akan menjadi faqir orang yang berhemat.”
(Musnad Ahmad (26,363))

Maknanya kita kena pandai urus ekonomi kita sendiri. Kena pandai kira keperluan hidup kita dan berapa yang kita mampu keluarkan. Jangan lupa yang kita ada tanggungjawab kepada diri dan keluarga yang di bawah tanggungan kita juga. Kita juga memerlukan makanan esok hari. Allah ‎ﷻ telah ajar juga di dalam Furqan: 67 tentang hal ini,

وَالَّذينَ إِذا أَنفَقوا لَم يُسرِفوا وَلَم يَقتُروا وَكانَ بَينَ ذٰلِكَ قَوامًا
Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kedekut, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian.

Namun janganlah gunakan alasan ini untuk tidak mahu infak kepada orang lain. Jangan lupa kelebihan infak yang selalu disebut dalam Al-Qur’an dan dalam hadith. Antaranya di dalam kitab Sahihain disebutkan melalui jalur Mu’awiyah ibnu Abu Mazrad, dari Sa’id ibnu Yasar, dari Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

“مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ الْعِبَادُ فِيهِ إِلَّا وَمَلَكَانِ يَنْزِلَانِ مِنَ السَّمَاءِ يَقُولُ أَحَدُهُمَا: اللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، وَيَقُولُ الْآخَرُ: اللَّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا”
Tiada suatu hari pun yang padanya hamba-hamba Allah berpagi hari melainkan terdapat dua malaikat yang turun dari langit. Salah seorang yang mengatakan, “Ya Allah, berikanlah ganti kepada orang yang berinfak.” Sedangkan malaikat yang lain¬nya mengatakan, “Ya Allah, berikanlah kehancuran bagi orang yang kikir.”
(Sahih Bukhari (1442))

Imam Muslim رَحِمَهُ اللَّهُ telah meriwayatkan hadith berikut ini daripada Qutaibah, daripada Ismail ibnu Ja’far, daripada Al-Ala, daripada ayahnya, daripada Abu Hurairah secara marfu’ iaitu:

“مَا نَقَصَ مَالٌ مِنْ صَدَقَةٍ، وَمَا زَادَ اللهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا وَمَنْ تَوَاضَعَ ِللهِ رَفَعَهُ اللهُ”
Tiada harta benda yang berkurang kerana bersedekah, dan tidak sekali-kali Allah menambahkan kepada orang yang berin¬fak melainkan kemuliaannya. Dan barang siapa yang berendah diri kerana Allah, Allah pasti mengangkatnya (meninggikannya).
(Sahih Muslim (4689))

Allah ‎ﷻ sebut dua keadaan di dalam ayat ini: مَلُومًا dan مَّحسُورًا. Kalau seseorang itu bakhil, maka dia adalah مَلُومًا. Orang lain akan mencelanya. Kalau seseorang itu terlalu banyak memberi sampai dia sendiri kehabisan harta, maka dia adalah مَّحسُورًا – menyesal, bangkrap, keletihan.


 

Isra’ Ayat 30: Sebelum ini telah disebut tentang infak dan larangan bakhil. Antara sebab manusia bakhil takut hendak infak dan membantu adalah kerana takut jatuh ke dalam kemiskinan. Maka sekarang Allah ﷻ beritahu supaya jangan takut kerana yang beri rezeki adalah Dia. Ini juga adalah ayat Dalil Aqli. Allah ﷻ yang melapangkan rezeki kita, maka hendaklah kita sembah dan seru kepada Allah ﷻ sahaja. Allah ﷻ juga hendak memberitahu yang kelapangan rezeki itu adalah salah satu daripada ujian, sebenarnya.

إِنَّ رَبَّكَ يَبسُطُ ٱلرِّزقَ لِمَن يَشَآءُ وَيَقدِرُ‌ۚ إِنَّهُ ۥ كَانَ بِعِبَادِهِۦ خَبِيرَۢا بَصِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, your Lord extends provision for whom He wills and restricts [it]. Indeed He is ever, concerning His servants, Acquainted and Seeing.

(MELAYU)

Sesungguhnya Tuhanmu melapangkan rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan menyempitkannya; sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.

 

إِنَّ رَبَّكَ يَبسُطُ الرِّزقَ لِمَن يَشاءُ

Sesungguhnya Tuhanmu melapangkan rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki

Allah ﷻ mengingatkan kepada kita bahawa Dialah yang membantu manusia lain dan bukannya kita dengan memberi bantuan kewangan. Kita mungkin rasa dengan kita membantu seseorang itu, masalah kewangan dia selesai tetapi tidak semestinya kerana semuanya bergantung kepada Allah ﷻ.

Kalau kita beri banyak mana pun, tidak semestinya masalah dia selesai kalau Allah ﷻ tidak izinkan. Akan tetapi mungkin kalau kita beri sedikit pun, kalau Allah ﷻ berkati pemberian itu, dapat pula menyelesaikan masalah dia.

Di sini juga Allah ﷻ mengingatkan yang memberi rezeki itu adalah Allah ﷻ. Bukannya dengan menahan tangan kita daripada memberi itu akan menjanjikan harta kita tidak berkurang dan kita kenal kaya. Yang mengkayakan kita adalah Allah ﷻ. Bukanlah dengan memberi infak semestinya akan menjadikan kita kaya.

وَيَقدِرُ

dan menyempitkannya; 

kedudukan kewangan seseorang makhluk itu. Kalau ada pun cukup-cukup makan sahaja, tetapi selalunya tidak cukup sentiasa. Semuanya dalam tangan Allah ﷻ dan Allah ﷻ yang tentukan. Ini adalah ujian baginya.

Pengembangan dan penyempitan ini boleh bertukar. Ada orang yang asalnya senang dan kaya raya tetapi kemudian jatuh papa; ada yang asalnya miskin memanjang tetapi kemudian Allah ﷻ luaskan rezekinya. Mungkin pada satu masa kita yang infak dan beri pertolongan kepada orang, dan entah pada waktu yang lain orang itu pula infak kepada kita balik.

Di sini juga Allah ﷻ memberi peringatan bahawa yang menyempitkan rezeki adalah Allah ﷻ, bukannya dengan memberi infak. Kita beri atau tidak, ia tidak memberi janji yang kita akan kaya atau miskin.

Maka siapa yang dilapangkan rezekinya dan siapa yang disempitkan rezekinya? Ini adalah ketentuan Allah ﷻ. Allah ﷻ Maha Bijaksana dan tahu siapa yang patut dapat dan siapa yang patut dikurangkan. Semua ini adalah ujian. Kita sebagai manusia tidak dapat memastikan yang kita pasti kaya atau kita pasti miskin.

 

إِنَّهُ ۥ كَانَ بِعِبَادِهِۦ خَبِيرَۢا بَصِيرًا

sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.

Allah ﷻ Maha Tahu dengan segala hamba-hamba-Nya. Allah ﷻ tahu dan melihat kesusahan yang kita alami. Allah ﷻ tahu dan melihat apa yang kita lakukan – sama ada kita memberi atau menahan pemberian kita. Allah ﷻ tahu berapa banyak yang patut diberikan kepada hamba-Nya.

Allah ﷻ juga tahu siapakah yang layak dapat rezeki atau tidak. Kerana Allah ﷻ tahu ada sesetengah hamba yang kalau dia dapat harta yang banyak, akan merosakkannya; dan ada yang kalau terus di dalam kemiskinan, akan merosakkannya. Di dalam sebuah hadith disebutkan seperti berikut:

“أتاني جبريل فقال يا محمد ربك يقرأ عليك السلام ويقول إن من عبادي من لا يصلح إيمانه إلا بالغنى ولو أفقرته لكفر وإن من عبادي من لا يصلح إيمانه إلا بالفقر ولو أغنيته لكفر وإن من عبادي من لا يصلح إيمانه إلا بالسقم ولو أصححته لكفر وإن من عبادي من لا يصلح إيمانه إلا بالصحة ولو أسقمته لكفر
Malaikat Jibril datang kepadaku, lalu berkata, ‘Wahai Muhammad, Tuhanmu mengucapkan salam kepadamu, dan dia berfirman, ‘Sesungguhnya di antara hamba-hamba-Ku ada orang yang imannya tidak menjadi baik kecuali dengan kekayaan, dan kalau Aku jadikan dia miskin maka dia kufur. Dan, di antara hamba-hamba-Ku ada orang yang imannya tidak menjadi baik kecuali dengan kemiskinan, dan kalau Aku jadikan dia kaya maka dia kufur. Dan, di antara hamba-hamba-Ku ada orang yang imannya tidak menjadi baik kecuali dengan sakit, dan kalau Aku jadikan dia sihat maka dia kufur. Dan, di antara hamba-hamba-Ku ada yang imannya tidak menjadi baik kecuali dengan sihat, dan apabila Aku jadikan dia sakit maka dia kufur. “

Akan tetapi hadith ini tidak sahih.

HR. Ibn Abi Duniya dalam al-Auliya’ no. 1, Abu Nua’im dalam Hilyatul Auliya’ 8/318, at-Thabarani dalam Mu’jam al-Awsath no. 609, al-Baghawi dalam Syarahus Sunnah 5/23, , al- hakim al-Tirmidzi dalam Nawadhir al-Usul 1/429 daripada Anas bin Malik ra.
Abu Nua’im menilai hadith ini dhaif.

Ibnu Jauzi dalam al-‘Ilal Mutanahiyah 1/44 menilai hadith ini tidak sahih
As-Safarini al-Hambali dalam Syarah Kitab Syihab no. 620 menilai hadith ini dhaif.
Ibnu Rejab dalam Jami’ al-Ulum wal Hikam 2/333 menilai hadith ini dhaif.
Syeikh al-Arnauth dalam Takhrij Syarahus Sunnah no. 1249, menilai sanad hadith ini dhaif.
Menurut pentahqiq Tafsir Ibnu Katsir 12/279, sanad hadith ini dhaif jiddan.

Oleh itu Allah ﷻ beri ikut keadaan dan keperluan seseorang itu. Maka bersyukurlah dengan apa yang kita ada kerana itulah yang sesuai untuk agama kita. Adakalanya kekayaan itu pada sebahagian manusia merupakan suatu istidraj baginya (pembinasaan secara beransur-ansur), dan adakalanya kemiskinan itu merupakan suatu hukuman daripada Allah ﷻ. Semoga Allah ﷻ melindungi kita daripada kedua keadaan tersebut.

Sekian Ruku’ 3 dari 12 ruku’ surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 29 April 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 26 – 28 (Adab-adab dalam infak)

PERINTAH:
3) INFAK
4) JANGAN MEMBAZIR

Isra’ Ayat 26: Sekarang masuk perkara kedua dalam berbuat baik. Selepas disebut tentang ibubapa, siapa lagi yang kita mesti berbuat baik?

وَءَاتِ ذَا ٱلقُربَىٰ حَقَّهُ ۥ وَٱلمِسكِينَ وَٱبنَ ٱلسَّبِيلِ وَلَا تُبَذِّر تَبذِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And give the relative his right, and [also] the poor and the traveler, and do not spend wastefully.1

  • i.e., on that which is unlawful or in disobedience to Allāh.

(MELAYU)

Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) secara boros.

 

وَءَاتِ ذَا ٱلقُربَىٰ حَقَّهُ ۥ

Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, 

Sekarang masuk kepada orang lain selain ibu bapa kita. Allah ﷻ beritahu yang kalau dengan ibu bapa kita, kita boleh berbuat baik walaupun ia susah, maka kalau dengan ahli keluarga kita yang lain itu akan lebih mudah.

Di samping berbakti, berkhidmat dan menanamkan kasih-sayang dan cinta dan rahmat kepada kedua orang tua, hendaklah pula berikan kepada kaum keluarga yang karib itu akan haknya kerana mereka berhak ditolong. Mereka berhak dibantu. Kaum kerabat, atau keluarga terdekat itu adalah bertali darah dengan kamu. Kamu hidup di tengah-tengah keluarga. Saudara-saudaramu sendiri, yang seibu sebapa, atau yang seibu saja atau yang sebapa saja. Nenek daripada pihak ibu, nenek daripada pihak ayah dan lain-lain. Anak-anak daripada saudara laki-laki, anak-anak daripada saudara perempuan, dan lain-lain.

Kepada ahli keluarga yang lain walaupun kita ada tanggungjawab terhadap mereka tetapi tanggungjawab itu tidaklah setinggi tanggungjawab kita terhadap ibu bapa. Berikan hak kepada mereka yang paling rapat dengan kamu dari segi kekeluargaan. Setiap orang akan mendapat hak mereka masing-masing sama ada adik beradik, nenek dan sebagainya.

Hak itu boleh jadi dari segi harta atau hubungan baik dengan mereka. Iaitu haq silaturrahim dengan mereka. Kena jaga hubungan baik dengan mereka. Paling kurang adalah melayan mereka dengan baik. Kalau mereka dalam kesusahan, maka bantulah mereka semampu kita. Dalam ahli keluarga kita ada yang senang, ada yang susah kerana rezeki tidak sama. Maka bantulah di mana yang kita boleh bantu. Ini kita tidak ceritakan dengan terperinci kerana sendiri boleh tahu sebenarnya. Ia boleh jadi bantuan material atau bukan material. Ini kerana kalimah yang digunakan adalah ءَاتِ dan ia bukan bermaksud pemberian harta sahaja. Sebagai contoh, di dalam Baqarah: 269, Allah ﷻ sebut menggunakan kalimah yang sama (يُؤتِي dan يُؤتَ dan أوتِيَ adalah bentuk yang lain daripada ءَاتِ) untuk pemberian hikmah.

يُؤتِي الحِكمَةَ مَن يَشاءُ ۚ وَمَن يُؤتَ الحِكمَةَ فَقَد أوتِيَ خَيرًا كَثيرًا ۗ وَما يَذَّكَّرُ إِلّا أُولُو الأَلبٰبِ
Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

Jumhur ulama menilai perintah di sini sebagai anjuran, bukan perintah wajib. Hanya Abu Hanifah رَحِمَهُ اللَّهُ yang menilainya sebagai perintah wajib selagi mampu terhadap keluarga dekat.

 

وَالمِسكينَ وَابنَ السَّبيلِ

kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan

Selain ahli keluarga, kita kena berikan hak kepada orang miskin dan kepada orang yang bermusafir. Bagi musafir itu syaratnya adalah mereka yang terputus bekalan ketika di dalam perjalanan. Adakala mereka itu bukanlah miskin, akan tetapi terputus bekalan di dalam perjalanan dan mereka tidak ada cara untuk mendapatkan harta mereka yang mungkin jauh daripada mereka.

