Tafsir Surah an-Nisa Ayat 36 – 37 (Buat baik dengan siapa?)

Ayat 36: Allah sudahi ayat-ayat hukum dengan diberikan ayat tentang tauhid. Keutamaan tujuan utama hidup adalah kenal Allah dan mentauhidkan Allah.

Selepas sebut tentang berbaik antara suami isteri, sekarang disebut tentang berbuat baik dengan orang luar pula.

Surah Nisa’ ini bukan sahaja menceritakan tentang hak anak yatim, kanak-kanak dan para wanita sahaja, tapi juga menyentuh hak-hak orang lain juga. Jadi Surah Nisa’ ini banyak menyentuh tentang hak manusia. Kita kenalah jaga hak-hak mereka.

‎وَاعْبُدُوا اللهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوٰلِدَيْنِ إِحْسٰنًا وَبِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتٰمَىٰ وَالْمَسٰكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنبِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمٰنُكُمْ إِنَّ اللهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Worship Allāh and associate nothing with Him, and to parents do good, and to relatives, orphans, the needy, the near neighbor, the neighbor farther away, the companion at your side,¹ the traveler, and those whom your right hands possess. Indeed, Allāh does not like those who are self-deluding and boastful,

  • i.e., those whose acquaintance you have made. Also interpreted as the wife.

MALAY

Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri;

 

وَاعْبُدُوا اللهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا

Dan hendaklah kamu menghambakan diri kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua;

Allah mulakan ayat ini dengan suruhan kena hambakan diri kepada Allah. Jangan lakukan syirik kepada Allah. Ini adalah kerana syirik adalah dosa yang paling besar sekali dan boleh menyebabkan seseorang itu kekal dalam neraka.

Jangan syirik ini penting kerana ia akan menyelamatkan kita. Seperti yang disebutkan di dalam sabda Nabi Saw. kepada Mu’az ibnu Jabal:

“أتَدْرِي مَا حَقُّ اللَّهِ عَلَى الْعِبَادِ ؟ ” قَالَ: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ. قَالَ: “أَنْ يَعْبدُوهُ ولا  يُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا”، ثُمَّ قَالَ: “أتَدْري مَا حَقُّ العبادِ عَلَى اللهِ إِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ؟ أَلَّا يُعَذِّبَهُم”

“Tahukah kamu, apakah hak Allah atas hamba-hamba-Nya?” Mu’az menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Nabi Saw. bersabda, “Hendaknya mereka menyembah-Nya dan tidak mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun.” Antara lain Nabi Saw. bersabda pula: Tahukah kamu, apakah hak hamba-hamba Allah atas Allah, apabila mereka mengerjakan hal tersebut? Yaitu Dia tidak akan mengazab mereka.

Ayat-ayat sebelum ini banyak mengandungi suruhan dan hukum-hukum tentang bermasyarakat, tentang hubungan dengan keluarga, suami isteri dan sebagainya. Segala hukum-hukum itu hanya akan dapat dijalankan oleh mereka yang beriman dan takut kepada Allah. Kalau hak dengan Allah pun orang itu tidak jaga, maka apatah lagi kalau hak orang lain?

Kalau dengan Tuhan pun mereka tidak takut, tentu mereka tidak takut nak langgar hukum-hukum yang telah diberikan itu. Maka, kerana itu tauhid diletakkan di awal-awal ayat ini.

Tapi, untuk mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan syirik, kenalah belajar tentang apakah yang dimaksudkan dengan syirik itu. Tidak akan faham syirik kalau tidak tahu tentang maksud tauhid. Ramai orang Islam yang melakukan syirik tapi mereka tidak tahu yang mereka sedang melakukan syirik. Ini adalah kerana mereka tidak tahu.

 

وَبِالْوٰلِدَيْنِ إِحْسٰنًا

dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa,

Selepas sebut tentang syirik, Allah terus sebut tentang ibubapa. Ini menunjukkan kepentingan berbuat baik kepada ibubapa. Selalu Allah buat begini dan dari segi balaghah, ini adalah amat penting.

