Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 16 – 18 (Kemusnahan umat dahulu)

HUKUMAN KEPADA YANG ZALIM

Isra’ Ayat 16: Takhwif duniawi (penakutan dengan azab di dunia). SSekarang Allah ﷻ menceritakan pula proses bagaimana Allah ﷻ kenakan azab kepada manusia yang ingkar semasa di dunia lagi. Ayat sebelum ini telah diberi isyarat tentang azab tersebut وَما كُنّا مُعَذِّبينَ حَتّىٰ نَبعَثَ رَسولًا.

Azab itu datang selepas diutus Rasul sebelumnya untuk memberi peringatan dan manusia itu ingkar. Di dalam ayat sebelum ini diberitahu yang Allah ﷻ tidak akan mengazab manusia sebelum didatangkan Rasul untuk memberi peringatan kepada mereka. Jikalau mereka ingkar, maka mereka akan diazab. Inilah yang dinamakan sunnatullah.

وَإِذَآ أَرَدنَآ أَن نُّہلِكَ قَريَةً أَمَرنَا مُترَفِيہَا فَفَسَقُواْ فِيہَا فَحَقَّ عَلَيہَا ٱلقَولُ فَدَمَّرنَـٰهَا تَدمِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when We intend to destroy a city, We command its affluent¹ but they defiantly disobey therein; so the word [i.e., deserved decree] comes into effect upon it, and We destroy it with [complete] destruction.

  • To obey Allāh.

(MELAYU)

Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kederhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepatutnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.

 

وَإِذآ أَرَدنآ أَن نُّهلِكَ قَريَةً

Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri,

Ini adalah proses yang berlaku sebelum Allah ﷻ memusnahkan sesuatu kaum dan kawasan itu. Sebelum ini sudah disebut yang Allah ﷻ sudah berikan pada setiap negeri para pemberi peringatan. Allah ﷻ tidak terus musnahkan sahaja. Allah ﷻ mengadakan proses lain dahulu.

Akan tetapi susunan sebegini seolah-olah memberi isyarat, Allah ﷻ dulu yang *mula-mula* hendak membinasakan kaum itu. Ini tidaklah sesuai diletakkan pada kedudukan Allah ﷻ sama sekali. Allah ﷻ suci daripada mempunyai sifat buruk dan kejam sebegitu! Maka yang menyisipkan kalimah lain di dalam ayat ini sebegini: Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri yang derhaka, [sesuai dengan ketetapan dan kebijaksanaan Kami]. Ini kerana kita tidak tahu ketetapan Allah ﷻ dan kebijaksanaan-Nya melebihi pemahaman kita. Kita kena yakin yang Allah ﷻ tidak pernah kejam.

Ada juga yang berpendapat bahawa dalam susunan ayat di atas terdapat bahagian yang didahulukan yang tempatnya di belakang, demikian pula sebaliknya, atau apa yang dikenal dengan istilah Taqdim wa Ta’khir (didahulukan dan diakhirkan). Iaitu perkara yang kemudian tetapi disebut di awalnya. Thahir Ibn ‘Asyur رَحِمَهُ اللَّهُ menganuti pendapat ini. Oleh itu mengikut beliau, susunannya – jika tanpa Taqdim wa Ta’khir itu lebih kurang berbunyi: Dan Kami bukanlah penyeksa-penyeksa sebelum Kami mengutus seorang rasul (ayat 15) dan memerintahkan orang-orang yang hidup mewah di negeri itu untuk mengikuti tuntunan rasul lalu mereka melakukan kedurhakaan sehingga sudah selayaknya berlaku terhadapnya ketentuan Kami, maka Kami menghancurkannya sehancur-hancurnya, jika Kami kehendaki.

Akan tetapi kenapa ayat ini disusun sebegitu? Thahir Ibn ‘Asyur رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan kerana Allah ﷻ hendak memberi sindiran kepada Musyrikin Mekah bahawa mereka sekarang sudah diancam akan dikenakan dengan azab yang akan menghancurkan mereka. Iaitu Allah ﷻ sudah ada keinginan begitu kalau mereka tetap dengan sikap mereka.

 

أَمَرنا مُترَفيها فَفَسَقوا فيها

maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu tetapi mereka melakukan kederhakaan dalam negeri itu,

Apakah maksud أَمَرنا (Kami perintah). Perintah untuk apa? Ada dua wajah yang diberikan oleh ulama’.

      1. Perintah untuk melakukan kefasikan, atau
      2. Perintah untuk melakukan ketaatan.

Kalau kita pegang pendapat yang ia bermaksud perintah untuk melakukan kefasikan, maka ia mestilah di dalam bentuk majaz (seakan-akan) sahaja kerana tidak mungkin Allah ﷻ hendak suruh hamba-Nya melakukan kefasikan, bukan? Maknanya Allah ﷻ memberikan kesenangan dan limpah kurnia kepada mereka. Dengan kesenangan yang mereka dapat itu, mereka menjadi derhaka (seperti kebanyakan manusia yang lalai leka dengan kesenangan). Maka dengan pemberian nikmat itu, seolah-olah Allah ﷻ ‘perintah’kan mereka untuk melakukan kefasikan. Sedangkan mereka diberi dengan kesenangan itu supaya mereka bersyukur dan taat (seperti yang sepatutnya mereka lakukan).

Oleh itu pendapat pertama itu agak susah untuk difahami. Maka kita boleh juga berpegang kepada pendapat yang mengatakan perintah itu adalah adalah untuk melakukan ketaatan. Mulanya Allah ﷻ arahkan mereka untuk taat, kemudian mereka ingkar. Segala nikmat yang mereka dapat itu telah memusnahkan mereka. Kalau zaman sekarang ini kita bayangkan kita beli permainan yang terlalu banyak kepada anak-anak kita yang tidak memberi kesan baik pun kepada mereka. Akibatnya mereka menjadi rosak, degil, tidak mendengar cakap kita lagi kerana semenjak kecil diberi dengan segala kesenangan.

Maka orang-orang yang telah banyak mendapat nikmat itu, mereka sudah berasa sombong dan mereka rasa mereka layak untuk dapat segala kenikmatan itu. Mereka telah menggunakan harta mereka yang banyak itu untuk berfoya-foya dan memuaskan nafsu mereka sahaja. Memang kekayaan dan kesenangan hidup senang untuk memusnahkan manusia. Kalau kita lihat dunia sekarang pun, segala punca kemaksiatan adalah untuk memuaskan nafsu orang-orang kaya. Orang miskin tidak pergi kelab, pusat pelacuran, pusat hiburan dan judi, bukan?

Mereka inilah yang Allah ﷻ gelar مُترَفيها yang berasal daripada kata مترف yang asalnya adalah ترف yakni nikmat. مترف  adalah seorang yang dianugerahi aneka nikmat, tetapi yang biasanya digunakan Al-Qur’an merujuk mereka yang lupa daratan dan berfoya-foya dengan nikmat itu. Mereka adalah yang melupakan nilai-nilai luhur, melecehkan ajaran agama bahkan menindas orang-orang lemah.

Begitulah kesan daripada kekayaan itu bukan sahaja memusnahkan orang yang kaya raya, malah orang miskin juga. Ini kerana orang-orang yang tidak berharta dan hidup susah akan melihat orang orang kaya itu dan mereka berangan-angan pula untuk menjadi seperti orang-orang kaya itu. Macam zaman sekaranglah juga, kita boleh lihat bagaimana masyarakat awam dibuai dengan melihat kehidupan para artis dan pempengaruh yang dinampakkan seperti hidup dengan indah, senang, gembira sepanjang masa.

Rancangan media pula mengadakan rancangan untuk menunjukkan kesenangan yang mereka miliki. Sampaikan anak-anak kita kalau ditanya kepada mereka apa yang mereka hendak jadi bila besar nanti, mereka akan kata yang mereka hendak menjadi seperti artis dan pempengaruh itu. Tidak perlu belajar tinggi-tinggi pun. Malah orang miskin pun mula terikut-ikut cara gaya hidup orang-orang kaya, iaitu melupakan akhirat dan berusaha bersungguh-sungguh hanya untuk mencapai kekayaan seperti orang-orang kaya yang mereka jadikan sebagai idola itu.

Oleh kerana orang-orang itu telah mendapat kekayaan yang banyak maka mereka telah berbuat fasik di dalam dunia iaitu mereka telah berbuat kerosakan. Maksudnya, mereka telah merosakkan fikiran masyarakat mereka supaya jadi seperti mereka. Merekalah punca kerosakan di dalam satu-satu negeri.

Kesannya masyarakat tidak lagi menghiraukan agama dan akhlak, tetapi mereka berusaha siang dan malam untuk jadi seperti artis, seperti pempengaruh dan seperti orang terkenal itu kerana mereka sangka, kalau jadi seperti orang-orang itu, mereka akan hidup senang dan mereka kaitkan kesenangan hidup itu sebagai kejayaan. Begitulah dangkalnya pemahaman mereka tentang erti ‘kejayaan’.

Golongan مترف ini mungkin sahaja golongan pemimpin, penguasa negeri. Bila penguasa suatu negeri hidup berfoya-foya, ini akan menyebabkan mereka melupakan tugas-tugasnya serta mengabaikan hak-hak orang kebanyakan, lagi membiarkan mereka hidup miskin. Hal tersebut mengundang kecemburuan sosial, sehingga merenggangkan hubungan masyarakat dan mengakibatkan timbulnya perselisihan dan pertikaian yang melemahkan sendi-sendi bangunan masyarakat, dan yang pada gilirannya meruntuhkan sistem negeri tersebut. Ketika itulah akan runtuh dan hancur masyarakat atau negeri tersebut. Ayat ini merupakan salah satu hukum kemasyarakatan yang ditetapkan Al-Qur’an dan berlaku bagi masyarakat apapun, serta di mana dan bila pun, yakni apabila telah banyak orang-orang مترف, tanpa ada yang meluruskan kerosakan mereka, sehingga kerosakan bermaharajalela dalam suatu masyarakat, maka ajal masyarakat itu segera akan tiba.

Pemimpin masyarakat sepatutnya berada di tempat mereka itu untuk berkhidmat kepada masyarakat dan bukannya untuk mereka menambah jumlah wang serta aset mereka. Akan tetapi kita pun tahu, ramai orang yang berada di kedudukan yang tinggi di dalam kerajaan (atau parti politik) itu adalah untuk kepentingan diri mereka sendiri. Marah pula ahli politik bila baca tulisan ini. Namun tidak mengapalah kerana mereka bukan baca pun. Rasanya tidak sempat pun. Mereka sibuk sangat. Bagi yang belum mendapat kuasa pula, sibuk mahu menjatuhkan pemimpin supaya mereka yang naik ke atas. Kemudian bila mereka di atas, sibuk pula kena fikirkan cara untuk kekal berada di atas agar jangan jatuh. Begitulah berterusannya, entah bilalah hendak memimpin negara, asyik sibuk berpolitik sahaja.

Bayangkan kalau orang-orang yang kaya itu yang menjadi pemimpin masyarakat maka tentunya mereka akan menggunakan kesempatan itu untuk menambahkan lagi harta kekayaan mereka. Begitulah yang terjadi pada zaman sekarang di mana orang-orang kaya yang masuk politik dan mereka menggunakan kekayaan mereka itu untuk berkempen dan kerana itu mereka berjaya menjadi presiden ataupun Perdana Menteri. Lihatlah pemimpin Amerika (seperti Donald Trump) dan kebanyakan pemimpin negara kita pun.

Begitulah, Allah ﷻ arahkan Nabi untuk suruh penduduk yang mewah supaya ikut syariat. Para Nabi akan datang kepada para pemimpin dan pemuka masyarakat kerana merekalah ketua yang berpengaruh. Orang lain akan ikut mereka sahaja dan kalau mereka pun beriman, maka akan ramailah yang akan ikut. Akan tetapi mereka tolak untuk beriman dan sebaliknya mereka akan berbuat fasik.

Kebiasaannya merekalah yang menentang para Rasul dan pendakwah kerana kalau Rasul dan pendakwah itu dibiarkan begitu sahaja, maka susahlah mereka hendak mengekalkan cara hidup mereka yang kaya raya itu. Mereka yang menjadi penentang para Rasul dan pendakwah yang di hadapan. Apabila itu terjadi, barulah tsabit azab daripada Allah ﷻ.

Berbagai-bagai cara mereka buat kerosakan dalam masyarakat. Mereka membuat kerosakan di dalam negara kerana undang-undang dunia, mereka yang buat dan mereka ciptakan adalah untuk menjaga kepentingan mereka dan orang-orang kaya yang lain. Mereka yang miskin dan lemah akan terus tertindas kerana undang-undang itu tidak memberi kepentingan kepada orang-orang miskin pun. Sebagai contoh, cara pengiraan cukai negara dijadikan supaya menyelamatkan orang-orang kaya daripada membayar cukai. Maka orang-orang yang miskin pula yang terpaksa membayar cukai yang banyak.

Apabila mereka ini berada di kedudukan yang tinggi mereka akan beri pangkat dan kekayaan kepada kawan-kawan mereka sahaja. Ini adalah konsep kroni. Akhirnya mereka jadi semakin kuat kerana mereka jaga menjaga sesama mereka.

Kesan buruk seterusnya yang akan terjadi adalah rasuah yang bermaharajalela; dan akan ada kumpulan-kumpulan masyarakat yang tidak berpuas hati dan lama kelamaan mereka akan memberontak kerana mereka berasa tertindas dan mereka mula membenci orang-orang yang kaya. Bila mereka memberontak, maka akan terjadilah hura hara dalam negara. Waktu itu yang ramai adalah yang miskin. Apabila mereka bersatu, mereka menjadi kuat sampaikan mereka mampu menjatuhkan pemimpin yang asalnya kaya raya itu. Ini pun sudah banyak terjadi, hanya perlu dilihat sejarah dunia sahaja.

Sebenarnya masyarakat itu sendiri yang mengakibatkan diri mereka ditimpa oleh ketentuan hukum-hukum dan sunnatullah itu, kerana mereka sendiri juga yang membiarkan kaum mutraf hidup berfoya-foya tanpa mencegah mereka. Kalau zaman sekarang, siapa yang mengundi puak-puak ini?

Kita kena sedar bahawa kedudukan dalam masyarakat bukan hanya kepada ahli politik dan pemimpin sahaja, tetapi mereka yang disanjung oleh masyarakat seperti mereka yang terlibat dengan hiburan dan mereka yang terlibat dengan sukan. Sampaikan masyarakat terasa mereka kena ikut cara-cara kehidupan artis dan ahli sukan itu.

Kadang-kadang mereka sampai rasa terpaksa untuk melakukan perkara itu atau berpakaian dengan cara tertentu kerana kalau tidak, mereka akan ditertawakan oleh orang lain. Atau mereka rasa terpinggir (‘peer pressure’).

Macam orang-orang kita yang tiada harta tetapi kalau mereka hendak mengahwinkan anak-anak mereka, mereka rasa mereka terpaksa berhabisan duit sampai sanggup untuk berhutang sana dan sini untuk mengadakan majlis besar-besaran dan dibuat di hotel-hotel dengan mengeluarkan belanja yang banyak dan membazir. Mereka takut kalau mereka tidak buat begitu, mereka akan dipandang rendah oleh ahli keluarga dan kawan-kawan mereka yang lain.

Ini merupakan sebuah pembaziran yang telah mencapai kebodohan tahap maksimal. Hanya semata-mata mahu memuaskan hati orang lain, sampai terpaksa merana diri. Kemudian anak-anak mereka yang baru berkahwin itu terus menanggung hutang bertahun-tahun lamanya. Ini semua adalah salah emak bapa yang mahu menunjuk-nunjuk sahaja.

 

فَحَقَّ عَلَيهَا القَولُ

maka sudah berlaku terhadapnya perkataan

Oleh kerana apa yang telah berlaku itu, yang hasil daripada tangan mereka sendiri, maka Allah ﷻ akan musnahkan kaum itu dan kawasan itu. Allah ﷻ akan tetapkan kalimah kemusnahan untuk mereka. Iaitu Allah ﷻ akan buat keputusan untuk memusnahkan mereka.

 

فَدَمَّرنٰها تَدميرًا

kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.

Kalau Allah ﷻ hancurkan umat itu, ada yang Allah ﷻ hancurkan sampai tiada kesan pun keturunan itu di situ. Inilah yang telah berlaku kepada bani Israil. Tempat tinggal mereka telah diambil dan mereka bertebaran di muka bumi tidak ada negara (sampai mereka kemudian terpaksa ambil negara orang lain: Palestin).


 

Isra’ Ayat 17: Allah ﷻ suruh kita kaji sejarah semula. Lihatlah kembali balik kenapa kaum-kaum yang terdahulu telah dikenakan dengan azab..

وَكَم أَهلَكنَا مِنَ ٱلقُرُونِ مِنۢ بَعدِ نُوحٍ وَكَفَىٰ بِرَبِّكَ بِذُنُوبِ عِبَادِهِۦ خَبِيرَۢا بَصِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And how many have We destroyed from the generations after Noah. And sufficient is your Lord, concerning the sins of His servants, as Acquainted and Seeing.