Hak mereka adalah mereka mendapat bantuan daripada kita semasa mereka susah. Maka kita kena perhatikan siapa yang memerlukan bantuan. Kerana itu kita kena bergaul dengan masyarakat supaya kita tahu apa masalah yang mereka hadapi. Kita juga akan senang kenal dengan orang luar jikalau kita sudah biasa dengan orang kampung kita. Apabila kita nampak orang luar, maka kita bolehlah perhatikan sama ada mereka itu di dalam kesusahan atau tidak. Mungkin bertanya kepada mereka sendiri sebagai mengalu-alukan kedatangan mereka ke tempat kita.

 

وَلا تُبَذِّر تَبذيرًا

 dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) secara boros.

Ayat ini bermaksud jangan membazir dalam perbelanjaan. Kalimah تُبَذِّر daripada katadasar ب ذ ر yang bermaksud ‘menabur benih’. Diberi perumpamaan orang yang ada benih dan menaburkan kesemua tempat. Lihatlah apa yang dilakukan oleh petani yang menabur benih, bukankah dia akan taburkan begitu sahaja benih itu?

Maka sekarang bayangkan kalau orang yang membazir, seperti dia membuang-buang dan menabur benih sahaja. Iaitu beli barang yang tidak perlu. Maka di dalam kita memberi itu, berilah dengan bijaksana. Fikir sedikit supaya yang diberi itu boleh gunakan barang pemberian kita. Sebagai contoh, kalau peniaga jualan tidak habis, janganlah beri barang makanan yang sudah hendak basi kepada orang lain. Sampaikan penerima pula menjadi susah menjadi tukang buang bagi pihak anda.

Membazir bermaksud pengeluaran yang bukan haq. Apakah kaitannya jangan membazir dengan hak ahli keluarga kita yang rapat? Ia bersangkutan kerana ahli keluarga kita itu lebih berhak kepada wang itu berbanding dengan orang lain dan lebih-lebih lagi kalau kita membazir wang itu dengan mengeluarkannya tanpa kepentingan. Lebih-lebih lagi kalau pemberian itu ke arah perbuatan dosa. Contohnya bagi duit kepada ahli keluarga untuk mereka berhibur seperti menonton konsert. Atau pemberian yang melebihi keperluan mereka, sampaikan mereka akan buang pula nanti.

Mungkin kita kata kita tidak ada wang lagi untuk tolong ahli keluarga kita yang susah; tetapi kena periksa semula ke manakah wang itu pergi kerana entah-entah kita bazirkan sahaja. Maka Allah ﷻ ingatkan, jangan membazir kerana kalau sudah bazirkan duit ke tempat lain, memang lah tiada lagi wang untuk diberi kepada ahli kerabat, bukan?

Kalimah تُبَذِّر adalah jenis perbelanjaan yang memang tidak diperlukan tetapi dilakukan kerana membazir sahaja. Ini berbeza jenis beli barang keperluan yang memang diperlukan dalam kehidupan tetapi beli jenis yang mahal yang tidak diperlukan; sebagai contoh beli baju yang berharga beribu ringgit. Ini adalah israf (berlebih-lebihan). Tentang israf disebut di dalam A’raf: 31

وَكُلوا وَاشرَبوا وَلا تُسرِفوا ۚ إِنَّهُ لا يُحِبُّ المُسرِفينَ
dan makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.

Israf adalah beli barang yang memang diperlukan, seperti baju kita memang perlukan pun, tetapi bila beli baju yang jenis mahal dan tidak patut (kena nilai sendirilah), maka itulah israf. Bazir pula jenis beli benda yang tidak perlu.

Kita kena mengajar anak-anak kita supaya jangan membazir. Kalau ada makanan yang jatuh, suruh mereka kutip, basuh dan makan. Jangan membazir. Maka kalau memasak, ajar isteri dan anak-anak perempuan kita untuk memasak dikira cukup-cukup untuk orang yang akan makan. Kerana kalau masak berlebihan, nanti dibuang begitu sahaja dan ini juga membazir!

Ini masalah dan dugaan kalau manusia diberikan dengan wang yang banyak. Ia boleh jadi sampai mereka rasa agama tidak penting dan berada di bawah mereka (tidak penting). Mereka rasa hebat sangat wang mereka sampaikan ada yang sangka orang-orang yang berkecimpung dalam agama memerlukan sedekah dari mereka.

Kerana itu ada orang yang sekali sekala akan panggil ustaz untuk datang ke rumah mereka untuk beri tazkirah dan kemudian mereka akan berikan sampul yang berisi dengan duit untuk ustaz-ustaz itu. Kerana dalam kepala mereka, golongan agama ini di bawah mereka dan memerlukan pertolongan mereka yang kaya.

Mereka rasa, dengan mereka buat tazkirah sebegitu dan mereka beri wang, mereka sudah selamat dan berbakti kepada agama. Sedangkan mereka sendiri tidak beramal dengan amalan yang sebenar.


 

Isra’ Ayat 27: Ini adalah ancaman kepada orang-orang yang membazir.

إِنَّ ٱلمُبَذِّرِينَ كَانُوٓاْ إِخوٰنَ ٱلشَّيَـٰطِينِ‌ۖ وَكَانَ ٱلشَّيطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, the wasteful are brothers of the devils, and ever has Satan been to his Lord ungrateful.

(MELAYU)

Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat engkar kepada Tuhannya.

 

إِنَّ ٱلمُبَذِّرِينَ كَانُوٓاْ إِخوٰنَ ٱلشَّيَـٰطِينِ‌ۖ

Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan

Kalimah إِخوٰنَ adalah jamak bagi أخ akh yang biasa diterjemahkan ‘saudara’. Kata ini pada mulanya bererti ‘persamaan’ dan ‘keserasian’. Dari sini persamaan dalam asal usul keturunan mengakibatkan persaudaraan, baik asal usul jauh, lebih-lebih yang dekat. Persaudaraan syaitan dengan pemboros adalah persamaan sifat-sifatnya, serta keserasian antara keduanya. Mereka berdua sama melakukan hal-hal yang batil, tidak pada tempatnya.

Persaudaraan itu difahami oleh Ibn ‘Asyur رَحِمَهُ اللَّهُ dalam erti kebersamaan dan ketidakberpisahan syaitan dengan pemboros. Ini kerana saudara biasanya selalu bersama saudaranya dan enggan berpisah dengannya. Kerana itu ada penambahan كَانُوٓاْ di dalam ayat ini yang memberi isyarat mereka persaudaraan mereka itu terjadi lama dan berlangsung sehingga kita. Mereka sudah lama berkawan.

Kenapa agaknya orang-orang yang membazir itu dikaitkan dengan syaitan? Agak berat sungguh ancaman Allah ﷻ kali ini sampaikan menjadikan adik beradik dengan syaitan! Ini adalah kerana Syaitan berusaha untuk mengadakan permusuhan sesama manusia dan salah satu cara yang dilakukannya adalah dengan arak dan perjudian.

Biasanya kawan yang karib, saudara mara atau teman setia itu besar pengaruhnya kepada orang yang ditemaninya. Orang yang telah berkawan dengan syaitan sudah kehilangan pedoman dan tujuan hidup. Sebab dia telah dibawa sesat oleh kawannya itu, sehingga meninggalkan taat kepada Allah ﷻ dan menggantinya dengan maksiat. Allah ﷻ telah beri sebut mereka ini di dalam Fussilat: 25

وَقَيَّضنا لَهُم قُرَناءَ فَزَيَّنوا لَهُم مّا بَينَ أَيديهِم وَما خَلفَهُم
Dan Kami adakan untuk mereka teman-teman rapat (daripada jin dan manusia), lalu teman-teman itu memperhiaskan kepada mereka (fahaman-fahaman sesat) mengenai perkara-perkara dunia yang ada di hadapan mereka, serta perkara-perkara lepas yang di belakang mereka;

Satu lagi cara yang boleh menyebabkan rasa tidak puas hati dalam kalangan manusia adalah apabila orang-orang yang kaya itu menunjuk-nunjuk kekayaan mereka yang menyebabkan orang yang tidak ada harta akan terasa hati. Apabila itu terjadi maka terdapatlah kasta di dalam masyarakat. Bila itu terjadi, masyarakat sudah tidak harmoni lagi dan boleh jadi kacau bilau.

Kenapa Allah ﷻ sebut tentang membazir selepas ayat sebelumnya menyebut tentang memberi kepada ahli keluarga, orang miskin dan musafir yang terputus bekalannya? Allah ﷻ hendak mengingatkan dalam memberi pun jangan sampai membazir, atau memberi berlebihan daripada yang sepatutnya (yang mereka tidak perlukan). Atau memberi terlebih sangat sampaikan menyusahkan dan menyempitkan diri kita pula.

 

وَكَانَ ٱلشَّيطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورًا

dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.

Semua kita tahu bahawa syaitan itu kufur ingkar terhadap Allah ﷻ. Maka janganlah kita terikut-ikut dengan bisikan dan ajakan syaitan. Syaitan itu memang akan sentiasa berusaha untuk merosakkan masyarakat dengan apa cara sekali pun. Syaitan akan sentiasa berusaha untuk mengajak manusia ingkar dengan Allah ﷻ juga sepertinya. Maka Allah ﷻ telah berfirman di dalam Baqarah: 169

إِنَّما يَأمُرُكُم بِالسّوءِ وَالفَحشاءِ وَأَن تَقولوا عَلَى اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ
Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya).

Maka ini merupakan peringatan keras kepada para pemboros yang menjadi teman syaitan itu, bahawa persaudaraan dan kebersamaan mereka dengan syaitan dapat membawa kepada kekufuran. Betapa tidak, bukankah teman saling pengaruh mempengaruhi, atau teman seringkali meniru dan meneladani temannya. Ternyata ini adalah satu perkara yang amat berat.

Kufur juga boleh bermaksud kufur nikmat (bukanlah kufur keluar daripada Islam). Iaitu tidak berterima kasih dengan pemberian daripada Allah ﷻ. Teranglah, kalau seseorang telah membuang-buang harta kepada yang tidak berfaedah, bermakna pengaruh syaitan telah masuk ke dalam dirinya. Oleh kerana sifat syaitan itu ialah tidak mengenal terima kasih, menolak dan melupakan nikmat, oleh kerana dia telah menjadi sahabat setia orang yang bersangkutan itu, maka sifat dan perangai syaitan itulah yang telah memasuki dan mempengaruhi peribadinya, sehingga segala tindak-tanduk hidupnya pun tidak lagi mengenal terimakasih. Begitu banyaknya rezeki dan nikmat yang dilimpahkan Allah ﷻ kepada dirinya, lalu dibuang-buangnya saja dengan tidak semena-mena.


 

Isra’ Ayat 28: Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang memberikan pertolongan kepada saudara mara. Akan tetapi bagaimana pula kalau kita tidak dapat membantu mereka pada masa itu? Bab ini pun Allah ﷻ ajar juga.

Kita masih lagi dalam bab Amalan Tiga Serangkai – berbuat baik.

وَإِمَّا تُعرِضَنَّ عَنہُمُ ٱبتِغَآءَ رَحمَةٍ مِّن رَّبِّكَ تَرجُوهَا فَقُل لَّهُم قَولاً مَّيسُورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if you [must] turn away from them [i.e., the needy] awaiting mercy from your Lord which you expect,¹ then speak to them a gentle word.

  • i.e., if you have not the means to give them at present.

(MELAYU)

Dan jika kamu berpaling dari mereka untuk memperoleh rahmat dari Tuhanmu yang kamu harapkan, maka katakanlah kepada mereka ucapan yang lembut.

 

وَإِمّا تُعرِضَنَّ عَنهُمُ

Dan jika kamu berpaling daripada mereka

Berpaling itu maksudnya tidak memberi bantuan kepada yang meminta. Ini kerana untuk memberi sesuatu kepada orang lain, maka anda harus menghadapnya, sedangkan bila tidak memberinya – dengan alasan apapun – maka anda tidak mengarahkan wajah kepadanya, tetapi anda menyampingkannya yakni memberi sisi samping anda.

Kadang-kadang kita memang tidak boleh membantu ahli keluarga kita yang datang kepada kita untuk meminta tolong, walaupun kita bukan jenis orang yang membazir. Kerana memang kita sedang tidak ada duit untuk diberikan kepada mereka waktu itu.

 

ٱبتِغَآءَ رَحمَةٍ مِّن رَّبِّكَ تَرجُوهَا

untuk memperoleh rahmat dari Tuhanmu yang kamu harapkan, 

Kita tidak dapat tolong mereka itu bukan kerana kita tidak mahu tolong tetapi kerana waktu mereka datang minta tolong kepada kita, kita pun sebenarnya sedang mengharapkan rahmat daripada Allah ﷻ untuk membantu diri kita sendiri. Kiranya memang tengah sesak waktu itu. Untuk diri sendiri pun mungkin tengah tidak cukup atau cukup-cukup makan sahaja.

Dalam keadaan begini bagaimanakah yang kita perlu lakukan dan bagaimana kita kena layan mereka?

 

فَقُل لَّهُم قَولاً مَّيسُورًا

maka katakanlah kepada mereka ucapan yang lembut.

Namun dalam kita menolak itu, kita kena bercakap baik kepada mereka dengan menjelaskan kenapa kita tidak boleh tolong mereka pada waktu itu. Gunakan perkataan yang mereka mudah terima, yang lembut, yang menyenangkan.

Menurut kitab-kitab tafsir, ayat ini turun berkenaan Nabi Muhammad ﷺ di waktu pada satu ketika baginda membiarkan orang meminta tolong kepada baginda pulang dengan tangan kosong. Baginda dan umat Islam waktu itu menjauh, lari daripada orang yang meminta kerana malu tidak dapat membantu dan memberi. Maka sekarang Allah ﷻ mengajar, kalau tidak boleh bantu, apa yang patut mereka sebut. Maka sejak itu kalau terjadi demikian baginda tidak melepaskan orang itu pergi melainkan dengan ucapannya:

يَرزُقنَا اللهُ وَإيَّاكُم مِن فَضلِهِ
“Diberi rezeki Allah kiranya kami dan kamu daripada kurnia-Nya.”

Lihatlah bagaimana adab yang diajar oleh agama Islam dalam hal ini. Hendak menolak daripada memberi pertolongan pun diajar. Supaya orang yang meminta itu tidak terasa hati, tidak jatuh air muka mereka. Muka yang jernih saja pun sudah sama dengan pemberian derma. Hati orang yang susah, meskipun maksudnya tidak berhasil, akan lega juga melihat orang tempatnya meminta itu tidak bermuka kerut menghadapinya. Melainkan membayangkan kesedihan hati, kerana tidak dapat memberi di saat itu.

Ini kerana selalunya yang datang meminta bantuan kita entah berapa kali dia berfikir dan berlatih apa yang hendak dia cakapkan kepada kita. Ini kerana dia pun malu juga air mukanya kerana sampai datang meminta pertolongan. Ini bagi orang yang ada maruah diri yang tinggi. Maka kalau mereka telah kuatkan hati mereka untuk minta tolong kepada kita, dan kita tolak dengan cara yang menyakitkan hati, tentulah ia memberi kesan kepada perasaan mereka pula.

