Tafsir Surah Baqarah Ayat 17 – 20 (Perumpamaan orang munafik)

Baqarah Ayat 17: Allah beri ayat-ayat bandingan atau perumpamaan supaya lebih jelas apa yang hendak disampaikan. Ini adalah jenis Ilmu Bayan supaya jelas kepada manusia yang membaca dan belajar Al-Qur’an. Ayat 17 – 18 adalah ayat bandingan tentang orang Musyrikin dan Yahudi iaitu mereka yang jenis ‘kafir degil’. Dan ayat 19 – 20 pula adalah ayat bandingan untuk mereka yang ‘kafir jahil’ iaitu Munafikin dan Nasara.

Ayat-ayat bandingan ini memang banyak perselisihan sebab banyak perbahasan dan pendapat tentang siapakah yang dimaksudkan dalam bandingan-bandingan itu. Tapi dalam pengajian kita, kita mengikut apa yang telah disampaikan iaitu ayat 17 – 18 tentang Kafir Degil dan ayat 19 – 20 tentang Kafir Jahil.

مَثَلُهُم كَمَثَلِ ٱلَّذِى ٱستَوقَدَ نَارًا فَلَمَّآ أَضَآءَت مَا حَولَهُ ۥ ذَهَبَ ٱللَّهُ بِنُورِهِم وَتَرَكَهُم فِى ظُلُمَـٰتٍ لَّا يُبصِرُونَ

Sahih International

Their example is that of one who kindled a fire, but when it illuminated what was around him, Allah took away their light and left them in darkness [so] they could not see.

Malay

Perbandingan hal mereka samalah seperti orang yang menyalakan api; apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka, dan dibiarkannya mereka dalam gelap-gelita, tidak dapat melihat (sesuatu pun).

 

مَثَلُهُمْ

Contoh mereka itu

Allah beri perbandingan dan contoh bagaimana keadaan orang yang ‘kafir degil’ itu. Allah banyak beri pengajaran dalam bentuk bandingan kerana kita lebih senang faham kalau ada bandingan.

 

كَمَثَلِ الَّذِي اسْتَوْقَدَ نَارًا

Seperti satu orang yang menyalakan api;

Orang yang menyalakan api itu adalah isyarat kepada Nabi Muhammad.

Dan نارًا – ‘Api’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘ayat-ayat Al-Qur’an’ kerana sebagaimana api menerangi kegelapan, cahaya Al-Qur’an juga menerangi kegelapan syirik. Ianya juga mengandungi dalil-dalil Al-Qur’an tentang Islam. Maka Nabi Muhammad telah menyampaikan cahaya wahyu kepada manusia.

 

فَلَمَّا أَضَاءَتْ مَا حَوْلَهُ

apabila ia menerangi yang di sekelilingnya

Untuk memahami ayat ini, istilah idmaj ادماج perlu digunakan dalam ayat ini. Iaitu kita kena taqdirkan (masukkan lafaz-lafaz) dalam ayat ini. Iaitu antara lafaz نَارًا dan فَلَمَّا.

Lafaz yang dimasukkan adalah: (beberapa orang lelaki duduk mendengar kepada Nabi). Ianya memang tidak dimasukkan dalam Al-Qur’an, tapi untuk kita memahaminya, kita kena masukkan lafaz ini dalam tafsir.

Lelaki-lelaki yang dimaksudkan itu adalah mereka yang kafir degil. Iaitu Arab Mekah. Dan kerana Surah Al-Baqarah ini adalah Surah Madaniyyah, maka ia juga merujuk kepada golongan kafir degil yang satu lagi yang ada di Madinah: Golongan Yahudi.

 

ذَهَبَ اللهُ بِنُورِهِمْ

Allah tarik dan hilangkan nur hidayat dari mereka

Apabila cahaya Al-Qur’an itu dinyalakan (dibacakan) kepada mereka, ذَهَبَ اللَّهُ بِنورِهِم – Allah tarik cahaya itu dari mereka. Sepatutnya mereka dapat cahaya itu, tapi Allah tarik daripada mereka disebabkan oleh kedegilan mereka.

Beginilah perbandingan yang diberikan oleh Allah supaya kita boleh faham. Kerana ada orang yang akan faham apabila diberikan penerangan dalam bentuk perbandingan. Inilah cara Al-Qur’an untuk menjelaskan agama kepada manusia.

 

وَتَرَكَهُمْ فِي ظُلُمٰتٍ

Dan Allah membiarkan mereka dalam kegelapan;

Apabila Allah tarik cahaya wahyu itu dari mereka, kesan kepada mereka adalah mereka terbiar dalam kegelapan. Dan kegelapan itu adalah syirik kufur.

 

لَا يُبْصِرُونَ

mereka tidak dapat melihat;

Mereka tidak dapat melihat bahawasanya mereka sedang duduk dalam syirik kufur. Bila kita cerita kepada mereka tentang syirik kufur, mereka tidak faham. Ini kerana Allah telah tutup pemahaman dari akal mereka. Kerana mereka telah teruk sangat menolak sebelum itu.


 

Baqarah Ayat 18: Masih lagi tentang golongan Kafir Degil

صُمُّۢ بُكمٌ عُمىٌ فَهُم لَا يَرجِعُونَ

Sahih International

Deaf, dumb and blind – so they will not return [to the right path].

Malay

Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran).

 

صُمٌّ

Pekak

Telinga mereka masih boleh lagi mendengar, tapi mereka tidak boleh mendengar kebenaran. Bila disampaikan kebenaran wahyu kepada mereka, mereka tidak boleh faham.

 

بُكْمٌ

Bisu

Mereka ada mulut dan boleh bercakap tapi mereka tidak bercakap tentang kebenaran.

 

عُمْيٌ

Buta; 

Mata mereka masih boleh nampak lagi, tapi mereka tidak boleh nampak kebenaran. Walaupun kebenaran itu ditunjuk di hadapan mereka. Tapi mereka tidak mampu memahaminya dan menerimanya.

Ketiga-tiga cara (pendengaran, percakapan dan penglihatan) untuk mendapat ilmu telah dihilangkan dari mereka. Kalau hilang satu atau dua, sekurang-kurangnya mereka ada lagi deria untuk mendapat maklumat. Tapi apabila Allah telah hilangkan ketiga-tiganya, mereka tidak ada harapan lagi.

Begitulah perumpamaan kepada mereka yang kafir degil. Mereka tidak akan dapat menerima kebenaran lagi. Hati mereka telah dikunci mati. Peluang untuk mendapat hidayah telah ditarik dari mereka.

 

فَهُمْ لَا يَرْجِعُونَ

Maka mereka sekali-kali tidak dapat kembali;

Mereka tidak akan dapat kembali kepada jalan tauhid. Kerana mereka telah kehilangan tiga-tiga pancaindera itu, mereka tidak ada peluang lagi. Mereka juga tidak ada cara nak minta tolong kerana percakapan pun sudah ditarik dari mereka.

Maka mereka tidak dapat kembali ke jalan tauhid yang dibawa oleh Nabi. Mulanya mereka sudah ada peluang kerana Nabi ada bersama-sama mereka, tapi apabila mereka telah tenggelam dalam lembah kesesatan, mereka tidak ada peluang lagi.

Mereka hilang peluang itu kerana mereka telah sampai kepada tahap kafir ‘Peringkat Keempat’. Iaitu apabila Allah sudah kunci mati hati mereka dari kebenaran.


 

Baqarah Ayat 19: Ini pula ada perumpamaan kepada golongan kafir jahil – Munafikin dan Nasara dan mereka yang bersifat seperti mereka, tidak kira sama ada mereka itu mengaku Muslim atau tidak.

أَو كَصَيِّبٍ مِّنَ السَّماءِ فيهِ ظُلُمٰتٌ وَرَعدٌ وَبَرقٌ يَجعَلونَ أَصٰبِعَهُم في ءآذانِهِم مِّنَ الصَّوٰعِقِ حَذَرَ المَوتِ ۚ وَاللهُ مُحيطٌ بِالكٰفِرينَ

Sahih International

Or [it is] like a rainstorm from the sky within which is darkness, thunder and lightning. They put their fingers in their ears against the thunderclaps in dread of death. But Allah is encompassing of the disbelievers.

Malay

Atau (bandingannya) seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit, bersama dengan gelap-gelita, dan guruh serta kilat; mereka menyumbat jarinya ke dalam telinga masing-masing dari mendengar suara petir, kerana mereka takut mati. (Masakan mereka boleh terlepas), sedang (pengetahuan dan kekuasaan) Allah meliputi orang-orang yang kafir itu.

 

أَوْ كَصَيِّبٍ مِّنَ السَّمَاءِ

Atau seperti ditimpa dari langit air hujan;

Perkataan صَيِّبٍ bermaksud awan yang ada hujan di dalamnya. Dalam ayat ini, air hujan itu adalah isyarat kepada wahyu Allah. Awam yang sebegitu, tentunya tebal dan gelap sampaikan menutupi cahaya matahari.

 

فِيهِ ظُلُمٰتٌ

di dalamnya ada kegelapan;

Apabila awan tebal, suasana pun jadi gelap. Yang dimaksudkan dengan ‘kegelapan’ adalah akidah syirik, amalan-amalan dan ilmu-ilmu salah yang mereka lakukan, diisyaratkan dalam ayat ini dalam bentuk kegelapan.

 

وَرَعْدٌ

dan guruh:

Bayangkan suasana ini, apabila guruh gempita. Ianya amat menakutkan. Ianya bermaksud ancaman-ancaman dalam Al-Qur’an tentang orang-orang yang akidah salah, akan kekal dalam neraka dan lain-lain ancaman lagi.

 

وَبَرْقٌ

dan kilat:

Kilat pula sabung menyabung dalam bentuk cahaya yang terang. Ianya adalah isyarat kepada dalil-dalil daripada Al-Qur’an dan hadis tentang kebenaran Islam.

Sebelum turun hujan, mula-mulanya suasana gelap, selepas itu bunyi guruh, dan kemudian petir. Lepas petir baru hujan.

Gelap adalah akidah syirik bidaah yang manusia buat. Maknanya, sebelum diberitahu mereka ajaran tauhid, kena beritahu apa akidah syirik mereka dahulu.

Guruh adalah ancaman-ancaman tentang syirik kepada Allah dan bidaah yang mereka lakukan. Banyak amalan syirik dan bidaah yang masyarakat buat. Maka kita kena beritahu mereka. Jangan biarkan sahaja. Memang pahit dan susah nak beritahu, tapi begitulah cara ilmu disampaikan kepada manusia. Kadangkala nasihat itu amat pedih untuk diterima.

Kilat adalah yang cahaya yang menerangi, iaitu dalil-dalil dari Allah tentang pentingnya beriman penuh kepada Dia. Cahaya itu yang boleh menunjukkan jalan. Ianya adalah ‘hujah’ dan ‘bukti’ dari Allah tentang betapa jelasnya kesalahan dalam perbuatan dan fahaman syirik itu dan betapa nikmatnya tauhid. Ia menampakkan dengan jelas semua perkara, macam juga dengan kilat. Lihatlah bagaimana apabila kilat datang, semua akan cerah sahaja.

Semua itu adalah isyarat yang air hujan akan turun. Dan air hujan itu semua tahu, memberi manfaat dan memang ditunggu-tunggu oleh manusia – lebih-lebih lagi kalau orang Arab yang jarang dapat hujan. Tapi sebelum hujan turun, keadaan akan ada gelap, petir dan kilat akan datang dahulu.

Semua orang tahu perkara ini. Dari dulu sampai sekarang, di negara mana pun mereka berada. Jadi, apabila perbandingan ini diberikan, semua boleh bayangkan. Ia turun dalam keadaan berat – sepertimana awan gelap, petir dan kilat. Tetapi walaupun ianya berat, tapi orang tahu yang ianya adalah nikmat. Wahyu Al-Qur’an begitulah juga. Selalunya kalau sesiapa yang mula belajar, memang ada ayat-ayat yang seperti tepat kena batang hidung.

 

يَجْعَلُونَ أَصٰبِعَهُمْ

Mereka akan memasukkan jari-jari mereka 

Mereka punyalah takut sampai kalau boleh mereka nak masuk ‘semua’ jari-jari mereka ke dalam telinga. Bukan satu jari sahaja yang mereka nak masukkan, tapi ‘semua’ jari-jari mereka. Sebenarnya, bukan boleh masuk semua jari dalam telinga (satu jari pun tidak boleh). Tapi ini adalah sebagai mubalaghah, bahaya kiasan.

Maksudnya beriya-iya benar mereka hendak menutup telinga mereka, sampaikan kalau boleh semua jari di tangan mereka hendak masukkan ke dalam telinga.

 

فِي ءآذَانِهِمْ

ke dalam telinga-telinga mereka; 

Kenapa mereka tutup telinga mereka dengan jari-jari mereka? Kerana mereka tidak mahu mendengar kebenaran yang disampaikan kepada mereka. Tapi ini bermakna, mata mereka sepatutnya masih nampak lagi. Tapi mereka buat tak nampak. Mata pun mereka akan tutup juga.