Dan lihatlah bagaimana Allah menggunakan lafaz yang lengkap apabila menyebut tentang berbuat baik kepada ibubapa. Sedangkan kalau kita baca orang-orang yang kita buat baik selepas ini, disebut dengan ringkas sahaja. Ini juga menunjukkan kepentingan dan ketinggian budi berbuat baik dengan ibubapa.

Tentunya kasih sayang yang paling tinggi adalah dari Allah – Allah beri kita kasih sayang dan macam-macam kepada kita. Tapi selepas Allah, siapakah yang paling berjasa dan paling sayang kepada kita? Tentunya ibubapa bukan? Kerana itulah selepas disebut tentang tauhid kepada Allah, terus disebut berbuat baik kepada ibubapa.

Ayat ini memberitahu berbuat baik kepada ibubapa? Apakah maksudnya? Tentu banyak perkara yang perlu kita lakukan dan susah untuk kita senaraikan semuanya. Secara dasarnya, kita hendaklah menggembirakan hati mereka. Kalau perkara itu menggembirakan hati mereka, maka kenalah kita lakukan asalkan tidak melanggar syariat. Termasuk dalam perkara ini tentulah tidak menyakitkan hati mereka.

Walaupun mereka tidak menjalankan tugas mereka sebagai ibubapa dengan baik, kita sebagai anak masih tetap kena berbuat baik kepada mereka. Kalau begitu pun kita kena buat baik kepada mereka, apatah lagi kalau mereka telah menjalankan tugas mereka dengan baik?

 

وَبِذِي الْقُرْبَىٰ

dan kaum kerabat,

Kena berbuat baik dengan ahli keluarga kita. Kena bercakap baik dengan mereka, bertanya khabar tentang mereka dan sebagainya. Kalau ada masalah, kena tolong mereka. Dan merekalah yang pertama sekali kita kena tolong. Dan tidak sama kalau kita tolong mereka kalau dibandingkan dengan tolong orang lain. Seperti yang disebutkan di dalam sebuah hadis:

«الصَّدَقَةُ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ، وَعَلَى ذِي الرَّحِمِ صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ»

Bersedekah kepada orang miskin adalah sedekah, tetapi kepada kerabat adalah sedekah dan silaturahmi.

Malangnya, kadang-kadang orang kita kalau dengan orang lain, mereka boleh berbuat baik, tapi kalau dengan keluarga sendiri kadang-kadang bergaduh sampai tidak mengaku keluarga pun ada.

 

وَالْيَتٰمَىٰ

dan anak-anak yatim,

Selalu anak-anak yatim disebut dalam ayat Qur’an dan terutama sekali dalam surah ini. Ini adalah kerana mereka perlu dijaga kerana mereka telah kehilangan tempat bergantung, maka Islam menganjurkan kita untuk membantu mereka. Perkara ini telah disentuh dalam ayat-ayat lain dan diulang dengan ringkas sahaja di sini.

Tapi, kalau kita tidak tahu siapakah anak yatim dari kalangan masyarakat kita, macam mana kita nak bantu mereka? Adakah kita hanya bantu mereka semasa bulan Ramadhan dan semasa Hari Raya sahaja dengan beri mereka makan buka puasa dan belikan baju raya sahaja?

Bagaimana dengan hari-hari yang lain? Maka, kerana itu kita kenalah tahu siapakah anak-anak yatim dalam masyarakat kita, barulah boleh nak bantu mereka.

 

وَالْمَسٰكِينِ

dan orang-orang miskin, 

Kadang-kadang kita tidak kenal pun orang miskin dalam masyarakat kita. Ini adalah kerana kita tidak bercampur dengan masyarakat sekeliling. Kita sampai tidak tahu siapakah yang memerlukan pertolongan.

Kerana mungkin ada orang miskin yang segan untuk meminta, maka kitalah yang kena tahu siapakah mereka dan apa masalah mereka dan tolong mereka tanpa mereka meminta kepada kita.