(MELAYU)

Dan berapa banyaknya kaum sesudah Nuh telah Kami binasakan. Dan cukuplah Tuhanmu Maha Mengetahui lagi Maha Melihat dosa hamba-hamba-Nya.

 

وَكَم أَهلَكنا مِنَ القُرونِ مِن بَعدِ نوحٍ

Dan berapa banyaknya kaum sesudah Nuh telah Kami binasakan.

Dalam ayat sebelum ini Allah ﷻ memberitahu bagaimana telah banyak kaum-kaum yang dimusnahkan dan sekarang Allah ﷻ memberitahu bahawa memang banyak kaum-kaum yang telah dimusnahkan selepas Nabi Nuh . Ada yang Allah ﷻ beritahu dan banyak lagi yang Allah ﷻ tidak beritahu. Mereka itu telah dimusnahkan kerana mereka telah sesat dan ingkar. Ini adalah sunnatullah yang berulang-ulang zaman berzaman. Kita telah banyak baca di dalam surah-surah Al-Qur’an tentang mereka seperti kaum Aad, Tsamud, Luth dan sebagainya.

 

وَكَفىٰ بِرَبِّكَ بِذُنوبِ عِبَادِهِۦ خَبيرًا بَصيرًا

Dan cukuplah Tuhanmu Maha Mengetahui lagi Maha Melihat dosa hamba-hamba-Nya.

Allah ﷻ tahu segala apa sahaja yang dilakukan oleh hamba-Nya. Maklumat yang Allah ﷻ dapat itu bukan hanya disampaikan kepada Allah ﷻ tetapi Allah ﷻ sendiri yang melihat. Kerana kadang-kadang berita yang sampai kepada kita bukan kita lihat sendiri tetapi diberitahu oleh orang lain.

Namun bagi Allah ﷻ, kalau tidak ada yang beritahu pun, Allah ﷻ tetap tahu juga. Kerana kadang-kadang kita baca bagaimana malaikat menyampaikan maklumat kepada Allah ﷻ. Tidaklah itu bermakna yang Allah ﷻ tidak tahu. Maka kerana Allah ﷻ tahu apa yang dilakukan oleh manusia yang ingkar itu, maka layaklah Allah ﷻ mengenakan azab kemusnahan kepada mereka.

Kalimah بَصيرًا bermaksud melihat, tetapi Allah ﷻ bukan hanya melihat sahaja tetapi Dia mengetahui dengan mendalam iaitu خَبيرًا. Kalau kita hanya melihat sahaja, tetapi kita tidak tahu dengan mendalam. Contohnya kita nampak seseorang sedang solat, tetapi kita tidak tahu dia khusyuk atau tidak, apa yang dia sedang baca dan sebagainya.

Ayat ini mengingatkan kita yang Allah ﷻ sentiasa melihat segala dosa yang kita sedang lakukan sekarang. Maka kita kenalah segan dengan Allah ﷻ. Bayangkan kalau ayah kita melihat dosa-dosa yang kita lakukan, tentu malu, bukan? Nah, memang ada yang sentiasa melihat apa yang kita lakukan, iaitu Allah ﷻ.

Sebelum ini Allah ﷻ telah sebut tentang azab duniawi yang Allah ﷻ kenakan kepada manusia yang ingkar. Ayat ini hendak memberitahu kita, Allah ﷻ musnahkan manusia yang ingkar itu kerana dosa mereka. Bukanlah Allah ﷻ suka-suka musnahkan mereka, tetapi dek kerana dosa teruk yang mereka lakukan.


 

MAHU DUNIA INI ATAU AKHIRAT?

Isra’ Ayat 18: Takhwif ukhrawi (penakutan dengan azab akhirat). Ayat ini menjawab persoalan: kenapa orang-orang yang derhaka dilimpahkan dengan nikmat? Mereka itu langgar segala macam undang-undang dan arahan Allah ﷻ, tetapi hidup mereka senang pula di atas dunia?

Ayat sebelum ini telah diberitahu yang Allah ﷻ tahu segala dosa manusia kerana Allah ﷻ tahu segala-galanya. Sekarang diberitahu juga yang Allah ﷻ tahu apa kehendak setiap manusia itu, dunia atau akhirat.

مَّن كَانَ يُرِيدُ ٱلعَاجِلَةَ عَجَّلنَا لَهُ ۥ فِيهَا مَا نَشَآءُ لِمَن نُّرِيدُ ثُمَّ جَعَلنَا لَهُ ۥ جَهَنَّمَ يَصلَٮٰهَا مَذمُومًا مَّدحُورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Whoever should desire the immediate¹ – We hasten for him from it what We will to whom We intend. Then We have made for him Hell, which he will [enter to] burn, censured and banished.

  • i.e., worldly gratifications.

(MELAYU)

Barangsiapa menghendaki yang segera, maka Kami segerakan baginya dari itu apa yang kami kehendaki bagi orang yang kami kehendaki dan Kami tentukan baginya neraka jahannam; dia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir.

 

مَّن كانَ يُريدُ العاجِلَةَ عَجَّلنا لَهُ فيها

Barangsiapa menghendaki yang segera, maka Kami segerakan baginya dari itu

Ini berkenaan mereka yang mahukan habuan dunia dengan cepat. Ini seperti yang telah disebut dalam ayat 11 sebelum ini (وَكانَ الإِنسٰنُ عَجولًا). Mereka mahukan kesenangan yang cepat dan segera. Inilah sentiasa bermain di fikiran mereka kerana kalimah yang digunakan adalah يُريدُ yang di dalam bentuk fi’il mudhari’ yang bermakna berterusan. Kesenangan yang cepat itu adalah apa yang mereka boleh lihat di depan mata mereka – iaitu dunia.

Walaupun telah disebut tentang balasan di akhirat yang melimpah ruah, kekal abadi dan tidak dapat dibayangkan dengan akal, tetapi itu semua bukan depan mata dan lambat kalau ditunggu – maka mereka yang singkat akalnya, tidak lihat kepada akhirat tapi mereka lihat kepada dunia sahaja. Maka mereka berusaha dan berharap sungguh-sungguh kepada keduniaan dan tidak mengharap kepada balasan di akhirat.

Ini kerana kebanyakan manusia tidak sedar tentang hakikat dunia. Ya, ia memang senang dan cepat dapat, akan tetapi ia pun akan cepat juga perginya. Segala yang kita ada di dunia ini adalah sementara sahaja dan akan berpisah dengan kita. Sama ada barang itu rosak, atau kita yang mati dahulu meninggalkannya. Maka ia tidak berbaloi untuk kita kejar.

Ada muqaddar (tambahan) berkenaan ayat ini. Ayat ini adalah jawapan kepada soalan manusia. Ada yang hairan kenapa mereka yang derhaka diberikan juga dengan kesenangan? Sedangkan mereka itu tidak taat kepada Allah ﷻ, menderhaka kepada Allah ﷻ dan selalunya berlaku zalim kepada manusia. Namun mereka itu senang sahaja hidup mereka, malah secara zahirnya mereka ada yang lebih senang daripada orang beriman.

Allah ﷻ jawab dalam ayat ini, mereka diberikan dengan apa yang mereka hendak itu kerana mereka hanya mahukan dunia sahaja. Oleh kerana itu sahaja yang mereka mahu, maka itu sahaja yang mereka akan dapat. Mereka tidak akan dapat bahagian akhirat. Allah ﷻ terus berikan kepada mereka kerana Allah ﷻ tidak ada masalah untuk beri keduniaan kepada mereka kerana dunia ini harga rendah sahaja, sementara sahaja. Yang mahalnya adalah syurga dan mereka tidak akan dapat syurga.

Akan tetapi bukanlah mereka terus dapat. Mereka tetap kena berusaha, kena kerja, kena berusaha, kena memikirkan cara untuk mendapatkan dunia itu. Maknanya, hukum asbab sebab akibat tetap berlaku. Hukum-hukum itu tidak mengenal perbezaan ras, suku dan agama serta tempat dan waktu. Siapa pun yang menyesuaikan diri dengan hukum- hukum itu atau pandai memanfaatkannya, maka dia akan meraih manfaatnya. Hanya saja ayat ini mengingatkan janganlah hendaknya seseorang semata-mata mengarahkan pandangan untuk meraih kenikmatan duniawi, tetapi dia pun harus mengarahkan kehendak, dan usaha untuk meraih kebahagiaan ukhrawi.

 

ما نَشآءُ لِمَن نُّريدُ

apa yang kami kehendaki bagi orang yang kami kehendaki 

Kepada mereka yang sebegitu, Allah ﷻ boleh berikan kepada mereka, tetapi ia ikut kemahuan Allah ﷻ mana yang Allah ﷻ hendak beri. Bukan semua Allah ﷻ akan akan beri. Bukan semua yang mereka hendak mereka akan dapat. Ia setakat yang Allah ﷻ hendak beri sahaja. Kepada siapa yang Allah ﷻ hendak beri sahaja (bukan semua manusia akan dapat).

Maknanya Allah ﷻ berikan kepada siapa yang Allah ﷻ hendak berikan – bukan semua akan dapat. Kerana bukan semua manusia dapat apa yang mereka hendak kerana Allah ﷻ pilih-pilih siapa yang Dia hendak beri. Kehendak di tangan Allah ﷻ juga. Kerana itu ada manusia yang berusaha bersungguh-sungguh, tetapi mereka tidaklah jadi kaya raya. Ringkasnya,

      1. Allah ﷻ beri kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan tentukan
      2. Kepada sesiapa yang diberikan pun, akan hadnya, bukan semua mereka akan dapat.

Maka semuanya bergantung kepada Allah ﷻ juga. Kerana Dia yang berkuasa menentukan dan Dia yang tahu banyak mana dan siapa yang patut dapat pemberian itu.

 

ثُمَّ جَعَلنا لَهُ جَهَنَّمَ يَصلٰها مَذمومًا مَّدحورًا

dan Kami jadikan baginya neraka jahannam; dia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir.

Kemudian Allah ﷻ akan masukkan mereka ke dalam neraka jahanam. Memang mereka senang semasa mereka hidup di dunia, tetapi apalah ertinya kalau di akhirat kelak mereka masuk neraka selama-lamanya?

Mereka akan masuk dalam keadaan hina dan tercela kerana mereka layak dicela kerana kesalahan mereka semasa mereka hidup di dunia. Kalimah مَذمومًا daripada katadasar ذ م م yang bermaksud menghina; menyalahkan; tidak bersetuju; perjanjian; niat baik; perjanjian; perlindungan; kewajipan; tanggungjawab. Di sini diambil maksud tercela dan terhina, dipersalahkan mereka kerana perbuatan mereka sendiri.

Mereka adalah orang-orang yang diusir. Kalimah مَّدحورًا daripada katadasar د ح ر yang bermaksud menghalau; menolak jauh; menutup; buang; dihalau; ditolak. Maksudnya mereka akan ditendang masuk ke dalam neraka. Maksudnya juga mereka terusir dan maksudnya adalah terusir daripada rahmat. Kerana manusia akan masuk syurga dengan rahmat Allah ﷻ dan mereka tidak akan dapat rahmat Allah ﷻ itu dan kerana itu mereka akan masuk ke dalam neraka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 28 April 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Ustaz Solahudin

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 15 (Tidak tanggung dosa orang lain)

Isra’ Ayat 15: Ayat sebelum ini menyebut tentang amalan yang dilakukan manusia, kemudian akan dipersembahkan dan dihitung. Amalan kita bergantung kepada kehendak kita yang ditentukan oleh kita sendiri untuk memilihnya. Setiap yang mendapat petunjuk adalah untuk dirinya sendiri dan begitulah sebaliknya. Seseorang yang menanggung dosa tidak akan menanggung dosa orang lain, maka kena tanggung sendiri kerana salah sendiri.

مَّنِ اهتَدىٰ فَإِنَّما يَهتَدي لِنَفسِهِ ۖ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّما يَضِلُّ عَلَيها ۚ وَلا تَزِرُ وازِرَةٌ وِزرَ أُخرىٰ ۗ وَما كُنّا مُعَذِّبينَ حَتّىٰ نَبعَثَ رَسولًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Whoever is guided is only guided for [the benefit of] his soul. And whoever errs only errs against it. And no bearer of burdens will bear the burden of another. And never would We punish until We sent a messenger.

(MELAYU)

Barangsiapa yang berbuat sesuai dengan hidayah (Allah), maka sesungguhnya dia berbuat itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri; dan barangsiapa yang sesat maka sesungguhnya dia tersesat bagi (kerugian) dirinya sendiri. Dan seorang yang menanggung tidak dapat memikul dosa orang lain, dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutus seorang rasul.

 

مَّنِ اهتَدىٰ فَإِنَّما يَهتَدي لِنَفسِهِ

Barangsiapa yang berbuat sesuai dengan hidayah (Allah), maka sesungguhnya dia berbuat itu untuk dirinya sendiri;

Sekiranya seseorang mendapat hidayah dan menerima hidayah, maka orang itu akan berbuat baik untuk dirinya sendiri. Dia yang akan mendapat faedah untuk dirinya sendiri. Mereka akan dibalas dengan syurga yang kekal abadi. Maka ini mengajar kita yang untuk dapat pahala, kena buat sendiri amal kebaikan.

Perlu kita terapkan bahawa petunjuk yang dimaksudkan mestilah daripada Al-Qur’an dan Sunnah. Kalau bukan daripada dua sumber ini, ia adalah bathil.

Apakah yang tersirat? Kenapa Allah ﷻ beritahu hal ini kepada kita? Kerana Allah ﷻ hendak mengingatkan kita bahawa ramai yang tidak tahu hal ini. Mereka tidak tahu bahawa apa-apa sahaja kebaikan yang mereka lakukan, ia sebenarnya untuk diri mereka, bukannya untuk Allah ﷻ. Kita tidak nampak kebaikan itu kerana ia adalah ghaib. Kerana itulah manusia tidak mementingkan hidayah. Bayangkan begini, kalau kita tawarkan makanan percuma dengan kelas tafsir percuma, agaknya mana satu yang manusia akan pilih?

Satu lagi pengajaran yang kita boleh ambil adalah, hidayah itu untuk diri sendiri sahaja. Kita tidak boleh ‘transfer’ (pindahkan) hidayah itu kepada orang lain, sama ada isteri, anak-anak atau sesiapa sahaja. Kita kena cari hidayah sendiri, kena ada usaha sendiri. Ini kerana kita semua dipertanggungjawabkan ke atas diri kita sendiri. Jika seorang bapa itu ulama’, belum tentu anaknya juga boleh menjadi ulama’.

 

وَمَن ضَلَّ فَإِنَّما يَضِلُّ عَلَيها

dan barangsiapa yang sesat, maka sesungguhnya dia tersesat bagi (kerugian) dirinya sendiri.

Begitulah juga jika mereka memilih untuk sesat dan tidak menerima hidayah, maka kesesatan itu akan berbalik kepada diri mereka sendiri. Mereka sendiri yang akan menanggung keburukan hasil daripada perbuatannya itu. Mereka tidak boleh serahkan dosa mereka kepada orang lain. Sebagaimana pahala tidak boleh dihadiahkan, maka dosa juga begitu. Ini akan disebut selepas ini.

Maka di sini Allah ﷻ sebut dua golongan sahaja: yang menerima hidayah dan yang sesat. Tidak ada yang ketiga. Kerana itulah di akhirat kelak hanya ada dua tempat tujuan sahaja, sama ada syurga atau neraka. Maka pilihlah mana satu yang anda hendak. Setiap satunya ada jalan yang menuju ke arahnya maka kena pilih jalan mana yang menuju ke syurga.

 

وَلا تَزِرُ وازِرَةٌ وِزرَ أُخرىٰ

Dan seorang yang menanggung tidak dapat memikul dosa orang lain, 

Tidak ada sesiapa pun yang akan bertanggungjawab ke atas dosa orang lain. Dosa orang lain, orang lain yang tanggung. Bagaimana hendak tanggung dosa orang lain, sedangkan dia sendiri ada tanggungjawab ke atas dirinya? Ada kafir Musyrikin Mekah yang hendak menanggung dosa orang lain seperti disebut di dalam Ankabut: 12

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لِلَّذينَ ءآمَنُوا اتَّبِعوا سَبيلَنا وَلنَحمِل خَطٰيٰكُم وَما هُم بِحٰمِلينَ مِن خَطٰيٰهُم مِّن شَيءٍ ۖ إِنَّهُم لَكٰذِبونَ
Dan berkatalah orang-orang kafir kepada orang-orang yang beriman: “Ikutilah jalan kami, dan nanti kami akan memikul dosa-dosamu”, dan mereka sedikit pun tidak memikul dosa-dosa mereka. Sesungguhnya mereka adalah benar-benar orang pendusta.