Pertamanya, kenalah minta maaf kepada mereka kerana tidak boleh beri waktu itu. Jangan kita tolak mereka dan marah pula kepada mereka kerana minta tolong kepada kita sedangkan kita pun susah juga. Kadang-kadang ada orang yang marah pula kepada orang yang minta kepada kita, bukan? (“Kau tak nampakkah aku pun susah juga ni?! Asyik minta-minta sahaja engkau ini!”).

Keduanya, beritahu dengan baik kenapa kamu tidak boleh beri pertolongan kepada mereka. Katakan yang kamu juga sedang mencari rezeki daripada Allah ﷻ dan apabila sudah dapat nanti, kamu akan hubungi mereka kembali. Ini kerana ulama tafsir mengatakan, kalimat قَولًا مَيسورًا mengandungi makna harapan dan janji. Iaitu janji untuk bantu dan janji untuk hubungi mereka balik. Maka ini bukan untuk tolak sahaja, tetapi ada janji untuk tolong bila kita boleh tolong.

Kenapa sampai begini Allah ﷻ ajar kita berbahasa dengan orang yang datang meminta bantuan kita? Ini kerana syaitan sentiasa sahaja menggalakkan permusuhan dalam kalangan manusia. Salah satu cara adalah dengan menghasut manusia untuk menggunakan kata-kata yang tidak baik, buruk dan menyakitkan hati. Kalau kita silap cakap sahaja, boleh tersimpan dalam hati orang lain dan boleh menyebabkan permusuhan.

Maka Al-Qur’an banyak mengajar kita cara-cara berkomunikasi. Antaranya di dalam ayat ini:

a. Qawlan Ma’roofan: seperti yang disebut dalam Nisa: 5. Ia bermaksud apabila bercakap, gunakan kata-kata yang senang difahami. Jangan cakap berbelit-belit sampai orang pun tidak faham.

b. Qawlan Sadeedan: seperti yang disebut dalam dalam ayat Nisa: 9. bermaksud ucapan baik yang menepati syariat. Percakapan yang jelas, jangan samar-samar. Cakaplah dengan jelas dan tepat dan jangan sorok perkara yang kita tahu.

c. Qawlan Baleeghan: seperti yang disebut dalam ayat Nisa: 63. Ia bermaksud kata-kata nasihat yang memberi kesan. Nasihatilah manusia biar sampai nasihat itu sampai ke dalam hati mereka. Bercakaplah dengan baik supaya nasihat itu memberi bekas pada jiwa.

d. Qawlan Kareeman: seperti yang disebut dalam Isra’: 23. Menegur dengan menggunakan kalimah yang sesuai. Isra’: 23 adalah tentang berkomunikasi kepada ibubapa. Kalau mereka salah, memang boleh tegur tapi kena pakai kalimah yang sesuai. Terutama apabila hendak menegur orang tua memang kena dengan caranya. Bercakaplah dengan mereka dan dengan orang lain pun dengan adab.

e. Qawlan Maisooran: seperti yang disebut dalam ayat ini. Menggunakan ucapan yang lembut. Ayat Isra’: 28 ini memberi contoh apabila tidak dapat memberi infak kepada orang yang meminta. Kita mahu membantu tapi waktu itu tak mampu nak membantu. Maka kita jelaskan kepada mereka kenapa kita tidak dapat membantu. Gunakan penjelasan yang mudah difahami dan jangan berbelit-belit. Waktu itu yang meminta itu memang sedang mengharap dan kalau kita berbelit kata, mereka akan tambah seksa.

f. Qawlan Layyinan: seperti yang disebut dalam Taha: 44. Maksudnya bercakap dengan lemah lembut. Memang ini bukan mudah untuk dilakukan terutama kepada mereka yang telah melakukan kesalahan. Akan tetapi kita kena cuba kerana ayat Taha: 44 ini arahan Allah ﷻ kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk bercakap dengan lembut kepada Firaun dalam berdakwah. Kalau dengan Firaun pun kena bercakap lembut, apatah lagi dengan orang lain.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 29 April 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 24 – 25 (Mendoakan ibubapa)

Isra’ Ayat 24: Masih lagi tentang ibubapa. Ini adalah sambungan daripada ayat sebelum ini.

وَٱخفِض لَهُمَا جَنَاحَ ٱلذُّلِّ مِنَ ٱلرَّحمَةِ وَقُل رَّبِّ ٱرحَمهُمَا كَمَا رَبَّيَانِى صَغِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And lower to them the wing of humility out of mercy and say, “My Lord, have mercy upon them as they brought me up [when I was] small.”

(MELAYU)

Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil”.

 

وَٱخفِض لَهُمَا جَنَاحَ ٱلذُّلِّ مِنَ ٱلرَّحمَةِ

Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua kerana rahmah

Secara literal, ayat ini bermaksud ‘merendahkan sayap’ kita. Ini kerana جَنَاحَ bermaksud sayap burung. Seekor burung merendahkan sayapnya ketika ia hendak mendekat dan bercumbu dengan betinanya. Begitu juga ketika ia melindungi anak-anaknya. Sayapnya terus dikembangkan dengan merendah dan merangkul, serta tidak beranjak meninggalkan tempat dalam keadaan demikian sampai berlalunya bahaya. Dari sini ungkapan itu difahami dalam erti kerendahan hati, hubungan harmonis serta perlindungan dan ketabahan.

Maka ia adalah kiasan untuk kita merendahkan diri kita di hadapan ibubapa kita. Inilah sifat tawadhu’. Memang burung-burung ada keupayaan untuk terbang, tetapi apabila ia merendahkan sayapnya bermaksud ia merendahkan dirinya kerana walaupun ia boleh terbang, tetapi ia pilih untuk tidak terbang. Pengajarannya walaupun anak itu sudah dewasa, sudah berpangkat tinggi, sudah belajar ke sana sini, tetap dia kena rendahkan dirinya di hadapan ibubapanya.

Merendahkan sayap juga ada disebut di dalam ayat Hijr: 88

لا تَمُدَّنَّ عَينَيكَ إِلىٰ ما مَتَّعنا بِهِ أَزوٰجًا مِّنهُم وَلا تَحزَن عَلَيهِم وَاخفِض جَناحَكَ لِلمُؤمِنينَ
Janganlah sekali-kali kamu menunjukkan pandanganmu kepada kenikmatan hidup yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan di antara mereka (orang-orang kafir itu), dan janganlah kamu bersedih hati terhadap mereka dan berendah dirilah kamu terhadap orang-orang yang beriman.

Akan tetapi ayat Isra’: 24 dan Hijr: 88 tidak sama kerana pada Isra’: 24 ini adalah tambahan جَنَاحَ ٱلذُّلِّ yang bermaksud kerendahan. Dalam konteks keadaan burung, binatang itu juga mengembangkan sayapnya pada saat ia takut untuk menunjukkan ketundukannya kepada ancaman. Nah, di sini sang anak diminta untuk merendahkan diri kepada orang tuanya terdorong oleh penghormatan dan rasa takut melakukan hal-hal yang tidak sesuai dengan kedudukan ibu bapanya. Adapun pada ayat al-Hijr kerana ia ditujukan kepada Nabi ﷺ terhadap umatnya, maka tentu saja kerendahan dan rasa takut itu tidak diperlukan.

Kalimah مِنَ ٱلرَّحمَةِ ditambah untuk menegaskan yang perlakuan ini bukanlah lakonan semata-mata, atau malu orang lihat, takut dicela; akan tetapi kerana ikhlas sedar yang dirinya itu memang sepatutnya menghormati dan menghargai ibubapanya itu. Ini mengajar kita bahwa apa yang kita lakukan adalah satu perbuatan rahmah, kasih sayang kepada ibubapa kita.

Ini adalah perumpamaan yang diberikan kepada anak-anak yang memang ada kuasa untuk menang dengan ibubapa mereka. Mungkin ibubapa mereka itu sudah lemah tubuh mereka dan makan pula hasil daripada pencarian si anak itu. Maka kalau anak itu mahu meninggikan dirinya, buat keputusan yang berlawanan dengan ibubapanya, dia boleh kerana dia yang berkuasa sekarang. Akan tetapi mereka memilih untuk tidak menang.

Ini tidak sama dengan orang yang memang lemah, tetapi ia bermakna seseorang yang memang dalam keadaan yang boleh menang tetapi dia memilih untuk merendahkan dirinya. Semasa kita kecil atau ditanggung oleh ibubapa kita, memanglah kita merendahkan diri kita, bukan? Namun bukan begitu maksud ayat ini. Maksud ayat ini tentang mereka yang ada kelebihan atas ibubapa mereka, tetapi mereka tetap merendahkan diri mereka.

Ini kerana seseorang anak itu apabila dia telah besar dan mungkin dia telah kaya dan ibubapanya sekarang sudah tua dan miskin pula dan mungkin makan hasil daripada pendapatan anaknya, duduk pula di rumah anaknya itu, maka tentunya si anak itu berada pada kedudukan yang lebih tinggi daripada ayahnya dalam hal dunia.

Akan tetapi walaupun mereka ada kedudukan seperti itu, mereka tetap kena merendahkan diri mereka di hadapan ibubapa mereka. Maka walaupun kamu ada ‘sayap’ tetapi kamu berlakonlah yang kamu tidak ada sayap itu apabila kamu berada di hadapan ibubapa kamu.

Di dalam ayat ini disebut ‘Rahmah’. Kita buat begitu kepada ibubapa kita kerana ada sifat ‘Rahmah’ terhadap mereka disebabkan mereka dulu telah menjaga kita di waktu kita kecil dan kita telah pernah menyusahkan mereka, kencing berak sana sini, sakit demam menyusahkan mereka sampai tidak cukup tidur namun mereka tetap sayangkan kita. Mereka tetap sayangkan kita walau apa pun yang kita buat terutama sekali ibu kita. Seorang ayah boleh menghalau anaknya dari rumah tetapi seorang ibu tidak akan sanggup untuk melakukannya.

Satu lagi maksud, kalau kamu mahukan rahmah daripada Allah ‎ﷻ, maka kamu kena bersifat Rahim kepada mereka. Kita memang berharap rahmat daripada Allah ﷻ, maka memang kena jaga sikap kita dengan ibubapa.

 

وَقُل رَّبِّ ارحَمهُما كَما رَبَّياني صَغيرًا

dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, rahmatilah mereka keduanya, disebabkan mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil”.

Kalau sebelum ini adalah perlakuan dan khidmat kita kepada ibubapa semasa mereka hidup. Sekarang disebut apa yang kita boleh lakukan walaupun mereka telah tiada, iaitu mendoakan mereka. Kalau khidmat kita, apalah sangat yang kita mampu buat untuk mereka, bukan? Kita hanya mampu buat setakat yang mampu dilakukan oleh seorang manusia. Maka sekarang kita minta dan serahkan urusan ibubapa kita kepada Allah ﷻ yang Maha Agung yang dapat memberikan segala-galanya kepada ibubapa kita itu.

Apakah terjemahan كَما رَبَّياني صَغيرًا? Adakah ‘sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil’? Ini seperti terjemahan sesetengah kitab yang kita baca. Kalau begitu, pembalasan kepada ibubapa itu setakat sama dengan apa yang mereka telah berikan, mendidik kita dahulu. Maka ini tidaklah banyak dari segi kuantiti dan kualiti kerana mereka hanya manusia sahaja.

Maka terjemahan yang lebih baik bagi ayat كَما رَبَّياني صَغيرًا adalah ‘disebabkan mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil’. Maka limpahan rahmat yang kita mohonkan itu kita serahkan kepada kemurahan Allah ﷻ dan ini dapat melimpah jauh lebih banyak dan besar daripada apa yang mereka limpahkan kepada kita. Adalah sangat wajar dan terpuji jika kita bermohon agar keduanya memperoleh lebih banyak daripada yang kita peroleh, serta membalas budi melebihi budi mereka. Bukankah kita diperintahkan untuk melakukan ihsan terhadap mereka seperti yang kita telah bincangkan di dalam ayat sebelum ini?

Maka kita hendaklah berdoa kepada Allah ﷻ supaya menyayangi ibubapa kita seperti ibubapa kita itu menyayangi dan mentarbiyah diri kita dan mendidik kita sewaktu kita kecil dahulu. Di sini disebut minta diberikan rahmat kepada mereka. Antara terkandung di dalam maksud rahmat itu adalah mengampuni segala dosa mereka. Tarbiyah itu maksudnya menjaga dan mendidik. Ini penting kerana ibubapa kita telah menjaga kita sewaktu kecil dulu dan memastikan kita membesar dengan baik. Inilah antara tanda seorang yang soleh, iaitu yang mendoakan kebaikan untuk ibubapanya.

Di sini Allah ﷻ mengingatkan kita jerih payah ibubapa kita membesarkan kita. Mereka memberi makan dan pakai, menjaga kita dari bahaya, memandikan dan membersihkan kita, melayan kerenah kita, mendidik kita dan macam-macam lagi. Itu semua bukan senang. Sebagai contoh Allah ﷻ berfirman di dalam Ahqaf: 15

وَوَصَّينَا الإِنسٰنَ بِوٰلِدَيهِ إِحسٰنًا ۖ حَمَلَتهُ أُمُّهُ كُرهًا وَوَضَعَتهُ كُرهًا ۖ وَحَملُهُ وَفِصٰلُهُ ثَلٰثونَ شَهرًا ۚ حَتّىٰ إِذا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَربَعينَ سَنَةً قالَ رَبِّ أَوزِعني أَن أَشكُرَ نِعمَتَكَ الَّتي أَنعَمتَ عَلَيَّ وَعَلىٰ وٰلِدَيَّ وَأَن أَعمَلَ صٰلِحًا تَرضٰهُ وَأَصلِح لي في ذُرِّيَّتي ۖ إِنّي تُبتُ إِلَيكَ وَإِنّي مِنَ المُسلِمينَ
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku daripada orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)”.

Di dalam ayat Ahqaf ini Allah ﷻ memberi contoh payahnya ibu itu mengandung, melahirkan dan membesarkan anak itu. Walaupun ayat ini mengandungi sebutan tentang ibu, tetapi ayah juga tidaklah terkecuali. Agaknya kenapa ayat Al-Qur’an hanya menyebut tentang ibu dan tidak menyebut tentang ayah? Apa ayahnya tidak berjasa kepada anak itu dan tidak membesarkan anak itu sekali dengan ibunya? Tentu sekali, bukan? Namun kenapa Allah ﷻ tidak sebut di dalam Al-Qur’an tentang susah payah ayah? Ayah tidak susahkah menjaga dan membesarkan anak?