 

وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ

dan jiran tetangga yang dekat,

Lihatlah betapa indahnya Islam. Kepada jiran tetangga pun kita kena berbuat baik. Ini adalah jiran yang duduk betul-betul di sebelah rumah kita.

Ali ibnu Abu Talhah pula meriwayatkan dari Ibnu Abbas, yang dimaksud dengan jari dzil qurba ialah tetangga yang antara kamu dan dia ada hubungan kerabat.

 

وَالْجَارِ الْجُنُبِ

dan jiran tetangga yang jauh,

Bukan sahaja jiran yang dekat, tapi dengan jiran yang jauh juga kita kena berbuat baik. Ini jiran yang duduk jauh sedikit.

Ibn Abbas mengatakan, وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ adalah jiran yang juga kaum kerabat kita dan وَالْجَارِ الْجُنُبِ adalah jiran yang bukan kaum kerabat kita. Begitu pentingnya jiran tetangga sampai Nabi pernah bersabda:

مَا زَالَ جِبْرِيْلُ يُوْصِيْنِى بِالجَار حَتَّى ظَنَنْتُ أَنَّهُ سَيُوَرّثَهُ

“Jibril sentiasa mengingatkan kepadaku supaya berbuat baik kepada jiran sehinggalah aku merasakan jiran itu akan layak mewarisi dariku.” Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim

Ada juga pendapat yang mengatakan ‘jiran yang dekat’ adalah jiran yang muslim dan ‘jiran yang jauh’ adalah jiran yang bukan Islam. Kalau begitu, jiran yang bukan Islam pun berhak mendapat layanan yang baik dari kita juga. Janganlah kerana mereka itu kafir, kita tidak layan mereka dengan baik.

Hadith Rasulullah SAW juga ada menyebut bahawa terdapat beberapa kategori jiran di dalam hadith Baginda SAW iaitu:

اَلْجِيْرَانُ ثَلاَثَةٌ جَارٌلَهُ حَقٌ وَاحِدٌ وَجَارٌلَهُ حَقًانِ وَجَارٌلَهُ ثَلَاثَةٌ حُقُوْقِ فَااَلْجَارُلَهُ ثَلَاثَةُ حُقُوقٍ اَلْجَارُ اَلْمُسْلِمُ ذُو اَلْرَّحِمِ فَلَهُ حَقُّ اَلْجَوَارِ وَحَقَّ اَلاءِسْلَامِ وَحَقُّ اَلْرَّحِمِ وَأَمَّا اَلّذِى لَهُ حَقَّانِ فَالْجَارُ اَلْمُسْلِمُ فَلَهُ حَقُّ اَلْجَوَارِ وَحَقُّ اَلاءِسْلَامِ وَأَمَّا الَّذِى لهُ حَقٌ وَاحَدٌ فَالْجَارُ اَلْمُشْرِكُ

Maksudnya: “Jiran itu ada tiga golongan, ada jiran yang hanya mempunyai satu hak dan ada jiran yang mempunyai dua hak dan ada jiran yang mempunyai tiga hak. Jiran yang mempunyai tiga hak itu ialah jiran yang Muslim dan yang mempunyai hubungan kekeluargaan. Maka dia mempunyai hak sebagai jiran, hak sebagai Muslim dan hak sebagai keluarga. Jiran yang mempunyai dua hak ialah jiran yang Muslim. Dia mempunyai hak sebagai seorang Muslim. Jiran yang mempunyai satu hak ialah jiran yang musyrik” Hadith Riwayat: Abu Na’im dan Ibnu ‘Adiy

 

وَالصَّاحِبِ بِالْجَنبِ

dan rakan sejawat

Ini adalah kawan seperjalanan kita. Atau sahabat sama dalam pekerjaan atau sama-sama belajar dengan kita. Termasuk juga pasangan hidup yang hidup dengan kita. Mereka itu rapat dengan kita kerana mereka sentiasa bersama dengan kita untuk jangka masa yang lama.