Allah ﷻ telah berfirman dalam hal yang sama di dalam Najm: 38-39

أَلّا تَزِرُ وازِرَةٌ وِزرَ أُخرىٰ
(Dalam Kitab-kitab itu ditegaskan): Bahawa sesungguhnya seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja);

وَأَن لَيسَ لِلإِنسانِ إِلّا ما سَعىٰ
Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya;

Maka ini menjawab persoalan mereka yang tanya: adakah suami tanggung dosa isteri, ibubapa tanggung dosa anak dan sebagainya. Selalu bukan kita dengar kata-kata sebegini: suami tanggung dosa isteri, bapa tanggung dosa anak… tetapi di mana dalilnya? Yang dalil ada memberitahu kita yang seorang manusia tidak tanggung dosa orang lain.

Cuma dia akan mendapat saham dosa kalau dia yang ajar, dia yang galakkan orang berbuat dosa seperti disebut oleh firman-Nya di dalam Nahl: 25:

لِيَحمِلوا أَوزارَهُم كامِلَةً يَومَ القِيٰمَةِ ۙ وَمِن أَوزارِ الَّذينَ يُضِلّونَهُم بِغَيرِ عِلمٍ ۗ أَلا ساءَ ما يَزِرونَ
(ucapan mereka) menyebabkan mereka memikul dosa-dosanya dengan sepenuh-penuhnya pada hari kiamat, dan sebahagian dosa-dosa orang yang mereka sesatkan yang tidak mengetahui sedikit pun (bahawa mereka disesatkan). Ingatlah, amat buruklah dosa yang mereka pikul itu.

Ini adalah kerana dosa orang-orang yang mengikut mereka itu adalah disebabkan oleh kesalahan mereka mengajak atau mengajar kepada perkara yang salah, maka memanglah patut kalau mereka pun kena tanggung dosa orang-orang lain itu. Kerana sesungguhnya orang-orang yang menyeru orang lain kepada kesesatan akan memperoleh dosanya sendiri dan juga dosa orang lain yang mereka sesatkan, tanpa mengurangi dosa mereka yang disesatkannya. Ini juga disebut di dalam Ankabut: 13

وَلَيَحمِلُنَّ أَثقالَهُم وَأَثقالًا مَّعَ أَثقالِهِم ۖ وَلَيُسأَلُنَّ يَومَ القِيٰمَةِ عَمّا كانوا يَفتَرونَ
Dan sesungguhnya mereka akan memikul beban (dosa) mereka, dan beban-beban (dosa yang lain) di samping beban-beban mereka sendiri, dan sesungguhnya mereka akan ditanya pada hari kiamat tentang apa yang selalu mereka ada-adakan.

Oleh itu kenalah berhati-hati dengan apa yang kita sampaikan kepada orang lain. Jangan orang ikut kita buat benda yang salah pula. Ini adalah konsep yang utama di dalam Islam sesuai dengan hadith ini,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلَالَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنْ الْإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawasanya Rasulullah ﷺ telah bersabda: “Barang siapa mengajak kepada kebaikan, maka dia akan mendapat pahala sebanyak pahala yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikit pun. Sebaliknya, barang siapa mengajak kepada kesesatan, maka dia akan mendapat dosa sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikit pun.”
(Sahih Muslim No. 4831)

Sampai bila kena tanggung? Sampai bila-bila! Bayangkan dosa membunuh setiap manusia ada sahamnya pada Qabil kerana dialah manusia pertama yang mula-mula beri ‘sunnah’ membunuh! Ini seperti disebut di dalam satu hadith,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تُقْتَلُ نَفْسٌ إِلَّا كَانَ عَلَى ابْنِ آدَمَ الْأَوَّلِ كِفْلٌ مِنْهَا
Daripada Abdullah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, daripada Nabi ﷺ bersabda: “Tidaklah seseorang membunuh, melainkan anak Adam pertama (Qabil) turut menanggung dosanya.”
(Sahih Bukhari No. 6359)

Kalau seseorang buat sesuatu dan bukan kita yang suruh, kita tidak bersalah. Maka kena faham dahulu konsepnya. Kalau tidak, akan ada salah faham pula nanti terutama apabila melihat hadith seperti,

عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- إِنَّ الْمَيِّتَ لَيُعَذَّبُ بِبُكَاءِ أَهْلِهِ عَلَيْهِ
Daripada Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: Sesungguhnya seorang mayit diazab kerana tangisan keluarganya kepadanya
(Abu Dawud No. 3131)
Menurut al-Albani رَحِمَهُ اللَّهُ, hadith ini sahih.

Mayit itu akan diazab jikalau sebelum dia mati dia ada pesan supaya ahli keluarganya meratap kerana dia yang suruh. Kononnya untuk tunjuk dia orang yang penting sangat sampaikan sedih sangat orang lain bila dia mati. Ini kita boleh lihat dalam sesetengah agama yang sampai upah orang entah ambil dari mana untuk berlakon menangis dan meratap. Kalau mayit itu tidak pernah ajar dan tidak suruh, dia tidaklah berdosa pula. Kerana bukan salah dia, tetapi orang yang masih hidup itu.

Satu lagi maksud ayat ini, kalau kita buat apa-apa kesalahan, kita tidak boleh salahkan orang lain kerana kita yang kena bertanggungjawab. Kanak-kanak selalu buat perkara ini di mana kalau mereka buat salah mereka akan kata adik atau abang mereka yang buat. Maknanya, manusia ini semenjak kecil lagi sudah mula mahu salahkan orang lain. Maka kita kena ajar anak kita supaya jangan jadi begitu. Jangan mereka dibiasakan menudingkan jari dan menyalahkan orang lain.

 

وَما كُنّا مُعَذِّبينَ حَتّىٰ نَبعَثَ رَسولًا

dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutus seorang rasul.

Ada yang mengatakan bahawa ayat ini adalah Ayat Takhwif Duniawi kerana Allah ﷻ menceritakan tentang azab di dunia. Walaupun memang Allah ﷻ telah mengenakan azab yang teruk kepada umat-umat terdahulu, tetapi Allah ﷻ hendak memberitahu yang Dia tidak akan musnahkan mana-mana kaum tanpa kaum itu telah dibangkitkan dengan Rasul dalam kalangan mereka sendiri.

Apabila banyak disebut tentang azab-azab Allah ﷻ, mungkin ada nampak Allah ﷻ seperti zalim pula. Akan tetapi ini tidak benar sama sekali kerana Allah ﷻ bukannya terus mengazab seseorang itu. Allah ﷻ beritahu dulu mana yang boleh buat dan mana yang tidak boleh, mana jalan yang lurus dan mana jalan yang sesat. Allah ﷻ juga telah berfirman di dalam An’am: 131

ذٰلِكَ أَن لَّم يَكُن رَّبُّكَ مُهلِكَ ٱلقُرَىٰ بِظُلمٍ وَأَهلُهَا غَـٰفِلُونَ
Yang demikian (kedatangan Rasul-rasul itu ialah), kerana Tuhanmu tidak membinasakan negeri-negeri secara zalim sedang penduduknya leka lalai.

Akan tetapi dari segi ayat, kita pun boleh katakan ia adalah juga ayat tentang azab di akhirat juga. Kerana inilah azab yang paling penting dan kita paling takut. Yang penting di sini untuk kita tahu di sini adalah Allah ﷻ berjanji tidak akan mengazab manusia melainkan jikalau mereka itu telah diberi Rasul atau pemberi peringatan dan kemudian tetap mereka ingkar.

Ini menunjukkan keadilan Allah ﷻ. Maknanya, tidaklah Allah ﷻ kejam. Allah ﷻ telah beri penerangan dan ancaman dahulu dan setelah mereka menolak dakwah itu, barulah Allah ﷻ kenakan azab kepada mereka. Di dalam ayat yang lain disebutkan oleh firman-Nya:

كُلَّمَا أُلْقِيَ فِيهَا فَوْجٌ سَأَلَهُمْ خَزَنَتُهَا أَلَمْ يَأْتِكُمْ نَذِيرٌ قَالُوا بَلَى قَدْ جَاءَنَا نَذِيرٌ فَكَذَّبْنَا وَقُلْنَا مَا نزلَ اللهُ مِنْ شَيْءٍ إِنْ أَنْتُمْ إِلا فِي ضَلالٍ كَبِيرٍ
Setiap kali dilemparkan ke dalamnya sekumpulan (orang-orang kafir), penjaga-penjaga (neraka itu) bertanya kepada mereka, “Apakah belum pernah datang kepada kalian (di dunia) seorang pemberi peringatan?” Mereka menjawab, “Benar ada. Sesung-guhnya telah datang kepada kami seorang pemberi peringatan, maka kami mendustakannya) dan kami katakan, ‘Allah tidak menurunkan sesuatu pun, kalian tidak lain hanyalah di dalam kesesatan yang besar’.” (Al-Mulk: 8 – 9)

Tadi telah disebut yang tidak ada orang yang akan tanggung dosa orang lain, bukan? Tugas Rasul itu bukan untuk menanggung dosa umat mereka, tetapi tugas Rasul itu adalah untuk memberi peringatan kepada mereka. Inilah salah faham yang ada dalam kalangan bani Israil di mana mereka sangka yang rasul-rasul mereka itu akan menanggung kesalahan mereka.

Sila lihat bagaimana fahaman Kristian yang mengatakan Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mati kerana hendak membersihkan dosa manusia. Ini adalah fahaman yang karut kerana tugas para rasul itu hanyalah untuk memberitahu ajaran agama dan memberitahu peringatan kepada mereka.

Terdapat perbincangan yang besar berkenaan perkara ini. Ulama berbincang tentang keadaan orang-orang yang tidak menerima pemberi peringatan kepada mereka. Iaitu mereka yang tidak ada Rasul, juga mereka digelar Ahlul Fatrah. Terdapat khilaf dalam kalangan para ulama’ tentang hal ini. Cuma ini adalah tentang orang-orang terdahulu, bukannya tentang kita pun. Kalau kita, tidak termasuk Ahlul Fatrah. Cuma untuk tujuan akademik, bolehlah kita lihat apakah pendapat para ulama’ tentang hal ini.

Secara bahasa fatrah bererti ‘terputus’. Adapun menurut istilah, fatrah adalah zaman antara dua Rasul daripada para Rasul Allah ﷻ. Ahlu Fatrah adalah orang-orang yang hidup di zaman fatrah. Syaikh Masyhur bin Hasan Alu Salman حفظه الله mengatakan, “Yang benar, ahlu fatrah adalah orang-orang yang hidup di antara dua rasul. Rasul yang pertama tidak diutus kepada mereka (iaitu dakwahnya tidak sampai ke masa hidup mereka-), dan mereka belum menemui rasul yang kedua.” Contoh zaman fatrah adalah zaman sesudah Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan sebelum Nabi Muhammad ﷺ diutus, sebagaimana dikatakan oleh para Ulama’ ahli tafsir.

Adakah Ahlul Fatrah ini terselamat daripada seksaan azab kerana mereka ada alasan tidak diberikan kepada mereka Rasul? Ada pendapat yang mengatakan semua umat atau bangsa telah ada kedatangan Rasul kepada mereka. Oleh kerana itu barangsiapa beriman dan taat, akan mendapatkan kebahagiaan. Sebaliknya, barangsiapa kafir dan derhaka, akan mendapatkan kecelakaan. Dalil setiap umat dapat Rasul adalah beberapa ayat Al-Qur’an:

إِنَّا أَرْسَلْنَاكَ بِالْحَقِّ بَشِيرًا وَنَذِيرًا ۚ وَإِنْ مِنْ أُمَّةٍ إِلَّا خَلَا فِيهَا نَذِيرٌ
Sesungguhnya Kami mengutus kamu dengan membawa kebenaran sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan. Dan tidak ada suatu umat pun melainkan telah ada padanya seorang pemberi peringatan. (Fatir: 24)

Ketika menafsirkan ayat ini, Imam Ibnu Katsir رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan, “Iaitu tidak ada satu umat pun keturunan Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang telah berlalu kecuali Allah telah mengutus orang-orang yang membawa peringatan kepada mereka dan menghilangkan alasan-alasan mereka”. Lalu beliau رَحِمَهُ اللَّهُ menyebutkan ayat-ayat lain yang semakna, iaitu firman-Nya:

وَيَقُولُ الَّذِينَ كَفَرُوا لَوْلَا أُنْزِلَ عَلَيْهِ آيَةٌ مِنْ رَبِّهِ ۗ إِنَّمَا أَنْتَ مُنْذِرٌ ۖ وَلِكُلِّ قَوْمٍ هَادٍ
Orang-orang yang kafir berkata: “Mengapa tidak diturunkan kepadanya (Muhammad) suatu tanda (kebesaran) dari Rabbnya ?” Sesungguhnya kamu hanyalah seorang pemberi peringatan; dan bagi tiap-tiap kaum ada orang yang memberi petunjuk. (Ra’d: 7)

Juga firman-Nya:

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ
Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): “Beribadahlah kepada Allah (saja), dan jauhilah thaghut. (Nahl: 36)

Kalau kita gabungkan ayat-ayat ini seolah-olah memberitahu kita, kalau tidak ada Rasul maka sesuatu umat itu tidak patut diazab. Akan tetapi Allah ‎ﷻ sebenarnya telah memberi kepada mereka pemberi peringatan. Mereka sahaja yang tidak mahu dengar. Bagaimana pula dengan Ahlul Fatrah yang di antara Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Muhammad ﷺ itu?

Orang-orang yang hidup di zaman fatrah, ada yang sudah sampai kepadanya dakwah Rasul, ada yang belum. Bagi yang sudah, maka hukumnya jelas, mereka akan dikenakan azab. Bangsa Arab secara umum, sudah sampai kepada mereka dakwah Rasul, seperti dakwah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Namun orang-orangnya secara individu tidak boleh ditetapkan sebagai penduduk neraka atau syurga, kecuali yang telah dijelaskan oleh Nabi Muhammad ﷺ secara khusus nama-nama mereka.

Di antara bangsa Arab yang hidup di zaman fatrah, ada yang sudah sampai kepadanya dakwah, lalu bertauhid, dan tidak berbuat syirik, maka mereka itu selamat. Ini seperti Qais bin Sa’idah, Zaid bin ‘Amr Ibnu Nufail, Waraqah bin Naufal, dan lain-lainnya رضي الله عنهم yang disebutkan dalam nas-nas yang sahih bahawa mereka ini meninggal dalam keadaan bertauhid. Sedangkan orang-orang yang sudah sampai kepadanya dakwah, tetapi tidak bertauhid, bahkan berbuat syirik, maka mereka pasti celaka. Ini seperti ‘Amr bin Luhay al-Khuza’i, Abdullah bin Jud’an, pemilik tongkat bengkok yang mencuri barang-barang jemaah haji, kedua orang tua Nabi ﷺ, dan lainnya yang telah diberitakan oleh Nabi ﷺ dalam hadith yang sahih. Kewajipan kita adalah mengimani hadith yang sahih daripada Nabi ﷺ.
Kalau benar ada yang tidak sampai kepada mereka pemberi peringatan, mereka tidaklah secara automatik akan selamat dan dimasukkan ke dalam syurga. Mereka juga akan diuji sebenarnya. Mungkin hadith ini dapat menjawab:

عَنِ الْأَسْوَدِ بْنِ سَرِيعٍ [رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ] أَنَّ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “أَرْبَعَةٌ يَحْتَجُّونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ: رَجُلٌ أَصَمُّ لَا يَسْمَعُ شَيْئًا، وَرَجُلٌ أَحْمَقُ، وَرَجُلٌ هَرِمٌ، وَرَجُلٌ مَاتَ فِي فَتْرَةٍ، فَأَمَّا الْأَصَمُّ فَيَقُولُ: رَبِّ، قَدْ جَاءَ الْإِسْلَامُ وَمَا أَسْمَعُ شَيْئًا، وَأَمَّا الْأَحْمَقُ فَيَقُولُ: رَبِّ، قَدْ جَاءَ الْإِسْلَامُ وَالصِّبْيَانُ يَحْذِفُونِي بِالْبَعْرِ، وَأَمَّا الهَرَمُ فَيَقُولُ: رَبِّ، لَقَدْ جَاءَ الْإِسْلَامُ وَمَا أَعْقِلُ شَيْئًا،وَأَمَّا الَّذِي مَاتَ فِي الْفَتْرَةِ فَيَقُولُ: رَبِّ، مَا أَتَانِي لَكَ رَسُولٌ. فَيَأْخُذُ مَوَاثِيقَهُمْ ليُطِعنّه فَيُرْسِلُ إِلَيْهِمْ أَنِ ادْخُلُوا النَّارَ، فَوَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَوْ دَخَلُوهَا لَكَانَتْ عَلَيْهِمْ بَرْدًا وَسَلَامًا”
Daripada Al-Aswad ibnu Sari’ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Empat orang akan mengajukan alasannya kelak di hari kiamat, iaitu seorang lelaki tuli yang tidak dapat mendengar suara apa pun, seorang lelaki dungu, seorang lelaki nyanyuk, dan seorang lelaki yang mati di masa fatrah. Orang yang tuli mengajukan alasannya, “Wahai Tuhanku, Islam telah datang, tetapi saya tidak dapat mendengar apa pun.” Orang yang dungu beralasan, “Wahai Tuhanku, Islam telah datang, sedangkan anak-anak kecil melempariku dengan kotoran ternak (yang kering).” Orang yang nyanyuk beralasan, “Wahai Tuhanku, sesungguhnya Islam telah datang, tetapi saya tidak ingat akan sesuatu pun.” Orang yang meninggal dalam masa fatrah beralasan, “Wahai Tuhanku, tiada seorang pun daripada rasul-Mu yang datang kepadaku.” Maka Allah mengambil janji daripada mereka, bahawa-sanya mereka harus benar-benar taat kepada-Nya. Setelah itu diperintahkan agar mereka dimasukkan ke dalam neraka. Maka demi Tuhan yang jiwa Muhammad ini berada dalam genggaman kekuasaan-Nya, seandainya mereka memasukinya, tentulah ne¬raka itu menjadi dingin dan menjadi keselamatan bagi mereka.
(Musnad Ahmad No. 15866)
Disahihkan oleh Syeikh Al-Albani رَحِمَهُ اللَّهُ

Empat golongan itu akan memberikan alasan kenapa mereka tidak mengamalkan tauhid. Kerana tidak ada Rasul sampai kepada mereka atau mereka tidak faham kerana kelemahan-kelemahan yang ada pada mereka. Mereka hendak beritahu, kalau benar sampai, dan mereka faham, pasti mereka akan taat. Maka waktu itu Allah ‎ﷻ uji mereka, benarkah mereka itu akan taat? Maka Allah ﷻ suruh mereka masuk api. Waktu itu ada yang taat dan ikut dan ada yang enggan. Sebelum ini mereka kata mereka akan taat, tetapi apabila Allah ﷻ beri arahan, tidak taat pula. Bagi yang taat dan masuk ke dalam api, mereka itu yang sebenarnya selamat dan api itu menjadi dingin bagi mereka dan mereka akan dimasukkan ke dalam syurga kerana telah lulus ujian.