Mereka sumbat telinga mereka dengan jari. Tapi, lubang telinga memang kecil, mana boleh masuk jari pun. Begitulah Allah nak tunjuk bagaimana mereka tak mahu sangat kepada Al-Qur’an sampaikan kalau boleh, lima-lima jari mereka mereka nak masukkan dalam telinga.

 

مِنَ الصَّوٰعِقِ

daripada mendengar petir,

Mereka tidak mahu mendengar guruh itu. Macam budak-budak yang tutup telinga kerana takut dengar bunyi guruh yang amat kuat. Ini adalah isyarakat kepada mereka tak mahu dengar ancaman dan dalil-dalil dari Al-Qur’an dan Hadis. Mereka lebih rela berada dalam kegelapan dari mendapat cahaya. Mereka jenis tidak boleh ditegur atau dinasihati lagi.

 

حَذَرَ الْمَوْتِ

kerana takut mati;

Kenapa حَذَرَ المَوتِ? Kenapa mereka ‘takut mati’. Kerana pada mereka, kalau tinggalkan syirik, bidaah dan maksiat itu, seolah-olah rasa mati pada mereka. Begitulah sayangnya mereka kepada apa yang mereka amalkan selama hari ini. Kerana amalan-amalan syirik dan bidaah itu sudah sebati dengan mereka. Mereka rasa tak boleh nak amalkan apa yang diajar oleh agama. Mereka tetap nak amalkan apa yang diajar oleh guru dan tok nenek mereka.

Orang-orang munafik itu juga takut mati. Mereka tidak mahu melalui cabaran yang perlu dilalui dalam perjuangan menegakkan Islam. Mereka tahu kalau mereka bersama dengan orang Islam, ada banyak cabaran dan antara cabarannya adalah berperang dan mungkin akan mati dalam peperangan itu.

 

وَاللهُ مُحِيطٌ بِالْكٰفِرِينَ

Dan Allah meliputi (ilmuNya) terhadap orang-orang kafir ini. 

Tapi mereka bukan boleh pergi ke mana pun. Kerana Allah meliputi mereka – Allah tahu apa yang mereka lakukan. Dan azab Allah akan kena juga kepada mereka walau ke mana pun mereka pergi.

Dalam ayat ini, Allah memberitahu kita bahawa mereka itu kafir sebenarnya. Lihatlah perkataan kafir yang digunakan oleh Allah dalam hujung ayat ini. Ini kerana Allah tahu bahawa mereka itu kafir.


 

Baqarah Ayat 20: Ini adalah bandingan kedua iaitu bagi golongan Kafir Jahil pula.

يَكادُ البَرقُ يَخطَفُ أَبصٰرَهُم ۖ كُلَّما أَضاءَ لَهُم مَّشَوا فيهِ وَإِذا أَظلَمَ عَلَيهِم قاموا ۚ وَلَو شاءَ اللهُ لَذَهَبَ بِسَمعِهِم وَأَبصٰرِهِم ۚ إِنَّ اللهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Sahih International

The lightning almost snatches away their sight. Every time it lights [the way] for them, they walk therein; but when darkness comes over them, they stand [still]. And if Allah had willed, He could have taken away their hearing and their sight. Indeed, Allah is over all things competent.

Malay

Kilat itu pula hampir-hampir menyambar (menghilangkan) penglihatan mereka; tiap-tiap kali kilat itu menerangi mereka (dengan pancarannya), mereka berjalan dalam cahayanya. Dan apabila gelap menyelubungi mereka, berhentilah mereka (menunggu dengan bingungnya). Dan sekiranya Allah menghendaki, nescaya dihilangkanNya pendengaran dan penglihatan mereka; sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 

يَكَادُ الْبَرْقُ يَخْطَفُ أَبْصٰرَهُمْ

Hampir-hampir kilat itu menyambar penglihatan mereka;

Ayat ini bermaksud, hampir-hampir hujah Al-Qur’an itu menghairankan mereka dan memberi kesan kepada mereka. Hampir-hampir hujah itu mereka nak terima kerana hujah itu memang sudah benar dan tidak boleh ditolak oleh akal yang sihat. Tapi orang munafik walaupun jelas macam mana pun, mereka tak mahu terima juga.

 

كُلَّمَا أَضَاءَ لَهُمْ

Setiap kali kilat itu menerangi mereka, 

‘Menyinari’ itu bermaksud apabila mereka nampak keuntungan dunia, mereka akan ikut agama. Contohnya mereka boleh dapat duit zakat, harta ghanimah rampasan perang dan sebagainya.

Ataupun ia boleh bermaksud mukjizat Nabi yang ditunjukkan kepada mereka.

 

مَّشَوْا فِيهِ

mereka ikut;

Maksudnya, mereka duduk dalam majlis Nabi dan sahabat untuk kepentingan dunia sahaja. Sebab takut nyawa mereka melayang kalau orang lain tahu yang mereka itu sebenarnya tidak beriman. Mereka pergi solat berjemaah supaya mereka dilihat sebagai orang Islam sahaja.

Sebab itu Nabi kata orang munafik berat untuk datang solat Subuh dan Isyak kerana waktu itu suasana gelap jadi tidak ada orang nampak. Jadi, bila suasana gelap, bolehlah mereka buat alasan tak datang, kerana mereka datang waktu boleh dilihat sahaja.

Apabila ada kepentingan, terus mereka berlari untuk mendapatkannya. Mula mereka duduk dalam gelap, bila ada cahaya kilat itu, mereka akan berlari sebab mereka baru nampak ada cahaya. Ini isyarat bahawa jikalau ada hukum-hukum agama yang menguntungkan mereka, mereka akan ikut.

 

وَإِذَا أَظْلَمَ عَلَيْهِمْ قَامُوا

Dan apabila gelap menyelubungi mereka, mereka berdiri;

Tapi apabila mereka lihat agama Islam tidak memberi faedah kepada mereka, mereka berdiri tidak bergerak, tidak ikut. Apabila mereka lihat agama Islam itu menyusahkan mereka, mereka tak mahu nak ikut.

Tapi kepada orang beriman, apabila kilat memancar, mereka akan tengok dan masa gelap mereka akan berjalan. Sebab masa cerah itu, mereka akan nampak halangan-halangan yang ada. Orang munafik, semasa terang sekejap itu yang mereka berlari. Itulah bezanya antara orang mukmin dan orang munafik. Orang munafik masuk Islam kerana mahukan sesuatu faedah sahaja.

 

وَلَوْ شَاءَ اللهُ

Kalaulah Allah kehendaki,

Allah boleh sahaja kalau Allah nak buat, tapi tidak semestinya Allah lakukan. Allah nak beritahu kekuasaanNya sahaja dalam ayat ini.

 

لَذَهَبَ بِسَمْعِهِمْ وَأَبْصٰرِهِمْ ۚ

nescaya Allah telah hilangkan pendengaran dan penglihatan mereka;

Allah boleh hilangkan pendengaran dan penglihatan mereka terus bagi mereka terus jadi pekak dan bisu semasa di dunia lagi. Tapi Allah tak buat begitu kepada mereka. Kerana ianya akan menjadi hujjah di akhirat kelak yang mereka telah dapat segalanya yang perlukan untuk beriman (tapi masih tetap tidak beriman).

Allah biarkan mereka ada alat pancaindera mereka yang lengkap supaya mereka tak boleh jadikan alasan yang mereka di dunia dulu tak dengar dan tak nampak kebenaran, jadi mereka tak dapat terima Islam kerana pancaindera mereka tidak lengkap. Oleh itu, sama rata sahaja Allah beri kepada mereka.

Allah boleh buat, tapi Tuhan masih lagi memberi mereka kuasa mendengar dan melihat kebenaran. Akan hanya ditutup apabila sakaratul maut nanti. Maknanya, Tuhan memang sayang kepada makhlukNya.

 

إِنَّ اللهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Sesungguhnya Allah atas segala sesuatu itu berkuasa sungguh.

Walaupun Allah tak buat, tapi Allah sebut dalam ayat ini kerana hendak memberitahu yang Dia boleh buat apa sahaja yang Dia kehendaki. Jangan sangka Allah tidak mampu.

Maka, tafsir ayat غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ, berhenti di sini. Panjang sedikit ayat tentang orang Munafik dalam ayat-ayat ini. Ini adalah kerana orang mukmin itu jelas, orang kafir itu jelas. Tapi orang munafik ini lain sikit. Pada luaran mereka menunjukkan mereka Muslim, tapi dalaman mereka tidak. Jadi memerlukan ayat-ayat yang banyak sedikit untuk menceritakan tentang mereka.

Habis Ruku’ 2 dari 40 surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 15 Oktober 2019

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Surah Baqarah Ayat 12 – 16 (Sifat orang munafik)

Baqarah Ayat 12:

أَلَآ إِنَّهُم هُمُ ٱلمُفسِدُونَ وَلَـٰكِن لَّا يَشعُرُونَ

Sahih International

Unquestionably, it is they who are the corrupters, but they perceive [it] not.

Malay

Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.

 

أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ الْمُفْسِدُونَ

Ketahuilah, mereka itulah sebenarnya berbuat kerosakan

Allah beritahu dalam ayat ini yang orang-orang Munafik itu sebenarnya berbuat kerosakan, kerana mereka telah menjadikan kebenaran nampak samar. Sepatutnya kebenaran itu sudah jelas.

Bayangkan, orang luar yang nampak mereka, akan jadi ragu-ragu. Iaitu apabila mereka lihat golongan munafik itu, mereka jadi ragu. Mereka akan terfikir, kalau Nabi Muhammad itu sudah benar, kenapa pula ada golongan yang pergi juga kepada orang Yahudi? Itu menjadi satu kerosakan yang besar.

 

وَلَـٰكِن لَّا يَشعُرُونَ

Sedangkan mereka itu tidak sedar

Tapi mereka sendiri tidak sedar kerana mereka salah faham. Sepatutnya apabila diberi pengajaran dari Al-Qur’an, mereka kena terima sepenuhnya, bukan terima sikit-sikit. Kalau tak terima sepenuhnya, maka mereka akan terus berada dalam keraguan. Maka Allah telah sebut kesalahan mereka dalam ayat ini.

Allah telah cabutkan kefahaman agama dari mereka kerana mereka bersifat munafik dari mulanya lagi.

Ayat ini jenis takhliah. Iaitu nasihat untuk menghilangkan sifat munafik. Berbeza dengan tahliah, iaitu sesuatu yang perlu dipenuhi dalam hati. Jadi, ada yang kena kosongkan, ada yang kena tinggalkan. Kerana kalau tidak ditinggalkan, iman tidak dapat masuk.


 

Baqarah Ayat 13:

وَإِذَا قِيلَ لَهُم ءَامِنُواْ كَمَآ ءَامَنَ ٱلنَّاسُ قَالُوٓاْ أَنُؤمِنُ كَمَآ ءَامَنَ ٱلسُّفَهَآءُ‌ۗ أَلَآ إِنَّهُم هُمُ ٱلسُّفَهَآءُ وَلَـٰكِن لَّا يَعلَمُونَ

Sahih International

And when it is said to them, “Believe as the people have believed,” they say, “Should we believe as the foolish have believed?” Unquestionably, it is they who are the foolish, but they know [it] not.

Malay

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman”. Mereka menjawab: “Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?” Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

 

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ

Dan apabila dinasihatkan kepada mereka:

Ini apabila nasihat diberikan kepada mereka lagi.

 

ءآمِنُوا كَمَا ءآمَنَ النَّاسُ

Berimanlah kamu sepertimana berimannya manusia;

Nasihat diberikan lagi kepada mereka, supaya duduk dan ambil ilmu dengan Nabi sahaja. Tak perlu nak belajar Taurat atau Injil lagi. Tak perlu nak pergi kepada pendita Yahudi dan ambil ilmu dari mereka.

Ini adalah nasihat dalam bentuk tahliah – untuk buat sesuatu, masukkan sesuatu. Iaitu ambil ilmu yang Nabi sampaikan. Mereka dinasihati untuk ikut macam para sahabat Nabi yang setia. Sahabat yang setia dan beriman itu duduk belajar dengan Nabi sahaja. Mereka sudah tidak rujuk kepada golongan Yahudi lagi.

Begitu juga dengan orang yang hendak terima sunnah. Tak perlu lagi nak pergi belajar dengan guru-guru yang mengajar tanpa mengikut ajaran Sunnah. Jangan pergi lagi kepada guru yang mengajar bidaah.

 

قَالُوا أَنُؤْمِنُ كَمَا ءآمَنَ السُّفَهَاءُ

Mereka jawab: patutkah kami beriman sepertimana berimannya orang yang bodoh-bodoh?

Apabila mereka diberi nasihat sebegitu, puak-puak Munafik itu jawab: puak yang duduk dengan Nabi Muhammad sahaja itu jenis orang yang bodoh. Mereka pula sudah biasa mengaji dengan puak Yahudi. Mereka kata mereka belajar dengan orang yang tahu baca Kitab, sedangkan Nabi Muhammad itu tidak tahu pun baca kitab. Mereka kata: Lihatlah bagaimana orang kampung dia (Mekah) sampai halau dia, bukan?

Mereka pandang rendah pada Nabi Muhammad; mereka pun melihat sahabat Nabi yang taat dengan Nabi itu pun jenis tidak pandai, tak pandai cari harta macam orang Yahudi. Memang orang Yahudi kaya raya.