Termasuk juga dalam perkara ini adalah mereka yang bermusafir bersama dengan kita. Mungkin untuk musafir yang lama berhari-hari atau sekejap seperti mereka yang duduk dalam bas dan LRT dengan kita. Hendaklah kita bersopan santun kepada mereka dan buat apa yang patut.

Layan mereka dengan baik, jangan susahkan mereka dan bagi mereka benci. Antaranya jangan langgar mereka, jangan hisap rokok sebelah mereka, jangan cakap kuat-kuat sampai mereka terganggu tidur dan sebagainya. Terlalu banyak hendak disebutkan di sini tapi rasanya kita semua sudah faham apakah yang dimaksudkan.

Lihatlah bagaimana indahnya Islam menganjurkan berbuat baik dengan orang-orang itu. Bayangkan bagaimana masyarakat kita akan jadi kalau semua buat macam ni. Tidakkah nanti akan aman dan harmoni masyarakat kita?

 

وَابْنِ السَّبِيلِ

dan orang musafir, 

Kena bantu orang musafir yang putus bekal. Disebut musafir yang putus bekal kerana ada musafir yang banyak bekal mereka. Tapi ada yang tidak cukup bekalan atau bekalan mereka hilang atau kena curi. Maka itulah yang kita kena tolong.

Jadi kena tahu siapakah mereka ini. Kalau kita bercampur gaul dengan masyarakat di sekeliling kita, kita akan tahu siapakah yang musafir kerana kita tidak kenal mereka. Kalau tidak kenal mereka, ada kemungkinan mereka adalah musafir.

 

وَمَا مَلَكَتْ أَيْمٰنُكُمْ

dan juga hamba yang kamu miliki.

Lihatlah bagaimana dengan hamba sahaya pun kita disuruh buat baik dengan mereka. Jangan hina mereka, jangan seksa mereka, jangan salah guna mereka. Zaman sekarang memang tidak ada hamba sahaya lagi tapi kita bukankah ada orang gaji?

Disebutkan dari sahabat Abu Hurairah r.a., dari Nabi Saw. yang telah bersabda:

«لِلْمَمْلُوكِ طَعَامُهُ وَكِسْوَتُهُ، وَلَا يُكَلَّفُ مِنَ الْعَمَلِ إِلَّا مَا يُطِيقُ»

Hamba sahaya berhak mendapatkan makanan dan pakaiannya, dan tidak boleh dibebani dengan pekerjaan melainkan sebatas kemampuannya.

Berbuat baiklah dengan mereka. Jangan suruh mereka buat kerja yang tidak patut-patut, jangan pandang mereka sebagai orang yang kelas bawahan dari kita.

Dari Abu Zar r.a., dari Nabi Saw. yang telah bersabda:

«هُمْ إِخْوَانُكُمْ خَوَلُكُمْ جَعَلَهُمُ اللَّهُ تَحْتَ أَيْدِيكُمْ، فَمَنْ كَانَ أَخُوهُ تَحْتَ يَدِهِ فَلْيُطْعِمْهُ مِمَّا يَأْكُلُ، وَلْيُلْبِسْهُ مِمَّا يَلْبَسُ، وَلَا تُكَلِّفُوهُمْ مَا يَغْلِبُهُمْ، فَإِنْ كَلَّفْتُمُوهُمْ فَأَعِينُوهُمْ »

Mereka (para pelayan) adalah saudara-saudara kalian lagi budak-budak kalian, Allah telah menjadikan mereka di bawah kekuasaan kalian. Maka barang siapa yang saudaranya berada di bawah kekuasaannya, hendaklah dia memberinya makan dari apa yang dia makan, dan hendaklah dia memberinya pakaian dari apa yang dia pakai, dan janganlah kalian membebani mereka pekerjaan yang tidak mampu mereka lakukan; dan jika kalian terpaksa membebani mereka (dengan pekerjaan berat), maka bantulah mereka.
Hadis diketengahkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim.