Kerana jasa ayah itu anak itu sendiri boleh nampak. Apabila dia sudah besar sedikit dia akan nampak bagaimana ayah itu yang bekerja, beli makanan, bawa mereka jalan-jalan dan beli barang itu dan ini. Jasa emak waktu itu sudah tidak kelihatan sangat kerana ibu selalunya di rumah sahaja. Anak tidak nampak ibunya yang mengandungkannya, yang sakit melahirkannya, yang susah menyusukannya, yang lebih banyak berjaga malam berbanding ayahnya. Ini kerana waktu itu dia kecil sangat dan tidak nampak perkara itu atau tidak ingat langsung. Maka jasa ayah tidak perlu disebut kerana anak itu sendiri tahu. Akan tetapi kerana jasa emak yang lebih besar tidak kelihatan kepada anak itu, maka Allah ﷻ ingatkan kepada anak itu di dalam Al-Qur’an.

Akan tetapi ayat-ayat di atas tidak membezakan antara ibu dan bapa. Memang pada dasarnya ibu hendaknya didahulukan atas ayah, tetapi ini tidaklah selalu demikian. Thahir Ibn ‘Asyur رَحِمَهُ اللَّهُ menulis bahawa Imam Syafi‘i رَحِمَهُ اللَّهُ pada dasarnya menyamakan keduanya, sehingga bila ada salah satu yang hendak didahulukan, maka sang anak hendaknya mencari faktor-faktor penguat mendahulukan salah satunya. Bukan automatik terus lebihkan ibu sahaja, tetapi mestilah dilihat pada keadaan. Kerana itu pula walaupun ada hadith yang mengisyaratkan perbandingan hak ibu dengan bapa sebagai tiga dibanding satu, namun penerapannya pun harus setelah memperhatikan faktor-faktor semasa. Kena lihat ‘ketupat’ (kedudukan, waktu dan tempat).

Ayat Ahqaf: 15 ini juga mengandungi doa yang boleh juga dibaca oleh seorang anak. Maka jangan kita lupakan mendoakan ibubapa kita ini. Rasulullah ﷺ telah mengingatkan bahawa doa kita ini sampai kepada mereka dan bermanfaat kepada mereka. Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
“Apabila matinya seorang insan akan terputus amalannya melainkan tiga perkara: Sedekah Jariyah (yang berterusan digunakan), ilmu yang bermanfaat buat dirinya dan anak soleh yang sentiasa mendoakannya.”
(Riwayat Muslim (1631))

Hadith ini ada memberi isyarat bagaimana menjadi anak yang soleh. Tanda anak yang soleh itu adalah mereka mendoakan ibubapa mereka. Lihat potongan وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ (dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakannya). Kalau buat buat tidak tahu sahaja, tidaklah mereka itu dikira anak yang soleh.

Doa ini boleh dilakukan bila-bila masa sahaja. Tidak perlu tunggu pergi ziarah kubur mereka baru hendak berdoa. Maka ini mengajar kita yang kita boleh membantu ibubapa kita walaupun mereka telah meninggalkan alam ini.

Ini juga mengajar para ibubapa untuk mendidik anak-anak mereka dengan didikan agama. Kena ajar mereka tentang kepentingan faham Al-Qur’an, hadith dan adab-adab Islam. Kalau tidak diajar, bagaimana mereka hendak tahu tentang doa-doa sebegini dan menjaga ibubapa di kala usia tua? Kalau pendidikan akademik sahaja diberikan dan diabaikan pendidikan agama, ya mereka mungkin berjaya dalam hidup dengan dapat pekerjaan yang baik, tetapi adakah anak-anak itu akan tahu cara berkhidmat kepada ibubapa mereka?

Semasa mereka hidup juga kita boleh mendoakan mereka dengan doa, terlebih-lebih lagi jikalau mereka telah tiada. Akan tetapi ini bagi ibubapa yang Muslim. Kalau ibubapa yang non-Muslim, seorang anak tidak boleh mendoakan mereka. Kalau semasa hidup, ya boleh mendoakan bagi pihak mereka; akan tetapi apabila mereka telah mati, tidak boleh lagi mendoakan mereka. Ini berdasarkan ayat Mumtahanah: 4

إِلّا قَولَ إِبرٰهيمَ لِأَبيهِ لَأَستَغفِرَنَّ لَكَ
Kecuali perkataan Ibrahim kepada bapanya: “Sesungguhnya aku akan memohonkan ampunan bagi kamu

Ini kerana bapa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mati sebagai musyrik dan baginda telah ditegur kerana mendoakan ibubapanya seperti disebut di dalam Tawbah: 114

وَما كانَ استِغفارُ إِبرٰهيمَ لِأَبيهِ إِلّا عَن مَّوعِدَةٍ وَعَدَها إِيّاهُ فَلَمّا تَبَيَّنَ لَهُ أَنَّهُ عَدُوٌّ لِّلَّهِ تَبَرَّأَ مِنهُ
Dan permintaan ampun daripada Ibrahim (kepada Allah) untuk bapanya tidak lain hanyalah kerana janji yang telah diikrarkannya kepada bapanya itu. Maka, tatkala jelas bagi Ibrahim bahawa bapanya itu adalah musuh Allah, maka Ibrahim berlepas diri dari padanya.

Mungkin bagi anak-anak yang sayang ibubapanya akan bersedih kerana tidak dapat membantu ibubapanya yang kafir atau musyrik. Akan tetapi larangan Allah ‎ﷻ ini adalah kerana Dia tidak suka kita melakukan perkara yang sia-sia. Doa itu sia-sia kerana Allah ﷻ tidak akan mengampunkan dosa musyrik seperti disebut di dalam Nisa’: 116

إِنَّ اللَّهَ لا يَغفِرُ أَن يُشرَكَ بِهِ وَيَغفِرُ ما دونَ ذٰلِكَ لِمَن يَشاءُ ۚ وَمَن يُشرِك بِاللهِ فَقَد ضَلَّ ضَلٰلًا بَعيدًا
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukan-Nya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut peraturan hukum-hukum-Nya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.

Apabila mereka telah mati, maka tiada lagi harapan bagi mereka. Selagi mereka masih hidup, seorang anak masih lagi mendoakan kebaikan bagi ibubapanya walaupun mereka kafir. Iaitu mendoakan supaya diberi hidayah kepada mereka.

Namun itu adalah untuk ibubapa yang kafir/musyrikk. Bagi kita yang ibubapanya Muslim, jangan abaikan membaca doa ini. Cuma kalau kita perhatikan, doa ini ada ta’liq (syarat). Lihat ayat كَما رَبَّياني صَغيرًا (sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil). Maknanya syarat untuk para ibubapa mendapat rahmat dan kasih sayang Allah ﷻ ini adalah jika mereka menyayangi anaknya itu. Kalau mereka buat tidak endah, zalim, malah ada yang liwat anak mereka, ibubapa itu tidak dapatlah rahmat daripada Allah ﷻ. Maka ini mengajar ibubapa untuk berhati-hati dalam mendidik anak mereka. Kalau anak-anak itu berdoa pun dengan doa ini, kalau ibubapa itu tidak berlaku baik dan adil dengan anak-anak mereka, mereka pun tidak mendapat rahmat daripada Allah ﷻ.

Betapapun, doa dan bakti yang diajarkan agama ini, bukan saja merupakan pendidikan kepada anak/manusia untuk pandai mensyukuri nikmat dan mengakui jasa orang lain apalagi ibubapa, tetapi juga bertujuan mengukuhkan hubungan harmonis antara keluarga yang dapat mengukuhkan sendi-sendi kehidupan masyarakat dan umat manusia. Inilah prinsip asas negara Islam yang menjaga hubungan di dalam masyarakat yang dimulai dengan orang yang paling dekat iaitu ibubapa kita, kemudian keluarga, kemudian jiran.


 

Isra’ Ayat 25: Masih lagi tentang ibubapa. Segala perkara yang telah disebut sebelum ini hanya boleh dilakukan oleh orang yang ikhlas hatinya. Maka Allah ﷻ tekankan yang Dia tahu apakah yang di dalam hati kita, ikhlas atau tidak.

Oleh kerana penekanan tentang tindakan seorang anak terhadap ibubapa itu sangat tinggi, sampaikan boleh mencemaskan seorang anak. Bagaimana kalau niatnya baik, tetapi praktikalnya tidak sebegitu. Contohnya dia berniat baik hendak menggembirakan hati ibubapanya, namun alih-alih mereka terasa hati pula. Maka sekarang Allah ﷻ beritahu yang apa yang dikira adalah apa yang di dalam hati (niat anak itu).

رَّبُّكُم أَعلَمُ بِمَا فِى نُفُوسِكُم إِن تَكُونُواْ صَـٰلِحِينَ فَإِنَّهُ ۥ ڪَانَ لِلأَوّٰبِينَ غَفُورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Your Lord is most knowing of what is within yourselves. If you should be righteous [in intention] – then indeed He is ever, to the often returning [to Him], Forgiving.¹

  • For those who intend righteousness, hastening to repent from sins and errors committed through human weakness, Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā) promises forgiveness.

(MELAYU)

Tuhanmu lebih mengetahui apa yang ada dalam hatimu; jika kamu orang-orang yang baik, maka sesungguhnya Dia Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.

 

رَبُّكُم أَعلَمُ بِما في نُفوسِكُم

Tuhanmu lebih mengetahui apa yang ada dalam hatimu;

Kadang-kadang pergaulan antara anak dan ibubapa tidak sama. Ada ibu bapa yang mudah untuk dibawa berbincang dan ada yang susah. Tambahan pula sekarang masing-masing duduk di dalam rumah yang sama, makan minum bersama. Maka kadangkala mungkin terlepas cakap, terkeluar kata-kata yang menunjukkan kemarahan, mungkin kerana ketika penat dan sebagainya Adakah anak itu sudah celaka?

Sekarang Allah ﷻ beritahu yang Dia Maha Mengetahui apa yang ada dalam hati kita semasa berhadapan dengan mereka. Allah ﷻ tahu apa yang kita lalui dan Dia tahu yang kadangkala kita terpaksa hadapi perangai ibu bapa kita. Kalau kamu bersikap baik maka Allah ﷻ juga tahu. Kalau hati kamu baik maka kamu akan selamat. Maknanya Allah ﷻ melihat kepada niat kita. Adakah waktu itu kita memang hendak menyakiti hati ibubapa kita atau tidak? Maknanya adalah timbang tara, Allah ﷻ akan buat kira juga apa yang di dalam hati kita.

Allah ﷻ tahu sama ada kita ikhlas atau tidak. Maka ayat ini mengajar kita untuk mengikhlaskan hati kita. Akan ada manusia yang buat baik kerana hendakkan dunia sahaja. Ada yang berbuat baik dengan ibubapa kerana hendak tunjuk pada orang sahaja. Akan tetapi kalau di belakang orang dan di dalam hatinya, dia bencikan ibubapanya. Allah ﷻ beritahu yang Dia tahu apa yang bermain dalam hati kita.

 

إِن تَكُونُواْ صَـٰلِحِينَ فَإِنَّهُ ۥ ڪَانَ لِلأَوّٰبِينَ غَفُورًا

jika kamu orang-orang yang baik, maka sesungguhnya Dia Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.

Kalau kita tersalah cakap, tersalah sikap sampaikan ibubapa terasa hati, mintalah maaf kepada mereka, semoga Allah ﷻ ampunkan kesalahan kita. Sebelum ini telah disebut Allah ﷻ akan buat kira apa niat kita.

Kalimah ‘awwaba’ bermaksud ‘kembali dari perjalanan yang jauh’. ‘Awwaab’ adalah orang yang telah berada di dalam dosa yang panjang dan kemudian dia sedar bahawa dia telah buat salah. Bila dia sudah sedar, maka dia pun bertaubat. Inilah yang sepatutnya kita lakukan. Maka kalimah أَوّٰبِينَ adalah orang sentiasa kembali kepada Allah ﷻ pada setiap masa. Mereka itu sentiasa bertaubat. Akan tetapi kadang-kadang apabila telah berada dalam perjalanan yang jauh, ada yang rasa macam mahu berpatah balik itu malas. Akan tetapi Allah ﷻ beritahu kepada mereka yang telah jauh tetapi sanggup untuk kembali kepada-Nya, kepada mereka itu Allah ﷻ bersifat Maha Pengampun.

Oleh itu kadang-kadang kita telah lama tidak mengendahkan ibu bapa kita dan telah sampai satu ketika yang kita rasa tidak ada peluang untuk kita berbuat baik kepada mereka lagi. Akan tetapi Allah ﷻ memberitahu bahawa masih ada lagi peluang itu. Yang penting adalah orang itu sanggup untuk berpatah balik dan sanggup melakukan usaha ke arah itu dan Allah ﷻ beritahu kepada mereka yang Dia Maha Pengampun. Maknanya, Allah ﷻ masih sanggup ampunkan mereka.

Maka, kalau sudah lama tidak bercakap baik dengan ibubapa, maka ambillah peluang ini; kalau sudah lama tidak pulang ke kampung, pulanglah segera; kalau sudah lama tidak telefon, maka telefonlah tanya khabar mereka; kalau dulu anda pernah marah dan maki mereka, maka jumpalah mereka dan berlututlah depan mereka meminta maaf – tidak selamat hidup anda kalau anda tidak minta maaf.

Selalu lah tanya mereka: “Emak… ayah… ada tak apa-apa yang emak dan ayah tidak puas hati dengan saya? Ada tak saya pernah sakitkan hati emak dan ayah?” Kita tanya kerana kita cuba hendak pastikan mereka redha dengan kita. Kerana kalau mereka ada tidak redha, kita yang bermasalah besar nanti. Mungkin mereka tidak beritahu kepada kita biasanya, tetapi kalau kita tanya begini, mungkin mereka akan cakap.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 29 April 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 23 (Berbakti kepada ibubapa)

Isra’ Ayat 23: Kandungan ayat ini terdapat juga di dalam Taurat, iaitu yang selalu dikenali sebagai ‘The Ten Commandment’.

Sekarang bermulanya ayat amalan tiga serangkai. Kalau kita ditimpa musibah, maka kita kena buat amal-amalan ini yang akan membuatkan Allah ‎ﷻ belas kasihan kembali kepada kita. Ini kerana azab musibah dikenakan kepada kita berpunca daripada maksiat yang kita lakukan, maka kita kena kembali pujuk Allah ‎ﷻ.

Bermula ayat ini sehingga ke ayat 39 adalah Perenggan Makro ke 3. Perenggan ini mengajar Prinsip Asas Negara Islam. Prinsip itu adalah: Jaga Tauhid, berbakti kepada Ibu bapa, menjaga hubungan kerabat, membantu orang miskin dan yang memerlukan, jujur dalam berurus niaga, jangan boros, jangan kedekut, jangan bunuh anak-anak, jangan bunuh orang, jangan dekati zina, jangan sombong dan mesti sempurnakan janji.