Maka ayat ini difahami oleh banyak ulama’ sebagai kemurahan Ilahi sehingga siapa yang tidak dapat mengetahui tentang kehadiran ajaran Rasul utusan Allah ﷻ, maka dia tidak dituntut untuk mempertanggungjawabkan amal-amalnya yang melanggar, kerana kesalahan yang dilakukannya lahir daripada ketidaktahuan dan ketidakmampuan untuk mengetahui. Adapun yang tidak mengetahui tetapi dia berpotensi untuk tahu, maka dia tidak sepenuhnya bebas daripada tanggung jawab.
Oleh sebab itu alasan jahil tidak laku. Kerana ada juga yang selalu bertanya, “Tapi ustaz, kalau dia tak tahu itu dosa, adakah dia berdosa?” Ya tetap berdosa kerana Allah ﷻ telah beri potensi untuk dia tahu. Telah diberikan akal, telinga dan orang yang mengajar kepada mereka, cuma mereka sahaja yang buat tidak tahu. Kalau alasan ‘tidak tahu’ itu laku, maka tentulah selamat orang kafir kerana mereka memang tidak tahu pun yang mereka itu salah. Kalau alasan ‘tidak tahu’ ini boleh dipakai, maka kita ramai-ramai patutnya terus jahil sahaja jangan belajar supaya boleh cakap nanti di hadapan Allah ﷻ, “Oh sorry ya Allah, aku tak tahu sebenarnya ini salah…” Adakah anda sangka alasan ini akan diterima?

Ada yang mengatakan kalimah كُنّا yang di dalam bentuk isim كان itu menunjukkan kejadian dahulu, bukannya sekarang. Akan tetapi ini adalah pemahaman yang salah. Walaupun isim كان memberi isyarat dahulu, tetapi ia bermaksud di sini sebagai ‘dulu, kini dan selamanya’ seperti firman Allah ﷻ di dalam banyak ayat وكان الله غفورا رحيما. Adalah Allah ﷻ bersifat pengampun dan kasih sayang, dulu kini dan selamanya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 27 April 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Ustaz Solahudin

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 12 – 14 (Kitab amalan di tengkuk)

SIANG DAN MALAM

Isra’ Ayat 12: Ayat Tauhid di mana disebut kehebatan Allah ﷻ supaya kita kenal Dia sahaja Tuhan. Setelah menjelaskan ketergesa-gesaan manusia, yang menjadikan dia lupa peredaran waktu dan silih bergantinya masa senang dan susah, serta masa suram gelap dengan masa cerah dan terang, kini disebut salah satu bukti kuasa Allah ﷻ yang juga berkaitan dengan pergantian keadaan itu sambil menanamkan optimisme.

وَجَعَلنَا اللَّيلَ وَالنَّهارَ ءآيَتَينِ ۖ فَمَحَونا ءآيَةَ اللَّيلِ وَجَعَلنا ءآيَةَ النَّهارِ مُبصِرَةً لِّتَبتَغوا فَضلًا مِّن رَّبِّكُم وَلِتَعلَموا عَدَدَ السِّنينَ وَالحِسابَ ۚ وَكُلَّ شَيءٍ فَصَّلنٰهُ تَفصيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have made the night and day two signs, and We erased the sign of the night and made the sign of the day visible¹ that you may seek bounty from your Lord and may know the number of years and the account [of time]. And everything We have set out in detail.

  • Or “giving sight.”

(MELAYU)

Dan Kami jadikan malam dan siang sebagai dua tanda, lalu Kami hapuskan tanda malam dan Kami jadikan tanda siang itu terang, agar kamu mencari kurnia dari Tuhanmu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun-tahun dan perhitungan. Dan segala sesuatu telah Kami terangkan dengan jelas.

 

وَجَعَلنَا اللَّيلَ وَالنَّهارَ ءآيَتَينِ

Dan Kami jadikan malam dan siang sebagai dua tanda,

Allah ﷻ menjadikan malam dan siang sebagai tanda kekuasaan-Nya kepada kita. Iaitu tanda wujudnya Allah ﷻ dan tanda qudrat Allah. Allah ﷻ juga telah berfirman di dalam Fussilat: 37

وَمِن ءآيٰتِهِ اللَّيلُ وَالنَّهارُ وَالشَّمسُ وَالقَمَرُ
Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan.

Tidak mungkin satu proses yang hebat ini tidak ada penciptanya yang mengatur proses pertukaran siang dan malam ini. Hanya Dia sahaja yang mengawal siang dan malam. Kita tidaklah dapat mempercepatkan malam dan tidak juga siang walau macam mana pun kehendak kita.

Kita hendaklah sedar yang malam dan siang tidak terjadi sendiri, tetapi Allah ﷻ yang menentukannya. Bukanlah ia terjadi secara automatik apabila sampai waktunya kerana Allah ﷻ yang menentukan ia terjadi. Ini kerana ada masa nanti yang Allah ﷻ akan tahan siang menjadi panjang. Nanti di akhirat juga – tiada malam di syurga dan tiada siang di neraka. Maka itu adalah tanda yang malam dan siang tidak terjadi sendiri.

Yang tersiratnya, Allah ﷻ bukan hendak menyebut tentang siang dan malam sahaja tetapi ia adalah isyarat. Siang dan malam juga tanda-tanda yang memberi nasihat kepada yang memikirkan secara mendalam. Ia adalah teguran kepada mereka yang gopoh seperti yang disebut dalam ayat sebelum ini. Bagaimana ia menjadi nasihat? Kita disuruh melihat kepada malam dan siang kerana siang dan malam datang silih berganti dan tidak tergopoh-gopoh. Apabila sampai masanya, Allah ﷻ akan jadikan siang datang dan apabila sampai masanya, Allah ﷻ akan jadikan malam pula datang mengganti.

Ia pasti berlaku sampailah ke hari kiamat nanti. Maka, kita kena tunggu sahaja, jangan tergesa-gesa. Tunggu ketentuan daripada Allah ﷻ. Begitulah jika kita sedang diuji dengan Allah ﷻ, ujian itu tidaklah lama dan berterusan. Sampai masa yang Allah ﷻ tetapkan, ia akan berakhir.

Ayat yang lalu mengecam mereka yang tergesa-gesa berdoa dan berusaha meraih keinginannya tanpa melakukan seleksi antara baik dan buruk. Nah, ayat ini melanjutkan bagaikan berkata bahawa tidaklah wajar bagi seseorang untuk tergesa-gesa dalam meminta atau berusaha melalui jalan pintas meraih apa yang diinginkannya sehingga ia melakukan apa saja yang dapat dilakukannya dengan dalih bahawa Allah ﷻ telah memberinya kemudahan; dan bila Allah ﷻ tidak merestui tentu ia tidak diberinya kemampuan.

Dalih ini sungguh salah. Mereka tidak faham antara izin dan redha. Ada yang Allah ﷻ izinkan walaupun perbuatan itu berdosa, tetapi Allah ﷻ tidak redha sama sekali. Lihatlah kepada malam dan siang yang merupakan dua ayat Ilahi; keduanya tidak sama. Apabila malam, gerak ketika itu terhenti, mata menjadi tenang, berbeza dengan siang yang terang, membangkitkan semangat dan kekuatan; manusia saat itu berusaha meraih kurnia Allah ﷻ.

Nah, demikian juga dengan pekerjaan-pekerjaan buruk dan baik, semuanya terjadi atas izin Allah ﷻ. Manusia diberi-Nya kemampuan, tetapi itu bukan bukti bolehnya melakukan apa saja – yang baik atau yang buruk, atau tergesa meminta apa saja yang dikehendaki, atau melakukan kederhakaan sebagaimana melakukan kebaikan. Tidak! Amal keburukan harus terhapus dengan tidak mengerjakannya, dan amal kebaikan harus dinampakkan sehingga menjadi terang benderang. Itu dilakukan untuk meraih kebahagiaan ukhrawi dan rezeki Ilahi.

 

فَمَحَونا ءآيَةَ اللَّيلِ وَجَعَلنا ءآيَةَ النَّهارِ مُبصِرَةً

lalu Kami hapuskan tanda malam dan Kami jadikan tanda siang itu terang, 

Allah ﷻlah yang menghilangkan malam itu sedikit demi sedikit dengan mengeluarkan cahaya matahari. Apabila Allah ﷻ hilangkan malam tidak ada sedikit pun tanda malam itu masih ada.

Bila sudah siang, keadaan menjadi terang dan senang untuk melihat keadaan di luar. Tidaklah kena pakai lampu. Ini adalah kebaikan untuk kita. Di waktu malam yang gelap, senang untuk kita tidur dengan nyenyak. Kalau terang benderang tentu susah untuk kita tidur. Manakala siang Allah ﷻ jadikan terang benderang supaya senang kita berurusan dan bekerja.

 

لِّتَبتَغوا فَضلًا مِّن رَّبِّكُم

agar kamu mencari kurnia daripada Tuhanmu, 

Allah ﷻ jadikan siang untuk kita mudah melihat. Apabila siang hari itu terang, maka senang untuk kita mencari kurniaan Allah ﷻ dalam mencari rezeki. Hendak ke mana-mana pun senang, hendak buat kerja pun senang.

 

وَلِتَعلَموا عَدَدَ السِّنينَ وَالحِسابَ

dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun-tahun dan perhitungan.

Dengan siang dan malam itu kita boleh mengira takwim (kalendar) dan kita boleh menyimpan sejarah. Kita boleh kira hari demi hari untuk cukupkan seminggu, sebulan, setahun dan sebagainya. Bayangkan kalau siang sahaja ataupun malam sahaja tentu kita susah hendak buat takwim. Tidak boleh mahu membuat perkiraan.

 

وَكُلَّ شَيءٍ فَصَّلنٰهُ تَفصيلً

Dan segala sesuatu telah Kami terangkan dengan sejelas-jelasnya.

Allah ﷻ jelaskan segala perkara kepada kita di dalam Al-Qur’an. Yang dimaksudkan adalah perkara agama. Kerana tidaklah semua perkara kehidupan disebut dalam Al-Qur’an kerana tidak cukup tempat. Akan tetapi kalau bab agama, terutama bab akidah, semuanya telah disebut. Sedangkan bab feqah dan hukum, disebut secara umum sahaja dan dijelaskan dengan panjang lebar dalam Sunnah (Hadith).


 

REKOD AMALAN

Isra’ Ayat 13: Takhwif Ukhrawi di mana Allah ﷻ ingatkan keadaan di akhirat kelak supaya kita berhati-hati dengan amalan kita di dunia. Di dalam ayat sebelum ini kita disuruh memalapkan amal keburukan dan menerangkan amal kebaikan kerana kedua-duanya sedang dicatit para malaikat.

وَكُلَّ إِنسٰنٍ أَلزَمنٰهُ طٰٓئِرَهُ في عُنُقِهِ ۖ وَنُخرِجُ لَهُ يَومَ القِيٰمَةِ كِتٰبًا يَلقٰهُ مَنشورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [for] every person We have imposed his fate upon his neck,¹ and We will produce for him on the Day of Resurrection a record which he will encounter spread open.

  • i.e., after having instructed him, We have made him responsible for his own destiny.

(MELAYU)

Dan tiap-tiap manusia itu telah Kami tetapkan amal perbuatannya (sebagaimana tetapnya kalung) pada lehernya. Dan Kami keluarkan baginya pada hari kiamat sebuah kitab yang dijumpainya terbuka.

 

وَكُلَّ إِنسٰنٍ أَلزَمنٰهُ طٰٓئِرَهُ في عُنُقِهِ

Dan tiap-tiap manusia itu telah Kami kalungkan amal perbuatannya (sebagaimana tetapnya kalung) pada lehernya.

Kata أَلزَم terambil daripada kata لازم yang bererti sesuatu yang tidak berpisah dan menjadi kemestian. Kalimah طٰٓئِرَ pula bermaksud burung. Maksud potongan ayat ini secara literal adalah Allah ﷻ ‘menggantung burung setiap insan di tengkuknya’. Ini adalah pepatah Arab kerana burung selalu digunakan dalam bahasa Arab sebagai isyarat kepada takdir/nasib.

Ini adalah kerana bangsa Arab waktu itu selalu menggunakan burung untuk merenung nasib. Mereka selalu melepaskan burung ke udara dan mereka gunakan untuk menentukan sama ada mereka patut melakukan sesuatu perkara atau tidak. Contohnya kalau hendak pergi bermusafir, mereka akan lepaskan burung dan kalau burung itu ke kanan, mereka akan teruskan musafir dan kalau burung itu terbang ke kiri, mereka akan batalkan kerana mereka sangka kalau burung terbang ke kiri, itu tanda sial. Setelah Islam datang, amalan khurafat ini telah dilarang.

Burung itu juga boleh digunakan untuk bermaksud Burung Bangkai (Vulture) yang banyak di padang pasir. Kalau mereka lihat burung itu di padang pasir, ia memberi isyarat kepada kematian dan tentu mereka tidak suka. Maka mereka melihat burung vulture itu sebagai tanda nasib buruk. Begitulah nanti orang yang ingkar akan melihat buku amalannya nanti. Mereka sudah dapat agak apa yang ada di dalamnya.

Allah ﷻ sebut في عُنُقِهِ (pada lehernya). Sesuatu yang tergantung boleh jadi kalung perhiasan, dan ini tentu saja diinginkan oleh pemakainya agar terus menggantung menghiasi dirinya. Ia boleh jadi juga belenggu yang menggantung ke leher, setelah kaki dan tangannya diikat. Ini sangat diiginkan oleh yang bersangkutan agar terlepas darinya, tetapi dia tidak mampu melepaskannya, kerana dia tidak memiliki lagi kebebasan bergerak.

Boleh juga kata ini berfungsi mempersamakan seseorang dengan binatang yang diberi tanda di lehemya untuk dibezakan dengan yang lain atau diberi kalung yang berbunyi agar pemiliknya mengenali dan mengetahui tempatnya bila ia jauh. Apapun maknanya, yang jelas ini menunjukkan bahawa setiap manusia kelak akan dikenali, tidak dapat menjauhkan diri, dan akan diperlakukan sesuai dengan nilai amal-amalnya. Itu akan jelas bagi setiap orang melalui pengalungan tersebut, di samping adanya kitab amal yang menjadi catatan lengkap untuk setiap amalnya.

Maka, digunakan pepatah ini untuk memberi isyarat bahawa amalan mereka, nasib mereka, seumpama telah diikat seperti kalung pada leher mereka. Ia akan mengikut mereka ke mana sahaja mereka pergi. Memang tidak boleh dipisahkan lagi.

Di akhirat kelak, ia akan dipakai oleh setiap insan. Bagi orang baik, maka ia menjadi kebanggaan sebagaimana pingat jasa disematkan ke dada penerimanya; ada pun bagi orang yang bersalah, maka ia menjadi penghinaan kepada mereka sebagaimana penjenayah dipaksa memegang sepanduk yang memaparkan kesalahan mereka.