Kumpulan munafik itu juga mengatakan orang-orang Muhajirin yang telah berpindah dari Mekah itu bodoh-bodoh belaka. Mereka kata Muhajirin itu bodoh kerana meninggalkan segala apa yang mereka ada semasa di Mekah dulu. Jadi mereka tidak mahu bersama dengan orang-orang yang mereka kata bodoh itu.

Zaman sekarang pun ada juga orang sebegini. Apabila kita ajak mereka untuk belajar sepertimana orang-orang yang dah belajar Al-Qur’an dan Sunnah, mereka akan kata mereka yang belajar Al-Qur’an dan Sunnah itu bodoh. Mereka akan suruh kita belajar lagi. Mereka akan kata kita tak habis belajar lagi. Ini kerana mungkin mereka pun ada pengajian mereka (pondok, tarekat dan sebagainya) yang pada mereka lebih hebat lagi dari belajar tafsir Al-Qur’an dan hadis Nabi.

Mereka rasa mereka sudah pandai kerana mereka telah belajar dengan banyak guru dan banyak sudah mentelaah kitab-kitab karangan manusia. Padahal mereka tidak sedar bahawa yang mereka belajar itu adalah ilmu yang salah kerana tidak berdasarkan Al-Qur’an dan sunnah.

 

أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ السُّفَهَاءُ

Ketahuilah, sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh

Allah beritahu kepada kita siapa yang bodoh sebenarnya. Mereka yang telah silap pilih fahaman dalam agama, maka merekalah yang bodoh, bukannya orang lain yang belajar ilmu wahyu.

 

وَلَـٰكِن لَّا يَعلَمُونَ

tapi mereka tidak tahu;  

Mereka tak sedar bahawasanya merekalah yang tidak berilmu. Walaupun orang-orang Munafik itu kata pengikut-pengikut Nabi itu bodoh, tapi sebenarnya merekalah yang bodoh, iaitu bodoh dan jahil dalam hal agama. Al-Qur’an yang benar pun mereka tak mahu belajar. Mereka tak boleh bezakan manakah nafsu dan mana wahyu. Yang mereka kejar adalah nafsu, bukannya wahyu.

Mereka tak tahu perkara-perkara yang benar, kerana kalau hendak tahu, kena belajar. Tapi mereka tak mahu belajar.


 

Baqarah Ayat 14:

وَإِذا لَقُوا الَّذينَ ءآمَنوا قالوا ءآمَنّا وَإِذا خَلَوا إِلىٰ شَيٰطينِهِم قالوا إِنّا مَعَكُم إِنَّما نَحنُ مُستَهزِءونَ

Sahih International

And when they meet those who believe, they say, “We believe”; but when they are alone with their evil ones, they say, “Indeed, we are with you; we were only mockers.”

Malay

Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: ” Kami telah beriman “, dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula:” Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)”.

 

وَإِذَا لَقُوا الَّذِينَ ءآمَنُوا

Apabila mereka berjumpa dengan orang beriman;

Iaitu apabila mereka berjumpa sahabat-sahabat Nabi.

 

قَالُوا ءآمَنَّا

Mereka berkata: “Kami beriman”; 

Mereka tahu mereka salah, oleh itu mereka cepat-cepat kata bahawa mereka sebenarnya beriman. Mereka tak mahu nampak canggung kalau tidak mengaku beriman dengan Rasulullah.

Mungkin timbul persoalan: Kenapakah agaknya golongan Munafik itu tidak terus sahaja tinggalkan Nabi dan para sahabat yang beriman? Bukankah senang kalau begitu?

Golongan munafik itu tidak terus mengaku kafir dan duduk terus sebelah pihak Yahudi kerana kalau mereka mengaku kafir, mereka akan dihukum bunuh. Itu adalah hukum hudud. Kerana dakwah kepada orang kafir itu hanya tiga hari sahaja, kalau tak masuk Islam atau tidak bayar pampasan, mereka akan dibunuh. Oleh itu, mereka tidak berani nak mengaku kafir terus. Jadi, di depan Nabi dan para sahabat, mereka mengaku mereka beriman.

Jadi, hidup mereka susah sebenarnya. Bila duduk dengan para sahabat yang beriman, mereka kata mereka beriman juga. Dan mereka pergi majlis Nabi juga. Mereka hidup berpura-pura.

 

وَإِذَا خَلَوْا إِلَىٰ شَيٰطِينِهِمْ

Dan apabila mereka berpaling pergi kepada syaitan-syaitan mereka;

Iaitu yang dimaksudkan tok guru-tok guru mereka dari kalangan Pendita Yahudi itu.

Nota: di sini kita boleh lihat satu lagi dalil dan hujah untuk mengatakan bahawa ‘syaitan’ itu adalah sifat sebenarnya. Ramai dari kalangan umat Islam sangka yang syaitan itu adalah sejenis makhluk. Mereka sangka ada jin, manusia, malaikat dan syaitan.

Sebenarnya, ‘syaitan’ itu adalah sifat. Iaitu sifat menjauhkan manusia dari Allah. Ia boleh jadi manusia atau jin. Kalau jin yang menghasut manusia, maka dia syaitan; kalau manusia yang menghasut manusia lain, maka dia juga syaitan.

Kita boleh lihat dalam ayat ini. Golongan munafik itu berjumpa golongan Yahudi, iaitu golongan manusia. Bukannya jumpa makhluk lain. Tapi Allah kata mereka itu ‘syaitan-syaitan’. Ini adalah kerana sifat mereka yang menjauhkan golongan munafik itu dari Allah.

 

قَالُوا إِنَّا مَعَكُمْ

Mereka berkata: Kami sebenarnya bersama kamu;

Apabila mereka pergi kepada ‘syaitan-syaitan’ mereka (iaitu golongan Yahudi), mereka kata lain pula. Mereka beritahu kepada puak-puak Yahudi itu yang hati mereka sebenarnya bersama puak Yahudi itu.

Yang dimaksudkan ‘syaitan’ dalam ayat ini adalah ulama-ulama Yahudi dan pembesar-pembesar mereka. Hati golongan Munafik sebenarnya bersama puak Yahudi itu, walaupun tubuh badan mereka bersama Nabi Muhammad. Mereka terpaksa menipu kerana kalau tak tunjuk yang mereka sokong Nabi Muhammad, mereka sudah kena sisih oleh masyarakat mereka.

Mereka telah memberitahu rahsia umat Islam kepada orang Yahudi. Kerana mereka hendak berbaik juga dengan golongan Yahudi itu. Maknanya, mereka nak berbaik dengan orang Islam, dan mereka hendak berbaik dengan orang Yahudi juga. Ini tidak boleh. Kita tidak boleh menjadikan orang kafir sebagai teman rapat kita. Teman rapat adalah orang yang kita berkongsi rahsia dengan mereka.

 

إِنَّمَا نَحْنُ مُسْتَهْزِئُونَ

Sebenarnya kami hendak mengejek-ngejek mereka sahaja;

Mereka kata yang mereka hanya memperlekeh orang-orang beriman itu dengan menipu kata mereka beriman. Mereka mengaku mempersendakan para sahabat yang beriman. Dan mereka hendak memperdayakan puak-puak yang beriman.

Tapi di dunia lagi Allah telah malukan mereka. Dua-dua pihak tak percaya kepada mereka. Orang beriman tidak percayakan mereka, orang Yahudi pun tidak percayakan mereka.

Ini terjadi pada zaman sekarang pun. Ada orang Islam yang hendak berkawan dengan dua-dua pihak – di pihak Sunnah mereka nak kawan, di pihak Bidaah pun mereka nak kawan juga.

Balaghah: penggunaan nahu dalam bahasa Arab Al-Qur’an membawa makna yang tertentu. Kalau kita tahu, ia semakin memberi faham kepada ayat-ayat Al-Qur’an yang tidak akan dapat dikenalpasti kalau setakat baca terjemahan sahaja. Apakah yang hendak disampaikan?

Ada perbezaan antara penggunaan kata-kerja (verb) dan kata-nama (noun) dalam Al-Qur’an. Penggunaan kata-nama lebih kuat dari kata-kerja. Kalau kata-kerja digunakan, ia bermaksud sementara sahaja sedangkan kalau kata-nama yang digunakan, ia bermaksud lebih kekal.

Kalau kita lihat kalimah ءآمَنَّا (kami beriman), ia dalam bentuk kata-kerja jadi ia bermaksud sementara sahaja. Tapi kalau kita lihat kalimah مُسْتَهْزِئُونَ (kami memperolok-olokkan), ia dalam bentuk kata-nama, maka ia membawa maksud berkekalan.

Jadi walaupun golongan munafik ini hendak membeli jiwa golongan mukmin dan juga golongan Yahudi, tapi dari segi bahasa yang digunakan sudah nampak mereka lebih condong kepada siapa.


 

Baqarah Ayat 15:

اللهُ يَستَهزِئُ بِهِم وَيَمُدُّهُم في طُغيٰنِهِم يَعمَهونَ

Sahih International

[But] Allah mocks them and prolongs them in their transgression [while] they wander blindly.

Malay

Allah (membalas) memperolok-olok, dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka (yang melampaui batas itu).

 

اللهُ يَسْتَهْزِئُ بِهِمْ

Allah lah yang mempersenda-sendakan mereka

Allah jawab dalam ayat ini yang Allahlah yang memperbodohkan munafik itu. Allah beri balasan terus kepada mereka. Mereka hendak mempersendakan manusia lain, tapi Allah pula yang mempersendakan mereka.

 

وَيَمُدُّهُمْ

Dan Allah membiarkan mereka

Allah biarkan sahaja mereka buat apa yang mereka hendak buat. Tapi ingat, bukanlah bermakna yang Allah redha dengan perbuatan mereka. Jangan ada pula yang sangka, kalau Allah biarkan, itu adalah kerana Allah redha. Allah ‘benarkan’ tidak semestinya Allah ‘redha’.

Jangan kita keliru dengan perkara itu. Memang ramai yang keliru dan kerana kekeliruan ini, ramai yang terus berada dalam kesesatan. Kerana mereka fikir: “kalau Allah tak setuju, takkan Allah benarkan aku buat benda ni..”.

 

فِي طُغْيٰنِهِمْ

Dalam kesesatan mereka

Allah biarkan mereka terus jadi bodoh. Allah biarkan mereka dalam kesesatan wahyu supaya tak faham wahyu dan buta hati. Kalau nak sesat, Allah boleh sahaja biarkan mereka jadi sesat. Kerana mereka  yang buat pilihan untuk tidak mahu mendengar kebenaran.

 

يَعْمَهُونَ

kebingungan

Mereka jadi bodoh kebingungan kerana buta hati. Hati mereka tidak keruan, sekejap ke sana dan sekejap ke sini. Hati mereka tidak tetap dan tidak tenang sentiasa. Allah akan memberi peluang kepada mereka untuk berbuat kerosakan supaya mereka nanti akan dimasukkan ke dalam neraka yang paling dalam.


 

Baqarah Ayat 16:

أُولٰئِكَ الَّذينَ اشتَرَوُا الضَّلٰلَةَ بِالهُدىٰ فَما رَبِحَت تِّجٰرَتُهُم وَما كانوا مُهتَدينَ

Sahih International

Those are the ones who have purchased error [in exchange] for guidance, so their transaction has brought no profit, nor were they guided.

Malay

Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayah.

 

أُولَٰئِكَ

Mereka itulah orang-orang,

Janganlah kita jadi seperti mereka. Maka kerana itu kita kena belajar tentang mereka supaya kita dapat jauhkan diri kita dari sifat-sifat mereka.

 

الَّذِينَ اشْتَرَوُا الضَّلٰلَةَ بِالْهُدَىٰ

yang membeli kesesatan dengan jual petunjuk;

Ini adalah kerana mereka tukar hidayah dengan kesesatan. Bayangkan mereka ini telah jumpa Nabi sendiri. Mereka dengar sendiri wahyu Allah dibacakan kepada mereka oleh Nabi sendiri. Tapi mereka masih lagi tidak beriman. Pelik benar kesesatan mereka. Mereka ada peluang yang amat baik sekali kerana mereka bersama Nabi tapi mereka tidak mahu mengambil peluang itu.

Mereka buang peluang keemasan mereka yang dapat duduk dengan Nabi dan duduk dengan para sahabat yang lain. Ayat ini kata, mereka beli kesesatan dengan jual hidayah. Bukanlah ia maksudnya mereka sudah dapat hidayah tapi mereka telah tukar peluang dapat hidayah itu dengan kesesatan.

Tapi sebenarnya yang dimaksudkan adalah mereka tukar peluang, tak ambil peluang yang mereka ada itu. Mereka tidak pernah ada hidayah sebenarnya.

 

فَمَا رَبِحَتْ تِجٰرَتُهُمْ

Tidaklah untung perniagaan mereka

Allah buat perbandingan iman dengan perniagaan. Kalau berniaga, tentulah kita hendak untung, bukan? Allah beritahu yang mereka itu akan menyebabkan mereka takkan untung sampai bila-bila. Semoga Allah selamatkan kita dari jadi seperti mereka.

 

وَمَا كَانُوا مُهْتَدِينَ

Dan tidaklah mereka terpimpin. 