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلوَٲلِدَينِ إِحسَـٰنًا‌ۚ إِمَّا يَبلُغَنَّ عِندَكَ ٱلڪِبَرَ أَحَدُهُمَآ أَو كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَآ أُفٍّ وَلَا تَنہَرهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَولاً ڪَرِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And your Lord has decreed that you not worship except Him, and to parents, good treatment. Whether one or both of them reach old age [while] with you, say not to them [so much as], “uff,”¹ and do not repel them but speak to them a noble word.

  • An expression of disapproval or irritation.

(MELAYU)

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.

 

وَقَضىٰ رَبُّكَ أَلّا تَعبُدوا إِلّا إِيّاهُ

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia

Di dalam ayat sebelum ini pun sudah melarang menjadilah ilah selain Allah ‎ (لّا تَجعَل مَعَ اللهِ إِلٰهًا ءآخَرَ) dan sekarang disambung lagi penekanan larangan untuk menyembah selain Allah ‎ﷻ. Inilah akidah, inilah Tauhid, dan inilah yang paling penting sekali di dalam ajaran agama Islam. Kerana itu diulang-ulang banyak kali.

Kalimah قَضىٰ dalam ayat ini bermaksud ‘penetapan’, ‘pemutusan’, ‘perintah’, iaitu perintah daripada Allah ‎ﷻ. Di dalam Al-Qur’an kalimah قَضىٰ datang dengan dua makna dan ada contohnya di dalam Surah Isra’ juga:

1. Qada’ Kawni – lihat Isra’: 4

وَقَضَينا إِلىٰ بَني إِسرائيلَ فِي الكِتابِ لَتُفسِدُنَّ فِي الأَرضِ مَرَّتَينِ وَلَتَعلُنَّ عُلُوًّا كَبيرًا
Dan telah Kami tetapkan terhadap Bani Israil dalam Kitab itu: “Sesungguhnya kamu akan membuat kerosakan di muka bumi ini dua kali dan pasti kamu akan menyombongkan diri dengan kesombongan yang besar”.

Qada’ Kawni adalah ketetapan daripada kehendak Allah ﷻ. Allah ﷻ berkehendak menjadikan Bani Israil melakukan kerosakan di bumi dua kali. Ia merujuk kepada kejadian alam.

2. Qada’ Syar’i – iaitu merujuk kepada ketetapan daripada Allah ﷻ berkenaan apa yang kita kena buat sebagai hamba. Ini seperti disebut dalam ayat yang kita sedang pelajari ini. Apa yang menjadi Qada’ Syar’i adalah perintah dan setiap perintah hukumnya wajib. Tidak menyembah selain Allah ﷻ itulah makna Tauhid.

Yang pertama disebut di sini, amalkan tauhid dan tinggalkan syirik kerana ketahuilah yang musibah yang menimpa kita adalah kerana kesalahan yang kita lakukan, terutama sekali amalan syirik. Bila kita buat syirik maka Allah ﷻ beri peringatan kita dengan beri musibah kepada kita. Maka kita kena kembali kepada Allah ﷻ dan duduk di dalam landasan akidah yang benar kembali.

Ini adalah arahan yang penting daripada Allah ﷻ kepada manusia: jangan hambakan diri kepada selain daripada Allah ﷻ. Kalau buat juga, itu adalah kesalahan yang amat besar dan akan menyebabkan kekal dalam neraka.

Masalahnya dengan kebanyakan manusia, mereka sembah Allah ﷻ, berdoa kepada Allah ﷻ, akan tetapi di dalam masa yang sama, mereka ada juga sembah dan berdoa kepada selain Allah ﷻ. Ini adalah syirik dan iman mereka yang sebegitu adalah tidak sempurna. Allah ﷻ ingatkan hal ini di dalam An’am: 82

الَّذينَ ءآمَنوا وَلَم يَلبِسوا إيمٰنَهُم بِظُلمٍ أُولٰئِكَ لَهُمُ الأَمنُ وَهُم مُّهتَدونَ
Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

 

وَبِالوٰلِدَينِ إِحسٰنًا

dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu

Hendaklah berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Allah ﷻ sedang mengajar kita untuk berbuat baik kepada yang berjasa dengan kita. Pertamanya, Allah ﷻ yang telah menjadikan kita, dan kemudian ibubapa kita yang menjadi asbab kita lahir ke dunia.

Lihatlah bagaimana Allah ﷻ sebut tentang ibu bapa sebaik sahaja Allah ﷻ sebut tentang tauhid kepada-Nya dan ini memberitahu kepada kita bahawa perkara ini amatlah penting. Maka, jangan kita main-main tentang perkara ini. Lagi satu contoh adalah di dalam Luqman: 14

أَنِ اشكُر لي وَلِوٰلِدَيكَ
Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu

Lihat juga An’am: 151

۞ قُلْ تَعَالَوْا اَتْلُ مَا حَرَّمَ رَبُّكُمْ عَلَيْكُمْ اَلَّا تُشْرِكُوْا بِهٖ شَيْـًٔا وَّبِالْوَالِدَيْنِ اِحْسَانًاۚ
Katakanlah: “Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatu pun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa;

Sekali lagi di dalam Nisa’: 36

‎وَاعْبُدُوا اللهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوٰلِدَيْنِ إِحْسٰنًا
Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa,

Kalimah yang digunakan dalam ayat-ayat ini adalah والد yang bermaksud ibu bapa yang melahirkan kita (biological parents). Ini berbeza dengan kalimah ٌأب yang kadangkala digunakan untuk juga ‘bapa’. Kalau digunakan أب, ia bermaksud bapa yang telah menjaga kita dengan baik dan sayang kepada kita.

Kalimah إِحسٰنًا bukan sahaja bermaksud baik, tetapi lebih baik. Ini kerana Al-Qur’an menggunakan kata إِحسٰنًا untuk dua hal. Pertama, memberi nikmat kepada pihak lain, dan kedua, perbuatan baik, kerana itu kata “ihsan” lebih luas dari sekadar memberi nikmat atau nafkah. Maknanya bahkan lebih tinggi dan lebih dalam daripada kandungan makna ‘adil’, kerana adil itu adalah memperlakukan orang lain sama dengan perlakuannya kepada kita, sedangkan “ihsan”, memperlakukannya lebih baik daripada perlakuannya terhadap kita. Adil adalah mengambil semua hak kita dan atau memberi semua hak orang lain, sedangkan ihsan adalah memberi lebih banyak daripada yang harus kita beri dan mengambil lebih sedikit daripada yang seharusnya kita ambil.

Maknanya kita kena buat lebih lagi dengan ibubapa kita. Apa maksudnya dalam praktikal kita? Kita kena letak mereka di tempat yang tinggi dan berbakti kepada mereka. Akan tetapi apakah caranya? Tentulah ada banyak perkara yang kita boleh lakukan, namun bagi saya satu kayu ukur yang kita kena ingat adalah melakukan sesuatu yang kita tahu menggembirakan mereka. Apa-apa sahaja kita lakukan adalah untuk bagi diri mereka bahagia dan redha. Itu mungkin bermakna bercakap baik dengan mereka, selalu balik kampung, selalu telefon, selalu masakkan untuk mereka dan macam-macam lagi cara untuk menambat hati mereka. Terlalu banyak untuk kita sebutkan satu persatu, tetapi bila kita sudah tahu kayu ukur dia, senang (bahagiakan mereka).

Namun itu adalah kerana kita balas jasa mereka, bukan? Apa maksud lebih lagi (إِحسٰنًا)? Maknanya kalau mereka tidak berjasa pun dengan kita, kita kena berbuat baik dengan mereka (bayangkan kalau jasa mereka banyak). Bayangkan kalau mereka itu tidaklah berapa baik dengan kita, abaikan kita, tinggalkan kita entah di mana, tidak tunjukkan kasih sayang, kejam dan dera kita, begitu pun kita tetap kena berbuat baik dengan mereka. Jasa mereka amat besar kerana melahirkan kita yang kita tidak mungkin boleh balas (tidak termasuk jasa-jasa yang lain). Ada ibubapa bukanlah baik sangat, tidaklah menjaga sangat anak-anaknya, tetapi kerana Allah ﷻ menggunakan kalimah إِحسٰنًا, ia bermaksud kita tidak boleh hiraukan hal itu. Kita tetap kena berbuat baik dengan mereka.

Kenapa ada perbincangan tentang perkara ini? Kerana kita disuruh berbuat baik kepada ibubapa kita, sama ada mereka baik atau pun tidak. Kerana ada juga ibubapa yang tidak baik, bukan? Itu tidak kisah kerana itu Allah ﷻ gunakan kalimah والد dalam bentuk yang umum. Kalau mereka tidak baik, tidak jaga kita dengan baik pun, kita tetap kena berbuat baik kepada mereka.

Maka tidak bolehlah digunakan alasan untuk tidak berbuat baik kepada ibu bapa kalau mereka tidak berbaik dengan kita. Mungkin ada anak yang diabaikan oleh ibubapa mereka, malah ada yang lebih teruk, ditindas oleh ibubapa sendiri. Yang mereka tidak berbuat baik dan menjaga anak mereka dengan baik itu adalah masalah mereka dan mereka kena jawab nanti di akhirat; tapi seorang anak tetap kena menghormati mereka dan tetap kena berbuat baik kepada mereka. Alasan mereka ibubapa yang jahat, bukanlah alasan untuk tidak berbuat baik dengan mereka.

Allah ﷻ kata kita kena berbuat ihsan dengan ibu bapa kita dan ini bermaksud berbuat sehabis baik dengan mereka. Maka boleh dikatakan bahawa ini adalah arahan yang paling susah di dalam kumpulan ayat-ayat ini kerana kadang-kadang kita rasa susah untuk benar-benar buat baik dengan ibubapa kita sendiri. Kerana kadang-kadang mereka mahukan perkara yang berlainan daripada kehendak kita, bukan?

Maka berilah tindakan yang baik kepada ibubapa kita kerana sebelum kita kenal Allah ﷻ dan sebelum kita kenal agama, ibubapa kitalah yang kita kenal dahulu. Merekalah yang telah berjasa melahirkan kita dan membesarkan kita, melayan kerenah kita semasa kita kecil dulu.

Kalau emak dan ayah yang kita nampak di hadapan mata kita pun kita tidak boleh berlaku baik, maka bagaimana kita boleh berharap untuk berlaku baik kepada Allah ﷻ yang tidak ada di depan mata kita dan kita tidak dapat melihat-Nya?

Cuma dari segi keutamaan, seorang anak mestilah berbuat baik kepada ibunya dahulu, selepas itu barulah bapanya. Ini seperti disebut di dalam satu hadith, Rasulullah ﷺ bersabda:

أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أَبُوكَ
Ibu kamu (adalah manusia yang paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya), kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu.
Riwayat Muslim (2548)

Memang dari segi kedudukan, ibu lebih utama. Sebab itu sampai kita besar sekarang pun kalau ada apa-apa, kita sebut ‘alamak’! Kita tak sebut alapak, bukan?

Dari segi bahasa pula, kenapa Allah ﷻ gunakan harf ب pada بِالوٰلِدَينِ dan bukan harf ل (untuk) atau إلى (kepada) yang penggunaan pada mata kita, lebih kurang sama sahaja. Menurut pakar-pakar bahasa, kata ل ada mengandungi makna jarak/jauh, sedangkan Allah ﷻ tidak menghendaki adanya jarak, walau sedikit dalam hubungan antara anak dan orang tuanya. Anak selalu harus mendekat dan merasa dekat kepada ibu bapanya, bahkan kalau boleh, dia hendaknya melekat kepadanya, dan kerana itu digunakan harf ب yang mengandungi erti إلصاق , yakni kelekatan. Ini kerana huruf ب di dalam بِسَبَبٍ adalah dalam bentuk Ba’ Al-Ilsāq (باء الإلصاق). Secara ringkas, Bā’ Al-Ilsāq bermaksud “Ba’ yang menunjukkan perlekatan atau persambungan.” Ilsāq (الإلصاق) secara bahasa bermaksud melekat, melekatkan, menyambungkan, atau menyentuh. Maka ke mana pun kita pergi, kita bawa nama ibubapa kita. Ke mana pun kita pergi, kita kena ingat kepada mereka. Malah apabila mereka tidak ada pun, kita kena tetap ingat kepada mereka dan mendoakan mereka.

Disebabkan kelekatan itulah, maka bakti yang dipersembahkan oleh anak kepada orang tuanya, pada hakikatnya bukan untuk ibu bapa, tetapi untuk diri sang anak itu sendiri. Itu pula sebabnya tidak dipilih kata penghubung ل atau إلى yang mengandungi makna ‘peruntukan’ dan ‘kepada’. Sebelum ini kita sudah pernah bincangkan bahawa segala perbuatan baik kita adalah untuk kita, bukan untuk orang lain, bukan? Maka ada pengulangan kefahaman itu di sini.

Syeikh Muhammad Thahir Ibn ‘Asyur رَحِمَهُ اللَّهُ mempunyai pandangan lain. Menurutnya kata ihsan bila menggunakan harf ب, maka yang dimaksudkan adalah penghormatan dan pengagungan yang berkaitan dengan peribadi seperti dalam firman-Nya mengabadikan ucapan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam Yusuf: 100

وَقَد أَحسَنَ بي إِذ أَخرَجَني مِنَ السِّجنِ
Dia (Allah) telah berbuat baik kepadaku ketika Dia membebaskan aku dari penjara,

Maka penggunaan harf ب apabila berkenaan penghormatan kedudukan, sedangkan bila yang dimaksudkan adalah dengan memberi manfaat material, maka yang digunakan adalah ل, dan dengan demikian ayat kita sedangkan syarahkan ini lebih menekankan kebaktian pada penghormatan dan pengagungan peribadi kepada kedua orang tua.

 

إِمّا يَبلُغَنَّ عِندَكَ الكِبَرَ أَحَدُهُما أَو كِلاهُما

Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu,

Memang kita tidak nafikan bahawa apabila ibubapa itu telah tua, memang susah untuk berurusan dengan mereka, tetapi Allah ﷻ beritahu bahawa walaupun mereka begitu, kita tetap kena berbuat baik dengan mereka. Ini adalah ujian untuk kita. Ini kerana hukumnya wajib kita berbuat baik kepada ibu bapa. Lebih-lebih lagi kerana ketika di usia tualah mereka lebih memerlukan kita.