Allah ﷻ juga memberitahu bahawa nasib manusia telah digantung ke tengkuk mereka dan ia tidak akan pergi ke mana lagi. Ia tetap akan berlaku kerana telah ditakdirkan oleh Allah ﷻ. Segala yang akan berlaku itu tunggu masa sahaja untuk ia berlaku. Maka kalau apa-apa terjadi kepada kita, itu semua adalah dalam taqdir Allah ﷻ. Allah ﷻ telah tetapkan akan berlaku.

Ini adalah pemberitahuan kepada Bani Israil yang mungkin mempersoalkan kenapa segala masalah yang berlaku terhadap kepada mereka terjadi; Allah ﷻ hendak beritahu bahawa ia telah ditetapkan sejak dahulu lagi dan ia pasti akan terjadi sebagai ujian bagi mereka. Tidak dapat dielakkan lagi.
.

 

وَنُخرِجُ لَهُ يَومَ القِيٰمَةِ كِتٰبًا يَلقٰهُ مَنشورًا

Dan Kami keluarkan baginya pada hari kiamat sebuah kitab yang dijumpainya terbuka.

Al-Biqa‘i رَحِمَهُ اللَّهُ berpendapat bahawa pada ayat yang lalu telah dikemukakan fungsi malam dan siang atau matahari dan bulan dalam berbagai hal, antara lain dalam hal hisab/perhitungan. Nah, ayat 13 – 14 ini beralih membicarakan hisab/perhitungan lain yang jauh lebih teliti dan lebih rinci daripada perhitungan sebelumnya; yang dibicarakan di sini adalah perhitungan yang akan terjadi kelak di kemudian hari, di mana amal lahir dan batin manusia dihitung, dan dipertanggungjawabkan. Perhitungan itu berdasarkan amal-amal manusia yang kecil mahupun yang besar yang dihitung dan tercatat dalam kitab amal mereka.

Pada hari kiamat nanti akan dibawa keluar buku kitab amalan mereka. Buku itu amat besar dan bila dibuka akan terbuka sejauh mata memandang kerana ia mengandungi segala perbuatan mereka selama mereka hidup di dunia dan segala perbuatan mereka akan dimasukkan. Apabila ia terbuka, bermakna mereka boleh baca sendiri dan memang mereka kena baca.

Di dalam ayat sebelum ini, Allah ﷻ berfirman وَكُلَّ شَيءٍ فَصَّلنٰهُ تَفصيلً (Dan segala sesuatu telah Kami terangkan dengan sejelas-jelasnya). Sekarang di dalam kitab amalan, segala sesuatu yang telah dilakukan dikeluarkan kembali dengan amat terperinci. Sehinggakan disebut di dalam Kahf: 49 terkejutnya orang yang berdosa,

وَوُضِعَ الكِتٰبُ فَتَرَى المُجرِمينَ مُشفِقينَ مِمّا فيهِ وَيَقولونَ يٰوَيلَتَنا مالِ هٰذَا الكِتٰبِ لا يُغادِرُ صَغيرَةً وَلا كَبيرَةً إِلّا أَحصٰها ۚ وَوَجَدوا ما عَمِلوا حاضِرًا ۗ وَلا يَظلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا
Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seorang pun.

Ayat-ayat ini memberi pengajaran kepada kita walaupun kita bernasib buruk dan segala masalah telah kena kepada kita, tetapi itu bukanlah alasan untuk kita berbuat perkara buruk semasa kita di dunia kerana semua itu adalah ujian kepada semua orang dan semua orang akan kena musibah. Akan tetapi kita tetap kena jaga amalan-amalan kita supaya jangan buat salah. Alangkah takutnya mengenangkan keadaan ini nanti. Lihat firman Allah ﷻ di dalam Ali Imran: 30

يَومَ تَجِدُ كُلُّ نَفسٍ مّا عَمِلَت مِن خَيرٍ مُّحضَرًا وَما عَمِلَت مِن سوءٍ تَوَدُّ لَو أَنَّ بَينَها وَبَينَهُ أَمَدًا بَعيدًا
(Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, sedia (dibentangkan kepadanya dalam surat-surat amalnya); dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya. (ketika itu tiap-tiap orang yang bersalah) ingin kalau ada jarak yang jauh di antaranya dengan amalnya yang jahat itu.


 

Isra’ Ayat 14: Apabila dikeluarkan Kitab Amalan itu.

اقرَأ كِتٰبَكَ كَفىٰ بِنَفسِكَ اليَومَ عَلَيكَ حَسيبًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[It will be said], “Read your record. Sufficient is yourself against you this Day as accountant.”

(MELAYU)

“Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada waktu ini sebagai penghisab terhadapmu”.

 

اقرَأ كِتٰبَكَ

“Bacalah kitabmu,

Manusia akan disuruh untuk baca sendiri kitab amalan mereka itu. Walaupun mereka itu semasa di dunia matanya buta, atau buta huruf tidak tahu membaca, mereka pasti akan boleh membaca kitab amalan mereka sendiri. Pandai buat, maka pandailah baca sendiri. Ini adalah berita yang memang amat menakutkan.

 

كَفىٰ بِنَفسِكَ اليَومَ عَلَيكَ حَسيبًا

cukuplah dirimu sendiri pada waktu ini sebagai penghisab terhadapmu”.

Kamu sendiri yang akan jadi auditor kepada perbuatan-perbuatan kamu dahulu. Kamu sendiri boleh tahu nasib kamu selepas ini nanti. Kalau zaman sekarang kita boleh bayangkan keadaan dalam mahkamah. Kadang-kadang pendakwaraya akan cetak bahan bukti seperti e-mel orang yang dituduh itu dan orang itu akan disuruh untuk baca sendiri apa yang telah ditulisnya. Biar dia sendiri yang berasa takut kerana kesalahan yang dia sendiri telah lakukan.

Bayangkan perasaan kalau terpampang kembali kesalahan yang telah dilakukan sendiri. Maka mahu salahkan siapa lagi waktu itu? Waktu itu dia sendiri sudah tahu sama ada dia akan dimasukkan ke dalam penjara atau tidak. Allah ﷻ telah berfirman:

يُنَبَّأُ الإنْسَانُ يَوْمَئِذٍ بِمَا قَدَّمَ وَأَخَّرَ بَلِ الإنْسَانُ عَلَى نَفْسِهِ بَصِيرَةٌ وَلَوْ أَلْقَى مَعَاذِيرَهُ
Pada hari itu diberitakan kepada manusia apa yang telah dikerjakannya dan apa yang dilalaikannya. Bahkan manusia itu menjadi saksi atas dirinya sendiri. Meskipun dia mengemukakan alasan-alasannya. (Qiyamah: 13 – 15)

Bila sudah baca sendiri kesalahan yang dilakukan, maka mereka sendiri sudah tahu ke mana mereka akan pergi. Dengan kata lain, sesungguhnya mereka mengetahui bahawa diri mereka tidak dianiaya. Tidaklah dicatatkan atas diri mereka kecuali hanya apa-apa yang telah mereka kerjakan, kerana sesungguhnya mereka akan ingat segala sesuatu yang telah mereka lakukan. Tiada seorang pun yang lupa terhadap apa yang telah diperbuatnya, walaupun sedikit. Tidaklah mereka kata: “ini aku tak buat ni…”

Pada hari itu setiap orang boleh membaca kitab catatan amal perbuatannya. Dia dapat membacanya, malah dia lebih baik dalam kalangan orang yang boleh membaca atau pun orang ummi (tidak boleh membaca dan menulis).

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 27 April 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 9 – 11 (Kepentingan Al-Qur’an)

MESEJ DARIPADA AL-QUR’AN

Isra’ Ayat 9: Ini ayat tentang mukjizat. Allah ﷻ menceritakan tentang Al-Qur’an kerana ia adalah mukjizat terbesar dan ia masih berkekalan. Di dalam ayat pertama Allah ﷻ memuji Rasul-Nya Nabi Muhammad ﷺ dan sekarang Allah ﷻ memuji kitab-Nya pula. Selepas disebut tentang Kitab Taurat di dalam ayat ke 2, sekarang disebut Al-Qur’an pula.

Al-Qur’an adalah mukjizat yang sangat ampuh dan kekal sampai ke hari ini. Mukjizat-mukjizat lain yang dilakukan oleh Nabi-nabi lain, sudah tiada untuk dilihat lagi. Yang tahu tentangnya adalah mereka yang melihatnya dengan mata sendiri pada zaman mereka dan kemudian mereka menceritakan kepada anak-anak keturunan mereka.

Lama kelamaan ia menjadi seperti kisah sahaja. Akan tetapi, kita amat beruntung sekali kerana Al-Qur’an ini adalah mukjizat yang masih kekal. Kalau ada orang yang tanya: “Di manakah mukjizat Nabi kamu?”, kita boleh pergi ke almari kita, keluarkan Al-Qur’an dan terus tunjuk kepada mereka, bukan?

إِنَّ هٰذَا القُرءآنَ يَهدي لِلَّتي هِيَ أَقوَمُ وَيُبَشِّرُ المُؤمِنينَ الَّذينَ يَعمَلونَ الصّٰلِحٰتِ أَنَّ لَهُم أَجرًا كَبيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, this Qur’an guides to that which is most suitable and gives good tidings to the believers who do righteous deeds that they will have a great reward

(MELAYU)

Sesungguhnya Al Qur’an ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang Mukmin yang mengerjakan amal soleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar,

 

إِنَّ هٰذَا القُرءآنَ يَهدي لِلَّتي هِيَ أَقوَمُ

Sesungguhnya Al-Qur’an ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus

Manusia terutama sekali kepada Bani Israil diberitahu bahawa peluang mereka untuk naik kembali daripada kehinaan dan kemusnahan mereka adalah dengan menerima Al-Qur’an yang diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Janganlah menentang, tetapi terimalah dengan baik.

Mereka masih ada lagi ajaran dan hukum yang ada di dalam kitab Taurat tetapi Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa Al-Qur’an ini lebih baik dan lebih tegak lagi. Kerana itulah kalimah yang digunakan adalah أَقوَمُ (lebih lurus). Tentu Bani Israil dan Taurat itu ada kelebihan dan kebolehan yang Allah ﷻ telah berikan dan itu tidak ada masalah, tetapi Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa apa yang ada di dalam Al-Qur’an ini lebih baik lagi daripada apa yang mereka ada.

Ini penting kerana kalau kita fikirkan, Bani Israil ada kitab pun boleh sesat juga, bagaimana pula dengan kita yang ada Al-Qur’an ini? Adakah kita pun akan mengalami nasib yang sama? Cemas juga, bukan? Maka Allah ﷻ hilangkan kecemasan itu dengan kata jangan takut, Al-Qur’an ini أَقوَمُ (lebih lurus). Lebih hebat daripada Taurat itu. Maka jangan kita jadi seperti mereka (ada kitab tetapi masih sesat) sebaliknya hendaklah kita mengambil pengajaran daripada apa yang telah berlaku kepada mereka.

Surah ini menyebut القُرءآنَ sebanyak 10 kali. Di sini disebut bahawa Al-Qur’an ini menunjuk kepada jalan yang lurus.

Kata أَقوَمُ adalah bentuk superlatif daripada kata قويم yakni lurus lagi sempurna, memenuhi apa yang diharapkan daripadanya. Kata ini pada mulanya merupakan antonim (kata lawan) kepada ‘duduk’. Dengan berdiri, manusia dapat melakukan banyak hal, jauh lebih mudah daripada kalau dia duduk atau berbaring. Dari sini kata tersebut digunakan untuk makna melakukan sesuatu sebaik dan sesempuma mungkin.

Dengan demikian أَقوَمُ dapat diertikan lebih lurus, lebih baik atau yang paling baik dan yang paling sempurna. Bahawa al-Qur’an bersifat أَقوَمُ antara lain disebabkan kerana penyampaiannya yang demikian sempurna dan jelas serta kandungannya sesuai dengan fitrah manusia sehingga dengan mudah dapat difahami dan diamalkan. Kitab suci itu menggunakan cara untuk meyakinkan pembacanya, sehingga jika cara ini belum cukup, maka masih ada sekian banyak cara lain yang digunakan, supaya paling tidak salah satu diantaranya akan mengena.

Dengan demikian, jika anda memahami kata أَقوَمُ dalam erti lebih lurus/lebih sempurna, maka itu bukan pada kandungan yang disampaikannya, – kerana al-haq (kebenaran) yang disampaikan oleh kitab Taurat pun sempurna. Yang dimaksud dengan lebih sempurna daripada hidayah kitab Taurat adalah pada metode, cara, dan gaya-gaya penyampaiannya yang lebih menyentuh akal dan jiwa, serta dapat difahami oleh orang kebanyakan atau cendekiawan.

Al-Qur’an dan agama Islam ini memang amat sesuai dengan fitrah manusia seperti disebut di dalam Rum: 30

فَأَقِم وَجهَكَ لِلدّينِ حَنيفًا ۚ فِطرَتَ اللهِ الَّتي فَطَرَ النّاسَ عَلَيها ۚ لا تَبديلَ لِخَلقِ اللهِ ۚ ذٰلِكَ الدّينُ القَيِّمُ وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ
Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui,

Sayyid Quthub رَحِمَهُ اللَّهُ menulis bahawa hidayah Al-Qur’an mencakupi semua kaum dan generasi tanpa batas waktu atau tempat, dan mencakupi segala macam kebajikan yang diperoleh manusia di setiap waktu dan tempat. Ia memberi petunjuk yang paling lurus dan sempurna dalam bidang nurani dan rasa, dalam bidang akidah yang sangat jelas dan mudah difahami, dalam menghubungkan antara lahir dan batin manusia, rasa dan perbuatannya, serta akidah dan kegiatannya. Kitab suci ini juga memberi petunjuk yang paling sempurna dalam hal ibadah, yang mengaitkan antara kewajipan dan kemampuan, tidak memberatkan hingga membosankan dan tidak juga mempermudah-mudahkan yang akhirnya melahirkan sikap tidak acuh. Ia juga memberi petunjuk yang paling lurus dan sempurna dalam hal hubungan antara sesama orang, atau pasangan, pemerintah, masyarakat, negara dan jenis manusia. Hubungan yang didasarkan oleh dasar-dasar yang kukuh, yang tidak dipengaruhi oleh hawa nafsu.

Di dalam ayat ini Allah ﷻ menggunakan kalimah penekanan إِنَّ kerana ramai manusia tidak mempercayainya. Maka ia perlu ditekankan. Allah ﷻ menekankan yang Al-Qur’an ini mengandungi petunjuk membawa kepada jalan yang lurus. Akan tetapi ramai yang tidak mempercayainya, termasuklah umat Islam sendiri, bukan? Kerana ramai yang tidak ambil pengajaran pun daripada Al-Qur’an ini. Ramai umat Islam yang hanya baca sahaja Al-Qur’an ini tanpa mempelajari tafsirnya dan tadabburnya.

Ini amat rugi sekali kerana Al-Qur’an ini membawa kepada jalan yang أَقوَمُ, yang paling lurus, paling tegak, paling baik. Tidak ada yang dapat menandingi Al-Qur’an. Sudah banyak kita lihat orang yang asalnya bukan Islam telah percaya kepada Allah ﷻ dan agama Islam kerana mereka baca dan mempelajari Al-Qur’an.

Di sini Allah ﷻ menggunakan ism isyarah هٰذَا (ini) yang bermaksud dekat. Sedangkan ada juga penggunaan ism isyarah ذٰلِكَ (itu) yang bermaksud jauh. Ini seperti disebut di dalam Baqarah: 2 ذٰلِكَ الكِتٰبُ. Kenapa begitu?

Penggunaan isyarat jauh bertujuan memberi kesan bahawa kitab suci yang turun kepada Nabi Muhammad ﷺ itu berada dalam kedudukan yang amat tinggi, dan sangat jauh daripada jangkauan makhluk, kerana ia bersumber daripada Allah Yang Maha Tinggi, sedang penggunaan kata هٰذَا pada ayat ini dan semacamnya adalah untuk menunjukkan betapa dekat tuntunan-tuntunannya pada fitrah manusia, serta sesuai dengan jati dirinya sehingga ia benar-benar dekat kepada setiap insan.

Kita memerlukan Al-Qur’an untuk menjadi petunjuk jalan kepada kita kerana akal dan otak kita tidak akan mampu untuk mencarinya sendiri. Allah ﷻ yang mencipta kita dan tahu segala-galanya tentulah yang terbaik menjadi pengajar kita yang membawa kita ke arah kebaikan. Dan semuanya itu terkandung di dalam Al-Qur’an. Maka amat rugilah jikalau kita tidak mengambil peluang keemasan ini.

Banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang menyebut kehebatan Al-Qur’an seperti Zumar: 23

اللَهُ نَزَّلَ أَحسَنَ الحَديثِ كِتٰبًا مُّتَشٰبِهًا مَّثانِيَ تَقشَعِرُّ مِنهُ جُلودُ الَّذينَ يَخشَونَ رَبَّهُم ثُمَّ تَلينُ جُلودُهُم وَقُلوبُهُم إِلىٰ ذِكرِ اللهِ ۚ ذٰلِكَ هُدَى اللهِ يَهدي بِهِ مَن يَشاءُ ۚ وَمَن يُضلِلِ اللَهُ فَما لَهُ مِن هادٍ
Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Qur’an yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab Suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan Al-Qur’an itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.

 

وَيُبَشِّرُ المُؤمِنينَ

dan memberi khabar gembira kepada orang-orang Mukmin

Kerana Al-Qur’an itu أَقوَمُ, maka Allah ﷻ melanjutkan perbicaraan dengan menyebut berita gembira kepada orang-orang beriman. Di sini Al-Qur’an memberi berita gembira kepada orang mukmin. Siapakah mereka itu dan apakah ciri-ciri mereka?

Yang pertama, hendaklah percaya dengan apa yang perlu dipercayai, barulah dikira sebagai mukmin. Mesti tahu apakah fahaman akidah yang benar dan berpegang dengannya. Maksud fahaman yang benar itu adalah dalam Al-Qur’an, maka mestilah belajar akidah daripada Al-Qur’an. Oleh itu, yang pertama adalah akidah mesti sempurna.

 

الَّذينَ يَعمَلونَ الصّٰلِحٰتِ

yang mengerjakan amal saleh

Mereka yang mukmin juga adalah mereka yang mengamalkan amalan soleh. Mereka bukan sahaja mengaku mereka beriman, tetapi mereka juga tunjukkan keimanan mereka dengan cara praktikal iaitu melakukan amal-amal soleh.

Akan tetapi, kita mesti ingat yang amalan soleh itu adalah amalan-amalan yang sunnah, bukan amalan bid’ah. Apabila lakukan amal ibadat, pastikan kita tahu tentang amalan itu dan harus tahu apakah dalilnya. Kita mesti pastikan amalan itu bertepatan dengan syariat Al-Qur’an dan sunnah. Jangan main ikut sahaja apa yang dikatakan oleh golongan agamawan kerana bukan semua boleh dipercayai. Kerana main ikut sahaja, maka ramai masyarakat kita mengamalkan amalan bid’ah (dan bila ditegur, mereka marah kita pula).

Allah ﷻ menekankan tentang kepentingan untuk melakukan amalan yang baik kerana bangsa Yahudi telah mengatakan bahawa kalau ada iman sahaja juga sudah cukup. Ini termasuk juga kata-kata golongan sesat seperti golongan Murjiah dan Jahmiyyah.

 

أَنَّ لَهُم أَجرًا كَبيرًا

bahawa bagi mereka ada pahala yang besar,

Allah ﷻ menjanjikan pahala besar untuk mereka yang beriman dan beramal soleh. Kalau di dunia, kita menggunakan harta untuk berdagang, tetapi di akhirat nanti, segala harta dan pendapatan tidak berguna lagi dan yang berguna hanyalah pahala. Di sini Allah ﷻ memberitahu yang penat lelah kita menegakkan agama dan berdakwah kepada orang lain itu tidaklah percuma. Allah ﷻ akan beri balasan kepada segala penat jerih kita itu.

Allah ﷻ tidak sebut apakah yang mereka akan dapat. Namun tentunya ia hebat kerana yang menjanjikannya adalah Allah ﷻ sendiri. Pemberian itu bergantung kepada siapa yang memberinya. Kalau orang biasa beri, kita boleh agak jenis pemberiannya tentu biasa-biasa sahaja. Namun kalau raja yang beri hadiah dan balasan, tentu lagi hebat, bukan? Bagaimana pula kalau pemberinya adalah Allah ﷻ? Wah! Tentu tidak dapat dibayangkan betapa hebatnya.

Balasan itu boleh dapat di dunia dan juga akhirat. Kalau di dunia, ia seperti kemenangan yang Allah ﷻ berikan kepada para pejuang Tauhid. Senangnya hati kalau dakwah kita diterima dan diamalkan oleh manusia. Begitulah yang telah dapat dirasai oleh para sahabat yang telah menjalankan kerja dakwah mereka dan Islam diterima di segenap pelosok dunia.

Namun kalau di akhirat yang pasti bagi mereka adalah syurga. Iaitu nikmat yang tidak terhingga dan selamat dari akhirat. Segala jenis nikmat akan ada di sana yang dinikmati sampai bila-bila tanpa had. Inilah yang kita kejar-kejar, kerana mati itu pasti. Selepas mati tempat kita adalah sama ada di syurga atau di neraka. Takkan kita hendak cuba tinggal di neraka pula?


 

Isra’ Ayat 10: Ayat takhwif (penakutan). Bagi yang beriman dan beramal soleh mendapat balasan pahala yang besar, bagi yang degil tidak mahu beriman juga, dapat apa? Allah ﷻ selalu seimbangkan; selepas disebut kebaikan, disebut tentang keburukan, setelah disebut syurga, kemudian disebut neraka pula.

وَأَنَّ الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِالآخِرَةِ أَعتَدنا لَهُم عَذابًا أَليمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And that those who do not believe in the Hereafter – We have prepared for them a painful punishment.

(MELAYU)

dan sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat, Kami sediakan bagi mereka azab yang pedih.

 

وَأَنَّ الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِالآخِرَةِ

dan sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat,

Ini lawan kepada orang yang beriman dalam ayat sebelum ini. Kalau masih berdegil juga, tidak mahu beriman, tidak kisah tentang kehidupan akhirat. Yang hanya mereka fikirkan adalah kesenangan di dunia sahaja, untuk memuaskan nafsu sahaja. Oleh kerana itu amalan mereka banyak yang salah daripada yang benar. Maka kepada mereka Allah ﷻ beritahu yang mereka akan mendapat balasan yang buruk.

Ayat ini menyebut secara jelas ‘tidak beriman kepada akhirat’, bukan dosa dan kederhakaan mereka yang lain, seperti mempersekutukan Allah ﷻ atau mengingkari kenabian, kerana konteks ayat ini adalah uraian tentang kesan daripada kehadiran Al-Qur’an sebagai petunjuk yang lebih lurus dan sempurna. Tidak ada erti suatu keyakinan atau petunjuk apabila ia tidak membuahkan hal-hal yang positif. Kepercayaan tentang adanya kehidupan akhirat, merupakan pendorong utama lahirnya amal-amal soleh, serta penghindaran amal-amal buruk.

Oleh kerana itu Allah ﷻ menjadikan pengingkaran bahkan melupakan adanya hari Pembalasan sebagai sebab utama kesesatan dan jatuhnya seksa kepada manusia. Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam Sad: 26

إِنَّ الَّذينَ يَضِلّونَ عَن سَبيلِ اللهِ لَهُم عَذابٌ شَديدٌ بِما نَسوا يَومَ الحِسابِ
Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan.

Ini kerana titik tolak kebaikan manusia daripada percaya adanya akhirat. Kerana orang yang takut dengan akhirat, akan takut untuk melakukan kemungkaran. Kalau tidak ada kepercayaan ini, mereka sanggup buat apa sahaja kerana mereka tidak nampak balasan kepada keburukan mereka itu.

 

أَعتَدنا لَهُم عَذابًا أَليمًا

Kami sediakan bagi mereka azab yang pedih.

Allah ﷻ sudah siap sediakan azab yang khusus untuk mereka sahaja. (Kerana kalimah لَهُم itu taqdim, maka ia menunjukkan eksklusif untuk mereka sahaja). Iaitu ada azab yang khusus untuk mereka, tentu lebih teruk dari orang lain.

Ini kerana mereka ini sepatutnya tahu kebenaran yang dibawakan oleh Nabi Muhammad ﷺ, tetapi mereka tetap berdegil. Maka bersedialah untuk menerima balasan azab.

Sekian Ruku’ 1 daripada 12 ruku’ surah ini


 

DOA DALAM KEMARAHAN

Isra’ Ayat 11: Ayat zajrun (teguran). Bermula ayat ini sehingga ayat 22 adalah Perenggan Makro ke 2 surah ini. Dalam perenggan ini Allah ﷻ memberitahu maksud ujian dan kenapa Rasul diutus.

وَيَدعُ الإِنسٰنُ بِالشَّرِّ دُعاءَهُ بِالخَيرِ ۖ وَكانَ الإِنسٰنُ عَجولًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And man supplicates for evil [when angry] as he supplicates for good, and man is ever hasty.¹

  • i.e., impatient, emotional, and acting without forethought.

(MELAYU)

Dan manusia doa untuk kejahatan sebagaimana ia berdoa untuk kebaikan. Dan adalah manusia bersifat tergesa-gesa.

 

وَيَدعُ الإِنسٰنُ بِالشَّرِّ دُعاءَهُ بِالخَيرِ

Dan manusia doa untuk kejahatan sebagaimana dia berdoa untuk kebaikan. 

Huruf Waw (و) di awal ayat ini adalah jenis وَاوُ الْاسْتِئْنَافِ/الْابْتِدَاء. Waw (و) isti’naf atau ibtida’ adalah huruf waw (و) yang dipakai di awal kalimat dan ia menunjukkan permulaan kepada topik yang baru. Ia bukanlah bertindak sebagai athof (penyambung). Namun apa kaitan dengan ayat sebelumnya?

Ayat-ayat sebelum ini mengandungi berita gembira dan ancaman, sedang mereka yang diancam seringkali memperolok-olokkan ancaman itu, dengan berkata: “Bilakah terjadinya ancaman itu?” Nah, kerana itu ayat ini berhubungan dengan sikap mereka itu dan di sini diisyaratkan bahawa jatuhnya ancaman itu bukanlah segera. Memang manusia – apalagi yang kafir- selalu bersifat tergesa-gesa, sampaikan dia sanggup berdoa untuk kejahatan sebagaimana doanya untuk kebaikan.

Allah ﷻ menegur manusia yang minta keburukan sama seperti mereka meminta kebaikan. Benarkah manusia minta keburukan pula? Macam tidak kena pula. Ini seperti mereka yang menolak Nabi Muhammad ﷺ kemudian dengan kurang ajarnya mereka minta terus dikenakan dengan azab yang dijanjikan. (Kamu kata kalau kami tolak, kami kena azab; mana azab itu?).

Selalunya manusia berdoa begini apabila mereka sedang marah. Sebab itu kita selalu dengar orang marah dan melaknat orang lain, sedangkan laknat itu adalah satu perbuatan yang berat. Allah ﷻ larang kita daripada suka melaknat. Banyak dalil melarang seperti,

‎قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ مِنْ أَكْبَرِ الْكَبَائِرِ أَنْ يَلْعَنَ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَكَيْفَ يَلْعَنُ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ قَالَ يَسُبُّ الرَّجُلُ أَبَا الرَّجُلِ فَيَسُبُّ أَبَاهُ وَيَسُبُّ أُمَّهُ
Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya termasuk dosa besar adalah seseorang melaknat kedua orang tuanya sendiri, ” beliau ditanya; “Kenapa hal itu boleh terjadi wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Seseorang mencela (melaknat) ayah orang lain, kemudian orang tersebut membalas mencela ayah dan ibu orang yang pertama.”
(Sahih Bukhari No. 5516)

Juga lihat hadith yang lain:

‎إِنَّ اللَّعْنَةَ إِلَى مَنْ وُجِّهَتْ إِلَيْهِ فَإِنْ أَصَابَتْ عَلَيْهِ سَبِيلًا أَوْ وَجَدَتْ فِيهِ مَسْلَكًا وَإِلَّا قَالَتْ يَا رَبِّ وُجِّهْتُ إِلَى فُلَانٍ فَلَمْ أَجِدْ عَلَيْهِ سَبِيلًا وَلَمْ أَجِدْ فِيهِ مَسْلَكًا فَيُقَالُ لَهَا ارْجِعِي مِنْ حَيْثُ جِئْتِ
“Sesungguhnya laknat itu akan tertuju kepada orang yang dilaknat, jika benar dia berhak dilaknat maka laknat itu akan menimpanya namun jika tidak, laknat itu akan berkata: Wahai Rabbku, aku ditujukan kepada si fulan namun aku tidak mendapatkan jalan kepadanya (aku mendapatinya tidak berhak dilaknat), lantas dikatakan kepadanya: Kembalilah kepada orang yang melaknat.”
(Musnad Ahmad No. 3682)

Satu lagi hadith kita belanja,

‎قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَكُونُ اللَّعَّانُونَ شُفَعَاءَ وَلَا شُهَدَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya para pelaknat itu tidak akan dapat menjadi syuhada’ (orang-orang yang menjadi saksi) dan tidak pula dapat memberi syafa’at pada hari kiamat kelak.’”
(Shahih Muslim No. 4702)

Selalunya kita mendengar orang menggunakan kalimah yang tidak patut seperti ‘jahannam’ kepada barang atau orang. Sebagai contoh kereta rosak dan seseorang berkata: “Jahannam kereta aku!” Maknanya dia mendoakan kerosakan kepada kereta dia. Maka jangan gunakan lagi. Memang kadangkala kita tidak sedar signifikasi penggunaan bahasa yang kita gunakan kerana kita ikut-ikut sahaja kata orang.

Atau ia bermaksud, manusia berdoa untuk kebaikan, tetapi kebaikan yang mereka sangkakan itu sebenarnya adalah keburukan. Mereka tidak tahu apa yang mereka minta. Ini disebabkan oleh kebodohan mereka kerana ada golongan Yahudi telah meminta kepada Allah ﷻ untuk memberikan Nabi dalam kalangan mereka. Mereka tidak mahu menerima Nabi Muhammad ﷺ kerana Nabi Muhammad ﷺ itu adalah daripada bangsa Arab dan mereka hanya mahu Nabi dalam kalangan Bani Israil sahaja.

Begitu juga bangsa Quraisy telah berdoa kepada Allah ﷻ untuk memusnahkan Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat. Kerana mereka sangka mereka itu yang benar dan Nabi Muhammad ﷺ itu membawa ajaran sesat. (Hampir sama dengan golongan Islam di Malaysia yang berkata golongan sunnah ini adalah golongan sesat – mereka gelar sebagai Wahabi. Ini adalah kerana kejahilan).

Allah ﷻ juga menceritakan tentang sifat manusia yang tergesa-gesa dan doa yang dilakukannya dalam keadaan tertentu untuk keburukan sama ada dirinya, anaknya atau harta bendanya. Yang dimaksudkan dengan keburukan ini adakalanya ingin mati, binasa, kehancuran, dan laknat serta sebagainya yang buruk akibatnya.

Seandainya Allah ﷻ mengabulkan doa mereka itu, maka nescaya binasalah mereka. Akan tetapi Allah ﷻ di dalam hikmah-Nya dan Rahmah-Nya telah menangguhkan doa mereka yang salah itu. Ayat ini sama erti dengan apa yang disebutkan oleh Allah ﷻ dalam ayat yang lain melalui firman-Nya di dalam Yunus: 11:

وَلَو يُعَجِّلُ اللَّهُ لِلنّاسِ الشَّرَّ استِعجالَهُم بِالخَيرِ لَقُضِيَ إِلَيهِم أَجَلُهُم
Dan kalau Allah menyegerakan bagi manusia azab sengsara yang mereka minta disegerakan, sebagaimana mereka minta disegerakan nikmat kesenangan, nescaya binasalah mereka dan selesailah ajal mereka.

Hal yang sama telah ditafsirkan oleh Ibnu Abbas, Mujahid, dan Qatadah رضي الله عنهم. Dalam sebuah hadith disebutkan:

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَدْعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ وَلَا تَدْعُوا عَلَى أَوْلَادِكُمْ وَلَا تَدْعُوا عَلَى خَدَمِكُمْ وَلَا تَدْعُوا عَلَى أَمْوَالِكُمْ لَا تُوَافِقُوا مِنْ اللَّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى سَاعَةَ نَيْلٍ فِيهَا عَطَاءٌ فَيَسْتَجِيبَ لَكُمْ
Daripada [Jabir bin Abdullah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا], dia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Janganlah kalian mendoakan kecelakaan atas diri kalian, janganlah kalian mendoakan kecelakaan bagi anak-anak kalian, dan janganlah kalian mendoakan kecelakaan atas pembantu kalian, dan janganlah kalian mendoakan kecelakaan atas harta kalian, jangan sampai kalian berdoa tepat saat diperolehnya pemberian sehingga Allah mengabulkan doa kalian.
(Sunan Abi Daud (1309) dengan sanad yang sahih)

 

وَكانَ الإِنسٰنُ عَجولًا

Dan adalah manusia bersifat tergesa-gesa.

Sekarang Allah ﷻ beritahu kelemahan manusia. Al-Biqa‘i رَحِمَهُ اللَّهُ berpendapat tentang hubungannya dengan ayat sebelum, bahawa setelah ayat yang lalu menjelaskan ajakan Ilahi melalui kitab suci-Nya, dan sebelum itu telah diisyaratkan bahawa Allah ﷻ tidak tergesa-gesa dalam bertindak, kini dijelaskan tabiat manusia yang seringkali tergesa-gesa dalam ucapan dan perbuatannya.