Mereka sangka mereka terpimpin, dapat hidayah, tapi Allah menafikan hal itu. Mereka tidak terpimpin langsung.

Maka kita amat takut kalau kita pun begitu juga. Kita rasa kita sudah beriman, sudah benar-benar seorang Muslim sejati, sudah terpimpin. Tapi takut-takut rupanya kita tergolong dalam golongan orang munafik pula. Maka kena belajar lagi apakah sifat-sifat orang munafik dalam Al-Qur’an dan dalam hadis. Kena baca keseluruhan ayat-ayat berkenaan munafik untuk dapat maklumat yang penuh.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 15 Oktober 2019

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Surah Baqarah Ayat 6 – 11 (Golongan Munafik)

Baqarah Ayat 6: Ayat 6 – 7 menyebut ciri-ciri orang kafir. Mereka itu adalah golongan yang Allah murkai. Dalam dua ayat ini diberikan sifat mereka yang dimurkai seperti dalam ayat Al-Fatihah. Jadi, ayat ini ditujukan kepada orang Yahudi dan Munafik.

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا سَواءٌ عَلَيهِم ءأَنذَرتَهُم أَم لَم تُنذِرهُم لا يُؤمِنونَ

Sahih International

Indeed, those who disbelieve – it is all the same for them whether you warn them or do not warn them – they will not believe.

Malay

Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman.

 

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا

Sesungguhnya orang-orang yang kafir engkar;

Kenapa dipakai gelaran ‘kafir’ kepada mereka? Kerana dalam hati mereka ada sifat tolak kebenaran. ‘Kufur’ adalah satu perkataan yang umum. Banyak jenis kufur sebenarnya. Ada yang Syirik, ada yang tolak Nabi, ada yang tolak Al-Qur’an walaupun satu ayat.

Sebagai contoh, ada yang tolak hudud, ada yang tolak hukum faraid dan sebagainya. Ada yang jadi kufur dengan perbuatan mereka, sebagai contoh, mereka sujud kepada selain Allah, campak Al-Qur’an kerana hendak menghina Al-Qur’an dan sebagainya.

Jadi ada banyak cara untuk jadi kafir. Kafir dalam ayat ini adalah sengaja menutup kebenaran kerana degil. Mereka ini sudah tahu yang Al-Qur’an itu benar, tapi masih tolak juga. Mereka akan dihumbankan ke dalam neraka jahannam selama-lamanya. Kedegilan inilah yang menyebabkan kekafiran Yahudi dan Musyrikin Mekah kerana mereka tahu kebenaran tapi tolak kerana degil.

Itulah mereka yang sengaja menutup kebenaran kerana degil dalam hati mereka. Ini adalah orang-orang yang menolak ajakan dakwah Islam sampai kepada Peringkat keempat. Iaitu hati mereka telah dikunci mati.

Mulanya peringkat pertama, hati mereka ragu-ragu tentang Allah – itu sudah sifat orang munafik.

Peringkat Kedua: mereka lawan dengan hati – tidak mahu terima dakwah Islam.

Peringkat Ketiga: mereka lawan berdepan. Bila ayat Al-Qur’an dibacakan kepada mereka dan mereka sudah faham, tapi tetap tidak mahu terima. Ada yang kerana sayang kepada tok guru lagi daripada ayat Al-Qur’an. Ini dinamakan ‘Syirik Tok Guru’.

Peringkat Keempat: Apabila seseorang itu terus melawan berkali-kali dan menentang dengan keras, Allah akan mengunci mati hatinya dari terima kebenaran.

 

سَواءٌ عَلَيهِم ءأَنذَرتَهُم أَم لَم تُنذِرهُم

sama sahaja ke atas mereka, sama ada kamu beri ancaman kepada mereka, atau kamu tidak beri ancaman kepada mereka

Dalam menjalankan kerja dakwah, kita kena sampaikan kepada semua orang, tanpa memilih bulu, tidak kira sama ada mereka itu sahabat kita, ahli keluarga kita, sama ada orang kafir atau tidak.

 

لَا يُؤْمِنُونَ

mereka tidak beriman

Sama sahaja kalau beri peringatan atau tidak, kerana degil, mereka tidak akan beriman. Kerana orang degil tidak akan beriman.

Kita kena faham maksud ayat ini. Kalau kita salah faham, kita akan sangka bahawa tidak ada gunanya lagi berdakwah kepada ‘orang kafir’. Sebab kita mungkin kata kalau kita beri peringatan atau tidak, mereka tidak akan terima dakwah kita (kerana mereka orang kafir). Bukan begitu.

– pertamanya, siapa boleh tahu yang mereka itu jenis degil? Siapa yang boleh kata seseorang itu jenis kufur degil? Kita tidak boleh tahu kerana ianya adalah perkara dalam hati. Kalau kita agak sendiri, itu tidak tepat. Dan Allah pun tidak ada beri tanda mereka untuk kita kenal mereka. Maka kita kena dakwah kepada mereka.

– keduanya, mereka sahaja yang tidak akan berubah, bukan kita yang pergi dakwah Al-Qur’an kepada mereka. Kerana dalam ayat ini, Allah kata ‘ke atas mereka’. Mereka sahaja yang tak dapat faedah dengan dakwah itu, tapi setiap kali kita pergi dakwah kepada mereka, kita akan dapat faedah. Untuk dapat kekuatan iman, kita kena sampaikan kepada orang lain.

Lihatlah kisah Nabi Musa. Bukankah Allah suruh Nabi Musa dakwah kepada Firaun? Padahal Allah tahu yang Firaun tidak akan beriman sampai bila-bila, jadi kenapa suruh juga dakwah kepada Firaun? Allah suruh juga Nabi Musa pergi berdakwah kepada Firaun, kerana Nabi Musa akan meningkat imannya setiap kali baginda jumpa dan dakwah kepada Firaun.

Lagi satu, kita kena faham yang kafir yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah orang yang telah didakwah berkali-kali tapi mereka masih lagi tidak terima. Sampai kepada peringkat mereka lawan kita balik. Bayangkan orang Musyrikin Quraish itu didakwah sendiri oleh manusia yang paling mulia – Nabi Muhammad.

Tentulah cara dakwah Nabi adalah yang paling baik. Tapi walaupun begitu, mereka masih tidak terima. Malah mereka menentang dan cuba untuk membunuh Nabi. Bertahun-tahun Nabi Muhammad berdakwah kepada mereka tapi mereka masih tidak terima dan malah menentang baginda dengan keras. Allah telah kunci mati hati mereka dari menerima ajaran Islam.

Ayat ini bukan hanya merujuk kepada Musyrikin Mekah pada zaman Nabi. Kalau zaman sekarang, kalau kita dakwah kepada manusia dan ajak mereka kembali kepada Al-Qur’an dan sunnah, dan mereka engkar untuk terima, sampai kepada peringkat mereka lawan kita, maka mereka juga termasuk dalam golongan yang dimaksudkan dalam ayat ini.

Iaitu mereka yang telah diberikan dengan dalil-dalil dari Al-Qur’an dan Hadis Nabi, tapi mereka masih lagi tolak. Cara tolak mereka itu bermacam-macam. Tapi pada dasarnya, mereka tolak ayat-ayat Allah dan hadis Nabi.


 

Baqarah Ayat 7: Kenapa mereka takkan beriman? Kerana mereka berada pada kesesatan tahap keempat. Apa yang terjadi kepada mereka?

خَتَمَ اللهُ عَلىٰ قُلوبِهِم وَعَلىٰ سَمعِهِم ۖ وَعَلىٰ أَبصٰرِهِم غِشٰوَةٌ ۖ وَلَهُم عَذابٌ عَظيمٌ

Sahih International

Allah has set a seal upon their hearts and upon their hearing, and over their vision is a veil. And for them is a great punishment.

Malay

(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.

 

خَتَمَ اللهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ

Maka Allah kunci mati hati-hati mereka

Kalau tahap 1 sampai 3, masih ada harapan lagi. Tapi kalau sudah kufur tahap 4, setelah hati telah dikunci mati, tidak ada harapan kepada mereka. Ini dinamakan Khatmul Qalbi. Ini terjadi apabila mereka banyak sangat menolak ayat-ayat Qur’an.

4 peringkat hati rosak

وَعَلَىٰ سَمْعِهِمْ

dan ke atas pendengaran mereka;

Yang dikunci itu bukan telinga, tapi pendengaran mereka. Mereka dengar, tapi tak faham apa yang kita sampaikan. Macam kita panggil lembu. Lembu itu dengar suara kita, tapi dia tak faham yang kita sedang panggil dia.

 

وَعَلىٰ أَبصٰرِهِم غِشٰوَةٌ

dan ke atas penglihatan  mereka ada penutup.

Bukan mata yang dikunci tapi pemahaman. Macam lembu tengok kita, tapi mereka tidak mengerti apa-apa. Musyrikin Mekah boleh lihat bagaimana mulianya akhlak Nabi, tapi mereka tidak dapat terima dakwah Nabi.

Penutup itu adalah dalam bentuk rohani sahaja, bukanlah ada penutup yang betul.

 

وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

dan bagi mereka azab yang hebat.

Balasan kepada mereka adalah mereka akan kekal di dalam neraka selama-lamanya. Dan azab yang akan dikenakan kepada mereka amat berat sekali kerana mereka itu golongan yang degil dan golongan yang menentang kebenaran.

Habis Ruku’ 1 dari 40 surah ini


 

Baqarah Ayat 8: Tafsir bagi ayat dalam surah Fatihah – وَلَا ٱلضَّآلِّينَ (dan orang-orang yang sesat).

Ianya adalah berkenaan golongan Munafik. Dalam ayat ke 8 hingga ayat ke 20 adalah tentang ciri-ciri orang Munafik. Ingatlah bahawa orang munafik ini solat sama dengan Nabi. Mereka tak tinggal solat berjemaah bersama Nabi, kecuali solat Subuh dan Isya’. Jihad pun kadang-kadang mereka pergi, zakat pun kadang-kadang mereka bayar.

Mereka bersama Nabi dan para sahabat yang lain, tapi mereka tidak beriman sebenarnya. Tapi Allah masih lagi kata mereka kafir kerana mereka jahil dan mereka tidak menepati kehendak Islam dan kerana mereka itu ‘jahil akidah’.

Jahil akidah ini adalah amat bahaya sekali. Masyarakat kita pun ramai yang jahil akidah dan mereka dikira sudah berada atas pagar munafik. Jadi kalau mereka duduk bersama dengan kita, solat dengan kita, belum tentu mereka selamat lagi.

Ubatnya adalah belajar faham Al-Qur’an dari awal hingga akhir. Kita kena ajar mereka kerana takut mereka mati dalam ‘kufur jahil’. Iaitu mereka tidak tahu benda yang mereka wajib tahu dan yang wajib mereka tolak. Kita takut tanpa sedar mereka munafik. Bukan mereka sahaja, tapi kita pun kena takut diri kita pun tergolong dalam golongan munafik juga.

Oleh itu, kena ajak mereka datang belajar tafsir Al-Qur’an dan kita sendiri kena habis belajar tafsir Al-Qur’an. Kalau sudah belajar tafsir Al-Qur’an, mereka sendiri akan sedar yang apa yang mereka dulu ada buat adalah perkara yang salah.

Banyak maklumat tentang sifat munafik yang Allah sebut dalam Al-Qur’an sebab ramai yang punah kerana jahil dalam agama.

Orang munafik itu, pada zahirnya mereka nampak Muslim, tapi batinnya mereka kufur. Mereka itu bukan jenis ‘kufur engkar’, tapi ‘kufur jahil’. Maka, amat bahaya kalau tak belajar tafsir Al-Qur’an.

Kita juga kena faham antara ‘jahil akidah’ dan ‘jahil amalan’. Kalau ada yang hanya melakukan amalan munafik, masalah mereka kurang sikit sebab akhirnya mereka akan masuk syurga selepas duduk dalam neraka. Itu jikalau mereka tidak ada masalah akidah. Tapi kalau ada masalah akidah, tempat mereka adalah di dalam neraka selama-lamanya.

Jadi, dalam ayat-ayat selepas ini kita akan belajar tentang golongan Munafik. Tapi berhati-hati, bukan tugas kita untuk mengatakan atau menuduh orang lain sebagai munafik. Bukan ajaran Nabi untuk mengatakan seseorang itu munafik. Yang kita kena buat adalah kena belajar supaya kita boleh periksa diri kita takut-takut kita pun munafik juga.

Iaitu kita kena periksa diri kita dahulu, bukan gunakan pengetahuan ini untuk melihat atau menilai seseorang itu munafik atau tidak. Bukannya untuk kita senang-senang nak tuduh orang lain munafik, lebih-lebih lagi kalau mereka tidak setuju dengan kita. Oleh itu, berhati-hatilah dan jaga hati kita dari terjerumus dalam perkara ini.

وَمِنَ النّاسِ مَن يَقولُ ءآمَنّا بِاللهِ وَبِاليَومِ الآخِرِ وَما هُم بِمُؤمِنينَ

Sahih International

And of the people are some who say, “We believe in Allah and the Last Day,” but they are not believers.

Malay

Dan di antara manusia ada yang berkata: “Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat”; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.