Dari Abu Hurairah r.a. pula, dari Nabi Saw. Disebutkan bahawa. Nabi Saw. pernah bersabda:

«إِذَا أَتَى أَحَدَكُمْ خَادِمُهُ بِطَعَامِهِ فَإِنْ لَمْ يُجْلِسْهُ مَعَهُ فَلْيُنَاوِلْهُ لُقْمَةً أَوْ لُقْمَتَيْنِ، أَوْ أَكْلَةً أَوْ أَكْلَتَيْنِ، فَإِنَّهُ وَلِيَ حَرَّهُ وَعِلَاجَهُ»

Apabila pelayan seseorang di antara kalian datang menyuguhkan makanan, lalu dia tidak mahu mempersilakan pelayan untuk makan bersamanya, maka hendaklah dia memberikan kepadanya sesuap atau dua suap makanan, sepiring atau dua piring makanan, kerana sesungguhnya pelayanlah yang memasak dan yang menghidangkannya. Hadis diketengahkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim.

 

إِنَّ اللهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا

Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri;

Ingatlah yang Allah tidak suka orang yang sombong lagi bangga diri. Kalau tidak berbaik dengan orang lain, itu tanda yang orang itu sombong sebenarnya. Telah disebut banyak perkara yang perlu dipenuhi di atas dan orang yang tak mahu menjalankannya adalah orang yang sombong dan bongkak.

Kalimah مُخْتَالًا ada kena mengena dengan khayal – dia sahaja yang khayal dia tinggi dari orang lain. Tak benar pun kerana pada Allah sama sahaja semua makhluk. Jadi kena sedar siapakah diri kita dulu baru boleh rendahkan diri.

Kadang-kadang kita mendapat kedudukan yang tinggi sedikit dari orang lain pun kerana kita dilahirkan dalam keluarga yang kaya, atau Allah telah bantu kita mendapatkan kelebihan-kelebihan itu. Maknanya, bukan kita hebat pun.

Kalimah ‎فَخُورًا adalah bangga yang terlebih. Dia sudah capai sesuatu dan dia rasa sombong. Terlebih bangga dari yang sepatutnya (bangga yang dibenarkan). Kerana bangga sikit-sikit itu tidak mengapa. Sebagai contoh, kita bangga dengan anak-anak kita yang berjaya dalam kehidupan mereka. Ini tidak salah.

Allah sebut dua sifat ini kerana dua sifat inilah yang menyebabkan orang boleh pandang rendah kepada orang lain. Nabi pernah bersabda:

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً قَالَ إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ

“Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji sawi.” Ada seseorang yang bertanya, “Bagaimana dengan seorang yang suka memakai baju dan sandal yang bagus?” Beliau menjawab, “Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan orang lain. (HR. Muslim no. 91)

Sampai setakat ayat ini, Allah telah mengajar kita ‘Amalan Tiga Serangkai’. Ada tiga perkara yang perlu dilakukan oleh manusia untuk menyelamatkan diri dari azab akhirat.

  1. Jangan berbuat zalim (disebut dalam ayat 1 – 35)
  2. Jangan melakukan syirik (disebut dalam ayat 36 ini)
  3. Berbuat baik kepada yang lain (disebut dalam ayat 36 ini juga).

 

Ayat 37: Ayat zajrun mengenai infak. Sambungan sifat orang yang sombong di hujung ayat tadi. Dalam ayat sebelum ini, disebut berbuat baik kepada berbagai-bagai jenis golongan.

Antara perkara yang perlu dilakukan untuk berbuat baik kepada mereka adalah dengan memberikan bantuan kewangan kepada mereka. Tapi orang-orang yang sombong itu, sudahlah mereka sombong, tapi mereka kedekut pula untuk membantu orang lain.