Terutama sekali di usia tua mereka, dan kitalah yang menjaga mereka. Sekarang giliran kita pula untuk menjaga mereka, bukan? Kadang-kadang apabila kita yang menjaga mereka, dan kita di atas mereka, Allah ﷻ ingatkan yang kita tetap kena berbuat baik dengan mereka. Malah kena lebih berhati-hati kerana sekarang kita yang di atas mereka. Malang sekali bagi mereka yang tidak mengambil peluang ini seperti disebut di dalam satu hadith,

Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Rasulullah ﷺ bersabda:
رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ.‏ قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ: ‏‏مَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا فَلَمْ يَدْخُلِ الْجَنَّةَ ‏‏
“Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah ﷺ menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.”
(Riwayat Muslim (2551))

Ayat ini adalah untuk keadaan di mana apabila mereka telah tua dan duduk bersama dengan kita. Ini disebut secara khusus, kerana tidak sama kalau mereka tua dan duduk jauh daripada kita. Apabila mereka sentiasa bersama dengan kita, tentu mereka akan berkata macam-macam perkara dan kadang-kadang tindakan-tindakan mereka adakalanya akan menyebabkan kita sakit hati, bukan?

Allah ﷻ sebut usia tua mereka kerana hendak mengingatkan kita bahawa apabila mereka tua, sebenarnya masa bersama kita adalah pendek sahaja. Berapa lama lagilah masa mereka sebelum meninggalkan kita. Maka apalah susah sangat untuk kita menjaga mereka? Sedangkan tempoh mereka menjaga kita lebih lama lagi.

Kadang-kadang seorang sahaja yang tinggal dan kadang-kadang kedua mereka duduk dengan kita. Tidak kira sama ada bapa atau ibu kita disebut, kerana sifat kedua-dua mereka tidak sama. Kadang-kadang seorang daripada mereka itu lebih mencabar lagi daripada seorang yang lain. Akan tetapi walau apa pun yang mereka kata dan walau apa yang mereka buat, kita kena tahan perasaan kita dan kita jangan kurang ajar terhadap mereka. Allah ﷻ sebut kedua-duanya atau salah seorang sahaja, supaya tidak ada alasan untuk tidak berbakti kepada mereka. Sebagai contoh, kadangkala salah seorang sahaja yang kita sayang, tetapi seorang lagi tidak berapa sangat, bukan? Apabila Allah ﷻ sebut kedua-dua atau salah seorang, maka ini menutup alasan apa pun untuk tidak berbakti.

Nasihat ini amat penting, terutama sekali kepada orang-orang yang telah berkahwin kerana mereka sudah ada keluarga sendiri dan sudah sibuk dengan kehidupan sendiri. Maka mereka kena berusaha lebih sedikit untuk meluangkan masa untuk ibu bapa.

Cara kita bercakap dengan mereka pun perlu amat dijaga supaya tidak mengguris perasaan mereka. Ini penting kerana semakin tua seseorang itu, semakin mudah terasa dan semakin mudah tersentuh dengan perkara yang kecil-kecil pun. Kadang-kadang kita tidak berniat pun, tetapi mereka sudah sentap. Semua ini akan menjadi ujian buat kita.

 

فَلا تَقُل لَّهُما أُفٍّ

maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah”

Kalimah أُفٍّ bermaksud asalnya sesuatu yang menggelikan dan kemudian bertukar membawa maksud ‘Ah bosannya!’. Kadang-kadang perkataan itu tidak perlu keluar atau bunyi tidak perlu keluar pun, tetapi ia ditunjukkan dalam bentuk memek muka dan perbuatan kita. Atau kita merengus dengan hembusan angin pun sudah cukup. Kita yang belajar ini janganlah keluarkan kalimah ataupun perbuatan-perbuatan yang boleh dikira sebagai أُفٍّ ini.

Inilah kalimah yang nampak pendek dan lembut sahaja, tetapi sebenarnya ia amat kasar. Kalau bahasa kita, mungkin tidak gunakan kalimah أُفٍّ, tetapi mungkin ‘uh’, ‘ah’ atau ‘eh’, ‘ish’. Kena bandingkan dengan lafaz negeri dan daerah masing-masing.

Atau kadangkala kita cakap perkataan yang benar, tetapi dengan ‘nada’ yang boleh mengguris hati mereka.

Atau kita tidak cakap tetapi membuat bunyi yang mereka faham kita tidak suka seperti mendengus. Contohnya selepas mereka berkata, kita menarik nafas yang panjang, memberi isyarat yang kita tidak suka dengan apa yang mereka katakan.

Atau, kita tidak cakap dan buat bunyi pun, tetapi dengan memek air muka kita dan perbuatan kita seperti menghentak-hendak barang, menghempas pintu, dan sebagainya. Maka ia adalah apa-apa sahaja tindakan kita yang menyebabkan mereka sakit hati, atau terasa hati. Ini adalah kerana mereka telah banyak berjasa kepada kita, dan apabila orang yang kita telah tumpahkan jasa kurang ajar dengan kita, ia lebih menyakitkan hati.

Mujahid رَحِمَهُ اللَّهُ menafsirkan ayat ini. Kata beliau: “Ertinya ialah jika engkau lihat salah seorangnya atau keduanya telah berak atau kencing di mana semahunya saja, sebagaimana yang engkau lakukan di waktu engkau kecil, janganlah engkau mengeluarkan kata yang mengandungi keluhan sedikit pun.” Boleh?

Dosa derhaka kepada ibubapa sangatlah berat sampaikan Allah ﷻ akan terus beri hukuman kepada anak itu semasa hidup lagi. Ini seperti disebut di dalam hadith,

كُلُّ الذُّنُوبِ يُؤَخِّرُ اللَّهُ مَا شَاءَ مِنْهَا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ إِلاَّ عُقُوقَ الْوَالِدَيْنِ فَإِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يُعَجِّلُهُ لِصَاحِبِهِ فِي الْحَيَاةِ قَبْلَ الْمَمَاتِ
“Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah hukumannya mengikut kehendak-Nya sehingga hari kiamat kecuali derhaka kepada ibubapa. Maka sesungguhnya Allah akan menghukumkan kepada pelakunya semasa hidup sebelum kematian lagi.”
(Riwayat Hakim (7263))

 

وَلا تَنهَرهُما

dan janganlah kamu membentak mereka

Kalimah تَنهَرهُما berasal daripada kalimah نهر yang bermaksud ‘sungai’. Digunakan dalam ayat ini untuk bermaksud marah kepada seseorang, kerana orang yang kena marah bertubi-tubi itu rasa seperti mereka dihambur dengan air sungai yang kuat.

Tambahan pula orang yang sedang memaki itu bercakap dengan kuat dan laju, sampai air liur mereka pun tersembur juga sehinggakan terkena kepada orang yang dimarahi itu. Ayat ini mengajar kita supaya jaga kata-kata kita supaya kita jangan sampai marah dan menghambur kata-kata buruk dan menyakitkan hati kepada ibu bapa kita.

Jangan sesekali tengking mereka. Sama ada sengaja atau tidak sengaja. Walaupun kita tidak sengaja, tetapi amat teruk sekali kalau sampai kita tertengking ibubapa kita. Marah macam mana pun, kita jangan sekali-kali tengking ibubapa kita. Kena kawal hati kita – jangan bagi syaitan masuk sampai boleh tengking ibubapa kita.

Di dalam ayat ini tidak disebut tentang memukul ibubapa dan ayat-ayat lain. Namun kita boleh faham begini: kalau tengking dan kata uff pun tidak boleh dengan mereka, apatah lagi kalau pukul mereka. Itu tentulah lebih teruk maka tidak perlu disebut.

 

وَقُل لَّهُما قَولًا كَريمًا

dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.

Sebaliknya kita disuruh di dalam ayat ini untuk bercakap kepada ibu bapa kita dengan kata-kata yang baik. Iaitu kata-kata yang lembut dan hormat sungguh-sungguh kepada mereka. Maka gunakan perkataan yang mulia iaitu kata-kata yang tidak menyakiti hati. Juga terlebih baik adalah kata-kata yang memuliakan mereka kerana mereka layak untuk dimuliakan oleh anak-anak mereka.

Hadith-hadith yang menyebutkan tentang berbakti kepada kedua orang tua cukup banyak, antara lain ialah hadith yang diriwayatkan melalui berbagai jalur daripada Anas dan lain-lainnya yang mengatakan bahawa pada suatu hari Nabi Muhammad ﷺ naik ke atas mimbar, kemudian baginda mengucapkan kalimat Amin sebanyak tiga kali. Maka ketika ditanyakan, “Wahai Rasulullah, apakah yang engkau aminkan?” Maka Nabi ﷺ jawab:

“أَتَانِي جِبْرِيلُ فَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ رَغِمَ أَنْفُ امْرِئٍ ذُكِرْتَ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْكَ، فَقُلْ: آمِينَ. فَقُلْتُ: آمِينَ. ثُمَّ قَالَ: رَغِمَ أَنْفُ امْرِئٍ دَخَلَ عَلَيْهِ شَهْرُ رَمَضَانَ ثُمَّ خَرَجَ وَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ، قُلْ: آمِينَ. فَقُلْتُ آمِينَ. ثُمَّ قَالَ: رَغِمَ أَنْفُ امْرِئٍ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ أَوْ أَحَدَهُمَا فَلَمْ يُدْخِلَاهُ الْجَنَّةَ، قُلْ: آمِينَ. فَقُلْتُ: آمِينَ”
Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ datang kepadaku, lalu mengatakan, “Hai Muhammad, terhinalah seorang lelaki yang namamu disebut di hadapannya, lalu dia tidak membaca ealawat untukmu. Ucapkanlah ‘Amin’.” Maka saya mengucapkan Amin lalu Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata lagi, “Terhinalah seorang lelaki yang memasuki bulan Ramadan, lalu dia keluar dari bulan Ramadan dalam keadaan masih belum beroleh ampunan baginya. Katakanlah, ‘Amin’.” Maka aku ucapkan Amin. Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melanjutkan perkataannya, “Terhinalah seorang lelaki yang menjumpai kedua orang tuanya atau salah seorangnya, lalu keduanya tidak dapat memasukkannya ke syurga. Katakanlah, ‘Amin’.” Maka aku ucapkan Amin.
(Kitab Al-Aadab AlMufrad (644))
Disahihkan oleh Albani رَحِمَهُ اللَّهُ

Maka, ini adalah sebahagian daripada Amalan Tiga Serangkai.

    1. Jangan syirik
    2. Berbuat baik kepada ibubapa

Cuma perlu diingat bahawa ketaatan kepada ibubapa mestilah di dalam perkara yang ma’ruf (baik), tidak boleh dalam perkara yang maksiat seperti disebut di dalam hadith,

لَا طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةِ اللَّهِ إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ
“Tidak ada ketaatan dalam kemaksiatan kepada Allah, hanyasanya ketaatan itu di dalam kebajikan.”
(Sahih Muslim (3424))

Syaitan sentiasa sahaja menggalakkan permusuhan dalam kalangan manusia. Salah satu caranya adalah dengan menghasut manusia untuk menggunakan kata-kata yang tidak baik, buruk dan menyakitkan hati.

Maka Al-Qur’an banyak mengajar kita cara-cara berkomunikasi. Antaranya di dalam ayat ini. Kalau kita lihat kepada ayat-ayat yang lain:

1. Qawlan Ma’roofan: seperti yang disebut dalam Nisa: 5.

وَلا تُؤتُوا السُّفَهاءَ أَموٰلَكُمُ الَّتي جَعَلَ اللهُ لَكُم قِيٰمًا وَارزُقوهُم فيها وَاكسوهُم وَقولوا لَهُم قَولًا مَّعروفًا
Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu; dan berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.

Ia bermaksud apabila bercakap, gunakan kata-kata yang senang difahami. Jangan cakap berbelit-belit sampai orang pun tidak faham.

2. Qawlan Sadeedan: seperti yang disebut dalam Nisa: 9.

وَلْيَخْشَ الَّذِينَ لَوْ تَرَكُوا مِنْ خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةً ضِعٰفًا خَافُوا عَلَيْهِمْ فَلْيَتَّقُوا اللهَ وَلْيَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا
Dan hendaklah takut orang-orang (yang menjadi penjaganya), yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak yang daif (yatim) di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka; oleh itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah, dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran).

Ia bermaksud ucapan baik yang menepati syariat. Percakapan yang jelas, jangan samar-samar. Cakaplah dengan jelas dan tepat dan jangan sorok perkara yang kita tahu.

3. Qawlan Baleeghan: seperti yang disebut dalam Nisa: 63.

أُولٰئِكَ الَّذينَ يَعلَمُ اللهُ ما في قُلوبِهِم فَأَعرِض عَنهُم وَعِظهُم وَقُل لَّهُم في أَنفُسِهِم قَولًا بَليغًا
Mereka itulah orang-orang yang diketahui oleh Allah akan apa yang ada dalam hati mereka, oleh itu berpalinglah engkau daripada mereka, dan nasihatilah mereka, serta katakanlah kepada mereka kata-kata yang boleh memberi kesan pada hati mereka.

Ia bermaksud kata-kata nasihat yang memberi kesan. Nasihatilah manusia biar sampai nasihat itu sampai ke dalam hati mereka. Bercakaplah dengan baik supaya nasihat itu memberi bekas pada jiwa.

4. Qawlan Kareeman: seperti yang disebut dalam ayat ini. Menegur dengan menggunakan kalimah yang sesuai. Ayat Isra’: 23 ini adalah tentang berkomunikasi kepada ibubapa. Kalau mereka ada buat salah, memang boleh tegur tetapi kena gunakan kalimah yang sesuai. Terutama apabila hendak menegur orang tua memang kena jaga caranya. Bercakaplah dengan mereka dan dengan orang lain pun dengan adab.

5. Qawlan Maisooran: seperti yang disebut dalam Isra’: 28.

وَاِمَّا تُعْرِضَنَّ عَنْهُمُ ابْتِغَاۤءَ رَحْمَةٍ مِّنْ رَّبِّكَ تَرْجُوْهَا فَقُلْ لَّهُمْ قَوْلًا مَّيْسُوْرًا
Dan jika kamu berpaling daripada mereka untuk memperoleh rahmat daripada Tuhanmu yang kamu harapkan, maka katakanlah kepada mereka ucapan yang lembut.

Maksudnya hendaklah menggunakan ucapan yang lembut. Ayat Isra’: 28 ini memberi contoh apabila tidak dapat memberi infak kepada orang yang meminta. Kita mahu membantu tapi waktu itu tak mampu nak membantu.

Maka kita jelaskan kepada mereka kenapa kita tidak dapat membantu pada waktu itu. Gunakan penjelasan yang mudah difahami dan jangan berbelit-belit. Waktu itu yang meminta itu memang sedang mengharap dan kalau kita berbelit kata, mereka akan tambah terseksa.

6. Qawlan Layyinan: seperti yang disebut dalam Taha: 44.

فَقولا لَهُ قَولًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَو يَخشىٰ
“Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut”.

Maksudnya bercakap dengan lemah lembut. Memang ini bukan mudah untuk dilakukan terutama kepada mereka yang telah melakukan kesalahan. Akan tetapi kita kena cuba kerana ayat Taha: 44 ini arahan Allah ﷻ kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk bercakap dengan lembut kepada Firaun dalam berdakwah. Kalau dengan Firaun pun kena bercakap lembut, apatah lagi dengan orang lain.