Memang kebanyakan manusia bersifat kelam kabut (tergopoh-gopoh). Iaitu, jika dia ditimpa kejahatan, kesusahan, dia amat gelisah dan tidak dapat mengendalikan diri. Dia menyumpah, mengeluh, kadang-kadang kerana merasa bencana itu terlalu berat, dia minta mati saja. Demikian pula sebaliknya kalau dia mendapat kebaikan yang menggembirakan, dia sudah “seperti cacing kepanasan”, memuji-muji diri mendabik dada. Lupa dia bahawa hidup itu adalah pergantian hujan dan panas, suka dan duka, senang dan susah. Ini adalah sikap yang buruk dan membahayakan, jikalau tidak dibendung akan binasa diri.

Begitulah, manusia tidak tahu apa yang mereka minta sebenarnya. Kita pun tidak tahu apa yang baik untuk kita. Ada perkara yang kita sahaja sangka ia baik, tetapi sebenarnya tidak. Kadang-kadang kita minta kepada perkara yang tidak baik – sebagai contoh, kita minta supaya diberi sesuatu kerja tertentu, padahal kita tidak tahu bahawa kerja itu sebenarnya tidak elok bagi diri kita. Kita hanya nampak keindahan yang di hadapan mata kita sahaja, tanpa mengetahui sama ada ia baik atau tidak.

Oleh itu, kita sepatutnya meminta doa kepada Allah ﷻ untuk memberi kebaikan kepada kita tanpa kita menyebut secara spesifik apakah yang kita hendak. Serahkan kepada Allah ﷻ untuk memberikan apa yang baik-baik untuk kita. Tidak perlu hendak mengajar Allah ﷻ untuk memberi kita sesuatu yang spesifik kerana kita tidak tahu sama ada ia membawa kebaikan atau tidak. (Atau, sekurang-kurangnya, kita tambah dalam doa kita begini – Ya Allah, kalau perkara ini memberi kebaikan untuk diriku, maka Kau kabulkan dan berikanlah).

Ingatlah yang kita tidak tahu apakah sebenarnya kebaikan untuk kita. Kerana kita tidak tahu perkara ghaib iaitu apa yang akan terjadi di masa hadapan. Maka, kita sepatutnya serahkan sahaja kepada Allah ﷻ. Hanya memohon kebaikan sahaja.

Ada yang jahil sampai sanggup berdoa: “Ya Allah, kalau begini matikanlah sahaja aku…” Sepatutnya dia minta diselamatkan, tetapi dia minta mati pula. Inilah kebodohan yang amat. Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

لاَ يَتَمَنَّيَنَّ أَحَدُكُمُ الْمَوْتَ لِضُرٍّ نَزَلَ بِهِ
“Janganlah seorang daripada kamu menginginkan dan bercita-cita untuk mati disebabkan kemudaratan yang menimpanya.”
(Riwayat Muslim (6990))

Atau, sepatutnya dia melapik doanya itu dengan meletakkan keputusan hidup dan matinya kepada Allah ﷻ sepertimana yang diajar oleh Nabi ﷺ:

اللَّهُمَّ أَحْيِنِى مَا كَانَتِ الْحَيَاةُ خَيْرًا لِى وَتَوَفَّنِى إِذَا كَانَتِ الْوَفَاةُ خَيْرًا لِى
“Ya Allah teruskanlah kehidupanku sekiranya hidup itu lebih baik bagiku dan cabutlah nyawaku sekiranya kematian lebih baik buatku.”
(Sunan Abi Dawud No. 3108)
Status: Sahih (Al-Albani رَحِمَهُ اللَّهُ)

Maka pengajaran yang besar bagi kita adalah jangan cepat sangat mulut kita meminta sesuatu kepada Allah ﷻ (doa) tanpa berfikir.

Kalimah عَجولًا tidak sama dengan سرع yang bermaksud bersegera. Ia daripada katadasar ع ج ل yang bermaksud menyegerakan; tergesa-gesa; lakukan dengan cepat; mempercepatkan; anak lembu. Kalimah عَجولًا digunakan apabila tergesa-gesa buat sesuatu yang sebelum waktunya. Kalau سرع (bersegera) ada yang baik, contohnya bersegera untuk solat, maka itu adalah perkara yang sangat baik sebab hendak bersegera untuk beribadat. Manakala kalimah عَجولًا itu pula bermaksud solat sebelum masuk waktunya. Perumpamaan عَجولًا ini seumpama minta gaji sebelum hujung bulan. Belum masa lagi tetapi sudah meminta-minta.

Sayyid Quthub رَحِمَهُ اللَّهُ dalam menghubungkan ayat ini dengan ayat yang lalu membandingkan petunjuk Al-Qur’an dengan pandangan manusia. Dia menulis bahawa manusia bersifat tergesa-gesa kerana dia tidak mengetahui akibat dan kesan segala sesuatu. Dia mungkin saja melakukan suatu keburukan dan tergesa-gesa dalam melakukannya, sedang dia tidak mengetahui akibatnya, atau dia mengetahui tetapi tidak mampu menahan dan mengendalikan gejolak nafsunya, maka di manakah tempatnya hal yang demikian dibandingkan dengan petunjuk Al-Qur’an yang tenang dan membimbing itu?

Thabathaba’i رَحِمَهُ اللَّهُ berpendapat bahawa ayat ini dan ayat-ayat berikut yang dikemukakan dalam konteks kecaman, lahir daripada uraian ayat yang lalu tentang anugerah hidayah Ilahi yang merupakan petunjuk yang aqwam/lebih sempurna. Seakan-akan ayat ini menyatakan bahawa: Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu kitab yang menuntun orang-orang yang mengamalkannya ke arah kebahagiaan dan syurga, menjadikan mereka meraih ganjaran yang besar, serta menunjuki mereka jalan kebaikan; tetapi jenis manusia sangat tergesa-gesa. Kerana ketergesaannya sehingga dia tidak membezakan antara yang baik dan yang buruk. Bahkan dia meminta apa saja yang nampak baginya atau yang berkaitan dengan keinginan nafsunya tanpa memisahkan baik dan buruk, haq dan batil. Dia menginginkan yang buruk sebagaimana menginginkan yang baik, dan dia bergegas meraih yang batil sebagaimana ketergesaannya meraih yang haq.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 27 April 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 7 – 8 (Israel akan musnah?)

Isra’ Ayat 7: Ini adalah kandungan dan khulasah (ringkasan) kedua yang ada dalam Kitab Taurat. Ia juga mengandungi takhwif duniawi: Azab pertama telah dikenakan kepada mereka dan sekarang disebut kemusnahan kali kedua mereka.

إِن أَحسَنتُم أَحسَنتُم لِأَنفُسِكُم ۖ وَإِن أَسَأتُم فَلَها ۚ فَإِذا جاءَ وَعدُ الآخِرَةِ لِيَسُٓئوا وُجوهَكُم وَلِيَدخُلُوا المَسجِدَ كَما دَخَلوهُ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَلِيُتَبِّروا ما عَلَوا تَتبيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[And said], “If you do good, you do good for yourselves; and if you do evil, [you do it] to them [i.e., yourselves].” Then when the final [i.e., second] promise came, [We sent your enemies] to sadden your faces and to enter the masjid [i.e., the temple in Jerusalem], as they entered it the first time, and to destroy what they had taken over with [total] destruction.

(MELAYU)

Jika kamu berbuat baik (bererti) kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri dan jika kamu berbuat jahat, maka (kejahatan) itu bagi dirimu sendiri, dan apabila datang saat hukuman bagi (kejahatan) yang kedua, (Kami datangkan orang-orang lain) untuk menyuramkan muka-muka kamu dan mereka masuk ke dalam masjid, sebagaimana musuh-musuhmu memasukinya pada kali pertama dan untuk membinasakan sehabis-habisnya apa saja yang mereka kuasai.

 

إِن أَحسَنتُم أَحسَنتُم لِأَنفُسِكُم

Jika kamu berbuat baik, kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri 

Sekiranya manusia berbuat baik maka mereka sebenarnya berbuat baik terhadap diri mereka sendiri. Iaitu mereka yang akan mendapat kebaikan itu. Yang dimaksudkan berbuat baik adalah kalau mengikut wahyu dan kalau Bani Israil, bermaksud kalau mereka ikut ajaran dalam Taurat.

Kenapa Allah ‎ﷻ perlu sebut perkara ini, sedangkan ia mudah sahaja untuk difahami? Kerana ramai manusia tahu tetapi tidak faham. Atau mereka tidak nampak tentang kepentingan hal ini. Kita rasa kita tahu, tetapi sebenarnya kita tidak tahu pun. Kita sebenarnya tidak nampak bagaimana kebaikan yang dilakukan akan pulang kembali kepada kita. Sebagai contoh, kalaulah kita tahu dengan sebenarnya kebaikan solat, tentu kita akan solat lama-lama dan memperbanyakkan solat-solat sunat; kalau kita tahu dengan sebenarnya balasan bagi sedekah yang kita keluarkan, tentu kita tidak akan kedekut untuk sedekah dan kita akan habiskan duit kita dengan sedekah; kalau kita tahu kepentingan membaca Al-Qur’an, tentu kita akan baca banyak-banyak dan kita akan hafal ayat-ayat Al-Qur’an dengan segera supaya kita senang untuk membacanya.

Namun kita tidak buat semua perkara di atas, bukan? Kerana kita tahu, tetapi tidak faham dengan sebenar-benarnya. Kerana kita tidak nampak bagaimana sebenarnya balasan kepada kebaikan yang kita lakukan itu.

 

وَإِن أَسَأتُم فَلَها

dan jika kamu berbuat jahat, maka (kejahatan) itu bagi dirimu sendiri,

Begitulah sekiranya manusia berbuat jahat, maka kesannya adalah ke atas diri mereka sendiri juga. Maksud berbuat kejahatan adalah apabila menolak wahyu.

Di sini Allah ﷻ memberitahu juga yang Dia akan membalas kejahatan yang Bani Israil itu telah lakukan itu. Oleh kerana mereka telah melakukan kerosakan di atas muka bumi sebanyak dua kali, maka Allah ﷻ telah membalas kepada mereka dua kali juga. Kerosakan yang dimaksudkan pula adalah kerosakan dalam agama. Ini adalah apabila manusia lupa kepada agama dan meninggalkan arahan wahyu daripada Allah ﷻ.

Baik, itu adalah tafsiran yang biasa digunakan dan senang juga difahami, iaitu: jika kamu berbuat baik, kamu berbuat baik bagi diri kamu sendiri dan jika kamu berbuat jahat maka bagi diri kamu (juga). Akan tetapi tafsiran ini dikritik oleh sesetengah ulama’ kerana penggunaan bahasa yang tidak kena. Kerana kalau hendak menyebut azab yang dikenakan, bukan huruf ل yang digunakan seperti فَلَها tetapi عليها seperti penggunaan di dalam Baqarah: 286 لَها ما كَسَبَت وَعَلَيها مَا اكتَسَبَت.

Oleh itu penggunaan kata لِأَنفُسِكُم dan لَها pada perenggan ayat di atas bertujuan menekankan bahawa amal seseorang, baik atau buruk, akan tertuju kepadanya secara khusus, dan tidak kepada orang lain. Memang terkadang ada amal baik seseorang yang dampaknya menyentuh orang lain, demikian juga amal buruknya, tetapi hal itu pasti tidak demikian di akhirat nanti. Di dunia ini pun, amal apa saja dan daripada siapa pun tidak akan dapat berdampak kepada pihak lain, kecuali atas izin Allah ﷻ, yang berkehendak untuk melimpahkan rahmat atau bencana. Amal itu sendiri tidak dapat menimpa kecuali pelakunya. Sang pelaku tidak dapat mengakibatkan amal yang dilakukannya berdampak buruk kepada pihak lain kecuali atas izin-Nya juga.

Dengan demikian, tepat sudah pesanan ayat di atas bahawa apapun yang kamu lakukan, maka dampaknya hanya khusus kamu yang memperolehnya. Yang berbuat baik mendapat bahagian dari kebaikannya dan yang berbuat jahat pun demikian. Seperti dalam firman-Nya di dalam Zalzalah: 7-8:

فَمَن يَعمَل مِثقالَ ذَرَّةٍ خَيرًا يَرَهُ. وَمَن يَعمَل مِثقالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ
Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat dzarrah pun, nescaya dia akan melihatnya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar dzarrahpun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya pula.

Dalam konteks inilah Sayyidina ‘Ali Ibn Abu Thalib رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: “Aku tidak pernah berbuat baik kepada seseorang, tidak juga pernah berbuat jahat.” Maksudnya, apa sahaja yang dia buat, tidak memberi kesan kepada orang lain, tetapi dia juga yang akan menerima kesannya, sama ada baik, atau jahat. Sebagai contoh, kalau kita berbuat baik kepada orang lain, kita sebenarnya menguntungkan diri kita, berbaik kepada diri sendiri sebenarnya kerana Allah ﷻ akan balas kebaikan itu.

 

فَإِذا جاءَ وَعدُ الآخِرَةِ لِيَسُٓئوا وُجوهَكُم

dan apabila datang janji yang akhir (yang kedua), maka disuramkan muka-muka kamu

Kali ini mereka dikenakan lagi dengan serangan daripada tentera yang kuat. Ada dikatakan yang kesalahan mereka kali ini adalah kerana mereka telah membunuh Nabi Yahya عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Allah ﷻ balas dengan beri kekalahan kepada mereka menyebabkan muka mereka suram, iaitu bermaksud mereka dimalukan. Kalimat لِيَسُٓئوا وُجوهَكُم memberi isyarat bahawa kehancuran kali kedua ini lebih besar daripada yang pertama.

Ini kerana iman sejati mereka sudah hilang, tinggal sedikit sekali. Kemudian setelah Allah ﷻ menunjukkan kekayaan-Nya dengan membuntingkan Maryam binti Imran, mereka tuduhlah Maryam dengan tuduhan amat hina. Dituduhnya Isa Al-Masih عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ anak zina kerana baginda dilahirkan Allah ﷻ tidak menurut yang teradat, iaitu berbapa. Padahal Zakariya عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, seorang Rasul Allah ﷻ dan penghulu Baitul Maqdis menjadi saksi atas kesucian Maryam, itu pun tidak mereka percayai. Akhirnya Isa Al-Masih عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diutus Tuhan mengajak mereka kembali kepada agama yang benar, kembali kepada Taurat. Mereka tolak seruan Al-Masih عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu, bahkan sampai mereka fitnahkan baginda kepada penguasa Romawi. Mereka tuduh baginda hendak menjadi raja dan menjatuhkan kerajaan Romawi. Mereka usulkan supaya Isa Al-Masih عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disalibkan sebagai orang jahat.

Inilah kerosakan hebat kedua kali yang dibawa Bani Israil, yang membawa perpecahan yang paling hebat dalam sejarah agama. Kerana bencinya mereka kepada Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan ibunya, mereka tuduh dua insan mulia itu dengan tuduhan hina.

 

وَلِيَدخُلُوا المَسجِدَ كَما دَخَلوهُ أَوَّلَ مَرَّةٍ

dan mereka masuk ke dalam masjid, sebagaimana musuh-musuhmu memasukinya pada kali pertama

Pada kali ini yang menyerang mereka juga masuk ke dalam Masjidil Aqsa dan menghancurkannya. Kalau kali pertama Masjidil Aqsa tidak dihancurkan. Kejadian ini berlaku sekitar 70 tahun selepas Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diangkat ke langit, di mana Jerusalem sekali lagi ditawan seperti yang kali pertama juga dulu. Mereka dikenakan dengan kehinaan ini kerana mereka bunuh Nabi Zakariya عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga mereka rancang mahu bunuh.

 

وَلِيُتَبِّروا ما عَلَوا تَتبيرًا

dan untuk membinasakan sehabis-habisnya apa sahaja yang mereka kuasai.

Kemusnahan yang musuh mereka lakukan itu adalah secara keseluruhan. Apa-apa pembinaan dan kejayaan yang Bani Israil telah bina dahulu telah dimusnahkan. Hancurlah mereka sehancur-hancurnya, sebagaimana yang diancamkan Tuhan di ayat 7 ini. Maka terpecah belahlah Bani Israil dibawa nasib ke merata tempat, ke Mesir, ke Sepanyol, ke India dan lain-lain. Setengahnya lagi berdiam di Tanah Arab, di Khaibar, di Yastrib (Madinah), yang terdiri daripada Bani Nadhir, Bani Qainuqa’, Bani Quraizhah.