 

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ

Dan ada diantara manusia itu yang berkata:

Mereka itu adalah golongan munafik. Kalau bab mengaku, memang mereka nombor satu. Merata-rata mereka akan canangkan iman mereka.

 

ءآمَنَّا بِاللهِ

“Kami beriman dengan Allah”

Golongan munafik ini memang mengaku mereka beriman dan mereka menampakkan keislaman mereka dari segi zahir atau lahiriah. Mereka mengaku begitu kerana mereka takut disisih oleh masyarakat.

 

وَبِالْيَوْمِ الْآخِرِ

“dan beriman dengan hari akhirat”;

Dalam ayat ini, mereka mendakwa dengan lidah mereka yang mereka beriman. Dalam ayat ini, mereka mengatakan mereka beriman dengan dua rukun iman: ‘percaya kepada Allah’ dan ‘percaya kepada Hari Akhirat’. Disebut hanya dua rukun iman untuk merangkumi kesemua rukun iman yang lain. Tidak perlu disebut kesemua rukun iman.

Tetapi, walaupun mereka mengaku dengan mulut mereka sendiri, Allah nafikan keimanan dalam hati mereka. Lafaz mereka benar, tapi hati mereka yang tidak benar. Mereka hanya dakwa dengan lidah sahaja sedangkan lidah bukan tempat iman. Iman yang duduk dalam hati.

Dan ada perkara iman yang mereka tak terima lagi. Contohnya, mereka kata boleh guna perantaraan dalam berdoa (tawasul). Itu adalah satu fahaman yang salah, dan kalau ada satu sahaja salah dalam hal akidah pun sudah cukup untuk membahayakan mereka.

Orang munafik memang akan mengaku yang mereka beriman. Mereka kata mereka solat juga dan mereka beriman juga. Tapi sebenarnya hati mereka tidak. Lihatlah bagaimana mereka sendiri rasa bahawa mereka itu ada masalah. Jadi mereka akan datang sendiri tanpa dipinta untuk menyatakan ‘keislaman’ mereka. Ini sama macam anak-anak kita yang tiba-tiba akan beritahu mereka tidak bersalah – bermakna, mereka mesti ada buat salah.

 

وَمَا هُمْ بِمُؤْمِنِينَ

Mereka sebenarnya tidak beriman.

Allah sendiri beritahu yang mereka itu tidak beriman. Mereka tidak beriman dalam hati mereka. Allah tahu apa yang dalam hati mereka dan kerana itu Allah boleh kata mereka itu munafik (kita tidak boleh nak menuduh orang lain). Mereka hanya dipanggil ‘Muslim’ kerana duduk sekali dengan orang Islam yang lain.

Kalau mereka duduk tinggal di Amerika contohnya, mereka akan ikut perangai orang Amerika. Sebab waktu itu, mereka tak malu dengan sesiapa lagi. Cuma sebab mereka duduk sekali dengan orang Muslim lainlah yang mereka kena buat perangai Islam tu.


 

Baqarah Ayat 9: Apakah sifat mereka ini?

يُخٰدِعونَ اللهَ وَالَّذينَ ءآمَنوا وَما يَخدَعونَ إِلّا أَنفُسَهُم وَما يَشعُرونَ

Sahih International

They [think to] deceive Allah and those who believe, but they deceive not except themselves and perceive [it] not.

Malay

Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.

 

يُخٰدِعُونَ اللهَ

Mereka hendak tipu Allah Taala;

Tapi bolehkah mereka hendak menipu Allah? Tentu tidak boleh. Maknanya, mereka menipu wakil Allah, iaitu Nabi Muhammad.

 

وَالَّذِينَ ءآمَنُوا

Dan (mereka nak tipu) orang-orang yang beriman.

Iaitu mereka hendak menipu para sahabat Nabi. Mereka cuba nak tipu orang beriman. Mereka hendak dilihat sebagai orang beriman juga dan tidaklah canggung dengan orang Muslim yang lain.

Kenapa mereka dikira menipu? Kerana mereka sebut apa yang bukan dalam hati mereka.

 

وَما يَخدَعونَ إِلّا أَنفُسَهُم

Tidaklah mereka menipu melainkan diri mereka sendiri

Kesan penipuan itu akan terkena kepada diri mereka kerana penipuan itu akan menyebabkan bahana kepada diri mereka. Tidaklah penipuan mereka itu akan memberi kesan bahaya kepada orang lain melainkan diri mereka sendiri sahaja. Malangnya, mereka sendiri pun tidak sedar.

 

وَمَا يَشْعُرُونَ

dan mereka sebenarnya tidak sedar. 

Akhirnya mereka menipu diri mereka sendiri, tapi mereka tidak sedar. Ini adalah kerana mereka tidak ada kefahaman dalam agama. Mereka tidak faham agama dengan kefahaman yang sebenar. Mereka tidak faham yang kefahaman agama kena ikut neraca Al-Qur’an. Bukannya ikut suka sendiri dan kata-kata guru-guru mereka.

Mereka sendiri tidak sedar bahawa mereka adalah munafik. Mereka sangka mereka sudah Muslim. Jadi, kita amat takut kalau-kalau kita sekarang ini pun munafik juga. Kita sekarang sangka kita sudah Muslim. Tapi mungkin tanpa kita sedar, kita rupanya tergolong dalam golongan munafik juga.

Oleh itu, kita kenalah periksa diri kita dan bandingkan dengan kehendak dalam Al-Qur’an. Munafik ini adalah satu penyakit hati. Kalau sesuatu penyakit itu, mesti ada tanda-tandanya. Jadi kita kena tahu apakah tanda orang munafik itu. Tanda-tanda itu diterangkan dalam ayat-ayat seterusnya.

Lihatlah, kalau duduk dengan Nabi pun boleh jadi salah faham, boleh keliru, lalu bagaimana agaknya dengan kita zaman sekarang? Ini amat menakutkan.

Nabi tak sebut siapakah yang munafik pada zamannya itu. Kerana mungkin mereka akan jadi beriman berkat duduk dengan Nabi dan rapat dengan Al-Qur’an. Maka itulah sebabnya Nabi tak pernah sebut nama mereka (untuk jaga nama baik mereka). Begitu jugalah kita ini. Kita harap dengan kita terus belajar Al-Qur’an ini akan dapat mengeluarkan kemunafikan jika ada dalam diri kita.


 

Baqarah Ayat 10:

فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ فَزَادَهُمُ ٱللَّهُ مَرَضً۬ا‌ۖ وَلَهُم عَذَابٌ أَلِيمُۢ بِمَا كَانُواْ يَكذِبُونَ

Sahih International

In their hearts is disease, so Allah has increased their disease; and for them is a painful punishment because they [habitually] used to lie.

Malay

Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).

 

فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ

Dalam hati mereka ada penyakit;

Mereka itu digelar sebagai munafik kerana dalam hati mereka ada ‘penyakit’. Kerana penyakit ini, keimanan tidak dapat masuk dalam diri mereka. Apakah maksud ‘penyakit’ dalam ayat ini? Dalam ayat ini, penyakit yang dimaksudkan adalah penyakit akidah yang rosak.

Dalam ayat lain, maksud penyakit lain pula, oleh kerana itu tidak semua penyakit itu sama. Kena tengok kepada apa yang hendak disampaikan dalam ayat itu. Jangan kita sangka kalau disebut ‘penyakit’ dalam ayat-ayat yang lain, ianya bermaksud penyakit akidah pula.

Penyakit dalam ayat ini bermaksud dengki, atau benci kepada kebenaran. Ia juga bermaksud dengki dengan orang yang membawa kebenaran. Ini adalah satu sifat yang amat bahaya dan perlu dikeluarkan. Kalau seseorang itu boleh buang perasaan itu, barulah boleh masuk iman dalam hati. Kalau tidak, sampai bila-bila pun iman tidak masuk.

Berapa ramai yang ada masalah ini? Tentulah ramai yang kita tahu berpenyakit seperti ini. Iaitu mereka yang apabila maksud Al-Qur’an dibawa kepada mereka, mereka benci dan tolak kerana ianya berlainan dengan fahaman mereka.

Satu lagi penyakit mereka adalah syak dan ragu-ragu tentang Allah. Mereka ragu dengan Tuhan sendiri. Ini disebabkan oleh kerana hawa nafsu. Penyakit itu telah mengakibatkan rosak akidah. Yang mereka ragukan itu adalah tentang agama.

Iaitu mereka rasa kalau mereka doa sendiri kepada Allah, Allah tak layan doa mereka, maka mereka kena dapatkan orang lain untuk doakan untuk mereka. Inilah yang dinamakan tawasul dalam doa (yang dilarang).

Mereka juga mementingkan diri sendiri. Kalau Islam beri faedah kepada mereka, mereka terima, kalau tidak beri untung, mereka akan tolak. Contohnya, ada manusia yang menyertai parti politik, bukan untuk membela Islam, tapi sebenarnya hendak mendapatkan kuasa.

Allah sendiri kata dalam ayat ini bahawa Munafik itu adalah satu jenis penyakit. Jadi kita kena tahu apakah simtom-simton penyakit itu. Kerana setiap penyakit ada tanda-tandanya.

 

فَزَادَهُمُ اللهُ مَرَضًا ۖ

Maka Allah akan tambah bagi mereka penyakit baru;

Apabila mereka sudah ada penyakit itu, Allah akan tambah penyakit baru. Ianya akan bertambah apabila semakin banyak ayat Al-Qur’an yang mereka tolak. Penyakit itu akan bertimpa-timpa ke atas mereka.

Apakah penyakit yang ditambah itu? Penyakit ragu-ragu mereka itu akan ditambah oleh Allah sampai akhirnya mereka akan berbuat syirik kepada Allah. Mereka akan rasa kalau mereka berdoa sendiri, doa mereka tidak diterima. Kerana mereka rasa mereka tidak layak didengar oleh Allah. Kerana mereka banyak dosa dan sebagainya.

Maka mereka akan menggunakan orang lain sebagai perantaraan untuk menyampaikan doa mereka kepada Allah. Maka mereka akan bertawasul dalam berdoa. Maka itu adalah perbuatan syirik. Asalnya mereka ada perasaan ragu-ragu. Kemudian Allah tambah penyakit itu apabila mereka terus di dalam perasaan itu. Apabila mereka melaksanakannya, maka mereka telah melakukan perbuatan syirik. Mula-mula ragu sahaja, tapi kemudian mereka laksanakan.

Ingatlah, jikalau kita sombong dalam ibadat untuk baca doa terus kepada Allah (tanpa melalui perantaraan), Allah akan masukkan kita ke dalam neraka jahannam. Mereka yang buruk sangka kepada Tuhan menyangka yang Tuhan tidak akan makbulkan doa mereka kalau mereka doa sendiri.

Padahal, Allah itu Maha Mendengar rintihan hambaNya. Dan Allah suruh kita doa terus kepadaNya. Bukan melalui perantaraan. Mereka yang ada prasangka begitu adalah kerana mereka rasa sangsi dengan Allah.

 

وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

dan bagi mereka azab yang pedih;  

Untuk orang munafik, diberikan ‘azab yang pedih’. Ini lagi teruk dari yang diberikan kepada orang kafir. Kerana azab yang pedih, adalah azab yang tidak berkurangan langsung.

 

بِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ

dengan apa yang mereka dustakan;

Mereka bohong kerana cakap apa yang bukan dalam hati mereka. Jadi mereka dikenakan azab itu adalah kesalahan mereka sendiri.

Jadi, ini adalah simptom pertama orang yang ada penyakit munafik – mereka suka menipu. Kita pun sudah tahu yang salah satu dari sifat munafik adalah menipu bila berkata.


 

Baqarah Ayat 11: Allah ajar cara bagaimana nak mengenali mereka. Kalau Allah tak ajar, kita tak tahu kerana ianya tidak jelas kepada kita. Kerana ianya adalah penyakit dalaman. Dari alamat ini, kita boleh kenal sifat-sifat itu. Macam juga kalau kita nampak asap, itu adalah tanda adanya api.

Pertama, mereka salah faham dengan kebenaran. Mereka tak nampak kebenaran dan mana yang benar, sebaliknya yang salah, mereka kata betul. Apabila kita tunjuk dalil-dalil dari Al-Qur’an kepada mereka dan mereka tolak, kita sudah boleh agak yang mereka itu ada penyakit munafik dalam diri mereka.

Begitulah mereka, apabila diberi dalil dan bukti yang sahih, mereka susah nak terima. Mereka nak pakai fahaman mereka sahaja. Padahal, yang kita bawa adalah nas Al-Qur’an, bukannya kata-kata kita sendiri. Dan memang sepatutnya kita kena dakwah dengan ayat Al-Qur’an dan sunnah. Jangan bawa dalil yang lain.

وَإِذا قيلَ لَهُم لا تُفسِدوا فِي الأَرضِ قالوا إِنَّما نَحنُ مُصلِحونَ

Sahih International

And when it is said to them, “Do not cause corruption on the earth,” they say, “We are but reformers.”

Malay

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi”, mereka menjawab: ” Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan”.