Rasulullah ﷺ dalam usia sekitar 60 tahun setelah menakluk Hunain dan Bani Sa’ad, telah ditemui oleh ibu yang menyusukannya, yang sudah sangat tua, iaitu Halimatus-Sa’diyah. Ketika wanita tua itu datang, baginda tanggalkan baju jubahnya, baginda suruh beliau duduk di atasnya, lalu baginda sandarkan kepalanya ke dada perempuan itu, dada yang pernah dihisapnya air susunya.

Sebagai tambahan, hadith-hadith di bawah ini adalah termasuk di bawah prinsip berbuat baik kepada kepada ibu dan bapa.

عن عبدالله إبن مسعود رضى الله عنه قال : سألت النبى صلى الله عليه وسلّم : أيّ الأعمال أحبّ إلى الله ؟ قال : الصلاة على وقتها. قلت : ثمّ أيّ ؟ قال : برّ الوالدين . قلت : ثمّ أيّ ؟ قال : الجهاد فى سبيل الله
“Daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata: “Aku bertanya kepada Nabi ﷺ; Amalan manakah yang lebih Allah suka? Rasulullah ﷺ menjawab: Sembahyang pada waktunya. Aku berkata: Kemudian apa? Rasulullah ﷺ menjawab: Berbuat baik kepada kedua ibu dan bapa. Aku berkata: Kemudian apa? Rasulullah ﷺ menjawab: Berjuang di jalan Allah”.
(Hadith riwayat al-Bukhari, Muslim, al-Nasa’i dan Ahmad)

Di dalam hadith yang lain,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَجُلٌ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُجَاهِدُ قَالَ لَكَ أَبَوَانِ قَالَ نَعَمْ قَالَ فَفِيهِمَا فَجَاهِدْ
Daripada Abdullah bin Amar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا beliau berkata: “Seorang lelaki berkata kepada Nabi ﷺ: “Aku hendak berjihad”. Nabi ﷺ bertanya kepadanya: “Adakah kamu mempunyai ibubapa?”. Beliau menjawab: “Ya”. Nabi ﷺ berkata: “Maka berjihadlah pada mereka berdua”.
(Hadith riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Syarah: jikalau jihad masih lagi di dalam lingkuan Fardhu Kifayah, maka waktu itu kewajipan berkhidmat kepada ibubapa lebih utama. Kecuali jikalau jihad menjadi Fardhu Ain (mendapat arahan dari Khalifah) maka jihad pada waktu itu menjadi lebih utama.

Begitu pentingnya berbuat baik dengan ibubapa, sampaikan kalau mereka itu seorang kafir pun, layak mereka dilayan dengan baik oleh anaknya. Ini seperti disebut di dalam satu hadith,

عَنْ أَسْمَاءَ بِنْتِ أَبِي بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَتْ قَدِمَتْ عَلَيَّ أُمِّي وَهِيَ مُشْرِكَةٌ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاسْتَفْتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قُلْتُ وَهِيَ رَاغِبَةٌ أَفَأَصِلُ أُمِّي قَالَ نَعَمْ صِلِي أُمَّكِ
Daripada [Asma’ binti Abi Bakr رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] berkata; Ibuku menemuiku saat itu dia masih musyrik pada zaman Rasulullah ﷺ lalu aku meminta pendapat kepada Rasulullah ﷺ. Aku katakan; “Ibuku sangat ingin (aku berbuat baik padanya), apakah aku harus menjalin hubungan dengan ibuku?” Baginda menjawab: “Ya, sambunglah silaturrahim dengan ibumu”.
(Sahih Bukhari (2427))

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 8 Disember 2025

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 19 – 22 (Hakikat tentang rezeki)

Isra’ Ayat 19: Sekarang keterbalikan daripada orang yang mahukan dunia sahaja. Allah ‎ﷻ bandingkan golongan lain pula. Dan golongan inilah yang kita kena masuk.

وَمَن أَرَادَ ٱلأَخِرَةَ وَسَعَىٰ لَهَا سَعيَهَا وَهُوَ مُؤمِنٌ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ ڪَانَ سَعيُهُم مَّشكُورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But whoever desires the Hereafter and exerts the effort due to it while he is a believer – it is those whose effort is ever appreciated [by Allah].

(MELAYU)

Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan sungguh-sungguh sedang dia adalah mukmin, maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalasi dengan baik.

 

وَمَن أَرادَ الآخِرَةَ

Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat

Ini pula adalah tentang mereka yang telah membuat keputusan untuk mendapat kebaikan di akhirat kelak. Kenapakah dinamakan الآخِرَةَ? Kerana itulah alam yang terakhir, tidak ada alam lain lagi selepas itu. Maka inilah yang patut kita kejar-kejar kerana alam dunia ini hanyalah sementara sahaja. Mereka yang inginkan akhirat dalam amalan dunia adalah mereka yang bijaksana. Mereka bukannya mengenepikan dunia terus tetapi mereka menggunakan dunia sebagai persiapan untuk akhirat.

Perkara inilah yang Allah ﷻ selalu ingatkan di dalam Al-Qur’an. Allah ﷻ ceritakan tentang hakikat dunia supaya kita tidak tertipu dengannya, dan Allah ﷻ ceritakan kepentingan akhirat dan suruh kita mengejarnya. Ini seperti ayat yang biasa kita dengar, Qasas: 77

وَابتَغِ فيما ءآتٰكَ اللهُ الدّارَ الآخِرَةَ ۖ وَلا تَنسَ نَصيبَكَ مِنَ الدُّنيا

Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi

Di dalam ayat Qasas ini bukanlah menunjukkan dunia dan akhirat itu sama kedudukannya, seperti yang disangkakan oleh kebanyakan orang. Di dalam ayat ini jelas menunjukkan kelebihan akhirat dan kita disuruh untuk melebihkan akhirat. Allah ﷻ suruh kita ‘cari’ akhirat dahulu, bukannya suruh cari dunia.

Lihat penggunaan kalimah مَن أَرادَ di sini dan penggunaan kalimah مَّن كانَ يُريدُ di dalam ayat sebelum ini. Apabila digunakan kalimah يُريدُ di dalam bentuk fi’il mudhari’, ia membawa maksud present and continuous tense. Maksudnya mereka berterusan di dalam usaha mereka mengejar dunia (dan lupakan akhirat). Bukan sekali dua sahaja mereka lakukan, akan tetapi sepanjang masa.

Sedangkan kalimah أَرادَ di dalam bentuk fi’il madhi (‘past tense’). Ia membawa maksud kalau seseorang itu buat keputusan mahukan akhirat sahaja, dia akan dibantu oleh Allah ﷻ. Mungkin selepas itu terlalai leka, melencong dan lupa, namun oleh kerana dia telah membuat keputusan untuk mahukan akhirat suatu waktu dahulu, maka niatnya itu dibantu oleh Allah ﷻ.

 

وَسَعىٰ لَها سَعيَها

dan berusaha ke arah itu dengan sungguh-sungguh

Kemudian mereka berusaha dengan bersungguh-sungguh. Mereka bukan berangan sahaja, tetapi mereka tambah dengan usaha mereka. Ditambah dengan maf’ul mutlak (سَعيَها), yang maksudnya mereka memang bersungguh-sungguh berusaha, bukan main-main sambil lewa sahaja. Bersungguh-sungguh hendak menuju ke akhirat kerana dhomir ها di dalam سَعيَها bermaksud ‘akhirat’. Bukan semua amalan diterima, tetapi yang diterima adalah amalan yang hendakkan akhirat.

Mereka sanggup buat begitu kerana mereka tahu bahawa ia adalah berbaloi malah mereka tahu balasan yang mereka akan dapat di akhirat itu adalah balasan yang besar dan segala usaha mereka itu tidak sia-sia. Mereka tahu yang syurga itu adalah mahal dan mereka tahu yang mereka kena berusaha untuk mendapatkannya. Ini kerana mereka faham maksud Ali Imran: 14

وَاللَّهُ عِندَهُ حُسنُ المَآبِ
Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).

Malah yang paling penting, mereka beramal ikut cara yang sepatutnya dilakukan kerana mereka tahu yang mereka kena ikut undang-undang Tuhan. Kerana itulah ada maf’ul mutlaq dalam ayat ini sebagai penguat. Amal yang ikhlas sahaja tidak cukup, tetapi hendaklah ikut syariat yang Allah ﷻ telah tetapkan. Oleh itu, tidak boleh beramal ikut rekaan sendiri atau rekaan manusia. Tidak boleh beramal dengan amalan bid’ah kerana amalan itu sia-sia sahaja dan tidak membawa ke syurga.

 

وَهُوَ مُؤمِنٌ

sedang dia adalah mukmin,

Ada satu lagi syarat yang amat penting – kena mentauhidkan Allah ﷻ. Kena jadi orang mukmin iaitu beriman sempurna. Beriman sempurna ini adalah percaya dengan segala yang perlu dipercayai dan tidak melakukan syirik. Jangan campur iman dan syirik seperti disebut di dalam An’am: 82

الَّذينَ ءآمَنوا وَلَم يَلبِسوا إيمٰنَهُم بِظُلمٍ أُولٰئِكَ لَهُمُ الأَمنُ وَهُم مُّهتَدونَ
Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

Maknanya kenalah belajar apa yang perlu dipercayai. Kena mulakan dengan belajar tafsir Al-Qur’an supaya faham apa yang Allah ﷻ hendak. Kalau setakat kata beriman sahaja, tetapi tidak tahu apakah iman itu sendiri, maka masalah lah. Maka kena belajar.

Kena pastikan belajar tafsir supaya tahu tentang syirik kerana ramai yang kata mereka beriman, tetapi mereka tidak sangka mereka ada melakukan syirik kerana mereka tidak tahu apakah yang dimaksudkan dengan syirik dan mereka tidak sedar yang mereka ada melakukan syirik.

Ini adalah satu kejahilan yang berleluasa dalam kalangan masyarakat kita kerana mereka jauh daripada Al-Qur’an. Mereka tidak sangka mereka kena belajar tafsir Al-Qur’an untuk tahu apakah syirik itu. Mereka sangka mereka sudah jadi Muslim yang baik apabila mereka sudah banyak baca Al-Qur’an.

Ramai yang sangka mereka telah tahu apa yang perlu diimani, namun dalam masa yang sama, mereka buat pula amalan syirik. Maka segala iman dan segala amal mereka itu tidak bernilai kerana ia telah terhapus semua sekali.

 

فَأُولٰئِكَ كانَ سَعيُهُم مَّشكورًا

maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalasi dengan baik.

Kepada mereka yang sanggup melakukan perkara-perkara di atas, maka Allah ﷻ sendiri memberitahu bahawa segala amalan mereka itu dihargai oleh Allah ﷻ sendiri. Maksud ‘dihargai’ itu adalah, Allah ﷻ akan balas dengan sempurna dan malah lebih lagi. Ini adalah janji yang amat berharga sekali.

Kata مَّشكورًا diambil daripada kata شكر syukr/syukur. Pakar-pakar bahasa mengungkapkan bahawa tumbuhan yang tumbuh walau dengan sedikit air, atau binatang yang gemuk walau dengan sedikit rumput, keduanya dinamai شكور syakur. Dari sini kemudian mereka berkata bahawa Allah ﷻ apabila mensyukuri sesuatu maka itu antara lain bererti Dia mengembangkan walau sedikit amalan hamba-Nya, dan melipatgandakannya. Usaha yang disyukuri adalah usaha yang melahirkan hasil melebihi nilai upaya serta melipatgandakannya. Perlipatgandaan itu dapat mencapai 700 bahkan lebih dan tanpa batas sebagaimana firman-Nya di dalam Baqarah: 261:

مَثَلُ الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُم في سَبيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَت سَبعَ سَنابِلَ في كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضٰعِفُ لِمَن يَشاءُ ۗ وَاللَّهُ وٰسِعٌ عَليمٌ
Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya.

Ringkasnya, ada 3 syarat yang perlu dipenuhi untuk selamat di akhirat:

      1. Niat yang benar kerana Allah ﷻ dan mahukan kebaikan di akhirat
      2. Perbetul amal mengikut ajaran agama iaitu amalan yang Sunnah
      3. Akidah yang benar, tidak mensyirikkan Allah ﷻ

 

Isra’ Ayat 20: Ini tentang Neraca Allah: Pemberian Allah ﷻ kepada manusia tidak bermakna penerimaan-Nya.

كُلاًّ نُّمِدُّ هَـٰٓؤُلَآءِ وَهَـٰٓؤُلَآءِ مِن عَطَآءِ رَبِّكَ‌ۚ وَمَا كَانَ عَطَآءُ رَبِّكَ مَحظُورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

To each [category] We extend – to these and to those – from the gift of your Lord. And never has the gift of your Lord been restricted.

(MELAYU)

Kepada masing-masing golongan baik golongan ini mahupun golongan itu Kami berikan bantuan dari kemurahan Tuhanmu. Dan kemurahan Tuhanmu tidak dapat dihalangi.

 

كُلًّا نُّمِدُّ هٰٓؤُلآءِ وَهٰٓؤُلآءِ مِن عَطآءِ رَبِّكَ

Kepada masing-masing golongan baik ini mahupun golongan itu, Kami berikan bantuan daripada kemurahan Tuhanmu.

Kedua-dua kumpulan yang dimaksudkan itu adalah mereka yang berusaha untuk dunia dan mereka yang berusaha untuk akhirat kerana telah disebut tentang dua jenis manusia sebelum ini, bukan?

Kepada kedua-dua jenis golongan itu, Allah ﷻ akan benarkan mereka untuk berusaha ke arah apa yang mereka kehendaki. Kalimah نُمِدُّ itu daripada م د د yang bermaksud ‘memanjangkan’ yang membawa erti ‘membantu’ dalam ayat ini. Maknanya, Allah akan bantu untuk mereka mendapat apa yang mereka hendak. Mereka tetap akan dapat nikmat daripada Allahﷻ. Penggalan ayat ini menyatakan bahawa baik yang berkehendak memperoleh kenikmatan duniawi saja, maupun yang menggabungnya dengan kenikmatan ukhrawi, kesemuanya memperolehi anugerah Allah ﷻ  sehingga dapat berupaya meraih apa yang dikehendakinya itu.

Namun janganlah bersenang hati pula kerana nanti di akhirat mereka akan dibalas sesuai dengan apa yang mereka lakukan. Maknanya kedua-dua kumpulan itu akan mendapat pemberian daripada Allah ﷻ; yang baik akan dapat pemberian yang baik dan yang buruk pun akan dapat pemberian yang buruk pula.