Akan tetapi pengharapan mereka akan bangun kembali masih ada kerana di dalam Taurat dan Kitab Nabi-nabi telah disebut bahawa seorang Nabi akhir zaman akan bangkit, mereka namai sebagai Messios. Pengharapan ini kerapkali mereka terangkan kepada orang-orang Arab di Yastrib. Namun begitu Nabi itu rupanya tidaklah timbul dalam kalangan Bani Israil lagi, melainkan dalam kalangan Bani Ismail, iaitu Muhammad ﷺ.

Pengajaran bagi kita adalah jangan leka dengan kesenangan keduniaan sampaikan menyebabkan kita lupa kepada Allah ﷻ, kepada agama dan kepada wahyu. Apabila kita melakukan kederhakaan semasa di dunia, Allah ﷻ boleh balas dengan istidraj yang banyak kali disebut di dalam Al-Qur’an. Iaitu Allah ﷻ beri kesenangan tetapi bukanlah sebagai nikmat akan tetapi sebagai bala. Oleh kerana bala itulah menyebabkan manusia semakin leka dan leka dan akhirnya mereka akan ditimpa dengan kebinasaan yang menyejutkan. Antara ayat yang menyebut perkara ini adalah seperti di dalam A’raf: 95

ثُمَّ بَدَّلنا مَكانَ السَّيِّئَةِ الحَسَنَةَ حَتّىٰ عَفَوا وَّقالوا قَد مَسَّ ءآباءَنَا الضَّرّاءُ وَالسَّرّاءُ فَأَخَذنٰهُم بَغتَةً وَهُم لا يَشعُرونَ
Setelah (mereka tidak juga insaf) Kami gantikan kesusahan itu dengan kesenangan hingga mereka kembang biak (serta senang-lenang) dan berkata (dengan angkuhnya): “Sesungguhnya nenek moyang kita juga pernah merasai kesusahan dan kesenangan (sebagaimana yang kita rasakan)”. Lalu Kami timpakan mereka (dengan azab seksa) secara mengejut, dan mereka tidak menyedarinya.

Secara ringkasnya bermula ayat 4 hingga 7 ini disebut tentang sejarah Bani Israil: mereka melakukan kerosakan dan kerana itu mereka dikenakan dengan azab serangan daripada musuh mereka. Kemudian mereka nampaknya telah bertaubat dan Allah ﷻ kembalikan kesenangan kepada mereka. Kemudian mereka lalai leka kembali maka Allah ﷻ kenakan sekali lagi dengan azab serangan yang lebih teruk lagi.

Maka ada dua kali mereka melampau dan dua kali mereka diserang. Ayat-ayat ini menyebut dua kali akan tetapi kalau dibandingkan dengan sejarah, terdapat 6 kali kejadian itu berlaku. Kalau kita susun kembali sejarah itu jadi begini:

1. Kejadian pertama dikatakan berlaku selepas kewafatan Nabi Sulaiman عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, pengasas Masjid al-Aqsa. Pemimpin Baitul-Maqdis waktu itu telah korup dan mereka telah diserang oleh kerajaan Mesir pada waktu itu dan telah diambil segala kekayaan emas dan perak mereka. Akan tetapi bandar dan Masjid al-Aqsa tidak dimusnahkan.

2. Kejadian kedua berlaku 400 tahun selepas itu. Ada golongan Yahudi yang berada di Baitul-Maqdis mula menyembah berhala dan yang lain-lain bertelagah sesama mereka. Sekali lagi musuh dari Mesir menyerang mereka dan mengalahkan mereka.

3. Kejadian ketiga adalah ketika Raja Nabukadnesar (Bukhti-nashar) dari Babil menyerang Baitul-Maqdis. Dia telah menawan bandar itu, merampas segala harta dan telah menjadikan sebahagian besar bangsa Bani Israil menjadi tawanan perang. Apabila Raja Nabukadnesar meninggalkan Baitul-Maqdis, dia melantik seorang raja sebagai wakilnya.

4. Kejadian keempat. Raja yang dilantik oleh Nabukadnesar kemudian telah menyembah berhala dan menentang Nabukadnesar. Maka Nabukadnesar telah datang kembali dan kali ini telah membunuh ramai penduduk, memusnahkan harta secara pukal dan membakar bandar menjadi abu. Ini berlaku lebih kurang 415 tahun selepas pembinaan Masjid al-Aqsa. Golongan Yahudi kemudiannya telah meninggalkan Syria menuju ke Babil dan hidup sebagai pelarian dalam kehinaan.

Kemudian Raja Iran yang bernama Korusy (Cyrus) telah menyerang Babil dan menakluknya. Raja Iran kasihan kepada golongan Yahudi dan membenarkan mereka balik ke Syria bersama dengan harta mereka yang telah dirampas. Waktu itu mereka telah menyesal dari kesalahan mereka dan mereka kembali dan membina semula Masjid al-Aqsa dengan bantuan Raja Iran.

5. Kejadian kelima. Apabila Yahudi mendapat kesenangan, mereka sekali lagi lupa diri dan lupa apa yang telah berlaku di dalam sejarah mereka. Mereka kembali melakukan kerosakan dan meninggalkan agama. Mereka telah diserang oleh pengasas Antakiah (Antioch) yang menyerang mereka dan membunuh 40,000 Yahudi dan menjadikan tawanan 40,000 juga. Mereka juga telah menghancurkan Masjid al-Aqsa tinggal tapak sahaja. Ini berlaku 170 sebelum kelahiran Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Kemudian Baitul-Maqdis jatuh ke tangan Kerajaan Rom. Di bawah pemerintahan mereka, Masjid al-Aqsa kembali dibina dan selepas 8 tahun, Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dilahirkan.

6. Kejadian keenam. 40 tahun selepas Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diangkat ke langit, puak Yahudi telah memberontak melawan Kerajaan Rom. Kerajaan Rom telah menang dan telah memusnahkan Baitul-Maqdis dan Masjid al-Aqsa. Raja Kerajaan Rom ketika itu adalah Titus yang tidak beragama Yahudi mahu pun Nasrani. Dari waktu ini sehinggalah ke waktu Saidina Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menakluk Baitul-Maqdis dan membina kembali Masjid al-Aqsa.

Telah disenaraikan 6 peristiwa dan tidak pasti manakah satu peristiwa yang dimaksudkan. Cuma ada pendapat yang mengatakan yang kuat adalah kejadian 4 dan 6 yang dimaksudkan di dalam ayat-ayat yang kita telah pelajari ini. Maka kalau kita ringkaskan: kali pertama mereka meninggalkan wahyu yang disampaikan oleh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mereka dihancurkan dan kemudian mereka bertaubat dan mereka dikembalikan dengan kekuasaan. Namun untuk kali kedua mereka meninggalkan ajaran wahyu yang disampaikan oleh Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula, sekali lagi mereka telah dimusnahkan dengan lebih teruk lagi.

Akan tetapi ada satu lagi tafsir moden. Ia menjadi popular kerana kejadian serangan pihak Hamas ke negara haram Israel pada 7 Oktober 2023. Pandangan masyarakat dunia termasuk negara Islam memandang berat perkara ini dan majoriti masyarakat dunia benci dengan kekejaman yang dilakukan oleh Israel kepada penduduk negara Palestin. Maka ayat ini menjadi bahan perbincangan.

Adakah apa yang berlaku pada tahun 2023 itu sebagai satu permulaan kepada kehancuran mereka secara total? Ramai ulama’ moden memberikan pandangan mereka dan merujuk kepada ayat 7 ini. Mereka kata inilah ayat yang menyebut tentang kehancuran mereka. Bukan itu sahaja, mereka juga mengaitkan ayat ini dengan peristiwa akhir zaman. Tafsiran ini tidak kelihatan 70 tahun yang lepas (sebelum kemasukan Yahudi ke negara Palestin) kerana suasana waktu itu berbeza. Cuma setelah kemasukan mereka dan penjajahan dan kekejaman yang mereka lakukan, ramai yang menunggu kehancuran Israel itu dan mereka berharap ayat inilah yang menyebut tentang kehancuran itu.

Allahu a’lam apakah ini benar. Seperti yang telah disebut sebelum ini, ulama’ silam membaca ayat ini dan memandangkan apa yang telah disebut telah pun berlaku (cuma tidak dapat sebut secara spesifik kejadian yang mana). Pada mereka ayat ini bukanlah menceritakan masa depan, tetapi perkara yang telah berlangsung.


 

Isra’ Ayat 8:

عَسىٰ رَبُّكُم أَن يَرحَمَكُم ۚ وَإِن عُدتُّم عُدنا ۘ وَجَعَلنا جَهَنَّمَ لِلكٰفِرينَ حَصيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Then Allāh said], “It is expected, [if you repent], that your Lord will have mercy upon you. But if you return [to sin], We will return [to punishment]. And We have made Hell, for the disbelievers, a prison-bed.”

(MELAYU)

Mudah-mudahan Tuhanmu akan melimpahkan rahmat(Nya) kepadamu; dan sekiranya kamu kembali kepada (kederhakaan) nescaya Kami kembali (mengazabmu) dan Kami jadikan neraka Jahannam penjara bagi orang-orang yang tidak beriman.

 

عَسىٰ رَبُّكُم أَن يَرحَمَكُم

Mudah-mudahan Tuhanmu akan melimpahkan rahmat(Nya) kepadamu;

Allah ‎ﷻ mahu memberitahu bahawa Allah ﷻ bukan benci kepada Bani Israil itu dan Allah ﷻ masih beri peluang lagi kepada mereka. Kalimah عَسىٰ asalnya bermaksud ‘mudah-mudahan’, akan tetapi kalau ia daripada Allah ﷻ, maka ia bermaksud pasti, wajib. Seandainya mereka bertaubat dan tidak buat kerosakan lagi, kemudian mengikut syariat Nabi akhir zaman (Nabi Muhammad ﷺ), mereka akan selamat. Allah ﷻ masih sanggup untuk melimpahkan Rahmat-Nya kepada mereka.

Ini juga memberi pengajaran kepada kita bahawa Allah ﷻ sebagai Rabb Tuhan Pemelihara pada dasarnya melimpahkan rahmat kepada hamba-hamba-Nya, selama mereka mengikuti fitrah asal kejadian mereka yang selalu cenderung kepada kebaikan dan mengakui keesaan Allah ﷻ.

 

وَإِن عُدتُّم عُدنا

dan sekiranya kamu kembali kepada (kederhakaan) nescaya Kami kembali (mengazabmu) 

Akan tetapi, Allah ﷻ mahu tegaskan bahawa kalau mereka kembali semula kepada perangai lama mereka, Allah ﷻ akan berikan nasib yang sama seperti yang telah diberikan dulu kepada mereka. Iaitu Bangsa Yahudi telah hancur sebanyak dua kali. Pada kali ini, kalau mereka tidak ambil peluang juga lagi untuk menerima ajaran daripada Nabi Muhammad ﷺ, maka mereka akan mendapat nasib yang sama sekali lagi.

Namun begitu seperti yang kita tahu melalui sirah, kebanyakan daripada mereka tidak mengambil pengajaran. Maka, ada Yahudi di Madinah yang menentang Nabi Muhammad ﷺ dan kerana itu mereka dikalahkan iaitu Bani Nadhir dan Bani Quraizah. Bani Nadhir semua telah dihalau keluar dan Bani Quraizah telah dibunuh semua sekali (kejadian pada 6H). Itulah balasan yang dikenakan kepada mereka.

Perkara ini berulang-ulang kali di dalam sejarah. Mereka dihinakan, kemudian mereka kembali berkuasa. Kemudian mereka buat kerosakan dan kemudian Allah ﷻ akan hancurkan mereka lagi. Pada zaman Nabi Muhammad ﷺ mereka telah buat onar dan mereka telah dihalau dari Madinah pada waktu itu.

Kerajaan Islam juga pernah mengalahkan mereka dan mengambil alih Baitul Maqdis semasa zaman Khalifah Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Masjidil Aqsa waktu itu menjadi tempat pasar yang kotor sahaja namun Saidina Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ telah mengarahkan supaya ia dibersihkan dan dibina semula. Penduduk Yahudi waktu itu tidak ada langsung kerana telah dibunuh atau dihalau, maka Saidina Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mengarahkan untuk dibawakan kembali mereka untuk menjadi penempatan mereka. Maka Masjidil Aqsa telah dimuliakan kembali.

Dalam sejarah terdekat kita boleh lihat bagaimana rejim Nazi (Hitler) telah memusnahkan mereka. Sekarang mereka di dalam kuasa di negara Israel. Tidak mustahil yang mereka akan dimusnahkan kembali. Ini pasti berlaku cuma kita tidak tahu bila ia akan berlaku.

Akan tetapi sekarang yang membaca Al-Qur’an adalah umat Islam, bukan? Maka perkara yang terjadi kepada Bani Israil ini adalah pengajaran buat kita. Kejayaan dan kedudukan kita bergantung kepada betapa taatnya kita kepada Allah ﷻ dan ajaran Rasul-Nya. Jikalau kita membelakanginya, kita pun akan menerima nasib yang serupa!

Lihatlah siapa yang menguasai Baitul Maqdis dan Masjidil Aqsa sekarang? Mereka itu adalah Israel yang sedang disebut-sebut di dalam beberapa ayat sebelum ini yang telah dimusnahkan. Akan tetapi sekarang mereka yang menguasai masjid ketiga teragung umat Islam. Kenapa? Kerana kita telah lama membelakangi ajaran Al-Qur’an. Kita berpecah belah sampaikan negara Israel yang ciput kecil itu pun kita tidak boleh hendak kalahkan. Ini amat memalukan kita. Maka ia mengajar kita supaya bertaubat dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya.

Kedudukan Baitullah (Mekah dan Ka’bah) tidak sama dengan Masjidil Aqsa. Allah ﷻ telah menjaga Baitullah semenjak daripada cubaan Tentera Bergajah Abrahah lagi. Akan tetapi perkara yang sama tidak berlaku dengan Masjidil Aqsa. Ini adalah ketentuan Allah ﷻ.

 

وَجَعَلنا جَهَنَّمَ لِلكٰفِرينَ حَصيرًا

dan Kami jadikan neraka Jahannam penjara bagi orang-orang yang tidak beriman.

Yang disebut itu tadi adalah azab di dunia. Allah ﷻ juga telah menyediakan neraka jahannam untuk orang-orang kafir yang akan mengepung mereka seperti penjara. Mereka tidak akan dapat keluar dari neraka jahannam. Kalau penjara di dunia, mungkin ada harapan lagi untuk lari, namun tidak ada harapan kalau penjara di akhirat.

Ada banyak kisah yang disebut tentang tafsir ayat ini dengan nama dan kisah-kisah yang menakjubkan. Akan tetapi kita tidak memerlukannya. Kisah-kisah di dalam Al-Qur’an tidak mementingkan dalam menyebut nama orang atau tempat kerana tujuan kisah yang dipaparkan ialah untuk diambil pengajaran dan peringatan.
Maksud yang hendak disampaikan oleh ayat-ayat ini ialah Bani Israil telah melakukan kerosakan pada zaman pertama. Mereka telah berlaku zalim dan melampaui batasan. Maka pada zaman pertama itu, Allah ﷻ telah memberikan kuasa kepada orang yang menawan dan mengalahkan mereka. Orang ini tidak perlu ditentukan kepada Sanjarib atau Bakhtansir dan tentera-tenteranya, kerana dengan mengetahuinya tidak akan mendatangkan apa-apa faedah yang boleh diambil peringatan.

Pada zaman kedua pula, Allah ﷻ telah memberi kuasa kepada orang yang memang dan menawan mereka dengan memasuki Masjidil Aqsa lalu mereka melakukan kerosakan dan menghancurkannya. Tidak ada keperluan bagi kita untuk mengetahui sama ada orang ini Taitus berbangsa Rom atau selainnya. Ini kerana tujuan kisah ini ialah ketetapan yang telah ditentukan oleh Allah ﷻ ke atas Bani Israil kerana mereka adalah orang yang melakukan kerosakan, kezaliman dan melampaui batas.

Oleh yang demikian, Allah ﷻ memberi keizinan kepada manusia dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang akan menindas, menawan, mengusir dan berlaku zalim ke atas mereka. Seterusnya ayat-ayat ini juga menunjukkan bahawa Bani Israil bukan sahaja diizinkan melakukan kezaliman dan kerosakan, malah ayat ini menunjukkan bahawa ia akan berterusan hingga ke satu masa yang dikehendaki oleh Allah ﷻ dan Allah ﷻ akan memberikan kuasa kepada orang yang dikehendaki oleh-Nya untuk menyeksa dan menindas mereka sebagai memulangkan semula kezaliman dan kejahatan kepada diri mereka sendiri.

Adakah pada hari ini, Allah ﷻ telah mengutuskan orang yang akan menawan dan menyeksa mereka dengan hebat disebabkan oleh kezaliman dan kedurjanaan yang mereka lakukan?; iaitu mereka telah mengusir penduduk Palestin dari negara mereka, mereka merampas tanah, menindas manusia dan mereka menghina nilai-nilai akhlak serta hak manusia. Kita tunggu dan lihat bagaimanakah kesudahan mereka nanti.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 27 April 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)