‎الَّذِينَ يَبْخَلُونَ وَيَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبُخْلِ وَيَكْتُمُونَ مَا ءآتٰهُمُ اللهُ مِن فَضْلِهِ وَأَعْتَدْنَا لِلْكٰفِرِينَ عَذَابًا مُّهِينًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who are stingy and enjoin upon [other] people stinginess and conceal what Allāh has given them of His bounty – and We have prepared for the disbelievers a humiliating punishment –

MALAY

Iaitu orang-orang yang bakhil dan menyuruh manusia supaya bakhil serta menyembunyikan apa-apa jua yang Allah berikan kepada mereka dari limpah kurniaNya. Dan (sebenarnya) Kami telah sediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina;

 

الَّذِينَ يَبْخَلُونَ

Iaitu orang-orang yang bakhil

Inilah sambungan kepada sifat orang yang sombong dan membanggakan diri. Ini adalah sifat tambahan untuk mereka. Mereka bakhil untuk mengeluarkan infak. Padahal mereka ada harta dan memang mampu untuk infak. Mereka sombong dan bangga diri itu pun sebab mereka ada hartalah.

 

وَيَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبُخْلِ

dan menyuruh manusia supaya bakhil

Sudahlah dia bakhil, dia galakkan orang lain pun jadi kedekut juga dengan lidah dan perbuatan mereka. Kenapa mereka nak orang lain pun bakhil juga? Sebab kalau orang lain beri infak, nampaklah mereka sahaja yang tak beri. Kalau semua orang tak beri, tidaklah nampak buruk perangai dia.

Jadi dia kena tahan orang lain dari beri infak kepada masyarakat. Maka dia beri nasihat kepada orang lain supaya berjimat, kena simpan duit, ekonomi tak berapa bagus sekarang dan macam-macam lagi. Yang sebenarnya, dia yang bakhil.

 

وَيَكْتُمُونَ مَا ءآتٰهُمُ اللهُ مِن فَضْلِهِ

serta menyembunyikan apa-apa yang Allah berikan kepada mereka dari limpah kurniaNya. 

Bila ada orang datang meminta kepadanya, dia sorok harta yang dia ada, tak bagi nampak dia ada banyak harta. Sebab dia takut kalau orang tahu dia ada duit, nanti akan datang meminta lagi. Maka, dia pun buat ceritalah yang dia pun ada masalah sekarang, anak sakit, isteri sakit, rumah nak kena baiki dan macam-macam lagi.

Juga bermaksud orang yang tidak menampakkan pemberian Allah kepadanya. Dia dapat banyak wang dan harta, tapi cara hidup dia macam dia miskin. Dia simpan sahaja pemberian Allah itu. Pakai baju compang camping; kalau ada orang minta sedekah, dia tak mengaku dia ada duit; bila anak minta nak beli makanan, dia tak belikan; pakaian isteri pun bertahun tak bertukar.

Di dalam sebuah hadis disebutkan:

“إِنَّ اللَّهَ إِذَا أَنْعَمَ نِعْمَةً عَلَى عبدٍ أحبَّ أَنْ يَظْهَرَ أثرُها عَلَيْهِ”

Sesungguhnya Allah apabila memberikan suatu nikmat kepada seorang hamba, Dia suka bila si hamba menampakkan pengaruh dari nikmat itu pada dirinya.

Tidak patut dia menyorok pemberian yang Allah telah berikan kepadanya. Allah suka ditunjukkan segala pemberianNya.

 

وَأَعْتَدْنَا لِلْكٰفِرِينَ عَذَابًا مُّهِينًا

Dan Kami telah sediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina;

Apakah balasan yang akan disediakan untuk mereka? Mereka akan dikenakan dengan azab yang menghinakan mereka. Mereka dikatakan ‘kafir’ kerana mereka kufur nikmat. Perkataan ‘kufr’ dari segi bahasa bermaksud ‘tutup’.

Mereka tutup nikmat yang Allah beri kepada mereka, tak bagi orang lain nampak. Sepatutnya dengan nikmat yang Allah berikan kepada mereka itu, mereka kena infakkan, tapi mereka sorok.

Manusia bukan dikira kedekut dari segi harta sahaja, tapi kalau tidak sampaikan ilmu juga dikira kedekut. Ada ulama mengatakan ayat ini berkenaan orang Yahudi yang menyembunyikan ilmu tentang kedatangan Nabi Muhammad dari masyarakat.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 14 Ogos 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Mutiara al-Qur’an.

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s