Allah ﷻ berikan itu daripada kemurahan-Nya kerana Allah ﷻ ikut apa yang mereka hendak; mahu jadi baik, Allah ﷻ bantu, dan mahu jadi sesat pun Allah ﷻ bantu juga kerana manusia telah diberikan dengan pilihan, sama ada mahu pilih jalan ke neraka atau jalan ke syurga.

Maka jangan sangka apa yang kamu dapat itu sudah menunjukkan Allah ﷻ suka. Jangan sangka kerana kamu senang di dunia ini bermakna Allah ﷻ sayang kamu kerana ia tidak semestinya begitu. Allah ﷻ beri kesenangan keduniaan kepada mereka yang hendakkan dunia sebagai istidraj untuk mereka. Pemberian itu bukannya menyebabkan mereka jadi taat kepada Allah ﷻ, sebaliknya menjauhkan mereka daripada Allah ﷻ. Maksud istidraj adalah mereka ditarik sedikit demi sedikit ke arah kehancuran mereka.

Maka kena berhati-hati dengan apa yang kita ada. Kita kena ingat yang perkara keduniaan yang banyak, bukanlah neraca kejayaan. Kejayaan yang sebenar adalah di akhirat kelak. Kalau berjaya di dunia, tetapi tidak berjaya di akhirat, apalah gunanya?

 

وَما كانَ عَطآءُ رَبِّكَ مَحظورًا

Dan kemurahan Tuhanmu tidak dapat dihalangi.

Pemberian Allah ﷻ tidak dapat dihalang. Maka kalau orang-orang yang baik tidaklah boleh menghalang kalau Allah ﷻ mahu beri kebaikan kepada orang-orang yang tidak baik. Jangan marahlah kalau Allah ﷻ beri banyak kelebihan keduniaan kepada orang yang ingkar dan tidak taat kepada Allah ﷻ. Semua itu Allah ﷻ yang beri, takkan hendak marah dengan Allah ﷻ pula?

Ia juga bermaksud pemberian Allah ﷻ tidak terhad. Kalau orang kaya, dia boleh bagi setakat yang dia ada sahaja, lama-lama habislah. Akan tetapi perbendaharaan Allah ﷻ tidak akan habis. Pemberian nikmat daripada Allah ﷻ tidak terkira seperti firman-Nya di dalam Ibrahim: 34

وَإِن تَعُدّوا نِعمَتَ اللهِ لا تُحصوها
Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungnya


 

Isra’ Ayat 21: Targhib (ajakan) kepada akhirat. Mendorong kita supaya ambil akhirat.

ٱنظُر كَيفَ فَضَّلنَا بَعضَہُم عَلَىٰ بَعضٍ وَلَلأَخِرَةُ أَكبَرُ دَرَجَـٰتٍ وَأَكبَرُ تَفضِيلاً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Look how We have favored [in provision] some of them over others. But the Hereafter is greater in degrees [of difference] and greater in distinction.

(MELAYU)

Perhatikanlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian (yang lain). Dan pasti kehidupan akhirat lebih tinggi tingkatnya dan lebih besar keutamaannya.

 

انظُر كَيفَ فَضَّلنا بَعضَهُم عَلىٰ بَعضٍ

Perhatikanlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian (yang lain). 

Banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang mengandungi kalimah انظُر. Asalnya ia bermaksud ‘lihatlah’ akan tetapi ia bermaksud perhatikan dan fikirkanlah. Ini adalah kerana Allah ﷻ mengajar manusia untuk menggunakan akal. Allah ﷻ mencela manusia yang tidak menggunakan akal seperti ayat-ayat أفلا تعقلون، أفلا تتفكرون dan sebagainya. Maknanya Islam tidaklah memandulkan akal melainkan menggalakkan kita menggunakan akal.

Begitulah kalau kita lihat dalam dunia ini ada orang yang dapat lebih dan ada orang yang dapat kurang. Ada yang jadi tuan dan ada jadi hamba. Ada yang kaya dan ada yang miskin. Ada yang dihormati dan ada yang dihina. Tidak kira sama ada orang itu beriman atau tidak. Tidak kira sama ada orang itu pandai atau tidak. Tidak kira sama ada orang itu berusaha keras atau tidak (kerana ada sahaja orang malas jadi kaya). Ini biasa sahaja dan termasuk dalam takdir Allah ﷻ yang mesti kita terima.

Akan tetapi itu semua dari segi kedudukan dunia sahaja. Ia bukanlah tanda yang Allah ﷻ sayang seseorang atau Allah ﷻ benci seseorang. Maka tidak perlu sedih kalau dapat kurang dari segi keduniaan. Jangan dengki dengan orang lain yang dapat banyak.

Kesenangan dan kesusahan hidup adalah ujian sebenarnya. Yang susah itu sedang diuji dan yang senang itu pun sedang diuji. Maknanya ada orang yang diuji dengan kesusahan dan ada orang yang diuji dengan kesenangan. Mungkin ramai yang sangka yang susah sahaja diuji; mereka tidak nampak yang sedang hidupnya itu pun diuji juga. Malah yang diberi kesenangan itu lebih banyak ujiannya. Ramai orang senang ingat Allah ﷻ di kala kesusahan, tetapi senang lupa Allah ﷻ di kala hidupnya senang. Maka ujian bagi orang yang senang adalah tetap ingat Allah ﷻ, dan ikut syariatnya, ingat untuk ibadat, tidak salahgunakan kesenangan yang Allah ﷻ berikan itu, dan lain-lain lagi ujian yang datang dengan kesenangan. Jangan sangka ia adalah pemberian daripada Allah ﷻ, melainkan ia adalah ujian juga kerana dunia ini adalah tempat ujian, bukannya tempat pembalasan. Allah ﷻ sebut tentang ujian ini di dalam An’am:165

وَهُوَ الَّذِيْ جَعَلَكُمْ خَلٰۤىِٕفَ الْاَرْضِ وَرَفَعَ بَعْضَكُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجٰتٍ لِّيَبْلُوَكُمْ فِيْ مَآ اٰتٰىكُمْۗ
Dan Dia lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu.

 

Maka ini menolak sangkaan manusia yang melihat kepada kebendaan sebagai kejayaan. Mereka sangka orang yang dapat hidup dengan senang itu disayangi oleh Allah ﷻ, telah ‘berjaya’, patut diikuti. Ini adalah pandangan yang salah tentang kesenangan yang Allah ﷻ berikan kepada manusia. Kalaulah kejayaan itu adalah balasan bagi mereka, maka tentulah para Rasul itu semuanya hidup dengan senang, tetapi tidak, bukan? Mereka itulah yang paling berat diberikan dengan ujian kesusahan hidup sebagai menaikkan darjat mereka dengan ujian yang diberikan kepada mereka.

Orang mukmin sedar bahawa senang atau susah itu adalah ujian daripada Allah ﷻ. Mereka mengambil peluang daripada senang dan susah itu, supaya kedua-duanya menjadi sumber pahala bagi mereka. Ini seperti disebut di dalam satu hadith,

عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
“Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin. Seluruhnya urusannya itu baik. Ini tidaklah didapati kecuali pada seorang mukmin. Jika mendapatkan kesenangan, maka dia bersyukur. Itu baik baginya. Jika mendapatkan kesusahan, maka dia bersabar. Itu pun baik baginya.”
(Sahih Muslim No. 2999)

 

وَلَلآخِرَةُ أَكبَرُ دَرَجٰتٍ

Dan pasti kehidupan akhirat lebih tinggi tingkatnya

Namun begitu tetap pemberian di akhirat itu lebih baik dari segi darjat. Tidak sama pemberian di dunia dan pemberian di akhirat. Di akhirat itu nanti memang lebih banyak lagi darjat-darjat dan kelas-kelas tingkatan yang Allah ﷻ akan buat kalau dibandingkan dengan darjat dan kelas di dunia ini.

Sebagai contoh, Allah ﷻ bukan kira darjat daripada segi ilmu sahaja tetapi Allah ﷻ kira daripada segi amalan-amalan manusia kerana ada orang yang kurang ilmu tetapi amalan mereka tinggi. Yang lebih tinggi adalah apabila kadar keikhlasan mereka lebih tinggi. Dikatakan bahawa tingkatan di syurga nanti ada seratus dan jarak antara satu tingkatan dan tingkatan di atasnya adalah sejauh langit dan bumi.

Tambahan pula balasan di akhirat itu kekal. Dibandingkan dengan kedudukan di dunia yang sekejap sahaja. Kalau ada kedudukan tinggi di mata masyarakat pun, sekelip mata ia boleh hilang. Orang yang sayang kita pun tiba-tiba boleh menjadi benci kepada kita kerana sebab-sebab tertentu yang kadangkala kita pun tidak tahu, bukan?

Maka, yang perlu kita dambakan adalah kedudukan tinggi di akhirat. Kalau kedudukan kita rendah di dunia, tidak mengapa kerana kedudukan rendah di dunia ini hanya sementara sahaja. Kita kena simpan niat untuk berjaya di akhirat.

 

وَأَكبَرُ تَفضيلًا

dan lebih besar keutamaannya.

Maka pilihlah akhirat. Kita kenalah berusaha di dalam amalan yang kita boleh buat dengan harapan amalan yang kita banyak buat itu dapat memenuhi kekurangan-kekurangan kita di tempat tempat yang lain. Kita kena sedar yang kita kena kejar keutamaan di akhirat kelak kerana itu yang lebih penting.

Tidak perlu dikejar sangat keutamaan dan kedudukan tinggi di dunia kerana ia adalah sementara sahaja dan tidak sama kalau dibandingkan dengan akhirat. Lebih baik kita tumpukan usaha kita untuk mengejar kedudukan di akhirat daripada buang masa yang banyak untuk kejar kedudukan di dunia.

Bukanlah tidak boleh berusaha langsung untuk kejayaan di dunia. Jangan salah faham pula. Memang kita kena berusaha untuk dunia tetapi kenalah lebihkan untuk akhirat. Malangnya ramai yang lebihkan dunia berbanding akhirat dan ini yang salah.


 

PERINTAH:
1) HANYA SEMBAH ALLAH SAHAJA.
2) HORMAT IBUBAPA

Isra’ Ayat 22: Ini adalah Ayat tentang Tauhid. Ini penting kerana sebelum ini sudah disebut syarat amalan diterima adalah kena ada iman. Juga takhwif ukhrawi bagi mereka yang melanggar ajaran tauhid dan melakukan syirik.

Akan tetapi kenapa setelah sebut tentang dunia, tiba-tiba sebut tentang Tauhid pula? Thabathaba’i  berpendapat ayat ini sebagai penutup kelompok ayat-ayat yang lalu. Menurutnya ayat ini sebagai kesimpulan ayat-ayat yang lalu yang menguraikan tentang sunnatullah yang berlaku pada masyarakat manusia, yakni siapa di antara mereka yang menghendaki kehidupan duniawi saja, maka ini akan menyebabkan mereka “tercela dan terusir ”, sedangkan siapa yang menghendaki kehidupan akhirat serta berusaha meraihnya maka usahanya akan disyukuri Allah ﷻ. Ini- menurut Thabathaba’i رَحِمَهُ اللَّهُ bererti janganlah mempersekutukan Allah ﷻ, kerana itu menyebabkan engkau terduduk, tidak dapat melangkah menuju tingkat kedekatan yang tinggi. Dan engkau tercela tidak ada dibantu Allah ﷻ sedang tidak ada pembela selain-Nya.

Juga ayat ini adalah kesimpulan tentang perbezaan keadaan orang-orang muslim dan musyrik. Ini kerana inti faktor-faktor kebahagiaan adalah meninggalkan syirik, dan inilah yang merupakan motivasi dan pendorong beramal soleh. Ia adalah langkah pertama usaha sesiapa yang menghendaki akhirat. Syirik adalah faktor paling utama dalam kekaburan berfikir dan kesesatan.

لَّا تَجعَل مَعَ ٱللَّهِ إِلَـٰهًا ءَاخَرَ فَتَقعُدَ مَذمُومًا مَّخذُولاً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do not make [as equal] with Allah another deity and [thereby] become censured and forsaken.

(MELAYU)

Janganlah kamu adakan tuhan yang lain di samping Allah, agar kamu tidak menjadi tercela dan tidak ditinggalkan (Allah).

 

لّا تَجعَل مَعَ اللهِ إِلٰهًا ءآخَرَ

Janganlah kamu adakan tuhan yang lain di samping Allah,

Jangan jadikan ilah selain Allah ﷻ kerana itu adalah perbuatan syirik. Ilah adalah tempat sandaran dan tempat harapan kita. Hanya Allah ﷻ sahaja ilah untuk kita dan tidak ada yang lain. Kena faham apakah maksud ilah itu. Jangan jadikan sesiapa dan apa sahaja mempunyai sifat Allah ﷻ (sifat Ketuhanan).

Jangan jadikan ada selain Allah ﷻ yang ada sifat Allah pula. Ini bukanlah teguran kepada orang yang tidak menyembah Allah ﷻ, akan tetapi orang yang sembah Allah ﷻ, berdoa kepada Allah ﷻ, berharap kepada Allah ﷻ, taat kepada Allah ﷻ; akan tetapi di dalam masa yang sama, dia berdoa kepada selain Allah ﷻ, sembah juga kepada selain Allah ﷻ, taat juga kepada selain Allah ﷻ.

Untuk faham perkara ini, kena belajar keseluruhan ayat-ayat Al-Qur’an kerana banyak disentuh di dalamnya. Allah ﷻ mengajar tentang ilah sedikit demi sedikit. Apabila semua ayat Al-Qur’an telah kita pelajari, maka kita akan mendapat kefahaman yang lengkap.

 

فَتَقعُدَ مَذمومًا مَّخذولًا

maka kamu duduk tercela dan ditinggalkan

Kalau kamu buat juga ilah selain Allah ﷻ, maka kamu akan terus duduk tercela dan tertipu tidak terbela. Terduduk ini memberi isyarat tidak dapat melakukan sesuatu seperti orang yang jatuh terduduk.

Kalimah مَذمومًا daripada katadasar ذ م م yang bermaksud menghina; menyalahkan; tidak bersetuju; perjanjian; niat baik; perjanjian; perlindungan; kewajipan; tanggungjawab. Di sini diambil maksud tercela dan terhina, dipersalahkan mereka kerana perbuatan mereka sendiri.

Kalimah مَخذولًا daripada katadasar خ ز ل yang bermaksud meninggalkan; mengabaikan; pergi tanpa bantuan atau bantuan; mengecewakan. Di sini ia bermaksud tertipu dengan kawan yang kita sangkakan kawan. Macam syaitan yang berpura-pura menjadi kawan kita tetapi sebenarnya dia hendak merosakkan kita. Mereka yang sebegini akan ditinggalkan tanpa dibela oleh sesiapa pun. Mereka sangka ada orang yang akan selamatkan mereka, tetapi rupanya tidak.

Sekian Ruku’ 2 dari 12 ruku’ surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 28 April 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)