 

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ

Dan apabila dikatakan kepada mereka:

Sahabat yang melihat perangai mereka pun rasa lain macam. Sebab mereka boleh lihat yang golongan Munafik itu buat perkara yang pelik-pelik seperti pergi berjumpa dengan orang Yahudi. Maka, para sahabat yang beriman pun telah menegur mereka, kenapa pergi lagi ke majlis orang Yahudi?

Begitulah orang yang sudah belajar, apabila mereka lihat sesuatu yang tak kena, mereka akan tegur terus kesalahan orang lain, tidaklah tengok sahaja.

 

لَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ

Janganlah kamu berbuat kerosakan di atas muka bumi;

Orang-orang yang beriman memberi nasihat kepada orang-orang Munafik itu supaya jangan buat kerosakan. Apakah ‘kerosakan’ yang dimaksudkan itu? Untuk kita memahami ayat ini, kita kena faham sejarah Madinah sebelum zaman Nabi Muhammad datang ke Madinah. Orang Anshar ada tok guru dari golongan Yahudi.

Orang Yahudi itu adalah sumber rujukan mereka dalam agama. Itu sebelum kedatangan Islam. Kerana mereka tahu bahawa orang-orang Yahudi itu telah lama beragama dan ada kitab dari Allah. Jadi mereka menghormati golongan Yahudi itu.

Apabila Nabi Muhammad sudah ada di kalangan mereka, mereka akan berjumpa dengan pendita Yahudi menceritakan tentang ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad. Pendita Yahudi akan berkata begini dan begitu. Kemudian golongan Munafik itu akan membawakan apa yang mereka dapat dari Pendita Yahudi kepada kaum mereka.

Mereka kata pendita Yahudi itu yang betul kerana Yahudi itu lagi lama dapat ilmu agama dari Nabi Muhammad. Jadi, mereka laga-lagakan sahabat Nabi dengan Nabi Muhammad. Mereka kata Nabi pula yang tak betul. Itulah kerosakan yang dimaksudkan dalam ayat ini. Kerosakan yang dimaksudkan adalah kerosakan dalam perkara agama. Iaitu kepercayaan yang bertentangan dengan wahyu. Jadi ini bukannya kerosakan potong pokok dan tarah bukit.

Orang munafik itu masih lagi berkawan dengan pendita Yahudi yang mereka rujuk itu walaupun setelah Nabi Muhammad berada di kalangan mereka dan mereka pun mengaku telah beragama Islam. Mereka masih tidak percaya sepenuhnya kepada Nabi Muhammad. Jadi mereka nak kawan dengan dua-dua pihak.

Mereka nak lihat siapakah yang akan menang. Mereka tidak sepenuhnya duduk dalam Islam. Dan kerana mereka masih tetap pergi berjumpa dengan orang Yahudi, orang lain yang tengok pun rasa macam tidak salah pergi berjumpa dengan Yahudi dan mengambil agama dari Yahudi. Ini juga merosakkan fahaman orang lain.

Ini terjadi sebab mereka tidak ada pegangan agama yang kuat. Mereka tidak faham agama dengan sebenarnya, kerana mereka tidak belajar dengan betul. Mereka kejap ke sana dan kejap ke sini.

Sebenarnya tak boleh begitu, kerana ajaran yang suci tak boleh campur dengan yang cemar. Sepatutnya salah faham mereka itu kena dibersihkan terus. Mereka sepatutnya sudah tidak boleh rujuk lagi kepada pendita-pendita Yahudi itu.

Adakah perkara yang sama berlaku zaman sekarang? Memang ada. Ada yang dengar apa yang ustaz Sunnah katakan dan mereka balik beritahu kepada ustaz-ustaz mereka yang mengajar perkara bidaah. Ustaz itu pula kata tak betul ajaran yang kita sampaikan sebab tak sama ilmu kita dan mereka.

Memang tidak sama kerana kita menggunakan dalil dari Al-Qur’an dan Sunnah, tapi guru-guru mereka tidak pun belajar Al-Qur’an dan Hadis Nabi. Jadi kerosakan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah melaga-lagakan Nabi Muhammad dan para sahabat. Begitu juga ada orang yang melagakan antara ajaran berasaskan sunnah dan tidak sunnah pada zaman sekarang.

 

قَالُوا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ

Mereka jawab: Sebenarnya kami orang yang nak buat baik;

Selepas ditegur, puak munafik itu menjawab seperti yang disebut dalam surah ini, dalam nada membantah. Mereka kata: kami ini hendak mendamaikan orang yang berbalah, sebenarnya; Ini adalah kerana mereka nampak Nabi ada kebenarannya, tapi mereka nampak puak yahudi pun ada kebenaran juga, maka kononnya mereka nak jadi orang tengah.

Kononnya nak jadi orang tengah supaya dua pihak itu mencari persamaan antara mereka dan dapat berdamai. Mereka rasa mereka sedang buat kebaikan, tapi sebenarnya tidak. Mereka kata mereka bukan mereka nak lagakan, tapi nak buat baik.

Mereka kata mereka sebenarnya mencari kebenaran. Tapi itu tidak benar. Apa yang mereka lakukan adalah membunuh ajaran agama. Mereka sebenarnya berbuat kerosakan.

Ini macam perbezaan antara puak sunnah dan puak sekolah pondok pada zaman sekarang. Puak Sunnah berpegang kepada ajaran Sunnah tapi puak sekolah Pondok banyak yang berpegang kepada ajaran yang bidaah (ajaran tok nenek yang sudah lama diamalkan di negara ini). Jadi, adalah golongan yang kononnya nak satukan dua kumpulan yang berbeza pegangan ini. Kononnya nak pakai dua-dua fahaman.

Nampak macam sedap dan molek apa yang mereka katakan itu. Tapi mereka tak faham bahawa kebenaran hanya satu sahaja. Yang mereka nampak dua-dua belah pihak ada juga kebenaran itu adalah kerana mereka jahil. Kefahaman mereka tidak jelas dan tidak betul. Sahabat lain sudah faham dah, tapi mereka sahaja yang masih tidak faham.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 15 Oktober 2019

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Surah Baqarah Ayat 1 – 5 (Golongan Beriman)

Pengenalan:

Surah Al-Baqarah banyak menceritakan tentang sifat-sifat Yahudi. Kita pun kenalah tahu apakah masalah mereka. Kita kena faham yang Allah bukan marah ‘bangsa Yahudi’, tapi ‘sifat Yahudi’. Kerana ada yang baik dari kalangan mereka dan isteri Nabi pun ada yang daripada bangsa Yahudi.

Yang tidak boleh diikuti adalah perangai mereka. Orang Melayu pun boleh jadi ada perangai macam itu. Dan yang Allah marah adalah perangai itu. Takut kita pun ada perangai macam yang dikutuk dalam Al-Qur’an itu.

Ada hubungan yang berkait rapat (robtus suwar) antara Surah Al-Fatihah dan Surah Al-Baqarah. Kerana susunan Surah Baqarah itu terletak selepas Surah Fatihah dan susunan ini adalah tawqifi – maknanya susunan itu dari Allah dan bukan Nabi susun sendiri. Bukan Nabi buat sendiri tapi dipandu oleh Allah dan tentunya ada hikmah kenapa ianya disusun sebegitu.

Kerana, kalau diikutkan susunan dari masa diturunkan, tentulah bukan Surah Al-Baqarah yang mula sekali diturunkan. Oleh kerana itu, ulama’ telah ramai yang mengkaji kaitan antara Surah Al-Fatihah dan Surah Al-Baqarah.

Antara yang memberi pendapat adalah seorang ulama’ yang bernama Al-Razi. Dia mengaitkan antara ayat terakhir Surah Al-Fatihah dan awal Surah Al-Baqarah. Ayat Surah Al-Fatihah berakhir dengan صِراطَ الَّذينَ أَنعَمتَ عَلَيهِم غَيرِ المَغضوبِ عَلَيهِم وَلَا الضّالّينَ. Maka Allah hendak menjelaskan tentang empat golongan itu.

Dan di awal Surah Al-Baqarah memang menerangkan beberapa golongan yang dimaksudkan dalam Surah Al-Fatihah itu. 5 ayat pertama tentang mereka yang diberi nikmat. Mereka diberi nikmat itu kerana sifat mereka, bukannya kerana keturunan mereka dan sebagainya. Oleh itu, kalau kita nak dapat macam mereka dapat, maka kena bersifat seperti mereka.

Ayat 6 dan 7 adalah tentang golongan yang dimurkai, iaitu golongan Musyrikin dan Yahudi. Allah kunci hati mereka kerana kedegilan mereka. Maka jangan kita degil macam mereka.

Ayat 8 – 16 tentang golongan munafikin.

Ayat 17 dan 18 adalah bandingan antara Yahudi dan musyrikin. Supaya kita senang tahu siapakah Yahudi dan siapakah musyrikin.

Ayat 19 – 20 pula adalah bandingan kepada golongan munafikin.

Jadi 20 ayat pertama dalam Surah Al-Baqarah ini adalah untuk menjelaskan siapakah golongan yang empat itu.

Satu lagi kaitan Surah Al-Baqarah dengan Surah Al-Fatihah adalah kita telah meminta hidayah dalam Surah Al-Fatihah – اهدِنَا الصِّراطَ المُستَقيمَ. Maka Allah jawab yang hidayah itu ada dalam Al-Qur’an dalam ayat ذٰلِكَ الكِتابُ لا رَيبَ ۛ فيهِ ۛ هُدًى لِلمُتَّقينَ. Kita hendak jalan yang lurus yang menepati kehendak Tuhan. Nak tahu, kena belajar tafsir Al-Qur’an.

Kaitan yang ketiga adalah persamaan dalam Dakwa kedua-dua surah. Dakwa Surah Al-Fatihah adalah tauhid fi ibadah dan tauhid fi dua’. Dalam hadis telah disebut yang doa itu adalah otak kepada ibadah. Dan Doa itu adalah ibadah sebenarnya. Jadi hamba kena sentiasa, setiap waktu meminta pertolongan kepada Allah. Dan dimanakah Dakwa Surah Al-Baqarah? Ayat 21:

يا أَيُّهَا النّاسُ اعبُدوا رَبَّكُمُ الَّذي خَلَقَكُم وَالَّذينَ مِن قَبلِكُم لَعَلَّكُم تَتَّقونَ
Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.

Inilah maksud terpenting yang Alah hendak beritahu kepada semua pembaca Al-Qur’an iaitu untuk sembahlah Allah. Dan bukan sembah dalam maksud biasa, tapi dalam bentuk tauhid.

Iaitu sebenarnya, ia menyentuh tentang mentauhidkan Alah. Ibn Abbas pernah berkata yang setiap lafaz ‘ibadat’ dalam Al-Qur’an bukan bermaksud sembarangan. Sebab lafaz ‘ibadat’ boleh jadi macam-macam. Sebagai contoh, Musyrikin Mekah pun buat ibadat juga tapi Allah kata mereka itu Musyrikin. Kerana mereka buat ibadat tapi dalam pada itu mereka buat syirik juga.

Oleh itu, kata Ibn Abbas, setiap lafaz ibadat dalam Al-Qur’an bermaksud ‘Tauhid dalam ibadat’. Bukan ibadat yang bercampur antara ibadat kepada Allah dan kepada selain Allah. Macam masyarakat kita, mereka solat juga tapi masih jumpa bomoh dan seru selain Allah.

Jadi, ada tiga kaitan antara Surah Fatihah dan Baqarah :

1. Al-Baqarah menjelaskan 4 golongan yang disebut dalam ayat صِراطَ الَّذينَ أَنعَمتَ عَلَيهِم غَيرِ المَغضوبِ عَلَيهِم وَلَا الضّالّينَ

2. Al-Baqarah menjelaskan bagaimana hendak mendapatkan jalan yang lurus seperti yang kita minta dalam ayat اهدِنَا الصِّراطَ المُستَقيمَ

3. Dakwa Surah yang sama dalam Al-Fatihah dan Al-Baqarah.

 

Kelebihan Surah ini:

Hadis mengatakan bahawa jikalau Surah Al-Baqarah dibacakan di dalam rumah, jin syaitan akan keluar dari rumah itu.


 

Ayat 1: Dari ayat 1 – 39 adalah Mukaddimah surah ini. Dan mukaddimah pun boleh dipecahkan lagi kepada beberapa bahagian.

الٓمٓ

Huruf-huruf ini dinamakan ‘Huruf muqatta’ah’ – huruf yang dipotong-potong. Kita tidak tahu apakah maksudnya. Nabi tak beritahu dan sahabat pun tak tanya. Padahal tugas Nabi untuk sampaikan apa yang patut disampaikan.

Maka, perkara ini kita tidak dapat tahu dengan sendiri dan kalau ianya perkara yang perlu diketahui, Nabi sudah tentu akan beritahu kepada para sahabat, tapi tidak ada riwayat yang Nabi menjelaskannya. Maka kita kena senyap dan jangan buang masa untuk mencari apakah maksudnya. Memang ada yang beri pendapat tapi mereka bercakap tanpa ada dalil.

Maka, kita memulakan tafsir surah ini dengan kita tidak tahu. Kalau Allah tidak beritahu kepada kita apakah makna sesuatu itu, kita tidak akan tahu. Maknanya, kita mengharapkan ilmu dari Allah tentang sesuatu ilmu itu. Jikalau Allah tidak mengizinkan kita tahu, maka kita tidak akan tahu.


 

Ayat 2:

ذٰلِكَ الكِتٰبُ لا رَيبَ ۛ فيهِ ۛ هُدًى لِّلمُتَّقينَ

Sahih International

This is the Book about which there is no doubt, a guidance for those conscious of Allah –

Malay

Kitab Al-Qur’an ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;

 

ذَٰلِكَ الْكِتٰبُ

Itulah kitab.

Allah menggunakan perkataan ذٰلِكَ  untuk merujuk kepada Al-Qur’an dan perkataan ذٰلِكَ bermaksud ‘itu’. Sepatutnya kita rasa yang sesuai kenalah guna perkataan yang bermaksud ‘ini’ kerana Al-Qur’an ada depan kita, bukan?

Tapi, tidaklah ayat itu yang digunakan oleh Allah. Ini adalah kerana, apabila digunakan itu pada tempat yang sepatutnya digunakan ini, dari segi balaghah, menunjukkan ketinggian dan kehebatan.

Perdapat kedua: Perkataan ini digunakan untuk mengejutkan orang. Perkataan yang digunakan adalah ذَٰلِكَ yang bermaksud ‘itu’. Ini adalah kerana tidak ada kitab dalam bentuk mushaf yang digunakan pada zaman Nabi. Yang ada Al-Qur’an yang lengkap adalah Al-Qur’an yang berada di langit dunia yang diturunkan sedikit demi sedikit oleh Malaikat Jibrail. Jadi, perkataan ‘itu’ yang digunakan adalah merujuk kepada Al-Qur’an yang berada di langit itu.

 

لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ

Tidak ada keraguan di dalamnya.

Tidak ada syak pada Al-Qur’an itu. Tapi ada kalimah الشك tapi tidak digunakan di sini. Ini adalah kerana kalimah ريب adalah permulaan kepada syak. Maknanya di dalam Al-Qur’an, permulaan syak pun tidak ada. Syak kecil tidak ada, apatah lagi syak yang besar.

Allah sendiri yang kata tidak ada syak pada Al-Qur’an. Tapi kalau begitu, kenapa ramai tak percaya? Lebih ramai yang tak percaya kepada Al-Qur’an daripada mereka yang percaya. Adakah salah ayat ini?

Kita kena faham apakah yang hendak disampaikan oleh Allah. Makna dalam ayat ini adalah, Allah nak kata tidak syak yang Al-Qur’an itu datang dari Allah. Allah nak beritahu sendiri kepada kita. Sama ada manusia hendak percaya atau tidak, terpulang kepada mereka dan mereka akan menanggung kesesalan jikalau mereka tidak mempercayainya nanti.

Juga tidak ada keraguan dalam isi kandungnya. Tidak akan sebarang perselisihan di dalamnya. Tidak ada juga perbezaan antara apa yang diceritakan dalam Al-Qur’an dengan hadis Nabi. Apa yang Nabi kata tidak akan berlawan dengan ayat Al-Qur’an. Jadi, jikalau kita jumpa ada hadis yang tidak sealiran dengan Al-Qur’an, bermakna Hadis itu yang ada masalah.

Musuh-musuh Islam telah sekian lama mencari kesalahan di dalam Al-Qur’an tapi sampai sekarang, mereka tidak berjumpa. Dan mereka tidak menjumpainya walaupun mereka terus mencarinya.

 

هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ

Suatu petunjuk bagi mereka yang bertakwa.

Kalimah هُدًى adalah satu perkataan dalam isim masdar tapi maksudnya haadin, isim fa’il. Tapi kalau ianya bermaksud fa’il, kenapa dibawa dalam bentuk masdar pula? Kerana hendak menguatkan makna haadin.

Ini ada perbahasan bahasa sedikit. Sebagai contoh, kalau kita kata zaid aadilun (Zaid seorang yang adil). Ini lafaz biasa sahaja dalam bahasa Arab. Untuk kita beritahu kepada orang yang tak kenal Zaid, yang Zaid itu seorang yang adil. Tapi kadang-kadang tidaklah dia adil. Tapi kalau kita kata zaid adlun – Zaid itu lambang keadilan, itu adalah satu kata yang hebat sungguh – Zaid sentiasa adil dan keadilannya itu hebat sungguh.

Begitulah juga penggunaan masdar dalam ayat ini. Al-Qur’an itu amat hebat, ianya adalah lambang bagi hidayah, sentiasa menunjuk kepada hidayah. Dengan menggunakan balaghah seperti ini, ianya memberi kesan yang amat hebat.

Allah sambung dalam ayat ini yang Al-Qur’an itu هُدًى لِلمُتَّقينَ – hidayah kepada orang yang bertaqwa. Taqwa ini maksudnya takut dan jaga hukum. Mungkin timbul satu persoalan, “kenapa nak beri hidayat lagi kepada orang yang sudah bertaqwa? Patutnya kena diberikan kepada yang jahillah, bukan?”

Jadi ulama’ kata lafaz مُتَّقينَ dalam ayat ini bukanlah bermaksud orang yang sudah sempurna taqwa mereka, tapi orang yang ‘hendak menjadi orang yang bertaqwa’. Kalau seseorang itu ada keinginan untuk jadi orang bertaqwa, Allah akan buka hatinya untuk mencapai kedudukan itu.

Apabila dia telah percaya dengan Allah, tentulah dia nak belajar isi kandung Al-Qur’an sebagai petunjuk. Petunjuk yang ada dalam Al-Qur’an ini adalah diberikan kepada orang yang sudah terima tauhid. Iaitu selepas dia telah mengucap dua kalimah syahadah. Supaya dia kenal siapakah Tuhan dan supaya dia tidak melakukan syirik seperti agama-agama lain.

Dalam ayat ini, Allah menggunakan perkataan ‘taqwa’. Perkataan ini selalunya diterjemahkan sebagai ‘takut’. Tapi takut bukanlah terjemahan yang tepat. Kerana kalau kita maksudkan ‘takut’ sahaja, ada perkataan lain yang boleh digunakan: ‘khauf’. Taqwa ini boleh diertikan sebagai seorang yang berhati-hati dalam kehidupannya. Dia akan sentiasa memeriksa sama ada apa yang dia lakukan itu bertepatan dengan agama dan kehendak Allah.

Untuk sempurna taqwa, ada dua perkara kena ada, dan dua perkara kena tiada.

1. Jangan ada sifat sombong. Kalau ada, taqwa tidak akan masuk. Jangan ada sifat sombong untuk terima kebenaran.

2. Jangan ikut orang lain membuta tuli. Jangan taqlid kepada orang tanpa usul periksa. Kena ada usaha cari kebenaran. Jangan serah sahaja kepada orang.

3. Kena takut kepada balasan dari Allah. Takut ancaman kalau buat salah.

4. Kena jaga diri. Kawal nafsu dari durhaka kepada suruhan dan layanan Allah.

Dalam Surah Al-Fatihah, kita telah diajar untuk meminta hidayah dari Allah. Maka, Allah menjawap dalam ayat ini bahawa Al-Qur’an inilah sebagai petunjuk dan hidayah bagi mereka. Jadi, jikalau kita hendak menjadi orang yang bertaqwa, maka kita hendaklah jadikan Al-Qur’an ini sebagai pedoman hidup kita. Kenalah kita belajar tafsir Al-Qur’an sampai habis.

Juzuk pertama Al-Baqarah adalah untuk menceritakan sifat orang Yahudi dan pendita mereka. Jadi kalau nak tahu sama ada guru kita macam Yahudi, kita boleh lihat dalam Surah Al-Baqarah ini. Ayat 1-20 Al-Baqarah adalah untuk menghuraikan maksud ayat Surah Al-Fatihah صِراطَ الَّذينَ أَنعَمتَ عَلَيهِم غَيرِ المَغضوبِ عَلَيهِم وَلَا الضّالّينَ.


 

Ayat 3: Siapakah orang bertaqwa itu? Ayat 3 – 5 menyebut apakah ciri-ciri orang Mukmin itu:

الَّذينَ يُؤمِنونَ بِالغَيبِ وَيُقيمونَ الصَّلَوٰةَ وَمِمّا رَزَقنٰهُم يُنفِقونَ

Sahih International

Who believe in the unseen, establish prayer, and spend out of what We have provided for them,

Malay

Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.

 

الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ

Orang-orang yang beriman dengan yang ghaib.

Selepas disebut tentang orang yang bertaqwa, timbul satu persoalan: “Apakah maksud orang bertaqwa?” Mungkin ada orang yang kata dia pun bertaqwa juga. Maka, Allah jelaskan sifat orang yang bertaqwa itu.

Pertamanya, kita kena tahu yang umat Nabi Muhammad ada dua golongan. Ada yang tidak ada kitab macam Arab Mekah dan ada yang sudah ada kitab macam Yahudi dan Nasara. Begitu hebatnya Al-Qur’an, ia bukan sahaja memberikan hidayah kepada yang tidak ada kitab tapi kepada yang ada kitab pun. Semuanya sekali berhak jadi umat Al-Qur’an.

Oleh itu, ayat الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ merujuk kepada mereka yang tidak mempunyai kitab. Mereka itu adalah Golongan Ummiyyin. Tapi mereka hebat dalam bahasa. Daya ingatan mereka pun kuat. Kerana itu mereka belajar Al-Qur’an dengan cara mendengar sahaja dan mereka boleh faham. Maka kalau ada dari kalangan orang kita yang tidak tahu baca Al-Qur’an, boleh dimaafkan lagi asalkan faham tafsir Al-Qur’an itu. Tidak ada syarat yang kata kita kena boleh baca Al-Qur’an ini. Biar buta huruf asalkan celik hati.

Jadi, ciri pertama mereka yang bertaqwa adalah manusia yang percaya kepada Allah walaupun dia tidak nampak Allah. Memang Allah ghaib dari penglihatan dan pendengaran. Walaupun orang beriman tidak nampak dan dengar Allah, tapi dia percaya.

Inilah ciri taqwa yang pertama – percaya.

Kedua, hubungan dengan Allah – ibadat.

Ketiga hubungan dengan makhluk – adat.

Sifat Taqwa mesti mengandungi ketiga tiga ciri ini.

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘ghaib’? Ianya adalah perkara yang kita tak nampak. Contohnya Allah dan malaikat kita tidak nampak. Tapi bukan itu sahaja. Ada lagi yang kita tak nampak, tapi sebagai orang Islam, kita percaya kewujudannya.

Contohnya, syurga adalah alam zahir, tapi kita tak nampak sebab jauh. Macam juga tempat jauh macam Kelantan, New York dan sebagainya. Maknanya yang jauh juga dikira ghaib. Atau yang kita tak dapat tengok, macam malaikat. Kerana mereka dalam alam lain.

Satu lagi adalah peristiwa yang akan datang. Tidak ada makhluk yang tahu apa yang akan berlaku. Diberitahu hanya sedikit kepada para Nabi. Bukan semua mereka tahu melainkan yang Allah yang beritahu kepada mereka. Kalau tidak diberitahu, mereka pun tidak tahu. Jadi, kita tidak boleh kata Nabi tahu apa yang akan terjadi di masa hadapan.

Rasulullah pun hanya tahu apa yang diberitahu kepadanya sahaja. Contohnya, ada sahabat tanya kepada Nabi keadaan bapanya yang telah mati. Nabi dapat wahyu mengatakan yang ayahnya dalam neraka. Sahabat Nabi itu sedih dan dia pergi. Kemudian Nabi panggil balik kerana Nabi mendapat wahyu yang kedua. Iaitu ayah sahabat itu dan ayah Nabi dua-dua dalam neraka.

Nabi sendiri tidak tahu perkara ghaib, tapi ada antara kita yang kata ada tok guru yang tahu perkara ghaib sampai tahu apa yang dalam hati kita. Sampai ada orang kita takut nak salam dengan tok guru itu sebab takut dia tahu apa dalam hati dia. Takut guru itu tegur dia atas kesalahan yang dia telah lakukan. Sampai nak kena betulkan niat sebelum jumpa guru itu. Ini semua adalah pemahaman yang salah dalam masyarakat kita.

Padahal malaikat Raqib dan Atid yang sentiasa bersama kita dari lahir sampai mati pun tidak tahu apa yang ada dalam hati kita. Kerana di Mahsyar nanti, manusia akan dibentangkan buku amalan mereka. Tuhan akan arahkan supaya dicampakkan amal ibadat manusia itu. Malaikat Raqib dan Atid akan kata mereka sebagai saksi bahawa manusia itu memang buat amalan ibadat itu. Tapi Allah kata malaikat tidak tahu yang mereka buat amalan itu bukan kerana Allah.

Jadi, malaikat pun tidak tahu apa yang ada dalam hati kita. Jadi kalau kita kata yang ada manusia seperti tok guru tahu apa yang dalam hati manusia, maka itu dinamakan syirk fil ilmi – syirik dalam ilmu. Kita kena terima bahawa Allah sahaja yang tahu apa yang dalam hati kita.

Kalau kita kata ada manusia yang tahu hal ghaib, itu telah menyamakan orang itu dengan Allah. Kalau ada yang tok guru itu tahu, itu adalah kerana mereka telah diberitahu oleh jin yang nampak apa yang kita telah lakukan dan mengabarkan maklumat itu kepada guru.

Beberapa perkara ghaib yang kita kena faham. Dalam rukun iman yang enam, lima darinya adalah ghaib bagi kita.

– Allah ghaib.
– Akhirat juga ghaib.
– Nabi ghaib bagi kita sekarang dengan kita.
– Malaikat juga ghaib.
– Taqdir pun ghaib.

– Hanya Al-Qur’an sahaja yang tidak ghaib. Maka dengan Al-Qur’an inilah yang kita boleh terima maklumat tentang lima perkara ghaib di atas. Yang lima perkara lain kita tak dapat nak tunjuk. Maka kita kena rapat dengan Al-Qur’an. Kita kena faham dan hayati bukan setakat tahu sahaja.

 

وَيُقِيمُونَ الصَّلَوٰةَ

Dan mereka mendirikan sembahyang;

Tidak ada amalan yang lebih tinggi dari solat. Maka ianya disebut di sini sebagai wakil ibadat. Allah kata dirikan solat. Maksudnya solat yang sempurna macam Nabi dan sahabat buat.

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘mendirikan’ sembahyang? Ianya bermula dari mandi junub lagi, sepertimana Nabi ajar untuk mendapatkan khusyuk solat. Kemudian wuduk sepertimana Nabi ajar. Dan jaga kebersihan pakaian dan badan dari najis. Dan solat sebagaimana Nabi ajar. Dan solat di masjid untuk lelaki. Tidak boleh solat di rumah bagi lelaki kecuali kalau dia tak dengar azan kerana jauh. Itulah maksud ‘mendirikan sembahyang’.

Mandi junub itu sepatutnya menggunakan satu baldi air atau satu gantang air sahaja. Mandi suami dan isteri sekali menggunakan air yang sama seperti yang Nabi lakukan. Tapi kita selalunya akan pakai air dengan banyak, jadi dalam solat kita lalai.

Ambil wudu pula menggunakan air lebih kurang satu liter air. Jangan membazir air dengan menggunakan air yang banyak. Jangan pasang air dengan kuat sampai mencurah-curah air – itu membazir namanya.

Pakaian dan badan kena sentiasa bersih. Kalau putus wudu, amalkan supaya sentiasa memperbaharui wudu. Itu semua dinamakan ‘mendirikan sembahyang’. Kalau perempuan solat di rumah, darjat sama banyak dengan lelaki yang solat di masjid. Jadi tidak perlu orang perempuan untuk pergi solat di masjid. Sama sahaja pahala yang mereka dapat kalau solat di rumah.

 

وَمِمَّا رَزَقْنٰهُمْ يُنْفِقُونَ

Dan daripada rezeki yang Kami anugerahkan kepadanya, mereka infakkan

Kita digalakkan untuk infakkan harta kepada orang miskin dan orang yang memerlukan. Kemudian, orang yang putus bekalan dalam musafir. Kemudian, orang yang kena bala. Penjelasan siapakah yang patut kita beri infak ada disebut dalam ayat-ayat lain surah.

Infak adalah wakil kepada perbuatan mengeratkan hubungan manusia dengan manusia lain. Itulah yang dinamakan berbuat baik dengan orang lain. Paling kurang, jangan buat jahat dengan orang lain. Dan perbuatan yang paling baik adalah dengan infak kepada orang lain. Kita bukan sahaja dapat pahala tapi dapat eratkan hubungan sekali.

Bukan sahaja kita boleh infak dalam bentuk harta sahaja tapi dalam bentuk ilmu juga. Itu dinamakan ‘infak ilmu’. Iaitu ilmu yang Allah berikan kepada kita, kita beri kepada orang lain. Jangan simpan sahaja ilmu yang kita ada, hendaklah kita sampaikan kepada orang lain. Orang lain memang memerlukan ilmu agama dan kalau kita simpan pada diri kita sahaja, ini amatlah merugikan.

Allah nak beritahu bahawa apa sahaja yang kita infakkan untuk agama, bukanlah dari harta kita sendiri sebenarnya. Semua yang kita ada, Allah juga yang beri. Begitu juga dengan ilmu, ilmu itu semua dari Allah. Bukannya kita fikirkan sendiri.

Kalau kita tengok susunan kriteria orang yang bertaqwa itu adalah begini:

    1. Percaya kepada ghaib.
    2. Mendirikan solat.
    3. Infak.

Dari susunan itu, kita boleh tahu bahawa orang yang percaya kepada yang ghaib, akan senang untuk solat. Dan orang yang solat akan senang untuk menafkahkan hartanya.


 

Ayat 4: Ayat sebelum ini tentang mereka yang tidak tahu membaca dan menulis. Dan ayat 4 ini merujuk kepada mereka yang pandai membaca dan menulis – iaitu mereka yang sudah ada pegangan agama sebelum Islam. Iaitu mereka yang sudah ada kitab wahyu.

وَالَّذينَ يُؤمِنونَ بِما أُنزِلَ إِلَيكَ وَما أُنزِلَ مِن قَبلِكَ وَبِالآخِرَةِ هُم يوقِنونَ

Sahih International

And who believe in what has been revealed to you, [O Muhammad], and what was revealed before you, and of the Hereafter they are certain [in faith].

Malay

Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab “Al-Qur’an” yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).

 

وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ

Dan orang-orang yang beriman dengan apa yang diturunkan kepada kamu (Muhammad)

Ayat ini tentang umat Nabi Muhammad yang boleh menulis dan membaca. Merangkumi semua agama yang lama ataupun yang baru.

Ayat ini menunjukkan kebenaran dan kehebatan Al-Qur’an, kerana bukan bangsa yang tidak ada ilmu agama dan tidak ada kitab yang terima Islam, akan tetapi yang ada dan mahir dengan kitab pun terima juga. Sebagai contoh seorang sahabat Nabi yang bernama Abdullah bin Salam. Beliau adalah seorang pendeta Yahudi dan beliau telah menerima Islam dengan rela. Yang tidak terima itu adalah kerana mereka sombong sahaja.

Dari kalangan Nasara juga ada yang terima Islam zaman Nabi. Contohnya seorang sahabat yang bernama Dihyah al-Kalbi. Begitu juga Suhaib al-Rumi dan banyak lagi.

Mereka juga beriman dengan dengan kitab-kitab mereka. Dan apabila mereka tahu tentang Al-Qur’an, mereka pun beriman dengan Al-Qur’an sepenuhnya, iaitu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad.

 

وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ

dan dengan kitab-kitab yang telah diturunkan sebelum ini;

Ayat ini tentang orang-orang Yahudi dan Kristian yang beriman dengan kitab-kitab lain sebelum ini.

Sahabat Nabi ada dua golongan: kaum Anshar dan Muhajirin; dan satu lagi dari golongan yang telah beriman dengan kitab Taurat atau Injil. Ada juga dari golongan Anshar yang telah beriman dengan kitab-kitab dari langit sebelum itu.

Ia juga sebagai satu dalil bahawa kita percaya bahawa memang ada kitab-kitab yang diturunkan Allah sebelum Al-Qur’an seperti kitab Zabur, Taurat dan Injil. Memang kitab yang ada sekarang ini telah diubah oleh Yahudi dan Kristian. Tapi masih ada lagi serba sedikit yang asal.

Maka kita tidak boleh menolak semuanya. Ianya kerana kitab-kitab itu masih lagi Kalam Allah. Cuma kita tidak dapat pastikan manakah bahagian yang telah diubah dan manakah bahagian yang asal.

 

وَبِالْآخِرَةِ

Dan dengan hari akhirat

Mereka juga beriman dengan akhirat. Bukanlah mereka beriman dengan hari akhirat sahaja, tapi mereka juga beriman dengan yang ghaib, mendirikan solat dan juga infak. Tapi lebih -lebih lagi, mereka yakin dengan hari akhirat. Sama seperti yang diterima oleh Arab Mekah dalam ayat sebelum ini.

 

هُمْ يُوقِنُونَ

Mereka itulah orang yang menyakini;

Mereka yakin terhadap hidup di akhirat nanti. Kenapa tidak disebut Arab Mekah beriman dengan hari akhirat? Kerana untuk yakin dengan akhirat, memerlukan ilmu dari Kitab. Orang Arab Mekah tidak ada faham akhirat sebelum itu. Kerana mereka tidak ada maklumat, kerana mereka tidak ada kitab. Dan untuk mengetahui akhirat, memerlukan wahyu. Mereka tidak sama dengan ahli Kitab yang sudah ada sedikit sebanyak maklumat.

Ada sahabat yang sebelum masuk Islam, mereka dari agama lain. Tapi mereka yakin dengan Islam setelah disampaikan dakwah kepada mereka. Seperti Abdullah bin Salam, sebelum itu dia adalah ulama’ Yahudi. Tidak ramai pendita Yahudi yang masuk.

Tapi sentiasa ada pendita Yahudi atau Kristian yang masuk Islam. Dari dulu sampai sekarang. Setelah mereka mengkaji bandingan antara agama, membandingkan agama mereka dan agama Islam, mereka akan mendapati bahawa Islamlah agama yang benar.

Apabila mereka masuk Islam, mereka akan mendapat dua pahala. Pertama, kerana beriman dengan agama asal mereka, dan kedua setelah mereka beriman dengan Islam. Ini adalah kelebihan yang ada pada mereka.


 

Ayat 5:

أُولٰئِكَ عَلىٰ هُدًى مِّن رَّبِّهِم ۖ وَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

Sahih International

Those are upon [right] guidance from their Lord, and it is those who are the successful.

Malay

Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.

 

أُولَٰئِكَ

Orang-orang yang bersifat seperti ini

Iaitu dengan sifat-sifat yang telah disebutkan sebelum ini.

 

عَلَىٰ هُدًى مِّنْ رَّبِّهِمْ

di atas petunjuk dari Tuhan mereka;

Apabila sudah ada empat sifat itu (beriman dengan yang ghaib, mendirikan solat, infak dan beriman dengan Hari Akhirat), seseorang itu sudah berada dalam hidayah dan tidak akan sesat semasa di dunia.

 

وَأُولَٰئِكَ

Dan orang-orang yang bersifat seperti inilah

Maka kita hendaklah jadi seperti mereka. Kerana itu kita kena belajar tentang mereka.

 

هُمُ الْمُفْلِحُونَ

mereka yang berjaya

Apabila mati, mereka akan mendapat kejayaan. Mereka lulus dalam ujian di dunia. Begitulah penjelasan Allah tentang sifat mereka yang diberikan nikmat oleh Allah.

Bayangkan pengorbanan orang-orang yang terdahulu macam orang Muhajirin yang telah tinggalkan semua rumah, tanah, ladang dan sebagainya untuk hijrah ke Madinah. Mereka hanya boleh bawa apa yang mereka boleh bawa dengan kenderaan unta atau berjalan kaki sahaja.

Orang Musyrik yang ambil segala harta yang telah ditinggalkan itu. Selain dari tinggalkan hartabenda, mereka terpaksa tinggalkan ahli keluarga mereka juga. Sebab ramai ahli keluarga mereka yang tidak mahu masuk Islam. Mereka ini adalah orang-orang yang berjaya sungguh. Mereka telah menerima Islam dan mereka telah berkorban di jalan Allah.

Orang Anshar pula terdiri dari dua kumpulan: Aus dan Khazraj. Aus berkawan dengan Yahudi Bani Quraizah. Dan Khazraj berkawan dengan puak Yahudi Bani Qainuqa’. Dua puak ini telah berperang selama 70 tahun.

Orang munafik terdiri daripada kalangan kaum Anshar. Apabila Islam datang ke Madinah, semua kaum Anshar masuk Islam. Maka, yang tak mahu masuk Islam pun terpaksa juga masuk. Jadi ada antara mereka yang masuk Islam tidak dengan kehendak sebenar.

Hati mereka tidak menerima Islam sebenarnya, tapi mereka terpaksa kerana ramai orang sudah masuk Islam. Mereka inilah yang dinamakan golongan munafik. Kita tahu kerana Nabi telah beritahu nama-nama orang Munafik itu kepada Abu Huzaifah. Tiap-tiap tahun Saidina Umar akan tanya kepada Huzaifah adakah dia salah seorang yang termasuk dalam golongan munafik. Tapi Abu Huzaifah tidak pernah langsung memberitahu kepada Saidina Umar.

Dan Umar hanya akan menyembahyangkan jenazah yang juga dihadiri oleh Huzaifah. Huzaifah tidak pecah rahsia ini sampai mati. Bayangkan seorang sahabat besar seperti Saidina Umar pun risau takut-takut dia juga termasuk dalam golongan Munafik. Penerangan tentang orang Munafik ini akan diterangkan tidak lama lagi dalam surah ini nanti.

Perkataan ‘muflihoon’ itu diambil dari perkataan ‘falah’ yang juga digunakan untuk petani. Mereka menuai hasil tanaman mereka selepas mereka berusaha berbudi kepada tanah. Begitu juga, kalau kita hendak dimasukkan ke dalam golongan yang berjaya seperti yang dimaksudkan dalam ayat ini, kita juga perlu berusaha. Bukan senang-senang cakap beriman tapi tidak ada usaha yang kita lakukan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 4 Sep 2022

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan